Johor · 26 May 2025

15th Assembly, 4th session, 1st meeting · not final · 36 turns · 8,377 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, hari ini adalah hari terakhir untuk Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Hari ini kita sama-sama mengalu-alukan kehadiran pemerhati yang dibawa khas oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, seramai 88 orang. (Dewan bertepuk). Terdiri daripada mereka, Pemimpin Masyarakat Negeri Johor, Pemimpin Masyarakat Kawasan Simpang Renggam, Dewan Muda Johor serta agensi-agensi yang terdiri sektor ekonomi dan pelancongan.

Sehingga kini, seramai 42 orang Ahli-Ahli Yang Berhormat telah mengambil bahagian dalam Perbahasan atas rundingan menjunjung kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, sepanjang tujuh (7) hari Persidangan sehingga kini. Sementara itu, sepuluh (10) orang Pengerusi Jawatankuasa negeri Johor telah pun menggulung bagi pihak kerajaan pada hari Jumaat yang lalu. Sehingga kini juga, sebanyak 51 daripada 203 Soalan Lisan telah dijawab secara lisan oleh pihak kerajaan. Manakala 115 Soalan Lisan telah dijawab secara bertulis oleh pihak kerajaan. Sementara itu, sebanyak 180 Soalan Bertulis telah dijawab sehingga kini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, hari ini Dewan akan memberi laluan sepenuhnya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk membuat ucapan penggulungan yang saya yakin akan memberi jawapan, respon dan juga amanat serta maklum balas perkara-perkara yang telah diketengahkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, politik yang bijak adalah politik yang mampu mempersatukan perbezaan dan membangun kerjasama yang harmonis. Politik yang adil, adalah politik yang memperjuangkan hak-hak semua lapisan masyarakat.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan dimulakan sekarang.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Kota Iskandar, jemput.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor satu (1).

Kesesakan lalu lintas yang sangat kritikal di Jalan Kangkar Pulai - Skudai (FT005) dan Ulu Choh - Gelang Patah (J007). Projek perumahan berjalan dengan pesat. Laluan jalan JKR masih standard sama. Apakah tindakan penambahbaikan sistem lalu lintas laluan dimaksudkan?

YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi: Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kota Iskandar yang menanyakan berkenaan tentang kesesakan di Jalan Kangkar Pulai - Skudai (FT005) dan Ulu Choh - Gelang Patah (J007).

Untuk makluman Yang Berhormat, penambahbaikan sistem lalu lintas telah pun diambil kira bermula daripada FT05 Seksyen 0.0 sehingga ke daerah Pontian di mana beberapa sesi lawatan bersama wakil Cawangan Jalan, JKR dan KKR telah dilaksanakan di tapak pada Oktober 2024. Lanjutan daripada itu, satu tajuk Projek Cadangan Menaik Taraf Laluan Persekutuan FT05 dari Skudai ke Simpang Jalan Ulu Choh - Gelang Patah iaitu membina cloverleaf ke jalan masuk UTM dan melebarkan jalan dari UTM ke Pulai Perdana telah pun dicadangkan. Alhamdulillah, kerajaan persekutuan melalui RMK-12 telah meluluskan permohonan kerajaan negeri ini bagi kerja-kerja awalan menaik taraf Jalan FT005 termasuk cloverleaf dan fly over dari U-turn Seksyen 2.0 ke Persimpangan Pulai Perdana, Seksyen 6.0 Johor Bahru iaitu bagi skop reka bentuk dan pengambilan tanah bernilai RM42,000,000.00. Kerja-kerja awalan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada Julai 2025 dan Insya-Allah kita akan mengangkat satu lagi permohonan pada tahun ini bagi RMK-13 RP1 untuk kerja-kerja pada tahun 2026 iaitu Kerja Menaik Taraf Jalan FT05 Ini Ke Persimpangan Pulai Perdana bernilai RM458,000,000.00 kepada kerajaan persekutuan.

Kita harapkan Yang Berhormat Kota Iskandar dapat berdoa banyak. Semoga permohonan ini diluluskan untuk tahun hadapan. Antara skop yang terlibat adalah seperti berikut :

1. Menaik taraf jalan empat (4) lorong dua (2) hala sepanjang 5.4 km dengan piawaian U5 yakni had laju 80km/sejam, lebar lorong minimum 3.5 meter bagi jalan utama dalam bandar yang memiliki trafik sederhana dan tinggi.

2. Pembinaan struktur jejambat sepanjang 1.4 km meroboh dan membina semula sebuah jejantas pejalan kaki dan menyediakan push button pedestrian crossing, dengan izin.

3. Pelebaran Jambatan Sungai Melana, Menaik Taraf Persimpangan Berlampu Isyarat Persimpangan Taman Pulai, Persimpangan Taman Pulai Perdana, Taman Teratai, Persimpangan Taman Desa Skudai dan Persimpangan UTM.

4. Mewujudkan pusingan ‘U’ di persimpangan Pulai Perdana - Taman Teratai dan mewujudkan pusingan ‘U’ bertingkat kedua-dua arah di pusingan ‘U’ turn.

Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri telah turun ke kawasan ini pada 8 Februari yang lalu.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, projek ini dijangka memberi kesan impak positif kepada komuniti sekitar dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan pembinaan fly over dan cloverleaf akan mempercepat aliran trafik terutama di waktu puncak. Di samping itu, ianya akan meningkatkan keselamatan jalan raya di mana reka bentuk yang lebih baik akan mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan accessibility iaitu memudahkan perhubungan antara kawasan Johor Bahru dan juga Pulai Perdana. Kesimpulannya kerajaan negeri Johor sangat komited untuk menangani isu kesesakan trafik di bandaraya Johor Bahru melalui pembinaan dan juga pembangunan infrastruktur yang teratur. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Jemput, soalan tambahan.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk, YB EXCO. Pertama, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin merakamkan terima kasih lah kepada YB Semerah. Hari ini saya pakai lencana jawi, saya terus pakai, smart eh, teringat zaman sekolah agama dulu. (Dewan bertepuk).

Datuk Speaker, di atas penjelasan Yang Berhormat EXCO, saya mengucapkan terima kasih. Setidak-tidaknya hari ini dapat mengurangkan keresahan penduduk yang saya sebut

berkenaan kesesakan jalan daripada Taman Pulai Indah ke UTM dan simpang Ulu Pulai ke Gelang Patah. Datuk Speaker, saya pagi sudah menerima satu WhatsApp. WhatsApp ini menyatakan satu (1) kemalangan maut, penunggang motosikal berdepan Petronas, Shell daripada Kangkar Pulai ke Pulai Jaya. Ini satu bukti Datuk Speaker bahawa motosikal ini mengelak lubang. Apa yang kami selalu bangkit berkenaan dengan kualiti penampalan atau pun penurapan semula oleh konsesi. Kalau yang YB EXCO menyatakan tadi memang cantik, memang cantik. Beberapa bulan yang lalu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat EXCO datang, sebelum tu Semarak Subuh di Pulai Jaya, datang, akhirnya diturap. Kita tak mahu aspek dari segi aspek keselamatan. Sudahlah kita nak pergi menghantar sekolah anak jammed, sebagaimana saya ucap pada yang lepas, pergi kerja lewat tetapi dengan kegagalan pemantauan yang dibuat oleh pihak tertentu, menyebabkan kesesakan bertambah kerana dalam Kota Iskandar yang saya nyatakan dua (2) jalan yang terbabit tadi merupakan pusat pertumbuhan perumahan yang terbesar.

Timbalan Speaker

Soalannya? soalannya Kota Iskandar.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Soalan saya, bagaimana pemantauan sebelum projek besar dibuat ini atau pun penyelenggaraan dibuat ini pihak JKR setiap aduan dibuat oleh Ahli Majlis di pihak wakil rakyat dan pihak MBIP itu sendiri. Saya mengharapkan apa kaedah, cara kaedah JKR ini nak menyelesaikan jalan yang tak berturap, yang berlubang sedikit akhirnya menyebabkan kemalangan maut berlaku. Itu sahaja Tuan, Datuk Speaker.

