Kedah · 18 November 2020
14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 182 turns · 26,794 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Bismillahirrahmanirahim. Dewan disambung semula dengan bacaan doa.
I. Bacaan Doa
-BACAAN DOA
Ahli-Ahli Dewan sekalian, saya mendapat makluman daripada YB. Jitra yang beliau tidak hadir pada hari ini dan esok kerana ada perbahasan di Parlimen.
Urusan seterusnya.
Sesi pertanyaan-pertanyaan lisan.
II. Pertanyaan-Pertanyaan LisanQuestions
Soalan nombor 13. YB. Kuala Ketil.
Bismillahirrahmanirahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh. YB. Tuan Speaker saya mohon penjelasan soalan no 13.
13. Isu petani kecewa berkenaan masalah kelewatan dan eksploitasi harga benih padi yang masih belum selesai seperti disuarakan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (pesawah) baru baru ini.
Apakah peranan kerajaan negeri dalam usaha mempastikan isu ini dapat ditangani bersama kerajaan pusat?
Bismillahirrahmanirahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh. Terima kasih kepada YB. Kuala Ketil, YB. Tuan Speaker. Untuk soalan nombor 13 berkenaan dengan isu masalah kelewatan dan eksploitasi harga benih padi yang masih belum selesai seperti yang disuarakan oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia baru-baru ini.
Memorandum oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) bertarikh 2 Oktober 2020 kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah membangkitkan mengenai isu-isu berkaitan benih padi sah antaranya ketiadaan benih di pasaran serta harganya yang melambung tinggi. Secara umumnya kekurangan bekalan benih padi serta situasi harga melambung di pasaran bagi Musim Utama (2/2020) adalah disebabkan oleh faktor berikut; Kecenderungan pesawah memilih benih varieti tertentu. Yang keduanya kesukaran mendapatkan benih padi bersubsidi di pasaran. Yang ketiganya eksploitasi harga antara pengeluar dan agen dan yang keempanya tempoh masa yang singkat di antara musim penuaian Musim 1/2020 (Julai-Ogos 2020) dan aktiviti penanaman Musim 2/2020 (September - Oktober 2020). Beberapa langkah awal telah diambil sebelum bermulanya musim penanaman 2/2020. Yang pertamanya membuat persediaan dan perancangan keperluan benih padi bersama agensi yang terlibat seperti MARDI, Jabatan Pertanian (DOA) dan tiga (3) pengeluar benih padi di Kawasan MADA mengenai pengagihan kuota. Keduanya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) membuat pesanan benih lebih awal. Yang ketiga, menetapkan jadual bekalan air dan permulaan musim berdasarkan situasi bekalan benih. Keempat, mengemaskini maklumat stok bekalan benih padi sah secara mingguan. Kelima, mengadakan kempen pengembangan penggunaan benih padi sah. Yang keenam, pemantauan berkala di semua peringkat meliputi Ibu Pejabat, Wilayah dan PPK. Sebagai cadangan tambahan bagi menambah baik pengeluaran dan pengedaran benih padi di masa hadapan, MAFI telah mencadangkan untuk memberikan kuota pengeluaran yang lebih kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi kawalan yang lebih mudah ke atas harga dan kualiti. Yang keduanya menetapkan harga siling benih padi. Yang ketiganya menetapkan syarat peratusan jualan melalui PPK yang lebih tinggi berbanding agen-agen yang dilantik khas dan yang keempanya memantau harga akhir jualan kepada peladang. Terima kasih YB. Speaker.
Silakan!
Soalan tambahan saya YB Tuan Speaker, adakah petani dibenarkan untuk menyimpan benih padi hasil tuaian setiap tahun agar tidak kebergantungan 100% kepada benih komersial. Berkaitan dengan kuota benih ni juga, bolehkah kerajaan membuka perniagaan sihat seperti Thailand untuk adakan ribuan pengeluar benih supaya persaingan lebih sihat?
Baik. Terima kasih kepada YB. Kuala Ketil. Berkenaan dengan adakah petani dibenarkan untuk menyimpan padi bagi mengelakkan kekurangan untuk dijadikan benih, saya ingat, padi perlu diproses dalam masa tertentu supaya ia boleh dijadikan benih. Ia perlu melalui proses-proses pengeringan dan sebagainya. Untuk makluman YB. Kuala Ketil, kerajaan memalui MAFI, Kementerian Pertanian telah pun mencadangkan mulai 2021 untuk melantik NAFAS sebagai agen tunggal untuk mengedarkan benih padi bagi membolehkan penetapan harga siling benih padi sah dilaksanakan tanpa membabitkan tambahan peruntukan insentif kepada kerajaan. NAFAS dicadangkan untuk dijadikan pengedar benih tunggal sebab ada pengalaman dalam pengedaran skim baja padi Kerajaan Persekutuan. Namun begitu, cadangan-cadangan, ataupun NAFAS ni sedang berbincang dengan pemegang-pemegang taruh, PPK dan sebagainya dalam mengenal pasti kaedah untuk pengedaran benih padi jika NAFAS dilantik secara sah untuk mengedarkan benih padi ini. Sekian, terima kasih.
YB. Alor Mengkudu!
Terima kasih YB. Speaker. Bekalan benih padi subsidi ni bukan baru, lama dah sebenarnya, banyak tahun dah diserah kontrak kepada pihak swasta. Adakah apabila tamat, sekarang ni dia tak tamat lagi kontrak tu. Apakah pihak kerajaan bersetuju supaya, isu benih padi ni oleh kerana Kedah ni pengeluar terbesar padi, proses pengeluaran benih ni harus diurus oleh Peladang, itu baru betul. Kerana Peladang ni ada organisasi, dia ada Pertubuhan Peladang, Pertubuhan Peladang Negeri dan sebagainya. Tetapi malangnya YB. Tuan Speaker, diserahkan kepada pihak lain yang dapat manfaat. Sebab itu mereka buat eksploitasi lah harga tu. Jadi, saya berharap setujukah Kerajaan Negeri supaya diusahakan, benih ni sebenarnya diserahkan kepada Pertubuhan Peladang untuk peringkat pengeluaran pun kerana mereka lah yang sepatutnya dapat hasil dan mereka lah yang sepatutnya dapat mengawal. Ini perlu satu perjuangan daripada pihak Kerajaan Negeri sebab kita negeri pengeluar padi terbesar. Itu harapan daripada petani jadi mereka tak boleh nak salah pihak lain lah, Kerajaan Negeri yang menguruskan pengeluaran benih dan mereka mengambil bahagian yang aktif. Terima kasih.
Terima kasih YB. Alor Mengkudu. Ya, saya setuju dengan pandangan yang dicadangkan olehYB. Alor Mengkudu iaitu PPK mesti memainkan peranan dan saya sendiri sebelum ini ketika masalah ini melanda pada tahun lepas telah pun menyeru kepada PPK untuk memainkan peranan. Oleh sebab itu, NAFAS yang dicadangkan untuk berbincang dengan pemegang-pemegang taruh di peringkat bawah ini sedang berbincang dengan PPK dan sebagainya supaya pengedaran benih padi ini dapat mengelakkan kekurangan dan manipulasi oleh pihak-pihak tertentu. Sekian, terima kasih. InsyaAllah kita akan perbaiki.
Soalan nombor 14.
Bismillahirrahmanirahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh. Terima kasih YB. Speaker. Wabak Covid-19 memang ganas, pohon jawapan soalan nombor 14.
14. Kluster Tembok adalah penyumbang kes yang paling banyak jangkitan Covid-19 dalam gelombang kedua :
a) Berapa ramai pesakit dari penjara Alor Setar dan Pokok Sena?
b) Apakah faktor penyumbang utama kepada angka yang tinggi ini?
c) Apakah langkah yang telah dan akan di ambil dalam usaha untuk mengatasi masalah ini?
Silakan!
Terima kasih YB. Tuan speaker, terima kasih YB. Pengkalan Kundor yang telah mengemukakan soalan nombor 14. Alhamdulillah, pada pagi ini kita dapat mengadakan persidangan dan yang tak baiknya pagi ini tambah 4 lagi kes khususnya di kluster Tembok. Data sehingga terkini menunjukkan terdapat 1,132 kes dari Penjara Alor Setar dan 324 termasuk 4 kes pagi ini lah, dari Penjara Pokok Sena yang telah disahkan menghidap Covid-19.
Antara penyumbang terhadap peningkatan angka yang tinggi ini adalah terdapat beberapa faktor yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada bilangan yang tinggi ini. Pertamanya bilangan tahanan ataupun banduan yang ramai yang tinggal dalam sel-sel penjara yang agak padat dan sesak memudahkan transmisi jangkitan sesama mereka melalui sistem sentuhan atau titisan atau rembesan pernafasan. Bilangan banduan yang berkemungkinan melebihi kapasiti penjara-penjara itu menyebabkan berlaku kesesakan tersebut, memang kita tau lah Penjara Alor Setar dan Pokok Sena banduan melebihi kapasiti. Pada peringkat awal didapati tiada pengasingan atau sel kuarintin yang bersesuain dapat dilaksanakan bagi tahanan sebelum mereka dimasukkan ke dalam kelompok umum. Ini menyebabkan mereka berisiko menyebarkan jangkitan kepada banduan ataupun tahanan yang lain. Selain daripada itu, persekitaran dalaman penjara yang kurang kondisif dengan sistem pengudaraan yang terhad memudahkan transmisi penyakit berjangkit seperti Covid-19 ini. Faktor sistem ketahanan ‘immune’ yang berbeza di kalangan para tahanan di akibatkan oleh masalah kesihatan atau ko-mobiliti yang sedia ada, faktor demografi, yang ini kumpulan umur dan status nutrisi banduan. Semua ini adalah sebagai penyumbang kepada penularan jangkitan Covid-19.
Yang ke 3, langkah yang telah diambil. Beberapa langkah telah, sedang dan akan dijalankan bagi membendung dan mengawal jangkitan Covid-19 di kluster Tembok ini. Langkah utama yang telah dijalankan ialah pengesanan aktif kes Covid-19 di mana saringan swab dijalankan kepada semua tahanan Penjara Alor Setar. Bagi banduan di Penjara Pokok Sena pula ujian dijalankan bagi banduan pra bebas dan bergejala, manakala banduan lain disaring mengunakan ujian RTK antibody, yang ini RTK rapid test. Ini bagi mengenal pasti kes positif yang seterusnya akan dihantarkan ke pusat rawatan. Kes-kes yang disahkan positif akan dinilai secara klinikal dan pesakit yang diklasifikasikan sebagai kategori 1 hingga 3 yakni tidak memerlukan bantuan oksigen akan dihantar ke pusat rawatan risiko rendah atau Low Risk Care Centre (LRCC). Bagi pesakit yang diklasifikasikan sebagai kategori 4 hingga 5 yang memerlukan oksigen akan ditempatkan di pusat rawatan sementara atau Makeshift Treatment Centre (MTC) dan di Hospital Sultanah Bahiyah mengikut keperluan masing-masing.
Dalam mengekang kemungkinan penularan jangkitan di luar kawasan tembok penjara, Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketat (PKPD) telah dilaksanakan di Penjara Alor Setar dan Penjara Pokok Sena. Ini telah diselaraskan oleh pihak MKN dengan kerjasama pelbagai agensi. Pihak Kesihatan Daerah Kota Setar dengan kerjasama Jabatan Bomba juga telah menjalankan ‘dekontaminasi’ masa secara menyeluruh di semua sel-sel dan blok kedua-dua penjara tersebut. Rentetan keadaan penjara tersebut yang padat, pihak JKN Kedah dan Jabatan Penjara telah berbincang dan menetapkan beberapa strategi bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19. Salah satu kaedah yang dirancang bagi mengurangkan kesesakan ialah dengan memindahkan tahanan dari Penjara Alor Setar ke Penjara Pokok Sena.
Selain daripada itu, perancangan juga telah dibuat bagi mewujudkan ‘admission prison’ atau penjara kuarintin di blok wanita Penjara Alor Setar. ‘Admission prison’ ini akan menempatkan banduan baru yang akan diasingkan selama 14 hari sebelum ditempatkan di sel-sel umum penjara. Selain daripada itu, satu pusat kuarintin juga telah diwujudkan di Institut Aminudin Baki, Jitra yang dikhaskan untuk menempatkan banduan yang telah bebas sebelm mereka dibenarkan pulang ke komuniti.
Seterusnya para tahanan atau banduan juga dinasihatkan untuk meningkatkan amalan norma baharu dan pengedaran pelitup muka ‘face mask’ telah disediakan kepada mereka yang bergejala. Mereka juga diingatkan untuk mementingkan amalan kebersihan kendiri, melakukan penjarakan fizikal mengikut kesesuaian.
Akhir sekali, pihak kesihatan juga telah mendapatkan senarai banduan yang mempunyai komorbiditi, maknanya yang ada masalah-masalah kesihatan yang lain, dan ‘registry’ tersebut sentiasa dikemas kini. Penilaian risiko telah dijalankan ke atas banduan yang mempunyai masalah kesihatan atau komorbiditi. Para tahanan, banduan juga dipastikan menerima nutrisi yang seimbang dan mencukupi melalui program diet yang sihat dan berjadual bagi memastikan tahap nutrisi yang baik. SekianYB. Speaker, terima kasih.
Soalan tambahan, terima kasih di atas jawapan. Kalau saya boleh bagi markah, kalau per 10 saya bagi 12 per 10. Cuma, saya nak tanya dari segi kita melihat tadi sudah tentu antara faktor utama juga adalah dari segi infra penjara itu sendiri, padat, sesak itulah, perkara-perkara yang ‘3S’ yang kita larang buat kan? Cuma saya nak tanya dari segi bantuan segera kerajaan pada masa itu. Sebab kita melihat ada, bukan salah la NGO-NGO luar yang memberikan sumbangan dikala sepatutnya pihak, ini institusi kerajaan, Kerajaan Federal dan sudah tentu perlu bantuan daripada Kerajaan Negeri. Jadi, apakah peranan Kerajaan Negeri pada masa tu, pada masa beberapa hari yang awal tu, bila dah lama tu sudah tentu banyak bantuan. Sebab saya tak nampak sangat peranan Kerajaan Negeri di dalam memberi bantuan pada masa itu. Jadi, soalan saya itu.
Terima kasih kepada soalan tambahan YB. Pengkalan Kundor. Memang kalau kita lihat daripada berita-berita yang kita siarkan, banyak bentuk bantuan yang kita telah berikan terutama sekali daripada NGO’s. Tapi di pihak kerajaan memang kalau kita lihat kepada bajet yang telah dibentangkan RM21 juta lebih telah kita peruntukkan, sebahagiannya telah kita sampaikan ke pihak penjara. Begitu juga banduan-banduan yang masuk ke penjara, orang kata sehelai sepinggang lah, kadang-kadang seluar pendek sahaja. Kita beri bantuan dari segi peralatan kegunaan harian, kain pelikat, sabun, berus, berus gigi, peralatan-peralatan yang diperlukan oleh mereka di dalam penjara itu sendiri dan juga apabila dibebaskan mereka keluar tidak ada apa-apa, kita sampaikan sumbangan tersebut. Itu antara bantuan yang telah kita berikan lah. Terima kasih YB. Pengkalan Kundor.
YB. Sungai Limau!
Baik. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh YB. Speaker. Tadi YB. EXCO ada menyebut langkah-langkah kawalan dan juga apa yang kita buat dalam penjara. Adakah dari segi aspek rohani, contohlah pesakit-pesakit yang telah pun di sahkan Covid ataupun secara umum keseluruhan yang berada dalam penjara dalam tempoh Covid ini, aktiviti kesedaran contoh bacaan Al-Quran yang secara umum kita buat setiap pagi ka, aspek-aspek rohani yang sedemikian. Penjarakan boleh berlaku, mic pun ada sebagainya. Adakah perkara-perkara itu juga menjadi salah satu daripada kaedah untuk kita sebagai memberikan semangat kepada mereka di samping perubatan jiwa dan rohani? Jadi, mohon pandangan.
YB. Tuan Spekaer, terima kasih YB. Sungai Limau. Al-Imam Hassan Al-Basri mengatakan, “tidak turun bala kecuali dengan dosa, tidak dihapuskan bala kecuali dengan taubat”. Di dalam penjara kita ada Pegawai Agama Penjara, jadi saya rasa ini diteruskan oleh pegawai-pegawai agama di dalam penjara untuk memberi kesedaran keagamaan kepada banduan-banduan yang di bawah kelolaan mereka lah, saya rasa bukan dalam bidang kuasa pihak kesihatan. Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Soalan 15, YB. Ayer Hitam!
Terima kasih YB. Speaker, mohon jawapan kepada soalan nombor 15.
15. Projek Pelebaran Jalan Putra sudah diluluskan pembinaannya sejak beberapa tahun lalu. Bilakah projek itu akan dimulakan dan dijangka dapat disiapkan?
Terima kasih kepada YB. Adun Ayer Hitam kerana soalan ini dan jawapannya adalah Projek Pelebaran Jalan Putra adalah projek menaik taraf laluan dari Persimpangan Lencongan Barat ke Persimpangan Simpang Tiga Kemboja, Kedah. Projek ini dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan 2021 dan jangka akan siap pada pertengahan 2024.
YB. Speaker, terima kasih kepada YB. EXCO di atas jawapan yang melegakan sedikit kepada pengguna atau penduduk sekitar. Cuma InsyaAllah, jika siap nanti ia akan melegakan sepenuhnya lah. Persoalan tambahan saya ialah berkaitan dengan perparitan yang biasanya dia seiring dengan pembinaan jalan. Adakah pihak EXCO sedar bahawa ada masalah yang berlaku di Pekan Kodiang semasa pembinaan jalan dari Jitra ke Kodiang di mana perparitan yang tak sempurna menyebabkan berlaku banjir kilat bila mana berlaku hujan lebat sekejap, setengah jam atau sejam. Jadi, limpahan air tu akan masuk ke premis dan juga menyesakkan lalu lintas. Adakah projek pelebaran jalan di Jalan Putra ini mengambil kira hal itu supaya pekan-pekan kecil terutamanya di Ayer Hitam, di Kerpan dan di Sanglang apabila siap nanti tidak berlaku sepertimana berlaku di Pekan Kodiang. Terima kasih.
Kerajaan akan mengambil maklum dan akan meletakkan kepentingan untuk menjaga dan mengelakkan banjir berlaku daripada bandar-bandar kecil. Terima kasih.
Silakan YB. Suka Menanti!
Terima kasih YB. Speaker. Saya ingin menanyakan satu soalan tambahan kerana dalam soalan asal tadi adalah tentang pembinaan ini, tertangguh sejak beberapa tahun. Jadi, tadi telah pun disebut dengan begitu yakin bermula dengan pertengahan 2021 sampai siap 2024. Jadi soalan saya ialah, bagaimana untuk persiapan ataupun inisiatif pihak Kerajaan Negeri dalam menyediakan alternatif andainya dalam keadaan Covid-19 ini pihak Federal mintak supaya di’downsize’kan peruntukan yang disediakan itu, sebab projek ini belum lagi ada ‘design’ dia, belum ada ‘detail design’. Projek ini dulunya hanyalah di peringkat kajian oleh pihak kerajaan, dan biasalah bila dah ada kajian, ada orang pi ‘cup’ projek, kemudian ada orang dengan tidak bertanggungjawab pi mengumumkan telah pun lulus.
Jadi, seolah-olah macam dah lama dah tapi ini hanyalah tender akhirnya untuk tender terbuka dalam bentuk reka dan bina, jadi akan mengambil masa yang panjang, ‘design’ pun belum ditetapkan. Jadi, saya minta inisiatif pihak Kerajaan Negeri apakah bersedia untuk menyediakan alternatif yang lain seandainya diminta di’downsize’kan projek ini demi untuk mengatasi kesesakan yang berlaku di kawasan terlibat. Dan yang keduanya, selain daripada laluan FT 007 ini, laluan mana lagikah yang diperjuangkan sekarang untuk menjadikan priority untuk dibina dalam tahun 2021? Terima kasih.
Terima kasih kepada YB. Suka Menanti di atas soalan tambahan tersebut. Untuk rekod, projek perlebaran Jalan Putra ini telah dibuat pra-kelayakan pada 28 September 2020, dan 10 kontraktor telah dijemput untuk bersama dalam pra-kelayakan tersebut dan jual tender pada 29 September 2020 dan tutup tender pada 13 Nomvember 2020. Projek ini dijangka akan dikeluarkan SSTnya pada April 2021. Senarai projek-projek yang diberi priority oleh Kerajaan Negeri untuk Rancangan Malaysia Ke-12, ada lebih kurang 12, saya ingat nanti saya bagi jawapan tu bertulis lah sebab dia panjang dan banyak. Terima kasih.
Soalan nombor 16!
YB. Speaker, makan ketupat daun palas, minta jawapan nombor 16.
16. Semua sedia maklum bahawa Kota Kuala Kedah merupakan salah satu nilaian sejarah yang tinggi harganya bagi rakyat Negeri Kedah. Semasa Kerajaan Pakatan Harapan, Kota Kuala Kedah berjaya untuk mengadakan Festival Kota Kuala Kedah yang akan dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah pada bulan Mac 2020 tetapi terpaksa dibatalkan disebabkan Pandemik Covid-19 yang melanda baru-baru ini.
Pohon dinyatakan:-
Apakah peranan dan tindakan Kerajaan Perikatan Nasional dalam mengangkat semula Kota Kuala Kedah ke peringkat Nasional atau yang lebih jauh?
YB. Speaker, soalan nombor 16, semua sedia maklum bahawa Kota Kuala Kedah merupakan salah satu nilai sejarah yang tinggi harganya bagi rakyat negeri Kedah semasa Kerajaan Pakatan Harapan. Kota Kuala Kedah berjaya untuk mengadakan Festival Kota Kuala Kedah yang akan dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah pada bulan March 2020 tetapi terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda baru-baru ini. Soalan daripada YB. Kubang Rotan, apakah peranan dan tindakan Kerajaan Perikatan Nasional, Kerajaan Negeri Kedah, dalam mengangkat semula Kota Kuala Kedah ke peringkat Nasional atau yang lebih jauh?
Dalam usaha kita mengangkat semula Kota Kuala Kedah ke peringkat Nasional, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan mengambil beberapa langkah yang sebelum ini dilakukan. Di mana kita akan meneruskan program tersebut sebagai acara tahunan, yang kita angkat secara acara tahunan menerusi kerjasama erat di antara Muzium Negeri dan agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri Kedah sejurus berakhirnya Covid-19. Menerusi program penyelidikan khas dengan kerjasama penyelidik daripada Universiti Awam, satu perbincangan sepatutnya dilaksanakan pada bulan Oktober 2020 bersama beberapa penyelidik Universiti Awam di Jabatan Muzium Malaysia, namun terpaksa kita tunda disebabkan dikenakan PKPB. Oleh itu, dengan mengambil kira keadaan semasa, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) juga akan meneruskan promosi dan publisiti menerusi peralihan kepada norma baharu bagi penggunaan seni dan budaya (art consumption) iaitu melalui aplikasi media sosial, laman sesawang rasmi, pengisian slot di media arus perdana (media cetak dan media elektronik) serta penerbitan video-video tutorial khas bagi terus menyebar luas informasi berkaitan sejarah, budaya dan alam semulajadi kepada masyarakat khursusnya bagi mempromosikan muzium-muzium di bawah Jabatan Muzium Negeri Kedah dan juga di bawah Jabatan Muzium Malaysia. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan, catatan sejarah, 3 peperangan kecil berlaku di Kota Kuala Kedah, dan juga 3 peperangan besar juga berlaku pada tahun 1821, 1825, 1829, 1830, 1831 dan 1838 serta berlakunya pada 12 November 1821, 12 November baru-baru ini hampir 199 tahun Perang Musuh Bisik iaitu pengkhianatan yang berlaku kepada sejarah itu. Saya ingin bertanya kepada YB. Kuah bagaimana kita hendak mengangkat kembali cerita sejarah yang begitu besar di Malaysia ini diangkat di peringkat tertinggi melalui Sejarah Perang Musuh Bisik dan peruntukan yang diberikan oleh pihak kerajaan.
Terima kasih YB. Kubang Rotan. Kalau ikutkan sejarah dalam negeri Kedah ni banyak sejarah-sejarah yang berlaku, banyak juga cerita-cerita yang tak pernah kita dengar. Mungkin Peperangan Musuh Bisik ni dia diberi nama, dia diberi nama sebagai Perang Musuh Bisik. Jadi, saya pun baru dengar kelmarin dulu kut, ada orang cerita. Segala benda berkenaan dengan sejarah ni memang kita akan angkat, sebab inilah nilai dalam negeri Kedah. Nilai yang kita boleh jual sebagai sejarah. Kalau kita nak kira sejarah, ‘battle of Jitra’ pun sejarah, tapi tak dak siapa pun angkat benda tu ke peringkat yang lebih tinggi, tak dak siapa pun masuk untuk buat sebagai tempat yang boleh kita jual untuk tempat pelancongan. Jadi, pelan-pelan kita buat, dengan adanya sekarang ni pandemik, tapi perangcangan untuk kita mengangkat dan juga kita buat bagi elok balik tempat-tempat yang bersejarah itu memang dalam perancangan Kerajaan Negeri Kedah. Menerusi pemberian daripada MOTEC dan juga pemberian daripada Kerajaan Negeri Kedah, kita akan buat tempat-tempat tersebut untuk dijadikan tempat bersejarah dan juga tempat pelancongan. Terima kasih.
Haaa….Saya ingat tak dak soalan tambahan dah. Kalau ada silakan, YB. Bayu!
YB. Tuan Speaker, perhubung dengan pembangunan Kota Kuala Kedah ni, saya nak bertanya YB. EXCO, adakah bersetuju dengan saya dengan peruntukan sebanyak RM15 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan sektor pelancongan ini dapat kita bangunkan dan jayakan untuk capai matlamat ianya sebagai salah satu produk pelancongan.
Terima kasih YB. Bayu atas soalan tambahan. Peruntukan RM15 juta kalau ikutkan nak ‘repair’ semua tempat-tempat yang ada memanglah tak cukup, memang tak cukup. Cuma, kita nak kena berbelanja secara berhemah dan juga berbelanja dengan tempat-tempat yang sepatutnya kita belanjakan, InsyaAllah tempat yang sepatutnya elok akan jadi elok dan tempat yang sepatutnya kita dapat bangunkan sebagai produk pelancongan akan dapat digunakan dengan sepenuhnya. Terima kasih.
