Kedah · 10 November 2025
15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 18 turns · 8,662 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. Bacaan Doa.
Dipersilakan Tuan Setiausaha.
[Doa dibacakan oleh Tuan Setiausaha Dewan Undangan Negeri]
Urusan seterusnya Tuan Setiausaha.
I. Pembentangan Kertas-Kertas Dewan Tuan Setiausaha Dewan
Pembentangan Kertas-Kertas Dewan oleh YAB. Dato’ Seri Menteri Besar Kedah Darul Aman.
Dipersilakan YAB. Dato’ Seri Menteri Besar.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, dengan ini saya pohon membentangkan Kertas-Kertas Dewan yang berikut seperti di meja Ahli-Ahli Yang Berhormat: -
Kertas Dewan Bil. 11 Tahun 2025 Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tahun 2026.
Kertas Dewan Bil. 12 Tahun 2025 Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan
Negeri Tahun 2026.
Kertas Dewan Bil. 13 Tahun 2025 Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan
Hutan Negeri Tahun 2026.
Kertas Dewan Bil. 14 Tahun 2025 Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air Negeri Tahun 2026.
Kertas Dewan Bil. 15 Tahun 2025 Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 Negeri Kedah Darul Aman.
Kertas Dewan Bil. 16 Tahun 2025 Penyata Kewangan Negeri Kedah Darul Aman Bagi Tahun 2024.
Kertas Dewan Bil. 17 Tahun 2025 Penyata Kewangan Majlis Sukan Negeri Kedah Darul Aman Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2024.
Sekian, terima Kasih.
Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri Tahun 2026Bill
Urusan seterusnya Tuan Setiausaha.
Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri Tahun 2026 dibacakan bagi kali yang pertama.
Dipersilakan YAB. Dato’ Seri Menteri Besar.
[Bacaan Kali Pertama]
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebelum saya kemukakan cadangan saya berkenaan dengan Rang Undang-Undang tersebut, dukacita dimaklumkan ianya tidak sempat disiarkan di dalam Warta Kerajaan menurut Peraturan 65, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman. Oleh kerana Rang Undang-Undang ini mustahak diadakan dengan segera, maka kebenaran Yang Berhormat Tuan Speaker telah pun diambil menurut sepertimana yang dikehendaki oleh Peraturan Dewan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang bernama “Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bagi tahun 2026 bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud tertentu” itu dibacakan bagi kali yang pertama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon menyokong cadangan itu.
Dipersilakan Tuan Setiausaha.
“Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan-perkhidmatan bagi tahun 2026 bagi memperuntukkan wang itu untuk maksud tertentu”.
[Bacaan Kali Kedua]
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon memberitahu bahawa saya hendak mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali yang Kedua di dalam Persidangan Dewan ini juga.
SILAKAN YAB. DATO’ SERI MENTERI BESAR
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya pohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali yang Kedua dan dengan ini sukalah saya membuat sedikit sebanyak penjelasan mengenai Bajet Negeri Kedah bagi Tahun 2026 yang akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini.
III. Ucapan Bajet Negeri 2026 Dibentangkan Oleh Yang Amat BerhormatAddress / budget
UCAPAN BAJET 2026 OLEH YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR KEDAH
Alhamdulillahi Robbil 'Alamiin, Washolatu’ Wassalamu 'Ala Sayyidina Muhammad Wa 'Ala Alihi Washohbihi Ajma'in “Robbish Rohli Sodri Wayasirli Amri Wahlul Uqdatamilisaani Yafqahu Qauli.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam “Kedah Sejahtera - Nikmat Untuk Semua” Yang Berhormat Tuan Speaker serta Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Alhamdulillah, sama-sama kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izinNya kita dapat berhimpun di Dewan yang mulia ini bagi membentangkan Bajet Negeri Kedah Tahun 2026, yang mana bajet ini akan menentukan hala tuju kewangan negeri dalam situasi yang lebih mencabar pada tahun hadapan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Kebelakangan ini, semua orang menanggung tekanan kos sara hidup yang tinggi. Dulu, yang dikategorikan miskin ialah golongan B40 tetapi hari ini, M40 turut terkesan. Ramai orang terpaksa melakukan lebih daripada satu kerja untuk menampung belanja keluarga. Kerajaan tidak pernah tutup mata terhadap penderitaan rakyat. Setiap keluhan, kami dengar dan kami faham. Dalam menghadapi isu-isu semasa, tidak ada bezanya antara kita semua, bak kata orang tua-tua;
Ke hadapan sekadar selangkah, Ke atas sekadar seranting, Hujan kita sama-sama basah, Kemarau kita sama-sama kering.
Dalam sistem federalisme, kita sama-sama maklum bahawa bidang kuasa Kerajaan Negeri adalah terhad, begitu juga sumber kewangan. Hampir kesemua cukai dikutip adalah milik Kerajaan Persekutuan, manakala hasil negeri terhad kepada beberapa cukai sahaja iaitu Cukai Tanah, Cukai Hasil Hutan (SES) dan Cukai Hiburan. Dengan hasil yang terhad, Kerajaan Negeri perlu menanggung biaya pembangunan dan pengurusan yang tinggi.
Kita tidak dapat elak peningkatan belanja pengurusan dan kos pembangunan negeri, pada masa yang sama perlu melaksanakan langkah-langkah membantu rakyat menjana pendapatan. Dalam hal ini, saya ingin mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian serta seluruh rakyat Negeri Kedah merenung peringatan Allah SWT dalam kitab suci Al-Quran ayat 47 hingga 49 Surah Yusuf:
Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan makanan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau panjang, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”. Dalam peristiwa ini, Nabi Yusuf AS mengingatkan rakyat Mesir supaya bekerja bersungguh-sungguh, menikmati hasil sekadar perlu dan berjimat cermat menyimpan hasil sebagai bekalan menghadapi musim kemarau.
Dalam menguruskan ekonomi, kita perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Tatkala diberikan limpahan rezeki oleh Allah SWT, jangan kita habiskan semua yang ada seolah-olah rezeki tidak akan terputus. Justeru, dalam merangka Bajet Tahun 2026 kita mengambil iktibar daripada surah ini sebagai teras dan prinsip ekonomi serta rangka mengurus kewangan Kerajaan Negeri pada tahun hadapan. Rakyat adalah keutamaan kerajaan. Hasil kemakmuran akan dipulangkan kepada rakyat secara telus dan terus tanpa pilih kasih. Kerajaan Negeri akan menambah program-program kebajikan kepada rakyat seperti Projek Desa Sejahtera di setiap daerah dengan menyiapkan rumah dan infra serta hak milik untuk peserta terpilih. Kita juga akan memperbanyakkan food bank di masjid-masjid untuk keluarga yang memerlukan dan bantuan persekolahan melalui Pusat Khidmat ADUN.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Dalam mengurus tadbir, sehebat mana pun gagasan, tanpa integriti, segalanya akan hancur juga. Justeru, Kerajaan Negeri akan meningkatkan kecekapan di semua peringkat pentadbiran bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dan setiap sen dana pembangunan sampai kepada mereka yang memerlukan. Dalam situasi ekonomi yang tidak begitu sihat ini, usaha pembangunan yang memberi kesan langsung kepada rakyat perlu diaktifkan untuk merancakkan penjanaan ekonomi bagi menjamin kelangsungan hidup mereka yang di bawah paras kemiskinan. Sebelum meneruskan ucapan, saya ingin berpesan kepada rakyat Negeri Kedah agar kita semua kekal tenang, tabah dan bersatu. Dalam sejarah negeri ini, setiap kali rakyat dan kerajaan bersatu hati, apa jua badai yang datang, kita mampu atasi.
Tinggi sungguh terbangnya helang, Singgah sebentar di pohon mati, Berat sungguh ujian yang datang, Rempuh bersama bersatu hati.
Kerajaan tidak menjanjikan bulan bintang, tetapi berikrar akan terus bekerja untuk rakyat. Setiap keputusan, akan mengutamakan kesejahteraan rakyat Negeri Kedah yang tercinta.
Matahari jatuh di Pantai Leman, Waktu pagi terbangnya tekukur, Bertabah itu separuh iman, Separuh lagi adalah syukur.
Rintik gerimis bertukar lebat, Musim tengkujuh cuacanya redup, Usah mengeluh wahai sahabat, Cekal tabah harungi hidup.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Landskap ekonomi global diramal semakin mencabar pada tahun 2026. Isu-isu geopolitik semasa, perubahan iklim, inflasi serta gangguan rantaian bekalan boleh memberi kesan langsung kepada rakyat.
Kerajaan perlu melaksanakan langkah proaktif melindungi bekalan makanan asas terutamanya beras, menstabilkan kos sara hidup, dan memperkukuh pelaburan dalam sektor pertanian bernilai tinggi termasuk penggunaan teknologi terkini.
Untuk itu, bajet kali ini dirangka dengan kesedaran bahawa kita perlu bersedia untuk mendahului perubahan bagi memastikan ia kekal berdaya tahan, berdaya saing, dan menjadi penyumbang penting kepada kestabilan ekonomi negeri.
