Kedah · 26 November 2023
15th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 16 turns · 9,700 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. Bacaan Doa.
I. Bacaan Doa
ِبِسْم ِاللَّـه ِالرَّحْمَـٰن ِالرَّحِ يم
العلمين ورب األرض ورب السماوات رب هلل الحمد المرسلين سيد محمد سيدينا على والسالم وصلة أجمعين وصحبه آله وعلى
“Dengan nama Allah , Tuhan Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, Segala pujian bagi Allah Tuhan yang memerintah sekalian langit dan bumi dan Tuhan sekalian alam. Selawat dan Salam atas Rasul kami Nabi Muhammad, Penghulu sekalian Rasul dan di atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.
Ya Allah Yang Maha Berkuasa; Engkaulah Tuhan Yang Maha Adil, Bijaksana dan Pemurah, Tuhan yang telah mengatur kewajipan Sultan Pemerintah dan meletakkan tanggungan pertubuhan Dewan untuk keselamatanMu yang Engkau telah perkenan meletakkan tanggungjawab bagi menyempurnakan segala pekerjaan di dalam Dewan ini, memohon dengan limpah kurniaanMu berkatilah apa jua kiranya amalan-amalan pekerjaan kami dan kebesaranMu yang menyeluruh bagi memimpin kami ketika berunding, dan menimbang segala perkara yang didatangkan di hadapan kami, dan kekalkanlah di hati kami sifat-sifat Amanah, jujur dan bertanggungjawab bagi menegakkan syariatMu dan menambahkan kemakmuran dan kesejahteraan Negeri Kedah Darul Aman dan sekalian penduduknya.
النَّار َعَذَاب وَّ ق نَا حَسَنَة اآلخ رَة وَ ف ى حَسَنَة الدُّن يَا ف ى آت نَا رَبَّنَا اَمِين يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن
I. Pemakluman Oleh YB. Tuan Speaker
Ahli-ahli yang berhormat sekalian, persidangan kali ini merupakan persidangan yang pertama bagi saya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri. Saya pohon kerjasama daripada ahli-ahli dewan untuk menepati peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam memastikan perjalanan dewan dapat berlangsung dengan lancar.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, disini terdapat 4 perkara yang akan saya maklumkan iaitu:
1. Pelantikan Backbenchers di sebelah pihak Kerajaan iaitu:
Adun Ayer Hitam, YB. Tuan Hj. Azhar bin Ibrahim, YB. sila bangun untuk memperkenalkan diri.
2. Pelantikan Ketua Pembangkang iaitu :
Adun Sidam, YB. Encik Bau Wong a/l Bau Ek YB. Sila bangun untuk memperkenalkan diri
3. Notis Pemakluman Berkenaan Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri Tahun 2024, semua YB. Dipohon untuk memulangkan rang undang-undang perbelanjaan 2024 yang telah diberikan pada 19 Nov 2023 kerana ada sedikit kesalahan typing error pada jumlah besar di para 2 (1). Rang undang-undang perbelanjaan yang baru telah di letakkan di meja Ahi-Ahli Yang Berhormat.
4. Notis Usul Tambahan Berkenaan Kezaliman Rejim Zionis Terhadap Rakyat Palestin di buku atur cara dewan pada 30 November 2023 yang akan dibawa oleh YB. Pantai Merdeka.
Urusan seterusnya Tuan Setiausaha.
Pembentangan Kertas-kertas dewan oleh YAB. Dato’ Seri Menteri Besar Kedah Darul Aman.
II. Pembentangan Kertas-Kertas Dewan
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan ini saya pohon membentangkan Kertas-Kertas Dewan yang berikut seperti di meja Ahli-Ahli Yang Berhormat :-
Kertas Dewan Bil. 7 Tahun 2023 Anggaran Perbelanjaan MengurusTahun 2024.
Kertas Dewan Bil. 8 Tahun 2023 Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan
Negeri Tahun 2024.
Kertas Dewan Bil. 9 Tahun 2023 Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan
Hutan Negeri Tahun 2024.
Kertas Dewan Bil. 10 Tahun 2023 Anggaran Kumpulan Wang Bekalan Air Negeri Tahun 2024.
Kertas Dewan Bil. 11 Tahun 2023 Laporan Ketua Audit Negara 2021 Auditan Khas Pengurusan Hutan Dan Impak Kepada Alam Sekitar, Aktiviti Jabatan serta Pengauditan Pematuhan Jabatan/Agensi Negeri Dan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2022 Penyata Kewangan Negeri Dan Agensi Negeri Serta Pengauditan Pematuhan Jabatan/Agensi Negeri Kedah.
Kertas Dewan Bil. 12 Tahun 2023 Penyata Kewangan Lembaga Muzium Negeri
Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.
Kertas Dewan Bil. 13 Tahun 2023 Penyata Kewangan Majlis Agama Islam Negeri Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.
Kertas Dewan Bil. 14 Tahun 2023 Laporan Tahunan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah [PKNK] Bagi Tahun 2019.
Kertas Dewan Bil. 15 Tahun 2023 Penyata Kewangan Lembaga Tabung Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.
Kertas Dewan Bil. 16 Tahun 2023 Penyata Kewangan Perbadanan Stadium-Stadium Negeri Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.
Kertas Dewan Bil. 17 Tahun 2023 Penyata Kewangan Lembaga Maktab Mahmud
Negeri Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021.
Kertas Dewan Bil. 18 Tahun 2023 Penyata Jawatankuasa Pemilih Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Ke-15
Mesyuarat Pada 24 Oktober 2023.
Kertas Dewan Bil. 19 Tahun 2023 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kedah Bagi Tahun 2022.
Kertas Dewan Bil. 20 Tahun 2023 Penyata Kewangan Lembaga Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.
Sekian, Terima Kasih.
Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri Tahun 2024 Dan Ucapan Bajet 2024Bill
Urusan seterusnya Tuan Setiausaha.
Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri Tahun 2024 dibacakan bagi kali yang pertama.
Dipersilakan YAB. Dato’ Seri Menteri Besar.
[Bacaan Kali Pertama]
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya kemukakan cadangan saya berkenaan dengan Rang Undang-Undang tersebut, dukacita dimaklumkan ianya tidak sempat disiarkan di dalam Warta Kerajaan menurut Peraturan 65, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman. Oleh kerana Rang Undang-Undang ini mustahak diadakan dengan segera, maka kebenaran Yang Berhormat Tuan Speaker telah pun diambil menurut sepertimana yang dikehendaki oleh Peraturan Dewan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang bernama “ Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bagi tahun 2024 bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud tertentu” itu dibacakan bagi kali yang pertama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon menyokong cadangan itu.
“Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bagi tahun 2024 bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud tertentu”.
[Bacaan Kali Kedua]
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon memberitahu bahawa saya hendak mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali yang Kedua di dalam Persidangan Dewan ini juga.
- SILAKAN YAB. DATO’ SERI MENTERI BESAR
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali yang Kedua dan dengan ini sukalah saya membuat sedikit sebanyak penjelasan mengenai Bajet Negeri Kedah bagi Tahun 2024 yang akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini.
Ucapan Bajet Negeri 2024 Dibentangkan Oleh Yang Amat BerhormatAddress / budget
PENDAHULUAN
Bismillahirohmanirrohim
Alhamdulillahi Robbil Alamin. Wassolatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Anbiya’l Walmursalin, Saidina Muhammadin Sallallahu Alaihi Wassalam, Wa’ala Alihi Washohbihi Ajmain.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam “Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat Anggota-anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,
MUKADIMAH
1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah Perkenan-Nya jua Negeri Kedah Darul Aman dan seluruh rakyatnya yang sentiasa disirami rahmat dan kesejahteraan
2. Sebelum memulakan ucapan sempena persidangan Belanjawan Negeri Kedah bagi tahun 2024 pada hari ini, saya ingin mengajak Ahli- ahli Yang Berhormat serta seluruh anggota pentadbiran Kerajaan Negeri untuk sama-sama kita renungi akan peringatan Allah SWT dalam Surah Al- Hajj ayat ke 41
َٱلَّذِين إِن مَّكَّنَّٰهُم فِي ِٱۡل َر ض ْأَقَامُوا َٱلصَّلَوٰ ة ْوَءَاتَوُا َٱلزَّكَوٰ ة ْوَأَمَرُوا ِبِٱل مَع رُوف ْوَنَهَو ا ِعَن ِٱل مُنكَر ِ َّ ِوَلِل ُعَٰقِبَة ِٱۡل ُمُور
Yang bermaksud
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, serta memberi zakat dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
3. Sebagai anggota dalam jemaah pentadbiran Negeri Kedah yang kita cintai ini, saya ingin mengingatkan diri saya serta Ahli-ahli Yang Berhormat juga seluruh pegawai dan kakitangan Kerajaan bahawa
Pertama, kuasa pemerintahan yang kita sedang laksanakan hari ini sesungguhnya adalah amanah daripada Allah SWT,
Kedua, dalam melaksanakan tanggungjawab ini, tidak kira apa posisi kita, perlu ada kesedaran bahawa kita sentiasa diperhatikan dan akan dinilai amal perbuatan kita oleh Allah SWT.
Ketiga, kitaran ekonomi perlulah berdasarkan konsep zakat iaitu sebahagian daripada harta orang kaya adalah hak orang miskin. Itulah prinsip yang menjadi asas pentadbiran ini iaitu kita mahu menjadikan “Kedah Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti”.
Keempat, sentiasa berusaha untuk membuat kebaikan kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang atau sebarang perbezaan. Inilah halatuju utama Kerajaan Negeri iaitu “Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua”.
