Negeri Sembilan · 22 November 2024
15th Assembly, 2nd session, 3rd meeting (Budget) · not final · 29 turns · 10,769 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalNegeri Sembilan publishes one PDF per meeting, naming speakers by seat. The 15th Assembly was dissolved on 5 Jun 2026; the 16th (elected 1 Aug 2026) has published nothing yet. Written answers are not published.
Membaca Doa
Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15. Susunan Mesyuarat, perkara pertama, Membaca Doa. Dipersilakan Yang Berhormat ADUN Seri Menanti.
[YB ADUN Seri Menanti telah membacakan doa di bawah Peraturan IX, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri]
Perutusan Yang Dipertua Dewan
Perkara kedua, Perutusan Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua Dewan.
Assalamualaikum WBT, salam sejahtera. Bismillahirrahmanirrahim alhamdulillahi rabbil‘alamin wassalatu wassalam’ala ashrafil anbiya iwal mursalin wa’ala alihi wasahbihi ajma'in. Raditubillahi rabba wabil islami dina, wabi muhammadinnabi warosula. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah; Tuhan Pencipta Alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Haji Harun; Menteri Besar Negeri Sembilan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang ke sidang mesyuarat bagi Persidangan Ketiga, yakni (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15. Hari ini; 22 November 2024 merupakan hari pertama persidangan. Hadirin sekalian, sebagaimana maklum, agenda utama kita pada hari ini adalah untuk mendengar pembentangan Belanjawan Negeri, Negeri Sembilan Tahun 2025 yang akan disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan sebentar lagi. Sesi perbahasan akan dimulakan pada hari Isnin; 25 November 2024 bagi memberi ruang dan peluang kepada semua ADUN untuk membaca dan menelaah pembentangan tersebut. Saya amat berharap semua ahli-ahli Yang Berhormat dapat mengambil
bahagian di dalam perbahasan belanjawan yang akan bermula pada hari Isnin ini.
Selain daripada Rang Undang-Undang belanjawan, persidangan kali ini juga akan membentangkan sebanyak 5 Rang Undang-Undang lain yang akan dibentangkan sepanjang persidangan kali ini. Oleh yang demikian, adalah diharapkan semua ahli-ahli Yang Berhormat dapat memberi, memberikan perbahasan yang komprehensif bagi memastikan urus tadbir negeri Negeri Sembilan berjalan dengan baik dan lancar.
Hadirin sekalian, sebagaimana biasa saya ingin menyeru kepada semua hadirin agar sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan serta tata kala, tata kelakuan dan etika sebagai ahli Yang Berhormat sepanjang persidangan. Sekali lagi saya mohon kerjasama semua hadirin untuk memastikan persidangan kita pada kali ini berjalan dengan lancar dan sempurna. Sekian, terima kasih. Selamat bersidang.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara ketiga, Mengesahkan Peringatan Mesyuarat. Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Kali Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 yang telah diadakan pada 5 Ogos 2024.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Peringatan Mesyuarat Kali Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 yang telah diadakan pada 5 Ogos 2024 telah pun diedar salinannya. Oleh itu, ada apa-apa teguran? Sekiranya tiada, diharap seorang ahli mencadang dan seorang ahli menyokong supaya disahkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon izin mencadangkan supaya Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan itu.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju Peringatan Mesyuarat disahkan, sila angkat tangan. Yang tidak bersetuju? Yang berkecuali? Peringatan Mesyuarat di, ini disahkan tanpa pindaan.
[Keputusan undian: 32 orang ahli Yang Berhormat yang hadir bersetuju. Manakala YB ADUN Chennah, YB ADUN Temiang, YB ADUN Gemencheh dan YB ADUN Gemas tiada dalam Galeri Persidangan ketika undian dijalankan]
Membentangkan Kertas Dewan
Perkara keempat, Membentangkan Kertas Dewan. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon izin membentangkan Kertas Dewan yang ada di hadapan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, iaitu:
• Kertas Dewan Bilangan 4/2024 – Memorandum kepada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Hasil Tahun 2025 Negeri Sembilan.
• Kertas Bilangan 5/2024 – Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Belanja Mengurus Tahun 2025 Negeri Sembilan.
• Kertas Dewan Bilangan 6/2024 – Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Belanja Pembangunan Tahun 2025 Negeri Sembilan.
• Kertas Bilangan 7/2024 – Cadangan Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan 1959.
• Kertas bilangan, Kertas Dewan Bilangan 8/2024 – Cadangan Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.
• Kertas Bilangan 9/2024 – Cadangan Mewujudkan Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) Melalui Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2024.
• Bilang, Kertas Dewan Bilangan 10/2024 – Cadangan Pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003.
• Dan Kertas Dewan Bilangan 11/2024 – Cadangan Semakan Dan Pelarasan Saraan Ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan
Negeri Dan Anggota Pentadbiran Di Bawah Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kertas Dewan Bilangan 4 hingga 11 Tahun 2024 adalah dibentangkan.
Membentangkan Laporan Dan Penyata Kewangan
Perkara kelima, Membentangkan Laporan Dan Penyata Kewangan. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun membentangkan laporan berikut:
• Pertama: Laporan Tahunan 2023 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.
• Kedua: Statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia 2019 – 2023.
• Ketiga: Statistik Urusan SPA Bagi Perkhidmatan Awam Negeri Melaka, Pulau Pinang, Perlis Dan Negeri Sembilan 2019 – 2023.
• Keempat: Laporan Ketua Audit Negara Bilangan 3/2024 Negeri Sembilan .
• Kelima: Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
• Keenam: Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
• Ketujuh: Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Perbadanan Negeri Sembilan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
• Dan yang kelapan: Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Semblian Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, laporan seperti yang telah dibacakan tajuknya oleh Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat telah dibentangkan, adalah dibentangkan.
Usul — Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2025Motion
Perkara keenam, Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2025. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun mengemukakan Usul: Bahawa mengikut Ceraian 3 Seksyen 4, di dalam, dalam Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, Dewan ini mengambil ketetapan bersetuju perbelanjaan yang dicadangkan sebanyak Ringgit Malaysia 135 juta dengan maksud dan butiran Projek dalam Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2025, seperti yang dibentangkan dalam Kertas Dewan Bilangan 6 Tahun 2024 adalah diluluskan dan diperolehi untuk tujuan yang ditentukan sahaja.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong usul tersebut.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, memandangkan Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2025 ada kaitan dengan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024, maka saya mencadangkan supaya Usul ini dibincang dan dibahaskan bersekali dengan Rang Undang-Undang tersebut.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong usul tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat telah mencadangkan agar usul anggaran belanjawan, agar Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2025 dibincang dan dibahaskan bersekali dengan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024, dan telah mendapat sokongan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan cadangan ini sila angkat tangan. Yang tidak setuju? Yang berkecuali? Jadi kita teruskan ke perkara berikutnya.
[Keputusan undian: 33 orang ahli Yang Berhormat yang hadir bersetuju. YB ADUN Chennah, YB ADUN Temiang dan YB ADUN Gemencheh tiada dalam Galeri Persidangan ketika undian dijalankan]
Rang Undang-Undang PertamaBill
Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024.
Perkara ketujuh, Rang Undang-Undang yang pertama. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.
[Bacaan kali pertama]
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun mencadangkan supaya Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk membolehkan kegunaan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk dibelanjakan bagi pengurusan tahun 2025, dibacakan bagi kali pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya menyokong cadangan itu.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali pertama.
Satu Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2025 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.
[Bacaan kali kedua]
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, sebelum saya mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali kedua, izinkan saya memberikan penerangan ringkas tujuan-tujuan dan sebab-sebab Rang Undang-Undang ini mustahak dibacakan bagi kali kedua.
Bismillahirrahmanirrahim, Yang Berhormat Yang Dipertua, sebelum saya mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali kedua. Bismillahirrahmanirrahim …[melafazkan mukadimah dalam Bahasa Arab. Seterusnya membacakan ayat 7 Surah Ibrahim]. Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kamu [Kami] akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT atas segala kurniaan-Nya yang tidak terhitung banyaknya kepada negeri yang tercinta ini. Walaupun saiz negerinya kecil, namun
Allah mencucurkan Rahmat-Nya yang amat luas dengan keindahan semulajadi yang memukau, rimbunan hutan yang menghijau, hamparan pantai yang indah, khazanah hasil mahsul yang tidak ternisbah, disulam pula dengan adat budaya warisan turun temurun. Seyogialah kita sebagai pemegang amanah dan pewaris khazanah ini, mengurus, mentadbir, memelihara, membentangi dan memakmurkan negeri ini dengan segala daya yang ada, supaya kemakmuran akan terus didapat dikecapi oleh generasi kita yang akan datang.
Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 72: Ertinya: Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan demi, dengan, dan bimbang tidak dapat menyempurnakan (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
Semasa pembentangan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 pada 18 Oktober 2024 yang lalu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melaporkan pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua 2024 adalah sebanyak 5.9% berbanding dengan 4.4% pada suku pertama. Tahap inflasi pada bulan Ogos 2024 pula turun kepada 1.9%, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.2%, iaitu kadar terendah sejak Januari 2020. Prestasi Ringgit diiktiraf salah satu mata wang terbaik dunia sebanyak 14.4% berbanding dolar Amerika dalam suku ketiga 2024, pencapaian terbaik sejak tahun 1973.
Perdagangan global diunjurkan bertambah baik pada kadar 3% berbanding tahun 2023 sebanyak 0.3%, berikutan peningkatan aktiviti eksport dan import. Di samping itu, pelaksanaan langkah rangsangan fiskal secara bersasar, pelak, pelarasan kadar faedah dan peningkatan perbelanjaan infrastruktur ternyata berjaya menyuntik rangsangan ekosistem ekonomi yang lebih positif.
Ekonomi Malaysia pada suku tahun kedua 2024 menunjukkan prestasi yang kukuh dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.9% berbanding 4.2% pada suku tahun sebelumnya dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan terus memacu keseluruhan prestasi serta kesemua sektor mengalami pertumbuhan yang lebih baik dari segi penawaran. Berdasarkan prestasi keseluruhan semasa, Pendapatan Negara Kasar per Kapita sehingga suku tahun kedua 2024 mencatatkan 53,664 ringgit berbanding 51,991 ringgit pada tahun 2023.
Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI telah mencatat peningkatan sebanyak 15% setakat tahun ini dan menjadikan Bursa Malaysia muncul sebagai pasaran yang mencatat prestasi terbaik di ASEAN di mana permodalan pasaran keseluruhan bursa adalah 2.05 trilion ringgit. Indeks Pelopor (IP) pula mencatatkan 5.2%, mencapai 115.1 mata pada bulan Januari 2024 berbanding 109.4 mata pada bulan yang sama tahun 2023. Indeks IP yang melepasi 100.0 mata menggambarkan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan.
