Kedah · 13 April 2026
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · 12 turns · 1,989 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Ahli-Ahli Yang Berhormat serta hadirin sekalian, mengumumkan Yang Berhormat Speaker masuk ke Dewan. Semua dipohon berdiri.
Semua dipersilakan duduk.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan disambung semula. Bacaan doa.
Bacaan Doa.
Sukacita saya maklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah memberi perkenan untuk menyampaikan Titah Ucapan sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-15.
Sekarang saya pohon meninggalkan majlis untuk mempersilakan dan mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Dan Kerabat-Kerabat Diraja yang lain ke majlis ini.
(Yang Berhormat Dato’ Speaker dan rombongan keluar menjemput KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan Kerabat-Kerabat DiRaja yang lain masuk ke dalam Dewan).
Ahli-Ahli Yang Berhormat serta hadirin sekalian semua dipohon berdiri. Mengumumkan keberangkatan masuk KDYMM Tuanku Sultan diiringi bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah.
Semua dipersilakan duduk.
(KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan Kerabat-Kerabat DiRaja bersemayam)
KDYMM Tuanku Sultan, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun. Ahli-Ahli Yang Berhormat serta hadirin sekalian dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah perkenan untuk bertitah bersempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15. Dipersilakan YAB. Dato Seri Menteri Besar untuk menghadap bagi mempersembahkan Naskah Titah DiRaja ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
(Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar akan persembahkan Naskah Titah Ucapan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah bertitah sambil bersemayam)
I. Titah Ucapan Perasmian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Sempena Perasmian Pembukaan Mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Pada 13 April 2026.Address / budget
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala, Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sollallahhu Alaihi Wasallam, penghulu segala nabi dan rasul. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberi rahmat kepada ahli keluarga serta para sahabat Baginda sekalian.
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dengan limpah kurniaNya, maka dapatlah Beta berangkat hadir ke Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 pada pagi ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Peranan Ahli Yang Berhormat dalam landskap pembangunan Negeri Kedah tidak harus dilihat secara sempit sebagai sekadar berbahas di dalam Dewan sebaliknya merangkumi tanggungjawab yang lebih besar sebagai penghubung utama antara rakyat dan kerajaan.
Ahli Yang Berhormat berperanan membawa suara, keperluan serta permasalahan rakyat di peringkat akar umbi untuk dibincangkan dan diselesaikan secara bersepadu khususnya dalam konteks pembangunan negeri yang menuntut penyelarasan pelbagai agensi.
Justeru, setiap pandangan dan kritikan yang dibangkitkan wajar berasaskan fakta serta berniat untuk menambah baik dasar dan pelaksanaan sedia ada.
Dewan yang mulia ini, tidak seharusnya dijadikan medan pertikaian yang tidak berkesudahan tetapi sebagai platform yang matang dan berhemah untuk merungkai isu serta mencari penyelesaian terbaik demi kesejahteraan negeri dan rakyat.
Dalam hal ini, Beta merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan mamanda Menteri Besar yang berjaya memimpin barisan Ahli Yang Berhormat dengan baik sekali gus memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan lancar, stabil dan terhindar daripada sebarang isu besar mahupun provokasi yang boleh menggugat keamanan serta keharmonian Negeri Kedah.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Dalam merencana agenda pembangunan negeri, Beta ingin berpesan bahawa setiap pelaksanaan dalam apa jua perkara hendaklah berlandaskan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa. Sebarang tindakan yang mengetepikan saluran serta kelulusan yang sah adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.
Dalam hal ini, Beta memandang serius isu rumah ibadat bagi semua agama yang dibina tanpa kelulusan yang sah sama ada pencerobohan ke atas tanah kerajaan ataupun tanah persendirian. Beta dengan tegas melarang sebarang usaha mempolitikkan isu agama termasuk cubaan pihak tertentu yang mengambil kesempatan “menangguk di air keruh”, demi kepentingan sempit sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat.
Beta juga ingin menegaskan bahawa institusi keagamaan tidak sekali-kali wajar disalahgunakan bagi kepentingan peribadi atau dijadikan wadah kepada agenda politik tertentu.
Sehubungan itu, Beta menyeru agar pihak berkuasa yang berkaitan bertindak secara tegas dan proaktif dalam melaksanakan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Perkara ini mempunyai kaitan langsung dengan perpaduan yang menjadi asas kepada kestabilan negeri dan negara.
Sebagai sebuah negeri yang mempunyai rakyat berbilang agama dan kaum, keharmonian bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu dipupuk dengan sikap saling hormat-menghormati dan memahami akan batas sensitiviti masing-masing.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Melalui prinsip federalisme, hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh dilihat secara terpisah sebaliknya perlu berasaskan semangat kerjasama yang adil dan saling melengkapi.