Dan yang kelima, menguatkuasakan undang-undang. Ayat ini adalah satu perintah kepada kita untuk menyeru pelaksanaan segala yang fardhu dan melarang perkara yang mungkar, maksiat atau kejahatan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat serta hadirin hadirat sekalian,
4. Sebelum meneruskan ucapan ini, saya ingin merakamkan ucapan menjunjung kasih ke atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan melantik saya menerajui Kerajaan Negeri Kedah pada penggal ini. Saya juga ingin mengucapkan sekalung tahniah buat semua Ahli Yang Berhormat yang telah dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Kedah yang lalu. Semoga mandat ini tidak mengalpakan kita daripada tanggungjawab yang berat serta diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk menunaikan amanah ini sehingga tempoh penggal berakhir.
5. Ingatlah, jawatan ini bukan ‘tasyrif’ tetapi ‘taklif’. Bukan untuk dimuliakan tetapi untuk dipertanggungjawabkan dan kita akan disoal di akhirat kelak atas kerja buat kita sepanjang memegang jawatan ini.
6. Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah menabur jasa dan bakti sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat pada penggal yang lalu.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Kalau menyalin dengan sempurna, Suratnya bersih, halamannya terang, Kalau memimpin dengan bijaksana, Rakyat kasih, Tuhan pun sayang.
7. Dalam usaha memenuhi komitmen “Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua” Kerajaan Negeri telah berjanji untuk memenuhi 17 tawaran kepada rakyat meliputi:
i. Tadbir Urus ii. Penyampaian Perkhidmatan Yang Efisien iii. Pendidikan Holistik iv. Amar Makruf Nahi Mungkar v. Pelaburan Berimpak Tinggi vi. Peluang Pekerjaan vii. Kebajikan Rakyat viii. Wanita dan Keluarga ix. Belia, NGO dan Sukan x. Kelestarian Bekalan Air xi. Hab Pengeluaran Makanan xii. Hak Milik Tanah Rakyat xiii. Kediaman Mampu Milik xiv. Baik Pulih Kediaman xv. Keusahawanan xvi. Pelancongan dan Warisan xvii. Kebersihan dan Alam Sekitar
8. Islam sebagai ‘addin’ atau cara hidup, ataupun ‘the way of life’ tidak memisahkan kehidupan dunia dan akhirat. Kita melihat kehidupan di dunia sebagai jambatan untuk kehidupan di akhirat. Jika kita berusaha untuk melakukan kebaikan di dunia, maka kita akan mendapat balasan yang baik di akhirat. Justeru, dalam setiap kerja buat kita di dunia, kita sentiasa terikat dengan tuntutan syariat Allah yang memerintahkan kita supaya berlaku adil sesama manusia.
9. Dalam hal ini, kita perlu sentiasa menjaga integriti, bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam mengurus 2.2 juta rakyat Negeri Kedah Darul Aman yang meliputi pelbagai kaum, agama, ideologi serta budaya.
Nabi S.A.W. bersabda: َّإِن َ َّاللّ َّعَز َّوَجَل يُحِ ب إِذَا َعَمِل ْأَحَدُكُم ًعَمَل ْأَن ُيُتْقِنَه
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jalla kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”
10. Demi membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Negeri Kedah, Kerajaan Negeri akan terus berusaha bersungguh-sungguh bagi merealisasikan visi “Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni” menjelang tahun 2035. Inilah sasaran kita dalam melaksanakan Pelan Pembangunan Kedah 2035.
Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli Ahli Yang Berhormat,
The Greater Kedah
11. Sama ada kita sedar ataupun tidak, Negeri Kedah suatu ketika dahulu pernah muncul sebagai negeri paling maju di dunia. Tamadun Kedah merupakan yang terawal di Asia Tenggara. Kedah mengecap status sebagai negara industri berasaskan besi seawal tahun 788 sebelum Masihi, ketika Rom dan Parsi masih di era kuno di Eropah dan Asia Barat.
12. Inilah Kedah yang dipusakakan kepada kita hari ini.
13. Namun begitu, kita tidak boleh hanya sekadar berbangga dengan rekod sejarah lampau dengan mengulang cerita keagungan dan kegemilangan nenek moyang kita dahulu. 14. Selaku pihak yang diberi amanah oleh rakyat, kita bertanggungjawab untuk berusaha dan bekerja keras mengembalikan semula kemajuan dan kemakmuran untuk dinikmati oleh rakyat negeri ini. Itulah tanggungjawab kita.
15. Dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan Negeri Kedah, Kerajaan Negeri dengan sepenuh tekad dan daya usaha akan bekerja keras untuk melonjak Negeri Kedah sebagaimana ia pernah gemilang suatu ketika dahulu.
16. Sudah tiba masa untuk kita bangkit mengeluarkan Kedah dari senarai negeri miskin. Inilah tekad kita, semangat kita dan tanggungjawab kita semua.
Isu Palestin
17. Dalam kita berusaha membawa kesejahteraan kepada rakyat Negeri Kedah, jangan kita abaikan kezaliman yang sedang menimpa saudara kita di Palestin.
18. Sesungguhnya kita di Negeri Kedah cukup terkesan dengan serangan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin. Selain atas dasar akidah, kekejaman rejim Zionis ini secara terang-terangan telah melanggar batas perikemanusiaan. Sejak 7 Oktober lalu hingga saat ini, lebih 14,000 penduduk Palestin telah syahid termasuk para doktor, jururawat dan pesakit di hospital. Mereka sekat segala keperluan hidup manusia seperti bekalan air, elektrik dan sebagainya. Mereka memusnahkan rumah penduduk awam, hospital. Ini bukan lagi peperangan tetapi suatu tindakan ‘genocide’ atau pembunuhan beramai-ramai yang amat nyata.
19. Atas kesedaran itu, Kerajaan Negeri pada 12 November lalu bersama-sama dengan anak-anak syarikat Kerajaan dan juga badan- badan sukarela telah menganjurkan Himpunan Solidariti Untukmu Palestin di pekarangan Stadium Darul Aman sebagai tanda kebersamaan kita semua menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menolak kekejaman Zionis. Alhamdulillah himpunan itu telah mendapat sokongan yang amat baik termasuk daripada sahabat-sahabat kita yang bukan Islam. Sumbangan diterima pada malam itu sahaja adalah sebanyak RM1.5 juta. Setakat ini jumlah sumbangan terkumpul untuk kita salurkan kepada rakyat Palestin adalah RM2.08 juta.
20. Jadikanlah pendudukan dan kekejaman Rejim Zionis sebagai iktibar buat kita semua supaya apa yang sedang berlaku di Palestin tidak sampai terjadi di tanah air kita.
Yang Berhormat Tuan Speaker serta Ahli-ahli Yang Berhormat,
Musim Peralihan Monsun dan kesiapsiagaan Kerajaan Negeri
21. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, negara kita sedang mengalami fasa peralihan monsun yang bermula pada akhir bulan lalu dan dijangka berlarutan sehingga penghujung bulan ini. Fenomena cuaca tidak menentu ini telah mengakibatkan kesan besar kepada kehidupan rakyat. Banjir kilat dan ribut telah pun berlaku di beberapa daerah.
22. Dalam menghadapi situasi ini, Kerajaan Negeri melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah telah mengatur persediaan rapi dan langkah bersiap siaga untuk menyelaras bantuan kepada semua mangsa yang terlibat.
23. Sudah menjadi lumrah, apabila ditimpa bencana, akan timbul pelbagai kesukaran yang terpaksa dihadapi walau bagaimana sekalipun kita berusaha menanganinya. Justeru, saya minta mangsa-mangsa yang terlibat supaya bersabar dan hadapi ujian ini dengan reda. Yakinlah bahawa semua petugas kita sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam menghulurkan bantuan.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Senario Ekonomi
24. Kerajaan Negeri Kedah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan ketika membentangkan Belanjawan Negara Tahun 2024 telah meluluskan beberapa projek pembangunan melibatkan Negeri Kedah. Antaranya ialah Rancangan Tebatan Banjir Baling Fasa 2, Projek Rintis Penanaman Padi Lima Kali Dua Tahun di Kota Sarang Semut, Pembinaan Blok Baru Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, Projek Pemuliharaan dan Pemeliharaan Tapak Warisan Lembah Bujang serta meneruskan Program Transformasi Bas Henti-Henti di Daerah Kota Setar.
25. Dalam usaha membangunkan negeri, Sustainable Development Goals (SDG) atau Matlamat Pembangunan Mampan sentiasa menjadi agenda Kerajaan. SDG adalah satu kerangka kerja holistik yang menggariskan matlamat-matlamat secara jelas dalam aspek pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar. Terdapat 17 matlamat SDG yang ditetapkan meliputi hal seperti industri, inovasi dan infrastruktur, menguruskan kemiskinan, memastikan akses kepada pendidikan berkualiti, air bersih dan sanitasi, perkembangan ekonomi dan peluang pekerjaan serta melindungi alam sekitar.
26. Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ini turut menjadi kerangka pelan perancangan pembangunan, penetapan peruntukan dan perbelanjaan Kerajaan Negeri Kedah.
27. Dari segi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Negeri Kedah secara amnya menunjukkan pembahagian ekonomi yang seimbang. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar iaitu 55%. Sektor pembuatan di tangga kedua iaitu 30.7% diikuti pertanian sebanyak 11%.
28. Pelbagai strategi dan inisiatif yang mendasari Pelan Pembangunan Kedah 2035 bagi meletakkan Negeri Kedah di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran menjelang Tahun 2035. Dalam hal ini, pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi akan terus menjadi pemangkin untuk kita mencapai matlamat ini dan seterusnya merealisasikan impian The Greater Kedah, Insya Allah.
Projek Berimpak Tinggi
29. Di Kedah, pelbagai projek berimpak tinggi di beberapa lokasi yang telah disusun secara seimbang mengikut zon. Selain kawasan industri sedia ada di Kulim dan Kuala Muda, Pembangunan Hab Logistik Darat dan Pusat Data sedang rancak dilaksanakan di Delapan SBEZ (Special Border Economic Zone) di Bukit Kayu Hitam. Di Daerah Padang Terap pula, suatu inisiatif untuk menjenamakan semula Kedah Rubber City (KRC) sedang dilaksanakan untuk membuka pelaburan daripada pelbagai sektor dan tidak lagi yang berkaitan dengan industri getah semata-mata.
30. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya usaha kita memajukan Kedah Science and Technology Park (KSTP) di Kubang Pasu juga telah menunjukkan perkembangan yang amat positif. Kerajaan Persekutuan baru-baru ini telah meluluskan peruntukan tambahan melalui Belanjawan 2024 untuk memulakan kerja-kerja infrastruktur dalaman pada tahun hadapan.
31. Kerajaan Negeri juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan Kerajaan Persekutuan kepada projek Kedah Aerotropolis melalui pembangunan Sidam Logistic, Aerospace and Manufacturing Hub (SLAM) yang akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
32. Kelulusan juga telah diberi untuk projek Pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) yang termasuk dalam senarai komponen Kedah Aerotropolis.
33. Kita juga sedang berusaha untuk memenuhi syarat-syarat Kementerian Pengangkutan untuk meneruskan usaha membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sebagaimana yang diperlukan mengikut National Airports Strategic Plan (NASP).
34. Satu perkara yang saya hendak maklumkan di sini ialah pada 22 November lalu Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan anak syarikatnya, KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. telah memeterai satu perjanjian dengan firma Tahira Air Sdn. Bhd. untuk menubuhkan satu Syarikat Bertujuan Khas (SPV) bagi menjalankan fasa pertama pembangunan Kedah Aerotropolis. Syarikat SPV itu akan dikenali sebagai Kedah Aerotropolis Holdings Sdn. Bhd.
35. Insya Allah, apabila siap projek ini kelak, ia akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri sebanyak 4.5% dan akan menyediakan 45,000 peluang pekerjaan baharu bagi anak-anak Kedah. Sama-sama kita doakan agar impian ini menjadi kenyataan.
36. Lebuhraya Koridor Utara atau Northern Corridor Highway (NCH) yang sebahagian besar jajarannya merentasi Negeri Kedah telah ditender secara Request for Proposal (RFP) dan kini dalam proses penilaian oleh Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM). Projek Lebuhraya ini dijangka akan dimulakan pada tahun 2025 dan pembangunan projek ini akan menyokong pembangunan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah Aerotropolis serta Kedah Rubber City (KRC). Dijangkakan pembangunan ini akan merancakkan lagi pembangunan kawasan “hinterland” Kedah seperti Mahang di Daerah Kulim, Jeniang di Daerah Kuala Muda dan Sungai Tiang di Daerah Pendang melalui pembinaan “interchange” yang berhampiran.
PRESTASI KUTIPAN HASIL DAN PERBELANJAAN TAHUN 2023
Hasil
37. Sehingga 31 Oktober 2023 Kerajaan Negeri berjaya mengutip Hasil sebanyak RM547.68 juta bersamaan 74.51% daripada anggaran hasil yang ditetapkan sebanyak RM735 juta di dalam Bajet Tahun 2023.
38. Daripada jumlah ini pentadbiran tanah telah merekodkan terimaan berjumlah RM314.43 juta diikuti terimaan Hasil Perhutanan RM24.49 juta, kutipan daripada Pentadbiran Daerah RM13.13 juta dan terimaan daripada Kerajaan Persekutuan dan lain-lain terimaan berjumlah RM195.63 juta.
39. Atas usaha berterusan daripada jabatan-jabatan, tahun 2023 menyaksikan prestasi terimaan cukai tanah dan tunggakan cukai tanah adalah lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun 2022 di mana berlaku peningkatan kutipan sebanyak RM14.1 juta.
40. Kerajaan Negeri juga telah menyediakan platform terimaan hasil secara atas talian yang dikenali iBAYAQ, yang telah mula digunakan pada tahun 2020 bagi memudahkan rakyat membuat bayaran secara atas talian. Sehingga 31 Oktober 2023, jumlah pengguna telah mencecah 58,000 dan melibatkan nilai kutipan berjumlah RM34.97 juta meliputi urusan bayaran cukai tanah, bayaran perumahan, pendaftaran kontraktor dan lain-lain bayaran.
41. Sehingga 31 Oktober 2023, prestasi terimaan hasil secara tanpa tunai (cashless) adalah berjumlah RM273.04 juta bersamaan 49.85 % berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2022 yang berjumlah RM185.23 juta bersamaan 34.8%. Peningkatan tersebut adalah disebabkan usaha berterusan yang dilakukan oleh semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Kedah dalam mempromosikan terimaan secara tanpa tunai (cashless). 42. Hasilnya, Kerajaan Negeri Kedah telah dianugerahkan Special Recognition Award - Leadership in State dalam Majlis Malaysian E- Payments Excellence Awards (MEEA 2023) anjuran Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (Paynet). Ini adalah satu pengiktirafan atas usaha Kerajaan Negeri Kedah mempromosikan pembayaran tanpa tunai sepanjang tahun 2023.
43. Melangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri akan meluaskan lagi inisiatif terimaan tanpa tunai ini kepada semua anak Syarikat Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun. Kita dapat melihat usaha awal yang telah dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dengan memperkenalkan ‘PKNK Ready Cashless’ dan diharapkan semua anak syarikat Kerajaan Negeri juga Badan-Badan Berkanun Negeri dapat turut sama dalam inisiatif ini.
Perbelanjaan Negeri
44. Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dan berbelanja berdasarkan perancangan yang telah diluluskan dalam bajet tahun semasa. Sehingga 31 Oktober 2023, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM466 juta bagi tujuan perbelanjaan mengurus negeri atau 62.65% berbanding peruntukan yang diluluskan.
45. Peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan yang melibatkan peruntukan Pembangunan Negeri, Pembangunan Hutan dan Pembangunan Bekalan Air adalah berjumlah RM179.8 juta sehingga 31 Oktober 2023.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat serta Pegawai-pegawai pentadbiran Negeri Kedah yang saya kasihi,
PENYENGGARAAN JALAN NEGERI (MARRIS)
46. Untuk makluman semua, jarak keseluruhan jajaran Jalan Negeri yang menghubungkan keseluruhan 12 daerah di Negeri Kedah adalah sejauh 16,109 kilometer. Untuk sesebuah negeri dengan pelbagai rupa muka bumi dari pantai, gunung, bukit, lembah dan pedalaman malah hutan belantara, jaringan jalan raya yang kita ada ini boleh dikira sebagai efisien. Sehingga Oktober 2023, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM272 juta bagi melaksanakan 1,585 projek kerja-kerja penyenggaraan jalan negeri merangkumi jalan raya negeri, jalan perbandaran, jalan kampung, jalan pertanian juga jalan di kawasan pertanian MADA.
47. Untuk rekod, sejak tahun 2021 sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM700 juta bagi melaksanakan 4,927 projek penyenggaraan jalan di bawah peruntukan MARRIS. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM11 juta adalah dibelanjakan bagi maksud kerja-kerja penyenggaraan, pembaikan dan penggantian jambatan di seluruh Negeri Kedah.
48. Kerja-kerja penyenggaraan Jalan Negeri di bawah peruntukan MARRIS akan terus dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat- Pejabat Daerah bagi memastikan kualiti jalan raya negeri sentiasa dalam keadaan baik. Ini penting dalam usaha kita untuk memberi keselesaan serta keselamatan kepada rakyat.
Pengurusan Kewangan Berhemah
49. Integriti dan kebertanggungjawaban dalam menguruskan kewangan adalah satu perkara yang amat dititikberatkan tanpa kompromi. Untuk itu, pentadbiran ini sentiasa komited dalam memastikan pengurusan kewangan kerajaan diuruskan mengikut tatacara yang cekap dan teratur. Ini bagi memastikan setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan menepati matlamat yang telah ditetapkan tanpa sebarang ketirisan. Dalam keadaan ekonomi dunia yang belum pulih sepenuhnya pasca pandemik COVID-19, perbelanjaan perlu diuruskan dengan cara yang paling berhemah dengan memberi keutamaan kepada keperluan berbanding kehendak. Perbelanjaan yang dibuat adalah mengikut keutamaan dan berdasarkan keupayaan aliran tunai kerajaan.
50. Untuk itu, kerajaan telah menetapkan urusan pembayaran bil dan tuntutan perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh permohonan lengkap diterima. Sehingga 31 Oktober 2023, sebanyak 63,761 transaksi bayaran telah disempurnakan oleh Kerajaan Negeri. Daripada jumlah tersebut, 99.9% bayaran telah disempurnakan dalam tempoh 14 hari. Apa yang lebih membanggakan, 95.02% bayaran diselesaikan dalam tempoh 7 hari, 4.88% bayaran dalam tempoh 8 ke 14 hari dan hanya 0.1% dalam tempoh melebihi 14 hari. Justeru, saya dengan berbesar hati ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan Kerajaan Negeri atas pencapaian ini. Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memastikan kecemerlangan pengurusan bayaran diteruskan dan mencapai sasaran sifar bayaran melebihi tempoh 14 hari.
51. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Majlis Daerah Pendang (MDP) yang telah memperolehi Sijil Pengiktirafan Pematuhan SAGA (Standard Accounting System for Government Agencies) bagi tahun 2023. Pengiktirafan ini patut dicontohi oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di Negeri Kedah.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Tabung Tunku Mahmud
52. Kerajaan Negeri Kedah telah mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Tunku Mahmud pada 1 Mei 2008. Idea penubuhan tabung ini dicetuskan oleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah pada ketika itu mengambil semangat beliau selaku seorang pemimpin yang amat mencintai ilmu dan mengutamakan pendidikan dalam pembangunan masyarakat.
