Negeri Sembilan · 26 November 2021

14th Assembly, 4th session, 2nd meeting (Budget) · 55 turns · 13,417 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalNegeri Sembilan publishes one PDF per meeting, naming speakers by seat. The 15th Assembly was dissolved on 5 Jun 2026; the 16th (elected 1 Aug 2026) has published nothing yet. Written answers are not published.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14. Susunan Mesyuarat, perkara pertama, Membaca Doa. Dipersilakan Yang Berhormat ADUN Lenggeng.

[YB ADUN Lenggeng telah membacakan doa di bawah Peraturan 9, muka surat 11 di dalam Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri]

2.2.2.2. PERUTUSAN YANG DIPERTUA DEWAN

Setiausaha Dewan

Perkara kedua, Perutusan Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua Dewan.

Yang Dipertua Dewan

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum WBT, salam sejahtera. Segala puji bagi Allah; Tuhan pencipta alam semesta, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda. Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita semua dapat bersama-sama pada hari ini untuk mengadakan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14 tahun 2021.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun; Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati sekalian.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang ke mesyuarat bagi Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14 yang dijadualkan berlangsung selama 6 hari, mulai hari ini; 20 November sehingga, 20 November, 29 November sehingga 3 Disember 2021, insyaAllah.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Persidangan Dewan kali ini merupakan tahun kedua kita berhadapan dengan ujian virus COVID-19.

Kita seharusnya sudah mula membiasakan kehidupan kita dengan endemik COVID-19. Dan saya juga menasihati semua yang hadir hari ini supaya sentiasa menjaga diri dan memastikan SOP dipatuhi supaya persidangan kali ini tidak terganggu dan diharap juga supaya ianya dapat dijalankan dalam suasana yang baik dan harmoni khususnya untuk kita sama-sama mendepani tahun-tahun yang akan datang.

Saya mengambil kesempatan menghar, merakamkan penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih khususnya kepada frontliners kerana bertugas sebagai, bertugas belakang tabir yang sentiasa ber, sentiasa bertungkus-lumus memerangi penularan COVID-19. Kita tidak boleh leka dengan ancaman pandemik ini, oleh itu kita mestilah mengamalkan hidup sihat, mengamalkan yang SOP berkaitan supaya COVID yang sudah, yang sedang melanda kita hampir hampir 2 tahun ini dapat kita tamatkan.

Sebagaimana maklum, Malaysia kini berhadapan dengan Varian Delta COVID-19 yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi. Sehubungan dengan itu, pihak urus setia dengan kerjasama serta nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah menyediakan prosedur operasi, Prosedur Operasi Standard (SOP) tambahan sebagai langkah pencegahan dan berjaga-jaga bagi mengurangkan penularan, penularan virus COVID-19 khususnya kepada semua hadirin yang akan terlibat sepanjang persidangan ini.

Saya juga bersama dengan urusetia akan memastikan supaya SOP sentiasa, dalam setiap masa dapat dipatuhi termasuk juga kita mengharapkan supaya semuanya menghadkan pergerakan keluar dan masuk dalam bangunan ini supaya kita dapat menghalang penularan yang mungkin akan berlaku akibat daripada tingkah laku kita yang tidak menjaga jarak dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, ketua-ketua jabatan dan urus setia serta petugas-petugas Dewan dikehendaki menjalani ujian saringan COVID-19 iaitu Ujian RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription) dan juga, hendaklah memastikan khususnya kepada Yang Berhormat, kita ada sediakan apa, untuk setiap kali kita masuk Dewan, kita akan cuba, pagi tadi saya pun dah, dah, dah masuk dalam hidung. Sakit ya. Meleleh air mata jugak. Tak pandai lagi, jolok-jolok, terlalu jauh ke dalam. Tak apalah, tapi tengok negatif tadi, alhamdulillah. Yang dibekalkan, cuba pakai ya. Jangan nanti terlupa pulak nak pakai, nanti tak boleh masuk dalam Dewan ini. Gunakan. Jadi pakai bahasa, Dato’. Okay. Para hadirin juga hendaklah memastikan menerima suntikan vak, vaksinasi lengkap 2 dos dan yang melepasi tempoh matang 14 hari bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Setiap ruang di bangunan Dewan ini telah dihadkan kapasiti berdasarkan keluasan bilik atau ruang. Semua hadirin dikehendaki mematuhi had kapasiti ini sebagaimana yang ditetapkan. Oleh itu SOP tambahan ini adalah tertakluk kepada SOP atau ketetapan dari masa ke semasa oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negeri serta lain-lain aturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri. Pihak Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) juga akan membuat penilaian risiko dari masa ke semasa untuk menentukan tahap risiko semua ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sepanjang tempoh persidangan ini.

Kehadiran jemputan terutamanya kepada ketua jabatan, pemerhati dan media ke persidangan kali ini juga dihadkan. Namun begitu, jumlah jemputan kehadiran secara, secara fizikal ke persidangan ini adalah jumlah yang sangat minima. Sesi persidangan masih boleh diikuti secara langsung oleh semua pihak melalui media sosial iaitu di akaun Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan. Persidangan Dewan juga dilaksanakan secara hibrid di mana ketua-ketua jabatan khasnya boleh mengakses persidangan ini melalui aplikasi Microsoft Team.

Yang Berhormat, yang amat, Yang Berhormat sekalian sepertimana lazimnya, saya menyeru ahli-ahli Yang Berhormat agar sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Dan Perintah-perintah Tetap Dewan serta tata kelakuan dan etika sebagai ahli Yang Berhormat sepanjang persidangan pada kali ini. Selain itu, saya juga memberikan peringatan dan pemakluman sekali lagi kepada semua hadirin untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan hadirin semua digalakkan untuk memakai pelitup muka yang berganda (double face mask) seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan serta menghindarkan sebarang aktiviti berkumpulan sama ada dalam atau di luar bangunan Dewan Undangan Negeri ini. Kita mestilah mengelakkan 3S iaitu sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.

Yang terakhirnya, saya suka ingatkan bahawa premis kerajaan telah diwartakan sebagai Tempat Larangan Merokok di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau semenjak tahun 2004. Aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di premis kerajaan termasuk di Bangunan DUN ini akan dijalankan oleh urus setia Dewan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri sepanjang persidangan ini berjalan.

Saya amat ber, saya amat berharap supaya persidangan kali ini dapat berlangsung dengan keadaan harmoni, mesra serta menjaga nama baik dan etika sebagai ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini. Sekian wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum WBT.

3.3.3.3. MENGESAHKAN PERINGATAN MESYUARAT

Setiausaha Dewan

Perkara ketiga, Mengesahkan Peringatan Mesyuarat. Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Kali Pertama (Perasmian) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14 yang telah diadakan pada 3 September dan 6 hingga 8 September 2021.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, persidangan Mesyuarat Kali Pertama (Perasmian) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Ke-14 yang telah diadakan pada 3 September dan 6 hingga 8 September 2021 telah diedarkan salinannya. Oleh itu ada apa-apa teguran? Sekiranya tiada, diharap seorang ahli mencadangkan dan seorang lagi menyokong supaya disahkan.

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon izin mencadangkan supaya Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan.

Tuan Teo Kok SeongDAP · PHBahau

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan tersebut.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju Peringatan Mesyuarat ini disahkan, sila angkat tangan. Yang ber, yang tidak bersetuju? Yang berkecuali? Jadi, Peringatan Mesyuarat ini disahkan.

[Keputusan undian: 28 orang ahli Yang Berhormat bersetuju manakala 8 orang ahli Yang Berhormat tidak mengundi]

[Peringatan Mesyuarat Kali Pertama (Perasmian) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14 yang telah diadakan pada 3 September dan 6 hingga 8 September 2021 disahkan tanpa pindaan dan YB Yang Dipertua Dewan menandatangani Peringatan Mesyuarat tersebut.]

USUL DI BAWAH PERATURAN XXX – PERATURAN-PERATURAN DAN PERINTAH-PERINTAH TETAP DEWAN UNDANGAN NEGERI, NEGERI SEMBILAN.

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat …..

Yang Dipertua Dewan

Ya, silakan.

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon izin untuk mengemukakan usul di bawah Peraturan XXX iaitu menggantung kehendak Peraturan X berkenaan Susunan Mesyuarat yang telah ditetapkan pada awal bagi hari ini. Adalah disyorkan susunan mesyuarat pada hari ini memberi keutamaan kepada sesi pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan atau bajet tahun 2022, selepas agenda pembentangan Kertas Dewan serta pembentangan Laporan dan Penyata Kewangan. Ini bagi maksud supaya sidang Dewan pada hari ini dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada sesi Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2022.

Sehubungan dengan itu juga semua pertanyaan lisan pada hari ini akan diberikan jawapan secara bertulis.

Tuan Teo Kok SeongDAP · PHBahau

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan tersebut.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat telah mencadangkan agar Susunan Mesyuarat pada hari ini memberi keutamaan kepada sesi pembentangan bajet tahun 2020 selepas agenda Pembentangan Kertas Dewan dan Pembentangan Laporan Dan Penyata Kewangan. Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat juga telah memaklumkan bahawa semua pertanyaan lisan pada hari ini akan diberikan secara bertulis. Cadangan ini telah mendapat sokongan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan cadangan ini sila angkat tangan.

Dato’ Yang Dipertua, boleh saya mencelah Dato’ Yang Dipertua?

Yang Dipertua Dewan

Nak apa?

Boleh mencelah? Berkenaan perkara yang kita usulkan.

Yang Dipertua Dewan

Soalan ya?

Bukan soalan. Usul ini Dato’ Yang Dipertua, sepatutnya, walaupun telah diusulkan, kami berharap dapat dibahaskan, sekurang-kurangnya kita dapat …..

Yang Dipertua Dewan

Saya ingat tak payah bahaslah …..

…. sekurangnya-kurangnya …..

Yang Dipertua Dewan

….. pasal banyak benda lagi benda kita nak bahaskan banyak ni …..

Dato’ Yang Dipertua.

Yang Dipertua Dewan

Ini, ini, ini cuma ubah, ubah tajuk je …..

Dato’ Yang Dipertua.

Yang Dipertua Dewan

….. yang soalan lisan tadi kita, kita akan jawab secara bertulis.

Soalan lisan ni selalunya Dato’ Yang Dipertua, tidak kita kemukakan sewaktu hari perasmian saja. Apabila lain daripada itu, sidang bersidang, Dewan bersidang ianya mesti dilalui dengan soalan-soalan lisan. Kalau Dewan bersidang pada hari ini tanpa soalan lisan, atau usul yang tergempar ini, kita berharap dapat direkodkan dalam Dewan ini kami pihak pembangkang membantah perkara ini dilakukan pada masa-masa akan datang. Sebab perkara soalan lisan ini adalah soalan asas dalam Dewan dan ia merupakan perkara-perkara yang nak dibincangkan jugak semasa kita nak bersidang. Kalau pihak kerajaan memikirkan tidak perlu soalan lisan, tidak perlu mintak soalan lisan daripada kami. Jadi kita diharap …..

Yang Dipertua Dewan

Dah, dah.

….. diharapkan perkara ini tidak berulang Dato’ Yang Dipertua. Dan saya harap jugak sebab kalau nak undi, memanglah kita pun tahu kita akan kalah. Tetapi teguran ini mesti dibuat kepada Dato’ Yang Dipertua, dan juga kepada pihak kerajaan untuk pada masa akan datang, tidak dilaksanakan seperti ini. Soalan lisan adalah satu, satu perkara yang amat penting dalam persidangan kita, Dato’ Yang Dipertua.

Yang Dipertua Dewan

Okay, terima kasih. Soalan lisan memang kita terima, jawapan bertulis kita akan beri. Okay. Saya pun tak nak buang masa kita hari ini sebab kita ada banyak lagi agenda yang nak sebut. Dan saya nampak ada, ada kelebihan sikit kalau kita buat terus macam ni supaya penumpuan kita dapat kita berikan pada khususnya untuk pembentangan bajet.

Jadi saya ulang lagi, yang bersetuju sila angkat tangan. Yang tidak bersetuju? Yang berkecuali? Cadangan yang bersetuju lebih ramai ya. Jadi cadangan diluluskan.

[Keputusan undian: 19 orang ahli Yang Berhormat Kerajaan bersetuju, 15 orang ahli Yang Berhormat pihak pembangkang tidak bersetuju manakala 2 orang ahli Yang Berhormat tidak mengundi]

4.4.4.4. MEMBENTANGKAN KERTAS DEWAN

Setiausaha Dewan

Perkara keempat, Membentangkan Kertas Dewan. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon izin membentangkan Kertas-Kertas Dewan yang ada di hadapan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian iaitu:

4.1 Kertas Dewan Bil. 3/2021 Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Hasil Bagi Tahun 2022.

4.2 Kertas Dewan Bil. 4/2021 Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Perbelanjaan Mengurus Bagi Tahun 2022.

4.3 Kertas Dewan Bil. 5/2021 Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2022.

4.4 Kertas Dewan Bil. 7/2021 Usul Pindaan Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan.

dan

4.5 Kertas Dewan Bil. 8/2021 Cadangan Pewujudan Dasar Dan Kaedah Pelaksanaan Menghadkan Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan serta Cadangan Perubahan Dasar Umur Calon Bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri Melalui Rang Undang-Undang, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2021.