Soalan nombor 17 ni dibawa oleh YB. Anak Bukit. Hari tu dah sentuh dah, jadi kita lompat ke soalan 18.
Terima kasih YB. Speaker. Alhamdulillah saya nasib baik kali ini dapat 2 soalan yang boleh jawab semasa perbahasan. Itulah yang dicemburukan oleh pihak YB. Bakar Arang kelmarin, saya 2 kali, kali ini Alhamdulillah. Tapi, pada bulan 8 persidangan yang lepas tak dak soalan saya pun yang keluar. Mohon jawapan bagi soalan nombor 18, YB. Speaker.
18. Pohon dinyatakan apakah langkah-langkah dan kemajuan yang telah dilakukan serta dicapai dalam bidang komunikasi sejak kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negeri?
YB. Speaker,
Bukit Kayu Hitam sudah berpunya, Kita berpakat bersatu hati, Terima kasih YB. Ayer Hitam sudi bertanya, Saya menjawab agar senang hati.
YB. Ayer Hitam dia tanya 3, pohon dinyatakan apakah langkah-langkah dan kemajuan yang telah dilakukan serta dicapai dalam bidang komunikasi sejak kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negeri? Terima kasih, pertamanya ialah kita telah mengenal pasti seluruh kampung-kampung di Kedah yang tidak dapat liputan langsung, iaitu hampir 300 kampung, ia dapat 2G, 3G, tak sampai 4G kadang-kadang dia ‘lup’ terus. Yang keduanya, menyedari hakikat ini kita berasa bertanggungjawab atas permintaan rakyat untuk menyelesaikan supaya rungutan rakyat ni dapat ditunaikan. Antara langkah-langkah penambahbaikan dalam bidang telekomunikasi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Kedah adalah dalam masa terdekat ini pihak SKMM dan Telco akan mendirikan 25 menara. Selewat-lewatnya akan siap iaitu fasa pertama 2021. Antara 25 menara ini, Sik 5 menara, Kubang Pasu 2, Padang Terap 5, 8 di Baling, Pendang, Kulim dan Langkawi, 25 menara itu.
Langkawi berapa?
Langkawi cuma ada satu saja buat masa ini, tapi dah bagi dah sana pun, dah bagi dah, InsyaAllah. Yang keduanya, bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula melalui projek jalur lebar pingir bandar iaitu 4,736 sambungan akan diselesaikan, jangka siap iaitu penghujung 2020. Mengenal pasti lokasi yang mempunyai capaian lemah atau tiada liputan 4G melalui kerjasama dengan pihak pentadbiran daerah seluruh negeri Kedah, aduan awam dan turun padang untuk menyeliakan situasi liputan beberapa kawasan berkaitan sebagai rujukan kepada ibu pejabat SKMM Negeri Kedah InsyaAllah. Seterusnya, penglibatan beberapa syarikat swasta, pengkhidmatan telekomunikasi kita duduk semeja termasuklah semua Telco-Telco yang duk ada, dalam perbincangan hala tuju Kerajaan Negeri mengenal pasti mengenai pemerkasaan infra jaringan telekomunikasi dan digital bagi mempertingkatkan capaian jalur lebar di negeri Kedah. Kita juga telah menerokai sepertimana ‘internet bonding’ ini, InsyaAllah kita akan ada ‘pilot project’ bagi memastikan dapat menunai permintaan rakyat. Di samping itu, dari segi sektor penerangan dan komunikasi, Kerajaan melalui Jabatan Penerangan Negeri Kedah InsyaAllah, kita akan sampaikan kepada rakyat. Rakyat akan boleh merasai sekurang-kurangnya apabila dapat mendirikan 25 menara ini InsyaAllah, kekangan-kekangan itu dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Sekian, terima kasih.
Terima kasih YB. EXCO, saya nampak ada perancangan yang telah dilaksanakan dan akan dilaksanakan. Saya lihat dalam Buku Kedah 2035 perancangan ni, antara objektif yang disebut dalam keseimbangan infra dan realiti ialah memperkasakan infrastruktur jaringan komunikasi dan digital. Kedah 2035 ni dia makan masa 3 RMT, 15 tahun. Soalan saya, adakah pihak EXCO bersetuju supaya hal berkaitan dengan komunikasi ini perlu disegerakan, tidak menunggu 15 tahun. Cukup 5 tahun misalnya, habis lama pun supaya ia dapat memangkinkan perkembangan yang lain, pergerakan ataupun perancangan ekonomi yang lain. Terima kasih.
Terima kasih YB. Ayer Hitam. InsyaAllah dalam fasa ini, kita tidak tunggu sampai 2035. Dalam jendela yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, 2 fasa, iaitu fasa 2020 hingga fasa 2022 dan 2022 hingga 2025. InsyaAllah Kedah telah dikenal pasti, buat masa ini kita telah dapat kelulusan daripada SKMM iaitu 105 menara. Saya berkeyakinan apabila siap 105 menara ini dan dalam rangkaian gantian fiber optic akan diperluaskan kepada 91,393 premis di negeri Kedah. Kita tau dalam jendela ini yang dilancarkan oleh Perdana Menteri memang bajet yang amat besar iaitu RM21 billion. Di mana dalam RM21 billion ini, iaitu keuntungan daripada semua Telco setelah tolak cukai iaitu 6% mesti dimasukkan satu ‘fund’ iaitu USP. Dalam USP itu 40% daripada bajet kerajaan, saya berkeyakinan dengan jendela ini semua 3G di ‘upgrade’ kepada 4G, apabila sampainya target yang kedua iaitu 2020 hingga 2022 fasa pertama dan 2022 hingga 2025 fasa kedua, saya berkeyakinan Kedah akan menjadi negeri ‘Smart City’. Tidak akan ada masalah dari segi sudut internet dan jalur lebar. Sekian terima kasih.
Saya nak lebih fokus, nak tanya peranan ataupun usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Urusetia Kerajaan Negeri dalam usaha bukan saja untuk memberi faham. Saya masih Covid, cerita saya masih Covid, sebab isu utama kita Covid. Memberi faham kepada orang ramai dan berterusan memberi penerangan, memberi faham dan akhirnya membudayakan satu budaya baru, norma baru. Jadi, saya tak nampak sangat usaha-usaha tu dilaksanakan, kalau telah ada Alhamdulillah, kalau belum ada laksanakan, perkasakan lagi untuk memastikan bahawa akhirnya kita tak nak berlaku gelombang ke 3, ke 4 pula selepas ni. Kita nak supaya lepas tu, dengan peranan yang dimainkan oleh Urusetia Kerajaan Negeri memastikan bahawa semua rakyat Kedah faham, membudayakan satu norma baru yang akhirnya InsyaAllah kita mampu untuk menyekat penularan wabak Covid-19 ini. YB. Tuan Speaker, terima kasih.
Terima kasih kepada YB. Pengkalan Kundor kerana beliau amat prihatin kerana ‘based on doctor’, dia prihatin lah dengan Covid-19 ini. Terima kasih, tahniah, InsyaAllah Kerajaan Negeri akan menyalurkan dasar-dasar kerajaan dan info segera yang terkini melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube.
Untuk mengerakkan ini, Jabatan Penerangan Negeri akan menggunakan satu kaedah iaitu ‘Info On Wheels’ (IOW) iaitu satu unit hebahan bergerak Oleh Jabatan Penerangan Negeri. Mereka semua telah turun ke semua lokasi di setiap daerah. Buat masa ini, jumlah program yang diadakan iaitu 5,111 program. Saya berkeyakinan dengan program IOW ini rakyat akan faham apabila Jabatan Penerangan, walaupun Covid tapi Jabatan Penerangan setiap kali tidak pernah berputus asa kerana mereka juga sebagai ‘frontliners’ untuk menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat. Sekian, terima kasih.
Soalan nombor 19!
YB. Speaker, mohon jawapan soalan nombor 19.
19. Apakah status penubuhan Unit Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat (UPIK).
Sekiranya telah di tubuhkan, apakah yang telah di laksanakan bagi tujuan membendung gejala sosial di kalangan remaja di Negeri Kedah ini?
YB. Speaker, terima kasih kepada YB. ADUN Kota Siputeh. Status penubuhan Unit Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat (UPIK) ini belum diwujudkan untuk tahun 2020 dan InsyaAllah akan diwujudkan pada awal tahun depan 2021, sekiranya telah ditubuhkan. Walaupun tak ditubuhkan lagi (UPIK), tetapi pihak kita pihak Pembangunan Insan telah mengadakan pelbagai program sebenarnya di peringkat negeri Kedah. Program yang kita laksanakan ini di antaranya kursus kemantapan jati diri, kursus yang akan dilaksanakan dan telah dilaksanakan di peringkat daerah dan juga parlimen atas peruntukan portfolio yang kita ada, yang telah luluskan, yang dilaksanakan oleh NGO-NGO. Jadi, program ni yang telah dilaksanakan pun sudah ada, yang akan dilaksanakan pun akan ada lagi. Jadi itulah, walaupun tidak wujud (UPIK) tapi program pembangunan insan tetap berjalan. Terima kasih.
Soalan tambahan saya, kita lihat masalah gejala sosial ni memang banyak lah, remaja ni kan? Dengan anak luar nikahnya, dengan kes rogol, dengan kes buang anak, dengan kes dadah, kes ketum, macam-macam kan? Jadi, memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak lah.
Soalan saya, adakah kerajaan bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai NGO dan memberi peruntukan kepada NGO-NGO ini untuk sama-sama mereka membantu membendung gejala-gejala sosial ini? Terima kasih.
Bagi pihak kerajaan sentiasa bersedia, sentiasa bersedia dengan mana-mana agensi untuk mengurangkan gejala-gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat. Kita tahu lah pelbagai gejala yang berlaku ini perlu kepada semua agensi memainkan peranan, termasuklah keluarga kita sendiri memainkan peranan. Jadi, bagi pihak kerajaan sentiasa akan memberi keutamaan lah mana-mana NGO yang nak laksanakan program pembangunan insan. Dan kita juga telah menyediakan beberapa modul untuk mengenal pasti untuk mengekang lah, mengurangkan masalah sosial yang berlaku di Kedah ini dan kita akan laksanakan, dah nak laksanakan setelah kita wujudkan Unit Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat ini. Dan unit ini akan diwujudkan di peringkat daerah dan parlimen dan program pembangunan insan akan diturunkan ke setiap daerah dengan kerjasama Adun, Ahli Parlimen dan juga JPKK. Walllahua’lam.
YB. Bukit Lada. Haa…..Jangan cengey sangat no?
(Sambil ketawa) Terima kasih kepada YB. Speaker. Berkenaan dengan pembangunan insan ini saya rasa YB. EXCO ada pengalaman daripada dulu lagi yang menguruskan program-program pembangunan insan waktu zaman Almarhum Ustaz Azizan lagi. Apakah program sebegini akan diwujudkan lagi yang memberi manfaat kepada anak-anak kita di waktu cuti, seperti Kem Bina Insan, Kem Anak Soleh dan kem-kem ini yang sangat bermanfaat kepada anak-anak kita dan saya mencadangkan kepada pihak YB. Speaker untuk adakan satu pembaharuan seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi iaitu kita tumpukan kepada kerjasama di kalangan ADUN-ADUN sendiri yang bagi kerjasama di setiap ADUN untuk fokus daripada bajet yang ada kepada program pembinaan insan ini.
Terima kasih YB. Bukit Lada. Saya mengucapkan lagi sekali terima kasih kepada pihak Kewangan Negeri telah menambahkan peruntukan untuk pembangunan insan RM300,000 lagi pada tahun hadapan, InsyaAllah kita akan laksanakan. Dan program-program yang dilaksanakan pada tahun 2008 itu kita akan laksanakan, teruskan, tetapi penjenamaan semula, kita akan ‘rebranding’ semula dengan nama-nama lain tetapi pengisiannya sama dengan pengisian kita laksanakan pada tahun 2008 yang lalu.
Terima kasih. Soalan nombor 20 tuan dia tak ada. Soalan 21!
YB. Tuan Speaker, pohon jawapan 21.
21. Dengan perkembangan teknologi masa kini, setiap Majlis Perbandaran patut melaksanakan laman sesawang masing-masing.
Pohon dinyatakan:-
a) Berapakah jumlah kesuluruhan laman sesawang yang didirikan oleh setiap Majlis Perbandaran Negeri Kedah dari tahun 2019-2020?
b) Berapakah anggaran kos penyelenggaraan laman sesawang yang diperlukan setiap tahun?
c) Adakah kerajaan negeri mempunyai kriteria yang sama bagi semua laman web perbandaran? Jika ada, apakah kriteria tersebut?
Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih YB. Kulim. Yang pertama soalan (a), jumlah keseluruhan laman sesawang yang didirikan oleh setiap Majlis Perbandaran Negeri Kedah dari tahun 2019 - 2020. Laman sesawang telah dibangunkan oleh semua PBT di Negeri Kedah yang merangkumi sejumlah 12 buah PBT. Yang ke dua, jawapannya tiada Kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung oleh pihak PBT kerana domain dan sub-domain laman portal PBT diurus selia oleh pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Yang ketiga (c), semua laman web perbandaran mempunyai kriteria yang sama. Jumlah kriteria SPLaSK sebanyak 24 kriteria diolah dan ditambah baik daripada 47 kriteria ProBE dan 24 kriteria MUSE.
24 kriteria ini melibatkan 7 dimensi iaitu Kriteria SPLaSK (Sistem Pemantauan Laman Web Dan Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan). Yang utamanya Quality of content. Yang kedua nya Ease of use, yang ke tiganya, Privacy ataupun security, yang ke empat, responsiveness, yang ke lima, reliability, yang ke enam, accessibility dan yang ke tujuh, web design. Itu kirateria dia lah. Itu ja, jawapan dia. Terima kasih YB. Kulim, Tuan Speaker terima kasih.
Apakah jumlah muatan turun aplikasi i-Kedah setakat ini? Apakah jenis perkhidmatan yang terbanyak digunakan dan kadar pengunaannya?
Terima kasih YB. Kulim, itu maklumat baru. Jadi, saya pohon notis untuk jawab secara bertulis lah kerana saya kena semak dengan pihak Urusetia Kerajaan Negeri dulu. Terima kasih YB. Kulim.
YB. Bandar Baharu!
Terima kasih YB. Tuan Speaker dan YB. Tokai. Untuk soalan tambahan saya ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan dan juga pihak PBT kerana telah mengadakan satu norma baru cara pengurusan PBT dengan menggunakan laman sesawang dan juga aplikasi yang mana mungkin boleh diharmonikan, supaya boleh diharmonikan bersama dengan i-Kedah iaitu untuk ‘reminder’ ataupun ‘notification’ (dengan izin) diwujudkan antara i-Kedah dan juga portal-portal ini untuk semua pembayaran cukai dan sebagainya melalui e-mail, sms, whatsapp dan sebagainya supaya ini akan dapat mengingatkan semua pembayar-pembayar cukai kita untuk menambahkan keberkesanan pengutipan hasil Kerjaan Negeri. Saya juga mengucapkan tahniah kepada KedahNet yang mana akan diperluaskan daripada 15 agensi kepada 78 agensi. Saya mohon dan bertanya kepada kerajaan supaya PBT juga mendapat penambahan dan naik taraf ‘connectivity’ ataupun ‘bandwidth’ (dengan izin) dalam penaik taraf KedahNet ini. Juga kita tahu MAMPU mempunyai satu data centre di Kulim Hi-Tech Park iaitu Pusat Data Sehenti untuk kerajaan dan ini membolehkan kita dekat lagi dengan MAMPU untuk menambah baik dan juga memberikan satu kelebihan pengurusan data kepada Kerajaan Negeri. Terima kasih.
Terima kasih YB. Bandar Baharu. Saya ambil maklum apa yang disuarakan oleh YB. Bandar Baharu. Memang setelah kita mengadakan urusan secara online ini kita dapati i-Bayaq boleh mendatangkan hasil yang begitu kita kata meningkat secara drastik kepada pembayaran cukai di peringkat daerah dan juga PBT lah. Terima kasih di atas pandangan yang telah dikemukakan oleh YB. Bandar Baharu tersebut dan kita ambil maklum dan InsyaAllah kita akan laksanakan. Itu sahaja.
Terima kasih. Soalan nombor 22!
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. YAB. Menteri Besar, Pengurusi SADA telah mampu bayar hutang, soalan saya nombor 22 mohon “jawapang” (sambil ketawa).
22. YAB. Menteri Besar telah melancarkan Plan Pembangunan Kedah 2035 pada 1 September 2020.
Pohon dinyatakan:-
a) Apakah teras utama kepada pembangunan negeri?
b) Adakah projek-projek yang dirancang oleh kerajaan terdahulu masih menjadi keutamaan kerajaan baharu ini?
“Tang” dengan “pan” tu tak sama tu. Haa... “Jawapang” lah!
Pembayang tak “bertadung” langsung no? (sambil ketawa).
Tak pa, pantun jugak tak pa!
YB. Tuan Speaker, terima kasih YB. Sungai Limau yang bertanya tentang Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang digariskan mempunyai 3 tema iaitu tema ekonomi, tema rakyat dan tema alam dan tiap-tiap tema ini dipasak oleh teras masing-masing. Untuk tema ekonomi, dia didokong oleh teras yang pertama iaitu kemakmuran ekonomi dan tiap-tiap teras ini mempunyai strategi, inisiatif dan pelaksanaan yang telah dirancang. Untuk tema rakyat ada 4 teras, yang pertama teras Kecemerlangan Infra dan Utiliti, teras 3 Keterangkuman Sosial & Budaya, teras 4 Keseimbangan Modal Insan & Bakat, teras 5 Kompetensi Tadbir Urus untuk Tema Alam, tema yang ke-3 kita ada di situ ialah teras yang ke 6 iaitu Kemampanan Alam Sekitar.
Bagi projek-projek yang dirancang oleh kerajaan terdahulu masih menjadi keutamaan kerajaan baharu? Ya! Jawapannya ya. Pasai tiap-tiap projek yang telah dirancang YB. Tuan Speaker, telah memakan sumber dan belanja yang besar.
Pemikiran masa dan tenaga yang dicurahkan oleh ahli-ahli pemikir di kalangan pegawai-pegawai kerajaan dan juga ahli-ahli dalam bidang mereka tu telah banyak dihabiskan. Contoh, KXP dari tahun 2014 sampai la ni 6 tahun, sumber yang telah dibelanjakan untuk kajian dan sebagainya dah cecah RM20 juta lebih kurang. Jadi, tak patut lah kita berhenti macam tu saja. Jadi, semua projek-projek yang baik, tak kira lah siapa yang jadi kerajaan pun kan no, patut diteruskan. Seperti yang saya sebutkan dalam ucapan semalam, mesti ada ‘continuity’ dalam perancangan projek-projek jangka panjang dan kita ahli-ahli politik tidak patut mengamalkan ‘political vendetta’. Oleh kerana kita parti lain, politik lain, kita balas dendam, kita tamatkan projek yang lama. Ini satu kerugian yang besar kepada negeri dan tidak patut diamalkan oleh sesiapa pun lah. Projek-projek yang menjadi keutamaan negeri, pertama sekali KXP, yang kedua Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone. Yang ketiga Kedah Rubber City, yang keempat Lebuhraya Koridor Utara (NCH), yang kelima Sidam Logistic Aerospace & Manufacturing Hub (SLAM), yang keenam Skim Pemindahan Air Jeniang (Jeniang Transfer). Ada banyak lagi panjang, tajuk 2035 ni memang panjang. Kena kursus hari lain lah, terima kasih YB. Speaker.
Baik, terima kasih kepada YAB. Menteri Besar atas penjelasan. Saya pun tak sangka soalan akan sampai hari ni untuk soalan 22 ni, kan? Tapi ia merupakan kesempatan juga untuk saya bangun nak perabis sikit Yang Berhormat, sikit ja sebelum saya tanya soalan. Perbahasan hari tu ni dalam panjang-panjang tu ada yang saya nak sentuh tentang kawasan dan juga melibatkan pembangunan. Kalau saya tengok dalam Daerah Yan tu banyak penumpuan untuk DUN Guar. Projek-projek yang diumum tu, 10 projek tu, Sungai Limau hanya lebih kurang 14, 2 ja Sungai Limau, tu pun untuk tebatan di kawasan laut. Jadi, kita harap tumpuan juga diberikan dan cadangan-cadangan telah kita angkat untuk dapat sokongan negeri.
Cakap berdasarkan soalan. Soalan tambahan!
Dan soalan, soalan, soalan. Adakah projek-projek yang telah pun dirancang oleh pihak kerajaan dalam tempoh Covid yang kita jangka mungkin setahun, dua tahun akan menjejaskan perancangan kerajaan dalam siri untuk pembangunan Kedah yang kita sebut 2035, dia ada jarak-jarak dia. Adakah ia juga akan memberikan kesan secara langsung kepada negeri?
YB. Tuan Speaker, memang Allah jadikan bumi Sungai Limau ni dia bendang. Jadi, nak buat projek tu susah sikit lah, dia sawah padi banyak, jadi Guar ni darat. Haa…YB. Guar masuk dah. Jadi, kerja ni banyak lagi, buat atas darat lah, kalau buat dalam bendang payah lah. Nasib lah Sungai Limau, sapa suruh bertanding Sungai Limau (seluruh hadirin ketawa).
Yang beruntungnya YB.Guar lah. Haa…. tak mau dah? Tentang Covid, ya, Covid memang ia merencatkan atau melambatkan proses pembangunan kerana dalam perjalanan kita nak melaksanakan projek-projek besar ni, kita terpaksa memperlahankan sedikit rentak kita tu kerana kita menghadapi cabaran-cabaran macam PKPD, pejabat tak boleh buka, orang tak boleh mai kerja, projek-projek di bawah terpaksa berhenti, orang tak boleh keluar, dia melambatkan saja. Jadi, tempohnya kalau kita katakan 2022 nak boleh siap, dia tambah lagi mungkin 6 bulan, mungkin setahun. Ia memang memberi cabaran tetapi projek tu akan tetap berjalan dan mungkin mengambil sedikit tempoh yang lebih panjang. Terima kasih.
YB. Gurun!
Terima kasih YB. Tuan Speaker, InsyaAllah.
Tanya bagi ‘kemaih’ sikit!
Pelan pembangunan ni lazimnya ialah satu gagasan lah, ke mana kita nak pi dan saya sudah baca pelan ni memang cantik. Cuma soalan saya, apakah kerajaan akan ‘all out’? ‘All out’ supaya rakyat Kedah khususnya mereka yang di bangku sekolah, anak-anak muda ini masih teringat, kalau kita zaman muda-muda dulu seperti YB. Speaker, “Wawasan 2020”. Sentiasa didendangkan oleh pemerintah waktu itu hingga melekat dalam kepala kita bagaimana kita akan menjadi negara maju pada tahun 2020. Jadi, saya amat-amat mengharapkan kerajaan mengambil sungguh-sungguh gagasan ini termasuklah dengan peneranganya, dengan multimedia yang kita ada sekarang, supaya rakyat Kedah ini dapat merasai mimpi dia bahawa pada tahun 2035 ini, ini yang akan berlaku di Kedah dan khususnya kita dapat menyekat 15% daripada budak-budak kita yang keluar sekolah ni meninggalkan Kedah dan pergi tempat kerja lain. Jadi, kalau kita boleh buat itu, tanamkan ‘psychologically’ bahawa kita akan menjadi sebuah negeri yang cantik, indah dan terancang pada 2035 ini, saya rasa InsyaAllah Kedah akan menjadi di antaranya. Apakah pelan-pelan yang sedang kerajaan rancang untuk pastikan maklumat ini sampai ke bawah dan ‘psychologically’ mereka merasakan ‘yes, we have the future’. Terima kasih, YB. Tuan Speaker.
Terima kasih YB. Gurun, seorang yang sentiasa bermotivasi untuk memberi pandangan. Saya banyak juga berkongsi pandangan tentang pelancongan dan pertanian dengan YB. Gurun. Walaupun parti lain-lain tetapi ruang untuk bersembang, berbincang sentiasa terbuka.
Saya ucap terima kasih. Kerajaan Negeri ya, kita melancarkan Pelan 2035 pun dalam keadaan kita menghadapi PKP pada bulan April atau May yang lepas, selepas mendapat sedikit kelonggaran kita melancarkan pelan ini dan saya yakin semua EXCO dan wakil-wakil rakyat telah dibekalkan ‘handout’ yang sangat banyak untuk memperturunkan Pelan Kedah 2035 ini ke bawah. Untuk pelaksanaan pada peringkat ini, saya telah bertemu dengan banyak agensi-agensi di negeri ini, khususnya tentang MADA. Ya, kita ada kawasan padi yang luas lebih 100 ribu hektar, kita ada kawasan di luar MADA 29 ribu hektar lagi. Dan ini lah saya rasa kekangan untuk kita melonjakkan sektor ekonomi kita. Tetapi ada inisiatif yang besar di pihak MADA iaitu sekarang ni dilaksanakan pertanian padi secara besar-besaran, ‘large scale’, penanaman padi berskala besar. Baru-baru ini MADA telah memberi anugerah kepada usahawan-usahawan muda yang berumur di bawah 40 tahun yang mengusahakan kawasan sawah padi lebih daripada 50 hektar. Ada seorang pemuda yang umurnya belum 40 tahun, dia mengusahakan padi hampir 200 hektar.
Jadi, ini adalah model-model yang akan mengerakkan sebahagian daripada teras, di bawah teras 1 kemakmuran ekonomi untuk melaksanakan pertanian padi berkonsepkan estet dan pertanian berskala besar. Itu salah satu contoh yang sedang digerakkan sekarang ini dan saya telah mensasarkan kepada pihak MADA kalau tahun ini kita ada 150 orang yang sedang disasarkan untuk menjadi petani berskala besar, 10 tahun akan datang, menjelang 2030 saya nak ada 1,500 orang petani yang buat bendang dengan skala itu. Ini cabaran saya letakkan kepada MADA sebagai salah satu agensi yang mengendalikan lebih daripada 54 ribu petani dengan keluasan 100 ribu hektar tanah pertanian.
