Kedah · 12 March 2023

14th Assembly, 6th session, 1st meeting · 11 turns · 3,038 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Juruacara

Ahli-Ahli Yang Berhormat serta hadirin sekalian, mengumumkan ketibaan Yang Berhormat Dato’ Speaker Dewan Undangan Negeri masuk ke Dewan Mesyuarat. Semua dipohon berdiri.

Speaker

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. Dipersilakan Tuan Setiausaha untuk bacaan doa.

Setiausaha Dewan

Bacaan Doa.

Speaker

Sukacita saya maklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah memberi perkenan untuk menyampaikan Titah Ucapan sempena Perasmian Pembukaan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keenam. Sekarang saya pohon meninggalkan majlis untuk mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah serta Kerabat-Kerabat Diraja yang lain ke majlis ini”.

(Yang Berhormat Dato’ Speaker dan rombongan keluar menjemput KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah serta Kerabat-Kerabat DiRaja yang lain masuk ke dalam Dewan).

Juruacara

Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Hadirin sekalian dipohon berdiri. Mengumumkan keberangkatan masuk KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah ke Dewan Mesyuarat diiringi bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Puan Mahkota Kedah.

(KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah dan Kerabat-Kerabat DiRaja bersemayam)

Juruacara

Semua dipersilakan duduk. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun. Ahli-Ahli Yang Berhormat serta hadirin sekalian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah perkenan menyampaikan Titah Ucapan Perasmian. Dipersilakan YAB. Menteri Besar Kedah untuk mempersembahkan Titah DiRaja ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

(Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar akan persembahkan Naskah Titah Ucapan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah bertitah sambil bersemayam)

I. Titah Ucapan Perasmian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Sempena Perasmian Pembukaan Mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri Wisma Darul Aman Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Pada 12 Mac 2023.Address / budget

Juruacara

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Segala puji bagi Allah s.w.t tuhan sekalian alam.

Selawat dan salam kepada baginda Rasulullah s.a.w penghulu segala nabi serta kerabat dan para sahabat baginda.

Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan limpah kurnia- Nya, maka dapatlah Beta dan Tuanku Sultanah berangkat hadir ke Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri Kedah yang ke-14 tahun 2023.

Alhamdulillah, setelah dua tahun Beta menyampaikan titah diraja secara maya kepada ahli dewan ini, namun pada kali ini Beta diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk bertitah secara bersemuka.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Baru-baru ini pada 6 Februari 2023, dunia dikejutkan dengan kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria. Kejadian tersebut telah meragut lebih 50,000 nyawa dan mengakibatkan ratusan ribu mengalami kecederaan dan kehilangan tempat tinggal.

Beta dan Tuanku Sultanah ingin menzahirkan rasa simpati serta mendoakan kepada seluruh rakyat Turkiye dan Syria agar tabah dan cekal mengharungi dugaan yang menimpa.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta mengambil berat perihal kerajaan Beta. Beta berpuas hati dengan pentadbiran di bawah pimpinan mamanda Menteri Besar yang telah memperolehi banyak pencapaian membanggakan seperti berjaya menarik masuk pelaburan yang tinggi ke Negeri Kedah.

Pada tahun 2022, Negeri Kedah telah berjaya mencatat jumlah keseluruhan pelaburan masuk sebanyak RM13.1 bilion. Manakala, khusus bagi sektor pembuatan adalah berjumlah RM12 bilion yang merupakan antara tertinggi dalam negara.

Pelaburan yang masuk ini bukan sahaja meningkatkan hasil negeri malah turut menyediakan sebanyak 6,072 peluang pekerjaan. Ini adalah satu bukti bahawa kerajaan negeri bersungguh-sungguh dalam menjalankan usaha meningkatkan taraf ekonomi negeri dan rakyat.

Beta melihat usaha giat kerajaan negeri dalam melaksanakan transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan adalah satu langkah yang tepat. Program transformasi digital kerajaan bakal menyokong kemasukan pelaburan melalui birokrasi yang cekap dan efisien.

Sistem E-10 atau Permit Pembinaan Ekspres yang dirintis oleh Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) kini mula dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan lain di Negeri Kedah.

Sistem E-10 dapat mempercepatkan tempoh kelulusan kebenaran merancang bagi pembinaan bangunan dan kilang menjadi 10 bulan berbanding 24 hingga 36 bulan sebelum ini.

Birokrasi yang efisien ini secara tidak langsung telah menjadi satu insentif berbentuk bukan fiskal kepada pelabur ke Negeri Kedah.

