Johor · 21 May 2025

15th Assembly, 4th session, 1st meeting · not final · 105 turns · 34,790 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. (Bacaan selawat).

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, pagi ini saya ingin membangkitkan tentang masalah sound system dalam Dewan ini. Semalam ketika Yang Amat Berhormat Menteri Besar menjawab soalan lisan, dua (2) kali saya mencelah dan kedua-dua kali itu Yang Amat Berhormat tanya balik, saya bertanya apa sebenarnya? Ini menandakan bahawa sound system ini yang saya difahamkan sudah pun di upgrade dengan izin, tetapi masih belum berkesan. Bahkan ada di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat memaklumkan kepada saya, bahawa apabila rakan mereka Ahli Yang Berhormat sedang berbahas di sebelah mereka, sebenarnya mereka pun tidak dapat mendengar butiran itu dengan jelas. Ini apatah lagi kepada para pemerhati yang ada di atas, yang kadang-kadang mereka juga complaint mereka tidak dapat mengikuti perbahasan sepenuhnya. Dan saya bimbang bahawa ini akan menyebabkan minat pemerhati untuk mengikuti Persidangan ini semakin menurun. Jadi, saya fikir kita harus mencari jalan walaupun saya difahamkan alasannya ialah kerana Dewan ini besar, tinggi, dome dan sebagainya, tetapi kalau kita lihat di tempat-tempat lain seperti di PICC ya, perkara ini tidak berbangkit. Jadi saya fikir mesti ada jalan dan cara supaya sistem di Dewan yang mulia ini, yang sebegini cantik dapat dipertingkatkan supaya perjalanan Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ini berjalan dengan lancar. Terima kasih.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Johor Lama.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNJohor Lama

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Johor Lama nombor satu (1).

Bolehkah kerajaan negeri mengemukakan senarai projek-projek ikonik pelancongan yang telah dan sedang dilaksanakan di Johor bagi menyokong agenda Tahun Melawat Johor 2026, serta status terkini setiap projek tersebut?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pulai Sebatang.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih Datuk Speaker, soalan Pulai Sebatang nombor dua (2).

Sempena Tahun Melawat Johor 2026. Berapakah sasaran pelancong yang dianggarkan akan melawat Johor 2026 mengikut pecahan dalam negara, luar negara dan berapakah sasaran kutipan hasil pelancongan Tahun Melawat Johor 2026 serta apakah produk yang akan dipromosikan?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat Bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Yang Berhormat Datuk Speaker, Sungai Balang soalan nombor empat (4).

Speaker

Nombor tiga (3).

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Minta maaf, nombor empat (4), eh nombor tiga (3).

Apakah persediaan kerajaan dalam sektor pelancongan untuk menuju Tahun Melawat Johor 2026 bagi memastikan kempen pelancongan benar-benar berkesan menarik pelancong datang ke Negeri Johor?

Speaker

Nombor empat (4) juga tu, dia ingat empat (4) juga. (Dewan ketawa). Macam tak cukup. Dijemput Yang Berhormat Johor Jaya.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor empat (4).

Nyatakan status mengkorporatkan Tourism Johor dan usaha lanjut supaya meningkatkan kompetensi sektor pelancongan negeri Johor berbanding dengan negeri lain menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bismillahirrahmaanirrahim. (Bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya setuju bahawa dari segi sound system ini memang kita hendak kena upgrade. Saya risau semalam, saya ingatkan telinga saya dah mula nak kena upgrade rupanya sound system yang kena upgrade. Mungkin Jurutulis lepas ini boleh guna proper sound engineer untuk kita perhalusi macamana kita dapat memastikan echo yang ada dalam Dewan ini dapat kita perbaiki insya-Allah. Insya-Allah dalam sidang DUN yang akan datang, perkara ini akan diselesaikan. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Johor Lama, Yang Berhormat Pulai Sebatang, Sungai Balang dan juga Johor Jaya yang bertanyakan soalan-soalan berhubung kesiapsiagaan negeri Johor sempena Tahun Melawat Johor tahun hadapan, 2026. Dan, seperti yang semua sedia maklum di atas perkenan dan juga titah Pemangku Sultan Johor, saya telah dilantik untuk memegang portfolio pelancongan pada bulan Februari tahun lepas. Dan, sejurus memegang portfolio ini saya telah meminta maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk penggiat-penggiat industri yang hadir pada pagi ini. Tentang apa kelemahan, apa kekangan, apa cabaran dan apa yang perlu kita perbaiki untuk meningkatkan mutu pelancongan di negeri Johor. Melalui sosial media semua sedia maklum, ada yang kata bahawa Johor ini boring banyak tempat yang tutup, tidak ada tempat selain daripada shopping mall dan makan-makan. Tidak ada

tempat yang menarik. Namun begitu, ia berbeza dengan apa yang kita semua tahu, bahawa Johor Darul Ta’zim ini dianugerahkan Allah SWT dengan keindahan alam sekitar, dengan flora dan fauna, dengan sungai-sungai, dengan bukit bukau, gunung-ganang, lautan yang jernih. Namun begitu kita mendapat feedback yang kurang memberangsangkan. Namun kita menerima semua maklum balas itu Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan hati yang terbuka kerana Johor dan Bangsa Johor ini deserve the best. Dan kita, mengorak langkah untuk memperbaiki keadaan pelancongan negeri Johor melalui pendekatan dua (2) fasa.

Fasa pertama, ialah untuk menaik taraf produk-produk pelancongan negeri Johor yang sedia ada. Tidak ada guna Yang Berhormat Datuk Speaker, kita berbelanja berjuta-juta untuk produk-produk baharu semata-mata, sedangkan produk-produk yang sedia ada tidak dapat diguna pakai.

Fasa kedua Yang Berhormat Datuk Speaker, bila dah siap produk-produk pelancongan ini kita akan masuk ke fasa promosi. Kerana kalau tak ada produk apa yang kita hendak promosikan. Jadi itu, strategi yang kita gunakan Yang Berhormat Datuk Speaker. Untuk produk-produk pelancongan tahun lepas kita belanja sebanyak RM67.6 juta untuk menaik taraf produk-produk pelancongan. Untuk tahun ini kita belanjakan RM48.75 juta bagi 18 projek produk-produk pelancongan dan ini semuanya Yang Berhormat Datuk Speaker, adalah hasil usaha penggemblengan tenaga daripada Tourism Johor, daripada PBT-PBT, daripada Tourism Malaysia dan sebagainya. Jadi saya sekali lagi, macam mana kita buat untuk ekonomi Yang Berhormat Datuk Speaker, kita rapatkan saf juga untuk sektor pelancongan. Antara projek-projek ikonik yang sedang dilakukan tahun ini dan majoritinya akan siap tahun ini juga, pertamanya ialah menaik taraf infrastruktur di Gunung Ledang. Projek ini insya-Allah akan siap pada September tahun ini. Saya sendiri dah turun padang Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk melihat perkembangannya, alhamdulillah cantik dan akan siap pada bulan September dan kosnya berjumlah RM6.65 juta. Insya-Allah Yang Berhormat Datuk Speaker, boleh bawa cucu ke sini dia dekat dengan Batu Pahat insya-Allah.

Speaker

Boleh, boleh buat Puteri Gunung Ledang tiruan tak Yang Berhormat? Jadi orang lebih suka hendak datang juga.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Boleh, nanti kita boleh jemput Tiara Jacquelina Yang Berhormat Datuk Speaker, mungkin boleh hadir dekat sini. Tetapi tahun lepas saya dah jemput Yang Berhormat Speaker pergi Zoo Johor dan pergi ke Yang Berhormat Datuk Speaker, belum lagi? Ni Dato’ Jafni ni tak buat betul-betul, tolong susun Dato’ Jafni bawa Yang Berhormat Datuk Speaker dan cucu-cucunya insya-Allah. Sambutannya cukup menggalakkan di Zoo.

Keduanya, menaik taraf infrastruktur di Taman Negara Tanjung Piai. Kita belanja dekat sini Yang Berhormat Datuk Speaker, RM3.2 juta dan insya-Allah akan siap pada bulan Oktober tahun ini. Seterusnya, kita sedang membangunkan pusat rekreasi Sungai Lebam, Kota Tinggi. Projek ini adalah hasil usaha kerajaan negeri bersama PBT. Dekat Pengerang Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya ialah menaik taraf sekali lagi Zoo Johor ke fasa kedua. Kita hendak buat night zoo Yang Berhormat Datuk Speaker, dan kita nampak gaya mendapat sambutan yang baik dan insya-Allah akan siap pada bulan Ogos tahun ini. Untuk rekod Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak pembukaan Zoo Johor pada Ogos tahun lepas, hingga hari ini, sejumlah 820,000 pengunjung telah hadir di Zoo Johor ini.

Seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, ialah insya-Allah jika mendapat perkenan ke bawah Duli Tuanku Yang DiPertuan Agong dan juga Pemangku Sultan Johor, Taman Botani DiRaja bakal dibuka. Sama-sama kita doakan, memohon kepada Allah SWT agar mendapat perkenan ke bawah Duli Tuanku dan juga Pemangku Sultan. Seterusnya ialah Muzium DiRaja Abu Bakar, Sultan Abu Bakar di Istana Besar. Ini dari segi fasanya, dari segi infranya sememangnya dah siap. Namun, kita memohon juga perkenan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong dan juga Pemangku Sultan. Kita juga sedang giat menaik taraf Bangunan Sultan Ibrahim. Ini Yang Berhormat Datuk Speaker, kita belanja RM3.1 juta. Dulu dikenali sebagai The Kremlin of Johor semasa ia menjadi pusat pentadbiran kita, dan insya-Allah kita akan buka kepada pelancong pada bulan Ogos. Pembukaan semula Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, penaiktarafan juga sedang giat dilaksanakan di sini supaya ia menjadi pusat pelancongan negeri Johor. Jadi dari segi kita punya program-program kebudayaan akan dilaksanakan setiap minggu nak perkenalkan balik secara agresif zapin negeri Johor ini akan siap insya-Allah pada hujung tahun ini. Muzim tokoh yang juga lama ditutup Yang Berhormat Datuk Speaker, akan bakal dibuka insya-Allah sekali lagi akhir tahun ini.

Untuk kemudahan awam dari segi rekreasi, Hutan Bandar JB juga sedang dinaik taraf. Sebanyak RM10,000,000.00 Yang Berhormat Datuk Speaker dibelanjakan untuk menaik taraf Hutan Bandar JB ini sebelah dengan TMIYC JB. Kemudiannya, kita tak lupa juga dari segi sektor eco tourism, Kampung Sungai Melayu juga sedang dinaik taraf. Yang Berhormat Datuk Speaker, yang saya cakap sedang sedang ini memang kerja sedang dilaksanakan di peringkat ground, di peringkat site. Kalau dulu kita kenal kawasan Kampung Sungai Melayu ini sebagai tempat makan asam pedas Tok Pandak, mana Tok Pandak? Dan setiap kali Yang Berhormat Datuk Speaker, saya cakap pasal Kampung Sungai Melayu ni, saya kadang-kadang boleh gelak sorang sebab Tok Pandak cerita dengan saya, empat (4) tahun lepas semasa Kampung Sungai Melayu ni baru nak terbuka tentang aktiviti eco tourism, ramai pelancong yang datang. Tapi mereka ada masalah dari segi komunikasi, jadi rakan-rakan daripada IRDA terpaksa turun untuk bantu bagi kursus kepada koperasi di Kampung Sungai Melayu. Jadi, dia latih lah kita punya boat man, dia latih kita punya apa nama, tourist guide. So pada awalnya dia orang cuba cakap bahasa Inggeris tetapi melalui translation, cakap berhabuk, confident tinggi Yang Berhormat Datuk Speaker, tapi cakapnya tak pasti apa yang keluar. Jadi sebagai contoh, ada sekumpulan orang Eropah datang ke Kampung Sungai Melayu naik bot. Kan kat sana ada mangrove, paya bakau, so dalam sungai tu, dia nampak macam ada biawak ya. Jadi orang putih tu tanya lah, boat man tu, what is that?. Boat man tak tahu nak translate dia kata that’s biawak, in english is crocodile son (Dewan ketawa). Orang putih garu kepala, tak pernah dengar crocodile son. Rupanya biawak, lizard. Kemudiannya, jalan ke depan sikit nampak binatang lain dalam laut. Dia nampak memerang ya. So memerang ni, Yang Berhormat Datuk Speaker, dia punya muka, hidung dia kan muncung macam tikus. So dia tak tahu nak translate, dia kata oh that is memerang, that is sea mouse. Dia nak cakap otter, tetapi sebab dia tak tahu translationnya dia cakap sea mouse. Betul ya Tok Pandak, bukan Tok Pandak yang cakap tu ya. Jadi, alhamdulilah Yang Berhormat Datuk Speaker, berkat bantuan daripada IDRA, melatih kawan-kawan kita di Kampung Sungai Melayu, Alhamdulilah, Kampung Sungai Melayu ini, sekarang ni lebih terkenal dari segi sektor eco tourism dan kerajaan negeri dengan bantuan MBIP sedang membangunkan kawasan ini secara besar-besaran. Insya-Allah, dalam hujung tahun ini kita boleh semua pergi ke Kampung Sungai Melayu dan kita pastikan bahawa Tok Pandak belanja kita makan. (Dewan bertepuk).

Yang seterusnya ialah kerja-kerja menaik taraf infra di Johor Bahru City Centre. Ini saya difahamkan berkat bantuan daripada MBJB Yang Berhormat Datuk Speaker, kita akan berbelanja RM30,000.000.00 tahun ini untuk menaik taraf semua kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. Dan sukacita saya nak maklumkan Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kawasan bandar Johor Bahru ini 3 kilometer radius, setiap jalan, setiap jejantas, setiap fasa perabot jalan lampu akan dinaik taraf. Ini ibu negeri Johor. Jadi, dari segi infra kita dekat sini perlu melambangkan betapa cantiknya negeri Johor ini. Jadi, saya nak syorkan Yang Berhormat Datuk Speaker, kepada MBJB saya ucapkan terima kasih. Tetapi Dato’ Jafni untuk PBT-PBT lain kita kena buat juga secara berfasa. Insya-Allah, lepas ini kita akan buat juga di Pasir Gudang, di Kulai, MBIP dan sebagainya, insya-Allah. Seterusnya kita juga menaik taraf kemudahan awam, rekreasi di Danga Bay. Ini saya difahamkan lewat sikit. Dah dapat perkenan Tuanku, alhamdulillah. Dan akan siap pada bulan Mei tahun ini, menaik taraf, eh tahun depan. Untuk Taman Merdeka kita belanja RM3,000,000.00 dan akan siap pada bulan Januari tahun depan. Ini Yang Berhormat Datuk Speaker, antara produk-produk pelancongan sedia ada yang sedang kita naik taraf untuk memastikan bahawa bila pelancong-pelancong masuk ke negeri Johor, malah rakyat Johor sendiri dapat menikmati produk-produk pelancongan ini, insya-Allah. Dan sasaran kita Yang Berhormat Datuk Speaker, bila kita berbincang kita nak tarik pelancong daripada mana? Nak pergi ke China ke, nak pergi ke Europe ke, nak pergi ke Amerika, bagi kami di Tourism Johor Yang Berhormat Datuk Speaker, apa guna kita nak uar-uarkan produk-produk pelancongan ini ke satu dunia, kalau rakyat Malaysia sendiri, kalau Bangsa Johor sendiri tak tahu. Jadi, fokus pertama kita ialah untuk mempromosikannya kepada 36,000,000 Bangsa Johor. 6,000,000 rakan-rakan kita di negara sebelah Singapura. Jadi sasaran kita, untuk tahun depan ialah 12,000,000 pelancongan. Limpahan ekonomi impaknya besar Yang Berhormat Datuk Speaker. Berdasarkan data rasmi Tourism Malaysia, perbelanjaan purata per kapita pelancong ialah RM3,500.00. Ini bermakna bahawa pada tahun depan kalau kita capai sasaran ini, hasil secara langsung dan tidak langsung berjumlah RM42.48 bilion. Jadi sebab itu, jangan kita pandang rendah ataupun pandang enteng kepada sektor pelancongan. Dan kita juga berhasrat melaksanakan promosi kempen secara besar-besaran. Saya bekerjasama baik dengan rakan-rakan yang duduk di atas sana. Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini tak perkenalkan kawan-kawan yang datang.

Speaker

Yang Amat Berhormat nak saya perkenalkan sekarang, kalau boleh saya sebut sekarang. Saya mohon maaf sebab tadi apa ni, terlepas pandang untuk mengalu-alukan kehadiran 51 orang pemerhati daripada Pejabat Menteri Besar Johor, yang terdiri daripada Tourism Johor, Johor Economic Tourism and Cultural Office ataupun JETCO, KEJORA, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Johor, Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Yayasan Warisan Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Pengerang, Persatuan Bajet dan Business Hotel Malaysia (MYBHA) Johor Chapter, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia atau pun MATTA Johor Chapter, Persatuan Pelancongan Golf Johor. Ada juga ya, saya tak main golf Yang Amat Berhormat. Persatuan Pelancongan Desaru Raya, Persatuan Pelancongan Johor, Persatuan Keluarga Polis Simpang Renggam, dan juga Desaru Coast. Selamat datang dan sembilan (9) orang pemerhati daripada Pejabat DUN Kawasan Sungai Balang. Terima kasih. Sila Yang Amat Berhormat.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih banyak Yang Berhormat Datuk Speaker. Sekali lagi rakan-rakan ADUN kita bagi tepukan paling gemuruh kepada penggiat-penggiat industri pelancongan yang sudi hadir bersama kita pada hari ini mendengar jawapan tentang Tahun Melawat Johor. (Dewan bertepuk). Jadi dari segi promosi kempen Yang Berhormat Datuk Speaker, banyak program yang sedang, sudah dan akan terus dilaksanakan. Seperti penganjuran lawatan pengenalan famtrip, penyertaan dalam pameran pelancongan domestik dan antarabangsa seperti MATTA, MCTA dan MAH Travel Fair. Pelancaran Kempen Visit Johor, Jelajah Visit Johor 2026, Bengkel Pemerkasaan Pelancongan Negeri Johor dan sebagainya. Kita juga mengadakan aktiviti-aktiviti promosi bersama semua PBT melalui papan iklan LED dan statik di lokasi strategik di seluruh daerah-daerah di negeri Johor. Jalinan kerjasama bersama sektor awam dan swasta. Kita juga bekerjasama dengan Lapangan Terbang Senai, Terminal Feri, Bas, CIQ, BSI dan KSAB dengan penempatan bahan promosi bercetak dan juga digital. Kerajaan juga bekerjasama dengan platform-platform pelancongan digital seperti Agoda, Tripadivisor Club dan juga Grab. Liputan media melalui akhbar, majalah pelancongan serta media elektronik seperti Astro, Media Prima, RTM giat juga dilaksanakan. Tidak lupa juga kita buat kolaborasi bersama influencers-influencers bagi mempromosikan negeri Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, antara perkara utama yang perlu juga saya kongsikan untuk mengukuhkan lagi sektor pelancongan negeri Johor dan juga untuk memastikan Tahun Melawat Johor menjadi satu realiti dan kejayaan semua, ialah mengkorporatkan Tourism Johor seperti yang dititahkan oleh Pemangku Sultan Johor. Dan pada tahun ini bulan Februari kita telah menubuhkan Majestic Johor Tourism Sdn. Bhd. Yang Berhormat Datuk Speaker, kita mengadakan pengkorporatan ini kerana suka tidak suka, saya tahu bahawa saya bukan subject matter expert, when it comes to tourism. Jadi, kita kena mencari, kita kena melantik mereka yang pakar dalam bidang tourism. Sebab itu, kita tubuhkan Syarikat Majestic Johor Tourism. Dan antara perkara yang akan diberikan penekanan melalui pengkorporatan ini ialah untuk kita membangunkan kempen, promosi berskala besar, menganjurkan acara-acara pelancongan bertaraf antarabangsa, meneruskan kerjasama erat dengan pemain-pemain industri dan juga memperluas capaian promosi Johor insya-Allah. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, itu sedikit sebanyak kerjasama, usaha dan strategi yang kita laksanakan sempena Tahun Melawat Johor 2026. Sekian, terima kasih.

Speaker

Tahniah Yang Amat Berhormat. Saya yakin matlamat untuk mendapatkan hasil sebanyak RM42 bilion itu tercapai, insya-Allah. Soalan tambahan, saya jemput Johor Lama dulu.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNJohor Lama

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Amat Berhormat atas jawapan yang telah diberikan tadi. Mudah-mudahan sama-sama kita mendoakan segalanya dipermudahkan. Soalan tambahan Johor Lama, adakah sebarang perancangan untuk mewujudkan lebih banyak acara pelancongan tahunan seperti festival budaya ataupun sukan? Terima kasih.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker seperti yang saya maklumkan tadi, itu memang antara agenda utama untuk Tourism Johor dari segi Tahun Melawat Johor 2026. Sebagai contoh, untuk menonjolkan warisan, budaya, kesenian dan keunikan

masyarakat Johor, kita akan laksanakan tahun ini kita akan laksanakan Festival Zapin Johor. Kita juga akan mengadakan Simposium Johor Global. Tidak cukup dengan itu, kita juga akan mengadakan Wonderful Nusantara Festival, Karnival Bangsa Johor, Festival Makanan Tradisional Johor dan juga Sambutan Hari Muzium Antarabangsa. Dari segi sektor sukan, sport tourism Yang Berhormat Datuk Speaker, semua sedia maklum bahawa di atas titah Pemangku Sultan Johor sekali lagi, Sonny Bill Williams dan juga Datuk Lee Chong Wei telah dilantik sebagai ikon-ikon Belia Negeri Johor, ikon-ikon sukan Yang Berhormat. Tidak lama lagi Timothy Cahill ex player Australia Everton akan juga dilantik insya-Allah dan semua juga sedia maklum bahawa gym antarabangsa, Khabib Gym, insya-Allah juga akan dibuka di Johor Darul Ta’zim. Jadi ini antara ikon-ikon sukan yang insya-Allah akan membantu kita untuk mempromosikan Johor di peringkat antarabangsa. Dari segi acara-acara yang akan terus kita laksanakan ialah Program Ironman di Desaru Coast, triathlon di Desaru Coast, Dragon Boat Regatta di kawasan daerah Muar, Viper Challenge dan banyak lagi. Saya difahamkan melalui Taman Negara pun akan mengadakan aktiviti Ledang Climbathon. Ini akan buat dekat Gunung Ledang Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya nanti nak jemput Datuk Speaker untuk sama-sama kita panjat Gunung Ledang, mana tahu dapat jumpa Puteri Gunung Ledang di sana.

Speaker

Boleh, insya-Allah.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Johor Expedition Dayhike Gunung Arong Challenge akan dilaksanakan, Bukit Selantai Gravity Race dan banyak lagi. Jadi insya-Allah Yang Berhormat Datuk Speaker, saya harap itu menjawab soalan Johor Lama. Terima kasih Yang Berhormat

Datuk Speaker.

Speaker

Dijemput Pulai Sebatang.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Alhamdulillah tahniah Yang Amat Berhormat. Daripada penjelasan tadi banyak sebenarnya tempat menarik yang kita dapat lihat, yang kita boleh promosikan untuk Johor 2026. Bila kita cerita tentang pelancongan sudah tentu perkara pertama yang kita fikirkan adalah untuk menarik pelancong asing tetapi kita jangan lupa tentang masyarakat tempatan kerana Bangsa Johor sentiasa di hati, orang Johor kena tetap yang jadi priority. Jadi kita nak tahu, apakah usaha kerajaan negeri untuk memastikan bahawa projek-projek ikonik pelancongan yang dilakasanakan di Johor ini tidak hanya menarik pelancong asing tetapi turut memastikan keutamaannya dinikmati oleh masyarakat setempat, terima kasih.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Pulai Sebatang atas soalan yang baik itu. Kerajaan negeri selari dengan apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Pulai Sebatang bahawa fokus kita bukan untuk pelancong-pelancong luar negara semata. Kita buat semua ini fokus kita adalah untuk memastikan rakyat Malaysia Bangsa Johor dapat menikmati semua produk-produk ini pada harga yang berpatutan. Sebagai contoh Yang Berhormat Datuk Speaker, Zoo Johor. Kalau untuk warga asing kita charge RM30.00, untuk rakyat Malaysia Yang Berhormat Datuk Speaker, kita hanya charge RM10.00 untuk Zoo Johor dan harga itu adalah harga yang paling murah dalam negara setakat ini. (Dewan bertepuk). Begitu juga dengan produk-produk lain contohnya, Muzium Tokoh untuk Kampung Sungai Melayu, untuk Sungai Lebam dan sebagainya akan ada harga yang murah untuk Bangsa Johor dan rakyat Malaysia, insya-Allah, itu kita akan pastikan.

Keduanya Yang Berhormat Datuk Speaker, kita lihat bahawa melalui produk-produk pelancongan ini. Akan ada limpahan ekonomi, akan ada banyak kegiatan-kegiatan perniagaan. Kita boleh menjual produk-produk pelancongan, produk-produk IKS kita. Contoh The Johor Collection, kita lihat kebanyakan produk-produk yang dibuat adalah orang-orang kampung daripada Batu Pahat, daripada Muar Yang Berhormat. Jadi, kita akan membantu dari segi kegiatan ekonomi dari segi sudut itu. Saya juga lihat bahawa antara limpahannya juga ialah kepada anak-anak muda kita. Sekarang ini Yang Berhormat Datuk Speaker, Kolej Yayasan Pelajaran Johor sedang berkolaborasi dengan Desaru Coast untuk memastikan bahawa anak-anak kita dilatih mengikut piawaian international. Maksudnya, kalau dia buat kulinari, kalau dia buat hotel management, bila mereka graduate sahaja daripada Kolej Yayasan Pelajaran Johor, insya-Allah pekerjaan akan ditawarkan kepada mereka pada kadar yang segera. Cabaran kita sekarang ialah untuk memastikan bahawa anak-anak muda yang mendapat didikan di KYPJ ini tetap kekal di negeri Johor. Keempatnya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya lihat bahawa melalui penaiktarafan ataupun melalui program Tahun Melawat Johor ini, kita akan lihat bahawa penduduk tempatan akan terlibat dalam aktiviti kesenian. Jadi ini sekali lagi satu peluang, setiap kali ada program, ada show, anak-anak muda tempatan kita boleh bergiat dalam program-program tersebut dan insya-Allah mendapat rezeki melalui program-program tersebut. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya lihat semua usaha ini adalah penting kerana budaya pelancongan di negeri Johor belum mencapai tahap yang sepatutnya. Orang Johor dikenali sebagai bangsa yang sangat ramah, sangat mesra, sangat beradab tetapi dari segi budaya, cara kita bergiat dalam aktiviti pelancongan, saya rasa belum sampai ke tahap contohnya Indonesia ataupun Thailand. Jadi, ini akan juga dilaksanakan supaya Johor menjadi tarikan pelancong untuk satu negara dan insya-Allah satu dunia. Harap menjawab soalan Yang Berhormat, terima kasih.

Speaker

Johor Jaya, ada soalan tambahan?

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Selain pembangunan produk pelancongan yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tadi, soalan tambahan saya adalah sektor pelancongan ini banyak terkandung dengan publisiti dan promosi, dengan penubuhan Majestic Johor Tourism Sdn. Bhd., berapakah bajet atau peruntukan yang telah diberi kepada Majestic Johor Tourism Sdn. Bhd. untuk menjalankan promosi dan publisiti? Sekian, terima kasih.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Johor Jaya, terima kasih atas soalan. Saya tidak ingat angka yang accurate, i will get back to you but memang ada bajet dan bajetnya tak salah saya dalam lingkungan berjuta sebab kita akan buat pra pelancaran dan kita akan buat pelancaran untuk tourism, untuk Tahun Melawat Johor pada akhir tahun ini dan seperti yang saya sebut tadi, kita akan menggunakan pelbagai platform untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor melalui sosial media, melalui mainstream media, melalui influencers, melalui percetakan, dengan kolaborasi semua pihak yang hadir pada hari ini. Jadi memang itu adalah Fasa Ke-2 seperti yang saya sebut tadi dan Fasa Ke-2 ini juga sama pentingnya macam Fasa-1. Terima kasih Johor Jaya.

Speaker

Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Berkenaan urusan pelancongan ini saya rasa ada satu sektor lagi iaitu berkenaan dengan Digital Nomad Zones di mana MDEC pun sudah ada dasar iaitu DE Rantau untuk menarik profesional digital IT untuk datang menetap di sini selama 12 bulan dan boleh lagi di, di add set kepada 12 bulan lagi jadi 24 bulan. Jadi saya rasa Tourism Johor dan MDEC perlu ada kolaborasi yang lebih erat untuk mencari satu kawasan yang khusus untuk dipromosikan sebagai Digital Nomad Zones supaya orang digital-digital, youtuber dan sebagainya mereka yang nak kerja di sini datang untuk menetap dalam masa yang lebih lama dan ini pasti boleh menarik lebih ramai pelancong dan juga keluarga mereka. Sekian, terima kasih.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Terima kasih Yang Berhormat Stulang atas cadangan itu. Kita akan minta agar Tourism Johor untuk menilai dan juga berbincang dengan MDEC tentang Digital Nomad Job ini. Terima kasih atas cadangan, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Dan kalau boleh Yang Amat Berhormat, jangan setakat Gunung Ledang sahaja, bawa juga ke daerah-daerah lain, pelancong-pelancong yang datang ke Johor Bahru ini, macam Batu Pahat. Kita ada Telaga Minyak Beku, kita ada Galeri Dato’ Onn dan boleh juga membawa mereka makan Nasi Beriani Gam Batu Pahat. Itu membantu juga pelancongan di daerah-daerah lain.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Betul Yang Berhormat Datuk Speaker. Kalau saya boleh response memang ada bajet untuk Batu Pahat pun ada tetapi bajetnya tak sebesar yang saya present kan tadi. Jadi insya-Allah nanti kita akan melaporkan kepada Yang Berhormat Datuk Speaker tentang projek-projek lain yang melibatkan semua daerah di negeri Johor insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Terima kasih Yang Amat Berhormat, dijemput Yang Berhormat Kukup.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor lima (5). Pihak MAINJ berperanan membantu umat Islam yang tidak memiliki rumah melalui skim bantuan perumahan dan baik pulih rumah kepada golongan tersebut. Apakah punca kelewatan pelaksanaan inisiatif ini dan adakah SOP yang digunakan perlu diteliti semula?