Jadi, itu dalam bidang pertanian. Begitu juga dalam bidang-bidang yang telah dibincangkan sebelum ini di beberapa projek besar, contohnya saya sebutkan kelmarin projek-projek yang dirancang di Kedah, di Sidam, dengan Highway, dengan Airport, dengan SLAM, dengan Aerotropolis, akan memindahkan kekayaan dari pantai barat masuk ke tengah seterusnya pergi kepada kawasan-kawasan yang sebelum ini dikenali sebagai kawasan orang hulu, ke Sik, ke Baling, ke Padang Terap. Selepas ni, mungkin dicakapnya hulu tapi poketnya penuh kerana kemakmuran yang dienjak daripada pantai barat ke bahagian tengah. Saya yakin lah kerjasama antara pegawai-pegawai kerajaan sekarang ini dengan EXCO dengan wakil rakyat apabila kita melepasi tempoh cabaran, PKP, PKPD, Covid ni semua YB. Speaker, kita akan bekerja lebih keras dan saya pun perhati tengok EXCO dan ADUN saya ni tak dak seorang pun dalam tempoh 6 bulan ni yang mengambil cuti daripada bekerja. Tak dak, seeemua kerja tiap-tiap hari. Jumaat, Sabtu kerja 7 hari seminggu 30 hari sebulan.
InsyaAllah, Alhamdulillah saya menghargai lah benda-benda ini dan saya mengambil sikap untuk menunjukkan contoh supaya menjadi teladan bagi anak-anak buah saya ini bekerja bersungguh-sungguh. Saya rasa setakat itu lah jawapan saya YB. Gurun. Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Terima kasih YAB. Jeneri. Tak pa, lepas PKP ni untuk melaksanakan tu wakil-wakil rakyat kita bercuti di Langkawi, semua kena pi bercuti di Langkawi untuk kita nak naikkan balik pelancongan Pulau Langkawi ni. Jadi, pembangkang ka, kerajaan ka, siap, lepas PKP ni kita nak pi Langkawi. Kalau ada ihsan daripada MB lah. Hari ni kita ‘break rekod’, kita berjaya menghabiskan 8 soalan, tak pernah. Kita duk biasa buat dulu 7, biasa-biasa 6 tapi hari ni kita ‘break rekod’ kita buat 8 soalan. Jadi, tepat lah, macam YB. Sungai Tiang jawab pun padat, ringkas dia nak bagi secara bertulis. Itu cara untuk memperbanyakkan soalan. Kita selesai satu jam dengan soalan lisan.
Urusan seterusnya, Tuan Setiausaha.
Penggulungan Di Atas Ucapan Bajet 2021Address / budget
Penggulungan Ucapan Bajet 2021 oleh pihak kerajaan!
Dalam agenda penggulungan ini, setiap Exco diperuntukan 13 minit, emergency 1 minit. Maknanya paling lajak pun 14 minit! Jadi, kita mulakan dengan YB. Sidam. 13 minit!
Selamat Pagi YB. Tuan Speaker, YAB. Jeneri, Menteri Besar Kedah Darul Aman, YB. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah, Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Barisan Media, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
YB Tuan Speaker, bersyukur kita kepada Tuhan kerana memberi kesempatan untuk kita bertemu dan berkumpul dalam dewan yang mulia ini bagi menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Keempat Belas pada pagi/petang ini untuk membawa amanah dan tanggungjawab rakyat Negeri Kedah Darul Aman.
YB Tuan Speaker, sebelum itu, izinkan saya merakamkan penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk menggulung perbahasan pada hari ini terutama sekali mengenai isu-isu yang menyentuh tanggungjawab dibawah portfolio saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam. Ribuan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan bajet terutama melibatkan portfolio saya.
Yang pertama ialah portfolio perumahan. Isu yang dibangkitkan oleh Adun Anak Bukit dan Adun Derga. Bagi isu perumahan, pihak KPKT telah menyediakan platform Sistem Perumahan Negara (SPRN) untuk semua permohonan melibatkan rumah PPR. Pemohon dikehendaki mengisi butiran merangkumi status perkahwinan, radius rumah dengan tempat projek perumahan yang dibina, kewarganegaraan dan lain-lain maklumat yang perlu. Dengan pengisian data-data ini pihak KPKT melalui JPN mempunyai semua maklumat yang lengkap mengenai pemohon-pemohon yang memohon PPR seperti PPR Kampung Kilat (Kota Setar) dan PPR Ayer Hitam (Jerlun). Isu tentang keutamaan kepada penduduk Kampung Kilat yang terlibat dengan insiden kebakaran rumah. Kerajaan Negeri telah mengemukakan senarai nama-nama yang terlibat Kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN) pada 21 Julai 2020 yang lalu untuk tindakan selanjutnya. Sehingga kini, kerajaan negeri masih belum menerima keputusan berhubung status tersebut.
Untuk makluman, sebanyak 296 nama pemohon telah dipilih untuk bantuan manakala masih berbaki 204 unit yang masih belum dibuat pemilihan. Pihak kerajaan Negeri juga telah mengemukakan senarai nama pemohon yang layak bagi PPR Kota Setar kepada pihak KPKT untuk tindakan selanjutnya. Proses untuk melakukan bantahan juga telah tamat dan surat tawaran akan dikeluarkan oleh pihak KPKT pada bulan Disember 2020 dan proses pengisian akan dibuat pada Januari atau Februari 2021. Kaedah pemilihan rumah tersebut adalah melalui sewa beli yang ditawarkan kadar sewa sebanyak RM255.00 sebulan RM205.00 bagi sewa bulanan manakala RM50.00 adalah untuk kos penyelenggaraan. Tempoh pembayaran balik adalah selama 20 tahun. Bagi kaedah kutipan pula, pihak KPKT masih belum memutuskan bagaimana kaedah kutipan akan dilaksanakan.
Bagi isu pemilikan rumah awam Alor Malai-Flat Setia Jaya dan Taman Wira, isu yang berbangkit adalah proses bayaran balik telah diselesaikan oleh penghuni bukan bumiputera. Proses pendaftaran hak milik tidak dapat dilakukan kerana status tanah ialah tanah simpanan Melayu, sedangkan pembeli adalah bukan bumiputera. Pihak Kerajaan Negeri berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik dengan mengadakan perbincangan antara pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Bahagian Perumahan SUK memandangkan isu tanah simpanan Melayu adalah termaktub dalam Kanun Tanah Negara dan Enakmen Rizab Melayu. Manakala bagi pemilikan kepada bumiputera yang telah tamat bayaran ianya tidak menjadi masalah pada mana-mana projek perumahan rakyat dan hanya akan menjalani proses biasa pemilikan geran.
YB Tuan Speaker, yang keduanya ialah portfolio alam sekitar. Isu yang sering kali dibangkit pihak pembangkang terutama saudara saya bekas exco alam sekitar tentang pelaksanaan ”Kedah Go Green” apabila berlakunya perubahan kerajaan. Untuk makluman Bakar Arang, kempen ini akan diteruskan dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa. Kerajaan negeri akan membincangkan mengenai kempen ini secara lebih mendalam agar usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik di negeri Kedah akan lebih berjaya. Kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional sentiasa mengkaji dasar-dasar sebelum ini dan melakukan penambahbaikan bagi memastikan kebolehlaksanaan yang sistematik dan teratur.
Seterusnya kerajaan negeri juga dalam usaha untuk meningkatkan dan mengukuhkan jalinan kerjasama antara Jabatan, Kementerian serta pihak luar seperti pemain industri, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi, media, dan masyarakat setempat.
Seterusnya Portfolio Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam. Bagi isu perpaduan pula, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah awal dengan menubuhkan jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri (JKPTN) dan Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Daerah (JKTPD) dan penubuhan jawatankuasa ini adalah dengan arahan dari kerajaan persekutuan. Jawatankuasa ini penting untuk memastikan bahawa setiap isu yang melibatkan perpaduan akan terus diberi keutamaan sama ada di peringkat daerah, negeri atau pusat. Contohnya, jika sesuatu isu tidak dapat diselesaikan di peringkat daerah, ianya akan dibawa ke peringkat negeri dan seterusnya peringkat pusat. Program-program perpaduan yang dirancang terpaksa ditangguhkan akibat daripada pandemik Covid-19.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri dalam proses perbincangan untuk mengadakan program-program yang mengunakan kaedah norma baharu. Kerajaan Negeri juga membenarkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) untuk membuat rondaan di beberapa tempat bagi membantu petugas-petugas barisan hadapan dalam memastikan usaha kita memerangi pandemik Covid19 ini berjaya.
Bagi menjawab isu Rumah Ibadat Bukan Islam,(RIBI) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, (PKPB) pula,Jabatan Perpaduan Negara Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah berperanan memantau pematuhan S.O.P bagi 65 RIBI yang berdaftar di negeri Kedah. Selain itu,JPNIN juga berperanan memantau pematuhan S.O.P bagi upacara perkahwinan bukan Islam.
YB Tuan Speaker Dan Ahli Dewan Sekalian, bagi mengakhiri ucapan penggulungan saya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan pertanyaan dan mengemukakan isu-isu yang berkaitan dengan jawatankuasa saya pada sidang pembentangan bajet kali ini.
Saya juga ingin berterima kasih kepada Yang Amat Behormat Menteri Besar atas peruntukan yang telah diumumkan bagi mengatasi masalah banjir di Taman Keranji, Sungai Petani untuk tahun 2021. Isu yang telah berlarutan lebih 20 tahun yang lalu dari pelbagai parti pemerintah termasuklah ketika saya menjadi YB sejak 2013. Dengan adanya Kulim International Airport (KXP) juga, ianya dapat meningkatkan sosial dan ekonomi negeri khas di dalam kawasan Sidam dan saya amat menyokong jika projek ini dapat diteruskan. Harapan saya, bajet yang telah diperuntukan ini dapat mengurangkan keresahan penduduk terlibat. Sekali lagi jutaan terima kasih kepada Yang Amat Behormat Menteri Besar atas keperihatinan bukan sahaja untuk rakyat di Sidam, tetapi juga kepada seluruh rakyat Kedah yang dilakukan sepanjang tempoh 6 bulan pentadbirannya.
Perkara-perkara yang telah dibangkitkan akan menjadi keutamaan untuk saya dan pasukan bekerja dengan lebih keras dan gigih bagi menambah nilai dan memperkukuhkan lagi mutu pelaksanaan di bawah portfolio perumahan, alam sekitar, perpaduan, hal ehwal masyarakat cina dan siam agar dapat merealisasikan aspirasi “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”. Izinkan saya untuk menyampaikan pantun 2 kerat,
Yang menghilang tak dicari, Yang bekerja dimarahi.
Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.
Terima kasih YB. Sidam, dia tutup dengan pantun dua kerat! Tepat 13 minit YB. Sidam bercakap. Sekarang saya jemput pula YB. Kuah!
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, YB. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Jeneri, Yang Berhormat Rakan-Rakan Barisan Exco, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Sidang Dewan yang dihormati sekalian.
Di dalam Dewan yang mulia ini izinkan saya mengambil kesempatan untuk merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-29. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan buat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan agar dapat bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Kedah dengan penuh kebesaran dan kedaulatan.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas Pembentangan Bajet 2021 yang bertemakan “Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua” oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah pada hari pertama persidangan kali ini. Ternyata bajet kali ini adalah Bajet Prihatin yang mengutamakan nikmat untuk semua khususnya bagi portfolio pelancongan di mana kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi menaiktaraf Muzium Padi di Gunung Keriang, eco pelancongan di baling meliputi pembangunan kemudahan di jajaran Gunung Baling dan rangkaian-rangkaian Gua seperti Gua Sirih, Gua Kelambu, Gua Jepun dan Gua-Gua yang ada. Manakala RM4.5 juta pula disediakan untuk Jabatan Perhutanan bagi tujuan pembangunan Hutan Lipur, menyelenggara dan membaik pulih Taman Eko-Rimba seperti Sungai Sedim, Lata Bukit Hijau, Lata Mengkuang, Titi hayun dan juga Bukit Wang manakala pengusaha Taman Tema terutamanya di Langkawi juga dibantu dengan menghapuskira tunggakan cukai hiburan di mana bagi membantu para pengusaha menaiktaraf kemudahan Taman Tema untuk keselesaan pengunjung, juga Kerajaan Negeri telah pun membuat keputusan dimana memohon semua jabatan PBT dan juga GLC untuk mengadakan kursus mahupun program jabatan di Pulau Langkawi untuk menyokong pelancongan dan pemulihan pelancongan
di Pulau Langkawi. Aktiviti sukan dan riadah juga tidak dilupakan di mana dalam Bajet 2021 ini, Kedah memperuntukkan sebanyak lebih kurang untuk menaiktaraf beberapa jalan di negeri untuk menyokong aktiviti basikal terutamanya bagi laluan pelancong daripada Sungai Petani ke Tanjung Dawai Pantai Merdeka dan kaki Gunung Jerai dimana lokasi ini menjadi tumpuan utama peminat sukan berbasikal di Negeri Kedah untuk berkunjung setiap minggu. Maksud menyokong aktiviti bukanlah pacak payung dan jadi tukang sorak tapi dengar kata daripada perbincangan yang dilakukan kita nak buat trek basikal supaya ramai orang akan ikut aktiviti berbasikal di Negeri Kedah terutamanya di Pantai Merdeka.
Seterusnya, YB. Speaker saya mengucapkan ribuan terima kasih juga kepada YB. Adun Bayu,YB. Adun Kubang Rotan, YB. Adun Kota Siputeh, YB. Adun Gurun, YB. Adun Jitra, YB. Adun Pedu, YB. Adun Suka Menanti, YB. yang bertanyakan berkenaan dengan lisan dan juga ada yang sempat dijawab dan ada yang tak sempat dijawab oleh kerana kekangan masa. Tadi saya tengok ada satu soalan daripada Yang Berhormat Tanjung Dawai tak sempat dijawab, sikit lagi satu soalan. Soalan yang ke-24 tak silap, tapi tak apa, saya akan hantar jawapan bertulis kepada Yang Berhormat. Esok boleh kut noh! Tapi yang dah gulung hari ini tak apa!
YB. Speaker, Adun Bayu ada membangkitkan berkenaan muzium galeri pondok, pelancongan gua, hutan di Baling. Terima kasih Adun Bayu kerana memperjuangkan isu gua. Saya dengan Adun Bayu masuk ke Gua Sirih, Gua Kerbau, Gua Badak macam-macam gua dah dan juga ingin melakukan dimana merasai pengalaman tidur di pondok dan juga mengikuti kuliah subuh.
Untuk makluman YB Bayu buat masa ini belum lagi ada perancangan daripada kerajaan negeri untuk mengadakan galeri pondok tersebut tapi cadangan tersebut untuk mewujudkan galeri pondok amatlah baik dan kita akan hubungkaitkan dimana kerajaan negeri telah pun merancang untuk mewujudkan satu pelancongan ibadah di negeri ini di mana satu perbincangan telahpun dilakukan di Daerah Sik pada bulan Oktober yang lalu bagi hasrat untuk kita buat pelancongan ibadah. Kita boleh buat hubung kait daripada rentetan ini. Kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan Daerah Sik sebagai ‘pilot’ projek untuk program ini dan dikembangkan ke seluruh daerah memandangkan Kedah mempunyai pondok-pondok hampir di setiap daerah. Seterusnya bagi menjawab Adun Bayu berkenaan eko-pelancongan di Baling untuk menyediakan kemudahan bagi rangkaian gua-gua yang melibatkan 17 gua di Gunung Baling dan Gunung Pulai.
Untuk maklumat Ahli Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah pun mengumumkan peruntukan yang besar bagi sektor pelancongan di daerah Baling. Perancangan untuk menaiktaraf dan memajukan sektor pelancongan di daerah Baling sedang diusahakan oleh kerajaan negeri. Selain itu, kerajaan negeri sentiasa memohon peruntukan tambahan daripada pihak Kementerian untuk tahun 2019 kerajaan negeri telah menerima satu juta ringgit daripada Kementerian Pelancongan dan telah diberikan kepada daerah Baling sebanyak RM250 ribu untuk menaiktaraf Ulu Lenggong.
Untuk tahun 2020 kerajaan negeri telah memohon peruntukan khas daripada Kementerian Pelancongan untuk menaik taraf gua-gua di Baling dan rangkaian sektor pelancongan yang berkaitan. Insya-Allah jika diluluskan kita turut akan berikan kepada Kawasan-kawasan Baling. Pada bulan Ogos yang lepas saya juga telah pun mengadakan satu lawatan ke Gua Air dan turut meluluskan peruntukan RM50 ribu bagi menaik taraf kemudahan infra di situ, yang ini boleh seperti yang dibincangkan dalam perjumpaan minggu lepas.
Oleh itu, YB. Speaker, YB. Kubang Rotan ada juga membangkitkan isu berkenaan cukai pelancongan di mana untuk makluman Yang Berhormat, cukai pelancongan berjumlah 5.126,823.00 telah pun dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri untuk dibelanjakan bagi tujuan pelancongan.
Cukai ini diserahkan secara agihan 50 peratus daripada jumlah kutipan keseluruhan berjumlah 10,253,646.00. Terimaan ini dimasukkan ke dalam akaun amanah kerajaan negeri bagi maksud pembangunan dan promosi.
Untuk tahun 2021, sebanyak RM1 juta ringgit akan dibelanjakan untuk tujuan promosi dan yang mana yang ada di BPEN tak termasuklah tapi dia campur sekali semua untuk perbelanjaan pembangunan dan juga promosi.
Oleh itu, dibangkitkan juga berkenaan bantuan kerajaan kepada peniaga khususnya peniaga kecil di mana pihak PBT telah pun memudahkan lesen berniaga sementara yang mewujudkan kawasan bebas niaga di lima daerah iaitu Langkawi, Kota Setar, Kulim, Sungai Petani, dan Kubang Pasu serta ia akan dilunaskan, bukan Lunas depan saya tapi dia akan diperbesarkan ke daerah secara berperingkat. Bagi soalan berkenaan litar lumba. Kerajaan akan meneruskan pembinaannya oleh kerana litar lumba ini telah lama dibincangkan tanpa ada ‘ending’ tanpa ada penamatan. Bincang punya bincang RM10 juta habis lagi lama bincang lagi lama habis. Kita dapat RM30 juta, RM10 juta telah pun selesai untuk pembinaan, tujuan kerja tanah, jalan masuk serta dokumentasi projek dan…
YB. Kuah ada 2 minit lagi!
2 minit lagi ya! Dan juga kita ada ‘balance’ lagi RM20 juta dan mengikut apa yang diucapkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kerajaan yang ada sekarang ini akan terus dan akan membina litar lumba ini untuk bagi rakyat guna dulu dan selepas itu kita nak bagi jadi ‘international’ ke apa ka. Itu perkara kedua lani nak bagi jadi dulu sebab kita nak teruskan supaya jangan bagi ada rakyat-rakyat atau anak- muda kita duk pergi merempit macam cerita anak-anak kat ton tun oh! Kita pun tak tahu kata abang kita suka merempit. Dibangkitkan pula YB. Adun Bukit Lada, berkenaan dengan KFA di mana isu berkenaan ketirisan dalam pengurusan yang terdahulu dan memohon supaya pengurusan baru di bawah pengurusan Yang Amat Berhormat Jeneri tidak melakukan perkara yang sedemikian.
Kita sedia maklum dan berterima kasih di atas peringatan tersebut dan kita sentiasa mengingati peringatan-peringatan tersebut dan kita akan buat yang terbaik untuk Negeri Kedah dan juga pasukan bola Negeri Kedah (YB. Kubang Rotan mencelah)
YB. Tuan Speaker, isu ini saya minta 1 minit boleh?
Boleh dak YB. Kuah bagi 1 minit?
Bagi saya habiskan sikit lagi na!
YB. Speaker, berkenaan dengan isu ini kita melibatkan tohmahan so ada beberapa perkara saya ingat kita mohon
Sat, saya nak tanya Kuah benarkan tak?
Sat, saya habiskan sikit lagi nah! Ada berapa minit lagi tu?
Ada 1 minit saja lagi!
Saya habiskan 1 minit, YB. Kubang Rotan ambil 1 minit. YB. Speaker bagi tak?
Kalau YB. Kuah bagi saya bagi!
Saya sambung dulu. Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, apa yang dinyatakan semalam semalam berkenaan dengan kutipan tabung khas yang melibatkan timbangtara yang melibatkan kutipan duit rakyat yang saya nyatakan hanya ada RM10,000 dan bukan seperti RM50,000 yang diwar-warkan. Saya balik dan saya semak betul-betul dan ternyata betul hanya ada RM10,000 saja, duk cari kelebek pi kelebek mai, tak dak yang ‘balance’ dan ini mungkin bagi pandangan saya mungkin ada kesilapan dari segi ‘statement’ yang dikeluarkan oleh mantan Setiausaha Kehormat yang terdahulu ataupun ingin membuat perbandingan nak sebut kata kita dapat kutipan 50 walhal dalam akaun ada 10 saja tapi tak ada masalah cuma pada pandangan saya. Sekiranya ada kesilapan dari ‘statement’ tetap perlu berbalah cuma bagi tahu nyatakan tak apa mungkin ada kesilapan ‘statement’, saya minta maaf, saya tarik balik statement, selesai! Itu sahaja dan yang nyatanya adalah di dalam rekod-rekod akaun Kedah FA, ini fakta! Ada RM10,000 sahaja
YB. Kuah, bagi saya 1 minit!
Ok, saya bagi!
Boleh na YB. Speaker!
Silakan!
Tak apa! Ada beberapa statement yang dikeluarkan mungkin ada salah faham di sini termasuk dengan YB. Bukit Lada! Statement yang saya katakan dahulu semasa duit ini dimasukkan RM10, RM20, RM50 duit yang sikit masuk ‘direct’ kepada akauan KFA belum dibuat lagi cara ini dan jawapan saya ialah ‘expected’ RM50,000 sebab kos guaman ialah RM100,000 ada repoter tulis mencecah RM50,000, ada repoter tulis jangkaan boleh dapat, kita ‘expected’ dapat RM50,000 sebab kos guaman melebihi RM100,000 sebab kes ini kita lawan, sebab ada dua kes iaitu dengan JDT dan juga kes dengan Akhyar Rashid. Kes dengan JDT, kita bawa ke peringkat FAM dan tak lepas, pergi ke Akhyar kita lepas ke Asian Arbitration Court, kita menang lebih RM300,000 lebih. Jadi, dengan RM50,000 itu bukan jadi isu tetapi cara dicakap, persepsi buruk itu menggambarkan seperti kita nak curi duit RM40,000.
YB. Speaker, benda tu menjadi satu persepsi yang buruk dan juga ada beberapa perkara iaitu tentang isu merchandise sepatutnya yang YB. Kuah check sungguh-sungguh isu ‘merchandise’, isu longgokan jersi, isu ‘agreement’, ‘agreement’ pun dia tak faham iaitu tentang perjanjian dengan Football Republic memang dalam Football Republic tidak ada! Dia ada dalam perjanjian dengan Prestige Sports Sdn. Bhd. Prestige Sports Sdn. Bhd. itu ialah Al-Ikhsan. Al-Ikhsan itu juga Football Republic, nama sahaja berbeza! Lain kali kena check tentang ‘merchandise’ bila ‘merchandise’ untuk seasonal ticket. ‘Seasonal Ticket’ yang RM1,000 orang beli tu pakej dia, bila penonton tidak boleh masuk ke dalam stadium bagaimana barang-barang menchandise itu dapat dibeli oleh penonton. !
Ok, terima kasih Yang Berhormat!
Ini bukan persepsi jahat yang dibuat YB. Kuah, termasuk juga jersi-jersi yang terdapat longgokan itu ialah itu ialah Liga Super Kedah, Piala Presiden, Piala Belia, Piala Wanita Futsal tak dimain sebab itu ada longgokan jersi sebab itu saya harap ada beberapa lagi isu yang saya akan buat ‘press statement’ di luar untuk ‘clear’ kan keadaan itu. Terima kasih YB. Speaker!
Terima kasih Yang Berhormat, sebab itu kadang-kadang kita dah bagi betis nak paha lepas itu kata kita pula buat fitnah jahat! Yang Berhormat kalau…(YB. Speaker mencelah)
Yang Berhormat, conclusion ada seminit lagi!
Yang Berhormat, kalau saya buat fitnah jahat, benar yang masuk RM1, RM2 itu saya kata yang ada akaun pun ada dalam ni, saya kata yang ada akaun tahun 2019 Januari, bulan Januari yang ada RM10,000 tak kan Yang Berhormat nak buat statement tak tengok statement bank tak kan pakai buat statement baik nasib baik Yang Berhormat tidak menjangkakan dapat RM100,000. Jadi, Yang Berhormat bagaimana pula berkenaan dengan komitmen menyelesaikan tunggakan PCB pasukan Bola Sepak Kedah Darul Aman. Dengan segala hormatnya sejarah akan merujuk pada surat Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman, pihak LHDN mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KFA dan Menteri Besar Kedah kerana menyatakan komitmen menyelesaikan tungakan PCB. diharap pihak tuan komited untuk menyelesaikan tunggakan RM3,428,871,72.00 tidak termasuk kompaun secepat mungkin seperti yang dipersetujui. Ini bertarikh 27 September 2020. Ini LHDN hantar surat…………(YB. Kubang Rotan mencelah)
Ni, pi tengok jadual berkala ‘incometax’, belajar sikit!
Sila buat penutup YB. Kuah!
Jadi, Yang Berhormat Kuah, kadang-kadang ada kesilapan macam saya kata tadi mungkin ada kesilapan statement daripada pihak Yang Berhormat Kubang Rotan. Kadang-kadang minta maaf ni tak salah, habaq kata saya salah buat statement, ini saya tarik balik statement, saya minta maaf itu saja! Tak payah panjang-panjang!
Yang Berhormat Speaker, saya berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar kerana telah pun memberikan sejumlah peruntukan kepada portfolio pelancongan. Oleh itu, saya menyokong penuh bajet yang dibentangkan. Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Waalaikumussalam. Kita teruskan kepada YB. Kupang!
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. YB. Tuan Speaker, YAB. Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan, seterusnya hadirin yang dirahmati Allah sekalian.
