Kedah · 24 November 2024
15th Assembly, 2nd session, 3rd meeting · 19 turns · 9,679 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. Bacaan Doa. Dipersilakan Tuan Setiausaha.
I. Bacaan Doa
Bacaan Doa
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum kita memulakan atur cara mesyuarat seterusnya, saya mohon kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang beragama islam untuk menghadiahkan Al-Fatihah kepada sehabat kita iaitu Allahyarham Encik Abdul Halim Bin Md. Daud, Bentara Dewan yang telah meninggal dunia pada 16 Oktober 2024. Al-Fatihah dengan bacaan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, dengan penuh rasa hormat dan takzimnya suka untuk saya ingatkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat termasuk diri saya sendiri berkenaan menjaga tatasusila, disiplin dan adab yang tinggi dalam setiap perbahasan dan interaksi kita sepanjang persidangan dewan bermula pada hari ini sehingga 28 November 2024.
Dewan Undangan Negeri adalah tempat yang mulia di mana segala keputusan dan perbincangan yang dibuat di dalam dewan ini akan memberikan impak yang besar kepada rakyat dan negeri kita. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menunjukkan contoh yang baik dalam setiap tindakan dan tutur kata demi menjaga maruah dan integriti dewan yang mulia ini.
Urusan seterusnya Tuan Setiausaha.
II. Pembentangan Kertas-Kertas Dewan
Pembentangan Kertas-Kertas Dewan oleh YAB. Dato’ Seri Menteri Besar Kedah Darul Aman.
Dipersilakan YAB. Dato’ Seri Menteri Besar.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan ini saya pohon membentangkan Kertas-Kertas Dewan yang berikut seperti di meja Ahli-Ahli Yang Berhormat :-
Kertas Dewan Bil. 13 Tahun 2024 Anggaran Perbelanjaan
Mengurus Tahun 2025.
Kertas Dewan Bil. 14 Tahun 2024 Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Negeri Tahun 2025.
Kertas Dewan Bil. 15 Tahun 2024 Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Hutan Negeri Tahun 2025.
Kertas Dewan Bil. 16 Tahun 2024 Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air Negeri Tahun 2025.
Kertas Dewan Bil. 17 Tahun 2024 Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 Negeri Kedah Darul Aman.
Kertas Dewan Bil. 18 Tahun 2024 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman Bagi Tahun 2023.
Sekian, Terima Kasih.
III. Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri Tahun 2025Bill
Urusan seterusnya Tuan Setiausaha.
Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri Tahun 2025 dibacakan bagi kali yang pertama.
Dipersilakan YAB. Dato’ Seri Menteri Besar.
[Bacaan Kali Pertama]
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya kemukakan cadangan saya berkenaan dengan Rang Undang-Undang tersebut, dukacita dimaklumkan ianya tidak sempat disiarkan di dalam Warta Kerajaan menurut Peraturan 65, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman. Oleh kerana Rang Undang-Undang ini mustahak diadakan dengan segera, maka kebenaran Yang Berhormat Tuan Speaker telah pun diambil menurut sepertimana yang dikehendaki oleh Peraturan Dewan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang bernama “ Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bagi tahun 2025 bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud tertentu” itu dibacakan bagi kali yang pertama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon menyokong cadangan itu.
Dipersilakan Tuan Setiausaha.
“Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bagi tahun 2025 bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud tertentu”.
[Bacaan Kali Kedua]
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon memberitahu bahawa saya hendak mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali yang Kedua di dalam Persidangan Dewan ini juga.
SILAKAN YAB. DATO’ SERI MENTERI BESAR
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali yang Kedua dan dengan ini sukalah saya membuat sedikit sebanyak penjelasan mengenai Bajet Negeri Kedah bagi Tahun 2025 yang akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini.
IV. Ucapan Belanjawan Negeri Kedah Tahun 2025Address / budget
Bismillahirohmanirrohim
Alhamdulillahi Robbil Alamin. Wassolatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Anbiya’i Wal Mursalin, Saidina Muhammadin Sallallahu Alaihi Wassalam, Wa’ala Alihi Washohbihi Ajmain
Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera
Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua - ketua Jabatan, hadirin yang dihormati sekalian
Melati kuntum tumbuh melata, Terbang merbah ke pohon cemara, Salam berpantun bermulanya kata, Selamat bersidang pembuka bicara.
Mempelai sejoli di atas persada, Segak sepadan berhias indah, Nilai integriti sematkan di jiwa, Jangan dipermudah sebarang amanah.
1. Dalam Surah Al-Anfal, ayat 27, Allah SWT berfirman
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya (Muhammad) dan janganlah kamu mengkhianati amanah yang telah dipercayakan ke atasmu, sedang kamu mengetahui (salahnya perbuatan khianat).”
BANJIR SEPTEMBER 2024
Bencana Banjir
2. Negeri Kedah telah berhadapan dengan tiga (3) fasa bencana banjir bermula 17 September hingga 16 Oktober 2024. Bencana ini telah membawa impak yang besar kepada rakyat dan ekonomi negeri, merosakkan infrastruktur, tanaman padi, tanah pertanian serta menjejaskan kehidupan rakyat. Kos kerosakan akibat bencana ini dianggarkan RM12 juta.
Bantuan Banjir
3. Susulan bencana ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat. Jumlah keseluruhan penerima bagi banjir gelombang pertama ialah seramai 3,621 ketua isi rumah. Pemberian ini melibatkan peruntukan RM3.6 juta.
4. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan RM3 juta bagi pembekalan makan minum mangsa dan petugas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selama tempoh bencana.
5. Kerajaan Negeri merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang telah menzahirkan keprihatinan dengan mencemar duli menziarahi mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai melalui Tabung Amanah Sultan Kedah.
6. Saya juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan bantuan RM13 juta melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU). Daripada jumlah itu, sebanyak RM3 juta dikhaskan untuk pembaikan infrastruktur yang terjejas akibat bencana banjir di Daerah Kota Setar.
7. Setinggi penghargaan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah yang banyak menyumbang bantuan kepada mangsa banjir melalui Skim Baik Pulih Rumah Segera sebanyak RM15,000 kepada setiap penerima dengan jumlah keseluruhan RM2 juta.
THE GREATER KEDAH
Blueprint The Greater Kedah
8. Pada 27 Oktober lalu, Kerajaan Negeri telah melancarkan Blueprint The Greater Kedah yang merupakan satu seruan kebangkitan untuk seluruh rakyat negeri ini bekerja keras mengembalikan semula kegemilangan Negeri Kedah dalam tempoh sehingga tahun 2050.
9. Usaha pemerkasaan sektor ekonomi, sosial, pengurusan hasil bumi, fiskal negeri, tadbir urus, perundangan, kehakiman syariah negeri, kerjasama strategik, perancangan geopolitik serta lain-lain aspek yang relevan dengan situasi dan keperluan semasa perlu digerakkan seiring dengan pelan hala tuju yang dibentangkan.
SG 4 (State Government 4)
10. Negeri Kedah bersama tiga (3) negeri lain Kelantan, Terengganu dan Perlis telah bersetuju untuk mewujudkan kumpulan kerjasama dikenali State Government 4 atau ringkasnya, SG4.
11. SG4 akan meneroka ruang kerjasama empat (4) negeri di bawah bidang kuasa negeri berdasarkan Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya melibatkan sektor pertanian, perhutanan dan perlombongan.
12. Pada 28 Mei 2024, telah termeterai perjanjian kerjasama melibatkan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dengan Yayasan Terengganu yang mana Yayasan Terengganu bersetuju menghantar pelajar negeri itu mengikuti pengajian perubatan (MBBS) di UniSHAMS.
13. Sistem pengajian UniSHAMS yang mewajibkan pelajar melengkapkan kursus wajib universiti merangkumi pengajian Bahasa Arab, Al-Quran, hadis serta fatwa kontemporari berkaitan bidang perubatan, Yayasan Terengganu tertarik untuk bekerjasama dengan UniSHAMS melahirkan doktor perubatan yang mempraktikkan nilai-nilai Islam.
14. Alhamdulillah, saya yakin kita berada di landasan yang betul untuk merealisasikan impian menjadikan UniSHAMS hab gagasan Cordoba of Kedah (CoK) yang bermatlamat melahirkan modal insan yang seimbang ilmu dunia dan akhirat.
15. Ini juga satu langkah awal untuk kita mengembangkan lagi kerjasama SG4 pada masa akan datang, insya- Allah.
TAHUN MELAWAT KEDAH 2025
16. Tahun Melawat Kedah 2025 adalah kemuncak usaha memperkasakan sektor pelancongan Negeri Kedah setelah dilancarkan dengan tema “Experience Kedah” di Menara Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2024.
17. Bersempena dengan itu, Kerajaan Negeri menerusi Kedah Tourism telah merangka pelbagai program untuk menggamit kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini. Lima (5) komponen utama adalah sumber alam semula jadi, gastronomi, seni budaya serta sejarah dan warisan. Kehidupan masyarakat desa dengan keindahan sawah padi telah dikenal pasti antara tarikan berpotensi untuk dipromosikan kepada pelancong luar negara selain Langkawi yang telah sedia dikenali di peringkat antarabangsa.
18. Dengan pelbagai tarikan yang unik dan istimewa di Negeri Kedah, kita menyasarkan Tahun Melawat Kedah 2025 mampu menarik kehadiran 6.5 juta pelancong dalam dan luar negara.