Manakala bagi Kertas Dewan Bil. 6/2021: Cadangan Rang Undang-Undang Pemegangan Tanah Adat 2021 telah diedarkan sebelum ini, ditarik balik selaras dengan Peraturan XVIII(6), saya menarik balik.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Kertas Bilangan 3, 4, 5 dan 7, dan 8 Tahun 2021 adalah dibentangkan. Kertas Dewan Bilangan 6 Tahun 2021 ditarik balik.

5.5.5.5. MEMBENTANGKAN LAPORAN DAN PENYATA KEWANGAN

Setiausaha Dewan

Perkara kelima, Membentangkan Laporan Dan Penyata Kewangan. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun membentangkan Laporan dan Penyata Kewangan yang ada di hadapan ahli-ahli Yang Berhormat iaitu:

5.1 Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan Tahun 2018 sehingga 2021.

5.2 Laporan Ketua Audit Negara mengenai Aktiviti Jabatan / Agensi Negeri, Negeri Sembilan bagi tahun 2019 Siri 2.

5.3 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan bagi tahun 2020.

5.4 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.5 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Lembaga Muzium Negeri, Negeri Sembilan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.6 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.7 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.8 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Yayasan Negeri Sembilan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.9 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Perbadanan Negeri Sembilan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.10 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.11 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Majlis Bandaraya Seremban bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.12 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Majlis Perbandaran Port Dickson bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.13 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Majlis Perbandaran Jempol bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.14 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Majlis Daerah Kuala Pilah bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.15 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Majlis Daerah Jelebu bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.16 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Majlis Daerah Tampin bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

5.17 Penyata Kewangan dan Sijil Ketua Audit Negara mengenai Majlis Daerah Rembau bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat Laporan dan Penyata Kewangan adalah dibentangkan.

6.6.6.6. PERTANYAAN-PERTANYAAN

Pertanyaan-Pertanyaan Yang Berkehendakkan Jawapan Lisan (Hari Pertama)Questions

Setiausaha Dewan

Perkara keenam, Pertanyaan-Pertanyaan. Pertanyaan-Pertanyaan Yang Berkehendakkan Jawapan Lisan (Hari Pertama).

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebagaimana yang telah dipersetujui awal tadi, semua perwakil, pertanyaan lisan di hari pertama akan diberikan jawapan secara bertulis.

Pertanyaan-Pertanyaan Yang Berkehendakkan Jawapan BertulisQuestions

Setiausaha Dewan

Pertanyaan-Pertanyaan Yang Berkehendakkan Jawapan Bertulis. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun membentangkan jawapan bagi pertanyaan-pertanyaan bertulis yang telah diberitahu terlebih dahulu seperti yang dibentangkan di hadapan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, jawapan bagi Pertanyaan Bertulis adalah dibentangkan.

7.7.7.7. USUL

Setiausaha Dewan

Perkara ketujuh, Usul. Usul pertama: Usul Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2022. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun mengemukakan usul bahawa mengikut Ceraian 3 Seksyen 4, di dalam Akta Kumpulan Wang yang Disatukan Pembangunan 1966, Dewan ini mengambil ketetapan bersetuju perbelanjaan yang dicadangkan sebanyak Ringgit Malaysia 130 juta dengan maksud dan butiran projek dalam Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2022 sepertimana, sebagaimana yang dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bil. 5 Tahun 2021 adalah diluluskan dan diperolehi untuk tujuan yang ditentukan sahaja.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong usul tersebut.

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, memandangkan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2022 akan, ada kaitan dengan Rang Undang-Undang Perbekalan (2022) 2021, maka saya mencadangkan supaya usul ini dibincang dan dibahaskan bersekali dengan rang undang-undang tersebut.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan tersebut.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat telah mencadangkan agar Usul Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2022 dibincang dan dibahas bersekali dengan Rang Undang-Undang Perbekalan (2022) 2021 dan telah mendapat sokongan. Ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan cadangan ini sila angkat tangan. Yang berkecuali? Cadangan diluluskan. Kita terus kepada perkara berikut.

[Keputusan undian: semua 20 orang ahli Yang Berhormat di pihak kerajaan bersetuju dan 16 orang ahli Yang Berhormat di pihak pembangkang tidak mengundi]

8.8.8.8. RANG UNDANG-UNDANG PERTAMA: Rang Undang-Undang Perbekalan (2022) 2021

[Bacaan kali pertama]

Setiausaha Dewan

Perkara kelapan, rang undang-undang. Rang Undang-Undang yang pertama, dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun mencadangkan supaya Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen Perbekalan (2022) 2021 untuk membolehkan kegunaan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perbelanjaan bagi penggunaan pengurusan tahun 2022 dibacakan bagi kali pertama.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan tersebut.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali pertama.

Setiausaha Dewan

Satu Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan tahun 2022 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu bagi maksud-maksud yang tertentu bagi tahun itu.

[Bacaan kali kedua]

Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, sebelum saya mencadangkan supaya rang undang-undang ini dibacakan bagi kali kedua, bismillahirrahmanirrahim, Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon mencadang supaya Rang Undang-Undang “Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2022 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibacakan bagi kali kedua.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Tuan Punya seluruh alam. Dia-lah pemilik ke atas negeri ini dan penyedia segala sumber yang Maha Kaya, Maha

Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan yang paling disayangi Nabi Muhammad SAW yang diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Sesungguhnya kehidupan ini adalah sebuah ujian. Setiap dari kita tidak akan terlepas dari pelbagai bentuk ujian dari Allah SWT sama ada dalam bentuk kesusahan, kesenangan, kesakitan, kemiskinan mahupun wabak penyakit, supaya dari situ setiap diri manusia akan dinilai tahap keimanan dan ketakwaannya kepada Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-'Ankabuut Ayat 2 ….[melafazkan bacaan ayat berkenaan]. Maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

Begitulah keadaan yang sedang kita lalui apabila wabak COVID-19 yang mula tercetus pada tahun 2019 di Wuhan masih lagi berlarutan sehingga kini. Namun, adab sebagai hamba, hendaklah kita lalui ujian ini dengan penuh sabar dan berdoa selaras dengan firman Allah SWT di dalam Al-Quran: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” Surah Al-Baqarah Ayat 155-157.

Pandemik COVID-19 benar-benar merubah landskap kehidupan manusia di seluruh dunia merentasi sempadan benua, negara, bangsa dan agama. Sepanjang tahun 2020 dan tahun 2021, dunia berhadapan dengan fenomena krisis kesihatan dan ekonomi yang sangat dahsyat dan menggerunkan. Krisis ini membawa kepada kemerosotan ekonomi global yang menguncup sebanyak -3.2% pada tahun 2020 berdasarkan laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Data daripada Bank Dunia pula telah merekodkan peningkatan kadar pengangguran kepada 6.5%. Krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19 ini memberi kesan yang luar biasa dan dijangka memerlukan satu tempoh yang lebih lama untuk kembali pulih sepenuhnya.

Seperti kebanyakan negara-negara lain, Malaysia turut mengalami kesan yang signifikan. Ekonomi negara telah merekodkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 2020 kepada -5.6% sekali gus meletakkan kadar pertumbuhan ini di kedudukan kedua terendah selepas Krisis Kewangan Asia yang mencatatkan penguncupan -7.4% pada tahun 1998.

Penguncupan ini benar-benar, penguncupan ini berkadar langsung dengan peratus pengangguran negara pada tahun 2020 apabila kadar pengangguran telah meningkat secara mendadak kepada 4.5% berbanding 3.2% semasa krisis Kewangan Asia. Jelas, krisis kesihatan ini telah menjerumuskan negara kepada krisis ekonomi yang mengakibatkan ratusan ribu rakyat kehilangan pekerjaan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini telah memaksa kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memberikan kesan langsung kepada hampir keseluruhan sektor ekonomi. Sehingga suku kedua tahun ini, ekonomi negara mencatatkan pemulihan dengan pertumbuhan pada kadar 16.1% jika dibandingkan dengan suku kedua tahun lalu dengan penguncupan ketara -17.2%. Walau bagaimanapun, berdasarkan situasi semasa dengan pemulihan ekonomi yang masih perlahan, Bank Negara Malaysia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan negara pada kadar antara 3.0 hingga 4.0% bagi keseluruhan tahun 2021 ini. Semasa pembentangan belanjawan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 5.5 hingga 6.5% pada tahun 2022.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, secara keseluruhannya, semua negeri di Malaysia mencatat pertumbuhan negatif pada tahun 2020. Negeri Sembilan turut mencatatkan penyusutan KDNK kepada -3.6%. Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi tersebut adalah lebih baik berbanding pertumbuhan ekonomi negara pada -5.6%. Keseluruhan sektor ekonomi negeri ini turut mencatatkan pertumbuhan negatif. Impak terbesar adalah pada sektor pembinaan yang menguncup -25.6% dan sektor perlombongan dan pengkuarian -11.2%. Walau bagaimanapun, sektor ini hanya menyumbang 3.5% daripada keseluruhan KDNK negeri. 2 sektor utama yang menyumbang 87.6% kepada ekonomi negeri ialah sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan yang turut mengalami penguncupan masing-masing sebanyak -1.1% dan -4.9%. Sektor pertanian juga turut terkesan dengan penguncupan sebanyak -6.6%. Namun alhamdulillah, sungguhpun berhadapan dengan persekitaran yang sangat sukar, Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sebanyak 447.88 juta atau bersamaan 98% pada tahun 2020, iaitu satu pencapaian yang sangat membanggakan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa dilakukan oleh kerajaan untuk membendung pandemik COVID-19 telah memberikan kesan langsung kepada semua sektor ekonomi sehingga menyebabkan berlakunya pemberhentian pekerja bagi pengurang, bagi mengurangkan impak kerugian kepada syarikat. Pengangguran di negeri ini telah meningkat kepada 3.8% pada tahun 2020 berbanding 3.1% sebelum

berlakunya pandemik. Trend kadar pengangguran di Negeri Sembilan melalui tempoh krisis hampir menyamai trend di peringkat nasional. Lebih menyedihkan, pekerja kategori separa mahir dan tidak mahir adalah mereka yang terkesan akibat daripada penguncupan ekonomi ini. Bilangan pekerja separa mahir berkurangan sebanyak 4,500 orang manakala pekerja tak mahir menyusut sebanyak 11,900 orang.

Memasuki tahun 2021, pengangguran di Negeri Sembilan mula menunjukkan trend pemulihan dengan kadar pengangguran berkurangan kepada 3.5% pada suku kedua tahun 2021. Ia berada pada kedudukan lebih baik namun belum pulih sepenuhnya berbanding tempoh pandemik.

Insiden kemiskinan pula meningkat kepada 6.5% pada tahun 2020 terutamanya kemiskinan bandar. Kadar gaji dan upah mencatatkan pengurangan selari dengan penguncupan ekonomi. Negeri Sembilan mencatatkan pengurangan gaji dan upah pada kadar -6.4%. Lebih membimbangkan apabila penguncupan kadar gaji dan upah ini adalah dua kali ganda lebih besar berbanding penguncupan KDNK negeri.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, ibarat kata perbidalan “berpatah sayap bertongkat paruh”, pasukan pentadbiran Kerajaan Negeri tetap tidak menyerah kalah pada persekitaran ekonomi yang suram sebaliknya terus gigih menarik sebanyak mungkin pelaburan langsung ke negeri ini. Alhamdulillah, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Malaysia Investment Development Authority (MIDA) pada 2 Mac 2021, Negeri Sembilan telah mencatatkan nilai pelaburan yang tertinggi dalam sejarah iaitu 7.93 bilion pada tahun 2020.

Bagi meneruskan lagi momentum ini, saya telah melancarkan Invest NS 2021 pada 15 Disember 2020 bertujuan untuk mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur domestik dan luar negara datang ke negeri ini. Alhamdulillah, sehingga suku kedua tahun 2021, kita telah berupaya menarik 2.2 bilion pelaburan yang telah diluluskan dan dijangka akan mencapai sasaran 5.0 bilion sehingga penghujung tahun ini. Pelaburan ini dijangka akan mencipta 1,274 peluang pekerjaan.

Berdasarkan unjuran yang dibuat oleh pakar ekonomi, Prof Dr Mohd Yusof Saari dari Universiti Putra Malaysia (UPM), ekonomi negeri dijangka akan merekodkan pemulihan dengan pertumbuhan KDNK di antara 2.3 hingga 3.3% sehingga hujung tahun 2021. Pertumbuhan ekonomi ini dijangka akan terus menunjukkan trend pemulihan yang meyakinkan di antara 3.2 hingga 4.2% pada tahun 2022. Unjuran yang lebih tinggi dijangka dapat dicapai jika ekonomi terus dibuka dan pemulihan sektor pelancongan melalui pembukaan sempadan negara

kepada pelawat dan pelancong asing dapat dilakukan pada awal tahun 2022.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada barisan hadapan yang telah bertungkus lumus memerangi dan memutuskan rantaian wabak COVID-19 di negeri ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada syarikat-syarikat swasta, badan-badan NGO, orang-orang perseorangan, penjawat awam dan pemimpin-pemimpin tempatan yang turut sama membantu memerangi wabak COVID ini. Sesungguhnya kalian adalah wira kami.