Eksport meningkat 1.7% atau 2.1 bilion ringgit kepada 126.0 bilion ringgit. Prestasi perdagangan antarabangsa Malaysia mengekalkan pertumbuhan positif pada suku tahun kedua 2024. Jumlah dagangan meningkat 8.7% atau 19.0 bilion ringgit untuk mencapai nilai 237.8 ringgit berbanding 218.8 bilion ringgit pada tahun sebelumnya.
Alhamdulillah, kesemua paparan empirikal ini jelas membuktikan betapa kalisnya ekonomi negara meskipun berhadapan dengan tentangan dan ketidaktentuan geopolitik dan kegalauan ekonomi negara. Ini menjadi bukti betapa makmurnya ekonomi negara sekiranya diurus tadbir dengan penuh amanah dan disokong oleh perpaduan politik yang semakin mengukuh dan akrab.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Keluaran Dalam Negara Kasar. Seiring dengan pertumbuhan progresif nasional, Negeri Sembilan turut merekodkan pertumbuhan positif KDNK sebanyak 1.8% pada tahun 2023 dengan nilai sebanyak 51.9 bilion ringgit berbanding 50.9 bilion ringgit pada tahun 2022 yang dipacu oleh Sektor Perkhidmatan dan Pembuatan.
Kadar pengangguran di Negeri Sembilan menurun 0.2% kepada 3.2% pada tahun 2023 berbanding 3.4% pada tahun 2022.
Kadar Kemiskinan. Alhamdulillah, setakat 15 Oktober 2024, Negeri Sembilan telah berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar, daripada 0.4% tahun 2019 dan 0.1% tahun 2022. Nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Sembilan pada tahun 2022 adalah 2,402.00 ringgit sebulan manakala purata nilai PGK makanan adalah 1,173.00 ringgit sebulan dengan saiz isi rumah seramai 3.6 orang. Walau bagaimanapun, kita masih perlu terus memberikan perhatian khusus kepada seramai 1,258 orang yang berada dalam kategori mudah miskin tegar.
Tenaga buruh di Negeri Sembilan meningkat sebanyak 3.5% pada tahun 2023 berbanding 1.6% pada 2022 dengan bilangan tenaga buruh seramai 553.9 ribu orang berbanding 535 ribu orang pada tahun 2022.
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh di Negeri Sembilan juga meningkat sebanyak 1.0% kepada 66.1% pada 2023, berbanding 65.1% pada tahun 2022.
Manakala inflasi Negeri Sembilan pada 2023 menurun kepada 2.0% berbanding 2.8% pada tahun 2022 berikutan harga komoditi global yang lebih rendah, gangguan bekalan yang ter, beransur pulih, kawalan harga dan pemberian subsidi untuk barangan terpilih. Pada suku kedua tahun 2024, inflasi Negeri Sembilan mencatat 1.2% iaitu di bawah paras nasional 2.0%.
Kekuatan Sektor Ekonomi Dalam Penjanaan KDNK berdasarkan dapatan utama Jadual Input-Output Negeri dan daerah Negeri Sembilan adalah seperti berikut:
• Sektor yang menunjukkan kesan pengganda ekonomi tertinggi adalah Sektor Perkhidmatan seperti Perdagangan Borong dan peruncitan, Makan dan Minum serta Penginapan;
• Kedua: Sektor Pertanian juga menunjukkan nilai pengganda yang tinggi;
• Dan yang ketiga: Pembangunan Sektor Pembuatan pula memerlukan kepada inisiatif berimpak tinggi dan boleh menjadi pemangkin perubahan struktur seperti pembangunan industri tumpuan dan berteknologi tinggi dalam kawasan Malaysia Vision Valley 2.0 yang merangkumi industri aeroangkasa, maritim dan halal.
Pada tahun 2023, Negeri Sembilan telah berjaya mencatat rekod pelaburan tertinggi iaitu sebanyak 10.1 bilion ringgit. Sehingga suku kedua tahun 2024, sebanyak 3.0 bilion ringgit pelaburan telah direkodkan dan kita optimis untuk menyamai rekod pelaburan tahun lalu. Sektor Pembuatan kekal sebagai pemacu utama kepada prestasi pelaburan negeri dengan 73% ataupun 2.18 bilion ringgit. Manakala, baki 0.82 bilion adalah daripada Sektor Perkhidmatan.
Bagi menyokong pertumbuhan positif Sektor Pembuatan yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri, inisiatif pembangunan kawasan perindustrian baru terus menjadi agenda utama dalam pembangunan Malaysian Vision Valley 2.0. Pada masa ini, tumpuan pembangunan kawasan perindustrian baharu akan melibatkan Taman Perindustrian Hamilton, XME Business Park, NS Smart Park, MVV Techpark, Techpark 3@Enstek, Vision Business Park, Eka Smart Industrial Park, Sikamat Industrial Park, SPD Techvalley, NS
Semiconductor Valley dan Springhill Industrial Park dengan keluasan 8,348 ekar.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Prestasi kewangan Negeri Sembilan terus merekodkan pencapaian yang cemerlang daripada segi kutipan hasil, perbelanjaan, rizab negeri mahupun tatakelola. Hasil Negeri pada tahun 2023 adalah sebanyak 541.43 juta atau 120.32% berbanding sasaran, sekaligus mengubah belanjawan defisit 108.0 juta ringgit kepada surplus 4.93 juta ringgit. Penyata Kewangan Negeri Sembilan Tahun 2023 juga telah dibentangkan di Parlimen dengan Sijil Bersih Tanpa Teguran oleh Ketua Audit Negara. Untuk rekod, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan telah berjaya memperolehi Sijil Bersih Tanpa Teguran oleh Ketua Audit Negara sejak 2017 lagi sehinggalah tahun 2023. Tahniah saya ucapkan kepada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri selaku peneraju utama pengurusan kewangan negeri ini kerana telah menguruskan kewangan negeri dengan baik.
Sehingga 21 November 2024, jumlah kutipan hasil yang telah berjaya dikutip adalah sebanyak 505.0 juta ringgit ataupun 97% daripada sasaran 520.0 juta ringgit. Kutipan Hasil Cukai adalah sebanyak 147.0 juta ringgit atau 92%, Hasil Bukan Cukai sebanyak 296.0 juta ringgit ataupun 99% dan Terimaan Bukan Hasil adalah sebanyak 62 juta ringgit ataupun 104%.
Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun kedua Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan perbelanjaan tahunan, Belanjawan Tahunan menggunakan pendekatan pengurusan kewangan MADANI berdasarkan kepada Pelan Pengurusan Kewangan MADANI ‘25 – ‘30 yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 20 September 2023 dan telah diluncurkan secara rasminya pada 26 Oktober 2024 yang lalu oleh Yang Berbahagia Dato’ Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia. Untuk rekod, Negeri Sembilan merupakan Negeri yang pertama menyediakan Pelan Pengurusan Kewangan MADANI di Negara ini. Pelan Pengurusan Kewangan MADANI telah menggariskan sebanyak 49 inisiatif dan 13 strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh 2025 dan tahun, hingga 2030. Untuk itu, sukacita saya mengumumkan cita-cita besar Negeri Sembilan untuk mencapai hasil 1.0 bilion ringgit pada tahun 2030, insya-Allah. Saya optimis, sekiranya nilai-nilai teras kewangan MADANI iaitu al-Qawiyyul Amiin dan al-Hafizul ‘Alim diamalkan sepenuhnya oleh setiap Anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri ini, tidak mustahil sasaran 1.0 bilion ringgit tersebut dapat dicapai lebih awal lagi.
Tatakelola kewangan yang baik juga telah dizahirkan oleh Negeri Sembilan melalui pengurusan MARRIS di mana pada tahun 2020 dan 2022, Negeri Sembilan telah berjaya membelanjakan peruntukan MARRIS dengan peratusan tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Bagi tempoh 2019 hingga Oktober 2024, sebanyak 2.32 bilion ringgit telah dibelanjakan bagi pelbagai kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri.
Antara, antaranya, sejak tahun 2019, sepanjang 7,032.91 kilometer jalan telah diselenggara termasuk jalan luar bandar, jalan perbandaran dan kawasan perindustrian. Jumlah 141 buah jambatan telah dibaiki dengan kos sebanyak 68.42 juta ringgit dan sebanyak 194.23 juta ringgit telah dibelanjakan untuk kerja penyelenggaraan dan baik pulih cerun. Sistem perparitan dan longkang turut menjadi sasar, salah satu keutamaan dalam penyelenggaraan MARRIS, di mana sebanyak 310.3 juta ringgit dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan tersebut. Peruntukan yang diterima semakin meningkat setiap tahun bergantung kepada jumlah panjang jalan yang didaftar dan juga prestasi perbelanjaan tahun sebelumnya. Kejayaan ini adalah hasil usaha semua pihak yang terlibat di peringkat penyelarasan dan pelaksanaan di daerah-daerah.
Kerajaan Negeri optimis bahawa Terimaan bagi tahun 2025 akan melebihi Terimaan tahun 2024 selaras dengan strategi perbelanjaan yang telah dirangka oleh Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Sembilan serta JKR Negeri Sembilan. Usaha ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan oleh kontraktor-kontraktor kecil di Negeri Sembilan terutamanya melalui perolehan kerja secara undian. Untuk rekod, dalam tempoh 2020 hingga 2024, sebanyak 3,766 projek MARRIS telah diundi untuk kos projek melebihi 364 juta ringgit.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, “Semua berkeringat membanting diri, tidak mengenal siapa diri, terdirinya kota Kerajaan Negeri, kuasa yang ada teguh berdiri.” Alhamdulillah, sehingga kini, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan sudah pun berusia 1 tahun 3 bulan dan 10 hari. Setiap hari yang kami lalui bersama, semakin dirasai keakraban, kasih sayang dan keserasian sesama kami dalam mentadbir negeri. Izinkan saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Berhormat Exco Kanan, Dato’ Seri Jalaludin bin Alias dan rakan-rakan Yang Berhormat dari Barisan Nasional yang lain, kerana telah memberikan kerjasama dan dokongan yang amat kuat kepada Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, dengan sama-sama menjayakan Aspirasi Kerajaan MADANI yang dicintai. Inilah berkat dan hikmah perpaduan sebagaimana firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran …
[melafakzan bacaan ayat 103 Surah Ali ‘Imran]. Bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.”
Sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mempertahankan hak dan kebajikan rakyat tanpa mengira sempadan politik dan kaum. Bak kata bidalan “adat bersuku, suku dipertahankan, adat bernegeri, negeri dipertahankan.” Sepanjang tempoh tahun 2024, sebanyak 29.75 juta ringgit telah diperuntukkan untuk melaksanakan 8 inisiatif Aspirasi Perpaduan di bawah Skim Sejahtera Rakyat (SSR). Bantuan secara cash-aid, dengan izin, ini dirangka secara holistik dan inklusif dengan mengambil kira semua golongan masyarakat termasuk bayi dan kanak-kanak, belia, pelajar sekolah, mahasiswa, siswazah, ibu tunggal dan warga emas. SSR ini dilaksanakan secara kolaboratif dengan Yayasan Negeri Sembilan melalui bantuan khas kepada pelajar dan mahasiswa dengan peruntukan 2.65 juta ringgit.
Menjadi pemimpin hatinya lurus Imannya teguh budipun halus Memikul beban hatinya telus Mengingat rakyat tiada putus Dijadikan pemimpin amatlah bagus Dijadikan tua bertungkus lumus Dijadikan induk tahu mengurus Memimpin Negeri umat terurus Menjadi pemimpin ianya baik Sifat terpuji perangai pun molek Tahu mengajar bijak mendidik Tahu berhemat serta selidik Membela rakyat tahan dididik Membela Negeri tahan dibadik Menjadi pemimpin sentosa rakyat Menjadi tua ianya tepat Dijadikan teladan ianya bersifat Dijadikan induk besar manfaat Negeri sentosa umat selamat
Kerajaan Negeri juga telah mencatatkan kejayaan dalam mencapai objektif Aspirasi Perpaduan di mana sehingga Oktober 2024, sebanyak 11.68 juta ringgit telah dibelanjakan dan memberi manfaat kepada 42,072 orang penerima termasuk 33,493 orang warga emas. Inisiatif yang dilaksanakan ini ternyata memberi impak yang sangat berkesan kepada masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Belanjawan 2025. Bagi meneruskan kelangsungan dan agenda pembangunan negeri ini, Belanjawan 2025 akan memberikan tumpuan kepada inisiatif-inisiatif yang diyakini dapat menyeimbangkan antara keperluan hidup, sara hidup dan pengukuhan ekonomi secara berdaya tahan. Oleh itu, sukacita saya mengumumkan tema Belanjawan Tahun 2025 kekal iaitu “BERSAMA MEMBINA NEGERI MADANI”.
Setelah menelusuri tahun ketiga pembentangan belanjawan secara defisit, maka pada hari ini, Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Dewan yang mulia ini Belanjawan Berimbang untuk tahun 2025 iaitu Anggaran Hasil sebanyak 590.0 juta ringgit dengan Anggaran Belanja Mengurus sebanyak 590.0 juta ringgit. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 135.0 juta ringgit diperuntukkan di bawah Anggaran Belanja Pembangunan.
Pada tahun 2025, Anggaran Hasil dijangka diperolehi sebanyak 590.0 juta ringgit iaitu meningkat sebanyak 70.0 juta ringgit atau 13.46% berbanding 520.0 juta ringgit pada tahun 2024. Daripada Anggaran Hasil tersebut, kutipan Hasil Cukai adalah sebanyak 159.35 juta ringgit atau 27.01%, berbanding 160.01 juta ringgit pada tahun 2024. Hasil Bukan Cukai terus menjadi penyumbang utama dengan anggaran sebanyak 364.57 juta ringgit ataupun 61.79% iaitu peningkatan berjumlah 64.33 juta ringgit berbanding 300.24 juta ringgit pada tahun 2024. Peningkatan ini adalah seiring dengan pembangunan pesat sektor hartanah dan perindustrian khususnya di kawasan koridor pembangunan MVV2.0. Selain daripada itu, Terimaan Bukan Hasil dijangka meningkat sebanyak 10.6% iaitu 59.75 juta ringgit pada tahun 2024 kepada 66.08 juta ringgit pada tahun 2025.
Anggaran Belanjawan Mengurus. Pada tahun 2025, diperuntukkan sebanyak 590.0 juta ringgit. Perbelanjaan tertinggi disediakan bagi maksud Emolumen sebanyak 238.49 juta ringgit ataupun 40.42%. Seterusnya, Pemberian Kenaan Bayaran Tetap sebanyak 214.26 juta ringgit ataupun 36.32%, Perkhidmatan dan Bekalan sebanyak 129.74 juta ringgit ataupun 21.99%, Perolehan Aset sebanyak 2.45 juta ringgit atau 0.41% dan peruntukan Perbelanjaan-Perbelanjaan Lain sebanyak 5.06 juta ringgit ataupun 0.86%.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Belanjawan 2025. Pelbagai bantuan kewangan, pemberian tunai, insentif bukan kewangan, bantuan sokongan telah direncanakan oleh Kerajaan Negeri untuk dimanfaatkan oleh rakyat. Belanjawan 2025 ini akan memberi fokus kepada 9 Bidang Tumpuan iaitu:
• Bidang Tumpuan Pertama: Kemampanan Ekonomi Rakyat; • Bidang Tumpuan Kedua: Keterjaminan Makanan; • Bidang Tumpuan Ketiga: Pendidikan; • Bidang Tumpuan Keempat: Pemerkasaan Komuniti; • Bidang Tumpuan Kelima: Kerohanian dan Agama; • Bidang Tumpuan Keenam: Pemerkasaan Wanita, Belia dan Sukan; • Bidang Tumpuan Ketujuh: Pelancongan, Adat dan Budaya; • Bidang Tumpuan Kelapan: Kelestarian Alam Sekitar; dan • Bidang Tumpuan Kesembilan: Kebajikan dan Kesihatan.
Sejak tahun 2019 hingga Belanjawan Tahun 2025, sejumlah 148 inisiatif telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri meliputi pelbagai bidang tumpuan. Kesemua inisiatif ini sama ada diteruskan, ditambah baik atau distruktur semula berdasarkan pencapaian outcome masing-masing. Bagi meneruskan transformasi tersebut, sukacita saya umumkan, sebanyak 23 inisiatif baharu akan diperkenalkan dan 43 inisiatif sedia ada akan dikekalkan dan ditambah baik, menjadi jumlah inisiatif Belanjawan 2025 adalah sebanyak 66 inisiatif dengan peruntukan berjumlah 96.23 juta ringgit.
Dato’ Yang Dipertua, Inisiatif Belanjawan 2025, Bidang Tumpuan Pertama adalah Kemampanan Ekonomi Rakyat. Kerajaan Negeri meneruskan usaha dan agenda untuk Kemampanan Ekonomi Rakyat dengan mengekalkan 5 inisiatif sedia ada dan memperkenalkan 1 inisiatif baharu dengan jumlah peruntukan sebanyak 6.35 juta ringgit. Inisiatif sedia ada termasuklah Jualan Nismilan Prihatin, Insentif Usahawan Halal Kotej, Karnival Kerjaya dan Kesejahteraan Pekerja Negeri Sembilan, Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) dan Program Pemerkasaan Usahawan Negeri Sembilan (NS Choice) dikekalkan.
Tergesel kena miangnya Tergegar kena rebasnya Tersembur kena perciknya Terlaksana kena manfaatnya
Kerajaan Negeri mengambil cakna akan suara keluh kesah rakyat berkaitan kos sara hidup. Bermula tahun 2022, Kerajaan Negeri telah mengumumkan peruntukan 5.0 juta ringgit bagi menjayakan inisiatif Jualan Nismilan Prihatin iaitu jualan barang-barang keperluan asas seperti ayam, telur, minyak masak, sayur-sayuran dan daging pada harga murah sehingga 30% lebih rendah daripada harga pasaran. Program ini ternyata mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di seluruh kawasan DUN setiap minggu. Saya amat terharu dengan
kesudian kakitangan kerajaan dan sukarelawan yang sanggup berkorban tenaga menyembelih ayam, memproses, membungkus dan menjual barangan setiap minggu di 7 lokasi di seluruh Negeri Sembilan. Hanya Allah yang layak membalas kebaikan tuan / puan semua atas usaha murni ini. Untuk itu, sebanyak 2.0 juta ringgit akan diperuntukkan pada tahun hadapan bagi meneruskan Jualan Nismilan Prihatin.
Insentif Halal Kotej juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit bagi mendaya upaya (empower) usahawan-usahawan mikro dan mematuhi prinsip halalan toyyiban dan melepasi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan oleh kerajaan seperti kebersihan premis, kualiti alatan dan perkakasan yang digunakan. Sehingga kini, seramai 224 usahawan Halal Kotej telah berjaya melepasi piawaian pensijilan halal yang ditetapkan oleh kerajaan. Usaha ini berupaya mengembangkan pasaran perniagaan masing-masing dengan lebih luas lagi.
Bagi membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat, sejak 2019, kerajaan telah melancarkan inisiatif Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang sehingga kini seramai 6,459 usahawan kecil telah mendapat manfaatnya. Melihat kepada sambutan yang amat baik dan luar biasa, kerajaan bersetuju untuk meneruskan lagi inisiatif ini pada tahun hadapan dengan peruntukan 3.0 juta ringgit yang dijangka memberi manfaat kepada seribu orang usahawan.
Inisiatif Baharu (1) ialah Program Pemerkasaan TVET. Melihat kepada peningkatan jumlah pelaburan yang diterima dalam tempoh 4 tahun kebelakangan ini, Kerajaan Negeri optimis bahawa dalam tempoh 5 tahun akan datang, Negeri Sembilan bakal menerima limpahan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor industri pembuatan dan perkhidmatan. Untuk itu, kita perlu bersedia menyediakan pasaran tenaga separuh mahir yang mencukupi kepada industri dalam bidang TVET. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan 150 ribu ringgit bagi memperhebatkan program promosi TVET di seluruh Negeri Sembilan. Untuk rekod, Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) telah menjalin kerjasama pintar dengan Toyota Laser Motor Group (LMG) Sdn. Bhd. mulai tahun 2023 bagi memperkasakan sektor automotif KYNS. Sehingga kini, seramai 32 orang pelajar dalam bidang automotif telah dihantar untuk menjalani latihan industri dengan elaun bulanan 1,000.00 ringgit sebulan. Seramai 3 orang pelajar telah ditawarkan pekerjaan dengan purata gaji 1,600.00 ringgit hingga 1,800.00 ringgit sebulan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Ke-2 adalah Keterjaminan Makanan. Sektor pengeluaran makanan terutama pertanian dan penternakan perlu diberikan keutamaan dan perhatian bagi memastikan produk Negeri Sembilan, penduduk Negeri Sembilan khususnya, mempunyai bekalan makanan yang mencukupi pada paras harga yang munasabah. Justeru itu, Kerajaan Negeri meletakkan Keterjaminan Makanan sebagai bidang tumpuan utama dalam Belanjawan 2025, sebagai usaha dalam subsektor ternakan, sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap import bekalan makanan. Menyedari kepentingan bidang tumpuan ini, Kerajaan Negeri telah menggarap 8 inisiatif yang terdiri dari 2 yang baharu dan 6 sedia ada dengan peruntukan sebanyak 8.63 juta ringgit pada tahun 2025.