PROGRAM DESA SEJAHTERA
19. Kerajaan Negeri Kedah bertanggungjawab untuk menyediakan kehidupan yang sejahtera kepada semua warga negeri ini tanpa mengira latar belakang. Memiliki tanah sekurang-kurangnya tapak rumah antara syarat untuk menikmati kehidupan yang sejahtera. Pada masa ini, hampir tiada tanah yang tidak dimiliki. Namun ada yang sudah memohon tanah kerajaan selama bertahun-tahun, masih tidak diluluskan. Saya sedih setiap kali berhadapan kes-kes seperti ini. Kerajaan komited untuk menyelesaikan permohonan tanah yang sudah tertangguh lama. Alhamdulillah, dengan usaha yang bersungguh- sungguh daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) serta pentadbir tanah daerah, Kerajaan Negeri telah mendaftar dan mengeluarkan 5,177 hak milik sejak tahun 2020.
20. Selain itu, Kerajaan Negeri telah menginisiatifkan Program Desa Sejahtera iaitu pemberian lot tapak rumah untuk mereka yang amat memerlukan. Untuk program ini, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 12 lokasi tapak perkampungan Desa Sejahtera di seluruh Negeri Kedah melibatkan anggaran 1,200 plot kediaman dengan keluasan antara 3,500 hingga 4,000 kaki persegi untuk diberikan kepada mereka yang layak.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
PENCAPAIAN KERAJAAN NEGERI KEDAH
21. Kerajaan Negeri Kedah melalui pelbagai jabatan negeri telah melakar pencapaian yang membanggakan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa pada tahun 2023 dan 2024.
Sijil Tanpa Teguran Penyata Kewangan 2023
22. Kerajaan Negeri komited dalam memastikan pengurusan kewangan kerajaan diuruskan dengan cekap serta mematuhi setiap prosedur tadbir urus. Hasilnya Kerajaan Negeri Kedah berjaya memperoleh pengiktirafan Sijil Tanpa Teguran Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kedah bagi Tahun Berakhir Disember 2023 oleh Ketua Audit Negara pada 6 Ogos 2024.
23. Pengurusan dan tadbir urus jabatan Kerajaan Negeri Kedah termasuk Badan Berkanun Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan telah menerima pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa. Antara pencapaian terbaik tahun 2024 ;
i) Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah (PTG Kedah), menerima Anugerah Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi 2024 peringkat kebangsaan yang dianugerahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Daripada 70 Jabatan Persekutuan dan Negeri yang dinilai hanya dua (2) jabatan sahaja menerima pengiktirafan ini iaitu PTG Kedah dan Majlis Sukan Politeknik Malaysia.
Penganugerahan ini diberikan atas kejayaan PTG Kedah meningkatkan hasil melalui pemerkasaan tadbir urus prosedur pendaftaran pindah milik tanah di Negeri Kedah.
ii) Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah (JPS Kedah) telah dinobatkan sebagai Johan dan Penerima Anugerah Khas pertandingan International Engineering Invention and Innovation Exhibition UNIMAP 2024 (Pi-Envex 2024) melalui inovasi produk Smart Portable Rainfall Counter (SPORAC) yang membantu ketepatan pencerapan data air hujan.
iii) Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah turut mengharumkan nama negeri dengan kejayaan meraih gelaran juara keseluruhan Anugerah Inovasi dan KIK JKM peringkat Kebangsaan 2024.
iv) Sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2024, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan telah diberi penarafan Anugerah Bandar Pintar Malaysia (Smart City Early Adopter 2024).
v) Sepuluh Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah telah diberi penarafan 5 bintang. Ini menunjukkan PBT Negeri Kedah telah berjaya menambah baik tahap keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
vi) Majlis Perbandaran Kubang Pasu merangkul gelaran Johan bagi Anugerah PBT Terbaik Tanpa Tunai (Cashless) Cukai Pintu peringkat PBT-PBT seluruh Malaysia manakala Majlis Daerah Pendang tempat ketiga kategori Majlis Daerah.
Secara keseluruhan, PBT Negeri Kedah akan melaksanakan pembayaran tanpa tunai sepenuhnya bermula 1 Mac 2025.
vii) Sempena Sambutan Hari Perancang Bandar peringkat negeri tahun 2024, lapan (8) PBT Kedah telah diiktiraf Anugerah Bandar Mampan MURNInets 2.0 peringkat Negeri Kedah.
viii) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah juga telah menerima penarafan 5 bintang dalam pengauditan Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2023.
JALINAN KERJASAMA KERAJAAN NEGERI DAN LEMBAGA ZAKAT NEGERI KEDAH MEMBANTU ASNAF DAN GOLONGAN MEMERLUKAN
24. Kerajaaan Negeri amat menghargai sumbangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam di negeri ini. Lembaga Zakat Negeri Kedah bukan sahaja berfungsi sebagai badan pemungut dan pengagih zakat, malah menjadi nadi dalam meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup sosioekonomi golongan asnaf sekali gus menyumbang ke arah kestabilan ekonomi dan kemakmuran umat Islam.
25. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sebagai Penaung Zakat Negeri Kedah baru-baru ini telah melancarkan Sijil Wakaf Tunai Projek Hassan, iaitu satu inisiatif untuk memperkukuhkan status sosioekonomi asnaf.
26. Dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Yayasan Waqaf Malaysia, Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM) dan Universiti INCEIF, projek ini diharap dapat menjana dana sebanyak RM13 juta yang akan disalurkan untuk membangunkan sebuah kilang padi berkonsep wakaf. Insya-Allah kita yakin usaha ini akan melakar impak jangka panjang dalam memperkasakan ekonomi umat Islam di Negeri Kedah khususnya.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
KE ARAH TERIMAAN HASIL RM1 BILION MENJELANG 2028
27. Bagi mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri, saya telah mencadangkan supaya usaha dilakukan untuk meningkatkan hasil kerajaan dengan sasaran RM1 bilion menjelang tahun 2028. Sasaran ini berdasarkan beberapa langkah yang akan dilaksanakan termasuk semakan hasil tanah yang akan berkuat kuasa pada tahun 2026.
28. Semakan semula ini adalah untuk menyesuaikan kadar hasil dengan nilai pasaran hartanah semasa. Ia juga langkah untuk meningkatkan kutipan hasil secara konsisten dan terancang bagi tempoh 10 tahun akan datang. Kerajaan Negeri memerlukan kedudukan kewangan yang kukuh untuk dibelanjakan bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.
29. Selain itu, penerokaan hasil baharu seperti ‘Kredit Karbon’ juga menjadi salah satu teras untuk mencapai sasaran kutipan hasil RM1 bilion. Potensi untuk mendapatkan hasil daripada penjualan karbon kepada syarikat-syarikat domestik dan antarabangsa yang ingin memenuhi piawaian mesra alam sememangnya mampu menjana pendapatan lumayan kepada Kerajaan Negeri.
30. Penerokaan unsur nadir bumi atau Rare Earth Element (REE) akan diteruskan bagi memastikan hasil baharu ini akan membawa manfaat kepada rakyat. Kerajaan Negeri mengkategorikan REE sebagai sumber hasil paling berdaya maju untuk tahun-tahun mendatang.
31. Rizab REE Negeri Kedah dianggarkan berjumlah 1.196 juta tan metrik. Angka ini merupakan penerokaan hasil baharu yang dijangka diekstrak dalam tempoh 10 tahun akan datang. Kita mengharapkan potensi REE akan membawa impak besar kepada ekonomi Negeri Kedah.
32. Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan Standard Operating Procedure (SOP) yang betul dalam pengekstrakan unsur nadir bumi.
33. Dengan usaha serta komitmen yang tinggi semua agensi Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan, kita yakin sasaran untuk mencapai hasil Kerajaan Negeri RM1 bilion dalam tempoh dua (2) tahun akan datang, mampu untuk dicapai, Insya-Allah.
SEMAKAN KADAR FI PEJABAT, PREMIUM PEMBERIMILIKAN TANAH, LESEN PENDUDUKAN SEMENTARA, CUKAI TANAH DAN LAIN-LAIN FI
34. Kerajaan Negeri pada dasarnya bersetuju dengan cadangan Pentadbiran Tanah Negeri Kedah untuk menggerakkan aktiviti semakan semula kadar cukai tanah, premium pelupusan tanah, fi bagi lesen pendudukan sementara, fi pejabat dan lain-lain fi yang berkaitan serta pindaan kepada Kaedah-Kaedah Tanah Kedah Darul Aman.
35. Aktiviti semakan hasil yang terakhir adalah pada Januari 2016. Kadar baru fi pejabat, premium pemberimilikan tanah, lesen pendudukan sementara dan fi lain yang berkaitan akan dikuatkuasakan bermula pada tahun 2025.
36. Melalui punca kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 11 Kanun Tanah Negara, Kerajaan Negeri juga turut membuat pindaan ke atas sempadan bandar, pekan atau mukim dengan memasukkan atau menaik taraf tanah desa ke kawasan tanah pekan atau tanah pekan ke kawasan tanah bandar merujuk Seksyen 51 KTN. Penilaian semula ini akan menaikkan nilai harga pasaran hartanah milikan individu dan syarikat.
37. Saya sebut perkara ini lebih awal agar masyarakat di luar sana bersiap sedia menerima keputusan semakan ini.
38. Wujudnya keperluan menyemak semula kadar fi dan cukai tanah adalah bagi memastikan keseimbangan dalam terimaan untuk dizahirkan dalam bentuk perbelanjaan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
SENARIO EKONOMI SEMASA NEGERI KEDAH
39. Tumpuan pelaburan dunia kini tertumpu kepada beberapa sektor yang mendapat permintaan pasaran antaranya tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidrogen, elektrik dan elektronik seperti semikonduktor dan cip kenderaan elektrik serta kecerdasan buatan (AI) dan digital.
