Johor · 23 May 2025
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · not final · 91 turns · 31,013 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.
Bismillahirrahmanirrahim. Allahu Akhbar. Allah Akhbar. Allah Akhbar. (Bacaan Selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, malam tadi saya menghadiri forum Barisan Nasional di World Trade Centre, Kuala Lumpur. Tajuknya ialah apa yang kita boleh belajar daripada PRU Kanada, Singapura dan Australia. Berdasarkan kesimpulan para finalis rakyat memilih kerana stabiliti, walaupun terpaksa melakukan re-electing kerajaan incumbent back Manakala, pengundi muda pula memilih berdasarkan isu bukan ideologi. Antaranya, isu perumahan, pekerjaan, kesihatan dan pendidikan. Hanya satu sahaja lagi single political party yang masih dominan di dunia iaitu PAP Singapura. Itu pun dikategorikan sebagai dominant status quo. Ini kerana undi popular PAP kekal melebihi 60%, tetapi tidak pernah melepasi 70%. PAP akan panik jika undi popular mereka merosot bawah paras 60%, walaupun kekal dominan. Apa yang menarik, hanya di Malaysia wujud Super Grand Coalition iaitu BN sebagai satu grand coalition bekerjasama dengan PH yang juga merupakan grand coalition dan bekerjasama dengan GPS Sarawak yang juga merupakan grand coalition dan juga GRS Sabah yang juga merupakan grand coalition. Sebab itu disebut Super Grand Coalition yang hanya wujud di Malaysia. Kenapa? Kerana untuk membentuk kerajaan stabil dan mengelak hung Parlimen. Dan trend ini menurut mereka dijangka akan berterusan kepada beberapa PRU akan datang. Maka non-issue, kenapa bekerjasama dengan parti A ataupun B. Keutamaan sekarang ialah bukan sahaja kesungguhan politik tetapi kejujuran politik. Terima kasih.
Soalan-Soalan Lisan.Questions
Ahli-Ahli Yang Berhormat oleh kerana hari ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berada di Johor, maka beberapa EXCO tidak dapat bersama untuk menjawab soalan-soalan lisan. Maka, Ahli-Ahli Yang Berhormat akan melihat ada beberapa Ahli Yang Berhormat soalannya akan naik dua (2), tiga (3) kali, ya. Dijemput Yang Berhormat Tenang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Yang Berhorma Datuk Speaker, soalan nombor satu (1). Apakah terdapat sebarang usaha oleh kerajaan negeri untuk memperkasa dan memperluaskan penggunaan tulisan jawi dalam kalangan rakyat negeri ini khususnya bagi golongan muda?
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Datuk Speaker, Yang Berhormat Tenang bertanya tentang perihalan peluasan penggunaan tulisan jawi, terutamanya golongan muda. Datuk Speaker
pertamanya saya mintak izin saya mengalu-alukan delegasi daripada Semerah, Parit Sulong, satu bas datang. (Nak tepuk, tepuk kuat sikit, jauh tu).
Yang Berhormat, sebentar Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan ini mengalu-alukan seramai 41 orang pemerhati di bawah Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor daripada kawasan DUN Semerah. Ya sila bangun, selamat datang. Sila Yang Berhormat.
Terima kasih Datuk Speaker. Datuk Speaker, Seksyen 9 Akta Kebangsaan sebut dengan jelas, tulisan jawi ini memang tulisan rasmi selepas tulisan rumi. Jadi, semua orang kena maklum ini bukan skeptikal tentang perkauman Datuk Speaker. Ini pengiktirafan kebangsaan persekutuan bahawa tulisan jawi adalah tulisan kita semua. Tak kira orang Melayu, Cina, India ada kecenderungan kepada jawi dia diiktiraf oleh perlembagaan. Maka atas asas itu kerajaan Johor Datuk Speaker tahun lepas Yang Amat Berhormat Menteri Besar masa penggulungan Belanjawan beliau ada sebut bahawa kerajaan sedia mempertimbangkan untuk pelaksanaan Minggu Jawi Johor. Datuk Speaker, ini kesungguhan yang baik. Maka, bagi pihak Portfolio Agama Islam saya kira ini satu arahan yang mesti dilaksanakan. Soalan YB Tenang pulak memang menjurus kepada kesungguhan kita. Mari saya ceritakan sikit Datuk Speaker, dalam keadaan macam kerajaan Johor berhasrat agar jawi diperluas penggunaannya dan diperkasakan. Maka Datuk Speaker, yang akan menjadikan tulisan jawi ini lebih meriah pelaksanaannya. Sebelum ini tahun 2020, kerajaan Johor telah pun menubuhkan Jawatankuasa Jawi tuan-tuan dan puan-puan semua. Cuma saya tengok, saya semak Jawatankuasa Jawi Datuk Speaker kurang kemas sebab dia punya anggota semuanya yang Portfolio Agama Islam. Datuk Mufti situ, Pengarah Jabatan Agama Islam situ, CEO situ, kehakiman situ, pendakwaan situ. Jadi kita tengok YB Tenang dia nampak tak berkembang, nak suruh jawi meluas tapi yang duk tulis jawi, urus jawi cuma kami aje yang portfolio agama. Ini tak bagus. Maka Datuk Speaker, kita akan buat pembetulan, penambahbaikan. Kepada Jawatankuasa Jawi Johor ia akan melibatkan Majlis Kebudayaan Negeri Johor, YB Raven ni. Saya pun dengar dari semalam dia dah Alif, Ba, Ta, Alif, Ba, Ta. Tapi setakat ini baru Alif, Ba, Ta aje, yang sambung tu belum, nanti saya akan bantu dia. Bawah Yayasan Warisan Johor Datuk Speaker, YB Raven membenarkan untuk kolabrasi ini diperkasakan. Ha, tu gambarnya Datuk. Kita ada buat pertemuan dalam minggu ini juga, dalam sidang Dewan, saya minta izin belah petang, saya jumpa dengan pihak-pihak yang berkenaan. Maka kita nak perkemaskan Datuk Speaker, bahawa jawi ini bukan sahaja tanggungjawab menulis, tapi juga dia satu tanggungjawab untuk diwariskan. Maka, Yayasan Warisan Johor akan bersama-sama dalam gerakan ini. Datuk Speaker, kemudian kita percaya dia jangan buat sendiri saja. Mufti, Jabatan Agama Islam tidak hanya akan menjadi jabatan yang memperkasakan jawi, tapi kita akan memperluaskannya kepada semua agensi kerajaan. Datuk Speaker, saya rasa JKR susah nak jumpa bahan bacaan jawi dekat Pejabat JKR. Sebab semuanya pasal BQ technicion, teknikal sahaja, tapi mula dengan pemerkasaan jawi ini YB Tenang, kita menggunakan peruntukan Jabatan Agama Islam sendiri, nanti akan ada sudut Jawi Johor namanya di semua jabatan-jabatan kerajaan. Termasuk juga dekat JPS, termasuk juga kalau Pejabat Pos pun ada kita nak hantar juga bahan bacaan menggalakkan orang baca jawi. Maka ini
kesungguhan kerajaan Datuk Speaker supaya meliputi peruntukan setahunya setakat ini, setakat RM180,000.00 tak banyak. Tapi dengan pemerkasaan jawi ini Datuk Speaker, saya beri perakuan MAIJ akan sentiasa menjadi jabatan dan agensi kerajaan yang akan menyokong perkara ini. Setakat ini Datuk Speaker, yang bersungguh belajar jawi ni siapa, anak cucu kita. Ni yang dah pangkat atuk, nenek ni kat dalam Dewan ni rasa kalau disuruh jawi moden pun tak reti ni. Saya pun tak mahir sangat, biar mengaku. Datuk Speaker, Allahyarham Pak Matlob kita ni orang Semerah, bukan sebab dia orang Semerah tapi dia tokoh jawi kebangsaan. Kebetulan dia orang Semerah dah meninggal dah. Beliau dan juga Munsyi-Munsyi Jawi Datuk Speaker, pertemuan tempoh hari, saya kumpulkan Munsyi Jawi Johor, Johor ini empat (4) orang Munsyi Jawi bawah Dewan Bahasa Pustaka yang juga akan jadi kita punya sekretariat dalam Jawatankuasa Jawi Johor. Maka Munsyi-Munsyi ni Datuk Speaker, termasuk Allahyarham Pak Matlob, kelestarian sejarah dan sumbangannya pada Johor untuk jawi bahkan Malaysia pun kita akan perkasakan. Untuk menyemarakkan jasa Allahyarham Pak Matlob ni sebenarnya saya kena sebut dalam Dewan ni. Dato’ Zulkurnain, YB Seri Medan atau orang yang terawal yang melihat jasa besar Pak Matlob ni Allahyarham, mesti dijaga dengan baik dan di bawah kepimpinan beliaulah pada tahun 2017 lebih kurang Datuk Speaker, satu pembinaan galeri Pak Matlob telah pun dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah. Cuma sekarang bawah saya untuk menyelesaikannya aje. Kerja awal, kerja susah Dato’ Zulkurnain dan rakan-rakan yang lain dan buat. Tugas saya melaksanakan pengakhirannya untuk dimuktamadkan. Datuk Speaker, anak-anak di Johor sekarang ini sekolah agama setiap hari sejam jawinya. Maksudnya sapa yang ngantar anak sekolah agama, anaknya harus pandai jawi. Yang tak hantar ni masalah Datuk Speaker. Jadi kita galakan mak bapak supaya kekal menghantar anak masing-masing di Sekolah Agama Kerajaan Johor. Datuk Speaker, untuk menjadikan Minggu Jawi Johor yang Menteri Besar sebut sebagai satu yang dilaksanakan secara bergerak, saya nak buat pengumuman awal Datuk Speaker, hari Isnin depan ini penggulungan Menteri Besar, Menteri Besar akan buat pra-pelancaran Minggu Jawi Johor. Maka, saya jemput Yang Berhormat Datuk Speaker dan semua YB-YB semua untuk selepas sidang Dewan hari Isnin jangan balik terus, kita raikan majlis dengan Menteri Besar sebab beliau akan merasmikan pra pelancaran Minggu Jawi Johor yang antaranya saya nak bagi hadiah sikit Datuk Speaker kepada semua YB-YB ni. (Dewan bertepuk). Saya ada buatkan, dia tak mahal Dato’ Zul, tepuknya itu kuat bagus, tapi nanti dapat kecil, kecil hati. Saya akan hadiahkan kepada semua YB semua, name tag, name tag yang ada tulisan rumi dan jawi. (Dewan bertepuk). Jadi, semua kena pakai. YB Bentayan, jangan aiya ini ada Melayu, ni apa Islam. Tulisan Jawi Seksyen 9 Akta Kebangsaan adalah dia tulisan kepada Bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Jadi YB Bentayan pakai name tag tu nampak cantik ada jawi ada rumi sebelah dia, boleh pakai, boleh pakai nanti. Ha boleh, nasib baik dia cakap boleh, kalau tak memang selamat lah ya. Tuan-tuan, YB terima kasih, ini soal kebersamaan kita. Lancar slogan, saya lancar terus dan tunjukan kesungguhan. Ini kekuatan kerajaan Maju Johor pada hari ini, kita cakap serupa bikin. Kita nak laksanakan, mudah-mudahan dapat
keberkatan dan kemudahan. Datuk Speaker, mudah-mudahan program ini baik dan disambut baik oleh semua. Wallahualam.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebenarnya orang Melayu sahaja yang ada dua (2) bentuk tulisan iaitu rumi dan jawi, ya. Orang Amerika pun tak ada pun sebenarnya. Sebab itu malam tadi saya bangga apabila Profesor daripada State University of New York ya, bila dia berucap dia cakap Melayu juga. Itu tempat saya belajar dulu. Apa ni, Profesor Madya Dr. Ross Tapsell, Australia National University dan satu lagi Profesor Dr. Meredith Weiss dari Kolej Rockfellar, State University of New York. Dia pun cakap melayu juga ya. Ok, ada soalan tambahan? Ya, sila Tenang.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO Semerah atas penjelasan yang jelas dan terang. Soalan tambahan saya Datuk Speaker, adakah kerajaan bercadang untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan NGO bagi memperluas program pemulihan dan pemerkasaan tulisan jawi di peringkat akar umbi khususnya anak muda di bandar dan luar bandar. Dan, dalam konteks pendidikan sekolah bagaimana tulisan jawi boleh di martabatkan semula dalam sistem pendidikan arus perdana agar anak muda melihatnya bukan sekadar satu warisan tetapi juga satu nilai tambah dalam identiti nasional. Terima kasih.
Terima kasih YB Tenang. Kita kerjasama dengan semua pihak Datuk Speaker, yang sedia menjadikan jawi sebagai tulisan kita bersama. Maka, saya kira inisiatif yang dicadangkan tadi kerjasama dengan NGO saya alu-alukan. Kecil tapak tangan, nyiru kita tadahkan. Maka YB Tenang saya mempelawa semua pihak persatuan-persatuan dan juga indvidu-individu yang berkepakaran dan berkemahiran, untuk menceritakan tentang bagaimanakah kerajaan bersungguh tentang perihalan ini, Datuk Speaker kita pun kena tahu ada pertandingan Sahibba Jawi. Biasanya Sahibba ini Bahasa Inggeris atau pun Bahasa Melayu sahaja kebangsaan tapi tulisannya tu tak pernah kita dengar ada Sahibba tulisan jawi YB Tenang. Nanti kita hantar satu set ke YB Tenang, atau pun kita boleh main berdua nanti masa hari Isnin. Harap saya menanglah. Kalau saya kalah saya malu. YB Tenang tolong bagi peluang saya menang. Itu pasal Sahibba, banyak lagi YB Speaker, Datuk Speaker perihalan yang mesti kita perkembangkan jawi ini jangan atas method yang sama.
Sebab itu Datuk Speaker, kalau lah minggu Jawi Johor nanti dilaksanakan dengan baik dia akan menyebar luaskan lagi bengkel-bengkel jawi kepada semua jabatan. Saya dah minta Jabatan Agama Islam jangan hanya jemput orang bengkel jawi di Jabatan Agama Islam, bengkel jawi kena keluar daripada pejabat Agama Islam pergi ke jabatan-jabatan yang lain. Kita outreach kepada masyarakat jangan duk suruh masyarakat datang pada kita. Ini masalah yang biasa berlaku kepada sebagian besar perangai kita. Kita menunggu orang datang, itu yang masalah lambat selesai itu. Jadi, Datuk Speaker punya bersungguhnya hendak jaga jawi ia warisan yang besar, maka saya membuka tangan kepada semua pihak untuk terus sama-sama melaksanakannya. Bahkan kita kena beri kredit berterusan kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan juga Kementerian Pendidikan Datuk Speaker, jangan lupa. Walau pun di sekolah kebangsaan pendidikan jawinya terhad YB Tenang, tetapi setiap minggu untuk sekolah kebangsaan rendah, yang menengah dah tak ada, yang rendah memang ada satu kelas dia bawa J-QAF. Setengah jam seminggu. Jadi, Datuk Speaker, saya ambil peluang ini. J-QAF ini tertubuh di bawah waktu Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ini legasi besar Datuk Speaker. Almarhum Tun hendak memandaikan kita dengan
jawi, kebangsaan ada J-QAF, J-QAF sampai sekarang setengah jam seminggu wajib belajar jawi. Maka, marilah kita memperingati kebaikan-kebaikan luhur kita bagi mengenang kebajikan dan kebaikan mereka.
Baik Yang Berhormat.
Datuk Speaker. Terima kasih Datuk Speaker.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini juga ingin mengalu-alukan kehadiran lapan (8) orang Pemerhati daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, GAMIS dan juga Sinergi Gerakan Mahasiswa, SIGMA Johor ya. Lima (5) orang pemerhati daripada Institut Dato’ Onn, iaitu Ahli Dewan Mutiara Johor, lima (5) orang pemerhati daripada UMNO Bahagian Johor Baharu, Akademi Jaya Bersama, Sekolah Politik UMNO ya. Tahniah, dan tiga (3) orang pemerhati daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru. (Dewan bertepuk). Saya jemput Yang Berhormat Sungai Balang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sungai Balang soalan nombor dua (2). Terima kasih.
Ketiadaan kuota rumah kos rendah dalam sesebuah projek perumahan memberikan kesan kepada kemampuan rakyat memiliki rumah. Mohon kerajaan senaraikan perumahan yang gagal mematuhi syarat tersebut di DUN Sungai Balang dan apa tindakan kerajaan terhadap pemaju tersebut?
Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Sungai Balang atas pertanyaan yang sangat relevan berkaitan keperluan asas rakyat iaitu kemampuan memiliki rumah yang selesa mampu milik dan berkualiti. YB Sungai Balang menanyakan tindakan yang perlu diambil, apa tindakan kerajaan kepada pemaju-pemaju yang gagal untuk mematuhi atau membina rumah mampu milik?
Yang Berhormat Datuk Speaker, Dasar Perumahan Johor kita sedia maklum bahawa dia ada 60 dan 40. 60% adalah untuk pemaju membina rumah pasaran bebas. Yakni RM500,000.00, RM600,000.00 dan RM1 juta. Dan baki 40% di mana pemaju diwajibkan untuk membina rumah mampu milik kategori A RM50,000.00, kategori B, RM100,000.00, kategori C RM150,000.00 dan kategori D luar bandar RM250,000.00 dan di dalam bandar RM300,000.00. Dalam mesyuarat PDRC, Plan Design Rebuilt Comittee dengan izin, ini adalah satu task force perumahan di mana dia melibatkan PKPJ, Plan Malaysia, PTG, PTD, PBT-PBT satu jawatankuasa yang berjumpa dengan pemaju-pemaju perumahan di seluruh Johor. Maknanya di Johor ini apa sahaja, siapa sahaja pemaju yang datang ke bumi Johor akan masuk dalam jawatankuasa ini. Jadi, untuk makluman Datuk Speaker, setakat ini seramai, sebanyak 119 pemaju kita telah jumpa. Dan, dalam perjumpaan dengan 150 pemaju ini kita boleh lihat bahawa ada lima (5) pemaju telah kita ambil tindakan punatif kepada pemaju tersebut yakni pemaju-pemaju yang gagal membina rumah mampu milik. Antaranya, ini slide tak ada. ok. Daripada 115 pemaju yang kita jumpa ini Datuk Speaker, ada lima (5) pemaju yang degil. Kita dah jumpa, kita dah meeting berkali-kali tetapi selepas habis mesyuarat dalam PDRC dia balik lepas itu dia tak buat apa-apa.
Perkara ini berlaku tahun demi tahun dan akhirnya di peringkat jawatankuasa kita mengambil tindakan undang-undang. Sebagai contoh, kita kaveat pendaftar kepada pemaju tersebut. Apa kaveat pendaftar ini? Maknanya kalau pemaju itu tidak membina rumah mampu milik dan dia gagal, pertama kita buat kaveat pendaftar dan kaveat pendaftar ini tidak boleh melakukan urusniaga dan juga bukan urusniaga. Kategori pemaju yang gagal ini tidak membina rumah mampu milik, pembinaan rumah mampu milik tidak setara dengan pasaran bebas dan pemaju tidak mematuhi garis semasa. Jadi untuk Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk dalam masa yang sama juga dahulu kita tidak dapat kesan pemaju-pemaju yang degil hendak buat rumah mampu milik ini. Tetapi selepas ada kolaberasi antara PTG, antara PBT, antara PKPJ semua submisson document atau dokumen-dokumen untuk SBKS dan sebagainya kita akan dapat detect dalam jawatankuasa ini. Dan setakat ini lima (5) pemaju telah kita kaveatkan. Kaveatkan ini maksudnya dia hendak jual rumah tak boleh, dia hendak jual tanah tak boleh, dia hendak jualan pasaran bebas rumah dia pun tak boleh, apa-apa sahaja tidak boleh sehingga mereka datang kepada jawatankuasa untuk bincang untuk membina rumah mampu milik. Dan, ada 10 pemaju dalam perhatian di peringkat kerajaan. Terima kasih.
Yang Berhormat, yang nombor dua (2) tu MD Sdn. Bhd. Mcdonald Sdn. Bhd. ke?
Bukan Datuk Speaker.
Kenapa tak nak tulis penuh?
Saya tak nak paparkan lima (5) syarikat ini. Sebab kalau saya paparkan lima (5) syarikat ini apa yang berlaku, maksudnya kalau dia melibatkan Bursa Saham dan sebagainya nilai sahamnya akan jatuh Yang Berhormat Datuk.
Dah disenarai hitamkan. Sebut sahaja lah. (Ketawa) Takut apa?
Baik Yang Berhormat, saya sebut, sebenarnya sebelum kita hendak buat keputusan untuk kaveat kan pemaju ini Datuk Speaker, kita dah berkali-kali berjumpa dan beri peluang dan kita pun dah berkali-kali kena tipu. Jadi, akhirnya di peringkat kerajaan dekat jawatankuasa ini kita putuskan ok, you tak nak buat rumah mampu milik you pun tak nak datang bincang you pun setuju dalam mesyuarat tetapi selepas mesyuarat tidak buat apa-apa tindakan. Jadi, pemaju yang terlibat pertama saya ingat Dato’ Pandak tahu kawasan dia, Leisure Farm, kedua Mainland Austin, ketiga Tebrau Bay, keempat Neraca Prisma dan Prisma Dimensi. Terima kasih.
Tahniah Yang Berhormat, Yang Berhormat akan diingati sepanjang masa kerana berani menyebut, ya. Sebab dahulu masa saya Timbalan Menteri pun apabila sekolah menengah sains itu tak siap-siap saya umum sahaja, saya panggil TV3 saya umum disenarai hitamkan, sedangkan kawan baik saya. Satu bilik ketika menunaikan haji dahulu. Tetapi, kawan-kawanlah, soalnya duit pembayar cukai hilang begitu sahaja kerana kelewatan, ya. Terima kasih Yang Berhormat, tahniah. Ya, jemput Mengkibol.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Mengkibol adalah mengenai KMK iaitu Kumpulan Menegak Kerajaan. Soalan sebenarnya pernah dibangkitkan oleh Mengkibol pada penggal, pada sesi yang lepas bulan Jun tahun lepas, di sebabkan Kumpulan Menegak Kerajaan ini sebenarnya ada kuota parti telah dimansuhkan oleh MMK pada tahun 2018 dan saya dapati sesi ini juga terdapat satu soalan dari seorang ADUN maka saya mohon jawapan daripada EXCO, adakah KMK akan dipertimbangkan lagi? Terima kasih.
Kita sebenarnya bila kita mula menggerakkan task force perumahan ini, kita boleh lihat pada tahun 2022, 2023, 2024 banyak rumah mampu milik di bina di seluruh daerah khasnya di 10 daerah dengan 26 Parlimen. Dan kita dapati bahawa untuk memberi keadilan kepada semua pemohon-pemohon jadi kita ada satu sistem yang dipanggilkan Sistem Pengundian Terbuka. Jadi maknanya di Johor ini, di Johor ini sesiapa sahaja, sesiapa sahaja hendak mohon rumah mampu milik asalkan sahaja dia orang Johor, Bangsa Johor atau dia orang, orang Melaka ke tetapi dia sudah bermaustatin di Johor lebih 10 tahun. Dia layak untuk memohon rumah mampu milik dalam sistem e-Rumah. Dahulu zaman saya, ingat zaman Datuk Speaker juga, bila kita hendak mohon rumah ini kita pergi kepada pemaju, jadi kita tanya pemaju ada tak rumah mampu milik? Pemaju cakap dah habis. Lepas itu dia suruh pergi SPT perumahan, kita pergi lah SPT Perumahan, perumahan cakap oh ada. Tapi dekat pemaju kata tak ada. Jadi, itulah yang berlaku. Tetapi hari ini, hari ini diperingkat kerajaan Johor kita telah memudahkan semua urusan. Hari ini sesiapa sahaja yang tidak ada pemilikan rumah, ini khas untuk rumah pertama. Sebab Rumah Mampu Milik Johor untuk makluman Datuk Speaker, secara puratanya kerajaan memberi subsidi, kerajaan atau pemaju memberi 100,000 setiap unit. Maknanya kalau 150,000 harga sebenar selepas dapat kunci adalah 250,000 dan untuk menjawab soalan Mengkibol, sebenarnya kita ada dipanggil rayuan. Sebab itu dalam 80% itu kita buka kepada market. Maknanya sesiapa sahaja boleh mohon dalam sistem e-Rumah. Dahulu 17 dokumen sekarang lima (5) dokumen, layak dia akan masuk dalam pengundian.
Pengundian ini sebelum pengundian berlaku kita diperingkat PKPJ akan hantar email kepada semua pemohon-pemohon yang mana layak dan dia boleh secara online tengok kita mengada pengundian. Selepas seminggu kita akan adakan dipanggil J-Home One Stop Centre. Dahulu J-Home One Stop Centre ini maknanya penyerahan sijil berlaku di daerah-daerah. Maksudnya kita turun ke daerah, contoh Batu Pahat jadi kita buat J-Home One Stop Centre dalam itu ada semua bank. Bank Muamalat, Bank Rakyat, kita ada juga SJKP kita ada juga lawyer dan pegawai, ini semua percuma. Maknanya, dulu kalau saya dapat aje sijil daripada PKPJ, dulu SUK Perumahan, saya akan pergi ke satu bank, ke satu bank, ke satu bank, ke satu bank. Sekarang ni di pihak kerajaan kita tak buat macam tu, kita buat one stop centre. Makna kita panggil semua bank, kita panggil semua lawyer-lawyer untuk bagi nasihat dan sebagainya dan di situ pemohon yang berjaya dalam pengundian tadi, bawa dokumen terus serah, terus pilih bank yang mana, yang mereka nak. Dan, kita syaratkan di peringkat bank-bank tersebut dalam masa tujuh (7) hari akan beri kelulusan dan alhamdulillah setakat ini bila ada J-Home One Stop Centre ni daripada 100, contoh 100 permohonan, 80% dalam masa tujuh (7) hari lulus dari segi loan bank tersebut. Terima kasih Datuk Speaker.
Saya jemput Yang Berhormat Tenang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor tiga (3). Terima kasih.
Sejauh manakah isu keganasan rumah tangga mengikut statistik yang direkodkan di negeri Johor sepanjang tempoh dua (2) tahun ini dan apakah langkah yang telah diambil untuk membendung kejadian tersebut?
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Tenang. Soalan yang diajukan kepada saya adalah sejauh manakah isu keganasan rumah tangga mengikut statistik yang direkodkan di negeri Johor sepanjang tempoh dua (2) tahun ini dan apakah langkah yang telah diambil untuk membendung kejadian tersebut?
Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor melalui Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sentiasa cakna dan prihatin dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan hak-hak wanita khususnya wanita di negeri Johor terbela. Polis DiRaja Malaysia melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor merekodkan statistik kes keganasan rumah tangga bagi tahun 2024 adalah sebanyak 724 kes. Manakala bagi tahun 2025, sebanyak 282 kes telah direkodkan bagi tempoh Januari hingga April. Sejak tahun 2000, 25 November telah dipilih sebagai Hari Antarabangsa bagi menangani keganasan terhadap wanita melalui Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Justeru, Jabatan Pembangunan Wanita giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan wanita tanpa mengira pangkat, latar belakang, agama dan budaya.
Datuk Speaker, salah satu inisiatif untuk membendung isu keganasan rumah tangga adalah melalui pelaksanaan pelbagai kempen, advokasi dan walk about mengenai hentikan keganasan terhadap wanita sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang disambut pada 25 November tiap tahun di bawah Domain Wanita Selamat. Melalui penganjuran tersebut ia dapat memberi kesedaran dan hebahan kepada pihak kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama menganjurkan aktiviti bagi meningkatkan kempen kesedaran, advokasi dan menggalakkan perkongsian maklumat serta inovasi dalam mencegah dan membasmi keganasan terhadap wanita.
Selain itu, Jabatan Pembangunan Wanita juga telah diamanahkan untuk mengetuai Jawatankuasa Advokasi dan Pembangunan Kapasiti di bawah Kementerian Pembangunan Wanita bagi menangani isu keganasan rumah tangga yang berfungsi sebagai platform merancang serta menyelaras, platform advokasi dan kesedaran termasuk mempertingkatkan kolaborasi strategik antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. Penggubalan Akta Anti Gangguan Seksual 2022 telah diwartakan pada 18 Oktober 2022 serta Program-program Advokasi Anti Gangguan Seksual telah dilaksanakan bagi memberikan kesedaran dan pendidikan mengenai gangguan seksual agar budaya menormalisasikan gangguan seksual dapat dihapuskan.
Datuk Speaker, secara umum sebanyak 80 program dengan pelbagai topik dan pengisian berkaitan dengan keganasan terhadap wanita termasuk gangguan seksual telah dilaksanakan di negeri Johor pada tahun 2024 dengan penyertaan peserta seramai 8,231 orang peserta program secara bersemuka dan dalam talian. Untuk makluman juga, bagi tahun 2025, kerajaan negeri Johor melalui Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM50,000.00
melalui peruntukan pembangunan bagi membangunkan Video Advokasi Anti Gangguan Seksual dan Keganasan Rumah Tangga yang akan disebarluaskan di media masa dan digital khususnya di program-program kerajaan negeri bagi mencapai objektif yang telah digariskan di atas. Terima kasih Datuk Speaker.
