Johor · 19 November 2025
15th Assembly, 4th session, 3rd meeting · 86 turns · 43,846 words · official PDF ↗
ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.
(Pembukaan)
Bismillahirrahmaanirrahim. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sidang Dewan kita pada pagi ini dimulakan lewat kerana kita ada menghadapai masalah teknikal sistem audio kita. Dan kita terpaksa menggunakan mikrofon portable ya, seperti yang Ahli-Ahli Yang Berhormat tengok ni, portable. Dan nanti Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri juga akan menjawab menggunakan microphone portable dan begitu juga Ahli-Ahli Yang Berhormat. Saya seperti mana yang saya maklumkan semalam kita amat dukacita dengan apa yang berlaku hari ini sehingga menyebabkan kita bermula lewat dan sudah tentu ini menganggu perjalanan sidang Dewan kita. Jadi oleh itu, saya berharap perkara ini diselesaikan segera kerana semalam juga saya sudah mengingatkan bahawa perkara ini perlu diselesaikan tapi nampaknya kita masih berhadapan dengan sistem kita yang nampak canggih, tetapi menimbulkan beberapa persoalan dari segi kecekapan dan juga kemahiran. Oleh itu saya berharap perkara ini diselesaikan segera terima kasih.
Penolong Jurutulis : SOALAN-SOALAN LISAN.
Dijemput Yang Berhormat Kempas.
Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya nombor 1.
Apakah pelan dan perancangan kerajaan negeri Johor untuk memastikan tanah perkuburan Islam di kawasan bandar kekal mencukupi selaras dengan pertambahan penduduk dan pembangunan pesat negeri Johor?
Dijemput Yang Berhormat Kota Iskandar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 2.
Apakah kerajaan negeri mempastikan pembangunan pesat di Kota Iskandar tidak hanya tertumpu kepada nilai komersial dan pelaburan sahaja, tetapi menetapkan satu kawasan tanah perkuburan Islam yang kini semakin berkurangan? Contoh diwujudkan di kawasan milik Iskandar Investment Berhad.
Sila.
Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullah, Salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya menjawab soalan yang pertama pada pagi ini. Datuk Speaker saya rasa Dewan terperanjat sikit, sebab pagi ini soalan yang pertama bukan biasa-biasa, dia pasal tanah kubur Datuk Speaker. Jadi, mungkin ada gangguan teknikal terperanjat Dewan ini. Datuk Speaker, soalan daripada Kempas, YB Kempas dan Kota Iskandar sangat baik. Apakah pelan perancangan kerajaan Johor memastikan tanah kubur di kawasan bandar mencukupi selaras dengan pertambahan kepesatan ekonomi Johor dan Kota Iskandar pula bertanya adakah kerajaan
memastikan pembangunan pesat di Kota Iskandar tidak tertumpu kepada komersial semata-mata, tetapi juga melihat kepada keperluan tanah kubur yang semakin berkurangan, terutamanya di kawasan milik Iskandar Investment Berhad.
Datuk Speaker soalan ini, baik sebab Rasullah SAW juga ada titipkan kepada kita, baginda disoal, ditanya oleh para sahabat (ayat Al-Quran) Nabi ditanya siapakah orang mukmin beriman yang cerdik maka nabi sebut, tuan-tuan dan puan-puan di sidang Dewan (ayat Al-Quran) orang yang paling cerdik kata nabi, orang yang paling banyak mengingat mati. Jadi, dua (2) soalan daripada Yang Berhormat kita ini memberi teladan yang bagus, mudah-mudahan pembangunan jangan cerita hanya soal kepesatan ekonomi, tapi mesti juga, melihat kepada keperluan di hari kemudian dan ketika di dunia isunya, isu tanah perkuburan.
Untuk makluman Dewan yang mulia, pengurusan tanah kubur di Johor tersusun mengikut kategori tertentu. Setiap kategori mempunyai bidang kuasa dan skop tanggungjawab yang berbeza mengikut garis panduan Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Datuk Speaker, tanah kubur ini kita bahagikan Datuk Speaker.
Pertama, tanah perkuburan Islam kerajaan, ah.. ini biar semua perasan kenapa ada dua (2) kaedah pengurusan dan siapa agaknya yang uruskan tanah kubur ini yang berasingan, supaya masing-masing tahu siapa pengelola, siapa pengendali dan mana nak tuju. Tanah perkuburan kerajaan Datuk Speaker, maksudnya tanah perkuburan milik Majlis Agama Islam Negeri Johor atau rizab tanah perkuburan yang diurus oleh jabatan melalui Pejabat-Pejabat Kadi, ini yang pertama. Penyelenggaraan ini gunakan duit kerajaan, lokasi biasanya di kawasan bandar dan pinggiran bandar yang digunakan oleh masyarakat secara umum tanpa had kariah. Ha, ni beza dia, mana kariah pun bertindan, bersilih boleh guna tanah kubur kerajaan.
Tanah kubur yang kedua tuan-tuan sidang Dewan termasuk pemerhati, tanah kubur kariah, maksudnya tanah perkuburan milik Majlis Agama Islam juga Datuk Speaker, tanah wakaf kubur seluruh negeri Johor ni mesti dinamakan atas nama Majlis Agama Islam Negeri Johor atau rizab tanah perkuburan yang diurus, ditadbir oleh Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid atau Surau tersebut, tapi di bawah penyeliaan Pejabat Kadi Daerah sebagaimana peraturan-peraturan Jawatankuasa Pengurusan Kariah Masjid dan Surau Negeri Johor 2019. Lokasi biasanya di kawasan pinggiran bandar dan luar bandar yang digunakan oleh ahli kariah dan penduduk setempat. Dari segi penyelenggaraan Datuk Speaker lazimnya tanah kubur kariah ini sumbangan orang tempatan. Tapi boleh juga mohon daripada Tabung Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Negeri Johor, ha ini beza dua (2) ini supaya jelas.
Datuk Speaker isu yang berikutnya keperluan tanah perkuburan Islam meningkat seiring pertumbuhan penduduk, betul. Kerajaan negeri Johor mengambil maklum bahawa pertambahan penduduk yang pesat, pembangunan komersial menyebabkan kapisiti tanah kubur sedia ada di kawasan bandar terutamanya Kempas dan Kota Iskandar tumpuan pada pagi ini semakin terhad. Data terkini Jabatan Agama Islam Ngeri Johor menunjukkan bahawa, kita tengok data yang kita sediakan. Tanah perkuburan Islam kerajaan Datuk Speaker banyak yang kat bandar ini, kerajaan punya tanah kubur. Di kawasan bandar dan pinggiran bandar telah mencapai 80 sampai 95 % penggunaan, jadi maksudnya orang bandar, orang Kempas, orang Kota Iskandar ini memang ramai dan penggunaannya lebih tinggi berbanding kawasan biasa macam dekat Semerah macam dekat Sri Medan. Contohnya tanah kubur sedia ada, Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Datuk Speaker tengok tu, luas tu, 21 ekar, dekat Kempas, tapi Datuk Speaker dah tinggal 20 liang aje, itu yang YB Kempas sebut ni. Maksudnya YB Kempas bukan saja mengingat mati, dia pun nak fikir kalau orang kampung dia meninggal nak tanam dekat mana, terima kasih YB Kempas. Jangkaan tempoh guna pun tak lama tinggal dua (2) bulan aje. Tanah Perkuburan Islam Sungai Danga, ha ini lajak sikit dekat Perling, tapi dia border juga Datuk Speaker. Tanah kubur kerajaan lima (5) ekar, 95% dah digunakan, tempoh tinggal nak guna kurang setahun. Datuk Speaker baki ada 100 liang lagi, tapi saya difahamkan ada permintaan daripada orang kariah tinggal 100 liang ini berilah
kelebihan kepada orang kariah. Jadi itu yang saya kata YB Kempas dengan Kota Iskandar dia nak tengok macam mana Jabatan Agama Islam mengurus tanah perkuburan.
Ketiga, Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas, ini kawasan Skudai tapi pun 80% dah guna dan ini ada banyak sikitlah bakinya tinggal 600 liang. Tapi pun kepadatan penduduk jangkaan setahun kurang, mungkin sahaja kita dapat gunakan. Bagi DUN Kempas Datuk Speaker, kawasan YB Kempas dia padat, setakat ni tak terdapat tanah perkuburan Islam kariah kerana faktor ketiadaan tanah wakaf yang sesuai dijadikan tanah perkuburan Islam. Oleh kerana tiada tanah perkuburan di kawasan Kempas sekiranya berlaku, kematian jenazah akan dikebumikan di kawasan tanah kubur yang agak jauh sikit, iaitu Tanah Perkuburan Islam Kerajaan Taman Impian Emas. Ini YB Kempas prihatin, terima kasih.
Manakala bagi Kota Iskandar, ha ini Kota Iskandar banyak tanah perkuburan kariah, ada 12 yang diurus oleh Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau Kariah dan Jawatankuasa Tanah Perkuburan yang dilantik oleh masjid dan kariah yang berdekatan. Ha ini keadaan-Datuk Spekar, keadaan-keadaannyalah yang tinggal berbaki itu. Dan kita juga lampirkan Datuk Speaker senarai untuk kita perhatikan di kawasan YB Kota Iskandar banyak juga kariah, tapi YB Kota Iskandar tanya tadi di kawasan yang lebih penting, lebih utama di kawasan Iskandar Investment.
Bagi menampung keperluan semasa ha ini kita punya jawapan Datuk Speaker. Beberapa tanah tapak perkuburan yang baharu telah dicadangkan untuk dibangunkan. Antaranya Tanah Perkuburan Islam Bukit Roziah, Gelang Patah. Seluas 10.26 ekar yang sedang dalam projek pembangunan di bawah Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) berjumlah RM1.8 juta. Peruntukan MAIJ Datuk Speaker dan Tabung Pengurusan Tanah Perkuburan Negeri Johor dijangka siap, ini Datuk Pandak insya-Allah Mei 2026 penggunaan tanah kubur ini siap, nanti pun tak lama boleh tampung Datuk Speaker, enam (6) tahun aje. Yang ini Datuk Speaker, kita tengok tu, kita boleh tampung insya-Allah ikut dia punya jadual tu 10 ekar lebih, kita boleh tampung 7,000 liang dan insya-Allah siap nanti Mei 2026.
Keduanya yang baharu Tanah Perkuburan Islam Taman Setia Eco Garden, ini pun kerajaan punya, lima (5) ekar dekat Kota Iskandar. Kapasiti liang nanti boleh muatkan 4,000 liang dan kosnya RM1.5 juta dijangka siap pada tahun 2026, tapi kalau siap pun sidang Dewan kita jangkakan lima (5) tahun ke depan aje penggunaannya dan mungkin nanti dah padat dan penuh. Selain itu, terdapat juga perancangan yang dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, terima kasih kepada PBT kita, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan EXCO, terima kasih Datuk untuk membangunkan tanah perkuburan Islam di kawasan Utara, Stadium Mount Austin luasnya 12.03 ekar yang terhasil daripada proses SBKS Kota Sri Johor oleh pemaju Tetuan Glenmarie Properties dan Neraca Prisma Sdn. Bhd. dengan bajet RM5.8 juta, maksudnya kerjasama daripada pemaju pun kita terima dan syukur alhamdulillah mereka majukan tanah tapi mereka tengok pembangunan tanah perkuburan kita.
Itu yang Datuk Speaker kita sebut, dia boleh tampung, ini besar sikit, di kawasan Puteri Wangsa ni. Dia boleh tampung 10,626 liang lot kubur dan kalau siap nanti dia punya tempoh penggunaan 10 tahun ke depan. Oleh itu, untuk memenuhi keperluan tanah perkuburan di setiap DUN terutamanya di bandar-bandar utama Johor Bahru, tidak dapat dilangsungkan secara sepenuhnya mengikut keperluan setempat itu. Tapi kadang-kadang Datuk Speaker, terpaksa dijarakkan sikit tapi sebab nak menyesuaikan dengan perancangan pihak PBT, perancangan PLAN Malaysia dan juga perbincangan dengan MAIJ dan juga JAINJ.
Datuk, kita ni kalau boleh nak dekat-dekat dengan perumahan tapi kadang-kadang kesesuaiannya itu, ada nasihat daripada PBT, PLAN Malaysia yang kita kena raikan bagi menempatkan tanah kubur ni di kawasan yang agak sesuai tapi mungkin agak sedikit jauh. Datuk Speaker, Pelan Induk Perkuburan Islam Negeri Johor. Datuk Speaker ini kelebihan MAINJ dan JAINJ. Kita melaksanakan Pelan Induk Perkuburan Islam Negeri Johor yang
melibatkan unjuran nanti 10 ke 15 tahun yang akan datang. Maka setiap daerah dia dah ada kajian ini. Meliputi setiap daerah dan unjuran keperluannya mengikut kepadatan penduduk. Kita juga akan menyediakan tapak baru melalui perbincangan MAINJ dan juga JAINJ bersama PBT, mengenal pasti terutamanya di Bandaraya Johor Bahru keperluan tanah perkuburan-perkuburan yang baru seiring dengan pembangunan Maju Johor 2030. Kita terima kasih kepada pihak PBT, pihak pemaju yang sentiasa mengikut garis panduan perancangan negeri Johor yang mereka tertakluk Datuk Speaker, untuk menyediakan tapak-tapak perkuburan terutamanya di bandar-bandar utama yang kepadatannya tinggi. Mengikut Garis Panduan Perancangan Negeri Johor ini, ada perancangan untuk zon tanah kubur, setiap pembangunan YB Kota Iskandar, wajib memasukkan zon kemudahan awam termasuk tanah kubur sebenarnya. Lapan ekar bagi setiap pembangunan yang melebihi 250 ekar. Maka inilah bidang kuasa MAINJ dan juga JAINJ dan juga PBT, kita harap dalam zon yang sama tapak kubur sentiasa dapat kita sediakan. Manakala kalau kurang daripada 250 ekar pemaju tidak dikehendaki menyediakan tapak kubur dalam kawasan itu tetapi dikehendaki menyumbang kepada Tabung Amanah Perkuburan supaya kita Datuk Speaker boleh buat acquire tanah dan nanti keperluan perkuburan semasa dapat dibelanjakan melalui perencanaan kewangan ini. Ia juga dikawal melalui KM, Kebenaran Merancang PBT dan melibatkan agensi teknikal yang berkaitan. Akhirnya, tiada kawasan bandar dan pusat bandar yang pesat akan terputus daripada kemudahan tanah perkuburan. Sentiasa dalam radar dan juga pemantauan kita. Setiap daerah sekurang-kurangnya ketika ini mempunyai rizab mencukupi untuk 20 tahun ke atas cuma lazimnya Johor Bahru Datuk Speaker, tetap kena ada pelan khusus yang diberikan keutamaan. Dan akhirnya, saya nak promosikan Tabung Perkuburan Islam Negeri Johor, Datuk Speaker, kita tanya macam mana tanah perkuburan ini didanai, Datuk Speaker, siapa yang ada handphone, saya minta snap gambar ni. Nanti kita akan edarkan, ini Datuk Speaker kalau tak sempat pergi tabung masjid, boleh QR aje boleh donate kepada Tabung Pembangunan Tanah Perkuburan Negeri Johor dan sumbangkan. Sumbangan ini kita akan salurkan kepada tanah perkuburan kita semua yang memerlukan. Mudah-mudahan di samping kita bersedia untuk membuat tanah perkuburan lebih baik, dananya pun dapat kita kutip daripada semua dalam Dewan. Wallahualam. Terima kasih.
Ada soalan tambahan pasal kubur? Sila, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Semerah di atas penjelasan soalan daripada Kota Iskandar dan Kempas. Yang Berhormat Datuk Speaker, tahukah kita kenapa Allah ciptakan dunia dan akhirat, antaranya hidup untuk beramal, kubur tempat disoal, syurga tempat asal, neraka tempat menyesal. Soalan tambahan Kota Iskandar, adakah JAIJ, Jabatan Agama Islam atau MAINJ dilibatkan sama untuk memberi ulasan teknikal melibatkan keperluan tanah kubur di PBT, hasilnya di Mesyurat OSC dan sebagainya. Dan, apakah mekanisme yang digunakan untuk memastikan rizab tanah kuburan dalam DUN yang sama tidak dialihkan kepada DUN yang lain. Dalam contoh pembangunan yang berlaku di Kota Iskandar, dialih ke DUN Tiram. Ini berlaku dahulu, Yang Berhormat Datuk Speaker, semasa UEM membangunkan Iskandar Puteri ni, adalah membangunkan Nusajaya, peruntukan dibayar oleh pemaju kepada Majlis Agama Islam, tetapi tak dibuat di dalam DUN Kota Iskandar, Iskandar Puteri. Saya beri contoh, bagaimana Perkuburan Cahaya Masai di MBPG diuruskan. Makna, kita hendak juga bawa, kalau boleh di kawasan Iskandar Puteri ini ada 2,000 ekar yang sedang dibangunkan oleh Iskandar Investment Berhad. Kebesaran, amat besar berhampiran Kampung Sungai Melayu, Datuk Speaker, kerja-kerja tanah sedang ditolak melibatkan hampir 3 hingga 5 ribu unit akan didirikan. Apabila ditanya kepada PBT dalam RT, RT MBIP yang dipamerkan sekarang, tak ada tanah perkuburan walaupun disyaratkan oleh MBIP ketika pimpinan Yang Berhormat, Yang Berhormat Dato’ Haffiz ketika menjadi Datuk Bandar, tetapi apabila saya tengok dalam RT
yang terbaru dipamerkan tak ada. Jadi, kita minta kepastian, kerajaan negeri bertegas ataupun MAINJ, Jabatan Agama pastikan bahawa sekurang-kurangnya berskala besar ni, 2,000 ekar lebih ni ada tanah perkuburan diwujudkan di tempat yang sama iaitu berhampiran dengan Kampung Sungai Melayu. Kampung Sungai Melayu, Datuk Speaker, dia ada 5 ekar. Jadi, kalau ditempatkan 35 ekar kita ada kawasan persekitaran yang baik untuk perkuburan sebagaimana yang contoh di MBPG, di Perkuburan Cahaya Masai. Terima kasih Datuk
Speaker.
Datuk Speaker, saya setuju sangat dengan YB Kota Iskandar. Sebab itu, sebenarnya saya sebut tadi ada Garis Panduan Perancangan Negeri Johor Edisi 2019 pasal tanah kubur. Datuk Speaker, saya beri komitmen dan saya minta sahabat saya, YB Datuk Bukit Permai, EXCO, kena pastikan bahawa Garis Panduan ni digunakan sama-sama dan kita kena pastikan keperluan tanah perkuburan di zon yang tersebut mesti dibangunkan sebab Datuk Speaker, saya sebut tadi, bagi keluasan pembangunan melebihi 250 ekar ikut Garis Panduan dia mesti ada 8 ekar di kawasan itu. Jadi, Datuk Speaker, saya kena katakan Portfolio saya kerjasama rapat dengan YB Bukit Permai untuk pastikan hasrat YB Kota Iskandar tadi tu dapat dilaksanakan berdasarkan Garis Panduan dan PLAN Malaysia, PBT kena akur kepada Garis Panduan ini. Terima kasih Datuk Speaker.
Saya rasa Yang Berhormat kita boleh pertimbangkan, ambil contoh macam di Metafora, ya, maksudnya boleh ditanam jenazah itu di kawasan rumah kepada keluarganya. Jadi, lagi senang dijaga, lagi senang dilawat tapi kalau sekiranya ada 10 yang meninggal, 10 lah batu nisan dekat kawasan rumah tu ye. Tapi ini saya rasa satu cara terbaik untuk mengatasi masalah kekurangan tanah wakaf dan senang pula untuk keluarga melawat. Ini mungkin kita boleh pertimbangkanlah kalau masalah tanah wakaf ni.
Saya ambil maklum nasihat Datuk
Speaker. Terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati iaitu 20 orang daripada DUN kawasan Larkin dan 3 orang daripada DUN kawasan Senai. Dijemput Yang Berhormat Johor Lama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 3. Apakah cadangan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah kepadatan pesakit di Hospital Kota Tinggi serta infrastruktur dan fasiliti yang kian usang memandangkan jumlah penduduk juga bertambah.
Terima kasih, terima kasih Datuk Speaker. Terima kasih Datuk Speaker, Salam Maju Johor, Salam Bangsa Johor Sihat Sejahtera. Terima kasih soalan dari Johor Lama yang menanyakan mengenai, yang mengenai kepadatan pesakit di Hospital Kota Tinggi. Dan kerajaan negeri mengambil maklum isu kepadatan pesakit serta kemudahan infrastruktur yang kian uzur di Hospital Kota Tinggi. Beberapa langkah telah dan sedang dilaksanakan dan di antaranya pelaksanaan inisiatif Hospital Kluster bersama Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Mersing yang membolehkan perkongsian tenaga pakar serta perkhidmatan perawatan pesakit. Yang kedua, kelulusan projek naik taraf dan pembaikan infrastruktur melalui peruntukan pembangunan KKM dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan keutamaan bagi memastikan fasiliti hospital berada dalam keadaan baik dan selamat. Yang ketiga, pembinaan Klinik Kesihatan Bandar Kota Tinggi yang kini sedang berjalan dan dijangka siap pada hujung tahun ini dan boleh beroperasi pada awal tahun hadapan. Apabila siap klinik tersebut, klinik ini akan dijangka dapat mengalihkan sebahagian pesakit luar daripada Jabatan Pesakit Luar Hospital Kota Tinggi sekaligus mengurangkan kesesakan di Hospital Kota Tinggi.
Datuk Speaker, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seisi Dewan juga, pada 10 November, saya telah buat spotcheck, kebetulan di Hospital Kota Tinggi. Dan Hospital Kota Tinggi sedang melaksanakan dua kerja naik taraf pertama. Yang pertama, kerja pendawaian semula bangunan lama di Zon C dan Zon D dengan kos RM493,410.00. Projek ini bermula pada 13 Jun 2025 dan dijangka siap pada hujung bulan November ini. Dan, kerja naik taraf yang kedua adalah kerja penggantian sistem vakum nombor satu sedang dijalankan dengan kos sebanyak RM349,500.00 dan bermula pada 25 Mei dan juga dijangka siap pada hujung bulan ini. Untuk makluman seisi Dewan juga, dan melalui peruntukan kerajaan negeri juga pada tahun ni, kerajaan negeri telah menyalurkan sebanyak RM70,000.00 bagi Hospital Kota Tinggi untuk pembelian dua alat iaitu satu portable ventilator dan satu unit untuk patient monitoring parameter. Sekian, terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Pasir Raja. Dijemput Yang Berhormat Pekan Nanas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 7. Apakah tindakan penguatkuasaan yang telah sedang dilaksanakan terhadap premis perniagaan yang dimiliki atau dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran yang sah?
Bismillahirahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, YB ADUN Pekan Nanas bertanyakan tentang tindakan penguatkuasaan yang diambil kepada warga asing yang dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran yang sah. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, Pihak Berkuasa Tempatan yakni PBT seluruh negeri Johor sentiasa melaksanakan tindakan-tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi membanterasi premis perniagaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran yang sah. Tindakan ini dilaksanakan melalui rondaan harian, pemeriksaan berkala, operasi besar-besaran serta kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), KPDN, SSM, Jabatan Tenaga Kerja dan juga agensi lain yang berkaitan. Pendekatan ini dilakukan secara bersepadu untuk memastikan pelaksanaan undang-undang berjalan dengan tegas dan konsisten. Berdasarkan laporan penguatkuasaan di kawasan 16 PBT bagi tempoh Disember 2024 sehingga Oktober 2025, data menunjukkan peningkatan ketara dalam setiap komponen tindakan penguatkuasaan pada tahun 2025 berbanding 2024. Nilai kompaun juga meningkat dengan signifikan daripada RM30,000.00 pada tahun 2024 kepada RM180,000.00 pada tahun 2025. Ini menggambarkan kesungguhan PBT memperhebatkan tindakan serta menghalang mengulangi kesalahan. Secara keseluruhan prestasi ini membuktikan bahawa usaha membanteras aktiviti peniaga warga asing tanpa lesen dilaksanakan secara lebih tegas, agresif dan menyeluruh sepanjang tahun 2025. Antara tindakan penguatkuasaan yang diambil termasuk pemeriksaan lesen, serbuan, tindakan sitaan barangan, pengolahan, pengeluaran kompaun, pembatalan lesen, penutupan premis serta rampasan lesen bergantung kepada tahap risiko dan jenis pelanggaran undang-undang. Dari hasil operasi sepanjang tempoh Disember 2024 hingga Oktober 2025, Laporan Penguatkuasaan merekodkan 158 notis kesalahan, 304 kompaun dan 552 tindakan sitaan, selain penutupan sementara premis dengan pemasangan tali kuning sebagai kawalan dan pencegahan pengulangan kesalahan. Melalui operasi ini, majoriti PBT turut mengenal pasti bahawa banyak premis sebenarnya dimiliki oleh warga tempatan, namun diserahkan pengurusannya kepada warga asing yang melibatkan sektor seperti kedai runcit, kedai serbaneka, pusat cuci kereta. Tindakan tegas telah diambil untuk membanterasi penyalahgunaan pemilikan lesen. Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Pasir Gudang telah memperkenalkan dasar yang lebih ketat, termasuk larangan mengambil pekerja asing dalam
sektor peruncitan serta tidak meluluskan lesen kepada pemohon yang dikesan menggaji warga asing tanpa dokumen yang sah. PBT lain seperti Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Perbandaran Muar, Majlis Perbandaran Batu Pahat, MPKu, Segamat, Majlis Perbandaran Pengerang, Majlis Perbandaran Pontian dan Majlis Daerah Tangkak turut melaksanakan tindakan menyeluruh melalui kompaun, sitaan, operasi bersepadu berskala besar, penutupan premis serta pembatalan lesen.
Turut dilaporkan ialah siri operasi penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Pontian pada 6, 13 dan 16 Oktober 2025. Selain itu, dokumentasi bergambar operasi di semua 16 PBT melibatkan Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah di seluruh negeri. Ini menggambarkan komitmen menyeluruh dan tindakan langsung yang berterusan di peringkat lapangan.
Secara keseluruhan, PBT di Johor mengamalkan pendekatan penguatkuasaan yang konsisten dan tegas berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan, Akta 171, UUK Pelesenan serta Peraturan Imigresen bagi memastikan hanya pemilik dan pengendali perniagaan yang sah dibenarkan beroperasi. Usaha ini turut diperkukuhkan melalui pemantauan berjadual, pengeluaran notis serta pemberitahuan kepada para pemilik premis bagi mencegah pemindahan lesen secara tidak sah atau penyalahgunaan premis oleh warga asing. Terima kasih.
Ya, sila Bentayan.
Adakah kerajaan negeri bercadang memperketatkan lagi dasar penguatkuasaan dengan melaksanakan larang pengambilan pekerja asing dalam sektor peruncitan serta menjadi mandatori penolakan permohonan lesen bagi mana-mana individu tempatan yang telah didapat meminjamkan lesen mereka kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan. Terima kasih.
Terima kasih kepada YB Pekan Nanas. Saya sebenarnya menyertai pelbagai operasi yang melibatkan warga asing. Jadi dari profiling yang kita buat Datuk Speaker, kita mendapati hampir lebih 70% mereka yang orang-orang tempatan ni menyewakan lesen kepada warga asing. Jadi kita bila kita buat operasi itu ke premis-premis berkaitan jadi akan datanglah orang tempatan seolah-olah dialah pemilik kedai itu atau kedai runcit itu. Dan ini saya ingat telah berlaku berbelas tahun dan ini juga di peringkat dasar khasnya di peringkat SSM membenarkan warga asing untuk mendaftar dalam Akta Daftar Syarikat.
Saya menerima banyak maklum balas daripada orang-orang tempatan, adakah akan datang ini warga-warga asing ini khasnya peruncitan, kerja kedai serbaneka hanya dipelopori oleh warga-warga asing? Jadi, dari segi PBT itu sendiri kita telah bengkelkan untuk melihat tindakan yang lebih tegas. Sebagai contoh, hari ini bila kita check, isteri orang Malaysia tetapi suami warga asing tapi yang menjalankan perniagaan tu warga asing. Dalam keadaan macam ni, adakah kita perlu mengambil tindakan yang tegas kepada warga asing tersebut sedangkan isteri dia adalah warga tempatan? Dan ini yang isu yang kedua, owner lesen adalah orang tempatan tetapi yang menjalankan perniagaan ni adalah warga asing. Sebagai contoh kedai Acheh dan sebagainya. Jadi, hari ini rakyat melihat bahawa seolah-olah PBT ini tidak mengambil tindakan tetapi dari sudut SSM pendaftaran syarikat, dari sudut lesen perkara itu dibenarkan.
Sebab itu dah sampai masa kalau di peringkat kerajaan boleh kita setujukan bahawa pada masa akan datang kita kena hadkan atau kita kena kawal atau zoning kan hanya mereka yang betul-betul orang tempatan dibenarkan berniaga contoh di FELDA, di kampung-kampung dan di pekan-pekan. Di bandar ni, secara terbukanya semua orang boleh berniaga tak kira warga asing ke warga Malaysia, semua boleh. Pasal shopping-shopping complex dan sebagainya pemilikan semua ada yang warga asing tetapi yang kita nak perlu pertahankan ini ialah di
kampung, di FELDA dan di pekan-pekan ini Datuk Speaker yang dah sampai masanya untuk kita buatkan garis panduan yang baharu secara hikmah, supaya di peringkat pemilik lesen itu sendiri tidak terkesan atas tindakan yang kita buat.
Sebab itu di Pasir Gudang kita buat pilot run project di mana-mana peniaga-peniaga, pemilik-pemilik kedai runcit mereka mesti, apa, pekerja dia mesti orang tempatan. Kalau ada warga asing, mesti ada permit dan sebagainya. Tapi ini penguatkuasaan dalam sudut pilot run project dan kalau perkara ini berjaya, dan kita akan laksanakan pada PBT-PBT lain. Tapi saya cukup terkesan khasnya di peringkat peniaga-peniaga kita tak kiralah Cina, Melayu, India khasnya di FELDA, di pekan, di kampung-kampung bila mereka terpaksa bersaing dengan warga asing. Sebab warga asing ni akan jual dengan harga yang murah. Sebab tu di pasar-pasar tani, pasar-pasar pagi sekarang ni dah tak nampak lagilah peniaga-peniaga warga asing sebab di peringkat PBT memang saya arahkan bahkan mengambil tindakan sewajarnya. Contoh ya, dia ikan kembung kecil, satu kilo, warga asing jual RM10.00, kita warga tempatan jual RM13.00 sebab kos kita sedikit tinggi. Mereka dapat untung RM1.00 pun cukup, tetapi warga tempatan kena untung RM2.00 atau RM3.00. Jadi, banyak warga kita pulak beli dengan warga asing dan tidak utamakan warga tempatan. Dan perkara-perkara inilah Datuk Speaker, dan insya-Allah di peringkat kerajaan, saya akan bertindak tegaslah dan saya pun secara dasarnya memang dah bermula daripada Disember 2024, kita buat penguatkuasaan secara berkala. Sebab itu data tadi boleh melihat bahawa sebelum ini tak ada data, selepas Disember 2024 sampai Oktober ini ada data. Maksudnya, kita wajibkan setiap PBT setiap minggu, dua minggu sekali akan buat penguatkuasaan dan perkara ini berlaku setiap minggu, insya-Allah. Terima kasih.
Adakah Yang Berhormat mencadangkan SSM tidak membenarkan warga asing mendaftar syarikat perniagaan?
Sebelum ini SSM ni di bawah federal, sebab itu bila kita dapati bahawa warga asing di peringkat SSM dia membenarkan untuk pendaftaran warga asing untuk berniaga. Yang itu pernah kita rujuk di peringkat SSM tetapi tidak ada maklum balas. Tetapi, apa yang saya risaukan sekarang ini kalau saya ingat semua YB-YB pun tahu ke mana, Sidang Dewan pun tahu bahawa bila kita tengok di kawasan kampung, di kawasan pekan, FELDA-FELDA, kedai-kedai runcit orang tempatan semakin hari semakin berkurang. Sebab apa, sebab tidak boleh bersaing dengan warga asing yang, apa yang daripada harga dia lebih murah dan sebagainya. Sebab itu kalau SSM tidak bersetuju untuk tidak melesenkan untuk warga asing, kita di peringkat PBT akan buat kaedah yang lain supaya kita boleh menyekat atau zoning kan kawasan-kawasan tertentu mungkin tidak benarkan pemilikan warga asing termasuk juga sewa ali baba ini juga. Terima kasih.
Dijemput Yang Berhormat Kukup.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, sorong papan, tarik papan, soalan saya nombor 8.
Apakah status terkini projek Loji Rawatan Air baharu yang dirancang di Johor serta bagaimana kerajaan negeri menjamin bekalan air bersih mencukupi sehingga tahun 2030?
Sorong papan tarik apa tadi Yang Berhormat? Sebab itulah, saya tak dengar. Saya ingat tarik lapan.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh, salam sejahtera, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kukup. Bagi memastikan bekalan air terawat yang mencukupi dan mampan, kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan sedang melaksanakan beberapa projek loji rawatan air (LRA) di negeri
Johor. Satu jawatankuasa khas telah pun ditubuhkan bagi memantau kemajuan projek-projek yang melibatkan bekalan sumber air dan juga air terawat serta projek-projek tebatan banjir di negeri Johor. Pada awalnya jawatankuasa ini dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian PETRA, Dato’ Sri Haji Mad Zaidi Mohd Karli dan saya sendiri, namun mesyuarat jawatankuasa seterusnya akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri PETRA, Yang Berhormat Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir.
Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, berdasarkan unjuran semasa, permintaan air terawat di negeri Johor dijangka terus meningkat selari dengan pertumbuhan penduduk, pembangunan industri serta pelaksanaan inisiatif strategik seperti zon ekonomi khas Johor Singapura (JS-SEZ) dan pembangunan pusat data. Terdapat 48 LRA sedia ada yang mempunyai kapasiti reka bentuk untuk menghasilkan 2,352 juta liter sehari dan purata pengeluaran bagi tahun 2025 adalah sekitar 2,037 juta liter sehari. Unjuran bagi tahun 2030 ialah 2,700 juta liter sehari manakala bagi tahun 2035 meningkat kepada 3,000 juta liter sehari dan bagi tahun 2040 kita anggarkan ianya akan meningkat lagi kepada 3,300 juta liter sehari. Peningkatan permintaan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk pembangunan baharu infrastruktur bekalan air di negeri Johor. Penilaian yang dibuat oleh pihak Ranhill SAJ, kemudiannya perancangan diluluskan oleh SPAN dan akhirnya pembiayaan diluluskan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Lima projek pembangunan loji rawatan air (LRA) dijangka bakal siap menjelang tahun 2035.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dua projek yang dalam pelaksanaan ialah LRA Pakej Pelan Semangar bernilai RM70 juta dengan kapasiti 50 juta liter sehari yang bakal siap pada tahun hadapan 2026 di mana ianya akan memberikan bekalan di kawasan Kulai dan Sedenak. Manakala bagi projek LRA Layang 2 Fasa 2 ianya dijangka siap pada tahun 2027 dengan kapasiti 160 juta liter sehari dibekalkan ke kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri. Projek ini bernilai RM114 juta. Projek LRA Semangar 3 dan LRA Kayu Ara Pasong yang masing-masing bernilai RM750 juta dan RM537 juta sedang dalam peringkat konsep reka bentuk dan reka bentuk terperinci. Kawasan yang terlibat bagi kedua-dua projek ini ialah Johor Bahru, Kulai dan Pontian dengan jumlah kapasiti 290 juta liter sehari.
Untuk makluman Yang Berhormat Kukup, bagi pembinaan LRA Kayu Ara Pasong. Pada asalnya pihak Ranhill SAJ mencadangkan kapasiti bagi LRA ini hanyalah 30 juta liter sehari. Namun, disebabkan projek pembinaan baraj dan takungan air pinggiran (TAPS) Sungai Pontian Johor yang sedang dalam pembinaan berkapasiti 90 juta liter sehari, maka kerajaan negeri mencadangkan supaya kapasiti LRA ini ditingkatkan daripada 30 juta liter sehari kepada 90 juta liter sehari. Walau bagaimanapun, pihak PAAB mencadangkan supaya LRA ini dibina dengan kapasiti 30 juta liter sehari dulu dengan kos RM191 juta manakala baki 60 juta liter sehari akan dilaksanakan pada fasa 2. Keseluruhan projek ini akan memberi manfaat kepada 46,000 orang, 46,000 akaun pengguna di daerah Pontian. Yang Berhormat Datuk Speaker bagi menyokong lagi keupayaan LRA di negeri Johor ini, pihak Ranhill SAJ sedang dalam pelaksanaan projek rezoning yang kini berada difasa perolehan. Projek-projek rezoning ini akan menghubungkan paip-paip sedia ada daripada LRA-LRA khususnya di daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai bagi membantu mengurangkan tempoh gangguan, sekiranya terjadi isu luar jangka gangguan bekalan air di lokasi-lokasi tertentu.
Yang Berhormat Datuk Speaker, jika dapat saya kongsikan di sini empat (4) pakej dalam projek rezoning dengan anggaran kos keseluruhan mencecah RM1.02 bilion. Pakej pertama ialah menaik taraf sistem agihan secara rezoning di Iskandar Malaysia melibatkan kawasan Pasir Gudang, Kempas Banjaran, Impian Emas, Johor Jaya dan Sutera Utama. Di mana Booster Station akan berada di Setia Tropika. Pakej dua ialah sistem agihan baru dari LRA Semangar ke Bukit Kulai Resolver. Yang ketiga pemasangan paip dari tangki pengimbang Masai bagi kegunaan kawasan Masai dan persiaran Mahkota dan pakej yang keempat ialah pembinaan sistem agihan utama dari Damansara Alif ke Iskandar Puteri bagi manfaat Damansara Alif, Perling dan Iskandar Puteri.
Projek rezoning ini dijangka dapat mengoptimumkan pengagihan bekalan air terawat sehingga 260 juta liter sehari menjelang tahun 2027. Keperluan projek bekalan air terawat ini bukan sahaja bagi memenuhi keperluan domestik dan industri, malah ianya juga melibatkan pertumbuhan Pusat Data di negeri Johor. Terima kasih.
Ya, sila Kukup.
Tentang jangka masa panjang kita mengenai air terawat. Soalan saya ialah sejauh mana kita di Johor ini masih lagi bergantung kepada mengimport air terawat daripada Singapura, sedangkan kita melihat terlalu banyak investment yang telah kita buat untuk memastikan bekalan air di Johor ini mencukupi. Saya nak tahulah kalau ada data terkini atau pun kita boleh stop daripada mengimport air terawat daripada Singapura, terima kasih Datuk Speaker.
Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kukup. Untuk makluman memang ada agreement untuk Johor membeli air terawat daripada Singapura dan ianya adalah atas kapasiti jika diperlukan. Oleh itu untuk makluman semua kita faham bagi isu tempohari, apabila air Sungai Johor tercemar Yang Berhormat Datuk Speaker, terdapat tujuh (7) loji rawatan air di kawasan itu menyebabkan kita terpaksa kadang-kadang mengimport air terawat daripada Singapura. Tapi, berdasarkan projek-projek yang saya sebutkan tadi sehingga 2040 kita memang perancangan ini termasuk sekali untuk mengurangkan kebergantungan kita dengan air terawat daripada Singapura. Kita sebut projek ni sebagai projek zero defense kepada air Singapura. Insya-Allah sekiranya projek-projek ini selesai khususnya satu projek yang bernilai agak tinggi, LRA Sedili Besar yang kita jangka boleh siap pada menjelang 2031 projek ini bernilai RM2.4 bilion yang akan menambah kapasiti air terawat kita sebanyak 600 juta liter sehari. Ini ialah key point kita untuk memastikan menjelang tahun 2030 kita dapat mengurangkan kita kebergantungan kepada air Singapura dan kita mencapai hasrat zero digital terima kasih.
Yang Berhormat tangki air Rengit dah lantik kontraktor belum?
Dalam proses Yang Berhormat.
