Johor · 20 November 2025

15th Assembly, 4th session, 3rd meeting · 121 turns · 39,083 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalJohor publishes one PDF per meeting, months late. Speakers are matched by our parser and will have some errors. The 16th Assembly’s first sitting (27 Aug 2026) is a scan with no text yet.

Pemasyhuran Daripada Yang Berhormat Speaker.

Speaker

Bismillahirrahmaanirrahim. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar (Bacaan selawat). Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Maju Johor. Ahli-Ahli Yang Berhormat, esok adalah hari terakhir persidangan kita. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor akan membuat penggulungan. Dan oleh kerana esok adalah hari Jumaat, saya ingin memaklumkan etika pemakaian sidang Dewan pada hari Jumaat 21 November 2025 adalah sebagaimana berikut:

Iaitu memberi kebenaran kepada Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri, Yang Berhormat EX-OFFICIO, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta pemerhati lelaki untuk memakai Baju Melayu Teluk Belanga, bersampin berdagang luar, bersepatu dan bersongkok. Sekian, terima kasih. Ahli-Ahli Yang Berhormat, persidangan dimulakan sekarang.

Soalan-Soalan Lisan.Questions

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Permas.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker soalan saya nombor 1.

Lampu di lebuhraya Pasir Gudang sering tidak berfungsi dan mengambil masa berbulan-bulan untuk dibaiki. Apakah punca sebenar masalah ini dan apakah langkah penyelesaian yang diambil oleh kerajaan?

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Bismillahirrahmaanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat sejahtera dan Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Permas. Isu lampu jalan di sepanjang lebuhraya Pasir Gudang bukanlah isu baharu dan saya sendiri telah turun padang sebanyak tujuh (7) kali termasuklah bersama Yang Berhormat Permas. Isu ini sangat dekat dihati kerajaan negeri Johor Yang Berhormat Datuk Speaker, sehingga Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar sendiri turun ke kawasan ini pada minggu lepas. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, lebuhraya Pasir Gudang ini merupakan jalan persekutuan (ST17) dengan panjang 30.3 kilometer. Meski pun penyelenggaraan jalan ini adalah di bawah tanggungjawab pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) namun bagi tujuan penyelenggaraan lampu-lampu jalan terdapat dua (2) agensi, iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang menguruskannya.

Bermula dari BHP Perling sehingga ke persimpangan Perling, sepanjang 1.5 kilometer di bawah seliaan JKR, terdapat 52 tiang lampu dan setakat ini tiada kerosakan direkodkan. Seterusnya dari persimpangan Perling ke persimpangan Bandar Seri Alam, Taman Rinting sepanjang 23.5 kilometer seliaan lampu-lampu jalan ini adalah di bawah pengurusan MBJB, yang mana terdapat 1,308 tiang lampu dengan 167 unit lampu jalan yang rosak. Buat masa ini MBJB sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan kerosakan kabel bawah tanah dan kelengkapan bagi membaiki lampu jalan yang rosak dengan anggaran kos RM1 juta. Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap pada 15 Disember 2025.

Bagi mengurangkan kerosakan kelengakapan lampu jalan MBJB akan melaksanakan penyelenggaraan pencegahan dengan tindakan menggantikan lampu jalan sedia ada kepada

lampu jalan jenis LED pintar, sebanyak 1,308 unit yang dianggarkan berjumlah RM6 juta. Lampu jalan LED pintar ini dilengkapi dengan sistem pemantauan berpusat yang akan memudahkan kerja-kerja pemantauan dan tindakan pembaikan segera dapat dilaksanakan. Kerja-kerja pemasangan lampu jalan LED pintar ini, dijangka bermula pada 1 Disember 2025 dan dijangka siap pada 31 Januari 2026. Bagi memastikan keadaan lampu di sepanjang kawasan ini berada dalam keadaan baik Yang Berhormat Datuk Speaker, MBJB telah pun melantik kontraktor penyelenggaraan tahunan bermula tahun 2026. Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, dari persimpangan Bandar Seri Alam, Taman Rinting ke MMHE terdapat satu (1) projek pelebaran jalan dari empat (4) lorong ke enam (6) lorong sepanjang 5.3 kilometer, di bawah seliaan JKR.

Di sini terdapat 74 tiang dengan 148 lampu di median tengah jalan, manakala terdapat 21 tiang dengan 21 lampu di kiri dan kanan jalan. Daripada jumlah tersebut 27 lampu di median jalan tidak menyala dan lima (5) lampu di kiri dan kanan tidak menyala. Disebabkan ini merupakan kawasan projek yang mana memerlukan pencahayaan yang mencukupi bagi tujuan keselamatan, JKR meminjam sebanyak 34 tiang dengan 68 lampu daripada pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG). Namun begitu terdapat 16 lampu tidak menyala. Sebenarnya projek perlebaran jalan ini turut memiliki skop penggantian lampu-lampu di sepanjang 5.3 kilometer di kawasan projek dengan 150 batang tiang, dua (2) lampu dan 80 batang tiang, satu (1) lampu menjadikan jumlah lampu yang akan dipasang sebanyak 386 unit. Kerja-kerja sedang giat dijalankan dan dijangka siap secara berfasa mulai April 2026 dan siap sepenuhnya pada Julai 2026.

Terdapat juga beberapa cadangan penambahbaikan berkaitan pengurusan lampu jalan merangkumi langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan keberkesanan sistem pencahayaan di kawasan terlibat. Bagi langkah jangka pendek pemantauan berkala akan dipertingkatkan bagi memastikan semua lampu jalan berada dalam keadaan baik serta berfungsi mengikut jajaran penyelenggaraan yang ditetapkan JKR dan juga MBJB. Bagi langkah jangka sederhana kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan secara one-off bagi menangani kerosakan lampu jalan dengan lebih cepat dan menyeluruh seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tindakan pembaikan berulang. Untuk cadangan jangka masa panjang, adalah dicadangkan penukaran sistem lampu jalan daripada penggunaan feeder filler kepada sistem pencahayaan berasaskan solar, bagi meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan kos penyelenggaraan pada masa hadapan dan mengelakkan isu-isu berkaitan kecurian kabel. Cadangan-cadangan ini diharap dapat mengurangkan aduan berkaitan lampu jalan dan seterusnya meningkatkan keselamatan serta keselesaan penduduk di kawasan berkenaan. Terima kasih.

Yang Berhormat Datuk Speaker soalan tambahan saya. Saya sebenarnya dah bangkitkan perkara ini daripada 2024, setiap Mesyuarat Tindakan Daerah saya akan beritahu bahawa lampu tak nyala dan hingga sekarang pun masih tak menyala dan apabila Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar datang barulah kerja-kerja dimulakan. Dan untuk mengatasi masalah hadapan, mengatakan bahawa ia akan menukar kepada lampu pintar. Makna, apabila lampu tu rosak MBJB akan tahu, tapi apa yang lepas Yang Berhormat, saya setiap kali Mesyuarat Tindakan Daerah akan mengatakan bahawa lampu di Pasir Gudang rosak, tapi tak ada tindakan dan adakah mungkin apabila tiang lampu pintar dipasang, JKR tahu bahawa perkara itu tidak menyala, adakah dia akan repair, dia akan betulkan dengan tindakannya segera. Soalnya dulu saya memang yang memantau soal tu, tapi adakah tiang lampu pintar ni memantau soal lampu tersebut, adakah ia akan berjaya mengatasi lampu di Pasir Gudang? Dan lagi satu soalan Yang Berhormat bahawa orang mengatakan bahawa Pasir Gudang ini bermasalah, tak siap jalannya daripada dahulu hingga sekarang dan saya mintalah supaya JKR ini atau pun MBJB atau pun mana-mana pihak bila agaknya lebuhraya Pasir Gudang akan siap sepenuhnya dan tiada masalah dan tiada menjadi isu yang besar, bukan hanya Pasir Gudang tapi seluruh Johor mengatakan lebuhraya Pasir Gudang adalah lebuh raya yang paling tak selamat. Sekian, terima kasih. Terima kasih Yang Berhormat.

Speaker

Yang Berhormat, kalau ikutkan saya tak benar soalan kedua tu, sebab ia tanya tentang lebuhraya. Soalan asal ialah tentang lampu, tapi tak apalah, sila Yang Berhormat.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Permas, insya-Allah pelaksanaan ini di bawah pengurusan MBJB, Majlis Bandaraya Johor Bahru yang mana akan digantikan lampu-lampu ini kepada lampu LED pintar. Jika mengikut rancangannya apabila kita sebut lampu pintar tidak perlu pemantauan di tapak Yang Berhormat Datuk

Speaker, kita ada satu.

Speaker

Maksudnya dia ada penunggulah..

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Dia menunggu di satu command centre, dia boleh nampak lampu tu rosak. Dulu ada satu cadangan supaya sebelum orang mengadu sepatutnya pihak agensi berkenaan dah tahu, sebab secara online kita dapat lihat kerosakan tersebut, sekian terima kasih.

Speaker

Sekarang ini penunggu pun lari juga?

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Yang ni saya, saya minta juga bantuan daripada semua agensi yang terlibat, disebabkan jalan raya atau pun lebuhraya Pasir Gudang (ST17) ini Yang Berhormat Datuk Speaker, yang lalunya setiap harinya 80,000 ke 90,000 kenderaan, tak kan lah, tak ada daripada agensi yang terlibat lalu di situ. Jadi, sepatutnya pemantauan ini selain daripada pihak kosensi yang melaksanakan pemantauan, agensi-agensi kerajaan yang lalu juga mungkin boleh bantu kita dapatkan maklumat. Selain itu, bila disebutkan tadi berkenaan tentang projek yang tak siap, saya tambah sikit Yang Berhormat Datuk Speaker. Sebenarnya kita telah pun dapat, ini merupakan projek fasa 3, ada satu lagi projek untuk melengkapkan jajaran 30 kilometer jalan Pasir Gudang ni, disebut lebuhraya Pasir Gudang Datuk Speaker, tapi tak ada tol. Jadi 30 kilometer ini kita perlukan satu lagi projek Yang Berhormat Permas untuk melengkapkan jajaran. Dan projek itu masih lagi dalam penilaian dan insya-Allah selepas sahaja projek itu, barulah lengkap jajaran 30 kilometer kita upgrade daripada empat (4) lorong kepada enam (6) lorong. Yang Berhormat Datuk Speaker, saya faham dulu masa mula-mula kita ambil alih pemantauan di jalan Pasir Gudang ini, Pasir Gudang merupakan jalan kedua terteruk di Malaysia. Dan alhamdulillah setakat ini dah terkeluar daripada senarai 10 jalan teruk di Malaysia, alhamdulillah. Cuma antara peranan yang kita akan laksanakan ialah pemantauan kenderaan-kenderaan lebih muatan. Pasir Gudang ni selalunya digunakan oleh kenderaan berat sebab kawasan industri dan sebagainya, nanti masa penggulungan saya akan ceritakan tentang perancangan kita untuk pindahkan lori-lori lebih muatan atau pun kargo ini kepada sistem rail daripada Pasir Gudang-Kempas yang Insya-Allah dapat mengurangkan impak kerosakan di jalan berkenaan. Terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Johor Lama.

Cik Norlizah binti NohUMNO · BNJohor Lama

Terima kasih Datuk Speaker. Soalan Johor Lama, nombor 2.

Adakah kerajaan negeri akan menambah baik kemudahan asas seperti pusat sukan komuniti serta dewan orang ramai di kawasan luar bandar sebagai strategi pembangunan seimbang?

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Pekan Nanas.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Terima kasih Datuk Speaker. Soalan Pekan Nanas, nombor 3.

Dengan Johor kini mencatat pelaburan tertinggi di negara ini, sejauh mana kerajaan negeri dapat menjamin bahawa peningkatan pesat tersebut turut disusuli dengan penaiktarafan fasiliti awam seperti jalan kampung, sistem perparitan dan lampu jalan di kawasan luar bandar?

Speaker

Sila.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Johor Lama dan Pekan Nanas atas soalan ini dan saya mohon untuk menjawab bersekali.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mendukung slogan Maju Johor, pembangunan kawasan luar bandar sentiasa diberikan perhatian agar komuniti desa tidak ketinggalan dalam arus kemajuan negeri. Kerajaan negeri komited memastikan kemudahan asas yang terdapat di kampung-kampung terus diperkasa demi meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memastikan pembangunan berlaku secara seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar. Dalam memperkasa infrastruktur asas desa, tiga (3) komponen fizikal utama di bawah kerajaan negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah atau KKW adalah Jalan Perhubungan Desa, Projek Ameniti Sosial dan Lampu Jalan Kampung. Bagi tempoh 2023 hingga 2025, Johor telah melaksanakan 377 projek JPD dengan jumlah peruntukan RM78.9 juta, diikuti 665 Projek Ameniti Sosial bernilai RM46.31 juta serta pemasangan 2,657 unit lampu jalan kampung yang melibatkan peruntukan RM7.46 juta. Jumlah keseluruhan ini membuktikan komitmen besar kerajaan persekutuan dan memastikan kampung-kampung di Johor menerima kemudahan asas yang lebih selamat, moden dan menyokong kehidupan harian masyarakat luar bandar.

Bagi skop Jalan Perhubungan Desa, prestasi perlaksanaan menunjukkan perkembangan konsisten sepanjang 3 tahun. Skop kerjanya merangkumi pembinaan baharu, pelebaran serta penaiktarafan jalan kampung mengikut kriteria teknikal yang ditetapkan. Pada tahun 2023, sebanyak 111 projek dilaksanakan dengan peruntukan RM8.3 juta. Pada tahun 2024, sejumlah 102 projek disiapkan melibatkan peruntukan RM10.53 juta seterusnya pada tahun 2025, sebanyak 164 projek JPD dilaksanakan dengan jumlah peruntukan RM59.27 juta. Secara keseluruhan trend ini mencerminkan penekanan berterusan terhadap penyelenggaraan dan peningkatan akses jalan desa mengikut keperluan setempat. Bagi Projek Ameniti Sosial yang merangkumi kerja-kerja pembaikan dan kerja kecil membabitkan kemudahan asas seperti dewan, balai raya, fasiliti komuniti luar bandar, sebanyak 47 projek telah dilaksanakan pada tahun 2023 dengan jumlah kos RM11.35 juta. Perlaksanaannya meningkat dengan ketara pada tahun 2024 melibatkan 305 projek dengan peruntukan RM17.79 juta. Manakala pada tahun 2025, sebanyak 313 projek bernilai RM17.17 juta telah disempurnakan. Mencerminkan kesinambungan usaha dalam menyediakan kemudahan sosial yang menyokong keselesaan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar. Bagi komponen lampu jalan kampung atau LJK, perlaksanaan menyeluruh direkodkan pada tahun 2023 dengan pemasangan 2,657 unit lampu jalan melibatkan peruntukan RM7.46 juta. Penyediaan lampu jalan ini memberi impak besar terhadap keselamatan, kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk khususnya dalam kawasan berisiko dan laluan utama kampung.

Secara keseluruhannya Datuk Speaker, pencapaian ketiga-tiga komponen ini jelas memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diperkukuh dari tahun ke tahun. Usaha bersepadu ini juga bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk desa, malah memastikan bahawa pembangunan negeri berlaku secara inklusif, seimbang dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Kerajaan negeri akan terus memperkasa agenda ini supaya kawasan luar bandar kekal maju, berdaya saing dan sejahtera selaras dengan aspirasi Maju Johor. Sekian.

Speaker

Sila, Pekan Nanas.

Tuan Tan Eng MengMCA · BNPekan Nanas

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ EXCO atas pencerahan jawapan tadi. Soalan tambahan Pekan Nanas mohon, memandangkan Pekan Nanas dan Pontian termasuk dalam JS-SEZ yang dijangka menerima pertambahan penduduk dan aktiviti ekonomi. Adakah kerajaan negeri telah menetapkan jadual atau peruntukan khusus bagi menaik taraf jalan-jalan kritikal serta melaksanakan projek jalan pintas Pekan Nanas ke Ulu Choh selain menambah baik sistem perparitan di kawasan rendah dan sering banjir dan menyediakan lampu jalan di laluan gelap yang menjadi aduan utama penduduk. Terima kasih.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan daripada Pekan Nanas disebutkan khusus tentang projek jalan pintas Pekan Nanas dan Ulu Choh. Yang Berhormat Datuk Speaker saya tidak dapat menjawab soalan ini pada hari ini. Walau bagaimanapun saya nak nyatakan kepada Yang Berhormat Pekan Nanas dan Ahli Dewan bahawa projek-projek pembangunan di kawasan yang dimaksudkan atau lain-lain boleh dibawa dalam Mesyuarat Tindakan DUN untuk dibincangkan dan diketengahkan melalui Pejabat Daerah. Walau bagaimanapun saya nak maklumkan bahawa untuk rekod dalam kawasan Pontian, jalan perhubungan desa sepanjang 2023 telah diturunkan peruntukan sebanyak RM220,000.00 tapi saya tak dapat nak pastikan secara khusus. Terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini ingin mengalu-alukan kehadiran 10 orang pemerhati Puteri daripada DUN Kawasan Rengit. (Dewan bertepuk). Puteri DUN Rengit, ya. Saya jemput Yang Berhormat Senggarang.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan Senggarang nombor 4. Terima kasih. Apakah usaha kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan secara langsung oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya mereka sama-sama memainkan peranan penting dalam usaha menangani isu penderaan kanak-kanak?

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker, terima kasih Senggarang. Soalan yang diajukan kepada saya adalah apakah usaha kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan secara langsung oleh Badan Bukan Kerajaan supaya mereka sama-sama memainkan peranan penting dalam usaha menangani isu penderaan kanak-kanak. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor amat memandang serius isu kanak-kanak dan menyedari bahawa usaha untuk menanganinya memerlukan penglibatan menyeluruh daripada pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan. Bagi menggalakkan penglibatan secara langsung NGO dalam menangani isu ini, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor telah melaksanakan beberapa inisiatif antaranya mengadakan program pemerkasaan kanak-kanak iaitu satu program latihan kepada Child Support Team yang menggunakan modul Lindungi Permata Johor sebagai satu latihan untuk memperkasakan komuniti dan masyarakat bagi membantu, melindungi kanak-kanak bermula tahun 2023 sehingga ke hari ini dan telah melatih seramai 657 sukarelawan yang juga telah diminta untuk melapor dan membantu kanak-kanak. Perlaksanaan program latihan ini, di mana badan bukan kerajaan ini dilibatkan sebagai peserta bengkel latihan yang bertujuan meningkatkan kapasiti mereka dalam mengenal pasti tanda-tanda penderaan. Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah memperkasakan peranan Child Support Team yang telah dilatih di peringkat daerah dengan mengadakan satu conference case, dengan izin, persidangan kes bersama pihak jabatan serta agensi-agensi lain yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, pihak hospital, kaunselor sekolah dan lain-lain. Sehingga ke

hari ini sebanyak 381 kes meliputi kes kanak-kanak, keluarga miskin, orang kurang upaya dan lain-lain kes sosial yang memerlukan tindakan pelbagai agensi. Datuk Speaker, seterusnya adalah dengan meningkatkan peranan ahli pasukan pelindung kanak-kanak sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak. Pusat aktiviti kanak-kanak diwujudkan bagi menjalankan aktiviti yang dirancang mengikut keperluan setempat. Usaha ini dilakukan untuk membantu mencegah kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak, kes ponteng sekolah, rosak akhlak dan lain-lain masalah sosial. Di negeri Johor Datuk Speaker, terdapat 10 pasukan pelindung kanak-kanak dan 10 buah pusat aktiviti kanak-kanak. Menjalinkan kerjasama strategik dengan badan bukan kerajaan yang aktif dalam advokasi kanak-kanak dan pertubuhan tempatan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk sama-sama melaksanakan program kesedaran dan pencegahan penderaan kanak-kanak di peringkat komuniti. Seterusnya adalah dengan pemberian geran dan bantuan kewangan kepada NGO terpilih yang menjalankan aktiviti kebajikan berfokuskan perlindungan kanak-kanak termasuk latihan keibubapaan positif, kaunseling keluarga serta kempen komuniti bebas penderaan. Yang Berhormat Datuk Speaker, selain daripada usahasama yang dijalankan dengan badan bukan kerajaan, kerajaan negeri Johor mempertingkatkan lagi kolaborasi inter agensi dari segi program dan inisiatif serta dengan pengendalian kes kanak-kanak dalam sesi perbincangan kes bagi pengurusan kes kanak-kanak yang melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, hospital, Jabatan Pendidikan, Jabatan Agama Islam, Kedutaan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan. Di samping itu kerajaan negeri akan terus menjalankan jerayawara perkhidmatan perlindungan kanak-kanak bersama Mahkamah, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi berkaitan. Datuk Speaker, kerajaan negeri yakin bahawa penglibatan aktif badan bukan kerajaan ini bukan sahaja dapat memperluas capaian usaha perlindungan kanak-kanak tetapi juga memperkukuh tanggungjawab bersama dalam memastikan kesejahteraan serta keselamatan generasi muda Johor terus terpelihara. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Ya, sila Senggarang.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan tadi. Kita sedia maklum kerajaan negeri yang kita sayangi ini sentiasa cakna dengan hal ehwal kanak-kanak Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan saya apakah antara usaha-usaha yang akan diambil untuk menggalakkan persekitaran mesra kanak-kanak ini. Terima kasih Yang Berhormat Datuk

Speaker.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Terima kasih Datuk Speaker. Yang Berhormat Datuk Speaker, dalam agenda menggalakkan persekitaran mesra kanak-kanak, kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melaksanakan program-program seperti berikut. Di antaranya adalah memperkasakan tanggungjawab komuniti untuk terlibat secara aktif membina persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak sekaligus memperkasakan komuniti dan masyarakat bagi membantu lindungi kanak-kanak di negeri Johor. Seterusnya adalah tentang mempertingkatkan peranan Pasukan Perlindungan Kanak-kanak yang berfungsi sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak dan meningkatkan standard kualiti penjagaan dan pengasuhan kanak-kanak di pusat-pusat jagaan kanak-kanak dan TASKA di negeri Johor dengan program penarafan bintang kepada pusat jagaan kanak-kanak juga diteruskan setiap tahun dan diperluaskan kepada perkhidmatan TASKA bagi memastikan kualiti perkhidmatan penjagaan kepada kumpulan sasar serta mematuhi segala peruntukan yang terlibat di bawah akta-akta Taman Asuhan Kanak-Kanak, Akta 308. Seterusnya adalah satu outreach pendaftaran Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata atau lebih dikenali dengan KAP mensasarkan bahawa

pengasuh dan pemilik TASKA di negeri Johor hendaklah mengambil kursus KAP bagi melengkapi syarat pendaftaran di TASKA-TASKA tersebut. Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor juga melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim mula menubuhkan TASKA di tempat kerja bagi membantu penjawat awam sebagaimana yang telah dipersetujui di dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Ketiga bertarikh 29 Januari 1999 serta merujuk kepada Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Negeri Johor 1997 hingga 2001 iaitu Wanita dan Keluarga, Wanita dan Pekerjaan. Jauhar Childcare Center, YPKDT telah memperluaskan kawasan komuniti yang bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dalam membantu ibu bapa bekerja menghantar dan mendapatkan khidmat jagaan serta pendidikan awal bagi anak mereka dengan perkhidmatan yang kondusif dan selamat serta berhampiran dengan kediaman mereka. Datuk Speaker, kerajaan Johor, di negeri Johor ada sebanyak 10 Jauhar Child Care Centre iaitu di Pontian, Muar, Kota Iskandar, Batu Pahat, Segamat, Kluang, PPR Melana Indah, PPR Desa Mutiara, Sri Stulang dan RSK Taman Cendana. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Sri Medan.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan saya nombor 5.

Apakah inisiatif kerajaan negeri bagi memperluas eksport produk koperasi Johor ke pasaran antarabangsa?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Bismillahirahmannirahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan daripada Sri Medan, Yang Berhormat Sri Medan, apakah inisiatif kerajaan negeri Johor bagi memperluaskan eksport produk koperasi Johor ke pasaran antarabangsa?

Jawapannya Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Sri Medan, koperasi di negeri Johor mempunyai potensi yang cukup-cukup baik untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi rentas sempadan. Terutamanya dalam pengeluaran produk makanan dan minuman serta barang kepenggunaan yang mempunyai permintaan yang tinggi daripada pengguna-pengguna di Singapura khususnya pada musim-musim perayaan. Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri Johor telah melaksanakan inisiatif bagi memperkukuhkan peranan koperasi di negeri Johor untuk merentas sempadan berdasarkan program-program yang dianjurkan oleh kerajaan serta berdasarkan kepada produk keluaran milik koperasi itu sendiri sebagaimana dalam program-program yang saya akan sebutkan iaitu dari segi program Room Big Product koperasi. Peruntukan sebanyak RM50,000.00 oleh kerajaan negeri Johor kepada koperasi yang terlibat yang bertujuan untuk membantu serta memberi nilai tambah kepada produk keluaran koperasi dalam konteks pensijilan halal sebagai memenuhi piawaian standard untuk pasaran global khususnya di pasaran negara Singapura.

Terdapat juga permintaan yang tinggi bagi produk industri kecil dan sederhana atau pun IKS dan melalui program ini juga ia dapat memberi galakan kepada koperasi-koperasi untuk mengadaptasikan platform digital bagi memperkenalkan dan juga mempromosikan produk mereka. Usahasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor juga dilakukan bagi memastikan pengeluaran sijil pengesahan halal dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.

Yang keduanya, penubuhan Johor Economic Tourism and Culture Office Singapore dengan izin, JetCo telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri Johor yang bertanggungjawab dalam membantu mempromosikan produk-produk usahawan pelancongan yang berpotensi untuk

dieksport ke Singapura. Selain itu juga, kita tahu JetCo juga berperanan sebagai penghubung kepada pelaburan import dan eksport serta konsultasi ekonomi dalam konteks pemasaran produk.

Yang ketiga, adalah berkaitan bagaimana koperasi-koperasi boleh menceburi dalam di zon khas ekonomi Johor-Singapura Economic Zone. Terdapat sembilan (9) sektor ekonomi yang ditawarkan oleh JS-SEZ yang memberi ruang dan peluang serta penglibatan kepada koperasi di negeri Johor. Sektor ekonomi ini merangkumi kepada sektor tenaga, petrokimia, makanan, pemerosesan, pengangkutan, pelancongan, kesihatan, kewangan dan juga perkhidmatan perniagaan kreatif dan juga pendidikan.

Saya juga mengambil kesempatan dalam sesi soal jawab lisan dalam Dewan yang mulia ini untuk berkongsi kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat empat (4) produk koperasi yang berpotensi dan ada yang sudah pun memulakan langkah memperluaskan rangkaian mereka produk-produk mereka ke pasaran luar. Contohnya, cuka madu epal. Produk ini dikeluarkan oleh Koperasi Keluarga Haji Rahmat Pontian Berhad. Yang menggabungkan penggunaan madu dan juga cuka epal bagi tujuan kesihatan. Produk ini dihasilkan secara original equipment manufacture atau pun OEM sebagai makanan tambahan dan telah diberikan inisiatif di bawah program Groom Big Produk Koperasi.

Keduanya sabun pencuci pakaian bernama Khairos. Produk dikeluarkan oleh Koperasi Pelabuhan Johor Berhad bagi kategori barang kegunaan harian sabun pencuci pakaian produk ini dihasilkan secara original equipment manufacture dan telah diberikan inisiatif di bawah Program Groom Big Produk Koperasi di koperasi kita.

Ketiga arnab perap. Mungkin orang Batu Pahat dah biasa makan arnab perap atau pun Sri Gading, Bukit Gambir. Produk dikeluarkan oleh Koperasi Komuniti Hibrid Selatan Berhad bagi kategori makanan dan pemerosesan. Koperasi telah diberikan inisiatif kewangan bagi pembinaan rumah sembelih bagi pengeluaran perkakas dan juga bagi produk makanan western berasaskan arnab. Mana kala bagi produk SKU iaitu arnab perap yang dihasilkan secara original equipment manufacture juga iaitu OEM. Yang terakhir adalah minuman jenama Haos Ek. Produk minuman Haos Ek ini merupakan keluaran oleh usahawan tempatan iaitu Syarikat Haos Industry Sdn. Bhd. Produk ini telah dipasarkan oleh Koperasi Haos Gemilang Berhad dan telah berjaya menembusi pasaran Singapura melalui distribution centre yang dimiliki oleh syarikat milik peniaga di Singapura. Pihak syarikat melalui Idin Marketing Group Sdn Bhd sedang mewujudkan sebuah aktiviti perniagaan milik sepenuhnya syarikat di Singapura yang akan memainkan peranan sebagai pengimport dan juga pemasaran di sana nanti. Manakala Koperasi Haos Gemilang Berhad akan berperanan sebagai pengekspot termasuk penyediaan kemudahan logistik bagi produk air minuman ini. Insya-Allah, aktiviti ini dijangka akan bermula beroperasi seawal Disember nanti. Dan untuk makluman Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan juga, dalam satu program iaitu program SME Go Global, Program SME Go Global ini merupakan satu inisiatif kerajaan Malaysia menerusi SME Corp. Malaysia yang memberi tumpuan kepada pengantarabangsaan TKS tempatan terutama syarikat-syarikat dalam industri pertumbuhan tinggi bagi membantu mereka berkembang ke pasaran global.

Program ini disasarkan kepada syarikat-syarikat di bawah koperasi yang bersedia untuk mengekspot dan juga syarikat-syarikat pengekspot sedia ada yang berpotentsi untuk meneroka pasaran baharu. Inisiatif yang disediakan ini di bawah program ini juga adalah dalam bentuk bantuan kewangan untuk membiayai aktiviti pengantarabangsaan. Selain itu juga, SME Corp. Malaysia juga menyediakan peluang program pasaran produk ke pasar-pasar raya menerusi program pempadanan perniagaan dan melalui Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor di bawah 49 agensi yang menjadi sekretariat Perbadanan Ekonomi Negeri Johor (BPEN), kegiatan koperasi ini semakin rancak melalui syarikat-syarikat yang dikendalikan oleh koperasi itu sendiri. Itu sahaja jawaban saya Sri Medan. Terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat, boleh tak Yang Berhormat sponsor minuman apple cider tadi tu kepada semua YB-YB dalam Dewan ini? (Dewan bertepuk).

YB Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Insya-Allah Yang Berhormat. Besok saya akan minta dan haos ek sekali untuk rasa, saya akan bawa. Terima kasih.

Speaker

Terima kasih. Tapi yang arnab perap tu tak payahlah. Itu bagi Sri Medan jer. Sebab saya makan makanan Korea jer.

Itu sangkaan buruk tu. Kalau Sri Medan nak, Yang Berhormat Datuk Speaker, saya nak yang pencuci baju tu. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih pada Yang Berhormat EXCO yang telah beri jawapan.

Saya melihat bahawa koperasi-koperasi yang ada dalam negeri Johor ini kebanyakan dia beri tumpuan kepada sektor perladangan. Kalau di negeri Johor aja, kalau ikut data yang saya terima, ada 1,458 koperasi yang berdaftar di Johor. Dan hanya 800 sahaja yang aktif. Jadi di sini kita lihat apa dibentangkan oleh Yang Berhormat EXCO sebentar tadi, soal pelaburan yang dilaksanakan dilakukan oleh koperasi dalam negeri Johor ni, dalam soal usahawan dia hanya menumpukan kepada negara Singapura. Adakah negara-negara lain yang dapat di apa mungkin koperasi-koperasi ini dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka di atas bantuan negara Singapura melalui JS-SEZ? Terima kasih Datuk Speaker.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Sri Medan. Yang Berhormat Datuk Speaker, insya-Allah dari segi seperti mana yang saya katakan tadi rentas sempadan ini kita hanya mulakan di Singapura dahulu, dan sebagaimana kita lihat begitu pesatnya. Rancaknya pembangunan yang bakal dibina di JS-SEZ ini, kita akan bawa bersama dan baru-baru ini kalau kita lihat satu program atau pun Johor Business Summit and Expo dekat situlah game changer yang akan dilakukan bersama-sama koperasi-koperasi dan usahawan-usahawan tempatan untuk mereka mengenali supply chain dengan izin, sebelum mereka menghantar produk-produk ke luar negara kita harus mengetahui supply chain ini sukup penting dan atas dasar itu juga kita lihat dengan kehadiran di luar jangkaan pihak penganjur dalam masa dua (2) hari melebihi 10,000 usahawan-usahawan untuk mempelajari ya. Kursus-kursus di Persada baru-baru melihatkan pengantarabangsaan itu cukup penting selain daripada platform digital tetapi secara fizikal juga perlu digerakkan bersama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Sri Medan soalan yang diajukan betul, sebanyak 885 ataupun 60% sahaja daripada jumlah koperasi berdaftar di Johor, bilangan koperasi yang tidak aktif sebanyak 105 dan bilangan koperasi domain sebanyak 468. Koperasi yang tidak aktif ertinya koperasi yang tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam tempoh tiga (3) tahun berturut-turut tetapi masih mengadakan mesyuarat agong tahunan dan akaunnya diaudit dalam tempoh tersebut. Untuk makluman Datuk Speaker, bagi koperasi yang tidak aktif SKM mengambil pendekatan untuk melakukan pemutihan iaitu mana-mana koperasi yang tidak berpotensi untuk dipulihkan akan diambil tindakan pembatalan koperasi.

Secara praktisnya anggota lembaga koperasi LK akan diberi peringatan dan peluang untuk memulihkan koperasi dalam tempoh enam (6) bulan supaya mengadakan mesyuarat agong tahunan dan menyediakan serta akaun menjalankan pengauditan akaun secara koperasi itunya sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan pembatalan akan dilaksanakan. Dan insya-Allah dengan pandangan Yang Berhormat Sri Medan mungkin kita akan kembangkan selain daripada Singapura yang dibantu oleh JetCo dengan adanya bantuan-bantuan daripada Majlis Perbangunan Usahawan Negeri Johor, SME, PUJB, SKM cawangan negeri Johor kami melihat banyak potensi-potensi koperasi ini boleh berkembang luas dan insya-Allah dengan adanya kemasukan pelabur-pelabur di negeri Johor, saya mengharapkan EXCO

Pelaburan dan juga gerakan bersama-sama Ahli-Ahli Dewan Undangan untuk membantu koperasi di negeri Johor ini mengenalkan dengan elemen-elemen yang boleh didokong bersama untuk kita gerakkan bawa ke negara-negara pelabur-pelabur itu. Itu sahaja. Terima kasih, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Panti.

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 7.

Apakah rancangan penggunaan drone dan rondaan malam di kawasan konflik hidupan liar untuk pengesahan awal serta SOP amaran komuniti?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Terima kasih Datuk Speaker, Salam maju Johor, salam Bangsa Johor, sihat sejahtera seisi Dewan. Terima kasih. Soalan daripada YB Panti yang menanya mengenai rancangan penggunaan drone dan rondaan malam di kawasan kompleks hidupan liar untuk pengesahan awal serta SOP amaran komuniti. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi menangani isu konflik hidupan liar secara berkesan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah melaksanakan beberapa langkah strategik yang melibatkan penggunaan teknologi moden serta pengukuhan rondaan fizikal khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas atau hotspot konflik antara manusia dan hidupan liar.

Pertama, penggunaan drone telah diperluaskan sebagai alat pemantauan dan pengesanan awal pergerakan hidupan liar, terutamanya spesis besar seperti gajah dan harimau. Melalui keupayaan rakaman udara serta teknologi image haba, penggunaan drone membolehkan pemantauan dilaksanakan dengan lebih cepat, selamat dan meliputi kawasan yang luas khususnya pada waktu malam. Maklumat yang diperolehi digunakan untuk menilai corak pergerakan hidupan liar serta membantu dalam tindakan segera, pengawalan dan trans lokasi.

Kedua, jabatan turut memperkukuh rondaan malam bersepadu yang dijalankan bersama agensi keselamatan dan komuniti setempat di kawasan berisiko tinggi. Rondaan ini bertujuan bagi mengesan awal kehadiran hidupan liar, melaksanakan langkah penghalauan serta menyalurkan maklumat secara terus kepada pusat operasi PERHILITAN bagi tindakan susulan. Pendekatan ini turut membantu memastikan keselamatan penduduk dan mengurangkan risiko kerosakan tanaman atau harta benda.

Ketiga, bagi memperkukuh penglibatan masyarakat dalam usaha pemuliharaan hidupan liar serta menangani isu konflik manusia hidupan liar, Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah membangunkan modul Komuniti Perlindungan Hidupan Liar (KPHL). Modul ini bertujuan untuk memberi panduan serta latihan kepada komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan tindakan awal pengesanan dan pengawalan konflik hidupan liar. Untuk makluman Datuk Speaker dan sesi Dewan dan untuk penubuhan KPHL ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor dan sebagai daerah utama yang kita lancarkan adalah daerah Kluang, ada 21 pasukan yang telah ditubuhkan. Antara komponen utama modul ini ialah latihan pengenalan spesis hidupan liar utama, tatacara keselamatan ketika berhadapan dengan hidupan haiwan liar, penggunaan alat penghalau yang dibenarkan serta protokol pelaporan dan amaran awal kepada Jabatan PERHILITAN.

