Kedah · 4 March 2024

15th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 11 turns · 2,658 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Juruacara

Ahli-Ahli Yang Berhormat serta hadirin sekalian, mengumumkan ketibaan Yang Berhormat Dato’ Speaker Dewan Undangan Negeri masuk ke Dewan Mesyuarat. Semua dipohon berdiri.

Speaker

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. Dipersilakan, Tuan Setiausaha untuk bacaan doa.

Setiausaha Dewan

Bacaan Doa.

Speaker

Sukacita saya maklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah memberi perkenan untuk menyampaikan Titah Ucapan sempena Perasmian Pembukaan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama.

Sekarang, saya pohon meninggalkan majlis untuk mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah serta Kerabat-Kerabat Diraja yang lain ke majlis ini”.

(Yang Berhormat Dato’ Speaker dan rombongan keluar menjemput KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah serta Kerabat-Kerabat DiRaja yang lain masuk ke dalam Dewan)

Juruacara

Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian dipohon berdiri. Mengumumkan keberangkatan masuk KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah ke Dewan Mesyuarat diiringi bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Puan Mahkota Kedah.

(KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah dan Kerabat-Kerabat DiRaja bersemayam)

Juruacara

Semua dipersilakan duduk. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun. Ahli-Ahli Yang Berhormat serta hadirin sekalian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah perkenan menyampaikan Titah Ucapan Perasmian. Dipersilakan YAB. Menteri Besar Kedah untuk mempersembahkan Titah DiRaja ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.

(Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar akan persembahkan Naskah Titah Ucapan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah bertitah sambil bersemayam)

I. Titah Ucapan Perasmian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Sempena Perasmian Pembukaan Mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri Wisma Darul Aman Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Pada 04 Mac 2024.Address / budget

Juruacara

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Syukur ke hadrat Allah S.W.T dengan limpah kurniaNya, Beta dan Tuanku Sultanah dapat berangkat hadir ke Majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 pada pagi ini.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, penghulu segala Nabi dan Rasul. Semoga Allah S.W.T merahmati kerabat serta para sahabat Baginda.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah serta Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian di atas kejayaan pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.

Sekalung tahniah turut diucapkan kepada Yang Berhormat Encik Zubir bin Ahmad di atas pelantikan sebagai Speaker dan Yang Berhormat Encik Abdul Razak bin Khamis sebagai Timbalan Speaker.

Di atas bahu Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian diletakkan harapan besar untuk membela, membangun dan menjaga hak negeri.

Sebagai titah diraja sulung untuk penggal pemerintahan Kerajaan Negeri yang baharu, maka Beta selaku Raja Pemerintah bertanggungjawab meletakkan batu asas di tempat yang betul.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Peranan hakiki Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Dewan ini adalah sebagai penggubal undang-undang.

Kuasa Dewan ini dalam menggubal undang-undang adalah meliputi perkara yang termaktub dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai tambahan menurut Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, Dewan ini juga berkuasa untuk menggubal undang-undang bagi segala perkara yang tidak dinyatakan secara satu persatu di bawah mana-mana senarai dalam Jadual Kesembilan.

Oleh yang demikian, asas ini perlu difahami oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, agar tidak menyimpang daripada matlamat asal.

Untuk menjadi seorang penggubal undang-undang yang berwibawa, Ahli-ahli Yang Berhormat harus turun padang menyelami masalah rakyat dan terbuka mendengar pandangan semua pihak.

Sebagaimana yang pernah dinasihatkan oleh Baron De Montesquieu, seorang ahli falsafah demokrasi berbangsa Perancis;

“To become truly great, one has to stand with people, not above them”

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Tiada satu kerajaan yang terlepas daripada cabaran, konflik dan rintangan.

Mengenang kembali 15 tahun pemerintahan Paduka Ayahanda Almarhum Sultan Badlishah sebagai raja pemerintah, negeri berhadapan desakan politik dan ancaman keselamatan yang berat. Daripada penjajahan Jepun, ancaman komunis hingga paksaan menerima Malayan Union.