Tenang-tenang air di laut Sampan kolek bawa ke tanjong Hati terkenang mulut menyebut Budi baik tuan kami sanjung

Peningkatan kes positif yang berterusan sejak penghujung tahun 2020 telah menyebabkan Proklamasi Darurat diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 11 Januari 2021. Untuk rekod, kes positif harian tertinggi yang pernah dicatatkan adalah 1,619 kes pada 16 Julai 2021. Jumlah kes terkumpul positif 19, COVID-19 di Negeri Sembilan sehingga 15 November 2021 adalah 105,859 kes dengan 1,254 kematian.

Sungguh pun dikecam hebat oleh segelintir pihak yang sentiasa mencari salah, Kerajaan Negeri tetap tekad menggandakan usaha dan strategi dalam menurunkan kes positif harian sebagaimana perintah Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah Ayat 153 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.”

Alhamdulillah, ibarat munculnya pelangi selepas hujan, tawa selepas tangisan, Negeri Sembilan terus muncul sebagai negeri pertama Semenanjung Malaysia yang diumumkan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara pada 24 September 2021 yang lalu. Kejayaan ini adalah hasil usaha bersepadu semua pihak untuk meningkatkan tahap imuniti kelompok melalui pemberian vaksin secara besar-besaran di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Sehingga 15 November 2021, jumlah populasi dewasa yang telah lengkap divaksin adalah seramai 816,038 orang bersamaan 102%. Peralihan ke Fasa 4 ini juga membolehkan semua sektor ekonomi berjalan semula setelah sekian lama terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, janganlah kita sekali-kali lupa dan lalai kerana kita masih belum menang. Munajat dan doa perlu diteruskan agar Allah SWT memberikan

keampunan kepada kita semua dan melindungan, dan melindungi negeri ini dari apa jua bala bencana, wabak penyakit. Saya dengan ini mempelawa seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk turut serta menyertai majlis bacaan Al-Mathurat Kubra dan pimpinan rohani secara mingguan yang dibuat secara atas talian pada setiap Jumaat malam.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah, syabas kepada pasukan bola sepak Negeri Sembilan FC kerana menjuarai Liga Perdana pada musim ini. Kejayaan pasukan NSFC ini telah menamatkan penantian trofi selama 9 tahun sejak muncul juara Piala Sumbangsih tahun 2012. Kejayaan ini juga merupakan pelengkap kepada kejayaan skuad Negeri Sembilan untuk beraksi di Liga Super pada musim hadapan. Namun begitu, hasrat rakyat Negeri Sembilan untuk menyaksikan pasukan negeri beraksi di pentas Piala Malaysia tidak kesampaian apabila 20 orang pemain dan pasukan pengurusan NSFC disahkan positif COVID-19 dan terpaksa menarik diri dari pertandingan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 27 November 2020 yang lalu, saya membentangkan unjuran hasil sebanyak 448 juta dengan tema: Merangsang Ekonomi, Mensejahtera Rakyat. Unjuran tersebut adalah berdasarkan kepada analisis dan petunjuk-petunjuk ekonomi hasil sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan satu unjuran hasil yang realistik. Walau bagaimanapun, PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan mulai 12 Mei 2021 telah menyebabkan hampir kesemua sektor ekonomi tergendala dan tidak dapat beroperasi. Sektor pembangunan hartanah, pembinaan, kuari, pasir dan pelancongan adalah antara sektor yang terjejas teruk dan memberikan kesan langsung kepada penyusutan Hasil Bukan Cukai seperti bayaran premium dan royalti.

Analisis menggunakan model ekonometrik siri-masa menunjukkan, peningkatan intensiti sekatan perjalanan domestik, pembatasan acara awam dan penutupan tempat kerja, telah memberi kesan langsung terhadap kutipan hasil negeri dan kehilangan pekerjaan kerana beroperasi di bawah kapasiti optimum. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia, prestasi kutipan negeri sehingga 15 November 2021 adalah 334.27 juta ataupun 74.61%.

Pelbagai usaha dan strategi telah, telah dan sedang diambil oleh semua pejabat pemungut hasil bagi mengecilkan jurang. InsyaAllah, saya amat yakin dan optimis, pada hujung tahun 2021 nanti, kita akan berupaya mengutip hasil sekurang-kurangnya 90% daripada anggaran belanjawan. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih kepada semua ketua jabatan yang terlibat, khususnya kepada penja, Pejabat Kewangan,

Pejabat Perbendaharaan Negeri, yang tidak putus, yang tidak putus asa dan sentiasa gigih memperhebatkan kutipan hasil negeri.

Sungguhpun hasil negeri sedikit rendah berbanding sasaran, namun, alhamdulillah, rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri masih lagi kukuh. Sehingga 15 November 2021, jumlah rizab Kerajaan Negeri adalah sebanyak 899.25 juta yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan sebanyak 446.42 juta dan Akaun Amanah Disatukan – 452.83 juta.

Sebagai tindak balas dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri telah menyusun semula perbelanjaan bagi menangani COVID-19 berjumlah 29.4 juta. Beberapa peruntukan tidak dapat dibelanjakan akibat PKP, telah dipindahkan bagi maksud yang lebih utama khususnya membaya, membiayai pelbagai bantuan rakyat seperti pemberian 4,470 unit peranti bagi membantu PdPR para pelajar dan edaran bakul makanan.

Sehingga 15 November 2021, prestasi perbelanjaan mengurus adalah 357.69 juta atau 63.65% manakala prestasi perbelanjaan pembangunan pula adalah 83.91 juta atau 54.84%.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, izin [minum]. Menyedari negeri sedang berhadapan dengan dua krisis yang tidak pernah dihadapi sebelum ini iaitu krisis kesihatan dan krisis ekonomi, maka pastinya kita memerlukan pendekatan yang berbeza dalam usaha untuk memulihkan ekonomi secepat dan, secepat yang mungkin. Kerajaan perlu mengenal pasti sektor yang mesti diberikan tumpuan agar setiap perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan mampu menjana impak yang optimum kepada ekonomi negeri seterusnya memberi pulangan hasil kepada kerajaan. Hala tuju pembangunan ekonomi Negeri Sembilan secara keseluruhannya bergantung kepada pembangunan sektoral.

Oleh itu, 2 petunjuk utama digunakan untuk menilai dan mengenal pasti sektor-sektor ekonomi yang berpotensi memba, menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri pada tahun 2022. Petunjuk Analisis Pengganda ataupun multiplier dan hubungkait sektoral dan sectoral linkages telah digunakan berdasarkan model input-output yang dibangunkan. Hasil kajian mendapati secara umumnya setiap 1.0% peningkatan nisbah perbelanjaan mengurus cenderung untuk menjana 1.3% KDNK negeri. Seterusnya, peningkatan 1.0% KDNK berpotensi menjana peningkatan jumlah hasil sebanyak 0.8%. Nilai pengganda KDNK dan jumlah hasil ini telah mengambil kira kesan langsung dan tidak langsung kepada ekonomi Negeri Sembilan.

Analisis Model Input-Output yang dibangunkan telah membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti 4 kuadran sektor ekonomi iaitu Sektor Strategik, Sektor Utama, Sektor Kendiri dan Sektor Pemacu. Setiap sektor tersebut telah dianalisis secara empirikal dalam penyediaan Belanjawan 2022 dan hala tuju pembangunan negeri di bawah RMKe-12 dengan mengenal pasti subsektor-subsektor yang perlu diberikan tumpuan. Di Negeri Sembilan, subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan dan sektor pertanian merupakan sektor strategik. Subsektor pemprosesan makanan dan minuman yang berhubung kait rapat dengan keusahawanan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula termasuk dalam kumpulan sektor pemacu. Sektor-sektor ini mempunyai pengganda nilai ditambah dan pengganda pekerjaan yang tinggi. Justeru, langkah kerajaan untuk memulih ekonomi negeri dengan lebih berfokus, hendaklah memberi keutamaan kepada aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan sektor-sektor tersebut.

Berdasarkan dapatan ini, amat wajar supaya satu pemetaan baharu sektor ekonomi disediakan oleh Kerajaan Negeri supaya langkah pemulihan ekonomi yang dilaksanakan berkesan dan rakyat dapat terus hidup sejahtera. Justeru, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang membangunkan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021-2025. Rancangan ini merupakan pelan jangka sederhana bagi pembangunan ekonomi negeri. Tumpuan bagi rancangan ini adalah kepada bidang mikro, makroekonomi dan fiskal negeri, keusahawanan dan perusahaan kecil dan sederhana, modal insan, penggunaan sumber alam dan tumpuan kepada sektor bernilai tinggi.

Alhamdulillah, pembentangan Belanjawan 2022 ini merupakan tahun keempat saya dalam menggalas tanggungjawab bagi memastikan Negeri Sembilan yang dicintai ini terus membangun dengan sejahtera. “Kok rumput nan seholai, kini dah jadi padang, kok sawah nan selopak, kini dah jadi bondang, kok dahan nan sepucuk, kini dah jadi pohon yang rendang. Kok ibarat tanah, nak dibukitkan, kok air setitik nak dijadikan lautan”. Begitulah ibarat kerajaan yang mentadbir negeri ketika ini semakin matang dan bijaksana dalam mengurus kemaslahatan ummah.

Keutamaan belanjawan 2022 harus bertumpu kepada agenda pemulihan ekonomi rakyat pasca COVID-19. Seluruh tumpuan dan iltizam hendaklah difokus kepada semua inisiatif yang boleh merancakkan kembali ekonomi domestik dengan 2 tekad utama iaitu Mengurangkan Beban Perbelanjaan Rakyat dan Meningkatkan Keupayaan Penjanaan Pendapatan Keluarga. Mendasari semangat iltizam ini, sukacita saya

mengumumkan tema belanjawan tahun 2022 ini adalah “Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat”.

Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Dewan yang mulia ini, Belanjawan 2022 dengan peruntukan Perbelanjaan Mengurus sebanyak 520 juta berbanding Anggaran Hasil sebanyak 432 juta. Peruntukan bagi maksud Perbelanjaan Pembangunan pula adalah sebanyak 130 juta. Justeru, belanjawan tahun 2022 yang dicadangkan ini merupakan belanjawan defisit sebanyak 88 juta.

Dalam meneruskan agenda pemulihan ekonomi, adalah perlu bagi sebuah Kerajaan Negeri untuk berbelanja lebih daripada kutipan hasil bagi membolehkan lebih banyak intervensi dan suntikan dana awam dilakukan sekaligus membantu kenaikan KDNK negeri seperti yang telah saya terangkan di awal tadi. Namun, belanjawan defisit ini perlulah bersifat terarah dengan memberikan keutamaan kepada sektor-sektor yang memberi nilai pengganda tinggi kepada ekonomi.

Hasil Cukai dijangka menyumbang sebanyak 130.37 juta, 160.37 juta ataupun 37.12%. Hasil Bukan Cukai pula dijangka akan menyumbang sebanyak 211.64 juta atau 48.99%. Penurunan sasaran Hasil Bukan Cukai ini adalah berdasarkan jangkaan penurunan hasil premium tanah disebabkan pemulihan ekonomi yang dijangka perlahan bagi sektor pembinaan dan hartanah. Manakala, Terimaan Bukan Hasil dijangka akan diperolehi sebanyak 59.99 juta iaitu 13.89%.

Bagi peruntukan mengurus, perbelanjaan tertinggi adalah bagi maksud Emolumen yang berjumlah 203.15 juta ataupun 39.07%. Seterusnya, Perkhidmatan dan Bekalan sebanyak 105.7 juta ataupun 20.33%, Perolehan Aset sebanyak 870 ribu ataupun 0.17%, Pemberian dan Kenaan Tetap sebanyak 196.23 juta ataupun 37.73% dan Perbelanjaan-Perbelanjaan Lain sebanyak 14.05 juta ataupun 2.7%.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, bagi memastikan tema belanjawan ini tercapai dan benar-benar dapat direalisasikan, belanjawan ini akan dilaksanakan berdasar 3 strategi:

i. Strategi Pertama: Mengupaya Keusahawanan dan Pasaran Guna Tenaga;

ii. Kedua: Memperkukuh Sokongan Sosioekonomi Rakyat dan Sumber Daya Insan; dan

iii. Strategi Ketiga: Menambahbaik Penawaran Perkhidmatan Kepada Masyarakat.