53. Malangnya, akaun ini tidak aktif selama beberapa tahun selepas Allahyarham tidak lagi memimpin negeri. Walaubagaimanapun, bermula tahun ini, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk mengaktifkan semula tabung ini sebagai salah satu usaha untuk membantu rakyat khususnya anak-anak yatim atau anak-anak miskin yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pengajian. Pendekatan yang kita lakukan ialah dengan mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak termasuk sumbangan Kerajaan Negeri, korporat, individu, anak-anak syarikat kerajaan, dan juga penjawat awam secara sukarela melalui skim potongan gaji untuk menyumbang kepada tabung ini.
54. Bagi memudahkan penyumbang untuk menyalurkan bantuan ke tabung ini, satu sistem kod QR telah disediakan. Sesiapa juga termasuk Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat dipersilakan untuk menyumbang dengan mengimbas kod QR yang dipaparkan di layar. Inilah satu inisiatif yang kita usahakan dalam memenuhi konsep “Kedah Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti” di negeri kita yang tercinta ini. Semoga Allah memberkati kita semua sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. dalam satu hadis:
“Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat.”
55. Untuk makluman Yang Berhormat Tuan Speaker serta Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sehingga November 2023, seramai 506 pelajar telah menerima sumbangan dalam bentuk bantuan kewangan bagi urusan kemasukan ke universiti, pembelian komputer riba, pembelian buku-buku, peralatan teknikal kursus serta lain-lain bantuan berkaitan pendidikan tinggi daripada Tabung Tunku Mahmud. Bantuan keseluruhan yang telah disumbangkan sehingga November 2023 berjumlah hampir RM1 juta.
56. Diharap sumbangan kecil daripada tabung ini kepada anak-anak Negeri Kedah bakal mengubah nasib kehidupan keluarga yang susah yang juga akan merubah masa depan negeri selain menjadikan mereka generasi yang sedia untuk berbudi sebagai rahmat untuk negeri dan masyarakat kita pada masa akan datang.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Program Tanah Rakyat
57. Sebagaimana yang telah disaksikan di bawah pentadbiran ini, Kerajaan Negeri Kedah komited dalam memastikan rakyat negeri ini memiliki tanah sendiri terutamanya untuk tapak rumah atau lot kediaman dan tanah pertanian. Sepanjang usaha dilakukan dalam kita memenuhi iltizam ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 1,714 lot tanah pertanian kepada rakyat Negeri Kedah yang telah mengusahakan tanah kerajaan melibatkan keluasan 961.04 hektar. Jumlah pemberimilikan tanah secara keseluruhan sejak Mei 2020 adalah sebanyak 6,939 hak milik
58. Bagi meneruskan usaha yang telah memberi impak besar kepada rakyat Negeri Kedah, inisiatif Program Tanah Rakyat akan terus diberikan perhatian. Kita menyasarkan rakyat Negeri Kedah terutama warga miskin atau golongan asnaf untuk memiliki tanah sendiri, sekurang kurangnya tapak rumah. Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 15 lokasi tapak berpotensi untuk dijadikan perkampungan tersusun di seluruh Negeri Kedah melibatkan anggaran 939 plot kediaman dengan keluasan antara 3,500 hingga 4,000 kaki persegi yang bakal dinikmati oleh mereka yang berkelayakan.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Prestasi Pelaburan Negeri Kedah
59. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana Negeri Kedah sehingga hari ini terus jadi tumpuan pelabur terutama untuk pelaburan berimpak tinggi dari dalam dan luar negara. Kedah berjaya mengekalkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan bagi setengah tahun pertama 2023 dengan keseluruhan pelaburan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama (primer) diluluskan berjumlah RM14.6 bilion. Jumlah pelaburan yang diterima ini telah meletakkan Negeri Kedah di tangga ketiga teratas dalam senarai pelaburan negara selepas Kuala Lumpur dan Selangor.
60. Daripada nilai keseluruhan pelaburan tersebut, sebanyak RM11.88 bilion merupakan pelaburan asing (FDI) dan RM2.69 bilion pelaburan domestik (DDI). Pencapaian ini adalah indikator bahawa Negeri Kedah adalah sebuah negeri yang kompetitif serta berdaya saing bagi sektor pelaburan di peringkat nasional dan global. Pelaburan asing tertinggi adalah dari Jepun dengan nilai RM7.38 bilion diikuti China RM4.16 bilion, Singapura RM149.5 juta, Hong Kong RM104 juta dan Netherlands RM61.28 juta.
61. Keseluruhan pelaburan yang diluluskan ini bakal menjana 3,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Kedah dalam pelbagai bidang termasuk dalam segmen elektrikal & elektronik, petrokimia, mekanikal, dan lain-lain. Dengan pencapaian ini, Kerajaan Negeri Kedah telah berjaya melepasi sasaran pelaburan tahunan untuk kali ketiga berturut-turut sejak tahun 2021 yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 iaitu RM10 bilion setahun.
Ahli-ahli Yang Berhormat serta hadirin hadirat sekalian,
Permit Pembinaan Ekspres E10
62. Sebagaimana yang kita maklum, antara faktor utama kejayaan kita dalam sektor pelaburan ialah inovasi Permit Pembinaan Ekspres E10. Sesungguhnya, usaha ini amat kita banggakan yang mana Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) yang melaksanakan idea pemerkasaan ini telah berjaya memperolehi Tempat Kedua bagi Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AiPSA) 2023 pada 7 November 2023. Syabas diucapkan kepada Yang Dipertua dan semua warga MPKK di atas kejayaan ini. Anugerah AiPSA anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) adalah anugerah tertinggi yang diiktiraf dalam sektor awam. Dengan pengiktirafan ini akan melonjakkan lagi nama Negeri Kedah sebagai Negeri yang ‘Ease of Doing Business’ atau ‘Mesra Pelabur’ bagi memudahkan urusan pelabur masuk ke Negeri Kedah. Kita juga amat berbangga kerana atas kejayaan E10, MPKK kini telah menjadi model rujukan bagi semua PBT di seluruh negara.
Pelaburan di Kulim Hi-Tech Park
63. Kulim Hi-Tech Park (KHTP) terus menjadi tumpuan para pelabur dan hasilnya, 34,000 peluang pekerjaan telah dijana sejak kewujudan KHTP menerusi pelaburan terkumpul berjumlah RM134.1 bilion melibatkan 43 pelabur industri. Melihat kepada permintaan yang tinggi daripada pelabur, Kerajaan Negeri melalui Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) telah mengambil inisiatif melaksanakan pembesaran KHTP melalui Pembangunan Fasa 4A yang berkeluasan 250 ekar. Pembangunan Fasa 4A dijangka siap pada September 2025.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Pelaksanaan Inisiatif Bandar Pintar
64. Seiring dengan perkembangan teknologi semasa dan juga iltizam kerajaan untuk membawa kehidupan yang sejahtera kepada rakyat, Kerajaan Negeri bersiap sedia untuk melaksanakan sistem pengurusan perbandaran yang mengaplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang dikenali sebagai Bandar Pintar. Sistem Bandar Pintar akan diimplementasi dalam menangani isu-isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi, mewujudkan alam sekitar yang mampan dan selamat serta menggalakkan pengurusan bandar yang lebih cekap. Sasaran Bandar Pintar adalah untuk menyelesaikan isu dan cabaran perbandaran ke arah mencapai kestabilan tiga tonggak utama iaitu ekonomi yang berdaya saing, alam sekitar yang mampan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
65. Sebagai sebahagian daripada agenda Transformasi Digital Kedah, Pembangunan Bandar Pintar bagi PBT Negeri Kedah telah dilaksanakan secara berperingkat melalui beberapa inisiatif.
66. Yang terkini, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah berjaya mendapat Anugerah Penarafan Bandar Pintar Malaysia (Smart City Early Adopter) yang julung kali diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan melalui PLANMalaysia sempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia 2023 pada 9 November lalu di Putrajaya.
Rare Earth Element (REE)
69. Unsur Nadir Bumi atau Rare Earth Element (REE) adalah satu rezeki atau sumber ekonomi baharu yang dianugerahkan Allah SWT kepada rakyat Kedah. Untuk memastikan hasil baharu ini akan membawa manfaat sepenuhnya kepada rakyat, untuk tahun 2024, Pentadbiran Tanah Negeri Kedah telah merencanakan kutipan hasil daripada sudut Viability of Revenue Collection ataupun sumber hasil kerajaan yang paling berdaya maju untuk masa hadapan.
67. Atas kelulusan penerokaan unsur nadir bumi itu, Kerajaan Negeri Kedah merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memberi peluang Negeri Kedah dipilih sebagai projek perintis kedua selepas Perak. Pemilihan sebagai projek rintis ini meletakkan Kedah sebagai negeri yang berpotensi untuk melaksanakan perlombongan REE dengan anggaran oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebanyak 250,000 tan metrik berbanding keseluruhan rizab REE Negeri Kedah berjumlah 1.196 juta tan metrik. Angka ini merupakan penerokaan hasil baharu yang bakal diekstrak dalam tempoh masa 10 tahun akan datang. Kita mengharapkan agar potensi hasil yang akan membawa impak besar kepada ekonomi Negeri Kedah ini akan diuruskan dengan cekap, amanah dan adil untuk semua pihak terutama rakyat Negeri Kedah.
68. Sebelum itu, kesungguhan dan kesediaan Kerajaan Negeri Kedah dalam memperkasakan industri mineral khususnya REE diterjemahkan sebagai Dasar Negeri dan pindaan Peraturan Mineral. Antaranya, Kedah telahpun memasukkan kadar royalti sebanyak 15% bagi Karbonat REE sebagai satu kadar baharu yang bakal dikutip sekiranya REE menjadi bijih keberhasilan utama sektor perlombongan Negeri Kedah.
