Negeri Sembilan · 5 December 2025

15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting (Budget) · 29 turns · 11,328 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalNegeri Sembilan publishes one PDF per meeting, naming speakers by seat. The 15th Assembly was dissolved on 5 Jun 2026; the 16th (elected 1 Aug 2026) has published nothing yet. Written answers are not published.

Bacaan Doa

Setiausaha Dewan

Perkara Pertama, Bacaan Doa.

[Setiausaha Dewan telah membacakan doa di bawah Peraturan IX, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri]

Perutusan Yang Dipertua Dewan

Setiausaha Dewan

Perkara Kedua, Perutusan Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua Dewan.

Yang Dipertua Dewan

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuhi wabarakatuh dan salam Sejahtera. Alhamdulillahhirabbil'alamin wassolatu wassalamu'ala asrofil ambiya iwalmursalin wa'ala alihi wasohbihi ajma'in. Rodhitu billahi robba, wabil islami diina, wabimuhammadin nabiyya warosuula.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Pencipta Alam, salam dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W. ahli keluarga dan para sahabat Baginda. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Haji Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan. Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan hadirin yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang ke sidang Mesyuarat bagi Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15. Hari ini, 5 Disember 2025 merupakan hari pertama persidangan.

Sebagaimana maklum, agenda utama kita pada hari ini adalah untuk mendengar Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2026 yang akan disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan sebentar lagi. Sesi perbahasan akan dimulakan pada hari Isnin 8 Disember 2025 bagi memberi ruang dan peluang kepada semua ADUN untuk membaca dan menelaah pembentangan tersebut. Saya amat berharap semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat mengambil bahagian di dalam perbahasan Belanjawan yang akan bermula pada hari Isnin depan.

Adalah diharapkan semua Ahli Yang Berhormat dapat memberikan perbahasan yang komprehensif bagi memastikan urus tadbir Negeri Sembilan berjalan dengan baik dan lancar.

Hadirin sekalian, di sini saya juga ingin memaklumkan berkenaan ketidakhadiran Yang Berhormat ADUN Rantau tidak dapat hadir pada hari ini, 5 Disember 2025 kerana perlu mewakili Malaysia di satu sesi mesyuarat tergempar Commonwealth Ministerial Action Group (CMAG), Persatuan Negara-Negara Komanwel. Manakala Yang Berhormat ADUN Seri Menanti pula tidak dapat hadir pada 5, 8 dan 9 Disember kerana menghadiri Majlis Konvokesyen di Royal College London.

Seterusnya, Dewan ini mengalu-alukan kedatangan Yang Berhormat Senator Dr. Jufitri Bin Joha, Ahli Dewan Negara yang turut hadir bersama-sama dengan kita pada hari ini. Adalah diharapkan dengan kehadiran Yang Berhormat Senator dapat menyampaikan input-input yang berkaitan dengan kepentingan Negeri Sembilan kepada Dewan Negara.

Hadirin sekalian, Dewan ini merakamkan ucapan takziah yang setulus-tulusnya kepada keluarga Allahyarham Dato’ Sri Bung Moktar, Ahli Parlimen Kinabatangan atas pemergian beliau. Pada yang beragama Islam, marilah sama-sama kita menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham, bagi yang bukan beragama Islam, mohon kita bertafakur sebentar sebagai tanda penghormatan dan solidariti. Semoga keluarga Allahyarham diberi kekuatan dan ketabahan di dalam menghadapi waktu yang sukar ini. (Al-Fatihah)

Seterusnya, sebagaimana biasa, saya ingin menyeru kepada semua hadirin agar sentiasa mematuhi Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan serta tata kelakuan dan etika sebagai Ahli Yang Berhormat sepanjang persidangan. Sekali lagi saya mohon kerjasama semua hadirin untuk memastikan persidangan kali ini berjalan dengan lancar dan sempurna.

Sekian, terima kasih. Selamat Bersidang.

Mengesahkan Peringatan Mesyuarat

Setiausaha Dewan

Perkara Ketiga, mengesahkan Peringatan Mesyuarat. Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Kali Kedua, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 yang telah diadakan pada 4 dan 5 Ogos 2025.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Peringatan Mesyuarat Kali Kedua, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 yang telah diadakan pada 4 dan 5 Ogos 2025 telah pun diedarkan salinannya. Oleh itu ada apa-apa teguran? Sekiranya tiada, diharap seorang ahli mencadang dan seorang ahli menyokong supaya disahkan.

Aminuddin Bin HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon izin mencadangkan supaya Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan itu.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju Peringatan Mesyuarat disahkan, sila angkat tangan. Yang berkecuali? Yang tidak bersetuju? Peringatan Mesyuarat ini disahkan sebulat suara tanpa pindaan.

[Keputusan undian: Semua 34 orang ahli Yang Berhormat yang hadir bersetuju.]

[Peringatan Mesyuarat Kali Kedua, Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 yang telah diadakan pada 4 dan 5 Ogos 2025 disahkan tanpa pindaan dan YB Yang Dipertua Dewan menandatangani Peringatan Mesyuarat tersebut]

Membentangkan Kertas Dewan

Setiausaha Dewan

Perkara keempat, Membentangkan Kertas Dewan. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Aminuddin Bin HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua saya mohon izin membentangkan Kertas Dewan yang ada di hadapan ahli-ahli Yang Berhormat sekalian iaitu pertama:

4.1 Kertas Dewan Bil.4/2025 Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Hasil Tahun 2026.

4.2 Kertas Dewan Bil.5/2025 Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Belanja Mengurus Tahun 2026.

4.3 Kertas Dewan Bil.6/2025 Memorandum Daripada Pihak Berkuasa Kewangan Negeri Mengenai Anggaran Belanja Pembangunan Tahun 2026 dan Penetapan Siling Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK Ke-13). Terima kasih Dato’ Yang Dipertua.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kertas Dewan Bilangan 4 hingga Bilangan 6 Tahun 2025 adalah dibentangkan.

Membentangkan Laporan Dan Penyata Kewangan

Setiausaha Dewan

Perkara kelima, Membentangkan Laporan Dan Penyata Kewangan. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Aminuddin Bin HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun membentangkan laporan berikut :

5.1 Laporan Ketua Audit Negara Bil. 3/2025 – Negeri Sembilan 5.1.1 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2024. 5.1.2 Penyata Kewangan Agensi Negeri Sembilan Tahun 2023.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Laporan seperti yang telah dibacakan tajuknya oleh Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat adalah dibentangkan.

Usul — Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2026Motion

Setiausaha Dewan

Perkara keenam, Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2026. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Aminuddin Bin HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun mengemukakan Usul “Bahawa Mengikut Ceraian 3 Seksyen 4, di dalam Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, Dewan ini mengambil ketetapan bersetuju perbelanjaan yang dicadangkan sebanyak Ringgit Malaysia 150 juta dengan maksud dan butiran Projek dalam Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2026, seperti yang dibentangkan dalam kertas Dewan Bil. 6 Tahun 2025 adalah diluluskan dan diperolehi untuk tujuan yang ditentukan Sahaja”.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya menyokong usul tersebut.

Aminuddin Bin HarunPKR · PHMenteri Besar · Sikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, memandangkan Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2026 ada kaitan dengan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025, maka saya mencadangkan supaya Usul ini dibincang dan dibahaskan bersekali dengan Rang Undang-Undang tersebut.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya menyokong usul tersebut.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat telah mencadangkan agar Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2026 dibincang dan dibahaskan bersekali dengan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025, dan telah mendapat sokongan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan cadangan ini sila angkat tangan. Yang tidak bersetuju? Yang berkecuali? Cadangan ini diluluskan. Kita terus kepada perkara berikutnya.

[Keputusan undian: Semua 34 orang ahli Yang Berhormat yang hadir bersetuju.]

Rang Undang-Undang Pertama — Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025Bill

Setiausaha Dewan

Perkara ketujuh, Rang Undang-Undang yang pertama. Dipersilakan Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat.

Aminuddin Bin HarunPKR · PHSikamat

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun mencadangkan supaya, Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk membolehkan kegunaan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perbelanjaan bagi pengurusan tahun 2026 dibacakan bagi kali pertama.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya bangun menyokong cadangan tersebut.

Yang Dipertua Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Undang-Undang ini dibacakan bagi kali pertama.

Setiausaha Dewan

Satu Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2026 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.

Aminuddin Bin HarunPKR · PHSikamat

Bismillahirrahmanirrahim, Yang Berhormat Dato’ Yang DiPertua, sebelum saya mencadangkan supaya Rang Undang-undang ini dibacakan bagi kali yang kedua, izinkan saya membuat pembentangan.

Bismillahirahmanirrahim.. [melafazkan bacaan ayat 25-28 Surah Taha dan Selawat Ibrahimiyyah.

Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat, Ayat 13 [ melafazkan bacaan ayat 13 Surah Al- Hujurat]

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Alhamdulillah, Negeri Sembilan merupakan Negeri yang unik dan istimewa kerana terkenal dengan semangat muafakat dan toleransi yang menjadi teras kepada kesejahteraan rakyatnya sejak dahulu lagi. Walaupun masyarakat Negeri ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, keturunan dan agama, namun hidup bersatu padu dalam suasana aman dan saling hormat menghormati. Kepelbagaian ini bukanlah suatu perbezaan yang memisahkan, tetapi merupakan kekuatan yang menyatukan, dalam semangat perpaduan dan kasih sayang.

Jika diperhatikan dalam kalangan Anggota Pentadbiran Negeri sendiri, kepelbagaian kaum menjadi simbol kekuatan dan kematangan politik Negeri Sembilan, di mana kami sentiasa berganding bahu, turun padang bersama-sama meninjau ke segenap pelusuk daerah dan ceruk kampung, menyantuni, memahami, menghayati dan memenuhi keperluan rakyat. Kami telah sedaya upaya berusaha, supaya tidak ada seorang pun dalam kalangan rakyat Negeri ini, yang tertinggal daripada mengecapi manfaat dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Setiap keperluan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Inilah cerminan sebenar semangat Negeri Sembilan dan MADANI, yang menjadikan perpaduan dan kasih sayang sebagai asas membina Negeri yang makmur, stabil dan berdaya tahan.

Seyogia, saya menyeru kepada semua, marilah kita sebar luas semangat keharmonian ini, dengan terus saling mengambil berat, tolong menolong dan berkasih sayang, sebagaimana kehidupan pasangan suami isteri yang bahagia, supaya kemakmuran ini, akan terus dapat dikecapi oleh generasi kita yang akan datang sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Maidah, Ayat 2 [ melafazkan bacaan ayat 2 Surah Al- Maidah]

Ertinya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya.”

Mutakhir ini, peringkat global termasuk Asia Tenggara menyaksikan beberapa cabaran. Sebagai contoh, banjir besar di Vietnam dan Filipina serta Hat Yai, Selatan Thailand yang menyebabkan banyak kawasan dinaiki air. Sekitar 4,000 rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Hat Yai dan kawasan sekitar. Alhamdulillah, keadaan di Malaysia walaupun turut berlaku banjir di beberapa tempat, masih aman, selamat dan terkawal. Selain daripada itu, Malaysia sebagai sebuah Negara yang terlibat aktif di peringkat antarabangsa, tidak terkecuali terpalit sama dengan isu-isu global termasuk pengenaan tarif 19 peratus oleh Amerika Syarikat ke atas barangan import Negara.

