Kedah · 20 September 2021
14th Assembly, 4th session, 1st meeting · 5 turns · 2,045 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
Jawapan Kepada Pertanyaan Dewan Mengikut Peraturan 22(6)Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah 1. Pertanyaan-Pertanyaan Mulut 2. Pertanyaan-Pertanyaan BertulisQuestions
(Mengumumkan YB. Tuan Juhari Bin Bulat, Speaker Negeri Kedah Darul Aman masuk ke Dewan Mesyuarat)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ahli-Ahli yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. Kita mulakan dengan bacaan doa.
Doa - Setiausaha Dewan Undangan Negeri
“Sukacita saya maklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah memberi perkenan untuk menyampaikan titah ucapan sempena Perasmian Pembukaan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat melalui sidang video dari Istana Anak Bukit.
TITAH UCAPAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SULTAN KEDAH SEMPENA ISTIADAT PERASMIAN PEMBUKAAN SIDANG DEWAN NEGERI MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH KE-14 PADA HARI ISNIN, 20 SEPTEMBER 2021.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan keizinan dan limpah kurnia-Nya, walaupun ketika ini Negeri Kedah sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menghadapi pandemik COVID-19, Perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Kedah yang ke-14 dapat dilangsungkan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Pada 18 Ogos 2021 yang lalu, hujan lebat dengan kuantiti air yang luar biasa telah menyebabkan berlakunya bencana kepala air di kawasan sekitar Gunung Jerai di Daerah Yan dan beberapa kawasan di Daerah Kuala Muda. Bencana ini telah mengakibatkan kemusnahan besar kepada harta benda awam dan persendirian serta turut mengorbankan 6 nyawa.
Tragedi yang malang ini adalah satu ujian kepada mangsa terlibat. Dalam hal ini, Beta dan Tuanku Sultanah Kedah ingin menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat. Beta berdua mendoakan agar mereka cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan ini.
Beta amat berbesar hati atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan melalui bantuan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan berjumlah RM 78 juta bagi tujuan pemulihan.
Beta turut ingin menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, serta para sukarelawan yang telah terlibat dalam memberi sumbangan merangkumi tenaga, wang ringgit dan bekalan makanan.
Sehingga kini Beta dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembersihan rumah di kawasan yang terlibat masih lagi diteruskan oleh pelbagai pihak. Ini adalah bertujuan untuk meringankan beban mangsa. Kerukunan dan ukhwah yang ditonjolkan ini adalah selari dengan prinsip Keluarga Malaysia.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Dalam tempoh 18 bulan yang lalu, pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada struktur sosioekonomi Negara Malaysia secara amnya dan Negeri Kedah secara khususnya. Penutupan sektor ekonomi yang berlarutan menyebabkan ramai yang telah hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Desakan ekonomi yang dihadapi oleh rakyat ini telah menyebabkan mereka dihimpit pelbagai masalah sosial.
Beta menyeru agar Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Mamanda Menteri Besar memikirkan langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah ekonomi dan tekanan emosi rakyat. Jika ketika ini rakyat marah dan melontarkan pelbagai kritikan, anggaplah itu sebagai lumrah dan cabaran.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik. Rasullullah Sallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawarnya. Maka, berubatlah kamu”.
Menyahut tuntutan hadis ini, Beta berharap agar kadar vaksinasi di Negeri Kedah dapat dipertingkatkan dan imuniti kelompok berjaya dicapai dengan kadar segera.
Beta difahamkan kadar vaksinasi di Negeri Kedah telah mencapai peratusan melebihi 50 peratus. Walaubagaimanapun, Beta menyeru agar prestasi ini dipertingkatkan lagi bagi membolehkan sektor ekonomi dan sosial dapat dibuka secara sepenuhnya lebih awal.
Justeru, kerajaan perlu memikirkan langkah sewajarnya. Kelompok yang kurang capaian internet untuk mendaftar vaksin dan golongan warga emas yang tiada kemudahan pengangkutan perlu diberi perhatian.