Landskap Pelaburan Negeri Kedah
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, Negeri Kedah telah mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM7.94 bilion dalam sektor pembuatan, melibatkan 34 projek baharu. Ini dijangka dapat mewujudkan 3,899 peluang pekerjaan. Dengan pencapaian ini, Kedah berada di tangga keempat tertinggi di Malaysia. Pelaburan kini tertumpu di Kawasan Perindustrian Padang Meha dengan nilai RM6.5 bilion, diikuti Kulim Hi-Tech Park, Kawasan Perindustrian Padang Serai dan Kawasan Perindustrian Bakar Arang.
Pelaburan asing mendominasi dengan nilai lebih RM7 bilion manakala pelaburan domestik menyumbang RM931 juta. Tiga negara penyumbang terbesar ialah Singapura, Hungary dan Republik Rakyat China. Ini menunjukkan tahap keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap ekosistem industri Kedah, di samping komitmen kukuh pelabur tempatan yang terus menyokong pertumbuhan negeri.
Kedah Aerotropolis
Pembangunan Kedah Aerotropolis yang mana Lapangan Terbang Kargo Antarabangsa Kulim (KXP) menjadi komponen utamanya sering ditanya, jadi atau tidak projek ini? Kerajaan Negeri berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan projek berimpak tinggi ini kerana kita tahu lapangan terbang amat diperlukan untuk mengubah landskap ekonomi negeri dan negara.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, perkembangan terkini Projek KXP ialah Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan enam daripada lapan nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN). Dua lagi nasihat masih tergantung iaitu National Airports Strategic Plan (NASP) dan Aerodrome Operating Licence (AOL) yang kedua-duanya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Walaupun banyak halangan terpaksa dihadapi, projek ini tetap menjadi keutamaan Kerajaan Negeri atas keyakinan bahawa inilah yang diperlukan oleh rakyat untuk menjadi economic game changer yang akan merubah ekonomi negeri dan negara pada masa hadapan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Saya ingin mengajak semua pihak termasuk pembangkang, marilah kita sama-sama doakan Projek KXP segera diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara.
Idea asal KXP bukan daripada saya atau Kerajaan Negeri yang sekarang ini, kita hanya sambung usaha kerajaan dahulu. Sebagai anak Negeri Kedah, kita kena sokong apa yang baik untuk negeri kita, tak kira sama ada kita kerajaan mahupun pembangkang. Janganlah sokong negeri lain yang tidak mahu projek ini jadi kenyataan. Jangan pula semasa jadi kerajaan, kita sokong tetapi bila jadi pembangkang, kita bantah. Itu tak steady. Tak leh lagu tu!
PRESTASI EKONOMI NEGERI KEDAH
Berpandukan data Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2024, ekonomi Negeri Kedah berkembang 4.2% dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM54 bilion berbanding tahun 2023, RM51.9 bilion.
THE GREATER KEDAH 2050
Setelah setahun Blueprint The Greater Kedah dilancarkan, gagasan besar ini telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Suku Kedua 2025 menunjukkan 16 KPI telah mencapai 80% sasaran yang ditetapkan. Baki sebanyak 16 KPI lagi menunjukkan pencapaian di bawah 79%. Bagi memastikan setiap perancangan dipantau pelaksanaannya dengan terperinci dan keberhasilannya dianalisis sebaiknya, Sekretariat TGK telah ditubuhkan bagi menyelaras, memantau dan menganalisis pencapaian inisiatif The Greater Kedah supaya berada di landasan yang betul.
Pendekatan The Whole of Government Approach bagi mencapai misi “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” telah diterjemahkan melalui penyelarasan 41 projek pembangunan secara berpusat di Sekretariat The Greater Kedah bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri. Ini bagi memastikan wujud sinergi pelbagai aktiviti antara agensi berasaskan perkongsian data dan penggunaan sumber secara strategik. The Greater Kedah terus memberi keutamaan kepada projek-projek berimpak tinggi sebagai pemacu utama pembangunan negeri. Pembangunan pesat di Kulim Hi-Tech Park dan Kulim Industrial Corridor akan terus meletakkan Kedah sebagai antara peneraju utama sektor pembuatan negara. Sementara perkembangan positif di Delapan SBEZ, Kedah Rubber City dan Kedah Science & Technology Park akan memperkukuhkan peranan sektor pembuatan dalam memacu pertumbuhan ekonomi Kedah.
NEGERI KEDAH DALAM BELANJAWAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
Alhamdulillah, Belanjawan 2026 Kerajaan Persekutuan menzahirkan komitmen terhadap pembangunan Negeri Kedah. Ada beberapa projek keutamaan negeri telah disebut YAB Perdana Menteri antaranya pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam dengan pelaburan bernilai RM2.7 bilion bakal menjadi hab pertumbuhan moden menghubungkan rantaian ekonomi, tenaga dan digital ASEAN.
Beberapa projek lain turut diluluskan, antaranya Projek Takungan Air Pinggiran Sungai Karangan dan Projek Saliran Mesra Alam Taman Selasih, Kulim, Pembangunan Kuala Kedah Waterfront dan projek hakisan pantai di Pantai Leman, Kota Setar serta Rancangan Tebatan Banjir Sungai Temin dan Sungai Bata di Kubang Pasu.
PENCAPAIAN KERAJAAN NEGERI "Experience Kedah"
Bertemakan Experience Kedah, kempen Tahun Melawat Kedah 2025, sehingga Oktober telah berjaya menarik 5.2 juta pelancong. Pelbagai pencapaian telah diraih oleh Kedah Tourism, antaranya, World Islamic Tourism Heritage Square 2024 di World Islamic Tourism Awards (WITA 2024), "Experience Kedah" diiktiraf Leading Emerging Tourism Destination Branding di Indonesia dan Anugerah Tourism & Cultural Heritage Award sempena IMT-GT Regional Business Awards 2025.
Penyertaan dalam World Expo Osaka 2025 berjaya mempromosikan budaya, warisan dan pelancongan Negeri Kedah dengan kehadiran 162,000 pengunjung di Pavillion Kedah. Roti canai terbang dari Pokok Sena oleh Saudara Muhammad Muiz Ruzaini mempesona pengunjung ekspo.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Experience Kedah adalah usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk terus mempromosi Kedah melangkau tahun 2025. Kerajaan Negeri akan terus memperhebatkan usaha pemuliharaan nilai warisan yang terdapat di muzium-muzium dan tapak bersejarah seperti di Sungai Batu dan Tapak Arkeologi Lembah Bujang.
Gunung Jerai yang terletak dalam kawasan Jerai Geopark, merekodkan 264,000 pelawat. PKNK sebagai peneraju utama pembangunan Gunung Jerai menyediakan pelbagai tarikan seperti Jerai SkyView, Jerai SkyBike, Hijau Hijau Place, Jerai Jungle Fun Garden serta tarikan terbaru Jerai Glamping pada tahun 2026.
Pencapaian dan Anugerah Diterima PBT
Kecemerlangan PBT Kedah sebagai peneraju pembangunan bandar dan luar bandar terbukti melalui pelbagai anugerah kebangsaan. Tahniah kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) di atas penganugerahan Anugerah Khas Excellence In Urban Environmental Management Recognition.
Selain itu, empat (4) PBT Negeri Kedah telah menerima Anugerah Smart City Early Adopter Award 2025 di Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2025 iaitu Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) dan PBT Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim. Tahniah juga kepada Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB) yang diiktiraf sebagai antara 20 Bandar Paling Bahagia di Malaysia.
Pencapaian Institusi Pendidikan di bawah Kerajaan Negeri
Kecemerlangan Maktab Mahmud dan Institut Quran Darul Aman (IQDAR) sentiasa menjadi kebanggaan kita semua.
Maktab Mahmud
Dalam usia 89 tahun sejak penubuhannya, Maktab Mahmud terus cemerlang. Pada tahun 2024, seramai 62 pelajar telah mencatat keputusan straight A, dengan 9 daripadanya memperolehi pencapaian terbaik 12A dalam SPM. Bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dua pelajar berjaya memperoleh pangkat Mumtaz Sofi dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik Negeri Kedah.
Institut Quran Darul Aman (IQDAR)
Dengan kejayaan melahirkan lebih 700 Huffaz, IQDAR kini dikenali antara Institut Al-Quran yang paling cemerlang di negara ini. Asrama IQDAR bernilai RM15 juta kini dalam pembinaan dan dijangka siap awal tahun 2026. Insya Allah apabila siap kelak, asrama dengan kapasiti 300 pelajar ini akan melahirkan lebih ramai Huffaz Profesional daripada kalangan anak Negeri Kedah.
