Kedah · 15 November 2020
14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 24 turns · 9,615 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
Jawapan Kepada Pertanyaan Dewan Mengikut Peraturan 22(6)Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah 1. Pertanyaan-Pertanyaan Mulut 2. Pertanyaan-Pertanyaan BertulisQuestions
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat pagi. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. Bacaan Doa.
Bacaan Doa - Tuan Setiausaha Dewan
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, kita sekarang bersidang di musim PKP. Jadi, sekadar peringatan saya akan mengulangi SOP Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah.
Yang pertama Swab test telah pun dilakukan kepada semua ADUN yang terlibat di dalam sidang DUN, ada tak yang tercicir. Ok, tiada! Yang keduanya ialah kita adakan pemasangan penghadang lutsinar dipasang di antara tempat duduk setiap ADUN. Yang ketiga, sanitasi permukaan kritikal seperti pintu, meja, mic sebelum dan selepas bersidang. Yang keempat, deklarasi kesihatan oleh setiap ADUN melalui aplikasi mysejahtera dan pemeriksaan suhu.
Yang kelima, pemakaian Pelitup Muka dan pematuhan kepada SOP penjarakan fizikal adalah diwajibkan sepanjang tempoh sidang berlangsung. Walaubagaimanapun kalaulah semasa ahli itu nak bercakap dia rasa tak puas sangat dengan pakai, ahli yang bercakap itu sahaja yang boleh buka sekejap pelitup muka. Yang keenam, jemputan dihadkan hanya kepada ADUN dan Ketua Jabatan yang terlibat sahaja. Tiada kehadiran pemerhati luar dibenarkan masuk ke dalam dewan semasa sidang berlangsung. Yang ketujuh, sidang berjalan selama 5 hari mulai 15 November 2020 hingga 19 November 2020 dan masa persidangan dari jam 9.00 pagi hingga jam 1.00 petang sahaja. Yang kelapan, media tidak dibenarkan masuk untuk liputan di dalam Dewan tetapi hendaklah dilaksanakan secara video telecast di tempat yang telah ditetapkan sahaja.
Jadi, marilah kita patuhi SOP untuk kebaikan kita bersama.
Urusan seterusnya Tuan Setiausaha Dewan.
II. Pembentangan Kertas-Kertas Dewan
Pembentangan Kertas-Kertas Dewan oleh YAB. Menteri Besar Kedah Darul Aman.
Silakan!
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan ini saya pohon membentangkan Kertas-Kertas Dewan yang berikut seperti di meja Ahli-Ahli Yang Berhormat :-
Kertas Dewan Bil. 13 Tahun 2020 - Anggaran Perbelanjaan Tahun 2021.
Kertas Dewan Bil. 14 Tahun 2020 - Anggaran Kumpulan Wang
Pembangunan Negeri Tahun 2021.
Kertas Dewan Bil. 15 Tahun 2020 - Anggaran Kumpulan Wang Bekalan Air Negeri Tahun 2021.
Kertas Dewan Bil. 16 Tahun 2020 - Penyata Kewangan Majlis Agama Islam Negeri Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.
Kertas Dewan Bil. 17 Tahun 2020 - Penyata Kewangan Lembaga Biasiswa Negeri Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.
Kertas Dewan Bil. 18 Tahun 2020 - Penyata Kewangan Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.
Kertas Dewan Bil. 19 Tahun 2020 - Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah [SPA] Bagi Tahun 2019.
Kertas Dewan Bil. 20 Tahun 2020 - Penyata Kewangan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.
Kertas Dewan Bil. 21 Tahun 2020 - Laporan Ketua Audit Negara Pengurusan Aktiviti Agensi Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Kedah Tahun 2018 Siri 3.
Kertas Dewan Bil. 22 Tahun 2020 - Penyata Kewangan Yayasan Islam Negeri Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019.
Kertas Dewan Bil. 23 Tahun 2020 - Laporan Jawatankuasa Pemilih Dewan Undangan Negeri Kedah. Mesyuarat pada 26 Oktober 2020.
Kertas Dewan Bil. 24 Tahun 2020 - Cadangan pindaan Akaun Amanah/ Kumpulan Wang Amanah Di Bawah Seksyen 9 kepada Seksyen 10 Akta Acara Kewangan 1957 [AKTA 61].
Sekian, Terima Kasih.
III. Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri Tahun 2021Bill
Urusan seterusnya Tuan Setiausaha.
Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri Tahun 2021 dibacakan buat kali Pertama
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya kemukakan cadangan saya berkenaan dengan Rang Undang-Undang tersebut, dukacita dimaklumkan ianya tidak sempat disiarkan di dalam Warta Kerajaan menurut Peraturan 65, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman. Oleh kerana Rang Undang-Undang ini mustahak diadakan dengan segera, maka kebenaran Yang Berhormat Tuan Speaker telah pun diambil menurut sepertimana yang dikehedaki oleh Peraturan Dewan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang bernama “ Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bagi tahun 2021 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud tertentu” itu dibacakan bagi kali yang Pertama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon menyokong cadangan itu.
“Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bagi tahun 2021 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud tertentu”.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon memberitahu bahawa saya hendak mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali yang kedua di dalam Persidangan Dewan ini juga.
Dipersilakan!
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali yang kedua dan dengan ini sukalah saya membuat sedikit sebanyak penjelasan mengenai Bajet Negeri Kedah bagi Tahun 2021 yang akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini.
IV. Ucapan Bajet Negeri 2021 Dibentangkan Oleh YAB. Menteri Besar KedahAddress / budget
Bismillahirohmanirrohim Alhamdulillahi Robbil Alamin. Wassolatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Anbiya’I Walmursalin, Saidina Muhammadin Sallallahu Alaihi Wasallam, Wa’ala Alihi Washohbihi Ajmain Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua”. Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat, Hadirin yang dihormati sekalian,
1. Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataála dengan limpah rahmat-Nya, kita dapat berada di dewan yang mulia ini sempena Persidangan Bajet 2021. Walaupun kita berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun persidangan ini tetap perlu diteruskan. Kita semua adalah Ahli Dewan Undangan Negeri yang diberikan amanah oleh Allah SWT dan mendapat kepercayaan rakyat untuk mentadbir dan menguruskan Negeri Kedah Darul Aman.
Perkara ini jelas disebutkan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Hajj ayat ke-41 yang berbunyi:
Maksudnya, “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan, serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.
Di dalam ayat ini, terdapat lima prinsip yang dapat difahami;
Pertama, kuasa pemerintahan adalah merupakan amanah daripada Allah SWT;
Kedua, pihak kerajaan dan rakyat perlu ada hubungan dengan Allah, rasa sentiasa diperhatikan Allah;
Ketiga, kitaran ekonomi yang berpandukan kepada konsep zakat iaitu lebihan harta daripada yang kaya diagihkan kepada yang memerlukan;
Keempat, membuat kebaikan kepada semua pihak;
Dan kelima, menguatkuasakan undang-undang.
2. Sehubungan itu, sejak menerajui pentadbiran negeri pada 18 Mei yang lalu, saya bersama-sama barisan EXCO, Pegawai Tadbir Negeri, semua Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan menggembleng tenaga dan buah fikiran merancang dan melaksanakan agenda pembaharuan untuk Negeri Kedah yang sama-sama kita cintai.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
3. Pandemik COVID-19 yang menyerang seluruh dunia sejak awal tahun 2020 telah memberikan kesan mendalam terhadap semua pihak termasuk di Negeri Kedah. PKPD di Napoh, Binjai, Tawar, Kampung Hulu Padang Sanai, Amanjaya, Kota Setar, Padang Che Mas dan Flat Seberang Perak menunjukkan betapa seriusnya pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk menangani wabak yang tidak disangka ini.
4. Kerajaan merasai denyut kesukaran yang dilalui oleh rakyat sepanjang berhadapan dengan wabak ini. Ada yang terputus sumber makanan, ada yang kehilangan pendapatan, ada yang mengalami kemurungan dan tekanan. Ada pihak-pihak tertentu memberi pelbagai cadangan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam menguruskan pandemik COVID-19 ini, kerajaan sentiasa bersikap terbuka mendengar semua pandangan-pandangan ini demi kebaikan bersama.
5. Sehubungan itu, kerajaan telah menghulurkan sumbangan berupa bantuan barangan keperluan asas kepada setiap keluarga yang terlibat, bantuan peralatan hospital, bantuan bakul makanan kepada petugas barisan hadapan, dan sumbangan wang tunai. Kesemua bantuan ini menelan belanja sebanyak RM21.75 juta.
6. Selain itu, pihak NGO, badan-badan korporat dan individu turut membantu kerajaan dengan memberikan sumbangan kepada golongan terbabit. Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih atas usaha yang baik ini.
7. Alhamdulillah, kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dan kepatuhan rakyat negeri ini pada Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kedah menerima penghargaan dan pengiktirafan daripada Yang Berhormat Menteri Kesihatan sendiri pada 23 Oktober lalu di dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1. Penghargaan ini disusuli pula oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Nor Hisham Abdullah, kerana kita orang Kedah diiktiraf sebagai warga yang patuh SOP.