Timbalan Speaker

Jemput, EXCO.

YB Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi: Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Kota Iskandar. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, soalan ni dia lari sikit daripada tajuk asal tapi saya cuba untuk maklumkan bahawa kita faham khususnya apabila lepas hujan jadi banyak lubang-lubang yang berlaku. Jadi saya setuju, dengan Yang Berhormat Kota Iskandar, bukan setakat hujan je boleh menyebabkan jalan kita rosak, utiliti di bawah tanah pun boleh menyebabkan jalan kita rosak termasuklah kualiti iaitu hasil kerja daripada pihak kontraktor sendiri. Oleh itu di peringkat kerajaan negeri Johor atau pun di peringkat JKR, kita telah pun melantik konsesi-konsesi yang bertanggungjawab melakukan pemantauan. Tak cukup dengan itu, pihak JKR sendiri membuat pemantauan. Tak cukup dengan itu, kita menerima semua aduan daripada SISPAA, iaitu Pusat Aduan Bersepadu di peringkat kerajaan. Tak cukup daripada itu, kita monitor melalui daripada komen-komen atau pun daripada media sosial, semua yang ada dan Insya-Allah, macam yang saya

sebutkan sebelum ini melalui gerak kerja bersepadu sekurang-kurangnya kita dapat menyelesaikan. Tapi, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Yang Berhormat Kota Iskandar, sambil kita menunggu satu Pusat Aduan Bersepadu yang akan dikelolakan oleh Yang Berhormat Dato’ Jafni nanti siap, sementara kita menunggu itu, di samping kita juga menunggu hasil daripada task force yang kita buat, suka saya nak maklumkan di sini bahawa sekiranya berlaku kemalangan akibat terlanggar lubang. Sebenarnya pengguna jalan raya mempunyai hak untuk membuat tuntutan atau pun ganti rugi daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab. Dalam kes ini, pihak konsesi yang telah pun dipertanggungjawabkan untuk menjaga kualiti jalan, menjaga jalan-jalan raya di dalam negeri kita ini.

Pertama sekali, kumpulkan bukti. Ambil gambar kerosakan kenderaan, lubang jalan, lokasi kejadian, catat tarikh, masa dan lokasi termasuk nombor kilometer, kalau dijalan, di lebuh raya dapatkan salinan laporan polis yang menyatakan tujuan laporan adalah untuk tuntutan ganti rugi. Kena beritahu dalam laporan polis ini bahawa laporan polis ini dibuat adalah untuk membuat tuntutan ganti rugi. Kumpulkan semua resit, kalau kereta rosak, kumpulkan, kereta rosak, tayar berlubang, tayar bocor dan sebagainya. Kemudian laporkan kepada pihak berkuasa, boleh laporkan di Jabatan Kerja Raya, boleh laporkan juga di Majlis Perbandaran atau pun Majlis Daerah masing-masing. Kalau di lebuh raya laporkan juga pada pihak lebuh raya. Hantar tuntutan sediakan surat rasmi tuntutan ganti rugi yang mengandungi maklumat peribadi, kejadian, tarikh, masa, lokasi, jenis kerosakan dan kos yang ditanggung. Segala gambar-gambar boleh dikongsikan semasa membuat tuntutan dan kemudian tunggu maklum balas daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Untuk makluman, pada tahun 2021, ada satu kes di Taman Kota Masai dan masuk ke Mahkamah Seksyen Johor Bahru di mana pengguna telah berjaya menuntut RM721,000.00 daripada pihak yang bertanggungjawab. Oleh itu, secara kesimpulannya, Insya-Allah diperingkat kerajaan negeri bukan saja pemantauan secara berkala, pemantauan kualiti dan sebagainya, pengguna juga ada hak sekiranya berlaku apa-apa kemalangan, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih, maklumat yang baik untuk makluman kita semua.

Yang Berhormat Sungai Balang jemput.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Sungai Balang soalan nombor dua (2). Terima kasih.

Berapakah jumlah anak-anak mahasiswa Johor yang menghidap HIV ekoran Kesan pergaulan bebas dan silang hubungan antara mereka. Justeru apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan dalam memastikan perkara ini dapat dibendung.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Terima kasih Datuk Timbalan Speaker, salam sejahtera salam Maju Johor kepada seisi Dewan terutamanya kepada Ahli Dewan Sungai Balang atas pertanyaan mengenai jumlah anak-anak mahasiswa Johor yang menghidap HIV. Ini adalah kali pertama saya menerima apa ini pertanyaan atau pun soalan mengenai status HIV ini. Bilangan kes HIV baharu yang melibatkan golongan mahasiswa di negeri Johor bagi tahun 2023 adalah sebanyak 10 kes. Manakala bagi tahun 2024 setakat ini ialah 12 kes. Kesemua jangkitan ini dikenalpasti berpunca daripada hubungan seksual tidak selamat, yang menunjukkan keperluan berterusan terhadap usaha pencegahan dalam kalangan golongan muda khususnya mahasiswa.

Sebagai langkah proaktif, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dengan kerjasama institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan telah memperkukuhkan program kesedaran pencegahan HIV kepada remaja dan golongan belia melalui Program PROSTAR 2.0 atau Program Sihat Tanpa Aids untuk remaja bermula pada tahun 2023. Program ini bertujuan mendidik dan mengerakkan remaja serta belia sebagai agen perubahan ke arah gaya hidup sihat dan bebas risiko jangkitan HIV. Seramai 1,673 mahasiswa dan pelajar sekolah menengah telah terlibat dalam pelbagai aktiviti di bawah program ini.

Selain itu, berbagai inisiatif berbentuk ceramah kesihatan, forum, komuniti dan kempen kesedaran awam turut dilaksanakan secara berkala di institusi pengajian tinggi bagi meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman mahasiswa berkaitan HIV serta kaedah pencegahannya. Pendekatan melalui media sosial dan platform digital turut dimanfaatkan sebagai saluran penyampaian maklumat kesihatan yang lebih berkesan dan dekat dengan golongan sasaran, khususnya remaja dan belia.

Sebagai sokongan lanjut perkhidmatan kaunseling dan ujian saringan sukarela disediakan secara percuma dan rahsia di semua klinik kesihatan di negeri Johor, bagi mengalakkan pengesahan awal serta memberi ruang kepada intenversi dan perubahan, tingkah laku ke arah kehidupan yang lebih sihat dan selamat. Kerajaan negeri Johor akan terus komited dalam memperkukuh usaha pencegahan HIV dalam kalangan mahasiswa dan belia demi melahirkan generasi muda yang sihat berilmu dan berakhlak tinggi. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Jemput Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Tuan Yang Dipertua, soalan tambahan saya. Terima kasih di atas penerangan YB EXCO cuma kita nak tahulah kes HIV ini nampaknya dah bermula mengjangkit kepada pelajar di universiti dan khasnya di negeri Johor. Dan saya juga nak tanya, berapakah jumlah kes HIV di negeri Johor dan kalau boleh dan tidak keberatan kita nak tahu juga berapakah jumlah kes COVID-19 yang sedang melanda negara jiran dan terutamanya di negeri Johorlah, terima kasih. Assalamualaikum.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Ok terima kasih Datuk Speaker dan terima kasih soalan tambahan daripada YB Sungai Balang. Untuk mengenai jumlah kes HIV dalam negeri Johor, Johor setakat ini adalah sebanyak 196 kes. Walau bagaimanapun hanya 51 kes yang dikategorikan sebagai kes HIV yang baharu atau pun dengan kadar 1.22 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Bagi kes mengenai COVID-19 pula walaupun di negara-negara jiran kita telah menunjuk satu peningkatan yang ketara mengenai kes COVID-19. Tetapi bagi negeri Johor ni kita nampak grafnya belum menunjuk melonjak sehingga tinggi, kerana maklumat jumlah kes saya belum perolehi, nanti saya akan bekalkan kepada pihak YB Sungai Balang, sekian terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Bekok.

Tuan Tan ChongMCA · BNBekok

Selamat pagi, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker soalan Bekok nombor tiga (3). Terima kasih.

