Kedah · 15 April 2026
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · 296 turns · 41,324 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalKedah publishes one PDF per meeting, about five months late, and nothing before April 2020. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi. Alhamdulillahi rabbil 'alamin, wassalatu wassalamu 'ala asyrafil anbiya'i wal mursalin, sayyidina Muhammadin, wa 'ala alihi wa sahbihi ajma'in. Robbisrohli sodri wayassirli amri wahlul uqdatanmillisani yafqohu qouli. Bacaan doa.
BACAAN DOA
Alhamdulillahi Rabbul Samawati Wa'l-Ardi Wa'l-Rabbul Alamin. Wa Salatu Wa Salamu Ala Sayyidina Muhammadin Sayyidil Mursalin. Wa Ala Alihi Wa Sahbihi Ajma'in. Dengan nama Allah. Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Segala pujian bagi Allah. Tuhan yang memerintah sekalian langit dan bumi dan Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas Rasul kami Nabi Muhammad. Penghulu sekalian Rasul dan diatas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya. Ya Allah yang Maha Berkuasa. Engkaulah Tuhan yang Maha Adil, Bijaksana dan Pemurah. Tuhan yang telah mengaturkan kewajipan Sultan Pemerintah dan meletakkan tanggungan pertubuhan dewan untuk keselamatan pemerintah dan kesejahteraan rakyat. Kami hamba-hambamu yang Engkau telah perkenan meletakkan tanggungjawab bagi menyempurnakan segala pekerjaan dalam dewan ini memohon dengan limpah kurniaanmu berkatilah apa jua kiranya amalan-amalan pekerjaan kami dalam dewan ini. Sesungguhnya kami menjunjung perintah dan kebesaranmu maka anugerahkanlah kepada kami taufik dan hidayahmu yang menyeluruh bagi memimpin kami ketika berunding dan menimbang segala perkara yang didatangkan di hadapan kami. Dan kekalkanlah diatas kami sifat-sifat amanah jujur dan bertanggungjawab bagi menegakkan syariatmu dan menambahkan kemakmuran dan kesejahteraan negeri Kedah Darul Aman dan sekalian penduduknya. Rabbana Atina Fiddunya Hasanah Wa Fil Akhirati Hasanah Waqina Azabannar. Aamin Ya Rabbal Alamin.
Aamin ya Rabbal Alamin. Untuk maklumat Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan pagi ini ada menerima pemerhati, yang pertama daripada Pemuda Gerakan Kedah 10 orang, Pondok Moden Zakat Kedah 12 orang, Kolej Agama Sultan Abdul Halim 12 orang. Urusan seterusnya Tuan Setiausaha.
Sambungan kepada pertanyaan-pertanyaan mulut.
I. Sambungan Sesi Pertanyaan-Pertanyaan MulutQuestions
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, seterusnya diminta ADUN Derga untuk sesi awal.
Terima kasih YB. Tuan Speaker. Pagi ini kita mula dengan pantun dulu. Bunga melati harum berseri, Tumbuh mekar diwaktu malam, Jika ingin berjaya diri, Jawab soalan nombor enam.
6. Pohon dinyatakan apakah usaha kerajaan negeri dalam memastikan bantuan kebajikan diagihkan secara lebih telus dan sampai kepada golongan sasaran terutama di kawasan luar bandar?
Pantun (ketawa kecil). Dipersilakan Yang Berhormat EXCO.
Dua tiga kucing berlaga, Ini jawapan ADUN Derga. Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, YB. Tuan Speaker. Terima kasih YB. Derga. Soalannya, apakah usaha kerajaan negeri dalam memastikan bantuan kebajikan diagihkan secara lebih telus dan sampai kepada golongan sasaran terutama di kawasan luar bandar? Kerajaan Negeri Kedah sentiasa komited untuk memastikan bantuan kebajikan di salurkan secara telus, sistematik dan tepat kepada golongan sasar, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri Kedah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil beberapa langkah penting seperti berikut; Pertamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menggunakan sistem pengurusan bantuan seperti e-Bantuan JKM bagi merekodkan maklumat penerima, memproses permohonan dan memantau penyaluran bantuan secara sistematik. Sistem ini membantu meningkatkan ketulusan, mengelakkan penyelewengan serta memastikan bantuan disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak. Selain daripada itu, sistem eBSPT (Elektronik Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar) yang dibangunkan sepenuhnya oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) Negeri Kedah juga telah digunakan sepenuhnya bagi urusan permohonan Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar (BSPT) Negeri Kedah. Ketiganya untuk mengelak ketirisan dan pertindihan bantuan, kerajaan negeri ini mengintegrasikan sistem e-Bantuan JKM dengan sistem iSPEKS iaitu Sistem Perakaunan Akuan Kerajaan Negeri. Proses pembayaran kini dilakukan secara antara muka interface automatik mengurangkan risiko penyelewengan daripada kaedah bocor manual yang lama. Pemantauan secara realtime oleh pihak berkaitan seperti Bendahari Negeri Kedah dan juga Jabatan Akauntan Negara Negeri Kedah, secara langsung bagi memastikan dana benar-benar masuk ke akaun penerima yang sah. Dan seterusnya setiap permohonan bantuan yang dikemukakan bersama dengan dokumen lengkap akan dijalankan siasatan dan penilaian oleh pegawai kes bagi menentukan kelayakan pertimbangan bantuan. Bagi memastikan kes-kes permohonan yang meragukan, pegawai kes akan membuat lawatan atau siasatan ke rumah bagi memastikan maklumat yang diterima adalah benar dan sahih. Proses ini memastikan status ekonomi pemohon disahkan dan bantuan diberi kepada kumpulan sasar seperti keluarga miskin, warga emas dan orang kurang upaya yang mana pemantauan secara berkala juga telah pun diadakan kepada penerima bantuan yang mana dijalankan untuk memastikan bantuan
digunakan dengan betul seperti penilaian sama ada masih layak menerima bantuan. Langkah ini membantu mengelakkan penyalahgunaan dan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan yang memerlukan. Kerajaan negeri juga turut bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti badan Lembaga Zakat Negeri Kedah, PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), Baitulmal Negeri Kedah, NGO (Non-Governmental Organization) dan agensi pembangunan untuk menyelaras bantuan. Kerjasama ini penting bagi mengelakkan pertindihan bantuan serta memastikan liputan bantuan lebih menyeluruh terutamanya di kawasan pedalaman. Kerajaan negeri juga telah memperkukuhkan kerjasama antara agensi termasuklah pusat khidmat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) iaitu setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) dan juga jabatan kerajaan dan juga pemimpin komuniti setempat bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan agar tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan. Pelaksanaan program turun padang dan outreach di kawasan luar bandar juga dipergiatkan bagi mendekati masyarakat serta memudahkan mereka membuat permohonan bantuan tanpa kekangan akses. Terima kasih.
Soalan tambahan. Dipersilakan YB.
Ya, soalan tambahan saya berbunyi, pohon nyatakan apakah usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu penerima bantuan bulanan menjadi lebih berdikari, sekaligus mengurangkan kadar kebergantungan kepada bantuan kewangan? Terima kasih.
Dipersilakan, Yang Berhormat EXCO.
Jabatan Kebajikan Masyarakat Kedah telah pun melaksanakan program 2Yep (2 Years Exit) yang mana ia menyasarkan penerima bantuan kewangan bulanan. Penerima-penerima bantuan ini dipilih dan dilatih dalam kemahiran keusahawanan sebagai persediaan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, yang mana diadakan dalam tempoh 2 tahun. Program 2Yep ini juga telah bermula daripada sejak lama iaitu daripada tahun 2016 lagi yang mana dia dilaksanakan di bawah projek pembangunan bukan fizikal iaitu Peruntukan Pembangunan P48 dalam Rancangan
Malaysia Kesebelas (RMK-11). Kemudian, program 2Yep ini juga telah pun diteruskan sehingga tahun 2023 dan diteruskan program ini pada tahun 2025 seperti yang mana kita telah memperkasakan empowerment kepada golongan-golongan penerima. Jadi isi ahli rumah penerima bantuan JKM ini mereka akan diberi dengan kemahiran-kemahiran tertentu seterusnya melayakkan mereka. Bila mereka telah pun berusaha keras dan telah menerima pendapatan yang melebihi daripada Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan oleh JKM dan seterusnya dalam masa tempoh 2 tahun itu kita akan menggugurkan nama-nama mereka daripada senarai penerima. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO.
YB. Tuan Speaker, soalan tambahan.
YB. Tokai silakan.
Terima kasih YB. Tuan Speaker dan YB. Bukit Kayu Hitam. Tadi disebut tentang kerjasama JKM dengan jabatan kerajaan. Saya nak sentuh tentang kerjasama antara JKM dengan jabatan pendaftaran kerana kita dapati ada di antara mereka-mereka yang apabila waris dia telah meninggal dunia pun bila kita selidik-selidik tengok masih lagi tersenarai dalam penerima bantuan daripada JKM. Jadi, bagaimanakah kerjasama ini boleh dieratkan, bila hari ni mati esok dah tau! Ataupun hari ni mati kelmarin dah tau! Maknanya, bila dia meninggal dunia saja, hak untuk dia dapat sudah tamat kemudian diberi peluang itu kepada orang lain pula lah yang memerlukan bantuan. Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Terima kasih. Dipersilakan, Yang Berhormat EXCO.
Terima kasih YB. Tokai. Seperti yang mana telah saya maklumkan tadi bahawa setiap permohonan bantuan JKM perlu memohon melalui e-Bantuan JKM. Di situ kita telah pun selaraskan, jika penerima telah pun meninggal dunia dan bila kita link balik, tekan balik dalam sistem dia akan keluarlah, dia link sekali dengan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara). Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Dipersilakan YB. Pedu.
Terima kasih YB. Tuan Speaker. YB. Derga buat pantun apa tadi? Pantun. Nak pantun juga pagi ini.
Sayur taugeh campur tokua, Minyak diesel harga enam ringgit tujuh, Maaf lah nak bertanya, Mohon jawapan nombor tujuh.
7. Pohon dinyatakan perkembangan terkini penggubalan Dasar Sukan Satu Ibadah serta jelaskan elemen utama yang akan dijadikan teras kepada dasar ini.
Dipersilakan, Yang Berhormat EXCO. Ada, rangkap-rangkap pantun tu ada.
Terima kasih kepada YB. Tuan Speaker, terima kasih kepada YB. Pedu. Nak jawab pantun macam mana YB. Pedu ni? Makan taugeh dengan sudu, Saya jawab soalan YB. Pedu.
“Boleh tera tu?” (sambil ketawa) Sudu lah… nak jawab bagi berlaga Pedu.. Soalan daripada YB. Pedu, pohon dinyatakan perkembangan terkini penggubalan Dasar Sukan Satu Ibadah serta jelaskan elemen utama yang akan dijadikan teras kepada dasar ini. Untuk makluman YB. Pedu dan juga semua yang ada dalam Dewan ini, proses penggubalan Dasar Sukan Satu Ibadah telah melalui fasa akhir dan draf awal dasar telah pun dibentangkan pada 5 Mac yang lalu oleh jawatankuasa dasar yang dilantik. Sebenarnya proses ini adalah sebagai satu promosi awal sebelum kita laksanakan dan kita angkat di peringkat tertinggi. Kita mengharapkan proses kemurnian sebelum diangkat di peringkat tertinggi akan dijalankan ke secara details dari semasa ke semasa dan diputuskan sebelum dibentangkan diperingkat negeri atau diperingkat EXCO. Secara asasnya nama Dasar Sukan Satu Ibadah ini telah dibincang secara terperinci, buat masa ini nama ini kekal dengan mengambil kira bahawa istilah ibadah lebih mengutamakan atau memberi makna yang jelas terhadap dasar ini dan ia harus dinilai dari sudut yang lebih luas. Ibadah tidak hanya khusus kepada ibadah yang bersifat ritual semata-mata, nama tersebut meletakkan perspektif bahawa sukan juga satu ibadah dan bukan perkara yang asing dalam kehidupan masyarakat. Jadi ini satu pandangan yang kita rasa kita nak war-warkan dahulu bahawa ibadah juga boleh merangkumi bidang sukan dan boleh mendatangkan pahala. Sepanjang proses penggubalan dasar ini, pihak jawatankuasa telah melaksanakan pelbagai proses libat urus bersama pelbagai pihak termasuklah pengajuran sidang media bulat yang dilaksanakan pada Julai 2024 bagi menetapkan hala tuju yang jelas dengan penggubalan dasar ini. Proses libat urus secara berfokus turut dilaksanakan di mana ia melibatkan pakar-pakar dalam bidang agama termasuklah Jabatan Mufti Negeri Kedah sendiri. Selain itu, proses libat urus juga turut dilaksanakan dengan pihak Majlis Sukan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah serta persatuan-persatuan yang terlibat secara langsung. Selain itu juga, kunjungan-kunjungan ke JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), pertemuan dengan pakar-pakar daripada UUM (Universiti Utara Malaysia) dan juga daripada pelbagai peringkat yang kita rasa yang boleh disatukan untuk mendapat pandangan-pandangan yang jelas supaya dasar ini dapat dilaksanakan dengan baik. Segala maklumat serta input daripada rangkaian proses libat urus ini telah diperhalusi sebelum merangka satu dasar yang lebih inklusif dan komprehensif serta mengambil kira pelbagai aspek yang ada. Selain itu, Dasar Sukan Satu Ibadah meletakkan tiga elemen utama untuk dijadikan teras pada dasar ini. Pertama menggalakkan iaitu satu bentuk galakkan kepada semua lapisan masyarakat bersukan bukan sebaliknya menghadkan aktiviti bersukan. Yang kedua, pengharmonian iaitu suatu bentuk pendekatan yang mengharmonikan hukum syarak atau lebih mesra kita jadikan mesra syariah dengan aktiviti bersukan menangkis tanggapan dan perspektif negatif dan
sempit serta mendahului penyelesaian dan pendidikan berbanding hukuman. Ketiga, pemberdayaan iaitu suatu bentuk langkah memperdaya pencapaian prestasi atlet berprestasi tinggi antara indikator utama bahkan menjadi enjin untuk memperkukuhkan industri sukan di Negeri Kedah. Ketiga-tiga elemen ini meletakkan satu prespektif yang jelas bahawa dasar ini mendukung aktiviti bersukan dalam negeri bahkan bukan sebaliknya menambah beban terhadap aktiviti bersukan itu sendiri, malah ia bersifat inklusif serta menjadi suatu faktor penguat kepada kegiatan sukan sama ada untuk masyarakat awam mahupun kepada atlet berprestasi tinggi. Pihak kerajaan juga sedar dan tidak menolak bahawa pasti akan anda kebimbangan yang dibangkitkan oleh golongan bukan Islam berkenaan dasar ini. Secara dasarnya, Dasar Sukan Satu Ibadah tidak mendiskriminasikan mana-mana golongan sama ada golongan bukan Islam dan sebagainya. Dasar ini inklusif dan khusus untuk semua. Sebagai contoh, dalam soal penjagaan aurat yang menjadi salah satu item dalam dasar ini, atlet yang beragama Islam perlu mematuhi kriteria dan syarat-syarat pemakaian yang telah ditetapkan oleh agama. Adapun bagi masyarakat bukan beragama Islam, syarat-syarat yang diletakkan adalah lebih umum. Dasar ini tidak memaksa golongan bukan Islam untuk meneliti apa yang terkandung dalam syariat Islam. Ini prinsip yang jelas, namun kita amat menggalakkan jika dasar ini dijalankan kita mengharap orang yang non muslim juga akan turut seterusnya kita menggalakkan berpakaian secara sopan dan tidak mendedahkan aurat secara terbuka. Dasar ini bersifat inklusif melihat kepada perspektif tertentu sebagai contoh yang lain antara item yang diletakkan dalam dasar ini adalah soal sentuhan fizikal antara jurulatih dan atlet yang berbeza jantina dalam syariat Islam ia tidak dibenarkan, dalam perspektif lain perkara ini juga mengelakkan daripada berlakunya gangguan seksual sebagaimana yang terkandung di dalam Kod Sukan Selamat yang telah dibentang oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sendiri. Jadi, dasar ini melihat kepada pelbagai sudut demi kebaikan sukan para atlet dan rakyat secara umumnya. Ia tidak mendiskriminasikan mana-mana pihak dan tanggapan sebegini haruslah dielakkan. Sekian, terima kasih YB. Tuan Speaker.
Dipersilakan, soalan tambahan YB. Pedu.
Terima kasih YB. Alor Mengkudu. Soalan tambahan, sejauh manakah konsep sukan sebagai ibadah berupaya membendung masalah gangguan seksual dalam dunia sukan?
Dipersilakan, Yang Berhormat EXCO.
Terima kasih YB. Pedu. Untuk makluman, kita amat yakin dan percaya bahawa apabila kita meletakkan Allah sebagai satu sandaran dan kita meletakkan Islam sebagai satu pegangan, kita yakin bahawa setiap program yang kita akan lakukan insya-Allah akan berjaya. Sebab saya yakin berdasarkan kepada ayat 7, Surah Muhammad:
ِبِسْمِ ٱَّلله ِ ٱلرهحْمٰ نِ ٱلرهحِ يم ْيَا أَيُّهَا الهذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا َّللاه َ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِ تْ أَقْدَامَكُم "Wahai orang-orang yang beriman, jika kalau kamu menolong (agama) Allah, pasti Allah akan menolong kamu”. Jadi, saya yakin sangat apabila kita meletakkan dasar ini sebagai satu dasar utama, kita yakin bahawa banyak proses-proses ataupun kecelaruan yang berlaku dalam dunia sukan ini akan dapat kita tangani. Antaranya kemungkinan dalam konsep satu ibadah ini kita akan letakkan antaranya jurulatih atau fisioterapi adalah dikalangan yang sama jantina. Jadi yang tu adalah punca-punca menyebabkan berlakunya jenayah seksual ini dikalangan sukan. Yang keduanya, dimestikan ataupun atlet-atlet yang memerlukan juga kalau memerlukan juga rawatan daripada doktor yang berbeza atau fisioterapi yang berbeza, kita harap ada di kalangan bersamanya sama ada jurulatih ataupun orang yang ketiga lah bukan berdua. Yang ketiganya, kita mengharapkan juga hasil daripada perbincangan yang telah kita buat kita yakin bahawa bukan sekadar berpakaian sopan dan menutup aurat itu boleh menutup rangsangan untuk orang terlibat secara langsung dalam benda-benda yang bercelaru ni, kita harap inilah satu ketetapan dan kita mengharapkan bahawa semua akan menerima dan semua akan bersedia dengan konsep Sukan Satu Ibadah ini. Wallahualam, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Seterusnya, dipersilakan YB. Bandar Baharu.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera YB. Tuan Speaker. Pantun saya,
Surung papan tarik papan, Buah keranji dalam perahu, Soalan saya nombor lapan, Mohon dijawab saya nak tahu.
8. a) Pohon dinyatakan maklumat terkini tentang Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berikut dari aspek kos projek, tarikh mula dan jangka siap serta peratus kemajuan kerja:
i) Jitra Selatan ii) Sungai Kedah/Anak Bukit iii) Sungai Pendang Pakej 1 iv) Sungai Pendang Pakej 2
b) Siapakah pelaksana dan penguasa projek-projek tersebut?
Dipersilakan, Yang Berhormat EXCO.
YB. Bandar Baharu bahagia dan aman, Insya-Allah saya jawab soalan nombor lapan.
Boleh tera tu? Kira lulus cukup la (ketawa kecil). Alhamdulillah bismillahirrahmanirrahim YB. Tuan Speaker, semua Ahli-ahli Yang Berhormat, saya menjawab soalan daripada YB. Bandar Baharu yang berbunyi “pohon dinyatakan maklumat terkini tentang Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berikut dari aspek kos projek, tarikh projek dan jangka siap serta peratus kemajuan untuk projek RTB Jitra Selatan, Sungai Kedah/Anak Bukit, Sungai Pendang Pakej 1 dan Sungai Pendang Pakej 2 serta ditanya bahagian B “siapakah pelaksana dan penguasa projek-projek tersebut?” Bahagian pertama berikut adalah senarai berikut adalah senarai projek terkini tentang RTB di Negeri Kedah. Yang pertama ialah Projek Membina dan Menyiapkan RTB Bandar Jitra Selatan dan Kerja-kerja Lain Yang Berkaitan yang bernilai sebanyak RM34.7 juta dan tarikh mula ialah pada 9 Mei 2022 dan tarikh siap asal ialah pada 8
Mei 2024 telah diberikan EOT sebanyak 4 kali sehingga 30 Mei 2026 dan projek ini setakat ini telah mencapai sebanyak 92 peratus kemajuannya, kalau ikut jadual 95 peratus sedikit lewat sebab melibatkan pemindahan utiliti TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan sekarang dalam proses insya-Allah dalam minggu depan akan siap dan dijangka projek ini akan siap pada hujung bulan 5 nanti insya-Allah. Yang kedua ialah Projek RTB Lencongan Sungai Baru, RTB Sungai Kedah/Anak Bukit. Ini projek bernilai RM76.6 juta yang dimulakan pada 9 Mac 2020 dan sepatutnya siap 8 Mac 2023 tapi telah diberikan EOT sebanyak 5 kali dan dijangka siap insya-Allah pada 14 Jun 2026. Peratus kemajuan kalau ikut jadual 93.12 peratus tetapi setakat ini ialah 92.16 peratus, sedikit lewat. Yang ketiga ialah RTB Sungai Pendang Pakej 1 bernilai RM101.8 juta yang telah dimulakan 30 April 2018 YB. Tuan Speaker, dan kalau ikut tarikh siap asal ialah pada 29 April 2021 telah diberikan EOT sebanyak 5 kali, dijangka siap ikut tarikh yang baru ialah pada 5 Ogos 2026. Peratus kemajuan 61 peratus ikut jadual dan yang sebenar ialah 66.73 peratus mendahului jadual. Namun demikian, mendukacitakan kontraktor ini telah diisytiharkan muflis dan sekarang ini dalam proses untuk ditender semula dan sekarang ini sedang dalam proses menyelesaikan bayaran kepada kontraktor yang telah ditamatkan pada bulan 12 yang lepas, 12 Disember 2025. Dan yang terakhir ialah pakej RTB di Sungai Pendang, Pakej 2 bernilai RM156.9 juta yang telah dimulakan pada 12 Oktober 2021 yang sepatutnya siap pada 11 Oktober 2025 tapi telah diberikan EOT yang kedua sehingga 31 Disember 2026. Kemajuan 73.97 peratus ikut jadual dan yang sebenar ialah 74.04 peratus sedikit mendahului jadual. Bahagian (b) berkenaan dengan penguasa projek. Untuk projek yang berkaitan dengan RTB Jitra Selatan yang disebutkan tadi, Pengarah JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Kedah sebagai Pegawai Penguasa, yang kedua projek di Sungai Baru atau Sungai Kedah/Anak Bukit yang ini Pegawai Penguasanya ialah Pengarah Bahagian Projek Khas JPS Malaysia di bawah jurutera projek di Pejabat Projek Persekutuan, JPS Malaysia. Yang ketiga RTB Sungai Pendang Pakej 1, Pengarah JPS Kedah sebagai Pegawai Penguasa dan yang keempat Sungai Pendang Pakej 2, Pengarah JPS Kedah. Sekian, terima kasih YB. Tuan Speaker.
Soalan tambahan. Silakan Yang Berhormat.
Terima kasih YB. Kuala Nerang. Saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan tahniah kepada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) khususnya dalam pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandar Baharu yang baru bermula pada hujung tahun lepas dan saya dapati perkembangannya sangat memberangsangkan. Kerja-kerjanya mengikut, bukan mengikut, melebihi jadual yang sedia ada. Cuma saya nak bertanya dalam soalan tambahan ini, untuk melihat bagaimanakah keadaan di RTB Sungai Kedah yang telah mencatatkan beberapa kali EOT (Extension of Time) dan apakah kuasa atau tindakan kerajaan negeri dalam memastikan projek itu siap sebagaimana yang dirancang? Kemudian yang kedua, apakah tindakan-tindakan yang kerajaan ini untuk pastikan Rancangan-rancangan Tebatan Banjir ini siap mengikut jadualnya? Apakah inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan? Terima kasih YB. Tuan Speaker.
YB. Tuan Speaker, boleh jawab sekali dak? Ka nak tunggu jawab ini dulu?
Bagi laluan YB.
Bagi laluan dulu.
Silakan YB. Tokai.
Boleh?
Silakan YB. Tokai.
Okey, terima kasih YB. Tuan Speaker. Kita dapati YB. Kuala Nerang, banyak projek-projek yang dikendalikan oleh projek Kerajaan Pusat ini dia macam kura. Lambat! Dan saya tengok daripada highway exit Pendang ke Pekan Pendang tu sendiri, ada dua backhoe saja yang menjalankan projek yang besar. Harga RM10 juta. Jadi,
bagaimanakah peranan kerajaan negeri kitalah we have any say kepada kontraktor-kontraktor yang terlalu lambat menjalankan kerja-kerja ini? Kadang-kadang EOT (Extension of Time) 5 kali, 6 kali. Apakah kita berhak untuk ke depan-ke depan ini meletakkan mereka ini dalam senarai hitam supaya lepas ni syarikat ni tak boleh lagi dah mengambil, mendapat projek-projek yang besar begini. Kita tengok saliran tersier di Pulai. Masyarakat jumpa dengan kita, benda tak boleh nak buat pasal air bertakung, kena guna pam. Jadi, diesel dah mahal la ni lagi teruklah depa nak buat bendang. Projek tak jalan, kontraktor, pekerja-pekerja dah lari dah (tertolak mikrofon). Sorry.
Sabar YB. (ketawa kecil).
Tengah hot ni. Pasal depa mai jumpa kita “kami tak boleh nak buat bendang ni ada masalah, hari tu dah sekali dah kena pam air keluar, ni diesel dah naik lagi teruklah”. Kemudian, tentang projek Sungai Pendang ni dah diterminate. Saya nak rayu kepada terutama pegawai JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) yang ada di sini, jambatan di Tanjung Setol melintasi di situ dua malam lepas nasib baik saya tak menghentam paha konkrit jambatan tu. Pasal gelap tak dak lampu. Kemudian, dia punya lantai tu dah tercabut paku, terpaksa diubah kon dia ke tengah, lorong tinggal sempit. Pegawai JPS tolong ambil perhatianlah berhubung dengan masalah-masalah yang sedang berlaku disebabkan oleh terlalu lambatnya penyiapan projek-projek yang telah diberikan oleh Kerajaan Pusat ini. Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Terima kasih YB. Tokai. Dipersilakan YB. EXCO.
Terima kasih YB. Tuan Speaker, terima kasih YB. Bandar Baharu dan juga YB. Tokai. Panjang soalan ni. Jawab pendek (ketawa kecil). Terima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh YB. Bandar Baharu kepada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan kita doa moga-moga dipermudahkan urusan semua dan juga dapat berjalan dengan lancar. Saya turut mengakui bahawa memang projek ini mengalami kelewatan dari sudut masa, setengah tadi dimulakan 2018 tapi tak boleh siap. Memang menimbulkan sedikit kesukaran dan mungkin bahagian tertentu banyak kesukaran kepada pesawah dan orang ramai. Namun demikian, EOT (Extension of Time) ni seperti yang selalu saya tegaskan dalam Dewan yang mulia ini, diberikan atas alasan atas sebab-sebab yang tertentu yang dibenarkan mengikut peraturan-peraturan
dalam kontrak dan seumpamanya. Kemudian tu, soal senarai hitam seperti yang disebut oleh YB. Tokai tadi, saya percaya dan kita semua sedia maklum bahawa terdapat garis panduan yang tertentu bagaimana pihak berkuasa akan menyenaraihitamkan bahkan terus mungkin tidak dibenarkan untuk menyertai projek yang ke depan terutama yang telah ditamatkan perkhidmatan. Jadi, yang tu kita serahkan kepada pihak yang ada autoriti yang menjadi pegawai penguasa kepada projek yang berkenaan. Baik, berbalik kepada soalan daripada YB. Kulim, Bandar Baharu tadi tentang juga ada kaitan dengan YB. Tokai tentang apa kuasa apa yang kita boleh buat terutamanya pihak kerajaan negeri. Untuk makluman, khusus berhubung dengan lanjutan oleh YB. Bandar Baharu tadi mengenai RTB (Rancangan Tebatan Banjir) Sungai Kedah/Anak Bukit yang sebelum ini pun telah ditamatkan dan dilantik kontraktor penyelamat. Itu pun memakan masa yang panjang, yang lama yang saya sebutkan tadi perlu lagi masa sehingga dapat disiapkan. Untuk makluman, RTB Sungai Kedah/Anak Bukit ini merupakan projek di bawah Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan oleh Pegawai-pegawai Persekutuan di bawah JPS Malaysia. Pegawai Penguasa Projek RTB Sungai Kedah/Anak Bukit ini ialah Pengarah Bahagian Projek Khas Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, manakala wakil penguasa ialah Jurutera Projek Pejabat Projek Persekutuan Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia. Sebenarnya JPS Kedah untuk projek ini tidak punya kuasa dalam kontrak projek ini tetapi hanya bertindak sebagai pemudah cara dan juga dari segi membantu pengurusan perjalanan projek. Terutamanya dalam hal mempercepatkan proses pengambilan tanah, menyelaras isu berkaitan dengan aduan agensi, penduduk, aduan penduduk dengan pihak JPS Malaysia. Lebih kepada penyelaras perkara-perkara teknikal berkaitan dengan projek-projek dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan dengan JKR (Jabatan Kerja Raya), PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan TNB (Tenaga Nasional Berhad), SADA (Syarikat Air Darul Aman) dan sebagainya. Kesimpulannya, kita lihat apa yang boleh kita lakukan untuk membantu memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual ialah pertama membantu mempercepatkan proses urusan pengambilan tanah. Ini bidang kuasa yang boleh kita buat di peringkat negeri. Yang kedua, membantu urusan penguatkuasaan terhadap pencerobohan rizab sungai yang terlibat dalam kawasan RTB. Yang ketiga, membantu menyelaras kerja berkaitan dengan pengalihan utiliti seperti TNB, SADA pembentungan, telekom dan lain-lain. Pihak kerajaan negeri telah memberi komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan RTB sama ada di Anak Bukit atau di tempat lain berkaitan dengan urusan yang disebutkan tadi, urusan pengambilan tanah, tindakan penguatkuasaan dan kerja pengalihan utiliti telah selesai dilaksanakan dengan jayanya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu seperti kekangan yang sebenarnya berpunca daripada kelemahan pengurusan dalaman kontraktor sendiri. Itu yang menyebabkan beberapa projek terpaksa lewat, terpaksa disambung EOT
atau sebab teknikal dan juga ada kes yang terpaksa ditamatkan seperti mana projek LRA (Loji Rawatan Air) Sungai Limau sebagai contoh. Jadi, sedaya upaya kerajaan negeri berusaha untuk membantu mempercepatkan apa yang boleh dipercepatkan insya-Allah. Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Soalan tambahan.
YB. Bukit Lada. Soalan tambahan.
Terima kasih YB. Tuan Speaker. Kita tahu berkenaan dengan RTB (Rancangan Tebatan Banjir) ini, di peringkat negeri kita terdapat lebih kurang 4 dan kita pun sekarang ni di Pokok Sena kita nak pohon satu lagi RTB kerana di kawasan itu kalau tak diselesaikan dengan RTB ni rasanya banjir tu tiap-tiap tahun lah akan berlaku di kawasan Pokok Sena ini. Jadi, kita pun dah bincang dengan pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) supaya dimasukkan dalam permohonan dan saya nak tanyalah, sejauh mana perkembangan RTB di Nawa ini? Dan kemudian saya mengharapkan pihak pembangkang juga boleh bawa perkara ini kepada pihak Pusat supaya dipercepatkan. Isu dia ialah bila RTB-RTB ini lambat menyebabkan kita Negeri Kedah ini banjir selalu berlaku. Puncanya ialah kerana saliran kita yang begitu tak cantik dan tak eloklah kerana tidak tersusun dan sebagainya. Jadi, saya mengharapkan pihak pembangkang juga boleh bawa kepada PMX (Perdana Menteri Ke-10) cepat sikit. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat EXCO.
Boleh masuk sikit? Mencelah.
Silakan YB.
Terima kasih Tuan YB. Speaker. Projek benteng pemecah ombak di Kampung Huma dan Sungai Pial di Tanjung Dawai dah pun mula. Alhamdulillah, terima kasih. Cuma, bagi menghadapi ombak yang beberapa bulan ni akan mai besar, jadi mohon projek tu diutamakan di kawasan yang dekat dengan rumah penduduk yang boleh menyebabkan runtuhlah kalau bila ombak mai nanti. Terima kasih.
Dipersilakan YB. EXCO.
Nak masuk celah sikit?
Silakan YB. Sidam.
Baik, terima kasih YB. Tuan Speaker. Terima kasih YB. Bukit Lada kerana menghangatkan sikit, bukan hangatlah noh cuma saya difahamkanlah untuk menjawab sikit soalan daripada YB. Bukit Lada. Saya difahamkan kebanyakan kontraktor yang dilantik untuk mengendalikan RTB (Rancangan Tebatan Banjir) ini adalah lantikan kerajaan negeri. Jadi, saya rasa peruntukan memang diturunkan oleh Kerajaan Pusat tapi kontraktor tu dilantik oleh Kerajaan Negeri. Jadi, kita yang mengharapkan Kerajaan Negeri yang tekan kepada kontraktor yang dilantik itu. Terima kasih.
Silakan YB. EXCO.
YB. Tuan Speaker. Soalan tambahan.
Bagi laluan lagi YB.?
Boleh! Boleh!
Silakan YB. Bakar Arang.
Okay, YB. Tuan Speaker. Cuma saya nak tanya di sini adalah apakah tindakan yang akan diambil terhadap projek-projek yang lambat ini? Yang EOT sampai 5 kali. Kalau kita lihat ini Sungai Pendang (Pakej 1) mula 2018 sampai hari ini EOT 5 kali tak siap lagi. Jadi, ia telah mengakibatkan kerugian begitu banyak dari masa, daripada kos. Jadi saya nak tahu adalah apakah tindakan yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri? Terima kasih.
Silakan YB. EXCO.
Terima kasih kepada YB. Tuan Speaker, terima kasih kepada YB. Bukit Lada, YB. Tanjung Dawai, YB. Sidam dan juga YB. Bakar Arang. Nak jawab hat mana dulu ni? (ketawa). Jawab sekali? Kalau ada yang tertinggal minta maaf. YB. Bukit Lada tadi berhubung dengan RTB di Nawa. Seperti yang saya pernah maklumkan sebelum ini kepada Yang Berhormat, projek itu sekarang sedang dalam kajian ya dan saya kira melalui proses peringkat akhir dan kita berdoa, kita harap dapat dipercepatkan. Setuju dengan apa yang disebutkan oleh YB. Bukit Lada tadi supaya disegerakan.
Sementara YB. Tanjung Dawai sebut tentang Projek Benteng Pemecah Ombak yang bernilai RM22.2 juta itu, itu peruntukan Persekutuan. Terima kasih Yang Berhormat ya. Terima kasih Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan itu dan saya sangat bersetuju memang diutamakan patutnya utamakan tempat-tempat yang melibatkan penduduk ini. Insya-Allah JPS akan ambil perhatian. Walau bagaimanapun, tentu ada perkara-perkata teknikal yang patut dipertimbangkan untuk dilaksanakan projek ini. YB. Sidam dan juga YB. Bakar Arang, saya rangkum sekali. Memang kita sangat prihatin dan kita ambil perhatian untuk ambil tindakan dalam bidang kuasa yang dibenarkan kepada kita. Sepertimana yang saya jelaskan tadi, ada benda-benda yang yang kita boleh ambil tindakan, kita ambil tindakan. Bahkan ketika projek dijalankan,
JPS negeri pun turut sama pergi melihat, memantau dari semasa ke semasa untuk memastikan projek itu dapat berjalan dengan lancar. Namun demikian, apabila berkait dengan kontrak, itu memang kena pihak yang terlibat dengan pegawai penguasa itu sendiri untuk bertindak. Kita lihat apa yang diuruskan oleh kerajaan, maaf oleh JPS negeri sebagai pegawai penguasa seperti yang saya sebut tadi semuanya ada yang mendahului jadual ya. Walaupun ada EOT, EOT dibenarkan dengan sebab-sebab tertentu bukan sengaja dilewatkan ya dan bila ada EOT memang kontraktor tidak akan dikenakan denda dan tidak akan ditamatkan kontraknya ya. Jadi, saya percaya insya-Allah kerajaan negeri terus komited dan telah dibuktikan memang kita boleh buat dalam jadual yang ditetapkan mendahului jadual. Cuma bila mana ada kontraktor yang terpaksa ditamatkan kerana tidak boleh perform ataupun kerana telah muflis seperti disebut tadi, kita tak boleh nak bertindaklah di luar daripada kuasa kita. Wallahua’lam terima kasih YB. Tuan Speaker.
Terima kasih YB. EXCO dan seterusnya dipersilakan YB. Kupang.
YB. Tuan Speaker, mohon jawapan nombor 9.
9. Sebenarnya, sejak merdeka lagi sektor penternakan dijadikan Dasar Utama Negara dalam mengisi kemerdekaan. Namun, hingga kini dasar-dasar ini belum menjadi kenyataan. Pohon dinyatakan:-Adakah kerajaan berusaha memperkenalkan mekanisme baru bagi melicinkan pelaksanaan dasar-dasar yang sedia ada dalam sektor penternakan untuk melonjakkan hasil ternakan negeri supaya tidak lagi bergantung kepada hasil import?
Dipersilakan YB. EXCO.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh YB. Tuan Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Soalan YB. Kupang berbunyi, sebenarnya sejak merdeka lagi sektor penternakan dijadikan Dasar Utama Negara dalam mengisi kemerdekaan. Namun, hingga kini dasar-dasar ini belum menjadi kenyataan. Pohon dinyatakan adakah kerajaan berusaha memperkenalkan mekanisme baru bagi melicinkan pelaksanaan dasar-dasar yang sedia ada dalam sektor penternakan untuk melonjakkan hasil ternakan negeri supaya tidak lagi bergantung kepada hasil import? YB. Tuan Speaker, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperkukuh pelaksanaan dasar sedia ada dalam sektor penternakan bagi meningkatkan pengeluaran ternakan tempatan melalui beberapa langkah berikut. Pertama, mengoptimumkan penggunaan kawasan padang ragut serta menggalakkan penggunaan tanah terbiar bagi penanaman makanan ternakan serta menggalakkan penggunaan teknologi moden dan amalan penternakan yang lebih efisien. Kedua, menggalakkan penglibatan rakyat terutamanya golongan belia dalam aktiviti penternakan melalui pemberian insentif sama ada dalam bentuk geran penuh atau geran pemadanan di bawah insentif negeri. Dalam program ini kita ada anak-anak muda yang bela lembu sado. Seekor dekat setan berat. Tahniah saya ucapkan pada kumpulan anak muda yang bela lembu. Yang ketiga, memperkukuh program pembiakan ternakan melalui program ladang pengganda, perolehan baka dan induk berkualiti serta memperkasakan perkhidmatan permanian beradas bagi meningkatkan kualiti baka ternakan. Yang keempat, menggalakkan penggunaan sumber makanan alternatif seperti sisa pertanian termasuk batang jagung dan jerami padi sebagai makanan ternakan. Yang kelima, memperkasakan kawalan penyakit ternakan melalui pewujudan ladang bebas penyakit, pelaksanaan biosekuriti ladang, program survelan serta peningkatan liputan vaksinasi seperti penyakit kuku dan mulut dan lumpy skin disease. Sekian, YB. Tuan Speaker.