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Assalamualaikum warahmatullah. Terima kasih Datuk Speaker, Yang Berhormat Kukup tadi bertanya tentang peranan MAIJ dalam menyediakan peruntukan baik pulih rumah dan bina baharu kepada kumpulan asnaf dan jika ada kelewatan apakah puncanya? Yang Berhormat Datuk Speaker, skim bantuan rumah bina baharu MAIJ adalah program yang disediakan, untuk membantu golongan asnaf khususnya, fakir miskin agar dapat memiliki rumah sendiri atau membaik pulih rumah yang uzur. Objektif skim bantuan rumah ini bertujuan untuk memberikan tempat tinggal yang selesa dan selamat kepada asnaf, meningkatkan taraf hidup mereka dan mengurangkan beban kewangan berkaitan tempat tinggal. Skim ini Yang Berhormat Datuk Speaker telah bermula sejak 2009 lagi. Dari 2009 sampai 2023 Yang Berhormat Datuk Speaker, 1,125 buah rumah telah dibaik pulih dengan kos RM14 juta, 1,286 buah rumah bina baharu dengan kos RM50.3 juta. Yang Berhormat Datuk Speaker, kita ucap terima kasih kepada semua Bangsa Johor beragama Islam yang membayar zakat yang mereka mengimani hadis Rasullullah SAW Riwayat Bukhari. Apa Nabi kata Yang Berhormat Datuk Speaker, (bacaan hadis) ambil yang

daripada kaya-kaya ni, Dato’ Menteri Besar kaya, Dato’ Zahari kaya, ambil daripada dia orang, Yang Berhormat Datuk Speaker pun kaya. Yang kaya ni bayar zakat, kita agih balik kepada asnaf, fakir miskin, antaranya pasal perumahan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan YB Kukup bagus sangat, isu kelewatan. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya jenis EXCO yang cakap tegak. Memang ada masalah soal proses kita dan ini beza kerajaan negeri Johor kita mengaku silap kita perkemaskan. Yang Berhormat Datuk Speaker saya nak beritahu, bila kita dapati ada kurang kemas syaratnya, mak adoi susah, menyusahkan orang, orang susah minta tolong, kita susahkan lagi, ni bapak punya susah. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengaku bahkan kita atas tugasan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang minta kita EXCO Agama, Dato’ Zahari, YB Hairi dan juga YB Dato’ Jafni jadi pengerusi bersama rumah daif Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker ini penambahbaikan yang MAIJ dah buat, saya bagi contoh tegak-tegak ni. Sebelum ini MAIJ ada ketatnya dia punya dasar Yang Berhormat Datuk Speaker, contohnya geran pemilikan bersama. Penama lain dalam geran perlu membuat akuan sumpah berserta salinan kad pengenalan, semua ni. Kalau lima (5) beradik, kena cari lima-lima walaupun yang kelima tu dah pindah ke Afrika Yang Berhormat Datuk Speaker. Jadi bila yang kelima tak boleh orang susah ni selamat tinggal, rumah tak dapat, baik pulih pun tak boleh. Menyusahkan, saya mengaku memang menyusahkan. Dan dia berlaku sebelum daripada ni, tapi atas maksud kerajaan prihatin kita buat ubah suaian. Ini baru betul kerajaan akan sayang Maju Johor ni, dan tak mahu lepas-lepaskan, biar kat Barisan Nasional sahaja, itu harapan semua orang. Apa penambahbaikan dia Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau geran pemilikan bersama penama lain YB Kukup dia tak perlu dapatkan semua. Maksudnya kalau yang kat Afrika tu tak payah pergi Afrika Yang Berhormat Datuk Speaker. Mana yang ada sebab orang tu memang duduk kat rumah itu pun, tak kan tak percaya Pak Ali miskin daripada dia muda sampai tua, tiba-tiba masa tua nak bantuan MAIJ baik pulih kena dapat lima-lima, termasuk yang di Afrika punya sain. Ini melampau Yang Berhormat Datuk Speaker, kita ubah. Jadi YB Kukup ini antara masalah ada, kita kenal pasti kita ubah. Yang Berhormat Datuk Speaker lepas itu, bagi isu geran penama lain ada juga, ini tanah penumpanglah ini. Yang Berhormat Datuk Speaker ada tanah, tapi yang tumpang bapa saudara. Satu ketika Yang Berhormat Datuk Speaker, ini pergi Konvensyen Speaker luar negara belum balik-balik, lama pulak pergi Konvensyen itu. Orang miskin, pak cik ni nak dapatkan bantuan rumah.

Oleh sebab Yang Berhormat Datuk Speaker memang sebelum ini bagi dia izin, maka masa mohon kali kedua ini tak perlu dapatkan pengesahan Yang Berhormat Datuk Speaker, sebab memang pak cik ini pun daripada muda sampai tua duduk rumah itu. Jadi baik pulihnya boleh buat, pemohon sahaja perlu membuat akuan sumpah, selain pengesahan ketua kampung, ah kan mudah. Ini maksudnya bantu rakyat, jangan menyusahkan rakyat. Geran satu penama, ah ni pun masalah juga ni. Satu penama Pak Abu geran dia, yang duduk Pak Ali, Pak Abu meninggal, takkan nak suruh orang jenazah sain kebenaran, ia nampaknya tidak betul. Hanya sorang wakil Pak Abu tadi tu, betul Pak Ali ni dalam duduk dalam tanah Pak Abu, waris tu bagi izin, maka boleh buat baik pulih atas rumah itu. Pemohon sahaja perlu buat akuan sumpah, Ketua Kampung pun sahkan, memang duduknya dah lama. Kedua geran pemilik. Seterusnya keempat (4) geran pemilikan bersama ada penama pulak yang meninggal dunia, tiga (3) penama sorang meninggal. Kalau sebelum ini penama lain yang masih hidup mesti buat sumpah, tapi sekarang ni pemohon sahaja dengan pengesahan Ketua Kampung.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengaku ini antara yang melambatkan usaha Pejabat Amil Baitulmal, melewatkan kerja MAIJ pusat, menyusahkan Pegawai Daerah hendak menyusun, mengekang YB-YB nak menyerahkan dokumen kepada MAIJ. Maka ini kita tinggal bontang benda alah ini kita buat yang baharu. Ah ni nama dia, itu penambahbaikan. Yang Berhormat Datuk Speaker, selanjutnya bagi memperkemaskannya yang terbaru kita 14 Mei hari itu dah buat bengkel. Bengkel ini pulak kita menghimpunkan satu gerak kerja bersama dengan kita ambil ilmu daripada Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor, Southern Volunteers, Giat MARA, FELCRA, KEJORA dengan BPEN, kita carikan modul terbaik untuk perumahan-perumahan ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker saya pun hendak beritahu setakat 2024, saya punya ada data, masih lagi ada YB kawasan yang tak selesaikan kuota mereka, ada juga. Ini yang sudah bagi kuota tidak isi pun, ada juga. Saya menyeru semua YB-YB yang tidak perasan masing-masing ada kuota, penuhkan kuota itu, laporkan kepada Amil Baitulmal daerah sebab saya boleh katakan bajetnya masih ada dan kita nak laksanakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan untuk akhirnya, kita juga ada buat penambahbaikan dari segi harga rumah. Harga rumah Yang Berhormat Datuk Speaker kita naikkan daripada sebelum ini baik pulih RM18,000.00 kita naik pada RM20,000.00. Harga simen dah naik Yang Berhormat Datuk Speaker. Lepas itu dari segi yang rumah baharu, bina baharu pun naik harga juga, dinaikkan daripada RM73,000.00 kepada RM100,000.00, Yang Berhormat Datuk Speaker. (Dewan bertepuk). Paku pun sekarang, besi pun naik harga. Jadi kita naikkan harga semua seragam, dia punya rumah pun Yang Berhormat Datuk Speaker kalau ada slide ini, rumahnya pun makin cantik. Tapi kalau Pak Mail itu memang dia duduk seorang, dia tak kan dapat rumah tiga (3) bilik. Sebelum ini saya pelik juga, orang itu duduk sebatang kara dapat rumah baharu tiga (3) bilik, ini apa benda ini. Jadi kita kemaskan Yang Berhormat Datuk Speaker, jadi duit rakyat, duit zakat jangan tiris. Belanja-belanja juga, tiris macam mana. Kita perbetulkan semua buat rombakan besar-besaran, benda lama tak semestinya betul, kita buat benda yang baharu tapi nampak tepat dan teratur. Yang Berhormat Datuk Speaker, yang sorang dapat satu (1) bilik, yang berdua, bertiga dapat dua (2) bilik sahaja, yang anaknya tiga (3) dan ke atas baru dapat tiga (3) bilik rumah itu. Maka..

Speaker

Yang RM100,000.00 tu tidak boleh buat empat (4) bilik ke?

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Yang Berhormat Datuk Speaker?

Speaker

Yang RM100,000.00 tadi itu, dah dinaikkan kepada RM100,000.00 tidak boleh buat empat (4) bilik ke?

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Yang Berhormat Datuk Speaker, itu cadangan yang baik cuma saya hendak beritahu atas bengkel yang kami buat, atas nasihat BPEN, PKPJ, tiga (3) bilik itu nampak kemas. Tapi kalau ada pandangan kita boleh dapat keadaan apa, modul, model rumah yang lebih kemas, boleh kurangkan bajet, saya kira jumlah bilik itu soal pelan sahaja, Yang Berhormat Datuk Speaker. Itu boleh diolah, insya-Allah kita akan ambil kira nasihat Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya kira untuk hal itu saya mengaku ada kekangan tapi yang baiknya saya, bagi pihak kerajaan negeri perkasakan dan penambahbaikan. Waallahualam, terima kasih. (Dewan bertetpuk).

Speaker

Jemput Kukup.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO kerana begitu berani untuk membantu dan mempermudahkan urusan asnaf di negeri Johor ini. Soalan tambahan saya kalau ada, asnaf yang tidak memiliki rumah atau pun mendapat baik pulih tetapi golongan asnaf ini masih memerlukan tempat tinggal. Apakah inisiatif yang dibuat oleh MAIJ bagi memastikan asnaf ini boleh mendapat tempat tinggal sama ada dari segi sewaan dan sebagainya. Mohon penjelasan.

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan yang baik. YB Kukup kalau, orang itu tidak layak bina baharu rumah yang hendak dibaik pulih pun tidak ada, kita di bawah MAIJ ada program skim bantuan sewa rumah dan rumah transit MAIJ. Kita komited untuk bantu asnaf yang ada masalah macam ini. Contoh paling senang YB Kukup ada rumah tetapi terbakar, nak tumpang rumah abang, rumah abang pun kecil, jadi MAIJ ada konsep rumah transit Johor, diwujudkan sejak tahun 2014. Cuma rumah transit Johor ini Yang Berhormat Datuk Speaker, dia tidak ada dekat semua daerah. Setakat ini MAIJ cuma ada 91 buah saja iaitu di Johor Bahru, Segamat, Tangkak, Muar, Mersing, jadi tidak banyak tapi saya nak beritahu untuk atasi masalah ini di empat (4) daerah ini boleh rujuk dengan Amil Baitulmal Rumah Transit MAIJ.

Tapi bagi daerah lain yang memang tida ada rumah transit, Yang Berhormat Datuk semua, saya nak beritahu MAIJ ada sediakan peruntukan untuk rumah sewa. Maksudnya YB yang orang kampungnya terbakar, rumahnya ribut tak boleh siap dalam sebulan dua carikan rumah sewa, ngadu kepada kita. Kita akan bayarkan sewa rumah Datuk YB semua. Jadi sewanya mestilah kadar rumah sewa biasa, jangan pula disewakan homestay Yang Berhormat Datuk Speaker. Homestay pulak yang ada kolam renang, itu melampau Yang Berhormat Datuk Speaker. Ia nak sewa, sewa dekat, Double Tree pulak. Itu melampau Yang Berhormat Datuk Speaker. Nak sewa, sewalah dekat Kampung Majidee, ah yang tempat itu kita boleh, tapi maksudnya selain daripada rumah baharu, baik pulih yang agak lama prosesnya kita ada peruntukan RM1 juta, tidak cukup kita tambah untuk sewa rumah, terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Gambir.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Gambir nombor enam (6).

Berapa ramaikah belia di negeri Johor yang aktif terlibat dalam perniagaan koperasi dan apakah usaha kerajaan negeri bagi menjadikan gerakan koperasi ini menjadi pilihan utama belia negeri Johor.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Bismillahirahmaanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Gambir yang ingin mengetahui perkara belia yang aktif terlibat dalam perniagaan koperasi dan apakah usaha-usaha yang dilakukan bagi menjadikan koperasi ini pilihan utama orang muda Johor. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah buat Gambir kerana sejak saya menjawat jawatan sebagai EXCO Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, sejak tahun 2022 lagi melalui

Mesyuarat Penggal Persidangan Negeri Johor, ini adalah soalan lisan yang pertama diterima berkaitan dengan koperasi. Untuk makluman Yang Berhormat Gambir dan seluruh Ahli Dewan yang mulia ini, berdasarkan perangkaan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor seramai 374 golongan belia di negeri Johor yang aktif terlibat dalam perniagaan koperasi melalui 14 koperasi dengan syer sebanyak RM465,822.73 dan untuk makluman juga sebanyak RM57,560.90 yang mana koperasi dan aset terkumpul bagi golongan-golongan belia di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Suruhanjaya Koperasi Malaysia begitu komited dalam membantu usaha kerajaan negeri untuk menjadikan gerakan koperasi menjadi pilihan utama khususnya golongan orang muda. Antara program-program yang dianjurkan adalah kerjasama dengan Majlis Belia di setiap daerah, termasuklah di kawasan rancangan FELDA, bagi memupuk kesedaran berkoperasi. Keduanya, Program SPD KOOP. Santai beroperasi di Koperasi Sri Kawan Pulai Berhad, Kampung Sri Gunung Pulai bertujuan untuk memupuk semangat berkoperasi dalam kalangan belia dan juga menyantuni kesedaran berkenaan dengan penjagaan alam sekitar dengan tema Belia Berkoperasi Ekonomi Sejahtera.

Dan ketiganya juga Majlis Apresiasi Sekolah terbaik negeri Johor bagi tahun 2024, yang mana bertujuan untuk memupuk minat berkoperasi di kalangan pelajar-pelajar sekolah untuk menjadikan keusahawanan itu sebagai kerjaya pilihan melalui pendedahan latihan, dan juga peningkatan dalam sebagai aspek koperasi di sekolah. Dan program-program asas keusahawanan juga seperti koperasi sekolah bertujuan untuk memupuk dan membentuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah memantapkan dan memperkukuhkan peranan koperasi sekolah sebagai institusi membudayakan usahawan koperasi. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya rasa itu sahaja jawapan yang boleh saya kongsikan buat setakat ini. Terima kasih.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Terima kasih Yang Berhormat EXCO di atas jawapan yang telah pun diberikan. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya melihat angka 374 orang itu terlalu sedikit, dan sekiranya tiada keupayaan, kurang kesedaran atau kurang ilmu mengenai pengurusan koperasi yang menjadi permasalahan untuk belia menubuhkan koperasi, soalan saya adakah kerajaan Johor bersedia membantu atau pun mengadakan program-program yang bersesuaian supaya gerakan koperasi dalam kalangan belia ini dapat kita pertingkatkan dan kita perkasakan. Terima kasih.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Gambir, soalannya tambahan yang cukup baik. Yang Berhormat Datuk Speaker, kita pada hari ini mengambil berat soal pembangunan koperasi di peringkat belia. Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada Gambir. Untuk makluman Yang Berhormat Gambir, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SKM begitu komited dalam membantu usaha kerajaan negeri untuk merangka beberapa program khusus dari aspek pengurusan dan perniagaan yang turut merangkumi koperasi belia. Sebagai contoh pada setiap tahun, pihak SKM akan mengadakan program bantuan perakaunan dan juga pengauditan kepada koperasi-koperasi kecil dan mikro atau nama singkatannya adalah PAKAR yang bertujuan untuk membantu meningkatkan lagi prestasi pengauditan melalui pemberian geran padanan kepada koperasi kluster-kluster kecil dan mikro ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu program-program yang berkaitan aktiviti-aktiviti perniagaan koperasi juga turut diadakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Ianya bertujuan memberikan fokus kepada sembilan (9) fungsi utama peniagaan koperasi itu. Melalui perbankkan, kredit, pertanian, perindustrian, perumahan, pengguna, pembinaan dan pengangkutan selain daripada perkhidmatan. Program-program ini juga diadakan bertujuan memberikan lebih pendedahan dan membuka peluang dan ruang perniagaan untuk meningkatkan lagi ekonomi serta pendapatan sesuatu koperasi serta juga sebagai sebahagian yang disokong melalui geran bantuan atau pembiayaan yang diberikan oleh SKM. Selain itu juga, untuk makluman Gambir, Institut Koperasi Malaysia, IKMA yang merupakan agensi pendidikan dan juga latihan koperasi menganjurkan pelbagai program khusus kepada anggota Lembaga Koperasi, jawatankuasanya, jawatankuasa audit dalam koperasi itu sendiri serta kepada pengurusan tertinggi hingga lah anggota-anggota koperasi. Pelbagai modul, latihan dan juga pendidikan telah disediakan oleh IKMA pada setiap tahun, bertujuan memastikan tadbir urus tatakelola itu lebih baik diperingkat koperasi. Sebab itu lah, pada hari ini saya mengajak dan menyeru lebih ramai orang muda terlibat secara langsung untuk berkoperasi. Itu sahaja jawapan saya. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah Binti MisriUMNO · BNPenawar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Penawar nombor tujuh (7).

Bagaimanakah kerajaan negeri memastikan pelaburan yang dibawa masuk memberikan manfaat langsung kepada rakyat negeri ini dari segi peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi setempat?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan soalan mengenai bagaimanakah kerajaan negeri memastikan pelaburan yang dibawa masuk memberikan manfaat langsung kepada rakyat negeri ini dari segi peluang pekerjaan dan juga pembangunan ekonomi setempat?

Kerajaan Negeri Johor bersama dengan kementerian dan agensi-agensi kerajaan persekutuan seperti MITI, MIDA, IRDA sentiasa memastikan bahawa setiap pelaburan yang dibawa masuk ke negeri ini memberi manfaat langsung, manpan dan juga menyeluruh kepada seluruh Bangsa Johor dan bukan sekadar angka atau pun nilai semata-mata sahaja. Tetapi harus menjadi pemangkin kepada peluang pekerjaan, pengguna vendor tempatan, pembinaan kapasiti bakat Johor serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Johor. Antara manfaat langsung dan juga pendekatan utama yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

Pertama: Mengenai Penjanaan Peluang Pekerjaan Bernilai Tinggi Serta Berkemahiran Tinggi. Kerajaan komited memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk bukan sahaja meningkatkan ekonomi negeri, tetapi juga membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan. Menurut laporan atau pun statistik daripada pihak MIDA, Johor mencatatkan kelulusan pelaburan sebanyak pada tahun 2022, 520 projek dengan nilai pelaburan komited sebanyak RM70.6 bilion dengan jumlah peluang pekerjaan sebanyak 16,762. Tahun 2023, jumlah peluang pekerjaan diwujudkan sebanyak 19,000. Tahun 2024 hampir 17,000 menjadikan sejak kebelakangan tiga (3) tahun ini jumlah projek pelaburan

yang diluluskan adalah 1,761 dengan 53,764 peluang pekerjaan langsung bagi sektor pelaburan sahaja sepanjang tiga (3) tahun ini. Angka ini tidak termasuk peluang pekerjaan yang diwujudkan dalam sektor-sektor lain seperti pembinaan logistik, perkhidmatan perniagaan, runcitan dan lain-lain.

Seterusnya, dengan struktur kos yang kompetitif serta infrastruktur yang kukuh Johor kini menarik pelaburan dan aktiviti seperti semi konduktur, petrokimia dan juga pusat data. Banyak syarikat ini juga telah pun menyatakan komitmen untuk memasukan komponen penyelidikan dan juga pembangunan, R&D dalam pelaburan mereka di Johor. Ini sejajar dengan aspirasi negeri untuk beralih daripada ekonomi berasaskan pembuatan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Johor untuk merealisasikan potensi di kampung halaman sendiri. Contohnya pelabuhan dan sektor pusat data oleh syarikat-syarikat seperti Microsoft, ByteDance dan sebagainya telah pun menjadikan Johor sebagai hub pusat data terbesar di Malaysia. Ini membuka peluang pekerjaan kepada rakyat dalam sektor baharu ini dalam bidang teknologi maklumat serta kejuruteraan.

Kedua: Berkaitan Dengan Usaha Untuk Memperkukuh Rantaian Bekalan Serta Vendor Tempatan. Kerajaan juga berusaha membina eko sistem pelaburan inklusif dengan menggalakkan dan dalam keadaan tertentu mensyaratkan pelabur menggunakan perkhidmatan bahan mentah dan juga sokongan teknikal daripada pembekal khususnya perusahaan kecil dan sederhana tempatan. Melalui inisiatif seperti Vendor Facilitation Programme yang dilaksanakan pihak MIDA lebih banyak peluang perniagaan dapat dijana kepada komuniti perniagaan tempatan sekali gus memperkukuh ekonomi setempat dan mengurangkan kebocoran nilai tambah ke luar negeri atau pun luar negara. Contoh terbaik adalah pelaburan dari Syarikat Dyson kini yang telah pun melahirkan syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi seperti SKP Resources, V.S Industry dan juga MyBrush. Semua ini pemain penting dalam eko sistem pembuatan global. Di Pengerang pula pelaburan Kompleks Bersepadu Petronas telah membentuk kluster OGSE dengan izin, Oil & Gas Service and Equipment yang menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat kejuruteraan dan juga fabrikasi tempatan.

Ketiga: Berkaitan Dengan Usaha Merangsang Pertumbuhan Sektor Perkhidmatan Berkaitan. Pelaburan berimpak tinggi turut memberi kesan limpahan kepada sektor perkhidmatan profesional seperti logistik, perbankan, audit, perundangan dan juga perundingan. Sebagai contoh, Mercedes-Benz telah pun membuka pusat logistik serantau di Senai, Johor yang berfungsi sebagai hab pengedaran alat ganti untuk rantaian Asia Pasifik. Kemudahan ini bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan langsung dalam bidang logistik dan juga pengurusan rantaian bekalan tetapi juga meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan sokongan seperti pengangkutan, pergudangan dan juga perkhidmatan profesional lain. Begitu juga BMW Group Malaysia telah memperluas pusat pengedaran alat ganti serantau mereka di Johor yang kini menyokong 23 negara di rantau ini. Pelaburan ini mengukuhkan keupayaan logistik syarikat tersebut, BMW dan juga membuka peluang pekerjaan serta peluang untuk syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan mereka. Dalam sektor teknologi pula syarikat seperti Viwin, Supermicro telah pun menubuhkan kilang pembuatan mereka di Johor untuk menyokong pusat data yang semakin meningkat di negara Malaysia dan juga dirantau ini. Pelaburan ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan yang pembuatan tetapi juga R&D, kejuruteraan dan juga pengurusan projek sejajar dengan aspirasi Johor untuk beralih ke ekonomi berasaskan pengetahuan.

Dan, berkaitan dengan sektor-sektor sokongan lain seperti perkhidmatan audit, perundangan perbankan yang disebutkan tadi, lazimnya sektor-sektor tersebut atau pun industri-industri diusahakan oleh syarikat tempatan.

Keempat: Berkaitan Manfaat Langsung. Kita akan memastikan perlaksanaan kerja-kerja CSR serta pembangunan modal insan secara menyeluruh. Setiap projek pelaburan utama dipantau rapi oleh agensi seperti Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor, Invest Johor, IRDA, MIDA dan sebagainya. Pemantauan ini merangkumi pemantuhan kepada komitmen penciptaan pekerjaan alam sekitar serta pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat, CSR setempat. Syarikat pelabur di galakkan untuk melaksanakan program CSR yang memberi manfaat terus kepada komuniti misalnya latihan kemahiran, sokongan pendidikan dan juga pembangunan kemudahan awam. Salah satu bentuk CSR yang sangat digalakkan pada masa sekarang adalah kerjasama antara pelabur dengan Johor Talent Develoment Council untuk dan pembangunan pendidikan dan juga modal insan.

Inisiatif utama pelaksanaan termasuk Sekolah Rintis Bangsa Johor di empat (4) sekolah rintis. Sekolah ini memfokuskan kepada penguasaan Bahasa Inggeris serta subjek STEM, Sains, Matematik dan sebagainya dengan pendedahan kepada pendekatan antarabangsa. Ini bertujuan mewujudkan generasi Bangsa Johor yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global. Kita banyak membadankan syarikat-syarikat asing atau pun syarikat-syarikat pelabur multi nasional dengan sekolah-sekolah tempatan serta universiti serta apa tu, institusi TVET tempatan. Di kawasan Pengerang pula selepas kejayaan projek RAPID, kerajaan melalui Johor Petroleum Development Corporation, JPDC telah pun melaksanakan pelbagai program pembangunan bakat yang bermula seawal peringkat sekolah menengah lagi. Latihan kemahiran teknikal dalam bidang minyak dan gas disediakan untuk memastikan pelajar tempatan dapat menyertai sektor ini dan memperoleh pekerjaan dengan gaji dan prospek yang lebih baik.

Akhir sekali Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor bersama dengan kerajaan persekutuan kekal komited untuk memastikan pelaburan yang masuk bukan hanya memacu pertumbuhan ekonomi tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial, pendidikan dan juga rantaian bekalan tempatan agar setiap sen yang dilaburkan membawa pulangan dalam bentuk peluang, kemajuan dan juga masa depan yang lebih cerah buat rakyat Johor. Sekian terima kasih.

Speaker

Jemput Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, saya melihat limpahan pelaburan yang cukup baik untuk negeri Johor yang disebut oleh Yang Berhormat EXCO tadi. Cuma saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat EXCO adakah kerajaan negeri dapat memastikan pemindahan teknologi yang dibawa melalui pelaburan ini dapat dimanfaatkan terutamanya dengan universiti-universiti tempatan yang ada dalam negeri Johor ini. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Pemanis. Ya betul, ia merupakan satu agenda utama di bawah kerajaan negeri sekarang iaitu melalui Johor Talent Development Council di mana kita akan cuba untuk mengusahakan kerjasama antara syarikat multi-nasional dengan universiti tempatan. Antara contoh yang boleh saya beri adalah satu

pelaburan dari Hy-Ten Group, yang dua hari lepas Dato’ Menteri Besar sendiri telah pun berjumpa dengan syarikat dan juga untuk padankan mereka dengan UTHM supaya wujudkan satu lab baharu, wujudkan satu persahabatan baharu, kerjasama rapat antara UTHM dengan Syarikat Hy-Ten Group tersebut untuk satu sektor baharu di negeri Johor ini. Dan kedua, satu lagi contoh yang saya boleh beri adalah kerjasama antara Syarikat Viwin dengan UTM dimana pihak UTM sedia untuk menambah baik atau pun mengubah sedikit silibus mereka dan pada tahun akhir untuk pelajar tersebut, mahasiswa tersebut maka mereka akan dihantar ke fasiliti Viwin dan juga di fasiliti mereka di Taiwan untuk menjalani kursus-kursus tertentu. Ini antara usaha-usaha yang kita sedang laksanakan untuk memastikan supaya komponen R&D dapat dilokalisasikan apa tu, boleh dijadikan kerjasama lebih erat dengan universiti-unversiti tempatan. Sekian terima kasih.

Speaker

Bentayan nak tanya soalan tambahan ke?

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Ya, soalan tambahan.

Speaker

Baik, sila.

Tuan Ng Yak HoweDAP · PHBentayan

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker dan YB EXCO. Soalan tambahan saya, ialah memandangkan perbezaan tarif antara negara telah mendorongkan sesetengah pelabur asing melabur di Malaysia untuk menjenamakan produk mereka sebagai buatan Malaysia. Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Johor untuk mendalami fenomena ini bagi memastikan PKS tempatan tidak terjejas serta dilindungi daripada pesaingan yang tidak adil? Sekian, terima kasih.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Bentayan. Perkara berkaitan tarif ni sebenarnya merupakan satu bidang kuasa kerajaan persekutuan tetapi di peringkat kerajaan negeri kita, di peringkat negeri kita telah pun memberikan maklum balas kepada kementerian untuk supaya ada satu tindakan balas ataupun satu polisi yang lebih mensasar. Dan kerajaan negeri telah pun mengambil satu pendekatan di mana kita telah pun dapat satu laporan daripada perunding dari Pemandu Associate yang berkaitan dengan, kita telah pun buat satu primary assessment on the repository terhadap Malaysia dan juga untuk Johor khususnya. Di antara findings, di antara dapatan daripada perunding antaranya termasuklah apa yang disebutkan oleh Bentayan tadi, ada kemungkinan di mana ada percubaan daripada syarikat-syarikat tertentu untuk menukarkan Country Of Origin atau mencubakan untuk berkaitan dengan aktiviti dumping di mana mereka akan daripada menjual barangan tersebut mereka contohnya, Amerika Syarikat secara terus mereka hantar ke negara Malaysia seterusnya ke Amerika Syarikat atau pun ke pasaran lain. Ia akan mendatangkan cabaran-cabaran tertentu kepada PKS tempatan, akan mendatangkan cabaran ke negara Malaysia dari segi posisi untuk kita berunding dengan Amerika Syarikat. Maka apa tindakan yang telah pun dilaksanakan oleh kementerian, pertama telah pun menghadkan pengeluaran sijil Country Of Origin, khusus kepada Amerika Syarikat kepada kementerian sahaja. Dan sebelum ini ada beberapa apa itu, persatuan perniagaan dibenarkan untuk keluarkan sijil Country Of Origin tersebut. Maka sekarang telah dihadkan kepada kementerian sahaja dan di Johor cuma di Pejabat MITI di Menara Tabung Haji sahaja. Dan langkah-langkah lain maka kita masih di peringkat perbincangan lagi sebab rundingan belum selesai dengan pihak Amerika Syarikat. Maka cuma dapat dimaklumkan

kepada Dewan ini atau pun akan dimaklumkan oleh Yang Berhormat Menteri apabila rundingan selesai. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Johor Jaya.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya nombor lapan (8). Nyatakan rancangan dan tindakan segara kerajaan negeri Johor bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku disekitar daerah Johor Bahru?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Layang-Layang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor sembilan (9). Apakah pendekatan kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan baharu tidak menjejaskan kapasiti sistem saliran dan tidak menambah risiko banjir kepada kawasan sedia ada?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalammualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Maju Johor. Bismillahirahmaanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya menjawab secara bersekali dua (2) soalan penting daripada YB ADUN Johor Jaya dan juga YB ADUN Layang-Layang yang mewakili suara rakyat mengenai isu banjir kilat dan keberkesanan sistem saliran negeri Johor khususnya dalam kawasan PBT. Isu banjir bukan sahaja menjejaskan harta benda dan keselamatan rakyat, tetapi juga memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan, keyakinan awam terhadap keupayaan kerajaan. Justeru kerajaan negeri mengambil pendekatan holitik menyeluruh dan berterusan untuk menangani isu ini dengan penuh iltizam dan tanggungjawab. Pada tahun 2025, sebanyak 104 projek mitigasi dan tebatan banjir sedang dan telah dilaksanakan di seluruh negeri Johor melibatkan 16 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan melibatkan peruntukan keseluruhan RM106 juta. Ini merupakan pelaburan besar yang membuktikan keutamaan yang diberikan oleh kerajaan negeri terhadap aspek pengurusan risiko banjir. Projek-projek meliputi semua daerah yang berisiko banjir. Di kawasan berpendudukan padat seperti daerah Johor Bahru, sebanyak 45 projek melibatkan kos RM87.7 juta. Projek-projeki ini berpusat di tiga (3) PBT utama iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru. 16 projek RM42 juta, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, 13 projek RM36 juta dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang, 16 projek RM9.1 juta. Antara kejayaan nyata iaitu projek pembinaan rumah pam dan flood wall, dengan izin, di Sungai Chat yang telah membantu mengurangkan kekerapan banjir di kawasan pusat bandar. Begitu juga dengan kolam tadahan banjir di Jalan Tiong, Larkin Jaya yang terbukti berkesan mengawal limpahan air hujan yang luar biasa. Dari aspek pembangunan baru, kerajaan negeri amat tegas terhadap pematuhan peraturan teknikal yang ditetapkan. Semua projek pembangunan wajib melalui proses Kebenaran Merancang (KM) dan mendapat pengesahan teknikal daripada agensi-agensi teknikal seperti JPS dan JKR. Pemaju yang membangunkan kawasan melebihi 12 ekar, diwajibkan untuk membina dan menyerahkan kolam takungan banjir kekal. Bagi pembangunan di bawah 12 ekar, pemaju mesti menyediakan Sistem On-Site Detention (OSD) mengikut spesifikasi Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang dikeluarkan oleh JPS. Ini penting bagi

memastikan bahawa sistem saliran sekeliling tidak tertekan akibat pembangunan baru, sekali gus mengelakkan risiko limpahan banjir atau air ke kawasan kejiranan sedia ada. Selain itu PBT sentiasa menjalankan kerja-kerja pembersihan parit, longkang dan saliran utama secara berkala termasuk pemotongan rumput di rizab saliran, pengaliran semula dasar parit yang mendap terutama kawasan hotspot banjir yang dikenal pasti. Sebagai langkah segera dan berfokus, kerajaan negeri Johor turut telah menggerakkan task force khas banjir yang beroperasi secara berasingan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan juga Majlis Bandaraya Johor Bahru. Task Force ini merupakan inisiatif tindakan pantas untuk menyelaras isu-isu banjir tempatan secara lebih dekat dan terperinci. Task force ini dipengerusikan oleh saya sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor bersama kehadiran pegawai-pegawai kanan PBT-PBT, JPS, Plan@Malaysia, JKR dan juga agensi teknikal lain yang relevan. Ini membolehkan perlaksana penyelesaian teknikal terus dibincang dan diluluskan di peringkat pelaksana. Sebagai contoh, task force hotspot Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang bermesyuarat 2 Mei yang lalu, telah bersetuju kelulusan peruntukan segera sebanyak RM10 juta untuk pelaksanaan kerja tahun ini 2025 di lima (5) kawasan hotspot paling kritikal dan kerap dilanda banjir. Ini adalah bukti kesungguhan kita semua untuk menyelesaikan isu banjir bukan secara reaktif tetapi dengan perancangan teliti, inklusif dan bertanggungjawab. Selain itu, perlaksanaan di peringkat daerah pula, kawasan Simpang Renggam di bawah Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), sebarang cadangan pembangunan mesti mendapat ulasan dan kelulusan teknikal daripada pelbagai agensi dengan mengambil kira sejarah banjir dan kapasiti sistem aliran sedia ada. Pendekatan ini tidak hanya fokus kepada aspek teknikal, tetapi juga mengutamakan tanggungjawab sosial dan keselamatan awam kerana banjir bukan hanya isu infrastruktur, tetapi juga isu kemanusiaan. Sebagai penutup, saya ingin menegaskan bahawa isu banjir bukan sekadar isu musim, tetapi cabaran struktur yang memerlukan kesungguhan pentadbiran, sinergi teknikal dan penglibatan rakyat dan semua pihak rapatkan saf dan bekerja sebagai satu pasukan. Masalah banjir yang berlaku sejak sekian lama memerlukan komitmen masa luar biasa dan perhatian khusus untuk diselesaikan. Bagi pihak kerajaan negeri di bawah kempimpinan Yang Amat Besar Menteri Besar Johor dan semua team PBT dan Ahli-Ahli Majlis, kita berikrar untuk terus memperjuangkan solusi terbaik, agar matlamat penyelesaian hotspot banjir dalam kawasan PBT di seluruh negeri Johor dapat dilaksanakan seiring semangat dengan tekad Maju Johor. Terima kasih.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Yang Berhormat Datuk ...