Pencapaian Atlet Sukan Negeri
Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian tiga atlet kelahiran Kedah yang terpilih menyertai program elit Road to Gold, sebagai persiapan memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028. Mereka ialah:
i. Pearly Tan, pemain badminton beregu ranking nombor satu dunia bergandingan dengan M. Thinaah. ii. S. Sivasangari, jaguh skuasy negara yang kini berada di ranking keenam dunia; dan iii. Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, pelumba basikal trek ranking kesembilan dunia bagi acara keirin.
Kerajaan Negeri juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Muhamad Aznil Bidin, pemenang pingat emas kejohanan Commonwealth Weightlifting Championship 2025 di Ahmedabad, India dalam kategori 65 kilogram. Pencapaian luar biasa mereka diharap menjadi suntikan semangat kepada anak-anak muda Negeri Kedah untuk mencapai kejayaan di persada dunia.
KERJASAMA STRATEGIK KERAJAAN NEGERI
UniSHAMS
Kerajaan Negeri Kedah komited untuk menjadikan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) sebagai Pusat Keilmuan Islam Unggul Negeri Kedah dan di rantau ini bagi melahirkan generasi profesional Islam yang berjiwa Al-Quran dan beramal dengan Sunnah. Bagi menampung keperluan semasa, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah bersetuju untuk membangunkan sebuah kolej kediaman yang dijangka mampu menempatkan sehingga 2,400 pelajar. Projek ini dijangka menelan kos RM65 juta dan bakal menjadi pemangkin kepada suasana pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan selamat.
Selain itu, Kerajaan Negeri dengan penuh rasa syukur dan berterima kasih mengumumkan pembinaan Smart Islamic Complex UniSHAMS meliputi komponen masjid dan dewan. Pembinaan akan mula dilaksanakan pada tahun 2026 melalui sumbangan wakaf individu sepenuhnya dengan anggaran kos sebanyak RM15 juta. Apabila siap kelak, Masjid UniSHAMS mampu memuatkan 4,000 jemaah pada satu-satu masa, manakala dewan boleh menampung kapasiti 1,000 orang. Masjid ini akan menjadi mercu tanda baharu universiti.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Terima kasih tidak terhingga kepada pihak-pihak yang sentiasa menyokong program Kerajaan Negeri menerusi tajaan dan sebagainya. Selain Lembaga Zakat, kita juga menerima sumbangan daripada PKNK, Yayasan Albukhary, DXN Industries, anak-anak syarikat kerajaan, pihak swasta dan sumbangan individu. Dengan sumbangan ini, program seperti Tabung Tunku Mahmud, MINDA, Program Tuisyen Rakyat dan Program Latihan dan Pensijilan Profesional Digital & Teknologi Kedah (PRODITEK) dapat diteruskan.
Kepada semua pihak yang berbudi, terimalah serangkap pantun:
Tenang-tenang air di laut, Sampan kolek mudik ke tanjung, Hati terkenang mulut menyebut, Budi yang baik rasa nak junjung.
PRESTASI KEWANGAN NEGERI KEDAH
Pada tahun 2024, kutipan hasil Kerajaan Negeri Kedah telah mencatatkan prestasi yang amat membanggakan dengan jumlah terimaan hasil sebanyak RM769.53 juta, bersamaan 102.88% daripada anggaran yang telah ditetapkan. Prestasi cemerlang ini membolehkan Kerajaan Negeri merekodkan lebihan hasil (surplus) sebanyak RM11.16 juta berbanding defisit RM12.66 juta pada tahun 2023. Ini mencerminkan pengurusan kewangan yang cekap serta komitmen berterusan kerajaan untuk memperbaiki kedudukan kewangan negeri. Sehingga 31 Oktober 2025, jumlah terimaan hasil adalah sebanyak RM639.05 juta atau 80.89% daripada anggaran hasil yang ditetapkan sebanyak RM790 juta dalam Bajet Tahun 2025. Sejumlah RM579.7 juta telah dibuat bayaran bagi perbelanjaan mengurus sehingga 31 Oktober 2025. Secara imbangannya, terdapat lebihan berjumlah RM59.3 juta sehingga 31 Oktober 2025 bagi peruntukan Kumpulan Wang Perbekalan.
Prestasi perbelanjaan bagi Kumpulan Wang Pembangunan Negeri adalah RM93.7 juta atau 44.68% berbanding anggaran tahun 2025 dan RM152.6 juta atau 61.79% dibelanjakan di bawah Kumpulan Wang Bekalan Air. Kerajaan Negeri telah menetapkan urusan pembayaran bil dan tuntutan perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan lengkap diterima. Sehingga 31 Oktober 2025, sebanyak 60,566 transaksi bayaran telah disempurnakan oleh Kerajaan Negeri.
Daripada jumlah tersebut, 99.9% bayaran telah disempurnakan dalam tempoh 14 hari dan hanya 0.1 % dalam tempoh melebihi 14 hari. Apa yang lebih membanggakan, 94.26% bayaran melibatkan 57,092 transaksi telah diselesaikan dalam tempoh kurang dari tujuh hari. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kakitangan Kerajaan Negeri atas pencapaian ini. Kerajaan Negeri juga terus komited untuk memastikan kecemerlangan pengurusan bayaran diteruskan dan mencapai sasaran sifar bayaran melebihi 14 hari.
Sijil Tanpa Teguran Penyata Kewangan 2024
Kerajaan Negeri komited mengurus kewangan secara cekap, telus dan berakauntabiliti, sekali gus mengekalkan Sijil Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Tahun 2024 yang disahkan oleh Ketua Audit Negara pada 8 Ogos 2025.
HALA TUJU RANCANGAN PEMBANGUNAN 5 TAHUN NEGERI KEDAH 2026-2030
Negeri Kedah akan memasuki fasa baharu pembangunan apabila Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) akan bermula tahun 2026 hingga 2030. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah membangunkan kerangka strategik RMK-13 yang bertunjangkan tiga teras utama sebagai panduan hala tuju pembangunan negeri meliputi:
Teras 1 – Pertumbuhan Ekonomi, Teras 2 – Kesejahteraan Rakyat, dan Teras 3 – Penyampaian Perkhidmatan.
Ketiga-tiga teras ini menjadi rujukan utama dalam merangka setiap program dan projek pembangunan oleh semua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri. Secara keseluruhan, RMK-13 Kedah menumpukan kepada projek baharu, sambungan, naik taraf, penyelenggaraan dan program berimpak rakyat yang menjadi landasan kukuh memacu Kedah mampan, berdaya saing dan sejahtera.
Keseluruhan peruntukan yang ditetapkan bagi Rancangan Pembangunan Lima (5) Tahun Negeri Kedah adalah berjumlah RM1.77 bilion melibatkan tiga (3) Kumpulan Wang Pembangunan keseluruhannya. RM1.39 bilion ditetapkan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, RM365 juta di bawah Kumpulan Wang Bekalan Air dan RM17 juta untuk Kumpulan Wang Pembangunan Hutan.
Potensi Hasil Baharu REE
Alhamdulillah, dengan rahmat Allah SWT, Negeri Kedah dikurniakan sumber rezeki baharu iaitu Unsur Nadir Bumi atau REE. Insya-Allah, dalam tempoh 10 tahun, kita dijangka akan dapat mengeluarkan hasil 250,000 tan REE daripada jumlah rizab keseluruhan sebanyak 1.196 juta tan. Selaras dengan hasrat membangunkan industri mineral, Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar Mineral Negeri termasuk menetapkan kadar royalti sebanyak 15%.
Pada 2 September 2025, delegasi Kerajaan Negeri telah mengadakan lawatan ke Projek Perintis Perlombongan Nadir Bumi (NR-REE) di Kenering, Perak yang melepasi semua syarat-syarat dan SOP agensi-agensi teknikal yang berkaitan. Ini akan menjadi model pelaksanaan di Negeri Kedah.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah menandatangani Perjanjian Timbal Balas Perdagangan (ART) dengan Amerika Syarikat termasuk yang berkaitan dengan REE.
Pendirian Kerajaan Negeri adalah jelas bahawa sebagaimana galian lain, REE yang terdapat di dalam sempadan negeri adalah hak milik Negeri Kedah. Perkara ini termaktub di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Pendirian ini telah pun saya tegaskan bersama tiga lagi Menteri Besar negeri-negeri SG4 dalam satu kenyataan media bertarikh 29 Oktober lalu. Daripada anggaran 16.2 juta tan deposit REE negara ini, 70% adalah di negeri-negeri SG4. Sebarang perancangan Kerajaan Persekutuan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama Kerajaan Negeri.
Kita terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam semangat federalisme yang adil dan saling menghormati. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan memastikan hasil ini tidak dimanipulasi sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak. Kita akan tegas mempertahankan hak rakyat Negeri Kedah.
Potensi Hasil Baharu dari Sungai Muda
Kerajaan Negeri Kedah sedang memperkukuh potensi penjanaan hasil negeri menerusi sumber air Sungai Muda. Selain menjadi sumber bekalan air Negeri Kedah, sungai ini turut menampung keperluan air di negeri jiran. Namun, beban pemuliharaan dan mitigasi sungai yang ditanggung oleh Kedah masih belum seimbang dengan hasil yang diterima.