Dipersilakan soalan tambahan YB. Kupang.
Terima kasih YB. Tuan Speaker. Soalan tambahan saya, yang mana kita tahu bahawa pasti yang Kedah ini ialah negeri yang mengimport lembu dan juga daging dan juga kambing. Bagaimana dengan khinzir? Eksport ka import? Terima kasih.
Dipersilakan YB. EXCO.
YB. Tuan Speaker, dalam situasi ini kita masih lagi berusaha supaya dapat kita membekalkan permintaan tempatan dahulu. Dalam ternakan lembu kita masih lagi banyak mengimport, kambing pun kita masih banyak mengimport. Kita juga telah berbincang dengan pihak jabatan veterinar untuk mempertingkatkan usaha-usaha. Sebab itu kita cuba sedaya upaya untuk mengoptimumkan penggunaan padang-padang ragut ni. Kita ada sejumlah 745.35 hektar padang ragut dan kita telah berusaha untuk menggunakan padang peragut ini seoptimum yang mungkin dengan menggalakkan seperti saya sebutkan tadi, anak muda melibatkan diri dalam ternakan kerana orang lama-lama ni yang disebut oleh YB. Pengkalan Kundor ni warga emas tak upaya nak pi dah. Jadi, kita minta anak muda seperti saya sebut tadi anak muda telah mengusahakan ternakan lembu sado. Juga dalam bidang ternakan YB. Kupang, kita telah pun berbincang dengan beberapa pihak untuk kita membangunkan ladang-ladang ternakan ayam. Kita tak sembang saja pasal lembu kambing, ayam juga kita duk import banyak dan insya-Allah satu hari nanti kita akan dapat satu ladang yang dapat mengeluarkan bukan saja ayam tetapi baka tu, benih ayam sendiri kita bawa keluar. Lembu juga pihak veterinar sedang berusaha untuk memperkenalkan baka Kedah insya-Allah. Kita akan memperkenalkan baka Kedah supaya kita dapat memperbanyakkan lagi hasil ternakan lembu dan ayam Negeri Kedah ni. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih YB. EXCO dan seterusnya dipersilakan YB. Bukit Selambau.
Terima kasih YB. Tuan Speaker. Sahabat-sahabat saya ada pantun, saya pun ada pantun 2 kerat. Hiasan rumah pokok buluh, Soalan saya nombor sepuluh.
10. Pohon dinyatakan sejauh manakah pemantauan secara berfasa dilaksanakan bagi memastikan visi dan misi yang terkandung dalam perancangan The Greater Kedah akan direalisasi menjelang 2050?
Dipersilakan YB. EXCO.
Terima kasih YB. Tuan Speaker dan YB. Bukit Selambau. Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya jawab soalan nombor 10 seperti yang diutarakan berbunyi, pohon dinyatakan sejauh manakah pemantauan secara berfasa dilaksanakan bagi memastikan visi dan misi yang terkandung dalam perancangan The Greater Kedah (TGK) akan direalisasikan menjelang 2050? YB. Tuan Speaker, agenda The Greater Kedah adalah satu agenda besar negeri kita. Ia bukan hanya dalam konteks ekonomi, ia dipanggil dalam konteks yang lebih menyeluruh atau lebih besar dipanggil reformasi struktural Kedah. Iaitu merentasi pelbagai aspek bagi membolehkan negeri kita ini digerakkan dalam kerangka sepertimana yang telah digagaskan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan disambut oleh Yang Amat Berhormat Jeneri yang mana kita sama-sama saksikannya. Dalam konteks untuk memastikan satu perancangan besar, sebesar The Greater Kedah ini, kita telah mengambil segala langkah yang bersesuaian bagi membolehkan gagasan ini dapat direalisasikan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Untuk makluman Dewan yang mulia, kita menyasarkan fasa pertama agenda The Greater Kedah ini sehingga tahun 2050 iaitu 25 tahun dari tarikh ia dilancarkan. Fasa keduanya sehingga 2075, fasa ketiganya 2100, fasa keempat 2125 is 100 years plan. Iaitulah yang saya katakan dia adalah satu gagasan yang dipanggil structural reformations dalam konteks negeri kita Kedah. Jadi, untuk fasa pertama ini pastinya banyak ruang-ruang yang perlu kita perkemaskan dan dalam konteks pemantauan pelaksanaan kita mengeluarkan laporan secara berkala iaitu setiap 3 bulan ya YB. Tuan Speaker, YB. Bukit Selambau. Inilah laporan yang dihasilkan untuk tahun 2025. Jadi dengan kata lain, setiap aspek yang kita telah jadikan dia sebagai KPI (Key Performance Indicator) dan PI (Performance Indicator) telah kita garap dari sudut bagaimana ianya boleh dipantau dan boleh kita terus perbaiki prestasi agensi-agensi yang terlibat. Secara khususnya dalam konteks negeri kita Kedah, kita memfokus kepada 6 teras iaitu pertama, kemakmuran ekonomi. This is a structural economic reform needed. Dengan kata lain, kita harus memperkemaskan kekuatan ekonomi kita. Yang kedua ialah kecemerlangan infrastruktur sepertimana sebentar tadi YB. Kuala Nerang. Ini adalah isu-isu fundamental yang perlu terus diangkat untuk membolehkan ekonomi digerakkan dan dimajukan dalam kapasiti yang terbaik apabila infrastruktur-infrastruktur kita berada dalam konteks yang terbaik. Kemudian, keterangkuman sosial budaya. Kita memerlukan mentaliti, inilah satu perkara reformasi mental,
revolusi mental. Kalau boleh saya katakan perlu rakyat Negeri Kedah harus berfikir sebagai kita ini adalah rakyat negara ataupun negeri pertama. First class mentality perlu ada, tak boleh third class untuk maju, untuk berubah, untuk reform. Kita perlu ada struggle. Struggle ini yang membolehkan kita bergerak laju ke hadapan. Kalau kita complacent, kalau kita dalam comfort zone kita akan biasa dengan apa yang kita ada dan reform yang kita bawa ini tidak akan menjadi kenyataan. Keempat, keseimbangan modal insan dan bakat. Ini adalah perkara yang diberi perhatian dalam agenda The Greater Kedah kita. Sebab itu kita melancarkan Program Bakti Siswa Perdana kita juga insya-Allah dalam masa terdekat melancarkan Program 1000 Young Professional yang mana kita memfokus kepada melahirkan saintis-saintis, engineer-engineer dan professional accountants, lawyers dan semua bagi membolehkan negeri ini disandarkan harapan dan tunjangnya kepada anak negerinya sendiri. Ini satu perkara yang besar yang mana mungkin sebelum ini kita berfikiran terbuka siapa pun boleh, tetapi saya walaupun lahir di Negeri Perak dan tapi telah di sini selama 25 tahun. So, saya nampak kalau we want to build this state, kita perlu menyandarkan harapan ini yang terbesar kepada anak negeri ini. Jadi, harus dilakukan usaha untuk memastikan modal insan kita adalah modal insan kelas pertama dan juga dalam konteks kompetensi pentadbiran. Ini perlu, kita harus memastikan the good governance di setiap peringkat menjadi tunjang kepada reform yang kita ingin bawa dalam agenda The Greater Kedah. Dan yang keenam iaitu kemampanan alam sekitar. Sebagai sebuah negeri maju, kita harus memastikan segala perkara yang kita lakukan ini adalah dalam kerangka yang mana sesuai apa yang telah diamanahkan oleh generasi akan datang kepada kita to look after akan Negeri Kedah ini yang mereka pinjamkan kepada kita dan apabila kita serahkan pentadbiran negeri ini kepada mereka, mereka mengatakan kita telah melakukan yang terbaik dalam menguruskan alam sekitar negeri kita. Jadi, kembali kepada prestasi negeri kita, Alhamdulillah kita telah mencapai prestasi memberangsangkan untuk tahun pertama tetapi ianya tidak mencukupi YB. Tuan Speaker. Kerana apa? Masih banyak lagi perkara-perkara yang perlu kita lakukan bagi membolehkan kita bergerak ke hadapan. Jadi, saya yakin dan percaya pendekatan kita menubuhkan iaitu dipanggil The Greater Kedah Project Management Office. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri yang telah bersetuju untuk menubuhkan satu office yang dedicated, di bawah wing BPEN iaitu Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri telah ada satu entiti yang memantau secara komprehensif akan pencapaian The Greater Kedah kita ini. Itu jawapan saya YB. Tuan Speaker, YB. Bukit Selambau.
Soalan tambahan.
Soalan tambahan. Adakah pendekatan kerajaan menangani krisis minyak yang akan memberi kesan kepada agenda The Greater Kedah khususnya Negeri Kedah dan Malaysia?
Dipersilakan Yang Berhormat EXCO.
Ini soalan pancing ni (ketawa kecil). YB. Bukit Selambau, terima kasih. Agenda The Greater Kedah sebagai sebuah negeri di dalam negara Malaysia pastinya dasar-dasar kerajaan hari ini memberi kesan kepada kita secara langsung dan tidak langsung. Dan saya rasakan kita semua hari ini berasa dalam keadaan yang tidak selesa dengan apa yang kita lihat tentang pendekatan-pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Pusat dalam menangani krisis tenaga ini ya, ataupun krisis minyak ini. Yang mana kalau boleh saya katakan mesej-mesej yang disampaikan oleh Kerajaan Pusat hari ini kepada dunia di luar sana. Ini kita lihat dari sudut ekonomi. Apabila negara kita menyatakan bahawa bekalan tenaga kita atau minyak kita boleh bertahan sehingga hujung Mei iaitu kalau daripada mid April sehingga hujung Mei, 55 hari. Jadi ia memberi satu gambaran yang sangat bahaya buat sebuah negara yang menghasilkan, mengeluarkan minyak walaupun digambarkan kita sebagai net importer tetapi kita ada reserve oil kita yang boleh kita cari gali dan boleh kita convert kepada memastikan kelangsungan bekalan tenaga kita. Tetapi the way the governments today memberikan gambaran bahawa we are in crisis in 55 days because lepas 55 hari maka keadaan akan lebih kritikal. Ini adalah satu mesej yang sangat salah dan saya berharap Kerajaan Pusat lebih bertanggungjawab dalam statement-statements yang dikeluarkan. Kerana apa? Dia memberi gambaran negatif kepada para pelabur di luar sana yang ingin melabur ke negara kita Malaysia, ke negeri kita Kedah. Apabila mereka mengatakan bahawa kita seperti tidak mampu menangani krisis tenaga ini walaupun kita sebagai sebuah negara pengeluar minyak. Saya bagi contoh Negara Jepun, mereka ada reserve 254 hari. Ini saya ambil daripada tarikh report ini keluar iaitu pada tarikh 14 atau 15 April sehingga end of Mei ya. Mereka ini daripada 15 April sehingga reserve mereka habis. So, berapa Jepun ada? 254 hari. Lebih daripada setengah tahun, tujuh, lapan bulan mereka ada reserve. Kalau kita ambil China 115 hari. Kita ambil Filipina yang mana negeri jiran kita yang kita tahu mereka ya, juga dalam position yang sama seperti kita sedang bersaing dengan kita untuk menarik pelabur. Mereka ada reserve 90 hari.
Jadi kita ambil contoh bagaimana, sorry Thailand 91 hari. Dan Filipina adalah negara juga yang mempunyai reserve yang lebih tinggi daripada kita. Malahan Singapura tak ada minyak tetapi Singapura ada reserve berbulan-bulan. Tidak ada isu kepada Singapura sebenarnya dalam konteks ini untuk beberapa bulan akan datang. Inilah strategic communication yang gagal dilakukan oleh negara apabila bicara kepada dunia luar tentang perkara-perkara seperti ini. Dan ini memberi kesan kepada kita. Saya ingin juga memberikan gambaran kepada Ahli Dewan yang mulia ini iaitu kalau ambil contoh backbone kepada ekonomi negara kita adalah SME (Small Medium Enterprise). Berapa banyak syarikat ada Small Medium Enterprise ni? Lebih kurang 54,000 syarikat di dalam Malaysia. Berapa dia menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) negara? 39.5 percent. Almost 40 percent KDNK negara datangnya dari SME dan juga berapa dari segi dolar dia ringgit dia berapa banyak? Iaitu sekitar 652.4 bilion contribution from the SME (Small Medium Enterprise). YB. Tuan Speaker, saya mendapat laporan daripada Federation of Malaysia Manufacturing (FMM) yang mana saya boleh katakan mereka hari ini berada dalam keadaan yang sangat-sangat tertekan atas pendekatan kerajaan hari ini yang bagaikan tidak jelas akan langkah-langkah nak diambil walaupun kita pengeluar minyak. Dan apa yang berlaku? Dalam kes ini, saya kongsikan di sini dan ia memberi gambaran kepada syarikat-syarikat SME di Kedah juga dan juga kepada syarikat-syarikat MNC (Multinational Corporation) yang mana terkait akan kesan daripada krisis tenaga ini. Iaitu sekitar 25,000 syarikat ataupun dengan kata lain 48.6 percent terkesan sehingga 10 peratus ke 20 peratus. Kesan kenaikan kos operasi mereka iaitu sekitar 25,000 syarikat 10 percent to 30 percent. Sekitar 12,000 syarikat terkesan sekitar di antara 30 peratus ke 50 peratus. Dan sekitar lebih kurang 6,000 syarikat SME terkesan lebih daripada 50 peratus daripada kos manufacturing mereka. Bayangkan kalau kerajaan tidak secara serius dan tidak ada strategic approach. Maka, kita berada dalam landasan yang sangat dahsyat. Kejatuhan ekonomi kita apabila the backbone of the economy SME ini paralyse, lumpuh kerana krisis yang kita sedang hadapi ini. Sebab itulah saya rasakan di sini, hari ini maaflah saya katakan Kerajaan Pusat adalah hari ini kerajaan yang paling gagal dalam konteks crisis management di mana mereka gagal untuk memberikan optik yang betul kepada masyarakat di luar sana, naratif yang sihat, yang masih lagi memberi harapan. Apa yang digambarkan adalah sesuatu yang mendukacitakan. Jadi, saya berharap kita dapat sama-sama di Kedah ini menggerakkan usaha kita dan memastikan negara akan dapat mengambil langkah yang lebih baik iaitu kita perlu ada simpanan reserve, strategic reserve on petroleum yang lebih tinggi. Kita juga harus memastikan kebergantungan kita kepada pasaran terbuka ini dapat kita kawal dengan lebih baik kerana kita adalah pengeluar minyak dan juga dalam pada masa yang sama, kita harap Kerajaan Pusat hentikanlah hanya merancang dalam jangka masa pendek. We are building a nation, we are building our
country. We are not talking about next election. This is the future of our country dan sama-sama kita bina better Malaysia dan insya-Allah The Greater Kedah akan menjadi kenyataan. Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Terima kasih YB. EXCO. YB. Bakar Arang, silakan.
YB. Tuan Speaker, saya cuma nak bertanya sedikit saja. Tadi YB. EXCO belum jawab lagi. Apakah perancangan Negeri Kedah dalam menghadapi oil crisis ini? Sebab saya tadi dengar jawapan dari YB. EXCO hanyalah bercakap tentang kesalahan di peringkat Pusat. Dan juga banyak-banyak fakta saya juga nak pertikaikan jugalah Tuan YB. EXCO tadi kata, “Jepun ada 200 lebih hari reserve”. Sebenarnya, Jepun dia sudah start dia punya reserve sejak tahun 1970 semasa oil crisis tu. Mereka sebenarnya ada satu akta dan kali ini punya oil crisis bukannya kita yang pilih. It happens because of geopolitics. Setiap negara pun ada masalah, bukan sahaja Malaysia. Vietnam, Thailand, Philippines, semua ada masalah. Jadi, saya rasa lebih baik YB. fokus kepada dari segi sudut negeri, apakah perancangan untuk Negeri Kedah. Bukannya cari kesalahan saja. Terima kasih.
Silakan YB. EXCO.
Terima kasih, syabas YB. Bakar Arang. It's a proof, YB. buat kerjalah, to defend under federal government. Tapi kalau YB. nak tahu, YB. tanya soalan dalam kerangka yang kecil iaitu apa Kedah buat dalam konteks kita. Actually we can do better if we control the federal government. We can do a lot more than what the present government is doing. Tapi apa pun dalam konteks negeri kita, kerana apa kita kata begitu, kerana the decision to set ataupun meletakkan kadar harga minyak pada kadar seperti hari ini made by the federal government. Kalau kita ada kuasa to determine, kita pastinya akan lebih berkonsepkan, berorientasikan kepada ekonomi negeri kita dan negara kita. Dan pada masa yang sama, all the incentives yang ada hari ini semuanya, coffer itu semua pendapatan negara, kenaikan SST (Sales and Service Tax) yang berbilion-bilion dikumpulkan, ya, rationalization subsidi yang berbilion-bilion dijimatkan dan semua perkara yang konteks bagaimana keadaan kerajaan hari ini dapat kumpulkan sepatutnya the time of crisis, inilah sepatutnya diberikan kembali kepada rakyat tetapi federal government has failed to do that.
Jadi dalam konteks ini, kerajaan negeri apa yang kita mampu lakukan ialah menggerakkan dan mengharapkan semua sektor di negeri kita memainkan, mengambil pendekatan untuk memperkemaskan ekonomi. Dan juga sebahagian daripada soalan tadi, iaitu apa tadi bahagian kedua tadi? YB.? Oh, Jepun! Okay. YB kata Jepun telah lebih awal. Itu tandanya orang merancang. You know, this is something a fundamental failure. Macam mana YB. boleh mempunyai gambaran orang yang merancang lebih awal itu adalah satu kebetulan? Bukan kebetulan! Things are being done by design bukan by chance. Our country tak boleh dibawa, dipandu by chance, mesti by design, Japan designed it earlier. Kita kena tahu, boleh buat projection bila krisis nak datang. Sebab itu kita ambil contoh, Thailand pun 91 hari. Kita ada 45 hari. Filipina, dia ada 55 hari, kita 45 hari. Singapore, our neighbour, dia ada months of reserve of oil. Sebab apa? Dia plan, we fail to plan. Kalau kita gagal merancang, kita merancang untuk gagal. Thank you, YB.
Soalan tambahan, boleh?
Silakan, YB. Sidam.
Okey, terima kasih YB. Tuan Speaker. Seperti yang YB. EXCO kata tadi ya, kita ada mempunyai stok sampai bulan Mei. Tetapi oleh kerana kebijaksanaan PMX (Perdana Menteri Ke-10) sekarang, beliau berupaya untuk menghubungi pihak Iran untuk dilepaskan, untuk lepaskan kapal-kapal Malaysia untuk kita menjadikan stok untuk kita tu. Jadi saya tak, saya rasa berkenaan dengan…okey lagi satu. Berkenaan dengan apa yang dirancang oleh Jepun macam, seperti yang YB. Bakar Arang kata tadi, itu memang tepatlah mereka boleh buat. Tetapi apa yang saya nak tanya sekarang, masa 33 bulan dulu, adakah kita merancang benda ini untuk dijadikan stok? Jadi, ini soalan yang perlu kita nak tahu juga. Terima kasih.
Silakan, YB. EXCO. YB. Kota Siputeh juga bangun. Nak bagi laluan?
Saya nak mencelah sekejap. YB. EXCO Jitra, adakah YB. EXCO setuju bahawa ada dikhabarkan minyak stok tak cukup? Tapi PMX (Perdana Menteri ke-10) boleh pula berdagang pi hantar pula jual minyak kita dekat Philippines. Apa cerita tu? Macam mana dia boleh buat atas, berniaga atas kita pula? Itu yang pertama. Yang kedua, kenapa kita ni tak kontra hasil eksport kita yang tinggi dalam dunia dalam konteks LPG (Liquefied Petroleum Gas)? Kenapa kita tak ambil kesempatan atas perkara tersebut untuk kita kontra bagi balik kepada rakyat dalam waktu krisis ni? Terima kasih. Kalau kata bijak sangatlah PMX (Perdana Menteri ke-10) tu.
Okey, dipersilakan YB. EXCO. Tak ada soalan tambahan dah kut?
Aaa, YB. Tuan Speaker.
Bagi apa nama ni, YB. Bakar Arang.
Okey YB. Tuan Speaker, terima kasih. Berkenaan dengan YB. Kota Siputeh tadi tanya, kenapa kita jual minyak kepada Philippines. Saya rasa…. (YB. Bandar Baharu mencelah)
YB. Tuan Speaker, ini floor untuk jawab. Bukan floor untuk ni…
Biar saya cakap dulu.
Untuk soalan!
Saya nak cakap dulu, yang sebenarnya, tadi YB. pun belum jawab lagi. Apakah perancangan untuk Negeri Kedah? Itu saya rasa.
Okey.
Baik.
Okey. Terima kasih, YB.
Cuma you cakap you jadi kerajaan, you boleh buat ini, buat itu. Tetapi, kerajaan negeri sendiri pun, perancangan pun… (YB. Kota Siputeh mencelah)
Kalau kami bagi solusi, baik kami jadi kerajaan lah!
Okey, dipersilakan YB. EXCO!
Okey, saya jawab. Saya jawab dulu tentang hubungan baik dengan Iran. Ini YB., ini komunikasi saja, nothing special. G2G (Government to Government), it's a normal thing. YB., kita kalau kita nak angkat la ni nak bagi tau PMX (Perdana Menteri ke-10), you’ve done a great job by giving a call to the President of Iran, lekeh sangat lah kita. Selalu Perdana Menteri tak bagi tahu rakyat dia call siapa. Perdana Menteri tak buat kerja ni. Perdana Menteri ni dia buat kerja tanpa diketahui oleh rakyat, tahu-tahu selesai masalah. Itu dia, setakat bagi tahu dia call, hubungan itu hubungan ini. We have building this relationship with Iran for many years, zaman Tun Dr. Mahathir lagi. Ketika mana Iran dalam krisis world is boycotting them, Tun Dr. Mahathir hantar minyak sawit kepada mereka as to ensure the economy Iran tu revive. Who did that? Tun Dr. Mahathir Mohamad! So, ini satu gambaran YB, kalau dalam konteks hanya
phone call hubungan baik, terima kasih, ya. Dalam konteks ini, kita memang itulah kerja dia. Kita lantik sebagai Perdana Menteri, to set the vision and direction for the country. Tetapi tak perlulah diangkat segala phone call hubungan itu, kita rasakan bahawa kita dalam konteks suatu yang luar biasa dilakukannya, ya. Iran kata dia bagi lalu tak caj, kita kata caj. Ini communication breakdown juga, rakyat pun confuse. Iran kata free, let's go, Malaysia ships boleh lalu, kita kata kena bayar pula RM80 juta. Apa benda ni semua? Perkara-perkara macam inilah sesuatu yang mengelirukan rakyat. So, communication ni sangat penting, strategic communication YB., need to be address by the government.
Insurans tu, insurans kena bayar.
Kalau kita ambil contoh lagi yang kedua YB., ya. Kita ambil contoh YB. kata apa jadi 33 bulan ketika mana kita memerintah. Masa tu covid, YB. nasib baik survive hari ini ada dalam Dewan ni. Kalau tak YB. pun dah tak ada mungkin di Dewan ni. Kalau tidak, kerajaan bertanggungjawab melakukan yang terdaya. Masa tu tak fokus ekonomi, masa tu fokus kepada survival rakyat, nyawa rakyat. Billions of money being pawned to help the rakyat. At the same time, we allocated a significant amount of money untuk reviving the economy. Ini dilakukan oleh kerajaan kita pada masa kita memerintah. Jadi, berbalik kepada cerita tadi, dalam keadaan negara kita hari ini, yang mana kita tahu dalam keadaan krisis sepertimana tadi YB. Kota Siputeh katakan tadi. Kita ada gas yang banyak pada ketika ini, krisis ini, okey. LNG (Liquefied Natural Gas) kita yang mana kita boleh komersialkan, kita boleh jual pada harga tinggi, sepatutnya kita jual. Kenapa kerajaan senyapkan jualan gas ini ke pasaran dunia yang menjana berbilion-bilion ringgit? Kenapa tidak ditransfer kembali untuk subsidize minyak kita, di negara kita? Soalan kepada Kerajaan Persekutuan hari ini. Ini kita lakukan dalam konteks yang sepatutnya harga lebih rendah daripada apa yang harga ada pada hari ini. Dan mengapa hari ini sebuah negara bernama Malaysia ada dua harga berbeza, Semenanjung Malaysia dan juga Sabah, Sarawak? Bagaimana seorang pemimpin ingin menyatakan kepada rakyatnya, apabila dalam negaranya ada jurang harga yang sangat ketara. Ini adalah manifestasi kegagalan sebuah kerajaan. Iaitu kerajaan MADANI telah gagal untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat Malaysia. Kalau betul, PMX (Perdana Menteri ke-10) jadi Perdana Menteri Sabah, Sarawak sajalah. Terima kasih.
Terima kasih, YB. EXCO. Untuk urusan seterusnya.
Boleh, boleh masuk lagi?
Masa kita sudah pun cukup. Urusan seterusnya, dipersilakan Tuan Setiausaha.
Sambungan perbahasan usul menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah secara dasar.
II. Sambungan Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan KedahMotion
Dipersilakan, YB. Guar Chempedak.
Terima kasih, YB. Tuan Speaker. Bismillahirrahmanirrahim, robbisrohli sodri wa yassirli amri wahlul 'uqdatam mil-lisani yafqahu qauli. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua. YB. Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah, Yang Berhormat Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Dan Persekutuan, para pemerhati, pengamal media, serta hadirin sekalian. YB. Tuan Speaker, saya mengambil kesempatan di Dewan yang mulia ini, pada pagi ini, pertama sekali ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Penguatkuasaan Perikanan telah berjaya menangkap tiga bot pukat tunda yang menceroboh zon menangkap ikan di Pulau Bidan, Yan, Kedah. Ini adalah satu usaha untuk membantu para nelayan. Yang mana ketika ini, para nelayan memang terkesan akibat kenaikan harga minyak. Sepertimana yang dibahas sebentar tadi, ingin saya nyatakan juga di sini bahawa kerajaan pada hari ini benar-benar gagal untuk mengantisipasi kenaikan harga minyak. Kerajaan yang ada pada hari ini hanyalah bertindak seolah-olah mereka ni adalah seorang peniaga sebuah syarikat. Apabila bahan mentah naik, harga pun harus dinaik. Sebenarnya kerajaan yang ada pada hari ini harus menyusun atur tindakan-tindakan ataupun berfikiran lebih awal sebab Amerika dengan Israel bukan baru kelmarin tiba-tiba merancang untuk menyerang Iran. Ianya telah dilakukan dan sudah digembar-gemburkan berbulan-bulan sebelum
kejadian penyerangan yang pertama berlaku. Tetapi pihak kerajaan kita masih gagal untuk menghidu atau mengantisipasi apa yang akan terjadi jikalau pihak Amerika dan Israel menyerang Negara Iran, apakah akibatnya kepada ekonomi negara dan sebagainya. Di situlah yang dikatakan gagal untuk merancang. Seterusnya YB. Tuan Speaker, izinkan saya untuk membahas titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman, raja pemerintah dan payung negeri ini. Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah pada sidang kali ini amat penting, memandangkan negara dan kini di ambang kegawatan. Bahkan, di peringkat global sudah pun terdapat negara-negara yang terjejas teruk. Penekanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan berhubung dengan peranan yang perlu diambil oleh kerajaan dalam tempoh krisis peperangan yang berlaku tidak boleh dipandang enteng. Rata-rata di media sosial bahkan, oleh Kerajaan Persekutuan menganjurkan agar semua pihak berjimat-cermat. Benar secara asasnya, kita perlu berjimat. Namun jika diteliti, pedoman yang dititipkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, baginda menggunakan terma berjimat-cermat dalam nasihat baginda kepada rakyat dan mengguna pakai fasa perbelanjaan yang cekap dan berstrategi apabila merujuk kepada kerajaan. Sepertimana yang kita sedia maklum, perkara pokok yang mencetus kegawatan ekonomi ekoran peperangan ini adalah bekalan bahan api, minyak dan gas. Jika negara tidak mempunyai bekalan bahan api yang mencukupi, segala aktiviti harian, perniagaan dan ekonomi akan tergendala. Kos logistik akan meningkat, harga barang akan meningkat, kuasa membeli rakyat akan menurun dan kesannya perniagaan akan menguncup dan akhirnya membawa kepada pekerja-pekerja yang mungkin diberhentikan atau bagi menjimatkan kos operasi. Jika kita telah memasuki fasa ini, di mana rakyat sudah hilang pendapatan, saya percaya negara bukan sekadar berhadapan krisis ekonomi, malah menghadapi risiko keselamatan dalam negeri yang serius. Kerajaan perlu memahami fasa-fasa permasalahan ini agar kita boleh bertindak sebagai agen penampan atau kusyen kepada krisis yang akan berlaku. Apabila rakyat dan perniagaan berjimat, pada hemat saya, kerajaan wajib berbelanja. Jika tidak, tidak akan ada langsung aliran wang dalam pasaran tempatan. Satu keadaan yang disebut oleh ahli ekonomi sebagai stagnation, dengan izin. Selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang menyeru agar kerajaan berbelanja secara strategik, saya mohon untuk kerajaan negeri mengeluarkan dasar perbelanjaan negeri dengan memaksimumkan perbelanjaan dalam sektor penampan sebagai rujukan kepada seluruh jentera kerajaan untuk berbelanja dalam tempoh kegawatan. Antara kriteria-kriteria yang boleh diklasifikasikan sebagai sektor penampan adalah seperti berikut; perniagaan yang berciri domestik dalam sepanjang rantaian perniagaan, perniagaan yang mempunyai bilangan tenaga kerja yang tinggi, perniagaan dalam rantaian
pengeluaran bahan mentah makanan dan pertanian, sektor perniagaan berciri perkhidmatan, dan peniaga-peniaga kecil. Dan kerajaan perlu mengelakkan perbelanjaan yang mempunyai kaitan dengan pembelian barang import. Bagi memastikan hasil cukai negeri tidak tergendala, sektor-sektor yang menyumbang kepada hasil negeri turut perlu disokong agar sektor ini berdaya tahan untuk terus menyumbang kepada hasil negeri. Pada hemat saya, satu special task force krisis ekonomi negeri perlu ditubuhkan yang merangkumi pegawai-pegawai dari pelbagai bidang dan jabatan agar seluruh jentera kerajaan fokus dalam menghadapi krisis bakal berlaku ini. Benar, tanggungjawab hal ehwal luar negeri adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Namun, urusan domestik yang bertindak sebagai penampan adalah sebahagian besarnya di bawah kuasa negeri dan kerajaan tempatan. Untuk itu, kita perlu berperanan dengan aktif dan proaktif demi kelangsungan negara dan negeri. Sekali lagi saya menyeru supaya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan agar kerajaan berbelanja secara strategik diberi perhatian dan keutamaan oleh kerajaan negeri. Berkaitan dengan penanaman padi YB. Tuan Speaker, jika kita meneliti Theory Maslow’s Hierarchy of Needs, (dengan izin) yang menggariskan tingkatan keperluan-keperluan manusia ternyata di bawah dan yang terpenting sekali adalah makanan dan keselamatan diri. Dalam mentadbir sebuah negara, itu jugalah yang paling penting. Malangnya, kadangkala kita terlalu selesa hidup dalam dunia globalisasi sehingga terlalu bergantung kepada dunia luar dalam membekalkan makanan kepada negara. Kita sangkakan sistem globalisasi ini utuh, namun ternyata ianya sangat rapuh dan mudah runtuh. Dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi global, Negeri Kedah yang dianggap mundur ini sekali lagi menjadi tempat negara bertaut. Sejarah panjang Negeri Kedah sebagai pembekal keperluan beras dan makanan negara kini menjadi safe deposit negara dalam keterjaminan keselamatan makanan. Namun, kita berasa sedikit terkilan apabila peranan penting ini tidak mendapat balasan yang setimpal. Kita menjadi seolah-olah orang tua di kampung yang mana bila susah baru orang balik cari, bila senang diabaikan. Tiga perkara yang Kerajaan Persekutuan perlu beri perhatian, yang pertama penggunaan tanah bagi tujuan penanaman padi ini terlalu luas sehingga mencecah 110,000 hektar ataupun lebih 10 peratus daripada keseluruhan tanah negeri. Ini secara de facto menyekat pembangunan negeri. Yang kedua, hasil negeri yang sangat rendah kurang daripada RM6 juta setahun bagi keseluruhan kawasan tersebut. Yang ketiga, pengawalan yang terlalu ketat ke atas industri padi namun tiada pelaburan yang berimpak bagi memajukan industri padi. Yang menjadi parah sekali, apabila disebabkan harga beras dikawal membawa kepada risiko panjang yang tidak bertanggungjawab, relabel beras tempatan sebagai beras import, membawa kerugian kepada para petani dan pembeli. Yang untung adalah pengilang. Kesemua faktor ini
membuatkan industri padi semakin lesu dan uzur dan tidak mendapat tempat di hati generasi baru. Sedar tidak sedar, tindak-tanduk ini bertindak sebagai pemutus kelahiran pesawah-pesawah muda dan moden. Jika tiada sawah baharu, sudah pasti tiada sawah yang akan diusahakan. Ataupun lebih memburukkan lagi keadaan generasi baharu lebih berminat menukar guna tanah dari sawah kepada aktiviti yang lain seperti homestay, ruang meniaga dan lot lidi. Jika sawah padi sudah susut, maka safe deposit makanan negara turut menyusut. Maka negara akan berhadapan risiko mempunyai payung bocor yang tidak mampu menampan ribut ekonomi yang bakal melanda di masa hadapan.
3 minit lagi YB.
Terima kasih. Sudah tiba masanya usaha negeri dalam memayungi kedaulatan makanan negara di timbal-balas dengan suntikan fiskal yang setimpal. Tujuan utama negeri perlukan suntikan fiskal adalah bagi mengimbangkan perbelanjaan domestik antara negeri-negeri di Malaysia. Seperti yang saya jelaskan sebentar tadi, kerajaan negeri adalah penyuntik aliran wang ke dalam pasaran tempatan. Jika kemampuan negeri berbelanja adalah tinggi, maka tinggilah aliran suntikan wang kepasaran domestik khususnya di dalam Negeri Kedah. Ini adalah sebagai langkah selamat dalam usaha kerajaan untuk memastikan perniagaan di Negeri Kedah terus subur dan mendapat dukungan kerajaan dalam berhadapan krisis ekonomi. YB. Tuan Speaker, semakan cukai tanah. Yang pertama negara seperti Turki Uthmaniyah di mana kuasa, minta maaf. Niccolò Machiavelli ada menjelaskan dalam bukunya, “The Prince”, bahawa terdapat dua bentuk negara di dunia ini. Yang pertama, negara seperti Turki Uthmaniyah, di mana kuasa pemerintahan berpusat dan wilayah di tadbir oleh pegawai-pegawai yang dilantik oleh pusat menjadikan pemerintahan pusat adalah segala-galanya. Kelemahan sistem ini adalah sekali pentadbiran pusat runtuh, semuanya runtuh. Itulah hakikat yang telah berlaku kepada Empayar Agung Uthmaniyah. Berbeza dengan sistem kedua seperti Perancis di era feudal, di mana raja bertindak sebagai pemerintah negara namun pembesar tempatan mempunyai kuasa pentadbiran dan ketenteraan yang signifikan di peringkat wilayah. Hal ini menjadikan Negara Perancis era feudal kalis krisis peperangan. Jika Raja Perancis kalah perang, wilayah di bawah Negara Perancis masih terus boleh bertahan disebabkan pemerintahan tempatan tidak terganggu disebabkan desentralisasi kuasa tersebut.
Saya berpendapat, sudah tiba masanya kita menguatkan lagi usaha untuk memberi lebih autonomi dan kelebihan kepada negeri-negeri dalam kerangka Persekutuan sebagai langkah untuk mengukuhkan lagi tahap ketahanan negara melalui pemerkasaan negeri-negeri. Mungkin, krisis tenaga ekoran peperangan Timur Tengah ini boleh dijadikan sebagai titik permulaan agenda desentralisasi kuasa kepada negeri khususnya yang melibatkan urusan tempatan dan domestik seperti tanah, kerajaan tempatan dan pertanian.
Boleh landing, YB.