Ha itulah jawapan dari dulu saya dengar begitu aje, macam mana nak maju. (Dewan bertepuk) Ahli-Ahli Yang Berhormat, jika terdapat soalan-soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam persidangan yang sama. Saya jemput Yang Berhormat Bentayan untuk berbahas.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2026) Tahun 2025.Bill
Salam sejahtera, selamat petang, Yang Berhormat Datuk Speaker, jutaan terima kasih diucapkan atas peluang yang diberikan kepada Bentayan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Johor Bagi Tahun 2026 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari Khamis lepas di dalam Dewan yang mulia ini. Bentayan ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih dengan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan selamat kepada ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena ulang tahun hari keputeraan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 22 November 2025. Bentayan turut menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang telah baginda berikan demi kesejahteraan Bangsa Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, Bentayan merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pelaksanaan Bantuan Kasih Johor yang merangkumi 23 inisiatif, memberi manafaat kepada lebih 350,000 rakyat dengan peruntukan kira-kira RM170 juta. Bantuan ini meliputi pelbagai golongan seperti anak yatim, ibu tunggal, warga emas, OKU, petani, nelayan
serta sukarelawan Southern Volunteers. Ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang. Namun, dan semangat penambahbaikan Bentayan percaya bantuan ini boleh memberi kesan ekonomi berganda kepada rakyat dan peniaga tempatan jika disusun dengan lebih strategik. Pada masa ini semua BKJ diberikan dalam bentuk tunai sekali bayar. Walaupun melegakan tunai tidak menjamin, dia dibelanjakan untuk kepeluan asas seperti makanan dan barangan dapur. Justeru, Bentayan mencadangkan supaya sebahagian BKJ ditukar baucar tunai. Sebagai contoh, RM400.00 diberikan, RM200.00 kekal tunai dan RM200.00 lagi dalam bentuk baucar yang hanya boleh dibelanjakan di kedai runcit tempatan, pasaraya kecil, pasar awam, gerai makanan dan pusat penjaja berdaftar. Pelaksanaannya mampu memberi impak yang jauh lebih besar khususnya kepada peniaga kecil, mikro usahawan dan pasar tempatan. Baucar ini akan menggerakan kuasa rakyat terus ke ekonomi setempat dan mengukuhkan rantaian ekonomi akar umbi. Pendekatan ini bukan sahaja membantukan penerima untuk memenuhi keperluan asas tetapi turut menyuntik kuasa beli ke dalam komuniti. Menjadi RM1.00 bantuan, kerajaan berputar beberapa kali dalam ekonomi rakyat, ini maksud mahu TIBER economic impact, dengan izin. Yang Berhormat Datuk Speaker, Bentayan menyokong penuh semangat BKJ yang berpaksikan prinsip tiada rakyat Johor yang tertinggal. Cadangan ini bukan untuk mengubah dasar tetapi untuk memperkukuhkan keberkesanan bantuan agar lebih inklusif dan mampan. Bantuan tunai tetap penting namun gabungan bantuan tunai dan baucar tempatan akan memberi manfaat dua hala, membantu rakyat yang memerlukan dan dalam yang sama menghidupkan aktiviti ekonomi peniaga kecil, nadi ekonomi negeri Johor. Seperti pepatah, bantuan yang baik bukan hanya membeli ikan, tetapi menghidupkan semula kolam dia. Isu kos sara hidup kekal menjadi cabaran utama rakyat Johor. Bentayan yakin kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan terhadap isu ini, harapan kami inisiatif seterusnya bukan sahaja mengurangkan beban rakyat tetapi turut merangsang pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi. Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun nilai ringgit menunjukkan peningkatan berbanding dolar Amerika kebelakangan ini, realitifnya keadaan ekonomi global masih belum stabil. Harga komoditi yang tidak menentu, ketegangan geopolitik serta kelembapan pasaran eksport terus memberi tekanan kepada sektor PKS kita. Di Johor ramai usahawan kecil berdepan aliran tunai yang ketat, kos bahan mentah yang masih tinggi serta penurunan permintaan dalam pasaran domestik dan antarabangsa. Keadaan ini menyebabkan sebahagian PKS bergelut untuk mengekalkan operasi dan pekerja mereka. Menurut laporan SME Coop lebih 55% PKS di Malaysia mencatatatkan penurunan jualan sejak tahun lalu. Manakala sebahagian lagi berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan. Situasi ini turut dirasai di Johor terutamanya dalam sektor makanan, ubatan, perusahaan desa. Bentayan ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas berbagai inisiatif diumumkan dalam belanjawan Johor 2026 termasuk program Meh Support Local, bantuan tapak usahawan maju Johor serta penubuhan Johor Halal Development Cooporation. Langkah-langkah ini jelas menunjukkan iltizam kerajaan negeri dalam menyokong eko sistem keusahawanan. Namun, dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar walaupun ringgit menunjukkan tanda pemulihan, PKS memerlukan sokongan yang lebih bersifat jangka panjang, mampat dan menyeluruh. Bukan sekadar bantuan sekali bayar atau bersifat sementara. Pertama, Bentayan mencadangkan penubuhan dana pusingan Mikro Johor, satu skim pinjaman tanpa faedah atau faedah rendah yang membantu usahawan kecil mendapatkan modal kerja bagi menampung operasi harian. Kerjasama dengan Tekun Nasional atau Institusi Perbankan Islam boleh mengukuhkan keberkesanan skim ini.
Kedua, Bentayan mencadangkan Geran Digitalisasi PKS Johor iaitu geran pandangan untuk membantu PKS meningkatkan sistem jualan pemasaran dan operasi melalui penggunaan teknologi digital dan automasi. Ketiga, kerajaan negeri boleh memperkenalkan Program Johor Eksport Ready bagi menyediakan latihan, bimbingan dan sokongan persediaan eksport sekaligus membantu PKS menembusi pasaran Singapura, Asean dan Timur Tengah. Keempat, Bentayan mencadangkan skim jaminan kredit PKS Johor dimana kerajaan negeri menjadi penjamin sebahagian bagi PKS yang berpotensi menambah kekurangan cagaran. Langkah ini akan memperluaskan akses pembiayaan kepada lebih ramai pengusaha tempatan. Yang Berhormat Datuk Speaker, Bentayan percaya kerajaan negeri boleh berbuat lebih untuk PKS kerana kekuatan ekonomi Johor sebenarnya, bergantung pada ketahanan dan produktiviti PKS sebagai tulang belakang negeri. Justeru, Bentayan menggesa kerajaan negeri menjadikan sokongan kepada PKS sebagai agenda strategi lima (5) tahun akan datang. Dengan komitmen semua pihak, Bentayan yakin Johor mampu mengekalkan pertumbuhan kukuh serta memastikan usahawan kecil turut menikmati kemakmuran negeri. Yang Berhormat Datuk Speaker, Bentayan ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada isu penuaan penduduk di negeri Johor yang semakin ketara dan perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri serta agensi-agensi berkaitan. Berdasar statistik Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga bulan Julai 2025, jumlah warga emas berumur 60 tahun ke atas di Johor seramai 466,100 orang. Angka ini dijangka meningkat kepada 617,200 orang menjelang tahun 2030. Perangkaan ini jelas menunjukkan bahawa Johor sedang menuju ke arah masyarakat menua dan kita perlu mula membuat persediaan dari sekarang khususnya dari aspek kemudahan kesihatan, kebajikan sosial dan infrastruktur sokongan warga emas. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam menghadapi realiti masyarakat menua ini, kesiapsiagaan sistem kesihatan negeri amat penting. Kita perlu memastikan hospital dan klinik yang sedia ada mencukupi, lengkap dan mampu menampung peningkatan keperluan rawatan warga emas dari semasa ke semasa. Bentayan menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan Malaysia yang kini memberi tumpuan kepada pembinaan hospital baharu seperti Hospital Pasir Gudang dan perancangan Hospital Sultanah Aminah Kedua di Skudai. Namun begitu, saya ingin, Bentayan ingin mengingatkan agar kerajaan tidak melupakan hospital-hospital sedia ada di daerah-daerah lain khususnya Hospital Pakar Sultanah Fatimah di daerah Muar. Yang Berhormat Datuk Speaker, HPSF telah lama berperanan sebagai hospital rujukan utama di kawasan utara Johor. Namun, hospital ini sering berdepan dengan cabaran dalam mendapatkan peruntukan bagi kerja-kerja naik taraf kemudahan dan peralatan asas. Akibatnya, terdapat senarai panjang kerja-kerja penyenggaraan kecil yang tertangguh sekian lama. Dalam kesempatan ini, Bentayan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor kerana telah memberi perhatian kepada keperluan HPSF dengan meluluskan peruntukan bagi menaik taraf Jabatan Kecemasan dalam Belanjawan Negeri 2025. Bentayan amat menghargai keperhatian kerajaan negeri dalam hal ini. Namun demikian, Bentayan ingin menegaskan bahawa usaha menaik taraf hospital ini tidak seharus bersifat sekali gus, one-off dengan izin, Bentayan berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan peruntukan berterusan dari tahun ke tahun supaya keperluan HPSF dapat dipenuhi secara berperingkat, menyeluruh dan mampat. Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan jumlah warga emas yang semakin meningkat kemudahan kesihatan yang lengkap, mudah diakses dan diselenggara dengan baik adalah
kunci kepada membentukkan negeri yang sihat, sejahtera dan berdaya tahan. Walaupun bidang kesihatan secara dasarnya terletak di bawah kuasa kerajaan persekutuan. Namun kita tidak boleh hanya bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat. Seiring dengan peningkatan hasil dan kemampuan kewangan kerajaan negeri Johor, Bentayan berpandangan sudah tiba masanya kerajaan negeri memainkan peranan lebih proaktif dan bertanggungjawab bersama dalam membantu memperkukuhkan prasarana kesihatan negeri termasuk menyokong hospital-hospital daerah seperti HPSF. Bentayan berharap kerajaan negeri akan terus menjadikan suara yang kuat dan memperjuangkan keperluan naik taraf, kemudahan kesihatan di peringkat daerah agar tiada kawasan atau rakyat Johor yang terpinggir dalam arus pembangunan dan kesejahteraan kesihatan negeri ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai insiden yang berlaku di sekolah. Kes buli, gangguan seksual, marah, tragedi yang meragut nyawa, semua ini menimbulkan persoalan yang mendalam dalam kalangan masyarakat. Adakah sekolah kita masih selamat? Apakah yang telah berlaku dalam sistem pendidikan kita dan apakah yang sedang menimpa generasi anak-anak kita pada hari ini. Insiden-insiden yang menyayatkan hati ini mengingatkan kita bahawa isu pendidikan hari ini bukan lagi sekadar soal akademik semata-mata tetapi telah menjadi satu krisis sistemik dan kemanusiaan. Kita sering menekankan tentang kepentingan kesihatan mental pelajar dan ini memang sangat penting. Namun, pada masa yang sama kita tidak boleh mengabaikan tekanan dan cabaran yang dihadapi oleh para guru. Ramai guru mengadu bahawa tekanan kerja mereka semakin meningkat. Selain mengajar, mereka turut dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran, aduan ibu bapa, penilaian prestasi, laporan berkala dan juga tanggungjawab mengendalikan aktiviti kokurikulum. Ramai dalam kalangan mereka memberitahu bahawa selepas pulang ke rumah, mereka masih perlu menyemak kerja pelajar, mengisi sistem dalam talian dan akhirnya terpaksa mengorbankan masa rehat serta masa bersama keluarga mereka. Jika guru kita sudah hilang semangat dan keletihan bagaimana mungkin kita mengharapkan kualiti pendidikan yang terbaik untuk pelajar kita. Sebuah ekosistem pendidikan yang sihat mesti menjamin maruah, motivasi dan ruang masa yang cukup untuk guru benar-benar dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dan pembimbing insan. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam perbahasan mengenai isu pendidikan, kita mendengar pelbagai pandangan daripada masyarakat. Ada yang mencadangkan supaya hukuman rotan dikembalikan, ada yang menekankan perlu pengukuhan pendidikan moral dan disiplin serta ada yang juga mencadangkan kawalan lebih ketat dalam penggunaan internet atau mengembalikan sistem peperiksaan lama. Bentayan percaya, semua pandangan ini lahir daripada keprihatian yang niat dan niat yang baik. Namun, namun persoalannya, adakah pendekatan yang digunakan pada masa lalu, lalu masih berkesan dalam konteks cabaran zaman sekarang. Setiap era mempunyai cabarannya sendiri. Maka pendidikan masa kini tidak boleh hanya berpatah balik ke masa dulu. Tetapi perlu berani menghadapi realiti semasa dan bersedia untuk masa depan. Lebih penting lagi kita mesti menginsafi bahawa pendidikan bukan sekadar tanggungjawab sekolah semata-mata dia juga melibatkan pendidikan dalam keluarga dan pembentukan nilai-nilai masyarakat. Perangai, sikap dan kesejahteraan mental pelajar adalah hasil daripada pelbagai faktor yang saling berkait, melibatkan rumah, sekolah dan persekitaran sosial. Maka, tanggung jawab untuk memperbaiki keadaan ini mesti dipikul bersama oleh kerajaan, keluarga dan masyarakat. Oleh itu, Bentayan ingin mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Isu Pendidikan dan Pembangunan Pelajar yang melibatkan pakar pendidikan, kaunselor, wakil guru, Pertubuhan Ibu Bapa serta organisasi masyarakat serius. Jawatankuasa ini perlu meneliti secara menyeluruh beberapa perkara utama termasuk: 1. Kesihatan mental pelajar dan keselamatan di sekolah. 2. Tekanan kerja serta rasionalisasi beban pentadbiran guru. 3. Keseimbangan antara kurikulum, akademik dan beban pelajaran.
4. Jurang semua antara sekolah bandar dan luar bandar. 5. Pelaksanaan pembaharuan pendidikan yang berasaskan pelajar dan guru sebagai pusat sistem. Yang Berhormat Datuk Speaker, walaupun bidang pendidikan berada di bawah kuasa kerajaan persekutuan, namun reformasi pendidikan boleh dimulai di peringkat negeri Johor khususnya melalui konsep Sekolah Bangsa Johor. Kita boleh menjadikan Sekolah Bangsa Johor sebagai modul pendidikan progresif yang menekankan keseimbangan antara akademik, sahsiah, nilai kemanusian dan kesejahteraan mental pelajar. Jika Johor mampu melaksanakan pembaharuan ini dengan baik, maka Sekolah Bangsa Johor boleh menjadi contoh dan penanda aras kepada seluruh negara. Reformasi pendidikan tidak boleh kekal sebagai slogan di atas kertas. Dia mesti berpaksi kepada data, kepakaran dan realiti lapangan. Hanya dengan pendekatan yang menyeluruh dan berpaksi manusia barulah kita dapat membina satu persekitaran pendidikan yang penuh kasih sayang, inklusif dan berharapan. Di mana guru dapat kembali mengajar dengan jiwa yang tenang dan pelajar dapat belajar dengan gembira. Ini matlamat sebenar reformasi pendidikan yang wajar kita perjuangkan bersama. Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir kata Belanjawan Johor 2026, bukan sekadar dokumen kewangan tetapi cerminkan kecekapan pentadbiran serta hala tuju pembangunan negeri, kejayaan belanjawan bergantung pada keberkesanan, pelaksanaannya, bukan pada jumlah peruntukan semata-mata. Tanpa pelaksanaan yang cekap dan integriti, manfaat tidak akan dirasai rakyat. Dalam masa yang sama pembangunan negeri tidak boleh digerak oleh satu pihak sahaja. Kerajaan eratkan antara, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan amat penting untuk memastikan projek pembangunan berjalan lancar, peruntukan disalurkan tepat pada masanya dan setiap dasar dapat diterjemahkan kepada hasil yang nyata di lapangan. Oleh itu, setiap inisiatif perlu dilaksanakan secara terus, berkesan dan disokong oleh sinergi kedua-dua peringkat kerajaan agar kesejahteraan rakyat serta kemakmuran ekonomi Johor benar-benar dapat direalisasikan. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Bentayan. Tahniah. Saya jemput Yang Berhormat Johor Lama.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam demi Johor Lama. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran di atas kurniaan kesihatan pada hari ini dan limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama di Dewan yang mulia ini bagi sesi perbahasan demi rakyat dan negeri Johor yang kita cintai ini. Pertamanya, Johor Lama ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah, serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dan seluruh rakyat DUN Johor Lama dengan penuh takzim memanjatkan doa dan kehadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat DiRaja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dalam afiat dan sejahtera agar terus menaungi sekalian rakyat dan Bangsa Johor. Johor Lama juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di atas segala nasihat dan bimbingan kepada kami, barisan ADUN-ADUN dan barisan kepimpinan negeri Johor demi kesejahteraan Bangsa Johor. Puas sudah berlayar ke hulu; berlabuh sebentar di Johor Lama; amanah dipikul membawa maju; demi kesejahteraan rakyat bersama. Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Lama juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor di
atas pembentangan Belanjawan 2026, yang bertemakan Bangsa Johor Sejahtera, tempoh lalu. Johor Lama kira Belanjawan 2026 dengan tumpuan kepada Agenda Maju Johor 2030 melalui 260 inisiatif di bawah enam (6) teras utama ini telah memberi penekanan yang menyeluruh kepada seluruh Bangsa Johor termasuklah terhadap sektor kebajikan, pendidikan, kesihatan serta pembangunan yang mampu memberikan manfaat kepada setiap lapisan masyarakat di negeri Johor ini. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, dari golongan miskin dan miskin tegar, golongan kurang upaya, petani, penternak, nelayan, penjawat awam sehinggalah kepada para pelajar serta mahasiswa anak Johor juga turut merasai sentuhan kasih dan hasil daripada kerajaan negeri Johor. Dan di DUN Johor Lama amat-amat terasa manfaatnya Yang Berhormat Datuk Speaker. Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah. Pastinya ucapan tahniah juga harus diberikan kepada barisan EXCO kita, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta barisan pelaksana dalam menjayakan Belanjawan 2026. Tahniah buat semua.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Lama juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor di atas Bantuan Kasih Johor yang kekal diteruskan dalam Belanjawan 2026 kepada setiap golongan sasar seperti warga emas, veteran ATM, pesara polis, golong orang kurang paya, e & p-hailing, ibu tunggal, petani, penternak dan nelayan di bawah Teras Ketiga Dalam Jaringan Keselamatan Sosial. Dengan peningkatan jumlah daripada RM200.00 kepada RM400.00 kepada setiap golongan sasar ini sudah tentu mampu mengurangkan beban mereka dalam perbelanjaan harian buat keluarga masing-masing. Senyuman ayahanda dan bonda serta para penerima di DUN Johor Lama masih lagi terbayang ketika Bantuan Kasih Johor ini disampaikan. Ramai yang menitipkan salam kepada Menteri Besar Johor serta mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas bantuan yang diberikan. Kecil pada kita, besar pada orang lain. Namun Johor Lama mencadangkan agar setiap Bantuan Kasih Johor perlu disampaikan secara telus dan secara tepat kepada golongan yang benar-benar layak. Ya, tidak dinafikan Bantuan Kasih Johor (BKJ) ini merupakan inisiatif yang sangat baik daripada kerajaan negeri Johor dalam mengembalikan semula hasil negeri kepada rakyat dan secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban kepada setiap penerima. Justeru itu, Johor Lama mohon agar pihak yang berkenaan dapat menjalankan pemutihan terhadap senarai nama setiap penerima Bantuan Kasih Johor ini agar bantuan ini benar-benar sampai kepada golongan sasar dan tepat dan layak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Lama juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor kerana cakna soal kebajikan dan keselesaan kepada para pelatih di Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK). Melalui tiga (3) inisiatif di bawah Teras Ke-3 : Jaringan Keselamatan Sosial dalam Belanjawan Johor 2026, antaranya ialah Inisiatif Ke-16, sebanyak RM1.55 juta BKJ untuk pelatih PDK. Inisiatif Ke-50, sebanyak RM2.29 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf dan membaik pulih 21 premis Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK). Dan Inisiatif Ke-52 sebanyak RM300,000.00 bagi program pemulihan pelatih OKU PDK. Oleh itu, Johor Lama berharap agar limpahan ini turut dirasai PKPDK di kawasan DUN Johor Lama. Penambahan keperluan asas di setiap PKPDK ini amatlah diperlukan bagi memastikan anak-anak di sini berada dalam keadaan yang selesa ketika menjalani program pemulihan, program latihan dan pendidikan mereka. Dengan menaik taraf peralatan yang lebih moden, para pelatih mampu untuk meningkatkan keupayaan fizikal mereka mahu pun kemahiran kendiri. Anak-anak PKPDK juga berhak memperoleh kemudahan pembelajaran digital yang seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Dengan peralatan yang lebih moden, dengan peralatan yang lebih berkualiti, proses pembelajaran anak-anak syurga ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan lebih bermakna lagi.
Dan di kesempatan ini juga Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Lama ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dan Komuniti (PKPDK) di seluruh negeri Johor. Mereka inilah insan barisan yang
sering tidak kelihatan di hadapan namun sangat besar jasanya dalam memastikan anak-anak istimewa kita mendapat perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya. Mereka juga turut berkorban masa, berkorban tenaga dan emosi demi memastikan setiap anak istimewa ini menerima sokongan yang terbaik, sabar melayan karenah dan memahami keperluan unik setiap anak-anak syurga ini. Bagi anak-anak istimewa, kehadiran petugas PKPDK ini ibarat mentari di kala pagi dan bagi ibu bapa pula merekalah tulang belakang yang membantu memikul beban yang berat ini. Oleh itu, besar harapan Johor Lama agar kerajaan negeri dapat memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada petugas PKPDK melalui kajian semula skim perkhidmatan petugas PKPDK ini. Pada masa kini, sagu hati yang diberikan kepada mereka sebanyak RM1,400.00 dan kita minta setidaknya mereka dibayar dengan gaji minimum yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
RM1,400.00 Yang Berhormat?
Ya, RM1,400.00.
RM1,400.00 itu di bawah gaji minimum tu.
RM1,200.00 daripada federal dan RM200.00 dari kerajaan negeri sejak dari tahun 2022. Ia sebagai tanda terima kasih di atas kasih sayang dan jiwa yang besar dalam mendidik dan melatih setiap pelatih di PKPDK ini. Jika asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Kota Tinggi daerah bersejarah, makam lama tersimpan cerita, jangan dibiar warisan punah, wajar diwarisi generasi kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan Johor 2026 turut membentangkan beberapa inisiatif yang diperuntukkan sebagai persediaan negeri Johor menjelang Tahun Melawat Johor 2026. Malah sebanyak RM5.55 juta telah diperuntukkan bagi tujuan promosi dan publisiti Visit Johor 2026. Baru-baru ini Johor Lama juga berpeluang turut serta dalam siri jelajah Majestic Johor di daerah Kota Tinggi bersama dengan rakan-rakan ADUN yang lain. Setinggi-tinggi penghargaan buat pasukan Tourism Johor yang sentiasa komited mengangkat keindahan negeri Johor dan khususnya dalam daerah Kota Tinggi agar terus menjadi perhatian dan pilihan pelancong luar. Johor Lama yakin dengan mempergiatkan promosi serta menambah baik infrastruktur pelancongan ini, ia mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi dan sekaligus menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan yang unggul di hujung selatan tanah air. Namun dengan penuh penghargaan Johor Lama menantikan sesuatu ibarat hati bak serangkak dibungkus, berkenaan dengan sebarang peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan warisan di negeri Johor khususnya di kawasan DUN Johor Lama. Apalah nasib menunggu di hujung dengan harapan namun tangan tetap kosong Yang Berhormat Datuk Speaker. Johor Lama tak pernah lupa bawa perkara ini setiap kali Sidang Dewan, ulang-ulang dan ulang lagi. Takpelah biar Johor Lama bawa isu pelancongan warisan di Kota Tinggi ini berkali-kali pun tak apa. Mungkin bila disebut berkali-kali, barulah ada yang perasan bahawa warisan kita ini memang layak dipelihara. Itu pun kalau ada yang sudi peduli (Dewan bertepuk).
Walaupun begitu, Johor Lama ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Kota Tinggi dan juga penghargaan terima kasih saya kepada Galeri Sejarah Johor serta sokongan daripada Pejabat Daerah Kota Tinggi yang dapat bersama-sama dalam usaha menjejaki dan memulihkan kembali tapak warisan dan makam-makam lama dalam Program Jejak Leluhur di Bukit Kota Seluyut baru-baru ini. Mereka ini sanggup mengeluarkan wang ringgit mereka sendiri atas sebab rasa cinta akan warisan peninggalan ini.
Kota Tinggi sendiri terkenal dengan cogan kata ‘Daerah Pelancongan Bersejarah’, tapi di mana yang nak kita banggakan dengan cogan kata tersebut. Johor Lama amat berharap agar pihak yang berkenaan dapat memastikan cogan kata tersebut benar-benar diselarikan dengan identiti dan realiti yang terdapat di daerah Kota Tinggi. Jika tidak mampu memelihara
semua jangan pula diabaikan semuanya, andai tak terdaya menjaga seluruh warisan, usah sampai ia hilang ditelan dek zaman.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam Belanjawan 2026 melalui beberapa inisiatif di bawah Teras Yang Kedua : Pembangunan Ekonomi sebanyak RM500,000.00 telah diperuntukkan bagi penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa yang mana negeri Johor telah diumumkan sebagai tuan rumah bersempena Sambutan Tahun Melawat Johor 2026. Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh barisan pelaksana. Johor Lama yakin dengan penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa ini dapat menjadi landasan yang penting dalam usaha menyerlahkan lagi identiti negeri Johor dan secara tidak langsung dapat memperkasa institusi muzium dan warisan budaya negara khususnya di negeri Johor ini. Sambil tu bolehlah tengok-tengokkan juga muzium yang ada di kawasan DUN Johor Lama tu, Muzium Kota Tinggi yang seakan makin hilang serinya apatah lagi Muzium Kota Johor Lama di ceruk kampung. Jumlah pengunjung dilihat semakin mencicir entah mana silapnya mungkin kurang promosi atau tidak dirangka program mahupun aktiviti yang mampu menarik golongan muda mahupun pengunjung untuk datang berkunjung. Duduk seorang bersempit-sempit, duduk bersama berlapang-lapang. Jadi Johor Lama sentiasa terbuka untuk terlibat dalam sebarang perancangan mahupun perkongsian idea dalam memastikan muzium di kawasan ini kembali berseri dan gemilang. Bangunan lama terbengkalai sudah, debu menebal di setiap sudut, pelancong disambut Apollo megah, pembangunan Kota Tinggi seakan terbantut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Johor Lama untuk membawa suara rakyat berkenaan bangunan-bangunan terbengkalai yang menghiasi di daerah Kota Tinggi. Pelbagai pandangan dan komen telah dilontarkan oleh anak Kota Tinggi sendiri. Ada yang kata ini mereka katalah kadang-kadang saya pun kata anggap ajelah bangunan yang ada di Kota Tinggi tu sebagai perhiasan je. Ada juga yang kata alah tu semuanya tukun je mati dan tidak berfungsi dan ada juga yang kata Kota Tinggi ibarat pekan kemunduran dan macam-macam lagi Yang Berhormat Datuk Speaker. Kalau pengunjung atau Yang Berhormat semua masuk ke Kota Tinggi melalui Jambatan Kota Tinggi pastinya kehadiran Yang Berhormat disambut oleh Hotel Apollo yang bertahun lama terbiar dan usang. Bukan itu sahaja, bangunan lama yang berada di tengah-tengah bandar Kota Tinggi dahulunya pernah berdiri megah sebagai Plaza Arisun namun sekarang digelar lubuk kota yang tidak berpenghuni. Ada lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, Pekan Rabu di Kota Tinggi pun sama juga keadaannya, hanya mengharapkan satu dua peniaga di situ, itupun ibarat hidup segan mati tak mahu. Ini realiti Yang Berhormat Datuk Speaker saya perlu ceritakan, saya perlu sampaikan perkara ini kepada pihak yang berwajib. Johor negeri maju 2030, tak lama dah. Berbaki lagi empat (4) atau ke lima (5) tahun je namun kita masih tak nampak misi dan agenda pembangunan yang jelas di bandar Kota Tinggi. Pembangunan di bandar Kota Tinggi juga tidak dilihat seiring dengan pembangunan pesat yang berlaku di daerah-daerah lain. Nak kata Kota Tinggi ini tempat pemain industri, bukan. Nak kata bandar besar pun tidak. Nak kata tempat tumpuan pusat pendidikan jauh sekali.
Nak cari tempat makan sedap pun payah Yang Berhormat.
Ya?
Ya.
Datuk Speaker boleh pergi ke Teluk Sengat.
Saya datang dua tiga kali nak cari tempat makan sedap, dah tak ada dah.
Ha itulah. Betul, Datuk Speaker pun telah mengesahkan.
Tukar namalah Yang Berhormat. Kota Tinggi kepada Lubuk Kota.
Ya. Yang Berhormat Datuk Speaker, orang muda Kota Tinggi memerlukan satu tempat pusat aktiviti yang mampu menyediakan pelbagai kemudahan asas tak kira daripada segi fasiliti sukan mahu pun bidang pendidikan. Jangan cerita kemudahan yang ada di Pengerang. Kita cerita apa yang ada di bandar Kota Tinggi. Baru-baru ini juga dalam Belanjawan Johor 2026, Yang Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi pembangunan TMIYC di Pengerang. Orang muda di bandar Kota Tinggi juga yang menggigit jari terhadap limpahan pembangunan di kawasan Pengerang, Johor. Jadi, Johor Lama pernah juga usulkan untuk pembinaan fasiliti sebuah litar olahraga bagi kegunaan para pelajar dalam aktiviti sukan. Namun, jawapan yang kami terima adalah tiada keperluan. Jadinya, anak-anak Kota Tinggi perlu ke Bandar Penawar sejauh hampir 48 kilometer daripada bandar Kota Tinggi untuk ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dan menggunapakai litar olahraga bagi kegunaan aktiviti latihan mereka. Justeru, besarlah harapan Johor Lama agar satu atau dua pembangunan berskala besar dapat direalisasikan di bandar ini supaya limpahan ekonomi di bandar Kota Tinggi terus pesat dan mengalir maju. Mohon juga diselesaikanlah dengan segera projek-projek gajah putih yang berada dalam kawasan bandar Kota Tinggi ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tular beberapa bulan yang lepas isu berkenaan rekabentuk dan wajah baru Menara Jam Kota Tinggi. Kecoh satu Kota Tinggi membincangkan isu hangat ini, ibarat rumah sudah siap pahat masih berbunyi. Mana tidaknya, apa yang diharapkan rakyat adalah rekabentuk yang mengekalkan identiti daerah Kota Tinggi sebagai daerah yang bersejarah. Namun, apa yang dihidangkan kepada rakyat Kota Tinggi hanyalah satu rekabentuk moden yang tak ada jiwa dan melenyapkan keseluruhan mercu tanda penting bagi orang Kota Tinggi. Penuh di semua halaman media sosial dengan komen dari rakyat dan mention di Fb mahu pun di aplikasi Tiktok. Masing-masing menyuarakan pandangan dan cadangan rekabentuk yang lebih sesuai dan saya kira rekabentuk yang dicadangkan juga tidak kurang hebat dan nampak lagi menarik. Walaupun begitu, Johor Lama ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor di atas keprihatinan dan penelitian semula elemen reka bentuk Menara Jam Kota Tinggi. Ia bukanlah sekadar menara yang biasa tetapi ia mempunyai nilai yang tinggi bagi setiap rakyat di Kota Tinggi. Johor Lama menyampaikan suara warga Kota Tinggi, Yang Berhormat Datuk Speaker, penuh harapan, penuh doa, agar mercu tanda ini dapat dibangunkan semula dengan reka bentuk yang benar-benar mencerminkan identiti daerah Kota Tinggi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ini yang terakhir. Johor Lama juga ingin membawa rungutan rakyat di kawasan DUN Johor Lama berkenaan dengan isu talian dan liputan internet yang sangat lemah. Tidak stabil dan tidak konsisten di beberapa kawasan kampung dan FELDA. Johor Lama mengganggap isu ini bukan perkara remeh, malah merupakan isu utama yang kritikal dan mesti diselesaikan dengan segera. Ia bukanlah perkara yang baru tetapi ia kini memberi kesan yang jauh lebih besar kepada penduduk setempat. Sebagai contoh, apabila sampai di FELDA Air Tawar 2, liputan 4G sering jatuh ke 3G, kadang-kadang hilang terus dari radar. Terus tak ada talian. Kita pulak terpaksa mencari lokasi tertentu. Kalau Dato’ Jun kata atas pokok, kita pun tak sampai atas pokoklah untuk mendapatkan talian untuk menghubungi seseorang. Keadaan ini amat menyukarkan dan menggusarkan penduduk sekiranya berlaku kecemasan dan memerlukan respon yang segera. Masalah ini tidak kurang juga berlaku di Kampung Sungai Sembilang, Kampung Panchor dan juga di kawasan FELDA Lok Heng. Lebihan pula, kawasan ini mempunyai risiko yang agak tinggi kerana jauh daripada hospital dan bandar. Kini, kerajaan menggalakkan peralihan kepada perkhidmatan digital seperti permohonan bantuan dan aduan, namun bagaimana rakyat mahu mengakses semua ini jika capaian internet pun tidak stabil.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Alhamdulillah, segala usaha yang dirancang oleh kerajaan negeri Johor telah pun membuahkan hasil. Setiap ringgit dan setiap sen hasil negeri juga perlahan-lahan dipulangkan kembali kepada rakyat dan Bangsa Johor. Johor Lama sedar
yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Seperti yang sering dipesankan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, kita harus bergerak sebagai satu pasukan dalam setiap usaha yang dijalankan, yakinlah dengan kesepaduan itu hasilnya pasti akan menjadi lebih besar dan bermakna dan seterusnya mengangkat Johor sebagai negeri terunggul di hujung selatan tanah air.
Justeru itu, Johor Lama ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua jabatan, kepada semua agensi yang telah membantu Pusat Khidmat ADUN Johor Lama dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat sepanjang tahun 2025. Semoga jalinan kerjasama yang baik ini terus kukuh dan terus berpanjangan menjelang tahun 2026 nanti. Sebelum Johor Lama mengakhiri sesi perbahasan kali ini, besar sangat harapan Johor Lama agar segala isu dan cadangan yang telah disuarakan kali ini, dibentangkan kali ini, di Dewan yang mulia ini, dapat diberilah keutamaan oleh kerajaan negeri Johor dalam usaha merealisasikan Agenda Maju Johor 2030. Percayalah segala usaha...
Yang Berhormat dah terlebih 4 minit ni...
Sikit lagi. Percayalah, segala usaha yang kita lakukan bersama ini adalah demi kesejahteraan dan kemakmuran bangsa Johor dan negeri Johor yang kita sayangi. Ke Kota Tinggi melihat sejarah, Johor Lama teguh berdiri; penutup kata selesai sudah, warisan Johor tetap di hati. Mentari Lok Heng di pagi hari, angin bertiup lembut menyapa; tapak sampah mahu didiri, fikirkan sama-sama demi sejahtera.
Sekian, salam demi Johor Lama, Johor Lama mohon menyokong.
Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan, ingin mengalu-alukan kehadiran pemerhati tujuh (7) orang daripada kawasan Maharani, 16 orang daripada kawasan Penawar dan dua (2) orang daripada Pekan Nanas. Dijemput Yang Berhormat Maharani.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Maju Johor. (Bacaan doa.) Puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, limpah kurnia dan rahmatNya berlangsungnya Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Kali Yang Ke-15. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW yang menjadi pedoman kita di dalam kehidupan. Di kesempatan ini, Maharani merakamkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bakal disambut pada tanggal 22 November ini. Patik berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mula Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Permaisuri Agong serta seluruh kerabat diraja dilimpahi rahmat serta sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat agar dapat terus menaungi Bangsa Johor sekalian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi laluan bagi membahaskan ucapan Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi selaku Menteri Besar Johor pada sesi pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2026.
Kalau berakit saudara berlima, jangan dilupa bawalah pukat, ada sedikit dikongsi bersama, besarnya nikmat membawa berkat.
Maharani menyambut baik membentangkan bajet ini yang bertemakan Bangsa Johor Sejahtera dengan mempunyai 6 teras utama serta 260 inisiatif kepada kerajaan negeri, daripada kerajaan negeri kepada rakyat negeri Johor. Maharani juga mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor dan pimpinannya yang telah berusaha merancang Belanjawan Johor 2026 dengan hasil pendapatan sebanyak RM2.55 bilion manakala perbelanjaan sebanyak RM2.54 bilion dan menghasilkan lebihan unjuran
belanjawan surplus sebanyak RM4.4 juta. Setakat ini, rekod negeri Johor telah berjaya memperolehi belanjawan surplus selama tiga (3) tahun berturut-turut. Tahniah diucapkan.
Maharani mewakili rakyat Bangsa Johor juga mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor yang menyambut baik beberapa saranan daripada Maharani sebelum ini di antaranya kenaikan elaun guru KAFA, kenaikan guru Al-Quran, baik pulih prasarana sekolah agama, sekolah kerajaan, pemberian khas kepada pemandu teksi, nelayan, petani, penternak, baik pulih kemudahan awam, pembesaran jalan raya dan seumpamanya. Maka dengan ini, Maharani ingin menyentuh beberapa perkara dan di dalam Belanjawan Negeri Johor 2026 dengan persoalan dan cadangan penambahbaikan sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Ibrahim ayat yang ke-7. (Bacaan ayat Al-Quran). Yang bermaksud, “Dan ingatlah, ketika Tuhan mu memberitahu demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, Allah akan tambah nikmat kepadamu. Dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabmu adalah keras.”
Yang Berhormat Datuk Speaker, pertama Maharani menyambut baik peningkatan Program Semarak Subuh yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor sebanyak tiga (3) kali dalam seminggu melalui Inisiatif Ke-6, Teras Pertama yang memperuntukkan RM2.92 juta. Maharani di sini selaku ADUN, pengimbang Perikatan Nasional memohon kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor supaya pengurusan dan peruntukan Program Semarak Subuh diserahkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat ADUN di tempat masing-masing seperti yang dimaklumkan di dalam belanjawan bukan kepada penyelaras ADUN. Ini bagi memberikan dan memastikan perancangan yang dirancang oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Insya-Allah akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sebelum ini Maharani pernah menyuarakan mengenai Semarak Subuh yang dilaksanakan terutamanya di DUN Maharani kurang berkesan. Maharani mencadangkan, mesti ada penglibatan penggerak masjid surau dan mesti ada pembentangan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat mengenai modus yang tersusun bagi memastikan Semarak Subuh yang berjaya untuk dilaksanakan di setiap kawasan. Maharani juga mencadangkan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan menyambut baik perancangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar ini demi kesatuan ummah dan Bangsa Johor yang sejahtera. Maka perlu ada pemandu aras dan pemantauan sama ada dari Pejabat Kadi Daerah ataupun daripada penggerak masjid, surau bagi memastikan perkara ini mencapai objektifnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani juga ingin mengingatkan semula mengenai Kempen Semarak Jawi yang telah dilancarkan pada Persidangan yang lepas bagi memastikan martabat Bangsa Johor, tulisan jawi ini perlu diterapkan semula kesemua jabatan, agensi-agensi kerajaan serta sekolah-sekolah di bawah kerajaan negeri Johor. Maharani mencadangkan supaya papan tanda-papan tanda di jalan kawasan PBT, papan tanda parit, lorong-lorong digunakan menggunakan tulisan jawi seperti yang terdapat di setengah-setengah tempat. Maharani mohon supaya ada peruntukan diberikan kepada kempen atau Program Semarak Jawi agar pelaksanaannya dapat dijalankan secara menyeluruh dan memberi impak yang baik kepada Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya yang kedua di bawah Teras Keempat, terdapat beberapa inisiatif bagi menaik taraf jalan kampung, jalan utama dan pelebaran jalan yang diperuntukan sebanyak RM655 juta. Maharani mencadangkan supaya Jalan Joned bermula dari Parit Sakai sehingga Parit Payung sepanjang 6 kilometer juga dinaikan taraf dan dilebarkan jalannya. Ini disebabkan faktor pertambahan taman-taman perumahan di sepanjang jalan tersebut menjadikan bertambahnya penggunaan jalan raya dan kesesakan lalu lintas dan menyebabkan aspek keselamatan jalan raya dan seumpamanya. Selain daripada Jalan Joned, Maharani juga pernah mengusulkan kepada Jabatan Kerja Raya Daerah Muar supaya dapat melebarkan jalan masuk ke Parit Punggor dan Parit Haji Ali yang terletak di Jalan Temenggong Ahmad. Ini kerana jalan tersebut terdapatnya culvert atau crossing culvert yang menyebabkan tiada bahu jalan di jalan masuk tersebut dan boleh mengakibatkan kemalangan. Alhamdulillah, Maharani telah pun mendapat jawapan daripada
pihak JKR Muar supaya hal ini diusulkan kepada pihak Pejabat Daerah Muar. Semoga ada tindakan selanjutnya insya-Allah.
Seterusnya terdapat juga aduan yang dibuat oleh penduduk Kampung Dato’ Bentara Luar, Jalan Temenggong Ahmad mengenai keperluan diwujudkan garisan kuning tebal di simpang masuk ke kampung tersebut. Perkara ini juga Maharani telah ajukan kepada pihak JKR Muar sebelum ini dan mendapat maklum balas bahawa hal tersebut diusul kepada pihak Majlis Perbandaran Muar (MPM). Semoga ada hasilnya, insya-Allah demi keselamatan penggunaan jalan raya bagi penduduk setempat.
Oleh kerana terdapat beberapa hal, Maharani ingin mencadangkan di Dewan yang mulia ini supaya setiap Ahli-Ahli Yang Berhormat atau wakilnya sama ada Kerajaan Pengimbang mahupun Pembangkang mesti dilibatkan di dalam Mesyuarat Majlis Tindakan DUN yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah supaya setiap isu yang dilibatkan di dalam masyarakat ini sampai ke pihak-pihak berwajib dan dapat diselesaikan dengan tuntas. Kita terapkan politik tanpa sempadan demi memastikan Bangsa Johor sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pergi ke sawah menumpuk jerami, jerami masih berukuran panjang, apakah erti Belanjawan Ekonomi, nadi kemajuan berjangka panjang.
Seterusnya, yang ketiga, Inisiatif yang ke-23 di dalam Teras Yang Keempat iaitu Baik Pulih Dan Naik Taraf Sekolah Agama Kerajaan yang memperuntukkan sebanyak RM9.66 juta. Maharani ingin memaklumkan terdapat sebuah sekolah agama di DUN Maharani yang memerlukan sama ada naik taraf ataupun pembinaan sekolah baharu iaitu Sekolah Agama Sri Jong yang terletak di Jalan Abdul Rahman, Muar.