Selain menyokong kemasukan pelaburan, transformasi digital perkhidmatan kerajaan turut memberi manfaat kepada rakyat secara amnya.

Melalui program Kedah Cashless, rakyat kini mempunyai pilihan untuk melakukan transaksi pembayaran perkhidmatan kerajaan secara tanpa tunai dan secara atas talian.

Beta difahamkan bagi rakyat yang tidak mempunyai akses kepada internet dan peranti mudah alih, kerajaan telah menyediakan kiosk pembayaran digital di beberapa lokasi dan tempat yang strategik terutamanya di luar bandar sebagai kemudahan kepada rakyat secara menyeluruh.

Program transformasi digital seumpama ini wajar diperkasakan kepada seluruh pentadbiran kerajaan negeri seperti pentadbiran tanah, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang berurusan secara langsung dengan rakyat.

Perkhidmatan kerajaan yang mudah dan pantas akan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat jelata.

Beta memuji keprihatinan kerajaan pimpinan mamanda Menteri Besar kepada rakyat Negeri Kedah khususnya dalam menyegerakan proses pemberimilikan tanah kepada rakyat yang memohon.

Beta telah dimaklumkan bahawa sejak bulan Mei tahun 2020 hingga kini sebanyak 2,075 permohonan mendapatkan hak milik tanah dan lesen pendudukan sementara telah berjaya diluluskan.

Tindakan ini secara langsung telah memberi nafas lega kepada rakyat yang menanti mendapatkan hak milik dan lesen pendudukan sementara bagi menduduki tanah secara sah di sisi undang-undang.

Usaha ini bukan sahaja menyelesaikan permasalahan rakyat bahkan juga membantu meningkatkan hasil negeri melalui bayaran premium dan penambahan hasil kutipan cukai tanah berulang.

Beta sukacita melihat pentadbiran mamanda Menteri Besar yang begitu komited dalam melaksanakan agenda Pelan Pembangunan Kedah 2035 atau KEDAH2035 secara berterusan.

Beta dimaklumkan pada tahun ini, Kajian Separuh Penggal bagi KEDAH2035 akan dilaksanakan untuk menilai semula keberkesanan 3 tahun pertama pelaksanaan KEDAH2035. Beta berharap semua pihak akan memberi kerjasama dalam menjayakan Kajian Separuh Penggal tersebut.

Di atas segala pencapaian dan usaha yang Beta sebutkan tadi tahniah diucapkan kepada mamanda Menteri Besar dan seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta menyambut baik komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan Projek Impak Tinggi di bawah KEDAH2035 yang bakal merancakkan lagi landskap pembangunan dan ekonomi negeri. Pembangunan DELAPAN SBEZ yang dahulunya dikenali sebagai Kota Perdana SBEZ kini giat dilaksanakan. Beta dimaklumkan bahawa pembangunan tersebut telah pun menerima beberapa pelaburan yang komited dalam segmen infrastruktur digital dan pembuatan.

Komponen Hab Logistik Darat iaitu Depoh Lori dan Pelepasan Dalaman bakal memangkin jaringan perkhidmatan logistik rentas sempadan telah pun mula dilaksanakan dan dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun 2024 nanti.

Beta percaya dengan perancangan yang teratur dan kerjasama yang jitu daripada semua pihak, matlamat untuk menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai Hab Logistik dan Digital dapat dijayakan. Usaha kerajaan negeri melaksana projek Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap adalah bertepatan dengan prinsip pembangunan negeri bagi menggalakkan limpahan pembangunan ke kawasan kurang membangun. Pembangunan kerja-kerja tanah dan infrastruktur asas dalaman KRC Fasa 1 yang merangkumi keluasan seluas 496 ekar telah pun siap.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Di dalam sektor pembuatan, Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang menjadi Hab Elektrik dan Elektronik adalah permata pelaburan negeri. Hampir lebih 90 peratus pelaburan yang masuk ke Negeri Kedah adalah tertumpu di kawasan tersebut. Oleh yang demikian, perancangan kerajaan bagi memperbesarkan KHTP kepada fasa berikutnya adalah bertepatan dengan permintaan pasaran pelaburan semasa.

Beta difahamkan proses pengambilan tanah bagi pembesaran KHTP sedang dilaksanakan.

