Pahang · 23 August 2021
14th Assembly, 4th session, 1st meeting · 17 turns · 4,212 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari : Isnin, 23 Ogos 2021
bersamaan 14 Muharam 1443 Hijrah
DOA
Perkara Pertama: Doa.
Bismillahirrahmanirrahim. [Bacaan dalam bahasa Arab]. Segala puji bagi Allah, dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat, pergaulan; mudah-mudahan sentosa, aman, makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri, menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon anugerahkan taufik-Mu, dipohonkan menyuluh memandukan pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama; serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah, dipohon doa kami diperkenankan. [Bacaan dalam bahasa Arab]. Amin, Ya Rabbal A’lamin.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Dewan Negeri Pahang.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada 16, 17, 18, 19 dan 20 November 2020 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya mohon izin membawa cadangan bahawa peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 pada 16, 17, 18, 19 dan 20 November 2020 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya mohon izin menyokong cadangan tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Soalannya ialah suatu cadangan bagi mengesahkan peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 pada 16, 17, 18, 19 dan 20 November 2020 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan telah pun mendapat sokongan. Sekiranya tiada apa-apa pindaan, Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju, sila nyatakan “ya”.
Ya.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju, sila nyatakan “tidak”.
Tiada. Peringatan mesyuarat tersebut disahkan tanpa pindaan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Menurut Bahagian Dua Bab 4 Perkara 29 Undang-undang Tubuh Negeri Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Titah Diraja.
Oleh yang demikian, saya mohon izin untuk mengadap merafak sembah mempersilakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat masuk bersemayam di Dewan ini dan seterusnya akan menyampaikan Titah Diraja. Dengan ini saya tempohkan Dewan ini sebentar. Terima kasih.
[Persidangan ditempohkan]
Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.Address / budget
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik mohon ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat.
Perkara ke-3: Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA PAHANG
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT. [Bacaan dalam bahasa Arab]
Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan rahmat-Nya, kita semua masih diberikan kesempatan untuk bernafas di dunia yang sementara ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, serta para keluarga dan sahabat baginda.
Saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Yang Berhormat Ahli Dewan, kerana menunjukkan komitmen tinggi menghadiri Sidang Dewan Negeri ini, walaupun kita semua masih berada dalam penularan wabak pandemik COVID-19.
Saya menyeru agar semua Yang Berhormat Ahli Dewan berbahaslah secara rasional dan berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan.
Hadirin sekalian, Mengambil kesempatan ini, saya menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9. Saya berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh Allah SWT dengan sebaik-baiknya.
Saya menasihatkan kepada semua Wakil Rakyat agar berubah kepada politik yang lebih matang, jujur dan ikhlas untuk membantu rakyat dan memajukan negara. Rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.
Suka saya ingatkan sekali lagi kepada semua Wakil Rakyat saya, ini bukanlah masa untuk kita berebut kuasa. Ini bukanlah masanya untuk kita semua bersengketa. Ini bukanlah masanya untuk kita banyak bicara tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya, inilah masanya untuk kita semua bersama, demi negara, negeri dan rakyat jelata. Dalam keadaan wabak pandemik ini, rakyat menaruh harapan yang sangat tinggi kepada kita semua.
Hadirin sekalian, Seperti yang kita semua sedia maklum, kes COVID-19 di negeri Pahang masih tinggi. Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat saya, supaya mengamalkan langkah-langkah keselamatan dan kebersihan diri, seperti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan.
Mengambil kesempatan ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak pandemik COVID-19 ini. Menyentuh soal kebajikan rakyat dalam tempoh pandemik ini, saya harus memberikan kredit kepada usaha kerajaan saya, di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang yang telah merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif, untuk membantu rakyat yang terkesan dengan penularan wabak pandemik COVID-19.
Saya kira bantuan kepada rakyat yang terkesan ini, bukan sahaja datang daripada kerajaan saya semata-mata, malah turut tidak terkecuali, badan korporat, persatuan dan NGO serta individu yang berkemampuan, turut menghulurkan sumbangan.