DUN Bekok semasa PRN Johor yang lalu telah menggariskan beberapa manifesto, hanya satu (1) manifesto berkaitan Rumah Mampu Milik di DUN Bekok belum terlaksana. Adakah kerajan negeri bercadang untuk membina Kawasan Rumah Mampu Milik PKPJ di Kawasan Temu Johor Chaah?

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Bukit Naning jemput.

Datuk Haji Mohd. Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Bismillahirahmanirahim, Yang Berhormat Datuk Speaker soalan Bukit Naning nombor empat (4), terima kasih.

Apakah status permohonan atau perancangan pembinaan rumah mampu milik di kawasan Bukit Naning untuk golongan B40 dan M40?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Ahli-Ahli Dewan yang mulia kerajaan negeri Johor sentiasa cakna terhadap keperluan dan permintaan perumahan rumah mampu milik di seluruh pelosok negeri, termasuklah kawasan DUN Bekok dan DUN Bukit Naning. Agenda ini kekal sebagai salah satu keutaman kerajaan negeri selaras dengan komitmen menjayakan matlamat 30,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2026 seperti yang digariskan dalam pentadbiran pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor.

Bagi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tuan Tan Chong, ADUN Bekok dalam Parlimen Segamat berkaitan janji manifesto perumahan rumah mimpi milik di Desa Temu Jodoh, Chaah. Untuk makluman kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor telah mengangkat satu cadangan pembangunan perumahan rumah mampu milik di kawasan mukim Chaah Daerah Segamat. Cadangan tersebut telah di bawa dalam kertas kelulusan untuk pembangunan desa-desa bangsa Johor Segamat yang terletak di atas tanah seluas 10 ekar Mukim Chaah. Tanah ini merupakan lokasi yang strategik untuk pembangunan rumah mampu milik yang memenuhi permintaan masyarakat setempat.

Pembangunan residensi Segamat ini akan melibatkan pembinaan 122 unit rumah mampu milik jenis C dengan harga jualan sebanyak RM150,000.00 unit sebuah, bersesuaian dengan julat kemampuan golongan B40 dan M40 dalam kawasan berkenaan. Selain itu, turut dicadangkan dalam pembangunan ialah 14 unit kedai kos sederhana atau dipanggil KKS dengan harga jualan RM200,000.00 seunit yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan memberi peluang keusahawanan kepada komuniti di sekitar Chaah. Cadangan pembangunan ini telah pun mendapat kelulusan rasmi dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bilangan 730/2025 yang telah bersidang pada 19 Mac 2025. Kelulusan ini menandakan komitmen penuh kerajaan negeri dalam merealisasikan harapan rakyat di DUN Bekok.

Bagi projek residensi Segamat ini juga akan diberi keutamaan pelaksanaan melalui laluan fast lane oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan juga Pejabat Tanah dan Galian atau PTG Johor bagi memastikan tidak berlaku sebarang kelewatan dari segi pelesenan, kelulusan teknikal dan juga pengurusan tanah. Seterusnya menjawab soalan yang dibangkitkan oleh YB Datuk Haji Mohd. Fuad, ADUN Bukit Naning dalam parlimen Muar mengenai status bangunan RMMJ di kawasan beliau. Untuk makluman Dewan yang mulia ini DUN Bukit Naning juga tidak terkecuali dalam menerima perhatian kerajaan negeri dalam perlaksanaan agenda rumah mampu milik.

Berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan, Pembanguan Rumah Mampu Milik Johor atau dipanggil PDRC dengan izin yang telah diadakan pada tahun ini, DUN Bukit Naning telah dikenalpasti sebagai salah satu lokasi yang akan menerima pembangunan RMMJ berskala besar melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 1,167 rumah mampu milik, antaranya pemaju Scientex. Pelaksanaan pembangunan ini akan dibuat secara berfasa di mana fasa satu (1) melibatkan sebanyak 513 unit rumah yang dijadualkan akan memulakan pembinaan pada Q4 2025 tahun ini, insya-Allah ia bergantung juga kepada kelulusan teknikal akhir dan kesiapan pemaju serta lokasi.

Fasa dua (2) pula akan melibatkan tambahan sebanyak 654 unit menjadikan keseluruhan perancangan pembangunan di DUN Bukit Naning merangkumi 1,167 unit seperti yang dimaklumkan. Selain pembangunan di kawasan Bukit Naning, kerajaan negeri juga merancang pembangunan rumah mampu milik Johor di daerah Muar yang turut melibatkan kawasan DUN lain. Perancangan ini merangkumi 602 unit tambahan yang sedang dalam fasa penyediaan dokumentasi awal. Dengan itu secara keseluruhannya daerah Muar akan menerima limpahan pembangunan perumahan mampu milik sebanyak 1,769 unit dalam tempoh terdekat yang merupakan salah satu jumlah tertinggi dalam daerah Muar di kawasan luar bandar.

Pelaksanaan pembangunan ini bakal memberi manafaat kepada golongan B40 dan M40 yang selama ini berdepan kesukaran untuk memiliki rumah pertama yang berkualiti dan selesa pada harga mampu milik. Kerajaan negeri akan terus memantau setiap pelaksanaan dan memastikan bahawa semua projek ini menepati jadual, spesifikasi dan keperluan rakyat demi menjayakan impian memiliki rumah sendiri dan kerangka Maju Johor yang inklusif dan menyeluruh, terima kasih.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada solan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis dalam persidangan yang sama.

Soalan-Soalan Bertulis.Questions

Jurutulis

Jawapan kepada soalan-soalan bertulis oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat ada dibentangkan di atas meja mesyuarat.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.Address / budget

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan Atas Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor disambung sekarang. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, dijemput.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Bismillahirahmanirahim. (Doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya difahamkan isteri kepada Yang Berhormat Datuk Speaker tidak sihat dan sedang menjalani rawatan di hospital. Sama-sama kita doakan agar isteri kepada Yang Berhormat Datuk Speaker dipermudahkan segala urusan, insya-Allah. Yang Berhormat Datuk Speaker, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahnya jua dapat kita bersama-sama hadir di Dewan yang mulia ini bagi menunaikan tanggungjawab kita sebagai Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor.

Pada kesempatan ini patik dengan penuh takzim merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih serta ucap selamat kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Pemaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja Pemaisuri Agong dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan dalam menerajui serta memimpin negara Malaysia tercinta ini. Patik juga ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sempena Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Bagi Dewan Negeri Johor Yang Ke 15 pada 16 Mei yang lalu. Titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku telah menyentuh pelbagai perkara termasuklah ekonomi, pendidikan, infrastruktur, kesihatan, miskin tegar, perumahan, pelancongan, alam sekitar, sukan, belia dan perkhidmatan awam. Perkara-perkara yang dititahkan ini semuanya tidak lain dan tidak bukan berfokus kepada kepentingan dan kebajikan Bangsa Johor. Terima kasih juga saya mengucapkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah berbahas dengan baik dan tuntas mengenai apa yang telah dititahkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, antara perkara utama yang dibahaskan dan juga mendapat sambutan media secara meluas ialah tentang isu gangguan bekalan air di daerah Johor Bahru baru-baru ini. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Benut, Yang Berhormat Kukup, Pemanis, Sri Medan, Panti, Kahang, Tiram, Pulai Sebatang, Kota Iskandar, Johor Jaya, Kemelah, Sungai Balang, Bukit Naning dan Skudai yang telah membahaskan perkara-perkara ini. Syukur alhamdulillah bukan sekadar berbahas tetapi memberikan idea-idea yang baik untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan itu. Bahkan, saya sendiri telah bangkit mencelah pada awal pagi 22 Mei tahun ini untuk

memberikan penjelasan dan menerangkan tindakan awal yang sedang dibuat oleh kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tersebut. Rakyat terpaksa bersusah payah empat (4) hari tanpa bekalan air yang mencukupi. Saya faham ini bukan satu (1) isu yang kecil, lebih-lebih lagi Datuk Speaker, apabila ia mengganggu gugat kehidupan seharian keluarga, menjejaskan pengoperasian sekolah, hospital dan premis-premis perniagaan.

Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin memohon maaf kepada semua Bangsa Johor yang terkesan akibat kesulitan ini. Kerajaan negeri telah mengarahkan RSAJ untuk membaik pulih kerosakan yang berlaku pada pam-pam air tersebut. Dalam masa yang sama, kita juga telah menggerakkan segala jentera dan tenaga kerja agar kita dapat mengurangkan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat. Sebanyak 42 lori tangki air dan 51 tangki air statik telah dihantar ke kawasan-kawasan yang terkesan. Selain itu, sebanyak 13,000 karton air mineral telah diagihkan ke rumah-rumah yang terjejas. Satu task force juga telah ditubuhkan untuk memastikan krisis ini tidak berlaku lagi dan pihak kerajaan negeri telah berunding dengan RSAJ untuk mencari penyelesaian yang adil dan bertanggungjawab dan hasil rundingan ini pihak Ranhill SAJ telah bersetuju untuk memberikan rebate sebanyak 15% bagi bil, air bulanan kepada semua pengguna yang terkesan. Ia melibatkan 155,074 akaun, termasuk kategori domestik dan bukan bukan domestik seperti kediaman individu, rumah ibadat, institusi kebajikan, premis perniagaan dan industri. Saya sedar dan insaf bahawa bantuan ini mungkin tidak setara dengan kesusahan yang dialami oleh mereka yang terkesan. Namun, saya berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menekuni perbahasan setiap Ahli Yang Berhormat pada sidang DUN kali ini, walaupun kita berbeza parti, berbeza ideologi dan berbeza latar belakang. Namun, saya dapat merasakan keharmonian berada di dalam Dewan ini. Terima kasih kepada semua ADUN-ADUN yang berbahas dengan baik semasa ucapan masing-masing. Dan, sudah semestinya identiti Dewan yang mulia ini dapat kita jaga dengan baik kerana peranan Yang Berhormat Speaker dan Timbalan Speaker. Marilah kita sama-sama mengucapkan syabas dan tahniah atas kewibawaan mereka dalam mengemudi perjalanan Dewan ini. (Dewan bertepuk). Layar dilabuh di muara tenang, nakhoda bijak arahkan haluan, Dewan teratur Johor gemilang, hasil muafakat penuh kesatuan. Cuma Yang Berhormat Datuk Speaker, saya tidak lupa tentang janji yang telah dibuat tempoh hari, kita akan pastikan bahawa kualiti sound system di Dewan yang mulia ini setara baiknya dengan performance Yang Berhormat Datuk Speaker berdua.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Amat Berhormat. (Dewan bertepuk).

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memberi perhatian serius, pandangan terhadap Inisiatif Belanjawan Johor 2025. Semua sedia maklum sebanyak 235 maaf, 253 inisiatif telah dirangka merangkumi Enam (6) Teras utama. Pada hari ini, izinkan saya berkongsi bahawa sebanyak 85.4% daripada 253 inisiatif tersebut telah berada dalam fasa pelaksanaan, 6.7% telah selesai sepenuhnya manakala 7.9% akan mula dilaksanakan Jun tahun ini. Kerajaan negeri akan terus memantau dan menilai setiap pelaksanaan inisiatif bagi memastikan keberkesanan dan impaknya kepada rakyat. Yang Berhormat Datuk Speaker, secara lazimnya kita orang-orang politik biasanya ingat bahawa bila kita ada program perasmian maka tugas kita selesai. Saya telah mengingatkan rakan-rakan EXCO saya, sebenarnya bila kita dah merasmikan program-program itu baru permulaan. Yang paling penting ialah follow through dan bagi saya kita di peringkat EXCO ini kita ada dua (2) bos. Dua (2) Yang Berhormat Datuk Speaker, bos pertama kita ialah Institusi DiRaja, bos kita yang kedua ialah rakyat Bangsa Johor Darul Ta’zim. Di mana semua ADUN-ADUN di dalam Dewan ini merupakan wakil-wakil mereka. Dan jika salah satu institusi ini beranggapan bahawa kita belum lagi menjayakan aspirasi mereka, saya anggap kita belum berjaya. Jadi, kita kena pastikan bahawa apa sahaja yang kita laksanakan dari segi inisiatif-inisiatif ini dapat di rasai hingga ke peringkat akar umbi insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin pergi ke Mesyuarat Tindakan DUN. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua EXCO-EXCO yang telah mempengerusikan Mesyuarat-Mesyuarat Tindakan DUN di bantu oleh Pegawai-Pegawai Daerah, di bantu oleh ADUN kawasan masing-masing untuk menyelesaikan seberapa banyak isu-isu yang membelenggu rakyat di bawah sana. Dan seperti yang pernah saya maklumkan sebelum ini, kita di peringkat negeri ini ada perkara-perkara yang boleh kita selesaikan di peringkat negeri, di peringkat daerah, tetapi ada juga perkara-perkara yang perlu kita bawa untuk perhatian kerajaan persekutuan. Itu pemahaman kita bila kita melaksanakan mesyuarat-mesyuarat.

Dan sukacita Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin memaklumkan bahawa jumlah isu yang telah dibangkitkan sepanjang tahun ini melalui Mesyuarat Tindakan DUN ini berjumlah 888 isu. Daripada 888 ini, 420 menuntut perhatian dan kerjasama daripada kerajaan persekutuan. Manakala, 468 isu lagi melibatkan perkara-perkara di bidang kuasa kerajaan negeri. Dan, daripada 888 ini Yang Berhormat Datuk Speaker syukur alhamdulillah, 140 ataupun 15.8% telah selesai sepenuhnya. (Dewan bertepuk). Dalam tindakan 235 isu, dari segi masih lagi dalam tindakan siasatan dan penyediaan kos 263 isu dan isu yang sedang dipohon peruntukan ialah 250 isu. Jadi, sekali lagi Yang Berhormat Speaker, kita akan mengarahkan supaya EXCO-EXCO mengadakan sekali lagi Mesyuarat Tindakan DUN

dalam suku tahun ketiga untuk memastikan segala maklumat yang diperlukan dapat kita serapkan supaya kita dapat menyalurkan kepada jabatan dan agensi untuk melaksanakan secara baik dan segera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin melaporkan kepada Ahli-Ahli Mesyuarat di dalam Dewan yang mulia ini, minggu lepas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengunjungi kita. Dalam kesibukan mereka sedang berkempen, Bukit Batu menang tak hari itu? Tak apa, ada yang menang, ada yang kurang menang tetapi insya-Allah kita yakin Bukit Batu akan terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk rakyat di kawasan Bukit Batu. Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Johor telah dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat PM, Jumaat yang lepas dan banyak perkara yang telah di bincangkan. Kita mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana daripada 10 projek keutamaan yang diminta melalui RMKe-12, Rolling Plan Ke-5, 9 projek telah diluluskan. (Dewan bertepuk). Inilah termasuk HSA 2, pelebaran highway dan sebagainya. Dan, kita mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri, KSU-KSU, Kementerian-Kementerian, agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang semuanya membantu kita untuk membangunkan negeri Johor yang kita cintai.

