Negeri Sembilan · 1 December 2023

15th Assembly, 1st session, 3rd meeting (Budget) · 31 turns · 8,113 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalNegeri Sembilan publishes one PDF per meeting, naming speakers by seat. The 15th Assembly was dissolved on 5 Jun 2026; the 16th (elected 1 Aug 2026) has published nothing yet. Written answers are not published.

Membaca Doa

Setiausaha Dewan

Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15. Susunan Mesyuarat, perkara pertama, Membaca Doa. Dipersilakan Yang Berhormat ADUN Gemencheh.

[YB ADUN Gemencheh telah membacakan doa di bawah Peraturan IX, muka surat 11 di dalam Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri]

Perutusan Yang Dipertua Dewan

Setiausaha Dewan

Pekara kedua, Perutusan Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua Dewan.

Yang Dipertua Dewan

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum WBT, dan salam sejahtera. Alhamdulillahhirabbil 'alamin wassolatu wassalamu'ala asrofil ambiyaa iwalmursalin wa'ala alihi wasohbihi ajma'in. Rodhitu billahi robba, wabil islami diina, wabimuhammadin nabiyya warosuula. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Pencipta Alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Haji Harun; Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan, puan-puan hadirin yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang ke sidang mesyuarat bagi Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15. Hari ini 3 Disember, hari ini 1 Disember 2023 bersamaan 19 Rabiul Akhir 1445 Hijrah dan merupakan hari pertama persidangan.

Saya seterusnya ingin memaklumkan bahawa Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan; Ahli Dewan Undangan Negeri

Kawasan Rantau tidak dapat hadir pada hari ini; 1 Disember kerana perlu menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari yang sama. Manakala Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook; ADUN Chennah pula tidak dapat hadir pada 1 dan 4 Disember 2023 kerana beliau menghadiri program rasmi di luar negara.

Hadirin sekalian, sebagaimana maklum, agenda persidangan ini, agenda persidangan kita pada hari ini adalah untuk mendengar perbentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024 yang akan disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan sebentar lagi. Sesi perbahasan akan dimulakan pada hari Isnin; 4 Disember 2023 bagi memberi ruang dan peluang kepada semua ADUN untuk membaca dan menelaah pembentangan tersebut. Saya amat berharap semua ahli-ahli Yang Berhoramt dapat mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan yang akan di, bermula pada hari Isnin depan.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia daripada Kementerian Komunikasi Dan Digital akan membuka kaunter aduan di Aras G, Bangunan Dewan Undangan Negeri pada 1 dan 4 Disember 2023. Ini bagi membolehkan Yang Berhormat ADUN menyalurkan isu-isu capaian serta rangkaian kemudahan jalur lebar di kawasan DUN masing-masing. Saya berharap semua ahli-ahli Yang Berhormat dapat mengambil bahagian untuk membangkitkan isu capaian kemudahan jalur lebar di kawasan DUN ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.

Hadirin sekalian, sebagaimana biasa saya ingin menyeru kepada semua hadirin agar sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Dan pemerin, Perintah-Perintah Dewan serta tatakelakuan dan etika sebagai ahli Yang Berhormat sepanjang persidangan ini. Dipohon kerjasama semua hadirin untuk memastikan persidangan kita pada kali ini berjalan dengan lancar dan semu, dan sempurna. Sekian, terima kasih. Selamat bersidang.

Mengesahkan Peringatan Mesyuarat

Setiausaha Dewan

Perkara ketiga, Mengesahkan Peringatan Mesyuarat. Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Kali Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 yang telah diadakan pada 9 hingga 12 Oktober 2023.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Peringatan Mesyuarat Kali Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan

Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 yang telah diadakan pada 9 hingga 12 Oktober 2023 telah pun diedarkan salinannya. Oleh itu ada apa-apa teguran? Sekiranya tiada, diharap seorang ahli mencadangkan dan seorang lagi ahli menyokong supaya disahkan.

Dato’ Seri Haji Aminuddin b. Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya memohon izin mencadangkan supaya Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan itu.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju Peringatan Mesyuarat ini disahkan, sila angkat tangan. Ada yang tidak bersetuju? Yang berkecuali? Jadi, Peringatan Mesyuarat ini disahkan sebulat suara ya.

[Keputusan undian: semua 34 orang Ahli Yang Berhormat yang hadir bersetuju]

[Peringatan Mesyuarat Kali Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 yang telah diadakan pada 9 hingga 12 Disember 2023 disahkan tanpa pindaan dan YB Yang Dipertua Dewan menandatangani Peringatan Mesyuarat tersebut]

Membentangkan Kertas Dewan

Setiausaha Dewan

Perkara keempat, Membentangkan Kertas Dewan. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Dato’ Seri Haji Aminuddin b. Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon izin membentangkan Kertas-Kertas Dewan yang ada di hadapan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, iaitu:

i) Kertas Dewan Bil. 3/2023 Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Hasil Tahun 2024.

ii) Kertas Dewan Bil. 4/2023 Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Belanja Mengurus Tahun 2024.

iii) Kertas Dewan Bil. 5/2023 Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Belanja Pembangunan Tahun 2024.

iv) Kertas Dewan Bil. 6/2023 Kertas Cadangan Pelantikan Jawatankuasa-Jawatankuasa Dewan Bagi Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-15 Di Bawah Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri 1960.

v) Kertas Dewan Bil. 7/2023 Kertas Cadangan Pelantikan Jawatankuasa Terpilih Bagi Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-15 Di Bawah Peraturan XXVII, Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri 1960.

dan

vi) Kertas Dewan Bil. 8/2023 Cadangan Pindaan Enakmen Peruntukan DiRaja (Negeri Sembilan) 1960.

Terima kasih Dato’ Yang Dipertua.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Kertas Dewan Bilangan 3 hingga Bilangan 8 Tahun 2023 adalah dibentangkan.

Membentangkan Laporan Dan Penyata Kewangan

Setiausaha Dewan

Perkara kelima, Membentangkan Laporan Dan Penyata Kewangan. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Dato’ Seri Haji Aminuddin b. Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun membentangkan Laporan dan Penyata Kewangan yang ada di hadapan ahli-ahli Yang Berhormat iaitu:

i) Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Dan Agensi Negeri Serta Pengauditan Pematuhan Agensi Negeri, Negeri Sembilan Tahun 2022.

ii) Penyata Kewangan Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Tahun 2022.

iii) Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Perbadanan NS Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

iv) Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Lembaga Muzium Negeri Sembilan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

v) Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

vi) Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Majlis Bandaraya Seremban Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

vii) Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Port Dickson Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

viii) Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Majlis Perbandaran Jempol Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

ix) Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Majlis Daerah Kuala Pilah Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

x) Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Majlis Daerah Tampin Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

xi) Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Majlis Daerah Rembau Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

dan

xii) Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Majlis Daerah Jelebu Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022.

Terima kasih.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Laporan dan Penyata Kewangan adalah dibentangkan.

UsulMotion

Yang Dipertua Dewan

6.1 Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2024.

Setiausaha Dewan

Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2024. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Dato’ Seri Haji Aminuddin b. Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun mengemuka, mengemukakan Usul: “Bahawa mengikut Ceraian 3 Seksyen 4, di dalam Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, Dewan ini mengambil ketetapan bersetuju perbelanjaan yang dicadangkan sebanyak Ringgit Malaysia 140 juta dengan maksud dan butiran Projek dalam Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2024, seperti yang dibentangkan dalam Kertas Bilangan 5 Tahun 2023 adalah diluluskan dan diperolehi untuk tujuan yang ditentukan sahaja.”

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong usul tersebut.

Dato’ Seri Haji Aminuddin b. Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, memandangkan Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2024 ada kaitan dengan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023, maka saya mencadangkan supaya Usul ini dibincang dan dibahaskan bersekali dengan Rang Undang-Undang tersebut.