Pertama, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi kesempatan untuk bertemu dan berkumpul dalam Dewan yang mulia ini bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-14. Sebelum itu, izinkan saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk menggulung perbahasan pada hari ini terutama sekali mengenai dengan isu-isu yang menyentuh tanggungjawab di bawah portfolio saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Adun-Adun yang telah mengambil bahagian dalam Perbahasan Bajet 2021 dan menyentuh beberapa perkara di bawah portfolio saya. YB. Tuan Speaker, di bawah teras 3, membina insan dan melestarikan kehidupan. Terdapat 3 strategi yang saya ingin sentuh, strategi kedua ialah pembangunan ummah di mana peruntukan sebanyak RM2.25 juta telah diperuntukkan dalam bajet 2021 bagi pembangunan prasarana masjid dan surau di Negeri Kedah juga sebagai galakan untuk mengimarahkan masjid dan surau terusnya dapat mengembangkan syiar Islam di Negeri Kedah. Begitu juga peruntukan yang difokuskan kepada pengurusan masjid dan surau, melalui peruntukan ini juga dapat digunakan bagi menyelesaikan masalah penambahbaikan masjid yang telah lama tertangguh.
YB. Tuan Speaker, saya perhatikan bahawa rata-rata Adun membangkitkan kerisauan situasi semasa di mana rakyat telah kehilangan pekerjaan mahupun diberi cuti tanpa gaji dan memerlukan bantuan dan alternatif dalam meneruskan kehidupan. Inilah yang banyak difokuskan, dibangkitkan oleh YB-YB kita. Kerajaan Negeri turut mengambil berat berhubung dengan rakyat Negeri Kedah yang terkesan dengan Pendemik Covid-19 dan tiada pendapatan dalam tempoh ini.
Melalui portfolio sumber manusia kerajaan negeri menggalakkan pendaftaran dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial iaitu Perkeso di mana agensi ini telah diberikan peranan yang luas semasa berlakunya pendek covid-19 melalui pelbagai inisiatif yang telah diumumkan dalam Pakej Prihatin Penjana dan juga Kita Prihatin. Di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan [SIP] 2017, terdapat juga beberapa faedah yang disalurkan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan termasuk mereka yang terjejas semasa pandemik ini.
Antaranya ialah elaun mencari kerja EMP di mana bayaran faedah EMP yang dilanjutkan daripada enam bulan kepada 9 bulan. Sehingga kini ada 5,041 orang di Negeri Kedah telah menerima manfaat ini. Melalui Pakej Penjana Kerjaya insentif sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan pekerja diberikan kepada majikan yang mengambil pekerja OKU, penganggur jangka panjang, dan pekerja yang diberhentikan selama 6 bulan. Kerajaan Pusat telah meluluskan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja [KWSP] melalui Skim iSinar iaitu pengeluaran wang dalam akaun 1 untuk pencarum yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji, serta terjejas ataupun tiada sumber pendapatan.
Yang Berhormat Speaker, Bajet 2021 tidak mengenepikan sektor pendidikan di Negeri Kedah, peruntukan biasiswa kecil sekolah menengah sebanyak RM3,000 ditawarkan kepada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Teknik ataupun Kolej dan juga Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Agama dan Maktab Mahmud di seluruh Negeri Kedah yang berjaya melepasi saringan Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah [SPBNK]. Antara syarat-syarat permohonan biasiswa ialah mendapat pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah dan keutamaan diberikan kepada keluarga miskin dan ada lagi syarat-syarat yang lainlah.
Seterusnya ialah bajet pinjaman pendidikan yang disentuh oleh YB. Kota Siputeh dikurangkan daripada RM1.2 juta kepada RM500 ribu. Tindakan ini adalah untuk tujuan memberi ruang kepada GLC, syarikat-syarikat korporat dan mana-mana individu untuk memberi sumbangan dana kepada pinjaman pendidikan. Unit yang dipertanggungjawabkan untuk tujuan ini ialah Unit Dana yang akan diwujudkan di bawah SPBNK iaitu Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah. Sumbangan dana ini amat digalakkan kerana ia akan dikecualikan daripada cukai pendapatan.
Selain itu juga, pihak kerajaan melalui Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Yayasan Islam turut menyediakan pinjaman biasiswa pendidikan bagi tujuan yang sama. Saya sebutkan di sini antara yang disumbangkan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah ialah RM3,675,000 dan Zakat RM102,260,000. Sumbangan dana ini amat digalakkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, alhamdulillah YAB. Jeneri telah mengumumkan RM500,000 bagi menambahbaik kemudahan Tadika Islam dan Pusat KAFA. Ini adalah merupakan satu inisiatif yang harus dipuji dalam memberi keselesaan kepada guru dan pelajar di dalam mempelajari ilmu dan terima kasih Yang Amat Berhormat.
Berkenaan dengan peruntukan mengurus UNISHAM, sebanyak RM9.5 juta bagi tahun 2021 iaitu dikurangkan RM500 ribu berbanding dengan tahun 2020. Ini kerana sasaran bajet pengurusan akan dikurangkan secara berperingkat bagi membiasakan ketidakbergantungan ke atas kerajaan negeri di mana UNISHAM ialah berorentasikan koprat.
Jadi, kita bagi peluang supaya mereka meningkatkan usaha bagi mengurangkan kebergantungan mereka kepada kerajaan. Selain itu, pembinaan asrama yang berkonsepkan One Stop Centre akan dibina bagi menarik minat lebih ramai pelajar memilih UNISHAM disamping itu juga memberi sumber kewangan tambahan kepada university melalui penyewaan lot-lot perniagaan. Cadangan model ini telah dibuka kepada syarikat yang berminat untuk mengemukakan proposal mereka. Sehingga kini, 3 syarikat telah mengemukakan cadangan dan penentuan syarikat masih belum dimuktamadkan. Pembiayaan projek ini adalah melalui kaedah PFI.
Yang Berhormat Speaker, dalam menjawab persoalan isu cukai tanah sekolah Cina, adalah dimaklumkan bahawa Pejabat Pengarah Tanah Galian Negeri sedang merangka kertas kerja bagi mendapat pertimbangan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan terhadap kadar cukai tanah yang akan dikenakan ke atas sekolah-sekolah swasta dan juga persendirian. Kerajaan Negeri melalui Portfolio Pendidikan mengambil berat isu keciciran pelajar di sekolah di Negeri Kedah di mana satu cadangan projek penyelidikan Constructing Models For Mitigating Disengagement Among Vulnerable Students telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri melibatkan kerjasama di antara kerajaan negeri dan UUM Universiti Utara Malaysia.
Bagi memenuhi aktiviti sepanjang cuti yang dibangkitkan di mana cuti persekolahan sepanjang PKPB, pihak kerajaan telah merancang pelbagai program dan aktiviti kepada pelajar sekolah di bawah Jabatan Pendidikan di mana mereka telah merancangkan antara lain pengajaran dan pembelajaran daripada rumah dilaksanakan untuk semua murid. PPR ini dilaksanakan secara atas talian melalui Platform Google Meet, Google Classroom menggunakan akaun Gmail Delima iaitu Digital Educational Learning Inisiative Malaysia, WhatsApp Group, Telegram dan Zoom. Jadi, PPR juga dilaksanakan secara ‘offline’ melalui cetakan bahan-bahan pembelajaran oleh sekolah dan diambil oleh ibu bapa di pondok pengawal sekolah.
YB. Kupang, 2 minit lagi!
YB. Speaker, bagi tujuan urus tadbir Sekolah-Sekolah Agama di Negeri Kedah, satu badan telah diwujudkan sebagai ‘task force’ bagi mengurus tadbir Sekolah-Sekolah Agama. Jadi, Insya-Allah badan ini akan berfungsi dan saya sendiri yang mempengerusikan badan Insya-Allah.
Selain itu, Tuan Speaker, oleh kerana masa tidak mengizinkan, saya teruskan dengan terbentuknya badan pengurusan ini, penjenamaan Program Cardoba Of Kedah akan dapat diperkasakan, Insya-Allah!
YB. Tuan Speaker, sebagai penutup saya ingin menarik perhatian bahawa sepanjang perbahasan selama dua hari, saya perhatikan ramai di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat seolah-olah melahirkan rasa tidak yakin adakah kerajaan mampu merealisasikan apa yang dibentangkan terutama dalam keadaan negara sedang menghadapi musibah Pandemik Covid-19. Sesungguhnya apa yang dibentangkan itu adalah satu kerangka besar kerana kita tidak boleh hanya melihat apa yang kita hendak lakukan dalam jangka pendek tetapi kita kena melihat lebih jauh malah setidak-tidaknya kita kena menyedari bahawa sekarang ini kita sedang mara dalam merentasi sempadan 2035. Sudah tentu dalam tempoh itu kita akan menyaksikan berbagai gelombang yang akan kita tempuh dan ianya tidak akan sama dengan gelombang yang sedang kita harungi pada hari ini sama ada dari segi ekonomi, sosio budaya, keselamatan, lebih-lebih lagi dari segi politik yang makin celaru dan tidak menentu ini. Pemimpin harus berjiwa besar dan antara ciri berjiwa besar ialah ‘confident’ terhadap diri. Mari kita lihat apa yang dilakukan oleh Tariq Bin Ziyad selepas mendarat di Andalusia, dia bertindak membakar kapal-kapal yang mereka naiki untuk merentasi Lautan Mediterranean melalui Selat Gibraltar lalu berkata kepada tenteranya laut di belakangmu dan musuh di hadapan mu! Pilih salah satu, itulah keyakinan yang ada pada pemimpin yang berjiwa besar.
Jadi, untuk mencapai kejayaan dalam membuat sesuatu perubahan maka kita kena bina keyakinan ini! Oleh itu, mari bangun bersama kita bina Kedah Sejahtera menerusi Anugerah Allah yang besar yang berupa sawah lebar yang subur, rimba raya yang menghijau, Samudera yang tidak jemu menjanjikan tangkapan kita angkasa yang menyimpan tenaga suria.
YB. Speaker, boleh tanya sikit!
Tinggal sikit saja lagi, dan menjanjikan hasil tangkapan, angkasa yang menyimpan tenaga suria, keindahan pulau-pulau, hutan yang kaya dengan flora dan fauna sedang menanti sentuhan pelancong, semua ini jika diuruskan dengan penuh amanah tentunya Kedah tidak ketinggalan daripada negeri-negeri yang lain. Sekian, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh.
Boleh tanya sikit, ada tertinggal satu…
Dia dah tutup dah, dia dah berhenti dah! Tengok sat lagi!
Tak jawab satu Sekolah Agama Rakyat, tak dapat peruntukanlah.
Tak apa jumpa kemudian lah!
Peraturan Mesyuarat! Sikit saja!
Ya..silakan!
Dalam persidangan kita ini, kita sebagai Ahli Dewan kita kena…(YB. Speaker mencelah)
Perkara berapa tu?
Perkara 35(1) dan Perkara 37. Saya harap Ahli-Ahli Dewan dapat ambil perhatian, kita sebagai Ahli Dewan kena ada adab. Tadi saya lihat YB. Kubang Rotan, cakap duduk saja, tak bangun sedangkan kita ada peraturan. Sepatutya minta Speaker ambil perhatian iaitu 35(1) : Tidak boleh bercakap melainkan setelah dipanggil oleh pengerusi. Tiba-tiba dia duduk situ terus cakap! Peraturan 37, tidak boleh menganggu ahli lain. Jadi, saya harap kita professional lah, bangun ke tidak boleh mengganggu ahli lain. Jadi, saya harap kita bagi professional lah! Terima kasih
Terima kasih atas peringatan! Silakan YB. Bukit Pinang!
Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh Alhamdulillah Wassolatu Wassalamu’Ala Rasulillah Waman’tabiahu Bil’Ihsai Ila’yumiddin. Qhola’Robbisrohli Sodriwa’yassirli Amri’ Wahlul Uqdatan’ Milisaani Yafqahu Qauli.
Yang Berhormat Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan Pihak Pengamal Media Sosial dan Elektronik Dan Para Pemerhati sekalian. Pertama kali, saya nak rakamkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan mengemukakan soalan lisan dan bertulis. Penghargaan juga diucapkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam mengemukakan saranan bernas untuk jadikan penambahan penambah nilai bagi dasar-dasar kerajaan negeri jangka masa panjang terutamanya yang melibatkan sektor penerangan, komunikasi dan multimedia, perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.
Alhamdulillah semua 23 orang Adun telah membahas Bajet 2021 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Tidak banyak yang menyentuh portfolio saya. Pengkalan Kundur telah menyentuh mengenai Kempen Norma Baru agar rakyat menjadi suatu amalan. 6 orang Adun yang lain telah menyentuh mengenai ICT iaitu Internet Jalur Lebar, Adun Kuala Ketil, Adun Kulim, Adun Bayu Adun Bandar Baharu, Adun Kota Siputeh dan disentuh sedikit oleh Adun Kuala Nerang.
Walaupun tidak semua Adun yang menyentuh mengenai ICT tetapi saya berkeyakinan semua Adun amat simpati pada rakyat yang ketinggalan dalam arus perdana ini. Tambah-tambah lagi pada adik-adik kita dan anak kita yang sedang belajar dengan mengguna online seperti baru-baru ini iaitu di Bukit Selambau telah di’viral’ rata keseluruhannya dan baru-baru ini juga pada 16.11.2020 pada hari Isnin di Kampung Tembak B, adik Saiful Izwan Mohamad Helmi telah menyuarakan mereka telah memasang ‘router’ untuk mendapat talian yang baik.
Menyedari hakikat ini, internet dan jalur lebar amat penting sebagai keperluan asas bagi semua industri dan rakyat termasuklah industri pelancongan, perumahan, perhotelan, keusahawanan, pendidikan dan lain-lain. Yang Berhormat Kuala Ketil sebut dia pergi ke mana pun tak bawa orang yang disayangi pun tak apa tetapi handphone tetap menjadi teman setia.
Yang Berhormat Speaker, isu Pandemik Covid-19 menyebabkan masyarakat khususnya warga pendidik, pelajar, para usahawan dan juga penjawat awam perlu menepati kepada intro transformasi digital dalam meneruskan dan melaksanakan kerja-kerja dan tugasan harian di samping untuk meningkatkan produktiviti. Kerajaan bertanggungjawab untuk menyelesaikan detail atau digital solution dengan cara memantapkan dan memperkasakan infra komunikasi dan menyediakan platform digital yang akan memanfaatkan rakyat dan juga negara secara langsung atau tidak langsung.
Untuk makluman kerajaan negeri dengan kerjasama SKMM yang telah dan sentiasa memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar. Penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan menggunakan pelbagai teknologi untuk membolehkan rakyat khususnya di kawasan-kawasan luar bandar menikmati akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih menyeluruh.
Adun Kuala Ketil dan Adun Kulim juga membangkitkan mengenai pencapaian Internet yang amat lemah di Kampung Tembak B. Untuk makluman Ahli Dewan pihak SKMM Negeri Kedah/ Perlis, pengarahnya Encik Azhar turun ke Padang, ke kampung tersebut telah berjumpa dengan pengadu pada hari isnin yang lepas. Pihak SKMM sedang dalam melaksanakan pembinaan 25 menara telekomunikasi bagi yang baru di Negeri Kedah yang dijangka akan siap Fasa 1 pada tahun 2021. Dalam senarai Menara baru tersebut, terdapat satu menara lokasi yang berdekatan dengan Kampung Tembak B yang dibangkitkan oleh Kuala Ketil. InsyaAllah dengan usaha pihak SKMM masaalah ini akan dapat diatasi. Adun Kulim turut membangkitkan mengenai masalah liputan internet di Bukit Selambau, di Kampung Kongsi 14.
Untuk makluman Yang Berhormat, pihak SKMM Negeri Kedah bersama dengan 4 penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile telah menghasilkan pelan untuk menyediakan liputan sekitar Kampung Kongsi 14 di Bukit Selambau itu. Saya ucap terima kasih kepada YB. Dato’ Paduka Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang telah mengeluarkan surat kepada SKMM bagi memastikan kerja-kerja untuk memberi perkhidmatan di Kampung Batu 14, Bukit Selambau Insya-Allah akan dapat diselesaikan pada tahun ini walaupun perkara itu telah dibangkitkan sejak 2016 lagi. Pihak penyediaan akan mendirikan Menara Pemancar sementara tingginya lebih kurang 30 meter untuk memberi liputan lebih baik di kawasan tersebut. Keempat-empat rangkaian teknologi, telekomunikasi akan dapat diakses oleh penduduk melalui teknologi perkongsian pemancar yang dikenali sebagai Multi Operator Core Network (MOCN). Ini merupakan kali pertama penggunaan teknologi ini di Semenanjung Malaysia yang menggabungkan keempat-empat syarikat penyediaan perkhidmatan telekomunikasi. Saya ucapkan terima kasih kepada SKMM, SKMM telah mengambil tindakan dengan drastik iaitu satu modul MOCN iaitu menggunakan 4 komponen ini dan di Kedah lah yang pertama kali digunakan di Semenanjung. Kerja penyediaan tapak pemasangan dan pengaktifaan Menara sementara itu akan diselesaikan dalam masa terdekat Insya-Allah yang saya sebut tadi iaitu pada hujung bulan ni ataupun awal bulan Disember 2020.
Adun Bayu turut membangkitkan mengenai isu pencapaian internet yang lemah seluruh Negeri Kedah, berdasarkan statistic kadar liputan jalur lebar mudah alih di kawasan berpenduduk di Kedah ini Insya Allah. Sehingga Ogos 2020, kadar liputan adalah seperti berikut, terdapat 3G iaitu 97.63%, 4G iaitu 93.56%. Didapatimasih terdapat kawasan yang mempunyai kadar liputan yang lemah khususnya di Baling, Padang Terap, Sik dan juga Kulim.
Di antara inisiatif-inisiatif penyediaan perkhidmatan jalur lebar yang sedang dilaksanakan di Negeri Kedah bagi meningkatkan akses kepada rangkaian internet di kawasan yang mempunyai liputan internet yang lama seperti berikut. Yang saya sebut tadi jawapan kepada Adun Ayer Hitam, 25 menara Insya-Allah akan disiapkan sekurang-kurangnya 10 menara akan disiapkan hujung bulan hujung Disember 2020 dan bakinya adalah pada ‘first quarter’ 2021. Sebanyak satu alat pemancar komunikasi, menara komunikasi sedia ada sedang dinaiktaraf kepada 4G iaitu perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula melalui projek jalur lebar pinggir bandar sebanyak 4,736 sambungan masih dalam peringkat pelaksanaan dan jangka siap pada peringkat penghujung 2020.
Selain itu SKMM sedang melaksanakan penarafan rangkaian berasas tembaga kepada rangkaian gantian optik diseluruh Kedah yang melibatkan pelanggan sedia ada secara keseluruhannya. Inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Telekom Malaysia dijangka akan siap penghujung 2021. Semua ‘fiber coper’ akan ditukar kepada ‘fiber optic’. Pada masa yang sama SKMM juga sudah mengadakan sesi perancangan bersama pihak industri dan agensi kerajaan untuk memantapkan kualiti dan liputan perkhidmatan menggunakan pelbagai teknologi. Pihak SKMM …(YB. Speaker mencelah)
YB. Bukit Pinang, ada 2 minit lagi!
Ok, saya ringkaskan! sehingga kini terdapat 270 lokasi yang telah dikenalpasti, telah dipanjangkan kepada ibu pejabat SKMM Insya-Allah dengan jendela ini iaitu Jalinan Digital Negara akan siap sekurang-kurangnya telah diluluskan buat masa kini iaitu 105 menara baru dan campur yang sedia ada yang telah diluluskan iaitu 24. Insya-Allah kita akan dapat keseluruhannya dan juga internet sedia ada iaitu 70 buah internet yang sedia ada di seluruh Kedah, saya yakin adik-adik kita dapat manfaat dengan baik dengan talian yang akan dibina semula selepas ini dengan menaranya 105 menara komunikasi baru dan juga pemancar yang sedia ada kita akan di ‘upgrade’ kan iaitu pemancar menjadi 4G iaitu 1,162 alat pemancar telekomunikasi yang sedia ada akan di’upgrade’kan supaya dapat 4G dan juga keluasan rangkaian gentian optik kepada 91,393 premis yang akan memberi akses kepada kelajuan gigabit. Saya berkeyakinan kerajaan negeri turut prihatin dengan keperluan infrastruktur telekomunikasi yang lengkap sebagai tarikan pelabur negeri ini yang dibentang oleh Yang Amat Berhormat iaitu Kedah 2035. Sehubungan dengan itu, ia telah diterjemah dalam Pelan Pembangunan Kedah 3035 melalui teras 2, kecemerlangan infra dan utility Kedah 2035, kerajaan negeri komited dengan memperkasakan insfrastruktur jaringan telekomunikasi, infrastructure. Jaringan telekomunikasi dan digital bagi menyediakan kemudahan asas, bahasa baku!
Boleh buat penutup tak YB. Bukit Pinang.
Banyak! Tapi tak apa lah buat penutup lah satgi tak sampai hasrat! Tak apa saya langkau-langkau Insya-Allah!
Minta sikit penjelasan!
Tak cukup 13 minit pasal kita nak buat banyak tahun tiba-tiba bagi 13 minit habis lah!
YB. Bukit Pinang, minta laluan!
Kedah Digital Center contohnya satu body yang untuk memperkenalkan Kedah Digital kepada keseluruhannya kampung-kampung dan juga sekolah-sekolah. Dalam Kedah Digital Center kita ada 30 modul untuk perkenalkan kepada rakyat dan juga kepada anak sekolah. Saya pi rasmi baru ini di KTPC iaitu sehingga boleh buat dron, Insya-Allah Kedah Digital Center mampu untuk menggupgradekan Kerajaan Negeri kepada Kedah Digital kepada Kedah Smart City. Banyak lagi lah, nak sentuh tak sempat. Jadi, saya mohon ampun dan maaf kerana mengganggu Speaker.
Sekian. Wabillahitaufik Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Waalaikumussalam. Ahli-Ahli Yang Berhormat saya nak menarik perhatian Perkara 35(6) iaitu semasa kita berucap dilarang membaca kecuali kita nak merujuk kepada teks-teks tertentu atau point-point tertentu. Masa di sekolah dulu pun, kita tak dibenarkan tengok kalau nak pi bersyarah, boleh reling sekali sekala bolehlah, setakat rujuk dibenarkan, sila hujah secara ‘freely’. Silakan YB. Bukit Kayu Hitam!
Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillahi Rabbil Alamin Wassalatu Wassalamu Ala Asrofil Ambiya Iwal Mursalin Ala Sayyidina Muhammadin Wa Ala Alihi Wa Sohbihi Ajma'iin. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Berhormat Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Ketua-Ketua Jabatan. Pertamanya, saya ingin mengambil peluang untuk memberi setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada semua barisan ‘frontliners’ kita yang telah bertungkus lumus, berkorban tenaga, memerah keringat siang dan malam dalam memastikan kesejahteraan buat rakyat di Negeri Kedah khususnya kepada Negeri Kedah yang kita cintai ini. Pada minggu lalu rakan-rakan kita daripada masyarakat India telah menyambut Pesta Sambutan Cahaya Deepavali. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Deepavali Valthukal! Tahniah dan ribuan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman di atas pembentangan bajet sulung beliau sejak Kerajaan Negeri Kedah iaitu di bawah kerajaan pimpinan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan.
Di dalam bajet yang telah dirangka jelas tidak menganaktirikan kebajikan rakyat di Negeri Kedah, tanah tumpah darah ini. Terbukti bajet yang telah dibentangkan bertetapan dengan teras kedua pada kali ini yang memfokuskan kesejahteraan rakyat dan penambahbaikan kualiti hidup masyarakat di mana Yang Amat Berhormat Menteri Besar membentangkan peruntukan yang besar kepada bidang kebajikan yang mana 24.82 juta telah disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah bagi membiayai bantuan am, bantuan bulanan, bantuan bencana, bantuan pusat aktiviti warga emas atau lebih dikenali dengan PAWE, pusat aktiviti kanak-kanak (PAKK) dan rumah orang tua-tua. Sejumlah lebih kurang RM500 juga telah diperuntukkan kepada Tabung Wanita Sejahtera Negeri Kedah dalam memberi penghargaan kepada golongan wanita. Terima kasih YAB. Menteri Besar. Tidak ketinggalan juga, kerajaan turut menyediakan bantuan khas melalui Program Keluarga Sejahtera di mana bantuan tambahan antara RM100 kepada hingga RM300 akan diberikan kepada pesakit terlantar bagi mengurangkan bebanan kewangan penjaga pesakit terlantar. Yang ni kalau dulu pesakit terlantar mendapat RM300. Insya-Allah, di dalam bajet ini PM telah mengumumkan telah dinaikkan kepada RM500. Terima kasih PM kita juga!
Rakaman terima kasih juga kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan mengemukakan soalan lisan dan juga bertulis. Saranan bernas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat akan dijadikan menambah nilai bagi dasar-dasar dijangka Negeri Kedah yang panjang terutamanya yang melibatkan sektor Pembangunan Wanita Pembangunan Keluarga, Masyarakat dan juga Kebajikan.
Yang Berhormat Speaker, Adun Bukit Selambau ada membangkitkan isu berkenaan dengan jumlah setiap kategori bagi setiap kaum bagi daerah Kuala Muda bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat ini.
Jadi, skim bantuan-bantuan bulanan kebajikan masyarakat di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah kepada penerima bantuan bulan bagi semua kaum di daerah Kuala Muda dari Januari 2020 hingga Oktober 2020 adalah sebanyak 8,233 orang penerima yang berjumlah RM280,680 338. Jadi, satu jumlah yang besar diperuntukkan oleh JKM, Kita tahu Kuala Muda satu daerah yang besar! Jadi, peruntukkan besar juga diperuntukkan di situ. YB. Jitra juga membangkitkan isu berkenaan adakah dapat bajet untuk diadakan kelas tuisyen bagi anak-anak KIDA. Anak-anak yang memegang kad Kasih Ibu Darul Aman ini. Untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat tiada bajet peruntukan khusus untuk tuisyen, kelas tuisyen anak-anak daripada Program Kasih Ibu Darul Aman ini. Walaubagaimanapun, terdapat satu program kecemerlangan akademik NCIA iaitu Program Empower NCER Akademik yang kini sedang dijalankan dan mensasarkan murid yang mengambil peperiksaan SPM dari golongan keluarga B40 yang mana terdapat mereka ini penerima anak-anak penerima KIDA juga turut terpilih dalam program ini. Kesemua pemilihan peserta adalah daripada, mereka ini mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah dan juga di perakuan daripada Jabatan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Selain daripada itu, ibu bapa kepada peserta dan guru-guru yang terlibat juga akan diberi program khusus seperti Program Bimbingan Keibubapaan dan juga Program Pembelajaran Abad Ke 21. Program Peningkatan Prestasi Akademik ini dan pembinaan siasah ini memfokuskan kepada murid-murid yang mengambil peperiksaan utama seperti SPM, exam PT3 dan juga peperiksaan UPSR.