Speaker

Sila Johor Jaya.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Terima kasih Yang Berhormat EXCO, soalan tambahan saya. Sepanjang tempoh tiga (3) tahun iaitu pada tahun 2023, 2024 dan 2025 berapakah jumlah peruntukan keseluruhan PBT bagi menyelesaikan hotspot banjir?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Minta urusetia tolong tengokkan Lembangan Sungai Chat. Slide Sungai Chat. Yang Berhormat Datuk Speaker, penyelesaian isu banjir dia berbagai agensi. Saya di peringkat semua Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan pembayar cukai dan YB Fazli dia akan libatkan Sungai Tebaru, Sungai Skudai. Jadi untuk makluman sidang Dewan yang mulia ini, pada tahun 2025, sebanyak RM54 juta, atau 123 projek telah diselesaikan. Pada tahun 2024, RM53 juta atau 126 projek telah diselesaikan. Dan insya-Allah, pada tahun ini sebanyak 104 projek bernilai

RM106 juta telah diperuntukkan. Kalau kita tengok sebagai Lembangan Sungai Chat di Bandaraya Johor Bahru ini, proses penyelesaian isu hotspot dia bukan melibatkan satu projek sahaja. Kat situ boleh tengok daripada item nombor satu (1) dan nombor 14, 14 cadangan-cadangan projek untuk menyelesaikan satu (1) kawasan banjir melibatkan lokasi banjir Kampung Kolam Air, Kampung Mohd Amin dan juga Sungai Chat. Dan penyelesaian isu banjir ni dia melibatkan proses yang sederhana, melibatkan bajet-bajet tertentu, dan inya-Allah di peringkat PBT ini untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, memang bermula pada tahun 2023 sehingga sekarang, kita memang telah memperuntukkan bajet yang agak besar jugak, melibatkan lebih RM200 juta peruntukan. Dan saya pun percaya jugak bahawa masih lagi banyak terdapat projek-projek hotspot banjir yang sedang dikaji dan untuk diselesaikan. Terima kasih.

Speaker

Ya, sila Stulang.

Tuan Chen Kah EngDAP · PHStulang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk penetapan syarat atau pun requierement untuk pembinaan retention cone sudah dilaksanakan sebarang pembangunan yang baru? Terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk YB Stulang, apa sahaja pembangunan yang melibatkan dalam kawasan PBT, biasa dia akan melibatkan 17 agensi. Contoh, JKR, JPS. Bila satu-satu cadangan masuk di peringkat PBT, sebagai contoh MBJB, biasa dia akan masuk dalam mesyuarat OSC atau dipanggil OSC Setempat, dan semua agensi ya, agensi akan memberi komen tentang status di kawasan itu. Cuma dari segi gred area bila sebut tentang satu-satu pembangunan contoh, kawasan pembangunan dalam 5 kilometer square feet. Biasanya cadangan kolam takungan parit monson hanya di kawasan di situ sahaja. Makna kita tak ada garis panduan sebagai contoh kalau nak sampai ke Sungai Skudai perlu lagi 10 kilometer, jadi pembangunan di peringkat up scene bahagian sebelah atas, ada pembangunan tetapi sepanjang parit monsun hingga ke Sungai Skudai tu tidak ada bajet yang disediakan. Tetapi apa yang biasa dicadangkan di peringkat PBT ini, kita menggunakan Tabung ISF atau tabung dipanggil Tabung Pembangunan untuk menyelesaikan isu-isu tersebutlah. Sebab itu bila sebut isu hotspot banjir ni, yang paling penting bila kita meluluskan satu-satu cadangan, kita kena tengok pertama kolam takungan, kedua parit monsun yang ada pada ketika itu. Cuma di peringkat kerajaan persekutuan dia masih lagi mengekalkan spesifikasi-spesifikasi yang 10, 15 tahun yang lepas. Tetapi kita di peringkat PBT telah mula melihat bahawa parit monsun yang spesifikasi 20 tahun dahulu tidak sesuai dilaksanakan sekarang. Sebab ketika ini kalau kuantiti hujan dalam jadual JPS tu, 10 square feet, biasa 20mm kuantiti hujan. Tetapi sekarang apa yang berlaku ialah enam (6) atau tujuh (7) kali ganda jumlah hujan untuk satu (1) jam. Yang inilah cabaran kita di peringkat negeri Johor ini, Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan yang telah disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ditangguhkan selama 20 minit. Persidangan ditangguhkan pada jam 11:07 pagi. Persidangan disambung semula pada jam 11:30 pagi

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan mengalu-alukan pemerhati daripada DUN Kawasan Maharani seramai enam (6) orang, juga Dewan mengalu-alukan pemerhati daripada DUN Kawasan Senggarang seramai 40 orang dan Dewan juga mengalu-alukan pemerhati daripada DUN Kawasan Benut seramai tujuh (7) orang.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung sekarang. Dijemput Yang Berhormat Kemelah. Benut, minta maaf.

Benut Datuk Timbalan Yang DiPertua, Timbalan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu terima kasih atas peluang untuk memulakan perbahasan pada pagi ini. Sebelum itu saya ingin mengambil kesempatan untuk Dewan Negeri Johor kita merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada ibu bapa dan warga pendidik daerah Pontian atas kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Di mana Sekolah Menengah Agama Arab An-Nur di Benut mendapat tempat terbaik kebangsaan dan juga terbaik negeri Johor. (Dewan bertepuk). Yang keduanya, Sekolah Menengah Agama Bugisiah mendapat tempat ketiga terbaik kebangsaan dan tempat kedua terbaik negeri Johor. Alhamdulillah kedua-dua sekolah daripada Benut, Yang Berhoramt Datuk Timbalan Speaker.

Timbalan Speaker

Tahniah Benut.

Terima kasih. Bagi memulakan perbahasan, adalah patik dengan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas titah peringatan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bahawa ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan kesihatan di negeri Johor ini perlulah sentiasa dalam keadaan yang baik.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, di kesempatan ini Benut ingin menyentuh perkara-perkara berkaitan yang pertamanya ialah tentang ekonomi dan yang keduanya berkaitan dengan infrastruktur. Kedua-dua aspek ini telah disentuh dalam titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor. Kalau kita lihat semalam, Yang Amat Berhormat Menteri Besar sewaktu menjawab soalan berkaitan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. Slide telah dipamerkan di hadapan kita yang menyedarkan kita tentang impak dan juga inisiatif-inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri, oleh kerajaan persekutuan bagi melonjakkan ekonomi negeri Johor dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura ini.

Ada beberapa slide saya kira Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker yang wajar dan boleh kira rumuskan. Walaupun ianya menyentuh tentang soal pencapaian keseluruhan, slide-slide yang dipaparkan oleh Yang Amat Berhormat semalam telah menggambarkan kepada kita tentang potensi Johor untuk memberi lonjakan pendapatan sebanyak RM122.5 bilion, semalam dipaparkan kepada kita. Dan ini boleh berlaku menjelang tahun 2030. Maybank Investment Bank juga memperkatakan perkara yang sama. Menurut laporan yang kita baca. Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli juga menyambut bahawa potensi

kepada Johor untuk melonjakkan ekonominya sehingga tahun 2030 juga menggambarkan tentang jumlah sebesar RM122.5 bilion juga akan berlaku di negeri Johor. Yang mana daripada tempoh lima (5) tahun, 2025 sehingga tahun 2030 sebanyak 50 projek di mana melibatkan pelaburan oleh syarikat-syarikat multinasional akan datang ke negeri Johor dan ianya akan juga dapat menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi. Ini adalah antara beberapa impak yang kita harap dapat berlaku dalam tempoh lima (5) tahun yang akan datang.

Jadi, dengan adanya slide dan peringatan Yang Amat Berhormat terhadap inisiatif-inisiatif ini, saya sempat membuat sedikit kira-kira orang kata tentang apakah kesan, apakah maknanya? Mungkin semalam kita dapat merasakan faedah dan benefit kepada negeri kita. Tetapi Yang Berhormat, dalam masa yang sama kalau kita rumuskan juga hasil daripada RM122 bilion dalam tempoh lima (5) tahun maknanya tahun 2023 kita punya nilai KDNK kita adalah RM142 bilion. Ditambah dalam tempoh lima (5) tahun yang akan datang RM122 bilion itu yang datangnya angka dalam tempoh sebelum 2030 kita akan ada RM260 bilion nilai KDNK yang akan masuk ke negeri Johor yang akan menjadikan negeri Johor berada di kedudukan yang sedemikian. Ini bererti bahawa kalau RM122 bilion itu sebagai anjakan, ini bererti bahawa kalau kita ikut data DOSM, pendapatan per kapita kita juga akan meningkat. Sekarang ini pendapatan per kapita kita adalah RM41,902.00 bagi tahun 2023, ini akan melonjak kepada RM57,204.00. Jadi, orang Johor koceknya akan makin tebal, itu yang lebih penting kepada kita. Masuklah banyak mana pun pelaburan ke negeri kita, besar mana pelaburan tetapi kalau rakyat tidak merasakan adanya penambahbaikan, apa ertinya kita berada di Dewan ini?

Jadi, wajar kita beritahu rakyat di luar sana dalam tempoh daripada tahun 2023 dengan pertumbuhan yang sedemikian, nilai KDNK kita yang akan melonjak sehingga RM122 bilion dalam tempoh lima (5) tahun, maka rakyat secara puratanya pendapatan per kapita akan meningkat kepada RM57,204.00 daripada sekarang ini sebanyak RM41,000.00. Ini adalah satu pendapatan, satu keadaan yang saya kira penting untuk kita uar-uarkan, untuk kita peringatkan. Maka itu, berdasarkan hasrat tersebut, keinginan untuk mencapai matlamat tersebut, saya boleh simpulkan bahawa soalan ini perlu saya ajukan kepada kerajaan. Sama ada kerajaan bersetuju atau sebaliknya bahawa cabaran besar dalam nak mencapai lonjakan, potensi yang dapat membawa RM122 bilion tambahan kepada nilai KDNK negeri Johor ialah berkenaan dengan Governance. Governance Yang Amat Berhormat. Bagaimana kita menguruskan hal ini?

Pertama, saya nak bertanya dengan kerajaan sama ada kerajaan bersedia atau tidak untuk membuat beberapa perubahan dasar. Suka tak suka Yang Berhormat kita tidak boleh berada dalam keadaan seperti biasa. Saya kira Donuld Trump itu, apa yang dia buat itu adalah dia nak buat apa, Make America Great Again (MAGA). Satu orang kata pendekatan yang drastik, yang radikal bagi mengembalikan semula greatness of America, dengan izin. Kita ada Kasi On. Kalau pergi ke Machap ada satu moto Kasi On. Kita ada Onn, Onn Hafiz. (Dewan ketawa). On sepanjang masa, tak akan off punya. So, apa kita nak takut? (Dewan bertepuk.) Maka untuk mengukuhkan tentang soal pencapaian RM122 bilion ini yang kita dah ada on dia tu yang tak akan off. Itu Yang Berhormat, kita kena buat perubahan yang drastik yang antaranya adalah saya kira sama ada kerajaan bersedia untuk membuat perubahan dasar.

Invest Johor, contoh. Semalam Yang Amat Berhormat ada nyatakan tentang di bawah Invest Johor adanya IMFC-J, Iskandar Malaysia Facilitation Centre Johor. Di pusat juga ada IMFC, di MITI, di kementerian, di MIDA juga ada IMFC tetapi IMFC Johor ini harus berbeza. Saya amat berbesar hati bila Tan Sri SS ada bersama kita pada pagi ini. Mungkin agaknya dapat dipertimbangkan dan saya percaya Yang Berhormat Tan Sri Setiausaha Kerajaan kita yang berpandangan jauh mungkin agaknya Invest Johor ini perlu kita enakmenkan, perlu kita beri lebih banyak kuasa melalui Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Melalui peraturan-peraturan yang membolehkan Invest Johor ini anggota pentadbirannya bukan hanya sekadar ada tetapi juga ianya melibatkan hadirnya kepakaran-kepakaran, hadirnya tenaga-tenaga idea-idea baru.

Semalam Yang Berhormat, sewaktu Yang Amat Berhormat Menteri Besar menjawab soalan berkaitan dengan Zon Ekonomi Khas ini, yang berdiri diperkenalkan di sana, katakan contoh daripada Invest Johor, pemerhati daripada Invest Johor, pemerhati daripada IRDA, yang bangun Yang Berhormat, saya tengok adalah orang yang tak lebih 30 tahun umur mereka, muda-muda belaka. Jadi, apa yang kita buat dalam Dewan ini kita tak tahulah yang lain-lain ini tetapi kalau setakat saya, Datuk Timbalan Speaker, Dato’ Sri Medan ini, kita dah macam dah hujung-hujung dah. Yang kita nak buat hari ini, yang kita katakan Zon Ekonomi Khas ini adalah untuk the next generation. Eko sistem yang kita nak bangunkan ini adalah untuk generasi, the next generation Yang Berhormat, dengan izin. Jadi dengan itu, perlu kita lihat dari segi governance ini. Amat penting governance yang lebih mantap, Invest Johor yang berwajah baharu bukan sekadar tempat pejabatnya yang baharu sahaja, bukannya setakat komposisi dalam Invest Johor sahaja tetapi juga Invest Johor yang berubah wajah, berubah peranan. Ianya sesuatu yang ketara dapat dilihat dari segi pentadbiran, anggota pentadbirannya, tokoh-tokohnya, pengurusannya dan ini semua tertakluk di bawah ruang lingkup undang-undang kerajaan.

Begitu juga JTDC, tak boleh bersifat jangka pendek, ianya harus bersifat jangka panjang. Johor Talent Development Council ini kenapa tidak kita maktubkan dia, kita enakmenkan dia menjadi satu entiti yang lebih bersifat kekal dan boleh bersifat lebih holistik pendekatannya. Kita ada more than a dozens of university yang terlibat dalam JTDC. Beratus institusi latihan yang terlibat sama dalam membangunkan. Maka, ianya harus kita institusikan supaya ianya lebih mantap, supaya ianya lebih jelas dari segi pelabur-pelabur dalam mahu pun luar yang nak melihat perubahan yang sepatutnya berlaku di negeri Johor. Dan itu juga antara perkara baharu yang kita wujudkan di zaman Dato’ Menteri Besar kita sekarang. Tetapi bagaimana dengan entiti-entiti yang sedia ada yang berkait dalam soal yang mampu menyumbang kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura ini? Sebagai contoh SSI, State Secretariat Incorporated, mungkin kita boleh tengok semula. Fungsinya, peranannya, komposisinya, strukturnya, bagaimana SSI ini dapat berperanan seperti kalau negeri-negeri lain itu, MBI sebagai contoh. Menteri Besar Incorporated sebagai satu kenderaan di hadapan, sebagai satu entiti di hadapan. Setiap kali negeri-negeri berkenaan berada di luar negara berjumpa dengan pelabur, orang kata menjual negeri Johor untuk menarik pelaburan datang ke negeri Johor. Kita perlu entiti-entiti ini dimantapkan.

Saya dapat merasakan semalam Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker bahawa ada kebimbangan tentang apa kata kawasan-kawasan di luar pula, di luar Iskandar ataupun di luar Special Economic Zone. Saya merasa bahawa, sebenarnya saya mengingatkan diri saya juga bahawa kita tak perlu bimbang kerana sekali lagi Johor berada di kedudukan yang luar biasa. Limpahan yang kita harapkan itu kerana kita dah ada katakan contoh Pelan Maju

Johor 2030 yang melihat kepada need kekuatan daerah-daerah yang ada. Dan dibangunkan kekuatan-kekuatan yang ada, disuntik modal-modal atau pun program-program pembangunan untuk merealisasikan potensi daerah-daerah. Jadi dalam kawasan Special Economic Zone itu satu bab, walaupun mengalir semua peruntukan pelaburan ke kawasan Special Economic Zone kita ada Pelan Maju Johor 2030.

Kita ada IMT-GT yang di sebelah negeri-negeri di sebelah Pantai Barat. Kita ada juga KEJORA, yang melihat di tengah-tengah negeri Johor, alhamdulillah hari ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar dah jadi Pengerusi KEJORA semula. Apa nama meneruskan usaha Tan Sri Pengerusi sebelum itu, sementara nak menunggukan disusun semula Tan Sri SS mempengerusikan KEJORA, hari ini Yang Amat Berhormat dan jadi Pengerusi KEJORA semula. KEJORA sebagai salah satu lagi entiti Pembangunan Wilayah tak perlu orang di luar kawasan Special Economic Zone Johor - Singapura merasa bimbang apatah lagi orang di Mersing, orang di Segamat, adanya ECER juga merupakan entiti Pembangunan Wilayah yang dapat membawa pelbagai program dan perancangan untuk menjaga dan melihat kebajikan kepada masyarakat-masyarakat di luar kawasan zon ekonomi khas ini. Jadi atas dasar itu saya ingin bertanya dengan kerajaan samada, adakah kita akan menyusun atau adakah kita akan memantapkan lagi governance di peringkat negeri melalui pindaan, penambahbaikan undang-undang, peraturan yang sedia ada, entiti, agensi-agensi yang ada supaya selari, setaraf dengan Rancangan Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura. Saya tak perlu bimbang, saya rasa dengan adanya Special Financial Zone di Forest City kita tak perlu bimbang bahawa IRDA sekarang ini sedang disusun semula. Ini semua adalah komponen-komponen yang menyumbang kepada hasrat untuk melonjakkan lagi ekonomi negeri Johor. Yang Berhormat itu adalah perkara yang bersabit dengan soal ekonomi. Kedua, perkara yang ingin saya sentuh sebagaimana titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor ialah berkenaan dengan infrastruktur. Katanya, RM5 bilion akan disuntik oleh kerajaan persekutuan untuk menambahbaik infrastruktur di Kawasan Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura. Kita kena susun baik-baik. Kalau kita tersilap merancang, kalau kita tersilap atau pun pengurusan program-program pembangunan RM5 bilion itu tertangguh, lewat projeknya dan sebagainya ianya akan memberi kesan. Kita juga tahu bahawa penyumbang besar kepada FDI negeri Johor bagi tahun 2023, 2024 adalah melalui Pembangunan Pusat Data. Bila bercakap tentang soal Pusat Data ini, kita tak boleh lari daripada membicarakan tentang soal pembangunan bekalan air, bekalan letrik Yang Berhormat. Yang Berhormat pun selalu bisik dekat saya perkara ini. Jadi perlu kita ambil perhatian, sekali lagi perlu kita melihat bukan hanya kepada teknologi, bukan hanya kita melihat bahawa perlu adanya projek-projek infrastruktur yang perlu dibangunkan tapi kita perlu juga melihat dari segi aspek dasarnya, polisinya. Kerana kalau dah menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan atau pun dia berada di concurrent list tanggungjawab negeri dan juga persekutuan bila bercakap soal air sudah sampai masa kerajaan memikirkan bekalan air kepada data centre. Kadar yang dikenakan itu tidak sewajarnya sama sahaja. Data centre pun bayar harga air yang sama, kita yang buat kilang aiskrim pun bayar kadar air yang sama. Itu tak bercerita tentang soal jumlah air dan tentang jumlah bekalan eletrik yang diperlukan. Mungkin kadarnya perlu kita semula.

Kita perlu melihat undang-undang kita. Saya bercakap begini kerana sekarang mengambil contoh sewaktu titah Duli Yang Amat Mulia dahulu untuk mengubah silibus. Kita semua macam, ooo macam mana nak ubah silibus? Bukan boleh kita ubah silibus. Ini hal kementerian, tapi bagaimana nak mencapai matlamat, apa tujuan nak mengubah silibus. Boleh kita terjemahkan, EXCO yang berkaitan boleh saja dia buat sekolah Rintis Bangsa Johor, akhirnya jadi juga. YB Aznan berjaya juga beliau, mampu menterjemahkan apa yang perlu dilakukan. Jadi, walaupun tugas silibus adalah di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan boleh dibuat sama jugalah kita di Johor. Kalau kita nak beri air kepada data-data centre menggunakan bekalan yang sedia ada bukan hanya sumber tergugat, bukan hanya kita melihat samada adil atau pun tidak dengan kadar yang kita kenakan, jadi apa pilihan yang kita ada. Maka kita perlulah kerajaan negeri melihat kepada entiti-entiti yang ada untuk melihat perkara ini. Lembaga Air Johor, Johor Special Water, SAJ Sdn. Bhd., entiti-entiti air ini kalau dapat digabungkan, diperkukuhkan supaya menjadi satu entiti yang lebih holistik peranannya supaya kita sendiri kerana kita dibenarkan untuk menentukan berapa, cara, pengunaan sumber air. Itu tanggungjawab kerajaan negeri, hak kerajaan negeri, bukan hak kerajaan persekutuan. Kita yang menentukan sumber air, kalau misal kata nak buka kilang mineral water, nak sedut air bawah tanah, sebagai contoh, kadar yang dikenakan, kerajaan negeri yang tentukan, BAKAJ yang, dulu BAKAJ, sekarang Lembaga Air Johor yang tentukan. Kalau kita misal kata nak buat recycle water, Johor Special Water yang tentukan kadarnya. Kita sendiri yang menentukan. Tapi kita harus melihat dalam konteks yang lebih besar. Kita nak bawa masuk dalam tempoh lima (5) tahun, RM122 bilion bukannya satu jumlah yang kecil Yang Berhormat. Saya tahu masa saya dah pendek, jadi cepat-cepat saya habiskan, jadi perlu ada satu dasar baru Yang Berhormat. Saya harap adakah kerajaan bersedia untuk melihat perkara ini untuk menimbangkan pengukuhan lagi entiti-entiti yang berkaitan dengan soal pembangunan sumber infrastruktur. Ini kalau eletrik pulak Yang Berhormat, Kementerian Tenaga sedang dalam peringkat kajian untuk menimbangkan small modular reactor sebagai tambahan kepada sumber bekalan tenaga eletrik. SMR dengan izin. Kenapa tidak Johor juga memulakan. Data centre kita di Sedenak saya difahamkan dalam tempoh tiga (3), empat (4) tahun yang akan datang memerlukan sekurang-kurangnya 3 giga watt bekalan eletrik untuk menampung aktiviti perindustrian di kawasan Sedenak Data Centre. Ini adalah satu jumlah tenaga yang amat besar, jadi perlu kita ada sumber bekalan tenaga alternatif ini selain daripada tenaga boleh bantu, solarnya, apanya, itu soal tambahan. Tetapi teknologi-teknologi lain juga harus diambilkira untuk membolehkan kita menampung atau pun menghadapi cabaran berkaitan dengan perkara tersebut. Akhirnya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebagai rumusan Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura, bukanlah hanya sebuah projek sahaja tetapi ia merupakan suatu prototype untuk generasi akan datang berkaitan dengan eko sistem, inovasi rentas sempadan. Kita sedang dalam proses membangunkan sebuah prototype untuk eko sistem bagi generasi akan datang. Berinovasi, rentas sempadan itulah yang sedang kita lakukan pada waktu ini dan tenaga kerja khasnya bangsa Johor, rakyat Malaysia amnya suatu hari nanti akan bakal menuai hasil faedah daripada kewujudan Zon Ekonomi Khas ini. Jadi terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dengan ini saya mohon menyokong, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Benut. Dipersilakan Yang Berhormat Johor Jaya.

Cik Liow Cai TungDAP · PHJohor Jaya

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, salam Sejahtera, Maju Johor, Salam Malaysia Madani, terima kasih bagi memberi peluang kepada saya untuk berbahas dalam Dewan yang mulia ini. Patik merafak sembah Menjunjung Kasih Atas Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bagi menyempurnakan pembukaan rasmi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke 15. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kesesakan lalu lintas semakin meruncing di Greater Johor Bahru. Kita sentiasa terima aduan tentang kesesakan lalu lintas, garisan jalan yang kabur, lampu jalan yang tidak menyala, Lebuh raya Pasir Gudang yang berlubang-lubang dan banyak lagi. Perkara ini perlulah dipandang serius oleh kerajaan negeri supaya tidak menjadi sebagai salah satu punca kemalangan jalan raya. Walau bagaimanapun, Johor Jaya ingin mengucapkan tahniah kepada YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi atas kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan yang telah berjaya menyiapkan Projek Naik Taraf Dan Dasar Keretapi Kargo Kempas Baru – Pasir Gudang dalam enam (6) bulan. Ini adalah satu contoh projek yang memang perlu kita puji bersama-sama. Biasanya tidak kira projek apa-apalah dari majlis, JKR, agensi dan mana-mana pihak, biasa yang kita dengar adalah kerja-kerja dilanjutkan, tarikh siap dipanjangkan dan berbagai alasan atas kelewatan projek dan kerja. Ini semua menunjukkan kurang profesional atau kekurangan efficacy contractor. Semua kelewatan ini akan menjadi kacau ganggu kepada masyarakat terutamanya projek yang berkenaan dengan pengguna jalanraya. YB EXCO dan Menteri mengambil keputusan yang berani iaitu tutup landasan itu dan jalankan kerja naik taraf. Jadi kerja ini dapat siap dalam enam (6) bulan, yang penting itu selepas naik taraf keretapi kargo ini dapat meningkatkan penggunaannya iaitu dari dua (2) trip sehari sehingga enam (6) trip sehari. Ini bermaksud boleh mengurangkan penggunaan treler iaitu jangka 420 treler dalam sehari. Ini juga bermaksud Lebuhraya Pasir Gudang mengurangkan kesesakan lalu lintas. Dalam konteks isu kesesakan lalu lintas di Johor Bahru, Johor Jaya ada tiga (3) cadangan. Pertama, berkenaan dengan landasan keretapi kargo yang akan membawa penumpang dari Kempas Baru ke Pasir Gudang. Menteri Pengangkutan telah mengumumkan bahawa perkhidmatan landasan keretapi kargo ini akan digunakan sebagai train penumpang dari Pasir Gudang ke Kempas Baru. Tiga (3) lokasi stesen penumpang akan di bina. Dengan ini Johor Jaya memohon supaya lokasi stesen penumpang ini dapat di bina di kawasan Bakawali, Johor Jaya, Plentong dan juga Seri Alam. Bakawali Johor Jaya di mana lokasi tersebut adalah di tengah Taman Johor Jaya yang strategik di mana adalah sebelah sana adalah Mount Austin, Tebrau dan dikeliling oleh Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Tebrau – Kota Tinggi. Pengangkutan bas yang melalui jalan utama iaitu Jalan Tebrau – Kota Tinggi dan Lebuhraya Pasir Gudang dapat menjadi connectivity selepas penumpang dapat naik turun di Johor Jaya. Kemudian cadangan lokasi kedua dan ketiga ialah Plentong dan Bandar Seri Alam di mana perkembangan penduduk yang pesat di sekitar kawasan Pasir Gudang akibat kesesakan lalu lintas. Bandar Seri Alam yang bersambung dengan Taman Scientex, Kota

Masai dan juga dapat menuju ke JB East Coast Highway iaitu Lebuhraya Permas Jaya dan Pasir Gudang. Tambahan pula Hospital Pasir Gudang yang akan disiap dalam tidak lama lagi. Stesen penumpang sekiranya di letak di Bandar Sri Alam ini adalah penting bagi memudahkan pesakit yang akan melawat ke Hospital Pasir Gudang. Kedua, adalah naik taraf landasan keretapi PTP ke Kempas Baru. Dan seterusnya menjadi sebagai landasan yang boleh membawa penumpang, dengan ini penumpang bukan sahaja dapat naik dari Kempas Baru ke Pasir Gudang tetapi dapat menyambung penumpang dari PTP iaitu dari bahagian Iskandar Puteri dan Pontian terus ke Pasir Gudang. Dan ketiga, iaitu kerja-kerja naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang di bahagian Perling ke Pasir Gudang. Ini perlu dilaksanakan dengan segera, memandangkan projek naik taraf sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang yang hampir siap. Kini bahagian Perling itu menjadi sebagai alternatif yang mengalami kesesakan. Dengan ini, kerja naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang bahagian ini perlu disegerakan. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam Sidang Dewan yang lepas saya telah bangkitkan cadangan atau idea untuk naik taraf Pasar Awam Johor Jaya, Arked Johor Jaya dan juga Bas Terminal Johor Jaya. Tempat ini merupakan satu hab perniagaan tempatan yang penting di tengah iaitu centre Johor Jaya. Ini infrastruktur Pasar Awam Johor Jaya dan selalu diadu oleh peniaga iaitu bumbungnya bocor,bekalan electricity yang tidak stable membahayakan peniaga dan pengguna pasar awam. Terminal bas yang nampak gelap, tandasnya rosak mengakibatkan laluan bas pun tidak banyak sekarang ini. Apatah lagi sebelah bas terminal ini adalah sebaris kedai yang telah lama terbiar oleh PBT. Tidak disewa dan nampak macam bangunan hantu, ini semuanya merosakkan imej Johor Jaya.

Saya mohon pihak PBT mengambil contoh Pasar Awam Seri Kembangan di mana kerjasama dengan PAM iaitu Persatuan Arkitek Malaysia menjalankan pertandingan reka bentuk Pasar Awam dan seterusnya reka bentuk itu dipilih oleh penduduk sendiri. Ini pasti akan menjadi satu projek pilot di Johor untuk mewujudkan satu pasar awam moden dan hab perniagaan yang sesuai diguna oleh penduduk tempatan. Ia juga boleh dijadikan sebagai satu tempat yang boleh memberi ruang kepada anak-anak muda untuk menjalankan bisnes kecil. Ruang dewan dan medan selera makan yang selesa bagi penduduk tempatan. Imej Pasar Awam yang basah lantainya, kotor, berbau busuk, semua ini perlu dipadamkan dengan satu pasar awam yang moden. Dengan ini, rejuvinasi atau pembangunan semula pasar awam adalah penting supaya pasar awam tidak menjadi muzium pada masa depan atau menjadi sejarah pada masa hadapan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dengan perkembangan penduduk yang semakin pesat telah mengakibatkan peningkatan bilangan pengundi secara mendadak khususnya di kawasan bandar. Dengan ini, jurang perbezaan bilangan pengundi di setiap DUN dalam negeri Johor semakin besar. Terdapat 56 orang ADUN yang berada dalam Dewan yang mulia ini. Menurut bilangan pengundi bagi PRN Johor yang lepas, terdapat 17 kerusi DUN yang bilangan pengundinya kurang daripada 30,000 iaitu Buluh Kasap, Pemanis, Tenang, Bekok, Gambir, Bukit Naning, Semarang, Rengit, Layang-Layang, Paloh, Kahang, Endau, Pasir Raja, Sedili, Penawar, Tanjung Surat dan Benut. Namun, terdapat tujuh (7) kerusi DUN di Greater Johor Bahru ini telah mencecah hampir 100,000 atau 100,000 ke atas bilangan pengundi masing-masing pada PRN Johor yang lepas. Iaitu Johor Jaya 91,000,

Permas 103,000, Skudai 102,000, Kota Iskandar 116,000, Puteri Wangsa 112,000, Tiram 105,000 dan Perling 101,000.

