Kedah · 14 November 2021

14th Assembly, 4th session, 2nd meeting · 16 turns · 7,714 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Speaker

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. Bacaan Doa.

[Doa dibacakan oleh Tuan Setiausaha Dewan Undangan Negeri]

Bacaan Doa

Setiausaha Dewan

DOA

Speaker

Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan, di atas meja ada dibekalkan Notis Dewan berkenaan dengan tambahan Kertas Dewan Bil.14 Tahun 2021, Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dan satu lagi Notis Dewan berkenaan pindaan maklumat pada Buku Bajet 2022 iaitu pada rajah di muka surat 3 – Anggaran Hasil, Terimaan Bukan Hasil (22.0%) dan pada rajah di muka surat 5 – Anggaran Peruntukan Pembangunan Mengikut Sektor Pentadbiran dan Lain-Lain (10.20%).

Yang kedua, berkenaan pematuhan SOP. Semua Ahli Yang Berhormat dipohon mematuhi SOP yang telah ditetapkan semasa hadir ke Persidangan Dewan pada kali ini. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah semasa makan dan minum di Aras 4 di mana hanya seramai 10 orang sahaja boleh berada di tempat makan pada satu-satu masa. Perkara yang ketiga ialah semasa masuk ke tandas hanya dibenarkan 2 orang sahaja yang boleh masuk pada satu-satu masa samada tandas lelaki ataupun tandas perempuan. Jangan duduk bersembang dekat antara satu sama lain dan tidak boleh berkumpul terlalu ramai pada satu-satu masa. Ini teguran daripada KKM. Perkara yang keempat Buku Ucapan Bajet 2022. Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat dan ketua-ketua jabatan sekalian. Untuk kali ini Ucapan Bajet 2022 tidak lagi disediakan dalam bentuk buku. Semua Ahli Yang Berhormat boleh mendapatkan teks ucapan melalui bar code yang akan diedarkan selepas sidang dewan pada hari ini iaitu di luar dewan.

Perkara yang kelima, untuk makluman YB. Yeoh Keng Chuan dari Kulim tidak dapat hadir pada sidang ini kerana doctor menasihatkan beliau berehat di rumah. Yang keenam YB. Azman Nasrudin juga tidak hadir pada hari ini dan hari esok kerana beliau menjadi kontak rapat positif covid. Yang Berhormat akan hadir hari selasa selepas swab test dilakukan.

Speaker

Urusan seterusnya Tuan Setiausaha Dewan.

II. Pembentangan Kertas-Kertas Dewan

Setiausaha Dewan

Pembentangan Kertas-Kertas Dewan oleh YAB. Dato‟ Seri Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Muhammad Sanusi bin Md NorPAS · PNMenteri Besar · Jeneri

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Berhormat Dato‟ Speaker, dengan ini saya pohon membentangkan Kertas-Kertas Dewan yang berikut seperti di meja Ahli-Ahli Yang Berhormat :-

Kertas Dewan Bil. 10 Tahun 2021 - Anggaran Perbelanjaan Tahun 2022.

Kertas Dewan Bil. 11 Tahun 2021 - Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Negeri Tahun 2022.

.

Kertas Dewan Bil. 12 Tahun 2021 - Anggaran Kumpulan Wang Bekalan Air Negeri Tahun 2022.

Kertas Dewan Bil. 13 Tahun 2021 - Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Dan Agensi Negeri serta Pengauditan Pematuhan Jabatan Negeri Tahun 2019 dan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 1 Aktiviti Agensi Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Kedah.

Kertas Dewan Bil. 14 Tahun 2021 - Anggaran Kumpulan Wang

Pembangunan Hutan Tahun 2022.

Sekian, Terima Kasih.

Speaker

Urusan seterusnya Tuan Setiausaha.

Setiausaha Dewan

Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri Tahun 2022 dibacakan buat kali pertama

Muhammad Sanusi bin Md NorPAS · PNMenteri Besar · Jeneri

[Bacaan Kali Pertama]

Yang Berhormat Dato‟ Speaker, sebelum saya kemukakan cadangan saya berkenaan dengan Rang Undang-Undang tersebut, dukacita dimaklumkan ianya tidak sempat disiarkan di dalam Warta Kerajaan menurut Peraturan 65, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman. Oleh kerana Rang Undang-Undang ini mustahak diadakan dengan segera, maka kebenaran Yang Berhormat Dato‟ Speaker telah pun diambil menurut sepertimana yang dikehendaki oleh Peraturan Dewan.

Yang Berhormat Dato‟ Speaker, saya pohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang bernama “ Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bagi tahun 2022 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud tertentu” itu dibacakan bagi kali yang pertama.

Yang Berhormat Dato‟ Speaker, saya pohon menyokong cadangan itu.

Setiausaha Dewan

“Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bagi tahun 2022 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud-maksud tertentu”.

Muhammad Sanusi bin Md NorPAS · PNMenteri Besar · Jeneri

[Bacaan Kali Kedua]

Yang Berhormat Dato‟ Speaker, saya pohon memberitahu bahawa saya hendak mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali yang Kedua di dalam Persidangan Dewan ini juga.

Speaker

- SILAKAN

Muhammad Sanusi bin Md NorPAS · PNMenteri Besar · Jeneri

Yang Berhormat Dato‟ Speaker, saya pohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali yang Kedua dan dengan ini sukalah saya membuat sedikit sebanyak penjelasan mengenai Bajet Negeri Kedah bagi Tahun 2022 yang akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini.

III. Ucapan Bajet Negeri 2022 Dibentangkan Oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah Darul AmanAddress / budget

Muhammad Sanusi bin Md NorPAS · PNMenteri Besar · Jeneri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Bismillahirohmanirrohim.

Alhamdulillahi Robbil Alamin. Wassolatu Wassalamu „Ala Asyrafil Anbiya‟l Walmursalin, Saidina Muhammadin Sallallahu Alaihi Wassalam, Wa‟ala Alihi Washohbihi Ajmain.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang Berhormat Dato‟ Speaker,

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Ketua-ketua Jabatan, hadirin yang dihormati sekalian,

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmatnya, kita dapat berada di dewan yang mulia ini sempena Persidangan Bajet 2022.

Suasana persidangan pagi ini lebih ceria kerana Kedah telah beralih ke Fasa Empat (4) dibawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Secara keseluruhannya, semua aktiviti boleh dilakukan dengan pematuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP). Saya menyeru agar seluruh ahli masyarakat sentiasa berhati-hati menjaga diri dan keluarga masing-masing melalui kehidupan dalam tempoh Endemik COVID-19.

Kerajaan negeri melangkah ke tahun 2021 dengan semangat membara untuk mencergaskan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat berikutan pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020. Pelbagai program yang dirancang menerusi Bajet 2021 mula dilaksanakan. Namun, pelaksanaan program telah tertangguh berikutan serangan Gelombang Ketiga COVID-19 pada bulan Jun tahun 2021.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 yang telah memberi kesan kepada kehidupan. Semua aktiviti ekonomi dan urusan harian masyarakat telah terjejas.

Alhamdulillah, syukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana telah memberikan kekuatan dan kesabaran kepada seluruh warga Kedah dalam mengharungi ujian COVID-19 ini.

Kerajaan negeri bersama semua jabatan negeri dan persekutuan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah berpadu tenaga menguruskan pandemik COVID-19. Keutamaan kerajaan ialah melaksanakan progam pencegahan penularan COVID -19 dan menguruskan rawatan kepada pesakit yang disahkan positif COVID - 19 dilaksanakan secara teratur. Pada masa yang sama juga, kerajaan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah telah menguruskan Program Bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian dan bantuan Bakul Makanan.

Sehingga 10 November 2021, Kedah merekodkan 151,905 kes positif COVID-19 dengan 2,024 kes kematian. Kerajaan telah memperhebatkan program vaksinasi kepada penduduk dewasa melalui CITF Daerah. Bilangan penduduk dewasa yang lengkap divaksinasi iaitu menerima dua (2) dos adalah seramai 1.3 juta orang ataupun 86.3%.

Kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat, Jabatan Negeri dan Persekutuan, GLC, Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat-syarikat swasta, Jawatankuasa Kariah Masjid dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang telah sama-sama mengembeling tenaga menjayakan usaha mencegah penularan COVID-19.