Namun begitu, Yang Berhormat Datuk Speaker, dukacita saya hendak melaporkan juga bahawa terdapat banyak projek yang telah diluluskan semenjak tahun 2016 RMKe-11, yang belum lagi dilaksanakan. Untuk pengetahuan Dewan yang mulia ini, sebanyak 222 projek bernilai RM10.8 bilion masih lagi dalam pra pelaksanaan. Dan, perkara ini kerajaan negeri menganggap itu sebagai satu perkara yang serius kerana peruntukan dah ada tetapi kerja-kerja belum dijalankan. Bayangkan daripada tahun 2016 Datuk Speaker, projek-projek yang melibatkan pembangunan menaik taraf hospital, sekolah, jalan raya dan banyak lagi tak dapat disalurkan kepada rakyat. Dan perkara ini, saya bangkitkan masa Mesyuarat Pembangunan Negeri. Setiap kali kita bermesyuarat, dapat laporan daripada ICU, dia akan check dengan kementerian. Jadi, dengan persetujuan, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerajaan negeri membuat keputusan supaya setiap EXCO akan memanjat, berjumpa dengan setiap kementerian, setiap agensi yang bertanggungjawab untuk memastikan bahawa projek-projek ini dijalankan pada kadar yang segera, supaya ia dapat memanfaatkan rakyat dan juga Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kita menyahut apa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebut. Dalam dunia yang serba moden ini, kita kena cuba mengubah pendekatan kita, cara yang lama mungkin tidak akan membuahkan hasil yang kita idamkan. Jadi sebab itu, saya

minta supaya semua EXCO untuk berjumpa dengan setiap kementerian untuk memastikan setiap projek itu dapat dilaksanakan pada kadar yang segera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, meneruskan Perbahasan pada pagi ini, saya juga ingin menyentuh satu isu yang dimainkan oleh media, secara besar-besaran mungkin dua (2), tiga (3) minggu yang lepas dan perkara ini dibahaskan atau pun disebut oleh Yang Berhormat Kempas.Yang Berhormat Kempas bertanyakan tentang status penempatan kampung-kampung tradisi berstatus Tanah Rizab Melayu. Dan antara isu yang hebat dibincangkan di media ialah tentang status pajakan tanah Kampung Melayu Majidee.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menegaskan di Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri Johor tidak pernah dan tidak akan sesekali bersikap zalim atau mengambil hak rakyat, itu janji kita. Status pajakan tanah, bukan satu bentuk penafian tetapi ia adalah satu pegangan yang sah di sisi undang-undang. Ia tetap memberikan hak milik penuh kepada pemilik termasuk hak untuk mewariskan, menjual dan membuat pembangunan tertakluk kepada syarat nyata serta perundangan yang berkuat kuasa. Apa yang kita laksanakan adalah satu pendekatan yang seimbang, inklusif dan terancang untuk memastikan kampung-kampung tradisi ini, tidak hanya kekal tetapi terus berkembang dalam lanskap bandar moden dan dinamik. Dan sebagai bukti komitmen kerajaan negeri Johor, pertamanya, kita telah membuat pembaharuan pajakan tanah dan kita akan permudah dan percepatkan. Ini bukan janji kosong Yang Berhormat Speaker. Baru-baru ini tujuh (7) permohonan pembaharuan pajakan di Kampung Melayu Majidee telah pun diluluskan dan diserahkan. (Dewan bertepuk). Jadi, kepada penduduk di Kampung Melayu Majidee, mohon segera dan kita akan segerakan kelulusan, insya-Allah.

Keduanya, Tanah Rizab Melayu akan terus dilindungi, ia tidak akan dihilangkan dan tidak boleh dipindah milik kepada bangsa lain, sebagaimana termaktub dalam Enakmen Rizab Melayu Johor. Ketiganya, Rancangan Khas Kawasan (RKK) Perkampungan Tradisi Melayu Johor Bahru sedang digubal supaya undang-undang, supaya kampung-kampung ini menjadi sebahagian daripada Pelan Pembangunan JS–SEZ dan tidak terpinggir daripada arus kemajuan. Maju Johor Yang Berhormat Speaker, bukan bermakna menghapuskan Kampung Melayu. Kita tidak mahu pembangunan yang melupakan akar dan warisan sebaliknya kita akan bangunkannya dengan acuan sendiri, moden, berdaya saing tetap kekal dengan jiwa Melayu. Inilah Johor yang kita impikan, maju berakar dan berpaksikan rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, juga telah bertitah bahawa sudah tiba masanya kita berhenti bertolak ansur terhadap pembuangan sampah merata-rata di sungai, mahu pun di jalanan. Seperti yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat EXCO Kerajaan Tempatan, statistik pada tahun 2024 menunjukkan bahawa Pihak Berkuasa Tempatan telah mengambil tindakan terhadap 2,206 kes pembuangan sampah dengan jumlah kompaun sebanyak RM654,000.00. Sebanyak 634 kes pula telah direkodkan sehingga April tahun ini, melibatkan kompaun sebanyak RM202,000.00.

Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun Seksyen 69 Akta Kerajaan Tempatan 1976 memberikan kuasa kepada PBT untuk mendenda sehingga RM2,000.00 atau penjara setahun dan denda tambahan RM500.00 sehari bagi kesalahan berulang. Saya lihat mungkin undang-undang ini benar tidak efektif dan perlu diperhalusi semula. Kalau kita bandingkan negeri Johor dengan negara-negara yang lebih maju seperti Singapura, Korea Selatan dan Jepun, dari segi penguatkuasaan undang-undangnya jauh lebih ketat dan agresif.

Di Singapura, dendanya hingga RM165,000.00 atau pun SGD50,000.00 Korea Selatan sehingga RM350,000.00, Jepun JPY7,000,000.00, RM300,000.00. Jadi, mungkin sebab itu negara-negara mereka lebih bersih berbanding dengan Johor, Yang Berhormat Speaker. Jadi, saya telah minta supaya kita melihat, agar kita mengambil langkah yang lebih radikal, langkah yang lebih tegas dan agresif dan antaranya mungkin kenaikan kadar kompaun yang saya rasa terlalu rendah pada ketika ini. Meminda atau pun menggubal undang-undang baharu yang lebih relevan dan tegas, penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Pembuangan Sampah Haram dengan tiga (3) fokus utama :

Pertama: Kita akan memperkukuhkan penguatkuasaan dan menyemak semula undang-undang kecil yang lapuk.

Kedua: Memperluaskan pendidikan sivik dan kempen kesedaran awam secara agresif mencontohi negeri-negeri yang lebih bersih daripada kita.

Ketiga: Yang Berhormat Speaker, memperkenalkan sistem pemantauan pintar, Smart Technology untuk menangkap mereka yang bersalah.

Yang Berhormat Speaker, nak cakap apa-apa ke? macam ada.

Yang Berhormat Speaker, isu yang seterusnya, yang juga keluar dalam surat khabar baru-baru ini ialah tentang isu penutupan One And Only Hotel di Desaru Coast. Saya nak terangkan di Dewan yang mulia ini, bahawa dakwaan bahawa ia telah tutup sepenuhnya sebenarnya adalah perkara yang tidak tepat. Sebaliknya, mereka sedang membuat strategi penjenamaan semula resort tersebut bagi menambah nilai dan melonjakkan lagi kedudukan pelancongan Johor di peringkat antarabangsa. Pengendali baharu yang akan mengambil alih operasi resort ini bukan calang-calang, ia merupakan sebuah syarikat hospitaliti mewah bertaraf antarabangsa dengan pengalaman lebih 100 tahun dan memiliki rekod cemerlang dalam mengurus resort serta kediaman berjenama di lokasi-lokasi ikonik di seluruh dunia. Saya juga dimaklumkan bahawa pihak Desaru Coast akan membuat pengumuman rasmi berkenaan perlantikan pengendali baharu dan penjenamaan resort tersebut dalam satu sidang media pada minggu pertama Jun tahun ini. Jadi, cerita-cerita yang kita dengar itu Yang Berhormat Speaker, tak benarlah eh. Kita tunggu awal Jun dan mendengar hotel operator terkemuka mana yang akan mengendalikan operasi di resort tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan pada pagi ini, untuk berkongsi sedikit pengalaman saya secara peribadi. Semua sedia maklum bahawa saya telah dilantik menjadi Menteri Besar pada tahun 2022 secara mengejut. Dan, saya sebenarnya masih terkejut sampai hari ini. Dan, semasa saya mula mengambil tampuk kepimpinan negeri, dalam minda saya, dalam fikiran saya, saya ingatkan tugas utama saya sebagai Menteri Besar adalah hanya untuk melihat kepada dasar. Sebab kita semua yang berada di dalam Dewan ini adalah pembuat dasar. Dan pelaksanaan dasar itu, kita serahkan kepada jabatan dan juga agensi-agensi untuk melaksanakannya.