40. Negeri Kedah mempunyai kelebihan daya saing sebagai destinasi pilihan pelabur kerana mampu menawarkan ekosistem pelaburan yang baik merangkumi kestabilan politik, dasar kerajaan yang mesra pelabur serta kawasan industri yang sedia ada dan baru dengan ketersediaan infrastruktur, utiliti, sistem pengangkutan dan tenaga kerja mahir yang mencukupi.
Prestasi Pelaburan Negeri Kedah
41. Menurut statistik Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Negeri Kedah berada di tangga ketiga daripada lima negeri teratas yang menyumbang kepada pelaburan dalam negara. Berdasarkan jumlah pelaburan yang diluluskan tahun 2024 (Januari sehingga Jun), Negeri Kedah menerima pelaburan bernilai RM31.9 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM14.6 bilion.
42. Ini membuktikan Kedah sebuah negeri yang berdaya saing dalam sektor pelaburan di peringkat nasional dan global. Pelaburan asing (FDI) tertinggi adalah dari negara Austria dengan nilai RM30 bilion, diikuti Perancis sebanyak RM503 juta, Jepun RM50 juta dan Singapura RM25 juta.
43. Dalam ucapan pembentangan Bajet Persekutuan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 2024, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memberi pengiktirafan kepada usaha Kerajaan Negeri Kedah melaksanakan inisiatif E10 iaitu permit pembinaan ekspres untuk sektor industri. E10 diiktiraf sebagai kaedah paling efisien dalam meningkatkan ease of doing business yang berjaya menarik ramai pelabur ke negeri ini, khususnya Kulim Hi-Tech Park (KHTP). Saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri kini telah mengambil langkah memperluaskan pelaksanaan kaedah ini dengan pendekatan baharu iaitu E10 PLUS yang merangkumi proses kelulusan tanah dan sebagainya menggunakan teknologi termasuk AI. E10 juga telah dijadikan satu kaedah kerja Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diketuai Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara.
Prestasi Ekonomi Negeri Kedah
44. Prestasi ekonomi Negeri Kedah berkembang pada kadar 1.6% pada tahun 2023 menjadikan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2023 adalah RM51.8 bilion berbanding pada tahun 2022 yang berkembang pada kadar 7.2% dengan nilai KDNK sebanyak RM51 billion.
45. Melihat dari perspektif sumbangan kepada ekonomi, sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Negeri Kedah dengan sumbangan secara kumulatif 85.4% diikuti dengan sektor pertanian menyumbang 10.7%. Sektor pembinaan dan perlombongan pengkuarian masing-masing menyumbang 3.0% dan 0.2%.
BELANJAWAN KERAJAAN PERSEKUTUAN KEPADA NEGERI KEDAH
Ucapan Penghargaan
46. Kerajaan Negeri Kedah merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan Belanjawan Negara tahun 2025 yang turut menyentuh manfaat kepada Negeri Kedah. Semasa ucapan belanjawan tersebut, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan projek-projek baru yang akan diselaraskan mengikut keutamaan negeri dan Alhamdulillah, bagi Negeri Kedah, dua (2) projek pembangunan di Daerah Kulim telah disenaraikan iaitu:
i) Pembesaran kawasan Kulim Hi-Tech Park yang menempatkan syarikat semikonduktor dari seluruh dunia.
ii) Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Kulim.
47. Selain itu, Negeri Kedah akan mendapat manfaat projek pembangunan infrastruktur iaitu:
i) Pembinaan Jejambat (Jalan Raya Bertingkat) melintasi Pekan Changloon.
ii) Projek Menaik Taraf Jalan di Persimpangan Jalan Langgar ke Persimpangan Kepala Batas.
iii) Projek Pembinaan Sekolah Baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Semeling (SMK Semeling).
PRESTASI KUTIPAN HASIL SEMASA 2024
Terimaan Hasil 2024
48. Sehingga 31 Oktober 2024, jumlah terimaan hasil adalah sebanyak RM633.68 juta atau 84.7% daripada anggaran hasil yang ditetapkan sebanyak RM748 juta dalam Bajet Tahun 2024.
49. Pentadbiran tanah merekodkan terimaan hasil sebanyak RM395.6 juta bersamaan 78.9%. Terimaan hasil daerah berjumlah RM13.39 juta bersamaan 102.4%, manakala Jabatan Perhutanan merekodkan terimaan sebanyak RM24.83 juta bersamaan 81.8% dan terimaan pelbagai jabatan berjumlah RM199.86 juta bersamaan 98.2%.
50. Bagi tempoh Januari sehingga Oktober 2024, prestasi terimaan hasil menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tempoh yang sama tahun lalu di mana kutipan hasil pada 31 Oktober 2024 berjumlah RM633.68 juta berbanding
RM547.68 juta pada 31 Oktober tahun 2023, peningkatan RM86 juta. Bagi tempoh yang sama, diperincikan hasil bagi pentadbiran tanah meningkat sebanyak RM81.17 juta, hasil pelbagai jabatan meningkat RM4.23 juta serta hasil hutan yang bertambah RM331,000.
Usaha Meningkatkan Kutipan Hasil Dan Mengurangkan Akaun Belum Terima (ABT)
51. Antara perancangan Kerajaan Negeri bagi memastikan kutipan hasil 2025 dapat dicapai ialah dengan menyelesaikan isu tunggakan cukai yang berjumlah RM85.14 juta. Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah penguatkuasaan melalui pengeluaran notis tunggakan cukai kepada tuan tanah yang masih belum menjelaskan tunggakan.
52. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri telah menyediakan platform pembayaran atas talian (iBayaq) bagi memudahkan pemilik tanah untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
PRESTASI PERBELANJAAN DAN BAYARAN 2024
53. Sehingga 31 Oktober 2024, jumlah perbelanjaan mengurus adalah sebanyak RM565 juta atau 66.3% daripada anggaran perbelanjaan yang ditetapkan sebanyak RM852 juta dalam Bajet Tahun 2024.
54. Perbelanjaan ini meliputi pembayaran emolumen, perkhidmatan, aset, pemberian dan lain-lain perbelanjaan. Perbelanjaan bagi projek pembangunan yang melibatkan peruntukan pembangunan negeri, pembangunan hutan dan pembangunan bekalan air adalah berjumlah RM231 juta sehingga 31 Oktober 2024.
Prestasi Bayaran 2024
55. Kerajaan Negeri telah menetapkan urusan pembayaran bil dan tuntutan perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari dari tarikh lengkap permohonan diterima. Sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 62,303 transaksi bayaran telah disempurnakan oleh Kerajaan Negeri. Daripada jumlah itu, 99.81% telah disempurnakan dalam tempoh 14 hari dan 0.19% dalam tempoh lebih 14 hari.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
BAJET NEGERI KEDAH 2025
56. Bajet tahun 2025 dirangka dengan meneruskan kesinambungan agenda membangunkan Negeri Kedah berpaksikan PELAN PEMBANGUNAN KEDAH 2035 dan THE GREATER KEDAH berlandaskan konsep “KEDAH SEJAHTERA - NIKMAT UNTUK SEMUA”.
ANGGARAN HASIL 2025
57. Kerajaan Negeri menjangka akan berlaku peningkatan dalam kutipan hasil pada tahun 2025 berdasarkan prestasi semasa kutipan dan tindakan yang telah dirancang dan dilaksanakan di pelbagai peringkat melibatkan pemantauan kutipan hasil semasa, tunggakan hasil dan pemantauan terhadap ketirisan hasil oleh agensi utama kutipan hasil negeri.
58. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menganggarkan jumlah hasil pada tahun 2025 adalah sebanyak RM790 juta dengan peningkatan RM42 juta berbanding anggaran tahun 2024.
59. Pecahan hasil mengikut kategori kutipan adalah seperti berikut;
i) Hasil tanah berjumlah RM518.04 juta.
ii) Pelbagai hasil berjumlah RM219.71 juta.
iii) Hasil hutan berjumlah RM35.73 juta.
iv) Hasil daerah berjumlah RM16.52 juta.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
ANGGARAN PERBELANJAAN MENGURUS 2025
60. Saya mohon mencadangkan peruntukan perbelanjaan mengurus tahun 2025 adalah berjumlah RM889.9 juta. Daripada jumlah ini, sebanyak RM87.2 juta diperuntukkan sebagai Caruman Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk menampung defisit Kumpulan Wang Pembangunan Negeri.
61. Di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan peruntukan bagi maksud tanggungan dan perbekalan adalah seperti berikut:
i) Perbelanjaan RM82.84 juta tanggungan berjumlah ii) Perbelanjaan RM807.06 juta perbekalan berjumlah
62. Anggaran perbelanjaan ini, meningkat sebanyak 4.3% atau RM36.79 juta. Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan emolumen penjawat awam susulan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula bulan Disember 2024.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
ANGGARAN PERBELANJAAN KUMPULAN WANG PEMBANGUNAN 2025
63. Terdapat tiga (3) anggaran peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan yang perlu diluluskan dengan jumlah keseluruhan RM461.25 juta.
64. Tahun 2025 merupakan tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Selain itu, kita juga mempunyai baki 10 tahun sahaja lagi untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dengan visi Kedah Sejahtera dan Berdaya Huni.
65. Bagi mencapai tujuan itu, saya mohon mencadangkan untuk dewan meluluskan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri berjumlah RM209.8 juta melibatkan 10 jabatan pelaksana.
66. Terdapat pertambahan satu (1) jabatan pembangunan yang diwujudkan semula di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Negeri melibatkan P.24 Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.
67. Peruntukan bagi Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan Negeri (KWPH) seperti mana disyorkan oleh Jabatan Audit Negara. Sehubungan itu, pindaan dibuat pada tahun 2025.
Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Hutan Negeri Tahun 2025
68. Peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan Negeri (KWPH) tahun 2025 dianggarkan pada nilai RM4.56 juta dengan peruntukan perbelanjaan dijangka sebanyak RM4.03 juta. Dengan itu, lebihan daripada kumpulan Wang ini adalah sebanyak RM527,000.