69. Harapan Kerajaan Negeri ialah menjelang pertengahan 2024, sektor ini akan mula menjana hasil berdasarkan satu kelulusan pengekstrakan yang telah diberikan sejak Ogos 2022.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
BAJET 2024
70. Berdasarkan kepada kedudukan kewangan semasa, kemampuan kutipan hasil negeri, keperluan perbelanjaan kerajaan dan keperluan serta kehendak rakyat, Bajet 2024 dirangka secara realistik dengan mengimbangi hasil dan perbelanjaan ke arah merealisasikan “Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”.
ANGGARAN HASIL TAHUN 2024
71. Kerajaan Negeri menganggarkan anggaran hasil berjumlah RM748 juta, peningkatan sebanyak RM13 juta atau 1.77% berbanding anggaran hasil pada tahun 2023. Daripada jumlah ini, penyumbang terbesar adalah daripada Hasil Cukai iaitu RM354.23 juta atau 47.36%, diikuti Hasil Bukan Cukai menyumbang 29.87% atau RM223.42 juta. Terimaan Bukan Hasil pula berjumlah RM170.35 juta atau 22.77%.
72. Pecahan hasil mengikut kategori kutipan adalah seperti berikut:
i. Hasil Tanah berjumlah RM501.03 juta ii. Pelbagai Hasil berjumlah RM203.55 juta iii. Hasil Hutan berjumlah RM30.34 juta iv. Hasil Daerah berjumlah RM13.08 juta
73. Kerajaan Negeri komited dalam memastikan anggaran hasil yang ditetapkan dalam anggaran dapat dicapai.
BAJET MENGURUS TAHUN 2024
74. Peruntukan Belanja Mengurus Tahun 2024, saya mohon mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus untuk Bajet 2024 berjumlah RM852.1 juta. Daripada jumlah ini, sebanyak RM100.39 juta diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
75. Di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan peruntukan adalah seperti berikut;
i. Perbelanjaan tanggungan sebanyak RM83.34 juta ii. Perbelanjaan perbekalan sebanyak RM768.76 juta
76. Anggaran perbelanjaan ini dijangka meningkat sebanyak RM12.98 juta atau 1.5% berbanding tahun 2023.
BAJET PEMBANGUNAN TAHUN 2024
Peruntukan Pembangunan Negeri
77. Saya mohon mencadangkan peruntukan bagi Kumpulan Wang Pembangunan Negeri berjumlah RM211.77 juta bagi tahun 2024.
Peruntukan Pembangunan Hutan
78. Bagi Kumpulan Wang Pembangunan Hutan Tahun 2024, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM14.75 juta - peningkatan sebanyak RM5.79 juta atau 64.6%. Peningkatan yang amat ketara ini adalah bagi menyokong bajet Kerajaan Persekutuan atas tujuan pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi memulih dan memelihara Sumber Biodiversiti Negeri Kedah.
Peruntukan Kumpulan Wang Bekalan Air
79. Saya juga mohon mencadangkan peruntukan sejumlah RM263.58 juta dimasukkan sebagai peruntukan di bawah Peruntukan Kumpulan Wang Perbelanjaan Bekalan Air. Daripada keseluruhan jumlah ini, RM262.3 juta adalah daripada Kumpulan Wang Pinjaman manakala RM1.28 juta adalah daripada sumber Kerajaan Negeri. Peruntukan daripada sumber Kerajaan Negeri ini adalah bagi maksud pengambilan tanah untuk dua projek bekalan air iaitu Projek Menambah Keupayaan Loji Rawatan Air Jenun Baru dan Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Sungai Limau. Kos pembinaan bagi kedua-dua projek ini dibiayai secara geran di bawah peruntukan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
Yang Berhormat Tuan Speaker,
80. Keseluruhan perbelanjaan Kerajaan Negeri melibatkan peruntukan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan adalah berjumlah RM1.241 bilion.
81. Mengambil kira anggaran hasil, perbelanjaan mengurus dan Kumpulan Wang Pembangunan, defisit tahun 2024 adalah dianggarkan sebanyak RM104.10 juta atau 13.92%.
STRATEGI, FOKUS DAN INISIATIF BAJET 2024
82. Kerajaan Negeri menetapkan tiga strategi utama dalam penyediaan bajet tahun 2024 dengan 12 fokus dan 50 Inisiatif untuk memastikan peruntukan yang diletakkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memenuhi mandat rakyat Negeri Kedah.
STRATEGI PERTAMA: MEMACU EKONOMI KE ARAH “THE GREATER KEDAH”
83. Bajet 2024 meletakkan pembangunan ekonomi ke arah “The Greater Kedah” sebagai strategi pertama dengan empat fokus:
i. Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan, ii. Pembangunan Ekonomi Rakyat dan Domestik, iii. Program Keterjaminan Makanan dan Industri Pertanian, iv. Jalinan Kerjasama Strategik Kerajaan dan Swasta.
FOKUS 1 - Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan
Pemantapan Rangkaian Infrastruktur Jalan untuk Meningkatkan Aksesibiliti dan Kemudahan Ke Kawasan Luar Bandar.
84. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM39.58 juta bagi kerja-kerja membina baharu serta menaiktaraf jalan dan jambatan. Terdapat 29 projek telah dikenal pasti antaranya Jalan Kota Sarang Semut - Pekan Pendang (K133), menggantikan Jambatan Sungai Getah KM 1.5, Jalan Sungai Lalang - Bukit Selambau (K152) Daerah Kuala Muda dan Jambatan Sungai Pendang, Jalan Tanah Merah - Tokai (K130) Daerah Pendang.
85. Peruntukan turut disediakan bagi bayaran akhir Projek Jalan Suka Menanti Daerah Kota Setar yang dijangka siap Disember 2023.
Pembangunan Kemudahan Sistem Pengairan dan Saliran Pertanian
86. Menyedari bahawa isu keterjaminan makanan perlu diuruskan secara lebih serius dan efektif, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 untuk meningkatkan bekalan makanan di bawah strategi kedua iaitu Memperkukuhkan Infrastruktur Dalam Sistem Makanan telah menetapkan supaya lebih banyak kawasan penanaman padi diwujudkan dan ditambah baik bagi meningkatkan hasil keluaran padi negara.
87. Sebagai Negeri Jelapang Padi yang menyumbang 43% daripada Bekalan Beras Negara, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.12 juta bagi tahun 2024 untuk meningkatkan infrastruktur pengairan dalam Kawasan Skim dan Luar Skim MADA. Kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur tersebut menumpukan kepada menambah kecekapan saluran air masuk ke bendang dengan menukar tali air tanah kepada tali air konkrit yang lebih kukuh dan terurus.
88. Pada masa ini, berlaku banyak kes kehilangan air pada tali air sedia ada yang menyalurkan air masuk ke kawasan bendang. Kerajaan Negeri terpaksa menampung kos pengepaman air yang tinggi berikutan kejadian tersebut. Sehubungan itu, tali air dan struktur yang terlibat perlu dinaiktaraf supaya para petani memperolehi air pada masa yang telah ditetapkan mengikut jadual pengairan. Dianggarkan sekurang- kurangnya 1,500 orang petani akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
89. Kerajaan Negeri turut menyediakan sejumlah RM23 juta secara keseluruhannya bagi kerja-kerja penyelenggaraan sungai dan tali air secara berkala kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di seluruh Negeri Kedah. Sejumlah RM1.2 juta turut disediakan bagi sistem mekanikal pengairan.
Pembangunan Projek Bekalan Air Bagi Menyokong Industri
90. Kerajaan Negeri akan terus komited bagi meneruskan agenda pembangunan bekalan air Negeri Kedah agar capaian dan perkhidmatan bekalan air terus ditambah baik untuk menampung keperluan bagi pembangunan domestik dan industri di Negeri Kedah.
91. Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri meneruskan pelaksanaan Projek Menaiktaraf LRA Pelubang, LRA Jenun Baru dan LRA Lubuk Buntar Lama di Bandar Baharu yang dijangka akan siap bermula tahun 2024 sehingga 2026. Selain itu, pelaksanaan mitigasi projek akan diteruskan bagi projek-projek yang sedikit perlahan agar projek dapat disiapkan dengan seberapa segera iaitu Projek Menaiktaraf LRA Bukit Selambau dan Projek Menaiktaraf LRA Sungai Limau di Daerah Baling.
92. Selain itu, Kerajaan Negeri telah menerima kelulusan Kementerian Kewangan bagi pembiayaan Projek Pembaikan Paip Dasar Laut Dari Tanah Besar ke Langkawi secara pinjaman bagi mengatasi isu kebocoran paip dasar laut yang mengakibatkan pembaziran air terawat sehingga 20MLD. Projek ini telah siap kerja- kerja survei dan dijangka akan dimulakan pada suku ketiga tahun 2024.
93. Manakala bagi Projek Meningkatkan Sistem Pengepaman Padang Matsirat, Langkawi sedang dalam fasa akhir pembinaan dan dijangka siap pada Disember 2023.
94. Peruntukan bagi membiayai kesemua projek bekalan air ini adalah berjumlah RM263.58 juta di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air Negeri Kedah.
95. Kerajaan juga akan terus komited memastikan pelaburan berimpak tinggi di Negeri Kedah dapat direalisasikan dengan melaksanakan pembangunan bekalan air yang komprehensif bagi menampung keperluan industri di Negeri Kedah. Dalam perkara ini Kerajaan Negeri melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan melaksanakan;
i. Projek Pembinaan LRA Sidam Kiri Fasa 1 berkapasiti 200MLD ii. Projek Pembinaan LRA Sungai Karangan berkapasiti 150MLD
96. Kedua-dua projek ini telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan akan dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman SADA daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Kerja-kerja awalan projek ini telah dimulakan dan pembinaan dijangka akan bermula pada tahun 2028.