Jadi, itu modus operandi saya pada awal kepimpinan memimpin negeri. Namun begitu, selepas beberapa bulan memegang jawatan ini, saya menyedari acap kali apa yang dilaporkan dari segi pelaksanaan tidak sama dengan apa yang berlaku di lapangan. Sebagai contoh, jalan-jalan yang tidak diselenggara. Sebagai contoh, projek-projek terbengkalai, sebagai contoh, perkhidmatan yang tidak memuaskan, sebagai isu, sebagai contoh isu di CIQ yang berlaku berdekad-dekad lamanya. Apa yang dilaporkan dan apa yang dibentangkan tak sama dengan apa yang berlaku di lapangan. Sebab itu, saya melahirkan kerisauan kerana harapan rakyat menggunung Yang Berhormat Speaker, dan suka tak suka sebagai pemimpin sama ada yang duduk belah sini, atau pun belah sana we have a job to do. Kita mesti deliver kerana yang berdepan dengan rakyat ialah Wakil-Wakil Rakyat yang mendepani rakyat setiap hari.

Pada masa sama, kita telah melancarkan Maju Johor 2030 dan impian hasrat kerajaan negeri cukup tinggi juga. GDP yang kita sasarkan ialah RM260 bilion tahun 2023, GDP kita RM148 bilion, setengah daripada apa yang kita sasarkan. Dari segi growth dalam bahasa Melayu pertumbuhan, terima kasih Datuk Speaker. Mendengar dengan tekun dan teliti. Dari segi pertumbuhan ekonomi kita nak tengok 7% to 8% growth. Tahun 2023, pertumbuhan kita ialah pada tahap 4%. Dari segi pendapatan purata isi rumah, target kita RM10,500.00. Tahun 2023, angkanya RM8,400.00. Kita mensasarkan sifar miskin tegar, tahun 2023, miskin tegar kita 4,000 lebih, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Jadi, sebab itu saya selalu mengatakan bahawa kita kena ubah pendekatan kalau kita hendak menghasilkan, hasil yang berlipat ganda untuk rakyat, yang kita semua cintai. “Te Se Te Pan”, in order to get extraordinary results, we must do thinks the extraordinary. Kalau hendak mendapatkan hasil yang luar biasa, kita kena menggunakan pendekatan yang luar biasa. Jadi, kita mengorak langkah. Kita menggunakan tiga (3) pendekatan utama:

1. Pendekatan turun padang. 2. Kerja berpasukan. 3. Pengurusan terperinci, micromanage. Dulu kita macromanage. Hari ini kita dua-

duanya, macro dan juga micromanage. No stone unturned, bak kata Jocelyn Tan.

Dan, sukacita Yang Berhormat Speaker, saya lihat bahawa, pendekatan ini sudah mula membuahkan hasil. Saya nak bagi contoh, Yang Berhormat Speaker, untuk Zoo Johor yang telah kita buka pada bulan Ogos tahun lepas, kita menggunakan tiga (3) pendekatan ini. Dan hasilnya, kalau dulu kita lihat purata pelawat ialah 400,000 untuk setahun tetapi anggaran sekarang ialah 1 juta orang setahun. Hasil dulu RM1.5 juta, insya-Allah tahun ini kita akan rekodkan hasil sebanyak RM7 juta, satu peningkatan yang cukup memberangsangkan. Namun Yang Berhormat Speaker, kejayaan itu tidak datang bergolek ia datang dengan usaha yang luar biasa menggunakan pendekatan yang saya sebutkan tadi. Dari segi pendekatan turun padang, Dato’ Jafni, satu EXCO turun sendiri ke lapangan 35 kali. Saya sendiri turun empat (4) kali tak cukup dengan itu, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor sendiri mencemar Duli turun padang melihat keadaannya sebelum ia dibuka kepada rakyat.

Dari segi pendekatan kerja berpasukan Yang Berhormat Speaker, dulu Zoo Johor ini, dikawal selia, dibangunkan oleh hanya SUK KT. Satu (1) agensi sahaja yang akan jaga tetapi untuk pembukaan semula Zoo Johor ini Yang Berhormat Speaker, kita menggemblengkan tenaga daripada pelbagai pihak. Sememangnya SUK KT akan terlibat, tetapi kali ini Keluarga Diraja Johor sendiri membantu, kerajaan negeri bersama empat (4)

PBT, MBJB, MBIP, Pasir Gudang dan juga Kulai turun membantu. Tak cukup dengan itu, Tourism Malaysia, Tourism Johor, Zoo Negara, PDRM, PLANMalaysia, PAJ, dia bagi bas, The Johor Collection, SWM, Rela dan banyak agensi yang terlibat. Kita bagi tepukan yang gemuruh kepada mereka. (Dewan bertepuk).

Dari segi pengurusan terperinci Yang Berhormat Speaker, micromanage, kita menyediakan pelan tindakan dan garis masa yang terperinci Ini termasuklah kita tentukan bila proses perolehan selesai, bila proses pembinaan sempurna, bila haiwan baharu akan masuk, bagaimana proses sistem ticketing dilakukan, perancangan promosi dan hebahan, sehingga keselesaan dan keselamatan pengunjung. Semua ini diperhalusi oleh team yang saya sebutkan tadi.

Satu lagi contoh yang mungkin saya boleh kongsikan Yang Berhormat, ialah tentang penubuhan Invest Malaysia Facilitation Centre Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti yang saya telah laporkan minggu lepas, FDI Johor berjumlah RM27.4 bilion berbanding RM4.1 tahun lepas. Peningkatan sebanyak RM23 bilion Yang Berhormat Datuk Speaker. Sekali lagi, ia terjadi hasil gerak kerja yang luar biasa. Menggunakan tiga (3) pendekatan yang saya sebut tadi. Dari segi turun padang, selain daripada YB Lee Ting Han dan saya sekali lagi Pemangku Sultan Johor sendiri turun mencemar Duli untuk memastikan IMFC-J ini dapat kita jayakan sebaik mungkin. Dari segi team work atau pun kerja berpasukan Yang Berhormat Datuk Speaker, ia melibatkan sepuluh (10) agensi daripada kerajaan persekutuan. 18 agensi kerajaan negeri, yang sekarang ini diketuai oleh IRDA, dibantu oleh Invest Johor, MIDA, enam (6) PBT, Pejabat Tanah dan Galian dan banyak lagi. Pelbagai agensi dan institusi dilibatkan untuk memastikan IMFC-J ini menjadi satu kejayaan. Dari segi pendekatan terperinci atau micromanagingnya, setiap pelabur yang datang ke IMFC-J, Yang Berhormat Datuk Speaker, kita telah mewujudkan Account Manager untuk mengurus dan memudah cara proses pelaburan di negeri Johor.

Kita juga menentukan bila tarikh permohonan, bila ia dibawa ke OSC, bila kelulusan pembangunan, bila kerja-kerja di tapak boleh dimulakan sehingga ia boleh beroperasi. Kita masuk details sebegitu sekali Yang Berhormat Datuk Speaker. Dan melalui pendekatan ini juga, kita telah berjaya melancarkan Johor Super Lane untuk ease of doing business, nak mudahkan pelabur masuk ke negeri Johor. Dan kita berjaya memendekkan, proses kelulusan pembangunan tanah daripada 134 hari menjadi hanya 62 hari. Sekali lagi, tuan-tuan dan puan-puan, Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita bagi tepukan yang paling gemuruh kepada mereka yang menjayakan. (Dewan bertepuk).

Banyak lagi contoh Yang Berhormat Speaker, menggunakan pendekatan ini yang sedang kita laksanakan. Contohnya, Sekolah Rintis Bangsa Johor. Kita buat empat (4) sekolah terlebih dahulu. Melibatkan agensi dan kementerian di peringkat federal dibantu oleh agensi-agensi di peringkat negeri. Dari segi Tengku Mahkota Ismail Youth Centre, ini juga kita mengadakan perasmian TMIYC Pasir Gudang baharu-baharu ini juga menggunakan pendekatan yang sama. Johor Talent Development Council, JTDC bagi peluang-peluang pekerjaan sekali lagi menggunakan pendekatan yang saya sebutkan tadi.

