Pahang · 15 April 2019
14th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 13 turns · 3,058 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Keempat Belas di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari Pertama (Isnin) : 15 April 2019
Bersamaan
: 9 Sya’ban 1440 Hijriah
Masa
: 9.45 pagi
DOA
Perkara Pertama: Doa.
Al-Fatihah [bacaan Al-Quran]. [Ayat al-Quran]. Segala puji bagi Allah dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa, aman, makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon anugerahkan Taufik-Mu, dipohonkan menyuluh memandukan pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah, dipohon doa kami diperkenan. Amin, Amin Ya Rabbal A’lamin.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Keempat Belas pada 19, 21, 22 dan 23 November 2018 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
Saya mohon izin membawa cadangan bahawa peringatan Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Yang Keempat Belas pada 19, 21, 22 dan 23 November 2018 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.
Yang Berhormat Yang di-Pertua,
Saya mohon izin menyokong cadangan tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, soalannya ialah suatu cadangan bagi mengesahkan peringatan Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Yang Keempat Belas pada 19, 21, 22 dan 23 November 2018 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan telah pun mendapat sokongan. Sekiranya tiada apa-apa pindaan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju, sila nyatakan ya.
Ya.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju, sila nyatakan tidak. Tiada. Peringatan mesyuarat tersebut disahkan dengan tiada pindaan. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, menurut Perkara 29 Bab 4 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Titah Diraja. Oleh yang demikian saya mohon izin untuk mengadap merafak sembah mempersilakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat masuk bersemayam di Dewan ini. Dengan ini saya menempohkan Dewan ini sebentar.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun, patik mohon ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat. Perkara ke-3, Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
TITAH DIRAJA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA PAHANG
[Ayat Al-Quran] Assalamualaikum WBT. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, dapat saya berangkat dan melafazkan Titah Diraja dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Pahang Yang Ke-14 pada pagi yang berbahagia ini.
Terlebih dahulu, saya sukacita menyampaikan salam takzim daripada Seri Paduka Ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Seri Paduka Bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Raja Permaisuri Agong dan Seri Paduka Nenda saya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah.
Saya berasa amat besar hati dengan komitmen dan rasa tanggungjawab Ahli-ahli Dewan yang akan mengambil bahagian dalam perbahasan, dengan memberikan
pandangan kritis yang boleh meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan negeri saya. Saya menyeru agar Ahli-ahli Dewan berbahaslah secara rasional dan berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan.
Sudah lama dilambung ombak, Dihempas badai hingga ke pantai, Berhujah berbahas bahasa yang elok, Rakyat di luar sentiasa menilai.
Tasik Chini sejarah terpahat, Kota lama di zaman purba, Pembangunan negeri diambil berat, Kesejahteraan rakyat sentiasa dibela.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan atas persediaan yang rapi dalam mengendalikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang ini.
Kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, saya mengucapkan tahniah dan syabas atas penerajuan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang secara telus dan adil. Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Ketua-ketua Jabatan yang membantu menyalurkan maklumat-maklumat yang tepat dan berintegriti pada setiap kali perbahasan Dewan berlangsung.
Menepati kata bidalan; kalau memilih tempat mandi, pertama telok, kedua pantai, kalau memilih pemimpin negeri, pertama elok, kedua pandai.
1. Prestasi Ekonomi dan Pembangunan Negeri.
Saya gembira dengan pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang Darul Makmur yang terus ke arah pembangunan positif pada tahun 2017 dengan peningkatan sebanyak 7.8% berbanding 2.0% pada tahun 2016. Saya juga dimaklumkan bahawa, bagi tahun 2018 ekonomi Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.7%.
Saya sedia maklum bahawa, Kerajaan Persekutuan meneruskan agenda pembangunan dengan pelaksanaan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-11 secara rolling plan dan sekarang telah memasuki pelaksanaan rolling plan keempat. Saya berasa amat sukacita dengan prestasi pelaksanaan projek pembangunan di bawah rolling plan ketiga Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu sejulah... sejumlah RM1.39 bilion telah dibelanjakan bagi melaksanakan 297 projek di negeri Pahang. Bagi tahun ini, kita telah memasuki rolling plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-11 dan saya dimaklumkan bahawa negeri Pahang telah diperuntukkan RM1.8 bilion untuk melaksanakan 291 projek. Saya berharap Rancangan Malaysia Ke-11 dapat diteruskan dengan projek-projek yang memberikan impak terus kepada keperluan rakyat.