Dengan kerjasama semua, bantuan kepada golongan terkesan dapat disampaikan secara terus dan telus. Sehubungan itu, program vaksinasi di Negeri Kedah dapat disempurnakan dengan cepat.

COVID-19 - PAKEJ BANTUAN KERAJAAN NEGERI

Kerajaan negeri tidak menjangkakan pandemik COVID-19 akan berlarutan sehingga tahun 2021. Bajet 2021 tidak menyediakan peruntukan khusus untuk sebarang bentuk bantuan COVID-19. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan mengutamakan rakyat, kerajaan telah menggunakan peruntukan luar jangka dan terpaksa menangguhkan beberapa program lain bagi menampung keperluan ini. Sejumlah RM32.4 juta dalam bentuk pakej bantuan kepada golongan yang terkesan. Bantuan meliputi:

 Bantuan tunai,  Bantuan barang keperluan asas,  Pinjaman mudah kepada golongan penjaja, peniaga kecil dan usahawan,  Bantuan pembiayaan swab-test kepada penyedia perkhidmatan penghantaran makanan.

Bantuan kepada penduduk yang terlibat dengan PKP dan PKPD sepanjang tahun 2021 telah disalurkan melalui PKOB di Pejabat Daerah dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sejumlah 100 ribu bakul makanan telah diedarkan sehingga Oktober 2021.

Untuk tahun 2021 juga, kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM750 ribu bagi bantuan keperluan lampin pakai buang dan susu formula kepada keluarga yang kehilangan pendapatan dan tidak mampu untuk menyediakan barangan ini.

Selain itu, Lembaga Zakat Negeri Kedah telah memberikan sumbangan bantuan barangan makanan, peralatan perubatan, bantuan tunai, elaun kepada sukarelawan, dan peralatan kepada pelajar untuk pembelajaran atas talian berjumlah RM49.8 juta.

PROGRAM PEMULIHAN EKONOMI DALAM TEMPOH PANDEMIK COVID-19

Bantuan Khemah dan Peralatan Asas Penjaja

Bantuan khemah dan peralatan kepada penjaja dan peniaga kecil serta mereka yang terputus pendapatan telah dibuat melalui Pusat Khidmat DUN pada bulan Julai 2021. Sejumlah 100 buah khemah dan peralatan asas perniagaan seperti meja lipat telah diedarkan. Kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM1.242 juta bagi memastikan kelangsungan ekonomi mereka ini tidak terjejas sepanjang pandemik COVID -19.

Kerajaan negeri juga melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menyediakan tapak niaga yang bersesuaian dan mewujudkan zon bebas niaga untuk membantu golongan penjaja dan peniaga kecil.

Pengecualian Bayaran dan Moratorium

Selain bantuan dalam bentuk tunai dan barangan, kerajaan negeri telah memberi inisiatif berkaitan bayaran cukai dan bayaran perkhidmatan kerajaan kepada pihak yang terkesan dengan PKP seperti berikut:-

 Kerajaan negeri telah memberikan pelanjutan tempoh perlaksanaan kadar 7.5% cukai hiburan kepada pengusaha taman tema di Langkawi selama dua (2) tahun bermula 1 Jun 2021.  Pengecualian sewaan kantin di premis milik kerajaan negeri turut diberikan kepada pengusaha kantin yang terkesan.  Selain itu, pengurangan bayaran lesen hiburan turut diberikan kepada pengusaha dan operator aktiviti hiburan yang terkesan berdasarkan permohonan.  Penyewa Skim Perumahan Milik Kerajaan diberikan penangguhan bayaran sewa selama 1 bulan bermula 1 Jun 2021.  Pengecualian bayaran sewa premis kerajaan bagi kategori rumah kedai milik Bahagian Perumahan selama satu (1) bulan.  Pemberian pengurangan sewa sebanyak 50% kepada penyewa bangunan Kerajaan Negeri Kedah dibawah seliaan Jabatan Pertanian Negeri Kedah.

KEDUDUKAN KEWANGAN KERAJAAN

PRESTASI HASIL 2021

Sehingga 11 November 2021, jumlah terimaan hasil adalah sebanyak RM631.68 juta iaitu 87.73% daripada anggaran hasil tahun 2021 sebanyak RM720 juta.

Prestasi terimaan hasil tahun 2021 adalah lebih baik berbanding prestasi tahun 2020 yang berjumlah RM560.66 juta, dengan pertambahan terimaan hasil adalah RM71.02 juta. Walaupun Negeri Kedah berada didalam tempoh PKP dan urusan di kaunter tidak dapat dibuat, usaha kutipan hasil telah dibuat secara atas talian melalui aplikasi dan portal kutipan hasil yang telah dibangunkan. Usaha ini memudahkan urusan pembayaran cukai dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pembayar cukai.

Pentadbiran tanah mencatatkan terimaan hasil sebanyak RM450.29 juta, Jabatan Perhutanan merekodkan terimaan sebanyak RM16.64 juta dan Hasil Pelbagai berjumlah RM162.09 juta. Terimaan hasil daerah agak rendah dengan kutipan berjumlah RM2.66 juta ini adalah kesan daripada PKP kerana banyak aktiviti ekonomi tidak dapat beroperasi.

Terimaan hasil pentadbiran tanah menunjukkan prestasi yang baik berikutan pertambahan bayaran cukai tanah semasa, bayaran tunggakan cukai tanah, terimaan premium tanah semasa dan bayaran levi swaping tanah.

Kedudukan Akaun Hasil Disatukan Negeri

Sehingga 2 November 2021, Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Negeri telah mencatatkan lebihan sebanyak RM170.04 juta.

Perolehan Kerja Cabutan Undi Secara Atas Talian

Bagi meningkatkan ketelusan dalam urusan perolehan kerajaan, kaedah perolehan secara cabutan undi atas talian telah dilaksanakan. Langkah ini telah mendapat sambutan yang positif di kalangan kontraktor G1 dan G2. Pada tahun 2021 Cabutan Kerja Undi telah dibuat sebanyak empat (4) Fasa iaitu Fasa Pertama pada 28 Februari 2021 dan 1 Mac 2021, Fasa Kedua pada 27 April hingga 29 April 2021, Fasa Ketiga pada 25 Julai 2021 dan Fasa Keempat pada 20 Oktober 2021.

Bagi tahun 2021, bilangan keseluruhan projek yang dijalankan di dalam Cabutan Kerja Undi Tahun 2021 adalah sebanyak 1,598 projek dengan nilai keseluruhan berjumlah RM145 juta.

PRESTASI PERBELANJAAN 2021

Sehingga 11 November 2021, Perbelanjaan Mengurus Negeri adalah berjumlah RM469.07 juta. Prestasi perbelanjaan tahun 2021 adalah 58.7% berbanding anggaran keseluruhan perbelanjaan berjumlah RM798.8 juta. Prestasi perbelanjaan jabatan negeri adalah lebih rendah disebabkan perintah kawalan pergerakkan yang dilaksanakan sepanjang tahun 2021.

Adaptasi norma baru dalam perkhidmatan terutamanya berkaitan perkhidmatan jabatan kerajaan turut memberi kesan dan penjimatan dalam perbelanjaan. Tahun 2021 merupakan tahun awal pelaksanaan dan pembangunan sistem kearah pendigitalan perkhidmatan. Mesyuarat atas talian adalah norma baru dalam urusan pentadbiran jabatan, perubahan ini dilihat memberikan impak dalam mempercepatkan proses kerja dan menjimatkan kos perbelanjaan mesyuarat dari segi dokumentasi secara fizikal.

Perancangan perbelanjaan pembangunan negeri tahun 2021 telah diluluskan untuk dilaksanakan secara sukuan tahun, bagi menjamin pelaksanaan projek dapat disempurnakan mengikut jadual. Walaubagaimanapun, disebabkan PKP jadual pelaksanaan projek telah terjejas menyebabkan sektor pembinaan tidak dapat beroperasi, bekalan bahan binaan tidak mencukupi dan pelaksanaan projek-projek ini terpaksa dinilai semula kerana kos telah bertambah. Penilaian semula projek bernilai besar dan pelaksanaan terpaksa dibawa ke tahun hadapan. Prestasi Bayaran

Walaupun dalam tempoh PKP, kebanyakkan jabatan kerajaan tidak dapat beroperasi secara penuh dengan seratus peratus kehadiran, prestasi bayaran baucer jabatan negeri telah mencapai 93.27% bayaran dalam tempoh tujuh (7) hari, 6.55% bayaran dalam tempoh 14 hari dan hanya 0.18 peratus% dalam tempoh melebihi 14 hari. Kerajaan negeri juga komited untuk mencapai sasaran sifar bayaran melebihi 14 hari.