Untuk pengetahuan Yang Berhormat Datuk Speaker, jumlah pelajar terkini semakin meningkat sehingga kepada 494 orang dan 12 orang guru. Kemasukan pelajar darjah 1 seramai 120 orang. Sudah hampir 4 kelas yang padat, apatah lagi kelas yang lain sehingga terpaksa pelajar sekolah menumpang ke Sekolah Kebangsaan Sri Jong yang berdekatan untuk meneruskan pembelajaran. Maka dengan ini, Maharani cadangkan supaya Sekolah Agama Sri Jong ini dapat dinaik taraf dan ditambah kelasnya supaya sesuai dengan kapasiti pelajar dan guru. Di samping ini, Maharani juga mencadangkan agar membina sebuah sekolah baharu yang berdekatan dengan Sekolah Agama Sri Jong iaitu di sebuah waqaf bernombor Lot 23762 yang terletak di Jalan Joned yang telah pun diwaqafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor di daerah Muar untuk didirikan sekolah agama tersebut. Tujuan pembinaannya adalah untuk bagi menampung kepadatan pelajar sekolah berkenaan yang disebabkan oleh bertambahnya taman perumahan di sekitar kawasan tersebut, dalam masa yang sama juga dapat dimanfaatkan harta waqaf umat Islam agar sampai kepada pewaqafnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya yang keempat di bawah Teras Yang Ketiga iaitu Jaringan Keselamatan Sosial. Maharani setuju dengan cadangan Simpang Jeram supaya warga emas diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Johor. Maharani membawa satu cadangan iaitu menubuhkan Rumah Sejahtera di daerah Muar sama ada di bawah kelolaan kerajaan negeri ataupun di bawah Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia bertujuan untuk menjaga kebajikan warga emas yang tidak mempunyai waris, gelandangan dan fakir miskin yang hidup sebatang kara. Maklumat yang diperolehi di negeri Johor ini hanya ada sebuah sahaja rumah perlindungan yang dibiayai oleh pihak kerajaan iaitu Rumah Seri Kenangan yang terletak di Jalan Ungku Mohsin, Johor Bahru yang menempatkan seramai 275 orang. Selain daripada itu, terdapat 24 buah rumah perlindungan atau Rumah Sejahtera yang berada di bawah kelolaan Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia yang sedang beroperasi menempatkan seramai 177 penghuni sehingga Mei 2025.
Yang Berhormat Datuk Speaker, singgah ke Muar makan di Parit Raja, sate, mee bandung jadi sarapan, Bandar Maharani Bandar Diraja, jadi tumpuan untuk pelancongan.
Seterusnya yang kelima, Muar bukan sekadar sebuah bandar, ianya adalah Bandar Maharani, Bandar Diraja. Kita berasa bangga apabila Muar ini diiktiraf sebagai bandar pelancongan terbesar di Asia Tenggara kali yang kelima 2024 hingga 2026. Pengiktirafan ini bukan hanya satu pujian tetapi satu aset ekonomi yang perlu diterjemahkan kepada peluang pelancongan yang lebih strategik dan mampan. Walaupun Muar kaya dengan sejarah warisan budaya tetapi masih belum ada sebuah lagi nampak sebagai rujukan rasmi untuk mempamerkan segala khazanah ini. Oleh itu, Maharani mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah muzium sejarah Muar sebagai tarikan baharu kepada pelancong. Maharani mencadangkan bangunan telekom lama yang terletak di Jalan Majidee boleh diubah suai untuk dijadikan muzium. Muzium ini boleh menampilkan sejarah kesultanan Johor dan kaitannya dengan daerah Muar. Juga peranan Muar dalam era perdagangan maritim dan kolonial juga galeri budaya Muar termasuk Ghazal Johor, tarian zapin, seni ukiran, maknan warisan seperti sate, mee siput, mee bandung, otak-otak dan kopi muar. Seterusnya, boleh menempatkan arkib visual foto lama peta sejarah serta kisah-kisah tokoh dari daerah Muar seperti Tun Dr. Sulaiman Ninam Shah, Panglima Salleh, Kiyai Shamsudin, Sarjan Bukit Kepong dan seumpamanya. Juga boleh ditempatkan sebagai pusat interaktif dengan teknologi AI untuk menarik minat generasi muda. Pembinaan muzium ini juga bukan sekadar menambah bangunan baharu tetapi boleh mencipta ekonomi pelancongan yang bernilai tinggi, menggalakkan sektor perhotelan dan penginapan, menambah peluang pekerjaan kepada anak muda. Membantu peniaga-peniaga kecil dan juga produk tempatan. Menjadikan muar sebagai sebuah destinasi pelancongan yang bersejarah di Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya yang keenam. Izinkan Maharani menyentuh beberapa aspek dalam bidang pendidikan kita. Masih wujud rungutan bahawa hubungan hormat antara guru dan pelajar semakin terhakis. Kes-kes tingkah laku biadap terhadap guru, pelanggaran disiplin dan sikap acuh tidak acuh terhadap nilai murni memberi gambaran bahawa pembentukan sahsiah belum cukup kukuh di dalam sistem pendidikan kita. Dalam masa yang sama, guru yang menjadi tonggak pendidik kadang-kadang terbeban dengan pelbagai tuntutan akademik dan pentadbiran sehingga peranan mereka sebagai moral kurang diberi ruang. Justeru itu, moral bukan hanya persoalan pelajar, tetapi keseluruhan sistem pendidikan. Maharani mencadangkan supaya ada peruntukan khusus untuk sistem pendidikan kita bukan hanya setakat dana bilik guru, tetapi lebih kepada dana pembentukan semua nilai murni dan meringankan beban guru serta merapatkan jurang antara pelajar sesama pelajar dan guru. Maharani melihat kepada Program Karakter Murid Johor yang telah pun diperkenalkan boleh diluaskan skopnya kepada kem motivasi semasa cuti sekolah yang menggabungkan aktiviti kepimpinan, kerohanian, tradisi Johor dan latihan kawad kaki. Kemudian pihak PIBG juga boleh mewujudkan kerjasama kukuh antara sekolah dan ibu bapa melalui bengkel nilai murni keluarga kerana pendidikan moral tidak bermula atau berakhir di sekolah semata-mata. Anti salah laku digital dan penekanan terhadap keselamatan sosial bagi menangani cabaran media sosial pada hari ini. Maharani menegaskan bahawa pembentukan moral dan akhlak bukan satu pilihan tetapi kewajipan jika kita mahu melahirkan generasi Bangsa Johor yang berbudi pekerti, berakhlak mulia, bersedia memikul amanah, tanggungjawab kepada negara dengan inisiatif kerajaan yang sedia ada ditambah baik dengan cadangan-cadangan yang kondensif, Maharani yakin usaha kita dalam memperkasakan moral guru dan pelajar akan membuahkan hasil yang signifikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya Maharani membawa suara Bangsa Johor melalui Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee iaitu PERKAM Johor Bahru yang membangkitkan isu mengenai hak milik tanah. Maharani menyokong apa yang diutarakan oleh Kempas, Simpang Jeram, Endau, Bukit Kepong mengenai perkara tersebut. Isu pemilikan tanah rizab Melayu di negeri Johor, seperti contoh di kawasan penempatan Kampung Melayu Majidee semakin mendapat perhatian akibat kebimbangan masyarakat terhadap tahap perlindungan tanah tersebut. Perubahan pesat pembangunan bandar menimbulkan persoalan tentang sejauh mana status tanah rizab Melayu dapat dikekalkan. Memandangkan wujud tekanan terhadap kawasan tradisi Melayu
yang sedia ada. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk setempat mengenai masa depan mereka terutamanya apabila berlaku perpindahan generasi muda ke kawasan lain turut mencetuskan risiko pengurangan pengangan tanah dalam kalangan masyarakat tempatan dan bumiputera. Bagi memastikan tanah rizab Melayu di Johor terus terpelihara beberapa langkah strategik perlu dipertimbangkan kepada kerajaan negeri bagi memperketatkan lagi mekanisme pemantauan serta mewujudkan proses semakan berkala terhadap sebarang permohonan pembangunan yang melibatkan tanah rizab Melayu. Di samping itu, program kesedaran kepada pemilik tanah tentang nilai dan kepentingan pemeliharaan tanah waqaf agar generasi seterusnya memahami tanggungjawab mereka. Kerjasama antara kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan serta komuniti setempat juga penting bagi merangka pelan pembangunan yang seimbang antara kemajuan ekonomi dan kelestarian penempatan orang-orang Melayu tradisi di bandar. Semoga hak mereka tidak akan berlaku kezaliman terhadap anak bangsa kita.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Maharani mengakhiri perbahasan di Dewan mulia ini, Maharani ingin memetik firman Allah SWT di dalam Surah Az-Zariyat, ayat yang ke-58 (Bacaan Surah). Sesungguhnya, Allah dialah yang sahaja yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk dan dialah sahaja yang akan mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga lagi yang maha kuat, kukuh dan kekuasaannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Maharani juga mengambil kesempatan dengan rendah diri memohon peruntukan tambahan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk pengimbang Perikatan Nasional bagi menghadapi hari-hari perayaan, back to school, pengurusan pejabat, masalah banjir menjelang monsun timur laut dan seumpamanya. Tentunya peruntukan yang sedia ada yang diberikan kepada Yang Berhormat DUN pengimbang Perikatan Nasional ini tidak seperti yang diperuntukan kepada Yang Berhormat kerajaan. Namun rakyat tetaplah sama, iaitu rakyat negeri Johor dan rakyat negeri kita. Semoga dengan peruntukan yang diberi kepada Yang Berhormat pengimbang Perikatan Nasional ini membuktikan Kerajaan Negeri Johor serius dan matang dalam sudut kebajikan kepada rakyat dengan mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera. Akhir kata, Maharani ingin menyeru kepada seluruh Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini supaya saling bekerja sama untuk membangunkan negeri Johor berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat yang ke-7 yang dibacakan awal perbahasan tadi. Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati negeri Johor dan pimpinan negeri Johor. Dengan ini Maharani menyokong Belanjawan Negeri Johor 2026. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Maharani. Dijemput Parit Raja.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Maju Johor. Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu izinkan saya merafak sembah menjunjung setinggi ucapan tahniah, serta ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sempena hari keputeraan Baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dan seluruh warga DUN Parit Raja, dengan penuh takzim memanjatkan doa kehadrat Allah SWT. Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat Diraja sentiasa dikurniakan keberkatan usia, berada dalam keafiatan, agar terus menaungi sekalian rakyat dan Bangsa Johor. Patik juga menjunjung setinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepimpinan negeri dalam menjayakan urus tadbir demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja merakamkan kesyukuran atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor pada tahun 2026 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor.
Dengan penuh keazaman dan iltizam untuk terus memacu pembangunan, memastikan setiap warga dan lapisan Bangsa Johor mendapat kesejahteraan ditambah lagi dengan usaha berterusan membasmi kemiskinan dan memastikan limpahan kek ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja menyatakan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, di atas keprihatinan dan komitmen memberikan inisiatif Bantuan Kasih Johor. Langkah ini bukan sahaja membuktikan kecekapan kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan secara terus kepada rakyat. Bahkan menunjukkan kerajaan negeri benar-benar memahami denyut nadi masyarakat di akar umbi. Apa yang lebih bermakna, Bantuan Kasih Johor ini dapat memberi manfaat juga kepada golongan M40. Satu kelompok masyarakat yang sering kali mungkin kurang mendapat perhatian dalam pelaksanaan bantuan-bantuan sebelum ini. Mereka telah berikhtiar dan berusaha gigih, namun peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar menjadikan setiap bantuan yang diterima amat bermakna dan memberikan kelegaan kepada keluarga. Golongan M40 sering kali terlepas dari radar bantuan. Walaupun mereka bukan dalam kategori B40, namun tekanan kos sara hidup dan komitmen kewangan yang ditanggung semakin berat. Oleh itu, adalah penting agar dasar-dasar bantuan turut mengambil kira keperluan kumpulan ini agar mereka tidak terpinggir. Malah terus diberi perhatian untuk mereka terus berdaya tahan dan mampu meneruskan kehidupan dengan lebih sejahtera,
Yang Berhormat Datuk Speaker, antara bentuk bantuan yang merentasi pelbagai lapisan masyarakat khususnya sudah pasti golongan B40 dan M40, yang turut mendapat limpahan ialah seperti bantuan makan tengah hari percuma kepada calon SPM, bantuan Mahasiswa Anak Johor, bantuan pelajar tingkatan 6, bantuan kepada pengusaha ternakan pertanian, bantuan kepada pemandu e-hailing, p-hailing dan pemandu teksi dan banyak lagi bantuan-bantuan yang telah disalurkan. Dan bagi Belanjawan Negeri Johor pada tahun 2026 ini, Yang Amat Berhormat sekali lagi mengumumkan bantuan ini turut diperluas kepada pelbagai golongan sasaran.
Yang Berhormat Datuk Speaker, inisiatif seperti ini mencerminkan semangat kerajaan yang prihatin. Mengutamakan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi pegangan kepimpinan negeri Johor. Semoga usaha ini diteruskan dengan lebih meluas. Dapatan data yang lebih tepat dari setiap agensi agar setiap lapisan masyarakat terus merasai nikmat pembangunan dan kesejahteraan yang dikecapi di negeri tercinta ini. Sekali lagi terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas kepimpinan yang berjiwa rakyat dan tindakan yang penuh keprihatinan. Kalau padi katakan padi, tidak hamba tertampi-tampi, kalau budi katakan budi, jangan pula dilupa nanti. Budi ditanam tumbuhnya berkat, suburnya hidup berakar inti, jasa dikenang sepanjang hayat, tanda hati tahu menghargai (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat Datuk Speaker, Keupayaan Negeri Johor melakar prestasi ekonomi bukan datang bergolek, kita semua sedia maklum, prestasi negeri Johor untuk tempoh tiga tahun 6 bulan ini negeri Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM218 bilion dengan 64,000 peluang pekerjaan dengan kadar pengangguran yang terus kekal pada 2.3%. Pertumbuhan KDNK 6.4% menjadikan Johor negeri pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia. Nilai hasil pertanian sebanyak RM27.2 bilion juga adalah tertinggi dalam negara. Keadaan ekonomi negeri Johor pada ketika ini pada tahap peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya. Cabaran yang dihadapi pada tahun 2018, diikuti cabaran pandemik COVID 2019 yang menjejaskan ekonomi dunia Johor kini kembali pulih dengan momentum yang lebih kukuh di bawah pentadbiran dan kestabilan Kerajaan Negeri Johor. Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, syukur di hati tiada sudah, rezeki mengalir untuk rakyat semua. Pohon merimbun tempat berteduh, burung berkicau di hujung rimba, ekonomi makmur membawa teduh, limpahan nikmat dirasai bersama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengajak seluruh Bangsa Johor di luar sana. Saya, kita di dalam Dewan yang mulia ini, dan seluruh rakyat Johor merakamkan
penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Yang Berhormat Dato’ Haji Asman Shah, Yang Berhormat EXCO-EXCO dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawar Daerah, Datuk Bandar, YDP serta seluruh pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan, badan-badan berkanun, GLC dan seluruh penjawat awam yang telah memberikan kerjasama erat, dedikasi dan komitmen tinggi sepanjang tahun ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita sedar dan insaf bahawa hari ini kita turut berdepan dengan pelbagai cabaran dan juga masalah-masalah legasi. Namun, jangan kita nafikan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, kita dapat lihat kesungguhan pentadbiran kerajaan negeri, komitmen berterusan dan membela rakyat. Syukur alhamdulilah, terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, sentiasa turun padang, membuka ruang penyelesaian dan mengambil langkah proaktif demi kepentingan rakyat. Sebagai contoh, cabaran-cabaran berkaitan perkhidmatan kesihatan, kerajaan negeri tampil membantu usaha kerajaan persekutuan. Kerajaan negeri tampil menaik taraf fasiliti kesihatan dan kerajaan negeri tampil menyediakan kemudahan ambulan dan kemudahan-kemudahan kesihatan yang lain. Seterusnya memberikan manfaat secara langsung dan dapat dinikmati dan dirasai oleh seluruh rakyat Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan Parit Raja menarik perhatian pada Belanjawan Teras Ke-5, Keselamatan, Kebersihan Dan Kelestarian Alam Sekitar. Projek Rancangan Johor Barat yang dimulakan pada tahun 1970, Parit Raja ingin mengesyorkan agar Projek Rancangan Johor Barat ini diangkat dan dikaji semula. Ianya bagi usaha bersepadu memperkukuh keadaan down stream berikutan perubahan struktur bumi dan juga pemanasan global kini apabila paras air laut lebih tinggi mencecah ketinggian benteng, struktur benteng pula semakin lemah. Oleh yang demikian, usaha bersepadu untuk mengkaji semula dan mengangkat ke peringkat persekutuan bagi usaha memelihara sturktur benteng, sungai, parit, memperkukuh hilir agar terus bertahan menampung kenaikan paras laut. Di Batu Pahat sendiri terdapat 3,033 kilometer parit dan 339 kilometer sungai yang perlu diselenggara dengan kos semasa anggaran mencecah lebih RM20 juta. RM15 juta kerja pembersihan parit 1 kali pusingan dan RM16 juta kerja pembersihan sungai bagi 1 kali pusingan.
Syukur alhamdulilah, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat dan kerajaan negeri yang terus menunjukkan komitmen melaksanakan kerja penyelenggaraan ini. Namun dengan peningkatan kos, peruntukan sedia ada juga masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan tersebut. Parit Raja yakin segala usaha yang sedang dilaksana sekarang ini adalah selari dengan ciri-ciri projek Rancangan Johor Barat termasuklah Rancangan Tebatan Banjir, baik pulih dan naik taraf empangan, pembersihan kelodak dan banyak usaha berterusan. Namun berdepan dengan cabaran perubahan iklim yang semakin ketara, Projek Rancangan Johor Barat memerlukan fasa baharu dan sejumlah peruntukan. Persoalan Parit Raja, apakah perancangan pihak kerajaan negeri untuk mengangkat semula kajian projek Rancangan Johor Barat kepada fasa baharu. Parit Raja amat berharap kerajaan negeri terus komited kerana apabila infrastruktur saliran ini dipertingkat, ia dapat memberi kesan langsung terhadap pengurusan banjir, perlindungan kawasan hilir, pengawalan hakisan, perlindungan zon pantai dan yang lebih penting membantu kelangsungan kawasan pertanian.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja juga ingin menarik perhatian kerajaan negeri berkaitan teras pertama bagi mempertingkatkan profesionalisma perguruan dan usaha penambahbaikan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor. Satu kelompok pendidik yang memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah, kefahaman agama dan jati diri generasi negeri ini. Profesionalisma mereka memerlukan perhatian dan sokongan serius daripada kerajaan negeri. Parit Raja mohon mengesyorkan agar dipertimbangkan untuk kerajaan negeri mengkaji dan menaik taraf skim perkhidmatan khasnya, bagi Pegawai Pendidikan Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah. Selaras dengan tugas,
tuntutan tugas dan kelayakan semasa, penambahbaikan ini menjadi insentif untuk terus meningkatkan profesionalisme guru di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.
Parit Raja juga mengesyorkan kerajaan negeri mewujudkan Program Laluan Khas bagi guru KAFA berijazah yang telah mengikuti diploma pasca siswazah pendidikan oleh pihak jabatan, agar dipertimbang oleh kerajaan negeri untuk terus diserap kepada skim perjawatan tetap sejajar dengan amalan perkhidmatan awam dengan menilai kelayakan kompetensi dan pengalaman secara menyeluruh. Langkah ini bukan sahaja memberikan kestabilan kerjaya dan jaminan perkhidmatan, malah dapat meningkatkan motivasi serta menarik lebih ramai tenaga profesional berkualiti ke dalam sektor pendidikan agama. Penyerapan ini juga akan memperkasa kualiti pendidikan Sekolah Agama Kerajaan Negeri selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk memastikan sistem pendidikan Islam yang berdaya saing, tersusun dan berkualiti.
Parit Raja mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan sokongan perhatian yang tidak berbelah bagi daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas usaha berterusan yang telah membawa revolusi penambahbaikan dalam pendidikan agama di sepanjang tempoh 3 tahun ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja juga ingin mengambil peluang di dalam perbahasan ini untuk membangkitkan perkara-perkara di peringkat kawasan DUN Parit Raja agar mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker Parit Raja merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga EXCO Kerja Raya atas komitmen tidak berbelah bagi dalam perlaksanaan projek menaik taraf jalan persekutuan FT050. Projek ini bukan sahaja melibatkan skop yang besar malah turut berdepan pelbagai cabaran dari segi teknikal, perancangan dan perlaksanaan di lapangan. Sehingga sekarang ini kerja-kerja masih giat dijalankan. Parit Raja harap dengan keprihatinan dan kerjasama erat kerajaan negeri, segala cabaran tersebut dapat ditangani dengan penuh tanggungjawab dan semangat untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja sekali lagi mohon perhatian pihak kerajaan kerana baru-baru ini dibangkitkan isu penutupan operasi trafik light Taman Universiti, Taman Parit Raja. Saya dan warga penduduk terlibat telah menghantar bantahan terhadap sebarang cadangan atau tindakan penutupan lampu isyarat di Taman Universiti. Penutupan lampu isyarat atas permohonan pihak-pihak bersifat berkepentingan komersial adalah amat tidak wajar. Implikasinya bukan sahaja penduduk sekitar tetapi seluruh pengguna jalan FT050. Sebaliknya, kepentingan keselamatan, kesejahteraan masyarakat dan seluruh pengguna perlu diutamakan. Parit Raja bertegas bahawa sebarang perubahan terhadap sistem lalu lintas di kawasan ini mesti mengambil kira faktor keselamatan awam, aliran trafik semasa serta maklum balas seluruh warga penduduk dan pengguna yang terjejas urusan harian mereka.
Parit Raja juga mengesyorkan pihak jabatan terlibat agar meneliti dan mengkaji semula kewajaran cadangan persimpangan tersebut agar dapat dinaik taraf supaya dapat memberi manfaat kepada seluruh pengguna.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja juga ingin menarik perhatian berkaitan terdapat permohonan cadangan penutupan Klinik Kesihatan Tanjung Sembrong. Setelah saya mendapat surat daripada Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat. Walau bagaimanapun, saya ucap terima kasih kepada pihak Jabatan kerana menghantar surat untuk mendapatkan maklum balas. Pentingnya surat ini untuk mendapatkan maklum balas walaupun penduduk sekitar Tanjung Sembrong berskala kecil, namun harus difahami tujuan asal penubuhan klinik desa adalah memberi perkhidmatan secara langsung kepada penduduk sekitar, selain
menjadi pusat operasi penempatan anggota sekiranya berlaku kejadian tidak diduga seperti bencana. Ketika selepas diumumkan Malaysia mencapai kemerdekaan, pada ketika itu semua klinik-klinik desa di kampung-kampung, ketika itu hasratnya mengurangkan kematian ibu dan anak dan mempertingkatkan fasiliti kesihatan.
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker juga, bagi mengatasi kekurangan ataupun kekurangan penduduk di sekitar kampung ini, pada sekitar tahun 2020 saya membangkitkan agar mencari jalan penyelesaian dengan mewujudkan jalan penghubung. Terima kasih kerjasama erat pihak JKR ketika itu, perbincangan demi perbincangan akhirnya bertarikh 4 Mei 2021, berlangsungnya Mesyuarat Pembentangan Cadangan Projek Membina Jalan Baharu menghubungkan Jalan Olak Batu merentasi Estet Tanjung Sembrong ke jalan persekutuan FT050 di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Batu Pahat. Kini projek ini sedang dilaksana dijangka siap pada Disember 2026 yang akan beri kesan langsung terhadap peningkatan nilai tanah sekaligus menjadikan Tanjung Sembrong sebagai pilihan tempat kediaman. Jadi, Parit Raja berdiri dalam persidangan Dewan yang mulia ini memohon agar klinik ini terus dikekalkan dan sekali lagi mohon kerajaan negeri dapat menaik taraf fasiliti klinik ini yang dilaporkan sudah uzur dengan beserta pemasangan CCTV bagi tujuan keselamatan anggota yang bertugas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja juga mohon kerajaan negeri mengangkat dan mempertimbangkan permohonan untuk pembinaan sekolah menengah baharu di Pura Kencana, Sri Gading berikutan pertumbuhan pesat jumlah penduduk yang menjadi keperluan utama. Berdasarkan data demografi semasa, kawasan Pura Kencana dan sekitarnya mencatatkan peningkatan populasi yang konsisten setiap tahun termasuklah pertambahan ketara jumlah keluarga muda. Pembinaan sekolah menengah baru ini akan memberi impak yang positif, penyelarasan semula persempadanan sekolah dan dalam kawasan Parit Raja lebih teratur. Pengecilan zon penempatan pelajar berdasarkan kewujudan penempatan perumahan dan taman-taman baharu dan pengagihan murid secara lebih seimbang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja juga mohon perhatian agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan dan mengangkat cadangan pembinaan tambahan bangunan baru untuk bilik darjah dan bangunan bagi pendidikan khas di SMK Tun Ismail, Parit Raja. Keperluan ini bukan sekadar penting, malah telah menjadi satu tuntutan mendesak berdasarkan perkembangan semasa. Dari sudut demografi, kawasan Parit Raja terus mencatatkan peningkatan jumlah penduduk dan berdasarkan anggaran unjuran semasa peningkatan pendaftaran murid setiap tahun telah menyebabkan sekolah beroperasi hampir mencecah kapasiti maksimum dan ini dijangka kekal meningkat selari dengan pembangunan perumahan baharu. Kemudahan tambahan ini menyokong matlamat kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bekalan air bersih juga serta mencukupi juga merupakan strategi utama belanjawan Johor. bekalan air secara tidak langsung menyentuh aspek keselamatan, kesihatan keluarga dan kelangsungan aktiviti harian. Dengan pertumbuhan populasi yang pesat di Parit Raja, pembangunan penempatan baharu dan kawasan industri, permintaan bekalan air telah meningkat secara signifikan. Soalan Parit Raja kepada Yang Berhormat EXCO, apakah status cadangan pembinaan loji rawatan air baharu di Parit Raja dan apakah usaha-usaha kerajaan negeri bagi memastikan penggantian paip lama dilaksanakan bagi mengatasi permasalahan agihan sumber air bersih dan terancang?
Yang Berhormat Datuk Speaker, Parit Raja juga mengambil ruang untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk menyediakan garis panduan terhadap penjualan tanah secara lot tanpa pecah sempadan dan tiada rizab jalan. Masalah ini menyebabkan kawasan tersebut tiada rizab jalan ataupun dengan izin, Right Of Way (ROW). Ianya berlaku apabila tanah induk dijual kepada pembeli secara kecil-kecilan tanpa pelan pembangunan yang diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan. Perkara ini memberi kesan kerana tiada ruang rizab untuk pemasangan infra seperti paip air, kabel elektrik dan
sistem pembentungan atau saliran. Setengah agensi, perkhidmatan bekalan asas pula tidak dapat meluluskan permohonan sambungan kerana tiada ROW yang sah dan seterusnya lebih sukar untuk mendapatkan peruntukan menaiktaraf lorong atau jalan.
Oleh yang demikian, bagaimana langkah pihak kerajaan bersama agensi terlibat dalam membantu membuat garis panduan dan penyeragaman terhadap perkara ini. Dan, apa usaha-usaha yang dilakukan oleh agensi terlibat dalam membantu menyediakan pangkalan data senarai lorong atau jalan yang didaftarkan di bawah sistem MARRIS bagi membantu warga kampung mendapat akses jalan yang lebih selamat dan selesa.
Akhirnya Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mengajak seluruh Bangsa Johor di luar sana dan kita semua untuk sekali lagi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat EXCO, seluruh jabatan dan agensi negeri dan persekutuan, seluruh penjawat awam yang telah memberikan kerjasama erat, dedikasi dan komitmen tinggi sepanjang tahun ini seterusnya untuk merealisasikan Belanjawan Negeri Johor 2026. Marilah kita terus berganding bahu semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati segala usaha ini. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Sekian, Parit Raja mohon menyokong Belanjawan 2026.
Terima kasih Parit Raja. Saya sebenarnya kali ini baik hati sikit, sebab semua orang saya bagi lebih empat (4) minit. Saya jemput Penawar.
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terlebih dahulu izinkan saya merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucap selamat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Hari Keputeraan baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dan seluruh rakyat Penawar dengan penuh takzim memanjatkan doa semoga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat diraja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dalam keafiatan dan kesejahteraan agar terus menaungi ke sekalian rakyat dan juga Bangsa Johor.
Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepimpinan negeri dalam menjayakan urus tadbir demi kesejahteraan Bangsa Johor. Syukur Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor yang telah berjaya membentangkan Belanjawan Johor 2026 pada 13 November 2025 yang berteraskan tema Bangsa Johor Sejahtera.
Belanjawan yang dibentangkan ini hadir pada saat Johor menunjukkan prestasi ekonomi yang cukup memberangsangkan. Dalam tempoh 3 tahun 6 bulan, negeri kita telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM218 bilion sekaligus mewujudkan lebih 46,000 peluang pekerjaan dan mengekalkan kadar pengangguran pada paras rendah iaitu 2.3%. Pertumbuhan KDNK negeri sebanyak 6.4% turut menobatkan Johor sebagai negeri dengan pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia, manakala sektor pertanian mencatat nilai jualan RM27.2 bilion iaitu yang tertinggi dalam negara. Lebih membanggakan, hasil negeri pada tahun 2025 dijangka mencecah RM2.5 bilion melepasi unjuran asal manakala kutipan zakat, hasil PBT, PKPJ serta keuntungan GLC negeri turut menunjukkan peningkatan yang amat positif. Seiringan dengan itu, Belanjawan Johor 2026 diunjurkan mencatat hasil sebanyak RM2.55 bilion dengan perbelanjaan berjumlah RM2.546 bilion menjadikannya satu Belanjawan surplus sebanyak RM4.457 juta. Ini membuktikan keupayaan kerajaan negeri dalam mengurus kewangan secara berhemah disamping memastikan setiap inisiatif benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Dengan berpaksikan Tema Bangsa Johor Sejahtera, Belanjawan tahun ini
dirangka berdasarkan 6 Teras Maju Johor yang merangkumi 260 Inisiatif demi menjamin kebajikan dan kesejahteraan seluruh Bangsa Johor termasuklah di dalam kawasan Penawar yang saya wakili. Saya juga bersyukur kerana dibawah Rolling Plan Pertama 2026 RMK Ke-13 turut memberi manfaat kepada penduduk di DUN Penawar dengan projek-projek seperti pembinaan blok tambahan bagi menempatkan Unit Kecemasan dan Trauma di Klinik Kesihatan Bandar Penawar dan juga pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Penawar 2.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap masa dan ketika kerajaan negeri bersama barisan EXCO bertungkus lumus memikirkan perancangan terbaik untuk kemajuan negeri tanpa mengabaikan kepentingan rakyat dan memastikan setiap perancangan tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin supaya rakyat merasai limpahan ekonomi yang dicapai oleh kerajaan ini. Buktinya, di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi berbagai inisiatif dilaksanakan untuk memberikan semula pulangan yang dikecapi kerajaan negeri kepada rakyat yang meliputi segenap lapisan masyarakat. Kerajaan negeri serius dalam menunaikan tanggungjawab kepada rakyat. Apabila diberikan bantuan ada yang masih mempertikaikan jumlahnya. Apabila diperluaskan lagi ada yang kata rakyat tak rasa. Namun realitinya, setiap inisiatif adalah untuk rakyat, untuk kesejahteraan mereka dan untuk Johor yang lebih sejahtera. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas peruntukan sebanyak RM2.6 juta dibawah Inisiatif Memperkasakan Prasarana Pengangkutan Awam untuk menaik taraf Terminal Bas Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang dan Terminal Bas dan Teksi Bandar Penawar. Peruntukan ini hadir pada waktu yang amat tepat khususnya bagi bandar, kawasan Penawar yang sedang melalui fasa pertumbuhan pesat. Pertambahan populasi pembangunan kawasan perumahan baharu serta kepesatan sektor pendidikan telah mewujudkan keperluan mendesak terhadap prasarana pengangkutan awam yang lebih selesa, moden dan efisien. Sebagaimana kita sedia maklum, kawasan Penawar merupakan hab pendidikan yang menempatkan pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Kota Tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Bandar Penawar, IKBN, Kolej Komuniti Bandar Penawar dan Kolej Profesional Mara serta Institusi Teknikal dan Vokasional lain. Kehadiran ribuan pelajar dan tenaga pelajar saban hari menjadikan jaringan pengangkutan awam sebagai nadi utama pergerakan mereka. Selain itu, Bandar Penawar juga merupakan pintu gerbang pelancongan kerana kedudukannya yang strategik berhampiran Desaru Coast, pantai-pantai utama serta pelbagai tarikan pelancongan. Justeru Terminal Bas dan Teksi yang dinaik taraf bukan sekadar memenuhi keperluan penduduk tempatan malahan turut menyumbang kepada imej dan pengalaman dan pelancong yang datang di kawasan ini. Dalam usaha menaik taraf ini saya juga ingin menekankan bahawa aspek keselamatan awam perlu diberikan keutamaan. Terminal baharu atau ditambah baik mestilah turut dilengkapi dengan sistem CCTV, pencahayaan yang baik, laluan pejalan kaki yang selamat serta ruang menunggu yang mesra pengguna bagi membendung jenayah dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan pengguna. Infrastruktur fizikal yang baik mesti seiring dengan sistem keselamatan yang baik. Saya yakin dan percaya dengan pelaksanaan projek ini, jaringan pengangkutan awam di Penawar bukan sahaja akan menjadi lebih efisien, selesa dan moden malah akan menjadi memberikan manfaat besar kepada pelajar, pekerja, usahawan, pelancong dan seluruh masyarakat setempat. Justeru, saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di atas keperihatinan dan komitmen yang diberikan terhadap pembangunan di kawasan Penawar. Saya juga berharap pelaksanaan projek ini dapat berjalan dengan lancar, menepati jadual dan benar-benar memberi impak kepada rakyat. Di bawah Belanjawan Johor 2026, kerajaan negeri turut memberikan penekanan besar kepada Aspek Pembangunan Tadbir Urus Komuniti. Sebuah komponen penting yang
menjadi nadi kepada pengukuhan masyarakat di peringkat akar umbi. Pertama kali saya ingin menyatakan bahawa langkah-langkah yang digariskan oleh kerajaan ini sesuatu yang tepat dan diberikan kepada orang atau golongan sasar yang layak seperti Ketua Kampung, JPKK, JKKR, FELDA, JAKOA, FELCRA, Ketua Masyarakat serta Batin Orang Asli. Mereka ini ialah tulang belakang komuniti. Mereka inilah yang menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat yang bekerja tanpa henti, yang bekerja tidak kira masa sering menjadi orang pertama yang dipanggil ketika berlakunya kecemasan tetapi dalam masa yang sama jarang diberikan penghargaan sewajarnya. Mereka adalah unsung heroes, dengan izin yang memikul tanggungjawab besar walaupun imbuhan yang diterima tidak sebesar beban yang mereka galas. Justeru, saya menyambut baik 5 Inisiatif utama di bawah komponen ini, yang pertama, Program Jelajah Orang Johor yang melibatkan keseluruhan 50 orang DUN dengan peruntukan RM8 juta. Yang kedua, kenaikan elaun Ketua Kampung dan Batin Orang Asli sebanyak RM300.00. Geran pengurusan dan pentadbiran untuk 73 JKKR, FELDA dan 8 JKKP FELCRA, Geran pengurusan dan pentadbiran Persatuan Ketua Kampung dan bantuan caruman lindung kendiri kepada Ketua Kampung, setiausaha, JPKK dan Ketua Masyarakat yang turut diperluaskan kepada Batin Orang Asli. Saya sampaikan salam daripada Ketua-ketua Kampung di kawasan saya. Mereka kata, ‘terima kasih banyak-banyak kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang menghargai mereka’. Mereka hadir dalam Dewan pada hari ini sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri. Kesemua inisiatif ini membuktikan bahawa kerajaan negeri bukan sahaja menumpukan perhatian kepada pembangunan fizikal malah turut memberikan keutamaan kepada pembangunan insan dan tadbir urus di peringkat akar umbi kerana tanpa struktur komuniti yang kukuh berbagai dasar dan program kerajaan tidak akan sampai secara efektif kepada rakyat. Sebagai ADUN Penawar, saya menyokong penuh langkah ini dan beriltizam untuk memastikan para pemimpin komuniti di kawasan saya turut menerima manfaat daripada peruntukan serta inisiatif yang dibentangkan ini. Dalam era perkembangan pesat teknologi kecerdasan pembuatan, kita melihat bahawa gelombang pelaburan besar dalam sektor AI dan pusat data yang kini mencecah lebih RM169.2 bilion dijangka dapat membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji yang sangat lumayan menjelang 2030. Sehubungan dengan itu, saya ingin bertanya apakah usaha dan persiapan kerajaan negeri bagi memastikan anak-anak muda Johor dilengkapkan dengan kemahiran digital yang relevan, latihan berkualiti dan peluang pembangunan bakat yang dapat menempatkan mereka sebagai peneraju dalam ekosistem AI? Ini penting agar generasi muda Johor benar-benar bersedia memasuki ekonomi berteknologi tinggi dan memenuhi segala keperluan syarikat dan industri di Johor lebih-lebih lagi kita ada JS-SEZ nanti. Yang Berhormat Datuk Speaker, sektor pelancongan merupakan antara pemacu utama ekonomi negeri Johor. Justeru, Belanjawan Johor 2026 telah memperuntukan rangkaian inisiatif strategi untuk mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa. Antara inisiatif tersebut termasuklah promosi dan publisiti Visit Johor 2026 dengan peruntukan RM5.55 juta serta penganjuran acara-acara pelancongan bertaraf antarabangsa berjumlah RM6 juta. Langkah ini penting bagi memastikan momentum kehadiran pelancong kekal tinggi selari dengan sasaran Visit Johor 2026 yang bakal..
Yang Berhormat kita beri laluan untuk azan. (Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan).
Yang Berhormat Penawar.
Langkah ini penting bagi memastikan momentum kehadiran pelancong kekal tinggi selari dengan sasaran Visit Johor 2026 yang bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang ekonomi kepada rakyat. Kerajaan
negeri turut memperuntukkan RM500,000.00 bagi sambutan ketibaan pelancong di 17 pintu masuk negeri Johor pada minggu pertama Januari 2026. Selain itu, kerajaan negeri memperkukuhkan aset pelancongan alam semula jadi dengan menaik taraf fasiliti Taman Eko Rimba sebanyak RM1.75 juta dan Taman Negara sebanyak RM430,000.00. Kerajaan turut memperuntukkan RM200,000.00 untuk latihan sumber manusia pelancongan termasuk kursus komunikasi asas, RM500,000.00 untuk Program Semangat Bangsa Johor melalui seni budaya dan aktiviti masyarakat serta RM500,000.00 untuk penganjuran Hari Muzium Antarabangsa. Bantuan berjumlah RM500,000.00 juga disediakan kepada Pertubuhan dan Persatuan Pelancongan bagi memperkukuh eko sistem industri ini. Seluruh inisiatif ini amat saya alu-alukan. Namun sebagai Ahli Dewan bagi kawasan Penawar izinkan saya mengemukakan beberapa pertanyaan dan cadangan agar tumpuan lebih seimbang dapat diberikan kepada destinasi pelancongan utama di kawasan timur Johor iaitu Desaru Coast dan kawasan sekitar. Penawar bukan sahaja pintu masuk ke Desaru tetapi juga mempunyai deretan kawasan FELDA yang berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai destinasi eko pelancongan, agro pelancongan dan budaya komuniti. Dengan taraf hidup masyarakat FELDA yang semakin meningkat pembangunan pelancongan mampu membuka peluang ekonomi baharu terutamanya untuk belia dan usahawan tempatan. Justeru, saya ingin bertanya kepada kerajaan negeri apakah perancangan khusus untuk memperkukuhkan promosi Desaru dan kawasan sekitar sebahagian daripada Agenda Visit Johor 2026? Adakah tumpuan strategik akan diberikan untuk memperkenalkan Desaru secara agresif di pasaran antarabangsa memandangkan ia memiliki aset bertaraf dunia seperti pantai, kompleks antarabangsa serta taman tema? Seterusnya saya juga ingin bertanya mengenai pelancongan kerajaan ketika menambah bilangan pemain industri pelancongan tempatan. Pada ketika ini, jumlah agen pelancongan, pemandu pelancong bertauliah dan pengusaha aktiviti pelancongan di kawasan Desaru masih rendah. Ini menjejaskan keupayaan kawasan tersebut untuk menawarkan pilihan dan pengalaman pelancong yang lebih pelbagai. Adakah kerajaan negeri bercadang untuk memperluaskan latihan pelancongan, skim insentif atau geran permulaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan agen pelancongan di kawasan Penawar? Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin membawa perhatian Dewan satu isu besar, isu yang sering saya bawa ketika sidang Dewan iaitu isu yang terlalu lama membelenggu rakyat di kawasan Penawar iaitu berhubung 539 unit perumahan generasi baharu FELDA, PBGF di FELDA Papan Timur. Projek yang dimulakan sejak 2013 ini sehingga hari ini masih belum disiapkan sepenuhnya walaupun pernah dijanjikan akan siap pada tahun 2022. Keadaan ini amat mengecewakan kerana lebih 10 tahun berlalu namun penyelesaian yang tuntas masih belum wujud. Lebih mendukacitakan apabila ada permohon asal yang telah meninggal dunia sebelum sempat menjejakkan kaki ke rumah impian mereka. Ada juga pemohon yang ketika memohon masih bujang tetapi pada hari ini sudah berkeluarga dan mempunyai tiga (3) cahaya mata. Bukan sahaja rumah yang dijanjikan masih belum diduduki, malah pintu rumah pun belum ada lagi. Bila ditanya, oh itu masalah kontraktor. Bila tanya kontraktor, itu masalah FIC. Bila tanya FIC kata FELDA belum ada kelulusan. Itu dan ini. Di mana sebenarnya ada tersimpul itu? Tolonglah, saya menyeru agar kerajaan negeri campur tangan bagi menyelesaikan isu ini. Bukan untuk saya, tetapi untuk generasi muda kita, iaitu generasi kedua dan ketiga FELDA di FELDA khususnya di FELDA Papan Timur dan sekitarnya. Saya mohon agar pihak yang berkaitan segera menilai semula status projek ini dan membentangkan pelan penyelesaian yang jelas serta mempunyai garis masa yang tegas. Jangan biarkan pemohon terus menunggu tanpa kepastian. Jika projek PGBF ini dapat disiapkan segera, ia bukan sahaja menyelesaikan masalah perumahan generasi baharu FELDA, malah dapat meringankan beban kewangan ramai keluarga memulihkan kesejahteraan sosial komuniti FELDA dan menghalang penghijrahan anak muda FELDA keluar dari kampung kerana ketiadaan rumah sendiri. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam belanjawan negeri yang lepas, Yang Amat Berhormat telah mengumumkan peruntukan bagi projek infrastruktur di FELDA di Sungai Mas. Namun
begitu pada sambutan Hari Peneroka di FELDA Tunggal tahun ini, pengumuman mengenai peruntukan infrastruktur perumahan generasi kedua dibuat semula dan FELDA Sungai Mas telah terkeluar dari senarai penerima. Alasan yang diberikan ialah projek pembinaan rumah di tapak perumahan generasi kedua FELDA Sungai Mas masih belum mencapai tahap 80% kemajuan. Saya ingin memaklumkan bahawa isu ini telah mencetuskan kekecewaan yang sangat mendalam dalam kalangan generasi kedua FELDA Sungai Mas. Mereka diketepikan walaupun mereka telah menunggu begitu lama untuk melihat kemajuan projek yang dijanjikan. Lebih membimbangkan, mereka melihat tindakan tarik dan tolak peruntukan ini sebagai gambaran ketidakseriusan kerajaan negeri pada hari ini dalam memberikan keutamaan yang konsisten kepada komuniti FELDA. Mereka mahukan jaminan bahawa keperluan mereka diambil serius dan keputusan kerajaan dibuat secara telus, adil serta berdasarkan keperluan sebenar rakyat di lapangan. Saya membawa suara mereka di Dewan ini agar perkara ini diperjelaskan, dibetulkan dan dimurnikan semula. Komuniti FELDA Sungai Mas tidak meminta lebih. Mereka hanya mendambakan kepastian dan komitmen yang tidak berubah-ubah.