Namun, dalam menghadapi ketidakpastian ekonomi global, ekonomi Malaysia pada tahun 2025 dijangka terus berkembang pada kadar yang kukuh, antara 4.0 hingga 4.8 peratus didorong oleh peningkatan permintaan

dalam Negeri dan luar Negara. Pertumbuhan ini antara lain dipacu oleh prestasi positif dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa berjumlah 1.93 trilion ringgit dan 1.65 trilion ringgit pada harga malar, manakala KDNK per kapita meningkat kepada 56,734 ringgit. Peningkatan ini menunjukkan daya tahan ekonomi Negara serta kemajuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat. KDNK Malaysia bagi tahun 2026 dijangka berkembang antara 4.0 hingga 4.5 peratus.

Pasaran buruh Malaysia pada suku pertama 2025 kekal stabil dengan bilangan tenaga buruh meningkat kepada 17.2 juta orang berbanding 17.1 juta orang pada suku akhir tahun 2024. Kadar Penyertaan Tenaga Buruh naik kepada 70.7 peratus berbanding 70.6 peratus pada suku akhir tahun 2024, yang menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia aktif dalam pasaran buruh.

Kadar pengangguran Negara pada suku ketiga tahun 2025 berada pada 3.0 peratus berbanding 3.2 peratus pada suku ketiga 2024, yang mencerminkan keupayaan ekonomi Negara dalam mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas.

Yang Berhormat Dato’ Yang DiPertua,

Ekonomi Negeri Sembilan pada tahun 2025 dijangka terus berkembang secara positif, sejajar dengan pemulihan ekonomi Negara dan peningkatan aktiviti pelaburan domestik serta asing. KDNK diunjurkan berkembang antara 4 hingga 5 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaksanaan projek strategik di bawah Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021–2025, serta peningkatan pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Eksport Negeri Sembilan pula dijangka terus meningkat, terutama bagi produk elektrikal dan elektronik (E&E), komponen automotif dan minyak sawit yang kekal mendapat permintaan tinggi di pasaran antarabangsa. Import pula berkembang seiring dengan peningkatan aktiviti pengeluaran dan pelaburan industri dalam Negeri.

Secara keseluruhannya, prospek ekonomi Negeri Sembilan bagi tahun 2025 kekal kukuh dan stabil, dengan pertumbuhan disokong oleh asas ekonomi domestik yang mampan, pelaburan strategik, serta pelaksanaan dasar yang inklusif dan mampan di bawah RPNS 2021– 2025. Manakala pada tahun 2026, ekonomi Negeri dijangka berkembang antara 3.7 hingga 4.0 peratus sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi Negara sekitar 4.0 hingga 4.5 peratus.

Kadar pengangguran Negeri Sembilan menurun kepada 2.9 peratus pada suku kedua 2025, lebih rendah berbanding purata nasional iaitu 3.1 peratus. Ia mencerminkan keadaan pasaran buruh yang berdaya tahan. Penurunan ini juga membuktikan keberkesanan program kebolehpasaran pekerjaan, dan inisiatif penempatan semula tenaga kerja termasuk pelaksanaan latihan semula (reskilling), dan peningkatan kemahiran (upskilling) melalui agensi Negeri dan Persekutuan.

Alhamdulillah, pada bulan Februari 2025, Kementerian Ekonomi melaporkan bahawa Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Melaka dan Perlis telah berjaya menghapuskan miskin tegar. Sehingga 15 Oktober 2025, Negeri Sembilan kekal mencapai status sifar miskin tegar berdasarkan nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan Negeri Sembilan pada tahun 2022, iaitu 2,402 ringgit sebulan. Walau bagaimanapun, fokus berterusan perlu diberikan kepada seramai 2,969 orang Ketua Isi Rumah mudah miskin tegar berstatus produktif, khususnya isi rumah dengan pendapatan per kapita sekitar 500 ringgit yang masih memerlukan intervensi strategik bagi memastikan mereka terus keluar daripada risiko kemiskinan dan kekal berdikari.

Pencapaian ini menggambarkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sembilan, hasil sinergi dan usaha bersepadu penjawat awam Negeri dan Persekutuan, dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan, bagi memastikan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan menyantuni rakyat secara inklusif dan berfokus, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Kadar penyertaan tenaga buruh pada suku kedua tahun 2025 pula meningkat kepada 67.3 peratus dan bilangan guna tenaga mencapai 566,300 orang, meningkat berbanding tahun 2024. Pertumbuhan ini menunjukkan keberkesanan inisiatif pembangunan modal insan dan keupayaan sektor industri tempatan menyerap tenaga kerja baharu.

Pada suku kedua tahun 2025, kadar inflasi Negeri Sembilan kekal rendah sekitar 1.7 peratus, menggambarkan kestabilan harga pengguna yang dipacu oleh pemulihan permintaan domestik, peningkatan pelaburan, keadaan pasaran buruh yang kukuh, serta dasar yang menyokong kuasa beli isi rumah dan kestabilan pasaran.

Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK Negeri, dipacu oleh aktiviti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, serta perkhidmatan Kerajaan Negeri. Sektor pembuatan juga menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, khususnya dalam subsektor E&E, automotif serta produk berasaskan sumber. Kawasan

perindustrian utama seperti Senawang, Bandar Sri Sendayan, Nilai dan Sungai Gadut terus menarik pelaburan baharu, sekali gus memperkukuh asas industri Negeri.

Kerajaan Negeri juga giat memperkukuh ekonomi melalui peningkatan pelaburan strategik. Pada tahun 2024, Negeri ini merekodkan jumlah pelaburan swasta sebanyak 7.2 bilion ringgit. Sementara itu, sehingga suku ketiga tahun 2025, Negeri Sembilan telah mencatatkan nilai pelaburan berjumlah 6.2 bilion ringgit.

Dalam perkembangan yang sama, Projek F&N di Gemas, Tampin telah beroperasi pada suku pertama tahun 2025. Fasa 1 dianggarkan menyumbang 300 peluang pekerjaan baharu. Apabila keseluruhan fasiliti beroperasi sepenuhnya, kapasiti guna tenaga dijangka meningkat kepada 600 peluang pekerjaan, sekali gus memberi impak positif terhadap pasaran buruh tempatan.

Negeri Sembilan dijangka mampu meningkatkan kemasukan pelaburan bernilai 8 bilion ringgit pada tahun 2026, mencerminkan pertumbuhan berterusan dan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Negeri.

Seiring dengan kemajuan ekonomi, Negeri Sembilan menumpukan usaha untuk rakyat ‘Tinggal, Bekerja dan beriadah’ di Negeri Sembilan. Usaha ini disokong dengan pembangunan kawasan perindustrian baharu yang tertumpu dalam wilayah Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) iaitu di daerah Seremban dan Port Dickson dengan keluasan sebanyak 8,593 ekar yang berpotensi menarik lebih banyak pelaburan.

Selain itu, projek MVV 2.0 turut menjadi pemacu utama pelaburan, dengan tumpuan kepada sektor perkilangan, teknologi hijau, aeroangkasa, logistik dan bandar pintar. Inisiatif ini akan menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab ekonomi berteknologi tinggi, meningkatkan daya tarikan pelabur serta menyumbang kepada transformasi Negeri ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Kerajaan Negeri juga melaksanakan Peraturan Tangkas (atau pun Fast Lane) sebagai langkah strategik bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan, pengeluaran Perakuan Siap dan Pematuhan, dan lesen pengoperasian. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh tadbir urus penyampaian perkhidmatan, serta mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses pembangunan. Melalui pelaksanaan mekanisme Fast Lane, permohonan yang memenuhi kriteria ditetapkan akan diproses dalam tempoh yang lebih singkat melalui penyelarasan antara agensi teknikal dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Secara keseluruhannya, pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan dan pelaburan strategik ini menjadikan Negeri Sembilan sebagai Negeri pilihan untuk didiami dengan selamat dan selesa, selain menawarkan peluang pekerjaan yang lebih luas dan juga menyediakan persekitaran yang selamat sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri ke arah Negeri Makmur, Rakyat Sejahtera, sepertimana Pelan Pengurusan Kewangan MADANI iaitu :

[melafazkan bacaan ayat 15 Surah Saba] “(Negeri kamu ini adalah) Negeri yang baik (aman dan makmur, dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun”

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua,

Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan terus mengekalkan rekod pencapaian yang cemerlang dari segi kutipan hasil, perbelanjaan, rizab Negeri mahupun tatakelola. Pada tahun 2024, kita telah mencatatkan kutipan hasil yang terbaik di mana sebanyak 636.17 juta ringgit telah dikutip atau 122.34 peratus berbanding sasaran 520 juta ringgit. Ia sekaligus mengubah defisit 35 juta ringgit kepada surplus 83.07 juta ringgit. Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut (sejak tahun 2022), kita berjaya mengubah belanjawan Negeri daripada defisit kepada surplus.

Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2024 juga telah dibentangkan di Parlimen yang menyaksikan Ketua Audit Negara telah memberikan pengiktirafan Sijil Bersih Tanpa Teguran Dengan Perenggan Hal-Hal Lain. Kecemerlangan ini bukan yang pertama kali, sebaliknya Kerajaan Negeri telah berjaya mencipta legasi yang konsisten dengan memperolehi Sijil Audit Bersih Tanpa Teguran selama tujuh (7) tahun berturut-turut semenjak tahun 2017 lagi. Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri yang telah membuktikan profesionalisme dan dedikasi yang luar biasa dalam memastikan pengurusan kewangan dan perakaunan Kerajaan Negeri sentiasa cemerlang dan berintegriti.

Sehingga 5 Disember 2025 jam 12.00 tengah hari, jumlah kutipan hasil Negeri adalah sebanyak 655.8 juta ringgit atau 111 peratus daripada sasaran 590 juta ringgit. Kutipan Hasil Cukai adalah sebanyak 156.66 juta ringgit atau 98.31 peratus, Hasil Bukan Cukai sebanyak 434 juta ringgit atau 119 peratus dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak 65.22 juta ringgit atau 98.69 peratus. Pencapaian ini mengatasi rekod pencapaian keseluruhan bagi tahun 2024 dan ini merupakan rekod tertinggi dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan setakat ini.

Justeru, saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Pejabat Pemungut Hasil serta Pejabat Kewangan dan

Perbendaharaan Negeri atas kejayaan melaksanakan tugas dengan penuh integriti, dedikasi dan cemerlang.

Penyediaan Belanjawan Tahun 2026 ini menggunakan pendekatan berpandukan kepada Pelan Pengurusan Kewangan MADANI 2025-2030, di mana menerusi pelan ini, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk mencapai hasil 1 bilion ringgit pada tahun 2030. Pelaksanaan dan penghayatan nilai-nilai teras kewangan MADANI iaitu al-Qawiyyul Amiin (kuat dan amanah) dan al-Hafizul ‘Alim (berilmu dan bijaksana), akan terus diterapkan kepada seluruh Anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri ini. Saya cukup optimis, dengan semangat, kesungguhan dan sinergi yang ditunjukkan oleh semua, sasaran hasil 1 bilion ringgit tersebut dapat dicapai lebih awal lagi. Insya Allah.

Firman Allah dalam Surah Al-Furqan, ayat 67:[melafazkan bacaan ayat 67 Surah Al Furqan]

Ertinya: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.”