Seperti yang saya titahkan semasa sambutan Awal Muharam baru-baru ini, kita semua harus cakna kepada persekitaran dan kejiranan kita. Mungkin ada antara mereka yang baharu diberhentikan kerja, kehabisan bekalan makanan serta keperluan asas, ataupun tidak mampu membayar sewa rumah, maka sebagai jiran tetangga, bantulah sebaik dan seboleh yang kita mampu. Wabak pandemik ini seharusnya menjadikan kita, insan yang banyak bersyukur dan membantu mereka yang memerlukan.
Hadirin sekalian, Baru-baru ini saya ada bertitah agar semua pihak untuk mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir urus atau Environmental, Social, Governance (ESG) di Negeri Pahang. Saya menyeru sekali lagi kepada semua pihak termasuk kerajaan saya, syarikat korporat dan swasta dan juga orang perseorangan untuk mengambil serius tentang pelaksanaan ESG. Janganlah ianya menjadi retorik semata-mata, sebaliknya prinsip ESG ini, perlu menjadi amalan dan panduan kita, dalam menjadi khalifah di bumi ini.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 60, “Dan janganlah kamu melakukan kejahatan di bumi dengan membuat kerosakan”. Sesungguhnya, apa jua peranan dan pekerjaan kita dalam segala lapis masyarakat, kita haruslah memimpin menguruskan segala nikmat alam yang dipinjamkan oleh Allah SWT.
Kepada kerajaan saya, semak dan teliti semula peraturan serta SOP yang sedia ada. Apa yang kurang baik, maka perbaikilah ianya, agar selari dengan prinsip ESG.
Saya mengalu-alukan pembangunan yang maju dan serba moden. Walau bagaimanapun, ianya bukanlah alasan untuk kita mengabaikan alam sekitar dan melakukan kemusnahan sesuka hati. Matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. Pembangunan dan kemajuan yang kita harapkan, mestilah mengekalkan kelestarian alam sekitar, flora dan fauna. Kerajaan saya sendiri mestilah ditadbir dan menjadi contoh dalam mengamalkan prinsip ESG.
Hadirin sekalian, Negeri Pahang dengan keluasan hampir 3.6 juta hektar mempunyai peratusan kawasan hutan yang masih tinggi, iaitu kira-kira 57% dari keluasan negeri. Mengambil kira peratusan ini, Pahang merupakan penyumbang oksigen utama dan habitat bagi hidupan liar, flora dan fauna di Semenanjung Malaysia.
Saya menyeru kepada kerajaan saya agar keluasan kawasan hutan simpanan kekal kini yang berjumlah 1.59 juta hektar, dapat ditambah dari semasa ke semasa agar Pahang kekal signifikan sebagai Green Lung untuk Semenanjung Malaysia.
Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, Dalam hal ini, saya menyokong usaha kerajaan saya bertindak tegas dalam aktiviti penguatkuasaan. Sebagai contoh, Operasi Lestari yang dilaksanakan di Cameron Highlands membuahkan hasil yang membanggakan. Sungai Ichat di Cameron Highlands yang telah tercemar teruk tahap 4, berjaya dibersihkan dan akhirnya mencapai tahap 1. Begitu juga dengan beberapa operasi penguatkuasaan, untuk membanteras gejala penerokaan tanah secara haram di negeri ini.
Tahniah saya ucapkan, terutamanya atas ketegasan secara konsisten, yang ditunjuk dan dibuktikan oleh orang tua saya, Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail. Saya berharap, ini diteruskan without fear or favour, demi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan dan alam sekitar di negeri ini berkekalan.
Saya yakin dalam melulus apa jua pembangunan, kita mempunyai pelbagai SOP yang telah digariskan. Walau bagaimanapun, saya melihat aspek pemantauan dan penguatkuasaan kepada pelaksanaan SOP tersebut, masih boleh ditambah baik. Kepada jabatan dan agensi yang terlibat dengan penguatkuasaan, jalankanlah amanah tersebut dengan sebaik mungkin. Usahlah takut dan gentar dengan cabaran dan dugaan yang mendatang.