97. Kerajaan Negeri turut prihatin akan aduan rakyat mengenai masalah tekanan air rendah dan bekalan air yang tidak stabil di beberapa kawasan yang berpunca daripada kebocoran paip yang telah lama dan uzur. Justeru, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan Program Pengurangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) secara holistik berasaskan prestasi di Negeri Kedah dengan kos RM967.4 juta bagi tempoh 15 tahun dengan sasaran pengurangan kadar NRW sebanyak 1% bagi setiap tahun. Projek ini sedang dilaksanakan dan telah bermula pada 1 Januari 2023.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
FOKUS 2 - Pembangunan Ekonomi Rakyat dan Domestik
Promosi Tahun Melawat Kedah 2025
98. Sebagai persediaan ke arah penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Negeri Kedah mengambil langkah ke hadapan dengan menganjurkan Tahun Melawat Kedah 2025.
99. Majlis pelancaran Logo, Slogan dan Video Promosi Tahun Melawat Kedah 2025 akan diadakan pada awal tahun 2024 untuk meningkatkan promosi menerusi jalinan strategik bersama media arus perdana dan juga media sosial bagi mendapatkan pasaran domestik dan juga antarabangsa.
100. Kerajaan Negeri juga amat mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan lagi daya tarikan pelancong ke Negeri Kedah di mata dunia. Aktiviti pengiklanan akan diperluaskan dengan pembangunan laman web dan aplikasi Visit Kedah 2025 bagi memastikan Negeri Kedah dikenali sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan warisan, khazanah alam seperti pantai, gunung, desa dengan kepelbagaian flora dan fauna.
101. Konsep Geotourism melalui Program Jejak Geopark yang melibatkan Geopark Global UNESCO Langkawi dan Jerai Geopark akan dipromosikan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri untuk mengetengahkan kekayaan khazanah geologi, biodiversiti dan arkeologi yang menjadi keunikan alam semulajadi dan budaya yang ada di Negeri Kedah.
102. Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi tujuan program dan promosi pelancongan untuk persediaan menyambut pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2025. Peruntukan RM1 juta turut disediakan untuk projek pembangunan, kerja baik pulih dan naiktaraf kemudahan pelancongan.
103. Peruntukan turut disediakan dalam bentuk geran kepada usahawan pelancongan untuk mempromosikan Negeri Kedah sebagai destinasi pelancongan pilihan pelancong tempatan dan luar negara. Untuk ini, sejumlah RM300,000 disediakan.
Geran dan Pinjaman Mudah Mikro Kredit
104. Kerajaan Negeri masih meneruskan usaha untuk membangunkan usahawan dengan memperuntukan sejumlah RM1 juta melalui Sistem Pinjaman Mikro-Kredit Sejahtera di bawah Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK).
105. Bagi usahawan yang telah berjaya melonjakkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi, bantuan dari segi peluang pasaran akan disediakan oleh pihak UPUK dari segi penyertaan ke program, pameran, ekspo dan showcase di peringkat global serta kebangsaan di dalam dan luar negara seperti:
i. Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) ii. Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) iii. Malaysia Halal Festival (HALFEST) iv. Halal Expo Indonesia (HEI)
Program Pembangunan Usahawan Muda dan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera
106. Sejumlah RM1.5 juta disediakan untuk Program Pembangunan Usahawan Muda Negeri Kedah selain Pinjaman Skim Mikro Kredit yang disediakan di bawah UPUK. Program Pembangunan Usahawan Muda ini akan menyediakan peruntukan dalam bentuk geran pembangunan, modal awalan, kemudahan platfom jualan atas talian dan kursus pembangunan usahawan. Daripada jumlah ini, sejumlah RM500,000 dikhaskan kepada usahawanita yang dikenali dengan Program Tabung Usahawan Wanita Sejahtera.
Pembangunan Kemudahan Tapak Niaga
107. Sejumlah RM1.2 juta disediakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negeri Kedah untuk membaik pulih dan menaiktaraf ruang dan tapak niaga.
FOKUS 3 - Program Keterjaminan Makanan dan Industri Pertanian Pembangunan
Program Peningkatan Hasil Tanaman Padi (Luar Jelapang), Pembangunan Industri Ternakan dan Pembangunan Industri Tanaman Ladang dan Buah-Buahan
108. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri memastikan pengeluaran sumber makanan adalah terjamin. Jumlah keseluruhan peruntukan untuk program keterjaminan makanan dan industri pertanian adalah berjumlah RM9.52 juta meliputi projek peningkatan hasil tanaman padi (luar jelapang) yang memfokuskan kepada tanaman padi 5 kali 2 tahun, pembangunan industri ternakan, industri tanaman ladang dan buah-buahan.
109. Bergerak dengan kemajuan teknologi, industri pertanian dan ternakan, menggalakkan promosi serta penggunaan teknologi baru seperti input terkini, Internet of Things (IoT), Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM - Intergrated Pest Management) dan Pembangunan Usahawan Padi (FFS - Farmer Free School). Dijangkakan dengan penggunaan teknologi baru ini, peningkatan pendapatan pengusaha dapat meningkat sebanyak 25% berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pembangunan Produk Organik, Khidmat Teknikal dan Pembangunan Usahawan Tani
110. Elemen sokongan selain sektor pertanian utama seperti padi, buah-buahan dan penternakan adalah melibatkan pembangunan produk organik dan khidmat sokongan kepada usahawan pertanian. Sejumlah RM2.6 juta disediakan meliputi peruntukan untuk pembangunan kompetensi, penyelidikan dan bimbingan usahawan ke arah persijilan MyGAP, Halal, MESTI, GMP dan lain-lain persijilan.
FOKUS 4 - Jalinan Kerjasama Strategik Kerajaan dan Swasta
Program Promosi Pelaburan oleh Invest Kedah Bhd.
111. Sejumlah RM3 juta disediakan untuk pengurusan dan program pelaburan oleh Invest Kedah Berhad dalam mempertingkatkan dan menarik lebih banyak lagi pelaburan luar ke Negeri Kedah.
STRATEGI KEDUA:
KEDAH SEJAHTERA NIKMAT UNTUK SEMUA
112. Strategi Kedua Bajet 2024 menetapkan enam fokus utama meliputi Program Kedah Sejahtera, Pendidikan Agama dan Sosial, Perumahan Untuk Rakyat, Belia dan Sukan dan Kelestarian Alam Sekitar. Keseluruhan peruntukan bagi strategi kedua ini berjumlah RM190.88 juta.
Limbai-limbai naik ke lampau, Anak raja datang bersembah; Kalau sudah budi terlampau, Undi tak berkurang malah bertambah.
Enak sungguh buah kelubi, Mari dibungkus dengan kertas; Pandai sungguh Kak Tun berbudi, Garam tak masin, lada pun tak pedas
FOKUS 5 - Negeri Sejahtera Nikmat Untuk Semua
Bantuan Kepada Golongan Memerlukan
113. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarat Negeri Kedah memperuntukan sejumlah RM25.8 juta kepada golongan memerlukan di bawah Bantuan Am kepada mereka yang layak. Penerima bantuan terkini layak menerima bantuan minimum RM100 sehingga maksimum RM600. Terkini penerima manfaat bantuan ini adalah seramai 5,700 orang setiap bulan.
Pembangunan Prasarana dan Kemudahan Ameniti untuk Rakyat
114. Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri disediakan sejumlah RM200,000 bagi tujuan Pembangunan Prasarana Dan Kemudahan Ameniti Untuk Rakyat yang akan dilaksanakan melalui Pejabat-pejabat Daerah dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM7.2 juta.
Program Bantuan Beras Sejahtera selari dengan Matlamat 1, 2 dan 3 SDG
115. Kerajaan Negeri mendengar keluh kesah rakyat yang sering membangkitkan tentang kenaikan harga barang keperluan harian. Untuk itu, Kerajaan meneruskan Program Bantuan Beras Sejahtera yang telah dimulakan pada tahun 2020. Pertambahan peruntukan sejumlah RM1.03 juta bagi maksud ini telah diluluskan. Keseluruhan peruntukan untuk Bantuan Beras Sejahtera berjumlah RM4.23 juta dan Insya Allah akan dapat menyediakan lebih 84,000 bantuan sepanjang tahun 2024.
116. Cakna dengan keperluan dan kehendak rakyat, Kerajaan Negeri masih meneruskan pelbagai bantuan di bawah Program Bantuan Kedah Sejahtera seperti tahun sebelum ini:
i. iKafalah Bantuan Khairat Kematian ditambah RM500,000 kepada RM3.5 juta dengan bantuan RM500 setiap kematian kepada mereka yang layak. ii. Bantuan Pesakit Terlantar diperuntukkan sejumlah RM4 juta.
iii. Anakku Sejahtera disediakan RM500,000. iv. Peruntukan Desa Sejahtera untuk pelaksanaan program bersama komuniti berjumlah RM1.8 juta. v. Bantuan Peralatan Perubatan kepada pesakit miskin disediakan sebanyak RM500,000. vi. Program Pembangunan Modal Insan diperuntukkan sejumlah RM300,000. vii. Peruntukan bantuan bencana telah diperuntukan RM1 juta.
FOKUS 6 – Pendidikan
Peruntukan kepada Institusi Pendidikan Negeri
117. Selaras dengan kepentingan ilmu pengetahuan untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat, agenda pendidikan terus menjadi antara agenda keutamaan Kerajaan Negeri.
118. Sejak tahun 2016, Mahaad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) telah berjaya melahirkan 350 orang pelajar huffaz 30 juzuk. Manakala, Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) pula telah melahirkan seramai 618 pelajar huffaz. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri bagi menambahkan lagi bilangan anak-anak Kedah yang berkemahiran dalam bidang Al-Quran dan Qiraat serta melahirkan insan yang seimbang dunia dan akhirat.
119. Sejumlah RM81.9 juta disediakan bagi maksud ini. Peruntukan kepada Institusi Pendidikan Islam diteruskan seperti berikut, Lembaga Maktab Mahmud diperuntukkan sejumlah RM28 juta, UniSHAMS sebanyak RM7 juta dan IQDAR sebanyak RM2 juta.