Akhir sekali, saya menyeru dan memohon jasa baik Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk membantu kami menyelesaikan isu ini demi masa depan ratusan keluarga FELDA yang sudah menunggu terlalu lama. Saya juga ingin menarik perhatian kepada bangunan Sultan Iskandar Kota Tinggi yang juga merupakan pusat pentadbiran Kota Tinggi yang sudah terlalu lama yang memerlukan kerja naik taraf yang menyeluruh. Saya yakin dan percaya Yang Berhormat Johor Lama, Yang Berhormat Sedili, Yang Berhormat Pasir Raja dan juga Yang Berhormat Panti juga boleh bersetuju dengan sama. Banyak aduan yang telah diterima termasuk lif yang kerap rosak. Bumbung yang bocor serta keadaan fizikal bangunan yang tidak lagi sepadan dengan keperluan semasa. Bangunan ini menjadi tumpuan masyarakat untuk pelbagai urusan. Namun keadaannya pada hari ini tidak lagi mencerminkan standard perkhidmatan yang sepatutnya. Saya memohon agar peruntukan khusus dapat disediakan dapat Bajet Johor 2026 bagi melaksanakan kerja penambahbaikan dan naik taraf bangunan ini secara menyeluruh supaya dia benar-benar memenuhi keperluan rakyat serta selari dengan peredaran masa.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua jabatan, serta agensi kerajaan yang telah memberikan kerjasama yang amat baik dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan membantu menyelesaikan pelbagai isu rakyat di kawasan Penawar. Saya amat menghargai semangat kerjasama, patrolisma dan dedikasi yang telah ditunjukkan. Semoga kerjasama erat ini dapat diteruskan demi kebaikan rakyat dan pembangunan negeri kita. Dari Tanjung Balau ke Desaru; Pantai indah jadi pesona; Kebajikan rakyat terus diutamakan selalu; Agar Bangsa Johor sejahtera selamanya. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Penawar menyokong penuh Bajet 2026 ini. Terima kasih.
Tahniah Penawar. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2:30 petang.
Persidangan ditangguhkan pada jam 1:30 petang,
Persidangan disambung semula pada jam 2:30 petang.
YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.
Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2026) Tahun 2025.Bill
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan disambung semula. Dijemput Yang Berhormat Johor Jaya.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Salam sejahtera. Salam maju Johor, Salam Malaysia Madani. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker bagi memberi peluang kepada saya untuk berbahas dalam Dewan yang mulia ini. Patik merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku pada 22 November ini. Semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku dilanjutkan usia dan dikurniakan kebijaksanaan serta berada dalam keadaan sihat sejahtera dan penuh kedaulatan. Patik juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor atas segala bimbingan dan nasihat yang dicurahkan kepada wakil rakyat dan seluruh Bangsa Johor. Ampun Tuanku.
Johor Jaya mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang berjaya membentangkan Belanjawan Johor 2026, dengan surplus sebanyak RM4.4 juta yang bertema Bangsa Johor Sejahtera. Belanjawan ini merangkumi enam (6) Teras dan 260 inisiatif di mana setiap inisiatif pasti akan memanfaatkan Bangsa Johor tanpa mengira kaum, bangsa, dan agama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tema Bangsa Johor Sejahtera sangat bermakna dan mendekati rakyat jelata. Sejahtera membawa maksud harmoni, aman, selamat, makmur dan seimbang dalam kehidupan. Bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental, sosial, ekonomi dan moral. Untuk membina sebuah negara yang sejahtera, kerajaan negeri perlu memastikan Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, merangkumi kesejahteraan ekonomi, kesejahteraan sosial, kesejahteraan fizikal dan persekitaran, kesejahteraan mental dan tadbir urus negeri yang baik iaitu Good Governance, demi mencapai kesejahteraan kehidupan rakyat. Antara aspek sejahtera yang saya sebut tadi, Johor Jaya ingin sentuh beberapa aspek :
Satu, Sejahtera Mental. Kesihatan mental adalah aspek penting kesejahteraan rakyat yang perlu dijaga seiring dengan kesihatan fizikal. Kesihatan mental bukan sahaja terhad berlaku di kalangan orang dewasa namun trend di kalangan anak muda semakin meningkat di seluruh dunia. Antara tanda-tanda termasuk tekanan (stress), kemurungan (depression), keresahan (anxiety), masalah tidur dan burn out. Ini tidak semestinya berpunca daripada kelemahan diri, tetapi pelbagai faktor luar. Kesihatan mental perlu dipandang serius kerana ia mempengaruhi seluruh aspek kehidupan seseorang dalam menentukan kualiti hidup iaitu individu yang stabil, mentalnya lebih mampu mengurus emosi, membuat keputusan bijak dan membina hubungan yang sihat, mengurangkan risiko masalah sosial seperti keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah dan konfilk sosial, meningkatkan prestasi kerja kerana lebih fokus dan juga menjaga kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Kesemua aspek ini adalah penting dalam membina satu komuniti yang sihat dan sejahtera. Menurut Yang Amat Berhormat Menteri Besar, RM774,000.00 akan diperuntukkan bagi Program Klinik Kaunseling demi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai kesihatan mental di kalangan penjawat awam. Johor Jaya setuju dan sangat sokong bagi meningkatkan dan menjaga kesihatan mental di kalangan penjawat awam. Namun memandangkan trend kesihatan mental semakin meningkat dan serius, Johor Jaya menyeru supaya inisiatif harus diperluas kepada seluruh rakyat Johor dan dimulakan dengan segera. Kesedaran dan akses perkhidmatan kesihatan mental perlu diperluaskan dengan pendekatan yang lebih komprehensif, peduli dan juga progresif.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor Jaya menyeru bahawa kerajaan negeri menubuhkan satu hub sihat bagi meningkatkan kesedaran dan juga menyediakan sokongan kepada individu yang memerlukan bantuan kesihatan mental dengan beberapa usaha dan cadangan seperti berikut :
Pertama, menawarkan bantuan perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada rakyat Johor. Kini ada perkhidmatan kaunseling di LPPKN.
Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk memperluaskan lagi perkhidmatan ini melalui YPKDT.
Kedua, mengujudkan satu sistem kaunseling atas talian 24/7 iaitu 24 jam 7 hari bagi memupuk dan menggalakkan individu yang perlu perkhidmatan kaunseling tetapi segan secara bersemuka iaitu Face To Face untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling. Dan juga berhubung terus dengan kaunselor melalui fungsi chat dan talian secara percuma.
Ketiga, memberi subsidi rawatan psikiatri dan psikologi kepada individu yang memerlukan rawatan lanjut.
Keempat, pembangunan kaunselor atau wajib guru kaunseling secara sistematik di sekolah, supaya memberi sokongan di sekolah bagi para cikgu dan pelajar.
Kelima, tubuhkan satu sistem kesihatan dan kerjasama dengan pihak swasta dan NGO untuk memberi kursus bertauliah, kesihatan mental kepada sukarelawan, pemimpin komuniti dan barisan hadapan supaya dapat mengenal pasti tanda-tanda awal dan juga memberi sokongan yang betul. Pada masa yang sama dapat menggalakkan penglibatan dalam sesi kaunseling dengan membekal diri dengan ilmu dan sokongan profesional.
Dan keenam, ini paling penting, bekalkan perkhidmatan kaunselor dan sesi kaunseling di Pejabat ADUN mengikut jadual seperti apa yang dilaksanakan di negeri Selangor melalui Program Selangor Mental Sihat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bukannya Wakil Rakyat greedy atau tamak. Bukannya apa-apa pun kita nak, cuma Johor Jaya yakin bukan sahaja di pejabat ADUN Johor Jaya, namun pejabat Wakil Rakyat rakan-rakan saya yang berada dalam Dewan yang mulia ini juga menghadapi penduduk yang sentiasa datang dengan pelbagai jenis aduan dan juga masalah. Kadang kala kita akan berjumpa penduduk yang menghadapi tekanan kehidupan. Dengan bekalkan kaunselor kita dapat memberi nasihat dan sokongan kepada penduduk dengan lebih profesional. Jadi enam (6) cadangan daripada Johor Jaya, harap ditimbangkan oleh pihak kerajaan negeri supaya membina masyarakat yang sihat dan sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Speaker, gejala buli yang semakin meningkat tidak kira di tempat kerja, sekolah atau dalam komuniti. Ini turut merisaukan semua pihak terutamanya gejala buli yang semakin serius yang berlaku di kalangan anak muda. Gejala buli yang dulu rujuk seperti buli fizikal iaitu menolak, menampar, merosakkan barang milik mangsa, buli verbal, mengugut dengan kata-kata kasar, buli sosial emosi mengasingkan seseorang daripada kumpulan, menyebarkan fitnah atau menghasut orang lain dan kini buli cyber menular dalam alam digital yang dianggap lebih ganas, lebih kejam.
Ini termasuk menyebarkan gambar atau video lucah, dengan memalsu gambar dengan menggunakan AI, menghantar mesej hina atau ugutan melalui sosial media, membuat akaun palsu dan sebagainya. Gejala buli yang ramai orang melihat buli sebagai masalah displin, tetapi hakikatnya buli adalah ancaman serius kepada kesejahteraan mental seseorang. Dalam tahun ini sahaja kita sudah lihat pelbagai kes buli yang berlaku di negeri lain. Ini memberi satu amaran dan tanda bahaya kepada kita. Menurut statistik Kementerian Pendidikan Malaysia terdapat 7,681 kes buli yang dilaporkan di dalam sekolah pada tahun 2024, berbanding dengan 6,528 kes pada tahun 2023.
Menurut Ketua Polis Negara, kes buli di sekolah meningkat lebih 1,000 kes setiap tahun dan kebanyakan berlaku di sekolah menengah. Baru-baru ini saya telah melawat sebuah sekolah dalam kawasan saya kerana sekolah ingin memohon pemasangan susur gajah di sekolah. Dalam lawatan tersebut, saya perhatian satu ruang iaitu satu peti suara diwujudkan di satu corner sekolah. Apabila saya tanya dengan pihak sekolah, saya dimaklumkan bahawa pihak sekolah mengambil inisiatif sekolah tanpa bantuan dan sokongan daripada mana-mana pihak,
mewujudkan satu saluran bagi para pelajar untuk mengeluhkan suara hati mereka sekiranya mereka dibuli. Walaupun setakat ini tidak dapat apa-apa aduan buli daripada pelajar, tetapi saya puji dengan pihak sekolah mengambil konsep prihatin bukan denda, bukan tindakan buang sekolah, henti sekolah kepada pelajar tetapi mewujudkan satu ruang yang selesa dan selamat supaya menggalakkan pelajar tampil ke hadapan sekiranya dibuli. Ini adalah satu contoh proaktif yang baik supaya dapat mengesan apa-apa sahaja tanda awal.
Pada bulan Ogos 2025, Kerajaan Negeri Johor telah mengumumkan inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Khas Anti Buli Negeri untuk membanteras gejala buli di Johor. Namun, Johor Jaya perhatikan selain kempen kesedaran anti buli telah dilaksanakan di seluruh negeri Johor pada bulan Ogos, isu anti buli tidak disentuh dalam Belanjawan 2026. Apakah rancangan, usaha dan kempen seterusnya yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam usaha anti buli di negeri Johor? Berapakah peruntukan yang akan diberi dalam membanteras anti buli di negeri Johor? Dengan ini, Johor Jaya bercadang untuk mewujudkan satu sistem whistleblower di semua sekolah dengan kerjasama pihak PIBG. Dengan ini, kita dapat menyediakan satu saluran atau satu platform yang selamat bagi pelajar membuat aduan, meringankan beban pihak sekolah dan juga para cikgu dan juga dapat meningkatkan integriti dan memastikan semua aduan dikendali dengan adil dan melaporkan ke Kementerian Pendidikan Malaysia.
Usaha dalam kesihatan mental dan membanteras gejala buli adalah tanggungjawab bersama semua pihak. Ini bukan sahaja pihak sekolah, tetapi juga ibu bapa, masyarakat dan juga pihak kerajaan. Kita perlu memastikan anak muda kita membesar dalam persekitaran yang selamat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang berhasrat menubuhkan Majlis AI Johor untuk menjadikan Johor sebagai Hub AI dan Data Serantau pada tahun 2030. Dalam era digital dan teknologi, kita perlu pastikan bukan sahaja kerajaan yang transform sahaja, tetapi rakyat perlu mengikut jejak kerajaan menikmati kemudahan transformasi digital. Transformasi digital memudahkan rakyat bukan menyusahkan rakyat.
Yang Ama Berhormat Menteri Besar membentangkan bahawa penambahan 19 modul bayaran di aplikasi Johor Pay dengan peruntukan RM500,000.00 termasuk pentadbiran tanah, Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam. Kini Johor Pay hanya diguna untuk bayaran cukai tanah, cukai harta sahaja. Johor Jaya minta Kerajaan Negeri Johor menambahkan lagi kegunaan Johor Pay supaya dijadikan sebagai aplikasi utama di negeri Johor.
Selain itu, Johor Jaya pernah bangkitkan isu ini pada sidang yang lepas, tahun lepas iaitu selaraskan aplikasi parkir supaya hanya satu aplikasi parking di negeri Johor. Kini MBJB guna pakai MBJB Spot. Daerah Batu Pahat guna pakai aplikasi Jom Parking. PBT lain pula pakai Park Maps. Ini sudah mengelirukan rakyat Johor yang merentasi daerah apatah lagi pelancong dari luar negeri dan juga luar negara. Dengan ini adalah penting bagi kita mengkaji semula aplikasi bayaran parking dalam negeri supaya dapat meningkat aplikasi, jimatkan kos maintenance dan user friendly kepada pengguna khususnya kita akan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, rakyat menuntut sebuah pentadbiran kerajaan yang bukan sahaja cekap tetapi juga amanah dan bertanggungjawab. Tadbir urus iaitu good governance yang baik bukan sahaja sekadar slogan. Ia adalah asas kepada keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan penentu kepada kemajuan negara. Tiga ciri-ciri yang menunjukkan tadbir urus yang cekap, termasuk:
1. Pengurusan Masa 2. Penggunaan Kos
3. Layanan dan perkhidmatan yang mesra
Pemimpin sebagai penentu hala tuju dan penggubal dasar negara tidak kira di mana kita duduk sama ada kerajaan, pengimbang ataupun pembangkang. Tujuan sebagai Wakil Rakyat adalah sama, iaitu membina masyarakat yang mesra dan harmoni. Membina negara dengan kepentingan rakyat diutamakan.
Johor Jaya ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas keprihatinan beliau memberi Bantuan Kasih Johor yang terlibatkan pelbagai golongan B40 termasuk anak yatim, miskin tegar dan miskin, ibu tunggal, pemandu teksi, e-hailing, orang kurang upaya, warga emas dan lain-lain.
Johor Jaya ingin cadangkan bahawa, mechanism Bantuan Kasih Johor diperhalusi dan diuruskan secara atas talian dan terus deposit atau online transfer kepada akaun penerima seperti STR khususnya kepada bantuan warga emas dan juga orang kurang upaya. Penerima warga emas atau golongan OKU yang diminta hadir ke majlis perasmian atau penyerahan Bantuan Kasih Johor untuk mendapatkan wang tunai, ramai antara mereka bukan mereka bawa kereta sendiri, ada yang perlu anak, saudara-mara, jiran atau rakannya yang membawa mereka ke majlis. Anak, cucu, saudara-mara ini pula ada yang perlu mengambil cuti atau kelepasan kerja. Ada juga yang perlu menaiki pengangkutan awam. Ini terlibat masa, kos bagi kehadiran mereka dalam majlis tersebut.
Jadi, ini menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan urusan rakyat tidak terbuang dalam birokrasi yang panjang. Kita perlu pastikan penggunaan kos yang minimum bagi mereka yang menikmati bantuan kasih bukan sebaliknya. Memerlukan kos pengangkutan tambahan untuk mendapatkan bantuan kasih secara wang tunai.
Seterusnya, layanan dan perkhidmatan yang mesra, cepat dan berkesan kepada rakyat. Kita harus sentiasa turun padang, mendengar rintihan masyarakat dan memahami realiti kehidupan mereka. Dari situlah dasar yang benar-benar berkesan dapat dillahirkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tiga isu kawasan yang saya ingin bangkitkan bukannya isu baru tetapi sudah berkali-kali saya bangkitkan dalam Dewan yang mulia ini.
Pertama, iaitu Pasar Awam Johor Jaya. Terima kasih Datuk Bandar MBJB yang sudi turun padang bersama dengan saya, lihat dan meninjau tempat tapak Pasar Awam Johor Jaya, Arkib Johor Jaya dan Bas Terminal Johor Jaya. Lokasi tempat ini terletak di lokasi yang premium dalam Johor Jaya, namun oleh sebab tidak menyelenggara dengan baik, kini tandas di bas terminal tidak dapat digunakan. Ruang yang sedia ada dalam arkib pun rosak dan uzur. Pasar Awam Johor Jaya pula menghadapi masalah elektrik dan kebocoran bumbung. Apa yang menyakit hati penduduk Johor Jaya adalah sebahagian bangunan telah menjadi bangunan terbengkalai dan merosak imej Johor Jaya dan kerajaan negeri. Johor Jaya sekali lagi minta tindakan segera daripada pihak kerajaan negeri supaya menaik taraf keseluruhan tempat ini, supaya memberi ruang perniagaan, ruang aktiviti kepada komuniti tempatan dan juga menaik taraf Pasar Awam Johor Jaya menjadi pasar moden di negeri Johor.
Kedua, iaitu isu Hospital Pasir Gudang. Rakan saya ADUN Permas juga bangkitkan isu Hospital Pasir Gudang kerana kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang sangat mengecewakan penduduk Pasir Gudang. Kita sudah menanti-nantikan pembukaan hospital Pasir Gudang supaya memudahkan pendudukan mendapatkan rawatan dan perkhidmatan hospital kerajaan. Namun, dari pengumuman pecah tanah, pembinaan kelengkapan sehingga kini, sudah 10 tahun kita menunggu. Masih belum buka lagi. Johor Jaya menyeru supaya pihak kerajaan usaha sedaya upaya demi kesejahteraan dan kepentingan Pasir Gudang.
Ketiga, iaitu isu Lebuh Raya Pasir Gudang. Baru-baru ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menegur bahawa lampu tidak cukup nyala di sekitar persimpangan Rinting – Seri Alam. Bukan sini sahaja, Johor Jaya menerima aduan masalah lampu jalan di persimpangan lebuh raya Pasir Gudang – Taman Daya, persimpangan bertingkat Jalan Kota Tinggi – Jalan Pandan yang lama tidak selesai dan juga jalan berlubang di sepanjang Lebuh Raya Pasir Gudang. Kesemua masalah ini bukan masalah baru, penyelenggaraan Lebuh Raya Pasir Gudang perlu dijadualkan dan dilaksanakan. Bukan ada aduan baru kita menyelenggara. Bukan MB turun turun padang baru memasang lampu dan bukan ada accident baru kita mengambil berat.
Akhir kata, Johor Jaya ucapkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, pegawai dan penjawat awam yang sentiasa komited dan memberi kerjasama dalam menjalankan tugas sepanjang tahun ini. Marilah kita bersama-sama menegakkan nilai-nilai integriti, ketelusan dan akauntabiliti dengan masa yang diuruskan secara bijak, kos yang dibelanjakan secara amanah serta layanan yang mengutamakan rakyat barulah kerajaan tadbir urus cekap iaitu good governance tercapai. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Johor Jaya. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan mengalu-alukan kehadiran dan mengucapkan selamat datang kepada 37 orang pemerhati yang terdiri daripada 25 orang daripada DUN kawasan Tiram. (Dewan bertepuk). 4 orang daripada kawasan Puteri Wangsa dan 8 orang daripada DUN kawasan Pemanis. (Dewan bertepuk).
Yang Berhormat diteruskan perbahasan, dijemput Yang Berhormat Pekan Nenas.
Selamat petang, salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker memberi peluang untuk saya bahas pada petang ini.
Sebelum saya memulakan perbahasan, izinkan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah dan selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena hari keputeraan Tuanku yang bakal disambut pada 22 November ini.
Saya turut berbesar hati ingin merakamkan ucapan tahniah dah terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas pembentangan Belanjawan Johor 2026, Bangsa Johor Sejahtera yang merangkumi 260 inisiatif keseluruhannya.
Belanjawan ini dilihat amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan kemajuan Johor terus berpaksikan kesejahteraan rakyat bukan sekadar dinilai melalui pertumbuhan ekonomi tetapi turut merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan infrastruktur belanjawan pro rakyat.
Saya juga mengambil maklum bahawa Belanjawan Johor 2026 sekali lagi mencatatkan lebihan iaitu sebanyak RM4.45 juta menjadikan belanjawan lebihan untuk tahun keempat berturut-turut sejak 2023. Ini menunjukkan pengurusan fiskal negeri yang berdisiplin serta kecekapan dalam merancangkan perbelanjaan tanpa menjejas komitmen dalam kebajikan rakyat.
Dalam masa sama, unjuran hasil negeri untuk meningkat kepada RM2.55 bilion menjadikan Johor antara negeri dengan asas kewangan paling kukuh di Malaysia dan melepasi unjuran awal Belanjawan Negeri 2025. Saya percaya asas kewangan yang sihat ini memberi ruang kepada kerajaan untuk memperkukuh pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, komitmen kerajaan negeri jelas hasil negeri dipulang kepada rakyat melalui belanjawan ini, inisiatif seperti Bantuan Kasih Johor bernilai RM170 juta dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 350,000 penerima di seluruh Johor.
Mewakili rakyat Pekan Nenas, saya merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas keprihatinan berterusan dalam menambah baik bantuan untuk rakyat. Namun, saya tegaskan bahawa pembangunan negeri mesti seimbang dari segi sosial dan infrastruktur dengan pelbagai projek di bawah Teras ke-4. Seperti penyelenggaraan jalan, naik taraf jalan dan kampung. Membina jambatan dan pemasangan lampu jalan. Saya berharap pelaksanaan yang dipercepat khususnya di kawasan luar bandar seperti Pekan Nanas. Di Pekan Nanas masih banyak kampung yang memerlukan tindakan segera walau pun permohonan telah dihantar berulang kali termasuk jalan sempit, perparitan yang lemah dan lampu jalan yang tidak mencukupi. Dengan peruntukan besar yang diumum saya berharap keperluan asas ini diberi keutamaan supaya penduduk kampung turut menikmati hasil kemajuan Johor secara menyeluruh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri memperuntukkan RM22.6 juta untuk menaik taraf dan membina sistem perparitan, longkang serta kolam tadahan di kawasan hot spot banjir dan RM9.6 juta untuk merancangkan tebatan banjir. Peruntukan ini amat alu-alukan namun saya berharap kawasan ketika di Pekan Nanas juga diberikan keutamaan antara Kampung Maju Jaya, Kampung Seri Gambut, Kampung Melayu Raya, Kampung Seri Panti dan Kampung Paya Embun. Kalau dahulu banjir sekali setahun pun merisaukan, tahun ini sejak sudah tiga kali berlaku, dan masalah ini telah berlarutan sejak puluhan tahun. Walaupun tindakan telah diambil oleh pentadbiran daerah Pontian dan JPS, kesannya masih tidak ketara. Banjir tetap berulang dan penduduk terus menanggung kerugian. Ini belum lagi kita bercakap tentang Monsun Timur Laut yang dijangka akan berterusan hingga Mac tahun hadapan. Saya yakin dan pasti kawasan yang sama akan terus dinaiki air. Di beberapa kawasan kampung, saya dan orang kampung turun padang untuk melihat apa langkah penyelesaian yang boleh dilaksanakan, saya faham mungkin orang kampung ini tiada ijazah atau sijil tentang kefahaman banjir. Tetapi mereka ada pengetahuan luas tentang kampung yang mereka didiami sejak berpuluh tahun ini. Saya dapati banyak lokasi memerlukan culvert lebih besar dan pembersihan parit paras yang telah lama tidak diselenggara. Juga sungai-sungai yang tidak dibersihkan dan digali luas seperti Sungai Tanjung Air Hitam. Di lorong satu Kampung Maju Jaya, khususnya projek khas yang telah dikemukakan JPS dengan pelan tindakan yang jelas. Merangkumi pembinaan flood gate, pengorekan Sungai Pontian Kechil dan pengwujudan rizab sungai baru bagi melancarkan aliran air. Namun, sebahagian komponen projek melibatkan tanah persendirian yang memerlukan kebenaran tanpa ambilan balik tanah, proses ini perlu dipercepat supaya projek RM8.9 juta ini tidak tergendala. Justeru, saya mohon jasa baik Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk teliti perkara ini lebih-lebih lagi dengan tibanya Monsun Timur Laut sekarang ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, di taman-taman perumahan lama seperti Taman Bunga, Taman Emas Merah, Taman Seri Jaya dan Taman Utama longkang sudah berusia lebih 20 sampai 30 tahun dan banyak struktur yang mula runtuh serta menjejaskan rumah penduduk. Untuk makluman, aduan berkaitan telah pun saya panjangkan kepada pihak Majlis melalui surat rasmi dan juga dalam Mesyuarat Tindakan Daerah. Saya cadangkan pihak berwajib menyedia pelan naik taraf berfasa dengan keutamaan berdasarkan tahap kerosakan dan risiko supaya penduduk nampak perancangan dan masih boleh menyusun bajet dengan lebih teratur.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas pengumuman kenaikan kadar elaun ketua-ketua kampung sebanyak RM300.00 sebulan daripada RM1,200.00 kepada RM1,500.00. Namun saya ingin menarik perhatian bahawa kenaikan kadar elaun ini hanya melibatkan ketua kampung sedangkan ketua masyarakat tidak menerima sebarang peningkatan. Untuk rekod, kali terakhir elaun ketua masyarakat dinaikkan ialah pada tahun 2023 sebanyak RM300.00. Di Johor terdapat 123
orang ketua masyarakat yang memainkan peranan penting dan sebagai jambatan komunikasi antara penduduk setempat dan agensi kerajaan. Pada masa ini jumlah elaun mereka ialah RM1,200.00 sebulan, RM700.00 daripada kerajaan negeri dan RM500.00 daripada kerajaan persekutuan. Saya berpendapat sudah sampai masa peranan ketua masyarakat turut diperkasakan melalui semakan semula kadar elaun agar selari dengan peningkat kos sara hidup dan beban tugas yang semakin berat. Harap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini supaya peranan semua pemimpin komuniti kita dihargai secara saksama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin sentuh sedikit tentang pelancongan, sektor pelancongan ini sebenarnya sangat dekat dengan masyarakat luar bandar termasuk di Pekan Nanas. Potensi alam semula jadi kita ada bukan sahaja boleh menarik pelancong tetapi juga boleh menghidupkan semula aktiviti setempat dan memberikan nafas baru kepada ekonomi komuniti. Pekan Nanas mempunya pelbagai destinasi pelancongan dan riadah seperti Bee Farm, Lata Seri Pulai, Nurjannah Campsite and Resort dan banyak lagi banyak menjadi tumpuan orang ramai khususnya pada cuti-cuti hujung minggu dan cuti umum. Di dalam pembentangan belanjawan kali ini saya lihat beberapa Inisiatif baru yang diumum Yang Amat Berhormat Menteri Besar memang selari dengan keperluan untuk mengangkat pelancongan luar bandar antaranya termasuk peruntukan RM5.55 juta bagi promosi Visit Johor 2026. RM6.0 juta untuk secara bertaraf antarabangsa. Dan usaha menyambut ketibaan pelancong di 17 pintu masuk negeri. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan Johor terus menjadi destinasi pilihan. Saya berharap strategi promosi Visit Johor 2026 dan acara-acara antarabangsa ini turut memberi ruang kepada Pekan Nanas untuk tampil sebagai salah satu destinasi pelancongan luar bandar utama negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Teras Ke-5, Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar merangkumi 21 inisiatif berkaitan banjir, hakisan, sungai ekonomi hijau dan pengindahan bandar. Namun pengurusan sisa pepejal dan pembuangan sampah haram juga terus diberikan fokus. Di Pekan Nanas hot spot pembuangan sampah haram seperti di Jalan Haji Salleh, Kampung Parit Pasir, Jalan Kampung Melayu Bukit Panjang dan beberapa kawasan lain termasuk Parit Selangor terus berlaku walaupun pihak SWCorp telah memasang CCTV. Isunya, saya difahamkan setiap daerah hanya ada satu CCTV yang dipasang dan dia hanya digunakan minimum 2 bulan di satu lokasi sebelum dipindahkan. Bila CCTV dipindahkan, tempat lama akan berulang menjadi lokasi pembuangan sampah haram. Ini menunjukkan kepincangan terhadap produk penguatkuasaan sedia ada. Jika Johor mahu mencapai kebersihan dan kelestarian, sebenarnya keseluruhan sistem pengurusan sampah termasuk semasa kutipan, penguatkuasaan, pemantauan dan pendidikan komuniti perlu dibaiki secara menyeluruh.
Oleh itu, saya ingin mencadang supaya kerajaan negeri melihat potensi teknologi incinerator moden seperti yang digunakan di Singapore, seperti Tuas mixer membuktikan bahawa teknologi pembakaran terkawal boleh mengurangkan sisa ke tapak pelupusan sehingga 90%, menghasilkan tenaga elektrik, mengurangkan kebergantungan kepada landfill yang makin terhad dan mengurangkan punca hot spot sampah haram kerana sisa diproses dengan lebih cepat dan sistematik. Teknologi ini bukan satu perkara yang perlu kita takutkan, jika mengikut standard keselamatan dan alam sekitar yang betul dia jauh lebih bersih, lebih effisien dan lebih mampan untuk jangka panjang. Kita boleh adaptasi model ini mengikut keperluan daerah-daerah di Johor. Sehubungan ini, saya ingin bertanya adakah kerajaan negeri sedang merangka pelan pengurusan sisa pepejal yang telah menyeluruh terutama bagi menanggani pembuangan sampah haram yang semakin serius? Dia adalah cadangan teknologi seperti incinerator pernah dibincangkan di peringkat negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ingin saya untuk menarik perhatian EXCO Hal Ehwal Agama Islam terhadap isu Sekolah Agama Batu 24 yang sehingga ke hari ini masih bersekutu guna sama dan menumpang di Sekolah Kebangsaan Batu 24. Sekolah Agama Batu 24 ini telah mencapai kapasiti maksimum ekoran pertambahan murid serta kepesatan pembangunan di kawasan Taman Emas Merah, Taman Kiara dan sekitar. Kedudukan bagi sekolah guna sama
ini menyukarkan pengurusan sesi pembelajaran dan mengehadkan usaha untuk memberikan pendidikan agama yang lebih selesa dan berkualiti kepada anak-anak kita. Saya difahamkan tapak bagi pembinaan pembangunan baru sekolah agama ini sudah ada pun. Jadi, janganlah kita lengah-lengahkan lagi perkara ini, sehubungan itu saya memohon supaya pembinaan bangunan sekolah baru bagi Sekolah Agama Batu 24 diberi keutamaan. Termasuklah dari segi peruntukan awal dan perancangan fizikal agar isu ini dapat diselesaikan segera dan tidak terus berlarutan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terakhir izinkan saya mendapatkan sedikit penjelasan berhubungan isu caj tetap bil perkhidmatan pembentung oleh Indah Water Konsurtium (IWK) di kawasan Taman Perindustrian Pekan Nanas. Saya telah menerima beberapa aduan daripada pemilik premis industri yang mendakwa cajnya tetap mereka naik lebih 4 kali ganda bermula Ogos 2025. Contohnya caj sebelum ini sekadar RM38.87 tetapi tiba-tiba diloncat kepada RM181.14 sebulan. Justeru, saya memohon penjelasan apakah kriteria pengiraan yang digunakan bagi kenaikan mendadak ini? Adakah dia berpunca daripada perubahan kategori premis, semakan semula kadar industri atau pengiraan semula penggunaan? Selain itu, saya juga ingin tahu sama ada kenaikan ini melibatkan seluruh negeri Johor atau hanya kawasan tertentu seperti Taman Perindustrian di Pekan Nanas. Sebelum saya mengakhiri perbahasan ini sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan EXCO Kerajaan Negeri atas pembentangan belanjawan ini dan segala inisiatif yang telah dirangka. Saya ingin menekankan bahawa kejayaan mana-mana belanjawan bukan hanya bergantung kepada angka atau inisiatif yang diumumkan, tetapi bagaimana dia dilaksanakan di peringkat daerah dan komuniti. Belanjawan 2026 membuka ruang yang luas, kita adalah peruntukan, ada dasar dan ada hala tuju. Yang tinggal hanya memastikan kawasan seperti Pekan Nanas tidak dicicirkan pelaksanaan. Saya percaya apabila kampung-kampung dan taman-taman lama diperkasakan, bila kawasan banjir diselesaikan, bila pelancongan luar bandar dihidupkan kembali, Pekan Nanas akan jadi antara pemacu kemajuan Johor, bukan sekadar menerima dasar.
Dengan penuh harapan, saya menyokong Belanjawan Johor 2026 dan berharap masyarakat Pekan Nanas akan melihat hasil secara nyata pada tahun-tahun mendatang. Sekian terima kasih. (Dewan bertepuk.)
Terima kasih Pekan Nanas. Seterusnya, dijemput Yang Berhormat Senggarang.
Terima kasih Yang Berhormat. Bismillahirahmannirahim. (Bacaan doa.) Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, seperti rakan-rakan Yang Berhormat yang lain, saya juga memanjatkan puji dan syukur kehadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan perkenanNya, rakyat negeri Johor Darul Takzim yang bertuah ini terus disirami rahmat dan kesejahteraan. Senggarang ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi peluang untuk bersama-sama berbahas mengenai Belanjawan 2026 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar pada minggu yang lepas.
Sebelum Senggarang meneruskan ucapan dengan penuh hormat dan takzim, izikan Senggarang menzahirkan ucapan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang bakal disambut pada 22 November ini. Didoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa beroleh keafiatan, dilimpahi kerahmatan dan keampunan Allah SWT serta dikurniakan segala kebaikan dan kesejahteraan untuk terus memayungi negeri Johor Darul Takzim yang tercinta ini. Ucapan tahniah dan syabas Senggarang ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor kerana telah berjaya menyedia dan membentangkan satu Belanjawan yang amat prihatin terhadap pembangunan negeri dan ianya dilihat dapat memberi manfaat kepada semua golongan. Tidak kira kaum, latar belakang pendidikan, mahupun pendapatan termasuk penjawat awam sehinggalah
rakyat yang kurang bernasib baik dan kurang upaya bakal menikmati Belanjawan 2026 ini. Berdasarkan Belanjawan 2026 yang bertemakan Bangsa Johor Sejahtera yang ditunjangi enam teras dengan didukung oleh 260 inisiatif, Senggarang percaya Belanjawan ini sememangnya inklusif, lestari, komprehensif dan sejahtera untuk rakyat di negeri Johor kerana ianya digubal dengan berpegang kepada prinsip bahawa segala perancangan dan pelaksanaan adalah demi kebaikan dan kesejahteraan Bangsa Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, marilah kita sama-sama panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT, Alhamdulillah kerana dengan izinNya kita dapat berkumpul di Dewan yang mulia ini untuk membincangkan perkara-perkara yang menjadi tunjang pembangunan kepada negeri Johor yang kita sayangi. Hari ini Senggarang berdiri untuk menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dibuat oleh Yang Amat Mulia PSJ, Pemangku Sultan Johor berkaitan tuntutan agar Johor menerima 25% daripada hasil yang disumbangkan oleh kerajaan kepada kerajaan persekutuan. Tuntutan ini bukanlah satu tindakan bersifat konfrantasi, sebaliknya ia adalah satu permintaan yang adil, munasabah dan selari dengan semangat federalisme yang seharusnya menjamin keseimbangan pembangunan antara negeri dan pusat. Walaupun rakan saya Yang Berhormat Kota Iskandar menyatakan 40%.
Seperti mana yang kita maklum, Johor adalah antara negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, meliputi sektor industri, pelaburan asing, pelabuhan, logistik, pertanian moden serta pembangunan wilayah seperti Iskandar Malaysia. Sumbangan ini bukan sahaja menggerakkan ekonomi Johor, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan. Oleh itu, tuntutan 20% hingga 30% ini adalah peluang untuk mengembalikan sebahagian hasil kepada negeri agar kita dapat memperkukuhkan lagi pembangunan sosial, ekonomi dan infrastruktur demi kesejateraan rakyat Johor. Senggarang ingin menegaskan bahawa usaha ini bukan untuk memecah belahkan hubungan negeri dan persekutuan, tetapi untuk memastikan hubungan tersebut lebih adil, matang dan saling menguntungkan. Johor bukan menuntut lebih daripada yang wajar. Johor hanya meminta haknya yang setimpal dengan sumbangan yang diberikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pada hari ini juga Senggarang ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor daripada seluruh penduduk di kawasan Senggarang yang terdiri daripada pelbagai lapisan. Tidak kira mahasiswa, petani, penternak, pelajar, nelayan, ibu tunggal, warga emas dan sebagainya di atas pemberian inisiatif yang telah diberikan sejak Ogos hingga awal November yang lalu. Banyaknya ucapan terima kasih yang patut disampaikan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Sebentar tadi saya juga menerima sepucuk surat daripada Sekolah Rendah Agama Bersepadu Batu Pahat untuk ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar kerana BKK RM500. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Menteri Besar daripada mereka. Tidak hanya mereka masyarakat Orang Asli, golongan pesara tentera dan polis, warga SWM juga tidak ketinggalan mendapat limpahan bantuan tersebut. Semua pihak dapat merasakannya di seluruh pelusuk negeri Johor.