Inisiatif Baharu Kedau – Program Touchpoint Tanaman Buah-buahan. Program ini merupakan langkah dua hala iaitu pengedaran benih tanaman buah-buahan terpilih dan penghijauan aneka tanaman kepada komuniti taman perumahan dan desa, sekaligus mencetus minda rakyat dalam meneroka bidang pertanian sebagai satu peluang menjana ekonomi. Untuk tujuan, peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit disediakan pada tahun 2025.
Inisiatif Baharu ketiga – Pembinaan Pavilion MAHA. Program Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan ataupun singkatannya MAHA adalah akan menjadi pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara. Setelah hampir satu abad, MAHA sememangnya terbukti menjadi satu acara yang dinanti-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat dan menjadi platform pengiktirafan kepada Sektor Pertanian. Acara MAHA juga memberi peluang kepada setiap negeri memperkenalkan produk masing-masing di setiap pavilion negeri yang disediakan. Bagi mengangkat martabat petani Negeri Sembilan ini, sukacita saya umumkan, satu Pavilion kekal MAHA Negeri Sembilan akan dibangunkan pada tahun hadapan dengan kos projek sebanyak 3.0 juta ringgit. Pembinaan pavilion itu dijangka mengambil masa selama 2 tahun dan dijangka siap pada tahun 2026. Untuk itu, peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit akan disediakan pada tahun 2025 bagi kerja-kerja awalan.
Selain itu, Kerajaan Negeri bersetuju mengekalkan 6 inisiatif sedia ada iaitu:
• Pertama: Inisiatif Keterjaminan Makanan, 2.05 juta ringgit; • Program Touchpoint MUAFAKATANI,1.0 juta ringgit; • Insentif Galakan Pengeluaran Bekalan Makanan, 1.0 juta ringgit; • Pembangunan Kawasan Tumpuan Pembangunan Pertanian, 500 ribu ringgit;
• Insentif Peningkatan Populasi Ruminan (i-NPOR), 480 ribu ringgit; • Dan yang terakhir, Program Penanaman Napier, Pastura dan Kekacang (i-NPAK), 100 ribu ringgit.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Ke-3: Pendidikan.
Lubuk akal lautan budi, Tahu diadat dan pusaka Tahu menimbang sama berat, Tahu mengagak mengagihkan Kalau guru kepalang ajar, Umpama bunga kembang tak jadi. Alang tukang terbuang kayu Alang cerdik binasa adat Alang alim rosak agama Alang sefaham kacau negeri
Menyedari kepentingan ilmu dan pendidikan dalam membentuk generasi akan datang, bidang tumpuan yang turut diberi perhatian utama oleh Kerajaan Negeri adalah pendidikan. Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian cemerlang yang direkodkan oleh anak-anak Negeri Sembilan semasa peperiksaan SPM pada tahun 2023 yang lalu di mana kita berada di tempat pertama peringkat nasional. Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan momentum ini dan untuk itu, sebanyak 19.67 juta ringgit diperuntukkan pada tahun hadapan merangkumi 15 inisiatif dan 5 inisiatif baharu dan 10 inisiatif sedia ada diteruskan berikut keberkesanan hasil program yang ditunjukkan.
Inisiatif Baharu Ke-4 – Pembinaan Generasi Celik Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (A.I). Teknologi Kecerdasan Buatan atau A.I ini merupakan teknologi terkini yang menjadi pendambing, pendamping ke dalam kehidupan harian, mencakupi pelbagai aspek kehidupan khususnya dalam bidang pendidikan. Budaya A.I ini dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran dan pengajaran dengan lebih interaktif. Justeru para pelajar perlu segera didedahkan dengan budaya A.I ini untuk persediaan dunia pendidikan yang lebih mencabar dan luas. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 300 ribu ringgit bagi menggalakkan budaya celik A.I dalam kalangan pelajar melalui pertandingan reka cipta, inovasi dan STEM.
Inisiatif Ke-5 – Asrama Sekolah Menengah Agama Chuah, Port Dickson. Kerajaan Negeri amat prihatin dengan kekangan yang dihadapi oleh pengurusan Sekolah Menengah Agama Chuah, Port Dickson yang tidak mampu menampung kemasukan pelajar baru yang sentiasa meningkat saban tahun berbanding kapasiti yang hanya boleh menampung seramai 50 orang pelajar sahaja. Pada tahun 2024 sebanyak 101
permohonan diterima berbanding 83 permohonan diterima pada tahun 2023. Justeru, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan 7.0 juta ringgit bagi pembinaan 2 blok asrama, 1 blok dewan makan dan 1 blok kantin di Sekolah Menengah Agama Chuah dengan tempoh pelaksanaan 2 tahun. Sehubungan dengan itu sebanyak 100 ribu ringgit diperuntukkan pada tahun 2025 untuk pelaksanaan kerja-kerja awalan. Inisiatif ini juga bertujuan membantu mengurangkan kos hidup para pelajar yang terpaksa berulang alik ke sekolah setiap hari.
Inisiatif Ke-6 – Blok Tambahan Kelas Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah. Selain Sekolah Menengah Agama Chuah, kerajaan turut memberi perhatian kepada Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah yang merupakan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan yang dikelolakan bersama oleh negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sekolah ini menawarkan Kurikulum Bersepadu Tahfiz dan Kurikulum STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). Pada ketika ini, Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah hanya mampu menampung 70 tempat sahaja dibandingkan trend permohonan yang semakin meningkat iaitu 970 permohonan pada tahun 2023 dan 1,010 permohonan pada tahun 2024. Sehubungan itu, sukacita saya umumkan peruntukan 1.5 juta ringgit bagi menambah 10 buah kelas bagi keselesaan pembelajaran anak-anak seiring dengan peningkatan jumlah pelajar. Untuk itu, sebanyak 400 ribu ringgit diperuntukkan pada tahun 2025 dan bakinya pada tahun 2026.
Inisiatif Baharu ke-7 – Bayaran Setengah Bulan Elaun Kepada Guru KAFA Tulen Yang Cuti Bersalin 2 Bulan. Jasa pengorbanan seorang ibu sangat besar dan tinggi nilainya kepada kita semua. Bukan sedikit keringat dan air mata yang ditumpahkan untuk melihat anak-anaknya gembira dan berjaya. Apatah lagi apabila menggalas tugas sebagai pendidik dan pada masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu. Sebagai menghargai pengorbanan ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif pemberian Bayaran Setengah Bulan Elaun Kepada Guru KAFA Tulen Yang Cuti Bersalin 2 Bulan kepada lebih 100 orang Guru KAFA wanita dengan peruntukan sebanyak 142 ribu ringgit pada tahun 2025. Jumlah ini adalah sebagai insentif tambahan kepada jumlah elaun yang telah diterima oleh Kerajaan Persekutuan.
Inisiatif Ke-8 – Bayaran Elaun Khas Guru Besar Sekolah Agama Rakyat dan Elaun Khas Penyelaras KAFA di Premis Kementerian Pelajaran Malaysia. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan pemberian Elaun Guru Besar Sekolah Agama Rakyat dan Elaun Khas Penyelaras KAFA di Premis Kementerian Pelajaran Malaysia kepada 81 orang Guru Besar SAR dan KAFA dan 214 orang Penyelaras KAFA dengan peruntukan sebanyak 128 ribu ringgit.
Sebagaimana yang telah saya umumkan semasa Belanjawan Tahun 2020 yang lalu, Negeri Sembilan merupakan negeri pertama menubuhkan Akaun Amanah Penyelenggaraan Sekolah di negara ini. Sungguhpun tanggungjawab penyelenggaraan sekolah adalah tanggungjawab persekutuan, namun kepentingan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat tetap menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, merentasi sempadan politik. Untuk itu sebanyak 1.0 juta ringgit diperuntukkan pada tahun 2025.
Selain itu, Kerajaan Negeri meneruskan Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Lepasan Tahfiz Negeri Sembilan dengan peruntukan 500 ribu ringgit. Ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri sejak tahun 2021 yang bertujuan meningkatkan keberhasilan pendidikan kumpulan tahfiz melalui formalisasi pendidikan. Tahun 2026 merupakan tahun kelima pelaksanaannya. Pada tahun 2023, seramai 72 pelajar telah layak menerima sijil SPM (50 orang Aliran Agama dan 22 orang Aliran Sains) dan seramai 50 orang pelajar sedang mengikuti program Fast Track ini. Pelajar lepasan program ini telah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di luar negara dan dalam negara. Program ini adalah agenda kerajaan dalam mengarus perdanakan pelajar tahfiz dalam sistem pendidikan negara melalui persiapan pelajar tahfiz untuk mendapatkan SPM dalam tempoh satu tahun.
Inisiatif Bantuan Anak Sekolah (N9 BAS) adalah bantuan tunai sebanyak 50.00 ringgit sebulan kepada anak-anak kumpulan B40 yang yang telah mula dilaksanakan sejak tahun 2019. Untuk itu, ianya akan diteruskan pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak 1.0 juta ringgit yang bakal memberi manfaat kepada seramai 1,800 orang murid.
Bagi menyuburkan program pembudayaan ilmu, 2 inisiatif akan diteruskan iaitu Inisiatif Anak Negeri, Negeri Sembilan (N9 BAN) dan peruntukan sebanyak 0.8 juta ringgit, dengan peruntukan sebanyak 0.8 juta ringgit dan Bantuan Sekolah Tahfiz, SJKC, SJKT dan Swasta dengan peruntukan sebanyak 2.0 juta ringgit pada tahun hadapan. Di samping itu, beberapa inisiatif sedia ada diteruskan termasuk sebanyak 3.35 juta ringgit diperuntukkan bagi Bantuan Peranti Mudah Alih Bagi Pelajar Tingkatan 6 dan ke atas, 3.6 juta ringgit bagi Skim Dermasiswa Sara Hidup Untuk Pelajar IPTA, 100 ribu ringgit untuk Insentif Khas Galakan Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM. Manakala 1.0 juta ringgit disediakan bagi Pinjaman Pendidikan Tanpa Faedah Pelajar Peringkat Sarjana dan Ph.D di IPTA serta 5.25 juta ringgit bagi Insentif dan Bantuan Pelajar TVET Kolej Yayasan Negeri Sembilan.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, mintak izin [minum]. Bidang Tumpuan Ke-4: Pemerkasaan Komuniti. Komuniti merupakan teras pembentukan jati diri seseorang individu, sebuah keluarga serta organisasi. Komuniti perlu terus diperkasa agar semua entiti masyarakat jadi terangkum serta tiada yang terpinggir dan terus hidup dengan sejahtera dan hormone, harmoni di tanah tercinta ini. Sama-samalah kita berdoa agar perpaduan di Negeri Perpatih ini akan terus subur selama-lamanya. Ibarat kata bidalan “kalau darah nak sama-sama merah, kalau tulang nak sama putihnya, kalau daging nak sama-sama beratnya, maka seuri setembunilah kita”. Justeru, untuk tahun 2025 bidang tumpuan ini bakal diperuntukkan sebanyak 16.48 juta ringgit merangkumi 12 inisiatif iaitu 6 inisiatif baharu dan 6 inisiatif sedia ada diteruskan atau ditambah baik.
