Kedah · 20 April 2025
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · 11 turns · 1,732 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Ahli-Ahli Yang Berhormat serta hadirin sekalia, mengumumkan ketibaan Yang Berhormat Dato’ Speaker Dewan Undangan Negeri masuk ke Dewan Mesyuarat. Semua dipohon berdiri.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. Dipersilakan Tuan Setiausaha untuk bacaan doa.
Bacaan Doa.
Sukacita saya maklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah memberi perkenan untuk menyampaikan Titah Ucapan sempena Perasmian Pembukaan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama.
Sekarang saya pohon meninggalkan majlis untuk mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah serta Kerabat-Kerabat Diraja yang lain ke majlis ini”.
(Yang Berhormat Dato’ Speaker dan rombongan keluar menjemput KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah serta Kerabat-Kerabat DiRaja yang lain masuk ke dalam Dewan).
Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian dipohon berdiri. Mengumumkan keberangkatan masuk KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku.
Sultanah Kedah ke Dewan Mesyuarat diiringi bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Puan Mahkota Kedah.
(KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah dan Kerabat-Kerabat DiRaja bersemayam)
Semua dipersilakan duduk. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun. Ahli-Ahli Yang Berhormat serta hadirin sekalian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah perkenan menyampaikan Titah Ucapan Perasmian. Dipersilakan YAB. Menteri Besar Kedah untuk mempersembahkan Titah DiRaja ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
(Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar akan persembahkan Naskah Titah Ucapan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah bertitah sambil bersemayam)
I. Titah Ucapan Perasmian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Sempena Perasmian Pembukaan Mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Pada 20 April 2025.Address / budget
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah S.W.T. Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., penghulu segala Nabi dan Rasul. Semoga Allah S.W.T. memberi rahmat kepada ahli keluarga serta para sahabat Baginda sekalian.
Syukur ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia-Nya, maka dapatlah Beta dan Tuanku Sultanah berangkat hadir ke Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 pada pagi ini.
Kesempatan ini amat besar ertinya kerana Beta dapat bertitah menyampaikan pesanan serta berkongsi pandangan secara terus dengan semua Ahli Yang Berhormat.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Peranan hakiki Ahli-ahli Yang Berhormat adalah penting untuk melaksanakan semak dan imbang kerajaan, menggubal dasar dan undang-undang negeri, dan mengawal belanjawan negeri.
Semua Ahli Yang Berhormat perlu faham tanggungjawab ini, agar setiap pandangan dan kritikan yang disuarakan adalah bersifat membina demi kepentingan negeri dan rakyat, bukannya saja dianggap sebagai kecaman yang mengundang perbalahan. Dalam hal ini, Beta berhasrat agar kerajaan Beta sentiasa peka dan proaktif untuk meneliti dan menyemak semula dasar peraturan agar kekal relevan dengan keperluan semasa demi kepentingan negeri, terutamanya yang melibatkan hak sebagaimana yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dan Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai mewakili suara rakyat di peringkat akar umbi dan penghubung di antara kerajaan dan rakyat, adalah menjadi tanggungjawab semua Ahli Yang Berhormat untuk sentiasa menyelami masalah dan keperluan rakyat terutamanya apabila berlaku bencana yang tidak diduga, seperti bencana banjir yang telah berlaku di Negeri Kedah pada tahun 2024 yang melibatkan hampir 10,000 mangsa telah dipindahkan dan kerosakan pelbagai infrastruktur utama serta menjejaskan hampir 16,000 hektar kawasan sawah padi.
Di kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membuktikan komitmen dan pengorbanan bekerja siang dan malam, tanpa mengira waktu menghulurkan khidmat, berusaha sedaya mungkin untuk meringankan tanggungan mangsa-mangsa banjir.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Beta telah disembah maklum bahawa untuk tahun 2024, Negeri Kedah telah berjaya mencatat kedudukan tempat keempat dalam negara, dengan jumlah keseluruhan pelaburan masuk sebanyak RM45.8 bilion, berbanding RM28.7 bilion bagi tahun 2023. Beta berharap prestasi baik ini dapat diteruskan di tahun-tahun yang akan datang agar ekonomi negeri terus kukuh dan berdaya mampan.
