Negeri Sembilan · 22 April 2019
14th Assembly, 2nd session, 1st meeting (Opening) · 14 turns · 857 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalNegeri Sembilan publishes one PDF per meeting, naming speakers by seat. The 15th Assembly was dissolved on 5 Jun 2026; the 16th (elected 1 Aug 2026) has published nothing yet. Written answers are not published.
(Pembukaan)
Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan.
[Persidangan dimulakan pada jam 10.05 pagi]
Membaca Doa
Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14. Susunan Mesyuarat. Perkara Pertama, Membaca Doa. Dipersilakan Yang Berhormat ADUN Lenggeng.
[YB ADUN Lenggeng telah membacakan doa di bawah Peraturan 9, muka surat 11 di dalam Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri]
Perutusan Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan
Perkara kedua, Perutusan Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua Dewan.
Bissmillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Alhamdulillah, segala puji-pujian kepada Allah, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Aminuddin bin Haji Harun; Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri, ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian. Alhamdulillah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang ke Persidangan Pertama (Perasmian) pengkal, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Sembilan Kali Yang Ke-14 yang dijadualkan mulai hari ini, 22 April hingga 25 April, disambung semula pada 29 hingga 30 April 2019, inshaa Allah.
Hadirin hadirat sekalian, pada persidangan, pada perasmian kali ini juga, titah ucapan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus boleh diikuti secara langsung melalui media sosial iaitu daripada akaun Facebook pejabat Setiausaha kerajaan Negeri Sembilan. Titah Ucapan Diraja ini akan disiarkan secara langsung melalui radio NEGERIfm di frekuensi 92.6 MHz bagi kawasan Seremban. Ini adalah antara usaha-usaha berterusan dalam penambahbaikan pengurusan dan pentadbiran
Dewan Undangan Negeri Sembilan. Sekali lagi, saya menyeru hadirin sekalian untuk sama-sama berdoa semoga perjalanan persidangan kita kali ini berlajan, berjalan lancar.
Seperti mana lazimnya, saya sekali lagi mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian agar sentiasa mengambil peraturan, mematuhi Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan sepanjang persidangan ini. Saya berharap persidangan kali ini akan berlangsung dalam keadaan harmoni serta menjaga etika dan nama baik Ahli-ahli Yang Berhormat sekali sebagai Ahli Dewan dalam Dewan yang mulia ini. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.
Peringatan Mesyuarat
Perkara ketiga, Mengesahkan Peringatan Mesyuarat. Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14 yang telah diadakan pada 17 hingga 19 Disember 2018.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Peringatan Mesyuarat Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang Ke-14 yang telah diadakan pada 17 hingga 19 Disember 2018 telah pun diedarkan salinannya. Oleh itu ada apa-apa teguran? Sekiranya tiada, diharap seorang ahli mencadangkan dan seorang ahli menyokong supaya disahkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon izin mencadangkan supaya Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju Peringatan Mesyuarat ini disahkan, sila angkat tangan. [semua 35 ahli Yang Berhormat yang hadir bersetuju] Yang berkecuali? Tak ada. Peringatan Mesyuarat ini disahkan.
[YB ADUN Rantau tidak berada di dalam Galeri Persidangan berikutan beliau hanya akan mengangkat sumpah selepas agenda Pengesahan Peringatan Mesyuarat]
[Peringatan Mesyuarat Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang Ke-14 yang telah diadakan pada 17 hingga 19 Disember 2018 disahkan tanpa pindaan dan YB Yang Dipertua Dewan menandatangani Peringatan Mesyuarat tersebut.]
Upacara Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Menandatangani Surat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri Di Hadapan Yang Berhormat Yang Dipertua
Perkara keempat, Upacara Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Menandatangani Surat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri Di Hadapan Yang Berhormat Yang Dipertua.
Dipersilakan Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, Rantau mengangkat sumpah jawatan seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 58 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan Peraturan 1(1) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan.
[YB ADUN Rantau masuk ke Galeri Persidangan untuk mengangkat sumpah dan menandatangani Surat Sumpah. Seterusnya beliau mengambil tempat di dalam Galeri Persidangan].
Titah Ucapan DirajaAddress / budget
Perkara kelima, Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.
Terlebih dahulu, saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat ADUN Rantau kerana telah memenangi kerusi DUN Rantau dalam Pilihan Raya Kecil pada 13 haribulan April yang lalu.
Ahli-ahli Yang Berhormat, tuan-tuan, puan-puan sekalian, sebentar lagi Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan akan menyampaikan Titah baginda dalam Dewan yang mulia ini. Dan
sekarang Dewan ditangguhkan sebentar untuk keberangkatan tiba Ke Bawah Duli Tuanku.
[Bentara Dewan menanggung Cokmar mendahului YB Yang Dipertua meninggalkan Galeri Persidangan]
[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan YTM Undang Luak Rembau]
[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan YTM Undang Luak Johol]
[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan YTM Undang Luak Jelebu]
[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan YTM Undang Luak Sungei Ujong]
[Setiausaha Dewan mengumumkan keberangkatan masuk DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan diiringi oleh YB Yang Dipertua Dewan]
Bismillahhirramanirrahim. Mengadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Ampun Tuanku, Patik memohon perkenan Ke Bawah Duli Tuanku untuk melafazkan Titah kepada sidang hadirin di dalam Dewan yang mulia ini. Mohon perkenan Tuanku.
[YAB ADUN Sikamat menyembahkan Teks Titah Ucapan DiRaja kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan]
[Titah ucapan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seperti di Lampiran A]
[YAB ADUN Sikamat mengambil semula Teks Titah Ucapan]
Menjunjung kasih Tuanku. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan ditangguhkan. Dewan akan disambung semula pada hari Selasa, 23 April 2019 bersamaan 17 Syaaban 1440 Hijrah mulai jam 10.00 pagi.
Keberangkatan, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan.
Diikuti Yang Teramat Mulia Dato’ Undang Yang Empat. [Persidangan ditangguhkan pada jam 10.58 pagi]