Namun, dengan ketegasan Almarhum Paduka Ayahanda, kesepakatan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan kebersamaan rakyat, Negeri Kedah kekal berdiri hingga ke hari ini.

Beta percaya pengalaman yang ditempuh telah membina kekuatan dan membuka mata kita untuk bersatu mempertahankan hak-hak negeri. Fasa menentang penjajah luar sudah berlalu, kini adalah fasa negeri untuk berdikari dan bersedia ke arah berkemampuan mengharungi apa jua keadaan politik dan iklim ekonomi yang menimpa.

Oleh yang demikian, seluruh aspek berkepentingan kepada negeri meliputi pembangunan ekonomi, sosial, hasil bumi, kekuatan fiskal, tadbir urus, perundangan dan kehakiman negeri, serta kerjasama strategik dan perancangan geopolitik, harus diperkasakan.

Sebagai asas perancangan, Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH 2035) yang sedang dilaksanakan harus diteruskan. Ciri dinamik yang diterapkan dalam KEDAH 2035, perlu diguna untuk disesuaikan dengan keperluan pembangunan baharu ke arah mencapai The Greater Kedah. Bagi menjayakan agenda yang dirancang, penjawat awam harus berfikiran positif dan progresif, bukan terlalu selesa dengan amalan kelaziman.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Matlamat penubuhan Negara Persekutuan, selain bagi membolehkan negeri-negeri secara bersama mengharungi cabaran geopolitik, adalah untuk membangunkan ekonomi melalui prinsip perkongsian sumber secara adil.

Bagi memastikan Persekutuan Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berfungsi dengan baik, perbezaan politik perlu diraikan. Manakala, perseteruan politik perlu dihadkan.

Oleh yang demikian, suara negeri khususnya dalam aspek pembangunan perlu didengari di peringkat Persekutuan.

Saluran kerjasama dua hala antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu diwujudkan agar peranan negeri dalam arus pembangunan nasional dapat diberi perhatian.

Beta percaya dengan kematangan Mamanda Menteri Besar serta kewibawaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri perkara ini dapat dilaksanakan.

Tanpa kesepakatan antara negeri dan Persekutuan, Malaysia tidak ubah seperti “House of Cards”, nampak gah, namun goyah.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Bagi membolehkan Negeri Kedah memainkan peranan yang lebih penting dalam ekonomi, cadangan projek strategik dan berimpak tinggi negeri perlu diberi perhatian dan sokongan.

Selain daripada projek impak tinggi yang dirangka di bawah KEDAH 2035, Beta difahamkan terdapat beberapa projek strategik yang dicadangkan oleh pihak swasta.

Dengan kemampuan fiskal dan kewangan negeri dan negara yang terhad, kaedah pembiayaan secara Private Finance Initiative (PFI) adalah kaedah terbaik untuk dilaksanakan.

Antara projek infrastruktur bersifat strategik yang dicadangkan adalah Projek Pembangunan Hub Hidrokarbon Pulau Bunting di Yan, Kedah Aerocity di Kuala Muda serta Pelabuhan Laut Dalam di Sanglang, Kedah.

Dalam konteks pembangunan pihak swasta, peranan kerajaan adalah sebagai pemudah cara agar perancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan membawa manfaat kepada negeri dan rakyat.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Sektor pelaburan adalah sektor utama yang menyumbang kepada ekonomi negeri dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 30.7% dengan nilai RM15.6 bilion.

Prestasi pelaburan negeri turut menunjukkan momentum pertumbuhan yang menggalakkan. Sejak bermulanya pelaksanaan KEDAH 2035 pada tahun 2021, secara terkumpul negeri telah mencatatkan jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan sebanyak RM105.03 bilion.

Pencapaian ini secara efektif menjadikan Kedah sebagai salah sebuah hub pelaburan utama negara.

Pelaburan yang masuk ini selain menjana pendapatan kepada negeri melalui pungutan hasil dan cukai turut menyumbang kepada limpahan ekonomi khususnya daripada sudut peluang pekerjaan serta peluang perniagaan.

