Pahang · 28 March 2022

14th Assembly, 5th session, 1st meeting · 12 turns · 2,579 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Hari

: Isnin, 28 Mac 2022

bersamaan

25 Sya’ban 1443 Hijriah

DOA

Perkara Pertama: Doa.

Yang di-Pertua (Speaker)

Al-Fatihah [bacaan Al-Quran]. Bismillahirrahmanirrahim [Ayat al-Quran]. Segala puji bagi Allah dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa, aman, makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian.

Ya Allah, berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon anugerahkan Taufik-Mu, dipohonkan menyuluh memandukan pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah, dipohon doa kami diperkenan. Amin, Amin Ya Rabbal A’lamin.

Mengesahkan Peringatan Mesyuarat

Setiausaha Dewan

Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat.

Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada 6, 7, 8, 9 dan 10 Disember 2021 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua,

Saya mohon izin membawa cadangan bahawa peringatan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada 6, 7, 8, 9 dan 10 Disember 2021 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.

Assalamualaikum WBT. Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mohon izin menyokong cadangan tersebut.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, soalannya ialah suatu cadangan bagi mengesahkan peringatan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-14 pada 6, 7, 8, 9 dan 10 Disember 2021 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan telah pun mendapat sokongan. Sekiranya tiada apa-apa pindaan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju, sila nyatakan “ya”.

Ahli-Ahli Yang Berhormat

Ya.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju, sila nyatakan “tidak”. Tiada. Dengan ini peringatan mesyuarat tersebut disahkan dengan tiada pindaan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, menurut Perkara 29 Bab 4 Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Titah Diraja. Oleh yang demikian saya mohon izin untuk mengadap merafak sembah mempersilakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat untuk bersemayam di Dewan ini. Dengan ini saya menempohkan sebentar Dewan ini. Terima kasih.

Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja PahangAddress / budget

Setiausaha Dewan

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun, patik mohon ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat.

Perkara ke-3: Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.

TITAH DIRAJA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA PAHANG

[Ayat al-Quran] Saya bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wata’ala kerana berkat limpah kurnianya, maka saya berkesempatan melafazkan titah bersempena mesyuarat pertama penggal kelima, dewan negeri pahang ke-14, pada pagi ini. Sukacita saya nasihati Ahli-ahli Yang Berhormat agar sentiasa berpegang pada prinsip mendahulukan rakyat serta memakmuran negeri ketika berbahas.

Kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, saya ingin menzahirkan ucapan syabas atas kesungguhan menerajui dan melaksanakan pentadbiran kerajaan saya secara telus dan adil.

Syukur alhamdulillah, pelaburan sebanyak RM 10.5 bilion pada tahun lalu telah membawa Pahang dinobatkan pada kedudukan ketiga berbanding negeri-negeri lain di seluruh Malaysia baru-baru ini. [Ahli Dewan menepuk meja]

Usaha dan tindakan untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan pendapatan negeri ini harus digandakan menerusi inisiatif dan pendekatan baharu. Saya sentiasa menyokong langkah jentera pentadbiran kerajaan saya asalkan berlaku adil dan berlandaskan prinsip murni demi kesejahteraan rakyat saya.

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan,

Saya amat menghargai komitmen dan usaha berterusan kerajaan saya dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi mengurangkan impak wabak pandemik COVID-19 di negeri saya. Saya difahamkan sebanyak lebih RM75 juta telah dibelanjakan kerajaan saya pada tahun 2021 bagi tujuan perbelanjaan pengurusan dan operasi mencegah penularan wabak COVID-19.

Daripada jumlah tersebut, RM31 juta telah diagihkan melalui pakej Bantuan Prihatin Pahang yang dilaksanakan melalui 4 fasa, khusus kepada golongan sasar yang terkesan akibat pandemik ini. Bagi tahun 2022 pula, saya difahamkan sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan bagi meneruskan Bantuan Prihatin Pahang dan RM40 juta lagi untuk membantu usaha ke arah fasa endemik.

Syabas diucapkan kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Jawatankuasa Task Force COVID-19 Pahang, terutamanya kepada para petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban tenaga, masa dan keselamatan diri bagi memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat dikawal dan diurus dengan baik.