Sikit, terima kasih. Seperti yang kita tahu, dalam Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan hal ehwal tanah dan kerajaan tempatan di bawah kuasa negeri selaras dengan Jadual Kesembilan, Senarai Kedua. Namun, dalam konteks semakan cukai tanah, pihak berkuasa negeri masih lagi memerlukan restu dari Kerajaan Persekutuan untuk menyemak semula cukai tanah. Hal ini menyebabkan perancangan fiskal negeri terbantut apabila tidak mendapat restu tersebut. Jika perancangan negeri untuk menyemak kadar cukai tidak disokong, malah suntikan fiskal ekoran penanaman padi juga tidak dipertimbangkan, bagaimana kerajaan negeri boleh bertindak sebagai ejen penampan dalam mendepani krisis. Pastinya sukar untuk Negeri Kedah bersama-sama Kerajaan Persekutuan dalam mengharungi krisis yang bakal mendatang ini. Untuk itu, saya menyokong penekanan yang diberikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan agar pelaksanaan semakan cukai ini diberi laluan mudah oleh Kerajaan Persekutuan dan turut memohon agar negeri menguatkan lagi agenda desentralisasi kuasa dari Pusat kepada Negeri agar negara secara keseluruhan lebih berdaya tahan dalam mendepani krisis. YB. Tuan Speaker, sebagai penutup, saya ingin menyeru kepada kerajaan negeri agar melihat segala saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan melibatkan semakan cukai tanah, isu berkaitan sektor pertanian padi, langkah perbelanjaan berhemah kerajaan sebagai bukan isu berasingan tetapi sebagai isu yang saling berkait rapat untuk memastikan agenda kelangsungan negeri terjamin dan terjaga. Saya sekali lagi menekankan bahawa satu special task force rentas jabatan dan bidang perlu ditubuhkan segera oleh kerajaan negeri sebagai satu platform strategik yang dapat menasihati kerajaan negeri dengan lebih menyeluruh dalam mendepani krisis ekonomi yang akan berlaku. Saya mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah terus diberi kekuatan oleh Allah SWT, dalam memerintah dan memayungi Negeri Kedah. Saya juga mendoakan agar Yang Amat Berhormat Menteri Besar kekal sihat dan diberi kekuatan serta dukungan untuk
terus memimpin pentadbiran Negeri Kedah dalam masa-masa yang getir ini. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini menyokong penuh titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sempena Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Yang Ke-15. Sekian, Wabillahi taufik wal hidayah, Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, YB. Guar Chempedak. Seterusnya, dipersilakan YB. Belantek.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahirobbil alamin, washolatu wassalamu 'ala saidina muhammadin asrafi mursalin, wa'ala alihi wasahbihi ajma'in. Terima kasih YB. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah, ADUN Jeneri, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, pemerhati-pemerhati ke Dewan hari ini, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian. Saya mulakan perbahasan hari ini dengan menyentuh titah Tuanku Sultan di muka surat 9, mengenai pengorbanan Negeri Kedah dalam mengekalkan 119,000 hektar kawasan padi dan 160,000 hektar kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda. Tuanku menekankan perlunya ada insentif kewangan oleh Kerajaan Persekutuan sepertimana yang telah dipohon oleh Kerajaan Negeri Kedah. Itu disebut, dititah dalam muka surat 9. Dan saya juga ingin merujuk pada apa yang telah dilapor oleh Portal Digital Perdana, pada 13 haribulan juga menyebut tentang tajuk utama “Kedah Berkorban Kekalkan Kawasan Padi, Tadahan Air”, sudah menjadi tajuk utama, YB. Tuan Speaker. Kawasan Hutan Ulu Muda ialah antara tadahan air paling penting di utara Semenanjung. Membekalkan air pada Kedah, Perlis dan Pulau Pinang serta menyokong empangan seperti Empangan Muda dan Empangan Pedu. Jadi, sejak sekian lama Kedah mengorbankan Hutan Simpan Ulu Muda-nya untuk kawasan tadahan air termasuk manfaat kepada negeri-negeri jiran dan kebetulan Hutan Ulu Muda ini berada di Daerah Sik dan DUN Belantek berada di situ YB. Tuan Speaker. Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk menyuarakan dan memberi saranan-saranan terbaik yang dapat kita majukan, kita dapat pelihara Hutan Simpan Ulu Muda ni, YB. Tuan Speaker. Dan oleh sebab kepentingannya, Kerajaan Persekutuan memang ada peranan besar dan seharusnya memainkan peranan yang proaktif untuk membantu negeri memelihara kawasan ini. Inilah yang disarankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
Dan di sini saya ingin menyebut beberapa langkah inisiatif yang boleh diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu dalam perkara ini. Satu YB. Tuan Speaker, pampasan kewangan pada kerajaan negeri, (dengan izin) payment for ecosystem services. Yakni, Kerajaan Persekutuan boleh memberi pampasan kepada Kedah kerana mengekalkan hutan tanpa pembalakan. Ini harus dipertimbangkan dan ini penting sebab biasanya negeri akan hilang hasil balak bila kawasan dilindungi untuk memelihara ekosistem kawasan tadahan air dan pampasan atau bayaran kepada Kedah kerana menjaga sumber air dan menyalurkannya ke negeri-negeri lain. Ini satu pengorbanan yang cukup besar, YB. Tuan Speaker. Itu yang pertama. Yang kedua, kita wartakan sebagai kawasan perlindungan kekal, ya. Mungkin boleh kita naik taraf status kepada Hutan Simpan Kekal Bertaraf Perlindungan, bertaraf perlindungan. Atau wartakan ia sebagai kawasan sensitif alam sekitar ESA (Environmentally Sensitive Areas) tahap tinggi, dan ini dapat membantu untuk kita memelihara Hutan Ulu Muda. Kita boleh hadkan atau hentikan aktiviti pembalakan di zon tadahan air yang kritikal, YB. Tuan Speaker. Okey yang kedua. Yang ketiga, sudah pasti kita dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, kita menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat. Mungkin undang-undang yang sudah ada sekarang tapi nak kita ketatkan lagi dan rondaan boleh dibuat oleh agensi seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). Gunakan teknologi seperti dron dan pemantauan satelit untuk kesan pencerobohan dan sudah pasti hukuman lebih tegas terhadap pembalakan haram. Sekiranya ada aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang, pihak berkuasa seharusnya peka dan cepat mengambil langkah-langkah yang sepatutnya, itu yang ketiga. Yang keempat, kerjasama dengan Persekutuan juga seharusnya ada kajian saintifik dan pemantauan berterusan, biaya kajian hidrologi, biodiversiti dan perubahan iklim. Pakar-pakar yang ramai dan sudah pasti ingin melibatkan universiti dan agensi seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan data-data yang diperolehi adalah penting untuk membuat satu dasar yang tepat dan kemas untuk kita memelihara Hutan Ulu Muda ini YB. Tuan Speaker. Yang kelima, kerjasama antara Negeri dan Persekutuan khusus dalam bab ini, kita nak ada tubuhkan pelan pengurusan bersama antara Negeri dan Persekutuan sebab air dari Ulu Muda ni digunakan oleh negeri-negeri lain bukan oleh Negeri Kedah saja, ianya memberi faedah kepada negeri-negara lain dan Pulau Pinang dan Perlis juga boleh menyumbang dana permuliharaan dari segi kewangan juga kita minta dari negeri-negeri jiran, negeri-negeri berkaitan untuk kita memelihara Hutan Ulu Muda. Yang keenam, pembangunan alternatif untuk komuniti setempat dan sudah pasti ianya boleh menyediakan peluang ekonomi lain seperti ekopelancongan. Ini sudah pasti YB. Tuan Speaker, satu tempat yang menarik, yang penuh dengan kehijauan, sudah sampai sekarang pun menjadi tarikan kepada pelancong-pelancong untuk hadir, dan hari ini pula dengan cuaca kemarau YB. Tuan Speaker, air dah surut dan
kita dapat melihat kesan-kesan lama kampung-kampung lama yang ditinggalkan, ada kesan-kesan tanah-tanah perkuburan yang boleh dilihat dan saya Alhamdulillah YB. Tuan Speaker, sempat masuk minggu lepas dan dapat melihat sendiri keindahan peninggalan artifak-artifak lama YB. Tuan Speaker dan ini harus diambil tindakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk kita mempromosi pelancongan ini YB. Tuan Speaker dan…(YB. Tuan Speaker mencelah)
4 minit lagi YB.
Berapa minit lagi?
4 minit lagi.
Allah, banyak lagi ni!
Ringkaskan!
Ya, okey. Jadi, dengan kajian pihak universiti, insya-Allah akan dapat membantu untuk kita mempromosi pelancongan ini Tuan Speaker. Dan yang ketujuh ialah pengiktirafan antarabangsa, kena ada usaha untuk menjadikan Ulu Muda sebagai tapak biodiversiti penting atau kawasan perlindungan bertaraf antarabangsa begitu YB. Tuan Speaker, perlindungan antarabangsa dan ini saya yakin boleh menarik masuk dana secara global dari seluruh dunia dan membantu memelihara Hutan Ulu Muda ini. Kesimpulannya YB. Tuan Speaker, peranan Persekutuan adalah sangat penting terutama dari segi kewangan, dasar, dan penguatkuasaan. Sama-sama kita Negeri dan Persekutuan berganding bahu menjaga Hutan Ulu Muda, menjaga sumber air untuk jangka panjang, bukan saja untuk kita hari ini tapi juga untuk anak cucu kita YB. Tuan Speaker.
Seterusnya di muka surat 5 juga Tuanku menyebut melalui prinsip federalisme, hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh dilihat secara terpisah sebaliknya perlu berlandaskan semangat kerjasama yang adil dan saling melengkapi. Ini penting YB. Tuan Speaker. Kita melihat ada satu permasalahan yang disebut di sini perangkap federalisme fiskal (dengan izin) fiscal federalisme track yang tempang sejak dari awal. Hasil mahsul yang diambil sebagai contoh dari Sarawak contohnya telah mencecah trilion ringgit namun manfaat yang dikembalikan kepada Sarawak melalui royalty hanya kira-kira beberapa puluh ribu sahaja, ini satu contoh. Dan YB. Tuan Speaker yang penting Kedah juga berhadapan dengan perangkap yang sama, sejak sekian lama Kedah mengorbankan tanah bersyarat padinya untuk penanaman padi, namun tiada pampasan dalam bentuk fiskal dikembalikan ke negeri ini. Sejak sekian lama juga Kedah mengorbankan Hutan Simpan Ulu Mudanya untuk kawasan tadahan air, termasuk manfaat kepada negeri-negeri jirannya tiada pampasan fiskal diberikan sebagai timbal balas. Malah, tuntutan caj penggunaan air yang melalui Sungai Muda juga ditolak mentah-mentah YB. Tuan Speaker. Ada lagi, sejak sekian lama juga saya menggunakan perkataan sejak sekian lama juga Kedah menerima wang pajakan Pulau Pinang tidak pernah dinilai tersebut diperhalusi semula, mengikut peredaran masa. Kedah dibiarkan terus peningkatan miskin dan kekurangan wang. YB. Tuan Speaker kita nak bertanya, apakah wacana federalisme telah lumpuh dalam negara ini? Telah lumpuh dalam negara ini. Dewan ini perlu menuntut ketegasan terhadap mengangkat wacana federalisme ke tempat yang sepatutnya, tuntutan fiskal yang menjadi sebahagian daripada hak negeri ini, perlu disuarakan dan terus disuarakan dan dikumandangkan sampai bila-bila sebab kita nampak tempang, antara kemudahan-kemudahan benefit yang kita dapat antara Negeri dan Persekutuan. Malah tidak keterlaluan kalau kita katakan jika penggubalan dasar dan enakmen yang telus harus digembleng bersama. Mungkin di Dewan yang mulia ini kita boleh menggembleng satu akta yang ataupun enakmen yang seharusnya merapatkan, menjelaskan lagi peranan antara Negeri dan Persekutuan YB. Tuan Speaker…. (YB. Tuan Speaker mencelah)
Boleh landing Yang Berhormat.
Federalisme fiskal yang tidak meminggirkan kepentingan negeri yang telah berkorban kepada negara…. (YB. Tuan Speaker mencelah)
YB. Tokai bangun Yang Berhormat.
Negeri banyak berkorban YB. Tuan Speaker
Bagi laluan tak YB. Tokai bangun?
YB. Tokai?
Boleh?
Satgi bagi masa dekat saya lebih sikit.
Saya nak pi Belantek ikut Pendang. Terima Kasih YB. Tuan Speaker. Saya tertarik dengan apa yang disebutkan oleh YB. Belantek berhubung dengan pengorbanan Negeri Kedah ni. Selain daripada kita menyediakan periuk nasi kepada rakyat Malaysia, 43 peratus melalui beras kita ni, kita juga menyediakan empangan-empangan Pedu, Muda, Ahning untuk domestik kita sediakan, untuk perindustrian kita sediakan, untuk pertanian pun kita yang sediakan. Jadi, negeri-negeri yang berdekatan dengan kita ni mendapat faedah, manfaat daripada empangan yang kita ada ni. Tetapi ada sahabat kita, rakan kita, duk sedut air tapi tak mahu bayar, ini merupakan salah satu daripada dasar federalisme yang tidak dipatuhi oleh sahabat dan juga rakan kita. Jadi kita kena pulun lagilah nah, YB. Belantek desak lagi supaya hat ni kita dapat sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kita nak apa teroka hutan kita ini. Sekian YB. Tuan Speaker, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Belantek, terus gulung dan landing.
Terima kasih kepada YB. Tokai, jadi insya-Allah masukkan keseluruhan ucapan YB. Tokai itu dalam ucapan saya. Dan perkara ini perlu diperlu diwacanakan dan perlu dibincang sampai bila-bila supaya hubungan antara Negeri dan Persekutuan dapat kita mesrakan, rapatkan, dan memberi faedah yang banyak kepada negeri. Dan untuk tajuk yang terakhir ini YB. Tuan Speaker insya-Allah saya akan landing selepas ini, ialah satu isu yang semua disentuh oleh sahabat-sahabat Yang Berhormat sekalian iaitu kenaikan harga minyak. Kita tanya sikit siapa yang selama ini membina persepsi bahawa harga minyak hanya boleh turun dengan menukar kerajaan. Siapa yang memulakan? “Hari ini kita memerintah, besok harga minyak akan turun” YB. Tuan Speaker. Bila dah jadi kerajaan, kita dengar alasan yang berbeza, kononnya isu harga minyak ni kompleks lah, bergantung kepada geopolitik lah, begitu begini lah, pasaran global lah, kesan politik lah, dan macam-macam lagi lah, dan nak rakyat faham, seolah-olah nak menekan rakyat kena faham, tapi rakyat dipaksa pula untuk faham dan faham. Soalan saya mudah saja YB. Tuan Speaker, kenapa hujah ini tidak digunakan semasa menjadi pembangkang dulu? Dulu semuanya nampak mudah, sekarang semuanya nampak rumit, macam-macam alasan. Jadi, di manakah perancangan strategik kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga dari Asia Tengah yang kita tahu berisiko tinggi? Kita tahu dari dulu, bukan hari ini, bukan kelmarin, tapi ini dah lama, kawasan Asia Tengah yang berisiko tinggi dan soalan asas yang kita nak tanya di sini YB. Tuan Speaker ialah, apakah pelan konkrit kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat? Yang penting rakyat sekarang ini terbeban, kita nak kurangkan beban rakyat. Kalau jawapan hanya dengan justifikasi, hanya dengan justifikasi tapi kosong solusi, kosong solusi, ia bukan penjelasan tapi ia hanya satu alasan-alasan yang bermacam-macam yang keluar yang diberi seolah-olah rakyat tak faham, rakyat tak reti. Dan dalam masa yang sama juga YB. Tuan Speaker kita melihat hubungan antarabangsa diraikan, pelaburan kita dengar berbilion-bilion diumumkan, jadi kenapa manfaat ini tidak digunakan untuk membantu rakyat melalui subsidi yang lebih stabil, kenapa beban tetap dipindahkan kepada rakyat YB. Tuan Speaker. Saya ulang balik kenapa beban tetap dipindahkan kepada rakyat, apa yang rakyat perlu YB. Tuan Speaker ialah jawapan yang jelas, jawapan yang jelas. Rakyat perlukan pelan yang konkrit dan yang penting rakyat perlukan kejujuran dari kerajaan, kejujuran dari kerajaan. Kalau dulu begitu indah, begitu seronok, begitu lunak, menjanjikan harga minyak boleh diturunkan dengan berbagai formula itu, dan formula ini, maka hari ini jangan salahkan rakyat kononnya mereka tidak faham ekonomi, hakikatnya rakyat sangat faham di luar sana rakyat berbagai-bagai lapisan faham tentang ekonomi, yang jadi persoalan sekarang ialah kerajaan benar-benar ada tak penyelesaian atau kerajaan semakin hampir untuk menjadi kerajaan yang sentiasa memberi alasan itu dan alasan ini. Itulah persoalannya YB. Tuan Speaker.
Masa sudah terlalu panjang Yang Berhormat, Sila landing terus.
Baik, insya-Allah, saya akan landing dan yang terakhir sekali, saya ingin menyebut dari segi sudut agama iaitu bagaimana kita telah menekankan tentang Kempen Solat Subuh Seperti Jumaat di seluruh negeri yang kita telah lancarkan beberapa bulan dulu dan kita hendak kempen ini di diperkasakan lagi ke seluruh Negeri Kedah. Kita nak pastikan semua rakyat Kedah ini, semua penjawat awam, sebelum pergi kerja, pastikan mereka mengerjakan solat subuh berjemaah secara beramai-ramai, hidupkan masjid-masjid dan surau-surau di kawasan-kawasan kita, dan insya-Allah apabila kita mengerjakan solat subuh berjemaah setiap hari, apabila kita masuk pejabat pukul 8.00 pagi, 8.30 pagi, 9.00 pagi, memulakan kerja kita, Allah akan sentiasa memudahkan kerja kita YB. Tuan Speaker.
Jadi, saya mengharapkan supaya Kempen Solat Subuh Seperti Jumaat ini diperkasakan mungkin ada kaedah-kaedah tersendiri yang boleh, yang cantik untuk kita merapatkan saf-saf supaya rakyat kita di Negeri Kedah ini sama-sama dapat memulakan solat subuh berjemaah. Apabila mereka menjaga solat subuh berjemaah, maka mereka juga secara langsung akan menjaga solat zohor berjemaah, asar berjemaah, maghrib berjemaah, dan isyak berjemaah.
Dan terima kasih banyak YB. Tuan Speaker, akhir sekali saya menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan atas perkenannya Kebawah Duli Yang Maha Tuanku menyampaikan titah ucapan sempena Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Kedah Darul Aman Yang Ke-15. Sekian, Wabillahi taufik hidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Belantek dan seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Ayer Hangat.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Kedah Sejahtera. YB. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah dan juga ADUN Jeneri, Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Dato’ Dr. Pegawai Kewangan Negeri, Yang Berhormat Tuan
Pegawai Undang-undang Negeri, para EXCO Kerajaan Negeri, serta Ahli-ahli Yang Berhormat, yang berusaha Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan, pengamal media, rakyat Langkawi, tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati sekalian.
Berdiri tegak memegang panji, Laksana menahan maruah negeri, Syawal nan indah masih dirai’, Perjuangan rakyat tidak dilupai.
Menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, di atas titah ucapan Tuanku Sultan, yang memperlihatkan rasa keprihatinan yang sangat tinggi terhadap permasalahan rakyat Negeri Kedah terutama bagi Pulau Langkawi “Permata Kedah”.
Langkawi pulau indah penuh misteri, Terkenal dengan sejarah Mahsuri, Tempat bercuti rakyat dalam dan luar negeri, Nak sampai ke sini boleh naik feri.
Langkawi ada segalanya, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Cable Car di Langkawi, Skycab antara yang tercuram di dunia dengan pemandangan indah Laut Andaman, hutan hujan, pemandangan pulau-pulau sekitar Langkawi dengan panorama 360°. Banyak pulau-pulau kecil yang sangat indah untuk dunia penyelam dan juga pemandangan aurora Langkawi di waktu malam, syurga bagi pemancing dan acara mencandat sotong. Tidak susah mencari makan di Langkawi kerana sumber makanan ada di sekeliling, Langkawi ibarat “angsa emas” anugerah tuhan buat Negeri Kedah dan Malaysia. YB. Tuan Speaker dan sidang Dewan yang saya hormati, mendepani cabaran akibat konflik di Asia Barat dan juga Eropah Timur sedikit sebanyak memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negara dan negeri termasuk dalam industri pelancongan di Pulau Langkawi. Namun, apakah tindakan kita untuk menstabilkan keadaan ini? Langkawi masih luas untuk diterokai, masih banyak peluang untuk menjana ekonomi kepada negeri, justeru saya berpendapat satu pelan jangka panjang dan juga jangka pendek perlu dirangka segera bagi mendepani situasi ini dan menjamin pendapatan dan kemajuan ekonomi penduduk di pulau ini. Apakah sumber lain yang boleh dimanfaatkan untuk mengekalkan tarikan pelancong ke Langkawi? Saya percaya YB. Lada sebagai agensi di bawah Kerajaan Persekutuan dan serta agensi yang lain seperti Kedah Tourism telah melakukan pelbagai usaha untuk mengekalkan sasaran jumlah kemasukan pelancong bagi Tahun Melawat
Malaysia 2026 ini. Acara-acara baru yang tidak memerlukan kos yang tinggi boleh dilaksanakan. Latihan dan kursus kepada frontlines perlu diperkasakan, barisan hadapan yang menyambut pelancong di jeti, di lapangan terbang, di kedai makan, di tempat tumpuan pelancong perlu lebih berketerampilan dan dijenamakan semula dengan identiti Kedah yang lebih menarik hati. Kembalikan acara-acara atau pesta yang kurang kos belanja contohnya Pesta Pantai Langkawi yang menjadi tarikan kepada pelancong domestik dan luar negara, acara tarik tali pantai, Beach Tug of War yang telah kami buat di Dataran Tanjung Rhu pada tahun lepas, boleh dijadikan acara dwitahunan, bukan semua orang mai ke Langkawi nak masuk ke Dream Forest, bukan semua yang mai nak naik Cable Car ataupun ke Underwater World, atau naik Ferrari di Laut Cenang. Kita contoh Negeri Perlis lah yang mewujudkan banyak tarikan semula jadi, tarikan Gastronomi makanan yang pelik-pelik macam bronok, macam rumpai laut, atau laktut hanya di Langkawi, dan bantulah usahawan-usahawan kedai makan di pinggiran desa yang menunjukkan keindahan alam semulajadi. Pintu masuk pelancongan seperti di jeti Kuah, Tanjung Lembung, lapangan terbang, terminal cruise perlu diletakkan papan tanda atau signage Experience Kedah untuk mengalu-alukan pelancong tempatan dan luar negara. Boleh juga mainkan video-video promosi Experience Kedah di dalam di dalam feri, selain kita duk bubuh cerita Mr. Bean dan kartun larva tu, eloklah kita mainkan video apa yang Kerajaan Negeri Kedah dah buat sepanjang tahun lepas. Boleh juga tunjuk ikon tarikan pelancongan di tanah besar yang ada di daerah-daerah di Negeri Kedah. Perkenalkan tarikan sukan baharu yang melibatkan trek hutan, sungai dan sawah padi serta tepian pantai bagi merasai pengalaman dan melihat keindahan alam semula jadi. Saya juga nak mengucapkan selamat berjaya dan tahniah kepada sahabat saya, dari Northern Runners yang akan mengadakan Kilim Trail Run pada 18 hari bulan nanti dengan anggaran kehadiran hampir 500 peserta termasuk dari luar negara. Semoga acara ini dapat dibuat setiap tahun. Selain itu, wujudkan lebih banyak tarikan pelancongan baru yang dibina yang berkonsepkan sederhana dengan tiket masuk yang mampu dibayar oleh golongan berpendapatan rendah, ini kerana manusia ni dia susah macam mana pun dia suka nak berjalan, cuti sekolah ka, cuti umum ka, tetap nak berjalan. Memandangkan dengan minyak mahal dan segala-galanya sekarang ni, pusat-pusat tarikan berkos sederhana diharap dapat menarik jumlah pelancong ke Pulau Langkawi juga di seluruh Negeri Kedah. Contoh boleh diadakan mini zoo, aktiviti rekreasi di dalam hutan, aktiviti air dan sebagainya yang mampu dibayar oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kemudahan atau fasiliti di jeti perlu ditingkatkan lebih mesra pelanggan, easy access, kemudahan pergerakan terutama bagi warga emas dan orang kurang upaya. Ada orang tak mahu pergi ke Langkawi pasai depa kata nak kena jalan jauh, YB. Tuan Speaker. Jadi, mau tak mau, ada orang tak mau, jadi depa lupa kita juga ada roro, roro yang mana boleh bawa kereta, naik di pintu rumah boleh
sampai di pintu homestay di Langkawi, dan promosi untuk menggunakan roro ini harus dipertingkatkan di saat-saat trip feri sekarang ini semakin berkurang. YB. Tuan Speaker dan sidang Dewan yang saya hormati, isu keselamatan, isu keselamatan rakyat dan perairan Pulau Langkawi harus diberi perhatian sepanjang masa. Ini berikutan kebanjiran warga asing di Pulau Langkawi sering dibangkitkan oleh penduduk. Kemasukan secara tidak terkawal ini lambat-laun di kuatiri membunuh ekonomi yang diusahakan oleh penduduk Langkawi sejak sekian lama. Maka saya menggesa Kerajaan Persekutuan berilah perhatian dan ambil tindakan segera dan agresif untuk mengawal kemasukan warga asing yang kita kuatir akan merencatkan ekonomi rakyat asal pulau ini. Dalam isu kawalan keselamatan di perairan sekeliling pulau, di mana pantai di DUN Ayer Hangat adalah kawasan pantai yang paling dekat dengan garisan sempadan negara jiran. Walau kita difahamkan kita mempunyai peralatan dan aset yang canggih untuk mengesan pergerakan entiti-entiti asing yang menghampiri perairan di sekeliling pulau ini, tetapi ternyata masa ke semasa masih ada yang dapat membolosi, masih ada perahu-perahu dicuri di pengkalan-pengkalan kecil, dan dibawa balik ke negara jiran. Kos untuk membeli bot ini bukanlah murah bagi para nelayan untuk mendapatkan sebiji bot pon susah-payah apatah lagi bila hilang dicuri pula. Kalau perlu Kerajaan Persekutuan menambah bilangan aset yang berkurangan atau kakitangan yang tidak mencukupi tambahlah dengan segera, kerana kedaulatan negara ini perlu dipantau sepanjang masa tak kira harga minyak mahal ataupun murah. Janganlah harga minyak naik rondaan pula kurang, ini akan buka peluang lebih luas kepada entiti luar untuk masuk ke perairan kita tak kiralah, pelarian atau bot-bot nelayan asing yang kadang-kadang sengaja terlajak masuk ke perairan kita. Begitu juga dengan kawalan keselamatan di pintu masuk melalui jeti penumpang dan roro yang harus melalui pemeriksaan yang lebih ketat untuk menangani kemasukan bahan-bahan terlarang dan sebagainya ini dikuatiri memberi kesan negatif kepada kesejahteraan penduduk di Pulau Langkawi. YB. Tuan Speaker, masalah telekomunikasi, coverage yang terbatas di sekitar Teluk Datai perlu diberi perhatian. Kerap kali para nelayan mengadu jika berlaku masalah seperti bot rosak atau pencerobohan nelayan asing, maklumat tidak dapat disampaikan dengan cepat. Walaupun kita tahu ada usaha oleh MCMC (Malaysian Communications and Multimedia Commission) dalam menyelesaikan masalah ini. YB. Tuan Speaker dan sidang Dewan, isu pendidikan dan pembangunan modal insan. Soal pembangunan modal insan tidak dapat dielakkan bila bercakap mengenai pembangunan negeri. Kita meraikan pelajar-pelajar cemerlang yang straight A, yang kita hampir pasti ke semua mereka akan berjaya dalam kehidupan akan datang, insya-Allah. Tahniah saya ucapkan kepada seorang pelajar daripada Maktab Mahmud Langkawi Muhammad Adeeb Qayiem Bin Mohd Nizam yang mendapat 11A yang
merupakan salah seorang top three student Negeri Kedah telah mencipta sejarah bagi sekolah tersebut. Bagaimana pula dengan pelajar yang sederhana yang terkebelakang dalam pelajaran? Alhamdulillah Negeri Kedah ada 45 buah institusi pengajian awam yang menawarkan kursus kemahiran dan 19 buah institusi pengajian swasta yang menawarkan kursus yang serupa di seluruh Negeri Kedah. Semoga semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin di pelbagai lapisan dan masyarakat, tak kiralah MKK (Majlis Ketua Kampung) atau JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) penghulu imam dan semua mewar-warkan agar para pelajar yang tidak dapat memasuki pusat pengajian tinggi, mengambil peluang ini untuk melengkapkan diri dengan ilmu kemahiran. YB. Tuan Speaker, saya juga ingin menyeru agar Tabung Usahawan Wanita ataupun bantuan-bantuan lain ditambah untuk membantu meringankan beban peniaga-peniaga kecil terutamanya wanita yang paling terkesan dengan kenaikan barang pada hari ini. Saya juga nak mohon ditambahkan lebih banyak kursus-kursus keusahawanan seperti kemahiran Information Technology (IT), Artificial Intelligent (AI), untuk memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan. Selain itu juga, saya menyeru agar institusi penghulu dan MKK (Majlis Ketua Kampung) perlu diperkasakan. Lengkapkan dengan ilmu pengetahuan pengurusan, kemahiran, logistik, dan lain-lain keperluan dari masa ke semasa. Alhamdulillah, kami di Langkawi mesyuarat focus group dan juga di Pejabat Daerah kami adakan setiap bulan, tidak fail lah. Jadi, tahniah saya ucapkan kepada Tuan DO (District Officer) dan juga kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi. Saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah yang bersungguh-sungguh memberikan khidmat dan kerjasama yang terbaik untuk menjaga kemakmuran rakyat negeri ini. Juga saya tak lupakan kepada agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, semua untuk Ketua-ketua Jabatan di Langkawi, Ahli-ahli Majlis, JKR (Jabatan Kerja Raya), SADA (Syarikat Air Darul Aman), JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan semua lah, Imam-imam, Pengerusi MKK (Majlis Ketua Kampung), serta penghulu serta semua yang sangat komited dalam menjalankan tugas. Semoga khidmat yang baik ini akan berterusan di masa depan, “berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing”. Akhir kata, patik menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah di atas titah ucapan yang sangat prihatin kepada patik dan kami seluruh rakyat negeri ini. Sekian, Wabillahi taufik walhidayah, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. Dan seterusnya, dipersilakan Yang Berhormat Tanjung Dawai.
Bismillahhirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi ta'ala wabarakatuh. Alhamdulillah wasala tuwassalamu ala rasulillah wa ala alihi wasahbihi waman wallah. Terima kasih YB. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan, seterusnya para hadirin tetamu yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah syukur kerana pada pagi ini saya berkesempatan untuk turut membahaskan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku sempena Perasmian Pembukaan Persidangan DUN dan sempena persidangan kali ini untuk sekian kalinya Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan memberikan penghargaan dan pujian kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dengan pentadbiran yang berjalan dengan lancar, yang pastinya dengan kerjasama semua pihak daripada pihak pegawai tadbir negeri, daripada pihak ADUN, pegawai-pegawai daerah, pihak penghulu, MKK (Majilis Ketua Kampung) dan semua yang terlibat. Dan bagi saya apa yang disebut sebagai penghargaan daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, khusus kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar atas kejayaan mengemudi kerajaan ini sehinggalah berada di satu fasa yang tidak pernah dirasai ataupun berjaya untuk dicapai oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini. Yang pertamanya ialah Alhamdulillah Kedah sudah berada dalam top five, dalam pelancongan bahkan pelaburan dalam negara kita. Suatu kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh Kedah sebelum ini. Yang keduanya, pujian juga wajar kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar apabila berjaya menghasilkan kutipan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM816 juta dengan kerjasama daripada semua pihak. Yang ketiganya, projek-projek yang menyentuh tentang rakyat, kepentingan rakyat dilaksanakan dengan jayanya sepertimana yang kita maklumi, kalau dulu loji rawatan air yang tak dapat dibuat ketika mereka kerajaan terdahulu memerintah. Apabila kerajaan PH (Pakatan Harapan) selepas itu berkuasa, mereka menangguhkan projek yang sepatutnya dimulakan dan kita berjaya untuk memulakan projek yang menjadi keperluan bagi memenuhi keperluan rakyat walaupun ada rintangan dan cubaan dan juga ujian untuk menyelesaikannya. Selain daripada itu, saya secara peribadi memang tersentuh dengan Projek Beras Sejahtera, yang dapat dirasai oleh rakyat lebih-lebih lagi yang kurang berkemampuan, dan harap-harap, moga-moga jumlah bantuan Beras Sejahtera ni dapat ditambah insya-Allah di tahun-tahun kedepan. Selain daripada itu, anak-anak kita yang nak
meneruskan pendidikan, disediakan sumber untuk dapat bantuan melalui iBAKIPT (Bantuan Awal Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi), Tabung Tengku Mahmud, bahkan bukan takat yang hidup kita bantu, hat mati pun kita bantu walaupun manafaatnya boleh dekat hat hidup melalui iKAFALAH. Suatu perkara yang besar. Pasal apa saya sebut besar? Waktu kerajaan sebelum ini, iKAFALAH ni ada kerana iKAFALAH bermula zaman Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dengan RM500 untuk satu kematian, tapi lepas tu turun, pernah turun sampai RM250 dan turun sampai RM300, Alhamdulillah apabila kita mengambil alih kerajaan pada tahun 2020, kita naikkan kembali jumlah sumbangan itu ke jumlah yang asal, sepertimana mula diperkenalkan iaitu sebanyak RM500. Yang keempatnya, bagaimana kerajaan yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, matang dalam berpolitik. Kerajaan yang dipimpin ini Yang Amat Berhormat sering menyebut bahawa dia tidak akan memberikan tekanan kepada pihak pegawai-pegawai, mereka boleh berpolitik selepas daripada waktu kerja bahkan saya yakin semua ahli sidang pernah mengikuti pengakuan terbuka yang pernah diluahkan oleh Encik Sufian salah seorang staf SADA (Syarikat Air Darul Aman) apabila majlis graduasi SADA yang menjadi kontroversi sebelum ini. Dia boleh terus terang menyatakan dia duduk kem lain, di pihak lain, tapi Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, tak pernah tekan dan sekat dia daripada melaksanakan tanggungjawab di SADA walaupun pegangan politik yang berbeza daripada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Dan yang kelimanya, aura Yang Amat Berhormat Menteri Besar ni bukan takat dalam negeri, bahkan sampai luar negeri Mekah dan Madinah pun Arab sebut, orang luar daripada Kedah ni kata beruntung orang Kedah, dan mereka kata kalau boleh pindah mai dok Kedah, depa nak mai duk di Kedah ini. YB. Tuan Speaker, Duli Yang Mulia Tuanku Sultan menyentuh dalam titah baginda, dan bagi saya semua yang disebutkan oleh Tuanku Sultan berkait rapat tentang keamanan dan keharmonian. Sama ada keamanan dan keharmonian itu sesama rakyat, ataupun kerajaan dengan rakyat Negeri Kedah, ataupun Kerajaan Negeri Kedah dengan Persekutuan dan juga negeri-negeri yang berjiran dengan kita. Bagaimana keharmonian dan keamanan ini perlu untuk dipertahankan bahkan diperteguhkan lagi. Antara yang disebutkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ialah berkaitan rumah ibadat, bukan sekadar rumah ibadat orang bukan Islam, tetapi juga disentuh berkaitan dengan rumah ibadat orang Islam. Orang Islam ada masjid, ada surau dan kita maklumi, setiap kali untuk pembinaan masjid dan surau, mesti dipastikan pemilikan tanahnya yang terlebih dahulu diselesaikan. Cuma ada salah faham di kalangan orang Islam, bila orang Islam buat masjid ataupun surau atas nama tanah
wakaf, sebahagian kecil daripada orang bukan Islam menyangka tanah wakaf itu maksudnya kerajaan yang bagi tanah percuma kepada masjid ataupun surau, mereka tak tau rupa-rupanya tanah wakaf tu adalah bagaimana seorang yang memiliki tanah dia menyerahkan pemilikannya kembali kepada Allah ta’ala untuk tujuan pembinaan masjid atau surau ataupun pembinaan sekolah dan sebagainya. YB. Tuan Speaker dan sidang, orang Islam kalau nak buat masjid, nak buat surau, kena ikut peraturan, tak boleh langgar tak boleh buat ikut dan tang mana dia nak buat. Begitulah peraturan tersebut dilaksanakan dan kena kepada orang bukan Islam sendiri. Dalam sejarah dunia, bercakap tentang keadilan, saya lebih suka untuk berkongsi dari aspek sejarah orang Islam. Saidina Umar Radhiallahu ‘anhu; apabila dia dijemput ke Baitul Maqdis untuk menerima kunci kota Baitul Maqdis selepas pembukaan kota Baitul Maqdis. Saidina Umar bila masuk ke Baitul maqdis dan dipelawa untuk pergi ke gereja Qiyamah atau gereja paling suci bagi orang kristian yang masih ada sampai sekarang, Saidina Umar menyatakan dia nak sembahyang dan dipelawa oleh gereja Qiyamah tersebut untuk menunaikan sembahyang Zohor dalam gereja tersebut, tetapi Saidina Umar menyatakan; “kalaulah dia bersembahyang dalam kerajaan itu, pasti satu hari nanti ada orang Islam yang akan mai ambil dan menguasai gereja ni dengan alasan Umar bin Al-Khattab pernah bersembahyang di dalam gereja ini”. Saidina Umar bersembahyang di atas tangga di luar daripada gereja tersebut demi untuk memastikan di masa depan gereja itu tidak tergugat apabila beliau bersembahyang dalam gereja tersebut. Bahkan cicit kepada Saidina Umar iaitu Saidina Umar bin ibnu Aziz ketika memerintah dalam tempoh 29 bulan, Saidina Umar ibnu Aziz pernah mengarahkan kepada pemerintah gabenornya di Damsyik untuk mengembalikan sebuah gereja yang telah diambil alih oleh Bani Nasr secara tidak benar, dikembalikan kepada pihak kristian. YB. Tuan Speaker, saya sebut tadi gereja Qiyamah yang ada di Baitul Maqdis sekarang, gereja yang dibina pada tarikh 326 masihi, satu tempoh yang lama, tapi gereja tersebut menghadapi pertikaian 6 mazhab dalam kristian. Masing-masing mendakwa mereka berhak untuk mengurus gereja tersebut. Mereka lebih berhak untuk bertanggungjawab memegang kunci kepada gereja tersebut. Akhirnya, kunci untuk membuka dan menutup pintu gereja Qiyamah tersebut, lebih daripada 800 tahun diserahkan kepada dua keluarga Islam, sampailah hari ini. Pertama, keluarga Nusaibah yang bertanggungjawab membuka dan menutup pintu gereja Qiyamah tiap-tiap hari, dan yang menjaga kunci pintu gereja Qiyamah tersebut ialah yang keduanya keluarga Judah. Lebih daripada 800 tahun. Kenapa jadi macam tu? Kerana orang kristian, 6 mazhab yang mendakwa mereka berhak untuk menguruskan gereja tersebut, akhirnya terpaksa untuk menyerahkan kunci tersebut kepada dua keluarga Islam untuk menjaga hak mereka tersebut.