Persediaan untuk Tahun Melawat Johor, pembasmian miskin tegar, pembangunan semula Taman Botani Diraja dan insya-Allah akan mendapat perkenan tidak lama, sama-sama kita doakan. Task Force perumahan negeri Johor, ini kita nak bina 100,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2030. Task Force pengurusan bencana banjir, nak membantu rakyat pada kadar yang segera pun memerlukan task force. Task Force penyusunan semula rumah-rumah setinggan, task force penyuraian trafik, task force projek-projek berimpak tinggi dan banyak lagi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, apa yang kita sedang laksanakan ini, adalah suatu yang berbeza dengan kebiasaan kita sebelum ini. Saya akui, ia tidak mudah untuk mengubah budaya kerja, cara kita berfikir dan pendekatan kita dalam menghadapi sesuatu cabaran. Ia tidak mudah dan ia menuntut kepada pengorbanan. Ia menuntut kita keluar daripada zon selesa tapi syukur alhamdulillah, kita telah berjaya membuktikan bahawa ia tidak mustahil untuk dilaksanakan. Alah bisa, tegal biasa, sekali air bah, sekali pantai berubah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang berbunyi, (bacaan hadis), yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah nasibnya sendiri”. Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang saya hormati. Sama-samalah kita berazam untuk meneruskan perubahan demi menghasilkan natijah, yang lebih baik untuk negeri Johor yang kita semua cintai.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor juga telah mengilhamkan pelantikan Duta-Duta Sukan Johor, Duta-Duta Belia yang baharu. Antaranya, legenda ragbi pasukan All Blacks, Sonny Williams, Juara Badminton Dunia, Datuk Lee Chong Wei, legenda bola sepak daripada Australian, Tim Cahill dan yang terbaharu anak jati Johor, atlit berbasikal negara saudara Shah Firdaus yang insya-Allah, sama-sama kita doakan beliau akan menjadi penyumbang pingat emas Olimpik yang pertama untuk negara ini. (Dewan bertepuk).Pelantikan figura-figura terkemuka ini bukan sekadar simbol penghormatan tetapi mereka dilantik untuk menyuntik semangat dan

inspirasi kepada setiap bangsa Johor. Mereka menjadi lambang semangat juang, disiplin dan kecemerlangan yang perlu ditanam di setiap jiwa Bangsa Johor. Kalau mereka boleh berjaya, insya-Allah kita juga boleh berjaya. Cuma, seperti tadi ia menuntut kepada pengorbanan kerana kejayaan itu tidak akan datang bergolek.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya teringat Datuk Lee Chong Wei bercerita dengan saya baru-baru ini, dia kata nak jadi juara, champion di peringkat dunia bukan satu perkara yang mudah. Setiap pagi, beliau kena bangun pukul 4.30 pagi supaya sampai ke badminton court pukul 5:30 pagi nak berlatih dengan Datuk Misbun Sidek. Ini harga yang perlu beliau bayar untuk menjadi juara dunia. Dan kalau Johor mahu menjadi juara, sama-samalah kita buat pengorbanan-pengorbanan. Tapi saya tengok, Yang Berhormat Datuk Speaker, EXCO-EXCO saya sekarang dah tak complaint pasal Semarak Subuh. Dia orang semua ikut saya Semarak Subuh seminggu sekali. Dan dah, YB Hairi pun kadang-kadang dulu dia terlepas, tapi sekarang dia bangun lebih awal daripada saya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, begitu juga contoh yang ditunjukkan oleh pasukan JDT. Yang meraih kemenangan 11 kali berturut-turut dalam Liga Super dan menjadi Juara Piala Malaysia dengan mencipta sejarah kejayaan triple-treble. JDT bukan sekadar pasukan bola sepak kebanggaan Bangsa Johor. JDT adalah simbol kegigihan, simbol keberanian dan simbol kecemerlangan yang perlu dijadikan contoh oleh setiap Bangsa Johor. Setiap lapisan masyarakat, setiap pemimpin, setiap anak muda, setiap penjawat awam, setiap agensi, setiap jabatan di Johor harus berusaha mencapai kecemerlangan yang sama dalam bidang masing-masing. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, titah ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku juga mengingatkan kita semua bahawa ini bukan musim pilihanraya negeri. Buat pengetahuan semua, penggal kita akan tamat pada bulan April tahun depan. Bila akan tamat pada tahun 2027? Saya test sahaja Stulang. Tengok dia tidur ke tidak. Dua (2) tahun lagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Jadi, seperti yang telah dititahkan oleh Pemangku Sultan, sama-samalah kita terus menjaga keharmonian. Harapan Pemangku Sultan adalah supaya kita mencari titik persamaan agar kita dapat disatukan semula dan bukan mencari titik perbezaan yang akan memecah-belahkan kita semua dan menghancurkan negeri yang kita semua cintai. Johor mesti jadi Johor. (Dewan bertepuk). Dan syukur alhamdulillah, seperti yang saya katakan tadi, saya menjadi saksi bahawa semua Ahli-Ahli Yang Berhormat membahaskan isu-isu rakyat dengan penuh adab, tertib dan sentiasa menjaga keharmonian di dalam Dewan yang mulia ini. Saya akan melaporkan kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor bahawa semua Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor menjunjung apa yang telah dititahkan. (Dewan bertepuk).

Yang Berhormat Datuk Speaker, menutup tirai Persidangan ini izinkan saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala pandangan, teguran dan cadangan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan dan menyeru semua EXCO, semua ketua jabatan dan agensi yang hadir, kehadiran tuan-tuan, puan-puan sepanjang sesi persidangan ini adalah sangat penting dan bukan sekadar sebagai pemerhati di dalam Dewan yang mulia. Saya merayu, saya merayu dengan penuh rendah hati, kepada rakan-rakan EXCO, kepada semua jabatan dan agensi, marilah sekali lagi kita mendengar bukan sekadar dengan telinga, kita mendengar dengan hati dan jiwa. Janganlah hanya dengan mencatat untuk direkodkan semata-mata tetapi catatlah untuk bertindak dan untuk menyelesaikan isu yang kita dengar. Rakyat mendambakan tindakan yang dapat menghasilkan penyelesaian. Bukan sekadar janji yang terhenti di atas kertas. Mereka mengharapkan bantuan dan perkhidmatan kita, bak kata pepatah orang Melayu, “Karam di laut jadi pelampung, panas di darat jadi penaung; pasak di hilir jadi penudung, patah di hulu jadi penyabung”. (Dewan bertepuk).

Dan ini, selari dengan sabda Nabi Junjungan, Nabi Muhammad SAW yang berbunyi, (Bacaan sabda) yang bermaksud “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya”. Hadis ini mengingatkan kita semua bahawa jawatan ini adalah amanah dan amanah tersebut akan dipersoalkan kelak. Maka, segala yang dilontarkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini, bukan sekadar perbahasan politik, tetapi merupakan amanah rakyat yang menuntut kepada gerak kerja nyata dan tindakan tuntas.

Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat saya menyeru agar kita tidak hanya menunggu sidang DUN sebagai satu-satunya pentas untuk menyuarakan isu rakyat. Manfaatkan semuanya platform Mesyuarat Tindakan DUN di kawasan masing-masing. Di situlah suara rakyat boleh terus diterjemah kepada tindakan dan di situlah kita dapat menuntut akauntabiliti jabatan secara lebih langsung dengan semangat kebersamaan dan rasa tanggungjawab kolektif. Saya yakin kita mampu mengangkat martabat perkhidmatan awam serta memartabatkan kebajikan rakyat dengan lebih berkesan dan menyeluruh, insya-Allah. Sekian, wabillahi taufik walhidyah wassalamuálaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih dan tahniah Yang Amat Berhormat. Satu iltizam yang tinggi. Satu kejayaan yang dibanggakan. Kerja berpasukan yang susah jadi mudah, yang berat jadi ringan. Demikianlah ucapan, jawapan dan penggulungan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam Rundingan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, rundingan di hadapan Dewan ini ialah supaya dipersembahkan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, satu ucapan menjunjung kasih seperti berikut:

‘Ampun Tunku, adalah patik Speaker dan Ahli Dewan Negeri yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Dewan yang mulia ini dan bertitah merasmikan Pembukaan Persidangan Yang Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. ‘

Ahli-Ahli Yang Berhormat, rundingan ini dikemukakan untuk mendapat keputusan. Ahli-ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan. Ahli-Ahli yang tidak bersetuju, rundingan ini dipersetujukan.

Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2025.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya mohon membawa rundingan supaya Dewan ini serta-merta berpindah menjadi Jawatankuasa bagi keseluruhan Dewan Negeri untuk menimbangkan Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2025 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Mesyuarat Bil. 1 Tahun 2025 dan memperakukan sama ada peranggaran itu patut diluluskan oleh Dewan ini dengan dipinda atau tiada dipinda.

Tambahan peruntukan ini merupakan tambahan pertama bagi peranggaran pembangunan tahun 2025. Tambahan peruntukan yang diperlukan adalah sebanyak RM22,996,000.00 sebagaimana yang dimasukkan di dalam Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama di bawah satu Jawatankuasa seperti berikut:-

1. Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Negeri Johor, RM22,996,000.00.

Penjelasan lanjut bagi tambahan-tambahan tersebut akan diberi di peringkat Jawatankuasa berkenaan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Timbalan Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju, jemput angkat tangan. Yang tidak bersetuju, rundingan itu dipersetujukan.

Dewan bersidang sebagai Jawatankuasa.

Perkara di hadapan Jawatankuasa ini ialah jumlah wang sebanyak RM22,996,000.00 bagi kepala perbelanjaan P.70, Pejabat Menteri Besar Johor itu hendaklah jadi sebahagian daripada Jadual ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan : Di bawah maksud pembangunan P.70, Pejabat Menteri Besar Johor peruntukan tambahan yang diperlukan adalah sebanyak RM22,996,000.00.

Berdasarkan peningkatan hasil semasa dan demi kepentingan kesejahteraan rakyat, sejumlah RM8,188,000.00 diperlukan untuk pembangunan fizikal, iaitu sebanyak RM1,000,000.00 untuk menampung kekurangan peruntukan bagi mempertingkatkan fasiliti, membeli peralatan khas pengurusan serta meningkatkan kualiti pendidikan pelajar istimewa di Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy.

Sebanyak RM2,000,000.00 untuk menampung kekurangan peruntukan bagi kerja-kerja menaiktaraf Zoo Johor Fasa ke-2, sebanyak RM488,000.00 untuk menampung kekurangan peruntukan bagi lantikan perunding bagi Pelan Pembangunan Bandar Baru Negeri Johor.

Sebanyak RM3,600,000.00 untuk menampung kekurangan peruntukan bagi kerja-kerja menaiktaraf Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) dan sebanyak RM1,100,000.00 diperlukan untuk menampung kekurangan peruntukan bagi kerja-kerja menaik taraf Pejabat Unit Strategik Modal Insan (SMI).

Sejumlah RM14,808,000.00 diperlukan untuk Pembangunan Sosial iaitu sebanyak RM2,930,000.00 diperlukan untuk menampung kekurangan peruntukan bagi menaik taraf 586 buah bilik guru Sekolah Agama Kerajaan Johor. Sebanyak RM3,378,000.00 diperlukan untuk menampung kekurangan peruntukan bagi Bantuan Khas Aidilfitri iaitu sebanyak RM100.00 seorang kepada 33,775 orang petugas di pintu sempadan Johor-Singapura dan agensi pengurusan bencana seperti Bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Petugas Kesihatan serta petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor. Dan sebanyak

RM8,500,000.00 untuk menampung kekurangan peruntukan bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negeri Johor.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dpersetujukan.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Pengerusi, oleh sebab-sebab Maksud-Maksud peranggaran yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat Bilangan 1 Tahun 2025 itu telah pun selesai ditimbangkan, maka saya membawa rundingan supaya ketetapan-ketetapan Jawatankuasa itu dimaklumkan serta-merta kepada Dewan Negeri.

Pengerusi

Perkara itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli yang bersetuju jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Perkara itu dpersetujukan.

Dewan Negeri bersidang semula.

Dato’ Onn Hafiz bin GhaziUMNO · BNMenteri Besar · Machap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Jawatankuasa Dewan ini telah pun menimbang dan meluluskan tanpa pindaan maksud-maksud peranggaran yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat Bilangan 1 Tahun 2025. Dari itu, saya membawa rundingan supaya Dewan ini bersetuju dengan ketetapan-ketetapan Jawatankuasa itu iaitu;

Peruntukan wang berjumlah RM22,996,000.00 yang dicadangkan bagi Peranggaran Tambahan Pembangunan Pertama Tahun 2025 itu diluluskan oleh Dewan Negeri. Dan, dengan itu mengambil ketetapan bahawa sejumlah wang yang tidak melebihi RM22,996,000.00 hendaklah dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan dalam Tahun Kewangan 2025 bagi menyempurnakan maksud yang dinyatakan dalam Kertas Mesyuarat yang tersebut.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong rundingan itu.

Speaker

Rundingan itu dikemukakan bagi mendapatkan keputusan. Ahli-Ahli Yang bersetuju, jemput angkat tangan, yang tidak bersetuju. Rundingan itu dipersetujukan.

Alhamdulillah, persidangan ini telah sampai di penghujungnya. Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar keharmonian yang menjadi tradisi Dewan Negeri Johor berkesinambungan sayugia jelas direalisasikan. Fokus kepada

perkhidmatan kepada rakyat oleh setiap wakil rakyat jelas dapat dimanifestasikan melalui bait-bait ucapan dalam perbahasan. Semoga iltizam, nawaitu murni dan usaha istiqomah ke arah Maju Johor 2030 diberkati Allah SWT. Kepada Allah Kita Berserah.

Kota Iskandar kotanya indah, anak dara pakai suasa; Persidangan ini tamatlah sudah, berjumpa lagi di lain masa. Akar keladi melilit selasih, selasih tumbuh di hujung taman, kalungan budi junjungan kasih, mesra kenangan sepanjang zaman.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ahli-Ahli Dewan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan pemerhati dijemput beredar ke Dewan Banquet, di Aras 2 bangunan ini untuk jamuan makan tengah hari. Saya juga memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan merasmikan Majlis Pelancaran Minggu Jawi Johor yang akan diadakan di luar Dewan Persidangan ini sejurus selepas Persidangan ini ditangguhkan. Sehubungan itu, saya dengan secara hormatnya menjemput semua Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Ketua-Ketua Jabatan yang hadir pada hari ini untuk bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Dengan ini, persidangan ini saya tangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Terima kasih.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11:10 pagi.

Pegawai-Pegawai Bertugas:

Speaker

Jurutulis

Puan Zarina binti Abdul Kadir

Penolong Jurutulis

Encik Mohd Ezwan bin Abdul Ghani Encik Muhammad Syahfiq Nizam bin Zulkipli

Koordinator

Puan Hajah Rohana binti Matang

Pembantu Penerbitan

Puan Siti Fatimah binti Mohd Said Puan Malina binti Mohd Nasir Puan Hajah Noraisah binti Mohd Yusof Encik Ariff bin Abu Bakar

Pembantu Operasi (Bentara)

Encik Razine bin Sulaiman Encik Hamdan bin Markom Encik Norhayadi bin Hussien Encik Muhamad Khirunizam bin Pahmi Encik Mohd Norazri bin Kasim Encik Mohd Sapri bin Manan Encik Muhamad Khairul Asyraf bin Abdullah Encik Muhammad Khairul bin Arop Encik Amer Ilham bin Jefli

Setiausaha Pejabat (Pelapor Dewan)

Puan Hajah Azlin bin Bahrin Puan Hajah Saniah binti Kassim Puan Hajah Rumiah binti Semirono Puan Junaidah binti Paing Puan Hajah Haironisha binti Zainal Abidin Puan Hairun Nurul Ain bin Zainal Abidin Puan Raihanah binti Ismail Puan Fakhrinazia binti Fuad

Rakaman

Encik Nor Risam bin Esa Encik Azizan bin Md Sidi Encik Khairul Anuar bin Umar Usman

Juruaudio Video

Encik Noorazhan bin Mohd Salleh Encik Ismail bin Abu Bakar