Inisiatif Ke-9 – Program Pencahayaan Kampung. Program Pencahayaan Kampung adalah inisiatif untuk meningkatkan sistem pencahayaan ke arah keselamatan dan kesejahteraan kawasan luar bandar. Projek Pencahayaan Jalan Negeri, Negeri Sembilan telah berjaya dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan peruntukan 6.5 juta ringgit. Melalui inisiatif ini, hampir kesemua kawasan jalan di Negeri Sembilan telah dilengkapi dengan pencahayaan yang lebih baik, memberi manfaat kepada keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya, pada tahun 2025 ini, projek ini diperluaskan lagi melalui Projek Pencahayaan Jalan Kampung dengan peruntukan 1.0 juta ringgit.
Inisiatif bantuan, Inisiatif Baharu Ke-10 – Pelan Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan Darul Khusus 2026-2025. Dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar yang lebih mampan berteraskan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat luar bandar, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang merangka pelan pembangunan khusus yang dinamakan Pelan Pembangunan Luar Bandar NSDK 2026-2025. Pelan ini dirangka agar selari dengan bidang fokus dan strategi yang terdapat dalam RPNS 2021-2025 dan Rancangan Malaysia Ke-13. Justeru bagi merealisasikan kajian ini, sebanyak 400 ribu ringgit diperuntukkan bagi pembangunan pelan ini.
Inisiatif Baharu Ke-11 – Penyelenggaraan Rumah Pangsa Kos Rendah Dan Sederhana Rendah di Seluruh Negeri Sembilan. Pembangunan yang mampan bukan hanya melibatkan pembinaan bangunan baharu, tetapi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk di kawasan kediaman sedia ada terpelihara. Kerajaan Negeri juga memberi fokus kepada usaha memastikan setiap rumah pangsa yang didiami, berada dalam keadaan yang baik selamat untuk dihuni. Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh pihak Jabatan
Pengurusan Bersama (JMB) di rumah pangsa swasta terutamanya isu penyelenggaraan, kebersihan, keselamatan dan infrastruktur yang tidak mencukupi. Oleh itu, tumpuan diberikan dalam menyantuni keperluan ini dengan menyediakan peruntukan yang diperlukan bagi membaiki kemudahan dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Untuk tahun ini, sebanyak 5 skim perumahan telah diselenggara dan memberi manfaat kepada 622 pemilik kediaman yang merangkumi perumahan swasta. Inisiatif ini akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak 2.0 juta ringgit.
Inisiatif Baharu Ke-12 – Sentuhan MADANI FELDA. Komuniti akar umbi memainkan peranan dalam membangunkan sebuah negara untuk membantu seluruh jentera kerajaan menyampaikan maklumat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Program Sentuhan MADANI FELDA ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri dalam mengukuhkan jaring, jaringan hubungan Kerajaan Negeri dengan warga felda di samping memupuk semangat perpaduan yang erat dan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini. Sehubungan itu, sebanyak 500 ribu ringgit disediakan bagi program ini.
Inisiatif Ke-13 – Pengukuhan Komuniti MADANI. Program Pengukuhan Komuniti MADANI adalah satu inisiatif yang bertujuan untuk memperkukuhkan nilai-nilai masyarakat yang maju, sejahtera secara holistik berdasarkan prinsip-prinsip kemanusiaan, keadilan sosial dan kemakmuran ekonomi. Untuk itu sebanyak 500 ribu ringgit disediakan bagi program ini.
Inisiatif Baharu Ke-14 - Pewujudan Enam (6) JPKK Baharu. Pewujudan tambahan 6 Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) merupakan salah satu langkah strategik dalam memperkukuhkan tadbir urus, tatakelola dan jaringan komunikasi di antara Kerajaan Negeri dengan masyarakat di peringkat akar umbi. JPKK baharu ini adalah:
• Pertama: JPKK Kampung Bemban, Jelebu; • Kedua: JPKK Kampung Batu 4, Jalan Jelebu, Seremban; • Ketiga: JPKK Kampung Pasir Mas, Seremban; • Keempat: JPKK Kampung Legong Jaya, Rembau; • Kelima: JPKK Kampung Air Kuning Linggi, Port Dickson; • Dan keenam: JPKK Pengkalan Kempas Linggi, Port Dickson.
Untuk itu sebanyak 165 ribu ringgit disediakan bagi membiayai kos pengurusan 6 buah JPKK tersebut. Selain daripada itu, Kerajaan juga komited untuk memastikan setiap anak negeri mampu memiliki rumah idaman mereka sendiri. Untuk itu, kerajaan akan terus menambah pembinaan rumah-rumah mampu milik sama ada dibina oleh kerajaan mahupun pihak swasta. Sepanjang tempoh pentadbiran ini, sebanyak 26,548 unit Rumah Mampu Milik Swasta dan 351 unit Rumah Penjawat Awam telah siap dibina. Bagi memberi lebih banyak peluang kepada rakyat untuk memiliki kediaman, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Program Rumah Harapan pada tahun 2021. Skim ini menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah bagi rumah bernilai 75 ribu ringgit kepada golongan B40 yang masih belum memiliki rumah dan ingin membina rumah banglo setingkat di atas tanah milik sendiri. Sejak tahun 2021 hingga 2023, sebanyak 167 buah rumah telah siap dibina dan diserahkan kepada peserta. Manakala sebanyak 41 buah telah diluluskan pada tahun 2024 dan sedang dalam pembinaan. Sehubungan itu, sukacita diumumkan bahawa inisiatif Rumah Harapan Rakyat akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak 5.0 juta ringgit pada tahun hadapan.
Pelaksanaan Desa Muafakat Negeri Sembilan diteruskan dengan peruntukan 1.0 juta ringgit bagi membina penempatan penduduk kampung yang lebih terancang selaras dengan Pelan Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan 2019-2040. Selain itu, 1.0 juta ringgit diperuntukkan untuk menyelenggara taman-taman awam Negeri Sembilan serta 3.1 juta ringgit menaik taraf dan pemulihan rumah pangsa awam di seluruh Negeri Sembilan yang mana turut diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri. Penyelenggaraan rumah awam sedia ada penting supaya rumah-rumah ini kekal berada dalam keadaan baik, kondusif dan berdaya huni. Usaha Kerajaan Negeri untuk menyubur permuafakatan dan perpaduan kaum di negeri ini juga terus diperkukuhkan menerusi Geran Aktiviti ERAT@NS dengan peruntukan 1.5 juta ringgit pada tahun 2025.
Selain itu, sebanyak 315 ribu ringgit turut diperuntukkan sebagai Geran Khas Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (GPKKOA) dengan nilai sejumlah 5,000.00 ringgit kepada 43 buah rumah Kampung Orang Asli (KOA) yang berdaftar. Peruntukan ini turut disediakan untuk membiayai program-program kemasyarakatan dan jaringan kerjasama antara Kampung Orang Asli dan Kerajaan Negeri. Semoga dengan pemberian geran ini, diharap JPKKOA akan terus aktif dalam menganjurkan aktiviti kemasyarakatan dan Pembangunan KOA.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Ke-5: Kerohanian Dan Agama. “Darah dicecah, doa ditampung, sumpah dilabuh, Quran dijunjung, adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah”. Menjunjung Perlembagaan Negara yang meletakkan Agama Islam sebagai agama rasmi negara, maka Kerajaan
Negeri komited meneruskan agenda pemerkasaan Bidang Tumpuan ke-5 iaitu Kerohanian dan Agama. Untuk itu, sebanyak 19.93 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai 7 inisiatif merangkumi 2 inisiatif baharu dan 5 inisiatif sedia ada.
Peruntukan berjumlah 173 ribu ringgit disediakan meneruskan pemberian Elaun Kepada Guru Takmir sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan mereka dalam mendidik ummah dan masyarakat celik al-Quran, sebanyak 1.01 juta ringgit disediakan bagi Insentif Tambahan Elaun Guru KAFA Tulen dan kosong 600 ribu ringgit diperuntukkan bagi program Pembinaan Karakter Bangsa. Manakala 5.08 juta ringgit diperuntukkan untuk bayaran elaun Bilal, Siak dan Pembantu Am Wanita.
Inisiatif Baharu ke-15 – Caruman PERKESO bagi Bilal, Siak dan Pembantu Am Wanita. Selain pemberian elaun, kerajaan juga prihatin dengan risiko dan kebajikan penggerak institusi masjid semasa menjalankan tugas. Untuk itu, sukacita saya umumkan satu lagi inisiatif baru iaitu Caruman PERKESO kepada Bilal, Siak dan Pembantu Am Wanita sebagai skim perlindungan sosial dengan peruntukan 560 ribu ringgit pada tahun 2025.
Inisiatif Baharu Ke-16 – Pembangunan Masjid-Masjid Baharu. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, yang telah meluluskan peruntukan 42.78 juta ringgit bagi membiayai pembinaan 6 buah masjid baharu di Negeri Sembilan pada tahun 2023 secara perkongsian kos. Sebagai usaha untuk meneruskan lagi syiar Islam di negeri ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan 10.5 juta ringgit pada tahun 2025 untuk pembinaan masjid-masjid baharu di beberapa kawasan strategik negeri ini. Peruntukan ini akan digunakan untuk projek pembinaan Masjid Terapung di Port Dickson, Masjid Diraja Tuanku Munawir di Seri Menanti, Masjid Tanah Melintang di Kuala Pilah dan Masjid Al-Isra di Tampin. Kesemua masjid ini merupakan pusat ibadah yang penting, yang bukan sahaja memberi ruang untuk umat Islam menunaikan kewajipan agama, tetapi juga sebagai pusat dakwah, pendidikan dan perkhidmatan komuniti.