Adalah menjadi harapan saya supaya aspek integriti dan tadbir urus yang terbaik perlu diamalkan dalam menjayakan semua perancangan pembangunan dan dasar negara serta negeri. Kerajaan saya akan sentiasa memberi sokongan atas usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan berharap ianya akan meningkatkan pembangunan ekonomi negara dan seterusnya negeri Pahang.
2. Sektor Pertanian Terus Diutamakan
Saya menaruh harapan yang tinggi terhadap sektor pertanian dan penternakan agar dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri saya. Ini selaras dengan pencapaian yang ditunjukkan pada tahun 2017. Sektor ini merekodkan pertumbuhan sebanyak 12% berbanding prestasi negatif 6.2% pada tahun 2016.
Saya juga berasa sukacita apabila dikhabarkan negeri saya berpotensi untuk menjadi sebuah negeri pengeluar makanan hasilan ternakan yang utama di Malaysia. Ini terbukti apabila sektor ternakan pada tahun 2018 telah menyumbang kepada nilai pengeluaran berjumlah hampir RM1.5 bilion.
Saya berharap semua pihak berganding bahu dalam memastikan sektor pertanian dan ternakan terus berkembang dan negeri Pahang menjadi negeri pengeluar makanan utama negara. Justeru itu, sektor ini memerlukan perancangan teliti dan memerlukan strategi pelaksanaan digubal mengikut perkembangan industri semasa supaya dapat menyumbang kepada peratusan yang lebih besar kepada kadar pertumbuhan ekonomi negeri Pahang.
Walau bagi… bagaimanapun, saya memahami kerisauan segelintir rakyat, para pekebun kecil di negeri ini yang bergantung kepada hasil pertanian kelapa sawit bagi kelangsungan hidup. Sehubungan itu, saya berharap agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat meningkatkan usaha bagi membantu dalam meringankan beban golongan ini ekoran kejatuhan harga komoditi tersebut di pasaran antarabangsa sejak mutakhir ini.
3. Dasar Mesra Pelabur Dipergiatkan
Saya berasa sukacita negeri bertuah ini merupakan sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang mendapat manfaat dalam menarik pelabur dengan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi serta pelaksanaan projek-projek infrastruktur.
Saya difahamkan pelaksanaan projek perluasan pelak… Pelabuhan Kuantan sedang giat dijalankan dan dijangka memberi impak yang padu kepada penjanaan ekonomi negeri Pahang seterusnya merancakkan lagi aktiviti ekonomi apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak.
Adalah menjadi harapan saya supaya negeri Pahang terus berkembang ke arah negeri berdaya maju dengan peningkatan pelaburan dalaman dan asing yang berterusan untuk pembangunan ekonomi negeri dalam mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat disamping melahirkan kesan putaran ekonomi.
4. Peningkatan Hasil Melalui Inisiatif-inisiatif Baharu.
Saya berasa bangga atas tindakan Kerajaan Negeri yang mengambil pendekatan strategik melalui agensi-agensi pemungut hasil dalam peningkatan kutipan hasil negeri. Saya juga maklum dengan pendekatan yang lebih agresif turut dilaksanakan dalam meningkatkan kecekapan pengurusan kutipan hasil tanah, hasil hutan dan hasil air selain meneroka sumber-sumber baharu. Saya berharap usaha-usaha menutup lubang-lubang ketirisan hasil demi memastikan penjanaan hasil yang optimum terhadap negeri saya turut perlu dipentingkatkan… dipertingkatkan.
Saya amat berpuas hati dengan kutipan hasil negeri Pahang bagi suku tahun pertama 2019 yang telah menjana sebanyak RM120 juta berbanding tempoh sama pada tahun 2018 sebanyak RM101 juta sahaja. Justeru, saya berpesan dengan peningkatan hasil ini, perancangan pembangunan yang lebih berkesan dapat diatur secara berhemah seterusnya memberi manfaat kepada rakyat saya.
Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT susulan Kerajaan Persekutuan secara dasarnya telah bersetuju untuk membuat pembayaran agihan sebanyak 50% daripada kutipan hasil cukai pelancongan kepada Kerajaan-kerajaan Negeri yang akan disalurkan bermula pada tahun ini. Saya percaya hasil kutipan cukai ini akan dimanfaatkan dalam memajukan lagi sektor pelancongan di negeri bertuah ini dengan aktiviti pemuliharaan, menaiktaraf, menyelenggara serta meningkatkan lagi kemudahan infrastructure pelancongan.
Industri teknologi maklumat dan digital adalah sektor ekonomi yang terus berkembang pesat. Sehubungan itu, adalah menjadi harapan saya supaya Kerajaan Negeri Pahang tidak hanya bergantung kepada hasil bumi tetapi melihat kepada peluang-peluang menjana pendapatan melalui sektor ini. Dalam memacu negeri Pahang ke arah ekonomi digital dalam dunia tanpa sempadan ini, pembangunan pesat perlu digerakkan dalam mewujudkan jaringan maklumat yang pantas dan canggih menerusi prasarana teknologi maklumat dan komunikasi yang moden dan terkini supaya selari dengan revolusi perindustrian ke-4.
Saya mengucapkan syabas kepada Kerajaan Pahang atas penubuhan Pahang Go yang akan menjadi One Stop Centre kepada aplikasi perkhidmatan digital dan online seperti sistem parkir secara online, aplikasi e-pembayaran melibatkan hasil pungutan kerajaan, kompaun dan kutipan caj-caj utiliti serta sistem aduan rakyat secara dalam talian. Saya turut gembira dengan berita penubuhan Pahang Corporations yang bakal beroperasi bermula Jun 2019. Saya difahamkan bahawa Pahang Corporations ini akan menjadi agensi penyelaras bagi memperkemaskan operasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melibatkan aktiviti-aktiviti perkhidmatan perkongsian seperti khidmat audit, kesetiausahaan, insurans dan latihan selain bakal menjadi agensi pengurusan aset-aset Kerajaan Negeri seperti kenderaan, bangunan dan peralatan.
5. Pembangunan Yang Seimbang Dan Berintegriti.
Saya berharap melalui agihan-agihan peruntukan pembangunan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri dapat dilaksanakan oleh jabatan pelaksana dengan penuh teratur dan terancang. Dengan adanya perancangan awal serta pematuhan kepada peraturan dan prosedur, dapat menjamin kejayaan pelaksanaan projek pembangunan seterusnya memberi impak positif kepada golongan sasar. Saya menyeru supaya Kerajaan Negeri dapat meneliti semula keperluan pembangunan infrasructure mengikut keutamaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Agihan peruntukan pembangunan haruslah dilaksanakan dengan adil dan saksama tanpa mengenepikan rakyat saya untuk berada di kawasan luar bandar. Ia bersesuaian dengan prinsip ‘maqasid syariah’ yang menjaga hak dan kepentingan asas kehidupan rakyat.
Sehubungan itu, saya berharap prinsip integriti senantiasa ada dalam diri dan jiwa semua anggota pentadbiran Kerajaan Negeri saya. Saya juga ingin menekankan kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik dalam menjalankan tugas dan proses membuat keputusan seharusnya diamalkan pada setiap masa. Konsultasi awam bersama rakyat bagi mendapatkan pandangan juga wajar dilaksanakan sebelum
mencapai sesuatu keputusan terutamanya dalam proses merangka sesuatu projek pembangunan negeri.
6. Sumber Kekayaan Baharu dan Pemuliharaan Alam Sekitar.
Saya sangat bersyukur negeri Pahang dianugerahi oleh Allah SWT dengan pelbagai sumber kekayaan semula jadi termasuklah sumber mineral. Bagi tahun 2018, kutipan royalti ke atas pengusahasilan mineral yang dikutip oleh negeri Pahang adalah berjumlah RM22 juta. Faktor peningkatan hasil didorong oleh kenaikan semula harga bagi kebanyakan komoditi mineral di pasaran. Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dengan kerjasama Kerajaan Negeri dapat mengenal pasti sumber-sumber kekayaan baharu di negeri Pahang bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber mineral dan sumber asli sahaja. Usaha ini akan membawa kepada perkembangan dan pemantapan ekonomi negara khususnya bagi negeri Pahang.