Berdasarkan kepada strategi tersebut, belanjawan 2022 ini akan memberi fokus kepada 8 Bidang Tumpuan. Pelbagai bantuan kewangan, pemberian tunai, insentif bukan kewangan dan bantuan sokongan telah direncanakan oleh Kerajaan Negeri untuk dimanfaatkan oleh rakyat. Sehubungan itu, sukacita saya umum sebanyak 52 inisiatif berjumlah 64.09 juta akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2022 ini untuk rakyat negeri ini. Sebanyak 40 inisiatif sedia ada akan dikekalkan atau ditambah baik dan 12 inisiatif baharu akan diperkenalkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Pertama adalah Ekonomi Rakyat. Dalam fasa pemulihan ekonomi pasca COVID-19, tumpuan harus diberikan kepada penjanaan pendapatan rakyat terutama melalui aktiviti perniagaan kecil dan sederhana. Penglibatan rakyat dalam bidang keusahawanan perlu digalakkan dengan menyediakan pelbagai bentuk insentif, suntikan modal, geran perniagaan, pinjaman mudah dan kemudahan infrastruktur supaya kelompok rakyat yang terjejas dapat bangkit kembali membangunkan ekonomi keluarga. Untuk itu, sebanyak 15.7 juta diperuntukkan bagi bidang tumpuan ini yang melibatkan sebanyak 12 inisiatif.

Usaha Kerajaan Negeri untuk mengupayakan keusahawanan akan dilaksanakan melalui inisiatif seperti berikut:

Inisiatif Pertama – Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS). Inisiatif dalam bentuk geran perniagaan berjumlah maksimum 3,000.00 kepada usahawan kecil ini telah mula diperkenalkan sejak tahun 2019 lagi. Sehingga kini, sejumlah terkumpul penerima geran TUNS ini adalah seramai 4,147 orang. Pelaksanaan inisiatif ini telah menampakkan impak positif dalam kegiatan keusahawanan di negeri ini. Sebagai contoh, kejayaan Puan Siti Aisah binti Saharudin yang merupakan penerima geran TUNS pada November 2020 yang lalu. Beliau merupakan peniaga pasar malam sejak 16 tahun yang lalu dan terjejas akibat pandemik COVID-19. Dengan bantuan geran TUNS, beliau telah membeli kelengkapan berniaga dan set catering bagi melaksanakan perniagaan penyediaan dan tempahan makanan yang beliau laksanakan secara atas talian. Alhamdulillah, beliau berjaya meningkatkan pendapatan keluarga daripada 2,000.00 kepada 5,000.00 sebulan. Melihat kejayaan ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif TUNS dengan peruntukan sebanyak 3.0 juta lagi pada tahun hadapan yang dijangka akan memberi manfaat kepada seramai seribu usahawan.

Inisiatif Kedua – Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) Plus. Pada Belanjawan 2021 yang lalu, Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif TUNS Plus iaitu satu program transformasi usahawan, supaya lebih

berkembang atau groom big dalam bidang perniagaan masing-masing. Inisiatif yang diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) ini, menyediakan pinjaman mudah tanpa faedah kepada usahawan-usahawan yang layak khususnya kepada penerima geran awal TUNS. Sehingga kini, seramai 213 pemohon telah diluluskan dengan jumlah pinjaman maksimum 15 ribu ba, 15 ribu ringgit bagi setiap pemohon. Justeru, kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif ini dengan peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia 3.0 juta ringgit.

Inisiatif Ketiga. Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP yang lalu, ramai pekerja yang terpaksa diberhentikan pekerjaan dan hilang punca pendapatan. Bagi meneruskan kelangsungan hidup, kebanyakan mereka mencari bidang perniagaan berasaskan makanan secara kecil-kecilan di rumah masing-masing. Namun, sebahagian mereka tidak dapat memasarkan produk dengan lebih jauh lagi disebabkan tidak melepasi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan oleh kerajaan seperti kebersihan premis, kualiti alatan dan perkakasan yang digunakan, pembungkusan produk dan lain-lain supaya mematuhi prinsip halalan toyyiban. Bagi mengupayakan usahawan kecil ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan satu inisiatif baharu; Halal Cottage dengan peruntukan awal sebanyak 500 ribu ringgit yang akan diterajui oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan. Menerusi inisiatif usahawan cottage yang akan diberikan geran bantuan tidak melebihi 5,000.00 seorang untuk menaik taraf premis dan alatan supaya memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.

Sektor pertanian merupakan sektor strategik dalam hubungkaitnya dengan sektor ekonomi lain. Ianya menyupa, merupakan penyumbang yang signifikan kepada ekonomi negeri iaitu 7.2% daripada KDNK negeri pada tahun 2020. Melihat kepentingan sektor pertanian, kerajaan akan meneruskan 3 inisiatif sedia ada dan memperkenalkan 2 inisiatif baru untuk memperkukuh kegiatan usahawan tani seperti berikut:

Inisiatif Keempat – Siswazah Tani (INSIST9). Bagi meningkatkan penglibatan siswazah dalam bidang pertanian, pemberian bantuan siswazah tani (INSIST9) dalam bentuk geran berjumlah maksimum 10 ribu akan diteruskan. Inisiatif telah mula dilaksanakan pada tahun 2020. Sehingga kini, seramai 119 orang siswazah telah menerima manfaat. Untuk itu, sebanyak 500 ribu ringgit akan diperuntukkan pada tahun hadapan.

Suka untuk saya berkongsi kisah Encik Khairul Syakirin bin Mohamad, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Sukan berusia 31 tahun. Beliau telah mengusahakan projek tanaman cili secara fertigasi di atas tanah seluas 0.3 hektar di Ayer Kuning, Tampin sejak tahun 2019. Beliau telah

menerima geran INSIST9 berjumlah 5,000.00 pada tahun 2021. Jumlah pengeluaran 2021 berjumlah 9.6 tan dan telah memperolehi pendapatan kasar berjumlah Ringgit Malaysia 96 ribu.

Seorang lagi penerima geran INSIST9 adalah Cik Tan Sie Jie merupakan siswazah jurusan Diploma Pengurusan Hotel. Beliau menceburkan diri dalam bidang pertanian semasa berlakunya PKP pada pertengahan 2020 dengan melaksanakan projek tanaman sayuran seperti cili, terung dan labu atas tanah keluasan 2.0 hektar di Kampung Bukit Laka, Serting di Daerah Jempol. Geran INSIST9 sebanyak 10 ribu telah diberikan kepada beliau. Kini, beliau telah berjaya memperolehi pendapatan kasar sebanyak 140 ribu ringgit dengan pengeluaran berjumlah 35 tan.

Inisiatif Kelima – Petani Muda. Penglibatan anak-anak muda selain dari siswazah dalam bidang pertanian juga perlu diberikan sokongan sebagai pemangkin untuk mereka terus berbudi pada tanah. Inisiatif yang baru dilaksanakan pada tahun 2021 ini, telah mendapat sambutan yang sangat baik dan sehingga kini seramai 75 orang petani muda telah menerima geran bantuan sebanyak maksimum 10 ribu ringgit seorang. Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak 500 ribu ringgit pada tahun hadapan untuk meneruskan inisiatif ini.

Inisiatif Keenam – Pembangunan Tanah Terbiar. Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif pembangunan tanah terbiar dengan peruntukan sebanyak 1.0 juta pada tahun hadapan. Sepanjang tahun 2021 ini, 63 kelulusan telah diberikan melibatkan pembangunan 181 hektar tanah terbiar. Bantuan dalam bentuk input pertanian dan kemudahan infrastruktur disediakan untuk mengusahakan pelbagai aktiviti pertanian dengan nilai bantuan maksimum 15 ribu ringgit per hektar.

Inisiatif Ketujuh. Kerajaan Negeri melihat terdapat keperluan untuk membantu usahawan tani memperkukuhkan lagi aktiviti pertanian yang sedang diusahakan supaya dapat mencapai skala yang lebih besar ataupun economic scale sekaligus dapat menggandakan produktiviti pengeluaran. Satu kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Agro Bank akan dilaksanakan untuk menyediakan kemudahan pinjaman skala sederhana kepada usahawan tani yang layak.

Justeru itu, sukacita saya umumkan satu lagi inisiatif baharu iaitu Tabung Agro dalam bentuk pinjaman mudah tanpa faedah dengan nilai maksimum 50 ribu Ringgit Malaysia sebagai pengukuhan modal perniagaan. Sebanyak 3.0 juta akan diperuntukkan untuk inisiatif ini.

Selain daripada petani, Kerajaan Negeri turut prihatin terhadap nasib nelayan pesisir pantai di Port Dickson yang turut terjejas. Sungguhpun

terletak di bawah tanggungjawab Persekutuan, namun Kerajaan Negeri tetap prihatin dan peka dengan penderitaan yang dialami oleh nelayan pantai ini dalam meneruskan kelangsungan kehidupan. Untuk itu, sukacita saya umumkan satu lagi inisiatif baharu insis, Insentif Galakan Nelayan ataupun INGEN, dengan dana sebanyak 500 ribu ringgit bagi membantu nelayan membeli kelengkapan, alatan dan baik pulih bot dengan geran bantuan antara Ringgit Malaysia 5,000.00 hingga Ringgit Malaysia 15 ribu seorang tertakluk kepada kelayakan dan pengesahan yang akan dibuat oleh agensi kerajaan yang berkaitan.

Inisiatif Kesembilan – Job Fair. Kerajaan Negeri menyedari bahawa terdapat sebahagian rakyat yang terkesan dengan kehilangan pekerjaan akibat situasi pandemik COVID-19 dan sebilangan graduan masih menganggur bagi mendapatkan pekerjaan dalam situasi masa kini. Pelbagai usaha dan aktiviti dirancang oleh kerajaan bagi memberi peluang pekerjaan kepada rakyat. Sebagai contoh, Karnival Kerjaya Nogori Kito yang akan diadakan pada 4 Disember 2021 akan datang. Adalah diharapkan lebih banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan semula selaras dengan pemulihan ekonomi yang sedang berjalan. Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Job Fair dengan peruntukan ditingkatkan kepada 200 ribu ringgit.

Inisiatif Ke-10. Selain daripada peruntukan kerajaan, Kerajaan Negeri juga komited untuk menggerakkan badan-badan berkanun negeri supaya membantu mengupayakan pasaran buruh di negeri ini. Untuk itu, Yayasan Negeri Sembilan menerusi anak syarikat Kumpulan Akademi YNS (KAYNS) bersetuju memberikan Geran Khas TVET sebanyak 1,000.00 ringgit kepada anak-anak yang belajar di Kolej Akademi Yayasan Negeri Sembilan mulai sesi akademik tahun 2021 ini. Bagi tujuan ini, Yayasan Negeri Sembilan telah meluluskan dana khas sebanyak 500 ribu ringgit pada tahun 2022. Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkasakan bidang teknikal dan vokasional yang berpotensi menawarkan pasaran tenaga buruh yang lebih luas kepada anak-anak negeri ini. Saya yakin, kadar enrolmen pelajar ke, di KAYNS akan terus meningkat sehingga 500 orang pelajar berbanding 270 orang pada masa ini, sebaik sahaja blok akademi baharu di Kampus ITYNS Gentam siap sepenuhnya pada tahun 2022 nanti. Untuk makluman, status kemajuan di tapak pada masa ini adalah sebanyak 70%.

Di samping bantuan berbentuk kewangan dan pengupayaan keusahawan juga akan dilengkapkan dengan menyediakan prasarana kegiatan ekonomi. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif seperti berikut:

Inisiatif Ke-11 – Pembinaan Pusat Penempatan Semula Penjaja. Untuk tahun 2021, Kerajaan teli, Negeri telah meluluskan sebanyak 18 tapak yang menyediakan 273 petak penjaja melibatkan 7 kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan. Untuk itu, pembinaan pusat penempatan semula penjaja akan diteruskan lagi agar para penjaja dapat terus menjalankan perniagaan di tempat yang lebih kondusif, selamat dan tersusun dengan peruntukan sebanyak 1.0 juta ringgit.

Inisiatif Ke-12. Selain daripada pusat penjaja, Kerajaan Negeri turut komited untuk membantu memasarkan produk-produk usahawan tempatan dengan menyediakan hab pengumpulan produk di lokasi yang strategik. Menyedari potensi yang ada di kawasan Seremban Gateway, kerajaan bersetuju untuk menaik taraf bangunan Kedai Cenderamata Kompleks Taman Seni Budaya di hadapan Muzium Negeri dengan peruntukan sebanyak 2.0 juta untuk membina sebuah Hab Pengumpulan Produk Negeri Sembilan. Hab ini dijangka akan turut menjadi tempat tarikan pelancong yang baharu bagi mendapatkan produk-produk keluaran usahawan negeri ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Kedua adalah Pendidikan. Untuk tahun 2022 bidang tumpuan ini bakal diperuntukkan sebanyak 8.5 juta merangkumi 7 inisiatif. Pelaburan dalam bidang pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang akan menentukan jatuh bangunnya sebuah tamadun peradaban bangsa. Jika ingin melihat hebatnya sebuah bangsa, lihatlah pada kualiti anak mudanya yang ada pada hari ini. Generasi masa hadapan perlu dipersiapkan dengan pengetahuan dan kemahiran. Keperibadian unggul dan keseimbangan merupakan pelengkap kepada pembentukan karakter insan.