Bagi tempoh 3 tahun yang lepas, lebih 20,000 peluang pekerjaan baharu telah dijana hasil daripada pelaburan tersebut.

Peluang ini seharusnya direbut oleh graduan dan tenaga mahir anak Kedah, yang berada di dalam dan luar negeri. Dengan cara ini, kelompok “The Best Brains of Kedah” dapat dikekalkan di dalam negeri, dan migrasi keluar anak negeri dapat dikurangkan.

Syarikat tempatan haruslah terlibat secara aktif agar manfaat pelaburan tidak terlepas kepada entiti luar. Penglibatan ini juga akan menyokong ekosistem pelaburan ke arah yang lebih ampuh dan mampan.

Selain itu, Beta turut berharap agar Kerajaan Negeri memperkasakan perancangan pembangunan industri di luar Kulim Hi-Tech Park (KHTP) bagi membolehkan pembangunan dapat dikembangkan ke daerah-daerah berpotensi seperti Bandar Baharu yang memiliki kedudukan strategik berdekatan pelabuhan serta dilengkapi akses lebuh raya.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Sektor pertanian terutamanya pengeluaran beras adalah sektor “lifeline” yang menjadi asas keselamatan makanan negeri dan negara.

Pembekalan beras bagi memenuhi keperluan negara adalah tanggungjawab strategik negeri kepada Persekutuan yang tidak akan dikompromi demi memastikan kelangsungan dan keselamatan negara kekal terjamin.

Oleh yang demikian, tanpa memperluaskan kawasan jelapang padi sedia ada, Kerajaan Negeri perlu memikirkan langkah wajar untuk meningkatkan produktiviti padi di negeri ini.

Penyelesaian yang ketara dalam perkara ini adalah penggunaan teknologi dalam pertanian. Teknologi di segenap peringkat rantaian pengeluaran padi perlu diperkasa bermula daripada pengeluaran benih sehingga penuaian.

Nasib pesawah yang merupakan “power house” sebenar sektor pertanian padi perlu diberi perhatian yang serius. Dengan hasil pendapatan yang sangat rendah, keringat mereka diperah dengan balasan tidak setimpal.

Dalam menyelesaikan isu ini, Kerajaan Negeri harus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menstrukturkan semula ekosistem pengeluaran dan pasaran padi agar memberi pulangan setimpal kepada petani dan bukan hanya menguntungkan pemain hiliran semata-mata.

Cabaran yang dihadapi oleh petani dalam mengguna pakai teknologi seperti tahap kemampuan kewangan dan kekurangan ilmu pengetahuan perlu diselesaikan.

Kerajaan perlu mengambil langkah bekerjasama dengan pihak swasta untuk menyediakan perkhidmatan teknologi pertanian pada harga murah dan berkualiti.

Perancangan penggunaan teknologi dalam pertanian diperlukan di peringkat negeri dalam usaha memodenkan sektor pertanian negeri dengan lebih serius.

Selain padi, pengeluaran tanaman makanan yang lain seperti buah- buahan dan sayur-sayuran perlu dipelbagaikan agar sektor makanan menjadi lebih mampan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Untuk menjadi sebuah negeri yang membangun secara seimbang, sektor perkhidmatan perlu diperkasakan. Pelancongan adalah sektor kedua terbesar di bawah sektor perkhidmatan dengan sumbangan kepada KDNK negeri sebanyak 16.7% bersamaan dengan nilai RM8.517 bilion.

Memandangkan sektor pelancongan mempunyai nilai tambah yang tinggi kepada negeri, sektor ini wajar dikembangkan dengan potensi sumber dan aset pelancongan di negeri ini dimanfaatkan sepenuhnya.

Usaha Kerajaan Negeri untuk menganjur Tahun Melawat Kedah 2025, adalah satu usaha yang tepat ke arah ini.

Pulau Langkawi yang menjadi permata pelancongan negeri harus terus diperkasakan. Produk pelancongan sedia ada perlu dinaik taraf agar relevan dengan trend pelancongan semasa.