Ya, sila Tenang.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO Serom. Soalan tambahan saya, apakah objektif utama pembangunan Video Advokasi Anti Gangguan Seksual dan Keganasan Rumah Tangga oleh kerajaan negeri dan bagaimana kerajaan negeri akan menyebarluaskan video advokasi tersebut. Terima kasih.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Tenang. Datuk Speaker, Video Advokasi Anti Gangguan Seksual Dan Keganasan Rumah Tangga diharapkan dapat mencapai objektif seperti berikut:
Memberi pendedahan dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai gangguan seksual dan keganasan rumah tangga.
Menyebarluaskan pemakaian garis panduan dan notis anti gangguan seksual dan keganasan rumah tangga kepada semua lapisan masyarakat.
Menyampaikan maklumat berkenaan bantuan dan perkhidmatan psiko sosial yang disediakan oleh kerajaan terutamanya dalam menangani gangguan seksual dan keganasan rumah tangga.
Menjalinkan kolaborasi strategik dengan semua pihak bagi meningkatkan pencegahan dan kesedaran gangguan seksual.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, bahawa pembangunan video telah dibahagikan kepada dua fasa yang meliputi dua video pendek, dua (2) grafik gerak dan lima (5) poster. Video, grafik gerak dan poster bagi fasa satu telah selesai dalam program hebahan dan antara kaedah pelaksanaan hebahan yang akan dijalankan bagi mencapai secara menyeluruh di negeri Johor. Pertama, hebahan melalui media sosial, kedua, penggunaan papan digital LED dan banting digital di semua PBT di seluruh negeri Johor. Hebahan juga melalui tayangan video pada bas seliaan Causeway Link iaitu Handal Indah dan namun, banyak lagi kerjasama strategik yang kami jalankan dalam usaha menyebarluaskan advokasi anti gangguan seksual dalam keganasan rumah tangga, insya-Allah. Terima kasih Datuk Speaker.
Yang Berhormat, kalau suami marah isteri kerana masak tak sedap, apakah itu keganasan rumah tangga? Tak boleh jawab?
Dijemput Yang Berhormat Tangkak.
Selamat pagi, selamat sejahtera Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Tangkak nombor empat (4). Terima kasih.
Apakah hasil daripada operasi bersepadu yang dijalankan oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan dalam mengawal perniagaan warga asing dan bagaimana keberkesanan operasi ini diukur?
Dijemput Yang Berhormat Bukit Naning.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Bukit Naning nombor lima (5). Terima kasih.
Bagi melindungi kepentingan awam dari sudut kebersihan dan kesihatan, apakah langkah berkesan yang diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Kesihatan Malaysia termasuk agensi-agensi berkaitan dalam menguatkuasakan peraturan khususnya dalam menangani kebanjiran warga asing yang menjalankan perniagaan makanan tanpa permit?
Sila.
Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, ADUN Tangkak dan ADUN Bukit Naning bertanyakan tentang pengawalan peniaga warga asing.
Untuk makluman Datuk Speaker, Pihak Berkuasa Tempatan yakni PBT dari Jabatan Perlesenan, Jabatan Penguatkuasaan dengan kerjasama agensi penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan pelbagai operasi bersepadu bagi mengawal dan membanteras kegiatan perniagaan yang dijalankan oleh warga asing tanpa lesen yang sah. Antara tindakan yang telah diambil termasuklah pembatalan lesen terhadap premis yang gagal mematuhi syarat perlesenan, penutupan operasi premis yang dijalankan, perniagaan tanpa lesen serta mengeluarkan notis amaran bertulis, sitaan barangan niagaan dan juga tindakan tangkapan terhadap pekerja asing yang tidak memiliki permit sah.
Untuk makluman Datuk Speaker, kita di Johor ni memang sedia maklum, bila kita sedang menuju ke arah negeri maju, banyaklah warga-warga asing yang mengambil kesempatan khasnya di hostel-hostel yang menempatkan warga asing. Jadi, dari data yang saya paparkan ini, sepanjang tahun 2024 eh, tahun lepas hanya sekitar 11 notis dikeluarkan, 51 sitaan dan 33 kompaun melibatkan RM30,000 sahaja. Ini tahun lepas, sepanjang tahun, 12 bulan 2024. Kita, di PBT ni telah memberi arahan kepada semua PBT, setiap bulan kena ada enforcement melibatkan agensi-agensi yang terlibat. Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada Imigresen, Polis dan juga KKM. Daripada data yang dipaparkan itu, tahun ini daripada Januari sehingga April, empat (4) bulan. Dulu 11, satu (1) tahun, 11 notis sekarang meningkat kepada 72 notis. Dulu, sitaan hanya 51 sepanjang tahun dan empat (4) bulan yang pertama ni, 223 sitaan. Dulu, setahun 33 kompaun, empat (4) bulan ni 96 kompaun. Dulu RM30,000.00 sepanjang tahun. Tahun lepas, ni empat (4) bulan kita dapat collect RM68,000.00. Next, boleh slide next. Jadi, kita di peringkat PBT, saya bercakap dengan penguatkuasa PBT, Datuk-Datuk Bandar,YDP, kita dalam menguatkuasakan undang-undang ni tidak boleh retorik. Kita kena buat, kalau nak buat, kena buat betul-betul.
Jadi, apa yang kita, selepas Task Force ditubuhkan di peringkat PBT-PBT mula menggerakkan, jadi di sini boleh lihat bahawa sepanjang 16 PBT ni setiap bulan. Dua (2)
bulan sekali dan saya wajibkan tiga (3) bulan sekali agensi dia mesti bersama Polis, Imigresen dan KKM. Sebab biasa kalau PBT sahaja pergi setakat kompaun dan notis sahaja. Tetapi kalau Imigresen pergi, mana yang tak ada passport, mana yang tak ada apa, ID, kita akan tangkap. Next. Jadi ini, di Johor Bahru kita buat, di Iskandar Puteri kita buat, di Majlis Bandaraya Pasir Gudang, kita pun buat. Di MPKU, di Majlis Perbandaran Kluang, di Majlis Perbandaran Pengerang, Majlis Daerah Mersing, Majlis Daerah Tangkak, Majlis Daerah Kota Tinggi dan banyak lagi. Terima kasih.
Ya, sila, Tangkak.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih atas jawapan yang diberi oleh Yang Berhormat EXCO. Keadaannya begitu, kita tahu sejak awal tahun ini, penguatkuasaan itu memang banyak ditingkatkan tetapi juga ada isu mengenai mereka-mereka ataupun kedai-kedai perniagaan haram yang dijalankan oleh warga asing ini, selepas diambil tindakan ataupun dikompaun, mungkin lepas sebulan dua, dia akan buka balik. Mungkin di tempat yang sama ataupun kawasan berdekatan.
Jadi, soalan tambahan daripada Tangkak adalah, apakah kekerapan ataupun adakah PBT dan pihak-pihak berkenaan akan menambah kekerapan atau pemantauan terutama bukan sahaja untuk mengesan tempat ataupun perniagaan yang dijalankan oleh warga asing yang baru tetapi juga bagi mereka yang telah diambil tindakan tetapi dia buka balik perniagaan itu. Dan yang kedua, apakah indikator kejayaan yang akan diguna oleh pihak PBT atau kerajaan negeri untuk menilaikan atau mengukuh kejayaan operasi bersepadu ini dan apa impaknya terhadap perniagaan tempatan? Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih kepada Tangkak. Untuk makluman Datuk Speaker, bila kita bercakap tentang warga asing ni, tentang peniaga-peniaga haram, perkara pertama sekali kita kena ingat bahawa apa tujuan kita buat? Tujuan kita buat ialah kita nak peniaga-peniaga tempatan khasnya orang Johor, peniaga pasar malam, pasar pagi mendapat pembelaan sewajarnya.
Sebagai contoh, ada satu kawasan di pasar pagi, dia jual ikan-ikan, ikan selar, satu mangkuk tu RM10.00, lepas tu ada juga orang tempatan, dia jual RM13.00, maksudnya lebih RM3.00 lebih mahal, orang foreigner, dia jual RM10.00, dia nak dapat untung RM0.50 tetapi orang tempatan dia nak dapat untung mungkin RM2.00 sikit sahaja. Tetapi banyak orang tempatan memilih warga asing sebab dia murah. Jadi, bila kita melihat situasi begini, akhirnya apa tindakan yang kita boleh ambil? Jadi, kita tidak boleh bertolak ansur kepada peniaga-peniaga asing ini. Maknanya kalau ada peniaga asing, saya memang mengarahkan di peringkat penguatkuasa ni ambil tindakan, bukan ambil tindakan bukan sebagai tindakan sahaja, sita barang-barang dia, sebagai contoh banyak juga peniaga asing, dia guna motor, dia guna kereta. Jadi, apa kita nak tambah baik dari segi penguatkuasaan undang-undang bukan kita setakat sita barang makanan dia atau barang basah dia tetapi kita sita juga kereta dia dengan motor dia. Dan yang lebih malang lagi, ialah bila peniaga-peniaga asing ni didalangi oleh orang tempatan. Yang ni yang selalu berlaku, kedai runcit sebagainya nama memang nama orang tempatan tetapi yang berniaga foreigner, tetapi rakyat melihat bahawa seolah-olah kerajaan membenarkan perniagaan itu berlaku.
Jadi apa kita buat Yang Berhormat Datuk Speaker, kita buat satu bengkel, insya-Allah tahun ini, kita akan permohonan lesen tu, bukan setakat orang tempatan yang mohon, tetapi kita akan mintak dia suami, anak-anak, latar belakang dia. Tujuan apa, kita nak buat penguatkuasaan. Dalam masa yang sama eh, tahun ini saya ingat satu (1), dua (2) bulan ni boleh lihatlah, bila kita sita satu tempat kalau dulu, esoknya dah buka. Tetapi sekarang boleh lihat bahawa bila kita sita satu-satu tempat, bukan setakat kita sita peniaga yang menyewa itu sahaja, kita memang mintak PBT-PBT cari balik owner yang beri sewa tu untuk blacklistkan nama dia dalam sistem kita. Terima kasih.
Saya jemput Yang Berhormat Skudai.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor enam (6).
Kesedaran hak wanita dalam penceraian. Adakah program khusus yang dijalankan kepada Muslim dan non Muslim bagi memahami tuntutan dan hak mereka sebagai isteri? Ini kerana ada ramai wanita tidak tahun hak mereka terutamanya yang kurang pendidikan.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Skudai. Soalan yang ditanyakan kepada saya adalah tentang kesedaran hak wanita dalam penceraian. Apakah program khusus yang dijalankan kepada Islam dan bukan Islam bagi memahami tuntutan dan hak mereka sebagai isteri. Ini kerana ada ramai wanita yang tidak tahu hak mereka terutama yang kurang pendidikan?
Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa cakna dan prihatin dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan hak wanita khususnya wanita di negeri Johor. Antaranya di bawah Pejabat Pembangunan Wanita negeri melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan wanita tanpa mengira pangkat latar belakang agama dan budaya. Salah satu inisiatif adalah di bawah program literasi perundangan dan hak wanita di bawah domain wanita sejahtera. Secara umum sebanyak 15 program dengan pelbagai topik telah dilaksanakan di negeri Johor pada tahun 2024, dengan penyertaan peserta seramai 2,326 dengan peserta program secara bersemuka atau dalam talian. Program ini, Program IRIS ini, berfungsi sebagai medium penyampaian ilmu pengetahuan secara berfokus khususnya kepada wanita mengenai hak mereka daripada aspek perundangan.
Selain itu program juga dilaksanakan bertujuan untuk memperkasa wanita untuk lebih berani dan celik akal mengenai hak masing-masing. Selanjutnya program ini turut memberi maklumat kepada masyarakat tentang saluran aduan dan bantuan yang disediakan kepada mangsa keganasan dan ketidakadilan yang berlaku termasuk isu perkahwinan dan penceraian dalam kalangan Islam dan bukan Islam. Datuk Speaker, portfolio tidak bergerak secara silo, dengan izin, dan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai jabatan, agensi mahu pun NGO yang mempunyai kepakaran dan pengalaman mengendalikan isu perkahwinan dan penceraian akan dirujuk dan dilibatkan dalam program secara bersemuka di dalam talian atau hybrid iaitu bahagian tribunal perkahwinan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kehakiman, Syariah Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Bantuan Guaman dan pelbagai agensi lain secara berfokus.
Ahli-Ahli Berhormat sekalian, dikesempatan ini saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih saya kepada Yang Berhormat EXCO Agama kerana sentiasa menjalin kerjasama bersama portfolio saya. Jabatan Agama Islam, melalui Bahagian Pembangunan Keluarga melaksanakan pelbagai program-program kekeluargaan, khususnya yang menerangkan hak-hak suami isteri dalam perkahwinan dan juga hak suami isteri sekiranya berlaku penceraian. Program Setelah Aku Kau Miliki dan Program Keluarga Jannah yang dilaksanakan bersama Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam negeri Johor menerangkan secara khusus kepada masyarakat berkaitan hak suami isteri dalam masa perkahwinan. Manakala Program Taklimat Skim Guaman Syarie Negeri Johor menerangkan kepada masyarakat berkaitan jenis-jenis pembubaran perkahwinan dan hak-hak suami isteri selepas penceraian. Pelaksanaan kursus pra perkahwinan Islam modul (BMBKPI) menerangkan berkaitan hak suami isteri dalam masa perkahwinan dan selepas penceraian.
Datuk Speaker, selain itu, di bawah Jabatan Bantuan Guaman juga menjalankan program-program berhubung isu, hak mereka dalam penceraian untuk Muslim dan bukan Muslim. Antara program yang dijalankan adalah Program Nur Sakinah, inilah jalannya, merupakan program berkala yang diadakan sejak tahun 2020 pada setiap minggu dalam setiap bulan dengan kerjasama RTM Johor dan Johor FM. Program ini akan ke udara secara langsung di radio Johor FM pada setiap Jumaat 8:15 pagi hingga 9:00 pagi. Ia akan bersiaran secara langsung melalui Facebook Johor FM dan TikTok Johor FM. Seterusnya Klinik Guaman ke Penjara, Jabatan Bantuan Guaman juga melalui platform yang ada, telah dan masih bekerjasama dengan Jabatan Penjara dalam menyampaikan literasi kepada wanita-wantia khasnya yang ditahan reman mahu pun di hukum penjara, sama ada di Pusat Koreksional di Ulu Choh, Penjara Simpang Renggam dan Penjara Kluang. Program ini dilakukan secara berkala pada setiap bulan dan Jabatan Bantuan Guaman akan hadir ke penjara bersama pegawai dan kakitangan untuk memberikan ceramah dan kemudian memberikan khidmat nasihat dan seterusnya mewakili orang kena tuduh di mahkamah.
Seterusnya adalah Program Justice On Wheels, dengan izin, yang merupakan inisiatif Yang Berhormat Menteri Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang Reformasi merupakan sebuah van bergerak bagi memberi menyediakan perkhidmatan bantuan guaman secara mudah alih kepada masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar atau komuniti yang kurang dapat akses kepada khidmat guaman dalam memastikan semua lapisan masyarakat termasuk golongan B40 mendapat keadilan tanpa mengira lokasi geografi mereka. Justice On Wheels juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran undang-undang dan menangani isu tempatan seperti kes harta pusaka, kes perebutan anak dan lain-lain isu yang sering dihadapi oleh komuniti luar bandar. Terima kasih Datuk Speaker.
Ya, sila.
Terima kasih. Saya tertarik dengan Jabatan Bantuan Guaman dan bolehkah YB menjelaskan akta apa yang menjadi punca kuasa Jabatan Bantuan Guaman dan peranannya untuk membantu dalam kes-kes isu wanita dalam perkahwinan?
Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih Skudai. Datuk Speaker, Jabatan Bantuan Guaman ini sememangnya, merupakan wadah yang tepat bagi golongan wanita khasnya
tanpa mengira status pegangan agama mereka untuk mendapatkan bantuan nasihat mahu pun bantuan guaman terdapat masalah rumahtangga yang mereka hadapi. Peranan Jabatan Guaman ini dulunya dikenali sebagai Biro Bantuan Guaman sebelum ditukar penjenamaan nama kepada Jabatan Bantuan Guaman pada Januari 2010. Bagi memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang Jabatan Guaman yang selama ini berperanan untuk mengendalikan, mengelola, mengurus, memberi bantuan yang secukupnya kepada golongan wanita untuk menyelesaikan permasalahan rumahtangga serta mendapatkan hak-hak mereka mengikut landasan serta peruntukan undang-undang yang digubal khusus untuk mereka.
Datuk Speaker, Akta Bantuan Guaman 1971, yang digubal berperanan menjadi punca kuasa bagi Jabatan Bantuan Guaman dalam memulakan tindakan undang-undang di mahkamah. Bagi membantu masyarakat khasnya golongan wanita, yang mempunyai masalah bukan sahaja hal-hal perceraian, isu hak penjagaan anak, nafkah isteri, nafkah anak, harta sepencarian, aset perkahwinan dan isu-isu lain yang berada di bidang kuasa Jabatan Bantuan Guaman. Suka saya kongsikan di sini bahawa di bawah akta ini bidang kuasa sivil dalam Jadual Ke-3 telah memperihalkan bahawa perihal prosiding yang boleh dijalankan terhadap wanita antaranya:
1. Prosiding di bawah Akta Perempuan Bersuami dan Anak,
2. Prosiding di bawah Akta Perintah Nafkah Kemudahan dan penguatkuasa untuk perintah sementara, prosiding di bawah Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak, prosiding berhubung dengan nafkah jagaan, penceraian harta sepencarian dalam mahkamah yang mentadbirkan hukum syarak mana-mana orang atau peguambela atau peguamcara dibenarkan hadir.
Undang-undang Syariah iaitu Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah Negeri Johor mengambil peranan dalam perlaksanaan prosiding berhubung klausa tindakan berkaitan wanita-wanita Islam.
Datuk Speaker, selain itu, daripada program yang memberikan bantuan, sebenarnya wanita berdepan dengan isu rumahtangga terdapat lagi inisiatif yang turut dijalankan untuk membantu golongan yang memerlukan, merangkumi pelbagai latar belakang dan keperluan kes sivil, kes jenayah dan khidmat pendamping guaman. Datuk Speaker, disebabkan oleh kekangan masa sepanjang sidang dewan...
Bagi jawapan bertulis Yang Berhormat.
Baik Datuk Speaker. Terima kasih Datuk Speaker.
Saya jemput Tenang tetapi tak ada soalan tambahan.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor tujuh (7).
Apakah terdapat cadangan penambahbaikan dari aspek elaun pegawai serta peruntukan lain kepada surau Jumaat memandangkan peranan serta fungsi surau Jumaat menyamai peranan masjid ketika ini?
Datuk Speaker, saya minta izin saya jawab ringkas. YB Tenang bertanya tentang kebajikan tambah baik kepada surau-surau Jumaat terutamanya pegawai-pegawai surau Jumaat. YB Tenang, surau Jumaat ini maksudnya satu kebenaran yang diberikan kepada surau harian atau pun surau institusi, yang sepatutnya dia tak buat sembahyang Jumaat Datuk Speaker, tetapi sebab ada keperluan, maka kita tambah baik dengan apa tu, perkenan Tuanku dan juga fatwa yang dikeluarkan. Maka untuk negeri Johor, keseluruhan ada 191 buah surau Jumaat, ini termasuk surau institutsi lah. Kalau surau harian sahaja ada 144 buah. Maka kebajikan tambahan pasal pegawai-pegawai surau Jumaat setakat ini Datuk Speaker, kerajaan Johor melalui MAIJ ya, bersama kerajaan kita memperuntukkan RM5.014 juta untuk menaikkan elaun 100% kepada 5,206 orang imam, bilal, noja di masjid dan surau yang di Johor ini, jadi itu kekuatan kita. Tapi surau Jumaat ni, kalau ikut YB Tenang beliau nak tanya apa kelebihannya? YB Tenang, kelebihan surau Jumaat ni dia ada, kutipan hari Jumaat. Saya ada surau juga, tetapi saya surau harian, orang tak ramai. Tapi YB Tenang ada surau Jumaat, setiap hari Jumaat tu melimpah orang. Sebenarnya surau Jumaat YB Tenang tu, lebih, lebih banyak kutipannya berbanding surau harian saya. Jadi YB Tenang bagi pihak bagi Jabatan Agama Islam sebenarnya kami tak ada masalah, kalau surau kariah itu, ada nak memperuntukkan tambahan kepada pegawai masjid suraunya. Boleh, sebab tugasnya dah bertambah itu bincang dengan jawatankuasa surau Jumaat, umum kepada kariah bahawa surau Jumaat nak beri elaun tambahan kepada imam, bilal, noja dipersilakan. Tapi asalkan sebab dia duit kariah, umum kepada kariah, kita dapat kelulusan kita benarkan. Datuk Speaker, terima kasih.
Saya jemput yang terakhir, Yang Berhormat Maharani.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor lapan (8).
Apakah usaha dan tindakan kerajaan negeri Johor bagi melaksanakan pengharaman vape (rokok elektronik) secara total di negeri Johor yang telah diwartkan pada tahun 2016?
Bismillahirahmaanirrahim. Untuk makluman Datuk Speaker, ADUN Maharani bertanyakan tentang pelaksanaan pengharaman vape atau dipanggil rokok elektronik secara total di negeri Johor yang telah diwartakan pada tahun 2016.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor telah menguatkuasaan pengharaman terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik vape bermula 1 Januari 2026. Sejak pewartaan larangan tersebut, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan iaitu PBT di seluruh Johor dengan kerjasama agensi penguatkuasa seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan pengharaman ini dipatuhi sepenuhnya. Antara usaha dan tindakan yang telah diambil oleh PBT di negeri Johor adalah dengan tidak mengeluarkan sebarang lesen perniagaan berkaitan vape. Selain itu, operasi bersepadu juga diadakan secara berkala oleh Jabatan Penguatkuasa
Perlesenan PBT bersama JKNJ, PDRM terhadap premis yang dikesan menjual vape secara terbuka atau tersembunyi. Sebanyak 327 premis telah diperiksa dalam operasi khas vape yang dilaksanakan oleh 16 Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Johor dalam tempoh 2022 sehingga 2025. Tindakan-tindakan penguatkuasaan yang telah diambil melalui sitaan seperti peranti, cecair vape, pengeluaran kompaun dan notis pelanggaran syarat lesen, penutupan premis serta tindakan pembatalan lesen terhadap premis yang tidak patuh. Pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan oleh Jabatan Penguatkuasa dan Pelesenan di peringkat PBT. Kerajaan Johor akan terus komited melaksanakan dasar pengharaman vape secara menyeluruh melalui tindakan penguatkuasaan secara konsisten serta pendekatan bersepadu antara agensi bagi memastikan kesihatan rakyat sentiasa jadi keutamaan. Terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran seramai 30 orang pemerhati daripada kawasan DUN Bukit Permai di bawah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. Ada? sila bangun. Dan 30 orang pemerhati daripada DUN kawasan Larkin di bawah Yang Berhormat Pengerusi Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor. Ya, selamat datang. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam persidangan yang sama. Hari ini, pagi ini kita tak ada rehat, jadi kalau ada Ahli-Ahli Yang Berhormat nak keluar sekejap, boleh. Dan kalau nak minum boleh minum di bilik Speaker kat belakang ni, ada nasi lemak. Jadi kita teruskan ya sampai tengah hari sebab selepas ini ada Ahli-Ahli Yang Berhormat ni akan terlibat dengan program lawatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, sila.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.Address / budget
Ahli-Ahli Yang Berhormat, untuk makluman pada hari ini kita akan mendengan penggulungan daripada Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa. Masa yang diberikan ialah 20 minit, tapi kita ni mesti habis pukul 12.00. Jadi kalau boleh jangan lebih, kalau boleh ringkaskan 10 minit lagi bagus. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya jemput Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam.
Datuk Speaker saya minta maaf saya menunggu teks saya belum sampai, saya minta izin Datuk Speaker untuk giliran yang berikutnya, maaf Datuk Speaker.
Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Belia dan Sukan, Pembangunan Ushawan dan Koperasi.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Gunung Ledang tinggi menjulang, air mengalir ke muara sungai, amanah rakyat tanggungjawab gemilang, demi Johor tercinta, kami berbakti. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang mulia, awal bicara saya merakamkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi diberikan kesempatan peluang dan ruang bersama Yang Berhormat EXCO-EXCO Kerajaan Negeri yang lain bagi menyampaikan ucapan penggulungan di
dalam Dewan yang cukup mulia bagi Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor yang Ke-15. Pagi ini juga patik merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih atas ucapan Pembukaan Sidang Dewan Negeri Johor oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku. Sesunggunhya ucapan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan dan kebijaksanaan Duli Yang Amat Mulia Tunku dalam mendepani isu-isu semasa di Johor malah ia menjadi panduan serta pedoman buat kita semua bagi melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat jelata. Insya-Allah, patik dan seluruh rakan-rakan pasukan akan bekerja dengan sinergi yang lebih baik khususnya dalam merealisasikan hasrat Duli Yang Amat Mulia Tunku yang mahu melihat Johor menerajui agenda sport nation dengan izin menjelang tahun 2030. Yang Berhormat Datuk Speaker, di kesempatan ini juga tidak terlewat, saya selaku EXCO Belia dan Sukan Negeri Johor ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Belia Negara kepada semua, 2,000,000 belia-belia orang muda Johor dan hari Belia Negara ini disambut setiap 15 Mei setiap tahun yang merupakan sambutan pada tahun ini adalah yang ke-61 tahun sejak ianya disambut buat pertama kalinya pada tahun 1964. Insya-Allah kerajaan negeri Johor sentiasa meletakkan komitmen dan peka dengan usaha-usaha yang berterusan demi kecemerlangan generasi belia sebagai generasi rakan pembangunan negeri Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, menerusi persidangan kali ini juga, selain infrastruktur Pendidikan, masalah banjir dan banyak lagi yang dibangkitkan Ahli-Ahli Dewan menyertai sesi perbahasan terdapat juga maklum balas berkaitan di bawah portfolio saya yang diberikan sama ada dalam bentuk soalan, cadangan, sokongan mahupun teguran yang dilontarkan oleh pihak kami dan juga pihak pengimbang. Terima kasih juga pada pagi ini saya ucapkan kepada Yang Berhormat Pemanis, Kahang, Mahkota, Bukit Batu, Parit Yaani, Gambir, Parit Raja, Penawar, Senggarang dan Pekan Nanas yang bertanya dan memberi cadangan serta sokongan terhadap isu-isu atau perkara yang berkait di bawah portfolio-portfolio di bawah khususnya tanggungjawab saya. Selain itu, saya telah memperhalusi soalan-soalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Dewan dan setiap maklum balas yang diberikan saya menerima dengan berlapang dada. Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang mulia, Yang Berhormat Pemanis dan juga Yang Berhormat Kemelah ada membangkitkan isu mengenai kemudahan sukan iaitu mini stadium daerah Segamat. Sememangnya kerajaan negeri Johor memahami keperluan kemudahan khususnya buat komuniti setempat dalam usaha membina sebuah masyarakat yang aktif dan juga berdaya sosial. Untuk makluman Yang Berhormat Pemanis dan juga Kemelah, terdapat beberapa cadangan tapak mini stadium atau TMYIC di Segamat. Di antaranya adalah di Bandar Baru Segamat, Mukim Segamat, Sungai Segamat DUN Kemelah. Yang kedua juga di Bandar Segamat Mukim Sungai Segamat, DUN Jementah tapak Rekreasi Hampar berdekatan dengan rizab tapak rekreasi ada 5 ekar, sebentar tadi di Bandar Baru Segamat ada 10.7 ekar, di DUN Kemelah dan juga di DUN Labis di Tenang, Mukim Labis, tapak Bukit Mambai rizab Kompleks Rakan Muda ada 18.3 ekar yang mana pentadbiran daerah telah mengadakan beberapa siri perbincangan mencadangkan keutamaan tapak adalah di Bandar Baru Segamat, tapak berhampiran dengan Mahkamah Segamat, rizab itu seluas 10.7 ekar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Parit Raja juga membangkitkan isu pembinaan TMIYC, ramai rupanya yang suka TMIYC. Menjunjung kasih di atas ilham Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail. Isu yang dibangkitkan oleh Parit Raja berkaitan dengan TMIYC. Ada juga perbahasan mencadangkan agar pembinaan itu dibuat di dalam kawasan Taman Putra Kencana Sri Gading, Parit Raja. Terima kasih Yang Berhormat Parit Raja atas keprihatinan terhadap orang muda Johor di Batu Pahat. Dan untuk makluman Yang Berhormat Parit Raja, berdasarkan pemakluman daripada Majlis Perbandaran Batu Pahat, pembinaan TMIYC di Batu Pahat dicadangkan di tapak rizab kompleks sukan di Taman Pura Kencana, Sri Gading dengan cadangan pembangunan keluasan seluas 10.58 ekar, sebagaimana terpapar pada slide ataupun LED ketika ini. Pembangunan TMIYC akan melibatkan tiga (3) komponen. Terima kasih Yang Berhormat Bukit Permai kerana satu sinergi yang cukup baik. Di antara PBT dan juga di bawah Jabatan Belia, Majlis Sukan Negeri Johor yang mencadangkan beberapa komponen di dalam TMIYC di Batu Pahat. Yang pertamanya adalah komponen rekreasi, komponen keusahawanan, komponen-komponen di dataran yang terdiri daripada dataran terbuka berserta juga ada pentas dan litar remote control. Saya juga dimaklumkan pembinaan TMIYC Batu Pahat ini juga akan menelan kos berjumlah RM20,000,000.00 dengan tempoh pembinaan adalah selama 24 bulan. Yang Berhormat Datuk Speaker, suka juga saya kongsikan, untuk makluman Yang Berhormat Parit Raja dan semua Yang Berhormat di kawasan Batu Pahat termasuk kawasan Datuk Speaker, perkembangan terkini TMIYC Batu Pahat. Status tapak pada ketika ini sedang dalam proses pembersihan dan penambakan tanah oleh pemaju Genting Properties Sdn. Bhd. sebagaimana yang tertera pada dalam slide yang ditunjukkan. Bagi tujuan pelaksanaan projek, pihak Majlis Perbandaran Batu Pahat telah pun mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan juga telah dimasukkan dalam cadangan permohonan projek Rancangan Johor Lima (5) Tahun Fasa Yang Ketiga. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Parit Yaani, yang memberikan penghargaan kepada usaha kerajaan negeri Johor dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti Southern Volunteers dan juga Dewan Muda Johor bagi memperkasakan peranan orang Muda Johor. Parit Yaani juga menyebut dan mencadangkan agar usaha diperluaskan dan mengwujudkan penggerak-penggerak di setiap kawasan bagi memperkasakan Orang Muda Johor di peringkat akar umbi agar mereka terus menyumbang dan berbakti kepada kemajuan negeri Johor. Terima kasih atas cadangan yang baik yang disuarakan oleh Parit Yaani namun, cadangan ini membabitkan implikasi kewangan dan insya-Allah Parit Yaani saya akan memperincikan perkara ini bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Sukan, Belia dan juga Sukarelawan dan juga Majlis Belia Negeri Johor sebelum ianya dilaksanakan dan diperluaskan kesemua kawasan-kawasan DUN. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Gambir dan juga Pekan Nanas membangkitkan isu naik taraf gelanggang sukan di Gambir, penambahbaikan fasiliti sukan di seluruh kawasan luar bandar termasuk Pekan Nanas bagi membolehkan anak-anak muda di sana dapat manfaatkan kemudahan yang baik dan selesa. Untuk makluman Yang Berhormat Gambir, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor sentiasa peka dan mengambil maklum berkenaan permohonan Gambir untuk menaik taraf salah satu gelanggang futsal di
dalam kawasan Bukit Gambir untuk dinaikan taraf kepada gelanggang berbumbung. Dan untuk makluman, selain di angkat ke peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Yang Berhormat boleh juga membuat permohonan dan dipanjangkan ke pihak Kementerian Belia dan Sukan berdasarkan status tanah peruntukan yang sedia ada dan dipertimbangankan. Dan untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih daripada 1,000 gelanggang futsal di bawah Kementerian Belia dan Sukan memang tidak dinafikan banyak yang uzur dan hari ini status-status tanah kita tengah lihat balik sama ada tanah PBT ataupun tanah Pejabat Daerah akan diserahkan semula kepada status core atau pun Pejabat Daerah ataupun PBT untuk diselenggarakan. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat juga, Pekan Nanas ada juga menyuarakan usaha penambahbaikan fasiliti sukan di semua lokasi, termasuk di kawasan luar bandar sentiasa menjadi keutamaan dan fokus ketika ini dalam memastikan agenda aktif Johor serta sport nation dapat dijayakan. Justeru itu, saya mencadangkan kepada Yang Berhormat Pekan Nanas dan semua Ahli Yang Berhormat untuk menyenaraikan semua fasiliti sukan di kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berada di dalam Dewan ini untuk kami meneliti semula di kawasan-kawasan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Senggarang dalam perbahasannya ada membangkitkan mengenai sukan bot laju kawasan, kawalan radio atau RC yang pernah dianjurkan di kawasan Yang Berhormat oleh satu pasukan yang digerakkan oleh Persatuan Belia Warisan Lurus. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Johor mengambil maklum dan mengalu-alukan sebarang usaha menyemarakkan sukan. Tidak kiralah sukan berbentuk hobi, sukan rakyat mahupun sukan berprestij tinggi. Justeru, tidak ada halangan untuk Persatuan Belia Warisan Sungai Lurus berjumpa ataupun menjemput saya sendiri menyaksikan kejohanan bot laju itu insya-Allah jika ada ruang masa, saya akan menyantuni mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Bukit Batu ada juga membangkitkan dan menyatakan daerah Kulai masih belum mempunyai stadium rasmi yang mana stadium rasmi yang untuk manfaat kepada 300,000 populasi penduduk di sana. Bukit Batu, saya minta Bukit Batu pergi survey-survey di dalam kawasan Kluang. Ada ataupun tidak ada stadium, jangan sampai, ah Kulai. Jangan sampai netizen yang menghukum menyuarakan salah statement. Saya sedikit membetulkan kenyataan ataupun ayat yang digunakan oleh Yang Berhormat Bukit Batu supaya tidak mengelirukan Dewan yang mulia ini dan menimbulkan persepsi di mana seolah-olah kerajaan tidak ada langsung membina kemudahan stadium di daerah Kulai. Jadi, paparannya ada Mini Stadium Kulai, cuma saya menjemput Bukit Batu bersama-sama dengan saya, memandangkan Bukit Batu rapat dengan PMX so saya mengajak untuk sama-sama kita mencari peruntukan untuk membina balapan di Kulai mungkin yang bertaraf antarabangsa boleh menganjurkan ke peringkat international. Saya mengajak sekali lagi Bukit Batu untuk bersama-sama dengan saya.
Dalam perbahasan Yang Berhormat Bukit Batu menyatakan cadangan lokasi strategi di Taman Puteri, Kulai, Bandar Putra ataupun di Indra Putra Yang Berhormat boleh mengemukakan permohonan itu ke KBS dan membawa surat rasmi bersama dengan saya untuk berjumpa dengan PMX untuk menarik peruntukan membantu Kerajaan Negeri Johor. Yang Berhormat ...
Mungkin stadium ini Yang Berhormat, mungkin stadium ini dekat kayangan kot? Dia tak nampak.
Ha, itulah dia tak pusing tu Yang Berhormat. Yang Berhormat Datuk Speaker, selain berkaitan dengan portfolio Belia dan Sukan perkara yang berkaitan portfolio Pembangunan Usahawan dan juga Koperasi juga tidak ketinggalan dibangkitkan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Kahang, yang mengambil berat terhadap kumpulan usahawan-usahawan belia dan ingin mengetuai sebarang bentuk sokongan usahawan-usahawan belia di negeri ini selain cadangan program inkubator usahawan muda masyarakat India. Untuk makluman Yang Berhormat Kahang, antara Geran permulaan perniagaan untuk anak muda yang telah dilaksanakan dan merangkumi iaitu menerusi PUJB, Program Mentor Menti, Zero To Hero ia merupakan satu inisiatif di bawah Belanjawan Johor 2025 bagi memperkasakan usahawan belia, ia bertujuan untuk membimbing usahawan belia yang baru memulakan perniagaan menerusi konsep mentor menti yang mana mentor akan dipilih daripada usahawan Johor yang terbukti berjaya dalam kelangsungan perniagaan serta mampu berkongsi pengalaman dan membimbing usahawan muda. Program ini sedang dilaksanakan sehingga tiga (3) bulan bermula April hinggalah bulan Ogos 2025 dengan fokus tertumpu mengenalkan usahawan yang baru belajar melalui pengalaman mereka. Di akhir program itu seramai 30 usahawan belia insya-Allah, menerima manfaat menerusi tawaran geran start up atau pun permulaan perniagaan sehingga RM10,000 setiap orang.
Dan, menerusi Yayasan Inovasi Malaysia merupakan agensi di bawah MOSTI iaitu MICE ataupun akar umbi merupakan sebuah projek yang bermatlamat untuk mempertingkatkan dan memacu usaha pembangunan dan pengkomersialan inovasi akar umbi yang berpotensi di Malaysia dan melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak seperti kerajaan, industri, masyarakat akar umbi dan juga golongan muda.
Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Kahang cadangan program inkubator usahawan muda India boleh dilaksanakan. Insya-Allah dengan penyelarasan juga melibatkan PBT dan agensi yang memiliki premis di lokasi strategik, penyelarasan di Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dengan kerjasama juga menerusi Unit Transformasi Masyarakat India, MITRA yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja juga mencadangkan memperluaskan rangkaian kursus dan latihan yang ditawarkan kepada usahawan muda luar bandar iaitu penguasaan perniagaan secara digital, teknologi terkini seperti AI. Dan, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Parit Raja menerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor ataupun MPUNJ agensi seperti Jabatan Pertanian dan juga PUJB sentiasa melaksanakan pelbagai kursus terutamanya mengikut kehendak masa kini antaranya invois, e-Invois, chat, Chat GPT, kecerdasan pembuatan atau pun melalui AI, pemasaran menerusi TikTok dan juga Shopee dan selain itu juga kita melaksanakan kursus-kursus merangkumi seluruh daerah sama ada secara fizikal mahu pun dalam talian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun 2025 pelaksanaan kursus keusahawanan digerakkan di bawah inisiatif ataupun insentif didik usahawan Bangsa Johor yang selaras oleh PUJB. Seramai 4,000 usahawan dijangka menerima manfaat daripada program ini menerusi sebanyak 100 siri kursus dan juga latihan sehingga Mei 2025 sebanyak 55 siri kursus diadakan melibatkan 2,545 usahawan. Dan, sebanyak 28 kursus anjuran Jabatan Pertanian yang berunsurkan pemasaran digital dan juga aplikasi teknologi terkini telah dirancang pada tahun 2025 dengan sasaran seramai 580 orang sehingga Mei 2025 sebanyak enam (6) kursus telah dilaksanakan di pelbagai daerah dan melibatkan seramai 149 peserta.
Dan juga Yang Berhormat Datuk Speaker, Penawar juga menanyakan berkaitan dengan koperasi di luar bandar terutama di kawasan kampung, di lihat mampu memainkan peranan yang penting dalam merancakkan sektor pelancongan. Suruhanjaya Koperasi Malaysia, SKM boleh membatu koperasi yang terlibat dalam aktiviti pelancongan ini dengan menawarkan pembiayaan kepada koperasi baharu sehingga RM100,000.00 dan juga bagi koperasi yang sedia ada boleh cuba memohon dengan pembiayaan tanpa cagaran sebanyak RM200,000.00.
Sebagai penutup Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang mulia, kesimpulannya dari ucapan jawapan dan cadangan yang telah saya utarakan sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan kepada sesi sidang Dewan dan akan soalan-soalan juga perkara yang telah diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat selaku EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan, Usahawan dan juga Koperasi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada semua jabatan-jabatan dan juga pasukan yang berada di bawah portfolio saya yang terus bekerja keras siang dan malam bagi memastikan, bagi memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi rakyat Johor. Kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah pun menyentuh perkara-perkara yang berkaitan di bawah portfolio saya, saya telah cuba yang terbaik, saya telah cuba yang terbaik dan saya telah cuba yang terbaik untuk memberikan semua jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat perkara-perkara yang terlepas pandang saya memohon ampun dan maaf, tindakan susulan akan diambil oleh ketua-ketua jabatan. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh dapat dijernihkan, yang kurang dapat ditambahkan.
Saya akhiri ucapan penggulungan pada pagi ini Datuk Speaker dengan membaca pantun skrip. Burung Merpati terbang sekawan, hinggap sebentar di dahan jati; ucapan diakhiri dengan penuh harapan, negeri Johor Allah berkati. Kepada Allah kita berserah. Sekian. Wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Semerah dah ready ke? Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam.
Bismillahirrahmaanirrahim. Terima kasih Datuk Speaker, saya minta maaf sekali lagi sebab anak buah saya ingat tadi rehat. Dia mereka, terkejut sekejap. Datuk Speaker, Dewan yang mulia menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor atas titah dan pandangan Baginda yang begitu berwibawa sarat dengan hikmah dan penuh kebijaksanaan. Titah
Tuanku sentiasa menjadi pedoman dan inspirasi dalam menjunjung amanah membangunkan negeri Johor yang berdaulat ini.
Assalamualaikum warahmatullah. Salam Maju Johor. Patik dan seluruh rakyat menjunjung kasih atas ketekunan dan kesungguhan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan. Patik juga mengambil ruang ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan JDT atas kejayaan berganda juara Piala Malaysia 2024 serta mengekalkan Liga Super Malaysia. Kejayaan ini tidak boleh dinafikan Johor memang jadi Johor.
Datuk Speaker, Islam adalah cara hidup, dia bukan hanya ritual tapi sistem kehidupan yang tersusun subur. Datuk Speaker izinkan saya mengambil peringatan dari Al-Quran al-Karim surah As Syura ayat 34 (bacaan surah). Allah sebut siapa yang dia dakwa diri dia mematuhi, memenuhi peraturan Allah SWT antara cirinya kena buat tiga perkara. Pertamanya Datuk, sembahyang. Kita Johor ada Semarak Subuh dan wajib lima (5) waktu itu satu kewajipan. Kemudian Allah kata (bacaan surah), semua perkara keputusan mesyuarat, bincang. Dewan Negeri Johor antara platform yang paling baik semua YB ajukan soalan nyatakan masalah, kita perkukuhkan, teliti dan kita selesai. Itu ciri kedua, nampaknya Dewan Johor ini memenuhi keperluan itu. Dan ketiga Datuk, (bacaan surah). Dan mereka menginfakkan sebahagian daripada pendapatan kekayaan mereka ke jalan Allah SWT. Maka Datuk Speaker, dalam tempoh 20 minit saya pasti saya boleh patuhi saya akan penuhi 10 pertanyaan daripada Yang Berhormat-Yang Berhormat kawasan, YB Pemanis, Bukit Kepong, Tenang, Layang-Layang, Simpang Jeram, Penawar, Senggarang, Kempas, Maharani, Pulai Sebatang yang diajukan dalam perbahasan mereka saya jawab di sini.
Datuk Speaker, YB Pemanis bertanya tentang pemantauan kepada asnaf yang mohon bantuan tapi bagaimanakah memperkasakan permohonan itu terutamanya asnaf yang mohon perniagaan dan peralatan MAINJ? Datuk Speaker, Dewan yang mulia, bantuan berdikari ini YB Pemanis atau Skim Bantuan Dana Niaga Usahawan MAINJ ada sejak tahun 2013. Cartanya pun ada. Skim ini memberi bantuan modal kepada usahawan asnaf terutamanya daripada jumlah RM5,000.00 peralatan sehingga bawa RM10,000.00. Tapi penggal Dato’ Onn Hafiz ni Datuk Speaker, kita dah boleh naikkan sampai RM50,000.00 mengikut perusahaan yang berdaya maju. Sehingga kini sebanyak 1,550 orang asnaf menerima bantuan peralatan dan jumlah keseluruhannya daripada peruntukan zakat RM6,449,193.57 tunai. Tunai tu panjang sikit Datuk Speaker. Hari Jumaat, baju melayu ada butang pula tu, dia punya rasa tunai tu lain sikit.
Datuk Speaker, pernah jadi juga ada asnaf ni yang kadang-kadang kurang bertanggungjawab bagi peralatan dijualnya, itu yang YB Pemanis ni, mintakan hasrat, supaya dah bagi satu hal, nak mantau ni. Datuk Speaker, MAIJ tak reti nak mantau, sebab kami bukan pakarnya.Tapi kami dah berusaha dengan PUJB, YB Hairi kita, ya, dengan Jabatan Pertanian contohnya, dengan MARA, maka ini antara agensi yang membantu kita membuat seliaan pemantauan bersama supaya usahawan-usahawan ini, YB Tenang, mereka tersusun, mereka tak di biar sepi begitu.
Datuk Speaker, nak beritahu bawah Halal Johor, Pelan Kemajuan Halal Johor, kita sediakan RM500,000.00 untuk kita bantu 100 orang asnaf dapat Sijil Halal. Sebelum ni orang kata meniaga dekat tepi jalan, meniaga dekat warung tak boleh dapat halal sebab susah, YB Tenang. Dapurnya kena asing, payah tetapi berkat usaha yang Yang Berhormat semua bagi nasihat dan juga saranan kita sediakan nama dia Modul Halal Cottage, kita bantu usahawan
kecil ni 100 orang untuk mereka dapatkan Sijil Halal dan kita bantu dengan MITI dan HDC supaya produk-produk mereka dapat menembusi pasaran yang bukan hanya tempatan. Selesai YB Tenang, saya berhenti di situ.
YB Bukit Kepong ada bertanya tentang tak boleh ke kita punya rumah kediaman bina baru asnaf ni. YB Bukit Kepong tanya, tak boleh ke buat rumah yang ada tiga (3) sampai empat (4) kelamin. YB Datuk Bukit Kepong, saya menjawab, sebenarnya model yang MAIJ buat rumah itu penambahbaikannya mengikut model yang KPRJ sediakan. Model yang PKPJ sediakan. Jadi, saya kira untuk tiga (3) buah rumah, tiga (3) buah bilik setakat ini memadai tapi bagaimana yang Datuk Speaker pernah cadangkan bolehlah buat untuk empat (4) bilik rumah, saya rasa itu boleh sangat kita usahakan untuk lakaran pelan yang baru.
MAIJ tak pernah mengehadkan, dia tiga (3), empat (4) kelamin serumah ke, kadang-kadang anaknya kalau nak dibagi satu biji rumah seorang nampak macam tak adil pula Datuk Speaker. Maka, satu keluarga, satu rumah tapi kalau tiga (3), empat (4) kelamin kita boleh ikhtiarkan mungkin kalau ramai sangat cucunya itu keluarga yang ramai kelamin tu pindahkan ke rumah lain, kita sewakan rumahnya, bantuan sewah rumah kepada keluarga itu. Jadi, saya menjawab untuk YB Datuk Bukit Kepong.
Bagi maksud YB Tenang juga ada bertanya tentang ketetapan agar masjid membuat potongan KWSP kepada semua pegawai masjidnya. Datuk Speaker, YB Tenang, masjid yang ada tabungan sendiri, kutipan Jumaatnya banyak, kita tak pernah halang pun kalau masjid ini buat perkiraan dan keputusan untuk mengKWSPkan semua pegawai dan urus tadbirnya pun boleh. Sebab sekarang ini kerajaan cuma SOCSOkan, carumkan dia punya pegawai masjid, surau.
Pengerusi masjid pun ada tanya juga Datuk Speaker, dia ni mengelola masjid, surau tapi tak ada pula dicarumkan. Datuk Speaker, sebab pengerusi tu boleh menguruskan kewangan masjid, surau, saya punya nasihat kepada semua pengerusi-pengerusi masjid, surau, YB Tenang, boleh gunakan peruntukan yang kariah sumbang tadi tu dalam tabungnya, gunakan kembali untuk kebajikan Jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid yang lain. Pengerusi Masjid pun Datuk Speaker nak ada elaun pun boleh, menggunakan duit kariah itu, tapi saya dah beritahu, umum pada orang kampung, bagi tahu mulai bulan depan Pengerusi masjid nak ambil elaun RM1,000.00 kalau dia beranilah. Tapi, kena terang kepada orang kampung, lepas tu kalau orang kampung dia contohnya YB Simpang Jeram tak bersetuju, awak jawablah dengan orang kampung awak. Sebab itu duit kariah, kalau kariah benarkan dia tahu pengerusi surau, masjid ni dia rajin takkanlah tak boleh elaun sikit, ha itu buatlah sebab Allah sebut surah As-Syura (Bacaan Al Quran). Bincang, kerajaan tak ada masalah. Boleh begitu YB Tenang, saya rasa menjawabkan soalan?
Kemudian, kita nak bagi tahu YB Layang-Layang ada juga menyebut pasal apakah kegunaan lebihan zakat? YB Layang-Layang sebut, betul Datuk Speaker, zakat Johor tahun lepas RM412 juta. Mari saya paparkan kepada Dewan yang mulia, apakah kegunaannya. Pertama Datuk Speaker, kita gunakan untuk semua perkara-perkara yang dinyatakan seperti dalam carta itu. Saya boleh bacakan sedikit sebanyak ini, ini banyak juga ni kang panjang pula masanya. Bahawa semua kutipan zakat memang dikembalikan kepada asnaf yang lapan dan bahagian-bahagian yang lain juga Datuk Speaker, dikembalikan kepada penggunaan awam seperti mana paparan yang saya sebutkan tadi. Maka, Datuk Speaker,
kegunaan wang zakat mesti habis tahun semasa. Maka, telah pun kita buktikan. Maka, kita telah pun melaksanakannya.
Datuk Speaker, selanjutnya saya pergi kepada YB Simpang Jeram, bertanya tentang komitmen kerajaan dalam menetapkan jawatan tetap Imam Muda demi memperkukuhkan institusi agama, keimaman di Johor ini dan seterusnya memartabatkan peranan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan umat. Datuk Speaker, masjid dan surau kerajaan, memang kerajaan sediakan, YB Simpang Jeram. Masjid kariah, surau kariah memang ketika ini, kariah yang tanggung. Bagi maksud bantuan dan penyaluran manfaatnya saya boleh bukakan di sini bahawa masjid dan surau masih terbuka memohon kepada kerajaan dan sumbangan melalui kerajaan mahupun Tabung Pembangunan Masjid Surau boleh kita salurkan sekiranya ada keperluan. Tapi, untuk kita menambahkan jawatan imam tetap, dia bergantung kepada masjid kerajaan dan juga jumlah perjawatan yang kita tetapkan. Tapi, saya gembira YB Simpang Jeram, kita terbuka untuk sebarang cadangan penambahbaikan.
YB Penawar juga menyebut kepada kita tentang pertanyaan beliau bahawa harapan untuk membina Sekolah Agama baru di Taman Desaru Utama, bagi menampung kepadatan murid di Sekolah Agama Bandar Penawar yang sekarang ini juga menumpang sebahagiannya di Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar dan Sekolah Kebangsaan Bandar Penawar 2. YB Penawar, saya tahu sangat. Sebab itu, untuk tahun 2025 ini, selepas lebih kurang, saya tak salah, lapan (8) tahun, kerajaan Johor tidak membina sekolah agama, maka tahun ni kita bina semula. Dan ada tiga (3) buah sekolah yang memang bina baru, Datuk Speaker dan dua (2) buah sekolah yang dapat bangunan baru.
Keperluan ini memang banyak YB Penawar, tapi saya nak bagi tahu itulah penambahbaikan yang kita buat untuk Belanjawan 2025 ada tiga (3) buah sekolah baru dan dua (2) buah sekolah yang dapat bangunan baru. Tetapi keperluan di Penawar, saya akan ambil kira untuk mudah-mudahan dapat masuk ke dalam fasa 6C YB Penawar pada tahun depan mudah-mudahan. Sebab turutan yang tunggu tu Datuk Speaker, banyak tetapi kita ambil kira YB Penawar punya pandangan dan juga harapan ini.
Datuk Speaker, kemudiannya saya lihat kepada YB Senggarang. Ada bertanya tentang, berharap membina dua (2) buah surau baharu di Surau Jalan Benteng, Parit Hailam dan Parit Makmor dan juga Surau As-syakirin di Kampung Sungai Kalong dan mohon agar dapat memberikan tambahan bagi membina baharu Masjid Parit Kemang.
Datuk Speaker, kita nak bagi tahu, kita sentiasa menyediakan kemudahan untuk ahli kariah membina masjid dan surau yang baru dan untuk membina surau dan masjid baru Datuk Speaker, masjid khususnya YB Senggarang, ada tiga pihak yang bertanggung jawab. Pertama, peruntukan daripada kerajaan pusat, daripada ICU. Ini besar jumlahnya YB Senggarang, 60%. Maka, kalau kita nak buat masjid antara kebenaran yang kita kena ambil daripada Pejabat Kadi, Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti, kita kena usahakan juga supaya peruntukan kerajaan pusat 60% ni, kita peroleh.
Pihak kedua yang kena bertanggung jawab adalah kerajaan negeri sendiri, portionnya Datuk Speaker, 30% dan 10% adalah daripada ahli kariah itu sendiri. Maka, 60, 30, 10, 100%. Tapi, yang biasanya bermasalah Datuk Speaker, ialah tentang menunggu kelulusan kerajaan pusat selaku stakeholder terbesar yang memberikan peruntukan ini. Tapi saya kira Datuk Speaker, dengan hubungan baik kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat di bawah
Kerajaan Madani ni, kita mudah cerita. Jadi, saya alu-alukan YB Senggarang bahawa semua permohonan ini mesti negeri akan sokong dan marilah kita usahakan bersama.
Datuk Speaker, kemudiannya YB Kempas bertanya pasal menyusun semula Pelan Strategik Jangka Panjang bagi pembangunan holistik masyarakat terutamanya yang melibatkan masjid dan surau. YB Kempas, Datuk YB Kempas, saya nak bagi tahu sejak 2023 lagi, MAIJ dah ada inisiatif pemasangan wifi percuma di masjid dan surau secara berperingkat. Datuk Speaker, sehingga ke tahap ini, 86% melibatkan 276, 278 buah masjid, surau telah pun dipasang dengan wifi percuma. Datuk YB Kempas, saya kira, mudah-mudahan inisiatif kecil ini, dapat membantu hasrat kita agar semua masyarakat mendapat kemudahan internet termasuk di masjid dan surau kita.
Datuk YB Speaker, kemudiannya daripada YB Maharani yang bertanya tentang kuota penerima elaun Guru Al Quran. Beliau mencadangkan agar dinaikkan kepada 60%, sekarang ini 30% sahaja sebab Guru Quran yang dapat setakat ini seramai 267 orang. Datuk Speaker, saya nak bagi tahu YB Maharani, saya kongsikan kuota Guru Al Quran sebanyak 1,733 orang, betul, ramai YB Maharani, tapi ketika ini yang dikuotakan mendapat elaun hanyalah sebahagian sahaja sebab ada kuotanya. Saya gembira YB Maharani mencadangkan agar kerajaan memberikan pendekatan dan juga penelitian agar elaun Guru Quran ini dibesarkan kuotanya kepada yang lain.
Datuk Speaker, tapi jangan lupa kerajaan negeri telah pun menaikkan elaun Guru Quran awal penggal kita 2023, Guru Quran kita Datuk Speaker, kerajaan negeri bayar RM3.45 juta dan MAIJ sendiri bayar RM4.489 juta. Ini bagi membolehkan Guru Quran dinaik, mendapat kenaikan RM50.00 daripada RM300.00 kepada RM350.00, ini Guru Quran Am. Guru Quran Am ni banyak di kawasan YB-YB semua. Mereka ni yang kurang, kurang ada ilmu Taranum tapi ada, kurang. Tapi Guru Quran Khas, Datuk Speaker, RM500.00 kita naik pada RM550.00 yang ni yang kalau berlagu Datuk Speaker, sedap, ini elaunnya tinggi sikit. YB Maharani, saya gembira atas nasihat dan panduan ini, bahkan saya terbuka untuk mencadangkan kepada pihak MAIJ agar kuota ini ditambah kepada Guru Quran yang lain.
Pulai Sebatang, YB Pulai Sebatang bertanyakan tentang proses meroboh surau dipermudahkan, agar orang yang nak buat surau baru, orang yang nak baik pulih surau tidak diperpayahkan. YB Pulai Sebatang, terima kasih atas nasihat tersebut, cumanya, prosedur merobohkan surau ini memang ada dan kena patuhi. Datuk Speaker, saya beri nasihat kepada semua YB, tolong saya, tolong Kadi Daerah, tolong Pengerak Masjid Surau, tengok kawasan kita, kalau-kalau ada surau dan masjid yang buat pembinaan ataupun buat struktur baru tanpa izin. Ini Datuk Speaker, memang menyalahi kita punya peraturan. Bukan tak bagi orang imarahkan masjid, surau tapi dia kena berperaturan. Kena ada jabatan teknikal yang tengok strukturnya, kena tengok perbelanjaannya supaya semua proses ini selamat, YB Pulai Sebatang maka itulah disebabkan hal itu, ada peraturannya. Cuma saya terima nasihat dari Pulai Sebatang bahawa janganlah sampai peraturan itu menyusahkan. Kadang-kadang Datuk Speaker, duit dah ada, kariah nak support semua, tapi peraturan kami mungkin lambat ataupun kurang cekap itu saya ambil kira sebagai perkara yang mesti ditambah baik supaya memakmurkan urusan-urusan daripada...
Maksudnya, maksudnya tak boleh diroboh begitu sahaja Yang Berhormat?
Datuk Speaker, sebab surau, masjid ini binaannya rata-rata dan wajib dengan sumbangan wakaf. Harta wakaf ini, Datuk Speaker, kalau kita robohkan dan buang tak tentu arah, tak tepati hukum kita. Jadi, sebab itulah campur tangan daripada Pejabat Kadi terutamanya mesti ada. Bukan menidakkan usaha kariah tapi sebab sumbangan yang diterima awal pun itu Datuk Speaker, ada surau yang 70 tahun, kayunya baik, tapi orang kampung dah tak nak dah surau kayu. Kayu itu tak boleh jual kepada mana-mana orang, selamba gitu. Dia kena direkodkan dengan sangat tertib Datuk Speaker, tidak menyusahkan tapi itulah kecantikan Islam sebagai cara hidup, dia menyusun daripada lahir budak sampai mati kita pun ada susunan peraturan dia. Tapi, saya ambil kira Datuk Speaker, kalau lewat saya pun tak boleh terima, dia mesti berperaturan, ada proses, pemakluman kepada ahli kariah supaya ahli kariah tak menunggu-nunggu macam bulan tak jatuh-jatuh daripada langit Datuk Speaker.
