Johor · 18 November 2025

15th Assembly, 4th session, 3rd meeting (Budget 2026) · 115 turns · 38,848 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Bismillahirrahmaanirrahim (Doa). Salam Maju Johor, salam sejahtera. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya ingin memaklumkan menurut Fasal 9, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 dan menurut Peraturan Tetap Bilangan 8, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor Cukup Bilang bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan adalah seramai tiga (3) orang dan Ahli Dewan Negeri seramai 14 orang.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sukacita dimaklumkan bahawa Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar akan merasmikan Majlis Peluncuran Pemasangan 40 Mesin Automated External Defibrillators (AED) pada sesi rehat jam 11:00 pagi nanti bertempat di ruang legar Dewan Persidangan ini.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan dan Ketua-ketua Jabatan yang menerima jemputan, dijemput untuk turut serta dalam majlis berkenaan.

Adalah dimaklumkan juga bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan mengadakan taklimat Kempen Internet Selamat kepada Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri Johor yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan internet secara beretika, selamat dan bertanggungjawab. Taklimat tersebut akan diadakan pada jam 1:00 tengah hari di Bilik Tayangan, Aras 2, Bangunan Sultan Ismail.

Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama-sama kita dalam Dewan ini adalah pemerhati seramai 11 orang daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Negeri Johor (FELDA). Daripada FELDA. Selamat datang ke Dewan Negeri Johor, sekian terima kasih.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan dimulakan sekarang.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Kukup, jemput.

Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Rumah kayu rumah batu, soalan Kukup nombor 1.

Apakah kemajuan terkini projek Rumah Prihatin Johor (RPJ) dan Rumah Kasih Johor (RKJ) yang diperkenalkan sebagai produk baharu untuk golongan berpendapatan rendah terutama kawasan luar bandar?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmaanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan ADUN Kukup berbunyi, apakah kemajuan terkini projek Rumah Prihatin Johor yang bersubsidi RM30,000.00 dan juga Rumah Kasih Johor yakni rumah percuma untuk golongan berpendapatan rendah terutama di kawasan luar bandar?

Untuk makluman Yang Berhormat Kukup, Rumah Kasih Johor yang telah dibina pada tahun 2023 bermula dengan 50 unit setiap daerah dan telah siap dibina dan diserahkan kepada para penerima, ini fasa satu (1) tahun pertama. Jumlah peruntukan untuk tahun 2023 adalah sebanyak RM6.5 juta dan manakala untuk tahun 2024 sebanyak 120 unit telah dibina dan akan siap diserahkan sepenuhnya Disember tahun ini yakni 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM22 juta. Dan bagi fasa terkini, tahun 2025 sebanyak 165 unit Rumah Kasih Johor akan dibina dengan 138 peserta telah diperakukan sebagai peserta-peserta RKJ dan Rumah RKJ telah dalam pembinaan. Jumlah peruntukan pada tahun 2025 adalah RM22 juta. Pihak PKPJ bersama ADUN dan pejabat daerah komited untuk melengkapkan 27 peserta lagi sehingga Disember 2025. Seterusnya bagi tahun 2026, pihak kerajaan dalam perancangan menambah bilangan peserta sebanyak 165 peserta untuk melengkapkan sasaran kerajaan sehingga tahun 2026 yakni tahun depan sebanyak 500 unit.

Untuk makluman Yang Berhormat Kukup, bagi program Rumah Prihatin Johor. Rumah Prihatin Johor ini adalah rumah bersubsidi RM30,000.00 se unit. Program Rumah Prihatin Johor ini pula Jawatankuasa Pemilihan Rumah Prihatin Johor Bilangan 1 telah bermesyuarat pada 3 November 2025 dan telah memperakukan seramai 96 peserta RPJ yang pecahannya seramai 36 peserta bagi Rumah Prihatin bernilai RM66,000.00. Manakala seramai 60 peserta lagi bagi Rumah Prihatin bernilai RM86,000.00. Keputusan Jawatankuasa Pemilihan RPJ adalah seperti berikut.

Jadi, untuk makluman YB Kukup, ini adalah proses flow chart dan setakat ini di peringkat Jawatankuasa telah pun bermesyuarat dan insya-Allah proses lantikan kontraktor akan bermula hujung tahun ini dan insya-Allah pada Januari (1/2026) projek akan bermula, terima kasih.

Soalan tambahan Datuk Speaker.

Timbalan Speaker

Jemput.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ EXCO di atas jawapan yang dibagi tadi. Saya ingin membangkitkan soalan tambahan, biasanya Rumah Prihatin Johor ini dibagi kepada mereka yang telah ada keluarga. Bagaimana pula, adakah kerajaan negeri merancang untuk meluaskan pemberian Rumah Prihatin Johor ini kepada orang-orang bujang yang mempunyai tanah dan juga kepada generasi kedua FELDA? Mohon penjelasan.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Terima kasih kepada YB Kukup.

Kita di Johor ini, alhamdulillah. Di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan kerajaan negeri, pertama kita ada rumah percuma. Rumah percuma ini kita beri rumah percuma kepada mereka golongan B40 ke bawah yang mempunyai kad e-kasih. Dan yang keduanya adalah Rumah Prihatin, Rumah Prihatin sebagaimana dalam slide tadi kita ada dua (2) kategori, satu (1) kategori RM86,000.00 kerajaan kasi subsidi RM30,000.00. Mereka cuma cari loan bank RM56,000.00 dan kategori kedua, dua (2) bilik sahaja, satu (1) bilik air, harga rumah RM66,000.00 subsidi RM30,000.00 dan mereka cuma cari loan bank RM36,000.00.

Jadi kita berhadapan selepas kita buat pro-filing seramai 120 orang melibatkan lapan (8) daerah, melibatkan hampir sebahagian kawasan-kawasan ADUN, kita dapati bahawa golongan muda ini pun dia berminat untuk dapatkan Rumah Prihatin ini tetapi dasar yang lepas kita hanya menggalakkan untuk mereka yang golongan berkahwin. Jadi, kita merasakan cadangan daripada YB Kukup tadi, kita insya-Allah kerajaan negeri akan pertimbangkan sekurang-kurangnya di peringkat mereka yang bujang yang mak dia, bapak

dia atau adik-beradik dia nak bantu golongan bujang ini untuk bina rumah ibu, rumah ibu tadi yang RM66,000.00 Datuk Speaker. Sebab itu saya lihat, kita di Johor ini sangat beruntung sebab kita bina rumah yang serendah-rendahnya, maksudnya rumah RM66,000.00 subsidi RM30,000.00, mereka cuma cari RM36,000.00. Bukan itu sahaja, RM36,000.00 yang mereka cari ini khasnya untuk kita boleh tawarkan juga kepada generasi kedua FELDA, dia ada tanah tetapi dia tak boleh nak buat rumah. Jadi, dia boleh pakai Rumah Prihatin ini juga dan untuk makluman kita pun telah longgarkan syarat, dulu dalam geran mesti ada nama pemohon, sekarang ini dalam geran tak perlu ada nama pemohon, asal sahaja mak bapak dia boleh keluarkan Akuan Sumpah ataupun adik-beradik boleh keluarkan Akuan Sumpah atau saudara-mara boleh keluarkan Akuan Sumpah menyatakan tanah ini diberikan pada seseorang, kerajaan pun benarkan juga. Ini lebih kepada kita nak pastikan bahawa lebih ramai golongan Bangsa Johor yang B40 dan ke bawah ini. Rumah Prihatin ini dia punya paras gaji RM6,000.00 dan ke bawah supaya lebih ramai akan dapat manfaat. Yang kita luluskan ini tadi dalam slide 120 unit yang dalam permohonan, alhamdulillah daripada 120 itu, setakat data yang kita dapat 96 telah diluluskan di peringkat teknikal. Maknanya 80%, yang ada baki lagi lima (5) kita tangguhkan dan tolak ada 19 permohonan tetapi sebab tolak ini kita pecahkan pecahan yakni 17 calon telah memiliki harta. Rumah percuma, Rumah Prihatin bersubsidr RM30,000.00 ini bagi mereka yang telah memiliki harta dilarang untuk mohon. Ini kita beri tumpuan kepada mereka yang belum memiliki rumah sendiri. Terima kasih Yang Berhormat.

Timbalan Speaker

Jelas Yang Berhormat EXCO. Jemput Yang Berhormat Pekan Nanas.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Terima kasih, selamat pagi Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pekan Nanas nombor 2, terima kasih.

Apakah perancangan promosi pelaburan antarabangsa selepas misi ke UK dan AS ini termasuk rancangan bagi lawatan balas pelabur, penyertaan dalam forum pelaburan global dan pengukuhan hubungan dengan MIDA Overseas Centres serta wakil dagang Malaysia di luar negara?

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Datuk Speaker. Kerajaan Negeri Johor sentiasa konsisten dalam usaha memperkukuh jaringan promosi antarabangsa bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi selaras dengan aspirasi Johor sebagai pintu masuk pelabuhan serantau melalui Projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. Dalam hal ini Johor kini berada dalam momentum pertumbuhan ekonomi yang paling kukuh dalam sejarah terkini. Dengan komitmen pelaburan mencecah RM56 bilion sehingga suku kedua 2025 dan daripada pagi ini kita telah pun terima satu berita yang cukup baik daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia di mana sehingga suku ketiga tahun 2025, Johor telah pun berjaya mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM91.1 bilion (Dewan bertepuk), diikuti dengan Selangor RM51.9 bilion, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur RM45.9 bilion, Pulau Pinang RM23.7 bilion dan juga Kedah RM17.5 bilion. Sekali lagi Johor telah pun berada di tangga pertama dan kita berada di landasan yang betul dan tepat untuk mencapai sasaran sebanyak RM100 bilion dari segi jumlah pelaburan komited bagi tahun ini mengatasi gabungan pelaburan komited 2 tahun sebelum ini iaitu pada tahun 2023 sebanyak RM43 bilion dan juga tahun 2024 sebanyak RM48.5 billion.

Prestasi luar biasa ini adalah bukti bahawa promosi pelaburan antarabangsa yang dijalankan bukan sekadar misi diplomatik, ia membawa pulangan hasil ekonomi yang nyata, besar dan juga segera kepada negeri Johor. Selepas pelaksanaan misi pelaburan ke United Kingdom dan Amerika Syarikat baharu-baharu ini, kerajaan negeri melalui Invest Johor dan agensi promosi pelaburan lain telah merangka beberapa inisiatif susulan yang menumpukan kepada tiga (3) aspek utama iaitu lawatan balas pelabur, penyertaan dalam pelaburan global serta

pengukuhan jaringan diplomatik pelaburan bersama agensi luar negara. Antara pelaksanaan dan perancangan utama yang telah disusun adalah seperti berikut:

1. Sebagai kesinambungan kepada misi ke UK dan juga Amerika Syarikat, beberapa syarikat yang ditemui semasa misi tersebut telah menyatakan minat untuk melawat Johor pada suku pertama tahun 2026 bagi meninjau tapak industri dan juga membincangkan potensi pelaburan bersama agensi negeri. Kerajaan negeri akan memanfaatkan peluang ini untuk mempamerkan kelebihan lokasi strategik Johor, keupayaan tenaga kerja tempatan serta kemudahan infra struktur yang menyokong pelaburan bernilai tinggi.

2. Sebagai susulan kepada kejayaan forum pertama yang diadakan bersama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta rakan sejawat dari Singapura, Johor telah menyertai penganjuran Forum Kedua Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dianjurkan oleh Enterprise Singapore pada 14 Oktober. Penganjuran ini merupakan satu usaha bersama antara kedua-dua negara bagi menyampaikan perkembangan perlaksanaan JS-SEZ kepada komuniti pelabur Malaysia dan Singapura serta global bagi memperkukuh keyakinan terhadap potensi kerjasama rentas sempadan ini.

3. Kerajaan negeri melalui Invest Johor dan MIDA Johor telah mengadakan satu sesi taklimat kepada pejabat MIDA di luar negara iaitu MIDA Overseas Centre pada 27 Oktober 2025 lepas bagi memperkukuh perkongsian maklumat serta penjenamaan Johor dalam rangka promosi global Malaysia. Sesi ini bertujuan menyelaraskan relatif pelaburan negeri dengan promosi antara MIDA agar mesej mengenai kekuatan Johor khususnya dalam konteks JS-SEZ, infra struktur industri dan tenaga kerja berkemahiran dapat disampaikan secara seragam kepada pelabur antarabangsa.

4. Selain komitmen pelabur, misi pelaburan ke Amerika Syarikat turut memberikan delegasi Johor mengenai pendedahan menyeluruh terhadap rantaian nilai teknologi dan kecerdasan buatan global iaitu dalam industri AI. Deligasi kerajaan negeri berpeluang mengadakan sesi libat urus dengan syarikat terkemuka dunia merentas keseluruhan ekosistem AI. Antaranya, daripada pembuat cip seperti nvidia peralatan dan automasi seperti brooks automation, pivitol system dan supermicro sehingga gergasi pusat data seperti Equinix. Deligasi turut melawat open AI iaitu peneraju teknologi modul generatif seperti Chat GPT bagi memahami perkembangan terkini teknologi AI.

Selain sektor industri lawatan ke Standford University, Havard University dan MIT membuka ruang kerjasama strategik dan penyelidikan dan pembangunan bakat. Pendedahan menyeluruh ini akan menjadi asas penting dalam penyediaan strategik pembangunan AI negeri Johor serta menjadi penanda aras untuk perbandingan semasa misi pelaburan ke negara lain. Dalam hal ini kerajaan negeri akan melaksanakan misi galakan pelaburan dan kerjasama pendidikan ke negara China pada bulan Disember akan datang. Misi akan memberi tumpuan kepada syarikat berasaskan robotic automasi industri, kecerdasan buatan dan sektor niche investment economy seperti bioteknologi dan teknologi tenaga bersih. Selain memperkukuh hubungan perdagangan misi ini turut membuka ruang kepada kerjasama institusi pendidikan tinggi di Johor dengan universiti serta pusat penyelidikan di China bagi pembangunan bakat dan teknologi tempatan. Kesemua perlaksanaan dan perancangan ini menunjukan komitmen kerajaan negeri Johor dan melaksanakan strategi promosi pelaburan yang berfokus tersusun dan berimpak tinggi bagi memastikan Johor terus kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini serta menjana hasil negeri yang mampan dan yang paling penting memberi kesan langsung kepada rakyat Johor melalui peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, peningkatan pendapatan isi rumah, peluang latihan dan kerjasama pendidikan serta pewujudan industri masa depan yang akan menjamin kestabilan ekonomi negeri untuk generasi akan datang. Sekian terima kasih.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Assalamualakum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 3.

Apakah program-program yang telah dijalankan atau bakal dijalankan bagi penglibatan Bangsa Johor di Yayasan Warisan Johor untuk tahun 2025 yang bakal memberi impak bagi Tahun Melawat Johor 2026?

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Parit Raja, jemput.

Assalamualakum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Maju Johor Yang Berhormat Datuk Speaker soalan nombor 4.

Apakah acara kebudayaan dan warisan bertaraf antarabangsa yang telah dirancang sempena Tahun Melawat Johor 2026?

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Penawar dan Parit Raja bagi saya izin untuk menjawab kedua-dua soalan sekali. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor terus menunjukan komitmen yang tinggi dalam memperkukuh usaha pemeliharaan, pemuliharaan dan penghayatan seni budaya negeri. Pelaksanaan pelbagai program yang dirancang ini bermatlamat menonjolkan keunikan Bangsa Johor sebagai lambang perpaduan, keharmonian dan kekayaan warisan negeri ini. Program-program yang dijalankan pada tahun 2025 dan bakal dilancarkan pada tahun 2026 ini bukan sahaja memberi impak kepada penglibatan Bangsa Johor tetapi juga diwujudkan sebagai pemangkin bagi menjayakan Tahun Melawat Johor 2026. Yayasan Warisan Johor telah merancang beberapa acara kebudayaan dan warisan yang bertaraf antarabangsa bertepatan dengan aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 yang melibatkan kerjasama strategik dengan institut dan negara luar. Antara acara yang bakal dijalankan satu adalah, Wonderful Nusantara Festival. Wonderful Nusantara Festival merupakan salah satu platform utama Yayasan Warisan Johor dan inisiatif penting bagi mengukuhkan hubungan diplomatik serta memperluas jaringan kerjasama budaya antara Johor dan institut kebudayaan terkemuka di Rantau ASEAN melalui platform International Cultural Community Network (ICCN) dengan izin. Penganjuran festival ini diperhebat dengan penyertaan lima (5) negara serantau, iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, dan Filipina. Festival ini direka untuk memugarkan enam (6) teras utama iaitu, Persembahan Seni Budaya, Sajian Warisan, Kearifan Tempatan, Kraftangan, Permainan Tradisional dan Seni Bela Diri. Ia juga secara khusus memperkenalkan elemen seni silang budaya yang merangkumi seni kaligrafi Cina dan khat Melayu, seni lukisan henna kaum India, serta persembahan paluan gendang tiga (3) kaum. Untuk mencapai impak yang lebih besar menjelang Tahun Melawat Johor 2026, Yayasan Warisan Johor akan memperluaskan jaringan kerjasama bersama Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Johor.

Program yang kedua ialah Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan. Festival ini merupakan satu program mega yang mengumpulkan pakar-pakar dalam bidang pemuziuman dari seluruh negeri di Malaysia, serta negara-negara luar seperti Singapura, Brunei, Thailand, dan Indonesia. Johor telah dipilih buat julung kalinya menjadi tuan rumah penganjuran program ini. Program ini dijangka dilaksanakan selama 7 hari pada bulan Julai di Dataran Angsana Johor, dengan kerjasama daripada Jabatan Muzium Malaysia melalui Kementerian Perpaduan Negara. Aktiviti yang disusun termasuk pameran, perkongsian ilmiah, bengkel, persembahan kebudayaan negeri-negeri dan negara jemputan, aktiviti memasyarakatkan seni, budaya, dan warisan. Beberapa aktiviti sampingan turut diadakan seiring dengan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan pada bulan Julai 2026, bertujuan untuk memeriahkan sambutan dan meningkatkan penglibatan masyarakat.

Ketiga, program ketiga ialah Heritage Mini Painting. Program ini ialah adalah program Malaysia Book Of Records Heritage Mini Painting, iaitu satu program penghasilan sebanyak 5,000 karya lukisan secara miniature bersaiz 15cm x 15cm. Penyertaan dibuka kepada semua pelajar sekolah rendah, menengah, IPT mahu pun masyarakat umum. Program ini mendidik masyarakat agar dapat menghasilkan idea secara kreatif dalam mengetahui dan memahami warisan dan budaya dalam bentuk ketara mahu pun tidak ketara yang ada di negeri Johor. Program pengiktirafan MBOR iaitu Malaysia Book Of Records akan dibuka penyertaannya pada bulan Februari dan majlis akan dijangka dilaksanakan pada bulan Julai sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa 2026.

Keempat ialah Teluk Belanga Fun Run dan Heritage Virtual Run Challenge. Acara Fun Run ini bertemakan Warisan Negeri Johor dengan mengetengahkan identiti negeri melalui pemakaian Baju Melayu Teluk Belanga. Program ini dicadangkan dalam dua (2) konsep, iaitu fun run secara fizikal dan secara virtual, bagi memberi peluang kepada semua rakyat negeri Johor berpeluang mengikuti program ini dalam meningkatkan jati diri Bangsa Johor. Program ini akan dilaksanakan pada bulan Julai bersempena bulan sambutan Hari Muzium Antarabangsa dan terbuka kepada seluruh masyarakat tidak mengira umur. Dan selepas itu adalah untuk program Hari Muzium Antarabangsa Brewforia Fest x Makar Fest. Program ini berbentuk kebudayaan dan makanan ini akan dilaksanakan bagi memeriahkan sambutan Festival Hari Muzium Antarabangsa. Ia tidak hanya mengetengahkan kebudayaan dari pelbagai negeri dan negara, tetapi juga akan memperkenalkan kopi yang menjadi produk terkenal di negeri Johor, selain mempromosikan produk-produk golongan belia yang popular kini. Program ini dijangka akan mengumpulkan lebih 50,000 orang pengunjung selama empat (4) hari. Ia merupakan program kolaborasi di antara kerajaan negeri melalui Yayasan Warisan Johor dan Makar Fest dan penganjur program belia di Malaysia.

Program seterusnya ialah Program International Classic Bike Fest. Program ini merupakan acara perhimpunan bagi penggemar basikal dan motorsikal dalam satu program berbentuk perhimpunan. Ia melibatkan negara Singapura dan Thailand. Dianggarkan sebanyak 1,000 penyertaan akan mengikuti program ini yang diadakan bersempena Hari Muzium Antarabangsa dengan pengisian aktiviti seperti pertandingan, pameran, dan bengkel.

Program seterusnya ialah Simposium Antarabangsa Johor Global : Hubungan Johor dan Asia Barat. Simposium ini adalah satu platform ilmiah yang mengumpulkan cendekiawan, pakar sejarah, budaya, dan aktivis seni untuk berkongsi maklumat tentang hubungan negeri Johor dengan negara-negara luar, khususnya dari Asia Barat seperti Turki, Jordan, Emiriah Arab, Iran, dan Lubnan. Perkongsian ini merangkumi sejarah hubungan sejak zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar sehingga ke pentadbiran Johor Moden kini. Program perkongsian ilmiah ini akan dilaksanakan selama dua (2) hari dan dicadangkan pada bulan Julai sebagai persediaan kepada Sambutan Kemerdekaan pada tahun 2026. Pengisian lain adalah dalam simposium ini termasuk pameran berkaitan sejarah, podcast, persembahan kebudayaan, dan aktiviti lawatan berpandu. Program ini selari dengan saranan Pemangku Sultan Johor, agar belia negeri ini bukan sahaja mengenali pembangunan dan ekonomi, malah mahir serta mempunyai semangat jati diri yang tinggi terhadap sejarah, seni dan budaya Johor.

Program seterusnya juga adalah International Textile Symposium. Kain Benang Johor merupakan identiti negeri yang mempunyai nilai sejarah dan warisan tersendiri dan semakin mendapat tempat dalam pemakaian rasmi mahupun tidak rasmi dalam kalangan masyarakat negeri Johor. Justeru, simposium ini diadakan sempena Tahun Melawat Johor 2026 untuk mengetengahkan inovasi serta penghasilan produk kraf berasaskan tenunan. Simposium ini melibatkan beberapa negara luar termasuk Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, China, Jepun, dan India untuk memperkenalkan produk negeri ini di mata dunia. Simposium ini akan menonjolkan beberapa segmen pembentangan kertas kerja serta perkongsian ilmu berkaitan produk tenunan oleh artisan. Ia akan dilaksanakan pada bulan Mei bersempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa yang disambut sedunia pada 18 Mei setiap tahun.

Kerajaan negeri menerusi Yayasan Warisan Johor juga telah merancang beberapa program berimpak tinggi iaitu penglibatan Bangsa Johor dan mengangkat martabat warisan negeri. Antaranya ialah Perasmian Muzium Tokoh Johor. Muzium Tokoh Johor akan dibuka semula dengan imej dan pengisian bersifat interaktif bersempena Tahun Melawat Johor 2026. Pengisian utama muzium ini adalah berkaitan, Sejarah dan Kesultanan Johor Moden, Tokoh-tokoh Johor di Peringkat Antarabangsa, Kebangsaan, dan Tempatan, Tokoh Pentadbiran Negeri dan Menteri Besar. Cadangan majlis perasmian tersebut akan dirasmikan oleh Pemangku Sultan Johor dan dianggarkan bersempena Hari Kemahkotaan Sultan Johor pada bulan Mac 2026. Cadangan pembukaan bersempena Hari Kemahkotaan ini dilaksanakan bertujuan menarik minat masyarakat mengenali dan mendekati sejarah negeri Johor melalui tokoh-tokoh negeri.

Seterusnya program Jelajah Lestari Zapin dan Program Festival Zapin Jauhar. Jelajah Lestari Zapin merupakan sebuah program yang bertujuan memartabatkan seni warisan zapin melalui jelajah di seluruh daerah Johor. Jelajah ini bergerak mengisi aktiviti bersama-sama Majestic Johor ke daerah-daerah negeri Johor, disusuli pertandingan daerah. Kemuncak kepada jelajah ini adalah Festival Zapin Jauhar. Festival ini dirancang pada 6 hingga 9 November 2025 dan dijangka memberi impak yang besar melalui kerjasama strategik pelbagai pihak seperti Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional, JKKN Johor, Tourism Johor, Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan puluhan agensi lain. Festival ini menggabungkan pelbagai elemen tarikan negeri melalui pendekatan daerah, iaitu budaya, sejarah, makanan warisan, industri kecil dan sederhana serta interaktif melibatkan pengunjung dan penganjur. Akhirnya ialah program Sajian Warisan Johor. Sajian Warisan Johor adalah program yang konsisten diadakan oleh Yayasan Warisan Johor untuk mempromosi dan membudayakan makanan warisan di Johor di kalangan masyarakat negeri Johor. Antara usaha yang dilaksanakan seiring penganjuran program ini ialah mengiktiraf Beriani Johor sebagai Makanan Warisan Johor. Sekian terima kasih.

Timbalan Speaker

Jemput, Parit Raja.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, dan terima kasih jawapan daripada Yang Berhormat EXCO saya meneliti jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat EXCO dan terima kasih di atas usaha-usaha dan perancangan. Cuma, di sini saya hendak mengemukakan soalan tambahan. Apa dan bagaimana usaha dan perancangan di pihak peringkat kerajaan negeri untuk memberi impak program-program yang telah dirancang yang akan dilaksanakan pada Tahun Melawat Johor 2026 ini di peringkat daerah-daerah? Kerana di peringkat daerah juga mempunyai pelbagai potensi untuk diangkat dan diceritakan di peringkat antarabangsa. Saya lihat tadi program-program yang dilaksanakan berpusat di ibu negeri Johor. Sedangkan di peringkat daerah, di peringkat akar umbi juga mahu merasai program-program yang bertaraf antarabangsa. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat EXCO.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Parit Raja. Tidak boleh dinafikan kita mempunyai banyak bakat-bakat yang berada di daerah-daerah. Melalui Yayasan Warisan Johor dan khususnya melalui program Zapin Jauhar tahun lepas, tahun ini kita telah bekerjasama dengan Tourism Johor especially melalui Festival Majestic Johor kita telah pergi ke daerah-daerah untuk mengetengahkan khususnya festival zapin. Di mana di setiap daerah kita mengangkat balik semua, menarik balik semua peserta-peserta penarin zapin khususnya dari pihak sekolah, remaja dan juga NGO-NGO dan kali ini juga dibukakan kepada kaum lain. Khususnya masyarakat India dan Cina juga untuk melibatkan diri dalam untuk festival zapin. Tetapi bukan zapin sahaja, tetapi untuk tahun depan, perancangan Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Majis Kebudayaan Negeri Johor dan juga JKKN negeri kita akan mengetengahkan platform untuk persembahan-

persembahan hujung minggu yang boleh dijalankan di peringkat daerah untuk mencungkil balik bakat-bakat di peringkat daerah dan memberi mereka platform yang penting untuk mengetengahkan bakat mereka. Sebab bakat mereka kadang-kandang mereka ada, tetapi bakat mereka simpan dalam tak ada ada tempat nak menunjukkan platform. Kerajaan negeri Yayasan Warisan Johor, Majlis Kebudayaan Negeri Johor dengan kerjasama JKN Johor kita akan mencungkil balik bakat-bakat ini dan harap boleh berjaya program ini. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Jemput Penawar.

Puan Fauziah bin MisriUMNO · BNPenawar

Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang diberikan. Soalan tambahan saya untuk memastikan legasi Tahun Melawat Johor 2026 berterusan, apakah inisiatif pembangunan bakat warisan yang telah dirancang untuk melatih dan memperkasa generasi muda Johor sebagai pelapis dalam bidang-bidang seni, budaya dan pemuziuman bagi menjamin kelestarian warisan negeri ini secara jangka masa panjang? Terima kasih.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih YB Penawar. Bagi memastikan legasi Tahun Melawat Johor 2026 berterusan dan warisan negeri terus terpelihara, kerajaan negeri Johor telah merancang beberapa inisiatif pembangunan bakat yang menyasarkan generasi muda sebagai pelapis dalam bidang seni budaya dan pemuziuman. Antara inisiatif yang dirancang termasuk :

1. Program latihan dan pembangunan bakat warisan. Kursus dan bengkel akan dianjurkan secara berkala melibatkan pakar warisan tempatan untuk melatih generasi muda dalam seni persembahan tradisional, kraftangan, muzik dan tari budaya Johor;

2. Kerjasama dengan inistitut pendidikan, kolaborasi dengan universiti, kolej dan sekolah untuk memperkenalkan silibus seni dan budaya Johor sebagai sebahagian daripada program kurikulum serta aktiviti lapangan;

3. Program aspirasi budaya di muzium dan galeri. Memberi peluang kepada pelajar dan belia untuk menyertai program sukarelawan dan latihan industri di institut budaya bagi mempertingkatkan pendedahan dan minat dalam bidang pemuziuman;

4. Anugerah inisiatiff seni warisan. Menyediakan insentif dan pengiktirafan pada bakat muda yang aktif dalam memellihara mempromosikan seni budaya Johor termasuk bantuan dana untuk projek-projek komuniti berasaskan warisan. Melalui pendekatan ini Johor bukan sahaja dapat memastikan kelestarian warisan, malah membina generasi baru yang bangga dan bertanggungjawab dalam mempertahankan identiti budaya negeri secara berterusan. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Dijemput.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih kepada YB EXCO. Cuma tadi apabila kita lihat ada beberapa slide yang dipaparkan ada satu slide tu berkenaan dengan Festival Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan. Ada satu program namanya Teluk Belanga Fun Run. Tapi keseluruhan gambar yang berlari tu cekak musang bukan Teluk Belanga, jadi saya harap sebelum kita promosikan kita tengok baliklah slide tu, sebab saya rasa macam tak selesa tadi. Teluk Belanga is Johor. Cekak Musang bukan, tajuk program Teluk Belanga, yang berlari keseluruhannya cekak musang, jadi saya mintak diperbetulkanlah. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat EXCO ada jawapan?

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Saya ambil maklum program ini akan dijalankan tahun depan dan mungkin gambar ini mungkin gambar yang diambil daripada gambar luar.

Timbalan Speaker

Dia super impose la tu.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Ha ah, akan diperbetulkan.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Sedili.

Tuan Muszaide bin MakmorUMNO · BNSedili

Bismillahirahmannirahim. Assalammualaikum warahmatulahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera. Salam Maju Johor. Soalan Sedili nombor 5.

Berapakah jumlah hak milik tanah yang telah diluluskan kepada peneroka FELDA di seluruh negeri Johor sehingga kini dan berapakah pula bilangan geran hak milik bagi generasi baharu FELDA yang telah diserahkan?

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Pasir Raja.

Bismillahirahmannirahim. Assalammualaikum warahmatulahi wabarakatuh. Salam Maju Johor. Soalan Pasir Raja nombor 6 dan nombor 7. Terima kasih.

Apakah usaha kerajaan negeri bagi menyelsaikan isu hak milik tanah FELDA?

Apakah langkah ke hadapan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah generasi kedua FELDA?

Timbalan Speaker

Jemput Yang Berhormat EXCO.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirahmannirahim. Assalammualaikum warahmatulahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Sedili dan Pasir Raja atas soalan berkenaan dengan peneroka dan generasi baharu FELDA.

Yang Berhormat Datuk Speaker, FELDA negeri Johor terbahagi kepada dua (2) wilayah pengurusan iaitu FELDA Wilayah Johor Bahru dan FELDA Wilayah Segamat. Terdapat 73 buah Rancangan FELDA di seluruh negeri Johor dengan keluasan 122,124 hektar untuk penempatan dan ladang. Untuk makluman Yang Berhormat Sedili, Pasir Raja dan Ahli Dewan, kerajaan negeri Johor sentiasa memberi perhatian serius terhadap isu hak milik tanah peneroka FELDA dan generasi baharu. Sehingga kini perlaksanaan dua (2) inisiatif utama sedang giat dijalankan, iaitu permohonan geran hak milk tanah peneroka dan geran lot perumahan generasi FELDA.

Untuk makluman jumlah keseluruhan peneroka FELDA di Johor adalah seramai 27,642 orang peneroka. Jika dikategorikan mengikut wilayah, FELDA Wilayah Johor Bahru mempunyai 17,554 peneroka dan daripada jumlah itu seramai 17,420 peneroka telah menerima geran hak milik. Manakala 134 orang masih di pelbagai Rancangan FELDA dalam proses di peringkat PTD dan FELDA. Manakala di Wilayah Segamat pula, terdapat 10,088 peneroka dengan 10,009 peneroka telah memperolehi geran hak milik dan hanya 79 orang masih belum selesai iaitu di Rancangan FELDA Kahang Timur. Ini bermakna daripada 27,642 peneroka FELDA seramai 27,429 peneroka atau 99% telah menerima geran hak milik masing-masing. Baki 1% atau 213 peneroka lagi akan menerima hak milik menjelang akhir tahun ini.

Dari segi permohonan lot perumahan generasi FELDA pula sehingga September terdapat 12,627 permohonan di seluruh Johor. Daripada jumlah tersebut sebanyak 9,731 permohonan telah diluluskan. Manakala 8,182 pemohon telah menerima Notis 5A daripada angka tersebut 7,805 generasi FELDA iaitu 80% telah menyelesaikan Notis 5A dan menerima geran hak milik masing-masing. Mengikut pecahan FELDA Wilayah Johor Bahru, mencatatkan 10,345 permohonan dengan 7,357 generasi FELDA telah menerima geran. Sementara itu, Wilayah Segamat merekod 2,282 permohonan di mana 448 generasi FELDA telah pun menerima geran.

Berdasarkan rekod ini, Johor kekal sebagai antara negeri paling ke hadapan dalam melaksanakan inisiatif pemberian geran hak milik lot perumahan generasi FELDA dengan kadar penyelesaikan 80%. Johor komited dari segi penyerahan geran kepada generasi kedua FELDA. Secara keseluruhannya kedua-dua inisiatif ini berada pada tahap kemajuan yang tinggi dengan penyelesaikan melebihi 80 hingga 99%. Kerajaan negeri optimis bahawa baki peneroka dan generasi FELDA akan menerima hak milik masing-masing selaras dengan sasaran penyelesaian yang telah ditetapkan. Hal ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan warga FELDA terus diberi keutamaan. Antara usaha utama kerajaan negeri bagi mempercepatkan penyelesaian isu ini termasuklah :

Pertama, mewujudkan sekretariat muafakat FELDA negeri Johor yang merupakan langkah proaktif kerajaan negeri Johor untuk mendengar secara langsung mengenai permasalahan dan cadangan, hala tuju pembangunan dan harapan warga FELDA di 73 rancangan FELDA seluruh Johor.

Yang kedua, Mesyuarat penyelarasan berkala bersama tiga (3) pihak utama iaitu FELDA, Pejabat Tanah Daerah serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Melalui platform ini setiap kes setiap kes tertunggak dikenal pasti satu persatu termasuk isu teknikal seperti semakan lot, status tanah dan keperluan dokumentasi tambahan. Penyesaian, penyelarasan, teknikal antara agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu berkaitan status tanah, kelulusan pelan dan dokumentasi pemilikan.

Dan yang ketiga kerajaan negeri juga memastikan kerjasama rapat antara PTD dan FELDA bagi menyelesaikan isu yang melibatkan pelarasan semula sempadan, pelupusan tanah dan pewartaan terutamanya bagi kawasan yang mengalami pertindihan atau kekangan infrastruktur. Pendekatan ini membantu mengurangkan kes tertunggak secara signifikan. Kerajaan Johor akan terus berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada seluruh warga FELDA. Memastikan setiap isu diselesaikan secara tuntas serta menjamin kebajikan dan masa depan komuniti ini sentiasa menjadi keutamaan. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pekan Nanas.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Pekan Nanas nombor 8.

Apakah bentuk kolaborasi strategik antara kerajaan negeri, NGO dan sektor swawta yang dirancang bagi memperkasakan golongan ibu tunggal dan wanita B40, khususnya dalam aspek peningkatan pendapatan dan kemahiran keusahawanan?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Pekan Nanas. Soalan yang diajukan kepada saya adalah bentuk kolaborasi strategik antara kerajaan negeri Johor NGO dan sektor swasta yang dirancang bagi memperkasakan golongan ibu tunggal dan wanita B40, khususnya dalam aspek peningkatan pendapatan dan kemahiran keusahawanan.