Ucapan terima kasih ini juga diucapkan diatas keprihatinan dan komitmen yang begitu jelas dalam memastikan kebajikan pendidikan anak Johor sentiasa menjadi keutamaan. Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor hari ini telah melaksanakan beberapa inisiatif yang memberi impak besar kepada rakyat khususnya golongan mahasiswa dan pelajar sekolah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang mengambil kesempatan bagi membawa suara rakyat pekan Senggarang, sebuah pekan yang terus berkembang dan berpotensi menjadi pusat ekonomi kecil setempat. Namun masih berdepan beberapa kekangan asas yang memerlukan perhatian serius kerajaan negeri. Senggarang ingin menggesa agar peruntukan dalam Bajet 2026 bagi pengurusan kebersihan bandar diperluaskan ke kawasan pekan kecil
seperti Senggarang. Kebersihan bukan sekadar isu kosmetik, ia melibatkan kesihatan awam, imej pelancongan dan kesejahteraan setempat. Dalam Bajet 2026 ini juga, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan landskap dan pengindahan kawasan bandar. Senggarang mencadangkan agar usaha ini meliputi penanaman pokok teduhan di sekitar pekan, mengindahkan kawasan median jalan, mewujudkan sudut-sudut santai bangku rehat dan elemen hijau, penyelenggaraan taman kecil dan ruang hijau sedia ada. Dengan landskap yang teratur, ceria dan menarik, Senggarang berpotensi menjadi pekan singgah yang menyokong ekonomi setempat, menarik pengunjung, menambah aktiviti perniagaan dan menaikkan nilai hartanah. Ini bukan skadar tentang kecantikan visual tetapi tentang mengekalkan sebuah pekan yang hidup, kemas dan maju.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kekerapan di beberapa kesuraman taman perumahan telah lama menjadi isu. Yang sudah dipasang lampu limpah saya rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat. Banyak aduan diterima tentang lampu jalan yang tidak mencukupi atau rosak menyebabkan risiko kemalangan meningkat khususnya kepada penunggang motorsikal dan pejalan kaki. Dengan bajet negeri yang turut menumpukan aspek Smart City, Senggarang mohon agar lampu jalan dipasang atau ditambah dipersimpangan gelap seperti persimpangan Jalan Cempaka, pekan Senggarang. Pencahayaan naik taraf kepada lebih cerah dan menjimatkan tenaga, penyelenggaraan dibuat secara berkala. Keselamatan adalah tuntutan asas rakyat dan pencahayaan adalah salah satu cara paling mudah serta murah untuk mencegah kemalangan. Isu bersangkutan penutupan jalan-jalan kampung dan jalan berlubang, Alhamdulillah sudah banyak dapat diselesaikan oleh pihak jabatan dan agensi mahupun pihak kerajaan negeri secara amnya. Namun begitu terdapat juga beberapa kampung yang masih belum merasai kemudahan tersebut dan diharap ianya dapat diselesaikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dikesempatan ini Senggarang berdiri di hadapan Dewan untuk menegaskan isu kritikal yang tidak boleh ditangguhkan lagi iaitu hakisan pantai dan keselamatan pesisir di DUN Senggarang. Ini bukan isu kecil, ia melibatkan keselamatan penduduk, rumah mereka, tanah pertanian dan mata pencarian komuniti pesisir. Tidak keterlaluan jika Senggarang nyatakan bahawa Ahli Dewan semua sedia maklum bahawa insiden benteng pecah di Berong, Rengit telah menjejaskan kehidupan penduduk tempatan. Bagi memberi perspektif kepada Dewan, saya ingin menegaskan bahawa masa tidak hanya di kalangan penduduk Rengit, malah tempiasnya turut dirasai oleh penduduk di kawasan Senggarang, di Kampung Parit Hailam dan Parit Botak. Saya nampak Datuk SUPOL macam senyum sebab kampung dia. Saudara mara Datuk SUPOL terlibat. Seramai 17 orang mangsa daripada kalangan penduduk Senggarang telah terlibat dan senarai mereka telah saya serahkan kepada YB EXCO, YB Fazli. Kesemua mereka mengalami kerosakan tanaman, tanah dan sebahagian sumber rezeki akibat kejadian tersebut. Sebab telah makan masa daripada bulan 6 sampai bulan 11. Ini adalah peringatan nyata bahawa hakisan bukan teori, ia oleh menimpa kita jika tindakan segera tidak diambil. Kita tidak boleh lagi menunggu sehingga tragedi berulang, sebelum peruntukan disalurkan atau benteng dibaik pulih.
Berdasarkan laporan dan pemerhatian Senggarang dan ketua kampung, Parit Hailam tanah tebing telah mengecil. Rumah penduduk kini hanya lima meter dari tebing. Benteng lama retak dan tidak stabil. Di Kampung Baru beberapa bahagian benteng runtuh, tanah pesisir menyusut setiap tahun terutama ketika air pasang tinggi. Di Kampung Seri Pantai, perkampungan Orang Asli di Senggarang, beberapa rumah penduduk kini berada dalam zon berisiko tinggi. Hakisan antara 1 hingga 1.5 meter setiap tahun.
Yang Berhormat Datuk Speaker, jika kita gagal bertindak sekarang, kejadian seperti Berong, pasti berulang di Senggarang. Justeru itu, Senggarang menuntuk agar kerajaan negeri memperuntukan dana tambahan dalam Bajet 2026 untuk membaik pulih benteng di lokasi kritikal seperti Parit Hailam, Kampung Baru, Kampung Seri Pantai di skim Senggarang. Kos awal fasa pertama dianggarkan 5 hingga 10 juta di skim tersebut, termasuk konkrit, tetulang, crusher run dan permit. Menetapkan fasa pelaksanaan segera bukan hanya kajian atau kajian
sementara atau kerja sementara, proaktif adalah kunci kerja pelindungan selepas bencana adalah lebih mahal dan menyusahkan penduduk. Sengggarang menyeru kepada semua agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS untuk menjalankan kajian teknikal segera dan menyelesaikan reka bentuk benteng yang betul, berkesan dan lestari. Melaksanakan pemantauan berkala agar hakisan dapat dikesan dari awal dan dapat dikawal. Memastikan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan bagi sokongan dan tambahan kerana kos pemulihan terlalu tinggi untuk ditanggung hanya satu pihak.
Benteng yang kukuh bukan sahaja melindungi rumah tetapi juga menjamin keselamatan tanah pertanian dan sumber rezeki nelayan. Menstabilkan komuniti pesisir dan memberi keyakinan kepada penduduk, menunjukkan bahawa kerajaan negeri serius menjaga kesejahteraan rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tadi Senggarang menyebutkan penerangan di benteng yang terdapat dalam Mukim 10, Kampung Baru. Senggarang juga mohon JPS dan kerajaan negeri agar dapat menimbangkan peruntukan sebanyak RM500,000.00 bagi kerja-kerja menaik taraf benteng serta struktur berkaitan di kawasan Senggarang di bawah Mukim 9, Minyak Beku. Keadaan benteng sedia ada sudah uzur dan tidak mampu lagi menampung air terutama ketika musim hujan dan fenomena air pasang besar malah baru-baru ini benteng di Kampung Kelicap telah bocor juga. Usaha pekebun mengatasi kebocoran tidak berjaya. Pada masa ini hakisan serta benteng dari Tanjung Labuh ke Sungai Suloh sepanjang 4 kilometer telah berlaku. Hakisan menyebabkan paras air laut melebihi 3 meter melepasi benteng tersebut. Risiko yang dihadapi jika berlaku benteng pecah ialah mengakibatkan hampir 300 ekar kebun musnah ekoran air masin masuk. Ianya berisiko kepada pekebun-pekebun tanaman sawit dan kelapa. Peningkatan kekerapan banjir kilat menjejaskan rumah penduduk, tanaman serta infrastruktur asas. Kerja-kerja penambahbaikan ini amat diperlukan bagi memastikan keselamatan penduduk serta menambahkan risiko kerosakan harta benda. Senggarang mohon JPS mahupun pihak kerajaan negeri mengambil langkah-langkah pencegahan awal sebelum berlaku yang lebih serius.
Selain itu Senggarang juga mohon peruntukan RM1 juta bagi kerja-kerja membersihkan dan meluruskan parit-parit pertanian di skim Senggarang. Parit yang tersumbat dan sempit telah menyebabkan sistem pengairan terganggu, menjejaskan produktiviti para petani serta pengusaha tanaman. Langkah pembersihan menyeluruh ini akan meningkatkan aliran air, mengelakkan takungan air dan membantu menghidupkan kembali kegiatan pertanian di kawasan ini yang merupakan sumber pendapatan utama penduduk. Senggarang turut ingin mencadangkan penggunaan jambatan konkrit baru di Parit Kasih, dengan anggaran kos RM1.4 juta. Hal ini telah disarankan oleh JPS Daerah Batu Pahat.
Akhir sekali untuk JPS, Senggarang mohon agar mendapatkan peruntukan RM100,000.00 bagi tujuan membaik pulih pintu gate air di Sungai Senggarang dan pintu gate air di Sungai Parit Hailam. Pintu-pintu air ini memainkan peranan dalam mengawal paras air dan mencegah hakisan tebing. Keadaan pintu gate air Senggarang pada ketika ini telah bocor di kiri dan kanan manakala pintu gate air di Parit Hailam telah senget dan rosak. Kerosakan pada sistem pintu air menyebabkan aliran tidak terkawal, seterusnya mengancam tanah pertanian, kediaman dan keselamatan penduduk. Kerja-kerja pembaikan segera, insya-Allah dapat menjamin pengurusan air lebih efektif.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum Senggarang meneruskan yang lebih lanjut, Senggarang ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini tentang peranan penting majlis-majlis kebudayaan di setiap daerah. Dalam usaha ini, dalam usaha kita memperkukuhkan identiti Johor sebagai negeri yang kaya dengan warisan, budaya dan seni, saya mencadangkan agar peruntukan kepada semua majlis kebudayaan daerah dapat dipertingkatkan. Dengan peruntukan yang lebih mampan. Majlis-majlis kebudayaan ini dapat merancang program yang lebih sistematik, inklusif dan berimpak tinggi khususnya dalam memupuk perpaduan melalui aktiviti kesenian di peringkat akar umbi (Dewan bertepuk).
Menjelang Tahun Melawat Johor Tahun 2026, persediaan aspek kebudayan dan kesenian memerlukan penekanan yang lebih rapi. Justeru Senggarang mencadangkan agar peruntukan kepada Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ) ditambah khususnya bagi mempergiatkan lagi program latihan seperti bengkel kebudayaan, pembangunan produk kesenian, tarian tradisional, teater, muzik rakyat dan sebagainya.
Program latihan ini bukan sahaja melahirkan tenaga seni terlatih malah memastikan pelaksanaan sepanjang TMJ 2026 lebih tersusun dan berkualiti. Selain itu, Senggarang juga mencadangkan agar setiap daerah diberikan peruntukan khas sebanyak RM20,000.00 bagi penganjuran kesenian hujung minggu. Inisiatif ini akan merancakkan aktiviti kebudayaan tempatan, menarik pelancong domestik dan antarabangsa, memberikan ruang kepada artis dan penggiat seni tempatan untuk berkarya dan menjana pendapatan. Senggarang percaya usaha ini akan mewujudkan ekosistem kebudayaan yang hidup, progesif dan mampan di seluruh negeri (Dewan bertepuk). Segala.. tepuklah kalau nak tepuk (Dewan bertepuk). Segala cadangan ini bukan sekadar meningkatkan peruntukan malah satu pelaburan jangka panjang untuk memartbatkan budaya, memarbatkan budaya Johor serta mempersiapkan negeri kita dalam menyambut kemunculan Tahun Melawat Johor 2026 dengan penuh berkeyakinan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang juga ingin menarik perhatian kepada satu isu yang semakin penting kepada satu isu yang semakin penting kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan di Johor khususnya kepada golongan muda di kawasan Senggarang untuk pemanfaatan teknologi maklumat, IT untuk tujuan perniagaan. Hari ini dunia perniagaan tidak lagi terbatas kepada kedai fizikal atau kaedah tradisional. Teknologi digital dan platform IT membuka peluang luas untuk belia memasarkan produk mengurus perniagaan secara efisyen dan mencapai pelanggan di peringkat tempatan global. Namun begitu, ramai golongan muda menghadapi cabaran seperti kekurangan kemahiran digital untuk membangunkan perniagaan secara online. Akses terhad kepada platform e-dagang dan pemasaran digital. Kekangan modal untuk membangunkan IT atau aplikasi sendiri.
Sehubungan itu, Senggarang mencadangkan agar kerajaan negeri dengan Bajet Johor 2026 mengambil langkah-langkah berikut. Program latihan IT khusus untuk usahawan muda termasuk usahawan digital, pembangunan laman web dan pengurusan media sosial. Geran permulaan atau bantuan teknologi bagi membolehkan belia membangunkan platform perniagaan mereka sendiri. Mewujudkan pusat sokongan digital di peringkat daerah untuk memberi bimbingan teknikal dan kos konsultasi penyelidikan. Kerjasama dengan sektor swasta dan universiti bagi menyediakan mentor dan aset dan teknologi terkini. Dengan bantuan yang tepat, golongan muda bukan sahaja dapat memanfaatkan IT untuk memulakan perniagaan, tetapi juga akan menjadi penjana inovasi dan ekonomi digital Johor. Ia akan meningkatkan daya saing negeri, membuka peluang pekerjaan, membina ekonomi masa depan yang inklusif dan berdaya tahan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pertanian dan perternakan bukan sahaja sumber makanan dan ekonomi negara. Tetapi juga memberi peluang luas bagi belia yang berani meneroka moden dan berinovasi. Justeru itu, Senggarang sangat menggalakkan penyertaan golongan muda dalam industri pertanian dan penternakan. Namun begitu, ramai golongan muda menghadapi cabaran berikut. Kekurangan modal permulaan untuk memulakan ladang atau penternakan. Kekangan pengetahuan teknikal dalam pengusahaan moden dalam pertanian dan penternakan. Aset terhad kepada pasaran tempatan digital menyebabkan hasil tani atau ternakan sukar dipasarkan secara optimum.
Sehubungan dengan itu, Senggarang mencadangkan agar kerajaan negeri mengambil langkah-langkah seperti berikut. Geran permulaan dan bantuan kewangan khusus untuk belia yang ingin menceburi bidang pertanian dan penternakan. Program latihan dan bimbingan teknikal termasuk penggunaan teknologi moden seperti teknologi pintar, sistem ternakan
terkawal dan pemasaran. Kemudahan akses kepada pasaran termasuk platform e-dagang, pasar tani dan jaringan kerjasama dengan sektor swasta. Insentif atau pengurangan cukai bagi golongan muda yang membangunkan ladang dan ternakan secara profesional.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, dengan sokongan yang tepat golongan muda dapat menjadi penggerak dalam sektor pertanian dan penternakan moden. Meningkatkan pendapatan, menjana peluang pekerjaan dan menyumbang kepada ketahanan makanan serta pembangunan ekonomi negeri Johor. Sehubungan dengan itu, Senggarang menyeru kerajaan negeri untuk terus memberi perhatian serius kepada golongan muda dalam sektor pertanian dan penternakan kerana mereka adalah pemacu masa hadapan pertanian Johor yang berdaya saing dan berinovasi. Selain itu, perhatian serius terhadap keusahawan digital golongan muda juga jangan dilupakan kerana mereka adalah pemacu ekonomi moden Johor yang cemerlang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, selaras dengan usaha pembangunan Maahad Tahfiz Negeri Johor (MTNJ) yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Senggarang ingin menarik perhatian Dewan kepada satu perkara yang amat penting iaitu keperluan kepada tenaga pengajar sebagai tulang belakang sesebuah institusi pendidikan. Kita semua maklum bahawa MTNJ bukan sekadar sekolah biasa. Ia adalah institusi kerajaan negeri yang memikul amanah besar dalam melahirkan generasi hafiz dan hafizah. Berilmu tinggi, berakhlak dan berdaya saing namun keberkesanan mana-mana institusi pendidikan amat bergantung kepada kestabilan dan kecukupan tenaga pengajar. Pada masa ini Senggarang difahamkan bahawa kekurangan guru di MTNJ sedang ditampung melalui tenaga guru Mystep. Walaupun kita menghargai khidmat dan komitmen mereka, keadaan ini tidak seharusnya menjadi penyelesaian jangka panjang kerana sistem yang bergantung kepada guru kontrak jangka pendek akan membawa beberapa implikasi. Kadar keluar masuk turnover guru yang tinggi mengganggu kesinambungan pengajaran. Kesukaran membina budaya sekolah yang kukuh kerana tenaga kerja yang tidak stabil. Kualiti pendidikan yang tidak konsisten terutama dalam subjek-subjek teras, hafazan dan akademik.
Oleh itu Senggarang ingin bertanya kepada pihak jabatan dan pihak pentadbiran kerajaan negeri, apakah cadangan atau perancangan konkrit untuk mengisi kekurangan ini dengan lantikan tetap atau sekurang-kurangnya lantikan yang lebih stabil? Adakah kerajaan negeri merancang membuka lantikan tetap atau kontrak jangka panjang bagi guru-guru di MTNJ? Mempunyai garis masa atau timeline untuk mengelakkan kebergantungan kepada guru-guru Mystep? Atau sedang berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri atau jabatan berkaitan mengenai struktur perjawatan MTNJ sebagai sekolah kerajaan negeri. Senggarang yakin bahawa dengan perancangan yang lebih tersusun, kerajaan negeri boleh memastikan MTNJ menjadi model sekolah tahfiz kerajaan yang terbaik di negeri ini tetapi bukan sahaja dari aspek kemudahan tetapi juga dari sudut profesionalisme dan kualiti tenaga pengajar. Senggarang berharap agar perkara ini dapat diberi perhatian oleh kerajaan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum habis 20 minit dah, Yang Berhormat Datuk Speaker, Senggarang merakamkan penghormatan sekali lagi dan penghargan sekali lagi untuk Yang Berhormat Datuk Menteri Besar, untuk Yang Berhormat EXCO, untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat, untuk pegawai-pegawai kerajaan, untuk Yang Berhormat Dato’ SS, Pegawai Daerah Batu Pahat, YDP Majlis Perbandaran Batu Pahat, JKR Batu Pahat, JD JPS Batu Pahat, untuk semua kerjasama yang terbaik untuk sepanjang tempoh ini. Akhir kata, Belanjawan Johor 2026 ini bukan sekadar dokumen kewangan tetapi roadmap masa depan negeri.
Senggarang menyokong penuh belanjawan ini dan berharap agar isu benteng dapat diselesaikan di Pekan Senggarang, isu jambatan dapat diselesaikan di Parit Kassim dan di jambatan di Pekan Senggarang juga, masjid pembinaan baharu di Parit Kemang dan di Pekan Senggarang dapat diselesaikan dan juga geran-geran permohonan tanah yang masih belum diselesaikan dapat diselesaikan seperti di Kampung Rahmat dan Kampung Maju Jaya.
Senggarang mohon menyokong. Wabillahi taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh (Dewan bertepuk). Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.
Terima kasih, salam sejahtera, salam Maju Johor, salam Madani. Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kerana memberi ruang kepada Tangkak untuk turut serta dalam perbahasan Belanjawan Johor 2026.
Terlebih dahulu, izinkan Tangkak Merafak Sembah Menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucapan selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda yang bakal disambut pada 22 November ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap kali kita membahas belanjawan negeri, ia bukan hanya acara tahunan tetapi merupakan proses penting untuk menentukan masa depan rakyat Johor. Belanjawan adalah cerminan keutamaan negeri. Ukuran sejauh mana kepekaan kita terhadap denyut nadi rakyat serta kompas yang menentukan arah pembangunan Johor dalam tempoh tahun-tahun mendatang.
Tangkak menghargai usaha Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh jentera kerajaan yang telah menyedia belanjawan ini. Namun sebagai Wakil Rakyat, tugas saya ialah menilai bukan sahaja apa yang tercatat dalam dokumen belanjawan, tetapi juga realiti yang dialami rakyat di lapangan. Tahun 2026 menjelang dalam suasana ekonomi yang tidak menentu. Johor secara makro menunjukkan pemulihan terutama melalui projek strategik di selatan negeri serta pelaburan asing dalam sektor pembuatan dan digital. Walau bagaimanapun, angka pertumbuhan eknomi tidak selalu menggambarkan keadaan sebenar rakyat di rumah-rumah mereka. Di kedai-kedai kecil atau di kebun dan perusahaan mikro. Rakyat sedang berhadapan dengan kos sara hidup yang meningkat serta gaji yang tidak selaras dengan inlfasi. Justeru, belanjawan kali ini perlu melihat kepada isu harian rakyat dan bukannya sekadar angka makro ekonomi. Masalah asas seperti akses air bersih, kestabilan bekalan air, kesesakan jalan raya, peluang pekerjaan setempat, keselamatan pelajar, jaringan kesihatan, pembangunan bandar kecil dan transformasi luar bandar adalah isu yang jauh yang lebih dirasai oleh rakyat daripada angka bilion ringgit yang sukar mempengaruhi kehidupan mereka secara langsung.
Tangkak ingin menegaskan bahawa ekonomi negeri tidak boleh dilihat semata-mata melalui prestasi kawasan metropolitan seperti Johor Bahru atau Kota Iskandar sahaja. Johor adalah sebuah negeri besar yang merangkumi pelbagai daerah dan keperluan ciri dan ekonomi masing-masing. Keseimbangan pembangunan harus menjadi dasar utama kerjaaan negeri. Dan daerah seperti Tangkak tidak boleh terus menjadi daerah yang hanya menerima limpahan pembangunan secara minimum. Realitinya daerah-daerah utara dan tengah seperti Tangkak, Segamat, Batu Pahat dan Mersing masih belum menikmati pembangunan yang pesat seperti Johor selatan. Anak-anak muda kita terus berhijrah keluar kerana pekerjaan berkualiti tidak tersedia di tempat sendiri. Ramai terpaksa merantau ke Singapura, Johor Bahru atau Kuala Lumpur untuk mencari pendapatan yang lebih baik.
Ini menyebabkan daerah seperti Tangkak mengalami lebih ramai penduduk masuk usia tua. Dan ekonomi daerah tidak berkembang pada kadar yang sepatutnya. Tangkak ingin menekankan bahwa pembangunan negeri yang tidak seimbang akan membawa kesan yang panjang termasuk jurang ekonomi yang semakin melebar. Dalam konteks bandar Tangkak, salah satu dokumen paling penting yang sepatutnya menjadi pemacu pembangunan ialah Rancangan Khas Kawasan (RKK) Bandar Tangkak 2030. Pelan ini menggariskan transfomasi bandar secara menyeluruh. Termasuk pembangunan pusat pentadbiran baharu, penstrukturan semula lalu lintas bandar, pembangunan sungai, pembaharuan kawasan komersial lama serta pembinaan ruang awam yang berkualiti. Malangnya sehingga kini,
sebahagian besar komponen RKK kekal pada tahap perancangan di atas kertas. Rancangan bergerak, tetapi pelaksanaan masih jauh ketinggalan.
Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, masalah kelewatan pelaksanaan RKK bukanlah isu kecil. Ia berpunca daripada kekangan peruntukan, koordinasi antara agensi yang kurang berkesan serta tiadanya badan penyelaras pelaksanaan di peringkat negeri yang benar-benar memantau kemajuan secara berkala. Selagi pelaksanaan kekal perlahan, bandar Tangkak tidak akan mampu mencapai potensi sebenarnya sebagai bandar daerah yang progesif dan menarik pelaburan. Tangkak menyeru agar kerajaan negeri menggerakkan sebuah jawatankuasa penggerak RKK yang dipengerusikan oleh SUKJ dan melibatkan Plan Malaysia, Pejabat Daerah Tangkak, Majlis Daerah Tangkak serta wakil rakyat. Bagi memastikan perancangan tidak terus terperap di dalam fail-fail pejabat.
Selain isu perancangan bandar, bandar Tangkak berdepan kesesakan lalu lintas yang semakin membimbangkan. Laluan utama daripada Plaza Tol Tangkak ke Kampung Anjung Batu kini menjadi titik kesesakan yang kritikal terutama pada waktu puncak. Peningkatan jumlah kenderaan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini menunjukan bahawa laluan tersebut tidak lagi mampu menampung aliran trafik sedia ada. Kesesakan bukan sahaja menjejaskan masa perjalanan pekerja dan pelajar tetapi juga melambatkan operasi logistik, menyusahkan ambulans dan pasukan kecemasan serta memberi kesan langsung terhadap ekonomi tempatan. Projek pelebaran jalan dan pembinaan lorong tambahan di kawasan ini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan mendesak. Tangkak berharap belanjawan tahun ini memberi keutamaan kepada penyelesaian kesesakan di laluan tersebut.
Yang Berhormat Datuk Speaker, masalah tempat letak kereta di pusat bandar Tangkak juga semakin ketara. Bandar lama yang dibina dulu kini tidak mampu menampung bilangan kenderaan yang meningkat setiap tahun. Ketiadaan parkir berpusat menyebabkan kenderaan berhenti sesuka hati. Mewujudkan kesesakan dan menyukarkan urusan penduduk serta peniaga. Tangkak mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk menyewa tanah lapang di belakang Jalan Sialang dan kawasan belakang AmBank Tangkak untuk dijadikan parkir berpusat sementara. Langkah ini adalah penyelesaian jangka pendek yang berkesan sementara menunggu pembangunan parkir berpusat kekal di bawah RKK.
Dalam aspek kemudahan komuniti, balai raya Kampung Anjung Batu yang terletak di kawasan strategik bandar Tangkak kini dalam keadaan uzur. Bumbung yang bocor, sistem elektrik lama dan fasiliti yang tidak lagi sesuai dengan keperluan komuniti hari ini menjadikan bangunan ini memerlukan naik taraf menyeluruh. Balai raya bukan sekadar tempat perhimpunan tetapi merupakan nadi aktiviti sosial masyarakat setempat. Tanpa kemudahan yang baik, masyarakat sukar menjalankan pelbagai program pendidikan, kebudayaan, sukan, kebajikan dan sambutan perkahwinan. Tangkak mohon agar sebuah peruntukan khusus diperuntukan bagi memastikan balai raya tersebut dinaik taraf secara lengkap.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tangkak ingin memberi perhatian khusus terhadap isu air. Isu yang paling asas, paling kritikal namun paling mengecewakan rakyat Johor sejak sekian lama. Prestasi penggantian paip lama di negeri Johor adalah sangat perlahan dan jauh ketinggalan. Hari ini Johor masih mempunyai lebih 6,000 kilometer paip lama yang sebahagiannya telah berusia melebihi 40 tahun. Di kawasan tertentu termasuk di bandar Tangkak, paip jenis asbestos cement (AC) yang mudah pecah masih digunakan menyebabkan paip kerap pecah dan menimbulkan gangguan bekalan air berulang kali. Lebih merisaukan kadar kehilangan air tidak berhasil. NRW di Johor berada pada paras 26 hingga 28% ini bermakna hampir 1/3 daripada air terawat hilang begitu sahaja sebelum sampai kepada pengguna. Bagaimana rakyat Johor boleh diyakinkan bahawa air, sistem air negeri cekap dan mampan jika paip pecah berulang kali? Tekanan air rendah berterusan, gangguan air berlaku tanpa notis tepat. Isu air ini bukan isu politik. Isu air ini isu kehidupan, isu kesihatan dan maruah rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam keadaan perkhidmatan air belum mencapai tahap memuaskan peniaga dikejutkan pula dengan kenaikan tarif air oleh SAJ. Tangkak ingin menyatakan bahawa kenaikan tarif bukan suatu tindakan yang tidak pernah berlaku, namun ia harus dilaksanakan selari dengan peningkatan kualiti perkhidmatan. Dalam situasi semasa masyarakat merasakan tindakan menaikkan tarif air adalah tidak adil dan tidak wajar kerana masalah asas seperti paip lama dan NRW tinggi masih belum ditangani secara agresif. Jika pengguna di suruh membayar lebih, mereka berhak menuntut perkhidmatan yang lebih baik. Tangkak menggesa agar kerajaan negeri mengkaji semula pelaksanaan kenaikan tarif tersebut sehingga SAJ dapat membentangkan pelan penggantian paip lama yang jelas terperinci dan boleh diukur kemajuannya setiap suku tahun.
Selain isu utiliti, kebajikan pelajar dan keselamatan di sekolah turut memerlukan perhatian serius. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kes gangguan, buli dan salah laku dalam kalangan pelajar semakin mendapat perhatian media. Negeri Johor perlu memimpin negara dalam memperkenalkan garis panduan keselamatan pelajar yang lebih ketat. Pelajar mesti dilindungi daripada sebarang bentuk gangguan dan sekolah perlu menjadi tempat paling selamat untuk mereka belajar.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kita harus memastikan guru, pentadbir sekolah, kaunselor dan ibu bapa diberi latihan khusus untuk mengenal pasti, menangani dan mencegah sebarang bentuk penderaan atau gangguan. Amalan menyembunyikan atau meringankan kes seperti ini tidak boleh diterima sama sekali.
Tahun 2026 juga merupakan tahun penting bagi sektor pelancongan Johor. Kerana ia merupakan Tahun Melawat Johor. Bagi memastikan kejayaan kempen ini, persiapan tidak boleh tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja. Daerah seperti Tangkak mempunyai aset pelancongan berharga seperti Gunung Ledang, budaya tradisional, makanan tempatan, rekreasi sungai dan pelbagai potensi eko pelancongan. Namun, potensi ini hanya akan membuahkan hasil jika kerajaan negeri melabur dalam infrastruktur pelancongan yang mesra pengunjung. Seperti penambahbaikan jalan masuk, papan tanda seragam, kemudahan asas yang baik, tandas awam berkualiti serta pusat maklumat pelancong. Pelancongan hanya akan berjaya jika keseluruhan pengalaman pengunjung adalah positif. Bukan hanya pada destinasi utama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap tahun belanjawan kerajaan negeri membuka harapan baru kepada rakyat. Namun, harapan hanya akan menjadi realiti melalui pelaksanaan yang cekap. Rakyat di bandar Tangkak dan seluruh Johor tidak meminta projek-projek mega yang hebat, mereka hanya mahu perkhidmatan asas yang stabil. Jalan raya yang selamat. Paip yang tidak pecah setiap bulan, bandar yang tersusun dan peluang ekonomi yang adil. Mereka mahu melihat bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan negeri memberi pulangan yang nyata kepada kehidupan mereka.
Belanjawan Johor 2026 mempunyai banyak potensi tetapi potensi tidak akan bermakna jika pelaksanaan tetap pelahan. Jika masalah asas tidak ditangani dan jika daerah luar bandar di biarkan terus berjuang sendiri dalam ekonomi yang semakin mencabar. Tangkak berharap kerajaan negeri memberi perhatian yang sewajarnya kepada perkara-perkara yang dibangkitkan. Dengan ini, Tangkak menyokong Belanjawan Johor 2026 dengan syarat pelaksanaan ditingkatkan, kecekapan dipertajamkan dan keutamaan diberikan kepada isu-isu asas rakyat. Sekian, terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Tangkak. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Puteri Wangsa.
Puteri Wangsa Datuk Speaker.
Sila, Puteri Wangsa.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sebelum memulakan perbahasan Belanjawan Johor 2026, patik ingin merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena ulang tahun hari keputeraan ke Bawah Duli Yang Maha Mulia pada tanggal 22 November yang akan datang. Patik juga menjunjung cermat dan kasih atas Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang terus mencerminkan kepimpinan dan kebijaksanaan buat patik dan sekalian Bangsa Johor semua. Allah peliharakan Sultan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam ucapan perbahasan Belanjawan Johor 2026 ini saya akan bawa beberapa agenda yang saya kira penting untuk Johor bukan sahaja untuk tahun 2026 tetapi juga pembangunan negeri Johor bagi generasi-generasi yang seterusnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, yang pertama adalah pusat data dan kelestarian alam. Salah satu kebanggaan Kerajaan Negeri Johor adalah usaha untuk menjadikan Johor ini sebagai pusat pelaburan utama dalam merantau Asia Tenggara. Setakat suku kedua tahun 2025, terdapat 42 projek pusat data yang telah diluluskan dan saya yakin ini bukanlah titik penamat bagi usaha kita untuk membangunkan industri pusat data di Johor. Misi ini baru sahaja bermula. Saya sedar bahawa dengan wujudnya industri pusat data ini, ia dapat membantu perkembangan ekonomi Johor. Peluang pekerjaan dapat dijana, syarikat-syarikat gergasi seperti Microsoft, ByteDance dan macam-macam lagi melabur masuk di Johor. Ini telah menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan yang unggul di Malaysia. Akan tetapi Yang Berhormat Datuk Speaker, kita perlu akui bahawa pelaburan yang masuk ini bukanlah sempurna dan terdapat isu-isu penting yang perlu kita berikan perhatian. Sebagai contohnya, satu isu yang telah disebut oleh ramai ADUN dalam Dewan yang mulia ini iaitu isu air.
Faktanya Yang Berhormat Datuk Speaker, rizab air negara sudah semakin terhad dengan pembangunan bandar yang pesat, industri yang semakin berkembang dan juga dengan kesan-kesan perubahan iklim. Di Johor sudah beberapa kali kes gangguan bekalan air terjadi dan perkara ini telah menyusahkan kehidupan seharian Bangsa Johor. Awal November yang lalu hampir 800,000 orang terkesan akibat kes pencemaran yang terjadi di sungai-sungai Johor. Di Puteri Wangsa sendiri, aduan yang saya terima berkenaan kes gangguan air ini telah meningkat setiap tahun sejak daripada 2022. Dan ianya bukan sahaja melibatkan kawasan perumahan tetapi ianya juga memberi kesan kepada kawasan-kawasan perindustrian dalam negeri Johor. Sebagai seorang ADUN saya ingin sampaikan kerisauan dan keresahan rakyat Johor supaya dapat di pandang serius oleh Kerajaan Negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pusat data ini menggunakan bekalan air yang banyak. Baru-baru ini dalam satu laporan bertulis di Dewan Rakyat, PETRA telah memberikan unjuran bahawa kegunaan air di Johor akan meningkat daripada 20 juta liter pada tahun 2025 kepada 66 juta liter pada tahun 2026. Ini adalah peningkatan 300%. Saya puji usaha kerajaan negeri untuk memperkenalkan sumber alternatif air bagi pusat data ini. Tetapi satu soalan yang perlu ditanya, adakah sumber air di Johor mencukupi untuk bukan sahaja kegunaan pusat data, tetapi juga menanggung kehidupan seharian rakyat serta industri-industri sedia ada di Johor?
Kita tidak mahu lihat kehidupan rakyat terganggu akibat terputusnya bekalan air. Saya hendak tarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada isu yang berlaku di Georgia, Amerika Syarikat sebagai contohnya di mana apabila terbangunnya satu pusat data di sana, kehidupan rakyat terus terganggu dengan bekalan air walaupun telah dijanjikan tidak akan ada gangguan, tetap ada. Malangnya itu baru satu pusat data, apatah lagi kita yang akan membangunkan 42 pusat data dan mungkin akan bertambah lagi Yang Berhormat Datuk Speaker.
Di Uruguay pula rakyat di sana telah selalu buat protes sebab mereka tak mahu pusat data dibangunkan. Kerana ianya telah pun mengganggu ladang pertanian mereka. Ini juga telah termasuk dalam bukan sahaja isu bekalan air tetapi isu keselamatan makanan. Kita tak nak operator pusat data ada bekalan air yang cukup, tetapi akhirnya Bangsa Johor bersusah payah untuk dapatkan bekalan air. Pilihan utama bekalan air perlu terus sampai ke Bangsa Johor dan bukan sahaja kepada pelabur-pelabur luar. Saya juga mahu sebut bahawa tidak adil apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar katakan bahawa gangguan bekalan air yang mungkin diakibatkan oleh pembinaan pusat data ini adalah taktik untuk menakut-nakutkan pelabur. Ini bukan taktik fear mongering dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya percaya tidak ada seorang pun ADUN di bangku kerajaan mahupun di bangku pengimbang yang tidak mahu ada pelabur datang ke Johor. Kita tahu bahawa adanya pelabur, tingkatnya ekonomi, semua itu adalah untuk rakyat Johor. Kami hanya menjalankan amanah kami sebagai Wakil Rakyat yang diberikan tanggungjawab untuk membawa suara rakyat ke dalam Dewan yang mulia ini. Dan kerajaan negeri pula harus ingat tugas hakiki eksekutif adalah untuk menjawab kebimbangan dan keresahan rakyat.
Saya ambil kesempatan ini untuk mengajukan beberapa soalan kepada barisan kepimpinan negeri. Pertama adakah semua pusat data di Johor menggunakan sebarang matrik untuk mengukur penggunaan air mereka dan menggunakan dengan izin Yang Berhormat Datuk Speaker, Water Usage Effectiveness ataupun WUE?
Kedua adakah kerajaan telah menetapkan sasaran Water Positive yang memastikan pengurusan air yang baik sebagai pertimbangan utama dalam Prosedur Operasi Standard bagi pusat-pusat data yang akan beroperasi di Johor. Kedua-dua WUE dan juga sasaran Water Positive ini telah pun digunakan di pelbagai negara maju seperti Singapura, China, Sepanyol dan banyak lagi untuk memastikan pembuatan dasar di sana memahami kesan jangka masa panjang pusat data kepada alam sekitar. Jika ada saya harap dapat dibentangkan dalam sesi penggulungan supaya semua dalam Dewan ini cakna dan kita sama-sama dapat meringankan kegusaran rakyat tentang wujudnya pusat-pusat data dan juga gangguan bekalan air di Johor. Jika Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor mahu jadikan Johor sebagai hab serantau bagi data dan AI, ianya perlu datang bersekali dengan pertimbangan terhadap kesan kepada alam sekitar.
Selari dengan itu Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin ambil kesempatan ini untuk sekali lagi menggesa kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar penandaan Belanjawan Iklim ataupun Climate Budget Tagging dan saya harap perkara ini boleh disegerakan. Saya ingin berterima kasih pertama kepada Yang Berhormat Pemanis selaku Pengerusi Jawatankuasa Perubahan Iklim yang telah sama-sama berjumpa dengan UNDP dan juga Yang Berhormat EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar yang telah pun memberikan komitmen untuk melaksanakan dasar ini. Saya gesa Kerajaan Negeri Johor agar meletakkan pelan tindakan iklim dalam setiap rencana pembangunan dalam negeri kita, supaya kita dapat pembangunan yang selaras dengan kelestarian alam sekitar. Climate Budget Tagging ini adalah peluang untuk Johor menjadi negeri pertama dalam Malaysia yang menunjukkan bahawa kita benar-benar kisah tentang kelestarian alam dalam setiap pembangunan yang kita jalankan. UNDP telah pun berikan komitmen untuk bantu negeri Johor untuk melaksanakan Climate Budget Tagging dengan serta merta. Saya juga bawa pada hari ini nota dasar daripada UNDP yang lengkap dengan penanda aras cadangan pelaksanaan dan juga quick win untuk Johor. Saya pasti nota dasar ini ada diatas meja Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO juga telah dikongsikan kepada Yang Berhormat Datuk Speaker, dan saya akan kongsikan kepada semua Yang Berhormat ADUN pada hari esok. Semuanya sudah tersedia, strateginya juga sudah ada. Yang kita perlukan adalah buy in daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan juga kerajaan negeri. Tolak tepi siapa kerajaan, tolak tepi siapa pengimbang. Bila tiba hal keselamatan dan kesejahteraan rakyat, saya dengan rendah diri menawarkan sebarang khidmat sekiranya diperlukan oleh Yang Berhormat EXCO ataupun kerajaan negeri. Pembangunan ekonomi negeri perlu datang seiring dengan kelestarian alam kerana tiada gunanya jika Johor maju dengan pusat-pusat data yang
canggih, bangunan-bangunan yang tinggi, tetapi rakyat sengsara kerana bekalan air yang terputus.
Begitu juga Yang Berhormat Datuk Speaker dengan projek-projek penyelenggaraan kemudahan-kemudahan awam dalam negeri Johor. Pengurusan projek penyelenggaraan dan penambahbaikan oleh kontraktor-kontraktor adalah satu isu yang saya rasa saban hari dibawa dalam Sidang DUN Johor. Hampir semua ADUN pernah bawa dan tegur kontraktor dalam negeri Johor. Dalam kawasan saya sendiri, sudah berapa kali kami hadapi isu yang sama. Bila saya laporkan jalan berlubang, MBJB laju Yang Berhormat Datuk Speaker hantar kontraktor, tetapi belum sampai tiga(3), empat (4) hari jalan itu sudah berlubang semula. Lampu jalan pun begitu. Baiki laju, rosak balik pun laju dan kos untuk baiki ini bukan sikit. Saya ambil contoh Yang Berhormat Datuk Speaker, kos RM9 juta yang diluluskan Kerajaan Negeri Johor untuk baiki jalan berlubang yang dibawah sebenarnya tanggungjawab persekutuan. Bukan sikit jumlahnya RM9 juta ini. Ini duit rakyat. Kita perlu ada sistem telus untuk rakyat juga sama-sama menilai hasil kerja kontraktor dalam negeri Johor. Saya ambil contoh Yang Berhormat Datuk Speaker, aplikasi traffy fondue yang dibuat di Bangkok, saya sempat belajar daripada pasukan Datuk Bandar Bangkok sewaktu Sustanability Environment Asia Conference di Kuala Lumpur. Alang-alang memang kita dalam proses untuk menubuhkan sistem aduan bersepadu dalam negeri Johor, saya nak cadangkan masukkan juga satu sistem feedback ataupun maklum balas di mana rakyat sendiri boleh menilai kerja-kerja kontraktor. Sebagai contohnya dalam sistem traffy fondue rakyat boleh beri antara satu (1) sehingga ke lima (5) bintang kepada kontraktor dan semua ini dapat dilihat oleh semua yang ada aplikasi tersebut. Dan apabila rating ini, kontraktor yang mendapat bintang tiga (3) ke bawah akan diganti dengan serta merta. Sistem ini perlu ada Yang Berhormat Datuk Speaker supaya kontraktor dalam negeri Johor ini tidak buat kerja sambil lewa dan mementingkan keuntungan semata-mata tanpa peduli hasil dan impak kepada rakyat. Kalau kita nak jadikan Johor benar-benar maju, ketelusan perlu jadi keutamaan kerajaan negeri.