Pajakan Pulau Pinang
Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah atas isu kedudukan dan hubungan Negeri Kedah dengan Pulau Pinang, khususnya yang membabitkan aspek sejarah dan situasi semasa hari ini. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah menzahirkan keperluan untuk isu-isu ini diperjelaskan secara telus termasuk yang berkaitan dengan pajakan. Kerajaan Negeri telah melantik pasukan penyelidik yang terdiri daripada pakar-pakar sejarah dan perundangan dan kajian mereka telah pun selesai.
Pada 15 April 2025, pasukan ini telah membentang laporan akhir kajian mereka kepada Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli-ahli Parlimen berkaitan isu tersebut. Pada masa ini, Kerajaan Negeri pada peringkat memuktamadkan lantikan peguam bagi melaksanakan analisis, penyediaan dokumen serta proses perundangan di mahkamah. Insya-Allah, perkembangan selanjutnya akan menyusul dalam tempoh sebulan dua lagi.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Semakan Cukai Taksiran oleh Pihak Berkuasa Tempatan
Bila masuk bab cukai, tidak ada siapa yang seronok dengar kenaikan. Semua orang akan melompat marah. Baru-baru ini, apabila MBAS mohon semakan cukai taksiran, ‘pakat melompat habih’ tibai Kerajaan Negeri naik cukai pintu sampai 245%. Yang 245% itu cadangan untuk sebuah kilang itu sahaja. Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani kira “dulu bayaq seringgit, la ni kena bayaq 245 Ringgit”. Betui ka kira lagu tu? Kalau tak setuju, buat bantahan, itu prosesnya.
Bukankah ada sesi pendengaran awam, bawalah justifikasi kalau tak setuju. Kota Darul Aman tulis di Facebook “MB lulus kutip cukai tak terasa apa! Fikirlah pakcik makcik yang kena tanggung cukai ini”. Saya nak tanya Kota Darul Aman, bila masa saya lulus naik cukai pintu? Kerajaan belum putuskan lagi hal itu. Yang Berhormat sengaja mengelirukan orang ramai. Semakan cukai ini dibuat selepas 32 tahun. Kali terakhir tahun 1993. Dulu pengiraan cukai dibuat berasaskan kadar sewa, sekarang dikira atas nilai semasa hartanah. Bukan semua naik. 10.7% atau 10,203unit hartanah dalam kawasan Bandaraya Alor Setar diturunkan cukai pintu. Perubahan ini ditaksirkan atas banyak sebab termasuk nilai semasa mengikut kawasan, renovasi rumah dan sebagainya.
Sentuh bab cukai, ini bukan untuk keuntungan individu. Kalau MBAS terpaksa mohon naik cukai pintu, bukan kerana Datuk Bandar suka-suka nak penaik tetapi atas keperluan untuk membiayai peningkatan kos yang ditanggung oleh MBAS. Setiap bulan MBAS perlu bayar RM2 juta kepada E-Idaman melaksanakan kerja kutip sampah dan sebagainya, RM100,000 lagi bayar tunggakan. Sebanyak 60% daripada bayaran ini menggunakan duit cukai taksiran. Selain kos kutip sampah, banyak lagi kos MBAS perlu tanggung termasuk bil elektrik lampu jalan, menyenggara jalan dan taman-taman. Cukai pintu pun bukan semua orang bayar. Di kawasan MBAS sahaja ada tunggakan cukai pintu RM24 juta. Dalam hubungan rakyat dengan kerajaan, kita kena faham situasi menang-menang. Kerajaan dari rakyat untuk rakyat. Rakyat minta apa, kerajaan akan berusaha penuhi. Tetapi kalau kerajaan tak cukup duit, nak penuhi macam mana?
DAPATAN ATAS TALIAN BAJET 2026
Bancian pendapat awam secara dalam talian telah dibuat bagi mendapatkan pandangan tentang keperluan rakyat dalam menyediakan bajet negeri. Harapan rakyat Kedah dalam bancian adalah berkaitan kemudahan infrastruktur awam (38.12%) dan diikuti oleh bantuan Kerajaan Negeri (23.17%). Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap pandangan dan aduan awam, yang mana boleh diselesaikan segera kita terus ambil tindakan pada tahun ini. Antaranya adalah permohonan penurapan semula jalan kampung di Kampung Alor Setol, Mukim Tajar seperti yang dicadangkan oleh Puan Siti Aishah binti Abd. Wahab.
BAJET NEGERI KEDAH 2026
Bajet Negeri Kedah tahun 2026 adalah bajet tahun pertama dalam Rancangan Pembangunan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan masih meneruskan agenda PELAN PEMBANGUNAN KEDAH 2035 dan THE GREATER KEDAH 2050.
Keseluruhan Bajet 2026 dianggarkan pada RM1.33 bilion melibatkan peruntukan Perbelanjaan Mengurus, Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dan Kumpulan Wang Bekalan Air.
ANGGARAN HASIL 2026
Kerajaan Negeri perlu mengimbangi sumber untuk membiayai keperluan perbelanjaan negeri. Hasil yang dikutip daripada rakyat perlu dikembalikan kepada rakyat sepenuhnya bertepatan dengan konsep ‘Hasil untuk Pembangunan’.
Untuk tahun 2026, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil adalah sebanyak RM838 juta dengan peningkatan RM48 juta berbanding anggaran tahun 2025.
Pecahan anggaran hasil mengikut kategori kutipan adalah seperti berikut;
i) Hasil Tanah berjumlah RM554.81 juta ii) Pelbagai Hasil berjumlah RM232.88 juta iii) Hasil Hutan berjumlah RM33 juta iv) Hasil Daerah berjumlah RM17.31 juta
ANGGARAN PERBELANJAAN MENGURUS 2026
Saya mohon mencadangkan Peruntukan Perbelanjaan Mengurus tahun 2026 berjumlah RM937 juta dengan kenaikan berjumlah RM47.1 juta atau 5.29 %. Daripada jumlah ini sejumlah RM91.4 juta adalah diperuntukkan sebagai Caruman Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk menampung defisit Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air.
Di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan bagi maksud Perbelanjaan Tanggungan adalah berjumlah RM87.33 juta dan Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM849.67 juta.
ANGGARAN KUMPULAN WANG PEMBANGUNAN
Kumpulan Wang Pembangunan tahun 2026 terdiri daripada tiga (3) Kumpulan Wang dengan keseluruhan Anggaran Peruntukan berjumlah RM491.42 juta kenaikan RM30.17 juta berbanding peruntukan tahun 2025.
Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Negeri
Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dianggarkan pada RM244.44 juta melibatkan peruntukan pembangunan bagi 10 jabatan pelaksana. Terdapat kenaikan yang ketara bagi peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri ini dengan kenaikan sebanyak RM34.66 juta.
Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Hutan
Sejumlah RM4.8 juta dianggarkan di bawah Peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan Negeri melibatkan sejumlah RM4.55 juta daripada Hasil SES untuk menampung lima (5) kod perbelanjaan yang diluluskan berjumlah RM4.8 juta.
Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air
Sejumlah RM242.18 juta diperuntukkan di bawah Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air melibatkan RM241.41 juta daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan untuk tiga (3) projek pinjaman dan sejumlah RM770,000 disediakan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Mengambil kira Anggaran Hasil, Peruntukan Perbelanjaan Mengurus, Peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air, defisit tahun 2026 dianggarkan pada 11.81% atau RM99 juta.
E.R.A.T SEJAHTERA 2026
Bajet tahun 2026 ini adalah merupakan cetusan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat, melestarikan alam sekitar serta memastikan tadbir urus yang cekap dan beramanah demi kemakmuran bersama, atau akronimnya E.R.A.T di mana E untuk Ekonomi, R untuk Rakyat, A untuk Alam dan T untuk Tadbir Urus. ERAT Sejahtera adalah kesinambungan Teras Bajet 2025.
STRATEGI BAJET 2026
Berdasarkan Teras ERAT Sejahtera, Bajet Negeri Kedah tahun 2026 mengekalkan empat (4) Strategi Utama dengan Empat Belas (14) Fokus dan Empat Puluh (40) Inisiatif.
STRATEGI 1: GERAK KERJA KE ARAH MEMPERKUKUHKAN PERTUMBUHAN EKONOMI NEGERI YANG MAMPAN
Strategi pertama adalah bertumpu kepada usaha membangunkan dan memperkukuhkan ekonomi negeri melalui perancangan dan gerak kerja berterusan.
FOKUS 1 – Merealisasikan Pertumbuhan Sosio Ekonomi Mampan Melalui Kemudahan Infrastruktur Yang Menyeluruh
Sudah tiba masanya kita menggerakkan transformasi ekonomi Kedah daripada status ‘Jelapang Padi’ kepada negeri berpendapatan tinggi melalui dasar fiskal yang terancang dan pertumbuhan mampan.