Yang Berhormat Datuk Speaker untuk maklum Dewan yang mulia ini bahawa pada tahun 2025 kerajaan negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim telah mula

menjalankan kolaborasi strategik dengan beberapa pihak khusus dalam memperkasakan golongan ibu tunggal, wanita B40 khususnya dalam aspek peningkatan pendapatan dan kemahiran usahawan. Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim telah menjalankan kerjasama dengan tiga (3) agensi sektor swasta dengan projek yang berbeza dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 yang melibatkan 93 penerima manfaat. Yang Berhormat Datuk Speaker,

Yang pertama program pemerkasaan wanita dengan kerjasama Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Lembaga Pelabuhan Johor;

Kedua, program kewangan sosial melalui Ambank Islamic Berhad;

Ketiga, program pemindahan ilmu Nexus. KTP Nexus mengupaya keusahawanan ibu tunggal melalui kemahiran dengan kolaborasi pusat jaringan komuniti dan industri atau Centre For Community and Industry Network dengan izin, di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan inovasi Universiti Teknologi Malaysia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan lebih banyak lagi agensi atau sektor swasta bersama-sama dalam memastikan objektif kerajaan membantu golongan sasar khususnya ibu tunggal, wanita golongan B40 dan juga orang kurang upaya supaya mampu berdikari dan bebas dari belenggu masalah ekonomi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain itu Pejabat Pembangunan Wanita Keluarga di negeri Johor di bawah domain program wanita dan ekonomi, banyak menjalan kolaborasi strategik dengan pelbagai NGO seperti MAXUS, CANON, Maybank, Institut Keusahawanan negara INSKEN dan sebagainya. Ini adalah usaha untuk menyokong wanita dalam sektor gig dan keusahawanan digital termasuk memberi latihan sokongan teknikal, peluang menjana pendapatan sendiri serta peluasan kepada lebih banyak platfrom dan rangkaian perniagaan. Inisiatif-inisiatif ini adalah selaras dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025 ke 2030 di bawah teras ekonomi iaitu sasaran keberhasilan yang menyasarkan kadar penyertaan wanita dan tenaga buruh meningkat kepada 60% dan peningkatan 1 juta usahawan wanita berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menjelang tahun 2030. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Timbalan Speaker

Pekan Nanas.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasihlah, Yang Berhormat EXCO Pembangunan Wanita memberikan ucapan yang begitu jelas cuma saya nak mohon Yang Berhormat untuk jelaskan sedikit berkenaan koperasi strategik bersama tiga (3) syarikat swasta yang menjalankan kerjasama dengan YPKDT seperti yang dinyatakan dalam jawapan Yang Berhormat. Terima kasih.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Pekan Nanas. Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Pemerkasaan Wanita ini Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. dan Lembaga Pelabuhan Johor merupakan program yang dibangunkan khusus dalam membantu golongan sasar menjana pendapatan dan membina kehidupan yang lebih stabil melalui bidang usahawan. Pelaksanaan ini merupakan jalinan kerjasama di kawasan komuniti setempat di sekitar Gelang Patah dan Pasir Gudang khususnya dan mungkin selepas ini akan dibawa ke kawasan-kawasan lain yang berhampiran. Antara program-program yang ditawarkan kepada mereka ini adalah kursus kemahiran asas, kursus keusahawanan, job training dan bantuan insentif perniagaan. Pendekatan ini diyakini dapat memberikan pendedahan dan pengalaman kepada peserta dalam memulakan serta menguruskan perniagaan mereka seterus ini. Pemilihan peserta adalah terdiri daripada dua (2) buah kawasan yang telah dipilih dan ianya melibatkan Iskandar Puteri dan Pasir Gudang setakat hari ini.

Kedua, adalah Program Kewangan Sosial yang merupakan program insentif kewangan sosial yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia melalui bank tempatan bagi membantu golongan B40 dan usahawan mikro untuk meningkatkan daya tahan ekonomi mereka dan keluar daripada kelompok miskin melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan beretika.

Datuk Speaker, pada tahun 2025, AmBank Islamic Berhad telah memilih Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim sebagai rakan pelaksananya dalam Program iTEKAD di negeri Johor dan kerjasama ini bertujuan untuk memperkasa golongan B40 melalui sokongan kewangan sosial, latihan usahawan dan bimbingan berterusan.

Seterusnya Datuk Speaker, pada masa ini 33 orang peserta daripada kumpulan sasar telah dipilih di kawasan ini untuk menyertai program ini pada tahun 2025 dengan matlamat untuk meningkatkan pendapatan mereka, daya tahan perniagaan mereka dan kemahiran usahawan mereka secara menyeluruh. Bagi memilih peserta, AmBank Islamic Berhad telah bersetuju untuk memberi peluang penyertaan kepada usahawan dari seluruh negeri Johor dengan menetapkan kuota bagi setiap daerah-daerah. Langkah ini bertujuan memastikan penglibatan yang menyeluruh dan inklusif pada setiap daerah selari dengan objektif iTEKAD untuk memperkasa golongan B40 secara menyeluruh di peringkat negeri.

Seterusnya Datuk Speaker, adalah satu program pemindahan ilmu, mengupaya keusahawan ibu tunggal melalui kemahiran yang merupakan satu kerjasama pusat jaringan komuniti dan industri atau centre for community and industry network di bawah Jabatan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia. Inisiatif ini akan tertumpu kepada kelompok komuniti ibu tunggal B40 yang kurang mampu bagi memberikan manfaat dari segi peningkatan ekonomi keluarga mereka. Bagi perlaksanaan program ini, beberapa lokaliti telah dikenal pasti bagi lokasi pemilihan peserta. Antara kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti adalah Pangsapuri Rakyat Bandar Putra bagi daerah Kulai. Manakala bagi daerah Johor Bahru pula, program ini akan dilaksanakan di PPR Desa Mutiara, PPR Sri Stulang, PPR Melana dan PPR Larkin. Antara jenis kursus yang ditawarkan kepada peserta termasuk pelbagai kursus-kursus jahitan, kursus urutan, kursus masakan dan sebagainya. Terima kasih Datuk Speaker.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Pekan Nanas, jemput soalan seterusnya.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, sekali lagi soalan nombor 9, terima kasih.

Berapakah jumlah peruntukan yang diluluskan bagi Program Baik Pulih dan Bina Baru Rumah MAINJ di seluruh Johor termasuk di Pekan Nanas bagi tahun 2024 dan 2025? Berapa jumlah yang telah disiapkan dan apakah punca kelewatan bagi permohonan yang masih belum dilaksanakan?

Timbalan Speaker

Dijemput Yang Berhormat Gambir.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Dari Sungai Balang ke Johor Lama, Datuk Speaker nombor 10 soalan saya, terima kasih.

Bagaimanakah kaedah pemilihan penerima Program Baik Pulih Rumah selain ianya melibatkan semakan besama pejabat daerah atau eKasih?

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Endau, jemput.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Endau nombor 11.

Setakat suku tahun ketiga 2025, berapa banyak rumah baru yang dibina oleh MAINJ dalam kawasan DUN Endau?

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Pasir Raja, jemput.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 12.

Apakah jenis bantuan yang disediakan oleh MAINJ secara keseluruhan terutamanya bantuan membaiki rumah dan berapakah tempoh sebenar untuk keputusan permohonan diluluskan?

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmanirrahim, terima kasih Datuk Speaker, saya akan menjawab bersekali soalan-soalan lain cuma saya nak tanya Gambir, Datuk Speaker. Apa niat dia sebut Johor Lama Datuk Speaker? Johor Lama ini di bawah kendalian saya Datuk Speaker. Apa-apa kena bersurat menyurat, kita bergurau Datuk Speaker.

Datuk Speaker, ada empat (4) soalan yang baik kita terima. Umumnya pasal Rumah Bina Baru MAINJ dan Baik Pulih MAINJ tetapi ada juga cerita pertanyaan pasal bantuan-bantuan MAINJ. Ini antaranya Datuk Speaker yang Menteri Besar umum dalam Bajet 2026, perubatan di bawah MAINJ sahaja pun RM100.5 juta. Ini kalau masih ada orang kata rakyat tak merasa nikmatnya tak tahulah Datuk Speaker. Ini saya nak bagi tahu di Dewan yang mulia, dengar semua, dengar, dengar, dengar. Bagaimana Bajet 2026 Yang Berhormat semua sepatutnya dirasai oleh semua rakyat termasuk sampai ke Bukit Kepong, contohnya (Dewan bertepuk). Dia melainkan kalau rakyat tak rasa ini mungkin kita tak, belum turun banyak tempat tetapi kalau kita turun semua tempat Datuk Speaker, sepayah mana rakyat itu di hujung Semerah Darat sekalipun, itu tempat saya Datuk Speaker, sampai ke tempat Sedili pun sepatutnya rakyat tidak ada masalah asalkan kita Wakil Rakyat semua bagi tahu kepada rakyat senangnya mohon bantuan kepada kerajaan pada hari ini. Itu baru mukadimah Datuk Speaker, belum mula lagi ni, saya baharu nak mula ni, boleh ke?

Datuk Speaker, keempat-empat Yang Berhormat tanya kepada kita, ini saya jawab ada 19 Skim Bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Speaker, meliputi empat (4) teras utama kebajikan, kesihatan, pendidikan, kediaman termasuk peningkatan ekonomi yang keseluruhannya Datuk Speaker, keseluruhannya 2024, jumlahnya saya bacakan, maaf 2025, RM236,746,00 tetapi tahun 2025 Datuk Speaker, maaf itu 2025, saya silap, 2026 naik lagi kepada RM299,146,00 peningkatan RM32.4 juta. Itu saya tunjukkan Datuk Speaker, dia punya senarai-senarainya, kalau tak tengok tak tahu dan bila tak tahu itu yang rakyat sendiri tak rasa, jadi tengok masing-masing, jangan ada yang bercakap lagi tak terasa rakyatnya. Kenapa Datuk Speaker? Bantuan bulanan sahaja Datuk Speaker, tahun depan RM82.8 juta, kenaikan RM49.5 juta. Kenapa saya sebut begini biar semua orang tahu, ini berkat kita semualah bayar zakat, siapa suruh? Nabi SAW yang suruh (Doa). Mana Ahli Dewan yang belum bayar zakat, saya semak nanti. Ini pun ketua jabatan bukan tengok sangat ini, tengok betul-betul semakannnya. Sebab apa Datuk Speaker, tahun demi tahun berkat kerajaan ini Datuk Speaker, kita mengimani apa yang Allah sebut dalam Surah Al-An’am Ayat 160, apa Allah kata (bacaan surah), siapa yang buat satu kebajikan Datuk Speaker, Allah ganjarkan kepadanya 10 kebaikan. Ini yang kerajaan Maju Johor tengah buat, ini yang Menteri Besar minta semua EXCO, Wakil Rakyat tolong kerajaan negeri. Lepas itu sebut negeri maju, apa rakyat rasa? Wakil Rakyat tak bagi tahu pada rakyat macam mana rakyat nak tahu? Ini bukan marah, nasihat Datuk Speaker. Wakil Rakyat kena tahu sepatutnya kalau saya buat ujian, ujian lepas ini kalau siapa tak lulus ini siap dia.

Datuk Speaker, bantuan saraan bulanan hari raya, perubatan dialisis, rawatan one off Datuk Speaker, IJN ini siapa yang ada sakit jantung, ini saya bagi tahu. MAINJ tahun ini, biasanya Datuk Speaker kita letak setahun RM1 juta biasanya tetapi tahun ini saya arahkan untuk 2026, kita letak terus RM5 juta, saya harap tak habis sebab kalau habis maksudnya rakyat Johor ini ramai sangat jantungnya rosak. Saya harap duit tak habis.

Datuk Speaker, ini biar rakyat rasa ini, saya ulang biar rakyat rasa, MAINJ bagi pihak kerajaan Johor, jangan pisah-pisahkan pula MAINJ ini, kami agensi kerajaan. RM5 juta Bang Long, gajah kita bagi supaya rakyat Johor yang ada keperluan di IJN duitnya tak cukup, yang kaya macam YB Raven tak payahlah minta, yang kaya macam Dato’ Jafni tak payahlah ambil pula jual ikannya pun dah boleh, ini gurau. Yang mana yang susah Datuk Speaker, sebut sahaja saya Bangsa Johor. Mana yang duitnya tak cukup di IJN itu tuan-tuan, maka kita boleh dapat sumbangan daripada Majlis Agama Islam bagi rakyat Johor yang tidak berkemampuan. Maka kalau tak rasa lagi tak tahu, saya pergi pada yang berikutnya yang tapak fistula itulah, Datuk Speaker, RM45 juta. Tadi yang kita tengok bantuan perubatan pelbagai itu pun dah RM31 juta. Datuk Speaker maksudnya, semua jenis penyakit orang kampung kita jangan sampai orang kampung susah tak dibantu. Maka saya nak bagi tahu asalkan mohon sahaja dengan MAINJ dengan kerajaan Johor sudah pasti bantuannya sampai.

Datuk Speaker, panjang dekat situ boleh baca sendiri dekat monitor masing-masing. Di bawah bantuan perumahan MAINJ Datuk Speaker balik kepada ada tiga (3) soalan yang banyak pasal MAINJ. Sebanyak RM5.7 juta diperuntukkan tahun ini sahaja, bina baru RM2.7 juta, baik pulih RM2 juta, bantuan sewa rumah, ini baru Datuk Speaker RM1 juta. Skim Bantuan Bina Baru dan Baik Pulih Rumah diwujudkan oleh MAINJ sejak 1999 lagi, ini lama dah ini. Pada masa itu saya difahamkan harganya cuma RM18,000.00, masa itu agaknya boleh buatlah ya dan syiling bagi baik pulih rumah RM7,000.00 je masa itu. Namun perubahan harga pembinaan ini mengalami revolusi kenaikan dan terkini Datuk Speaker, bulan Oktober 2025 MAINJ naikkan kadar bina baru rumah yang tiga (3) bilik, ada banyak bilik ada, nanti saya tunjuk dia punya model sekali. Tiga (3) bilik harganya naik pada RM100,000.00 dan baik pulih rumah syilingnya naik RM20,000.00. Ini bagi memastikan harga yang dikenakan relevan dengan harga pasir ke, harga simen semasa. Ini saya tunjukkan Datuk Speaker, dia punya model rumah-rumahnya. Siap ada video semua itu ha.

Datuk Speaker, bagi rumah satu (1) bilik ada, yang mana ini rumah satu (1) bilik Datuk Speaker, Wakil Rakyat kena tanya dengan masyarakat dia, kalau cuma dia sebatang kara tak ada orang lain dalam rumah janganlah minta yang tiga (3) bilik, membazir namanya. Jadi MAINJ bawah kita sekarang ini, bawah Menteri Johor kita buat perubahan. Sebelum ini Datuk Speaker dia seorang ke, dia empat (4) orang dapat tiga (3) bilik. Sebenarnya tak bagus, membazir pun ia juga tetapi kerajaan Maju Johor ini kita guna duit kerajaan, duit MAINJ dengan teliti, tanpa ketirisan. Buktinya, ada rumah satu (1) bilik, sebatang kara dan dia tak punya waris. Rumah dua (2) bilik ada Datuk Speaker, pemohon tak punya anak dan usia pemohon mesti lebih 65 tahun ke atas dan diyakini tak mempunyai cahaya mata untuk tempoh akan datang, ini bahaya juga ini. Nak bagi tahu contohnya orang itu cuma laki bini berdua je, yang pergi minta tiga (3) bilik dah kenapa? Jadi kita bagi dua (2) bilik, agaknya bilik pertama untuk laki bini, bilik kedua tu kalau sedara mara, ketua bahagian datang ke, Dato’ Jun datang biliknya ada boleh disuakan untuk berehat, contoh. Ada tiga (3) bilik pula, ada. Terbuka kepada semua golongan asnaf yang layak berusia lingkungan 30 tahun dan ke atas. Ini yang biasa yang masih-masih subur Datuk Speaker, yang biasanya senang dapat anak, ini tiga (3) bilik.

Datuk Speaker, ada bantuan tambahan yang kita mula, saya ulang lagi kalau tak rasa tak tahulah ni. Bayaran sewa rumah sebelum ini tuan-tuan rumah rosak je nak rumah baharu, mana boleh. Datuk Speaker, MAINJ dia kreatif sikit, kita mulakan bantuan sewa rumah, lepas ini mana Wakil Rakyat yang rumah rakyatnya terbakar, kena ribut, ini saya bagi tahu daripada engkau suruh tumpangkan dekat rumah saudara-mara yang pun anak dah 18 orang kan buat sesak rumah orang, carilah Wakil Rakyat rumah sewa kat kampung tu, siapa yang nak bayar? MAINJ bayar. MAINJ kan ada, sebab itu tuan-tuan sebab itu jangan bayar zakat dekat negeri lain. Ada negeri lain Datuk Speaker, dia main ceroboh negeri kita, ada, tak nak sebut negerinya nanti orang tahu negerinya dekat mana.

Tuan-tuan bayar zakat rentas negeri ini, Majlis Kebangsaan Agama Islam di peringkat Kebangsaan MKI dah fatwakan dah, Johor pun dah sambut tak sah hukumnya. Bayar dekat

tempat kita aje lah, kan sudah kata dalilnya (doa), ambik daripada orang kaya kawasan itu (doa), bagi orang miskin kawasan itu juga, apa bendanya engkau bagi sampai ke Perlis? Ini contoh, contoh. Pergi ke Melaka pun tak boleh. Ini saya sebut fakta, tak sah hukumnya. Maka tuan-tuan, maka banyak dah kebajikan rakyat yang kita bantu. Setakat ini MAINJ bersama dengan PKPJ, ini bawah Dato’ Jafni ini, menyewa PPR daerah Johor Bahru. Kadar sewa serendah RM65.00, maksimum RM250.00 kepada 371 orang penghuni PPR yang melibatkan RM605,366.00 peruntukan, tetapi ada yang sebut juga ini yang dekat luar, yang dekat Segamat, yang dekat Batu Pahat, yang dekat Tangkak nak buat macam mana? Ada tu penyewa persendirian. Melalui skim ini boleh mohon secara e-MAINJ. Kalau anak-anak buah itu tak nak jumpa Wakil Rakyat, tak nak jumpa ketua kampung, suruh dia main internet jelah Datuk Speaker, mohon sendiri pun boleh atau terus hadirkan diri ke pejabat Majlis Agama Islam daerah masing-masing. Di sini sewa rumahnya pun kita hadkan lah RM500.00, jangan pula engkau pergi sewa home stay pula Datuk Speaker, tak terbayar nanti, kita bayar aje lah rumah sewa yang kadar-kadar patut. Namanya pun bantuan, bukan mencukupkan kau punya keperluan ya. Jadi meringankan bantuan hadnya RM500.00 sebulan. Yang Berhormat Datuk Speaker, YB-YB tadi ada tanya pada kita Pekan Nanas, Gambir, Endau, Pasir Raja. Mereka sebut ada soal kelewatan Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ini jenis hendak mengakulah, saya mengaku salah. Maju Johor ini dia punya cara, dia kalau ada kelemahan mengaku salah. Dia tidak macam ada setengah orang tu, zaman dia macam Dato’ Jun kata, semalam pencemaran semula Sungai Kim Kim waktu zaman dia, zaman sekarang tak selesai kita pula yang masih dipersalahkan. Ini tanggungjawab bersama, tak payah salah-salahkan orang buat sama-sama.

Yang Berhomat Datuk Speaker, memang ada kelewatan, saya mengaku. Tetapi soalannya apa kaedah penambahbaikannya, itu yang hendak tahu. Antaranya Yang Berhormat Datuk Speaker, hamba tanya 2024 soal syarat ketat MAINJ sendiri. Ha ini saya cerita tu, tengok. Macam mana kerajaan negeri kita mengaku kelemahan, kita cerita penambahbaikannya. Yang Berhomat Datuk Speaker, rumah daif ini, saya mula fokus 2024, tapi memang ada kelemahan Yang Berhormat Datuk Speaker, kelemahannya apa, penambahbaikannya memang ada. Contohnya, tengok kita punya jadual itu. Sebelum ini dasar yang sebelum ini ada sedia ada dasarnya Yang Berhormat Datuk Speaker kalau geran pemilikan bersama dahulu penama lain dalam geran kena buat sumpah Yang Berhormat Datuk Speaker, ada empat (4) penama yang orang keempat itu duduk tanah itu, hendak buat rumah baharu kena cari lagi tiga (3) saudara yang dah lari ke Uganda Yang Berhormat Datuk Speaker. Hendak cari macam mana? Tetapi yang sebab yang Uganda tidak dapat jumpa maka tak boleh buat rumah bina baharu. Ini yang saya kata, YB pun ramai yang mengeluh apa ini YB Farid lambat. Saya mengaku lambat, rupanya yang jadi lambat adalah syarat MAINJ sendiri. Maka sebab kita ini kerajaan Maju Johor hendak maju kita buat penambahbaikan. Apa yang kita buat? Itu, geran pemilikan, kalau geran pemilikan bersama penama lain yang berada di Uganda tak payah sibuk-sibuk nak baliklah. Tunggu dia balik menyusahkan orang, maka cukup dengan penama yang duduk sedia ada di tempat itu sahaja yang buat permohonan. Ini yang saya kata kelewatan YB Gambir memang ada, Endau memang ada, saya confirm mengaku ya. Kitakan kerajaan yang telus, kerajaan yang telus rakyat sayang. Mudah-mudahan panjang umurnya berkekalan. Aamiin. Geran penama lain saya ambil dua (2) contoh sahaja semua penama dalam geran perlu buat akuan sumpah sama juga tadi. Tetapi sekarang, penama yang duduk atas tanah sahaja yang perlu buat permohonan dengan pengesahan daripada ketua kampung. Cukuplah saudara yang 18 orang geran ramai-ramai tu tak payah dicari pun tak apalah. Balik kampung pun tak pernah, apa hendak menyusahkan kita pula. Itu contohnya ayat orang Semerah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kelulusan bantuan perumahan 2024, 2025 tahun 2024 MAINJ meluluskan 44 permohonan bina baru rumah di seluruh negeri Johor. Dalam keadaan kita ada masalah pun Yang Berhormat Datuk Speaker 44 biji rumah kita luluskan. Nilai bina baharu RM4.708 juta. Baik pulih rumah walaupun syaratnya masa itu belum dilonggarkan dapat baiki 282 permohonan dengan kelulusan RM3.256 juta. Semuanya dah siap, itu cerita 2024. Orang tanya balik, YB yang dah siap, siaplah, 2025 ini apa ke hal? Saya cerita sikit,

2025 ada 71 permohonan bina baharu, telah pun lulus nilainya RM7.1 juta. Peruntukan tersebut telah pun disalurkan ke Akaun Amanah Rumah Bantuan Zakat pejabat daerah pada 30 Oktober, tak sampai sebulan pun lagi. Kepada pejabat daerah bagi pelaksanaan pembinaan, maka Yang Berhormat Datuk Speaker, semua YB-YB yang kawasannya ada rumah, nanti saya akan tunjukan jadualnya. Tolong monitor bagi pihak kitalah, daerah masing-masing. Ini pun pegawai daerah wakil-wakilnya ramai duit dah masuk jangan lambat pula, ya? Iklan, tender tu buat tolong cepat sikit. Ini wakil rakyat dengar ni kang dia salah aku je sorang. Kalau dia salahkan aku, aku salah korang balik, ha ni bergurau Yang Berhormat Datuk Speaker.

Yang Berhormat Datuk Speaker, lepas itu pula ada rumah baik pulih tahun ini ada 200 permohonan yang lulus dengan nilai RM4 juta sehingga kini untuk baik pulih terima kasih pejabat daerah, 22 permohonan telah pun siap. Maksudnya ada banyak lagi 188 belum siap dan proses pembinaan lantikan kontraktor oleh pejabat daerah untuk baik pulih 200 biji ini dijangka siap sepenuhnya Disember 2025. Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, kita buat perincian ini mengikut daerah. Mari kita tengok jadual masing-masing, daerah-daerahnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tengok jadual itu, mana jadualnya tak keluar? Ha itu dia, Datuk Speaker, 2024 dulu, 2024 saya tengok ada kawasan daerah yang kosong Yang Berhormat Datuk Speaker, tetapi 2025 setiap daerah nampaknya dah ada dah setiap daerah, setiap DUN dah ada cadangan untuk rumah-rumah ini dibaik pulih dan dilaksanakan. Pertanyaan daripada YB Endau dan Pekan Nanas khususnya, bagi menjawab pertanyaan daripada YB Endau dan YB Pekan Nanas berhubung status bina baharu dan baik pulih di kawasan tersebut, maka saya nyatakan statistik seperti berikut. Yang Berhormat Datuk Speaker, ini untuk Pekan Nanas dan juga Endau sebab mereka tanya secara spesifik. Endau, untuk 2024 ada 1 bina baharu masa itu harga lama RM68,900.00 ya. Ada 6 baik pulih tetapi tahun ini, dia Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk Endau 1 bina baharu ada 5 baik pulih. Pekan Nanas, tahun lepas 1 bina baharu 4 baik pulih. Tahun ini 1 bina baharu 5 baik pulih. Dia punya data ada di situ, sedang dalam dilaksanakan.

YB Gambir tanya tentang kaedah penerimaan pemilihan penerima selain menggunakan eKasih saya terangkan Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman YB Gambir, pentadbiran MAINJ menyelaraskan kaedah permohonan dengan pejabat daerah. Terutama semakan menerusi senarai eKasih. Selain itu MAINJ juga menghubungi YB-YB ADUN kawasan dan juga penyelaras DUN yang dilantik, amil-amil agihan, ketua-ketua kampung dan penghulu bagi memainkan peranan mengenal pasti pemilihan pemohon yang sebenar. Bagi tahun 2025 setiap DUN telah pun ditetapkan kuota untuk baik pulih dan bina baru. Semua permohonan ini disemak Datuk Speaker, akan melalui beberapa peringkat penilaian termasuk semakan dokumen, lawatan tapak dan kelulusan di masa tempoh kelulusan purata antara 14 hingga 30 hari selepas dokumen lengkap diterima. Dalam usaha untuk memastikan tiada ketirisan MAINJ Datuk Speaker, dah ambil kaedah baharu. Kalau perasan YB Zahari terima kasih, ketua kampungnya sekarang ini kita lantik menjadi amil agihan zakat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, YB ADUN, kita punya ketua kampung masing-masing dah ada taraf baru, title baru, amil agihan zakat. Mereka akan bantu kita semak kelulusan, semak kelayakan rakyat masing-masing dan ini akan mempercepatkan urusan kita bertindak kepada semua permohonan. Mudah-mudahan dengan cara ini Bajet 2026 akan lebih dirasai sampai ke peringkat kampung yang jauh di sana. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya kira itu sahaja. Terima kasih banyak-banyak kepada semua, mudah-mudahan kita berjumpa lagi dan mudah-mudahan kita puas hati dengan jawapan saya ini. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Ada rasa?

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan tambahan Yang Berhormat Datuk Speaker. Sedikit sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih YB EXCO yang telah pun memberikan jawapan yang sangat panjang, kompresif dan

lengkap tentang bantuan-bantuan telah pun diberikan oleh kerajaan dan juga MAINJ kepada rakyat Bangsa Johor seluruhnya. Tadi YB EXCO tanya apa kaitan dengan Johor Lama? Jadi, jawapan saya biarlah rahsia. Yang Berhormat Datuk Speaker, kita melihat bahawa terdapat penambahbaikan yang telah pun dilakukan oleh pihak pentadbiran bagi mempercepatkan proses, isu yang berlaku sebelum ini adalah kelewatan-kelewatan, jadi oleh kerana soalan tersebut telah pun, isu tersebut telah pun dijawab dan dijelaskan oleh pihak YB EXCO saya cuma sekadar ingin mengucapkan tahniah dan semoga matlamat kita supaya bantuan-bantuan ini sampai dan dirasai oleh rakyat dapat dicapai itu sahaja, Datuk Speaker.

Timbalan Speaker

Tahniah Yang Berhormat EXCO. Tak payah jawablah tahniah.

Yang Berhormat Speaker.

Timbalan Speaker

Jemput, soalan.

Dia tak tanya soalan kan? Jadi Sri Medan ni hendak ambil kesempatanlah. Saya seronok tadi mendengar jawapan daripada EXCO, jadi dia bukan marah, dia sayang. Pastu dia kena terangkan pada kita semua. Cuma satu yang saya nampak, saya boleh tanya di Parit Sulong sebenarnya tetapi saya biar semua orang dengarkan. Dari segi perbelanjaan Majlis Agama Islam ini dia akan bertambah setiap tahun, contoh kalau untuk bantuan Sri Stulang ya, jadi bantuan orang susah dan sebagainya kerana kita hendak membasmi kemiskinan bukan kerja mudah. Bagaimana pihak Majlis Agama Islam di bawah kepimpinan EXCO Agama yang bijaksana ini kan dan tegas untuk kita melihat keperluan untuk tambahan setiap tahun? Adakah mungkin ada program khas untuk pesakit buah pinggang ya? Jemput Yang Berhormat Datuk Speaker.

Timbalan Speaker

Jemput, Yang Berhormat EXCO.

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih Yang Berhormat Sri Medan. Datuk Speaker, kita cerita tentang pencegahan. Sebenarnya sebagai EXCO Agama kami tidak berapa gembira kalau bantuan perubatan tu, saban tahun meningkat. Maksudnya seolah-olah rakyat kita kurang jaga kesihatan. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya respond kepada YB Sri Medan, Datuk Sri Medan bahawa program tambahan yang kita buat pada tahun ini adalah program pendidikan perihal kesihatan. Yang Berhormat Datuk Speaker, tengok dialisis setiap tahun meningkat kalau tanya saya dia tidak membanggakan, tetapi dia merisaukan. Tetapi sehingga itu berlaku Yang Berhormat Datuk Speaker, kita ada program pendidikan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor yang diletakan di bawah program bantuan dan pelbagai juga dan juga pengurusan. Kita ada buatkan kempen untuk cara hidup sihat. Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau perasan Ahli Majlis yang baru Majlis Agama Islam Negeri Johor adalah mantan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman. Maka kehadiran beliau ke dalam Ahli Majlis Datuk YB Sri Medan adalah sebagai salah satu perkenan tuanku supaya kami dapat dinasihati cara bagaimana bukan hanya memberi bantuan perubatan tetapi mendidik rakyat supaya mula mengamalkan cara hidup. Datuk Speaker, untuk itu saya tak jawab tambah memang ada program tambahan selain daripada yang kita nyatakan itu berbentuk pemberian tetapi yang berbentuk kesedaran untuk melihat kesihatan rakyat lebih baik. Walahhualam.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Pemanis, jemput.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Speaker, soalan Pemanis nombor 13.

Apakah status Projek Rancangan Tebatan Banjir khususnya di Daerah Segamat?

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Sri Medan, jemput. Sri Medan.

Sri Medan, saya minta maaf rasa terharu soalan saya naik hari ini. Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya nombor 14.

Mohon EXCO yang berkaitan untuk menjelaskan status terkini bagi projek RTB.

Timbalan Speaker

Jemput, Yang Berhormat EXCO.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Pemanis dan Yang Berhormat Sri Medan yang bertanyakan berkenaan status projek-projek tebatan banjir. Ingin saya kongsikan kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan, projek sedia ada RTB yang dalam pelaksanaan ada 11 iaitu bagi daerah Segamat terdapat dua (2) projek RTB yang berstatus dalam pelaksanaan daerah Kota Tinggi, terdapat tiga (3) projek RTB berstatus dalam pelaksanaan, tiga (3) projek RTB berstatus dalam pelaksanaan di daerah Batu Pahat manakala bagi daerah Muar dan Tangkak terdapat dua (2) projek berstatus dalam pelaksanaan dan satu lagi projek RTB dalam status pra pelaksanaan iaitu di daerah Johor Bahru dan nilai keseluruhan projek Rancangan Tebatan Banjir di negeri Johor bernilai RM2.3 bilion.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker saya mengambil kesempatan ini juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana telah meluluskan empat (4) lagi projek baharu bagi Rancangan Tebatan Banjir berkeutamaan tinggi di negeri Johor. Dalam ucapan Belanjawan 2026 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Pertama, ialah RTB Sungai Mengkibol fasa 1 bernilai RM10 juta, RTB Lembangan Sungai Sayong bernilai RM55 juta, RTB Sungai Masai bernilai RM47 juta, dan RTB Sungai Chaah bernilai RM192 juta. Menjadikan keseluruhan 15 projek ini bernilai RM2.6 bilion. Untuk makluman Ahlid-Ahli Dewan bagi daerah Segamat, terdapat 2 projek yang saya sebutkan tadi ialah RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 bernilai RM558.98 juta dijangka siap pada Julai 2027 dan projek ini sekarang pada status 25.04% iaitu mendahului jadual 8.51% atau 71 hari. Dan satu lagi ialah di Sungai Muar Fasa 3 Pakej 2 di daerah Segamat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, untuk projek ini kita ada beberapa cabaran iaitu antaranya ialah bom lama di tapak, di tapak masjid lama. Di tebing Sungai Gatom, Labis dan alhamdulilah kita telah pun menjalankan sesi libat urus dan projek ini masih lagi kekal berada dalam keadaan positif 0.6% dan mendahului jadual sebanyak 9 hari. Nilai projek di sini ialah RM89.6 juta. Bagi daerah Muar, Tangkak terdapat dua lagi projek iaitu Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Muar Fasa 2. Ini merupakan projek sambungan semula Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Sebelum ini kontraktor minta ditamatkan kerana tidak mampu lagi menjalankan projek ini dan alhamdulilah Kementerian Ekonomi dan MOF dan meluluskan siling baharu kepada 331 juta dan projek ini baharu sahaja bermula pada Oktober yang lepas dan insya-Allah dijangka siap pada tahun 2027.

Dan satu lagi di daerah Muar, Tangkak ialah RTB Lembangan Sungai Kesang bernilai RM126.68 juta, dijangka siap pada tahun 2026 dan sekarang statusnya ialah 0.16% mendahului jadual. Bagi daerah Batu Pahat, terdapat tiga (3) projek Rancangan Tebatan Banjir iaitu pertama ialah Rancangan Tebatan Banjir bandar Batu Pahat bernilai RM195.7 juta yang mana dijangka projek ini akan siap pada Januari 2029 sebelum kita rangka untuk dipercepatkan. Bagi tujuan tersebut, saya sendiri telah mengangkat permohonan kepada Ketua Setiausaha Kementerian PETRA supaya kita adakan sedikit NOC kepada apa tu rekabentuk sedia ada, supaya satu, kita nak cepat, daripada ban kita pindah rekabentuk kepada plug wall supaya projek ini dapat dipercepatkan, seterusnya ianya lebih kukuh. Plug wall lebih kukuh berbanding ban. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan seterusnya ialah untuk mengurangkan maintenance. Sebab kita faham ini antara kerisauan Yang

Berhormat Sri Medan yang mana kawasan ini terletak di Pekan Parit Sulong. Jadi kita tak nak Pekan Parit Sulong tu ditutupi dengan ban-ban tanah. Jadi, untuk tujuan tersebut kita sudah pun angkat permohonan daripada Kerajaan Negeri Johor supaya di NOC kan sebanyak RM26.7 juta, yang telah pun diangkat kepada PETRA dan insya-Allah melalui permohonan Yang Berhormat kawasan Sri Medan juga kita akan angkat pada tahun hadapan projek yang sama di tempat yang sama tapi Fasa 2, supaya kawasan-kawasan dilindungi dapat dipeluaskan lagi. Kawasan ini juga melibatkan PBT 93 lot dan perpindahan mereka yang berada di situ. Dan, insya-Allah mesyuarat demi mesyuarat telah pun kita adakan. Dan saya ingat akan ada penyelesaian di hujung nanti Yang Berhormat Sri Medan.

Satu lagi ialah rancangan tebatan banjir Sungai Batu Pahat bernilai RM56.7 juta Yang ini tiada masalah, setakat ini baru 1% di tapak dan yang ketiga projek memperkukuh struktur dan fasiliti empangan-empangan tebatan banjir khusus di Empangan Sembrong. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan. Projek ini ada mengalami sedikit kelewatan iaitu 5.28% lewat. Kerana apa, kerana kita perlu melaporkan perubahan rekabentuk. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, Empangan Sembrong ini pada asalnya diwujudkan untuk kawasan tadahan air banjir. Namun begitu digunakan juga sebagai loji rawatan air. Jadi empangan ni dah ada dua (2) fungsi, dwi fungsi iaitu satu (1) sebagai tempat tadahan air, yang mana sepatutnya enam (6) bulan akan dilepaskan air tersebut namun disebabkan keperluan orang-orang di kawasan Batu Pahat dan Kluang, kita bina juga loji, jadi air ni terpaksa ditakung lama. Disebabkan itu kita perlukan adakan reka bentuk baru dan insya-Allah kita jangka boleh siap juga pada tahun 2027 walaupun berlaku sedikit kelewatan buat masa sekarang.

Seterusnya di Kota Tinggi, terdapat tiga (3) projek di Kota Tinggi yang pertama, RTB Sungai Pemandi, telah pun siap 77.0% iaitu a head of time, dengan izin, 1% bernilai RM42 juta dijangka siap April tahun hadapan 2026. RTB Sungai Johor Fasa 1, Pakej 2, di Kota Tinggi juga bernilai RM187.7 juta. Yang ni mantap Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, a head of time dia 63.9% dan kita jangka insya-Allah boleh siap menjelang Januari 2027. Dan yang terakhir RTB Sungai Johor Fasa 1 Pakej 1, di Kota Tinggi bernilai RM575.1 juta.