Beta menyarankan semua pihak berkepentingan memberi kerjasama dalam menyelesaikan proses pengambilan tanah tersebut dan lain-lain perancangan melibatkan pembesaran KHTP agar hasrat kerajaan dalam memperkasakan landskap ekonomi dan pelaburan negeri dapat dicapai.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Pada 24 Februari 2023, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen. Berdasarkan kepada pembentangan tersebut, cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi salah satu projek berimpak tinggi negeri tidak diberi keutamaan. Dalam usaha untuk merancakkan pembangunan ekonomi Negeri Kedah dan wilayah utara, Beta berpandangan projek KXP wajar diberi pertimbangan. Perancangan untuk membangunkan projek KXP telah bermula sejak tahun 2013. Dalam tempoh tersebut sebanyak 5 kajian kebolehlaksanaan telah dijalankan.

Berdasarkan kepada kajian-kajian tersebut, pembangunan KXP bakal menjadi “Economic Game Changer” kepada Negeri Kedah dan berfungsi sebagai pelengkap kepada lapangan terbang sedia ada di utara tanah air melalui penyediaan perkhidmatan kargo yang lebih komprehensif dan disokong dengan pembangunan hub Maintenance, Repair & Operation (MRO).

Selain itu, projek KXP yang dilaksanakan secara kaedah pembiayaan swasta (PFI) adalah berperanan sebagai enabler kepada keseluruhan pembangunan Kedah Aerotropolis yang turut merangkumi komponen lain seperti Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing Hub, Business Park dan pembangunan Airport City.

Justeru itu, Beta menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat menyokong dan memberi pertimbangan bagi pelaksanaan pembangunan projek KXP demi manfaat menyeluruh kepada negara dan Negeri Kedah khususnya.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Pulau Langkawi adalah merupakan sebuah daerah pelancongan di Negeri Kedah yang menjadi tumpuan para pelancong. Walaupun menerima impak semasa tempoh COVID-19, kemasukan pelancong kini mulai pulih. Selain daripada peranan mempromosikan pelancongan Pulau Langkawi, pihak kerajaan juga perlu memikirkan kaedah untuk melancarkan pergerakan pelancong keluar masuk ke Pulau Langkawi.

Pengangkutan utama ke Pulau Langkawi adalah melalui perkhidmatan feri. Namun begitu, sejak akhir ini perkhidmatan feri penumpang kian mengalami kemerosotan dari segi kekerapan jadual pergerakan feri.

Amatlah rugi kepada negeri sekiranya permintaan tinggi untuk melancong ke Pulau Langkawi tidak dapat dipenuhi hanya semata-mata kekerapan perkhidmatan feri penumpang tidak ditambah baik secukupnya.

Beta menyarankan agar pihak berkaitan memikirkan langkah penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut.

Dalam hal itu juga, diharapkan projek menaik taraf terminal penumpang di Kuala Kedah dapat disegerakan demi keselesaan rakyat Negeri Kedah dan pelancong ke negeri ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Dalam membangunkan sektor pelancongan khususnya di Tanah Besar Kedah, kerajaan negeri wajar memikirkan tema pelancongan bersesuaian yang boleh dipasarkan kepada pelancong.

Antara tema pelancongan yang boleh dipertimbangkan adalah warisan sejarah dan budaya negeri. Warisan budaya seperti wayang kulit, tarian tradisional, permainan rakyat, makanan tradisional serta buah-buahan eksotik seperti buah nam-nam, buah keranda, buah seralat dan lain-lain boleh diketengahkan kembali dalam penampilan yang lebih moden dan menepati citarasa semasa.

Bangunan warisan seperti istana lama, bangunan kerajaan dan bangunan komersial juga perlu diberi perhatian untuk dibaik pulih dan dijaga nilai sejarahnya. Bangunan lama yang dijaga baik bukan sahaja menjadikan bandar indah dan berseri, malah turut berfungsi sebagai pemberi nilai tambah kepada sektor pelancongan.

Selain itu, Negeri Kedah turut kaya dengan warisan alam semulajadi. Taman Negeri Ulu Muda dan Tasik Pedu yang menjadi habitat kepada pelbagai spesis haiwan seperti gajah asia, harimau kumbang, harimau dahan, tapir, beruang matahari serta burung enggang boleh diketengahkan sebagai satu produk pelancongan eko berkonsepkan penyelidikan.

Begitu juga dengan Jerai Geopark yang sarat dengan tinggalan arkeologi, warisan sejarah dan geologi turut boleh diperkasakan sebagai satu produk pelancongan negeri.

Dalam merencanakan pembangunan pelancongan di Negeri Kedah adalah lebih efektif sekiranya satu usaha yang bersepadu dapat digerakkan memandangkan usaha ini memerlukan penglibatan pelbagai jabatan merentasi pelbagai bidang.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Negeri Kedah mempunyai peranan yang penting dalam memastikan bekalan beras negara mencukupi dan mengurangkan kadar kebergantungan negara kepada import beras luar.