Ayat inilah yang menjadi inspirasi utama pengurusan kewangan Negeri ‘dari rakyat untuk rakyat’. Lafaz qawama menurut ulama’ tafsir seperti Ibnu Kathir, al-Tabari, al-Qurtubi dan al-Alusi adalah perbelanjaan yang seimbang, mengikut keperluan sebenar dan adil, tidak berlebih-lebihan serta cermat. Berdasarkan ayat ini ada lima (5) nilai kerja yang boleh kita cermati:

1. Keseimbangan (Balance);

2. Keutamaan (Priority);

3. Ketelusan (Transparency);

4. Akauntabiliti (Accountability); dan

5. Integriti (Integrity).

‘Dari rakyat untuk rakyat’ adalah perbelanjaan yang tidak israf (boros/ membazir) يُْسْ لَمْ , tidak pula qatr (bakhil/ kedekut) وا تُُ يَقْ لَمْ وَ , tetapi adalah ِفُوا perbelanjaan yang seimbang dan berhemah ا امً قَوَ .

Pengurusan kewangan yang baik juga telah dibuktikan oleh Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan melalui pengurusan MARRIS. Sejak tahun 2019 hingga kini, sepanjang 8,016.49 kilometer daripada keseluruhan 10,165.31 kilometer jalan yang ada di Negeri Sembilan telah diselenggara termasuk

jalan luar bandar, jalan perbandaran dan kawasan perindustrian. Sebanyak 170 buah jambatan telah dibaiki dengan kos 78.51 juta ringgit. Manakala 244 juta ringgit telah dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih cerun. Sistem perparitan dan longkang turut menjadi salah satu keutamaan dalam penyelenggaraan MARRIS, di mana sebanyak 388 juta ringgit dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan tersebut. Untuk rekod, bagi tempoh 2019 hingga Oktober 2025, sebanyak 1.46 bilion ringgit telah dibelanjakan bagi pelbagai kerja penyelenggaraan jalan Negeri.

Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri serta JKR Negeri Sembilan telah merangka strategi perbelanjaan peruntukan MARRIS termasuk melaksanakan perolehan kerja secara undian. Ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri dalam memberi peluang pendapatan kepada kontraktor-kontraktor kecil di Negeri Sembilan. Untuk rekod, dalam tempoh 2020 hingga 2025, sebanyak 4,665 projek MARRIS telah diundi dengan jumlah kos projek sebanyak 453 juta ringgit.

Yang Berhormat Dato’ Yang DiPertua,

“Dijadikan sahabat ianya dekat Dijadikan saudara ia percaya Dijadikan umat hidup selamat Memimpin Negeri berlimpah rezeki”

Alhamdulillah, pada hari ini, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan sudah pun berusia 2 tahun, 3 bulan dan 20 hari. Hari demi hari yang dilalui bersama, semakin dirasai keakraban, keserasian dan kasih sayang sesama kami dalam mentadbir Negeri. “Seikat seperti sirih, serumpun seperti serai”. Di kesempatan ini, sukacita saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Exco Kanan, Datuk Seri Haji Jalaluddin bin Haji Alias dan Ahli-ahli Yang Berhormat lain daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, kerana terus memberikan sepenuh komitmen dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, serta telah sama-sama berjuang dalam menjayakan Aspirasi Kerajaan Negeri yang dicintai ini.

Dalam tempoh ini, pelbagai program telah kita jayakan bersama-sama di bawah Aspirasi Perpaduan. Sehingga bulan Oktober 2025, sebanyak 12.98 juta ringgit telah dibelanjakan yang memberi manfaat kepada lebih 56,000 individu dan keluarga di seluruh Negeri Sembilan. Para penerima manfaat daripada program ini termasuk:

1. 48,611 orang warga emas; 2. 5,367 orang ibu tunggal ; 3. 1,832 orang bagi Insentif Perkahwinan Belia;

5. 171 orang bayi dan kanak-kanak bagi caruman one-off Skim Simpanan Pendidikan Nasional; 6. 1,659 orang pelajar sekolah rendah dibantu dengan kelengkapan persekolahan; 7. 1,599 orang pelajar sekolah menengah menerima biasiswa kecemerlangan; dan 8. 2,287 orang siswa-siswi diringankan beban pengajian di peringkat IPT.

Kerajaan Negeri Sembilan akan terus merancang dan melaksanakan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. Dengan berpegang kepada prinsip keadilan sosial dan pengagihan yang saksama, Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam menikmati limpahan kemakmuran dan kesejahteraan Negeri ini.

“Dapat sama laba, Cicir sama rugi, Nan ada sama dimakan, Nan tidak sama dicari.”

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Syukur Alhamdulillah, Negeri Sembilan meningkat maju terutama dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor-sektor yang lain, antara faktor lainnya adalah hasil kerjasama rapat dengan Badan-badan Berkanun Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS), Perbadanan Negeri Sembilan (NS Corporation), Yayasan Negeri Sembilan (YNS) , Majlis Agama Islam (MAINS), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Menteri Besar Negeri Sembilan (Perbadanan) (MBI) serta anak-anak syarikat Kerajaan Negeri. Ada antara Badan-badan Berkanun ini yang mendapat peruntukan daripada Kerajaan Negeri dalam bentuk geran atau pinjaman. Badan Berkanun ini memainkan peranan sebagai pemudah cara dan pelaksana kepada projek-projek serta inisiatif Kerajaan Negeri.

Mengambil kira peningkatan hasil yang positif Badan-badan Berkanun Negeri, saya menetapkan agar agensi ini menyumbang kepada hasil Negeri sebagai timbal balik atas manfaat yang diterima daripada Kerajaan Negeri. tersebut boleh diguna semula bagi tujuan pembangunan Negeri demi kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Belanjawan Tahun 2026 ini merupakan belanjawan ketiga Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan. Kerajaan Negeri meneruskan tekad dan iltizam untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai model sebuah Negeri maju yang bertamadun, didasari oleh ekonomi yang mampan, kehidupan rakyat yang bersatu padu, saling bertoleransi, hormat menghormati dan sejahtera serta bahagia sentosa. Mendasari tekad ini, sukacita saya mengumumkan tema Belanjawan Tahun 2026 iaitu: “BELANJAWAN MADANI, RAKYAT HARMONI”

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Dewan yang mulia, Belanjawan Tahun 2026 dengan peruntukan Anggaran Belanja Mengurus sebanyak 640 juta ringgit berbanding Anggaran Hasil sebanyak 610 juta ringgit. Peruntukan bagi Anggaran Belanja Pembangunan pula adalah sebanyak 150 juta ringgit. Belanjawan Tahun 2026 yang dicadangkan merupakan belanjawan defisit sebanyak 30 juta ringgit.

Pada tahun 2026, Kerajaan Negeri telah menetapkan Anggaran Hasil sebanyak 610 juta ringgit iaitu meningkat sebanyak 20 juta ringgit, atau 3.39 peratus berbanding 590 juta ringgit pada tahun 2025.

Daripada Anggaran Hasil keseluruhan, anggaran Hasil Cukai adalah sebanyak 172.64 juta ringgit iaitu kenaikan sebanyak RM13.29 juta ringgit berbanding 159.35 juta ringgit pada tahun 2025. Hasil Bukan Cukai terus menjadi penyumbang utama dengan anggaran sebanyak 372.6 juta ringgit iaitu peningkatan sebanyak 8.03 juta ringgit berbanding hasil bukan cukai sebanyak 364.57 juta ringgit pada tahun 2025. Terimaan Bukan Hasil dijangka mengalami sedikit penurunan daripada 66.08 juta ringgit pada tahun 2025 kepada 64.76 juta ringgit pada tahun 2026.

Pada tahun 2026, Anggaran Belanja Mengurus diperuntukkan sebanyak 640 juta ringgit. Perbelanjaan tertinggi disediakan bagi maksud emolumen sebanyak 258.31 juta ringgit atau 40.36 peratus. Seterusnya Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap sebanyak 237.55 juta ringgit atau 37.12 peratus, Perkhidmatan dan Bekalan sebanyak 138.31 juta ringgit atau 21.61 peratus, perolehan aset sebanyak 770 ribu ringgit atau 0.12 peratus dan peruntukan perbelanjaan-perbelanjaan Lain sebanyak 5.06 juta ringgit atau 0.79 peratus.

Bagi Kerajaan Negeri atas dasar tanggungjawab, menyediakan pelbagai bentuk insentif dan inisiatif termasuk bantuan kewangan, pemberian tunai, insentif bukan kewangan dan bantuan sokongan kepada rakyat. Belanjawan 2026 ini akan memberi fokus kepada sembilan (9) Bidang Tumpuan iaitu:

1. Bidang Tumpuan Pertama: Kemampanan Ekonomi;

2. Bidang Tumpuan Kedua: Keterjaminan Makanan;

3. Bidang Tumpuan Ketiga: Pendidikan;

4. Bidang Tumpuan Keempat: Pemerkasaan Komuniti;

5. Bidang Tumpuan Kelima: Kerohanian dan Agama;

6. Bidang Tumpuan Keenam: Pemerkasaan Wanita, Belia dan Sukan;

7. Bidang Tumpuan Ketujuh: Pelancongan, Adat dan Budaya;

8. Bidang Tumpuan Kelapan: Kelestarian Alam Sekitar; dan

9. Bidang Tumpuan Kesembilan: Kebajikan dan Kesihatan.

Sejak tahun 2019 hingga kini, sebanyak 214 inisiatif telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri meliputi pelbagai bidang tumpuan. Kesemua inisiatif ini sama ada akan diteruskan, ditambah baik atau distruktur semula berdasarkan pencapaian outcome masing-masing. Bagi meneruskan transformasi tersebut, sukacita saya umumkan, 23 inisiatif baharu akan diperkenalkan, dan 46 inisiatif sedia ada akan dikekalkan atau ditambah baik, menjadikan jumlah inisiatif berfokuskan rakyat dalam Belanjawan 2026 adalah sebanyak 69 inisiatif dengan peruntukan berjumlah 112.80 juta ringgit.

Kerajaan Negeri sentiasa menumpukan agenda Kemampanan Ekonomi di mana tujuh (7) inisiatif telah dirangka merangkumi lima (5) inisiatif baharu, dan (dua) 2 inisiatif sedia ada dengan jumlah peruntukan sebanyak 6.7 juta ringgit.

Inisiatif-inisiatif sedia ada adalah NS Choice (Program Pemerkasaan Usahawan), sebanyak 1 juta ringgit dan penjenamaan semula Halal Kotej kepada Halal Kotej Go Global, dengan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit.

Inisiatif Pengukuhan Pasukan Penguatkuasaan diperkenalkan bagi mempertingkatkan keupayaan agensi penguatkuasaan Negeri, terutama dalam membanteras pencerobohan tanah Kerajaan serta sumber alam yang ada, sekaligus meningkatkan keberkesanan kutipan hasil Negeri. Usaha meningkatkan kecekapan pasukan penguatkuasaan tanah akan dibuat melalui pelaksanaan latihan secara berterusan dan perolehan peralatan perlindungan diri seperti jaket dan kasut keselamatan, pakaian seragam dan peralatan elektronik dan teknikal yang berkaitan. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 600 ribu ringgit bagi tujuan ini.

Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040, terdapat keperluan bagi menetapkan blueprint pembangunan kawasan industri, mengenal pasti potensi, cabaran dan perancangan kawasan industri masa hadapan. Inisiatif ini turut merangkumi naik taraf pencahayaan solar dan longkang di beberapa kawasan industri terpilih. Ia dijangka dapat merancakkan lagi aktiviti pelaburan di Negeri Sembilan yang sekaligus memberi peluang pekerjaan untuk peningkatan ekonomi tempatan. Untuk itu, sebanyak 2 juta ringgit diperuntukkan pada tahun hadapan.

