Kedah · 20 March 2022
14th Assembly, 5th session, 1st meeting · 5 turns · 1,469 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
Loceng Dibunyikan Jam 9.00 Pagi
Mengumumkan Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. BACAAN DOA oleh Tuan Setiausaha Dewan.
Tuan Setiausaha Dewan membacakan Doa.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, suka saya maklumkan beberapa perkara yang pertama ketidakhadiran pada hari ini. Yang pertama YB. Dato’ Speaker, beliau masih dalam tempoh kuarantin. Esok insya-allah akan hadir. Yang kedua, YB. Kota Darulaman beliau tidak sempat hadir pada pagi ini. Seterusnya, YB. Kuala Ketil, YB. Kubang Rotan, YB. Guar Chempedak tidak dapat bersama kita sepanjang sesi persidangan kali ini kerana dalam tempoh kuarantin.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sukacita saya maklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat Sekalian, bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah memberi perkenan untuk menyampaikan titah ucapan sempena Perasmian Pembukaan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima melalui sidang video dari Istana Anak Bukit.
(Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah bertitah sambil bersemayam)
TITAH UCAPAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU SULTAN KEDAH SEMPENA PERASMIAN PEMBUKAAN MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN YANG KE - 14 PADA 20 MAC 2022 BERSAMAAN 17 SYAABAN 1443H
Bismillahirahmanirrahim,
Assalamualaikum Warrahmatullaahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Segala puji-pujian ke hadrat Allah s.w.t. selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w., kaum keluarga, serta kepada seluruh sahabat baginda. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah s.w.t., kerana dengan limpah dan izin-Nya jua, maka Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-14 dapat diadakan pada hari yang penuh bermakna ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Melangkah ke hadapan, Beta ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan. Kematangan seperti inilah yang diperlukan oleh seluruh rakyat Beta. Ambilah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi “biduk lalu, kiambang bertaut”. Perpaduan yang utuh merupakan asbab dan kekuatan kepada sesebuah ketamadunan.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali Imran, ayat 103 yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah s.w.t., dan janganlah kamu berpecah belah”. Hormatilah prinsip Demokrasi Raja Berpelembagaan yang menjadi asas pembentukan negara.
Melalui perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah keluarga akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuhi.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Beta amat menghargai segala usaha berterusan oleh pihak kerajaan negeri dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik Covid-19.
Beta menyeru supaya kita jangan cepat leka dan berpuas hati oleh kerana terdapat kemunculan varian baharu Omicron yang lebih mudah merebak.
Selaras dengan Pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat yang bertujuan untuk membudayakan gaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran bagi rakyat Malaysia amnya dan Negeri Kedah khususnya.
Kerajaan negeri telah mengisytiharkan Hari Jumaat sebagai Hari Kebersihan Negeri Kedah. Lanjutan daripada itu, Pihak Berkuasa Tempatan perlu mengambil inisiatif agar dapat menjadikan kebersihan sebagai satu budaya di kalangan masyarakat. Dalam pada itu, sikap dan mentaliti masyarakat terhadap budaya menjaga kebersihan harus ditingkatkan melalui penglibatan semua pemimpin masyarakat.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri kerana berjaya memperolehi kutipan hasil sebanyak RM688.04 juta, pada tahun 2021. Ini membuktikan bahawa hasrat kerajaan negeri semasa melaksanakan Belanjawan 2021 bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ telah berjaya direalisasikan.
Beta berharap pencapaian cemerlang ini akan diteruskan bagi tahun 2022 bagi mencapai jangkaan anggaran hasil sebanyak RM725 juta.
Justeru, Beta mengingatkan agar setiap hasil yang dikutip dibelanjakan dengan cara yang betul dan berhemah supaya prinsip ‘value for money’ dapat dipraktikkan.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Beta menyambut baik komitmen kerajaan negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri agar lebih lestari, mampan dan berdaya saing seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Di sebalik krisis pandemik Covid-19, Beta berbangga kerana Negeri Kedah telah berjaya mencatat pelaburan berjumlah RM68.3 billion bagi tahun 2021 yang merupakan satu sejarah dan rekod baharu untuk jumlah pelaburan yang masuk ke Negeri Kedah.
Beta percaya kejayaan ini adalah hasil jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kulim Technology Park Corporation, Invest Kedah Berhad dan MIDA serta pemain-pemain industri lain dalam menarik pelaburan luar ke dalam Negeri Kedah.
Ini membuktikan Negeri Kedah menjadi destinasi pilihan bagi pelabur. Pelaburan ini telah melebihi sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 sebanyak RM10 billion setahun. Tahniah Beta ucapkan.