8. Kerajaan negeri juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang terus bekerja tanpa henti bagi mengekang penularan COVID-19. Sebagai penghargaan dan tanda terima kasih, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM200 kepada petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan di Negeri Kedah ini atas pengorbanan dan kerja keras mereka. Bayaran ini akan dikreditkan ke akaun penerima pada akhir tahun ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, PRESTASI TAHUN 2020 Terimaan Hasil 2020 9. Sehingga 13 November 2020, jumlah terimaan hasil adalah sebanyak RM504 juta atau 72% daripada anggaran hasil tahun 2020.
10. Hal ini disebabkan, Kerajaan Negeri memberi kemudahan penangguhan dan perlanjutan bayaran seperti berikut:
a) Pelanjutan bayaran cukai tanah tahun semasa dengan mengecualikan denda lewat berkuatkuasa 01 Jun 2020 sehingga 30 September 2020 dan bayaran ansuran dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
b) Pemberian rebat sebanyak 30% daripada nilai tunggakan denda lewat kepada pembayar yang membuat bayaran penuh sehingga 30 September 2020.
c) Penangguhan bayaran bagi tempoh enam bulan bermula 01 April 2020 hingga 30 September 2020 kepada penghuni skim sewa beli Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi penghuni yang tidak mempunyai tunggakan sewa bagi tempoh tiga (3) bulan.
d) Pengecualian bayaran bagi tempoh enam bulan bermula 01 April 2020 hingga 30 September 2020 kepada penghuni - penghuni skim Program Perumahan Rakyat (PPR) Transit.
e) Pengecualian bayaran bagi tempoh enam bulan bermula 01 April 2020 hingga 30 September 2020 bagi sewaan kedai dibawah seliaan Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.
f) Pengecualian bayaran sewaan premis kerajaan seperti sewaan kantin bagi bulan Mac sehingga Jun 2020.
g) Pengecualian bayaran lesen hiburan kepada pelesen yang terkesan dan tidak dapat beroperasi bagi Mac sehingga Jun 2020.
11. Semua langkah-langkah ini diambil bagi meringankan beban kewangan mereka yang terkesan secara langsung dengan COVID-19.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Perbelanjaan Mengurus 2020
12. Bagi perbelanjaan mengurus pula, sehingga 13 November 2020 perbelanjaan mengurus adalah berjumlah RM463.9 juta iaitu 61% berbanding anggaran perbelanjaan tahun 2020. Perbelanjaan ini meliputi pembayaran emolumen, perkhidmatan dan bekalan, aset, pemberian dan lain-lain perbelanjaan.
Perbelanjaan Pembangunan 2020
13. Jumlah perbelanjaan daripada Kumpulan Wang Pembangunan pula adalah sebanyak RM74 juta atau 40.6% daripada anggaran sebanyak RM182 juta. Prestasi perbelanjaan yang rendah berkait rapat dengan pandemik COVID-19. Ada sesetengah projek fizikal tidak dapat dilaksanakan disebabkan sekatan pergerakan, dan pematuhan kepada SOP di lapangan.
14. Bagi mencergaskan lagi ekonomi domestik, Kerajaan telah melaksanakan 157 projek penyelenggaraan dan projek berskala kecil di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan melibatkan perbelanjaan sejumlah RM5 juta.
15. Sebagai bukti ketelusan dan kesungguhan kerajaan untuk mengelakkan monopoli dan memberi peluang sama rata dalam proses Perolehan, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Perolehan secara cabut undi atas talian. Kaedah ini didapati sesuai dengan suasana PKPB yang mengehadkan interaksi fizikal.
16. Kontraktor yang telah terpilih di dalam siri undian sebelumnya tidak akan tersenarai semula di dalam siri undian berikutnya. Sebanyak 3 kali undian telah dibuka melibatkan 1,169 kontraktor. Projek-projek yang terlibat adalah seperti sub bidang selenggara jalan kampung, jalan pertanian, jalan negeri dan pelbagai projek kecil. Sejumlah RM95 juta telah dibelanjakan bagi maksud ini.
17. Pelaksanaan Perolehan secara cabut undi atas talian ini menepati prinsip Islam seperti firman Allah SWT di dalam surah al-Hasyr ayat ke-7:
Maksudnya, “apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) daripada harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin serta orang-orang musafir yang terputus bekalan. (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya, maka patuhilah. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amatlah berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar laranganNya).
Yang Berhormat Tuan Speaker,
BAJET 2021 Matlamat Bajet 2021
18. Bajet 2021 dirangka dalam suasana ekonomi yang menguncup. Ancaman pandemik COVID-19 diramal akan berlarutan sehingga tahun 2021.
19. Dalam keadaan ini, kerajaan perlu memastikan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesihatan sebagai asas kesejahteraan hidup rakyat Kedah, sentiasa menjadi keutamaan. Selain itu, pemulihan ekonomi juga menjadi agenda terpenting kerajaan negeri, untuk itu, kita telah menyusun semula setiap pendekatan agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan dengan segera, sekali gus pemulihan hidup rakyat dapat diusahakan dengan lebih efisien.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Tema Bajet
20. Bajet Negeri Kedah tahun 2021 bertemakan KEDAH SEJAHTERA NIKMAT UNTUK SEMUA.
21. “Sempit bertelempu, lega berlunjur” begitulah penyediaan Bajet 2021 Negeri Kedah ini dirancang dari segi unjuran perbelanjaan, berdasarkan keupayaan kita menjana hasil negeri dalam situasi masa sekarang ini.
22. Selaras dengan petunjuk al-Quran di dalam surah al-Isra’ ayat ke-29 yang berbunyi:
Maksudnya, “dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu, dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya, kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal”.
23. Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua telah dipilih oleh kepimpinan baharu Kerajaan Negeri Kedah sebagai suatu keazaman bagi memastikan nikmat kesejahteraan yang lebih menyeluruh dapat dirasai oleh seluruh warga Kedah. Ini sangat bersesuaian dengan latar semulajadi Negeri Kedah yang indah dengan potensi sumber alam yang pelbagai sebagai asas kemakmuran untuk rakyat hidup sejahtera di bawah payung pemerintahan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah.
24. Dengan definisi yang dinyatakan di atas, konsep pembangunan masyarakat sejahtera hendaklah didukung oleh struktur yang kukuh terutama dari aspek pentadbiran, politik, sosial, ekonomi dan budaya. Ini bertujuan untuk menjamin nikmat kemakmuran, keamanan, ketenangan dan kedamaian dapat direalisasikan secara kolektif berteraskan prinsip “Maqasid Syariah”. KEDAH SEJAHTERA NIKMAT UNTUK SEMUA adalah dasar pentadbiran kerajaan negeri yang akan menjadi parameter ke arah menjadikan Kedah Darul Aman sebagai sebuah negeri yang mengutamakan agenda kesejahteraan rakyat yang boleh dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.
25. Gagasan ini adalah piawaian yang ditetapkan oleh syariat ke atas setiap pemimpin yang mentadbir sesebuah negeri berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah As Saba’, ayat 15 :
Yang bermaksud: Sesungguhnya, bagi kaum Saba’ ada tanda kekuasaan Tuhan di tempat kediaman mereka, iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan:) “Makanlah olehmu dari rezeki yang dianugerahkan Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepadaNya’. Negerimu adalah negeri yang baik, dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.”
26. Oleh yang demikian, melalui Bajet 2021 ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Agenda Memakmur dan Mensejahterakan Rakyat dengan sepenuh komitmen dan bertanggungjawab. Insya Allah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Anggaran Hasil 2021 27. Kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil pada tahun 2021 sebanyak RM720 juta. Daripada jumlah ini, RM314 juta adalah Hasil Cukai, RM246 juta adalah Hasil Bukan Cukai, dan RM160 juta adalah Terimaan Bukan Hasil.
28. Hasil Cukai adalah merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 44%. Manakala Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil pula masing-masing menyumbangkan sebanyak 34 % dan 22 %.
29. Bagi tahun 2021, hasil dianggarkan meningkat sebanyak RM18 juta bersamaan 2.5% berbanding tahun 2020.
30. Sepanjang tahun 2020, kerajaan negeri telah meneliti semua punca hasil dan merangka Pelan Tindakan Kutipan Hasil yang bersepadu. Namun, kesan daripada Pandemik COVID-19, beberapa inisiatif terpaksa ditangguhkan ke tahun 2021.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2021. 31. Bagi Bajet tahun 2021, saya mohon mencadangkan Peruntukan Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM798.8 juta. Jumlah ini meningkat sebanyak 5% atau RM39 juta berbanding tahun lalu.
32. Di bawah Peruntukan Mengurus, pecahan yang diperuntukan adalah seperti berikut:
a) Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM88.9 juta b) Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM709.9 juta
33. Daripada jumlah ini, sebanyak RM95.6 juta diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2021 34. Tahun 2021 merupakan tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12 atau RMK12. Terdapat pelbagai pelan pembangunan yang telah dirancang oleh Kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan Negeri Kedah.
35. Bersempena Belanjawan 2021 yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, kerajaan negeri menyambut baik pengumuman empat (4) projek mega dan inisiatif yang akan memberi limpahan ekonomi kepada Negeri Kedah. Projek dan inisiatif tersebut ialah pembangunan sebuah loji rawatan air di daerah Kubang Pasu, menaik taraf jalan persekutuan dari Grik ke Kulim, pembangunan infrastruktur di zon pembangunan khas daerah Yan dan Baling serta galakan pelaburan berteknologi tinggi di Kulim.