Inisiatif baru ketiga, Bantu Selenggara @N9, Penyelenggaraan jalan raya yang berterusan amat penting bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Tidak kira jalan Negeri atau jalan Persekutuan, nilai nyawa pengguna adalah sama. Jangan Jalan yang diselenggara dengan baik bukan sahaja mengurangkan risiko kemalangan dan kerosakan kenderaan, malah meningkatkan kecekapan perhubungan, yang seterusnya tidak akan menjejaskan tarikan Negeri sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan.

Justeru, atas dasar keprihatinan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 1 juta ringgit di bawah Akaun Amanah Selenggara Jalan Raya yang akan diwujudkan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan bagi pelaksanaan pembaikan kecemasan ke atas jalan-jalan Persekutuan.

Inisiatif baru keempat adalah Urus MARRIS@N9, Kerajaan Negeri amat bersyukur dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan kenaikan siling peruntukan bagi pengurusan MARRIS daripada 5 juta ringgit kepada 10 juta ringgit melalui Garis Panduan MARRIS 3.0.

Oleh itu, bagi mengoptimumkan peruntukan tersebut, sebanyak 1.1 juta ringgit diperuntukkan bagi perolehan peralatan dan aset untuk pasukan pemantauan projek MARRIS ke atas jalan-jalan Negeri.

Inisiatif baru Kelima Galeri NS Choice @ Sunggala Prima. Inisiatif ini bertujuan memperkasa ekosistem keusahawanan Negeri serta memartabatkan produk buatan anak tempatan. Objektif utama pewujudan galeri ini adalah untuk menyediakan ruang pameran dan jualan sehenti yang menampilkan produk di bawah program NS Choice dan produk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di bawah satu bumbung, sekali gus meningkatkan keterlihatan dan potensi pasaran. Melalui pewujudan galeri ini, para usahawan berpeluang mempamerkan dan menjual produk masing-masing dalam persekitaran yang lebih menarik dan kondusif. Pada masa yang sama, masyarakat setempat turut mendapat manfaat melalui akses kepada produk berkualiti, peluang pembelajaran mengenai industri

tempatan, serta sokongan terhadap pembangunan ekonomi komuniti secara inklusif.

Selain itu, pewujudan galeri ini turut dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan dengan menjadikannya tarikan baharu kepada pelancong domestik dan antarabangsa yang ingin mendapatkan produk tempatan yang berkualiti seperti makanan tradisional, kraf tangan serta hasil seni budaya Negeri Sembilan. Untuk itu, saya mengumumkan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit disediakan pada tahun hadapan bagi pewujudan Galeri NS Choice @ Sunggala Prima.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua,

Agenda Keterjaminan Makanan merupakan bidang tumpuan kedua semestinya menjadi fokus utama Kerajaan Negeri. Di bawah Bidang Tumpuan ini, lapan (8) inisiatif disediakan, iaitu tiga (3) inisiatif baharu dan lima (5) inisiatif sedia ada dengan jumlah peruntukan sebanyak 5.76 juta ringgit.

Inisiatif sedia ada yang dikekalkan termasuk:

IKMAR (Insentif Keterjaminan Bekalan Makanan Rakyat)

Aminuddin Bin HarunPKR · PHSikamat

2 juta ringgit;

2. I-TUAH (Insentif Tanah Untuk Aktiviti Hasil): 500 ribu ringgit;

3. Touchpoint Insentif Sentuhan Rakyat: 1.2 juta ringgit;

4. I-TANAM (Insentif Tingkatkan Aktiviti Agro Makanan): 1 juta ringgit; dan

5. Program Peningkatan Industri Lembu Negeri Sembilan: 410 ribu ringgit.

Inisiatif Baru Keenam, Program Anak Pokok Harapan: 1 Desa 1 Tanaman. Program Anak Pokok Harapan: 1 Desa 1 Tanaman merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri yang bertujuan untuk menggalakkan penglibatan individu, dan komuniti kampung dalam usaha penanaman pokok buah-buahan berkualiti secara tersusun di seluruh Negeri Sembilan. Hasilnya nanti boleh dinikmati oleh komuniti kampung dan boleh juga dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan. Program ini dijangka untuk dilaksanakan secara berperingkat, melibatkan setiap kampung di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula pada tahun 2026, agar pelaksanaannya lebih teratur dan memberi peluang penyertaan yang lebih menyeluruh. Sebagai permulaan, sebanyak 250 ribu ringgit akan diperuntukkan untuk pelaksanaan program ini.

Inisiatif yang ketujuh, Program Touch Point Ternakan Ikan Air Tawar: Kolam Rakyat. Program ini bertujuan menambah dan mempelbagaikan aktiviti

perikanan di kolam-kolam terbiar yang terpilih dan projek-projek ternakan ikan melalui tangki di kawasan penduduk setempat. Ianya dapat membantu menjimatkan kos untuk mendapatkan sumber makanan. Inisiatif ini dilaksanakan melalui bantuan tuaian ikan di kolam rakyat yang juga dapat merangsang ekonomi secara berkelompok. Sebanyak 300 ribu ringgit diperuntukkan untuk program ini.

Inisiatif kelapan INSAN (Insentif Sokongan dan Anjakan Nelayan), Program INSAN merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri Sembilan terhadap para nelayan. Bagi meringankan beban dan menyokong kelangsungan sumber pendapatan para nelayan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan bantuan secara in-kind dalam bentuk alat penangkapan ikan seperti GPS dan echo sounder atau bantuan lain yang bersesuaian dengan peruntukan 100 ribu ringgit pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Dato’ Yang DiPertua,

“Pendidikan suluh menyuluh, Generasi baharu janganlah luluh, Ilmu ditimba, akal diasuh, Negeri Sembilan maju bersuluh.”

Pendidikan adalah tunjang utama kepada pembangunan sesebuah bangsa dan Negara. Ia adalah pelaburan jangka panjang yang akan menentukan hala tuju dan kemajuan generasi akan datang. Oleh itu, Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa meletakkan bidang pendidikan sebagai keutamaan tertinggi dalam agenda pembangunan Negeri.

Kita percaya bahawa setiap anak Negeri Sembilan berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, tanpa mengira latar belakang atau status sosioekonomi. Justeru, pelbagai inisiatif dan program telah dirancang dan dilaksanakan bagi memastikan hasrat ini tercapai. Untuk itu, sebanyak 28.81 juta ringgit diperuntukkan pada tahun 2026 merangkumi 17 inisiatif dengan satu (1) inisiatif baharu.

16 inisiatif yang dikekalkan adalah:

1. Elaun Tambahan kepada Guru Kelas KAFA Tulen dengan peruntukan keseluruhan 1.37 juta ringgit;

2. Elaun Tanggungjawab kepada Guru Besar (yang menjalankan KAFA di premis KPM/ SAR) dengan peruntukan 350 ribu ringgit;

3. Bayaran 1/2 Bulan Elaun Kepada Guru KAFA Tulen (yang Cuti Bersalin 2 bulan), 140 ribu ringgit;

4. Program Fast Track SPM Pelajar Tahfiz, 500 ribu ringgit;

5. N9 BAS (Bantuan Anak Sekolah), dengan peruntukan dinaikkan daripada 1 juta ringgit kepada 1.2 juta ringgit;

6. N9 BAN (Bantuan Anak Negeri), dinaikkan daripada 800 ribu ringgit kepada 1 juta ringgit;

7. Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah, 1 juta ringgit;

8. Bantuan Sekolah Tahfiz/ SJKC/ SJKT/ Swasta, dinaikkan daripada 2 juta ringgit kepada 2.5 juta ringgit;

9. Bantuan Komputer Riba, 3.35 juta ringgit;

10. Skim Dermasiswa Sara Hidup (Pelajar IPTA), 3.6 juta ringgit;

11. Inisiatif Khas Galakan Kecemerlangan (SPM/ STPM/ STAM), 100 ribu ringgit;

12. Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama (IPT), 3.5 juta ringgit;

13. Pinjaman Pendidikan Tanpa Faedah (Masters/ Ph.D di IPTA), 1 juta ringgit;

14. Insentif dan Bantuan Pelajar TVET KYNS, 5.25 juta ringgit;

15. Tuisyen MADANI Kerajaan Negeri Sembilan, 650 ribu ringgit; dan

16. Generasi Celik AI, 300 ribu ringgit. Inisiatif Baru Kesembilan adalah Pembangunan Bangunan Tambahan Sekolah Agama Johol, Kerajaan turut memberi perhatian khusus kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan yang dikendalikan secara bersama oleh Kerajaan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Untuk tahun 2026, SMA Johol dipilih untuk diperuntukkan bangunan tambahan. Pada masa kini, SMA Johol mempunyai persekitaran pembelajaran yang kurang kondusif dengan keadaan bangunan yang uzur. Demi keselesaan dan kelancaran proses pembelajaran anak-anak, saya dengan sukacitanya mengumumkan peruntukan sebanyak 3 juta ringgit untuk pembinaan bangunan tambahan SMA Johol.

Bidang Tumpuan Keempat, Pemerkasaan Komuniti. Jaringan komuniti yang berkesan merupakan asas penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. Kerajaan Negeri terus memberi perhatian dan tumpuan kepada Pemerkasaan Komuniti dengan menyediakan peluang ekonomi untuk meningkatkan pendapatan dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana. Kerajaan sedar bahawa pembangunan luar bandar akan memberi kesan langsung kepada komuniti di sesuatu kawasan, yang seterusnya akan menghasilkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif. Justeru, sebanyak 25.17 juta ringgit diperuntukkan di bawah Pemerkasaan Komuniti merangkumi 11 inisiatif, iaitu empat (4) inisiatif baharu dan tujuh (7) inisiatif sedia ada.

Tujuh (7) inisiatif sedia ada adalah:

1. Menyenggara Taman-Taman Awam, 1 juta ringgit;

2. Penyelenggaraan Rumah Awam Harga Rendah (RAHR) dan Rumah Pangsa Kerajaan Negeri, 3 juta ringgit;

3. Penyelenggaraan Rumah Pangsa Kos Rendah Dan Sederhana Rendah Swasta, 2 juta ringgit;

4. Rumah Harapan Rakyat, dinaikkan daripada 5 juta ringgit tahun 2025 kepada 10 juta ringgit pada tahun 2026;

5. Sentuhan MADANI FELDA, 500 ribu ringgit;

6. Geran Aktiviti Kampung Orang Asli, 320 ribu ringgit; dan

7. ERAT@NS dan Program Pemerkasaan Komuniti, 1.5 juta ringgit.

Inisiatif Baru Kesepuluh, Program Pencahayaan Kampung dan kampung Orang Asli. Pencahayaan kampung dan Kampung Orang Asli amat penting bagi menyokong agenda pembangunan inklusif. Kawasan luar bandar sering berhadapan dengan keterbatasan infrastruktur asas, termasuk akses kepada bekalan elektrik yang stabil. Oleh itu, penggunaan sistem pencahayaan berasaskan tenaga solar menjadi alternatif yang efektif, terutamanya di kawasan yang jauh daripada grid elektrik. Dari segi manfaat kepada penduduk kampung dan komuniti Orang Asli, pencahayaan solar meningkatkan keselamatan pada waktu malam dengan menerangi laluan utama dan kawasan tumpuan. Untuk itu, sukacita saya mengumumkan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit untuk program ini pada tahun 2026.