Menurut kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bagi negeri tahun 2017, jumlah pemilih bagi negeri Johor telah mengalami peningkatan sebanyak 34.8% orang sejak urusan kajian semula persempadanan yang terakhir pada tahun 2003. Iaitu daripada 1.2 juta kepada 1.6 juta orang semasa kajian semula persempadanan ini dijalankan. Angka ini menunjukkan bahawa purata pemilih berdaftar di negeri Johor adalah seramai 86 orang bagi setiap km persegi. Namun, pada tahun 2022 jumlah pengundi adalah 2.5 juta orang. Ini bermakna purata pemilih berdaftar di negeri Johor adalah seramai 134 orang bagi setiap kilometer persegi. Dalam kajian tersebut, persempadanan pada masa itu tidak melibatkan sebarang pertambahan bahagian pilihan raya dan hanya melibatkan pindaan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya khususnya di kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah pemilih yang sangat ramai misalnya di daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan sebahagian Kluang, Muar dan Kulai.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kawasan DUN yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dengan jumlah pengundi 100,000 perlu di sempadan semula. Bayangkan peruntukan yang kita dapat di mana kawasan kita ada 100,000 pengundi sama dengan DUN yang hanya mempunyai pengundi kurang daripada 30,000. Johor Jaya mengusulkan pihak kerajaan negeri supaya mengambil inisiatif untuk menjalankan; pertama, kajian penambahan kerusi DUN. Kedua, persempadanan semula bahagian-bahagian DUN, khususnya di Tebrau, Pasir Gudang, Pulai, Kota Iskandar Puteri, tambahan satu kerusi DUN supaya menjadi tiga (3) DUN di bawah setiap Parlimen ini. Bagi mengurangkan jurang bilangan pemilih tanpa menjejaskan hubungan tempatan dan juga supaya Wakil Rakyat dapat memberi keseimbangan perkhidmatan peruntukan, pembangunan di bandar dan luar bandar.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam Belanjawan Johor 2025, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan Program Dapur Kasih Keluarga Angkat yang akan memanfaatkan 2,416 ketua isi rumah dengan peruntukan RM2.9 juta. Program Dapur Kasih merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Johor di mana setiap keluarga dipilih sebagai keluarga angkat akan menerima bantuan Dapur Kasih sebanyak RM100.00 setiap bulan dengan berbelanja di pasar raya terpilih. Saya bercadang bahawa penerima Dapur Kasih Keluarga Angkat diberikan pilihan iaitu membeli barang keperluan asas di kedai runcit atau pasar awam yang berdekatan dengan rumah mereka kerana terdapat lokasi pasar raya yang terpilih itu adalah jauh dari rumah penerima. Mereka perlu membayar tambang kos yang mahal untuk pergi ke pasar raya terpilih.

Kedua, dengan wujudnya pasar raya, hypermarket business peniaga kecil seperti kedai runcit, peniaga di pasar awam masing-masing menghadapi persaingan yang tinggi dalam kawasan tersebut. Kerajaan negeri boleh ambil kesempatan ini untuk bantu peniaga kecil di kawasan masing-masing. Sebagai contoh, terdapat 13 keluarga angkat di kawasan Johor Jaya. Ini bermaksud sekurang-kurangnya setiap bulan ada bajet RM1,300.00 yang dapat menyumbang ke pasar awam dalam kawasan Johor Jaya. Kalau ikut Belanjawan dalam negeri Johor, kita ada 2.9 juta yang dapat memanfaatkan peniaga kecil tetapi bukan bagi pasar raya. Dengan ini, Johor Jaya minta Program Dapur Kasih boleh dipanjangkan untuk membeli barang keperluan di Pasar Awam, kedai runcit dalam kawasan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, berkenaan dengan isu tempatan. Terdapat satu (1) tapak pembuangan sampah haram di kawasan Johor Jaya iaitu di kawasan Jalan Teratai, 41, Taman Johor Jaya. Kenderaan lori yang keluar masuk setiap hari dengan membuang bahan-bahan sisa pembinaan dan juga terdapat juga pembuangan kereta terbiar, terpakai di tempat tersebut. Tempat ini telah diarah tutup sejak beberapa tahun yang lepas. Setiap kali selepas tutup, tidak lama lagi buka lagi. Dan tindakan segera perlu diambil kerana kawasan ini berdekatan dengan sekolah dan belakang itu adalah sungai. Ini turut mencemarkan sungai dalam dan juga alam sekitar.

Kedua, isu tempatan. Baharu-baharu ini saya telah mendapat aduan daripada peniaga di kawasan Jalan Seroja, Taman Johor Jaya. Tekanan air yang rendah akibat air tidak dapat naik ke kilang atau kedai mereka. Mereka terpaksa mengguna tong-tong besar menakung air siang, malam untuk kegunaan harian mereka. Saya mohon bahawa pihak Ranhill SAJ mengambil tindakan dengan segera atas penukaran paip dan masalah tekanan air ini.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebagai Wakil Rakyat kita memikul tanggungjawab yang besar harapan daripada rakyat. Kadangkala satu isu yang sama kita bawa dalam Mesyuarat JTPD berapa kali pun tidak dapat selesai dan terpaksalah bawa dalam Dewan yang mulia ini. Johor Jaya mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi dan jabatan yang bekerja keras bertungkus lumus dan membantu saya menyelesaikan masalah tempatan dalam kawasan saya. Sama-sama kita terus berkhidmat demi kesejahteraan Bangsa Johor. Akhir kata, Maju Johor negeri bertuah, rakyat bersatu penuh harmoni, Malaysia MADANI jadi wardah, sejahtera hidup makmur negeri. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Dijemput Yang Berhormat Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Bismillahirrahmanirrahim (Doa). Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam kerana dengan limpah kurnianya dapatlah kita memberi kemudahan kelancaran Pembukaan Rasmi Pertama bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke 15, pada hari ketiga Persidangan.

Patik dan seluruh jajaran warga DUN Sungai Balang merafak sembah takzim dan menjunjung kasih di atas Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menyentuh aspek pendidikan rakyat serta secara menyeluruh dalam majlis hal ehwal negeri Johor.

Patik begitu terharu dalam keprihatinan tuanku dalam memastikan rakyat jelata khasnya Bangsa Johor unggul dalam ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan juga kesihatan. Belum terlambat juga untuk patik merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan pasukan JDT atas kemenangan penuh bergaya, empat (4) piala bagi tiga (3) tahun berturut-turut dan dalam semua piala yang dipertandingkan. Dengan rekod sifar kekalahan ternyata pasukan JDT telah berada di kelas yang tersendiri dalam kancah bola sepak negara.

Atas kesempatan ini juga, ingin merakamkan setinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas prestasi dan pencapaian yang cemerlang dalam perolehan taburan negeri sebanyak RM27.4 bilion dalam tempah Januari hingga Mac 2025 dan menjadikan negeri dan pelaburan tertinggi di Malaysia untuk suku tahun tersebut yang dibahaskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar semalam. Sebahagian besar pelaburan ini adalah dari sumbangan oleh Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura, JS-SEZ yang menyumbangkan lebih 90% daripada jumlah pelaburan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor, SRBJ merupakan inisiatif pendidikan terkini yang lahir daripada cetusan idea Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor dan dilancarkan pada Februari 2025 oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai langkah strategik untuk menubuhkan kualiti pendidikan Johor. SRBJ memberikan fokus kepada penguasaan bahasa Inggeris, Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik, (STEM) serta pembangunan sahsiah dan jati diri murid. Pendekatan ini selaras dengan hasrat untuk melahirkan generasi Bangsa Johor bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah bersedia bersaing di peringkat global. Apa yang membezakan Sekolah Rintis ini dengan sekolah kebangsaan biasa ialah penekanan terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran, PDP yang berasaskan projek penggunaan teknologi pendidikan serta latihan intensif kepada para guru.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Sungai Balang juga tidak mahu ketinggalan di dalam arus kemodenan pembelajaran abad ke 21 ini. Di dalam pembelajaran sains, teknologi kejuruteraan, dan matematik (STEM), kini telah mengubah paradigma dan falsafah pendidikan negara. Sebagaimana yang kita ketahui pelajar-pelajar akan diajar dan didedah tentang teknologi terkini dalam menuju persaingan dalam dunia yang serba canggih. Pemantapan pendidikan STEM perlu dilaksanakan di semua peringkat bermula daripada akar umbi, justeru sekolah-sekolah di kawasan DUN Sungai Balang turut mempunyai tanggungjawab penting dalam membina generasi saintifik dan berkemahiran tinggi yang mampu mengisi keperluan industri teknologi negara.

Namun begitu, dalam usaha memastikan pelajar dapat menguasai ilmu dalam bidang STEM dengan baik halangan utama dalam matlamat tersebut adalah berkenaan peruntukan yang tidak disediakan secara khusus. Pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah perlu mencari inisiatif sendiri bagi mendapatkan dana dan juga keperluan perkakasan untuk dimiliki bagi sebuah sekolah. Sekolah-sekolah di DUN Sungai Balang juga mengalami kekurangan alat bantu mengajar bagi kemudahan pembelajaran. Sebagai contoh, di DUN Sungai Balang hanya mempunyai tiga (3) buah mesin pencetak 3D yang ditempatkan di Pusat Kegiatan Guru ataupun PKG di Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Ali. Manakala, Sekolah Kebangsaan Sungai Darat pula yang memerlukan dana bagi membeli dua (2) buah dron untuk kegunaan pembelajaran dan praktikal.

Sebagai langkah jangka pendek, pihak PPD Muar telah menyusun dan membagikan sekolah-sekolah dalam DUN Sungai Balang mengikut keutamaan bidang ekoran kekangan peralatan dan peruntukan pada sekolah. Bidang robotik, pihak PPD Muar juga telah menjadikan Sekolah Menengah Pekan Baru sebagai hab pembelajaran. Sekolah Orang Kaya Ali pula dijadikan sebagai hab menyediakan 3D dan Sekolah Menengah Seri Menanti sebagai hab gajet. Justifikasi sekolah-sekolah ini dipilih adalah berdasarkan kepakaran guru dan dalam bidang tersebut dan kemudahan perkakasan dalam sekolah berkenaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pelajar Sekolah Menengah Pekan Baru Muar telah mencatat beberapa siri kejayaan dalam bidang STEM iaitu Johan dalam pertandingan Beach Building Competition, Pingat Emas RCE Iskandar Sustainable Low Carbon School Exhibition 2024 dan banyak lagi pertandingan yang disertai. Jika sekiranya halangan peruntukan ini berlarutan dan tidak diambil langkah intervensi, sudah pasti matlamat melahirkan pelajar mengikut aliran prasarana Revolusi Perindustrian RI 4.0 tidak menjadi kenyataan khususnya pelajar-pelajar yang berada di luar bandar. Dalam pada masa usaha kita menekan STEM dalam pembelajaran, jangan di lupa juga pada keadaan fizikal sekolah yang kondusif, yang kondusif dan selesa untuk anak belajar bagi proses pembelajaran. Faktor persekitaran yang kondusif menyumbang kepada keberkesanan pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah. Di DUN Sungai Balang juga masih terdapat sekolah yang tidak mempunyai prasarana yang lengkap.Justeru, diharapkan Yang Berhormat EXCO Pendidikan dapat membawa permasalahan dan kekangan peruntukan dan fasiliti perkakasan sekolah di DUN Sungai Balang ke peringkat pusat agar dapat ditangani dan diselesaikan.

Saya juga berhasrat menjadikan DUN Sungai Balang sebagai hab TVET kepada anak-anak muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini. Justeru itu, kita mempunyai tanah yang dimiliki oleh MARA di Kampung Sarang Buaya seluas 10 ekar untuk dijadikan sebagai Pusat Giat MARA Premier yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran TVET bagi menghasilkan tenaga tempatan berkemahiran tinggi. Sesi perbincangan dan pertemuan dengan pemegang taruh juga telah diadakan pada tahun lepas bagi mencari kaedah yang boleh dijalankan untuk merealisasikan hasrat ini. Harapan juga, pihak kerajaan dapat menjadi pemudah cara dan medium kepada berjayanya pengwujudan Giat Mara Premier di Sungai Balang demi untuk memberi peluang kepada anak-anak di DUN Sungai Balang yang dapat menyambung pelajaran dalam arus perdana.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menjadi sebuah negeri yang maju dan moden, aspek fizikal dan infrastruktur seperti kemudahan jalan raya yang baik, jaringan talian internet yang laju, perkhidmatan awam yang efisien dan kemudahan kesihatan yang sempurna menjadi nadi utama ciri-ciri negara, negeri maju. Sebagaimana yang dititahkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Sungai Balang sangat bersetuju dengan hal tersebut untuk memastikan rakyat dapat merasai apa yang dipunyai oleh sebuah negeri maju. Mungkin, satu hari nanti Johor dapat menikmati jaringan sistem pengangkutan, High Speed Railway (HSR) sepanjang 300 kilometer yang melalui Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar. Apabila kerajaan bercadang untuk menyambung semula hasrat tersebut demi manfaat ekonomi kepada negara, justeru, masa perjalanan dapat disingkatkan dan dapat mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara – Selatan di kawasan Johor yang sering mengalami kesesakan pada masa ini. Juga manfaat ini dapat dilimpahkan kepada Zon JS-SEZ, sebagai pemangkin kepesatan ekonomi yang bersambung hingga ke Kuala Lumpur dan sebagai contoh, jika sekiranya projek HSR ini mempunyai sistem, mempunyai stesen di Zon JS-SEZ anak-anak Johor yang duduk di kawasan Johor Utara dapat berulang alik dari tempat kerja tanpa perlu berpindah ke kawasan yang terdekat di mana tempat ia bekerja.

Bagi menjadikan rakyat DUN Sungai Balang celik digital dan memberikan kemudahan akses internet dan perkhidmatan e-kerajaan yang berkesan, saya mencadangkan supaya Pusat Sebaran Maklumat Nasional ataupun NADI ditambah di kawasan DUN Sungai Balang. Hal ini dilihat amatlah penting kerana pelajar-pelajar sekolah mahupun pelajar IPT kini telah mengikuti kelas secara maya dalam waktu-waktu tertentu. Perkhidmatan ini sudah tentunya

dapat meringankan kos bayaran perkhidmatan internet terhadap pelajar dan ibu bapa mereka terutamanya kepada golongan B40.

Kita perlu menerima hakikat bahawa kaedah pembelajaran kini telah mengalami perubahan dan ia memerlukan liputan jaringan internet yang stabil untuk memastikan urusan tersebut dapat berjalan lancar. Bagi syarikat-syarikat pengendali telco pula, perlu memastikan kualiti perkhidmatan dan liputan yang disediakan memenuhi piawai dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna terutamanya di kawasan DUN Sungai Balang. Saya juga acap kali menerima aduan dan rungutan daripada rakyat yang menyatakan kualiti capaian telco amat menyedihkan. Justeru itu, satu tindakan tuntas dan segera perlu diambil oleh SKMM bagi menyelesaikan masalah yang berlarutan selama ini. Ini seperti apa yang dikatakan, disebut semalam oleh Yang Berhormat Parit Yaani.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kesejahteraan rakyat juga bermakna poket rakyat mempunyai wang yang cukup dan nilai perbelanjaan yang berbaloi dengan apa yang mereka belanjakan. Program Jualan Rahmah di DUN Sungai Balang telah memberi impak positif kepada masyarakat setempat terutamanya dalam membantu golongan B40 mengurangkan kos sara hidup. Pelaksanaan program ini termasuklah Jualan Rahmah Bergerak dan Jualan Rahmah Madani telah mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan. Namun, sejak kebelakangan ini, harga jualan barang-barangan tersebut telah mengalami kenaikan dan ianya turut disuarakan oleh rakyat.

Tidak dinafikan kesan ini adalah impak daripada kos kenaikan penghasilan produk dan kedudukan ekonomi global yang penuh cabaran menyebabkan kesan rantaian terhadap harga produk. Sebagai contoh, santan kotak kecil ini yang sebelum ini berharga RM2.80, RM2.00, berharga RM2.00 tetapi kali ini telah dijual dengan nilai RM2.80 ataupun RM3.00 yang mengalami kenaikan antara RM0.80 sehingga RM1.00. Dan selain itu juga, sardin juga mengalami kenaikan harga yang serupa iaitu antara RM0.80 sehingga RM1.00. Ini adalah contoh-contoh sebahagian daripada Jualan Rahmah yang telah meningkat harga dan tidak termasuk barangan lain. Justeru itu, saya mencadangkan supaya kerajaan negeri mendesak kerajaan pusat untuk menambah jualan peruntukan subsidi terhadap barangan keperluan Jualan Rahmah tersebut agar rakyat yang tergolong dalam kategori B40 terutamanya berasa lega dengan bebanan kos sara hidup mereka.

Saya juga mengesyorkan kerajaan juga memberi Sumbangan Kasih Johor secara one-off dengan izin yang dikreditkan kepada akaun penerima Bangsa Johor yang layak untuk ditukarkan dengan barang keperluan dapur. Saya berfikir dengan kaedah ini dapat mengelakkan ketirisan berbanding kaedah bantuan kasih yang dilakukan sebelum ini dan dapat mengurangkan kos operasi yang bakal ditanggung dalam peruntukan bantuan yang dijalankan oleh pihak kerajaan. Begitu juga dengan Jualan Kasih Johor, yang kita adakan menjelang musim perayaan di negeri Johor dengan penawaran barang yang lebih murah seperti ikan, sayur, daging, telur dan berbagai jenis barang dapur mendapat sambutan yang baik di kalangan rakyat Johor. Namun, penambahbaikan boleh dilakukan dengan meningkatkan kualiti stok jualan yang ditawarkan kerana terdapat rungutan daripada orang ramai bahawa barangan yang dijual telah habis apabila mereka tiba dalam program tersebut sebelum waktu tengah hari. Selain itu juga, jenis-jenis barang jualan yang ditawarkan perlu juga diberi perhatian untuk ditambah kepelbagaian barangan untuk dibeli dan dimanfaatkan oleh rakyat dan juga kekerapan jualan dalam setiap bulan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga menekankan di sini bahawa keperluan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat di DUN Sungai Balang yang sangat-sangat diperlukan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, sebanyak kes kebakaran rumah telah berlaku untuk tempoh enam (6) bulan kebelakangan ini, yang mana kesemuanya berakhir dengan kemusnahan total. Dan kehadiran pihak Bomba yang agak lambat dan amatlah dibimbangi dengan pertambahan taman-taman perumahan dan juga rumah persendirian serta kilang-kilang industri DUN Sungai Balang. Aspek perlindungan dan keselamatan serta harta, keselamatan harta benda terhadap risiko kebakaran tidak dapat disediakan dan dijamin oleh kerana kadar ketidaksampaian pihak Bomba melebihi waktu. Keresahan ini sering disuarakan oleh rakyat Sungai Balang semasa lawatan dan menziarahi mangsa-mangsa kebakaran. Faktor cuaca panas kering juga menyumbang kepada risiko mudahnya berlaku kebakaran dalam fasa peralihan monsun barat daya terutamanya di kawasan tanah gambut kering, yang memusnahkan kawasan-kawasan pertanian yang memerlukan perkhidmatan pihak Bomba.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga sering kali membawa permasalahan tentang keuzuran di masjid di DUN Sungai Balang, di masjid dan juga surau di DUN Sungai Balang untuk diberi perhatian oleh pihak kerajaan negeri. Namun, sehingga kini masalah tersebut masih belum dapat diatasi dan diselesaikan dan ia menjadi pertanyaan dan persoalan penduduk kawasan. Pertamanya, saya nak maklumkan sebuah Masjid Nurul Iman Sungai Balang Darat yang mengalami masalah kenaikan air di halaman masjid dan memerlukan pembinaan u-drain bagi mengatasi masalah ini. Dan yang keduanya, ialah sebuah masjid di Parit Bulat yang mengalami mendapan lantai yang agak kritikal dan memerlukan usaha membaik pulih lantai tersebut. Dan yang ketiga, ialah Surau Haji Abdul Rahman, Parit Nombor 1, yang memerlukan pembinaan baharu kerana keseluruhan struktur bangunan telah rosak dimakan oleh anai-anai. Dan, surau seterusnya ialah Surau Darul Ehsan Sungai Balang Tengah yang mengalami keuzuran struktur yang agak teruk. Dan yang kelima, ialah Surau Parit Bulat Darat yang runtuh sebahagian solat wanitanya dan saya juga menyatakan bahawa surau-surau ini tidak dapat menjalankan Program Semarak Subuh atas permasalahan fizikal yang tidak selamat. Justeru itu, saya memohon supaya perkara ini dapatlah diberi perhatian memandangkan telah dua (2) tahun telah dimajukan permasalahan ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, DUN Sungai Balang turut ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Yang Berhormat EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan yang telah merealisasikan harapan, impian rakyat Sungai Balang untuk mempunyai rumah, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), yang dikenali sebagai Residensi Bangsa Johor Seri Menanti Muar, yang akan memberi manfaat 257 buah keluarga. Dengan kerja pembinaan yang akan bermula pada bila-bila masa, pastinya memberi signal bahawasanya kerajaan Johor benar-benar serius dan beriltizam untuk memastikan rakyat yang tergolong dalam kategori B40 dapat memiliki rumah sendiri demi keselesaan hidup. Dalam masa yang sama, saya juga menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan tegas dan menyenaraihitam pemaju-pemaju yang masih gagal melunaskan tanggung jawab mereka membina rumah kos rendah seperti yang disyaratkan. Tindakan seperti ini penting agar dapat memberi nilai tambah kepada sasaran kerajaan bagi menyediakan perumahan yang mencukupi dan mampu milik kepada seluruh rakyat negeri Johor khususnya di DUN Sungai Balang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu juga, saya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Yang Berhormat EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor atas usaha penambahan keluasan sawah Sungai Balang seluas 50 hektar bagi penambahan pengeluaran hasil padi negeri. Dijangkakan pertambahan hasil tuaian padi yang dikeluarkan oleh sawah Sungai Balang akan bertambah sebanyak 100 tan melalui usaha kerajaan tersebut. Hal ini sudah tentunya akan menyumbang kepada tingkat keselamatan makanan negeri dan negara dengan suntikan dana sebanyak RM2 juta yang telah disalurkan. Selain itu juga, kesan kemakmuran ekonomi pesawah dapat diwujudkan melalui pertambahan pendapatan setiap kali tuaian. Peluang-peluang baharu bidang pekerjaan seperti perkhidmatan sewaan, jentera dan pembekalan input tani dapat dihasilkan melalui usaha sama antara pesawah dan juga pembekal. Tidak dilupakan juga, pihak kerajaan perlulah melihat, memfokus bantuan-bantuan subsidi kepada petani tanaman kontan yang berada di kawasan DUN Sungai Balang. Mereka juga adalah penyumbang kepada keselamatan makanan negara dan perlu diberikan bantuan berkaitan penghasilan makanan. Bagi nelayan pula, mereka ini memerlukan kerja-kerja menaik taraf jeti untuk memudahkan memunggah ikan seperti di jeti Parit Kedondong dan jeti di Sungai Balang Besar Laut.

Juga tidak dilupakan kepada Yang Berhormat EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, Komunikasi di atas usaha untuk memastikan agihan air bersih di DUN Sungai Balang dapat diatasi dan dapat mewujudkan, dengan dapat mewujudkan online pumping yang bernilai RM2 juta dan akan siap tidak lama lagi di Bukit Mor, Parit Jawa Muar. Dengan adanya usaha ini bekalan air untuk rakyat DUN Sungai Balang akan lebih konsisten dan stabil di dalam waktu yang sama pihak Ranhill Saj dapat menguruskan agihan air dengan lebih cekap. Insya-Allah, dengan siapnya projek online pumping ini ia akan memberi kelegaan kepada semua rakyat dan tidak lagi perlu bimbang dengan ketiadaan air di waktu puncak musim perayaan seperti mana yang dialami sebelum ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu kacau ganggu haiwan liar. Saya sebut haiwan liar ni, monyet, babi dan anjing yang menjadi duri daging dalam DUN Sungai Balang. Permasalahan ini tidak kunjung selesai ekoran masyarakat di sekitar Mukim Seri Menanti, Mukim Parit Jawa dan Mukim Sungai Balang dan di dalam DUN Sungai Balang dan gangguan ini berterusan oleh haiwan liar ini terutamanya monyet dan babi yang mengancam keselamatan, kebersihan dan ekonomi penduduk setempat khususnya mereka yang menjalankan ekonomi sara diri sebagai petani dan pekebun. Ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda dan juga tanaman tetapi juga menimbulkan risiko kepada warga emas, kanak-kanak, sekolah dan juga orang ramai. Aduan demi aduan telah dikemukakan oleh penduduk yang terjejas namun tindakan belum menyeluruh dan berkesan. Justeru itu saya mengesyorkan pada kerajaan negeri melalui agensi PERHILITAN, PBT dan Pejabat Daerah untuk melaksanakan langkah kawalan dan pemantauan yang tegas dan sistematik terhadap haiwan liar ini supaya pola serangan dan kacau ganggu kepada manusia dan tanaman dapat dikurangkan. Selain itu pihak kerajaan harus memperuntukkan khas kewangan dan logistik bagi pemasangan pagar keselamatan, perangkap haiwan dan di kawasan tertentu atau kawasan hotspot, dengan izin bagi kaedah pencegahan jangka panjang. Pihak kerajaan perlu melakukan kajian impak dan pelaksanaan bersama untuk menguruskan konflik antara manusia dengan haiwan liar ini di DUN Sungai Balang. Justeru sebagai ADUN kawasan, saya bersedia untuk memberikan kerjasama dalam keperluan kajian tersebut demi kebaikan bersama mewujudkan keamanan dan kesejahteraan hidup masyarakat setempat.

Bagi kes lembu pula, kes lembu liar yang di lepas bebas dan saya juga telah memaklumkan di Mesyuarat Tindakan Daerah dan kami mencapai kata sepakat untuk memasang ear tag, dengan izin atau pun penanda telinga pada lembu-lembu yang bebas berkeliaran. Dan dua (2) hari lepas kita sedia maklum Parit Sulong pun mengalami kemalangan antara lembu dan juga pengguna jalan raya yang mengakibatkan tiga (3) lembu itu tewas dan juga penunggang motosikal itu juga meninggal dunia. Jadi perkara ini kita telah melibatkan kerosakan harta benda dan nyawa, justeru diminta pihak EXCO berkenaan dan pihak Veterinar dapat memberikan peruntukan untuk pemasangan penandaan telinga ini di seluruh negeri Johor bagi keseragaman penguatkuasaan supaya pemilik lembu itu dapat dikenal pasti dan sekiranya berlaku sebarang accident mereka ini dapat dikenal pasti dan dapat di ambil tindakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya mengakhiri perbahasan pada pagi ini sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor serta kehadiran EXCO Kerajaan Johor atas daya usaha dan pengorbanan dalam memastikan di negeri ini mencapai status yang dibanggakan. Yang Berhormat Datuk Speaker Sungai Balang mohon menyokong. Sekian terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Sungai Balang. Dijemput Yang Berhormat Kemelah.

Salam Maju Johor, Salam Segamat Selamat dan salam kasih Kemelah. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi peluang kepada Kemelah untuk mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan di Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Terima kasih atas peluang yang diberi kepada Kemelah pada hari ini. Sebelum memulakan ucapan pada hari ini patik merakamkan, ucapan Merafak Sembah dan Menjunjung Setinggi-tinggi kasih atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat dan bertitah merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini. Dalam titah Tunku Mahkota Ismail ini kita telah merasai bahawa baginda amat mengambil berat tentang segala aspek demi kesejahteraan rakyat Bangsa Johor. Seperti tidak lengkap rasanya pembukaan Dewan Negeri ini tanpa mendengar titah dari Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, awal bicara tidak ada frasa yang lebih baik untuk saya tuturkan di Dewan yang mulia ini, selain ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor selaku pemimpin tertinggi dalam tadbir negeri yang telah berusaha dan berjaya menjana banyak pelaburan sehingga kini dan jumlahnya juga semakin meningkat saban tahun. Tahniah Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Namun dalam kejayaan membawa pelabur masuk ke Johor, Kemelah masih lagi ketinggalan. Tidak dinafikan pelbagai inisiatif telah dilakukan sejak berapa tahun lalu dan sejajar dengan itu, banyak penduduk Kemelah telah berjaya dibantu hasil dari inisiatif tersebut antaranya Program Dapur Kasih yang sedang berjalan sekarang amat bermanfaat kepada penerimanya. Dan Kemelah telah menerima seramai 20 peserta dalam Program Keluarga Angkat yang lalu dan meski pun pemutihan telah dilakukan, sehingga kini Kemelah hanya dapat memutihkan tujuh (7) orang peserta melalui pelbagai insentif kerajaan yang sedia ada bagi memastikan golongan ini terkeluar dari golongan miskin tegar.

Walaupun begitu, Kemelah yakin masih ramai di luar sana tertinggal setelah kita melihat semula, setiap kali dalam Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan, Kemelah antara ramai pemohon dan semestinya ianya menggusarkan hati saya sebagai Wakil Rakyat di situ. Memandangkan Kemelah ini agak jauh dari bandar besar, golongan miskin tegar masih ramai. Ada penduduk saya bekerja sebagai nelayan darat yang hanya meraih pendapatan melalui hasil tangkapan harian mereka. Terdapat lebih lima (5) buah perkampungan yang berdekatan dengan pesisiran sungai dan menjadikan mereka lebih cenderung menangkap hasil sungai berbanding kerja di tempat yang lain. Perkara ini bukan sahaja memberi impak kepada pendapatan bahkan menjadi kerisauan setiap kali hujan berterusan melanda di kawasan mereka. Bagi orang luar mungkin berpendapat kenapa mereka masih menghuni di tempat yang sama meski pun acap tahun dibadai banjir. Akan tetapi kemanakah mereka hendak mereka tuju jika hanya itu sahaja tempat berteduh yang mereka miliki dan diwarisi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kita mengejar negara maju dan semakin kita memiliki teknologi yang canggih, masih ramai penduduk Kemelah tidak mempunyai pekerjaan tetap bahkan paling menyedihkan masih ramai yang langsung tidak mempunyai pekerjaan hingga hari ini. Kehidupan mereka hanya bergantung harap kepada bantuan kerajaan, semangat dari anak-anak, saudara mara atau jiran tetangga. Perkara ini bukan lagi satu fenomena baru bahkan setiap minggu ada sahaja muka-muka baru yang hadir bertemu untuk menyatakan hasrat kesusahan yang dihadapi mereka. Kemelah melihat peluang pekerjaan agak kurang rancak di Kemelah jika dibandingkan dari DUN-DUN yang lain. Ini merangkumi dari segi aspek jenis pekerjaan dan imbuhan yang diberikan oleh majikan.

Oleh yang demikian, Kemelah berhasrat untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk melalui usahawan-usahawan yang meniaga secara kecil-kecilan untuk mengolah produk mereka ke pasaran yang lebih meluas. Bagi merealisasikan kejayaan melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing pelbagai agensi perlu membantu melalui tawaran kursus-kursus utama seperti bidang penyediaan makanan, pembungkusan, pemasaran dan lain-lain. Sekiranya usahawan mikro ini tidak dibimbing, Kemelah gusar mereka tiada jalan lain untuk meningkatkan produk selain meningkatkan hasil jualan dengan tertumpu kepada satu produk sahaja. Dunia media sekarang semakin meluas dan seharusnya usahawan mikro ini dapat menguasainya untuk menjana ekonomi meskipun tidak memiliki premis perniagaan yang besar tetapi setiap produk yang dikeluarkan menjadi sebutan di bibir pembeli-pembeli mereka. Inilah yang dikatakan bergerak seiring dengan peredaran dunia, bukan hanya fokus pada satu produk dan memasarkan premis yang gah baru boleh kecapi kejayaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saban hari ini kita melihat laporan tentang kesusahan dan kepayahan yang ditanggung oleh masyarakat di luar sana. Tapi dalam masa yang sama banyak tangan menghulurkan bantuan dan tidak kurangnya Kerajaan Negeri Johor yang memang sentiasa cakna berkaitan hal-hal kebajikan ini. Dalam Dewan mulia hari ini saya ingin juga menarik perhatian tentang klien JKM yang menerima bantuan pelbagai jenis bantuan dari awal kelulusan mereka terima hingga genap setahun. Kita sedar penerima yang layak bukan hanya diberi kelayakan berasaskan dokumentasi sahaja tetapi siasatan turun ke padang melihat keadaan pemohon serta mengumpul maklumat dan kajian dilakukan oleh kakitangan JKM terlebih dahulu sebelum kelulusan diberikan. Kemelah percaya mereka yang menerima bantuan ini memang betul-betul memerlukan dan bertaraf orang miskin selain orang kelainan upaya dan sebagainya.