YB. Tuan Speaker, di Mesir Saidina Amru ibnu Al Asr, gabenor Saidina Umar, apabila dia merancang untuk meluaskan masjid dia, Masjid Saidina Amru Asr, masjid tertua di Afrika. Tanah yang nak diperluaskan masjid tersebut mempunyai rumah, dan rumah itu di atas tanah milik seorang yahudi. Saidina Amru bertegas mengarahkan untuk dia roboh rumah yahudi tersebut. Yahudi tersebut, dia mengadu kepada pegawai-pegawai yang lain, pegawai kepada Saidina Amru, tapi tidak dapat untuk menyelesaikan masalahnya. Akhirnya, orang kata kena jumpa dengan ketua Saidina Amru sendiri, tapi duduk di Madinah. Yahudi itu berjalan pi ke Madinah. Terkejut dia tengok bagaimana Saidina Umar tidak ada istana yang megah walaupun dia adalah pemimpin kepada orang Islam. Duduk, tidur bawah pokok depan Masjid Nabi. Bagaimana Saidina Umar bila mendengar isu tersebut, dia suruh si yahudi tu pi tempat pembuangan sampah untuk cari tulang unta, dan yahudi tu pun bawa mai tulang. Hairan, mai jauh-jauh suruh cari tulang unta. Saidina Umar menggunakan pedangnya, menggoreskan satu garisan di tengah-tengah tulang tersebut dan dikerat tengah-tengah garisan tersebut dan serah pada yahudi tersebut untuk bawa balik ke Mesir dan serah kepada Saidina Amru ibnu Al Asr. Yahudi tu mai jauh-jauh, dia rasa bawa balik tulang tak baloi. Bawa balik kepada Saidina Amru, serah tulang tersebut, bagitau ni pemimpin kamu yang bagi. Lagi pelik bila dia tengok tulang yang diberikan kepada Saidina Amru itu menyebabkan Saidina Amru gementar dan takut, lagi hairan dia. Kawan nu bagi dia tulang, hat ni tengok tulang jadi takut. Saidina Amru mengarahkan supaya tanah dan rumah milik yahudi itu dibina kembali. Yahudi tu tanya, “pasaipa dengan tulang ni?” Lalu Saidina Amru kata, “pemimpin aku, Umar bin al-Khattab, dia bagitau melalui tulang ini, “Mu Amru bukan sapa-sapa pun. Satu hari mu akan jadi macam tulang ni lah juga bila mati. Kalau mu tak boleh berlaku lurus, sepertimana garisan seperti alif, garisan yang panjang dibuat oleh Saidina Umar, tak boleh berlaku lurus seperti garisan ni, aku yang akan kerat kau”. Sepertimana dikerat oleh Saidina Umar garisan tersebut dengan pedang dia. YB. Tuan Speaker, ni contoh bagaimana keadilan yang telah terakam dalam sejarah umat Islam dan diakui oleh orang-orang talis berkaitan keadilan dalam hidup orang Islam. Di Kedah, di Malaysia kita ini, apabila kita menghargai keamanan dan keharmonian, pastinya perkara buruk kita dapat untuk hindari. Maka, antara yang membolehkan menjamin keamanan dan keharmonian ini dapat dipertahankan, ialah masing-masing menghormati undang-undang yang telah tersedia. YB. Tuan Speaker, saya tengok keadaan negara kita lani ni dengan ekonomi akibat perang, tak perang pun memang dah semakin buruk, dan bila perang ni macam-macam lagi koi jadi, dan kesannya bukan setakat ekonomi bahkan juga kepada kehidupan rakyat, sosial, mental dan sebagainya. Dua tiga hari lepas, inspektor polis
langgar polis trafik, masalah mental. Di kampung saya, jarak setengah kilo daripada rumah saya, semua tau, kes pembunuhan anak bunuh mak ayah. Kemurungan daripada sekolah. Banyak sekarang ni rakyat hadapi kemurungan, anxiety. Masalahnya bila pi berubat, anxiety ni, depa kata masuk jin, tak pasal-pasal jin kena tuduh. Anxiety ni memang susah berubat dan ciri dia macam orang kena ganggu jin, susah. Jadi, kita tak mau dengan keadaan yang berlaku hari ini, rakyat makin susah. Dan apa yang menjadi kewajipan kepada Kerajaan Persekutuan terutamanya, kalaulah Kerajaan Persekutuan boleh layan Pulau Pinang dengan elok, projek di Pulau Pinang tu daripada RM10 bilion yang asal dikatakan projek swasta, lepas tu ubah pula sambung ke Seberang Perai ni naik sampai 70 peratus tambahan kos jadi RM17 billion, ubah jadi projek kerajaan, bukan swasta. Kenapa apa yang dituntut oleh Kedah untuk Hutan Simpanan Ulu Muda untuk kekalkan sawah padi di Kedah, bukan banyak mana pun kita minta untuk Hutan Ulu Muda, setahun RM100 juta ja YB. Tuan Speaker, lama dah. Kita minta kekalkan sawah-sawah padi. RM200 juta noh? RM200 juta untuk kekalkan sawah padi. Kita tak tau ni cerita bab minyak, bila bab minyak rizab minyak tak dak, macam tulah yang berlaku. Kita ada sawah tapi kita tak hargai pesawah. Padi yang dituai tak tahu pi mana. Bila mai, tak jumpa padi-padi ataupun beras tempatan, import semua, bila nak bayar fitrah itu kacau lah. Nak bayar RM9 ka RM15. Pasai hat tempatan tak dak, dah import. Kalaulah minyak kita kata kita pengeluar tapi kita tak simpan, macam tulah ke depan berkaitan dengan makanan, security makanan kita terjejas. Kalau kita tak ada perancangan sepertimana yang disebut oleh YB. Jitra, apa nasib kita bilamana dunia ni dalam keadaan peperangan yang lebih besar. Makanan yang kita import daripada luar tidak dapat untuk kita dapat, kita beli. Bekalan dalam negeri pula kita tak spare kita tak sedia. Apa akan jadi dengan keadaan hidup rakyat di ketika itu? Jadi, saya memohon hendak menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menilai dan memandang apa yang dituntut oleh Kerajaan Negeri Kedah bukan untuk peribadi tertentu, tetapi untuk kepentingan rakyat di seluruh Negeri Kedah dan Kedah sudah pun lama berkorban untuk negara ini. Berilah sedikit penghargaan yang diminta oleh Kerajaan Negeri Kedah, bukanlah banyak, bukanlah boleh menyebabkan kering terus kontang kewangan di peringkat Persekutuan itu. YB. Tuan Speaker, ada masa lagi ka?
Ah, extra time.
Jadi, saya takat tu lah kut. Tak boleh panjang-panjang.
Silap saya pi jawab (sambil ketawa).
(sambil ketawa) Dan saya pun, masa ambik sikit, harap-harap kita yang di Kedah ini, kita sudah ada persiapan untuk kita dapat hasil baru melalui REE (Rare Earth Elements), dan kita harap kita tidak menjadi mangsa sepertimana Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak, berkaitan dengan minyak. Yang kalau, kalau nilai contohnya Sarawak, nilai minyak yang disedut dijual oleh Persekutuan lebih daripada RM2 trilion, tapi rekod Kerajaan Sarawak dapat daripada royalti minyak takat RM50 billion. Sarawak berjuang. Kita? Kita tak mau. Ada pemimpin, yang dulunya waktu jadi pembangkang, janji dengan orang Terengganu nak bagi 20 percent, tak boleh bagi sampai sekarang. Kita tak mau jadi mangsa dan ditipu macam tu dalam bab REE (Rare Earth Elements) dan di aset kita. Apa yang kita nak kutip daripada REE ni, kita kembalikan kepada rakyat, kita tak mau orang lain yang nikmati, orang lain yang dapat, sedangkan itu adalah anugerah Allah untuk kita di Kedah. Terima kasih YB. Tuan Speaker dan terima kasih kepada semua sahabat dan moga-moga apa yang kita bicarakan dan perbahasan menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan membuahkan idea-idea dan hasil yang lumayan untuk kita di Kedah, insya-Allah. Saya menyokong Usul Menjunjung Kasih Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Wallahualam, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada YB. Tanjung Dawai. Seterusnya, saya menjemput YB. Bandar Baharu, dipersilakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah. Alhamdulillah hill ladzii arsala rasuulahu bil huda wadiinil haqqi liyuzhhirahu 'aladdiini kullihi wakafa billahi syahiida. Robbisrohli sodri, wayassirli amri wahlul 'uqdatam mil-lisani yafqahu qauli. Allahumma salli ala sayyidina Muhammad wa ala alihi wasohbihi ajma’in. Terima kasih YB. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Jeneri, saf kepimpinan EXCO Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Datuk Seri Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga kepimpinan kerajaan negeri, seterusnya rakan-
rakan dan sahabat-sahabat Yang Berhormat-Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati tuan-tuan puan-puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah saya mengambil kesempatan ini terutamanya untuk menzahirkan ucapan setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah atas kesudian mencemar duli dalam menyampaikan titah ucapan Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang DUN Ke-15. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah menyatakan beberapa perkara yang panjang lebar memberi nasihat, memberi tunjuk ajar dan juga menegur kepada kita bersama. Alhamdulillah, telah dibahaskan oleh rakan-rakan sebelum daripada saya dan saya ingin menyambung apa yang telah dibahas oleh YB. Tanjung Dawai tadi. Yang pertamanya, berkaitan prinsip federalisme yang disentuh dengan panjang lebar. Ini di antara asas pembentukan Malaysia dan asas kepada pemerintahan Negeri Kedah. Prinsip federalisme ini bermula sejak penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, yang sebelumnya penjajah British yang datang ke Semenanjung Tanah Melayu. Mereka cuba melaksanakan Malayan Union untuk meletakkan Semenanjung Tanah Melayui ni di bawah jajahan British. Tapi oleh sebab tentangan yang hebat di kalangan orang-orang Melayu, pejuang-pejuang Melayu, tentangan yang hebat di kalangan Raja-Raja melayu, mereka tidak mampu untuk meneruskan Malayan Union yang bermula pada 1946. Akhirnya pada 1948, 1 Februari 1948, satu perjanjian penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang mana menggabungkan sembilan Negeri-negeri Melayu dan juga dua Negeri Selat. Negeri-negeri Melayu itu termasuklah semua seluruh negeri di Semenanjung Tanah Melayu ini yang diperintahkan oleh Sultan-sultan dan juga Raja-Raja, dan dua Negeri Selat termasuklah Pulau Pinang dan Melaka. Dan inilah bermulanya konsep federalisme yang berlangsung, yang berlarutan daripada itu. Oleh sebab itulah konsep federalisme ini sangat dekat dengan Tuanku Sultan Kedah kerana mereka telah menandatangani bagi menzahirkan mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu ini di bawah satu pentadbiran. Yang mana dimulakan dengan seorang residen, King George dan juga Ratu Elizabeth selepas daripadanya dan bermula kita selepas 1957 selepas kemerdekaan, barulah bermulanya pemerintahan Malaysia ni di bawah seorang Yang di-Pertuan Agong. Jadi, di sanalah bermula apa yang dimaksudkan dengan senarai Persekutuan, senarai Negeri dan senarai bersama, dan inilah yang kita sedang bincangkan, dan inilah yang dinyatakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah.
Senarai Pusat, apa yang dimaksudkan dengan senarai Pusat? Senarai-senarai yang diuruskan oleh Pusat termasuklah kewarganegaraan, hubungan luar, pertahanan, kementerian dalam negeri, keselamatan dalam negeri, kewangan, pendidikan, perdagangan, dan industri. Ini ruang skop, ruang lingkup yang diuruskan oleh Persekutuan. Dan senarai Negeri, apakah senarai Negeri? Undang-undang Islam, agama Islam, ditadbir oleh Negeri; pertanian, perhutanan, termasuklah pengurusan hutan, balak dan sebagainya, kerajaan tempatan, tanah dan sumber asli. Ini senarai-senarai yang diuruskan khusus di peringkat negeri. Negeri ada hak untuk menguruskan dan mengutip hasil daripada senarai negeri ini. Dan ada senarai bersama yakni kebajikan masyarakat, sebab itulah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada peringkat Persekutuan dan ada peringkat Negeri. Perancangan bandar, kesihatan awam, public health (dengan izin). Ini di antara senarai-senarai bersama. Apa yang berlaku yang disebut dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan adalah nilai federalisme, roh federalisme sudah hilang akibat daripada beberapa fenomena yang berlaku, di antaranya semangat federal ini menjadi luntur, menjadi cair. Kerana apa? Kerana konflik apabila berlakunya Kerajaan Pusat diperintah oleh parti yang berbeza dengan Kerajaan Negeri. Ini di antaranya. Dan apa yang berlaku kepada kita sekarang yang dirasai oleh kita di peringkat Negeri Kedah ini khususnya, ada beberapa perkara yang antaranya, tuntutan caj air mentah yang kita salurkan kepada negeri-negeri di utara ini, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang, yang mana air mentah ini mengalir daripada Negeri Kedah. Sumbernya daripada Negeri Kedah, mengalir melalui Negeri Kedah dan diambil oleh Pulau Pinang dan sewajarnya Kerajaan Persekutuan memudahkan Negeri Kedah ini untuk mendapat caj, mendapat imbuhan daripada pengurusan air ini yang kita pastikan Negeri Kedah ini memastikan bahawa air yang sampai ke negeri ini air yang bersih, air yang elok, air yang tidak tercemar, inilah fungsi kita di Negeri Kedah ini memastikan bahawa sumber air ini walau setitik pun kita akan pastikan bahawa rakyat di tiga negeri ini yang ramainya di Negeri Pulau Pinang 1.8 juta, di Negeri Kedah 2.2 juta dan Negeri Perlis 0.3 juta begitu, 3 juta lebih yang menikmati air yang mengalir daripada Negeri Kedah ini. Sepatutnya Persekutuan prihatin dengan perkara ini, dan perkara ini sepatutnya kita mendapat imbuhan dengan sumber yang bernilai tinggi ini. Air setitis pun kalau tuan-tuan lihat bagaimana kalau rumah-rumah tak menerima air, waktu musim raya ka, waktu musim kemarau ka, tengok apa kesannya, boleh mengamuk, boleh berlaku macam-macam di luar jangkaan kita kerana air ini. Dan kemudian bagaimana Hutan Simpan Ulu Muda yang menjadi kawasan tadahan Kedah ini. Hutan Simpan Ulu Muda ni bukan hanya untuk kepentingan kita di Negeri
Kedah ini juga untuk kepentingan di negeri-negeri lain, untuk menguasai ekosistem, perubahan iklim dan sebagainya. Dan juga selain daripada itu, membantu mengekalkan air di seluruh negeri di sebelah utara ini. Ada gelaran yang menyatakan bahawa Hutan Ulu Muda ini, yang disebut keluasannya ratusan ribu hektar, merupakan paru-paru utara. Tanpa air orang tak boleh hidup, tanpa air tanaman tak boleh hidup. Inilah kehidupan kita semuanya bergantung kepada air. Hutan Ulu Muda ni sepatutnya diberikan satu EFT, (dengan izin) Ecology Fiscal Transfer, imbuhan kepada kita yang lebih besar bagaimana telah dinyatakan tadi, 300,000, 100,000 plus 200,000, 200 juta, 100 juta 200 juta tidak mencukupi untuk menguruskan semua hal ini. Inilah diantaranya. Kemudian, konflik yang ketiga, hasil daripada konflik federalisme ini, Kedah mempunyai sumber mineral termasuklah REE (Rare-Earth Element) Unsur Nadir Bumi yang mana ianya sepatutnya diberi kebebasan kelonggaran kepada kita di Negeri Kedah ini. Dengan peluang ini sepatutnya kita menjadi satu negeri yang kaya, hasil daripada perlombongan REE ini. Tapi, disebabkan oleh kuncinya dipegang oleh Pusat untuk nak buat satu eksplorasi pencari galian, perlombongan, semuanya bergantung kepada Pusat dan begitu juga dengan peraturan-peraturan dari segi pemprosesan, pengeksportan, hal ini dipegang oleh Pusat. Dan sepatutnya, atas semangat federalisme inilah yang diharapkan oleh Tuanku Sultan bahawa permudahkan urusan ini untuk kita teroka REE dan juga mineral-mineral yang lain supaya rakyat Negeri Kedah ini dapat menikmati, bukan hanya Negeri Kedah, negeri lain pun akan dapat menikmati REE ini dan juga unsur nadir bumi ini. Kemudian, satu perkara yang terdekat dengan kita, yang telah disebut oleh Yang Amat Berhormat Jeneri, bagaimana cukai tanah ini tak dapat kita nak laksanakan pada tahun ini. Walaupun satu penilaian kita sudah buat, walaupun kita sudah menjalankan kajian-kajiannya dan kita bersedia untuk meningkatkan nilai ekonomi, meningkatkan pendapatan Negeri Kedah, tetapi masih belum mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan, daripada federal. Ini di antaranya. Jadi YB. Tuan Speaker, inilah di antara konflik federalisme yang mengikat dan mengongkong kita dan berharap keadaan ini tidak mencekik kita. Ada satu istilah, ‘untuk membunuh kita’, tak tidak akan berlaku. Ya, silakan.
Terima kasih. saya ingin tambah sikit lah. Nak tanya, apa pandangan kepada YB., seolah-olah macam Kerajaan Pusat sedang membuli rakyat Negeri Kedah ini? Walaupun nampak macam seolah-olah melengah dan sebagainya, seolah-olah ia adalah satu tindakan yang tak wajar berlaku kepada kita sebagai Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Contoh yang satu lagi, bayangkan setiap MP (Ahli Parlimen) daripada kerajaan dapat RM3.8 juta, cuba bayang. Kedah ada 15, satu saja yang dapat RM3.8
juta. Bayangkan ada 14 lagi yang tak dapat RM3.8. Keseluruhannya RM54 juta setahun, sedangkan itu adalah hak rakyat Negeri Kedah. Apa pandangan YB. Bandar Baharu?
Terima kasih YB. Bukit Lada. Saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Inilah di antara kriteria-kriteria pembuli, saya tak kata mereka ni membuli. Tapi itu ciri-cirinya, itu ciri-cirinya. YB. Tuan Speaker, saya sebenarnya di peringkat awal saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baru. Tahniah, selamat maju jaya dan juga kepada Yang Berusaha Dato’ Muhamad Mahazi sebagai TSUK (Timbalan Setiausaha) Pengurusan. Dan dikesempatan ini juga di Dewan yang mulia ini saya ambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada dua orang senator, Yang Berhormat Musoddak Haji Ahmad dan juga Yang Berhormat Abdul Nasir Idris. Kedua-duanya orang yang berpengalaman yang saya yakin mereka berdua ini dapat membawa suara Kedah ke Dewan Rakyat insya-Allah. Dan…. (YB Tuan Speaker mencelah)
Yang Berhormat cuba pendekkan ada 5 minit lagi.
Okey 5 minit lagi okey insya-Allah saya ada satu isu lagi YB. Tuan Speaker. Tuanku Sultan Kedah dalam titahnya menyebut dalam muka surat yang ke 13. Akhir-akhir ucapan tuanku, Tuanku menyatakan tentang perlunya Ahli-ahli Yang Berhormat ini menzahirkan jiwa besar dan keikhlasan yang tulus dalam berkhidmat serta meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi. Saya nak menyatakan disini bahawa inilah hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa kita yang berada di sini nak mengurus dan mentadbir negeri ini haruslah mempunyai jiwa yang besar dalam mentadbir Negeri Kedah ini. Memberi keutamaan kepada keamanan, kesejahteraan negeri ini dan mengenepikan kepentingan-kepentingan peribadi. Ada di antara kita ini, di antara Yang Berhormat ini yang mementingkan diri sendiri, tak hadir Sidang Dewan DUN. Hang pi mana? “Hang” bahasa Kedah sorry ya . Di mana letaknya Negeri Kedah dalam hati kita, kalau kita tidak hadir Sidang DUN. Tang mana kita? Apakah kita ni bersugguh-sungguh untuk membantu negeri, menjaga rakyat kita? Sedangkan inilah hasrat rakyat melantik kita ni sebagai Yang Berhormat sedangkan kita ni tidak ada, ada di luar negara pula itu saya dimaklumkan. Ini keseriusan kita nak membantu negeri. Begitulah juga tuan-tuan, memang kadang-kadang kita ni ada perselisihan faham di kalangan kita, tapi biarlah perselisihan faham itulah memberi satu makna yang baik kepada negeri kita.
Jangan kita meruntun, meronta sehingga merosakkan struktur kerajaan negeri. Tuan-tuan, dalam hal ini saya melihat satu perkara dalam kata-kata Arab disebut: نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه Kita bekerjasama dalam hal-hal yang boleh kita sepakat, boleh kita bersetuju bersama”. ويعذر بعضنا بعضا “Dan hendaklah kita saling bermaaf-maafan”. فيما اختلفنا فيه “Dalam hal-hal yang kita tidak sepakat”. Dan inilah sepatutnya kita bawa dalam roh membina Negeri Kedah ini, memang kadang-kadang kita terdapat perselisihan faham tapi kadang-kadang bila kita lihat bagaimana Jamuan Raya Aidilfitri MB (Menteri Besar) pun kita tak sanggup nak hadir, itu jamuan raya itu sepatutnya sepakat bersama. Ada dikalangan Yang Berhormat tak hadir, Jamuan Raya Menteri Besar tuan-tuan, kalau kita bertelagah dalam hal-hal lain, raya ni marilah! Ini tempat untuk kita bersatu bersama. Ini satu contoh yang tak ada satu semangat kenegerian dalam diri kita.
YB. Tuan Speaker, begitulah juga saya berharap dengan pengurusan pentadbiran Yang Amat Berhormat Dato’ Seri ini membawa bahtera yang besar, membawa bahtera di kalangan EXCO-EXCOnya yang mantap, yang sudah cekap, yang sudah sederap, saya berharap tidak akan berlaku gangguan ataupun goncangan kepada bahtera yang dibawa oleh Menteri Besar ini, kalau di lambung badai ombak dan sebagainya. Saya yakin bahtera yang ada ini mantap, kuat tapi kalau di jolok, kalau dikacau tiang yang… bukan Sungai Tiang, tiang yang tinggi pun boleh patah. Tuan-tuan, jangan dikacau benda yang berada di atas kayangan pun kalau diganggu gugat kayangan pun boleh runtuh, setakat pelam muda, harum manis pun boleh jatuh ini, kayangan, boleh runtuh! Ada contoh, sebab itulah kita kena mempertahankan kedudukan yang ada di sini. Oleh sebab itulah kalau marilah apa-apa sekalipun ribut ka, angin ka, bayu ka sekali pun di dalam yang mengganggu gugat keadaan kita, saya berharap kita akan tetap bersama dengan Menteri Besar kita insya-Allah, sebagaimana yang telah disebut oleh titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah ini atas kekuatan Menteri Besar kita dapat berada di tahap yang sekarang ini. Tak perlu saya sebut kejayaan-kejayaan kita sebagaimana yang telah dibuktikan oleh YB. Jitra dan juga yang lain-lain, sebagaimana yang dibuktikan oleh YB. Merbau Pulas, sebagaimana yang dibuktikan oleh YB. Suka Menanti, YB. Kubang Rotan, YB.
Kuala Ketil semua lah! Termasuk YB. Bukit Kayu Hitam, semua terbukti dengan baik. Insya-Allah kita dapat melayarinya sehingga akhir penggal ini tuan-tuan. YB. Tuan Speaker, saya berharap itu sahaja, ada isu yang lain sebenarnya tapi saya tidak sentuh isu Bandar Baharu ini banyak benda yang saya nak sentuhkan disebabkan kesuntukan masa saya berharap Bandar Baharu ini juga diberi perhatian. Saya nak satu lagi YB. Tuan Speaker, boleh? Satu lagi.
Boleh!
Lepas ni saya landing. Saya nak mengambil kesempatan ini mengucapkan kepada sebuah institusi pendidikan di Daerah Bandar Baharu ini iaitu Maktab Mahmud Bandar Baharu. Untuk perhatian YB. Sungai Limau, Maktab Mahmud Bandar Baharu ini perlu dipertingkatkan dan diupgrade ini keselesaan pelajar kita, Maktab Mahmud Bandar Baharu ini mendapat ranking pertama bertahun-tahun dalam peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) baru-baru ini pun, tahun sudah, tahun sebelum ini Maktab Mahmud inilah yang menjadi juara ranking pertama tetapi dari segi infrastrukturnya saya berharap kerajaan negeri khususnya YB. Sungai Limau dapat beri perhatian kepada Maktab Mahmud ini kerana kita boleh majukan Maktab Mahmud ini dengan lebih hebat lagi. Di Bandar Baharu tak ada institusi pengajian tinggi, untuk makluman YB. Tuan Speaker, tak ada, sekolah-sekolah berasrama penuh pun tak ada, tapi inilah keadaan Maktab Mahmud yang boleh mampu untuk menjaga warga Bandar Baharu ini khususnya. Oleh sebab itu saya minta perhatian agar memberi satu tapak tanah yang luas di Bandar Baharu ini kita ada 80 peratus tanah pertanian, 12 estet yang ada, estet ini estet kelapa sawit, estet getah, banyak lagi tanah-tanah yang boleh kita majukan. Jadi, bagi YB. Jitra kalau nak majukan Bandar Baharu ini ambil tanah-tanah estet ini. Di antaranya besar, saya bukan cakap saja, Syarikat Guthrie, Genting, Asiatic, Varlo, Parlemo, ACM (Agricultural Chemicals (M)), semua nama orang-orang putih belaka, itu keadaan di Bandar Baharu ini. Jadi, sampailah masanya kerajaan negeri mengambil alih tanah-tanah ini untuk ditukar kepada industri walaupun estet ini estet nama orang putih tapi dia Tanah Rizab Melayu. Itu di antara kesukaran kami di Bandar Baharu. Saya yakin insya-Allah kalau boleh.. (YB. Tuan Speaker mencelah)
Boleh gulung dah YB. nah?
Okey saya gulung ini, saya tutup dah. Saya berharap perhatian daripada seluruh EXCO dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan begitu juga saya mengambil kesempatan ni menjunjung kasih atas ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dalam titah perasmian hari Isnin yang lalu. Terima kasih, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Terima kasih kepada YB. Bandar Baharu. Saya menjemput pembahas yang terakhir YB. Lunas, dipersilakan.
Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillah, thumma alhamdulillah, wa ma tawfiqi waktu sommi illa billah, 'alayhi tawakkaltu wa ilayhi unib. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih kepada YB. Tuan Speaker, nampak makin segak dari hari ke hari.
Boleh sampai pukul 12.00 tengah hari.
(ketawa kecil) Yang Berhormat Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Dato' Kewangan Negeri, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, tuan-tuan dan puan-puan dan khususnya rakyat Negeri Kedah yang saya kasihi. Alhamdulillah pertama sekali kita panjat rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana diberikan ruang dan peluang kali ini untuk meneruskan agenda dan tanggungjawab besar kita khususnya kepada Negeri Kedah Darul Aman. Dikesempatan ini juga patik ingin merafak sembah setinggi-tinggi junjungan kasih ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah atas titah ucapan sempena pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri pada kali ini. Kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Dato' Dr. Nadzman yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri dan ini satu penghormatan kepada warga Padang Serai dan semalam pun ada yang bisik kepada saya, Yang Berhormat, dia kata, “duit dah ada dekat dengan kita”. Jadi, dekat dah tu dekat dah (sambil ketawa), baik.
YB. Tuan Speaker, sesungguhnya titah Tuanku ini bukan sekadar ucapan biasa dan kita tengok daripada baris demi baris, ayat demi ayat yang dititahkan oleh Tuanku ianya merupakan satu panduan dan juga amanah besar kepada kita semua untuk terus memacu Negeri Kedah ni kepada negeri yang lebih maju, sejahtera dan berdaya tahan, Aalhamdulillah. Dalam kita bercakap soal pembangunan dan kemajuan negeri, saya juga ingin membawa suara rakyat di peringkat bawah. Mungkin suara ini tidak kuat, tidak seperti kita menggunakan ruang ataupun platform ini tetapi suara rakyat ini sangat penting untuk kita dengar. Mengambil contoh di kawasan saya sendiri bagaimana kita melihat rakyat masih bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dari sehari ke sehari, harga barang naik, kos harian bertambah tetapi pendapatan rakyat tetap sama. Sebab itu saya juga ingin mengutarakan cadangan untuk perhatian dan pertimbangan pentadbiran Yang Amat Berhormat Jeneri dalam keadaan rakyat khusus Negeri Kedah ini berhadapan dengan kesukaran, perlu kerajaan mempertimbangkan kepada setiap DUN-DUN (Dewan Undangan Negeri) yang ada dalam Negeri Kedah ini diberikan peruntukan khas untuk mengadakan program-program selain daripada program Bantuan Beras Sejahtera adalah program jualan-jualan murah yang boleh membantu meringankan beban rakyat untuk mereka meneruskan kehidupan. (YB. Tanjung Dawai mencelah)
YB. Tuan Speaker, mohon mencelah.
Sila, sila. Awal.
DUN YB. jadi tempat tumpuan Menteri Dalam Negeri, takkan susah kut? Tentu dapat bantuan banyak….
Terima kasih, YB. Tanjung Dawai. Dia ada satu unik di Negeri Kedah ni, saya rasa Lunas kalau nak banding dengan Jeneri sendiri pun hebat lagi Lunas, Yang Berhormat Tanjung Dawai sebab hampir setiap minggu ada Menteri Dalam Negeri akan mai. Saya pun tak tau sampai apa benda ni sampai dah macam tak dak hala tuju, banyak lagi benda yang patut diberikan perhatian. Tetapi dia minat sangat ke Padang Serai/Lunas ni, saya pun tak pasti pasal apa mungkin saya boleh kaji, kaji balik ada benda apa, tapi yang betul-betul bawa nikmat untuk rakyat ni "Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua" hat tu betul.
YB. Lunas, kalau tak silap saya dalam sidang yang lepas YB. Lunas ada membangkitkan bahawa Lunas itu dah jadi “negeri Bangla” dah. Jadi mungkin sebab itu kut, KDN (Kementerian Dalam Negeri) dah sampai.
YB. Tuan Speaker, saya pun dalam mesyuarat di peringkat daerah pun saya ada melihat pembentangan oleh pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) tentang kemerosotan indeks jenayah di kawasan Lunas, Kulim ni dan awal-awal saya dah bagi tahu kepada PDRM tu pasal orang jahat tak berani masuk Lunas pasal Menteri Dalam Negeri tiap-tiap minggu ada, jadi di situ ada penurunan dari segi kadar jenayah, “menjawab soalan YB. Tuan Speaker”. Namun saya percaya rakyat Kedah tidak mahu hanya bergantung semata-mata kepada bantuan. Mereka mahukan peluang, mereka mahukan kestabilan dan rakyat juga mahukan kehidupan mereka yang lebih baik untuk keluarga mereka.
YB. Tuan Speaker, antara faktor utama yang kita lihat menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang begitu melambung dalam masa beberapa bulan ini, yang pertama sepertimana disebutkan oleh sahabat-sahabat saya dalam Dewan yang mulia ini iaitu kenaikan harga minyak. Ianya bukan lagi sekadar perbincangan biasa yang mana berkisar di kedai kopi, di kafe-kafe, restoran-restoran tapi juga adalah menjadi kemarahan kepada rakyat. Rakyat bukan marah tanpa sebab mereka marah kerana setiap kali harga minyak naik kehidupan mereka semakin terhimpit. Gaji tak naik, mungkin penjawat awam ada yang naik tetapi rakyat kelompok rakyat bawahan yang B40 ni gaji mereka tak naik tetapi harga barang melonjak, nak pergi kerja pun mahal, beli barang dapur pun lagi mahal. Kita ambil contoh dalam bulan Ramadan sudah, jual murtabak, ada yang peniaga jual RM5 sampai ke RM8. Kalau dia bajet satu keluarga itu dia ada 6 orang termasuk suami dan isteri anak 4 orang, kalau bawa RM50 pergi bazar Ramadan, takkan nak makan murtabak sahaja, takkan nak beli kuih 10 biji kerat 4. Bila kita tanya peniaga, kita pun tak boleh salahkan mereka kerana kenaikan harga barang menyebabkan mereka terpaksa menaikkan jualan walaupun kadang-kadang mereka juga berdepan dengan risiko bila naik harga jualan, maka pembeli sukar untuk membeli dan mereka akan menanggung kerugian. Namun YB. Tuan Speaker, saya juga ingin merujuk kepada kedua-dua sahabat saya YB. Sidam dan YB. Bakar Arang. Sampai bila? Sampai bila rakyat khususnya rakyat Negeri Kedah ni kena tanggung dengan masalah akibat kenaikan harga minyak ini. Sabar! Sabar! Sabar! Kita bukan parti sabar, kita juga manusia insan yang Allah berikan kesabaran yang ada limit. Begitu juga rakyat di bawah sabarnya pun ada limit. Kalau dalam sampai 1 bulan harga minyak naik menggila, bukan 10 sen bukan 20 sen, beringgit naik, daripada RM2 lebih sekarang sampai RM6 lebih. Ini namanya gila! (YB. Sidam mencelah)
Boleh mencelah?
Silakan!
Itu saya cakap YB. Lunas. Jangan sebut nama dia, sebut dia bangkit (ketawa kecil).
Terima kasih YB. Lunas dan terima kasih kepada YB. Tuan Speaker. Kita di sini, kita semua saya rasa semua ni duk ratib kata minyak naik! Minyak naik! Minyak naik! Tapi kalau kita bayangkan adakah orang-orang dalam sini yang kena beli minyak lebih daripada RM 1.99? Semua ada yang dapat subsidi dan ditambah pula dengan walaupun ada kenaikan sikit harga diesel, itu pun ada penambahan yang diumumkan kelmarin iaitu penambahan daripada 300 kepada 400 boleh claim lagi dekat kerajaan. Jadi, saya rasa ini hanya politik saja, politik saja nak kata minyak naik! Minyak naik! Minyak naik! Semua orang di sini, ada siapa yang tak dapat RM 1.99? Cuba angkat tangan, termasuk dengan pengundi-pengundi dan juga, Tan Sri… (YB. Bandar Baharu mencelah)
Tak pa nanti saya minta laluan nanti. (ketawa kecil sambil mengangkat tangannya)
Tak dapat RM 1.99? Ada dapat tu, tapi kita guna tak cukup, itu saja pasal kita jalan banyak. Mungkin ada banyak tempat, tapi akan dapat RM 1.99. Semua orang akan dapat. Jadi ini hanya politik lah YB. Tuan Speaker, saya rasa ini politik yang hanya nak menggambarkan bahawa Kerajaan Pusat tidak membantu, sebenarnya membantu. Satu lagi katakanlah yang tadi ada satu, Yang Berhormat sebut berkenaan dengan minyak di Sabah, Sarawak lebih murah, ini pun hanya politik Yang Berhormat. Kalaulah betul okey, saya nak terangkan kalau bukan kerana politik, kalau sebagai contoh, kalau bulan depan ada PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah, ada dak sapa-sapa YB. yang akan sebut benda ni? Tak dak kan? Kita nak ambil hati orang Sabah, Sarawak juga. Itulah ceritanya, terima kasih.
Dak, saja saya nak tanya YB. Sidam ni, yang minyak murah di Sabah Sarawak tu pasal nak pilihan raya lah?
Sebenarnya pilihan raya dah lepas yang PRN tu dah lepas, cuma ini hanya politik untuk menunjukkan bahawa kerajaan sabit tidak adil kepada rakyat sahaja. Trima kasih.
Oh! Saya ingat kut pilhan raya Sarawak semakin hampir, sebab tu di sana murah. Mungkin saya tersilap kut.
Terima kasih, saya pun tak tau perbahasan Lunas ni pun menarik sungguh, masuk ramai sungguh, saya rasa saya minta sampai pukul 2:00 boleh kut YB. Tuan Speaker. Baik. Jawapan kepada… tapi YB. Sidam dia patut tanya soalan, tapi dia berbahas. Jadi bila berbahas saya pun tak tau, dia nak suruh saya jawab tang mana. Tapi, tapi, tapi, tapi, sat lagi saya jawab, kena banyak kali tapi kat dia, sat lagi saya jawab dekat hujung-hujung tu ada jawapan dia. Noh, Yang Berhormat Sidam? Sebab kita bila kita bagi ruang tu bangun untuk tanya soalan, itu peraturan Dewannya begitu. Kalau kita nak bahas, semasa kita bahas, kita bahaslah, itu cara dia. Sat lagi ada jawapannya sabar. Saya nak tarik perhatian sidang Dewan, kita pernah, kalau saya sendiri dengan usia yang 45 tahun ni saya dah rasai Perdana Menteri daripada Tun Hussein Onn sampailah yang terkini PMX (Perdana Menteri Malaysia ke-10). Pendekatan setiap Perdana Menteri itu berbeza dan kalau kita tengok juga kepada cara pentadbiran ataupun cara handle sesuatu isu (dengan izin) YB. Tuan Speaker, terutama sekali dalam berhadapan dengan krisis minyak ini, saya rasa di zaman pentadbiran dengan izin YB. Tuan Speaker Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri waktu itu, harga minyak jauh lebih tinggi daripada sekarang, 108 ke 110 dollar per barrel atau satu tong. Walaupun ada kenaikan pada waktu itu, tetapi kemarahan rakyat tidaklah membuak-buak macam sekarang. Sekarang ni harga minyak baru 99 ke 102 dollar setong, tetapi kenaikan harga diesel ini menyambung jauh lebih tinggi dan ini yang dikatakan membebankan rakyat.
Kita boleh kata, harga minyak ini adalah kerana perang. Kita boleh bagi alasan perang menyebabkan Selat Hormuz tak boleh masuk. YB. Jitra ada sentuh tadi, ada kata kapal masuk kena bayar caj, ada yang kata tak kena, miscommunication. Namun apa yang berlaku sekarang, adakah kerajaan hanya nak bersandarkan kepada masalah perang itu semata-mata tanpa ada satu mekanisme yang jelas dalam memastikan kalaupun ada kenaikan, janganlah sampai membebankan rakyat khususnya masyarakat B40 di bawah! Itu kena jelas yang boleh digariskan oleh kerajaan, bukan sekadar tambah subsidi itu yang katanya nak dinaikkan RM400 kerana ada kelompok-kelompok yang dalam rantaian ekonomi menggunakan minyak dalam kadar yang lebih. Sebagai contoh, kalau dia bekerja di Penang daripada Alor Setar dia nak pergi, adakah cukup dengan jumlah subsidi yang diberikan? Tak kan kita nak kata, kalau dah minyak mahal, toksah pi kerja, duduk di rumah. Kalau PMX (Perdana Menteri Malaysia ke-10) nak bagi tak apa, nak ganti balik apa yang dia orang tak dapat.
Ada 5 minit lagi YB. Lunas.
Ada banyak isu ini (ketawa kecil). Kemudian, saya juga nak jawab yang tadi YB. Sidam cakap, dia kata kan pasal minyak naiklah, globallah, semua kan. Apa yang rakyat pegang hari ini adalah kenyataan PMX (Perdana Menteri Malaysia ke-10) sebelum dia jadi Perdana Menteri lagi. Kalau saya nak siarkan video-video ucapan dia, hari ini menang, minyak turun. YB. Pengkalan Kundor dah sebut dan haritu terbaru 2022 semasa belum bentuk kerajaan dia kata apa, “kenapa minyak tak turun, kita belum jadi kerajaan, saya belum jadi Perdana Menteri”. Nah! Sekarang dah jadi Perdana Menteri, awat hang tak turun harga minyak? Jadi, cakap-cakap begini dipegang oleh rakyat dan dibawa sehingga hari ini bila mana PMX (Perdana Menteri Malaysia ke-10) menjadi Perdana Menteri, dia tak buat dan dia tak laksanakan apa yang dia cakap. Cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap, cakap, cakap tak bikin! Itu masalah dia YB. Sidam. Sebab itu ada rakyat di kawasan saya, semalam saya jumpa satu penduduk di kampung saya, namanya Pak Ngah Hashim, famous Pak Ngah Hashim harini. Dia bagi pantun kat saya, senang saja YB. Sidam. Dia mai bisik kat telinga saya, “Yang Berhormat, saya ada satu pantun mungkin Yang Berhormat boleh guna dalam Sidang DUN”. Apadia pak ngah?
Siakap senohong, gelama ikan duri, Bercakap bohong, Lama-lama jadi Perdana Menteri. Itu dia bagitau kepada saya…. (YB. Bakar Arang mencelah)
YB. Tuan Speaker, YB. Tuan Speaker, Peraturan Mesyuarat 35(9) “kalau apa-apa perbahasan tidak boleh disebutkan kelakuan atau sifat siapa-siapa Ahli Parlimen atau Dewan Negeri atau siapa-siapa pegawai kerajaan selain daripada kelakuan dalam menjalankan urusannya sebagai Ahli Parlimen atau Dewan Negeri atau pegawai kerajaan (b) perkataan-perkataan membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan”. Jadi, tadi ADUN Lunas dia merujuk kepada Perdana Menteri negara kita yang dia tidak menjalankan tugasnya dengan baik. Saya mohon ADUN Lunas tarik balik.