Datuk Speaker, saya terima kasih kepada semua. Akhirnya, YB Pulai Sebatang juga ada sentuh pasal Palestin. Isu ini Datuk Speaker, tak pernah lekang pada jiwa kita. Kerajaan Johor menubuhkan Tabung Kasih Rakyat Palestin tahun lepas. YB Pulai Sebatang bangkitkan, saya terima kasih. Saya nak laporkan kepada Dewan yang mulia, bahawa peruntukan yang kita semua sumbangkan kepada Tabung Kasih Palestine tahun lepas, ke mana perginya? Datuk Speaker, pertama saya nak bagi tahu, kita ada dua (2) kaedah.
Pertama, menghantar ha tu dia, gambarnya tu, itu saya di Jordan Datuk Speaker, di sempadan Jordan, Israel. Kalau tanya kita , kita nak sebut Jordan, Palestine. Tapi orang sana sebut Israel Datuk Speaker, sebab rapat, dekat betul. Datuk Speaker, saya tetap nak kata sempadan Jordan, Palestine. Saya sampai ke hangar tersebut, kita himpunkan barang-barang sumbangan rakyat Johor dan Bangsa Johor tanpa kira agama tuan-tuan dan puan-puan, menyumbang kepada kutipan berjumlah RM2.5 juta dan kita programkan secara empat (4) program Datuk Speaker.
Perama, program pada 13 September hingga 27 September, ini program yang pertama kutipan. Kutipan dan cukup Datuk Speaker, kita buat program yang kedua Datuk Speaker, iaitulah penghantaran bantuan. Penghantaran bantuan juga ada dua (2) tahap dia. Datuk Speaker yang pertama kita hantar duit dahulu, sebelum kita boleh terbang ke Jordan ni, kita hantar duit dulu. Datuk Speaker kita ada bukti video dan pengesahan daripada pihak Palestine sana dan NGO yang dibenarkan masuk. Makanan yang disumbangkan oleh Bangsa Johor dinikmati oleh rakyat Palestine di kem-kem pelarian mereka yang kita masak secara panas dan diberikan kepada mereka. Tepukan untuk seluruh Bangsa Johor. (Dewan bertepuk). Itu makanan, hantar duit dulu. Kita datang pada hujung tahun pada tahun lepas maaf pada awal tahun ini, maaf saya silap, 2025. Kita hantarkan duit dan lihat barang Datuk Speaker, antara yang menarik, yang masih belum lepas sempadan ini, adalah khemah atau kita panggil Kampung Bangsa Johor. Kita semua sumbang duit, kerajaan Johor antaranya dipulangkan secara bakul makanan, hantar sudah, makanan masak basah pun dah sampai.
Kita yang belum lepas Datuk Speakeer, ikut laporan ialah khemah Kampung Johor nanti sepatutnya Datuk Speaker orang Palestine ini dia akan dapat khemah yang baik, saya pun tengok kualitinya bagus, boleh muat dalam enam (6) ke lapan (8) orang, sebuah keluarga. Khemah itu yang belum lepas, sebab sebahagian daripada binaan khemah itu ada pulak Datuk Speaker binaan barang-barang besi. Isreal ni takut dengan besi Datuk Benut. Dia takut orang Palestine gunakan nak lawan kerajaan dia. Jadi ada kemungkinan, kita kena ubah speks khemah itu, semuanya kena yang, agaknya nak kata plastik macam tak kuat ya,
tetapi apa juga yang tak ada unsur plastik, yang tak ada unsur besi sebab baru lepas ke sempadan teruk betul Israel ni, memang menyusahkan orang, kita nak bantu sebab kemanusiaan dia pulak banyak syarat-syarat dia. Datuk Speaker, Dewan yang mulia, cukup masa saya. Terima kasih kepada Dewan, terima kasih kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat semua, terima kasih kepada semua kelima-lima kakitangan kerajaan di bawah portfolio saya, Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Kehakiman dan Pendakwaan atas usaha berterusan tuan-tuan dan puan-puan semua. Datuk Speaker saya berdiri di sini. Terima kasih. (Dewan bertepuk).
Tak ada pantun Yang Berhormat ya? Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Bismillahirahmannirahman. Assalammualaikum warahmatullahi wabaraktuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk memberi ucapan penggulungan bagi pihak kerajaan dalam Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-15. Dengan hormat dan penuh takzimnya patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor atas perkenan merasmikan sidang Dewan pada kali ini. Patik menjunjung titah ucapan serta nasihat Tuanku agar memastikan kebajikan Bangsa Johor sentiasa diberi keutamaan. Patik merafak sembah takzim menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang sentiasa mengambil berat akan hal ehwal berkaitan wanita, kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya di negeri Johor. Kerajaan negeri Johor melalui portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa berusaha dalam memastikan golongan sasar sentiasa terbela. Menerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor sentiasa mengambil cakna titah Yang Yang Amat Che’ Puan Mahkota dan akan terus berperanan aktif, serta bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain, pengelibatan pertubuhan badan bukan kerajaan, komuniti dan masyarakat setempat amat dialu-alukan dan juga dititik beratkan. Ampun Tunku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Kukup yang membangkitkan isu berkenaan kesediaan pengurusan, dalam membuka pusat pemindahan sementara. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam pengurusan bencan, khususnya Jabatan Kebajikan Masyuarkat Negeri Johor, yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara sepanjang musim monsun timur laut. Kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan bantuan kepada mangsa bencana disalurkan dengan segera, menyeluruh dan berkesan, selaras dengan arahan NADMA nombor satu (1), JKM merupakan agensi bantuan dan pemulihan di tempat kejadian. Memainkan peranan penting dalam menyelaraskan operasi di pusat pemindahan sementara, mengurus keperluan asas serta memberi sokongan psikososial kepada mangsa. Antara langkah kesiapsiagaan utama yang telah diambil oleh kerajaan Johor, termasuklah penyelarasan awal Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah untuk menentukan petugas dan penyelarasan logistik. Kedua, latihan simulasi bencara tahunan bersama NADMA, APM, RELA dan NGO bagi memastikan petugas itu bersedia. Penempatan awal stok keperluan seperti khemah, makanan dan kit kebersihan serta transit strategik di setiap daerah. Penugasan pegawai penyelaras PPS
bagi memastikan pengurusan di lapangan lebih cekap. Perlaksanaan saluran maklum balas komuniti sebagai asas penambahbaik berterusan.
Datuk Speaker walau bagaimanapun kita mengetahui bahawa masih terdapat cabaran di lapangan terutamanya apabila berlakunya banjir kilat atau kenaikan paras air secara mendadak khususnya di kawasan pendalaman. Sebagai contoh Datuk Speaker, di daerah Pontian sebanyak 22 buah PPS telah dibuka dalam tempoh yang singkat melibatkan lebih 2,700 orang mangsa. Saya dimaklumkan terdapat kelewatan bantuan yang berlaku seperti PPS Sungai Tempayan, disebabkan kekangan akses dan kekurangan keperluan asas. Sepanjang MTL seramai 344 orang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 764 orang sukarelawan telah digerakkan di seluruh negeri dengan kekuatan 27 buah kenderaan operasi. Untuk makluman Yang Berhormat, daerah Pontian sahaja 28 pegawai dan 30 sukarelawan memainkan peranan aktif dalam menguruskan bantuan di lapangan. Justeru, kerajaan negeri menyedari bahawa pengurusan bencana tidak boleh digalas oleh satu agensi semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama erat antara jabatan kerajaan, petubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat. Datuk Speaker pendekatan holistik dan kesiapsiagaan bersepadu, akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri Johor dalam memastikan setiap rakyat yang terjejas mendapat perlindungan bantuan dan pemulihan sewajarnya dalam saat-saat genting. Dengan segala langkah dan komitmen ini, kerajaan negeri akan berusaha memperkukuh sistem pengurusan bencana agar kebajikan rakyat Johor terus terpelihara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Kepong, Penggaram dan Kemelah yang menunjukkan prihatin terhadap bantuan sosial demi kelangsungan hidup rakyat. Kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa sentiasa komited bantuan disalurkan kepada rakyat mengikut keperluan semasa. Secara prinsipnya, bantuan kewangan kerajaan adalah bersifat sementara bagi membantu client meneruskan hidup dan fungsi sosial bersama keluarga. Setiap permohonan bantuan melalui proses siasatan dan kelulusan yang mengambil kira prinsip kerja sosial dalam mengenal pasti keutamaan bantuan.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Jabatan Kebajiakan Masyarakat telah mengeluarkan satu garis panduan Pengurusan Bantuan Kewangan Persekutuan Bulanan tahun 2025 yang mula berkuatkuasa 1 Januari 2025. Garis panduan ini melibatkan penambahbaikan kadar bantuan dan kelayakan bagi skim-skim berkaitan. Objektif bantuan adalah merangkumi memenuhi keperluan asas penerima, memberi sokongan ke arah hidup berdikari, memastikan penerima kekal tinggal bersama komuniti, menjadi sumber kewangan sementara untuk kelangsungan hidup. Jabatan Kebajikan Masyarakat memproses permohonan yang memenuhi syarat asas iaitu warganegara dan bermastautin di Malaysia serta berpendapatan isi rumah di bawah pendapatan garis kemiskinan PGK atau PGK per kapita. Syarat tambahan lain, tertakluk kepada jenis bantuan masing-masing. Pengiraan kelayakan menggunakan kaedah PGk miskin tegar semasa juga diambil kira:
1. Jumlah pendapatan seluruh isi rumah;
2. Purata per kapita isi rumah berdasarkan bilangan ahli.
Untuk makluman, antara skim bantuan yang menggunakan PGK isi rumah, adalah pertama, bantuan kanak-kanak, bantuan penjagaan OKU atau pesakit kronik, bantuan warga emas, bantuan anak pelihara dan bantuan am. Manakala bantuan seperti elaun pekerja OKU dan bantuan OKU tidak berupaya bekerja menggunakan PGK individu sebagai rujukan. Kelulusan permohonan berdasarkan PGK dan per kapita isi rumah mengikut skim tertentu jika layak, satu (1) rumah boleh menerima lebih daripada satu jenis bantuan.
Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Kemelah, bagi memperbaharui bantuan atau frasa kaji semula kes yang digunakan oleh Jabatan Kebjikan Masyarakat, adalah bertujuan untuk mendapatkan status terkini penerima bantuan melibatkan lokasi tempat tinggi, status kesihatan dan kelayakan pendapatan. Pelaksanaan kaji semula ini adalah dibuat mengikut garis panduan Bantuan Kewangan Persekutuan tahun 2025, merujuk kepada Bahagian empat (4), Intervensi Kaji Semula Pemantauan Penilaian. Terdapat dua (2) perlaksanaan kaji semula yang perlu dilaksanakan. Pertama bantuan bulanan produktif yang melibatkan skim bantuan berikut, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya, bantuan latihan perantis dan bantuan anak pelihara. Penerima bantuan sedia ada perlu mengisi borang kaji semula bagi mengemaskini maklumat dalam tempoh tiga (3) bulan sebelum tempoh kelulusan bantuan tamat untuk menentukan sama ada bantuan masih sesuai diteruskan atau tidak. Borang yang perlu dan lengkap perlu dikembalikan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat terdekat untuk siasatan kaji semula bantuan.
Datuk Speaker sekiranya klien tidak mengembalikan borang itu dalam tempoh yang ditetapkan atau tidak hadir ke pejabat pada tarikh temujanji dengan alasan munasabah pegawai kes akan membuat lawatan ke rumah bagi tujuan siasatan kaji semula. Bantuan bulanan tidak produktif melibatkan skim bantuan warga emas, bantuan OKU tidak berupaya bekerja, bantuan penjagaan OKU terlantar, pesakit kronik terlantar, pesakit kronik tidak terlantar. Pegawai kes tidak perlu melaksanakan proses kaji semula tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh bantuan. Manakala penerima bantuan tidak perlu mengemukakan borang kaji semula lanjutan borang bantuan tidak proaktif dilaksanakan automatik antara satu (1) hingga tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh bantuan melalui sistem e-bantuan JKM.
Yang Berhormat Penggaram, sekiranya penama bantuan yang layak telah mencapai usia 60 tahun, pegawai kes boleh menukarkan bantuan penerima kepada skim bantuan warga emas, dengan syarat penerima memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dalam skim tersebut. Inisiatif dan penambahbaikan akan sentiasa dilaksanakan mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan negeri Johor dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela selaras dengan aspirasi Maju Johor, Rakyat Sejahtera. Kerajaan akan terus memperkukuh dasar dan sistem penyampaian agar tiada golongan rentan yang tercicir dalam menerima bantuan yang sewajarnya. Saya menyeru semua Ahli-Ahli Yang Berhormat agar terus memberi sokongan kepada usaha ini demi kesejahteraan rakyat negeri secara menyeluruh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Skudai, atas prihatin dalam mengenengahkan Kempen Kesedaran Kanser Reprodukif Wanita atau lebih dikenali dengan istilah Wcare Johor. Kerajaan negeri Johor melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) senitasa cakna akan wanita dalam segala aspek. Oleh itu kempen kesedaran kanser reproduktif wanita ini diwujudkan dalam usaha mempromosi Program Subsidi Ujian Memogram dan Program Saringan Kanser Servik Ujian HPV DNA dan dan menetapkan kesedaran saringan awal
kanser di kalangan wanita. Di Malaysia, kanser payu dara merupakan kanser utama yang menyerang kaum wanita dan juga penyebab kematian dalam kalangan wanita manakala kanser serviks merupakan kanser keenam tertinggi yang berlaku dalam kalangan wanita Malaysia. Bagi negeri Johor, terdapat peningkatan ketara wanita Johor yang menyertai kempen We Care dan di antara tahun 2022 sehingga 2024. Pada tahun 2022, seramai 4,584 wanita menjalani kedua-dua saringan. Jumlah wanita Johor yang menyertai kedua-dua saringan ini pada tahun 2023 meningkat pada 20% iaitu seramai 5,731 orang berbanding tahun 2022.
Datuk Speaker, seterusnya tahun 2024, LPPKN Johor telah mula mendapat tajaan peruntukan sebanyak RM120,000.00 oleh Kerajaan Negeri Johor dalam Belanjawan Johor 2024 sebagai tajaan bayaran bagi fi pendaftaran dan pemeriksaan klinikal payu dara untuk 8,000 wanita. Walau bagaimanapun, wanita yang menjalani saringan kanser di bawah We Care melebihi sasaran iaitu 8,546 orang. Situasi ini boleh dikatakan menggambarkan ramai wanita lebih sedar tentang kesihatan reproduktif dan tampil menjalani saringan selepas kerajaan negeri menaja fi pendaftaran dan fi pemeriksaan klinikal payu dara. Lebih awal wanita mengetahui keputusan saringan, lebih cepat tindakan susulan dapat dilakukan. Pada tahun 2025, Kerajaan Negeri Johor yang komited menyokong usaha pencegahan kanser telah memberi peruntukan sebanyak RM300,000.00 dalam Belanjawan 2025 untuk pelaksanaan Kempen We Care bagi setiap DUN.
Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Parit Raja, yang membangkitkan berkenaan penambahan kuota penerima bantuan khususnya menjalankan perniagaan secara home-based. Jumlah penerima bantuan di bawah skim ini adalah bergantung kepada peruntukan yang diterima oleh YPKDT. Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta melalui Program Pemerkasaan Sokongan Ekonomi Wanita dan Golongan Sasar. Program ini merangkumi beberapa sub-program iaitu kursus kemahiran asas, bantuan peralatan asas perniagaan serta kursus intensif perniagaan. Berdasarkan peruntukan tersebut Datuk Speaker, kuota penerima bantuan yang ditetapkan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri adalah sebanyak tujuh (7) orang. Namun begitu, pihak Yayasan Pembangunan Keluarga bersedia untuk mempertimbangkan penambahan kuota sedia ada sekiranya terdapat peningkatan peruntukan pada masa akan datang.
Datuk Speaker di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Johor yang sentiasa memberikan kerjasama terhadap Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor dalam menjayakan inisiatif-inisiatif yang digerakkan di bawahnya. Sepanjang sesi perbahasan, saya mendengar Yang Berhormat Tenang, Yang Berhormat Mahkota, Yang Berhormat Penawar turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada kami di portfolio ini. Saya sampaikan satu pantun skrip pada semua. Air sejuk dari perigi, diminum bersama di tengah hari; amanah diberi kami junjungi, kerjasama YB penguat diri.
Datuk Speaker, maka setakat ini sahaja yang dapat saya sampaikan untuk sesi penggulungan kali ini. Terdapat beberapa soalan yang telah saya jawab. Walau bagaimanapun, sekiranya ada persoalan berbangkit dari pihak Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tak sempat saya jawab pada hari ini dan bahas ini akan diberikan jawapan secara bertulis.
Terima kasih sekali lagi saya ucapkan pada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang sentiasa memberikan pendapat, idea dan cadangan melibatkan portfolio ini. Dengan semangat muafakat dan iltizam yang jitu, marilah kita terus berkhidmat dengan penuh amanah dan integriti demi menjayakan agenda Maju Johor, Rakyat Sejahtera. Semoga kerjasama dan komitmen kita semua akan terus memperkukuhkan pembangunan negeri menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih maju dan rakyat yang lebih sejahtera.
Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Ketua-Ketua Jabatan, kakitangan jabatan dan kakitangan pejabat di bawah Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sentiasa bertungkus lumus dan bersiap sedia dengan segala tugasan yang dipertanggungjawabkan. Sekian, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Serom. Dipersilakan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam sesi penggulungan perbahasan di Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan yang Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Di kesempatan ini, patik ingin merakamkan ucapan merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan yang Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 16 Mei yang lalu. Patik yakin dan percaya bahawa titah ucapan buat julung kalinya di dalam Dewan yang mulia ini disambut baik oleh semua Ahli Yang Berhormat. Segala titah nasihat dan ingatan Duli Yang Amat Mulia Tunku sentiasa patik semat di dalam ingatan sepanjang menjalankan amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bermula daripada konteks Warisan dan Budaya, pertama-tamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana telah memperuntukkan RM812,000.00 bagi merakyatkan seni budaya Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar. Aspirasi Yang Amat Berhormat Menteri Besar sangat tinggi bagi inisiatif ini. Bagi mengenal pasti pengusaha kraf dan penggiat budaya yang dapat memberi komitmen di KSAB, melalui kerajaan negeri menerusi Yayasan Warisan Johor pada awal Januari kita telah adakan sesi libat urus bersama penggiat budaya dan pihak berkepentingan. 120 orang peserta yang hadir dengan membawa 66 resolusi. Lapan (8) teras cadangan jangka masa pendek bagi tahun 2025/2026 telah kita ambil penekanan. Antaranya adalah transformasi Rumah Limas Johor khususnya di kaunter tiket KIC dan galeri cenderamata premium, Pavilion Kraf Tangan Bangsa Johor, Pavilion Permainan Tradisional Bangsa Johor, Pentas Seni Budaya, Medan Gastromi Johor, kedai cenderamata mampu milik, penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan awam dan terakhir transformasi digital dan kecerdasan buatan AI. Melalui sesi libat urus ini ia memberi peluang kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor budaya untuk menyuarakan pandangan dan keperluan mereka untuk memberi komitmen yang terbaik buat negeri Johor.
Semalam, saya telah menjawab soalan YB ADUN Senggarang mengenai penambahbaikan kemudahan yang telah dan akan dilaksanakan di KSAB bagi menjadikan KSAB sebagai Pusat Kebudayaan Johor Dan Pusat Kecemerlangan. Saya mengambil semangat Tahun Melawat Johor 2026 bagi mengetengahkan persembahan kebudayaan yang terbaik dari Bangsa Johor meliputi semua kaum dan artis budaya yang semestinya hadir dari kalangan kaum itu sendiri. Konsep persembahan hujung minggu yang akan dibawa di Kompleks Sultan Abu Bakar adalah Gendang Bangsa Johor, persembahan yang menggabungkan gendang tiga (3) bangsa utama di negeri Johor iaitu Jidur, Gendang 24 Musim dan Gendang Urumi. Selain persembahan tarian Johor, persembahan tarian Orang Asli, persembahan tarian kaum India, persembahan tarian kaum Cina, persembahan tarian zapin, persembahan peragaan busana Johor dan finalenya ialah Joget Lambak dan Zapin Rewang.
Persediaan Yayasan Warisan Johor dengan program-program berimpak tinggi pada tahun 2025 ini sehingga ke Tahun Melawat Johor 2026 sangat memberi kesan dengan kedatangan-kedatangan pelancong ke KSAB. Pada tahun 2023, statistik pengunjung ke KSAB menunjukkan sebanyak 70,608 pengunjung. Tahun 2024, 146,936 pengunjung dan tahun 2025 sehingga April sahaja kita sudah mencapai 29,458 pengunjung. Peningkatan KPI pengunjung kita semakin bertambah di KSAB setelah susunan program persembahan hujung minggu dilaksanakan bermula awal tahun 2026.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh kepada perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat, setiap kali Persidangan, YB ADUN Pemanis sentiasa menitik berat berkaitan kebudayaan. Cadangan YB ADUN Pemanis bagi merancakkan lagi usaha menyambut Tahun Melawat Johor 2026. Majlis Kebudayaan Negeri Johor akan menyelaraskan program sebagaimana yang dicadangkan seperti flash mob zapin di semua pintu masuk negeri Johor pada majlis kebudayaan daerah. Selain itu, setiap majlis kebudayaan daerah juga diwajibkan untuk merangka dan merancang program kebudayaan meliputi semua Bangsa Johor di daerah masing-masing dengan mengetengahkan keunikan dan keindahan budaya warisan seni yang ada. Usaha bagi memperkasa kebudayaan dan kesenian di setiap daerah akan melibatkan penggiat seni dan budaya masing-masing melalui Majlis Kebudayaan Daerah. Manakala bagi program di peringkat negeri akan melibatkan Yayasan Warisan Johor dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor bagi menyemarakkan lagi program kebudayaan dengan kerjasama Tourism Johor selaku agensi peneraju yang akan menggerakkan seluruh jentera pelancongan bagi menyambut Tahun Melawat Johor 2026.
Cadangan untuk mewajibkan semua hotel, rumah penginapan yang ada dalam negeri Johor akan dilaksanakan pada acara majlis pelancaran Tahun Melawat Johor 2026 yang dijangka akan berlaku pada bulan Ogos 2025 ini. Oleh itu, dengan penglibatan semua pihak hotel dan rumah penginapan akan diedarkan lagu-lagu instrumental dan juga lagu-lagu yang mempromosikan budaya dan masyarakat Bangsa Johor. Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada YB ADUN Bukit Naning atas kenyataan yang penuh semangat yang memperlihatkan iltizam yang kuat dalam menyokong agenda pembangunan pelancongan dan pemeliharaan warisan budaya negeri Johor. Penekanan terhadap seni warisan seperti kuda kepang, zapin dan ghazal Johor membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan warisan tak ketara untuk terus hidup dan disemai dalam kalangan generasi muda.
Tidak saya tinggalkan juga untuk menjawab kepada perbahasan YB ADUN Johor Lama. Saya pernah nyatakan pencerahan daripada perbahasan YB ADUN Johor Lama sebelum ini dalam penggulungan saya. Hari ini saya lebihkan perinciannya dengan tindakan yang kita telah jalankan. 17 buah tapak makam yang mempunyai nilai warisan sejarah yang signifikan di kawasan DUN Johor Lama yang telah dapat dikenal pasti. Tapak-tapak ini juga telah disenaraikan dalam senarai inventori dan sebagainya telah diwartakan menerusi pewartaan negeri. Antara tapak makam yang telah diwartakan adalah Kompleks Makam Bukit Seluyut dan Kompleks Makam Tauhid dengan nombor warta JPU.60 pada 27 Oktober 2016. Pihak Yayasan Warisan telah menjalankan siri bengkel bertemakan sumbangsara berhubung pemeliharaan dan pemuliharaan tapak makam bersama agensi berkaitan. Input daripada sumbang saran tersebut yang dicadangkan adalah pembangunan expect facility seperti penyediaan papan tapak tunjuk arah, penaiktaraf wakaf sedia ada, laluan ke kawasan makam, pembinaan pintu gerbang, laluan pejalan kaki, landskap, penyediaan jeti, wakaf pengunjung, parkir kereta, pagar dan expect konservasi dan restorasi makam. Hasil sumbang saram ini adalah sebagai blueprint untuk dimasukkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Kota Tinggi untuk melihat semula potensi penambahbaikan tapak dan makam bersejarah di daerah Kota Tinggi. Pelbagai agensi kerajaan juga seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah, Tourism, MOTAC, Jabatan Warisan Negara, Perancang Bandar, Jabatan Kerja Raya akan dilibat samakan dengan sesi tersebut bagi pengisian cadangan dan saranan dalam memulihara kawasan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Sedili seterusnya, Yang Berhormat Datuk Speaker seterusnya bagi menjawab YB Sedili pada persoalan apakah peranan dokumentasi Johor dalam memajukan pelancongan warisan dan memartabatkan bahasa kebangsaan. Pusat Dokumentasi Johor ditubuhkan pada 19 April 1999 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2000. Pusat dokumentasi Johor terletak di Kompleks Sultan Abu Bakar di Bangunan Dokumentasi Bahagian Penyelidikan Dan Dokumentasi Warisan dahulu dikenali sebagai Bahagian Persuratan dan Sejarah. Objektif penubuhan Pusat Dokumentasi Johor yang lebih dikenali PDJ adalah untuk memelihara koleksi warisan sejarah, persuratan, kesenian dan budaya negeri Johor.
Pusat Dokumentasi Johor ini menghimpunkan lebih 11,000 bahan. Antara bahan yang terdapat di PDJ ialah koleksi nadir buku jurnal, keras seminar dan majalah. Bahan-bahan ini menjadi rujukan pengunjung seperti pelajar mahasiswa, penyelidik dan pengkaji. Manakala proses pendigitalan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan koleksi nadir. Antara peranan penting Pusat Dokumentasi Johor di dalam dapatkan bahasa kebangsaan ialah dengan mengiktiraf penulis dan penggiat sastera serta bahasa anak kelahiran negeri Johor. Melalui Anugerah Sastera Johor. Anugerah Sastera Johor dianjurkan sejak 1996, setiap dua tahun sekali telah melahirkan ramai penulis mampan dan penulis pelapis di peringkat negeri.
Seterusnya, penulis membawa nama Johor ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara sebahagian nama-nama penulis yang pernah menerima Anugerah Sasterawan ialah Adibah Amin, Zaharah Nawawi, Shapiai Mohd Ramli, Zam Ismail dan Aminah Mokhtar. Anugerah penggiat sastera Johor pula diberikan kepada Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Manakala Anugerah Penulis Muda Johor membariskan sebahagian nama iaitu Mawar Shafie, Shamsudin Osman, Nazim Mohd Subari, W.B. Rendra dan MF Kencana. Malah ada daripada kalangan penulis muda ini telah menerima pengiktirafan antarabangsa iaitu The South East Asia Write Award (S.E.A Write Award). Pengiktirafan tertinggi kepada
penulis dari Asia Tenggara. Seterusnya, Pusat Dokumentasi Johor melaksanakan Pprogram Jejak Warisan Persuratan bertujuan menyantuni serta menyelami pengalaman tokoh-tokoh penulis mampan di daerah-daerah negeri Johor. Manakala, Bicara Pengkarya Johor mengundang tokoh penulis muda Johor yang berpotensi besar untuk berkongsi pandangan dalam segmen khas di Pusat Dokumentasi Johor. Selain itu, Pusat Dokumentasi Johor juga mengadakan jalinan kerjasama bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan serta Persatuan Penulis Johor melalui program-program bahasa.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada sidang yang lepas saya ada menyatakan pemeliharaan warisan seni dan budaya negeri Johor terutama usaha untuk mempromosi bahan-bahan berkaitan seni warisan hasil kraftangan negeri Johor, saya amat berbesar hati dan berterima kasih dengan sokongan padu daripada semua Bangsa Johor. Pada 7 Mac yang lalu, Galeri Tenun Johor yang merupakan salah satu galeri di bawah kelolaan Yayasan Warisan Johor telah melancarkan Kain Benang Johor Koleksi Qalbu Edisi Pertama. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor kerana menyambut baik kraftangan negeri Johor bagi pemakaian dalam kalangan masyarakat khususnya penjawat awam negeri. Koleksi tersebut didatangkan dengan harga yang berpatutan yang mendorong lebih ramai penjawat awam negeri memakai pada setiap Jumaat, hari Jumaat. Untuk edisi pertama ini, sebanyak 17 warna, 2,400 helai Kain Benang Johor telah habis dijual. Saya tahu ada yang tanya akan ada lagi ke KPJ, Kain Benang Johor di Galeri Tenun. Buat makluman semua, edisi kedua Qalbu akan mula dijual kembali pada bulan Jun nanti dengan penghasilan sebanyak 16 warna dan 2,000 helai yang akan dikeluarkan sebelum ditutup edisi ini sepenuhnya.