Rintihan dari itu, Kemelah cuba fokuskan seandainya mereka yang layak ini menerima bantuan bulanan setahun ini, apakah JKM mempunyai cara lain bagi meringankan untuk mereka memperbaharui bantuan bulanan mereka. Ini kerana ramai pemohon mengadu mereka terpaksa ulang alik ke JKM untuk membuat pembaharuan semula permohonan dan paling sedih bantuan mereka dipotong tanpa sebab dan tiada notis atau alasan diberikan kepada mereka. Rata-rata penerima bantuan ini, orang yang susah dan tidak semuanya mempunyai kenderaan untuk keluar ke bandar dengan kerap. Kemelah mohon agar perkara ini dapat dipertimbangkan semula dan Kemelah percaya pasti mereka yang layak telah sedia ada dalam sistem JKM. Dan seharusnya ada jalan yang lebih mudah atau bantuan khusus kepada mereka, beberapa kes tertentu dalam penyaluran bantuan bulanan JKM ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam DUN Kemelah terdapat satu peluang besar untuk dimajukan sekali gus dapat memberi impak yang positif bukan sahaja kepada penduduk setempat tetapi peluang pekerjaan yang banyak sekiranya salah satu punca utama permasalahan di situ dapat diselesaikan. Perkara ini telah berulang kali Kemelah nyatakan dan Kemelah berharap akan ada satu tindakan drastik kerajaan untuk membangunkan semula kawasan ini. Selain itu, kawasan yang Kemelah ingin menyatakan mungkin akan menarik lebih ramai pelabur ke daerah Segamat dengan adanya laluan terus highway yang melalui kawasan Segamat terutamanya menghubungkan pusat tersebut. Segamat Inland Port bukan lagi nama asing apabila menjadi salah satu hub untuk perantara pengangkutan bahan-bahan mentah dan menghasilkan berapa produk utama untuk dihantar ke tempat-tempat tertentu.

Antara permasalahan terutama ialah punca bekalan elektrik yang kurang stabil dan memerlukan satu pencawang utama dalam kawasan Segamat Inland Port tersebut. Selain itu, dengan permasalahan ini menyebabkan pekerja sedia ada terpaksa hilang pekerjaan kerana mesin tidak dapat beroperasi dengan teratur dan pelabur tidak mahu datang untuk melabur rintihan kelemahan dari segi sistem utiliti di situ. Oleh yang demikian, Kemelah memohon untuk dilihat kembali sistem utiliti berkaitan elektrik, air dan capaian internet yang kurang laju. Meski pun perkara ini dapat dimajukan kepada pihak berkaitan namun ianya hendaklah digerakkan secara berfasa tanpa putus untuk memastikan perkara ini terlaksana secara efisien.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin juga menarik perhatian Yang Berhormat Datuk Speaker berkaitan perumahan mampu milik yang telah tersedia dibina di dalam DUN Kemelah. Akan tetapi sayangnya, ianya telah terbengkalai begitu lama tanpa sebarang gerak kerja terbaru. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, isu berkaitan ini pernah Kemelah bawa sejak tahun 2022 sehingga tahun 2025. Permasalahan ini masih belum selesai, dan masih terbengkalai tanpa ada sebarang perubahan. Pada masa sama Kemelah juga telah berusaha untuk bertemu Menteri KPKT dan telah membuat lebih tujuh (7) kali temujanji untuk bertemu bagi isu berkaitan namun masih lagi gagal membuat sebarang pertemuan. Meski pun perumahan baharu giat dibangunkan namun masalah ini, belum diselesaikan.

Taman perumahan ini merupakan sebuah taman perumahan berdekatan TAR Kolej yang telah dibina oleh sebuah syarikat swasta dengan nilai RM90,000,00 untuk setiap unit dan telah mempunyai pemilik tersendiri sejak berapa tahun yang lalu. Selain itu purata pemilik taman perumahan ini, merupakan golongan kakitangan awam kerajaan. Ada yang masih bertugas dan ada juga yang telah bersara. Mengikut dokumen yang telah Kemelah teliti dari

beberapa pemilik rumah tersebut, rumah itu sudah 80% hampir siap sepenuhnya dan amat menyedihkan pemaju perumahan ini telah meninggalkan kerja-kerja tersebut sehingga hari ini. Selain itu saya turut bersimpati mengenangkan pemilik yang terpaksa menanggung hutang bank kerana terpaksa membayar bulanan pinjaman perumahan itu bahkan paling pilu ada pemilik yang sudah membayar sehingga habis. Ini merupakan satu harapan besar bukan sahaja pembeli, tetapi penduduk sekitar untuk melihat kerajaan sedia ada menyempurnakan kembali kerja-kerja yang tertangguh seterusnya memberi sinar baru kepada mereka yang telah mula membayar sejak awal projek perumahan itu terlaksana. Kemelah juga melihat sekiranya projek perumahan yang terbengkalai ini diperbaiki semula sekali gus dapat merancakkan lagi ekonomi peniaga-peniaga di Segamat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seperkara lain yang saya ingin katakan, berkenaan mini stadium yang mana pada awalnya dahulu perkara ini telah pun diiktiraf untuk pelaksanaan kerja-kerja pembinaan. Meskipun begitu, saya melihat kerja-kerja ini masih belum terlaksana dan dari mata kasar hanyalah pendinding sekitar tanah rizab itu yang telah diletakkan akan tetapi ianya sudah dicabut kembali sejak beberapa tahun yang lalu. Melihat akan perkara ini pembinaan mini stadium ini perlu diteruskan agar menambah lagi fasiliti yang sedia ada dalam daerah Segamat selain memberi lebih tarikan kepada generasi belia untuk melakukan aktiviti riadah yang lebih bermanfaat di situ. Jika dilihat dari sudut kawasan bagi saya ianya begitu sesuai memandangkan berhadapan dengan dewan serba guna Segamat dan laluan yang tidak mengganggu jalan utama di bandar. Kemelah memohon pertimbangan dan perhatian yang tinggi dari kerajaan negeri akan hal tersebut. Selain itu, Kemelah mengambil berat untuk kegunaan anak muda yang kekurangan tempat dalam skala besar untuk beriadah. Sekiranya stadium ini dapat direalisasikan, pelbagai aktiviti yang lebih bermanfaat dapat dijayakan di situ tambahan depan stadium itu ialah satu-satunya dewan utama digunakan masyarakat di Segamat ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kemelah ingin menyampaikan sedikit ketidakpuasan hati penyewa dan pemilik kedai terutamanya di bawah seliaan PBT di kawasan masing-masing. Meskipun perkara yang Kemelah ingin nyatakan ini tidaklah terlalu berat, tetapi ianya satu isu yang boleh dikatakan agak berat dan melibatkan ramai peniaga-peniaga di luar sana. Penyewa atau pemilik kedai rata-rata memasang awning terutama di bahagian tingkap atau cermin kedai mereka. Kemelah percaya semua maklum awning ini dipasang untuk mengelakkan dari hujan, tempias masuk ke dalam kedai dan tidaklah terlalu labuh hingga mengganggu lalu lintas di jalan utama. Tetapi, perkara ini menjadi satu (1) kesalahan dan ada sesetengah pemilik yang berasa tidak adil bagi mereka sedangkan ada setengah premis dibeli sudah sedia ada mempunyai awning tetapi dikenakan saman dan perlu ambil lesen untuk awning tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kemelah ingin berbicara mengenai kemajuan ekonomi Johor yang luar biasa sejak di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Sejak beliau mengambil alih pentadbiran kepimpinan berwawasan, beliau telah membawa semangat dan tujuan baharu kepada negeri kita yang tercinta. Sekali gus merubah lanskap ekonomi secara significant. Pertama sekali, usaha menangani kemiskinan menjadi agenda utama Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Melalui program-program memperkasakan yang bersasar, Johor telah menyaksikan pengurangan kadar kemiskinan yang ketara. Inisiatif seperti Skim Mikro Pembiayaan Latihan Vokasional dan bantuan terus kepada keluarga kurang berkemampuan telah berjaya meningkatkan taraf

hidup masyarakat Johor. Membuka peluang baharu dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Komitmen Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kita terhadap bakat Johor juga amat penting. Beliau yakin modal insan adalah aset terpenting negeri ini. Untuk memanfaatkan pentadbiran beliau telah memperkenalkan inisiatif memperkasakan belia yang menyeluruh untuk meningkatkan lagi kemahiran belia dalam pelbagai jurusan. Langkah-langkah ini telah meningkatkan prospek pekerjaan bagi anak muda Johor. Menyediakan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam pasaran kerja yang kompetitif. Tambahan pula, penekanan khusus telah diberikan kepada pemerkasaan penduduk dari kawasan luar bandar. Pelaburan strategik dalam infrastruktur dan teknologi telah merapatkan jurang bandar dan luar bandar. Menyediakan akses yang adil kepada pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir bicara ingin saya ucapkan jutaan tahniah, terima kasih atas kejayaan demi kejayaan di bawah pentadbiran Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dalam masa terdekat yang telah disaksikan oleh semua Bangsa Johor dengan berjayanya. Program Bantuan Beras Bangsa Johor, Program Dapur Kasih Johor, Klinik Bergerak Maju Johor, Program Bantuan Kasih Johor, Program Semarak Subuh dan beberapa program lain sepertimana Jelajah Orang Johor yang telah dilaksanakan di beberapa DUN dan masih banyak DUN lagi yang bakal menyusul kelak. Program-program ini hanya berlaku di negeri Johor sahaja. Kemelah memandang ini semua inisiatif yang sangat baik dan menerima impak positif daripada semua penerima selain rasa terharu penduduk setempat atas ingatan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor kepada mereka. Paling penting, gaya tadbir urus Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kita yang inklusif dan adil dalam melayani semua kaum. Pentadbiran beliau mencerminkan semangat perpaduan dan kepelbagaian sebenar. Memastikan setiap warga Johor dihargai dan dihormati bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran bersama.

Sebagai kesimpulan di bawah kepimpinan yang cemerlang ini Johor bukan sahaja maju secara ekonomi, tetapi juga kukuh dari segi sosial dan budaya. Kemelah yakin tibanya Tahun Melawat Johor nanti, pasti akan meningkatkan lagi ekonomi Johor selain mampu mempromosikan lebih banyak perkara unik dan bersejarah di mata pengunjung yang hadir. Marilah kita bersama terus menyokong segala usaha, inisiatif ini demi membina Johor yang makmur, bersatu dan dinamik untuk semua. Semoga kepimpinan di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor ini akan memajukan lagi Johor berserta kepimpinan barisan EXCO-EXCO yang terpilih. Kemelah juga tidak lupa untuk mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih atas bantuan-bantuan dari semua EXCO yang sentiasa mengambil berat setiap isu-isu yang Kemelah bawa. Terima kasih juga kepada tuan DO Segamat, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua Kampung, percayalah bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Sebelum berundur, izinkan Kemelah menyampaikan serangkap pantun. Maju Johor terus gemilang, Bangsa Johor menjadi ikutan; cadangan dan usul telah dibentang, mohon disokong Ahli Dewan. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Kemelah. Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2:30 petang ini.

Persidangan ditangguhkan pada jam 12:57 tengah hari.

Persidangan disambung semula pada jam 2:30 petang.

Timbalan Speaker

Dijemput Yang Berhormat Bukit Naning.

Datuk Haji Mohd Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu Bukit Naning merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana memberi ruang dan peluang kepada Bukit Naning untuk menyuarakan suara rakyat, mewakili pandangan dan mengemukakan cadangan serta mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan kali ini. Diharapkan agar apa yang dibahaskan ini mampu memberi manfaat dan kebaikan buat negeri Johor dan Bukit Naning khususnya.

Bukit Naning merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas titah DiRaja oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor yang telah berkenan bertitah dan menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 ini. Patik serta seluruh warga Bukit Naning mendoakan semoga Duli Yang Amat Mulia Tunku sentiasa dalam keafiatan, dilanjutkan usia, bertambah daulat kebesaran dan kemuliaan. Payung dan puncak keadilan negeri bagi menaungi patik sekalian. Gunung Ledang tinggi menjulang, tumpuan pelancong pelbagai bangsa; Johor maju negeri terbilang, rakyat sejahtera aman sentosa. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya berdiri hari ini penuh semangat dan kebanggaan menyokong usaha kerajaan negeri Johor yang telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan pencapaian yang amat membanggakan dalam pelbagai sektor. Sektor pelancongan negeri Johor antara sektor yang dilihat turut menerima limpahan serta kesan yang positif melalui pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2025 yang telah dilaksanakan. Johor telah menyaksikan transformasi pelancongan yang significant, bukan sahaja dari aspek infrastruktur tetapi juga dari segi promosi dan kemampanan industri. Kerajaan negeri melalui Tourism Johor telah menggandakan promosi pelancongan domestik dan antarabangsa. Menekankan konsep penganjuran pelancongan mesra keluarga, eko pelancongan, warisan budaya dan pelancongan sukan.

Kejayaan penganjuran festival program jelajah yang memperkenalkan kampung-kampung tradisional sebagai destinasi pelancongan komuniti serta pembukaan semula dan penaiktarafan tempat-tempat ikonik seperti taman negara, pantai peranginan dan galeri warisan adalah antara bukti nyata komitmen kerajaan Johor. Johor memiliki kekayaan dan keunikan serta daya tarikan pelancongan yang luar biasa. Dari segi eko pelancongan, kita mempunyai hutan lipur serta pulau-pulau yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan pulau-pulau di Terengganu atau Sabah. Dalam aspek kebudayaan dan warisan, kita berbangga dengan seni warisan seperti kuda kepang, zapin dan ghazal Johor serta warisan sejarah silam yang terus dipelihara melalui program-program kesenian dan pelancongan budaya.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan pujian kepada Menteri Besar Johor Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi serta seluruh jentera kerajaan negeri yang telah menunjukkan keazaman politik dan iltizam kerja yang luar biasa dalam memacu industri pelancongan ke tahap yang lebih tinggi. Pendekatan menyeluruh dari dasar menyokong pembangunan lestari, penglibatan komuniti setempat hinggalah kepada

penggunaan teknologi digital dalam promosi menunjukkan betapa seriusnya kerajaan negeri dalam memastikan pelancongan Johor bukan sahaja pulih tetapi bangkit lebih kuat dan berdaya saing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, apa yang kita perlukan kini adalah kesinambungan dari segi peruntukan, pemantauan dan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk pihak swasta, badan bukan kerajaan dan komuniti setempat agar pelancongan Johor bukan sahaja menjadi sektor ekonomi yang kukuh, tetapi juga sumber identiti dan kebanggaan rakyat Johor. Singgah ke pekan membeli berangan, berangan dimakan di tepi padang; keindahan Johor menggamit kenangan, teruja pelancong ingin bertandang. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Bukit Naning menzahirkan sedikit luahan rasa berkaitan masalah infrastruktur dan kemudahan asas. Bencana banjir menyebabkan harta benda termasuk rumah kediaman rosak serta terjejas malah ia juga menjejaskan hasil pendapatan pekebun-pekebun kecil terutamanya kelapa sawit. Disebabkan air bertakung terlalu lama dan menyukarkan mereka mengeluarkan hasil sawit mereka, pekebun-pekebun kecil sawit di Bukit Naning mohon kerajaan negeri menambah peruntukan bagi membaik pulih mahupun menambah kasaran di jalan-jalan ladang, khususnya di kawasan yang tiada rumah kediaman. Ianya bagi memudahkan mereka mengeluarkan hasil kebun ekoran mereka mengalami kesukaran disebabkan jalan perhubungan yang rosak teruk contohnya di Kampung Parit Zain Bakri dan sebahagian besar Kampung Mukim Ayer Hitam yang rata-ratanya bertanah gambut. Bukit Naning mendapati banyak jalan-jalan kampung dan ladang yang masih dalam keadaan daif menyebabkan kesukaran kepada penduduk kampung dan ladang yang masih dalam keadaan yang sukar.

Oleh yang demikian, Bukit Naning berharap agar kerajaan negeri memperuntukkan dana khusus bagi menaik taraf jalan-jalan ini demi kesejahteraan rakyat. Sistem perparitan yang tidak efisien juga boleh menyebabkan banjir kilat. Saya menggesa agar kerja-kerja penyelenggaran parit dan longkang yang dilakukan secara berkala dipertingkatkan mengikut keperluan dan keutamaan semasa sesuatu kawasan. Memandangkan peningkatan kos dan peruntukan yang agak terhad, pihak JPS harus membuat pemantauan berkala terutamanya di kawasan-kawasan hotspot banjir dengan izin. Saya penuh percaya, kerajaan memandang serius berhubung kejadian banjir kilat yang berulang-ulang kali. Justeru itu, saya harap PBT, JPS setiap daerah boleh mengenal pasti spot banjir kilat di setiap daerah dengan tempat dan mencari jalan penyelesaian yang holistik dan dipantau dari masa ke semasa. Selain memperuntukkan lebih banyak peruntukan kepada JPS untuk menaik taraf dan menyelenggara sistem saliran dan perparitan yang ada. Pihak kerajaan persekutuan pula dapat mengambil perhatian yang sewajarnya kepada isu ini dan menyalurkan peruntukan yang sewajarnya. Jika tidak dapat baiki sepenuhnya, sekurang-kurangnya dapatlah diberi tumpuan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu gangguan bekalan air yang tidak terancang berlaku di merata tempat di seluruh negeri Johor khususnya pada musim-musim perayaan. Di mana pada musim perayaan dan musim cuti penggunaan air dijangka akan lebih meningkat seterusnya menjejaskan tekanan air terutamanya di waktu puncak. Kita maklum, berbagai faktor menjadi punca gangguan bekalan air tidak berjadual di negeri ini. Saya meminta pihak SAJ untuk sentiasa peka dan mengambil langkah proaktif dengan membuat persediaan awal apabila menghadapi cuti perayaan bagi menangani isu ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Masjid Al Riduan Kampung Seri Dalam Mukim Ayer Hitam adalah antara masjid dalam DUN Bukit Naning yang telah mengalami kerosakan struktur yang serius dan retak akibat dari pemendapan tanah. Saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd Khalid selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor atas komitmen tinggi dan keprihatinan beliau yang telah turun padang serta meneliti sendiri keadaan Masjid Al Riduan Kampung Seri Dalam. Dengan keprihatinan Yang Berhormat EXCO, permohonan baik pulih masjid tersebut telah diluluskan dengan jumlah sebanyak RM500,000.00 iaitu RM200,000.00 melalui Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Negeri Johor oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Manakala RM300,000.00 melalui Tabung Wakaf Rakyat Johor oleh Perbadanan Islam Johor. Ini merupakan satu berita yang amat menggembirakan bagi seluruh penduduk di Kampung Seri Dalam khususnya dan Bukit Naning amnya. Masjid bukan sekadar rumah ibadah tetapi pusat perpaduan pendidikan dan aktiviti masyarakat. Keprihatinan seperti ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Johor sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat dan tidak meminggirkan komuniti luar bandar. Insya-Allah projek baik pulih ini akan berjalan lancar demi keselesaan dan kebajikan jemaah masjid.

Perkara yang turut menarik perhatian saya adalah isu pendidikan. Ia adalah asas kepada pembangunan modal insan. Namun, terdapat sekolah-sekolah di kawasan saya yang masih kekurangan fasiliti asas seperti makmal komputer dan perpustakaan. Saya menyeru agar kerajaan negeri memberikan perhatian khusus kepada keperluan ini untuk memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang berkualiti. Saya juga ingin mencadangkan agar program-program latihan kemahiran dan keusahawanan diperluaskan di DUN Bukit Naning bagi membantu golongan belia dan wanita meningkatkan taraf hidup mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti adalah hak setiap rakyat. Namun klinik kesihatan di kawasan saya sering menghadapi kekurangan tenaga kerja dan peralatan perubatan. Saya memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia menambah baik kemudahan ini demi kesejahteraan rakyat. Dalam aspek kebajikan, saya ingin menekankan kepentingan memperkasakan pembangunan Orang Kurang Upaya, OKU. Saya telah mengajukan soalan lisan sebelum ini mengenai usaha kerajaan dalam menambah baik modul standard OKU dan saya berharap kerajaan negeri dapat mempercepatkan pelaksanaan inisiatif ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ekonomi tempatan di Bukit Naning banyak bergantung kepada sektor pertanian dan perladangan. Namun, pendapatan petani dan pekebun kecil masih rendah. Saya mencadangkan agar kerajaan negeri memperkasakan inisiatif dan bantuan teknikal kepada mereka untuk meningkatkan hasil dan pendapatan. Program-program pembangunan usahawan tani harus dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu di peringkat kampung bagi memberi pendedahan kepada masyarakat terutamanya di kalangan usahawan yang terlibat.

Mengenai peluang pekerjaan bagi golongan yang dianggap masih terhad, saya menggesa agar lebih banyak program latihan dan penempatan pekerjaan diperkasakan bagi memberi pendedahan mereka yang tinggal di luar bandar. Saya juga menggesa kepada pihak kerajaan agar kawasan-kawasan yang terdapat di DUN Bukit Naning iaitu beberapa kampung tradisi seperti Kampung Mukim Ayer Hitam dan beberapa kampung berhampiran dapat dibangunkan. Ia bagi memastikan pembangunan dapat dinikmati dan dikecapi sekali

oleh penduduk tempatan. Tambahan lagi, terdapat beberapa projek berskala besar yang sedang dirancang Kementerian Kerja Raya untuk dibangunkan di kawasan tersebut iaitu seperti Projek Membina Jalan Pintas dari Bakri FT024 ke Bukit Pasir J32 daerah Muar, Johor. Jadi, adalah sesuai kalau kampung-kampung ini dirancang pembangunannya. Tambahan pula didapati Projek Pembangunan Bandar Perabot Muar dan cadangan Pembangunan Hartanah oleh Scientex di Batu 12 Mukim Parit Jawa di dalam DUN Bukit Naning turut dibangunkan tidak jauh daripada kawasan tersebut. Melihat bahawa sudah ada pembangunan yang cukup besar di kawasan DUN Bukit Naning wajarlah limpahan nikmat dan juga kemajuan perlu dinikmati oleh penduduk kampung di mana kerajaan negeri perlu ada satu perancangan bagaimana memaju dan mengangkat kampung-kampung tradisional ini.

Kenaikan cukai taksiran dan kos sara hidup telah membebankan kerajaan khususnya golongan berpendapatan rendah. Begitu juga dengan penetapan harga barangan bersubsidi yang telah dijual melalui program jualan seperti Jualan Rahmah yang dilihat terdapat kenaikan. Saya melihat isu ini perlu ditangani dan diperjelaskan kepada rakyat oleh pihak Kementerian Perdagangan dan Pengguna agar ianya tidak disalah tafsir dan dipolitikkan. Saya berharap kerajaan negeri dapat menilai semula kadar cukai yang lebih munasabah agar tidak membebankan rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, keselamatan adalah aspek penting dalam kehidupan rakyat. Terdapat laporan mengenai peningkatan kes jenayah kecil di beberapa kawasan di Bukit Naning. Saya mencadangkan agar pihak berkuasa meningkatkan rondaan dan pemasangan lampu jalan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot jenayah.

Isu pencemaran sungai dan alam sekitar semakin juga antara yang membimbangkan. Saya menyeru agar kerajaan negeri memperketatkan penguasaan terhadap kilang-kilang yang mencemarkan alam sekitar dan memperkenalkan program kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Saya ingin menyentuh mengenai usaha menaik taraf MTB, Medium Traffic Bridge, dengan izin, khususnya di kawasan DUN Bukit Naning. Difahamkan, cadangan projek menaik taraf jambatan MTB ini telah pun diajukan kepada kerajaan negeri melalui BKP oleh Qul Holding namun ianya belum dapat dilaksanakan. Saya memohon agar kerajaan negeri melalui agensi berkaitan mempercepatkan pelaksanaan projek ini. Mudah-mudahan final projeknya ini akan dilangsungkan di DUN Bukit Naning. Ini penting untuk mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan akses mobiliti luar bandar. Ini juga bagi menangani kesulitan yang dihadapi oleh pengguna di Bukit Naning di mana kedudukan rem MTB yang tinggi di aras jalan. Saya mohon penjelasan, adakah semua MTB di Johor termasuk yang baharu dibina masih menggunakan reka bentuk kapasiti 5 tan walaupun saya lihat keperluan semasa melebihi kapasiti tersebut? Dan adakah faktor MTB ini yang berusia lebih 40 tahun telah disemak tahap keselamatannya serta disertakan dengan bridge card yang merekodkan lokasi status panjang, lebar dan maklumat yang berkaitan?

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyambut baik inisiatif kerajaan negeri dalam merancang pembinaan Rumah Mampu Biayai dan Mampu Milik terutamanya di kawasan kami. Bukit Naning menjunjung setinggi-tinggi terima kasih di atas Titah Duli Yang Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi

Sidang Dewan Undangan Negeri Johor Tahun 2025 yang menekankan kepentingan perumahan yang mampu milik dimiliki dan selesa khususnya untuk golongan B40.

Titah Baginda sebanyak 21,000 unit RMMJ berjaya disiapkan sehingga Mac lalu iaitu 70% daripada sasaran 30,000 unit menjelang tahun 2026. Ianya merupakan satu komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dalam merealisasikan usaha ini. Terima kasih juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang secara konsisten meletakkan Agenda PerumahanRrakyat sebagai antara fokus utama pentadbiran beliau. Juga kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor yang sentiasa memberi kerjasama dalam memberi pandangan dan buah fikiran bagi cadangan pembangunan projek perumahan di Bukit Naning. Bukit Naning yakin dengan ciri-ciri khidmat bakti begini kita sama-sama dapat menjaga kesejahteraan Bangsa Johor dan seterusnya merealisasikan Agenda Johor Maju 2030. Bukit Naning juga ingin menzahirkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan yang telah memberikan kerjasama menangani aduan rakyat dan isu-isu pembangunan di DUN Bukit Naning.

Berkenaan dengan Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura, JS-SEZ yang ditandatangani baharu-baharu ini, saya berharap agar kerajaan negeri dapat memberi penjelasan lanjut mengenai apakah bentuk manfaat langsung yang boleh diperolehi rakyat negeri Johor agar tidak ada pihak yang tercicir dari arus pembangunan melalui pelaksanaanya. Minta maaf Datuk Speaker.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat.

Datuk Haji Mohd Fuad Bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai penyampai suara rakyat, saya akan terus berjuang untuk memastikan suara rakyat di DUN Bukit Naning didengar dan diambil kira dalam setiap dasar dan keputusan kerajaan. Saya berharap kerajaan negeri akan memberi perhatian serius kepada isu-isu yang telah saya bangkitkan sebentar tadi, demi kesejahteraan rakyat Johor khususnya Bukit Naning. Angin bertiup ke Teluk Danga, menyapa mesra para pelawat; pemimpin gigih, kerajaan cakna, negeri makmur maju dan hebat. Akhir kata, saya mohon kemaafan jika ada kesilapan dalam ucapan saya. Wabillahitaufik walhidayah. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Naning.

Datuk Haji Mohd Fuad Bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Bukit Naning mohon menyokong.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama kita mengalu-alukan pemerhati seramai 57 orang yang terdiri daripada warga DUN kawasan Paloh. Selamat datang juga kita ucapkan kepada para pemerhati daripada DUN kawasan Tenang iaitu seramai 22 orang yang terdiri daripada Persatuan Mahasiswa Anak Johor UKM.

Yang Berhormat, Ahli-Ahli Yang Berhormat, dijemput DUN Simpang Jeram.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. (Bacaan selawat). Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Malaysia Madani, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker atas peluang yang diberikan untuk Simpang Jeram mengambil bahagian dalam perbahasan kali ini. Simpang Jeram merafak sembah, menjunjung kasih Titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, pada Pembukaan Rasmi Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 16 Mei 2025 yang lalu. Titah Tunku, saya telah berkali-kali menyatakan bahawa keutamaan saya, adalah untuk mempertingkatkan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan penjagaan kesihatan di negeri Johor agar Bangsa Johor dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Justeru itu, Simpang Jeram merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi serta rakyat negeri Johor amnya kerana pentadbiran negeri telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM27 bilion bagi suku tahun pertama 2025. Dan sehingga April tahun ini, negeri Johor berjaya mencatatkan pertumbuhan hasil negeri sebanyak RM598,000,000.00 iaitu 29.84% lebih tinggi berbanding anggaran yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan Johor 2025 mengunjurkan hasil negeri Johor sebanyak RM2.005 bilion iaitu peningkatan RM201 juta atau 11% berbanding unjuran tahun 2024. Unjuran perbelanjaan bagi atau pada tahun 2025 pula adalah sebanyak RM1.99 bilion iaitu angka-angka ini menunjukkan bahawa Belanjawan Johor 2025 merupakan belanjawan surplus dengan sebanyak RM5.12 juta. Sejumlah RM1.271 bilion diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus. Manakala, sejumlah RM728,000,000.00 pula diperuntukkan bagi tujuan belanja pembangunan. Ia selari dengan hasrat kerajaan bertemakan Maju Johor Rakyat Sejahtera. Mudah-mudahan dengan didorong oleh pelaksanaan beberapa inisiatif utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ini pendapatan negeri dapat dicapai dengan lebih baik.