Yang Berhormat Datuk Speaker, agenda seterusnya adalah ihsan kemanusiaan. Dalam Belanjawan Johor kali ini, kerajaan negeri telah berikan penekanan kepada jaringan keselamatan sosial Bangsa Johor dengan 67 inisiatif yang diumumkan. Semalam pun panjang lebar Yang Berhormat EXCO Agama bentang inisiatif di bawah Zakat Johor. Saya ingin tarik perhatian Dewan yang mulia ini, kepada satu golongan yang selalu dipinggirkan dan tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Saya tahu tidak semua fikir yang nasib mereka wajar dibahaskan dalam Dewan ini, tetapi atas ihsan saudara sesama Islam dan ihsan sesama manusia, saya bawakan dalam sidang kali ini. Golongan ini sering perlu tempuh rintangan dan akhirnya mereka tidak dapat akses pendidikan, kesihatan mahupun keselamatan. Tetapi di dalam DUN Puteri Wangsa mereka jugalah menjadi golongan yang paling selalu terdedah kepada pelbagai risiko terutamanya risiko banjir, terutama sekali golongan yang duduk di Kampung Kangkar Tebrau dan juga Kampung Seri Purnama. Mereka ini adalah golongan pelarian yang ada dalam negeri Johor. Saya rujuk laporan United Nation High Commisioner For Refugees bahawa terdapat 200,260 pelarian serta asylum seekers dengan izin, Yang Berhormat Datuk Speaker yang berdaftar di Malaysia. Golongan ini juga perlu dibela oleh kita semua. Jika tidak di atas ihsan saudara sesama Islam, ihsan sesama manusia. Golongan ini jugalah sering di eksploitasi dan di ambil membuat kerja-kerja yang kotor, bahaya dan sukar ataupun 3D. Walaupun tiada inisiatif yang khusus bagi pelarian, wajar untuk kita mempertimbangkan supaya kita dapat menggunakan kutipan zakat untuk membantu golongan ini. Ini bukan satu perkara yang baru. Pada tahun 2016, kerajaan Johor memperuntukan RM600,000 setahun untuk warga Rohingya di Johor. Peranan sistem zakat itu sendiri adalah untuk membantu golongan fakir dan miskin dengan menyalurkan kutipan zakat kepada mereka yang memerlukannya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sudah begitu banyak laporan yang menunjukkan kesan buruk kepada pengikut setempat apabila tiada pendidikan dan juga akses kesihatan untuk pelarian. Daripada akses gangguan gaji kerja 3D seperti yang telah disebut oleh Yang Berhormat Bukit Permai pagi tadi dan juga kepada isu kesihatan dan juga isu keselamatan.
Kita perlu faham situasi mereka dan bantu mereka untuk hidup bersama-sama di dalam negeri Johor ini. Hadis Nabi Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Imam Tabrani yang bermaksud ‘siapa yang tidak prihatin terhadap urusan orang Islam, maka ia bukan dari kalangan mereka’. Saya fikir ini satu peringatan untuk diri saya sendiri dan juga semua di dalam Dewan ini untuk kita jadi manusia dahulu sebelum menjadi ahli politik. Kita perlu muhasabah diri dan sentiasa mengingatkan diri yang kita tidak tahu sama ada satu hari nanti kita yang berada di tempat mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, agenda seterusnya, merealisasikan pendidikan untuk semua. Apabila saya mula berkempen hampir empat (4) tahun yang lalu, salah satu janji yang saya bawa kepada warga Dewan Undangan Puteri Wangsa adalah untuk memartabatkan pendidikan dalam negeri Johor. Sebagai seorang anak guru yang membesar di kawasan susah, saya sendiri lihat impaknya apabila anak-anak tercicir daripada pendidikan. Saya sendiri ada kawan yang apabila tidak bersekolah, mengandung pada usia 15 tahun, terjerumus dalam kancah dadah dan ini semua adalah kerana isu keciciran pendidikan. Tidak boleh ada kompromi dalam negeri Johor tentang isu keciciran pendidikan anak-anak Johor. Satu pelajar yang tercicir adalah kehilangan satu generasi. Baru-baru ini Yang Berhormat Datuk Speaker saya turun ke kawasan PPR Pelangi Indah pada hari sekolah. Saya terserempak dengan seorang anak kecil umur lapan tahun. Saya tanya pada dia, tidak pergi ke sekolah ke? Dia kata memang saya tidak sekolah. Saya kata kenapa tidak sekolah? Dia kata sebab ibunya tidak ada duit dan dia ada seorang abang berumur 10 tahun juga tidak ke sekolah. Apabila saya siasat, rupanya mereka dibesarkan oleh nenek mereka dan nenek mereka tidak mampu untuk menguruskan persekolah mereka. Ini bukan satu kes terpencil. Berlaku juga di PPR Pelangi Indah, di PPR Desa Mutiara. Apabila saya melawat satu rumah, ada tiga (3) orang anak antara umur lapan hingga 14 tahun tidak pergi ke sekolah kerana ibunya sakit terlantar dan tidak boleh menghantar anak-anaknya ke sekolah. Ramai lagi anak-anak yang tercicir dalam negeri Johor ini. Ini baru yang kita dapat jumpa, yang kita dapat bantu. Bagaimana pula yang kita tidak jumpa?
Saya tahu bahawa kerajaan ada peruntukan RM2.8 juta sebagai bantuan awal persekolahan. Ini saya puji, tetapi Yang Berhormat Datuk Speaker strategi bantuan yang berterusan juga perlu kita fikirkan. Antaranya adalah bantuan kenderaan untuk anak-anak ini ke sekolah. Saya ambil contoh. Inisiatif N9 Bas di Negeri Sembilan ataupun My School Bus at Wilayah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kedua-dua inisiatif ini telah dilaksanakan dan dapat bantu pelajar-pelajar susah untuk pergi ke sekolah. Saya pasti bahawa negeri Johor juga dapat fikirkan inisiatif yang sesuai dengan anak-anak dalam negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga nak ambil kesempatan ini untuk bawa satu kes yang saya terima di dalam pejabat saya, di mana saya dapat surat daripada seorang pelajar di UTM Johor yang menyatakan apabila ada kelewatan bayaran bantuan one-off Yayasan Pelajaran Johor, apabila ditanya ke pihak YPJ jawapannya adalah masih dalam proses. Tetapi yang lebih membimbangkan dalam surat ini juga pelajar ini ada membuat aduan bahawa sistem yang digunakan itu telahpun digodam dan duit telah masuk ke dalam akaun penggodam. Saya desak kerajaan negeri untuk jalankan siasatan menyeluruh terhadap laporan ini kerana yang saya risau kalau satu akaun boleh digodam, bermakna banyak lagi akaun boleh digodam. Berapa ratus ribu ringgit duit rakyat yang habis kerana isu godam ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, agenda saya yang terakhir iaitu reformasi sistem ADUN. Sejak saya dipilih menjadi ADUN Puteri Wangsa hampir empat tahun yang lalu, banyak cabaran yang telah ditempuh dan lebih banyak pelajaran yang telah saya pelajari. Saya bersama pasukan saya sentiasa berusaha untuk berikan yang terbaik kepada penduduk DUN Puteri Wangsa. Mungkin ramai tidak sedar bahawa dalam DUN Puteri Wangsa ini kita ada lebih 120,000 pengundi dengan 300,000 lebih penduduk. DUN Puteri Wangsa adalah salah satu DUN mega di negara Malaysia, seperti yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat Perling.
Yang Berhormat Datuk Speaker, pelbagai program telah kami usahakan untuk mengangkat suara rakyat dan juga memberikan khidmat terbaik dari sudut ekonomi, keselamatan, pendidikan dan juga hal-hal seharian. Program seperti majlis rakyat, jualan rakyat, Run For Education, Empowered Bazaar, Road Safety Day dan banyak lagi. Apa yang kami buat ini semuanya untuk berikan yang terbaik dengan sumber yang terhad yang kami ada. Saya ambil kesempatan ini untuk menambahbaik, untuk memberikan beberapa cadangan. Yang pertama Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri dan Dewan Negeri Johor untuk memperkenalkan sistem sokongan perkhidmatan terutama sekali dari segi penyelidikan kepada semua ADUN serta pegawai-pegawai. Ini adalah untuk pastikan taraf khidmat semua ADUN dalam negeri Johor ini berada dalam kualiti yang terbaik supaya di negeri Johor ini sistem demokrasi kita adalah sistem yang terbaik. Contohnya di Australia wujudnya Parliamentary Service Department for Australia, State Parliament di mana jabatan ini membantu wakil-wakil rakyat untuk memberikan khidmat yang terbaik. Wakil-wakil rakyat di tempat seperti Victoria, New South Wales dan juga Western Australia mempunyai akses kepada pelbagai sistem sokongan seperti sokongan IT, peralatan, penyelidikan dan juga sumber-sumber yang diperlukan supaya mereka dapat berkhidmat dengan efektif. Kerana Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau ada YB yang nak bawa masuk isu keselamatan makanan contohnya, isu pendidikan contohnya, isu pencemaran air contohnya, kita perlukan data penanda aras dan juga alternatif penyelesaian. Kita perlu ada data-data ini supaya apabila kita masuk ke dalam Dewan, kita tidak hanya menjadi tin kosong.
Kedua juga kita perlu lihat bagaimana Kanada dan juga Dewan Legislative British menyediakan sistem sokongan kepada semua Wakil Rakyat di mana hal-hal pentadbiran seperti pemilikan pejabat, pembayaran bil dan sebagainya di buat oleh satu jabatan yang khusus. Maksudnya Wakil Rakyat dah tidak perlu sentuh duit peruntukan untuk bayar sewa pejabat ataupun gaji pegawai kerana duit peruntukan itu sepatutnya 100% pergi ke rakyat dalam kawasan kita. Nak bayar sewa pula, sewa pejabat bukan sama Yang Berhormat Datuk Speaker. Contohnya sewa pejabat Yang Berhormat Endau dan Maharani sudah tentu berbeza dengan sewa pejabat kami di Puteri Wangsa ataupun di Perling. Jadi bila ada pejabat tetap di setiap DUN yang perlu digunakan maka lebih efektif kerja-kerja Ahli Dewan Undangan Negeri.
Dalam kesempatan ini juga saya ingin menyampaikan cadangan agar semua kertas-kertas mesyuarat mendapat akses dalam, dalam website Dewan Negeri Johor agar supaya semua rakyat johor boleh boleh akses kepada kertas-kertas mesyuarat kita. Sebagai contohnya kita ada banyak jawatankuasa pilihan khas seperti Jawatankuasa Pengurusan Iklim, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana yang telah pun memberikan 10 syor kepada kerajaan negeri Johor. Kita perlu angkat Yang Berhormat Datuk Speaker, syor-syor tersebut. Saya yang Berhormat Datuk Speaker telah pun dijemput dalam pelbagai forum seperti Bangkok Sustainability Week, Munic Security Conference, Asia Pacific Forum On Sustainability Development untuk membentangkan tentang Jawatankuasa Perubahan Iklim. Ini bukan satu kebanggaan untuk saya saja tetapi kebanggaan seluruh Dewan yang mulia ini, kerana kita ada visi jangka masa panjang mewujudkan jawatankuasa khas merentas sama ada pembangkang ataupun kerajaan. Apabila semua ini dibuat, rakyat Johor perlu tahu apa hasil daripada jawatankuasa-jawatankuasa tersebut.
Akhir sekali Yang Berhormat Datuk Speaker, satu perkara yang saya ingin sebut, saya harap Yang Berhormat-Yang Berhormat eksekutif janganlah naik suara atau marah-marah kalau pengimbang persoalkan apa-apa isu kerana akhirnya itu kerja kami dalam sistem demokrasi. Kerja pengimbang adalah menyemak imbang kerja-kerja rakan-rakan eksekutif. Yang baik kita raikan dan yang tidak baik kita perlu bawa ke dalam Dewan. Itu tanggungjawab kami kerana itu jugalah kami telah diundi dan kami perlu jalankan tanggungjawab itu. Saya fikir sebagai Wakil Rakyat yang bijak memikul amanah, semua pandangan, nasihat dan teguran perlu dilihat sebagai titik kelompangan yang perlu ditutup dan bukannya sebagai tuduhan yang tidak berasas.
Yang Berhormat Datuk Speaker, akhir sekali saya mendoakan semoga Al-Mutakabir sentiasa memberi kelapangan untuk setiap rakyat Johor. Hanya Allah SWT sahaja tidak ada awal dan akhir dan kita mahkluknya hanya menyimpan, hanya meminjam waktu dan kudrat dariNya. Amin ya rabbal alamin. Sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Puteri Wangsa. Dipersilakan DUN Pemanis.
Bismillahirahmaanirahim. (Bacaan Doa). Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera dan salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Terlebih dahulu alhamdulillah marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya jua dapat kita bersama-sama hadir di dalam sesi perbahasan Belanjawan Johor bagi tahun 2026 pada kali ini. Marilah kita turut sama-sama melafazkan selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Pemimpin Agong yang sentiasa menjadi pedoman dan teladan buat kita sehingga ke akhir zaman. Sebelum meneruskan bicara izinkan patik terlebih dahulu merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah serta ucap selamat kepada ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku yang jatuh pada tanggal 22 November nanti. Ucapan tahniah juga di atas usaha baik Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan barisan kepimpinan di bawah kerajaan negeri kerana berjaya memungut hasi tertinggi mencecah sehingga RM2.5 billion menjelang hujung tahun 2025 ini.
Bagi laluan kepada azan. Teruskan Pemanis.
(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan).
Terima kasih Datuk Timbalan Speaker. Semoga dengan bertambahnya pendapatan hasil negeri ini kita sama-sama doakan agar Johor terus maju dan makmur di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar. Ini lah sebenarnya, Yang Berhormat Datuk Speaker, belanjawan Bangsa Johor Sejahtera. Yang Berhormat Datuk Speaker, sehari selepas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Yang Amat Berhormat Machap, rakyat dilihat memberi respon yang cukup pantas. Ada yang memuji, malah menzahirkan kesyukuran di atas pelbagai insentif, inisiatif dan pengumuman positif belanjawan 2026 ini. Ramai juga dengan berseloroh menyebut lepas ini muntah-muntah lah orang Johor bila dapat macam-macam insentif setelah mereka mendengar dan baca pelbagai maklumat dalam media sosial berkaitan dengan belanjawan. Namun tak kurang juga ada yang dengan sinis menyambut pembentangan bajet ini Yang Berhormat Datuk Speaker dengan memberi respon ada lebihan, tapi ada lagi Bangsa Johor yang masih tak rasa manfaatnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Allah SWT mengajar kita supaya sentiasa bersyukur dengan rezeki yang kita perolehi kerana setiap insan rezekinya ini berbeza-beza dan manfaatnya pun kita terima tak sama. Ada orang dapat rezeki bantuan One Off RM200. Ada orang pula dia tak dapat bantuan rezeki One Off RM200 itu Datuk Speaker, tapi dia sihat, dia tak sakit, dia ceria, dia seronok ha macam tu. Ini rezeki juga namanya. Allah berfirman di dalam Al-Quran surah Ar-Rahman, ayat 13 (Bacaan ayat Al-Quran) yang bermaksud, maka nikmat Tuhan Mu yang manakah yang kamu dustakan. Ayat ini YB Datuk Speaker diulang sebanyak 31 kali ya, bukan sekali, bukan dua (2) kali, bukan 10 kali. 31 kali dalam surah ini untuk mengingatkan manusia, bukan manusia je, jin pun sama tentang pelbagai nikmat yang diberikan oleh Allah SWT Ayat ini mengingatkan kita erti kesyukuran dan berterima kasih dengan Allah atas segala nikmat yang telah kita terima. Ya, mahkluk ini memang terkenal dengan sifat tak cukup, selalu tak dapat, selalu sangat mengeluh. Tapi kita bersyukur la dulu kemudian kita sama-sama doa kepada Allah SWT mana-mana golongan rakyat yang masih belum merasa kenikmatan rezeki Allah di bumi Johor ini agar dipermudahkan oleh Allah urusan-urusan rezeki mereka. Kita bantulah kerajaan, nyatakan jika yang tak merasa itu bagaimana boleh
kita sama-sama bantu mereka untuk mengecapi nikmat rezeki Allah ini. Mana yang akan dapat bonus nanti, ha bonus yang dua (2) bulan gaji tu kan, boleh la tambah sikit agaknya peruntukan infak Jumaat yang kita tengah buat sekarang pada hari Jumaat di masjid-masjid dan di surau-surau Jumaat di seluruh Johor. Kita ajak lagi ramai kawan-kawan kita untuk semarakkan solat Subuh berjemaah ha barulah kita jadi pemimpin politik tak kira lah sebelah sana ke sebelah sini ke kita tak akan timbulkan lah isu-isu fitnah, kena kutuk-kutuk marah-marah ini kan, sampai keluar statement minta maaf statement tu bahasa english, dengan izin, yang bermaksud menghina usaha, kerja keras orang-orang lain. Sama juga macam kat Dewan hari ini kan. Kita kena bagi kredit juga dekat Jurutulis, Penolong Jurutulis, Bentara, mereka kerja sampai malam ini nak siap, nak baca kita punya verbatim. Tapi yelah mungkin yang bercakap ini agaknya baru keluar gua kat hutan simpan Moakil sana tu atau mungkin cemburu kerana zaman mereka dulu semua angka-angka ini tak terjangkau dekat benak mereka. Jadi kesian juga lah, tapi dah gitu benaknya kita berfaham-faham sajalah Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana tahun lepas angka-angka yang dipaparkan cukup memperlihatkan kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor. RM218 billion jumlah pelaburan, 64,000 peluang pekerjaan baru, keluaran negara kasar 6.4%, RM27.2 billion hasil pertanian, pendapatan negeri lebih RM2.5 billion, dapat lebihan RM4.4 juta memang angka-angka yang memberangsangkan. Dan semua angka ini bukanlah boleh dikecapi dengan mudah tanpa ada usaha dan kerja keras oleh semua pihak terutamanya di peringkat kerajaan negeri. Namun kerana angka-angka ini lah maka sebahagian rakyat kita di media sosial terutamanya memberikan pandangan mereka kerana ada ramai rakyat di luar sana yang tak termasuk dalam kategori yang layak terima bantuan-bantuan one-off ini Yang Berhormat Datuk Speaker, supaya kerajaan negeri bagi semua kalau boleh dia nak semua dapat semua Bangsa Johor dapat. Macam kerajaan persekutuan bagi, masuk kat dalam IC tu RM100.00, ha dia nak semua dapat macam tu. Jangan bagi pilih-pilih. Namun kalau ikut data statistik terkini dalam website Jabatan Perangkaan Malaysia jumlah, jumlah rakyat Bangsa Johor adalah seramai 4,250,900 bangsa Johor. Kalau kita congak kasar ini, kalau nak bagi RM100.00 ni jumlahnya nanti hampir setengah bilion kita nak kena sediakan. Tapi itu pandangan mereka. Saya percaya kita di negeri Johor ini walaupun angka-angka pendapatan negeri itu nampak menarik tapi kerajaan negeri masih belum cukup kemampuan untuk melaksanakannya. Saya tak pasti kalau Yang Amat Berhormat Machap boleh tunaikan hasrat ini tahun depan. Insya-Allah jika ada keberkatan dalam hasil dan perbelanjaan kita nanti, saya yakin ia boleh dilaksanakan cadangan ini Yang Berhormat Datuk Speaker. Saya beritahu semasa penyampaian bantuan one-off di kawasan DUN saya bulan lepas jika saranan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor agar kerajaan persekutuan memulangkan semula hasil negeri sebanyak 40% macam kawan-kawan dah sebut sebelum ini. Insya-Allah kita boleh je selesaikan beberapa permintaan besar rakyat termasuk isu yang baru-baru ini menjadi tular berkaitan dengan kebimbangan Duli Yang Amat Mulia Tunku berkaitan dengan kelewatan beberapa projek kerajaan persekutuan di Johor Bahru.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak cerita tentang kawasan daerah Segamat. Baru-baru ini daerah Segamat dan Batu Pahat bergegar dengan kejadian gempa bumi pada 24 Ogos yang lepas. Magnitudnya pada masa itu adalah pada angka 4.1. Kemudian disusuli dengan tujuh (7) gegaran susulan antara 27 Ogos hingga 3 September dengan magnitud antara 2.5 sehingga 3.4. dan terkini sekali lagi berlaku lagi gempa susulan pada 3 November lepas angkanya naik sikit 2.7 skala richer, ramai dapat rasa. Dan kini ramai yang makin gusar malah ada yang menaburkan khabar angin negatif berkaitan dengan kejadian ini. Siapa sangka daerah yang terletak di utara Johor sana dan kelihatan jauh daripada kawasan sismik gempa boleh menerima gegaran sehingga mengakibatkan kerosakan berlaku di kediaman dan bangunan di sekitarnya. Hari itu sibuk banjir, ha ni kena gempa pula. Namun saya nak ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Besar atas tindakan segera mengeluarkan arahan kepada seluruh jajaran pimpinan negeri terutama di peringkat daerah untuk melaksanakan intervensi secara berfasa yang merangkumi langkah dan gerak kerja pengaktifan bilik gerakan bencana yang beroperasi 24 jam. Membuat hebahan kesedaran
melalui media rasmi kerajaan bagi memberi panduan keselamatan, bagi mengelakkan rakyat kita panik. Membangunkan prosedur tetap operasi SOP gempa bumi dan juga pelaksanaan Program Komuniti Risiko Bencana berasaskan komuniti.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri juga melaksanakan pengukuhan sistem pemantauan dan analisis saintifik oleh NADMA, MET Malaysia dan Jabatan Mineral dan Galian terhadap kawasan berisiko gempa. Pihak JMG Johor pula menjalankan siasatan tanah dan bangunan sedia ada di kawasan gempa bumi untuk menentukan tahap risiko yang lebih tepat. Menaiktaraf enam (6) Stesen Seismologi sedia ada di negeri Johor dan membina dua (2) stesen tambahan Wet Motion untuk pengesanan awal gegaran. Ini dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar semasa pembentangan belanjawan kelmarin. Terima kasih ada masuk sedikit bantuan untuk kejadian gempa bumi ini. Dan dengan peruntukan RM3 juta yang kita terima daripada kerajaan persekutuan, terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi di atas peruntukan yang diberikan itu, maka seramai 62 orang mangsa kejadian gempa bumi yang berlaku kerosakan teruk di kediaman mereka telah pun menerima bantuan daripada pihak kerajaan.
Ini kejadian bencana yang baharu bagi kita, bencana gempa bumi ini taklah sama macam banjir, kita boleh ramal awal, 4 jam, 5 jam sebelum tu kita dah boleh ready dah, hujan lebat aje kita dah boleh bersedia dah. Tapi gempa tak ada, tiba-tiba aje dia gegar. Ini adalah sebahagian daripada tanda bahawa perubahan iklim dunia yang berlaku memerlukan kita untuk lebih bersedia dan peka dengan alam. Yang tu tadi YB Puteri Wangsa ada sebut, jadi memang kita kena bersedia, Yang Berhormat Datuk Speaker.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahun lepas semasa Perbahasan Belanjawan 2025, saya ada membawakan beberapa cadangan termasuk memperkasakan aktiviti berkaitan dengan kebudayaan dan kesenian di negeri kita ini. Saya ada bawa kawan-kawan daripada Majlis Kebudayaan Negeri itu. Dan, apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar meminta supaya tarian zapin diberikan fokus untuk kegiatan seni ini, maka hampir setiap bulan di semua peringkat, di semua daerah, pertandingan zapin ini diadakan bagi mencungkil bakat-bakat baharu termasuklah melatih anak-anak kecil kita di sekolah untuk terlibat dalam aktiviti ini.
Malah, beberapa kali flash mob, flash mob ini kita pergi aje tak bersedia, terus kita buat program tarian zapin ni dipersembahkan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Johor di Lapangan Terbang Senai dan juga lokasi tumpuan orang ramai. Mendapat jemputan membuat persembahan di negara jiran, Singapura dan Indonesia terutamanya apabila kita diminta untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor. Maksudnya, saranan Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk kita aktifkan zapin ini dapat kita pergunakan dengan baik.
Cuma YB Datuk Speaker, saya tak pasti sama ada terlepas pandang atau mungkin peruntukan itu disebut tapi diletakkan dalam cara yang berbeza oleh Yang Amat Berhormat MB. Kali ini kenyataan peruntukan untuk aktiviti berkaitan kesenian dan kebudayaan nampak agak kurang sikit disentuh, antaranya jika masih boleh ditambah, saya ingin mencadangkan agar bantuan one-off BKJ nanti turut memasukkan penggiat-pengiat seni dan budaya yang saya yakin jumlahnya tak lah ramai. Mereka ni kalau dulu memang aktif Datuk Speaker, namun kerana faktor usia, ramai juga kini yang terlantar dan sakit. Yang ini pun boleh diberi perhatian. Dan, tahun depan juga penting untuk kita menerima ramai kehadiran pelancong datang ke Johor, sudah tentu aktiviti persembahan berkonsepkan kebudayaan akan lebih kerap dipersembahkan. Saya mohon menyokong cadangan daripada YB Senggarang tadi untuk diberikan peruntukan tambahan kepada majlis kebudayaan daerah-daerah agar aktiviti persembahan hujung minggu contohnya, di lokasi-lokasi tumpuan dapat dilaksanakan dengan lebih kerap pada setiap bulan. (Dewan bertepuk).
Slow aje tepuk, kuatlah sikit. (Dewan bertepuk). Kalau kita buka kitab Belanjawan 2026 yang dibekalkan kepada semua ADUN pun ada tambahan RM2 juta peruntukan diberikan kepada Yayasan Warisan Johor, saya mohon agar Yang Amat Berhormat Machap turut memberikan
tambahan separuh daripada peruntukan itu untuk diberikan itu kepada Majlis Kebudayaan Negeri. Dan, sempena Tahun Melawat Malaysia ini juga saya dikhabarkan daerah Kluang akan menjadi tuan rumah pada hujung bulan ini dengan menganjurkan Festival Tradisi Gendang Serumpun, di mana gabungan elemen kompang tradisi Johor, gendang rumi dan gendang Cina 24 musim akan dilaksanakan bersama dengan Majlis Kebudayaan Negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, bulan Mei lepas saya ada menyebut perihal keperluan menaiktaraf Lebuh raya Segamat - Kuantan. Alah, EXCO tak ada pula. Yang bermula daripada negeri Johor yang jaraknya lebih kurang 19 kilometer sehingga ke sempadan negeri Pahang. Dan, apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa dalam Pembentangan Belanjawan Persekutuan kelmarin memaklumkan yang projek ini akan bersambung semula tahun hadapan, saya yakin permintaan saya ini bakal dipenuhi oleh YB, yang bakal dipenuhi oleh pihak Kementerian.
Malangnya Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila saya merujuk kepada pihak Kementerian minggu lepas, saja lah tanya sebab kita rasa seronok orang nak besarkan jalan dekat kampung kita, kan? Saya dimaklumkan yang projek ini akan mula dilaksanakan dekat daerah Rompin pula dekat Pahang dan bukannya Johor kerana katanya hanya JKR Rompin, JKR Pahang lah yang mengangkat isu ini untuk dimasukkan sebagai projek berkepentingan negeri sedang kan Johor tak buat, ha, jadi tak dapatlah. Jadi, bila saya tanya dengan Menteri, macam mana ni? Ha, dia kata ada cara.
Yang Berhormat Datuk Speaker, jalan ini bukan laluan biasa tau, ini adalah laluan utama yang menjadi pintu masuk daripada Pahang ke Johor. Ha, masuk Pahang ni jumpa dulu, Pahang nak masuk mesti jumpa kawasan DUN Pemanis dahulu. Saya minta jasa baik YB EXCO, walaupun tak ada, agar berjumpa dengan Menteri dan memaklumkan perkara ini. Saya diberitahu ianya boleh dilaksanakan Datuk Speaker jika sekiranya ada effort, minta izin, effort ni boleh kautim lah daripada kerajaan Johor untuk melaksanakannya bermula daripada Segamat. YB EXCO kena masukkan laluan ini sebagai keutamaan projek jalan di negeri Johor barulah ia akan diangkat di peringkat Kementerian untuk dilaksanakan. Ini dah kali ketiga ni bawa ni Datuk Speaker kat dalam Dewan, saya harap tahun depan bolehlah kita dapat pelebaran jalan tu, tak jauh 19 kilometer aje nak lebarkan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sekali lagi saya ingin meminta jasa baik, kali ini EXCO Agama, alamak tak ada juga. Agar dapat meletakkan keutamaan meluluskan pembinaan Sekolah Agama Kampung Tengah dalam DUN Pemanis untuk tahun hadapan. Saya dah maklumkan semasa pembentangan belanjawan tahun lepas kenapa dan mengapa ia menjadi keperluan mendesak, namun dalam slide belanjawan baru-baru ini saya tengok tak ada lagi senarai ni untuk dimasukkan. Jadi dalam Mesyuarat Tindakan DUN saya dah bawa tentang sekolah agama ini dia penting, Datuk Speaker kerana kalau sekolah agama ini dapat kita bina, dia dapat bantu untuk jadi pusat pemindahan sementara banjir.
Yang Berhormat Datuk Speaker, ini juga berkaitan dengan pendidikan agama dalam kawasan saya, ada satu Sekolah Menengah Al-Khairiah Kampung Kubah, sekolah menengah agama. Sekolah menengah agama ini pentadbirannya di bawah kerajaan negeri, bina sekolah, bina kemudahannya kerajaan negeri tapi guru-gurunya ini dibayar gaji, diambil alih pembayaran gajinya oleh pihak Kementerian, Kementerian Pendidikan Malaysia. Namun apa yang menjadi permasalan utama sekolah ini Datuk Speaker dia tak ada makmal dan dia tak ada padang sekolah, jadi budak-budak tak boleh nak beriadah. Saya dimaklumkan ada tanah seluas 10 ekar milik pihak Kementerian Pendidikan Malaysia di kawasan Kampung Tengah ini dan memang ada cadangan asal untuk bangunkan sekolah menengah dekat kawasan tu tapi kalau pihak kerajaan negeri boleh keluarkan peruntukan untuk kita bina sekolah menengah agama ini, maka kawasan itu boleh diperuntukkan. Yang ini pun sama Datuk Speaker, kita boleh kautim dengan Kementerian Pendidikan, untuk kita dapatkan tapak itu untuk kita bina sekolah menengah agama melalui peruntukan di bawah kerajaan negeri. Sebab memang
sekolah menengah agama ini peruntukan memang daripada kerajaan negeri. Maksud saya kalau tak dapat sekolah agama tu kita kautim lah, dapatlah sekolah menengah agama kan? Ha, lebih kurang macam itu lah.
Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga meminta jasa baik YB EXCO Kesihatan, alah tiga-tiga tak adalah hari ini, agar mengangkat semula permohonan daripada Pejabat Kesihatan Segamat untuk membina baharu Klinik Kesihatan Kampung Tengah, sebelum ini cadangan tersebut masih di peringkat Kementerian Kesihatan, oleh kerana ada ulasan sikitlah daripada JPS, sikit aje dalam berapa kaki aje dia banjir, jadi permohonan tu terpaksa ditahan dahulu. Jadi, saya minta kalau boleh kerajaan dapat wartakan tapak ini sebagai kawasan klinik kesihatan maka kalau peruntukan tu ada nanti, insya-Allah kita boleh buat klinik kesihatan ini sama juga Datuk Speaker, klinik kesihatan, klinik desa yang ada sebelum ini pun terlibat dengan banjir kalau kita dapat pindahkan dekat klinik kesihatan yang baharu ini secara tak langsung ia dapat memudahkan urusan berkaitan dengan rakyat.
Akhir kalam, sebab dah 21 minit sebelum kena marah dengan Datuk Timbalan Speaker, kita sama-sama doakan semoga Allah SWT permudahkan segala urusan kita semua di dalam memastikan amanah dan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan baik. Pemanis dengan ini mohon menyokong Rundingan Belanjawan 2026 ini. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh. (Dewan bertepuk).
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Tahniah Pemanis, selanjutnya Yang Berhormat Skudai.
Terima kasih Datuk Speaker, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam maju Johor, salam Malaysia Madani. Skudai ingin memulakan ucapan perbahasan dengan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim bersempena dengan keputeraan Baginda pada 22 November yang akan datang.
Sidang Dewan yang dihormat sekalian, kurang lebih sebulan kita akan masuk kepada tahun 2026, dan kalau kita menyingkap kembali tahun 2025, pastinya kita tertumpu kepada ketegangan perang dagang yang mana menerkam ekonomi global dan pastinya membawa kebimbangan kepada kita semua. Namun Malaysia terus teguh dan mencatat pertumbuhan ekonomi serta pelaburan malah menyaksikah pengukuhan mata wang ringgit berbanding mata wang utama sejak akhir-akhir ini. Bukan itu sahaja, alhamdulillah Johor juga tidak terkesan malah menyaksikan kedatangan pelabur yang positif dengan didorong oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, malah saya rasa kalau merujuk Malaysia Investment Development Authorities (MIDA) bahawa Johor terus mencatat pelaburan yang tinggi bagi tempoh Januari sehingga September yang secara keseluruhannya berjumlah RM91.1 bilion berbanding RM18.1 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu. Dan saya percaya atas kebijaksanaan, ketelusan, kecekapan kerajaan negeri Johor bersama agensi-agensi persekutuan menjadi satu pemangkin daya tehan ekonomi di negeri ini dan bakal memberi manfaat jangka panjang secara menyeluruh kepada seluruh Bangsa Johor.
Justeru itu, saya ingin ambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Machap dan kerajaan negeri Johor serta agensi-agensi Persekutuan, kerana apa? Kita saling melengkapi sehingga berjaya mencatatkan pencapaian tersebut.
Yang Berhormat sidang Dewan yang dikasihi, dalam kesempatan ini juga saya ingin merakamkan beberapa penghargaan. Pertama, saya mewakili penduduk Skudai dan juga selaku ADUN Skudai ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada barisan EXCO, kepada MBIP , JPS, TNB, SAJ, JKM serta pelbagai agensi yang sentiasa membantu Skudai serta penduduk di kawasan Skudai bagi mendapat kualiti kehidupan yang baik.
Dan, kalau kita lihat dalam pengumuman bajet perksekutuan, Skudai telah menerima RM280 juta bagi naik taraf persimpangan Seksyen 16 iaitu masuk susur Tun Aminah ke Gelang Patah. Berkali isu kesesakan tersebut telah saya bawa, alhamdulillah atas keprihatinan pihak EXCO Kerja Raya serta JKR negeri, insya-Allah, tak lama lagi orang Skudai dapat menarik nafas lega dan saya percaya tempiasnya juga akan dirasai oleh orang kawasan YB Kota Iskandar.
Kedua, Adalah penggantian paip lama di kawasan Skudai. Di mana kawasan Skudai ini adalah kawasan perumahan lama, hampir 40 tahun kerap tiada air. Paip AC yang sentiasa bocor apabila tekanan terlampau tinggi. Jadi paip, penggantian paip bernilai RM73 juta secara berfasa telah dilaksanakan. Alhamdulillah, masih berlangsung dan ianya secara tidak langsung memberi kelegaan kepada ramai penduduk. Baru ini juga, 10 hotspot banjir telah diberikan perhatian oleh kerajaan negeri Johor untuk menyelesaikan isu ini. 7 kerja sedang berjalan dan Tok Jep, jangan masih hutang lagi 3 kerja. Terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri.
Dan, saya ambil peluang ini juga untuk mengucap ribuan terima kasih, tetapi saya faham dalam setengah meeting apabila banyak perkara yang selesai di Skudai maka ada juga tak berpuas hati, dia kata perempuan, memanglah laju je kerja semua jalan. Nasihat saya janganlah bersikap sexist memandang rendah atas kemampuan wanita. Kita buat ini semua, kita usaha semua untuk rakyat dengan bantuan agensi, tak pernah kita mengeluh dan tak pernah kita rasa penat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya membawa suara berkenaan isu yang besar, izinkan saya terlebih dahulu menyentuh isu di kawasan Skudai. Isu pertama adalah isu bengkel kenderaan. Banyak aduan yang saya terima berkenaan bengkel kenderaan di mana terletak di kawasan kedai yang mengambil ruang parkir serta memenuhkan ruang sekeliling dengan pelbagai kenderaan termasuk kenderaan usang yang terbiar. Belum lagi cerita berminggu kenderaan yang nak dibaiki tapi belum terbaiki. Jadi, mereka akan ambil ruang di sekitar. Kalau kedai ambil lot parkir secara berbayar, kita faham tetapi hakikatnya ada yang tidak dan ianya mengganggu operasi-operasi kedai-kedai di sekeliling dan banyak kita bangkitkan isu ini. Apabila kita memaklumkan kepada pihak PBT, depo pula penuh. Jadi adakah terdapat satu garis panduan khas ataupun khusus daripada PBT berkenaan pembukaan bengkel-bengkel di lot kedai? Tambahan kalau bengkel yang menguruskan insurans lagi lah payah. Maka lebih lama tempoh akan diambil untuk kerja baik pulih. Jadi, seperti di kawasan Sri Skudai banyak aduan yang kita terima.
Isu yang kedua yang ingin saya bawa. Pada tahun 1993 Malaysia pernah digegarkan dengan satu isu yakni berita yang sangat menggemparkan berkenaan dengan berita Highland Tower yang mana runtuh dan mengorbankan sebanyak 48 orang. Dan di Skudai juga kita ada satu flat yakni flat Taman Jaya yang telah diisytiharkan tidak selamat oleh IKRAM. Ini adalah salah satu flat di Johor dan kedua setelah Highland Tower. Dan pada tahun 2022, setelah dilantik menjadi ADUN saya berusaha untuk mencari jawapan kepada penduduk. Jadi, satu kajian forensik bangunan telah dilaksanakan pada ketika itu dan pada tahun 2023 apabila laporan telah dikeluarkan telah menyatakan bahawa bangunan tersebut tidak lagi selamat untuk diduduki. Sebenarnya, flat Taman Jaya ini telah dibuat mula dibangunkan pada tahun 80-an dan siap dalam tahun 85-86 macam tu. Jadi, ketika awalnya siap tu, blok 4 sebenarnya dah mula ada masalah sehinggalah tahun 2011 diisytiharkan tidak selamat diduduki. Jadi, kalau kita nak bincang melalui laporan forensik yang keluar terhadap bangunan tersebut, banyak isu yang kita boleh pertikaikan terutamanya ketidakpatuhan kerja tetapi kita tolak tepi, kita tak nak ungkit bagaimana projek pembangunan seperti itu diluluskan pada tahun 80-an. Kita tak nak ungkit, kita nak tolak tepi. Tapi walaupun kita nak tolak tepi, kita sekarang ni dengan izin, deal dengan nyawa manusia. Ramai dekat sana dan beban ini saya percaya dan saya faham terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri sekarang. Saya tak salahkan kerajaan negeri, saya tak salahkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saya tak salahkan EXCO kerana apa mereka telah turun ke kawasan untuk melihat situasi ini. Saya tahu selaku EXCO Kerajaan
Tempatan, Tok Jef sendiri pun pening untuk mencari penempatan baru bagi penduduk yang kebanyakannya warga emas.
Ketika mereka muda, mereka beli rumah di kawasan tersebut dengan harapan ketika lanjut usia ketika berusia warga emas mereka ada tempat tinggal yang selesa. Tetapi akhirnya, tempat tinggal mereka sekarang tidak selamat. Jadi, saya ingin mengusulkan bahawa sesuatu harus dilaksanakan supaya perkara tidak diingini dapat dielakkan. Haritu ketika gempa bumi yang tidak dijangkakan berlaku di Johor saya sendiri tidak boleh tidur malam. Satu keadaan yang kita tak pernah jangka berlaku. Jadi, bagaimana pula dalam pemikiran saya ini, adakah flat yang ada ini selamat untuk masa akan datang? Apakah jaminan daripada kerajaan negeri untuk penduduk duduk lagi di situ? Kalau kita lihat pada awal tahun lalu, ketika banjir besar berlaku dan banjir ini sampai melebihi tingkat 1 flat tersebut. Jadi, apabila setelah banjir ni, ruang-ruang bawah flat ni bila ada berlaku lobang lompong kita boleh nampak dekat bawah tu dia dah dengan izin hollow, dah lompong dah. Tak ada tanah langsung. Jadi, kadang-kadang siling daripada rumah tu tengah masak, tengah tidur dia jatuh, jatuh sehingga nampakkan tulang-tulang besi yang keluar daripada siling tersebut. Dan penduduk hidup dalam keadaan dan ketakutan. Dan kita apabila bicara dengan nyawa manusia ni apabila berlaku ribut kita sendiri berasa takut.
Sidang Dewan yang dihormati sekalian, berpuluh jam, berhari-hari penduduk berdepan dengan masalah air yang terburuk dalam Johor disebabkan pencemaran hingga kini sebenarnya pencemaran yang berlaku memberi kesan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Sayong Pinang. Walaupun kita dah ada air tapi kesannya tetap dirasai oleh penduduk kampung tersebut. Datuk Speaker, saya ni bukan nak menyebok sampai masuk ke kawasan orang lain, tapi bagi saya ini adalah salah satu tanggungjawab saya kerana apa isu yang berlaku kesannya besar, pencemaran yang berlaku kesannya besar. Hampir seluruh Skudai terkesan. Kawasan rakan-rakan ADUN saya yang berlainan parti pun terkesan. Bukan kali pertama sebenarnya saya memerhatikan isu lombong pasir di kawasan Sungai Johor, tahun sebelum ini pun sebenarnya ada Cuma kesan ketika itu tidak besar. Yang mana lebih 70 jam penduduk kawasan Bukit Impian hadapi masalah air. Yang jadikan saya geram ketika itu, setiap kali tanya SAJ jawapan berlainan saya terima tapi saya tak salahkan SAJ juga. Dan saya sendiri siasat dan dapat maklumat dalaman ketika waktu itu tiada air disebabkan pencemaran. Jadi, saya punya kerja bukan duduk dan menerima jawapan saja. Saya turun ke kawasan water intake dengan izin dan melihat masalah dengan mata kepala saya sendiri.