Kerajaan juga perlu bijaksana untuk berhadapan dengan individu berfahaman anti-vaksin yang berisiko menggagalkan usaha untuk mencapai imuniti kelompok. Maklumat tidak tepat dan berita palsu yang dapat memesongkan pemikiran rakyat perlu segera ditangani.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Beta menghargai usaha Mamanda Menteri Besar serta seluruh kepimpinan kerajaan yang telah membantu rakyat dalam tempoh yang sulit ini.
Beta difahamkan sejumlah RM 32.4 juta telah dibelanjakan dalam usaha membantu rakyat sepanjang pandemik COVID-19. Perbelanjaan ini melibatkan pelbagai bantuan seperti bakul makanan, pinjaman perniagaan, bantuan tunai serta bantuan perubatan.
Beta percaya dengan komitmen Mamanda Menteri Besar serta seluruh anggota Kerajaan Negeri Kedah, hasrat untuk mengatasi pandemik ini pasti akan berjaya diharungi. Beta turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan. Mereka ini adalah perwira kita.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Beta dimaklumkan Kerajaan Negeri kini sedang merangka satu perancangan pemulihan ekonomi yang akan dibentangkan dalam Sidang Belanjawan akan datang, sebagai persediaan Negeri Kedah menempuh endemik COVID-19 kelak. Beta berharap perancangan ini sedikit sebanyak akan memberi sinar harapan kepada seluruh rakyat Negeri Kedah.
Menyedari hakikat kita akan melangkah ke fasa endemik, Beta turut menyeru satu perancangan teratur dan jelas dapat diambil oleh Kerajaan Negeri dalam hal ehwal melibatkan aktiviti keagamaan. Prosedur Operasi Standard perlu disemak semula agar lebih menyeluruh dan lebih sesuai dengan situasi endemik. Beta berkehendak syiar Islam di bumi Kedah ini terus subur dan bersemarak.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Prestasi pelaburan Negeri Kedah bagi suku pertama tahun 2021 adalah yang terbaik di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 43 bilion. Ini telah membuktikan perancangan kerajaan telah membuahkan hasil.
Beta yakin dengan terlaksananya Projek Berimpak Tinggi yang dirancang seperti Kedah Rubber City, Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone yang merangkumi Kedah Science & Technology Park dan Kota Perdana, Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing Hub, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Lebuh Raya Koridor Utara serta pembesaran Kulim Hi-Tech Park, bakal meletakkan Negeri Kedah di landasan yang betul kearah pengukuhan sektor ekonomi dan pelaburan di masa hadapan.
Dalam kita giat melaksanakan segala pembangunan negeri, Beta ingin ingatkan agar setiap perancangan, perundingan dan kerjasama yang dibuat perlulah sentiasa meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan yang lain.
Tahniah Beta ucapkan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri di atas kejayaan merencanakan agenda ekonomi dan pelaburan di Negeri Kedah. Selaras dengan prospek ekonomi negeri yang semakin pesat, Beta menyeru kepada jentera pentadbiran agar lebih bersiap siaga khususnya kepada para Pegawai Tadbir Negeri Kedah yang menjadi nadi jentera pentadbiran di Negeri Kedah.
Sekiranya ada keperluan untuk menyusun semula gerak kerja dan menambah kemampuan jentera pentadbiran negeri maka lakukanlah dengan segera.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Beta dimaklumkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang dirangka dengan kerjasama pelbagai pihak telah pun dilancarkan dan mula dilaksanakan. Perancangan pembangunan yang baik adalah apabila dirancang secara tersusun berdasarkan fakta dan angka. Begitu juga dengan tempoh sesebuah perancangan perlulah melihat kepada matlamat yang besar dan tempoh yang panjang agar tumpuan tidak dibazirkan dengan pelaksanaan program dan projek yang tidak terarah.
Selain itu, perlulah diingatkan bahawa sesebuah perancangan pembangunan sekiranya tiada kesinambungan dan sering berubah-ubah adalah tindakan yang merugikan sumber dan tenaga.
