Pahang · 8 May 2023
15th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 15 turns · 2,636 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari
: Isnin, 8 Mei 2023
Bersamaan 17 Syawal 1444Hijriah
DOA
Perkara pertama: Bacaan doa.
Bismilahirrahmanirrahim [Ayat al-Quran]. Segala puji bagi Allah di buka Mesyuarat Dewan Negeri yang menyebut nama Allah, yang maha pemurah, yang maha mengasihani kepada-Nya terpulang segala puji- pujian. Ya Allah yang bersifat maha hikmah limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa aman makmur limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekelian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan yang terutama bagi negeri serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon anugerahkan Taufiq-Mu dipohonkan menyuluh memandukan kepada ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran, kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah dipohon doa kami diperkenanakan. Amin Ya Rabbal A’lamin.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 29 Disember 2022 di negeri… di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Assalamualaikum WBT. Selamat pagi. Salam Sejahtera.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-pertua,
Saya mohon izin membawa cadangan bahawa peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 29 Disember 2022 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang di-Pertua, saya mohon izin monyokong cadangan tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, soalannya adalah suatu cadangan bagi mengesahkan peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 29 Disember 2022, di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan telah pun mendapat sokongan. Sekiranya ada… sekiranya tiada apa-apa pindaan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju, sila katakan “ya”.
Ya.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila katakan “tidak”. Peringatan mesyuarat tersebut disahkan dengan tiada pindaan.
Peringatan mesyuarat disahkan dengan tiada pindaan dan dibawa untuk pengesahan Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Negeri.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Menurut Perkara 29 Bab IV Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah berkenan berangkat untuk menyempurnakan Titah Diraja.
Oleh yang demikian, saya mohon izin untuk mengadap merafak sembah mempersilakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat untuk bersemayam di Dewan ini. Dengan ini saya menempohkan Dewan ini sebentar.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik mohon ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat.
Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja PahangAddress / budget
Perkara ke-3: Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang.
TITAH DIRAJA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA PAHANG
Assalamualaikum WBT [Ayat Al-Quran]. Bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wata’ala kerana berkat limpah kurnianya, maka saya berkesempatan melafazkan titah bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang ke-15 pada pagi yang indah ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian,
Pertama sekali, saya ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail yang sekali lagi telah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Pahang. Ucapan tahniah juga dizahirkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian yang telah dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu dan ingat pantun saya ini,
Bermandi-manda di Air Terjun Pelangi Singgah, sebentar di Kampung Ubai, jangan berbalah jangan bagi, nanti rakyat saya hidup terabai.
Singgah di Rompin mencari nanas, menghala ke Pekan membeli baju raya, pemimpin berlawan, rakyat yang lemas. Marilah bersatu demi negeri kita.
Suka saya ingatkan bahawa pelantikan ini satu amanah untuk berkhidmat berbakti dan memelihara nasib rakyat saya. Bukannya bermegah-megah dan tunjuk kuasa malah tugas ini harus dilaksanakan oleh setiap Ahli Yang Berhormat dengan penuh ikhlas, jujur dan berintegriti. Insya-Allah.
Saya juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Bin Haji Shamsudin yang dilantik sebagai Yang Berhormat Yang di-Petua Dewan Negeri Pahang dan Yang Berhormat Encik Lee Chin Chen yang dilantik sebagai Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang.
Saya berharap Yang Berhormat dapat mengurus kelancaran persidangan kita ini dengan baik dan teratur. Dalam pada itu, saya turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Dato’ Indera Haji Zulkifli bin Haji Yaakob yang dilantik sebagai Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Pahang. Saya berharap Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan akan melaksanakan tugas dengan penuh komitmen bagi memastikan negeri saya ini dapat diurus secara proaktif. Tidak lupa juga saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Sri Dr Sallehuddin Bin Ishak, mantan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Pahang yang telah banyak menabur hikmat bakti kepada pembangunan negeri saya.
Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, saya berharap pentadbiran baharu kerajaan saya ini dapat meneruskan keharmonian serta kegemilangan untuk membangunkan ekonomi dan fizikal serta meningkatkan pendapatan negeri demi kemakmuran rakyat saya.
Kerajaan saya harus memperkukuh lagi iltizam untuk melipat gandakan produktiviti dan daya saing bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun 2023 dipertingkatkan lagi
sebagaimana sasaran yang telah ditetapkan. Saya berbangga dengan pencapaian kerajaan sehingga Disember 2022, sebanyak 7 projek pelaburan antarabangsa dari negara Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan telah berjaya dimuktamadkan dengan jumlah nilai pelaburan lebih kurang RM11 billion.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, suka saya nasihatkan, pantau betul-betul pelaburan ini. kita tidak mahu hanya gah pada angka tetapi biarlah rakyat turut menerima limpahan pekerjaan yang bakal tercipta. Dan yang paling penting, kesemua pelaburan yang masuk tidak mencemarkan alam sekitar di negeri saya ini. Apa jua projek yang dilaksanakan, ianya mestilah seimbang antara pembangunan yang menyokong ke arah pelepasan karbon sifar bersih atau net zero emissions.