Inisiatif 1 – Kesalinghubungan Yang Efisien Melalui Kemudahan Jaringan Jalan Raya (Accessibility)
Pembangunan infrastruktur yang cekap dan moden adalah pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri. Projek-projek strategik seperti peningkatan hab logistik di sempadan Bukit Kayu Hitam membuka peluang perdagangan rentas sempadan yang lebih luas, sekali gus mengukuhkan kesalinghubungan dan daya saing ekonomi Kedah di rantau ini.
Peruntukan Penyelenggaraan Jalan Raya (MARRIS)
Perbelanjaan penyelenggaraan jalan raya negeri (MARRIS) menunjukkan trend peningkatan, dengan peruntukan pada tahun ini mencecah RM305 juta, berbanding RM295 juta pada tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM285 juta, atau 93.5%, telah diluluskan untuk dibelanjakan.
Selain itu, sebagai persediaan menghadapi bencana banjir, aset negeri berupa satu (1) set jambatan sementara (Bailey Bridge) bernilai RM6.05 juta telah dibeli dan sedia untuk digunakan.
Pembinaan Baharu Dan Menaik Taraf Jalan Dan Jambatan
Pelan Pembangunan RMK-13 Negeri Kedah menyenaraikan beberapa projek keutamaan baharu dan projek sambungan, termasuk kerja menaik taraf Jalan Kota Sarang Semut ke Pekan Pendang Fasa 1 (K133) (Pendang By Pass). Projek bernilai RM62 juta ini dijangka siap pada Mei 2026.
Selain itu, projek jalan baharu Kebun 500/Tualang/Bukit Sekechong (K129/4/2), kerja menaik taraf dan melebarkan persimpangan jalan Kepala Batas/Bukit Pinang/Lengkuas (K355) serta kerja menaik taraf Jalan Batu 42 Sungai Petani/Baling (K824) Daerah Kuala Muda akan dimulakan pembinaan pada tahun 2026.
Beberapa projek pembinaan jambatan baharu juga sedang berjalan sebagai projek sambungan dari RMK-12 dengan kos keseluruhan RM12.65 juta. Ini termasuk Jambatan Sungai Pendang (K130), Jambatan Sungai Getah (K152) dan Jambatan Sungai Chepir (K15) dijangka siap 2026. Sebanyak 21 projek turut diluluskan bagi kerja menaik taraf jalan dan jambatan serta kemudahan jalan dengan jumlah peruntukan RM5.8 juta.
Inisiatif 2 – Peningkatan Kemudahan Bekalan Air
Kerajaan Negeri Kedah menyokong penuh usaha capaian air bersih seluruh negeri dan meneruskan tiga (3) projek sambungan di bawah RMK-12 dengan peruntukan keseluruhan RM242.18 juta.
Peruntukan RM200 juta adalah bagi Menaik Taraf LRA Pelubang, RM40 juta untuk Pembaikan Paip Dasar Laut dari Tanah Besar ke Langkawi dan RM1.4 juta untuk Meningkatkan Sistem Pengepaman Padang Matsirat, Langkawi. Peruntukan juga disediakan untuk pengambilan balik tanah, ismen dan laluan keluar masuk ke LRA serta pengurusan aset air.
FOKUS 2 – Mensejahterakan Ekonomi Rakyat Melalui Program Pembangunan Ekonomi
Kerajaan Negeri sentiasa membantu peniaga dan usahawan tempatan untuk keluar daripada norma perniagaan biasa dengan menyediakan ekosistem sokongan yang komprehensif melalui inisiatif penyediaan geran perniagaan, pinjaman mikro kredit, latihan kemahiran, bimbingan inovasi teknikal dan pengenalan kepada teknologi moden seperti Internet of Things (IoT).
Inisiatif 3 – Modernisasi Pembangunan Peniaga dan Usahawan Berdaya Saing
Peruntukan sebanyak RM1 juta disediakan bagi meneruskan usaha membangunkan usahawan dan peniaga kecil di bawah Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK).
Program Pembangunan Usahawan Pertanian melalui industri asas tani, perkhidmatan sokongan teknikal dan pengembangan pertanian turut diperuntukkan sejumlah RM1.2 juta. Peruntukan bagi pembangunan usahawan ternak pula disediakan sejumlah RM4.89 juta.
Inisiatif 4 – Membina Kemahiran Dengan Program Sejahtera Care
Tabung Sejahtera Wanita telah dijenamakan semula kepada Sejahtera Care. Program latihan kemahiran urutan tradisional ini diberikan kepada 150 wanita terpilih bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran yang diiktiraf. Sejumlah RM500,000 disediakan.
Inisiatif 5 – Menaik Taraf Kemudahan Ruang dan Tapak Niaga
Dalam mengaktifkan ekonomi dan penjanaan pendapatan rakyat terutama golongan peniaga kecil dan penjaja, sejumlah RM1 juta diperuntukkan untuk menaik taraf dan membaik pulih kemudahan tapak niaga di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Kedah.
FOKUS 3 – Memperkukuhkan Sumber Bekalan Makanan Melalui Program Keterjaminan Makanan
Inisiatif 6 – Kegemilangan Jelapang Padi Negeri
Menyumbang kepada kira-kira 43% daripada keperluan beras negara, Negeri Kedah kekal sebagai Jelapang Padi Malaysia. Elemen pembangunan melalui teknologi pintar dan pembangunan kelompok sawah gemilang dengan sasaran pengeluaran padi lima (5) tan sehektar disediakan peruntukan berjumlah RM1.6 juta. Peruntukan RM5.6 juta disediakan untuk menaik taraf sistem pengairan luar jelapang, manakala peruntukan RM23 juta disediakan untuk penyelenggaraan berkala sungai dan saliran di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah.
Inisiatif 7 – Kecemerlangan Produk D’Aman – Melon dan Mempelam
Pembangunan Hab Melon Negeri Kedah D’Aman di Pokok Sena telah mula menampakkan hasil dengan pengeluaran 60.6 tan setahun dan usaha ini akan diperluaskan ke beberapa daerah lain. Usaha mempromosi mempelam harum manis D’Aman akan digiatkan.
Inisiatif 8 - Pembangunan Produk Organik
Amalan Pertanian Baik seperti pensijilan MyGAP dan MyOrganik memberi nilai tambah ke atas kualiti buah-buahan, sayur-sayuran, cendawan, herba dan juga padi yang menawarkan alternatif yang lebih sihat, selamat dan bebas bahan kimia. Bagi maksud ini, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM500,000.
Inisiatif 9 – Menyokong Projek Keterjaminan Makanan Negara
Beberapa projek Pengukuhan Keterjaminan Makanan telah dilaksanakan pada tahun 2025 berjumlah RM13.45 juta. Meneruskan projek ini, pelbagai program dan projek pengembangan pertanian akan dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM2.8 juta.
Kerajaan Negeri akan merintis pembangunan projek Rumah Sembelihan Ruminan di bawah kawal selia kerajaan yang pertama di Daerah Pokok Sena. Projek yang bernilai RM300,000 ini akan memberi manfaat dan menjamin keselamatan makanan melalui pelaksanaan proses sembelihan ruminan yang bersih dan bersistematik.
FOKUS 4 – Pengembangan Ekonomi Melalui Experience Kedah dan Tahun Melawat Malaysia 2026
Inisiatif 10 – Experience Kedah
Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, peruntukan sebanyak RM3.2 juta diluluskan untuk terus memperkukuh penjenamaan dan promosi Experience Kedah 2026 bagi menjemput warga dunia menikmati pengalaman di Kedah secara mendalam dan bertaraf antarabangsa.
Inisiatif 11 – Projek dan Program Pelancongan
Sejumlah RM5.89 juta disediakan untuk menaik taraf dan membaik pulih kemudahan pelancongan, penyelenggaraan bangunan warisan dan Taman Eko Rimba serta kemudahan infra Agro Pelancongan.
FOKUS 5 – Memperkukuh Elemen untuk Menarik Pelaburan Luar ke Negeri Kedah
Inisiatif 12 – Invest Kedah
Kerajaan Negeri Kedah sentiasa komited mewujudkan iklim pelaburan yang stabil, kondusif dan mesra pelabur. Melalui Invest Kedah, sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan sebagai biaya pengurusan dan membina kerjasama strategik industri dengan konglomerat antarabangsa.
STRATEGI 2 – KEDAH SEJAHTERA: KE ARAH KESEJAHTERAAN SOSIAL DAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN YANG INKLUSIF
FOKUS 6 – Kedah Sejahtera Nikmat untuk Semua
Inisiatif 13 - Kesejahteraan dan Kebajikan Rakyat
Pelbagai inisiatif telah dirangka dan dilaksanakan bagi mengurangkan beban kewangan rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dengan kumpulan sasar yang berbeza. Kerajaan tidak pernah memandang remeh keluhan dan rintihan rakyat, bahkan terus mencari jalan terbaik untuk meringankan beban rakyat.