Pembinaan Bangunan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman
120. Projek pembinaan bangunan tambahan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman yang mengandungi satu blok pentadbiran dan akademik serta satu blok asrama puteri tiga tingkat telah bermula pada Ogos 2022. Pelaksanaan projek adalah mengikut jadual dan dijangka siap pada Ogos 2024. Kemudahan fasiliti ini akan menempatkan 125 orang pelajar puteri di asrama yang bakal disiapkan nanti. Baki peruntukan sejumlah RM15 juta disediakan tahun 2024 untuk maksud ini.
Bantuan Sekolah Agama dan Pendidikan Tadika Islam Negeri
121. Program bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) diteruskan pada tahun 2024 dengan pertambahan peruntukan sebanyak RM500,000 menjadikan keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.5 juta berbanding RM1 juta tahun 2023.
122. Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dibawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bagi bayaran emolumen guru lantikan negeri dan program-program di sekolah berjumlah RM11.9 juta.
123. Peruntukan untuk Tadika Islam dibawah Kerajaan Negeri disediakan sebanyak RM7 juta untuk pembayaran emolumen, pengurusan dan program. Kerja-kerja menaiktaraf dan pembaikan Tadika Islam turut disediakan dibawah peruntukan pembangunan JHEAIK.
124. Dalam memastikan Tadika Islam dibawah pengurusan Kerajaan Negeri selesa dan setanding kemudahan pendidikan pra sekolah yang lain, peruntukan untuk Membina Bangunan Baru Tadika Islam Di Masjid Al Barakah, Felda Lubuk Merbau, Daerah Padang Terap turut diluluskan. Peruntukan bagi kerja membina baru, menaiktaraf dan pembaikan adalah berjumlah RM700,000.
125. Peruntukan Kerajaan Negeri untuk KAFA adalah berjumlah RM6 juta meliputi bayaran untuk guru KAFA seramai 3,260 orang berjumlah RM5.8 juta setahun dan peruntukan untuk pembaikan kelas-kelas KAFA terpilih turut disediakan berjumlah RM200,000.
Peruntukan Biasiswa, Pinjaman Pendidikan dan Bantuan kemasukan ke IPT
126. Permohonan bantuan pendidikan disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada anak Negeri Kedah yang layak. Kedua-dua bentuk bantuan ini iaitu Pinjaman Pendidikan dan Bantuan Awal kemasukan ke IPT (iBAKIPT) boleh dipohon secara atas talian. Keseluruhan peruntukan yang disediakan untuk maksud ini adalah berjumlah RM1.8 juta masing-masing RM800,000 untuk pinjaman Pendidikan dan RM1 juta untuk Bantuan Awal Kemasukan ke IPT.
FOKUS 7 - Agama dan Sosial
Masjid dan Surau
127. Peruntukan bagi penyelenggaraan masjid dan surau disediakan sejumlah RM4 juta. Peruntukan juga disediakan untuk pembinaan dua buah surau baru iaitu pembinaan baru Surau Nurul Al Huda, Kampung Ulu Mahang, Daerah Kulim dan pembinaan Surau Kampung Batu 14, Jalan Kuala Nerang, Gajah Mati, Daerah Pokok Senayang diperuntukkan sejumlah RM700,000.
Perhubungan Kaum
128. Jalinan kerjasama antara kaum sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda sosial negeri dengan keseluruhan peruntukan disediakan berjumlah RM840,000. RM540,000 disediakan untuk aktiviti dan program kaum dan RM300,000 diperuntukkan untuk bantuan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil terpilih.
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah dan Lembaga Muzium Negeri Kedah
129. Pemberian dalam bentuk bantuan mengurus kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah adalah sebanyak RM6.3 juta untuk tahun 2024.
130. Kerajaan Negeri telah membuat pembaikan dan kerja naiktaraf Muzium Padi dengan peruntukan berjumlah RM3 juta dan telah siap pada November 2023. Kerja-kerja naiktaraf ini telah memberikan keselesaan kepada pengunjung dan diharap dapat menjadi destinasi pilihan dalam Tahun Melawat Kedah 2025. Untuk Bajet 2024, peruntukan pemberian kepada Lembaga Muzium Negeri Kedah adalah RM3 juta dan RM500,000 diperuntukkan untuk kerja-kerja baikpulih dan naiktaraf bangunan Muzium Negeri.
FOKUS 8 - Perumahan Untuk Rakyat selari dengan SDG 11
Pembaikan Rumah Orang Miskin
131. Kediaman yang selesa dan kondusif adalah keperluan asas dalam sesebuah keluarga. Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, telah disediakan peruntukan berjumlah RM6.2 juta bagi program pembaikan rumah orang miskin. Had siling pembaikan turut dinaikkan daripada maksimum RM17,000 kepada RM20,000 sebuah rumah.
Pembaikan dan Penyelenggaraan Perumahan Awam
132. Bagi menyediakan perumahan awam yang selesa dan selamat kepada rakyat, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM2.5 juta untuk pembaikan dan penyelenggaraan berkala perumahan awam.
133. Memenuhi salah satu daripada 17 Tawaran Kerajaan berkaitan kediaman mampu milik, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan sejumlah RM1 juta untuk tempoh dua tahun bermula 2023 bagi Program Pemberian Hak Milik (Geran Tanah) Taman Kota Nelayan Kuala Kedah. Peruntukan yang disediakan ini dapat menyelesaikan isu pemberimilikan (Geran Tanah) yang tertangguh sejak dari tahun 2003.
FOKUS 9 - Belia dan Sukan
Program Pembangunan Sukan Dan Pembaikan Prasarana Sukan
134. Sejumlah RM10 juta disediakan dibawah Majlis Sukan Negeri Kedah bagi peruntukan pengurusan, pembangunan atlet dan penyertaan SUKMA 2024 di Sarawak. Kerajaan Negeri berharap peruntukan yang diluluskan akan melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia seperti Muhamad Aznil bin Bidin (Atlet Angkat Berat), Pearly Tan (Atlet Badminton Kebangsaan), Sivasangari A/P Subramaniam dan Aifa binti Azman yang cemerlang dalam sukan Skuasy yang telah memenangi pingat emas ketika mewakili negara ke Temasya Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China dan Sukan Komanwel.
135. Kerja-kerja menaiktaraf dan membaikpulih Stadium Darul Aman meliputi kerja-kerja pencahayaan lampu stadium dan baikpulih trek larian diperuntukkan RM4 juta. Selain itu, peruntukan turut disediakan bagi penambahbaikan, naiktaraf, dan penyelenggaraan prasarana sukan seluruh Negeri Kedah berjumlah RM1.48 juta menjadikan keseluruhan peruntukan kemudahan prasarana sukan berjumlah RM5.48 juta.
FOKUS 10 - Kelestarian Alam Sekitar
Peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) Jabatan Perhutanan Negeri Kedah
136. Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah diperuntukkan sejumlah RM13.93 juta dibawah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan. Daripada jumlah ini RM10.4 juta adalah meliputi peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT).
Program-program EFT adalah melibatkan pengurusan sumber hutan, pembangunan dan pemuliharaan hutan simpan, operasi risikan dan penguatkuasaan.
Peruntukan Tebatan Banjir, Pemeliharaan dan Pemuliharaan Sungai, Hakisan Pantai dan Sistem Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah
137. Di Negeri Kedah terdapat 784 batang sungai yang telah diwartakan dibawah Seksyen 13 Kanun Tanah Negara (Akta 56 Tahun 1965), sungai-sungai ini diwartakan bagi memastikan kewujudannya bagi menjamin kelestarian alam sekitar.
138. Terdapat 259 kawasan ‘hotspot’ banjir atau pun kawasan mudah banjir di Negeri Kedah. Kerajaan juga melalui JPS akan melaksanakan kajian saliran dan seterusnya merancang projek-projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan yang telah ditetapkan. Sejumlah RM4.1 juta disediakan dibawah JPS untuk Program Tebatan Banjir.
139. Selain daripada itu, peruntukan berjumlah RM4.29 juta disediakan bagi projek Pemeliharaan dan Pemuliharaan Sungai, Hakisan Pantai, Sistem Hidrologi dan Pemantauan Alam Sekitar.
STRATEGI KETIGA:
PENTADBIRAN DAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN (G.R.E.A.T – GOOD GOVERNANCE, RESPONSIBLE, EMPATHY, ACCOUNTABLE AND TENACITY OF PURPOSE) SELARI DENGAN SDG 16
140. Kini tiba masanya untuk menampilkan 'THE G.R.E.A.T KEDAH CIVIL SERVICE' dalam perkhidmatan awam dengan berteraskan kepada nilai individu dan organisasi, demi Kedah yang lebih baik.
141. Akronim G.R.E.A.T yang bermaksud 'Good Governance' (Tadbir Urus Terbaik), 'Responsible'(Bertanggungjawab),'Empathy'(Ihsan),'Accountable'(Kebertanggungjawab an) dan 'Tenacity of Purpose' (Fokus pada Matlamat) adalah membawa mesej jelas bahawa tadbir urus yang dilaksanakan oleh penjawat awam perlu dipandu melalui peraturan dan prosedur yang digubal dengan mengambil kira nasihat pemegang taruh (stakeholder).
142. Kerajaan bertanggungjawab terhadap kemaslahatan rakyat, dan kebertanggungjawaban harus digalas oleh penjawat awam yang diberikan amanah kerana amanah datang bersama tanggungjawab.
143. Penjawat awam harus bersungguh - sungguh melaksanakan tugas dengan memusatkan fikiran bahawa kegagalan kita menyempurnakan tugas akan menyebabkan matlamat akhir juga akan gagal. Ayuh! Sama-sama kita menggembleng tenaga, berdaya tahan, berdaya juang dan utuh sama ada fizikal dan mental demi mencapai gagasan ‘The Greater Kedah’.