Dalam mengejar peningkatan hasil, saya berharap kawasan hutan di negeri Pahang tidak dijadikan kawasan pembalakan dan penerokaan semata-mata. Ia mampu menjadi sumber pendapat melalui pengamalan sistem konservasi alam sekitar yang holistik yang seterusnya akan memperkasakan sektor eko-pelancongan dan turut berupaya mendatangkan hasil kepada Kerajaan Negeri menerusi kaedah pengenaan beberapa jenis fi termasuk fi memasuki hutan simpan dan hutan lipur di negeri Pahang.
Dalam merealisasikan hasrat ini, saya menyeru agar semua pihak dapat melaksanakan kajian impact terhadap pengurusan alam sekitar secara telus bagi sesuatu kawasan yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan. Hebahan media massa terhadap kes-kes alam sekitar di negeri Pahang perlu diambil perhatian dan tindakan segera. Saya menyokong penuh usaha penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri dalam menangani gejala pencerobohan tanah kerajaan terutamanya yang melibatkan kawasan tadahan air, rizab sungai dan rizab jalan. Saya berharap kerajaan Pahang dapat melaksanakan tindakan penguatkuasaan ini dengan lebih menyeluruh tetapi dengan berhemah dalam pelaksanaannya.
Saya berharap dengan adanya kesedaran dan tanggungjawab yang tinggi di kalangan rakyat saya, selain daripada komitmen dan berterusan daripada pihak kerajaan, keseja… kesejahteraan alam sekitar dan kekayaan sumber asli di negeri Pahang akan dapat terus dinikmati dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri ini.
7. Kesucian agama Islam Dijunjung, Perlembangan Disanjung
Mutakhir ini, saya melihat pelbagai anasir negatif menular di kalangan rakyat yang beragama Islam seperti pemahaman Islam liberal dan penerimaan terhadap golongan menyalahi fitrah manusia seperti L.G.B.T. Perkembangan ini amat membim… membimbangkan saya kerana ia begitu pantas diterima oleh segelintir masyarakat pada masa kini.
Sebagai ketua agama negeri, saya menyeru kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa bagi membanteras perkara ini daripada terus berleluasa dan meracuni minda umat Islam. Konsep amar makruf nahi mungkar merupakan tuntukan… tuntutan ajaran Islam sebagai asas bagi menjadikan negeri ini terus makmur dan sejahtera.
Saya juga berasa amat terkesan terhadap penghinaan kepada institusi raja yang sepatutnya tidak berlaku bagi sebuah negara yang mengamalkan Sistem Raja Berpelembagaan yang meletakkan raja sebagai kuasa tertinggi khususnya dalam hal ehwal agama Islam. Sesungguhnya penghinaan sebegini tidak boleh dipandang
enteng dan wajar diambil tindakan mengikut undang-undang dalam memastikan martabat institusi raja dihormati oleh semua pihak.
Suka saya mengingatkan bahawa agama Islam merupakan agama persekutuan namun agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. Kebebasan beragama ini dijamin dalam perlembagaan di mana setiap orang menyum… mempunyai hak untuk menganut dan me… mengamalkan agamanya serta setiap agama mempunyai hak untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri. Walau bagai… bagaimanapun, saya melihat apa yang berlaku mutakhir ini, agama Islam seolah-olah dicabar oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
Saya berharap perbezaan fahaman politik tidak menjadi percaturan dalam pem… memelihara kesucian agama Islam. Hal ini penting bagi memastikan agama suci ini tidak dipermainkan sehingga sensitiviti Islam itu sendiri tidak dipedulikan oleh sesetengah pihak seterusnya mencetuskan perbalahan di kalangan ummah.
Akhir kalam, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Berhormat atas usaha, usaha memam… memakmurkan negeri walaupun menghadapi situasi yang serba sederhana. Saya menyeru semua Ahli Dewan agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan perlembagaan persekutuan serta Undang-undang Tubuh negeri… Kerajaan Negeri Pahang disamping mematuhi Peraturan-pertaru… peraturan tetap Dewan.
Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang tua saya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Negeri, Ketua-ketua Jabatan dan semua kakitangan awam yang terlibat dalam urusan mentadbir kerajaan negeri Pahang Darul Makmur untuk faedah rakyat sekalian. Semoga Allah SWT jua membalas jasa dan budi yang ditaburkan dengan ganjaran pahala dan kebaikan.