Melalui modul ini juga komuniti dilatih dan disusun dalam bentuk kumpulan mengikut kawasan tertentu yang berperanan sebagai pasukan sokongan di lapangan untuk membantu rondaan komuniti. Menyampaikan maklumat segera dan melaksanakan tindakan penghalauan awal mengikut prosedur operasi standard (SOP) jabatan. Pelaksanan modul ini dijangka menunjukkan impak positif dalam meningkatkan kesiapjagaan dan kesedaran komuniti di

kawasan berisiko tinggi konflik hidupan liar khususnya di Johor. Usaha ini selaras dengan pendekatan pengurusan bersama core management antara agensi kerajaan dan masyarakat bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan manusia dan kelestarian biodiversiti negara. Melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, jabatan yakin keupayaan pegesanan awal amaran komuniti serta tindakan balas terhadap konflik hidupan liar dapat dipertingkatkan secara menyeluruh selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuh pengurusan konflik manusia hidupan liar secara mampan dan berkesan. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ya sila.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat EXCO atas jawapan yang diberikan. Seperkara lagi Yang Berhormat Datuk Speaker, tentang pemantauan dan pengesanan dalam isu konflik manusia haiwan ini. Antara isunya, khususnya di Kota Tinggi di daerah Kota Tinggi satu daerah yang luas macam di tempat saya ada konflik manusia gajah, baru-baru ni kita ada kesan aduan orang kampung tentang kehadiran harimau dan anak-anaknya itu. Antara perkara yang menjadi apa isu adalah tentang kekurangan kakitangan PERHILITAN itu sendiri untuk membuat pemantauan dan untuk maklum balas atau tindakan atas aduan-aduan. Soalan saya adakah kerajaan negeri bersedia untuk menambah pekerja yang berkaitan di bawah kerajaan negeri sendiri?. Terima kasih.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Ok, terima kasih soalan daripada Panti. Buat masa kini kerajaan belum ada perancangan untuk kita adakan staff daripada kerajaan negeri, tetapi kerajaan negeri mengambil apa ni pendekatan proaktif untuk bekerjasama dengan pihak kementerian sendiri, untuk Johor ni kalau berlaku apa-apa kes konflik di antara manusia dengan hidupan liar, kita akan mohon bantuan daripada pihak kementerian. Saya ambil contoh, negeri Johor telah mengadakan operasi bersepadu untuk trans lokasi gajah. Dalam tahun ni, dah jumlah 21 ekor telah di trans lokasikan dan ini adalah jumlah yang terbesar dalam sejarah PERHILITAN Negeri Johor dan kita dibantu dengan pasukan-pasukan gajah daripada negeri-negeri lain. Mudah-mudahan yang operasi bersepadu ini akan diteruskan, jika perlu tahun ni kita fokus di daerah Kluang. Mudah-mudahan tahun hadapan kita akan mulakan operasi bersepadu ini di daerah Kota Tinggi. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 8. Adakah kerajaan negeri bercadang menubuhkan Tabung Pendidikan Bangsa Johor untuk membantu pelajar cemerlang menyambung pengajian ke universiti terkemuka di dunia?

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pulai Sebatang.

Puan Hajah Hasrunizah binti HassanUMNO · BNPulai Sebatang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, Pulai Sebatang soalan nombor 9. Apakah langkah atau tindakan kerajaan Johor untuk membantu anak Johor membiayai yuran pelajaran di peringkat tertinggi memandangkan semakin sukar untuk mereka mendapat bantuan seperti PTPTN, Bursary dan biasiswa?

Speaker

Sila.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sungai Balang, juga Yang Berhormat Pulai Sebatang di atas soalan yang diberikan. Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pelajaran Johor terus memainkan peranan utama dalam membantu anak

Johor melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi tanpa dibebani masalah kewangan. Bagi tujuan tersebut Kerajaan Negeri Johor telah menubuhkan Tabung Kebajikan dan Pelajaran yang dikelolakan oleh Yayasan Pelajaran Johor. Tabung ini telah diluluskan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 44(6) ACP 1967 yang telah diluluskan oleh LHDN yang membawa maksud semua sumbangan yang diberikan kepada tabung ini, penyumbang layak diberikan penolakan cukai atas sumbangan tersebut. Pengecualian cukai terhad kepada 10% daripada pendapatan agregat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, pada tahun ini Kerajaan Negeri Johor telah berjaya menerima sumbangan bagi Tabung Pendidkan Johor ini sebanyak RM33.266 juta dengan sumbangan inilah Kerajaan Negeri Johor dapat melaksanakan berbagai inisiatif pendidikan dari peringkat sekolah sehingga ke peringkat IPT. Dengan hasil sumbangan tabung pendidikan ini Kerajaan Negeri Johor telah menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada pelajar dan mahasiswa. Antaranya, pinjaman pelajaran kepada pelajar anak Johor yang mengikuti pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di institut pendidikan awam serta institusi pendidikan tinggi swasta terpilih di seluruh negara.

Pada tahun 2025 sahaja Kerajaan Negeri Johor melalui YPJ telah memperuntukkan sebanyak RM18.3 juta bagi pelaksanaan skim pinjamam pelajaran ini. Melalui peruntukan ini seramai 2,500 orang pelajar anak Johor daripada pelbagai tahap pengajian telah menerima manafaat pembiayaan ini. Untuk makluman Ahli Dewan yang Mulia ini, salah satu keunikan skim pinjaman pelajaran YPJ ini adalah pinjaman ini menawarkan pinjaman pelajaran tanpa caj faedah, zero percent, bermakna jika anda pinjam RM10,000.00, bayar pun RM10,000.00. Cuma jangan tak bayar sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker.

Skim pinjaman YPJ juga menawarkan pinjaman boleh ubah kepada biasiswa penuh tanpa membayar semula kepada graduan yang telah mencapai Ijazah kelas pertama, dahlah tak ada stand percent, dah pinjam dapat kelas pertama pun tak payah bayar, dijadikan biasiswa untuk anak-anak pelajar Johor. Jadi, inisiatif ini bagi memberi peluang kepada anak Johor menyambung pengajian tidak akan terjejas, walaupun akses terhadap sumber pembiayaan sedia ada seperti PTPTN, bursary, MARA dan biasiswa semakin terhad.

Dalam memastikan anak Johor sentiasa mendapat tempat pendidikan tinggi di luar negara dan bersaing di peringkat global, Kerajaan Negeri Johor telah menubuhkan Biasiswa Orang Muda Johor iaitu BOMJ iaitu satu program biasiswa berprestij tinggi khusus bagi pelajar Johor yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di sepuluh universiti terbaik dunia. Skim ini ditubuhkan pada tahun 2023 dengan sumber pembiayaan daripada Tabung Pendidikan dan Pelajaran Johor. Sehingga kini, seramai 13 orang pelajar anak Johor sedang ditaja di bawah skim ini. Daripada jumlah tersebut, 3 orang pelajar telah berjaya melanjutkan pengajian di luar negara, seorang di Columbia Universiti Amerika Syarikat dan 2 orang United Kingdom, masing-masing 2 orang di Imperial Kolej London di United Kingdom. Manakala, baki 10 orang pelajar kini sedang berada di peringkat persediaan A-Level di mana 6 orang dijadualkan menyambung pelajaran ke luar negara pada tahun 2026, manakala 4 orang lagi merupakan pelajar tahun pertama A-Level di Kolej SMU UEM.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan peluang anak Johor untuk menyambung pengajian tidak terjejas walaupun akses terhadap sumber pembiayaan sedia ada seperti PTPTN, bursary dan biasiswa semakin terhad. Ia juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan tiada anak Johor tercicir daripada pendidikan tinggi serta sejajar dengan hasrat untuk melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing demi kemajuan negeri Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ya, Sungai Balang.

Tuan Haji Selamat bin TakimUMNO · BNSungai Balang

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih YB EXCO di atas penerangan. Seperkara lagi Sungai Balang ingin

bertanya, apakah pihak YPJ dan YB EXCO sedar tentang keciciran yang berlaku kepada pelajar-pelajar dalam Program EMAC yang mana setiap pelajar di universiti tempatan akan mendapat sumbangan one-off RM200.00. Jadi, secara kebetulan semua ADUN adalah terlibat sebagai bapa angkat dan kami Sungai Balang adalah merupakan salah seorang yang menjaga universiti yang telah diamanahkan oleh pihak YPJ. Namun, malangnya universiti yang saya jaga itu universiti swasta dan termasuklah Johor Lama yang mana kami selalu bicara yang dimaklumkan bahawasanya universiti swasta ini tidak dapat bantuan EMAC ini. Jadi kami mengharap ya, kami Sungai Balang dan Johor Lama sangat berharap supaya tidak dianaktirikan untuk sama-sama menikmati bantuan EMAC ini. Sekian, terima kasih.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker, kita faham universiti yang dijaga oleh Sungai Balang dan Johor Lama memang saya letakan Sungai Balang, Johor Lama jaga universiti swasta, sebab dia sama-sama bergerak berdua ke universiti itu. Jadi, untuk makluman Yang Berhormat Datuk Speaker untuk pada tahun ini jawatankuasa telah menetapkan bantuan EMAC ini hanya diberikan kepada institusi pendidikan tinggi awam. Namun, bagaimanapun kami akan pertimbangkan untuk bantuan 2026 akan melibat juga beberapa universiti swasta, ini kerana saya kena percaya ramai juga anak Johor berada dalam universiti swasta ini. Sekian, terima kasih.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Penawar.

Puan Fauziah binti MisriUMNO · BNPenawar

Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Datuk Speaker, soalan nombor 10. Apakah status pelebaran lebuh raya PLUS? Apakah status terkini projek menaik taraf lebuh raya SDE?

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih Yang Berhormat Penawar. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat pelaksanaan Projek Lorong Tambahan Lebuh Raya Utara Selatan sehingga kini dibahagikan kepada 3 fasa. Keseluruhan panjang lebuh raya kita Yang Berhormat Datuk Speaker 174 kilometer daripada Tangkak sampailah ke Pandan. Dan alhamdulillah sehingga kini, kita telah pun dapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk 3 fasa. Fasa pertama Senai Utara ke Sedenak, fasa 2 Sedenak ke Simpang Renggam dan fasa 3 Simpang Renggam ke Machap. Pelaksanaan fasa 1 dibahagikan kepada 2 pakej iaitu Pakej A, Kulai – Sedenak dengan kos RM249.74 juta telah pun bermula pada 28 Jun 2024 dan dijangka siap pada 27 Jun 2027 dengan peratusan kemajuan setakat Oktober 2025 adalah 34.49%.

Dari segi progres ada kelewatan sebanyak 1.4%. Ini disebabkan oleh kerja-kerja side clearing dan kerja-kerja tanah dan melibatkan utara dan juga selatan. Namun begitu, kontraktor telah pun diminta untuk menambah jentera dan pekerja untuk kerja-kerja tersebut dan sedang giat dijalankan sebelum masuk musim hujan yang dijangka pada hujung tahun. Dan, insya-Allah dengan prestasi sedia ada kita akan dapat balik positif untuk laluan projek ini menjelang akhir November nanti. Manakala Pakej B, Senai Utara ke Kulai dengan jarak lebih kurang 14.7 kilometer, dua hala, kos ini bernilai RM160.12 juta dan telah pun bermula pada 23 Jun 2025 dan dijangka siap 22 Disember 2027 dan setakat ini kemajuan sebab baru bermula Yang Berhormat Datuk Speaker, sekitar 0.5%.

Seterusnya Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi pelaksanaan fasa 2 Sedenak ke Simpang Renggam dengan panjang 17 kilometer atau 33.2 kilometer kalau kita mengambil dua hala, kos projek bernilai RM365.2 juta telah pun bermula pada 28 Julai 2025 dan dijangka siap pada 27 Julai 2028. Dan sehingga kini, pencapaian perlaksanaan untuk fasa 2 ini ialah sekitar 0.06%. Manakala bagi Fasa 3, perlaksanaan projek ini akan dimulakan dengan Bengkel Pengurusan Nilai (Value Assesment), dengan izin yang dijadualkan diadakan pada 25 hingga 28 November 2025. Bengkel ini bertujuan untuk memastikan skop kerja teknikal dan untuk

memuktamadkan kos projek. Kerja fizikal dijangka dimulakan pada suku tahun keempat 2026 dengan tempoh pembinaan selama 3 tahun.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi projek naiktaraf Lebuhraya Senai-Desaru Expressway, (SDE), jambatan Sungai Johor ke Sungai Semenchu sepanjang 9.34 kilometer dengan kos RM128.5 juta telah dimulakan pada November 2024 dan dijadualkan siap pada April 2027. Sehingga akhir Oktober 2025, peratusan kemajuan pembinaan adalah sekitar 37.98%.

Di kesempatan ini saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana telah meluluskan satu lagi fasa bagi naik taraf lebuhraya Senai-Desaru Fasa 2A dari Cahaya Baru ke Sungai Johor untuk Johor-Singapore Special Economic Zone, dengan izin sepanjang 4.7 kilometer dengan anggaran kos RM117 juta. Terima kasih.

Speaker

RM117 ke RM17 juta.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

RM117, dia silap dekat.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Kota Iskandar.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Kota Iskandar nombor 11. Apakah tindakan kerajaan negeri terhadap isu kekurangan sekolah agama di kawasan Gelang Patah dan Kota Iskandar umumnya sedangkan populasi penduduk Islam semakin meningkat. Adakah cadangan pembinaan bangunan sekolah agama baharu contoh di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah?

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Assalamualaikum warahmatullah. Salam Maju Johor. Terima kasih Datuk Speaker, soalan saya dari YB Kota Iskandar bertanya tentang keprihatinan beliau, kekurangan sekolah agama di kawasan Gelang Patah dan Kota Iskandar sebab populasi di kawasan ini Yang Berhormat Datuk Speaker memang pesat dan padat. Jadi, soalanya adakah cadangan pembinaan bangunan baru terutamanya bangunan sekolah agama baru terutamanya di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan Johor melalui Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor sememangnya peka dan ambil maklum berkenaan pertambahan murid dan kekurangan sekolah agama terutamanya di kawasan zon Iskandar Puteri, di kawasan Gelang Patah dan Kota Iskandar. Sekolah Agama Taman Nusa Perintis seperti yang dinyatakan itu adalah sekolah agama yang dikategorikan sebagai sekolah agama gred C Datuk Speaker. Gred C ini sekolah agama paling kecillah sebenarnya. Tapi kalau ikut data Datuk Speaker kita tunjukkan sekejap lagi, memang kawasan ini orangnya ramai sebab saya yakin pembangunannya pesat.

Menyedari peningkatan komuniti setempat bertambah dan kadar kemasukan murid sekolah agama juga semakin meningkat, Badan Kebajikan Sekolah Agama Taman Nusa Perintis Datuk Speaker dah tulis dah kepada kita, agar pembinaan sebuah bangunan sekolah agama baru dipertimbangkan. Berdasarkan semakan semasa serta penelitian unjuran murid dari 2024 sampai 2028 Datuk Speaker, memang Jabatan Agama Islam mengakui murid dekat sekolah agama ni memang akan makin ramai. Ha, tengok tu 2024, 847; tahun depan Datuk Speaker, kita unjurkan 962 dan 2028 YB Kota Iskandar kita jangkakan seramai 1,027 orang.

Datuk Speaker sebagai EXCO Agama saya suka bila para pelajar makin ramai. Maksudnya, pertama orang Johor ni subur Datuk Speaker. Memang Nabi Muhammad SAW dia gembira umatnya ramai. Ha, ini kena terima kasih kat ibu bapa yang di Johor. Keduanya, bila dia

melahirkan ramai anak Datuk Speaker, dia hantar ke sekolah agama kita, lagilah saya bangga. Kerajaan Johor bangga sebab Sekolah Agama Johor ini terus mendapat sambutan tapi bila mana kapasitinya tak cukup, ha ini kebimbangan kita dan itu tanggungjawab saya mewakili kerajaan Johor.

Buat masa ini Datuk Speaker, 21 buah sekolah agama telah disenaraikan bagi tujuan permohonan pembinaan baharu dan bangunan tambahan. Nak bagi tahu memang ada penyusunan cuma listnya panjang. Namun demikian, setelah penelitian dibuat berdasarkan keutamaan, kesediaan tapak serta kemampuan kewangan semasa kerajaan negeri sedang memberi keutamaan kepada perlaksanaan projek 3 buah sekolah agama baharu untuk tahun depan Datuk Speaker. Sekolah Agama UTM Skudai, Sekolah Agama Al Mizan Kempas dan Sekolah Agama Datin Halimah Skudai, ini tahun depan ni, ni 3 buah sekolah, sekolah baru ni. Tapak baru, sekolah baru.

Selain itu, untuk projek kali ini Datuk Speaker, kita panggil dia Fasa 6A, 2 buah sekolah agama yang lain dapat penambahan bangunan. Ini dekat mana? Sekolah Agama Taman Sri Saujana, Kota Tinggi dan Sekolah Agama Taman Pulai Indah, Kulai. Keseluruhan projek ini Datuk Speaker, Fasa 6A ini anggarannya RM52 juta. Siapa yang bayar? 50% kerajaan Johor, 50% Majlis Agama Islam Negeri Johor. Datuk Speaker, nak terima kasih kat Majlis Agama Islam Negeri Johor. Sebelum ni MAIJ cuma sumbang 30% tapi berkat kerjasama kita pemahaman, tanggungjawab, MAIJ kita naikkan kepada 30% kepada 50% sama dengan kerajaan Johor. Tapi untuk Fasa 6A ini, YB Kota Iskandar, kita dapat buat di 3 buah sekolah yang baru dan 2 buah sekolah bangunan tambahan. Jadi nak bagi tahu, ini perancangannya dah ada cuma tak dapat penuhi semua. Projek pembinaan dijangka bermula 2026 dan siap 2028.

Datuk Speaker, bagi makluman Dewan yang mulia, saya bentangkan biar semua maklum kerajaan Johor ini dia buat kerja tersusun. Rupa-rupanya Datuk Speaker, ada 21 buah permohonan sekolah sedia ada ataupun bangunan baru yang tengah dalam pertimbangan kerajaan kita senaraikan. Datuk Speaker, YB, Yang Berhormat tengok kawasan masing-masing tu ada yang dapat. Datuk Speaker, orang Semerah pun mohon juga tapi senarai nombor 12, Datuk Jun, Sri Medan. Tempat EXCO letaknya nombor 12, tak boleh kecil hati Datuk Speaker sebab ini turutannya. Jadi, Tok Pandak itulah pembahagiannya. Tak ada keistimewaan pun EXCO Agama, dia pun dapat nombor 12. Saya pun tak dapat tahun depan. Jadi, nak bagi tahu YB Pengimbang dan kerajaan inilah cabaran kita bersama. Mudah-mudahan semua keperluan yang ada dalam monitor masing-masing tu menunjukkan, kita dah maklum dah keperluan cuma nak diteraturkan tu memang ambil masa sikit ikut giliran.

Berhubung dengan Sekolah Agama Nusa Perintis, untuk makluman Yang Berhormat sekalian, sekolah agama tersebut pada awalnya tak dimasukkan dalam permohonan terdahulu, YB Tok Pandak, Kota Iskandar kerana waktu tu status tanah wakafnya belum selesai. Jadi, sekarang ni bila dah siap, cadangan pembangunannya akan dipertimbangkan bagi maksud pembangunan fasa akan datang. Tapi YB Kota Iskandar kalau masuk akan datang tu dia akan jadi nombor 22 lah tu, tak dapat jadi nombor 4 sebab yang ada pun dah 21 dah. Tapi, kita maklum tentang unjuran kepadatan penduduk dan kita usahakan sebaik-baiknya, mudah-mudahan limpahan negeri Johor makin kaya, zakat makin tinggi, senarai-senarai ini akan dapat dipercepatkan pembinaannya.

Selain itu, ada juga cadangan untuk membina bangunan sekolah agama di kawasan Sekolah Kebangsaan Nusa Perintis. Untuk ini YB Kota Iskandar, saya minta maaf tak dapat dilaksanakan memandangkan tapak itu merupakan milik Kementerian Pendidikan Malaysia dan tidak boleh dibangunkan bagi kegunaan sekolah agama negeri. Tapi, kiranya YB Tok Pandak kita dah dapat tanah wakaf ni selesai tanahnya. Tak perlu numpang kat orang, cuma gilirannya tu, saya nak bagi tahu agak panjang sedikit.

Berikut disertakan data perbandingan sekolah agama yang mempunyai bangunan sendiri dan sekolah agama yang beroperasi secara gunasama dengan sekolah kebangsaan bagi memberi gambaran menyeluruh tentang keperluan semasa Sekolah Agama Negeri Johor. Datuk Speaker tu senarainya. Saya tunjukkan kepada semua, biar orang nampak kita ni bekerja ke tidak. Data pun kita cukup. Sekolah yang menumpang pun ada Datuk Speaker. Saya tak malu nak katakan, kita masih menggunakan kerjasama dengan sekolah kebangsaan. Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, terima kasih kepada YB Aznan, EXCO kita kerana memudahkan urusan kita. Tapi nak bagi tahu, kita memang perlukan sekolah bangunan sendiri itu.

Datuk Speaker saya sebut kepada semua, macam mana kita kumpul data ini. Datuk Speaker sebelum ini rupa-rupanya Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor ada pegawai kat belakang, rupanya Yang Berhormat selama ini Johor belum ada Pelan Kemajuan Pendidikan Agama Islam Negeri Johor. Waktu Barisan mentadbir, waktu Pakatan Harapan memerintah rupanya seorang pun tak fikirkan bahawa tak ada pelan pun tentang pendidikan agama Islam. Tetapi berkat kita bersama, Penggal ini Datuk Speaker, portfolio saya dah arahkan Pelan Kemajuan Pendidikan Agama Islam Negeri Johor, itu yang kita dapat data ni semua ni. Barulah harapan YB Kota Iskandar dapat kita laksanakan. Sebab sebelum ini tak ada mata yang tengok betul-betul keperluan sebenar sekolah agama kita.

Kalau tanya saya Datuk Speaker berapa banyak sekolah agama patut dibina, sebanyak mana sekolah kebangsaan, sebanyak itulah saya nak Sekolah Agama Negeri Johor ditubuhkan. Itu, semangat kita. Ha, itu baru rakyat semuanya merasa tuan-tuan. Kalau tak rasa juga tak tahulah. Itu kesungguhan kerajaan, itu bukti kita buat kerja. Senang cerita sekolah agama banyak mana, sebanyak mana sekolah kebangsaan banyak itulah saya nak sekolah agama bagi kerajaan Johor. Tapi nak buat serta merta semua, ya tak mampu Datuk Speaker. Tapi, mulakan dengan perancangan, tapi kalau rancang pun tak reti memang takkan berjaya. Tapi kerajaan Maju Johor kita mulakan perancangan, walau pun kerajaan-kerajaan sebelum ini dah diberikan peluang tapi mungkin, saya bagi tahu bahasa yang lembut, mungkin tak sempat, sibuk masing-masing. Ini, kita sibuk dengan rakyat pun kita buat, sibuk dengan kemajuan pun kita utama.

Datuk Speaker, itu yang saya dah sebutkan memang kena buat betul-betul. Dan, kewangannya mesti kena kuat. Sebab itu MAIJ tak nak tinggalkan kerajaan johor sendiri-sendiri. Portion Sekolah Agama Kerajaan Johor MAIJ keluarkan 50%. Datuk Speaker, untuk 2026 sampai 2025 itulah Pelan Kemajuan Pendidikan Islam yang sedang kita bangunkan dan mudah-mudahan perkara ini dapat memenuhi keperluan persekolahan anak-anak kita termasuk kebajikannya. Wallahualam. Terima kasih.

Speaker

Yang Berhormat, Yang Berhormat anak berapa orang?

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Saya Allah bagi rezeki 4 je Datuk.

Speaker

Ha, itu baru isteri pertama kan?

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Nampaknya begitulah (Ketawa).

Speaker

Tahniah. Ada soalan tambahan, sila ya.

Datuk Haji Pandak bin AhmadUMNO · BNKota Iskandar

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Terima kasih Yang Berhormat YB EXCO di atas penjelasan jawapan yang tepat yang boleh memuaskan hati kita yang mendengarnya. Persoalan saya Yang Berhormat Datuk Speaker, memanglah Nusa Perintis tadi itu sekolah usahasama, 22 tahun. 2023 hingga 2025. Dengan pertambahan projek pembangunan begitu pesat di Kota Iskandar khasnya dalam kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, akan datang lebih banyak lagi perumahan

yang akan wujud contoh di Mukim Tanjung Kupang, RMMJ; di Pulai Mutiara, Mutiara 1, Datuk Dipertua hampir 5,000 unit sedang didiami dan akan didirikan.

Isu saya seperti yang dinyatakan oleh YB EXCO tadi, mengikut, kita mengikut priority, kalau akan datang saya mohon sekolah agama baru, mungkin nombor 25. Tetapi mengikut priority, kalau 5,000 unit ini akan didiami khasnya di Pulai Mutiara, dulu saya bangkitkan di Pulai Indah. Pulai Indah, Alhamdulillah terima kasih YB EXCO bagi 2 unit kabin untuk menampung sekolah di luar, di kawasan surau yang saya bangkitkan semalam. Isu saya ini, bagaimana kita Yang Berhormat Datuk EXCO, akan datang priority ini akan bertambah. Isu ini akan bertambah. Apakah perancangan Jabatan Agama Islam berkolaborasi dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri mengenalpasti rizab-rizab mengikut nisbah penduduk yang ada dalam Kota Iskandar. Itu je Tuan Pengerusi, eh Tuan Speaker.

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Terima kasih YB Kota Iskandar. Datuk Speaker, itu melambangkan kesungguhan YB kawasan untuk melihat keselesaan para pelajar dan Pendidikan Islam terus dijaga dengan baik. YB Kota Iskandar saya ambil maklum keperluan itu dan sudah pasti Jabatan Agama Islam Negeri Johor melalui Bahagian Pendidikan Islam akan sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan kemajuan tanah dan kawasan-kawasan baru, mengambilkira zon-zon bagi penempatan dan pembinaan sekolah-sekolah kebangsaan temasuk sekolah-sekolah agama. Jadi, saya gembira atas kesungguhan ini dan saya percaya usaha ini akan kita libatkan semua pihak Datuk Speaker, bagi mengutamakan kepadatan kawasan yang lebih signifikan dan YB Kota Iskandar jangan risau, data yang saya sebutkan tadi, pertama biar semua nampak. Macam saya kata, Semerah pun dapat nombor 12. Tapi bila mana kepadatan penduduk kawasan tertentu mungkin meningkat lebih tinggi dan perlu, saya kira inilah kewajaran libat urus mana-mana YB kawasan yang telah pun saya list kan tadi, tapi mungkin ada keperluan lebih utama di tempat yang lain. Datuk Speaker saya percaya maju Johor ni konsepnya musyawarah, Allah sebut (bacaan Surah) dia muafakat, dia buat kerja betul-betul sepakat. Jadi mana-mana yang keutamaan dah letak nombor mungkin 18 ke tadi untuk YB Kota Iskandar, kalau ada kewajaran untuk kita utamakan kawasan tertentu, saya berjanji kita akan kumpulkan semua Yang Berhormat berkenaan untuk letakkan kefahaman dan pertimbangan bersama, bagi mungkin kita meletakkan kelebihan kepada lain-lain kawasan yang mungkin lebih tinggi keutamaannya berbanding tempat-tempat yang lain. Itu kita boleh susun bersama tanpa meminggirkan mana-masa kawasan. Wallahua’lam.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Endau.

Yang Berhormat Datuk Speaker soalan Endau nombor 12.

Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menaiktaraf bangunan perniagaan di Pantai Air Papan kepada bangunan yang lebih selesa serta menarik menjelang Tahun Melawat Johor 2026?

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirahmannirahim. Assalammualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh. Endau bertanya tentang perancangan dan untuk menaiktaraf bangunan perniagaan di pantai Air Papan dan bangunan yang lebih selesa menjelang Tahun Melawat Johor 2026. Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor melalui Majlis Daerah Mersing sentiasa komited memperkukuhkan infrastruktur pelancongan di kawasan persisiran khusunya pantai Air Papan. Sebuah destinasi ikonik yang menjadi kebanggaan daerah Mersing dan juga negeri Johor.

Menyedari kepentingannya sebagai tarikan utama menjelang Tahun Melawat Johor 2026, kerajaan memberi tumpuan khusus untuk memastikan kawasan ini tampil lebih teratur moden dan mesra pengunjung. Berdasarkan data sewaan khemah, tapak perkhemahan, bayaran

masuk serta pemerhatian lapangan, jumlah pengunjung pantai Air Papan sehingga Oktober 2025 berjumlah 46,000, menunjukkan potensi besar destinasi sebagai pemangkin ekonomi setempat. Pada tahun 2025, alhamdulilah, syukur kepada Allah swt, Majlis Daerah Mersing telah menerima peruntukan berjumlah RM17.9 juta di bawah RMK 12 Rolling Plan 5 melalui Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MALTEK). Terima kasih kepada YB Menteri, bagi pembangunan semula pantai Air Papan. Projek berskala besar ini dijangka mengambil masa 2 sehingga 3 tahun dan bakal memberi wajah baharu yang lebih moden, terancang dan berdaya unik kepada pantai tersebut. Ketika ini projek berada pada fasa pelantikan perunding, bagi menyediakan rekabentuk menyeluruh bertaraf dunia yang menitikberatkan keselesaan pengunjung, kelestarian alam sekitar, keindahan lanskap serta elemen pintar. Pembangunan semula pantai Air Papan yang dirancang melibatkan 4 zon utama, iaitu;

1. Zon perkhemahan; 2. Zon rekreasi; 3. Zon gerai serta zon dataran atau tapak karnival.

Antara tumpuan pembangunan termasuk menaik taraf bangunan perniagaan kepada struktrur yang lebih moden dan selesa. Menambahbaik sistem perparitan dan pengcahayaan, menyusun semula kawasan perniagaan secara lebih teratur serta menyediakan kemudahan awam yang lebih mesra pengunjung, pengguna dan untuk memenuhi keperluan pengunjung.

Dalam memastikan kelestarian dan kebersihan pantai terjaga, sementara menunggu pelaksanaan penuh projek pembangunan semula ini, Majlis Daerah Mersing telah dan akan terus menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, pengindahan dan pembersihan pantai secara berterusan. Kos pembersihan pantai dan kawasan awam yang dilaksanakan melalui SW Corp dan SWM adalah sebanyak RM18,963.00 sebulan. Ini menunjukkan komitmen jelas kerajaan untuk memastikan pantai Air Papan kekal bersih, selamat dan kondusif bagi menerima pelancong domestik dan antarabangsa. Pendekatan ini juga digerakkan secara inklusif dengan mengambil kira kesejahteraan komuniti setempat, khususnya kepada para peniaga kecil yang menjadi nadi ekonomi kawasan pantai. Kerajaan negeri percaya pembangunan semula pantai Air Papan akan menjadi ikon baharu sektor pelancongan Johor. Mencerminkan kemajuan, kelestarian dan kesejahteraan rakyat. Ia seiring dengan aspirasi Maju Johor 2030 dan visi menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan pilihan utama di rantau ini. Terima kasih Datuk Speaker.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Tangkak.

Tuan Ee Chin LiDAP · PHTangkak

Yang Berhormat Datuk Speaker soalan Tangkak nombor 13. Terima kasih.

Apakah strategi kerajaan negeri untuk memperkukuh penyertaan masyarakat Cina dalam program pembangunan ekonomi Johor, termasuk akses kepada program keusahawanan, perumahan dan bantuan pendidikan yang saksama di daerah Tangkak?

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Terima kasih Datuk Speaker. Salam maju Johor, salam Bangsa Johor sihat sejahtera. Terima kasih soalan daripada Tangkak yang menanya mengenai strategik kerajaan negeri untuk memperkukuhkan penyertaan masyarakat Cina dalam program pembangunan ekonomi Johor termasuk akses kepada program keusahawanan perumahan dan bantuan pendidikan yang saksama dan di daerah Tangkak.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor sentiasa berpegang kepada prinsip pembangunan yang inklusif, yang menyeluruh dengan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat secara adil daripada agenda pembangunan negeri tanpa mengira kaum atau latar belakang. Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) sentiasa memastikan dasar agihan rumah mampu milik Johor (RMMJ)

dilaksanakan secara telus dan berasaskan kelayakan pendapatan tanpa mengira bangsa. Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat Johor berpeluang memiliki kediaman yang berkualiti, selesa dan mampu dimiliki. Beberapa projek RMMJ telah siap dibangunkan di daerah Tangkak bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat menikmati kemudahan perumahan yang lebih baik.

Selain itu projek perumahan lain turut sedang dibangunkan oleh pihak swasta bagi memenuhi permintaan pasaran serta menyediakan pilihan yang lebih pelbagai kepada rakyat. Perlaksanaan inisiatif ini juga adalah selaras dengan aspirasi agenda Maju Johor 2030 yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan perumahan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar. Dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan, kerajaan negeri melalui turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan seperti biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak tanpa mengira kaum. Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan setiap pelajar berpotensi di negeri ini mendapat peluang pendidikan yang setara dan mampu mencapai kejayaan akademik yang cemerlang.

Datuk Speaker, kerajaan negeri melalui Rancangan Tempatan Daerah (RTB) Tangkak telah menggariskan beberapa strategi pembangunan ekonomi bagi mengukuhkan daya saing tempatan. Antara strategi utama yang dirancang ialah mengukuhkan kebolehan kompetitif industri menerusi penstrukturan berasas konsep kluster dan pembangunan bersepadu termasuk kluster industri perkayuan, ternakan burung walid, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor pertanian bernilai tinggi. Strategi ini bertujuan memperkukuh rantaian ekonomi setempat dan mewujudkan peluang baharu kepada semua lapisan masyarakat dalam sektor perusahaan dan perdagangan di daerah tersebut. Selain itu, sektor pelancongan juga dikenalpasti sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi daerah Tangkak. Pembangunan pelancongan akan ditumpukan kepada produk yang pelbagai seperti pelancongan agro, eko pelancongan, pelancongan budaya dan rekreasi, di samping memperkukuh infrastruktur sokongan dan kemudahan penginapan. Usaha ini bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa, tetapi turut membuka ruang kepada akitiviti keusahawanan tempatan yang mampu menjana pendapatan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat termasuk masyarakat Tionghua. Sekian, terima kasih.

Speaker

Saya jemput Yang Berhormat Parit Raja.

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Soalan Parit Raja nombor 14.

Dalam menghadapi Tahun Melawat Johor 2026, apakah langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk memperkasakan IKS di setiap pekan kecil agar turut merasai manfaat pembangunan sektor pelancongan negeri?

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Menjawab bagi soalan Parit Raja, dalam menghadapi Tahun Melawat Johor 2026, apakah langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk memperkasakan IKS di setiap pekan kecil agar turut merasai manfaat pembangunan sektor pelancongan negeri Johor?

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat Parit Raja yang cukup cakna dengan nasib perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS). Untuk makluman Yang Berhormat, antara perancangan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPEN), Perbadanan Usahawan Johor dan agensi-agensi di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor merangkumi yang pertama adalah promosi produk usahawan Johor. Yang mana inisiatif ini dilaksanakan oleh Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) yang bertujuan untuk membantu para usahawan di negeri ini mempromosikan produk-produk keluaran mereka dipasaran dengan lebih meluas.

Produk-produk ini juga akan diperkenalkan dan dijadikan sebagai bahan utama di dalam cenderahati untuk majlis-majlis rasmi kerajaan ataupun program-program yang yang melibatkan aktiviti-aktiviti produk dari negeri Johor di peringkat persekutuan mahu pun antarabangsa. Pelaksanaan inisiatif ini juga dilihat dapat membantu sedikit sebanyak, meningkatkan daya saing usahawan agar kembali aktif menjalankan operasi perniagaan dan seterusnya meningkatkan hasil pendapatan menerusi penyertaan usahawan bimbingan PUJB di ekspo luar negara seperti MIHAS dan juga Malaysia Fest di Singapura baru-baru ini. Sepertimana yang saya katakan tadi, menjawab soalan daripada Sri Medan, SME Go Global juga membantu inisiatif-inisiatif kerajaan Malaysia menerusi SME Corp. memberi tumpuan kepada pengantarabangsaan produk-produk tempatan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, satu lagi program yang dipanggil Gate to Global (GTG) yang dilaksanakan oleh Majlis Amanah Rakyat ataupun MARA sejak tahun 2017 lagi, terbukti berjaya membantu usahawan Bumiputera untuk menembusi pasaran global dengan cemerlang. Program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan keupayaan usahawan-usahawan dalam aspek produk-produk pengukuhan, penjenamaan dan juga pemasaran strategik yang dapat membawa produk tempatan ke pasaran dunia. Usaha GTG termasuklah dengan membawa usahawan-usahawan MARA untuk menyertai pelbagai acara antarabangsa seperti baru-baru ini, Pameran Halal Antarabangsa MIHAS yang dianjurkan setiap tahun yang bermula tahun 2004 lagi. Kita sedia maklum bahawa program GTG ini dijangka dapat membantu untuk meningkatkan kapasiti keupayaan syarikat Bumiputera dalam menembusi pasaran local mahu pun antarabangsa, dengan izin.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selain apa yang dinyatakan kepada YB Parit Raja berkaitan dengan mempromosikan usahawan bagi Tahun Melawat Johor, kerajaan negeri Johor menyedari bahawa PKS memainkan peranan penting dalam eko sistem yang mana pelaburan juga diutamakan dalam menyokong pertumbuhan pelabur asing dalam sektor strategik seperti pembuatan, elektronik dan automotif. Oleh itu pelbagai program-program yang telah disusun bagi Tahun Melawat Johor, saya mengharapkan usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan peniaga-peniaga IKS ini, dikenalpasti oleh Perbadanan Usahawan Johor dan 49 agensi di bawah Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor ini dapat bersama-sama menyemarakkan lagi produk-produk itu dalam program Tahun Melawat Johor nanti. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada soalan-soalan yang disenaraikan belum dijawab secara lisan, akan dijawab secara bertulis dalam Persidangan yang sama. Saya tangguhkan Sidang ini selama 15 minit dan kita akan masuk balik dalam pukul 11.15 tengah hari.