Beta perkenan agar Pelan Pembangunan Kedah 2035 didukung oleh semua pihak sama ada di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan serta lain-lain pihak berkaitan yang berada di Negeri Kedah untuk dilaksanakan dengan serius bagi tempoh 15 tahun bermula tahun ini hingga ke tahun 2035. Semoga visi untuk menjadikan Negeri Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni dapat dicapai.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Syarikat Berkaitan Kerajaan atau Government Linked Company (GLC) merupakan pendukung terpenting aspirasi pembangunan sosioekonomi dan pelaburan Negeri Kedah. Beta menyeru agar semua GLC di Negeri Kedah dapat ditransformasikan melalui penstrukturan yang lebih konstruktif dan telus.
Penekanan harus diletakkan kepada perancangan strategik dan pelan perniagaan GLC yang lebih selari dengan iklim ekonomi semasa. Dunia sedang berubah kearah ekonomi yang lebih liberal dan terbuka. Sekiranya GLC masih terus bergantung kepada projek dan ihsan kerajaan, Beta berpandangan ianya tidak berdaya maju dan mampan.
Kerjasama dalam bidang yang dijangka menjadi ‘spearhead’ dalam arus ekonomi semasa seperti teknologi hijau, artificial intelligence, infrastruktur 5G dan ekonomi digital wajar diterokai.
Selain itu, pemilihan kepimpinan tertinggi sesebuah GLC perlu diberi perhatian khusus. Individu yang menyandang posisi utama hendaklah dikalangan yang berwibawa dan berwawasan. Kepakaran, pengalaman serta pengetahuan yang luas perlu dijadikan merit pelantikan kepimpinan tertinggi sesebuah GLC.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Negeri Kedah kaya dengan hutan simpan, gunung-ganang yang megah, dan pulau-pulau yang indah. Kita perlu pelihara agar anak cucu kita dapat menikmatinya kelak.
Tidak dapat dinafikan arus pemodenan kadang kala memaksa kita berkompromi dalam soal memelihara alam semulajadi. Namun, Negeri Kedah boleh berevolusi. Negeri yang maju amat menitik beratkan ekonomi yang mampu menambah nilai kepada sumber alam.
Langkah kerajaan mendapatkan pengiktirafan Pulau Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark dan kawasan sekeliling Gunung Jerai sebagai Geopark Kebangsaan adalah satu langkah yang menambah nilai kepada sumber alam. Usaha perlu diteruskan agar khazanah alam terpelihara dan ditambah dengan nilai ekonomi.
Beta berasa sukacita di dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035, Kerajaan Negeri turut merancang untuk merealisasikan sebahagian kawasan tadahan air Ulu Muda sebagai Taman Negeri dan membangunkan Pulau Langkawi menjadi sebuah Pulau Rendah Karbon.
Untuk melaksanakan segala usaha ini, koordinasi yang cekap diantara pelbagai jabatan dan agensi diperlukan. Gerakkanlah koordinasi ini secara terpimpin.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Sektor pelancongan yang berasaskan kepada pergerakan manusia amat terkesan apabila pandemik COVID-19 melanda dunia. Malah impaknya amat membimbangkan. Ini mengakibatkan ekonomi setempat serta rantaian nilainya lumpuh. Pulau Langkawi dan kawasan pelancongan lain di Tanah Besar Kedah tidak terkecuali terjejas. Kejayaan yang telah dicapai, dalam sektor pelancongan di Negeri Kedah perlu dikekalkan keberadaannya di pentas dunia.
Beta sukacita apabila Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan Pulau Langkawi sebagai destinasi perintis bagi program Gelembung Perjalanan atau lebih dikenali sebagai ‘Travel Bubble’.
Walaupun inisiatif ini diberikan kepada pelancong tempatan yang sudah lengkap divaksin sahaja, namun Beta amat yakin inisiatif ini akan menjadi perintis kepada pembukaan lebih banyak lagi aktiviti pelancongan di Negeri Kedah. Kerjasama dan persediaan rapi diperlukan bagi membolehkan program ini dijayakan. Kemudahan pelbagai infrastruktur yang sedia ada hendaklah dibuat penambahbaikan di samping aktiviti promosi pelancongan yang bersasar perlu digerakkan.