69. Terdapat perbezaan ketara jumlah peruntukan yang diluluskan pada tahun 2025 berbanding tahun 2024 kerana peruntukan bagi perbelanjaan Jabatan Hutan Negeri Kedah yang melibatkan peruntukan negeri dan terimaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.
Anggaran Kumpulan Wang Bekalan Air Tahun 2025
70. Bajet 2025 mencadangkan Anggaran Kumpulan Wang Bekalan Air berjumlah RM246.9 juta meliputi RM300,000 daripada peruntukan Kerajaan Negeri Kedah dan RM246.6 juta daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
71. Mengambil kira Anggaran Hasil, Perbelanjaan Mengurus, Peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air, Defisit tahun 2025 adalah dianggarkan pada 12.65% atau RM99.9 juta.
STRATEGI BAJET 2025 [E.R.A.T SEJAHTERA 2025]
72. Bajet 2025 dirangka berpaksikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dengan fokus utama memenuhi aspirasi gagasan The Greater Kedah. Gerak kerja penyediaan bajet telah dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor dan memastikan anggaran yang dibuat adalah realistik berdasarkan kedudukan semasa kewangan Negeri Kedah.
73. Tema dan Strategi Bajet 2025 ialah E.R.A.T Sejahtera meliputi E - Ekonomi, R - Rakyat, A - Alam T - Tadbir Urus.
74. Bajet tahun 2025 telah menetapkan empat (4) strategi, 15 Fokus dan 50 Inisiatif utama.
75. Strategi Bajet 2025 meliputi:
Strategi 1 - Ekonomi : Menzahirkan Pembangunan Ke Arah Pertumbuhan Sosio Ekonomi Yang Holistik
Strategi 2 - Rakyat : Menyantuni Kesejahteraan Rakyat dan Memantapkan Modal Insan
Strategi 3 - Alam : Kelestarian dan Kemampanan Alam Sekitar
Strategi 4 - Tadbir Urus : Peningkatan Kecekapan Tadbir Urus dan Penyampaian Perkhidmatan
STRATEGI 1 – MENZAHIRKAN PEMBANGUNAN KE ARAH PERTUMBUHAN SOSIOEKONOMI YANG HOLISTIK
FOKUS 1: INFRASTRUKTUR
Inisiatif 1 - Peruntukan Penyenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS)
76. Kemudahan infrastruktur yang sempurna penting dalam menyokong pembangunan ekonomi. Mengambil kira elemen ini, peruntukan bagi maksud menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur disediakan di bawah peruntukan mengurus, peruntukan pembangunan dan peruntukan MARRIS di bawah Jabatan Kerja Raya,
Jabatan Pengairan dan Saliran, Pihak-pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat- pejabat daerah dan Pejabat Kewangan Negeri Kedah.
Prestasi Semasa MARRIS 2024
77. Sehingga 31 Oktober 2024, 1,286 projek kerja penyenggaraan jalan negeri dengan peruntukan RM271 juta telah diluluskan. Jumlah ini bersamaan dengan 91.79% berbanding unjuran terimaan wang penyenggaraan MARRIS tahun 2024 sebanyak RM295.3 juta.
Perancangan MARRIS 2025
78. Dengan unjuran terimaan wang penyenggaraan MARRIS sebanyak RM295.3 juta pada tahun 2025, Kerajaan Negeri merancang untuk menambah baik prestasi penyenggaraan jalan dengan pembelian aset negeri merangkumi 1 set Jambatan Bailey bernilai RM6.05 juta. Dengan adanya kemudahan ini, ia akan berfungsi sebagai jambatan sementara sehingga jambatan baharu siap dibina.
Inisiatif 2 - Pembinaan Baru dan Menaik taraf Jalan dan Jambatan
79. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebanyak RM45.1 juta diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan jaringan jalan dan jambatan. Kerja-kerja menaik taraf Jalan Kota Sarang Semut ke Pekan Pendang Fasa 1 sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun 2026 dengan peruntukan RM17.4 juta.
80. Terdapat tiga (3) projek pembinaan jambatan dengan peruntukan RM13.48 juta dalam Bajet Tahun 2025 melibatkan projek menggantikan Jambatan Sungai Chepir, Jalan Batu 5 / Parit Panjang (K15), Sik, Jambatan Sungai Getah, Jalan Sungai Lalang / Bukit Selambau (K152), Daerah Kuala Muda dan Projek Mengantikan Jambatan Sungai Pendang, Jalan Tanah Merah / Tokai (K130), Daerah Pendang.
81. Sejumlah RM29.62 juta turut disediakan di bawah peruntukan JKR bagi 33 projek melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan dan jambatan, kerja-kerja kemudahan jalan dan kerja kajian dan mereka bentuk jalan dan jambatan. Antara projek yang dicadangkan ialah
i) Kerja-kerja menaik taraf Jalan Kuala Kedah / Yan (K1) Daerah Kota Setar
ii) Kerja menaik taraf simpang berlampu isyarat Jalan Kampung Changhai / Kampung Bendang Tok Leh / Kampung Belukar / Kampung Baru (K253) Daerah Kubang Pasu.
iii) Kerja menaik taraf Jalan di Simpang 3 Batu 8 / Sungai Seluang (K812), Daerah Kulim
iv) Kerja menaik taraf sistem perparitan dan kerja- kerja berkaitan di Jalan Haji Abbas / Hospital Baru / Dewan Tun Razak (K706) Daerah Baling
82. Sejumlah RM2 juta turut disediakan sebagai peruntukan luar jangka bagi projek jalan dan jambatan.
Inisiatif 3 - Projek Bekalan Air
83. Berbanding tahun 2024, peruntukan bagi Kumpulan Wang Bekalan Air disediakan hanya bagi projek yang masih berbaki dan dalam pelaksanaan melibatkan empat (4) projek dengan jumlah RM246.9 juta melibatkan sejumlah RM246.6 juta projek daripada peruntukan pinjaman Kerajaan Persekutuan dan RM300,000 daripada peruntukan Kerajaan Negeri.
84. Selain itu, sejumlah RM42 juta diperuntukkan bagi Projek Pembaikan Paip Dasar Laut Sedia Ada dari Tanah Besar Ke Pulau Langkawi. Projek ini dijangka siap pada Ogos 2025.
Inisiatif 4 : Menambah baik Kemudahan Pengairan dan Saliran
85. Negeri Kedah menyumbang 43% daripada keperluan beras negara. Untuk memenuhi keperluan infra penanaman padi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah diberikan peruntukan RM4.62 juta bagi memastikan pengairan dan saliran air ke kawasan penanaman padi luar jelapang dapat dioptimumkan. Keutamaan projek adalah kepada kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dengan menumpukan kepada menambah baik kecekapan saluran air masuk ke bendang.
86. Sejumlah RM25 juta disediakan bagi tujuan penyelenggaraan berkala sistem saliran dan pengairan tali air, kerja-kerja penyelenggaraan sungai, struktur kawalan pintu air dan pam-pam bergerak bagi memastikan faedah daripada sistem pengairan yang diselenggara dapat dinikmati oleh pesawah dan tanaman padi tidak rosak disebabkan banjir.
Inisiatif 5 - Peruntukan Pembangunan Ameniti Sosial
87. Selain itu, usaha memenuhi keperluan rakyat meningkatkan kualiti hidup terutama di kawasan luar bandar sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Untuk itu, sejumlah RM7.2 juta disediakan bagi tujuan menambah baik prasarana desa dan ameniti sosial.
FOKUS 2 : EKONOMI RAKYAT
Inisiatif 6 - Pembangunan Usahawan dan Pemodenan Usahawan Pertanian dan Usahawan Penternakan
88. Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) yang ditubuhkan pada 2014 telah berjaya membantu 1,562 usahawan kecil. Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta kepada UPUK untuk terus melaksanakan program-program keusahawanan.
89. Sebagai negeri pertanian, Kerajaan Negeri komited untuk melahirkan usahawan tani yang mampu berdaya saing dengan mengaplikasi teknologi dan kaedah pertanian moden di bawah bimbingan Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah. Untuk itu, sebanyak RM6.6 juta dikhaskan bagi maksud ini.
90. Daripada jumlah ini sebanyak RM4.45 juta diagihkan bagi tujuan program pengukuhan populasi pembiak, pengeluaran baka dan benih ternakan, dan juga pembangunan infra padang ragut. Selain itu agihan sebanyak RM1.35 juta dikhaskan untuk membantu usahawan dalam bidang pemprosesan makanan seperti membekalkan mesin dan naik taraf bengkel Industri Asas Tani (IAT) serta program kursus bimbingan usahawan.
Inisiatif 7 - Usahanita Sejahtera
91. Berinspirasikan kejayaan pada tahun 2024, Program Usahanita Sejahtera diteruskan pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
92. Usahanita Sejahtera bertujuan membantu usahawan wanita Negeri Kedah mendapatkan modal pusingan untuk mengembangkan perniagaan. Kerajaan Negeri mengambil tanggungjawab membantu usahawan wanita yang bersungguh-sungguh mahu memajukan perniagaan yang mereka jalankan secara kecil- kecilan untuk menyokong ekonomi keluarga. Kita hendak melahirkan lebih ramai lagi Kak Nab dan Cik Puan Gojes pada masa akan datang.