Yang Berhormat Datuk Speaker, keberhasilan pendapatan ini membolehkan kerajaan dapat melaksanakan inisiatif membangunkan modal insan, merangka inisiatif untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan, meningkatkan kemudahan infrastruktur, memastikan semua Bangsa Johor mempunyai pendapatan minimum dan keperluan asas seperti penempatan dan pelbagai inisiatif lain dapat dicapai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya, tidak boleh dinafikan peningkatan kos harga barang sentiasa berlaku daripada setahun ke setahun. Peningkatan harga barang keperluan bukan sahaja berlaku di Malaysia malahan ianya berlaku atau turut berlaku di seluruh dunia. Pengumuman pentadbiran Amerika Syarikat mengenakan tarif timbal balik kepada eksport negara kita Malaysia pastinya menyebabkan peningkatan harga barangan akan melambung naik dengan lebih drastik lagi. Kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia sentiasa mencari formula supaya peningkatan harga barangan dapat dikawal secara lebih baik bagi memastikan ia tidak akan membebankan rakyat terbanyak. Keseriusan dalam hal ini juga dapat dilihat apabila Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memanggil Sidang Parlimen Khas pada 5 Mei 2025 yang lalu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, salah satu inisiatif bagi mendapatkan pengurangan harga barang telah diperkenalkan melalui Kad Pekerja Madani. Dalam perutusan ucapan sempena Hari Pekerja pada 1 Mei 2025 yang lalu, kerajaan persekutuan telah memperkenalkan Kad Pekerja Madani yang telah memberi manfaat kepada 1 juta ahli kesatuan dengan tawaran diskaun sehingga 30% oleh lebih daripada 100 buah syarikat dengan menyediakan diskaun barangan dan perkhidmatan penting. Inisiatif potongan harga ini, telah disambut oleh

beberapa syarikat besar seperti AEON, Mydin, JAKEL, Marrybrown, Genting, Old Town White Coffee, Zus Coffee, Socar dan Bateriku. Simpang Jeram secara peribadi mengucapkan syabas dan terima kasih kepada syarikat-syarikat ini dan dengan penuh harapan mudah-mudahan lebih banyak lagi syarikat-syarikat lain dapat bersama kerajaan menyahut inisiatif ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada pembentangan Bajet 2025 yang lalu, kerajaan negeri Johor melalui Yayasan Pelajaran Johor telah memperkenalkan Insentif Mahasiswa Johor di mana RM200.00 telah dikreditkan dan disalurkan terus ke e-wallet Touch n Go yang diintegrasikan dalam Kad Siswa Johor. Simpang Jeram ucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor dan tidak lupa kepada sahabat saya Yang Berhormat Tanjung Surat atas inisiatif ini. Ianya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan keluarga mereka khususnya kepada golongan B40 dan M40.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi mengambil semangat Kad Pekerja Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan persekutuan ini, Simpang Jeram mencadangkan kerajaan negeri Johor memperkenalkan pula Kad Mahasiswa Anak Johor. Kolabarasi kerajaan negeri bersama syarikat-syarikat swasta dan syarikat berkepentingan kerajaan dapat memberi potongan atau diskaun sekurang-kurangnya 30% bagi barangan atau keperluan pembelajaran seperti buku, majalah ilmiah, diskaun pengangkutan awam seperti bas, keretapi, kapal terbang dan diskaun makanan siap masak di restoran serta kedai-kedai makan terpilih. Ianya akan meringankan kos sara hidup para pelajar khususnya kepada mahasiswa anak Johor. Menerusi pemberian diskaun dan faedah khas ini, mudah-mudahan inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu anak-anak siswa Johor mengurangkan kos kehidupan mereka ianya juga pemangkin bagi melahirkan Bangsa Johor yang berpendidikan sebagaimana hasrat Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, ia juga tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada anak-anak siswa ini. Semoga dengan inisiatif ini mereka dapat belajar dengan lebih tekun dan akhirnya melahirkan Bangsa Johor yang cemerlang bagi membantu pembangunan negeri pada masa hadapan, insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Simpang Jeram melihat antara kelemahan ketara negara kita adalah kebergantungan yang tinggi kepada import makanan, wal hal negeri dan negara kita mempunyai kesuburan tanah dan berkemampuan meningkatkan keterjaminan makanan. Tahun ini kerajaan persekutuan telah memperuntukan RM300,000,000.00 bagi menjalin kerjasama projek pertanian di antara kerjaaan negeri dan kerajaan persekutuan. Peruntukan ini meningkat sebanyak dua (2) kali ganda berbanding pada tahun 2024 yang lalu. Di antaranya untuk menyokong pengeluaran bawang di Perak, ternakan talapia di Pahang dan meningkatkan hasil padi di Negeri Sembilan. Kerajaan bersama badan swasta memanfaatkan hampir 8,800 ekar tanah terbiar milik Lembaga Kemajuan Wilayah dan agensi rangkaian mereka untuk melaksanakan projek pertanian seperti perusahaan ayam organik dan lembu serta tanaman berkelompok. Agro makanan juga menyediakan kemudahan pinjaman RM200,000,000.00 kepada pengusaha agro makanan yang menyokong keterjaminan makanan dan pertanian lestari. Sejumlah RM27,000,000.00 juga turut disediakan sebagai inisiatif pada petani dan penternak untuk meningkatkan ternakan lembu pedaging, ruminan kecil kambing pedaging, kambing tenusu dan berbiri serta pengeluaran bawang tempatan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor pada pembentangan Bajet 2025 yang lalu turut menyambut hasrat negara dengan mempergiatkan usaha ke arah keterjaminan makanan. Salah satu usahanya adalah dengan memperluaskan kawasan tanaman padi negeri di bawah Teras Kedua Inisiatif Ke-35. Sebanyak RM2,000,000.00 diperuntukkan bagi pembangunan industri sawah padi di negeri Johor, merangkumi keluasan kawasan baharu sawah padi di Kahang seluas 10 hektar dan Sungai Balang seluas 27 hektar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian negeri Johor dengan ringkasannya JARDC merupakan langkah baik yang perlu disokong bagi memperkukuhkan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negeri selari menjadikan Johor sebagai food bank negara. JARDC merupakan inisiatif kerajaan negeri Johor dalam menyelaras dan memperkukuhkan bidang penyelidikan serta inovasi pertanian di negeri ini. Di mana matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan sekuriti makanan serta memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui kerjasama pelbagai pihak melalui penggunaan teknologi pertanian maju dan selari dengan peredaran semasa. Justeru itu, Simpang Jeram melihat sudah sampai masanya kerajaan negeri menggerakkan GLC di bawah kerajaan negeri dengan memainkan peranan yang lebih besar bagi menggerakkan syarikat-syarikat ini melaksanakan peranan utamanya dalam industri keterjaminan makanan. Ianya bagi mencapai hasrat kita jadikan negeri Johor sebagai salah sebuah negeri menyumbang kepada food bank Negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ketiganya, tidak boleh kita nafikan negeri Johor sentiasa menjunjung dan memartabat syiar Islam secara holistik dengan menanam rasa kecintaan kepada agama yang dibawa oleh Nabi junjungan kita, Muhammad SAW sejak berada seawal alam persekolahannya lagi. Ianya diperkasakan bermula dari Tadika Agama Islam (TAJ) diikuti Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) ke peringkat Darjah Khas dan Sekolah Menengah Agama Johor (SMA). Simpang Jeram menjunjung kasih di atas Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor serta ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi pelaksanaan cuti hujung minggu pada hari sabtu dan Ahad bermula pada awal tahun tahun 2025 ini. Ini adalah salah satu tanda betapa Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sentiasa mengambil berat hal ehwal agama Islam, masjid dan surau di negeri ini. Dalam soal memastikan semua warga yang beragama Islam dapat menunaikan solat Jumaat dengan selesa, maka waktu rehat pada hari tersebut juga telah dipanjangkan kepada dua (2) jam. Pelajar-pelajar lelaki yang beragama Islam pula Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Islam bersama-sama Mufti telah mengambil inisiatif menambah bilangan surau termasuk surau atau dewan yang berada di dalam kawasan sekolah yang menepati kriteria untuk diberikan kebenaran melaksanakan solat Jumaat. Dalam soal ini, kerajaan Johor juga berhasrat untuk melahirkan 500 imam muda terlatih dan bertauliah pada setiap tahun. Menerusi Kolej Pengajian Islam Johor, MARSAH bagi menambah bilangan imam dan bilal untuk masjid dan surau di negeri ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri dilihat komited untuk melahirkan imam muda yang bertauliah. Ramai dalam kalangan imam muda hari ini menunjukkan komitmen yang tinggi untuk turut sama menyahut hasrat kerajaan ini. Mereka bukan sahaja mempunya pendidikan agama yang kukuh, mampu mendekati komuniti belia melalui pendekatan dakwah, walaubagaimanpun kebanyakan mereka hanya dilantik secara kontrak dan sambilan. Ianya tidak memberi jaminan masa depan yang lebih baik kepada mereka dan

keluarganya. Simpang Jeram melihat demi kelangsungan institusi masjid dan surau di negeri Johor, keperluan untuk mewujudkan jawatan tetap negeri kepada imam-imam masjid khususnya golongan imam muda perlu diberikan perhatian yang sewajarnya. Ianya secara tidak langsung memberi motivasi dan jaminan kerjaya kepada imam muda, menjadikan perkhidmatan masjid dan surau lebih berkesan, progresif dan yang pastinya ianya membantu menarik minat golongan muda untuk menyumbang kepada pembangunan secara Islam di negeri Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Simpang Jeram juga menyambut baik langkah kerajaan negeri yang telah menaikkan 100% elaun pegawai masjid dan surau dalam Belanjawan Johor 2025 yang memberi manfaat kepada 5,260 orang bilal, noja masjid dan imam, bilal surau dengan jumlah peruntukan sebanyak RM10.034 juta. Walaubagaimanapun, ianya tidak melibatkan imam yang bertugas di masjid-masjid di kariah. Saya percaya dan yakin kebanyakan imam muda hanya bergantung pendapatan mereka kepada elaun JAKIM sebanyak RM850 sebulan dan tidak dapat melakukan kerja hakiki lain untuk menampung pendapatan mereka. Hal ini menyebabkan anak-anak muda Johor yang mempunya pendidikan agama yang tinggi tidak berminat untuk mengisi kekosongan jawatan imam khususnya di masjid dalam negeri Johor. Maka hanya imam-imam yang telah memasuki usia pencen sahaja dilihat mengisi kekosongan ini. Di kawasan DUN Simpang Jeram sendiri rata-rata imam masjid dan surau terdiri daripada mereka yang telah melangkaui usia bersara wajib. Oleh itu Yang Berhormat Datuk Speaker, selaras dengan hasrat merealisasikan jawatan tetap imam masjid, tunggak kestabilan syiar Islam di Johor, Simpang Jeram mohon kerajaan negeri melihat secara serius jawatan tetap imam muda demi memperkukuhkan institusi keimaman di Johor dan seterusnya memartabatkan peranan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan ummah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, perkara terakhir yang ingin Simpang Renggam bawa adalah berkaitan cadangan perpindahan hentian bas Maharani dan Bentayan. Bandar Maharani, Muar telah diisytiharkan sebagai Bandar DiRaja pada 5 Februari 2012, 13 tahun yang lalu oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika Baginda menjadi Sultan bagi negeri Johor. Sejajar dengan pengisytiharaan ini, maka deraf Rancangan Kawasan Khas DiRaja, RKK telah disediakan dan diwartakan pada 3 Ogos 2017. Salah satu komponen deraf ini adalah memindahkan stesen bas Maharani dan Bentayan ke kawasan pentadbiran baru yang terletak di antara Jalan Datuk Haji Kosai dan Jalan Temenggung Ahmad, Jalan Muar Bypass. Cadangan terminal ini kelak akan dikenali dengan nama Maharani Sentral. Dengan anggaran pembangunan berjumlah RM100 juta bagi kos pembinaan dan pengambilan balik tanahnya. Cadangan yang diilhamkan sejak tahun 2015 hingga kini masih belum diterjemahkan pembinaannya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, rakyat Muar mengharapkan limpahan ekonomi kawasan pembangunan Johor-Singapore Special Economic Zone perlulah sama dirasai oleh warga Muar yang berada di utara negeri Johor. Pembinaan stesen bas Maharani Sentral ini adalah sebagai bukti kejayaan ekonomi dan tanda keprihatinan kerajaan negeri pada Bandar DiRaja ini. Mudah-mudahan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang baik hati melihat pembangunan terminal Maharani Sentral suatu keutamaan bagi negeri Johor dan pentadbirannya. Akhir kata Simpang Jeram mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker atas kesempatan

yang diberikan. Kepada Allah jua kita berserah. Saya sudahi dengan wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian terima kasih.

Speaker

Waalaikumusalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Simpang Jeram. Dijemput Yang Berhormat Johor Lama.

Cik Norlizah bin NohUMNO · BNJohor Lama

Bismillahirrahmanirrahim (bacaan doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera, Salam Maju Johor, Salam Demi Johor Lama. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran di atas kurniaan kesihatan pada hari ini dan dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama di dalam Dewan yang mulia ini bagi sesi perbahasan demi rakyat dan negeri Johor yang kita cintai ini. Pertamanya Johor Lama ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keberangkatan dan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke 15. Ampun Tunku. Johor Lama juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di atas segala nasihat dan bimbingan kepada kami barisan ADUN-ADUN dan barisan kepimpinan negeri Johor demi kemakmuran Bangsa Johor. Burung Tempua terbang melayang, singgah di dahan sambil menyanyi, bicara saya bukan sebarang, untuk Johor Lama tercinta saya berbakti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Lama ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor di atas ucapan yang cemerlang dalam menerajui kerajaan negeri Johor. Di bawah kepimpinan beliau, kerajaan negeri Johor telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan, membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada seluruh Bangsa Johor. Johor Lama nak petik sedikit kata-kata indah dari Imam Syafie berkenaan tentang ilmu dan pendidikan. Imam Syafie berkata ilmu adalah cahaya penyuluh dalam kehidupan manusia. Dengan ilmu, ia dapat membimbing manusia ke arah kebaikan serta mengeluarkan diri manusia daripada kegelapan dan kejahilan kepada cahaya dan kebenaran. Johor Lama menjunjung kasih dan menyambut baik titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor berkenaan dengan pendidikan berkualti tinggi akan melahirkan Bangsa Johor yang berdaya saing di peringkat domestik dan juga global. Benarlah pendidikan bukan sahaja membuka pintu ilmu, tetapi ia juga membuka seribu satu peluang dan mampu mengubah takdir serta meletakkan asas untuk kemajuan sesuatu bangsa. Pendidikan adalah pelaburan yang tidak ternilai harganya dan kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa kemajuan Johor terletak pada tahap pendidikan yang dinikmati oleh rakyatnya. Tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Tuan Aznan bin Tami, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor di atas gerak kerja yang agresif di dalam usaha memajukan bidang pendidikan di negeri Johor ini.

Baru-baru ini sesi libat urus bagi Sekolah Rintis Bangsa Johor telah berjaya dijalankan. Empat (4) buah sekolah dari 1,194 buah sekolah di negeri Johor telah dipilih untuk menjadi perintis kepada agenda besar ini. Ini telah membuktikan bahawa komitmen berterusan daripada kerajaan negeri Johor untuk memastikan tiada lagi anak Johor yang tercicir dalam pendidikan. Bukan itu sahaja, ada pelbagai inisiatif yang telah kerajaan negeri Johor sediakan seperti Bantuan Kasih Murid Johor, Bantuan Awal Persekolahan, kemudahan fasiliti, ada Smart TV, Smart Board, Biasiswa Orang Muda Johor dan banyak lagi. Jadi ini merupakan petanda bahawa pendidikan Johor bersedia untuk ke mercu kejayaan yang lebih

tinggi. Namun Yang Berhormat Datuk Speaker, jangan kerana sudah berada di puncak, kita lupa ada gunung lain yang lebih tinggi. Masih ada banyak lagi aspek pendidikan yang perlu kita cari ubatnya agar perkara tersebut dapat diperkukuh dengan segera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sekolah-sekolah di luar bandar juga perlu diberikan perhatian, terutamanya di kawasan pedalaman Johor Timur. Mereka juga mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang sama rata seperti pelajar-pelajar di kawasan bandar. Kita selalu bercakap bahawa pendidikan ialah senjata yang paling ampuh untuk memutuskan rantaian kemiskinan, namun bagaimana kita mahu mencapai impian jika anak-anak di luar bandar masih lagi ketinggalan daripada segi infrastruktur sekolah, kemudahan pembelajaran, capaian teknologi dan kualiti pengajaran. Ya betul sekolah-sekolah di kawasan bandar seperti Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dah maju dah dengan pelbagai kemudahan dan teknologi. Tapi kita tidak boleh menafikan bahawa masih banyak lagi sekolah di kawasan luar bandar seperti di Mersing, di Endau, di Kota Tinggi dan di Felda-Felda yang terpencil, yang ketinggalan dari segi kemudahan dan peluang pendidikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, anak-anak di luar bandar ini bukan calang-calang tau. Mereka bukan kurang bijak, mereka bukan kurang semangat, tetapi mereka kurang diberikan peluang dan sokongan. Mereka mempunyai semangat yang luar biasa untuk belajar dan ingin membina masa depan yang lebih baik. Bukan hanya untuk diri mereka sahaja, tetapi untuk keluarga dan masyarakat. Contohnya anak-anak di DUN Johor Lama yang sudah mendunia dalam pelbagai bidang. Ada yang sudah mewakili Malaysia dalam sukan kayak, ada juga anak FELDA yang sudah sampai ke Korea Selatan dalam bidang robotik. Itu pun, ibu dan ayah dan para guru bermati-matian dalam usaha untuk memastikan bakat anak mereka terus bersinar. Jadi Johor Lama mohon agar aspek ini diberikan keutamaan yang sama seperti pembangunan ekonomi negeri Johor, berilah buat mereka peruntukan khas untuk sekolah di luar bandar, penempatan guru pakar dengan insentif khas serta pembangunan prasarana digital seperti internet yang berkelajuan tinggi. Jangan biarkan yang anak-anak kita ada hilang begitu sahaja. Ibarat pisau akan tumpul jika tidak diasah. Gilaplah permata dari desa ini kerana mereka juga anak Bangsa Johor yang berhak berjaya. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, kita tidak boleh menafikan bahawa cabaran pendidikan masa kini bukan sahaja terletak pada kecemerlangan akademik semata-mata. Tetapi, ia juga pada aspek kesejahteraan mental pelajar. Statistik terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dalam isu keresahan, kemurungan dan tekanan dalam kalangan pelajar seawal usia dari sekolah rendah lagi. Berdasarkan tinjauan kebangsaan kesihatan dan mobiliti NHMS pula, peratusan pelajar yang mengalami tekanan emosi meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh lima (5) tahun kebelakangan ini. Ini adalah satu amaran yang sangat jelas, kepada kita semua, agar perlu sentiasa memandang serius terhadap isu ini. Antara punca gangguan mental termasuklah tekanan akademik, penggunaan media sosial yang tidak terkawal, masalah keluarga, desakan daripada rakan sebaya dan harapan tinggi ibu dan ayah terhadap pencapaian pelajar di dalam peperiksaan. Jadi, disebabkan itu ramai pelajar yang hilang motivasi untuk belajar mengasingkan diri dan ada yang lebih tragik memilih untuk mencederakan diri atau mengakhiri hidup mereka. Jadi, jangan dah terhantuk baru nak terngadah. Makanya, Johor Lama mencadangkan agar satu Unit Kesihatan Mental Pelajar Johor diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan

Negeri Johor dalam usaha mengurangkan isu kesihatan mental demi kemakmuran anak-anak Bangsa Johor yang kita cintai.

Dah lama ada di sekolah sebenarnya Yang Berhormat Datuk Speaker, Unit Bimbingan dan Kaunseling dan lama wujud dari zaman saya sekolah lagi, tetapi sejauh mana penggunaan dan pemerkasaan unit ini terhadap permasalahan yang berlaku di sekolah, kerana zaman kita dulu dah tak sama macam sekarang. Kalau zaman dulu kes yang masuk unit kaunseling ini biasanya ponteng sekolah, biasanya kes-kes vandalisme atau yang paling teruk pelajar lelaki merokok. Tapi, kini zaman beralih, musim berubah. Kes-kes yang sering berlaku di sekolah bukan yang biasa-biasa, Yang Berhormat semua. Seperti hari ini, krisis identiti, masalah keluarga, masalah cinta remaja atau putus cinta, tekanan atau serta kemurungan. Jadi, kepada pihak yang berwajib sudah sampai masa untuk kita mencari satu solusi agar generasi muda Johor kita tidak terus terpalit dengan masalah-masalah sosial, emosi dan mental daripada peringkat sekolah rendah lagi. Dengan adanya Unit Kesihatan Mental Pelajar Johor, ia mampu menjadi pusat koordinasi dan pemantauan kesihatan mental pelajar di peringkat negeri serta sokongan psikososial dan intervensi awal kepada pelajar yang berisiko. Saya kira usaha ini bukan sahaja satu keperluan semasa, tetapi ianya merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina generasi orang muda Johor yang lebih kuat dan berkualiti. Pagi-pagi pergi ke bendang, tanam padi di batas rata; masalah mental jangan tak dipandang, PIBG peka bantu bersama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Persatuan Ibu Bapa dan Guru bukan sekadar sebuah entiti penyokong dasar sekolah. Tetapi merupakan rakan strategik yang dapat membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang sihat daripada segi mental dan emosi. Tanpa kita sedar, besar peranan PIBG terhadap kesihatan emosi dan sosial generasi muda kita di peringkat sekolah. Melalui kerjasama yang baik antara guru, ibu bapa dan pihak pentadbiran sekolah secara tidak langsung PIBG mampu memainkan peranan yang sangat significant dalam melahirkan generasi muda Johor yang berkualiti dalam akademik mahu pun sosial. Namun, setiap gerakan atau inisiatif memerlukan sokongan kewangan yang mencukupi walaupun idea dan semangat daripada barisan PIBG mungkin sudah ada, pelaksanaanya sering terhalang oleh kekangan dari segi peruntukan. Umum mengetahui bahawa PIBG bergantung kepada yuran tahunan yang dibayar oleh ibu bapa sekolah yang mempunyai ramai pelajar dan ibu bapa yang mampu menyumbang selalunya mempunyai dana yang lebih besar.

Namun, Yang Berhormat Datuk Speaker, sekolah di luar bandar atau komuniti yang berpendapatan rendah mungkin menghadapi kekangan kewangan yang lebih ketara. Jadi, keperluan juga berbeza mengikut setiap sekolah. Jika banyak program atau kemudahan yang perlu ditambah baik, dana sedia ada mungkin tidak mencukupi. Malah, kita semua ini sebagai Wakil Rakyat juga tidak ketinggalan menyumbang bagi menyokong segala aktiviti yang dijalankan di sekolah. Oleh itu, Johor Lama memohon agar kerajaan negeri dapat memperkukuhkan lagi peranan PIBG dengan menyalurkan peruntukan khas kewangan kepada semua PIBG di sekolah negeri Johor. (Dewan bertepuk). PIBG sentiasa berusaha menyokong pihak sekolah tetapi realitinya hari ini kekangan dana menjadi cabaran utama untuk melaksanakan program-program yang telah dirancang. Ke Teluk Sengat membeli ikan, singgah sebentar di Kota Tinggi; ekonomi maju rakyat berperanan, usaha bersama membawa rezeki.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Lama kira pembangunan di negeri Johor ini seharusnya tidak menyisihkan mana-mana daerah dan hanya memberikan tumpuan kepada sesuatu kawasan sahaja. Tetapi, ia seharusnya seimbang dengan pembangunan di kawasan yang lain. Ini kerana, apa jua yang kita laksanakan sasaran utama kita adalah kepada rakyat dan Bangsa Johor. Johor Lama juga mengharapkan agar hasil limpahan ekonomi dari pembangunan dan kejayaan Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura (JS-SEZ) dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh rakyat DUN Johor Lama khususnya dan daerah Kota Tinggi amnya. Dalam masa yang sama, rancanglah juga pembangunan di kawasan Johor timur ini agar dapat membuka peluang pekerjaan seluas-luasnya kepada generasi muda Johor di kawasan ini. Tak perlulah anak muda kita keluar menabur jasa ke negara orang, sekiranya kita mampu mencipta lebih banyak lagi peluang pekerjaan di tempat sendiri. Masih banyak keluasan dan tempat yang boleh diterokai dan berpotensi dalam menarik pelaburan dan projek baharu di kawasan Johor Lama. Pelbagai sektor besar juga boleh diketengahkan dan mampu memberikan hasil yang besar serta pulangan yang lumayan kepada kerajaan negeri seperti sektor pertanian, perikanan, pelancongan sejarah dan sektor pendidikan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan DUN Johor Lama bukan sahaja kaya dengan sumber asli hasil tanah dan laut tetapi juga berada pada kedudukan strategik untuk memainkan peranan penting dalam rantai bekalan makanan negeri Johor. Makanya, laksanakanlah dengan bersungguh-sungguh demi pembangunan daerah yang kecil ini. Luas tidak ditimbang, kecil tidak diukur, yang penting hasilnya subur. Ke Kota Tinggi melihat sejarah, makam sultan dan tinggalan lama; pelancongan warisan sangatlah indah, wajar dijaga sepanjang masa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ini bukan kali pertama saya membawa berkenaan isu pelancongan warisan di Kota Tinggi. Biarlah saya bawa berkali-kali, berkali-kali pun tidak mengapa kerana warisan ini sememangnya kita patut pelihara dan hargai. Baru-baru ini saya sempat menyusuri Sungai Johor di Kota Tinggi. Sepanjang laluan di sungai itu, terdapat pelbagai sejarah yang patut kita julang dan patut kita ceritakan kepada anak bangsa kita. Sungai Johor di Kota Tinggi bukan sekadar sungai biasa, tetapi merupakan nadi sejarah negeri Johor. Saya sangat terkesan apabila makam-makam lama di kawasan Sungai Seluyut dibiarkan semak samun. Kawasan yang dahulunya pernah dilawati oleh orang awam, kini menjadi sunyi seperti hutan kosong yang tiada makna. Dahulunya ada jeti tetapi kini sudah roboh dan hanyut dibawa dek arus. Justeru, saya mohon pihak yang bertanggungjawab bangunlah, sedarlah ini warisan kita, inilah peninggalan untuk kita ceritakan pada generasi muda tentang sejarah negeri Johor. (Dewan bertepuk). Johor Lama yakin sekiranya kita mampu memelihara semula khazanah dan warisan sejarah ini, ia juga mampu untuk meningkatkan hasil ekonomi rakyat dan menarik pelancong ke daerah Kota Tinggi bertepatan dengan Tahun Melawat Johor pada 2026. Banyak peluang akan terbuka dan pastinya ia akan memberi manfaat kepada penduduk dan rakyat di sini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Lama juga ingin mengambil ruang dan peluang hari ini untuk membawa isu banjir di laluan jalan utama masuk ke Felda Air Tawar 3. Tular, viral di media sosial pada 13 April 2025 yang lepas berkenaan peneroka yang hampir hanyut dibawa arus banjir. Ianya gara-gara laluan masuk menghala ke perkampungan itu, banjir dan dinaiki air serta arus yang sangat deras. Masalah ini sebenarnya berulang berkali-kali sekiranya hujan lebat yang berpanjangan selama satu (1) jam tanpa henti, pasti air akan naik dan penduduk kampung akan terkandas untuk masuk ke kawasan perkampungan. Tak

tahu mana silapnya ada yang kata culvert kecil kat situ, ada yang kata sistem perparitan yang salah, ada juga yang kata terdapat projek di atas bukit yang menjadikan air dari atas bukit turun dengan selaju-lajunya. Oleh itu, Johor Lama mohon agar bantu disegerakanlah mencari titik nokhtah permasalahan ini. Jangan sudah meragut nyawa baru mahu mencari punca.

Selain daripada itu Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Lama juga ingin membawa satu isu yang kian meruncing khususnya di daerah Kota Tinggi iaitu kesesakan trafik, keselamatan dan keadaan infrastruktur laluan yang menjadi penghubung utama bagi penduduk setempat, pelancong dan sektor ekonomi di kawasan timur Johor. Laluan utama yang sering berlaku masalah ini adalah seperti di Jalan Kota Tinggi - Desaru, jalan pintasan Kota Tinggi serta laluan masuk ke bandar melalui jambatan Kota Tinggi. Masalah ini akan berlaku setiap kali musim perayaan. Apabila anak perantauan pulang ke kampung, laluan terlibat akan menerima ribuan kenderaan dalam satu-satu masa. Saya bagi contoh, laluan Jalan Kota Tinggi - Desaru, laluan ini kerap berlakunya kesesakan lalu lintas yang mana dari traffic light menghala ke Kota Tinggi sehingga ke FELDA Air Tawar 3. Malah laluan ini juga merupakan laluan yang sering berlakunya kemalangan jalan raya sehinggakan ada yang meragut nyawa. Faktor utama adalah jalan yang sempit serta pencahayaan yang tidak mencukupi. Oleh itu, cadangan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon pihak berwajib kaji semula untuk melebarkan laluan dua (2) hala sedia ada kepada empat (4) lorong di kawasan yang berisiko tinggi serta memasang lampu jalan LED di kawasan gelap serta membina jalur gegar dan zon had laju yang jelas berhampiran kampung dan sekolah. Dengan menaik taraf laluan jalan ini saya yakin, saya percaya, jumlah kes kemalangan akan menurun dan mampu memberi kesan besar kepada kehidupan harian rakyat serta pembangunan ekonomi setempat. Saya mohon agar cadangan ini diberi perhatian sewajarnya oleh pihak Kementerian Kerja Raya dan agensi berkaitan demi memastikan keselamatan rakyat terjamin dan pembangunan negeri Johor terus mampan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Johor Lama mengakhiri sesi perbahasan kali ini, suka Johor Lama kiranya segala isu dan cadangan yang telah Johor Lama suarakan yang telah Johor Lama bentangkan di Dewan yang mulia ini akan menjadi keutamaan pihak Kerajaan Negeri Johor dalam usaha menjadikan negeri Johor maju menjelang 2030. Percayalah segala usaha yang kita lakukan bersama ini adalah demi kesejahteraan dan kemakmuran Bangsa Johor dan negeri Johor yang kita sayangi ini. Tenang mengalir Sungai Johor, melimpah rezeki ke Johor Lama. Biar berbeza pandang dan tutur, tujuan kita tetap yang sama. Gunung Ledang jauh di mata, namun puncak tetap terlihat. Selesai sudah Johor Lama bertunjang hasrat kehendak rakyat. Sekian, Johor Lama mohon menyokong. (Dewan bertepuk.)

Timbalan Speaker

Terima kasih Johor Lama. Dijemput Yang Berhormat Senai.

Tuan Wong Bor YangDAP · PHSenai

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam Malaysia Madani, salam Maju Johor. Senai amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menyertai sesi perbahasan rundingan di Dewan yang mulia ini. Patik merafak sembah Menjunjung Kasih titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Johor yang Kelima Belas. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam deraf Rancangan Tempatan Kulai Tahun 2035, salah satu hala tuju pembangunan adalah menjadikan Kulai sebagai Terminal Pengangkutan Awam Wilayah Selatan. Senai berpendapat Kulai

sememangnya berada di lokasi yang strategik di mana dapat penghubung dengan daerah-daerah yang lain negeri mahupun antarabangsa melalui perhubungan udara, rel dan darat. Dari utara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, LTAS menawarkan penerbangan domestik dan antarabangsa. Manakala dari rel, Electric Train Services, ETS yang dijangka bermula dalam tahun ini. Melalui darat, Kulai juga mempunyai jaringan jalan raya yang komprehensif di mana berhubung dengan sekurang-kurang lima (5) daerah dan Singapura jika melalui Laluan Kedua Malaysia-Singapura ataupun Second Link.

Walau bagaimanapun, demi merealisasikan visi ini kita perlu menyelesaikan beberapa kekangan yang dihadapi sekarang seperti kesesakan lalu lintas yang semakin teruk di FT001 Jalan Persekutuan dan J105 Jalan Seelong dan Jalan Lapangan Terbang. Oleh demikian, keperluan melebarkan jalan, menambah jalan alternatif dan memperkukuh pengangkutan awam adalah amat mendesak. Jika kita ingin menjadi Kulai sebagai hab pengangkutan dan ekonomi serantau, maka Projek Jalan Pintasan Senai-Kulai ataupun Senai-Kulai Bypass perlulah segera diberi keutamaan. Projek ini telah dirancang oleh Jabatan Kerja Raya dalam Rancangan Malaysia Ke-9 sejak tahun 2006. Yang amat mengecewakan, rancangan ini asyik tertanggung dari RMK Ke-10 hingga ke RMK Ke12 dan kini masih belum ada tarikh pelaksanaan lagi walaupun ianya sudah dirancang sejak 20 tahun lepas. Bukan itu sahaja, masalah kesesakan trafik jalan di Jalan Seelong dan Jalan Lapangan Terbang Senai juga semakin kritikal. Keadaan ini disebabkan pembangunan di kawasan perindustrian Senai, Senai Airport City dan kawasan berhampiran semakin pesat. Namun Jalan Seelong dan Jalan Lapangan Terbang Senai masih tidak dinaik taraf selari dengan pembangunan.

Tahun 2026 adalah Tahun Melawat Johor. Dan kita menyasarkan kedatangan seramai 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa ke Johor. Bayangkan pelancong-pelancong semasa tiba di Johor melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang tunggu mereka bukanlah produk pelancongan kita. Bukan juga sambutan meriah daripada Bangsa Johor tetapi adalah kesesakan trafik yang teruk sehingga memburukkan nama baik negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai mengalu-alukan pelaksanaan Sistem Aliran Transit Automasi Bertingkat atau EART untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas di Johor Bahru dan mempercepatkan mobiliti harian. YB Bukit Pasir juga memberi perkembangan terkini tentang projek ini dalam Dewan yang mulia ini pada Isnin yang lepas. Tahniah dan syabas Senai ucapkan kepada Kerajaan Negeri Johor kerana cadangan jajaran akhir bagi Projek EART dijangka dimuktamadkan seawal bulan Ogos ini. Namun, Senai berpendapat jajaran EART perlu dipanjangkan sehingga ke kawasan Senai termasuk LTAS supaya hab pengangkutan udara kawasan perindustrian Senai termasuk Senai Airport City dan terminal Pengangkutan Awam Wilayah Selatan yang bakal dibina dapat disambung dengan sempurna sebagai rangkaian pengangkutan serantau sekali gus menyokong pembangunan projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, JS-SEZ.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia kerana berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan bas awam seperti MyBus dan Bas Muafakat Johor, BMJ. Salah satu inisiatif yang telah diambil oleh Perbadanan Pengangkutan Awam Johor, PAJ adalah pemasangan skrin ketibaan bas di bus station seperti di kawasan Kulai dan Johor Bahru. Senai dimaklumkan projek ini bermula percubaan pada Disember tahun lepas. Buat

masa ini bus station di laluan PAJ seperti P411 dan P211 serta laluan MyBas di T30 telah dipasang skrin tersebut untuk memberi maklumat ketibaan bas yang tepat kepada penumpang-penumpang yang menunggu bas sekali gus memberi kemudahan dan keselesaan kepada mereka. Sistem ini juga telah mendapat maklum balas yang positif daripada para pengguna dan media. Oleh demikian, Senai berharap sistem ini dapat diperluaskan ke seluruh Johor pada masa yang akan datang. Namun, yang amat dikesali terdapat kejadian vandalisme dan kes kecurian berulang berlaku dalam tempoh percubaan ini. Maka Senai menyarankan pemasangan kamera litar tertutup di bus station berkaitan untuk membantu mengesan pelaku.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai dilanda banjir pada 20 Mac lalu dan empat (4) pusat pemindahan sementara dibuka. Seramai 594 keluarga dari Kampung Jaya Sepakat, Kampung Sepakat Baru, Kampung Sri Maju dan Kampung Pasir terpaksa dipindahkan. Kebanyakan mangsa yang dilanda banjir ini, kali ini barulah dilanda banjir pada bulan Januari tahun ini sahaja dan mengalami kerugian harta benda yang besar.