36. Kerajaan negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) merangka pelan pembangunan yang dinamakan “Kedah 2035” sebagai pelan induk bagi pembangunan di Negeri Kedah dengan visi “Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni”. Pelaksanaan Kedah 2035 ini akan bermula pada tahun hadapan. Saya berharap agar pelan ‘Kedah 2035’ dapat dibawa ke dewan yang mulia ini suatu hari nanti supaya kita sama-sama dapat memperhalusi dan memberi pandangan agar ianya menjadi agenda bersama.
37. Saya juga mohon mencadangkan anggaran Peruntukan Pembangunan berjumlah RM200.99 juta bagi Bajet 2021.
38. Kerajaan negeri telah meluluskan dua (2) vot pembangunan baru bagi tahun 2021. Pertama, vot pembangunan untuk Jabatan Perancang Bandar dan Desa atau PlanMalaysia@Kedah; dan kedua, vot pembangunan untuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah. Langkah ini bertujuan untuk mempercepatkan pelaksanaan program yang dirancang serta memperkasakan fungsi jabatan berkenaan mengikut kepakaran masing masing.
39. Mulai tahun 2021, satu Kumpulan Wang Pembangunan Hutan diwujudkan bagi memperuntukkan sejumlah peruntukan khas bertujuan untuk pembangunan hutan. Jumlah peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM8.1 juta.
40. Imbangan bagi menampung perbelanjaan bagi Kumpulan Wang Pembangunan Hutan ini adalah daripada kutipan cukai ses pembangunan hutan dan pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup.
41. Bagi Projek Pembangunan Bekalan Air pula, sebanyak RM71.9 juta diperuntukkan menggunakan pembiayaan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.
42. Dengan mengambil kira unjuran hasil, perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan kerajaan, defisit bagi tahun 2021 dianggarkan pada 11% atau bersamaan RM78.88 juta.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Teras Bajet 2021
43. Bajet 2021 akan memberi tumpuan kepada empat teras berikut:
Pertama, Mencergaskan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat;
Kedua, Mensejahterakan rakyat dan menambah baik kualiti hidup masyarakat;
Ketiga, Membina insan dan melestarikan kehidupan;
Keempat, Memantapkan tadbir urus dan meningkatkan sistem penyampaian.
TERAS PERTAMA: MENCERGASKAN EKONOMI DAN MENINGKATKAN PENDAPATAN RAKYAT
Strategi 1: Meneruskan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi 44. Kerajaan negeri komited untuk meneruskan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang telah diluluskan sebelum ini. Antaranya Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Kedah Aerotropolis, Projek Kota Perdana dan Kedah Science and Technology Park di Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (BKH SBEZ), Projek Kedah Rubber City (KRC), dan Projek Pembesaran Zon Industri Fasa 5 di Kulim Hi-Tech Park (KHTP). Kesemua projek ini akan dibiayai daripada peruntukan Kerajaan Pusat dan pelaburan pihak swasta.
45. Kerajaan negeri yakin pelaksanaan projek-projek seperti ini bakal memberi manfaat kepada ekonomi Negeri Kedah, sektor perniagaan dan pekerjaan khususnya di daerah yang berkenaan.
Strategi 2: Meningkatkan pelaksanaan projek-projek prasarana 46. Kerajaan sedar masalah bekalan air bersih telah sekian lama membelenggu kehidupan rakyat. Di kawasan-kawasan tertentu, tekanan air yang rendah menyebabkan ada yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah saban hari. Sejak mengambil alih tampuk pentadbiran, saya meletakkan penyelesaian isu air sebagai agenda utama kerajaan negeri.
47. Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa bulan sahaja, kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Pelubang, Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar Lama. Pelaksanaan projek-projek ini sepatutnya bermula tahun 2020 tetapi tertangguh kerana terdapat masalah-masalah teknikal dan kesan daripada Pandemik COVID–19.
48. Kesemua projek ini telah ditender. Dua daripadanya iaitu LRA Jenun Baru dan LRA Lubuk Buntar Lama telah diputuskan dalam Lembaga Perolehan Negeri manakala yang lain akan diputuskan dalam bulan ini. Semua projek ini dijangka dapat dimulakan pelaksanaannya pada awal tahun 2021. 49. Selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan meluluskan Projek LRA Kubang Pasu dalam Belanjawan 2021, kerajaan negeri akan mengambil tindakan proaktif agar projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi menyokong keperluan pelaburan SBEZ di Bukit Kayu Hitam.
50. Kerajaan juga telah menyiapkan Projek Telaga Tiub di Merbok yang berkapasiti satu (1) juta liter sehari (MLD). Pada masa ini, fasiliti untuk pra-rawatan air bawah tanah yang bernilai RM1.5 juta sedang dilaksanakan. Insya Allah, pada tahun 2021 penduduk di kawasan berkenaan akan menikmati tambahan bekalan air bersih.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
51. Kesemua langkah pembangunan infrastruktur dan pengurusan bekalan air tidak mungkin dapat dicapai tanpa memperkemaskan fungsi agensi-agensi yang terlibat.
52. Alhamdulillah, melalui langkah penyusunan semula Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan tekad kerajaan untuk melaksanakan sendiri proses rawatan air yang dikendalikan oleh syarikat swasta sebelum ini di Langkawi dan beberapa loji utama, langkah pemulihan tersebut telah berjaya. Setakat Oktober 2020, SADA telah berjaya membayar tunggakan dan hutang berjumlah RM79.33 juta daripada jumlah hutang terkumpul sebanyak RM147 juta dalam tempoh empat (4) bulan sahaja.
53. Berkat kesungguhan dan kecekapan kepimpinan baru kerajaan dan syarikat, saya yakin SADA akan terus melonjak dalam aspek kualiti perkhidmatan kepada rakyat dan menjana hasil kepada syarikat bagi melunaskan Pinjaman Bekalan Air kepada Kerajaan Persekutuan. Semua ini akan tercapai dengan syarat SADA tidak lari daripada matlamat asal penubuhannya dan budaya kerja yang berintegriti.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Kemudahan Jaringan Jalan dan Jambatan
54. Projek Pembesaran Jalan Suka Menanti yang dimulakan pada tahun 2019 dijangka akan disiapkan pada tahun 2021.
55. Selain itu, Projek Pembesaran Jalan Kota Sarang Semut ke Pekan Pendang telah dimulakan kerja-kerja awalan. Pengambilan balik tanah bagi lot-lot yang terlibat akan dimulakan pada awal tahun hadapan. Iklan tender akan dikeluarkan pada bulan Januari 2021. Projek ini bakal merubah wajah Pekan Pendang dan diharap dapat memberikan impak kepada ekonomi penduduk sekitar. Insya Allah.
56. Kerajaan negeri juga akan membina jalan baharu dari Jeneri ke Sik Dalam yang dianggarkan bernilai RM87 juta bagi meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan terbabit. Projek ini akan ditender pada bulan Mac 2021.
57. Sebanyak empat (4) jambatan akan dinaik taraf bagi kemudahan orang ramai. Jambatan tersebut ialah Jambatan Sungai Chepir di Batu Lima, Sik, Jambatan Sungai Pendang di Jalan Tanah Merah-Tokai, Pendang; Jambatan Sungai Kura di Jalan Lubuk Merbau, Padang Terap dan Jambatan Sungai Getah di Jalan Sungai Petani - Bukit Selambau, daerah Kuala Muda. Projek-projek ini akan ditender pada bulan Jun 2021.
58. Sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek menaik taraf jalan dan jambatan negeri. Projek tersebut meliputi menaik taraf sistem perparitan. Antaranya di Jalan Kuala Ketil ke Parit Panjang dan Jalan Bukit Tembaga ke Kuala Pai. Selain itu, di Kubang Menerong ke Kampung Tok Arang di daerah Kubang Pasu dan di Sungai Kechil Ilir ke Relau, daerah Bandar Baharu, kerajaan akan melaksanakan projek menaik taraf pembetung. Kedua-dua projek ini dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
59. Dalam pada itu, kerajaan akan melaksanakan projek melebar dan memperbaharui muka jalan di beberapa lokasi termasuk di Jalan Aliran, daerah Kulim dan Jalan Bukit Payung ke Kampung Cina, daerah Pendang. Manakala bagi projek menaik taraf persimpangan, Jalan Batu Hampar ke Jalan Pekan Yan merupakan salah satu daripada lokasi projek yang dicadangkan.
60. Sebanyak RM3.1 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja kemudahan jalan seperti pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat. Antaranya di Simpang Empat, Sedaka di Daerah Yan, Jalan Sungai Layar/Sungai Jagung di Daerah Kuala Muda, Jalan Kampung Lalang/Kampung Ulu Legong di Daerah Baling dan di Jalan Pantai Johor - Gunung Keriang di daerah Kota Setar.
Strategi 3: Pembangunan Daerah
61. Untuk tahun 2021, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas sebanyak RM8 juta bagi maksud membina atau menaik taraf prasarana seperti jalan, parit, pembentung, dewan dan gelanggang permainan di kawasan kampung, kampung dalam bandar dan kampung baru. Daripada jumlah itu sebanyak RM200 ribu diperuntukkan bagi setiap DUN untuk kerja-kerja tersebut.
Strategi 4: Pelancongan dan Pemuliharaan Warisan 62. Negeri Kedah memiliki pelbagai tarikan istimewa alam semula jadi, sejarah, warisan, budaya dan makanan yang boleh ditonjolkan sebagai produk pelancongan.
63. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi maksud naik taraf Muzium Padi, peningkatan kemudahan pelancongan dan pembangunan eko pelancongan di Baling meliputi pembangunan kemudahan di jajaran Gunung Baling dan rangkaian gua-gua seperti Gua Sireh, Gua Kelambu dan Gua Jepun.
64. Sebanyak RM4.55 juta disediakan kepada Jabatan Perhutanan untuk pembangunan Hutan Lipur, menyelenggara dan membaik pulih Taman Eko Rimba seperti Sungai Sedim, Lata Bukit Hijau, Lata Mengkuang, Titi Hayun dan Bukit Wang.
65. Bagi membantu pengusaha taman-taman tema di Langkawi, kerajaan negeri telah menghapuskira tunggakan cukai hiburan yang perlu dibayar bagi membolehkan pengusaha menggunakan jumlah tersebut untuk menaik taraf kemudahan taman tema mereka.
66. Peruntukan untuk menaik taraf jalan-jalan negeri bagi menyokong aktiviti sukan berbasikal terutama bagi laluan pelancong daripada Sungai Petani ke Tanjung Dawai, Pantai Merdeka dan kaki Gunung Jerai yang menjadi pilihan laluan penunggang basikal setiap hujung minggu. Secara tidak langsung aktiviti perniagaan setempat dapat dimajukan dengan kedatangan pelancong berbasikal termasuk dari luar Kedah.
67. Bagi tahun 2021, beberapa laluan baru akan dimajukan seperti dari Pekan Jeniang ke Tasik Beris, Kulim ke Mahang dan Selama. Strategi 5: Jaminan Pengeluaran Makanan
68. Bagi meningkatkan pendapatan rakyat khususnya pesawah dan petani di luar kawasan MADA, peruntukan sebanyak RM5.65 juta disediakan untuk;
Pertama:
Pembangunan Industri Padi seperti di Jilid 4 Merbok, Padang Balai di Padang Terap, Sidam Kanan di Kulim dan Kampung Lintang di Sik.
Kedua: Pembangunan dusun buah-buahan di daerah Bandar Baharu dan Sik. Ketiga: Projek sayuran dan tanaman ladang di daerah Baling dan Pokok Sena.
69. Bagi menggalakkan golongan belia melibatkan diri dalam bidang pertanian secara komersial, kerajaan memberi suntikan modal, bantuan peralatan dan khidmat nasihat. Misalnya dalam pertanian cili fertigasi yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kedah, antara usahawan tani yang berjaya dalam bidang ini ialah Encik Hafif di Semeling dan Encik Safri di Pedu.
70. Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Mukim Gajah Mati, Pokok Sena dan di Bukit Perak, Pendang akan dinaik taraf sebagai kawasan pengeluaran yang berdaya saing. Pada masa ini, terdapat 17 usahawan yang berjaya mengusahakan sektor penanaman nanas, cili fertigasi, sayur-sayuran, jagung dan nangka madu.
71. Untuk memastikan bekalan daging mencukupi, Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM6 juta untuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tahun 2021.
72. Projek Pemulihan Padang Ragut di Bukit Selambau, Binjol Dalam, Sungai Setar, Kampung Budi dan Kampung Besah bagi kemudahan penternak mendapatkan bekalan rumput.
73. Kerajaan juga akan memperkenalkan program kebajikan haiwan pada tahun 2021. Sejumlah RM80 ribu disediakan bagi menguruskan haiwan-haiwan liar.
74. Sebanyak RM750 ribu disediakan untuk menaik taraf Pejabat Veterinar Daerah di Kuala Muda dan memulakan projek pembinaan Pejabat Veterinar kawasan Kuala Ketil bagi memberi kemudahan kepada penternak di kawasan berkenaan. Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan yang dihormati sekalian,
TERAS KEDUA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT DAN MENAMBAH BAIK KUALITI HIDUP MASYARAKAT
Strategi 1: Program Kedah Sejahtera
75. Bagi memastikan tiada rakyat Negeri Kedah yang terputus bekalan makanan asas, kerajaan negeri memperkenalkan Program Beras Sejahtera dengan memperuntukkan sebanyak RM2.16 juta. Melalui program ini, setiap keluarga yang layak akan diberikan bantuan makanan bernilai RM50 yang akan membantu 100 keluarga di setiap DUN pada setiap bulan. Ini dapat membantu kira-kira 3,600 keluarga pada setiap bulan.
Mengikat setia sehidup semati, Kasih diikat hingga syurga, Lahirnya anak permata hati, Membawa bahagia seluruh keluarga.
76. Kelahiran anak adalah kegembiraan kepada ibu bapa dan keluarga. Bagi meraikan kegembiraan ini, kerajaan negeri memperkenalkan Program Anakku Sejahtera dengan peruntukan sebanyak RM1 juta mulai tahun 2021. Bagi mereka yang layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan, setiap kelahiran akan menerima simpanan SSPN sebanyak RM100 secara one-off. Kerajaan ingin menggalakkan tabungan awal bagi membiayai kos pengajiannya kelak. Tabung ini boleh ditunaikan setelah berumur 18 tahun.
77. Sebanyak RM24.82 juta disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah bagi membiayai bantuan am bulanan, bantuan bencana, bantuan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) dan Rumah Orang-orang Tua.
78. Sebagai penghargaan kepada golongan wanita, kerajaan turut menyediakan sejumlah RM500 ribu untuk Tabung Wanita Sejahtera dalam bentuk sumbangan modal kepada wanita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi tujuan menambah baik perniagaan masing-masing. Dengan itu, Kak Ton, Kak Cah, Kak Su dan Kak Sab tidak terkecuali Kak Salmee boleh memohon bantuan modal bagi memulakan perniagaan cucur peneram, laksa, bahulu dan putu buluh.
Keluargaku Sejahtera
79. Keprihatinan kerajaan kepada warga yang terlantar sakit tidak pernah luntur. Dengan demikian, kerajaan menyediakan bantuan khas melalui Program Keluargaku Sejahtera.
80. Bagi mengurangkan beban tanggungan kewangan penjaga pesakit terlantar ini, kerajaan negeri menyokong langkah yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan dan menyediakan bantuan tambahan antara RM100 hingga RM300 mengikut kelayakan pesakit setiap bulan. Ini sebagai tambahan kepada bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan di dalam Belanjawan 2021.
81. Kepada yang memerlukan bantuan membeli peralatan sokongan untuk rawatan perubatan, kerajaan negeri turut menyediakan RM500 ribu untuk bantuan membeli peralatan perubatan kepada golongan miskin di Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Sultanah Maliha dan Hospital Kulim.
82. Selain orang kelainan upaya, warga emas juga mendapat perhatian kerajaan. Alhamdulillah, Rumah Seri Kenangan, Bedong yang menempatkan warga emas sedang dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih baik dan selesa.
83. Sebagai usaha menyantuni warga emas Islam yang tidak mempunyai waris, kerajaan negeri merancang membaiki kemudahan Rumah Orang-orang Tua di Kulim pada tahun 2021 dengan jalinan kerjasama antara kerajaan negeri, Lembaga Zakat Negeri Kedah dan pihak swasta. Pusat ini akan dikendalikan oleh NGO dan dikawal selia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
84. Pandemik COVID-19 memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah. Ramai kehilangan pekerjaan dan mengambil peluang berniaga kecil-kecilan. Kerajaan melalui Program Sejahtera Penjaja akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menyediakan tapak-tapak niaga di lokasi terpilih. Contohnya di Taman Kempas, Sungai Petani. Berikutan itu juga, kerajaan telah mengumumkan lima (5) bandar utama di Kedah adalah kawasan bebas berniaga. Langkah ini akan diikuti oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Negeri Kedah sedikit masa lagi.
85. Menyedari beratnya tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kerajaan negeri memutuskan untuk terus menyalurkan bantuan mengurus kepada setiap Pusat Khidmat ADUN Kerajaan sebanyak RM8 ribu sebulan. Kerajaan juga tidak meminggirkan ADUN-ADUN Pembangkang sebagai komponen sistem demokrasi yang kita amalkan. Untuk itu, buat pertama kali dalam sejarah pentadbiran negeri, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 ribu sebulan sebagai bantuan belanja mengurus Pusat Khidmat ADUN-ADUN Pembangkang.
86. Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan di bawah B.02 sebanyak RM1 juta kepada setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi kawasan DUN dan portfolio masing-masing, RM150 ribu kepada setiap ADUN Kerajaan dan RM100 ribu untuk Penyelaras DUN. Dalam hal ini kerajaan tidak meminggirkan peranan ADUN-ADUN Pembangkang. Peruntukan turut disediakan kepada setiap ADUN Pembangkang bagi menyantuni golongan yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing sebanyak RM50 ribu
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Strategi 2: Program Pembangunan Sosial
87. Kerajaan mendapati masih ramai penduduk di negeri ini yang mendiami rumah uzur. Sesetengahnya tidak lagi sesuai untuk dijadikan kediaman. Untuk itu, kerajaan menyediakan peruntukan RM2 juta untuk membaiki rumah-rumah berkenaan, yang akan dilaksanakan secara bergotong-royong.
Bulat air kerana pembetung Bulat manusia kerana muafakat Kerajaan prihatin rakyat beruntung Berganding bahu beroleh berkat
88. Bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan penghuni Perumahan Awam Negeri, kerajaan menyediakan peruntukan bagi membaiki, menyelenggara dan menaik taraf Skim Perumahan Awam. Sebanyak RM3 juta disediakan untuk tujuan itu bagi tahun 2021.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Di dalam surah Al-Alaq ayat pertama, Allah berfirman:
Yang bermaksud, “bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakanmu”.