Sebagai manifestasi kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkasa perkembangan pendidikan, maka kesemua inisiatif sedia ada akan diteruskan seperti berikut:

Inisiatif Pertama – Bantuan Anak Sekolah (B.A.S). Inisiatif bantuan tunai sebanyak 50.00 ringgit sebulan kepada anak-anak kumpulan B40 ini telah mula dilaksanakan sejak tahun 2019 dengan seramai 2,363 murid telah mendapat manfaatnya sehingga kini. Untuk itu, ianya akan diteruskan lagi pada tahun 2022 dengan peruntukan sebanyak 900 ribu ringgit yang bakal memberi manfaat kepada seramai 1,500 orang murid Darjah 1 hingga Darjah 6 dalam kalangan keluarga yang berpendapatan rendah.

Inisiatif Kedua – Biasiswa Anak Negeri. Satu lagi bantuan kewangan tunai yang dikekalkan adalah Biasiswa Anak Negeri dikhaskan kepada pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum dalam kalangan

keluarga yang kurang berkemampuan. Justeru itu, peruntukan sebanyak 800 ribu ringgit disediakan untuk tahun 2022 bagi tujuan pemberian Biasiswa Anak Negeri.

Inisiatif Ketiga – Program Fast Track Lepasan Tahfiz. Program ini adalah agenda Kerajaan Negeri dalam mengarus perdanakan pelajar tahfiz dalam sistem pendidikan negara melalui persiapan pelajar tahfiz untuk mendapatkan sijil peperiksaan SPM dalam tempoh satu tahun. Program Fast Track Lepasan Tahfiz ini telah diperkenalkan pada tahun 2021 dengan seramai 50 orang huffaz telah menjalani pendidikan dalam aliran sastera dan bakal menduduki peperiksaan SPM 2021 pada bulan Mac tahun 2022 yang akan datang ini. Bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak hafiz dan hafizah mengikuti program ini, sukacita saya umumkan peluasan pelaksanaan program ini kepada pelajar tahfiz yang menuntut dalam aliran sains pula, dengan peningkatan peruntukan kepada 1.0 juta ringgit pada tahun hadapan.

Inisiatif Keempat – Bantuan Sekolah Tahfiz/ SJKC/ SJKT/ Swasta. Sebagai langkah penyuburkan budaya ilmu, melaksanakan program atau projek bertujuan pendidikan, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian Bantuan Sekolah Tahfiz/ SJKC/ SJKT/ Swasta. Alhamdulillah, dari 2.5 juta yang diperuntukkan dalam tahun 2021, sebanyak 31 buah sekolah telah mendapat manfaat. Untuk itu, sebanyak 2.0 juta akan diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif ini pada tahun hadapan.

Inisiatif Kelima – Tabung Penyelenggaraan Sekolah. Sebagaimana yang telah saya umumkan semasa Belanjawan 2020 yang lalu, Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama menubuhkan Akaun Amanah Penyelenggaraan Sekolah di negara ini. Sungguhpun tanggungjawab penyelenggaraan sekolah adalah di bawah Persekutuan, namun kepentingan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat tetap menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, merentasi sempadan pol, merentasi sempadan politik. Bagi meneruskan inisiatif Tabung Penyelenggaraan Sekolah ini pada tahun 2022, sebanyak 1.0 juta diperuntukkan menerusi kerjasama dengan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah yang berkenaan.

Inisiatif Keenam – Rumah Negeri Sembilan di Kaherah. Kerja-kerja baik pulih bangunan Rumah Negeri Sembilan di Kaherah telah bermula pada 16 Ogos 2021 dengan perkongsian kos bersama pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dengan jumlah keseluruhan 5.18 juta ringgit. Jum, projek ini masih lagi dalam pelaksanaan dan dijangka akan selesai pada 15 Februari 2022. Ketika ini, Rumah Negeri Sembilan di Kaherah hanya mampu menampung 80 orang pelajar dan dijangka dapat ditingkatkan kepada 100 orang pelajar pada satu-satu masa setelah

kerja-kerja baik pulih kediaman ini selesai kelak. Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan 1.5 juta lagi bagi pelaksanaan inisiatif ini.

Inisiatif Ketujuh – Elaun Guru KAFA. Bagi, bagi terus mengiktiraf peranan pendidikan dan menyemai asas pendidikan Islam anak-anak di peringkat sekolah rendah, Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif pemberian Elaun Guru KAFA kepada 1,862 guru KAFA dengan peruntukan sebanyak 1.3 juta. Jumlah ini adalah sebagai inisiatif tambahan kepada jumlah elaun yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Ketiga adalah Kebajikan. Aspek kebajikan merupakan asas kepada sebuah pentadbiran di mana terletaknya penzahiran rasa prihatin kepada pihak pihak kerajaan, dari pihak kerajaan kepada rakyat. Inisiatif yang akan dilaksanakan ini merupakan relief kepada rakyat yang meringan, bagi meringankan bebanan yang ditanggung. Sebanyak 3.68 juta peruntukan disediakan untuk bidang tumpuan ini yang melibatkan 7 inisiatif sedia ada iaitu:

Inisiatif Pertama – Bantuan Peralatan Implan Ortopedik. Sehingga kini, seramai 37 individu telah berjaya dengan menerima Bantuan Peralatan Implan Ortopedik melibatkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah 350 ribu Ringgit Malaysia pada tahun ini. Alhamdulillah, semua penerima bantuan telah selamat menjalani pembedahan masing-masing dan diharap bantuan ini dapat memberi kehidupan dan sinar baharu kepada penerima-penerima manfaat berkenaan. Bagi meneruskan inisiatif ini, sebanyak 500 ribu diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat yang kurang berkemampuan bagi tujuan pembelian alat bantuan sokongan implan ortopedik.

Inisiatif Kedua – Tabung Perubatan Hemodialisis. Bagi meringankan beban pesakit yang kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan dialisis, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan inisiatif Tabung Perubatan Hemodialisis bermula tahun ini dan telah membantu seramai 122 individu. Pelakna, pelaksanaan inisiatif ini melibatkan kerjasama dengan 3 buah pusat dialisis iaitu Hospital Tuanku Jaafar, Pusat Perubatan NSMCH dan pusat, Hospital Islam Az Zahrah. Bagi meneruskan inisiatif ini, sebanyak 1.0 juta diperuntukkan sebagai bantuan kos rawatan.

Inisiatif Ketiga – Food Bank. Berikutan peningkatan kes COVID-19 pada awal tahun 2021, Kerajaan Negeri telah menyusun semula peruntukan dengan memberi lebih 50,000 bantuan bakul makanan kepada rakyat

yang terkesan tanpa mengira sempadan bangsa dan politik. Pelaksanaan Food Bank ini akan terus ditambah baik dari segi mekanisme dan pemantauannya supaya lebih inklusif dan mampan. Satu bank data penerima sedang dibangunkan menerusi aplikasi N9 Digital sebagai gerbang bantuan kebajikan negeri. Ini bagi memastikan bantuan yang lebih holistik dengan pakej yang boleh menjana pendapatan. Satu pusat pengumpulan makanan juga akan diwujudkan supaya aktiviti pengumpulan, pembahagian, pengedaran bakul makanan dapat dilaksanakan lebih tersusun. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri bersetuju meningkatkan peruntukan kepada 200 ribu ringgit pada tahun hadapan.

Inisiatif Keempat dan Kelima – Takaful Khairat Kematian Islam Dan Hibah Takaful Bukan Islam. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan seluruh rakyat di negeri ini merasa selamat dan dilindungi terutama golongan rentan. Kedua-dua insiatif ini adalah bertujuan untuk meringankan beban dan memberi perlindungan kepada waris yang kehilangan tempat bergantung atau ahli keluarga akibat kematian. Untuk makluman, inisiatif yang mula diperkenalkan pada Belanjawan Tahun 2021 ini, telah dilancarkan pada 14 Julai 2021 yang lalu. Seramai lebih kurang 7,552 orang Ketua Isi Rumah yang beragama Islam dan 3,225 orang Ketua Isi Rumah yang bukan beragama Islam daripada senarai e-Kasih telah dicarum di bawah skim ini. Sebagai tanda prihatin, kerajaan bersetuju untuk meneruskan caruman perlindungan takaful kepada rakyat yang berpendapatan rendah daripada senarai e-Kasih. Caruman ini akan merangkumi perlindungan kepada Ketua Isi Rumah dan 3 orang Ahli Isi Rumah. Waris yang layak akan mendapat hibah atau pampasan sebanyak 2,000.00 hingga 6,000.00 bergantung kepada punca kematian. Untuk itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak 1.0 juta bagi Takaful Khairat Kematian Islam dan 500 ribu ringgit bagi Hibah Takaful Bukan Islam.

Inisiatif Keenam – Rumah Minda Ceria. Pelaksanaan inisiatif ini juga adalah sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam memberi perlindungan kepada golongan gelandangan atau terpinggir untuk mendapat kehidupan yang lebih berkualiti. Penubuhan rumah perlindungan bagi golongan gelandangan atau dinamakan sebagai Rumah Minda Ceria yang beroperasi pada 1 April yang lalu telah mula menunjukkan prestasi yang positif. Para peserta Rumah Minda Ceria dilihat telah mula menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu mereka yang lebih terurus dan kondusif. Pada tahun ini, seramai 12 orang telah menjadi penghuni RMC. Rumah RMC ini akan dapat menampung 20 orang penghuni dalam satu-satu masa. Justeru, sebanyak 230 ribu ringgit diperuntukkan untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif ini pada tahun 2022.

Inisiatif Ketujuh. Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, barisan hadapan yang sentiasa bertungkus lumus membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti mengagihkan bantuan makanan asas kepada golongan yang terjejas khususnya mereka yang dalam tempoh kuarantin adalah ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Merekalah hero yang tidak didendang yang di, yang sanggup meredah hujan malam menghantar bantuan rumah ke rumah walaupun sedar diri mereka turut berhadapan risiko jangkitan. Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pimpinan barisan hadapan ini, sukacita saya umumkan satu lagi inisiatif baharu iaitu caruman takaful Khairat Kematian MPKK kepada seramai 13 Ahli Jawatankuasa bagi 433 MPKK dengan peruntukan sebanyak 250 ribu ringgit. Menerusi skim ini, waris ahli MPKK akan menerima bantuan kecemasan serta merta sebanyak 2,000.00 bagi kematian biasa dan 6,000.00 sekiranya disebabkan oleh kemalangan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Keempat adalah Pemerkasaan Komuniti dengan peruntukan keseluruhan berjumlah 21.68 juta bagi 11 inisiatif. Komuniti perlu terus diperkasa agar semua masyarakat terangkum dan tiada yang terpinggir. Usaha pemerkasaan ini hendaklah melalui penambahbaikan infrastruktur kemudahan kepada masyarakat serta program community based yang akhirnya akan diterjemahkan kepada kesejahteraan dan kesepakatan komuniti.

Kerajaan Negeri akan terus menambah baik infrastruktur untuk komuniti melalui inisiatif seperti berikut:

Inisiatif Pertama – Desa Muafakat Negeri Sembilan. Pelaksanaan Desa Muafakat NS ini adalah bagi membantu pemilikan kediaman bagi rakyat yang memerlukan dan membina penempatan penduduk kampung yang lebih terancang selaras dengan Pelan Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan 2019-2040. Usaha ini diharap dapat mengurangkan penghijrahan golongan produktif keluar dari luar bandar. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mena, melaksanakan inisiatif ini di Kampung Jeram Panjang, Jempol dan Kampung Chennah, Jelebu dengan peruntukan awal berjumlah Ringgit Malaysia 1.0 juta ringgit.

Di kesempatan ini juga, sukacita saya berkongsi berita gembira buat 8 buah keluarga di Kampung Chuah, Port Dickson yang telah mendiami tanah kerajaan selama lebih dari 20 tahun untuk menumpang teduh. Alhamdulillah, setelah mengambil kira faktor kebajikan dan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bersidang pada 13 Oktober 2021 yang lalu telah bersetuju meluluskan pemberimilikan tanah kepada 8 buah keluarga terbabit. Semoga

kurniaan ini akan membuka lembaran hidup baharu yang lebih bermakna buat mereka sekeluarga.

Inisiatif Kedua– Program Rumah Harapan Rakyat. Selain daripada itu, kerajaan juga komited untuk memastikan setiap anak negeri mampu memiliki rumah idaman mereka sendiri. Untuk itu, kerajaan akan terus memperhebatkan lagi pembinaan rumah-rumah mampu milik sama ada yang dibina oleh kerajaan mahupun pihak swasta. Sepanjang tempoh 3 tahun pentadbiran ini, sebanyak 18,796 unit Rumah Mampu Milik Swasta dan 351 unit Rumah Penjawat Awam telah disiapkan.

Bagi menerus, bagi memberi lebih banyak peluang kepada rakyat yang memerlukan untuk memiliki kediaman, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Rumah Harapan Rakyat pada tahun 2021. Skim ini menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah bagi rumah bernilai 75 ribu ringgit kepada golongan B40 yang masih belum memiliki rumah dan ingin membina rumah banglo setingkat di atas sebidang tanah milik masing-masing. Sehingga kini, sebanyak 61 permohonan telah diluluskan dan kini di peringkat pra pembinaan. Menariknya inisiatif ini, bayaran pinjaman ini hanya akan mula dibayar apabila rumah tersebut telah siap dan selepas penyerahan kunci kepada peserta. Sehubungan itu, sukacita saya umumkan bahawa inisiatif Rumah Harapan Rakyat akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak 5.0 juta ringgit.