Di kawasan ini terdapat isu kubur lama, yang tadi bom lama. Yang ni kubur lama di Kampung Panti, sebanyak 307 kubur telah pun dikenalpasti oleh pihak MAIJ dan juga Pejabat Kadi dan insya-Allah menjelang tahun hadapan, sebelum bulan puasa tahun hadapan, mungkin bulan satu (1), bulan dua (2), kita akan pindahkan kubur-kubur ini dan projek boleh dimula semula dan ikut time line kita boleh siap seawal 2027. Dan buat masa ini Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, progressnya ialah 5.66% mendahului masa. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Dijemput Pemanis.

Tuan Anuar bin Abd. ManapUMNO · BNPemanis

Terima kasih Datuk Timbalan Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan berkaitan dengan rancangan tebatan banjir untuk semua dalam negeri Johor khususnya dalam daerah Segamat. Kita dah maklum tadi RTB di Segamat ada dua (2) aje. Pakej bagi Fasa 3, termasuk Fasa 3 ni, sebenarnya terima kasihlah kepada kerajaan atas bantuan untuk kita menyegerakan projek RTB Sungai Muar ni. Cuma saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat EXCO terima kasih jugalah atas inisiatif untuk memberikan dipanggil bantuan khas ada nelayan-nelayan darat. Nelayan darat dia kalau ditempat Datuk Bandar ni dia kata nelayan laut tetapi kita di Segamat ni ada nelayan darat. Nelayan darat dia ada dua (2) kategori, Datuk Timbalan Speaker, satu yang separuh masa. Separuh masa ni pagi dia berbahas kat Dewan petang dia pergi sungai. Jadi ada juga yang sepenuh masa. Cuma bila pihak kerajaan memberi arahan kepada kontraktor untuk memberikan bantuan kepada nelayan-nelayan darat yang terjejas ini, mereka bagi sama rata. Jadi yang sepenuh masa ni minta jasa baik sebab yang bagi bantuan ni kontraktor. Mereka minta kalau boleh dengan pelbagai inisiatif bantuan one off yang kerajaan negeri umumkan ni, boleh tak sebahagian nelayan-nelayan kecil darat ini yang memang bekerja sepenuh masa di sungai, bila pendapatan mereka terjejas kerana projek RTB ini, mereka minta kalau boleh

bagilah sedikit lagi bantuan. Betul ada bantuan hari raya, naik sekolah, tapi belum dapat menampung sepenuhnya kos-kos yang sepatutnya mereka kena tanggung sebab, kawasan yang mereka cari ikan itu Datuk Timbalan Speaker, memang terjejas teruk dan mereka tak boleh nak bekerja dah sebab ada projek RTB. Itu sahaja. Terima kasih Datuk Speaker.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Terima kasih Datuk Timbalan Speraker, terima kasih Yang Berhormat Pemanis. Untuk makluman setiap projek-projek RTB ini, kita ada satu consultant yang kita dilantik untuk menilai sekiranya berlakunya pencemaran akibat daripada projek. Namun bagi kes yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat Pemanis, saya perlukan data yang lebih lanjut, supaya sekiranya betul memang ada aktiviti tangkapan ikan di sungai ataupun aktiviti nelayan terjejas akibat daripada kerja-kerja ataupun projek tebatan banjir ianya memang menjadi tanggungjawab pihak apa itu, pihak Pengurus Projek ataupun SO, pihak JPS sendiri untuk ambil tindakan kepada pihak kontraktor dan boleh diberi sedikit pampasan kepada mereka yang terjejas. Mungkin Yang Berhormat Pemanis saya perlu berhubung nanti dengan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian untuk menilai kembali isu-isu yang dibangkitkan. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat...

Yang Berhormat Datuk Speaker, penting.

Timbalan Speaker

Ya, tambahan. Ok.

Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang diberi. Saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyaklah kepada PM, Yang Berhormat Perdana Menteri, kepada kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri yang membantu projek RTB di kawasan sayalah. Kawasan saya ada ada dua (2). Yang melibatkan kawasan saya RTB bandar Batu Pahat dan juga RTB Sungai Batu Pahat. Ok, terima kasih saya pun dapat kerjasama yang cukup baik daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, daripada Yang Berhormat EXCO YB Fazli dan juga Yang Berhormat EXCO Dato’ Jafni. Saya berharap bahawa program RTB ini akan menyelesaikan masalah banjir menjelang tahun 2030, insya-Allah. Jadi apa soalan saya, soalan tambahan Yang Berhormat Datuk Speaker, projek RTB ini dia mungkin menggunakan dua (2) kaedah yang berbeza. Yang pertama mungkin kaedah tender secara konvensional, yang kedua secara runding terus. Apa yang dilihat di sini perbezaan antara RTB bandar Batu Pahat dan RTB Sungai Batu Pahat di kawasan saya, yang mana RTB Sungai Batu Pahat mungkin cara perlaksanaan di bawah pemantauan terus pihak Jabatan Pengairan dan Saliran, berbeza pula dengan RTB bandar Batu Pahat kerana dia runding terus melantik perunding. Jadi apa yang menjadi persoalkan saya pada hari ini dalam mereka membuat rekabentuk RTB bandar Batu Pahat mungkin mereka tidak mengambil kira keadaan semasa di tapak. Kerana kebanyakan perjumpaan saya dalam, ingat lebih daripada lima (5), enam (6) kali memang asyik perjumpaan tiada final dia lagi ni. Jadi berlaku rumah-rumah yang berada di tepi sungai yang mungkin di luar pengetahuan sebelum ini. Jadi adakah pihak kerajaan ya, atau pihak JPS mewujudkan satu pasukan teknikal semakan apa yang dibuat oleh pihak perunding ini untuk memastikan cadangan mereka ni benar-benar mengambil kira impak sosial, impak fizikal dan juga impak ekonomi. Kalau contoh, kolam takungan banjir yang dicadangkan oleh pihak konsultan, terletak betul-betul di pekan Parit Sulong, sebenarnya tak sesuai kalau ikut dari untuk jangka masa panjang. Adakah pihak kerajaan ya, mempunyai satu pasukan semakan teknikal bagi memantau atau melihat cadangan daripada perunding. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker,

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Terima kasih Datuk Timbalan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Sri Medan. Saya setuju, kerana projek-projek yang sebelum ini kebanyakannya dibuat secara reka dan bina.

Untuk makluman semua projek ini, perolehannya dibuat oleh persekutuan. Dan kita di peringkat negeri hanya menerima projek-projek tersebut, dan insya-Allah saya setuju kerana apabila dibuat secara reka dan bina kita serahkan bulat-bulat kepada konsultan, apa tu perunding untuk tengok kawasan mana yang sesuai dan perunding ni kadang-kadang Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ianya hanya ikut buku. Bila dia tengok kawasan itu kawasan rizab sungai, dia akan binalah di atas tu tanpa mengambil kira, mungkin ada rumah, ada dan sebagainya kawasan tu. Jadi saya setuju dan untuk projek-projek baharu ini, insya-Allah kita akan masukkan sekali lagi projek-projek ini dalam jawatankuasa projek berimpak tinggi yang kali ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri sendiri. Sebelum ini projek berimpak tinggi melibatkan RTB dipengerusikan bersama oleh saya dan juga Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), tapi kali ini akan dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Menteri dan ini antara perkara yang kita masukkan, Yang Berhormat Seri Medan dalam agenda seterusnya untuk pemantauan projek-projek baharu ini khususnya projek baharu di negeri Johor. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekiranya ada soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama.

Perkembangan yang positif semua EXCO, jawapan mereka disertai dengan infograf-infograf sebaik-sebaiknya disarankan agar informasi-informasi ini digunakan sebaik mungkin dan kalau boleh bukan sahaja untuk sendiri-sendiri. Tetapi untuk diwar-warkan, agar dapat dirasai oleh semua pihak.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan selama 20 minit sehingga pukul 11:20 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11:00 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11:20 pagi.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2026) Tahun 2025.Bill

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya suka mengingatkan bahawa menurut Peraturan Tetap 112(2) maka perbahasan atas rundingan ini hendaklah dihadkan kepada lunas-lunas am berkenaan dengan dasar dan pentadbiran kerajaan sebagaimana tersebut dalam Rang Undang-Undang ini.

Yang Berhormat, dijemput Yang Berhormat Jementah.

Puan Ng Kor SimDAP · PHJementah

Selamat pagi Yang Berhormat Datuk Speaker, barisan EXCO dan Ahli-Ahli Dewan yang lain. Terima kasih Jementah ucapkan atas peluang untuk membahas di Dewan yang mulia ini. Bersamaan ini patik merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bakal menjelang 22 November ini.

Jementah juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan sebanyak RM4.8 bilion kepada Johor. Peruntukan tersebut bukan sahaja merangkumi peruntukan bagi menaiktarafkan infrastruktur bertujuan untuk merancakkan ekonomi negeri Johor, malah prasarana bagi kesejahteraan Bangsa Johor. Antaranya termasuk pelebaran Lebuhraya Utara – Selatan di Senai. Pelbagai usaha untuk dilipatgandakan bagi memperkasakan ekosistem JS-SEZ, peruntukan kepada peneroka FELDA, RISDA dan FELCRA. Kerja-kerja menaik taraf hospital dalam negeri Johor serta beberapa sekolah dalam negeri Johor.

Selama tiga (3) tahun ini, Kerajaan MADANI tetap memegang janji dan mentadbir berasaskan dengan 4 teras strategik iaitu reformasi ekonomi dan infrastruktur rakyat, reformasi sosial dan keselamatan, reformasi institusi demokrasi dan perundangan serta reformasi perkhidmatan awam.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selepas 2 bulan berlakunya sebanyak 5 kali gempa bumi di Segamat, gegaran lemah dirasai sekali lagi di Jementah, Segamat Johor pada jam 7.55 malam 3 November yang lalu. Ini sekali lagi menimbulkan kegelisahan dan panik para penduduk. Situasi ini memang dapat difahami. Dalam tempoh 2 bulan ini, kerajaan masih belum mengemukakan pelan tindakan kecemasan atau operasi menyelamat yang teratur. Walaupun Johor bukanlah kawasan yang terdedah kepada gempa bumi yang kuat, kesedaran terhadap risiko bencana alam termasuk gempa bumi adalah penting memandangkan Malaysia tidak kebal sepenuhnya daripada gegaran akibat gempa di kawasan jiran seperti Indonesia dan Filipina.

Jementah memohon supaya kerajaan negeri mewujudkan Pelan Induk Bencana Gempa Bumi Negeri Johor bagi merangka strategi khusus untuk menangani risiko gempa bumi termasuk protokol tindakan segera, pemantauan dan pemulihan. Segala bangunan awam seperti hospital, klinik kesihatan, surau, masjid dan sekolah serta infrastruktur perlu diperkukuhkan dan kerja-kerja ini tidak boleh dilengahkan lagi. Jementah difahami kebanyakan struktur bangunan kerajaan telah dikaji selepas gempa bumi yang berlaku pada bulan Ogos yang lalu. Maka, Jementah memohon supaya maklumat terperinci dapat dikemukakan kepada orang awam supaya menenangkan hati orang awam.

Kajian risiko gempa bumi yang terperinci untuk mengenal pasti kawasan di Johor yang mungkin terjejas oleh gegaran gempa bumi terutamanya kawasan berhampiran dengan pantai atau zon sasar wajib dijalankan. Peta digital yang menunjukkan kawasan berisiko tinggi untuk membantu dalam perancangan bandar dan tindakan kecemasan juga memainkan peranan yang penting bagi operasi menyelamat. Sistem amaran awal dan pemberitahuan segera juga perlu disediakan. Jementah memohon supaya sistem amaran melalui SMS, aplikasi telefon atau media sosial untuk memberi maklumat pantas kepada orang ramai sekiranya berlaku gempa bumi.

Selain daripada itu, pendidikan dan kesedaran awam juga perlu dijalankan dari masa ke semasa. Kempen kesedaran bencana perlu dilaksanakan di sekolah, universiti dan komuniti tentang langkah-langkah keselamatan semasa dan selepas gempa bumi secara konsisten. Latihan dan simulasi gempa bumi di kawasan awam, sekolah dan pejabat untuk membiasakan rakyat untuk tindakan segera juga perlu diambil.

Jementah juga mencadangkan supaya Pasukan Tindakan Cepat Gempa Bumi ditubuhkan. Pasukan Khas yang terdiri dariada agensi kerajaan, BOMBA, Polis dan Sukarelawan perlu dilatih untuk bertindak pantas ketika bencana gempa bumi berlaku. Kerajaan negeri dimohon supaya mengagihkan peruntukan bagi menyediakan stok peralatan kecemasan seperti makanan, air, ubat-ubatan dan alat menyelamat di lokasi strategik seperti dewan serbaguna, sekolah dan bangunan ibadat agama dan bangunan kerajaan yang lain. Seperti mana bencana banjir berlaku, tempat perlindungan sementara juga perlu disediakan bagi mangsa gempa bumi.

Jementah memohon supaya kawasan terbuka yang selamat dan tempat perlindungan sementara perlu disediakan di seluruh Malaysia untuk menampung mangsa jika berlakunya gempa bumi. Dengan melaksanakan langkah-langkah ini, Kerajaan Negeri Johor dapat meminimumkan risiko dan kesan gempa bumi terhadap rakyat dan infrastrukturnya. Kesediaan dan perancangan yang rapi adalah kunci untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana walaupun risikonya dianggap rendah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, perkhidmatan ETS ataupun perkhidmatan Train Electric dari Segamat ke utara Semenanjung Malaysia telah pun dilancarkan pada bulan Mac yang lalu dan perkhidmatan dari timur Semenanjung Malaysia ke utara dijangka akan dilancarkan dalam masa yang tersingkat. Pelancaran ETS disambut dengan begitu baik oleh penumpang di seluruh Malaysia. Semua orang menantikan bukan sahaja perjalanan yang selesa, selamat dan tidak sesak terutamanya semasa musim perayaan dan cuti sekolah, malah perjalanan antara bandar telah dipermudahkan. Namun, perkhidmatan tersebut masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperbaiki bagi menarik lebih banyak penumpang dan justerunya meninggikan hasil pendapatan KTMB. Dengan rendah dirinya, Jementah membentangkan beberapa cadangan komprehensif yang boleh dilaksanakan oleh KTMB untuk meningkatkan jumlah penumpang dengan memberi perhatian khusus kepada manfaat yang akan dinikmati oleh penduduk luar bandar.

Pertama, keterjangkauan dan inisiatif harga seperti tiket fleksibel dan diskaun boleh diperkenalkan. Diskaun kumpulan dan keluarga akan menggalakkan perjalanan keluarga dengan menawarkan pakej tiket keluarga kepada penumpang. Kad diskaun penduduk luar bandar juga pula boleh dipertimbangkan untuk warga emas, pelajar dan golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar.

Memandang negara kita akan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 kurang daripada 2 bulan lagi, KTMB dicadangkan memperkenalkan pakej percutian ETS. Ini merupakan salah satu cara untuk bekerjasama dengan syarikat pelancongan tempatan, contohnya pakej train campur hotel, campur aktiviti ke destinasi luar bandar seperti Segamat, Kuala Lipis, Sungai Petani atau Arau.

Kedua, pihak KTMB juga diminta untuk mempertimbangkan pengintigerasian dan aksesibiliti. Ini adalah faktor paling kritikal untuk penduduk luar bandar untuk akses ke perkhidmatan keretapi. Jementah mencadangkan supaya perkhidmatan bas pengantara, feeder bus yang berjadual dari stesen KTM ke pekan-pekan kecil, kampung dan kawasan perumahan berhampiran. Kemudahan parkir basikal dan motorsikal yang selamat juga amat diperlukan di setiap stesen keretapi. Selain itu, KTMB boleh dipertimbangkan untuk berkolabarasi dengan e-hailer di setiap kawasan hentian keretapi. Jementah memohon supaya pihak KTMB menyediakan ruang menunggu yang khas untuk e-hailer di semua stesen.

Ketiga, Jementah berharap pihak KTMB supaya menaik tarafkan stesen keretapi supaya memastikan semua stesen mempunyai akses OKU yang lengkap. Buat masa ini, kebanyakan stesen yang telah dinaik taraf, kebelakangan ini memang mempunyai fasibiliti OKU yang minimum seperti tandas dan ramp kerusi roda di dalam bangunan. Kekurangan aksesibiliti yang Jementah bangkitkan sini adalah seperti infrastruktur OKU ke dari luar bangunan stesen keretapi ke dalam bangunan stesen keretapi.

Jementah juga mencadang supaya mesin layan diri untuk makanan dan minuman asas atau lebih banyak gerai makanan segera di buka dalam semua stesen keretapi. Pelaksanaan cadangan di atas akan membawa manfaat transformatif kepada penduduk luar bandar terutamanya Segamat yang merupakan kawasan pendalaman yang tidak akses secara langsungnya ke lebuh raya. Dengan memfokuskan pada first and last mall connectivity, keterjangkauan dan penambahbaikan perkhidmatan asas, KTM bukan sahaja akan berjaya menarik lebih ramai penumpang malah akan memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan sosial ekonomi yang inklusif. Transformasi KTM menjadi satu sistem pengangkutan yang mesra penguna dan boleh diakses oleh semua terutamanya penduduk luar bandar dan menjadi nadi kepada perpaduan dan kemajuan negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, memandangkan perkhidmatan ETS dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dijangka berlancar dalam bulan depan. Jementah memohon supaya kerajaan negeri memandang berat atas prasarana bagi mengintegrasikan Lapangan Terbang Senai dengan Stesen Keretapi Senai. Pengintegrasian Lapangan Terbang Senai dengan Stesen

Keretapi Senai, melalui pembinaan prasarana yang menghubungkan kedua-dua pengangkutan ini adalah langkah strategik yang membawa manfaat besar ke negeri Johor dari pelbagai aspek.

Senai berperanan sebagai Southern Gateway Malaysia. Dia merupakan satu-satunya Lapangan Terbang Antarabangsa di Selatan Semenanjung Malaysia. Integrasi antara Lapangan Tebang Senai dengan stesen keretapi yang terdekat akan menjadikan lapangan terbang tersebut sebagai pusat logistik dan pelancongan yang lebih cekap. Bukan sahaja untuk Johor, tetapi juga untuk Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia. Sudah tentu integrasi lapangan terbang tersebut dengan Stesen Keretapi Senai akan menjadi pemangkin yang sangat kuat bagi perkembangan JS-SEZ. Manfaatnya adalah menyeluruh dan strategik menjadikan JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik dan cekap.

JS-SEZ akan menawarkan logistik bersepadu, multi modal yang jarang ditemui. Syarikat boleh mengimport bahan mentah ataupun komponen melalui udara dan menghantar produk siap melalui keretapi ke Pelabuhan Tanjung Pelepas ataupun terus ke Singapura dan destinasi lain. Semuanya dalam satu rangkaian yang lancar. Ini merupakan faktor penentu untuk pelabur berteknologi tinggi, syarikat-syarikat dalam bidang seperti semikonduktor, elektronik, perubatan dan aeronatik yang sangat mementingkan masa dan rantaian bekalan yang boleh dipercayai akan melihat nilai tambah yang besar. Mereka memerlukan pengangkutan cepat untuk sampel, komponen kritikal dan peralatan. Produk bernilai tinggi yang tiba dengan kapal terbang boleh terus dimuatkan ke dalam keretapi kargo untuk dihantar ke destinasi akhir mengurangkan masa transit dan risiko kerosakan akibat pemindahan berulang. Pada masa yang sama, ia mengurangkan kesesakan jalan dan kos pengangkutan.

Pengangkutan kargo melalui keretapi dari lapangan terbang dapat mengurangkan kebergantungan terhadap trak dan lori. Sekaligus mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Johor Bahru – Singapore, Link Kedua dan kos bahan api atau kos logistik. Kelancaran dalam pergerakan barang dan orang akan mengurangkan kos pengangkutan keseluruhan untuk syarikat yang beroperasi di JS-SEZ. Dengan rantaian bekalan yang lebih pantas dan boleh diramal, syarikat boleh mengamalkan modal inventori just in time yang mengurangkan keperluan untuk menyimpan stok yang besar dan seterusnya menjimatkan kos penyimpanan. Buat masa sekarang segelintir pelabur JS-SEZ yang berpotensi juga mempersoalkan akses kepada bakat antarabangsa. Dengan wujudnya integrasi Lapangan Terbang Senai dengan Stesen Keretapi Senai, pekerja mahir dari Singapura, Kuala Lumpur atau bandar antarabangsa lain boleh terbang ke Senai dan terus menaiki keretapi untuk sampai ke kilang ataupun pejabat mereka yang berlokasi di JS-SEZ dengan mudah dan pantas. Ini menjadikan JS-SEZ lebih mudah diakses sebagai tempat kerja. Kolaborasi antara kedua-dua sistem pengangkutan tersebut menggalakkan perjalanan perniagaan sehari. Contohnya, eksekutif dari Singapura boleh melakukan perjalanan pagi ke JS-SEZ untuk mesyuarat dan pulang pada petang hari yang sama dengan perjalanan yang lancar iaitu dengan melalui keretapi dan penerbangan domestik atau pendek. Ini memudahkan urusan perniagaan dan kolaborasi. Keretapi adalah mod pengangkutan yang lebih mesra alam berbanding lori.

Beralihnya sebahagian pengangkutan kargo dari jalan ke landasan keretapi akan membantu mengurangkan pelepasan karbon JS-SEZ yang selari dengan matlamat ESG (Environmental Social and Government) yang semakin penting bagi pelabur global. Integrasi ini akan mengubah JS-SEZ daripada sekadar zon ekonomi biasa kepada hab logistik dan pengindustrian bersepadu yang unggul. Ini menjadi titik penemuan yang cekap antara pengangkutan udara dan pengangkutan rel. Ini bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan strategik JS-SEZ dalam rantau ini malah menjadikan JS-SEZ lebih kompetitif berbanding zon ekonomi lain di Asia Tenggara dengan menawarkan penyelesaian logistik yang lebih lengkap dan cekap. Secara kesimpulannya, integrasi Lapangan Terbang Senai dan Stesen Keretapi Senai bukan sekadar kemudahan untuk penumpang, tetapi merupakan strategik infrastruktur yang mengubah permainan untuk JS-SEZ. Ia menyelesaikan beberapa masalah utama seperti kesesakan lalu lintas, kos logistik yang tinggi dan akses kepada bakat antarabangsa.

Dengan mencipta ekosistem logistik yang lancar, cekap dan mampan, integrasi ini akan menjadi pemangkin utama untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan akhirnya merealisasikan potensi penuh JS-SEZ sebagai kuasa ekonomi selatan Malaysia yang terintegrasi sepenuhnya dengan Singapura dan rantau global.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai golongan perbahasan Jementah, Jementah menyambut baik pembentangan Bajet 2026 Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi pada tempoh hari yang lalu. Jementah memahami inisiatif Bajet Johor Tahun 2026 berniat bagi membangunkan negeri kita tanpa melupakan kebajikan Bangsa Johor. Pada masa yang sama, Jementah juga sentiasa memahami peranan barisan pengimbang sebagai barisan semak dan imbang. Barisan pengimbang menyambut baik dasar perbelanjaan dan tindakan kerajaan negeri yang bertanggungjawab kepada Bangsa Johor dan wang awam dibelanjakan dengan bijak. Secara ringkasnya, barisan pengimbang adalah komponen penting bagi memastikan ketelusan dan kecekapan pentadbiran kerajaan. Kehadiran pengimbang adalah petanda sistem demokrasi yang matang. Sekian perbahasan Jementah. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Jementah. Dijemput Yang Berhormat Parit Yaani.

Datuk Mohamad Najib bin SamuriUMNO · BNParit Yaani

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Bismillahirrahmirrahim. (Bacaan selawat). Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya meneruskan perbahasan pada kali ini, izinkan saya meneruskan dengan terlebih dahulu merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena hari keputeraan baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dengan penuh takzim memanjatkan doa kehadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat diraja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dalam afiat dan sejahtera agar terus menaungi sekalian rakyat dan juga Bangsa Johor.

Keduanya, patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat, bimbingan yang dicurahkan kepada patik dan seluruh kepimpinan negeri Johor dalam menjayakan urus tadbir demi kesejahteraan Bangsa Johor keseluruhannya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini saya pun modal dia kurang sikit, semalam saya tunggu sampai pukul 6.45 petang Yang Berhormat Datuk Speaker, tapi tak apalah semalam Yang Berhormat Bekok dia mencipta rekod baharu selesai 6.45 petang dan saya ingat petang ini Yang Berhormat Sungai Balang penggiliran nombor 24 tak silap sayalah. Tapi, dia tak ada masalah Yang Berhormat Datuk Speaker, yang penting ada Johor Lama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sekalung ucapan penghargaan tahniah dan setinggi terima kasih juga kita ucapkan kepada pimpinan Kerajaan Negeri Johor di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi selaku Menteri Besar Johor di atas pembentangan Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada hari Khamis yang lalu. Intipati belanjawan yang diumum mencerminkan keteguhan seluruh jentera kerajaan negeri khususnya barisan Ahli-Ahli EXCO serta seluruh penjawat awam negeri Johor dalam memastikan negeri ini terus berada di landasan tepat, meneraju kemajuan pembangunan serta mencatat pertumbuhan ekonominya yang positif serta kekal mampan setiap tahun.

Saya di kesempatan ini juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada keseluruhan jentera kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri I dan II, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Menteri-Menteri dan seluruh jentera kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan

termasuklah agensi dan juga GLC yang mana saya di peringkat N.21 Parit Yaani pelbagai nikmat yang telahpun kami terima dan insya-Allah akan terus mengecapi nikmat pada masa-masa akan datang.

Sebagai contoh, di kawasan Pekan Parit Yaani itu sendiri Yang Berhormat Datuk Speaker, mungkin ramai yang dah nampak sendiri bezanya sebelum ini tiga tahun yang lepas, kalau dulu kita tak ada mercu tanda, ok sekarang dah ada mercu tanda yang baharu siap ada Maju Johor lagi, terang benderang dengan lampu LEDnya, dengan Sekolah Menengah Suria Jaya yang dah hampir siap, insya-Allah tahun depan bakal beroperasi (Dewan bertepuk), di Tongkang Pechah. Begitu juga kita sedang membangunkan masjid ikonik yang baharu dan bakal didirikan sebuah sekolah kebangsaan yang baharu, apa lagi dan bakal dilaksanakan Projek Naik Taraf Persimpangan Tongkang Pechah dan juga Jalan Bindu (Dewan tepuk), padang awamnya, dewan orang ramainya dah cantik, pasar awamnya pun dah baharu sampailah ke kawasan Beroleh. Di Parit Yaani ni ada tiga zon, Parit Yaani itu sendiri, Tongkang Pechah dan juga zon Beroleh. Kalau mungkin ada yang tak tahu kawasan sampai ke Parit Besar tu pun masih dalam kawasan DUN Parit Yaani.

Apapun, betul sepertimana Yang Berhormat Sri Medan semalam dah sebut yang penting kita semua kena bersyukur. Banyak hasil-hasil daripada kerajaan negeri Johor ini sebenarnya datangnya juga berkat daripada doa rakyat negeri Johor keseluruhannya dan belanjawan yang diumumkan kali ini juga turut menyerlahkan kesungguhan sebenar kepimpinan Johor untuk terus meletakkan rakyat sebagai keutamaan terutama sekali dalam memacu agenda pembangunan yang inklusif dan mampan. Kita yakin dan optimis Belanjawan 2026 yang bertemakan Bangsa Johor Sejahtera dengan tumpuan kepada agenda Maju Johor 2030 melalui 6 teras yang digariskan sebelum ini akan terus memacu kesejahteraan rakyat dan kemakmuran di negeri ini.

Cumanya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya di dalam Dewan ini mohon juga kepada semua yang ada termasuklah Ahli-Ahli Dewan, kawan-kawan saya di sebelah sini dan sebelah sana, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai daerah, Yang Dipertua Majlis dan semualah untuk kita semua sama-sama hebahkan, promosikan apa jua program-program yang telah dibentangkan, yang bakal dilaksanakan, yang telahpun disusun termasuklah Belanjawan 2026 pada kali ini. Sebagai contoh Yang Berhormat Datuk Speaker, program yang paling baik saya tengok impaknya begitu besar, mungkin Yang Berhormat Datuk Speaker pun setuju juga iaitu Program Jualan Kasih Johor. Yang terbaharu ni kita buat Jualan Kasih Johor Khas daripada bulan 10, bulan 11 hinggalah bulan 12 akan datang ni. Semuanya beratur kalau kita sebut kata mula pukul 8.00, pukul 6.00 pagi dah beratur. Saya cuba ubah juga semalam, minggu lepas, kita mula pukul 9.00 pun sama juga Yang Berhormat Datuk Speaker, lepas subuh pun tetap beratur juga.

Dan saya berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Yang Berhormat EXCO Buloh Kasap yang begitu komited mereka cipta program jualan kasih seumpama ini dan saya kira program ini boleh diteruskan dari semasa ke semasa dan masih boleh diperkasakan. Mungkin boleh dibuat secara bulanan mungkin, sebulan dua kali ataupun lebih-lebih lagi di musim perayaan awal tahun ini, bulan satu kita jumpa dengan nak naik sekolah, bulan dua raya Cina/puasa, bulan tiga raya Aidilfitri. Bulan satu sampai bulan tiga tu nanti maksudnya Januari sampai Mac tu kalau boleh sebulan dua kali. Pasal bulan ini bulan-bulan yang kritikal pada saya dari segi ekonomi orang kampung keseluruhan rakyat Johor. Kita kena kurangkan dia punya apa ni kos perbelanjaan bulanan masing-masing. Ia sangat baik Yang Berhormat Datuk Speaker, malah ada lagi dia kata apa kombo, dia ada ayam bulat, ada telur, ada minyak masak RM15.00. Satu dunia ni tak jumpa (Dewan bertepuk) kat sini je jumpa, negeri Johor je yang boleh buat, saya di Selangor pun tak jumpa. Malah orang-orang negeri lain pun pelik macam mana Johor boleh buat program seumpama ini (Dewan bertepuk). Mungkin kalau tak cukup peruntukan di peringkat FAMA ataupun Kementerian Pertanian, Jabatan Pertanian mungkin boleh berfaham-faham dengan pihak Majlis Agama Islam ke, atau seumpamanyalah. Tambah lagi ayam bulat tu Datuk Speaker, semalam 2 tan pun tak cukup. Saya tambah lagi

se tan pun tak cukup. (Dewan bertepuk.) Semalam orang tanya saya YB minggu depan boleh buat lagi tak. Minggu depan Datuk Speaker? Saya kata bulan depan, sabar. Tahniah Dato’ Zahari.

Dan di kesempatan ini juga, saya ingin memohon status pembangunan aplikasi Sistem Aduan Rakyat Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam era digital yang semakin pesat keupayaan kerajaan untuk menyampaikan maklumat dengan cepat, tepat dan responsif merupakan satu keperluan asas dalam memastikan keberkesanan tadbir urus, transformasi digital bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan malah memperkukuh hubungan antara kerajaan, rakyat melalui saluran komunikasi yang lebih terbuka dan mudah diakses. Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan terkini pembangunan aplikasi Sistem Aduan Rakyat Johor yang sebelum ini telah diumumkan sebagai salah satu inisiatif penting kerajaan negeri, tak silap saya Belanjawan tahun lepas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk memastikan sistem ini benar-benar memberi manfaat dan mencapai matlamatnya dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan negeri, Parit Yaani ingin mengemukakan beberapa perkara untuk pertimbangan dan maklum balas kerajaan negeri iaitu yang pertama, status semasa pembangunan aplikasi berkenaan. Apakah tahap terkini projek ini dari segi pembangunan teknikal, reka bentuk sistem, modul yang telah siap kalau ada, serta kemajuan keseluruhan mengikut perancangan yang telah ditetapkan? Yang keduanya, perlaksanaan fasa ujian ataupun pilot dengan izin sekiranya telah dimulakan? Yang ketiga, garis masa ataupun jangkaan pelancaran rasmi untuk rakyat. Yang keempat, mekanisme pemantauan dan keberkesanan tindakbalas. Saya ingin mendapatkan penjelasan tentang perkara-perkara tersebut tadilah.

Yang Behormat Datuk Speaker, kemunculan aplikasi seumpama ini bukan sekadar satu platform digital tetapi merupakan simbol komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan akauntabiliti, memperkukuh integiriti pentadbiran dan memastikan suara rakyat benar-benar menjadi asas kepada setiap tindakan serta keputusan kerajaan dengan adanya sistem aduan yang moden, telus dan mudah diakses. Rakyat dapat memainkan peranan lebih aktif dalam menyalurkan maklum balas. Manakala pihak kerajaan pula dapat memantau isu setempat secara lebih sistematik dan responsif. Oleh itu, sekali lagi Parit Yaani berharap kerajaan negeri dapat memberi penjelasan yang komprehensif agar Dewan ini dan rakyat Johor dapat mengetahui halatuju sebenar dan status perlaksanaan projek penting ini. Sampai bila kita nak terima melalui facebook, media sosial ini, Datuk Speaker. Ini kalau Wakil Rakyat yang mengadu ataupun Ketua Kampung atau Ahli Majlis, dia jadi lambat. Tapi kalau netizen mengadu dalam facebook, boleh cepat pulak. Boleh cepat pulak respon dia. Ha, itu yang kita ada rasa pelik sikit.

Dan, yang keduanya Yang Berhormat Datuk Speaker adalah pemerkasaan program NADI. NADI ini adalah Pusat Sebaran Maklumat Nasional di bawah Suruhanjaya Komunikasi Malaysia ataupun SKMM ataupun MCMC. Program NADI merupakan salah satu inisiatif penting kerajaan dalam merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar. Namun, bagi memastikan program ini benar-benar memberi impak kepada masyarakat desa, beberapa penambahbaikan menyeluruh perlu dilaksana agar pusat NADI menjadi platform utama untuk pembelajaran, peningkatan kemahiran dan pembangunan ekonomi setempat. Nama pun NADI, dan NADI ini sebenarnya setiap DUN ada. Dan, terima kasih kepada SKMM juga. Saya, kami di Parit Yaani baru menerima, mengecapi nikmat adanya NADI DUN Parit Yaani. Kalau di tempat lain mungkin dah lama ada NADI ni. Dan, bila saya tengok saya teliti mungkin NADI ni boleh kita kolaborasikan dengan Media Digital Johor, Yang Berhormat Datuk Speaker. Maksudnya di NADI tu saya tengok banyak promosi program-program ataupun peristiwa yang berlaku di peringkat kerajaan persekutuan sahaja. Takde pun cerita di peringkat kerajaan negeri. Saya minta kalau boleh bersekali. Namapun namanya NADI DUN.

Dan, sehubungan itu juga, oleh kerana bendanya baik, Parit Yaani nak mohonlah satu lagi tambahan NADI iaitu di kawasan Beroleh.

Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya adalah pengukuhan program JENDELA. Walaupun perlaksanaan program JENDELA telah menunjukkan perkembangan positif dari segi perluasan rangkaian ...(masalah teknikal)...

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, kerana masalah teknikal yang kita sedang hadapi, Persidangan ini saya tangguhkan hingga pukul 2:00 petang.

Persidangan ditangguhkan pada jam 12:20 tengah hari.

Persidangan disambung semula jam 2:20 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2026) Tahun 2025.Bill

Timbalan Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Saya jemput Yang Berhormat Parit Yaani. Tiga minit.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya sambung lagi berkaitan dengan NADI tadi tu. Walaupun perlaksanaan Program JENDELA telah menunjukkan perkembangan positif dari segi perluasan rangkaian dan peningkatan kualiti liputan, realitinya masih terdapat beberapa kawasan di kawasan DUN Parit Yaani yang menghadapi masalah liputan yang masih tidak stabil dan tidak konsisten. Dan keadaan ini memberi kesan langsung kepada produktiviti penduduk setempat khususnya pelajar, peniaga kecil serta masyarakat luar bandar yang semakin bergantung kepada capaian digital dalam rutin harian. Sehubungan itu Parit Yaani mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan seperti berikut :

1. Memberi keutamaan kepada kawasan tumpuan dalam fasa baharu JENDELA khususnya kawasan yang dikenalpasti mempunyai liputan lemah.

2. Menambah bilangan menara komunikasi serta menaik taraf pemancar sedia ada. Kalau di kawasan Parit Yaani tu yang baru di Parit Jambi dan Parit Senah dan saya mencadangkan supaya didirikan sebuah lagi di kawasan Bandar Putera Indah.

3. Menawarkan insentif kepada syarikat telekomunikasi untuk mempercepatkan perlaksanaan pemasangan infrastruktur baharu di kawasan pinggir dan luar bandar.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhirnya adalah perlaksanaan menyeluruh kempen Visit Johor 2026 di semua kawasan DUN di negeri Johor sebagaimana pengharapan daripada YB, Yang Berhormat Seri Medan semalam, kita setuju dan menyokong sepenuhnya sekiranya terdapat peruntukan khas sebanyak RM100,000.00 setiap DUN.