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan,

Saya juga difahamkan sebanyak RM71 juta telah dibelanjakan bagi membantu mangsa banjir di Pahang baru-baru ini melibatkan bantuan wang ihsan, bantuan kematian serta perbelanjaan keperluan di pusat pemindahan sementara banjir, bantuan sewa rumah serta pemulihan pasca banjir. Selain itu, kerajaan saya juga telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM 19,000.00 untuk setiap rumah yang terjejas teruk dan perlu dibina semula di bawah insentif Rumah Kasih Keluarga Malaysia. Ini menjadikan peruntukan membina sebuah rumah tersebut adalah berjumlah RM75,000.00 yang mana RM56,000.00 merupakan sumbangan Kerajaan Persekutuan dan RM19,000.00 lagi merupakan sumbangan Kerajaan Negeri. Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan,

Menyentuh pelaksanaan projek-projek persekutuan di negeri Pahang, suka saya bertitah, kerajaan saya dan Kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama rapat bagi melaksanakan projek-projek yang mendesak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan juga Belanjawan Tahun 2022 serta berimpak tinggi di negeri Pahang. Ini termasuklah pelaksanaan projek-projek tebatan banjir dan pembangunan sistem amaran bencana serta penambahbaikan sistem saliran di lokasi yang berisiko tinggi berlakunya bencana. Saya bertitah agar semua jabatan dan agensi dapat mempercepat pelaksanaan projek-projek yang diluluskan ini dengan mematuhi peraturan dan tatacara sedia ada. Saya tidak mahu melihat projek sakit atau lambat pelaksanaannya di negeri Pahang.

Setiap peruntukan untuk yang diterima perlu dibelanjakan dengan cepat dan betul supaya rakyat menerima manfaat yang sebaiknya. Selain itu, saya menyambut baik usaha memperhebat sistem perhubungan digital di negeri saya yang melibatkan pembinaan menara telekomunikasi baharu, menaik taraf menara sedia ada dan menyediakan jalur lebar tanpa wayar di bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara. Seharusnya menuju ke arah Revolusi Industri 5.0 dan pelaksanaan 5G di negara kita, saya tidak mahu Pahang ketinggalan. Saya tidak mahu ada lokasi terutamanya di kawasan luar bandar yang masih langsung tidak menerima liputan internet. Kawasan yang menerima liputan internet perlahan pula perlu ditambah baik dari semasa ke semasa.

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan,

Seperti mana titah saya yang lalu, saya menyeru semua agensi dan jabatan di negeri Pahang agar meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan berkenaan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (E-S-G). Khazanah alam sekitar adalah untuk generasi akan datang. Saya cukup berbesar hati kerana kawasan hutan simpan kekal dan hutan simpan di negeri saya telah ditambah lebih 7,000 hektar pada tahun ini menjadikan jumlah kira-kira 1.6 juta hektar hutan simpan kekal di Pahang. Angka ini sekaligus menobatkan Pahang sebagai negeri yang mempunyai rizab hutan terbesar di Semenanjung Malaysia. [Ahli Dewan menepuk meja]. Saya bertitah agar kerajaan saya akan terus menambah keluasan kawasan rizab hutan simpan kekal ini dari semasa ke semasa pada setiap tahun.

Selain itu, penubuhan Majlis Biodiversiti Pahang dan Perbadanan Taman Negeri Pahang pada 1 Januari 2022 juga tepat pada masanya bagi tujuan pemeliharaan dan penggunaan berterusan sumber biologi, kawalan dan pengurusan serta pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti taman negeri. Kini, saya sedang menggerakkan usaha memelihara alam sekitar, flora dan fauna di negeri kita yang tercinta ini. Ini termasuklah inisiatif untuk memelihara Harimau Malaya yang kini berada di ambang kepupusan. Sekiranya kita semua tidak memberikan perhatian yang sewajarnya, tidak mustahil anak cucu kita hanya akan dapat melihat dan mengenal Harimau Malaya sekadar dalam jata negara mahupun di kulit passport kita sahaja.

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan,

Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya. Saya seorang sudah pasti tidak akan mampu untuk melaksanakannya. Sesungguhnya, usaha saya ini tidak akan membuahkan hasil jika tanpa sokongan dan strategi pelaksanaan daripada jentera pentadbiran kerajaan saya. Justeru, saya menyeru agar Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, kerajaan saya, agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, mahupun persatuan dan badan bukan kerajaan, dapat bersama–sama saya dalam menjayakan inisiatif ini, insya-Allah. Selaras dengan itu, saya menyeru agar Good Corporate Governance dihayati sebaik-baiknya dalam menggalas amanah masing-masing untuk terus memelihara alam, flora, fauna, tanah dan bumi Pahang yang tercinta.