Tuan Teo Kok SeongDAP · PHBahau

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan tersebut.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat telah mencadangkan agar Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2024 dibincang dan dibahaskan bersekali dengan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023, dan telah mendapat sokongan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan cadangan ini sila angkat tangan. Yang tidak bersetuju? Tak ada ya. Yang berkecuali? Cadangan ini diluluskan. Kita teruskan ke perkara berikutnya.

[Keputusan undian: semua 34 orang ahli Yang Berhormat yang hadir bersetuju]

Rang Undang-Undang — Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023Bill

Yang Dipertua Dewan

“Satu Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen bagi meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemegangan tanah adat luak tanah mengandung dan tanah adat lingkungan serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara lain yang berkaitan dan bersampingan dengannya.”

[Bacaan kali pertama]

Setiausaha Dewan

Perkara ketujuh, Rang Undang-Undang. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Dato’ Seri Haji Aminuddin b. Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun mencadangkan supaya Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk membolehkan kegunaan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perbelanjaan bagi menguruskan, bagi pengurusan tahun 2024 dibacakan bagi kali pertama.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan tersebut.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali pertama.

Setiausaha Dewan

Satu Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.

[Bacaan kali kedua]

Dato’ Seri Haji Aminuddin b. Haji HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, sebelum saya mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali kedua. Saya mohon mencadang supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2024 bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun ini” dibacakan bagi kali kedua.

Segala puji dan syukur, segala puji dan syukur bagi Allah, Tuhan Tuan Punya seluruh alam. Dia-lah Tuhan, Tuan Punya hakiki ke atas diri kita dan negeri ini. Dia-lah Pemilik dan Penyedia segala sumber khazanah kekayaan alam Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia-lah yang menghadiahkan keamanan, kesejahteraan dan kasih sayang dalam diri kita. Selawat dan salam ke atas junjungan yang paling disayangi Nabi Muhammad SAW yang merupakan utusan Allah terakhir yang membawa rahmat ke atas seluruh alam.

Di antara hadiah Allah yang merupakan nikmat-Nya yang perlu kita syukuri dan hargai ialah perpaduan dan kesatuan. Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 63 berbunyi [melafazkan bacaan ayat berkenaan]. “Dan (Dia-lah) yang menyatupadukan di antara hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat menyatupadukan di antara hati mereka, Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Perpaduan dan kesatuan hati merupakan sebahagian daripada tanda sifat Allah Al-Aziz yakni Maha berkuasa dan Al-Hakim (Maha Bijaksana). Perpaduan dalam masyarakat akan menatijahkan kestabilan dan pembangunan ekonomi yang mampan dan berterusan. Bahkan perpaduan dalam masyarakat membantu meningkatkan ketahanan sosial dan kualiti hidup rakyat.

Jelas kepada kita perpaduan memiliki peranan penting dalam menghasilkan masyarakat MADANI yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling hormat, berkeyakinan dan ihsan. Kerana itu, sebagai tanda kita menghargai kurnia Allah, mari kita bersama-sama menjaga, memupuk dan menyuburkan perpaduan demi kesejahteraan negeri yang bertuah ini seperti firman Allah SWT dalam ayat 103 surah Ali Imran yang berbunyi [melafazkan bacaan ayat berkenaan]. “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu berceraiberai”.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, pada Oktober 2023, Bank Dunia telah mengemaskini sasaran pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dijangka berada pada paras 3.9% pada tahun 2023. Kerajaan Persekutuan juga telah mengunjurkan semula pertumbuhan KDNK tahunan 2023 kepada 4.0% semasa pembentangan Belanjawan Tahun 2024. Menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2023 berkemungkinan disokong oleh dasar yang berterusan bagi mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup, risiko ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan dan situasi kewangan global yang ketat.

Sehingga Oktober 2023, kadar inflasi mencatatkan 1.8% iaitu antara terendah di rantau ini dan lebih baik berbanding negara-negara maju. Selain itu, Indeks Harga Pengeluar dijangka menyederhana disumbangkan oleh kos input global yang semakin stabil. Kadar pengangguran juga turun kepada kadar 3.4% pada September 2023 iaitu terendah dan hampir menyamai kadar Covid-19 iaitu 3.3%.

Pada akhir tahun 2022, KDNK Negeri Sembilan direkodkan sebanyak 50.84 bilion ringgit, yang mana KDNK negeri berkembang pada kadar 6.4% berbanding tahun 2021. Momentum pertumbuhan ini didorong oleh lonjakan pertumbuhan sektor pembuatan yang berkembang sebanyak 8.0% dalam tempoh yang sama. Selain itu, sektor perkhidmatan yang merupakan antara penyumbang terbesar KDNK negeri turut merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu pada kadar 7.6%.

Dengan iltizam dan kerjasama semua pihak, Negeri Sembilan terus memacu pelaburan yang amat membanggakan dengan mencatat jumlah pelaburan sebanyak 8.9 bilion ringgit pada tahun 2022, mengatasi apa yang disasarkan serta merekodkan pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri ini. Jumlah pelaburan ini meliputi sektor pembuatan utama, hartanah, kewangan, perkhidmatan pengedaran, perkhidmatan pengangkutan, utiliti, teknolo, telekomunikasi dan lain-lain. Pencapaian tahun 2022 ini mencatatkan rekod peningkatan 53.44% berda, berbanding pencapaian tahun 2021 iaitu 5.8 bilion ringgit.

Bagi tahun 2023, Negeri Sembilan mencatat prestasi pelaburan yang kekal positif bagi suku kedua iaitu sebanyak 1.95 bilion ringgit yang mana terdapat peningkatan sebanyak 31.76% berbanding pencapaian suku kedua tahun 2022 iaitu 1.48 bilion ringgit. Negeri Sembilan telah mengemukakan permohonan tambahan pelaburan sebanyak 5.0 bilion ringgit lagi bagi tahun 2023 kepada MIDA. Ini bakal mencatatkan rekod pelaburan di Negeri Sembilan mencecah 7.0 bilion ringgit pada tahun ini.

Kesejahteraan ekonomi negeri turut diterjemahkan melalui pengukuhan pasaran buruh, di mana kadar pengangguran telah menurun ketara dari 3.7% pada tahun 2022 kepada 2.5% pada suku pertama 2023. Selain itu, kadar inflasi Negeri Sembilan berada pada tahap yang stabil iaitu pada paras 2.8% pada tahun 2022, yang mana merupakan antara yang terendah di Malaysia.

Berdasarkan kajian, kaji selidik oleh pakar-pakar ekonomi World Economic Forum, ekonomi dunia diramal perlahan pada tahun 2024 berpunca dari faktor ketidaktentuan akibat suasana geopolitik dunia. Walaupun kebimbangan mengenai kenaikan kadar inflasi dunia berkurangan, kadar deflasi yang dialami oleh negara China merupakan satu faktor yang boleh merubah perkembangan ekonomi dunia.

Malaysia akan turut terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi global memandangkan Malaysia mengamalkan sistem ekonomi dan kewangan terbuka. Pertumbuhan ekonomi dijangka didorong oleh permintaan domestik dan kekal berdaya tahan menerusi peningkatan perbelanjaan penggunaan dan pelaburan.