Sehubungan dengan itu, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Pihak Berkuasa Tempatan perlu memastikan konsep pembangunan Langkawi mengekalkan keindahan dan persekitaran alam agar Pulau Langkawi kekal dengan ciri keindahan semula jadi.

Projek “enabler” pelancongan seperti naik taraf Jeti Kuala Kedah perlu disegerakan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung ke Pulau Langkawi.

Beta berharap promosi pelancongan melibatkan Tanah Besar Kedah turut diberi perhatian dan penekanan di samping Pulau Langkawi.

Produk pelancongan sedia ada perlu digilap serta tempat-tempat pelancongan baharu yang mempunyai nilai impak tinggi perlu dibangunkan.

Ketamadunan Kedah Tua yang berpusat di Sungai Batu juga perlu diberi perhatian melalui pembangunan prasarana yang setimpal dengan kekayaan nilai sejarahnya.

Selain memberi fokus kepada pelancongan berteraskan alam semula jadi dan warisan, konsep pelancongan “Health Tourism” juga boleh diterokai untuk dilaksanakan di Negeri Kedah.

Hal ini adalah selaras dengan trend tersebut mula mendapat permintaan oleh komuniti global, khususnya warga emas dan kelompok berpendapatan tinggi.

Beta percaya sekiranya strategi, promosi dan penyediaan infrastruktur dilaksanakan secara rapi mulai tahun ini, program Tahun Melawat Kedah 2025 akan menjadi platform yang dapat mengangkat negeri setanding dengan destinasi pelancongan global yang lain.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Negeri Kedah adalah sebuah negeri yang kaya dengan sumber hutan yang luas dengan keluasan 342,000 hektar atau bersamaan dengan 36.3% daripada keluasan keseluruhan negeri.

Kepentingan hutan kepada kelangsungan negeri adalah begitu tinggi. Di samping memastikan keseimbangan alam, fungsi hutan di Negeri Kedah adalah sebagai kawasan tadahan sumber air bagi membekalkan keperluan domestik, industri dan pertanian.

Oleh yang demikian, hutan adalah aset strategik yang perlu dijaga dalam apa jua keadaan khususnya melibatkan hutan simpan kekal seperti Ulu Muda yang kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna.

Namun begitu, Beta tidak menghalang pembangunan hutan khususnya dalam penyelidikan dan pelancongan, tetapi pelaksanaannya harus dilakukan secara mampan.

Di samping itu, konsep pelaksanaan “Carbon Trading” juga boleh diterokai bagi membolehkan negeri menyediakan ekosistem Environmental, Social and Governance (ESG) yang lengkap kepada para pelabur.

Selain hutan hujan tropika, hutan bakau yang menjadi benteng hakisan pantai, turut perlu dipelihara.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Dalam melaksanakan agenda KEDAH 2035, selain penglibatan pihak swasta, kekuatan fiskal Kerajaan Negeri memainkan peranan yang penting. Ini adalah supaya negeri mempunyai ruang yang lebih untuk mencatur sendiri arah pembangunan negeri.

Hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran hasil RM1 bilion menjelang tahun 2028 adalah satu langkah yang tepat.

Beta menyambut baik usaha Kerajaan Negeri melalui pentadbiran tanah yang dilihat memberi komitmen yang tinggi terhadap agenda ini dengan merancang untuk menerokai hasil baharu berkaitan tanah.

Selain daripada pentadbiran tanah, Kerajaan Negeri harus memperkasakan institusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai agen pembangunan dan penyumbang hasil negeri.

Tidak seperti pentadbiran tanah yang dibatasi undang-undang, melalui perniagaan dan pasaran ekonomi yang bebas, GLC tidak mempunyai sekatan dan had untuk menerokai peluang perniagaan dan menjana keuntungan baharu. GLC perlu bersama-sama menggalas agenda sasaran RM1 bilion kutipan hasil melalui perkongsian semula hasil keuntungan yang diperolehi.