Inisiatif 8 - Menaik Taraf Kemudahan Tapak Niaga
93. Dalam usaha untuk mengaktifkan lagi ekonomi dan penjanaan pendapatan dalam kalangan rakyat terutama golongan peniaga kecil dan penjaja, Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM2.2 juta bagi tujuan menyedia, menaik taraf dan membaik pulih kemudahan tapak niaga di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Inisiatif 9 - Geran Bantuan Pengusaha Pelancongan
94. Kerajaan Negeri berharap Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain-pemain industri di semua peringkat untuk membawa seramai mungkin pelancong dari dalam dan luar negara menikmati kelebihan dan keunikan bercuti di Negeri Kedah. Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM300,000 dalam bentuk geran dan bantuan kepada pengusaha inap desa atau “homestay”, pemandu pelancong dan badan bukan kerajaan atau kelab yang menganjurkan program berkaitan “Experience Kedah” pada tahun 2025 dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
FOKUS 3 : PROGRAM KETERJAMINAN MAKANAN
95. Kerajaan Negeri Kedah sedang membangunkan satu sistem aplikasi yang berupaya untuk menilai secara komprehensif hal berkaitan pentadbiran, pengurusan dan perancangan guna tanah bagi maksud pertanian dan perladangan. Sistem aplikasi ini dibangunkan secara dalaman dan dinamakan Kedah Agro Hub 2035 (KAH 2035) meliputi pembangunan melibatkan program pemetaan sektor pertanian dan perladangan dengan sistem maklumat geografi atau GIS (Geographical Information System). Aplikasi ini berfungsi sebagai Pusat Data sektor pertanian dan perladangan Negeri Kedah yang akan menjadi rujukan semua pihak.
Inisiatif 10 - Program Keterjaminan Makanan
96. Untuk tahun 2025, Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sejumlah RM1.68 juta khusus untuk program keterjaminan makanan. Peruntukan ini melibatkan projek pembangunan industri buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman ladang serta tanaman industri dan komoditi berpotensi.
Inisiatif 11 - Mengembalikan Kegemilangan Jelapang Padi Negara
97. Sektor pertanian terutamanya pengeluaran beras, adalah sektor “lifeline” yang menjadi asas keselamatan makanan negeri dan negara. Tanpa memperluaskan kawasan tanaman padi sedia ada, Kerajaan Negeri perlu menyediakan pelan tindakan untuk meningkatkan produktiviti padi di negeri ini. Langkah paling berkesan ialah menggunakan teknologi di setiap peringkat pengeluaran padi bermula daripada pengeluaran benih sehingga penuaian
98. Bagi maksud ini, Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan dana RM2.56 juta bagi tujuan pembangunan industri padi.
Inisiatif 12 - Pembangunan Produk Ikonik, Produk Organik dan Pembangunan Pusat Kecemerlangan Pertanian
99. Pusat Mempelam Kedah di Sala, Yan adalah sebuah pusat penyelidikan, pembangunan, dan hab promosi industri mempelam Negeri Kedah. Setakat ini, sebanyak 503 pokok mempelam daripada 118 variasi ditanam di pusat ini. Pusat koleksi klon mempelam ini juga merupakan satu-satunya yang seumpama ini ada di Malaysia. Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM500,000 untuk menaik taraf kemudahan di pusat ini sebagai persiapan menerima lebih ramai pelancong pada tahun 2025.
100. Selain mempelam, Jabatan Pertanian Negeri Kedah sedang giat mempromosi hasil tanaman Melon Kedah. Projek ini yang telah dimulakan sejak tahun 2021 diusahakan secara tanaman berkelompok dengan pengusaha yang diiktiraf sebagai “market champion”. Dengan sasaran sejuta biji setahun, Projek Melon Kedah amat berpotensi untuk berkembang dan menguasai pasaran.
FOKUS 4: PELANCONGAN
Kuningnya padi sedia dituai Saujana permai indahnya sawah Tahun 2025 kita buat ramai keloi kawan-kawan pakat mai Kedah
Inisiatif 13 - Experience Kedah
101. Bagi menyokong kempen “Experience Kedah” pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM5.81 juta sebagai dana khusus Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
102. Peruntukan disediakan meliputi perbelanjaan promosi pelancongan, program ‘pocket event’ dan pembaikan serta penyelenggaraan kemudahan pelancongan. Ini termasuk kos membangunkan Galeri Perang Musuh Bisik, kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan pelancongan dan kerja-kerja menaik taraf kemudahan terutama di pintu masuk taman-taman ekorimba di seluruh Negeri Kedah.
Inisiatif 14 - Ketersediaan Kemudahan dan sokongan Kerajaan Negeri untuk LIMA 2025
103. Pada tahun hadapan, Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition atau LIMA akan diadakan bermula 20 hingga 24 Mei 2025.
104. Selaku tuan rumah, Kerajaan Negeri akan memastikan kelancaran LIMA 2025 berupaya untuk memikat hati mereka yang datang ke LIMA untuk datang lagi ke Langkawi.
105. Selain itu, kempen menyasarkan Langkawi menjadi Pulau Terbersih akan terus dipergiatkan bagi membangkitkan kesedaran warga tempatan dan pelancong untuk menjaga kebersihan pulau pelancongan antara 10 terbaik di dunia itu. Usaha ini akan membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Kedah Tourism, SWCorp, E-Idaman serta lain-lain agensi berkaitan.
FOKUS 5 - PELABURAN
Inisiatif 15 - Rancangan dan Misi Pelaburan Negeri Kedah
106. Bagi mengekalkan prestasi pelaburan Negeri Kedah yang kondusif dan mesra pelabur, sejumlah RM2.6 juta disediakan di bawah Kedah Investment Centre (KIC) bagi kegunaan pengurusan dan misi pelaburan.
FOKUS 6 : THE GREATER KEDAH DAN SG 4
Inisiatif 16 - The Greater Kedah dan SG4
107. Bagi memastikan gagasan The Greater Kedah dapat direalisasikan, RM1 juta disediakan sebagai dana pengurusan Sekretariat The Greater Kedah dan SG4 selaku pelaksana induk aktiviti promosi, kajian ilmiah serta libat urus berkala termasuk pengurusan sistem pemantauan yang bersepadu.
STRATEGI 2 - MENYANTUNI KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN MEMANTAPKAN MODAL INSAN (KEDAH SEJAHTERA NIKMAT UNTUK SEMUA)
FOKUS 7 : BANTUAN KEDAH SEJAHTERA
Inisiatif 17 - Bantuan Am dan Pelbagai Bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah (JKM).
108. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah meluluskan peruntukan RM25.8 juta di bawah Bantuan Am, geran bantuan dan insentif kebajikan untuk diberikan kepada golongan memerlukan melalui bantuan bulanan. Pada masa ini, lebih 5,000 orang menerima manfaat Bantuan Am setiap bulan.
Inisiatif 18 - Bantuan Kedah Sejahtera
109. Pelbagai bantuan yang disalurkan di bawah Bantuan Kedah Sejahtera diteruskan pada tahun 2025.
110. Bantuan Beras Sejahtera: Peruntukan RM4.23 juta disediakan untuk Bantuan Beras Sejahtera. Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 7,050 penerima setiap bulan atau 84,600 penerima setahun. Pemberian bantuan dilaksanakan melalui pusat khidmat ADUN pada setiap bulan.
111. Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar : Kerajaan Negeri menyediakan bantuan secara one-off RM500 bagi setiap penerima untuk manfaat 3,000 pesakit terlantar setiap tahun. Bagi tahun 2025, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk bantuan ini.
112. Bantuan Tabung Perubatan Sejahtera : Kerajaan Negeri turut menyediakan RM500,000 untuk dana Tabung Perubatan Sejahtera bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang memerlukan alatan kesihatan.
113. Bantuan Khairat Kematian (iKafalah) : Sampai ajal, kematian tidak mengira siapa. Orang maha kaya mati, T20 mati, B40 pun mati. Atas dasar simpati dan tidak mahu menambah beban keluarga yang seperti sudah jatuh ditimpa tangga, Kerajaan Negeri akan terus menyalurkan sumbangan Bantuan Khairat
Kematian (iKafalah) RM500 kepada waris si mati kumpulan B40. Sumbangan ini diharap sekurang- kurangnya mampu meringankan sedikit beban keluarga yang ditinggalkan. Untuk maksud ini, disediakan peruntukan berjumlah RM4 juta, ditambah RM500,000 berbanding peruntukan RM3.5 juta untuk tahun 2024.
114. Bantuan Permataku Sejahtera: Kelahiran cahaya mata adalah saat yang paling membahagiakan semua ibu bapa. Berkongsi rasa syukur dan kegembiraan itu, Kerajaan Negeri akan menyumbang RM200 bagi setiap anak yang dilahirkan sebagai simpanan awal Tabung Pendidikan SSPN. Untuk Tabung ini, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000.
Inisiatif 19 - Pusat Jagaan Rumah Transit Anjung Kasih, Pulau Langkawi
115. Pusat Jagaan Rumah Transit Anjung Kasih diwujudkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memenuhi dimensi baharu usaha pemulihan, perlindungan dan penempatan mereka di Pulau Langkawi.
116. Kerajaan Negeri menyediakan RM500,000 sebagai peruntukan membaiki bangunan Pusat Jagaan Rumah Transit Anjung Kasih selain peruntukan pengurusan pusat ini ditetapkan RM150,000 setahun.
FOKUS 8 : PENDIDIKAN
Inisiatif 20 - Kegemilangan Pendidikan Islam Negeri Kedah
Lembaga Maktab Mahmud
117. Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM36 juta kepada Lembaga Maktab Mahmud bagi tahun 2025 dengan kenaikan RM8 juta berbanding tahun 2024. Kecemerlangan Maktab Mahmud turut dimantapkan dengan penstrukturan semula waran perjawatan pada tahun 2024 dengan 353 perjawatan berbanding 173 perjawatan sebelum ini.
118. Pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman dijadualkan siap sepenuhnya pada bulan ini, November 2024. Keseluruhan kos pembinaan adalah berjumlah RM24 juta.
119. Fokus pada tahun 2025 adalah untuk membangunkan Maktab Mahmud Yan. Pelan bangunan dan lukisan kejuruteraan telah dibuat dan peruntukan untuk kerja-kerja awalan dan kerja tanah disediakan RM500,000.
Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR)
120. Kita di Negeri Kedah wajar berbangga dengan kewujudan IQDAR yang kini antara institusi pengajian Al-Quran terbaik di Malaysia. IQDAR telah berjaya melahirkan ramai Huffaz Profesional. Bagi melestarikan lagi kehadiran IQDAR dalam masyarakat yang amat memerlukan petunjuk Al-Quran, Kerajaan Negeri menyediakan RM2 juta untuk membantu pengurusan institusi ini.
121. Selain itu, untuk makluman dewan yang mulia, pembinaan Asrama IQDAR sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada akhir tahun 2025 dengan kos RM12 juta. Kemudahan asrama ini dapat memuatkan seramai 300 pelajar.
Sekolah Menengah Agama Negeri dan Tadika Islam Negeri
122. Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan bantuan kepada Sekolah Menengah Agama Negeri pada tahun 2025 dengan peruntukan RM9.6 juta melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.
123. Pada masa ini ada 43 Tadika Islam yang diuruskan oleh JHEAIK dengan 172 bilangan guru dan 1,613 anak-anak asuhan.
124. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan membina sebuah lagi Tadika Islam di Masjid Pekan Tunjang, Daerah Kubang Pasu dengan kos RM300,000. Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan selenggara dan naiktaraf Tadika Islam dan premis KAFA di masjid-masjid. Untuk tujuan pembangunan Pendidikan Islam peringkat rendah ini, peruntukan disediakan sebanyak RM195,000.
Sumbangan kepada Sekolah Agama Rakyat, Pondok dan Pusat Tahfiz berdaftar di Negeri Kedah
125. Satu perkara yang amat kita harapkan ialah semua institusi pengajian agama termasuk madrasah atau pondok berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) melalui Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman Tahun 1988.
126. Pendaftaran amat penting supaya sekolah-sekolah ini dapat beroperasi secara sah mengikut undang- undang dan terbimbing bagi menjaga kawalan mutu kurikulum, pengurusan sekolah, hal ehwal murid dan tenaga pengajar.
127. Yang Berhormat Tuan Speaker serta Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, bagi memastikan pendidikan Islam terus berkembang, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan bantuan mengurus kepada sekolah agama dan pusat tahfiz yang berdaftar sebanyak RM1.5 juta.
Program Pendigitalan Sekolah Agama Rakyat
128. Bagi memastikan Sekolah Agama Rakyat tidak terpinggir daripada arus kemajuan teknologi, Kerajaan Negeri meneruskan Program Pendigitalan Sekolah Agama Rakyat dengan memperuntukkan 30 unit Smart TV sebagai alat bantuan mengajar. Dengan adanya kerjasama Kerajaan Negeri, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri dan syarikat- syarikat swasta dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), ianya dapat membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar Sekolah Agama Rakyat untuk menikmati kemudahan pembelajaran yang terkini dan pintar.
Program Bantuan Pendidikan Tambahan
129. Program Tuisyen Rakyat adalah program kerjasama Kerajaan Negeri, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang menyediakan tuisyen atau kelas tambahan untuk mata pelajaran Matematik, Sejarah, Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di seluruh 15 kawasan Parlimen di negeri ini.
130. Program Pearl of Kedah pula merupakan program bantuan untuk anak-anak sulung dengan pencapaian sederhana yang dibimbing menerusi program motivasi, kelas tambahan dan akan dibantu selama lima (5) tahun sepanjang pengajian sekolah menengah. Tujuannya untuk membentuk anak ini menjadi anak yang berjaya dan ikutan adik-adik selain dapat membantu keluarga pada masa hadapan. Pada masa ini, ada 120 anak sulung sedang dibimbing menerusi program ini.
131. Keseluruhan peruntukan bagi Program Bantuan Pendidikan Tambahan ini adalah sebanyak RM500,000.
Inisiatif 21 - UniSHAMS dan Cordoba of Kedah
132. Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada UniSHAMS. Selain mengurus, peruntukan ini juga adalah bagi keperluan kos awal melaksanakan cadangan membina asrama pelajar.
133. Cadangan membina asrama baharu akan memberi manfaat kepada 3,000 pelajar. Ketidakcukupan asrama UniSHAMS menyebabkan pelajar terpaksa menyewa di luar dengan kadar sewaan yang tinggi. Untuk usaha ini, insya Allah kita akan mendapat sumbangan daripada beberapa pihak di luar kerajaan.
Inisiatif 22 - Bantuan dan Sumbangan Pendidikan
Bantuan Awal Kemasukan Ke IPT (BAKIPT), Bantuan Pinjaman dan Biasiswa Kerajaan Negeri Kedah
134. Sepanjang tahun 2024, Kerajaan Negeri Kedah telah memberi sumbangan sebanyak RM1.6 juta kepada lebih 5,300 penerima bantuan untuk Bantuan Kemasukan Awal ke IPT (BKIPT). Selain peruntukan Kerajaan Negeri, sumbangan itu juga adalah daripada dana pihak swasta yang prihatin terhadap nasib pelajar kurang mampu yang mahu melanjutkan pelajaran. Sumbangan ini sekurang-kurangnya mampu meringan sedikit beban ibu bapa mereka.
135. Untuk tahun 2025, Kerajaan Negeri bercadang menambah peruntukan itu kepada RM1.3 juta kenaikan RM300,000 berbanding tahun 2024.
Tabung Tunku Mahmud (TTM)
136. Alhamdulillah. Apabila menyebut mengenai Tabung Tunku Mahmud (TTM), ia amat menyentuh hati sanubari saya. Selama tempoh hampir lima (5) tahun diberi amanah memimpin Kerajaan Negeri, saya telah berhadapan dengan banyak peristiwa, pengalaman dan kisah sedih mengenai kesukaran anak-anak yatim, anak-anak miskin dan yang diabaikan namun mereka begitu bersemangat mahu melanjutkan pelajaran demi mengubah nasib diri dan keluarga. Mereka terpaksa bertarung dengan pelbagai kesukaran namun kemahuan mereka untuk belajar cukup tinggi.
137. Sejak Tabung Tunku Mahmud diaktifkan semula pada tahun 2023, dalam tempoh belum sampai dua (2) tahun ini, ia ternyata sudah banyak membantu anak-anak yang seperti ini. Walau bagaimanapun, ingin saya memaklumkan bahawa Tabung Tunku Mahmud setakat ini belum pernah menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri. Semua bantuan sepenuhnya daripada sumbangan pihak luar yang prihatin.
138. Saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang menyumbang. Hanya Allah jua yang mampu membalas keprihatinan tuan-tuan. Saya amat bersyukur kerana usaha kita untuk membangkitkan sikap bertimbang rasa, prihatin dan kemahuan untuk membantu menerusi slogan “Kedah Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti” telah disambut.
139. Mudah-mudahan lebih ramai orang perseorangan, syarikat besar, syarikat kecil, golongan profesional, kakitangan kerajaan dan swasta tampil untuk memberi sumbangan kepada tabung bantuan pendidikan anak-anak yatim dan miskin ini.
140. Setakat ini, seramai 2,592 anak yatim dan miskin dari pelbagai peringkat pengajian telah menerima faedah sumbangan Tabung Tunku Mahmud dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4.5 juta.
Bantuan kepada SJK Cina dan SJK Tamil
141. Menepati dasar “Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua” Kerajaan Negeri Kedah sama sekali tidak mengabaikan mana-mana kumpulan masyarakat. Untuk itu, sejumlah RM300,000 disediakan sebagai bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bagi membantu aktiviti murid dan sekolah.
Inisiatif 23 - Peruntukan Asrama Kedah di Mesir
142. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menaik taraf asrama pelajar Hayyu El-Sabee (Asrama Darul Aman 3) dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Yayasan Islam Negeri Kedah dengan kos keseluruhan projek bernilai RM7 juta. Selain itu, penyelenggaraan berkala diteruskan dengan nilai RM600,000.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
FOKUS 9 - AGAMA DAN SOSIAL
Inisiatif 24 - Peruntukan kepada Masjid dan Surau
143. Berdasarkan statistik sehingga September 2024, Masjid Zahir telah menerima kunjungan 4,594 pelancong muslim daripada 46 negara dan 934 pelancong bukan muslim daripada 41 buah negara. Kerajaan melihat angka ini berpotensi untuk meningkat berlipat kali ganda sekiranya usaha mempromosi dilakukan, terutama pada Tahun Melawat Kedah 2025. Untuk itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan dana RM1.5 juta.
144. Selain Masjid Zahir, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) juga diperuntukkan dana RM3.05 juta bagi projek pembangunan masjid dan surau melibatkan 31 projek keseluruhan di Negeri Kedah antaranya:
i) Kerja-kerja membina dan menyiapkan Surau Haji Othman, Kampung Lubuk Keriang, Mukim Lesong, Daerah Pokok Sena.
ii) Kerja menaik taraf struktur bumbung dan kubah serta kerja berkaitan di Masjid Al Rahmah, Kampung Imam, Mukim Padang Perahu, Daerah Kubang Pasu.
iii) Kerja-kerja menaik taraf Masjid Ummul Qura, Kampung Sena, Mukim Tobiar, Daerah Pendang. Inisiatif 25 - Program Perhubungan Kaum
145. Kepelbagaian kaum dan budaya antara asas perpaduan dan keunikan kita dalam menjalani kehidupan bermasyarakat di Negeri Kedah. Bagi mengukuhkan lagi kekuatan itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM600,000 bagi menyokong program ke arah pengukuhan hidup masyarakat majmuk. Peningkatan berbanding peruntukan RM540,000 pada tahun 2024.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
FOKUS 10: PERUMAHAN RAKYAT
Inisiatif 26 - Peruntukan Desa Sejahtera
146. Pada 20 November lalu, Kerajaan Negeri telah melancarkan Program Desa Sejahtera yang pertama di Kampung Perik, Daerah Padang Terap sebagai manifestasi kesungguhan Kerajaan Negeri Kedah dalam merealisasikan impian rakyat yang memerlukan tapak rumah. Peruntukan sebanyak RM1 juta disediakan untuk kerja-kerja menyediakan tapak Program Desa Sejahtera di seluruh Negeri Kedah bagi tahun 2025.