Belanjawan Nasional Tahun 2024 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan tema Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat mengutamakan inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengukuhkan kelangsungan perniagaan, menggalakkan kemakmuran ekonomi serta menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam serta, bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. Belanjawan tersebut dirangka berdasarkan 3 bidang tumpuan utama iaitu memperkukuh momentum pemulihan ekonomi, membina daya tahan ekonomi dan memacu pembaharuan yang komprehensif.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua Dewan, sehingga 30 November 2023, jumlah kutipan hasil yang telah berjaya dikutip adalah sebanyak 444.14 juta ringgit ataupun 98.7% dari sasaran 450 juta ringgit. Kutipan Hasil Cukai yang berjaya dikutip adalah 147.39 juta ringgit yakni 92.22%, Hasil Bukan Cukai sebanyak 240.95 juta ringgit atupun 105.70% dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak 55.78 juta ringgit ataupun 89.69%. InsyaAllah, sasaran hasil akan dapat dicapai, malah akan lebih, akan melepasi 500 juta ringgit.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua Pejabat Pemungut Hasil kerana telah berjaya mencatatkan satu lagi rekod kecemerlangan pada tahun 2022 apabila berjaya mengutip hasil sebanyak 521.21 juta ringgit ataupun 120.65% sekaligus mengubah dari belanjawan defisit kepada surplus 30.98 juta ringgit. Lebih manis lagi, Penyata Kewangan pada tahun 2022 telah dikurniakan Sijil Benar Saksama oleh Ketua Audit Negara dengan kedudukan kewangan Negeri Sembilan diiktiraf lebih kukuh berbanding pencapaian pada tahun 2021.

Saya yakin, kita mampu untuk melakar sekali lagi sejarah pada tahun ini sekiranya semua pihak menggembeling tenaga memburu hasil dalam

tempoh berbaki satu bulan ini bak kata tromba “Kok tercicir nak dipungut, kok hilang dan dicari, kok tertimbun nak digali. Mengulas mana yang senteng, menghubung mana yang pendek, menokok mana yang kurang. Berpatah sayap bertongkat paruh. Selagi ada kudrat, selagi ada keringat, hasil negeri akan tetap ditekad”.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, alhamdulillah, buat pertama kalinya Kerajaan mada, Kerajaan Negeri telah menyediakan Belanjawan Tahun 2024 menggunakan pendekatan pengurusan kewangan MADANI berdasarkan kepada Pelan Pengurusan Kewangan MADANI yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 20 September 2023 yang lalu. Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama menyediakan Pelan Pengurusan Kewangan MADANI di negara ini, bagi memastikan belanjawan tahunan disediakan secara mampan dan saling menghormati dan ihsan.

Kerangka pengurusan kewangan MADANI Negeri Sembilan dibentuk melalui pengajaran atau ibrah yang diambil ketika peristiwa Nabi Yusuf AS di mana menafsirkan mimpi 7 tangkai biji-bijian hijau serta 7 tangkai biji-bijian kering yang dinyatakan dalam al-Quran dari ayat 47 Surah Yusuf dengan maksud: Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh 7 berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan”.

Berpandukan kepada beberapa nas Al-Quran, sebanyak 3 Bidang Fokus Utama telah ditetapkan iaitu:

i) Pengumpulan dan Penjanaan Kekayaan; ii) Perlindungan dan Pengagihan Kekayaan; dan iii) Pemantauan Kekayaan.

Bagi tujuan Pengumpulan dan Penjanaan Kekayaan, kerajaan terus komited untuk meneroka sumber hasil baharu secara mampan, berdaya cipta dan terancang, supaya tidak lagi terlalu bergantung kepada sumber hasil konvensional seperti Cukai Tanah, premium, caj air mentah, royalti dan lain-lain. Untuk itu, satu garis panduan yang komprehensif sedang disediakan bagi meneroka potensi sumber mineral bernilai tinggi yang, yang lain seperti silika dan sumber unsur nadir bumi yang bukan radioaktif di beberapa kawasan strategik yang telah dikenal pasti. Sudah sampai masanya untuk kerajaan menyemak semula kadar cukai, fee ataupun tarif yang telah lapuk dan tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

Perlindungan dan pengagihan kekayaan akan terus diperkukuhkan bagi memastikan rizab negeri sentiasa mencukupi untuk membiayai keperluan operasi dan tanggungan kerajaan. Pengagihan kekayaan akan dibuat secara berhemah dan inklusif supaya tidak ada satu pun kumpulan yang tercicir sebagaimana ibrah dalam ayat Al-Quran surah Al-Hashr ayat 7 mafhumnya “...supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu”.

Namun begitu, dalam kegigihan dan keghairahan untuk mengumpul dan menjana kekayaan, semua pihak diingatkan supaya tidak membelakangkan apa jua peraturan kewangan dan undang-undang yang ada. Semua Ketua Jabatan hendaklah sentiasa memantau dan turun ke bawah bagi memastikan tatakelola pengurusan kewangan yang baik, adil dan berintegriti di jabatan masing-masing sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 48 yang bermaksud “Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak terperi sakitnya".

Bagi memastikan pengurusan kewangan MADANI berjaya menepati matlamatnya, 4 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) telah ditetapkan iaitu:

i) hasil tahunan Kerajaan Negeri melebihi 500 juta ringgit;

ii) rizab Akaun Hasil Disatukan mampu menampung 12 bulan perbelanjaan;

iii) kawalan defisit tidak melebihi 5% daripada Anggaran Hasil Tahunan; dan

iv) Penyata Kewangan Tahunan menerima Sijil Audit Tanpa Teguran.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, syukur alhamdulillah, pembentangan Belanjawan Tahun 2024 ini merupakan belanjawan pertama Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan. Kerajaan Negeri bertekad untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai model sebuah negeri maju bersatu padu, bertoleransi, saling hormat menghormati, bertamadun, ekonomi yang mampan dan kehidupan rakyat aman makmur dan sejahtera sebagaimana indahnya negeri Saba yang dinukilkan di dalam Al Quran Surah As-Saba’ ayat 15 [melafazkan bacaan ayat berkenaan]. “(negeri kamu ini adalah) negeri yang baik

(aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.” Inilah intipati negeri Madani yang kita idamkan. Mendasari tekad ini, sukacita saya mengumumkan tema Belanjawan Tahun 2024 ini adalah “Bersama Membina Negeri Madani”.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Dewan yang mulia ini, Belanjawan Tahun 2024 dengan peruntukan Anggaran Belanja Mengurus sebanyak 555.0 juta ringgit berbanding Anggaran Hasil sebanyak 520.0 juta ringgit. Peruntukan bagi Anggaran Belanja Pembangunan pula disediakan sebanyak 140.0 juta ringgit. Justeru, Belanjawan Tahun 2024 dicadangkan merupakan belanjawan defisit sebanyak 35.0 juta ringgit.

Pada tahun 2024, Anggaran Hasil dijangka diperolehi sebanyak 520.0 juta ringgit iaitu 70.0 juta ringgit atau 15.55% berbanding 450.0 juta ringgit pada tahun 2023. Daripada Anggaran Hasil tersebut, kutipan Hasil Cukai adalah sebanyak 160.01 juta ringgit ataupun 30.77%, berbanding 159.84 juta ringgit pada tahun 2023. Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang mempunyai kadar cukai tanah yang terendah di negara ini. Kadar cukai tanah tidak pernah dibuat semakan sejak tahun 2006 iaitu hampir 17 tahun dengan menggunakan jadual NSPU7. Sebagai contoh, masih terdapat cukai bernilai 3.00 ringgit setahun dan permit bernilai 2.00 ringgit setahun sejak puluhan tahun lamanya. Untuk itu, satu kajian yang menyeluruh dan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh akan dilakukan terlebih dahulu sebelum ianya dilaksanakan, sesuai dengan prinsip MADANI, hormat dan ihsan.

Hasil Bukan Cukai terus menjadi penyumbang utama dengan anggaran 300.24 juta ringgit ataupun 57.74% iaitu 72.28 juta ringgit berbanding 227.96 juta ringgit pada tahun 2023. Kenaikan utama adalah daripada Caj Air Mentah Komersial yang dianggarkan 40.5 juta ringgit apabila Kerajaan Negeri telah meluluskan kadar baru caj air laut dari satu sen kepada tiga sen per meter padu air. Untuk rekod, kadar caj yang lama tidak lagi relevan kerana negeri-negeri berjiran yang lain telah pun mengenakan caj antara 3 hingga 5 sen per meter padu sejak beberapa tahun yang lalu. Selain itu, kenaikan kutipan caj pelbagai urusan kaunter Pejabat Tanah juga dijangka meningkat sebanyak 17.78 juta ringgit.