Bantuan Am dan lain-lain Bantuan
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM25 juta bantuan kepada lebih 5,000 penerima setiap bulan dengan tumpuan kepada keperluan asas, kesejahteraan keluarga dan kelangsungan hidup.
Pelbagai Bantuan Kedah Sejahtera diteruskan pada tahun 2026 meliputi bantuan:
i. Bantuan Beras Sejahtera bernilai RM4.29 juta dengan tambahan bilangan bantuan di DUN Lunas dan DUN Bukit Selambau.
ii. Bantuan Sejahtera Kesihatan dan Bantuan Pesakit Terlantar dengan jumlah RM2.65 juta termasuk inisiatif baharu, iaitu “Bantuan Katil & Kerusi Roda kepada Pesakit”.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Meneruskan aspirasi Kedah Sejahtera sejumlah peruntukan turut disediakan kepada Ahli – Ahli Yang Berhormat ADUN termasuk ADUN pembangkang bagi memberi bantuan segera dengan keutamaan kepada mereka yang paling memerlukan. Sejumlah RM16.6 juta disediakan bagi maksud ini. Tahun 2026 menyaksikan tambahan peruntukan baharu khas diberikan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen berjumlah RM50,000 setiap Ahli Parlimen dengan jumlah peruntukan RM700,000.
Dalam mendekatkan jurang antara rakyat dan kerajaan, pelbagai program telah dirangka dan dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2026. Bagi maksud tersebut, sejumlah RM10.3 juta dengan tambahan sejumlah RM1.3 juta berbanding tahun 2025.
Inisiatif 14 – Bantuan Khairat Kematian (i-Kafalah)
Inisiatif i-Kafalah turut diperuntukkan RM4 juta bagi meringankan beban keluarga B40 untuk urusan awal pengebumian dengan sumbangan RM500 kepada waris. Ini mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan yang hadir ketika saat paling sukar.
Inisiatif 15 – Kemudahan Pusat Jagaan dan Rumah Transit
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap golongan warga emas, gelandangan dan kurang bernasib baik. Sebuah rumah transit baharu di Langkawi akan mula beroperasi sebagai usaha untuk perlindungan awal dan penempatan sementara kepada mereka yang memerlukan. Sejumlah RM500,000 disediakan bagi tujuan membaik pulih dan penyelenggaraan serta pengurusan pusat transit, rumah jagaan dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).
Apa tanda pancang pembelat, Sama condong bawah dan atas, Apa tanda orang beradat, Rela menolong tak minta balas.
FOKUS 7- Pendidikan
Inisiatif 16 – Bantuan Pengurusan Institusi Pendidikan dan Sekolah
Lembaga Maktab Mahmud
Peruntukan pengurusan Lembaga Maktab Mahmud diluluskan sebanyak RM42 juta pada tahun 2026, meningkat RM6 juta berbanding tahun sebelumnya. Di bawah RMK-13, cadangan pembangunan Maktab Mahmud Yan di tapak berkeluasan 3.48 hektar melibatkan pembinaan blok pentadbiran, akademik, makmal, kantin dan pelbagai kemudahan lain akan dimulakan pada tahun 2026 dengan peruntukan awal berjumlah RM5 juta.
Seiring keperluan semasa, untuk melahirkan generasi muda yang seimbang ilmu agama dan kemahiran teknikal, sebuah sekolah tahfiz yang memfokuskan kepada kemahiran TVET akan dibangunkan di Sik, dengan peruntukan sebanyak RM3 juta. Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS). Pembinaan Kolej Kediaman Pelajar UniSHAMS akan dimulakan dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui peruntukan RM25 juta bagi tahun 2026. Sejumlah RM6 juta juga diperuntukkan kepada UniSHAMS sebagai bantuan mengurus bagi tahun 2026.
Sumbangan Mengurus Institusi Pendidikan Agama Yang Berdaftar di Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Kedah meneruskan peruntukan bantuan mengurus sebanyak RM1.5 juta kepada Sekolah Agama Rakyat, Pondok dan Pusat Tahfiz yang berdaftar di bawah JHEAIK. Sumbangan tahunan dinaikkan sehingga RM10,000 bergantung kepada jumlah pelajar dan kapasiti institusi.
Sekolah Menengah Agama Negeri (SMA), Tadika Islam Negeri dan KAFA
Pada tahun 2026, peruntukan keseluruhan berjumlah RM26.8 juta disediakan untuk Bantuan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMA), Tadika Islam dan KAFA bagi menampung keperluan pengurusan, kebajikan guru, peningkatan kualiti pembelajaran serta kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah dan institusi pendidikan agama negeri. Kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM400,000 pada tahun 2026 bagi penyelenggaraan serta naik taraf Tadika Islam dan premis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di masjid-masjid seluruh Negeri Kedah.
Bantuan kepada SJK Cina dan SJK Tamil
Di Kedah, setiap anak adalah amanah. Atas semangat ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dengan peruntukan RM300,000 demi memperkasa program murid dan keperluan sekolah.
Yang Berhormat Tuan Speaker,
Inisiatif 17 – Bantuan Pengajian, Pinjaman Pendidikan dan Biasiswa
Tabung Tunku Mahmud
Tabung Tunku Mahmud adalah tali harapan yang membantu pelajar yang memerlukan untuk meneruskan pelajaran dalam usaha mengubah nasib keluarga. Alhamdulillah sehingga September 2025, tabung ini telah menerima sumbangan sebanyak RM8.39 juta, dengan pemberian bantuan sejumlah RM7.17 juta dan telah memberi manfaat kepada seramai 4,884 penerima yang membolehkan mereka membayar yuran, membeli buku dan meneruskan impian pendidikan. Namun begitu, permohonan yang diterima tidak pernah putus, dan baki yang ada adalah nafas sementara. Usaha membantu “Pejuang Ilmu” adalah amal jariah yang berterusan pahalanya. Justeru, saya menyeru sumbangan berterusan dari semua pihak.
Pinjaman Pendidikan/Pemberian Bantuan Awal Kemasukan Ke Institusi Pengajian Tinggi (BAKIPT)
Kerajaan Negeri mengekalkan dua (2) bentuk bantuan pendidikan untuk Anak Negeri Kedah yang layak melalui Pinjaman Pendidikan dan Bantuan Awal Kemasukan ke IPT (iBAKIPT) berjumlah RM2.1 juta.
Program Pendidikan Tambahan
Pelbagai program pendidikan tambahan yang dirancang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2025 dan terbukti berkesan dalam mengukuhkan asas pembelajaran dan meningkatkan prestasi peperiksaan dalam kalangan pelajar sasaran. Program Tuisyen Rakyat, Program Kariah STAM dan Program Robotic Challenge diluluskan peruntukan RM480,000.
Inisiatif 18 – Kemudahan Prasarana Sekolah dan Institusi Pendidikan
Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan RM4 juta bagi pembangunan prasarana sekolah termasuk penyelenggaraan asrama pelajar di Mesir.
Kerja-kerja menaik taraf Asrama Pelajar Hayyu El-Sabee dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah yang telah diumumkan dalam bajet tahun ini, dijangka siap pada akhir Disember 2025 dan Insya-Allah akan dapat diduduki menjelang kemasukan pelajar baru tahun hadapan. Cordoba of Kedah, melalui Institut Kajian Darul Aman (IKTIKAD), akan menumpukan kepada pembangunan kokurikulum komprehensif berteraskan Islam dan Sains pada tahun 2026 dengan peruntukan RM100,000 dan juga peruntukan tambahan RM50,000 disediakan untuk Program Pengajian Sepanjang Hayat dan Program Pendigitalan Sekolah Agama Rakyat dengan kerjasama pihak swasta.
FOKUS 8 – Agama dan Sosial
Inisiatif 19 – Peruntukan kepada Masjid, Surau dan pembangunan islam
Masjid Zahir bukan sekadar mercu tanda ianya adalah ikon perkembangan Islam Negeri Kedah dan sebahagian program Islamic Tourism. Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan dana RM1.5 juta bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan Masjid Negeri dalam memelihara nilai warisannya.
Peruntukan RM6.1 juta diluluskan bagi projek pembangunan masjid dan surau meliputi kerja menaik taraf, penyelenggaraan dan pembaikan. Terdapat 34 projek telah dirancang dan antaranya adalah pembinaan surau-surau baharu. Peruntukan sejumlah RM12 juta turut disediakan bagi tujuan bayaran elaun kepada imam, bilal dan siak lantikan negeri.
Inisiatif 20 – Perhubungan Kaum
Kepelbagaian kaum kita raikan, keharmonian dan perpaduan kita semarakkan. Perbezaan kepercayaan, adat resam dan warna kulit bukanlah penghalang, malahan ianya memberikan perspektif seribu makna untuk disantuni. Bagi maksud ini, kerajaan memperuntukkan RM600,000 pada tahun 2026.
Inisiatif 21 – Dasar Wanita Kedah
Dasar Wanita Negeri Kedah adalah inspirasi dalam membentuk hala tuju pembangunan dan pemerkasaan peranan wanita dalam menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negeri dan negara, sejumlah RM150,000 disediakan bagi maksud ini.