Bagi menjunjung kasih titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor bagi menjayakan industri pelancongan dalam menaik taraf infrastructure pelancongan bangunan warisan, saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dengan peruntukan bagi menaik taraf kerja-kerja konservasi, mekanikal, elektrikal dan pameran di Muzium Tokoh Johor. Promosi yang agresif telah dirancang untuk kita laksanakan bagi mendapat pengiktirafan dunia iaitu daripada International Council of Museum dan UNESCO. Pengiktirafan negara daripada MOTAC dan Jabatan Muzium Malaysia dan negeri melalui Tourism Johor di mana pengiktirafan ini membuka kepada pelancong luar dan dalam negara dengan sasaran 250,000 pengunjung pada tahun 2026.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh bagi portfolio perpaduan pula, saya mengambil inisiatif dan bertindak melalui program-program yang menyatukan rakyat merentas kaum, budaya dan generasi. Sukacita saya umumkan bahawa tahun 2025 ini bakal menyaksikan sebuah inisiatif bertemakan warisan dan perpaduan iaitu Majestic Johor 2025 University Fiesta of Zapin Jauhar. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Tourism Johor, Yayasan Warisan Johor dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor dengan matlamat mengangkat seni zapin sebagai jambatan budaya yang menyatukan masyarakat berbilang kaum di negeri ini. Pendekatan inklusif festival ini akan menjelajah ke seluruh daerah Johor membawa pentas seni dan semangat perpaduan terus kepada rakyat. Festival ini akan bermula pada 27 Mei ini di daerah Batu Pahat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sepanjang beberapa hari ini saya berasa amat teruja dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua Yang Berhormat di dalam mencorak masa depan negeri Johor yang lebih gemilang khususnya dalam memastikan kemajuan kita bersifat inklusif dan mampan untuk dinikmati oleh seluruh Bangsa Johor.
Izinkan saya memberi tumpuan kepada aspek perpaduan yang saya percaya adalah tunjang dan jiwa kepada segala usaha pembangunan kita. Tanpa perpaduan yang kukuh, segala perancangan dan aspirasi kita untuk Maju Johor akan sukar dicapai. Kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar amat jelas dalam hal ini iaitu perpaduan adalah agenda utama dan bukan sampingan. Ini terbukti melalui Belanjawan Johor 2025 yang berpegang teguh kepada enam (6) Teras Maju Johor di mana Strategi Empat: Pengukuhan Perpaduan Patriotisme dan Jati Diri Bangsa Johor menjadi antara fokus utama. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor sebagai agensi pelaksana utama telah pun merangka pelbagai inisiatif strategik untuk menterjemahkan hasrat murni ini.
Bagi memantapkan daya kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga iaitu KRT, kita menyedari peranan KRT sebagai agen perpaduan di peringkat akar umbi. Mereka adalah mata dan telinga kita dalam memelihara keharmonian dan keselamatan komuniti. Justeru, cadangan untuk menganjurkan Konvensyen Rukun Tetangga Negeri Johor dan Penyaluran Bantuan Khas Komuniti Rukun Tetangga sebanyak RM1,000.00 kepada 600 KRT yang aktif adalah amat tepat. Ini bukan sekadar bantuan kewangan tetapi pengiktirafan dan pelaburan untuk memperkasa kepimpinan KRT agar dapat menganjur program-program yang memberi impak positif kepada perpaduan, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan kualiti hidup setempat. Saya percaya ini akan memberi manfaat langsung kepada 120,000 komuniti yang terlibat.
Seterusnya, tumpuan kepada membangunkan Modal Insan Melalui Sinergi Anak Muda Johor. Golongan muda adalah aset paling berharga dan pewaris masa depan Johor. Program seperti Young Effective Social Leadership Anak Muda Johor dirangka untuk melahirkan Duta Perpaduan Johor termasuk Johor Youth Tourism Ambassador dan Sukarelawan Muzium atau Museum Volunteer. Latihan berfasa yang menekankan pemikiran kreatif, kreativiti dan komunikasi ini amat penting lebih-lebih lagi dalam kita membuat persiapan rapi untuk Tahun Melawat Johor 2026. Diikuti dengan Social Intervention Programme Anak Muda Johor yang bukan sahaja menjadi platform pentauliahan kepada Johor Youth Tourism Ambassador dan juga Sukarelawan Muzium, tapi juga memberi pendedahan penting kepada mengenai isu-isu sosial semasa dan kaedah penyelesaian secara harmoni. Adalah satu langkah proaktif untuk membentuk generasi muda Johor yang berilmu, berdaya tahan dan komited kepada perpaduan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bidang tumpuan ketiga ialah MyLocal Johor. Mencipta Detik Perpaduan adalah manifestasi bagaimana kita meraikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan. Johor ini unik, kaya dengan pelbagai budaya, adat resam dan kepercayaan. Inilah keindahan Bangsa Johor yang perlu kita pelihara dan suburkan. Melalui Johor Harmoni Johor, sambutan perayaan kaum kita akan meraikan bersama kepelbagaian perayaan utama seperti Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Deepavali, Krismas serta Program Ihya Ramadan. Ini adalah platform terbaik untuk kita saling memahami, menghormati dan mengeratkan silaturahim, merentas kaum dan agama. Kerjasama julung kali dengan Tourism Johor melalui Program Moment of Unity@10 Daerah akan membawa semangat perpaduan ini ke seluruh pelusuk negeri, mempamerkan warisan kita, produk komuniti dan bakat-bakat tempatan. Begitu juga Unity Festival Majestic of Johor bersama Yayasan Warisan Johor yang dirancang sebagai sebuah festival besar-besaran untuk meraikan identiti Bangsa Johor dalam segala kepelbagaian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kesimpulan daripada ucapan, jawapan dan cadangan yang saya telah kemukakan, saya berharap ia sedikit sebanyak telah memberi pencerahan serta maklum balas yang membawa, yang membina terhadap persoalan dan perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Segala pandangan, cadangan serta buah fikiran yang dilontarkan amat saya hargai dan dialu-alukan. Ia mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuhkan dasar dan inisiatif kerajaan negeri khususnya dalam memastikan perpaduan, keharmonian di negeri Johor terus terpelihara dan diperkasa. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh dijernihkan, yang kurang ditambahkan. Saya akhiri dengan serangkap pantun, zapin beralun rentak sepakat, irama warisan merentasi bangsa, perpaduan kukuh negeri berkat, Johor maju rakyat sejahtera bersama. Sekian terima kasih. (Dewan bertepuk).
Terima kasih Yang Berhormat Tenggaroh, saya bagi pihak rakan-rakan Yang Berhormat ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas pemberian Kain Benang Johor daripada Yang Berhormat Tenggaroh. (Dewan bertepuk). Seterusnya, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan, seterusnya Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan dijemput.
Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam Bangsa Johor, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mulakan ucapan ini dengan penuh rasa hormat dan menjunjung kasih kehadapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas limpah perkenan mencemar duli berangkat serta bertitah merasmikan Majlis Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Johor bagi kali ini. Titah Tuanku bukan sekadar amanat DiRaja, tetapi menjadi pedoman yang menginsafi kita semua akan tanggungjawab besar dalam memperjuangkan nasib rakyat serta memacu Johor ke arah kemajuan yang lebih gemilang dan berdaya saing di persada dunia. Inti pati titah Tuanku dengan jelas menggambarkan keyakinan Baginda terhadap kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam mempeterjemahkan aspirasi rakyat serta memperkukuhkan imej Johor di peringkat antarabangsa. Ia turut memperlihatkan iltizam dan tekad kerajaan negeri untuk terus memperkasa taraf hidup rakyat dan menjadikan Johor sebagai negeri maju yang disegani dalam komuniti global. Menginsafi amanat tersebut, patik menjunjung kasih dengan penuh keinsafan dan beriltizam tinggi untuk melaksanakan amanah ini sebaik mungkin demi kemakmuran negeri dan juga kesejahteraan seluruh rakyat Johor.
Menjunjung titah Tuanku yang menyentuh bidang perumahan dan kerajaan tempatan, saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian secara konstruktif dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah DiRaja. Segala pandangan, cadangan dan teguran amat dihargai dan mencerminkan semangat tanggungjawab kolektif dalam memastikan dasar-dasar kerajaan sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.
Bagi menjawab perbahasan yang telah berlangsung, izinkan saya menyentuh dua (2) komponen utama di bawah tanggungjawab saya. Pertama, perumahan dan kedua, kerajaan tempatan. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Kukup, Sri Medan, Benut, Tenang, Kahang, Sungai Balang, Kemelah, Kota Iskandar, Bukit Naning, Senggarang, Maharani dan juga Sedili yang telah menunjukkan keprihatinan dan komitmen tinggi dalam membahaskan isu-isu berkaitan perumahan. Pandangan serta cadangan Yang
Berhormat akan dijadikan rujukan penting dalam memperkukuh dasar sedia ada dalam merangka inisiatif baharu yang lebih inklusif, mampan serta berfokuskan kepada keperluan rakyat sebenar.
Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena pembukaan rasmi sidang Dewan Undangan Negeri Johor Tahun 2025, patik menjunjung kasih atas keprihatinan Tunku terhadap keperluan menyediakan perumahan mampu milik yang inklusif dan berdaya huni khususnya untuk golongan B40. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, kerajaan negeri juga komited untuk mencapai sasaran menyediakan rumah mampu milik sebanyak 30,000 menjelang tahun 2026 seperti di paparan. Kita ada di daerah, 10 daerah dalam Johor. Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Mersing, Kluang, Kulai, Segamat, Johor Bahru dan juga Kota Tinggi. Kita pecahkan mengikut parlimen dan juga pecahkan mengikut DUN yang telah dibina, yang sedang dibina dan akan dibina.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, setakat suku pertama tahun 2025, sebanyak 16,000 Rumah Mampu Milik Johor telah pun didiami oleh rakyat. Manakala 8,000 lagi sedang dalam fasa pelaksanaan dijangka siap secara berperingkat sepanjang tahun ini 2025. Bagi memastikan Bangsa Johor dapat menikmati kehidupan yang selesa dengan memiliki kediaman yang berkualiti dan mampu dimiliki, penyediaan rumah mampu milik dilaksanakan secara tanggungjawab bersama.
Yang pertama, Rumah Kasih. Menyentuh kepada perbahasan YB Sri Medan berkaitan kurangnya Rumah Mampu Milik Johor dalam DUN Sri Medan. Saya dengan rendah diri mengakui akan data tersebut. Ketika ini, saya dan pasukan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor bersama Pejabat Daerah dan juga Pejabat Tanah di seluruh negeri Johor sedang menggerakkan usaha memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik ini. Rumah Kasih Percuma ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 500 unit dengan peruntukan RM67.5 dan alhamdulillah pada tahun 2023 sebanyak 50 unit telah siap, 2024, 120 unit, 71 unit siap Jun 2025 dan 49 insya-Allah akan siap pada hujung tahun ini, dan ada lagi 165 pada tahun 2025 punya bajet dan juga RM160,000.00. Next.
Saya ingin mengambil kesempatan ini, kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat juga, pejabat daerah di seluruh negeri Johor. Tuan-tuan boleh tengok, terima kasih kepada YB Rengit, kepada YB Kahang, kepada YB Kukup. Kita boleh melihat keadaan rumah, rakyat kita yang ada di seluruh DUN. Jadi akhirnya selepas ini semuanya dah disiapkan, untuk Yang Berhormat Timbalan Speaker.
Kerajaan negeri melalui PKPJ, telah mengenal pasti terdapat 14 DUN, yang jumlah RMMJ nya masih rendah yakni kurang 20 unit di satu-satu DUN. Oleh itu, PKPJ merancang untuk memperbanyakkan, Rumah Mampu Milik Johor melalui pembinaan Rumah Kasih Johor dan Rumah Prihatin Johor dengan kerjasama pejabat daerah, dengan YB ADUN-ADUN kawasan. Bagi DUN yang masih mempunyai kekurangan 20 unit rumah mampu milik, adalah sebagaimana senarai berikut, Bentayan, Simpang Jeram, Sri Medan, Yong Peng, Pekan Nanas, Bekok, Pemanis, Stulang, Kempas, Kahang, Johor Lama, Sedili, Pasir Raja dan juga Endau.
Yang Berhormat Timbalan Datuk Speaker, kerajaan negeri kekal komited untuk merealisasikan sasaran 100,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2030 menerusi kerjasama erat antara PBT, pejabat daerah, EXCO angkat serta pemaju-pemaju yang bertanggungjawab dan berintegriti. Kerajaan negeri juga telah menggerakkan satu task force perumahan pada 8 Mei 2025 melibatkan sepuluh (10) daerah untuk merancang dan mencadangkan tapak-tapak berpotensi, vibal dengan izin, bagi pembinaan rumah mampu milik melalui penggunaan tanah-tanah kerajaan, tanah rizab, penyelesaian pendapatan setinggan, pemerkasaan Rumah Kasih Johor di semua daerah. Kerajaan negeri Johor sentiasa komited memastikan setiap rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 dapat memiliki rumah yang mampu milik, selesa dan strategik. Justeru, inisiatif membina 100,000 Rumah Mampu Milik Johor telah digerakkan secara berfasa dan terancang. Fasa 1, 30,000 unit sebagaimana sasaran yang ditetapkan oleh Yang Berhormat Menteri Besar Johor daripada tahun 2022 sehingga 2026 insya-Allah, Alhamdulillah dapat kerjasama semua, tahun depan kita akan capai 30,000 unit, insya-Allah. (Dewan bertepuk).
Jadi yang kedua, menerusi produk baharu kita daripada tahun 2027 sehingga 2030, insya-Allah lagi 30,000 unit. Di situ kita boleh lihat 5,000 unit untuk task force perumahan, yang ini kita gerakkan di peringkat YB EXCO angkat bersama YB kawasan juga pejabat daerah. Melibatkan tanah kerajaan, tanah SSI, tanah rizab dan penyelesaian isu setinggan. Isu setinggan ini apa maksudnya tuan-tuan? Isu setinggan ialah mereka yang 40 tahun, 50 tahun dekat situ tetapi di atas tanah kerajaan, yang ini kita akan perjuangkan, insya-Allah ada kuota untuk 5,000 unit.
Yang kedua perumahan M40 iaitu 14,000 unit. Ada di kalangan engineer kita, jurutera kita, pegawai-pegawai kerajaan yang dia tidak layak membeli rumah di bawah RM300,000.00. Jadi kerajaan allocate kan rumah M40 di bawah RM500,000.00 antara RM300,000.00 hingga RM500,000.00 sebanyak 14,000 unit. Tanah persekutuan 200 melibatkan serahan tanah oleh kerajaan negeri dan proses tukar milik. Kampung Kurnia 5,000 unit, penswastaan melalui projek penswastaan yang disuarakan oleh BPEN 5,000 unit, tanah wakaf 5,000 unit. Pembangunan tanah wakaf ini yang diperluaskan bukan hanya untuk Asnaf seperti yang dilaksanakan oleh Wakaf Seetee Aisah di Pulau Pinang dan 4,000 unit ialah insentif galakan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi memastikan keperluan perumahan rakyat dipenuhi secara menyeluruh, khususnya di kawasan luar bandar, kerajaan negeri Johor telah merangka inisiatif menyediakan unit rumah mampu milik secara bersasar mengikut keperluan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri. Bagi kawasan DUN yang mencatatkan jumlah kurang daripada 20 unit, daripada tahun 2022 sehingga 2025, bawah 20 unit kerajaan negeri akan menyediakan sebanyak 20 unit tambahan bagi menampung kekurangan yang sedia ada. Insentif ini melibatkan 14 DUN iaitu Sri Medan, Pasir Raja, Yong Peng, Pemanis, Sedili, Johor Lama, Kempas, Pekan Nanas, Bekok, Kahang, Stulang, Simpang Jeram dan Bentayan dan juga Endau. Manakala bagi kawasan DUN yang telah mempunyai rumah mampu milik lebih daripada 21 unit, kerajaan negeri akan menyediakan tambahan lima (5) unit untuk pelengkap perancangan pembangunan melibatkan 42 DUN di seluruh negeri Johor. Inisiatif baharu yang dinamakan sebagai Rumah Prihatin Johor kepada golongan sasar B40 dengan harga jualan seperti berikut :
Jadi kalau tuan-tuan Yang Berhormat Datuk Speaker, ini adalah Rumah Prihatin Johor. Jadi Rumah Prihatin Johor ada jenis satu iaitu, luas binaan 660 square feet harga RM86,000.00. Jadi kerajaan akan subsidi RM30,000.00 dan pemohon hanya perlu mencari duit RM56,000.00 ini tiga (3) bilik dua (2) bilik air. Yang jenis kedua, 470 square feet harga RM66,000.00, kerajaan subsidi RM30,000.00 dan pemohon cari RM36,000.00. Ini kita gambarkan macam ibu rumah, maknanya kita bina rumah untuk mereka dan dia boleh sambung akan datang. Jadi dua (2) bilik satu (1) bilik air, syarat pemilikan rumah pertama dan pendapatan di bawah RM6,000.00. Next.
Untuk projek terbengkalai Taman Tunku Abdul Rahman Segamat, YB Kemelah. Projek ini telah terbengkalai lebih 20 tahun. Pemaju sudah digulung, tarikh patut siap sepatutnya 20 tahun lepas, tahun 2005, tarikh terbengkalai 16 Mac 2012, tarikh digulungkan oleh mahkamah 21 September 2015. Sekarang ini berada di dalam Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Muar di bawah Jabatan Perdana Menteri dan ini maklumat untuk YB Kemelah.
Pangsapuri Perkhidmatan Negeri Johor. Menyentuh persoalan yang dibawa oleh YB Kota Iskandar berkaitan pembangunan pangsapuri perkhidmatan Yang Berhormat Datuk Speaker. Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Bilangan 2/2024 yang telah besidang pada 30 Mei 2024 telah bersetuju agar setiap permohonan pangsapuri perkhidmatan perlu mendapat pandangan daripada jawatankuasa khas yang akan dibentuk dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Selaras dengan ini Jawatankuasa Pangsapuri Perkhidmatan Negeri Johor telah pun ditubuhkan dan telah bersidang pertama kalinya, pada 19 September 2025. Antara objektif utama jawatankuasa ini adalah :
1. Menyelaras permohonan pangsapuri perkhidmatan negeri Johor.
2. Memberi nasihat mengenai hal-hal berkaitan pembangunan pangsapuri perkhidmatan negeri Johor.
3. Pemakluman dan pelaporan berkaitan status pembangunan pangsapuri perkhidmatan kepada negeri Johor.
Untuk makluman juga, jawatankuasa ini, turut menilai kebolehlaksanaan pembangunan pangsapuri perkhidmatan berdasarkan beberapa faktor. Antaranya adalah kajian pasaran permintaan dan penawaran, ketersediaan kemudahan awam dan masyarakat, pengurusan trafik dan juga infrastruktur sedia ada. Selain daripada itu, Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Negeri Johor iaitu PlanMalaysia Johor akan menyediakan garis panduan baharu yang akan menggantikan garis panduan sedia ada. Antara penambahbaikan yang akan dikaji dalam garis panduan baharu ialah berkenaan dengan kaedah pengenaan caj caruman atau insentif baharu bagi keperluan menyediakan kemudahan awam serta cadangan peningkatan infrastruktur. Oleh yang demikian, pihak kerajaan berhasrat untuk mengkaji semula permohonan pembangunan pangsapuri perkhidmatan baharu sehingga kajian garis panduan baharu ini dimuktamadkan pada suku keempat 2025. Jadi, Datuk Speaker kita boleh tengok dekat slide itu. Sepanjang setakat ini, 108,000 unit yang telah sedia ada sebelum ini. Daripada tahun 2022 sehingga 2025 kita telah meluluskan lebih daripada 160,000. Jadi, secara dasarnya kerajaan akan mengkaji pembangunan pangsapuri perkhidmatan baharu ini sebab pangsapuri perkhidmatan ini adalah harga dia RM500,000.00 dan ke atas.
Untuk pembangunan pusat data. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada YB Kukup dan juga Yang Berhormat Benut atas keprihatinan yang sangat signifikan terhadap isu pembangunan pusat data yang semakin pesat di negeri Johor. Berhubung dengan pembangunan pusat data di Johor, sukacita saya memaklumkan perkara-perkara berikut, dari segi pelaburan, sehingga tahun 2024 semua pusat data tersebut telah menyumbang kepada pelaburan berjumlah RM164.45 billion. Dalam konteks peluang pekerjaan pula, sejumlah 6,145 peluang pekerjaan telah dan akan diwujudkan hasil pembangunan pusat data. Sebagai langkah kawalan kepada alam sekitar dan penjimatan penggunaan air, semua permohonan pusat data baharu perlu mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Pusat Data negeri Johor yang dipengerusikan pusat data negeri Johor atau (JPPPNPNJ) panjang, yang telah menetapkan bahawa Power Usage (PUE) atau kecekapan penggunaan tenaga bagi pusat data yang dibangunkan di negeri Johor adalah 1.4, manakala Water Usage Effectiveness (WUE), dengan izin atau kadar kecekapan penggunaan air ialah 1.8. Penetapan PUE dan WUE tersebut adalah berdasarkan amalan terbaik yang dipraktiskan di Singapura. Secara keseluruhannya, bilangan pusat data di negeri Johor adalah berjumlah 42 projek. Daripada jumlah ini, 13 telah beroperasi, 15 dalam pembinaan dan 14 telah diluluskan di peringkat jawatankuasa. Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor telah dibentuk pada 29 April 2024 bagi menimbang kebolehlaksanaan dan membuat penilaian bagi pembangunan pusat data negeri Johor. Jadi, secara mudah faham, apa sahaja cadangan pusat data dia akan pergi pada PlanMalaysia Johor lepas itu jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat YB Fazli dari segi teknikal dan saya akan pengerusikan daripada mesyuarat jawatankuasa induk. Next.
Isu Pengurusan Sisa Pepejal, YB Perling tak ada, jawapan ini panjang, cuma saya nak maklumkan kepada Yang Berhormat Tuan Tan Chong Bekok, projek ini dah lebih dua tahun terbengkalai iaitu TPS Bukit Payong. Ini adalah salah satu pengurusan sisa pepejal yang cadangan sumber sisa pepejalnya daripada Majlis Perbandaran Muar, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Kluang, Majlis Daerah Simpang Renggam, Majlis Daerah Yong Peng dan juga Majlis Daerah Labis. Alhamdulillah, selepas dua tahun lebih sakit dan terbengkalai akhirnya dia telah siap pada 14 Mei 2025 dan insya-Allah pada September 2025 akan mula beroperasi.
Untuk isu banjir saya dah bentangkan dalam sesi soal jawab, soalannya panjang lebar. Secara dasarnya kita ada 104 projek melibatkan 16 PBT dengan peruntukan RM106.2 juta dan insya-Allah di peringkat 16 PBT dari segi timeline dia kita monitor setiap quarter, quarter satu (1), quarter dua (2) dan setakat ini lebih 50% quarter satu (1) sebut harga dan tender telah diiklankan dan ada sebahagian kerja telah dimulakan. Next.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan yang telah memberikan komitmen luar biasa dalam menjayakan Agenda Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Johor. Terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada Yang Berhormat Datuk-Datuk Bandar dan Tuan-Tuan YDP dan juga seluruh pasukan PBT-PBT negeri Johor termasuk ketua-ketua WHIP, Ahli-Ahli Majlis yang sentiasa turun padang. Juga kepada pegawai-pegawai yang berdedikasi di SUK Bahagian Kerajaan Tempatan yang dipimpin oleh tuan SUB. Pasukan hebat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Datin Paduka Dr. di PKPJ, pasukan komited pimpinan tuan town planner, Tpr. Saidin, pasukan bomba penyelamat pimpinan Yang Setia Puan Pengarah, pasukan Landskap Negeri Johor serta rakan strategik bagi daripada pejabat Yang Berhormat Menteri
Besar Johor dan pasukan saya di Pejabat EXCO, pusat khidmat dan Yayasan Sejahtera Kulai. Tanpa dokongan dan kerjasama erat dari semua pihak, banyak usaha tidak mungkin dapat diterjemahkan menjadi kejayaan yang bermakna untuk rakyat. Kita telah membuktikan bahawa dengan semangat kerja berpasukan, rentas jabatan seiring dengan aspirasi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dengan kesungguhan serta keazaman yang berterusan, setiap cabaran boleh ditangani dengan bijaksana. Saya amat menghargai kesediaan semua pihak untuk terus bergerak seiring dengan misi besar ini. Bukan sekadar membina rumah, merancang bandar, membina infrastructure, menjaga kebersihan dan mencantikkan negeri tetapi, membina masa depan Johor yang lebih sejahtera, lestari dan penuh harapan. Komitmen kalian adalah nadi kepada pencapaian kita bersama. Dari Johor ke Gunung Ledang, titis peluh lambang jasa, kerja bersama semangat gemilang, rakyat sejahtera negeri pun perkasa. (Dewan bertepuk). Marilah kita terus berkhidmat dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab. Buatlah, buatlah seberapa banyak mungkin kebaikan untuk ummah. Semoga menjadi pahala berpanjangan selepas kita tiada. Mungkin usaha kecil hari ini menjadi amal besar di sisi Allah SWT. Inilah erti sebuah perjuangan menyumbang kepada kesejahteraan dunia sambil menanam benih ganjaran untuk akhirat. Teruskan langkah, teruskan amanah. Teruskan membina Maju Johor. Sekian, saya menjunjung kasih. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahamatullahi taala wabarakatuh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, boleh saya minta penjelasan sedikit, myKiosk?
Berkenaan apa Yang Berhormat?.
MyKiosk. Sebab saya ada tanya dalam perbahasan, saya tidak dapat apa jawapan daripada EXCO.
Boleh izinkan saya jawab.
Boleh jawab? nak jawab?
Tak apa, pasal Penggaram saya jawablah. Kiosk ini sedang viral, kalau mana yang tengok TikTok apa semua ini, Menteri adalah. Saya, saya nak sebut macam inilah. Dulu sebelum ada kiosk banyak ibu tunggal, keluarga miskin, keluarga susah, ibu-ibu tunggal meniaga dekat depan-depan rumah, kat tepi-tepi jalan. Apa PBT buat? PBT bawa penguatkuasa kadang-kadang halau. Makcik tidak boleh meniaga dekat sini makcik. Makcik tidak boleh meniaga dekat sini. Itu dulu. Selepas itu, bila kiosk ini datang, kiosk ini dia ada dua fasa. Contoh di Kulai. Di PBT lain harga dia sebenar RM15,000.00. RM15,000.00 konsep dia biasa sahajalah. Jadi, kiosk ini peruntukan daripada persekutuan. Pergi pada PBT-PBT. PBT akan keluar sebut harga, lepas itu akan ditenderkan, jadi kontraktor Bumiputera akan buatlah ikut harga yang ditawarkan. Selepas macam di Kulai, kita terima lebih 50 kiosk. Jadi mereka ini, keluarga susah. Jadi apa yang kita buat, kita, saya arahkan PBT MPKu, saya ingat orang Kulai ada dekat sini. Untuk enam (6) bulan tiada bayaran. Pasal kita nak tolong keluarga susah ini. Pertama, bila dia meniaga kat kiosk, secara automatik daripada halal, daripada haram punya perniagaan, di halalkan. Dulu pakai khemah, hujan lebat sekarang dah ada kiosk.
Jadi, dia orang boleh meniaga, kita panggil kesihatan datang, kita benarkan kasi lesen. Ini, ini dia, sebab itu kadang-kadang bila orang tengok kiosk ini dalam sudut yang pandangan masing-masing, pandangan saya ialah kiosk ini bagus sebab dia menghalalkan yang haram. Jadi, akhirnya banyak ibu-ibu tunggal, bapa-bapa tunggal, peniaga-peniaga yang dulu tiada lesen, hari ini dia ada tempat meniaga. Cuma isu dia sekarang bila kiosk itu, adalah orang susah, orang susah ini kalau buat kuih, nasi lemak ada yang sedap ada yang tak sedap. Mana yang peniaga yang meniaga sedap, karipap dia sedap, ramailah orang tertumpu. Tetapi bagi dia orang baru nak meniaga, yang pendapatan dia satu hari kadang-kadang RM50.00, RM60.00 bila hujan tak dapat pendapatan, rugi. Yang ini kadang-kadang kedai itu tutup, kadang-kadang kedai itu buka. Ada kes bila sampai tiga (3) bulan dia datang kepada PBT, Datuk saya tidak boleh meniaga Datuk. Tak ada customer datang. Macam mana tak ada customer datang, ada PBT letak kiosk itu dekat hujung bandar. Letak dekat hujung bandar, mana ada orang. Sebab itu, baru-baru ini kita panggil semua PBT-PBT, SUB chair, kita bincang. Hari ini kalau kita nak jadikan kiosk ini bermanfaat, kita carilah tempat-tempat yang strategik. Lepas itu, dalam masa yang sama kita bantu dia mempromosikan kiosk itu sendiri. Jadi, dalam masa yang sama kalau ada macam YB Hairi, dia ada kursus-kursus, ada untuk tetapkan bayaran untuk wakil, kita boleh, boleh, boleh apa, boleh mahirkan dia. Maknanya tuan-tuan, hari ini kalau kita nak tolong orang dia bukan tolong separuh jalan tau. Hari ini bila saya turun ke kiosk-kiosk itu, Datuk, air tak ada. Api pakai solar, bagus tetapi saya nak goreng tak ada tempat. Saya nak meniaga tak ada tempat. Makanan sejuk tak ada orang datang. Jadi hari ini, saya, kita brainstorm di peringkat PBT-PBT ini boleh tak kita ambil balik mana kiosk-kiosk yang tak buka itu kita letakkan, cari kat suatu tempat, kita sambungkan air, sambungkan elektrik lepas itu kita awningkan dia, jadi supaya orang semua boleh datang. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Terjawab semuanya. Ahli-ahli Yang Berhormat, persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2:30 petang ini. Persidangan ditangguhkan pada jam 2:30 petang. Persidangan disambung semula pada jam 2:50 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam maju Johor. Ahli-ahli Yang Berhormat, persidangan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Datuk Speaker.
Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu patik merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi tinggi tahniah di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail. Pemangku Sultan Johor yang telah berangkat ke Dewan yang mulia ini, seterusnya bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor yang Ke-15.
Ampun tuanku. Patik menjunjung kasih di atas titah Duli Yang Amat Mulia Tuanku yang prihatin terhadap kesejahteraan dan kemajuan Bangsa Johor. Titah ke bawah Duli Tuanku telah menekankan beberapa keutamaan negeri Johor iaitu pelaburan Johor seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, JS-SEZ, pendidikan inklusif dan pembangunan sosial, perumahan mampu milik dan pembangunan infrastruktur rakyat. Bagi hidup dan kesihatan yang menyeluruh adalah satu panduan yang amat bernas dan berpandangan jauh dalam memastikan pembangunan Johor yang lebih seimbang, mampan serta inklusif. Penghargaan tahniah dan terima kasih juga tidak dilupakan buat Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor yang sangat komited dalam menjayakan agenda Maju Johor di dalam matlamat mahu menjadikan Johor sebagai negeri yang maju menjelang 2030. Saya yakin dengan usaha ini dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat buat rakyat Johor khususnya untuk memperhebatkan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan. Dari Bukit Raja ke Tanjung Surat, dagang hamba musafir lalu; kerajaan sentiasa memikirkan rakyat, agar negeri Johor terus maju.
Yang Berhormat Datuk Speaker, negeri Johor mendepani dalam menjadi kuasa besar. Pertumbuhan ekonomi yang baru dirantau ini yang didorong oleh dua projek berimpak tinggi iaitu Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura, JS-SEZ dan Zon Kewangan Khas, SFZ dengan pelaksanaan zon ekonomi khas tersebut dijangka lebih 100,000 peluang pekerjaan akan dijana di negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Kukup, YB Pemanis, YB Perling, YB Bukit Batu, YB Jementah, YB Benut, YB Parit Yaani, YB Pekan Nenas telah menyuarakan pandangan tentang JTDC. JTDC ini adalah sebagai penyedia tenaga mahir bagi keperluan Johor Singapore Special Economy Zone, JS-SEZ. JTDC akan bekerjasama dengan Invest Malaysia Fasilitation Centre Johor, IMFC-J dalam menilai keperluan pelabur yang akan masuk ke negeri Johor dan lebih banyak peluang pekerjaan akan terwujud. JTDC juga menawarkan direct intervention di pasaran kerja melalui dana latihan dan inisiatif penempatan kerja, kerana latihan dan subsidi akan diberikan bagi meningkatkan kompetensi dalam melahirkan tenaga kerja yang lebih mahir serta berkualiti. Antara program-program yang dijalankan oleh JTDC pada tahun 2025 adalah seperti berikut: Skill for Johor dengan peruntukan RM20,000,000.00, Pro-Mahir dengan peruntukan RM3,000,000.00, care users dengan peruntukan RM5,000,000.00 dan MyMahir dengan peruntukan RM800,000.00. Seterusnya YB Jementah ada memaklumkan berkenaan dengan keperluan lebih banyak pakar di dalam sektor block chain. Teknologi Kecerdasan Buatan AI, analisis data kewangan dan keselamatan siber dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar AI, kerajaan negeri mengambil pendekatan holistik yang memberi penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang yang lebih mampan. Berikut merupakan beberapa contoh inisiatif yang sedang dilaksanakan dan berupaya menyumbang bukan sahaja kepada peningkatan jumlah pakar AI malahan kadar celik digital di negeri Johor.
1. Skills for Johor di bawah program HRD Corp telah menyediakan kursus latihan upskilling dan reskilling berdasarkan keperluan termasuk berkaitan AI merentasi sebelas sektor-sektor fokus di JS-SEZ.
2. 42 Iskandar Puteri di bawah program Sunway Education Group telah menawarkan kursus coding secara percuma berdasarkan konsep peer to peer, P2P iaitu memberikan akses kepada rakyat negeri Johor dalam membangunkan kemahiran asas bidang AI.
3. MyMahir di bawah program TalentCorp telah menghasilkan dapatan kajian impak AI digital dan ekonomi hijau kepada tenaga kerja di Malaysia yang menyediakan saranan berhubung kemahiran bersesuaian agar tenaga kerja kekal relevan dan celik teknologi dalam mendepani impak yang dibawa oleh AI.
4. Hub JS-SEZ UTM yang telah memaksimakan akses jaringan lebih 1,500 alumni PHD dalam pelbagai bidang termasuk ICT agar lebih banyak penyelidikan dan pembangunan inovasi dapat dicapai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Bukit Batu ada memberikan cadangan mengenai inisiatif untuk syarikat asing yang menawarkan latihan dan pengambilan pekerja tempatan dalam pengukuhan pendidikan vokasional dan teknikal TVET, dalam bidang yang berkaitan coding. AI dan keselamatan siber. Malaysia Digital Economy Corporation, MDEC telah menawarkan beberapa insentif kepada syarikat yang berstatus Malaysia Digital yang terlibat dalam bidang digital. Contohnya program MyDigital Workforce Work In Tech, MYWiT menyediakan insentif, latihan dan pengajian bagi syarikat yang menggaji individu di dalam sektor digital. Inisiatif JS-SEZ pula di negeri Johor mulai 1 Januari 2025, syarikat yang melabur dalam JS-SEZ yang terlibat dalam aktiviti seperti AI, perkomputeran quantum dan pembuatan peranti perubatan layak menerima kadar cukai korporat khas sebanyak lima persen selama 15 tahun. Selain itu, pekerja pengetahuan dalam zon ekonomi khas ini boleh menikmati kadar cukai pendapatan sebanyak 15% selama 10 tahun.
Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Sungai Balang menyuarakan cadangan untuk membina Pusat Giat Mara di Kampung Sungai Buaya di tanah seluas 10 ekar. Di dalam pembangunan RMK-12 dan RMK-13 penumpuan Johor Talent Development Council dengan kerjasama Giat Mara menawarkan kursus-kursus kemahiran berprestasi dan berimpak tinggi kepada zon-zon industri seperti Maharani Energy Gateway, JS-SEZ. Giat Mara juga telah mengenal pasti beberapa cawangan Giat Mara lain yang berdekatan untuk menyokong keperluan guna tenaga di zon-zon ekonomi tersebut. Contoh seperti Giat Mara Prima Ledang, Giat Mara Muar, Giat Mara Pagoh, Giat Mara Batu Pahat. Berdasarkan kapasiti kewangan semasa Giat Mara, Giat Mara Muar dan semua pusat Giat Mara lain di negeri Johor akan terus beroperasi seperti biasa. Walau bagaimanapun pembangunan masa depan Giat Mara akan dipertimbangkan jika keperluan di kenal pasti melalui kajian dan analisis impak berasaskan data dan akan dimasukkan di dalam senarai Rancangan Malaysia yang akan datang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, agenda pendidikan di negeri Johor merupakan agenda yang penting bagi menuju ke arah agenda Maju Johor 2030. Dalam mendepani arus pendidikan kini, pengajaran dan pembelajaran perlu berubah secara dinamik untuk menyesuaikan diri dengan cabaran semasa dan masa depan. Di negeri Johor perubahan ini dilihat melalui pelbagai pendekatan inovatif seperti cetusan idea Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam mewujudkan Sekolah Rintis Bangsa Johor. Pendekatan TVET dan pendigitalan pendidikan.
Pada sidang kali ini, saya melihat majoriti Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini ramai yang telah menyentuh mengenai Sekolah Rintis Bangsa Johor. Seperti semua sedia maklum, saya amat berbangga dan berterima kasih kepada Ahli Dewan yang telah mengutarakan cadangan kebimbangan dan idea dalam merealisasikan hasrat Sekolah Rintis Bangsa Johor. Saya juga ingin memaklumkan kepada semua Ahli Dewan yang mulia ini, kerajaan
negeri Johor bukan sahaja membekalkan ipad kepada setiap murid dan guru, malah turut melaksanakan transformasi menyeluruh merangkumi modul elemen pembelajaran serta teknik pengajaran dan pembelajaran. Hasrat kerajaan negeri Johor adalah ingin menjadikan Sekolah Rintis Bangsa Johor merupakan contoh sekolah harian yang terbaik di Malaysia.
Transformasi bagi menaik taraf fasiliti dan infrastruktur Sekolah Rintis Bangsa Johor ini akan berjalan pada tahun ini juga. Aspek infrastruktur sekolah juga akan dinaik taraf serta diubah suai selaras dengan keperluan pendidikan masa kini. Bermula dengan menaik taraf pintu masuk sekolah yang cantik dan menarik bagi menarik minat pelajar dan tetamu dengan mewujudkan pintu pagar automatik, ruang menunggu yang selesa, tempat menurun dan mengambil murid yang lebih selamat. Hab pameran juga mempunyai ruangan hijau eco-friendly dan sistem kuasa solar bagi kelestarian tenaga. Bagi bilik darjah, bilik darjah di Sekolah Rintis Bangsa Johor ini berkonsepkan persekitaran pembelajaran yang menggunakan teknologi digital secara aktif sama ada melalui perintis seperti ipad, komputer riba, aplikasi pembelajaran, paparan pintar atau platform pembelajaran dalam talian. Bilik-bilk darjah juga akan dilengkapi dengan papan pintar definisi tinggi serta kerusi yang ergonomik serta meja yang luas yang akan memberikan keselesaan kepada pelajar dan guru.
Fasiliti bengkel STEM inovasi dilengkapi dengan sinki buatan terbina, ruang kerja yang lebih luas serta tempat duduk yang lebih ergonomik. Stesen mikroskop digital pintar bagi menjalankan eksperimen, interaktif papan pintar dan sistem makmal yang canggih dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang lebih efisien. Bagi fasiliti ruang pembuatan reka bentuk dan teknologi dilengkapi interaktif alatan dinding, makmal kecerdasan pembuatan AI robotik, papan arduino integrasikan dengan internet berkelajuan tinggi dan berkolaborasi digital. Bagi fasiliti dewan serbaguna pula, pentas yang besar dilengkapi dengan LED multimedia, lantai kusyen yang lebih berkualiti tinggi diintegrasikan dengan sistem bunyi bersepadu dan cahaya pintar yang lebih efisien. Bagi hab bilik guru yang berteknologi tinggi, terdapat pusat kerjasama inovasi dan pertumbuhan profesional yang dilengkapi dengan skrin digital pintar serta papan pintar yang interaktif, sistem pemfailan digital berasaskan cloud and wifi ultra pantas membolehkan aliran kerja lancar dan perancangan pelajaran yang lebih baik. Di samping itu, fasiliti ruang rehat juga diupgrade reka bentuk ruangan yang lebih sesuai bagi menampung ruang perbincangan kumpulan yang dilengkapi rangkaian kasual dengan papan skrin sentuh, sesi ruang bicara maya dan mesin kopi.
Bagi fasiliti kantin yang dinamik, papan menu digital dengan kemas kini hanya, kini masa nyata telah pilihan hidangan maklumat pemakaian dan amalan alergi. Skrin LED, pencahayaan tenaga yang efisien serta eco-friendly juga ruang udara terbuka dengan tempat duduk yang lebih anggun, selesa serta pencahayaan semulajadi. Dan, bagi hab pembelajaran luar bilik darjah, pemasangan cahaya LED tenaga solar yang dilengkapi dengan wifi tempat mengecas peranti, serta sistem pengurusan pembuangan sampah pintar. Segala kerja-kerja naik taraf ini akan dimulakan dalam masa yang terdekat dan dijangka akan siap pada hujung tahun ini. Selepas projek pengubahsuaian SRBJ telah siap sepenuhnya, saya ingin menjemput ke semua Ahli Dewan yang mulia ini untuk melawat ke Sekolah Rintis Bangsa Johor.
Yang Berhormat Pulai Sebatang ada menyatakan cadangan untuk terapkan kempen nilai murni dalam Sekolah Rintis Bangsa Johor yang mungkin kita boleh tengok modul pendidikan dari negara Jepun. Saya sangat setuju dengan cadangan YB Pulai Sebatang
dan saya akan pertimbangkan cadangan ini. Kita juga akan memberi penekanan terhadap modul Karakter Murid Johor yang sedia ada di negeri Johor. Jadi, di peringkat Sekolah Rintis Bangsa Johor akan memberikan segala aplikasi kepada KRMJ ini di dalam membentuk murid yang seimbang, berakhlak dan budaya saing sejajar dengan aspirasi negeri Johor. Karakter Murid Johor merujuk kepada ciri-ciri, nilai dan sikap yang ingin diterapkan dalam diri setiap murid di negeri Johor agar mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam peribadi, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat.
YB Tenang, YB Pulai Sebatang, YB Tiram, YB Senggarang, YB Sedili ada menyuarakan mengenai keinginan untuk menambah jumlah Sekolah Rintis Bangsa Johor di setiap daerah. Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini, pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor ini memerlukan perancangan yang rapi. Kajian demi kajian dilaksanakan, penglibatan pelbagai pemegang taruh serta pemantauan berkala dan pelaksanaan hasil yang dapat dibuktikan. Sekolah Rintis Bangsa Johor baru bermula operasi 17 Februari 2025, akan dipantau dan dinilai selama tempoh satu (1) tahun secara menyeluruh dan berkala agar objektif dan sasaran tercapai. Hasil penilaian tersebut akan menjadi asas untuk pertimbangan dan penstrukturan sebelum perluasan program ini ke sekolah-sekolah lain di negeri Johor.
YB Jementah, YB Bukit Naning, YB Sungai Balang telah menyuarakan kerisauan terhadap pendedahan serta infrastruktur bagi pembelajaran STEM, Program Coding dan peralatan IT di sekolah-sekolah negeri Johor. Meskipun infrastruktur masih menjadi cabaran di setengah sekolah, namun usaha terus oleh kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor sedang giat dijalankan termasuk Program Digitalisasi Pendidikan, penyediaan sumber pengajian digital dan latihan guru yang bertujuan memaksimumkan keberkesanan pengajaran dalam masa yang diperuntukkan. Kokurikulum STEM boleh disokong melalui penggunaan platform pembelajaran digital yang tidak bergantung sepenuhnya kepada internet. Contohnya, bahan pembelajaran dalam bentuk video, animasi dan simulasi boleh dimuat turun terlebih dahulu dan digunakan secara offline. Ini akan meningkatkan akses kepada bahan pembelajaran interaktif walaupun dalam persekitaran yang terhad terhadap penggunaan teknologi. Kerajaan negeri Johor sedang menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk merancakkan lagi program-program yang melibatkan STEM. Kerjasama ini dapat diperluaskan lagi sumber dan kepakaran luar bagi menyokong pelaksanaan kokurikulum STEM yang lebih berkesan dan berimpak tinggi.
YB Johor Lama ada menyuarakan isu berkenaan tekanan dan gangguan mental yang dihadapi oleh pelajar sekolah yang semakin membimbangkan. Kerajaan negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim, bergerak seiring bagi memastikan, bagi mengatasi masalah tekanan dan gangguan mental di kalangan murid sekolah di negeri Johor. Cadangan penubuhan Unit Kesihatan Mental Pelajar Negeri Johor di antara Jabatan Pendidikan Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim. Unit ini akan menyediakan khidmat sesi kaunseling profesional setiap sekolah, program intervensi awal bagi pelajar berisiko pendidikan kesihatan mental secara sistematik. Latihan kesedaran kesihatan mental kepada guru dan ibu bapa juga penting dalam memastikan kestabilan emosi pelajar sentiasa terjaga ketika di dalam dan luar sekolah. Melatih guru dan ibu bapa untuk mengenal pasti tanda-tanda awal tekanan emosi atau kemurungan yang dihadapi oleh
pelajar. Program ini boleh dijalankan melalui Bengkel Psikologi Asas, Kursus Kendalian Emosi Pelajar dan sesi taklimat bersama pakar kesihatan mental.
YB Kota Iskandar ada menyuarakan isu tentang kepadatan murid sekolah di kawasan Kota Iskandar. YB Datuk Speaker, kita sedia maklum berkenaan dengan kawasan Kota Iskandar ini merupakan kawasan penduduk yang padat ditambah pula dengan kawasan pentadbiran kerajaan negeri Johor. Kawasan Kota Iskandar mempunyai 36 buah sekolah kebangsaan, 25 buah sekolah kebangsaan telah beroperasi dua (2) sesi dan 12 buah sekolah menengah kebangsaan. Semua sekolah-sekolah ini telah dikategorikan sebagai sekolah padat murid. Oleh hal yang demikian juga telah membawa isu ini kepada Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor, projek, dua (2) projek sekolah telah diluluskan pada tahun lepas di dalam Rancangan Malaysia (RMK-12) Rolling Plan yang keempat.
Pertama, pembinaan baharu kompleks sekolah Taman Pulai Indah yang mengandungi 30 bilik darjah sekolah rendah dan 36 bilik darjah bagi sekolah menengah. Kedua, pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Mutiara Rini tiga (3) yang mengandungi 36 bilik darjah. Sekolah baru yang berhampiran dengan kawasan Kota Iskandar yang telah diluluskan juga adalah pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Indah 2, Johor Bahru yang mengandungi 30 bilik darjah. Satu (1) projek yang telah diluluskan pada tahun ini di bawah RMK-12, RP 5, pembinaan baharu Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Bayu, Johor Bahru yang mengandungi 30 bilik darjah.
YB Kukup telah memaklumkan bahawa terdapat bangunan terbiar YPJ Holding bersebelahan dengan SMK Sri Kukup. Yang Berhormat Datuk Speaker, berkaitan dengan tanah yang dimaksudkan iaitu Lot 8011 Mukim Air Masin, Kukup, Pontian, Johor seluas 3.25 ekar ia dirancang untuk dibangunkan oleh anak syarikat dalam Kumpulan YPJ Holding iaitu YPJ Multi Bina Sdn. Bhd. dengan syarikat Micro Plus Sdn. Bhd. melalui perjanjian usahasama yang ditandatangani pada tahun 2019, cadangan permohonan asal yang dimajukan dalam Permohonan Kebenaran Merancang pada tahun Januari 2022 adalah 30 unit rumah kedai dua (2) tingkat. Walau bagaimanapun, cadangan pembangunan ini menjadi tidak terdaya maju apabila pemaju disyaratkan untuk menyerahkan 20 meter tanah daripada sempadan jalan bagi tujuan pelebaran jalan. Ini menyebabkan jumlah kedai yang boleh dibina berkurang kepada 18 unit. Oleh yang demikian, pemaju terpaksa merombak dan merancang kembali pembangunan kompleks perniagaan untuk menjadikan ia berdaya maju. Setelah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah YPJ Holding pada 21 Februari 2025, permohonan ubah syarat tanah kepada komersial dan juga menepati zon perancangan dalam Rancangan Tempatan Daerah Pontian telah pun dikemukakan kepada Pejabat Tanah Daerah Pontian pada 27 Mac 2025.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai penutup, sebagai penggulungan saya pada hari ini terlebih dahulu, saya ingin merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih saya, setinggi-tingginya kepada semua guru di negeri Johor yang telah mengorbankan masa dan diri mereka untuk memastikan kita berilmu dan menjadi insan berguna. Tanpa keikhlasan dedikasi para pendidik, mustahil untuk kita berada pada tahap pencapaian membanggakan hari ini. Guru bukan sekadar penyampai ilmu, malah mereka adalah pembentuk sahsiah, penanam nilai, penyuluh masa depan. Sekali lagi terima kasih kepada semua guru, tidak terlambat, Selamat Hari Guru. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan saya, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun yang saya reka
khas kepada semua. Lipan berjalan di atas papan, kakinya disikat di bawah kayu, wawasan pendidikan masa hadapan, demi rakyat Johor terus maju. Sekian, Kepada Allah Berserah. Wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tanjung Surat. Dipersilakan Yang Berhormat Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi.
YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi: Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Pertama-tamanya patik merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor atas keberangkatan menyempurnakan pembukaan rasmi Penggal Persidangan Dewan Negeri Johor pada kali ini, ampun Tuanku. Sesungguhnya titah Tunku yang bersalutkan teguran, bersulamkan nasihat dan bersarungkan ilmu sesuatu yang amat wajar diambil perhatian dan tindakan demi manfaat rakyat jelata Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya dah tiga (3) hari tak tidur. Kejadian gangguan bekalan air yang melibatkan 155,000 akaun ini benar-benar mengganggu fikiran saya dan menguji kita semua.
Mandi tak?
YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi: Sempat mandi. Saya minta maaf kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Dewan kerana terpaksa tidak menjawab soalan yang telah disenaraikan semalam. Ini kerana saya perlu mempengerusikan mesyuarat kecemasan, koordinasi bersama pihak RSAJ dan beberapa agensi lain.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya ni bukan jurucakap syarikat Air. (Dewan bertepuk). Bila saya update dalam media sosial saya, ramai yang kata ini wakil syarikat air memberikan update. Bukan, tindakan saya yang sentiasa update di media sosial termasuklah update YB-YB semua dalam group WhatsApp kerana ingin memberi maklumat semasa kepada rakyat dan juga pengguna. Rakyat tertunggu-tunggu Datuk Timbalan Speaker. Apa punca? Bagaimana berlaku? Kenapa ambil masa terlalu lama dan bila kawasan ini dan kawasan itu akan menerima semula bekalan air seperti biasa? Saya mulakan sedikit dengan info berkenaan diagram sistem bekalan air ini. Ha, mana.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sumber air yang kita mengalami gangguan ini berpunca daripada puncanya daripada Sungai Johor. Masuk ke pam air, pam air ini dipam ke loji rawatan air Sungai Johor dan ini melibatkan lebih kurang 155,074 akaun. Dan, dalam rumah pam itu pula, terdapat sembilan (9) unit pam yang menyedut air Sungai Johor dan satu dia pergi pam ke Empangan Layang dan enam (6) unit di sebelah kanan itu mengepam ke loji rawatan air Sungai Johor. Kebocoran berlaku nun di hujung sana yang berwarna oren itu. Bila bocor, maka seluruh rumah pam ini dibanjiri dan ditenggelami oleh air menyebabkan kesemua sembilan (9) ini pam rosak. Ini kekurangan pertama, tak ada protection kepada setiap unit pam. Silapnya sikit tetapi membawa malapetaka. Kita terpaksa shut down kan, dengan izin, menutup LRA Sungai Johor yang berkapasiti 318 juta liter
sehari yang menyalurkan bekalan bukan sahaja kepada pengguna domestik tetapi juga hospital, sekolah dan kawasan industri termasuk data center. Saya dah pun mengarahkan pihak syarikat buat post mortem, cek semula dan bertanggungjawab tentang perkara ini. (Dewan bertepuk). Ini lokasi gambarnya.
Bagaimana Datuk Timbalan Speaker? Dah tenggelam sebegini tinggi kita baru dapat amaran. Ini satu lagi yang perlu dilihat secara serius oleh syarikat operator air ini. Bayangkan dah tenggelam macam ini, baru kita kelam kabut, baru nak cari punca dekat mana. Nak cari punca Datuk Timbalan Speaker, nak kena keringkan rumah pam ini dulu. Nak kering ambil masa 12 jam. 12 jam kering baru jumpa punca. Tetapi saya bukanlah nak menuding jari kepada mana pihak, ini ialah ruang untuk kita menambahbaik sistem kita yang ada untuk masa depan kita.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan terdapat tujuh (7) Zon. Kita pecahkan 155,000 akaun ini kepada tujuh (7) Zon. Yang pertama ialah Zon Tiram 30,000 akaun, Zon Tebrau 24,420 akaun, Zon Bandar 13),459 akaun, Zon Kempas 9,257 akaun, Zon Skudai 5,528 akaun, Zon Bukit Indah yang sehingga kini masih lagi belum mendapat bekalan air sebanyak 38,378 akaun dan Zon Iskandar Puteri sebanyak 34,040 akaun. Menjadikan jumlah semua sekali ialah 155,000 akaun.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ini ialah proses yang kita terpaksa lalui yang saya tidak tidur malam tiga (3) hari ini. Iaitu proses pengeringan. Yang ini ambil masa 12 jam, cari punca kebocoran, cek kerosakan setiap pam, dah cek kena buka satu persatu, bawak ke kilang, masuk dalam oven untuk keringkan. Bukan dekat JB, dekat Senai, bukan satu (1) unit Datuk Timbalan Speaker, sembilan (9) unit. Buka satu-satu, angkut satu-satu, bawa ke Senai, beratur satu-satu. Sambil tunggu pam ini kering, kerja-kerja pembaikan paip yang bocor itu pun kita laksanakan. Bila pam dah kering, satu-persatu perlu dipasang semula dan dibuat percubaan dengan izin, testing. Kalau ok, Alhamdulillah, kalau tak ok, repair lagi. Perkara ini diulang-ulang sehinggalah air di rumah tuan-tuan, Ahli-Ahli Yang Berhormat pengguna, kering. Ini menyebabkan timeline yang kita dah set awal tidak menjadi kenyataan. Apabila pam ini siap dibaiki, kita mulakan dengan dua (2) dulu Yang Berhormat Datuk Speaker. Tak boleh mula dengan satu (1) dulu, kena minimum dua (2) dulu iaitu 50% kapasiti loji rawatan air kita dan ianya mula beroperasi pada 12.30 malam pada 22 Mei. Kemudian pam ketiga menjadikan 75% operasi pada 3.00 petang semalam, pada 22 Mei dan pam terakhir yang keempat, datang lewat sedikit kerana ada masalah teknikal pada 7.00 malam pada 22 Mei. Akhirnya kita dapat penyelesaian pembaikan dulu sebanyak 100% selesai. Yang itu pembaikan, belum lagi pemulihan. Bila pam ini telah siap dibaiki barulah loji rawatan air Sungai Johor dapat beroperasi secara penuh 100% dengan kapasiti 318 juta liter sehari.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, air yang diproses di Loji Rawatan Air Sungai Johor ini mula disalurkan ke tangki-tangki utama. Tangki-tangki rumah yang telah pun kosong dan ianya mengambil masa. Kawasan pertama yang dapat kita atasi 100% ialah Zon Tebrau pada jam 4.00 petang semalam 22 Mei. Kemudian 100% di Zon Kempas dan Zon Bandar pada 1.00 pagi 23 Mei. Sementara air-air ini tiba ke pengguna, kita telah gerakkan 41 buah tanker berkapasiti 40 meter padu sebanyak 32 unit dan 20 meter padu sebanyak sembilan (9) unit. Kita gerakkan tanker-tanker ini ke 45 kawasan sama ada yang kritikal seperti hospital atau yang lewat menerima bekalan. Selain itu, kita juga mengedarkan 13,000 karton air mineral dan juga air minuman kepada 30 kawasan yang terjejas. Untuk
makluman Ahli-Ahli Dewan, setakat 12:00 tengah hari tadi kita telahpun mencapai sebanyak 63% pembaikan iaitu 98,205 akaun.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu ini bukan sahaja mengajar kita bagaimana cara menguruskan bencana. Perlu dedikasi, memiliki data yang tepat, kerjasama dengan semua pihak dan hendaklah kita menggunakan teknologi baharu dan yang terkini. Ini semua perlu diaplikasikan oleh semua pihak tak kira sama ada syarikat air ataupun syarikat utiliti yang lain. Sekali lagi Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya bukan mencari salah mana-mana pihak tetapi kita nak pandang ke depan, ke arah yang lebih baik, ke arah yang tersusun dan ke arah matlamat Maju Johor. Budak-budak pergi ke kedai, pergi ke kedai sebelum Zohor, ubah budaya kerja cincai, pasang matlamat Maju Johor. (Dewan bertepuk). Sekian, terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Pasir. Malam ini boleh tidur nyenyak sikit. Ahli-Ahli Yang Berhormat dipersilakan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia.
Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Datuk Speaker. Patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan seterusnya bertitah merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Yang Ke-15. Bagi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi soal jawab mahupun sesi perbahasan yang telahpun berlangsung. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua agensi negeri dan persekutuan termasuk BPENJ, Invest Johor, MITI, IRDA, MIDA, SMI, PBT-PBT, MATRADE, JCorp, TNB, RSAJ dan sebagainya atas kerjasama dan juga sokongan yang diberikan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, berkaitan dengan cadangan pembangunan negeri Johor, berkaitan dengan JETP, JS-SEZ dan sebagainya ingin saya tegaskan bahawa kerajaan negeri Johor di bawah Visi Maju Johor telahpun menetapkan bahawa status sebagai sebuah negeri maju tidak boleh diukur semata-mata melalui pertumbuhan ekonomi sahaja tetapi perlu merangkumi kemajuan secara menyeluruh dalam enam (6) Teras Utama Maju Johor termasuk kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar, kemajuan pendidikan dan teknologi serta tadbir urus yang berintegriti. Ramai Ahli-Ahli Yang Berhormat turut memberikan pandangan yang bernas bahawa kita tidak boleh bekerja hanya berlandaskan angka semata-mata dan perkara ini amat kita hargai dan setuju. Namun kita juga perlu mengakui Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) tetap merupakan satu indikator penting yang tidak boleh diketepikan kerana ia mencerminkan kekuatan asas dan daya saing ekonomi sesebuah negeri ataupun negara serta menjadi penanda aras yang diiktiraf secara global dan menilai tahap pembangunan. Oleh sebab itu, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah secara strategik termasuk melaksanakan Johor Economic Transformation Programme (JETP), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Ekonomi Khas Forest City yang semua berkait rapat. JETP merupakan satu pelan transformasi jangka masa sederhana dan juga panjang untuk memastikan pembangunan negeri Johor kekal mampan, seimbang dan inklusif menjelang tahun 2030.
Inisiatif ini merupakan komponen penting dalam Visi Maju Johor dan diselaraskan dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 yang bakal dibentangkan oleh kerajaan persekutuan. Ia turut melengkapi pelbagai usaha seperti JS-SEZ sekaligus membentuk kerangka pembangunan ekonomi yang kukuh untuk memastikan Johor terus kompetitif dan berdaya saing di persada antarabangsa. Berdasarkan analisis perunding JETP, saya ingin tegaskan bahawa laporan ini merupakan laporan interim dan belum diterima oleh kerajaan negeri secara rasmi, maka dia sebagai satu rujukan sahaja. KDNK, keluaran Dalam Negeri Kasar Johor pada tahun 2023 adalah sebanyak RM148 billion. Untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030, Johor perlu mencapai sasaran GDP sebanyak RM260 billion. Ini bermakna Johor perlu melonjakkan penubuhan GDP pada kadar tahunan sebanyak 8.36%, jauh lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan semasa iaitu 3.94% secara puratanya. Secara sekiranya kita tak buat apa-apa, kita ikut cara biasa, maka daripada RM148 billion kita akan naik jadi RM194 billion menjelang tahun 2030.
Pada masa yang sama, GDP per kapita Johor pada tahun 2023 ialah RM41,902.00 bermaksud lebih kurang USD9,000.00 hingga USD9,500.00 dan ia adalah agak jauh daripada status pendapatan tinggi yang dikategorikan oleh World Bank iaitu USD13,000.00 di mana lebih kurang RM55,000.00 dan untuk mencapai sasaran negeri maju, angka ini kalau kita tukar jadi Ringgit Malaysia adalah lebih kurang RM54,517.00 menjelang tahun 2030. Justeru, jelas bahawa kalau kita memerlukan satu anjakan paradigma yang besar dan tidak boleh bekerja seperti biasa atau as usual sahaja. Segala dasar inisiatif dan juga pelaksanaan, perlu diselaraskan secara menyeluruh dan juga dipacu dengan keberanian dan inovasi bagi menjadikan Johor mampu mencapai sasaran transformasi ekonomi yang dihasratkan untuk mencapai satu negeri bertaraf maju, ekonomi bertaraf maju menjelang tahun 2030 dan untuk melonjakkan ekonomi negeri ini, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dilihat sebagai satu pemangkin penting ke arah mencapai sasaran tersebut. Malah, pagi ini sahaja telahpun berlangsung satu Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor di mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri telahpun mempengerusikan mesyuarat tersebut dan memaklumkan mesyuarat bahawa Johor kini menjadi tumpuan dunia sehinggalah pelabur-pelabur antarabangsa turut membangkitkan persoalan mengenai perkembangan JS-SEZ semasa Forum Ekonomi Dunia di Davos serta beberapa platform antarabangsa di Jepun, di Thailand dan banyak lagi. Dan hari ini saya nak merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat yang telahpun menyuarakan pandangan bernas termasuk Benut, Sri Medan, Pemanis, Stulang, Bukit Batu, Pasir Raja, Jementah, Layang-layang dan lain-lain dan kerajaan negeri sedar bahawa perlaksanaan JS-SEZ mesti dilaksanakan secara berhati-hati dan berprinsip. Memastikan manfaat sebenar dinikmati oleh Johor dan rakyatnya. Bukan sekadar menjadi lokasi tumpuan kos rendah kepada pelabur asing.
Justeru, dalam penyediaan pelan induk JS-SEZ bersama kerajaan persekutuan yang dijangka dapat siap pada akhir tahun ini, dijangka bulan November tahun ini kerana negeri Johor menekankan terma rujukan yang jelas seperti pertama, memperincikan misi jangka panjang. Kedua, tawaran nilai peluang pelaburan dan Aspirasi Strategik JS-SEZ serta usaha memastikan nilai tambah di Johor, usaha meningkatkan kompleks di ekonomi Johor, usaha meningkatkan bakat tempatan, pembinaan teknologi serta kerjasama vendor dan juga PKS tempatan.
Kedua, pelan tersebut akan menjadi satu panduan teknikal dan pelan tindakan untuk agensi-agensi kerajaan untuk merancang, membangunkan dan menyelenggara JS-SEZ secara sistematik. Dengan adanya pelan induk ini, pelaksanaan Zon Ekonomi Khas akan berjalan dengan lebih lancar dan memberi impak ekonomi yang optimum kepada negeri Johor sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai pintu masuk utama pelaburan serantau.
Seterusnya Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kewujudan JS-SEZ sebenarnya juga menjadi pemangkin utama dari segi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan dasar strategik yang sebelum ini mungkin bukan senang untuk negeri Johor membangkitkan atau pun mengutarakan ia kepada kerajaan persekutuan. Sebagai contoh, Projek Elevated LRT yang dihuraikan oleh rakan saya, kini dalam proses RFP yang apabila siap kelak akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan berfungsi sebagai pelan penyaluran trafik bagi menyokong operasi RTS Link pada 1 Januari 2027 di mana RTS Link akan beroperasi. Selain itu, kerajaan persekutuan juga bersikap terbuka untuk membincangkan inisiatif Regulatory Sandbox yang membolehkan ujian dasar dan juga inovasi dijalankan dalam persekitaran terkawal untuk mempercepatkan pelaksanaan projek baharu. Tambahan pula, kerajaan negeri Johor telah menerima komitmen dana infrastruktur khas daripada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Ekonomi di samping dana pembangunan tahunan melalui RMK yang memperkukuh keupayaan negeri dalam melaksanakan projek-projek strategik. Tambahan juga, di bawah portfolio-portfolio lain kita telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif baharu selaras dengan JS-SEZ, selaras dengan visi Maju Johor, Sekolah Rintis Bangsa Johor, hospital baharu, projek pertanian moden dan sebagainya. Kesemua inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan daya saing Johor, malah turut mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak dan memberikan manfaat ekonomi yang ketara kepada Johor.
Namun Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, walaupun pelbagai inisiatif pembangunan khususnya JS-SEZ sedang giat dilaksanakan, kita tidak boleh menafikan bahawa cabaran global tetap wujud dan memerlukan perhatian serius. Yang Berhormat Perling, Bukit Kepong, Sungai Balang, Simpang Jeram, Bentayan telah pun membangkitkan isu berkaitan tarif baharu yang bakal dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap produk-produk Malaysia. Pelaksanaan tarif timbal balik ini dijangka mempunyai pelbagai impak langsung dan tidak langsung tapi impak langsung khususnya di dalam tiga (3) aspek.
Pertama, peningkatan kos pengeluaran dan juga harga produk eksport terutamanya bagi eksport utama Johor seperti elektrik, semi konduktor, produk perabot berasaskan kayu serta komponen pengilangan yang bergantung kepada pasaran Amerika Syarikat. Justeru berpotensi mengurangkan daya saing produk Johor, menurunkan volume eksport dan mengecilkan margin keuntungan industri. Kedua, ia juga berpotensi menyebabkan pengalihan aliran perdagangan global di mana produk yang sebelum ini dieksport ke pasaran Amerika Syarikat kini mungkin mencari pasaran lain alternatif termasuk Malaysia. Situasi ini meningkatkan risiko lambakan import dan yang boleh menjejaskan industri tempatan khususnya usahawan kecil dan sederhana.
Ketiga, walaupun buat sementara ini Johor masih mencatat momentum pelaburan yang memberangsangkan meskipun berdepan dengan cabaran global, potensi gangguan kepada rantaian bekalan global akibat tarif yang berpanjangan akhirnya boleh menjejaskan aliran pelaburan asing. Dalam hal ini, kerajaan negeri Johor menyambut baik beberapa strategi utama yang telah pun dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan khususnya melalui MITI
untuk menghadapi cabaran ini termasuk dari sudut penyelarasan dan pemantauan mikro ekonomi, kerajaan melalui Pusat Tindakan Geo Ekonomi Negara ataupun National Geo Economic Coordination Centre sebagai platform bersepadu untuk memantau, menilai dan menyelaras tindak balas dasar negara terhadap perubahan landskap perdagangan global yang semakin mencabar.
Bagi menyokong sektor perniagaan yang terkesan, kerajaan telah meningkatkan jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan selain menyediakan tambahan dana pembiayaan mudah berjumlah RM500,000,000.00 yang disalurkan melalui Institusi Pembangunan Kewangan khusus untuk membantu PKS yang terjejas akibat perubahan ini. Tambahan pula kerajaan persekutuan melalui MITI juga telah pun mengambil tindakan anti lambakan bagi produk keluli, polyethylene terephthalate (PET) dari negara-negara tertentu selepas siasatan mendapati produk-produk tersebut diimport pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran asal yang menyebabkan kerugian kepada institusi tempatan.
Akta Duti Timbal Balik dan Akta Anti Lambakan 1993 akan dikuatkuasakan untuk memperkukuh perlindungan terhadap industri tempatan termasuk PKS daripada amalan perdagangan tidak adil. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga telah mengambil tindakan proaktif sementara rundingan bersama pihak Amerika Syarikat sedang berlangsung dengan menyemak semula proses pengeluaran sijil asal ataupun certificate origin. Buat masa ini, MITI menetapkan bahawa semua permohonan COO yang melibatkan eksport ke Amerika Syarikat hendaklah dikemukakan dan dikeluarkan oleh Pejabat MITI sahaja tidak lagi melalui agensi ataupun badan yang dilantik. Maka tambahlah kerja-kerja untuk pegawai-pegawai MITI yang bertungkus lumus mempertahankan kepentingan negara pada masa ini. Langkah ini diambil untuk memastikan kawal selia yang lebih ketat terhadap status asal barangan yang dieksport, mengelakkan risiko penyalahgunaan atau kesan negatif terhadap rundingan perdagangan serta mengekalkan keyakinan negara Amerika Syarikat terhadap komitmen Malaysia dan melaksanakan perjanjian perdagangan dengan lebih telus dan berintegriti.
Di peringkat kerajaan negeri Johor pula, kita telah pun juga ambil satu aktif, tindakan yang proaktif menjalinkan usaha kerjasama strategik dengan kerajaan persekutuan dan memastikan penyelarasan dasar yang responsif. Kita juga telah pun mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak perunding profesional melalui program JTP yang disebutkan tadi bagi menilai impak pengenaan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat terhadap Malaysia khususnya ke atas ekonomi negeri Johor. Laporan yang disediakan, laporan ini telah pun mengemukakan analisis termasuk potensi risiko terhadap industri eksport utama. Kemungkinan kesan limpahan lambakan import yang boleh menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana serta peluang strategik yang boleh dimanfaatkan oleh Johor untuk menjadi destinasi pilihan pelaburan dan juga hab transformasi semula eksport serantau.
Berdasarkan laporan ini, beberapa cadangan dasar dan pelan tindakan sedang dikenal pasti untuk memastikan Johor bukan sahaja bersedia menghadapi cabaran tetapi mampu menukar krisis menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang khususnya melalui JS-SEZ dan juga Zon Kewangan Khas Forest City, juga akan terus memperkukuhkan infrastruktur risiko yang berperanan meningkatkan integrasi serantau sekali gus memudahkan pergerakan barangan dan pengaliran modal secara efisien. Usaha ini diharapkan dapat memperkukuhkan lagi asas rantaian bekalan dan meminimumkan
sebarang gangguan operasi yang mungkin timbul akibat peningkatan kos perdagangan. Melalui kerjasama erat dengan Singapura, JS-SEZ juga memberikan satu fleksibiliti strategik kepada pelabur untuk mengoptimumkan kelebihan unik yang ditawarkan oleh Johor dan Singapura. Pelabur dapat memanfaatkan struktur kos yang lebih efisien di Johor termasuk akses kepada tanah yang luas, tenaga kerja yang kompetitif dan sumber tenaga yang mencukupi. Pada masa yang sama, mereka boleh akses kemudahan penyelidikan dan pembangunan serta infrastruktur kewangan global yang disediakan oleh negara Singapura. Selain itu, pelabur juga boleh memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas ataupun FTA (Free Trade Agreement) yang ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura, masing-masing tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat asal (rules of origin) dan juga peraturan berkaitan. JS-SEZ ini menyediakan eko sistem yang kondusif untuk pelabur menyusun strategi pasaran yang fleksibel dan berdaya saing dalam persekitaran perdagangan yang begitu dinamik sekarang.
Pada masa yang sama, Johor perlu berusaha memperkasakan PKS dan sektor tempatan melalui padanan strategik dengan pelabur antarabangsa bagi melahirkan juara tempatan baharu seperti mana yang dicapai melalui pelaburan Dyson dan PETRONAS di Johor sebelum ini. Sebagai contoh, VS, SKP Resources, MyBrush telah pun menjadi pengekal apa tu, pembekal utama di rantaian global buat masa sekarang. Dalam hal ini, kerajaan negeri Johor telah pun melaksanakan inisiatif proaktif untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana. Contohnya, melalui kerjasama strategik dengan Bank Rakyat di mana kemudahan pembiayaan, sebahagian kaedah, faedah ataupun keuntungan, kadar keuntungan ditanggung oleh kerajaan negeri. Contohnya bagi usaha mikro, kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kadar keuntungan sebanyak 9.5%, mana bagi pinjaman sehingga RM500,000.00 kerajaan negeri menanggung subsidi sebanyak 3.58%. Langkah ini bertujuan untuk meringankan bebanan kewangan usahawan tempatan. Secara keseluruhan dengan strategi holistik yang menggabungkan peningkatan infrastruktur, inovasi teknologi dan diversifikasi pasaran kerana negeri optimis dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta mengekalkan daya saing industri negeri dalam menghadapi cabaran perdagangan global yang tidak menentu. Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen bersama untuk meminimumkan risiko ekonomi dan juga memastikan kestabilan pasaran demi mencapai pertumbuhan jangka panjang dan juga mencapai visi Maju Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Berhormat Kukup, Kota Iskandar serta Ahli-Ahli yang lain telah pun membangkitkan status pembangunan pusat data di Johor yang semakin pesat sejak tiga (3) tahun ini. Untuk makluman Dewan ini, bilangan pusat data di negeri Johor buat masa sekarang adalah 42. Daripada jumlah tersebut, 13 telah pun beroperasi, 15 dalam pembinaan, manakala 14 telah pun diluluskan di peringkat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor sepertimana yang dihuraikan oleh rakan saya pagi ini, tadi. Oleh itu, dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Johor (PLANMalaysia Johor) Garis Panduan Perancangan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor telah pun disediakan dan diluluskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada April 2024 sebagai panduan dan rujukan yang seragam kepada Pihak Berkuasa Tempatan di Johor. Negeri Johor merupakan antara negeri yang terawal merangka peraturan berkaitan pembangunan pusat data. Aspek kemampanan ataupun sustainability pusat data termasuk penggunaan air, electricity telah pun diambil kira melalui water usage efficiency, melalui power usage efficiency. Pengawalan pelepasan karbon merupakan perkara-perkara yang diutamakan dalam garis panduan tersebut.
Permohonan akan ditolak sekiranya lokasi yang dipilih tidak sesuai ataupun tidak mempunyai prasarana utiliti yang mencukupi ataupun berisiko memberi tekanan ke atas bekalan air ataupun elektrik kepada masyarakat tempatan. Jawatankuasa ini juga berbincang dengan pelabur mengenai jumlah pekerjaan yang dapat ditawarkan serta usaha-usaha kerjasama membangunkan bakat tempatan. Dengan sokongan semua pihak, transformasi Johor menjadi kuasa besar dalam sektor ini boleh membawa era pertumbuhan ekonomi baharu bukan sahaja untuk Johor tetapi untuk Malaysia secara keseluruhan.
Selain itu, kerajaan negeri Johor juga menekankan kepentingan untuk memperluas manfaat ekonomi daripada pembangunan pusat data. Ini termasuk merancang fasa seterusnya yang melibatkan permohonan sektor pembuatan berkaitan pusat data. Sebagai contoh, pengeluaran data server rack, sistem penyejukan dan komponen lain. Langkah ini bertujuan memastikan nilai tambah daripada industri pusat data dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Johor melalui penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan PKS tempatan. Baru-baru ni, kerajaan persekutuan melalui MITI juga sedang giat memperkukuh pembangunan industri pusat data dengan menubuhkan Pasukan Petugas Pusat Data ataupun di peringkat federal dipanggil Data Centre Taskforce yang bertujuan menyelaras pembangunan kawal selia serta pembinaan eko sistem pusat data dan pengkomputeran awam negara secara menyeluruh. Data Centre Taskforce ini berperanan untuk mengubah data strategik, menilai permohonan baharu serta lebih, yang secara lebih selektif menggunakan piawaian yang disebutkan tadi serta memastikan setiap pelaburan membawa limpahan ekonomi yang positif. Tambahan pula, di bawah Data Centre Taskforce tersebut, beberapa kumpulan fokus telah pun diwujudkan khususnya berkaitan dengan tenaga di mana Suruhanjaya Tenaga telah pun memantau keperluan tenaga, menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu dan memperbaiki kecekapan tenaga pusat data. Pendekatan ini selari dengan usaha kerajaan negeri Johor yang turut berhati-hati dalam meluluskan projek pusat data agar ia tidak hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal sahaja, tetapi juga memastikan fasa seterusnya melibatkan permohonan industri berkaitan. Langkah ini bertujuan menjadikan Johor lagi-lagi bukan sahaja destinasi hab pusat data tetapi turut menikmati nilai tambah secara menyeluruh kepada ekonomi negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ramai Ahli-Ahli Yang Berhormat juga bangkitkan isu kos sara hidup. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah pun menjalankan beberapa inisiatif. Kita semua sedia maklum, Program Jualan Rahmah telah pun dijalankan sejak Januari 2023 lagi. Ia dilaksanakan di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri, menawarkan potongan harga antara 10% hingga 30% bagi barangan keperluan. Potongan harga yang ditawarkan adalah berbeza bagi setiap sesi, setiap kawasan bergantung kepada kawasan, bergantung kepada kos logistik dan sebagainya. Sebagai contoh, tin sardin mungkin menerima potongan 10% pada bulan Januari dan 20% pada bulan Februari, bergantung kepada kadar diskaun yang diberikan serta bergantung kepada peruntukan kerajaan sedia ada. Apa yang penting, semua barangan dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran dan sekiranya ada maklum balas saya alu-alukan supaya Ahli-ahli Yang Berhormat boleh menghubungi pegawai yang bertanggungjawab untuk daerah berkenaan. Seterusnya kita juga memperkuasakan, menguatkuasakan skim kawalan harga maksimum musim perayaan sebagai satu mekanisma untuk membantu rakyat meringankan bebanan rakyat semasa musim perayaan. Dan sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas, pelbagai platform atau pun saluran untuk membuat aduan telah pun disediakan oleh KPDN Johor melalui aplikasi telefon pintar, EZ Adu, talian Whatsapp, talian hotline, emel dan sebagainya.
Maka kita mengalu-alukan aduan atau pun maklum balas daripada rakyat serta Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, sebelum saya mengakhiri sesi penggulungan ini, izinkan saya menarik perhatian, juga Ahli-Ahli Yang Berhormat kepada satu inisiatif penting kerajaan negeri Johor dalam bidang pembangunan modal insan melalui KKDC seperti mana yang dihuraikan oleh rakan saya tadi. Kami akan anjurkan satu karnival kerjaya yang mega, JDDC Job Fair bersama dengan pihak UTHM serta PERKESO Johor. Karnival ini akan berlangsung pada 31 Mei dan 1 Jun 2025, hari Sabtu dan Ahad jam 5 hingga 5 petang di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM Batu Pahat. Satu lagi kali career fair mega ini akan dilaksanakan pada akhir tahun ini bulan 9 atau 10 di Arena Larkin di Johor Bahru. Kami menjemput semua Ahli-Ahli Dewan Negeri untuk turut hadir dalam program ini. Akhir sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah pun mengambil bahagian dan membangkitkan isu-isu penting berkaitan portfolio ini sepanjang persidangan Dewan kali ini. Demi memperkukuh dasar mantapkan penyampaian dan memajukan negeri kita bersama. Sidang berjalan penuh makna, pandangan diberi tanpa jemu; demi Johor kita bersama, Maju Johor jadi azam bersatu. Sekian terima kasih, salam maju Johor.
Terima kasih Yang Berhormat Paloh. Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Salam Sejahtera, salam maju Johor, Ahli-ahli Dewan yang saya hormati sekalian. Patik dengan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 16 Mei bahawa ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan kesihatan di negeri Johor ini perlulah sentiasa dipertingkatkan. Titah Diraja oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar kerajaan negeri Johor memastikan hospital, klinik baharu dibina mengikut jadual, dilengkapi dengan teknologi terkini, fasiliti yang baik serta bekalan ubat-ubatan yang sentiasa mencukupi di seluruh negeri Johor. Kesihatan dan kesejahteraan Bangsa Johor merupakan aspek yang amat penting. Pada tahun 2025, sebanyak 47 fasiliti kesihatan termasuk klinik kesihatan dan klinik desa telah dijadualkan untuk kerja-kerja naik taraf.
Untuk makluman Ahli-ahli Dewan sekalian, pada tahun 2024, sebanyak 55 fasiliti telah dinaik taraf manakala pada tahun 2023, 44 fasiliti telah selesai dinaik taraf. Secara keseluruhannya sebanyak 146 fasiliti telah ditambah baik dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM62.6 juta dalam tempoh tiga (3) tahun ini. Projek menaik taraf tahun 2023 dan 2024 telah juga siap dan meningkatkan keselesaan para pesakit seperti yang dimaklumkan oleh YB Parit Yaani dan YB Gambir. Kerajaan negeri Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan terus memantau dan memastikan 47 projek menaik taraf tahun ini akan siap mengikut jadual perancangan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerajaan negeri Johor juga sentiasa bersedia membantu kerajaan persekutuan dalam memperkukuh sektor kesihatan. Hal ini dibuktikan melalui Belanjawan Negeri Johor Tahun 2025, dimana peruntukan terbesar bagi sektor kesihatan sebanyak RM10.76 juta telah diperuntukan khusus untuk menambah baik
perkhidmatan kesihatan di negeri ini. Kerajaan negeri Johor amat prihatin terhadap isu kesesakan yang berlaku di hospital dan klinik kesihatan. Ini merupakan masalah legasi yang telah lama berlaku dan kami akui ia bukan mudah untuk ditangani. Namun demikian, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan isu ini, sebaliknya kami telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan task force khas bagi merangka penyelesaian menyeluruh. Sepanjang tahun ini, saya sendiri telah turun padang dan melawat ke hospital-hospital utama di Johor, termasuk Hospital Sultanah Aminah, HSA, Hospital Sultan Ismail, HSI, Hospital Batu Pahat, Hospital Kluang, Hospital Pontian. Lawatan ini adalah untuk mendapat maklumat sebenar di lapangan dan mendengar sendiri pandangan kakitangan serta pesakit.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dengan sukacitanya saya memaklumkan seisi Dewan, Jawatankuasa Task Force Kesesakan di HSA dan HSI yang ditubuhkan telah mengenal pasti beberapa langkah strategi. Antaranya ialah dengan kerjasama sektor swasta untuk menambah perkhidmatan klinik di Jabatan Kecemasan dan Trauma terutamanya di HSA mulai Julai, Klinik Bergerak Wakaf An Nur akan ditempatkan di hospital pada waktu malam untuk membantu menampung kes-kes zon hijau. Kes-kes ini, kes ringan dan stabil yang menyumbang kepada kesesakan di mana pesakit kena tunggu berjam-jam sampai empat (4) atau lima (5) jam di Jabatan Kecemasan dan Trauma. Kerajaan negeri akan bantu dan menampung kos penambahan perkhidmatan tersebut. Bukan sahaja kesesakan di jabatan kecemasan, kami juga telah memula inisiatif outsourcing dengan izin ke hospital swasta bagi prosedur-prosedur tertentu seperti pembedahan dan ujian imbasan. Kerjasama awam dan swasta ini juga dicadangkan oleh YB Panti. Sukacita saya maklumkan pada tahun ini, sebanyak 924 kes telah diperuntukan ke HSA untuk menjalankan program outsourcing pemeriksaan seperti CT Scan, MRI dan kronologi angiogram. Kerajaan negeri Johor akan terus memperkasa program ini demi mempercepatkan rawatan yang pesakit terpaksa menunggu sampai berbulan-bulan untuk dapatkan imbasan tersebut. Bukan itu sahaja, dalam masa yang sama kemudahan asas seperti tandas, surau, ruang menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma di HSA turut dinaik taraf demi keselesaan Bangsa Johor. Projek menaik taraf tandas di HSA sudah pun selesai dan projek naik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma dijangka akan mula pada tahun Julai nanti.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem, kerajaan negeri telah membangunkan sistem pintar giliran, SQS satu projek rintis di HSA yang dijangka memula pertengahan tahun ini. Melalui sistem ini, pesakit boleh mengambil nombor giliran terus dari rumah melalui aplikasi mudah alih, sekali gus mengurangkan keperluan hadir awal pagi ke hospital. Selain itu pesakit juga tidak perlu beratur mengambil nombor yang baharu di farmasi dan terus memudahkan proses. Ini adalah projek khas kerajaan negeri yang unik di HSA bagi mengurangkan masa menunggu pesakit dan waris di hospital. Jika projek ini berjaya, sistem ini akan dipertimbangkan supaya diperluaskan ke hospital lain.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan saya sendiri turun melawat Klinik Kesihatan Gelang Patah, antara yang paling terkesan dengan isu kesesakan pesakit. Susulan itu, kerajaan negeri telah berjaya menambah baik kemudahan asas di tiga (3) klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Gelang Patah, KK Majidee dan KK Tebrau, termasuk penyediaan kerusi meja, penghawa dingin dan peralatan ultra sound. Peralatan bukan perubatan telah diserah pada Disember 2024, manakala peralatan perubatan telah serah pada Mac 2025. Tiga (3) buah ambulan tambahan juga akan
disalurkan dalam masa terdekat kepada tiga klinik kesihatan tersebut. Saya juga ingin mengucap tahniah kepada YB Kota Iskandar, kerajaan negeri turut akan memperuntukan RM1.24 juta untuk melaksanakan projek di ‘Decanting’ di KK Gelang Patah, iaitu memindahkan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak ke kawasan SILC. Kerja-kerja ubah suai sedang berjalan dan dijangka beroperasi pada September 2025. Usaha di ‘Decanting’ ini dibiayai dan disokong sepenuh oleh kerajaan negeri agar dapat mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Gelang Patah yang sempit dan juga menambah baikan keselesaan ibu dan anak di KK Gelang Patah. Bukan sahaja YB Kota Iskandar, manakala bagi Klinik Kesihatan Sultan Ismail di kawasan YB Puteri Wangsa, kerajaan negeri turut memperuntukan RM3.37 juta bagi projek di ‘Decanting’ yang akan memindahkan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak ke Taman Austin. Premis baharu ini lebih luas dan selesa. Di Johor kami tidak melihat parti politik. Puteri Wangsa ke, Senai ke, Penggaram ke, yang penting kami melihat keperluan rakyat selagi ia memanfaat untuk Bangsa Johor, kerajaan negeri Johor akan bantu. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, beberapa fasiliti kesihatan baharu akan mula beroperasi dalam tahun ini. Antaranya Hospital Pasir Gudang, Klinik Kesihatan Taman Cendana, Pasir Gudang, Klinik Kesihatan Segamat, Klinik Kesihatan Kota Tinggi, fasiliti kesihatan ini telah dinanti-nantikan oleh rakyat dan juga YB ADUN masing-masing. Dan saya yakin dengan pengoperasian fasiliti tersebut, perkhidmatan perubatan dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih berkualiti. Disamping itu, untuk maklumat Ahli-Ahli Dewan sekalian, dua projek pembinaan baharu telah dimulakan. Antaranya Klinik Kesihatan Parit Raja jenis tiga (3) dengan peruntukan pembinaan berjumlah RM36 juta, klinik kesihatan ini dibina di atas tapak seluas 4.78 ekar, fasiliti ini dijangka mampu menampung antara 250 hingga 500 pesakit setiap hari, yang pastinya dapat memberi kelegaan kepada penduduk setempat. Projek yang kedua merupakan Klinik Kesihatan Kluang jenis dua (2). Dengan peruntukan pembinaan RM48 juta dan dijangka siap pada tahun 2029 dan projek ini khas untuk YB Mahkota. Kerajaan negeri Johor akan terus memantau dan memberi kerjasama kepada agensi-agensi pelaksana agar segala projek dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, selain fasiliti, kerajaan negeri turut menghargai peranan kakitangan kesihatan yang merupakan aset penting sistem kesihatan negeri. Kami sedar Jabatan Kesihatan Negeri Johor berdepan dengan cabaran kekurangan tenaga kerja dan kakitangan kesihatan menghadapi beban kerja yang tinggi. Justeru itu, pada tahun ini, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menyalurkan sumbangan khas Hari Raya kepada kakitangan kesihatan. Meski pun mereka adalah penjawat awam persekutuan, ini merupakan penghargaan ikhlas kerajaan negeri terhadapt dedikasi mereka dan usaha mereka di negeri Johor. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyampaikan sumbangan ini di lapangan. Mesti seronok YB-YB menyampaikan duit raya terus ke jururawat, ke doktor, dapat merasai kegembiraan warga kesihatan kita.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, semua inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan negeri Johor untuk memastikan Bangsa Johor mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, cekap dan mesra rakyat. Kita ingin melihat Johor bukan sahaja sebagai negeri yang pesat membangun dari segi ekonomi, tetapi juga negeri yang maju dari sudut kesejahteraan rakyatnya. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dalam konteks kesihatan awam, saya ingin menegaskan bahawa
kerajaan negeri telah menetapkan bahawa penjualan vape adalah haram di negeri Johor. Selaras dengan ketetapan ini, Pihak Berkuasa Tempatan, PBT tidak mengeluarkan sebaran lesen perniagaan bagi aktiviti penjualan vape ini bagi menjawab soalan lisan dari YB Perling. Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang dikesan menjual vape, saya merayu kepada semua Ahli Dewan serta orang ramai agar segera melapor kepada pihak PBT masing-masing. Kerajaan negeri melalui PBT akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi terhadap penjualan vape yang jelas bertentangan dengan dasar negeri dan membahayakan kesihatan rakyat khususnya golongan muda.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, titah diraja oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor juga menekankan isu pembuangan sampah secara haram di negeri Johor. Isu ini juga mendapatkan perhatian dalam persidangan ini serta telah dibangkitkan oleh YB Bekok, YB Gambir dan YB Johor Jaya. YB-YB menyuarakan kegusaran rakyat terhadap masalah sampah yang berleluasa termasuk isu pembuangan haram, longkang tersumbat dan pengoperasian terhadap pembuangan sampah secara haram. Bagi menjawab keresahan ini, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas isu pembuang sampah secara haram. Ahli-ahli Dewan sekalian, jawatankuasa ini tidak bersifat kosmetik semata-mata, sebaliknya ditubuhkan dengan mandat yang jelas dan komprehensif. Fokus utama jawatankuasa ini adalah kepada tiga (3) aspek penting.