89. Bertepatan dengan ayat tersebut, sebanyak RM6.3 juta akan disalurkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah, dalam merealisasikan impian kerajaan untuk melahirkan masyarakat berilmu dan suka membaca. Selain membiayai kos operasi, fokus turut diberikan untuk menyelenggara 48 bangunan Perpustakaan Desa dan menambah baik kemudahan digital di setiap perpustakaan daerah. Ini bertujuan menghidupkan budaya ilmu.
Strategi 3: Pencegahan Banjir 90. Isu banjir sentiasa menjadi igauan buruk kepada penduduk di beberapa kawasan. Kerosakan harta benda dan kerugian wang ringgit terpaksa ditempuhi setiap kali dilanda banjir. Kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar dalam menangani isu ini. Alhamdulillah, Projek Tebatan Banjir yang telah disiapkan banyak membantu mengurangkan kesusahan mereka.
91. Walau bagaimanapun, sebahagian kawasan di daerah Kulim, Baling dan Kuala Muda masih berlaku banjir kilat. Untuk tahun 2021 sebanyak RM4.4 juta disediakan untuk Projek Tebatan Banjir.
92. Kajian Pelan Induk bagi saliran Hutan Kampung, Sungai Karangan, Kedawang dan Jitra akan dimulakan pada tahun 2021 sebagai permulaan kepada perancangan pembangunan Program Tebatan Banjir dalam RMK-12.
93. Bagi tahun 2021, berikut adalah antara Program Tebatan Banjir yang telah dirancang:
a) RTB Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani b) RTB Kampung Siam/Sungai Seluang, Kulim c) RTB Kampung Alor Tok Pasai, Kota Setar d) RTB Kampung Berapit, Kuala Muda e) RTB Kampung Sungai Sok, Kampung Landai Sik f) Sungai Titi Teras, Yan g) Kampung Siputeh, Baling h) Kampung Relau, Bandar Baharu i) Kampung Telok, Kubang Pasu j) Kampung Bukit Hijau, Pokok Sena
94. Sejumlah RM1 juta lagi diperuntukkan untuk program pemulihan kerosakan akibat dilanda banjir.
95. Peruntukan lain berkaitan Skim Saliran Sungai dan pengairan adalah:
a) Sejumlah RM1 juta untuk Program Pemuliharaan Sungai.
b) Sejumlah RM1 juta untuk Program Pemuliharaan Muara Sungai Kuala Kangkong, Sungai Tepa, Sungai Jerlun, Sungai Kuala Yan untuk memudahkan pergerakan bot-bot nelayan.
c) Sejumlah RM2.2 juta bagi Program Peningkatan Skim Pengairan dan Saliran Sawah Padi luar MADA, antaranya naik taraf sistem pengairan di Kampung Iboi, Kupang, Baling; Skim Pinang Tunggal, Skim Pengairan Singkir dan Skim Pengairan Kampung Terat Batu.
d) Sejumlah RM2.43 juta bagi melaksanakan 16 projek bawah Program Peningkatan Sistem Pengairan Luar Skim. Antaranya projek di Kampung Landai, daerah Sik, Kampung Baru, Mukim Lesong, Skim Bayas di daerah Langkawi, Sungai Jagung di Sungai Petani dan Kampung Paya Selamat di daerah Bandar Baharu. Yang Berhormat Tuan Speaker, 96. Soal keselamatan sudah tentu menjadi keutamaan kerajaan negeri, terutama bagi mereka yang mendiami kawasan pantai di negeri ini. Atas rasa prihatin dan simpati untuk membantu golongan ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk kerja mencegah hakisan di pantai Kuala Jerlun, Dulang, Singkir Laut, Ruat dan Kampung Bahagia.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
TERAS KETIGA: MEMBINA INSAN DAN MELESTARIKAN KEHIDUPAN
Strategi 1: Pembangunan Pendidikan 97. Sebagai sebuah negeri yang menerima Islam paling awal di Semenanjung, Institusi Pendidikan Islam sedia ada akan terus diperkasakan. UniSHAMS akan menjadi paksi kepada pendidikan Islam di negeri ini bersama-sama Institusi Sekolah Agama, Pondok dan Pusat Tahfiz sedia ada sebagai pusat pembangunan modal insan.
98. Kerajaan negeri menjenamakan inisiatif pembangunan insan ini sebagai program “Cordoba of Kedah” dengan menjadikan UniSHAMS sebagai hab pendekatan bersepadu untuk membangunkan pendidikan berteraskan sains, teknologi dan agama. Matlamat kita adalah melahirkan anak-anak Kedah pada masa hadapan yang berketerampilan dalam pelbagai bidang ilmu dengan berkeperibadian unggul atau “The Towering Personality” dengan izin. Inilah ciri-ciri yang kita idamkan untuk anak-anak kita yang akan kita wariskan negeri ini pada masa hadapan.
99. Dengan itu, saya yakin kita semua akan bersetuju untuk menyediakan peruntukan yang besar berdasarkan kemampuan kita bagi merealisasikan hasrat itu. Untuk tahun 2021, kerajaan negeri menyediakan peruntukan mengurus sebanyak RM9.5 juta kepada UniSHAMS. Termasuk dalam perancangan ini ialah untuk membina bangunan asrama UniSHAMS untuk kemudahan 2,000 pelajar. Asrama itu akan dibina di atas tapak sedia ada melalui kerjasama dengan pelabur swasta.
100. Bagi pembangunan pendidikan menengah, sejumlah RM29 juta akan disalurkan kepada Lembaga Maktab Mahmud. Peruntukan ini digunakan untuk membiayai kos operasi, pengurusan sekolah dan keperluan pembelajaran selain program dan pembangunan murid. Pada masa ini, ada seramai 200 guru dengan 28 kakitangan dan 5,400 pelajar diuruskan Lembaga Maktab Mahmud.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
101. Bagi memperkasakan operasi Maahad Tahfiz Sains Darulaman di Kulim, yang telah dibina sejak 2008, kerajaan negeri merancang untuk menggantikan bangunan sedia ada secara berperingkat. Pembangunan Maahaad Tahfiz Sains Darulaman telah disenaraikan sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan RMK-12. Tahun 2021 akan menjadi tahun permulaan bagi perancangan pembinaan bangunan bilik darjah, asrama putera dan asrama puteri. Kos keseluruhan pembangunan semula ini dianggarkan bernilai RM40 juta.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
102. Bagi merancakkan usaha memartabatkan institusi pendidikan di negeri ini, kerajaan merancang untuk membina sebuah maahad tahfiz khusus bagi menempatkan anak-anak kita yang berminat dalam bidang vokasional di samping memantapkan jiwa dengan Al-Quran. Pembinaan Maahad Tahfiz Vokasional di Sik akan dimulakan tahun hadapan. Tapak untuk projek ini telah dikenal pasti dan kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas di bawah Lembaga Maktab Mahmud dan sedang memperincikan pelan pembangunan maahad ini.
103. Selama ini, ramai pelajar aliran agama menamatkan pengajian agama setakat Tingkatan 5 sahaja. Kerajaan negeri telah meneliti keperluan dan membuat keputusan selari dengan perkembangan arus perdana untuk mewujudkan Kolej Tingkatan 6 bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Kupang, Baling. Insya Allah dijangkakan, proses pembelajaran akan dapat dimulakan pada tahun 2022.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
104. IQDAR adalah institusi tahfiz milik Kerajaan Negeri Kedah yang tersohor dan telah menerima banyak pengiktirafan. Kerajaan negeri amat berbangga dengan pencapaian ini. IQDAR akan dinaik taraf dalam perancangan RMK-12. Kajian keperluan dan perancangan untuk institusi ini akan dijalankan bagi pembinaan bangunan asrama pada tahun 2021. Peruntukan bagi pengurusan IQDAR telah disediakan sebanyak RM3.2 juta.
105. Pada sidang dewan yang lalu, Lembaga Biasiswa Negeri Kedah telah dibubarkan dan digantikan dengan Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah di bawah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Seksyen ini menguruskan bantuan biasiswa kepada pelajar sekolah menengah miskin yang layak mengikut kategori daripada RM600 sehingga RM715 . Bantuan ini telah memberi manfaat kepada 250 hingga 300 pelajar setiap tahun.
106. Seksyen ini turut memberikan kemudahan pinjaman bagi menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi pada kadar maksimum RM7,500 setahun. Peruntukan sebanyak RM500 ribu disediakan bagi maksud ini.
107. Kerajaan negeri juga akan meneruskan program bantuan secara one-off bagi kemasukan ke IPT sebanyak RM300 seorang pada tahun 2021. RM1 juta disediakan untuk maksud ini. Tidak ketinggalan juga peruntukan sebanyak RM300 ribu turut disediakan untuk bantuan tiga Sekolah Persendirian Cina.
Strategi 2 : Pembangunan Ummah
108. Peranan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) telah diperkukuhkan melalui fokus kepada pengurusan masjid/surau, program dakwah, pendidikan, pembangunan keluarga Islam dan juga pensijilan halal.
109. Untuk tahun 2021, kerajaan memperuntukkan RM10.9 juta bagi bayaran elaun pegawai-pegawai masjid dan RM3.5 juta kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) bagi menampung kos operasi.