Persidangan ditangguhkan pada jam 11:00 pagi.

Persidangan disambung semula pada jam 11:20 pagi.

Jurutulis

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Datuk Speaker.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 Tahun 2025.Bill

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, untuk makluman pada hari ini, kita akan mendengar penggulungan daripada Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa. Masa yang diberikan adalah 20 minit seorang dan saya memohon kerjasama semua agar mematuhi masa yang ditetapkan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, perbahasan disambung sekarang. Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md OnUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat · Serom

Bismillahirrahmannirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan Salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan untuk memberi ucapan penggulungan bagi pihak kerajaan dalam Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15.

Merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Hari Keputeraan Baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dengan penuh takzim memanjatkan doa kehadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat DiRaja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dalam afiah dan sejahtera agar terus menaungi sekalian rakyat dan Bangsa Johor.

Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepimpinan negeri dalam menjayakan urus tadbir demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Patik juga menjunjung kasih Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang sentiasa mengambil berat akan hal ehwal berkaitan wanita, kanak-kanak, warga emas, Orang Kurang Upaya khususnya di negeri Johor.

Kerajaan negeri melalui Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, sentiasa berusaha dalam memastikan golongan sasar ini sentiasa terbela. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa mengambil cakna Titah Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota dan akan terus berperanan aktif serta bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain. Penglibatan pertubuhan badan bukan kerajaan, komuniti dan masyarakat setempat amat dialu-alukan dan turut dititik beratkan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor tempoh hari telah membentangkan belanjawan tertinggi negeri Johor dengan jumlah peruntukan RM2.5 bilion diikuti dengan 6 Teras dan 260 Inisiatif. Suka saya berkongsi lagi berkenaan Belanjawan Johor 2026 yang bertemakan Bangsa Johor Sejahtera di bawah Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor yang sentiasa memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan rentan itu sentiasa terbela.

Yang Berhormat Datuk Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sebanyak RM76.9 juta diperuntukkan di bawah Portfolio Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor. Ini baru sahaja digariskan dalam ucapan yang ianya besar buat kami. Selain daripada Belanjawan Johor 2026, Bantuan Kasih Johor juga menjadi inisiatif tambahan yang membantu rakyat. Bantuan Kasih Johor ini benar-benar dirasai oleh segenap lapisan masyarakat, daripada warga emas yang mengharapkan perhatian, Orang Kurang Upaya yang memerlukan sokongan berterusan, ibu tunggal yang bertungkus lumus membesarkan anak, anak yatim yang mendambakan belaian kasih. Anak-anak yatim di pusat jagaan yang menanti masa depan yang lebih cerah. Hinggalah kepada petani, nelayan yang setiap hari berpeluh keringat demi mencari rezeki. Pejuang kanser yang terus melawan, golongan miskin dan miskin tegar yang memerlukan sokongan, anak-anak angkat Makmur Johor penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Saya ingin mengajak kita semua merenung sejenak, membayangkan seorang ibu tunggal yang berjuang membesarkan anak-anaknya. Seorang remaja yang bergelut dengan pengaruh

negatif media sosial atau sebuah keluarga yang hampir runtuh kerana tekanan hidup. Maka, di sinilah peranan kita sama-sama membina benteng pertahanan keluarga agar mereka tidak rebah dihempas badai zaman.

Datuk Speaker, inisiatif ini bukan sekadar bantuan, tidak satu tapi tetapi satu tanda bahawa setiap insan di negeri Johor ini tidak pernah dibiarkan sendirian dan kesejahteraan mereka tetap menjadi keutamaan. Ini membuktikan bahawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar sentiasa cakna akan Bangsa Johor.

Namun Datuk Speaker, saya berasa tersinggung, apa sahaja inisiatif kerajaan ada sahaja yang tidak kena di mata Bukit Kepong. Kita bimbang, nanti jadi seperti diberi madu dibalas tuba. Bantuan diberi, usaha sudah dijalankan, namun dibalas hanyalah keraguan yang tidak berasas. Dalam perancangan Belanjawan Johor 2026, kerajaan berusaha menyalurkan bantuan kepada semua lapisan masyarakat jangan kerana kita yang tidak suka, kita menidakkan sesuatu itu sehingga kita lupa untuk bersyukur.

Yang Berhormat sekalian, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke atas usaha Kerajaan Negeri Johor yang tidak pernah lupa untuk memberikan yang terbaik kepada Bangsa Johor. Usaha ini bukan sehari dua, Datuk Speaker, bukan juga sebulan dua.

Yang Berhormat sekalian saya bersama rakan-rakan dari jabatan, Yang Amat Berhormat telah mengumumkan inisiatif-inisiatif. Maka kami mula bekerja pagi, petang, siang dan malam untuk menjalankan gerak-gerak kerja yang untuk memastikan bahawa bantuan itu diberi dan saya pasti rakan-rakan di sebelah sana juga begitu juga pada tahun-tahun seterusnya.

Di kesempatan ini, saya ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Onn Hafiz di atas kepimpinan yang berwibawa, efektif serta sentiasa memberi ruang kepada agenda pemerkasaan wanita, keluarga dan masyarakat negeri Johor.

Yang Amat Berhormat Menteri Besar juga telah membukitkan bahawa kepimpinannya bukan sekadar soal pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan insan. Usahanya yang konsisten dalam mengukuhkan agenda wanita dan keluarga jelas menggambarkan bahawa keluarga Johor bukan hanya slogan tetapi realiti yang sentiasa kita nikmati sehingga hari ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Penggaram, Simpang Jeram, Bentayan, Senggarang dan Johor Jaya, yang menunjukkan keprihatinan terhadap golongan warga emas yang semakin bertambah. Yang Berhormat sekalian, takrifan warga emas adalah individu yang berumur 60 tahun ke atas seperti yang diterima pakai dalam United Nations World Assembly On Aging 1982, dengan izin di Vienna. Kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai rancangan jangka masa pendek, jangka masa panjang bagi golongan warga emas. Antara rancangan kerajaan adalah penggubalan dasar warga emas negara. Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2026 hingga 2030 yang dilancarkan pada Oktober 2025 yang lepas semasa Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan. Dasar ini merupakan komitmen kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan yang sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.

Pelan Tindakan ini mengandungi 6 teras utama:- Teras pertama, promosi dan advokasi, teras kedua pembelajaran sepanjang hayat mereka, teras ketiga keselamatan dan perlindungan, teras keempat tadbir urus dan perkongsian tanggungjawab, teras kelima iaitu penglibatan dan kesepaduan antara generasi, teras keenam iaitu penyediaan dan pembangunan.

Mekanisme pelaksanaan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara terbahagi kepada tiga peringkat iaitu peringkat kebangsaan di bawah Majlis Penasihat

Perundingan Warga Emas Negara, peringkat negeri di bawah Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri dan peringkat daerah di bawah Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Daerah.

Datuk Speaker, di samping itu, kerajaan negeri juga menggalakkan penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas iaitu PAWE di dalam komuniti yang berfungsi sebagai satu pusat bagi warga emas. Menjalankan aktiviti harian bagi memastikan warga emas ini kekal aktif dan produktif. PAWE merupakan satu bercorak pendampingan sosial dengan izin, reaching out dan pembangunan developmental kepada warga emas yang melibatkan kerjasama strategik antara Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan agensi kerajaan yang lain serta pertubuhan badan bukan kerajaan. Sehingga Oktober 2025, kerajaan Johor mempunyai 23 buah Pusat Aktiviti Warga Emas dengan bilangan ahli berdaftarnya seramai 4,656 orang warga emas, manakala empat buah lagi PAWE yang telah diluluskan penubuhan mula beroperasi secara berperingkat pada akhir tahun 2025 ini.

Datuk Speaker, untuk makluman, kerajaan pada masa ini, melalui pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melaksanakan dan menyelaras beberapa modul serta kursus dan latihan berkaitan penjagaan warga emas. Langkah ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh ekosistem penjagaan sosial dan melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang penjagaan warga emas yang semakin penting dalam konteks Malaysia menuju masyarakat menua menjelang tahun 2030.

Antara modul latihan yang telah dilaksanakan iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang penjagaan warga emas dengan izin, Elderly Care yang dibangunkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat berdasarkan National Occupational Skills Standard (NOSS), dengan izin, bagi tahap dua dan tiga yang memberi tumpuan kepada aspek penjagaan asas, pemantauan kesihatan, pengurusan aktiviti harian, keselamatan serta etika penjagaan warga emas. Kursus diakreditasi oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran iaitu Institut Sosial Malaysia yang melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang boleh berkhidmat di bawah pusat jagaan yang berdaftar.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Institut Sosial Malaysia turut menganjurkan Program Latihan Penjaga Warga Emas dengan izin, Care Giver Training Programme, yang memberi tumpuan kepada aspek penjagaan berpusatkan individu dengan izin, person-centred care, kesedaran terhadap hak dan kebajikan warga emas, kesejahteraan psiko sosial, etika penjagaan serta kemahiran komunikasi dan keselamatan.

Pada masa yang sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia turut melaksanakan Program Latihan Komuniti bagi penjagaan warga emas berasaskan komuniti yang dijalankan melalui Pusat Aktiviti Warga Emas bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang tanggungjawab sosial dalam penjagaan warga emas serta memperkukuh jaringan sokongan komuniti. Inisiatif ini sangat penting dalam melahirkan masyarakat yang lebih prihatin dan inkslusif terhadap keperluan golongan berusia.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri terus menyantuni golongan warga emas yang tidak berwaris dan memerlukan perkhidmatan penjagaan dan perlindungan. Sehubungan itu, Rumah Seri Kenangan (RSK), iaitu sebuah institusi di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diwujudkan untuk membantu warga emas yang tidak mempunyai waris, hidup dalam keadaan yang sejahtera serta mempunyai penjagaan, perlindungan dan rawatan yang sempurna. Di Malaysia terdapat 9 buah rumah RSK, dan salah satunya di negeri Johor iaitu Rumah Seri Kenangan Johor Bahru yang terletak di Ungku Mohsin. Walau bagaimanapun, bagi menampung keperluan warga emas yang memerlukan perlindungan dan penjagaan negeri Johor, sukacita dimaklumkan bahawa sehingga Oktober 2025 terdapat sebanyak 96 buah Pusat Jagaan Warga Emas, yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan, sama ada berbayar dengan

jumlah yang minimum ataupun pusat jagaan yang berkonsepkan kebajikan iaitu tiada bayaran dikenakan, yang mana pusat jagaan ini turut menerima bantuan geran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai penyuntik semangat dan galakan kepada mereka untuk terus memberikan penjagaan kepada warga emas.

Selain itu, kerajaan negeri dan persekutuan memberikan dana melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada sukarelawan-sukarelawan yang memberikan perkhidmatan Khidmat Bantu Di Rumah atau lebih dikenali dengan KBDR kepada warga emas di rumah yang tinggal keseorangan dan memerlukan bantuan seperti menemani warga emas itu ke klinik, menjadi peneman atau rakan bual kepada warga emas dan juga membantu warga emas yang tinggal keseorangan untuk membeli barang-barang keperluannya.

Datuk Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengumumkan inisiatif tambahan kepada warga emas melalui Bantuan Kasih Johor, yang telah pun berjalan bagi fasa kedua. Bagi warga emas, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM10.5 juta yang memberi manafaat kepada 17,702 warga emas, penerima bantuan bulanan warga emas. Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor Dato’ Onn Hafiz dalam usaha memastikan persediaan menuju negara tua terus digerakkan dan kerjasama bersama kerajaan persekutan selaku pembuat dasar terus dijalankan.

Datuk Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Kemelah dan Johor Lama atas prihatin terhadap Pertubuhan Dalam Komuniti (PDK) khususnya dalam mencadangkan kenaikan elaun penyelia dan petugas PDK. Kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa menyalurkan pelbagai bentuk peruntukan bantuan kewangan kepada penyelia, petugas dan pelatih PDK-PDK ini di negeri Johor dan sentiasa mengambil kira kebajikan mereka.

Yang Berhormat, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat memahami dan mengkaji cadangan-cadangan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat. Untuk makluman Yang Berhormat serta Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri Johor tidak pernah sesekali mengenepikan penyelia dan petugas PDK. Sehingga kini kerajaan negeri Johor sentiasa memberi Bantuan Khas Kewangan kepada semua petugas dan penyelia PDK di seluruh negeri Johor. Terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat, insha-Allah niat tulus yang Berhormat itu dipermudahkan.

Untuk makluman Yang Berhormat, bantuan khas kepada penyelia dan petugas PDK, pada tahun 2023 adalah sebanyak RM852,000.00 kepada 426 penyelia dan petugas PDK iaitu RM2,000.00 Bantuan Khas Kewangan dan Aidilfitri. 2024 adalah sebanyak RM1.4 juta kepada 423 penyelia dan petugas PDK, iaitu RM3,500.00 seorang Bantuan Khas Kewangan dan Aidilfitri. Begitu juga tahun 2025, Bantuan Khas Kewangan diteruskan lagi seperti saban tahun, pada tahun 2025, sebanyak RM3,000.00 seorang Bantuan Khas Kewangan dan Aidilfitri.

Datuk Speaker, pihak PDK boleh mengemukakan permohonan pembaikan bangunan jika mengalami kerosakan teruk yang perlu dibaiki oleh kerajaan negeri Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sebagai makluman, dari tahun 2021 hingga 2025, negeri Johor telah membelanjakan RM4.7 juta yang memberi manfaat kepada 116 PDK-PDK di negeri Johor. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, bahawa hanya kerajaan negeri Johor sahaja yang memberikan bantuan-bantuan seperti ini. (Dewan bertepuk).

Inisiatif dan penambahbaikan akan sentiasa dilaksanakan mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan negeri Johor dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela. Selaras dengan aspirasi, “Maju Johor Rakyat Sejahtera”, kerajaan akan terus memperkukuh dasar dan sistem penyampaian agar tiada golongan rentan yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya. Saya menyeru semua Ahli Yang Berhormat agar terus memberi

sokongan kepada usaha ini demi kesejahteraan rakyat negeri Johor secara menyeluruh. Teguh bersatu mencapai cita, berpadu tenaga demi negeri; Maju Johor Rakyat Sejahtera melakar kejayaan bumi bertuah ini. Semoga kerjasama dan komitmen kita semua akan terus mengukuh pembangunan negeri menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih maju dan rakyat yang lebih sejahtera. Kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ketua jabatan, kakitangan jabatan dan kakitangan pejabat di bawah Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sentiasa bertungkus lumus dan bersiap sedia dengan segala tugas yang dipertanggungjawabkan. Sekian, wabillahi taufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Serom. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan yang mulia ini mengalu-alukan kehadiran Pemerhati seramai 42 orang. 5 orang daripada DUN Kawasan Pekan Nanas; 25 orang daripada DUN Kawasan Semerah; 4 orang daripada DUN Kawasan Tanjung Surat dan 8 orang daripada DUN Kawasan Senggarang. Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam.

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Bismillahirrahmannirahim. Assalamualaikum warahmatullah. Salam sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Datuk Speaker atas peluang yang diberikan. (Bacaan Doa). Yang Berhormat Ahli Dewan yang saya kasihi termasuk para Pemerhati yang datang bawah Semerah. Apa khabar semua? Sihat ya?

Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya marilah kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas limpah kurnianya dapat kita bersidang dengan baik dan masuk pada Sesi Penggulungan EXCO Kerajaan Johor. Pertamanya, patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah dan salam takzim kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang bakal disambut 22 November ini. Patik dan seluruh warga Johor dengan penuh takzim memanjatkan doa kehadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Muli Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat Diraja dikurniakan keberkatan usia, kekal afiat serta dalam kesejahteraan. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang telah memimpin negeri Johor dengan adil, makmur dan saksama. Sesungguhnya sekalian patik rakyat merasa bersyukur menjadi Bangsa Johor.

Bajet 2026 sekalian kita, marilah kita mengucpakan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas Belanjawan Negeri Johor yang begitu menyeluruh dan berwawasan. Belanjawan ini bukan sahaja sekadar dokumen perangkaan tapi satu manifestasi tekad kerajaan negeri dalam menjadikan objektif teras Maju Johor mengangkat taraf hidup rakyat, memperkukuh daya saing ekonomi, memperluas jaringan kesejahteraan sosial serta memacu pembangunan yang lebih inklusif dan mampan. Pembentangan ini, hala tujunya begitu jelas, tersusun bahkan bertanggungjawab. Dengan bertemakan, “Bangsa Johor Sejahtera”, Belanjawan ini mencakupi seluruh perihal masyarakat, segmen, tata urus rakyat juga tadbir urus kerajaan yang bertanggungjawab.

Yang Berhormat Datuk Speaker, izinkan saya mengulas dapatan hasrat Yang Berhormat Ahli Dewan atas sesi perbahasan yang dapat kita rumuskan. Yang Berhormat Kukup mengemukakan 3 persoalan. Yang pertamanya, apakah mandat sebenar JHDC, Johor Halal Development Corporation dalam Pelan Kemajuan Halal 2030? Datuk Speaker, kerajaan Johor telah pun mengemukakan Pelan Kemajuan Halal 2030, Bajet ini dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada tahun lepas. RM800,000.00 bagi pembentukan pelan ini dengan gerak kerja awalnya bagi maksud membolehkan ekosistem halal di Johor benar-benar terbentuk. Sebelum ini rakyat terbanyak tak ramai mohon halal. Datuk Speaker, sehingga Mac 2025, hanya sekitar 1,200 pemegang sijil halal dalam negeri Johor. Negerinya

hebat, rakyatnya, ekonominya bagus tapi yang ambil sijil halal 1,200, apa barang Datuk Speaker. Jadi, Menteri Besar menghasratkan tahun ini sahaja mesti persijilan halal, kuotanya mesti 500, YB Kukup. Dan, saya nak beritahu kongsian yang paling baik. Dua hari lepas saya ada mesyuarat task force dengan semua agensi pelaksana halal. YB Kukup, setakat dua hari lepas, permohonan halal yang confirm lulus tahun ini 546. Macam ini lah mentadbir negeri, letak satu perkara dan letak juga dia punya sasaran dia. Yang saya sebut tu lulus, yang 585 tunggu nanti dia punya kata akhir Datuk Speaker sampai ke hujung tahun, yang saya nak bagi tahu 546 confirm dalam tangan.

Datuk Speaker kemudiannya, tadi YB Kukup pun ada tanya tentang 500 usahawan persijilan halal kenapa tak ramai-ramai? Tahun ini 500 sasaran sampai 2030 YB Kukup, 5,000 permohonan sijil halal yang baharu diluluskan. Boleh tak kita capai, confirm dengan izin Allah, boleh. Data saya sediakan, kerja kurang setengah tahun pun alhamdulillah, Allah bantu kita sebab niatnya baik, berusaha sama-sama.

Kemudian yang ketiga, YB Kukup bertanya tentang usaha bakat dalam potensi industri halal? Datuk Speaker, Menteri Besar ada sebut bahawa dalam Bajet 2026, ada peruntukan daripada PIJ, Perbadanan Islam Johor tentang menaik taraf bakat dalam industri halal. Pertamanya, kita ada peruntukan tahun depan YB Kukup, untuk rakyat Johor yang nak mohon sebagai Eksekutif Halal. Halal ini dia punya bagus, tuan-tuan dan puan-puan, Yang Berhormat sekalian, siapa yang ambil halal dia perlu buka peluang pekerjaan, Eksekutif Halal, Auditor Halal. Jadi, tak pasal-pasal syarikat itu ambil halal dia boleh buka dua peluang pekerjaan. Bayangkan lagi banyak orang ambil halal, lagi banyak peluang pekerjaan. Di Johor sahaja, ikut garis panduan gaji permulaan Kementerian Sumber Manusia (2020). Ini lama punya garis panduan, gaji Eksekutif Halal mula-mula aje RM2,460.00. Jadi, bahagian kita, Portfolio Agama pun nak sama-sama dengan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan pasal halal. Maka untuk itu, saya nak bagi tahu di bawah Portfolio saya sendiri pun peluang pekerjaan, bakat dan juga peluang pekerjaan halal ini YB Kukup, kita sediakan.

Berikutnya, Yang Berhormat ADUN Kahang ada bertanya tentang baik pulih surau di Kampung Ilham. Ringkaskan ceritanya Datuk Speaker, sehingga November 2025 sebanyak RM39 juta telah pun kerajaan Johor sediakan bagi maksud 565 projek baik pulih, naik taraf masjid dan surau seluruh negeri Johor dan bagi DUN Kahang sendiri RM350,000.00 telah pun disalurkan mengikut masjid dan surau yang berkenaan. Tetapi bagi maksud surau di Kampung Ilham, tiada masalah, YB ADUN Kahang boleh kemukakan kepada kita dan saya ambil rekod pada hari ini sebagai permohonan rasmi, kita akan minta Bahagian Teknikal Jabatan Agama Islam untuk turun dan tengok keperluan surau itu dan insya-Allah kalau bendanya kecil Datuk Speaker, tahun ini kita boleh selesaikan. Kalau agak besar, saya masukkan dalam Bajet 2026 bawah Tabung Pembangunan Masjid Surau Negeri Johor.

Yang Berhormat ADUN Perling ada sebut tentang borderline ini. Majlis Agama Islam ada sebut bina rumah baharulah untuk asnaf, baik pulih rumahlah untuk asnaf tapi YB Perling sebut ada kumpulan yang pertengahan dekat bandar Datuk Speaker, tak kaya pun tidak, nak kata miskin pun tak miskin sangat tapi dia pertengahan ini, jarang orang tengok dia. Yang kumpulan ini pula, lazimnya, anaknya ramai. Gajinya pula mungkin RM3,000.00, RM4,000.00 nampak macam besar tapi rupanya tak mampu menanggung anak-anak yang ramai. Datuk Speaker, inilah kelebihan untuk orang Islam negeri Johor bawah Portfolio saya. Yang Berhormat YB semua bolehlah menyokong permohonan-permohonan ini dan insya-Allah Amil Baitulmal kita di peringkat daerah masing-masing dengan sokongan YB Kawasan itu kita akan bantu sebaiknya sebab mustahil kita tinggalkan mereka ini macam itu sahaja, Datuk Speaker. Jadi saya buka kepada YB Perling boleh majukan permohonan dan saya kira kita akan bantu berdasarkan pertimbangan kelayakan yang disertakan. Dan pastilah permohonan ini mesti rujuk jugak kepada Pejabat Daerah sebab mereka yang jaga sistem e-Kasih, dengan ICU pun kita akan semak juga dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat pun kita tak lepaskan supaya mereka yang benar-benar layak sahaja dapat. Mudah-mudahan bantuannya sampai kepada mereka yang memerlukan. Alternatif kepada mereka yang tak layak Datuk Speaker, kita dah

sebut ada beberapa kaedah yang lain. Kita boleh juga mendapatkan kerjasama dengan mana-mana GLC di bawah kerajaan Johor. Contohnyalah, dia nak ditolong bukan asnaf, nak ditolong bukan miskin tegar tapi tetap dia tak mampu, kita boleh panjangkan permohonan ini kepada GLC kerajaan yang nak buat semua kerja-kerja sumbangan kepada rakyat, mudah-mudahan dapat disalurkan bersama.

Datuk Speaker kemudiaannya, ada isu baik pulih rumah di DUN. Saya dah sebutkan tadi, bekalkan maklumat kepada kita, kita masih boleh memberikan kuota tambahan kepada YB-YB yang mungkin berkeperluan lebih utama banding DUN-DUN yang lain walaupun kuotanya telah pun kita penuhkan.

Yang Berhormat ADUN Kemelah juga ada cadangan melihat kepada keperluan rakan-rakan yang dapat dialisis. Datuk Speaker, saya dah sebut awal, Menteri Besar pun dah nyatakan RM100.5 juta peruntukan MAINJ untuk perubatan sahaja dan ini tak termasuk dialisis. Kalau boleh urus setia keluarkan balik kita punya carta yang hari itu. Untuk dialisis sahaja kita jaga 3,000 pesakit, kosnya RM65 juta setahun. Ini hanya duit MAINJ. Nak bagi tahu tak pernah tinggal kumpulan ini tapi nak bagi tahu kumpulan ini juga makin bertambah, dan kita nak bagi tahu mohon kepada MAINJ. Kalau pun MAINJ kekurangan peruntukan, tuan-tuan banyak lagi agensi kerajaan yang kita boleh salurkan. Antara kekuatan MAINJ Dewan yang mulia, saya hendak bagi tahu dengan RM65 juta yang kita bantu untuk dialisis, MAINJ tahun ini telah pun mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Agong untuk kita tubuhkan satu lagi namanya Yayasan Majlis Agama Islam Negeri Johor. Yayasan ini kita buat Datuk Speaker, ha nampak tu. Ada pun carta ada gambarnya pun ada. Ini bagi maksud mencari dana tambahan supaya pesakit-pesakit dialisis buah pinggang ini dapat dibantu dengan lebih baik pada masa-masa yang akan datang. Tak dinafikan Datuk Speaker, buah pinggang ni kosnya besar. Sekurang-kurangnya rawatan, antara RM180.00 sehingga RM300.00 sekali rawatan. Seminggu kena 3 kali. Kalau RM300.00, RM900.00 seminggu kali dengan 4 minggu dekat, dekat RM4,000.00 Datuk. Itu kalau YB pencen pun habis duit pencennya, hendak bagi tahu apa lagi rakyat biasa. Ini kita bagi tahu kerajaan Johor nampak dan kita cakna perkara ini. Jadi, ini supaya semua rakyat tidak kira tempat Datuk Speaker, tempat pengimbang, tempat kerajaan kalau untuk orang Islam bagi Bang Long jaga, Datuk Speaker. Pasal hal ini kita akan bantu sebaik-baik. Jadi, untuk dialisis jangan dirisau.

YB ADUN Gambir sebut pasal isu kutipan derma masjid, surau dan premis lain termasuk anak yatim yang dikhabarkan agak perlahan prosesnya. Datuk Speaker, saya hendak bagi tahu, saya tak pernah nafikan kalau ada kelemahan di pihak agensi kerajaan jabatan. Saya mengaku. Dan saya suka sangat untuk tambah baik. Datuk Speaker, memang saya dengar beberapa rungutan, permohonan daripada masjid, surau, anak yatim, kami punya proses ni agak panjang sikit. Datuk Speaker, saya kena ambil peluang pertama saya raikan aduan YB Gambir. Kedua, saya kena cerita sikit antara kelengahan yang berlaku Datuk Speaker, sebab semua permohonan kutipan permit, derma, khairat ini untuk orang Islam, Jabatan Agama Islam mesti lalui tapisan keselamatan, Datuk Speaker. Maksudnya bukan senang-senang nanti YB Serom nak mohon kutipan, tiba-tiba dia mohon saya luluskan. Sebab dia YB. Takutnya nanti dia mohon untuk benda yang bukan-bukan, untuk pertubuhan yang tidak disahkan. Jadi semua tapisan itu termasuk mereka yang bertanggungjawab mengelolakan tabung Datuk Speaker, PDRM akan masuk sama. Untuk pastikan kutipan derma ini benar-benar teratur dan baik. Tetapi saya hendak katakan dia langsung tidak mengganggu hasrat Yang Berhormat Dato’-Dato’ semua untuk membuat permohonan kepada kerajaan. Cuma, tapisan itu kena berlaku. Tetapi bagi maksud di Gambir ini, memang ada aduan bahawa mana-mana tabung yang tidak dapat permit memang kena rampas. Saya kena bagi tahu Datuk Speaker, memang kita rampas. Termasuk tabung-tabung pertubuhan anak yatim yang mana permitnya habis. Permit habis memang kena renew Datuk Speaker. Kalau habis tak di renew jumpa ke saya, memang saya pun akan rampas, bukan saya hendak rampas, itu peraturannya. Supaya kemukakan penyata kewangan, pemberitahuan sentiasa dalam kawalan kita. Jadi, saya hendak bagi tahu kepada YB Gambir, saya raikan aduan itu dan saya akujanji untuk mempercepatkan prosesnya tertakluk kepada semakan keselamatan

PDRM. Tetapi untuk waktu itu Datuk Speaker, saya ada sikit carta bagi maksud pertubuhan anak-anak yatim daerah-daerah. Yang tadi kan saya kata ada aduannya di Tangkak. Bagi anak-anak yatim di satu Johor daripada 10 daerah, ada 7 daerah yang memang permitnya masih kuatkuasa. Maksudnya, Jabatan Agama Islam buat dengan baik. Itu buktinya di paparan LED dan juga skrin masing-masing. Maksudnya, benda itu renew tetapi dengan syarat kita mohon lah, kalau kita tidak mohon Datuk Speaker, memang tak dapat kita perbaharui. Tetapi saya ulang tadi, ada kekurangan saya akan baiki.

Datuk Speaker, yang selanjutnya saya hendak bagi tahu pasal YB ADUN Pemanis, ADUN Tiram, ADUN Pekan Nanas, ADUN Maharani juga ada sebut pasal bina sekolah baru, saya rasa tak perlu ulas. Sebab tadi pagi saya dah jawab, penyatanya pun dah ada, ringkasan turutan sekolahnya pun saya dah maklumkan, cuma kita ambil kira semua perbelanjaan sekolah mengikut keutamaan dan kita tak pernah nafikan keperluan di tempat masing-masing.

Datuk Speaker, YB ADUN Parit Raja ada sebut pasal pengiktirafan skim perkhidmatan bagi Pegawai Pendidikan Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor yang berjaya tamatkan pengajian Ijazah. Datuk Speaker, dekat Sekolah Agama Johor ini memang kita, memang kita mengaku cikgu-cikgunya ramai dan dan dapat ijazah cuma grednya ketika ini tak seramai, tak sebanyak mereka yang berkelayakan itu.

Datuk Speaker, kemudian YB ADUN Parit Raja sebut untuk mewujudkan program laluan khas bagi guru KAFA berijazah yang telah mengikuti program diploma pasca siswazah agar dipertimbangkan untuk diserap terus ke skim perjawatan tetap. Saya jawab sikit. Terima kasih YB Parit Raja kita bersetuju atas cadangan yang begitu baik. Semua ini kita sedang dalam perhalusi permohonan dengan Bahagian Sumber Manusia Negeri Johor, kita semak dengan SPAJ negeri Johor. Kita kalau boleh Datuk Speaker, semua yang layak pada tempat perjawatannya, mereka adakan dapat kebajikan dan gred gaji yang lebih baik. Kan saya dah sebut pagi tadi, bahawa kita ada Pelan Kemajuan Pendidikan Agama Islam Negeri Johor. Ini daripada kebajikan anak murid, kebajikan guru-guru, bina sekolah-sekolah baru kita akan laksanakan di bawah pelan ini. Itu umum secara tambahannya, Datuk Speaker.

Datuk Speaker, sebelum saya pergi ulasan kepada Bajet 2026 saya ada masa lagi 4 minit, tak panjang. Datuk Speaker, dalam aspek syiar Islam Bajet 2026 ini Subhanallah, besar. Program Semarak Subuh diperhebatkan dengan tambahan bajet pada tahun depan, peruntukan RM2.92 juta. Nasihat daripada YB Maharani supaya peruntukan disalurkan kepada YB ADUN Datuk Speaker, pada ketika ini saya boleh katakan kita salurkan melalui penyelaras DUN, juga lantikan negeri. Nasihat saya Datuk Speaker, marilah kita bersama-sama meraikannya. Tak pernah ada halangan bahawa penyelaras DUN tak boleh jemput YB Maharani. YB Maharani jemputlah datang. Tak ada masalah. Dan, saya juga akan bagi nasihat kepada penggerak masjid, surau saya jangan dibeza-bezakan. Hendak ajak orang sembahyang kok beza-beza, mana boleh. Kalau ada aduannya YB Maharani bagi tahu kita. Tapi tak pernah sekali pun kita nafikan mana-mana Yang Berhormat. Cumanya, bagi maksud penyaluran dana, sudah pastilah pada ketika ini di pihak pembangkang kita salurkan melalui penyelaras DUN yang dilantik kerajaan. Tapi raikan. Kita jemput semua serta bersama.

Yang kedua, infak Jumaat. Ini besar. Tahun depan kita galakkan semua masjid melaksanakannya dan yang terpilih RM1,000.00 ditawarkan teruskan infak Jumaat dengan baik.

Ketiganya inisitif Bantuan Kasih Johor Datuk Speaker, saya gembira sangat Menteri Besar tak lupa kepada penggerak masjid, surau DUN, guru takmir, guru Quran, para pegawai masjid, surau Datuk Speaker, 8,813 orang semuanya tahun ini dapat RM1,000.00. Allahu Akbar. Terima kasih banyak kepada kerajaan Johor, terima kasih Menteri Besar Johor.

Datuk Speaker, ini lambang keprihatinan kita kepada masyarakat dan penggerak syiar-syiar agama. Mudah-mudahan negeri kita akan lebih dinaungi Allah dengan keberkatan dan limpah

kurnianya. Dan, jangan lupa Datuk Speaker, Tabung Kasih Johor Palestin. Tadi YB Pulai Sebatang sebut pasal Palestin dan backbenchers juga ada sediakan kita punya pin clip saya tak pakai pula, minta maaf YB Kukup. Ini usaha kita hendak menghayati perjuangan rakyat Palestin. Jangan tak tahu, tahun ini sahaja untuk 2025, RM2.53 juta kita perolehi dan kita juga sudah mendapat kebenaran daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Datuk Speaker, untuk menghantar bantuan ini terus kepada kem pelarian Palestin di Mesir ataupun Jordan. Ini tengah buat kemuktamadan. Di Jordan dan juga Mesir ada kem pelarian Palestin. Maka kita tengah pilih, dapatkan kerjasama dengan kedutaan untuk kita pergi dan kita berikan bantuan di situ. Dalam masa yang sama Datuk Speaker, penghantaran makanan bermasak ke Gaza juga sedang diusahakan dengan kerjasama pihak kedutaan di Jordan juga di Mesir untuk kita salurkan sumbangan yang diperlukan.

Speaker

Yang Berhormat, saya baru sahaja baca laporan daripada United Nation mengatakan keadaan di Gaza semakin teruk.

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Allahu Akbar.

Speaker

Jadi memang besarlah sumbangan yang kita buat sebenarnya.

Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd KhalidUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam · Semerah

Betul Datuk Speaker, saya ucap banyak-banyak terima kasih kepada semua penyumbang rakyat Johor, Bangsa Johor dan GLC, semuanya PBT yang menyokong tabung ini termasuk Datuk Speaker, saya kena sebut dalam rakamkan sumbangan peribadi daripada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan juga berada di dalam Tabung Kasih Johor untuk kali ini.

Datuk Speaker, seterusnya bagi pembangunan sosial, juga kejayaan negeri Johor saya nak ulas sikit tentang Majlis Halal Negeri Johor. Tadi Pelan Pemaju Halal saya dah sebut Datuk Speaker, saya juga baru juga balik daripada negara China, ada potensi pelaburan. Saya pinjam ayat Yang Amat Berhormat PM10. Ada potensi pelaburan halal nak masuk ke Johor, dalam jumlah yang besar. Sekurang-kurangnya RM5 bilion. Maka saya dengan bantuan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, YB Paloh tengah menyusun dengan teliti ini bagaimanakah kita boleh melaksanakan niat pelaburan ini, dan jika dapat nasihat daripada MIDA Datuk Speaker, satu pertemuan akan dilakukan dengan pihak pelabur pada hujung tahun ini dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Tapi dengan nasihat MIDA terlebih dahulu. Jadi saya minta semua doakan. Mana orang fikir Datuk Speaker, EXCO Portfolio Agama boleh membuka ruang kepada potensi halal ini. Sebab halal memang di bawah Portfolio Agama Islam.