Walau bagaimanapun, Terimaan Bukan Hasil dijangka mengalami sedikit penurunan sebanyak 2.45 juta ringgit iaitu dari 62.2 juta ringgit pada tahun 2023 kepada 59.75 juta ringgit pada tahun 2024. Antaranya disebabkan oleh penurunan anggaran terimaan Cukai Pelancongan dari Kerajaan Persekutuan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, pada tahun 2024, Anggaran Belanja Mengurus diperuntukkan sebanyak 555.0 juta ringgit. Perbelanjaan tertinggi disediakan bagi maksud Emolumen sebanyak 218.66 juta ringgit iaitu 39.4%. Seterusnya, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap sebanyak 213.62 juta ringgit ataupun 38.49%, Perkhidmatan dan Bekalan sebanyak 114.61 juta ringgit ataupun 20.65%, Perolehan Aset sebanyak 3.06 juta ringgit atau 0.55% dan peruntukan Perbelanjaan-Perbelanjaan Lain selain, sebanyak 5.05 juta ringgit atau 0.91%.

Melewati tahun keempat Rancangan Pembangunan Negeri (RPNS) dan Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan Negeri komited untuk menyelesai dan menyiapkan program dan projek-projek pembangunan yang telah dirancang. Hala tuju pembangunan ekonomi negeri terus diperkemas melalui Pelan Tindakan Khusus RPNS 2021-2025 dan Pelan Tindakan Produktiviti Negeri Sembilan Tahun 2024-2025 hasil kerjasama strategik dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Untuk itu, Anggaran Belanja Pembangunan yang disediakan pada tahun 2024 adalah sebanyak 140.0 juta ringgit iaitu meningkat 10.0 juta ringgit ataupun 7.69% berbanding 130.0 juta ringgit pada tahun 2023. Bagi tahun 2024, sebanyak 284 projek telah dipertimbangkan bagi maksud Pembangunan dengan melibatkan 220 Projek Baharu dan 64 Projek Sambungan atau projek sedia ada.

Sebanyak 33.0 juta ringgit diperuntukkan di bawah maksud P.50 Menteri Besar iaitu meningkat 15.0 juta ringgit berbanding 18.0 juta ringgit pada tahun 2023. Peruntukan ini digunakan untuk membiayai pelbagai program khidmat masyarakat dan kesejahteraan rakyat.

Menyedari peri pentingnya sektor pertanian kepada negara, sebanyak 11.22 juta ringgit diperuntukkan di bawah maksud P.51 Jabatan Pertanian. Peruntukan ini disediakan bagi melaksanakan pelbagai program Jaminan Bekalan Makanan antaranya peningkatan hasil buah-buahan sebanyak 2.67 juta ringgit, peningkatan hasil sayur-sayuran dan tanaman ladang sebanyak 2.13 juta ringgit dan pembangunan industri asas tani sebanyak 1.2 juta ringgit.

Selain daripada itu, sebanyak 5.48 juta ringgit diperuntukkan dengan, bagi, di bawah maksud P.52 Jabatan Perkhidmatan Veterinar antaranya untuk melaksanakan program dan projek peningkatan ternakan sebanyak 1.69 juta ringgit, pembangunan teknologi pengeluaran makanan dan padang ragut sebanyak 1.05 juta ringgit dan peningkatan kualiti perkhidmatan veterinar sebanyak 780 ribu ringgit.

Sebanyak 10.93 juta ringgit pula diperuntukkan bagi maksud P.54 Jabatan Pengairan dan Saliran. Peruntukan ini diguna untuk membiayai projek-projek pengurusan dan penyelenggaraan jajaran sungai antaranya projek pengurusan lembangan sungai sebanyak 3.20 juta ringgit, pengurusan pengairan dan saliran bagi tujuan pertanian sebanyak 2.75 juta ringgit dan pengurusan tebatan banjir sebanyak 2.48 juta ringgit.

Bagi P.55 Jabatan Kerja Raya Negeri, sebanyak 9.55 juta ringgit diperuntukkan bagi tahun 2024. Peruntukan ini diguna untuk memperkukuh aksesibiliti dan meningkatkan keselamatan jalan raya dengan peruntukan sebanyak 4.02 juta ringgit, penggantian jambatan sebanyak 3.0 juta ringgit dan menaik taraf jalan negeri sebanyak 2.04 juta ringgit.

Sebanyak 2.47 juta ringgit diperuntukkan bagi P.58 Jabatan Perhutanan Negeri antaranya bagi melaksanakan projek pembinaan atau pengubahsuaian pejabat dan rumah kakitangan sebanyak 1.68 juta ringgit dan pengembangan serta penguatkuasaan dengan peruntukan 790 ribu ringgit.

Menjunjung Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Agama Islam sebagai agama rasmi negara, sebanyak 18.99 juta ringgit diperuntukkan di bawah maksud P.63 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. Peruntukan ini akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai program dan projek antaranya pembinaan serta pembaikan masjid sebanyak 9.10 juta ringgit, pembinaan baharu sekolah sebanyak 8.23 juta ringgit dan pengubahsuaian serta pembaikan asrama dan Sekolah Agama Rakyat sebanyak 760 ribu ringgit.

Kerajaan Negeri juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah meluluskan peruntukan sebanyak 31.8 juta ringgit bagi tujuan projek infrastruktur Agama Islam melibatkan 5 buah masjid baharu di negeri ini. Peruntukan ini akan dibiayai oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) iaitu 60% daripada jumlah kos projek dan selebihnya akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

Selain, selain yang saya bentangkan di atas, terdapat 6 maksud pembangunan diletakkan di bawah penyeliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu sebanyak 5.5 juta ringgit diperuntukkan di bawah maksud P.56 Kerja-Kerja Kecil untuk membiayai pelbagai projek kecil di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

Sebanyak 16.47 juta ringgit disediakan untuk maksud P.57 Pelbagai bagi pelbagai program dan projek pembangunan Kerajaan Negeri seperti sistem pengkomputeran Kerajaan Negeri sebanyak 11.2 juta ringgit, pembinaan atau pengubahsuaian dewan serta balai raya sebanyak 2.24 juta ringgit dan Program Pencahayaan Jalan Negeri sebanyak 1.0 juta ringgit.

Seterusnya, sebanyak 14.88 juta ringgit diperuntukkan di bawah maksud P.59 Bangunan-Bangunan Kerajaan. Peruntukan ini akan digunanya, akan digunakan antaranya bagi pembinaan serta pengubahsuaian kompleks pejabat sebanyak 9.53 juta ringgit, pembinaan serta pengubahsuaian rumah kerajaan sebanyak 4.5 juta ringgit.

Sebanyak 4.0 juta ringgit pula diperuntukkan bagi maksud P.60 Perumahan untuk kerja-kerja penyelenggaraan Rumah Awam Harga Rendah. Selain itu, 1.0 juta ringgit diperuntukkan untuk maksud P.61 Kemajuan Kawasan Perusahaan bagi penyelenggaraan kemudahan infrastruktur dan prasarana di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS).