Inisiatif Ketiga – Penyelenggaraan Perumahan Awam. Selain daripada pembinaan rumah-rumah baharu, kerajaan turut memberikan perhatian terhadap penyelenggaraan rumah-rumah awam sedia ada supaya kekal berada dalam keadaan baik, kondusif dan berdaya huni. Fokus kerja-kerja penyelenggaraan skim perumahan awam bagi menambah baik kualiti kehidupan penduduk. Untuk tahun 2022, kerajaan akan memberikan peruntukan berjumlah 6.3 juta.

Inisiatif Keempat– Penyelenggaraan Perumahan Swasta. Peruntukan sebanyak 1.0 juta diteruskan oleh Kerajaan Negeri sebagai bukti dan terjemahan keprihatinan dalam usaha menambah baik kehidupan komuniti yang tinggal di skim perumahan swasta. Untuk tahun ini, sebanyak 5 skim perumahan telah diselenggara dan memberi manfaat kepada 622 pemilik kediaman yang menghuni di perumahan swasta.

Inisiatif Kelima. Kerajaan Negeri sentiasa mendengar keluh kesah rakyat berkenaan ketidakmampuan pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau pemba, Perbadanan Pengurusan (MC) terutama dari segi kewangan, di mana pendapatan tidak dapat dijana melalui kutipan caj perkhidmatan mereka. Justeru bagi meringankan beban JMB/MC,

Kerajaan Negeri telah bersetuju melaksanakan satu inisiatif baharu iaitu pemberian geran kedua, Pemberian Geran Kepada JMB/MC dengan peruntukan sebanyak 1.41 juta. Inisiatif bantuan kewangan secara one-off ini dijangka dapat memberi dan membantu 282 JMB/MC di negeri ini.

Pelu, peluasan kemudahan rakyat akan terus ditingkatkan oleh Kerajaan Negeri. Oleh itu, usaha mening, peningkatan kemudahan rakyat akan diterjemah melalui pelaksanaan inisiatif keenam hingga kelapan iaitu:

Inisiatif Keenam – Bas Percuma. Inisiatif perkhidmatan bas percuma ini akan menjangkau tahun keempat pelaksanaannya pada tahun 2022 kelak. Untuk makluman, peluasan ke Daerah Jempol telah dilaksanakan. Seterusnya, peluasan ke Daerah Kuala Pilah dirancang akan dimulakan pada tahun hadapan. Sehingga kini, perkhidmatan bas percuma ini telah dimanfaatkan oleh 33 ribu orang pengguna. Sehubungan itu, sebanyak 1.0 juta akan diperuntukkan bagi meneruskan pelaksanaan inisiatif ini. Izinkan [minum].

Bagi memastikan keterhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar, sukacita saya umumkan satu lagi inisiatif baharu iaitu perkhidmatan bas luar bandar dengan kerjasama MARA Liner. Inisiatif ini akan dilaksanakan di daerah, Daerah Tampin dan Rembau sebagai perintis dengan peruntukan berjumlah 1.0 juta ringgit.

Inisiatif Kelapan. Pelaksanaan PKP di seluruh negara telah benar-benar mengubah medium komunikasi dan interaksi sosial rakyat. Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara google meet, kuliah agama secara zoom, bacaan Yasin dan Al-Mathurat secara atas talian, telah menjadi kebiasaan kepada kita semua. Namun, adakalanya liputan dan akses internet di beberapa kawasan masih terbatas sama ada atas faktor geografi, infrastruktur ataupun keupayaan kewangan. Justeru, bagi memastikan setiap rakyat mempunyai akses internet yang berkualiti, maka kerajaan akan melaksanakan satu lagi inisiatif baharu iaitu wifi percuma, komuniti, Wifi Percuma Komuniti melalui pemasangan kemudahan wifi di 100 buah balairaya terpilih dengan peruntukan sebanyak 300 ribu ringgit.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan terus menyemarakkan perpaduan dengan menggiatkan aktiviti komuniti melalui pelaksanaan inisiatif kesembilan hingga kesebelas:

Inisiatif Kesembilan – Geran Aktiviti MPKK. Sebanyak 2.17 juta diperuntukkan untuk inisiatif ini bagi membiayai aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi dengan kadar 5,000.00 bagi

setiap MPKK. Kadar ini telah dinaikkan semenjak tahun 2021 agar MPKK dapat mentadbir dengan lebih efektif.

Inisiatif Ke-10 – Geran Aktiviti Belia MPKK. Selain daripada geran 5,000.00 untuk aktiviti MPKK, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan inisiatif pemerkasaan belia akar umbi menerusi pembiayaan aktiviti anak muda di kampung. Sebanyak 3,000.00 akan diperuntukkan kepada setiap MPKK dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak 1.3 juta. Ini menjadikan jumlah geran aktiviti yang bakal diterima oleh setiap MPKK adalah sebanyak 8,000.00 yang melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah 3.47 juta.

Inisiatif Ke-11 – ERAT@NS. Bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, permuafakatan antara kaum dan agama di negeri ini perlu terus dipupuk, disemai, ibarat kata “bidalan sekata tak beralih, janji dibuat dimuliakan, buruk jangan dicari, musuh sama dihadang, berlunak sama berlumpur, kecil besar sama sedayung, sakit satu semua berduka, bak labu nan menjalar, pucuk sama digetus, wakaf sama dipetik, ada sama mendapat, cicir sama dicari, untung sama, untung laba sama dirasa”. Usaha Kerajaan Negeri untuk menyubur permuafakatan dan perpaduan kaum negeri ini akan terus diperkukuhkan menerusi geran aktiviti ERAT@NS sebanyak 1.2 juta ringgit.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Kelima adalah Belia dan Wanita dengan peruntukan keseluruhan sebanyak, berjumlah 5.11 juta bagi 6 inisiatif. Bak kata perbidalan “tahu nan kecil pada nan besar, tahu nan besar pada nan tuo, tahu nan tuo pada nan dulu-dulu, tahu nan dulu-dulu pada nenek moyang”. Bagi memastikan kesinambungan kepimpinan negara dan tanah air, maka perlulah kita persiapkan barisan kepimpinan dalam kalangan anak-anak muda negeri ini dengan nilai jati diri yang tinggi berpaksikan ketaqwaan kepada Allah SWT. Anak-anak muda dan belia perlulah diberikan peluang yang lebih luas untuk mengembangkan bakat dan ketokohan masing-masing menerusi pelbagai program yang bersesuaian minat dan bakat mereka. Kerajaan Pakatan Harapan sangat komited dalam agenda pemerkasaan belia termasuklah memperjuangkan RUU; Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) yang menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun, seperti yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Julai 2019 yang lalu. Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju memperuntukkan sebanyak 2.0 juta untuk anak-anak muda, belia dan beliawanis bagi menjayakan 3 inisiatif.

Inisiatif Pertama – Tabung Belia Harapan (TABAH). Pusat Pembangunan Belia Harapan akan diteruskan sebagai peneraju utama aktiviti belia di

negeri ini. Saya rasa amat berpuas hati dengan pelbagai program belia yang telah berjaya dianjurkan pada tahun 2021 ini. Antaranya ialah program isi minyak motor dan penyelenggaraan sempena Kempen Keselamatan Penunggang Motosikal, kejohanan sukan belia dan beliawanis, Sembang Santai e-Sports, Forum Berjaya Bersama TVET secara atas talian dan Pertandingan Bola Sepak Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan yang sedang berlangsung. Pertandingan ini telah berjaya menarik lebih daripada 200 pasukan dari seluruh Negeri Sembilan. Aktiviti seperti ini perlu disokong bagi memastikan belia mengamalkan gaya hidup sihat dan bebas dadah.

Selaku peneraju utama, TABAH akan diberikan peruntukan 1.0 juta pada tahun hadapan bagi membiayai pelbagai aktiviti yang berupaya membina upaya sahsiah belia. Ini termasuklah pertandingan e-Sports dengan peruntukan sebanyak 100 ribu dan laluan berbasikal 100 ribu sebagai permulaan.

Inisiatif Kedua. Salah satu hikmah pelaksanaan PKP adalah terbukanya pintu rezeki buat anak-anak muda untuk menjadi sebahagian daripada barisan hadapan yang berkorban nyawa menghantar bekalan makanan kepada semua pihak sama ada para petugas mahupun rakyat biasa. Adakalanya, anak-anak muda ini terpaksa meredah hujan, hujan lebat di tengah, di malam hari demi memenuhi tuntutan pelanggan walaupun berisiko tinggi. Lebih 1,700 kes kematian food rider telah direkodkan kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu bertugas. Sebagai bukti keprihatinan kepada food rider dalam kalangan anak-anak muda ini, kerajaan mengambil inisiatif untuk memperkenalkan satu inisiatif baharu iaitu pelindungan Takaful Belia Food Rider, 100, kepada 100 orang food rider di Negeri Sembilan dengan caruman pertama berjumlah 50 ribu ringgit menggunakan peruntukan TABAH.

Inisiatif Ketiga. Belia merupakan tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara. Belia yang sejahtera adalah belia yang bukan sahaja sihat dari segi fizikal, tetapi juga mantap dari sudut intelektual dan spiritual. Belia perlu dipersiapkan dengan pelbagai disiplin kepimpinan menerusi model pembangunan sahsiah secara tersusun dan terpimpin. Untuk itu, sukacita saya mengumumkan satu lagi inisiatif baharu; Belia Sejahtera atau BEST dengan peruntukan 1.0 juta ringgit. Besarlah harapan kerajaan, agar peruntukan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak muda agar mereka terus resilient dalam menghadapi pelbagai cabaran pasca COVID-19.

Martabat, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Begitulah besar peranan golongan wanita dalam institusi keluarga. Melihat kepada pelbagai kejayaan dan keberhasilan 3 inisiatif sedia ada,

maka, kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif tersebut pada tahun hadapan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 3.11 juta seperti berikut:

Inisiatif Pertama – Care For You (C4U). Inisiatif pemberian bantuan tunai secara one-off berjumlah 200.00 ringgit kepada ibu-ibu tunggal akan diteruskan lagi pada tahun hadapan. Untuk itu, peruntukan berjumlah 1.0 juta ringgit disediakan dan akan memberi manfaat kepada 5,000 orang ibu tunggal.

Inisiatif Kedua – i-SURI. Kerajaan Negeri akan meneruskan sumbangan caruman tambahan kepada KWSP untuk suri rumah yang tidak bekerja dengan jumlah peruntukan berjumlah 510 ribu ringgit.

Inisiatif Ketiga – PH GEM. Selain dari bantuan tunai kepada ibu tunggal, kaum wanita juga terus diperkasa dengan pelbagai bentuk latihan kemahiran dan bimbingan melalui program Power House gemilang, Wanita Gemilang (PH GEM). Buat kaum ibu dan wanita, Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif PH GEM untuk pelaksanaan aktiviti bersifat latihan kemahiran dan sokongan untuk, untuk itu peruntukan sejumlah 1.6 juta disediakan. Untuk tahun 2021, sebanyak 54 program dilaksanakan melibatkan 3,838 peserta. Pelakna, pelaksanaan inisiatif PH GEM ini diharap mampu memper, mendayaupayakan golongan wanita dalam menjana pendapatan tambahan untuk keluarga.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Keenam adalah Kerohanian dan Agama. Bidang Tumpuan Keenam ini dengan peruntukan sebanyak 5.32 juta bagi 4 inisiatif. Alhamdulillah, sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi negara, Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan syiar Islam di negeri ini melalui pelbagai inisiatif dan program kerohanian bagi melahirkan khaira ummah. Khaira ummah atau umat terbaik pasti mempunyai kualiti iman dan berani menegakkan kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan kemakmuran di samping mencegah segala bentuk kejahatan, kejahilan, kezaliman dan tipu daya selaras dengan nilai amar ma’ruf dan nahi munkar. Seterusnya menjadi umat ukhrijat lin naas iaitu umat yang berupaya menyumbang kebaktian kepada masyarakat dalam konteks yang menyeluruh dan inklusif. Mengamalkan sikap keterbukaan dalam menyantuni rakyat pelbagai kaum dan agama selangat, selaras semangat rahmatan lil`alamin yang menjadi ciri asasi risalah Islam. Justeru, umat Islam adalah pemikul amanah melayani seluruh umat manusia dengan prinsip damai dan memastikan semuanya termasuk Muslim dan bukan Muslim, sama-sama dapat menikmati rahmat kurniaan Tuhan.

Memperkasa Syiar Islam. Untuk itu, kerajaan akan meneruskan inisiatif sedia ada seperti berikut:

Inisiatif Pertama – Pembangunan Sumber Daya Insan. Inisiatif memberikan fokus kepada pelaksanaan program-program pembangunan sumber daya insan bagi membina keperibadian muslim dengan peruntukan sejumlah 500 ribu ringgit.

Inisiatif Kedua – Elaun Guru Takmir. Peruntukan sebanyak 180 ribu ringgit disediakan untuk meneruskan pemberian elaun kepada Guru Takmir sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan mereka dalam mendidik ummah dan masyarakat celik Al-Quran.