Bagi menjayakan kepentingan hal ehwal agama bukan Islam, Akaun Amanah Hal Ehwal Bukan Islam telah ditubuhkan sejak 2019 dengan geran permulaan sebanyak 1.5 juta ringgit. Geran ini digunakan untuk membantu membiayai pelbagai aktiviti pertubuhan-pertubuhan agama dan rumah-rumah ibadah bukan Islam. Kesefahaman dan toleransi yang tinggi dalam agama amat penting bagi mengekalkan kestabilan, keharmonian dan ketenteraman awam di negeri ini. Untuk itu, inisiatif
ini akan diteruskan lagi pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak 2.0 juta ringgit.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Ke-6: Pemerkasaan Wanita, Belia Dan Sukan. Adat Perpatih di Negeri Sembilan sentiasa menjunjung tinggi kemuliaan dan peranan wanita dalam sistem masyarakat. Wanitalah yang akan menentukan rupa wajah dan tingkah laku generasi yang akan datang. Bak kata bidalan, “Kalau keruh air di hulu, sampai ke muara keruh jua. Kalau kurik induknya, rintiklah anaknya”. Menyedari betapa pentingnya wanita dan belia sebagai tulang belakang kerajaan, maka agenda memperkasakan diteruskan dalam Belanjawan 25, 2025. Untuk itu, sebanyak 10.4 juta ringgit akan diperuntukkan merangkumi 5 inisiatif dan 2 inisiatif baharu dan 3 inisiatif sedia ada diteruskan. Inisiatif yang diteruskan adalah Geran Aktiviti JPKK dan Geran Belia dan Beliawanis sebanyak 2.2 juta ringgit, Pengurusan dan Pemerkasaan Belia dan Sukan sebanyak 3.0 juta ringgit, bantuan Care For You (C4U) atau Ibu Tunggal Negeri Sembilan iaitu pemberian bantuan tunai secara one-off kepada ibu tunggal akan diteruskan lagi pada tahun hadapan. Untuk itu, peruntukan sejumlah 1.2 juta ringgit disediakan.
Inisiatif Baharu Ke-17 – Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) 2025. Bidalan Arab menyatakan, “akal yang sihat adalah dari badan yang sihat”. Pembudayaan gaya hidup sihat melalui sukan akan terus dipupuk dan digalakkan di peringkat akar umbi. Sukan juga menjadi wadah yang berkesan dalam penyatuan masyarakat yang menggalakkan perpaduan dan menjadi platform pencarian bakat-bakat baharu sukan. Mengambil semangat ini, Kerajaan Negeri buat julung kalinya telah menganjurkan Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) Tahun 2024 yang melibatkan perlawanan di antara DUN. Kejohanan dan temasya sukan telah diadakan pada 16 hingga 18 Februari 2024 melibatkan 36 buah DUN dengan penyertaan 128 pasukan merangkumi 4 acara sukan iaitu badminton, bola jaring, sepak takraw dan bola sepak. DUN Ampangan berjaya menjadi pemenang keseluruhan SUKNES. Tahniah diucapkan. Melihat kepada kejayaan SUKNES ini, sukacita diumumkan peruntukan sebanyak 1.0 juta ringgit pada tahun 2025.
Inisiatif Ke-18 – Program Pemerkasaan Infrastruktur Sukan Negeri Sembilan. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga komited membaiki kemudahan dan infrastruktur sukan di Negeri Sembilan. Pada tahun 2024 sebanyak 63 buah fasiliti sukan telah dibaik pulih dan dinaik taraf di seluruh Negeri Sembilan dengan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit. Inisiatif ini ternyata telah memberikan impak yang sangat positif kepada anak-anak muda untuk kembali bergiat aktif dalam
pelbagai aktiviti sukan seperti futsal, bola tampar, badminton dan takraw. Dahulunya, fasiliti-fasiliti sukan ini terbiar lama dan tidak terurus. Untuk itu, satu inisiatif baru dilaksanakan pada tahun hadapan iaitu Program Pemerkasaan Infrastruktur Sukan Negeri Sembilan dengan peruntukan sebanyak 3.0 juta ringgit menjadikan kerja menaik taraf bilik persalinan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Center Court Paroi, Kompleks Sukan Mini Telok Kemang di Port Dickson dan kerja-kerja pembaikan kecil fasiliti sukan di setiap DUN. Semoga usaha ini dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan, sekaligus melahirkan komuniti yang lebih cergas, sihat, produktif dan berdaya saing. Adalah menjadi harapan saya, dengan tumpuan kepada pemerkasaan infrastruktur sukan di seluruh negeri ini, akan berupaya melonjakkan bakat anak-anak dalam bidang sukan sekaligus meletakkan Negeri Sembilan di persada sukan antarabangsa sepertimana pencapaian hebat Chen Tang Jie dalam acara badminton Sukan Olimpik 2024 di Paris; Gan Chen Jie dalam acara menembak dengan pencapaian 7 pingat emas SUKMA 2024 di Sarawak, dan Wong Weng Son ahli wushu Negara dalam sukan wushu dalam tahun 2010 hingga 2024.
Bidang Tumpuan Ke-7 adalah Pelancongan, Adat Dan Budaya. Bidang Tumpuan berikutnya adalah Pelancongan, Adat dan Budaya. Kerajaan Negeri sentiasa menjunjung tinggi sistem Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan yang tercinta ini dan akan tetap mempertahankan kedaulatannya seperti kata tromba, “Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah, kuat hukum tak gaduh adat, kuat adat tak gaduh hukum, adat berkampung, kampung dipertahankan, adat bersuku, suku dipertahankan”. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan mengekalkan 4 inisiatif sedia ada iaitu geran, Geran dan Aktiviti Pelancongan dengan peruntukan 3.0 juta ringgit, Pembangunan Produk Pelancongan sebanyak 7.35 juta ringgit, Geran Aktiviti Adat sebanyak 500 ribu ringgit dan Perpatih Fest sebanyak 500 ribu ringgit. Keseluruhan peruntukan di bawah bidang tumpuan Pelancongan, Adat dan Budaya adalah sebanyak 12.45 juta ringgit bagi 6 inisiatif iaitu 2 inisiatif baharu dan 4 inisiatif sedia ada bagi tahun 2025.
Inisiatif Baharu yang Ke-19 – Inisiatif TAC@9. Selain sukan, Kerajaan Negeri memberikan perhatian terhadap bidang seni dan kebudayaan dengan menyediakan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit di bawah inisiatif baharu iaitu TAC@9. Inisiatif ini adalah pemberian geran kepada para penggiat program dan aktiviti seni budaya bagi memastikan ekosistem kesenian dan kebudayaan di Negeri Sembilan terus kekal berdaya saing dan menjadi pemangkin industri pelancongan.
Inisiatif yang ke-20 – Promosi Pelancongan. Sebagai langkah persediaan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan 600 ribu ringgit untuk aktiviti Promosi Pelancongan termasuk misi pameran, business matching, Fam-Trip dan aktiviti pengiklanan. Adalah diharapkan rangka kerja dan pelan promosi dapat dirancang dengan lebih baik pada tahun hadapan bagi memastikan liputan yang lebih meluas berkaitan produk pelancongan yang terdapat di Negeri ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Bidang Tumpuan Ke-8 adalah Kelestarian Alam Sekitar. Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar terutama bagi mengekalkan keindahan alam sekitar negeri yang tercinta ini. Untuk itu, Negeri Sembilan memperuntukkan 1.0 juta ringgit bagi 2 inisiatif baharu iaitu 1 inisiatif sedia ada di bawah bidang tumpuan Kelestarian Alam Sekitar. Inisiatif Pengurusan Sisa Pepejal Luar Bandar dikekalkan dengan peruntukan 500 ribu ringgit.
Inisiatif Baharu Ke-21 – Penguatkuasaan Dalam Hutan Simpan Kekal. Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pemuliharaan hutan dan biodiversiti sedia ada, Kerajaan Negeri memperuntukkan 140 ribu ringgit bagi Penguatkuasaan dalam Hutan Simpan Kekal pada tahun 2025. Kerajaan Negeri sama sekali tidak akan berkrompro, berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh hutan simpanan kekal yang ada di negeri ini. Untuk rekod, jumlah keluasan hutan di seluruh Negeri Sembilan adalah sebanyak 155 ribu hektar iaitu 23.3%. Kita bersyukur kerana dikurniakan khazanah alam yang sangat berharga dengan hidupan flora dan fauna yang amat memukau.
Inisiatif Baharu Ke-22 ialah Kempen Larangan Penggunaan Beg Plastik sekaligus, dalam, Beg Plastik Sekali Guna. Dalam usaha mengurangkan perjalanan, penjanaan sisa plastik sekali guna dan menggalakkan aktiviti kitar semula dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan 360 ribu ringgit untuk pelaksanaan Kempen Larangan Penggunaan Beg Plastik Sekali Guna di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan dengan pemberian bag barangan runcit secara percuma.
Bidang Tumpuan 9: Kebajikan Dan Kesihatan. Pelaksanaan inisiatif di bawah bidang tumpuan ini adalah sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam memberikan perlindungan kepada golongan rentan untuk mendapatkan kehidupan wajar dan lebih berkualiti. Sebanyak 1.34 juta ringgit diperuntukkan dengan 4 inisiatif iaitu 1 inisiatif baharu dan 3 inisiatif sedia ada. Inisiatif sedia ada dikekalkan adalah Rumah Minda Ceria dengan peruntukan sebanyak 120 ribu ringgit, Bantuan Perolehan
Alat Implan Ortopedik dengan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit dan Bantuan Rawatan Pembedahan AV Fistula bagi rawatan hemodialisis sebanyak 500 ribu ringgit.