Inisiatif Baru yang ke sebelas (11), Naiktaraf Prasarana Awam, Pembaikkan instrastruktur FELDA. Penjagaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam seperti jalan, dewan masyarakat, surau, kemudahan air, dan sistem perparitan amat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat. Kerajaan Negeri memberi perhatian terhadap keperluan kemudahan-kemudahan ini termasuk kepada masyarakat FELDA. Untuk itu, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak 750 ribu ringgit secara one-off untuk inisiatif ini pada tahun 2026.

Inisiatif Baru Kedua Belas KORANS’ 26 (Karnival Orang Asli Negeri Sembilan 2026). Penganjuran Karnival Orang Asli secara bersepadu secara dengan acara lain adalah platform untuk memperkenalkan keunikan seni, budaya, dan produk tempatan masyarakat orang asli kepada umum, di samping membuka ruang kepada usahawan dan belia orang asli untuk mempromosikan produk, dan meningkatkan pendapatan mereka. Ia merupakan inisiatif strategik ke arah integrasi sosial, pembangunan ekonomi dan pengukuhan perpaduan antara komuniti Orang Asli dan masyarakat. Justeru sebanyak 100 ribu ringgit diperuntukkan pada tahun hadapan untuk program ini.

Inisiatif Baru Ketiga Belas, RMM@N9 (Rumah Mampu Milik Negeri Sembilan). Sebagai sebuah Kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat, khususnya golongan B40, Kerajaan Negeri bercadang akan melaksanakan Inisiatif RMM@N9 iaitu Skim Sewa Beli Rumah Mampu Milik Type A. Inisiatif ini diwujudkan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri, khususnya mereka yang gagal memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan komersial disebabkan kekangan kelayakan atau pendapatan tidak tetap. Inisiatif ini menawarkan pembiayaan mudah untuk pemohon yang layak. Sehubungan itu, saya mengumumkan peruntukan sebanyak 5 juta ringgit pada tahun 2026 untuk pelaksanaan inisiatif ini.

Kerohanian dan Agama, Komitmen Kerajaan Negeri Sembilan diteruskan dalam memperkasa agenda kerohanian dan agama di mana sebanyak 16.05 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai 11 inisiatif merangkumi enam (6) inisiatif baharu dan lima (5) inisiatif sedia ada pada tahun hadapan.

Lima (5) Inisiatif sedia ada adalah:

1. Elaun Tambahan kepada Guru Takmir Negeri Sembilan, 170 ribu ringgit;

2. Insentif Elaun Bilal, Siak dan Pembantu Am Wanita, 5.05 juta ringgit;

3. Caruman PERKESO untuk Bilal, Siak dan Pembantu Am Wanita yang menerima elaun Kerajaan Negeri, 150 ribu ringgit;

4. Dana Akaun Amanah Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI), 2.5 juta ringgit; dan

5. Program Pembinaan Karakter Bangsa (Pelajar dan Penjawat Awam), 600 ribu ringgit.

“Gunung tegak kerana tanahnya, Pohon tinggi kerana akarnya, Manusia mulia kerana agamanya, Jiwa tenang kerana zikrullahnya.”

Pelbagai usaha dan transformasi telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dalam memastikan agama Islam terus dimartabatkan dan aspek kerohanian masyarakat sentiasa diberi perhatian dan diperkasakan. Untuk itu, Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada baik pulih kemudahan infrastruktur termasuk pembinaan dan naik taraf kompleks pejabat serta masjid-masjid.

Inisiatif Baru Keempat Belas, Naik Taraf Masjid Negeri dan Penyenggaraan Masjid. Pada tahun 2026, Kerajaan Negeri Sembilan menumpukan perhatian kepada kerja-kerja menaik taraf serta penyelenggaraan masjid-masjid di mana tahun-tahun sebelum ini kita telah menumpukan perhatian kepada pembinaan masjid-masjid baharu yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk mesra orang kelainan upaya. Kerajaan Negeri komited dalam menjadikan masjid-masjid sebagai pusat pembangunan ummah yang kuat dan berkualiti. Masjid seharusnya bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat komuniti yang aktif dan relevan dalam pembangunan ummah.

Sehubungan itu, sebanyak 6.5 juta ringgit diperuntukkan pada tahun hadapan bagi kerja-kerja menaik taraf bangunan, infrastruktur, sistem elektrik, water proofing, hiasan dalaman serta lain-lain kerja penyelenggaraan kecil. Masjid Negeri akan ditambahbaik dengan penyediaan bangunan sokongan baharu, sistem pendawaian semula serta hiasan dalaman dengan anggaran kos keseluruhan bernilai 16.0 juta ringgit. Selain itu Masjid Seremban 3 juga akan diteruskan pembinaannya dalam fasa ke-2, melibatkan peruntukan sebanyak 1.6 juta ringgit secara usahasama antara Kerajaan Negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

“Berpucuk sirih di atas dulang, Disambut mesra tanda berkat, Adil dijunjung kasih disandang, Syariat dijaga umat selamat.”

Inisiatif Baru Kelima Belas, Bantuan Guaman Syarie. Sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan keluarga Islam dan keadilan sosial yang berpaksikan hukum syarie, Inisiatif Bantuan Guaman Syarie diperkenalkan. Melalui inisiatif ini, masyarakat Islam khususnya golongan berpendapatan rendah dapat dibantu untuk mendapatkan khidmat nasihat serta perwakilan guaman dalam urusan Mahkamah Syari’ah. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 150 ribu ringgit untuk inisiatif ini. Pelaksanaan program ini dijalankan secara kerjasama antara MAINS dan Jabatan Kehakiman Syari’ah Negeri Sembilan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua,

Inisiatif Baru Keenam Belas Jilul Quran. Jilul Quran merupakan program yang dilaksanakan di Negeri Sembilan yang merangkumi :

1. Program Pengukuhan Al-Quran Pelajar Sekolah Menengah;

2. Pelajar Tahfiz Di Penjara; dan

3. Program Huffaz Imam Muda.

Program ini dilaksanakan bagi memperkukuh kefahaman dan penghayatan Al-Quran dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat. Program Jilul Quran menjadi wadah penting dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berteraskan nilai-nilai Al-Quran demi membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera di Negeri Sembilan. Sehubungan itu, saya umumkan peruntukan sebanyak 350 ribu ringgit untuk menjayakan inisiatif ini pada tahun hadapan.

Inisiatif Ketujuh Belas, Elaun Tambahan Kepada Imam-Imam Masjid. Bagi meningkatkan motivasi para Imam dalam mengimarahkan masjid, selain membantu meringankan beban kewangan mereka, sukacita diumumkan pemberian elaun kepada 654 orang Imam dengan peruntukan sebanyak 370 ribu ringgit pada tahun hadapan.

Inisiatif Kelapan Belas, Lambaian Baitullah, Program Lambaian Baitullah salah satu inisiatif baru kerajaan Negeri Sembilan dalam memperkukuh kefahaman ibadah haji dan umrah dalam kalangan masyarakat serta memberi penghargaan kepada para pegawai masjid yang telah banyak berkhidmat kepada komuniti. Program ini merangkumi:

1. Kursus Fardu Ain Bakal Haji (KAFAH); dan

2. Saguhati Menunaikan Haji dan Umrah Pegawai Masjid.

Selain Kursus Asas Fardu Ain Bakal Haji yang dilaksanakan bagi memastikan bakal jemaah haji bersedia, bayaran saguhati sebanyak 1,000 ringgit bagi umrah dan 3,000 ringgit bagi ibadah haji, diberikan sekali sepanjang tempoh perkhidmatan kepada Pegawai Masjid yang layak. Untuk itu, sebanyak 140 ribu ringgit diperuntukkan pada tahun 2026.

Inisiatif Baru Kesembilan Belas, Bantuan Sara Hidup RM200 secara one-off kepada Pembantu Am Wanita Masjid. Sebagai tanda penghargaan kepada Pembantu Am Wanita Masjid, Kerajaan Negeri telah menaikkan elaun bulanan mereka kepada 400 ringgit pada tahun 2019 dan menanggung caruman PERKESO mulai tahun 2025. Bagi meneruskan pendekatan prihatin ini, saya mengumumkan Bantuan Sara Hidup secara one-off sebanyak 200 ringgit seorang kepada 312 orang Pembantu Am Wanita Masjid dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak 62,400 ringgit.

Bidang Tumpuan Enam, Pemerkasaan Wanita, Belia dan Sukan, Sebagai Negeri ”tanah beradat” yang kaya dengan warisan budaya dan sistem sosial yang unik di Malaysia, Negeri Sembilan menjunjung tinggi kemuliaan dan peranan wanita dalam sistem masyarakat.

“Bunga kemboja harum mewangi, Mekar sekuntum di tepi laman, Wanita bijak sedia disanjungi, Pewaris bangsa penentu zaman.”

Manakala belia yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi berperanan sebagai agen perubahan sosial ke arah masyarakat yang lebih baik, dan seterusnya akan memacu pertumbuhan ekonomi. Mereka perlu menjaga kesihatan fizikal dan mental agar menjadi tenaga kerja yang produktif dan mampu menghadapi cabaran kehidupan.

Menyedari peri pentingnya wanita dan belia sebagai tulang belakang Kerajaan, maka agenda pemerkasaannya akan diteruskan dalam Belanjawan 2026. Untuk itu, sebanyak 13.1 juta ringgit diperuntukkan merangkumi (lima) 5 inisiatif iaitu satu (1) inisiatif baharu dan empat (4) inisiatif sedia ada.

Empat (4) inisiatif sedia ada yang diteruskan adalah:

1. Geran Aktiviti JPKK dan Geran Belia dan Beliawanis, 2.2 juta ringgit;

2. Pengurusan dan Pemerkasaan Belia dan Sukan; 3.7 juta ringgit;

3. Bantuan Care For You Ibu Tunggal; 1.2 juta ringgit; dan

4. Program Pemerkasaan Infrastruktur Sukan dengan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit.

Untuk rekod, beberapa kejayaan membanggakan telah dicatat oleh pasukan Negeri. Sebagai contoh, pasukan sepak takraw Negeri Sembilan Antlers menjadi juara tiga (3) tahun berturut-turut (2023 - 2025) pada Kejohanan Sepak Takraw STL Champion Cup. Kejayaan ini menyemarakkan semangat kesukanan dan perpaduan rakyat Negeri Sembilan dan begitu juga pasukan wusyu dan badminton.

Inisiatif Baru Kedua Puluh, SUKMA 2026, SUKMA akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026 di Selangor. Pada temasya SUKMA ke-21, daripada jumlah acara yang dipertandingkan, kita hanya terlibat dalam 55 peratus Bagi menyediakan pasukan yang terbaik pada temasya SUKMA tahun hadapan, persediaan jurulatih serta atlet telah dirancang seawal bulan Mei 2025 melalui penyertaan dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan atau pun Jemputan Antarabangsa. Kerajaan Negeri mensasarkan penyertaan lebih tinggi dan peningkatan ini juga adalah selari dengan prestasi dan kualiti atlet. Oleh yang demikian, saya mengumumkan sebanyak 5 juta ringgit diperuntukkan bagi persediaan dan penyertaan SUKMA 2026.