Bagi P.62 Pelancongan pula, sebanyak 5.5 juta ringgit diperuntukkan untuk menaik taraf dan menyelenggara kemudahan-kemudahan infrastruktur di kawasan pelancongan bagi kemudahan pelancong. Akhir sekali, sebanyak 1.0 juta ringgit diperuntukkan di bawah maksud P.64 Luar Jangka yang bertujuan untuk lain-lain keperluan luar jangka sekiranya diperlukan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, kata bidalan orang tua-tua, “Duduk berpelasaran, dekat rumah dekat sekampung. Seperigi semandian, sepayung setepian, segayung segiliran. Ibarat labu menjalar ke hulu, ibarat kundur menjalar ke hilir. Pangkal sama dipupuk, pucuknya sama dirintis. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah”. Begitulah akrab dan eratnya Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini. Ianya terbina atas landasan iltizam dan tekad, untuk saling bantu membantu dan bekerjasama dalam membangunkan negeri yang tercinta ini sebagai model Negeri Madani. Budaya caci mencaci, fitnah memfitnah dan sentimen membakar api perkaunan, perkauman tidak sepatutnya berlaku di negara ini dan ia mestilah dihentikan serta merta. Pupuklah semangat perpaduan dan kasih sayang sesama kita, supaya ianya menjadi contoh teladan kepada generasi yang akan datang sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat ayat 13 yakni “kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali”.

Justeru itu, Belanjawan Tahun 2024 ini telah disediakan dan disesuaikan dengan Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang ditawarkan semasa Pilihan Raya Negeri yang lalu. Terdapat 5 Tekad dan 10 Teras yang telah dibentangkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun ini demi kesejahteraan rakyat. Daripada 555.0 juta ringgit belanjawan yang saya bentangkan tadi, sejumlah 231.48 juta ringgit ataupun 41.71% telah diperuntukkan khusus untuk melaksanakan pelbagai program dan projek di bawah 9 Teras Aspirasi dan Skim kesejahteraan Rakyat seperti yang berikut:

Teras 1: Ekonomi, Pelaburan Dan Infrastruktur. Kerajaan Negeri bertekad memacu serta melonjakkan lagi pembangunan ekonomi dan pelaburan di negeri ini dengan menarik pelaburan yang berkualiti bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Sebagaimana yang telah saya bentangkan tadi, rekod pelaburan tertinggi di Negeri Sembilan adalah pada tahun 2022 dengan sejumlah 8.9 bilion ringgit. Momentum peningkatan pelaburan masuk ke negeri ini perlu diteruskan dengan menambah baik pelbagai prasarana dan persekitaran perniagaan yang kondusif. Untuk itu, sebanyak 22.75 juta ringgit disediakan pada tahun 2024 di bawah Teras ini untuk membiayai pelbagai projek pembangunan seperti penyediaan dan menaik taraf jalan sebanyak 10.06 juta ringgit serta tebatan banjir dan lembangan sungai sebanyak 5.68 juta ringgit.

Selain itu, sebanyak 3.0 juta ringgit diperuntukkan untuk program penggalakan pelaburan melalui Negeri Sembilan Invest dan Perbadanan Negeri Sembilan. Lebih banyak misi pelaburan dan promosi strategik akan digerakkan dengan kerjasama MIDA dan MITI. Beberapa kawasan perindustrian baru akan dibuka dengan inisiatif swasta khususnya dalam kawasan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia. Ini termasuklah perindustrian berasaskan data raya atau big data, kenderaan elektrik (EV), advanced electronic, pharmaceutical dan agrivalley. Sebagai tambahan, peruntukan 1.0 juta ringgit turut disediakan bagi penyelenggaraan infrastruktur asas kawasan perindustrian. Adalah harap, diharapkan usaha ini mampu merancakkan lagi iklim pelaburan negeri ini, yang akhirnya memanfaatkan rakyat dan Negeri Sembilan.

Teras 2: Pendidikan Dan Modal Insan. Kerajaan Negeri meletakkan gagasan untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai Lembah Ilmu dengan melahirkan modal insan yang cemerlang, seimbang dan kompetitif. Gagasan ini akan direalisasikan dengan peruntukan

sebanyak 11.8 juta ringgit untuk tujuan pendidikan dan modal insan pada tahun 2024 yang merupakan Teras Kedua Aspirasi Perpaduan.

Ini termasuklah usaha memperkasakan bidang teknikal dan vokasional di negeri ini sebagai persediaan menawarkan tenaga mahir dan separa mahir dalam pasaran industri strategik yang bakal beroperasi dalam tempoh 5 tahun ini. Baru-baru ini, telah diluncurkan Majlis Perundingan TVET Negeri Sembilan yang melibatkan sebanyak 43 jabatan negeri dan persekutuan, 12 institusi TVET dan 40 pemain industri.

Kolej Yayasan Negeri Sembilan akan terus dipersadakan sebagai pusat pengajian TVET yang menjadi pilihan utama pelajar di negeri ini. Selepas pembinaan bangunan akademik yang baru pada tahun 2022, tahun ini Yayasan Negeri Sembilan akan membangunkan pula sebuah dewan konvokesyen dan Pusat Aktiviti Pelajar yang serba lengkap dengan jangkaan siap sepenuhnya pada tahun 2025 melibatkan kos sebanyak 11.0 juta ringgit.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri terus menyediakan bantuan kepada sekolah tahfiz, SJKC, SJKT dan swasta dengan peruntukan sebanyak 2.0 juta ringgit. Sebanyak 1.0 juta ringgit pula akan diperuntukkan untuk tabung penyelenggaraan sekolah bagi kerja pembaikan kecil seperti tandas dan bilik darjah. Untuk rekod, Negeri Sembilan merupakan negeri yang pertama menyediakan peruntukan ini pada tahun 2019 bagi memastikan anak-anak dapat belajar dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

Bantuan Anak Sekolah ataupun dikenali dengan BAS untuk pelajar-pelajar sekolah rendah akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak 900 ribu ringgit dan Biasiswa Anak Negeri untuk pelajar-pelajar sekolah menengah sebanyak 800 ribu ringgit. Program Fast Track Lepasan Tahfiz juga diteruskan untuk tahun ketiga berturut-turut dengan peruntukan 500 ribu ringgit. Bagi menambah nilai dan kualiti golongan belia, program pembinaan karakter bangsa akan diperkenalkan dengan peruntukan 500 ribu ringgit.

Sebagai peneraju utama pendidikan negeri, Teras Pendidikan dan Modal Insan ini juga akan disokong oleh Yayasan Negeri Sembilan dengan peruntukan sebanyak 5.6 juta ringgit, antara Skim Dermasiswa Sara Hidup, dengan peruntukan 3.6 juta ringgit berupa bantuan sara hidup 150 ringgit sebulan untuk pelajar IPTA dari keluarga kurang, kurang berkemampuan. Selain itu, Yayasan Negeri Sembilan juga menyediakan peruntukan 1.0 juta ringgit untuk bantuan peranti mudah alih serta pinjaman pendidikan tanpa faedah secara bersasar bagi

program Sarjana dan Kedoktoran di Institut Pengajian Tinggi (IPTA) dengan peruntukan 500 ribu ringgit. Program Tuisyen MADANI juga akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Teras 3: Kesejahteraan Rakyat. Kerajaan Negeri terus memberikan tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat dengan menyediakan kemudahan, bantuan kebajikan dan persekitaran hidup yang selamat. Untuk itu sebanyak 48.3 juta ringgit diperuntukkan di bawah Teras ini merangkumi khidmat masyarakat sebanyak 33.0 juta ringgit dan 5.5 juta ringgit bagi kerja-kerja kecil termasuk infrastruktur sukan di 36 kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh Negeri Sembilan. Bagi memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik dan galakan gaya hidup sihat, peruntukan 1.0 juta ringgit disediakan untuk menyelenggara taman-taman permainan dan rekreasi awam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan 500 ribu ringgit untuk pengurusan sisa pepejal yang sistematik di kawasan-kawasan kampung tradisional.