Dan, pada tahun ini bulan 11 kita dikejutkan lagi dengan pencemaran dengan skala yang sangat besar. Jadi saya persoalan, lebih kurang 2 tahun lebih syarikat perlombongan melaksanakan kerja di sana. Jadi, saya nak tau jawapan sepanjang beroperasi saya nak tahu mana agensi yang membuat pemantauan terhadap syarikat perlombongan tersebut? Apa syarat untuk mewujudkan ban ataupun kolam cucian pasir? Berapa jarak sesuai dan harus dipatuhi antara ban yang dibina dan sungai yang berhampiran ataupun anak sungai berhampiran? Yang paling penting, bila audit terakhir dilakukan oleh JAS dan PTG berkenaan ban yang dibina? Saya rasa kalau pemantauan ada dilakukan, pastinya kita boleh kesan risiko awal.
Saya persoalkan bukan saya tak tahu, saya tahu. Jarak antara anak sungai, antara sungai dan ban harusnya 50 meter jauh. Saya kelapangan dengan orang yang pakar dalam bidang ini jadi mana-mana pegawai yang pergi tengok, saya nak tanya pada hari ini, agaknya dekat keadaan hari itu berapa jarak wujud antara ban yang pecah dan sungai? Jadi, bagaimana boleh terlepas pandang dalam masa beberapa tahun ini? Dan tahu tak, dalam beberapa tahun wujud syarikat perlombongan ini bila banjir tinggi berlaku lumpur dari kolam cucian merosakkan kawasan penduduk kampung tersebut, lumpur tebal meliputi jalan, satu jentera dari syarikat tiada pun untuk menjaga kebajikan penduduk dan membuat pembersihan. Penduduk sendiri terpaksa skop lumpur-lumpur tu dengan secara manual. Dan saya sebenarnya menyambut usaha baik kerajaan negeri seperti yang dinyatakan untuk mewartakan Sungai Johor sebagai kawasan tadahan air kekal untuk melindungi sungai
daripada kegiatan pembinaan, pembangunan merbahaya termasuk lombong pasir ini. Ini termasuklah cadangan pemantauan aktiviti sungai.
Dan kalau kita lihat IRBM Plan ataupun Intergrated River Basin Management adalah satu dokumen yang penting untuk pemantauan di kawasan tadahan air di sungai dan kalau kita lihat, Kerajaan Negeri Selangor membenarkan orang awam untuk mengakses IRBM Plan mereka. Jadi apa alasan agensi yang terlibat di bawah Kerajaan Negeri Johor mengehadkan akses tersebut? Dan dalam satu surat permohonan daripada Gerakan Alam Sekitar bagi mendapatkan salinan laporan kajian pengurusan lembangan sungai bersepadu pada tahun 2023, permohonan ditolak dengan alasan data adalah terperingkat dan terhad serta tak boleh dikongsikan secara umum. Dan berdasarkan dokumen tersebut, BAKAJ merupakan agensi yang menguruskan kepentingan sungai. Jadi, saya nak cadangkan BAKAJ atau JAS melibatkan NGO seperti Green Earth Society Johor, Malaysian Nature Society Johor serta NGO-NGO alam sekitar untuk terlibat bagi memantau segala aktiviti dan menjada alam sekitar ni kita tak boleh mengharapkan satu pihak saja. Kesan daripada tangan manusia ni memang kita tak rasa hari ini tapi kesannya adalah kepada anak cucu kita esok lusa. Mereka yang akan menimba hasil. Jadi NGO alam sekitar ini kekurangan data untuk membantu kita memantau kepentingan alam sekitar secara bersama. Ini termasuk Orang Asli di kawasan berhampiran. Suara mereka tak harus dipinggirkan, mereka ini lah sebenarnya ejen alam sekitar. Jadikan NGO dan Orang Asli berhampiran sebagai penguatkuasa sementara ataupun separa profesional bagi melindungi harta alam. Lebih baik daripada kita tubuhkan segala macam mak nenek jawatankuasa yang akhirnya tinggal minit mesyuarat sahaja.
Kedua, apa-apa kerja perlombongan yang diluluskan pihak berkuasa atau BAKAJ harus diwajibkan memasang papan kenyataan pengumuman rasmi projek. Benda ini penting untuk memudahkan orang awam pantau dan membuat aduan. Orang awam ini bertindak sebagai mata-mata kita. Saya ini sebenarnya bila cakap bila lantang sikit orang kata kita tak suka lombong pasir sebenarnya tidak. Saya tak menghalang aktiviti perlombongan, saya tak cakap aktiviti perlombongan salah, dan harus dilarang, tidak, tidak sama sekali. Sebab perlombongan pasir ini adalah keperluan ekonomi dan pembangunan infrastruktur terutamanya dalam sektor pembangunan, pembinaan. Pasir yang berkualiti macam silika serta quartza banyak kegunaan dalam pelbagai industri. Jadi, adalah peranan kita menukar sektor ini kepada satu sudut yang positif dengan mengambil langkah mewujudkan perlombongan lestari. Wujudkan lombong yang terkawal, mewajibkan syarikat perlombongan memberi pulangan CSR terhadap alam sekita. Sebagaimana contoh penubuhan tabung dana khas untuk projek pemulihan alam sekitar serta sungai. Ini tidak, banjir akibat mereka hantar satu jentera pembersihan pun tidak.
Perkara yang terakhir ingin saya sentuh adalah Johor Bersih, caj dan kemudahan pelupusan punca masalah. Yang Berhormat Datuk Speaker dan sidang Dewan sekalian, kelestarian alam sekitar dan kebersihan seluruh pelosok negeri memang menjadi agenda Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Kalau kita tengok agenda Bersih Johor itu bukan sahaja agenda untuk memperkasakan pembersihan. Dalam melihat agenda memperkasakan pembersihan, kita juga harus lihat ada satu perkara yakni pembuangan sampah haram. Pembuangan sampah haram ini berleluasa bukan sahaja dekat kawasan Skudai, saya percaya dekat kawasan lain pun berlaku. Dan dalam satu insiden dekat Skudai pemandu lori sisa bahan binaan ini telah dicekup oleh saya sendiri dan pihak SWCorp dengan pelbagai alasan termasuk soal kesesakan di tapak pelupusan dan juga tipping fee dengan izin yang tinggi di tapak pelupusan.
Saya nak cerita pengalaman sikit. Saya ini memang suka menyiasat, ni salah satu kerja saya lah. Jadi bila isu sampah haram ini timbul, ada satu hari tu saya ada satu kenalan ni dia buat angkat sisa-sisa binaan untuk dibuang. Sisa-sisa kilang untuk dibuang. Jadi saya desak dia saya cakap saya nak ikut dia. Jadi saya naik lori dengan dia untuk masuk ke tapak pelupusan di Seelong sana. Kalau nak ikutkan memang saya tak boleh masuk lah tapi saya masuk. Jadi, bila saya lihat apa yang keadaan mereka lalui, jadi saya pun desak kawan saya, tanya dia,
saya cakap “Pernah tak engkau buang sampah dekat tepi jalan?” Dia kata “Pernah.” Dia kata sebagainya lori yang angkat sampah-sampah pukal daripada kilang dia pernah buang sampah dekat tepi jalan sebab apa? Pertama, dia tak payah nak beratur, kedua tak ada caj.
Jadi, ketika saya tangkap pakcik yang buang sampah merata-rata menggunakan lori tu, alasan sama yang diberikan. Jadi kalau kita lihat, tipping fee di tapak pelupusan Seelong itu adalah RM95.50 per tan. Sangat mahal. Jadi, kadar di mana negeri lain kadar tipping fee adalah daripada RM36.00 sehingga RM70.00 per tan sahaja. Sebagai contoh, di Selangor sebelum ini RM36.00 per tan tipping fee dinaikkan kepada RM55.00 berkuatkuasa pada Januari 2026. Itu pun setelah operasi loji WTE yakni Waste To Energy bermula. Dan dengan tipping fee ni yang mahal ni, nak beratur masuk dalam tapak pelupusan pun jammed, sesak, jadi bukan jalan raya saja nak masuk ke tapak pelupusan pun sesak, itu yang menyebabkan mereka buang sampah merata-rata.
Jadi saya bagi contoh untuk kita tengok, okey katakan sewa lori tong roro 3 tan contohnya saya buat rumah 3 tan RM350.00 tipping fee adalah RM95.50 per tan. Kalau didarabkan maksudnya RM286.50. Nak beratur lagi di tapak pelupusan, sehari berapa trip yang boleh dibuat? Kalau sehari saya masuk ke tapak pelupusan haram baru RM40.00 ataupun saya dump dekat tepi jalan free maka keuntungan dekat situ lebih berganda. Jadi, kekurangan kemudahan pelupusan sampah sisa pepejal ni pula dikenakan dengan caj yang tidak bersesuaian. Dan, saya juga difahamkan Tapak Pelupusan Sanitary Seelong terpaksa menampung sisa domestik bukan saja daripada Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Pontian, Pasir Gudang. Ini belum lagi diambil kira tapak pelupusan untuk sisa binaan dan bahan-bahan lain. Jadi Tapak Pelupusan Sanitari Seelong ini merupakan satu-satunya tapak pelupusan yang menampung kebanyak PBT di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang sedang pesat membangun.
Oleh yang demikian, saya nak mendapatkan penjelasan sekiranya terdapat perancangan khusus oleh Kerajaan Negeri Johor dan agensi-agensi persekutuan yang terlibat seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan SWCorp tentang kesiapsiagaan untuk pengurusan tambahan bagi janaan segala sisa daripada Johor Special Economic Zone dan selain daripada itu Kerajaan Negeri Johor bersama agensi pusat wajar mempertimbangkan kemudahan transit sisa ataupun transfer station berskala bersederhana di setiap kawasan PBT dalam memastikan kesesakan di tapak pelupusan dapat diredakan. Dan bagi konteks caj pelupusan yang tinggi adakah pihak Kerajaan Negeri Johor bersama agensi berkaitan dapat melakukan intervensi terhadap caj atau menyediakan rebat pada waktu tertentu untuk memastikan mereka tidak menjadi penyumbang kepada masalah sampah dan saya sangat berharap mengambil maklum dengan pembangunan pesat terutama di JS-SEZ saya ingin memberi cadangan agar pihak Kerajaan Negeri Johor dapat meneroka peluang dan potensi untuk mewujudkan kemudahan pelupusan sisa pepejal, sisa lengai sebagai alternatif untuk menguruskan sisa sedemikian dengan kadar caj berpatutan kepada pengusaha pelupusan yang berkaitan. Datuk Speaker, sampai di sini sahaja ucapan saya segala yang baik datang daripada Allah SWT yang kurang adalah daripada saya sendiri sebagai hamba yang lemah. Sekian terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Skudai. Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Senai.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai amat bersyukur kerana diberi kesempatan untuk berbahas di Dewan yang Mulia ini. Terlebih dahulu patik ingin merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah dan merakamkan ucapan selamat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Yang Di Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Hari Keputeraan Baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Senai ingin merakamkan penghargaan atas usaha Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar atas pembentangan Belanjawan Negeri Johor 2026 bertema
Bangsa Johor Sejahtera dan mengumumkan pelbagai inisiatif yang telah dirancang untuk pelaksanaannya pada tahun depan.
Senai ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan persekutuan atas pengumuman peruntukan sebanyak RM4.8 billion untuk negeri Johor yang merangkumi 150 projek baru serta 435 projek sambungan. Ini mencerminkan komitmen kerajaan persekutuan dalam membangunkan Johor bersama kerajaan negeri. Senai faham dan setuju apa yang disebut oleh Ahli-Ahli Mesyuarat sebelah sana memang ada projek-projek persekutuan berlaku kelewatan. Contoh, pembinaan Hospital Pasir Gudang, projek ini telah diluluskan pada tahun 2015 sebagai salah satu projek hospital di bawah RMK-11. Tarikh mula operasi pun asyik ditunda. Lagi satu contoh projek landasan berkembar Gemas ke Johor Bahru, ETS yang mula dirancang sejak sekitar tahun 2000 lagi. Setelah beberapa kali tarikh di tunda, ETS ke Johor Bahru bakal mula beroperasi pada pertengahan Disember ini. Satu projek mega dari peringkat merancang hingga siap dilaksanakan sememangnya memerlukan masa panjang dan perlu dipertimbangkan unsur-unsur di luar jangkaan seperti pendamik COVID 19, jika nak tanya pihak mana yang perlu bertanggungjawab di atas kelewatan projek ini cerita akan jadi panjang. Yang paling penting dua-dua projek ini akan memberi manfaat kepada Bangsa Johor dan bakal beroperasi dalam masa terdekat. Ini lah kekuatan dan hasil di bawah semangat perpaduan. Tahniah Senai ucapkan kepada Ahli-Ahli Mesyuarat atas kejayaan yang bakal dicatatkan dalam sejarah pembangunan Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai amat setuju inisiatif kerajaan negeri dalam Belanjawan Johor 2026 bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial apabila sejumlah hampir RM170 juta diperuntukkan khusus bagi inisiatif Bantuan Kasih Johor, BKJ yang memanfaatkan lebih 330,000 rakyat merangkumi 23 kategori penerima. Walau bagaimanapun, Senai ingin memberi beberapa cadangan untuk menambah baik mekanisme pengagihan BKJ supaya lebih menyeluruh dan konsisten.
Pertama, Senai ingin mencadangkan, mengwujudkan laman portal rasmi BKJ untuk mendaftar, mengemaskini dan menyemak status permohonan dan hebahan informasi. Buat masa ini Senai mendapati terdapat pelbagai kaedah permohonan. Ada yang melalui google form, secara bancian, ada yang mengikut data agensi kerajaan. Ini menyebabkan maklumat yang diberikan juga tidak seragam hingga menimbulkan kekeliruan. Dengan kewujudan laman portal bukan setakat dapat memudahkan rakyat tetapi proses permohonan secara atas talian juga lebih cepat dan terus kesilapan manual dapat dikurangkan kerana laman portal membolehkan permohonan diproses secara automatik mengikut syarat kenyataan yang ditetapkan. Status permohonan juga dapat disemak secara langsung sekaligus meningkatkan ketelusan kerajaan. Tambahan lagi laman portal BKJ boleh disepadukan dengan data LHDN, JPN atau e-Kasih untuk semak silang. Jadi ini dapat memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak sahaja. Pada masa sama melalui data permohonan juga membolehkan kerajaan menilai kawasan tumpuan, jumlah keluarga memerlukan dan corak kemiskinan melalui analisis data raya. Kerajaan dapat membuat keputusan yang lebih tepat dan bersasar. Inisiatif ini selaras dengan agenda kerajaan negeri dalam pendigitalan perkhidmatan awam dan menuju ke arah Maju Johor.
Senai juga mencadangkan pembiayaan BKJ dapat melalui pengkreditan ke dalam akaun bank pemohon. Ini kerana kaedah ini lebih sesuai untuk warga emas, OKU serta penduduk di kawasan luar bandar berbanding dengan kaedah sekarang iaitu mengadakan majlis penyampaian besar-besaran di tempat tertentu dan masa tertentu sahaja. Bagi golongan yang terpilih memerlukan bantuan ini biasanya mereka tiada pengangkutan sendiri dan bekerja masa panjang demi mencari rezeki. Pembayaran BKJ melalui pengkreditan ke dalam akaun bank dapat menjimatkan masa mereka untuk mengurangkan kesulitan yang dihadapi. Dengan kewujudan laman portal dan pembayaran atas talian keselamatan data peribadi juga lebih terjamin. Sekarang kita berhadapan dengan cabaran penyalahgunaan data peribadi, kes penipuan fizikal dan siber. Jadi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita perlu
memandang serius terhadap isu ini dan ambil inisiatif untuk melindungi maklumat peribadi rakyat secara menyeluruh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ingin membawa suara keluhan para peniaga ke Dewan yang mulia ini, iaitu tarif air untuk kategori bukan domestik Johor dinaikkan secara mendadak dan mengejut bermula 1 Ogos yang lepas. Seperti apa yang disebut dalam perbahasan Stulang, tarif lama untuk meter padu 0 hingga 35 meter padu kadarnya adalah RM3.15 untuk yang lebih daripada 35 meter padu kadarnya adalah RM3.55. Untuk blok tarif baru kenaikan kategori 0 hingga 35 meter padu adalah sebanyak RM4.15. Di mana kenaikan adalah 31.75% dan untuk 35 meter padu ke atas tarif baru adalah RM5.30, kenaikan sebanyak 49.3%. Tarif baru ini tinggi daripada tarif baru bukan domestik negeri Selangor di mana bagi 30 meter padu ke bawah kadarnya adalah RM3.51 sahaja. Untuk yang lebih daripada 35 meter padu kadarnya hanya sebanyak RM3.83. Walaupun kenaikan mendadak ini menyebabkan peningkatan kos kepada para peniaga tidak kira industri atau perdagangan namun dalam kenyataan media yang dimuat naik di laman portal rasmi Ranhill-SAJ sangat ringkas sahaja. Saya telah baca satu liputan berita harian bertajuk pelarasan tarif baru air Johor bagi majoriti pengguna domestik, rumah ibadat, golongan rendah yang bertarikh 2 Ogos yang lepas. Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill-SAJ, Tuan Anwar Abdul Ghani menerangkan bahawa penyelarasan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan Ranhill-SAJ untuk memastikan rakyat Johor menikmati sistem bekalan air yang moden berdaya tahan dan mampu memenuhi permintaan masa hadapan. Mengikut beliau ia termasuk penggantian paip lama yang mempunyai risiko kebocoran tinggi, menangani permintaan bekalan air kian meningkat susulan kepesatan pembangunan dan peningkatan penduduk. Pelarasan juga membolehkan beberapa projek naik taraf yang penting dilaksanakan termasuklah projek LRA Layau 2, fasa 2, Semangar dan Semangar 3. Senai memahami usaha-usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh sistem bekalan air untuk masa depan Bangsa Johor. Namun, Senai tidak bersetuju tarif air bukan domestik second layer iaitu RM5.30 setiap meter padu dinaik sehingga hampir sama dengan kategori pusat data iaitu kadar RM5.33. Hanya RM0.3 sen perbezaannya. Kadar ini adalah tidak munasabah dan perlu dikaji semula oleh kerajaan negeri.
Sebelum ini Senai pernah membawa isu penggunaan air pusat-pusat data ke Dewan Mulia ini memandangkan Johor menerima pelaburan secara besar-besaran yang terdiri daripada pusat data sudah pasti masalah ketidakstabilan bekalan air akan menjadi semakin serius sedang mereka beroperasi. Senai juga minta kerajaan Johor menetapkan syarat-syarat pembangunan terhadap pusat-pusat data sebelum Kebenaran Merancang diluluskan. Kerja-kerja menggantikan dan menaik taraf paip-paip air perlu dilaksanakan terlebih dahulu. Yang amat mengecewakan, kita tidak nampak sumbangan daripada pusat-pusat data terhadap ini tetapi rakyat sendiri perlu menanggung kos naik taraf loji rawatan air, penggantian paip lama sendiri dan juga terdedah risiko ketidakstabilan bekalan air buat masa ini dan juga pada masa depan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ucap ribuan terima kasih kepada kerajaan Johor atas pengumuman rebat 15% daripada bil air bagi meringankan beban pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air selama lima (5) hari di empat (4) daerah baru-baru ini. Senai juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan petugas barisan hadapan termasuk Ranhill-SAJ yang telah bekerja dari siang hingga malam bertungkus lumus mengagih air kepada rakyat semasa kejadian gangguan bekalan air berlaku. Senai dimaklumkan lori-lori tangki air dijadualkan berada di beberapa lokasi sekitar Senai bagi membantu penduduk mendapatkan bekalan air. Namun, saya kecewa setelah semakan di lapangan tersebut didapati tiada lori tangki Ranhill-SAJ berada di lokasi-lokasi yang dimaklumkan pada waktu tersebut. Dari komen-komen rakyat di media sosial, Senai mendapati pengalaman yang mengecewakan ini adalah sangat biasa. Oleh demikian, Senai mencadangkan semua lori tangki air perlu dipasang sistem kedudukan global atau GPS semasa bertugas agihan air supaya informasi dapat disemak di laman portal rasmi Ranhill-SAJ secara real time, dengan izin. Selain itu, sistem penerima, penerimaan aduan dan juga
permintaan lori tangka air Ranhill-SAJ juga perlu dinaiktaraf memandangkan saluran rasmi yang sedia ada tidak berfungsi dengan baik khasnya semasa berlaku gangguan air tidak terancang.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai ingin menyentuh mengenai isu Smart Queue System (SQS) yang telah dilaksanakan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, HSA JB sejak bulan Julai tahun ini. Sistem ini bertujuan mendigitalkan proses pendaftaran dan mengurangkan masa menunggu pesaki. Itu satu inisiatif yang bagus di mana merupakan sistem perintis pertama seumpamanya di Malaysia yang diperkenalkan dengan dana penuh kerajaan negeri Johor sebanyak RM1 juta. Namun selepas 5 bulan pelaksanaannya, Senai menerima banyak aduan daripada pesakit yang mengalami kesukaran khususnya apabila tempoh menunggu menjadi lebih panjang berbanding sebelum ini.
Di dalam sesi Soalan Lisan yang lepas, Senai telah bertanya soalan, adakah SQS yang dilaksanakan di HSA JB berjaya memendekkan masa menunggu pesakit seperti yang dirancangkan? Jawapan daripada YB EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Johor memaklumkan bahawa sistem ini dilaksanakan secara berfasa iaitu dalam empat fasa, kini sistem adalah dalam fasa ketiga dan fasa keempat akan bermula pada pertengahan bulan November ini iaitu sekaranglah. High Motion Study bagi menentukan impact keberkesanan projek SQS ini masih dalam proses kajian. Laporan kajian akan dimajukan kepada kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Johor seawal bulan Februari 2026.
Senai berpendapat bahawa jika kajian ini hanya siap pada tahun depan, ini bermakna pesakit terpaksa menanggung kelemahan sistem ini sekurang-kurang beberapa bulan lagi. Sedangkan pesakit setiap hari berdepan kesukaran mangsa, masa menunggu yang lama, aliran pendaftaran yang tidak jelas dan tiada alternatif bagi mereka yang tidak mahir menggunakan telefon pintar khasnya golongan warga emas. Ini membuktikan pelaksanaan sistem ini dilakukan terlalu tergesa-gesa dan tanpa penyelarasan dan perancangan yang menyeluruh. Failing to plan is planning to fail, dengan izin. Senai ingin menegaskan bahawa tidak wajar pesakit dijadikan bahan ujian kepada sistem yang belum lengkap.
Maka, Senai menggesa kerajaan negeri dan pihak hospital untuk mengambil tindakan jangka pendek segera tanpa menunggu laporan kajian siap. Iaitu pertama, mempercepatkan perinteraksian sistem di semua jabatan supaya pesakit hanya perlu ambil nombor sekali sahaja.
Kedua, menyediakan sukarelawan atau petugas khas untuk membantu warga emas dan mereka yang tidak mahir menggunakan aplikasi digital.
Ketiga, mempertingkatkan pemantauan serta hebahan supaya pesakit memahami aliran proses dengan lebih jelas.
Sistem digital seharusnya memudahkan bukan menambah beban kepada rakyat. Senai berharap agar kerajaan negeri dapat melihat isu ini dengan serius dan mengambil tindakan segera bagi memperbaiki kelemahan yang ada demi menjaga kebajikan dan keselesaan pesakit di HSA JB.
Yang Berhormat Datuk Speaker, semenjak saya jadi ADUN Senai lagi saya telah memperjuangkan agenda untuk menambah sebuah klinik kesihatan baharu di Senai. Setiap kali Senai bertanya status klinik kesihatan yang lama dirancang di Taman Mewah, Senai setiap kali Senai mendapat jawapan yang sama iaitu dalam urusan pemilikan tanah. Status masih sama dengan status pada tahun 2020 iaitu masih belum ada keputusan oleh Pejabat Tanah dan Galian Johor selama lima tahun. Walau bagaimanapun, Senai tidak akan berputus asa dan akan membangkit isu ini lagi kerana Senai berharap kerajaan negeri akan segera menyelesaikan isu tanah tersebut. Di dalam perjumpaan Barisan Pengimbang bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 3 hari bulan November yang lalu, sekali lagi Senai
telah menyampaikan hasrat ini. Mudah-mudahan ada berita baik untuk warga Senai dalam masa yang terdekat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, perkembangan pesat yang sedang berlaku di Senai telah menyebabkan keperluan mendesak untuk menaiktaraf jalan khasnya di Jalan Seelong, Jalan Lapangan Terbang dan Persiaran Senai Airport City. Maka, Senai amat berharap bahawa cadangan membina persimpangan bertingkat di Jalan Lapangan Terbang ke Jalan Seelong dan juga cadangan melebarkan jambatan berhampiran PUSPAKOM, Jalan Seelong dapat diberi keutamaan oleh kerajaan negeri di bawah rolling plan seterusnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Senai damai, rakyat ceria; hidup harmoni, penuh bahagia. Johor maju gagah perkasa, membawa harapan menuju jaya. Selesai sudah perbahasan Senai dengan ini Senai menyokong Usul Belanjawan 2026. Sekian, ribuan terima kasih. (Dewan bertepuk).
Tahniah Senai, jemput Yang Berhormat Tiram.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualakum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam maju Johor, salam Tiram dihati. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, kerana memberi ruang kepada Tiram untuk Bersama-sama mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada petang ini. Buat pertamanya, patik merafak sembah menjunjung kasih dengan ucapaan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang akan disambut pada 1 Jamadil Akhir 1447 Hijrah bersamaan 22 November 2025 nanti.
Patik dan seluruh warga DUN Tiram berdoa semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Permaisuri Johor serta kerabat Diraja dilanjutkan usia dalam keafiatan dan sentiasa dalam limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT. Semoga di bawah naungan Tuanku, negeri Johor bertambah maju, makmur, aman dan sejahtera. Daulat Tuanku.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahniah Tiram ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, dengan pembentangan Belanjawan 2026 Negeri Johor dengan tema, “Bangsa Johor Sejahtera”. Alhamdulillah, tiga tahun berturut-turut Johor berjaya membentangkan belanjawan surplus dengan izin, tahniah.
Tiram yakin dengan tema Bangsa Johor Sejahtera yang bertunjangkan enam teras utama dan 260 inisiatif yang merupakan dahan dan ranting kepada tunjang utama tersebut. Johor sebenarnya berada di landasan yang tepat untuk terus memacu sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. Pembentangan Belanjawan 2026 bukan hasil buah fikiran satu pihak, Tiram pasti ianya adalah hasil penggemblengan idea dan buah fikiran bersama barisan EXCO dan penjawat-penjawat awam yang diketuai oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Haji Asman Shah bin Abdul Rahman. Tahniah buat pasukan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kali ini Tiram nak berkongsi dengan Dewan yang mulia ini bahawa Tiram dan seluruh warga Tiram cukup “rasa” dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri Johor dalam program-program Bantuan Kasih Johor ini sejak awal Oktober 2025 lagi. Kenapa “rasa”? R = Rakyat, A = Amat, S = Syukur, A = Alhamdulillah.
Betul Yang Berhormat Datuk Speaker, penyampaian Bantuan Kasih Johor yang telah kami sampaikan cukup menyentuh hati Bangsa Johor yang menerimanya. Terutamanya di kalangan golongan warga emas yang juga merupakan ibu-ibu tunggal, mereka cukup seronok dan bersyukur walaupun pada ketika itu mereka hanya ke pejabat pusat khidmat hanya untuk mendaftar dalam Bancian Ibu Tunggal yang mana kita belum menjanjikan apa-apa bantuan
pada ketika itu. Rasa syukur terus diucapkan lagi bila mana mereka dipanggil untuk mendapatkan insentif-insentif tersebut. Ucapan terima kasih tak lekang dari bibir mereka.
Begitu juga dengan mahasiswa Yang Berhormat Datuk Speaker, hari ini bersama-sama dalam Dewan yang mulia ini, Tiram bawakan Mahasiswa Johor dari Ikatan Siswa Anak Johor, Universiti Utara Malaysia. Mereka juga mengucapkan ribuan terima kasih dengan bantuan one-off Mahasiswa yang Tiram sendiri sampaikan pada 7 November 2025 di Universiti Utara Malaysia. Pendek dan panjang kata, golongan yang menerima ini cukup bersyukur dengan insentif-insentif yang disampaikan, hinggakan ayahanda-ayahanda veteran Polis pula minta sampaikan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, nanti nak raya Aidilfitri bagilah pula duit raya. Apa pun ini semua tidak akan berlaku jika hasil kerajaan negeri tidak meningkat. Sebagaimana yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, setiap sen hasil kerajaan negeri akan dipulangkan semula oleh seluruh Bangsa Johor.
Cuma Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram merasakan ada beberapa golongan sasar yang boleh juga diambil kira untuk menerima insentif-insentif ini. Antaranya, mungkin kita boleh sampaikan juga kepada pemandu van dan bas sekolah, pekerja-pekerja pembersihan dalam sektor fasiliti, yang bertugas di fasiliti-fasiliti kesihatan. Terima kasih kerana buat pertama kalinya golongan pekerja-pekerja warganegara dalam sektor pembersihan juga telah menerima insentif ini pada fasa yang pertama.
Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi golongan sasar yang mungkin boleh dipertimbangkan adalah pelajar pelajar pasca siswazah Bangsa Johor yang menyambung pelajaran di peringkat Sarjana ataupun Doktor Falsafah. Ada di kalangan mereka menyuarakan isi hati meyatakan mereka tidak beroleh apa-apa bantuan khususnya bagi mereka yang baharu bekerja yang mana simpanan akaun 2 KWSP mereka juga masih kurang. Mungkin boleh dipertimbangkan juga agar Bangsa Johor yang menyambung pelajaran di peringkat pasca siswazah ini boleh diberikan kemudahan pinjaman dengan terma-terma yang lebih bersesuaian melalui Yayasan Pelajaran Johor. Selain itu, mungkin golongan pasca siswazah ini juga boleh mendapat insentif one-off sebagaimana mahasiswa di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, sijil dan pelajar-pelajar di peringkat STPM.
Terima kasih kerajaan negeri yang terus menyediakan inisiatif buat anak-anak yang belajar di universiti yang akan pulang ke kampung semasa musim perayaan sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2026 dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta. Ianya pasti memberi manfaat kepada mereka yang memang menantikan peluang untuk pulang ke kampung pada musim perayaan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Dewan pada hari ini juga sebenarnya dibantu oleh pegawai-pegawai khas dan staf sokongan di pusat-pusat khidmat. Merekalah orang yang pertama sampai ke lokasi bencana sebagai misalnya sebelum Ahli-Ahli Dewan sampai. Mereka jugalah yang sama bersengkang mata menghadap dengan isu-isu tempatan, mereka juga lah yang berdepan dengan aduan-aduan rakyat. Justeru Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram juga mencadangkan wajarlah pegawai-pegawai khas pusat khidmat dan anggota pentadbiran staff sokongan pusat-pusat khidmat turut diberi insentif khas one-off dalam program Bantuan Kasih Johor. (Dewan bertepuk). Tiram yakin Ahli-Ahli Berhormat yang lain juga menyokong cadangan Tiram.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam kami ADUN-ADUN ini menyampaikan insentif kerajaan negeri kepada para penerima, besar harapan kami agar pihak-pihak Pihak Berkuasa Tempatan dapat membantu pusat pusat khidmat dalam menyediakan penggunaan dewan-dewan dengan tanpa sebarang bayaran yang dikenakan. Sebagaimana yang pernah disuarakan sebelum ini apabila penggunaan dewan PBT digunakan sebagai lokasi Jualan Rahmah yang telah turut dikecualikan daripada sebarang bayaran.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram juga nak mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat EXCO Perumahan, ada? Tak ada. Yang dilihat telah membuat satu anjakan paradigma perubahan dalam menyediakan kemudahan-kemudahan perumahan kepada Bangsa Johor sejak tahun 2022. Saya ingin menjemput, menyentuh tentang Skim Rumah Prihatin Johor (RPJ) yang mana pemohon yang ingin memohon akan mendapat subsidi sebanyak RM35,000.00 daripada kerajaan untuk membina rumah sama ada yang berharga RM66,000.00 ataupun RM86,000.00. Kadang-kadang Yang Berhormat Datuk Speaker, mereka mempunyai kesulitan dalam nak menyediakan tunai sebanyak RM36,000.00 ataupun RM56,000.00. Jadi, Tiram mohon mencadang jika jumlah tunai ini boleh dibahagikan pada dua kaedah penyediaan dia, yang pertama sebagai contoh mungkin 50% disediakan dalam bentuk tunai manakala bagi 50% lagi dibayar secara tunai tetapi secara berperingkat yang mungkin perlu diselesaikan dalam tempoh dalam 12 ataupun 24 bulan selepas rumah disiapkan. Kaedah terperinci bolehlah Yang Berhormat EXCO Perumahan dan pihak kerajaan bersama-sama memikirkan yang terbaik asalkan impian Bangsa Johor mendapat sebuah rumah baru di atas sendiri dapat direalisasikan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahun 2026 merupakan Tahun Melawat Johor. Baru-baru ini saya dijemput Majlis Kebudayaan Negeri Johor untuk menghadiri Program Generasi Tradisi Pelestari di bandar Acheh. Tapi Tiram bukanlah nak bercerita tentang pengisian di sana. Namun, nak berkongsi bahawa persembahan kebudayaan ini juga merupakan salah satu alat untuk kita menarik minat pelancong tempatan dan luar negara datang ke Johor. Buatlah persembahan-persembahan di lokasi-lokasi strategik tumpuan pelancong sama ada di setiap pintu masuk ke Johor ataupun buatlah flashmob, dengan izin di tempat-tempat yang menarik dalam negeri Johor ini. Tiram yakin kepelbagaian budaya di setiap daerah pasti akan merancakkan lagi Tahun Melawat Johor 2026.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram juga bersetuju dengan Yang Berhormat Pemanis dan Yang Berhormat Senggarang agar Majlis Kebudayaan Daerah diperuntukkan peruntukan tambahan yang membolehkan mereka bergerak selaku duta kecil secara tidak langsung kepada Kerajaan Negeri Johor. Tiram juga mencadangkan agar peruntukan kebudayaan dalam Program Jelajah Orang Johor juga ditambah berbanding JOJ tahun 2025. (Dewan bertepuk.)
Yang Berhormat Datuk Speaker, kalau kita ingat semasa pembentangan Bajet 2026 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari Khamis yang lepas yang telah disiarkan secara langsung di pelbagai platform, ada dua orang jurubahasa isyarat yang turut membantu menyampaikan teks ucapan Yang Amat Berhormat kepada golongan orang pekak khususnya. Saya ingin berkongsi sedikit nukilan sahabat saya yang sama-sama hadir ke kursus asas bahasa isyarat yang diadakan di Savanah Hill anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim. Begini bunyinya “Dulu aku sangka mereka mendambakan bunyi, mahu menyentuh semula irama dunia yang kita dengar saban hari. Akan tetapi, rupa-rupanya aku yang pekak terhadap hakikat mereka. Impian mereka lebih besar daripada itu. Mereka bukan mengejar suara tetapi menanam taman bahagia dalam sunyi mereka sendiri. Mereka tidak mencari gema telinga, mereka mencari ruang untuk diterima supaya bahasa, mata dan tangan mereka pun dilihat secantik bahasa lisan kita. Dan waktu itu aku sedar bahagia bukan tentang jadi sama seperti orang lain tapi tentang berani hidup dan menyayangi diri sepenuhnya dengan apa adanya kita.” – Raden Azuan, 2025.
Yang Berhormat Datuk Speaker, apa yang ingin saya sampaikan adalah sebenarnya kita di negeri Johor ini kekurangan juru bahasa isyarat sebenarnya. Dengan izin, kalau saya boleh sebut kita di Johor ini cuma ada 2 orang saja, iaitu Encik Zarif dan Cik Hanim yang bergerak satu Johor. Mereka inilah juga yang akan ke mahkamah, mereka inilah juga yang akan ke program-program, mereka jugalah yang akan ke Dewan Negeri untuk membantu golongan orang pekak ini supaya apa yang disampaikan sampai kepada mereka. Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan negeri menambah perjawatan Juru Bahasa Isyarat di negeri Johor supaya mobiliti mereka untuk menyantuni golongan orang pekak ini dapat dipenuhi.
Satu lagi, kerajaan Johor juga boleh menjadikan anak-anak orang pekak yang normal sebagai anak angkat kerana mereka inilah juga yang kita boleh ambil selaku Juru Bahasa Isyarat pada masa akan datang. Tiram juga ingin merakamkan terima kasih kepada kerajaan Johor yang telah memperuntukkan sejumlah RM100,000.00 untuk Program Persatuan Orang Pekak.
Yang Berhormat Datuk Speaker, berapa isu dalam kawasan yang ingin Tiram bawakan untuk perhatian kerajaan pada Persidangan pada kali ini. Pertama, isu kesesakan jalan raya di J8 Jalan Sungai Tiram. Berapa kali isu ini telah dibawa dalam mesyuarat. Yang Berhormat Datuk Speaker, kawasan Sungai Tiram ini telah membangun dengan beberapa jajaran kampung di sana. Dengan adanya Projek PPR Sungai Tiram dan akan ada lagi projek perumahan pada masa akan datang, kesesakan jalan raya ini akan terus menjadi isu utama di sana. Tiram pernah mencadangkan agar laluan alternatif dari Sungai Tiram disediakan sebagai pilihan kepada penduduk yang mahu ke bandar Johor Bahru dan Kota Tinggi. Di pohon agar agensi-agensi yang terlibat boleh duduk semeja dan kita bergerak seiring untuk membantu menyelesaikan masalah isu kesesakan ini. Penduduk Sungai Tiram sudah lama sangat berdepan dengan kesesakan yang berpunca daripada kemalangan, kerosakan kenderaan, kerosakan lampu isyarat, sekatan jalan raya, banjir kilat dan pelbagai lagi punca kesesakan. Tak sungai tiram lah kalau tak sesak, tak sungai tiram lah kalau tak ada air, tak sungai tiram lah kalau tak ada elektrik. Itulah antara ayat-ayat sinis yang diterima dalam laman media sosial dan aplikasi Whatsapp. Jadi, sudah tiba masanya pihak kerajaan membantu menyelesaikan masalah ini.
Yang kedua, Tiram mohon perhatian daripada pihak kerajaan negeri tentang isu besar yang ada di beberapa sekolah. Yang pertama, Sekolah Kebangsaan Pasir Putih berdepan dengan masalah padang sekolah mereka yang sentiasa digenangi air sama ada musim El Nino apatah lagi musim La Nina. Sudah tiba masanya padang sekolah mereka ini diperbaiki. Setiap kali ada program sekolah setiap kali itulah mereka bersukan dalam keadaan padang yang becak. Tiram pernah ke sana pada waktu panas terik tetapi apa yang dilihat air tetap bergenang di atas padang. Mohon kerajaan negeri bantu atau mohon Yang Berhormat EXCO kejarkan KPM tentang perkara ini.
Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini dalam pembentangan Bajet Persekutuan, kerajaan Malaysia ada mengumumkan beberapa pembinaan sekolah dalam kawasan DUN Tiram. Apa yang Tiram ingin bangkitkan adalah bukan isu sekolah di bawah KPM, tapi isu yang ketiga iaitu Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Johor. Besar harapan Tiram untuk menggesa kerajaan negeri mula memikirkan untuk menambah sekolah-sekolah agama dalam DUN Tiram khususnya. Antara kawasan yang mula melimpah dengan pembangunan projek perumahan, adalah seperti di Bandar Layangkasa dan Meridian East. Sekolah agama yang berhampiran adalah Sekolah Agama Kong Kong Laut dan Sekolah Agama Datuk Haji Abdul Rahman Ahmad yang telah pun menerima pelajar-pelajar tempatan daripada Kampung Cahaya Baru, Kampung Sentosa, Kampung Sungai Latok, Kampung Sungai Peneram, Ladang Kek Seng dan Bandar Bestari Perdana. Begitu juga dengan kawasan Taman Kota Masai, Sungai Tiram serta di kawasan pekan Ulu Tiram. Pertambahan penduduk menuntut agar pembinaan baru sekolah-sekolah agama juga perlu dibuat bagi membolehkan sistem pendidikan agama kerajaan Johor dapat disampaikan dalam persekitaran sekolah yang lebih kondusif.
Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh hal sekolah, saya juga ingin berkongsi dengan Yang Berhormat EXCO iaitu EXCO Pendidikan iaitu isu yang keempat yang pernah dibangkitkan pihak sekolah kepada saya tentang jumlah pekerja kontrak pembersihan yang sama untuk sekolah harian yang mempunyai asrama ataupun tidak ada asrama. Saya dimaklumkan pekerja bagi setiap kontrak pembersihan sekolah-sekolah hanya ada 7 orang pekerja saja. Mungkin boleh dipanjangkan kepada KPM agar untuk sekolah-sekolah harian yang berasrama ini dapatlah dikaji keperluan pekerjanya jumlah pekerjanya yang tepat dengan beban tugas yang berbeza.