110. Di bawah program pengurusan masjid/surau, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2.25 juta. Peruntukan ini bagi menambah baik prasarana sedia ada.
111. Untuk pendidikan rendah Islam, peruntukan sebanyak RM500 ribu disediakan bagi menambah baik kemudahan tadika Islam dan kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Pada tahun ini, kerajaan negeri telah menambah baik pengurusan tadika Islam. Tadika Nury telah diserapkan sebagai tadika Islam dengan struktur perjawatan dan skim gaji baharu. Seramai 44 guru dan pembantu tadika telah menikmati faedah ini. Kerajaan juga menyediakan kemudahan kepada semua tadika terbabit.
112. Tiga (3) projek telah dirancang bagi meningkatkan infrastruktur pentadbiran Islam;
i) Pusat Penyembelihan Bersepadu
Hasil penelitian Unit Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), didapati sebahagian premis penyembelihan ayam tidak mempunyai sijil halal. Bagi memastikan isu ini tidak berlarutan, JHEAIK akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membina Pusat Penyembelihan Bersepadu bagi memastikan penyembelihan ayam memenuhi kriteria halal yang ditetapkan oleh syarak dan pihak kerajaan. ii) Pusat Tahanan Sementara Bagi mengekang aktiviti tidak bermoral, JHEAIK akan meningkatkan operasi penguatkuasaan. Sehubungan itu, sebuah Pusat Tahanan Sementara akan diwujudkan bagi menempatkan orang kena tuduh (OKT) sebelum dihadapkan ke mahkamah. Kemudahan ini diperlukan bagi memenuhi prosedur penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada. iii) Pusat Pemulihan Akidah Kes-kes penyelewengan dan ajaran sesat berlaku dalam masyarakat Islam. Kerajaan merancang untuk mewujudkan Pusat Pemulihan Akidah bagi membina kefahaman sebenar di kalangan mereka yang didapati bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Strategi 3: Memperkasa Mahkamah Syariah dan Pejabat Agama 113. Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker, kapasiti mahkamah syariah sedia ada tidak dapat menampung bilangan kes yang bertambah saban tahun. Ekoran peningkatan bilangan kes di mahkamah syariah, kerajaan merancang membina sebuah Mahkamah Tinggi Syariah di daerah Kuala Muda dan sebuah Mahkamah Rendah Syariah di daerah Bandar Baharu. Peruntukan awal sebanyak RM1 juta disediakan bagi kerja-kerja reka bentuk dan kerja ukur tanah untuk projek ini.
114. Kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi kerja-kerja menaik taraf Bangunan Wan Mat Saman dan Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu. Ini adalah bagi menyediakan ruang kerja yang lebih kondusif untuk kakitangan dan orang ramai yang berurusan di situ.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Strategi 4: Pembangunan Sukan 115. Sukan bola sepak adalah sukan nombor satu Negeri Kedah. Sepanjang tahun 2020, kita menghadapi cabaran besar dalam aspek kewangan dan pengurusan pasukan. Sewaktu mengambil alih kerajaan dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), kita menghadapi tunggakan gaji dan hutang berjumlah lebih RM10 juta.
116. Dengan iltizam dan kesungguhan pengurusan baru KFA dan sokongan kerajaan negeri, kemelut ini berjaya dipulihkan. Semua tunggakan gaji dan pembiayaan sukan telah dilunaskan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM16 juta.
117. Saya merakamkan tahniah dan syabas kepada KFA dan Pasukan Bola Sepak Hijau Kuning di atas pencapaian menduduki tangga kedua Liga Super. Para pemain telah membuktikan semangat juang yang tinggi bagi membalas segala usaha persatuan melunaskan tunggakan gaji mereka.
118. Saya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat dan penyokong yang terus menerus menzahirkan sokongan mereka kepada sukan nombor satu negeri ini. Saya yakin sekiranya Piala Malaysia diteruskan, Kedah mampu membawa balik piala berprestij itu sekali lagi ke bumi bertuah ini.
119. Atas kepentingan sukan kepada kehidupan rakyat, sejumlah RM8 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi menjalankan program pembangunan atlet dan melahirkan bakat-bakat yang berpotensi mewakili negeri dalam pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan. Ini juga sebagai persediaan bagi menghadapi SUKMA 2022 yang akan diadakan di Johor Baharu.
120. Prasarana sukan sedia ada perlu ditambah baik dari masa ke masa. Sebanyak RM2.2 juta diperuntukkan untuk kerja naik taraf kemudahan Stadium Darulaman, Kompleks Sukan Sultan Abdul Halim, Kompleks Sukan Mu’adzam Shah, Kompleks Akuatik dan Padang Lawn Bowl.
121. Sejumlah RM1 juta diperuntukkan untuk membina sebuah asrama atlet di Alor Setar. Selain itu, RM500 ribu diperuntukkan untuk kerja naik taraf dan baik pulih prasarana sukan di peringkat daerah.
122. Sebanyak RM2 juta pula diperuntukkan kepada Perbadanan Stadium untuk menguruskan semua kemudahan sukan sedia ada.
123. Sebagai jawapan kepada isu litar lumba di Sungai Petani yang tidak selesai sejak beberapa tahun yang lalu, kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk kembali kepada rancangan asal membina Litar Rakyat sebagai salah satu solusi kepada aktiviti lumba haram.
Peruntukan sedia ada sebanyak RM20 juta akan digunakan bagi menyiapkan beberapa prasarana seperti litar drag race, bonded area, litar perlumbaan lasak pacuan empat roda, litar motor cross, dan litar mountain bike.
124. Manakala komponen lain seperti kawasan komersial, pusat pameran, pusat jualan, sudut pelancaran kenderaan bermotor jenama baharu, akan turut dibina. Sektor swasta akan dilibatkan sekiranya peruntukan sedia ada tidak mencukupi.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
125. Inisiatif ‘Kedah Sihat’ akan dilancarkan dengan kerjasama semua Pihak Berkuasa Tempatan bagi menyediakan kemudahan aktiviti riadah terutamanya di hujung minggu. Jalan-jalan di lokasi terpilih di setiap daerah akan ditutup pada pagi Jumaat dan Sabtu bagi membolehkan orang ramai melakukan aktiviti riadah.
Strategi 5: Pemuliharaan Hutan, Sungai dan Alam Sekitar
126. Kita bersyukur kerana Negeri Kedah dianugerahkan khazanah alam yang begitu bernilai, termasuk kawasan hutan yang seluas 342 ribu hektar. Hutan kita bukan sahaja menjadi kawasan tadahan bagi sumber bekalan air untuk kegunaan domestik, industri dan pertanian di negeri kita, bahkan juga turut dinikmati oleh Negeri Perlis dan Pulau Pinang.
127. Sebanyak RM8.1 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bagi menguruskan hutan secara lestari termasuk memperkasakan operasi penguatkuasaan.
128. Bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor pembalakan, sebagai alternatif kerajaan negeri akan menyertai mekanisme REDD Plus yang akan dibangunkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA). Mekanisme ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara pada 8 September lalu. Kerajaan negeri telah memberi komitmen dan bersedia untuk menyertai masyarakat antarabangsa bagi menangani kesan perubahan iklim dan pembebasan gas rumah hijau. REDD Plus dijangka mampu mendatangkan hasil baharu, antara USD 4 hingga USD 8 juta setahun dengan jumlah keluasan hutan yang kita miliki. Sumbangan Kerajaan Negeri Kedah kepada masyarakat antarabangsa dalam usaha mengekang kesan pemanasan global tidak hanya dapat diukur dengan wang ringgit tetapi sebagai tanggungjawab bersama melestarikan kehidupan manusiawi.
129. Ke arah menghijaukan dunia ini, kerajaan akan memperkenalkan Program Clean and Green Community “Kampungku Sejahtera” (dengan izin). Melalui program ini, setiap komuniti digalakkan untuk mengadakan gotong-royong pembersihan dan mengindahkan kawasan kejiranan masing-masing. Kerajaan negeri akan menyediakan insentif kepada komuniti yang terpilih pada setiap tahun.
Yang Berhormat Tuan Speaker, TERAS KEEMPAT : MEMANTAPKAN TADBIR URUS DAN MENINGKATKAN SISTEM PENYAMPAIAN
130. Anggota perkhidmatan kerajaan negeri adalah tonggak utama dalam melaksanakan dasar dan agenda pembangunan yang dirancang. Strategi 1: Pemerkasaan Penyampaian Perkhidmatan Awam 131. Sebanyak RM277 juta diperuntukkan sebagai bayaran emolumen kepada 5,000 penjawat awam negeri. Sejumlah RM14.7 juta turut disediakan untuk kerja naik taraf dan baik pulih pejabat-pejabat kerajaan. Peruntukan ini juga termasuk kerja-kerja membina dan menaik taraf pejabat-pejabat Penghulu Mukim yang telah dikenal pasti.
132. Kebajikan kakitangan sentiasa menjadi keutamaan. Sehubungan itu, sejumlah RM2.5 juta disediakan bagi kerja-kerja naik taraf kuarters kerajaan negeri.
133. Manakala RM146 juta pula diperuntukkan untuk perkhidmatan dan bekalan, bayaran utiliti, bekalan pejabat, kawalan keselamatan dan kos penyelenggaraan pejabat.