Menyedari kos perubatan yang semakin meningkat dan kekangan yang dihadapi oleh rakyat terutamanya golongan rentan, kerajaan bersetuju untuk meneruskan skim bantuan implan ortopedik dan tabung haemodialisis dengan peruntukan sebanyak 1.0 juta ringgit. Nasib golongan gelandangan juga tidak dilupakan dengan meneruskan geran bantuan kepada badan NGO Rumah Minda Ceria dengan peruntukan sebanyak 100 ribu ringgit.

Teras 4: Belia, Wanita, Keluarga, Sukan Dan Keusahawanan. Dalam pembentukan negara bangsa yang progresif, golongan belia dan wanita semestinya merupakan nadi kepada masa depan negara. Islam meletakkan wanita pada satu darjat yang amat tinggi kerana tangan wanitalah yang akan menggoncangkan dunia. Wanitalah yang akan mencorakkan rupa bentuk sesebuah keluarga ibarat kata teromba “Kalau keruh air di hulu, sampai ke muara keruh juga, kalau kurik induknya, maka rintiklah anaknya. Kunci wanita pada si suami, kunci anak pada sang emak”. Oleh itu, keutamaan juga diberikan terhadap usaha membangun dan meningkatkan potensi belia dan wanita supaya mereka mengambil bahagian dan menyumbang secara optimum terhadap pembangunan negara dan negeri. Generasi yang kuat akan terbina dari keluarga yang hebat. Untuk itu sebanyak 10.2 juta ringgit diperuntukkan di bawah Teras Ke Empat ini, dengan 1.5 juta ringgit dikhususkan untuk pemerkasaan wanita melaksanakan pelbagai program khususnya pengukuhan ekonomi keluarga dan peningkatan kemahiran diri.

Bagi peminat dan penggiat sukan, peruntukan Program Pembangunan Sukan sebanyak 3.0 juta ringgit akan disediakan melalui Majlis Sukan Negeri bagi menjayakan aktiviti sukan dan kepegawaian sukan, di samping 640 ribu ringgit bagi menyelenggara kemudahan sukan sedia ada. Selain itu, 500 ribu diperuntukkan untuk pelbagai program pemerkasaan belia agar mampu berdikari dan berdaya saing.

Selain sukan, Kerajaan Negeri juga amat prihatin dan menggalakkan penglibatan belia dalam profesyen pekerjaan ekonomi gig seperti food rider, penghantar perkhidmatan dan lain-lain bidang kerjaya bebas ataupun freelancer. Sebagai tanda sokongan, Kerajaan akan memberikan baucar bantuan lesen motosikal sebanyak 150.00 ringgit seorang kepada belia dari keluarga B40 terhad kepada 100 orang belia dari setiap DUN dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 540 ribu ringgit.

Melihat daripada sambutan yang amat menggalakkan, Kerajaan Negeri akan menyediakan Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) berjumlah 1.0 juta ringgit sehingga kini telah memberi manfaat kepada 6,135 orang sejak diperkenalkan pada tahun 2019. Di samping itu, 1.0 juta ringgit turut disediakan bagi tun, TUNS Plus berupa skim pinjaman tanpa faedah kepada usahawan-usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan yang lebih tinggi. Program TUNS Plus ini telah memanfaatkan seramai 616 orang sejak tahun 2021.

Mulai tahun 2024, Kerajaan Negeri akan memperkenal, telah, akan memperkenalkan program TUNS Perintis dengan 500 ribu ringgit disediakan bagi mewujudkan budaya dan semangat usahawan di kalangan pelajar sekolah. Program ini akan menyediakan pembelajaran, latihan dan pendedahan dalam selok-belok perniagaan dan perjalanan perniagaan secara berkoperasi kepada pelajar-pelajar sekolah menengah. Kesemua program pembangunan usahawan ini akan diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) sesuai dengan matlamat penubuhannya di bawah Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan 1969 (No. 4).

Tahun 2024 juga akan dimulakan program NS Choice dengan peruntukan 1.0 juta ringgit, di mana usahawan-usahawan yang terpilih akan dibimbing ke arah peningkatan kualiti produk, penjenamaan, pembungkusan dan pensijilan MeSTI dan Halal. Produk ini kemudiannya akan diangkat sebagai signature product di bawah jenama NS Choice sebagai produk yang berkualiti dari Negeri Sembilan. Ini secara tidak langsung akan membantu memasarkan produk-produk tempatan ke pasaran yang lebih luas.

Teras 5: Tanah Dan Perumahan. Kerajaan perpaduan juga sedar dan, dan prihatin terhadap nasib golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang masih belum memiliki kediaman sendiri. Harga rumah yang sentiasa meningkat dan syarat-syarat pinjaman bank yang ketat, merupakan punca utama kepada ketidakupayaan golongan ini mendiami rumah sendiri. Terdapat juga skim-skim perumahan awam dan swasta berada dalam keadaan yang daif kerana tidak diselenggara dengan baik. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak 11.91 juta ringgit bagi Teras ini. Peruntukan 4.0 juta ringgit disediakan untuk menyelenggara infrastruktur rumah awam negeri dan 5.0 juta ringgit untuk meneruskan Program Rumah Harapan Rakyat di bawah kendalian PKNNS. Selain daripada itu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan juga telah bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak 5.0 juta ringgit bagi pemohon-pemohon dari golongan asnaf yang berkelayakan.

Kerajaan Negeri juga turut yakin dengan kemampuan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) sebagai peneraju utama dalam sektor perumahan. Sehingga Oktober 2023, sebanyak 157 kelulusan telah diberikan untuk pembinaan Rumah Harapan, di mana 74 unit telah siap dibina dan diserahkan kepada pemohon, manakala bakinya masih dalam pembinaan.

Selain Rumah Harapan, terdapat juga beberapa projek perumahan mampu milik yang telah dilancarkan oleh PKNNS di Mukim Labu iaitu Taman Rimbun Harapan sebanyak 351 unit rumah dan Projek rumah, Rimbun Aman sebanyak 71 unit rumah. Kedua-dua projek perumahan ini telah hampir habis dijual.

Teras 6: Pertanian. Kerajaan akan terus membangun sektor pertanian sebagai industri yang berupaya menjana ekonomi dan pendapatan. Tumpuan akan diberikan untuk meningkatkan sekuriti makanan dan jaminan bekalan makanan. Negeri Sembilan juga sedang berusaha merancakkan kembali tanaman padi terutama di Daerah Kuala Pilah dan di Londah, Gemas dengan sasaran sekurang-kurangnya mampu meningkatkan tahap sara diri. Kita turut berbangga dengan kejayaan Daerah Kuala Pilah yang mengeluarkan beras jenama Seri Menanti yang dilancarkan baru-baru ini. Untuk rekod, jumlah pengeluaran padi di sawah Kuala Pilah adalah sebanyak 3 tan per hektar sebagai permulaan. Untuk tujuan itu, sebanyak 22.75 juta ringgit disediakan di bawah Teras Ke-6 bagi melaksanakan antaranya program peningkatan pengeluaran sayuran, buah-buahan dan hasilan padi berjumlah 5.25 juta ringgit. Pembangunan industri asas tani dan pengetahuan usahawantani juga akan dimantapkan dengan peruntukan 1.4 juta ringgit serta diikuti dengan pengembangan teknologi atau automasi dengan peruntukan 2.5

juta ringgit untuk mentransformasikan kaedah pertanian dan pengurusan pertanian.

Selaras dengan usaha membantu mengurangkan beban tanggungan rakyat, Kerajaan Negeri juga melaksanakan program Jualan Agro MADANI dengan peruntukan sebanyak 3.0 juta ringgit. Jualan Agro MADANI ini adalah penjenamaan semula program Jualan Nismilan Prihatin yang telah dimulakan sejak tahun 2022 khusus untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan penjimatan sebanyak 30, 10 hingga 30% dari jualan harga pasaran. Jualan ini akan diadakan pada setiap hari Jumaat di lokasi-lokasi terpilih mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri secara giliran.