Saya hanya cakap apa yang rakyat sampaikan. YB. Bakar Arang, tengok kepada point yang kita sampaikan. Bukan, ini bukan fitnah, saya tak fitnah saya tidak tuduh yang Yang Amat Berhormat PMX (Perdana Menteri Malaysia ke-10) dengan tuduhan-tuduhan baru. Tapi saya hanya petik apa yang disampaikan oleh rakyat dan kalau saya nak pasang video ni saya ingat satu jam Yang Berhormat dengar tak habis.
YB. Lunas, teruskan perbahasan.
Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Tambahan lagi 3 minit!
Saya juga ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada satu isu yang cukup dekat kepada rakyat khususnya di kawasan saya Lunas, Padang Serai iaitu Projek Naik Taraf Klinik Kesihatan Padang Serai. Untuk makluman Dewan, projek ini telah mengalami kelewatan dan akibat kegagalan kontraktor yang dilantik untuk menyiapkan projek ini mengikut jadual. Walaupun dikatakan projek ini dalam proses tender semula namun, pelaksanaannya sehingga kini masih belum dapat dimulakan. Tambahan pula dengan kenaikan kos, kesannya amat besar YB. Tuan Speaker kepada rakyat. Saya turun baru-baru ni ke klinik kesihatan tersebut. Saya bertemu dengan kakitangan klinik dan juga pesakit yang datang ke situ. Saya cuba dapatkan laporan daripada mereka dan dimaklumkan kepada saya, klinik ini beroperasi
menerima pesakit lebih kurang 800 orang satu hari. Dalam keadaan klinik yang dikelilingi oleh kepesatan pembangunan yang ada di sekeliling Padang Serai itu, tetapi kita masih berhadapan dengan masalah dari segi menyediakan kemudahan infra melibatkan kesihatan rakyat. Dan klinik tersebut juga menjadi tempat pesakit-pesakit mendapatkan rawatan terutamanya ibu dan anak yang mana ramai ibu-ibu yang mengandung mendapatkan rawatan di situ sehinggakan ada kakak yang saya jumpa tu dia kata, “kalau macam nilah YB., saya rasa saya kena tangguh beranak dulu sebab nak kena ulang-alik ke klinik tu sesak padat”. Tapi dia nak tangguh beranak pun dia dah beranak 6 Yang Berhormat. 6 dah anak, tu pun dia nak tangguh lagi. Saya kata, “tak apa kak, tugas kak untuk beranak dan mengandung, tugas saya usaha untuk sediakan kemudahan dari segi perubatan kepada rakyat.”
YB. Tuan Speaker, bila terlalu banyak berpolitik, terlalu banyak menggunakan kuasa untuk berlegar-legar demi agenda politik di dalam kawasan Padang Serai yang disebutkan tadi oleh YB. Tanjung Dawai, Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri ini adalah Pengerusi Pembangunan Negeri Kedah. Sepatutnya bila dah berlegar tu tengoklah sama apa keperluan masyarakat yang ada di kawasan situ. Tambahan pula, Ahli-ahli Parlimen daripada pembangkang ni tidak diberikan peruntukan. Jadi, kita yang nak membantu ni pun terhad. Sebab itu dalam lawatan saya, saya luluskan, cari peruntukan sendiri untuk membaik pulih tapak parking di klinik tersebut yang mana keadaannya berlubang-lubang dan boleh bela ikan tilapia. Berlubang dan kita buat balik, Alhamdulillah minggu lepas siap. Kita tak bubuh tar tapi kita buat balik, kita tambah batu kasaran dan kita level balik kawasan parking itu untuk memberikan kemudahan kepada rakyat. Ini yang diajar oleh pentadbiran YAB. Jeneri kepada semua wakil-wakil rakyat yang ada dalam Dewan DUN ini supaya kita cakna terhadap masalah rakyat dan ambil tindakan pada kadar apa yang kita mampu. Itu YB. Sidam dan YB. Bakar Arang kena faham! Saya pun tak tau YB. Sidam dengan YB. Bakar Arang ni peranan dia bukan sekadar check and balance, ambillah isu-isu positif yang kita sampaikan pada hari ini daripada awal perbahasan. Ambil dan bagilah kepada kerajaan di peringkat Persekutuan kut-kut kalau kami ni bawa tak mau dengar, hangpa ambillah kredit macam mana pun, lantiklah kontraktor macam mana pun yang penting kita nak projek kesihatan rakyat itu dapat disiapkan dengan sebaik mungkin. Itu yang patut dimainkan oleh YB. Sidam dan YB. Bakar Arang walaupun YB. Kota Darul Aman tak dak di sini.
Okey, boleh buat penggulungan.
YB. Tuan Speaker, kalau ikut panjang lagi ni(ketawa kecil). YB. Tuan Speaker, tak apalah saya gulunglah hujungnya. Baik. Kesimpulannya, Ahli-ahli Mesyuarat, Ahli-ahli Dewan sekalian, kita boleh berbeza politik, kita boleh berbeza pandangan, kita mungkin boleh berbeza pendapat dan juga hujah. Tetapi dalam soal kebajikan rakyat, dalam soal yang menyentuh hal keselamatan rakyat, kita kena bersatu hati dan bekerjasama. Itu juga selaras dengan titah tuanku yang dilafazkan beberapa hari lepas. Berbeza tak ada masalah, tapi jangan sampai kita memegang kuasa tampuk pemerintahan di peringkat Persekutuan kerana negeri ini tidak sama dan sealiran politik dengan kita, kita menghukum negeri dan yang terhukum paling teruk adalah rakyat yang mana hari ini rakyat di bawah ini yang terkesan dengan apa yang berlaku! Jadi, saya menggunakan ruang dan kesempatan ini juga untuk menyeru sahabat-sahabat saya daripada pembangkang. Saya tak kisah dia nak protes pun tak apalah, dia nak jawab soalan ka, dia nak komen pun dia boleh komen. Tapi, apa yang saya nyatakan tadi ambillah pedoman, ambillah catitan. Sampaikanlah kepada kerajaan di peringkat Persekutuan agar apa juga permasalahan yang boleh dibantu ini, wajib dibantu kerana di situ rakyat akan melihat sejauh mana tahap profesionalisme kita dalam mengurus tadbir kerajaan ini. Adakah kita membawa politik sempit ataupun kita membawa politik matang dan sejahtera sepertimana yang digagaskan kalau di Negeri Kedah oleh Yang Amat Berhormat Jeneri. Akhir kata, patik sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas titah Tuanku yang penuh hikmah. Insya-Allah, patik yakin di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Jeneri dibantu oleh barisan EXCO, ditunjangi juga oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri dan anggota pentadbiran, insya-Allah Negeri Kedah akan terus maju dan berjaya, selaras dengan hasrat, slogan yang selalu diutarakan yang mana “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.” Sekian, saya mohon menyokong titah ucapan Tuanku. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada YB. Lunas. Alhamdulillah, selesai sudah sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Terima kasih kepada semua Yang Berhormat-Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan ini. Urusan seterusnya, Tuan Setiausaha.
Sesi penggulungan di atas Usul Yang Menjunjung Kasih Kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah secara dasar oleh pihak kerajaan.
III. Penggulungan Di Atas Usul Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan KedahMotion
Terima kasih. Sesi penggulungan. Saya dengan ini menjemput YB. Wong Chia Zhen untuk menggulung sesi perbahasan ini. Dipersilakan.
Terima kasih YB. Tuan Speaker. Tahniah kepada YB. Lunas atas perbahasan tadi. Macam berkempenlah. Lepas ini mungkin pindah ke pentas yang lebih besar kut (ketawa). Terima kasih sekali lagi YB. Timbalan Tuan Speaker, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Yang Amat Berhormat Jeneri, Menteri Besar Kedah, Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan dan para sidang hadirin yang dikasihi sekalian. Salam sejahtera, selamat tengah hari dan salam “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.” Ampun Tuanku, terlebih dahulu patik dengan penuh takzim merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah di atas titah yang penuh hikmah berimbang serta berpandangan jauh. Sebagaimana titah Tuanku yang sentiasa menekankan peranan wakil rakyat sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi, patik melihat ini sebagai satu peringatan yang sangat tepat daripada seorang sultan yang memahami denyut nadi rakyat. Sesungguhnya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah seorang pemerintah yang bijaksana yang bukan sahaja memerhati dari atas tetapi memahami realiti di bawah, suara rakyat, keperluan masyarakat dan cabaran sebenar di lapangan. Patik dengan penuh rasa tanggungjawab menyambut baik segala titah, pesanan dan peringatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan berikrar akan memastikan amanah ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan khususnya dalam memastikan pentadbiran negeri ini sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat, keharmonian masyarakat serta keluhuran undang-undang. Patik juga dengan penuh rendah diri mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja Negeri Kedah sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan, dikurniakan kesihatan yang berpanjangan serta kesejahteraan yang berterusan dan terus bersemayam di atas takhta pemerintahan dengan penuh kedaulatan serta kebesaran. YB. Tuan Speaker dan para sidang hadirin yang saya kasihi sekalian, dikesempatan yang penuh bermakna ini, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada seluruh rakyat Negeri Kedah
yang meraikan pelbagai perayaan pada bulan April ini. Kepada umat Islam, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin. Semoga Aidilfitri ini menjadi titik penyatuan, mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat. Kepada masyarakat India, Iniya Tamil Puttantu, Happy Tamil New Year! Dan kepada masyarakat Punjabi Sikh, Vaisakhi Diyan Lakh Lakh Vadhaian, Happy Vaisakhi Day! Yang disambutkan pada hari semalam. Semoga perayaan ini membawa sinar baru, kemakmuran dan kejayaan kepada seluruh komuniti. Dan kepada masyarakat Siam, kepada YB. Timbalan Tuan Speaker, YB. Sidam, Sook-san wan Songkran, Happy Songkran Festival! Semoga perayaan ini terus menyemarakkan nilai kebersamaan, keharmonian dan perpaduan dalam negeri kita. Sesungguhnya kepelbagaian perayaan yang diraikan ini mencerminkan kekuatan dan keunikan Negeri Kedah sebagai sebuah negeri yang harmoni dan bersatu padu. Kerajaan Negeri sentiasa komited… (YB. Tuan Speaker mencelah)
YB. Kulim.
Ya, ya.
Khop khun khrap.
Sawadee-kap (ketawa). Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memastikan setiap kaum dan komuniti terus diberi perhatian, dihargai serta dilibatkan dalam arus pembangunan negeri. Selamat menyambut perayaan kepada semua yang meraikannya. YB. Tuan Speaker dan sidang hadirin yang saya hormati sekalian, menyentuh perkara yang dibangkitkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan isu rumah ibadat dan perpaduan. Saya ingin menyatakan pendirian yang jelas, kita semua bersetuju bahawa agama adalah sesuatu yang amat peribadi kepada setiap insan yang menyentuh soal kepercayaan, nilai hidup dan hubungan manusia dengan tuhan. Sebab itu, setiap rakyat berhak untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan aman dan bebas. Kerajaan negeri juga komited untuk memastikan semua komuniti tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa diberikan ruang yang sewajarnya untuk mempraktikkan dan menjalankan ibadah agama masing-masing. Dalam hal ini, mekanisme pengurusan Rumah Ibadat Bukan Islam atau RIBI sentiasa dijadikan saluran untuk meneliti dan memproses permohonan secara teratur dan jelas.
Untuk makluman Dewan yang mulia ini, setakat April tahun 2026 ini terdapat 17 permohonan dengan 15 diluluskan, 1 ditangguhkan dan 1 ditolak. Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri bukan menutup ruang, bukan menafikan hak tetapi mengurus perkara ini melalui saluran yang sah, tersusun dan bertanggungjawab. Dalam masa yang sama, kita juga memahami bahawa proses menguruskan permohonan RIBI kelulusan sama ada di peringkat pejabat daerah atau di peringkat negeri serta pematuhan kepada undang-undang berkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah penting untuk memastikan segala pembangunan kerajaan berjalan dengan teratur. Ini juga penting untuk memastikan kepentingan semua pihak terpelihara dan keharmonian jangka panjang dapat dijaga. Seperti yang dititahkan oleh tuanku, keharmonian bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu dipupuk dengan sikap saling hormat-menghormati dan memahami akan batas sensitiviti masing-masing. YB. Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, namun apa yang lebih penting dan yang ingin saya tekankan adalah bahagian kedua titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Tuanku dengan tegas mengingatkan supaya isu agama tidak dipolitikkan dan tidak dijadikan alat untuk kepentingan sempit sehingga boleh memecahbelahkan rakyat dan masyarakat. Ini bukan ayat biasa, ini satu peringatan yang sangat jelas, sangat tegas dan sangat tepat untuk keadaan semasa ini. Berhubung beberapa insiden yang terbaru melibatkan rumah ibadat yang kita dapat lihat di media sosial yang telah mencetuskan tindakan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak berunsur ekstrem sehingga berlaku witch hunt (dengan izin), terhadap individu atau komuniti tertentu. Kami ingin menegaskan bahawa tindakan sebegini adalah amat tidak wajar dan berpotensi merosakkan keharmonian hubungan antara kaum. Dalam sesebuah negeri dan negara yang berbilang kaum dan agama, kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak sama ada pemimpin ataupun penyokong mengambil pendekatan yang ekstrem. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua pihak agar kita bersama-sama mendidik dan menasihati penyokong kita supaya tidak melampaui batas. Jangan ada unsur hasutan, jangan ada kenyataan yang mengeruhkan keadaan, jangan ada sikap yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama. Kita semua mempunyai tanggungjawab bukan sahaja di dalam Dewan ini tetapi juga di luar sana untuk memastikan keharmonian ini terus terpelihara. Hampir 70 tahun negara kita merdeka. Ini bukan tempoh yang pendek. Keharmonian yang kita kecapi hari ini bukan sesuatu yang datang bergolek, bukan sesuatu yang boleh diambil mudah dan bukan sesuatu yang boleh kita gadaikan hanya kerana mahu menang sorakan semata. Justeru, kita mesti menjaganya dengan penuh tanggungjawab. Hal ini kerana perpaduan bukan boleh dibina dalam sehari dua tetapi melalui usaha berterusan dan keikhlasan semua pihak. Kalau tanam taugeh, 3, 4 hari boleh jadi kalau tak jadi pun, boleh tanam semula. Tapi kalau perpaduan runtuh, ia
memerlukan masa, kepercayaan dan usaha yang berlipat kali ganda untuk dibina kembali. Sehubungan dengan itu, kami menggesa Kerajaan Persekutuan supaya untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dan tuntas terhadap mana-mana pihak yang mencetus ketegangan antara kaum dan agama tanpa mengira latar belakang kaum atau agama sama ada Cina, India, Melayu, Siam atau mana-mana komuniti yang lain. Pendekatan ini yang adil dan tidak memilih kasih amat penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan terus terpelihara serta bagi mengekalkan perpaduan nasional yang menjadi asas kestabilan negara seperti yang dibahaskan oleh YB. Pantai Merdeka semalam lagi. YB. Tuan Speaker dan para sidang hadirin yang saya hormati sekalian, Tuanku juga menegaskan bahawa institusi keagamaan tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan peribadi atau agenda politik tertentu. Saya melihat ini sebagai satu prinsip yang sangat penting. Ini kerana rumah ibadah merupakan tempat yang suci, tempat manusia mendekatkan diri kepada tuhan, tempat yang sepatutnya membentuk hati ke arah yang lebih baik, lebih tenang dan lebih beradab. Maka, sebab itulah rumah ibadat tidak boleh dijadikan medan untuk menyemarakkan kebencian, tidak boleh dijadikan alat untuk memancing emosi sempit dan tidak boleh dijadikan pentas untuk agenda politik yang memecahkan masyarakat. Dalam konteks ini, saya ingin menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah di bawah Perikatan Nasional mesti menjadi contoh. Kita mesti menunjukkan bahawa kita tidak menyalahgunakan agama untuk politik sempit. Kita tidak memainkan sentimen perkauman dan kita tidak memecahbelahkan rakyat demi kepentingan tertentu. Sebaliknya kita mesti menjadi kerajaan yang matang, bertanggungjawab dan menghormati kepelbagaian masyarakat. Kalau suatu hari nanti kita diberi amanah yang lebih besar di peringkat Persekutuan, pendekatan inilah yang kita akan bawa iaitu politik yang memelihara bukan politik yang memecahbelahkan masyarakat! YB. Tuan Speaker dan sidang hadirin yang saya kasihi sekalian, seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, perpaduan adalah asas kepada kestabilan negeri dan negara. Perpaduan bukan sekadar slogan yang perlu diterjemahkan dalam tindakan harian. Dalam konteks Negeri Kedah, kita telah melihat bagaimana rakyat daripada pelbagai kaum dan agama saling menghormati amalan masing-masing. Bersama-sama kita meraikan perayaan dan hidup dalam keadaan aman serta harmoni. Tetapi pada masa yang sama, kita juga melihat bahawa setiap kaum terus mengekalkan dan mengamalkan budaya masing-masing dalam keadaan yang aman dan tenteram. Dan pada saya, itulah keindahan sebenar sesebuah masyarakat majmuk. Saya sendiri amat terharu apabila saya menghadiri sambutan Hari Vaisakhi di Gurdwara Sahib Kulim di mana hati saya tersentuh apabila melihat bahawa mereka mempunyai pusat pendidikan sendiri. Digerakkan secara sukarela oleh golongan profesional yang terdiri daripada peguam, accountant untuk mengajar generasi muda mereka dalam kelas Bahasa Punjabi. Ini bukan perkara yang kecil. Ini
soal warisan, soal identiti, soal kesinambungan sebuah komuniti. Sebab itu saya telah menyalurkan RM10,000 bagi menyokong sambutan Hari Vaisakhi dan program komuniti mereka dan saya juga berjanji untuk terus menyokong kelas Bahasa Punjabi itu supaya dapat diteruskan dan dinikmati oleh masyarakat Punjabi Sikh secara turun temurun. Begitu juga dengan Pesta Songkran Negeri Kedah yang akan berlangsung pada 18 hari bulan April, Sabtu ini. Saya juga akan menggunakan Peruntukan Sejahtera Kaum dengan menyalurkan sebanyak RM10,000 kepada kelas Bahasa Siam yang terdapat di Watt Siam kawasan Padang Terap, Pendang dan Sik. Jadi untuk maklumat YB. Sidam, ini bukan janji-janji yang manis tapi ini walk to the talk iaitu tunaikan janji yang saya pernah sebut dalam penggulungan sebelum ini. Inilah salah satu usaha mengukuhkan perpaduan di Negeri Kedah. Dengan penganjuran kelas Bahasa Siam ini, diharap dapat memartabatkan bahasa ibunda masyarakat Siam agar kekal diteruskan dan supaya dapat membina jati diri bangsa Malaysia yang berbilang agama dan kaum tanpa mengabaikan kepentingan Bahasa Malaysia. Ini penting! Kita mahu anak-anak kita kenal akar budaya mereka tetapi dalam masa yang sama teguh sebagai rakyat Malaysia. Bagi saya, inilah wajah perpaduan yang sihat. Bukan perpaduan yang memaksa semua orang menjadi sama. Bukan perpaduan kosmetik untuk gambar pentas atau hanya untuk poster media sosial. Tetapi, perpaduan yang lahir apabila setiap komuniti merasa dihormati, merasa ada tempat dan merasa boleh berdiri dengan identiti sendiri dalam sebuah rumah besar yang bernama Malaysia. YB. Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya juga ingin menarik perhatian Dewan terhadap dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas 2025) khususnya berkaitan dengan kedudukan Negeri Kedah. Sudah tentu kita semua berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk memastikan perpaduan negara terus diperkukuh dan dipelihara. Namun dalam menilai hasil kajian ini, kita perlu melihatnya secara menyeluruh, berpandukan fakta serta kefahaman yang adil terhadap konteks yang dibentangkan. Penilaian dibuat berdasarkan persepsi responden terhadap pelbagai kenyataan seperti keadilan peluang, layanan tanpa memilih kasih, keberkesanan kerajaan, akses kepada peluang dan perkhidmatan. Ini menunjukkan bahawa IPNas iaitu Indeks Perpaduan Nasional bukan mengukur fakta semata-mata tetapi turut mengukur persepsi rakyat terhadap sistem dan pengalaman harian mereka. Berdasarkan laporan IPNas, dokumen IPNas indeks ini diukur melalui beberapa konstruk utama. Antaranya Kesepaduan Sosial (KS), Etos Nasional (EN), Hubungan Sosial Rentas Etnik (HSRE), Tadbir Urus dan Pembangunan (TUK) serta Tahap Keetnikan (TK). Jika diteliti dengan lebih mendalam, Laporan Indeks Perpaduan Nasional ini menunjukkan komponen Tadbir Urus dan Pembangunan menyumbang pengaruh terbesar terhadap kesepaduan sosial iaitu sebanyak 69.7 peratus. Ini menggambarkan bahawa tahap keyakinan rakyat terhadap sistem, dasar, keselamatan serta kecekapan perkhidmatan awam menjadi faktor utama dalam menentukan skor keseluruhan perpaduan.
Sebaliknya aspek yang benar-benar mencerminkan hubungan antara masyarakat, hubungan antara kaum iaitu Hubungan Sosial Rentas Etnik hanya menyumbang 31.4 peratus. Maka, timbul persoalan yang wajar kita tanya secara jujur. Sejauh mana penilaian ini benar-benar menggambarkan realiti hubungan antara kaum di peringkat akar umbi di negeri kita ini jika komponen terbesar datang daripada faktor yang lebih luas sifatnya? YB. Tuan Speaker dan sidang hadirin yang saya hormati sekalian, dalam hal ini kita perlu berlaku adil dan melihat keadaan sebenar di lapangan. Negeri Kedah tidak berhadapan dengan konflik antara kaum yang serius. Tiada rusuhan, tiada ketegangan etnik yang besar. Menurut kertas analisis isu perpaduan bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 yang dibentangkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Negeri Kedah mencatat antara jumlah kes paling rendah iaitu 2 dalam jumlah 195 kes yang direkodkan di seluruh negara. Masyarakat kita hidup dalam suasana yang aman serta saling menghormati antara satu sama lain. Ini realiti di lapangan. Ini bukan realiti atau ini bukan naratif yang direka. Ini keadaan sebenar yang kita lihat sendiri. Namun berdasarkan struktur indeks ini, skor perpaduan turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk persepsi terhadap institusi dan dasar seperti kebebasan bersuara dan amalan demokrasi. Ini menunjukkan perpaduan berkait rapat dengan keyakinan terhadap sistem dan institusi. Begitu juga dengan isu pelaksanaan di lapangan, contohnya larangan ADUN-ADUN Kerajaan Negeri atau kerajaan pembangkang memasuki sekolah walaupun untuk tujuan kebajikan atau pendidikan. Perkara sebegini boleh menimbulkan persepsi yang wujud layanan yang tidak seimbang dan kurang keterangkuman dalam sistem pentadbiran. Mungkin pada pandangan setengah pihak ia merupakan isu yang kecil tetapi dalam soal persepsi rakyat, perkara sebegini memberi kesan. Sosial media atau cyber trooper turut memainkan peranan dalam membentuk persepsi dan persepsi seperti inilah yang akhirnya mempengaruhi skor. YB. Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri Kedah mengambil maklum bahawa perpaduan bukan hanya isu hubungan kaum semata-mata, ia juga melibatkan keadilan sistem, peluang ekonomi dan akses kepada perkhidmatan. Dalam masa yang sama, banyak faktor yang mempengaruhi skor ini berada di luar kawalan langsung kerajaan negeri. Sebagai contoh dasar pendidikan berada di bawah persekutuan, peraturan akses ke universiti, kolej dan matrikulasi bukan ditentukan oleh negeri. Kelewatan, kelulusan semakan kadar cukai tanah yang menyebabkan negeri kehilangan potensi hasil, dasar ekonomi makro dan banyak agensi penguatkuasaan juga berada di bawah bidang kuasa Persekutuan. Maka, skor Indeks Perpaduan Nasional ini tidak boleh ditafsir sebagai tanggungjawab negeri semata-mata.
Walau begitu, negeri tetap melaksanakan pelbagai usaha yang sedia ada seperti program perpaduan antara kaum, sambutan perayaan pelbagai etnik, penyelesaian isu komuniti seperti kuil, tapak rumah ibadat dan NGO (Non-Governmental Organizations) serta penglibatan masyarakat pelbagai kaum dalam program negeri. Namun, kita juga perlu jujur bahawa usaha ini perlu disokong oleh dasar dan pelaksanaan yang lebih menyeluruh di semua peringkat. Kepelbagaian kaum di negeri ini bukan satu kelemahan tetapi ia merupakan satu kekuatan. Masyarakat Melayu, Cina, India dan Siam masing-masing memainkan peranan dalam pembangunan negeri. Kita sedar bahawa kemajuan Kedah bergantung kepada kerjasama semua pihak, bukan perpecahan. YB. Tuan Speaker dan sidang hadirin yang saya hormati sekalian, saya ingin menegaskan bahawa kita tidak menolak peranan IPNas sebagai satu instrumen pengukuran. Namun begitu, pendekatan dan kaedah yang digunakan wajar sentiasa diperhalusi supaya lebih mencerminkan keadaan sebenar perpaduan dalam masyarakat bagi meningkatkan skor perpaduan secara menyeluruh. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri termasuk menyemak dasar atau arahan yang memberi persepsi layanan tidak seimbang. Contohnya, akses wakil rakyat ke institusi awam seperti sekolah. Seperti yang dititahkan oleh Tuanku, melalui prinsip federalisme hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh dilihat secara terpisah. Sebaliknya perlu berasaskan semangat kerjasama yang adil dan saling melengkapi. Kerajaan Negeri Kedah berpandangan bahawa Indeks Perpaduan Nasional mencerminkan persepsi menyeluruh rakyat terhadap sistem bukan hanya hubungan kaum semata-mata. Oleh itu, peningkatan skor perpaduan memerlukan kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, penyelarasan dasar serta pelaksanaan yang konsisten di semua peringkat. Negeri Kedah komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan menyokong usaha memperkukuh perpaduan nasional. Namun pada masa yang sama, adalah penting untuk difahami bahawa pencapaian indeks ini melibatkan faktor yang lebih luas daripada kawalan kerajaan negeri semata-mata. Jadi, saya percaya indeks boleh silap tetapi rakyat Kedah tidak akan menipu. YB. Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya juga ingin ambil kesempatan di Dewan yang mulia ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan dan Negeri di bawah portfolio saya atas komitmen, kerjasama dan dedikasi yang tidak pernah luntur dalam memastikan setiap agenda dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan. Penghargaan yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada para penghulu di Daerah Kulim yang sentiasa tampil membantu tanpa
mengira masa dan keadaan sama ada ketika berlakunya bencana mahupun dalam menangani pelbagai isu melibatkan kawasan DUN Kulim. Tidak dilupakan juga setinggi-tinggi perhargaan kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang sentiasa responsif dan komited dalam memberikan bantuan walaupun dihubungi pada lewat malam, 7 hari 24 jam seperti bilik bersalin demi pastikan keperluan asas rakyat terus terjamin. Pada masa yang sama, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih juga kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) atas usaha berterusan dalam menyelesaikan pelbagai isu penduduk di taman-taman sekaligus meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat. Sesungguhnya segala kerjasama dan sokongan yang diberikan ini amat bermakna dan menjadikan kekuatan kepada saya untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan lebih berkesan. Semoga jalinan kerjasama ini akan terus diperkukuh demi kesejahteraan dan kemajuan DUN Kulim. YB. Tuan Speaker dan para sidang hadirin yang saya hormati sekalian, saya ingin menyebut satu perkara dengan secara terus terang. Mungkin dalam Dewan ini ada yang melihat saya sebagai antara EXCO yang lebih muda, bukan paling muda, yang lebih muda. Lalu, mudah meletakkan saya dalam kerangka yang kecil tetapi tanggungjawab yang saya pikul tidak kecil. Amanah yang saya bawa juga bukan terhad kepada satu lapisan semata-mata. Maka sebab itu, apabila saya bercakap soal perpaduan, soal institusi, soal keterangkuman, soal hubungan Negeri dan Persekutuan, saya tidak melihatnya dari sudut yang sempit. Saya melihatnya dalam kerangka yang lebih luas iaitu dari sudut negeri, sudut negara dan sudut masa depan kita semua. Sebab itu saya percaya kita tidak boleh bercakap secara dangkal dalam soal perpaduan. Kita tidak boleh hanya sibuk dengan angka tetapi gagal membaca realiti. Kita tidak boleh hanya pandai melaungkan slogan tetapi gagal memahami sensitiviti sebenar rakyat. Dan kita tidak boleh hanya menuding jari kepada negeri apabila banyak faktor sebenar terletak di tempat lain. Sebagai penutup, saya sekali lagi ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah atas titah yang penuh kebijaksanaan. Titah Tuanku bukan sahaja menjadi panduan kepada kerajaan, tetapi juga peringatan kepada kita semua pihak bahawa kestabilan, keharmonian dan masa depan negeri ini bergantung kepada sikap kita semua. Saya berdiri di sini dengan pendirian yang jelas menjunjung titah mempertahankan keharmonian dan menolak sebarang bentuk ekstremisme boleh merosakkan perpaduan rakyat. Akhir kata, saya dengan penuh takzim menjunjung kasih dan menyokong sepenuhnya Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang amat kita kasihi. Sekian, terima kasih. Xie xie ta cia, nandri, vanakkam, khop khun khrap.
Khob khun khrab. Terima kasih YB. Kulim. Seterusnya, saya menjemput YB. Alor Mengkudu. Silakan.
Terima kasih, YB. Tuan Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahirobbil alamin, washolatu wassalamu ala asrofil anbiya-i wal mursalin, wa'ala alihi wasahbihi ajma'in. YB. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Nadzman, SFO (Pegawai Kewangan Negeri) yang baru, tahniah sekali lagi, Yang Berhormat (LA) Pegawai Undang-undang Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, seterusnya sidang hadirin yang dirahmati Allah SWT. Turut bersama kita pada hari ini juga, saya mengalukan kedatangan adik-adik daripada Pemuda Gerakan. Ada setengah kut, tak dak dah, balik dah. Daripada pondok moden dan jugak kolej agama. Robbisrohli sodri wayassyirli amri wahlul uqdatan mil-lisani yafqahu qauli. YB. Tuan Speaker, terlebih dahulu patik dengan penuh takzim merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan serta Titah Diraja sempena Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah 2026, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman pada kali ini oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman. Saya tak bercadang nak bercakap banyak kerana sahabat saya tadi, panjang, lebar, menarik dan saya ucap tahniah pada sahabat dapat laksanakan dengan baik. Sesungguhnya di bawah naungan pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, yang berdaulat, adil, lagi bijaksana, Negeri Kedah terus menikmati limpahan keamanan yang berkekalan, kemakmuran yang kian berkembang, serta keharmonian rakyat yang sentiasa terpelihara. Hikmah dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dalam menyantuni aspirasi rakyat serta memberikan nasihat dan panduan kepada pentadbiran negeri amatlah dihargai dan dijunjung tinggi. Ia bukan sekadar menjadi pedoman, bahkan menjadi sumber ilham yang menguatkan tekad kerajaan dalam merangka dasar serta melaksanakan agenda pembangunan negeri secara lebih tersusun, inklusif dan berimpak tinggi. Lebih daripada itu, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan turut menjadi tunjang kepada usaha memperkasa pembangunan sukan dan belia negeri agar generasi muda Kedah terus dibentuk sebagai pewaris kepimpinan yang berwibawa, berdaya saing dan berjiwa besar selaras dengan aspirasi “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”.
YB. Tuan Speaker, dikesempatan ini juga saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pegawai-pegawai kerajaan kanan negeri yang baru sahaja dilantik memegang jawatan penting di dalam pentadbiran kerajaan negeri ini. Semoga pelantikan ini akan mengukuhkan lagi jentera pentadbiran negeri seterusnya melonjak kecekapan, perkhidmatan serta keberkesanan dasar-dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat. Ucapan tahniah dan syabas juga dizahirkan kepada Yang Amat Berhormat Jeneri, bersama Yang Amat Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri atas kejayaan membina sebuah pentadbiran yang bukan sahaja tersusun, malah bergerak dengan penuh lancar, cekap dan berwibawa selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan semasa merasmikan pembukaan Dewan yang mulia ini. Sesungguhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan itu bukan sekadar satu ucapan perasmian tapi satu isyarat yang jelas, satu amanah yang besar dan satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap komitmen dan serta kepimpinan Yang Amat Berhormat Jeneri dalam mentadbir negeri ini. Ini membuktikan bahawa pentadbiran hari ini bukan sekadar berjalan atas dasar rutin tetapi digerakkan dengan disiplin, kesungguhan dan iltizam yang tinggi demi memastikan Negeri Kedah terus stabil, makmur dan dihormati. Maka izinkan saya tegaskan di sini, di Dewan yang mulia ini bahawa kejayaan ini bukan datang secara kebetulan tetapi hasil kepimpinan yang jelas, hala tuju yang teratur serta kesatuan jentera pentadbiran yang kukuh dari peringkat tertinggi hingga ke akar pelaksana. Dan lebih penting, inilah yang sedang kita terjemahkan bersama sebuah negeri yang bergerak dengan roh kesatuan, kebersamaan dan kesejahteraan untuk semua. Benarlah sepertimana yang dirakamkan dalam Al-Quran, surah Al-A'raf ayat 96, mafhumnya, “Dan Tuhan berfirman lagi, sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka pintu pengurniaan yang melimpah-limpah dan berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan Rasul kami, lalu kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua” bukan sekadar slogan, tetapi sedang dizahirkan dalam tindakan dalam pentadbiran dan dalam setiap keputusan yang dibuat. Kedah hari ini berdiri dengan lebih yakin, lebih tersusun dan lebih dihormati dan insya-Allah akan terus melangkah kehadapan sebagai sebuah negeri yang unggul di bawah naungan Tuanku dan kepimpinan Yang Amat Berhormat Jeneri. YB. Tuan Speaker serta Ahli-Ahli Yang Berhormat, masuk tajuk saya di bawah portfolio sukan, Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan berlangsung pada 15 hingga 26 Ogos 2026 dan merupakan medan paling berprestij di peringkat kebangsaan dalam mencungkil serta mengukur serta menyerlahkan keupayaan sebenar dalam atlet-atlet negara. Bagi edisi kali ini, kontinjen Kedah akan menyertai 35 daripada 37 sukan yang dipertandingkan. 2 sukan yang tidak disertai ialah lawan
pedang dan gimnastik, hasil pertimbangan strategik berdasarkan tahap kesiapsiagaan serta kekuatan semasa kontinjen. Setakat sekarang, saya dikhabarkan ada 32 jenis sukan yang telah melepasi penanda aras dan insya-Allah, 31 sukan dan 4 belum lagi melepasi benchmark iaitu bola sepak, bola tampar, bola keranjang dan tenis. Jumlah atlet melepasi benchmark sehingga sekarang ialah 177 orang, melibatkan pengurus, jurulatih dan urus setia. Kita meramalkan untuk SUKMA 2026 di Selangor ini, seramai 1,000 lebih akan dihantar ke… maaf. Sehingga kini, seramai 324 atlet telah berjaya melepasi tahap penanda aras benchmark yang ditetapkan. Penetapan benchmark oleh Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) dilaksanakan secara ketat, sistematik dan berorientasikan prestasi tinggi bagi memastikan hanya atlet-atlet yang terbaik sahaja yang dapat dihantar ke Selangor untuk pertandingan SUKMA (Sukan Malaysia) ini. Dalam masa yang sama, pengurusan kontinjen turut berhadapan dengan cabaran peningkatan kos semasa, khususnya melibatkan kenaikan harga diesel dan kos sewaan pengangkutan yang memberi tekanan kepada perbelanjaan keseluruhan temasya. Kita mengharapkan sokongan daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat. Amatlah diharapkan bukan sahaja sebagai tanda kebersamaan tetapi sebagai suntikan semangat kepada para atlet untuk berjuang habis-habisan demi mengharumkan nama Negeri Kedah dengan iltizam, sokongan dan doa semua pihak. Insya-Allah, kontinjen Kedah mampu melakar kejayaan yang membanggakan di pentas SUKMA Selangor 2026, berbanding dengan SUKMA 2024 di Sarawak. YB. Tuan Speaker dan makluman kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, Negeri Kedah terpilih menjadi tuan rumah kepada dua kejohanan peringkat kebangsaan pada tahun ini. Dalam bulan April baru-baru ini, kita telah berlangsung satu Kejohanan Kedah Tennis Malaysian Junior Tour Leg 2 2026 peringkat kebangsaan. Seramai 250 peserta dan para pegawai termasuk waris-waris telah hadir di gelanggang tenis di UUM (Universiti Utara Malaysia) dan kehadiran kesemua hampir melepasi 500 orang. Ini merupakan satu kejayaan di peringkat kebangsaan di atas kepercayaan dan penghargaan yang telah memilih Kedah sebagai tuan rumah. Kejohanan yang kedua ialah pada minggu ini yang saya rasa sedang berlangsung. Kedah menjadi medan pertempuran bakat muda negara menerusi penganjuran Karnival Bakat Olimpik Kebangsaan (KBOK) Siri 1/2026. Satu pentas yang menghimpunkan atlet-atlet pelapis terbaik tanah air. Sebanyak 9 acara dipertandingkan merangkumi akuatik, renang dan terjun, angkat berat, memanah, skuasy, taekwondo, karate, tenpin boling, serta berbasikal. Kesemua atlet yang beraksi berusia di antara 13 hingga 17 tahun. Atlet muda, bertenaga dan penuh semangat juang membawa harapan masa depan sukan negara. Apa yang lebih membanggakan, kontinjen Kedah tampil garang di gelanggang sendiri apabila berjaya mengumpul sehingga sekarang. Hari ini masih ada lagi perlawanan-perlawanan final. Sehingga kini Kedah berjaya mengumpul 27 pingat emas, 30 perak dan 33 gangsa. Ini bukan sekadar… (YB. Tuan Speaker mencelah)
YB. Alor Mengkudu….
Ya?
Tolong bagi laluan kepada Yang Amat Berhormat Jeneri.
Baik.
YB. Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan di bawah peraturan 12 (1)(a), Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman supaya sidang Dewan pada pagi ini disambung semula pada jam 2:30 petang selepas ditangguhkan pada jam 1:00 tengah hari.
YB. Tuan Speaker, saya pohon menyokong cadangan itu. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Jeneri dan juga YB. Sungai Limau. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya bersetuju dengan usul yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar tersebut. Sekian, terima kasih. Teruskan YB. Alor Mengkudu.