Saya menyeru kerajaan saya untuk memberikan lebih penekanan, kepada pembangunan dan keperluan agensi dan jabatan yang berkaitan penguatkuasaan, supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap, dan efisien.
Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, Pandemik COVID-19 ternyata telah memberi impak kepada ekonomi negara dan Pahang tidak terkecuali. Pahang merekodkan sedikit penyusutan pada tahun 2020, dengan pencapaian nilai KDNK sebanyak RM54.9 bilion berbanding RM58.4 bilion pada tahun 2019. Saya dimaklumkan, sektor pertanian masih mengekalkan sumbangan yang besar kepada pembangunan negeri.
Pengeluaran produk makanan untuk rakyat diteruskan oleh kerajaan saya melalui penyaluran peruntukan kepada para petani dan pengusaha meliputi pelbagai program pembangunan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tanaman kontan, kelapa, tanaman herba serta produk industri asas tani. Saya dikhabarkan negeri saya telah mengeluarkan 624,000 tan produk makanan, yang terdiri daripada buah-buahan,
sayur-sayuran, tanaman kontan, padi, dan lain-lain dengan nilai RM2.9 bilion pada tahun 2020.
Saya berharap kerajaan saya akan terus memberikan lebih penekanan kepada sektor pertanian, di samping sektor-sektor lain sedia ada. Konsep pertanian konvensional perlulah diubah kepada pertanian moden dan berteknologi tinggi. Penggunaan IOT atau Internet of Things, dalam sektor pertanian perlu diperhebatkan. Dengan adanya teknologi, kita tidak memerlukan tanah yang luas dan besar untuk menggandakan hasil dan keuntungan.
Justeru, saya menyeru kerajaan saya untuk menarik lebih ramai usahawan tani, terutama golongan orang muda untuk menceburkan diri dalam sektor ini. Sokongan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan pelbagai bentuk kemudahan seperti geran, dana pinjaman, tanah, khidmat nasihat serta pemasaran amat diperlukan untuk mereka yang mungkin mempunyai minat, tetapi tidak tahu bagaimana untuk mendalami bidang ini.
Kepada golongan muda dan belia, pemikiran skeptikal terhadap bidang pertanian yang tidak menjamin masa depan atau berpendapatan rendah, perlu dibuang jauh. Sekiranya dibuat dengan betul, sektor ini mampu menjana pendapatan puluhan ribu ringgit setiap bulan, insya-Allah.
Hadirin sekalian, Saya sangat mengalu-alukan pelabur luar dan tempatan untuk datang melabur ke negeri Pahang. Saya berasa sukacita dengan usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh Menteri Besar dan seluruh jentera kerajaan dalam mempromosi dan menarik pelaburan asing dan tempatan ke negeri saya.
Saya difahamkan pada tahun 2020 sahaja, pelaburan yang berjaya ditarik ke negeri Pahang berjumlah RM6.8 bilion. Begitu juga dengan misi-misi pelaburan yang telah berjaya dilaksanakan, melibatkan negara-negara seperti Belgium, Belanda, Singapura, China, serta yang terbaharu, Thailand. Ia sudah pasti berjaya memberi impak positif, kepada perkembangan ekonomi negeri dan bakal mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat saya.
Saya menyeru kepada kerajaan saya, lihatlah potensi pelaburan yang bersesuaian dan yang paling penting ianya mestilah selari dengan konsep ESG yang saya tekankan. Segala pelaburan tersebut, haruslah dilaksanakan dengan penuh berintegriti dan tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar, flora dan fauna.
Kemungkinan keperluan projek pembangunan tersebut menyebabkan untuk suatu kawasan baharu dibuka, maka ianya mestilah dilaksanakan dengan impak yang paling minima kepada alam sekitar. Kawasan-kawasan perlindungan flora dan fauna serta Hutan Simpan Kekal, Taman Negara, Taman Negeri Endau-Rompin, hutan lipur dan hutan rimba, Tasik Chini, Tasik Bera, Bukit Fraser, gunung-ganang, kawasan gua, kawasan tadahan air dan sungai, kawasan pantai dan pulau-pulau serta kawasan penempatan Orang Asli, hendaklah terus kekal dipelihara.
Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, Saya menyokong segala usaha kerajaan saya, untuk mengekang ketirisan hasil, demi memastikan penjanaan hasil yang optimum. Saya amat berpuas hati dengan kutipan hasil negeri pada tahun lepas, yang telah berjaya mengutip sebanyak RM850 juta berbanding sasaran asal, RM744 juta iaitu pencapaian sebanyak 115%.
Tahniah kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dan seluruh jentera pentadbiran kerajaan saya, yang telah bertungkus lumus meningkatkan hasil tersebut. [Ahli Dewan tepuk meja]. Ianya adalah selari dengan prinsip tadbir urus yang baik, atau good governance dalam ESG. Saya berharap prestasi kutipan pada tahun ini juga lebih baik berbanding tahun lepas, insya-Allah.
Gunakanlah lebihan kutipan hasil tersebut, untuk melaksanakan projek fizikal dan bukan fizikal, serta inisiatif yang bersesuaian, demi kesejahteraan rakyat saya jua. Dalam soal untuk meningkatkan hasil, saya menyeru kerajaan saya, agar berusaha sebaik mungkin mencari sumber alternatif baharu dan tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil bumi dan hutan semata-mata. Saya yakin Pahang juga boleh menjadi sebuah negeri maju dan berpendapatan tinggi tanpa perlu mengorbankan alam sekitar, hutan, flora dan fauna.
Hadirin sekalian, Saya berpuas hati dengan keprihatinan kerajaan saya, dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat. Saya berasa sukacita atas keprihatinan kerajaan saya mewujudkan program khusus bagi membina rumah mampu milik di negeri ini, iaitu PR1MA Pahang dan Rumah Makmur.
Saya dimaklumkan sehingga kini, kerajaan saya telah pun meluluskan 156 projek PR1MA Pahang dengan jumlah hampir 40,000 unit rumah, sedang dan akan dibina.
Begitu juga dengan 25 projek Rumah Makmur yang telah diluluskan, ianya akan memberi manfaat kepada 6,700 pemilik baharu nanti dengan harga hanya RM150,000.00 sebuah bagi rumah PR1MA dan RM80,000.00 sebuah bagi Rumah Makmur. Ianya sudah pasti sangat membantu golongan B40 dan M40 untuk mempunyai sebuah kediaman kekal.
Saya juga menyeru kerajaan saya agar dapat membina lebih banyak Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi mereka yang layak dan tidak berkemampuan. Sekiranya dahulu kita bergantung kepada projek PPRT melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan, namun dengan hasil Kerajaan Negeri yang positif, kita kini dapat membina Rumah Rakyat Pahang untuk diberikan kepada golongan yang sewajarnya secara percuma.
Kepada pemaju yang melaksanakan projek perumahan tersebut, buatlah dengan sebaik mungkin. Jagalah kualiti, dan berikanlah jiwa dan hati, dalam pembangunan projek tersebut, agar ianya memberi manfaat yang sebaik mungkin kepada pemiliknya kelak.
Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, Pada pagi yang berbahagia ini, saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat atas usaha keras dalam memakmurkan negeri saya, walaupun menghadapi situasi yang serba sederhana. Saya menyeru kepada semua Ahli Dewan agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.
Mengambil kesempatan ini, saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Negeri, Ketua-ketua Jabatan dan semua kakitangan awam yang terlibat dalam urusan mentadbir kerajaan saya demi faedah rakyat sekalian. Semoga Allah SWT membalas jasa dan budi yang ditaburkan dengan ganjaran pahala dan kebaikan, insya-Allah.
Akhir titah, saya sentiasa berdoa semoga Allah SWT memberi petunjuk, taufik dan hidayah, dalam apa jua yang kita lakukan untuk negeri ini.
Dengan lafaz suci Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada pagi ini. Sekian. Wabillahit-taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Ahli Dewan menepuk meja]
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik mohon ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat. Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang mohon membaca doa.