Namun begitu, kita janganlah terlalu selesa dan leka dengan angka ini. Usaha-usaha berterusan haruslah digandakan agar pelaburan masuk dapat ditingkatkan di Kedah Rubber City, Special Border Economic Zone Bukit Kayu Hitam, Kawasan Industri Gurun dan Kedah Aerotropolis. Dengan jumlah pelaburan yang besar ini, Beta berharap agar ia dapat meningkatkan taraf hidup rakyat di Negeri Kedah agar setanding dengan negerinegeri maju di negara ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Beta juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang terus membantu kerajaan negeri dalam menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan utiliti kepada rakyat. Antaranya adalah seperti pemulihan aktiviti ekonomi tempatan, pembinaan rangkaian jalan raya, menaik taraf jalan raya negeri dan jambatan, rancangan tebatan banjir, naik taraf sistem saliran dan loji rawatan air, serta projek pembaikan paip dasar laut dari Tanah Besar ke Pulau Langkawi.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Gangguan manusia secara keterlaluan terhadap sifat-sifat semulajadi alam serta aktiviti manusia yang menggunakan sumber alam untuk kepentingan perniagaan secara rakus mengakibatkan dunia pada hari ini menghadapi pelbagai bencana yang kian meningkat.
Perlindungan dan kelestarian alam sekitar, mestilah diutamakan bagi menjaga eko-sistem untuk pelbagai spesis flora dan fauna.
Beta menyeru agar kerajaan negeri dapat mengawal dan mengekalkan kawasan hutan menerusi amalan pengurusan hutan secara berkekalan. Selain itu, kawasan yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai Geopark, hendaklah dikekalkan dan dipelihara.
Inisiatif-inisiatif ini ada dijelaskan di dalam Teras 6 Kemampanan Alam Sekitar, di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Sesungguhnya, Beta amat prihatin dengan nasib rakyat Beta yang telah terkesan ekoran daripada pelaksanaan pelbagai langkah tertentu oleh kerajaan negeri dalam usaha untuk membendung Covid-19.
Justeru, Beta menyeru kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua agensi kerajaan yang berkaitan supaya lebih proaktif dalam menyelami isu-isu rakyat dari dekat dan memantau pencapaian program-program yang telah dilaksanakan.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Kerajaan negeri juga hendaklah memberi tumpuan dalam penyediaan dan menaiktaraf pembangunan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar bagi memperkasa pembentukan eko-sistem ekonomi digital yang lebih baik ke seluruh daerah di Negeri Kedah.
Mendepani cabaran era digital ini, penggunaan teknologi dan digital perlu digalakkan bagi memastikan semua pihak bersedia dan berdaya saing. Usaha ini kelak bakal mendorong transformasi sistem penyampaian kerajaan, membantu pertumbuhan ekonomi serta meningkat keupayaan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Sektor pelancongan merupakan antara sektor yang paling terkesan akibat penularan pandemik Covid-19. Penutupan pintu sempadan dan sekatan perjalanan telah memberi impak yang ketara dalam sektor ini. Kedatangan pelancong ke Negeri Kedah pada tahun 2021 telah menunjukkan penurunan sebanyak 71.5%, berbanding tahun 2020.
Oleh demikian, Beta berharap agar kerajaan negeri dapat memberi keutamaan kepada pemulihan industri pelancongan dan memajukan sektor pelancongan domestik ke seluruh Negeri Kedah bagi mengekalkan kemampanan industri tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Sektor pertanian memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan jaminan bekalan makanan serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini. Oleh itu, semua pihak termasuk kerajaan dan swasta perlu mengambil inisiatif untuk menerokai peluang memodenkan sektor pertanian sebagai usaha untuk meningkatkan produktiviti dan membangunkan sektor ini secara lestari.
Antara inisiatif kerajaan negeri melalui pelaksanaan Projek Estet Padi Zon Pembangunan Ekonomi Ummah oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah di mana pada peringkat permulaan, golongan asnaf yang terpilih dapat mengusahakan pertanian tanaman padi dengan keluasan hampir 100 relong atau 28 hektar di Daerah Yan.
Selain itu, Program Smart Sawah Berskala Besar juga adalah inisiatif kerajaan yang disambut baik oleh rakyat di kalangan pesawah di mana mereka dapat menjana pulangan hasil yang lebih menguntungkan.
Beta berharap dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan serta ditambahbaik agar lebih realistik dan bertepatan dengan mendasari Pelan Pembangunan Kedah 2035. Ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Negeri Kedah dapat terus berlangsung dengan konsisten dan melonjak naik secara positif. Ahli-ahli Yang Berhormat,
Di kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan di atas taat setia dan sumbangan ikhlas daripada semua petugas barisan hadapan yang terdiri daripada warga kerja Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, anggota-anggota Perkhidmatan Awam serta agensi kerajaan yang telah mencurah khidmat bakti terutama dalam menangani isu pandemik Covid-19 ini. Sumbangan mereka ini amatlah besar dan ‘beyond the call of duty’.
Semoga semua petugas barisan hadapan terus komited, berdedikasi dan fokus dalam menggalas tanggungjawab tugasan serta sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat Beta.
Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-14.
Sekian, Selamat bersidang.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
[Selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan selesai bertitah]
“Patik-Patik sekalian, Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman di dalam persidangan ini dengan penuh hormat dan takzimnya menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, di atas perkenannya Tuanku menyampaikan Titah Ucapan Sempena Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Keempat Belas”.
Ahli – Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan ditangguhkan sehingga jam 9.00 pagi esok. Sekian, terima kasih.