Inisiatif 22 – Memperbaiki dan Menaik Taraf Kemudahan Melalui Peruntukan Ameniti Sosial
Kemudahan ameniti sosial perlu diselenggarakan dengan baik agar lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dan interaksi sosial dapat berlaku. Sejumlah RM9.9 juta disediakan meliputi kerja-kerja seperti pembaikan dewan orang ramai, menaik taraf kawasan riadah, dataran kejat dan pembaikan parit dan longkang.
Inisiatif 23 – Program Kedah Bersih dan Sihat
Kerajaan Negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terus menganjurkan pelbagai inisiatif gotong-royong yang melibatkan komuniti, NGO dan agensi luar. Usaha ini diteruskan dengan pelaksanaan Program Kedah Bersih dan Sihat, Program Gotong-Royong Perdana dan Kempen Hari Tanpa Plastik.
FOKUS 9 – Perumahan Rakyat
Kerajaan Negeri Kedah telah meluluskan Dasar Perumahan Negeri Kedah pada 1 April 2025. Dasar ini mengandungi lapan (8) pernyataan penetapan, termasuk penetapan zon pembangunan, kategori dan harga Rumah Mampu Milik, kuota pembinaan, levi bagi projek yang tidak menyediakan rumah mampu milik serta syarat-syarat permohonan dengan tujuan memastikan setiap keluarga di negeri ini mampu memiliki tempat tinggal yang sempurna.
Inisiatif 24 – Program Desa Sejahtera
Pemberian Lot Desa Sejahtera telah memulakan projek rintis Fasa 1 di Daerah Padang Terap dengan tujuh (7) pemohon pertama telah menerima geran hakmilik tanah. Projek ini akan diperluaskan ke daerah Sik, Bandar Baharu, dan Kubang Pasu. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM2 juta untuk merealisasikan hasrat pembangunan dan penyediaan kemudahan tapak kediaman Desa Sejahtera ini.
Inisiatif 25 – Pembaikan Rumah Keluarga Miskin
Isteri Rasulullah SAW, A’isyah RA pernah bertanya “Ya Rasulullah, saya ingin dekat dengan Allah SWT, bagaimanakah caranya? Lalu Baginda menjawab, “Dekatilah orang miskin, nanti kamu akan dekat dengan Allah, dekatilah orang kurang berada.” Hadis ini menunjukkan bahawa menyantuni golongan miskin adalah jalan mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Sebanyak 884 buah rumah keluarga miskin telah dibaik pulih oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2023. Program ini diteruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan berjumlah RM9.1 juta peningkatan RM2.1 juta berbanding tahun ini.
Inisiatif 26 – Perumahan Awam – Pembangunan dan Penyelenggaraan
Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah telah memulakan operasi pemutihan data dan mengkaji semula perjanjian sewaan Skim Perumahan Paya Nahu 1 dan 2 yang melibatkan 2,064unit rumah, bermula Jun hingga Oktober 2025. Hampir 76% penyewa telah menandatangani perjanjian baharu. Suka saya sebutkan beberapa penyewa yang tanpa gagal membayar sewaan pada masa yang ditetapkan dan tiada tunggakan, antaranya Encik Sim Sue Seng dan Puan Naziroh Abdul Majid dari Flat Paya Nahu 2. Terima kasih diucapkan.
Penyewa skim perumahan Kerajaan Negeri diseru agar membayar sewaan tepat pada masanya, kerana kutipan tersebut amat penting untuk membiayai kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan asas di 84 skim perumahan yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri. Peruntukan RM3 juta disediakan untuk penyelenggaraan dan RM1.5 juta untuk kos urus tadbir perumahan.
Inisiatif 27 – Pemberian Hak Milik Kampung Kota Nelayan Kuala Kedah
Pemberian 321 hak milik bagi Fasa 1 Perumahan Kota Nelayan Kuala KedaInsya-Allah akan diselesaikan pada Disember 2025. Kesinambungan ini akan diteruskan melalui Fasa 2 pada tahun 2026 dengan peruntukan tambahan berjumlah RM500,000 lagi bagi menyiapkan baki 257 hak milik yang belum disempurnakan.
Inisiatif 28 - Pembaikan Rumah Akibat Bencana
Ujian bencana banjir, ribut atau kebakaran tidak hanya memberikan kesan emosi tetapi juga kehilangan dan kerosakan harta benda. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3.5 juta, dengan RM2 juta disalurkan untuk bantuan bencana daerah dan RM1.5 juta lagi bagi tujuan pembaikan rumah serta kemudahan yang terjejas akibat bencana.
FOKUS 10- Belia, Sukan dan Pembangunan Insan
Inisiatif 29 - Program Pembangunan Belia dan Kebudayaan
Generasi muda hari ini perlu dipersiapkan sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan terutama bagi mencetus inspirasi, memperkasa dan membangunkan bakat dan daya saing berteraskan pembangunan 3K (kemahiran, keusahawanan dan kompetensi).
Sehubungan dengan itu, sejumlah RM550,000 diperuntukkan kepada Sekretariat Belia, Badan Kebudayaan dan Koperasi, Majlis Kebudayaan dan PEMADAM.
Inisiatif 30 - Kecemerlangan Sukan Negeri
SUKDA 2025 yang berfungsi sebagai kolam bakat (talent pool), telah mengenal pasti 185 bakat baharu dan akan dipanggil ke kem latihan untuk penilaian. Mereka yang berpotensi akan diserap sebagai atlet untuk SUKMA Selangor 2026 dan edisi-edisi SUKMA akan datang. Sejumlah RM10 juta disediakan bagi maksud ini.
Pelan Pembangunan Bola Sepak Kedah 2035
Kerajaan Negeri Kedah telah meluluskan Pelan Pembangunan Bola Sepak Kedah 2035 (KF35) untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri dengan sasaran menjadi juara SUKMA 2030. Pelan ini adalah Reset Button mencakupi keseluruhan ekosistem bola sepak, pengurusan, pembangunan pemain dan model perniagaan. Sejumlah peruntukan turut disediakan bagi maksud ini.
Prasarana Sukan
Sejumlah RM4.78 juta bagi tujuan pembangunan kemudahan infra dan prasarana sukan yang mencapai standard up to date dengan kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih Stadium Darul Aman, Kompleks Sukan Sultan Abdul Halim dan Pusat Akuatik Negeri Kedah.
Inisiatif 31 - Pembangunan Insan
Pembangunan Insan sejahtera melalui program The Pearl of Kedah dan Program Insentif Tabungan Skim Simpanan Pendidikan diperuntukkan sejumlah RM770,000.
Program ini adalah intervensi menyeluruh dan mensasarkan remaja daripada keluarga B40 bagi memutus rantaian kemiskinan dan memastikan anak-anak Kedah memiliki masa depan yang lebih cerah dan tidak lagi terbelenggu dalam kitaran kemiskinan.
Program Sains dan Inovasi
Bagi menyokong inisiatif Program Sains dan Inovasi, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM50,000 dan bekerjasama dengan rakan strategik seperti Kulim Technology Park Corporation (KTPC) sebagai peneraju dan institusi pengajian tinggi untuk mengukuhkan reputasi Kedah dalam melahirkan generasi saintifik masa hadapan.
Program Kecemerlangan Siswa
Di bawah inisiatif pemerkasaan mahasiswa, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan keseluruhan RM400,000 untuk Program Pembangunan Mahasiswa, pemberian sumbangan kepada Persatuan Mahasiswa dan Program Kad Siswa Kedah. Program Kad Siswa Kedah ini akan dimanfaatkan oleh sekurang-kurangnya 20,000 mahasiswa anak Kedah yang menawarkan perlindungan insurans serta pelbagai diskaun istimewa di premis perniagaan terpilih di seluruh negara. Sejumlah RM200,000 disediakan bagi maksud ini.
STRATEGI 3 - MEMPERKUKUH KELESTARIAN ALAM SEKITAR SEIRING PEMBANGUNAN MAMPAN - Alam Terpelihara Warisan Sejahtera
Titik keseimbangan di antara kerancakan pembangunan dan kelestarian alam dizahirkan dalam strategi ketiga berkonsepkan Alam Terpelihara Warisan Sejahtera.
FOKUS 11 - Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Alam Sekitar
Kerajaan Negeri Kedah komited memelihara dan memulihara khazanah hutan seluas 344,000 hektar dengan komitmen untuk memelihara ekosistem serta biodiversiti alam.
Inisiatif 32 - Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT)
Program Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) diteruskan pada tahun 2026 untuk memastikan sistem biodiversiti dapat dikekalkan. Sejumlah RM14.17 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program-program di bawah komponen utama EFT termasuk urusan pemuliharaan kawasan Geo- Park & Geo-Tapak.