SAHIBUS SAMAHAH MUFTI NEGERI PAHANG
Al-Fatihah [Ayat al-Quran]
Ya Allah, Ya Latif, Ya Hafiz, Maha Suci Allah Yang Maha Esa, yang tiada sekutu bagi-Nya dan segala pujian adalah kepunyaan-Nya dan Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa atas sesuatu. Sesungguhnya kami memohon limpahan rahmat-Mu sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri Pahang Yang Ke-14 pada pagi yang penuh keberkatan ini.
Ya Allah, Ya Zal Jalali Wal Ikram, Kurniakanlah perhimpunan kami di Dewan Yang Mulia ini keberkatan, usaha yang diterima, amal soleh yang dimakbulkan, perancangan yang tidak merugikan dan dosa yang diampuni. Dan janganlah Engkau Ya Allah, biarkan perpecahan dan perselisihan di antara kami melainkan Engkau perkukuhkan hubungannya; dan janganlah Engkau
biarkan segala hajat, maslahah dan keperluan rakyat dalam negeri ini melainkan Engkau perkenankan serta permudahkan segala urusannya.
Ya Allah, lindungilah Negeri Pahang Darul Makmur daripada kemunduran, kejahilan, kemiskinan serta selamatkan dari segala ancaman bala dan selamatkan daripada kekacauan dan huru hara. Khususnya Engkau angkatkanlah wabak COVID-19 dalam negeri dan negara ini.
Kami bermohon kepadamu Ya Allah, Ya Zal Jalali Wal Ikram, kurniakanlah negeri Pahang kemajuan, kejayaan dan keamanan, agar kami dapat hidup di dalam aman sentosa dan selamat sejahtera serta jadikanlah negeri ini maju jaya di bawah pemerintahan Sultan kami, Sultan Pahang selaku Ketua Agama dan Raja yang kami kasihi. Mudah-mudahan Negeri Pahang Darul Makmur dikurniakan keberkatan, kemakmuran dan maju jaya dan agama-Mu didaulatkan Ya Allah.
Ya Allah Ya Latif, Ya Hafiz, Kami bermohon barang dipelihara dan diredhai oleh-Mu, maka perkenankanlah doa kami. Semoga engkau memberkati hari-hari pemerintahan, Sultan yang kami kasihi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, sultan dan raja pemerintah bagi negeri Pahang Darul Makmur serta segala jajahan takluknya, dengan mengurniakan kepada baginda taufik, hidayah, ri’ayah dan ‘inayah, sihat walafiah berpanjangan, selamat sejahtera, dilanjutkan usia dan sentiasa dalam rahmat pemeliharaan-Mu Ya Allah. Kekal karar memerintah, bersemayam di atas singgahsana tahta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur,
Dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, Tengku Ampuan Pahang.
Dipohonkan juga kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Amat Mulia Paduka-paduka Anakanda, Putera-puteri, cucunda dan kerabat, para pemimpin, alim ulama, muslimin dan muslimat serta rakyat jelata sentiasa berada di dalam keselamatan kesejahteraan serta mendapat keredhaan dan keampunan dari-Mu Ya Allah.
[Bacaan dalam bahasa Arab]
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik bagi pihak Ahli-ahli Dewan yang mulia ini merakamkan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas Titah Diraja Tuanku.
Ahli-ahli Yang Behormat sekalian, Dengan sempurnanya Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang sebentar tadi, maka sukacita saya menempohkan sementara Dewan ini bagi majlis santapan ringan dan jamuan pagi. Saya akan menyambung semula persidangan ini pada jam 11.00 pagi. Terima kasih. Assalamualaikum WBT.
[Persidangan ditempohkan]
[Persidangan disambung semula]
Pemasyhuran Daripada Yang Dipertua
Perkara Keempat: Pemasyhuran daripada Yang di-Pertua.
Bismillahirahmannirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat pagi. Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini kita dapat meneruskan persidangan kita.
Di kesempatan ini, marilah kita bersama-sama merakamkan rasa menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang kerana telah berangkat menyempurnakan Perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 dan seterusnya menyempurnakan Titah Diraja mengikut SOP yang telah ditetapkan.