Rizab Kerajaan

Sehingga 2 November 2021, simpanan tetap kerajaan negeri adalah sebanyak RM660.31 juta, dijangkakan berakhir pada 31 Disember 2021. Setelah selesai bayaran tanggungan dan penyelesaian bil-bil, Kerajaan dijangka masih mempunyai simpanan tetap sebanyak RM510.31 juta.

Kedudukan Hutang

Seperti semua sedia maklum, Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Kedah telah berjaya ditandatangani pada 4 Mac 2021. Ini adalah hasil kerja keras kerajaan menyelesaikan beberapa perkara yang tertangguh didalam proses rundingan selama tujuh (7) tahun.

Kerajaan Persekutuan telah memulakan pelarasan hapuskira pinjaman bekalan air berjumlah RM701.49 juta.

Dengan hapuskira pinjaman bekalan air luar bandar tersebut, pinjaman bekalan air Kerajaan Negeri Kedah telah berkurang daripada RM1.786 bilion kepada RM1.133 bilion. Baki pinjaman berjumlah RM1.133 bilion ini diambil alih oleh Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

Apabila selesai proses ambil alih baki pinjaman bekalan air oleh PAAB, baki pinjaman Kerajaan Negeri yang belum selesai adalah berjumlah RM793.23 juta merangkumi pinjaman Perumahan Awam Kos Rendah, pinjaman Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKNK) dan pinjaman pelbagai.

Prestasi Kemajuan Projek Keutamaan Negeri

Pada tahun 2021, disebalik kesuraman ekonomi global disebabkan oleh penularan pandemik COVID-19, kerajaan negeri telah berjaya menarik pelaburan keseluruhan sebanyak RM43.6 bilion merangkumi RM42.5 bilion dalam sektor pengilangan, RM1.1 bilion dalam sektor perkhidmatan dan industri utama.

Pelaburan tahun 2021 telah menunjukkan peningkatan dan menjadikan Negeri Kedah berada di tangga pertama di kalangan negeri-negeri di Malaysia. Antara pelaburan utama pada tahun ini telah disumbangkan melalui pelaburan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui iaitu Risen Solar Technology Sdn Bhd.

Ini diikuti oleh syarikat Munzing Malaysia Sdn. Bhd sebanyak RM55 juta, dan syarikat SP Mega Mineral Sdn. Bhd. sebanyak RM29 juta dan beberapa lagi syarikat lain. Pelaburan ini telah membuka peluang pekerjaan sebanyak 4,417 pelbagai jawatan yang bakal dinikmati oleh rakyat Malaysia secara amnya dan Kedah secara khususnya.

Pada tahun 2022, kerajaan negeri berpandukan Teras Kemakmuran Ekonomi di bawah Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 (KEDAH2035) telah menyasarkan beberapa lagi syarikat-syarikat ternama yang akan memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan utama pada tahun 2022. Antara kawasan yang berpotensi bagi pelaburan baharu di Negeri Kedah adalah Kedah Rubber City (KRC), Kulim Hi Tech Park (KHTP), Kedah Science and Technology Park (KSTP), Special Border Economic Zone (SBEZ), Kulim International Airport (KXP), Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Gurun Industrial Park dan Kawasan Industri Padang Meha.

Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur bagi kawasan-kawasan perindustrian. Pada tahun 2021, peruntukan sebanyak RM6.61 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membaikpulih infrastruktur kawasan industri di Negeri Kedah.

Pemajuan Kawasan IndustrI di Kulim Hi-Tech (KTPC)

Susulan daripada peningkatan aliran masuk pelaburan ini, Kerajaan negeri telah bersetuju bagi melaksanakan pembesaran Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 4A dan Fasa 5 dengan keluasan 695 ekar bagi menampung permintaan daripada pelabur. Jangkaan peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan daripada projek pembesaran ini dijangka dapat mewujudkan sejumlah 15,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat terutamanya di Negeri Kedah.

Selain itu, bagi mempercepatkan proses kelulusan Kebenaran Merancang dan Bangunan, Kerajaan Negeri melalui projek perintis oleh Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Kedah telah memperkenalkan Permit Pembinaan Ekspress atau E10 yang mampu memproses kelulusan dalam tempoh 10 bulan sahaja.

PRESTASI RMK-11

Rancangan Malaysia ke-11 yang bermula pada tahun 2016 sehingga 2020 peringkat Negeri Kedah telah diperuntukan sejumlah RM1.15 billion merangkumi lapan (8) Jabatan Pembangunan. Secara keseluruhannya, prestasi perbelanjaaan bagi RMK-11 Negeri Kedah adalah berjumlah RM512.8 juta atau 44.58%.

Prestasi agak rendah disebabkan kerajaan negeri terkesan dengan pandemik COVID-19 terutama pada tahun akhir pelaksanaan RMK-11 pada tahun 2020. Prestasi perbelanjaan keseluruhan terjejas disebabkan perkara ini.

BAJET 2022

Bajet 2022 dirangka sebagai usaha kerajaan untuk memulihkan, mencergaskan dan merangsang kegiatan ekonomi tempatan. Cadangan-cadangan bajet daripada 30 Jabatan Negeri, 19 Badan Berkanun Negeri (BBN), 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 4 GLC termasuk sesi engagement yang telah diadakan dengan semua YB. EXCO dan YB. ADUN kerajaan negeri telah diterima dan dipertimbangkan.

Dapatan maklumat dan pandangan daripada orang awam juga diperolehi khasnya berkaitan cadangan pemulihan aktiviti perniagaan mikro dan keperluan prasarana desa yang dibuat melalui media sosial (Facebook).

Kesimpulannya, pelbagai pihak mengharapkan kerajaan menyediakan peruntukan yang besar bagi memenuhi keperluan yang diminta. Kerajaan mencadangkan Bajet 2022 berdasarkan pepatah melayu “Berilah kail, jangan ikannya”. Begitu juga pepatah cina ada menyebut “Bila beri seseorang ikan, anda memberinya makan sekali, tetapi bila kita ajar dia memancing, anda memberinya makan seumur hidup”.

MATLAMAT BAJET

Bajet 2022 dirangka berdasarkan tiga (3) teras utama iaitu:

i. Pemangkin dan Pemulihan Aktiviti Ekonomi ii. Peningkatan Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Rakyat iii. Pendigitalan Perkhidmatan dan Kecekapan Tadbir Urus

Rakyat terkesan dengan pandemik COVID-19 yang telah berlaku hampir dua (2) tahun. Kesan kedukaan dari segi emosi dan fizikal perlu dilihat secara mendalam dan bantuan dalam mengubat kedukaan ini perlu seimbang. Kerajaan negeri peka dan telah merancang perbelanjaan dalam Bajet 2022 ini bagi membantu memulihkan dan mensejahterakan rakyat Negeri Kedah.

Peruntukan bagi pembangunan secara fizikal, peruntukan dalam bentuk bantuan bagi pemulihan ekonomi dan peruntukan dalam bentuk sokongan sosial disediakan secara seimbang dan menyeluruh bagi memastikan setiap golongan rakyat mendapat manfaat.

Bajet 2022 berpaksikan Pelan Pembangunan Kedah 2035. Beberapa inisiatif pelan ini akan dimulakan pelaksanaannya pada tahun 2022 memenuhi tema ekonomi, tema rakyat dan tema alam.

Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan yang terkandung didalam Bajet 2021 tetapi tertangguh ekoran pelaksanaan PKP.

Kerajaan negeri menghargai dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan berkenaan pengumuman bantuan peruntukan penyelenggaraan infrastruktur pelancongan dan pemuliharaan alam di dalam Bajet 2022 yang dibentangkan di sidang dewan rakyat baru-baru ini. Peruntukan yang diluluskan ini adalah bagi menangani hakisan pantai di Pantai Merdeka dan projek penyelenggaraan infrastruktur pelancongan di Lembah Bujang, Merbok.