Program ini akan memberi impak di mana anak-anak terima KIDA tidak akan ketinggalan daripada aspek pendidikan. Justeru, secara tidak langsung dapatlah membantu diri mereka serta keluarga mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. Yang Berhormat Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan Dan Puan-Puan sekalian. Sayang Seribu Kali Sayang. Dalam Pada kita ingin membina peradaban santun tatasusila di antara satu sama lain. Perkataan yang kurang sedap dan enak dikeluarkan daripada segelintir Ahli-Ahli Yang Berhormat yang berada di dalam dewan ini juga. Tidak mengapalah kita wajar terus berjiwa besar, kepentingan rakyat harus diutamakan dalam apa sahaja keadaan tambahan dalam ketika seluruh negara sedang berhadapan dengan Pandemik Covid 19. Bak kata seloka Orang Kedah ramai orang kata orang Kedah ni baik, hati tak lokek ilmu suka pula memberi bajet kerajaan prihatin rakyat Kedah senang hati, Kedah sejahtera nikmat untuk semua, slogan diberi! Yang Berhormat Jitra dan Yang Berhormat Anak Bukit dan Yang Berhormat Kota Seputeh serta Yang Berhormat Kota Darulaman membangkitkan isu berkenaan dengan Rumah Transit dan Gelandangan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat mentafsirkan orang papa dengan merujuk kepada Akta Orang Papa 1977 sebagai seorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam dan dengan sebegitu cara sehingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegusaran kepada orang yang lain yang lazim mengunjung tempat itu atau hingga menimbulkan kacau ganggu di bawah Seksyen 2, Akta 183.
Bagi peleser pula ditafsirkan seorang yang dijumpai di satu tempat awam sama ada atau tidak dia mengemis yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau yang tidak dapat mengatakan hal dirinya dengan memuaskan. Bagi maksud mengemis ini dan peleser ini, JKM menggunakan peruntukan di bawah Akta Orang Papa 1977, sebagai sumber kuasa dalam menyelamatkan mereka.
Maksud Gelandangan merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat mentafsirkan gelandangan adalah orang yang tidak mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal yang tidak tetap. Rumah Transit Negeri Kedah atau lebih dikenali dengan RTMK kini bertindak sebagai pusat transit bagi mereka yang memerlukan dan memantapkan proses intervensi. Kemudahan tempat tinggal dan makanan dan minuman disediakan untuk tempoh satu hingga dua minggu sahaja sebelum tindakan lanjut diambil untuk membantu mereka supaya dapat berdikari dan ditempatkan di institusi lain.
Peruntukan bajet bagi rumah transit ini adalah sebanyak RM150 ribu setahun. Kalau kita tengok RM150 ribu setahun ini dia melibatkan semua kos-kos di dalam rumah transit it.
Untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat telah bersetuju dan meluluskan untuk mengecualikan Rumah Transit Negeri Kedah atau lebih dikenali dengan RTMK ini yang beralamat di nombor 340 hingga 345, Jalan Pulasan 6, Taman Pulasan 06000 Jitra, Kedah yang ditadbirkan oleh Majlis Kebajikan Negeri Kedah daripada semua Akta Peruntukan Akta Pusat Jagaan 1993, Akta 506 berkuatkuasa pada 15 Oktober 2020. Kalau dulu ni dibangkit dalam Sidang Dun, rumah ini tak boleh beraksi la ni dah dapat dah. Insya-Allah, selepas ini kita boleh beroperasi selepas tamatnya tempoh Pandemik Covid 19 yang ditetapkan oleh JKM.
Buat masa sekarang ni semua institusi dibawah JKM memang tak dibenarkan masuk kerana kita mematuhi pada tempoh SOP ataupun PKPB yang telah ditetapkan ini. Untuk makluman Yang Berhormat Speaker.
Justeru, setelah berakhirnya perintah kawalan pergerakan bersyarat nanti RTMK akan melaksanakan operasi sepenuhnya bagi tujuan memberi perlindungan sementara kepada gelandangan, pengemis, kanak-kanak jalanan,kes-kes keganasan rumah tangga, tersisihnya daripada keluarga pengemis ataupun kutu rayau. Isu gelandangan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menjalankan operasi menyelamat kutu rayau, dan orang papa sebanyak 77 kali sepanjang Januari hingga Oktober 2020 di bawah Akta Orang Papa 1977. Jumlah yang diselamatkan bila kita buat operasi kita turun padang, sebanyak 88 orang kita telah selamat dan kita tempatkan yang melibatkan 12 buah daerah di seluruh Negeri Kedah. Orang yang diselamatkan ini juga ditempatkan di rumah Seri Bedong kalau dia tu orang tua-tua yang diwartakan yang mana Rumah Kenangan Seri Bedong ini telah diwartakan sebagai tempat selamat kalau kita pergi melawat rumah Seri Bedong ini dia ada yang macam jil tu pun ada, dia ada pagar besi, dia ada tempat yang biasa dialami oleh orang-orang tua. Jadi, Insyaallah bila ada masa kita pakat-pakat Yang Berhormat ini pergi melawat macam mana kita nak menyantuni orang tua-tua di sana.
Selebihnya mereka ini adalah pihak daripada orang tua ataupun keluarga kita serahkan kepada pihak imigresen. YB. Jitra juga dan YB. Anak Bukit membangkitkan berkenaan Tabung Khas Wanita Negeri Kedah atau dikenali dengan TKW kalau dulunya. Untuk makluman YB. Speaker, penubuhan Tabung Wanita Sejahtera Negeri Kedah, ini adalah susulan daripada peruntukan Tabung Khas Wanita Negeri Kedah yang mana dulunya permohonan mensasarkan 47,000 orang lebih di setiap 36 Dun. Jadi, kita beri kepada kategori yang telah ditetapkan iaitu 8 kategori, nanti saya tak payah baca semualah sebab dah bagitau dah dulu.
Jadi, untuk makluman semua dalam Bajet 2021 ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah RM500 ribu ribu kepada Tabung Wanita Negeri Kedah untuk memberi sumbangan modal kepada wanita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Di sini juga untuk makluman Adun Anak Bukit juga cuma bertanya lah program tabung khas wanita ini ada tak diberikan kepada Adun Anak Bukit, Jitra dan Bukit Kayu Hitam.
Untuk makluman semua, untuk penerima Dun Anak Bukit di dalam Program Tabung Khas Wanita 2019 dulu sebanyak 25 orang dan pada tahun 2020 ini pula kita beri kepada kategori F sebanyak 30 orang dan juga YB. Jitra macam tu juga dulu 2019 ada 24 orang dalam kategori C dan D iaitu menjaga isteri sakit terlantar ataupun suami sakit terlantar, anak-anak sakit terlantar, kali ini kita beri kepada wanita bekerja yang memulakan perniagaan sebanyak 30 orang juga. Bukit Kayu Hitam juga walaupun Exco sendiri jadi pengerusi dapat 33 orang saja dan 30 juga pada i tahun 2020, tak ambil pun hak orang lain.
Jadi, selain daripada Tabung Khas Wanita Negeri Kedah, kita ada program-program yang memperkasakan wanita sebagai iSuri, KIDA, program khas BKIT berkenaan ibu tunggal dan juga program-program bantuan bulanan yang melibatkan ibu tunggal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Alhamdulillah Kerajaan Perikatan Nasional kali ini juga menambah bajet yang besar untuk Program Memperkasakan Wanita iaitu insentif untuk buat program momogram, program untuk memeriksa payudara, takut penyakit kanser dan kanser serviks ini diteruskan Alhamdulilah dengan peruntukan yang besar.
Akhir sekali, saya ingin menzahirkan ribuan terima kasih kepada YB. Bukit Lada, YB. Tanjung Dawai dan Yang Berhormat yang lain, YB. Bandar Baru di atas keprihatinan segala insentif dan usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang di bawah portfolio Kak Ton dan juga Kak Ton harap kebanyakan masyarakat di bawah sana sedar bahawa JKM memainkan peranan yang penting untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang turun ke padang. Saya nak maklumkan di dalam dewan ini kepada semua Wakil-Wakil Rakyat di sini bila turun ke kawasan anda semua, bawalah pegawai-pegawai masyarakat di daerah supaya mereka boleh melihat sendiri, mereka boleh sendiri memberi dalam siasatan masa lawatan untuk memberi kelulusan. Kalau mereka itu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan!
Janganlah kita pergi seorang-seorang lepas tu kita habaq kata itu tak dapat ini tak dapat dan harap harap semua dalam 36 dua ni dan melibatkan 12 daerah ni kita ada hubungan baik dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah tersebut untuk kita memudahkan kerja membantu rakyat. Jadi, saya minta maaf kalau ada salah dan silap.
Sekian Wabillahi Taufik Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih YB. Bukit Kayu Hitam. Sekarang saya persilakan YB. Merbau Pulas!
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berbahagia Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah, Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Barisan Pengamal Media Cetak dan Media Elektronik, Tuan-Tuan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wa’Taala kerana dengan izin dan limpah kurnianya kita diberi ruang dan kesempatan untuk bertemu dan berkumpul dalam dewan yang mulia ini bagi sama-sama menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-14 pada hari ini demi menjalankan amanah, tanggungjawab kepada rakyat di Kedah Darul Aman .
Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan pada mesyuarat kali ini. Sehubungan itu, saya akan menggunakan kesempatan ini untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan, isi-isu disentuh berkaitan portfolio saya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat Negeri Kedah.
Kerajaan Negeri Kedah sentiasa memandang serius bekalan air di luar bandar. Persoalan yang ditimbulkan oleh YB. Kuala Ketil dan YB. Bayu. Air adalah Almaaun Hayyun. Air adalah kehidupan, air adalah keperluan asas rakyat di Negeri Kedah yang perlu diutamakan seiring dengan pembangunan fizikal yang lain. Buatlah bangunan setinggi mana pun kalau tidak ada air, tak ada apa pun manfaat kepada kita khususnya kerjasama erat dengan pihak kerajaan persekutuan dengan pembangunan luar bandar turut sama meningkatkan bekalan air di luar bandar.
Jawapan kepada Yang Berhormat Kuala Ketil dan Bayu, bekalan air masyarakat, di sini saya ingin jelaskan pada tahun 2020 sebanyak 24 projek bekalan air luar bandar telah dan akan dilaksanakan di seluruh Negeri Kedah merangkumi 18 projek bekalan air luar bandar retikulasi. Sebanyak 5,870,000. 6 projek bekalan air luar bandar alternatif sebanyak 2,310,000. Daerah Baling, terdapat 6 projek bekalan air masyarakat iaitu 3 projek bekalan air luar bandar retikulasi dengan peruntukan sebanyak RM1,187,000. Antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Charok Nau, Kampung Landak, Bukit Kupang serta Simpang Charok Kelian ke Tebing Tinggi Baling manakala 3 projek bekalan air luar bandar alternatif untuk peruntukan sebanyak RM1,250,000 dan kawasan terlibat adalah Kampung Tanjung Pari, Kampung Seri Ketengga, Kampung Sungai Tembak dan Kampung Kuala Kuang, Baling. Sehubungan itu juga, jalan kampung di daerah Baling terdapat 8 projek jalan perhubungan desa (JPD) yang telah dan sedang dinaik taraf dan dibaik pulih melibatkan peruntukan sebanyak RM540 ribu. Selain itu, kerajaan juga mengambil inisiatif bagi meneruskan projek menaikkan taraf perhubungan jalan desa dengan program rangsangan ekonomi pada tahun 2020 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM710,000 dan di daerah Baling sebanyak 8 projek.
Saya menjawab untuk soalan YB. Derga. Persoalan yang ditimbulkan oleh YB. Derga. Tak perlulah bina jalan di Daerah Sik yang disebut daripada Bukit Sangor ke Sik Dalam. Jalan itu adalah jalan luar bandar yang kita telah rancang untuk memberi akses kepada suatu lagi projek kerajaan negeri kebanggaan negeri kedah iaitu pembinaan MRSM Ulul Albab.
Dengan jalan itu, akan menjimatkan perjalanan yang sekarang ini 17 kilometer daripada Jeneri nak ke Sik Dalam akan dikurangkan sebanyak 9km sahaja. Perjalanan itu akan dipendekkan dan akan membangunkan ekonomi di sekitar itu. Jadi, projek ini akan diteruskan pada tahun hadapan dan akan dimulakan pembinaan.
Yang keduanya, YB. Pengkalan kundur menyebutkan tentang JPKK tidak berfungsi. Disebut juga semalam JPKK tidak berfungsi. Untuk makluman YB-YB juga, Kerajaan Negeri juga memandang berat sebenarnya kepimpinan setempat di kawasan luar bandar ini di mana merekalah sebagai mata telinga kepada kerajaan. Jadi apabila disebut tidak berfungsi ini bagaimana dikatakan tidak berfungsi kerana pelaksanaan itu baru nak dijalankan. Pelantikan 13 anggota JPKK merangkumi seorang pengerusi, seorang setiausaha dan 11 orang biro-biro. Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah mengeluarkan surat pelaksanaan JPKK kepada semua kerajaan negeri pada 22 Julai lalu.
Alhamdulillah 20 Julai baru kita dapat surat daripada pihak KPLB, seawal 8 Oktober 2020 kerajaan telah mula melantik anggota JPKK secara berperingkat Insya-Allah seramai 13,325 anggota JPKK merangkumi 1,025 pengerusi dan mula bertugas sebagai jentera kerajaan negeri bagi sama-sama membangunkan Kerajaan Negeri Kedah. Alhamdulillah Insya-Allah kali ini dia JPKK yang dilantik adalah daripada kampung berkenaan dan akan berkhidmat di kampung berkenaan, tidak seperti MPKK dahulu dilantik daripada kampung lain, bekerja di kampung lain sehingga orang kampung pun tak kenal MPKK yang dulu pada ketika 2 bulan yang lalu. Itulah daripada Pihak Pembangunan Kemajuan Luar Bandar.
YB. Speaker, boleh mencelah sikit!
Saya tidak bagi laluan! Masa saya terlalu singkat. 13 minit sahaja! Saya banyak nak jawab mengenai portfolio saya. Saya masuk pada bahagian pembasmian kemiskinan. Yang ditimbulkan oleh YB. Anak Bukit, YB. Jitra dan juga YB. Suka Menanti. Bagi memperkemaskan program-program basmi kemiskinan secara holistik di Negeri Kedah, Kerajaan Negeri akan menyediakan satu framework pembasmian kemiskinan yang menyeluruh dan bersasar kepada golongan sasar. Framework ini akan dipanjangkan kepada semua agensi pemberi bantuan sebagai panduan penyaluran bantuan. Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengelaskan golongan miskin kepada 4 kelompok sasaran di bawah golongan B40.
Setiap kelompok sasaran ini akan dibantu berdasarkan keperluan kursus yang bersesuaian untuk mereka. Bantuan ‘one off’ seperti bantuan kecemasan, kewangan, bantuan KID, makanan asas akan dikhususkan kepada golongan miskin tegar hingga berada di tangga terbawah. Bantuan bersifat jangka sederhana seperti bantuan alatan dan kelengkapan, siri kursus dan bimbingan dan bantuan microcredit lebih sesuai diberi kepada golongan usahawan, ibu tunggal dan anak anak. Ketua isi rumah di bawah paras kemiskinan, inisiatif yang bermatlamat jangka panjang seperti biasiswa pendidikan, pinjaman perniagaan dan platform perniagaan adalah wajar dikhususkan kepada golongan miskin yang berkemahiran supaya dapat meningkatkan pendapatan dan terkeluar dari garis kemiskinan.
YB. Anak Bukit dan YB. Suka Menanti dan juga dua orang YB yang menyebut mengenai Program Anakku Sejahtera. Program ini akan dilaksanakan pada tahun hadapan, 2021 sebagai salah satu inisiatif pembasmian kemiskinan untuk rakyat Negeri Kedah melalui bantuan tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional sebanyak RM100 dan Program Anakku Sejahtera ini adalah untuk membantu 10,000 bayi yang lahir pada tahun hadapan yang memiliki simpanan bagi tujuan pendidikan mereka sejak kecil lagi. Bagi memastikan mereka layak menerima manfaat ini, pendapatan isi rumah adalah RM2,254, had pendapatan ini adalah selari dengan pendapatan garis kemiskinan khusus bagi Negeri Kedah yang telah dicadangkan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri. Syarat-syarat untuk layak mendapat RM100 ini adalah ibu bapa warganegara Malaysia yang dilahirkan di Malaysia dan anak-anak ini ataupun bermastautin di Negeri Kedah selama 10 tahun dan ibu bapa juga mestilah mendaftar anak-anak ini dengan SSPN-I dan ada Sijil ada kad, ada nombor, lepas tu diserahkan kepada pihak Pejabat ADUN, borang boleh diambil Pejabat ADUN. Selagi tidak daftar dengan SSPN-I, Kerajaan tidak akan mencarum dan kita bagi tempoh hanya selama 3 bulan sahaja daripada mula kelahiran. Kita bagi 3 bulan untuk daftar. Kalau lebih daripada 3 bulan, dia tidak daftar, dia sudah tidak ada kelayakan, sebab kita nak ibu bapa rasa cepat untuk memastikan anak-anaknya dapat di daftar bawah Program Anakku Sejahtera ini. Selepas itu kita akan serah kepada pihak Pejabat Kebajikan Daerah dan akan disalurkan wang sebanyak RM100 kepada akaun anak ini.
Seterusnya tentang khairat kematian yang ditubuhkan oleh YB. Jitra! Khairat kematian diteruskan kalau dahulu RM250, sekarang kita tambah kepada RM300. Khairat kematian diteruskan macam biasa dan seterusnya saya masuk kepada saya punya portfolio yang terakhir yang ketiga iaitu pembangunan insan. YB. Sungai Limau, YB. Kuala Nerang, YB. Kuala Ketil….(YB. Timbalan Speaker mencelah)
Yang Berhormat ada 2 minit lagi!
Berapa minit?
Tinggal 2 minit lagi!
Ada 2 minit lagi! Tak apa! Untuk makluman pihak kerajaan sedang merancang program-program pembangunan insan yang merangkumi semua peringkat masyarakat. Program dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2021 yang diuruskan oleh Unit Pembangunan Insan dan Kesejahteraan Masyarakat yang ditubuhkan pada tahun hadapan. Namun pada tahun ini, Program Pembangunan Insan diteruskan dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan dengan NGO. Program yang akan dilaksanakan antaranya pemantapan jati diri bagi golongan belia, seminar lonjakan ekonomi usahawan luar bandar, kursus pemantapan jati diri, ‘smart leadership camp’, program tekno usahawan tahfiz di Institut Kemahiran Mara, kem kepimpinan pelajar dan sebagainya mengikut keadaan semasa di kala negara sedang berhadapan dengan penularan Covid-19. Pada tahun hadapan, program akan dilaksanakan di peringkat daerah dan dengan kerjasama Adun-Adun dan juga JPKK untuk kita dapat merakyatkan program pembangunan insan di peringkat bawahan dan kita nak tekankan disini, pembangunan insan bukan sekadar nak membina jati diri tapi bagaimana kita nak melahirkan insan yang boleh membina diri dan membina keluarga kerana kita lihat ramai kalangan masyarakat yang kurang berpendapatan, di bawah garis kemiskinan ini kita lihat mereka tidak ada berupaya membawa suatu perubahan pada diri mereka. Kita ndak satu latihan yang khusus dan kita akan bagi maklumat, kita akan bagi kursus ataupun kita mungkin akan bagi latihan pendidikan yang baik kepada mereka supaya mereka ada jati diri.
Seterusnya mengenai pembangunan insan ini, kita juga ada kuliah-kuliah sepertimana Pejabat Menteri Besar adakan kuliah di Seri Mentalon sepertimana di Insaniah dan akan diteruskan Raudhatul Ilmi ini ke daerah-daerah. Ini juga sebahagian daripada pembangunan insan yang telah kita rancang. Kita rancang pembangunan insan daripada pihak baru lahir sehingga sampai dipanggil ‘Fai’zza Ja A’aja Luhum La’yasta’ khirun Na’sa’ataun Wa’la Yastaq’dimun daripada mula lahir sehingga dia dijemput oleh Allah swt.
Seterusnya, dibawah ini juga boleh program portfolio saya juga iaitu sumbangan beras sejahtera yang bermula 1 Oktober pada tahun ini dengan 50 sumbangan dan Insya Allah pada tahun hadapan akan disumbangkan sebanyak 100 sumbangan setiap bulan kepada setiap Adun.
Bagi mengakhiri ucapan penggulungan saya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan pertanyaan dan mengemukakan isu-isu yang berkaitan dengan portfolio saya.
Dengan ini, saya menyokong Ucapan Bajet yang dibentang oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman ke-14 pada 15 November lalu.
Sekian Wabillahitaufik Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih YB. Merbau Pulas. Seterusnya, saya persilakan YB. Sungai Tiang.
Terima kasih kepada YB. Tuan Speaker Bismillahirrahmanirrahim. Robbishrohli Sodri Wayarsirli Amri Wahlul Uqdatan Millisani’ Yafqouhu Qouli.
Alhamdulillah terima kasih YB. Tuan Speaker kerana memberi ruang untuk saya di dalam melakukan penggulungan di Sidang Dun pada kali ini dan di atas kekangan masa kita berharap saya dapat menumpukan soalan-soalan yang telah ditanyakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sekiranya tertinggal saya mohon rujuk kembali kepada saya nanti untuk saya jawab. Insya-Allah!
Namun, terlebih dahulu saya ingin juga nak mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Jeneri kerana dapat membentangkan Belanjawan Kedah 2021 untuk pertama kalinya sejak mengetuai Kerajaan Negeri Kedah dan dengan tema “Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”. Diharap kita semua dapat membawa nikmat kepada rakyat dibawah jagaan kita Insya-Allah.
YB.Tuan Speaker, sebagai maklum bukan sahaja di Kedah, seluruh negara tetapi di dunia Antarabangsa sedang berhadapan dengan cabaran Covid-19. Ia bukan sahaja mengancam kesihatan malah turut membawa malapetaka ekonomi di seluruh negara sama ada peringkat persekutuan dan juga negeri. Lebih memeritkan sebenarnya adalah ekonomi rakyat turut terjejas teruk. Rakyat hilang kerja, rakyat terjejas pendapatan, dihantui hutang-piutang, kereta motor ditarik, malah ada rakyat terpaksa keluar daripada rumah sewaan masing-masing. Susah dan derita, malah yang berniaga yang biasa dapat RM100 sehari nak dapat RM10 sehari pun ada juga. Yang bekerja di syarikat-syarikat juga diberhentikan ataupun dicutikan akibat daripada cabaran Covid-19 ini.
Pastinya cabaran Covid ini dan kesan-kesannya inilah yang sedang kita harungi bersama. Namun begitu, Kerajaan Negeri Kedah dalam mengamalkan prinsip ‘good governance’ (dengan izin), pentadbiran kita tetap melangkah gagah mendepani cabaran kesan Covid-19 ini demi kesejahteraan rakyat! Kita sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan demi kesejahteraan rakyat dan bumi jelapang padi, pentadbiran kita tegar, tetap membujur lalu melintang patah. Kerajaan Negeri Kedah realistik dalam membangunkan negeri dengan perancangan yang mampu dicapai. Tiada istilah tangguh atau mengalah. Kerajaan pentadbiran kita ini tetap merencanakan pembangunan Negeri Kedah dengan seimbang dan memberi fokus kepada kesejahteraan negeri di nikmati oleh semua rakyat.
YB. Tuan Speaker, air merupakan unsur penting yang menjadi asas keperluan hidup manusia dalam memastikan matlamat kesejahteraan ini dinikmati oleh rakyat di Negeri Kedah dan sebagai sebuah negeri pertanian, pentadbiran kerajaan ini komited menjaga kepentingan sumber air. Alhamdulillah, dengan wujudnya Lembaga Sumber Air Negeri Kedah. Badan ini bertanggungjawab sebagai perancang, pelaksana, menyelaras pemudahcara, dan penguatkuasa secara efektif, sistematik dan efisien bagi memastikan sumber air lembangan sungai dan alam persekitarannya berada dalam keadaan yang terpelihara dan mapan, sekaligus menyokong pembangunan sosio-ekonomi Negeri Kedah agar sentiasa berdaya maju.
Dari sudut kawalan dan perundangan LSANK telah diberi kuasa untuk melaksana dan menjadi memberi punca kuasa kepada badan Kerajaan Negeri ini mengawal, menjamin dan melindungi kepentingan sumber- sumber air di negeri jelapang padi. Untuk itu, soalan YB. Kuala Ketil mengenai apakah status caj air mentah kepada Pulau Pinang. Pada 15 September Kerajaan Negeri Kedah telah mengemukakan tuntutan secara bertulis kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan untuk tuntutan RM43,252,2500 setahun.
Selain daripada itu, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah juga telah mengemukakan tuntutan caj air mentah kepada pihak PPA, PP secara bertulis bagi maksud yang sama pada 10 November 2020. Seterusnya untuk soalan YB.Kulim mengenai perancangan supaya tidak ada kekurangan air di kawasan Kulim dan persoalan beliau sama ada empangan boleh dibina di sana, saya jawab terus terang YB. Kulim. Tidak mungkin empangan dapat dibina di Kulim. Nak buat Empangan Naok yang sepatutnya dalam perancangan dah diluluskan pun telah melangkau 4 Rancangan Malaysia.
Sudah 4 Rancangan Malaysia pun masih belum dapat lagi Empangan Naok dan Jeniang Transfer tetapi untuk Kulim dengan perancangan SADA dan juga Lembaga Sumber Air, kita telah telah merancang dan juga telah mengemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan takungan air pinggiran sungai yang akan dibuat dengan kapasiti 8.069 juta meter padu dengan kos lebih kurang RM150 juta yang mampu menyimpan air pada masa kering dan menjadi tempat untuk menyimpan air kalau berlaku banjir besar. Jadi, satu kawasan yang agak besar telah dikenal pasti oleh Lembaga Sumber Air Negeri Kedah berlandaskan Program Pembangunan ‘Water Balance’ bagi pengurusan sumber air negara yang telah dibuat kajian oleh NAWAB bagi Lembangan Sungai Muda.