Terima kasih YB. Tuan Speaker. Sambungan daripada tadi nah. Lebih manis pasukan tenpin boling Kedah yang saya turut bersama-sama di gelanggang semalam, apabila muncul sebagai juara keseluruhan acara tersebut. Ini merupakan satu pencapaian yang wajar diberikan pujian oleh seluruh rakyat negeri ini. Hari ini merupakan hari terakhir karnival ini. Beberapa acara kemuncak bakal berlangsung, namun demikian, semangat yang telah dipamerkan serta kejayaan yang telah dicapai sepanjang penganjuran ini tidak akan berakhir di sini. Semangat dan kejayaan yang tercipta tidak
akan berakhir di sini. Inilah permulaan kepada lahirnya lebih ramai jaguh negara dari bumi Kedah yang bakal mengharumkan nama negeri dan Malaysia di pentas dunia. Mungkin pemenang pingat emas pertama lahirnya daripada Negeri Kedah, insya-Allah. Inilah bakal-bakal wajah “The Greater Kedah”, negeri yang bukan sahaja melahirkan bakat tetapi membina juara, insya-Allah. YB. Jitra, rasa kita dah capai dah, tahap apa kita punya pelan strategik kita tu, insya-Allah kita dah capai “The Greater Kedah”, insya-Allah. YB. Tuan Speaker dan juga Ahli-Ahli DUN, di samping itu, sebagaimana yang pernah dimaklumkan di dalam Dewan yang mulia ini, peranan dan pembangunan belia di Negeri Kedah sentiasa diperkukuhkan melalui penubuhan sebuah badan khas yang mengurus hal ehwal belia negeri diwujudkan di atas nama Sekretariat Belia Sejahtera Negeri Kedah. Antara program besar yang dirancang dan bakal dilaksanakan pada tahun ini adalah Program ADUN Belia Negeri Kedah. Anak-anak Kedah sentiasa diberi peluang untuk bersama-sama membina negeri dengan mengembalikan Adun Belia Negeri Kedah. Program ADUN Belia Negeri Kedah atau singkatannya (ABK) telah dirancang ini yang akan menjadi sebagai platform rasmi latihan kepimpinan untuk mengetengahkan dan menyerlahkan kepimpinan belia negeri yang berfungsi secara berstruktur, berdisiplin dan berimpak tinggi. Program ini juga dijangka mampu menghasilkan objektif berikut. Pertama, melahirkan pemimpin belia yang jelas dan memahami hala tuju perancangan pembangunan negeri secara tidak langsung mampu menjadi agen penerangan dan membantu menjayakan semua dasar dan perancangan kerajaan negeri. Yang kedua, menyediakan saluran input dasar belia yang berstruktur dan bertanggungjawab. Yang ketiga, menghubungkan isu belia peringkat DUN dengan perancangan negeri. Yang keempat, membina budaya kepimpinan belia yang berintegriti, berdisiplin dan berorientasikan penyelesaian. Dari segi sasaran pelaksanaan program ini, yang pertamanya memilih dan melantik 72 Ahli Dewan Undangan Belia Negeri Kedah yang merangkumi dua wakil daripada setiap DUN, lelaki dan wanita, memberi latihan kepimpinan dan kefahaman dasar negeri secara berpusat dan sistematik, melaksanakan persidangan belia berkualiti berasaskan amalan DUN sebenar, melaksanakan projek komuniti berimpak di peringkat DUN dan yang terakhirnya menghasilkan resolusi dan ringkasan dasar policy brief untuk membangunkan, menambah baik dan mencadang kepada kerajaan negeri. Pelaksanaan ADUN Belia Kedah ini selari dengan aspirasi “The Greater Kedah 2050” dan “Pelan Pembangunan Kedah 2035” di bawah teras keempat keseimbangan modal insan dan bakat. Ia diyakini mampu melahirkan barisan pemimpin belia Negeri Kedah yang berintegriti, matang, berpengetahuan dasar, serta mestilah menyumbang kepada pembangunan negeri.
Selain itu, bagi menjawab kenyataan daripada YB. ADUN Sidam, berkenaan dengan isu kenaikan harga barang terutama apabila dunia dikejutkan dengan krisis geopolitik di Timur Tengah serta kenaikan harga minyak global. Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah sentiasa melaksanakan pelbagai tindakan proaktif bagi memantau harga barangan serta memastikan peniaga mematuhi undang-undang, khususnya dalam usaha melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang tidak bermunasabah. Di peringkat portfolio, sentiasa memantau di samping kita berurusan dengan KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), kita juga sentiasa bertemu dan berbincang dengan Persatuan Pengguna Negeri iaitu (CAKE) untuk mendapat maklumat dan pemantauan supaya tiada berlaku kenaikan harga yang tidak seimbang. Untuk makluman, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 4 April 2026, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) Kedah telah menjalankan 31,679 pemeriksaan premis di seluruh negeri. Pemeriksaan ini melibatkan kesemua cawangan utama seperti Alor Setar, Kubang Pasu, Sungai Petani, Baling, Kulim dan Langkawi. Tindakan ini menunjukkan komitmen tinggi pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dalam memastikan pemantauan dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan di kawasan bandar mahupun luar bandar. Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 460 tindakan kes telah diambil melibatkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang berkaitan perdagangan. Antara cawangan yang mencatatkan tindakan kes tertinggi ialah di Alor Setar dengan 232 kes, diikuti Langkawi, 54 kes, Sungai Petani 50 kes. Ini membuktikan bahawa penguatkuasaan dijalankan secara tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Selain itu, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) Kedah turut melaksanakan operasi rampasan (OPS 555) dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM1,513,363.48. Nilai rampasan tertinggi direkodkan di Kubang Pasu sebanyak RM932,018 menunjukkan keberkesanan operasi dalam mengesan dan mengambil tindakan terhadap barangan yang melanggar peraturan. Keseluruhannya, kerjasama KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dalam memantau harga barangan di pasaran awam jelas dapat dilihat melalui jumlah pemeriksaan yang tinggi, tindakan kes yang diambil serta nilai rampasan dan kompaun yang dikenakan. Usaha ini penting bagi memastikan kestabilan harga, melindungi hak pengguna dan mengelakkan peniaga daripada menaikkan harga sesuka hati. Ia juga mencerminkan kecekapan dan kesungguhan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) Kedah dalam menjalankan tanggungjawab penguasaan demi kesejahteraan Negeri Kedah Darul Aman. Sebelum menamatkan penangguhan ucapan… (YB. Tuan Speaker mencelah)
YB. Alor Mengkudu ada 6 minit lagi. Boleh teruskan.
Okey. Haa… Nak cerita apa pulak lagi ni?
YB. Alor Mengkudu, mohon mencelah. Terima kasih. Boleh, YB. Tuan Speaker? Terima kasih YB. Tuan Speaker. Tadi sebelum masuk kepada apa, pengguna tadi ni, YB. Alor Mengkudu ada menyentuh tentang ADUN Belia. Saya tertarik dengan konsep ADUN Belia ni, di mana kita melatih di peringkat Dewan Undangan Negeri, belia-belia untuk menjadi pemimpin di peringkat DUN dan juga di negerilah. Cuma, pada fahaman sayalah, ataupun maklumat yang ada, apakah hubungan ADUN Belia ni dengan pusat khidmat yang kita ada ataupun dia ni dipilih secara rawak oleh peringkat belia negeri untuk berada sebagai ADUN Belia di peringkat negeri dan berbahas berhubung dengan isu-isu yang berlaku. Apakah mereka ini dapat kita latih di peringkat Dewan Undangan Negeri oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat kita yang ada, baik di pihak sini ataupun pembangkang? Mungkin kita kena juga ADUN Belia pembangkang, untuk menjadi semak dan imbang di atas ADUN Belia yang dilantik ini. Terima kasih, YB. Alor Mengkudu.
Terima kasih kepada… YB. Tokai.
YB. Tokai!
Orang lama ni YB. Tokai ni, Ya Allah. Terima kasih kepada YB. Tokai atas soalan. Sebenarnya memanglah, itulah hasrat dan cita-cita kita. Untuk makluman, ADUN Belia ni saya pun tak pasti. Lama dah tak dibuat di peringkat Negeri Kedah ni. Dan insya-Allah ni antara permulaan daripada inisiatif daripada Kerajaan Negeri Kedah di bawah errr… Saya amanahkan, kita amanahkan kepada Sekretariat Belia Sejahtera untuk melancarkan program ini dan sebenarnya, memang itulah hasrat kita. Seperti yang telah dimaklum oleh YB. Tokai tadi, memang hasrat kita inilah sebagai satu hubungan seperti yang saya maklum tadi sebagai menghubungkan isu belia-belia peringkat DUN dengan perancangan Negeri Kedah dan juga di peringkat apa,
peringkat-peringkat ADUN juga, ADUN Belia ni juga sebagai memain peranan di samping orang kata apa, menyediakan segala input dasar belia yang berstruktur dan bertanggungjawab. Dan untuk makluman kepada belia-belia semua di peringkat Negeri Kedah dan juga khususnya di peringkat DUN lah. Jadi, saya nak ambik kesempatan ni juga pasal masa ni ada lagi ni. Ada 3 minit lagi YB. nah? Untuk makluman semasa lah, kita nak maklum semasa tentang kedudukan, orang tak tanyalah tentang dunia bola sepak hari ni tapi kita nak melonjak kedudukan terkini dunia bola sepak. YB. LA (Pegawai Undang-undang) ni duk tanya saya, pasal apa tak maklum bab bola? Jadi saya nak maklum juga lah keadaan semasa bola sepak hari ini. Kita dalam kedudukan yang agak baik dalam Liga A1, seperti yang kita maklum atas kepimpinan presiden, atas hasrat presiden. Dan insya-Allah, kita akan cuba meletakkan kedudukan kita sehingga habis musim ni dalam kedudukan sekurang-kurangnya ‘top 5’ lah, ‘top 5’. Yang kelima terbaik lah. Tapi apa pun, kita yakin berdasar kepada prestasi semasa, kita yakin kita mampu untuk melonjakkan lebih daripada yang kelima, sama ada tiga atau nombor empatlah. Itu ialah harapan daripada kita semua dan kita mengharapkan perlawanan-perlawanan seterusnya yang saya rasa dalam enam lagi baki perlawanan, kita mengharapkan dapat menghasilkan satu keputusan yang terbaik dan melonjakkan kedudukan kita di tempat terbaiklah. Ini hasrat kita di peringkat tu. Dan untuk makluman juga, kita telah ditawarkan untuk menyertai pasukan presiden. Presiden ni sebenarnya ditawar kepada pasukan utama di liga utama, tapi disebabkan atas prestijnya pasukan Negeri Kedah ini. Jadi atas kemahuan, atas kelebihan yang ada pada nama Kedah tu sendiri. Jadi kita A1 ditawar dan insya-Allah kita akan memulakan perlawanan kita yang pertama pada hari Ahad ni. Hari Ahad ni kita akan bertemu Selangor di Selangor lah, di Shah Alam. Dan insya-Allah, kita mengharapkan selepas kita ada pertemuan dengan anak-anak di perantauan, saya ingat EXCO dan juga ADUN-ADUN jangan baliklah. Tolong bantu kita, tolong bagi sokongan kepada Pasukan Kedah yang akan bertanding buat pertama kali dengan Pasukan Selangor di Shah Alam. Dan itulah, saya ingat sedikit sebanyak tentang bola sepak. Dan sebelum menamatkan penangguhan saya pada pagi ini, ada dua pantun, YB. Tuan Speaker. Pucuk pauh delima batu, Anak sembilang di tapak tangan, Sidang dirasmi penuh restu, Negeri gemilang jadi harapan.
Burung helang terbang tinggi, Hinggap sebentar di pokok sena, Sidang berjalan penuh harmoni, Bersama membina Kedah Sejahtera.
Akhir kata, saya dengan penuh takzim menjunjung kasih dan turut menyokong sepenuhnya Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman sempena sidang Perasmian DUN Kedah 2026 Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman. Wallahualam, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih kepada YB. Alor Mengkudu. Memang dia punya pengurusan masa dia tu saya tengok cukup hebat. Tepat jam 1.00. Jadi tahniahlah. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan ditangguhkan pada jam 1.00 tengah hari dan akan disambung semula pada jam 2.30 petang.
[Sidang Dewan ditangguhkan pada jam 1.00 tengah hari]
[Sidang Dewan Undangan Negeri disambung pada jam: 2.30 petang]
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat petang. Dewan disambung semula dengan sambungan usul menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sehingga selesai. Penggulungan. Dipersilakan Yang Berhormat Kubang Rotan.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahi rabbil alamin, wassola tuwassala muala asrofil ambiya iwal mursalin wa’ala alihi wasahbihi ajmain. YB. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ketua Pembangkang, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Pegawai Kewangan, Penasihat Undang-undang, Ketua-ketua Jabatan dan Hadirin yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu marilah sama-sama kita merafakkan kesyukuran kita ke hadrat Allah subhanahu wa ta'ala kerana dengan izinnya dapat kita bersidang pada hari ini dalam suasana segar, bernas dan matang. Pada kesempatan ini saya ingin merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah atas titah ucapan Tuanku sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Kali Yang Ke-15 ini. Titah Kebawah Duli Tuanku yang menyentuh keperluan agar Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh sokongan terhadap pembangunan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara dengan meneliti serta mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya termasuk mempertimbangkan semakan dan kajian semula terhadap kadar subsidi diesel kepada pengusaha feri dan seruan Tuanku, agar Kerajaan Persekutuan pertimbangkan untuk mengembalikan semula status Pulau Langkawi sebagai “Pulau Bebas Cukai” dengan keistimewaan-keistimewaan yang pernah dinikmati sebelum ini, adalah suatu pandangan yang amat bertepatan dengan keperluan semasa. Patik dengan penuh takzim menjunjung tinggi titah tersebut dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Kebawah Duli Tuanku terhadap pembangunan Negeri Kedah Darul Aman. Patik percaya bahawa aspirasi ini turut dikongsi oleh seluruh rakyat negeri ini yang mengharapkan kemakmuran yang lebih menyeluruh dan berterusan.
YB. Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum saya meneruskan penggulungan, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan sepanjang tiga hari ini, terutamanya yang menyentuh perkara-perkara yang berkaitan portfolio pelancongan, kebudayaan, dan juga keusahawanan yang telah diamanahkan kepada saya. Semalam ini YB. Tuan Speaker, saya menjawab soalan nombor 4, soalan tersebut daripada YB. Guar Chempedak. Sepanjang saya menjawab soalan tersebut, sekalipun saya tak beralih ke belakang ini. Jadi, secara khusus saya ingin merakamkan penghargaan paling istimewa kepada Yang Berhormat Guar Chempedak yang sentiasa menunjukkan komitmen dan keprihatinan terhadap pembangunan sektor pelancongan negeri. Jika diimbas, setiap kali Persidangan DUN hampir ada soalan-soalan daripada YB. Guar Chempedak untuk saya jawab. Jadi, terima kasih lagi sekali kepada YB. Guar Chempedak. YB. Tuan Speaker, semalam juga ni saya agak terkejut apabila YB. Bayu menyentuh RM7 juta yang diperkatakan yang diperoleh daripada pihak saya daripada MOTAC (Ministry of Tourism, Arts and Culture), dan Yang Berhormat Bayu juga meminta saya menjelaskan secara terperinci peruntukan tersebut di mana digunakan. Saya pun mencari-cari dari mana angka RM7 juta yang YB. Bayu sebutkan. Jadi saya balik-balik fikir saya teringat lah, mungkin ada posting saya berkaitan saya ada menerima mock cheque yang bernilai RM6.135 juta daripada KSU (Ketua Setiausaha) MOTAC (Ministry of Tourism, Arts and Culture) yang telah berkunjung ke pejabat saya. Apakah benar itu yang dimaksudkan oleh YB. Bayu? Oh! Kalau itu, perlu saya memberi penerangan di sini. Untuk makluman YB. Bayu dan Dewan yang mulia ini, wang RM6.135 juta yang tertera pada mock cheque itu bukanlah untuk portfolio saya, jumlah berkenaan adalah peruntukan bagi permohonan projek fizikal bagi kerja-kerja Pemulihan, Pemuliharaan Ubah Suai dan Naik taraf atau pun singkatan dia kita sebut PPUN. Sebagai maklumat tambahan, PPUN (Pemulihan, Pemuliharaan Ubah suai dan Naik taraf) ini telah diperkenalkan oleh MOTAC (Ministry of Tourism, Arts and Culture) untuk membantu jabatan dan juga agensi-agensi Negeri dan juga Persekutuan untuk menambah baik infrastruktur bangunan pelancongan yang sedia. Permohonan PPUN (Pemulihan, Pemuliharaan Ubah suai dan Naik taraf) ini akan dibuka setiap tahun dan pihak MOTAC (Ministry of Tourism, Arts and Culture) akan memaklumkan kepada BPEN (Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri) dan pihak BPEN (Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri) juga akan menyalurkan maklumat ini kepada agensi dan juga jabatan-jabatan di negeri termasuklah ke PBT (Pihak Berkuasa Tempatan). Apabila BPEN (Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri) penerima permohonan daripada agensi, PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) ataupun semua jabatan-jawatan agensi ini,
BPEN (Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri) akan menyemak terlebih dahulu, yang memenuhi kriteria yang ditetapkan, juga menyusun. Menyusun apa? Menyusun dari segi keutamaan projek ataupun peruntukan yang dipohon. Dan untuk makluman juga, di BPEN (Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri) akan duduk bersama dengan MOTAC (Ministry of Tourism, Arts and Culture) negeri untuk menyusun keutamaan ini. Seterusnya permohonan-permohonan ini akan diangkat oleh MOTAC (Ministry of Tourism, Arts and Culture) negeri ke MOTAC (Ministry of Tourism, Arts and Culture) HQ, dari situlah pertimbangan yang dibuat daripada pihak HQ, dan apabila permohonan tersebut diluluskan, peruntukan akan disalurkan melalui EFT (Electronic Funds Transfer) terus ke akaun jabatan ataupun agensi yang mohon. Apa yang saya terima tu Yang Berhormat Bayu, hanyalah simbolik, tak lebih tak kurang, saya mengharapkan penjelasan itu pihak YB. Bayu berpuas hati, sedikit saya sentuh di sini, tidak ada lagi… (YB. Bayu mencelah)
YB. Tuan Speaker, bukanlah ni, nak tambah sikit saja. Terima kasih di atas penjelasan daripada YB. Kubang Rotan, yang mana kami ni sahabat salah faham sikit kut tadi kan. Cuma, RM6 juta ni adalah Program Pemeliharaan Pemulihan Ubah Suai Struktur Pelancong di kawasan yang terjejas. Cuma, lepas ni saya minta YB. Kubang Rotan dan juga kerajaan negeri tengok-tengok samalah di Baling, sebab infrastruktur pelancongan di Baling tu dah banyak yang uzur, yang banyak rosak. Semasa banjir melanda tempoh hari, banyaklah tempat-tempat pelancongan tu rosak, kalau boleh lepas ni utamakanlah sebab Baling ni sebagai apa ni, daerah ekopelancongan, kalau boleh utamakan yang tulah. Terima kasih banyak YB. Kubang Rotan atas penjelasan.
Dipersilakan YB. EXCO.
Terima kasih YB. Bayu. PPUN (Pemulihan, Pemuliharaan Ubah suai dan Naik taraf) ini permohonannya melalui agensi ataupun jabatan seperti PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) tu sendiri. Saya percaya, kalau peruntukan awal yang YB. Bayu maksudkan itu tidak ada daripada Majlis Daerah Baling, sebenarnya ada lagi senarai-senarai yang lebih apa, dilihat dan diberi keutamaan dari segi impak dia kepada ekonomi setempat dan juga produk tersebut. Dan untuk makluman YB. Bayu, PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) daripada Baling ni ataupun Majlis Daerah Baling ni antara Majlis Daerah yang paling aktif dan di antara daerah-daerah yang paling hebat dari
segi pelancongannya. Selepas Langkawi, saya boleh katakan di tanah besar ni adalah Baling. Jadi Baling perlu berbangga kerana duduk di kawasan yang aktif, yang melihat kesungguhan untuk membangunkan sektor pelancongan negeri, apapun terima kasih kepada YB. Bayu. YB. Tuan Speaker, semalam juga YB. Lunas ketika bangun membuat celahan membangkitkan soalan adakah kerajaan negeri di bawah portfolio pelancongan mempunyai Laporan Audit Kejayaan Tahun Melawat Kedah 2025. Terima kasihlah kepada YB. atas soalan yang bernas itu. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, memang tidak terdapat audit formal yang khusus bagi kempen Tahun Melawat Kedah 2025. Dan perkara ini bukan hanya berlaku di Kedah, malah merupakan amalan yang sama di negeri-nilai di Malaysia. Namun begitu, ketiadaan audit khusus tidak bermaksud ketiadaan mekanisme penilaian, kerajaan negeri tetap menilai prestasi kempen ini secara menyeluruh, berdasarkan data dan indikator yang sahih serta diiktiraf di peringkat nasional, antaranya termasuk lah data rasmi daripada DOSM (Department of Statistics Malaysia) dan juga MOTAC (Ministry of Tourism, Arts and Culture) yang menggunakan metodologi statistik standard dan turut diguna pakai oleh Kerajaan Persekutuan, dalam merangka dasar serta hala tuju sektor pelancongan negara. Selain itu, kerajaan negeri juga mengambil kira indikator sokongan industri seperti jabatan dan agensi-agensi kerajaan, pemain-pemain industri serta badan bukan kerajaan. Daripada sumber-sumber ini, kita memperoleh gambaran yang jelas dan berasaskan realiti lapangan terhadap prestasi kempen yang dilaksanakan. Apa yang lebih penting bukan semata-mata level audit, tetapi ketepatan data, keseragaman metodologi dan impak sebenar kepada ekonomi serta rakyat. Dalam hal ini, kerajaan negeri yakin bahawa angka-angka yang dibentangkan adalah berasaskan sumber yang berautoriti, telus dan boleh dipercayai. Justeru, Tahun Melawat Kedah 2025 dilihat, dinilai bukan sahaja memberi angka statistik, tetapi juga melalui kesan langsung kepada industri pelancongan, peluang ekonomi kepada rakyat dan peningkatan daya tarikan Negeri Kedah sebagai destinasi pelancongan. Yang lebih penting, TMK 2025 (Tahun Melawat Kedah) bukanlah kempen secara one off tetapi ia adalah permulaan kepada era baru pelancongan di Negeri Kedah, dan yang dijangka akan terus dirancakkan lagi pada tahun ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. YB. Tuan Speaker dan Ahli-ahli Dewan yang saya hormati, semalam juga YB. Kota Siputeh yang sentiasa berpandangan jauh turut bertanya mengenai sama ada kerajaan negeri melihat kemungkinan menjadikan Langkawi sebagai destinasi baru medical tourism (dengan izin) atau pelancongan kesihatan. Sebagai perkongsian dengan Dewan yang mulia ini, medical tourism adalah satu kluster pelancongan yang
telah lama berada di dalam industri ini. Namun begitu tidak semua negeri, mahupun daerah yang mempunyai kemudahan tersebut yang bertaraf antarabangsa, yang mampu menarik kunjungan pelancong-pelancong dari negara luar. Pelancongan kesihatan bermaksud aktiviti seseorang itu ke sesuatu destinasi, dengan tujuan utama untuk mendapatkan rawatan kesihatan, penjagaan perubatan atau meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental. Malaysia terkenal sebagai destinasi pelancongan kesihatan kerana mempunyai hospital yang moden, doktor pakar dan kos rawatan yang competitive berbanding negara lain. Di Kedah pula, kerajaan negeri dalam perancangan untuk menerapkan dua elemen utama iaitu perkhidmatan kesihatan moden, hospital, klinik, rawatan pakar serta tarikan alam semulajadi dan rekreasi, gunung, pantai, pulau, dan sawah padi. Kerajaan negeri juga melihat pelancongan kesihatan sebagai berpotensi besar terutama berasaskan alam semula jadi dan warisan selaras dengan trend global masa kini. Langkawi juga pada dasarnya mempunyai segala apa yang diperlukan untuk menjadi destinasi pelancongan kesihatan dan kita yakin ia akan bergerak ke arah itu apabila tiba masanya nanti. Dan mengenai YB. Kota Siputeh sebagai alternatif, saya melihatnya sebagai cadangan yang menarik dan wajar diberikan perhatian, dengan pandangan jauh dan iltizam yang kuat, gerak boleh disusun dan langkah boleh diatur. YB. Tuan Speaker, saya ingin merujuk kepada pertanyaan dari YB. Bakar Arang, mengenai perbezaan antara pelancong dan pelawat dan kemudian nak jelaskan juga beberapa perkara yang dibangkitkan oleh beliau. Untuk makluman YB. Bakar Arang, dalam sektor pelancongan ni secara amnya istilah pelancong biasanya merujuk kepada individu yang hadir ke satu-satu lokasi dan bermalam di kawasan berkenaan, manakala pelawat pula merujuk kepada pihak yang hadir singgah dan tidak menginap di kawasan tersebut. Kepada soalan YB. Bakar Arang sama ada definisi sebenar pelancong atau pelawat digunakan dalam pengiraan jumlah pelancong ke negeri ini, saya boleh katakan begini, kita mengambil kira semua aspek, kerana sama ada individu berkenaan seorang pelawat atau pelancong, mereka tetap hadir dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi di negeri ini. Sebab itulah kalau disemak balik semua ucapan-ucapan saya, baik di Dewan ini mahupun di mana juga, saya sering menggunakan istilah pelancong dan pelawat sebab kedua-duanya sama penting. YB. Bakar Arang juga mendakwa kononnya terdapat keraguan terhadap angka 7 juta pelancong sepertimana dinyatakan semalam. Kedah telah menerima sebanyak 6.9 juta pelancong dan 14.7 juta pelawat pada tahun 2024, yang dikeluarkan oleh DOSM (Department of Statistics Malaysia) pada Jun 2025.
Jadi YB. Bakar Arang, di mana peliknya angka 7 juta itu kalau tahun sebelumnya angka kehadiran pelancong memang dah cukup tinggi. Memanglah 7 juta pelancong itu persamaan dengan 20,000 sehari, kita memang tak nampak selonggok, selonggok depa tu macam kita nampak longgok buah durian lah YB. Bakar Arang. YB. Bakar Arang sendiri faham kut kita buat majlis kenduri kita tak kira tetamu cara selonggok macam tu, kita kira dari saat buka majlis sampai habis majlis. Ada ketikanya tak penuh khemah, ada ketikanya orang kata apa melimpah keluar khemah tu. Lagi satu, 20,000 orang tu sebuah negeri yang ada 12 daerah ni bukanlah banyak, lebih kurang 1,600 sahaja satu daerah.
YB. Kubang Rotan!
Dan kita kena faham bukan semua 20,000 itu pelancong luar… (YB. Tuan Speaker mencelah)
YB. Tokai bangun YB.
Ya?
Bagi laluan?
YB. Kubang Rotan boleh? Boleh ambil masa sikit?
Boleh! Boleh!
Terima kasih YB. Tuan Speaker. Saya tertarik apabila YB. Kubang Rotan menjawab soalan YB. Bakar Arang berhubung dengan jumlah pelancong ataupun pelawat.
Apabila kita menilai sesuatu tetamu yang datang tu terutamanya dalam industri pelancongan ni, kita kena ada kualiti dan juga kuantiti pelancong itu, terutama sekali bila YB. Kota Siputeh menyebut tentang apa perubatan medical tourism ni kan. Medical tourism ni antara apa, kualiti pelancong yang memberi banyak dana kepada sesuatu industri pelancongan itulah. Dan sekarang ni Pulau Pinang merupakan negeri yang mendapat hasil banyak dari segi medical tourism ni dan Langkawi dikatakan mempunyai potensi. Jadi bila sebut tentang potensi medical tourism ni dia mesti mempunyai rangkaian-rangkaian apa kita kata kemudahan yang lainlah, pertamanya kalau Langkawi mesti ada jalinan perhubungan ya, kita dah ada antarabangsa apa Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan juga masalah yang kemungkinan perlu diselesaikan adalah ambulans feri untuk pengangkutan medical emergencies ini. Jadi, apakah selama ini, setakat ini pihak EXCO mempunyai statistik berapa ramai yang datang dari segi kualiti pelancong yang sampai ke Negeri Kedah ini dan juga dari segi bermalamnya berapa malam depa duduk di Negeri Kedah ini dan saya mendapat keluhan daripada pelancong daripada Arab, terutamanya menggunakan feri ya, biasanya Arab ni dia bawa barang banyak, dia duduk banyak hari, barang banyak. Teksi kita yang ada di Kuala Kedah tu dia tak muat, dia terpaksa ambil 2 teksi untuk 1 keluarga, beg dia besar-besar, orang dia pun besar-besar kan. Jadi apa persediaan kitalah untuk menerima pelancong yang berkualiti ini bukan setakat kuantiti. Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Dipersilakan YB. EXCO.
YB. Tuan Speaker..
YB. Bakar Arang bangun YB.
Terima kasih kepada YB. Tuan Speaker. Terima kasih kepada YB. Kubang Rotan tadi menjelaskan berkenaan dengan perbezaan pelawat dan juga pelancong. Tapi saya lihat di sini sebab kalau kita bagi satu contoh macam semalam saya bahas, di mana kalau satu orang dia dari Kuala Lumpur dia just melepasi Kedah pergi ke Thailand, adakah itu kira sebagai pelawat? So, saya rasa dalam konteks terutama bila kita nak
kira berapa pelancong datang ke negeri kita, saya rasa memakai pelan jumlah pelancong adalah lebih sesuai. Okey, terima kasih.
Dipersilakan YB. EXCO.
Baik, terima kasih YB. Bakar Arang, terima kasih YB. Tokai. Dia macam ni, macam ni. Bila YB. Tokai tanya tadi, apakah persediaan kita dan sebagainya saya jawab YB. Tokai sekejap, sebab itu saya sering katakan bahawa tahun 2025 adalah tahun permula dalam usaha kita untuk merancakkan sektor pelancongan dalam negeri. Kita semua kena adil dengan diri kita, kalau kita compare dengan Penang, dengan Melaka yang mereka dah berpuluh tahun membuat persediaan itu. Sebab itulah bermula tahun lepas kita bersungguh-sungguh dengan harapan, jadi sambung dengan semangat itu pada tahun ini, sebab itu di antara yang berjayanya yang kita nak buat ini, kalau kita boleh di awal ni pun yang jawapan saya semalam tentang tourism mindset ini pun dah cukup hebat okey, kita nak perbetulkan dengan rakyat kita ini betapa pentingnya pelancongan ini dan kita nak melihat ianya adalah satu sektor ekonomi yang dapat memberi manfaat kepada semua orang, itu yang pertama okey. Dan juga, semalam juga ada kalau tak silap tanya tentang kelemahan-kelemahan. Kita memang mengakui kita dapat kenal pasti beberapa kelemahan dan inilah yang akan kita ambil tindakan, kita akan menambah baik dari semasa ke semasa dan juga permulaan daripada tahun lepas inilah kita mengharapkan lebih banyak lagi pelaburan dan berbalik kepada soalan dari YB. Kota Siputeh kita mengharapkan Langkawi juga akan menerima pelaburan khusus, kalau tentang tourism kesihatan ini nak bagi tahu. Jadi, saya harap sedikit sebanyak itu dapat jawab serba sikit. Dan kepada YB. Bakar Arang dan juga kepada YB. Tokai cakap tadi pelancong berapa malam yang tidur, bermalam di negeri kita ni. Kebetulan dua hari lepas, sebenarnya kita tengah menunggu statistik daripada DOSM (Department of Statistics Malaysia) berapa banyakkah pelancong dan pelawat yang masuk ke dalam Negeri Kedah ini dan juga daripada Tourism Malaysia, kebetulan 2 hari lepas Tourism Malaysia ada keluarkan statistik, yang ni kita boleh pakai statistik ni daripada Tourism Malaysia. Okey, kalau boleh saya bacakan di sini, bagi tahun ini kalau domestik yang duduk yang bermalam di hotel ini adalah hotel yang berdaftar dalam Negeri Kedah ini dengan Tourism Malaysia okey. 2025 jumlah dia adalah 3,121,208, tiga juta seratus dua puluh satu ribu okey, berbanding dengan 2024 iaitu 2.876 juta peningkatan dia. Kalau daripada segi foreigner pula tahun 2025 ini adalah 2,109,996 juta berbanding dengan 2024, 1,945,168. Makna kata ini adalah angka rasmi yang dikeluarkan oleh
Tourism Malaysia yang boleh kita guna tajuk ini, menunjukkan ada peningkatan, ini yang berdaftar dengan Tourism Malaysia. Masih banyak lagi tempat-tempat, homestay, hotel-hotel yang tidak berdaftar yang tidak dikira dalam ini. Berbalik kepada YB. Bakar Arang, YB. Bakar Arang saya duk terngiang-ngiang, seperti YB. Bakar Arang cakap semalam 20,000 satu hari ini. 20,000 satu hari ini, kita kena faham bukan semua 20,000 itu pelancong luar, duk karang tadi ni, ia termasuk pelancong atau pelawat domestik, contohnya orang YB. Bakar Arang buat rombongan pi buat lawatan di port Padang Garam Kubang Rotan, depa tak bermalam di sana, lepas tu depa makan Gulai Temenung di Kuala Kedah. Depa juga dikira sebagai pelawat kerana mereka melancong, depa mai nak tengok keindahan kawasan Kubang Rotan ni, depa juga dikira sebagai pelawat, sebagai contoh.
5 minit lagi Yang Berhormat.
Hah?!
5 minit lagi!
5 minit lagi? Banyak lagi YB. Tuan Speaker!
Kerat lah, kerat.
Nak kerat noh? Okey. nak kerat senang saja YB. Tuan Speaker, nak karang ni yang payah. Tak apalah saya kerat noh. Okey tak apalah saya kerat terus lah. Ingin saya nyatakan kepada YB. Bakar Arang dan seluruh Ahli Dewan yang mulia ini, bahawasanya impact kepada perbelanjaan pelancongan ini amat besar kepada Negeri Kedah kerana ia memberi kesan langsung kepada penduduk negeri ini, kerana transaksi aliran kewangan ini berlaku secara terus kepada rakyat berbanding industri lain yang pendapatannya berada di ruang lingkup di sekeliling mereka terlebih dahulu. Saya terus jump tu, pendapatan kita sekitar RM7 bilion itu.
Sahabat kita YB. Kuah semasa membahaskan Titah Diraja semalam turut menyentuh beberapa perkara yang melibatkan Pulau Langkawi dengan sektor pelancongan. Antaranya status daripada cukai, keperluan menaik taraf terminal feri, akses ke Langkawi dan jadual perkhidmatan feri yang tidak menentu. Saya bersetuju dengan YB. Kuah bahawa kebanyakan perkara ini merupakan isu-isu sama dan lama yang dibangkitkan setiap tahun. Namun, kerana sebahagian besarnya pada di luar bidang kuasa kerajaan negeri, apa yang boleh kita lakukan hanyalah terus bersuara mengenainya sehingga ada yang mendengar suara kita inilah. Dalam hal ini, saya rasa nak sentuh sikit mengenai perkhidmatan feri yang sememangnya terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Saya berpandangan bahawa langkah-langkah drastik perlu diambil bagi menangani isu ini dalam erti kata sebenar. Pertama perspektif kita terhadap perkhidmatan feri di Langkawi perlu diperbetulkan. Bagi Langkawi, feri bukan sekadar sebahagian daripada produk pelancongan, ia sebenarnya merupakan pengangkutan awam yang menjadi nadi kehidupan penduduk-penduduk di pulau itu. Jadi operasinya tidak boleh sepenuhnya berorientasikan perniagaan, kerana ia juga adalah tentang perkhidmatan kepada rakyat. Apabila tentang perkhidmatan kepada rakyat bermakna, aspek keuntungan komersial menjadi perkara kedua. Cara perlu dicari dan langkah perlu diambil bagi memastikan perkhidmatan itu terus berjalan lancar kerana ia adalah hak rakyat untuk menikmatinya. Mengenai usaha mempromosi Langkawi, kita di peringkat Negeri Kedah telah melakukan segala yang terdaya sesuai dengan kedudukannya sebagai permata negeri ini. Pihak LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi) juga setahu saya melakukan usaha yang sama, namun saya bersetuju dengan YB. Kuah bahawa seiring dengan berjalannya Tahun Melawat Malaysia 2026 yang sedang berlangsung sekarang usaha mempromosi Langkawi di peringkat global harus dilipatgandakan. YB. Tuan Speaker dan Ahli Yang Berhormat, akhir sekali izinkan saya menyentuh satu perkara yang mungkin tidak tertera dalam mana-mana laporan rasmi, tidak diukur oleh statistik dan tidak dinilai melalui angka-angka peruntukan tetapi hakikatnya merupakan asas paling penting dalam kejayaan sektor pelancongan negeri kita, iaitu mindset dan jiwa kita sebagai rakyat negeri ini. Kita boleh merancang pelbagai program, meluluskan peruntukan sebanyak yang mampu, membina infrastruktur yang hebat, dan melaksanakan kempen promosi yang agresif, namun semua itu tidak akan membawa makna yang sebenar sekiranya kita sendiri tidak mempunyai tourism mindset yang betul. Dari sudut psikologi saya percaya bahawa kekuatan sebenar sektor pelancongan bukan terletak pada wang ringgit semata-mata, tetapi kepada sikap kefahaman dan kesediaan rakyat untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan itu
sendiri. Apabila rakyat kita mesra, bangga dengan negeri sendiri, menjaga kebersihan, menghargai warisan dan melihat kehadiran pelancong sebagai satu peluang, maka di situlah sebenarnya kita sedang membina kekuatan yang tidak boleh dibeli dengan apa juga peruntukan sekali pun. Saya juga nak ambil kesempatan ini, untuk merakamkan setinggi tahniah kepada Penganjuran Bendang Antarabangsa Matang Kenanga. Pesta Bendang Antarabangsa Matang Kenanga yang telah dianjurkan pada 9 hingga 11 hari bulan, yang dianjurkan oleh Daerah Kubang Pasu yang mendapat liputan luas media tempatan dan antarabangsa dan juga berjaya, mengangkat budaya Kedah di peringkat antarabangsa, yang mana program tersebut telah melibatkan 22 buah negara. Jadi tahniah, terutama adalah kawasan YB. Ayer Hitam, YB. Ayer Hitam sentiasa memberi sokongan penuh kepada program kebudayaan yang macam tu, tahniah saya ucapkan. Sebab itu saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Kedah marilah kita terus menyuburkan tourism mind ini, jadikan dia sebagai satu budaya, satu cara hidup, satu pemikiran bersama. Jangan kita lihat pelancongan ini hanya sebagai tanggungjawab kerajaan atau agensi semata-mata, hakikatnya setiap daripada kita adalah duta kepada negeri ini sama ada kita sedar ataupun tidak. Jika mindset ini dapat kita kekalkan dan perkasakan, saya yakin apa juga cabaran yang datang sektor pelancongan Kedah akan terus berkembang dengan lebih mapan dan berdaya tahan, kerana akhirnya pelancongan bukan sekadar tentang tempat yang kita ada, tetapi tentang bagaimana kita mempersembahkan negeri ini kepada dunia. Dengan segala usaha yang telah dan sedang dilaksanakan dengan sokongan padu daripada semua pihak serta dengan semangat dan iltizam rakyat negeri ini, saya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa sektor pelancongan Kedah akan terus melonjak ke tahap yang lebih membanggakan. Dan insya-Allah, Kedah bukan saja akan kekal sebagai destinasi pilihan, tetapi akan muncul sebagai antara pemain utama dalam industri pelancongan negara dan serantau. Akhir sekali, saya dengan ini menyokong dan menjunjung Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh. YB., lebih seminit saja, tak pa. Seterusnya dipersilakan YB. Suka Menanti. Dipersilakan.