Kerajaan negeri juga diberi peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan projek khas dibawah komponen jaminan sumber makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

TEMA BAJET

“KEDAH SEJAHTERA NIKMAT UNTUK SEMUA” adalah tema Bajet Tahun 2022 dengan fokus kepada elemen keseimbangan dalam perbelanjaan bagi membolehkan semua pihak “PAKAT-PAKAT MEGHASA” limpahan rezeki yang Allah S.W.T kurniakan kepada bumi Kedah yang bertuah ini.

TERAS BAJET

TERAS 1- PEMANGKIN DAN PEMULIHAN AKTIVITI EKONOMI Kecemerlangan Infrastruktur Dan Utiliti

Yang Berhormat Dato‟ Speaker,

Kerajaan beriltizam untuk memulihkan aktiviti ekonomi tempatan dengan pantas melalui projek-projek infrastruktur dan utiliti. Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM444.6 juta atau 33%.

Inisiatif baharu pada tahun 2022 adalah untuk menyediakan kemudahan parit dan longkang di kampung-kampung di semua daerah. Sejumlah RM7.2 juta disediakan bagi maksud ini.

Peruntukan yang besar disediakan bagi menaiktaraf jalan raya negeri. Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM60.4 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyiapkan projek menaiktaraf Jalan Suka Menanti dan memulakan pembinaan Jalan Kota Sarang Semut ke Pekan Pendang yang tertangguh pada tahun 2021.

Lain-lain kemudahan jalan serta pembaikan jalan dan jambatan di semua daerah yang melibatkan 91 projek secara keseluruhannya.

Sebanyak empat (4) jambatan yang akan dinaiktaraf bagi kemudahan orang ramai. Jambatan tersebut ialah Jambatan Sungai Kura di Daerah Padang Terap, Jambatan Sungai Getah di Daerah Kuala Muda, Jambatan Sungai Chepir di Daerah Sik dan Jambatan Sungai Pendang di Daerah Pendang. Kesemua projek-projek ini akan ditender pada awal tahun 2022.

Fenomena banjir adalah merupakan masalah yang dihadapi saban tahun. Banjir kilat dan kejadian air pasang besar memberikan kesan kepada penduduk di kawasan rendah dan menyebabkan kerosakkan harta benda dan kawasan pertanian. Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM4.5 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir melibatkan Pengkalan Lebai Man, Kajian Induk Saliran Jitra Utara, Kampung Siam/Sungai Seluang dan Sungai Perik Mukim Kurong Hitam.

Pengurusan tebatan banjir turut mengutamakan program kerja-kerja naiktaraf sistem saliran di kawasan berikut:

 Alor Wisma, Daerah Kota Setar,  Sungai Kob di Daerah Kulim,  Kampong Teloi Tua di Jeneri, Daerah Sik, dan  Sungai Teluk Yu di Daerah Langkawi.

Kerajaan juga prihatin dengan isu bekalan air yang dihadapi oleh penduduk di beberapa kawasan seperti Kuala Kedah, Kuala Sanglang, dan Merbok. Bagi memenuhi permintaan ini, kerajaan negeri sedang melaksanakan lima (5) projek loji rawatan air. Kemajuan fizikal semasa di tapak ialah 4% dan kerajaan akan memastikan projek-projek ini akan disiapkan mengikut jadual.

Dua (2) projek menambah baik bekalan air untuk Pulau Langkawi juga sedang dilaksanakan. Kemajuan pelaksanaan Projek Naik Taraf Sistem Pengepaman Padang Mat Sirat, Langkawi telah mencapai 25% dan dijangka siap pada tahun 2022.

Kerajaan juga akan menjalankan kerja-kerja pembaikan paip dasar laut sedia ada dari Tanah Besar ke Pulau Langkawi dengan anggaran kos sebanyak RM50 juta. Pelaksanaan projek ini dijangka pada tahun 2022.

Pembiayaan projek-projek yang saya sebutkan ini adalah daripada peruntukan secara geran dan pinjaman daripada kerajaan persekutuan. Keseluruhan peruntukkan tahun 2022 berjumlah RM308.14 juta.

JAMINAN PENGELUARAN SUMBER MAKANAN

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan pengeluaran sumber makanan tidak terjejas. Keseimbangan antara kemudahan infrastruktur dan pengurusan dalam bekalan sumber makanan hendaklah seimbang. Melalui kemudahan infrastruktur, kerajaan negeri telah merancang program peningkatan sistem pengairan dan saliran bagi penanaman padi skim dan luar skim yang telah memperuntukkan sejumlah RM4.63 juta melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Bagi melahirkan usahawan tani yang kompetitif dengan penggunaan teknologi pertanian moden, dan dapat keluar dari kaedah pertanian tradisional, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM6.86 juta. Program pertanian ini meliputi sektor pembangunan industri padi, industri buah-buahan, sayuran dan tanaman ladang, tanaman industri dan komoditi berpontensi.

Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian turut memberikan khidmat sokongan teknikal dan pengembangan pertanian dan pembangunan produk industri asas tani.

Jabatan Pertanian Negeri Kedah akan meneruskan dan menambahbaik pelaksanaan enam (6) program utama yang telah berjaya pada tahun 2022 iaitu:

 Pembangunan Harumanis Kedah,  Program Durian Kampong Premium,  Pembangunan Kopi Kedah,  Pembangunan Melon Kedah,  Pembangunan Nanas Tanah Mineral Kedah (MD2).  Pembangunan Teknologi IOT (Internet of Things) dalam pertanian.

Perbadanan Menteri Besar Kedah pula akan menerajui pertanian bernilai dan berimpak tinggi. Dua (2) projek akan dilaksanakan iaitu pusat penetasan dan asuhan benih ikan di Pulau Langkawi dan tanaman integrasi kelapa, betik, dan melon di Bukit Kura, Daerah Padang Terap melibatkan pelaburan sebanyak RM5 juta.

Peruntukan sejumlah RM6.06 juta telah diperuntukan kepada Jabatan Veterinar Negeri Kedah bagi memenuhi keperluan program pembangunan industri ternakan melalui pembangunan industri ruminan dan bukan ruminan, pembangunan program kompetensi penyelidikan dan bimbingan usahawan ternak. Kesedaran tentang keperluan melahirkan usahawan ternak yang kompetitif dan memenuhi persijilan MyGAP, GVHP, HALAL, MeSTI dan GMP akan menjadi antara program keutamaan dibawah pembangunan usahawan ternak dibawah Jabatan Veterinar.

PENINGKATAN FASILITI DAN KEMUDAHAN PELANCONGAN

Kerajaan negeri berbangga kerana Pulau Langkawi telah dipilih sebagai gelembung pelancongan (Bubble Tourism) pertama di negara ini. Keputusan ini telah berjaya membantu aktiviti ekonomi di kalangan pengusaha pelancongan.

Bagi memajukan sektor pelancongan domestik ke seluruh Negeri Kedah, kerajaan akan memperluaskan kemudahan prasarana pelancongan dan pemuliharaan bangunan warisan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Negeri Kedah kaya dengan flora dan fauna. Khazanah ini yang terletak di Kawasan Hutan Lipur dan Kawasan Hutan Simpan akan dimajukan sebagai sektor baru Eko-Pelancongan. Sebanyak RM3.2 juta disediakan bagi tujuan ini.

Bagi perancangan pembangunan produk pelancongan Negeri Kedah secara berstruktur dan teratur, sejumlah RM0.475 juta telah disediakan dibawah PLAN Malaysia. Tumpuan kajian adalah melibatkan perancangan pembangunan semula kawasan rekreasi Titi Hayun – Batu Hampar di Daerah Yan dan kawasan pelancongan jajaran gua di Daerah Baling.

PROMOSI PELABURAN

Jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kulim Technology Park Corporation, Invest Kedah, dan MIDA telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam menarik pelaburan luar ke dalam Negeri Kedah seperti yang telah dimaklumkan pada awal ucapan ini. Mengambil kira prestasi ini, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi program promosi pelaburan luar negara dan RM1 juta turut disediakan untuk pelaburan dalam negeri. Dengan itu, keseluruhan peruntukan bagi promosi pelaburan berjumlah RM2 juta.