Syabas Beta ucapkan.
Selain itu, Beta amat menyarankan agar kawasan perindustrian yang sedia ada diperkasakan, dan pada masa yang sama meneroka kawasan-kawasan baharu yang berpotensi untuk dimajukan. Dalam hal ini, kerajaan Beta disarankan untuk merancang kawasan perindustrian baharu, khususnya di daerah Bandar Baharu dengan mengambil peluang dan manfaat daripada limpahan pembangunan kawasan industri baharu di negeri yang bersempadan dengan Negeri Kedah.
Dengan mengambil kira konsep supply and demand, Kerajaan Negeri dan Persekutuan hendaklah memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang lengkap. Apabila ekosistem pelaburan dapat diwujudkan, barulah pelabur berminat untuk datang ke Negeri Kedah.
Kedudukan Negeri Kedah yang berjiran dengan Negara Thailand juga hendaklah dimanfaatkan melalui pembangunan bandar sempadan yang melibatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan rentas sempadan khususnya sebagai hub logistik dan industri. Beta berharap Kerajaan Negeri dan agensi yang berkaitan dapat mengambil tindakan proaktif dan lebih agresif untuk membawa masuk pelabur ke kawasan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Di kesempatan ini, Beta mahu Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dapat memainkan peranan membantu Kerajaan Negeri merancang dengan melihat kepada kekuatan negeri yang boleh dioptimumkan. Ianya perlulah sejajar dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Gagasan The Greater Kedah demi kelangsungan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat di Negeri Kedah.
Selain merencana pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat adalah nadi penting bagi sebuah kerajaan yang baik dan stabil. Dalam hal ini, Beta memuji keprihatinan kerajaan pimpinan mamanda Menteri Besar yang mementingkan rakyat yang kurang berkemampuan dengan mendirikan rumah kediaman melalui inisiatif Desa Sejahtera. Komitmen ini secara langsung dapat memberi nafas lega kepada rakyat yang berada di bawah paras garis kemiskinan.
Sehubungan itu, bagi merealisasikan pembangunan yang dirancang dan menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan Beta hendaklah meningkatkan hasil pendapatan negeri. Dalam masa yang sama, Beta ingin menegaskan kepada pihak yang terlibat untuk memastikan ketirisan hasil negeri dapat diminimumkan kerana ianya menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan Beta. Tindakan penguatkuasaan secara berterusan hendaklah dilaksanakan dan hukuman tegas haruslah dikenakan ke atas setiap kesalahan yang dilakukan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Dalam usaha untuk memastikan keterjaminan bekalan beras negara, Beta amat menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi 5 kali dalam tempoh 2 tahun di kawasan jelapang padi. Namun begitu, kawasan luar jelapang padi juga perlu turut sama diberi perhatian yang serius oleh pihak yang terlibat agar jumlah pengeluaran padi dapat ditingkatkan.
Beta ingin menyarankan agar pihak MADA dan MARDI dapat meningkatkan usaha melaksanakan kajian berterusan dan menggunakan teknologi pertanian moden khususnya dalam penghasilan benih padi yang berkualiti serta penggunaan jentera moden yang cekap.
Penghasilan padi juga bergantung kepada sumber air dari kawasan hutan tadahan air yang turut menyokong keperluan domestik dan industri. Dalam hal ini, kerajaan Beta perlu tegas untuk melindungi kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai jaminan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat di samping menjamin pengekalan pelbagai spesies flora dan fauna.
Beta amat menyambut baik Program Penanaman 2 Juta Pokok yang diterajui oleh Jemaah Dato’ Negeri Kedah. Usaha ini perlu digembleng secara bersama oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam memupuk kesedaran di kalangan rakyat Beta mengenai kepentingan memelihara dan mengekalkan kelestarian alam sekitar. Sepertimana Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Sesungguhnya dunia ini hijau dan cantik, dan Allah telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan."