A’uzubillahi minassyaitonnirajeem Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Alhamdulillahirrabbil ’alamin wassalatu wassalam mua’ala asyrafil anbiya’i wal mursalin wa’ala ‘alihi wasohbihi ajma’in. YB. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman, Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Pegawai Negeri Kedah, Yang Berhormat Penasihat Undang-undang, Pegawai-pegawai Daerah, Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, seterusnya hadirin yang dihormati sekalian. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wa ta'ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita masih lagi dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah rakyat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari ini dengan keadaan sihat walafiat. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun, izinkan patik mengambil kesempatan ini untuk merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman di atas Titah Ucapan Sempena Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Ke-15 pada 13 April yang lalu. Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah telah memberi panduan serta arah tuju yang jelas kepada patik-patik semua dalam melaksanakan amanah memakmurkan Negeri Kedah Darul Aman khususnya dalam usaha meningkatkan produktiviti hasil padi melalui inisiatif tanaman padi 5 kali 2 tahun, pembangunan benih padi yang lebih bermutu tinggi dan juga skim penanaman padi dan estet serta pengurusan sumber air yang lebih efisien agar kelangsungan sektor pertanian dapat diuruskan secara mampan. Juga agar negeri Kedah benar-benar menjadi “Jelapang Padi Negara”. Patik menurut perintah. Seterusnya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah di atas kepemimpinan yang jelas, komited dan berwawasan dalam memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Tidak lupa juga kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan dengan penuh tanggungjawab, memberikan pandangan, teguran, serta cadangan yang membina demi membangunkan Negeri Kedah yang kita cintai ini. Ada tanaman baru pulak timbul, taugeh pulak, kiqa duk cakap pasai taugeh pulak hari ni (sambil ketawa). Berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat, pihak kerajaan negeri telah dan sedang mengambil langkah proaktif dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan dan pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian yang menyeluruh dan berkesan.
Seterusnya, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jentera pentadbiran negeri yang diketuai oleh Yang Berhormat Datuk Seri Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang selama ini telah bertungkus-lumus dalam merangka serta melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi memastikan rakyat Negeri Kedah mendapat bantuan dan manfaat yang sewajarnya yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan. Saya berharap, semangat kerjasama ini akan terus dikekalkan demi memastikan segala dasar dan inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar, efisien, dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada seluruh rakyat negeri ini, insya-Allah. YB. Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, menyentuh berkenaan dengan isu padi. Panaih ni pasai padi. Semua cakap pasai padi, pasai negeri kita ni Jelapang Padi. Cerita soal padi ni YB. Tuan Speaker, letih dah. Pada pesawah petani kita ni, letih dah. Minyak dekat tiga empat ringgit pun depa mengah dah, senak dah. Ni tambah minyak RM6.72, perasan pakat cirit dah puak tu… (YB. Tuan Speaker mencelah)
Mabuk terus!
Ada. Penat habis dah, tinggal tak pengsan rebah dalam bendang saja. Depa nak hempuk apa lagi atas kepala pak bendang kita pun tak tau, wallahualam, macam-macam dah. Seperti disebut YB. Tokai, di Langkawi, tempat YB. Tuan Speaker sendiri, lebih seribu lebih pesawah dah buat pengumuman tak mau buat bendang dah. Tak kata kat depa la YB. Tuan Speaker, kalau kita pun kita tak mau buat bendang. Sapa nak buat bendang kalau rugi? Sapa pun dalam Dewan ni takkan mau meniaga aih, takkan mau buat benda yang merugikan. Takkan! Tanya lah sapa pun, kut-kut ada soqang yang boleh angkat tangan nak meniaga apa yang rugi, mau ka? Tak dak sapa mau aih! Kadang-kadang jadi terpikiaq juga ni, hangpa pikiaq macam mana ni? Oqang buat bendang, bendang ni tanam padi, padi tu menghasilkan beras, beras tu dimakan oleh seluruh rakyat di negara kita ni! Beras ni adalah makanan asas. Siapa-siapa tadi dah ada yang pekena dua tiga bungkus nasi lemak, nasi jugak. Lepaih kena nasi lemak, depa keluaq pulak makan tengah hari, nasi lagi. Satgi malam depa tibai nasi lagi, makan malam. YB. Sidam berapa bungkuih hari ni? YB. Kuala Ketil 4 bungkuih nasi lemak (dewan tertawa)..haa kan, makan pulak nasi. Balik malam satgi tak makan, orang rumah tanya, “eh, makan tang mana pulak ni tak makan di rumah?” Jadi kena makan pulak. Sat lagi pukul 10:00 pukul 11:00 ada kawan pula telefon, “eh hang duk buat apa ni, jom pekena nasi mamak”. Nasi lagi! Pagi, petang, siang, malam makan nasi. Nu, orang yang duk buat bendang menyediakan beras
untuk kita tu, depa sekarang ni tertekan! Tidoq tak lena! Berapa ramai dah tu yang jumpa saya, “YB. kami musim ni, kami tak mahu buat dah”. Saya tanya pasal apa? “Makan modal!” Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, untuk mengeluarkan atau menghasilkan satu tan satu matrik tan padi, kos dia RM1,500. Kilang beli berapa duit? RM1,500 juga! Bawak hasil balik asal. Tak tau la Siam kata apa kan? Nang putinang kui patikui. Siapa nak buat? Tak ada siapa nak buat aih! Nu, tengah matahari lit-lit nu, turun pi buat bendang. Sudah tu, bukan boleh buat hari ni macam YB. Kubang Rotan kata tanam taugeh tu. Ni nak kena tunggu empat bulan, empat bulan setengah baru dapat hasil. Kut celah tu tikus mai lah, segala serangga mai lah, padi angin lah, padi rebah la apa semua, tak tentu lagi, kemarau lagi. Taugeh tak palah kan, 3 hari saja. Nak kena tengok pula, peqasan ini tanam taugeh pula kut. Haa.. kan? Dan depa minta tu bukan minta yang bukan-bukan, minta untuk depa ni nak survive saja, supaya depa buat bendang tak rugi! Bukan nak minta supaya depa boleh beli kereta Mercedes, dak! Bertahun dah depa merana, bertahun dah! Ni Alhamdulillah, dengan peruntukan yang sedikit yang bawah portfolio saya, saya bagi tu, mesin kisar padi. Seronok YB. Tuan Speaker, “Alhamdulillah, terima kasih YB, lama dah kami tak boleh rasa ni beras yang kami tanam ni selama ni. Ada mesin kisar padi ni boleh pi kisar padi yang kami tanam, dapat kami rasa beras kami, lama dah kami tak rasa”. Itulah antara usaha-usaha kerajaan negeri nak bantu petani pesawah, nak bagi depa seronok sikit. Depa pun nak rasa nikmat macam kita juga rasa macam ni. Pakat boleh ada kereta masing-masing, depa pun nak juga, bukan depa tak mau, sapa tak mau. Ni orang buat bendang, baru-baru ni depa pernah buat perjumpaan secara aman, bukan buat demo pun, nak minta kerajaan tengok balik, apa bantuan yang patut dibagi dengan kenaikan harga minyak yang mendadak. YB. Tuan Speaker, Kerajaan Pusat boleh naik harga minyak dalam tempoh sebulan saja kan? Dekat sekali ganda, tapi harga jualan padi jenuh! Pesawah-pesawah jenuh nak kena pi minta! Merayu! Tu pun naik daripada RM1,300, naik RM200, pi sampai RM1,500. Mana nak cukup nak cover modal dengan kenaikan kos yang begitu tinggi, takkan boleh cover aih! Jadi YB. Tuan Speaker, saya merayu lah bagi pihak petani pesawah kita ni, pihak Kerajaan Pusat tengok balik betul-betul. Perkara ni bukan kata berlaku tahun ni, dah bertahun dah, benda ni, isu orang buat bendang ni isu lama. Tapi masalah-masalah yang agak serupa berulang kali berlaku. Seperti yang disebut YB. Jitra, tengok perancangan tu kita kena ada, perancangan yang menyeluruh. Bukan bila timbul masalah, baru nak bincang segala masalah. Kena ada satu perancangan yang menyeluruh dalam industri padi. Ni, padi ni seperti yang saya kata tadi, orang duk makan nasi tiap-tiap hari. Bukan kata makan nasi bila nak raya saja, dak! Tiap-tiap hari orang makan nasi, tengok, makanan asas seluruh rakyat Malaysia. Bukan kata Kedah saja, dak. Kut kata orang Suka Menanti saja sukan makan nasi, dak, Satu
Malaysia makan! Ni tengok, perancangan menyeluruh untuk kita memartabatkan petani pesawah kita agar depa boleh merasa sikit nikmat. Baru-baru ni perbincangan diadakan dengan Ahli-ahli Parlimen pembangkang diketuai oleh Ketua Pembangkang, dengan pesawah-pesawah. Salah satu cadangan agar harga padi dinaikkan kepada RM3,000. Apa salahnya? Apa saalahnya? Bagi la depa qasa seronok sikit. Dan saya rasa berbaloi, pasai atas usaha depa, bukan tanam taugeh, tanam taugeh tak pa lah duk dalam rumah boleh tanam taugeh. Ni nak buat bendang, nak kena mengala, lepas mengala kena buat apa lagi? Bukan kata buat dalam bilik aircond. Tu! Tengah panas melit lit. Meqelit dah orang Kedah ni yang buat bendang, mana ada yang macam, YB. Sungai Limau tu, tak dak. Duk jemur tengah panas. Saya pun dulu cerah la sikit, peqasan duk turun bendang kut peqasan, tapi tak pa lah kan, dah berumur ni sapa pun tak ambil peduli dah (sambil ketawa). Jadi Yang Berhormat, saya merayu kepada pihak kerajaan dan yang berwajib. Tengok balik betul-betul, tengok lah sama ada, saya berterima kasih pada Kerajaan Pusat dan pihak kementerian. Ni depa hantaq mai ni, berita baik meluluskan, Kerajaan Pusat ada berita baik bantuan tambahan kerajaan Madani. Tapi tengok lah, saya pun dapat berita dan komen daripada pesawah-pesah, depa kata, “ni ada nak cukup”. Ada nak cukup. Tengok balik jentera-jentera yang tak dapat plat kad tu, nu kubota, pam air, trektor harvester, nu lori hat angkut padi tu, depa bukan pakai air sejuk, haa, tengok balik. Yang hat pengusaha sayur di Cameron Highland, oh, cepat dapat! Dalam masa dua minggu ka, tak sampai tiga minggu kut dah dapat plat kad. Dan terima kasih saya ucapkan kepada pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri), baru-baru ni kata ada sesi dialog antara petani pesawah, bersama dengan pihak KPDN dan agensi-agensi kerajaan. KPDN bagi kelonggaran sikit lah untuk memudahkan petani pesawah dan pemilik-pemilik jentera untuk mendapat permit nak beli diesel melebihi 20 liter dan juga kita minta, antara rungutan orang yang ada jentera ni depa kata stesen minyak yang ada bekalan ni ataupun yang dibenarkan pihak KPDN, tak banyak. Kadang-kadang satu kawasan, satu stesen minyak saja. Jadi kita minta banyakkan, sebab kalau stesen tu habis minyak, orang nak mengerat padi bukan boleh tunggu, depa kerja siang malam, bawa harvester tu. Takkan depa nak tunggu pagi esok, depa pun ligan trip juga. Jadi, tengok balik benda-benda macam ni, supaya tak lah menjadi rungutan dan rayuan petani pesawah kita saban tahun. Cari jalan dapat penyelesaian untuk selama-lamanya, supaya kita dapat mempertingkatkan, memperkasakan dan memartabatkan industri padi kita ni. Kita dulu ni hebat daripada Siam, hebat daripada Indonesia. Saya pi melawat Indonesia, depa sana dapat menghasilkan benih padi ataupun variety padi yang boleh menghasilkan 15 tan satu hektar, YB. Tuan Speaker. Kita kut ni nak boleh pi 6 tan pun gagah, average 5 saja. Dan antara usaha kerajaan negeri untuk menghasilkan benih
padi yang elok untuk kita bekalkan kepada petani pesawah adalah kita bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan; antaranya UPM (Universiti Putra Malaysia), UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), UiTM (Universiti Teknologi MARA), Agensi Nuklear di atas sebidang tanah yang telah diluluskan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan kita ni untuk kita jadikan tapak ujian. Dan Alhamdulillah untuk makluman semua para hadirin, musim lepas, benih terbaik dapat menghasilkan 5.7 tan satu hektar. Musim pertama, sorry, musim pertama, ujian. Dan Alhamdulillah ujian pada musim kedua peningkatan 2 tan per hektar, dapat 7.7 tan. Ni saya perasan kalau orang yang buat bendang dengar ni saya perasan duk “geli” dah nak minta pasal hat 5.7 tan pun pakat telefon saya tak sangka dah, “YB. kami nak benih tu”. Saya kata, “benih tu tak boleh pakai tu, benih ujian lagi tu tak dapat kelulusan, kena dapat kelulusan dulu, DNA la apa semua”. Kelulusan tu nak dapat, kelulusan MARDI untuk satu-satu variety YB. Tuan Speaker, bukan macam balik tanam taugeh tu, bukan dua tiga hari. (Dewan ketawa) Kena 13 musim. Haa, 13 musim. Berapa tahun, YB. Jitra? YB. Jitra cekap kali-kali. 6 tahun setengah! Baru boleh dapat kelulusan, variety baru. Dan YB. Tuan Speaker, negara kita ni bila mengumumkan variety baru, baru-baru ni kementerian dah umumkan dah, berapa jumlah variety baru yang diumumkan? Satu. Ingat dak? Kan? Berbanding dengan Negara Thailand, sekali umum variety, 30 variety baru depa umum, sekali umum. Jadi, di situ kita boleh tengoklah di mana kedudukan kita berbanding dengan negara jiran-jiran kita. Lepas tu nak ligan depa macam mana? Kita bercakap tentang keterjaminan makanan. YB. Tuan Speaker, untuk makluman semua juga, dengan keluasan sawah bendang yang kita ada di Malaysia ni, kalau kita urus dengan baik, dengan efisien, sebenarnya YB. Tuan Speaker kita tak gaduh import sebiji beras pun, YB. Tokai ni nak habaq bagi. Tapi ingat hari ini, kita masih mengimport lebih daripada 50 peratus keperluan beras negara. Tang mana tak kena, wallahualam. Jadi siapa yang bertanggungjawab yang berwajib, sila tengoklah. Kita boleh buat, orang pesawah petani ni tak penyegan depa rajin, saya tau saya turun bendang, dulu memang saya tak pernah turun bendang, dulu kecik-kecik turun bendang pun tangkap ikan, ikan karin ka, hat tu saja. Tak pernah menanam pun. Biasa kan tunggu musim hujan, bila hujan boleh ligan burung dalam bendang, pasal burung bila sayap dia basah, mudah sikit tangkap. Itulah tu masa kecil dulu main dalam bendang, balik kena tibai la. Jadi tengok balik macam mana. Kalau kita duk macam ni juga tahap kita macam ni, jenuh. Sekiranya berlaku apa-apa. Dan satu lagi saya nak highlight di sini ya, (dengan izin) YB. Tuan Speaker, dalam hal padi ni kan, bila cakap saya padi ni perasan sehari sembang tak habis kut kalau pasal padi ni.. Kita bukan ada stockpile padi kita. Ni saya nak tanya semua para hadirin,
tang mana stockpile padi kita? Tolong habaq kut-kut ada siapa ada yang tau. Dulu masa zaman LPN (Lembaga Padi dan Benas Negara), semua tau tang mana simpanan padi kita, ada gudang di Anak Bukit. La tang mana, cuba habaq mai untuk Negeri Kedah kita? Saya biasa bertanya kepada seorang pegawai, dia kata, “kami telah menulis surat atau bagi arahan kepada semua kilang-kilang beras untuk menyimpan 20 peratus daripada apa yang ada di kilang depa sebagai stockpile”. Saya kata, “gak-agak lah kut… puak tu berniaga, orang yang meniaga takkan nak simpan stok lama-lama. Ada orang nak mai beli, depa jual la. Takkan kita nak letakkan keterjaminan makanan kita dengan stockpile tu kepada pengilang-pengilang. Ini kita kena tengok balik. Begitu juga dengan benih padi. Petani pesawah kita ada pilihan banyak ka? Nak tanya ni, kut YB. Tuan Speaker buat bendang, cuba habaq mai tengok. Apa pilihan depa tentang benih padi? Padi ni kalau kita dapat hasil yang elok, dia bermula daripada benih, maaf, mula daripada tanah, kalau tanah elok, kalau tanah tak elok bubuh benih elok pun tadi juga. Tanah masam ka apa ka. Benih ni penting. Kalau benih tak elok, jenuh tabur baja la, betul dak YB. Pantai Merdeka? Jenuh tabur baja. Haa, jenuh tabur YB. Tuan Speaker. Rata-rata saya pi, ni YB. Kota Siputeh boleh setuju dengan saya, rungutan daripada pesawah tentang benih padi, berapa lama dah depa duk urus ini, depa duk complaint ni pasal benih padi. Itulah pada suatu ketika dalam Dewan yang mulia ini juga, saya telah mencadangkan pada pihak-pihak kementerian, tengok balik, Sistem Subsidi Benih Padi Sah. Yang duk ada la ni, skim subsidi tu, kerajaan bagi kepada kilang. Di Kedah/Perlis hanya empat kilang sahaja yang dibenarkan, ataupun yang dilesenkan untuk terima subsidi benih padi sah ni. Antaranya, satu MADACorp. (Syarikat Perniagaan Peladang MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) Sdn. Bhd.), hat lain tu pihak swasta. Jadi lebih kurang 80,000 pesawah yang ada di Kedah ni, empat syarikat ni saja la yang boleh dapat harga benih padi subsidi, empat syarikat ini saja. Makna kata tak dak pilihan sangat! Walhal, semasa saya buat lawatan pi Cambodia, pesawah ikut dia nak beli tang mana, nak buat benih sendiri pun buat lah, elok pun beras depa. Beras Cambodia ni Vietnam pun beli, Siam pun beli, YB. Tuan Speaker. Haa padi Cambodia tu. Dan hantar mai ke negara kita juga. Di sana orang buat bendang boleh buat benih sendiri saja, tak ada ketat sangat macam kita sini, buatlah. Walhal tok nenek moyang kita ni pun buat benih kita sendiri saja, tu pun boleh dapat hasil, boleh pi Mekah, boleh hantar anak mengaji masuk universiti. Ha, masa dulu ni yang paling ramai bayaq zakat ni orang buat bendang lah, betul YB. Pantai Merdeka? La ni,... (YB. Tuan Speaker mencelah)
5 minit lagi YB.
Jadi, takat tu lah saja saya nak menggambarkan suasana padi kita, suasana pesawah kita, suasana bendang kita, walaupun Negeri Kedah ini dapat gelaran “Jelapang Padi”. Jadi, saya mengharap Kerajaan Pusat, jangan sayanglah nak lempar duit mai sini. Depa boleh bagi kat Pulau Pinang berapa billion, YB. Kota Siputeh? Tadi sapa sebut tah, YB. Tanjung Dawai ka? Yaa? RM17 billion! Ni Negeri Kedah ni, yang menghasilkan padi terbanyak di Malaysia! Hangpa nak sayang apa, mai lempaq duit kat kami, kami bukan nak joli! Kami nak tanam padi supaya dapat menghasilkan beras, supaya semua pakat boleh makan! Bukan kami nak joli! Kami tak mau aih RM17 billion, tak payah. Mai setengah pun cukup dah, pada dah. Jangan takut ketirisan, kita ada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang penuh jujur dan amanah! Kita ada Ketua Pentadbiran Negeri Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan yang penuh berwibawa! Ni kita ada Pegawai Kewangan Negeri yang baru, saya kenal dia lama dah, sampai hari ini ni duit sekupang tak boleh makan lagi duit dia. Tu hangpa jangan duk tuduh ketirisan di Kedah ni tak dak aih, depa jaga duit hampa tengok, tu dia genggam tu. Jadi jangan sayang, jangan duk fikir banyak, lempar mai duit kat kami, banyak-banyak. Kami tak mahu semua, RM17 billion banyak sangat kut, sat lagi kita tak tau nak buat apa kan? Mai setengah pada tu pun pada dah. Tengok, macam mana kami nak buat bendang. Insya-Allah, kalau kata bagi banyak tu peruntukan, saya rasa orang buat bendang ni boleh buat kenduri besaq dah. YB. Tuan Speaker, ... (YB. Tuan Speaker mencelah)
YB. Suka Menanti, boleh buat penggulungan.
Baik, terima kasih. Masuk-masuk mai dia suruh kita gulung terus (sambil ketawa). Kena jadi macam YB. Kubang Rotan juga lah, kena kerat jugak lah nampak gaya. Jadi itu lah, saya pun tak mau nak beletiaq banyak sangat, pasai ni, kita sebut lah tentang, Tuanku Sultan sebut tentang estet padi, hal ni pun kita duk usaha buat estet padi. Yang kita uruskan dan kita usahakan di bawah portfolio saya yang kita buat di Tobiar 50 ekar, dan kita pulihkan balik sawah padi Langkawi lebih kurang 50 ekar juga. Ini adalah dengan menggunakan kaedah estet lah, kerana kita dapati kalau kita buat bendang kecik-kecik ni 4 ke 5 relung ni, tak boleh pi ke mana. Jadi kita buat estet
padi. Alhamdulillah, pihak Zakat pun buat, pihak Jabatan Pertanian pun ada buat, Lembaga Penanam Padi pun ada buat, depa buat kerjasama dengan syarikat swasta di Tikam Batu dekat Kampung Padi. YB. Tuan Speaker biasa pi kut? Biasa? Tak biasa nak bawa pi.
Cuma YB. Suka Menanti, saya nak tanya satu. Daripada hari mula sampai hari ni, saya duk tengok isu padi ni banyak dibangkitkan oleh Yang Berhormat semua. Jadi, selaku EXCO Pertanian ni, ada dak pernah terdengar mungkin ada cadangan untuk nak tukar daripada makan nasi pi makan kentang ka apa, tak dak? Ada?
YB. Tuan Speaker, nak makan taugeh pun tak berapa mau dah, ada yang sebut makan taugeh makan dengan sudu pun ada dah. Duk biasa makan nasi YB. Tuan Speaker, orang kita ni kalau tak makan nasi sehari, perasan, melainkan lah bulan Ramadhan depa tak makan lah, tu pun malam cari nasi jugak buka puasa. Depa tak cari bihun, depa tak cari ubi aih, cari nasi juga. Pi lah majlis buka puasa tang mana pun, dia jamu nasi, dia tak jamu ubi. Makanan asas, tok nenek moyang kita, dulu kita pun saya rasa YB. Tuan Speaker dulu pun mak duk suap lenyek tu. Haa dari dulu… (YB. Tuan Speaker mencelah)
Jadi memang tak boleh tukaq la noh?
Tak boleh dah, tak upaya. Perut ni memang tak boleh pi dah. Pi ngaji luar negara pun cari nasi juga. Tak upaya. Jadi YB. Tuan Speaker, isu padi ni saya harap dapat lah pembelaan yang sewajarnya daripada pihak Kerajaan Pusat kerana duit duk ada kat depa, kelulusan duk ada kat depa. Maksud saya macam contoh, kita buat bendang, kita tanam padi, tapi nak jual padi pun tak boleh nak letak harga, tak boleh! Harga depa tetapkan. Tapi kalau tanam pelam, YB. Tuan Speaker ada tanam pelam kan? Boleh jual ikut suka kan harga berapa duit? Hat tanam cabai pun boleh letak harga. Padi boleh buh harga berapa duit? Boleh buh RM1,800? Tak boleh. Kilang tak beli. Pasai itu harga kawalan. Ada YB. yang bangkitkan isu kehilangan beras tempatan kan? Kes tu la. Bila kilang beli harga mahal, dia nak cover kos dengan apa? Harga jualan terkawal, kalau dia jual dengan harga kawalan beras tempatan, dia makan modal dia rugi, dia bubuh kampit asing la. Dia jual dengan harga beras import. Nak cover balik, sebab tu yang beras tempatan pada suatu ketika tak ada di pasaran.
Jadi itulah, saya nak gulung balik. YB. Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, segala isu dan cadangan yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat akan diteliti secara menyeluruh dan diambil tindakan sewajarnya. Saya juga YB. Tuan Speaker, banyak yang dibahaskan tentang subsidi ni. Jadi nak landing ni saya nak bagi serangkap pantun. Pasal banyak cakap pasai subsidi, saya banyak duk complaint pasal subsidi, pantun saya bunyi begini; Negeri Kedah Jelapang Padi, Hijau kuning sejuk di hati, Toksah duk kalut lah pasal subsidi, Hangpa hantar mai duit dekat kami kami urus sendiri. Hantaq mai tengok. Hampa nak tengok macam mana kami urus, hampa hantaq mai duit. Ni duit tak berapa nak ada, nak urus macam mana. Tak begitu ka, YB. Bayu? Di sini juga, saya ingin mengambil kesempatan untuk menjemput seluruh para hadirin, kita akan mengadakan satu Festival Harum Manis D’Aman. Takdan nak sembang pasal pokok lain pun taugeh pun pecah sikit saja, sembang pasal padi yang banyak, yang getah pun YB. Bayu bangkit pun takdan nak cakap, nanti sembang lain nah, pm (Personal Message) tepi lah noh? Jadi kita akan mengadakan, sebab kita nak memartabatkan, kita nak mempromosikan Harum Manis Kedah ni D’Aman yang semakin mendapat permintaan. Singapore sekali order 5 tan YB. Tuan Speaker, sekali order. Tapi kita tak cukup nak supply, permintaan Harum Manis. Baru-baru ni saya bersama dengan YB. Sungai Limau, kita pi Festival Mempelam di Sala. YB. Sungai Limau sendiri tengok berapa banyak permintaan, jualan laris. Insya-Allah, saya menjemput pada hadirin semua ke Festival Harum manis D’Aman Kedah yang akan berlangsung pada 30 April sehingga 3 Mei di tapak mempelam di Jalan Alor Mengkudu. Jadi mai lah beramai-ramai, noh YB. Derga mai la dekat saja, tak mai kami cari di cari di rumah. Akhir kata, saya dengan penuh takzim menjunjung kasih dan menyokong sepenuhnya Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang amat kita kasihi. Sekian, terima kasih. Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih YB. Suka Menanti, sama-sama kita doakan semoga sektor pertanian akan terus berkembang maju di bawah kepimpinan Yang Berhormat EXCO. Seterusnya saya menjemput YB. Kuala Ketil, dipersilakan. Masa yang diberi 30 minit sahaja.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassalatu Wassalamu ‘Ala-Asyarafil Anbiya’e Wal Mursalin Wa’ala Alihi Wasahbihi Ajma’in, Salam Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua. Terima kasih YB. Tuan Speaker, yang saya hormati Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Kedah Darul Aman, yang saya hormati Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sahabat-sahabat Ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan, agensi yang dikasihi Allah SWT dan terima kasih kepada YB. Tuan Speaker kerana beri ruang dan peluang kepada saya untuk membuat penggulungan pada petang ni. Kita dengar dah isu taugeh, isu padi, giliran sayalah tiada isulah, tak berapa panas sangat macam tahun lepas. Yang tahun lepas panas sangat spin pun sampai 3,4 hari juga. Nasib menang juga di Sabah tu. Ta buat isu panas dah kali ni kira baca teks saja hari ini, YB. Tuan Speaker, boleh eh? Hangpa jangan menyampuk saja, menyampuk dia spark terus (ketawa kecil). Alhamdulillah, saya ingin panjatkan sepenuhnya kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia izin dan rahmat dapat kita bertemu dalam sidang kali ini. Sebelum saya membuat penggulungan berkenaan isu-isu yang berbangkitkan, izinkan saya menzahirkan rasa hormat merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas Titah Tuanku yang penuh hikmah berwawasan dan menyentuh jiwa rakyat sekalian. Sesungguhnya Titah Tuanku bukan sekadar peringatan malah merupakan panduan yang amat bernilai dalam memastikan kesejahteraan negeri dan kemakmuran rakyat terus terpelihara. Setiap amanat yang dizahirkan mencerminkan keprihatinan Tuanku terhadap pembangunan negeri, perpaduan rakyat serta kelangsungan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan usul menjunjung kasih ke atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah semasa Majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-15 pada hari Isnin yang lalu. Yang banyak menyentuh beberapa isu dalam portfolio saya iaitu perumahan, kerajaan tempatan dan juga kesihatan. Sebelum saya teruskan penggulungan saya YB. Tuan Speaker, dengan kesempatan yang ada ingin saya menyampaikan salam takziah buat keluarga atas pemergian Allahyarham Tuan Badrulhisham, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu pada 3 Mac yang lalu. Sebagai warga PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), marilah sama kita sedekahkan al-Fatihah buat beliau (Bacaan surah al-Fatihah). Seterusnya saya juga ingin menzahirkan ucapan tahniah dan syabas buat Encik Ahmad Fuad bin Che Ani, “belakang sana yang handsome itu” atas pelantikan sebagai
Yang Dipertua Majlis Daerah Yan yang baru, juga kepada Encik Junaidi bin Abdul Rani atas pelantikan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu yang baru, serta Encik Shamsuharizal bin Basir, Pengarah SWCorp Negeri Kedah bagi menggantikan Encik Nordin yang telah bertukar ke Cyberjaya. Tidak dilupakan, saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelantikan Dato’ Dr. Nadzman sebagai Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mahazi sebagai TSUK (Timbalan Setiausaha Kerajaan) Pentadbiran dan juga Puan Amirah sebagai Pegawai Daerah Kubang Pasu yang baru. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Puan Hajah Maznim binti Ismail, sebelum ini Yang Dipertua Majlis Daerah Yan ke atas sumbangan dan bakti sepanjang bertugas sebagai Yang Dipertua Masjid Daerah Yan yang bertukar sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Pengurusan di LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi). YB. Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pencapaian PBT. Di sini ingin saya sampaikan ucapan tahniah di atas pencapaian dan kejayaan yang telah diperolehi oleh beberapa PBT Negeri Kedah bagi Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025 anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) pengiktirafan 5 diamonds merupakan tahap tertinggi bagi penerapan low carbon city frameworks. Ini merupakan satu komitmen yang sangat cemerlang pihak PBT dalam melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon secara menyeluruh dan mampan. Antara PBT yang telah memperoleh anugerah tersebut adalah Majlis Perbandaran Sungai Petani bagi pengiktirafan 5 diamonds, Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan pengiktirafan 5 diamonds, Pihak Berkuasa Tempatan Hi-Tech Kulim, pengiktirafan 5 diamonds, dan Majlis Bandaraya Alor Setar, pengiktirafan 3 diamonds. Semoga Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Negeri Kedah terus mempergiat dan memperkukuhkan usaha penambah baik penyampaian perkhidmatan selaras dengan keperluan semasa dan aspirasi pembangunan negeri. YB. Tuan Speaker, saya akan teruskan dengan beberapa soalan ataupun semasa perbahasan Ahli Dewan semalam dan juga pagi ini. Yang pertama saya pergi kepada YB. Sidam iaitu “tindakan kerajaan negeri dalam mengatasi pembangunan yang terganggu akibat isu LRA Bukit Selambau”. Isu kelihatan berkaitan LRA (Loji Rawatan Air) Bukit Selambau bukan perlu dilihat secara menyeluruh dan berfakta tanpa dimanipulasi sehingga menimbulkan persepsi negatif yang tidak tepat. Secara tidak langsung, kelewatan LRA Bukit Selambau sememangnya terdapat kesan kepada pembangunan, namun kerajaan khususnya di peringkat PBT Majlis Perbandaran Sungai Petani sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan keperluan rakyat disediakan berjalan seiring dengan pembangunan khususnya dalam Daerah Kuala Muda. Sebagai contoh, isu berkaitan pembangunan tidak boleh diteruskan. Namun secara realitinya penggunaan masih terkawal dan dirancang rapi walaupun bekalan air merupakan keperluan asas setiap permohonan, pembangunan nilai secara teliti kelulusan Kebenaran Merancang (KM)
tidak dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya mengambil kira ketersediaan utiliti bagi memastikan pembangunan yang diluluskan adalah mampan dan tidak menimbulkan masalah di kemudian hari. Yang keduanya potensi berlaku projek terbengkalai namun ia tidak berlaku secara meluas. Secara umumnya kerajaan bersama agensi teknikal sentiasa memantau projek pembangunan dan pemaju juga diberi panduan serta penyelesaian sementara bagi memastikan projek dapat diteruskan mengikut perancangan. Yang ketiga, isu pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) mungkin berlaku namun dikawal selaras dengan kepentingan awam. Keperluan bekalan air sebelum pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) adalah langkah kawal selia penting bagi melindungi pembeli dan pengguna. Ini merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap pembangunan benar-benar lengkap dan selamat diduduki. Yang keempat, kos pembangunan meningkat namun langkah mitigasi dititikberatkan bagi mengawal kos pembangunan, penyediaan sistem sokongan sementara oleh pemaju adalah amalan biasa dalam industri dan telah diambil kira dalam perancangan projek. Kerajaan turut bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi meminimumkan beban kos agar tidak memberi kesan kepada pembeli. Dan yang kelima kesan kepada keyakinan daripada pelabur untuk tujuan pembangunan secara asasnya pembangunan sentiasa dinamik dan masih di mana kerajaan sentiasa komited meningkatkan infrastruktur dan utiliti asas termasuk bekalan air. Dari sudut positif, pelabur melihat usaha berterusan ini sebagai tanda kesungguhan kerajaan dan bukan sebagai risiko yang menjejaskan keyakinan melalui penyelesaian bersama atas sokongan pelbagai agensi. Dan yang keenam tidak dinafikan berlaku tekanan kawasan sedia ada namun bekalan air kepada penduduk sedia ada sentiasa diberi keutamaan. Sebarang isu tekanan atau gangguan bekalan ditangani secara berperingkat melalui pelan penambahbaikan dan pemantauan berterusan oleh agensi berkaitan kebajikan penduduk sedia ada kekal menjadi keutamaan kerajaan. Namun, kita yakin semua permasalahan ini akan diatasi dengan segera. Yang keduanya adalah daripada Kota Siputeh, isu berkaitan komuniti pembangunan di kawasan yang melibatkan warga emas boleh mudah. Negeri Kedah kini mencatatkan peratusan warga emas, individu berumur 60 tahun ke atas sebanyak 9.4 peratus selaras dengan trend nasional yang menjangkakan Malaysia mencapai status negara menua pada tahun 2030. Apabila populasi ini mencecah 15 peratus, kerajaan negeri menangani cabaran demokrasi ini melalui tindakan proaktif yang berteraskan garis panduan perancangan fizikal bagi warga emas ataupun GPP 2018 dan Pelan Pembangunan Kedah 2035 bagi memastikan golongan ini mencapai aset produktif. Strategi utama adalah peralihan daripada model bantuan pasif kepada penuaan aktif di mana warga emas diperkasa melalui pengoperasian 15 buah pusat aktiviti warga emas sebagai pusat pemindahan ilmu dan kepakaran kepada generasi muda. Maksud saya, untuk Kota Siputeh kita memang ada garis panduan ini, sudah dikeluarkan oleh PLANMalaysia 2018 yang terperinci.