Kerajaan negeri mengalu-alukan pelaburan oleh anak syarikat kerajaan negeri dan pihak swasta. Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menjalin usahasama dengan Open Road Asia Sdn. Bhd. untuk membangunkan Projek Open Road Asia International Circut di Bukit Malut, Langkawi. Seluas 186 ekar tanah milik PKB akan dibangunkan dengan komponen litar lumba kereta mewah, gudang penyimpanan kereta mewah, ruang pameran, hotel, kondominium dan pusat perniagaan. Projek yang bernilai RM4.8 bilion akan bermula pada awal tahun 2022.

Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) menjalin usaha sama dengan pelabur tempatan untuk memajukan projek berikut:

i. Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam Fasa 2A dengan kos pembangunan RM130 juta. ii. Projek pembangunan kediaman dan komersial di Sungai Petani dengan pelaburan RM250 juta. iii. Projek pembangunan GAIA Sanctuary di Tanjung Sawa, Langkawi bernilai RM320 juta.

Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh dan memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan.

USAHAWAN DAN EKONOMI DIGITAL

Untuk tahun 2021, sejumlah RM2.85 juta telah disediakan kepada 640 peniaga dan usahawan kecil. Mereka telah menikmati faedah suntikan modal dalam bentuk pinjaman mudah yang disalurkan melalui Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK). Melalui program ini, golongan terbabit dapat membangunkan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Meneruskan usaha ini, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1 juta melalui Skim Pinjaman Mikro Kredit Sejahtera pada tahun 2022.

PKP telah melahirkan ramai usahawan digital. Bagi meningkatkan lagi dan menambah bilangan usahawan digital, sejumlah RM1 juta disediakan bagi Program Usahawan Digital. Program dalam bentuk kursus dan seminar serta pendedahan bagi perniagaan secara digital melalui media sosial, content writing, video pemasaran digital, dan business coaching atas talian.

Kerajaan merancang membangunkan platform aplikasi perniagaan atas talian yang menghimpunkan produk usahawan Negeri Kedah secara maya.

Pada tahun 2021, Puan Azizah Binti Saad, dari Kampung Raja, Jitra, Kedah telah menerima manfaat bantuan daripada Tabung Wanita Sejahtera dalam membantu perniagaan kuih tradisional. Usaha bantuan ini akan diteruskan pada tahun 2022 bagi membantu lebih ramai usahawan wanita keluar dari kepompong kemiskinan dan membantu mereka berdikari.

Sejumlah RM310 ribu juga turut disediakan dibawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pembangunan kompetensi, penyelidikan, dan bimbingan usahawan.

Yang Berhormat Dato‟ Speaker,

TERAS 2- PENINGKATAN KUALITI HIDUP DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Kerajaan akan meneruskan program-program bantuan kepada golongan terjejas pendapatan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka. Sejumlah RM39.8 juta disediakan bagi maksud ini.

Peruntukan YB. EXCO dan YB. ADUN telah ditambah sebanyak RM50 ribu setiap DUN bagi menyantuni keperluan masyarakat di DUN masing-masing.

Buat kali pertama, kerajaan menyediakan peruntukan khas kepada YB. Speaker sebanyak RM50 ribu bagi memperkasakan fungsi Speaker.

Peruntukan sebanyak RM50 ribu disediakan kepada setiap DUN bagi melaksanakan pembaikan kecil dibawah Program Desa Sejahtera. Melalui peruntukan ini, YB. ADUN boleh membantu golongan miskin seperti menggantikan atap rumah yang bocor, membaiki kerosakkan bilik air atau dapur atau menggantikan lampu yang rosak.

Program Bantuan Beras Sejahtera yang dimulakan sejak Januari 2021 telah memberi manfaat kepada 56 ribu keluarga miskin. Untuk tahun 2022, kerajaan negeri menyediakan sejumlah RM3.24 juta iaitu pertambahan sebanyak RM1.08 juta. Melalui langkah ini, setiap DUN akan menghulurkan bantuan kepada lebih ramai penerima.

Kerajaan sedar bantuan khairat kematian sebanyak RM350 bagi setiap kematian adalah tidak mencukupi untuk membiayai kos pengurusan jenazah, terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan. Cakna dengan keadaan ini, kerajaan negeri mencadangkan untuk menambah kadar bantuan khairat kematian kepada RM500 bagi setiap kematian. Jumlah peruntukan yang disediakan adalah sebanyak RM3 juta untuk tahun 2022.

Mengikut Dasar Kemakmuran Bersama dan Pelan Pembangunan Kedah 2035, tidak ada lagi kawasan yang terpinggir daripada arus pembangunan. Kerajaan akan menyediakan kemudahan prasarana di kawasan terbabit untuk menggalakkan pembangunan pada masa hadapan.

Kerajaan meneruskan pemberian peruntukkan bantuan mengurus Pusat Khidmat DUN yang berjumlah RM3.768 juta untuk tahun 2022. RM8,000.00 disediakan untuk DUN Kerajaan dan RM2 ribu disediakan untuk DUN Pembangkang setiap bulan.

Peruntukkan berjumlah RM1 juta disediakan untuk Program Anakku Sejahtera. Program ini dilaksanakan sejak tahun 2021 dengan kerjasama SSPN.

Bagi memperkasa agenda membantu golongan rentan, kerajaan akan meningkatkan bantuan melalui JKM. Sejumlah RM24.82 juta disediakan untuk bayaran bantuan am bulanan, bantuan bencana, bantuan pusat aktiviti warga emas, bantuan pusat aktiviti kanak-kanak dan rumah orang-orang tua.

Selain itu, kerajaan meneruskan bantuan berjumlah RM2 juta kepada keluarga yang menguruskan dan menjaga pesakit terlantar. Sebanyak RM0.5 juta ringgit pula disediakan untuk bantuan membeli peralatan perubatan kepada pesakit miskin. Peruntukan bantuan ini boleh dipohon melalui empat (4) buah hospital di negeri Kedah. Iaitu:

 Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),  Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),  Hospital Kulim, dan  Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

PENDIDIKAN DAN BANTUAN PENDIDIKAN

Bidang pendidikan diberi keutaaman bagi melahirkan insan cemerlang. Peruntukan sebanyak RM28 juta disediakan kepada Lembaga Maktab Mahmud. Selain kos operasi, peruntukan ini akan digunakan untuk menyelenggara kemudahan akademik, pembangunan sahsiah pelajar dan aktiviti kokurikulum.

Projek pembangunan semula Maahad Tahfiz Sains Darulaman Kulim (MTSD) Fasa Satu (1) yang dirancang pada tahun 2021 akan mula dilaksanakan pada tahun 2022. Reka bentuk bangunan yang meliputi bangunan akademik, pentadbiran asrama puteri, makmal sains dan lain-lain kemudahan telah siap dan akan ditender pada Disember ini. UniSHAMS

Kerajaan mendapati pengurusan UniSHAMS berjaya memulihkan kedudukan kewangan yang positif melalui pengurusan kewangan yang cekap dan pertambahan bilangan pelajar. Kerajaan meneruskan pemberian peruntukan operasi kepada UniSHAMS sebanyak RM9.2 juta berbanding tahun 2021 sebanyak RM9.5 juta. Selain itu, kerajaan terus menanggung bayaran balik pinjaman pembangunan kampus UniSHAMS di Kuala Ketil sebanyak RM20 juta setahun.

Kerajaan menerima permintaan daripada kalangan pelajar supaya kemudahan asrama disediakan. Pada tahun 2021, UniSHAMS telah menyiapkan pelan pembangunan asrama pelajar melalui kerjasama kerajaan dan swasta. InshaAllah perkara ini akan dimuktamadkan pada tahun 2022.

Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah

Usaha kerajaan mempromosikan budaya membaca di kalangan penduduk negeri Kedah seiring dengan era digitalisasi telah menjadi kenyataan. Bangunan Fasa satu (1) Kedah Digital Library telah mula beroperasi pada tahun 2021. Bangunan Fasa dua (2) akan siap pada Ogos 2022. Pelbagai kemudahan berkaitan maklumat secara atas talian dengan suasana yang tenang dan dikelilingi landskap yang cantik disediakan untuk kemudahan pengunjung di Kedah Digital Library.

Kerajaan juga akan menambah baik 44 buah perpustakaan desa sediaada dengan menyediakan kemudahan ke arah perpustakaan digital.