Kemudiannya, untuk menjawab seiring dengan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah, Syarikat Air Darul Aman ataupun SADA pula berperanan merawat dan mengagihkan bekalan air bersih kepada rakyat. Walaupun diheret masalah bekalan air bersih begitu lama, SADA kini bernafas baru dan berkeupayaan untuk memberi khidmat agihan bekalan air bersih yang lebih efisyen, pengambilalihan Konsesi Air dan Taliwork bakal mengukuhkan kembali kedudukan SADA tambahan pula kerja-kerja yang sebelum ini di ‘outsource’ (dengan izin) kini telah di letakkan kembali ke dalam SADA sebagai langkah penjimatan kos. Pentadbiran kerajaan ini memahami permasalahan air terawat rakyat Baling namun kerajaan yakin dengan bermulanya pelaksanaan projek Naik taraf LRA Sungai Limau kapasiti LRA daripada 14 mld akan dinaikkan 18 mld kepada 40 mld akan mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik di kawasan Baling dan seperti yang telah diperkatakan oleh YB. Merbau Pulas beberapa program retikulasi di bawah Kementerian Luar Bandar akan berlaku di Dun Bayu dan juga Dun Kuala Ketil. Insya-Allah program-program 2019 dan 2020 mampu membantu beberapa rumah, lebih 100 rumah untuk mendapat air terawat daripada SADA. SADA juga membuat kajian untuk pengagihan semula Sistem Agihan wilayah Timur khususnya di Daerah Baling melalui Program NRW secara dalaman.
Untuk menjawab soalan daripada YB. Ayer Hitam dan YB. Kota Siputeh mengenai permasalahan sama di beberapa kawasan PIDA bagi menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Ayer Hitam tu khususnya di kawasan PIDA, pada pihak SADA telah membuat perancangan dengan merekabentuk sistem agihan baru di mana satu tangki servis akan dibina di PIDA 4. Sistem agihan baru di mana paip agihan utama akan dipasang daripada tangki servis merentasi kawasan PIDA di Jalan Batu 17, Tunjang, Jalan Megat Dewa, Kerpan hingga ke Jalan Sanglang, Kodiang. Pakej perancangan untuk kerja-kerja kawasan PIDA ini adalah termasuk dalam projek menaiktaraf LRA Pelubang! Kita laksanakan dulu pemasangan paip ‘bypass’ sebelum naik taraf Pelubang sebenar dilakukan. Untuk persoalan YB. Suka Menanti mengenai sama ada anak syarikat MBI layak untuk melaksanakan proses perolehan menggunakan wang kerajaan negeri yang merupakan pinjaman daripada ‘federal’. Adakah ini satu perkara yang benar? Bahagian bekalan air kementerian telah mengemukakan permohonan pelepasan daripada Jabatan Teknik JKR untuk melaksanakan projek fizikal dan pada September 2018, Ketua Pengarah Kerja Raya melalui surat kepada Ketua Pengarah Bahagian Bekalan Air Kementerian menyatakan tiada halangan projek-projek peruntukan Pembangunan Rancangan Malaysia ke-11 dilaksanakan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah iaitu SADA.
Seterusnya YB. Tuan Speaker, saban tahun rakyat di Negeri Kedah menghadapi masalah banjir yang mengakibatkan kesejahteraan dan kualiti hidup terjejas meskipun mangsa banjir dibantu dan menerima pelbagai bantuan Kerajaan Kedah memandang serius masalah ini dan mengambil inisiatif bagi mengurangkan risiko banjir. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB. Jeneri kerana meneruskan program-program, projek-projek mengurangkan risiko banjir. Untuk YB. Kuala Nerang yang bertanyakan mengenai peruntukan bagi Projek Tebatan Banjir di Padang Terap, JPS Kedah mengemukakan permohonan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi Rancangan Tebatan Banjir Kuala Nerang untuk dipertimbangkan Kerajaan Persekutuan.
Untuk persoalan YB. Kota Darulaman sama ada benteng-benteng konkrit RTB menyebabkan sungai sempit dan cetek, ianya tidak benar malah sungai tersebut telah dilebarkan daripada 20 meter kepada 40 meter, sama ada kerajaan negeri boleh mengambil langkah langkah membina ‘grill’ dan papan tanda untuk penyediaan laluan dan jalan dalam kontrak kerja RTB yang baru siap ada lah terhad bagi keperluan pihak jabatan sahaja untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan bukan untuk kegunaan orang awam termasuk sebarang kenderaan. Walaubagaimanapun sekiranya keperluan laluan dan jalan ini dibuka untuk awam, pihak kerajaan akan memastikan langkah sewajarnya dilakukan.
Untuk persoalan YB. Bayu mengenai cadangan sama ada patut dipindahkan penduduk-penduduk yang tinggal di jalan Sungai Kuala Ketil kerana terlibat dengan 11 kali banjir sepanjang tajhun 2020. Jabatan Pengairan dan Saliran menyokong penuh cadangan YB. Bayu. Walaubagaimanapun, ia tertakluk kepada kerajaan mengambil keputusan samada ia perlu dan boleh dilakukan kerana peruntukan kewangan yang agak susah. Kalau begitu perkara ini sebenarnya boleh mengurangkan kos berbanding pelaksanaan projek tebatan banjir. Sistem Sungai secara semula jadi juga dapat dikekalkan kelestariannya, alam sekitar dan sumber air. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat kerja-kerja pembaikan untuk titi, jambatan dan jalan raya, sebarang kerja pembaikan perlu melalui proses permohonan peruntukan, perolehan dan pelaksanaan. Tempoh piagam perolehan telah termaktub dalam pekeliling-pekeliling perolehan kerajaan yang sedang berkuatkuasa. Manakala tempoh piagam pelaksanaan projek adalah unik untuk setiap projek yang dilaksanakan. Walaubagaimanapun…(YB. Timbalan Speaker mencelah)
YB. Sungai Tiang, 2 minit lagi!
Walaubagaimanapun, tempoh piagam permohonan dan kelulusan peruntukan tidak dapat ditetapkan memandangkan ianya perlu melalui proses timbang tara dan berdasarkan peruntukan sedia ada. Untuk soalan RTB Kubang Rotan, jalan Kg. Pangas, projek menaik taraf jalan tersebut adalah sebahagian daripada pakej RTB tersebut maksudnya ia hanya boleh dapat dilaksanakan pada April 2022 dan akan selesai pada September 2022.
Walaubagaimanapun, sepanjang tempoh ini jalan tersebut akan diselengarakan secara rutin lah bukan menggunakan premix yang baik tetapi diselenggarakan sementara menunggu April 2022. Untuk YB. Anak Bukit tapi YB. Anak Bukit tiada tapi saya tak payah jawab. Skim Pengairan Bukit Sena yang ditanya oleh Pedu, ini design pump tidak mencukupi untuk mengalirkan air ke dalam satu skim seluas 810 hektar. Jabatan mengambil keputusan untuk menulis kepada kementerian untuk meminta pandangan mengenai pengurusan Skim Pengairan Bukit Pengairan Bukit Sena kerana kos operasi Bukit Sena sangat tinggi capai sehingga RM500 ribu setahun. Jadi, tunggu sedikit!
Untuk YB.Tanjung Dawai, persoalan mengenai dengan kolam takungan dapati isu yang sudah dibangkitkan dan telah merujuk pada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Perikanan Negeri Kedah dan LKIM untuk kolam-kolam ternakan yang berada di atas lot-lot persendirian sebenarnya dan JPS Kedah juga untuk banjir lumpur tanam durian daripada Gunung Jerai, JPS Kedah telah mengeluarkan surat kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda memaklumkan keperluan garis panduan kawalan hakis. Kawalan hakisan dan kelodak bagi menangani isu banjir lumpur berkenaan dan isu Sungai Tupah yang berwarna merah dan berselut, JPS telah melaporkan pada Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda dan berkenaan isu ini dan tindakan selanjutnya dan operasi di tapak yang menjadi punca air juga perlu berhenti.
YB. Tuan Speaker, untuk Adun Kulim mengenai Jalan Sungai Ular -Serdang kita telah pohon di bawah rancangan Malaysia Ke-12 walaubagaimanpun Jalan Junjung tidak dimasukkan dalam permohonan tersebut. Jadi, sesungguhnya bukan mudah untuk mengharungi Covid 19 in, kita berharap namun dalam cabaran Covid-19 ini Kerajaan Kedah tetap teguh bersama rakyat dalam mengadaptasikan norma baru ini dan kehidupan mesti diteruskan sama ada dilanda covid ataupun tidak pentadbiran kerajaan tetap berikhtiar dan berusaha lebih keras dalam memacu pembangunan Negeri Kedah sebaik mungkin demi mencapai kesejahteraan rakyat. Insya-Allah segala usaha kita dapat keberkatan Allah dan semoga semua kita Ahli-Ahli Yang Berhormat dan juga ketua-ketua jabatan dapat bersama dengan rakyat demi kesejahteraan rakyat dan mencapai sasaran kerajaan negeri. Dalam masa yang sama kita kekal patuhi SOP, amalkan 3W dan meneruskan SOP yang telah diberikan oleh KDN. Kita juga dalam menjayakan Belanjawan 2021, Kedah Sejahtera Nikmat Untuk, kita di barisan Kerajaan Negeri Kedah tetap komited memastikan pelaksanaan hala tuju negeri bagi menjamin kesejahteraan rakyat secara telus dan berintegriti. Justeru itu, YB. Tuan Speaker, saya menyokong penuh Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Jeneri. Sekian terima kasih.
Terima kasih YB. Sungai Tiang. Seterusnya saya persilakan YB. Lunas!
Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillahi Robbil A’lamin Wassolatu’ Wassala’ Mua’la Rasulillah Wa’ala A’lihi Wasohbihi Aj’main. Robbishrohli Sodri Wayarsirli Amri Wahlul Uqdatan Millisani’ Yafqouhu Qouli.
YB. Tuan Speaker, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan, Media-Media dan seterusnya Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian. Saya dengan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada YAB. Jeneri kerana berjaya membentangkan bajet sulung beliau sebagai Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman, bajet yang kita kira merangkumi semua masyarakat yang perlu diberikan bantuan, Pembangunan dan sebagainya.
Yang Berhormat Speaker, ramai daripada kalangan Ahli Yang Berhormat yang menyentuh tentang khususnya isu pertanian yang disebutkan dalam ucapan-ucapan dan antara yang dibangkitkan adalah daripada Ketua Pembangkang Alor Mengkudu tentang Negeri Kedah sebagai Belanda Timur. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian telah melaksanakan beberapa program bagi mencapai matlamat memajukan sektor pertanian Negeri Kedah. Antaranya ialah yang terbaru pemilihan tanaman bernilai tinggi ‘high value crop’ seperti tanaman rock melon secara ‘vertical farming’. Projek perintis ini sedang dijalankan di Kolej Pertanian Bukit Tangga dengan bajet tambahan daripada Jabatan Pertanian Pusat sebanyak RM800 ribu yang akan memberikan faedah kepada ramai anak-anak muda yang berminat dalam ‘vertical farming rock melon’ Insya-Allah sedang dibangunkan di Kolej Pertanian Bukit Tangga. Kemudiannya, Negeri Kedah telah pun mengkelaskan daerah-daerah dengan tanaman-tanaman yang tertentu untuk dibangunkan dan menghasilkan pendapatan Negeri Kedah.
Seterusnya, Kedah juga mengeluarkan produk-produk ikonik seperti Beras Wangi Kedah Insya-Allah Melon Kedah dan lain-lain yang Insya-Allah akan dibangunkan dari masa ke semasa. Seterusnya, YB. Derga dan YB. Bakar Arang membangunkan tentang usaha-usaha yang perlu di perlu dilakukan ketika Pandemik Covid ini iaitu mengusahakan tanah-tanah terbiar untuk diberikan untuk rakyat menjana pendapatan. Untuk makluman Yang Berhormat, kita di Negeri Kedah ini ada banyak tanah-tanah terbiar yang telah dikenal pasti oleh Pegawai Pertanian Daerah. Jadi, bagi mana-mana pihak yang berminat untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar ini bolehlah menghubungi pegawai-pegawai pertanian daerah di Pejabat Pertanian Daerah yang mana di dalam Negeri Kedah ini kita ada bilangan lot yang tanah terbiar 1,774 lot yang merangkumi 2,654 hektar keluasan.
Untuk makluman Sidang Dewan, dalam Pandemik Covid ini, sektor makanan ini pertanian dan industri makanan ini adalah satu-satunya sektor yang menjadi nilai tambah kepada KDNK angka iaitu 1% yang mana yang lain-lain, sektor-sektor lain tidak memberikan nilai tambah semasa pandemik covid ini. Seterusnya ialah Program Green Kitchen yang dibangkitkan oleh YB. Kuala Ketil. Kerajaan telah memperkenalkan beberapa program dalam usaha membantu membasmi kemiskinan serta menambah pendapatan terutamanya golongan B40.
Antara program yang dibuat adalah Program Pelan Jana Semula Ekonomi di bawah Jabatan Pertanian. Program penjanaan ini meliputi Program Pertanian Bandar dan Program Peningkatan Pendapatan B40, peruntukan sebanyak RM200 ribu telah disediakan bagi tahun 2020 yang melibatkan 540 orang penerima. Semua senarai nama penerima telah berada di Jabatan Pertanian Negeri Kedah. Bagi program pertanian bandar pula sebanyak RM300 ribu telah diperuntukkan yang memberi manfaat kepada 1,749 dan 78 komuniti. Program lain yang ada dalam Program Pakej Ransangan Ekonomi yang diperuntukan sebanyak RM238 ribu, program ini melibatkan 21 orang peserta yang telah dipilih. Bagi pelaksanaan 2021, sebanyak RM280 ribu telah diperuntukkan bagi Program Pertanian Bandar Untuk Negeri Kedah dan dijangka akan memberikan manfaat kepada 800 peserta individu dan 50 komuniti yang mana program ini dapat memberikan perkhidmatan antara 100 hingga 150 kepada setiap isi rumah yang terlibat.
YB. Bukit Lada mencadangkan supaya TKPM di Negeri Kedah ini ditambah sekarang ini kita ada tanah Gajah Mati dan di Pendang, di Pokok Sena Insya-Allah kerajaan negeri akan mengenalpasti tanah-tanah yang berkeluasan sesuai untuk kita tambah Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Negeri Kedah ini.
Kemudiannya, antara yang disentuh lagi adalah berkenaan dengan masalah nelayan kecil yang selalu ditangkap oleh APMM oleh Kubang Rotan. Jadi, sektor perikanan ini adalah sektor perkhidmatan penting “essential service” dan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP. Semua nelayan berdaftar adalah dibenarkan menjalankan aktiviti perikanan mengikut peraturan sedia ada. Kerajaan tidak mengenakan sebarang sekatan kepada nelayan untuk menjalankan aktiviti tangkapan sepanjang PKP dikuatkuasakan. Bermula 18 Mac 2020, bagaimanapun bagi nelayan yang melanggar peraturan seperti menggunakan peralatan yang dilarang dan menceroboh di kawasan yang tidak dibenarkan adalah dilarang sama sekali. Kemudian, YB. Bandar Baharu ada membangkitkan tentang sebagai kawasan kluster tanaman durian yang diiktirafkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kedah. Untuk makluman Bandar Baharu, untuk pembangunan buah-buahan bagi Negeri Kedah Jabatan Pertanian telah memperuntukkan tahun 2019 adalah sebanyak hampir RM1,990,000 tapi daerah-daerah lain pun kita kena bagi juga Insya-Allah nanti Dun-Dun lain pun bising, depa pun nak makan durian hitam juga!
Kemudian, saya nak sentuh juga berkenaan dengan YB. Bandar Baharu nak sentuh juga apa yang dibangunkan oleh Bandar Baru tentang rimbunan kasih. Projek yang telah dibangunkan sebelum ini tetapi tidak berjaya. Sekarang, kerajaan negeri yang lalu telah pun menyerahkannya kepada Kedah Agro dan hari ini statusnya adalah sedang diusaha sama dengan sebuah Koperasi Pekebun Kecil Bandar Baru. Sekarang ini ada 13 ribu pokok cili fertigasi dan di kolam-kolam yang terbiar itu sedang pun diusahakan ternakan ikan dan untuk maklumat yang saya terima 47 orang penduduk daripada 64 orang penduduk yang bekerja di projek itu dan sudah pun menerima gaji permulaan mereka pada bulan Julai yang lalu. Cuma permintaan daripada YB. Bandar Baharu supaya projek ini diambil alih oleh pihak Kerajaan Persekutuan ataupun untuk ditangani oleh Kerajaan Negeri. Insya-Allah kita akan mengkaji dan melihat kepada kemampuan apa yang ada kemampuan kepada Kedah Agro ini dan Itulah yang kita usahakan. Insya-Allah, kerajaan negeri akan melihat supaya kepentingan penduduk di situ ataupun objektif untuk meningkatkan pendapatan penduduk di situ dapat kita capai.
Untuk kelmarin, YB. Kota Darul Aman ada ada tanya saya soalan tambahan ‘tak adakah penumpang-penumpang feri yang menaiki feri tanpa tiket? Mungkin kalau ada penumpang-penumpang yang membeli tiket secara ‘online’ ataupun yang beli secara kaunter lah tapi maklumat daripada Jabatan Laut tidak ada penumpang yang boleh menaiki feri tanpa membeli tiket secara online ataupun kaunter.
Seterusnya, apa yang dibangunkan oleh YB. Bukit Selambau iaitu tentang bantuan Deepavali, Pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah pun menyumbangkan 1000 pek kepada 1,000 penerima melalui Pejabat- Pejabat Dun dan Pejabat Penyelaras Dun walaupun begitu jumlah yang diberikan tidak cukup.
Ramai juga Adun-Adun yang menggunakan peruntukan yang ada menambah sebab sebagai contoh Lunas bukan cukup kalau bagi 30 atau 40, Lunas saja kalau di portfolio saya, saya akan mengeluarkan RM25 ribu untuk sumbangan Deepavali pada tahun ini. Sidam juga mengeluarkan jumlah yang banyak sebab ini kawasan yang ramai pengundi penduduk India dan begitu juga Adun-Adun yang lain. Saya ucapkan syabas dan tahniah, kita salurkan melalui organisasi kerajaan. Berkenaan dengan cadangan penubuhan Hindu Endowerment Board... (YB. Timbalan Speaker mencelah)
YB. Lunas, masa sebenar dah tamat!
Ok, dah nak landing dah! Berkenaan dengan cadangan penubuhan Hindu Endowerment Board perkara ini sudah pun kita jawab dalam Sidang Dun yang lalu, saya ingat YAB. Menteri Besar akan memberikan jawapannya. Insya-Allah berkenaan dengan Kuil di SP Baiduri, Pinang Tunggal kita telah berbincang dengan pegawai kerajaan supaya rayuan-rayuan yang dibuat oleh pihak kuil, kita kena tengok juga kepada undang-undang tetapi pihak jabatan-jabatan telah berbincang supaya di ‘allocate’ kan tempat yang lebih sesuai yang ada akses dan sebagainya. Kita akan perhatikan benda ini! Insya Allah kerajaan yang ada pada hari ini tidak mendiskriminasikan ataupun meminggirkan mana-mana agama ataupun kaum yang ada dalam negeri ini. Syabas dan taniah kepada kerajaan negeri di atas bajet yang dibentangkan ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih YB. Lunas! Seterusnya, saya persilakan YB. Tokai!
Bismillahirrahmanirraahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Alhamdulillah Rabbil Alamin Wabihi Nasta'in Assholatu Wassalamu Ala Rasulillah Amin Ala Alihi Wasohbihi Ajma'in Robbisrohli Sodri Asli Amri Wahlul Uqdatan Min Lisani Yafqahu Qauli Qala’Allahu Subhanahu Wa Ta'ala.
Surah As-Syura Ayat 30. “Dan apa jua yang menimpa kamu dari suatu kesusahan ataupun bala bencana ataupun musibah, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan dari perbuatan yang salah dan berdosa dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tuan Speaker YAB. Menteri Besar Kedah, Barisan Exco, Sahabat-Sahabat Adun dan juga Sahabat-Sahabat dari Kerajaan dan juga Pembangkang yang telah banyak menyentuh berhubung dengan isu covid. Boleh dikatakan kesemua Ahli-Ahli Yang Berhormat menyentuh pasal covid sama ada secara ‘direct’ ataupun secara tidak ‘direct’ dan kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Khalid Abdullah bekas Exco Negeri Kedah, bekas penuntut Maktab Mahmud, Pengerusi Lembaga Maktab Mahmud dan juga menjadi Pengerusi Utusan Malaysia. Kita membaca Al-Fatihah kepada arwah. Al-Fatihah!
YB. Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dihormati sekalian, Covid-19 bukan merupakan satu-satunya wabak yang melanda dunia kerana pada tahun 1918, ada satu wabak yang cukup besar iaitu Spanish Flu yang telah menjangkiti umat manusia di muka bumi ini yang melibatkan tidak kurang daripada 500 juta penduduk ataupun dikatakan 1/3 penduduk dunia dan menyebabkan hampir 100 juta jiwa meninggal disebabkan oleh Spanish Flu tahun 1918. Mungkin kita pun tak wujud lagi atas dunia masa tu, bukan mungkin, memang tak wujud lagi!
Saya mengucapkan tahniah, syabas, terima kasih banyak-banyak kepada ‘frontliners’ dan sahabat-sahabat kami di pasukan perubatan terutamanya orang yang tak jemu-jemu muncul di kaca TV iaitu Tan Sri Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan dan pasukan beliau Timbalan-Timbalan Pengarah Kesihatan dan juga kepada Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr. Fikri dan juga timbalan beliau serta ‘team kesihatan’ di Negeri Kedah! Tahniah, terima kasih dan syabas kepada anda semua kerana telah berusaha siang malam, pagi, petang dengan PPE yang hanya boleh pakai 4 jam saja, kalau tidak habis berpeluh dari luar sampai ke dalam, boleh pengsan maknanya mereka telah bertungkus-lumus untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 ini. Itulah ‘tag’ yang kita letakkan di dalam billboard yang kita letak di seluruh Negeri Kedah ini Jadilah Pemutus Jangan Jadi Pencetus!
Sidang hadirin dan Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dihormati sekalian. Kedah kita bermula dengan Kluster Sri Petaling kemudian diikuti dengan cluster-kluster yang lain iaitu Tawar, Telaga, Sivagangga, Sungai, Muda Sala, Bah Ketil, Tembok, Bah Lunas, Bah Ros, Bah Sintok, Jeram, Buntar, Alma, Bayan, Permatang, Intan, Rengas, Assumption hingga kepada tiada lagi kluster maknanya muncul secara sporadic dalam masyarakat dengan jumlah kes positif pada pagi ini, 2,293 di Kedah di mana mengakibatkan 12 kematian dan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah melaksanakan 109,109 saringan untuk men’cek’ ataupun 109,109 saringan sehingga 17 November 2020. Itulah kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh mereka-mereka yang berada di pasukan kesihatan. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui MKN telah juga melaksanakan TEMCO di 9 kawasan dan EMCO di satu kawasan setakat ini di Kedah.
Sekarang kita berada di suasana PKPB ini sehingga 9 Disember 2020 dalam keadaan kita juga berada di PKPP iaitu pemulihan sehingga 31 Disember 2020. Jadi, saya merasa agak kesal mereka mengatakan PKPB ini adalah bermotif politik kerana yang melaksanakan bukan orang politik tetapi mereka yang berada di bidang kesihatan, pakar pakar kesihatan awam telah mengkaji, melihat suasana yang berlaku di dalam masyarakat, Ro Naught ataupun kita sebut sebagai R-Naught dikaji oleh mereka. R-Naught ini menunjukkan kejangkitan penyakit Covid 19 hari ini, virus yang menyebabkan Covid 19 ini.
Kalau dulu kita ada sampai 2.5 bermaknanya seorang dia boleh ataupun 10 orang boleh menjangkiti 25 orang, dia dah turun sampai 0.6 maknanya seorang ataupun 10 orang dia menjangkiti 6 orang. Jadi, bila trend ini sudah turun Alhamdulillah, kita bersyukur! Caranya sebelum kita ada vaksin, sebelum bermutasi virus ini kepada mutasi yang lebih lemah kita terpaksa melaksanakan apa yang disebutkan sebagai menjadi pemutus antaranya adalah macam kita buat sekarang ni lah kena pakai ‘face mask’, tidak bersalaman antara satu sama lain dan juga cara-cara lain macam di KL ini dia berlaga penumbuk itu pun tidak dibolehkan mengikut SOP yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui MKN. Jadi, kita harap apa yang telah di laksanakan oleh MKN melalui nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia ini hendaklah kita ikuti. Saya menyokong apa yang disebutkan oleh sahabat saya iaitu Pengkalan Kundor dan budaya baru yang kita buat pada hari ini laksanakan pada hari ini, kita hendaklah teruskan kerana ini akan menjadikan pemutus kepada Covid-19 ini.
Kalau sekiranya tidak menjadi pemutus kita akan menjadi pencetus, kita tidak tahu siapakah yang sebenarnya yang membawa virus tersebut dan sekiranya PKP yang kita laksanakan dulu dan PKPB tetapi PKPP yang kita laksanakan sekarang ini tidak dapat dilanjutkan ataupun tidak dapat ditingkatkan maknanya kita terpaksa mengikut apa yang telah dilaksanakan. Kami bagi pihak Jawatankuasa Keselamatan Negeri kalau mula dulu kita bermesyuarat setiap minggu, kemudian dua minggu sekali, kemudian sebulan sekali, dan Insya-Allah ada petang ini Menteri Besar pun ada mesyuarat dengan Perdana Menteri kita harap syor-syor dibawakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk kita memendekkan PKPB ini dapat kita syorkan kepada MKN supaya bebanan yang kita terima disebabkan oleh sekatan pergerakan ini dapat kita kurangkan kerana memang kita tahu macam Sungai Tiang kata tadilah dia bukan sahaja melibatkan kesihatan tetapi ia juga melibatkan ekonomi kita, melibatkan sosial kita, dan melibatkan ada di antara kita yang telah menjadi tidak siuman disebabkan oleh halangan-halangan ini, halangan-halangan pergerakan! Maklumlah kami ada berbincang sebelum ini tentang isteri duk di Thailand, suami duk di Malaysia, nak lintas sempadan tak boleh! Tuan-Tuan bayangkanlah kalau dah 3 bulan, angin naik kepala!