Usaha-usaha ini bukan hanya dikhususkan kepada Pulau Langkawi sahaja bahkan perlu diperluaskan ke destinasi pelancongan di Tanah Besar Kedah sebagai persediaan pembukaan secara menyeluruh di masa hadapan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Kebersihan dan kekemasan adalah perkara asas utama yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Sewajarnya perkara ini perlu diberi perhatian yang serius lebih-lebih lagi melibatkan tahap kebersihan di kawasan perbandaran ibu negeri.
Sebagai ibu negeri dan pusat pentadbiran utama kerajaan, Bandaraya Alor Setar perlu sentiasa bersih dan kemas agar imej negeri terpelihara.
Beta berharap jalan-jalan di bawah selenggaraan Kerajaan Persekutuan yang ditumbuhi rumput dan lalang diselenggara dengan lebih kerap.
Tahap kebersihan dan kekemasan di Bandaraya Alor Setar perlu secara konsisten berada pada tahap terbaik selari dengan status Alor Setar sebagai sebuah bandaraya dan ibu negeri.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Sesebuah Negara tidak akan terlepas dari kemelut, pergolakan dan krisis. Hal seumpama ini adalah lumrah dalam ketamadunan manusia.
Namun, sejarah mengajar kita terdapat dua pengakhiran sesebuah tamadun apabila berhadapan dengan cabaran. Pertama, mereka gagal mengatasinya dan musnah ditelan zaman. Kedua, mereka berjaya mengatasinya dan menempa lembaran baharu sejarah.
Kemelut dan pergolakan politik di peringkat pusat yang berlaku mutakhir ini telah berjaya diharungi. Namun, kita perlu sedar dengan pelantikan kepimpinan baharu melalui proses rundingan tertutup bukanlah satu penyelesaian mutlak. Ini hanyalah langkah kecemasan dalam menghadapi masalah yang lebih besar.
Tempoh sehingga sebelum pilihanraya seterusnya adalah satu tempoh yang kritikal dan memerlukan kesepakatan semua pihak khususnya ahli-ahli politik untuk menangani masalah kesihatan dan ekonomi yang melanda.
James Freeman Clarke, seorang tokoh Amerika Syarikat pada kurun ke-19 ada menyebut, “A politician thinks of the next election; a stateman, of the next generation”.
Beta menyeru kepada semua ahli politik untuk merenung kata-kata ini. Negara dan Negeri Kedah pada tempoh genting ini memerlukan ahli politik yang berjiwa besar dan meletakkan masa hadapan negara dan negeri melebihi kepentingan parti dan peribadi. Lebih tepat lagi ahli politik yang berjiwa NEGARAWAN.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Sebelum mengakhiri titah ini, Beta ingin berpesan. Pepatah melayu ada menyebut, “bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya”.
Perkara yang dibincangkan di dalam dewan ini akan memberi kesan kepada rakyat di luar. Jadi jangan sia-siakan persidangan kali ini tatkala rakyat dan negeri dilanda kesulitan.
Bahaslah segala yang menjadi keutamaan dan bahas secara bijaksana. Biar paluan gendang di dalam dewan ini iramanya tersusun, barulah hala tuju negeri coraknya tertib.
Beta mendoakan perjalanan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 berjalan dengan sempurna serta dilindungi kesihatan dan keselamatan semua. Semoga persidangan pada kali ini membawa faedah kepada seluruh rakyat dan Negeri Kedah Darul Aman.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim,
Beta dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14.
Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
“Patek-Patek sekalian, Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat di dalam Persidangan ini dengan penuh hormat dan takzimnya Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah di atas perkenannya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyampaikan Titah Ucapan Sempena Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Keempat Belas”. Sekian, terima Kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian, Dewan ditangguhkan sehingga jam 9.00 pagi esok.