Sejumlah RM6.3 juta disediakan bagi maksud pengurusan semua perpustakaan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah. IQDAR

Kerajaan berbangga dengan sambutan dikalangan pelajar untuk melanjutkan pelajaran tahfiz di IQDAR. Perancangan kerajaan adalah untuk melengkapkan kemudahan prasarana termasuklah membina bangunan asrama pelajar. Bantuan kos pengurusan juga disediakan sebanyak RM3.5 juta kepada IQDAR. RM400 ribu turut disediakan bagi kerja-kerja baikpulih bangunan sediaada asrama pelajar IQDAR.

INSPIN

Sepanjang tempoh PKP, INSPIN berjaya menganjurkan pelbagai kursus secara atas talian kepada peserta dari dalam dan luar jabatan negeri Kedah. Kerajaan akan terus memberi bantuan operasi sebanyak RM0.5 juta dan meneruskan kerja-kerja baikpulih bangunan yang telah dimulakan suku tahun ketiga tahun 2021.

PENDIDIKAN ISLAM

Selaras dengan usaha memartabatkan pendidikan islam, kerajaan menyediakan RM5.3 juta bagi membiayai kos operasi 141 buah Tadika Islam yang melibatkan 1,664 orang murid dan 124 orang guru.

Kelas KAFA yang dikendalikan oleh 440 orang guru akan menerima peruntukan sebanyak RM1.208 juta. Kerajaan akan terus menaik taraf kelas-kelas pendidikan rendah Islam pada setiap tahun. Untuk tahun 2022, kerajaan negeri menyediakan RM0.5 juta bagi maksud tersebut.

Pinjaman pendidikan dan biasiswa kecil telah ditambah sebanyak RM0.4 juta yang akan memanfaatkan seramai 200 orang pelajar. Bantuan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT dan pemberian bantuan kepada tiga (3) buah Sekolah Cina Persendirian diteruskan seperti tahun lalu.

Bilangan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menyambut saranan kerajaan supaya berdaftar semakin bertambah, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bantuan one-off kepada 200 buah SAR. Tambahan sebanyak RM500 ribu berbanding tahun 2021.

Kerajaan sedar masih terdapat SAR yang berhasrat untuk berdaftar tetapi menghadapi kekangan memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan. Bagi membantu mereka, kerajaan menyediakan sejumlah peruntukan bagi kerja-kerja naiktaraf bangunan bagi memenuhi syarat pendaftaran.

CORDOBA OF KEDAH

Usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan Islam di negeri ini melalui konsep Cordoba of Kedah. Pada awal November yang lalu, kerajaan telah menganjurkan bengkel Cordoba of Kedah yang telah dihadiri oleh kalangan cerdik pandai dan pakar pendidikan Islam. Satu pelan tindakan pelaksanaan program Cordoba of Kedah akan diadakan yang akan menjadi garis panduan mulai tahun 2022.

Kemudahan dan kebajikan pelajar Negeri Kedah yang melanjutkan pelajaran di Mesir terus dijaga. Kerajaan negeri menyediakan kemudahan penginapan di tiga (3) blok asrama. Untuk tahun 2022, kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi kos baikpulih dan selenggara asrama ini.

AGAMA ISLAM

Kecemerlangan institusi masjid sentiasa diberi keutamaan sama ada dari segi aspek prasarana fizikal ataupun pengurusan. Bagi tahun 2022, kerajaan memperuntukkan RM3.5 juta kepada Majlis Agama Islam (MAIK). RM11.6 juta bagi pembayaran elaun pegawai masjid di 578 masjid dan RM0.5 juta untuk tabung pegawai masjid.

Sebanyak RM3 juta akan digunakan untuk menaik taraf masjid dan surau. Kerajaan merancang untuk membina lima (5) buah surau baharu pada tahun 2022.

Institusi Kehakiman Syariah memainkan peranan penting kepada kehidupan umat Islam di negeri ini. Berikutan pertambahan kes setiap tahun, kerajaan merancang untuk membina Bangunan Mahkamah Tinggi Syariah di Daerah Kuala Muda melalui Bajet 2021. Pemilihan tapak telah dimuktamadkan dan kerja-kerja perancangan projek ini akan dimulakan tahun 2022 dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

PEMBANGUNAN SUKAN

Sebuah Kompleks Sukan Daerah Kuala Muda akan dibangunkan pada tahun 2022 secara berperingkat. Tapak untuk projek ini telah selesai dibuat pengambilan tanah. Komponen utama pembangunan projek ini ialah membina padang bola sepak dan padang sukan ragbi.

Selain itu, kerajaan akan menyalurkan peruntukan baik pulih dan menaiktaraf fasiliti sukan sedia ada. Sebanyak RM10 juta diperuntukan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk membangunkan atlet dan melahirkan bakat baru bagi mewakili negeri kedah di Sukan SUKMA pada tahun hadapan.

Negeri Kedah juga tidak ketandusan bakat di kalangan belia. Kerajaan yakin bakat-bakat ini boleh digilap untuk berjaya di peringkat antarabangsa. e-Sukan adalah antara satu (1) bidang baru dalam pembangunan sukan negeri. Mengambil contoh pencapaian cemerlang peserta e-Sukan Malaysia di Romania baru-baru ini yang berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM21.7 juta, telah memberi inspirasi dan contoh positif kepada ramai belia di Negeri Kedah yang menaruh minat tinggi kepada e-Sukan.

Bagi mengembangkan pertumbuhan e-Sukan, kerajaan akan membantu dalam bentuk penganjuran pertandingan bagi mencungkil bakat belia dalam bidang ini. Selain itu, bantuan one-off akan diberikan kepada Persatuan e-Sukan Malaysia Kedah.

Belia adalah pemimpin di masa hadapan. Bakat kepimpinan mereka perlu digilap selaras dengan keperluan negeri. Untuk itu kerajaan akan membentuk para pemimpin belia melalui Program Bakat Kedah Sejahtera yang memberi penekanan kepada keseimbangan sahsiah, ekonomi, dan ilmu pengetahuan.

ALOR SETAR BANDARAYA SEJAHTERA

Alor Setar sebagai ibu negeri akan terus dimajukan sebagai Bandaraya Sejahtera. Rancangan tempatan Daerah Alor Setar 2035 telah menggariskan bentuk pembangunan yang lestari dan berdaya huni. MBAS bersama jabatan-jabatan terlibat akan menambah baik aspek lalu lintas yang lancar, persekitaran yang bersih dan indah, komuniti yang selamat dan kawasan perniagaan yang tersusun. Bagi tahun 2022, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kepada beberapa jabatan negeri bagi melaksanakan program ini.

KEMAMPANAN ALAM SEKITAR

Pemuliharaan khazanah alam menjadi keutamaan kepada kerajaan. Penekanan diberi kepada aspek pengurusan hutan dan sumber air yang mampan. Kedua, perkara ini merupakan komoditi penting yang perlu dikekalkan.

Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi kos pengurusan Lembaga Sumber Air Negeri, iaitu pihak berkuasa yang mengawal selia pengurusan dan pengekstrakkan sumber air mentah dalam pelbagai sektor ekonomi. Bagi menyediakan bekalan air mentah yang mencukupi pada masa hadapan, kerajaan negeri telah memohon peruntukan khas daripada kerajaan persekutuan untuk membina Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Muda.

Jabatan Hutan pula disediakan sebanyak RM1.5 juta bagi perbelanjaan pengurusan sumber hutan, RM1.35 juta untuk pembangunan dan pemulihan hutan simpan, RM300 ribu bagi maksud pengeluaran benih hutan dan sebanyak RM150 ribu untuk Program Perhutanan Sosial.

Sepanjang tahun 2021 ini, Negeri Kedah menerima taburan hujan yang tinggi dan telah menyebabkan banjir kilat dibeberapa daerah khususnya kawasan sepanjang sungai dan kawasan yang rendah.

Sebagai langkah pencegahan, kerajaan menyediakan RM2.6 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan program pemuliharaan sungai, pemulihan kerosakan akibat banjir, pembangunan sistem hidrologi dan pemantauan alam sekitar. Antara projek yang bakal dilaksanakan adalah membina stesen Tolok Banjir Telemetri di Alor Setar, Sungai Petani, dan Gurun.

Sebanyak RM750 ribu akan dibelanjakan untuk penyelenggaraan kolam takungan dan saliran mesra alam dibeberapa lokasi seperti Kampong Tok Sedau di Pendang, Ambangan Heights di Sungai Petani dan Serdang. Projek seperti ini akan memberi faedah kepada penduduk setempat yang sering terdedah kepada banjir.