Bagi memastikan persidangan dasar yang mampan, kerajaan negeri mewajibkan penetapan reka bentuk sejagat Universal Design dalam setiap pembangunan baharu melalui Pihak Berkuasa Tempatan bagi menjamin persekitaran yang selamat, mudah sampai dan mesra pengguna. Tindakan ini disokong oleh peruntukan penerangan di bawah Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 dan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 (Akta 802) bagi mengawal selia kualiti penempatan warga emas di negeri ini melalui pemakaian GPP ataupun Garis Panduan Perancangan tadi 2018, iaitu permohonan penempatan kini dikategorikan sebagai khusus kepada pusat jagaan perumahan khas warga emas dan perumahan persendirian yang mematuhi piawaian keselesaan dan keselamatan. Jadi, saya telah pun meneliti ucapan YB. Kota Siputeh semalam dengan mencadangkan projek silver town yang hendak diasaskan di Kota Siputeh atas beberapa faktor dan saya juga telah meneliti satu kertas kerja, proposal yang dihantar oleh YB. Kota Siputeh dan saya telah memperhalusi dan insya-Allah akan mempertimbangkan beberapa perkara kerana ia telah melibatkan banyak pihak yang berkepentingan pada kertas kerja tersebut dan saya hargai usaha YB. Kota Siputeh tersebut walaupun ianya bukanlah untuk menyanggah Langkawi sebagai “Daerah Pelancongan” ataupun pulau pelancongan tetapi ini sebagai satu inisiatif kepada Kota Siputeh kerana ianya mempunyai asas keperluan-keperluan asas tertentu di kota Siputeh tersebut dan insya-Allah akan dipertimbangkan. Seterusnya daripada YB. Anak Bukit, “sejauh mana kerajaan negeri memantau pembangunan di kawasan tanaman padi bagi memastikan kelestarian sektor pertanian?” Untuk maklumat YB. Anak Bukit, setakat sekarang daripada 83,993.15 hektar Jelapang Padi, kita di pembangunan yang melibatkan industri komersial dan perumahan hanya melibatkan 10,677.97 hektar ataupun lebih kurang 12.78 peratus. Ini bermaksud, pembangunan di kawasan-kawasan Jelapang Padi masih lagi terkawal walaupun kita mendapat kebenaran daripada pusat untuk membangunkan kawasan-kawasan Jelapang Padi, tapi kita masih kawal supaya kita tidak mahu kawasan-kawasan Jelapang Padi kita dijadikan kawasan industri, perumahan dan sebagainya. Kita masih nakkan Kedah sebagai negeri pengeluar utama padi, YB. Tuan Speaker. Seterusnya daripada ADUN Pengkalan Kundor, proses bagi melihat semula undang-undang lapuk yang terpakai di PBT dan juga melibatkan penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai “cashless” yang semakin meluas pada masa kini dilihat memberi kesukaran pada warga emas dan golongan yang berpendapatan rendah serta kurang terdedah kepada teknologi digital. Untuk maklumat YB. Pengkalan Kundor berkaitan dengan pengemaskinian undang-undang lapuk, maksud saya untuk undang-undang PBT lah, undang-undang lain saya tak pasti, untuk PBT kita pun telah membuat bengkel pertama dengan undang-undang sendiri dan kita telah usaha untuk
tambah baik tapi mengambil masa sedikitlah sebab dia melibatkan undang-undang dan insya-Allah kita akan ada usaha untuk kemaskini dia undang-undang ini. Dan bagi Pihak Berkuasa Tempatan yang menggunakan sistem cashless ataupun QR ataupun parking yang mungkin bagi maksud YB. Pengkalan Kundor menyusahkan beberapa warga emas, PBT telah merangka pelbagai inisiatif bagi memastikan peralihan kepada sistem pembayaran tanpa tunai dilaksanakan secara inklusif tanpa meminggirkan warga emas dan golongan berpendapatan rendah. Sebagai contoh, saya ambil contoh satu PBT ya, sebagai contoh Majlis Perbandaran Sungai Petani telah melaksanakan langkah-langkah berikut bagi menggantikan penggunaan kupon parkir kertas yang telah dihentikan bermula 31 Mac 2025. Pertamanya ialah program kesedaran dan edaran pelekat QR. Sejak 17 Mac 2025, edaran pelengkat kod QR fleksi parking telah dilaksanakan di premis-premis makanan di sekitar kawasan Sungai Petani. Melalui inisiatif ini, penerangan ringkas mengenai langkah-langkah memuat turun dan penggunaan aplikasi diberikan secara terus kepada orang ramai bagi menggantikan sistem kupon lama. Yang keduanya sesi bimbingan lapangan. Pada 22 April 2025, program User Approaching Hour atau Connect with Flexi Parking telah diadakan di lokasi tumpuan ataupun hotspot seperti Bandar Amanjaya, Bandar Lagenda Heights, Pusat Bandar, Taman Sejati Indah, Bandar Laguna Merbok, Bandar Puteri Jaya, Taman Batik, Pekan Lama, Taman Ria, Taman Ria Jaya, Cinta Sayang Park Homes dan N-City. Seramai 50 anggota penguatkuasa terlibat dalam memberikan bimbingan teknikal secara langsung kepada pengguna. Sepanjang aktiviti ini, tiada sebarang kompaun dikeluarkan bagi memberi ruang kepada masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan sistem baru. Yang ketiganya mekanisme sokongan berterusan. Bagi memastikan tiada golongan yang tercicir, MPSPK (Majlis Perbandaran Sungai Petani, Kedah) melaksanakan pendekatan berikut iaitu pembukaan kaunter pengaktifan bagi membantu pengguna yang memerlukan bantuan teknikal, yang kedua penyediaan pasukan pembimbing untuk memberi tunjuk ajar secara bersemuka kepada orang awam, pelaksanaan sesi pertemuan mengikut lokasi secara berkala dalam tempoh 6 bulan pertama pelaksanaan pembayaran melalui aplikasi, yang keempat hebahan tutorial penggunaan secara meluas melalui media sosial rasmi seperti Facebook dan yang kelima menggalakkan penglibatan ahli keluarga atau anak-anak untuk membantu melakukan pembayaran parkir bagi pihak ibu bapa atau warga emas melalui aplikasi flexi parking. Untuk off-street parking, parking berpalang, pemantauan secara berterusan melalui bilik kawalan CCTV (Closed-Circuit Television) sepanjang tempoh waktu operasi 8:00 pm sampai 9:00 pm. Sekiranya berlaku masalah kesesakan atau gangguan capaian internet, palang akan dibuka untuk melancarkan pergerakan kenderaan. Petugas turut ditempatkan di lokasi off-street bagi membantu orang awam
yang memasuki kawasan parking berpalang untuk membuat bayaran semasa keluar sekiranya berlalu kesulitan. Seterusnya YB. ADUN Bayu “apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani isu pencerobohan ke atas tanah kerajaan, tanah persendirian khususnya terhadap pembinaan rumah ibadat atau premis yang tidak sah?” Kerajaan negeri bersetuju sepenuhnya dengan saranan YB. Bayu yang membangkitkan isu ini. Isu pencerobohan tanah untuk tujuan pembangunan atau rumah ibadat bukan sekadar isu sensitiviti tetapi isu pelanggaran undang-undang yang perlu ditangani secara tuntas. Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa bersikap terbuka dan menghormati hak setiap rakyat untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing. Walau bagaimanapun, kebebasan ini mestilah dilaksanakan dalam kerangka undang-undang demi menjamin ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang PBT berdasarkan punca kuasa yang telah dibawa Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Akta Jalan dan Parit Bangunan 1974 (Akta 133). Sebarang struktur sama ada komersial, kediaman mahupun rumah ibadat mesti mempunyai kemudahan merancang dan kelulusan pelan bangunan. Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah pada 13 April 2026, baginda telah berpesan bahawa setiap pelaksanaan dalam apa jua perkara hendaklah berlandaskan undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa. Sebarang tindakan yang mengenepikan saluran serta kelulusan yang sah adalah suatu yang tidak boleh dikompromi. Titah ini menjadi panduan utama agar aspek perundangan sentiasa diutamakan melebihi sentimen yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu. Pihak berkuasa tempatan akan mengutamakan sesi perbincangan dengan pihak terlibat sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dijalankan. Langkah ini penting bagi memastikan setiap isu dapat diselesaikan secara berkesan dan harmoni. Selain itu, penilaian terperinci status tanah wajib dilakukan terlebih dahulu bagi mengenal pasti hak milik serta kesahihan tapak sebelum sebarang keputusan atau tindakan akhir dimuktamadkan. Prosedur ini bagi memastikan setiap langkah yang diambil adalah adil, mematuhi peruntukan undang-undang serta peraturan yang sedang berkuatkuasa. Bagi memastikan isu ini ditangani secara berkesan dan harmoni, kerajaan negeri menetapkan parameter berikut. Yang pertama penilaian status tanah. Sebelum sebarang keputusan dibuat, penilaian terperinci mengenai status tanah dan hak milik wajib dikenal pasti bagi memastikan kesahihan tindakan. Yang kedua mekanisme rundingan. PBT diwajibkan mengadakan sesi perbincangan teknikal dengan pihak terlibat untuk mencari penyelesaian terbaik sebelum tindakan fizikal diambil terutamanya bagi kes di tanah kerajaan. Yang ketiga pemantauan proaktif. PBT diarahkan bertindak di peringkat awal pembinaan bagi mengelakkan konflik sosial dan pembaziran kos dikemudian hari dan yang keempat langkah terakhir, tindakan
perobohan hanya akan diambil sebagai jalan terakhir sekiranya rundingan dan tempoh notis undang-undang gagal dipatuhi. Kesimpulannya, YB. Tuan Speaker, tindakan ini ialah satu keperluan perundangan demi keselamatan awam dan bukan bersifat diskriminasi. Kerajaan negeri komited memastikan keharmonian terus terpelihara melalui tadbir urus yang telus dan adil.
YB. Kuala Ketil ada 4 minit lagi.
4 minit lagi, insya-Allah. Seterusnya daripada ADUN Bukit Selambau mengenai isu tanah perkuburan yang terhad apabila pembangunan pesat. Rancangan bagi tempat perkuburan Islam termaktub dalam Garis Panduan Perancangan Perkuburan Islam yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan (JPP) Pelan Malaysia Bilangan 3 2023 pada 19 Jun 2023. Pelaksanaan dan penguatkuasaan garis panduan ini perlu selaras dengan rancangan pemajuan yang telah berkuatkuasa di sesuatu Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Ada perancangan la ni Yang Berhormat Bukit Selambau. Kubur pun ada perancangan noh? Saiz kubur, kalau badan besar saiz besar sikit lah noh, dia terperinci. Cuma saya ingin menyatakan sini, dalam garis panduan ini kita meletakkan syarat yang paling minimum ialah kalau 5,000 orang penduduk kena sediakan tapak kubur 0.9 ekar, dekat-dekat 1 ekar, 0.9 nah. Jadi kalau 5,000 penduduk, satu kawasan perumahan tu pemaju kena sediakan tapak inilah. Manakala bagi kaedah penyediaan tapak kuburan juga telah diperhalusi sebaik mungkin. Dia ada landskap dia semua sekalilah, tapi cuma saiz tu saya nak maklum dekat YB. Bukit Selambau insya-Allah dalam perancangan kemajuan. Mulai hari sebelum ni dah ke depan memang telah diambil kira dah untuk tanah perkuburan. Ada masa lagi YB. Tuan Speaker?
Sikit pertanyaan boleh tak?
YB. Ayer Hitam minta laluan.
Boleh! Boleh!
Ya, YB. Tuan Speaker, terima kasih YB. Kuala Ketil. Cuma tentang tanah perkuburan itulah, bila kita minta pemaju sediakan ruang untuk tanah perkuburan itu, adakah bercampur maksudnya untuk orang Islam dan bukan Islam ataupun macam mana?
Untuk maklumat YB. Ayer Hitam, kalau ikut dalam perancangan ini tak bercampur, dia ada kawasan-kawasan dia sebab kalau buat perumahan pun kita asingkan, perumahan bumiputera dengan bukan bumiputera so berasingan lah, yang ini kita kata kubur orang Islam punya. Seterusnya daripada YB. Tokai. YB. Tokai ini panjang, dia saja nak perkena kita, tanya soalan naik kementerian nu. Boleh jawab YB. Tokai noh? Pasal isu impak kedai warga asing, kedai Pattani, dia khusus untuk Pattani sahaja, tak dak PBT. Dulu pun YB. Sidam kerap tanya kedai Pattani kan? Semua orang suka Pattani ni sebab dia panggil “abe”, kan? Duk rumah dia panggil, “ayah hang, mai makan sat!” “Ayah hang tu lambat sikit, panggil tok mai makan nu”. Dia lambat sikit, kalau pi kedai Pattani dia panggil “abe”, itu yang kerap pi. Melawak saja, “hangpa jangan usik aku” (ketawa). Sesi perlesenan dan penguasaan premis makanan, maksud dia Pattani Thailand sehingga 31 Mac 2026 ini, kalau ikut statistik di setiap PBT membuat catatan ada lebih kurang 328 buah kedai, banyak juga lah 328 buah kedai yang berlesen dan yang tidak berlesen. Kalau yang tidak berlesen yang telah diambil tindakan walaupun dibuat, ada tindakan diambil PBT sebanyak 294 buah kedai yang telah diambil tindakan. So maksud dia, walaupun kedai itu ada tapi PBT tak la lepas tangan, pi ambil juga tindakan. Di samping itu, pihak kesihatan juga telah melancarkan program Kedah ke arah bebas keracunan makanan menjelang 2030 pada 28 Februari yang lalu di bazar Ramadan Stadium Darul Aman, saya yang buat pelancaran itu. Daripada Januari hingga April 2026, sebanyak 5,696 premis makanan telah diperiksa di seluruh Negeri Kedah. Pemeriksaan ini turut meliputi kedai dan restoran makanan Thai dan dari jumlah tersebut, sebanyak 2 peratus ataupun 114 premis makanan adalah didapati tidak bersih dan telah dikenakan tindakan penutupan di bawah Akta Makanan 1983. Selain daripada itu, 73 pengendali makanan didapati tiada suntikan tifoid dan 137 pengendali makanan pula tidak menghadiri latihan pengendali makanan. Sehubungan itu, tindakan penguasaan telah pun diambil ke atas pengendali-pengendali makanan tersebut. Bermakna tindakan pihak kesihatan pun telah dibuat kepada pengendali-pengendali makanan. Dan yang terakhirnya adalah daripada YB. Lunas, mengenai status Klinik Kesihatan Padang Serai yang dilaporkan ada masalah daripada segi pembinaan dan sebagainya. Projek pembinaan Klinik Kesihatan Padang Serai telah dikategorikan
projek bermasalah berikutan kegagalan kontraktor asal menyiapkan kerja-kerja pembinaan mengikut jadual yang telah ditetapkan sehingga kontraknya ditamatkan. Selaras dengan komitmen pihak kerajaan untuk memastikan kemudahan kesihatan disiapkan serta kesejahteraan penduduk setempat, langkah pemulihan telah diambil dengan segera melalui proses pelantikan semula kontraktor oleh Jabatan Kerja Raya telah melaksanakan kaedah tender terbuka bagi memilih kontraktor penyiap yang kompeten di mana iklan tender telah dikeluarkan pada 15 Disember 2025 diikuti dengan sesi lawatan tapak dan taklimat tender pada 23 Disember 2025, seterusnya tarikh tutup tender pada 26 Januari 2026. Status terkini bagi projek ini adalah dalam peringkat perolehan dan dijangka pelantikan kontraktor penyiap ini akan dimuktamadkan sepenuhnya pada Mei 2026 bagi membolehkan kerja-kerja di tapak disambung semula. Berkenaan implikasi kewangan akibat kelewatan dan penamatan kontraktor asal kerajaan menganggarkan akan berlaku peningkatan kos sehingga 27.5 peratus berbanding kos kontrak terdahulu. Walau bagaimanapun, anggaran peningkatan kos ini masih berada dalam lingkungan siling peruntukan asal yang telah diluluskan bagi projek ini. Nilai sebenar peningkatan kos tersebut hanya akan dimuktamatkan terperinci setelah pelantikan kontraktor memastikan projek penyelamat ini dibuat. Langkah kawalan selia ini dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan projek ini disiapkan tanpa menjejaskan kualiti kemudahan yang bakal dinikmati oleh rakyat. Sebagai penutup kepada pembahasan ini, saya ingin mengajak ahli Dewan yang mulia ini merenung pesanan akhir dalam ayat Quran menjadi asas kepada pentadbiran dan kepemimpinan. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 88 bermaksud; “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki (keadaan kamu) sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali’. Kata-kata Nabi Syu'aib kepada kaumnya. Itu mengingatkan kita bahawa tujuan kepimpunan ini adalah islah iaitu pembaikan yang sebenar kepada kehidupan manusia. Ayat ini memberi isyarat jelas kepada semua sebagai pembuat dasar dan pelaksana amanah rakyat bahawa dalam mentadbir negeri bahkan negara kita tidak boleh berhenti sekadar mengumumkan formula tanpa laksana, menabur janji tanpa tepati, mencipta helah dan fakta tetapi yang lebih utama ialah islah yang benar berlaku perubahan yang sampai kepada rakyat, dirasai oleh rakyat dan memberi kesan kepada kehidupan kita semua. Ayat ini juga mengingatkan kita bahawa segala usaha, segala dasar dan segala gerak kerja kita akhirnya tidak akan sempurna tanpa pertolongan daripada Allah SWT. Akhir kata, terima kasih saya ucapkan kepada semua ketua-ketua jabatan dan agensi yang telah memberikan sepenuhnya kerjasama dalam menjayakan agenda “The Greater Kedah” serta moto ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”. Akhir kata, saya
menyokong penuh Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah. Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Terima kasih YB. Kuala Ketil. Seterusnya saya menjemput YB. Kuala Nerang. Dipersilakan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillahi rabbil ‘alamin, wassalatu wassalamu ‘ala asrafil anbiyaiwal mursalin, saidina muhammad wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in. Robbisrohli sodri, wayassirli amri, wahlul 'uqdatammil lisani yafqohu qauli. Ama ba'ad. Terima kasih YB. Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri, rakan-rakan Yang Berhormat EXCO, Yang Berhormat Pegawai Kewangan, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan atau wakil ketua jabatan dan seterusnya para pemerhati yang dihormati sekalian. Saya juga mengambil kesempatan untuk merafak sembah setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan Perasmian oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang telah memberikan banyak peringatan, banyak nasihat dan panduan yang sangat bermakna buat kita semua. Kerajaan Negeri khususnya portfolio yang diamanahkan kepada saya amat menyambut baik pesanan baginda agar pengurusan sumber negeri, pengurusan sumber air dan lain-lain dilaksanakan dengan secara lebih berhemah, lebih cekap, lebih berstrategi, lebih serius bagi mendepani ketidaktentuan global termasuk kesan konflik Asia Barat dan Eropah Timur yang memberikan impak kepada ekonomi kita. YB. Tuan Speaker, kerajaan negeri mengambil maklum penegasan Tuanku bahawa pertama pengurusan sumber air perlu diperkukuhkan berikutan perubahan iklim dan ketidaktentuan cuaca. Yang kedua, kawasan tadahan air termasuk Hutan Simpan Ulu Muda perlu dipelihara secara tegas dan secara tersusun. Yang ketiga, infrastruktur sokongan perlu diperkasa bagi memperkukuh dan menyokong pertumbuhan ekonomi termasuk di Pulau Langkawi. Sehubungan itu, portfolio ini yang diamanahkan kepada saya dengan komited berusaha untuk memastikan Pengurusan Sumber Air Bersepadu, IWRM atau Integrated Water Resources Management melalui agensi utama Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dengan sokongan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah, Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Kedah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah, Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi memastikan perancangan dan perlaksanaan infrastruktur berdaya tahan serta pematuhan undang-undang dan tadbir urus yang baik.
YB. Tuan Speaker, saya ingin menyentuh sedikit tentang Projek Tebatan Banjir (RTB). Kerajaan Negeri melalui JPS telah melaksanakan projek-projek utama RTB yang dalam sidang DUN pagi tadi pun saya sebut berhubung dengan RTB Jitra Selatan yang hampir siap, sudah mencapai 92 peratus, RTB Sungai Kedah/Anak Bukit sudah melebihi 92 peratus dan RTB Sungai Pendang (Pakej 2) 74 peratus. Walaupun terdapat cabaran seperti kontraktor ditamatkan, RTB Sungai Pendang (Pakej 1) tindakan tender semula telah diambil bagi memastikan kesinambungan projek ini. Secara keseluruhannya, projek RTB ni melibatkan peruntukan ratusan juta ringgit. Alhamdulillah telah berjaya dibawa ke negeri ini sebagai usaha mitigasi banjir dan perubahan iklim untuk jangka panjang. YB. Tuan Speaker, tadi YB. Sidam, Ketua Pembangkang sebut tapi dia tak dak dalam Dewan pula. Dia menyebut bahawa lantikan kontraktor untuk projek RTB ini adalah oleh kerajaan negeri. Itu adalah kenyataan yang salah, kenyataan yang silap yang sebenarnya proses tender penyediaan dokumen tender dan pelantikan kontraktor untuk RTB yang berkenaan adalah diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan, bukan oleh Kerajaan Negeri. Jadi, kita harap tidak mengelirukan Dewan, tidak mengeluarkan fakta yang silap, yang salah. Demikian juga YB. Sidam membangkitkan soal loji rawatan air yang disebut telah ditamatkan. Sebenarnya belum, juga fakta yang tidak tepat. Walaupun kita mengakui projek tersebut mengalami kelewatan dan tidak berapa lama lagi akan dibawa ke Jawatankuasa CCP (Contract Coordination Panel) untuk tindakan selanjutnya. Yang ditamatkan itu adalah projek LRA (Loji Rawatan Air) Sungai Limau yang baru-baru ini telah pun dibuat lawatan tapak di mana seramai 17 kontraktor telah mengambil bahagian dan tidak berapa lama lagi akan dilantik kontraktor penyelamat untuk LRA Sungai Limau yang akan membawa manfaat kepada khususnya pengguna-pengguna di kawasan Baling. YB. Bayu tak ada dalam Dewan, dia bangkitkan kelmarin untuk dibuat mini loji kerana air di Baling tu jernih cantik. Untuk makluman, setakat ini SADA tidak bercadang untuk membina loji tersebut kerana insya-Allah bila mana Loji Rawatan Air di Sungai Limau siap oleh kontraktor penyelamat satu masa nanti, dia akan cover kawasan-kawasan yang terlibat di Bayu tersebut. Ya, bukan taugeh, taugeh lagi (ketawa kecil). Kerajaan Negeri juga memandang serius aspek keselamatan jalan raya sebagai soalan jawapan kepada YB. Bandar Baharu tadi. Sebenarnya sebanyak RM100,000 telah… (YB. Tuan Speaker mencelah)
YB. Kuala Nerang, YB. Tokai minta laluan.
Siapa minta laluan Yang Berhormat?
Tokai! Tokai!
Yang Berhormat Tokai.
Oh! Duk belakang, tak nampak. Minta maaf.
Takpa, tak nampak takpa pasal mata tak duk depan, mata tak duk belakang. Terima kasih YB. Tuan Speaker. Sebelum YB. Kuala Nerang pi kepada jalan raya, saya nak sentuh sikit tentang RTB Sungai Pendang ni. Saya tengok dan dalam Mesyurat Pembangunan Daerah pun saya dah sentuh tentang RTB Sungai Pendang ini sebab dibuat tebatan banjir tu adalah sungai yang dikorek, bukan sungai asal. Banjir ni maknanya masalah berlaku di sungai asal bukan sungai yang dikorek. Sungai korek ni maknanya sungai masa MADA dululah nah. Sama ada dia mengguna pam untuk kawasan-kawasan daripada sungai asal ke sungai yang dibuat tebatan banjir ni ataupun dia mempunyai empangan. Ternyata mereka mengatakan tidak ada pam. Jadi, bagaimanakah kemungkinan air yang banyak di sungai asal ni akan disalurkan kepada sungai yang dijadikan sebagai sungai tebatan banjir ini? Itu yang menjadi kerisauan saya. Kalau sekiranya projek ini siap besok pun air tu akan bertakung ataupun melimpahi kampung-kampung melalui sungai yang asal tadi ni. Saya minta huraian daripada YB. Kuala Nerang ataupun mungkin mereka boleh menjawab melalui premis-premis yang lainlah terhadap kerisauan yang menghantui pemikiran kami di Pendang ni. Sekian, YB. Tuan Speaker.
Terima kasih YB. Tokai.
Ada soalan YB. Tuan Speaker.
Boleh? Terima kasih YB. Tokai.
Boleh saya mencelah sat?
Ya, dalam projek RTB ni kadang-kadang kita tengok rasa pelik. Nak tanya ka?
Boleh?
YB. Bandar Baharu mintak laluan.
Ya, ya.
Terima kasih YB. Tuan Speaker. Sebelum YB. Kuala Nerang terus kepada jalan raya tadi, melibatkan YB. Bandar Baharu juga. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada YB. Kuala Nerang di atas usaha untuk melancarkan perasmian Loji Lubuk Buntar yang lalu bersama dengan YAB. Dato’ Seri Menteri Besar. Terima kasih. Kemudian yang keduanya berkaitan dengan tebatan banjir di Bandar Baharu. Saya berharap tebatan banjir di Bandar Baharu dapat dilaksanakan dalam tempoh yang dirancang dengan RM88 juta dia punya bajet. Terima kasih.
Terima kasih YB. Bandar Baharu. Silakan Yang Berhormat Kuala Nerang.
Terima kasih YB. Tokai, YB. Bandar Baharu. Ya, seperti yang saya sebut tadi bila tengok projek RTB ni kadang-kadang kita rasa pelik dan hairan. Pasal kadang-kadang dia korek parit tu dia korek terusan tu di tengah-tengah tak bersambung pun dengan sungai, kan? Jadi, air tu nak mai ikut mana? Air tu bertakung lah macam YB. Tokai
kata tadi (ketawa kecil). Sama seperti kita lihat di Sungai Baru/Anak Bukit/ Kuala Kedah. Yang tu belum siap, kalau dah siap nanti dia akan bersambung menyebabkan air daripada sungai tu akan dialirkan ke terusan yang dibuat itu. Insya-Allah bila mana berlaku limpahan, dia akan masuk ke sana dan insya-Allah akan kuranglah risiko banjir kepada kawasan-kawasan kampung dan sebagainya. Ni projek tak siap lagi memang kita nampak air tu nak pi ke mana? Mai dari mana? Nak masuk ke mana? Nak pi ke mana? Berhubung dengan YB. Bandar Baharu tadi projek RTB di sana juga insya-Allah akan dilaksanakan dalam masa yang tidak lama insya-Allah. Baik YB. Tuan Speaker, saya sambung. Sebanyak RM100,000 peruntukkan telah disediakan untuk pencegahan awal di Jalan Gunung, Sungai Korok melalui penanaman pokok Asoka, pokok buluh sebagai penampan estetik dan selain itu, pemasangan steel sheet pile dan guardrail oleh JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk mencegah kegagalan cerun. Bagi menangani isu kecurian kabel yang sering berlaku terutama di DUN Sidam yang disebutkan itu, sebenarnya kerajaan telah mula beralih kepada lampu solar LED secara berfasa berperingkat ya. Kalau kita tengok hari ini, lampu solar banyak digunakan kerana ia menjimatkan penggunaan elektrik dan kosnya pun sebenarnya lebih murah berbanding dengan pemasangan lampu yang menggunakan tenaga elektrik yang kita kena bayar secara setiap bulan. Selain itu juga, saya suka maklumkan bahawa untuk tahun 2026 sehingga Mac 2026 sebanyak RM118.08 juta telah diperuntukkan untuk senggaraan Jalan Persekutuan dan juga RM41.72 juta bagi Jalan Negeri yang melibatkan pelbagai kerja-kerja fizikal untuk penyelenggaraan jalan. YB. Tuan Speaker, saya ingin menyentuh sedikit tentang LRA. Tadi disebut oleh YB. Banyak Baharu. Ya betul, Alhamdulillah hasil kerja kuat pihak JKR, kontraktor dan semua pihak melalui peruntukan yang diberikan, projek Loji Rawatan Air di Lubuk Buntar yang telah pun siap. Kalau digabungkan dua loji itu, yang lama dan baru 34 MLD campur 25 MLD jumlahnya 59 juta MLD telah pun siap pada 8 hari bulan 1 tahun 2026. Siap 100 peratus, Alhamdulillah dan telah pun diserahkan secara rasmi. Yang Amat Berhormat Menteri Besar turun dulu pada 29 hari bulan 3 tahun 2026 diserahkan secara rasmi di mana ditandatangani proses penyerahan tersebut dan telah pun beroperasi sepenuhnya yang memberi manfaat kepada bukan ratusan orang tetapi seramai 12,359 akaun di Bandar Baharu. 12,359 akaun ni boleh darab tengoklah kalau satu rumah 5 orang lebih kurang 60,000 dapat manfaat. Bahkan Alhamdulillah ada lebihan sebanyak 22.5 juta liter daripada loji tersebut yang telah pun siap. Maknanya air tu lebih, ada margin ada lebihan yang dulu Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebut, “boleh jual kalau kita nak jual kat Pulau Pinang.”
Ini antara kejayaan kita yang menguruskan juga JKR kedah. Tahniah kepada JKR Kedah. Demikian juga Loji Rawatan Air (LRA) di Jenun Baru yang ni 55 MLD tambah yang baru buat 100 MLD jadi jumlah 110 MLD yang dijangka siap insya-Allah pada 29 hari bulan 5 nanti ya, sekarang ni sudah mencapai 98.13 peratus. Alhamdulillah, walaupun tak siap sepenuhnya dan insya-Allah akan siap ia akan beri manfaat kepada seramai lebih kurang 37,000 akaun. Ini satu lagi kejayaan kita yang kita buktikan bahawa Kerajaan Negeri mampu dan boleh urus. Cuma, dia perlu kepada masa. Dan yang terakhir, Loji Rawatan Air Pelubang. Daripada dulu dua dua tujuh atau 227 MLD juta liter sehari…. (YB. Tokai mencelah)
Jenun Baru ni. Di kawasan Yang Berhormat Timbalan Speaker ni, Jenun. Boleh ya, saya tolong bagi kredit? Terima kasih kepada YB. Tuan Speaker dan juga kepada YB. Kuala Nerang. Bila sebut Jenun Baru maknanya dia belah DUN Sungai Tiang. Saya tengok di belah DUN Sungai Tiang satu elevated reservoir di Kubur Panjang dah lama siap dan dinyatakan sebelum-sebelum ni tak dapat digunakan disebabkan terpaksa pam air naik ke reservoir tu menggunakan tenaga elektrik yang banyak, jadi tak ekonomikal. Jadi, selepas Jenun Baru siap ataupun mana-mana sebelum inilah pusat rawatan air yang siap ni saya harap elevated reservoir di Kubur Panjang tu boleh kita gunakanlah kerana terlalu besar dan manfaat yang terlalu banyak kepada mereka-mereka ada di sekeliling Kubur Panjang sampai ke hujung Ketun dan juga Kampung Linchan di sebelah Naka sana. Jadi, saya harap pihak YB. Kuala Nerang dapat mengambil perhatian terhadap elevated reservoir di Kubur Panjang ni. Sekian, terima kasih. YB. Tuan Speaker, ini masuk Sungai Tiang ni.
Terima kasih YB. Tokai. Terima kasih (ketawa).
Terima kasih YB. Tokai. Ya, kita ambil maklum dan ambil perhatian insya-Allah ke arah penambahbaikan. Baik, YB. Tuan Speaker, loji air di Pelubang 227 juta liter sehari bila dibuat, tambah lagi 227, lebih kurang 454 juta liter sehari yang akan memberi manfaat. Yang ni lagi sakan, lagi banyak di Kota Setar sebanyak 94,406 akaun dan di Kubang Pasu 54,988 akaun. Sekarang ni telah mencapai 91 peratus kemajuannya. Cuma berdepan dengan sedikit isu berhubung dengan izin lalu pihak LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia) atau PLUS yang sedang diusahakan. Kalau dapat diselesaikan dengan segera, dengan cepat projek itu insya-Allah akan dapat siap. Kita harap pada tahun ini juga insya-Allah.
Selain daripada itu YB. Tuan Speaker, Pelan Bekalan Air Kedah Tahun 2050 sedang dilaksanakan dengan sasaran resort margin air. La ni resort margin kita kosong, jadi dengan perancangan-perancangan yang dibuat ini kita letak target sekurang-kurangnya dapat 10 peratus hingga 15 peratus melalui pelaksanaan pembinaan Loji Rawatan Air yang baru di Sungai Karangan, di Sidam Kiri ya, dan juga dalam beberapa projek yang lain yang insya-Allah akan dimulakan pada tahun 2027. Secara detail insya-Allah saya akan sebut kemudian. Begitu juga di Pulau Langkawi, SADA komited untuk menangani isu bekalan air dengan pemasangan booster pump Malut yang akan meningkatkan pengambilan air mentah daripada 30 MLD kepada 45 MLD. Demikian juga, kerja pembaikan paip dasar laut yang dibuat secara berterusan dan juga peruntukan yang diterima yang sedang dilaksanakan sebanyak RM50 juta itu yang insya-Allah dijangka siap pada September 2026 nanti. YB. Tuan Speaker, hasil daripada usaha yang bersungguh-sungguh oleh pihak SADA, untuk makluman Dewan, setakat ini SADA juga telah berjaya menurunkan kos penghantaran lori air ni, kos penghantaran air melalui lori ini bagi tahun 2024, kosnya ialah sebanyak RM16.2 juta tetapi pada tahun 2025 kos itu menurun tinggal RM4.1 juta. Menurun sebanyak 75 peratus. Ini satu kejayaan lagi yang boleh kita banggakan, menunjukkan SADA telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah kekurangan air. Walaupun baru-baru ini kita lihat bila musim perayaan memang kita tidak nafikan ramai warga perantau balik, penggunaan air yang tinggi ditambah pula dengan musim kemarau. Jadi, ini menyebabkan banyak kawasan di hujung sistem atau di tempat yang tinggi tidak mendapat air. Namun demikian, pihak SADA telah menghantar air secara berkala mengikut jadual yang ditetapkan dan kalau dilihat secara purata seperti yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, purata gangguan berbanding dengan tahun lepas perayaan tahun ini 0.74 peratus lebih kurang berbanding dengan yang sebelum itu 0.94 peratus. Jadi maknanya, ada sedikit penurunan. Walaupun kita tidak nafikan ada kesan gangguan tetapi tindakan telah diambil oleh pihak SADA untuk mengatasinya. Cuma saya menyeru, saya berharap kepada yang terganggu ini dapat terus bertabah. Tindakan-tindakan sedang dibuat dan akan dibuat dan menyampaikan aduan kepada pihak SADA. Kalau pihak SADA tak ambil tindakan saya bersedia pada bila-bila masa untuk menerima Whatsapp atau menerima telefon untuk kita menghubungi SADA seterusnya bagi dia ambil tindakan segera, insya-Allah. YB. Tuan Speaker, di dalam Dewan ini juga dibangkitkan tentang beberapa isu utama yang disebut tentang keselamatan jambatan seperti yang disebut oleh YB. Tokai. Bila ada kaitan dengan RTB di Pendang ya, projek itu pula dah ditamatkan ke Pakej 1 dan jambatan itu agak terganggu dan tindakan telah dan akan terus dibuat, diselenggarakan jambatan tersebut untuk ditambah baik. Tambah dengan lampu solar, ditambah dengan amber light dan beberapa langkah keselamatan yang lain
sementara menunggu projek itu disiapkan oleh kontraktor penyelamat nanti. Di samping itu juga, seperti saya sebut tadi, untuk mengurangkan kos penyelenggaraan sistem lampu solar LED telah dilaksanakan di beberapa tempat. Dan saya kira semua ini akan membantu rakyat supaya dapat lebih selesa dan lebih selamat, insya-Allah. YB. Tuan Speaker, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah menitahkan supaya pengurusan air ini juga diuruskan dengan secara lebih serius, dengan lebih mampan. Dan saya sebut di awal ucapan tadi, agensi yang bertanggungjawab antaranya ialah yang paling utama Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK). Saya ingin kongsikan apa perancangan, apa yang telah dan akan dibuat. Ada empat perkara. Yang pertama, cadangan untuk membina Takungan Air Pinggiran Sungai atau ringkas disebut TAPS di Kampung Lesung Daerah Kuala Muda. Yang ini insya-Allah akan membekalkan air mentah kepada Loji Rawatan Air di Bukit Selambau sebanyak yang akan dinaik taraf daripada 30 juta liter kepada 70 juta liter dan akan mengurangkan kebergantungan LRA Bukit Selambau kepada Sungai Muda dan juga pelepasan-pelepasan daripada Empangan Beris semasa musim kemarau. Ini tujuan dan juga manfaat bila berlaku bila dibuat TAPS di Lesung ini dan kita nak pastikan supaya LRA Bukit Selambau dia tak terganggu masa musim kemarau akibat penyusutan air di Sungai Muda. Kos projek ini ialah RM65 juta dan setakat ini statusnya ialah telah selesai iklan pra-kelayakan dalam tindakan memuktamadkan kehendak kerajaan new statement oleh kerajaan. Yang kedua, untuk bina TAPS di Sungai Karangan di Kulim. Yang ni untuk membekalkan air mentah kepada LRA Karangan dengan kapasti 450 juta MLD yang bernilai RM496 juta. Yang ni dalam peringkat penyediaan TOR (Terms of Reference) untuk lantikan perunding kejuruteraan. Yang ketiga, pembinaan empangan bawah tanah, telaga tiub dan struktur takungan di Padang Matsirat, Langkawi yang dulu disebut projek UGD untuk membekalkan sumber air mentah kepada LRA Padang Saga yang berkapasiti 30 MLD dengan nilai RM412 juta. Untuk makluman Dewan, JBA (Jabatan Bekalan Air) telah melantik UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) sebagai pakar runding untuk menilai semula cadangan membina UGD di Langkawi dan JBA telah buat permohonan untuk NOC (Notis Perubahan) projek UGD ni kepada penyedutan terarah air NAHRIM (Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia) sistem infiltrasi dasar sungai PETRAN-SIDS di lembangan Sungai Melaka. Ada sedikit pindaan, tetapi kita yakin projek ini tidak ditarik balik peruntukannya cuma diubah konsep dan skop perlaksanaannya untuk memastikan kapasiti air dapat diterima untuk LRA Padang Saga. Yang keempat, cadangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai di Langkawi juga untuk membekalkan air mentah LRA Padang Saga 4 berkapasiti 30 MLD bernilai RM105 juta dan ini dalam peringkat reka bentuk konsep dan dalam tindakan melantik kontraktor maaf, perunding ukur dan juga kontraktor untuk SI (Soil Investigation) atau
penyiasatan tanah. YB. Tuan Speaker, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh tentang pengurusan sumber air yang saya kira ini berkait rapat dengan soal pengurusan hutan. Saya ingin berkongsi sedikit maklumat kepada Dewan yang mulia ini walaupun sebelum ini telah disebut dalam ucapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Untuk makluman Dewan, secara keseluruhan luas Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Kedah ini adalah seluas 343,465.92 hektar. Daripada jumlah tersebut, 206,896 hektar adalah dikelaskan sebagai hutan pengeluaran iaitu kawasan yang diurus bagi aktiviti hasil hutan secara terkawal, berhemah selaras dengan prinsip pengurusan hutan secara lestari. Sementara baki 136,569 hektar merupakan hutan perlindungan yang berfungsi sebagai benteng semula jadi alam dalam memelihara biodiversiti, kestabilan tanah serta sistem hidrologi negeri. Sementara hutan pengeluaran ialah 206,896.66 hektar. Daripada hutan perlindungan ini, 110,495 hektar diwartakan secara khusus sebagai Hutan Tadahan Air (HTA). Ini yang saya nak sebut antara kaitan dengan pengurusan air yang memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kesinambungan bekalan air kepada penduduk dalam sektor pertanian dan juga industri. Pewartaan kawasan ini menunjukkan keutamaan tinggi yang diberikan oleh kerajaan negeri terhadap keselamatan sumber air khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dalam ketidaktentuan cuaca yang boleh menjejaskan paras simpanan air. Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan… (YB. Tuan Speaker mencelah)
YB. Kuala Nerang, boleh buat penggulungan.
Takdan habis pa Yang Berhormat (ketawa kecil). Tak komen hat lain-lain. Saya perhabis hat hutan sikit boleh Yang Berhormat?
Ya!
Terima kasih.
Jangan panjang sangat na?
Ya?
Jangan panjang sangat!
Sikit saja, setengah saja.
Ya, ya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri adalah kekal komited dengan memastikan kawasan Hutan Tadahan Air ini sentiasa dilindungi dan diurus secara lestari. Selain itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah juga sentiasa memperkukuhkan pelaksanaan pemantauan secara berjadual melalui rondaan berkala di lapangan yang dilaksanakan oleh pegawai dan anggota penguat kuasa di kawasan strategik. Usaha ini diperkasakan lagi dengan penggunaan kaedah pemantauan yang lebih sistematik dan bersepadu termasuk teknologi pemantauan moden seperti dron, sistem satelit yang disebut oleh YB. Belantek tak silap saya, ya memang telah dilaksana dan akan terus dilaksanakan melalui pendekatan Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS). Teknologi ini membolehkan pemantauan dilakukan secara lebih menyeluruh, tepat dan berterusan sekali gus meningkatkan keupayaan pengesanan awal terhadap sebarang perubahan guna tanah, pencerobohan atau aktiviti mencurigakan di kawasan tadahan air yang sensitif khususnya di Hutan Simpan Ulu Muda. YB. Tuan Speaker, sambung esok ka? Boleh kut sikit lagi? Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Banyak lagi ka?
Ada lagilah. Mungkin 10 minit lagi.
Kita minta sambung esok, boleh?
(mengangguk) Terima kasih YB. Tuan Speaker.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, terima kasih kepada semua yang telah pun memberi kerjasama melancarkan Persidangan Dewan kita pada hari ini. Maka dengan ini, saya menangguhkan Dewan ini sehingga jam 9.00 pagi esok.
[Sidang Dewan ditangguh pada jam 4:30 petang]