Industri ternakan juga diberikan keutamaan dengan peruntukan 2.24 juta ringgit untuk meningkatkan pengeluaran ternakan dan genetik ternakan. Ia juga disokong dengan peningkatan kualiti dan pengembangan veterinar dengan peruntukan sebanyak 2.19 juta ringgit.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Teras 7: Pelancongan dan Alam Sekitar. Teras Pelancongan dan Alam Sekitar turut menjadi fokus Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan. Keseluruhannya, 13.14 juta ringgit diperuntukkan di bawah Teras ini. Ia melibatkan 2.5 juta ringgit untuk geran pengurusan dan Calendar of Events (COE) dan 5.8 juta ringgit untuk memperkasa produk-produk ekopelancongan seperti Hutan Rekreasi Ulu Bendul, Gunung Angsi, Hutan Lipur Kenaboi dan PD Forest.

Bagi menjamin pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar, sebanyak 2.15 juta ringgit diperuntukkan bagi saliran mesra alam, pengurusan sumber air dan program kesedaran awam. Bak kata teromba “Orang dulu-dulu tahu menjaga bukit dan lembah. Berladang tidak merosak tanah, berkebun tidak merosak rimba”.

Teras 8: Agama, Adat Budaya Dan Masyarakat Orang Asli. Menyedari peri pentingnya pembangunan syiar Islam dan memupuk budaya sebagai wadah perpaduan, Kerajaan Negeri memperuntukkan 32.76 juta ringgit bagi Teras Ke-8 ini, yang melibatkan pembangunan Agama Islam, Hal Ehwal Bukan Islam, adat budaya masyarakat, dan masyarakat Orang Asli.

Bagi meneruskan dasar dan polisi meningkatkan syiar Islam, sebanyak 27.41 juta ringgit disediakan di mana 9.1 juta ringgit untuk meneruskan pembinaan dan penyelenggaraan 9 buah masjid antaranya Masjid

Muhammad Al-Fateh (Forest Height), Masjid Al-Rahman (Bahau) dan Masjid Saidatina Aisyah (Seremban Selatan).

Peruntukan 12.59 juta ringgit disediakan untuk sekolah agama negeri dengan 8.23 juta ringgit untuk projek pembinaan Sekolah Tinggi Agama Maahad Ahmadi, Gemencheh. Kerajaan juga meneruskan peruntukan 360 ribu ringgit untuk penyelenggaraan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat di seluruh Negeri Sembilan. Usahawan muslim akan terus dibantu dalam mendapatkan pensijilan halal menerusi program Halal Kotej dan peruntukan 500, dengan peruntukan 500 ribu ringgit.

Bagi memastikan bukan Islam, bagi masyarakat bukan Islam, peruntukan 2.0 juta ringgit akan disediakan di bawah program Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI) pada tahun hadapan bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang dirancang.

“Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah. Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah. Kuat adat tak bergaduh hukum, kuat hukum tak bergaduh adat. Adat dipakai, syarak diturut. Syarak mengata, adat memakai. Adat dan syarak sekadar menyandar, adat dan syarak sandar menyandar”. Menjunjung tinggi institusi adat Perpatih di Negeri Sembilan, peruntukan 1.0 juta ringgit disediakan untuk menganjurkan Perpatih Fest dengan peruntukan 500 ribu ringgit dan pelbagai program aktiviti adat juga dengan peruntukan 500 ribu ringgit.

Masyarakat Orang Asli merupakan komuniti yang tidak pernah dilupakan kerana turut berperanan dalam pembangunan negeri. Mulai tahun 2023, Kerajaan Negeri Sembilan telah menyediakan geran aktiviti orang kampung, aktiviti Kampung Orang Asli. Oleh itu, peruntukan 315 ribu ringgit akan terus disediakan pada tahun 2024.

Teras 9: Perkhidmatan Awam. “Pohon rendang di tengah padang, batangnya tempat bersandar, dahannya tempat bergantung, buahnya untuk dimakan, daunnya untuk berlindung, banirnya tempat bernaung”. Begitulah ibaratnya peranan penjawat awam selaku jentera utama sebuah kerajaan. Perkhidmatan awam berpanan, berperanan sebagai penggubal dan pelaksana dasar serta bertanggungjawab memastikan pelaksanaan sesuatu dasar dilaksanakan mengikut peraturan.

Pada kesempatan ini, Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kerana telah tersenarai sebagai salah satu daripada 25 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menerima penarafan Smart City Early Adopter semasa Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2023. Selain daripada trofi, MBS juga

turut menerima Geran Khas sebanyak 200 ribu ringgit bagi pelaksanaan Projek Bandar Pintar pada tahun 2024. Semoga kejayaan MBS ini akan dapat memberi semangat kepada PBT-PBT yang lain untuk sama-sama menyemai dan menyertai misi Smart City menjelang 2025.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua PBT di Negeri Sembilan kerana telah mencapai Kemampanan Bandar dengan purata pencapaian keseluruhan 88.21% berdasarkan indikator Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar – Luar Bandar Malaysia ataupun dikenali sebagai MURNInets.

Kerajaan Negeri perlu bersedia dengan kemahiran, prasarana dan adaptasi yang mendukung peralihan teknologi dan budaya kerja yang melibatkan digitalisasi dan automasi. Untuk itu, peruntukan sebanyak 28.05 juta ringgit disediakan pada tahun 2024. Dari jumlah tersebut, 11.2 juta ringgit disediakan bagi pembangunan serta penambahbaikan sistem komputer negeri. Platfom pembayaran tanpa tunai secara atas talian yang dikenali sebagai N9PAY akan mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2024. Portal ini akan berintegrasi dengan sistem kutipan Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri dan syarikat milik kerajaan yang menjadi gerbang tunggal ataupun single-window kepada pelbagai bayaran seperti Cukai Tanah, Cukai Taksiran, pembayaran zakat dan lain-lain perkhidmatan. Ini pastinya akan memudahkan rakyat tanpa perlu berurusan di kaunter sekaligus berupaya meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam negeri.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan 16.5 juta ringgit untuk kerja-kerja pembinaan, pengubahsuaian atau menaik taraf kompleks pentadbiran serta kuarters penjawat awam negeri.

Skim Sejahtera Rakyat. Selain 9 Teras Aspirasi Perpaduan yang telah saya huraikan sebentar tadi, kerajaan juga bersetuju untuk memberi insentif dan sumbangan tunai sebagai tanda ihsan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang memerlukannya. Ianya dirangkumkan di bawah Skim Sejahtera Rakyat (SSR) dengan peruntukan permulaan sebanyak 29.75 juta ringgit pada tahun hadapan.

“Tau nang kocik kek nang mudo, tau nang mudo kek nang tuo. Tau nang tuo kek nang dulu-dulu. Tau nang dulu-dulu kek nek, kek nenek moyang”. Sebagai tanda prihatin dan kasih sayang kepada golongan warga emas yang memerlukan, sumbangan Keceriaan sebanyak 200.00 ringgit seorang kepada warga emas yang berusia 70 tahun ke atas akan disediakan dengan anggaran peruntukan 14.8 juta ringgit. Adalah diharapkan peruntukan dapat memberikan sedikit keceriaan sebagai

tanda kasih kepimpinan negeri kepada warga emas yang telah banyak berjasa mendidik anak bangsa selama ini.

Setiap bayi yang dilahirkan di negeri ini juga layak memohon caruman 100.00 ringgit di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional bermula tahun 2024. Dengan anggaran sebanyak 16,000 orang bayi dilahirkan di dalam Negeri Sembilan oleh itu sebanyak 1.6 juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan ini. Selain warga emas dan bayi, tidak dilupakan juga adalah golongan muda yang ingin melangsungkan perkahwinan buat kali yang pertama. Kerajaan Negeri akan memberikan sumbangan sebanyak 500.00 ringgit kepada golongan belia Negeri Sembilan dengan jumlah peruntukan sebanyak 5.0 juta ringgit.