Datuk Speaker, seterusnya kita ada penambahbaikan dari sijil halal. Johor bakal jadi negeri pertama yang sekarang ni 30 hari kita hendak pergi kepada 15 hari. Itu yang MB, Yang Amat Berhormat Menteri Besar umum Halal Green Lane. Itu tujuannya supaya permohonan sijil halal lebih cepat dan lebih mudah. Datuk Speaker, selanjutnya masjid dan surau tak pernah dilupakan sejak 2022 sampai 2025 ini, peruntukan keseluruhan yang telah pun disalurkan RM120.7 juta bagi baik pulih masjid surau. Tetapi saya mengaku Datuk Speaker, masih banyak lagi yang belum dapat kita baiki dan naik taraf. Ini kita punya kesungguhan jangka panjang. Datuk Speaker, task force, akhir. Datuk Speaker, saya nak umumkan Miskin Tegar di Johor setakat 8 September yang lepas sekali lagi, Johor berjaya letakkan miskin tegar sifar, Datuk Speaker. Ini kejayaan semua. Saya ucapkan terima kasih Yang Berhormat YB Dewan semua atas kesungguhan perkara ini.

Datuk Speaker, dan akhirnya Sekolah Agama Kerajaan Johor. Tahun ini saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Senator Haji Mohd Naim Mokhtar, Menteri Hal Ehwal Agama persekutuan dan JAKIM. Tahun ini sekolah agama kita, Maahad Tahfiz semua data pun ada dia, mereka luluskan peruntukan RM21.8847 juta. Duitnya dah masuk pun ke sekolah-sekolah yang berkenaan dan projeknya dilaksanakan oleh pihak sekolah sendiri. Tanpa orang tengah. Maksudnya kalau baiki tandas, tandasnya jadi terus baik. Tanpa ada

orang nombor 2, nombor 4 mengganggu proses ini. Datuk Speaker, kita bantu guru-guru adanya nama Time Based Berasaskan Kecemerlangan.

Guru-guru sekolah agama macam mana nasihat daripada YB Parit Raja Datuk Speaker, sekolah agama kita guru-gurunya dinaikan pangkat daripada 10 ke 8 tahun Datuk Speaker, kita timbal guna standard Kementerian Pendidikan. Tahun ini melibatkan 337 orang guru, mereka naik gred Datuk Speaker, dan naik gaji ramai-ramai. Ini pun kelebihan kejayaan kita Bangsa Johor. (Dewan bertepuk).

Guru KAFA Datuk Speaker, selepas lama elaun mereka tak naikkan, saban tahun YB ADUN semua nasihatkan naikkan lah kesian mereka Datuk Speaker, ramai yang belum perasan 2,150 orang guru KAFA satu Johor semua elaunnya daripada RM512.00 naik kepada RM662.00 sebab ada kenaikan RM150.00 mulai Januari 2026 nanti. So, mereka akan terima elaun tuan-tuan daripada negeri dan juga pusat RM1,762.00 sebulan secara keseluruhan. Maka itu, antara tanggungjawab yang dapat kita lunaskan.

Datuk Speaker, Allah sebut dalam surah Al Haj, ayat 41 (Bacaan surah). Kata Allah, orang Islam Datuk Speaker, kalau diberikan kuasa dekat dunia dia buat apa? Dia buat 4 perkara. Pertama, waatusshollah, dia laksanakan solat, waatuszakaat, dia buat zakat. Johor Datuk Speaker, kita kempen orang sembahyang, sembahyang jangan tinggal. Semarak Subuh kita buat, infak Jumaat kita laksanakan. Zakat kita meningkat. Alhamdulillah. Wa amru bil ma'ruf, wan hau anilmungkar. Kita benda baik, Bajet 2026 baik untuk rakyat. Kita cegah kemungkaran. Mudah-mudahan Datuk Speaker, akhirnya Walillahi aqibatul umur, semua kebaikan ini akhirnya pergi pada Allah SWT juga.

Datuk Speaker, ini penutup saya Portfolio agama Islam mudah-mudahan pembentangannya mendapat penerangan kepada semua pihak. Assalamualaikum warahmatullah.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Kita bersyukur kerana Semarak Subuh ditambah 3 kali. Dan untuk pengetahuan Yang Berhormat di DUN Rengit kita akan mulakan pada bulan Disember ini juga. Jadi, belanja itu akan ditanggung oleh ADUN Rengit (Dewan bertepuk.) Surau terakhir kami yang ke 88 baru-baru ini, orang kampung taja kambing golek eh.

Speaker

Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan.

Tuan Aznan bin TaminUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan · Tanjung Surat

Bismillahirahmanirrahim (Bacaan selawat). Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, pertamanya marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya dapat kita bersama-sama hadir dalam sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri Johor.

Terlebih dahulu patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Hari Keputeraan Baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dengan penuh takzim memanjatkan doa kehadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat DiRaja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dalam afiat dan sejahtera agar terus menaungi sekalian rakyat dan jua Bangsa Johor. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada patik dan kepimpinan negeri dalam menjayakan urus tadbir demi kesejahteraan Bangsa Johor. Dari Bukit Raja ke Tanjung Surat;

dagang hamba musafir lalu; kerajaan sentiasa memikirkan rakyat; agar negeri Johor terus maju.

Yang Berhormat Datuk Speaker, selaku EXCO yang bertanggungjawab pada hari ini, saya ingin menegaskan bahawa Belanjawan Johor 2026, bukan sekadar dokumen angka dan peruntukan, ia adalah cerminan tekad kerajaan negeri untuk membawa Johor ke hadapan dengan perancangan jelas hala tuju yang konsisten dan dasar yang berpaksikan kepentingan rakyat. Kritikan yang dilemparkan oleh setengah pihak jelas tidak mengambil kira fakta sebenar kejayaan negeri Johor.

Johor hari ini berdiri sebagai antara negeri paling progresif di Malaysia. Pelaburan meningkat dan tertinggi suku ketiga tahun ini, peluang pekerjaan bertambah, agenda TVET diperkukuh, perumahan rakyat dipercepatkan dan kebajikan diperkasakan. Ini bukan retorik politik tetapi pencapaian yang dibuktikan melalui pelaksanaan. Kita menghormati hak sesiapa sahaja untuk memberikan pandangan. Namun pandangan tanpa asas, tanpa cadangan dan tanpa memahami konteks pembangunan negeri hanya akan mengelirukan rakyat. Kerajaan ini berpegang kepada prinsip bekerja, bukan bermain persepsi, tolong fahami Belanjawan 2026 ini sebaiknya. Belanjawan ini memberi manfaat langsung kepada rakyat daripada kesihatan, pendidikan, perumahan hinggalah ekonomi luar bandar inilah komitmen kerajaan negeri dan inilah keutamaan kita.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan sebanyak RM193 juta yang merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah negeri Johor bagi sektor pendidikan. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas komitmen ini. Kerajaan negeri Johor telah melabur peruntukan yang sangat banyak pada tahun ini bagi menunjukkan, memperkukuhkan ekosistem pendidikan melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi persediaan anak-anak muda dalam mendepani arus ekonomi Johor Singapore - Special Economic Zone. Komitmen ini diteruskan melalui usaha memastikan akses pendidikan yang adil dan insklusif. Antara Yang Berhormat Speaker, program back to school berjumlah RM28.8 juta memberi manfaat kepada 189,000 pelajar B40 dan asnaf memastikan mereka memulakan sesi persekolahan dengan yakin dan lengkap. Bantuan Laptop Siswa Johor bernilai RM13.56 juta pula disalurkan kepada 5,000 mahasiswa B40 mengurangkan jurang digital dan memperkasa pembelajaran berasaskan teknologi.

Kerajaan negeri Johor juga mendengar rintihan mahasiswa sewaktu perjumpaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bersama mahasiswa anak Johor di negeri Sabah. Bahawa mereka sangat mengharapkan subsidi diskaun tiket kapal terbang untuk pulang ke Johor memandangkan harga tiket yang tinggi terutama pada musim perayaan. Oleh hal demikian, Kerajaan negeri Johor membantu mahasiswa anak Johor yang jauh untuk pulang beraya di Johor melalui bantuan tiket penerbangan dan bas percuma berjumlah RM1.4 juta menyediakan tiket penerbangan kepada mahasiswa di IPTA di Sabah dan Sarawak serta bas percuma mahasiswa di Semenanjung sempena musim perayaan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tidak ketinggalan Bantuan Pendaftaran IPT sebanyak RM9 juta diberikan kepada 10,000 mahasiswa B40, membantu meringankan kos kemasukan ke institusi pengajian tinggi. Dalam bidang infrastruktur transformasi Sekolah Rintis Bangsa Johor Fasa 2 dengan peruntukan nilai RM15.72 juta menaik taraf fasiliti dan persekitaran pembelajaran. Manakala RM17.06 juta untuk pengisian modul guru dan murid bagi memperkayakan pengalaman pengajaran dan pembelajaran, membina pelajar dan guru yang lebih kreatif, berdaya saing dan cemerlang dalam setiap aspek ilmu pengetahuan. Kerajaan negeri Johor terus menitik beratkan kesejahteraan pelajar melalui bantuan makanan percuma dan tuisyen SPM 2026 berjumlah RM2.52 juta memberi manfaat kepada lebih 12,000 pelajar B40 serta keseluruhan pelajar SPM untuk bantuan makanan percuma pada tahun ini, Yang Berhormat. Bagi pemantapan akademik calon SPM 2026 bernilai RM20.2 juta turut dilaksanakan bagi memperkukuhkan prestasi akademik pelajar membimbing mereka ke arah

pencapaian cemerlang dan melahirkan generasi muda Johor yang bersedia menghadapi peperiksaan serta cabaran pendidikan tinggi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagaimana turut dibangkitkan oleh Puteri Wangsa, Bukit Batu, Kemelah, Mahkota dan Bukit Naning, kerisauan mengenai peluang pekerjaan, sambung belajar, TVET dan laluan kerjaya bagi golongan belia, graduan, pelajar yang gagal, lulus SPM dalam mengejar arus JS-SEZ.

Untuk pengetahuan Ahli Dewan negeri ini, negeri Johor sedang berkembang pesat sedia untuk menunjukkan transformasi dalam membangunkan anak-anak pelajar ini demi kejayaan ekonomi negeri. Seperti mana yang ditegaskan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, penubuhan JPDC tahun lalu merupakan pemangkin bagi menyediakan peluang pekerjaan bergaji premium RM4,000.00 hingga RM5,000.00 serta menjadikan Johor sebagai negeri peneraju pembangunan bakat berimpak tinggi menjelang 2030 dengan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan dengan gaji premium. JPDC menjalankan peranan sebagai jambatan strategik antara industri dan institusi pendidikan tinggi dengan memperkenalkan kursus baharu, modul teknikal, pengurusan professional serta laluan kerjaya yang memenuhi keperluan tenaga kerja pada masa hadapan. Dalam memenuhi sasaran 10,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi bagi tahun 2025, JPDC telah menggerakkan kerjasama bersama enam universiti dan 15 kolej atau pusat TVET di negeri Johor. Lepasan graduan universiti, lepasan TVET dan pelajar teknikal telah didedahkan dengan peluang pekerjaan melalui program seperti karnival kerjaya premium yang kini menjadi platform utama padanan kerja di negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Pulai Sebatang, Tiram, telah ingin perkenan untuk memberitahu, mengetahui tentang lebih lanjut berkenaan Sekolah Rintis Bangsa Johor. Kerajaan negeri Johor tetap teguh dalam memberi komitmen bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan SRBJ ini dari aspek pembangunan infrastrukturnya. Pendekatan oleh sekolah rintis ini dilaksanakan bagi menjamin bahawa Sekolah Rintis Bangsa Johor terus memberi manfaat berimpak tinggi kepada warga sekolah dan juga masyarakat negeri Johor secara berterusan dalam masa yang panjang ini.

Program SRBJ kini sudah mulai fasa pemantauan dan penilaian menyeluruh. Kerajaan negeri Johor mensasarkan peningkatan enrollment pelajar dalam aliran STEM sehingga 70%. Ketika ini 49% pelajar SRBJ berada dalam bidang tersebut. Pelajar juga mengikuti pembelajaran STEM minimum 112 jam dalam setahun. Jauh melebihi standard kebangsaan bagi mengukuhkan pengetahuan mereka dalam aliran sains dan teknologi juga mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris kita mengadaptasikan dan menginspirasikan program SELA di Singapura dan mewujudkan JELA iaitu Johor English Academy. Dalam aspek teknologi pendidikan, kerajaan telah menaiktaraf kemudahan digital seperti smart phone, ARVR dan juga rangkaian internet berkelajuan tinggi bagi menyokong PDP moden dan interaktif.

Sekolah Rintis Bangsa Johor turut menerima pengiktirafan sebagai Effort Distinguish School disertakan dengan penyediaan I-Pad kepada semua pelajar dan guru. Selain itu, bagi meningkatkan prestasi SPM, kerajaan melaksanakan program mentor mentee bersama sekolah-sekolah berprestasi tinggi seperti STF, SSI dan MRSM Johor Bahru bagi memperkukuhkan bimbingan akademik pelajar SRBJ. Kemudahan seperti bilik darjah rintis, pusat sumber, makmal, studio, kecemerlangan serta bengkel RBT dipastikan sentiasa berfungsi dengan baik. Sehingga 9 Oktober 2025, kemajuan keseluruhan projek infrastruktur SRBJ telah mencapai melebihi 50%.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menjamin infrastruktur sekolah dengan baik adalah tanggungjawab yang penting bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan prestasi pelajar sentiasa berada pada tahap optimum. Infrastruktur sekolah dengan baik adalah kunci kepada penyediaan senarai pembelajaran yang kondusif dan berkesan. Oleh hal demikian,

Kerajaan Negeri Johor sedang bekerja rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia berusaha dalam menjamin infrastruktur yang baik serta berkualiti.

Saya juga sentiasa turun padang memeriksa, memantau dan menyelaras segala isu yang berkaitan dengan institusi pendidikan di negeri Johor ini. Baru-baru ini, saya juga telah turun beberapa sekolah dan memeriksa tahap keselamatan infrastruktur sekolah serta menyelaras mesyuarat bagi sekolah-sekolah baharu yang menghadapi kelewatan pelaksanaan projek dan insya-Allah, atas saranan Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga akan turun untuk buat spotcheck ke sekolah-sekolah di asrama-asrama.

Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Pulai Sebatang menyuarakan isu berkenaan bangunan makmal komputer di Sekolah Menengah Datuk Pengawa Barat Pontian. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, saya amat memandang serius berkenaan status makmal komputer SMK Datuk Penggawa Barat yang telah terbengkalai. Mesyuarat pada 10 Oktober 2025 bersama KPM mencadangkan supaya lantik pasukan teknikal khas bertauliah membuat kerja verifikasi semula kondisi bangunan makmal komputer di sekolah berkenaan dan dapatan hasil lawatan tapak dan menentukan tindakan KPM sama ada merobohkan terlebih dahulu atau tidak perlu merobohkan bangunan makmal hanya menyambung, meneruskan kerja-kerja pembaikan. Pihak KPM akan membuat sesi libat urus sekali lagi berkenaan tindakan seterusnya bagi re-tender semula kontraktor untuk meneruskan kerja pembinaan pembaikan makmal sekolah, makmal komputer sekolah oleh kerana ia akan ditentukan kemudian.

Yang Berhormat Datuk Speaker, YB Yang Berhormat Pulai Sebatang menyuarakan berkenaan isu SK Ayer Baloi, Pontian yang tiada padang untuk murid-murid beraktiviti. Saya sedar akan kepentingan kemudahan sukan seperti padang permainan dalam menyokong pembelajaran pendidikan jasmani, aktiviti sukan serta program kokurikulum yang berperanan dalam membangunkan potensi murid secara holistik. Berhubung tapak untuk dijadikan padang sekolah seperti yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat Pulai Sebatang sehingga kini belum ada sebarang permohonan dari pihak sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah Pontian bagi cadangan pembinaan padang sekolah khusus di Sekolah Kebangsaan Ayer Baloi itu.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kahang ada menimbulkan kerisauan berkenaan isu pendidikan bagi masyarakat India. Yang Berhormat Kahang ada menyuarakan berkenaan pembinaan SJKT Pamol di Kluang, SJKT Sungai Muar, SJKT Mengkibol di Kluang, SJKT Ladang Sembrong, SJKT MADOS, SJKT Ladang Elaeis dan juga SJKT Ladang Lambak di Kluang. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, SJKT Ladang Pamol Kluang merupakan sekolah berstatus sekolah kerajaan yang mana enrollment sebanyak 48 orang murid dan mempunyai enam (6) bilik darjah. Sekolah ini ditubuhkan pada 1 Januari 1937. SJKT Ladang Pamol telah berpindah ke SJKC Kampung Gajah pada 25 Februari 2024 disebabkan bangunan sekolah telah diisytiharkan tidak selamat diduduki oleh JKR Daerh Kluang melalui satu surat bertarikh 8 Mac 2022. Pada masa kini, kami telah menghantar perancangan untuk mengemukakan permohonan pembinaan sekolah baru bagi SJKT Ladang Falmal dalam Rolling Plan Tahun 2027 RMKe-13 RP2 RMKe-13.

SJKT yang lain merupakan sekolah bantuan kerajaan dan sekolah kurang murid yang berelemen kurang RM150 milion, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996, Akta 550, mentafsirkan SBK sebagai sekolah yang menerima sumbangan modal dan sumbangan bantuan penuh. KPM menyalurkan sumbangan bantuan bagi tujuan penyelenggaraan di premis SBK tertakluk pada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan melalui Belanjawan tahunan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, SBK tidak diselenggara sepenuhnya oleh pihak kerajaan, ia selaras dengan kedudukannya sebagai sekolah berstatus SBK, tanggungjawab pembiayaan sepenuhnya sebarang kos yang diperlukan bagi tujuan pemindahan. Pembinaan bangunan serta menyediakan kelengkapan SJKT berstatus SBK adalah terletak di bawah

Lembaga Pengurusan Sekolah ataupun biaya sekolah tersebut. Namun bagi Kerajaan Negeri Johor, kami sedaya cuba turut membantu bagi pembangunan sekolah berstatus SBK ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Jementah ada menyuarakan kebimbangan tentang kesedaran dan pendidikan langkah jaga-jaga bagi menghadapi bencana gempa bumi. Kesedaran dan pendidikan berkaitan insiden ini perlu diberi perhatian oleh warga institusi pendidikan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan semua pihak dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Saya sendiri telah turun ke Segamat untuk melihat tahap kesediaan di semua institusi pendidikan yang berkaitan di dalam daerah Segamat. Sesi taklimat dan latihan berkaitan kesiapsiagaan menghadapi semua gempa bumi kepada institusi pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah telah diadakan dan dilaksanakan pada 8 dan 9 September 2025 melibatkan semua guru, penolong kanan HEM sekolah rendah dan menengah. Pengisian taklimat dan latihan meliputi pelan tindakan kecemasan gempa bumi, modul pendidikan pengurangan risiko pencarian gempa bumi dan simulasi di 5 buah sekolah yang terkesan dengan gegaran tersebut melibatkan murid dan guru.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kempas, Panti, Kemelah, Bentayan, Maharani, Johor Jaya, Sedili, Tangkak telah menyuarakan kebimbangan terhadap masalah isu melibatkan jenayah di kalangan pelajar sekolah. Kerajaan Negeri Johor amat memandang serius isu masalah disiplin dan gejala sosial murid di sekolah termasuk tentang buli, vandalisme, pergaduhan, penyalahgunaan bahan terlarang dan bahan lucah, ponteng sekolah, isu mental, pergaduhan, penyalahgunaan gajet, merokok, vape, dadah, gangguan seksual dan masalah sosial serta keselamatan fizikal di sekolah. Dalam arus yang semakin mencabar pada masa kini, masalah sosial dan disiplin pelajar semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.

Saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa berbincang dan bermesyuarat dalam menangani dan mencegah isu-isu ini berlaku. Mewujudkan juga satu Jawatankuasa Khas yang melibatkan pelbagai pengantara juga diwujudkan dan memastikan skeolah-sekolah dan pelajar-pelajar negeri Johor sentiasa terpelihara dengan #JohorSafeZone. Kerajaan Johor sangat menekankan penghayati Modul Karakter Murid Johor yang mana melibatkan isu-isu penekanan tentang pembentukan jati diri murid berasaskan nilai karamah insaniah iaitu kemuliaan, maruah dan tanggungjawab sosial sebagai asas kepada sahsiah dan disiplin pelajar. Bagi menyokong penghayatan serta pembentukan karamah insaniah dan Karakter Murid Johor ini berbagai inisiatif telah digerakkan bagi mencegah dan menangani masalah disiplin di sekolah.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan Johor sentiasa bekerja rapat juga dengan pihak PDRM untuk menjadikan supaya PPS di bawah pihak PDRM ini akan membantu sekolah dalam menangani isu disiplin dan keselamatan dengan merangka dan menjalankan aktiviti pencegahan jenayah dan masalah disiplin pelajar.

Yang Berhormat Panti dan Tangkak ada menyuarakan tentang kekuatan dan penglibatan guru dalam menghadapi masalah disiplin pelajar di sekolah. Oleh hal yang demikian, Kerajaan Negeri Johor amat memahami kekangan yang dihadapi oleh guru-guru pada hari ini. Guru adalah insan yang mendidik dengan jiwa, dengan suara, dengan teguran dan dengan budi bicara profesional yang telah lama membentuk sahsiah generasi Malaysia ini. Saya sangat memahami bahawa dalam proses pendidikan, guru perlu mengingatkan, menegur, menasihat dan menegaskan kepada perkara yang betul. Ia sebahagian daripada komunikasi pedagogi yang berlaku di dalam keluarga, dalam komuniti dan juga dalam bilik darjah. Teguran atau nasihat yang diulang bukanlah hukuman tetapi sebahagian daripada proses pembelajaran yang normal dan manusiawi, maaf.

Tanpa guru yang dihormati, dipercayai dan diberikan penjelasan dalam dasar tidak mungkin kita dapat membina generasi muda yang berdisiplin, beradab dan berakhlak baik. Oleh itu, Kerajaan Negeri Johor akan terus menyuarakan pandangan ini kepada kerajaan pusat agar

garis panduan pendidikan yang dibangunkan benar-benar membantu guru bukan menyusahkan mereka, benar-benar mendidik murid, bukan menjejaskan keberkesanan proses pengajaran. Pendidikan penting demi masa hadapan kerana melalui ilmu pengetahuan seorang mampu membina kerjaya yang stabil dan menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Oleh hal yang demikian, saya berharap semua pihak bekerjasama dalam membantu mendidik anak-anak Bangsa Johor supaya Johor dapat melahirkan insan-insan yang mampu membina masa hadapan negeri yang lebih gemilang. Sebelum saya mengakhiri penggulungan saya, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun. Buah kemunting di dalam perahu, masak ramun di tepi tempayan, demi hasrat Johor Maju, utama pendidikan teras kejayaan. (Dewan bertepuk.) Kepada Allah berserah. Sekian, wabillahi taufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatuhllahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi. Sila.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Doa. Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh. Selamat sejahtera, salam Maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Dengan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas perkenan rahmat dan limpah kurniaNya, maka saya dapat membentangkan penggulungan saya pada hari ini.

Pertama-tamanya patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucap selamat Ke Bawah Duli Yang Maha Muli Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang bakal disambut 22 November ini. Patik dengan penuh takzim memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Ke Bawah Duli Yang Maha Muli Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat Diraja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dalam afiat dan sejahtera agar terus menaungi sekalian rakyat dan Bangsa Johor. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menzahirkan kepentingan tinggi terhadap isu-isu rakyat serta masa depan pembangunan negeri Johor. Sesungguhnya keperihatinan ini membuktikan bahawa Tunku sentiasa mendahulukan kepentingan dan kemanfaatan rakyat serta menitikberatkan mutu perkhidmatan awam segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepimpinan negeri dalam menjayakan urus tadbir demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas Pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang jelas lebih inklusif kepada semua golongan rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Stulang, Yang Berhormat Permas dan Yang Berhormat Iskandar Puteri atas persoalan yang tepat pada masanya khususnya berkaitan isu penyuraian trafik di CIQ Tambah Johor Bangunan Sultan Iskandar, BSI serta keseluruhan kawasan Pusat Bandar Johor Bahru. Keprihatinan Ahli-Ahli Yang Berhormat ini cukup mencerminkan komitmen bersama kita dalam memastikan kesejahteraan rakyat yang berdepan kesesakan saban hari. Untuk makluman, Ahli Dewan yang mulia perkara ini turut mendapat perhatian khusus daripada Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor yang amat menitikberatkan aspek mobiliti rakyat, pasca pengoperasian RTS Link. Titah pandangan Baginda juga menjadi pedoman utama kerajaan negeri agar segala perancangan penyuraian trafik dilaksanakan secara komprehensif bersepadu dan berpaksikan kepentingan rakyat. Pada Isnin yang lalu, 17 November 2025 saya sendiri telah membentangkan Pelan Komprehensif merangkumi langkah jangka pendek sederhana dan panjang berhubung penyuraian trafik di Bandaraya Johor Bahru dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai keselamatan dan kesesakan jalan raya yang

dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri 1, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi. Pembentangan ini selaras dengan komitmen kerajaan persekutuan yang memberi keutamaan kepada Johor susulan impak besar pengoperasi, RTS Link terhadap aliran trafik harian.

Antara inisiatif quick win yang turut disentuh oleh Yang Berhormat Bekok dan Yang Berhormat Jementah adalah penyediaan perkhidmatan alternatif yang lebih cekap termasuklah ETS. Harapan kita apabila ETS beroperasi sepenuhnya kelak, yang kita jangkakan Yang Berhormat Datuk Speaker, tiket telah pun dijual. Laluan pertamanya adalah pada 1 Januari 2026. Harapan kita apabila ETS beroperasi sepenuhnya kelak, rakyat mempunyai pilihan perjalanan yang lebih selesa, cepat dengan harga yang berpatutan. Seterusnya, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian sekaligus membantu menurunkan pelepasan karbon.

Selepas pengoperasian ETS yang dijangka 1 Januari 2026, kita mengharapkan agar Komuter Selatan dapat mula beroperasi pada Februari 2026 dari JB ke Kulai sejauh 25 kilometer. Apabila ETS mula sahaja beroperasi pada 1 Januari, servis yang kita kenali sebagai Ekspres Selatan akan dipendekkan daripada Johor Bahru ke Gemas dipendekkan kepada Johor Bahru – Kulai supaya tripnya kita dapat pertingkatkan dengan jarak 25 kilometer. Perjalanan yang kini mengambil masa 1 jam dengan menggunakan kereta pada waktu puncak, dijangka hanya mengambil masa 30 minit menggunakan komuter. Sebanyak 32 trip sehari akan disediakan dengan kapasiti 400 penumpang setiap perjalanan dan harga tiket dijangka kurang daripada RM3.00.

Kerajaan amat berharap kemudahan ini akan menerima sambutan menggalakkan serta dapat mengurangkan secara signifikan aliran trafik harian di sepanjang koridor berkenaan. Sekiranya mendapat sambutan, yang menggalakkan saya akan mohon tambahan trip daripada pihak Kementerian Pengangkutan dan juga KTMB. Kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap potensi pembukaan perkhidmatan penumpang di jajaran Kempas - Pasir Gudang yang kini digunakan sebagai Single Track Trian Cargo, dengan izin. Jajaran sepanjang lebih kurang 25 kilometer ini hanya mengambil masa sekitar 30 minit menaiki train lebih pantas berbanding perjalanan jalan raya yang sering mengambil masa lebih 1 jam pada waktu puncak.

Untuk permulaan Yang Berhormat Datuk Speaker, kita cadangkan 4 trip dahulu. Untuk kita tengok demand di kawasan tersebut, 4 trip pergi dan balik setiap hari dengan harga tiket dijangka di bawah RM3.00. Ini dilihat mampu menjadi game changer kepada penduduk Pasir Gudang, Masai, Tampoi dan kawasan sekitarnya. Kita juga ada mencadangkan pembinaan stesen-stesen sementara supaya di sepanjang jajaran daripada Pasir Gudang ke Kempas ini ada stesen sementara Datuk Speaker, iaitu di Taman Daya, Bandar Baru Seri Alam dan Pasir Putih. Insya-Allah projek ini akan mula beroperasi 6 bulan daripada bulan Februari. Kita jangka dalam bulan Ogos ataupun bulan September dan ini perlukan pemerhatian khusus daripada pihak MOT, RAC dan juga KTMB.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Johor, PAJ sedang memperkukuh rangkaian perkhidmatan bagi mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap kenderaan persendirian. Menjawab pertanyaan Yang Berhormat Jementah dan Yang Berhormat Kempas mengenai perkhidmatan feeder yang membawa penumpang dari kawasan perumahan ke laluan utama, main trunk dengan izin, kerajaan negeri telah melaksanakan penyemakan semula laluan dan kekerapan Bas Muafakat Johor bagi memastikan liputan lebih menyeluruh, waktu menunggu lebih singkat serta perkhidmatan yang lebih mudah diakses oleh penduduk setempat. Saya telah berbincang dengan prasarana mengenai pelaksanaan Demand, Responsive, Transit (DRT) dengan izin, iaitu sistem pengangkutan awam fleksibel yang digerakkan berdasarkan permintaan ke kawasan perumahan. Jalan penghubung dan lokasi-lokasi yang tidak berada di laluan utama bagi mengukuhkan lagi last mile connectivity, dengan izin.

Peranan sektor swasta juga dialu-alukan, pada masa ini Grab telah melaksanakan perkhidmatan Grab Shuttle dari JB Sentral ke 8 kawasan dalam radius 20 kilometer termasuklah KSL, R&F, Larkin Sentral, Danga Bay, Kebun Teh, Taman Pelangi, Mid-Valley dan KPJ Johor Specialist Hospital.

Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, Grab Shuttle ini merupakan kaedah perkongsian kenderaan dalam hasrat kita hendak mengurangkan kenderaan persendirian masuk ke dalam kawasan bandar Johor Bahru, kita mulakan dulu dengan e-hailing jadi 3 orang Datuk Speaker tak perlu order 3 kenderaan e-hailing dia boleh berkongsi dengan harga yang lebih murah menggunakan konsep grab shuttle. Dan, konsep ini kita juga harap dapat diperluaskan lebih daripada kawasan bandar Johor Bahru iaitu luar daripada 20 kilometer daripada pusat bandar. Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengisi jurang sambungan malah menyokong usaha kerajaan negeri dalam memastikan rakyat mempunyai akses yang lebih mudah, cepat dan tersusun kepada perkhidmatan pengangkutan awam serta dapat mengurangkan kenderaan persendirian masuk ke kawasan pusat bandar. Pelaksanaan skim bas henti-henti SBST 1.5 yang baru sahaja dimulakan pada bulan September yang lepas, terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang telah meningkatkan kapasiti bas.my ini secara ketara. Dengan peruntukan RM134.94 juta melibatkan 162 buah bas bagi tempoh 2 tahun sehingga 30 Mac 2027. Ini melibatkan pertambahan sebanyak 33 bas dari JB Sentral menjadikan jumlah keseluruhan meningkat daripada 78 buah bas kepada 111 buah bas yang boleh menyuraikan trafik daripada JB Sentral tersebut. Laluan juga turut bertambah daripada 11 laluan kepada 13 laluan.

Untuk makluman Ahli Dewan, meskipun baru beroperasi kurang daripada dua bulan daripada 13 laluan tersebut, 6 laluan kini melepasi kapasiti maksimum yang diunjurkan oleh APAD. Permintaan yang meningkat ini membuktikan bahawa rakyat semakin bergantung kepada bas awam yang efisen. Justeru, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan telah bersetuju supaya proses Request For Proposal RSP bagi kajian dan pelaksanaan SBST 2.0 yang bernilai RM200 juta melibatkan 254 buah bas di awalkan, bagi mempercepatkan penambahbaikan rangkaian bas henti-henti di bandar-bandar utama termasuk Johor Bahru. Hasil pemetaan kawasan tumpuan sebanyak 77 hotspot kesesakan di kenal pasti termasuk Taman Pulai Jaya, seperti dibangkitkan oleh Yang Berhormat Iskandar Puteri, kami sedia maklum bahawa kawasan Taman Pulai, Pulai Jaya dan UTM mempunyai jumlah trafik yang tinggi dan keadaan ini akan menjadi lebih teruk apabila terdapat majlis ataupun pesta konvokesyen.

Untuk makluman Yang Berhormat Iskandar Puteri, permohonan projek ini telah diangkat dalam RMK-13 Rolling Plan 1 dengan kos RM40 juta tetapi tidak diluluskan. Walau bagaimanapun kami akan mengangkat sekali lagi permohonan ini, dalam RMK-13 RP2 kerana kami maklum projek ini penting bagi memastikan penyuraian trafik berkesan sementara menunggu kelulusan langkah proaktif seperti penyelarasan isyarat lampu trafik, laluan alternatif dan pematuhan TIA bagi pembangunan baru akan terus dipantau untuk memastikan pergerakan pengguna jalan raya lebih lancar dan selamat.

Ada Ahli-Ahli Yang Berhormat menyebut berkaitan tentang elevated ART. Maklum balas terkini daripada mesyuarat 17 November 2025 yang lalu menunjukkan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan sendiri akan cuba membantu mempercepatkan pelaksanaan elevated ART ini melalui Jemaah Menteri. Keputusan ini penting untuk menentukan hala tuju seterusnya termasuk model pembiayaan kaedah pelaksanaan dan pelantikan pihak pelaksana projek. 3 koridor utama yang dicadangkan kekal seperti dalam kajian asal iaitu koridor Skudai, koridor Tebrau, koridor Iskandar Puteri. Iklan sudah, taklimat sudah, penilaian RFP pun sudah, sekarang hanya menunggu kelulusan daripada Jemaah Menteri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin menarik perhatian isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kukup berkaitan projek jambatan Sungai Pulai. Projek ini adalah inisiatif Seaport Worldwide Sdn. Bhd untuk menyediakan jalan raya dari pelabuhan Tanjung Pelepas

ke kawasan perdagangan mereka di Tanjung Piai. Projek ini dibangunkan bersama UKAS dan telah siap sepenuhnya sebelum dibuka kepada pengguna pada 18 Januari 2023. Dengan audit penerimaan jalan di jalankan pada 6 Jun 2023. Namun begitu, hasil audit mendapati ada beberapa penambahbaikan diperlukan seperti papan tanda tambahan dan transverse bar. Namun, isu utama yang kita lihat ialah mendapan jalan melebihi 300 milimeter dalam tempoh 6 bulan yang menyebabkan proses penyerahan kepada JKR tidak dapat dilaksanakan. Sejak itu, pemaju telah bekerjasama rapat dengan JKR untuk mencari penyelesaian terbaik. Pemaju bersetuju menggunakan kaedah EPS yang telah diluluskan oleh Cawangan Kejuruteraan Geoteknik JKR Malaysia. Saya sendiri bersama pengarah JKR Johor telah melawat tapak pada 3 Julai 2024 dan dapat melihat komitmen pemaju untuk menyiapkan pembaikan. Sementara itu, pembaikan sementara seperti regulate and overlay dan pemasangan papan tanda tidak rata telah dilakukan. Namun begitu Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Kukup, pemaju maklumkan baru-baru ini bahawa pembaikan kekal belum dapat dimulakan kerana kos yang agak tinggi. Mereka sedang menilai kaedah baru iaitu sistem piling dan telah melantik konsultan untuk menyediakan reka bentuk baru yang dijangka siap 26 November 2025. Selepas itu, dokumen akan dihantar ke ibu pejabat JKR Kuala Lumpur, proses tender dijangka bermula Januari 2026, lantikan kontraktor dijangka Mac 2026 dan pembaikan dijangka siap setahun kemudian Mac 2027 sebelum diserahkan kepada JKR Daerah Pontian. Sepanjang tempoh ini pemaju masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyelenggaraan laluan termasuk pembersihan longkang, bahu jalan, culvert, tampalan jalan, perabot jalan dan lampu jalan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengulas isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kahang dan Yang Berhormat Mahkota tentang isu jalan persekutuan FT050. Saya memahami aspirasi Yang Berhormat Kahang dan Yang Berhormat Mahkota bagi meningkatkan keselesaan pengguna harian laluan utama ini. Yang sering digunakan oleh pelajar sekolah, kenderaan berat dan orang awam. Keadaan jalan yang mempunyai banyak selekoh tajam dan berbukit.

Speaker

Yang Berhormat, boleh duduk sebentar.

(Berhenti sebentar kerana memberi laluan laungan azan).

