Negeri Sembilan · 18 April 2022
14th Assembly, 5th session, 1st meeting (Opening) · 13 turns · 1,468 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalNegeri Sembilan publishes one PDF per meeting, naming speakers by seat. The 15th Assembly was dissolved on 5 Jun 2026; the 16th (elected 1 Aug 2026) has published nothing yet. Written answers are not published.
Membaca Doa
Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-14. Susunan Mesyuarat, Perkara Pertama, Membaca Doa. Dipersilakan Yang Berhormat ADUN Lenggeng.
(YB ADUN Lenggeng telah membacakan doa di bawah Peraturan IX, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri)
Perutusan Yang Dipertua Dewan
menyatakan perkara mesyuarat.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Alhamdulillahhirabbil'alamin wassolatu wassalamu'ala asyrofil ambiya’i walmursalin wa'ala alihi wasohbihi ajma'in. Alhamdulillah, wassolatuwassalam. Segala puji bagi Allah Tuhan Pencipta Alam, Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW ahli keluarga dan para sahabat Baginda.
Alhamdulillah, dengan izin dan limpah KurniaNya kita semua dapat bersama pada hari ini untuk mengadakan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi Persidangan Pertama (Perasmian), Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14 bagi tahun 2022.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Berhormat Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan, puan-puan hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang ke sidang mesyuarat bagi pri, bagi Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14 yang dijadualkan berlangsung selama 4 hari, mulai hari ini 18 April hingga 21 April, insya-Allah.
Hadirin sekalian, di kesempatan ini saya ingin mengambil peluang untuk mungucapkan takziah kepada Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhammad Sharip Bin Haji Othman; Undang Luak Rembau serta keluarga atas pemergian Allahyarhamah Yang Mulia Tok Puan Hajjah Ramalah Binti Haji Yunus; Tok Puan Rembau ke rahmatullah. Marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al Al-Fatihah kepada Allahyarhamah dan bagi yang bukan Islam, penghormatan selama seminit. Al-Fatihah.
Hadirin sekalian, bermula 1 April yang lalu, Malaysia telah melangkah ke Fasa Peralihan endemik, Endemik COVID-19 seperti diumumkan Perdana Menteri; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Justeru, kita perlulah bersedia untuk melangkah ke fasa endemik memandangkan jangkitan harian meningkat melebihi sekitar 30,000 kes.
Pengumuman tersebut membolehkan kita semua Kembali, kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal, selepas 2 tahun berperang dengan COVID-19. Fasa ini juga menjadi fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, saya mengingatkan semua sidang hadirin sekalian agar menjaga SOP sebagaimana yang diarahkan dan dinasihatkan oleh pihak berkuasa khususnya oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan. Sebagaimana maklum, virus COVID-19 ini bukan hanya boleh menyebabkan kerosakan paru-paru dan masalah pernafasan, malahan juga pelbagai masalah kesihatan lain terutamanya kepada individu-individu yang ada komorbiditi.
Saya telah menasihatkan pihak urusetia bagi memastikan SOP dipatuhi setiap masa termasuk mengekalkan bilangan dan pergerakan keluar masuk hadirin khususnya dalam bangunan Dewan Undangan Negeri bagi mencegah penularan wabak virus ini.
Selain daripada itu, ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua Jabatan dan urusetia serta petugas-petugas dewan dikehendaki menjalani ujian saringan COVID-19 iaitu Ujian RT-PCR dan setiap individu yang terlibat dalam sidang dewan ini juga telah dibekalkan dengan kit Ujian RTK. Para hadirin juga hendaklah memastikan telah menerima suntikan vaksinasi lengkap COVID-19 dua dos dan yang melepasi tempoh matang 14 hari bagi mengurangkan risiko jangkitan dan penularan virus COVID-19.
Had kapasiti setiap ruang di Bangunan Dewan Undangan Negeri ini juga kekal berdasarkan keluasan bilik atau ruang. Semua hadirin dikehendaki mematuhi had kapasiti ini sebagaimana yang ditetapkan. SOP ini adalah juga tertakluk kepada SOP atau ketetapan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negeri dan serta lain-lain aturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dari masa ke semasa.
Pihak Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negeri juga akan membuat penilaian risiko dari masa ke masa untuk menentukan tahap risiko semua ahli-ahli Yang Berhormat dan hadiran, hadirin sepanjang tempoh persidangan ini.
Walaupun kehadiran jemputan terutamanya kepada ketua jabatan, pemerhati dan media ke persidangan kali ini dihadkan dan kehadiran secara fizikal ke persidangan adalah minima, sesi persidangan masih boleh diikuti secara langsung oleh semua pihak melalui media sosial iaitu di akaun Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
Bagi ketua-ketua jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam persidangan ini, Dewan kali ini juga boleh mengakses persidangan ini secara atas talian melalui aplikasi Microsoft Team.
Hadirin yang dihormati sekalian, untuk makluman, pada sidang kali ini pihak Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan satu inisiatif baru iaitu penggunaan bahasa isyarat yang dapat diikuti secara langsung melalui laman facebook semasa sidang Mesyuarat Dewan hari ini sehingga selesai agenda Lafaz Titah Perasmian Dewan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebentar nanti. Dewan Yang Mulia ini merakamkan jutaan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan atas inisiatif julung-julung kalinya diadakan ini.