Inisiatif 27 - Pembaikan Rumah Keluarga Miskin
147. Saya percaya Ahli-ahli Yang Berhormat pasti tersentuh hati, sedih malah mungkin rasa bersalah setiap kali melihat ada penduduk dalam kawasan kita menghuni rumah uzur. Dengan amanah yang diberikan sebagai Kerajaan Negeri, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha dengan segala kemampuan yang ada supaya kalau boleh jangan ada lagi rakyat Negeri Kedah yang tinggal di rumah-rumah uzur seperti ini. Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM7 juta untuk baik pulih rumah uzur dengan had maksimum RM20,000 bagi sesebuah rumah.
Inisiatif 28 - Pembaikan dan Penyelenggaraan Perumahan Awam
148. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, ada 58 skim perumahan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Untuk memastikan rumah-rumah ini berdaya huni dan selesa didiami yang mana ini ciri-ciri penting untuk membina masyarakat yang sejahtera, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM2.5 juta untuk tujuan penyelenggaraan dan pembaikan rumah- rumah ini. Selain itu, sejumlah RM1.5 juta disediakan untuk kos perkhidmatan dan pengurusan kutipan hasil dan tunggakan perumahan.
Inisiatif 29 - Pemberian Hak Milik Perumahan Awam
149. Atas dasar prihatin kepada golongan nelayan yang rata-ratanya hidup daif, Kerajaan Negeri pada tahun 2024 telah meluluskan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi tujuan pemberian 321 hak milik kepada penduduk perumahan Kota Nelayan Kuala Kedah Fasa 1. Manakala, Fasa 2 yang akan disempurnakan pada tahun 2025, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM500,000 lagi melibatkan pemberian baki 257 hak milik.
FOKUS 11 : BELIA, SUKAN DAN PEMBANGUNAN INSAN
Inisiatif 30 - Prasarana Sukan
150. Peruntukan berjumlah RM3.28 juta disediakan di bawah peruntukan pembangunan bagi pembaikan dan penyelenggaraan fasiliti dan prasarana sukan. Antara kemudahan yang akan dibaik pulih ialah pembaikan trek larian Stadium Darul Aman, membaikpulih Stadium Sultan Abdul Halim, menaik taraf fasiliti Kompleks Akuatik dan beberapa pembaikan kemudahan sukan di daerah.
Inisiatif 31 - Pembangunan Atlet melalui SUKMA, SUKDA dan Sukan Para
151. Majlis Sukan Negeri Kedah diperuntukkan RM8.35 juta bagi tujuan pengurusan dan pembangunan atlet. Tahun 2025 bakal menyaksikan SUKDA diperkenalkan semula sebagai platform untuk membangunkan atlet pelapis. Peruntukan khas turut diberi bagi tujuan Sukan Para.
Inisiatif 32 - Program Pembangunan Insan dan Membentuk Siswa dan Belia Cemerlang
152. “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini”. Sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang
akan berlaku.” Demikianlah kata kata sarjana terkenal, Almarhum Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Atas maksud membina generasi muda yang cemerlang demi kelestarian masa hadapan, untuk tahun 2025 Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM300,000 untuk program-program pembangunan insan dalam kalangan belia manakala RM100,000 untuk Sekretariat Belia Negeri. Sejumlah peruntukan turut disediakan untuk program Bakti Siswa, MINDA dan Program Kedah Future Leaders.
STRATEGI 3 -KELESTARIAN DAN KEMAMPANAN ALAM SEKITAR
FOKUS 12 : PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR
Inisiatif 33 - Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT)
153. Peruntukan RM12.4 juta disediakan di bawah peruntukan perbelanjaan untuk Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) pada tahun 2025.
154. Antara skop pelaksanaan EFT ialah pemuliharaan kawasan perlindungan sedia ada dan usaha ke arah penambahan dan pewartaan kawasan perlindungan baharu, restorasi dan pengayaan, program melibatkan komuniti dan pembangunan kapasiti dan program risikan dan penguatkuasaan.
Inisiatif 34 - Pemulihan, Penyelenggaraan Sungai, Saliran serta Kolam Takungan dan Pencegahan Hakisan Pantai
155. Sejumlah RM3.65 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran bagi tujuan pemulihan dan pemeliharaan sungai melibatkan Sungai Tembak Mukim Parit Panjang, Baling dan Sungai Mempelam, Mukim Mergong, Kota Setar, Sungai Jagung Mukim Ayer Puteh, Pendang dan Sungai Kampung Dusun, Mukim Kulim, Kulim.
156. Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM800,000 untuk tujuan pemuliharaan Muara Sungai Kerpan dan Muara Sungai Itau, Mukim Ayer Hangat, Langkawi. Selain itu, sejumlah RM1.1 juta diperuntukkan bagi tujuan melibatkan sistem hidrologi, kolam takungan mesra alam, peralatan mekanikal dan elektrikal untuk pengairan dan saliran serta kawalan banjir. Sejumlah RM500,000 turut disediakan bagi program mencegah hakisan pantai di Kampung Sungai Meriam, Kota Kuala Muda.
157. Projek Pembersihan Sungai Bersama Komuniti akan dilaksanakan di bawah Program Denai Sungai Kebangsaan dengan peruntukan RM900,000 termasuklah di Sungai Anak Bukit.
Inisiatif 35 - Pemuliharaan dan Pemeliharaan Hutan Simpan dan Program Penanaman 2.2 juta Pokok
158. Kerajaan Negeri Kedah sentiasa menitikberatkan pemeliharaan serta kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan hidup masa kini dan generasi akan datang. Ini termasuk mengadakan Program Penanaman 2.2 juta pokok dengan kerjasama rakan-rakan strategik daripada agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Pihak berkuasa Tempatan dan syarikat swasta.
159. Jabatan Perhutanan Negeri Kedah disediakan peruntukan RM3.7 juta bagi tujuan perbelanjaan pembangunan dan pemulihan hutan simpan serta Program Perhutanan Sosial dan Sumber Bukan Kayu.
FOKUS 13: MENDEPANI ISU DAN MASALAH BANJIR
Inisiatif 36 - Pembaikan Pasca Banjir
160. Beberapa siri banjir yang berlaku sepanjang September dan Oktober 2024 telah menyebabkan kerosakan di sungai dan tali-air di bawah kawalan Jabatan Pengairan dan Saliran. Justeru bagi memulihkan keadaan, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM1 juta.
Inisiatif 37 - Projek Tebatan Banjir
161. Terdapat 114 kawasan ‘hotspot’ banjir yang dikenal pasti di seluruh Negeri Kedah. Insya-Allah bagi mengurangkan bencana itu, Kerajaan Negeri melalui JPS akan melaksanakan projek-projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan yang terlibat. Antaranya ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Pengkalan Lebai Man, Daerah Kuala Muda dengan peruntukan sebanyak RM3 juta, projek tebatan banjir Kampung Bukit dan Kampung Derang, Pokok Sena sebanyak RM200,000 dan tebatan banjir di Sungai Jawi, Bandar Baharu sebanyak RM500,000.
Inisiatif 38 - Kedah Disaster Command Centre
162. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah memperuntukkan RM750,000 bagi menyokong usaha penubuhan Kedah Disaster Command Centre (KDCC).
STRATEGI 4 - PENINGKATAN KECEKAPAN TADBIR URUS DAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN (AGENDA REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM)
163. Melalui "Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam”, Kerajaan Negeri memberi fokus kepada lima (5) Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR). Lima (5) BKR tersebut
ialah Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Sinergi Awam-Swasta. Langkah ini bertujuan memastikan peningkatan kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan awam. Adalah menjadi harapan saya agar amanat ini dihayati oleh semua Penjawat Awam Negeri Kedah.
FOKUS 14 - PEMODENAN TADBIR URUS KERAJAAN
164. Modernisasi tadbir urus adalah komponen penting dalam memastikan rakyat di peringkat akar umbi dapat menikmati kualiti perkhidmatan yang cekap, telus dan responsif. Pendekatan ini bukan sahaja dapat memperbaiki prestasi dalam tadbir urus malah ia dapat membentuk penjawat awam yang positif, progresif dan produktif.
Inisiatif 39 - Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)
165. Kerajaan telah bersetuju supaya Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuatkuasa 1 Disember 2024.
166. Selaras dengan pengumuman itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM30 juta tambahan secara keseluruhan kepada semua jabatan untuk tujuan pembayaran gaji semua Penjawat Awam Negeri Kedah yang menerima opsyen SSPA bermula Disember 2024.
167. Dengan itu, sukacita saya umumkan kenaikan tersebut akan dibayar mulai gaji bulan Disember 2024. Kenaikan keseluruhan adalah berjumlah RM2 juta untuk tahun 2024.
Inisiatif 40 - Peralatan Kerja Teknikal Terkini Dalam Meningkatkan Kecekapan.