Sesungguhnya Persidangan Pertama Penggal Ke-4 bagi Negeri Pahang Ke-14 ini, kita berada di dalam gelombang penularan COVID-19 yang amat menggerunkan dan landskap politik negara yang cukup mencabar dan akhirnya kehidupan rakyat yang amat memedihkan. Sudah pasti episod malang ini adalah pertama kali menyentuh kita. Ianya juga menghantui seluruh pelusuk dunia.
Suka saya memaklumkan terdapat dua Wakil Rakyat yang tak dapat hadir bersama-sama kita dalam persidangan kali ini iaitu Yang Berhormat ADUN Kemayan, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Fadil bin Osman; dan Yang Berhormat ADUN Tanjung Lumpur, Yang Berhormat Tuan Haji Rosli bin Abdul Jabar. Mereka disahkan mendapati CC1, close contact 1 dan dikuarantin di rumah. Marilah kita berdoa semoga mereka segera sembuh dan kembali bertugas.
Persidangan kita hari ini dan seterusnya bersandarkan kepada SOP yang ketat, bagi mengelakkan kebarangkalian penularan COVID-19 boleh tercetus di sini. Saya mematuhi arahan dan akur nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepenuhnya. Semoga dengan pendekatan dan pelaksanaan SOP ini, saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat tiada halangan dan marilah kita bersama-sama melaksanakannya bagi menjaga kemaslahatan diri, keluarga dan masyarakat.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Saya juga ingin merakamkan ucapan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang telah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu telah berkenan melantik Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri yang Ke-9 pada 21 Ogos 2021 yang baru lalu. [Ahli Dewan menepuk meja]
Sesungguhnya kebijaksanaan dan kepintaran Kebawah Duli Tuanku telah merungkaikan isu politik negara dengan baik, selamat dan pantas, dan telah melegakan kerunsingan dan kegundahan rakyat jelata. Kita berharap semua para pemimpin parti politik dan… menjunjung setinggi-tinggi solusi yang telah diputuskan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(2) (a).
Semoga kita akan menikmati sinar baharu yang aman, bahagia dan makmur serta harmoni sebagai sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia.
Baiklah, marilah kita beralih kepada aturan urusan mesyuarat selanjutnya.
Kenyataan-Kenyataan Daripada Menteri BesarStatement
Perkara Kelima: Kenyataan-kenyataan daripada Menteri Besar.
Ya, sila Yang Amat Berhormat Dato’ Sri.
Bismillahirahmannirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua atas keizinan Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua memberi ruang ini kepada saya untuk berucap mengenai hal yang hendak saya kemukakan.
Pada lazimnya, Persidangan Dewan kita ditangguhkan setelah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Shah menyempurnakan Titah Diraja.
Namun atas keperluan, saya mohon ruang ini diberikan khusus kepada saya untuk menyampaikan ucapan ringkas berkaitan hal yang turut disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenaan perlantikan jawatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang baharu.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Sukacita saya mewakili Kerajaan Negeri mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sempena pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9 atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lantikan ini… [Ahli Dewan menepuk meja]. Lantikan ini sudah tentu membanggakan kita semua, terutamanya kita yang berada di bumi Pahang. Dengan pelantikan ini juga, sudah 3 anak jati negeri diangkat menjadi Perdana Menteri. [Ahli Dewan menepuk meja]
Bermula dengan Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussein iaitu pada tahun 1970 hingga tahun 1976 seterusnya anakanda Dato’… anakandanya, Dato' Sri Mohammad Najib pada tahun 2009 hingga 2018, dan kini Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.
Turut membanggakan kita ialah apabila pelantikan dan pengurniaan Surat Cara Pelantikan beliau disempurnakan pada petang Sabtu lepas, oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.