Dan, sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada kali ini, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menarik perhatian Dewan pada isu kesesakan lalulintas di Jalan Tongkang Pechah J13, khususnya dari persimpangan FT024 hingga ke Parit Kangkung SEK 8.8 di Bukit Pasir, kawasan Yang Berhormat Penggaram. Laluan ini menampung jumlah trafik yang tinggi setiap hari termasuk kenderaan berat dari kawasan industri Tongkang Pechah dan akibatnya kesesakan berlaku bukan sahaja pada waktu puncak, malah pada waktu biasa. Menjejaskan kelancaran perjalanan dan keselamatan pengguna. Sehubungan itu Parit Yaani ingin bertanya kepada kerajaan negeri apakah langkah segera dan jangka masa panjang yang sedang dirancang atau akan dilaksanakan untuk menangani kesesakan tersebut.

Dan, terdapat juga keperluan pembinaan balai bomba dan penyelamat di Bandar Putera Indah, Tongkang Pecah yang ni Parit Yaani ingin membangkitkan keperluan tersebut yang mana kawasan ini berkembang pesat dengan perumahan premis komersial industri tetapi masih bergantung kepada balai bomba yang jauh di kawasan Penggaram. Dan untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau tempat lain mungkin ada masalah dengan tempat ataupun tanah, di Bandar Putera Indah Tongkang Pechah memang dah ada rizab tanah seluas 5 ekar untuk ditukar hakmilik kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dan, seterusnya adalah keperluan penambahan ambulan bagi klinik kesihatan luar bandar iaitu di Klinik Kesihatan Parit Yaani. Yang ini, saya juga ingin menarik perhatian Dewan terdapat isu kekurangan ambulan yang dihadapi oleh beberapa klinik kesihatan luar bandar khususnya di kawasan Parit Yaani. Dan saya kira tahun depan banyak peruntukan ataupun bajet untuk ambulan di seluruh Malaysia.

Sebagai penutup, Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan 2026 seharusnya menjadi belanjawan yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal semata-mata tetapi turut memperkukuh ekonomi, komuniti, memperluas sektor pelancongan negeri, memacu agenda digitalisasi rakyat, menjamin kesejahteraan kawasan luar bandar serta memastikan penyampaian kerajaan lebih cekap, telus dan responsif terhadap keperluan rakyat. Parit Yaani yakin bahawa segala cadangan yang telah dikemukakan akan membantu mengangkat negeri Johor ke tahap yang lebih progresif khususnya bagi kawasan DUN Parit Yaani dalam menghadapi cabaran pembangunan menjelang tahun 2030. Dan, sebelum Parit Yaani akhiri ucapan izinkan saya menutup dengan serangkap pantun.

Air sungai mengalir tenang, bunga kembang harum mewangi; belanjawan negeri langkah gemilang, Parit Yaani seiring hari. Burung terbang tinggi di awan umpama Sungai Balang dan Johor Lama, Belanjawan 2026 rakyat diutamakan; Johor makmur sepanjang zaman, akhir bicara diucapkan. Saya menyusun jari, ribuan ampun dan maaf kiranya terdapat kesalahan dari segi kata-kata saya selama ini terutamanya waktu sesi perbahasan pada kali ini. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dengan ini Parit Yaani menyokong penuh belanjawan yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Parit Yaani. Dijemput Yang Berhormat Gambir.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Datuk Speaker, Gambir ucapkan jutaan terima kasih di atas kesempatan dan peluang diberikan untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Dewan Negeri Johor kali ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, apa lagi yang ingin kita katakan berkenaan Belanjawan Johor 2026 ini. Intipati yang sarat dengan deretan segala macam bantuan untuk rakyat. Ini benar-benar menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan Barisan Nasional Maju Johor ini untuk terus membela rakyat. Untuk terus memastikan rakyat menepati manfaat terus dari segala kemakmuran dan kemajuan yang sedang kita cipta di Johor dan pastinya membuktikan sebuah kerajaan stabil yang dihadiahkan oleh Bangsa Johor kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri Johor yang lalu benar-benar sebuah kerajaan yang tepat untuk terus memacu kemajuan negeri dan dalam masa yang sama Datuk Speaker melunaskan amanah dalam soal membela dan membantu rakyat. Bangsa Johor Sejahtera bukan sekadar satu tema halusinasi tetapi disusuli dengan pelbagai inisiatif yang benar-benar beriltizam untuk menyejahterakan segenap lapisan masyarakat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat pandangan nakal yang mengatakan bahawa walaupun ini merupakan belanjawan lebihan tetapi rakyat tidak menerima manfaat. Datuk Speaker, dengan deretan inisiatif untuk rakyat, dengan pelbagai Bantuan Kasih Johor untuk pelbagai kelompok sasaran masyarakat dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang dirancang.

Saya teringat satu firman Allah di dalam Surah Al-Imran, dalam Surah Al-Rahman. (Bacaan potongan ayat Al-Quran). Maka, nikmat Tuhan yang mana satukah yang hendak kita dustakan. Dengan ketiadaan bajet alternatif, dengan ketiadaan cadangan balas yang konkrit ini membuktikan kepada kita satu perkara Datuk Speaker, bahawa mereka yang berkata ini bukan sahaja tidak berupaya menjadi kerajaan yang lebih baik berbanding dengan Kerajaan Barisan Nasional tetapi rupanya mereka juga gagal menjadi pengimbang ataupun pembangkang yang baik dan efektif. Gambir mohon kerajaan ini supaya jalan terus, majukanlah negeri, bantulah rakyat. Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir seterusnya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor yang sangat komited dan berusaha dalam memastikan negeri bertuah ini kekal menjadi Malaysia Food Basket dengan izin dan juga dalam masa yang sama menanam iltizam menjadi Food Bank bagi negara serantau dan juga antarabangsa. Sekali lagi iltizam dan cita-cita ini bukan ibarat saudagar mimpi yang menjual impian kepada rakyat semata-mata tetapi ianya telah disusuli dengan usaha yang bersungguh-sungguh menjayakan agenda keterjaminan makanan untuk negeri tercinta ini. Ini dapat dibuktikan melalui sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negeri sebanyak RM27.2 bilion. Dalam sektor penternakan, Perbadanan Produktiviti Malaysia pada Disember 2024 telah menyatakan bahawa Johor menyumbang kira-kira 30% daripada jumlah pengeluaran ayam daging untuk pasaran Malaysia dengan kekuatan sebanyak 649 buah ladang penternakan ayam. Dan ini menjadikan Johor sebagai pengeluar terbesar daging ayam di Malaysia. Walau bagaimanapun Datuk Speaker, Gambir ingin membawa satu isu berhubung dengan kesan, impak dari ladang ternakan yang masih menjalankan penternakan menggunakan sistem reban terbuka. Beberapa kes pencemaran bau yang mengganggu kualiti hidup masyarakat berpunca daripada pengurusan najis tinja ayam yang tidak cekap bersifat tradisional dan akhirnya bukan sahaja menyebabkan pencemaran bau kepada alam sekitar mengganggu kehidupan masyarakat malah juga menyebabkan pencemaran air. Contoh, yang berlaku di Yong Peng, pengurusan najis yang tidak lengkap dari ladang ternakan menyebabkan pencemaran bau yang teruk menjejaskan kualiti kehidupan 3,000 orang penduduk di sana. Di Layang-Layang pula Datuk Speaker, berlaku pencemaran ammonia di Sungai Johor. Di Bekok, aliran air hitam dari tapak pengurusan tinja telah mencemari Sungai Bekok menyebabkan ikan-ikan mati. Hari ini, Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah pencemaran bau akibat dari ladang ternakan ayam juga berlaku di kawasan Sengkang, Bukit Gambir dalam DUN saya. Usaha-usaha perbincangan dan diplomasi bersama dengan pihak Pejabat Daerah Tangkak bagi meminta pengusaha-pengusaha melaksanakan tindakan yang perlu dan wajar bagi mengelakkan masalah pencemaran bau ini berterusan telah pun dijalankan. Namun, hasil tinjauan Gambir, pencemaran bau ini masih lagi berlaku. Bagaimana mungkin penduduk di sana boleh bertahan dengan masalah bau sebegitu pada setiap hari? Kasihan mereka Datuk Speaker, kasihan melihat dan mendengar keluhan mereka hampir setiap hari terpaksa menghirup kesegaran haruman dari ladang-ladang ternakan ini. Justeru, Gambir mendesak satu tindakan segera diambil agar masalah ini tidak berterusan, jika sistem reban tertutup adalah jawapannya, maka jadikanlah ia sebagai satu keperluan yang wajib dipatuhi. Tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Veterinar dan agensi-agensi berkaitan perlu segera dilakukan. Saya tidak rela penduduk kawasan saya menjadi mangsa kepada pencemaran bau ini. Sudah sampai masanya kerajaan memikirkan kaedah atau peruntukan undang-undang yang lebih tegas agar dalam usaha kita menjadi Food Basket dan Food Bank kepada negara dan negara-negara serantau, rakyat Johor, Bangsa Johor tidak menjadi mangsa. Gambir juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor, Ranhill SAJ Johor, Perbadanan Aset Air Berhad dan Kerajaan Malaysia yang telah meluluskan

pembinaan sebuah tangki air berserta rumah pam dan kemudahan-kemudahan berkaitan dengannya di Sengkang, Bukit Gambir dengan kos pembinaan sebanyak RM20 juta. Gambir difahamkan kontraktor telah pun dilantik dan kerja-kerja bermula dalam masa terdekat. Sesungguhnya, ini menunjukkan komitmen jitu oleh kerajaan negeri melalui Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan Yang Berhormat EXCO yang berkenaan, yang berusaha menjaga hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan dan membantu merealisasikan permohonan Gambir sejak tahun 2022. Moga dengan adanya projek, projek pembinaan tangki baru ini dapat menyelesaikan isu gangguan bekalan air di Sengkang, Kampung Hang Tuah dan kawasan sekitarnya. Itulah yang Gambir katakan, kemajuan yang dikejar hari ini haruslah memastikan keutamaan ataupun keperluan utama rakyat dapat kita sediakan. Kadang-kadang rakyat di kampung-kampung tidak mengambil hirau apa jua statistik dan data kemajuan yang kita bentangkan, asalkan kerajaan hari ini mendengar denyut nadi dan keresahan mereka membantu dan berusaha menyelesaikan masalah sudah cukup untuk mereka kembali memberikan kepercayaan kepada kerajaan yang sama dalam penggal-penggal yang akan datang. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam Dewan yang mulia ini, Gambir ingin merayu kepada kerajaan negeri yang sangat kasihkan rakyat ini supaya dapat melihat apakah kaedah dan cara bagi menyelesaikan permohonan-permohonan membina lorong dan jalan berturap ke rumah-rumah. Gambir difahamkan bahawa konsesi yang bertanggung jawab tidak dapat melaksanakan atas masalah jalan atau laluan itu tidak dirizabkan untuk tujuan pengambilan jalan atau lorong. Gambir ingin mencadangkan agar bagi tujuan pembinaan lorong berturap ke rumah-rumah ini, cukuplah sekadar kita mempunyai surat kebenaran izin lalu dari pemilik-pemilik tanah berkaitan. Permudahkanlah urusan kampung untuk memohon sedikit keselesaan. Namun, jika perlu pengambilan balik tanah untuk tujuan perizaban maka lakukanlah segera. Ini adalah isu rakyat Datuk Speaker, berapa banyak pun bantuan kasih yang kerajaan negeri ini salurkan tetapi apabila mereka keluar rumah, mereka tetap juga perlu melalui laluan yang lecak, tidak berturap, bertanah merah, crusher run, berhabuk dan tidak sangat-sangat tidak selesa untuk Bangsa Johor yang tinggal di kampung-kampung. Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar telah mengumumkan RM27 juta untuk penyelesaian isu Mesyuarat Tindakan DUN, RM50 juta menaik taraf dan melebar jalan-jalan kampung, Gambir mengalu-alukan peruntukan ini dan sangat berharap agar ada limpahannya yang adil untuk kawasan DUN Gambir yang jauh di sana. Gambir telah menghantar serah dan menyenaraikan senarai penuh lorong-lorong dan jalan-jalan rumah ke Pejabat Daerah Tangkak pada hujung tahun 2024, sebahagiannya telah dihantar ke YB EXCO untuk mohon pertimbangan, kesemuanya juga telah dimasukkan dalam Mesyuarat Tindakan DUN pada Ogos 2025 yang lalu. Gambir mohon kerajaan negeri dapat mempertimbangkan permohonan-permohonan ini supaya Bangsa Johor di DUN Gambir dapat merasai nikmat kemajuan yang sedang kita ukirkan untuk negeri bertuah ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerana Kerajaan Negeri Johor ini meneruskan projek perumahan mampu milik di Sagil dalam DUN Gambir, entah apa masalahnya projek yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2017, projek yang sangat-sangat beri manfaat kepada rakyat ini telah terbiar, dibiarkan tergendala dan tidak diteruskan oleh kerajaan yang menang pada PRU 2018. Namun, dengan langkah berstrategi yang dilakarkan dalam Belanjawan Johor kali ini, kerajaan dilihat terus telah melangkah, mengorak langkah memastikan agenda perumahan mampu milik Johor dapat dicapai. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ambil kesempatan ini untuk memohon, oleh kerana jumlah unit yang dibina itu tidaklah banyak Datuk Speaker, 98 unit sahaja, maka Gambir mohon kepada kerajaan negeri melalui Yang Berhormat EXCO Perumahan agar dapat menghadkan permohonan atau memberikan keseluruhan kuota permohonan itu untuk Bangsa Johor yang merupakan penghuni berdaftar di DUN Gambir sahaja. Kerana kita mahukan apa jua pembangunan, apa jua peluang dan apa jua projek yang dijalankan perlulah memberi manfaat kepada pengundi dan penduduk di kawasan tersebut. Barulah nanti mereka tidak hanya menjadi pemerhati kepada kemajuan negeri Johor ini semata-mata.

Selain projek perumahan mampu milik, Gambir juga melihat kerajaan Johor bersungguh dalam memperkenalkan produk Rumah Prihatin Johor dan ianya memberi nafas baru kepada Bangsa Johor yang memerlukan rumah kediaman. Rumah Prihatin Johor ini yang telah dipermudahkan beberapa syarat permohonannya dengan subsidi RM30,000.00 dari Kerajaan Negeri Johor membuktikan bahawa kerajaan ini benar-benar prihatin dan benar-benar serius dalam soal membantu rakyat memiliki rumah kediaman. Yang Berhormat Datuk Speaker, antara isu rakyat berkenaan pemilikan rumah adalah isu tanah, mereka dan keluarga mereka ini tidak mempunyai tanah Datuk Speaker, untuk membina rumah yang merupakan salah satu pra syarat permohonan di bawah Program Rumah Prihatin Johor ini. Gambir ingin cadangkan kepada kerajaan negeri hari ini supaya mencari dan mengenal pasti tanah-tanah kerajaan negeri yang bersesuaian. Pecahkan kepada lot dengan jumlah keluasan tertentu yang sesuai dan boleh menampung keperluan membina sebuah rumah. Lot-lot ini kemudiannya kita tawarkan kepada rakyat Johor yang berminat menyertai Program Rumah Prihatin Johor ini. Bagi yang tidak mempunyai jumlah wang yang mencukupi, lot-lot ini boleh dijadikan kolektral untuk pinjaman kepada bank yang mana hanya mereka yang lulus pinjaman sahaja layak untuk ditawarkan pemilikan tanah lot tersebut. Dengan cara ini Datuk Speaker, kerajaan negeri hanya perlu menyediakan infra yang minimal, yang sekaligus dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan, dengan cara ini juga ia dapat memberikan peluang kepada lebih ramai pemohon untuk mendapatkan rumah kediaman. Di samping kita dapat menyelesaikan isu utama iaitu rakyat tidak memiliki tanah untuk membina rumah kediaman. Seterusnya untuk pembangunan belia Datuk Speaker, yang bakal menjadi pewaris kegemilangan negeri ini, Gambir merasa sedikit dukacita kerana Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tangkak pada ketika ini hanya dioperasikan oleh seorang pegawai semata-mata. Gambir mohon pertimbangan Yang Berhormat EXCO supaya dapat memberi perhatian kepada isu ini kerana Gambir tidak mahu pembangunan belia di Daerah Tangkak khususnya di DUN Gambir terencat akibat kekurangan pegawai dan kakitangan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tangkak. Gambir juga bersetuju dengan cadangan dari YB Parit Yaani dalam Persidangan yang lalu yang mencadangkan agar seorang penggerak belia dilantik bagi setiap DUN. Gambir juga ingin mencadangkan agar kerajaan negeri memperkenalkan Modul Pembangunan Belia Johor yang bukan sahaja menitikberatkan soal penyediaan modal insan yang hebat untuk pasaran tenaga kerja, bukan sahaja perlu menekankan soal aktiviti kesukarelawan dan sukan malah yang paling penting Datuk Speaker, bagaimana input pembinaan sebuah negeri yang maju, yang mempunyai akar budaya tersendiri serta pembinaan jati diri yang kental terhadap negeri dan negara dapat kita terapkan. Tanggungjawab membina sebuah generasi ampuh yang bakal mewarisi kepimpinan negara adalah tanggungjawab kita bersama. Yang Berhormat Datuk Speaker, Gambir juga ingin memohon pertimbangan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan Yang Berhormat EXCO Sukan, supaya sekurang-kurangnya sebuah gelanggang futsal di DUN Gambir dapat dinaiktaraf dan dijadikannya sebagai gelanggang futsal berbumbung. Pengumuman sebanyak RM4 juta dalam Belanjawan Johor baru-baru ini untuk membaikpulih dan menaiktaraf kemudahan sukan sangat-sangat kita alu-alukan. Mudah-mudahan permohonan Gambir sejak 2022 ini dapat dipertimbangkan. Yang Berhormat Datuk Speaker, golongan anak yatim merupakan golongan yang memerlukan perhatian dan pembelaan dari masyarakat. Ahli masyarakat termasuk ahli waris, individu dan NGO bertanggung jawab memastikan keperluan asas anak-anak yatim seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan pendidikan, kita penuhi. Pada hari ini, kebanyakan daerah dalam negeri Johor mempunyai Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim antaranya di Muar, Mersing, Kluang, Johor Bahru dan Tangkak. Hampir semua pertubuhan anak-anak yatim ini mempunyai bangunan asrama bagi menempatkan anak-anak yatim ini. Satu usaha fardu kifayah bagi memastikan kebajikan anak-anak yatim ini sentiasa terbela. Gambir difahamkan bahawa Pertubuhan Anak Yatim Daerah hanya menerima

RM10,000.00 setahun daripada Baitulmal dan jumlah itu sangat-sangat tidak memadai untuk membiayai kos yang diperlukan selain daripada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Justeru, Gambir memohon pertimbangan Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar supaya dapat mempertimbangkan satu jumlah berpatutan dan munasabah kepada rumah-rumah anak yatim sebagai geran tahunan bagi mereka menampung sebahagian kos pengurusan dan penjagaan anak-anak yatim ini. Selain itu, Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam usaha mendapatkan dan menampung perbelanjaan anak-anak yatim ini bergantung sebahagian besarnya kepada tabung-tabung yang diletakkan di masjid, surau serta premis-permis perniagaan dan pejabat. Adalah diharapkan dengan meletakkan tabung ini dapat membantu rumah anak yatim ini mendapatkan dana yang mencukupi bagi meneruskan operasi dan dalam masa sama memudahkan orang ramai untuk menderma.

Isu yang timbul adalah kelewatan memproses permohonan dan kelewatan dalam mengeluarkan surat kebenaran untuk pertubuhan anak yatim ini membuat kutipan derma di masjid dan di surau. Sebagai contoh, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Ledang telah memohon kebenaran mengutip derma pada Mei 2025 pada ketika permit yang asal akan hanya tamat pada Julai 2025. Tetapi sehingga kini November 2025 kebenaran masih lagi tidak diperolehi dan tabung-tabung yang diletakkan di premis juga telah dirampas oleh penguatkuasa daripada Jabatan Agama Islam. Gambir mohon agar proses pengeluaran permit kebenaran mengutip derma ini dapat dipermudahkan kerana akhirnya Yang Berhormat Datuk Speaker yang menerima kesan akibat kekurangan dana adalah anak-anak yatim itu sendiri yang sebenarnya ...

Speaker

Yang Berhormat sekarang ni banyak scammer sebenarnya, sebab tu kita kena hati-hati.

Tuan Sahrihan bin JaniUMNO · BNGambir

Saya setuju, saya setuju kebenaran dan juga penelitian permohonan itu perlu dibuat tetapi prosesnya itu perlu dipercepatkan kerana tanggungjawab kitalah bersama Yang Berhormat Datuk Speaker memastikan kebajikan dan kemaslahatan anak-anak yatim ini terjaga. Gambir juga ingin menyeru kepada pihak Jabatan Agama Islam supaya dapat menasihati pengerusi-pengerusi masjid dan surau untuk membenarkan tabung-tabung ini diletakkan di surau dan masjid. Kepada siapakah lagi anak yatim ini nak bergantung jika bukan kepada kita.

Akhir sekali Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.3 juta untuk membina dan menaik taraf dewan dan balai raya di seluruh negeri Johor. Sekali lagi dan entah untuk yang keberapa kali agaknya, Gambir dengan penuh rasa rendah diri memohon agar kerajaan negeri dapat melaksanakan pembinaan dua (2) buah balai raya di DUN Gambir iaitu di Kampung Seri Menanti, Sengkang dan juga sebuah lagi di Taman Warisan Sagil. Moga penantian bertahun-tahun ahli masyarakat di kedua-dua tempat ini dapat kita realisasikan. Permohonan telah pun kita kemukakan sebelum ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan Johor 2026 ini adalah belanjawan untuk rakyat. Gambir mohon menyokong dengan penuh rasa hormat. Sekian wabillahi taufik walhidayah Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Gambir. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran seramai 25 orang pemerhati daripada DUN Kawasan Benut. Sekejap lagi YB Benut akan berucap, tunggu. Dijemput Yang Berhormat Penggaram.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Penggaram ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi ruang dan peluang untuk mengambil bahagian dalam ucapan pada kali ini. Patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucap selamat ke

Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Ibrahim Sempena Hari Keputeraan Baginda yang kekal disambut pada 22 November ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Dewan yang dihormati, pagi tadi saya menerima satu aduan daripada kawasan saya, satu isu kecemasan yang amat membimbangkan melibatkan talian 999. Pada 17 dan 18 November sebuah pusat jagaan warga emas di kawasan saya telah membuat puluhan panggilan ke talian tersebut namun tiada satu pun berjaya dijawab dan akhirnya terpaksa menggunakan aplikasi Save Me untuk membuat laporan kecemasan. Namun begitu, panggilan balas hanya diterima iaitu hampir 50 minit kemudian dan saya dimaklumkan aplikasi Save Me pun susah dimuat turun juga. Dalam satu kes panggilan balas hanya diterima hampir 50 minit, ini amat membahayakan nyawa terutamanya kepada warga emas yang berada dalam keadaan kritikal. Apabila ambulans tiba, anggota memaklumkan bahawa sistem sedang ditukar. Lebih merisaukan hospital daerah tidak dapat menggerakkan ambulans secara terus kerana perlu menunggu arahan berpusat. Sesuatu yang sebelum ini tidak menjadi masalah Tuan Speaker, Yang Berhormat Datuk Speaker, ini bukan isu teknikal semata-mata ini adalah soal nyawa. Kegagalan talian 999 selama dua (2) hari berturut-turut adalah tidak boleh diterima dan meletakkan warga emas kita dalam risiko yang amat besar. Saya menggesa kerajaan untuk mengambil berat serta mengambil tindakan serta merta menyediakan laluan alternatif sementara kepada hospital daerah untuk bertindak dalam situasi kritikal. Keselamatan rakyat mesti menjadi keutama pula.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini saya ingin menyentuh isu yang semakin mendesak iaitu penuaan penduduk di negeri ini. Kita harus mengakui bahawa Johor sedang menuju ke arah negeri menua dengan merekod peningkatan jumlah warga emas sebanyak 12.3% pada tahun 2025. Berdasar Jabatan Perangkaan, menjelang tahun 2030, Johor akan menjadi negeri menua dengan lebih 15% penduduk berumur 60 tahun ke atas. Hari ini pun sudah ada lebih 450,000 warga emas di negeri kita iaitu hampir satu (1) daripada sembilan (9) orang daripada penduduk di negeri ini adalah warga emas. Kita tahu realiti dalam banyak keluarga anak-anak bekerja keras, ibu bapa pula semakin uzur. Ramai sebenarnya ingin menjaga orang tua tetapi tidak mempunyai ilmu, kemahiran atau sokongan yang mencukupi. Ini bukan soal salah sesiapa, ini adalah realiti masyarakat moden yang perlu kita hadapi bersama. Bukannya mereka tidak sayang ibu bapa mereka mahu menjaga orang tua tetapi tidak mempunyai ilmu, tidak mempunyai kemahiran, tidak mempunyai sokongan. Akibatnya ada anak terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ibu bapa, ada warga emas yang tidak mendapat penjagaan betul, ada keluarga yang akhirnya patah semangat kerana terlalu penat dengan situasi yang dihadapi.

Penuaan ini bukan sahaja krisis atau sesuatu yang perlu dipandang negatif. Kerajaan perlu memandang perkara ini sebagai satu peluang besar untuk negeri ini. Penjagaan warga emas bukan sekadar teman duduk di rumah, ia memerlukan ilmu dan latihan profesional seperti cara memindahkan warga emas dengan selamat, cara menguruskan pemakan dan ubat-ubatan, cara mengelak risiko jatuh atau luka tekanan, cara menangani warga emas yang mengalami nyanyuk, cara memantau penyakit kronik dan pelbagai lagi. Ini bukan sesuatu yang kita boleh belajar melalui pengalaman semata-mata. Tanpa pengetahuan, penjaga akan tertekan, warga emas pula terdedah kepada bahaya. Sebab itulah pembangunan sistem long term cares sangat penting dimana ia bukan sahaja membantu warga emas hidup dengan lebih terjaga tetapi juga mampu membantu keluarga daripada tekanan yang tidak tertanggung.

Yang Berhormat Datuk Speaker, industri penjagaan warga emas daripada beban kepada peluang ekonomi. Ramai orang hanya nampak beban kewangan, bila bercakap tentang penjagaan warga emas. Negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan telah membuktikan bahawa sektor penjagaan ini membuka banyak pekerjaan baharu besar untuk seperti penjaga profesional, pembantu fisioterapi, pakar diet warga emas, pengurus pusat jagaan, penyelaras komuniti, pekerja perkhidmatan sokongan kesihatan dan pelbagai lagi. Ini ialah industri-industri yang tidak boleh diganti oleh mesin, tidak boleh diganti oleh teknologi AI, ia adalah

satu sektor masa depan dan Johor seharusnya berada di barisan hadapan. Tambahan pula industri ini akan menghidupkan rantaian ekonomi lain seperti peralatan kesihatan, nutrisi warga emas, teknologi rumah pintar dan pelan kewangan warga emas. Kalau kita bijak rancang penuaan penduduk bukan ancaman tetapi pemangkin pembangunan ekonomi baharu untuk Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain warga emas yang memerlukan penjagaan intensif, ada satu aspek penting yang sering terlepas pandang iaitu warga emas yang masih sihat juga perlukan latihan persediaan diri. WHO membuktikan bahawa lebih 60% masalah kesihatan warga emas boleh dicegah melalui program senaman, kekuatan otot, latihan keseimbangan untuk elak jatuh, pengurusan pemakanan serta aktiviti binaan kognitif. Kajian juga menunjukkan latihan 6 bulan boleh mengurangkan risiko jatuh sebanyak 30% hingga 40%. Ini bermakna dengan sokongan yang betul, ramai warga emas boleh terus berdikari lebih lama. Program sebegini boleh menjadi sebahagian daripada Sistem Long Term Care Johor pada masa depan. Kita tidak boleh menunggu sehingga tahun 2030 baru mahu bertindak. Sudah tiba masa kerajaan negeri Johor berhenti memberikan jawapan umum dan mula membentangkan pelan secara terperinci termasuk Pelan Pembangunan Long Term Care Negeri Johor lengkap dengan latihan tenaga kerja standard perkhidmatan dan sistem bantuan kewangan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya percaya kerajaan negeri mahu memastikan warga emas Johor dijaga dengan baik kerana itu saya mencadangkan kerajaan negeri Johor mempunyai satu Pelan Pembangunan Long Term Care Johor lengkap dengan standard latihan, pusat jagaan harian dan sistem sokongan keluarga. Perkara ini boleh dirancang dan dilaksanakan melalui kerjasama dengan pusat penjagaan harian warga emas bersama PBT, NGO atau komuniti di dalam membina rangkaian sokongan psikologi dan penjagaan. Kerajaan perlu merangka satu program latihan penjaga profesional berskala besar untuk mencipta pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Biar kita yang menentukan masa depan Johor bukan masa depan yang menentukan nasib kita. Penuaan ialah proses semula jadi yang tidak boleh dihentikan. Suka atau tidak kerajaan pasti akan menghadapi isu pertambahan warga emas. Bezanya bagaimana kita menghadapinya itu pilihan kita ketika ini. Saya ingin menyeru kerajaan negeri merangka dasar melabur dalam sistem penjagaan warga emas yang menyeluruh dan memasukkan long term care dalam pelan perancangan pembangunan masa depan negeri Johor. Sebuah negeri hanya benar-benar maju apabila rakyatnya dari kecil hingga tua dijaga dengan bermaruah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, zaman ini adalah zaman digital. Pengunjung hari ini menilai destinasi melalui aplikasi platform online dan pengalaman digital. Namun dalam belanjawan ini tiada satu pun inisiatif khususnya yang benar-benar memacu transformasi digital sektor pelancongan. Saya berpendapat masih terdapat beberapa ruang besar yang perlu diperkuat, kelemahan digitalisasi pelancongan pada zaman digital pengunjung hari ini menilai destinasi melalui aplikasi platform online dan pengalaman digital. Saya mencadangkan agar kerajaan negeri memperkenalkan beberapa perkara iaitu:

1. Johor Digital Tourism Hub. Platform sehenti untuk tiket, maklumat, lokasi dan laluan perjalanan. 2. Menggunakan AI, AR atau VR di lokasi pelancongan. 3. Perlaksanaan e-pembayaran secara lebih meluas terutamanya untuk peniaga kecil dan komuniti luar bandar.

Jika kita bercakap tentang Visit Johor 2026, maka digitalisasi tidak boleh lagi menjadi pilihan. Ia mesti menjadi tunjang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun peruntukan kepada NGO memang wujud tetapi pelancongan komuniti dan luar bandar masih di tahap lemah dan masih tidak mencukupi untuk membina ekosistem pelancongan komuniti yang mampan. Saya mohon Kerajaan Negeri

Johor membangunkan kampung pelancongan moden bagi melatih penduduk sebagai Pemandu Pelancong, mengusaha homestay dan peniaga kraftangan di dalam memperkenalkan penduduk produk pelancongan berasaskan warisan, budaya dan pertanian. Pelancong bukan hanya tentang bandar besar. Potensi luar bandar Johor sangat luas tetapi belum dibangunkan secara terancang. Johor dianugerahkan khazanah alam yang indah. Taman negara, pantai, hutan simpan, namun belanjawan ini tidak memberi gambaran jelas tentang strategi pelancongan mampan.

Kita perlu mewujudkan indeks kesejahteraan pelancongan mampan Johor. Kawasan pelancongan bebas plastik dan pelbagai lagi seperti mendapatkan kerjasama universiti untuk penyelidikan, pemuliharaan alam. Jika kita terus mempromosi tanpa memelihara, kita hanya membina pelancong jangka pendek dan akhirnya merosakkan aset sendiri. Pelancong yang datang ke Johor bukan hanya mahu melihat lokasi pelancongan tetapi mereka juga mahu mengalami kemudahan asas yang baik. Saya cadangkan penambahan papan tanda pelbagai bahasa, standard kebersihan tandas awam, kawalan keselamatan pelancong dan yang lebih tersusun, laluan hijau pelancongan dengan pengangkutan elektrik. Asas-asas kecil inilah yang menentukan sama ada pelancong akan datang semula atau tidak. Belanjawan ini mempunyai asas tetapi kita perlu mengakui ia masih dalam bentuk yang terlalu tradisional, terlalu fokus kepada promosi dan acara tetapi kurang kepada inovasi, digitalisasi, komuniti dan kelestarian.

Jika Johor benar-benar mahu menjadi destinasi bertaraf dunia, maka kita mesti memperkukuh dasar dan merangka pelan jangka panjang yang lebih strategik. Pelancongan bukan sekadar membawa orang datang. Pelancongan adalah membina pengalaman, inovasi, identiti dan masa depan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menyentuh tentang 3 inisiatif yang amat bermakna dalam Belanjawan negeri kita, iaitu Bantuan Kasih Johor bagi pesakit dialisis, Bantuan Kasih Pesakit Kanser dan Ibu Tunggal di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga. Pertama sekali saya ingin merakam penghargaan kepada kerajaan negeri, bantuan RM600.00 ini sangat membantu 8,275 pesakit dialisis dan 3,301 pesakit kanser yang setiap hari berdepan cabaran rawatan, kos ubat dan keletihan fizikal. Begitu juga kepada ibu-ibu tunggal yang memikul tanggungjawab besar di dalam membesarkan anak seorang diri. Sedikit bantuan ini mungkin nampak kecil bagi kita, tetapi bagi mereka ia membawa kelegaan yang besar. Walau bagaimanapun, ada satu perkara yang ingin saya bangkit dengan penuh rasa prihatin, di mana proses mengumpul data penerima dilakukan dalam masa yang sangat agak singkat sebelum Belanjawan diumumkan. Akibatnya, ramai pesakit dan ibu tunggal tidak sempat dan ada yang tidak tahu bagaimana untuk mendaftar. Sebahagian mereka ada pelbagai kekangan seperti sibuk untuk mengulang-alik ke hospital untuk menerima rawatan. Ada juga yang kurang cerdik penggunaan gajet digital. Ada juga yang tinggal jauh di kampung dan tidak mempunyai akses internet atau sukar untuk menguruskan dokumen pengesahan yang diperlukan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, golongan ini sudah menanggung banyak beban dalam hidup mereka, ada yang bertarung dengan penyakit setiap hari. Ada ibu yang bekerja menjaga anak dan mengurus rumah seorang sendiri. Kerana itu saya ingin memohon dengan penuh hormat kepada Kerajaan Negeri Johor mempertimbangkan untuk membuka semula tempoh pendaftaran Bantuan Kasih Johor supaya pesakit dialisis, pesakit kanser dan ibu tunggal yang terlepas pendaftaran dapat peluang sekali lagi. Selain itu pendaftaran boleh dipermudahkan dengan melibatkan pusat-pusat khidmat ADUN, Pejabat Daerah, PBT, klinik kesihatan dan hospital agar tidak hanya bergantung kepada platform di dalam talian sahaja.

Pada akhirnya apa yang kita semua inginkan hanyalah memastikan tiada rakyat Johor yang layak tercicir daripada bantuan ini terutamanya mereka yang sedang melalui saat-saat paling mencabar dalam hidup. Saya percaya dengan sedikit kelonggaran dan belas ihsan, ramai lagi pesakit dan ibu tunggal akan mendapat manfaat yang beoleh meringankan kehidupan

mereka. Semoga usaha ini membawa kebaikan kepada mereka yang memerlukan dan mengukur imej Johor sebagai sebuah negeri yang penyayang dan prihatin.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada sidang ini kali ini saya ada bertanya mengenai pandangan kerajaan di dalam mewujudkan satu kategori kadar khas cukai pintu khususnya bagi NGO atau Non Profit Organization yang banyak menyumbang kepada negeri dalam pelbagai sektor seperti pelancongan, sukan, kebajikan dan lain-lain. Walau bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada YB EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan di atas respon dan keterbukaan kerajaan negeri akan meneliti cadangan ini sekiranya terdapat keperluan yang jelas dan menyeluruh khususnya bagi NGO yang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan negeri sama ada dalam bidang pelancongan, sukan, kebajikan, pendidikan mahupun sosial. Saya berharap Kerajaan Negeri Johor dapat menghargai sumbangan berterusan NGO dan sukarelawan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memacu pembangunan sosial negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menyentuh sedikit berkaitan masalah banjir di kawasan Penggaram. Perkara ini telah dibangkit beberapa kali tetapi pada 2 minggu yang lalu, beberapa kawasan perumahan di kawasan Penggaram yang berhampiran Sungai Batu Pahat iaitu Taman Nira dan Taman Batu Pahat telah dinaiki air pasang laut akibat fenomena air pasang laut ketinggian melebihi 3 meter. Saya dapat makluman pada minggu lalu, terdapat sesi taklimat dan perbincangan berkaitan projek tersebut daripada pihak JPS Daerah bersama Pejabat Daerah dan SUK. Tetapi saya tiada sebarang maklumat walaupun projek ini akan memberi impak yang besar kepada penduduk di kawasan saya. Saya ingin mengetahui status Projek Rancangan Tebatan Banjir yang akan dilaksanakan oleh pihak JPS di Sungai Batu Pahat. Bilakah jangkaan tepat projek tersebut akan dilaksanakan? Saya dimaklumkan kekangan projek ini adalah untuk memindahkan penduduk yang mendiami kawasan setinggan persisiran Sungai Batu Pahat. Walau bagaimanapun, saya menggesa projek ini dapat dijalankan dengan kadar segera. Sehingga hujung tahun ini, akan ada 3 kali lagi fenomena air pasang laut besar akan berlaku. Bermakna penduduk perlu berdepan masalah banjir air pasang ini sebanyak 18 hari dalam tahun ini.