Saya sentiasa berdoa semoga Allah SWT sentiasa memberi petunjuk, taufik dan hidayah dalam apa jua yang kita lakukan untuk negeri ini dan kepada semua Ahli Dewan, dua rangkap pantun daripada saya;
Hijau menguning padi di sawah,
Penuh berisi runduk ke bawah,
Pendirian kukuh tidak mengalah,
Perjuangan suci diberkati Allah.
Salam bertaut bersila panggung,
Bersimpuh rapat panglima ulung,
Karam di laut jadi pelampung,
Lumpuh di darat jadi pendukung.
[Semua Ahli Dewan tepuk meja]
Dengan lafaz suci [Ayat al-Quran], saya merasmikan Pembukaan Penggal Kedua, Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14. Sekian. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh. [Semua Ahli Dewan tepuk meja].
Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Negeri menempohkan mesyuarat
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik mohon diampun. Patik mohon ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat.
Perkara keempat: Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Negeri menempohkan mesyuarat.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik mohon diampun. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dengan sempurnanya Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang sebentar tadi, maka sukacita saya menempohkan mesyuarat Dewan ini kepada hari Selasa 16 April 2019 bersamaan 10 Syaaban 1440 hijriah mulai jam 9.30 pagi.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik mohon diampun. Al-Fadhil Qadhi Daerah Kuantan mohon membaca doa.
BACAAN DOA
AL-FADHIL QADHI DAERAH KUANTAN
[Bacaan ayat al-Quran], Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Maha Suci Allah Yang Maha Esa yang tiada sekutu bagi-Nya, dan segala pujian adalah kepunyaan-Nya dan Allah lah Tuhan yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Sesungguhnya kami memohon limpah dan rahmat-Mu di Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pagi yang penuh keberkatan ini.
Ya Allah [bacaan ayat al-Quran], jadikanlah persidangan kami di Dewan Yang Mulia ini perbahasan yang merungkaikan segala permasalahan, lontaran idea-idea yang bernas, pandangan-pandangan yang jelas serta keputusan yang waras lagi tuntas. Perkukuhkanlah ikatan silaturrahim di antara kami dengan ikatan yang sejati. Janganlah Engkau biarkan segala hajat dan maslahat dan keperluan rakyat di negeri ini melainkan Engkau perkenankan serta permudahkan segala urusannya.
Ya Allah, lindungilah Negeri Pahang Darul Makmur dari kemunduran, kejahilan dan kemiskinan serta selamatkanlah dari segala ancaman bala, wabak penyakit, kekacauan dan huru hara. [bacaan dalam Bahasa Arab] Kurniakanlah negeri yang bertuah ini akan kemajuan, kejayaan dan keamanan agar kami dapat hidup dalam aman sentosa, selamat sejahtera serta dikurniakan negeri ini sentiasa maju jaya dibawah pemerintah sultan kami yang dikasihi selaku ketua agama dan pemerintah di negeri ini.
Ya Allah, Ya Latif, Ya Hafiz, kurniakanlah kesejahteraan, sihat walafiat dan dilanjutkan usia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah dan Duli Yang Amat Mulia Sultanah Hajjah Kalsom. Begitu juga kami bermohon
barang diperlihara dan diredhai oleh-Mu, maka perkenankanlah doa kami semoga Engkau memberkati hari-hari pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafar Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Almusta’in Billah dengan mengurniakan taufiq, hidayah, ri’ayah dan inayah selamat sejahtera, sihat walafiat berpanjangan, dilanjutkan usia dan sentiasa dalam rahmat penerang-Mu, bertambah iman dan taqwa, kekal kara memerintah, bersemayam di atas singgahsana tahta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur. Dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Mainumah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Begitu juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dikurniakan kesihatan yang berkekalan, bertambah iman dan taqwa terus dikurniakan kecemerlangan dan kejayaan dalam hidup. Yang Amat Mulia Paduka-paduka Anakanda, Putera-puteri, cucuanda dan kerabat, para pemimpin, alim ulamak, muslimim dan muslimat khususnya kami yang berada di Dewan Yang Mulia ini mendapat keampunan dari-Mu jua Ya Allah.
[Bacaan dalam Bahasa Arab]
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat meninggalkan majlis.