Hal ini telah meletakkan Kedah dalam keadaan dilema, di mana keperluan pembangunan seperti perumahan, komersial, dan industri perlu diseimbangkan dengan keperluan menjamin keselamatan makanan negara.

Untuk itu, bagi menambahkan kadar pengeluaran beras, Negeri Kedah tidak mempunyai pilihan untuk memperbesarkan kawasan penanaman padi melainkan melalui penerokaan kaedah penanaman baharu dan penggunaan teknologi yang lebih moden.

Usaha seperti yang dijalankan oleh pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam memperkenalkan kaedah penanaman padi secara berskala besar boleh diperluaskan ke kawasan-kawasan lain.

Selain itu, penggunaan teknologi pertanian seperti pengenalan benih padi berkualiti dan penggunaan jentera pertanian yang lebih moden turut boleh dikembangkan kepada lebih ramai petani.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Perubahan iklim dunia yang kini kian tidak menentu menyebabkan kekerapan bencana dan skala bencana yang berlaku bertambah buruk. Pengalaman jabatan berkaitan dalam mengelola pengurusan bencana di Negeri Kedah selama ini adalah amat cekap dan teratur. Walau bagaimanapun, satu usaha jangka panjang bagi mengurangkan kekerapan bencana dan kesannya perlu dirancang dan dilaksanakan.

Beta amat tertarik dengan konsep “Room for the River” yang diperkenalkan oleh Kerajaan Belanda dalam merancang langkah penyelesaian jangka panjang pengurusan bencana banjir dan lembangan sungai utama di Belanda.

Beta berpendapat tidak salah sekiranya konsep yang serupa dilaksanakan bagi menangani risiko banjir berulang.

Beta berharap projek pembangunan Rancangan Tebatan Banjir yang dirancang seperti di Baling, Pendang dan Kota Setar dapat disegerakan bagi memastikan risiko kejadian bencana banjir dielakkan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Kesejahteraan rakyat adalah matlamat utama sesebuah kerajaan. Beta cakna dengan pelbagai isu yang disiarkan di media massa, dan elektronik. Antaranya adalah isu eksploitasi ke atas wanita dan kanak-kanak terutamanya dalam konteks perkahwinan dan rumahtangga.

Di dalam persidangan yang lepas, dewan ini telah meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2022 dengan menaikkan had umur perkahwinan bagi wanita daripada 16 tahun kepada 18 tahun dan hukuman denda bagi kesalahan poligami tanpa kebenaran mahkamah telah dinaikkan daripada denda RM1,000 atau 6 bulan penjara kepada denda RM3,000 atau setahun penjara atau kedua- duanya.

Beta menyambut baik perkembangan ini dan berharap agar undang-undang berkaitan agama Islam terutamanya melibatkan kaum wanita dan kanak-kanak terus diperhalusi dari semasa ke semasa agar hak kaum wanita dan kanak-kanak sentiasa terjamin dan terpelihara.

Begitu juga dengan enakmen-enakmen lain yang digubal di dalam dewan ini yang mungkin perlu dipinda agar selari dengan perkembangan semasa, maka undang-undang tersebut perlu dipinda sewajarnya. Ini adalah fungsi utama Ahli Yang Berhormat sekalian sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri selain bertindak sebagai semak dan imbang kepada perjalanan kerajaan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta percaya peri pentingnya keharmonian hubungan di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Ini adalah agar fokus kerajaan terhadap penyelesaian isu dan permasalahan rakyat tidak terjejas.

Negara, negeri dan rakyat memerlukan kestabilan politik untuk memperolehi manfaat melalui pembangunan projek ekonomi dan program kesejahteraan rakyat yang dirancang.

Tanpa gandingan yang harmoni di antara keduanya, rakyat pasti akan menerima kesannya. Elak berpolitik secara berlebihan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Sepertimana kenyataan Lord Hewart, Bekas Ketua Hakim Mahkamah England dalam satu penghakiman pada tahun 1924, “Justice should not only be done, but should manifestly and undoubtedly be seen to be done”, prinsip yang sama turut boleh digunapakai di dalam menjaga hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bukan hanya perlu dijaga malah perlu ditunjukkan bahawa ianya dijaga.