TERAS 3- PENDIGITALAN PERKHIDMATAN DAN KECEKAPAN TADBIR URUS

PENDIGITALAN SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

Mengadaptasi perubahan untuk meningkatkan efisiensi perkhidmatan jabatan negeri dan mematuhi norma baharu dalam perkhidmatan awam disebabkan PKP, kerajaan negeri telah memulakan langkah awal dalam merealisasikan pendigitalan perkhidmatan. Pembangunan beberapa aplikasi secara in-house oleh Bahagian Teknologi Maklumat Negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Pengguna. Antara sistem yang dibangunkan adalah sistem iDaftar, iUJKT, iPerolehan, iBayaq, iJanji, iSara dan iPendaftaran.

Sistem iDAFTAR dibangunkan untuk membolehkan kontraktor dan pembekal yang berhasrat mengambil bahagian dalam Perolehan Kerajaan berdaftar dengan Kerajaan Negeri Kedah. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kontraktor layak untuk menyertai proses perolehan secara Sebut Harga, Tender, dan lantikan Perunding. Sistem iDaftar telah mencatatkan sebanyak 30,651 proses transaksi dan mendapat kutipan hasil sebanyak RM1.395 juta.

Berdasarkan data transaksi, sistem iBAYAQ adalah merupakan sistem yang paling berjaya setakat ini dalam menyediakan platform bayaran atas talian bagi pembayaran cukai tanah, bayaran perumahan, bayaran pinjaman Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah (SPNNK) dan bayaran pendaftaran kontraktor. Sehingga Oktober 2021, bilangan pengguna yang berdaftar sebanyak 13,728 pengguna dengan jumlah kutipan sebanyak RM9.2 juta.

Sistem iJanji pula bertindak sebagai portal hub urusan temujanji atas talian bagi pelbagai perkhidmatan Jabatan Kerajaan Negeri Kedah untuk memastikan SOP dalam pelaksanaan pengurusan jabatan dipatuhi dan pada masa yang sama, urusan transaksi dapat disempurnakan mengikut tempoh piagam pelanggan yang ditetapkan. Sistem ini digunakan oleh Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah, 12 buah Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Kedah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan akan diperluaskan secara berperingkat ke semua jabatan negeri.

Pengurusan secara manual sebelum ini telah menyebabkan berlaku beberapa kes kelewatan bayaran elaun. Sistem iSara dibangunkan bagi mengautomasikan bayaran elaun guru KAFA dan elaun pegawai masjid. Sistem ini telah menyelesaikan isu kelewatan bayaran elaun kepada 3,206 guru KAFA dan 2,564 pegawai masjid di seluruh negeri Kedah, mengurangkan kos pentadbiran dan meningkatkan kecekapan pengurusan bayaran. Bayaran elaun berjaya dibuat sebelum 30 haribulan pada setiap bulan mengikut jadual.

Bagi tahun 2021, sejumlah RM1.5 juta telah dibelanjakan bagi maksud menyediakan kemudahan mesyuarat secara atas talian dan kemudahan peralatan kerja atas talian kepada Jabatan Negeri. Peruntukan yang dibelanjakan ini akan dapat mengurangkan kos pengurusan mesyuarat, dokumentasi secara fizikal dan kos perbelanjaan berkaitan tuntutan lain yang berkaitan. Kerajaan akan meneruskan mesyuarat secara atas talian di tahun hadapan.

Pada tahun 2022, sejumlah RM9.6 juta disediakan bagi memantapkan usaha kerajaan negeri menuju pendigitalan perkhidmatan kerajaan. Keseluruhan sistem yang dibangunkan seperti yang dinyatakan sebelum ini akan ditambahbaik dan diintegerasikan ke dalam satu sistem bersepadu.

Kerajaan negeri telah menyediakan sejumlah RM3.5 juta bagi pembangunan sistem hasil bersepadu yang menyediakan aplikasi terimaan hasil untuk semua jabatan pemungut hasil Negeri Kedah. Dari semua terimaan tersebut, maklumat-maklumat yang berkaitan akan dimasukkan ke dalam pangkalan data sistem hasil secara bersepadu.

Ini memudahkan pemantauan terimaan hasil semua jabatan secara komprehensif meliputi semua jenis hasil negeri. Sistem ini akan meringkaskan dan mendigitalkan prosedur pengurusan perakaunan negeri dengan integrasi sistem sediada iaitu iSPEKS.

Sejumlah RM6 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf prasarana Kedah Net, Pembangunan Aplikasi Kedah Digital, langganan talian, bayaran lesen, pengurusan portal atas talian dan bekalan peralatan ICT bagi semua jabatan Negeri Kedah. Sejumlah RM100 ribu disediakan di bawah PLAN Malaysia bagi pembangunan Sistem Geospatial Negeri.

Aplikasi iPendaftaran akan mula digunakan disemua pejabat tanah mulai 1 Disember 2021. Kemudahan ini akan membolehkan orang ramai melalukan urusan permohonan carian persendirian, carian rasmi, urusan pertukaran maklumat hakmilik, dan permohonan borang Kanun Tanah Negara secara atas talian.

Kerajaan negeri mengambil langkah untuk mempercepatkan kelulusan permohonan pembangunan tanah bagi menyokong pembangunan negeri. Kerjasama telah dijalin dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) membangunkan aplikasi iUJKT. Pelaksanaan aplikasi ini berjaya memendekkan tempoh proses kelulusan permohonan pembangunan tanah daripada tiga (3) tahun kepada 90 hari.

KOMPETENSI TADBIR URUS

Mendepani cabaran era digital dalam perkhidmatan awam, kerajaan perlu mengambil langkah bagi mengimbangkan penyampaian perkhidmatan dan kehendak rakyat untuk mendapat perkhidmatan yang cepat dan berkesan. Perbelanjaan mengurus jabatan negeri yang meliputi emolumen, perkhidmatan dan bekalan, dan lain-lain kemudahan penjawat awam negeri diperuntukkan sejumlah RM465.6 juta.

Pecahan bagi perbelanjaan emolumen kepada hampir lima (5) ribu penjawat awam termasuk lantikan tetap, kontrak dan anggota pentadbiran yang terdiri daripada YAB. MB, EXCO dan ADUN adalah berjumlah RM281 juta.

Tanggungan bulanan bagi pengurusan jabatan melibatkan perkhidmatan dan bekalan, utiliti, kawalan keselamatan, khidmat mencuci, penyelenggaraan, sewaan dan lain-lain tuntutan berkaitan kemudahan penjawat awam adalah berjumlah RM184.6 juta.

NAIK TARAF KEMUDAHAN DAN FASILITI KERAJAAN

Suasana kerja yang kondusif memberikan keselesaan kepada kakitangan dan pelanggan. Kerajaan menetapkan polisi supaya semua bangunan kerajaan disenggara dan dinaiktaraf bagi menambah nilai aset tak alih. Peruntukan bagi kerja-kerja menaiktaraf bangunan dan fasiliti jabatan-jabatan negeri diperuntukkan sebanyak RM33.09 juta. Projek naiktaraf pada tahun 2022 adalah melibatkan bangunan Wisma Negeri yang menempatkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Bangunan Wan Mat Saman yang diduduki oleh Majlis Agama Islam dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Pejabat Daerah dan Tanah Sik dan Pokok Sena, membaik pulih beberapa bangunan rasmi kerajaan dan bangunan milik kerajaan di seluruh Negeri Kedah.

Institusi penghulu yang menjadi penghubung antara rakyat dan pentadbiran tidak diabaikan. Pada tahun 2021, empat (4) buah pejabat penghulu telah dibina iaitu Pejabat Penghulu Mukim Pinang Tunggal di Kuala Muda, Pejabat Penghulu Mukim Ayer Putih di Pendang, Pejabat Penghulu Mukim Padang Perahu di Kubang Pasu dan Pejabat Penghulu Mukim Langgar di Kota Setar.

Pada tahun 2022, kerajaan bercadang membina empat (4) buah pejabat penghulu yang baharu akan dibina di Mukim Padang Lalang di Kota Setar, Mukim Kurong Hitam di Padang Terap, Mukim Sungai Ular dan Mukim Padang Meha di Daerah Kulim.