134. Bagi melancarkan proses pentadbiran, kerajaan menyediakan sejumlah RM11.4 juta bagi pembelian peralatan kerja, kelengkapan pejabat, komputer, jentera dan kenderaan. Semua perkara ini disediakan mengikut Pelan Penggantian Aset yang telah ditetapkan. Yang Berhormat Tuan Speaker, Strategi 2: Pendigitalan Perkhidmatan Awam Negeri 135. Selaras dengan program Kedah Digital dan Kedah Produktif, kaedah ‘super form’ dan permohonan secara atas talian akan diperkenalkan. Langkah ini dijangka dapat memendekkan tempoh memproses dan mendapatkan kelulusan permohonan ubah jenis kegunaan tanah dalam tiga (3) bulan sahaja berbanding lebih setahun sebelum ini.
136. Sejumlah RM2 juta disediakan untuk program Kedah Net yang akan dilaksanakan di 78 jabatan dan agensi kerajaan negeri dengan kelajuan minima 10Mbps.
137. Sebuah gerbang aplikasi yang dikenali sebagai iKEDAH telah diwujudkan pada pertengahan tahun 2020. Aplikasi mudah alih ini berperanan sebagai one stop centre untuk urusan pembayaran, data, maklumat dan pelbagai urusan berkaitan perkhidmatan kerajaan negeri. Komponen iKEDAH meliputi iBAYAQ, iPERMIT, iDAFTAR, iBERITA, iTENDER, iJEMPUT, iADUAN, iSUKA, iUMUM, iCUTI, dan iINFO.
138. Dalam tempoh pandemik COVID-19, kebanyakan urusan pembayaran cukai tanah tidak dapat dilaksanakan di kaunter pejabat. Bagi mengatasi isu ini, kerajaan telah memperkenalkan pembayaran atas talian melalui portal gerbang pembayaran yang dikenali sebagai iBAYAQ.
Alhamdulillah, kaedah ini telah membantu memudahkan dan mempercepatkan urusan pembayaran cukai tanah. Sejak diperkenalkan, iBAYAQ telah merekodkan kutipan hasil tanah sebanyak RM1.5 juta melibatkan 7 ribu transaksi.
139. Mulai bulan November 2020, kerajaan negeri telah meluaskan penggunaan iBAYAQ untuk bayaran perumahan awam. Untuk tahun 2021, perkhidmatan ini akan diperluaskan kepada lain-lain pembayaran di pelbagai jabatan, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain agensi kerajaan negeri.
140. Kerajaan juga telah meluluskan penggunaan aplikasi iPERMIT bagi permohonan memasuki hutan simpan bagi tujuan tertentu. Orang ramai tidak lagi perlu berurusan di Pejabat Perhutanan Daerah untuk mendapatkan permit memasuki hutan simpan.
141. Sistem pendaftaran kontraktor yang telah dibangunkan pada tahun 2020 akan dijadikan platform dan diintegrasikan dengan sistem iDAFTAR. Sistem iDAFTAR membolehkan pembekal mendaftar dan mengiklankan produk dan perkhidmatan dalam talian serta boleh dijadikan sumber untuk jabatan membuat kajian pasaran dalam proses perolehan bekalan dan perkhidmatan jabatan.
142. Pengurusan data perlu diberi keutamaan masa kini. Kerajaan negeri juga tidak mahu ketinggalan kerana yakin pengurusan data yang cekap dapat membantu mempercepatkan semua urusan dengan rakyat. Sehubungan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk membangunkan semula data hasil negeri secara bersepadu. Semua data hasil di pelbagai jabatan akan dikemaskini dan diletakkan di bawah satu pangkalan data sahaja bagi kemudahan semua pihak.
143. Bagi data rancangan pembangunan, PLANMalaysia Negeri Kedah diperuntukkan RM500 ribu untuk menyediakan pelan pembangunan bagi kawasan terpilih, kawasan pelancongan dan pembangunan data geospatial. Peruntukan turut disediakan untuk pembangunan Sistem GIS Pembangunan Tanah di bawah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah berjumlah RM500 ribu.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Strategi 3: Penghargaan dan Kebajikan Penjawat Awam Negeri
144. Kerajaan negeri mengakui kakitangan awam negeri komited melaksanakan semua dasar dan arahan kerajaan seperti menguruskan Pusat Kawalan Operasi Bencana ketika pendamik COVID-19, penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan dan melaksanakan projek - projek pembangunan yang dirancang sepanjang tahun 2020.
145. Bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka, Kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1 ribu seorang kepada semua penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri. Bantuan Khas Kewangan ini akan melibatkan peruntukan sejumlah RM5.6 juta dan akan dibayar pada Disember 2020.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Izinkan saya merangkumkan inisiatif Bajet 2021 yang memberikan faedah langsung kepada rakyat dalam satu kisah yang saya nukilkan untuk memudahkan kefahaman kita semua. Nama-nama yang saya sebutkan di sini tidak ada kaitan samada yang telah mati ataupun yang hidup.
146. Hari ini saya bawa ke Dewan yang mulia kisah Kak Ton seorang rakyat di Negeri Kedah di mana Kak Ton tinggal di daerah mana atau di Dun mana saya tak akan bagitau. Kak Ton menyara hidup keluarga dengan berniaga cucur peneram. Suaminya Abang Nasir pula bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu, salah satu lokasi perniagaan Kak Ton ialah di Pekan Asun. Kesan daripada Pandemik Covid-19, ‘business’ Kak Ton terjejas dengan teruk.
Sebagai rakyat Negeri Kedah Kak Ton layak dibantu melalui Skim Wanita Sejahtera dibawah Program Suntikan Modal Perniagaan sebanyak RM500. Tahniah Kak Ton. Mujur Kak Ton seorang yang celik maklumat dan sering mengikuti maklumat melalui usaha-usaha yang kerajaan buat melalui pemaparan dalam Warta Kedah dan juga facebook Urusetia Penerangan Darul Aman, UPDA. Kak Ton mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan seperti beliau. Selain Skim Wanita Sejahtera, Kak Ton juga layak menerima bantuan beras sejahtera bernilai RM50 setiap bulan. Dalam keadaan perniagaan cucur peneram yang terjejas teruk, Kak Ton didapati mengandung dan akan mendapat rezeki baru. Dia dijangka akan bersalin tidak lama lagi. Kak Ton dimaklumkan oleh pihak hospital dia bakal menimang anak perempuan lalu Kak Ton dan Abang Nasir bercadang menamakan anak mereka Sabrina. Kak Ton sudah berkira-kira sebaik melahirkan nanti dia minta Abang Nasir terus mendaftar anak mereka dibawah Program Anakku Sejahtera.
Dengan itu, Sabrina akan mendapat RM100 sumbangan kerajaan untuk tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Insya-Allah kalau ada rezeki keluarga Kak Ton mungkin akan dapat hadiah cabutan bertuah kereta Mercedes pula melalui SSPN. Satu hari telah ditakdirkan Allah Abang Nasir ditimpa kemalangan, Kak Ton susah hati kerana kecederaan yang dialami oleh Abang Nasir, suaminya agak parah dan memerlukan belanja yang banyak untuk rawatan. Mujur setelah merujuk kepada Adun di tempatnya Kak Ton diberitahu Abang Nasir layak menerima bantuan peralatan perubatan untuk warga miskin, memasang implan pada kakinya yang cedera teruk. Kos pemasangan implan itu sebanyak RM2,000 dan akan dibantu oleh kerajaan negeri.
Suraya, anak sulung Kak Ton mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Dia menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke UNISHAM. Bagi meringankan beban keluarga Kak Ton, kerajaan negeri memberi RM300 dibawah Skim Bantuan Melanjutkan Pengajian ke IPT. Bukan itu sahaja, Suraya juga dibantu dengan kemudahan pinjaman sebanyak RM7,500 daripada Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah.
Asmirul, anak kedua Kak Ton sangat berminat dalam sukan permotoran dan sering merempit. Kegemarannya berlumba di jalan raya sering membuatkan Kak Ton berasa bimbang. Satu hari Asmirul berkongsi cerita dengan ibunya mengenai cadangan kerajaan untuk membina litar rakyat di Sungai Petani. Kak Ton berasa lega apabila Asmirul berkata dia akan mencuba bakatnya di litar itu dan tidak akan berlumba di jalan raya lagi. Kata Asmirul dia mahu menjadi pelumba professional dan bercita-cita mahu mewakili Petronas dalam Perlumbaan Cub Prix di Bangkok pada tahun depan.
Aishah anak ketiga Kak Ton yang sedang belajar di Maktab Mahmud juga seperti kakaknya Suraya cemerlang dalam pelajaran. Kecemerlangan Aishah membolehkan dia mendapat biasiswa RM600 setahun daripada Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri. Firdaus anak Kak Ton yang berusaha 6 tahun sudah kelihatan bakat mahu menjadi ustaz. Dia dihantar belajar di Tadika Islam. Walaupun kurang mampu, Kak Ton amat mementingkan pendidikan agama kepada anaknya. Kak Ton dan Abang Nasir sudah berkira-kira untuk menghantar Firdaus belajar Tahfiz di Iqdar pada satu hari nanti. Walaupun hidupnya sendiri boleh dikira susah, Kak Ton tetap mengambi berat akan keadaan ibunya Makcik Salmee yang sudah bertahun-tahun terlantar sakit. Sebagai warga uzur, Makcik Salmee memang sudah sedia menerima bantuan daripada JKM namun sebagai penjaga Kak Ton sendiri layak menerima bantuan RM300 sebulan daripada kerajaan bagi meringankan beban menjaga ibunya. Melihat keadaan rumah Kak Ton sesiapa pun akan berasa sedih. Bumbung bocor di sana sini dan ada bahagian yang sudah reput dimakan anai-anai. Atas bantuan Adun di tempatnya Kak Ton menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM5,000 untuk membeli perkakas membaiki rumahnya. Adun juga mengatur kerja gotong royong untuk membaiki rumah Kak Ton. Kak Ton sekadar mengeluarkan belanja menjamu bihun sup, air kopi dan cucur peneram sahaja bagi meraikan bantuan dan sikap muafakat jiran-jirannya.