Speaker

Yang Berhormat dah terlebih satu minit.

Puan Gan Peck ChengDAP · PHPenggaram

Sikit saja. Selain itu pemasangan papan tanda amaran banjir di kawasan perumahan telah menyebabkan nilai perumahan di kawasan tersebut susut sedangkan kadar nilaian cukai harta pada tahun ini meningkat sehingga berkali ganda. Mungkin kerajaan perlu mempertimbangkan kaedah penggalian Sungai Batu Pahat sebagai langkah penyelesaian segera kepada masalah banjir air pasang laut ini. Ia mampu memberi kelegaan kepada penduduk di kawasan terlibat sehingga 10 tahun ke 15 tahun mendatang.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di Dewan yang mulia ini saya ingin merakam ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar di atas kejayaan merangka dan membentang Bajet Johor 2026 dengan pelbagai inisiatif yang diumumkan. Ada beberapa orang yang bertanya berkaitan inisiatif bagi golongan sukarelawan yang berkhidmat sepenuh masa seperti sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan RELA, sukarelawan Bomba mahupun sukarelawan Polis. Seperti tahun lalu di mana mereka amat berterima kasih di atas pemberian RM200.00. Mereka berharap tahun ini juga masih ada rezeki dan bahagian untuk mereka. Sekian, saya akhiri ucapan ini semoga Johor terus maju, pemimpin dan rakyat kekal makmur bermuafakat. Saya menyokong Bajet Johor 2026.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Penggaram. Dijemput Yang Berhormat Benut.

Terima kasih Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Saya seperti mana rakan-rakan ingin mengambil kesempatan, sebelum meneruskan perbahasan untuk menyatakan

dan memohon izin untuk merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucap selamat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena hari keputeraan baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dengan penuh takzim memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, semoga dibawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Dibawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat diRaja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dalam afiat dan sejahtera agar terus menaungi sekalian rakyat dan Bangsa Johor. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepimpinan negeri dalam menjayakan urus tadbir demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam Belanjawan 2026 ini saya ingin mengajak Ahli-Ahli Dewan untuk kita merenung sejenak. Bertanya bagaimana kerajaan negeri dapat mengunjurkan hasil untuk negeri Johor sebanyak RM2.55 bilion? Apakah usaha dan langkah yang bakal kerajaan negeri ambil untuk membolehkan hasil sebanyak begitu dikumpul?

Dari segi pandangan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya memulakan Perbahasan di Dewan ini untuk mengingatkan diri saya dan juga Ahli-Ahli Yang Berhormat tentang beberapa pencapaian kerajaan negeri. Pertama, Johor adalah negeri yang pertama dalam negara yang diiktiraf sebagai a smart state, 5 tahun lebih awal daripada tahun 2030. Itu pertama. Berdasarkan kepada Malaysia Smart City rating, 16 PBT yang ada dalam negeri Johor kesemuanya sekurang-kurangnya berada pada tahap pertama sebagai smartcity early adopter. Itu memerlukan kegigihan dan kesungguhan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor juga adalah negeri yang pertama untuk memperkenalkan framework atau pun garis panduan pembangunan hijau dalam negara kita. Rangka tersebut termasuklah juga pelan tindakan untuk tenaga boleh baharu. Johor berada di hadapan dalam membentuk dasar-dasar tersebut, polisi tersebut.

Selain daripada itu, Yang Berhormat Datuk Yang DiPertua, Datuk Speaker, minta maaf, Johor juga setelah kita ada begitu banyak data centre adalah merupakan negeri yang juga pertama menggunakan air kumbahan sebagai sumber air bagi kegunaan pusat-pusat data dan juga industri. Kalau tidak silap saya, pada bulan Ogos yang lepas, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri sendiri telah datang ke Johor untuk merasmikan program tersebut. Pilot projek yang pertama dilakukan di Johor.

Jadi Datuk Speaker, kita juga ada negeri-negeri seperti di utara, Perlis dan Kedah yang juga ada jiran seperti Thailand. Tetapi kita ada juga Sabah dan Sarawak berjiran dengan Brunei. Tetapi Johor adalah negeri yang berjiran dengan Singapura yang pertama kali memperkenalkan platform untuk menggerakkan ekonomi menggunakan pendekatan rendah karbon bukan satu, Johor Special Economic Zone atau pun Johor Ekonomi Khas, tetapi dua termasuklah Forest City Special Financial Zone, Zon Kewangan Khas Forest City.

Selain daripada itu, Yang Berhormat Datuk Speaker Johor juga ada pelabuhan, Pulau Pinang ada pelabuhan, Sarawak juga ada pelabuhan tetapi pelabuhan di Johor adalah yang pertama menggunakan sustainability atau pun kelestarian berkaitan kelestarian untuk membentuk sukuk pinjaman mereka. Selain daripada yang dapat kita lihat, industri-industri yang datang ke Johor, pembangunan atau pun pelaburan yang ditarik ke Johor adalah berdasarkan kepada beberapa kelebihan yang digerakkan oleh kerajaan. Maka dengan itu Dewan yang mulia ini harus merasa yakin sepenuh-penuhnya bahawa kerajaan negeri akan mampu untuk memungut hasil sebanyak RM2.55 bilion setelah pencapaian tersebut. Berbagai usaha yang dibuat yang akhirnya membuahkan hasil yang diharapkan.

Jadi Yang Berhormat Datuk Speaker, ini tidak bolehlah kerja satu orang. Jadi ini bererti Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat EXCO-EXCO kerajaan negeri, ketua-ketua

jabatan negeri dan persekutuan mereka adalah sebenar-benarnya penggerak dan penyumbang besar kepada kejayaan negeri Johor sehingga mendapat tempat dan kedudukan seperti mana yang saya sebutkan tadi.

Jadi untuk itu, saya menganjurkan supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada sebelah sini dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelah sana supaya kita berikan satu penghormatan kepada semua ketua jabatan dan juga agensi yang telah bertungkus-lumus untuk membolehkan negeri Johor ini berada pada tahap yang sedemikian (Dewan bertepuk).

Speaker

Maksudnya Yang Berhormat, team of performers lah..

Yes, betul Yang Berhormat Datuk Speaker. Ianya adalah macam Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar kata whole nation approach semua pihak. Saya bawa perkara di awal perbahasan saya ialah supaya kita tidak merasa bersalah dalam membelanjakan duit kerajaan untuk pelbagai bantuan program dan juga pelbagai pemberian yang diumumkan. Kerana saya berkata begitu, kalau kita lihat daripada perbelanjaan sebanyak RM2.54 bilion, bajet pembangunan RM1.1 bilion.

Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar menyatakan bahawa kita, berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion, betul tak Yang Berhormat Datuk Speaker? RM4.8 bilion eh, harus kita ingat. Daripada RM4.8 bilion itu, 143 + 9 projek yang bukan asas menjadikan 152 projek hanya, nanti sekejap Yang Berhormat eh, hanya RM780 milion sahaja. Selebihnya adalah projek sampingan. Jadi sepanjang tahun 2026 itu, tidak banyak projek-projek baharu, tidak banyak projek-projek yang benar-benar dapat memberi impak, tapi kita bersyukur dapat RM780 juta untuk tujuan projek-projek baharu. Projek sambungan sebahagian besarnya saya percaya adalah untuk membayar projek-projek seperti Rail Transit System, baki bayaran untuk projek elektrik double, landasan berkembar elektrik dan juga projek-projek pelebaran lebuh raya utara - selatan. Termasuk lebuh raya Senai - Desaru, kerana itu adalah semua projek-projek yang menggunakan peruntukan kerajaan. Jadi daripada RM4.8 bilion, lebih RM4 bilion adalah untuk projek-projek yang sedang berjalan. Hanya lebih kurang RM800 juta sahaja, maka ini, kita perlu melihat belanjawan ini dalam satu konteks.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mencadangkan supaya belanjawan ini harus dianggap sebagai satu pelaburan oleh kerajaan bukan kos kepada kerajaan. Ianya adalah satu pelaburan yang mana Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengharapkan, bukan hanya Yang Amat Berhormat Menteri Besar tapi kita pun begitu juga, kalau kita membuat pelaburan kita mengharapkan pulangan. Berapa kita melabur, berapa kita mendapat pulangan.

Yang Amat Berhormat telah pun memberi kita sebagai wakil rakyat, satu garis panduan, dia nak melabur sekian banyak, RM2.54 bilion. Tapi Yang Amat Berhormat memberi kita satu gambaran tentang pulangan yang diharapkan, iaitu Bangsa Johor yang Sejahtera. Terpulanglah kepada kita untuk menterjemahkan. Kalau ikut bahasa kamus, sejahtera bermakna keadaan kehidupan yang seimbang dan stabil. Persoalan yang kita tanya kepada diri kita adakah ketua kampung, Yang Berhormat terima kasih kerana membuat pengumuman bersama-sama saya tadi, hari ini adalah daripada Benut, ketua kampung, guru-guru ada, penghulu pun ada, mereka hendak menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan, berbesar hati kaki tangan persekutuan pun buat julung-julung kali dapat bonus daripada kerajaan negeri dan penghulu, ketua kampung semua ini dapat dua (2) bulan. Jadi saya balik kawasan pun, ha, taklah bingung sangat Yang Berhormat jadi kerana semuanya dalam keadaan yang baik belaka.

Jadi kita perlu mengkaji setiap perkara yang dinyatakan di dalam belanjawan untuk kita mengukur pelaburan yang dibuat oleh kerajaan negeri apakah pulangannya? Kalau kita lihat sebagai contoh, sebagai contoh Yang Berhormat inisiatif-inisiatif yang dinyatakan antara enam (6) perkara atau teras, saya nak menyentuh hanya tiga (3) Teras Yang Berhormat,

Ekonomi, Tadbir Urus dan juga Kelestarian Alam Sekitar. Kalau kita tengok dari segi pembangunan ekonomi, kalau kita tengok bagaimana pembangunan usahawan, saya nak bertanya denga EXCO yang berkenaan. Bagaimana PMKS ini, perusahaan kecil dan sederhana ini, akan dapat memberi pulangan pelaburan yang kerajaan beri sebanyak lapan (8) inisiatif dalam konteks zon ekonomi khas. Kenapa kita buat zon ekonomi khas, kerana kita kata Singapura adalah negara yang mempunyai supply chain yang jauh ke hadapan berbanding dengan negara kita, negara Indonesia, negara Thailand. Jadi bagaimana PMKS kita, perusahaan kecil dan sederhana dalam negara kita ini boleh memanfaat dengan adanya JS - SEZ ini dengan adanya bantuan-bantuan dan juga inisiatif-inisiatif yang dah diperkenalkan untuk tujuan pembangunan usahawan. Kalau tidak kita tidak dapat memaksimakan pulangan yang diharapkan kerana kita dah buat pelaburan ini. Saya melihat belanjawan sebagai satu pelaburan, seperti mana yang saya katakan awal.

Jadi itu juga, saya sempat berbisik dengan EXCO Pertanian tadi, Datuk Zahari, supaya boleh tak dilihat inisiatif yang ke-26 di bawah pembangunan ekonomi ini. Kalau penjenamaan durian dan nenas Johor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta boleh tidak kalau kita libatkan juga kelapa kerana seperti mana yang kita sedia maklum, 73% pengeluaran kelapa dalam negara kita adalah daripada tiga (3) daerah pantai barat Johor, Muar, Batu Pahat, tempat Yang Berhormat Datuk Speaker, Pontian. Kita sahaja, Johor mengimport sehingga 206,000 metrik tan kelapa setiap tahun pada tahun 2024, banyak Yang Berhormat. Jadi terlanjur ada penjenamaan, untuk durian dan juga nenas, saya ingin bertanya dengan kerajaan sama ada bolehkah kelapa juga dimasukkan juga sebagai salah satu daripada penjenamaan? Jadi ini saya melihat kepada sekali lagi, belanjawan adalah pelaburan, pelaburan mengharapkan pulangan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya diawal perbahasan tadi menyatakan tentang beberapa perkara yang menjadikan Johor itu, Yang Amat Berhormat dengan kegigihan-kegigihan dengan EXCO nya bekerja bertungkus-lumus untuk meletakkan Johor di tahap-tahap dan kedudukan yang begitu membanggakan. Walau bagaimanapun saya meminta kerajaan negeri supaya melihat kepada beberapa perkara. Awal tahun ini kita tandatangan perjanjian Zon Ekonomi Khas ya, antara Johor - Malaysia dengan Singapura. Belum hampir setahun, Yang Berhormat. Baru-baru ini, saya mendengar pengumuman oleh Menteri Pelaburan dan Industri, menyatakan bahawa mungkin juga Malaysia - Singapura, perlu juga melihat semula kerjasama dengan Indonesia.

Yang Berhormat, saya menelaah buku ini, The SIJORI Cross Border Region ini, yang ditulis pada tahun 1995, 2016 ianya merupakan percetakan yang ke mungkin yang ke-4, ke-5 yang menunjukkan dengan adanya segitiga waktu itu, Johor - Singapura dan Riau, Indonesia yang kita tahu Batam di Riau itu sudah pesat membangun. Sudah padat membangun. Johor sebelum adanya Zon Ekonomi Khas ini, kita tidak sampai ke mana. Jadi adakah kerajaan pusat, kerajaan di peringkat, adakah di peringkat kementerian telah melihat sedalam-dalamnya, nak sekali lagi, membawa segitiga itu sebagai pertumbuhan ekonomi sedangkan kita ni dalam Special Economi Zone antara Johor dengan Singapura dah berjalan baik. Kita menarik pelaburan tiga penggal berturut-turut pelaburan yang tertinggi sehingga hari ini, waktu Dewan bersidang ini negeri Johor telah menarik pelaburan lebih RM91 bilion yang tertinggi dalam negara. (Dewan bertepuk). Tentu ini berpunca daripada adanya Zon Ekonomi Khas yang kita semua sedia maklum. Mahukah kita sekali lagi, saya nak bertanya dengan kerajaan, apakah agaknya pertimbangan kerajaan negeri dalam hal ini, sama ada kerajaan negeri akan membincangkan semula, melihat sedalam-dalamnya, sama ada sekali lagi kita dibawa kepada perbincangan tiga segi?. Kerana saya lihat bahawa orang kaya-kaya di Indonesia tak pernah melabur di Malaysia pun. Tauke-tauke besar, industri-industri besar yang ada di Indonesia semua melabur di Singapura. Tidak ada pun di Malaysia. Jadi, cara kerjasama ekonomi antara Johor, Malaysia dengan Indonesia harus dilihat dalam konteks yang berbeza. Itu yang pertama Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya ingin bertanya dengan kerajaan negeri supaya dapat merangka strategi untuk melihat perkara ini, kerana ianya telahpun dinyatakan bahawa kerajaan pusat pada dasarnya dah besetuju, nasib baik pada

dasarnya. Mungkin, Yang Amat Berhormat Menteri Besar boleh melihat perkara ini dengan lebih mendalam.

Kedua Yang Berhormat. Ini untuk memastikan kita terus berada pada tahap yang ada pada hari ini. Saya menerima jawapan daripada EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung dengan pembangunan semula bandar dan kawasan perumahan (URA). URA ini Yang Berhormat, kita di peringkat Parlimen pun masih lagi menimbangkan undang-undang berkaitan dengan pembangunan semula bandar. Saya mungkin agaknya memerlukan penjelasan daripada kerajaan negeri, bagaimana kerajaan negeri dan jawapannya boleh mengatakan bersetuju dan menyokong sepenuhnya pelaksanaan URA ini. Kerana sesungguhnya kalau kita lihat daripada kawasan-kawasan perumahan rakyat yang ada di Johor sama ada di Larkin, di Tebrau, sama ada di Tun Aminah, beribu unit yang ada. Pembangunan semula bandar ini, kalau kita baca secara tersiratnya akan memberikan kelebihan kepada pemaju. Pemaju hanya memikirkan soal keuntungan. Suka tak suka kerana mereka entiti perniagaan. Siapa yang nak berniaga rugi Yang Berhormat Datuk Speaker? Itu dah lazim dan kita pun faham.

Setiap pembangunan yang akan dibuat di kawasan pembangunan semula bandar ini akan akhirnya mengubah demografi satu-satu kawasan yang akan dibangunkan. Kita perlu melihat kepada keupayaan dan kemampuan mereka-mereka yang berada di kawasan-kawasan perumahan rakyat ini, tak kiralah kaum Melayu, Cina, India. Mereka semua berada di kawasan-kawasan perumahan. Apabila pemaju membangunkan kawasan perumahan tentunya rumah yang dibangunkan dengan kos yang tinggi, dengan persekitarannya yang lebih kondusif sepertimana yang dinyatakan di sini atas jawapan yang memodenkan kawasan, tak kan lah semua itu percuma Yang Berhormat Datuk Speaker. Ianya memerlukan sekurang-kurangnya kos penyelenggaraan yang selalunya diletakkan di bawah pengurusan, apa nama community management committee. Jadi, mampukah jangan sampai akhirnya pemilik-pemilik rumah yang dulunya harga rumah tak sampai RM100,000.00, hari ini sebagai pulangan kepada membenarkan kawasan-kawasan rumah mereka dibangunkan, rumah yang bernilai mungkin RM500,000.00, RM600,000.00 akhirnya terjual kerana tidak dapat menguruskan kos bagi menyelenggara aset-aset yang mereka miliki. Sebab itu, perlu diteliti sedalam-dalamnya. Jadi, saya ingin bertanya dengan Kerajaan Negeri Johor, adakah kerajaan bersedia untuk melihat dengan lebih mendalam hasrat bagi pembangunan semula bandar ini yang kita sokong ini. Supaya saya minta kalau boleh dikaji semula.

Akhirnya Yang Berhormat Dato’ Speaker, minta maaf saya agak terlebih masa berakhirnya, saya mohon agar sebagai contoh, Johor Economic Forum dalam Inisiatif Kedua Pembangunan Ekonomi SIJORI tadi tu. Tolonglah lihat semula.

Inisiatif ketiga Yang Berhormat, Promosi dan Penjenamaan Negeri Johor ini, made in Johore. Kita tak nak kalau boleh made in Johore lagi, not made in Johore. Tetapi made by Johore. Kita nak segala usaha-usaha nak menjenamakan negeri ini harus ianya merupakan made by Johor, bukan made in Johor. (Dewan bertepuk).

Jadi itulah Yang Berhormat Datuk Speaker, masa yang tak dapat yang agak cemburu. Akhirnya terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah bersetuju satu rancangan daripada pusat kelestarian Johor yang mana Raja Zarith Sofiah Learning Centre ini akan dibangunkan sebagai centre yang mempunyai bangunan yang rendah karbon dan ianya akan dijadikan sebuah pilot project di negeri Johor dan insya-Allah kita berharap akan dapat diperluaskan ke seluruh negara. Terima kasih, dengan ini saya juga turut menyokong belanjawan yang dibentangkan. (Dewan bertepuk). Terima kasih Yang Amat Berhormat.

Speaker

Terima kasih Yang Amat Berhormat Benut. Saya cukup tertarik dengan idea made by Johore. Saya jemput Yang Berhormat Endau.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Pertamanya Endau mengucapkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat kesihatan yang baik dan kita dapat bersua lagi di Dewan yang mulia ini. Terima kasih jua Endau ucapkan kepada Yang Berhormat Datuk Speaker kerana membenarkan Endau mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada kali ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, sesungguhnya apa yang dibahaskan ini adalah penting bagi memastikan pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan di kawasan Endau dapat diambil perhatian dan tindakan daripada pihak kerajaan negeri. Di kesempatan ini patik mewakili rakyat di kawasan DUN Endau merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena ulang tahun keputeraan Baginda Tuanku pada 22 November 2025 ini. Patik dan sekalian rakyat mendoakan agar Baginda Tuanku diberikan kesihatan yang baik serta bertambah daulat memayungi rakyat atas tahta Baginda Tuanku. Ampun Tuanku.

Di kesempatan ini Endau mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan seluruh pasukannya kerana berjaya merangka, menyediakan dan membentangkan Belanjawan 2026 Negeri Johor Darul Ta’zim bertemakan Bangsa Johor Sejahtera. Tema ini amat sesuai Yang Berhormat Dato’ Speaker, Endau juga guna Sejahtera Endau. Harapnya persamaan ini boleh diseimbangkan Johor Sejahtera dan Endau pun sejahtera. Maka, besarlah harapan Endau agar segala unjuran, perancangan dan pengumuman dalam belanjawan pada kali ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada semua Bangsa Johor. Dan sudah pasti segala perbelanjaan yang diunjurkan mesti diuruskan dengan baik tanpa pilih latar belakang politik jika itu haknya maka sempurnakanlah haknya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ada beberapa perkara Endau ingin bawa pada kali ini. Pertama, mengenai pengurusan atau aliran bantuan kepada rakyat. Alhamdulillah, pada Belanjawan 2026 banyak bantuan telah diumumkan oleh pihak kerajaan termasuk pengumuman insentif tambahan baru-baru ini. Apa yang memberi manfaat kepada rakyat Endau tetap sokong. Biar limpahan rezeki bumi Johor ini dirasakan terus kepada Bangsa Johor. Sepanjang tahun ini pelbagai bantuan (masalah teknikal) dan termasuklah (masalah teknikal) dalam soalan Dewan bagaimana Program Bakul Kasih Johor yang sepatutnya menjadi program kerajaan (masalah teknikal)

Speaker

tak dengar ke?

Apa jawapan yang Endau dapat pada soalan Endau adalah pengurusan melalui penyelaras yang dilantik oleh kerajaan akan sampai terus kepada rakyat tanpa sebarang kepentingan parti. Tapi, ini tidak terjadi di Mersing Yang Berhormat Datuk Speaker. Ramai yang marah kat Endau. Kononya kerana mereka tak dapat Bakul Kasih Johor dan macamlah pula Endau yang pilih bulu sedangkan pihak lain yang uruskan. Bakul kasih tidak diedarkan dengan adil dan baik. Ada yang susah tak dapat, tetapi yang nampak berkemampuan pula yang dapat. Jadi, banyak keluhan yang Endau terima sepanjang tahun ini berkaitan Bakul Kasih Johor. Itu belum lagi buat program Jelajah PDM parti, guna baju parti tetapi serahkan Bakul Kasih Johor. Masuk dalam facebook tag dengan izin ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Besar Johor atas inisiatif bakul kasih tapi kat baju ada logo parti dan dalam program parti. Sebab itu, Endau soalkan mengapa peruntukan yang diluluskan dalam Dewan yang mulia ini digunakan untuk program parti? Kami di pihak pengimbang kerajaan tiada masalah jika penyaluran itu dilakukan secara adil, tidak lihat latar belakang politik penerima. Tetapi, jika peruntukan yang diluluskan secara bersama ini gunakan untuk dapat kelebihan parti politik, rasanya tidak sepatutnya lah ianya berlaku.

Jangan nafikan suara kami, suara kami dipilih melalui pilihan raya yang sah bukan jawatan lantikan seperti penyelaras. Jangan hukum rakyat sebab pilih kami tapi jalankanlah amanah sebaiknya. Rakyat berhak terima apa juga manfaat. Endau harap kerajaan tegurlah

penyelaras-penyelaras yang dilantik ini, jangan lebih sudu dari kuah. Mereka bergerak mewakili kerajaan, bukan mewakili parti. Jadi, Endau harap untuk Belanjawan 2026 ini kerajaan lebih transparent dengan izin. Adakah ianya seperti tema Johor Sejahtera atau sekadar retorik untuk sokongan kepada parti, tepuk dada tanya selera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kedua, Pengeluaran Pertanian dan Hala Tuju Pembangunan Ekonomi Setempat. Jika kita lihat dalam Belanjawan 2026, sebanyak 16 inisiatif berkaitan dengannya bermula inisiatif 22 sehingga inisiatif 38. Banyak peruntukan disediakan untuk membantu petani, mahu pun penternak di darat atau pun di air. Dalam Belanjawan 2025, ketika perbahasan Endau, Endau telah nyatakan pada EXCO Pertanian berkaitan peruntukan kepada sawah padi. Endau juga memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini, bahawa di kawasan Endau terdapat dua kawasan yang mengusahakan sawah padi iaitu di Air Papan dan Semaloi. Adalah diharapkan melalui inisiatif 22, Belanjawan 2026 dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta, maka peruntukan ini dapat juga dirasai di dua kawasan ini. Kita kena bantu mana-mana yang patut Yang Berhormat Datuk Speaker, lagi-lagi bila di hujung tahun musim hujan yang akan mengganggu pengeluaran padi atau lebih parah memusnahkan padi tersebut. Kesian pesawah-pesawah kita. Jadi, Endau yakin Yang Berhormat EXCO Pertanian dapat membantu pesawah kita dengan kaedah-kaedah yang sewajarnya. Terima kasih Yang Berhormat EXCO.

Bagi inisiatif 23 pula, memperuntukkan RM5 juta untuk Pembangunan Pertanian Bersepadu Moden yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Agro Food Sdn. Bhd. Endau ingin dapatkan penjelasan, di manakah lokasi projek ini akan dilaksanakan dan berapakah pulangan yang akan diterima semula oleh pihak kerajaan, hasil kerjasama dengan syarikat ini. Peruntukan RM5 juta ini besar dan jika pulangan itu memberi hasil kepada negeri dan manfaat kepada rakyat Endau sangat-sangat sokong. Kita boleh rancang dan buat pelbagai projek dan pembangunan tetapi mesti ada nikmat yang dirasai oleh rakyat. Jangan kita labur berjuta-juta ke arah terlalu moden tetapi petani tradisional ketinggalan terlalu jauh. Kita kena seimbangkan ekonomi petani dan penternak berskala kecil dan petani secara serta penternak moden. Jadi ekonomi itu akan seimbang, mungkin yang moden boleh bantu yang tradisional contohnya membeli hasil dari tradisional atau pun tradisional membekal keperluan kepada yang moden.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam Teras Kelima, Inisiatif Lima iaitu menaik taraf Saliran Pertanian dengan peruntukan RM3.36 juta. Endau pernah bangkitkan berkaitan masalah yang dihadapi pesawah Semaloi yag mana air dari Empangan Labong tidak sampai ke kotak bendang mereka kerana masalah parit yang berlumut dan kecil. Dikesempatan ini, Endau rakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran yang sentiasa bantu untuk menyelesaikan masalah ini walaupun untuk jangka masa yang pendek sahaja. Sekurang-kurangnya pesawah dapat menjalankan aktiviti mereka mengikut pusingan tanaman yang telah ditetapkan. Dengan penyediaan sejumlah peruntukan dalam inisiatif ini, maka Endau harap agar peruntukan ini juga dapat disalurkan ke kawasan ini untuk membantu menyelesaikan masalah itu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ketiga, peruntukan kepada kepada setiap Wakil Rakyat. Endau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor kerana berbesar hati, tidak menafikan kami di barisan pengimbang untuk menerima peruntukan melalui Pejabat Jurutulis. Keihklasan dan tilik pandang kerajaan kepada kami dibarisan pengimbang amatlah dihargai. Peruntukan yang disalurkan kepada kami sesungguhnya kami manfaatkan sepenuhnya kepada rakyat. Peruntukan ini sudah pasti digunakan dalam membantu rakyat tidak kiralah dalam tujuan pendidikan, kesihatan, bencana sehinggalah bantuan dalam menyokong program anjuran masyarakat. Ini termasuklah peruntukan bekalan dan kerja kecil yang diberikan kepada masyarakat dalam memastikan objektif peruntukan itu terlaksana sepenuhnya. Bagi peruntukan pentadbiran pula, ianya digunakan sepenuhnya untuk menampung bayaran gaji pegawai, sewaan serta utiliti pejabat. Maka

jumlah RM100,000.00 untuk setahun yang dibahagi kepada dua (2), iaitu RM50,000.00 untuk pentadbiran dan RM50,000.00 untuk touch point serta aktiviti adalah tidak mencukupi. Dalam keadaan ekonomi dan ketidak tentuan harga barang, rakyat sering dapat datang ke pejabat pusat khidmat untuk memohon pertolongan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, orang kampung kalau ke pejabat Yang Berhormat, harapan dia kalau balik mesti bawa buah tangan daripada YB. Kita, itu belum lagi dapat panggilan atap terbang rumah terbakar dan pelbagai hal lagi. Jadi, kalau boleh Endau pohon agar peruntukan untuk setiap Wakil Rakyat dinaikkan jumlahnya daripada RM100,000.00 setahun kepada RM200,000.00 setahun. Yang mana pecahannya adalah RM100,000.00 untuk tujuan pentadbiran dan RM100,000.00 lagi untuk tujuan touch point serta aktiviti. Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga telah memaklumkan bahawa sebanyak RM200,000.00 diperuntukkan untuk 56 DUN bagi melaksanakan program dan aktiviti kemasyarakatan. Setakat hari ini, Endau boleh sahkan Endau tidak terima, maka sudah pasti peruntukan ini diuruskan oleh penyelaras yang dilantik. Kecewa tapi itulah hakikatnya.

Bagi peruntukan bekalan dan kerja kecil pula, Endau mencadangkan agar jumlah RM100,000.00 setahun dinaikkan kepada RM150,000.00 setahun agar lebih dan banyak penerima manfaatnya daripada peruntukan ini. Maka, jumlah keseluruhan yang akan diterima oleh setiap ADUN adalah sebanyak RM350,000.00 setahun. Ini menjadikan implikasi kewangan kerajaan tahunan untuk 56 orang ADUN adalah sebanyak RM19.6 juta. Endau amat yakin kemampuan kerajaan negeri melalui kebijaksanaan pemimpin yang mentadbir negeri ini mampu merealisasikan apa yang Endau cadangkan ini insya-Allah, diharap di masa penggulungan nanti Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor nanti, amount ini akan diumumkan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan menjadi berita gembira buat kita semua terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, yang terakhir seperti biasa perbahasan Endau, Endau akan sentuh sekali secara sekali lalu sahaja. Sekali lagi, Endau pohon Yang Berhormat EXCO dan jabatan berkaitan take note dengan izin, serta mengambil tindakan sewajarnya. Pertama, tentang isu anjing liar. Masalah ini bukan masalah baharu, kawasan pantai bandar Mersing pernah ada kes pengunjung digigit anjing. Pantai Air Papan pula ada pengunjung yang dikejar. Endau juga baru terima aduan bahawa di kawasan-kawasan ini semakin banyak anjing liar...

Speaker

Yang Berhormat, sebentar Yang Berhormat, sila duduk. Yang Berhormat tak dengar ke? Tak dengar? Betul tak dengar? Ya? Nanti kalau cakap, cuba rapat sikit Yang Berhormat. Saya sebenarnya malu dengan apa yang berlaku ini, kita dah spend cukup banyak, Yang Amat Berhormat sudah pun meluluskan untuk menaik taraf sistem kita ini, ya. Inilah masalahnya bila kontrak ni tak perform ini yang dikatakan first class building tapi third class facility. Jadi macam mana kalau Ahli-Ahli Yang Berhormat bercakap, orang lain tak dengar? Macam mana kita nak berbahas? Jadi saya minta technician cuba usahakan dalam masa 10 minit ini. Ya? Untuk betulkan sistem ini. Malu kita, ok, sila Yang Berhormat sambung dekat sikit bercakap tu.

Endau juga baharu terima aduan bahawa di kawasan-kawasan ini semakin banyak anjing liar. Yang merisaukan anjing ini bertindak agresif dengan mengejar atau cuba menyerang pengunjung. Kita dah nak masuk Tahun Melawat Johor 2026, kita nak ramai pelancong hadir ke negeri Johor, aspek keselamatan mereka juga perlu kita lihat dan jaga. Jadi, Endau harap pihak dan jabatan yang berkaitan dapat tangani isu ini dengan segera dan sebaiknya. Kita tahu apabila operasi dilaksanakan, akan ada pihak pencinta haiwan akan cuba mempertikaikan tindakan mereka. Tapi jika kita tidak mengawal sebaiknya, ia akan membahayakan orang lain pula. Endau harap NGO pencinta haiwan juga dapat memahami masalah ini.

Kedua, mohon pihak KPLB dapat banyakkan lagi pemasangan lampu jalan dalam kawasan-kawasan kampung. Banyak lagi jalan-jalan kampung yang gelap, demi keselamatan orang kampung juga. Pencahayaan yang baik dan terang dapat memudahkan pergerakan orang kampung pada waktu malam. Jadi, pihak kami mohon sangat-sangat Yang Berhormat EXCO Luar Bandar dan KPLB dapat mempertimbangan permohonan ini.

Ketiga, Mesyuarat Tindakan DUN. Objektifnya adalah mampu memperkukuh tadbir urus peringkat akar umbi dan seterusnya mempercepatkan penyelesaian isu-isu berskala kecil yang dibangkitkan oleh rakyat. Dalam Teras Keempat, Inisiatif Satu untuk MTD RM27.04 juta diperuntukkan untuk selesaikan isu-isu yang dicadangkan dalam MTD. Endau mohon agar kami di pihak pengimbang kerajaan dibenarkan masuk ke dalam MTD itu. Banyak isu atau masalah yang kami terima daripada rakyat, beri kami peluang atau platform rasmi untuk suarakan hal ini kepada pentadbiran daerah. Kita masih dalam mood bekerja bukan mood kempen pilihan raya untuk sekat sana sini, kami yang duduk di sini. Kita semua sedang bekerja Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor dalam titah hal rakyat, dah titah rakyat jangan dipolitikkan semua kena bekerjasama.

Keempat, persediaan monsun timur laut, Endau nak ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Pejabat Daerah Mersing melalui Penghulu-Penghulu dalam kawasan DUN Endau yang telah melaksanakan sesi libat urus berkaitan MTN. Penglibatan semua agensi yang terlibat juga amat baik sekali. Ini membuktikan bahawa semua agensi dan jabatan dalam daerah Mersing telah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Pihak JKM juga setakat ini telah menyelesaikan penghantaran bekalan pengkalan hadapan bagi kawasan-kawasan pedalaman. Kebersamaan semua pihak amat Endau puji dan mengucapkan terima kasih.

Kelima dan terakhir adalah mengenai tanah rizab Melayu untuk Kampung Melayu Majidee. Tempoh hari Endau telah dikunjungi wakil Persatuan Penduduk Kampung Majidee iaitu PERKAM menyatakan permasalahan kawasan mereka. Mereka telah memohon kepada kerajaan negeri agar status tanah mereka ditukar daripda pajakan kepada hak milik kekal. Makluman yang diberikan juga adalah mereka telah menghantar surat kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor pada akhir tahun 2024 tetapi sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklum balas. Kawasan ini kawasan Melayu yang jumpa Endau pun umurnya pun telah berusia dan telah bersara daripada perkhidmatan. Endau harap kerajaan negeri dapat mengambil sikap tanggungjawab dengan turun ke lapangan sendiri berjumpa wakil penduduk untuk selesaikan apa jua isu dan persoalan antara dua pihak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, setakat ini sahajalah apa yang Endau ingin bangkitkan di dalam Dewan yang mulia ini. Endau sentiasa menginsafi bahawa setiap pemimpin sentiasa ada kelebihan dan kelemahannya. Segala kelebihan yang ada Endau akan terus perjuangkan untuk membawa suara hati rakyat Endau di Dewan ini. Mana kala segala kelemahan yang pula akan sentiasa Endau perbaiki daripada masa ke semasa.

Sebagai Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Johor mewakili Pihak Persatuan Endau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor dan Yang Berhormat EXCO Belia dan Sukan atas kepihatinan terhadap sukan ini dan meninggikan peruntukan sejumlah RM1 juta dalam Belanjawan 2026. Persatuan sentiasa komited dalam segala agenda pembangunan bola jaring negeri bermula dengan melahirkan bakat-bakat baharu sehinggalah mengecapi pelbagai kejayaan di dalam mahu pun di luar negara. Endau juga berharap agar satu gelanggang bola jaring di daerah Mersing dapat diwujudkan memandangkan di Mersing tidak ada satu gelanggang yang cukup spek untuk gelanggang bola jaring. Dikesempatan ini juga Endau memaklumkan penghargaan kepada semua Pegawai Tadbir Negeri Johor di daerah Mersing, petugas keselamatan dan badan bukan kerajaan yang sentiasa dalam bersama menjaga kebajikan orang Endau. Selamat bertugas kepada yang akan bertugas sepanjang monsun timur laut ini, semoga negeri Johor dilindungi dari sabarang bencana serta musibah yang memudaratkan.