Bidang Tumpuan Ketujuh, Pelancongan, Adat dan Budaya. Bidang tumpuan berikut adalah Pelancongan, Adat dan Budaya Tahun 2026 telah diumumkan sebagai Tahun Melawat Negeri Sembilan bersamaan juga dengan Tahun Melawat Malaysia. Negeri Sembilan mengetengahkan produk pelancongan pantai, eko-pelancongan dan warisan Adat Perpatih bagi menjayakan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Selain itu, usaha-usaha mempergiat promosi serta memperkasa produk pelancongan, dengan kerjasama agensi tempatan dan antarabangsa perlu dibuat bagi menarik lebih ramai pelancong sekaligus memajukan sektor pelancongan Negeri.

Bagi memenuhi hasrat ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 13.05 juta ringgit untuk pelaksanaan tiga (3) inisiatif iaitu pertama satu (1) inisiatif baharu dan dua (2) inisiatif sedia ada.

Inisiatif sedia ada adalah:

1. Perpatih Fest 2026, 500 ribu ringgit; dan

2. Geran Aktiviti Adat, 550 ribu ringgit.

Inisiatif Baru Dua Puluh Satu, Pesona@N9. Bagi memperkukuh sektor pelancongan Negeri Sembilan, satu (1) inisiatif baharu iaitu PESONA@N9 diperkenalkan iaitu menjadi pemangkin utama kepada kempen TMNS 2026. PESONA@N9 berperanan sebagai platform sehenti bagi mempromosikan keunikan budaya, warisan, alam semula jadi serta produk pelancongan tempatan dengan mensasarkan peningkatan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat. Inisiatif ini turut memfokuskan promosi secara digital di peringkat nasional dan antarabangsa, pembangunan sistem cerapan data pelancong melalui kerjasama strategik, serta memperkukuh produk pelancongan melalui pelbagai aktiviti. PESONA@N9 juga mempelbagaikan segmen acara mengikut keunikan setiap daerah. Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak 12 juta ringgit untuk Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Bidang Tumpuan Kelapan, Kelestarian Alam Sekitar. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin kepentingan kelestarian alam sekitar terutama bagi mengekalkan keindahan alam semulajadi di Negeri tercinta ini. Selain mengekalkan khazanah biodiversiti negeri, ia juga menjadi tarikan pelancong dari segi eko pelancongan negeri. Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 1.83 juta ringgit bagi (dua) 2 inisiatif, (satu) 1 inisiatif baharu di bawah Bidang Tumpuan Kelestarian Alam Sekitar.

Inisiatif sedia ada adalah Pemulihan Dan Rawatan Kawasan Terosot di Hutan Simpan Kekal dengan peruntukan sebanyak 300 ribu ringgit.

Inisiatif Baru Kedua puluh dua, adalah Program Kelestarian Alam Sekitar. Inisiatif ini dilaksanakan sebagai usaha proaktif Kerajaan Negeri Sembilan dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar serta membudayakan gaya hidup hijau dan lestari. Pelbagai program akan dijalankan di seluruh daerah dengan tumpuan kepada aktiviti gotong-royong, pengurusan sisa pepejal, kitar semula, penanaman pokok serta kempen kesedaran awam mengenai perubahan iklim dan pemeliharaan biodiversiti.

Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Seremban telah melancarkan Pelan Tindakan Iklim Seremban 2035 yang merupakan Blueprint yang pertama seumpamanya diwujudkan di Negeri Sembilan dan di antara PBT yang terawal merangka pelan tindakan khusus bagi mengatasi perubahan iklim serta mengurangkan risiko dan ke arah berdaya tahan. Pelan tindakan ini juga adalah selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai pembangunan mampan, pengurusan sumber yang lebih cekap serta komitmen Malaysia menuju sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050.

Secara dasarnya, tujuan inisiatif kelestarian alam sekitar ini adalah untuk memperkukuh penglibatan masyarakat dalam memelihara alam sekitar ke arah Negeri Sembilan yang lebih bersih, hijau dan sejahtera. Untuk itu, 1.53 juta ringgit diperuntukkan untuk pelaksanaan inisiatif ini pada tahun hadapan yang merangkumi:

1. Pembangunan Hutan;

2. Sambutan Hari Cuci Malaysia Sempena World Cleanup Day; dan

3. Hari Kelestarian Alam Negeri Sembilan 2026.

Bidang Tumpuan Kesembilan, Kebajikan dan Kesihatan. Pelaksanaan inisiatif di bawah bidang tumpuan ini adalah sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memberi perlindungan kepada golongan rentan untuk mendapatkan kehidupan wajar dengan lebih berkualiti. Sebanyak 2.34 juta ringgit diperuntukkan dengan lima (5) inisiatif iaitu (satu) 1 inisiatif baharu dan (empat) 4 inisiatif sedia ada.

Inisiatif sedia ada adalah:

1. Rumah Minda Ceria, 120 ribu ringgit;

2. Sentuhan Prihatin OKU, 220 ribu ringgit;

3. Bantuan Perolehan Alat Implan Ortopedik kepada pesakit kurang berkemampuan, 500 ribu ringgit; dan

4. Bantuan Rawatan Pembedahan AV Fistula bagi rawatan hemodialisis, 500 ribu ringgit.

Inisiatif Yang Kedua Puluh Tiga, KanserCare (Bantuan Pesakit kanser), Inisiatif Pesakit Kanser atau KanserCare diperkenalkan sebagai bukti bahawa kesejahteraan kesihatan rakyat menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri. Bantuan ini sedikit sebanyak berfungsi sebagai sokongan moral kepada pesakit mengingatkan mereka bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjuangan melawan penyakit.

Untuk itu, saya mengumumkan pemberian bantuan sebanyak 1,000 ringgit seorang secara one-off kepada pesakit kanser yang layak, dengan keseluruhan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua,

Skim Sejahtera Rakyat (SSR), Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan tetap bertekad melunaskan segala janji yang terkandung dalam buku Aspirasi Perpaduan. Selain daripada 69 inisiatif yang telah diperincikan sebentar tadi, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberian insentif dan sumbangan tunai sebagai tanda ihsan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang memerlukan. Ia dirangkumkan di bawah Skim Sejahtera Rakyat (SSR) dengan peruntukan sebanyak 29.75 juta ringgit pada tahun 2026. Pemberian pelbagai insentif dan sumbangan tunai di bawah SSR ini dilaksanakan secara kerjasama dengan Yayasan Negeri Sembilan.

Sumbangan Keceriaan diteruskan dengan pemberian sebanyak 200 ringgit seorang kepada warga emas yang berusia 70 tahun ke atas dengan anggaran peruntukan sebanyak 14.8 juta ringgit pada tahun 2026.

Kelahiran bayi disambut dengan penuh kesyukuran kerana merekalah pembimbing masa hadapan. Justeru, bayi yang dilahirkan di Negeri ini layak memohon caruman 100 ringgit di bawah Skim Simpanan Pendidikan Nasional dengan peruntukan dianggarkan berjumlah 1.6 juta ringgit.

Golongan belia harapan Negara juga sentiasa dibantu di mana setiap mereka yang melangsungkan perkahwinan kali pertama layak menerima saguhati sebanyak 500 ringgit. Justeru, sebanyak 5 juta ringgit disediakan bagi inisiatif ini. Kali kedua jumpa Dato’ Jalal.

Tahniah diucapkan kepada anak-anak yang bakal mendapat tempat di Sekolah Berasrama Penuh pada tahun hadapan. Justeru bagi meringankan beban ibu bapa, Kerajaan Negeri terus menyediakan peruntukan sebanyak 300 ringgit kepada setiap pelajar terhad kepada 500 orang penerima dengan peruntukan sebanyak 150 ribu ringgit pada tahun hadapan.

Selain itu, anak-anak remaja yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi juga tidak dilupakan. Kerajaan Negeri meneruskan bantuan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi pada kadar di antara 500 hingga 1,500 ringgit bergantung kepada tawaran yang diterima sama ada peringkat sijil, diploma atau ijazah pertama. Selain itu, bagi meraikan kejayaan anak-anak Negeri Sembilan yang cemerlang dalam pengajian, Anugerah Khas sebanyak 5,000 ringgit disediakan kepada para pelajar yang memperoleh keputusan Ijazah Kelas Pertama dari Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Tidak dilupakan adalah golongan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah 2,000 ringgit sebulan yang akan menerima sumbangan one-off sebanyak 200 ringgit seorang menerusi peruntukan berjumlah 1.2 juta ringgit.

Anugerah Khas kepada pelajar IPTA dan bantuan ibu tunggal merupakan antara inisiatif sedia ada sepertimana yang telah saya jelaskan di awal tadi.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua,

“Negeri Sembilan nama dijulang, Lain bicara, adat dan suku, Satu matlamat sentiasa diulang, Negeri makmur, rakyat Bersatu.”

“Bunga melati di tepi tangga, Harum baunya memikat rerama, Hidup harmoni tak kira bangsa, Penuh kasih sayang, aman bersama.”

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa semua bentuk inisiatif dan bantuan yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri merupakan manifestasi jelas tentang gambaran kasih sayang yang mendalam terhadap setiap lapisan masyarakat. Inisiatif-inisiatif ini merupakan jaminan keprihatinan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat terpelihara.

Pengagihan bantuan yang saksama dan inklusif dapat memupuk perpaduan dan keharmonian kaum. Ia juga boleh memperkukuh nilai-nilai kekitaan dan saling hormat-menghormati, seterusnya memastikan rakyat dapat terus hidup sebagai sebuah keluarga besar di bawah naungan Kerajaan Negeri.

Secara tuntasnya, kejayaan pelaksanaan inisiatif Kerajaan Negeri, adalah hasil kerjasama strategik semua agensi di peringkat Negeri, Persekutuan dan swasta serta masyarakat. Jaringan sinergi ini membolehkan Kerajaan Negeri menyampaikan perkhidmatan yang berfokuskan rakyat, menambah baik kecekapan pentadbiran awam, dan mengukuhkan perpaduan dalam Negeri sejajar dengan visi pembangunan yang mampan dan harmoni.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-pertua,

Anggaran Belanja Pembangunan 2026. Anggaran Belanja Pembangunan 2026 adalah berjumlah 150 juta ringgit. Sumber kewangan bagi perbelanjaan pembangunan ini adalah secara langsung daripada Kerajaan Negeri. Secara keseluruhannya, peruntukan ini akan diagihkan kepada enam (6) sektor bagi menggalakkan pembangunan sosioekonomi di Negeri Sembilan seperti berikut:

1. Sosial : 73.85 juta ringgit;

2. Pentadbiran : 26.98 juta ringgit;

3. Infrastruktur : 22.39 juta ringgit;

4. Pertanian : 12.19 juta ringgit;

5. Kerohanian : 9.88 juta ringgit; dan

6. Pelancongan : 4.7 juta ringgit

Melangkah ke Fasa Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (2026 hingga 2030), Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan pelaksanaan sejumlah 194 projek bagi tahun 2026, merangkumi 160 projek baharu dan 34 projek sambungan.

Pelaksanaan projek-projek ini dirancang dengan matlamat utama merangsang pembangunan sosioekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat, serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat di seluruh Negeri. Bagi memastikan pelaksanaan yang teratur dan berkesan, peruntukan pembangunan akan diagihkan kepada 16 Vot Pembangunan Jabatan Negeri, berdasarkan keperluan semasa serta keutamaan sektor yang telah dikenal pasti.