1. Memperkasa penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta mengenakan tindakan tegas terhadap pembuang sampah haram dan mengkaji semula undang-undang kecil sedia ada.
2. Melaksanakan program pendidikan dan kesedaran awam yang menyasarkan semua peringkat masyarakat dari sekolah hingga komuniti.
3. Memperkenalkan pemantauan pintar melalui pemasangan sistem CCTV berasaskan artificial intelligent (AI) di kawasan-kawasan tumpuan pembuangan sambah hotspot yang dapat mengesankan aktiviti pembuangan sampah. Oleh itu jangan buang sampah merata-rata, anda mungkin dirakam dan diambil tindakan.
Berdasarkan rekod terkini yang diperolehi daripada SW Corp. sebanyak 33 kes pendakwaan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) telah dibawa ke mahkamah sepanjang tahun 2024 di negeri Johor. Dengan jumlah keseluruhan denda mencecah RM607,000.00 lebih tegas lagi seorang pesalah telah dituduhkan hukuman penjara selama 4 bulan kerana gagal membayar denda yang dikenakan. Sementara itu, bagi tahun 2025 setakat ini telah direkodkan sebanyak 14 kes dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM75,000.00 manakala 8 kes lagi masih dalam proses pendakwaan di mahkamah.
Angka-angka ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan negeri melalui agensinya tidak berdiam diri malah mengambil langkah tegas terhadap individu yang tidak bertanggungjawab. Ia juga menjadi peringatan bahawa aspek kebersihan bukan perkara remeh tetapi tanggungjawab bersama yang wajib dipatuhi demi kesejahteraan dan imej negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, isu pencemaran alam sekitar turut dibangkitkan oleh beberapa Ahli Dewan. Yang Berhormat Bukit Kepong telah menyuarakan kebimbangan berkenaan perubahan warna air sungai Muar yang bertukar kemerah-merahan. Namun begitu, maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa tiada laporan rasmi diterima berkaitan kejadian tersebut. Justeru, saya memohon agar sekiranya mendapat kejadian tersebut, membuat laporan terus kepada pihak Jabatan Alam Sekitar bagi membolehkan siasatan lanjut dan tindakan susulan dapat dijalankan dengan segera.
Dalam masa yang sama, YB Bukit Batu membangkitkan isu pencemaran udara di Kampung Bemban. Pertama sekali saya menghargai YB Bukit Batu atas usaha sesi town hall bersama agensi penguat kuasa dan penduduk kampung manakala Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan terus pemantauan aktiviti kuari dan memastikan pematuhan peraturan yang ditetapkan.
Untuk maklumat Dewan, Jabatan Alam Sekitar juga giat melaksanakan penguatkuasaan yang ketat. Pada tahun 2024, sebanyak 1,268 kompaun telah dikeluarkan oleh JAS dengan jumlah kompaun RM1,649,950.00 dan 42 kes pendakwaan dengan jumlah denda RM3,507,500.00 dan 9 kes masih dalam perbicaraan. Manakala pada tahun 2025 setakat ini mempunyai 357 kompaun telah dikeluarkan dan 16 kes pendakwaan. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengingatkan kepada semua pengusaha kilang agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang alam sekitar pindaan terbaru terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 membuktikan ketegasan kerajaan dalam menangani isu pencemaran. Di bawah pindaan ini, kadar denda maksimum telah dinaikkan daripada RM100,000.00 kepada RM10,000,000.00 dengan hukuman penjara yang boleh mencecah sehingga 5 tahun. Dengan ini, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri akan mengambil sikap tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam isu pencemaran ini.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, satu insiden yang amat menyayat hati rakyat kita telah berlaku pada 11 Mei lalu iaitu, pada sambutan Hari Ibu di mana seekor anak gajah telah dilanggar oleh lori di Grik, Perak. Lebih menyentuh perasaan iaitu apabila ibu gajah tersebut dilihat setia menunggu di sisi anaknya yang telah mati. Insiden ini bukan sahaja menyentuh hati saya secara peribadi, malah seluruh rakyat Malaysia turut bersimpati dan tersentuh. Kami perlu mencari solusi agar tidak kira manusia ataupun gajah. Kami semua dapat hidup dengan aman dan harmoni di Johor. Konflik antara manusia dan gajah semakin meruncing terutamanya di kawasan Kota Tinggi, Kluang, Mersing dan baru-baru ini di Segamat. Gangguan yang berlaku bukan sahaja menjejaskan tanaman malah turut mengancam keselamatan penduduk kampung.
Terima kasih juga diucapkan kepada YB Mengkibol, YB Panti, YB Kahang, YB Bekok yang membangkitkan isu konflik ini di dalam Dewan. Satu perjumpaan khas telah diadakan baru-baru ini pada 20 Mei bersama-sama pemegang taruh, Ahli-Ahli Dewan yang terlibat serta Yang Berhormat Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Nik Nazmi bin Nik Aman. Hasil perbincangan tersebut, jawatankuasa khas menangani konflik gajah-manusia telah dilancarkan.
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak NRES atas penyaluran peruntukan Ecological Fizikal Transfer (EFT) kepada Johor di manakah sebahagian akan digunakan untuk beberapa inisiatif utama.
1. Melaksanakan operasi trans lokasi gajah yang akan bermula pada bulan Julai ini dan diteruskan sehingga Disember.
2. Menubuhkan Kumpulan Pelindungan Hidupan Liar (KPHL) di Kampung Daerah Kluang yang sering terkesan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM226,000.00.
3. Pemasangan kolar satelit pada gajah untuk membolehkan sistem amaran awal berfungsi secara berkesan. Sehingga kini, sebanyak dua unit kolar satelit telah berjaya dipasang. Operasi pemasangan akan diteruskan sehingga kesemua stok sedia ada habis digunakan. Selain itu Jabatan PERHILITAN Johor kini dalam proses perolehan 5 unit tambahan lagi menjadikan jumlah keseluruhan kolar satelit yang dimiliki sebanyak 10 unit.
Selain itu, sebanyak 21 kawasan telah dikenal pasti untuk pembinaan food bank gajah. Sesi libat urus bersama para peladang telah diadakan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif ini. Diharapkan dengan pendekatan ini konflik antara manusia dan gajah dapat dikurangkan, sambil pada masa yang sama memelihara kelangsungan spesies gajah yang kian terancam.
Saya juga ingin menarik perhatian Dewan bahawa, isu pelanggaran hidupan liar di jalan raya, Kerajaan Negeri Johor menyokong penuh pelaksanaan projek viaduct yang menyediakan lintasan khas bagi haiwan liar merentasi jalan-jalan utama. Ini bukan sahaja untuk keselamatan haiwan tetapi juga pengguna jalan raya yang berisiko menghadapi kemalangan akibat pertembungan ini. Saya juga ingin memaklumkan bahawa projek pembinaan viaduct atau lintasan hidupan liar ini merupakan kesinambungan usaha berterusan kerajaan dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar. Akibat fermentasi habitat di sepanjang rangkaian Corridor Ecology Central Forest Spine (CFS), tapak projek ini dikenal pasti di kawasan Corridor Ecology (CFS) 2 melibatkan hutan simpan Labis Timur, hutan simpan Mersing dan hutan simpan Lenggor. Lokasi lintasan ini dicadangkan dibina di KM 102 laluan FT 50 Batu Pahat - Jemaluang. Dengan peruntukan sebanyak RM66.2 juta. Reka bentuk viaduct ini bukan sekadar infrastruktur fizikal tetapi ia mencerminkan pendekatan bersepadu kerajaan negeri dan persekutuan dalam memastikan kesinambungan ekologi. Keselamatan haiwan dan penggunaan jalan raya serta pemuliharaan jangka panjang bio-diversiti di negeri Johor.
Saya akhiri penggulungan saya dengan dua rangkap pantun. Ibu dan anak gajah bermain di rimba, melintas jalan di pagi yang hiba, anak digilis lori tanpa waspada, ibu menjerit hatinya derita. Berhati-hati selalu di jalan raya, sayangi haiwan janganlah alpa, hilang permata sekelip mata, amanah kita pelihara bersama. Sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Yong Peng. Akhir sekali dipersilakan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat petang, salam maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam menyampaikan ucapan penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Kali Ke-15 ini.
Patik juga ingin merafak sembah menjunjung kasih dan ucap setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor atas perkenan berangkat menyampaikan Titah Ucapan Dan Merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 pada 16 Mei lalu.
Sesungguhnya Titah ucapan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan dan kebijaksanaan Duli Yang Amat Mulia Tunku dalam mendepani pelbagai isu dan cabaran semasa di Johor, malah menjadi panduan serta pedoman buat kita semua dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Patik mendoakan agar Duli Yang Amat Mulia Tunku dan serta seluruh kerabat Di Raja Johor dikurniakan keafiatan dan berpanjangan untuk terus menaungi negeri Johor Darul Ta’zim.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan dan mencadangkan pelbagai perkara berkaitan portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor.
Nampak cantik warnanya baju, bila dipakai bersama rakan, dalam menuju negeri maju, keterjaminan makanan tidak ditinggalkan.
Alhamdulillah, kita kini telah menghampiri suku kedua tahun 2025. Sepanjang tempoh ini, pelbagai inisiatif strategik telah pun dilaksanakan sebagaimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor menerusi Belanjawan Negeri Johor 2025 yang lalu. Di samping itu, turut dilaksanakan pelbagai projek dan program di bawah kerajaan persekutuan yang melibatkan manfaatnya kepada rakyat negeri Johor. Sukacita dimaklumkan bahawa, sehingga Mei 2025 ini, secara keseluruhannya sebanyak 9 Inisiatif Utama telah dilaksanakan untuk memperkukuhkan lagi sektor agro makanan negeri Johor. Antaranya meliputi bantuan kepada usahawan tani di bawah Jabatan Pertanian Negeri Johor menerusi 5 program iaitu Program Memperkasa Teknologi dan Mekanisasi Pertanian, Program Pembangunan Industri Buah-Buahan, Program Pembangunan Sayur-Sayuran, Program Pembangunan Industri Kelapa dan Program Pembangunan Industri Tanaman Kontan. Pelaksanaan 5 program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 juta dan telah memberi manfaat kepada 139 orang usahawan tani.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat Bukit Naning, RM34,600.00 peruntukan diluluskan kepada 3 usahawan kawasan Yang Berhormat. Untuk tahun ini dan tahun lepas RM182,800.00 melibatkan 13 orang usahawan. Bagi merancakkan pembangunan industri ternakan, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga baru selesai melaksanakan salah satu inisiatif iaitu Program Bantuan Baka Lembu dan Peralatan Ternakan atau set pasung kepada 17 penternak ruminan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM700,000.00.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahun ini kerajaan bukan sahaja menyampaikan bantuan baka lembu, malah termasuk set pasung untuk para penternak yang terpilih. Projek Pembinaan Rumah Sembelihan Batu Anam atau PPK Batu Anam Segamat yang diluluskan pembinaannya sebelum ini juga telah selesai pelaksanaan dan akan mula beroperasi dalam masa terdekat. Bagi menyokong inisiatif JS-SEZ pula, dalam aspek food security sebagaimana yang ditekankan oleh Yang Berhormat Pulai Sebatang, kerajaan negeri dengan kerjasama Strategic Farm Byte iaitu anak syarikat Jcorp dan Artisan sebuah syarikat peneraju pertanian moden Singapura telah mula merintis projek pertanian moden iaitu
Project Smart Indoor Vertical Farm di Iskandar Puteri. Kerajaan negeri menerusi program ini berharap agar inisiatif seperti ini akan terus dapat diperkasakan selari dengan aspirasi JS-SEZ.
Cadangan-cadangan lain daripada Yang Berhormat Pulai Sebatang akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan, yang saya sendiri pengerusikan yang mana jawatankuasa ini memang khusus membincangkan inisiatif kerajaan kepada bakal-bakal pelabur di zon JS-SEZ. Dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi sektor pertanian dan keterjaminan makanan, negeri Johor dan Johor Bio-Tech telah menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan pertanian negeri Johor atau JARTC bagi menggalakkan penglibatan aktif pemain industri dan peneraju dalam sektor ini untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam memperkasa bidang R&D pertanian di negeri Johor.
Bagi peringkat permulaan sebanyak 5 syarikat pelabur sektor agro makanan negeri Johor telah menandatangani MoU persefahaman sebagai pusat kecemerlangan atau center of excellent di bawah JARDC.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada masa ini terdapat enam (6) inisiatif utama sektor pertanian yang sedang giat dilaksanakan dan dijangka akan selesai dalam masa terdekat. Pelaksanaan projek dan program ini diyakini akan memberikan impak yang signifikan terhadap pembangunan sektor pertanian dalam negeri Johor antaranya melibatkan pertama, Program Pelepasan Benih Perikanan ke Perairan Umum dengan sasaran 1.5 juta benih udang galah dan 170,000 benih ikan sebagaimana yang dibangkitkan oleh YB Kahang.
Yang kedua, Program Pembangunan Aset Kerang-Kerangan negeri Johor yang menumpukan kawasan pantai barat Johor. Yang ketiga, Projek Pembinaan Kompleks Jemaluang Dairy Valley atau JDV. Yang keempat, Projek Pembangunan Pusat Pengumpulan, Pemperosesan, Pembungkusan dan Pengedaran atau CPPDC Durian di FAMA Tangkak. Yang kelima, Projek Ladang Fertigasi KEJORA di Sungai Mupor, Kota Tinggi dan kelima, Program Johor Pineapple Project atau JPP bagi memperkasa industri nenas negeri Johor.
Alhamdulillah, terima kasih juga diucapkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atau KPKM di atas kelulusan sebanyak RM9.25 juta untuk fasa pertama bagi pelaksanaan program atau Projek Memperkasa Agenda Keterjaminan Makanan menerusi program kerjasama antara KPKM dan kerajaan negeri Johor tahun 2025. Antara projek atau program yang diluluskan untuk fasa pertama ini ialah pertama, Program Memperkasa Industri Agromakanan Tanaman dan Komuditi Berpotensi melibatkan RM2.5 juta. Program Memperkasa Pembangunan Industri Asas Tani melibatkan peruntukan RM1.5 juta, Program Johor Future Agropreneur atau JFA melibatkan RM2,000,000.00, Memperkasa Projek Agromix Segamat Fasa 3 dengan peruntukan RM600,000.00, Projek Membangun Hi-tech Sistem di Pusat Memperoses Makanan FAMA Rengit melibatkan peruntukan RM1,000,000.00, yang ke-6 Projek Peningkatan Produktiviti Fertigasi Golden Melon PPK Pekan Nenas peruntukan RM250,000.00, yang ke - 7, Pembangunan Sistem Mekanisasi dan Automasi Jentera Ladang Nenas MD2 melibatkan peruntukan RM1.4 juta.
Kerajaan negeri akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan segala peruntukan pembangunan yang diterima ini dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi memastikan objektif yang disasarkan tercapai.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sehingga kini pelaksanaan Program Jualan Kasih Johor tahun 2025, telah dilaksanakan sebanyak 122 siri. Untuk tahun 2025 ini kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan RM6.6 juta bagi sasaran pelaksanaan sekurang-kurangnya 300 lokasi dengan penerima manfaat seramai satu (1) juta orang. Ia berbanding tahun 2023 sebanyak 800,000 dan tahun 2024 sebanyak lima (5) juta. Saya mengambil maklum akan perkara-perkara yang diutarakan yang dikemukan oleh Yang Berhormat Tiram dan Tenang, bagi menambah baik pelaksanaan program ini dan atas cadangan dan sokongan Yang Berhormat, kita harap program ini akan diteruskan di tahun akan datang malah ditambah lagi peruntukannya insya-Allah berbanding tahun ini.
Dan untuk makluman Ahli Dewan, untuk tahun 2025 ini, kita mencadangkan peruntukan RM6.6 juta ini dilaksanakan di lima (5) kawasan atau lima (5) kali di setiap kawasan DUN iaitu yang pertama untuk Tahun Baru Cina, yang kedua hari raya, yang ketiga untuk Deepavali, yang keempat dalam Program Jelajah Orang Johor dan yang kelima, di hari-hari tertentu yang mungkin diperlukan oleh pihak daerah dan kawasan DUN.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Jelajah Orang Johor atau JOJ adalah inisiatif kerajaan negeri sebagai platform sebagai pihak kerajaan, kepimpinan masyarakat setempat dan jabatan serta agensi kerajaan untuk turun kelapangan bagi mendekati masyarakat serta mendedahkan pelbagai inisiatif kerajaan yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Johor. Kami harap Jelajah Orang Johor atau JOJ ini akan ambil kira penduduk bandar, pinggir bandar, pekan, kampung, taman, kampung Orang Asli, FELDA dan sebagainya. Jelajah Orang Johor akan dilaksanakan di 56 kawasan DUN seluruh negeri Johor. Terima kasih kepada kawasan-kawasan yang telah laksanakan program ini iaitu kawasan DUN Kukup, DUN Parit Raja, DUN Gambir, Rengit, Senggarang dan Paloh. Sebagaimana ditekankan oleh Yang Berhormat Datuk Speaker dan YB Senggarang adalah diharapkan program ini akan mendapat perhatian dan kerjasama serta komitmen semua pihak terutamanya ketua-ketua jabatan dan agensi bagi terlibat secara langsung untuk menjayakannya. Saya ucap terima kasih kepada pegawai-pegawai daerah yang bertindak sebagai pengerusi dan penyelaras manakala KEMAS sebagai urus setia dan secretariat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Pelantikan Ketua Kampung. Mulai tahun ini kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan perubahan mengenai tempoh perjawatan ketua kampung. Di mana kebiasaannya penjawatan ketua kampung akan tamat pada hujung tahun. Perkara ini adalah kerana pada waktu akhir tahun biasanya ketua kampung akan terlibat secara langsung menguruskan kampung dan masyarakat bagi menghadapi bencana akibat monsun timur laut, mengurus hal berkaitan pengesahan kemasukan persekolahan dan sebagainya. Oleh sebab itu, kerajaan negeri telah meminta dasar tersebut yang mana pelantikan baharu kepada ketua kampung adalah bermula 1 Jun setiap habis penggal.
Secara umumnya pada kali ini, terdapat 985 permohonan telah diterima bagi permohonan perjawatan ketua kampung. Terima kasih kepada pegawai-pegawai daerah yang melaksanakan urusan pelantikan ketua kampung ini terutamanya dari segi urusan pengiklanan kekosongan, tapisan calon dan sesi temuduga. Untuk itu, pelantikan ketua kampung seluruh negeri Johor bagi sesi 2025/ 2026 ini akan dilantik berkuat kuasa 1 Jun 2025. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, proses pemilihan ketua kampung melibatkan pelbagai pihak terutama Pejabat Daerah, PDRM, Pejabat Kadi, Jabatan Insolvensi dan sebagainya.
Saya menafikan anggapan sesetengah pihak bahawa pelantikan ketua kampung ini dibuat dengan mengambil kira cadangan dan pilihan satu satu pihak sahaja, antara kriteria pemilihan yang menjadi perhatian adalah termasuk penglibatan aktif dalam komuniti, tinggal dalam kawasan kampung yang dipohon dan diterima serta dihormati oleh masyarakat setempat yang diwakili malah rekod jenayah dan laporan insolvensi juga akan diambil kira.
Yang berhormat datuk speaker, FELDA. Saya mengucapkan terima kasih dan menerima pandangan Ahli-Ahli Yang Berhormat mengenai pembanguan kawasan FELDA. Sebagaimana sedia maklum, Sekretariat Muafakat FELDA Negeri Johor telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 23 Mac yang lalu. Antara lain, ia bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dan FELDA. Ia akan menjadi platform utama bagi membincangkan isu-isu dan cabaran serta merangka inisiatif-inisiatif khusus untuk menjaga kebajikan dan pembangunan lebih 1,800 warga FELDA di 73 rancangan seluruh negeri Johor. Antara perkara yang akan menjadi perhatian dan perbincangan utama dalam Sekreteriat Muafakat FELDA negeri Johor ini adalah mengenai isu hak milik tanah peneroka, permohonan lot kediaman generasi FELDA, isu Perumahan Generasi Baru FELDA atau PGBF pembangunan infrastuktur asa lot kediaman generasi FELDA pembangunan infrastruktur sosioekonomi dan isu-isu semasa yang dihadapi oleh warga FELDA.
Status permohonan hak milik tanah peneroka FELDA negeri Johor untuk makluman Dewan di FELDA Wilayah Johor Bahru seramai 17,554 orang peneroka. Daripada jumlah tersebut seramai 17,121 orang telah menerima hak milik tanah masing-masing, sementara di Wilayah Segamat pula jumlah peneroka seramai 10,088 orang di mana 10,009 orang telah pun menerima hak milik mereka. Berkaitan status permohonan lot kediaman generasi FELDA pula, bagi Wilayah Johor Bahru sebanyak 10,997 permohonan telah diterima, daripada jumlah tersebut 7,084 telah diluluskan dan 5,907 telah menerima hak milik. Sementera di Wilayah Segamat, terdapat 5,275 permohonan dengan 3,503 telah diluluskan dan 2,411 telah menerima hak milik. Berkenaan perkara ini saya harap Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Tanah Daerah serta pihak FELDA dapat mengambil perhatian status permohonan ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam pembentangan Belanjawan tahun 2025 lalu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah meluluskan peruntukan RM18 juta bagi tujuan infrasturktur asas untuk kawasan lot kediaman generasi FELDA. Untuk makluman Dewan, untuk rekod, ini merupakan pertama kali kerajaan negeri meluluskan peruntukan infra di FELDA dan Johor merupakan satu-satunya negeri yang mengambil tanggungjawab ini. Ia merangkumi empat (4) skop utama kerja iaitu pembinaan jalan masuk utama, sistem perparitan konkrit, sistem bekalan air ratikulasi dan sambungan luaran, serta sistem bekalan elektrik. Bagi fasa pertama ini sebanyak lapan (8) rancangan FELDA dicadangkan untuk terlibat dalam inisiatif ini iaitu FELDA Bukit Easter, FELDA Sungai Mas, FELDA Kemelah, FELDA Ayer Hitam, FELDA Bukti Serampang, FELADA Pemanis dan FELDA Simpang Waha dan FELDA Lok Heng Selatan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, keprihatinan Yang Berhormat Gambir terhadap jalan-jalan kampung di negeri Johor sangat saya hargai. Untuk makluman Yang Berhormat Gambir dan Dewan, melalui Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor yang lalu sebanyak RM50,000,000.00 peruntukan bagi projek membina, menaik taraf dan melebar jalan-jalan kampung di negeri Johor. Sehingga Mei 2025 ini,
sebanyak 59 projek telah dimuktamadkan untuk pelaksanaan kerja menaik taraf melebar dan membina baharu jalan kampung melibatkan kos berjumlah RM26,448,498.56 melibatkan jalan sepanjang 94,587 meter. Melalui Kementerian Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKW) pula sehingga Mei 2025 sebanyak 39 projek jalan kampung telah dikenal pasti melibatkan peruntukan sebanyak RM4.69 juta menerusi Program Jalan Perhubungan Desa atau JPD.
Yang Berhormat Datuk Speaker, secara keseluruhannya, pembangunan sektor pertanian dan pembangunan luar bandar akan terus diperkasakan oleh kerajaan negeri menerusi portfolio ini, dalam usaha menjadikan Johor sebagai negeri maju pada tahun 2030 kelak, kita tidak mahu ada golongan atau masyarakat yang tertinggal terutamanya kumpulan-kumpulan sasar di bawah portfolio ini, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan pelbagai isu semasa persidangan Dewan ini yang saya kira amat penting untuk diberikan perhatian. Saya mohon maaf sekiranya maklum balas yang diberikan menerusi sesi penggulungan ini tidak dapat menjawab semua soalan secara terperinci. Sekiranya terdapat persoalan yang kurang penjelasan, Ahli-Ahli Yang Berhormat oleh merujuk pejabat kami untuk mendapatkan maklum balas tersebut secara bertulis atau menerusi sesi perbincangan yang lebih terperinci.
Saya juga mengambil kesempatan untuk ucapkan terima kasih, kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan dan agensi, pegawai-pegawai daerah, Pejabat Tanah negeri dan daerah serta pihak-pihak yang banyak membantu, melancarkan urusan pelaksanaan semua program yang telah dirancang dan dilaksanakan. Pergi ke sungai menangkap ikan, ikat perahu ditepi jeti; terima kasih kami ucapkan, atas segala jasa dan bakti. Yang Berhormat Datuk Speaker, sekian, terima kasih, sssalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh terima kasih Yang Berhormat Buloh Kasap. Alhamdulillah penggulungan sepuluh (10) orang Pengerusi Jawatankuasa tamatlah sudah, saya mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih atas respon, penjelasan dan jawapan yang diberikan oleh para Pengerusi Jawatankuasa. Semoga Allah berkati semua yang ada dengan keafiatan, kebijaksanaan, kreativiti, inovatif dalam melaksana visi dan misi dengan kerjasama jentera kerajaan ke arah Maju Johor 2030. Tahniah kepada semua, persidangan ini saya tangguhkan sehingga Isnin, 26 Mei 2025, jam 9:30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 4:05 petang.
Pegawai-Pegawai Bertugas:
Jurutulis
Puan Zarina binti Abdul Kadir
Penolong Jurutulis
Encik Mohd Ezwan bin Abdul Ghani Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli
Koordinator
Puan Hajah Rohana binti Matang
Pembantu Penerbitan
Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar
Pembantu Operasi (Bentara)
Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli
Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)
Puan Hajah Saniah binti Kasim Puan Junaidah binti Paing Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Zahiti binti Muhamad Hamdi Puan Hajah Fareza binti Musa Puan Noor Dalilah binti Dahalan Puan Norazilawati binti Masri Puan Norlydialina binti Ithnain Puan Shuriati binti Abdul Hajar
Puan Norhafizah binti Osman Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad
Rakaman
Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman
Juruaudio Video
Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar
Unit Dewan Pejabat Jurutulis Dewan Negeri Johor 23 Mei 2025
VERBATIM