Speaker

Ya, sila.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya memahami aspirasi Yang Berhormat Kahang dan Yang Berhormat Mahkota bagi meningkatkan keselesaan penguna harian laluan utama ini yang sering digunakan oleh pelajar sekolah, kenderaan berat dan orang awam. Keadaan jalan yang mempunyai banyak selekoh tajam dan berbukit telah menyumbang kepada kadar kemalangan yang tinggi. Tadi pagi semasa saya jawab soalan Yang Berhormat Datuk Speaker, saya sebutkan bahawa Lebuh Raya Pasir Gudang FT17 terkeluar daripada senarai 10 jalan paling teruk di Malaysia. Sebelum ini kita berada di tangga ke 2. Kali ini saya tengok, saya semak balik tadi FT050 ni termasuk dalam antara jalan yang memerlukan perhatian lebih apa tu, lebih tinggi kerana ia melibatkan banyak kemalangan maut di kawasan ini. Yang Berhormat Datuk Speaker, oleh itu JKR Daerah Kluang telah mengemukakan kertas permohonan peruntukan di bawah Projek RMK-13 Rolling Plan Ke-2 kepada JKR Negeri Johor pada 30 Julai yang lepas, melibatkan 2 cadangan iaitu projek menaik taraf selekoh berbahaya FT050, FT050 dari Kluang ke Mersing serta kerja menaik taraf jalan sedia ada di seksyen 81 hingga 88.5 Jalan Batu Pahat-Mersing sepanjang 7.5 kilometer bernilai RM50 juta. Projek ini dijangka membawa outcome positif termasuklah pengurangan tahap kesesakan daripada LOSF ke LOSC serta peningkatan keselamatan, keselesaan, penjimatan masa perjalanan dan aktiviti ekonomi. Selain itu juga, projek ini bertujuan mengatasi limpahan air sungai dan longkang, menaik taraf tebing dan bahu jalan serta mencegah kejadian banjir seperti yang berlaku pada 1 Mac 2023. Selain meningkatkan kelancaran trafik dan mengurangkan kadar kemalangan, projek ini sedang dinilai di peringkat negeri sebelum

diangkat ke peringkat persektuan kerana ianya melibatkan jalan persekutuan dan kos yang tinggi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengulas isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pemanis mengenai keperluan menaik taraf lebuh raya Segamat – Kuantan. Kerajaan sedang giat melaksanakan inisiatif bagi menaik taraf rangkaian jalan raya utama di daerah Segamat, Johor. Melibatkkan 2 projek pembangunan infrastruktur kritikal. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan, melancarkan aliran trafik serta memastikan keberkesanan kos dalam pelaksanaan. Projek pertama ialah kerja-kerja memperelok jajaran dan pembinaan lorong memotong di Jalan Segamat - Kuantan FT12. Cadangan ini mempertimbangkan penambahbaikan jajaran Jalan Segamat - Kuantan FT12, dan jalan Johor Bahru - Seremban FT1 kepada piawaian R5 sepanjang 20 kilometer dengan anggaran kos RM237.6 juta. Skop projek ini menyeluruh merangkumi pembinaan lorong memotong, menaik taraf persimpangan berlampu isyarat serta meroboh dan membina semula 2 jambatan baru merentasi Sungai Kapeh 1 dan Sungai Kapeh 2 mengikut piawaian R5. Buat masa ini cadangan ini sedang dalam proses VAE, value assessment excercise dengan izin untuk memastikan kaedah pelaksanaan yang terbaik dan menjamin keberkesanan kos projek.

Sementara itu, projek kedua melibatkan menaik taraf Jalan Muar - Tangkak - Segamat FT23 dari seksyen 71 hingga ke persimpangan FT12 Jalan Segamat - Kuantan. Projek ini mencadangkan pembinaan jajaran baru 4 lorong 2 hala dengan piawaian R5 sepanjang 6 kilometer bermula dari Pejabat Kemas di seksyen 71 dengan kos anggaran RM190 juta. Skop projek turut merangkumi menaik taraf persimpangan berlampu isyarat, pembinaan jambatan baharu merentasi landasan KTM dan Sungai Gemereh. Serta pembinaan sebuah jejambat baru yang melintasi paip gas PETRONAS. Proses VAE bagi cadangan ini telah diselesaikan dan projek ini kini sedang menunggu pertimbangan serta kelulusan lanjut bagi memulakan pelaksanaannya.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Penggaram ada membangkitkan isu berkaitan tentang RTB Sungai Batu Pahat. Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Batu Pahat, Johor sedang dilaksanakan di daerah Batu Pahat dengan kos keseluruhan RM56.7 juta dan siling peruntukan tahun 2025 sebanyak RM14 juta. Projek ini telah melalui fasa pra pelaksanaan yang merangkumi skop perancangan serta reka bentuk manakala proses perolehan dijadualkan dengan lawatan tapak tender pada 19 Jun 2025, tarikh tutup tender pada 14 Julai 2025. Pada fasa pembinaan fizikal kontraktor telah dilantik dengan tarikh mula kerja pada 26 September 2025 dan dijangka siap pada 26 Mac 2027 dengan tempoh pembinaan selama 18 bulan. Antara isu yang dihadapi ialah kewujudan struktur penempatan seperti bangunan, pagar, kandang dan jeti di dalam rizab sungai yang perlu dialihkan melibatkan 88 struktur bangunan yang dihuni oleh 337 isi rumah. Bagi menangani isu ini, satu task force telah pun ditubuhkan bagi membincangkan strategi pemindahan penempatan ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya juga ingin mengulas isu hakisan pantai di Jalan Benteng Parit Kedondong, Parit Penyengat dan Parit Kasim yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Balang. Untuk makluman kawasan pantai di Parit Kedondong, Parit Penyengat dan Parit Kasim merupakan kawasan persisir yang terdedah kepada proses hakisan semula jadi akibat tindakan ombak, arus pasang surut serta cuaca ekstrem. Fenomena air pasang besar pada 6 November 2025 telah meningkatkan tekanan ombak ke atas struktur dan tebing pantai. Sekali gus menyebabkan kerosakan kepada beberapa kemudahan awam di kawasan tersebut. Pihak jabatan telah memohon beberapa projek bagi tahun 2026, seperti berikut dalam Rancangan Johor 5 Tahun, RJ5T di bawah peruntukan negeri iaitu kerja di Mukim Parit Jawa, di Pantai Parit Kasim Mukim Parit Jawa. Pantai Parit Kasim bernilai, dan juga pantai Parit Bulat bernilai RM950,000.00. Pihak jabatan juga sedang dalam proses memohon Projek Pengawalan Hakisan Pantai Seri Menanti, daerah Muar dalam Rancangan Malaysia Ke-13 RP2 dengan permohonan keseluruhan projek sebanyak RM95 juta.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yang Berhormat Simpang Jeram, Bukit Naning, Parit Raja, prihatin tentang penggunaan air di negeri Johor. Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Naning, Johor sememangnya mempunyai pelan jangka panjang dengan pembinaan 5 projek loji rawatan air dengan kapasiti keseluruhan 1,100 juta liter sehari dan 3 projek pembinaan empangan bagi bekalan air mentah yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan dengan kapasiti keseluruhan 1,166 juta liter sehari. Selain daripada pembinaan LRA, Datuk Speaker dan juga empangan, pihak kerajaan negeri juga bercadang agar sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air di negeri Johor dapat diwartakan. Iaitu, pertama, Sungai Johor, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Sedili Besar dan Sungai Muar dapat diwartakan sebagai kawasan tadahan sumber air di negeri Johor.

Untuk makluman Yang Berhormat dan Ahli-Ahli Dewan, Sungai Johor sendiri memberi manfaat sumber air kepada lebih 2 juta penduduk di negeri Johor. Oleh yang demikian, sekiranya cadangan pewartaan ini dapat dilaksanakan, ia akan menjadikan pembangunan di sekitar jajaran sungai-sungai ini dapat dikawal oleh kerajaan bagi mengelakkan berlakunya pencemaran kepada sungai seperti yang berlaku baru-baru ini. Sungai Endau dan Sungai Sedili Besar, Yang Berhormat Datuk Speaker, masih lagi dalam keadaan paling bersih setakat ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi memastikan gangguan bekalan air dapat kita kurangkan, pihak Ranhill SAJ akan menghubungkan paip-paip sedia ada di negeri Johor dalam projek rezoning supaya terdapat satu jaringan kesalinghubungan yang mampan dapat memastikan gangguan bekalan air khususnya luar jangka ini dapat dikurangkan kesannya kepada pengguna. Kita faham Yang Berhormat Simpang Jeram berkenaan penggunaan air yang banyak oleh pembangunan pusat data. Dan untuk itu kerajaan negeri Johor merupakan negeri pertama yang menubuhkan Jawatankuasa Khas Pusat Data bagi memantau penggunaan air bagi pusat data di negeri Johor. Selain daripada kita melihat penggunaan air, jawatankuasa ini juga telah menetapkan penggunaan air untuk setiap pusat data pada takat 1.8WUE (water usage effectiveness) dengan izin. Johorlah yang pertama letakkan angka ni Yang Berhormat Datuk Speaker. Belum ada lagi negeri lain yang meletakkan satu takat penggunaan air yang terbaik untuk data center.

Speaker

Tapi pastikan Yang Berhormat, di bawah, benda ni berjalan dengan baik.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Insya-Allah Yang Berhormat Datuk Speaker. Sebenarnya kita ada dua jawatankuasa. Satu Jawatankuasa Teknikal yang saya pengerusikan dan satu lagi ialah Jawatankuasa Induk yang meluluskan permohonan, kadar pelaburan dan sebagainya yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Di peringkat saya, saya akan tengok sama ada dia mematuhi 1.8WUE ini, Yang Berhormat Datuk Speaker. Kemudian jika dia, kita tak cukup air, katakan kita dah timbang, timbang, timbang, tak cukup air, kita akan minta dia menggunakan teknologi-teknologi baru. Kita ni mesra data center, tapi dia kena ikut syarat yang kita kenakan iaitu boleh guna antaranya ialah teknologi penyejukan, immersion cooling yang boleh turunkan WUE kepada 0.05 ke 0.2, bawah daripada 1.

DCD, direct-to-chip liquid cooling boleh sampai ke 0.2, rear door heat exchange boleh sampai ke 0.7 dan pelbagai lagi kaedah teknologi baru yang sepatutnya digunapakai oleh data center-data center agar keterjaminan bekalan air terawat untuk kita di negeri Johor ini. Selain itu juga pusat-pusat data ini boleh menggunakan air lain sebagai alternatif iaitu disebut industrial water ataupun air industri, bukan air terawat sebagai kegunaan untuk menyejukkan sistem ataupun cooling tower mereka. Di peringkat negeri Johor, Johor Special Water, anak syarikat negeri Johor akan menjadi agensi yang boleh memberikan sumber air lain selain air terawat yang kita gunakan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, boleh lagi ke ni?

Speaker

Saya bagi satu minit je lagi Yang Berhormat.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Kalau satu minit, saya kena gulung.

Speaker

Sebab Yang Berhormat dah terlebih 8 minit.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Bagi chance sikit Datuk...

Speaker

Saya bagi kebenaran Yang Berhormat lebih 8 minit ni, sebab saya nak tengok apa sebenarnya penyelesaian isu air ni. Kalau tak selesai juga Yang Berhormat di Rengit, saya akan buat Tiktok lagi untuk Yang Berhormat.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Ada ni sekejap saja Speaker. Untuk kawasan Datuk Speaker, projek yang bernilai RM32 juta itu dijangka ditenderkan pada bulan hadapan dan lantikan kontraktor pada bulan Januari dan kerja-kerja akan dimulakan seawal tahun 2026 dalam quarter 1 dan mengambil masa selama, dan akan siap pada hujung tahun 2024. Insya-Allah Speaker, saya akan datang nanti untuk memantau sendiri keadaan berkenaan.

Speaker

2024, Yang Berhormat?

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

2027. Tender dibuka bulan hadapan, Disember. Tender diaward dijangka Januari. Kerja bermula bulan 4, 2026 dan siap pada suku keempat 2027.

Speaker

Ok, terima kasih. First time saya bagi terima kasih.

Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad SallehUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi · Bukit Pasir

Terima kasih Datuk Speaker. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan Yang Berhormat yang telah mengemukakan soalan, pandangan serta cadangan yang sangat bernilai. Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada ketua-ketua jabatan dan semua pegawai yang sentiasa berikan kerjasama serta komitmen dalam memastikan kelancaran urusan pentadbiran dan pembangunan negeri.

Saya memohon maaf sekiranya ucapan penggulungan ini tidak dapat menjawab secara terperinci semua perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sepanjang sesi perbahasan. Namun, setiap isu yang diutarakan tetap diambil maklum, dinilai dan akan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak saya dan jabatan-jabatan yang berkenaan. Saya ingin menyeru seluruh rakyat dan Bangsa Johor agar terus memberikan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan Johor secara berterusan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, di bawah portfolio saya telah menerima sehingga RM167 juta peruntukan pembangunan. RM101 juta di bawah agensi JKR, RM38 juta di bawah JPS, RM8 juta di bawah BAKAJ dan RM13 juta di bawah PAJ. Dan, pada tahun ini, saya ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana telah meluluskan atau memperuntukkan sebanyak RM7.55 juta bagi kerja-kerja kecil menyelesaikan isu-isu MTD. Oleh itu, saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat, sekiranya ada isu-isu kecil yang mungkin bagi kita kecil tapi boleh memberikan impak yang besar, boleh menyenaraikan kerja-kerja tersebut supaya kita boleh gunakan peruntukan yang telah diluluskan; RM2.5 juta untuk kerja

jalan dan longkang, RM2.55 juta untuk lampu-lampu jalan serta RM2.5 juta untuk parit-parit JPS.

Biji lada di dalam kolah, tanam di dusun sebelah pelita; andai ada silap dan salah, sepuluh jari disusun maaf dipinta.

Banyak sayur di atas pinggan, jadikan bekal pergi ke pekan; Maju Johor sebagai slogan, Insya-Allah bakal jadi kenyataan.

Dengan itu, saya sudahi ucapan ini dengan lafaz wabilahitaufik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Pasir. Ahli-Ahli Yang Berhormat Persidangan ini saya tangguhkan sehingga jam 2:30 petang ini.

Persidangan ditangguhkan jam 1:12 petang.

Persidangan disambung semula jam 2:35 petang.

YB Timbalan Speaker mengetuai Persidangan.

Sambungan Perbahasan Atas Rundingan Bacaan Kali Yang Kedua Bagi Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 Tahun 2025.Bill

Timbalan Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat, penggulungan oleh Yang Berhormat Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa disambung. Dipersilakan Yang Berhormat Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia.

Tuan Lee Ting HanMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia · Paloh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker. Pada kesempatan ini izinkan saya menyampaikan ucapan setinggi-tinggi kasih dan tahniah sempena hari keputeraan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 22 November ini. Semoga Tuanku sentiasa dianugerahkan kesihatan, kebijaksanaan dan kesejahteraan dalam menaungi rakyat Malaysia. Patik juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas bimbingan strategik baginda yang menjadi tunjang kepada kestabilan, kesinambungan dan ketangkasan pentadbiran negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, salah satu kekuatan terbesar Johor ialah keupayaan kita membangunkan negeri ini secara menyeluruh bukan secara terasing. 6 Teras Maju Johor iaitu kemudahan dan keperluan asas, ekonomi yang berdaya saing, jaringan keselamatan sosial, kebersihan dan kelestarian alam sekitar, tadbir urus kerajaan yang cekap dan Orang Muda Johor tidak berdiri sebagai silo berasingan tetapi saling menguatkan, saling menghidupkan dan saling mempercepatkan antara satu sama lain. Keenam-enam teras ini membentuk sebuah ekosistem pembangunan yang bergerak dalam satu lingkaran saling memperkukuh, menghasilkan momentum berganda kepada kemajuan negeri Johor. Apabila infrastruktur diperkukuh, ekonomi tumbuh lebih pantas. Lebuh raya, air, tenaga, pengangkutan, pelabuhan, lapangan terbang, kawasan perindustrian terancang, semuanya membentuk tulang belakang pertumbuhan.

Infrastruktur yang kukuh menjadikan logistik lebih murah, masa lebih cekap, produktiviti lebih tinggi. Inilah daya tarikan Johor kepada pemain industri global, syarikat semi konduktor, pengusaha minyak dan gas, syarikat logistik antarabangsa, pengeluar komponen teknologi malah pusat data dan AI compute. Mereka memilih Johor bukan kerana kos rendah semata-mata tapi kerana Johor competitive by design. Apabila aspek keselamatan dan kelestarian

meningkat, pelabur jangka panjang masuk dengan lebih yakin. Pelabur besar tidak sekadar mencari keuntungan, mereka mencari kestabilan dan predictability terutamanya dalam situasi geopolitik yang begitu tidak menentu.

Johor menyediakan persekitaran yang stabil dan selamat serta memberi keutamaan kepada kelestarian termasuk komitmen tenaga boleh diperbaharui, dapat mengenal bandar rendah karbon. Ini mengukuhkan Johor sebagai destinasi jangka panjang yang dipercayai malah lebih kompetitif berbanding dengan jiran kita. Apabila governance menjadi lebih cekap, pelaburan turun dengan lebih laju ke lapangan. Hasil kerjasama Invest Johor, MIDA, MITI, IMFCJ, PBT, IRDA dan sebagainya, agensi teknikal yang lain bergerak jauh lebih pantas dan tersusun. Kita rasakan Johor superlane, kelulusan lebih teratur, dasar lebih konsisten, kordinasi antara agensi yang lebih lancar. Apabila ekonomi berkembang pula, hasil negeri bertambah dengan ruang fiskal menjadi lebih luas untuk memperkukuh kebajikan rakyat.

Inilah yang memungkinkan Johor memperluaskan program di bawah jaringan keselamatan sosial termasuk Bantuan Kasih Bangsa Johor, bantuan persekolahan, bantuan warga emas, veteran dan pelbagai bentuk sokongan asas. Kejayaan ekonomi tidak terhenti pada angka, ia mesti dirasai oleh rakyat. Ia mesti turun ke meja makan rakyat. Apabila kebajikan rakyat terjamin, kestabilan sosial meningkat, masyarakat lebih stabil, berdaya tahan dan yakin dengan pentadbiran kerajaan negeri, maka kita akan ada satu negeri Johor, ada satu negeri yang lebih harmoni, bersatu dan penuh harapan. Masyarakat yang stabil pula akan menarik pelaburan yang lebih besar kerana pelabur global mencari kestabilan sosial, kestabilan politik, kestabilan negara sebagai faktor penilaian utama.

Dan, apabila Orang Muda Johor diberi ruang dan peluang, masa depan negeri menjadi terjamin. Johor telah melabur secara agresif dengan pendidikan TVET, teknologi digital, AI Inovasi, keusahawanan dan sukan semuanya menuju ke satu matlamat melahirkan generasi muda yang bukan sekadar mampu bekerja dalam ekonomi masa depan tapi mampu memimpin dan mencipta nilai dalam ekonomi tersebut. Anak muda yang berjaya pula akan kembali menyumbang melalui bakat, inovasi, keusahawanan, kepimpinan dan kesukarelawan membentuk sebuah lingkaran kemajuan yang tidak pernah putus. Berkenaan teras ini saling menarik, saling menyokong, saling mengukuhkan dan membentuk sebuah persekitaran pembangunan Johor yang dinamik.

Infrastruktur melahirkan pelaburan, pelaburan mengembangkan ekonomi, ekonomi membolehkan kebajikan, kebajikan membina kestabilan, kestabilan menarik lebih banyak pelaburan dan kekuatan bakat dan bakat anak muda memastikan pertumbuhan negeri Johor yang berterusan. Ini adalah nadi kepada kemaraan Johor pada hari ini, inilah kekuatan yang menjadikan Johor sebuah negeri yang sedang melonjak dengan keyakinan. Inilah bukti agenda Maju Johor bukan lagi satu konsep, bukan lagi satu slogan tapi satu realiti yang semakin jelas, semakin nyata dan semakin dirasai oleh rakyat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, tahun 2025 sekali lagi membuktikan ketahanan, keupayaan Johor sebagai pemacu utama ekonomi negara. Sehingga suku ketiga tahun ini seperti mana kita sedia maklum, Johor telah pun mencatat pelaburan komited berjumlah RM91.1 bilion meneruskan momentum prestasi cemerlang negeri ini. Sebelum ini Belanjawan 2026 melaporkan bahawa Johor telah menarik jumlah pelaburan sebanyak RM218 bilion sehingga suku kedua 2025. Dengan angka terbaharu ini, jumlah keseluruhan pelaburan komited sepanjang tempoh kerajaan negeri Johor sekarang diberi amanah untuk mentadbir telah meningkat kepada RM253 bilion, dengan lebih 65,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan. Prestasi luar biasa ini bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negeri Johor yang berkembang 6.4% pada tahun 2024 tertinggi di Malaysia, kadar pengangguran hanya 20.3% serta peningkatan hasil negeri yang stabil.

Semua ini membuktikan bahawa Johor bukan sahaja berkembang tetapi melonjak kehadapan dengan keyakinan dan juga kekuatan. Inilah asas kukuh yang mengilhamkan Belanjawan

Johor 2026 Bertemakan Bangsa Johor Sejahtera. Tema ini membawa makna yang luas di mana ia menegaskan bahawa pembangunan negeri tidak boleh diukur dengan angka ekonomi semata-mata sahaja tetapi mesti memberikan kesan dan manfaat nyata kepada semua lapisan masyakarat. Dari kawasan bandar ke luar bandar, daripada pelajar hingga usahawan daripada warga emas hingga golongan belia. Pembangunan Johor hari ini mesti bersifat inklusif, adil dan menyeluruh. Kerana negeri Johor mengambil maklum pada Ahli-Ahli Yang Berhormat berhubung dengan menghidupkan semula kerangka kerjasama tiga hala seperti SIJORI yang telah dibangkitkan 30 tahun sebelum ini. Namun kita harus realistik dengan dinamika semasa, keadaan ekonomi, struktur industri dan ekosistem pelaburan serantau pada hari ini jauh berbeza daripada era ketika SIJORI pada masa mula diperkenalkan beberapa dekad dahulu.

Justeru, kerajaan negeri berpandangan bahawa kita mesti, apa jua bentuk kerjasama serantau yang dicadangkan tidak sekali-kali mengurangkan daya saing Johor - Singapore Special Economic Zone, tidak menjejaskan integrasi industri yang sudah terbukti membawa manfaat besar dan tidak meletakkan Johor sekadar sebagai pelengkap pinggiran dalam ekosistem pelaburan serantau. Fokus kita tegas, Johor mesti kekal sebagai penerima manfaat utama dan bukan sekadar transit atau pun perantaraan dan juga kita tidak mahu persaingan yang tidak sihat dengan jiran kita.

Dan selaras dengan aspirasi Bangsa Johor Sejahtera, kerajaan negeri akan menganjurkan Johor Economic Forum yang turut disebutkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat, sebuah platform strategik yang akan mengumpulkan pemimpin industri global, ahli akademik, membuat dasar dan pelabur antarabangsa. Laporan ini bukan sekadar acara ilmiah ataupun diskusi biasa tapi medan pembentukan dasar berasaskan data pemacu pemikiran strateik dan keseluruhan yang memperkukuh Johor sebagai pusat idea, pusat inovasi dan pusat pemikiran ekonomi. Belanjawan 2026 turut memberi pendekatan besar kepada pembentukan identiti ekonomi negeri melalui inisiatif mempromosikan produk atau pun perkhidmatan made in Johor. Johor bukan hanya negeri yang menempatkan kilang dan pelaburan, Johor adalah negeri yang telah melahirkan jenama-jenama bernilai nasional dan juga antarabangsa daripada makanan dan minuman yang pagi tadi rakan saya telah pun membentangkan beberapa jenama kepada komponen industri daripada produk pengguna kepda sektor berasaskan inovasi. Kerajaan negeri Johor mahu mengangkat produk Johor ke tahap antarabangsa dengan meningkatkan kemampuan PKS, keusahawan kecil dan juga sederhana dan bidang penyelidikan dan pembangunan, inovasi, automasi dan pensijilan. Matlamat kita jelas ha, kita mahu lebih banyak produk yang bukan sahaja made in Johor tetapi lahir daripada kreativiti, kepakaran dan juga keunggulan anak Johor sendiri dan made by Johor seperti mana yang disarankan oleh Yang Berhormat Benut.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, melalui Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura, sebanyak 11 sektor telah pun kita perkenalkan, yang dikenal pasti sebagai teras strategi pembangunan ekonomi Johor kerana kita ambil pendirian bahawa 11 sektor tu merupakan sektor yang dapat ada kekuatan complimentary antara Johor dengan Singapura. 11 sektor tersebut adalah pembuatan, pembuatan termaju, logistik, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perniagaan, ekonomi digital, pelancongan, sekuriti makanan, pendidikan, kesihatan, tenaga dan juga ekonomi hijau.

Kerangka sektor ini bukan sekadar senarai, ia adalah peta permohonan yang menetapkan keutamaan pelaburan, strategi pembangunan bakat, pembinaan kluster industeri dan hala tuju dasar yang tersusun untuk jangka masa panjang. Dan masa yang sama, Johor akan fokus untuk meneroka dan memperkukuh sektor baharu berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan, ekonomi digital, semi konduktor dan teknologi pembuatan maju, tenaga bersih dan ekonomi hijau, life sciences, perkhidmatan kewangan serantau. Sektor-sektor ini bukan lagi pilihan tapi keperluan masa depan, kesemuanya sedang disepadukan ke dalam penyediaan Blueprint Johor - Singapura Special Economic Zone iaitu dokumen permohonan ekonomi jangka panjang yang sedang dimuktamadkan oleh firma perunding antarabangsa dengan penelitian

mendalam. Blueprint JS-SEZ apabila disiapkan dan akan dipamerkan, diterbitkan pada suku pertama tahun 2026 akan menjadi rujukan utama dalam kita membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura. Ia akan menyelaras dasar negeri dan juga persekutuan, memasukkan suara industri, meletakkan Johor dalam peta ekonomi global dengan lebih jelas dan memberikan hala tuju jangka masa panjang pada pelabur.

Johor tidak lagi bergerak mengikut keperluan semasa tapi kita menggerak mengikut visi jangka masa panjang yang terancang, tersusun dan juga berpandangan jauh. Di bawah blueprint tersebut kita akan senaraikan 11 sektor tersebut dengan perincian macam mana kita nak bangunkan setiap sektor dan juga kita akan masukkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi tempatan. Dan semangat Belanjawan Bangsa Johor Sejahtera jua kerajaan negeri juga memberi pendekatan kepada hakikat bahawa kejayaan ekonomi mesti dirasai oleh rakyat terutamanya oleh pengusaha kecil dan sederhana tempatan. JS-SEZ bukan semata-mata mengenai FDI sahaja, ia tentang membuka ruang mobiliti sosial, memperluaskan peluang pekerjaan bernilai tinggai, membina bakat tempatan dan mencipta peluang baharu untuk syarikat-syarikat Johor.

Justeru, penubuhan inisiatif seperti direktori PKS mengikut sektor strategik, direktori perunding tempatan, padanan perniagaan penilaian standard teknikal dan readiness workshop sedang dilaksanakan bagi memastikan FDI dan PKS tempatan dapat membentuk ekosistem yang kukuh. Saling memperkukuh dan saling memberi manfaat. Setiap bulan, laporan penglibatan PKS tempatan akan dibentangkan oleh, kepada Dato’ Menteri Besar untuk memastikan tiada syarikat tempatan yang berpotensi tetapi tercicir. Berhubung dengan isu pusat data, pagi tadi rakan saya telah pun bentangkan bahawa kerajaan negeri johor mengambil pendekatan yang berhati-berhati, yang sangat berhati-berhati sebenarnya, kita merupakan negeri pertama di Malaysia yang mengeluarkan garis panduan seperti ini untuk mengawal selia sektor tersebut. Berasaskan data dan juga peringkat, kita mahu pertumbuhan digital dan pelaburan teknologi tetapi ia mesti berada dalam rangka kelestarian. Kerajaan negeri melalui, menilai dengan ketat indikator teknikal seperti power usage effectiveness dan water usage effectiveness penggunaan air alternatif, komitmen kepada tenaga boleh diperbaharui dan implikasi kepada grid tenaga dan juga infrastruktur air.

Johor tidak mahu menjadi gudang data semata-mata sahaja, Johor mahu menjadi pusat kecerdasan digital yang mampu menghasilkan nilai tinggi untuk rakyat dan juga industri. Selaras dengan itu, penubuhan Johor AI Council yang diumumkan ialah langkah besar yang mengubah landskap pembangunan negeri. AI Council ini akan memacu penggunakan AI compute, memupuk bakat tempatan menyokong sadar menggerakkan integrasi kecerdasan buatan dalam sektor perindustrian logistik kesihatan dan pendidikan serta mewujudkan ekosistem digital yang benar-benar kompetitif. Johor mahu menjadi pencipta teknologi bukan pengguna pasif sahaja dan juga kita mahu menjadi hub kecerdasan buatan serantau. Itulah saranan Dato’ Menteri Besar berkaitan dengan pembangunan sektor pusat data, sekian, sepanjang masa ini. Dan Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker berkaitan dengan tekanan kos sara hidup, tentulah ia merupakan satu perkara yang sentiasa dalam hati Ahli-Ahli Yang Berhormat. Kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan persekutuan tidak pernah leka atau pun mengambil sikap sambil lewa. Pelbagai intervensi telahpun dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat perlindungan sosial ekonomi termasuk perlaksanaan Jualan Rahmah Madani yang semakin dipertingkatkan daripada dua (2) kali sebulan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, kepada tiga (3) sekali sebulan bermula Ogos 2025.

Sehingga 14 November 2025, sebanyak 1,495 penganjuran Jualan Rahmah telah diadakan di seluruh negeri Johor. Memberi manfaat kepada lebih 1.73 juta isi rumah. Peruntukan keseluruhan meningkat daripada RM15.4 juta kepada RN39.4 juta dengan nilai subsidi langsung oleh kerajaan persekutuan adalah RM13.1 juta di Johor. Dan nilai jualan melalui Jualan Rahman di negeri Johor sepanjang masa ini adalah RM61.6 juta.

Disamping itu, kerajaan persekutuan melalui KPDN juga telah pun memulakan pilot, system pilot e-COSS bagi memastikan subsidi minyak masak diagihkan secara telus dan sampai ke golongan tersasar. Dan kita faham memang ada maklum balas berkaitan dengan perlaksanaan sistem ini tapi buat masa sekarang sistem tersebut telah pun stabil dan aplikasi tersebut telah pun dapat berjalan dengan lancar. Di Johor, sebanyak 96.24 matrix tan setiap bulan untuk minyak masak bersubsidi diperuntukkan di bawah fasa pelaksanaan ini di mana sistem e-COSS telah membuktikan keberkasanannya dalam memerangi ketirisan, penyeludupan dan gangguan bekalan sebagai contoh harga sebenar adalah lebih kurang RM6.00 hingga RM7.10, kerana subsidi minyak kita jual pada RM2.50 sahaja, bermaksud kerajaan persekutuan memberi subsidi hampir RM5.00 setiap, setiap kilo dan kita perlu ambil tindakan yang berhati-hati dan juga munasabah untuk mengurangkan ketirisan.

Selain itu, kita juga melipat gandakan penguatkuasaan terhadap kenaikan harga barang yang tidak munasabah serta kesalahan lain di bawah kawal selia KPDN. Pada tahun ini, sepanjang tahun ini sehingga November 2025 sebanyak 100,815 pemeriksa pemeriksa dilakukan oleh pegawai penguatkuasa KPDN dengan 1,967 kes dikesan. Lebih RM66,000.00 kompaun telah pun dikeluarkan di mana denda adalah RM324,000.00 dan juga rampasan oleh KPDN Johor bernilai RM4.4 juta dilakukan. Manakala 124 kes telah pun dibawa ke Mahkamah. Ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan bagi menjaga integriti pasaran dan melindungi rakyat daripada manipulasi harga.

Dalam masa yang sama Program Bantuan Kasih Bangsa Johor diperluaskan secara signifikan melalui Bantuan Kasih Bangsa Johor, melalui Belanjawan 2026, makanan asas, bantuan persekolahan, bantuan untuk warga emas, veteran serta keluarga rentan dapat disalurkan secara inklusif dan menyeluruh. Inisiatif ini bukan sahaja membantu bantuan keluarga malah memastikan setiap rakyat Johor mendapat perlindungan yang wajar dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, keseluruhan rangka tindakan ekonomi Johor hari ini pembangunan JS-SEZ, sektor penubuhan baharu, Blueprint JS-SEZ yang sedang disediakan, Johor Economy Forum, inisiatif mempromosi Made in Johor, penglibatan PKS kawal selia pusat data, penubuhan AI Council, Program Jualan Rahmah, penguatkuasaan harga dan perluasan Bantuan Kasih Bangsa Johor akan menyebabkan satu mesej yang jelas dan tegas. Johor tidak menunggu arus global, Johor memilih untuk membentuk aras tersebut dan Johor tidak mengejar peluang tapi kita berusaha untuk mencipta peluang.

Di sinilah letak keunikan permbangunan negeri Johor pada hari ini. Keenam-enam teras Maju Johor saling berhubung, saling menguatkan dan saling menggerakkan antara satu sama lain. Dan kita harap dengan hala tuju yang begitu jelas, kepimpinan yang tegas dan dasar yang konsisten dan semangat Bangsa Johor yang kukuh dan saya yakin negeri Johor ini akan bukan sahaja akan kekal sebagai peneraju pelaburan negara tetapi akan muncul sebagai pusat pertumbuhan paling penting di Asia Tenggara. Dan kita sedang bergerak dengan langkah yang yakin menuju Aspirasi Maju Johor 2030 dan semangat Belanjawan Bangsa Johor Sejahtera akan memastikan bahawa setiap rakyat Johor menikmati manfaat belanjawan ini. Sekian sahaja, terima kasih, salam maju Johor. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Tahniah Yang Berhormat Paloh. Tahniah di atas kecemerlangan portfolio. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ini mengalu-alukan kehadiran seramai 85 orang pemerhati ke dalam Dewan kita ini. Mereka adalah 36 orang dari DUN kawasan Larkin (Dewan bertepuk), 14 orang daripada DUN kawasan Kota Iskandar (Dewan bertepuk), dan 35 orang yang terdiri daripada ketua-ketua kampung, peneroka FELDA, Batin Orang Asli dan jabatan-jabatan di bawah Portfolio YB EXCO Pegerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor. Selamat datang ke Dewan Negeri.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar.

Tuan Ling Tian SoonMCA · BNPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar · Yong Peng

Terima kasih Datuk Timbalan Speaker, Kuda Kepang adat tersohor, Anyaman buluh cantik bergaya; Aman sentosa majulah Johor titah dijunjung memacu jaya. Sebelum memulakan ucapan penggulungan Yong Peng ingin merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah sempena hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim, patik bagi pihak rakyat negeri Johor merafak sembah ucap setulus doa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan yang sempurna, usia yang diberkati serti budi kepimpinan yang terus memayungi seluruh Bangsa Johor dan rakyat Malaysia. Seterusnya, patik juga ingin menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia kepada Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa prihatin dan sentiasa memberi pandangan yang arif terhadap isu-isu negeri terutamanya isu yang melibatkan sektor kesihatan. Daulat Tuanku.

Setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor atas pencapaian cemerlang kepimpinan negeri yang terus membawa Johor ke hadapan sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi negara. Baru-baru saja sahabat saya YB Paloh telah maklumkan kepada Dewan, FDI, atau pun Foreign Direct Investment negeri Johor ini adalah nombor 1 di antara semua negeri dalam Malaysia dan beliau juga telah memaklumkan di dalam Dewan pertumbuhan KDNK negeri Johor juga nombor 1 di Malaysia. Dan YB Buloh Kasap pula maklumkan kepada kita penghasilan pertanian di negeri Johor ini juga nombor 1 di Malaysia dan YB Larkin maklumkan bola sepak negeri Johor ini juga nombor 1 di Malaysia. Dan yang penting penjawat-penjawat awam kita di negeri Johor ini juga nombor 1 dan juga Wakil-wakil Rakyat di negeri Johor ini juga nombor 1. Dan yang penting IC kita semua nombor 1. (Dewan bertepuk).

Pencapaian ini adalah terjemahan kepada kepimpinan stabil kerajaan Barisan Nasional Johor yang sentiasa bergerak seiringan dalam merangka dasar mesra pelabur, memacu industri huluan dan hiliran serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan. Kerajaan Johor turut menjangkakan peningkatan hasil negeri kepada RM2.5 bilion selaras dengan prinsip Konsep Kongsi Rezeki yang diterapkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar di mana setiap hasil dan limpahan kekayaan negeri dipulangkan semula kepada rakyat agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan Bangsa Johor. Sekarang bantuan kepada rakyat Johor pun nombor 1.

Datuk Timbalan Speaker, selaku EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar, saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor, terutamanya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah menyalurkan peruntukan yang begitu besar kepada sektor kesihatan awam yang berada di negeri Johor ini. Seperti yang kita tahu, tanggungjawab kesihatan ini merupakan tanggungjawab kerajaan pusat. Namun, kerajaan negeri telah menerapkan falsafah ‘whole of government approach’ dan falsafah ‘work as a team’ dengan izin, di mana kerajaan negeri Johor tetap mengambil tanggungjawab penuh untuk bersama-sama dengan kerajaan pusat dan dalam meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan awam.

Kita boleh lihat sebagai perbandingan, bermula tahun 2023, empat Belanjawan Negeri telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Pada belanjawan tahun 2023, cuma satu inisiatif dan RM200,000.00 sahaja untuk satu inisiatif dan untuk bajet tahun 2024 telah menjangkau ke RM14.74 juta kerajaan negeri peruntukkan untuk sektor kesihatan negeri Johor. Realitinya kerajaan negeri Johor sentiasa beri lebih daripada apa yang dibajetkan kerana sektor kesihatan ini kita akan mengikut masa ke semasa ataupun mengikut keperluan.