Senai ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana telah menyalurkan bantuan khas kewangan bencana banjir monsun timur laut dalam masa yang singkat. Begitu juga semua agensi-agensi dan sukarelawan yang menumpukan usaha dalam membantu mangsa banjir. Memandangkan ramai mangsa yang terjejas dalam banjir yang berulang kali adalah dari kawasan rumah setinggan. Senai berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan memindahkan mereka dengan menawarkan Rumah Mampu Milik Johor, RMMJ atau Rumah Transit Bangsa Johor, RTBJ. Sebenarnya Program Perumahan Rakyat, PPR adalah program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah. Namun, Senai dimaklumkan masih belum ada rancangan membina di DUN Senai.

Oleh demikian, Senai mencadangkan sebanyak 475 unit RMMJ yang sedang dibina di kawasan DUN Senai ini, sebahagian unitnya dapat diagihkan kepada, diagihkan pihak kerajaan negeri kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat dan memenuhi syarat pendapatan yang telah ditetapkan. Dengan langkah ini, barulah kita dapat menyelesaikan isu banjir yang kerap berlaku di kawasan setinggan ini secara berperingkat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini Senai telah menziarahi seorang kanak-kanak perempuan yang tercedera selepas terjatuh kerana panik setelah dikejar oleh anjing liar di Kampung Sepakat Baru. Peningkatan bilangan anjing liar di kawasan tersebut dipercayai berpunca daripada tindakan penduduk yang berniat baik kerana kerap memberi makanan kepada haiwan-haiwan berkenaan. Insiden itu telah menimbulkan perselisihan faham antara jiran tetangga selain menjejaskan keharmonian kampung. Senai turut berjumpa dengan individu yang terlibat untuk mencari penyelesaian berdamai diantara dua-dua pihak.

Sebenarnya, isu anjing liar adalah satu masalah yang susah ditangani di semua PBT. Walaupun bajet menjalankan kerja-kerja penangkapan dan pemusnahan anjing liar bertambah setiap tahun tetapi terdapat masih banyak aduan berkaitan anjing liar diterima oleh PBT dan mencerminkan itu bukan penyelesaian mutlak kepada permasalahan itu. Senai ingin memberi penghargaan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru kerana sudi menangani isu anjing liar secara mampan menerusi pelaksanaan Program Kembiri Anjing Liar di kawasan pentadbirannya melalui kerjasama bersama pihak swasta dan juga NGO. MBJB telah mendapat tajaan serta sumbangan berupa keperluan perubatan dan vaksin,

makanan anjing. Dalam usaha panjang, jangka panjang MBJB juga memperuntukkan sebanyak RM5.6 juta untuk membina pusat tahanan haiwan liar yang dijangka siap pada September tahun ini.

Senai berharap usaha MBJB ini dapat dijadikan teladan kepada PBT-PBT lain supaya mencontohi inisiatif yang lebih berkesan untuk mengawal populasi anjing liar. Pendekatan yang lebih mampan dan perikemanusiaan ini juga dapat mengurangkan konflik di antara PBT dan golongan pencinta haiwan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ingin merujuk titah Duli Yang Amat Mulia Tunku yang memberi peringatan kepada kita semua sebagai Wakil Rakyat. Sekarang bukan musim pilihan raya Johor. Kita telah dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat. Oleh demikian, kita perlu fokus kepada tanggungjawab untuk membangunkan Johor serta meningkatkan taraf hidup rakyat. Salah satu inisiatif daripada kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat adalah Projek MyKiosk yang diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Inisiatif MyKiosk membantu pengusaha mikro kecil dan sederhana tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan. Ia bertujuan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat dengan memberi manfaat kepada penjaja melalui pemberian kadar sewaan kiosk yang rendah. Ia turut menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa kepada penjaja.

Yang Berhormat Datuk Speaker, satu cabaran besar yang dihadapi oleh PBT di seluruh Malaysia adalah tindakan-tindakan penguatkuasaan yang perlu diambil terhadap penjaja-penjaja tanpa license yang berniaga di tempat yang tidak sesuai atau pun tidak selamat seperti di sebelah jalan raya, di simpang masuk jalan mahu pun di sebelah longkang besar.

Senai, sorry ya. Senai ingin memetik daripada satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh seorang Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di Dewan yang mulia ini. Nama dia Puan Tan Hiang Kee yang dari Parti MCA pada surat khabar Sin Chew Daily pada tarikh 15 Mei tahun 2025 telah menyalahkan Parti DAP kerana kos binaan MyKiosk yang terlampau tinggi dan kadar penggunaan yang rendah. Beliau juga turut meminta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah untuk menyiasat dakwaan tersebut. Saya nak kongsikan, sebenarnya mereka yang menyebarkan fitnah mengenai projek ini sebagai projek mykroni pada halnya kontraktor MyKiosk telah dilantik oleh PBT di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 795 kontraktor yang bertanggungjawab dalam pembelian dan penempatan MyKiosk. Seperti di Johor terdapat 102 kontraktor yang dilantik oleh PBT masing-masing. Jadi sebenarnya inisiatif MyKiosk sepatutnya dilihat sebagai penyelesaian penjaja tanpa license yang berlarutan lama masih ada segelintiran oleh politikus yang sanggup mempergunakan isu ini untuk mendapatkan kepentingan politik diri sendiri. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Dato’ Jafni selaku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor kerana berdasarkan statistik yang diumumkan oleh KPKT baru-baru ini Johor adalah negeri yang menerima bilangan MyKiosk paling tinggi iaitu terdapat sebanyak 1,185 unit membabitkan 16 PBT di seluruh Johor.

Jadi sebagai Ahli Majlis, saya rasa sebelum membuat kenyataan media yang tidak berasas, Puan Tan tidak mengesahkan khabar angin tersebut dengan MBIP sehingga membuat tuduhan yang tidak berasas dan memburukkan nama kerajaan atas inisiatif MyKiosk. Beliau sepatutnya memainkan peranan sebagai Ahli Majlis seperti mencadangkan lokasi

penempatan kiosk di tempat tumpuan orang ramai, membantu penjaja tanpa license mendapat kiosk atau pun memberi cadangan yang konstruktif untuk menambah baik projek MyKiosk. Pendakwaan bermotifkan politik itu adalah tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan pembangunan hala tuju kerajaan Johor dalam usaha meningkatkan taraf untuk rakyat. Senai berharap bukan sahaja Yang Berhormat yang duduk di Dewan ini sahaja, tetapi semua pemimpin rakyat di Johor juga dapat bertindak secara matang, profesional dan sentiasa fokus kepada tanggungjawab sendiri.

Akhir kata, Senai menyokong Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail dengan serangkap pantun. Perbahasan Senai diakhiri tanda titik, semoga Johor terus maju dan jaya, masa ini bukan masa berpolitik, biar kita sabar tunggu pilihan raya. Sekian, ribuan terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Senai, dijemput Yang Berhormat Parit Raja.

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu patik serta seluruh warga DUN Parit Raja merafak sembah menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor yang telah berangkat ke Dewan yang mulia ini seterusnya bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Daulat Tuanku.

Terima kasih yang Berhormat Datuk Speaker, memberi ruang dan peluang kepada Parit Raja untuk turut sama berbahas dalam sidang Dewan yang mulia ini. Patik menjunjung kasih di atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor atas keprihatinan demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor. Titah DiRaja merangkumi pembangunan ekonomi, inisiatif JS-SEZ, pembangunan infrastruktur, pendidikan, perumahan, kebajikan, fasiliti kesihatan serta pembangunan bidang sukan. Panduan dan pedoman, nasihat dan bimbingan yang dicurahkan dalam titah Duli Yang Amat Mulia Tunku adalah bagi memastikan segenap lapisan Bangsa Johor mendapat limpahan manfaat untuk Bangsa Johor menikmati kehidupan yang jauh lebih baik. Ampun Tunku.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja merakamkan kesyukuran dan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana kepimpinan beliau yang cukup berwibawa, perancangan yang strategik, tindakan yang proaktif, turun padang, menghayati dan merasai denyut nadi rakyat. Kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi negeri sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat. Ianya terbukti dengan pencapaian negeri Johor yang telah mencatatkan nilai pelaburan dan pencapaian yang amat membanggakan. Johor kini menjadi sebuah negeri yang muncul sebagai kuasa besar baharu dalam ekonomi Malaysia. Berupaya menjadi sebuah negeri dan masyarakat yang maju, makmur dan sejahtera sebagaimana titah Duli Yang Amat Mulia Tuanku. Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM27 bilion bagi suku pertama bagi tahun 2025. Kejayaan ini sudah tentu gerak kerja berpasukan dan bersepadu oleh semua kakitangan awam yang diterajui oleh Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor. Usaha gigih dan keprihatinan yang ditunjukkan amat dihargai seterusnya memberi keyakinan kepada

rakyat terhadap hala tuju pembangunan negeri ini. Semoga Allah sentiasa memberkati usaha murni ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor atas keprihatinan berterusan terhadap pembangunan Orang Muda Johor. Usaha dan inisiatif dilaksanakan jelas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa generasi muda sebagai pemangkin kemajuan negeri. Institut Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor atau JTDC merupakan satu usaha bagi memastikan bakat anak tempatan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan industri sejajar dengan misi menjadikan Johor sebagai hab pelaburan dan teknologi di rantau ini.

Parit Raja melihat wujudnya ruang dan peluang kerjasama strategik bersama institusi di bawah MARA dapat bekerjasama untuk melahirkan pekerja berkemahiran tinggi seperti contohnya di Kolej-Kolej Kemahiran Tinggi MARA yang sedia ada di negeri Johor ini. Kerajaan negeri Johor juga sedang membangunkan infrastuktur pengangkutan yang berteknologi seperti RTS dan ETS. Tahniah diucapkan. Peluang seperti ini sewajarnya diambil untuk sekurang-kurangnya menubuhkan satu akademi dengan mengambil model seperti Akademi KTM atau pun Malaysia Railway Academy bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk warga negeri Johor.

Parit Raja juga ingin mencadangkan agar PUJB, Jabatan Pertanian dan agensi yang berkaitan usahawan memperbanyakkan dan meluaskan rangkaian kursus-kursus yang ditawarkan kepada usahawan muda luar bandar iaitu penguasaan perniagaan secara digital dan teknologi terkini seperti AI. Ianya semakin mendapat perhatian kerana kos operasi yang lebih rendah, jangkauan pasaran yang lebih luas, automasi proses perniagaan seperti pengurusan inventori dan pemasaran yang lebih efektif. Perkongsian ilmu juga dapat dipelajari berkaitan kaedah perniagaan seperti Shopee, Netflix dan Lazada menjalankan aktiviti perniagaan. Senang kata, mungkin dulu anak muda kita sebagai pemandu Grab sahaja tetapi hari ini mereka berpeluang untuk menjadi pemain dalam industri tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, antara inisiatif yang amat dihargai termasuklah penyediaan peruntukan khas untuk pembangunan belia. Program keusahawanan muda, bantuan latihan dan kemahiran, insentif kepada anak muda dalam sektor pertanian moden serta pelbagai peluang latihan dan pendidikan tinggi. Sokongan terhadap kegiatan sukarela dan sukan, seni budaya yang juga menjadi platform penting pembentukan jati diri dan sahsiah Orang Muda Johor.

Peruntukan kepada usahawan-usahawan di bawah YPKDT perlu diperbanyak dan diperluas kerana mendapat respons yang sangat positif. Bantuan secara terus ini disertai dengan latihan-latihan mendapat pujian daripada kalangan warga kampung kerana ia terus berskala kecil sebagai sokongan kerajaan kepada pengusaha-pengusaha kecil. Tahniah Yang Berhormat EXCO Wanita Negeri Johor. Peruntukan yang disalurkan memberi peluang yang lebih luas kepada semua yang terlibat, anak muda menerokai potensi dan menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan negeri. Inisiatif yang diberikan kepada Orang Muda Johor memberi kesan langsung kepada kualiti hidup dan masa depan mereka. Usaha ini juga perlu terus dipertingkatkan, diperluas agar tidak ada anak muda yang tercicir dari arus pembangunan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja akan mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan negeri agar hasil pelaburan dan kejayaan negeri Johor dapat dikongsi, dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat merasai nikmat kemajuan bersama. Antaranya pertama, menginsafi dan mengambil inspirasi daripada Allahyarham Tun Abullah Ahmad Badawi. Daripada kehilangan yang perit tertanam kasih sayang yang memberi nafas baharu kepada perjuangan menentang kanser. (Dewan bertepuk). Dengan hasil pelaburan yang amat membanggakan, Parit Raja melihat keupayaan negeri Johor agar sebuah Institut Kanser Negeri dapat dibangunkan. Ianya bakal menjadikan negeri Johor sebagai sebuah negeri peneraju pakar perubatan dengan kelengkapan infra dan fasiliti serta perubatan, memberikan peluang kedua kepada pesakit juga peluang pasaran pekerjaan kepada orang muda yang terlibat dalam bidang perkhidmatan kesihatan.

Seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, yang kedua, Parit Raja juga mengemukakan cadangan agar negeri Johor mewujudkan sebuah Pusat Rehabilitasi Negeri Johor dengan rakan strategik PERKESO. Sebuah pusat rehabilitasi bertaraf antarabangsa yang mengintegrasikan rawatan rehabilitasi yang komprehensif. Dengan pelbagai peralatan teknologi tinggi yang dikendalikan oleh tenaga profesional pelbagai disiplin, ianya memberi peluang kedua kepada pesakit untuk return to work dengan izin, kembali bekerja dan menikmati kehidupan yang lebih baik setelah menempuh saat sukar sepanjang mengalami kecederaan. Dengan wujudnya sebuah pusat rehabilitasi di negeri Johor ini, Johor tidak akan ketinggalan untuk turut sama memastikan perlindungan sosial pekerja adalah terjamin bertaraf antarabangsa, membuka peluang pekerjaan bidang fisioterapi dan berkaitan, meneraju kepakaran dan penguasaan teknologi berkaitan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perbahasan ini Parit Raja turut membangkitkan beberapa perkara dalam kawasan DUN Parit Raja. Pertamanya ialah cadangan menaik taraf jalan kampung, Kampung Parit Sempadan, Mukim 8, Parit Raja kepada jalan negeri berikutan siapnya Insya-Allah kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FE050 akan datang ini. Ianya bagi menyokong pelan jangka panjang kerajaan negeri untuk menghubungkan kampung-kampung dengan bandar dan pekan utama secara lebih tersusun. Bertujuan meningkatkan tahap keselamatan pengguna dan manfaat penyelenggaraan jalan negeri secara berkala. Memudahkan pengangkutan perusahaan kecil kampung ke pasaran luar dan akses utama yang lebih baik bagi membangunkan sektor pelancongan desa serta pertumbuhan ekonomi sosial di kawasan ini. Parit Raja amat berharap cadangan ini diberi perhatian, diangkat dan dijawab oleh pihak kerajaan negeri dalam sidang Dewan ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan EXCO yang terlibat kerana dalam tempoh kerajaan Maju Johor ini, beberapa TMIYC di peringkat daerah-daerah dapat dibangunkan dan menjadi simbol bahawa kerajaan negeri mengambil serius terhadap pembangunan Orang Muda Johor. Keperluan Kompleks TMIYC ini memang sangat penting untuk setiap daerah. Tahniah kepada daerah-daerah yang telah siap bangunan dan Kompleks TMIYC. Bagi daerah Batu Pahat, ia perlu dibangunkan bagi memberi peluang kepada rakyat Bangsa Johor pelbagai lapisan umur menikmati aktiviti bukan sahaja bersama rakan sebaya tetapi bersama keluarga dan menyokong keperluan golongan belia di kawasan Parit Raja dan seluruh Batu Pahat. Dan, yang lebih penting, ia menjadi simbol kepada daerah Batu Pahat.

Tapak cadangan yang telah diangkat oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat iaitu dalam kawasan Pura Kencana, Sri Gading, Parit Raja akan menjadi lokasi tumpuan baharu bagi acara tahunan, memberi manfaat buat segenap lapisan masyarakat. Parit Raja amat berharap pembinaan TMIYC Kompleks Sukan di Pura Kencana, Sri Gading, Parit Raja dapat diberi perhatian dan sangat berkeperluan tinggi dengan pertambahan dan kepadatan penduduk di daerah Batu Pahat. Infrastruktur kemudahan awam ini adalah amat wajar disediakan untuk rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan DUN Parit Raja mempunyai aktiviti industri kecil dan sederhana. Sememangnya mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat ekopelancongan berasaskan komuniti, terutama di kawasan luar bandar yang mempunyai keunikan semula jadi dan budaya tempatan. Antara potensi IKS dalam eko pelancongan, yang pertama, memperkenalkan produk tempatan secara agro pelancongan dan edu-pelancongan ataupun edu-tourism, dengan izin.

Kilang-kilang IKS dan bengkel-bengkel dibuka sebagai lokasi lawatan pelancong seperti melawat kilang pembuatan kerepek dan dodol. Menggalakkan pelancongan berasaskan komuniti atau community based tourism, dengan izin. IKS dan homestay yang dikendalikan oleh komuniti menjadi sebahagian program pelancongan. Ianya dapat menjana pendapatan tambahan penduduk tempatan dengan adanya penyediaan penginapan lawatan ke kilang-kilang kerepek dan lain-lain industri kecil. Menjaga alam sekitar dan budaya tempatan. IKS yang dibangunkan bersifat lestari atau sustainable dengan mengekalkan warisan budaya. Parit Raja mencadangkan antara lokasi ialah di Kampung Sri Dalam, Parit Botak, Parit Raja dan sekitarnya yang berpotensi dikembangkan sebagai IKS eko pelancongan yang diangkat oleh agensi dan jabatan terlibat, bukan sahaja untuk menjayakan Tahun Melawat Johor tetapi yang lebih penting menyokong industri asas tani di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, melihat kepada potensi-potensi yang boleh dikembangkan berasaskan komuniti di kampung-kampung, Parit Raja juga ingin menyentuh berkaitan soal banjir termenung kerana satu-satunya pusat pemindahan sementara yang dibuka akibat bencana banjir termenung yang melanda warga kampung pada perayaan Aidilfitri yang lalu ialah dalam kawasan DUN Parit Raja. Parit Raja amat bersedih dengan keadaan banjir termenung yang terpaksa dialami oleh sebahagian besar penduduk di sekitar Sungai Parit Karjo. Parit Raja mengucapkan penghargaan kepada usaha pihak kerajaan yang tidak henti membantu menyelesaikan isu ini. Penyelesaian segera melalui kerja-kerja pembersihan sungai Parit Karjo, penempatan pam-pam bergerak, pembersihan parit kampung yang terjejas, keprihatinan semua jabatan dan agensi. Yang Amat Berhormat dan Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO amat-amat dihargai terutamanya dengan peruntukan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor sebanyak RM3.5 juta bagi mengatasi risiko banjir termenung.

Parit Raja mengucapkan terima kasih atas usaha mewujudkan task force atau Jawatankuasa Khas untuk mencari kaedah penyelesaian isu ini. Dan pada 14 Mei yang lalu, di peringkat DUN, satu Mesyuarat Jawatankuasa Kecil telah bermesyuarat sekali lagi bagi membentuk kertas cadangan yang akan diangkat kepada pihak negeri, Insya-Allah selepas sidang Dewan nanti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, namun apa yang Parit Raja ingin tekankan di sini ialah seperti yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar masalah legasi seperti ini.

Perlu penyelesaian secara bersepadu. Kaedah yang boleh digunakan ialah penyelesaian bersama. Syarikat-syarikat pemaju yang mempunyai prospek yang besar, keluasan tanah yang begitu besar untuk dibangunkan. Prestasi jualannya memberangsangkan, maknanya keupayaan syarikat-syarikat pemaju ini boleh membantu pihak kerajaan untuk mengurangkan risiko banjir agar bebanan dan risiko banjir tidak kembali kepada kerajaan sahaja. Terima kasih kerajaan negeri beri sumbangan wang ihsan kepada setiap ketua keluarga terlibat.

Oleh yang demikian, Parit Raja selalu juga bercakap dalam Mesyuarat JTPD, komitmen semua pihak untuk menyediakan kemudahan dengan sebaik-baiknya. Usaha-usaha daripada Yang Amat Berhormat dan Yang Berhormat EXCO-EXCO tidak dinafikan. Namun, Parit Raja berharap perkara ini diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri agar pihak swasta turut menggembleng tenaga, mengambil komitmen dan tanggungjawab dan memberikan inisiatif bagi mengurangkan risiko banjir.

Sekali lagi Parit Raja merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor untuk pembangunan-pembangunan di kawasan Parit Raja iaitu permohonan yang telah diluluskan melalui Mesyuarat Tindakan DUN seperti kerja pelebaran dan pemasangan culvert simpang Jalan Sengkuang, Sri Bengkal dan juga cadangan penambahan sebuah loji rawatan air di Parit Raja. Alhamdulillah, pembinaan Klinik Kesihatan Parit Raja Jenis 3 Berserta Kuarters. Walaupun projek ini ialah projek persekutuan, namun kita mesti ingat pesanan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, keprihatinan beliau mengambil serius setiap projek pembangunan di negeri Johor mesti dilaksanakan mengikut perancangan dan garis masa yang ditetapkan kerana ia melibatkan kesejahteraan Bangsa Johor.

Seterusnya projek yang telah diumumkan bagi mengatasi risiko banjir di kawasan Parit Karjo dan kerja-kerja membina rumah pam dan pam kekal bernilai RM3.5 juta. Syukur Alhamdulillah, Parit Raja merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO, jabatan-jabatan dan agensi di atas komitmen dan kerjasama. Kesungguhan untuk membantu ke arah kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan DUN Parit Raja. Semoga Allah sentiasa memberkati segala usaha kita untuk terus membangunkan dan memajukan negeri Johor. Parit Raja mohon menyokong. (Dewan bertepuk.) Wabilahitaufil walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Parit Raja. Dijemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya sempurnalah sudah majlis Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada hari Jumaat, 16 Mei yang lalu.

Dengan ini patik merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Tuanku ke Dewan yang mulia ini bagi merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Ahli-Ahli

Yang Berhormat, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah bertitah, keutamaan Baginda adalah untuk mempertingkatkan ekonomi, menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Pada tahun lalu, Duli Yang Amat Mulia Tunku mengilhamkan Sekolah Bangsa Johor. Hari ini ia menjadi realiti dengan melancarkan empat (4) Sekolah Rintis Bangsa Johor. Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, jentera pendidikan Johor dan semua pihak yang merealisasikannya di bawah nasihat dan panduan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Penawar ucapkan terima kasih atas peluang untuk Penawar mengambil bahagian dalam Perbahasan kali ini. Penawar tampil ke Dewan ini untuk menyuarakan aspirasi penduduk dari Bandar Penawar ke FELDA Air Tawar 1, dari Kampung Baru Sungai Mas hinggalah ke Kampung Tanjung Buai yang setiap hari mengharapkan pembangunan yang lebih menyeluruh, peluang yang lebih saksama dan penyertaan yang lebih bermakna dalam kemajuan negeri Johor Darul Ta’zim ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Penawar berdiri pada hari ini dengan penuh rasa syukur dan bangga untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz atas pencapaian yang luar biasa yang sedang dikecapi oleh negeri Johor Darul Ta’zim. Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor baru-baru ini yang menyifatkan Johor sebagai kuasa besar baharu dalam ekonomi negara adalah satu pengiktirafan yang amat tinggi kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar serta seluruh jentera pentadbiran negeri. Kejayaan ini bukan datang secara tiba-tiba. Ia adalah hasil daripada perlaksanaan dasar dan inisiatif strategik yang dirangka secara bijaksana oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan barisan Pengerusi Jawatankuasa yang sentiasa bekerja keras.

Salah satu inisiatif ialah penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang telah berjaya menarik pelabur berjumlah RM27 bilion hanya dalam suku pertama tahun ini. Ini adalah bukti nyata bahawa dasar kerajaan negeri bukan sahaja diyakini oleh pelabur tempatan, malah turut diyakini oleh pelabur antarabangsa. Lebih membanggakan pada tahun lepas, Johor telah merekodkan hasil negeri sebanyak RM2.1 bilion, satu angka yang positif dan menggalakkan. Prestasi ini bukan bersifat sementara, malah pada suku pertama tahun ini sahaja Johor telah mencatatkan pertumbuhan hasil negeri sebanyak RM598 juta iaitu 29.84% lebih tinggi berbanding anggaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri sendiri.

Ini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bukan sahaja berjaya menarik pelaburan tetapi turut memastikan hasil negeri terus kukuh untuk manfaat rakyat. Selain itu, dengan adanya sokongan dan kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak swasta serta kerajaan persekutuan, Johor sedang merancang projek-projek baharu bernilai RM23 bilion. Ini adalah satu petunjuk jelas bahawa kepercayaan pelabur terhadap negeri ini terus meningkat dan prospek ekonomi terus kekal cerah.

Johor bukan sekadar destinasi pelaburan, tetapi kini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dari segi pentadbiran yang cekap, perancangan ekonomi yang berdaya saing dan keupayaan mewujudkan ekosistem kondusif untuk pertumbuhan mampan. Semua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa kepimpinan yang berani, tegas dan berpandangan jauh daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita. Sehubungan dengan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Penawar ingin mencadangkan agar kerajaan

negeri turut memberi tumpuan kepada usaha membawa masuk pelaburan berskala sederhana ke kawasan perindustrian Penawar. Pendekatan ini berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan pemindahan dan perkongsian teknologi serta melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan hasil kerjasama strategik dengan pelabur. Penawar percaya dengan sokongan padu daripada seluruh jentera pentadbiran dan rakyat negeri Johor serta bimbingan berterusan daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Johor akan terus mara ke hadapan dan kekal sebagai kuasa ekonomi utama di Malaysia. Sekali lagi, setinggi-tinggi tahniah dan syabas Penawar ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, teruskan usaha, teruskan khidmat cemerlang untuk Johor yang kita cintai. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini kita telah menyaksikan satu detik yang cukup bersejarah apabila Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Pemangku Sultan Johor telah berkenan mencemar duli menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan MCMC. MOU dengan ini menjadikan pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif digital dalam tempoh dua tahun mendatang. Menerusi kerjasama strategik ini, sebanyak RM300,000,000.00 telah diperuntukkan bagi memperkukuh infrastruktur digital dan memperluas liputan internet di negeri Johor. Tumpuan utama diberikan kepada kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini menjadi tumpuan pelabur dan pemain industri utama negara serta antarabangsa. Kita difahamkan bahawa pelaksanaan akan melibatkan beberapa fasa. Dan fasa pertama akan menumpukan kepada aspek liputan internet serta pengukuhan capaian teknologi 5G di kawasan strategik seperti JS-SEZ. Ini amat penting bagi memastikan kawasan ekonomi bernilai tinggi seperti ini benar-benar bersedia dari segi prasarana digital dan teknologi sekali gus meningkatkan daya saing Johor sebagai hab pelabur serantau.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Penawar ingin mengambil kesempatan ini untuk mengangkat realiti yang berlaku di akar umbi khususnya di kawasan luar bandar seperti di DUN Penawar. Di kawasan seperti Taman Desaru Utama, Taman Penawar Harmoni, Bandar Mas dan kawasan Desaru Fruit Farm, liputan internet masih tidak stabil dan kadang kala tidak boleh di akses langsung. Masyarakat muda yang ingin memulakan perniagaan atas talian berhadapan dengan kesukaran besar untuk beroperasi secara digital. Guru dan pelajar pula masih terpaksa bergantung kepada hotspot telefon untuk mengikuti kelas atau menyelesaikan tugasan secara dalam talian. Isu jurang digital ini bukan sekadar soal teknologi, tetapi ia turut menyentuh isu peluang ekonomi, akses kepada pendidikan dan keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Oleh itu, usaha memperluas capaian internet tidak harus tertumpu hanya kepada kawasan pertumbuhan ekonomi seperti JS-SEZ, tetapi perlu merangkumi kawasan desa yang turut berpotensi menyumbang kepada pembangunan negeri. Tambahan pula kawasan DUN Penawar ini merupakan salah satu kawasan yang akan terlibat dengan JS-SEZ dan juga merupakan kawasan tumpuan pelancongan. Justeru amat penting untuk memastikan liputan internet sentiasa stabil bagi memastikan segala ekosistem untuk menyokong pertumbuhan ekonomi sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Bagi meningkatkan capaian internet, Penawar mencadangkan agar kerajaan negeri menaik taraf kemudahan sedia ada di bawah inisiatif Internet Maju Johor. Memandangkan tapak infrastruktur telah sedia ada, penambahbaikan ini boleh difokuskan kepada aspek kelajuan dan kapasiti. Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan malah turut menjimatkan kos pelaksanaan serta secara keseluruhan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pelancongan ialah nadi ekonomi alternatif yang sangat sesuai untuk kawasan luar bandar seperti Penawar. Kita bukan sahaja memiliki keindahan alam tetapi juga warisan budaya dan komuniti yang masih asli. Pantai Desaru dan Tanjung Balau sudah di kenali pelancong. Namun, masih belum dimajukan secara menyeluruh dari sudut ekonomi setempat. Apa gunanya pelancong datang tetapi pulang tanpa membeli hasil tempatan. Tanpa berinteraksi dengan komuniti setempat atau tanpa memberi impak ekonomi kepada penduduk tempatan.

Penawar mencadangkan agar kerajaan negeri memperkenalkan Zon Eko Pelancongan Komuniti Penawar dengan kerjasama Tourism Johor dan Majlis Perbandaran Pengerang. Pusat promosi produk tempatan, kraftangan, hasil laut dan makanan tradisi. Dana penyelenggaraan untuk kemudahan pelancongan kecil seperti tandas awam, gerai makanan dan surau. Selain itu, apakah pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang kerajaan negeri untuk membangunkan pelancongan luar bandar di DUN Penawar?

Yang Berhormat Datuk Speaker, komuniti setempat terutamanya golongan belia perlu diperkasakan. Mereka mampu menjadi pemandu pelancong, pengurus homestay dan usahawan produk desa. Manakala, kaum wanita pula boleh menghasilkan makanan tradisional atau kraftangan untuk pelancong. Namun mereka perlukan latihan, bimbingan dan modal permulaan. Penawar mencadangkan supaya mereka ini diberikan Program Latihan Pelancongan Mikro Johor Untuk Belia Luar Bandar, Geran Mikro RM5,000.00 hingga ke RM10,000.00 untuk Koperasi Komuniti Pelancongan kerana di kawasan Penawar banyak koperasi yang berpotensi untuk maju serta boleh menawarkan klinik pelancongan oleh Tourism Johor dan MARA kepada mereka ini semua.