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Tahun ini merupakan Tahun Melawat Kedah, di mana kita mengharapkan ia akan menjadi platform terbaik untuk meletakkan Negeri Kedah sebagai destinasi pelancongan utama negara. Beta berharap Ahli-ahli Yang Berhormat dan pihak-pihak yang berkepentingan agar lebih proaktif dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026 nanti.
Oleh itu, Beta menggesa agar produk pelancongan sama ada di Tanah Besar atau di Pulau Langkawi ditambah baik dan dinaik taraf di samping mengenal pasti produk-produk pelancongan baharu untuk diperkenalkan. Jaringan perhubungan dan pengangkutan juga haruslah diperkasakan terutamanya perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi.
Tamadun Kedah Tua juga perlu ditonjolkan sebagai produk pelancongan yang mempunyai nilai peradaban yang tinggi terutamanya dari segi kemajuan teknologi, kebudayaan dan perdagangan antarabangsa sehingga membawa kepada kegemilangan warisan tamadun yang bertunjangkan agama Islam.
Islam adalah agama rasmi berlandaskan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dan Perlembagaan Persekutuan. Sebagai penaung dan pemelihara kesucian agama Islam, Beta menyeru supaya semua rakyat Beta mengamalkan ajaran agama Islam yang sebenar. Bagi maksud ini, Beta berharap institusi agama Islam di negeri ini dapat memastikan agenda syiar Islam dapat ditegakkan berdasarkan kepada fahaman yang benar tanpa mengorbankan perpaduan sesama umat Islam. Pada masa yang sama, agama- agama lain bebas untuk diamalkan. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Di kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan di atas taat setia, pengorbanan dan perkhidmatan anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Anggota RELA, barisan petugas kesihatan serta seluruh Pegawai Tadbir Negeri Kedah serta penjawat awam negeri dan persekutuan di Negeri Kedah di atas komitmen yang diberikan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Berbahaslah di dalam Dewan ini secara ilmiah tanpa menepikan fakta dan tatasusila. Gunakanlah kesempatan ini untuk membincangkan kepentingan negeri dan rakyat. Sebagai pemimpin yang diberikan mandat oleh rakyat, Beta ingin berpesan agar semua Ahli Yang Berhormat perlu berjiwa besar, mempunyai keikhlasan tinggi untuk berkhidmat demi rakyat dan meletakkan kepentingan negeri melebihi kepentingan sendiri. Walaupun wujud perbezaan agenda dan ideologi, namun Beta yakin tentu ada persamaan terutama dalam mencorak pembangunan dan kebajikan rakyat bagi membentuk negeri yang lebih makmur.
Beta mendoakan agar Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 berjalan dengan sempurna. Beta dan Tuanku Sultanah mendoakan agar Negeri Kedah akan terus dirahmati dan dipelihara oleh Allah S.W.T. jua hendak-Nya.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Beta merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15. Sekian.
Wabillahi Taufiq Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
(Selepas habis bertitah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar akan mengambil semula Titah Ucapan)
Menjunjung Kasih Tuanku. Dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah untuk menyambut Kembali naskhah Titah DiRaja.
Ampun Tuanku. Bacaan Doa Selamat oleh Sohibus Samahah Dato’ Paduka Mufti Negeri Kedah Darul Aman.
SOHIBUS SAMAHAH DATO’ PADUKA MUFTI
Bacaan Doa.
(Selepas Bacaan Doa)
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan ditangguhkan sehingga jam 9.00 pagi esok.
(Yang Berhormat Dato’ Speaker bangun mengangkat sembah memohon keizinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sutlan Kedah Kedah untuk menangguhkan Sidang Dewan)
Ampun Tuanku, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Hadirin sekalian.
Mengumumkan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah berangkat meninggalkan Dewan Mesyuarat.diikuti Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Puan Mahkota Kedah serta Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah Darul Aman dan Yang Amat Berbahagia Tok Puan meninggalkan Dewan Mesyuarat. Semua dipohon berdiri.