Alhamdulillah semangat Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua yang dilaungkan dalam slogan kerajaan negeri, keluarga Kak Ton layak menerima bantuan berjumlah RM20,200 untuk tahun depan.
PENUTUP
Yang Berhormat Tuan Speaker,
147. Tahun 2021 merupakan tahun pertama RMK-12. Kerajaan negeri akan berusaha menggembleng tenaga semua jabatan negeri dan persekutuan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri dan pihak swasta memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat selaras dengan slogan
“Kedah Negeri Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti”.
148. Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan rakyat negeri ini dari pelbagai kepakaran untuk turut menyumbang buah fikiran dan pandangan demi kemajuan dan kesejahteraan negeri. Bagi mengumpul dan menghasilkan pelan tindakan daripada kumpulan pakar ini, kerajaan akan menubuhkan sebuah yayasan dalam usaha melonjakkan kecemerlangan Negeri Kedah selaras dengan “Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”.
149. Ramuan untuk mencapai semua rancangan yang telah disusun ini, adalah masyarakat dan pemimpin yang sentiasa mengutamakan keikhlasan, kejujuran, jati diri, integriti, keharmonian, perpaduan, kebenaran, kestabilan dan timbang rasa.
150. Semua ini dapat dicapai melalui usaha membanteras amalan negatif yang merebak dalam masyarakat seperti penyebaran berita yang tidak benar, fitnah, adu domba, putar belit, tumbuk rusuk, culas, malas, korup, curi tulang dan amalan-amalan buruk seumpamanya.
151. Saya mengimpikan Kedah yang akan kita bangunkan bermula dari tahun 2021 ini adalah bumi bertuah yang boleh didiami oleh setiap lapisan masyarakat, tua dan muda, kaya dan miskin, berpendapatan tinggi dan rendah, nelayan dan petani, profesional dan pekerja kilang, cerdik pandai dan kurang berpendidikan, agar dapat menikmati kehidupan dengan lebih sejahtera.
152. Saya mengimpikan anak-anak yang kita lahirkan daripada Kedah Sejahtera ini adalah insan-insan soleh yang memahami tujuan mereka datang ke dunia, membangunkan diri dan persekitaran, serta bersiap sedia untuk kembali kepada kehidupan abadi di akhirat.
153. Inilah persiapan yang patut kerajaan sediakan mencakupi urusan kebendaan dan kerohanian sebagai satu tanggungjawab daulah dan khilafah yang ditunjukkan oleh para Nabi dan Rasul.
154. Saya mengajak para pemimpin, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat, pemimpin parti politik, pemimpin NGO, kelab dan persatuan untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi kepentingan peribadi masing-masing.
155. Dengan berpandukan sejarah wahyu dan keilmuan, saya yakin Kedah akan menjadi negeri yang gilang gemilang pada masa hadapan walaupun pada ketika itu kita semua sudah tiada lagi di dunia ini. Marilah kita sama-sama menggapai pertolongan daripada Allah SWT dengan sama-sama patuh kepada perintah Allah SWT di mana sahaja posisi kita sedang duduki.
156. Semoga rezeki Allah SWT terus melimpah ruah kepada negeri ini. Semoga Kedah menjadi negeri tempat orang kaya berbakti, tempat orang miskin berteduh.
157. Akhir sekali, saya ingin memetik firman Allah SWT dalam Surah Al A’raaf, ayat 96 yang berbunyi
Yang bermaksud: “Jikalau penduduk sesebuah negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.”
Alang berdagang muatan sarat Kemudi bahtera menuju muara Semoga Allah melimpahi berkat Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua
Sekian.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.
Terima kasih YAB. Jeneri atas Ucapan Bajet Negeri Kedah 2021. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bagi mematuhi Peraturan 68(2) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman, maka perbahasan di atas Rang Undang-Undang ini, saya tangguhkan sehingga esok pagi supaya perkara-perkara yang dibangkitkan tidak bertindih, saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat merangkumkan perkara-perkara yang menyentuh Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri 2021, Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Negeri Tahun 2021 dan Anggaran Bekalan Air Negeri Tahun 2021 ketika membahaskan Ucapan Bajet 2021.
Dalam membahaskan Rang Undang-Undang ini Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menumpukan ucapan-ucapan Yang Berhormat kepada perkara-perkara yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sahaja. Mana-mana perkara yang telah pun disentuh oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain tak usahlah diulangi lagi. Esok saya akan membahagikan masa oleh kerana kita bersidang separuh hari maka saya dapat merumuskan Ketua Pembangkang diberi masa 30 minit untuk berucap sahaja dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat diperuntukan 12 minit sahaja. Jadi, kalau boleh mukadimah tu tak payah panjang-panjang dan kalau ada orang mencelah, masa mencelah itu adalah masa 12 minit sahaja bukan ada extra masa. Jadi, terpulang kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat nak membenarkan atau tidak Ahli-Ahli lain mencelah. Speaker tiada kuasa untuk memberi atau tidak memberi cuma saya kalau Ahli-Ahli Yang Berhormat tak nampak saya cuma remind sahaja di sana kalau Alor Mengkudu nak mencelah, tak boleh. Kalau tak boleh tak boleh lah. Hak Ahli-Ahli Yang Berhormat, masa hat dalam tu saja, 12 minit sahaja! Kalau tuan-tuan bagi masa 5 minit dekat orang lain, Ahli-Ahli Yang Berhormat ada 7 minit sahaja. Jadi, marilah kita jaga masa dan saya telah tulis #jangancurimasa. Maknanya masa 10 minit itu saya akan kata Yang Berhormat masa ada 2 minit lagi makna dia kena siap lah nak landing nak boh tali pinggang atau apa, lepas itu cukup 12 minit, masa sudah tamat sila duduk. Ini dilaksanakan esok dan seterusnya. Minta maaf na!
YB. Speaker, oleh kerana kita separuh hari kalau ikut di sini dari jam 9 pagi hingga 1.00 tengahari lah, jam 1.00 tamat. Tapi saya dah berbincang dengan rakan-rakan Adun sebelah sini supaya dapat dibuat satu usul oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar supaya ditambah 1 jam lagi iaitu hingga jam 2.00 petang. Bagi saya ketua pembangkang 30 minit itu ok dah tu. Tetapi bagi Adun-Adun lain itu 12 minit terlalu singkat, kalau boleh tambah dalam 15 minit maka dia akan ok lah.
Dia kalau kita tambah 1 jam maknanya kita dapat lah extra 2 minit setengah lagi!
Jadi, boleh lah dapat 15 minit untuk perbahasan tapi dengan syarat usul perlu dibawa kalau kita tambah sejam. Saya ingat ia berlaku di Parlimen, Parlimen tambah dalam sejam sampai pukul 2.00 petang. Itu cadangan daripada saya lah, tak jalan break mereka teruskan saja! Terima kasih.
Itu terpulanglah kalau Menteri Besar terfikir nak buat cadangan, esok boleh cadang lagi bukan hari ini, masa ada lagi tapi belum ada cadangan itu, simpan dalam fikiran masing-masing tuan-tuan ada 12 minit. Kalau kita pandai buat ilmu ringkas karangan itu yang cikgu duk ajar kita meringkas karangan di sekolah itu, kita boleh deliver 12 minit tu. Ya..YB. Anak Bukit!
YB. Tuan Speaker, sedikit cadangan. Saya nak cadangkan walaupun dapat 15 minit pun ini setahun sekali kita bahas tentang bajet ini. Jadi, saya nak cadangkan kalau dapat 15 minit itu Alhamdulillah ok lah tapi apa pun kita dibenarkan untuk mengemukakan perbahasan kita yang tak sempat kita habiskan itu secara bertulis dan kemudian ianya akan diambil kira oleh pihak kerajaan di dalam menggulung perbahasan nanti. Mungkin saya tak sempat nak sebut contohnya LRA baru di Kubang Pasu, saya tak sempat sebut tapi ada dalam ucapan yang telah saya karang itu dapat diserahkan kepada Speaker kemudian diserahkan kepada pihak kerajaan untuk mengambilkira di dalam mereka menggulung nanti walaupun kita tak sempat dalam masa dikekangkan 12 minit. Terima kasih.
Jadi, YB. Anak Bukit ini alternatif daripada cadangan YB. Alor Mengkudu tadi.
Kalau boleh naik 15 minit kalau tak sempat kita berikan macam tu!
Saya tak buat keputusan saya menunggu kalau-kalau ada usul. Jadi, akan dipertimbangkanlah. Tuan-tuan, esok kita mula jam 9.00 pagi, kita gunalah 30 minit cukup banyak untuk ketua pembangkang. Jadi, untuk hari ini kita tangguh sehingga jam 9.00 pagi.
Sekian, terima kasih.