Sektor Sosial sebagaimana lazimnya, Sektor Sosial kekal menjadi sektor utama dalam agihan peruntukan pembangunan, dengan jumlah 73.85 juta ringgit. Peruntukan ini akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membangunkan kemudahan awam di seluruh Negeri. Daripada jumlah tersebut, 56 juta ringgit diperuntukkan bagi program perkhidmatan masyarakat yang akan memberi manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan, terutamanya dalam aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kemudahan komuniti.

Sebanyak 5.35 juta ringgit diperuntukkan untuk pembinaan dan pengubahsuaian kompleks sukan di beberapa lokasi strategik seluruh Negeri. Ia sebagai usaha memperluas akses kepada kemudahan riadah dan sukan rakyat. Selain itu, sebanyak 500 ribu ringgit disediakan bagi kerja-kerja pembaikan dewan dan balai raya sebagai pusat aktiviti komuniti setempat. Sementara itu, 2 juta ringgit terus diperuntukkan bagi program pencahayaan jalan-jalan Negeri, bertujuan meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan perumahan dan laluan pedalaman.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut prihatin terhadap keperluan rakyat untuk memiliki kediaman yang lebih selesa. Justeru, 3 juta ringgit disediakan untuk kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur Rumah Awam Kerajaan Negeri, termasuk sistem pembentungan, keselamatan bangunan dan penyelenggaraan elektrik.

Bagi memastikan keperluan pembangunan kecil komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri terus diberi perhatian, 7 juta ringgit diperuntukkan pada tahun hadapan bagi pelaksanaan Kerja-kerja Kecil DUN demi kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam menghadapi dinamik ekonomi semasa, khususnya berkaitan automasi, digitalisasi dan perkembangan Revolusi Industri 4.0, Kerajaan

Negeri sentiasa berusaha untuk bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta budaya kerja baharu. Selaras dengan itu, sebanyak 10.43 juta ringgit telah diperuntukkan bagi pembangunan dan penambahbaikan sistem komputer Negeri. Ia adalah berkaitan pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan Kerajaan Negeri. Peruntukan ini merangkumi pembangunan infrastruktur ICT serta pewujudan jaringan internet yang lebih luas dan berkeupayaan tinggi, bagi memastikan perkhidmatan Kerajaan kekal cekap dan berkesan.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa Gerbang Pembayaran Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (N9PAY) telah dibangunkan sepenuhnya dan kini beroperasi dengan lancar. Melalui N9PAY, rakyat boleh membuat pembayaran menggunakan FPX, DuitNow Online Banking (DOBW), kad kredit, kad debit, QR Pay serta aplikasi mudah alih. Sehingga 5 Disember 2025, sebanyak 31,142 transaksi telah direkodkan, dengan nilai transaksi berjumlah 2.54 juta ringgit, melibatkan 14,557 pengguna berdaftar. Saya menggesa lebih banyak perkhidmatan dalam talian dapat diintegrasikan dengan N9PAY pada masa hadapan, bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak 15.69 juta ringgit bagi pembinaan, pengubahsuaian dan menaik taraf kompleks pentadbiran serta kuarters kediaman anggota perkhidmatan awam di seluruh Negeri. Langkah ini adalah penting untuk memastikan persekitaran kerja yang kondusif sekali gus menyokong mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Bagi berdepan kemungkinan bencana dan keperluan kecemasan, Kerajaan Negeri turut menyediakan Peruntukan Luar Jangka berjumlah 250 ribu ringgit bagi tahun 2026.

Infrastruktur dan kemudahan awam merupakan asas utama kepada kejayaan setiap program pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan. Sehubungan itu, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 22.39 juta ringgit bagi sektor pembangunan infrastruktur, meliputi pelbagai inisiatif untuk memperkukuh kemudahan asas di seluruh Negeri. Daripada jumlah tersebut, 12.95 juta akan digunakan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, membina jajaran jalan baharu di kawasan luar bandar, serta menggantikan jambatan yang terjejas, terutamanya di kawasan yang menjadi pemacu pembangunan ekonomi Negeri.

Melalui Akaun Amanah Penyenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS), Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah 528.31 juta ringgit pada tahun 2025 kepada Pejabat Daerah dan Tanah, PBT, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya melibatkan 2,207 bilangan projek. Dan

Kerja undi telah dilaksanakan yang melibatkan semua daerah di mana sebanyak 899 kontraktor G1 menerima manfaat daripada peruntukan ini.

Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap isu banjir kilat yang semakin kerap berlaku akibat perubahan pola cuaca. Bagi mengurangkan risiko dan kesan kepada rakyat, sebanyak 6.89 juta ringgit diperuntukkan untuk pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir, Pengurusan dan Penyelenggaraan Sungai, serta Pengurusan Sistem Saliran di kawasan zon pantai yang telah dikenal pasti.

Seterusnya, bagi merangsang pertumbuhan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), sebanyak 1.7 juta ringgit diperuntukkan bagi menaik taraf dan menyelenggara kawasan perusahaan, dengan tumpuan kepada pembangunan kawasan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, serta menyokong pelaksanaan program Pemangkin Zon Perindustrian Strategik MVV 2.0. Di samping itu, sebanyak 850 ribu ringgit turut disediakan untuk projek-projek kecil infrastruktur sosial, menaik taraf prasarana awam dan penyediaan dataran usahawan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan komuniti setempat.

Pada tahun 2025, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak 18.69 juta ringgit di bawah Akaun Amanah MARRIS yang melibatkan kawasan industri. Projek yang telah dilaksanakan termasuk penggantian lampu-lampu jalan, penyelenggaraan longkang, penurapan semula jalan serta selenggara pokok dan tebing jalan. Usaha ini bertujuan tidak lain untuk menggalakkan pembangunan industri IKS dengan menyediakan kemudahan prasarana yang terbaik kepada pengusaha tempatan.

Sektor pembangunan pertanian, kekal menjadi salah satu fokus utama dalam Belanjawan tahun hadapan, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar makanan utama dan pusat industri hiliran. Usaha ini amat penting bagi mengurangkan defisit imbangan perdagangan makanan Negara, serta memastikan kestabilan dan keselamatan bekalan makanan untuk rakyat.

Sehubungan itu, saya mengumumkan sebanyak 12.19 juta ringgit diperuntukkan kepada Sektor Pertanian dan Penternakan pada tahun hadapan. Daripada jumlah tersebut, 7.25 juta ringgit akan disalurkan kepada Program Jaminan Bekalan Makanan, meliputi peningkatan hasil pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan, penyediaan input pertanian, peningkatan mekanisasi dan automasi, serta pengembangan teknologi pertanian berasaskan Internet of Things.

Sebanyak 4.94 juta ringgit pula diperuntukkan untuk pembangunan sektor penternakan, dengan tumpuan khusus kepada komoditi ruminan besar dan kecil, peningkatan perkhidmatan kesihatan veterinar, serta pelaksanaan projek-projek yang menyokong pertumbuhan industri penternakan secara mampan.

Sektor Kerohanian telah diperuntukan, pada tahun 2026, sebanyak 9.88 juta ringgit untuk menampung komitmen dua (2) projek sambungan, iaitu pembinaan Masjid Bandar Tasik Senangin melibatkan peruntukan sebanyak 1.3 juta ringgit, serta pembinaan Pejabat Agama Islam Daerah Port Dickson sebanyak 1.5 juta ringgit. Di samping itu, Kerajaan akan meneruskan projek pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur bagi Institusi Pendidikan Islam di Negeri ini, termasuk:

1. Sekolah Tinggi Agama Malaysia (STAM) Maahad Ahmadi, Gemencheh;

2. Pembinaan bangunan kelas tambahan di Sekolah Menengah Agama Sains, Kuala Pilah dan

3. Kerja-kerja pembangunan di Sekolah Menengah Agama Chuah, Port Dickson.

Bagi tujuan ini, sebanyak 2.7 juta ringgit diperuntukkan pada tahun hadapan.

Sektor pembangunan pelancongan, kekal sebagai salah satu penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Negeri. Sehubungan itu, bagi tahun hadapan, sebanyak 4.7 juta ringgit telah diperuntukkan bagi merancakkan usaha promosi dan pengukuhan ekosistem pelancongan Negeri. Daripada jumlah tersebut, 2.5 juta ringgit diperuntukkan untuk penyelenggaraan fasiliti dan kemudahan pelancongan, kerja-kerja restorasi serta naik taraf bangunan dan produk pelancongan, serta kajian pembangunan industri pelancongan di Negeri Sembilan.

Sementara itu, sebanyak 2.2 juta ringgit turut disediakan untuk penyelenggaraan dan pembangunan sumber hutan, termasuk penguatkuasaan di premis dan destinasi eko pelancongan, bagi memastikan kawasan pelancongan berasaskan alam sekitar dapat terus dipelihara dan dimanfaatkan secara mampan. Kerajaan Negeri komited untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing, beridentiti unik, berteraskan warisan budaya dan keindahan alam semula jadi, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi rakyat dan Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua,

Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada produktiviti penjawat awam selaras dengan usaha memperkukuh kecekapan perkhidmatan. Sejak Pekeliling Pinjaman Komputer dan Kenderaan dilaksanakan pada tahun 2020 hingga November 2025, kita telah menyaksikan sambutan yang amat memberangsangkan, di mana 908 permohonan pinjaman telah diluluskan. Komitmen ini diterjemahkan melalui penyaluran peruntukan sebanyak 20.23 juta ringgit. Iaitu sebagai bukti jelas keseriusan Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan asas bagi memastikan penjawat awam Negeri dapat melaksanakan tugas dengan lebih efektif dalam menggerakkan pengurusan pentadbiran dan pembangunan Negeri.

Justeru, atas dasar keprihatinan yang mendalam dan memastikan penyampaian perkhidmatan Pentadbiran Kerajaan Negeri yang berkualiti, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa inisiatif Pinjaman Komputer dan Kenderaan diteruskan pada tahun 2026, kekal dengan penawaran istimewa yang tiada tandingan, iaitu kadar faedah 0 peratus. Ini adalah manifestasi Kerajaan Negeri, di mana kita sentiasa berada di belakang setiap penjawat awam Negeri, menyokong dengan penuh penyediaan keperluan terbaik, dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan perkhidmatan.

Kepada semua penjawat awam di Negeri Sembilan, saya menggesa supaya melengkapkan ilmu dalam bidang masing-masing, dan sentiasa berusaha meningkatkan tahap integriti, tatakelola dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Para penjawat awam semua berperanan sebagai duta, bertindak sebagai mata dan telinga, dalam menyampaikan dasar pembangunan Kerajaan Negeri kepada rakyat. Penjawat awam di daerah pula berperanan penting dalam membantu Kerajaan Negeri membangunkan daerah melalui projek-projek infrastruktur, pembangunan kawasan komersial, kediaman, infrastruktur sosial, agar dapat memberi impak besar dan bermakna kepada masyarakat setempat.

Di samping itu, para penjawat awam juga perlu lebih peka dan cakna terhadap isu semasa dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat, mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dan berintegriti, serta responsif dalam menangani aduan rakyat. Setiap isu yang dibangkitkan perlu diberi maklum balas segera, dan diselesaikan dengan penuh amanah, bertanggungjawab, tanpa birokrasi. Amalan tatakelola yang baik ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengukuhkan kepercayaan rakyat serta pelabur terhadap Kerajaan dan institusi awam. Saya menyeru kepada semua, jadikanlah tagline “Bersih, Muafakat dan Sejahtera” sebagai pedoman dan panduan semasa menjalankan tugas.