Akhir kalam, terima kasih sekali lagi atas peluang perbahasan kali ini, semoga pihak kerajaan mengambil perhatian dengan seluruh intipati ucapan Endau sebentar tadi. Kepada Allah kita semua berserah. Allah Peliharakan Sultan, sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Endau menyokong.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat saya tangguhkan sidang ini 15 minit dan saya nak memperingatkan kepada technician perbaiki segera sistem kita ini ya, kita ada tiga lagi pembahas yang mesti kita habiskan hari ini tetapi saya tidak akan memulakan sidang ini jika sekiranya sistem ini tidak dibaiki segera. Sebab saya tidak mahu kita tidak adil kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang sedang berbahas sampai orang tak dengar apa yang mereka bahaskan. Sila ambil tindakan.

Persidangan ditangguhkan pada jam 4:15 petang.

Persidangan bersambung semula pada jam 4:30 petang.

YB Speaker mengetuai persidangan.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, kita ada lebih kurang sembilan (9) lagi pembahas sebenarnya yang akan bercakap hari ini yang perlu kita selesaikan dan kita mungkin akan berakhir lewat, saya mohon kerjasama Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk bercakap dalam tempoh yang sudah pun diputuskan iaitu 20 minit. Saya jemput Yang Berhormat Panti.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Pertamanya Panti mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor serta barisan EXCO atas satu pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang lebih baik bertemakan Bangsa Johor Sejahtera. Belanjawan ini hadir dengan enam (6) Teras merangkumi 260 inisiatif.

Setinggi-tinggi tahniah juga untuk seluruh warga perkhidmatan awam negeri yang dipimpin oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji Asman Shah bin Abdul Rahman sejak menerajui perkhidmatan awam Johor Julai lalu. Dengan berbekalkan pencapaian hasil negeri yang tinggi tahun ini, iaitu diunjurkan lebih RM2.5 bilion Panti yakin kerjasama erat di antara Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan EXCO serta barisan perkhidmatan awam dan seluruh warga Johor maka impian bagi menggapai Johor Maju pada 2030 adalah tidak mustahil sama sekali.

Pada kesempatan ini, Panti juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan pusat khususnya Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas pelbagai usaha menyumbang kepada negeri Johor amnya dan kawasan Panti khususnya yang berkait rapat dengan permasalahan penduduk luar bandar dan juga masyarakat Orang Asli. Di kesempatan ini, Panti mohon untuk bantuan berterusan khususnya di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi perkara-perkara seperti pembaikan jalan kampung, pembaikan longkang dan lain-lain perkara. Kebanyakan isu ini berlaku akibat bencana seperti banjir, hakisan dan sebagainya dan selalunya harus dibaiki seberapa segera bagi kegunaan orang kampung. Perkara ini sudah Panti bangkitkan mengikut saluran yang ada. Moga mendapat perhatian segera pihak kementerian. Seperkara lagi di bawah kementerian yang sama adalah melalui agensi iaitu KEJORA yang mana Panti mohon agar beberapa kampung iaitu Kampung Bukit Lintang dan juga Kampung Empat dimasukkan supaya rangkaian KEJORA. Perkara ini Panti sudah menghantar surat permohonan namun masih belum dapat jawapan.

Seterusnya Panti mengambil peluang sebelum meneruskan perbahasan untuk merafak sembah merakamkan ucapan Selamat Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Ibrahim yang jatuh pada tanggal pada 22

November akan datang. Patik berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia serta sentiasa dalam rahmat Allah SWT dalam menaungi negeri Johor dan negara Malaysia. Panti juga menjunjung setinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala bimbingan bagi kesejahteraan Bangsa Johor khususnya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perbahasan pada hari ini, Panti ingin menyentuh beberapa perkara yang mungkin boleh dijadikan sesuatu sebagai penambahbaikan untuk diberi pertimbangan dan dilaksanakan. Perkara yang secara langsung dan tidak langsung berkait rapat dengan rakyat khususnya dari Panti. Sebelum itu, Panti ingin mengucapkan syabas atas pelaburan yang berjaya diusahakan bagi negeri Johor yang berjumlah RM218 bilion. Satu angka yang amat besar, impak yang memberikan kegembiraan buat Bangsa Johor dengan dapat mewujudkan lebih 64,000 peluang pekerjaan baharu. Dalam peluang pelaburan ini juga hari ini, Panti sekali lagi ingin membangkitkan tentang usaha promosi agar diberi tumpuan yang lebih kepada kawasan luar Johor Bahru atau luar kawasan Zon Ekonomi sedia ada seperti di kawasan Panti itu sendiri. Panti mohon agar kerajaan negeri dapat mewujudkan mungkin pasukan khas, mungkin insentif khas dan akhirnya pelan yang memfokus bagi perkara itu. Ini penting bagi memastikan jurang perbezaan antara daerah, bandar dan kawasan pedalaman Johor tidak begitu ketara dan meluas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah sekali lagi kepada kerajaan negeri yang terus mengambil cakna atas kebajikan rakyat. Banyak inisiatif untuk golongan termasuk Orang Asli, warga FELDA, orang kampung, anak yatim, orang OKU, orang miskin, ibu tunggal, pesara, warga emas, mahasiswa dan lain-lain serta tidak ketinggalan seluruh warga perkhidmatan awam sama ada kaki tangan awam negeri atau persekutuan juga diberi tumpuan. Insentif khas bagi warga kaki tangan persekutuan yang berkhidmat di Johor merupakan satu sejarah yang amat dialu-alukan sebagai tanda terima kasih kerajaan negeri atas segala khidmat yang dicurahkan. Semua bantuan kasih ini baik dan mendapat reaksi yang positif dari rakyat. Kerajaan negeri berjaya mencapai matlamat bagi berkongsi kejayaan dan kemajuan ekonomi yang baik terus kepada rakyat. Cuma mungkin perlu diperbaiki mekanisme penyaluran bantuan dan data penerima dari masa ke semasa.

Satu lagi kritikan tentang bantuan kasih ini, dia mengatakan ianya merupakan satu langkah jangka pendek dan tiada kesan perkukuhkan ekonomi rakyat. Panti ingin bagi beberapa fakta tentang perkara ini. Di luar negara, Yang Berhormat Datuk Speaker contohnya di Kenya, Brazil, India dan banyak negara di dunia, mereka juga menggunakan pendekatan yang sama. Hasil kajian menunjukkan pendekatan seumpama ini meningkatkan aset isi rumah, meningkatkan perbelanjaan, menyumbang kepada kestabilan makanan dan kesejahteraan psikologi. Selain ianya memberikan impak jangka pendek, ianya juga menunjukkan potensi pelaburan kembali ke komuniti melalui perniagaan kecil dan pertanian dan ini sesungguhnya memberi impak jangka panjang kepada ekonomi sesuatu kawasan tersebut.

Yang Berhormat Datuk Speaker, berapa kali sebelum ini dalam perbahasan Dewan, Panti mencadangkan kerjasama dan kolaborasi kerajaan negeri dengan universiti dalam negara sama ada dari segi penyelidikan atau pengembangan ilmu, maka Panti mengalu-alukan penubuhan Johor Agriculture Research and Development Centre, usaha bagi merancakkan industri penyelidikan di negeri johor. Satu usaha yang perlu diperbanyakkan. Seperkara lagi, dalam program kerjasama dengan universiti terkemuka dunia untuk pegawai kanan kerajaan yang diumumkan tempoh hari, Panti ingin mencadangkan agar diperluaskan sedikit. Mungkin dibuka untuk kaki tangan awam negeri bukan kanan atau keseluruhan kaki tangan awam negeri tapi dibuat bersama universiti tempatan. Terlalu banyak manfaat yang akan dapat negeri terima jika ini dilaksanakan.

Seterusnya sejak wujudnya Bas Muafakat Johor pada April 2016 dan dengan peruntukan pada tahun hadapan RM31 juta. Ianya banyak memberi manfaat kepada rakyat. Di sini Panti memohon agar diadakan tambahan laluan dari Bandar Tenggara ke Bandar Kota Tinggi di

kawasan Panti. Laluan ini akan melalui banyak kampung tradisional serta kawasan FELDA sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada pelbagai ekonomi setempat.

Seterusnya peruntukan RM15.72 juta bagi transformasi insfrastruktur, Sekolah Rintis Bangsa Johor Fasa 2 amat dialu-alukan. Satu langkah yang baik untuk negeri memberi tumpuan dalam perkara pendidikan ini malah perlu diperbanyakkan lagi. Sebelum itu mungkin kerajaan negeri dapat bentangkan hasil fasa 1 yang dilaksanakan sebelum ini. Dan dalam aspek pendidikan ini, Dewan sudah mendengar banyak program serta kaedah bagaimana kerajaan memastikan pengurusan disiplin pelajar khususnya negeri Johor dalam jawapan Yang Berhormat EXCO semalam semasa soal jawab lisan. Cuma apabila kita bercakap tentang isu disiplin, isu buli dan seumpamanya kita boleh kelaskan mungkin dua (2) faktor atau tanggungjawab bersama dua (2) pihak, iaitu tanggungjawab ibu bapa dan tanggungjawab guru-guru. Hari ini, Panti ingin membangkitkan tentang satu perkara atau persoalan dari sudut tanggungjawab guru-guru itu sahaja. Dari segi ibu bapa Panti kira jelas dan tidak banyak untuk diperkatakan kerana sememangnya dari tradisi kita orang Malaysia, orang Melayu, Cina, India serta kaum lain pun, pendidikan sahsiah akhlak anak-anak adalah yang sentiasa dititikberatkan. Cuma kadangkala ada ibu bapa yang leka tentang tanggungjawab mereka.

Panti tidak menyalahkan guru-guru malah pada ketika ini, Panti memahami kekangan yang mereka hadapi. Terlalu banyak peraturan yang kadangkala tidak masuk akal dari sudut pandangan peribadi Panti sendiri yang mana dibesarkan dalam zaman hukuman yang pada itu penting. Contohnya, kini guru-guru mempunyai panduan yang dibahagi kepada dua (2) bahagian, iaitu hukuman terhadap fizikal dan juga hukuman terhadap mental dan emosi. Panduan itu bagus, tapi kalau kita lihat satu contoh ialah guru-guru tidak dibenarkan untuk berleter kepada murid. Berleter, Yang Berhormat Datuk Speaker, definisi berleter itu pun ada pendebatannya sendiri. Banyak perbezaan pandangan dan sebagainya. Cakap berulang pun berleter. Cakap banyak pun berleter, cakap tanpa henti, tanpa noktah pun berleter. Tapi Panti yakin ramai antara kita hari ini adalah ibu bapa dan Panti yakin berleter adalah satu perkara yang semua lakukan di rumah. Kalau tidak berleter, sudah tentu jawapannya hukuman fizikal.

Samalah juga di sekolah, jika guru tidak dibenarkan berleter bagaimana guru hendak melaksanakan proses pembelajaran itu sendiri. Takkan jadi robot, cakap satu-satu dan mengharapkan pelajar akan faham. Banyak lagi Yang Berhormat Datuk Speaker yang menjadi do n dont’s yang pelik-pelik dengan izin. Tadi hanyalah satu contoh sahaja, maka Panti harap kerajaan khususnya pusat tengoklah semula peraturan yang kadang-kadang tidak sesuai dengan cara kita. Minta juga kerajaan negeri suarakan pandangan ini. Jangan terikut-ikut dengan kajian serta budaya dari barat kononnya ia adalah yang terbaik. Satu perkara lagi ialah tentang pendidikan. Seperti yang pernah Panti bangkitkan dalam perbahasan sebelum ini, Panti ingin sekali lagi mencadangkan agar diwujudkan semula peperiksaan di peringkat akhir sekolah rendah khsususnya UPSR di sekolah rendah dahulu. Sekolah Rintis Bangsa Johor merupakan medan yang paling sesuai untuk tujuan ini. Moga dengan usaha ini, Johor akan jadi peneraju dalam mentransformasikan pendidikan bagi menghasilkan generasi masa hadapan yang lebih bersedia dan mampu menggalas tanggungjawab membangun negeri serta negara.

Yang Berhormat Datuk Speaker, salah satu pendekatan yang dilakukan di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar ialah dengan mewujudkan Mesyuarat Tindakan DUN yang mana isu-isu legasi serta isu-isu yang saban tahun wujud diperbincangkan dan diselesaikan. Terima kasih kepada kerajaan atas peruntukan sebanyak RM27.04 juta bagi pelaksanaan projek berskala kecil bagi tujuan menyelesaikan isu yang berbangkit dalam Mesyuarat Tindakan DUN. Bagi Panti banyak isu telah diselesaikan. Hanya ada beberapa isu yang masih dalam proses termasuklah isu tempat pembuangan sampah di Batu Empat. Mohon pihak kerajaan tengoklah sebaiknya zaman kini sudah banyak teknologi yang boleh diguna pakai bukan cara lama dengan mewujudkan dump site. Isu tempat pembuangan sampah permasalahan ini, banyak berlaku di seluruh negeri Johor bukan sahaja di Panti.

Diharapkan kerajaan terus menyokong dan membantu kami di Panti bagi mengatasi isu-isu tersebut.

Perkara terakhir dalam perbahasan Panti pada hari ini ialah tentang pencemaran sungai khususnya yang berlaku baru-baru ini. Untuk pengetahuan semua, ini bukan kali pertama ianya berlaku. Sebelum ini pernah Panti bangkitkan tentang pencemaran sungai yang sama akibat pembuangan sisa kilang, pencemaran sungai akibat bahan buangan amonia dan baru-baru ini akibat paras kekerohan air sangat tinggi menjadikan air sungai tercemar serta banyak hidupan mati. Pencemaran di Sungai Sayong pada 31 Oktober akibat bahan kolam pecah dan sisa kolam takungan perlombongan masuk ke dalam sungai dan sungai ini berada di kawasan panti, dua (2) perkara berlaku. Pertama, pencemaran itu sendiri yang menyebabkan hilang sumber makanan masyarakat sekitar dan hilang pendapatan nelayan darat disebakan matinya hidupan sungai. Keduanya, terjejasnya bekalan air yang menjejaskan ratusan ribu pengguna selama beberapa hari. Walau bagaimanapun, Panti ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri yang dilihat berjaya menangani isu ini sebaiknya dari kedua-dua aspek itu pencemaran dan isu bekalan air.

Pelbagai tindakan telah dilakukan serta merta merangkumi tindakan mengawal pencemaran dan mengembalikan operasi loji rawatan air dengan segera, ditambah dengan rebat bagi pengguna air yang terjejas serta bantuan tunai kepada nelayan darat dan masyarakat khususnya Orang Asli yang terlibat. Dalam pembentangan belanjawan tempoh hari juga ada diumumkan tentang peruntukan RM600,000.00 untuk sistem pemantauan kualiti air. Satu tindakan yang amat dialu-alukan. Panti harap ada lagi bantuan kepada mereka yang terkesan kerana sungai yang tercemar memerlukan waktu dan masa yang panjang untuk pulih.

Juga ada dalam pembentangan adalah tentang peruntukan sebanyak RM7 juta bagi transformasi sungai di Johor. Memberi tumpuan mengatasi isu pencemaran Sungai Skudai dan Sungai Tebrau. Panti harap agar dapat dimasukan juga Sungai Johor yang begitu penting yang mempunyai banyak loji rawatan air yang membekalkan bekalan air kepada sejumlah besar pengguna khususnya di selatan Johor iaitu LRA Linggiu, LRA Semanggar, LRA Sungai Johor dan LRA Tai Hong dengan penambahan peruntukan. Cuma Panti berpandangan sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri memikirkan tentang pelan jangka panjang bagi memastikan isu ini tidak berlaku lagi khususnya dalam skala besar seperti ini.

Pertama, satu langkah penggubalan undang-undang atau kaedah peraturan yang lebih berat di peringkat negeri dapat dilakukan agar pihak yang melakukan pencemaran dapat dipertanggungjawabkan dengan lebih setimpal. Denda yang lebih dan sangat berat sebagai contoh yang berlaku di Amerika Syarikat, apabila Chevron pada April 2025 didenda lebih RM3 bilion untuk pencemaran paya akibat pembuangan sisa pelombongan mereka di Lousiana.

Kedua, mengenakan bon yang tinggi bagi apa saja projek yang mempunyai risiko yang akan memberi kesan kepada masyarakat seperti risiko pencemaran ini. Bon yang tinggi membolehkan kerajaan melaksanakan pemuliharaan dengan segera dan cepat jika sesuatu berlaku.

Ketiga ialah dengan mensyaratkan untuk sesuatu perlombongan perlu komitmen bagi pengusaha melaksanakan pemuliharaan setelah selesai aktiviti sesuatu kawasan perlombongan. Ini sama seperti yang dilaksanakan bagi tempat pembuangan sampah yang sudah ditutup di mana ianya dipulihkan dengan melalui proses-proses yang ditetapkan dan akhirnya menjadi taman rekreasi sementara sebelum kawasan itu betul-betul sedia bagi pembangunan seterusnya.

Dan yang keempat ialah sistem bekalan air itu sendiri. Perlu ada sistem yang lebih baik dari segi teknologi, pengurusan, kecekapan dan ketahanan jangka panjang. Semua ini perlu dilihat secara keseluruhan. Contoh yang paling baik ialah sistem bekalan air di Singapura. Kita mungkin pernah tertanya-tanya kenapa tiada laporan gangguan bekalan air di Singapura

walaupun loji rawatan air mereka, contohnya yang berlaku baru-baru ini di mana loji rawatan air PUB terpaksa ditutup akibat pencemaran. Panti bukanlah hendak mengajar kerana Panti juga bukanlah pakar dalam soal ini. Cuma ingin membangkitkan beberapa persoalan yang mungkin boleh dijawab oleh pihak bertanggungjawab dan akhirnya mewujudkan satu perancangan jangka pendek dan jangka panjang agar isu ini tidak berulang.

Akhir sekali, Panti mengucapkan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas semua inisiatif dalam Belanjawan 2026. Secara keseluruhan Belanjawan Johor 2026 menunjukkan satu langkah maju yang sangat positif dari segi kewangan negeri, aspirasi pembangunan dan orientasi kepada kesejahteraan rakyat. Beberapa perkara berikut sangat mengukuhkan kedudukan Johor sebagai negeri kuat dari segi ekonomi. Johor mempunyai asas kewangan yang kukuh dan pendapatan negeri yang tinggi, kekal dengan belanjawan lebihan walaupun kecil dan ini mencerminkan pengurusan berdisiplin pentadbiran negeri.

Belanjawan ini juga memberi fokus tentang pembangunan strategik, pendidikan teknikal, infrastruktur pertanian dan lain-lain yang membawa kepada potensi jangka panjang yang juga tinggi. Komitmen sosial negeri juga jelas melalui insentif dan peruntukan pada banjir, isu pencemaran menunjukkan kerajaan negeri memberi perhatian bukan hanya kepada GDP tetapi juga kesejahteraan rakyat. Namun, seperti mana-mana belanjawan besar, risiko itu wujud. Sama ada dari segi pelaksanaan, ketelusan, risiko kos dan keberkesanan jangka panjang. Jika penilaian berterusan pemantauan pelaksanaan inisiatif serta pengukuran impak dapat dilaksanakan, Johor boleh memastikan belanjawan ini bukan sekadar angka tetapi alat transformasi sebenar untuk Bangsa Johor Sejahtera.

Kesimpulannya, Belanjawan 2026 yang dikemukakan kepada Dewan ini, oleh Yang Amat Berhormat Menteri pada Khamis lalu perlulah disokong sepenuhnya. Panti menaruh 100% keyakinan kepada kerajaan kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi serta dibantu oleh barisan EXCO dan kepimpinan kakitangan awam yang diterajui oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan mampu menterjemah segala inisiatif ini dengan baik dan cemerlang. Yang akhirnya membawa kebaikan negeri Johor dan negara Malaysia amnya. Semoga segala usaha ini diberkati oleh Allah SWT. Semoga dengan niat ikhlas kerajaan Barisan Nasional pada hari ini membantu rakyat, Allah SWT memakbulkan doa kita agar negeri Johor sentiasa aman, makmur dan terus kekal megah kini dan selamanya. Insya-Allah. Sekian, wabillahi taufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Panti mohon menyokong. Terima kasih. (Dewan bertepuk).

Speaker

Tahniah Panti. Saya jemput Yang Berhormat Mengkibol.

Tuan Chew Chong SinDAP · PHMengkibol

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terlebih dahulu, izinkan saya merakam ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang penuh dengan aspirasi pembangunan mampan, kesejahteraan rakyat serta hala tuju ekonomi yang berpandangan jauh, memacu Johor ke arah negeri berpendapatan tinggi, berdaya saing dan inklusif. Dan tahniah juga Johor sekali lagi mencatat kejayaan apabila muncul sebagai negeri tertinggi pelaburannya di Malaysia bagi tempoh Januari hingga September tahun ini dengan nilai pelaburan diluluskan mencecah RM91.1 juta, bilion sorry. Ini sebab ia sampai September sahaja. Maksudnya, tahun ini kita punya pelaburan mungkin melebihi pelaburan tahun 2024, 2023 combine. Tahniah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam konteks global, kita kini berdepan dengan landskap ekonomi dunia yang semakin mencabar dari perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China hingga ke perjanjian perdagangan baharu, Reciprocal Trade Agreement (RTA) dengan US. Saya rasa semua terasa, dari London ke Beijing, ke Singapore, ke Bukit Kepong, semua terasa impact dia. Jelaslah bahawa saingan kini bersifat antarabangsa dan berasaskan kepada kekuatan teknologi sesebuah negara untuk kekal relevan maka Johor perlu menggubalkan satu strategi high level technology development iaitu pembangunan yang

berkualiti tinggi dengan fokus kepada pertama, menarik pelaburan berteknologi tinggi, high level technology investment. Memberi insentif dana research kepada inovasi teknologi tempatan. Dan sekarang kita boleh tengok berapakah peratus dalam bajet adalah untuk R&D.

Ketiga, membangunkan tenaga kerja bersifat global dan berdaya tahan. Sebagai contoh dalam sektor data centre, pusat data kita perlu berteknologi tinggi dan dengan cip GPU yang paling canggih dan jurutera bertaraf dunia. Ini juga peluang untuk kita menarik talent berteknologi tinggi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pemerkasaan ilmu secara berterusan amat penting dalam menghadapi perubahan dunia yang pantas. Pembelajaran sepanjang hayat perlu juga dipupuk dalam masyarakat dan penjawat awam agar mereka kekal relevan, berdaya saing dan mampu menawarkan penyelesaian yang inovatif. Apabila modal insan sentiasa menambah pengetahuan dan kemahiran, Johor akan lebih bersedia melaksanakan dasar pembangunan berkualiti tinggi serta terus maju dalam persaingan global.

Mengkibol turut menyokong penuh inisiatif menghantar Pegawai Perkhidmatan awam Johor (JCS) mengikuti kursus antarabangsa, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian secara online demi mempelajari, memahami, menerapkan amalan terbaik antarabangsa best practice ke dalam sistem pentadbiran negeri. Sehubungan itu, Mengkibol mencadangkan agar usaha ini dimulakan melalui penyertaan Pegawai JCS dalam program eksekutif dalam talian, secara online yang ditawarkan oleh universiti-universiti terkemuka di dunia seperti Harvard Kennedy School, Massachusetts Institute of Technology (MIT), London School of Economics (LSE), University of Oxford dan National University of Singapore (NUS). Dan kita pun boleh jemput mereka untuk menubuhkan pusat latihan di negeri Johor. Sebab mereka mempunyai kursus yang luas, berkualiti tinggi serta lebih menjimatkan kos dari segi kos dan juga masa.

Selain itu, Mengkibol terus mengesyorkan agar Johor menggalakkan penganjuran forum dan bekerjasama antarabangsa melibatkan sektor korporat, akademik dan agensi kerajaan bagi meneroka potensi masa depan negeri. Memperkukuhkan keupayaan strategik dan memastikan Johor terus berada dalam arus pembangunan global. Dalam sektor korporat, budaya kerja yang menekankan support for change sering menjadi salah satu KPI yang paling penting dalam penilaian prestasi kerja. Justeru, saya menyeru agar mindset Pegawai Kerajaan, PBT dan agensi negeri turut berubah daripada hanya mengenal pasti masalah kepada mencari penyelesaian secara kreatif dan proaktif.

Sepertimana yang sering ditekankan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, we must be prepared for growth, maka untuk bersedia menghadapi pertumbuhan, kita perlu mempunyai strategi pertumbuhan berkualiti tinggi dan berteknologi tinggi, high qualti and high technology growth strategy dan JCS yang berfikiran maju serta minda yang bersedia untuk perubahan. Ada satu pepatah barat yang saya sangat suka iaitu what got you here, won’t get you there yang salah satu buku, yang berminat boleh cari buku ini. Maksudnya apa yang kita tercapai sekarang tidak akan menjamin kita akan terus berjaya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri melalui Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) dan Johor Talent Development Council (JTDC) melancarkan program untuk melahirkan 600 akauntan profesional, ACCA dan ICAW dan ini dirangka sebagai inisiatif pembangunan bakat Bumiputera Johor.

Mengkibol menyaran kerajaan negeri untuk menilai semula pendekatan ini dan mempertimbangkan model yang lebih inklusif yang melibatkan semua bangsa (colour blind). Bagi memenuhi keperluan tenaga profesional perakaunan dan berkemahiran tinggi di Johor dalam konteks pembangunan Johor keperluan pasaran global.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan rakyat Johor, Mengkibol juga ingin mencadangkan agar kerajaan negeri mengguna kaedah ataupun

model outsourcing bagi ujian perubatan yang kritikal. Contohnya, kursusnya melibatkan penyakit jantung, kanser, mamogram dan sebagainya yang berkecemasan yang berisiko tinggi. Hal ini kerana kelewatan mendapatkan janji temu atau keputusan ujian seperti CT-scan, MRI, mamogram dan lain-lain boleh menjejaskan peluang rawatan awal serta meningkatkan risiko kematian. Sebagai contoh dua tahun yang lalu, Mengkibol pernah pergi ke salah satu hospital besar di Johor Bahru, tapi saya dimaklumkan CT-scan saya perlu tunggu 6 bulan. Tapi, kalau saya pergi Gleneagles, esok saya boleh buat CT-scan.

Dengan membenarkan hospital kerajaan merujuk kes tertentu kepada hospital swasta dan melalui peruntukan yang terhad, kaedah kos yang terkawal, tak perlu admit cuma sebagai out patient. Kerajaan dapat mengurangkan masa menunggu pesakit mempercepatkan diagnosis dan memastikan rakyat Johor tanpa mengira latar belakang, rawatan yang cepat, tepat, selamat. Cadangan ini juga selari dengan prinsip pembangunan negeri yang menekankan kecekapan perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, transformasi politik. PRN Sabah 2025 sebagai panduan kepada politik di Johor, model kerjasama politik baharu semakin jelas menjadi satu kemungkinan yang sukar dielakkan. Perkembangan ini menandakan potensi transformasi politik seperti yang dikatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merangkap pengerusi Pakatan Harapan turut menggambarkan pertembungan PH-GRS dan pertemuan PH-BN sebagai satu bentuk friendly fight, yang mesra dan biasa. Mengambil kira realiti Sabah yang unik dari segi pembahagian kerusi serta kekuatan akar umbi yang berbeza. Walaupun PH bekerja sama dengan GRS dan BN, ketiadaan kesepakatan antara BN dan GRS menyebabkan pertandingan tetap berlaku malah di beberapa kerusi GRS, BN dan PH bertembung antara satu sama lain. Model yang baharu sebegini mengingatkan setiap hati untuk menumpukan kepada keperluan dan kesejahteraan pengundi dan bukan, bukannya sekadar retorik politik.

Isu tempatan Mengkibol. Yang Berhormat Datuk Speaker, Mengkibol ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan atas kelulusan beberapa projek penting di bawah Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2026, antaranya peruntukan sebanyak RM325 juta untuk membina Jalan Parit Panjang yang menghubungi Pekan Air Baloi terus ke persimpangan tol Sedenak. Dan peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM60 juta bagi pembinaan Jalan Kluang-Renggam ke Jalan Kota Tinggi-Kluang bypass. Dan juga pagi ini diumumkan oleh EXCO, RTB Johor sebanyak RM1.69 bilion antaranya, RM435 juta dikawasan Mengkibol untuk Sungai Mengkibol. Ini menunjukkan begitu pentingnya kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Oleh yang demikian, Mengkibol amat berharap agar kerajaan negeri dapat memberikan peruntukan bagi projek jalan sambung VBC Jalan Mengkibol kerana ia merupakan projek yang paling penting dan paling berimpak tinggi, dengan kos yang rendah hanyak kira-kira RM5 juta.

Dan mesyuarat penyelarasan pada, ini jajaran jalan sambung ini yang sudah beberapa kali Mengkibol tunjuk gambar ini dalam perbahasan. Dalam mesyuarat 7 Ogos, satu mesyuarat penyelarasan dipanggil oleh Pejabat Daerah Kluang bersama jabatan-jabatan teknikal dan agensi yang berkaitan secara dasarnya ia telah mendapat persetujuan ahli mesyuarat dan menunjukkan sokongan terhadap projek ini. Projek yang amat penting ini tidak wajar diketepikan hanya keraguan satu, dua orang ahli politik. Malah saya sangat bersetuju dengan kenyataan EXCO Kerja Raya bahawa segala isu teknikal sebenarnya isu yang boleh di atasi.

Terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang juga telah bersetuju ketika perjumpaan dengan ADUN-ADUN PH untuk membawa projek ini kepada Dato’ Setiausaha Negeri bagi penyelesaian yang terkini, sebab contoh di tahun 22, 22 petisyen penduduk, dalam dua bulan, lebih 2,000 tandatangan dikutip. Tahun 2019, surat sokongan daripada mantan Pegawai Daerah, Pelan Jajaran Majlis Perbandaran Kluang 2023, tiada halangan, banyak lagi, jawapan EXCO Kerja Raya, EXCO Kerajaan Tempatan, JKR, tiada halangan, tahun 2023.

Maka, selain daripada itu, Mengkibol turut bercadang agar projek pelebaran Jalan Delima 1 dari bulatan Taman Delima hingga ke persimpangan lampu isyarat Taman Muhibbah yang juga bersambung dengan Jalan Kluang-Renggam dari satu lorong ke dua lorong. Ini sangat penting kerana ini sebahagian daripada Kluang bypass ataupun lingkaran tengah. Ini adalah sangat penting berimpak positif kepada komuniti perumahan, sekolah dan juga kawasan perniagaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Mengkibol juga sekali lagi ingin membawa ke Dewan yang mulia ini mengenai Gunung Lambak yang merupakan hutan rekreasi di Kluang yang menarik ramai pengunjung dalam dan luar negeri. Banyak fasiliti di Gunung Lambak ini perlu diperbaiki, dibaik pulih dan dibina baharu, jambatan gantung yang uzur, gazebo yang hampir roboh, peralatan yang rosak menjadi sesuatu yang mungkin membahayakan pengunjung. Mengkibol ada guna sedikit peruntukan ADUN untuk memperbaiki fasiliti seperti tandas dan juga besi pemegang di tangga. Namun, dengan peruntukan terhad tak mampu menampung kos baik pulih fasiliti lain. Diharap dengan Tahun Melawat Johor 2026, Gunung Lambak dapat diberi peruntukan yang mencukupi sekali gus menjadi pemangkin pelancongan di Kluang.

Selain daripada itu, Kampung Gunung Lambak sebuah kampung sejak 60-an, rumah setinggan, rumah papan semasa saya kecil saya dibesarkan di rumah papan di Kampung Gunung Lambak, dengan pelita, batu busur perlu pergi perigi ambil air. Isu tanah dan isu penyusunan semula masih belum selesai setelah sekian lama, penyusunan semula ini amat diperlukan dan PLANMalaysia telah mencadangkan penubuhan Pelan Tindakan Khas, PTK bagi menyelesaikan isu ini. Beberapa perbincangan telah dilakukan diperingkat daerah, namun begitu, tiada perkembangan positif. Mengkibol sekali lagi harap agar isu ini dapat perhatian kerajaan negeri memandangkan penduduk-penduduk sudah begitu uzur, rumah papan sudah begitu semakin uzur.

Pembaharuan bandar dan ekonomi kreatif. Mengkibol juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan, Menteri Anthony Loke yang telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan Projek Taman Linear Keratapi di bawah landasan yang merentasi bandar Kluang. Kini dikenali sebagai Laman Rail Mahkota sebagaiman dinamakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim yang sanggup, jutaan terima kasih kerana sanggup mencemar Duli untuk merasmikan Pembukaan Laman Rail Mahkota ini pada 23 Ogos yang lalu. Laman Rail Mahkota merupakan sebuah projek CSR, Corporate Sosial Responsibility, SIPP, YTL dengan sokongan Perbadanan Aset Keretapi, RAC tanpa menggunakan sebarang wang pembayar cukai. Kaedah ini boleh dijadikan contoh dalam pembinaan tempat-tempat lain.

Projek ini bukan sahaja menjadi ruang rekreasi hijau untuk penduduk malah telah menjadi pemangkin kepada ekonomi tempatan dan sosial masyarakat. Kehadiran pelancong dari dalam dan luar Kluang ataupun dari luar negara saban minggu membuktikan bahawa projek ini telah berjaya menghidupkan semula nadi bandar dan mewujudkan peluang ekonomi yang baharu untuk para peniaga kecil dan usawahan muda yang kreatif ekonomi. Namun begitu, selaunya penganjuran program lazimnya beri pelbagai prosedur melibatkan pelbagai jabatan PBT, sebagai contoh penganjuran program perlu membayar jenis fi, pertama, fi seperti permit perniagaan sementara, fi untuk permit kanopi dan permit penutupan jalan. Untuk memastikan tempat-tempat ini sentiasa subur dengan aktiviti pelancongan dan ekonomi keratif, Mengkibol bercadang kerajaan negeri dapat mempertimbangkan pembatalan permit kanopi yang bertindan dengan permit perniagaan di seluruh negeri Johor.

Contoh, kalau satu bazar dua hari, peniaga kecil kena bayar fi kanopi RM150.00, ini sudah cukup untuk mereka beli satu kanopi yang baharu. Ini rasa kesian, ada peniaga kecil tak sanggup nak guna kanopi, terpaksa guna payung, guna payung tapi Malaysia cuaca yang panas, selalu berhujan dan juga terima kasih kepada MPK kerana memberi sedikit diskaun untuk program yang akan datang di Laman Rail Mahkota ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bersempena dengan perkembangan positif Projek Laman Rail Mahkota, saya dengan sukacitanya menjemput semua Ahli-Ahli Dewan Negeri untuk hadir ke Majlis Perasmian Pesta Rail Kluang 2025 yang akan berlangsung pada pukul 11 am, 22 hari bulan, hari Sabtu ini, di Laman Rail Mahkota, Kluang. Antara pengisian utama program ialah forum antarabangsa dan pameran bertemakan railway park and community development yang akan menampilkan wakil dari pelbagai negara dan region yang mempunyai laman keretapi seperti Jepun, Korea, Taiwan, China, Singapore. Forum dan international case study dan pameran termasuk New York, London, Tokyo, Toronto, Indonesia, Bangkok, India, Vietnam, bertujuan untuk bertukar pandangan dan mendapatkan matlamat serta amalan terbaik bagi menjayakan taman bertema keretapi kita ini di Johor. Khususnya dalam aspek pembaharuan bandar, pemangkin ekonomi, pelancongan lestari, warisan dan pembangunan bandar hijau. Saya berharap rakan-rakan ADUN dapat meluangkan masa untuk hadir bagi bersama-sama menyokong inisiatif ini yang bukan sahaja menangkatkan imej Kluang sebagai bandar rail tetapi juga memperkukuh jenama Johor sebagai negeri yang berinovasi dan berpaksikan komuniti.

Akhir sekali, sebagai penutup saya ingin menyeru agar semua inisiatif yang dirancang melalui Belanjawan 2026 dilaksana dengan ketelusan, keberkesanan dan semangat kerjasama merentas jambatan setiap agensi. Marilah kita memastikan setiap ringgit diperuntukkan benar-benar diterjemahkan kepada manfaat rakyat dari bandar hingga ke kampung, dari pelajar hingga ke peniaga kecil. Dengan itu saya sekali lagi merakamkan ucapah tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan seluruh barisan EXCO atas usaha gigih dalam merangka Belanjawan 2026 yang komprehensif. Semoga Johor terus maju sebagai sebuah negeri yang berdaya tahan, inklusif dan berfikiran global, berteknologi tinggi menuju masa depan yang makmur untuk semua. Sekian, terima kasih. (Dewan bertepuk.)

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Mengkibol, tahniah. Saya jemput Yang Berhormat Mahkota.

Terima kasih Datuk Speaker, Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker kerana memberi ruang kepada saya untuk berbahas dan membawa suara rakyat DUN Mahkota sebelum itu izinkan saya mulakan dengan serangkap pantun. Mahkota dibawah panji negeri, menelan suara menyemai budi, Bersatu hati kemajuan dicari, Maju Johor menjadi nadi.