Elaun Bilal, Siak dan Pembantu Am; Inisiatif Ketiga. Bagi menghargai peranan penggerak institusi masjid kepada masyarakat, elaun bersetuju menerus, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian Elaun Bilal, Siak dan Pembantu Am Wanita melibatkan 901 orang dengan peruntukan berjumlah 2.84 juta.

Inisiatif Keempat – Melaksana Aktiviti Bagi Hal Ehwal Bukan Islam. Sebagai sebuah negeri yang majmuk, kerajaan tetap menjunjung prinsip menghormati kepelbagaian kaum dan agama. Sebagai pemimpin, tidaklah boleh memilih, tidaklah boleh berpilih-pilih, kalau limau, jangan masam sebelah kok mengukur, biarlah sama panjang, kok menimbang, biarlah sama berat, kok membahagi, biarlah sama banyak, tahu menimbang, tahu mengagak, tahu mengagihkan. Bagi menjaga kepentingan hal ehwal agama bukan Islam, Akaun Amanah Hal Ehwal Bukan Islam telah ditubuhkan sejak tahun 2019 yang lalu dengan geran permulaan sebanyak 1.5 juta. Geran ini digunakan untuk membantu membiayai pelbagai aktiviti pertubuhan-pertubuhan agama dan rumah ibadat bukan Islam. Kefahaman dan toleransi yang tinggi dalam agama amat penting untuk mengekalkan kestabilan dan ketenteraman awam di negeri ini. Untuk itu, inisiatif ini akan diteruskan pada tahun 2022 dengan peruntukan 1.8 juta ringgit.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Ketujuh adalah Institusi Adat. Bidang Tumpuan Ketujuh adalah Institusi Adat sebagai satu-satunya negeri yang mengamalkan Adat Perpatih di negara ini, keunikan adat dan keistimewaan budaya tradisi negeri ini perlu disemarak dan di, diketengahkan. Untuk bidang tumpuan ini, sebanyak 2.5 juta diperuntukkan bagi membiayai 3 inisiatif:

Memartabat Adat dan Budaya. Oleh itu, bagi memartabatkan adat dan budaya, kita, budaya kita, kerajaan akan melaksanakan insentif, inisiatif berikut:

Inisiatif Pertama – Geran Aktiviti Adat. Peruntukan sejumlah 500 ribu ringgit akan diperuntukkan kepada Lembaga Muzium Negeri bagi menganjurkan aktiviti adat dan budaya.

Inisiatif Kedua – Bangunan / Rumah Warisan. Untuk makluman, ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri dalam membaik pulih rumah dan bangunan lama sebagai tarikan pelancong. Inisiatif ini juga diwujudkan untuk memastikan keaslian senibina terpelihara di mana pelaksanaan projek pemuliharaan dilakukan di bawah pemantauan pakar senibina. InsyaAllah semoga dengan usaha ini, warisan senibina rumah tradisi dapat dikekalkan untuk diamati dan dihargai generasi akan datang. Sehingga kini, sebanyak 5 buah bangunan atau rumah warisan telah dibaik pulih. Bagi meneruskan inisiatif ini, sebanyak 1.0 juta akan diperuntukkan lagi pada tahun 2022.

Inisiatif Ketiga. Bagi mempergiatkan aktiviti seni budaya negeri ini, saya suka umumkan satu lagi inisiatif baharu iaitu pembinaan Dataran Adat Perpatih dengan peruntukan sebanyak 1.0 juta ringgit. Dataran di kawasan Muzium Negeri kelak, akan digunakan untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti kebudayaan yang mampu menjadi tarikan pelancong.

Yang Berhormat Dato’ Yang per, Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Kelapan adalah Pentadbiran. Peranan dan tanggung jawab anggota penjawat awam negeri ini ibarat kata teromba: “tempatnya yang bergelombang air, tempat ombak yang memecah, tempat pasir yang memutih, tempat beting yang menyulur, tempat pulau yang menanjang, tempat dagang keluar masuk”. Kerajaan di bawah pimpinan saya ini akan meneruskan usaha menambah baik kualiti dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Untuk tujuan ini, sebanyak 1.6 juta diperuntukkan bagi mere, meneruskan pelaksanaan 2 inisiatif:

Pertama meluaskan Digital Governance. Untuk makluman, pada 13 Oktober 2021 yang lalu, saya telah melancarkan e-PTGNS yang merupakan perkhidmatan secara talian bagi bayaran cukai tanah, semakan status urusan tanah, belian dokumen carian persendirian dan carian rasmi. Ini merupakan bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cepat dan efisien. Semoga kemudahan yang disediakan ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat dalam urusan perkhidmatan tanah.

Usaha pemodenan tadbir urus dengan meluaskan digital governance akan terus dilaksanakan, kerana penggunaan teknologi mampu menambah baik kualiti perkhidmatan dan mengurangkan ketirisan selaras dengan asas pertama pentadbiran Kerajaan Negeri iaitu BERSIH.

Untuk itu, kerajaan akan meneruskan pelakna, pelaksanaan inisiatif-inisiatif berikut:

Inisiatif Pertama – SPTB Plus. Inisiatif ini merupakan usaha kerajaan untuk terus mentransformasikan dan memperkukuhkan sistem pengurusan tanah kepada web-based. Untuk itu, peruntukan berjumlah 1.0 juta ringgit akan diteruskan pada tahun hadapan.

Inisiatif Kedua – Peluasan e-Doket. Kerajaan Negeri telah mula melaksanakan e-Doket sejak tahun 2019. Sebanyak 11 tapak baharu permit telah menggunakan e-Doket untuk tahun 2021. Bagi meningkatkan kutipan royalti dan memudahkan pemantauan, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan 600 ribu ringgit untuk meneruskan inisiatif ini pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, seiringan dengan hala tuju belanjawan negara, tumpuan utama ketika ini adalah untuk memulih, membina ketahanan dan menyusun semula ekonomi pasca COVID-19. Suntikan dana awam dan intervensi kerajaan menerusi peruntukan pembangunan adalah perlu dalam usaha menyegarkan kembali aktiviti ekonomi domestik dan, yang suram. Untuk itu, sukacita saya mencadangkan sejumlah 130 juta untuk diperuntukkan dalam Belanjawan Tahun 2022 bagi membiayai sebanyak 227 projek baharu dan 5 per sambungan, 55 projek sambungan. Peruntukan pembangunan ini adalah seiring dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 negeri yang bermula pada tahun 2021 hingga 2025. Perancangan pembangunan negeri untuk 5 tahun ini sentiasa mengutamakan prinsip keadilan, keterangkuman, keseimbangan dan kelestarian ekonomi. Pecahan terperinci agihan peruntukan pembangunan adalah seperti berikut:

 Pembangunan Sosial: 45.28 juta ataupun 34.83%;  Pentadbiran: 26.44 juta ataupun 20.34%;  Infrastruktur: 21.61 juta ataupun 16.62%;  Kerohanian: 20 juta ataupun 15.38%;  Pertanian: 13.5 juta ataupun 10.39%; dan  Pelancongan: 3.17 juta ataupun 2.44%.

Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan utama kepada sektor pembangunan sosial yang kekal menjadi sektor terbesar menerima agihan peruntukan pembangunan berjumlah 45.28 juta. Ak, antara agihan perbelanjaan di bawah sektor ini merangkumi 30.0 juta untuk Perkhidmatan Masyarakat, 6.3 juta untuk Penyelenggaraan Infrastruktur Rumah Awam Harga Rendah, 5.0 juta untuk Pelaksanaan Projek-Projek

Kecil di semua kawasan Dewan Undangan Negeri dan 1.0 juta untuk Program Pencahayaan Jalan Negeri.

Bagi sektor pentadbiran, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 26.44 juta. Antara perbelanjaan untuk sektor pentadbiran ini adalah, antara perbelanjaan untuk sektor pentadbiran ini termasuk agenda digital governance, baik pulih dan naik taraf bangunan kerajaan dan keperluan luar jangka. Pandemik COVID-19 telah mencetuskan fenomena baru penggunaan digital dan perkhidmatan atas talian dalam semua urusan kehidupan harian. Budaya tanpa tunai telah menjadi amalan biasa dengan penggunaan e-Wallet seperti QR Pay, Touch’n Go e-Wallet dan Boost. Begitu juga dengan urusan mesyuarat, seminar dan majlis-majlis rasmi kerajaan yang semakin biasa dianjurkan secara atas talian sebagai norma baharu. Bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan 8.3 juta untuk memperkukuhkan agenda digital governance dalam semua sektor pentadbiran.

Dato’ Yang Dipertua, Kemudahan Infrastruktur. Pembangunan kemudahan infrastruktur amat penting bukan sahaja untuk merangsang pembangunan ekonomi negeri tetapi untuk memastikan kemudahan selesa dan selamat kepada rakyat selaras dengan tuntutan maqasid syariah untuk menjaga keselamatan nyawa. Kerajaan Negeri sedang melaksanakan penggantian 2 jambatan baharu di Sungai Batang Jerlang, Jalan Warisan Puteri dan Kampung Batang Benar ke Kawasan Industri Nilai berjumlah 3.78 juta. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pembinaan 6 jalan baharu dengan peruntukan, pada tahun 2022 ini berjumlah 2.94 juta serta membaiki persimpangan dan selekoh berbahaya sebanyak 1.03 juta. Secara keseluruhan peruntukan pembangunan untuk kemudahan infrastruktur berjumlah 21.61 juta. Di kesempatan ini, suka saya mengumumkan, Projek Pembinaan Jambatan Kedua Sungai Batang Benar yang saya telah bentangkan semasa sidang belanjawan yang lalu, kini telah pun mula dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun awal tahun 2023.

Perubahan iklim dan cuaca yang tidak menentu memerlukan perhatian serius oleh kerajaan. Sebagai usaha untuk mengekalkan kawalan kejadian banjir, mengelakkan, dan kawalan kejadian banjir, Kerajaan Negeri memperuntukkan 3.0 juta untuk kerja-kerja pendalaman sungai di bawah Rancangan Tebatan Banjir dan 3.8 juta untuk Projek Pengindahan Lembangan dan Koridor Sungai.

Syiar Islam akan terus diperkasa oleh Kerajaan Negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Pembangunan masjid, surau, sekolah agama akan terus digandakan mengikut keutamaan dan keupayaan kewangan negeri.

Untuk makluman sidang Dewan yang mulia, sejak Kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negeri ini, sebanyak 6 buah masjid baharu telah diluluskan pembinaannya dengan menggunakan peruntukan negeri dengan jumlah keseluruhan sebanyak 41 juta. Alhamdulillah, kerja-kerja pembinaan Masjid Warisan Puteri, Masjid Forest Height sedang rancak dilaksanakan. Selain daripada pembinaan masjid, kerja menaik taraf Sekolah Tinggi Agama Malaysia (STAM) Maahad Ahmadi juga sedang giat dilaksanakan dengan kos sebanyak 13.1 juta.

Bagi meneruskan lagi agenda pemerkasaan agama ini, sebanyak 20.0 juta telah diperuntukkan untuk sektor kerohanian pada tahun 2022. Ini termasuk pembinaan semula Masjid Kariah Kampung Bongek yang terbakar pada 11 April 2021 dengan peruntukan sebanyak 5.0 juta untuk tempoh 3 tahun. Selain Masjid Kariah Bongek, sukacita saya umumkan pembinaan Masjid Kariah Ulu Beranang yang berada dalam keadaan uzur dan tidak selamat digunakan dengan kos 5.0 juta. Untuk itu, peruntukan awalan sebanyak 160 ribu akan disediakan pada tahun hadapan bagi kerja-kerja meroboh, reka bentuk dan tender.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Sektor Pertanian merupakan sektor ekonomi bernilai tinggi yang mempunyai kesan pengganda di Negeri Sembilan. Wilayah Negeri Sembilan Timur telah dizonkan sebagai Wilayah Agropolis dalam Rancangan Struktur Negeri Sembilan (RSNS) 2045 berdasarkan potensi sumber ada. Menyedari kepentingan dan potensi tersebut, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan untuk sektor pertanian sebanyak 13.5 juta. Dari jumlah tersebut, 2.4 telah diperuntukkan bagi program peningkatan hasil sayuran dan buah-buahan meliputi penyediaan input pertanian, perkhidmatan teknologi dan infrastruktur. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pelaksanaan projek pengukuhan infrastruktur pusat pengembangan pertanian yang dijangka mampu menggalakkan sektor agro-pelancongan dengan peruntukan sebanyak 2.0 juta. Bagi program peningkatan pengeluaran ternakan sebanyak 2.07 juta akan disediakan bagi membantu penternak meningkatkan pengeluaran hasil ternakan.