Dalam hal ini, Kerajaan Negeri perlu diberi ruang yang lebih berkesan dalam menentukan hala tuju pembangunan yang bersesuaian dengan keperluan tempatan terutamanya apabila melibatkan hasil negeri.
Menyentuh tentang perkara ini, Beta dimaklumkan bahawa Kerajaan Beta telah melaksanakan semakan kadar cukai tanah selaras dengan peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 setelah genap 10 tahun tempoh sela masa yang diperuntukkan sejak pewartaan terdahulu pada tahun 2015.
Perkara ini merupakan satu keperluan kepada kelestarian hasil negeri dalam memastikan kedudukan kewangan negeri terus mampan.
Beta mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan dapat menyokong pelaksanaan semakan hasil tanah sepertimana yang telah pun dilaksanakan oleh negeri-negeri lain demi kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri Beta. Hasil tanah merupakan penyumbang utama kepada hasil negeri.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Dalam konteks yang sama, Beta berpandangan bahawa pembangunan di Pulau Langkawi yang berkembang pesat sebagai destinasi pelancongan utama negara wajar disokong dengan penyediaan infrastruktur yang mencukupi dan berdaya tahan. Walaupun pelbagai inisiatif pembangunan telah dilaksanakan, kekangan dari segi infrastruktur sokongan, aksesibiliti ke pulau serta kemudahan jeti yang efisien masih menjadi cabaran yang memberi kesan kepada kelancaran serta kepesatan pembangunan di pulau tersebut. Beta difahamkan bahawa status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal. Namun, beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan termasuklah pelaksanaan kadar cukai kepada kenderaan yang dihadkan, cukai-cukai kepada produk yang berasaskan tembakau serta lainlain barangan. Sehubungan itu, Beta menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat mengembalikan status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan-keistimewaan yang dinikmati seperti sebelum ini.
Beta juga difahamkan bahawa kekerapan ulang alik feri ke Pulau Langkawi adalah amat terhad. Sehubungan itu, Beta berharap agar pihak berwajib dapat meneliti serta menambah baik kepada sistem pengangkutan feri ke Pulau Langkawi. Antara inisiatif yang boleh diambil oleh Kerajaan Persekutuan dalam hal ini adalah semakan dan kajian semula berhubung kadar subsidi diesel yang diberikan kepada pengusaha feri di Pulau Langkawi.
Kesan daripada isu berbangkit di atas telah membawa kepada kemerosotan kemasukan pelancong yang akan menjejaskan pendapatan pengusaha dan peniaga di Pulau Langkawi serta menjejaskan perhubungan penduduk di Pulau Langkawi. Usaha ini amat penting bagi memastikan potensi sebenar Langkawi dapat direalisasikan sepenuhnya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
Negeri Kedah terkenal dengan nama jolokan “Jelapang Padi Negara”. Sejajar dengan usaha untuk memastikan keterjaminan bekalan beras negara, Beta amat menyokong pelaksanaan inisiatif penanaman padi lima (5) kali dalam tempoh dua (2) tahun di kawasan jelapang padi.
Beta merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menyalurkan peruntukan untuk pembangunan infrastruktur bagi tujuan tersebut.
Walau bagaimanapun, pengorbanan negeri Beta dalam mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda ini wajar disusuli dengan insentif kewangan oleh Kerajaan Persekutuan sepertimana yang telah dipohon oleh Kerajaan Negeri Kedah.
Walau bagaimanapun, pengorbanan negeri Beta dalam mengekalkan 109,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda ini wajar disusuli dengan insentif kewangan oleh Kerajaan Persekutuan sepertimana yang telah dipohon oleh Kerajaan Negeri.
Agensi pembangunan dan penyelidikan seperti MADA dan MARDI perlu lebih agresif memberi tumpuan kepada pembangunan benih padi yang lebih bermutu tinggi, penggunaan jentera dan teknologi moden serta turut juga memperkasakan penggunaan Internet of Things yang mampu meningkatkan produktiviti sektor ini. Dalam masa yang sama, Beta juga menyarankan agar skim penanaman padi secara estet perlu diperkasakan bagi meningkatkan produktiviti hasil padi dan pendapatan petani yang lebih mampan.
Ahli–ahli yang Berhormat sekalian,
Berhadapan dengan keadaan cuaca panas di mana kadar takungan empangan berada pada paras kritikal, Kerajaan Beta hendaklah mengambil pendirian yang lebih tegas, proaktif dan memelihara kawasan tadahan air termasuk memantau aktiviti-aktiviti haram yang boleh menjejaskan sumber air.