168. Dalam usaha meningkatkan kecekapan melibatkan kerja-kerja teknikal, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan bagi pembelian aset dan alatan kerja seperti kompas, Global Navigation Satellite System (GNSS), drone dan alatan sokongan teknikal yang berjumlah keseluruhan RM800,000.
Inisiatif 41 - Pemerkasaan Institusi Penghulu
169. Institusi penghulu merupakan sebuah institusi yang paling dekat dengan masyarakat. Sebagai usaha memperkukuh institusi penghulu agar bergerak seiring menyokong institusi Pegawai-pegawai Daerah di Negeri Kedah, RM1.6 juta diperuntukkan untuk membina baharu bangunan pejabat, menyelenggara dan pembaikan pejabat dan kediaman rasmi penghulu.
Inisiatif 42 - Inisiatif MKK Sebagai Penghubung Kerajaan dan Rakyat
170. Dalam pentadbiran komuniti di peringkat kampung, Majlis Ketua Kampung adalah institusi penghubung kerajaan dan rakyat. Terdapat 1,240 Majlis Ketua Kampung (MKK) di Negeri Kedah. Kerajaan Negeri telah melantik seorang Pengerusi dan seorang Setiausaha untuk setiap MKK tersebut. Peruntukan berjumlah RM13.8 juta disediakan kepada institusi MKK bagi tujuan pembayaran elaun dan peruntukan untuk program dan aktiviti MKK.
Inisiatif 43 - Kemudahan dan Suasana Kerja Kondusif Serta Pembaikan Bangunan Milik Kerajaan
171. Sejumlah RM13.2 juta dimasukkan dalam Bajet 2025 sebagai kos kerja menaik taraf dan penyelenggaraan pejabat-pejabat bagi memberikan suasana kerja yang kondusif termasuk untuk keselesaan pelanggan yang berurusan di jabatan-jabatan negeri. Selain itu, sejumlah RM15.7 juta lagi disediakan bagi tujuan menambah baik kemudahan dan penyelenggaraan bangunan milik kerajaan.
Inisiatif 44 - Urusan Semakan Hasil Tanah
172. Urusan semakan semula hasil tanah telah bermula pada tahun 2024 dan akan diteruskan pada tahun 2025, sejumlah RM4.63 juta peruntukan disediakan untuk urusan semakan ini melibatkan 841,330 hak milik seluruh Negeri Kedah. Urusan semakan ini dijangka selesai pada tahun 2025.
Inisiatif 45 - Memartabatkan Institusi Pentadbiran Islam
173. Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan tidak pernah melupakan jasa dan bakti pegawai-pegawai masjid di seluruh Negeri Kedah yang telah berperanan memakmurkan institusi masjid pada setiap masa.
Justeru, bagi memastikan institusi masjid terus bergerak aktif serta mengembangkan peranannya dalam komuniti, Kerajaan Negeri memperuntukkan dana RM11 juta bagi pembayaran elaun 2,100 pegawai masjid di seluruh Negeri Kedah bagi tahun 2025.
174. Fasa awal pembangunan Kompleks Pentadbiran Islam Daerah Kuala Muda melibatkan pembinaan Mahkamah Syariah Kuala Muda dan kerja menaik taraf Pejabat Agama Daerah Kuala Muda ditetapkan peruntukan RM1.5 juta mulai 2025. Pelaksanaan dan pembinaan sepenuhnya akan dimulakan pada tahun 2026 dengan bermulanya RMK-13.
FOKUS 15 : PENDIGITALAN PERKHIDMATAN
175. Pendigitalan bukan sahaja memudahkan proses, tetapi juga meningkatkan efisiensi dan keberkesanan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat. Sehubungan itu, bagi tujuan menambah baik perkhidmatan dan memenuhi kehendak untuk mendigitalkan sepenuhnya urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah sejumlah RM10.49 juta disediakan bagi tujuan itu pada tahun 2025.
Inisiatif 46 - Menaik taraf Kemudahan dan pengurusan Teknologi Maklumat Negeri
176. Dalam meneruskan usaha modenisasi pentadbiran kerajaan, gabung jalin antara kecekapan tadbir urus dan teknologi tidak dapat dipisahkan. Sejumlah RM4.2 juta diperuntukkan bagi tujuan menaik taraf kemudahan dan pengurusan teknologi maklumat.
177. Peruntukan berjumlah RM3.03 juta disediakan bagi keperluan pembelian peralatan ICT. Selain itu, dana bagi peningkatan kemudahan talian Kedah Net diperuntukkan sebanyak RM1.17 juta.
Inisiatif 47 - Kemudahan Urusan Tanpa Tunai Kerajaan Negeri Kedah
178. Bagi memastikan urusan bayaran dapat dipercepatkan dan memudahkan urusan pelanggan, perkhidmatan secara atas talian dan kiosk bayaran disediakan di semua pejabat tanah dan lokasi strategik yang lain melibatkan 21 kiosk dengan kos tanggungan berjumlah RM690,000.
Inisiatif 48 - Pembangunan,Perkhidmatan dan Pengurusan Sistem Aplikasi
179. Keperluan pembangunan, perkhidmatan dan pengurusan sistem aplikasi sedia ada perlu dibuat sejajar dengan pelan menjadikan urusan pentadbiran negeri dilaksanakan dalam format digital sepenuhnya. Untuk itu, sejumlah RM2.8 juta peruntukan disedia untuk menaik taraf sistem dan bayaran langganan dan perkhidmatan terurus talian dan aplikasi yang digunakan oleh Kerajaan Negeri.
Inisiatif 49 - Pemodenan Pentadbiran Tanah Negeri Kedah
180. Kerajaan Negeri mengucapkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah membangunkan Sistem e-Tanah yang akan diguna pakai di seluruh pentadbiran tanah. Sistem e-Tanah merupakan sebuah aplikasi Kerajaan Elektronik (e-Government) bersepadu yang dibangunkan untuk menjalankan urusan pentadbiran tanah secara elektronik selaras dengan Program Transformasi Kerajaan.
181. Sejumlah RM2.8 juta disediakan bagi maksud perkhidmatan dan penyelenggaraan Sistem Pengurusan Tanah Bersepadu (SPTB WEB) sedia ada.
Inisiatif 50 - Kebajikan dan Penghargaan kepada Penjawat Awam Negeri Kedah
182. Kerajaan Negeri menghargai komitmen penjawat awam Negeri Kedah dalam memastikan setiap dasar dan keputusan Kerajaan dilaksanakan dengan cemerlang. Saya juga mengakui kesejahteraan Negeri Kedah tercinta ini juga adalah atas jalinan kerjasama yang baik antara EXCO, ADUN dan Penjawat Awam Negeri khususnya Pegawai Tadbir Negeri (KCS) dan Pegawai-pegawai Persekutuan.
183. Menghargai usaha dan sumbangan penjawat awam negeri serta jentera pentadbiran negeri, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan pemberian Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM2,000 yang akan dibayar pada Mac dan Jun 2025. Jumlah keseluruhan peruntukan bagi maksud ini adalah RM12 juta.
Kuning emas masaknya padi, Mawar merah dalam jambangan, Terima kasih Penjawat Awam Negeri, Khidmat bakti jadi sanjungan. Yang Berhormat Tuan Speaker serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
184. Ingin saya memaklumkan bahawa pembentangan Bajet Tahun 2025 pada pagi ini adalah yang kelima bagi diri saya selaku Menteri Besar. Alhamdulillah setelah pelbagai cabaran diharungi sejak Mei tahun 2020, saya amat bersyukur kerana telah mendapat sokongan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat termasuk yang kini sudah tidak ada lagi bersama kita di dalam dewan yang mulia ini.
Walaupun di pihak sebelah sana masih lagi enggan mengakui penambah baikan dan kemajuan yang telah berjaya kita capai dalam mengurus tadbir negeri ini, saya yakin rakyat yang sudah semakin matang mampu menilai segala usaha yang dilaksanakan. Ini telah ditunjukkan dalam keputusan Pilihan Raya Negeri yang lalu.
Pada hari ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, juga semua Pegawai Tadbir Kerajaan Negeri dan Persekutuan, agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta seluruh kakitangan atas kerjasama yang diberikan kepada saya untuk menjalankan amanah ini demi seluruh rakyat Negeri Kedah. Untuk itu, terimalah serangkap pantun lagi daripada saya.
Pohon sirih pohon selasih, Tumbuh merimbun di hujung laman, Kalungan budi junjungan kasih, Harumnya jasa sepanjang zaman.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Saya mohon mencadang.
Wabillahhitaufiq Wal Hidayah Wassalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
Waalaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih YAB. Dato’ Seri Menteri Besar. Berstrategi dan berfokus E.R.A.T SEJAHTERA 2025.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bagi mematuhi Peraturan 68(2) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman, maka perbahasan di atas Rang Undang-Undang ini saya tangguhkan sehingga esok pagi supaya perkara-perkara yang dibangkitkan tidak bertindan-tindih.
Saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat merangkumkan perkara-perkara yang menyentuh Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri 2025, Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Negeri Tahun 2025, Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Hutan Negeri 2025 dan Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air Negeri Tahun 2025 ketika membahaskan Ucapan Bajet 2025.
Dalam membahaskan Rang Undang-Undang ini Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menumpukan ucapan-ucapan Yang Berhormat kepada perkara-perkara yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sahaja. Mana-mana perkara yang telah pun disentuh oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain tak usahlah diulangi lagi.
Saya berharap semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat membuat semakan dan persedian yang teliti bagi membahaskan ucapan bajet yang telah dibentangkan pada hari ini.
Sekarang Dewan ditangguhkan sehingga jam 9.00 pagi esok.
Sekian, terima kasih.
[Sidang Dewan tamat pada 24 November jam 10.40 pagi]