Yang Berhormat Dato Yang Dipertua, bagi meringankan beban ibu bapa bagi anak-anak yang memasuki Sekolah Berasrama Penuh, Kerajaan Negeri akan memberikan sumbangan 300.00 ringgit seorang dengan peruntukan 150 ribu ringgit terhad kepada 500 orang penerima setahun.

Untuk anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi, Kerajaan Negeri telah menyediakan bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi pada kadar antara 500.00 ringgit hingga 1,000.00 ringgit bergantung kepada tawaran yang sama, diterima sama ada peringkat sijil, diploma atau ijazah pertama. Selain itu, bagi meraikan kejayaan anak-anak Negeri Sembilan yang cemerlang dalam pengajian mereka, anugerah khas sebanyak 5,000 ringgit disediakan kepada para pelajar yang memperolehi keputusan ijazah kelas pertama dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Untuk itu, peruntukan sebanyak 7.0 juta ringgit disediakan melalui kolaborasi Kerajaan Negeri dan Yayasan Negeri Sembilan.

Tidak dilupakan adalah golongan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah 2,000.00 ringgit sebulan yang akan menerima sumbangan one-off sebanyak 200.00 ringgit seorang. Untuk itu peruntukan 1.0 juta ringgit disediakan dengan anggaran penerima sebanyak 5,000 orang ibu tunggal yang layak. Bantuan food bank juga diteruskan di bawah SSR dengan peruntukan sebanyak 200.00 ribu ringgit pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, perjalanan membina negeri Madani ini masih jauh lagi di hadapan. Masih banyak ranjau dan duri yang perlu diharungi. Namun, langkah seribu bermula dari langkah yang satu. Usah kita berlengah dan bertangguh lagi. Ayuhlah bersama berganding bahu memerah keringat dan tenaga, untuk sama-sama

mencapai kejayaan, demi masa depan anak cucu yang akan kita tinggalkan. Agar nanti kita tidak dipersalahkan, akibat sengketa dan perbalahan yang tidak berkesudahan, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Menang sorak, kampung yang tergadai.

Marilah kita sama-sama rapatkan saf perjuangan. “Sekata tak berdalih, janji dibuat dimuliakan. Buruk jangan dicari, musuh sama dihadang, selenggang seayun, berlunak sama berlumpur. Bak kerbau sekandang, tanduk sama diasah. Bak burung sesangkar, mengepal sekirai. Bak ayam sereban, kecil besar sama seduyung. Sakit sama, sakit satu semua berduka”. Saya yakin, dengan barisan penjawat awam yang penuh dedikasi dan berintegriti, setiap perancangan Kerajaan Negeri akan dapat dilaksanakan oleh jentera pelaksana dengan jayanya. Kepada penjawat awam, laksanakanlah tugas dengan penuh ikhlas, adil dan saksama mengikut lunas-lunas peraturan yang ditetapkan. Jangan sesekali ada yang berat sebelah semasa membuat pertimbangan ibarat kata “Tiba di perut dikempiskan, tiba di mata dipicingkan, tiba di dada dibusungkan, daging membuang lemak, limau masam sebelah”. Penjawat awam haruslah lebih responsif, proaktif dalam melayan karenah aduan awam. Janganlah ambil masa yang terlalu lama semasa memproses sesuatu permohonan. Jadikanlah tagline “Bersih, Muafakat dan Sejahtera” sebagai pedoman semasa menjalankan tugas.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam yang sentiasa mencurahkan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan dan rakyat, sukacita saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu bulan setengah ataupun minimum, ataupun minimum 2,500.00 ringgit kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri. Bantuan khas ini akan dibayar sebanyak 2 kali iaitu pada hujung Februari 2024 sebagai persediaan persekolahan dan hujung Mac 2024 menjelang Hari Raya Aidilfitri. Adalah diharapkan bantuan khas kewangan ini akan menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih lagi.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, menutup pembentangan ini, marilah kita bersama-sama berdoa memohon semoga Allah SWT sentiasa merahmati usaha, membimbing tindakan dan mengizinkan hasil yang sempurna buat kita semua di bumi yang bertuah ini. Semoga ditokok apa yang kurang, dicantum apa yang jarang, dihimpun apa yang kejauhan. Dengan sifat Rahman dan Rahim-Nya, disempurna, diampunkan segala dosa yang kita lakukan.

Semoga Belanjawan 2024 diterima oleh Allah SWT sebagai bukti dan ikhtiar hamba-Nya sebagai khalifah di atas hamparan dunia ini. Yang indah-indah itu dari Ilahi, yang kurang sifat, yang kurang itu sifat insani. Marilah kita berdoa kepada Allah Yang Maha Berkuasa, agar ditetapkan iman kita di atas jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa istiqamah dalam perjuangan di jalan-Nya sehingga nafas yang terakhir. Ampunkanlah dosa-dosa kami ya Allah, kepada-Mu kami berserah dan kepada-Mu jualah kami bertawakal.

Izinkan saya mengakhiri pembentangan belanjawan ini dengan firman Allah SWT dalam surah Asy-Syura yakni ayat Musyawarah, ayat 12 (mafhumnya). “Milik-Nyalah perbendaharaan langit dan bumi; Dia melapangkan rezeki dan membatasinya bagi siapa yang Dia kehendaki-Nya. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”. Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum WBT.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan bagi tahun (2024) 2023 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat sebentar tadi. Alhamdulillah, kita telah selesai mendengar pembentangan yang dibuat, pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2024 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan sebentar tadi. Bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat; Menteri Besar Negeri Sembilan di atas pembentangan belanjawan yang sangat memberangsangkan oleh rakyat Negeri Sembilan.

Pembentangan belanjawan bagi tahun 2024 yang berjumlah 555.0 juta pada hari ini merupakan satu sejarah baru buat Negeri Sembilan kerana ianya adalah belanjawan pertama dalam Kerajaan Perpaduan, hasil gabungan daripada Pakatan Harapan dan juga Barisan Nasional. Sudah semestinya belanjawan yang dibentangkan pada hari ini telah mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat tanpa mengambil kira latar belakang ekonomi, kaum dan juga agama.

Belanjawan yang baik ini tidak akan dapat kita laksanakan tanpa kerjasama yang baik daripada semua pihak dan sudah semestinya kita memerlukan sebuah Kerajaan Negeri yang kukuh dan stabil. Saya pasti, matlamat Kerajaan Negeri adalah bagi memastikan ekonomi negeri berkembang dengan baik, poket rakyat sentiasa berisi dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat akan sentiasa terbela.

Oleh yang demikian, saya melihat tidak ada sebab untuk belanjawan ini tidak mendapat sokongan padu dan sokongan penuh daripada seluruh ahli Dewan dalam Dewan ini. Seterusnya sekali lagi saya menyokong Rang Undang-Undang 2024 dan Usul Anggaran Belanjawan Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2024 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat. Bersama kita membina Negeri MADANI.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023 telah dicadangkan untuk dibacakan bagi kali yang kedua. Kita juga telah bersetuju untuk membahaskan Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan Tahun 2024 bersekali dengan Rang Undang-Undang ini.

Penangguhan MesyuaratAdjournment

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebentar lagi saya akan menangguhkan Mesyuarat Dewan. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, teks pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2024 boleh diperolehi dari portal rasmi Pejabat Kewangan Negeri, Negeri Sembilan. Sesi perbahasan Rang Undang-Undang dan Usul ini akan dibuka pada hari Isnin; 4 Disember 2023 bersamaan dengan 20 Jamadil Awal 1445 Hijrah. Mesyuarat Dewan ditangguhkan.

[Persidangan Dewan ditangguhkan pada jam 4.28 petang]