YB. Tuan Speaker, walaupun ada usaha-usaha yang telah dijalankan oleh syarikat-syarikat di luar negara berhubung dengan vaksin ini, tetapi sampai setakat ini masih belum wujud lagilah! Walaupun dah di cuba di dalam massa, di dalam masyarakat tetapi belum ada kata pemutus yang sebenar-benarnya untuk kita import vaksin tersebut. Kita berdoalah supaya Allah mengangkat bala ini daripada kita, yang keduanya dia boleh bermutasi kepada mutasi yang lebih lemah ataupun lebih teruk.
Kajian yang dijalankan ini, mutasi yang dijalankan ini, yang berlaku adalah lebih teruk, lebih jahat sebagaimana berlaku pada virus yang dibawa daripada Sivaganga hari itu. Oleh sebab itu, nasihat daripada pihak kesihatan berhubung dengan ‘face mask’ penjarakan fizikal, tidak mengamalkan 3S, sembang dekat, tempat sempit dan juga apa satu lagi saya pun dah lupa dah dan kemudian kerap mencuci tangan! Sembang dekat menghasilkan semburan yang kita bercakap pada sahabat, ni sebab itulah pentingnya kita letakkan penghadang ini. Kalau saya cakap mungkin semburan ini tak kena kepada sahabat saya di sebelah. Begitu juga, sidang hadirin yang dihormati sekalian, bukan setakat covid yang kita hadapi sekarang ini, kita juga menghadapi masalah denggi di Negeri Kedah ini. Kita ada 740 kes denggi sehingga kini, 72 kes chikungunya dan 125 kes leptospirosis. Denggi dan Chikungunya ini dibawa oleh nyamuk Aedes. Jadi, caranya mudah saja kita bersihkan persekitaran rumah kita atau pejabat kita atau kawasan di sekitar kita, Kerajaan Negeri Kedah bercadang untuk mengadakan kempen untuk menjadikan hari Jumaat hari kelapangan kita sebagai hari untuk mencegah Denggi di rumah masing-masing. Pelancarannya Insya-Allah akan kita laksanakan sedikit masa lagi. Kita dah tetap tarikh tetapi oleh kerana hari tu PKPD Kawasan Kota Setar, kita tertangguh kemudian sekarang kita berada dalam PKPB pula kita tanggunh lagi! Insya-Allah kita akan laksanakan satu hari di mana masing-masing rumah kita, kita bersihkan daripada menjadi sarang nyamuk untuk menyebarkan penyakit denggi ini. Begitu juga dengan leptospirosis iaitu penyakit kencing tikus. Kencing tikus juga disebabkan oleh persekitaran yang tidak bersih, juga bila kita melaksanakan pembersihan di kawasan rumah kita, Ketiga-tiga penyakit ini Insya-Allah dapat kita hindarkan.
Seterusnya, adalah pesanan daripada pihak Jabatan Kesihatan tentang penyakit diabetes atau kencing manis dianggarkan 463 juta penduduk dewasa dunia mengidap diabetis dan di dalam dua pesakit diabetis ini ada seorang yang tidak didiagnosa maknanya kalau 463 juta ada 200 juta lagi yang belum didiagnosa dan di Malaysia kita ada 39 juta pesakit diabetis dan di Kedah saja kita ada 0.4 juta pesakit diabetis. Oleh itu, amalkanlah makanan, suku-suku setengah! Ini selalu saya sebut di dalam perjumpaan juga, suku-suku setengah, maknanya suku karbohidrat, suku protein setengah lagi vitamin, sayur-sayuran, campuran-campuran makanan lain iaitu kekacang untuk kita menyihatkan badan. Makanlah secara sederhana jangan pula suku kita macam makan sepinggan orang lain. Jangan macam itu, kemudian bersenamlah!
Saya sentiasa memuji Menteri Besar kita dengan sahabat-sahabat saya SUB Kerajaan Tempatan setiap hari ‘exercise’, kawal berat badan dan satu lagi ini sensitif juga tapi saya terpaksa sebut “Qulill Haq’ Wa’lauka’ Namarron Rasulullah berkata berhenti merokok, ada orang yang sensitif perkara ini bila suasana covid ini. Oleh kerana kita tertangguh banyak program….. (YB. Timbalan Speaker mencelah)
YB. Tokai ada 2 minit lagi!
Ha..2 minit lagi! Tak apa no problem. Oleh kerana kita tangguh banyak program yang sedang kita rancang maknanya kita terpaksa menggunakan peruntukan itu untuk memberi sumbangan kepada pihak kesihatan. Saya terpaksa baca, pertamanya sumbangan khemah pada hospital dan juga klinik untuk kemudahan mereka melakukan ‘screening’. Yang keduanya mengadakan billboard di setiap daerah, setiap PBT untuk nasihat kepada mencegah covid. Yang ketiganya, mengenangkan jasa petugas kesihatan, kita akan memberi sumbangan T-Shirt ‘You Are My Hero’ kerana mereka telah bersengkang mata, melaksanakan tugas ‘screening’, sanitasi, merawat dan juga kes-kes di wad dan kita telah menyumbang ‘portable air cooler’ kepada hospital yang memohon ataupun memerlukan. Kemudian, kita menyumbang alat untuk sanitasi untuk nyah kuman di 15 kawasan parlimen melalui NGO yang kita lantik kemudian seterusnya untuk Tabung Bantuan Perubatan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar yang telah memperuntukan kali ini RM500 ribu Insya-Allah. Saya tanya SFO dia kata Insya-Allah kita boleh tambah dan kita akan tambah lagi ke pusat kesihatan. Selama ini kita ada 4 hospital, kita akan tambah ke pusat kesihatan yang ada, petugas ataupun pegawai kerja sosial iaitu di Pusat Kesihatan Padang Serai dan juga Pusat Kesihatan Pendang yang sudah pun ada pegawai kerja sosial kesihatan.
Kemudian, saya nak jawab kepada soalan-soalan yang dibawakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat dari Gurun, adakah PBT mempunyai rekod semua kilang yang terdapat di Kedah? Ada iaitu Majlis Bandaraya, 280 Majlis Bandaraya Sungai Petani - 558, Pendang - 17, Yan – 22, Bandar Baharu – 7, yang lain itu saya tidak mendapat jawapan. Insya-Allah kalau ada kita akan berikan kepada YB. Gurun. Kemudian, perbanyakkan gerai-gerai Daerah Padang Terap, Ahamdulillah Majlis Daerah Padang Terap telah membina gerai baru dijangka siap pada bulan Disember 2020, ada gerai masih kosong, Kuala Nerang, Padang Terap sila suruh peniaga pergi mohon. Kemudian, Suka Menanti PBT mengurangkan saman kepada mereka yang berniaga dalam situasi yang sukar. Kerajaan Negeri telah mengumumkan kawasan bebas berniaga di semua PBT, sekarang ni ada 4 pembandaran,1 Bandaraya! Insya-Allah lepas ini 22hb, Insya-Allah kita akan melaksanakan di semua PBT di Negeri Kedah. Kemudian, peniaga di Pekan Rabu, masalah kedai terpaksa tutup. Sebagai maklumat Kerajaan Negeri melalui Unit Pembangunan Usahawan Kedah, Bahagian Perancang Ekonomi [BPEN] menawarkan pinjaman kepada peniaga dan para peniaga boleh berurusan dengan UPUK bagi tujuan pinjaman tersebut.
Inisiatif kerajaan untuk membantu para peniaga kecil terkesan Covid-19 sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Besar, kita hanya mengenakan lesen RM10 mereka boleh berniaga kalau di Sungai Petani ada kawasan tertentu di Alor Setar pilih kawasan mana yang sesuai, tidak mengganggu lalu lintas, tidak berhampiran dengan traffic light, menjaga keselamatan mereka, menjaga kebersihan, tidak membuat binaan kekal di kawasan tersebut, Insya-Allah kita akan beri lesen sementara dan kita juga menyediakan kanopi secara percuma kepada peniaga-peniaga ini atas dasar ‘first come first serve’ pergi daftar cepat Insya-Allah kita boleh beri!
Kemudian, berhubung dengan soalan daripada YB. Derga, berhubung dengan kebankrapan MBAS, MPKK, MPKP dan juga Majlis Daerah Yan. Secara teknikalnya kelihatan kedudukan aset semasa bagi 4 PBT tersebut kurang daripada liabiliti semasa PBT. Namun demikian, penyumbang terbesar tanggungan PBT adalah tunggakan SwCorp yang mana telah dipersetujui pembayar tunggakan melalui 50%, sumbangan membantu kadar kepada PBT dan perbincangan secara berterusan. Kerajaan Negeri bersama pihak berwajib untuk menyelesaikan tunggakan-tunggakan tersebut. Kalau itu boleh selesai Insya-Allah dia punya liability akan kurang lagi.
Kemudian, permohonan MBAS RM200,000 sangat kurang Insya-Allah ini bergantung kepada kerajaan negeri kalau ada kewangan besar kita boleh mohon lebih. Kemudian, YB. Suka Menanti berhubung dengan kawasan, saya dah jawab tadi dah! YB. Kulim, berhubung dengan memperbaiki lampu-lampu jalan yang rosak di bawah MPKK, lampu jalan merupakan bidang kuasa JKR. Permohonan juga kepada MPKK untuk membaiki jalan-jalan jambatan juga di bawah Insya-Allah kita akan menghubungi JKR untuk menyelesaikan masalah di Majlis Perbandaran Kulim Kedah. MBAS, berhubung dengan peniaga di Pasar Billion. MBAS tidak membenarkan peniaga-peniaga di tapak lama, memandangkan pematuhan SOP, penjarakan fizikal sukar dilaksanakan! Isu tentang masalah kurang peniaga mendapat keuntungan bukan disebabkan oleh tempat itu sahaja, ia disebabkan oleh kuasa beli rakyat terjejas, barang yang dijual mungkin tidak menjadi keperluan, pihak pembeli, bilangan penjaja semakin…(YB. Kubang Rotan mencelah)
Yang Berhormat minta laluan! Sikit nak tanya!
Tak dak masa ni! Banyak ni!
Ini masalah rakyat Yang Berhormat!
Ni nak habaq lani!
YB. Tokai, sebenarnya masa dah lebih 3 minit dah!
Lebih 3 minit dah! Awat tak habaq?
Jadi, saya harap Yang Berhormat dapat menyudahkan ayat terakhir?
MBAS secara asasnya mengambil perhatian serius terhadap masalah penjaja yang berlaku dan cuba untuk mengatasi masalah tersebut. Insya-Allah saya sentiasa berhubung dengan Datuk Bandar Insya-Allah kita akan menyelesaikan masalah tersebut. Yang lain itu, YB. Kota Siputeh,ini dibawah MADA. Saliran MADA di bawah MADA dan Insya-Allah kita akan berhubung dengan MADA untuk menyelesaikan masalah tersebut. YB. Kota Darul Aman memang MBAS tidak mempunyai peruntukan khusus untuk gelandangan. Tadi, pihak Bukit Kayu Hitam telah menjawab soalan tersebut.
Terima kasih kepada YB. Speaker kerana membenarkan masa saya melebihi 3 minit. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih YB. Tokai, banyak istilah kita dapat hari ini, saya sempat catit, Jadilah Pemutus Jangan Pencetus! Suku-suku setengah! Pagi kita mengaji, petang kita cuci rumah untuk kebersihan kawasan persekitaran dan yang menarik juga itu angina naik kepala lah. Itu mungkin lapis doktor lah, kalau lapis saya tu kasar sikitlah, air naik kepala! Seterusnya saya persilakan YB. Guar Chempedak. Sebelum itu ada usul daripada YAB. Menteri Besar.
YB. Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan di bawah Peraturan 12 1(a) Peraturan – Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman supaya Sidang Dewan pada tengah hari ini diteruskan sehingga selesai sesi penggulungan oleh pihak kerajaan. Terima kasih.
YB. Menteri Besar dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya bersetuju dengan usul yang dibuat oleh YAB. Menteri Besar. Sekarang saya persilakan YB. Guar Chempedak.
Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh. YB. Tuan Timbalan Speaker, YAB. Menteri Besar Kedah, YB. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Yang Berhormat Adun-Adun di sebelah sini dan juga di sebelah sana! Seterusnya pegawai kerajaan negeri dan juga pegawai kerajaan persekutuan. Yang pertamanya, saya nak ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang memberikan ucapan Pembentangan Bajet 2021 dengan baik sekali. Ini kali pertama YAB. Menteri Besar menyampaikan ucapan bejet dan saya rasa ini adalah satu bajet yang cukup baik.
Saya nak menyentuh beberapa perkara dalam masa terhad ini. Pertamanya sedikit mengenai prestasi pelaburan bagi Negeri Kedah, saya baru dapat maklumat terkini, YB. Timbalan Speaker, pelaburan bagi tempoh Januari 2020 hingga September 2020 ialah 1,954.2 juta dan saya berkeyakinan penuh berdasarkan maklumat kita ada, tahun ini (2020) kita boleh mencapai Insya-Allah dengan izin Allah juga lebih daripada 3 billion. Keadaan sekarang dalam suasana Covid-19 sekarang ini angka adalah satu pencapaian yang baik. Satu perkara yang menarik ialah DDI ataupun Domestic Investment ataupun pelaburan tempatan ialah 44%. Ertinya sudah ramai rakyat Malaysia sekarang ini yang mahu melabur dalam negeri dan dalam negara kita. Itu satu petanda yang baik, sungguhpun kita juga mahukan pelabur-pelabur daripada luar negara.
Keduanya, mengenai projek berimpak tinggi yang disentuh oleh YB. Alor Mengkudu, YB. Jitra dan YB. Kuala Nerang. Di sebelah sana sebenarnya ada pandangan yang berbeza, YB. Jitra kata tangguh dulu projek-projek dan tumpu Covid-19, tak payah bangunkan Rubber City, KXP dan sebagainya. Tetapi YB. Alor Mengkudu kata kita teruskan sebab projek berimpak tinggi ini bukan benda yang mudah dibatalkan. Ia mengambil masa yang panjang untuk merancang, merancang itu cukup lama dan mungkin pelaksanaan itu lebih cepat daripada perancangan. Jadi, saya ucap tahniah kepada YB. Alor Mengkudu, saya amat bersetuju dengan sahabat saya YB. Alor Mengkudu. Kami pernah bersama dulu dan juga pernah bertentangan semasa YB. disini dan saya di sana. Dalam projek berimpak tinggi ini saya nak sentuh sedikit berhubung dengan Kedah Rubbercity.
Ini disebut oleh beberapa orang ADUN termasuk YB. Alor Mengkudu dan YB. Kuala Nerang Sebenarnya projek ini bermula 2013, betul-betul bermula masa tu, sewaktu Kerajaan Barisan Nasional memerintah yang dipimpin oleh YB. Jitra. Kita buat keputusan untuk kita teruskan dengan pelaksanaan projek Kedah Rubber City ini. Banyak cabaran yang kita hadapi untuk mencapai ke tahap sekarang ini. Pertamanya lokasi tidak bersesuaian, saya diminta untuk memimpin projek ini sebab saya adalah Exco Industri dan Pelaburan ketika itu. Dalam masa 2 minggu saya melawat Durian Burung, lokasi cadangan KRC. Ia tidak sesuai sebab berbukit bukau dan tak mungkin kita boleh buat kawasan perindustrian. Itu cabaran yang pertama!
Jadi, kita perlu kenal pasti kawasan baru iaitu Ladang Bukit Ketapang, dekat dengan Pekan Kuala Nerang dan utiliti pun mudah. Kemudian, ada cabaran lain pula, National Economic Council (Majlis Ekonomi Negara) yang dipengerusikan oleh YAB. Perdana Menteri. Kita kena yakinkan perubahan tempat ini. Beliau tanya kenapa kita nak ubah tempat? Tiga kali mesyuarat baru diputuskan. Kemudian, nak cari peruntukan pergi jumpa EPU, yakinkan EPU dan sebagainya. Ada juga unsur orang nak ambil duit kita, nak sabotaj Rubber City dan KSTP. KP EPU minta saya buat balik cadangan dan hantar cepat kepadanya. Kemudian, nak dapat bajet. Bajet untuk projek Rubber City. Alhamdulillah, Pembentangan Bajet November 2015 untuk Bajet 2016 diumumkan oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri memperuntukkan bajet RM320 juta untuk projek Rubber City. Itulah sebenarnya bermulanya projek Rubber City. Buat masa ini isu bekalan air untuk fasa 1 sebanyak 10mld. dah selesai. InsyaAllah isu bekalan tenaga lektrik juga akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Ok, satu perkara lagi yang mungkin kita semua tak mengetahui dan mungkin kita semua tak termaklum. Pelaksana Rubber City ini bukan kerajaan negeri, pelaksananya adalah NCIA. Ini masalah sebab duit ada dekat NCIA. Kita, kerajaan negeri hanya membantu atau memudahcara tetapi kalau ada masalah kita jawab kepada rakyat. Yang ni ada masalah sikit! Mengenai projek berimpak tinggi dan seterusnya KSTP saya dah sebutkan kelmarin dulu. KSTP ada masalah sikit. Kita sebenarnya dah dapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat, RM168.8 juta bagi melaksanakan projek ini. Kita dimaklumkan bahawa sebuah syarikat besar ataupun consortium syarikat besar dari China nak melabur di situ dan mereka mempunyai cukup wang dan tak perlu peruntukan Kerajaan Pusat. Maka Kerajaan Pusat menarik peruntukan RM168.8 juta ini. Jadi, sekarang kita perlu memohon balik peruntukan berkenaan dari Kerajaan Pusat.
Seterusnya ialah mengenai kawasan Industri Bukit Selambau. Saya nak terang tentang perkara ini kerana kawasan industri Bukit Selambau ni tak ramai yang mengetahui tentang potensinya. Baru-baru ini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah pun membuat keputusan untuk memindahkan semua kilang plastik kitar semula ke sana.
Bukit Selambau ini kawasan industrinya ialah dalam 1,100 ekar dimiliki oleh MPSP dan individu. Di samping itu, kita juga akan mempergiatkan lagi promosi untuk menarik pelabur-pelabur ke kawasan industri Bukit Selambau ini. Setakat ini kita ada 2 buah syarikat yang besar yang sudah mula melabur.
Pertamanya Syarikat JCT yang melabur RM200 juta dan sudah beroperasi mengeluarkan ‘polyvinyl acetate fiber’ untuk industri pembinaan. Produk ini dieksport ke Brazil, Amerika, Eropah dan juga negara-negara Arab. Satu lagi syarikat ialah Yunhua Paper Industry yang menggunakan pokok eucalyptus sebagai bahan mentah untuk pembuatan kertas. Syarikat dari China ini dijangka akan melabur lebih dari RM2 billion. Jumlah pelaburan di Bukit Selambau dijangka mencapai RM2.25 billion. Pihak Kerajaan Negeri dijangka akan berusaha untuk membangunkan infra yang lebih baik di kawasan Industri Bukit Selambau.
Kemudian saya nak sentuh apa yang disebut oleh YB. Bandar Baharu. YB. Timbalan Speaker, Kulim Hi-Tech Park menumpukan kepada pelabur-pelabur yang berteknologi tinggi. Kebanyakannya syarikat-syarikat di Kulim Hi-Tech Park ini, mereka telah pun mengaplikasikan 4.0 IR.
Kita tak bimbang tentang mereka. Yang kita hendak tumpukan sekarang ialah SME’s iaitu Industri Kecil dan Sederhana. Terdapat beberapa syarikat SME yang sudah mengaplikasikan 4.0 IR. Satu contoh ialah sebuah kilang di Sungai Petani iaitu Ideal Healthcare, milik Bumiputera yang mengeluarkan produk perubatan, mereka cukup berjaya dan sudah mendapat pengiktirafan daripada MIDA. Syarikat-syarikat SME yang menggunakan 4.0 IR akan diberi RM500,000 sebagai insentif.
YB. Guar Chempedak, ada 2 minit lagi!
Sat sikit lagi saja! Ok mengenai 4.0 IR unsur-unsurnya termasuklah Internet Of Things, Artificial Intelligent Robotic, Big Data dan sebagainya.
Mengenai platform yang disebut oleh Adun Bandar Baharu, i-Invest sebenarnya sedang dilaksanakan oleh BPEN dan juga BTMK. Semua yang kita akan laksanakan ini ialah selaras dengan teras satu “Kemakmuran Ekonomi Dalam Pembangunan Kedah 2035” iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui eko-sistem perniagaan dan industri yang komprehensif. Kolaborasi antara IPT, kerajaan dan juga swasta sedang dipergiatkan sekarang ini. Ekonomi hijau kita sedang laksanakan sekarang ini. Lagi satu yang terbaru ialah baru-baru ini Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif. Yang melibatkan 15 Negara Integrasi Ekonomi Lebih Komprehensif dalam Rantau Asia Pacific ini saya rasa kita perlu mengambil peluang daripadanya.
Yang terakhir YB. Timbalan Speaker, saya nak sebut sedikit mungkin sekejap lagi YAB. Menteri Besar akan sebut lebih terperinci. Ada ahli DUN yang menyatakan bahawa Bajet 2021 ini hasilnya mungkin tak tercapai. Mungkin RM720 juta jangkaan hat ni kita letak angka sahaja. Sebenarnya kenyataan ini tak betul. Saya penuh yakin dan percaya, pihak Bahagian Kewangan Kerajaan Negeri sudah mengambil kira semua unsur-unsur, faktor-faktor yang perlu untuk kita sediakan bajet ini.
Saya bagi contoh umpama ini penjelasan dan justifikasi anggaran hasil 2021, ini saya ucap tahniah kepada Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri kerana memberikan justifikasi sebegini. Umpamanya cukai tanah semasa berulang, kaedah-kaedah tanah Darulaman, anggaran berdasarkan 100% jumlah patut kutip. Kalau kita tak letak dalam Bajet 100%, kutipan 100% bermakna kita tak berhasrat untuk mengutip seratus peratus.
Saya ucapkan tahniah kepada semua pegawai-pegawai di Pejabat Kewangan yang terlibat dalam membuat persediaan Bajet 2021 ini. Sama-samalah kita mendoakan semoga hasil Bajet 2021 akan tercapai. InsyaAllah.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi
Terima kasih YB. Guar Chempedak! Seterusnya saya persilakan YAB. Jeneri!
Terima kasih YB. Timbalan Speaker, YB. Ahli-Ahli Exco, rakan-rakan daripada kerajaan dan pembangkang. Insya-Allah saya tidak akan mengambil mengambil masa yang panjang kerana kebanyakan soalan-soalan telah dijawab oleh rakan-rakan Exco. Inysa-Allah saya berhenti pada jam 2.30 petang.
Saya terus kepada persoalan yang dibangkitkan oleh rakan-rakan daripada Adun-Adun sekalian, pertamanya tentang apa yang disebutkan Bajet yang didakwa oleh kebanyakkan Adun Pembangkang mendakwa bajet tidak realistik kerana kita letak RM720 juta sedangkan pengalaman lalu pada tahun 2020 sehingga November kita hanya kutip RM504 juta. Saya ingin mengingatkan bawah pada tahun 2018, pada tahun 2019 waktu kerajaan pada masa itu membuat Bajet juga dia meletakkan anggaran hasil RM700 juta lebih padahal tahun sebelum tu dapat kutip RM500 lebih juga sama juga lah. Tapi bila beralih tempat ini dia lupalah! Cukai tanah semasa dan tunggakan, cukai tali air dan tunggakan, denda lewat bayar cukai tanah berjumlah RM322 juta. Premium tanah kat atas kelulusan tanah telah diberikan RM200 juta. Yang ini kena kutip premium campur dua tu dah RM500 juta lebih, pemberian daripada kerajaan persekutuan RM120 juta, terimaan daripada anak-anak syarikat RM15 juta yang ini pun mereka personal. Pada masa lalu, kita tidak memberi penekanan kepada GLC untuk menyumbang kepada kerajaan sebab itu kita menganggap bahawa bila kerajaan berubah GLC tidak mampu menyumbang. Pada tahun 2020, 2021 kita mensasarkan GLC mampu menyumbang kepada kerajaan sebanyak RM15 juta antaranya ialah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah, kita arahkan untuk sumbang RM10 juta dan mereka telah beri komitmen yang tegas untuk membuat sumbangan ini. Sumbangan bayaran daripada SSK sebanyak RM1 juta sumbangan PKNK dan lain-lain syarikat ialah RM4 juta jadilah semua tu RM15 juta! Bayaran daripada perkhidmatan kerajaan RM20 juta. Royalti pengeluaran batuan RM15.6 juta, royalti keluaran bahan hutan RM2.5 juta, pelbagai sewaan RM1.2 juta dan lain-lain terimaan RM12 juta menjadikan semua anggaran hasil kita ialah RM720 juta. Ta boleh kutip banyak anggaran, itu cerita lain, itu kutipan hasil tapi anggaran mesti kita masukkan, semua bayaran-bayaran wajib yang kita patut kutip sebagai kerajaan kena dimasukkan sebagai anggaran hasil. Macam Adun Guar Cempedak kata tadi kalau kita merancang untuk tidak mengutip itu satu kesalahan bagi pihak kerajaan. Yang kedua ialah ada orang duk gamak-gamak kita macam dengan depa! Dia menganggap bahawa kita pi cair FD untuk bayar hutang RM79.33 juta Untuk menyedapkan hati tuan-tuan bayaran hutang RM79.33 juta yang telah dibuat oleh SADA tidak menggunakan fixed deposits SADA. Bayaran hutang sepenuhnya menggunakan kutipan hasil bulanan SADA. Berkenaan dengan migrasi berapa baki pinjaman? Daripada jumlah baki hutang yang akan dinovasikan adalah sebanyak RM1.122 billion. Ini termasuk kelulusan hapus kira yang diberikan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM698.9 juta sekiranya kerajaan negeri memuktamadkan migrasi ini dan kita menjangkakan migrasi akan dapat diselesaikan pada bulan Disember tahun ini juga. Anggaran bayaran bulanan kepada PAAB selepas muktamad jumlah baki pinjaman ini ialah RM33 juta setahun. Berapakah kos pengurusan loji di Langkawi selepas kita ambil alih?