Datuk Timbalan Speaker dan juga seisi Dewan sekalian. Bukan semua negeri mempunyai keupayaan untuk memperkukuh dan melabur secara agresif dalam sistem kesihatan masing-masing. Namun, Johor muncul sebagai negeri yang ke hadapan dalam usaha ini, melalui pendekatan strategik, peruntukan berfokus serta keberanian membuat keputusan yang memberi impak terus kepada rakyat. Johor bukan sahaja meningkatkan perbelanjaan dalam

infrastruktur kesihatan, malah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Ubat Melalui Pos Secara Percuma yang ditanggung oleh kerajaan negeri dan buat masa ini telah mencapai penghantaran melebihan 23,674 parcel sebulan pada bulan September tahun 2025 dan ini juga nombor 1 di Malaysia.

Saya juga di kesempatan ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang yang terdiri dari NGO ataupun pihak swasta yang telah menajakan katil hospital sebanyak 1,026 kepada Hospital Sultanah Aminah dan ini merupakan penukaran katil secara menyeluruh di HSA dan tuan-tuan dan puan-puan, ini juga nombor 1 di Malaysia.

Kerajaan negeri juga menggunakan peruntukan sendiri untuk membayar doktor locum di mana 2 doktor telah ditugaskan di HSA dan 2 doktor telah ditugaskan di HSI dan mereka ditugas di luar waktu pejabat bagi mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan waktu menunggu pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma. Tuan-tuan dan puan-puan ini juga nombor 1.

Pada ketika ini, kerajaan negeri maju Johor sedang berada di fasa akhir untuk pemindahan ataupun decanting perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak di Klinik Kesihatan Gelang Patah ke Kawasan Perindustrian SiLC, Iskandar Puteri. Dan, suka saya maklumkan kepada seisi Dewan, Klinik Ibu dan Anak SILC akan beroperasi pada 8 Disember 2025, makluman YB Kota Iskandar sila maklumkan kepada penduduk. Dan, pemindahan ataupun decanting perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak di Klinik Kesihatan Sultan Ismail di kawasan komersial Mount Austin yang asalnya bangunan pasar diubah menjadi klinik kesihatan yang akan beroperasi pada 15 Disember 2025. Dan, ini buat berita baik kepada kawasan Tiram dan juga Puteri Wangsa. Inisiatif decanting ini juga adalah inisiatif yang nombor satu (1) berlaku di Malaysia.

Terima kasih di atas keprihatinan kepada Yang Berhormat Permas, Kota Iskandar, Parit Yaani, Sri Medan, Kemelah, Simpang Jeram, Mengkibol dan Penggaram yang telah membangkitkan isu-isu berkaitan kesihatan di negeri Johor. Datuk Timbalan Speaker, sebanyak 10 inisiatif kesihatan yang akan dilaksanakan pada tahun 2026, suka saya kongsikan dengan seisi Dewan. Menerusi inisiatif kerajaan negeri bagi memerangi Wabak Denggi dari tahun 2023 ke tahun 2025, setiap tahun kita menyalurkan peruntukan tidak kurang daripada RM200,000.00 kepada JKNJ untuk memerangi isu Denggi ini dan hasilnya kita dapat pada tahun ini adalah penurunan 56.7% kes di mana kes pada Minggu Epid 46 tahun 2025 adalah sebanyak 5,348 kes kalau berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2024 iaitu 12,342 kes. Ini ialah penurunan yang drastik dan positif, kerajaan negeri akan meneruskan inisiatif ini untuk terus memerangi wabak Denggi terutamanya di lokasi-lokasi hotspot Denggi di negeri Johor.

Yang kedua, berita baik buat warga Johor Tengah dan Johor Utara, sebelum ini kes yang melibatkan kecederaan otak ataupun kes neurology, yang berlaku di Johor Tengah atau Johor Utara perlu dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah yang terletak di Johor Bahru yang memakan masa perjalanan selama 2 jam daripada Johor Tengah dan 3 jam sekiranya daripada Johor Utara, dan tempoh perjalanan ini yang panjang akan meningkatkan risiko maut kepada mereka yang mengalami kecederaan otak disebabkan tidak mendapat rawatan dalam tempoh yang segera, ada sebahagian pengundi saya juga berlaku perkara yang sama, maka kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta bagi pembelian neurosurgery microscope dan aset ini akan ditempatkan di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat sekaligus membolehkan HSNI Batu Pahat melakukan pembedahan rawatan neurosurgery tanpa perlu dirujukkan kepada HSA.

Beberapa ADUN yang membangkitkan isu kekurangan ambulans, pada tahun 2025, Johor telah menerima 20 buah ambulans untuk fasa pertama pada September 2025, dan ia masih tidak mencukupi, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan menerima baki 26 buah ambulans pada tahun 2026. Kemudian, sebanyak 51 buah ambulans dijangka akan diterima secara berfasa dalam tempoh 3 tahun. Dan, untuk ambulans di Klinik Kesihatan Parit Sulong

dijangka akan diterima pada tahun hadapan dengan menggunakan peruntukan khas dan pada inisiatif Belanjawan 2026 ini juga sebanyak RM1.6 juta telah diperuntukkan untuk kerajaan negeri untuk pembelian ambulans, dan unit katil ICU.

Datuk Timbalan Speaker, beberapa inisiatif yang baik kerajaan negeri akan teruskan contohnya doktor locum berjumlah RM2.8 juta, Ubat Melalui Pos Secara Percuma berjumlah RM2.1 juta dan inisiatif lain yang baik dan bermanfaat. RM900,000.00 bagi mendigitalkan Perkhidmatan Kesihatan Primer di 5 klinik kesihatan dalam daerah Johor Bahru iaitu KK Cendana, KK Sultan Ismail, KK Taman Universiti, KK Bukit Indah, KK Cahaya Baharu. Dan, bagi memendekkan waktu menunggu untuk mendapat saringan mammogram dan ultrasound, pihak kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi hospital kerajaan untuk merujuk pesakit ke Hospital KPJ Johor untuk menjalani saringan mammogram dan ultrasound.

Datuk Timbalan Speaker dan seisi Dewan yang saya hormati sekalian, Hospital Pasir Gudang sering menjadi tumpuan terutamanya dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan yang berada di kawasan Pasir Gudang. Sukacitanya untuk saya memaklumkan pada Ahli Dewan bahawa Hospital Pasir Gudang pada ketika ini telah dibuka dan beroperasi secara berperingkat. Untuk makluman, sebanyak 11 daripada 14 kepakaran telah beroperasi termasuk Jabatan Kecemasan dan Trauma, Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Pergigian, Radiologi, Patologi, Forensik dan lain-lainnya dan 3 lagi kepakaran akan dibuka pada Mac tahun hadapan iaitu Ortopedik, Otorhinolaryngology dan Opthalmology dan 3 wad telah beroperasi, kesihatan ini banyak ‘G’ ya.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Dewan yang memberikan pandangan bernas berkenaan dengan isu isu kesihatan dalam perbahasan. Datuk Timbalan Speaker, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Mahkota, YB Gambir, YB Sungai Balang dan YB Jementah yang telah menyentuh isu-isu berkaitan alam sekitar dalam perbahasan masing-masing. Segala pandangan dan teguran dan cadangan YB-YB sekalian adalah selari dengan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh agenda kelestarian Johor.

Pada 24 November 2025, Johor Sustainability Centre (JSC) akan dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri Agong, bertempat di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Johor Bahru. Pusat ini merupakan salah satu komponen di bawah Johor Green Deal, dan pada masa yang sama Tuanku Permaisuri akan melancarkan tiga polisi Hijau Negeri Johor. JSC juga akan menggerakkan enam working group, dengan izin, Majlis Pembangunan Hijau Negeri Johor yang merangkumi aspek:

1. Perubahan Iklim dan Mitigasi Karbon. 2. Pemuliharaan Hutan dan Biodiversiti 3. Pengurusan Sisa dan Ekonomi Kitaran. 4. Air, Sungai dan Perlindungan Habitat. 5. Tenaga Boleh Baharu dan Kecekapan Tenaga. 6. Pembangunan Bandar Lestari dan Mobiliti Hijau.

Dengan adanya struktur kerja yang menyeluruh ini, Johor menjadi negeri ke hadapan dalam memperkenalkan polisi hijau sendiri. Saya berharap polisi-polisi ini akan menjadi panduan dan rujukan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bergerak ke arah menjadi Kerajaan Tempatan yang Lestari dalam memacu pembangunan.

Datuk Timbalan Speaker, buat masa ini, pada tahun 2025, Johor mempunyai lebih daripada 440,994.96 hektar kawasan hutan simpan, iaitu 23.1% daripada keluasan negeri dan bagi belanjawan tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.625 juta bagi tujuan pemeliharaan serta pemuliharaan hutan di seluruh Johor.

Menjawab perbahasan daripada YB Sungai Balang, untuk makluman Dewan, kerajaan negeri telah menjalankan kerjasama aktif bersama pihak korporat dan NGO di Parit Kassim, Muar dan Sungai Santi, Kota Tinggi termasuk program penanaman hutan bakau, saya sendiri telah hadir dan turut serta dalam program tersebut sebagai tanda komitmen kerajaan negeri terhadap pemuliharaan eko-sistem hutan persisir.

Selain itu, dengan peruntukan RM700,000.00, Program Johor Bersih akan terus diperluaskan ke lebih banyak kawasan dan komuniti. Justeru, saya menyeru semua Ahli Dewan yang mulia ini, untuk bersama-sama menjayakan usaha memastikan Johor kekal sebagai negeri yang bersih, hijau dan lestari.

Datuk Timbalan Speaker, saya telah berjumpa dengan petugas kesihatan dan mereka menyampaikan salam dan mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Johor atas inisiatif peruntukan khas ataupun inisiatif khas RM500.00 kepada setiap kakitangan kerajaan persekutuan yang sangat memberi manfaat kepada mereka. Selepas ini bolehlah top up barang keperluan di rumah mereka. Sekali lagi, terima kasih kepada semua Yang Berhormat, yang telah membangkitkan isu-isu berkaitan kesihatan dan alam sekitar. Semoga komitmen, pandangan dan sumbangan yang membina ini dapat memacu kepada kesejahteraan rakyat Johor.

Tanjung Piai titik terselatan, alam hijau indah menawan; maju Johor seiring kemajuan, seia sepakat demi wawasan. Jika ingin bertemu salju, imbau kenangan di Kota Lama; jika ingin negeri maju, banting tulang, gerak bersama. Sekian, terima kasih.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Yong Peng, tahniah Johor nombor satu. Selanjutnya dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Bismillahirrahmannirrahim. Terima kasih Timbalan Datuk Speaker. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Maju Johor.

Bunga kasturi harum mewangi, disusun rapi dalam jambangan; Assalammualaikum pembuka bicara ini, izinkan Larkin mulakan penggulungan.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, awal bicara saya merakamkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi diberikan kesempatan, peluang dan ruang bersama Yang Berhormat EXCO-EXCO Kerajaan Negeri Johor yang lain bagi menyampaikan ucapan penggulungan di dalam Dewan yang mulia ini bagi Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2026 Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.

Merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucap selamat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Hari Keputeraan Baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dengan penuh takzim memanjatkan doa kehadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat DiRaja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dalam afiat dan sejahtera agar terus menaungi sekalian rakyat dan seluruh Bangsa Johor.

Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepimpinan negeri dalam menjayakan urus tadbir demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Insya-Allah, patik dan seluruh pasukan di bawah Portfolio patik akan bekerja dengan sinergi yang lebih baik, khususnya dalam merealisasikan hasrat Duli Yang Amat Mulia Tunku yang

mahu melihatkan Johor menerajui agenda sport nation, dengan izin, menjelang tahun 2030. Patik juga mendoakan agar Duli Yang Amat Mulia Tunku dan serta seluruh kerabat DiRaja Johor dikurniakan keafiatan yang berpanjangan untuk terus menaungi negeri Johor Darul Takzim.

Yang Berhormat Datuk Speaker, ucapan tahniah dan juga jutaan terima kasih buat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi di atas pembentangan Belanjawan Johor 2026, yang memperuntukkan sejumlah RM2.55 bilion melibatkan 260 inisiatif. Alhamdulillah, Portfolio Belia dan Sukan menerima RM74.6 bilion, juta, dengan 31 inisiatif. Manakala, pembangunan usahawan dan juga koperasi sebanyak RM9.95 juta dengan 8 inisiatif dengan keseluruhannya berjumlah RM84.55 juta. Menerusi Persidangan kali ini, terdapat pelbagai maklumat balas berkaitan dengan Portfolio saya yang diberikan. Sama ada dalam bentuk soalan, cadangan mahupun sokongan, teguran yang dilontarkan dari blok pengimbang mahupun rakan-rakan saya di pihak blok kerajaan dan semuanya, saya telah teliti dan ambil maklum.

Bagaimanapun, suka untuk saya nyatakan di sini, disebabkan masa yang cukup terhad, saya membahagikan penggulungan saya ini kepada dua, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, iaitu yang pertama, bagi menjawab beberapa persoalan penting yang dibangkitkan Ahli-Ahli Yang Berhormat ketika perbahasan. Mana-mana persoalan yang tidak sempat dijawab saya akan berikan secara bertulis. Manakala, bahagian kedua adalah perkongsian, inisiatif yang dilakukan di bawah Portfolio Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor bagi tahun 2025.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih, terima kasih kepada Yang Berhormat Benut, Kukup, Pulai Sebatang, Kahang, Bekok, Mahkota, Permas, Gambir, Sungai Balang dan juga Johor Lama. Yang bertanyakan dan memberi cadangan serta sokongan terhadap isu-isu atau perkara-perkara yang berkaitan dengan Portfolio-Portfolio di bawah tanggung jawab saya. Selain itu juga, saya telah memperhalusi soalan-soalan yang diajukan oleh Ahli-Ahli Dewan dan setiap maklum balas yang diberikan, saya menerima dengan berlapang dada.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Pulai Sebatang atas pandangan dan cadangan berhubung dengan Dewan Muda Johor ataupun DMJ. Berhubung cadangan Yang Berhormat Pulai Sebatang supaya Alumni, Alumni Dewan Muda Johor diwujudkan secara rasmi. Pihak Institut Dato’ Onn ataupun IDO panggilan singkatannya berpendapat bahawa cadangan tersebut adalah wajar dan selaras dengan aspirasi kerajaan Johor untuk memastikan kesinambungan peranan pemimpin muda yang telah dilatih melalui Program Dewan Muda Johor.

Untuk makluman Dewan, penubuhan alumni Dewan Muda Johor sememangnya telah dibincangkan di peringkat IDO, pada masa ini, pihak IDO sedang melaksanakan proses pemetaan alumni yang merangkumi pengesahan, pengesanan, pengumpulan maklumat serta penilaian status terkini alumni DMJ bermula 1.0 sehinggalah 3.0 melalui kaedah survey dan pengesahan data.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, berkaitan dengan pembinaan pusat komuniti di Seri Alam, yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Permas. Pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang telah pun mengambil maklum secara rasmi berhubung cadangan tersebut. Pihak MBPG juga telah melaksanakan proses pengumpulan maklumat daripada pihak pemaju dan juga perunding untuk meneliti komponen-komponen pembangunan serta kesesuaian cadangan tersebut sebelum diangkat ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, berkaitan dengan Yang Berhormat Mahkota pula tentang kerja menaiktaraf Kluang Extreme Park untuk dijadikan hab orang muda Johor atau Kluang Youth Arena. Sukacitanya, saya menjelaskan bahawa kawasan tersebut masih berada di bawah seliaan Pejabat Daerah Kluang. Penyerahan kepada Majlis Perbandaran

Kluang pernah dicadangkan pada tahun 2018, namun penyerahan tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tapak berkenaan perlu dibaik pulih terlebih dahulu mengikut spesifikasi teknikal yang sesuai. Kajian bersama antara Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Kluang dan juga Majlis Sukan Negeri Johor perlu dilaksanakan bagi menentukan kesesuaian projek itu sebagai sebuah hab belia yang merangkumi pelbagai elemen dan aktiviti-aktiviti extreme park. Anggaran kos bagi kerja-kerja baik pulih dan juga menaiktaraf adalah sebanyak RM3 juta dan pelaksanaannya akan dicadangkan secara berfasa tertakluk kepada pelan cadangan dan juga hasil kajian teknikal.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Bekok, Yang Berhormat Gambir serta Yang Berhormat Sungai Balang atas persoalan dan perhatian yang diberikan terhadap isu penyelenggaraan serta pengurusan gelanggang futsal di kawasan masing-masing. Justeru, saya menjawab persoalan-persoalan ini bersekali. Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia, Kerajaan Negeri Johor telah membina sebanyak 248 gelanggang futsal dan gelanggang-gelanggang sukan pelbagai guna di seluruh neegeri ini melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama antara kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi pelaksana.

Jumlah yang besar ini menggambarkan komitmen kerajaan dalam memperluaskan akses kepada kemudahan riadah dan sukan untuk rakyat negeri Johor. Namun demikian, dengan jumlah dan kemudahan yang begitu banyak serta mengambil kira perubahan dasar penyelenggaraan di peringkat persekutuan, kerajaan negeri perlu menyemak semula. Keutamaan penyelenggaraan dan juga baik pulih agar fokus dapat diberikan kepada gelanggang-gelanggang yang benar-benar aktif dan menjadi tumpuan masyarakat setempat.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, berkaitan permohonan khusus yang dirujuk oleh Yang Berhormat Bekok dan Yang Berhormat Gambir, kerajaan negeri ingin memaklumkan bahawa tidak semua permohonan rasmi bagi gelanggang yang dibangkitkan telah diterima setakat ini. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima dan menilai apa-apa permohonan yang dikemukakan dari semasa ke semasa. Insya-Allah, kerajaan negeri amat menghargai setiap cadangan dan juga teguran yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat kerana ia membantu kami menambah baik perancangan dan juga pengurusan kemudahan sukan demi manfaat rakyat Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, terima kasih juga yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Benut atas persoalan yang sangat-sangat bernas dan kritikal berhubung bagaimana Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana, PMKS dapat manfaatkan pelaburan kerajaan negeri melalui 8 inisiatif di bawah Zon Ekonomi, Johor Singapore-Special Economic Zone, sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat, Belanjawan bukan sekadar dokumen angka tetapi sebuah pelaburan strategik yang perlu memberikan peluang kepada rakyat dan ekonomi negeri itu. Justeru, izinkan saya menjelaskan bagaimana PMKS Johor akan mendapat manfaat langsung daripada pembangunan JS-SEZ ini. Yang pertama, memperluaskan pasaran dan juga mengkukuhkan integrasi ekonomi dan memberi peluang kepada PMKS berada lebih dekat dengan rantaian bekalan global Singapura yang memang jauh lebih maju.

Yang kedua, peluang limpahan dan rantaian bekalan, supply chain dengan izin.

Yang ketiga, manfaat geografi dan juga infrastruktur untuk semua daerah di Johor, di mana pembangunan JS-SEZ ini tidak terhad kepada kawasan yang berada di sempadan sahaja. Pembangunan infrastruktur, peningkatan kekesambungan, penyediaan tenaga kerja kemahiran serta limpahan ekonomi yang akan dirasai oleh semua daerah di Johor, insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, untuk bahagian kedua ucapan penggulungan saya izinkan Yang berhormat Datuk Timbalan Speaker dan Ahli-Ahli yang Berhormat untuk saya

kongsikan sedikit sebanyak sebahagian pelaksanaan inisiatif di bawah Portfolio Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan juga Koperasi untuk makluman bersama Ahli-Ahli Dewan yang mulia. Pertama, menjunjung setinggi-tinggi kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang membawa pasukan Johor Darul Ta’zim terus menempah kejayaan demi kejayaan (Dewan bertepuk). Untuk tahun ini, sebagaimana semua maklum pasukan JDT berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Super sebanyak 11 kali berturut-turut. Dan bagi musim 2025/2026 dengan sembila (9) kali perlawanan, JDT terus unggul mengekalkan kemenangan bagi semua perlawanan. Insya-Allah sama-sama sokongan dan doa kita berikan untuk kemenangan ke-12 di hujung musim nanti, insya-Allah.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Johor terus menempah nama, kelmarin semua sedia maklum apabila Majlis Pecah Tanah Johor Khabib Gym disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail menjadikan pertama di Asia Tenggara dan yang kedua di dunia selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE). Insya-Allah apabila siap Johor Khabib Gym bakal menjadi hab latihan sukan tempur dan mampu menghasilkan bakat sukan tempur dari Johor yang mencipta nama ke persada dunia insya-Allah. Suka juga saya ingin kongsikan menerusi peruntukan berjumlah RM730,000.00 bagi memperbaiki dan menaiktaraf 20 fasiliti sukan diseluruh Johor. Alhamdulillah semuanya selesai 100% dilaksanakan pada Ogos lalu dan pecahannya seperti berikut yang digambarkan dalam slide, empat (4) di Muar, dua (2) di Tangkak, tujuh (7) di Pontian, tiga (3) di Kluang, dua (2) di Segamat dan satu (1) masing-masing di daerah Kulai dan juga Mersing.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, seterusnya juga saya berkongsikan berkaitan dengan pembangunan tiga (3) gelanggang pickelball, zero seven yang sudah selesai dibina, Perbadanan Stadium Johor (PSJ) dengan peruntukan sebanyak RM500,000.00 tahun ini. Alhamdulillah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhoramt pada tahun hadapan diluluskan sebanyak RM1 juta bagi pembinaan gelanggang pickelball buat penggemar-penggemar sukan yang hari ini semua maklum begitu trending dan paling penting lagi iaitu Kempen Xtif Johor.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pada 24 Ogos, Kempen Xtif Johor dilancarkan secara rasminya di Pantai Air Papan, Mersing. Insya-Allah, Kempen Xtif Johor ini akan terus menerus diperluaskan dan diperkasakan dengan bantuan Wakil-Wakil Rakyat, ketua-ketua jabatan agar pelaksanaan 1 keluarga, 1 sukan itu menjadi realiti. Menerusi pelaksanaan ini, setiap keluarga di seluruh daerah Johor digalakkan memilih sekurang-kurangnya satu jenis sukan yang dilakukan secara konsisten. Pelaksanaan melibatkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Johor, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, sekolah-sekolah dan juga persatuan-persatuan sukan negeri Johor. Pada 25 dan 26 Oktober lalu, Johor turut juga menjadi tumpuan dengan penganjuran julung-julung kalinya Johor Business Summit And Expo 2025 dengan izin, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Persada Johor. Secara ringkasnya saya ingin kongsikan Johor Business Summit And Expo 2025 telah menghimpunkan lebih 90 pempamer dengan jumlah keseluruhan jualan dan pembiayaan sebanyak RM42.47 juta.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, izinkan pada petang ini juga, saya selaku EXCO yang bertanggungjawab menjaga Hal Ehwal Belia, Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan juga Wakil Rakyat di DUN Larkin mengambil sedikit masa dan ruang menjelaskan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini berhubung penukaran taraf pegangan pajakan leasehold pada pegangan kekal di Kampung Melayu Majidee. Untuk makluman Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, petang ini juga membawakan sekali penduduk Kampung Melayu Majidee sebagai pemerhati sama-sama, mendengar dan dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada penduduk-penduduk di kawasan Kampung Melayu.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, pertama, berkenaan dengan aspek proses dan perundangan, merujuk kepada Seksyen 76, Kanun Tanah Negara, Akta 828, pembelian milik

tanah kerajaan dilakukan oleh PBN kepada individu, syarikat atau agensi yang layak perlu diberikan secara pegangan bertempoh. Seksyen 76 (a), untuk tempoh tidak melebihi 99 tahun. Seksyen 76 (a) (a) untuk tempoh selama-lamanya dalam keadaan berikut:

Jika kerajaan persekutuan memerlukan Pihak Berkuasa Negeri memberikan geran selama-lamanya kepada kerajaan persekutuan atau Pihak Berkuasa Awam.

Kedua, jika Pihak Berkuasa Negeri berpuas hati bahawa tanah tersebut digunakan untuk tujuan awam.

Ketiga, jika terdapat keadaan khas untuk memerlukan pemberi milikan selama-lamanya. Peruntukan perundangan mengenai kuasa pemberi milikan ini telah dipinda pada tahun 1984, dalam Akta (a) 587 di mana kerajaan berfikiran perlunya satu kaedah untuk mengawal sumber tanah di negeri-negeri bagi tujuan perancangan serta mengimbangi semula kegunaan penjenisan dan juga pembangunan pada masa hadapan.

Catatan Hansard Parlimen semasa perbahasan Pindaan Kanun Tanah Negara pada 6 April 1984 telah menyebutkan Pihak Berkuasa Negeri tidak boleh sewenang-wenangnya melupuskan tanah pemberi milikan secara freehold kerana harus bertanggungjawab menyediakan tanah kepada generasi akan datang. Pindaan Kanun tanah Negara 1984, (Akta 587) telah memasukkan Seksyen 76 (a)(a) menyebabkan kuasa budi bicara Pihak Berkuasa Negeri untuk memberi milik tanah secara freehold kepada mana-mana entiti difikirkan secara sesuai olehnya dihadkan, Pihak Berkuasa Negeri diberi kuasa untuk melupuskan tanah secara pegangan freehold tanpa individu hanya dalam keadaan-keadaan khas.

Penetapan keadaaan-keadaan khas adalah sebagaimana Pekeliling KPTG Bil.1/2009, Ketetapan Majlis Tanah Negara Ke-64 mengenai pemberi milikan dalam keadaan-keadaan khas untuk pegangan selama-lamanya di bawah Seksyen 76 (a)(a) dan juga 3 KTN. Majlis Tanah Negara ke-64 pada 23 Disember 2008 juga telah menetapkan bahawa keadaan-keadaan khas menurut Seksyen 76 (a)(a) KTN adalah kurniaan tanah kerajaan atau tanah poket yang bersaiz kecil serta dikelilingi tersepit oleh tanah freehold ianya dicantumkan dengan tanah freehold. Kedua, proses cantuman tanah antara dua (2) plot iaitu tanah leasehold dan tanah freehold hasil cantuman boleh diberikan secara freehold. Jika hak milik asal adalah freehold maka apabila hak milik itu diserahkan oleh kerajaan dan diberi milik semula kepada tuan punya tanah asal maka adalah tanggungjawab mandatori kerajaan untuk memberi milik semula tanah itu secara freehold. Secara berstatus freehold, kemudiannya diambil proses pengambilan tanah maka kerajaan boleh mengurniakan semula tanah yang sama kepada agensi pengambil dan membayar pampasan yang status tanah freehold.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Dewan Negeri yang mulia, para-para pemerhati yang saya sayangi. Merujuk kepada buku bertajuk Menyelusuri Sejarah Tempatan Dalam Bandar raya Johor Bahru yang ditulis oleh Professor Dato’ Kassim Thukiman telah menyatakan bahawa Kampung Melayu Majidee ini ditubuhkan pada tahun 1951, ia bermula apabila Almarhum Sultan Sir Ibrahim menitahkan Dato’ Abdullah Isa, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor untuk mencari 100 buah keluarga untuk dikurniakan tanah di kawasan ini bagi memindahkan penduduk Stulang Laut. Berdasarkan kepada semakan serta perincian, didapati proses kurniaan tanah secara berhak milik tersebut adalah dengan status pajakan ataupun leasehold, saya ulang leasehold.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, maka dengan itu, tanah-tanah di Kampung Melayu Majidee ini tidak boleh ditukarkan kepada status freehold kerana ianya didapati tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 76 (a)(a) KTN dan juga Pekeliling-Pekeliling KPTG Bil. 1/2009. Status tanah tersebut tidak tertakluk di dalam empat keadaan yang membenarkan status leasehold ditukar kepada freehold. Ini kerana semasa Kampung Melayu Majidee ini diperkenan ianya telah dikurniakan secara leasehold.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, saya sekali lagi ingin mengingatkan Yang Berhormat Bukti Kepong, Bukit Kepong dan juga barisan-barisan di sebelah Perikatan Nasional pernah satu ketika khususnya Yang Berhormat Bukit Kepong pernah menjadi Menteri Besar, menjawat jawatan tertinggi di Johor yang ke-17. Apa tindakan Yang Berhormat? Di mana dasar-dasar Yang Berhormat ketika itu? Di mana pelan-pelan tindakan Yang Berhormat ketika itu? Di mana keputusan-keputusan status tentang tanah ini? Dan masa depan tanah Kampung Melayu Majidee dan kawasan-kawasan lain ketika itu Yang Berhormat Kepong? (Dewan bertepuk). Mana mungkin, mana mungkin hari ini tiba-tiba muncul seorang pejuang kononnya, pejuang tanah Melayu sedangkan ketika berkuasa dahulu satu dasar pun tidak digubal, tetapi hari ini lihat, lihatlah Yang Berhormat Bukit Kepong dan rakan-rakan Yang Berhormat daripada Perikatan Nasional seolah-olah menjadi hero yang nak menjayakan agenda politiknya.

Perkara ini Yang Berhormat, perkara yang sukar dan Yang Berhormat sendiri tidak dapat laksanakan ketika berkuasa Yang Berhormat. Kerajaan Barisan Nasional tidak menunggang sentimen, kita tidak sesekali bermain persepsi ataupun hasutan, kita kerja berdasarkan undang-undang.

Timbalan Speaker

Yang Berhormat Larkin, saya pun menerima juga pesanan Whatapps ini, tentang cadangan untuk mengubah hak milik kekal ini. Hak milik kekal ini tidak boleh dibiarkan.

Tuan Mohd Hairi bin Mad ShahUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi · Larkin

Sebab itu saya kata Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ini adalah agenda politik dibelakangnya adalah agenda politik, kerajaan barisan, sekali lagi saya ingatkan pemerhati-pemerhati daripada Kampung Melayu Majidee. Kerajaan Barisan Nasional tidak pernah menunggang sentimen, tidak bermain persepsi. Kita bekerja berdasarkan undang-undang dan juga fakta. Dasar dan amalan Kerajaan Negeri Johor sejak 1951, rekod jelas, rekod jelas menunjukkan bahawa sejak 1951 sehingga hari ini tiada kerajaan Barisan Nasional pernah menggadai ataupun memansuhkan status tanah Kampung Melayu Majidee, masih kekal sehingga hari ini.

Kedua, ia kekal sebagai kawasan penempatan Melayu bandar yang dilindungi. Tiada sebarang pewartaan yang menunjukkan tanah ini pernah dicadangkan menjadi tanah pegangan kekal. Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, ini terbukti konsistennya bahawa kerajaan Barisan Nasional menjaga bukan mengambil, kerajaan negeri tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan penduduk tanpa rumah gantian. Sebagai Wakil Rakyat Larkin, saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak akan sesekali mengusir ataupun mengeluarkan penduduk daripada tanah setinggan di Kampung Melayu Majidee selagi tiada pembangunan ataupun penempatan gantian siap dibina. Ini bukan retorik, ini adalah dasar, saya ulang, saya ulang untuk rekod Dewan. Mustahil tanah ini ditukar menjadi pegangan freehold. Bukan boleh dipolitikkan. Tuan-tuan, YB-YB bukan boleh diluluskan sesuka hati, bukan boleh diubah mengikut kepentingan sesiapa, selagi Kanun Tanah Negara berkuatkuasa, selagi Enakmen Rizab Melayu Johor ini wujud, selagi pihak berkuasa mempunyai kuasa mutlak, mana mungkin tanah ini boleh dinaik taraf menjadi pegangan kekal. Fitnah, fitnah bahawa kerajaan hari ini menggadai tanah Melayu. Adalah tidak berasas, mereka yang menyebarkan fitnah ini adalah mereka yang tidak memahami undang-undang tanah. Tidak pernah berbuat apa-apa ketika berkuasa tuan-tuan, kini cuba menangguk, menangguk di air yang keruh untuk kepentingan politik yang sempit.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang mulia. Buat penduduk-penduduk Kampung Melayu yang saya sayangi lagi saya kasihi. Percayalah, percayalah, isu ini sangat dekat di hati saya. Selaku Wakil Rakyat saya menyelami dan mendalami rasa, pandangan warga Kampung Melayu Majidee. Buat Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Tanah dan penduduk Kampung Melayu Majidee (PERKAM) dan juga jawatankuasa serta seluruh warga Kampung Melayu Majidee saya ingin ingatkan jangan sesekali memanipulasi,

manipulate perkara ini sehingga boleh menjatuhkan imej kerajaan, Menteri Besar mahu pun ADUN kawasan saya sendiri.

Saya melihat petikan video dan kenyataan yang dikeluarkan yang mendakwa tidak pernah berjumpa dan bersama Yang Amat Berhormat Machap, saya menafikan sekeras-kerasnya. Gambar di paparan slide ketika ini adalah bukti, bukti bahawa Yang Amat Berhormat Machap bersama saya, sama Ketua Bahagian hadir ke Program Semarak Subuh di Masjid Kampung Dato’ Sulaiman Menteri. Dia memakai baju hijau belakang dan juga warna coklat. Kita berjumpa walaupun tidak lama tapi mendengar perkara yang diajukan pengerusi PERKAM dan juga dua (2) lagi jawatankuasa yang hadir ketika itu. Kerajaan negeri kemudian tidak berdiam diri malah kita meneliti, meneliti perkara ini sama ada relevan ataupun tidak supaya tidak kita lakukan satu keputusan yang terburu-buru. Malah yang dilakukan hari ini apa yang saya buat hari ini adalah bagi memastikan masyarakat Kampung Melayu Majidee tidak terpedaya.

Di sini juga saya ingin menjelaskan apabila PERKAM menyatakan mengenai permasalahan dan juga penyambungan semula pegangan pajakan, terbukti dengan gambar di paparan ini pada 26 Mei lalu. Di sini lah YB-YB, di sini lah Bangunan Sultan Ismail, Yang Amat Berhormat Machap menyerahkan Notis 5A, permohonan memperbaharui tempoh pajakan tanah kepada tujuh (7) orang penduduk di Kampung Melayu dan masih ada lagi dalam proses penyambungan semula yang menyatakan di luar kita tidak akan sambung dan sebagainya. Ini lah bukti kita sambung. Kerajaan negeri prihatin dan dengar nadi rakyat. Langkah ini bukan sekadar penyerahan dokumen tetapi bukti komitmen kerajaan negeri dalam mempertahankan hak dan kepentingan rakyat khususnya komuniti asal yang telah sekian lama menetap dan juga menyumbang kepada pembangunan dalam kawasan ini.

Di saat Johor sedang melangkah ke hadapan, dengan pelbagai agenda pembangunan dan juga pengukuhan ekonomi kerajaan negeri tidak pernah dan tidak akan sesekali membiarkan keresahan rakyat berlarutan. Kami mendengar dan juga mengambil tindakan terhadap kebimbingan yang timbul berkaitan dengan status tanah Kampung Melayu Majidee. Pelbagai langkah sedang dan akan terus dilaksanakan agar komuniti ini terus terbela dan juga terpinggir, tidak terpinggir dalam arus kemajuan. Prinsip Bangsa Johor akan terus menjadi pegangan kita. Kerajaan Negeri Johor tidak akan sesekali menggadaikan nasib dan juga kebajikan Bumiputera. Tidak sekarang, tidak esok dan tidak selamanya. Kerajaan ini bekerja, kerajaan ini melaksanakan dasar yang realistik, kerajaan ini menjaga warisan orang Melayu dan orang asal.

Sebagai kesimpulan, Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional diterajui oleh ketuanya Dato’ Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar akan terus menerus membantu rakyat, memperkukuhkan ekonomi negeri, mempercepatkan proses penyambungan pajakan, menjaga hak dan keistimewaan Bumiputera dan mempertahankan Kampung Melayu Majidee sebagai nadi Melayu bandar. Yang lain boleh terus bermain politik, tapi kami kerajaan hari ini akan terus bekerja, bekerja dan bekerja untuk Bangsa Johor yang kita cintai.

Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker, kesimpulan daripada ucapan, jawapan dan cadangan yang telah saya utarakan sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan, sedikit sebanyak. Kepada sesi sidang Dewan, soalan dan perkara yang telah diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semua, akhir sekali selaku EXCO Belia dan Sukan Pembangunan Usahawan dan Koperasi saya mengambil kesempatan ini, mengambil kesempatan untuk mengucapkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Asman Shah bin Abd Rahman di atas lantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang baru. Ucapan jutaan terima kasih juga buat Yang Berhormat Dato’ Asman Shah yang banyak membantu memudah cara dan memastikan pelaksanaan daripada penjawat-penjawat awam berada dalam tahap yang cemerlang.

Seterusnya ucapan terima kasih buat kekanda saya Yang Berhormat Dato’ Onn Jabar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang menjaga Hal Ehwal Sukan, Belia dan juga Sukarelawan yang tidak pernah letih memastikan Portfolio Belia Sukan terus memacu kejayaan. Seterusnya, saya mengambil kesempatan pada petang ini mengucapkan terima kasih kepada Yang Berusaha Tuan Haji Radzi bin Haji Mohd Amin, mantan Ketua Pegawai Eksekutif PUJB dan yang berusaha Encik Gadaffie bin Abdul Aziz, mantan Pengarah Insititut Dato’ Onn (IDO), selamat datang juga buat Encik Ts. Mohd Johari bin Tarmidi, Pengarah Institut Dato’ Onn yang baru dan juga tahniah kepada Yang Berusaha Tuan Haji Radif bin Haji Kosnin selaku Ketua Pegawai Eksekutif yang baru.