FOKUS 11 - Mengutamakan Agenda Perkhidmatan Digital Perkhidmatan Kemudahan Internet Berkelajuan Tinggi dan Kemudahan ICT Jabatan
144. Mulai tahun 2023, Kerajaan telah mula melaksanakan Program Perkhidmatan Kemudahan Internet Berkelajuan Tinggi di jabatan- jabatan Negeri. Program Metro-E merupakan perkhidmatan terurus yang menyediakan kemudahan internet berkelajuan tinggi (30Mbps dan ke atas) kepada premis Jabatan dan Agensi Negeri yang tiada kemudahan liputan internet fiber bagi menyokong sistem pendigitalan perkhidmatan. Kemudahan ini telah disediakan kepada lebih 66 pejabat dan cawangan jabatan seluruh Negeri Kedah. Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM2.4 juta bagi perkhidmatan ini.
Peluasan Kemudahan Prasarana KedahNet dan Data Recovery Centre Negeri Kedah
145. Cabaran mengurus data Kerajaan Negeri di Pusat Data perlu diperkukuhkan keupayaan dari semua aspek meliputi perkakasan, rangkaian dan keselamatan ICT di Pusat Data Negeri (DRC). Peruntukan berjumlah RM1.73 juta disediakan bagi maksud ini. Diharapkan peruntukan yang diluluskan ini dapat memberi nilai tambah dari sudut pengendalian serta operasi peralatan ICT, aspek keselamatan fizikal, bekalan kuasa yang mencukupi dan stabil agar dapat memberi impak kepada persekitaran pusat data yang lebih efisien dalam mengekalkan integriti data negeri.
Inisiatif Data Raya Kerajaan Negeri Kedah
146. Kerajaan Negeri Kedah telah melaksanakan inisiatif Data Raya (Big Data) bagi memperkukuhkan pengurusan dan penyelarasan bantuan rakyat Negeri Kedah. Program ini bermula dengan pelaksanaan inisiatif KedahCare yang dilancarkan pada tahun 2021 bagi mendapatkan data rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
147. Data-data pemohon bantuan dan penyumbang bantuan direkodkan secara atas talian dan telah dimanfaatkan untuk mempercepatkan proses pengurusan di peringkat Jabatan dan Agensi Negeri yang terlibat.
148. Kemudahan semak silang (CrossCheck) meliputi bantuan merentasi pelbagai Jabatan dan Agensi, bantuan secara masa nyata (real-time) di peringkat Negeri dan Persekutuan turut dibangunkan dalam projek pembangunan sistem KedahGDX atau iBantuan.
149. KedahGDX atau iBantuan berpotensi untuk mempercepatkan proses membuat keputusan bagi pengurusan bantuan di peringkat Jabatan dan Agensi bertanggungjawab.
150. Kerajaan Negeri akan turut memanfaatkan teknologi Geographical Information System (GIS) dan data raya merentasi pelbagai jabatan untuk pembangunan sistem GIS Pengurusan Bencana Negeri Kedah. Pengurusan bencana dan penyelarasan bantuan kepada rakyat di Negeri Kedah akan menjadi antara focus keutamaan dalam merealisasikan visi Pelan Kedah 2035 iaitu “Kedah Sejahtera & Berdaya Huni”.
Pelan Penggantian Peralatan ICT
151. Mempelopori persekitaran VDI (Virtual Desktop Infrastructure) ke arah pembudayaan “kerja di mana-mana” yang lebih fleksibel dan selamat. Sejumlah RM1.5 juta disediakan bagi Pelan Penggantian Peralatan ICT melibatkan penggantian peralatan elektronik seperti komputer, pencetak, komputer riba, server dan lain-lain peralatan ICT.
Pembangunan Sistem dan Aplikasi
152. Kerajaan Negeri Kedah telah mula menetapkan dasar supaya semua terimaan hasil Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 2023 adalah secara tanpa tunai dengan sepenuhnya.
153. Mengembangkan fungsi sediada sistem iBAYAQ, pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri Kedah akan memperkenalkan aplikasi iBAYAQ bagi memudahkan pengguna membuat bayaran di telefon masing-masing dan sebagai alternatif medium pembayaran yang lain kepada pengguna.
154. Pengguna boleh memuat turun aplikasi iBAYAQ tersebut di telefon masing-masing. Inisiatif ini secara tidak langsung merupakan satu pendekatan baharu penyampaian perkhidmatan awam berpaksikan rakyat yang membantu memudahkan rakyat hanya dengan satu klik sahaja untuk pembayaran dari peranti telefon. Sejumlah RM1 juta telah disediakan bagi meneruskan pembangunan sistem ini.
FOKUS 12 - Memperkukuh dan Memperkemaskan Tadbir Urus Pentadbiran Awam Negeri
Memperkemaskan Pentadbiran Awam Negeri
155. Bagi meningkatkan kecekapan dan melancarkan proses kerja jabatan, kemudahan peralatan kerja perlu dilengkapkan dan diganti dengan peralatan terkini. Kerajaan Negeri menyediakan RM15 juta kepada pelbagai jabatan negeri bagi pembelian aset dan peralatan kerja melibatkan pembelian alat ukur, kenderaan, jentera, kelengkapan pejabat dan lain-lain aset bernilai kecil.
Naiktaraf dan Pembaikan Aset Milik Kerajaan Negeri
156. Kerajaan Negeri telah menetapkan polisi supaya semua bangunan kerajaan diselenggara dan dinaiktaraf bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Peruntukan bagi kerja-kerja menaiktaraf bangunan dan fasiliti jabatan-jabatan negeri disediakan sebanyak RM34.50 juta.
Memperkasa Institusi Majlis Ketua Kampung (MKK)
157. Peranan penting yang dimainkan oleh Majlis Ketua Kampung (MKK) di peringkat akar umbi akan terus diiktiraf. MKK merupakan penghubung antara rakyat dan pentadbiran Kerajaan. Untuk meluaskan fungsi dan peranan MKK, bilangan ditambah menjadikan keseluruhan bilangan kepada 1,240 Majlis Ketua Kampung daripada 1,025 Majlis Ketua Kampung sedia ada.
158. Kerajaan Negeri terus komited menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM13.3 juta bagi tujuan bayaran elaun MKK dan aktiviti MKK di seluruh Negeri Kedah. Pertambahan ini melibatkan lantikan 1,240 Majlis Ketua Kampung termasuk di Kampung- Kampung Baru.
Pemerkasaan Institusi Penghulu
159. Institusi penghulu di negeri ini amat besar peranannya dalam mendekatkan rakyat dengan Kerajaan melalui penyampaian pelbagai maklumat dan ia juga merupakan penghubung urusan wakil rakyat dengan masyarakat setempat.
160. Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM1.3 juta bagi membina baru sebanyak empat buah pejabat penghulu di:
i. Mukim Sungai Batu, Daerah Bandar Baharu ii. Mukim Temin, Daerah Kubang Pasu iii. Mukim Batang Tunggang Kanan, Daerah Padang Terap iv. Mukim Sidam Kiri, Daerah Kuala Muda
161. Supaya tidak ketinggalan dengan teknologi terkini, setiap pejabat penghulu diperkemaskan fungsi dan peranan dengan kemudahan Voice over Internet Protocol (VoIP) melalui aplikasi time voice yang disediakan oleh Bahagian Teknologi Maklumat. Dengan kemudahan ini, penghulu-penghulu boleh dihubungi pada bila-bila masa menggunakan peranti telefon mudah alih.
Memperkasa Tadbir Urus Pentadbiran Awam Negeri Kedah
162. Keseluruhan peruntukan bagi tanggungan dan belanja operasi pentadbiran awam bagi melahirkan The GREAT Civil Service ini melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM461 juta. Peruntukan ini melibatkan pembayaran emolumen, program-program kerajaan, perkhidmatan dan bekalan, ganjaran dan pencen ADUN, bil rawatan sakit dan lain-lain perbelanjaan.
Penghargaan dan Kebajikan Penjawat Awam Negeri
163. Penjawat awam negeri dan anggota pentadbiran negeri adalah merupakan tulang belakang sesebuah pentadbiran Kerajaan. Kerajaan Negeri amat menghargai dedikasi dan komitmen tidak berbelah bagi kakitangan awam dan pentadbiran negeri dalam menyokong dan melaksanakan setiap dasar, program dan projek yang dirancang demi mensejahterakan Negeri Kedah.
164. Kerajaan Negeri menghargai pengorbanan dan sumbangan kakitangan awam Negeri Kedah. Sehubungan dengan itu, sejumlah RM2,000 telah dipersetujui untuk diberi sebagai bantuan khas kewangan kepada kakitangan awam negeri dan anggota pentadbiran negeri melibatkan peruntukan berjumlah RM10.8 juta. Pembayaran bagi bantuan khas kewangan ini akan dibuat sebahagiannya pada Disember 2023 dan bakinya pada Mac 2024.
Bantuan Khas One-Off
165. Bantuan Khas One-Off juga akan diberikan kepada Imam lantikan Negeri, Pengerusi Majlis Ketua Kampung dan Setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) pada Mac 2024 sebagai bantuan Hari Raya. Kadar bantuan khas one-off ini akan ditentukan kelak.
166. Ke arah mencapai The Greater Kedah, kita tidak boleh melupakan asas mensejahterakan rakyat selaras slogan “Kedah Negeri Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti” Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama dari semua pihak dan sentiasa berusaha untuk menggembleng tenaga dan kudrat untuk menyumbang pandangan dan idea serta gerak kerja memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.
Indah jambangan bersulam ranting, Bunganya lebat di dalam bakul, Yang ringan sama-sama kita jinjing, Yang berat sama-samalah kita pikul,
Sungguh indah kayu dipahat, Burung puyuh di atas dahan, Hendak selamat dunia dan akhirat, Jaga mandat rakyat, tunaikan perintah Tuhan
Sekian. Saya mohon mencadangkan.