Sebelum meneruskan perbahasan, izinkan Mahkota terlebih dahulu merafak sembah menjunjung kasih setinggi-tingginya mengucapkan tahniah dan ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Bagida Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim sempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang bakal disambut pada 22 November akan datang. Patik dengan penuh takzim memanjatkan doa kehadrat Allah SWT semoga kebawah Duli Yang Maha Muli Seri Paduka Baginda dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat sentiasa dikurniakan keberkatan usia, dikekalkan dalam afiat, sejahtera agar terus dinaungi sekalian rakyat dan Bangsa Johor. Patik juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih Kebawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang telah menjaga negeri Johor serta rakyatnya dengan adil dan Makmur.

Hari ini saya berdiri bukan sekadar sebagai seorang Wakil Rakyat Mahkota, tetapi sebagai anak Johor yang percaya bahawa masa depan negeri ini sedang dilakar dengan penuh tekad dan kebijaksanaan. Melalui Belanjawan Johor 2026 bertemakan Bangsa Johor Sejahtera. Belanjawan ini bukan sekadar dokumen berkenaan dengan angka dan draf, tetapi naskah aspirasi dan komitmen. Ianya melambangkan iltizam kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi untuk membina Johor yang lebih inklusif, moden dan berpaksikan rakyat. Seluruh rakyat Johor menantikan intisari

Belanjawan 2026 dan ternyata penantian ini berbaloi kerana ianya adalah versi yang telah diimprovisasikan khususnya untuk semua lapisan masyarakat Bangsa Johor. Segala aspek dan golongan sasar telah dirangkumkan secara menyeluruh bagi menjadikan belanjawan kali ini capai hasratnya. Belanjawan ini juga mampu menjadi pemangkin kepada visi dan misi Maju Johor menjelang 2030. Kita melihat usaha mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan sosial di mana pembangunan fizikal disertai nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial. Inilah acuan Bangsa Johor sejahtera yang seimbang antara kemodenan dan kemanusiaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, anak muda hari ini bukan sekadar penerima dasar. Mereka merupakan pemikir, pelaksana dan penggerak masa depan negeri yang berdaulat ini. Saya menyambut baik tumpuan kerajaan terhadap TVET, digitalisasi dan keusahawanan muda. Namun, cabaran ini memastikan dasar itu sampai ke akar umbi. Selain daripada itu, saya ingin mencadangkan agar diwujudkan geran Idea Muda Johor. Satu dana khas bagi menyokong projek kecil inovasi oleh komuniti belia di seluruh daerah. Biarlah anak muda merasai bahawa negeri ini percaya pada mereka bukan hanya untuk bekerja tetapi juga untuk mencipta sesuatu yang baru. Mahkota juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana menyalurkan sebanyak RM500,000.00 kepada Dewan Muda Johor. Dengan harapan kerajaan negeri mampu meneliti usul-usul yang diangkat dan dibincangkan oleh anak muda supaya dijadikan sebagai sebahagian daripada dasar negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai wakil kepada rakyat Mahkota, Mahkota ingin menarik perhatian dalam sidang Dewan kepada potensi besar yang kita miliki. Pertamanya, saya mencadangkan agar Kluang Extreme Park dinaik taraf menjadi Hab Orang Muda Johor, pusat yang membangunkan aktiviti ekstrem, e-sport, seni jalanan dan usahawan sosial. Hab ini boleh dijenamakan semula sebagai Kluang Youth Arena, dengan izin. Iaitu, pusat kegiatan dan ekspresi anak muda Johor yang berani dan kreatif melalui pelan pengurusan bersepadu dan sokongan kerajaan negeri, Mahkota boleh gerakkan belia moden menjadi contoh dan aspirasi kepada daerah lain. Untuk makluman Datuk Speaker, saya merupakan salah seorang peminat sukat permotoran dua roda dan saya melihat baik dari dalam dan luar negara, sukan permotoran ini mampu memberi impak yang baik, baik dari segi pembangunan sukan, baik dari segi pembangunan usahawan setempat dan juga dapat mengurangkan gejala-gejala sosial.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas pengumuman inisiatif ke 54 dan 55 yang menyalurkan dana khas bakat permotoran kolaborasi bersama JDT Racing yang bernilai RM1 juta dan pembangunan bakat sukan motor cross yang bernilai RM300,000.00. Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri agar dibina sebuah litar permotoran dengan izin, sprint track, di dalam negeri Johor. Bagi membangunkan sukan permotoran serta membuka peluang perniagaan dan kemahiran untuk Bangsa Johor. Saya percaya bahawa dengan adanya litar permotoran ini, ianya dapat memenuhi hasrat khususnya kepada anak muda yang meminati sukan permotoran.

Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah memiliki rumah pertama antara isu yang paling diresahi oleh orang muda. Saya ingin mencadangkan agar kerajaan negeri menubuhkan Tabung Perumahan Anak Johor. Ianya adalah satu dana yang berbentuk jaminan sokongan atau subsidi pendahuluan untuk anak muda yang berdepan dengan kesukaran mendapatkan pembiayaan bank. Selain dari itu, ianya dapat membantu mereka di kalangan golongan B40 tetapi tidak cukup untuk mendahulukan duit dengan izin deposit, dalam konteks perumahan konvensional. Saya juga ingin memohon kepada Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dapat menambahbaik serta memperluaskan lagi syarat-syarat bagi golongan muda yang masih belum berkahwin agar tidak terhad kepada hanya untuk memiliki rumah mampu milik Johor tetapi layak untuk digunakan dipakej-pakej yang lain.

Dalam kesempatan ini, izinkan saya meluahkan kerisauan yang dialami oleh penduduk di kawasan DUN Mahkota. Iaitu, Kampung Melayu, Kluang Johor. Berkenaan sebahagian besar menghampiri tempoh tamat pajakan tanah yang didiami oleh mereka. Sehubungan itu, besarlah harapan mereka yang dipikul oleh saya agar mereka diberi sambungan pajakan mengikut tempoh asal dengan harga premium yang berpatutuan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyokong usaha kerajaan negeri dalam memperkukuhkan sektor pertanian moden. Pelancongan dan industri hijau. Sektor ini mempunyai pelbagai potensi yang dikembangkan melalui kestabilan pasaran. Untuk makluman Datuk Speaker, hasil tanaman yang telah diproduce ataupun yang telah diharvest keluar bernilai RM3 bilion. Untuk daerah Kluang, bidang pertanian moden, agro pelancongan dan pemprosesan makanan dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan. Kerajaan negeri boleh menubuhkan satu program Inkubator Agro Muda bagi membantu graduan muda memulakan program perusahaan tani berteknologi tinggi. Pada masa yang sama, saya masih konsisten dan istiqomah dari ucapan pertama saya dalam Dewan yang mulia ini iaitu saya mencadangkan kepada kerajaan negeri agar dibina satu pelabuhan darat yang berpaksikan futuristic di daerah Kluang. Memandangkan demografinya yang sangat sesuai yang berada ditengah-tengah negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menyambut baik langkah memperkukuhkan TVET Johor Skill Hub, serta bantuan pelajaran, pelajar IPT yang diperluaskan. Namun, saya ingin menegaskan bahawa pembangunan insan ini tidak boleh diukur hanya dengan sijil akademik. Ianya perlu dititikberatkan juga pembangunan modal insan untuk membentuk keperibadian sahsiah yang tinggi. Saya mencadangkan agar satu out campus IPTA dapat diwujudkan di kawasan Kluang. Memandangkan permintaan kepada penubuhan institusi pengajian tinggi sangat diperlukan di daerah Kluang. Hal ini berikutan untuk memberi langkah penyelesaian kepada hala tuju pelajar SPM yang semakin meningkat kadar bilangannya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim melalui Rancangan Malaysia Yang Ke-13 dimana meluluskan dua projek iaitu yang pertamanya di Jalan Kluang, Renggam, Layang-Layang (J25) di Taman Muhibbah ke Jalan Kota Tinggi-Kluang. Ianya dapat mengurangkan kesesakan, memendekkan masa jalan dan keselesaan kepada penduduk Kluang. Peruntukan kedua diluluskan merupakan Rancangan Tebatan Banjir berkeutamaan tinggi di kawasan Sungai Mengkibol.

Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun dua-dua perkataan ini yang melibatkan dengan Mengkibol, tetapi penggunaan dan kesan ini memberi impak kepada penduduk Mahkota juga. Kemajuan ini tidak bermakna jika alam sekitar kita rosak dan eko-sistem kehidupan rakyat terganggu. Justeru, saya menyokong penuh dasar dengan izin, Johor Green yang diperkenalkan serta inisiatif penyelenggaraan pemulihan restorasi kawasan hutan di dalam negeri Johor. Di samping itu, saya berharap agar kerajaan dapat menitik beratkan ataupun memberi pengkhususan yang melibatkan pengurusan banjir dan juga saliran di kawasan bandar. Rakyat tidak mahu hanya melihat pelbagai projek mega. Mereka hanyalah mahu menyelesaikan kepada masalah kecil yang boleh menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya bertanya dalam Dewan yang mulia ini berkenaan dengan status kerja-kerja menaik taraf longkang sedia ada di kawasan kerap banjir dan kerja-kerja berkaitan di FT050 Jalan Batu Pahat-Mersing, Seksyen 60 hingga 61 Kluang. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, laluan FT050 ini merupakan laluan penghubung laluan DUN Mahkota dan DUN Kahang yang menjadi pemangkin kepada pulangan ekonomi luar dan juga tempatan. Kerja-kerja ini dicadangkan bertujuan untuk menampung pengaliran air yang turun daripada taman perindustrian gemilang ke Sungai Sembrong. Kerja-kerja ini juga dapat mengurangkan risiko daripada jalan yang sedia ada di tenggelami air lebih-lebih lagi dalam musim monsun yang sedang kita lalui dan bakal dilalui.

Sebagai penutup Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan Johor 2026 ini bukan sekadar laporan kewangan. Ianya adalah satu manifesto masa depan negeri Johor. Anak muda diberi tempat, rakyat perlu diberi peluang dan negeri Johor ini perlu terus diberi harapan. Saya berdiri menyokong penuh Belanjawan Negeri Johor 2026 dengan keyakinan bahawa setiap sen yang dibelanjakan adalah pelaburan untuk masa depan rakyat, untuk anak muda dan Johor yang kita cintai.

Dalam kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan terutamanya Pejabat Daerah Kluang, Majlis Perbandaran serta agensi-agensi daerah yang sama-sama bekerjasama yang akhirnya Kluang diiktiraf sebagai Bandar Bahagia 2025. Maka dengan kata ini saya mengakhiri perbahasan saya dengan ungkapan daripada Saidina Ali RA; “Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain.” Maka biarlah perjuangan kita di Mahkota dan Johor ini memberi manfaat kepada semua. Saya mendoakan agar kita semua di dalam Dewan yang mulia ini serta seluruh bangsa Johor dirahmati Allah SWT. Maka dengan kata-kata itu, Mahkota menyokong Belanjawan 2026. Sekian, wabillahi taufik walhidayah assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Tahniah Yang Berhormat Mahkota. Saya jemput Yang Berhormat Kemelah.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam Maju Johor, salam Segamat Selamat dan salam kasih Kemelah, salam Bangsa Johor Sejahtera. Sebelum Kemelah memecah hening sunyi Dewan yang mulia ini, izinkan terlebih dahulu Kemelah Merafak Sembah Menjunjung Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah serta ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sempena Hari Keputeraan Baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dengan penuh takzim memanjatkan doa kehadrat Tuhan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anaknda dan kerabat diraja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dalam afiat dan sejahtera agar terus menaungi sekalian rakyat dan juga Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kerana memberi peluang kepada Kemelah untuk mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan di Mesyuarat Pertama Pembukaan Rasmi Bagi Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Yang Berhormat Datuk Speaker, awal lidah ini berbicara tidak ada frasa yang lebih baik untuk saya alunkan di Dewan yang mulia ini, selain ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor selaku pemimpin tertinggi dalam tadbir negeri yang telah berusaha bersungguh-sungguh dan berjaya menjana banyak pelaburan sehingga kini dan jumlahnya juga semakin meningkat saban tahun. Tahniah Kemelah ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar.

Kemelah juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Johor yang baharu, Yang Berhormat Dato’ Haji Asman Shah Bin Abdul Rahman, rakan-rakan EXCO yang sentiasa bantu kami, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta seluruh jentera pentadbiran negeri Johor, ketua penghulu dan ketua-ketua kampung DUN Kemelah, terima kasih kepada pegawai DO, YDP, Pegawai Pentadbir Tanah dan Persekutuan yang telah menunjukkan iltizam dan komitmen tinggi dalam meneruskan agenda pembangunan negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, syukur prestasi ekonomi Johor Darul Takzim terus berada pada landasan yang sangat membanggakan sepanjang tempoh tiga (3) tahun enam (6) bulan ini, Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM218 billion yang menjadi pemangkin kepada lebih 60,000 peluang pekerjaan sambil mengekalkan kadar pengangguran pada tahap rendah iaitu 2.3%. Pertumbuhan KDNK negeri pada kadar 6.4% pula terus menjadikan Johor sebagai negeri dengan pertumbuhan ekonomi yang paling tinggi di Malaysia. Selain itu, sektor

pertanian juga turut menunjukkan prestasi luar biasa dengan nilai hasil jualan mencecah RM27.2 billion tertinggi dalam negara. Manakala hasil negeri pula diunjurkan mencecah RM2.5 billion jauh melangkaui sasaran yang dibentangkan dalam belanjawan 2025 yang lalu. Tahniah dan syabas Kemelah ucapkan atas kejayaan yang cukup membanggakan ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan tema Bangsa Johor Sejahtera, Belanjawan 2026 yang diterapkan melalui enam Teras Maju Johor yang merangkumi 260 inisiatif yang akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat dan tiada lagi istilah keciciran sebagai Bangsa Johor ini.

Dalam keenam teras ini saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada inisiatif ke-13 di bawah Teras Pengurusan Sumber Air iaitu meningkatkan sistem agihan di Rengit, Batu Pahat dan penggantian paip di FELDA Redong, Segamat dengan peruntukan RM44.5 juta. Sebelum Kemelah terus bergerak kepada isu-isu lain Kemelah ingin mengambil sedikit perhatian kepada isu air di FELDA Redong ini. Setiap kali, persidangan Dewan berlangsung, isu ini telah menjadi antara keutamaan yang Kemelah bangkitkan. Sebagai ADUN Kemelah, Kemelah ingin merakamkan jutaan penghargaan, terima kasih atas peruntukan ini kerana ianya sangat signifikan bagi daerah Segamat yang selama ini menghadapi isu tekanan air rendah. Gangguan bekalan air dan infrastruktur paip yang sudah uzur sejak bertahun tahun yang lalu. Namun dalam masa yang sama, Kemelah berharap agar pelaksanaan ini tidak hanya bertumpu pada FELDA Redong semata-mata tetapi diperluaskan secara berperingkat kepada kawasan FELDA dan kampung yang lain termasuk FELDA Kemelah, Kampung Lubuk Selumar, Kampung Pogoh, Kampung Tekam dan kampung-kampung sekitar mukim Pogoh.

Selari dengan komitmen kerajaan negeri menerusi perbelanjaan Bangsa Johor Sejahtera 2026, Kemelah ingin menyatakan bahawa masyarakat di Segamat khususnya warga Kemelah amat menghargai inisiatif-inisiatif yang diumumkan namun dalam masa yang sama terdapat beberapa isu asas rakyat yang perlu diberi perhatian segera agar pembangunan yang dirancang menjadi seimbang bukan hanya di bandar tetapi merata hingga ke kawasan luar bandar. Peruntukan RM44.5 juta ini bukan sekadar angka tetapi ini adalah penyelesaian kepada masalah yang telah dihantui penduduk bertahun-bertahun lamanya. Kemelah berharap agar projek ini dilaksanakan dengan cepat, telus dan diselia dengan rapi agar penduduk benar-benar dapat menikmati manfaatnya bukan sekadar tertera dalam laporan belanjawan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam konteks ini Kemelah ingin menyentuh mengenai aspek kesihatan awam. Hospital Daerah Segamat merupakan hospital rujukan utama bukan sahaja untuk penduduk di Segamat tetapi juga pesakit dari Gemas, Negeri Sembilan, Selancar, Keratong, Pahang dan beberapa kawasan luar daerah yang lebih hampir dengan Segamat berbanding hospital lain. Ini menjadikan kapasiti penggunaan hospital tersebut jauh lebih tinggi berbanding kapasiti sebenar yang mampu ditanggung. Namun membimbangkan sehingga hari ini hospital berkenaan masih berhadapan dengan kekurangan pegawai perubatan khususnya doktor pakar yang tetap. Keadaan ini menyebabkan ramai pesakit terpaksa menunggu terlalu lama untuk menerima rawatan pakar malah ada yang terpaksa dirujuk ke hospital yang lebih jauh seperti Hospital Muar atau Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Bagi pesakit warga emas, ibu mengandung berisiko tinggi serta pesakit kronik yang tidak mampu bergerak jauh, perkara ini bukan sahaja menyulitkan bahkan boleh memberi risiko keselamatan nyawa. Oleh itu, Kemelah memohon agar perkara ini dijadikan agenda utama untuk diperhalusi oleh KKM, JKNJ dan kerajaan negeri supaya penyelesaian ini bukan lagi dibuat secara berperingkat tetapi melalui satu pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang dengan garis masa pelaksanaan yang jelas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kemelah juga ingin menyentuh tentang isu pendidikan prasekolah. Tadika KEMAS Bandar Putra telah terbakar pada tahun 2023, namun sehingga ke hari ini masih belum ada kata putus yang jelas sama ada tindakan pembinaan semula mahu pun keputusan penggantian tapak baru atau tapak gantian bagi membolehkan

bangunan baru dibina atas tapak tersebut. Hal ini memberi kesan besar kepada ibu bapa yang bekerja kerana tidak semua mampu menghantar anak ke tadika swasta di mana kos lebih tinggi. Kemelah percaya anak-anak sekitar kawasan Bandar Putra menaruh harapan kepada persekitaran pendidikan awal yang selamat, lengkap, kondusif bukan sekadar penyelesaian sementara. Bagi Kemelah ini merupakan satu justifikasi mudah Yang Berhormat Datuk Speaker. Sebuah tadika yang terbakar lebih dua tahun masih belum mempunyai jalan penyelesaian. Maka disini Kemelah memohon agar perkara ini disegerakan sama ada melalui pembinaan semula di tapak sedia ada atau melalui cadangan tapak gantian baru demi sesi pembelajaran anak-anak yang lebih selesa dan selamat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, mengambil ruang yang sama ini juga Kemelah ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mengkaji semula peruntukan baru yang telah bersesuaian setelah mengambil kira dari segi aspek pengurusan kerja-kerja dalam kawasan FELDA. Ini kerana setiap kali timbul isu dalam kawasan FELDA, perkara itu agak lewat untuk diselesaikan berbanding isu dalam kawasan PBT dan kawasan perkampungan yang lain. Dalam bencana banjir pada 2023 yang lalu, terdapat sebuah jambatan dalam FELDA Kemelah, jambatan Temangau telah terputus dan perkara ini menyebabkan peneroka tidak dapat membawa keluar hasil pertanian mereka sekaligus memberi kesan kepada pendapatan peneroka. Untuk makluman Ahli Dewan yang ada, sehingga hari ini, jambatan tersebut masih tidak dapat diperbaiki kerana menelan kos hampir RM3 juta. Melihat kos yang agak tinggi, Kemelah ingin nyatakan bahawa kos ini sudah semakin meningkat dalam tempoh berapa bulan kebelakangan setelah berlakunya kenaikan bahan mentah dalam sepanjang 2025 ini. Oleh yang demikian Kemelah berharap sekiranya terdapat kelulusan seperti baik pulih jambatan di FELDA Kemelah ini dapat disegerakan dan mengambil kira aspek kegunaan harian penduduk dalam FELDA tersebut. Ianya bukan sekadar laluan peneroka bahkan menjadi laluan membawa hasil pertanian mereka untuk dijual.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini Kemelah ingin membawa satu cadangan yang Kemelah percaya mampu mengubah masa depan keluarga di Johor khususnya mereka yang tercicir dalam pendidikan formal. Kita semua sedar bahawa masih ramai ibu bapa di negeri ini tidak sempat menamatkan pendidikan akibat kekangan hidup, tanggungjawab keluarga atau faktor ekonomi. Ramai yang mahu meningkatkan taraf hidup tetapi terhalang kerana tiada sijil kelayakan baik akademik mahu pun kemahiran. Oleh itu, Kemelah mengusulkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan pelaksanaan program, latihan dan sijil percuma kepada ibu bapa dan golongan dewasa yang ingin menyambung pendidikan mereka. Melalui program ini peserta boleh memilih untuk mengambil SPM ulangan, mengikuti kursus TVET, meningkatkan kemahiran literasi digital atau memperolehi pensijilan bahasa inggeris sebagai satu keperluan pekerjaan masa kini. Ini bukan sekadar kursus biasa ini adalah peluang kedua. Peluang untuk membina keyakinan dan meningkatkan pendapatan dan membuka pintu kepada kerjaya yang lebih baik dan terjamin di masa akan datang. Jika kita mahu anak-anak Johor maju, ibu bapa juga perlu diberikan ruang untuk berkembang. Keluarga yang berpendidikan dan melahirkan generasi yang berdaya saing justeru pelaburan ini bukan semata-mata untuk individu tetapi untuk kesejahteraan ekonomi negeri secara keseluruhan. Kemelah yakin dengan sokongan dana kerajaan negeri dengan kerjasama institusi TVET, Kolej Komuniti serta platform pembelajaran digital. Program ini boleh direalisasikan secara tersusun, mesra rakyat dan inklusif. Kemelah percaya, satu keluarga satu sijil bukan sekadar slogan tetapi satu langkah strategik kearah membina Bangsa Johor yang lebih berilmu, bermaruah dan berdaya saing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di DUN Kemelah sahaja terdapat 3 buah PDK yang menempatkan anak-anak istimewa serta individu kelainan upaya yang memerlukan perhatian dan pemulihan dan sokongan berterusan. Seperti yang kita maklum, majoriti pelatih di pusat ini terdiri daripada individu yang mempunyai keperluan khas dan tahap kesihatan yang sangat bergantung kepada fasiliti yang sesuai, peralatan yang berfungsi baik dan persekitaran yang selamat serta kondusif. Kemelah percaya bahawa apabila kerajaan negeri memberi perhatian

kepada sekolah, universiti dan kemudahan awam maka PDK juga tidak boleh dipinggirkan. Mereka juga sebahagian daripada kita. Mereka adalah Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi isu kesihatan yang Kemelah ingin bangkitkan ialah berkaitan pusat dialisis di daerah Segamat. Seperti yang kita maklum, kadar penyakit buah pinggang semakin meningkat dan keperluan untuk rawatan dialisis tidak dapat diabaikan. Berdasarkan data terkini di Segamat terdapat 6 pusat dialisis. Oleh itu Kemelah memohon kerajaan negeri untuk menimbang subsidi khusus kepada pesakit dialisis terutama mereka yang kurang kemampuan supaya beban kos tidak menjadi halangan kepada rawatan berterusan. Mungkin boleh bekerjasama dengan agensi zakat, wakaf dan sumbangan korporat untuk mewujudkan tabung sokongan dialisis negeri. Kemelah juga mencadangkan agar satu tabung khas diwujudkan dengan melihat bagaimana fungsi zakat dan wakaf yang dapat membantu kaum muslim untuk kita bantu penduduk bukan islam bagi mendapatkan rawatan dialisis tanpa terkecuali. Kemelah merayu agar kerajaan negeri menjadikan isu dialisis di Segamat satu keutamaan pembangunan kesihatan bukan sekadar menyokong tetapi bertindak proaktif selaras visi Bangsa Johor Sejahtera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain isu-isu kemudahan pendidikan, Kemelah juga menarik perhatian Dewan yang mulia ini terhadap satu permasalahan besar yang semakin membara dalam sistem sosial dan pendidikan kita iaitu kes buli melibatkan pelajar sekolah. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terlalu banyak kes tular melibatkan pelajar dibuli secara fizikal, mental, emosi bahkan merakam perbuatan tersebut untuk dijadikan bahan tontonan. Ada yang hanya trauma secara psikologi namun ada juga kes sehingga menyebabkan kehilangan nyawa. Fenomena ini bukan lagi isu disiplin biasa tetapi sudah menjadi masalah moral, masalah sistem dan masalah institusi sekolah untuk mengawal budaya tidak sihat yang semakin normal dalam kalangan generasi muda. Dalam konteks sistem pendidikan wujud juga kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pendidik berhubung ketiadaan format penilaian yang jelas sebagai pemansuhan UPSR dan PMR. Kita akui hasrat untuk mengurangkan tekanan akademik itu baik namun hari ini semakin ramai ibu bapa keliru tanpa sistem penilaian standard murid cemerlang sukar dikesan. Murid lemah tidak diketahui sampai bila perlu dibantu dan murid sederhana hanya mengikut arus tanpa hala tuju. Justeru sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan penilaian akademik berstuktur termasuk kajian semula UPSR dan PMR dalam bentuk terkini, objektif dan tersusun.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Kemelah mengakhiri perbahasan ini, izinkan Kemelah menyentuh satu isu ekonomi mikro yang semakin mendapat rungutan daripada para peniaga tempatan terutamanya usahawan kecil, pengusaha butik tempatan, peniaga tekstil dan juga penjaja bumiputera serta usahawan tempatan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini ekspo dan pesta jualan luar negara dan luar negeri sering dianjurkan di kawasan seperti Sutera Mall dan Danga Bay Johor Bahru. Perkara ini bukan sekali sekali tetapi secara kerap dan berulang-ulang. Walaupun kita memahami konsep keterbukaan perdagangan namun realitinya perkara ini telah mencetuskan ketidakseimbangan ekonomi kepada peniaga tempatan kerana mereka tidak menanggung komitmen sewa bulanan atau cukai premis seperti peniaga tempatan. Mereka menjual produk dalam kuantiti besar dan harga jauh lebih rendah kadang kala sehingga paras tidak masuk akal. Apabila aduan dikemukakan kepada PBT mereka hanya memberi alasan permohonan bukan daripada PBT tetapi dari pengurusan mall. Kemelah berharap PBT perlu ambil perhatian mengenai isu ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Kemelah menegaskan bahawa segala perkara yang telah dibangkitkan hari ini bukan sekadar rungutan bukan sekadar permintaan tetapi merupakan keperluan asas rakyat yang harus diberikan perhatian sewajarnya dalam kerangka pembangunan negeri Johor. ini kerana akhirnya pembangunan bukan hanya diukur melalui bangunan yang tinggi, angka pelaburan yang besar, atau lebuh raya yang panjang, tetapi dinilai melalui sejauh mana rakyat dapat menikmati hasil pembangunan tersebut. Kemelah percaya apabila sesebuah negeri memberi akses kesihatan yang berkualiti,

pendidikan yang inklusif dan peluang sosial yang saksama, maka negeri itu sedang bergerak ke arah kemajuan sebenar. Akhir bicara, ingin sekali lagi Kemelah ucapkan jutaan terima kasih dan tahniah atas kejayaan demi kejayaan di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dalam masa terdekat yang telah disaksikan oleh semua Bangsa Johor dengan berjayanya Program Bantuan Beras Bangsa, Program Dapur Kasih Johor, Klinik Bergerak, Program Bantuan Kasih Johor, Program Semarak Subuh, Program Infak Jumaat, Bantuan Kasih Johor bagi penternak, pesara dan beberapa program lain yang telah disusun dan bakal dilaksanakan kelak. Kemelah memandang ini semua insentif yang sangat baik dan menerima impak positif daripada semua penerima, selain rasa terharu penduduk setempat atas ingatan dari Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor yang sentiasa bersikap terbuka, adil lagi saksama dalam membantu semua golongan tanpa mengira bangsa. Terima kasih Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar.

Sebelum Kemelah mengakhiri ucapan di Dewan yang mulia ini, Kemelah ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas segala bentuk bantuan, perhatian serta peruntukan yang telah disalurkan kepada masyarakat India. Antaranya peruntukan kepada sekolah dan kuil masyarakat India, pembinaan crematorium di Kluang, penyediaan tapak khairat kematian di Teluk Jawa serta pembangunan tanah perkuburan Hindu baru di Kluang, Bakul Kasih Johor sempena perayaan Deepavali. Sesungguhnya sokongan ini memberi impak besar kepada kesejahteraan komuniti India di negeri Johor. Sekali lagi Kemelah dan seluruh komuniti India di bawah kepimpinan Yang Berhormat Tuan Raven Kumar, EXCO Perpaduan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Johor, saya ucapkan terima kasih. Kemelah mendoakan agar kepimpinan di bawah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor ini akan memajukan lagi Johor berserta kepimpinan barisan EXCO-EXCO yang terpilih. Belanjawan didukung penuh percaya, untuk Johor terus Berjaya; Bersama membina negara sejahtera, Bangsa Johor maju selamanya. Sekian dari Kemelah, selamat sejahtera dan salam kasih Kemelah, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Kemelah. Dijemput Yang Berhormat Simpang Jeram.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. (Doa). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Simpang Jeram mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana diberi peluang mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan pada kali ini. Simpang Jeram juga merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Machap selaku Menteri Besar Johor kerana dapat membentangkan bajet prihatin rakyat dengan enam teras utama berpaksikan kepada 260 inisiatif bertemakan Bangsa Johor Sejahtera. Sebelum Simpang Jeram meneruskan perbahasan, Simpang Jeram mengambil kesempatan merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah serta ucapan selamat ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Hari Ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku pada 22 November ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan Johor 2026 mengunjurkan hasil negeri Johor sebanyak RM2,550,750,000.00 dengan anggaran perbelanjaannya sebanyak RM2,546,293,000.00 ianya merupakan satu belanjawan berimbang dengan perkhidmatan sebanyak RM4,457,000.00. Belanjawan pada kali ini kerajaan negeri dilihat memberi penekanan terhadap kebajikan, kesejateraan rakyat dengan merancakkan pertumbuhan ekonomi dengan pelbagai inisiatif tanpa meminggirkan soal pendidikan, kesihatan serta memperkasa kemudahan infrastrukturnya. Dari Muar ke Kota Tinggi, singgah di Kluang menjamu selera; Bangsa Johor Sejahtera tema Belanjawan diberi, negeri maju rakyat makmur negara sejahtera.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perkara jaringan keselamatan sosial, kerajaan negeri dilihat mempunyai iltizam yang bersungguh untuk membanteras kemiskinan dengan

melahirkan 67 inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah teras ketiga. Walau bagaimanapun, janganlah kita alpa kepada warga emas daif yang tidak mempunyai pendapatan, tidak mempunyai waris, saudara mara malahan tiada tempat berlindung di usia emas mereka ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana yang kita sedia maklum, Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2030 apabila penduduk negara ini merangkumi warga negara yang berusia lebih 60 tahun dalam pola 15.3% daripada jumlah penduduk negara sehingga pertengahan tahun 2024. Seramai 482,600 warga emas berumur 60 tahun ke atas direkodkan di Johor iaitu 11.5% daripada jumlah penduduk negeri. Bagi menjaga kebajikan warga emas ini, maka kerajaan negeri Johor di bawah Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri Dan Daerah telah ditubuhkan sebagai platform penyelaras program serta pematuhan isu berkaitan warga emas, melibatkan kerjasama kerajaan, swasta dan NGO. Dalam hal ini, kerajaan telah menubuhkan 22 buah pusat aktiviti warga emas di seluruh negeri bagi menyediakan ruang aktiviti, pembelajaran, sosial, keagamaan dan kesihatan kepada warga emas. Kerajaan turut menggalakkan pusat aktiviti warga emas menjalinkan kerjasama dengan pihak korporat dan NGO untuk memperkasa pelaksanaan program serta menyokong pelan tindakan warga emas secara menyeluruh.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bawa kisah sepasang suami isteri warga emas, hidup hanya berdua, tiada anak, saudara mara dan tidak memiliki rumah. Pasangan warga emas ini hanya menerima bantuan kewangan daripada Kebajikan Masyarakat, jumlah RM600.00 sebulan. Dengan duit inilah mereka gunakan bayar sewa, bil elektrik, bil air, duit makan minum dan rawatan untuk suaminya yang menerima ujian penyakit strok. Baru-baru ini pasangan ini terpaksa keluar daripada rumah dan mereka tiada lagi tempat untuk berteduh. Dengan kos sewaan sekarang yang puratanya tidak kurang daripada RM500.00 sebulan, maka pasangan ini tidak mampu untuk menyewa walaupun ada bantuan sewaan rumah oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor kepada golongan ini, tetapi malangnya beliau belum dapat kemudahan ini. Ini adalah satu kisah daripada banyak kisah lain.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai rasa kasih, menghargai dan prihatin terhadap kebajikan warga emas ini khususnya kepada mereka yang tidak mempunyai waris atau saudara mara dari kalangan keluarga, maka Simpang Jeram mencadangkan kerajaan negeri ini di bawah kepimpinan Yang Berhormat Machap mempertimbangkan menyediakan Rumah Lindungan Kasih kepada warga emas ini yang berfungsi dan berperanan sebagaimana berikut:

1. Menyediakan tempat berlindung sepanjang hayat;

2. Menyediakan kemudahan penjagaan rawatan; dan

3. Menyediakan aktiviti ilmu keagamaan, kraftangan dan sebagainya.

Mudah-mudahan inisiatif yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor ini bukan sahaja tanda kasih kepada warga emas, semoga ianya menjadi asbab kerajaan negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Machap sentiasa mendapat rahmat keberkatan dan kemakmuran jua hendaknya, Amin.

Yang Berhormat Datuk Speaker, krisis air di negeri Johor yang berpanjangan memerlukan kepada dasar dan polisi yang bersifat menyeluruh. Sebagai contoh, jumlah air terawat yang dihasilkan oleh 47 loji rawatan air di bawah seliaan Ranhill SAJ Sdn Bhd ialah 2,350 juta liter sehari. Kerajaan Johor membeli air terawat daripada Singapura sebanyak 60.57 juta liter sehari iaitu bersamaan 16 juta gelen sehari. Walhal ikut Perjanjian Air 1962, maksimum air terawat yang boleh dibeli Johor hanyalah 5 juta gelen sehari. Sekarang kita beli 16 juta gelen sehari.

Baru-baru ini kerajaan Johor mengumumkan tiga lagi loji rawatan air dengan kos RM3.5 bilion yang akan menghasilkan 890 juta liter sehari, menjadikan jumlah air terawat pada 2030 adalah 3,302.57 juta liter sehari termasuk yang dibeli daripada Singapura. Sebagaimana kenyataan sahabat saya Yang Berhormat Bukit Pasir, 17 Data Centre di Johor memerlukan 59.06 juta liter air sehari, bahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyatakan Data Centre di Johor memerlukan 440 juta liter air sehari pada 2035. Pertambahan permintaan air 3% setahun daripada kediaman dan sektor lain adalah 851 juta liter sehari pada 2030. Dengan kata lain, menjelang 2030, krisisi air terawat kemungkinan berlaku di Johor. Sekiranya empat keadaan ini tidak diberi perhatian sewajarnnya:

1. Pembinaan tiga loji rawatan air yang baharu tidak siap menjelang 2030.

2. Kerajaan meluluskan lebih banyak Data Centre. Yang Berhormat Paloh menyatakan pada 2030 Johor dijangka mempunyai tambahan 20 hingga 30 Data Centre.

3. Tiada teknologi baru dikenalpasti bagi mengurangkan penggunaan air terawat daripada Data Centre untuk sistem penyejukan Data Centre yang lebih efisien. Penggunaan air boleh guna dan sistem pengumpulan air hujan (SPA) dan

4. Berlaku gangguan air berjadual atau tidak berjadual sebagaimana yang berlaku di Loji Rawatan Air Semanggar yang berpunca dari kerja perlombongan pasir pada awal November yang lalu.

Tidak dinafikan menerusi teras keempat, kemudahan keperluan asas, kerajaan negeri komited melaksanakan lima inisiatif di bawah pengurusan air sumber dalam memantau kualiti air, menyediakan catchment management plan di empangan, meningkatkan sistem agihan dengan penggantian paip, menggunakan air kumbahan sebagai bekalan air sokongan untuk sistem penyejukan di pusat Data Centre sebagaimana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Benut. Namun jika tiada dasar dan polisi yang bersifat menyeluruh, maka krisis bekalan air dibimbangi boleh menjejaskan pembangunan negeri yang telah dirancang.

Simpang Jeram juga mencadangkan kerajaan negeri membentuk suatu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Machap sendiri bagi memantau secara dekat zon pembangunan ekonomi Johor khususnya di Johor-Singapore Special Economic Zone bagi memastikan sebarang kemungkinan permasalahan terutama bekalan air bersih dapat ditangani lebih awal. Oleh itu, saya mohon supaya kerajaan negeri melihat perkara ini dengan lebih serius supaya krisis bekalan air dapat dielakkan pada masa kini dan pada masa hadapan.

Seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, pemilikan tanah pajakan atau lease hold dengan izin, menjadi amalan biasa dalam hal pemilikan tanah. Pada 30 September 2025 yang lalu, beberapa wakil dari penduduk kampung dan taman-taman perumahan dalam daerah Johor Bahru dan Kulai telah hadir ke Pejabat DUN Simpang Jeram untuk menyatakan resolusi berkaitan permohonan tanah pajakan di beberapa kampung dan taman dalam daerah Johor Bahru dan Kulai untuk dibawa dalam Persidangan ini. Antara solusinya adalah untuk meminta kerajaan negeri Johor menimbangkan permohonan untuk menukar status hak milik tanah kediaman daripada pajakan leasehold kepada Hak Milik Kekal, freehold termasuk Tanah Rizab Melayu di Perkampungan Melayu Majidee.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kampung Melayu Majidee merupakan satu-satunya kampung dalam kawasan Bandaraya Johor Bahru. Ianya berkeluasan sekitar 730 hektar dan dihuni lebih daripada 40,000 orang penduduk. Kampung dalam bandar yang berstatus Rizab Melayu ini merupakan tanah kerajaan negeri bagi tempoh 99 tahun dan akan berakhir pada 2053 iaitu kira-kira 28 tahun lagi. Pastinya penduduk yang lahir membesar berumahtangga serta membina keluarga, anak cucu berasa bimbang akan masa depan kampung tempat kelahiran mereka ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu Kampung Melayu ini pernah disebut dan diberi jaminan oleh Yang Berhormat Machap dalam Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ke-4 Dewan Negeri Johor Ke-15 pada 26 Mei 2025 yang lalu. Yang Berhormat Machap telah menyatakan pendirian bahawa pemilik tanah yang terlibat dengan isu ini boleh memohon sambungan pajakan mereka. Sebagaimana dakwaan penduduk pada ketika ini terdapat 12 lot tanah di kawasan Kampung Melayu Majidee ini telah ditukar kepada status tanah milik kekal selama-lamanya dan berharap tanah lain juga diberi status yang sama bagi menjaga kepentingan penduduk.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya bawa suara rakyat supaya permohonan penduduk ini diberi perhatian sewajarnya sebagaimana solusi mereka.

Pertamanya, tanah pajakan Rizab Melayu khususnya di Kampung Melayu Majidee diberi hak milik kekal. Ianya bagi menjamin pemilikan warisan kepada generasi perkampungan tersebut. Ini selari dengan wasiat Raja-Raja Melayu 1957 yang mensasarkan 50% daripada keluasan tanah di negeri ini sebagai tanah Rizab Melayu.

Keduanya tanah Rizab Melayu hak milik kekal mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi dan ini memudahkan proses mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan khususnya dalam soal membangunkan semula tanah.

Ketiga, mengenal pasti model pembangunan tanah Rizab Melayu yang sesuai dengan kerjasama kerajaan Johor tanpa meminggirkan pemilik asalnya.

Keempat, memastikan usaha ke arah meningkatkan jumlah tanah Rizab Melayu di negeri Johor dilaksanakan melalui polisi-polisi kerajaan yang bersifat proaktif.

Dan terakhirnya merealisasikan penggubalan pelan induk tanah Rizab Melayu Nasional sebagai panduan umum kepada semua negeri dalam memelihara dan menguruskan tanah Rizab Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai wakil rakyat yang diberi amanah untuk memperjuangkan suara rakyat, walaupun Kampung Melayu Majidee ini bukan dalam kawasan DUN Simpang Jeram tetapi atas dasar menjaga kepentingan rakyat maka saya merayu supaya permohonan penduduk ini dapat diberikan pertimbangan yang sewajarnya demi menjaga kepentingan bangsa Melayu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Simpang Jeram mohon supaya kerajaan negeri dapat mengagihkan sedikit peruntukan ke daerah Muar khususnya di DUN Simpang Jeram melalui Majlis Perbandaran Muar bagi kerja-kerja baik pulih kemudahan sukan di dalam kawasan taman-taman perumahan lama yang berada dalam keadaan yang daif. Ianya selari di bawah Teras Ke-6 Inisiatif 52 bagi cadangan menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sukan sedia ada.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kami barisan pengimbang khususnya 12 orang ini ibarat macam seorang suamilah, yang tak tunjuk kasih sayang pada sang isteri secara nyata tapi sayang dan kasihnya sang suami pada si isteri tak ternilai dan tak terucap diungkap dengan kata-kata. Belanjawan bangsa Johor Sejahtera barisan pengimbang turut menyokongnya, kasih kami tak terlihat dek mata, hanya jauhari dapat menilainya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh kaki tangan awam negeri Johor juga persekutuan kerana dengan iltizam yang bersungguh-sungguh maka negeri Johor berada di landasan yang baik selari dengan slogan Maju Johor. Sebagai bangsa Johor, marilah kita sama-sama terus berganding bahu dengan penuh semangat bagi mencapai hasrat menjadikan bangsa Johor sejahtera 2026. Jangan salah menyalah, jangan tuduh menuduh, dengan doa Johor maju

terus maju dan kepada Allah jua kita berserah. Saya sudahi dengan wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dari Sungai Balang ke Kota Lama; jalan seorang jiwanya kosong; Belanjawan Johor untuk rakyat semua; Yang Berhormat Datuk Speaker Simpang Jeram mohon menyokong. Sekian terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Simpang Jeram. Dipersilakan Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, bismillahirrahmanirrahim, assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya Sungai Balang mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberikan kesempatan untuk berbahas di dalam Dewan yang mulia ini dalam batas waktu yang diberikan untuk membawa denyut nadi rakyat Sungai Balang.

Sebelum meneruskan perbahasan ini saya merakamkan Merafak Sembah dan ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Ibrahim Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Tuanku yang jatuh pada 22 November yang akan datang ini. Patik dan sekalian rakyat DUN Sungai Balang dengan pengharapan yang tinggi dan takzimnya mendoakan kepada Allah SWT agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong dilanjutkan usia dalam kandungan dan keberkatan, kesihatan dan kesejahteraan dalam memayungi negeri ini dan negara ini serta kebahagiaan dunia dan akhirat. Patik juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor yang sentiasa memikirkan kemaslahatan rakyat jelata dan menitipkan titah nasihat kepada kerajaan negeri dalam menjayakan urus tadbir yang cekap.

Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kesempatan ini Sungai Balang merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi Menteri Besar Johor yang telah memperuntukkan sebanyak RM2.546 bilion bagi kesejahteraan dan pembangunan bangsa Johor daripada hasil kutipan sebanyak RM2.551 bilion yang diperolehi. Dengan anggaran surplus perbelanjaan sebanyak RM4.6 juta ini mencerminkan keadaan ekonomi negeri yang sihat dan berada dalam landasan yang cemerlang menuju negeri maju menjelang tahun 2030.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kadar pengangguran terus kekal rendah pada kadar 2.3% pada suku ketiga tahun 2025 dengan hasil pelaburan berjumlah RM218 bilion dalam 3 tahun 6 bulan sejak kerajaan Johor dibawah tunjang kerajaan Barisan Nasional yang memegang tampuk kuasa telah mengesahkan bahawa sesungguhnya kita adalah sebuah parti yang mengutamakan khidmat kepada rakyat dan menekankan keberhasilan ekonomi. Tambahan pula dengan prestasi ekonomi Johor yang mecatat pertumbuhan KDNK sebanyak 6.4% pada tahun 2024 ini iaitu yang tertinggi di Malaysia dan kerajaan ini telah menjana lebih 64,000 peluang pekerjaan pada golongan muda yang baru sahaja ingin memulakan kehidupan. Faktor ini sudah tentunya mampu menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi baru di negara kita.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bahawa Teras Pertama Tadbir Urus adalah nadi keberkesanan sebuah kerajaan yang menunjangi lima (5) komponen Teras yang lain. Hal ini dapat dilihat melalui 35 Inisiatif yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar bagi menjadikan sistem penyampaian kerajaan menjadi lebih cekap dan berkesan untuk kemudahan rakyat. Sungai Balang lagi sekali menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih di atas inisiatif tersebut. Sungai Balang juga menyambut baik kenaikan elaun ketua kampung sebanyak RM300.00, geran pengurusan dan pentadbiran dan persatuan ketua kampung dan caruman lindungan kendiri yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan ini merupakan berita gembira buat ketua-ketua kampung khasnya untuk DUN Sungai Balang dan pertambahan

bantuan one-off kepada para imam, bilal dan noja masjid yang masih hari ini menjadi tanda tanya supaya mungkin dalam jawatankuasa masjid itu termasuk pengerusi masjid itu jangan ketinggalan dan termasuk juga penggerak DUN, guru-guru Al Quran dan takmir serta penyelia Al Quran kepada RM1,000.00 juga merupakan satu pengiktirafan sumbangan mereka dalam menyuburkan syiar Islam.

Saya juga teruja dengan santunan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor terhadap belanjawan untuk orang muda dalam Teras Ke-6 secara menyeluruh yang mana terdapat 55 Inisiatif yang disediakan untuk mereka. Hal ini menggambarkan kerajaan negeri serius dan komited untuk melahirkan generasi pelapis, pemimpin akan datang dengan ciri-ciri lengkap dan seimbang daripada sudut intelektual dan jati diri bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, buat sekian kalinya saya ingin menekankan bahawa keperluan yang mendesak untuk DUN Sungai Balang untuk mempunyai sebuah balai bomba dan penyelamat. Untuk maklumat Dewan yang mulia ini, sebanyak lima (5) kes kebakaran telah berlaku secara berturutan dalam tempoh dua (2) bulan. Sebagai akibat daripada kejadian tersebut, kesemua kes kebakaran yang berlaku telah berakhir dengan kemusnahan total dan menyebabkan kerugian besar kepada mangsa. Hal ini belum lagi dicampur dengan kejadian kebakaran kebun tanah gambut yang telah berlaku sewaktu musim panas yang melanda bulan lepas. Kejadian seperti di Kampung Parit Mislam dan di Sri Menanti telah menyebabkan skala kebakaran kebun tanah gambut berlaku dengan cepat ekoran pihak bomba yang memerlukan masa yang agak lama untuk tiba di tempat kejadian. Faktor ketiadaan balai bomba di DUN Sungai Balang ini juga telah diburukkan lagi dengan kekurangan pili-pili bomba bagi kegunaan mereka untuk mendapatkan bekalan air semasa menyeliakan kejadian kebakaran. Oleh yang demikian saya juga memohon supaya pihak kerajaan menambah jumlah pili bomba di kawasan-kawasan kampung dan kawasan-kawasan stategik serta risiko tinggi berlaku kebakaran bagi memastikan kesinambungan bekalan air di pihak bomba dapat diperbanyakkan.

Sebagai contoh masalah yang dialami oleh pihak bomba masa lalu untuk kebakaran yang berlaku di Kampung Parit Mislam terpaksa berulang alik 15 kilometer ke Pekan Parit Yusof untuk mengisi semula air di jentera mereka. Dan situasi ini telah melambatkan usaha pihak bomba bagi memadamkan kebakaran dan menyebabkan lebih banyak kadar kemusnahan yang dialami dan paling menyayat hati apabila berlaku deretan rumah kedai berhampiran DUN Sungai Balang iaitu Semerah yang mana kawasan tersebut telah menyebabkan kerugian harta benda besar dan kehilangan nilai sejarah bangunan tersebut. Justeru, dengan kehadiran sebuah balai bomba di DUN Sungai Balang ini akan dapat memastikan respon dan tindakan pantas terhadap setiap kes kecemasan dapat memberikan kesan limpahan dan manfaat di kawasan DUN berhampiran seperti di Semerah, Bukit Naning dan Sri Medan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, isu hakisan pantai di Jalan Benteng di Parit Kedondong, Parit Penyengat dan Parit Kasim kini menghantui warga DUN Sungai Balang. Hal ini ditambah lagi dengan fenomena air pasang besar yang berlaku pada 6 November yang lalu menyumbang kepada kenaikan paras air laut yang melebihi daripada paras biasa. Saya telah melakukan tinjauan dan mendengar permasalahan yang diluahkan oleh penduduk sekitar sebelum dan selepas fenomena tersebut. Dan untuk makluman Dewan, hakisan pantai yang berlaku di Parit Kasim telah menyebabkan anjung tinjau dan pejalan kaki di tepian pantai tersebut patah dan roboh. Perkara ini telah menjejaskan dan mencacatkan kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan di Parit Mislam yang menjadi tumpuan pelancong dan pelawat yang ingin meneroka hutan paya bakau di DUN Sungai Balang. Oleh itu, saya meminta pihak kerajaan dapat mengambil langkah pemulihan segera di kawasan-kawasan ini supaya kemusnahan yang berlaku dapat dihentikan dan seterusnya mengelakkan kemusnahan tanaman penduduk yang berdekatan dengan kawasan pantai.

Sungai Balang juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Johor melalui Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang memperuntukkan sebanyak RM2.5

juta kepada program pemerkasaan sokongan ekonomi wanita. Dengan adanya peruntukan ini golongan wanita B40 dapat diperkasakan dan ditingkatkan ekonominya melalui skim bantuan peralatan perniagaan atau pun SKIPP. Alhamdulillah untuk tahun 2025, ini seramai tujuh (7) orang penerima telah menerima barangan masing-masing untuk kegunaan perniagaan mereka dalam fasa 1. Bagi agihan fasa kedua pula, dua (2) orang lagi penerima akan menerima barangan telah mereka mohon dan pada hari Khamis ini. Manakala jumlah penerima yang mendapat manfaat barangan SKIPP ini daripada tahun 2022 hingga tahun 2024 adalah seramai 17 orang. Dan pencapaian ini adalah hasil usaha pihak kerajaan negeri dalam memastikan usahawan kecil-kecilan atau pun PKS di luar bandar khasnya di DUN Sungai Balang dapat merasai manfaat kemakmuran ekonomi negeri Johor di bawah terajui Yang Amat Menteri Besar yang mana kita untuk meminta supaya bilangan penerima bantuan SKIPP ini ditambah di DUN Sungai Balang kerana kawasan saya mempunyai ramai pengusaha PKS yang menyara diri dengan membuat jualan produk makan secara kecil-kecilan. Dengan adanya bantuan ini kos untuk membeli peralatan perniagaan mereka dapat dikurangkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, masih lagi dengan sekitar ekonomi sara diri rakyat di DUN saya yang mana seperti mana yang disebut juga oleh semalam oleh Yang Berhormat Kukup dalam menyuarakan tentang keresahan para nelayan menghadapi kenaikan kos operasi dan keperluan dan kelengkapan mendadak. Justeru itu, saya terpanggil dan bersetuju dengan apa yang beliau suarakan kerana di DUN Sungai Balang juga terdapat 400 nelayan yang berjuang di lautan demi mencari nafkah untuk menyara keluarga masing-masing. Mereka adalah pejuang nafkah di lautan yang bekerja di sebalik kemeriahan pasar-pasar awam yang menjual pelbagai jenis hasil tangkapan laut. Difahamkan barang asas keperluan nelayan untuk ke laut seperti jaring, enjin bot, tong ikan dan lain-lain telah mengalami kenaikan harga yang mendadak dan sangat membebankan. Saya sangat bersetuju sekiranya kerajaan negeri dapat memperkenalkan skim bantuan ansuran mudah atau pun geran pinjaman tanpa faedah peralatan nelayan mahu pun kepada nelayan yang ingin memperolehi kelengkapan baharu bagi penggantian peralatan yang rosak. Tambahan pula para nelayan bukanlah memperolehi hasil tangkapan yang lumayan. Bila mana setiap kali turun ke laut dan ada kalanya mereka tidak memperolehi hasil waimah untuk menampung kos perjalanan ke laut, sebaliknya pulang dengan tangan kosong. Oleh yang demikian dengan kadar kenaikan barang kelengkapan yang naik mendadak tinggi para nelayan sudah semestinya kurang berkemampuan untuk menggantikan peralatan yang rosak dan lusuh.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga meminta kepada kerajaan untuk melakukan kerja-kerja pelebaran dan penggantian jambatan-jambatan masuk ke kampung-kampung yang telah lama serta uzur yang melebihi daripada 50 tahun, sempit dan juga tidak lagi dapat digunakan dengan selamat seperti di Kampung Sungai Sudah, Sungai Muda, Seri Menanti dan Parit Bulat Darat. Oleh kerana fizikal jambatan sedia ada kini kecil dan sempit, aliran trafik dikawasan berkenaan bermasalah daripada segi keluar masuk kenderaan yang memasuki kampung-kampung berkenaan. Amatlah dibimbangi dan ditakuti sekiranya berlaku kebakaran dan insiden yang tidak diingini di dalam kampung-kampung tersebut, jentera bomba yang bersaiz besar tidak dapat memasuki kawasan kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat. Saya juga meminta agar bilangan lampu jalan LED di tambah di kawasan DUN Sungai Balang kerana masih banyak lagi kawasan-kawasan kampung yang berada di dalam keadaan gelap dan berisiko untuk berlakunya kemalangan. Dan pada tahun 2024 DUN Sungai Balang telah menerima hanya 54 buah pemasangan lampu jalan LED namun bilangan ini masih belum mencukupi. Masih terdapat kawasan-kawasan yang memerlukan pencahayaan lampu terutamanya di kawasan-kawasan yang banyak haiwan liar yang berkeliaran yang boleh menggangu keselamatan dan tanaman mereka. Justeru itu, dalam menjelang negeri maju tahun 2030, terasnya aspek kemajuan bagi kemudahan asas dapat dinaikkan di kampung-kampung agar selari dengan perkembangan semasa dan demi keselesaan rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menjelang tahun 2026 adalah merupakan Tahun Melawat Johor, (TMJ 2026). Tidak ketinggalan DUN Sungai Balang mempunyai lima (5) lokasi yang telah dipilih oleh Kementerian Pelancongan Malaysia iaitu MOTAC iaitu di Hutan Paya Bakau Parit Kasim, Pantai Seri Menanti, Kolam Ayer Panas, Sungai Gresik, Keratong Bahanan dan Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa. Apa yang amat diperlukan di kawasan sebagaimana yang disebutkan ini, ialah usaha pelebaran jalan masuk ke destinasi tersebut. Jalan yang sedia ada kini sempit dan menyukarkan untuk kenderaan berselisih sekiranya mereka datang dari dua (2) arah yang berbeza. Apatah lagi jalan tersebut tidak mempunyai bahu jalan yang elok. Sebagai contoh, di Pantai Seri Menanti yang mana baru-baru ini telah menganjurkan pertandingan memancing Joran Bagus di persisiran pantai yang telah menarik lebih 2,000 penyertaan. Bayangkanlah apa yang dialami oleh pengunjung dan peserta apabila perlu menempuh masalah aliran trafik yang sukar kerana fizikal jalan yang sempit dan kecil. Saya berharap supaya permasalahan ini dapat diatasi supaya promosi Tahun Melawat Johor 2026 dapat direalisasikan hasratnya agar tempat-tempat yang ditonjolkan ini dapat dikunjungi dengan selesa oleh pelancong dan pengunjung.

Yang Berhormat Datuk Speaker, DUN Sungai Balang juga merupakan kawasan penduduknya terdiri daripada petani dan pekebun-pekebun yang menjalankan kegiatan sara diri melalui pertanian. Namun sejak kebelakangan ini, harga input pertanian seperti baja, anak benih, peralatan mekanisasi pertanian telah mengalami kenaikan harga yang ketara. Hal ini telah menyebabkan kos operasi dan perniagaan kebun atau ladang turut mengalami peningkatan kos pengeluaran. Lebih memeritkan lagi sekiranya harga output hasil pertanian yang diusahakan mengalami kejatuhan harga pasaran. Sudah tentunya para petani atau pun pekebun berdepan dengan kerugian apabila mereka berhadapan dengan situasi begini. Oleh yang demikian, saya meminta pihak kerajaan dapat menimbangkan skim pembelian subsidi pekebun kecil dan input pertanian kepada mereka yang memerlukan supaya kos pengeluaran output dapat dikurangkan. Saya juga ingin mengetahui apakah hasil dapatan kerajaan negeri daripada Mesyuarat Tindakan DUN yang diadakan dua kali setahun di setiap kawasan DUN. Selepas daripada keputusan-keputusan dan maklum balas yang dibawa kepada peringkat negeri berapakah peruntukan pembangunan yang telah diluluskan oleh setiap DUN dan setelah permasalahan berkaitan pembangunan di kawasan diangkat ke peringkat negeri. Sebagai contoh, keperluan bina atau pun baik pulih jalan-jalan kampung dan kemudahan awam serta pemasangan lampu jalan. Saya juga telah memaklumkan, dimaklumkan oleh Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagaimana gelanggang futsal setiap DUN sudah tidak diselia oleh kementerian. Namun bagi saya memohon supaya pihak kerajaan negeri dapat memberikan peruntukan baik pulih bagi memelihara gelanggang-gelanggang futsal yang masih aktif dan diimarahkan oleh anak-anak muda dan masyarakat setempat. Adalah satu yang amat mendukacitakan sekiranya gelanggang futsal yang aktif ini tidak dapat bantuan yang sewajarnya bagi memastikan ia kekal digunakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Sungai Balang terpanggil juga untuk Menjunjung Tinggi Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menyentuh tentang isu semasa iaitu projek RTS iaitu Rapid Transit System yang bakal siap tidak lama lagi yang menghubungkan antara Johor Bahru dengan Singapura. Apabila sistem RTS ini beroperasi kelak dijangkakan bandaraya Johor Bahru akan mengalami peningkatan jumlah penumpang yang mendadak sehingga 40,000 orang penumpang setiap hari. Justeru itu, patik dan sekalian warga DUN Sungai Balang berdiri di belakang Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota yang bertitah supaya kerajaan persekutuan memberikan perhatian yang penting dan mempertimbangkan kelulusan untuk melaksanakan sistem aliran automasi di Johor. Rakyat seharusnya berasa bertuah kerana Pemangku Sultan Johor amat cakna dan prihatin dalam kemaslahatan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian. Dengan adanya LRT ini nanti, ia mampu menyelesaikan dan meminimumkan kesesakan trafik yang berlaku di Johor Bahru. Selain itu juga, sistem ini dapat menghubungkan kawasan-kawasan perumahan yang padat, pusat-pusat komersil dan kawasan yang strategik dengan kos lebih rendah berbanding dengan sistem rel konvensional.

Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir sekali saya ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor dan sekalian barisan Jemaah EXCO kerajaan negeri Johor atas hasil usaha dan kerja keras tanpa mengenal lelah ini telah mendatangkan yang cukup bermakna bagi negeri Johor dan rakyatnya. Biarlah jasa dan bakti ini menjadi kenangan dan ingatan rakyat sekalian dalam menakhodakan layar bahtera pentadbiran ke arah sebuah destinasi iaitu sebuah negara maju iaitu Maju Johor. Dan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak memanjangkan perbahasan saya ini. Akhirnya saya ingin mengucapkan sekali lagi ucapan terima kasih kepada semua rakan-rakan ADUN yang selama ini dapat membantu untuk sama-sama kita menyuarakan pandangan dan pendapat yang mana kadang-kadang pembangunan bukan sahaja dapat dibangunkan di kawasan DUN masing-masing namun memberi limpahan kepada DUN-DUN yang berhampiran. Untuk itu sekian wabillahi taufik walhidayah assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, Sungai Balang mohon menyokong.

Speaker

Terima kasih Sungai Balang. Dijemput Bukit Naning.

Datuk Haji Mohd Fuad bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. (Bacaan Doa). Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW. Ya Allah, berkatilah persidangan kami pada hari ini. Limpahkanlah hikmah kefahaman dan keikhlasan dalam setiap perbahasan. Jadikanlah keputusan kami ini membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negeri Johor yang kami cintai. Amin ya rabbal alamin.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker atas ruang dan peluang untuk saya berbahas dalam sidang Belanjawan Johor 2026 kali ini. Peluang dan amanah ini akan saya gunakan untuk menyampaikan denyut nadi Bukit Naning dengan penuh integriti, fakta dan bertanggungjawab. Yang Berhormat Datuk Speaker, Bukit Naning merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih sempena ulang tahun keputeraan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor yang akan disambut pada 22 November ini. Patik serta seluruh rakyat Bukit Naning dengan penuh takzim mendoakan semoga Tunku dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan yang berkekalan dan kekuatan untuk terus memayungi negeri ini dengan kepimpinan yang adil, tegas dan berwibawa. Tunku bukan sahaja menjadi payung kedaulatan negeri, malah menjadi inspirasi kepada seluruh Bangsa Johor dalam aspek keberanian, ketegasan dan kecintaan baginda terhadap rakyat. Pokok pinang tegak berdiri, tersusun indah dipinggir Lembah; Duli Tuanku payung negeri, rakyat jelata merafak sembah. Dihujung tanjung kelam lembayung, tinggi mengayat pohon celagi; raja disanjung rakyat dipayung, kasihnya rakyat tidak berbagi. Bersinar indah cahaya mentari, menerangi pagi desa pak tani; raja adil bijak bestari, memimpin negeri Johor hidup harmoni.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sesungguhnya merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi atas pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang bertemakan Bangsa Johor Sejahtera. Belanjawan ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam merancang pembangunan, memperkukuhkan kebajikan rakyat serta menyediakan hala tuju jangka panjang untuk negeri Johor dalam memperkasakan ekonomi, melindungi golongan rentan dan membina masa depan lebih cerah untuk anak-anak Bangsa Johor. Sebagai ADUN Bukit Naning, saya sesungguhnya beriltizam untuk terus memastikan setiap inisiatif ini sampai kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar. Bangsa Johor adalah bangsa yang bermaruah, berjasa dan tidak pernah mengalah. Dengan semangat muafakat, kita akan terus maju, makmur dan sejahtera. Bukit Naning indah bersejarah, mengusik jiwa menawan hati, belanjawan terancang penuh berhikmah, Johor makmur rakyat diberkati.

Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini saya ingin membawa suara rakyat Bukit Naning dengan fakta yang jelas. Isu-isu ini bukan boleh ditangguh, bukan boleh dipandang ringan. Rakyat menuntut penyelesaian, bukan alasan. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz bin Ghazi atas pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang benar-benar meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Justeru itu, izinkan Bukit Naning menzahirkan sedikit luahan rasa berkaitan masalah struktur dan kemudahan asas di kawasan saya. Pertama, jambatan trafik luar bandar, Rural Traffic Bridge, RTB dengan izin, iaitu struktur lama yang tidak lagi selamat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, banyak jambatan RTB di Bukit Naning ialah struktur generasi lama yang dibina mengikut beban trafik zaman dahulu kala. Hari ini laluan ini menampung lori hasil pertanian, kenderaan perdagangan, serta pertambahan populasi. Jambatan yang tidak lagi memenuhi keperluan semasa ini mengundang risiko keselamatan harian. Kerajaan negeri perlu mempercepatkan penilai struktur dengan mengutamakan penggantian jambatan RTB di Bukit Naning sebagai projek segera demi keselamatan rakyat dan kelangsungan ekonomi luar bandar.

Kedua, jambatan trafik sederhana, Medium Traffic Bridge, MTB dengan izin iaitu standard lima tan sudah tidak lagi relevan. Yang Berhormat Datuk Speaker, MTB atau Medium Traffic Bridge dengan izin, ialah jambatan kategori trafik sederhana yang dibina berdasarkan standard lama iaitu kapasiti maksimum lima (5) tan. Standard ini tidak lagi relevan kerana perkembangan semasa telah meningkatkan penggunaan lori pertanian, kenderaan perdagangan dan mesin berat yang melebihi kepasiti tersebut. MTB lama yang masih menggunakan kapasiti lima (5) tan sudah tidak mampu menangani penggunaan hari ini. Beban trafik hari ini menyebabkan struktur MTB cepat rosak, berisiko tinggi ketika musim hujan dan tidak memenuhi keperluan keselamatan terkini. Beban trafik sebenar telah meningkat hampir dua kali ganda menyebabkan risiko keretakan permukaan rem tinggi yang membahayakan serta struktur cepat haus ketika hujan. Sudah tiba masanya kerajaan negeri menggantikan MTB lama dengan standard baru yang lebih kukuh serta memastikan ia mematuhi Highway Structure Loading dengan izin, semasa bagi melindungi keselamatan pengguna dan kelangsungan ekonomi luar bandar. Kerajaan negeri perlu menggantikan MTB lama dengan standard baharu termasuk audit struktur dengan pengeluaran rich card dengan izin, yang lengkap bagi memastikan setiap jambatan selamat digunakan rakyat. Yang ketiga jalan utama Bukit Naning perlu naik taraf menyeluruh.

Yang Berhormat Datuk Speaker, jalan-jalan utama di Bukit Naning berada dalam keadaan tidak sesuai lagi untuk menampung laluan harian terutamanya di kawasan yang bertanah gambut. Tambahan penggunaan kenderaan yang berat telah mempercepatkan kerosakan struktur jalan dan menyebabkan risiko kemalangan meningkat. Kos penyelenggaraan kenderaan rakyat semakin bertambah. Masa perjalanan semakin bertambah panjang. Kerajaan negeri perlu melaksanakan naik taraf total, bukan sekadar tampalan.

Yang keempat, penguatkuasaan Majlis Agama Islam Johor terhadap tabung tidak berdaftar. Yang Berhormat Datuk Speaker, pengumpulan derma tidak berdaftar, tanpa kelulusan sah menimbulkan risiko salah salah guna, penyelewengan dana dan menjejaskan integriti sumbangan umat Islam. Masih ada tanggapan negatif dalam masyarakat mengenai pengurusan dana ini yang boleh mengurangkan keyakinan orang ramai ingin menyumbang. Jika isu penyelewengan ini timbul yakni walaupun sekadar khabar angin ia boleh menghakis kepercayaan masyarakat. Kerajaan melalui MAINJ perlu melaksanakan penguatkuasaan total di atas tabung tidak berdaftar ini dan menyediakan platform kutipan digital rasmi yang lebih telus. Langkah proaktif perlu diambil untuk mengurangkan risiko penyelewengan dan membina kepercayaan semula. Beberapa langkah mungkin boleh diambil seperti meningkatkan ketelusan dan pelaporan, mengeluarkan laporan tahunan yang jelas berkenaan jumlah kutipan projek yang dibiayai, manfaat jangka panjang, audit kewangan dan syariah. Melantik audit bebas iaitu luar untuk menilai pengurusan dana ini serta membuat kerjasama

dengan Jabatan Syariah, Pihak Berkuasa Agama dan kerajaan negeri untuk pemantauan berkala.

Yang kelima, peranan guru pembentuk akhlak dan kepimpinan. Yang Berhormat Datuk Speaker, guru ialah tiang pembentukan generasi Johor. Namun hari ini guru dibebani pelbagai tugas sampingan hingga masa untuk membimbing anak, membimbing anak serta akhlak dan sahsiah pelajar terhad. Kerajaan perlu memperkasakan modul pembentukan karakter pelajar dan mengembalikan guru kepada fungsi asas iaitu membentuk bangsa bukan hanya mengajar untuk peperiksaan.

Yang keenam, Taman Kekal Pengeluaran Makanan iaitu TKPM perlu lompatan, lompatan teknologi. TKPM atau Taman kekal pengeluaran makanan ialah kawasan pertanian khas yang diwartakan untuk memastikan pengeluaran makanan negara kekal dan stabil juga berterusan. Ia bukan tabung tetapi sebuah taman atau zon pertanian kekal yang memberi peluang kepada peserta untuk mengusahakan tanaman secara besar-besaran menggunakan teknik moden. Peranan TKPM semakin kritikal hari ini, namun banyak tapak masih beroperasi menggunakan amalan konvensional. Johor perlu memacu transformasi TKPM kepada model pertanian pintar berasaskan teknologi seperti dron, IOT, fertigasi pintar dan analisis tanah digital supaya sektor makanan negeri menjadi lebih cekap proaktif dan berdaya saing. Dron digunakan untuk memantau kesihatan tanaman secara udara, mengira keluasan tanaman dengan tepat, menyembur baja atau racun dengan lebih sekata serta mengurangkan kos tenaga kerja. Ia dapat membantu melaksanakan kerja-kerja dengan lebih cepat, tepat dan mengurangkan pembaziran input pertanian. IOT, Interest Of Things. IOT ialah teknologi sensor yang dipasang di ladang untuk memantau kelembapan tanah, cuaca, suhu persekitaran, paras air dan juga keadaan tanaman. Melalui kaedah ini semua data boleh dipantau melalui telefon atau dashboard secara masa nyata iaitu memudahkan keputusan dibuat dengan segera.

Fertigasi pintar. Fertigasi pintar ialah sistem penyaluran baja dan air secara automatik dan tepat terus ke akar tanaman. Kaedah ini dapat mengurangkan penyakit tanah meningkatkan hasil, menjimatkan baja boleh dikawal dari jauh melalui sistem digital. Dengan ini hasil pertanian akan lebih konsisten dan berkualiti tinggi. Analisis tanah digital melibatkan penggunaan sensor atau peralatan analitik bagi membaca PH tanah, nutrien, tekstur, kelembapan dan juga kandungan mineral. Kaedah ini pula memberi kelebihan dengan membantu para petani untuk mengetahui dengan lebih tepat apa yang kurang dalam tanah dan boleh membuat pembetulan sebelum tanaman rosak. Teknologi moden seperti dinyatakan tadi membolehkan TKPM beroperasi sebagai ladang pintar yang berasaskan data dan mengamalkan teknologi fertigasi. Setiap keputusan dibuat dengan lebih tepat, kos dikurangkan, hasil meningkat dan Johor akan menjadi Pusat Agroteknologi yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Data Centre, rakyat perlu merasa pulangannya. Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor kini menjadi pusat data terbesar di Malaysia. Namun, rakyat mahu melihat manfaatnya dalam bentuk pekerjaan berkualiti, latihan teknikal, pembangunan modal insan. Kerajaan negeri perlu memastikan keuntungan ekonomi Data Centre sampai kepada rakyat, melalui peluang-peluang pekerjaan tempatan dan program-program peningkatan kemahiran. Ini kerana, Johor mempunyai potensi di masa depan untuk menjadi pusat digital serantau bukan sahaja untuk penyampaian data ataupun penyimpanan data tetapi juga AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi kerana pertumbuhan beban kerja AI. Dengan pembangunan seperti JS-SEZ Johor boleh menarik lebih banyak pelaburan asing ke dalam ekosistem teknologi. Pembangunan infrastruktur digital di negeri Johor juga boleh merangsang pertumbuhan ekosistem teknologi tempatan seperti sektor pembinaan dan sumber tenaga kerja terlatih.

Unjuran air 2030 dan 2040 juga masa depan Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, permintaan air di negeri Johor dijangka meningkat dengan ketara menjelang 2030, 2035 dan 2040 akibat industri baharu. Seiring dengan kewujudan Data Centre, peningkatan kadar

pertumbuhan penduduk, projek perumahan dan pertanian moden, permintaan air menjadi semakin tinggi dalam tempoh yang singkat. Kerajaan negeri perlu mengumumkan Pelan Air Johor jangka panjang melibatkan pembinaan empangan, potensi air bawah tanah, loji rawatan dan saluran transmisi tambahan dan juga penyediaan garis panduan penggunaan air yang lestari. Ia bagi mengelakkan sebarang bentuk krisis air yang akhirnya merencatkan perkembangan sosial dan ekonomi negeri serta menjejaskan tarikan pelabur ke negeri ini di masa akan datang.

Timbalan Speaker

Panjang lagi Yang Berhormat?

Datuk Haji Mohd Fuad Bin TukirinUMNO · BNBukit Naning

Sikit lagi. Yang Berhormat Datuk Pengerusi, Datuk Speaker, minta maaf. Padi merimbun di tanah Naning, desa permai indah berseri, usaha kerajaan berpaut seiring. Naning menyokong serta hargai.

Angin selatan menyapa pelabuhan, Johor selatan menyapa pelabuhan. Johor berdenyut pembangunan baharu, bijak kerajaan merangka haluan. Rakyat sejahtera, negeri maju.

Yang Berhormat Datuk Speaker, segala isu hari ini adalah suara rakyat Bukit Naning yang perlu tindakan segera. Dengan komitmen kerajaan negeri dan semangat Johor bangkit, kita mampu menyempurnakan amanah ini. Saya berharap kerajaan negeri yang ada ini akan memberi perhatian serius kepada isu-isu yang telah saya bangkitkan sebentar tadi demi kesejahteraan rakyat Johor khususnya Bukit Naning. Kita bekerja bukan pujian, tetapi untuk kesejahteraan rakyat, kita bersuara bukan untuk politik tetapi untuk masa depan Johor.

Akhir kalam saya mohon maaf jika ada kesilapan dalam ucapan saya. Wabillahitaufik walhidayah Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Bukit Naning menyokong penuh Belanjawan Bangsa Johor Sejahtera 2026.

Timbalan Speaker

Terima kasih Bukit Naning. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, Rabu, 19 November 2025 jam 9:30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 6:51 petang.