Negeri Sembilan · 4 May 2020

14th Assembly, 3rd session, 1st meeting (Opening) · 12 turns · 944 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalNegeri Sembilan publishes one PDF per meeting, naming speakers by seat. The 15th Assembly was dissolved on 5 Jun 2026; the 16th (elected 1 Aug 2026) has published nothing yet. Written answers are not published.

Membaca Doa

Setiausaha Dewan

Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14. Susunan mesyuarat. Perkara pertama, Membaca Doa. Dipersilakan Yang Berhormat ADUN Lenggeng.

[YB ADUN Lenggeng telah membacakan doa di bawah Peraturan 9, muka surat 11 di dalam Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri]

Perutusan Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan

Setiausaha Dewan

Perkara kedua, Perutusan Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua Dewan.

Yang Dipertua Dewan

Bismillahhirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT, salam sejahtera. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji Harun; Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Yang Berhormat ahli-ahli mesyuarat Kerajaan Negeri, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan yang dijemput iaitu Ketua Polis Negeri Sembilan, Pengarah Kesihatan Negeri dan Pengarah Majlis Keselamatan Negeri, Negeri Sembilan.

Selamat datang ke Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14. Persidangan ini bagi mematuhi kehendak Fasal (1) Perkara 56, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Peraturan IV Perintah 2, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri.

Sepertimana ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, menjunjung titah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mengambil kira penularan wabak COVID 19 yang sedang melanda negara kita serta pematuhan kepada, atas Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan

Jangkitan) 2020 dan Undang-Undang yang berkaitan dengannya, maka persidangan kali ini akan berlangsung selama satu hari saja, satu hari sahaja khusus untuk Perasmian Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14.

Di samping itu juga, pihak urusetia persidangan telah melaksanakan langkah pencegahan seperti penjarakan sosial 1 meter tempat duduk ahli-ahli Yang Berhormat, difen, disfen, disenfeksi bangunan Dewan Undangan Negeri dan penyediaan hand sanitizer serta deklarasi bebas COVID-19 bagi mencegah penularan COVID-19. Tiada jemputan kepada Ketua-Ketua Jabatan yang lain seperti lazimnya kita menjemput, dan serta penglibatan media dan para petugas adalah dalam bilangan yang terhad.

Namun demikian, persidangan ini masih boleh diikuti secara langsung melalui media massa, media sosial iaitu di akaun Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Titah perasmian baginda Tuanku juga akan disiarkan secara langsung oleh radio NEGERI.fm frekuensi 92.6 MHz.

Sebentar lagi kita akan mendengar titah perasmian bagi Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sebelum saya memulakan persidangan, seperti lazimnya ingin saya mengingatkan ahli-ahli Yang Berhormat supaya mematuhi Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan di sepanjang persidangan kita kali ini. Dan saya mohon kerjasama supaya perjalanan persidangan ini dapat berjalan baik dan lancar.

Selamat bersidang. Wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum WBT.

Peringatan Mesyuarat

Setiausaha Dewan

Perkara ketiga, Mengesahkan Peringatan Mesyuarat. Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang Ke-14 yang telah diadakan pada 22, 25, 26 dan 27 November 2019.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Peringatan Mesyuarat Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, dewangan, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan pada, Yang Ke-14 yang telah diadakan pada 25, 22, 25, 26 dan 27 November 2019 telah pun diedarkan salinannya.

Oleh itu ada apa-apa teguran? Ada apa-apa teguran? Sekiranya tiada, diharapkan seorang ahli mencadangkan dan seorang ahli menyokong supaya disahkan.

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon izin mencadangkan supaya Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan.

Tuan Teo Kok SeongDAP · PHBahau

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan tersebut.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju Peringatan Mesyuarat ini disahkan, sila angkat tangan. Yang tidak bersetuju? Berkecuali? Okay, kita terima.

[Keputusan undian: 23 ahli Yang Berhormat bersetuju, 13 ahli Yang Berhormat tidak mengundi]

[Peringatan Mesyuarat Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang Ke-14 yang telah diadakan pada 22, 25, 26 dan 27 November 2019 disahkan tanpa pindaan dan YB Yang Dipertua Dewan menandatangani Peringatan Mesyuarat tersebut.]

Titah Ucapan DirajaAddress / budget

Setiausaha Dewan

Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebentar lagi Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan akan menyampaikan Titah baginda dalam Dewan yang mulia ini. Dan sekarang Dewan ditangguhkan sebentar untuk keberangkatan tiba Ke Bawah Duli Tuanku.

[YB Yang Dipertua Dewan meninggalkan Galeri Persidangan]

[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan YTM Tunku Besar Tampin]

[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan Undang Luak Rembau]

[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan YTM Undang Luak Johol]

[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan YTM Undang Luak Jelebu]

[Setiausaha Dewan mengumumkan keberangkatan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diiringi oleh YB Yang Dipertua Dewan]

Yang Dipertua Dewan

Mengadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, ampun Tuanku, Patik memohon perkenan Ke Bawah Duli Tuanku untuk melafazkan Titah kepada sidang hadirin di dalam Dewan yang mulia ini. Mohon perkenan Tuanku.

[YAB ADUN Sikamat menyembahkan Teks Titah Ucapan DiRaja kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan]

[DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menyampaikan Titah baginda]

[Titah Perasmian DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan seperti di Lampiran A]

[YAB ADUN Sikamat mengambil semula Teks Titah Ucapan]

Penangguhan MesyuaratAdjournment

Yang Dipertua Dewan

Menjunjung kasih Tuanku. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebentar lagi saya akan menangguhkan Dewan. Sebelum saya menangguhkan persidangan kali ini, saya ingin memaklumkan bahawa perbasan, perba, perbahasan Titah Ucapan Diraja akan dibawa dalam persidangan yang akan datang.

Saya juga dengan ini menetapkan bahawa, semua pertanyaan yang telah diberitahu akan dijawab oleh pihak kerajaan tertakluk kepada Peraturan XIV dan semua pertanyaan lisan akan dijawab secara bertulis selaras dengan Peraturan XV. Setiausaha Dewan akan memaklumkan perkara ini melalui notis pemberitahuan yang akan diedarkan kemudian.

Saya juga mengambil kesempatan ini merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menyempurnakan persidangan kita pada kali ini. Dengan ini, saya menangguhkan Persidangan Dewan kali ini ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Keberangkatan Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat serta Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin meninggalkan Dewan.

[Bentara Dewan menanggung Cokmar mendahului DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan]

[YTM Undang Yang Empat serta YTM Tunku Besar Tampin meninggalkan Dewan]

[YB Yang Dipertua Dewan meninggalkan Galeri Persidangan]

Persidangan Dewan Undangan Negeri ditangguhkan pada jam 10.31 pagi.