Sektor pelancongan merupakan antara sektor yang paling terjejas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani pandemik COVID-19 alhamdulillah, Kerajaan Persekutuan pada 11 Oktober 2021 telah membenarkan aktiviti rentas negeri yang secara langsung membuka semula sektor pelancongan. Bagi membantu penggiat industri pelancongan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan diskaun atau rebat Fi Lesen Perniagaan bagi segmen penginapan dan hotel sebanyak 50% bagi tahun 2022 sebagaimana yang telah saya umumkan pada 28 Julai 2021 yang lalu. Insentif ini dijangka akan melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak 127 ribu ringgit

yang memberikan manfaat kepada lebih 150 buah hotel dan penginapan di seluruh Negeri Sembilan.

Di kesempatan ini, saya menjemput seluruh rakyat marilah melancong dan berkunjung ke Negeri Sembilan. Terdapat pelbagai tempat dan aktiviti menarik di negeri ini. Jemputlah berkunjung ke Muzium Negeri Sembilan bagi mengenali keunikan adat dan budaya negeri. Silalah merasai produk salai dan masak lemak cili api di Kuala Pilah sambil singgah ke Istana Lama Seri Menanti. Berkunjunglah ke Teratak Za’ba, pendeta bangsa di Jempol sambil menikmati keindahan sawah perkampungan sekitar. Terokailah keindahan alam dengan ekspedisi di Jeram Berungut di Taman Negeri Kenaboi di Jelebu. Memancing udang di Sungai Linggi atau mendaki Gunung Datuk di Rembau. Bermandi manda di Pantai Peranginan Port Dickson sambil berkunjung ke PD Forest. Jangan lupa, bawalah pulang rendang maman dan kopi Gemas sebagai oleh-oleh dari Tampin.

Untuk sektor pelancongan, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak 3.17 juta bagi meningkatkan daya tarikan pusat-pusat pelancongan di negeri ini. Sebanyak 1.07 juta akan diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf produk pelancongan. Produk eko-pelancongan di negeri ini akan terus ditambah baik melalui kerja-kerja penyelenggaraan hutan-hutan lipur sebanyak 500 ribu ringgit. Bagi memperkukuhkan aktiviti eko-pelancongan, kerajaan akan melaksanakan Pembangunan Infrastruktur Penghujung Banjaran Titiwangsa di Daerah Tampin dengan anggaran peruntukan 500 ribu ringgit. Pelaksanaan produk baharu pelancongan ini akan menjana dan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat sekitar.

Bagi menambah baik urus tadbir kerajaan tidak dilupakan, bagi menambah baik urus tadbir kerajaan, tidak dilupakan adalah kebajikan lebih 3,600 orang kakitangan awam negeri yang sentiasa komited dalam menggalas tanggungjawab masing-masing. Sehingga 15 November 2021, sebanyak 112 pinjaman kenderaan telah diluluskan dengan jumlah pinjaman sebanyak 3.3 juta. Manakala, sebanyak 66 pinjaman pembelian komputer pula telah diluluskan sebanyak 238 ribu. Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaan skim pinjaman pembelian kenderaan dan komputer dengan kosong peratus faedah.

Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam yang sentiasa mencurahkan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan dan rakyat, sukacita saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji ataupun minimum seribu ringgit kepada semua penjawat awam yang berada di bawah

pentadbiran Kerajaan Negeri. Bantuan khas ini akan dibayar selewat-lewatnya pada minggu kedua Januari tahun 2022.

Kerajaan Negeri telah menyusun perancangan untuk tahun hadapan. Justeru, saya mengajak seluruh rakyat negeri ini untuk mengambil peluang atas tawaran dan inisiatif yang telah dirancang tersebut. Saya juga meminta semua agensi dan jabatan kerajaan untuk menjadi pemudah cara dan membantu rakyat untuk mendapatkan tawaran dan inisiatif ini. Pera, perancangan kita itu usaha. Kita merancang, Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Marilah kita berdoa segala perancangan dan usaha kita ini diterima oleh Allah SWT sebagai kebajikan dan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Untun-untun keladi untun, keladi untun banyak duri, telah puas saya, telah puas saya berteromba dan berpantun, mohon saya mengundur diri.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan agar Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 dibacakan untuk kali kedua. Sekian, terima kasih.

Assalamualaimum WBT, sebelum saya menyokong bajet yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Aminuddin bin Harun tadi, saya suka memberi sedikit ulasan. Kecil jangan disangka anak, besar jangan dianggap sebagai bapak. Yang baru tidak semestinya tidak boleh menerajui kerajaan. Dalam tempoh 3 tahun kita telah membuat banyak insentif-insentif dan banyak perubahan-perubahan dan memastikan bahawa pembangunan negeri terus berjalan. Dengan kutipan hasil yang meningkat. Dan insyaAllah kita terus komited untuk memastikan bahawa negeri ini kita akan terus terajui dengan penuh semangat dan dedikasi walaupun kita menghadapi ujian dan dugaan yang tak pernah dihadapi oleh kerajaan sebelum ini. Dan bagaimana kita menghadapi 2 permasalahan yang besar; ekonomi dan jugak COVID, yang mana kita melibatkan satu pengalaman baru. Dan ini jugak saya suka mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua kakitangan di frontliner yang bertungkus-lumus tanpa mengira penat lelah ya, tanpa mengira gelap dan terang, mereka terus berusaha memastikan kita negeri yang pertama yang berjaya keluar daripada Fasa 1 hingga ke Fasa 4, dan insyaAllah kita menghadapi semua cabaran itu dengan kejayaan yang saya rasa amat cemerlang. Terima kasih kepada semua.

Saya juga suka mengingatkan bahawa kita diberi tugas dan amanah. Dan sebagai kerajaan baru Pakatan Harapan, kita mengambil inisiatif dan mengambil tugas ini, tanggungjawab ini dengan penuh semangat dan dedikasi dan kami akan pastikan bahawa orang muda diberikan tempat yang sebaiknya, begitu jugak wanita akan diberi peranan yang

semaksimanya. Dan insyaAllah pemimpin-pemimpin lama kita kenang dan kita jasai mereka. Sebagai kerajaan yang berwibawa, walaupun dalam tempoh yang singkat, kita tak, telah membuktikan bahawa kejayaan dalam ekonomi kita. Tak pernah lagi kita mencapai lebih kurang 7.9 juta, eh, billion. Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan. Dan insyaAllah dalam keadaan kegawatan COVID, kita jugak mampu nanti insyaAllah mendapat hasil baru, insyaAllah sikit masa lagi ya. Kita akan dapat memastikan bahawa kita boleh mencapai apa yang kita cita, walaupun dulu pernah dikatakan jangan suka-suka meletak, meletak bajet, takut nanti tak boleh berjaya. InsyaAllah kita letakkan kerana kejayaan itu mesti diimpikan dengan apa yang kita kata, kita rancangkan dulu. Kita impikan dulu dan kita kerjakan dan kita penuh serahkan kepada Allah SWT.

Mari bersama-sama kita, baik pembangkang ataupun ahli kerajaan, kita bersama membangunkan, bersama mengatasi masalah rakyat. Kita teruskan usaha kita kerana banyak lagi kerja-kerja yang masih perlu kita laksanakan. Saya suka mengingatkan kepada semua termasuk diri saya, bahawa tanggungjawab ini bukan tanggungjawab yang boleh diambil sambil lewa, sambil minum, sambil menyelam minum air pun tak boleh. Kena buat betul-betul. Supaya kita pastikan bahawa kejayaan nanti akan dapat dengan lebih baik. Dan itu saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Aminuddin bin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. Walaupun dalam tempoh yang singkat, 3 tahun lebih sikit, kita mampu menjalani apa saja permasalahan, rintangan dengan yang terbaik, bermula dengan setengah bulan bonus, kita mula ini lagi dengan setengah bulan bonus walaupun negeri lain mungkin tak pernah nak isytiharkan agak-agak lebih baiklah daripada kita. Jadi, bersyukurlah. Walaupun daripada cempedak biarlah nangko, daripada tidak ado biarlah ado, walaupun setongah gaji, sebulan, seribu ringgit. Ini merupakan satu inisitif untuk kita menghargai mereka-mereka yang bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan dan kecemerlangan pasukan yang ditadbir oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita supaya menjamin mereka dan jugak kita semua dapat berjaya pada masa akan datang.

Yang susah jangan dilupakan, yang sonang jangan nak ‘eksen’ sangat ya, yang monang pun jangan terlampau ‘eksen’ sangat sebab kita akan menghadapi orang muda sikit masa lagi yang mana kita cadangkan bahawa orang muda yang lebih berapa juta ini akan menentukan kerajaan yang terbaik yang akan dipilih oleh mereka pada masa akan datang, ya. Kita mesti ingat bahawa kejayaan bukan selalunya berada pada kita yang sambil lewa, yang puas hati, kerana dalam apa saja keadaan, kita sentiasa berusaha untuk menambah baik, meningkatkan prestasi perkhidmatan dan jugak perbelanjaan kita. Kalau banyak pun

duit jangan joli sangat, kalau tak ada duit pun jangan susah hati sangat. Kita cari kerja, kita cari ikhtiar dan sama-sama kita pastikan bahawa kita akan mendapat manafaat bersama. Jangan kita lupa dalam keadaan kita berada dalam kesenangan ada ramai masyarakat di luar sana yang memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada kita semua. Kalau ada orang yang datang daripada jauh untuk mengadukan masalah, jangan kita senang-senang kata: “sibuk, lain kali datanglah”. Sekarang itu jugak kena selesaikan, kalau hari ini kita boleh selesaikan masalah, jangan tunggu besok. Kalau minggu depan kita boleh selesaikan, jangan tunggu bulan depan. Dan kalau boleh masa kita memerintah ini kita boleh selesaikan masalah rakyat, jangan tunggu pada masa pemerintahan yang akan datang. Inilah harapan dan saya sebagai seorang EXCO Pembangunan Luar Bandar, saya sangat-sangat menyokong di atas apa saja bajet yang telah diberikan tadi, yang merangkumi lebih kurang banyak bidang utama, yang boleh dikatakan semuanya dika, di-cover secara baik dan walaupun sedikit sedikit, tapi ado.

Kita mulakan dengan sedikit, macam Dato-Dato adat dulu, dengan 500 ribu, sekarang kita dah naikkan 2.5 juta sebab jangan bertanya pada sedikit, bertanyalah sebelum ini tak pernah ada, kita buatkan. Kita cipta inisiatif-inisiatif baru yang mana ini akan dapat membantu pembangunan dan jugak kemajuan negeri dan negara kita Malaysia. Saya berharap dengan keadaan kita keduduk kita yang baik, dengan cadangan MVV 2.0 yang baik, insyaAllah kita akan cuba tarik semaksima mungkin pelabur datang melabur di Negeri Sembilan. Inilah cabaran kita sebagai kerajaan baru dan kita pastikan bahawa semua kemudahan-kemudahan yang sepatutnya diada, kita sediakan dengan kadar yang segera. Jangan terlewat. Contohnya, kalau kemudahan komunikasi, telekomunikasi, jangan dah orang dah ramai duduk baru nak mintak, tak ado dia punya siaran. Kita kena sediakan. Itu sebabnya Negeri Sembilan telah menetapkan bahawa, apa dikatakan bangunan-bangunan yang kemudahan awam ini kita jadikan dia sebagai kemudahan awam untuk tele, telekomukasi supaya kita pastikan bahawa kita bersedia, kata orang: “sediakan payung sebelum datang hujan dan sediakan rumah sebelum ada ribut taufan” supaya kita pastikan bahawa kita bersedia. Dan insyaAllah kita boleh menghadap apa jua ujian dan dugaan. Dan dalam masa yang sama, saya suka mengingatkan kepada semua kita bahawa kita ada banyak tanggungjawab dan kerja dan teruskanlah usaha itu.

Dan dengan lafaz ini, saya suka, Yang Amat Berhormat, Dato’ yang Dipertua, saya bangun menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan (2022) 2021 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Aminuddin Harun; ADUN Sikamat sebentar tadi. Dan seterusnya

sekali lagi saya menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan dan, dan jugak (2022) 2021 dan Usul Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2022 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat. Terima kasih banyak, terima kasih banyak dan kita jumpa lagi. Assalamualaikum WBT.

Yang Dipertua Dewan

Waalaikumsalam WBT, terima kasih Yang Berhormat Labu. Saya suka pepatah tadi: “yang kaya jangan joli, yang susah jangan takut” ya, sebab apa, sebab kita ada Tuhan, insyaAllah.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Undang-Undang Perbekalan (2022) 2021 telah dicadang untuk dibacakan bagi kali yang kedua. Kita juga telah bersetuju untuk membahaskan usul anggaran pembangunan negeri, Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2022 bersekali dengan rang undang-undang ini. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, teks pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2022 ini boleh diperolehi dari portal rasmi Pejabat Kewangan Negeri, Negeri Sembilan.

9.9.9.9. PENANGGUHAN MESYUARAT

Yang Dipertua Dewan

Ahli Yang Berhormat sekalian, sebentar lagi saya akan menang, menanguhkan Mesyuarat Dewan. Sesi perbahasan Rang Undang-Undang dan usul ini akan dibawa pada hari Isnin, ya, 29 November 2021 bersamaan 24 Rabiul Akhir 1443 Hijrah. Sekian, kita tangguhkan mesyuarat kita pada petang ini.

Persidangan ditangguhkan pada jam 5.03 petang.