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan,

Saya yakin bahawa sektor pendidikan merupakan elemen signifikan dalam pembangunan modal insan sesebuah negeri. Penaiktarafan KUIPSAS kepada UNIPSAS melakar sejarah tersendiri sebagai universiti islam pertama di Pahang dan pantai timur Semenanjung. Saya turut dimaklumkan mengenai komitmen kerajaan saya menerusi Yayasan Pahang yang telah banyak membantu anak-anak pahang di

sekolah rendah dan sekolah menengah serta mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Saya berharap agar inisiatif murni ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mempertingkatkan tahap pendidikan anak-anak Pahang selain mengelakkan mereka tercicir daripada pendidikan yang sewajarnya. Saya mahu melihat Institusi Pendidikan Pahang menjadi antara yang terbaik di negara dan di dunia. Kerajaan saya perlu menetapkan misi dan visi untuk menjadikan Pahang mempunyai sekolah yang terbaik, kolej yang terbaik, universiti yang terbaik malah pusat-pusat tahfiz yang terbaik. Tidak mustahil impian ini boleh dicapai dengan strategi pelaksanaan yang betul dan komitmen tinggi daripada semua pihak.

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan,

Dalam pada itu, saya berasa sukacita dengan usaha dan tindakan proaktif di bawah pimpinan orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, dalam mempromosi dan menarik RM987 juta pelaburan domestik dan RM9.8 billion pelaburan antarabangsa ke negeri saya. [Ahli Dewan menepuk meja]. Pada awal tahun 2022, kerajaan saya juga telah berjaya membawa pelaburan baharu ke Pahang bernilai RM5.5 bilion melibatkan syarikat-syarikat pelaburan dari Singapura, China, Thailand, dan Korea Selatan. Saya bertitah agar pelaburan ini mesti diuruskan dengan baik agar dapat memberikan seribu manfaat, baik daripada peluang pekerjaan, mahupun limpahan ekonomi kepada rakyat saya.

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan,

Saya gembira dengan pendekatan kerajaan negeri, memperkenalkan inisiatif baharu dalam usaha meningkatkan kutipan hasil negeri. Pentadbiran kerajaan negeri harus terus melipatgandakan usaha bagi meningkatkan kecekapan pengurusan kutipan hasil negeri selain meneroka sumber-sumber baharu. Namun, segala inisiatif yang dirancang haruslah tidak membebankan rakyat saya, malah perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan meningkatkan kelestarian alam.

Kutipan hasil negeri Pahang pada tahun 2021 sebanyak RM866 juta berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM800 juta adalah amat memberangsangkan. Insya-Allah, sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 bilion pada tahun 2022 akan tercapai dengan komitmen semua pihak.

Hadirin sekalian,

Dengan lebihan hasil yang diperoleh, saya memuji inisiatif kebajikan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat saya. Inisiatif Pahang Pride Kasih yang diperkenalkan akan dapat membantu warga emas bersasar untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Untuk inisiatif Pahang pride student pula, setiap keluarga golongan B40 dan M40 akan menerima kad diskaun 20 peratus untuk membeli peralatan persekolahan, malah tambahan RM100.00 diberikan kepada keluarga miskin dan miskin tegar untuk pembelian set peralatan persekolahan. Pahang Pride Kid pula akan memberikan manfaat kepada 25,000 orang bayi yang lahir di Pahang.

Rakyat yang melahirkan anak di Pahang pada tahun ini akan menerima inisiatif berbentuk wang simpanan untuk bayi dan barangan keperluan berpantang kepada ibu dengan jumlah RM200.00 setiap penerima. Selain itu, saya juga gembira dengan usaha kerajaan saya dengan menyediakan perumahan untuk rakyat di Pahang terutamanya bagi mereka yang tidak berkemampuan. Rumah Rakyat Pahang (RRP)

merupakan satu usaha mulia yang dilaksanakan oleh kerajaan saya dengan memberikan rumah secara percuma kepada rakyat yang terdiri daripada golongan miskin dan miskin tegar.

Begitu juga dengan program perumahan, seperti PR1MA Pahang, Rumah Makmur Pahang, serta Skim Tanah Warisan, yang dijual dengan harga mampu milik yang membolehkan rakyat saya untuk memiliki rumah sendiri. Saya juga bertitah agar kerajaan saya dapat mempercepat usaha untuk membuat penempatan baharu bagi memindahkan mereka yang sering terlibat dengan banjir.

