Negeri Sembilan · 26 September 2023
15th Assembly, 1st session, 1st meeting (Special) · 13 turns · 1,036 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalNegeri Sembilan publishes one PDF per meeting, naming speakers by seat. The 15th Assembly was dissolved on 5 Jun 2026; the 16th (elected 1 Aug 2026) has published nothing yet. Written answers are not published.
Bacaan Doa
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.
Perkara pertama, Membaca Doa. Dipersilakan Yang Berhormat Sungai Lui.
[YB ADUN Sungai Lui telah membacakan doa di bawah Peraturan 9, muka surat 11 di dalam Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri]
Pemilihan Dan Pelantikan Yang Dipertua Dewan
Perkara kedua, Pemilihan Dan Pelantikan Yang Dipertua Dewan. Sebelum kita meneruskan agenda kita pada pagi ini, marilah kita sama-sama mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT dan segala kepujian yang tidak terhingga serta selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucap dan merakamkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji Harun dan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian yang telah pun dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri, Negeri Sembilan bagi penggal yang ke-15.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, menurut Fasal 57(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Peraturan II Perintah 1(1) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan menyatakan bahawa:
“Dewan Negeri hendaklah dari semasa ke semasa memilih seorang daripada ahli-ahlinya menjadi Yang Dipertua dengan meluluskan satu usul dan selagi jawatan Yang
Dipertua itu masih kosong tiadalah boleh dijalankan sebarang rundingan selain daripada pilihan Yang Dipertua”.
Untuk makluman semua ahli Yang Berhormat, saya telah menerima 2 pencalonan untuk jawatan Yang Dipertua Dewan. Walau bagaimanapun, menurut Peraturan II Perintah 7(1) iaitu:
“Tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seseorang ahli untuk dipilih menjadi Yang Dipertua, hendaklah mempastikan terlebih dahulu yang ahli itu suka berkhidmat kiranya dipilih, dan hendaklah memberitahu Setiausaha Majlis sekurang-kurangnya tujuh (7) hari akan cadangannya itu sebelum mesyuarat”
Salah satu pencalonan telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan II Perintah 7(1) tersebut.
Oleh itu, seterusnya saya mempersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat untuk mengemukakan Usul pencalonan jawatan Yang Dipertua Dewan dan seorang ahli Yang Berhormat untuk menyokong Usul tersebut.
Tuan Setiausaha Dewan, menurut Fasal 57(1A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, saya mengemukakan Usul “Bahawa Yang Berbahagia Dato’ M K Ibrahim bin Abd Rahman adalah dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri”. Terima kasih.
Tuan Setiausaha Dewan, saya menyokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, oleh kerana seorang sahaja yang dicadangkan dan telah disokong menjadi Yang Dipertua, maka menurut Peraturan II, Perintah 7(3) Peraturan dan Peraturan Perintah-Perintah Tetap Dewan, dengan ini saya memasyhurkan Yang Berbahagia Dato’ M K Ibrahim bin Abd Rahman dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15.
Upacara Mengangkat Sumpah Yang Dipertua Dewan Dan Menandatangani Surat Sumpah
Perkara ketiga, Upacara Mengangkat Sumpah Yang Dipertua Dewan dan Menandatangani Surat Sumpah. Dewan yang mulia dengan ini dengan hormatnya menjemput Yang Berhormat Dato’ Yang
Dipertua Dewan masuk ke Galeri Persidangan untuk acara mengangkat sumpah jawatan. Dijemput Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat untuk menyarungkan jubah dan songkok kepada Yang Dipertua Dewan.
[ YB Yang Dipertua Dewan melafazkan ucapan mengangkat sumpah dan seterusnya menandatangani Surat Sumpah ]
Upacara Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Menandatangani Surat Sumpah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Di Hadapan Yang Dipertua Dewan
Perkara keempat, Upacara Mengangkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri.
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, Sikamat mengangkat sumpah jawatan seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan I Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, serta mengikut kaedah Bahagian Yang Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan 1959.
[YAB ADUN Sikamat melafazkan ucapan mengangkat sumpah dan seterusnya menandatangani Surat Sumpah. Upacara ini telah dilakukan oleh semua ahli Yang Berhormat yang berikut yang namanya dipanggil oleh YB Yang Dipertua Dewan:
Pemilihan Dan Pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan
Perkara kelima, Pemilihan Dan Pelantikan Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua Dewan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya telah menerima notis bahawa pihak kerajaan telah menarik balik pencalonan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan. Dalam masa yang sama, pihak pembangkang telah mengemukakan calon untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua. Namun tidak dapat mengemukakan surat setuju terima jawatan daripada calon sekiranya dipilih, selaras dengan Peraturan II Perintah 7(1) dan Perintah 8 Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Sembilan. Sehubungan dengan itu, aturan pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua adalah dengan ini ditangguhkan.
Perutusan Yang Dipertua Dewan
Perkara keenam, Perutusan Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan.
Assalamualaikum WBT. bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillahhirabbil'alamin wassolatu wassalamu'ala asrofil ambiya iwalmursalin wa'ala alihi wasohbihi ajma'in. Rodhitu billahi robba, wabil islami diina, wabimuhammadin nabiyya warosuula. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Pencipta Alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji Harun; Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian.
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun selaku Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap ADUN Sikamat dan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian atas kepercayaan kepada saya untuk menjadi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-15 ini.
Setinggi-tinggi, sesungguhnya, saya berasa amat terharu kerana telah diberi kepercayaan untuk memimpin perjalanan Dewan yang mulia ini. Pelantikan ini merupakan amanah yang besar kepada diri saya, yang perlu saya tunaikan. Justeru, saya akan mencuba sedaya upaya untuk mengendalikan Dewan ini dengan sebaik yang mungkin, selaras dengan mandat yang diberikan berdasarkan peraturan dan prosedur semasa.
Hadirin sekalian, Dewan yang mulia ini seterusnya merakamkan syabas dan tahniah kepada semua ahli Yang Berhormat yang telah dipilih untuk menjadi Ahli Dewan sebagai Penggal DUN ke-15 ini. Adalah diharapkan kita semua dapat bekerjasama di dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik buat rakyat Negeri Sembilan atas mandat negeri, atas mandat rakyat yang telah memilih kita untuk mewakil mereka di Dewan yang mulia ini. Tahniah dan syabas diucapkan.
Dewan yang mulia ini turut merakamkan terima kasih kepada bekas Yang Dipertua sebelum ini iaitu Yang Berbahagia Dato’ Haji Zulkefly Mohamad bin Omar yang telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang sepanjang penggal DUN yang ke-14 dulu. Budi baik Dato’ akan sentiasa dikenang.
Hadirin sekalian, saya juga ingin merekodkan ketidakhadiran Yang Berhormat ADUN Rantau dan Yang Berhormat ADUN Chennah bagi persidangan ini atas urusan rasmi yang tidak dapat dielakkan. Saya minta pihak urusetia untuk mengaturkan sesi angkat sumpah jawatan ini di hadapan saya seberapa segera. Sekian sahaja daripada saya. Wabillahitaufik wassalamualaikum WBT. Terima kasih.
Penangguhan MesyuaratAdjournment
Perkara ketujuh, Penangguhan Mesyuarat.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dengan ini saya menangguhkan Dewan ini ke tarikh 9 haribulan Oktober 2023. Untuk makluman, Persidang Kedua, Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 akan diadakan pada 9 hingga 13 Oktober 2023. Sekian.
Dewan ditangguhkan pada pukul 11.10 pagi.