Inisiatif Baharu yang Ke-23 yakni Sentuhan Prihatin OKU Negeri Sembilan. Segala pujian kepada Allah SWT yang menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan sebagaimana firman-Nya dalam surah at-Tin ayat 4, mafhumnya “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”. Setiap kejadian ciptaan Tuhan tetap sempurna walau mungkin ada yang dilahirkan dalam keadaan yang kurang sempurna berbanding insan lain. Namun, golongan istimewa ini mempunyai hak dan peluang yang sama untuk menjalani kehidupan yang normal bersama masyarakat. Untuk itu, sukacita saya umumkan peruntukan 220 ribu ringgit bagi membantu 44 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sebagai program sokongan kepada golongan Orang Kurang Upaya. Bantuan one-off sebanyak 5,000.00 ringgit kepada setiap PDK yang bakal memberi manfaat kepada 1,094 orang pelatih OKU di bawah Inisiatif Sentuhan Prihatin OKU Negeri Sembilan ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Skim Sejahtera Rakyat ataupun SSR. Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan tetap bertekad untuk melunaskan segala janji yang terkandung dalam buku Aspirasi Perpaduan. Bak kata bidalan;
Pemimpin menjadi abdi rakyat Hidupnya menyatu dengan masyarakat Menjalankan tugas ianya taat Bekerja rajin beramal kuat Dengan orang tua-tua ianya dekat Dengan yang muda-muda ianya bersifat Duduk tegaknya elok tabiat Sebarang kerja dengan muafakat Sebarang laku menuruti adat Dijadikan pemimpin besar manfaat Negeri sentosa sempurna umat Orang suka jauh dan dekat Rahmatnya ada dunia akhirat
Selain daripada 66 inisiatif yang telah saya huraikan sebentar tadi, Kerajaan Negeri juga meneruskan pemberian insentif dan sumbangan tunai sebagai tanda ihsan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang memerlukan. Ianya merangkumi di dalam Skim Sejahtera Rakyat dengan peruntukan sebanyak 29.75 juta ringgit pada tahun 2025. “Tau nang kocik kek nang mudo, tau nang mudo kok nang tuo, kek. Tau nang
tuo kek nang dulu-dulu. Tau nang dulu-dulu kek nenek moyang”. Warga emas terus dibantu melalui Sumbangan Keceriaan sebanyak 200.00 ringgit seorang kepada warga emas yang berusia 70 tahun ke atas dengan anggaran peruntukan 14.8 juta ringgit. Kelahiran bayi disambut dengan penuh kesyukuran kerana merekalah pembimbing masa hadapan dan bakal menjadi khalifah di muka bumi ini. Justeru, setiap bayi yang dilahirkan di Negeri Sembilan ini layak memohon caruman 100 ringgit di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional dengan peruntukan dianggarkan 1.6 juta ringgit. Golongan belia juga tidak dilupakan di mana setiap mereka yang melangsungkan perkahwinan kali pertama layak menerima sebanyak 500.00 ringgit sebagai saguhati. Justeru sebanyak 5.0 juta ringgit disediakan bagi inisiatif ini.
Tahniah diucapkan kepada anak-anak yang bakal mendapat tempat di Sekolah Berasrama Penuh pada tahun hadapan, justeru bagi meringankan beban ibu bapa, Kerajaan Negeri terus menyediakan peruntukan sebanyak 300.00 ringgit kepada setiap pelajar terhad kepada 500 penerima. Inisiatif ini diperuntukkan sebanyak 150 ribu ringgit pada tahun hadapan. Di samping itu, anak-anak remaja yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi, Kerajaan Negeri turut meneruskan bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi pada kadar 500.00 ringgit hingga 1,000.00 ringgit bergantung kepada tawaran yang diterima sama ada peringkat sijil, diploma ataupun ijazah pertama. Selain itu juga, meraikan kejayaan anak-anak Negeri Sembilan yang cemerlang dalam pengajian dan sebagai motivasi, Anugerah Khas sebanyak 5,000.00 ringgit disediakan kepada para pelajar yang memperolehi Ijazah Kelas Pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Untuk itu, peruntukan sebanyak 7.0 juta ringgit disediakan melalui kolaborasi Kerajaan Negeri dan Yayasan Negeri Sembilan. Tidak dilupakan golongan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah 2,000.00 ringgit sebulan yang akan menerima sumbangan one-off sebanyak 200.00 ringgit seorang menerusi peruntukan 1.2 juta ringgit.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Anggaran Belanjawan Pembangunan 2025. Anggaran Belanjawan 2025 adalah berjumlah 135.0 juta ringgit. Sumber kewangan bagi Belanja Pembangunan ini adalah secara langsung daripada Kerajaan Negeri. Secara keseluruhannya, peruntukan ini akan diagihkan dalam 6 sektor bagi menggalakkan pembangunan sosio ekonomi di Negeri Sembilan seperti berikut:
• Sosial: 59.25 juta ringgit yakni 43.89% • Pentadbiran: 24.44 juta ringgit - 18.10%
• Infrastruktur: 22.16 juta ringgit - 16.41% • Pertanian: 14.6 juta ringgit - 10.81% • Pelancongan: 8.35 juta ringgit - 6.19% • Kerohanian: 6.2 juta – 4.59 juta ringgit eh, 4.59%
Melewati tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) yang ke, dan RMKe-12, Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan pelaksanaan sebanyak 250 projek bagi tahun 2025, yang terdiri daripada 207 projek baharu dan 43 projek sambungan. Projek-projek ini dirancang untuk tujuan utama untuk merangsang pembangunan sosio-ekonomi, meningkatkan kualiti hidup mewujudkan kesejahteraan rakyat di seluruh Negeri ini. Peruntukan telah disediakan akan diagihkan kepada 14 Vot pembangunan Kerajaan Negeri mengikut keperluan prioriti sektor-sektor yang telah dikenal pasti.
Sektor Sosial. Sebagaimana lazim, Sektor Sosial kekal menjadi sektor utama dalam agihan peruntukan pembangunan sebanyak 59.25 juta ringgit, yang digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan pembangun, dan membangunkan kemudahan awam di seluruh Negeri. Daripada jumlah tersebut, 45.0 juta ringgit diperuntukkan untuk program perkhidmatan masyarakat yang akan memberi manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan. Peruntukan sebanyak 1.8 juta ringgit untuk pembinaan dan pengubahsuaian dewan serta balai raya, sementara 2.0 juta ringgit diperuntukkan untuk program pencahayaan jalan-jalan negeri bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. Kerajaan juga prihatin terhadap keperluan rakyat untuk memiliki tempat tinggal yang selesa. Untuk itu, 3.1 juta ringgit diperuntukkan untuk kerja-kerja penambahbaikan penyelenggaraan infrastruktur rakyat, Rumah Awam Kerajaan Negeri termasuk penyelenggaraan sistem pembentungan, keselamatan dan elektrik.
Sektor Pentadbiran. Dalam menghadapi cabaran perkembangan ekonomi semasa, terutama yang melibatkan automasi, digitalisasi dan Industri 4.0, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk bersedia dan beradaptasi dengan perubahan teknologi serta budaya kerja baharu. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan 9.64 juta ringgit bagi pembangunan dan penambahbaikan sistem komputer negeri. Ini termasuklah penyediaan jaringan internet yang lebih meluas dengan kebolehpercayaan yang tinggi. Selaras dengan Pelan induk, Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 Kerajaan Negeri telah melancarkan sistem Gerbang Pembayaran Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (N9PAY) pada 28 Julai 2024 yang lalu. Sistem ini akan membolehkan rakyat membuat pembayaran melalui
FPZ, FPX dan terus ditambah baik dengan pelbagai saluran lain seperti DuitNow Online Banking , kad kredit serta kad debit, aplikasi mudah alih dan eWallet.
Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak 14.3 juta ringgit bagi kerja-kerja pembinaan, pengubahsuaian dan menaik taraf kompleks pentadbiran serta kuarters kediaman anggota kerajaan di seluruh Negeri. Ini adalah usaha kita untuk memastikan bahawa perkhidmatan awam dapat berfungsi dengan lancar dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Bagi menghadapi risiko bencana yang mungkin berlaku, Kerajaan Negeri juga menetapkan peruntukan Luar Jangka sebanyak 500 ribu ringgit pada tahun 2025 ini.
Sektor Infrastruktur. Infrastruktur dan kemudahan awam adalah asas penting dalam memastikan kejayaan setiap pembangunan di dapat dilaksanakan. Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 22.16 juta ringgit untuk sektor pembangunan Infrastruktur yang merangkumi pelbagai inisiatif bagi memperkukuh kemudahan dan aksesibiliti di seluruh negeri. Sebanyak 9.0 juta ringgit akan digunakan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, membina jajaran baru di luar bandar serta menggantikan jambatan yang terjejas.
Kerajaan Negeri turut memberikan tumpuan kepada masalah banjir kilat yang kerap kali berlaku dalam ketidaktentuan cuaca semasa. Untuk itu, kerajaan memperuntukkan 10.65 juta ringgit untuk melaksanakan program Rancangan Tebatan Banjir, Pengurusan dan Penyelenggaraan Sungai serta Pengurusan Saliran di Zon Pantai di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti. Bagi menggalakkan lagi pembangunan Industri Kecil Sederhana (IKS) sebanyak 1.0 juta diperuntukkan bagi kerja menaik taraf dan menyelenggara kawasan perusahaan di Seremban, Port Dickson, Jelebu dan Tampin. Kerajaan juga memperuntukkan 510 ribu ringgit untuk projek-projek kecil melibatkan kerja-kerja menaik taraf kemudahan sukan, prasarana awam dan dataran usahawan yang memberikan impak langsung kepada komuniti.
Sektor pembangunan Pertanian terus menjadi fokus utama dalam belanjawan tahun hadapan, kerana kita berhasrat menjadikan Negeri Sembilan ini sebagai salah satu pengeluar makanan utama dan pusat industri hiliran. Ini adalah langkah penting dalam mengurangkan defisit imbangan perdagangan bahan makanan negara, sekaligus memastikan kestabilan bekalan makanan untuk rakyat. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan 14.6 juta ringgit untuk sektor Pertanian dan Penternakan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11.0
juta ringgit akan disalurkan untuk program jaminan bekalan makanan, yang meliputi peningkatan hasil sayuran dan buah-buahan, penyediaan input pertanian, mekanisasi, automasi pertanian, serta pengembangan teknologi pertanian melalui Internet of Things (IOT).
Selain itu, sebanyak 3.6 juta ringgit akan diperuntukkan untuk sektor pembangunan penternakan, dengan tumpuan khusus diberikan kepada komoditi ruminan besar dan kecil, perkhidmatan kesihatan veterinar, serta projek-projek lain yang berkaitan dengan pembangunan penternakan.
Sektor pelancongan merupakan salah satu penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Pada tahun hadapan, sebanyak 8.35 juta ringgit diperuntukkan untuk sektor Pelancongan, dan 5.23 juta ringgit daripadanya disalurkan untuk kerja penyelenggaraan fasiliti dan kemudahan pelancongan, restorasi dan menaik taraf bangunan serta rumah warisan Negeri Sembilan. Antara projek utama yang akan diberikan tumpuan adalah kerja-kerja menaik taraf infrastruktur kemudahan awam di Taman Eko-Rimba Batu Maloi, Taman Eko-Rimba Serting Ulu, Taman Eko-Rimba Jeram Tengkek, serta Taman Eko-Rimba Lenggeng. Selain itu, sebanyak 1.27 juta ringgit diperuntukkan bagi penyelenggaraan produk pelancongan bersejarah seperti Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti, Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas dan Kota Lukut di Port Dickson.