Yang Berhormat Datuk Speaker, isu yang kelima ingin saya bawa adalah suara sahabat-sahabat saya, pemandu-pemandu teksi Ulu Tiram yang beroperasi sekitar pekan Ulu Tiram dan Sungai Tiram. Rata-rata mereka ini adalah mereka yang bergantung harap pendapatan membawa teksi semata-mata. Kenderaan mereka juga dah masuk kategori warga emas Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman buat masa ini status mereka adalah pemandu teksi kereta sewa. Apabila mereka berhasrat untuk menaik taraf kenderaan mereka, kepada kenderaan yang lebih baik dan baru mereka berdepan dengan isu syarat tukar kenderaan. Apa yang berlaku, permit akan ditukar daripada kereta sewa kepada teksi bermeter. Alasannya kawasan Ulu Tiram ini kawasan Bandaraya Johor Bahru. Betul Ulu Tiram, Sungai Tiram ini dalam kawasan Bandaraya Johor Bahru di bawah pentadbiran MBJB. Namun, kawasan ini lebih bertaraf pinggir bandar. Jadi, saya mohon Yang Berhormat EXCO berkaitan berbincanglah dengan agensi persekutuan untuk lihat semula syarat-syarat yang ditetapkan. Pemandu teksi ini juga ada perasaan untuk upgrade dengan izin kereta sewa mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, baru-baru ini berlaku tumpahan minyak di perairan Kampung Pasir Putih. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO yang telah turun menyantuni mereka yang terlibat. Besar harapan Tiram agar nasib nelayan dan pengusaha rakit kupang dapat dibela sebaik-baiknya.
Selain daripada itu, Tiram juga ingin juga ingin membangkitkan isu kawasan tanah perkuburan di pekan Ulu Tiram yang semakin penuh. Tiram dimaklumkan terdapat satu kawasan tanah Majlis Agama Islam Johor di Kampung Tenang Sungai Tiram yang terletak kira-kira 5 kilometer daripada tapak perkuburan sekarang. Tiram mengharapkan agar ini boleh dijadikan kawasan tanah perkuburan yang baru bagi kawasan Tiram. Tanah perkuburan di pekan Ulu Tiram turut menjadi lokasi pengebumian selepas Tanah Perkuburan Taman Mount Austin juga telah penuh.
Menyebut Kampung Tenang ni Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram juga ingin mengambil perhatian Dewan tentang bancian setinggan di kawasan Mukim Plentong yang meliputi Kampung Tenang. Penduduk tertanya-tanya kerana mereka dimaklumkan akan ditempatkan di PPR Sungai Tiram bagi yang layak. Namun, sehingga kini Tiram dimaklumkan masih belum selesai lagi bancian yang dibuat berbanding dengan penduduk di sekitar Mukim Sungai Tiram yang telah pun berpindah ke PPR seterusnya.
Yang Berhormat Datuk Speaker, seterusnya ada juga aduan daripada penduduk Taman Nora yang telah mengadu tentang lori yang dipandu laju di dalam kawasan perumahan di Jalan Berlian, Taman Nora. Tak kira masa daripada pagi sampai ke malam pun sama. Jadi, kita mohon agensi berkaitan untuk bantu mengatasi isu ini.
Akhirnya Yang Berhormat Datuk Speaker, Tiram menggesa dan menyeru agar kerajaan negeri dapat melihat semula tangga gaji dan elaun petugas-petugas dan penyelia serta pembantu penyelia di PK, PDK dan PAWE yang dilihat terlalu rendah dari gaji minima yang ditetapkan oleh kerajaan. Sebahagiannya sukar mendapat pinjaman dan kadar gaji yang kurang menarik ini telah menyebabkan PDK ataupun PAWE sukar mendapat pengganti apabila berlaku penyelia ataupun pembantu penyelia ataupun petugas berhenti daripada PK, PDK ataupun PAWE. Mewakili mereka juga, Tiram ingin merakamkan penghargaan di atas insentif-insentif yang diberi oleh kerajaan kepada penyelia dan petugas PK, PDK. Kalau boleh ianya Yang Berhormat EXCO ingin juga dipanjangkan juga insentif ini buat penyelia dan pembantu penyelia PAWE di seluruh negeri Johor.
Yang Berhormat Datuk Speaker, moga Allah lindungi kita semua dan memberi kemudahan dalam menghadapi dan menguruskan monsun timur laut yang telah sampai sehingga berakhir sekitar Mac 2026. Yang Berhormat Datuk Speaker sebelum saya terlupa, ada juga berlaku isu-isu kebakaran dalam kawasan DUN Tiram mungkin boleh dicadangkan untuk dilihat, dikaji semula pendawaian yang mungkin kita boleh bekerjasama dengan kolej komuniti, GIAT MARA, pelajar-pelajar di sana untuk kita bantu lihat taman-taman perumahan yang dah lama
ni, mungkin kita boleh sama-sama melihat sistem pendawaian sedia ada dan saya yakin dan percaya ianya dah cukup lama di rumah mereka.
Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih dan setinggi penghargaan kepada ketua-ketua jabatan dan pegawai serta anggota jabatan negeri dan persekutuan yang sentiasa membantu Tiram dalam banyak perkara. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan lagi dengan berbaki 42 hari lagi tahun ini termasuk hujung minggu dan cuti umum. Insya-Allah kita bekerjasama lagi pada tahun 2026 dan seterusnya. Terima kasih juga kepada Dewan di atas penyelesaian beberapa isu yang dibawa Tiram pada Mesyuarat Pertama Persidangan Dewan pada Mei 2025 yang telah diambil tindakan. Antaranya adalah kerja-kerja pembukaan jejambat di Plaza Tol Cahaya Bahru, kerjanya pun dah bermula, begitu juga dengan jambatan di Kampung Tenang yang telah pun diadakan Mesyuarat Kick-Off, dengan izin pada awal Oktober yang lalu.
Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi patik dan seluruh bangsa Johor dalam DUN Tiram menjunjung kasih ke atas Titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menzahirkan kepentingan tinggi terhadap isu-isu rakyat serta masa depan pembangunan negeri Johor. Justeru Tiram menyeru kerajaan pusat, tidak melupakan kerajaan Johor dalam aspek pembangunan yang ditekankan dan Tiram menyokong penuh terhadap Titah Tunku agar segala projek pembangunan di negeri Johor perlu dipercepatkan. Patik juga merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih pada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan keluarga diraja yang tidak pernah lekang dan terus membantu Bangsa Johor yang memerlukan bantuan melalui yayasan-yayasan keluarga diraja. Allah peliharakan Sultan, Daulat Tuanku. Sekian Tiram mohon menyokong, wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. (Dewan bertepuk.)
Terima kasih Tiram. Dipersilakan Yang Berhormat Bukit Batu.
Terima kasih YB Datuk Speaker. Salam sejahtera, salam Maju Johor dan salam Malaysia MADANI. Patik Merafak Sembah Ucapan Setinggi-Tinggi Tahniah Dan Selamat Hari Ulang Tahun Keputeraan Kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bakal menjelang 22 November ini. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala bimbingan dan nasihat kepada semua Wakil Rakyat dan rakyat Johor. Ampun Tuanku.
YB Datuk Speaker, terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor atas pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang begitu komprehensif, jelas hala tujunya dan berpaksikan kepentingan rakyat Johor. Belanjawan ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk membina negeri Johor yang lebih makmur, progresif dan berdaya saing. Saya bangun hari ini untuk menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2026, kerana ia merupakan satu dokumen dasar yang realistik, berani serta membawa manfaat langsung kepada rakyat Johor termasuk warga di kawasan Bukit Batu.
Terdapat lima fokus utama yang akan saya bahaskan pada hari ini, iaitu fokus nombor satu, Belanjawan Pro Rakyat dan Perlindungan Sosial. Belanjawan 2026 memberikan pendekatan yang tinggi terhadap agenda kebajikan rakyat. Pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk bantuan kos sara hidup, pengukuhan pendidikan untuk anak Johor, sokongan kepada warga emas serta perhatian kepada golongan rentan membuktikan bahawa kerajaan negeri komited untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir. Dalam situasi ekonomi global yang mencabar, langkah-langkah ini bukan sahaja memberikan kelegaan dan ketenangan kepada rakyat, malah memperkukuhkan jaringan jaminan sosial negeri, memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat terus terpelihara.
Fokus kedua, Pertumbuhan Ekonomi dan Peluang Pekerjaan. Saya juga menyokong penuh usaha kerajaan negeri memperkukuhkan sektor ekonomi termasuk industri digital, pelaburan berimpak tinggi serta pembangunan Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai nadi pertumbuhan negeri. Johor kini berada dalam kedudukan strategik sebagai gerbang pelaburan serantau. Langkah kerajaan mempelbagaikan ekonomi akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia dan rakyat tempatan termasuk di Bukit Batu.
Fokus ketiga, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Yang Berhormat Datuk Speaker, isu infrastruktur adalah antara keutamaan saya di Bukit Batu. Maka, saya amat menghargai komitmen Belanjawan 2026 yang memberi fokus kepada nombor satu, penaik taraf, penaiktarafan jalan raya, sistem saliran dan mitigasi banjir dan ketiga kemudahan awam yang lebih moden dan selamat. Di kawasan Bukit Batu, isu banjir kilat dan penyelenggaraan perparitan sering menjadi aduan utama. Justeru, saya amat berharap peruntukan di bawah sektor infrastruktur dapat di priority kan bagi memastikan masalah ini dapat ditangani secara berkesan. Bukit Batu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor dan juga Yang Berhormat Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor berserta semua pihak yang terlibat atas usaha cemerlang dalam menyiapkan projek selekoh ‘S’ di kilometer 38 hingga 40 Kulai. berdekatan Pekan Kelapa Sawit. Projek ini bermula pada tahun 2016, namun terpaksa dihentikan pada tahun 2021 kerana kontraktor terdahulu tidak menepati prestasi. Kawasan ini terkenal sebagai hotspot kemalangan jalan raya yang telah meragut banyak nyawa. Kini berkat usaha keras semua pihak pengguna jalan raya dapat melalui kawasan ini dengan lebih selamat, selesa dan lancar sekali gus meningkatkan keselamatan serta keselesaan perjalanan harian rakyat.
Untuk maklumat Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, peningkatan serta lonjakan ekonomi Johor yang sedang diusaha dan dirancang oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor bersama Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Johor. Antara inisiatif utama tersebut termasuklah Johor-Singapore Special Economy Zone (JS-SEZ), RTS Link Johor-Singapura, Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) serta pembangunan pusat data dan industri teknologi tinggi. Kesan limpahan pembangunan ini turut dapat dilihat di DUN Bukit Batu khususnya melalui pertambahan projek pembinaan perumahan, pembangunan perindustrian serta kewujudan pusat data, Data Centre baharu seperti Ibrahim Technopolis (IBTEC) dan juga YTL Green Data Centre Park. Sebagai seorang Bangsa Johor, Bukit Batu menyokong penuh serta menyambut baik segala peningkatan dan pemerkasaan ekonomi yang berlaku di negeri Johor termasuk di kawasan Bukit Batu sendiri. Namun demikian, pembangunan pesat ini turut membawa cabaran baharu yang perlu diberi perhatian khususnya melibatkan masalah kesesakan jalan raya yang semakin ketara.
Antara lokasi yang paling terkesan ialah FT 001 dari KM 37 hingga KM 53 yang tadi saya sebut projek selekoh ‘S’, ia sambung depan lagi sampai ke Bukit Batu dan juga Layang-Layang yang kini menampung jumlah pengguna jalan raya yang tinggi setiap hari.
Sehubungan itu, Bukti Batu mencadangkan agar projek menaik taraf jalan Johor Bahru ke Air Hitam FT 001 dari KM 37.0 hingga KM 53.0 dalam daerah Kulai, Johor dapat dipertimbangkan dengan segera. Cadangan ini juga selaras dengan pembentangan rasmi oleh JKR Kulai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Kulai Bilangan 3 Tahun 2024 yang menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan keselamatan dan kelancaran aliran trafik di laluan berkenaan. Untuk makluman semua, laluan FT001 ini merupakan laluan utama ke utara tanah air sebelum pembukaan Lebuh Raya Utara Selatan. Laluan ini menjadi jalan asal bagi semua kenderaan dari arah selatan ke utara dengan melalui Pekan Senai, Kulai, Kelapa Sawit, Bukit Batu dan seterusnya ke Ayer Hitam. Cadangan jajaran terletak sepenuhnya di Mukim Bukti Batu di bawah kawasan Parlimen Kulai. Jalan sedia ada ialah jalan dua lorong, dua hala single carriageway. Kewujudan beberapa premis
kuari serta kawasan perindustrian yang tertumpu di Bukit Batu telah menyebabkan kesesakan khususnya pada waktu puncak, musim perayaan dan juga cuti hujung minggu. Cadangan projek melibatkan menaik taraf jalan sedia ada kepada empat lorong, dua hala dua carriageway sepanjang 16.0km selaras dengan pembangunan pesat di Ibrahim Technopolis (IBTEC) serta kawasan perumahan baharu di Kelapa Sawit.
Terdapat pertindihan zon pembangunan dengan pihak IRDA dan juga JCorp di kawasan persimpangan Sedenak yang dijangka dilaksanakan pada tahun 2025. Sekarang sudah November, Yang Berhormat Datuk tetapi nampaknya tidak ada apa-apa perkembangan dalam projek tersebut. Oleh sebab itu, saya memohon agar pihak IRDA dan juga JCorp dapat mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut bagi memastikan kesinambungan pembangunan di koridor ini. Kerja menaik taraf ini turut melibatkan beberapa impak sosial seperti perpindahan tapak perkuburan, premis perniagaan, kawasan perumahan dan juga lain-lain. Susulan pelarasan semua rizab jalan bagi jajaran baharu. Dengan segala hormatnya saya memohon jasa baik Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan juga YB EXCO Kerja Raya berkenaan untuk menimbang serta meluluskan cadangan menaik taraf FT001 daripada KM37 hingga KM53 demi kepentingan keselamatan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat Bukit Batu khususnya serta daerah Kulai amnya.
Fokus keempat, Alam Sekitar dan Kelestarian. Belanjawan 2026 turut mempamerkan komitmen kerajaan terhadap agenda hijau. Usaha memperkukuh pengurusan sisa pepejal, dasar tenaga bersih serta inisiatif pemulihara alam sekitar merupakan langkah penting ke arah membentuk sebuah negeri yang lebih lestari dan berdaya tahan. Di Bukit Batu, isu pencemaran udara dan habuk daripada aktiviti kuari merupakan perkara yang sentiasa saya tekankan. Terdapat lebih daripada 10 kuari dan operasi berkaitan di kawasan DUN Bukit Batu termasuk di sekitar Gunung Pulai dan juga Ulu Choh. Kawasan-kawasan ini menerima tekanan pembangunan yang pesat. Namun, pada masa yang sama berdepan cabaran alam sekitar yang semakin meruncing.
Pada 7 hari bulan Mei 2025, Bukit Batu telah menganjurkan sesi townhall isu pencemaran udara di kawasan Air Bemban. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berusaha Tuan Fizwan bin Dato’ Haji Mohamad Rashidi, Pegawai Daerah Kulai serta wakil Pejabat Tanah, MPKu, JKR, JAS dan pengusaha-pengusaha kuari yang hadir bagi mencari penyelesaian mengurangkan pencemaran habuk dan pasir. Susulan itu, MPKu, pihak MPKu, Pejabat Tanah dan juga JAS telah menjalankan operasi serta pemantauan terhadap operator kuari. Namun setelah enam bulan berlalu, hasilnya masih belum memuaskan. Keadaan habuk di Air Bemban dan Ulu Choh bukan sahaja tidak bertambah baik malah semakin membimbangkan. Banyak kali Bukit Batu telah membawa isu ini ke peringkat agensi berkaitan termasuk dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Kulai. Malangnya, kita masih berdepan situasi di mana terdapat kekeliruan mengenai peranan dan tanggungjawab antara beberapa agensi kerajaan. Keadaan ini menyukarkan penyelarasan dan menjejaskan usaha menyelesaikan isu pencemaran secara tuntas. YB Kota Iskandar dan juga Senai boleh jadi saksi kepada keseriusan aduan. Saya mengucapkan terima kasih kepada dua-dua YB ini Senai dan juga Kota Iskandar kerana selalu memberi nasihat dan dorongan sama ada dalam mesyuarat dan juga di luar mesyuarat. Terima kasih YB.
Kerajaan yang berkesan ialah kerajaan yang mampu menyeimbangkan pembangunan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti. Prinsip tadbir urus yang baik menuntut agar aktiviti kuari tidak mencemarkan udara, tidak merosakkan sumber air, tidak mengundang risiko tanah runtuh serta memastikan keselamatan penduduk sentiasa diberi keutamaan. Dengan ini, saya menyeru Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran Kewangan, Perancangan Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Negeri Johor untuk menentukan satu sistem atau Standard Operating Procedure (SOP) untuk mengawal kuari business di Johor. Saya memberi lapan prinsip utama tadbir urus kuari yang baik.
Nombor satu, proses pelesenan dan kelulusan ketat. Kerajaan yang bertanggungjawab memastikan kriteria jelas sebelum lesen kuari diluluskan. Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) wajib untuk kuari baru. Libat urus komuniti, penduduk mesti dimaklumkan sebelum kelulusan. Hanya syarikat yang kompeten, pengalaman dan patuh undang-undang diberi lesen. Dengan ini usaha-usaha di atas akan memastikan hanya pengusaha yang layak dan bertanggungjawab dibenarkan beroperasi.
Kedua, maklumat lesen yang telus dan boleh diakses awam. Kerajaan kena memastikan senarai kuari berlesen dipaparkan kepada umum termasuk nama pengendali, lokasi dan zon penampan, tarikh luput permit, syarat penilaian impak alam sekitar (EIA) dengan izin, Environmental Impact Assessment. Pembaharuan lesen bergantung kepada pematuhan syarat. Syarat-syarat di atas adalah untuk menghalang operasi kuari haram dan meningkatkan kepercayaan rakyat.
Ketiga, pemantauan digital dan pelaporan masa nyata. Kerajaan negeri boleh moden menggunakan teknologi untuk memantau kuari. Untuk memasang CCTV, geofencing terus ke pusat kawalan daerah atau negeri. Dan juga GPS untuk semua lori kuari memantau laluan, kelajuan dan pembuangan haram dan juga pasang sistem timbang digital disambung terus ke pelayan kerajaan dan juga boleh pasang sensor kualiti udara di pasang di sempadan kuari. Dengan ini akan mengurangkan ketirisan data lebih tepat dan pematuhan lebih tinggi.
Keempat, Kawalan Alam Sekitar dan Amalan Lestari. Kerajaan bertanggungjawab memastikan kawalan habuk seperti minta pengurus operator kuari untuk menggunakan water sprinkler, wheel-wash, had bunyi dan gegaran yang ketat demi penduduk sekitar, pengurusan tanah dan sisa yang baik untuk elak pencemaran sungai, pelan rehabilitasi selepas kuari ditutup iaitu penghijauan semula.
Sehubungan dengan itu, Bukit Batu mencadangkan kerajaan negeri memperkenalkan syarat yang membolehkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memanfaatkan wang amanah kuari untuk tujuan Corporate Social Responsibility (CSR), termasuk kerja-kerja pembersihan dan pengurusan habuk di kawasan sekitar pengusaha kuari demi menjaga alam sekitar dan kesejahteraan penduduk supaya aktiviti kuari tidak menjejaskan kesihatan rakyat dan alam sekitar.
Kelima, Audit Keselamatan dan Alam Sekitar Secara Berkala. Kerajaan perlu melakukan pemeriksaan berkala sama ada bulanan atau suku tahun, pemeriksaan mengejut untuk aktiviti letupan, habuk dan keselamatan lori, audit pematuhan tahunan dengan penalti jika gagal untuk memastikan standard keselamatan seragam dan mencegah kemalangan atau letupan haram.
Keenam, Penguatkuasaan dan Penalti Tegas. Sebuah kerajaan yang berwibawa mesti tegas namun tetap adil dalam melaksanakan setiap bentuk penguatkuasaan seperti denda berat untuk kuari haram, penggantungan serta-merta untuk pelanggaran berulang. Senarai hitam syarikat yang melanggar peraturan, tindakan undang-undang untuk pencemaran atau risiko keselamatan untuk menetapkan akauntabiliti tinggi dan menghalang pengendali tidak bertanggungjawab.
Ketujuh, Libat Urus Komuniti dan Tanggungjawab Sosial. Kerajaan berpaksikan rakyat memastikan saluran aduan rakyat seperti hotline, whatsapp, townhall, tanggungjawab sosial korporat (CSR) wajib, penyelenggaraan jalan, sumbangan kemudahan komuniti dan juga program keselamatan untuk menentukan hubungan baik antara kuari, komuniti dan juga kerajaan.
Kelapan, Ketelusan Hasil dan Royalti Negeri. Kerajaan tadbir urus baik memastikan struktur cukai atau royalti yang jelas, pelaporan digital jumlah pengeluaran untuk elak under
declaration, hasil digunakan semula bagi pembangunan infrastruktur dan pemulihan alam sekitar untuk mengurangkan ketirisan dan memastikan kuari menyumbang secara adil kepada ekonomi negeri. Saya menyokong penuh usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh kawal selia industri ini demi keselamatan dan keselesaan penduduk.
Fokus kelima, Tadbir Urus Berintegriti dan Digitalisasi. Saya juga menghargai fokus kerajaan terhadap peningkatan kecekapan pentadbiran melalui digitalisasi perkhidmatan dan pemantapan integriti. Ini memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara berhemah dan memberi pulangan terbaik kepada rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Belanjawan Johor 2026 bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi suatu pelan tindakan menyeluruh untuk membina negeri yang lebih maju, inklusif dan mampan. Bagi pihak warga Bukit Batu, sekali lagi saya menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2026 kerana ia mengangkat kepentingan rakyat, memacu ekonomi dan memperkukuh asas pembangunan negeri. Dengan sepenuh harapan, saya percaya belanjawan ini akan bawa Johor ke tahap yang lebih gemilang pada tahun-tahun mendatang. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Batu. Seterusnya, yang terakhir Yang Berhormat Sedili.
Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Segala pujian-pujian kepada Allah SWT yang Maha Esa. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Salam sejahtera dan salam Maju Johor, salam untukmu Sedili.
Yang Berhormat Datuk Speaker, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan izin limpah kurnianya serta diberikan ruang dan kesempatan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan sempena Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2026 Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di dalam Dewan yang mulia pada hari ini.
Sebelum Sedili melangkah jauh membahaskan pembentangan Bajet 2026, izinkan Sedili terlebih dahulu merafak sembah dengan dua rangkap pantun. Patik Sedili merafak sembah menjunjung setinggi tahniah dan ucapan selamat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diberkati Allah, dilindungi Ilahi, dikurniakan rahmat. 22 November tarikh keramat, kesihatan dan kehormatan dikurniakan Allah, bijaksana Tuanku menaungi rakyat, Johor Maju penuh barakah.
Yang Berhomat Datuk Speaker, patik dan seluruh warga Sedili penuh takzim memanjat doa ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Raja Permaisuri Agong serta seluruh anaknda dan kerabat Diraja sentiasa dikurniakan Allah keberkatan usia, dikekalkan dalam keafiatan dan sejahtera serta dilanjutkan usia pemerintahan agar terus menaungi sekalian rakyat dan Bangsa Johor.
Sedili juga menjunjung setinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Dari Johor Bharu hingga ke Segamat, kecekapan Tunku tiada tara, Johor dipimpin jaya dan selamat, Bangsa Johor hidup dalam sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sedili ingin merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta seluruh anggota Perkhidmatan Awam Negeri Johor yang berkerja keras dan konsisten mentadbir dan memimpin Johor dalam memastikan negeri dan Bangsa Johor terus maju dan sejahtera. Dato’ Onn Hafiz Menteri Besar, bangun awal Semarak Subuh, sentiasa istiqamah laksana dasar, Maju Johor kekal utuh.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan kemampuan dan kewibawaan YAB Menteri Besar membolehkan Johor menarik pelaburan berjumlah RM218 bilion dan lebih menggembirakan melalui pelaburan tersebut, Johor dapat menghasilkan lebih 64,000 peluang pekerjaan dengan kadar pengangguran yang terus kekal rendah pada 2.3%. Pertumbuhan KDNK 6.4% menjadikan Johor negeri dengan pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia. Kita berdoa agar Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor sihat dan terus beriltizam untuk memipin Johor ke arah kemajuan seperti yang telah dibuktikan termasuk dengan nilai hasil jualan pertanian RM27.2 bilion yang tertinggi dalam negara.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Melalui usaha yang gigih Yang Amat Berhormat Menteri Besar, barisan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri yang diketua oleh Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta barisan EXCO telah memperlihatkan suatu yang mustahil berlaku boleh berlaku. Sesuatu perkara yang tidak terduga dan tidak pernah berlaku di negeri ini telah pun berlaku. Sedili mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri yang menjadikan fantasi indah melalui pelaksanaan 42 inisiatif tambahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) dengan peruntukan sebanyak RM209 juta.
BKJ telah memberi impak menyeluruh kepada rakyat Johor yang jarang berlaku dan tidak pernah berlaku. Secara keseluruhan seramai 939,561 rakyat Johor menerima inistaif BKJ ini. Malah kerajaan Johor turut memberi BKJ secara bulanan kepada seramai 201,934 rakyat Johor termasuk Bantuan Sara Hidup Bulanan kepada 19,340 orang fakir miskin dengan peruntukan RM82.8 juta. Justeru, nikmat apakah lagi yang mahu didustai? Kita perlu panjantkan rasa syukur atas nikmat yang diberikan ini. Sekali lagi, setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Sungguh pun begitu, Sedili ingin mencadangkan agar Kerajaan Negeri Johor mewujudkan peluang ekonomi seperti mewujudkan tapak penjaja kepada golongan fakir miskin ini bagi mengurangkan kadar fakir miskin di negeri Johor.
Melalui BKJ, bukan sahaja kepada penerima yang lazim diketahui sebagai penerima seperti golongan asnaf dan ketua kampung, malah turut merangkumi pelbagai lapisan rakyat termasuk Ketua Blok di FELDA yang juga memberikan impak kepada Sedili yang mengandungi kawasan FELDA. Pengamal media juga turut menerima BKJ. Pendekatan yang menyeluruh ini membuktikan kerajaan Johor sebuah kerajaan yang prihatin. Sedili ingin mencadangkan kepada media secara am, dan khusus kepada Media Digital Johor agar dapat melaporkan kemajuan yang dicapai ini dapat dikongsi pengetahuan oleh rakyat dengan lebih kerap.
Yang Berhormat Datuk Speaker, dengan bersandarkan 6 Teras Nadi Pembangunan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menyentuh beberapa perkara termasuk tadbir urus kerajaan. Sedili mengucapkan tahniah atas 35 inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri. Dalam Program Jelajah Orang Johor, Sedili mencadangkan agar melibatkan lebih banyak di setiap kawasan yang dijelajahi khususnya kepada golongan belia. Majlis Belia Daerah perlu bersama-sama memainkan peranan sebagai penggerak kepada Jelajah Orang Johor (JOJ). Program merupakan program yang sangat baik dalam menjalinkan hubungan kerajaan dengan masyarakat.
Sedili merakamkan terima kasih kepada kerajaan yang mewujudkan Geran Pengurusan dan Pentadbiran kepada 73 Jawatankuasa Kemajuan Rancangan FELDA yang turut melibatkan beberapa FELDA dalam kawasan Sedili. Pihak FELDA perlu bersyukur dengan geran yang diwujudkan oleh kerajaan Johor ini. Namun, Sedili mencadangkan kerajaan persekutuan juga dapat membantu JKKR FELDA yang ada di seluruh negara ini dengan peruntukan tambahan. Hal ini sekaligus mampu mewujudkan pentadbiran yang lebih efisien, sekaligus dapat mensejahterakan kawasan FELDA.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Program Semarak Subuh telah diteruskan pada tahun 2026 dengan pelaksanaannya ditambah daripada dua kali kepada tiga kali seminggu dengan jumlah peruntukan RM2.92 juta. Satu usaha kerajaan negeri yang sangat baik. Semarak Subuh walaupun satu program kerajaan tetapi seharusnya menjadi satu program rakyat yang dilaksanakan dengan kejujuran dan keikhlasan. Maknanya yang hadir Semarak Subuh hadir dengan jiwa dan semangat tanggungjawab sebagai penganut agama Islam. Sedili mencadangkan diwujudkan Jawatankuasa Sekretariat Semarak Subuh di setiap daerah dengan melibatkan golongan belia.
Sedili sangat mengharap, menghargai keprihatinan kerajaan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan sumbangan one-off kepada semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan peruntukan sebanyak RM2.95 juta. Dengan jumlah PIBG yang dianggarkan sebanyak 1,193 di negeri Johor. Dengan angggaran setiap persatuan menerima sebanyak RM1,500.00. Sedili ingin mencadangkan agar pembahagian peruntukan kepada setiap PIBG diberikan berdasarkan kepada kapasiti ahli PIBG.
Kadar pertumbuhan penduduk dan pertambahan tugas, sumbangan bantuan pegawai daerah dengan peruntukan sebanyak RM3 juta, RM300.00 setiap daerah adalah menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan faham dengan kesukaran melaksanakan tugas sebagai Pegawai Daerah. Sebagai contoh, hampir semua Pegawai Daerah di negeri Johor menyandang jawatan secara automatik sebagai Pengerusi Majlis Kebudayaan Daerah. Justeru Sedili juga mencadangkan jawatankuasa secara automatik yang disandang oleh Pegawai Daerah dan NGO hendaklah dikaji semula hal ini bagi membolehkan Pegawai Daerah melaksanakan tugas hakiki mereka yang agak banyak dan amanah yang berat, jika Wakil Rakyat mempunyai 56 kawasan DUN, daerah hanya memiliki sepuluh sahaja.
Yang Berhormat Datuk Speaker, tahun 2026 merupakan Tahun Melawat Johor (TMJ). Marilah kita sama-sama menjual keindahan Johor, warisan Johor, Bangsa Johor kepada para pelancong yang datang ke negeri ini. Sama-sama kita menjaga adab Bangsa Johor dengan mempamerkan budi bahasa dan akhlak yang tinggi. Sedili mengucapkan tahniah kepada kerajaan Johor atas penganjuran TMJ 2026. Memandangkan kawasan Sedili terdapat banyak pusat pelancongan, Sedili memohon agar beberapa pengajuran acara pelancongan antarabangsa diadakan di Sedili. Sedili memohon untuk menganjurkan festival berbentuk kebudayaan dan warisan bertaraf antarabangsa. Bagi menyemarakkan semangat Bangsa Johor, Sedili memohon peruntukan untuk menganjurkan program kesenian dan kebudayaan di kawasan Sedili. Sedili berharap program ini akan dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Johor 2026.
Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pembangunan sosial. Dalam masa kita mempergiatkan projek-projek infrastruktur, perumahan, kesihatan, keselamatan dan mobiliti rakyat, aspek-aspek seperti penyelidikan, sokongan komuniti, keselamatan makanan, kesihatan mental serta kebajikan keluarga turut diberikan penekanan yang tinggi. Ini selaras dengan aspirasi Johor untuk membangunkan negeri bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga kualiti hidup rakyatnya. Bajet Bangsa Johor Sejahtera ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan bahawa kemajuan ekonomi yang dicapai hasil pelaburan besar, pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan dan kecekapan tadbir urus benar-benar kembali kepada rakyat dalam bentuk manfaat yang nyata dan berterusan.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sedili melihat peningkatan gejala sosial yang melibatkan remaja dan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini sesuatu yang membimbangkan. Walaupun gejala ini masih terkawal di negeri Johor, namun langkah prokatif perlu dilakukan agar kes yang melibatkan remaja dan membimbangkan kita seperti kes buli, rogol, ponteng kelas, pergaduhan, penyalahgunaan gajet dan barang terlarang serta jenayah serius dapat ditangani sebaik mungkin sebelum menjadi barah dalam masyarakat. Sedili mencadangkan Jawatankuasa Pencegahan Gejala Sosial di setiap daerah dengan dianggotai oleh semua
pihak termasuk Wakil Rakyat, Pasukan Keselamatan, Pejabat Pendidikan Daerah, NGO Belia, pihak masjid, PIBG dan golongan pelajar. Namun penubuhan jawatankuasa ini tidak bermakna jika sekadar ditubuhkan sahaja tetapi perlu bergerak secara aktif dengan pertemuan sekurang-kurangnya dua (2) bulan sekali dan lawatan yang kerap ke sekolah-sekolah. Semasa lawatan ini dilakukan pihak jawatankuasa perlulah bertemu pelajar dan guru secara menumpang program kokurikulum.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sedili amat percaya langkah mencegah lebih baik daripada mengubati penyakit gejala sosial. Dengan didikan agama yang didokong oleh kerajaan Johor melalui sistem pendidikan sekolah agama seawal usia tujuh tahun, pembinaan akhlak dan adab warga Johor boleh dilakukan sejak zaman rebung lagi.
Yang Berhormat Datuk Speaker, BKJ Pengamal Media sebanyak RM1,000.00 seorang dengan peruntukan RM200,000.00 satu langkah kerajaan menghargai golongan wartawan yang bersusah payah melaporkan berita dan menyebarkan maklumat kepada masyarakat. Sedili ingin mencadangkan kepada semua media khususnya akhbar agar dapat melaporkan kemajuan yang dicapai di kawasan DUN dalam negeri Johor. Sedili juga mencadangkan kepada Media Digital Johor, turut memainkan peranan menyebarkan maklumat tentang negeri Johor seperti pembangunan Johor dengan lebih kerap dan ditularkan untuk pengetahuan rakyat. Kita mahu rakyat tahu apa yang telah kerajaan lakukan untuk kesejahteraan rakyat Bangsa Johor. BKJ umpamanya, perlu ditularkan dan dimaklumkan dalam media secara kerap sebagai bukti kerajaan prihatin dan berusaha mensejahterakan rakyat.
Yang Berhormat Datuk Speaker, projek naik taraf dan melebar jalan-jalan kampung membuktikan kerajaan Johor sentiasa memikirkan infrastruktur yang berkualiti bukan sahaja di bandar tetapi di luar bandar. Sedili juga tidak mahu melihat kampung-kampung di Sedili dalam keadaan ketinggalan dan berharap kerajaan Johor dapat menyalurkan dana peruntukan untuk pelebaran jalan di beberapa buah kampung di Sedili dan juga memohon kerajaan dapat menyalurkan peruntukan pemasangan dan menaik taraf lampu jalan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi di waktu malam.
Yang Berhormat Datuk Speaker, Sedili mengucapkan tahniah kepada kerajaan Johor atas kejayaan menganjurkan Bazar Buku Antarabangsa Johor 2025. Atas kejayaan tersebut kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM400,000.00 untuk penganjuran Bazar Buku Antarabangsa Johor 2026. Langkah ini amat baik ke arah mewujudkan budaya membaca di kalangan Bangsa Johor. Pada tahun 2023, anugerah buku secara skala kecil telah diadakan pada tahun 2023 melalui penganjuran Bazar Buku Johor oleh Perpustakaan Awam Johor dan Persatuan Penulis Johor. Sedili ingin mencadangkan diwujudkan Anugerah Buku Johor 2026 sempena Bazar Buku ini, Dengan menggunakan sumbangan peruntukan daripada RM400,000.00, penerima anugerah buku bukan sahaja kepada penulis tetapi juga kepada Bangsa Johor yang cinta akan buku. Sedili juga mencadangkan agar membawa penulis yang hadir di bazar buku ke sekolah di kawasan Sedili untuk memberikan pendedahan tentang penulisan.
Saya nak bawa isu berkaitan dengan tapak pelupusan sampah di tempat saya iaitu di Lok Heng. Baru-baru ini telah viral bantahan penduduk Gugusan Lok Heng tentang isu ini. Selaku seorang penduduk Lok Heng yang telah menetap di perkampungan ini sejak tahun 1982 hingga kini. Saya mohon cadangan ini dikaji semula, walaupun ianya telah dirancang 10 hingga 12 tahun yang lalu oleh pihak KEJORA yang ketika itu, untuk memindahkan tapak pelupusan sampah di Bukit Tuatau Bandar Penawar ke tempat yang baharu. Memandangkan beberapa faktor kebimbangan daripada penduduk seperti tapak pelupusan yang dicadangkan berdekatan tapak perumahan generasi kedua dan juga penduduk asal Gugusan Lok Heng yang tidak sampai 1 ½ kilometer daripada tapak tersebut.
Yang keduanya, di situ ada sebatang sungai yang dinamakan Sungai Ulu Sungai Sedili Kecil yang terlalu hampir yang mana salah satu punca air yang masuk ke Loji Rawatan Air Lok
Heng yang membekalkan air bersih bagi penduduk Lok Heng bahkan juga kepada penduduk Gugusan Waha. Kawasan ini juga dilihat agak rendah, dan selalu berlaku banjir bila hujan lebat dan berterusan.
Yang keempat pencemaran bau yang tidak boleh disekat pastinya akan berlaku. Saya berharap agar ianya dapat dirancang pembinaannya di tempat baharu yang mungkin jauh sedikit ke dalam dan lebih kepada mesra penduduk demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Saya juga mewakili keseluruhan penduduk Gugusan Lok Heng mengucapakan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.3 juta pada tahun 2023 yang lalu untuk pembinaan masjid baharu di Gugusan Lok Heng dan ditambah dengan peruntukan daripada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi Timbalan Perdana Menteri yang meluluskan RM5.4 juta dan sumbangan daripada penduduk setempat sebanyak RM1 juta yang membolehkan tidak lama lagi di FELDA Gugusan Lok Heng akan menerima atau pun dapat menikmati masjid untuk kegunaan ibadah bagi penduduk Lok Heng. Saya juga mengambil kesempatan ini, untuk merakamkan setinggi-tinggi dan tahniah terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, kepada pegawai kerajaan negeri atau pun persekutuan, kepada Yang Berhormat EXCO kerajaan negeri, kepada penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung, ketua-ketua peneroka dan semua yang terlibat yang menjayakan apa jua aktiviti di kawasan Sedili pada tahun ini dan sebelum-sebelumnya. Semuanya telah memainkan peranan bagi kesejahteraan rakyat yang ada di dalam Sedili khususnya. Sebagai penutup Sedili ingin menegaskan segala cadangan dan pandangan ini adalah suatu amanah yang diberikan oleh rakyat. Belanjawan Johor 2026 telah membuka ruang yang luas untuk kita memantapkan lagi asas-asas ini. Dan Sedili teguh menyokong setiap usaha yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di semua peringkat. Sedili yakin bahawa dengan iltizam, pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan sokongan ikhlas daripada semua pihak, Johor mampu menjadi negeri maju dan Bangsa Johor Sejahtera.
Yang Berhormat Datuk Speaker, orang Melayu kaya dengan falsafah dan peribahasa. Peribahasa ini bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi milik warga negara Malaysia. Antara peribahasa yang wajib diketahui ialah, “Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, melentur buluh biarlah daripada rebung”, dan beberapa peribahasa lain seperti, “Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih, meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri”. Apa yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, satu usaha yang bersungguh-sungguh dan melaksanakan amanah demi Bangsa Johor. (Dewan bertepuk). Justeru, perkara yang baik tidak wajar diperlekeh, jika ada kekurangan, sama-sama baiki dan nyatakan, jadilah pemimpin yang ikhlas dan bukan mengambil ruang untuk menyindir atau merendah-rendahkan.
Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar negeri Johor terus dipelihara dalam keamanan, dilimpahi keberkatan rezeki dipandu dengan kepimpinan yang berhikmah dan dikurniakan kekuatan untuk sebuah perjuangan dan amanah demi negeri dan bangsa ini. Semoga Bajet Johor 2026 menjadi pemangkin kepada kemajuan yang lebih inklusif dan masa hadapan yang lebih sejahtera dan berimpak untuk seluruh rakyat khususnya generasi muda Johor yang bakal mewarisi negeri ini. Pemimpin yang baik wajar disokong dan dikekalkan agar perancangan yang telah diatur dapat dilaksanakan. Bangun pagi gosok gigi, esok pagi kita berjumpa lagi. (Dewan bertepuk). Sekian, wabillahitaufik walhidayah wasalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sedili mohon menyokong.
Alhamdulillah tahniah, Sedili, Ahli-Ahli Yang Berhormat, alhamdulillah telah tamat 40 orang yang terlibat dengan perbahasan Dewan Negeri pada kali ini daripada Backbenchers. Tahniah kepada semua. Sebelum itu, marilah sama-sama kita menghargai kesetiaan khususnya kepada pegawai-pegawai kerajaan yang tetap bersama kita hingga ke pukul 6:30 petang ini. Begitu juga kepada pemerhati-pemerhati yang masih ada bersama-sama kita pada petang ini. Dan, akhir sekali kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah sama-sama menamatkan perbahasan pada hari ini. Insya-Allah, esok bagi pihak
kerajaan akan memulakan perbahasan dan insya-Allah kita akan berjumpa lagi. Oleh itu, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga esok, Khamis, 20 November 2025 jam 9:30 pagi.
Persidangan ditangguhkan pada jam 6:30 petang.