Terima kasih dan syabas juga buat semua jabatan-jabatan dan pasukan saya berada di bawah Portfolio saya yang terus bekerja keras siang dan malam bagi memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan sebaiknya. Pada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh perkara-perkara yang berkaitan di bawah portfolio saya dan juga dalam kawasan Larkin saya telah cuba yang terbaik, saya telah cuba yang terbaik untuk memberikan semua jawapan dan juga isu-isu yang dibangkitkan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat perkara-perkara yang terlepas pandang tindakan susulan akan diambil oleh ketua-ketua jabatan saya mahu pun pejabat saya. Saya yakin, saya hanyalah manusia insan yang biasa yang pasti yang baik itu semuanya datang daripada Allah, yang lemah itu datangnya daripada diri saya. Semoga segala yang tersimpul dapat dihuraikan, yang keruh dijernihkan, yang kurang ditambahkan. Saya akhiri ucapan penggulungan pada petang ini dengan serangkap pantun. Burung merpati terbang sekawan, hinggap sebentar di dahan jati; Ucapan diakhiri dengan harapan, Negeri Johor Allah berkati.

Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Timbalan Speaker.

Timbalan Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Larkin. Yang kabur telah diterangkan mudah-mudahan tidak ada manipulasi daripada mana-mana pihak. Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasan Perpaduan, Warisan dan Budaya.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker, salam sejahtera dan salam maju Johor. Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam sesi penggulungan perbahasan di Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2026 Penggal Persidangan Yang Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15. Terlebih dahulu patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucapan selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Ulang tahun Keputeraan Baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dengan penuh takzim memanjatkan doa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat Diraja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dengan afiat yang sejahtera agar terus menaungi sekalian rakyat dan Bangsa Johor. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada patik dan kepimpinan negeri dalam menjayakan urus tadbir demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya ingin menzahirkan rasa bangga dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor mengenai ekonomi dan prestasi negeri Johor Darul Ta’zim negeri yang kita cintai. Baru-baru ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor telah mengumumkan Johor sekali lagi telah mencatat kejayaan apabila muncul negeri tertinggi pelaburannya di Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2025 dengan nilai pelaburan mencecah RM91.1 billion. Sepanjang tempoh tiga (3) tahun enam (6) bulan ini pertumbuhan ekonomi Johor amat memberangsangkan. Buat julung kali dalam sejarah negeri Johor, kerajaan negeri mencapai hasil negeri yang bakal mencecah RM2.5 billion jauh

melangkaui unjuran asal yang dibentangkan dalam Belanjawan Johor 2025 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada 13 November 2025 bagi Belanjawan 2026. Tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas pencapaian kejayaan ini adalah mustahil tanpa kerjasama daripada Setiausaha Kerajaan Johor kita Yang Berhormat Dato’ Haji Asman Shah bin Abd Rahman, rakan-rakan Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pegawai-Pegawai Daerah, Datuk-Datuk Bandar, YDP-YDP seluruh pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan, badan-badan berkanun serta GLC negeri Johor yang telah memberikan kerjasama erat, dedikasi dan komitmen tinggi sepanjang tahun ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh Portfolio Perpaduan Warisan dan Budaya pada Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Besar Johor tempoh hari saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas peruntukan bajet bagi Portfolio Perpaduan Warisan dan Budaya Negeri Johor. Bermula daripada konteks perpaduan, kerajaan negeri telah memperuntukan RM500,000.00 bagi Program Semangat Bangsa Johor. Inisiatif ini bukan sekadar retorik tetapi diterjemahkan melalui program yang inklusif dan menyeluruh. Program ini akan menjadi platform utama untuk mempersembahkan dan menghayati kekayaan budaya serta warisan pelbagai kaum di negeri Johor. Kita akan menyaksikan pertunjukan keunikan budaya Melayu, India dan Cina serta tidak ketinggalan tradisi suku kaum dari Borneo yang kini turut menjadi sebahagian daripada keluarga besar Bangsa Johor. Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan rakyat di peringkat akar umbi tidak terpinggir dan rukun tetangga adalah tulang belakang kepada usaha perpaduan dan pembangunan komuniti ini.

Program Bantuan Khas KRT Negeri Johor yang diagihkan pada tahun ini merupakan yang pertama kali dilaksanakan oleh sesebuah negeri. Melangkaui peruntukan persekutuan dan inisiatif ini telah disambut baik oleh seluruh warga 600 KRT di negeri Johor. Melihat keberkesanan dan sambutan positif ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor kerana telah sekali lagi bersetuju untuk meneruskan inisiatif ini dengan peruntukan sebanyak RM700,000.00. Peruntukan ini adalah bukti komitmen kita untuk memperkasa KRT sebagai agen perubahan dan memastikan kemakmuran dinikmati oleh setiap rakyat. Bagi memacu promosi dan pembangunan sosial warisan dan budaya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta bagi Portfolio Warisan dan Budaya. Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan pelbagai program yang dirancang dalam memberi matlamat untuk menunjukkan keunikan Bangsa Johor sebagai lambang perpaduan keharmonian dan kekayaan warisan negeri ini.

Program-program tahun 2025 yang dijalankan tahun ini adalah sebagai batu loncatan yang akan memberi impak kepada penglibatan Bangsa Johor dengan program-program bertaraf antarabangsa yang bakal dilancarkan pada tahun 2026. Bagi promosi-promosi pembukaan bangunan warisan, kita akan melancarkan pada awal Januari 2026 yang akan memberi impak bagi Tahun Melawat Johor 2026. Perasmian dan pembukaan Muzium Tokoh Johor yang akan dibuka semula dengan imej dan pengisian interaktif iaitu dengan 13 ruang pameran, 37 segmen pameran, 66 panel digital, 40 panel penulisan, 40 unit pengisian AR, 34 aktiviti menggunakan sensori menjadikan Muzium Tokoh Johor sebagai museum immersive pertama di negeri Johor. Manakala dengan sasaran 250,000 pengunjung, pelancaran Lets Visit KWSAB juga akan dibuat pada awal Januari 2026. Setiap tahun Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar sentiasa menerima pengunjung-pengunjung bagi lawatan berpandu. Tahun 2023 adalah seramai 70,608 pengunjung. Tahun 2024, 146,936 pengunjung. Tahun 2025 sehingga Oktober adalah seramai 102,166 pengunjung. Peningkatan pengunjung ini akan terus meroket dengan wajah baru Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar pada Disember 2025 ini serta pengisian yang telah disusun rapi bakal dijalankan setiap hujung minggu sehingga malam pada tahun 2026.

Lapan teras utama cadangan pengisian bagi memeriahkan Tahun Melawat Johor 2026 bakal berlaku di KWSAB. Pengisian ini juga telah mengetengahkan persembahan kebudayaan yang terbaik dari Bangsa Johor meliputi semua kaum dan artis budaya dari kalangan kaum itu sendiri. Bagi pembangunan sosial kebudayaan Melayu Teras Orang Muda Johor, Johor Herritage Ranger menjadi inisisatif baru dan mendapat perhatian daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor di mana Johor Heritage Ranger akan menjadi sebuah platform yang terbaik bagi penglibatan pelajar-pelajar sekolah ke destinasi pelancongan negeri Johor bagi menerapkan kecintaan terhadap alam sekitar serta warisan budaya Bangsa Johor.

Penglibatan ini melibatkan kerjasama antara Yayasan Warisan Johor, Perbadanan Taman Negara Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Kita libatkan 56 DUN negeri Johor dengan menyasarkan 3,360 pelajar-pelajar sekolah negeri Johor untuk digerakkan sebagai peranan heritage ranger iaitu penyampai dan penggerak kepada usaha pemuliharaan warisan negeri melalui pengalaman, pendidikan, pelancongan dan aktiviti pemeliharaan.

Bagi program kebudayaan iaitu Johor Cultural. Inisiatif ini memberi peluang kepada penggiat-penggiat seni budaya untuk memberikan dan mengetengahkan budaya yang hampir pupus di setiap daerah untuk persembahkan di pentas program utama di peringkat daerah-daerah sehingga ke negeri. Keterlibatan melibatkan Majlis Kebudayaan Negeri Johor dan 10 Majlis Kebudayaan Daerah di sepuluh daerah tempatan pelancongan. Ucapan terima kasih juga kepada kerajaan negeri di atas peruntukan sebanyak RM500,000.00 bagi Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan. Pada tahun 2026, negara-negara luar akan memberi tumpuan ke negeri Johor di mana kita akan kumpulkan pakar-pakar dalam bidang pemuziuman dari seluruh negeri di Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Tumpuan program kebudayaan yang melibatkan komuniti luar juga turut dilaksanakan bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negari Johor. Telah dilaksanakan program Rewang Budaya Komuniti Gelang Patah dan juga Tenggaroh. Pengisiannya sangat meriah antaranya adalah Malam Nostalgia Rewang yang diserikan dengan persembahan artis tanah air. Pelancaran Senam Seni Johor, Sarong Walk, Sukan Rakyat selain juga bergotong royong dan merewang dalam menyediakan juadah kenduri raya. Warga komuniti sangat menyambut baik dengan inisiatif ini dalam memartabatkan dan mengangkat elemen budaya rewang yang hampir dilupakan.

Bagi pencukilan bakat-bakat muda, kita jalankan pencukilan bakat dalam program Rentak Gasing di Pemanis dan Pertandingan Kompang Tradisi Johor di Batu Pahat. Penganjuran ini adalah untuk memberi ruang kepada bakat-bakat muda sebagai pelapis seni budaya dalam mengetengahkan warisan budaya negeri Johor agar terus lestari dan tidak luput ditelan zaman. Melalui pertandingan seperti ini, bakat muda bukan sahaja dapat diasah dan ditonjolkan, malah turut diberi pendedahan kepada nilai sejarah serta kepentingan memelihara seni tradisi. Ia juga membuka peluang untuk mereka bergiat secara lebih aktif dalam program-program seni budaya di peringkat daerah dan negeri sebagai pelapis pada generasi sedia ada.

Manakala Festival Kota Selatan yang telah berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Pontian telah berjaya mencapai objektif penganjurannya sebagai sebuah program pelancongan budaya yang mengangkat keunikan serta keindahan seni budaya negeri Johor. Merangkumi penyertaan dan penglibatan pelbagai kaum, pelaksanaan festival ini menampilkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi antaranya persembahan kebudayaan pelbagai kaum, Pertandingan Ghazal Johor, Pertandingan Kompang Tradisi dan Pertandingan Zapin Cilik. Festival yang di adakan di daerah Pontian ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan, melibatkan 1,453 orang peserta dan menarik kehadiran 67,509 orang pengunjung sepanjang 3 hari penganjurannya. Baru-baru ini juga kita telah menganugerahkan 13 penerima dalam 7 kategori bagi Anugerah Seni Johor. Majlis Anugerah Seni Johor merupakan penganjuran kali kedua yang mana pada kali pertama, ia diadakan iaitu pada tahun 2023. Program ini berbentuk penyampaian anugerah dan pengiktirafan di peringkat negeri kepada seorang tokoh ataupun pemain industri yang diiktiraf kewibawaannya

dalam bidang seni dan budaya. Program dan pengiktirafan ini juga terus, akan terus memberi impak yang besar dalam merintis kesinambungan penglibatan generasi muda dalam seni budaya tradisi. Sekaligus, menjadi asas kukuh kepada pelaksanaan program-program yang lebih berskala dan berimpak tinggi pada tahun 2026.

Yang Berhormat Datuk Speaker, setiap kali Dewan memulakan perbahasaan saya mendengar dan mengambil cakna perbahasan Yang Berhormat ADUN-ADUN yang menekankan dan memberikan perhatian terhadap berkaitan perpaduan dan warisan dan budaya negeri walaupun berulang kali dibawa ke Dewan mulia ini. Saya menjawab kepada keprihatinan Yang Berhormat ADUN Johor Lama mengenai Muzium di Kota Tinggi. Buat makluman Yang Berhormat, Festival Hari Muzium Antarabangsa ini telah kita libatkan perbincangan dengan semua institusi muzium di seluruh daerah-daerah negeri Johor untuk bersama-sama berkolaborasi dalam Hari Muzium Antarabangsa 2026. Kita ingin memastikan seluruh daerah merasai tempias kemeriahan Festival Hari Muzium Antarabangsa ini secara menyeluruh melalui program seminar, pameran, bengkel, latihan, pertandingan dan lain-lain lagi yang semuanya akan melibatkan golongan belia terutamanya dalam membentuk identiti negeri Johor.

Tidak ketinggalan juga bagi daerah Kota Tinggi yang mana Muzium Kota Tinggi telah menerima jumlah pengunjung sebanyak 14,834 orang dari bulan Januari 2025 hingga 19 November 2025. Ini menunjukkan peningkatan berbanding pada tahun 2024 yang mana hanya menerima sebanyak 12,966 orang pengunjung. Muzium Kota Tinggi juga rancak menjadi lokasi pilihan untuk diadakan pelbagai program yang melibatkan jabatan kerajaan, NGO, persatuan dan pihak media. Antara program yang dilaksanakan di Muzium Kota Tinggi sejak Januari 2025 sehingga November 2025 yang melibatkan belia dan orang awam seperti Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium, Program Bermalam di Muzium Perdana 2025, Glamping at Museum Kota Tinggi, Program Jelajah Kriteria Johor bagi daerah Kota Tinggi, podcast anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi, Program Jabatan Pelajaran Negeri Johor, Kem Sanggar Bahasa Inggeris Peringkat Daerah Kota Tinggi dan yang telah dimaklumkan seperti dalam list.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Yayasan Warisan Johor akan memastikan Muzium Kota Tinggi bersedia untuk sambutan Hari Muzium Antarabangsa bagi Negeri Johor 2026. Dengan merancang pelbagai program dan penambahbaikan seperti menaik taraf kemudahan dan fasiliti galeri dan muzium serta menyediakan laluan OKU ke tandas awam muzium. Selain itu, antara perancangan lain adalah penjenamaan muzium iaitu penambahbaikan pengisian pameran dengan menaik taraf bilik tayangan sebagai satu ruang pameran dalam paparan visual berkaitan Kronologi Pelayaran Kesultanan Johor Lama 1528, era kesultanan di Teluk Belanga. Promosi dan pemasaran program di Muzium Kota Tinggi yang antaranya ialah program-program yang dirancang bagi tahun 2026 adalah seperti Bicara Tawarikh Kota Tinggi, Program Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium, Pameran Eight Kingdom at Kota Tinggi, Pakej Heritage Glamping di Muzium Kota Tinggi dan juga pelbagai, berbanyak lagi acara. Muzium Kota Tinggi merancang untuk memberikan bengkel pendedahan story line berkenaan sejarah kesultanan Johor Lama untuk membantu pemandu pelancong yang akan membawa kumpulan pelawat ke Muzium Kota Tinggi.

Manakala bagi perbahasan YB ADUN Senggarang, YB ADUN Pemanis dan YB ADUN Tiram mengenai program-program kebudayaan negeri Johor. Untuk tahun 2025 ini, Majlis Kebudayaan Negeri Johor telah menambah peruntukan daripada RM15,000.00 ke RM25,000.00 bagi Majlis Kebudayaan Daerah-daerah. Manakala persatuan kita telah tambahkan daripada RM5,000.00 kepada RM10,000.00. Bagi tahun 2026, saya yakin program dengan program kebudayaan yang semakin rancak dan mendapat tarikan, kita akan mendapat sokongan tambahan daripada kerajaan negeri bagi meyambut baik Tahun Melawat Johor 2026. Melalui keprihatinan YB ADUN Pemanis kepada penggiat-penggiat seni dan yang uzur, saya yakin kerajaan negeri juga telah meneliti kepentingan ini bagi menghargai jasa penggiat-penggiat seni negeri Johor. Meneliti cadangan dan persembahan kebudayaan

di lokasi-lokasi utama pelancongan, melalui Program Johor Cultural yang telah diumumkan dalam pembentangan belanjawan tempoh hari. Program tersebut akan memberikan dan mengetengahkan budaya yang hampir pupus di setiap daerah untuk dijadikan persembahan di pentas program utama di peringkat daerah-daerah terutama di lokasi-lokasi pelancongan daerah masing-masing. Sejak akhir tahun 2024, Majlis Kebudayaan Negeri Johor telah memperuntukkan 10 PA system lengkap di 10 daerah-daerah. Oleh itu, saya yakin daerah-daerah ini telah memulakan langkah ini bagi mempromosikan kebudayaan di daerah-daerah masing-masing. Begitu juga dengan cadangan YB ADUN Sedili yang meletakkan program kebudayaan di dalam calendar event Johor. Semua agensi di bawah Portfolio Perpaduan Warisan dan Budaya sentiasa berganding bahu dengan pihak Tourism Johor bagi memastikan setiap program yang dibuat akan dikemaskinikan dalam calendar event Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, saya mengambil masa ini juga untuk berbincang sedikit sebanyak mengenai masyarakat India, sebagai wakil Masyarakat India di dalam Dewan ini. Saya mendengar ucapan Yang Berhormat Kahang, Yang Berhormat Kemelah. Mereka telah banyak memuji dan juga Yang Berhormat Kahang ada telah bagi banyak idea-idea bernas yang baharu untuk dibawakan oleh kerajaan negeri untuk memainkan peranan masyarakat India yang lebih tinggi. Tapi sebelum saya nak cakap pada ini, saya pun di sini kena cakap pasal jasa. Jasa bila saya nak cakap Yang Berhormat Datuk Speaker, sekarang politik ini panas. KL kita tidak tahu apa berlaku. Saya boleh hari ini duduk sini, besok duduk sana atau duduk hujung sana, boleh berlaku apa-apa. Tapi, cakap politik itu lain, tapi apa yang penting kita kena faktakan jasa-jasa. Sebagai wakil masyarakat India saya kena beritahu apa yang jasa telah berlaku dan perlu direkodkan. Kalau kita tengok Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor. Saya kena beritahu Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor memang mementingkan masyarakat India, dia tak pinggirkan mana-mana kaum. (Dewan bertepuk). Saya bagi contoh, isu tapak khairat Yang Berhormat Kahang semasa dia EXCO, dia mula daripada 2013, diusahakan tapi kesudahannya dapat diselesaikan sebab Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, tapak tu dapat dikenal pasti, dibagi peruntukan RM1.8 juta dan projek itu tengah jalan dan 80% siap lagi 20% bulan 1 siap projek tersebut. Itu jasa Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor pada masyarakat India.

Mengenai krematorium. Kita dekat Kluang Yang Berhormat Kahang, Yang Berhormat Paloh, Yang Berhormat Mahkota, Yang Berhormat Mengkibol, masyarakat India perlukan krematorium dekat Kluang. Mereka telah suarakan dan di Johor Bahru, kita ada satu krematorium. Yang Berhormat Pekan Nenas, Yang Berhormat Skudai, Yang Berhormat Kota Iskandar telah suarakan. Di tempat mereka ada banyak populasi India. Mereka perlukan satu krematorium. Perkara ini dibincang kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan dia peka, bawa kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, dapatkan dua kelulusan dekat Johor, satu dekat Kluang dan satu lagi dekat Ulu Choh yang bersempadan dengan Iskandar Puteri, RM2.5 juta, RM2.5 juta, RM5 juta duit dah dibagi dan peruntukan itu telah dijalankan. (Dewan bertepuk).

Lepas itu, saya nak juga cakapkan dekat isu kuil-kuil. Kita ada banyak isu tapak tanah kuil. Dan isu ini bukan sekarang, dia dari YB Vidya pun dia telah banyak usahakan, YB Kahang dan juga sebelum itu. Tapi, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mulakan task force masyarakat India dan dipengerusikan bukan saya, bukan task force bukan Islam yang saya dengan YB Ah Soon ada sekali, dipengerusikan Dato’ SS dipantau oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, lebih kurang kita identify dekat 80 isu tanah yang melibatkan masyarakat India dan Cina dan by hujung tahun ini dah boleh selesaikan 20 tapak. Itu satu rekod. Tapi bukan hanya Yang Amat Berhormat, saya kena cakap juga, ADUN-ADUN kita. Sebagai contoh, YB Bukit Permai, dia dekat Kulai saja, tapak kuil dekat Senai Airport City dan Bandar Putra dia kenal pasti, dia identify dia dapatkan. Lepas itu, dekat Taman Puteri, kuil itu ada tanah runtuh. Dia usahakan RM750,000.00, dua fasa untuk selesaikan masalah itu, dia seorang. Contoh YB Pasir Raja, dekat kawasan dia ada kuil, dia usahakan datang jumpa saya perlukan peruntukan, dapatkan RM200,000.00 untuk kuil sana, untuk selesaikan. Dan dia sekarang pun datang balik, dia nak tambahan. Saya nak tunjukkan kegigihan Wakil Rakyat yang

mewakili semua kaum. Bukan hanya sana, YB Bekok, YB Mahkota dekat kuil dekat tapak dia dan banyak rakan-rakan, saya minta izin.

Timbalan Speaker

YB Tenggaroh, beri laluan kepada azan.

(Dewan berhenti seketika bagi menghormati laluan azan).

Timbalan Speaker

YB Tenggaroh.

Tuan Raven Kumar a/l KrishnasamyMIC · BNPengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya · Tenggaroh

Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. So, bila saya cakapkan tadi, banyak semua YB-YB untuk isu kuil mereka telah bagi satu komitmen yang tinggi. Bukan kuil sahaja, saya kena cakap Yang Berhormat Datuk Speaker, mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Di Johor kita ada lebih kurang 70 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Dalam itu lebih kurang 50% sekolah ini ialah sekolah kurang murid. Masalah dia, sekolah-sekolah ini berada di estet ataupun bandar-bandar yang kecil dan kebanyakan pemindahan masyarakat dah ke bandar. Keluarga dia sikit tapi macam contoh Segamat, Kluang, banyak sekolah Tamil tapi keluarga dia rendah. Bila sekolah masih kurang pelajar, kita tak boleh tutup sekolah. Tapi, bila kita bawa isu ini kepada Yang Amat Berhormat, dia minta saya bantuan daripada YB Aznan, dia cuba nak selesaikan. Negeri Johor dibawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar disokong oleh YB EXCO Pendidikan, kita tengah fikirkan macam mana nak buat pemindahan. Dan salah satu penyelesaian ini ialah, dekat Skudai dan juga dekat Impian Emas, kita tak ada sekolah Tamil dekat sana. Tak ada tapak pun nak carikan. Tapi, bantuan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dia telah tukarkan tapak yang rizab sekolah kebangsaan yang tak ada perancangan nak digunakan dua tapak ditukarkan untuk pindahkan SJK(T) MADOS dan SJK(T) Ladang Semberong di dua tapak ini. Dan, cukai dia saja lebih kurang RM800,000.00 lebih. Mereka beri pengecualian RM10.00 saja. Ini menunjukkan keprihatinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga barisan EXCO dan juga semua kakitangan kerajaan. Sebab bila kita nak cakap pasal isu kuil bukan hanya kita boleh bantu, DO-DO, Pentadbir Tanah, YDP-YDP pun prihatin. So, ini menunjukkan rekod kerajaan negeri membantu masyarakat India.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini Deepavali, tahun lepas kita bagi bakul makanan 25,000 lebih. Tahun ini Yang Amat Berhormat cakap 40,000 bakul makanan. Semua ADUN kita bantukan untuk buat penyerahan 40,000 bakul makanan. Tertinggi antara compare semua negeri dekat Malaysia ini, dia tertinggi. Tadi YB Ah Soon cakap nombor 1, yang ni pun nombor 1 juga. (Dewan bertepuk). Ini menunjukkan rekod keprihatinan dan ini menunjukkan bagaimana Wakil Rakyat-Wakil Rakyat di Johor, kita mengamalkan konsep Bangsa Johor. Kita bagi kepentingan kepada semua masyarakat, tak kira kaum, agama, tak kira kulit. Dan saya mewakili masyarakat India, saya nak ucapkan terima kasih sebab benda ini penting dan perlu direkodkan sebab saya tak nak lain kali, lain pula diceritakan. Jasa-jasa yang telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar saya kena beritahu. Jasa-jasa yang dilakukan oleh rakan-rakan EXCO dan juga rakan-rakan Wakil Rakyat saya kena maklumkan. Dan saya mengambil kesempatan ini sekali lagi saya nak ucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan saya yang berada di sini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, kesimpulan banyak jadi saya akhiri dengan satu pantun sahaja Yang Berhormat Datuk Speaker. Bahasa Tamil punya pantun nanti. Bunga dedap di atas para, anak Dusun pasang pelita; kalau silap tutur bicara, jemari disusun, maaf dipinta. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Terima kasih Tenggaroh, tahniah. Seterusnya dijemput Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, jemput.

Dato’ Haji Mohd Jafni bin Md ShukorUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan · Bukit Permai

Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh, salam Bangsa Johor, salam Maju Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, terlebih dahulu izinkan saya Merafakkan Setinggi-Tinggi Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas segala titah nasihat serta perhatian yang sentiasa diberikan kepada negeri Johor khususnya dalam aspek keselamatan, kesejahteraan rakyat dan juga kesinambungan pembangunan negara. Menjunjung kasih juga kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor atas titah peduli rakyat yang sentiasa menjadi kompas kepimpinan negeri ini dalam memastikan kesejahteraan Bangsa Johor terus terpelihara.

Saya turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor atas pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang sangat komprehensif, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat. Belanjawan ini bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi satu hala tuju strategi yang menzahirkan keberanian, kecekapan tadbir urus serta keazaman Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk membawa Johor ke tahap yang lebih tinggi melalui kerangka Maju Johor 2030.

Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, sahabat-sahabat barisan EXCO, ketua-ketua jabatan serta keseluruhan pentadbir negeri yang telah bekerja keras memastikan setiap dasar, angka dan inisiatif dalam belanjawan ini dibangunkan berdasarkan data, kajian mendalam serta libat urus bersama rakyat. Rancangan yang tersusun ini memperlihatkan iltizam pentadbiran negeri untuk memastikan Johor kekal sebagai negeri progresif, mampan dan berdaya saing di rantau ini. Belanjawan Johor 2026 yang dibahaskan dengan penuh semangat oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat jelas menunjukkan bahawa seluruh Dewan berkongsi aspirasi yang sama iaitu memastikan kemakmuran, keselamatan dan kesejahteraan setiap lapisan rakyat terus terjamin. Justeru, sebagai EXCO yang dipertanggungjawabkan dalam portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, saya berdiri di Dewan ini dengan penuh rasa tanggungjawab untuk menggulung perbahasan ini dan menjelaskan komitmen kerajaan dalam melaksanakan agenda besar pembangunan negeri demi Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, bagi menjawab perbahasan yang telah berlangsung, izinkan saya menyentuh dua komponen utama di bawah tanggungjawab saya, iaitu pertama, Perumahan dan yang kedua Kerajaan Tempatan. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan iaitu Kukup, Pulai Sebatang, Sri Medan, Kempas, Kota Iskandar, Permas, Kahang, Parit Yaani, Gambir, Benut, Panti, Mahkota, Sungai Balang diikuti juga oleh Perling, Mengkibol, Simpang Jeram serta Stulang, Penggaram, Bukit Kepong dan Endau yang telah menunjukkan keprihatinan dan komitmen tinggi dalam membahaskan isu-isu berkaitan perumahan. Pandangan serta cadangan Yang Berhormat akan dijadikan rujukan penting dalam memperkukuhkan dasar sedia ada dan merangka inisiatif baru yang lebih inklusif, mampan serta memfokus kepada keperluan sebenar rakyat.

Menjunjung Titah Ucapan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor, patik menjunjung kasih ke atas keprihatinan Tunku terhadap keperluan penyediaan perumahan mampu milik yang inklusif dan berdaya huni khususnya untuk golongan B40. Alhamdulillah, untuk makluman semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, kerajaan negeri mengambil langkah berani memperkukuhkan dasar perumahan negeri agar lebih inklusif, lebih realistik dan lebih dekat dengan denyut nadi rakyat.

Perisai Temenggong teguh berdiri, panah dilepas menyambar udara; kerajaan berani memperkasa negeri, agar rakyat makmur sentiasa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh perbahasan isu pembinaan rumah mampu milik, suka untuk saya maklumkan sehingga suku ketiga tahun 2025 sebanyak 20,183 unit rumah mampu milik telah disiapkan di seluruh negeri Johor. Menjadikan antara pencapaian perumahan rakyat paling signifikan dalam tempoh singkat. Sasaran 2026 sebanyak 8,915 juga akan dicapai dengan momentum pembinaan yang konsisten serta kerjasama kukuh di antara PKPJ, PBT-PBT, PTG dan pemaju-pemaju perumahan. Kerajaan negeri yakin bahawa sasaran 30,000 unit rumah mampu milik akan siap dibina menjelang akhir tahun 2026 mengikut sasaran dan KPI kerajaan negeri. Komitmen ini adalah sebahagian daripada agenda besar kerajaan negeri untuk memastikan 100,000 Rumah Mampu Milik Johor siap dibina menjelang tahun 2030. Pelaksanaan task force 100,000 RMMJ, pemantauan rapi PDRC serta tindakan tegas terhadap projek lewat dan terbengkalai menjadi pemacu utama kejayaan ini. Negeri Johor kekal teguh dalam memastikan setiap rakyat berpeluang memiliki kediaman yang selesa, berkualiti dan mampu milik seiring dengan aspirasi Maju Johor.

Sebagai menjawab beberapa persoalan Ahli-Ahli Yang Berhormat mengenai Rumah Kasih Johor atau dipanggil Rumah Percuma Johor. Sukacita saya melaporkan bahawa pelaksanaan berjalan dengan sangat progresif sejak tahun 2023 dan pasti akan diteruskan hingga 2026 dan pada tahun 2023 sebanyak 50 unit telah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada penerima dengan peruntukan RM6.5 juta. Tahun 2024 pula menyaksikan peningkatan dengan 120 unit melibatkan peruntukan RM17 juta. Komitmen ini diteruskan pada tahun 2025 di mana 165 unit sedang dalam pelaksanaan dengan peruntukan RM22 juta dan dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual dan pada tahun 2026, kerajaan negeri memperkukuhkan lagi agenda perumahan rakyat dengan merancang 365 unit Rumah Kasih Johor tambahan dengan peruntukan keseluruhan RM96.5 juta sehingga tahun 2026 menjadikan jumlah keseluruhan 700 unit. Ini bermakna setiap Wakil-wakil Rakyat akan mendapat peruntukan enam buah rumah percuma di kawasan DUN masing-masing. Semua.

Menyentuh cadangan oleh YB ADUN Pulai Sebatang dalam perbahasan dan juga YB ADUN Kukup dalam sesi soal jawab lisan, berkenaan perluasan syarat penerima Rumah Prihatin Johor kepada golongan bujang serta melihat semula syarat pendapatan. Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan negeri sentiasa mendengar dan memahami keperluan rakyat, termasuk golongan bujang yang turut berdepan cabaran mendapatkan kediaman selesa dan mampu milik. Selaras dengan agenda Maju Johor serta komitmen kerajaan dalam memastikan akses perumahan lebih inklusif, kerajaan negeri bersetuju untuk memperluaskan syarat permohonan Rumah Prihatin kepada golongan bujang khususnya mereka yang berpendapatan B40 dan memerlukan tempat tinggal yang lebih stabil. (Dewan bertepuk). Syarat pendapatan isi rumah RM6,000.00 bagi calon juga dinaikkan kepada RM8,000.00 bagi memperluaskan akses kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Untuk memudahkan, untuk memudahkan pemohon mendapat kelulusan pinjaman bank bagi kos Rumah Prihatin iaitu RM36,000.00 atau RM56,000.00, kerajaan negeri akan mengeluarkan sijil tawaran seperti penawaran rumah mampu milik. Kerajaan negeri telah memperuntukkan 1,500 unit dengan kos anggaran RM83.7 juta khusus untuk subsidi pembinaan Rumah Prihatin sehingga tahun 2030. Ini bermakna setiap ADUN akan menerima 27 unit Rumah Prihatin, setiap ADUN.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat. Nasib baik dia terlajak sikit. Teruskan ya. Insentif. Sebagai makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pelaksaan Bantuan Kasih Johor menunjukkan keberhasilan yang jelas dan berimpak besar kepada rakyat. Alhamdulillah, Bantuan Kasih Johor fasa 1, RM2.4 juta melibatkan 12,000 penerima dan setiap penerima menerima RM200.00 seorang telah pun diselesaikan. Manakala fasa 2 pula, menyaksikan peningkatan dengan 14,651 penerima menikmati bantuan tunai RM200.00 melibatkan jumlah peruntukan RM2.9 juta yang diagihkan bermula minggu ke empat November hingga minggu ke tiga Disember 2025. Keseluruhan pelaksanaan kedua-dua fasa ini membuktikan bahawa kerajaan negeri konsisten mengutamakan kebajikan rakyat melalui bantuan yang sampai ke tangan mereka tepat pada masanya dan memberi kelegaan nyata kepada keluarga yang memerlukan.

Insentif Rumah Kasih Johor. Rumah Kasih Johor, Bantuan Kasih Sewa Rumah. Inisiatif Perumahan Kasih Johor 2026 menampilkan tiga bentuk bantuan yang paling komprehensif. Pertama, Bantuan Kasih Sewa Rumah melibatkan 20,000 penerima dengan RM200.00 sebulan selama 10 bulan. Syarat utamanya adalah pemohon mestilah warga negara, pengundi Johor, berpendapatan isi rumah di bawah RM4,000.00, bekerja di Johor dan berumur 25 tahun hingga 40 tahun, sudah berkahwin, ibu tunggal, bapa tunggal, tidak memliliki rumah serta sedang menyewa rumah bukan milik keluarga. Bantuan ini dirangka untuk mengurangkan beban sewa dan memberi ruang keluarga B40 bernafas dalam keadaan ekonomi mencabar.

Yang kedua, Bantuan Kasih Masuk Rumah Pertama berjumlah RM2,000.00. Sebelum ini dasar RM1,000.00 kepada 8,915 pembeli rumah RMMJ pula memberi sokongan awal untuk menampung kos rendah, utiliti, keperluan asas ketika memasuki rumah baru. Bantuan ini memberi signal jelas bahawa kerajaan bukan hanya menumpukan pembelian semata-mata, tetapi turut memastikan proses berpindah dan memulakan kehidupan di kediaman baru tidak membebankan rakyat. Ini adalah pendekatan menyeluruh daripada menyewa, membeli hingga ke fasa berpindah.

Yang ketiga, Bantuan Kasih Beli Rumah Pertama. Sebanyak RM5,000.00 kepada 20,000 pembeli baru bagi rumah RMMJ, rumah lot Bumiputera dan pasaran sekunder. Antara syarat ringkas ialah pembeli mestilah warga negara, pengundi Johor, membeli rumah pertama dalam lingkungan harga di bawah RM500,000.00 melibatkan B40 dan M40, RM500,000.00 dan ke bawah. Bantuan ini bertujuan mengurangkan kos deposit, yuran guaman sekaligus membuka lebih banyak peluang pemilikan rumah kepada golongan muda dan pekerja negeri Johor. Semua inisiatif ini digerakkan dengan syarat yang telus, mekanisma yang jelas, penyasaran yang tegas, supaya bantuan sampai kepada mereka yang layak dan benar-benar memerlukan. Belanjawan Johor 2026 bukan sekadar angka atas kertas, tetapi manifestasi iltizam kerajaan untuk membina eko sistem perumahan rakyat yang lebih adil, lebih stabil dan lebih mampan.

Yang Berhormat Datuk Speaker, apabila ada pihak seperti Bukit Kepong mendakwa bahawa rakyat tidak merasai inisiatif kerajaan negeri, kenyataan itu sebenarnya tidak lebih daripada cerminan jauhnya beliau daripada realiti rakyat yang saban minggu menerima bantuan secara langsung dengan pelaksanaan Bantuan Kasih Johor yang meliputi semua segmen. (Dewan bertepuk). Bawah portfolio saya sahaja Bantuan Kasih Johor tadi untuk PPR dan RSK lebih 15,000 penerima melibatkan RM5.3 juta, RM200.00 seorang; Bantuan Kasih Sewa tadi melibatkan peruntukan RM40 juta melibatkan 20,000 penerima; Bantuan Masuk Rumah Percuma dengan peruntukan RM17.8 juta melibatkan 8,915 penerima dan Bantuan Beli Rumah Masuk Pertama 20,000 orang, RM100 juta peruntukan melibatkan 63,566 penerima, melibatkan RM163 juta. Amat sukar untuk mana-mana pemimpin yang benar-benar turun padang untuk mengatakan rakyat tidak merasai manfaatnya. Kerajaan negeri mengatur dan mengagih, PBT menyelaras, PKPJ agensi negeri, persekutuan membantu melaksana, jutaan rakyat menerima. Yang tidak nampak selalunya adalah hanyalah mereka yang tidak berada di lapangan bersama rakyat. (Dewan bertepuk). Apabila ada yang memilih naratif rakyat tidak rasa apa-apa, persoalan ini bukan pada dasar kerajaan, tetapi pada sejauh mana mereka sendiri hadir bersama rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, menyentuh persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Benut berkenaan pendirian kerajaan negeri tentang Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar. Setelah meneliti implikasi pelaksanaan URA, Kerajaan Negeri Johor pada masa ini tidak menyokong terhadap konsep tersebut. (Dewan bertepuk). Hal ini kerana kerajaan Johor berpendirian bahawa URA ini mempunyai pertindihan bidang kuasa dan perlu dipinda terlebih dahulu bagi perkara-perkara yang berkaitan tanah, perancangan bandar dan kelulusan terhadap pemajuan tanah. Kerajaan Johor juga tidak bersetuju khususnya tentang peranan dan fungsi jawatankuasa di peringkat persekutuan yang jelas

mengambil alih peranan kerajaan negeri sebagai pihak berkuasa dalam menentukan hala tuju pembangunan mengikut acuan dan aspirasi rakyat tempatan.