Semestinya kita menjunjung titah dan menjunjung kasih atas kebijaksanaan serta perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku melantik dan menyempurnakan pelantikan ini. Pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri ke jawatan eksekutif tertinggi negara ini pula ialah secara meteorik ataupun secara mendadak. Ini adalah terutamanya apabila beliau baharu sahaja dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang pada 7 Julai, pada 21 Ogos yang lalu dan dalam tempoh 45 hari sahaja beliau telah dilantik ke jawatan Perdana Menteri.
Inilah yang dikatakan pepatah, “tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu”. Hanya Allah SWT sahajalah yang menentukan segala-galanya. Pemilihan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri pula adalah melalui proses yang teliti serta menepati kehendak undang-undang. Pemilihan ini juga adalah bermerit sama ada daripada segi jawatannya dalam parti mahupun Kerajaan Persekutuan juga daripada segi kelayakan akademiknya.
Beliau merupakan lepasan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya. Pada tahun 1983, kerjayanya meliputi sebagai peguam kemudian sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan iaitu pada tahun 1995 hingga 1999.
Pada tahun 2004, beliau bertanding dan menang seterusnya menjadi Ahli Parlimen Bera sehingga kini. Bermula 2008, beliau menyertai Kabinet Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional sebagai Menteri Belia dan Sukan iaitu daripada tahun 2008 sehingga 2009 disusuli sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan iaitu pada tahun 2009 hingga 2013 dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani 2013 hingga 2015.
Menyertai semula Kabinet Kerajaan Persekutuan kali ini pimpinan Perikatan Nasional sebagai Menteri Kanan Pertahanan pada Mac 2020 seterusnya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai yang lepas.
Menerusi jawatan-jawatan yang disandangnya di kementerian-kementerian berkenaan, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri tentunya cukup berpengalaman termasuklah pengalamannya mengendalikan isu wabak pandemik COVID-19.
Daripada segi perjalanan politik khususnya UMNO, pengalamannya tidak boleh dinafikan. Beliau kini ialah Naib Presiden parti dan pernah seketika menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden parti. Pada awal perjalanan politiknya, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1987, kemudian berjaya meningkatkan diri kepada kedudukan Ketua Penerangan UMNO Bahagian pada tahun 1988, Ketua Pemuda UMNO Bahagian tahun 1993 dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Temerloh yang sama pada tahun 2001.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, apabila UMNO Bahagian Bera diwujudkan, beliau menjadi Ketua UMNO Bahagiannya yang pertama pada tahun 2004. Beliau bertanding seterusnya menang dan menjadi Ahli Parlimen pertama Bera, kawasan parlimen baru diwujudkan ketika itu.
Demikianlah serba ringkas yang saya boleh katakan mengenai Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri, daripada segi itu adalah sangat sesuai dan kena pada tempat dan masanya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9.
Saya berharap semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya kepada beliau agar beliau dapat menjalankan tugasnya dengan berkesan khususnya dalam menangani wabak pandemik COVID-19 serta kesan-kesan sosial ekonomi yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Sri atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk membuat ucapan ringkas berkaitan perlantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.
Semoga dengan ucapan tahniah yang dilafaz dan direkodkan dalam Persidangan Dewan Yang Mulia ini dapat menjadi kebanggaan kepada kita semua seterusnya memastikan kepimpinan beliau menerajui Kerajaan Persekutuan akan memberi impak sebaik-baiknya kepada negara dan juga negeri kita Pahang, insya-Allah.
Dengan kata-kata itu saya sudahi dengan Wabillahit taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[Ahli Dewan menepuk meja]
Terima kasih. Baiklah, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Demikianlah kata-kata tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita yang ke-9 yang cukup cemerlang bagi melayakkan beliau dinobatkan sebagai Perdana Menteri yang ke-9 dan akan dirakamkan di dalan Dewan Yang Mulia ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian saya akan menempohkan Persidangan kita ini pada hari ini dan insya-Allah dengan kita akan bersambung semula pada hari esok Selasa, 24 Ogos 2021 bersamaan 15 Muharam 1443 Hijrah bermula jam 9.30 pagi. Persidangan ditempohkan. Assalamualaikum WBT. Terima kasih.
[Persidangan ditempohkan pada jam 11.30 pagi]