Inisiatif 33 - Pemuliharaan dan Pemeliharaan Alam
Sungai dan pantai memainkan peranan penting dari segi ekologi, ekonomi dan sosial. Jabatan Pengairan dan Saliran telah diperuntukkan sejumlah peruntukan RM4 juta bagi program-program pemuliharaan dan pemeliharaan sungai dan pantai.
Bagi menjaga kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan dan komuniti, sejumlah RM5.74 juta diperuntukkan bagi mengekalkan kelestarian hutan sebagai khazanah bumi yang tinggi nilainya.
Program Penanaman 2.2 juta Pokok
Program penanaman 2.2 juta pokok yang dinaungi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah adalah satu manifestasi ke arah pemuliharaan alam sekitar dan pemeliharaan keseimbangan biodiversiti.
Pelaksanaan program ini melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, syarikat-syarikat swasta, NGO dan orang awam. Sehingga Oktober 2025, lebih 217,000 pokok telah ditanam di seluruh Negeri Kedah.
FOKUS 12 - Mendepani Isu dan Masalah Banjir
Inisiatif 34 - Kesiapsiagaan Menghadapi Banjir
Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM3.6 juta bagi menaik taraf infrastruktur saliran sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir termasuk meneruskan projek sambungan program tebatan banjir bagi mengatasi banjir dan banjir kilat di Pengkalan Lebai Man. Sejumlah RM300,000 juga disediakan di bawah Disaster Command Centre JPS bagi maksud Pembangunan Sistem server dan web kamera pemantauan banjir.
Inisiatif 35 - Pembaikan Pasca Banjir
Kerosakan akibat bencana diperuntukkan RM1 juta untuk kerja-kerja pemulihan tebing dan pemulihan kerosakan sungai akibat banjir di beberapa lokasi seluruh negeri. Peruntukan turut disediakan di bawah peruntukan MARRIS bagi kerja pembaikan infrastruktur dan penyelenggaraan kerosakan jalan akibat bencana banjir.
STRATEGI 4 – MEMACU TADBIR URUS CEMERLANG DEMI KEMAJUAN NEGERI DAN MERAKYAT PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
Kerajaan komited untuk melaksanakan modernisasi pentadbiran dalam merakyatkan perkhidmatan awam secara menyeluruh, merangkumi aspek teknologi, prosedur dan budaya kerja bagi mencapai hasil yang optimum.
FOKUS 13 - Modernisasi Tadbir Urus Kerajaan
Inisiatif 36 - Memantapkan Tadbir Urus Jabatan Negeri
Penjawat Awam Negeri telah menikmati kenaikan gaji pada Disember 2024 sebanyak 8% dan kenaikan sekali lagi pada awal 2026 sebanyak 7%. Peruntukan RM557.3 juta bagi perbelanjaan untuk memantapkan tadbir urus disediakan dengan pertambahan berjumlah RM38 juta.
Inisiatif 37 - Kemudahan dan Suasana Kerja Kondusif
Keperluan menyediakan suasana kerja yang kondusif dan positif bukan sahaja meningkatkan kepuasan pekerja, malah melahirkan budaya kerja yang sihat dan kolaboratif dalam sesebuah organisasi. Sejumlah RM46.65 juta diperuntukkan pada tahun 2026.
Inisiatif 38 - Penghubung Kerajaan dan Rakyat
Sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dan penyelesai isu tempatan, Penghulu dan MKK tidak dinafikan peranan mereka. Sehubungan dengan itu, sejumlah RM1.5 juta disediakan bagi menyediakan Kemudahan Pejabat kepada Penghulu-penghulu. Peruntukan berjumlah RM13.84 juta disediakan kepada MKK termasuk tambahan peruntukan baru kepada MKK Kampung Baru dan bayaran elaun kepada Tok Batin Kampung Lubuk Legong, Baling, Kedah.
Dalam menyampaikan maklumat yang sahih, pantas dan terkini, Kerajaan Negeri telah melancarkan Web TV Kedah pada 1 Oktober 2025. Web TV Kedah ini adalah lambang keterbukaan dan kesungguhan kerajaan dalam menyampaikan maklumat, liputan acara rasmi kerajaan, sidang media, dokumentari serta infografik dan maklumat terkini Kerajaan Negeri. Sejumlah RM230,000 disediakan pada tahun 2026 untuk maksud ini.
FOKUS 14 - Meneruskan Usaha Mendigitalkan Perkhidmatan
Kerajaan Negeri Kedah akan terus melabur dalam menyediakan infrastruktur dan platform digital untuk memastikan setiap rakyat di negeri ini dapat menikmati perkhidmatan dalam talian yang cekap dan pantas.
Inisiatif 39 - Penyediaan Kemudahan Peralatan Dalam Menyokong Perkhidmatan Digital Kerajaan Negeri Kedah.
Sejumlah RM2.57 juta disediakan kepada pelbagai jabatan negeri melibatkan pembelian aset seperti alatan kerja teknikal termasuklah Global Navigation Satellite System (GNSS), dron dan alatan sokongan teknikal yang lain.
Inisiatif 40 - Usaha Memastikan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sentiasa Ke Depan Dalam Penggunaan Sistem, Aplikasi dan Teknologi Maklumat
Kerajaan Negeri sentiasa memastikan penggunaan teknologi terkini tanpa mengabaikan risiko keselamatan data dan maklumat kerajaan. RM8.26 juta disediakan untuk menaik taraf infrastruktur rangkaian talian, pembangunan dan penyelenggaraan sistem serta pembayaran langganan.
PENGHARGAAN
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekalian atas sokongan padu, pandangan bernas, komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan tadbir urus yang telus di samping menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Penghargaan yang sama juga saya tujukan khas kepada seluruh jentera Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di Negeri Kedah. Gerak kerja cemerlang anda di lapangan, bermula daripada kumpulan sokongan sehinggalah ke peringkat pengurusan tertinggi, adalah nadi kepada pelaksanaan setiap inisiatif dan program pembangunan negeri. Dedikasi dalam memastikan setiap projek pembangunan terlaksana membolehkan Kerajaan Negeri merealisasikan hasrat untuk mengubah Kedah daripada negeri jelapang padi kepada negeri berpendapatan tinggi dan progresif. Sesungguhnya, kerjasama erat antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran adalah kunci kejayaan kita dalam membangunkan Negeri Kedah yang kita cintai ini.
Indah menguning masaknya padi, Mawar merah dalam jambangan, Terima kasih Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri, Khidmat bakti jadi sanjungan.
Segar menjunjung pohon sirih, Tumbuh menjalar di hujung laman, Kalungan budi junjungan kasih, Mengharum jasa sepanjang zaman.
Menghargai usaha keras ini sukacita diumumkan Kerajaan Negeri telah meluluskan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM2,000 yang akan dibayar kepada semua Anggota Pentadbiran Negeri dan Penjawat Awam Negeri. Pembayaran akan dibuat pada Januari dan Mac 2026 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10 juta.
Pesan orang tua-tua kita, “sesat surut, terlangkah kembali”. Resam hidup kita sebagai manusia, pasti ada berbuat salah, sama ada dengan sengaja atau tidak. Salah dengan Allah, boleh minta ampun dan bertaubat. Salah sesama manusia, perlu dapatkan kemaafan. Itu yang berat. Sebagai orang beriman dengan Hari Akhirat, jauhilah khianat. Dalam Surah Al-Anfaal Ayat 27, Allah SWT berfirman:
Yang bermaksud
“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya (Muhammad) dan janganlah kamu mengkhianati amanah yang telah dipercayakan ke atasmu sedang kamu mengetahui (salahnya perbuatan khianat).” Ingatlah, orang khianat bukan sahaja dimurkai Allah SWT tetapi juga akan dibenci orang sekeliling seperti mana peringatan orang lama “seperti dedalu api di pohon kayu” - nanti ia yang akan menyebabkan pohon itu layu dan mati.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Saya mohon mencadangkan Wabillahhitaufiq Wal Hidaayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bagi mematuhi Peraturan 68(2) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman, maka perbahasan di atas Rang Undang-Undang ini saya tangguhkan sehingga esok pagi supaya perkara-perkara yang dibangkitkan tidak bertindan-tindih. Saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat merangkumkan perkara-perkara yang menyentuh Rang Undang-Undang Perbelanjaan Negeri 2026, Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Negeri Tahun 2026, Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Hutan Negeri 2026 dan Anggaran Kumpulan Wang Pembangunan Bekalan Air Negeri Tahun 2026 ketika membahaskan Ucapan Bajet 2026.
Dalam membahaskan Rang Undang-Undang ini Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menumpukan ucapan-ucapan Yang Berhormat kepada perkara-perkara yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman sahaja. Mana-mana perkara yang telah pun disentuh oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain tidak usahlah diulangi lagi. Saya berharap semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat membuat semakan dan persediaan yang teliti bagi membahaskan ucapan bajet yang telah dibentangkan pada hari ini.
Sekian, terima kasih.
[Sidang Dewan ditangguhkan pada jam 10.30 pagi]