Sukacita saya mengimbau pencapaian Kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2024 dan 2025:

1. The International Business Review, ASEAN Awards telah mengiktiraf Negeri Sembilan sebagai Negeri Paling Progresif di Malaysia Tahun 2024;

2. Sempena Sambutan Hari Pekerja, Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima Anugerah Majikan Prihatin peringkat Negeri dan Wilayah Persekutuan oleh CEUPACS;

3. Negeri Sembilan merupakan Negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan Program Penggerak MADANI di peringkat Negeri; dan

4. Pada bulan Ogos 2025, Kerajaan Negeri dianugerahkan Sijil Penghargaan Projek Siap Reformasi Kerenah Birokrasi daripada Ketua Setiausaha Negara di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

Alhamdulillah, saya bersyukur dan amat berterima kasih serta berpuas hati dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh penjawat awam di Negeri ini. Pengiktirafan yang diterima di peringkat nasional, membuktikan tadbir urus dan tatakelola perkhidmatan awam di Negeri ini berada pada tanda aras yang tinggi dan sering dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain.

Komitmen, usaha keras dan kegigihan serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua penjawat awam Negeri dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab telah dibuktikan dengan kejayaan kita yang berjaya mengubah belanjawan defisit kepada surplus selama empat (4) tahun berturut-turut sejak tahun 2022 hingga tahun 2025. Pada tahun 2024, kita telah mencapai surplus sebanyak 83.07 juta dengan jayanya mengutip hasil sebanyak 636.17 juta ringgit. Manakala pada tahun ini, pencapaian kutipan hasil setakat hari ini jam 12.00 tengah hari tadi telah mengatasi kutipan hasil keseluruhan bagi tahun 2024 iaitu 655.8 juta ringgit iaitu 111 peratus. Kedudukan rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri juga berada pada satu kedudukan yang kukuh iaitu 897 juta ringgit sehingga 5 Disember 2025. Alhamdulilah. Ini merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah Pentadbiran Kerajaan Negeri. Kita menjangkakan surplus akan lebih meningkat menjelang 31 Disember 2025 nanti.

Alhamdulillah. Syabas dan Tahniah kepada semua!

Sekali lagi ucapan penghargaan dan terima kasih saya rakamkan khususnya kepada semua Pejabat Pemungut Hasil dan Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri yang telah melaksanakan tugas dengan penuh integriti, dedikasi dan cemerlang.

Firman Allah dalam Surah At-Taubah, ayat 59 yang bermaksud:

“Seandainya mereka benar-benar redha dengan apa yang diberikan kepada mereka oleh Allah dan Rasul-Nya, dan berkata, “Cukuplah Allah bagi kamu, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian dari kurnia-Nya, dan (demikian pula) Rasul-Nya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang selalu hanya berharap kepada Allah.”

Kita kena berharap kepada Allah SWT.

Firman Allah dalam Surah Al-Saba’, ayat 39 yang bermaksud:

“Katakanlah (ianya kepada Nabi Muhammad), Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkannya. Suatu apa pun yang kamu infakkan pasti Dia akan menggantikannya. Dialah sebaik-baik Pemberi Rezeki.”

Menyedari pengorbanan, kesetiaan dan sumbangan penjawat awam dalam memastikan tadbir urus yang cekap dan penyampaian perkhidmatan awam berjalan lancar, sukacita saya umumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berdasarkan prestasi, terhad maksimum tiga (3) bulan gaji dan minimum dua (2) bulan gaji kepada semua penjawat awam yang berada di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri. Penghargaan ini juga dipanjangkan kepada semua penjawat awam Negeri, Badan Bukan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan yang akan dibayar pada bulan Januari dan sebelum Hari Raya Aidilfitri pada bulan Mac. Manakala BKK berdasarkan prestasi hanya akan dibayar pada bulan Jun 2026 kepada mereka yang benar-benar berprestasi tinggi.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mencadangkan “bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 ini sekarang dibacakan bagi kali kedua.”

Sekian, terima kasih.

Dato’ Yang Dipertua, saya bangun untuk menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan yang telah dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat ADUN Sikamat sebentar tadi. Saya minta maaf saya batuk, untuk makluman ADUN Sikamat, ni maknanya kerja kuat ni. Jadi macam prestasi tadi 3 bulan layak untuk saya la, tu saya dh booking awal 3 bulan ni.

Dato’ Yang Dipertua,

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum WBT. salam sejahtera, salam Negeri Sembilan bersih, muafakat dan sejahtera. Pertamanya sebelum saya

meneruskan ucapan sokongan saya kepada pembentangan ADUN Sikamat, saya ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Yang Berhormat Dato’ Sri Panglima Bung Mokhtar Radin di atas kembalinya kerahmatullah pada pagi tadi semoga rohnya ditempatkan di kalangan solihin dan tabiin, Insya-Allah.. Bagi pihak UMNO dan Barisan Nasional khususnya di Negeri Sembilan ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga allahyarham.

Alhamdulillah kita telah selesai mendengar pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebentar tadi. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas terutamanya kepada semua pegawai dan ketua jabatan khususnya Pejabat Kewangan Negeri Sembilan yang telah berusaha keras bersengkang mata bersama-sama dalam menyiapkan Belanjawan 2026 yang telah dibentangkan. Secara keseluruhan saya lihat belanjawan ini menggariskan keutamaan yang jelas untuk pembangunan ekonomi infrastruktur kesejahteraan rakyat dan transformasi urus tadbir Kerajaan Negeri. Belanjawan 2026 yang berjumlah hampir 640 juta ini yang dibentangkan pada hari ini adalah merupakan belanjawan ketiga Kerajaan Perpaduan hasil daripada gabungan antara Pakatan Harapan Dan Barisan Nasional di Negeri Sembilan. Belanjawan ini juga hadir pada waktu yang mencabar keadaan ekonomi dan juga penuh peluang landskap ekonomi global yang berubah pantas menuntut negeri kita terus bergerak ke hadapan dengan strategi yang berani, realistik dan berdaya tahan.

Saya menyambut baik pendekatan belanjawan ini yang memberikan fokus seimbang antara rangsangan pertumbuhan dan perlindungan kesejahteraan rakyat. Dokumen belanjawan ini jelas memperlihatkan analisis yang menyeluruh, perancangan strategik yang teliti dan komitmen untuk memperkukuhkan pembangunan negeri secara mampan dan berimpak tinggi. Kita juga boleh lihat belanjawan yang dibentangkan pada hari ini telah mengambil kira kepentingan dan keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang ekonomi, kaum, mahupun agama. Walaupun unjuran ekonomi menunjukkan prospek yg positif, saya berpandangan bahawa kita perlu memberikan fokus kepada keberhasilan sebenar pelaksanaan projek dan juga program. Kita tak boleh nafikan terdapat beberapa projek dan inisiatif yang telah dirancang masih perlukan pembaikan secara maksima dan masih lagi boleh kita jadikan sebagai satu kenyataan.

Dalam aspek infrastruktur, selain daripada pembinaan baru, penyelenggaraan aset, serta kemudahan sedia ada, perlu diberikan keutamaan secara lebih konsisten. Banyak isu yang timbul bukan kerana ketiadaan projek baru, tetapi kerana sistem penyelenggaraan yang tidak disepadukan dan juga kemungkinan kurang pemantauan. Kerana itu jabatan Kerajaan pada pandangan saya perlu melihat bagaimana pemantauan aset

dan infrastuktur sedia ada ini perlu diberikan perhatian yang lebih termasuk kaedah pengurusan aset berasaskan data serta penggunaan teknologi pemantauan yang boleh meningkatkan keberkesanan operasi.

Berkaitan kesejahteraan rakyat, program bantuan sosial dan pembangunan insan harus disasarkan dengan lebih tepat dan kita harapkan ianya, kerjasama yang bersepadu dapat diselaraskan antara agensi agar tidak berlaku pertindihan program dalam ketirisan di dalam penyaluran bantuan. Penambahbaikan penyampaian perkhidmatan sosial harus menjadi komponen penting di dalam pelaksanaan belanjawan ini.

Dato Yang Dipertua, kerana itu penyelarasan antara agensi pelaksana bersama dengan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak ataupun EXCO yang berkaitan, pematuhan garis masa penerima manfaat dan pengurusan risiko perlu diperkukuhkan secara lebih sistematik. Kecekapan pelaksanaan adalah faktor penentu kepada manfaat yang diterima rakyat. Bukan semata-mata jumpah peruntukan yang meningkat dari tahun ke tahun. Belanjawan ini memerlukan kerjasama semua pihak dalam Kerajaan, agensi sektor swasta, pimpinan akar umbi dan seluruh masyarakat dan rakyat. Dengan iltizam bersama saya yakin segala perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat. Kejayaan sesuatu belanjawan tidak hanya bergantung kepada angka semata-mata, tetapi pada pelaksanaan yang teratur dan keupayaan kita mengurus projek serta program secara lebih berdisiplin. Matlamat utama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan Adalah bagi memastikan ekonomi negeri berkembang dengan baik, poket rakyat sentiasa berisi dan kebajikan serta kesejahteraan rakyat akan sentiasa terbela.

Dalam kaedah ataupun peluang ini, saya harapkan supaya perbahasan belanjawan kali ini adalah merupakan ruang paling penting untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri bagi menilai keberkesanan dasar, meneliti keperluan rakyat secara objektif dan juga mempersoalkan pelaksanaan secara lebih professional. Saya berharap agar perbahasan kita berjalan atas dasar fakta, analisis yang berimbang dan cadangan yang memberikan pembinaan. Belanjawan bukan hanya satu dokumen rasmi Kerajaan ia adalah amanah bersama menuntut penelitian seluruh dewan tanpa mengira sudut pandang politik. Sekiranya kita membahaskannya penuh tanggungjawab, dan profesional, maka rakyat akan mendapat manfaat paling besar di dalam proses ini. Akhir kata saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas khusus kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar ADUN Sikamat di atas pembentangan belanjawan yang komprehensif dan berpaksikan masa depan yang lebih baik. Semoga Belanjawan Negeri Sembilan 2026 menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri yang lebih makmur, sejahtera dan berdaya saing.

Dato’ Yang Dipertua, saya daripada Jelebu datang ke Seremban, makan durian di Kampung Sikamat, Barisan Nasional datang penuh harapan, kuatkan muafakat, Negeri Sembilan insya-Allah. selamat. Seterusnya sekali lagi saya menyokong Rang-Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 dan Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2026 yang telah dibentangkan oleh Yang amat Berhormat ADUN Sikamat. Terima kasih.

Penangguhan MesyuaratAdjournment

Yang Dipertua Dewan

Terima kasih Yang Berhormat Pertang. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 telah dicadang dan disokong untuk dibacakan bagi kali yang kedua. Kita juga telah bersetuju untuk membahaskan Usul Anggaran Belanja Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2026 bersekali dengan Rang Undang-Undang ini. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebentar lagi saya akan menangguhkan mesyuarat Dewan. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian juga, teks pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2026 boleh diperolehi dari portal rasmi Pejabat Kewangan Negeri, Negeri Sembilan. Sesi perbahasan Rang Undang-Undang dan Usul ini akan dibuka pada hari Isnin; 8 Disember 2025 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1447 Hijrah. Mesyuarat Dewan ditangguhkan.

[Mesyuarat ditangguhkan pada jam 5.09 petang.]