Selain itu, isu sensitif seperti ambang pemilikan, hak milik penduduk, penempatan semula, pampasan dan kawal selia pembangunan setempat memerlukan keputusan yang dibuat oleh PBT-PBT dan agensi-agensi yang lebih memahami dalam konteks tempatan. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri kekal komited untuk melaksanakan pembaharuan kawasan perumahan lama melalui mekanisma sedia ada di bawah PBT dan agensi teknikal lain. Pendirian Johor adalah jelas selagi terdapat ketidakselarasan dari aspek perundangan, struktur kuasa dan perlindungan hak-hak penduduk, Kerajaan Negeri Johor mengekalkan pendirian tidak menyokong pelaksanaan URA di negeri Johor. (Dewan bertepuk).

Menjawab persoalan YB ADUN Benut, Kota Iskandar, Bukit Naning, ADUN Simpang Jeram, Senai, Puteri Wangsa berhubung pembangunan pusat data di negeri Johor. Suka saya maklumkan bahawa sehingga November 2025, Johor telah meluluskan 51 projek pusat data menjadikan Johor antara hab digital paling pesat berkembang di rantau ini. Daripada jumlah tersebut, 17 pusat data telah beroperasi, 11 sedang dalam pembinaan dan 23 lagi baru diluluskan, melibatkan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM180.96 bilion serta membuka 7,561 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak muda tempatan. Kerajaan negeri turut menekankan bahawa setiap pusat data yang dibangunkan perlu memenuhi piawaian moden yang lebih lestari, cekap tenaga dan bertaraf antarabangsa. Eko sistem pusat data Johor kini merangkumi kemudahan tier satu sehingga tier empat.

Untuk makluman Dewan, secara mudah untuk difahami, pusat data tier satu dan tier dua adalah pusat data yang paling banyak menggunakan air iaitu antara 40 hingga 50 juta liter sehari berbanding dengan tier tiga dan tier empat hanya menggunakan 200,000 liter sehari. Perbezaan lebih kurang 200 kali ganda. Penggunaan 200,000 liter air ini adalah setara dengan kegunaan industri biasa. Oleh itu, Kerajaan Negeri Johor telah membuat keputusan tidak lagi meluluskan permohonan pusat data dengan tier satu dan tier dua. Bagi memastikan pembangunan pusat data dilakukan secara terancang dan mematuhi segala keperluan teknikal, Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Pusat Data Negeri Johor telah ditubuhkan pada tahun 2024, seperti YB Lee maklumkan tadi. Sebagai platform penyelaras utama antara agensi teknikal dan bukan teknikal di peringkat negeri dan persekutuan, Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh saya sendiri manakala Timbalan Pengerusi disandang oleh YB Bukit Pasir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya serta YB Paloh, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Negeri Johor. Keanggotaan Jawatankuasa ini merangkumi 20 agensi strategik termasuk PTG, PlanMalaysia, ICT Johor, TNB, Ranhill-SAJ, BAKAJ, SKMM, MIDA, IRDA, Invest Johor dan MIDEC. Proses kelulusan pusat data ini melibatkan lima peringkat semakan, lima peringkat dan penilaian melalui 20 agensi. Dan, hasil asas pertimbangan adalah melibatkan penggunaan air, penggunaan elektrik, ketersediaan kabel internet, penggunaan teknologi, keperluan mendapatkan air alternatif dan aspek teknologi hijau.

Suka juga untuk saya nyatakan di Dewan yang mulia ini, kerajaan negeri menggalakkan pembangunan pusat data tertumpu di kawasan industri tersusun iaitu di IBTEC Sedenak, MPKu dan MSM Green dan Iskandar Halal Park dalam kawasan Majlis Bandaraya Pasir Gudang. Selain itu, beberapa pusat data di Johor telah mula mengadaptasikan teknologi recycle water melalui kerjasama bersama Johor Special Water atau JSW, ini agensi kerajaan dan Indah Water Konsortium (IWK) bagi memastikan operasi pusat data tidak menekan sumber air bersih rakyat. Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memacu pembangunan digital serta bertanggungjawab memperkukuhkan ekonomi berteknologi tinggi sambil mengekalkan keseimbangan dengan agenda kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat negeri Johor.

Menjawab soalan yang dibangkitkan oleh YB ADUN Pemanis dalam sesi jawab lisan, suka untuk saya maklumkan bahawa Johor merupakan negeri pertama di Malaysia yang berjaya mencapai status smart state atau negeri pintar, (Dewan bertepuk), hasil usaha bersepadu

kesemua 16 PBT yang sekurang-kurangnya mencapai tahap 1 Smart City Early Adopter atau 10 syarat inisiatif di bawah piawaian MS ISO 37122. Lebih membanggakan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjadi satu-satunya PBT di Malaysia daripada jumlah 155 PBT dalam Malaysia mencapai tahap 3 ia ini Leading Smart City dengan 63 inisiatif, nombor 1 dalam Malaysia. (Dewan bertepuk). Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan teknikal, tetapi manifestasi proses transformasi besar negeri Johor dalam mengubah pengurusan dokumen tradisional kepada ekosistem digital yang lebih cekap, responsif dan berasaskan data masa nyata.

Namun demikian, kerajaan negeri sedar bahawa kejayaan dalam agenda Smart City ini mesti bergerak selari dengan komitmen menyelesaikan isu harian rakyat. Digitalisasi bukan bertujuan mencantikkan statistik, tetapi menjadi pemangkin mempercepatkan tindakan, meningkatkan ketelusan, memudahkan aduan, serta mengukuhkan keberkesanan PBT dalam menangani cabaran sebenar seperti isu banjir, isu trafik, isu kebersihan, isu keselamatan dan penyelenggaraan infrastructure asas. Justeru, transformasi digital yang sedang berjalan ini akan terus diperkukuhkan agar manfaatnya dirasai secara langsung oleh rakyat, selaras dengan aspirasi Johor sebagai negeri moden, berdaya huni dan mampan di bawah Agenda Maju Johor 2030.

Menyentuh persoalan YB Parit Yaani berhubung Pusat Aduan Bersepadu Negeri Johor. Sukacita dimaklumkan bahawa pembangunan sistem ini telah dimulakan sejak 2 Disember 2024 melalui bengkel, mesyuarat teknikal dan lawatan bersama Biro Pengaduan Awam, latihan penggunaan sistem kepada pegawai, sesi penyelarasan bersama Ahli-Ahli Majlis MBJB, koordinasi bersama pegawai penyiasat serta penetapan KPI khusus bagi memastikan tahap respons lebih pantas dan berkesan. Bagi memastikan sistem ini benar-benar stabil dan mesra pengguna, kerajaan negeri telah memulakan tempoh percubaan atau sesi dry run melibatkan Ahli-Ahli Majlis MBJB dan aduan SISPA yang dimasukkan ke dalam sistem merangkumi enam kategori utama yakni:

1. Melibat jalan dan perabot jalan; 2. Lampu jalan dan lampu isyarat; 3. Sampah dan pembersihan awam; 4. Saliran dan perparitan; 5. Pokok dan landskap; dan 6. Gangguan haiwan.

Untuk memperkukuh prasarana digital dan keupayaan operasi, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.5 juta pada tahun 2025 dan RM2.65 juta pada tahun 2026 bagi penyelenggara sistem, penambahbaikan modul aduan serta peningkatan kapasiti pasukan penyiasat dan PBT. Pelaksanaan penuh sistem ini akan dijalankan secara berfasa bagi memastikan integrasi data, penyelarasan SOP dan keberkesanan tindakan dapat dicapai secara seragam di seluruh PBT.

Fasa pertama bermula dengan MBJB pada Q1 2026, ramai orang tanya saya, “Dato’, apa perbezaan antara pusat aduan dan Sistem SISPA?” Sistem SISPA ni orang mengadu satu hala sahaja, tetapi pusat aduan bersepadu ni bila dia mengadu, pegawai akan turun ke site lepas tu akan ambil tindakan, lepas tu pegawai akan ambil gambar tindakan dan send balik kepada pengadu. Ini bezanya antara Sistem SISPA dengan pusat aduan yang kita nak buat ini.

Menyentuh soalan pengurusan sampah yang dibangkitkan oleh Pekan Nanas, Skudai, Sri Medan, Sedili, Perling dan Panti. Untuk makluman Dewan, urusan pembinaan serta pengoperasian tapak pelupusan sampah di bawah bidang kuasa JPSPN KPKT, ini federal punya bidang kuasa. Justeru, sebarang perancangan atau pembangunan kemudahan TPS perlu melalui proses kelulusan kerajaan persekutuan. Namun begitu, melihat kepada peningkatan jumlah sisa pepejal dan tekanan terhadap tapak pelupusan sampah di Johor,

kerajaan negeri telah mengambil pendekatan proaktif dengan memulakan libat urus rentas agensi bagi memastikan perancangan ini diselaraskan dengan keperluan jangka panjang pengurusan sisa pepejal di negeri Johor.

Walaupun ia bukan bidang kuasa langsung kerajaan negeri, kita tetap komited untuk memastikan isu ini ditangani secara menyeluruh dan tidak dibiarkan berlarutan. Kerjasama erat antara PBT, agensi teknikal dan KPKT sedang digerakkan bagi memastikan solusi mampan dapat dicapai demi memastikan kebersihan bandar, kesejahteraan rakyat dan imej Johor terus berada di tahap tertinggi. Selaras dengan semangat Maju Johor, kita akan pastikan setiap langkah yang diambil pasti membawa hasil yang nyata dan memberi manfaat kepada rakyat.

Untuk makluman Datuk Speaker, isu sampah ni isu yang sentiasa ada. Cuma saya nak bagi kefahaman sedikit di dalam yang mulia ini ialah kita ada yang dulu dia panggil dumping site buang sampah terbuka. Maksudnya lori buang sampah, lepas tu bakar. Ini kaedah lama. Dan sekarang ni kita ada kaedah yang baharu yang dipanggil sanitary. Sanitary ni bila lori sampah apa buang, dia akan terus timbus. Di dalam satu kolam yang besar dan di dalam kolam itu ada sistem piping, ada sistem, apa leacheate air. Dan air leacheate ini akan diproses dalam bentuk tukaran energy.

Pada level yang ketiga pula, proses yang akan datang dipanggil technologi WTE, Waste To Energy, kita tak gunakan tanah dumping site, kita tak gunakan sistem sanitary tetapi sistem pembakaran dan pembakaran ini akan menghasilkan tenaga. Sebab tu di Johor ni di peringkat KPKT di bawah JPSPN bawah KPKT, kita sedang ke arah untuk menutup dumping-dumping site terbuka ini dan pergi kepada sanitary. Contohnya, kita sekarang ada di TPS Seelong dan juga di satu di Batu Pahat TPS Bukit Payung. Dan akan datang insya-Allah kita akan pergi kepada teknologi yang lebih tinggi iaitu WTE. Tidak menggunakan tanah, perlu tanah yang luas.

Yang Berhormat Datuk Speaker, buat pertama kali dalam sejarah pentadbiran negeri, seperti diumumkan oleh YAB Menteri Besar, kesemua 16 PBT, Pihak Berkuasa Tempatan telah sepakat memperuntukkan RM14.9 juta bagi pelaksanaan Inisiatif Kos Sara Hidup Baucar Kasih Johor, melalui skim subsidi makanan yang sedang dimuktamadkan oleh kerajaan negeri. Inisiatif besar ini menunjukkan penyelarasan fiskal PBT yang lebih matang, berpaksikan data dan keperluan sebenar rakyat, sekaligus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai negeri contoh dalam tadbir urus tempatan yang cekap, progresif dan berpaksikan rakyat.

Pelaksanaan inisiatif ini akan bermula secara berfasa mulai tahun 2026, melibatkan pengguna, melibatkan peniaga kecil dan keseluruhan ekosistem ekonomi tempatan di kawasan bandar. Matlamatnya adalah untuk meringankan beban kos sara hidup, merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta menyokong kelangsungan peniaga kecil. Untuk memastikan ketelusan dan keberkesanan, sebuah platform khas akan digunakan bagi menyalurkan baucar terus kepada pengguna dan peniaga kecil bagi mengelakkan ketirisan serta memastikan subsidi sampai tepat kepada golongan sasar. Selaras dengan pelaksanaan ini, PBT turut akan menaik taraf medan selera, pasar dan ruang niaga mengikut model terbaik bagi memastikan kemudahan menjadi lebih selesa, moden dan berdaya saing. Langkah proaktif ini bukan sahaja menyokong keberkesanan penyampaian subsidi, tetapi juga seiring dengan pertumbuhan ekonomi Johor yang kukuh serta visi menjadikan Johor sebagai negeri maju, inklusif dan berdaya saing.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebelum saya menutup penggulungan ini, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Johor 2026 bagi portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Setiap pandangan, teguran dan cadangan sama ada menyokong, mencadang menambah baik atau memberi peringatan adalah suara jujur demi kepentingan

rakyat. Saya mendengar semuanya dengan hati terbuka, insaf bahawa amanah ini bukan sekadar tanggungjawab pentadbiran tetapi amanah besar yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan di bawah portfolio saya, YB Datuk-Datuk Bandar, Datin Paduka, YDP-YDP, Ketua-Ketua Jabatan PBT-PBT, Ketua-Ketua Whip dan Ahli-Ahli Majlis, pasukan SUKT, YB Datin Paduka dan PKPJ, Faizal, PlanMalaysia Johor, Jabatan Bomba Penyelamat Negeri Johor dan Jabatan Landskap Negeri Johor. Serta semua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam segala perkara dan urusan di bawah portfolio saya. Saya insaf bahawa kejayaan Kerajaan Negeri Johor bukan datang daripada seorang EXCO atau seorang Menteri Besar sahaja, tetapi daripada satu pasukan yang bergerak seiring dan sehati, sejiwa, memastikan setiap dasar yang diluluskan di Dewan ini benar-benar diterjemahkan dengan tindakan nyata untuk rakyat. (Dewan bertepuk).

Konsep gerak kerja Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor berteraskan 3T dan 1M menjadi nadi kita bergerak. Pendekatan turun padang memastikan setiap dasar lahir daripada realiti lapangan, prinsip teamwork bekerja sebagai satu pasukan menggerakkan seluruh jentera kerajaan tanpa work in silo, falsafah Te Se Te Pan menggalakkan penyelesaian luar kotak dan tindakan luar biasa, manakala micro manage memastikan segala projek dipantau dekat, terperinci dan berdisiplin. Inilah rangka kerja yang menjamin setiap janji kerajaan sampai kepada rakyat dengan cepat, tepat dan menyeluruh.

Akhirnya, di sebalik setiap soalan yang dibangkitkan, terselit harapan besar rakyat agar kita bekerja dengan lebih cekap, lebih berintegriti dan lebih dekat dengan realiti kehidupan mereka. Maka segala teguran itu menjadi pendorong untuk memperkukuhkan dasar, mempercepatkan penyelesaian aduan, dan memastikan tiada sesiapa tercicir dalam arus pembangunan Maju Johor. Marilah kita melangkah ke hadapan dengan tekad bersama-sama memperkasakan negeri, menepati janji kepada rakyat dan menjaga kesejahteraan Bangsa Johor yang kita cintai. Semoga setiap kerja kita menjadi pahala berpanjangan mendapat ganjaran di sana kelak. Semoga Allah memberkati setiap langkah kita untuk terus menjadikan Johor negeri yang dihormati, disegani dan sentiasa di hadapan. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. (Dewan bertepuk).

Timbalan Speaker

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Aaamiin, Allah huma Aaamiin. Yang Berhormat mungkin yang tak merasa tu kemungkinannya tu telah hilang deria rasa. Yang Berhomat, dipersilakan Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, dipersilakan.

Dato’ Zahari bin SaripUMNO · BNPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar · Buloh Kasap

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam maju Johor. Terima kasih Yang Berhormat Datuk Speaker. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah Ta’ala kerana kita diberikan ruang dan kelapangan untuk sampai pada hari ini untuk membincangkan dalam Mesyuarat Ketiga Belanjawan 2026 Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Kali Ke-15. Mewakili Portfolio Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar serta penduduk Buloh Kasap, patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi ucapan tahniah serta ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim, sempena ulang tahun hari keputeraan Baginda yang bakal disambut pada 22 November ini. Patik dengan penuh takzim memanjatkan doa kehadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta seluruh anakanda dan kerabat Diraja sentiasa dikurniakan keberkatan usia serta dikekalkan dalam afiat dan sejahtera agar terus menaungi sekalian rakyat Bangsa Johor. Patik juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail,

Pemangku Sultan Johor atas segala nasihat dan bimbingan yang dicurahkan kepada kepimpinan negeri dalam menjayakan urus tadbir demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, mewakili pihak jabatan, agensi serta kumpulan sasar di bawah Portfolio Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, saya merakamkan setinggi tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih serta tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor atas pembentangan Belanjawan Johor 2026 bertemakan, “Bangsa Johor Sejahtera”.

Secara keseluruhannya sebanyak RM114 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan 34 inisiatif utama di bawah Portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar. Peruntukan besar ini membuktikan janji kerajaan negeri bahawa limpahan ekonomi negeri yang akan dikongsi bersama seluruh rakyat Johor termasuk para petani, penternak, nelayan, masyarakat kampung, FELDA, Orang Asli dan semua lapisan masyarakat rakyat Johor. Data-data dan indikator ekonomi yang telah diterbitkan telah membuktikan keunggulan Johor sebagai peneraju utama sektor pertanian negara. Berdasarkan statistik terkini, banci pertanian DOSM, Johor kekal di tangga teratas dengan nilai jualan pertanian RM27.2 bilion. Melalui sumber MAQIS pula, eksport pertanian Johor, RM23.96 bilion serta nilai jualan industri asas tani (IAT), tertinggi Malaysia sebanyak RM348 juta. Prestasi cemerlang ini menjadikan Johor penyumbang terbesar kepada KDNK Pertanian Malaysia dengan sumbangan sebanyak 17.3%. Untuk itu, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua para petani, penternak, nelayan Johor dan pengusaha sektor pertanian dan agro makanan keseluruhannya. Anda adalah wira sebenar di sebalik kejayaan yang terus menjadi kebanggaan Bangsa Johor.

Alhamdulillah, menerusi Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi sekali lagi meletakkan sektor pertanian sebagai antara fokus strategi negeri. Peruntukan besar berjumlah RM48.24 juta merangkumi 25 inisiatif utama adalah bukti komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekosistem pertanian Johor secara menyeluruh daripada pengeluaran, teknologi, penyelidikan, pemasaran hinggalah kepada kebajikan petani, penternak dan nelayan. Insya-Allah, Johor bukan sahaja berhasrat untuk menjadi food basket kepada Malaysia malah bersedia menjadi food bank kepada negara serantau.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebagai sebuah kerajaan yang berteraskan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri Johor sentiasa menumpukan perhatian kepada isu kos sara hidup dan keperluan asas masyarakat. Justeru, Belanjawan 2026 memperkukuh lagi agenda kebajikan melalui inisiatif yang lebih menyeluruh dan berimpak langsung kepada rakyat. Antara program terbesar dalam belanjawan tahun hadapan ialah Jualan Kasih Johor yang bermula dengan peruntukan RM600,000.00, 2023, kini memperuntukkan RM15.4 juta untuk tahun 2026 melibatkan sasaran 266 lokasi di seluruh negeri.

Untuk makluman Yang Berhormat, khasnya Yang Berhormat Parit Yaani, jumlah peruntukan ini meningkat 113.3% lebih sekali ganda berbanding peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2025. Setiap lokasi akan diperuntukkan subsidi atau apungan harga dengan anggaran RM40,000.00 bagi mengurangkan harga jualan untuk membolehkan rakyat mendapatkan barang keperluan asas kepada harga lebih istimewa termasuk jualan kombo bernilai RM15.00 setiap set. Ambil kesempatan nak ucap terima kasih kepada pegawai-pegawa FAMA dan usahawan FAMA yang telah menjalankan program Jualan Kasih Johor ini dengan sebaiknya. (Dewan bertepuk). Pada masa yang sama, Bantuan Kasih Johor dengan peruntukan berjumlah RM13.6 juta akan disampaikan kepada lebih 33,000 petani, penternak dan nelayan sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap wira-wira tani Johor atas sumbangan besar golongan ini kepada pembangunan sektor pertanian, bekalan makanan dan kestabilan ekonomi negeri. Moga Bantuan Kasih ini akan menguatkan lagi komitmen mereka untuk mengekalkan Johor negeri utama dalam sektor pertanian negara.

Untuk makluman Yang Berhormat Dewan serta Yang Berhormat Kukup, Sungai Balang dan Kota Iskandar, memang tidak dapat dinafikan terdapat nelayan yang terbeban dengan kos operasi bagi pembelian peralatan bagi aktiviti tangkapan ikan. Selain Bantuan Kasih Johor bernilai RM600.00 setiap seorang kepada nelayan, pihak LKIM menyediakan bantuan peralatan penangkapan ikan melalui Program Touch Point B40, bagi membantu golongan nelayan terutamanya mereka yang berada dalam kategori B40. Pihak LKIM telah menyalurkan bantuan kepada golongan nelayan B40 termasuk antaranya:

1. Peruntukan sebanyak RM675,000.00 yang melibatkan 58 orang nelayan secara bersasar dalam tempoh 2023 hingga 2025.

2. Skim Pinjaman Nelayan Enjin Darat, Skim Pinjaman Enjin Dalam (SNED) dan Skim Pinjaman Nelayan Pantai (SNEP), untuk pembelian peralatan baru dan modal operasi kepada para nelayan yang layak memohon.

3. Seramai 3,063 orang nelayan Johor menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), sebanyak RM300.00 sebulan. Ia antaranya di Kukup seramai 415 orang. DUN Kota Iskandar, 233 nelayan dan DUN Sungai Balang 246 nelayan.

Dalam usaha untuk memperkasakan industri perikanan juga, kerajaan Johor menerusi Belanjawan 2026 telah memperuntukkan RM2.2 juta untuk dimanfaatkan kepada kumpulan sasar sektor ini. Bagi memastikan kelestarian sumber perikanan dan manfaat ekonomi kepada nelayan darat, Jabatan Perikanan telah mencatat sejarah apabila menjayakan pelaksanaan pelepasan 1.6 juta ekor benih udang galah serentak seluruh Johor dan seterusnya diiktiraf oleh Malaysia Book Of Record. Terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat dan pemimpin setempat yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Naning dan Panti, Belanjawan 2026 memperkukuhkan agenda pertanian moden melalui peruntukan RM2 juta bagi program Johor Agriculture Research and Development Centre (JARDC). Pusat penyelidikan oleh JBiotech ini akan menjadi hab kolaborasi kerajaan dan industri bagi memacu inovasi dan pertanian moden. Kerajaan negeri turut memperkukuh, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3 juta pada tahun 2025 dan RM1 juta tahun 2026 bagi memperluaskan penggunaan amalan serta teknologi pertanian moden dalam kalangan usahawan tani. Seterusnya, meningkatkan kecekapan pengeluaran dan menarik minat golongan muda melalui automasi, digitalisasi dan mekanisasi.

Untuk makluman Yang Berhormat Senggarang dan Mahkota, komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan belia tani turut diterjemahkan melalui program Johor Future Agropreneur . Dengan peruntukan RM2 juta, program ini telah dimanfaatkan oleh seramai 134 belia pada tahun 2025. Manakala Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut menawarkan lebih 120 kursus latihan secara percuma bagi memperkasa kemahiran dan pengetahuan belia dalam sektor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Johor kekal sebagai pengeluar terbesar buah-buahan negara khususnya durian dan nanas. Melalui peruntukan RM1 juta, kerajaan negeri bersama JBiotech, Jabatan Pertanian, LPNM dan FAMA dapat memperkukuhkan strategi penjenamaan dua komoditi sumber kekayaan baru negara ini sebagai ikon produk Pertanian Johor di peringkat domestik dan antarabangsa. Nanas MD2 serta durian premium seperti Musang King serta variety tempatan berkualiti tinggi terus menjadi penyumbang penting pasaran eksport dan Johor komited menerajui peluang pertumbuhan ini. Pembangunan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengedaran (CPPDC), Durian Fama Tangkak menunjukkan perkembangan positif dan dijangka beroperasi sepenuhnya pertengahan Disember 2025 dengan kapasiti 50 matrik tan. Secara keseluruhan, CPPDC Tangkak ini berada pada landasan kukuh sebagai hab pemprosesan dan tambah nilai durian

Johor yang bakal menyokong pasaran domestik serta memberi manfaat langsung kepada pekebun dan usahawan setempat.

Kami ambil maklum apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Benut berkaitan potensi kelapa Johor. Kelapa turut menjadi komoditi fokus kerajaan bagi meningkatkan keluasan, pengeluaran dan Kadar Sara Diri (SSR). Jabatan Pertanian Johor telah menaik taraf fasiliti dan teknologi di pusat pengeluaran benih kelapa Jorak dan Parit Botak. Ia sekaligus meningkatkan kapasiti pengeluaran kelapa kepada sekitar 129,200 anak benih pelbagai variaty setahun bagi menyokong pembangunan industri kelapa negeri.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh agenda pembangunan luar bandar melalui Belanjawan Johor 2026, yang memperuntukkan sebanyak RM65.7 juta bagi melaksanakan sembilan inisiatif utama merangkumi aspek kebajikan, sosial, institusi akar umbi, pendidikan awal, infrastruktur kampung serta peningkatan kesejahteraan komuniti FELDA dan Orang Asli. Kerajaan Negeri Johor juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) atas komitmen dan sokongan berterusan menyalurkan peruntukan tahun 2026, lebih RM323.3 juta merangkumi pelaksanaan 108 projek pembangunan desa. Ia mencerminkan komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Yang Berhormat Dato’ Onn Hafiz Ghazi untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada pembangunan pesat Johor, selari dengan agenda Maju Johor menjelang 2030 yang menekankan pembangunan seimbang dan inklusif, membuktikan bahawa visi Johor Maju merangkumi seluruh negeri, bukan hanya kawasan bandar sahaja.

Sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kukup dan Pulai Sebatang, kerajaan negeri amat menghargai dan menyokong penuh pandangan yang diberikan dalam memperkukuh institusi kepimpinan di peringkat kampung. Komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa kepimpinan akar umbi terus dipertegaskan melalui peruntukan berjumlah RM2.84 juta termasuk menaikkan elaun 667 ketua kampung dan 46 Batin Orang Asli kepada RM1,500.00. Ia sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap peranan mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM930,000.00 bagi geran pengurusan dan pentadbiran melibatkan persatuan ketua kampung, JKKP FELCRA dan JKKR FELDA sebagai usaha memastikan tadbir urus di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, efisien dan berkesan. Selain meningkatkan elaun ketua kampung dan Batin Orang Asli, kerajaan negeri turut memperuntukan RM240,000.00 bagi inisiatif caruman lindung diri untuk ketua kampung, setiausaha JPKK, ketua masyarakat dan Batin Orang Asli bagi menjaga kebajikan barisan kepimpinan yang memainkan peranan penting dalam menyantuni rakyat.

Yang Berhormat Datuk Speaker, Kerajaan Negeri Johor terus menunjukkan komitmen yang tinggi bagi menyantuni warga FELDA. Untuk tahun 2025 sahaja, sejumlah RM4.62 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif berkaitan kebajikan warga FELDA. Dalam konteks menyelesaikan isu berkaitan pemilikan tanah FELDA, daripada keseluruhan 27,642 orang peneroka di negeri ini, seramai 27,429 peneroka atau 99% telah berjaya menerima geran hak milik mereka. Baki 213 peneroka atau 1% lagi sedang melalui proses akhir dan dijangka menerima geran hak milik masing-masing penghujung tahun ini.

Untuk makluman Yang Berhormat Kahang, sebanyak 79 lot peneroka di FELDA Kahang Timur telah pun mendapat kelulusan di peringkat kerajaan negeri dan kini berada dalam proses penyediaan Notis 5A. Dari segi permohonan lot perumahan generasi FELDA, rekod sehingga bulan September 2025, sejumlah 12,627 permohonan telah direkodkan di negeri Johor. Daripada jumlah tersebut, 9,731 permohonan telah diluluskan. Manakala 8,182 pemohon telah menerima Notis 5A. Daripada angka itu juga, 7,805 generasi FELDA iaitu 80% telah menyempurnakan bayaran Notis 5A dan seterusnya menerima geran hak milik masing-masing.

Untuk makluman Yang Berhormat Penawar, Kerajaan Negeri Johor merupakan negeri pertama yang mengambil tanggungjawab melaksanakan inisiatif pelaksanaan projek pembangunan infra lot kediaman generasi FELDA. Sememangnya terdapat pelbagai cabaran bagi pelaksanaan projek ini dan untuk rekod semasa bagi pelaksanaan fasa 1 hanya 4 Rancangan dalam proses akhir penetapan reka bentuk. Insya-Allah selepas selesai pelaksanan fasa 1, Kerajaan Negeri Johor dan FELDA akan pertimbangkan bagi pelaksanaan di Rancangan lain juga mengikut keperluan dan keutamaan. Segala perkembangan ini membuktikan bahawa negeri Johor sentiasa serius mengambil berat akan kebajikan dan pembangunan warga FELDA dan generasi FELDA. Usaha ini bukan sekadar proses pentadbiran tetapi tanggungjawab untuk menjamin masa depan dan kesejahteraan warga FELDA yang telah banyak berjasa kepada pembangunan Johor.

Yang Berhormat Datuk Speaker, sebanyak RM8 juta telah diperuntukkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor bagi meneruskan pelaksanaan Program Jelajah Orang Johor (JOJ) di semua 56 kawasan DUN. Sebagai platform libat urus akar umbi yang paling berkesan, program ini bukan sekadar siri lawatan atau turun padang semata-mata tetapi merupakan manifestasi, komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kepimpinan tertinggi, ketua-ketua jabatan serta pemimpin akar umbi turun padang bagi mendengar denyut nadi rakyat dan memahami keperluan mereka secara lebih dekat. JOJ turut berperanan sebagai wadah penyampaian maklumat dasar dan inisiatif kerajaan secara terus kepada rakyat. Menjadi saluran maklum balas yang penting bagi memastikan pembangunan negeri dilaksana secara inklusif, menyeluruh dan berpaksikan realiti sebenar masyarakat di lapangan. Kami mengucapkan terima kasih kepada Pegawai-pegawai Daerah serta ketua-ketua jabatan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah yang bantu melancarkan Program Jelajah Orang Johor ini.

Yang Berhormat Datuk Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Kahang dan Pulai Sebatang, selain peruntukan yang disediakan oleh pihak konsesi, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi melaksanakan projek menaik taraf jalan kampung di seluruh Johor. Pada masa yang sama, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga menyediakan peruntukan sebanyak RM58 juta bagi tujuan pelebaran jalan, pembinaan parit, penambahbaikan struktur asas serta peningkatan akses yang lebih selamat dan selesa untuk masyarakat. Kerajaan negeri turut memperkasa inisiatif pembangunan Tabika Kemas melalui peruntukan sebanyak RM2 juta sebagai langkah menjadikan feeder utama kepada Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ). Usaha ini dilaksanakan melalui penyelarasan modul pembelajaran, penambahbaikan prasarana serta latihan guru yang lebih teratur dan komprehensif bagi memastikan murid-murid memasuki Sekolah Rintis Bangsa Johor nanti mempunyai kemahiran asas yang mantap, sahsiah terpuji dan kesiapsiagaan akademik yang lebih tinggi. Terdapat lima (5) Tabika Kemas yang berperanan sebagai feeder kepada SRBJ meliputi kawasan Johor Bahru dan Pasir Gudang. Antaranya Tabika Kemas Suria Muafakat, Tabika Kemas Rumah Rakyat Jalan Kasawari, Tabika Kemas Taman Kota Puteri 1 dan 2 dan Taman Megah Ria yang beroperasi sejak 2011 hingga 2017.

Belanjawan Johor 2026 sekali lagi menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam membela golongan luar bandar melalui peluasan Program Bantuan Kasih Johor. Melalui inisiatif ini, kesemua 5,041 ketua isi rumah Orang Asli di Johor akan menerima bantuan RM400.00 bagi meringankan beban kos sara hidup. Selain itu, sebanyak 2,548 ketua blok FELDA turut diberi RM400.00 sebagai tanda penghargaan terhadap peranan mereka mengurus kebajikan warga FELDA. Seramai 1,173 Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela Kemas menerima RM600.00 manakala 873 pemimpin akar umbi termasuk ketua kampung, ketua masyarakat, Batin dan pengerusi JAKOA akan menerima bantuan tunai RM100.00 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam menyantuni rakyat dari peringkat lapangan hingga ke pedalaman.

Inisiatif menyeluruh ini, menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan tiada komuniti luar bandar yang terpinggir. Setiap pemimpin akar umbi terus diberi suntikan

motivasi dalam melaksanakan amanah dan khidmat kepada rakyat. Belanjawan Johor 2026 bukan sekadar angka atau hanya peruntukan kewangan. Tetapi, hala tuju menyeluruh untuk memodenkan sektor pertanian dan memperkukuhkan pembangunan luar bandar secara bersepadu. Dengan dokongan para petani, penternak,nelayan, usahawan tani, komuniti luar bandar, agensi kerajaan GLC serta rakan-rakan industri, Johor berada pada landasan tepat untuk lebih terkehadapan lagi.

Yang Berhormat Datuk Speaker, rata-rata Ahli Yang Berhormat menyatakan keterbukaan mereka menerima belanjawan besar kali ini. Ramai yang sempat juga mencadangkan beberapa cadangan untuk tambah baik setiap inisiatif yang ada. Cuma, ADUN Bukit Kepong saja yang beri komen kononnya rakyat masih tidak rasa manfaatnya. (Dewan bertepuk). Yang Berhormat Datuk Speaker, saya cuma beri satu contoh saja. Yang paling jelas, iaitu Jualan Kasih Johor. Pada tahun 2025 dengan peruntukan RM13 juta telah memberi manfaat kepada 1.3 juta orang. Manakala 2026 nanti peruntukan sebanyak RM15.4 juta bakal memberi manfaat kepada 2 juta rakyat Johor. Pergilah ke bawah dengar suara rakyat, menyambut program ini dengan sangat baik, kecuali ada Wakil-Wakil Rakyat yang mungkin jarang bersama pengundi atau masyarakat dan mungkin tak rasa apa yang rakyat rasa.

Yang Berhormat Datuk Speaker, tak cukup kita boleh terima, tapi kalau tak rasa, saya fikir satu pembohongan atau mungkin cara untuk mengelirukan rakyat dan menutup kelemahan ketika membuat belanjawan satu ketika dulu berbanding belanjawan tahun 2026 yang sangat baik ini. Insya-Allah, melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan seluruh kumpulan sasar di bawah portfolio ini, kita akan terus bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan agenda Maju Johor 2030 dapat dicapai serta dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa ada yang tertinggal. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan pelbagai isu semasa Persidangan ini. Saya mohon maaf sekiranya maklum balas yang diberikan menerusi sesi penggulungan ini tidak dapat menjawab semua persoalan secara terperinci. Sekiranya terdapat persoalan yang kurang diperjelaskan, Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh merujuk kepada pejabat kami untuk mendapatkan maklum balas tersebut.

Sebelum mengakhiri ucapan penangguhan ini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang pertama kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, yang kedua, Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, yang ketiga, ketua-ketua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan serta para pegawai terutamanya di bawah Portfolio Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar yang banyak membantu dan memberi kerjasama yang baik sepanjang 2025 ini termasuk semua pihak yang terlibat di lapangan. Semoga kerjasama erat ini dapat diteruskan untuk tahun-tahun akan datang. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Timbalan Speaker

Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh. Tahniah Yang Berhormat Buloh Kasap, Ahli-Ahli Yang Berhormat maka tamatlah sesi penggulungan oleh Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa-jawatankuasa yang ada di Dewan ini. Sama-sama kita ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas kecemerlangan kerja dan kejayaan serta kemajuan yang mereka cipta semua. Penggulungan yang disertakan dengan info grafik yang juga pertama kali diadakan ini adalah amat informatif dan sewajarnya seharusnya kita manfaatkan bersama.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor akan membuat ucapan penggulungan pada hari esok Jumaat, 21 November 2025. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sungai Balang ke Johor Lama, usaha bersama gali perigi; petang ini kita bersama, esok kita bersidang lagi. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Persidangan ini saya tangguhkan sehingga Jumaat, 21 November 2025, jam 9.30 pagi.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5:25 petang.