GLC perlu mula merangka strategi untuk beroperasi dan menjalankan perniagaan melangkaui sempadan negeri khususnya di peringkat nasional dan global dalam usaha memperkasakan model perniagaan masing-masing agar memberi keuntungan.

Bagi menggerakkan agenda penambahan hasil negeri dengan menyeluruh dan lebih berkesan, Beta menyarankan sebuah perancangan fiskal dan kewangan yang lebih tersusun dapat dirangka.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Selain daripada aspek pembangunan dan fiskal, Beta ingin memberi penekanan kepada aspek kehakiman negeri iaitu institusi Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah adalah merupakan obor keadilan Agama Islam yang merupakan agama rasmi negeri ini.

Oleh yang demikian, Beta mahu Mahkamah Syariah menjadi sebuah institusi yang penting sesuai dengan kedudukan Islam di negeri ini.

Sebagai langkah pemerkasaan, penubuhan Mahkamah Syariah hendaklah diletakkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan juga perlu menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarki Mahkamah Syariah untuk memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terlibat serta menambah baik kedudukan jawatan hakim Mahkamah Syariah agar setanding dengan sistem diguna pakai di Mahkamah Sivil.

Beta berharap usaha ini dapat disegerakan demi memartabatkan ketinggian institusi Mahkamah Syariah di Negeri Kedah.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Allah S.W.T berfirman dalam Surah Ar Ra’d, Ayat 11;

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Maka, Beta berpendapat tiada siapa yang akan lebih membela nasib negeri ini melainkan rakyat negeri ini sendiri.

Pembentukan jiwa rakyat yang cintakan negeri haruslah dipupuk supaya rakyat tanpa mengira kaum yang menyandang jawatan- jawatan penting tidak melupakan negeri yang menjadi tanah tumpah darahnya.

Pada rakyat negeri ini terletaknya kesetiaan yang tidak berbelah bahagi.

Mengenang kata-kata Almarhum Tunku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid ketika menegur seorang pegawai berbangsa Inggeris;

“Brains alone without loyalty to the State, or without love for the country, are no use.”

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta ingin memberi penghargaan kepada Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS), jentera pentadbiran awam negeri dan Persekutuan serta barisan petugas keselamatan dan kesihatan di atas komitmen yang diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Beta amat sukacita dengan agenda yang dirancang oleh Kerajaan Beta di bawah pimpinan Mamanda Menteri Besar dalam membangunkan negeri ke arah The Greater Kedah.

Beta berharap prinsip Great Civil Service dan nilai ‘positive thinking’ yang diketengahkan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dalam usaha meningkatkan kualiti penjawat awam dan perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan oleh semua penjawat awam di negeri ini.

Beta dan Tuanku Sultanah mendoakan Negeri Kedah terus dirahmati dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara Allah S.W.T hendaknya.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Beta merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15.

Sekian. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(Selepas habis bertitah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar akan mengambil semula Titah Ucapan)

Juruacara

Menjunjung Kasih Tuanku. Dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah untuk menyambut kembali naskhah Titah DiRaja.

Juruacara

Ampun Tuanku. Bacaan Doa Selamat oleh Sohibus Samahah Dato’ Paduka Mufti Negeri Kedah Darul Aman.

SOHIBUS SAMAHAH DATO’ PADUKA MUFTI

Bacaan Doa. (Selepas Bacaan Doa)

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan ditangguhkan sehingga jam 9.00 pagi esok. (Yang Berhormat Dato’ Speaker bangun mengangkat sembah memohon keizinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sutlan Kedah Kedah untuk menangguhkan Sidang Dewan)

Juruacara

Ampun Tuanku, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Hadirin sekalian.

Mengumumkan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah berangkat meninggalkan Dewan Mesyuarat.diikuti Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Puan Mahkota Kedah serta Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah Darul Aman dan Yang Amat Berbahagia Tok Puan meninggalkan Dewan Mesyuarat. Semua dipohon berdiri.

[Sidang Dewan tamat pada jam 11.30 pagi]