ASET DAN ALATAN KERJA

Kecekapan tadbir urus sesuatu jabatan berkait rapat dengan kemahiran kakitangan dan disokong dengan kemudahan peralatan kerja yang terkini. Sehubungan itu, sejumlah RM11.55 juta disediakan kepada pelbagai jabatan negeri bagi pembelian aset dan peralatan kerja melibatkan pembelian alat ukur, kenderaan, jentera, kelengkapan pejabat dan lain-lain aset bernilai kecil.

Keseluruhan peruntukan bagi Teras 3 – Pendigitalan Perkhidmatan dan Kecekapan Tadbir Urus ini melibatkan RM600.84 juta. Peruntukan ini diharapkan akan dapat memberikan faedah kepada rakyat dan pentadbiran kerajaan dalam meningkatkan hasil, memberikan sistem penyampaian yang cekap, cepat, berkesan dan penuh berintegriti.

BAJET 2022

Mengambil kira kedudukan kewangan semasa, kemampuan kutipan hasil negeri, keperluan perbelanjaan kerajaan dan kehendak rakyat, Bajet 2022 disediakan untuk kita bangkit semula mendepani cabaran bagi merealisasikan “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”.

ANGGARAN HASIL 2022

Anggaran hasil tahun 2022 mengambil kira semua punca hasil dan data-data patut kutip berteraskan punca kuasa sediada dan peraturan-peraturan yang sedang digunapakai.

Bagi tahun 2022, kerajaan negeri menganggarkan Anggaran Hasil sebanyak RM725 juta. Daripada jumlah ini, Hasil Cukai merupakan penyumbang terbesar sebanyak RM335.91 juta atau 46.33%, diikuti Hasil Bukan Cukai berjumlah RM224.56 juta atau 30.97% dan RM164.53 juta atau 22.69% adalah daripada Terimaan Bukan Hasil.

Pecahan hasil mengikut kategori seperti berikut:

 Pertama - Hasil Tanah adalah sebanyak RM490.01 juta  Kedua – Hasil Pelbagai Jabatan sebanyak RM193.97 juta  Ketiga - Hasil Hutan sebanyak RM27.51 juta  Keempat - Hasil Daerah sebanyak RM13.51 juta

ANGGARAN PERBELANJAAN MENGURUS 2022

Bagi Bajet 2022, saya mohon mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus berjumlah RM815.22 juta. Daripada jumlah ini, sebanyak RM103.04 juta adalah diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Dibawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan peruntukan adalah seperi berikut:

 Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM84.42 juta.  Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM730.79 juta.

Anggaran perbelanjaan ini adalah meningkat sebanyak RM16.34 juta atau peningkatan sebanyak 2.04% berbanding tahun 2021. Kenaikkan pada perbelanjaan ini adalah sebagai merealisasikan teras bajet dan perancangan yang telah dibuat.

ANGGARAN PEMBANGUNAN 2022

Saya juga memohon mencadangkan peruntukan bagi Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM218.31 juta bagi tahun 2022. Peningkatan ketara sebanyak RM17.41 juta adalah bagi memastikan pembangunan yang seimbang keseluruh Negeri Kedah dan memastikan perancangan projek yang tidak dapat diselesaikan akibat COVID-19 disempurnakan. Peningkatan Perbelanjaan Kumpulan Wang Pembangunan adalah sebanyak 8.66% berbanding tahun 2021.

ANGGARAN PERBELANJAAN KUMPULAN WANG PEMBANGUNAN HUTAN 2022

Bagi Kumpulan Wang Pembangunan Hutan Tahun 2022, saya mencadangkan peruntukan berjumlah RM8.96 juta, peningkatan sebanyak 10.6% berbanding tahun 2021. Menyokong bajet kerajaan persekutuan dari segi pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer (EFT) bagi memulih dan memelihara sumber biodiversiti, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan bagi tujuan tersebut.

ANGGARAN PERBELANJAAN KUMPULAN WANG BEKALAN AIR 2022

Saya mohon mencadangkan peruntukan sejumlah RM308.14 juta dipermasukkan sebagai peruntukan dibawah Kumpulan Wang Perbelanjaan Bekalan Air. Daripada keseluruhan jumlah ini, sejumlah RM173.12 juta adalah dalam bentuk Geran Peruntukan Persekutuan berganti balik dan sejumlah RM135.02 juta daripada Kumpulan Wang Pinjaman. Peruntukan ini disediakan bagi meneruskan usaha kerajaan menyediakan bekalan air terawat yang berkualiti, bersih dan mencukupi bagi memenuhi keperluan permintaan air yang meningkat.

Yang Berhormat Dato‟ Speaker,

Keseluruhan peruntukan perbelanjaan kerajaan negeri melibatkan Peruntukan Perbelanjaan Mengurus dan perbelanjaan pembangunan adalah berjumlah RM1.35 billion.

Bajet 2022 mengambil kira anggaran hasil, perbelanjaan mengurus dan kumpulan pembangunan defisit tahun 2022 dianggarkan pada 12.44% atau RM90.22 juta.

PENUTUP

Tahun 2021 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang melanda Negeri Kedah. Seluruh jentera pentadbiran awam negeri sentiasa berkerjasama dan memberi komitmen yang tinggi semasa pengurusan bencana ketika krisis pandemik COVID-19.

Penglibatan jentera awam negeri bagi menguruskan PKOB, PPV, PKRC dan PICK telah memudahkan pelbagai penyaluran bantuan, program imunisasi COVID-19 kebangsaan, kemudahan fasiliti dan peralatan kepada program yang dirancang oleh kerajaan persekutuan dan negeri.

Terkini pula, kerajaan negeri menghadapi bencana banjir di beberapa daerah disebabkan hujan lebat luar jangka dan fenomena air pasang besar. PKOB Daerah diaktifkan 24 jam dan beberapa Pusat Pemindahan Sementara telah dibuka bagi membantu mereka yang ditimpa musibah.

Kerajaan melihat penjawat awam tetap menunaikan amanah dan tanggungjawab walaupun suasana kerja yang terhad dalam PKP. Hasilnya, semua urusan kerajaan tetap berjalan lancar dan kutipan hasil negeri telah meningkat.

Bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan penjawat awam negeri, kerajaan bersetuju meluluskan bantuan khas kewangan sebanyak RM1 ribu seorang kepada semua penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri. Kerajaan berharap pemberian ini dapat menyuntik semangat semua penjawat awam negeri untuk terus meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Kerajaan Persekutuan baru-baru ini telah mengumumkan pemberian sekali bayar kepada Pegawai Masjid, Guru Takmir dan Guru KAFA. Kerajaan negeri akan turut memanjangkan pemberian bantuan ini kepada Pegawai Masjid lantikan negeri.

Dari Kuah ke Jeneri, Beli suasa di Suka Menanti, Selesai sudah pembentangan kali ini, Tahun hadapan saya bentang lagi. Insya-Allah.

Sekian.

Yang Berhormat Dato‟ Speaker, saya mohon mencadangkan.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bagi mematuhi Peraturan 68(2) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman, maka perbahasan di atas Rang Undang-Undang ini saya tangguhkan sehingga esok pagi supaya perkara-perkara yang dibangkitkan tidak bertindan-tindih. Saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat merangkumkan perkara-perkara yang menyentuh Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri 2022, Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Negeri Tahun 2022 dan Anggaran Bekalan Air Negeri Tahun 2022 ketika membahaskan Ucapan Bajet 2022.

Dalam membahaskan Rang Undang-Undang ini Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menumpukan ucapan-ucapan Yang Berhormat kepada perkara-perkara yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sahaja. Mana-mana perkara yang telah pun disentuh oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain tak usahlah diulangi lagi.

Dalam perbahasan esok, saya peruntukan masa 40 minit kepada ketua pembangkang dan ketua backventures manakala Ahli-Ahli Dewan yang lain saya peruntukan 20 minit seorang. Kalau boleh kita nak bagi kredit lah kepada orang yang dapat mematuhi masa. Kalau boleh setakat seminit tu bolehlah diterima. Kita bagi hadiah kepada orang yang patuh masa.

Sekarang Dewan ditangguhkan sehingga jam 9.00 pagi esok.

Sekian, terima kasih.

[Sidang Dewan ditangguhkan pada jam 10.30 pagi]