Kawan-kawan kita berharap dengan pengambilalihan loji ini, bil tarif air tidak akan naik. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, tarif air tidak akan dinaikkan berdasarkan kegagalan menguruskan loji. Tarif air boleh dipertimbangkan kenaikan atas faktor kenaikan elektrik, bahan kimia, operasi loji, dan gaji kakitangan. Kos pengurusan loji Rawatan Air Langkawi sebelum ini kita bayar kepada Taliwork sebanyak RM5.4 juta sebulan. Selepas kita ambil alih, pada bulan Oktober 31 Oktober tamat, anggaran kos untuk menguruskan Pengurusan Air di Langkawi hanya berjumlah satu RM1.75 juta sebulan. Ini memberi kelegaan tunai kepada SADA kepada RM3.25 juta! Yang ini panjang sangatlah pasal Bekas Exco Air tanya ini. Apakah hutang saja yang disebutkan sebelum ini RM174 juta dalam jawapan bertulis, saya minta diberikan ‘detail’ Suka Menanti minta detail apa dia? hutang itulah. Jumlah keseluruhan RM147 juta seperti berikut:- AUI Sdn Bhd. RM44.5 juta kita hutang dia. Dalam 4 bulan ini saya telah mengarahkan SADA untuk membuat bayaran dan bayaran telah dibuat sebanyak RM38.8 juta. Taliworks Langkawi Sdn. Bhd. Hutang RM63.1 juta kita dah bayar RM25.82 juta. BPO, Bacaan meter air, hutang dia RM55.8 juta dan kita dah bayar RM46.2 juta. Cost SADA, hutang Cost Sada, hutang SADA kepada cost SADA RM3.96 juta dah bayar RM3.96 juta. Hutang bahan kimia RM1.74 juta dah bayar RM1.74 juta. Meter Raya, hutang dia RM2.89 juta dan kita bayar RM2.89 juta, LSAN, hutang kepada LSAN tak bayar lagi RM24 juta. Kita akan mula bayar Disember ini RM4 juta dan kita akan selesaikan bayaran semada setiap bulan dan permulaan kepada pembayaran sepenuhnya kepada LSN 3 sen setiap meter padu yang kita ambil air mentah daripada sumber ini, kita akan mula pada bulan April. Insya-Allah dengan bayaran SADA kepada LSAN dan LSAN akan mampu menyumbang kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM10 juta. Apakah? Loan Bank tak ambil, Fixed Deposit pun tak ambil, kita buat penyusunan semula hutang, kita buat penjimatan. Tuan-tuan sekalian, sebelum pada ini banyak kita ‘outsoures’ kepada orang luar contoh kecil saja, kerja potong rumput di Loji. Sebulan bila kita suruh krew yang habis kerja ja 5.00 petang, hang pi tebas rumput itu, satu petak berapa size dia kita bayar RM8 sampai gelaplah. Tebas lah berapa pun. Kita hanya perlu belanja RM36 ribu berbanding sebelum ini RM99 ribu kos untuk tebas rumput saja. Bila kita ubah sistem saja kita telah jimat RM66 ribu, ini penstrukturan semula kerja. Ada krew yang banyak SADA ada seribu lebih staff bila staff ramai, tapi kerja-kerja repair, kerja-kerja outsources, kerja-kerja maintainance yang boleh kita buat sendiri, kita boleh bagi kat orang, orang itu kontraktor dia nak untung, staff SADA duk saja padahal ramai. Jadi, kita tamatkan pelantikan kontraktor luar, kita buat sendiri! Buat sendiri bukan kita tak mahu bagi kawan-kawan kita yang jadi kontrak tu tumpang kerja dengan kita! Dak! Pasak kita ada keperluan lain yang lebih penting ialah kita buat perkhidmatan untuk kita bayar hutang dan lebih besar pada tu kita nak jana pendapatan untuk SADA bayar hutang- hutang kepada kerajaan persekutuan. Daripada kerja-kerja yang dibuat sendiri oleh krew SADA yang terlatih dan yang ada kemahiran kita jana lebih banyak pendapatan ditambah lagi dengan kelapangan kewangan akibat daripada ambil alih AUI dan Taliworks, sebulan kita tak kena bayar dah RM12 juta kepada dua company ini.
Memang kita ada kos untuk buat kerja-kerja rawatan air di loji-loji itu tapi RM12 juta ini tak dak dah! RM5 juta Langkawi RM1.75 juta. Di AUI kita operasi sendiri, operasi tu kita catat untung RM1.5 juta sebulan! Tak ada modal apa, tak ada beli kapal selam, taka ada! Kita cuma ubah manusia saja. Inilah fokus saya walaupun kita miskin dan tiada duit, bila kita ubah dalam, ubah hati, ubah rohani orang kesan kepada fizikalnya besar. Tuan-tuan, 4 bulan kita boleh bayar RM79.33 juta. Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada kepimpinan baru di SADA. Rahsia dia ialah kita percaya dia boleh buat! Dulu saya rasa saya berpandangan kita tak percaya depa boleh buat orang, mungkin kita lantik consultant luar duk nasihat gitu, gini, consultant ini kena bayar, lepas itu dia tak dak jiwa macam kita. Jiwa di sana ini kena ada jiwa kerja untuk jana pendapatan untuk tanggung hutang. Consultant ini mai bagi nasihat nak dapat bayaran akhirnya dalam tempoh beberapa tahun tu tak jadi apa! Lubang makin dalam! RM147 juta hutang, saya hairan juga pakat tanya ambil duit mana bayar hutang, yang hang pi hutang tak mau tanya? Hang hutang pasal apa? Mai duk tanya cekak pinggang hang ambik duit mana bayar hutang. Pelik dunia ini, bayar hutang depa tanya yang hutang depa tak mau tanya pasal apa. Tapi tak apa lah memang pelik pun. Fokus saya cepat, memanglah Alor Mengkudu tak nampak fokus saya tanam padi atas bumbung, tanam nanas banyak, tak nampak, fokus saya ialah saya susun team saya bagi kemas, yang jaga agama kelulusan agama, yang jaga industri orang berpengalaman dalam industri, yang jaga kesihatan orang doktor, yang jaga pertanian, reti bab pertanian! yang jaga air apa semua ni ‘lawyer’ walaupun wanita tapi riang jantan! Yang jaga luar bandar dia memang orang kampung, dia orang Jeneri. Yang jaga kebajikan pun memang jiwanya kebajikan! Nah Kak ton! Yang jaga sukan orang muda, yang jaga perumahan, alam sekitar dia doktor. Saya ada backup ramai orang-orang yang berkebolehan. Tapi Exco ada 10 ja tak boleh lantik semua, semua ini jadi team saya yang cukup kuat untuk bagi sokongan kepada perjalanan dan penyusunan kerja-kerja kerajaan. Saya percaya kepada semua orang dan mereka pun percaya dekat saya dan kerja kita menjadi pantas. Itulah fokus saya! Pantas! Dalam berapa bulan saya nak settle masalah litar yang tertangguh bertahun-tahun, duk tunggu duit daripada KBS RM43 juta, dah naik semak, cukai tanah yang nak buat litar tu RM600 juta setahun. Kerja tak jalan, pi buat ‘earthwork’ RM10 juta berhenti! Tunggu lagi RM40 juta, duit RM20 juta simpan, tak mahu buat! Cukai tanah RM600 ribu tak boleh bayar pasal projek tak ada! Berhenti! Tunggu saja bayar RM600 ribu setahun cukai tanah. Duit ada RM20 juta tapi tak buat pasal nak tunggu lagi RM40 juta pasal nak international, nak standard SIC, nak orang luar negeri mai berlumba di situ. SIC di Sepang itu pun nak mampus dah! Sekarang SIC itu disara oleh MoF tapi kita duk ligan nak bagi jadi taraf dia, kita buat saiz kita dengan keupayaan kita Negeri Kedah Darul Aman. Jangan lambat kena buat cepat dan pantas! Itulah fokus saya.
Program ekonomi yang saya sebut dah tadi banyak jalan lah yang mana telah dirancang begitu lama macam Guar Chempedak cerita bab Kedah Rubber City saja! Alor Mengkudu pun sebut! 3 kerajaan dah! Mujur kita tak berhenti, kalau berhenti mula balik, nak mai berapa kerajaan pula, tangguh pula! Tak boleh modal dah habis banyak, sumber kewangan dah habis banyak, teruskan! Kita dah ada banyak projek ekonomi.
Sekarang fokus saya pergi kepada isu-isu lain selain daripada ekonomi. Saya ucapkan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin yang mendahului kita, yang dulu duduk di sini, pi sana dan mai sini balik! Terima kasih kerana merancang benda-benda yang baik untuk negeri ini dan kita teruskan dan kita tidak akan buat balas dendam politik, kita teruskan apa yang baik dan kita akui kebaikan-kebaikan itu. Kita ucap terima kasih semoga Allah Ta'ala mengurniakan pahala yang banyak pada tuan-tuan semua.
Kita tak mahu yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran! Ada dulu depa batal Projek Kedah Science Technology Park, RM168 juta, batal kerana nak ligan satu projek pelabur daripdaa China akhirnya China tu pun tak mai RM168 juta terlepas. Duit terlepas! Kita pun minta pegawai-pegawai kita ligan balik, ambil balik, mohon semula untuk kita jalankan balik KSTP itu. Alhamdulillah khabarnya diberikan semula bajet tu kepada kita satu kejayaan yang besar. Saya ucap tahniah kepada pegawai-pegawai yang bijak untuk melaksanakan tindakan ini. Janganlah yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Kita nak yang di yang dikendong tu lama-lama boleh jalan! YB. Anak Bukit walaupun dia tak hadir pada hari ini, mungkin kalut di Parlimen, dia kalut daripada Gurun, Gurun tak berapa kalut! Mungkinlah. Dia sebut tentang penyusunan semula GLC. Kita sedar bahawa banyak GLC kita mengalami kerugian dan salah satunya kita sedang dalam pemulihan seperti SADA tadi. BDB alhamdulillah dulu telah dibuat keputusan untuk beri projek rundingan terus satu LRA dan kita teruskan dengan BDB projek itu. Dia pun sedang menyusun kerja-kerja dan saya difahamkan LA akan keluar beberapa hari lagi untuk mereka memulakan Loji Air Pelubang! YB. Gurun tentang pertanian makanan, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan makanan. Kita semua faham tentang masalah covid ini bila mai orang tak boleh buat apa, rumah pun tak boleh keluar, makan kena! Isu makanan ini telah melangkah kepada kedaulatan makanan bukan lagi pasal ‘food security’ tapi ‘food sovereignty’. Kita beri perhatian kepada pengeluaran tanaman makanan dan juga tanaman komoditi. Alhamdulillah sawit dan getah pun sehari dua ni harganya baik, sawit dah cecah RM3,200 setan berbanding pernah turun RM400 setan, sekarang ini RM3,200 alhamdulillah rezeki kepada pekebun-pekebun kecil sawit dan getah pun cecah RM2.60, Alhamdulillah walaupun tak cecah lagi RM3.00 tapi kerajaan perseketuan melalui Bajet 2021 telah menggandakan IPG daripada RM150 Juta kepada RM300 juta! Itu berita yang baik juga kepada penoreh-penoreh getah di Kedah.
Rakyat susah tentang covid. Yang saya faham kerana kebanyakan yang jadi kerajaan hari ini pun orang susah, orang miskin, banyak Adun-Adun yang membawa cerita meniaga tak boleh meniaga, orang susah, nasi lemak Alor Mengkudu, Pengkalan Kundor bawa cerita orang jual kuih! Semua kesukaran-kesukaran ini bukan saja kita nampak tapi semua pernah merasainya! Susah miskin, saya sendiri pun dari latar belakang keluarga yang sangat miskin! Cerita-cerita macam itu memang mendatangkan emosi. YB. Gurun cerita orang jual nanas, tak dan jual orang ligan. Saya harap kalaulah orang jual nanas yang YB. Gurun itu cerita boleh mengikuti perbahasan kita di Dewan ini bolehlah dia menghubungi saya untuk saya gantikan kesukaran yang dia telah hadapi. Kita telah mengarahkan PBT untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada peniaga-peniaga untuk menghadapi kesukaran akibat daripada covid tetapi ada sindiket yang dia suka cup tempat elok, dia cup tempat elok ini, dia pi letak tong, dia letak payung dia letak alat-alat berniaga tapi dia tak berniaga. Bila orang nak pi berniaga dia kata tapak dia lepas itu dia nak jual! Saya harap PBT ambil perhatian tindakan-tindakan seperti ini mesti dibanteras, kita beri tapak ruang kepada orang-orang yang ini yang betul-betul nak cari makan untuk sara keluarga. Saya mohon pihak PBT mengurangkan operasi-operasi yang memberi tekanan yang menimbulkan tension di kalangan orang ramai. Memang saya dapat aduan yang banyak tentang operasi-operasi, meroboh menyaman, saya mohon dalam keadaan kita ada kesukaran ini, perkara ini dapat dikurangkan tetapi kita kena pastikan kehidupan keteraturan PBT, premis-premis perniagaan mesti dalam keadaan terpelihara dan peniaga-peniaga yang nak meniaga pun kena beri kerjasama kepada PBT untuk melaksanakan tugas mereka, menyusun atur kehidupan \tata letak di pihak PBT masing-masing. YB. Jitra ada membangkitkan tentang aduan daripada peniaga Pekan Rabu, saya dah periksa Pekan Rabu ini dia ada koperasi. Lot-lot itu disewa oleh peniaga kepada koperasi dan koperasi itu kepunyaan mereka sendiri. Jadi, fikir Telok dulu kan ayam dulu kah Jadi ini patut diselesaikan secara dalaman. Kerajaan Negeri tak boleh campur tangan dalam urusan koperasi. Nelayan, ikan tak laku, peraih tak beli ini pun saya rasa macam betul ka ha? Sebab PKPB tidak menyekat aktiviti ekonomi. Peraih ikan boleh pi ambil ikan dan nelayan mendaratkan ikan boleh jual, saya biasa pergi ambil ikan 1 tan di Kota Kuala Muda, masa itu dekat-dekat nak meletup isu covid ini. Kemudian tu depa hantar bertan-tan, murah ikan pada masa itu, sekilo RM1, kemudian RM1.50 laku sikit naik RM2.50. Kita oder RM1 mai sampai tempat kita RM2.50 tapi PKPB tidak menghalang peraih daripada membeli ikan saya rasa patut diperiksa semula dakwaan-dakwaan seperti ini. Bekalan Air LRA sepertimana yang telah dijelaskan oleh YB. Sungai Tiang tadi telah diuruskan. PKPB semua Adun komplen tak patut buat PKPB sekarang ini, YB. Tokai dah perjelas dah tadi, PKPB ini dibawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri ini ada membuat syor tapi PKPB kali ini tidak datang daripada syor, JKTN kita dengar, kita di arahkan begitu dan kita laksanakan saja!
Dulu masa tak buat PKPD, PKPB ini tak buat lagi, kita dah buat syor berkali-kali tak buat! Adun-Adun marah kerajaan, apa kerajaan ini lambat bertindak, orang nak mati, covid merebak pasal tak buat PKPB, tak buat PKP. Bila buat PKP dia marah pula pasal apa pi buat nak makan tak boleh nak meniaga tak boleh la ni hangpa ni nak yang mana satu? Semua tak betul! Buat salah tak buat salah! Tak tahulah memang kerja pembangkang lah kut! Saya rasa ada kebaikan-kebaikan yang banyak daripada PKP, apalah PKPB lah, PKPD ka, EMCO, TEMCO ka! Macam-macam CO. Saya punya pandangan berkenaan dengan Covid ini berbanding dengan ekonomi hat mana nak pi dulu! Walaupun kita boleh terima, perlu ada perimbangan antara mengawal penularan covid dengan membenarkan aktiviti ekonomi tapi syariat memberi kita petunjuk garis panduan. Pertama sekali menjaga agama, yang kedua dia mai nyawa dulu, pastikan rakyat kita selamat, nyawa dia selamat dulu! Lepas pada nyawa mai akal supaya dia tak gila, dia tak mereng, jaga akal dia. Yang keempat keturunan dan last sekali baru mai harta, ekonomi ni mai tangga yang ke-5, ada para ulama’ tambah satu lagi maruah yang ke-6. Tapi yang 5 ni harta duk nombor 5, nombor 1, agama nombor 2 nyawa. Kalau nyawa tak dak akal tak berguna, keturunan tak guna, harta pun tak jadi apa. Jadi, kita mesti pastikan rakyat kita selamat. Cara nak selamatkan rakyat daripada covid-19 sebelum adanya vaksin ialah sekatan, sekat dia sat jangan dok pi merata, duduk di rumah, jangan duk pi jalan merata, keluar pi sana sini walaupun Kedah tak ramai tapi kluster banyak. Banyak kita import daripada Pulau Pinang tapi kalau kita tak sekat pergerakan bukan saja orang Pulau Pinang boleh masuk tempat kita, orang kita pun boleh pi Tanjung! Inilah rahsia-rahsia disebalik diadakan PKPD,PKPB. Setiap kali mesyuarat JKTN dia akan pesan mukasurat di slide pertama itu ‘rahsiakan rahsia kerajaan’! Ada banyak benda-benda yang tidak boleh didedahkan oleh MKN dan tiap-tiap kepentingan, tiap-tiap sektor yang di ambil berat dalam pertimbangan mesyuarat itu menghasilkan tindakan-tindakan tu! Insya-Allah saya percaya Kedah, Terengganu 1 negeri lain akan ditamatkan lebih awal PKPB ini. Insya-Allah rakyat kitab oleh bergerak semula cuma harap dapat jaga SOP masing-masing cuma tidak menjadi Pencetus tapi menjadi Pemutus. Saya ada dua orang Adun sebut tentang tanah terbiar banyak di Kedah, tak diusahakan! Saya pun nak tanya juga tanah tu dimana? Kan Cikgu Man! Silap YB. Lunas. Sebab tanah ni banyaknya ada tuan, ada ‘owner’ dia buat dia tak buat tak apalah! Kalau kerajaan duk pi suruh orang tanam tanah orang, dia kapak kepala kita ohh..pi try tengok! Saya tak nampak tanah terbiar tu tang mana. Duk cari tang mana depa kata tanah terbiar banyak di Kedah. Depa ini pakai baca buku saja tak mai tengok betul-betul! Pi check tuan dia sapa? Kalau dia ada tuan, dia bayar cukai kita bukan boleh pandai-pandai pi suruh orang lain tanam tanah dia! Diab oleh saman!
YB. Kubang Rotan dia nak pecat CEO kalau bentang bajet tera ni! Dasyat! Melawak saja kut no! Dia kata kalau bajet tera ni syarikat swasta pecat dah CEO maknanya nak pecat MB lah tu! Saya ada banyak kes yang Kubang Rotan duk bela diri dia tadi tentang RM50 ribu tapi saya seganlah nak sebut. Ada minit mesyuarat tentang RM50 ribu itu. Jaga bola pun tak lepas lah no! YB. Bukit Selambau, peruntukan yang adik kalau YB. Bukit Selambau rasa berlaku ketidakadilan kepada mana-mana kaum minoriti mai jumpa saya! Saya akan pastikan tiada kaum minoriti di Kedah sepanjang pemerintahan kita ini yang tidak adil diketepikan atau diskriminasi. Bukan kata Bukit Selambau, siapa siapa pun lah. Saya akan pastikan bend aitu tidak berlaku. Saya tidak akan izinkan diskriminasi berlaku tapi kalau Bukit Selambau nak peruntukan untuk kuil saya rasa itu mungkin sukar untuk dilaksanakan kerana peruntukan-peruntukan yang disalurkan kepada Jabatan Agama Islam, JAKIM atas dasar Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Kita bagi bukan dasar agama, kita bagi atas Pendidikan, membina dewan itu boleh! Saya boleh berbincang dan boleh sembang bila-bila sebab itu bila Bukit Selambau whatsapp saya, saya segera jawab sila hubungi pegawai saya! Kalau Bukit Selambau tak dapat bukan bermakna benda itu tiada, benda itu sedang dilaksanakan oleh orang lain! Saya ada Exco yang jaga masyarakat India, saya ada pegawai khas daripada orang india dan dia alim macam you juga, dia jurunikah bertauliah, dia ada kuil, rumah dia sebelah kuil, kuil tu dia tok imam. Dia jurunikah bertauliah kalau you nak menikah sorang lagi, boleh pi jumpa dia! Gurau sahaja Bukit Selambau jangan ambil hati. Dia Pegawai Khas Menteri Besar, Hal Ehwal Masyarakat India, saya bagi nombor dia kat YB, suruh YB. hubungi dia tapi YB malu kut! Tak hubungi no! Kalau tidak dapat juga sikit. YB. Kota Darulaman kata bajet ni copy paste ini satu penghinaan kepada pegawai -pegawai saya. Buat PKPD kamu bantah, buat PKPB pun kamu bantah, tak buat langsung pun kamu bising juga yang mana satu kamu mau. Untuk bantuan kepada mangsa-mangsa PKPB atau PKPD, untuk penjara tadi YB. Tokai lupa nak maklumkan kita dah keluarkan bantuan tunai berjumlah RM1.65 juta untuk mangsa-mangsa yang kena PKPD dan PKPB. Padang Che Mas di Baling kita bagi RM35,000 tunai, tiap-tiap rumah kita pi hantar duit. Pasir Sungai, Telaga, Tembok, kita bagi tunai RM626,900, kluster Tawar kita bagi RM885,905, kluster Sivagangga di Napoh kita bagi RM57,980. Yang ini bantuan-bantuan kerajaan bagi. Saya tak sebut la dalam bajet pasal benda itu dah ada dalam surat khabar sebelum benda ini jadi tak nampaklah kerajaan tolong sebenarnya kerajaan dah tolong banyak. Jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan untuk menghadapi covid ialah RM21 juta. Bantuan covid ke penjara alor setar dan pokok sena, bantuan tunai kepada keluarga warden yang terkesan dengan PKPD iaitu RM236,000. Bantuan melalui agensi-agensi JKR, SADA dan lain-lain untuk membina Makeshift Treatment Center (MTC) yang jadi RCC di Penjara Pokok Sena. Semua itu agensi-agensi kita, kita beli aircond, semua khemah itu kerajaan negeri yang pasang. Bekalan air SADA yang hantar.
Jadi, kerajaan negeri bertindak pantas untuk membantu menyelesaikan isu-isu penularan covid di Tembok. Memang kurang la kut berita sebab kita tak heboh-hebo. PKPB bagi saya bukanlah satu kesilapan pada waktu ini tapi satu keperluan dan apabila peningkatan ataupun kes telah berkurang menjadi 10,8, ada 7, ada sehari 5 dan tak berapa banyak saya yakin PKPB di Kedah akan ditamatkan lebih cepat. Saya pun lapar nasi juga tuan-tuan. Ada banyak lagi lah catitan-catitan saya. Saya fikir pada masa yang lain. Untuk yang terakhir saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih penghargaan setinggi-tingginya kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah yang dipimpin oleh Tuan Syeikh Zakaria Othman, sudah banyak Lembaga Zakat membuat tanggungjawab yang besar. Untuk tahun 2021 jika kita membuat anggaran kerajaan negeri RM720 juta, Lembaga Zakat menganggarkan pendapatan dia RM220 juta! Besar kutipan dia, selama ini pun Lembaga Zakat telah menyumbang hampir 35.5% kepada fiskal daripada keseluruhan hasil negeri dan hasil zakat saban tahun diagih melalui skim yang macam-macam skim. Di masjid kita sekarang ini Lembaga Zakat letak ‘food bank’ semua masjid di Kedah, saya fikir tak patut lah kalau ada orang yang putus beras. Selain daripada Adun-Adun di sana, Adun di sini buat ‘food bank’ masing-masing. Di semua masjid Lembaga Zakat sediakan ‘food bank’ tak cukup dengan ‘food bank’ 30 paket tiap-tiap masjid, masa covid tahun ini saya ingat ber ‘trailer- trailer Lembaga Zakat hantar beras ada kawan-kawan saya pun pi boleh kerja, pikul beras! Bawa turun pada lori, bawa naik dari lori, ada yang membekal lori dan macam-macam kepada ini. Untuk makluman pula Pengerusi Lembaga Zakat ni ialah ialah YB. Dato’ Paduka Setiausaha Kerajaan Negeri. Tepuk tangan sikit! Dan usaha yang telah dibuat oleh Lembaga Zakat ini tidak dipandang sepi oleh kerajaan dan kita menyeru kepada seluruh umat Islam di Negeri Kedah dan di negeri-negeri lain boleh datang untuk menunaikan tanggungjawab berzakat kepada Lembaga Zakat melalui Amil-Amil yang telah dilantik dan juga terus kepada Lembaga Zakat, boleh buat potongan gaji pun sekarang ini! Dan selain membekalkan makanan, kita bagi Pendidikan! Lembaga Zakat pun minta menyertai program Cordoba Of Kedah di mana sumbangan Lembaga Zakat kepada pendidikan kita terlalu besar bukan sahaja pelajar-pelajar di timur tengah, pelajar-pelajar dalam Fakulti Perubatan di UNISHAM, pelajar-pelajar di seluruh Malaysia yang mendapat khidmat baik daripada Lembaga Zakat Negeri, saya ucapkan ribuan terima kasih dan Lembaga Zakat sekarang ni telah menjadi rujukan zakat dunia di mana sehingga kini berapa buah negara seperti Thailand Nigeria, Uganda, Ghana dan Indonesia telah mula datang mengikuti Program Kedah International Zakat Akademi (KIZA) anjuran Lembaga Zakat Negeri Kedah. Ahamdulillah saya ucap terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah menagambil perbahasan dalam Ucapan Bajet yang dibentangkan tiga hari lepas. Saya ucap terima kasih di atas teguran-teguran yang membina yang boleh dijadikan panduan. Sokongan yang tuan-tuan berikan Insya-Allah akan memudahkan kita mencapai Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua. Sekian, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh. Alhamdulillah selesai penggulungan ucapan Bajet 2021 oleh pihak kerajaan dan Dewan akan bersidang semula esok jam 9.00 pagi. Sekian, terima kasih.