Beta berharap tahap profesionalisme yang tinggi di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan serta perbincangan-perbincangan dalam menjayakan agenda pembangunan digiatkan demi kebaikan bersama.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Beta menyeru agar kerajaan Beta dapat meneliti dan mengkaji semula dasar dan polisi berbentuk fiskal mahupun undang-undang yang telah lapuk. Hal ini adalah supaya perkara tersebut dapat diangkat untuk perhatian Kerajaan Persekutuan melalui platform bersesuaian agar ianya dapat dikaji semula dan dipinda sewajarnya.

Dalam menilai kadar inflasi yang saban tahun menunjukkan peningkatan maka sebahagian daripada kadar pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri perlu dikaji semula dan ditetapkan dengan satu kadar baharu yang lebih relevan mengikut situasi masa kini.

Sebagai contoh, kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) di bawah Fasal (1)(a) Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan yang kali terakhir dipinda adalah pada 20 tahun yang lepas melalui Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2002 [Akta 622].

Oleh itu, kerajaan negeri hendaklah sentiasa peka dan proaktif dalam bertindak demi kepentingan negeri terutamanya yang melibatkan hak sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini akan menyaksikan pelantikan Ahli Dewan Negara yang baharu bagi Negeri Kedah selaras dengan Fasal (1)(a) Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya Ahli Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat adalah bagi membawa suara rakyat di Dewan Rakyat, maka Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri adalah bertujuan membawa suara negeri di Dewan Negara.

Beta ingin berpesan kepada Ahli Dewan Negara yang bakal dilantik oleh dewan ini untuk memainkan peranan membawa suara negeri ke Dewan Negara serta memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan di Parlimen.

Pelantikan tersebut bukan sekadar bagi mengisi kekosongan semata-mata tetapi mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan isu dasar dan pembangunan negeri didengari di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Di kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan di atas taat setia, pengorbanan dan perkhidmatan anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, anggota RELA, barisan petugas kesihatan serta seluruh Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) dan penjawat awam di Negeri Kedah yang diketuai oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di atas komitmen yang diberikan.

Beta ingin berkongsi kata-kata yang menjadi falsafah semasa Beta menjalani latihan ketenteraan di Indian Military Academy, Dehradun, “The safety, honour and welfare of your country come first, always and every time. The honour, welfare and comfort of the men you command come next. Your own ease, comfort and safety come last, always and every time”.

Kata-kata ini adalah satu renungan buat seorang pemimpin. Pemimpin yang berwibawa adalah pemimpin yang sentiasa mengutamakan negara dan negeri melebihi segalanya. Kepentingan diri dan peribadi perlu diletakkan di belakang.

Keberadaan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian di dalam dewan ini tidak lain tidak bukan adalah untuk membincangkan kepentingan negeri dan rakyat di Negeri Kedah.

Beta ingin menyarankan kepada semua Ahli Yang Berhormat selaku pemimpin untuk berbahas di dalam dewan ini secara ilmiah berdasarkan fakta dan angka serta secara berbudi bahasa dan penuh tatasusila. Bukan semata-mata bersifat meraih “political mileage” ataupun bagi tujuan “political vendetta”.

Gunalah kesempatan ini untuk menabur bakti dan mencurahkan kebijaksanaan Ahli-ahli Yang Berhormat demi kepentingan negeri dan rakyat di Negeri Kedah.

Beta mendoakan agar perjalanan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri Kedah ke -14, berjalan dengan sempurna serta dilindungi kesihatan dan keselamatan semua. Semoga persidangan pada kali ini, membawa faedah kepada negeri dan seluruh rakyat di Negeri Kedah.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim,

Beta dengan ini merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14, Tahun 2023.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh.

(Selepas habis bertitah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar akan mengambil semula Titah Ucapan)

Juruacara

Menjunjung Kasih Tuanku. Dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah untuk menyambut Kembali naskhah Titah DiRaja.

Juruacara

Ampun Tuanku. Bacaan Doa Selamat oleh Sohibus Samahah Dato’ Paduka Mufti Negeri Kedah Darul Aman.

SOHIBUS SAMAHAH DATO’ PADUKA MUFTI

Bacaan Doa.

(Selepas Bacaan Doa)

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan ditangguhkan sehingga jam 9.00 pagi esok. (Yang Berhormat Dato’ Speaker bangun mengangkat sembah memohon keizinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sutlan Kedah Kedah untuk menangguhkan Sidang Dewan)

Juruacara

Ampun Tuanku, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Hadirin sekalian.

Mengumumkan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah berangkat meninggalkan Dewan Mesyuarat.diikuti Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Puan Mahkota Kedah serta Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah Darul Aman dan Yang Amat Berbahagia Tok Puan meninggalkan Dewan Mesyuarat. Semua dipohon berdiri.