Dewan turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah serta setinggi-tinggi terima kasih atas kerjasama Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan atau Negeri Sembilan Association Of The Deaf (NESDA). Persatuan NESDA ini adalah sebuah organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang berperanan sebagai, sebagai sebuah NGO sukarela yang diamanahkan bagi menjaga kepentingan warga orang kurang upaya khususnya warga orang Pekak dalam memberi pendedahan luas kepada mereka mengenai sosio budaya, agama, ekonomi, politik dan negara. Dewan ini merakamkan syabas dan terima kasih kepada wakil NESDA iaitu Encik Amin Zuhaili bin Mansor, Puan Sariah binti Ibrahim dan Puan Azlina
binti Mohamed Isa yang mengambil bahagian dalam persidangan dewan kali ini. Semoga usaha murni ini mendapat rahmat keberkatan daripada Allah SWT.
Hadirin yang dihormati sekalian, seperti mana lazimnya, saya menyeru ahli-ahli Yang Berhormat serta hadirin sekalian, agar sentiasa mematuhi Peraturan-peraturan Dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan serta tata kelakuan dan etika sebagai Ahli Yang Berhormat sepanjang persidangan pada kali ini.
Selain itu juga, saya ingin memberikan peringatan pemakluman sekali lagi kepada semua hadirin untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Dan yang terakhir, saya suka, suka untuk saya mengingatkan bahawa Premis Kerajaan telah diwartakan sebagai Tempat Larangan Merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau semenjak tahun 2004. Aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di premis Kerajaan termasuk di Bangunan DUN ini akan dijalankan oleh urus setia Dewan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan sepanjang persidangan berlangsung.
Saya amat, saya amat berharap persidangan kali ini dapat berlangsung dalam keadaan harmoni serta menjaga nama baik dan etika sebagai Ahli-ahli Yang Berhormat, dalam Dewan Yang Mulia ini.
Sekian dulu perutusan saya dan saya sudahi dengan lafaz ucapan wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum WBT.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara ketiga, Mengesahkan Peringatan Mesyuarat. Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Kali Ketiga [Kedua] (Belanjawan) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang Ke-14 yang telah diadakan pada 26, 29 dan 30 November serta 1 dan 2 Disember 2021.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Peringatan Mesyuarat Kali Ketiga [Kedua] (Belanjawan) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang Ke-14 yang telah diadakan pada 26, 29 dan 30 November serta 1 dan 2 Disember 2021 telah pun diedarkan salinannya.
Oleh itu ada apa-apa teguran? Sekiranya tiada, diharap seorang ahli mencadangkan dan seorang ahli menyokong supaya disahkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya memohon izin mencadangkan supaya Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju Peringatan Mesyuarat ini disahkan, sila angkat tangan. Yang tidak bersetuju? Yang berkecuali? Peringatan Mesyuarat ini disahkan, dengan bilangan yang ramai ya.
(Keputusan undian: 19 orang ahli Yang Berhormat bersetuju manakala 15 orang ahli Yang Berhormat tidak mengundi)
(Peringatan Mesyuarat Kali Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang Ke-14 yang telah diadakan pada 26, 29 dan 30 November serta 1 dan 2 Disember 2021 disahkan tanpa pindaan dan YB Yang Dipertua Dewan menandatangani Peringatan Mesyuarat tersebut)
Titah Ucapan DirajaAddress / budget
Perkara yang keempat, Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ahli-ahli Yang Berhormat, tuan-tuan, puan-puan sekalian, sebentar lagi Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan akan menyampaikan titah Baginda dalam Dewan yang mulia ini. Dan sekarang Dewan ditangguhkan sebentar untuk keberangkatan tiba Ke Bawah Duli yang Tuanku.
[YB Yang Dipertua Dewan meninggalkan Galeri Persidangan]
[Persidangan Dewan ditangguhkan seketika]
[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan YTM Tunku Besar Tampin
[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan YTM Undang Luak Johol]
[Setiausaha Dewan mengumumkan ketibaan YTM Undang Luak Jelebu]
[Setiausaha Dewan mengumumkan keberangkatan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diiringi YB Yang Dipertua Dewan]
Mengadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, ampun Tuanku, Patik memohon perkenan Ke Bawah Duli Tuanku untuk melafazkan Titah kepada sidang hadirin dalam Dewan yang mulia ini. Mohon perkenan Tuanku.
[YAB ADUN Sikamat menyembahkan Teks Titah Ucapan DiRaja kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan]
Menjunjung kasih Tuanku. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
[DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menyampaikan Titah baginda]
[YAB ADUN Sikamat mengambil semula Teks Titah Ucapan]
Penangguhan MesyuaratAdjournment
Menjunjung kasih Tuanku. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan ditangguhkan. Dewan akan disambung semula pada hari Selasa, 19 April 2022 bersamaan 17 Ramadhan 1443 Hijrah mulai jam 10.00 pagi.
Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat serta Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin meninggalkan Dewan.
[Bentara Dewan menanggung Cokmar mendahului DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan]
[YTM Undang Yang Empat serta YTM Tunku Besar Tampin meninggalkan Dewan]
[YB Yang Dipertua Dewan meninggalkan Galeri Persidangan]
(Mesyuarat Dewan Undangan Negeri ditangguhkan pada jam 11.03 pagi.)