Ingat, dalam usaha kita mengejar kemajuan negara dan negeri, kita tidak boleh sama sekali membelakangkan alam sekitar dalam kehidupan. Saya tidak mahu “menang bersorak, kampung tergadai” (pepatah). Lebih-lebih lagi, Pahang merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli dan khazanah alam yang paling bernilai. Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, sumber asli yang kita ada sekarang ini tidak akan bertahan lama jika tidak ada pengurusan dan perancangan yang tersusun. Setakat ini, sumber asli negeri Pahang dijangka mampu bertahan selama 150 tahun. Namun, saya mahu sumber asli ini dapat bertahan lebih daripada 300 tahun atau lebih lama daripada itu.
Justeru, kita tiada pilihan. Kita perlu merangka strategi untuk beralih daripada sumber ekonomi tradisional seperti hasil tanah, mineral dan balak sekarang kepada sumber ekonomi alternatif yang lain. Kalau kita bersatu dan fokus Pahang sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia, bukan sahajalah akan terus berdikari, bukan sahaja boleh menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara, malah turut menjadi penyumbang utama kepada net zero emissions negara.
Justeru, saya mahu kerajaan saya mengamalkan Pembangunan Lestari berdasarkan konsep Environment, Social and Governance (ESG) dalam setiap projek bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Hadirin yang dihormati sekalian, kerap kali saya menerima laporan terhadap aktiviti penguatkuasaan seperti pencerobohan tanah, kecurian hasil tanah dan mineral serta penerokaan hutan simpan secara tidak sah.
Saya melihat aktiviti penguatkuasaan kita masih pada tahap yang lemah dan perlu banyak ditambah baik. Ya, Pahang ni memang luas. Tapi tidak boleh dijadikan satu alasan untuk kita tidak boleh bertindak agresif kepada pencuri khazanah Pahang ini. Mahu tidak mahu aktiviti penguatkuasaan ini perlu diperhebat lagi. Saya mahu semua agensi penguatkuasaan tegas dan berani. Jalankan tugas dengan profesional tanpa mengira latar belakang pesalah.
Pada kerajaan saya, cari jalan supaya aktiviti penguatkuasaan dapat ditingkatkan lagi. Berilah bajet yang bersesuaian agar mereka dapat jalankan tugas dengan sempurna. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, terima kasih kepada kepada kerajaan saya yang telah mewartakan Hutan Simpan Gunung Ais dan Hutan Simpan Gunung Ais Tambahan sebagai Rizab Harimau Diraja Al Sultan Abdullah. Rizab Harimau Diraja ini merupakan yang pertama di Malaysia dan usaha ini harus diberikan pujian kerana Pahang paling hadapan dalam usaha melindungi spesis yang semakin terancam ini.
Gunung-ganang, tasik dan hutan dara, Khazanah Pahang tiada terhingga, Habitat harimau mesti dijaga, Kelestrian hutan akan terpelihara.
Saya yakin dan percaya bahawa kelestarian alam sekitar mampu menjamin kesejahteraan kehidupan kemampanan sumber asli, kestabilan politik dan kerajaan yang memerintah serta kelangsungan pembangunan negara yang seimbang. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya mahu melihat kadar jenayah komersial dan jenayah sivil di negeri saya dikurangkan setiap tahun.
Kerajaan saya harus bekerjasama dengan SPRM dan PDRM dan semua pihak dalam meningkatkan usaha bagi memastikan kadar jenayah di dalam negeri dapat dikurangkan. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita kes buang bayi yang berlaku di Tanjung Lumpur, Kuantan. Kejadian ini... kejadian seperti ini adalah amat dikesali dan saya berharap kejadian menyedihkan seperti ini tidak berlarutan di negeri Pahang.
Bimbingan kaunseling yang bersesuaian serta didikan agama perlu diterapkan demi kesedaran golongan muda. Justeru, saya bertitah, semua jabatan dan agensi kerajaan berkaitan serta NGO perlu berganding bahu. Kempen-kempen kesedaran semua peringkat lapisan masyarakat hendaklah diperluas sama ada kempen secara lisan, ceramah dan media sosial, melibatkan organisasi atau agensi pendidikan untuk turut sama menyumbang ke arah pencegahan jenayah seperti buang bayi, dadah, mat rempit dan keganasan rumah tangga.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, biarlah kita bersama sama menjaga martabat dan maruah kaum wanita yang mulia. Kita sedia maklum bahawa wanita Malaysia telah banyak mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang. Justeru, agenda pemerkasaan wanita di negeri saya sudah tentu menjadi salah satu agenda penting kerajaan dan memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak.
Saya menyokong langkah kerajaan saya dalam menggubal dasar wanita Pahang seterusnya mewujudkan plan tindakan bagi memastikan dasar ini dapat mencapai matlamatnya. Selain itu, saya amat gembira dengan pelaksanaan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) sejak tahun 2020 sehingga hari ini diberikan secara percuma kepada rakyat yang layak dan memerlukan.