Speaker

Yang Berhormat beri laluan kepada azan. Yang Berhormat teruskan.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Yang Berhormat Datuk Speaker, Penawar ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada satu potensi besar yang wujud di luar bandar khususnya di tanah rancangan FELDA dalam DUN Penawar iaitu eko pelancongan berasaskan komuniti dan pertanian. Hari ini kita bercakap tentang pembangunan mampan, peluang ekonomi baru dan pelancongan komuniti. Semua ini sebenarnya sudah pun wujud dalam bentuk asas di kampung-kampung nan FELDA dalam kawasan Penawar. Bayangkan pelancong tempatan dan antarabangsa datang menginap di homestay FELDA dan dapat menikmati pengalaman asli seperti menyertai aktiviti masuk kebun, melihat sendiri proses memotong buah kelapa sawit, melawat ladang lembu, kambing dan arnab yang diusahakan oleh anak-anak muda tempatan. Semua ini bukan rekaan, ia sedang berlaku di Penawar. Ramai anak muda kita yang berani menceburi bidang penternakan dan pertanian kecil-kecilan. Mereka ada semangat, ada tanah, ada tenaga tetapi mereka perlukan sedikit sokongan daripada kerajaan untuk memperkemaskan usaha mereka agar berdaya saing menjadi produk pelancongan. Sekiranya kerajaan dapat menyalurkan peruntukan khas untuk membina kapasiti dan prasarana homestay membantu dari segi pensijilan, promosi dan latihan hospitaliti, kita mampu jadikan FELDA sebagai satu destinasi eko pelancongan luar bandar yang unik sekali.

Ini bukan sahaja akan menjana pendapatan baru kepada penduduk setempat malah ia seiring dengan visi kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai destinasi utama pelancongan sempena Tahun Melawat Johor 2026. FELDA tidak harus dilihat hanya sebagai penempatan pertanian tetapi perlu dijenamakan semula sebagai kawasan yang

hidup moden dan mempunyai nilai tarikan kepada pelancong domestik dan antarabangsa. Sehubungan dengan itu, izinkan Penawar mengemukakan beberapa soalan kepada kerajaan iaitu adakah kerajaan negeri bersedia untuk membangunkan satu program khas eko pelancongan komuniti luar bandar khususnya di kawasan FELDA sebagai salah satu produk pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Johor 2026?

Penawar ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar yang telah menyampaikan bantuan ternakan ruminan di bawah Projek Rancangan Johor Lima (5) tahun. Program ini merupakan satu inisiatif penting kerajaan negeri Johor dalam usaha memperkukuh industri ternakan negeri khususnya ruminan seperti lembu dan kambing. Mudah-mudahan tahun hadapan lebih ramai lagi masyarakat Penawar yang layak dapat inisiatif ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di dalam DUN Penawar terdapat isu tentang perumahan generasi kedua iaitu yang terletak di FELDA Sungai Mas. Maklumat yang Penawar perolehi jumlah lot keseluruhan yang terima hak milik adalah sebanyak 562 plot tapak. Terdapat 123 buah rumah yang telah dibina dan siap diduduki. Manakala 55 buah rumah adalah sedang dalam proses pembinaan. Beberapa isu berbangkit adalah berkenaan infrastruktur asas iaitu bekalan air, bekalan elektrik, jalan dan sistem perparitan. Penawar juga ingin bertanya kepada kerajaan negeri adakah perancangan untuk memberikan peruntukan infra dan berapa jumlahnya? Saya yakin bahawa di bawah kerajaan negeri yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz yang sentiasa inginkan yang terbaik untuk negeri Johor tidak kira rakyat bandar, kampung mahupun di FELDA. Penawar tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan di atas isu ini seperti menangguk di air yang keruh.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Penawar membawa isu yang sangat membimbangkan masyarakat, ibu bapa di DUN Penawar khususnya di dalam kawasan Bandar Penawar iaitu isu kepadatan dan ketidakselesaan di Sekolah Agama Bandar Penawar. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Sekolah Kebangsan Bandar Penawar menempatkan 34 kelas dengan 1,088 orang murid. Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar Dua pula, mempunyai 40 kelas dan 1,082 orang murid. Gabungan jumlah murid dari dua (2) sekolah ini lebih kurang 2,170 orang. Namun, semua murid ini hanya mempunyai satu (1) sekolah agama untuk mengikuti pendidikan agama iaitu Sekolah Agama Bandar Penawar yang hanya mempunyai 23 kelas. Yang lebih membimbangkan hanya 1,791 orang murid yang benar-benar hadir ke sekolah agama ini. Ini bermaksud ada lebih 300 orang tidak mengikuti pendidikan agama secara formal di sekolah, kemungkinan besar kerana kekangan ruang, ketidakselesaan, jadual atau keadaan fasiliti yang padat dan tidak kondusif.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bayangkan lebih 1,700 murid dikumpulkan dalam ruang sekolah yang terhad dengan bilangan kelas yang terlalu sedikit, tenaga pengajar yang terbatas dan jadual yang terpaksa dipecahkan kepada dua (2) atau tiga (3) sesi sehari. Ini bukan sahaja membebankan guru-guru bahkan menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran agama. Dalam suasana sempit dan kepanasan anak-anak kita hilang fokus. Dalam kelas yang terlalu ramai, guru tidak sempat memberi perhatian kepada murid yang memerlukan bimbingan lebih. Apa yang lebih menyedihkan, sebahagian ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah agama kerana tidak yakin anak-anak mereka akan

belajar dalam keadaan yang sesuai. Ini bukan sekadar isu infrastruktur, ini isu masa depan rohani dan akhlak generasi kita.

Penawar menyeru agar kerajaan negeri mengambil langkah serius dengan membina sebuah lagi sekolah agama baru di Taman Desaru Utama. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat dua (2) lot tanah di Taman Desaru Utama yang telah dikenal pasti untuk pembinaan sekolah agama yang baru. Kedua-dua lot tanah ini adalah di bawah milik kerajaan negeri. Oleh itu, Penawar telah memohon pihak PTD Daerah Pengerang menyerahkan dua (2) lot tanah tersebut kepada pihak Majlis Agama Islam untuk tujuan tersebut.

Penawar percaya bahawa pihak Majlis Agama Islam telah mengemukakan permohonan kepada pihak PTD Daerah Pengerang untuk tujuan yang sama. Penawar berharap agar kerajaan negeri dapat membuat penilaian corak kehadiran murid dan menjalankan kajian mengenai sebab ibu bapa tidak menghantar anak mereka agar penyelesaian dibuat berdasarkan realiti masyarakat. Hal ini bukan sahaja coretan saya semata-mata. Isu ini adalah hasil rungutan rakyat dan ada segelintir ibu bapa telah meluahkan kebimbangan tentang isu ini di media sosial iaitu aplikasi WhatsApp dan Facebook. Pendidikan akidah dan akhlak anak-anak kita tidak boleh dipandang ringan. Kelas agama bukan hanya pengisian petang hari. Ia adalah benteng rohani untuk anak-anak generasi digital masa kini. Jika kita tidak beri ruang dan kemudahan yang cukup untuk pendidikan agama, kita akan melihat kesannya 10 hingga 15 tahun akan datang dalam bentuk gejala sosial dan kekosongan jiwa. Yang Berhormat Datuk Speaker, Penawar ingin menyentuh berkenaan inisiatif Rumah Prihatin Johor yang sangat bermakna dalam membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah yang memerlukan kediaman yang selamat dan selesa. Bagi kawasan DUN Penawar, Penawar ingin merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor kerana sepanjang tahun 2024, sebanyak lapan (8) buah rumah telah berjaya dibaik pulih melalui peruntukan daripada MAINJ. Ini sedikit sebanyak telah meringankan beban keluarga yang terkesan dalam keadaan rumah yang begitu uzur.

Selain itu, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, PKPJ juga telah meluluskan permohonan bagi pembinaan baharu tiga (3) buah rumah di DUN Penawar dan setakat ini hanya satu (1) buah rumah yang telah siap sepenuhnya. Ini merupakan langkah positif dalam memastikan mereka tidak mempunyai rumah dapat dibantu dengan segera. Namun begitu, Penawar ingin menarik perhatian Dewan ini terhadap isu banjir yang berulang kali di Kampung Baru Sungai Mas, yang telah menyebabkan beberapa keluarga berasa tidak lagi selamat untuk mendiami rumah sedia ada. Sehubungan dengan itu, Penawar mohon agar permohonan pemindahan dan penempatan semula lima (5) mangsa banjir di Kampung Baru Sungai Mas ini dapat dipermudahkan dan dipercepatkan di bawah skim Rumah Prihatin Johor atau inisiatif perumahan berkaitan. Kita tidak mahu rakyat terus hidup dalam ketidaktentuan dari skop keselamatan, lebih-lebih lagi apabila musim hujan melanda. Penawar percaya dengan kerjasama semua agensi, perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh prihatin dan kecekapan.

Akhir kata sebelum Penawar mengundur diri, Penawar ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor terutamanya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas segala inisiatif kepada rakyat. Semua inisiatif ini telah dijayakan melalui portfolio yang diterajui oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat EXCO. Antaranya di bawah portfolio Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi yang sentiasa

memberikan kerjasama dalam menangani isu yang berkaitan dengan jalan raya serta lampu-lampu jalan di dalam kawasan DUN Penawar. Terima kasih kepada portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang telah merangka dan melaksana pelbagai program untuk rakyat bukan sahaja untuk golongan OKU, malah portfolio ini juga telah memberi kelulusan untuk membantu golongan ibu tunggal, B40 dan melaksanakan pelbagai program untuk usahawan-usahawan wanita.

Di bawah portfolio Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor pula baru-baru ini telah mengadakan majlis serentak seluruh PBT dalam negeri Johor untuk mengagihkan khemah kepada para peniaga pasar malam dan penjaja kecil. Terpancar wajah ceria mereka apabila inisiatif ini turut memberi limpahan manfaat kepada peniaga di kawasan Penawar. Penawar mendoakan agar semua usaha murni ini diteruskan, diperluaskan agar lebih baik, lebih ramai peniaga kecil dapat dibantu seterusnya menyemarakkan lagi semangat keusahawanan rakyat Johor demi menjayakan agenda ekonomi inklusif negeri.

Terima kasih juga kepada ketua-ketua jabatan dan agensi dalam daerah Kota Tinggi yang sentiasa memberi kerjasama dalam banyak hal terutamanya dalam pentadbiran DUN Penawar. Sekian sahaja dari saya, Penawar mohon menyokong. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun. Empat dara duduk di tepi sungai, duduk menjerat si ketam batu; perbahasan Penawar melabuh tirai, semoga negeri Johor terus maju. Sekian wabillahitaufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Penawar. Dijemput Skudai, Yang Berhormat Skudai.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualakum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera. Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua jabatan, anggota perkhidmatan awam, Setiausaha Dewan Negeri, pegawai-pegawai yang hadir pada petang ini. Saya ingin mengambil bahagian dalam perbahasan menjunjung kasih atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 pada minggu lalu.

Tuan Speaker, saya mendengar dengan tekun titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail pada minggu lalu, yang begitu tuntas tentang ekonomi, infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan bangsa dan negeri Johor. Menyusuli titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, saya juga ingin ambil kesempatan pada hari ini mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Machap dan barisan kepimpinan kerajaan negeri atas pencapaian ekonomi yang amat memberangsangkan bagi suku tahun pertama 2025 ini. Saya juga nak ambil kesempatan, memanjangkan ucapan terima kasih kepada sekalian barisan EXCO, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Pejabat Daerah dan juga jabatan-jabatan yang banyak membantu Skudai dalam menyelesaikan isu kawasan demi kepentingan dan juga kesejahteraan rakyat Johor di Skudai.

Keperluan naik taraf Jalan J4 Gelang Patah - Skudai. Seperti yang kita tahu, Zon Ekonomi Khas Johor Bahru - Singapura, JS-SEZ dijangka akan terus menarik pelaburan dan negeri Johor perlu bersedia untuk menerima limpahan pertumbuhan pembangunan khusus di kawasan Greater Johor Bahru. Misalnya dekat kawasan Skudai dan sekitar kawasan Iskandar Puteri itu sendiri. Kalau kita tengok pelbagai hartanah sedang dibangunkan, malah saya turut difahamkan kawasan ini juga akan menjadi lokasi untuk pembinaan Hospital Sultanah Aminah II dan juga Kem Tentera Skudai tak lama lagi. Jadi secara khususnya saya merujuk kepada jalan negeri iaitu J4 iaitu Jalan Gelang Patah - Skudai yang sememangnya menjadi pilihan utama bagi warga bandaraya khususnya penduduk dari perumahan kawasan sekitar Skudai. Dan saya menjangkakan pada masa akan datang, pertambahan trafik yang signifikan sepanjang tempoh beberapa tahun mendatang dan persediaan bagi memenuhi keperluan operasi HSA II dan juga Kem Skudai yang mana menempatkan jentera berat.

Sekarang walaupun belum ada lagi pembangunan yang besar sekali pun, Jalan FT001 dan J4 sudah sememangnya sesak. Persimpangan Jalan J4 setiap pagi, tengah hari, petang tanpa kita kira waktu sering kali kereta berbaris panjang sehingga ke Skudai Parade. Justeru itu, saya amat berharap pihak kerajaan negeri bersama agensi yang berkaitan memberikan perhatian yang secukupnya, malah mempunyai perancangan jangka panjang melibatkan jalan negeri J4 tersebut dalam mendepani keperluan yang signifikan dalam tempoh beberapa tahun yang mendatang. Saya percaya infra-infra seperti jalan raya perlu dinaik taraf terlebih dahulu sebelum projek naik di sekeliling. Bukan sahaja berkenaan dengan Kem Skudai yang bakal dibina, malah persimpangan Jalan J4 dan Skudai itu walaupun bukan merupakan laluan utama ke hospital tetapi ianya merupakan laluan ke Stadium Sultan Ibrahim dan saya percaya apabila HSA II kelak dibuka, jalan itu juga akan menjadi jalan utama penduduk daripada Johor Bahru dan daripada kawasan Skudai untuk ke HSA II. Jadi perkara ini harus diberi penekanan.

Penguatkuasaan parkir kenderaan. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Kalau kita memandu ke Taman Tun Aminah, pasti kita nampak ruang parkir dekat kawasan tersebut penuh. Penuh seolah-olah memberikan gambaran bahawa kedai-kedai dekat situ maju, banyak pelanggan, aktiviti sosio ekonomi di kawasan tersebut amat rancak sekali, tetapi bukan itu yang sebenarnya berlaku. Apa realitinya? Realitinya rata-rata peniaga setempat merungut sebab apa? Ruang parkir kawasan kedai mereka telah disalahgunakan oleh pekerja yang berulang alik mengguna bas kilang untuk bekerja di Singapura, di seberang tambak. Saya berpandangan, tindakan mementingkan diri sebegini sebenarnya memberikan kesan rantaian yang hebat kepada peniaga setempat. Betullah, mereka nak mencari rezeki, duit berlipat kali ganda di Singapura, tapi dalam masa yang sama membebankan peniaga tempatan, membebankan rakyat tempatan untuk ke kedai-kedai yang berhampiran.

Dan apa yang kita dapat lihat lagi, tindakan ini bukan hanya berlaku dekat Skudai sahaja, malah banyak kawasan yang saya lihat. Sebagai contoh kawasan baru-baru ini berlaku di kawasan komersial Larkin, yang mana saya lihat PBT telah ambil tindakan menutup jalan masuk dan keluar pada tempoh tertentu. Justeru itu saya nak mohon untuk mendapatkan perancangan pihak kerajaan negeri dalam menyediakan keperluan ruang parkir kenderaan khusus kepada kumpulan pekerja ini, terutamanya di laluan-laluan utama bas yang mana berhampiran dengan kawasan-kawasan tertentu sebelum RTS beroperasi. Sebab kita tahu kalau RTS ini beroperasi kelak, kalau sistem pengangkutan awam kita baik, ianya tidak akan menjadikan satu masalah. Tetapi jika interconnection di antara setiap kawasan sebagainya

contoh Skudai ke Johor Bahru itu masih belum lagi terancang, masih belum lagi baik sepenuhnya, maka ianya akan menjadikan masalah bagi penduduk setempat.

Di kala kita memudahkan mereka untuk bekerja di seberang tambak, saya berpendapat kita juga wajar mempertimbangkan keperluan utama para peniaga dan pengguna di kawasan. Sementara itu saya juga sebenarnya menyambut baik langkah proaktif PBT untuk melaksanakan sistem parkir terhad, yang mana mengikut jam terutama di kawasan tumpuan parkir kenderaan pekerja Singapura. Namun begitu, saya ingin menarik perhatian kerajaan dan juga PBT tentang kekuatan anggota yang dimiliki. Anggota yang dimiliki perlulah mencukupi untuk memastikan penguatkuasaan langkah tersebut berkesan dan tidaklah sekadar pada papan tanda amaran sahaja. Sekarang kalau kita lihat dekat kawasan Skudai, ada papan tanda Zon Larangan Parkir, tetapi apa yang kita nampak, sebelah sahaja papan tanda itu orang boleh parking secara haram merata-rata. Ini menunjukkan apa? Penguatkuasaan tidak cukup, begitu juga ada parking terhad masa. Jadi penguatkuasa yang lebih perlu barulah berkesan.

Seterusnya mensejahterakan tempat tinggal rakyat. Tuan Speaker dan sidang Dewan sekalian, seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Amat Mulia bahawa tempat tinggal rakyat sentiasa menjadi keutamaan keluarga DiRaja Johor. Lantaran itu saya berhasrat untuk melanjutkan aspek mensejahterakan tempat tinggal rakyat kepada soal pokok iaitu penyelenggaraan rumah berbilang tingkat berstatus strata. Apa terma rumah berbilang tingkat? Flat, kondominium, apartmen. Perumahan berbilang tingkat ini didapati kian pesat dibangunkan di seluruh kawasan Johor Bahru, Greater Johor Bahru, sama ada perumahan mewah atau pun perumahan mampu milik. Justeru itu saya kekal konsisten menekankan isu pengurusan strata bagi perumahan berbilang tingkat ini yang mana saya lihat ianya amat penting dan harus digerakkan. Saya rasa sejak daripada saya masuk ke sidang DUN ini diberikan peluang untuk berbahas di sini, isu strata adalah isu yang sangat dekat di hati saya dan saya menggesa isu ini untuk diberi perhatian.

Pengalaman mendepani isu di flat Skudai sedikit sebanyak memberikan peringatan kepada saya bahawa pengurusan strata ini amat penting supaya apa kita boleh menjamin nasib penduduk dan pemilik kediaman terjamin. Dan bila kita sentuh berkenaan dengan soal strata ini, pasti akan terkait dengan pesuruhjaya bangunan atau pun COB yang wujud dekat PBT. Dan telah berulang kali saya tekankan dalam Dewan yang mulia ini bahawa isu pengurusan strata hanya akan menampakkan kesan sekiranya COB bergerak mendampingi jawatankuasa pengurus, MC dan badan pengurusan badan bersama, JMB di kawasan masing-masing atau pun di bawah sana dan saya percaya rata-rata MC dan JMB khususnya bagi perumahan berbilang tingkat yang lama, flat kos murah seperti contoh di kawasan Tun Aminah, dan dihuni warga emas didapati tidak memahami organisasi mereka berfungsi. Sebab apa flat-flat murah ini kebanyakkannya kadang-kadang dia terpaksa, dia tidak faham fungsi atau pun bagaimana cara JMB atau pun MC itu bekerja, tapi mereka berjalan tetapi tiada penerangan. Ini yang sering kali menjadi masalah. Itu baru MC dan JMB, belum lagi saya sentuh penduduk pula. Dan saya juga yakin penduduk tidak ambil peduli pasal MC atau pun JMB sehingga mereka culas membayar yuran caruman penyelenggaraan yang pada akhirnya siapa jadi mangsa? Ini akan memberikan kesan berantai kepada kesejahteraan komuniti.

Tuan Speaker, saya amat-amat berharap agar COB sekiranya tidak cukup anggota dapatlah ditambah anggotanya untuk bergerak menyusur ke akar umbi perumahan berbilang tingkat. Pertambahan staf kena selari dengan keluasan dan pembangunan kawasan. Sudah hampir menuju negeri maju, kalau isu staff tak cukup masih menjadi alasan, ini adalah satu masalah.

Usaha memperkasakan perumahan strata ni bukanlah sekadar taklimat setahun sekali atau dua (2) tahun sekali, namun perlu dihadirkan dengan bimbingan, pemantauan secara turun padang. ontohnyalah saya cakap, berkenaan dengan isu cop parking, berapa kali penguatkuasaan dilaksanakan? Kadang-kadang ada aduan, baru penguatkuasaan dilaksanakan. Saya sendiri pun kadang-kadang, bila saya naik hilux saya pusing kawasan saya pula yang buat operasi penguatkuasaan, saya pula ambil tong-tong, ambil tayar, ambil segala mak nenek barang yang diletakkan di tempat parking. Jadi, penguatkuasaan yang berterusan saya rasa sangat penting, ini untuk memberi pengajaran kepada mereka di bawah sana. Macam berkali-kali saya nyatakan kita ni mempunyai satu set undang-undang yang sangat baik tetapi di mana penguatkuasaan? Kita kena lihat itu semula.

Saya ingin kongsikan juga pengalaman di Skudai yang dihadapi penghuni Flat Taman Impian Emas tatkala ditimpa musibah kebakaran. Langkah MC yang mencarum insurans kebakaran sememangnya harus dipuji, namun disebabkan tak mendapat bimbingan sewajarnya, mereka gagal membuat tuntutan insurans kerana faktor tertentu. Dan sehubungan itu, COB wajar berperanan disini dalam membantu dan membimbing JMB dan MC daripada pelbagai aspek agar kebajikan dan kesejahteraan mereka terjamin. Kalau tak, akhirnya pada pengurusan sedia ada akan give up dan siapa yang jadi mangsa? Penduduk menjadi mangsa. Dan dalam usaha memperkasakan peranan JMB dan MC, perumahan berbilangan tingkat berstrata ini, saya ada dua (2) cadangan. Pertama, berikan bantuan khas kepada MC dan JMB yang berfungsi sekurang-kurangnya berjaya mengutip 50% daripada yuran penyelenggaraan.

Ini sebenarnya adalah sebagai penggalak bagi meningkatkan motivasi MC dan JMB untuk bergerak lebih aktif. Ini lebih baik dari kita beri bantuan, diturunkan kepada flat usang yang tidak mempunyai JMB ataupun MC yang aktif. Akhirnya, bila, kalau kita bagi bantuan banyak berjuta sekalipun pada flat, yang MC atau JMBnya tak aktif, akhirnya tak ada pemantauan, flat itu terbiar sahaja. Itu adalah merupakan satu usaha ataupun penggalak pada JMB dan MC. Inisiatif galakan ataupun geran padanan berdasarkan keberkesanan peranan mereka terutamanya bagi aspek bayaran cukai penyelenggaraan. Secara tak langsung akan membuka mata JMB dan MC serta penduduk tentang peranan organisasi ini dalam komuniti mereka.

Yang kedua adalah, sijil pengiktirafan ataupun anugerah khas kerajaan negeri Johor kepada badan pengurusan sama ada dikalangan penduduk ataupun syarikat swasta yang dilantik. Ini bagi memotivasikan mereka agar lebih galak sebagai badan pengurusan. Alasan tak mampu bayar yuran penyelenggaraan tu biasa kita dengar, tapi alasan ini bukannya alasan ini tinggal sekadar alasan, tapi penguatkuasaan itu jarang-jarang berlaku.

Seterusnya adalah pelan pengurusan banjir. Ahli Yang Berhormat sekalian, cuaca semasa sememangnya sukar diramal, tiba-tiba hujan dan tiba-tiba juga kawasan dinaiki air banjir. Dan saya ingin mengambil peluang berbahas pada hari ini untuk merekodkan penghargaan Skudai kepada Yang Berhormat EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama

seluruh anggota barisan hadapan PBT dan agensi berkaitan serta sukarelawan yang terdiri daripada Southern Volunteers dan juga orang awam sepanjang tempoh Skudai dilanda banjir menjelang aidilfitri lalu. Walau bagaimanapun, masalah banjir ini tidak wajar berulang dikala limpahan pelaburan dan pembangunan kian pesat di Johor.

Penyelesaian jangka pendek dan panjang harus disegerakan. Peranan setiap agensi harus digabungkan untuk memastikan masalah banjir ini dapat dihindari. Jika YB EXCO rajin turun padang, pegawai juga agensi harus aktif turun padang sebelum YB EXCO tiba. Dan dalam konteks persediaan perlindungan banjir, saya kira Pejabat Daerah telah menyelaraskan secara berkesan bersama agensi-agensi lain dalam membantu urusan ketika banjir. Dan justeru itu, saya juga percaya pihak SWCorp Negeri Johor selaku agensi berkaitan pengurusan sisa pepejal pastinya telah atau mungkin akan wujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pembersihan pasca banjir yang mampu menyelaraskan kekuatan anggota dan jentera dalam operasi tersebut secara berkesan. Kalau ikut semakan saya, pihak SWCorp negeri ada membangunkan SOP khusus berkaitan pembersihan pasca banjir pada tahun 2023. Jadi, apa khabar dengan SOP tersebut?

Penguatkuasaan tegas terhadap isu sampah. Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang berhormat, isu sampah turut ditekankan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail, Tunku Mahkota Ismail susulan insiden di Plentong baru-baru ini. Syabas saya ucapkan kepada pihak PBT atas tindakan segera dalam mengeluarkan kompaun kepada pelaku. Sementara itu kita juga menantikan proses pendakwaan ke atas pelaku oleh pihak SWCorp. Penguatkuasaan terhadap isu sampah ini wajar diberikan perhatian oleh pihak SWCorp, agar selari dengan inisiatif Bandar Bersih Johor 2030 yang saya perhatikan, kerajaan negeri sedang giat menjelajah. Inisiatif tersebut juga dihadirkan dengan tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sebarang isu sampah negeri Johor, bukan sekadar pada slogan, gimik dan program semata-mata tetapi tidak difahami oleh mereka di bawah sana.

Dalam apa-apa isu pun saya lihat banyak undang-undang yang digariskan untuk membentuk masyarakat, tetapi pelaksanaannya seperti kata saya tadi, di mana? Dan saya percaya bahawa proses pindahan kuasa melalui Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam, Akta 672 daripada PBT kepada SWCorp seharusnya diterjemah melalui penguatkuasaan yang proaktif. Pada masa yang sama SWCorp juga harus berada di hadapan untuk memberi pemahaman kepada masyarakat tentang skop perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat konsesi. Sebab seperti apa yang berlaku di kawasan Skudai baru-baru ini, di mana peniaga dia tak faham, dia tak faham akhirnya dia salahkan YB, akhirnya dia salahkan PBT, dia tak faham apabila sampah-sampah pukal yang dibuang oleh peniaga ni sebenarnya bukan dikutip oleh pihak SWCorp. Jadi saya harap pihak SWCorp ni boleh memaklumkan, adakan satu sesi town hall untuk memberi penjelasan dan pemakluman kepada mereka di bawah. SWCorp perlu tampil menjernihkan pemahaman dalam kalangan peniaga di kawasan komersial.

Seterusya saya ingin sentuh soal halangan kerja yang melibatkan kerja-kerja pembersihan yang merujuk kepada binaan terhalang menutup saliran longkang. Saya ingin buat teguran sedikit, kadang kala saya kurang faham. Seperti kita lihat baru-baru ni PBT, saya faham, MBIP menjalankan tanggungjawab yang mana mereka meruntuhkan binaan-binaan di kawasan di kedai-kedai ataupun kawasan komersial di Skudai dengan alasan bahawa mengganggung ataupun menyekat, menganggu kerja-kerja pembersihan dilaksanakan. Dan seterusnya apabila saya membuat lawatan, penduduk di kawasan, apa ni, peniaga di

kawasan komersial dia nyatakan pada saya, YB kawasan ni seringkali banjir. Dan bila saya tengok di kawasan saya turun ke bawah saya, apa yang saya lihat? Kawasan tersebut tersumbat, apabila ada, ada slab dibina di atas longkang dan tersumbat dan tak, menyukarkan kerja pembersihan. Dan saya tanya bila akhir kerja pembersihan dilakukan? Dia tak dapat jawab, dia kata apa, oh ini tak boleh bersihkan sebab apa, tertutup. Kenapa tidak pihak yang menjalankan kerja pembersihan sewaktu dia melihat isu tersebut, sewaktu dia melihat keadaan tersebut tidak boleh dibersihkan, kenapa dia tak melaporkan terus kepada PBT untuk melaksanakan apa ni, melaksanakan penguatkuasaan.

Ini yang penting sepatutnya, bukannya dia nak tunggu hingga banjir, hingga aduan baru penguatkuasaan nak dilaksanakan. Bila satu kedai, satu kawasan di apa ni, penguatkuasaan dilaksanakan, dia dah jadi macam apa? Macam tsunami, habis berlubang sana sini kedai-kedai. Sepatutnya pihak yang menjalankan kerja-kerja pembersihan dia kena proaktif apabila nampak masalah, segera melaporkan. Jadi isu-isu itu satu demi satu diselesaikan dan tidak akan terkait.

Dan paling akhir sekali, saya nak tekankan satu isu yakini malang tidak berbau yang saya rasakan isu ni terkait dengan kita semua. Malang tak berbau maksudnya kita sendiri tak tahu apa hari ini bakal berlaku pada kita. Saya ingin membawa perhatian Dewan yang mulia ini berkaitan isu keselamatan awam iaitu berkaitan pili BOMBA tak berfungsi. Dua kebakaran berlaku dekat kawasan Skudai dan pili BOMBA yang terdekat tak berfungsi. Pertama di Flat Impian Emas, yang kedua, di Taman Sri Orkid.

Kalau kita lihat tahun lalu Ketua Pengarah Jabatan BOMBA dan Penyelamat Malaysia, Dato’ Norhisyam menyatakan bahawa sebanyak 15,724 pili BOMBA di seluruh negara di dapati rosak. Kita tahu ke pili BOMBA dekat depan rumah kita ni boleh guna ke tak? Andai hari ini berlaku di rumah kita sendiri, pastikah kita bahawa pili BOMBA berhampiran dapat berfungsi dengan baik? Kita tak tahu.

Dan persoalan besar di sini adalah siapakah sebenarnya pihak bertanggungjawab yang menyelenggara pili-pili BOMBA di seluruh Johor? Adakah dibawah Pejabat BOMBA dan Penyelamat? Adakah di bawah Pihak Berkuasa Tempatan? Adakah di bawah konsesi air negeri? Selain itu, saya ingin dapatkan penjelasan berkenaan kekerapan pemeriksaan berkala dilakukan ke atas semua pili BOMBA di Johor. Adakah diadakan setiap tahun? Hanya apabila terdapat aduan ataupun terbakar dan tengok pili BOMBA tu tak berfungsi baru dilaksanakan pembaikan? Saya sendiri turun ke lapangan dan ke beberapa kawasan di Skudai bertanya penduduk jika mereka melihat mana-mana pihak membuat pemeriksaan pili BOMBA yang berhampiran.

Dan bagi mewakili orang awam, saya juga ingin bertanya berkenaan kekerapan audit ataupun pemeriksaan teknikal terhadap pili-pili ini. Jumlah senarai lengkap pili BOMBA di seluruh Johor dan berapa peratus yang tidak berfungsi. Ini semua sangat penting, kerana apa? Kerana kita mungkin di sini selamat, adakah ibu bapa kita, adik beradik kita terjamin keselamatan mereka? Seperti apa yang saya nyatakan tadi malang tidak berbau.

Tuan Yang diPertua, pili BOMBA adalah aset kritikal ketika kecemasan dan kelewatan. Mendapat sumber air boleh membezakan antara nyawa yang diselamatkan dan tragedi yang tak diingini. Jadi, dengan setiap perkara yang disentuh dalam ucapan perbahasan tadi, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Speaker yang cukup bijaksana

dan telah memberi ruang ini. Semoga tanah bertuah negeri Johor ini akan terus maju seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Skudai. Ahli-Ahli Yang Berhormat, insya-Allah esok ada 10 orang lagi Ahli-Ahli Dewan yang masih berpeluang untuk terlibat dalam perbahasan. Untuk itu, persidangan saya tangguhkan hingga esok 22 Mei 2025, jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.05 petang.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Timbalan Speaker

Jurutulis

Puan Zarina binti Abdul Kadir

Penolong Jurutulis

Encik Mohd Ezwan bin Abdul Ghani Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli

Koordinator

Puan Hajah Rohana binti Matang

Pembantu Penerbitan

Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara)

Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)

Puan Hajah Azlin binti Bahrin Puan Hajah Saniah binti Kasim Puan Junaidah binti Paing Puan Siti Rojimah binti Abd. Razak Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Hairun Nurul Ain bin Zainal Abidin

Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Norazilawati binti Masri Puan Shuriati binti Abdul Hajar Puan Norhafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad

Rakaman

Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video

Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar

Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 21 Mei 2025

Timbalan Speaker

VERBATIM