Seiring dengan itu, Beta menegaskan bahawa kelangsungan sektor pertanian, perindustrian dan keperluan domestik amat berkait rapat dengan kestabilan sumber air khususnya daripada kawasan hutan tadahan.
Walau bagaimanapun, fenomena cuaca yang semakin tidak menentu termasuk ketidakseimbangan pola hujan dan musim kemarau yang berlaku ketika ini memerlukan pengurusan sumber air yang mampan, amalan pertanian yang lebih berdaya tahan, serta menambah baik pelan mitigasi risiko bencana secara lebih serius perlu dilaksanakan.
Kita masih berada dalam suasana Syawal yang diraikan dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan semangat ukhuwah. Namun demikian, Beta sering mengikuti dengan serius perkembangan semasa di peringkat global khususnya konflik dan peperangan yang melanda Asia Barat dan Eropah Timur yang pastinya memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negara dan negeri. Dalam mendepani ketidaktentuan ini, Beta menyeru agar semua pihak sentiasa bersiap siaga dalam setiap tindakan. Pengurusan sumber negeri hendaklah dilaksanakan secara berhemah, cekap dan berstrategi bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi impak yang optimum. Amalan penjimatan perlu dijadikan keutamaan di semua peringkat jabatan dan agensi dengan menitikberatkan keperluan berbanding kehendak dalam setiap keputusan yang dibuat. Pada masa yang sama, Beta menyeru kepada rakyat Beta untuk mengamalkan sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Seiring dengan perkembangan dunia tanpa sempadan, Beta menyeru agar Kerajaan Beta perlu sentiasa bertindak pantas dan proaktif, dalam menilai serta menambah baik dasar dan peraturan sedia ada yang menyusahkan rakyat. Karenah birokrasi yang berlebihan, prosedur yang lapuk serta undang-undang yang tidak lagi relevan hanya akan menghalang kemajuan dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian kerajaan.
Sehubungan itu, Beta menyeru agar tindakan semakan dan penambahbaikan dalam perkhidmatan awam dapat dilaksanakan secara menyeluruh di semua peringkat jabatan dan agensi bagi mempertingkatkan kecekapan, mempercepatkan penyampaian perkhidmatan serta memacu produktiviti negeri ke tahap yang lebih tinggi di masa hadapan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Di kesempatan ini, Beta ingin menzahirkan penghargaan di atas taat setia, pengorbanan dan perkhidmatan anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Anggota RELA, barisan petugas kesihatan, seluruh Pegawai Tadbir Negeri Kedah serta penjawat awam negeri dan persekutuan di Negeri Kedah di atas komitmen yang diberikan.
Kepada semua Ahli Yang Berhormat sekalian, gunakanlah medan Dewan yang mulia ini untuk berbahas secara matang berlandaskan fakta serta berteraskan adab dan tatasusila. Manfaatkan ruang yang ada untuk mengangkat isu-isu yang benar-benar menyentuh kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Beta menyeru agar setiap Ahli Yang Berhormat menzahirkan jiwa besar, keikhlasan yang tulus dalam berkhidmat serta meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi.
Perbezaan pandangan dan ideologi sememangnya tidak dapat dielakkan. Namun demikian, Beta percaya masih wujud titik persamaan khususnya dalam usaha merangka pembangunan yang seimbang dan memperkukuh kebajikan rakyat demi kemakmuran negeri yang berterusan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Beta mendoakan agar Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15 ini berlangsung dengan lancar dan penuh tertib.
Beta turut mendoakan agar Negeri Kedah Darul Aman sentiasa berada di bawah rahmat dan peliharaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, Beta dengan ini merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-15.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
(Selepas habis bertitah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar akan mengambil semula Titah Ucapan)
Menjunjung Kasih Tuanku. Dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah untuk menyambut Kembali naskhah Titah DiRaja.
Ampun Tuanku. Bacaan Doa Selamat oleh Sohibus Samahah Dato’ Paduka Mufti Negeri Kedah Darul Aman.
SOHIBUS SAMAHAH DATO’ PADUKA MUFTI
Bacaan Doa.
(Selepas Bacaan Doa)
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan ditangguhkan sehingga jam 9.00 pagi esok.
(Yang Berhormat Dato’ Speaker bangun mengangkat sembah memohon keizinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sutlan Kedah Kedah untuk menangguhkan Sidang Dewan)
Ampun Tuanku, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Hadirin sekalian.
Mengumumkan KDYMM Tuanku Sultan Kedah dan KDYMM Tuanku Sultanah Kedah berangkat meninggalkan Dewan Mesyuarat.diikuti Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Puan Mahkota Kedah serta Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah Darul Aman dan Yang Amat Berbahagia Tok Puan meninggalkan Dewan Mesyuarat. Semua dipohon berdiri.