Pada tahun 2025 ini, sebanyak 6.2 juta ringgit akan diperuntukkan untuk komitmen 2 projek sambungan iaitu pembinaan masjid di Taman Warisan Puteri dan Bandar Tasik Senangin, serta pembinaan Pejabat Agama Daerah (PAID) Port Dickson. Kerajaan akan meneruskan lagi projek pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur Sekolah Tinggi Agama (STAM) Maahad Ahmadi di Gemencheh dengan peruntukan tambahan sebanyak 1.5 juta ringgit. Untuk rekod, sejak 2019 hingga 2014, sebanyak 14.9 juta ringgit telah diperuntukkan untuk pelbagai program pembangunan infrastruktur STAM Maahad Ahmadi melibatkan pembinaan blok asrama 2 tingkat lelaki dan perempuan, dewan makan, blok surau dan lain-lain.
Yang Berhormat Yang Dipertua, Penjawat awam ibarat bidalan “rimbun daun tempat berteduh, rimbun pokok tempat bernaung, besar banir tempat berlindung, besar batang tempat bersandar, lebar daun buat membungkus, tingginya pohon jadi pedoman”. Sejak tahun 2019, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Pinjaman Kenderaan Tanpa Faedah dan Skim Pinjaman Komputer Tanpa Faedah. Sehingga November 2024 sebanyak 758 orang penjawat awam telah diberikan kelulusan pinjaman kenderaan dan komputer tanpa faedah dengan
jumlah kelulusan 16.57 juta ringgit. Atas rasa kasih sayang dan prihatin kepada pengorbanan penjawat awam, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak 1.0 juta ringgit bagi Skim Pinjaman Kenderaan Tanpa Faedah dan 50 ribu ringgit bagi Pinjaman Komputer Tanpa Faedah pada tahun 2025. Dalam ruang masa yang ada ini, saya masih banyak, dalam masa, dalam ruang masa yang ada ini, saya yakin masih banyak langkah penambahbaikan yang boleh kita lakukan supaya Perkhidmatan Awam Negeri Sembilan dipandang tinggi oleh orang ramai yang datang berurusan. Penjawat awam hendaklah meletakkan rasa empati yang tinggi dalam melaksanakan tugas seharian. Letaklah diri kita dalam situasi pelanggan, hormati, layani, santunilah mereka dengan penuh ikhlas, adil dan saksama mengikut lunas-lunas peraturan yang ditetapkan.
Hati bersih fikiran jernih Bergaul tidak memilih kasih Memegang yang hak pantang beralih Melaksanakan tugas berpenat letih
Jadikanlah tagline Bersih, Muafakat Sejahtera sebagai pedoman dan panduan semasa menjalankan tugas. Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh penjawat awam negeri ini. Pengiktirafan demi pengiktirafan yang diterima di peringkat nasional, membuktikan tadbir urus dan tatakelola perkhidmatan awam negeri ini berada pada tanda aras yang tinggi dan sering dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain.
Kejayaan kita mengubah daripada belanjawan defisit kepada surplus untuk 2 tahun berturut-turut, menjadi bukti kukuh bahawa tidak ada yang mustahil untuk dicapai sekiranya disokong dengan iltizam dan tekad jitu oleh semua penjawat awam. Keberanian mengubah paradigma dan mencabar status quo kepada satu tansformasi yang lebih pragmatik, membolehkan kutipan hasil yang tinggi sebanyak 541.0 juta ringgit pada tahun 2023. Sekaligus mengubah belanjawan daripada satu jurang defisit yang besar iaitu 108.0 juta kepada surplus 4.9 juta. Kejayaan ini turut mendapat pengiktirafan daripada Ketua Audit Negara sebagaimana para 4.5.4.2 Laporan Ketua Audit Negara 2023 yang memuji langkah Kerajaan Negeri melaksanakan transformasi dalam proses kelulusan Kebenaran Merancang dan pengubahsuaian zon dalam masa yang singkat.
Saya juga mengucapkan, merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Pejabat Pemungut Hasil yang telah melaksanakan tugas dengan penuh integriti, berdedikasi dan cemerlang sehingga
membolehkan kedudukan rizab Kerajaan Negeri pada satu kedudukan yang kukuh iaitu 726 juta ringgit sehingga 21 November 2024. Kutipan hasil sehingga tarikh yang sama telah mencapai 505 juta ringgit ataupun 97%. Berdasarkan unjuran semasa, kita optimis, kutipan hasil negeri akan berjaya mengatasi kutipan hasil tahun 2023, malah berkemungkinan mencipta rekod kutipan hasil tertinggi dalam sejarah perkhidmatan, Pentadbiran Negeri Sembilan, Insya Allah.
Sudah menjadi adat orang Melayu, “Kok singkat ulas mengulas, kok kurang tambah menambah, kok sempit lapang melapangi, kok dalam air sama-samo kita beronang, kok cetek air samo-samo kito bercebok”. Menghargai dan menginsafi pengorbanan dan kesungguhan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, sukacita saya umumkan Bantuan Khas Kewangan (BKKK). Penghargaan ini akan dipanjangkan kepada semua penjawat awam Negeri Sembilan, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan, 6,613 orang semuanya akan dibayar pada bulan Januari dan sebelum Aidilfitri. 2 kali bayaran, Januari dan sebelum Aidilfitri pada bulan Mac 2025. Bantuan BKK sebanyak 2 bulan gaji kepada semua penjawat awam yang berada dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mencadangkan “bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 ini sekarang dibacakan bagi kali kedua”. Sekian, terima kasih.
Dato’ Yang Dipertua, bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT. Salam Negeri Sembilan Bersih, Muafakat dan Sejahtera. Ambil nafas sikit. Dato’ Yang Dipertua, Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan yang telah dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat sebentar tadi. Saya ingin mengambil kesempatan awal ini sebelum saya meneruskan titip kata sokongan, saya ingin merakamkan ucapan syukur ke hadrat Allah SWT, dan ucapan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Menteri Besar Negeri Sembilan di atas pembentangan belanjawan yang dikemukakan sebentar tadi.
Alhamdulillah, belanjawan yang dibentangkan secara dasarnya adalah satu belanjawan yang menyeluruh, merangkumi semua kelompok masyarakat yang berbeza latar belakang dan kehendak, tetapi dalam masa yang sama tidak meninggalkan agenda untuk memacu kemajuan Negeri Sembilan ke satu tahap yang lebih baik. Pembentangan Belanjawan 2025 berjumlah RM590 juta ringgit pada hari ini adalah merupakan belanjawan yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Negeri Sembilan, dan Belanjawan Kedua daripada Kerajaan Perpaduan hasil
gabungan daripada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Sudah semestinya belanjawan yang dibentangkan pada hari ini telah mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat tanpa mengambil kira latar belakang ekonomi, kaum dan bangsa.
Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar pada hari ini, sudah semestinya belanjawan yang dibentangkan sebentar tadi adalah merupakan Belanjawan yang ditunggu-tunggu oleh penjawat awam, apatah lagi oleh rakyat di Negeri Sembilan ini. Kita dapat lihat, pelbagai inisiatif yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebentar tadi pastinya memberikan kegembiraan kepada seluruh rakyat di Negeri Sembilan. Tahniah saya ucapkan kepada penjawat awam di seluruh Negeri Sembilan yang bakal menerima bonus sebanyak yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Dan saya mengharapkan pemberian BKK dan bonus ini yang diumumkan itu bakal menjadi satu suntikan semangat untuk bekerja dan berkhidmat kepada rakyat di Negeri Sembilan dengan lebih baik lagi. Saya juga yakin dan percaya, seluruh Anggota Pentadbiran Negeri Sembilan akan menzahirkan komitmen yang terbaik dalam merealisasikan belanjawan ini, dan memastikan tidak ada rakyat Negeri Sembilan yang tercicir daripada menerima manfaat.
Dato’ Yang Dipertua, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai-pegawai kerajaan, penjawat awam, serta semua barisan pemimpin-pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi insya-Allah akan memainkan peranan penting, dan memainkan peranan masing-masing sebaik mungkin di dalam kita merealisasikan Agenda Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan. Kunci utama kepada keberjayaan ini adalah sudah semestinya sebuah Kerajaan Negeri yang kukuh dan stabil, bertoleransi, dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Matlamat kita semua sama Dato’ Yang Dipertua, untuk memastikan ekonomi negeri berkembang dengan baik, poket rakyat sentiasa berisi, dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat akan sentiasa terbela.
Dato’ Yang Dipertua, orang lama-lama ada mengatakan “Pandangan tidak sesaujana, fikiran tidak sekali datang”. Oleh itu, Dewan yang mulia ini harus kita jadikan sebagai satu platform percambahan idea, penambahbaikan dan bagaimana boleh kita laksanakan segala inisiatif dan dasar yang ada di dalam belanjawan dengan sebaik mungkin. Tentunya perbahasan Ahli Dewan akan membawa justifikasi pemikiran rakyat bagi Kerajaan Negeri di dalam melaksanakan Belanjawan Madani ini. “Alang-alang kita berdayung, alang-alang kita berdayung, biar sampai ke Pulau Sembilan, alang-alang kita bergabung, biar berhabis untuk rakyat Negeri Sembilan”.
Saya berharap, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri tidak kira daripada blok kerajaan, termasuk daripada blok, blok pembangkang, dapat membahaskan belanjawan ini dengan baik, berilmiah, bersopan santun dan fokus kepada kepentingan rakyat dan kesejahteraan negeri. Oleh yang demikian, saya melihat tidak ada sebab untuk belanjawan ini tidak mendapat sokongan penuh daripada seluruh Ahli Dewan yang mulia ini, insya-Allah. Akhir kata, Dato’ Yang Dipertua, saya menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, 2024 dan Usul Anggaran Belanjawan Pembangunan Negeri Sembilan bagi tahun 2025 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat sebentar tadi. Terima kasih.
Penangguhan MesyuaratAdjournment
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, 2024 telah dicadang untuk dibacakan bagi kali yang kedua. Kita juga telah bersetuju untuk membahaskan Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2025 bersekali dengan Rang Undang-Undang ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekarang, sekalian, sebentar lagi saya akan menangguhkan mesyuarat Dewan. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian juga, teks pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2025 boleh diperolehi dari portal rasmi Pejabat Kewangan Negeri, Negeri Sembilan.
Sesi perbahasan Rang Undang-Undang dan usul ini akan dibukakan pada, dibuka pada hari Isnin; 25 November 2024 bersamaan 23 Jamadil Akhir 1446 Hijrah. Mesyuarat Dewan ditangguhkan.
[Persidangan ditangguhkan pada jam 4.45 petang]