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan,

Pada pagi yang penuh berbahagia ini, saya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat atas usaha gigih memakmurkan negeri saya [Ahli Dewan menepuk meja]. Saya menyeru semua ahli dewan agar sentiasa mempertahankan perlembagaan persekutuan serta undang-undang tubuh kerajaan negeri Pahang. Ingatlah bahawa “yang tinggi tampak jauh, yang dekat julang bersua”.

Ahli-ahli Yang Berhormatlah yang dipilih untuk terus menggalas amanah memelihara rakyat saya secara akar umbi.

Sikap “seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” haruslah dikikis dalam kalangan Ahli Dewan ini. Sebaliknya semua Ahli Dewan harus berpegang pada semangat “adat bernegeri, memagar negeri, adat berkampung, memagar kampung” demi kebajikan dan kemakmuran rakyat saya.

Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Negeri, Ketua-ketua Jabatan dan semua kakitangan awam yang terlibat dalam urus tadbir kerajaan negeri Pahang Darul Makmur. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala membalas jasa dan budi yang ditaburkan dengan ganjaran pahala dan kebaikan.

Mengakhiri titah, saya sentiasa berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikan petunjuk, taufik dan hidayah dalam apa-apa jua yang kita lakukan demi negeri Pahang yang tercinta ini. Dengan lafaz suci bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Dewan Negeri Pahang Ke-14, pada pagi ini. Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Setiausaha Dewan

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang mohon membaca doa.

SAHIBUS SAMAHAH MUFTI NEGERI PAHANG

[Bacaan ayat al-Quran], Ya Allah, Ya Latif, Ya Hafiz, Maha Suci Allah Yang Maha Esa yang tiada sekutu bagi-Nya, dan segala pujian adalah kepunyaan-Nya dan dialah Tuhan yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Sesungguhnya kami memohon limpah dan rahmat-Mu ya Allah di Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 pada pagi yang penuh barakah ini.

Ya Allah [bacaan ayat al-Quran], jadikanlah perhimpunan kami di Dewan Yang Mulia ini usaha yang diterima, amal soleh yang dimakbulkan, rancangan yang tidak merugikan dan dosa yang diampuni dan janganlah Engkau ya Allah biarkan perpecahan, perselisihan di antara kami melainkan Engkau perkukuhkannya dan janganlah engkau biarkan segala hajat, maslahat dan keperluan rakyat negeri ini melainkan Engkau perkenankan serta permudahkan segala urusannya.

Kami juga bermohon kepada mu Ya Allah [bacaan dalam Bahasa Arab] kurniakanlah Negeri Pahang kemajuan, kejayaan, keamanan agar kami dapat hidup dalam aman sentosa, selamat sejahtera serta dikurniakan negeri ini sentiasa maju jaya di bawah pemerintahan sultan kami selaku ketua agama dan raja pemerintah yang dikasihi.

Ya Allah, lindungilah negeri Pahang Darul Makmur daripada kemunduran, kejahilan, kemiskinan serta selamatkan daripada segala ancaman balak wabak penyakit dan selamat dari kekacauan dan hura hara.

Ya Allah, Ya Latif, Ya Hafiz, kami jua bermohon barang dipelihara dan diredhai oleh mu, maka perkenankanlah doa kami, semoga Engaku memberkati hari-hari pemerintahan Sultan yang kami kasihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah selaku Sultan dan Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang Darul Makmur serta segala jajahan takluknya dengan dikurniakan kepada baginda taufik, hidayah, ri’ayah dan inayah sentiasa dalam rahmat pemeliharaanMu selamat sejahtera sihat walafiat berpanjangan dilanjutkan usia serta kekal kara memerintah bersemayam diatas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj Tengku Ampuan Pahang.

Begitu juga kami pohonkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Amat Mulia Paduka-paduka Anakanda Putera Puteri Cucunda dan Kerabat para pemimpin alim ulama muslimin muslimat serta rakyat jelata sentiasa berada dalam keselamatan dan kesejahteraan serta mendapat keredhaan dan keampunan dari Mu Ya Allah [bacaan ayat Al-Quran].

Yang di-Pertua (Speaker)

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik mohon diampun. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dengan sempurnanya Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang sebentar tadi, maka sukacita saya menempohkan Mesyuarat Dewan ini kepada hari Selasa, 29 Mac 2022 bersamaan 26 Syaaban 1443 Hijrah mulai jam 9.30 pagi. Terima kasih.

Setiausaha Dewan

Kebawah Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat meninggalkan majlis.

[Persidangan ditempohkan pada jam 10.16 pagi]