Saya mahu inisiatif ini diteruskan dan bilangan kelulusan Rumah Rakyat Pahang dapat ditambah lagi Insya-Allah. Ahli ahli Yang Berhormat sekalian, pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak boleh dilupakan. Golongan OKU perlu sentiasa mendapat perhatian istimewa daripada kerajaan negeri. Saya menzahirkan tahniah kepada kerajaan saya atas penubuhan Majlis Penasihat OKU Negeri Pahang.
Begitu juga dengan masyarakat Orang Asli, kebajikan mereka juga hendaklah sentiasa terjaga. Dalam hal ini, saya telah berkenan agar Majlis Penasihat Orang Asli Negeri Negeri Pahang ditubuhkan supaya dapat menjadi platform bagi pembangunan Orang Asli di negeri Pahang.
Hadirin sekalian, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana telah meluluskan lebih RM400 juta Peruntukan Tahunan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia atau MARRIS kepada negeri saya. Menerusi peruntukan ini, saya berharap isu kerosakan jalan raya dapat diselesaikan untuk memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya di negeri ini.
Dari Semambu hingga ke Gebeng, Berlopak sudah sana dan sini, Kebajikan rakyat tak di pandang enteng, Jalan raya pastikan dibaiki.
Saya menyeru kerajaan saya agar dapat menubuhkan task force dan fokus supaya proses membaik pulih jalan yang rosak ini dapat disegerakan. Janganlah nanti musim tengkujuh tiba baru tender atau sebut harga nak dikeluarkan. Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meneruskan projek tebatan banjir di semua negeri terlibat termasuk... termasuklah negeri Pahang. Setiap kali musim tengkujuh, ribuan rakyat saya akan terkesan teruk, justeru ianya perlu dilaksanakan dengan segera demi kepentingan rakyat saya.
Satu lagi saya nak beri nasihat, saya tidak mahu projek-projek kerajaan di negeri Pahang ini lewat jadual. Projek yang sepatutnya siap awal, rugilah kalau siap lewat. Lambat rakyat saya merasa nikmatnya. Kepada kontraktor yang melaksanakan projek projek tersebut pula, tolonglah buat betul betul guna bahan yang bermutu tinggi. Ikut spesifikasi jangan curi curi.
Ahli ahli Yang Berhormat Sekalian,
Perasmian Persidangan Dewan ini merupakan yang terakhir buat saya sebagai Pemangku Raja Pahang dalam tempoh lima tahun ini. Insya-Allah tahun hadapan Seri Paduka Ayahanda saya akan kembali sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Suka saya nasihatkan kepada semua ahli Yang Berhormat baik daripada kerajaan mahupun pembangkang untuk sama sama membangunkan negeri kita ini. Saya harus berikan pujian. Saya kira kajian saya sekarang dalam landasan yang betul. Hasil negeri meningkat dan ada pelbagai inisiatif yang baik untuk rakyat, namun masih ada banyak yang boleh ditambah baik. Fokus lebih kepada masalah-masalah yang dihadapi rakyat seperti masalah bekalan air, jalanraya, banjir, peluang pekerjaan, kesesakan lalu lintas, keselamatan, pembangunan belia dan sebagainya.
Kepada Pembangkang, berilah idea idea membina yang boleh membantu kerajaan. Hampir 66 tahun merdeka, landskap politik kita kena berubah. 60 tahun ini sepatutnya telah matang. Yang menjadi kerajaan, raikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat. Peruntukan yang ada perlu diberikan kepada mereka juga. Kepada pembangkang pula, janganlah menghentam semua yang kerajaan buat. Apa yang baik berilah pujian, apa yang kurang berilah pandangan. Rakyat mahu politik yang stabil dan matang. Pahang perlu terus bergerak laju ke hadapan. Kita mesti menjadi contoh kepada negeri negeri lain dan negara lain juga.
Suka saya nasihatkan kepada Pegawai Kerajaan dan Penjawat Awam, anda semua juga perlu bergerak pantas dan laju. Kepada majikan swasta juga sama. Kerajaan telah sedia itu ini, maka pulanglah balik kepada kerajaan dalam bentuk cukai, zakat, CSR atau ESG. Apabila sudah untung lebih, jangan lupa beri semula kepada pekerja. Ada untung lebih, bayarlah gaji pekerja lebih sikit atau beri bonus yang lebih baik. Mereka sudah pasti akan berbelanja. Maka usahawan atau yang bekerja sendiri perlu dapat merasa manisnya. Hubungan simbiosis semua pihak inilah akan menjadi kunci kepada kemajuan negeri Pahang. Sama-sama kita berdoa semoga Pahang akan terus maju dan rakyatnya sentiasa makmur Insya-Allah.
Dengan lafaz suci Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang ke 15 pada pagi ini. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ampun tuanku beribu ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang mohon membaca doa.
MUFTI NEGERI PAHANG
Bismillahirrahmanirrahim. (Bacaan dalam Bahasa Arab). Ya Allah Ya Latif Ya Hafiz. Maha Suci Allah Yang Maha Esa yang tiada sekutu bagi-Nya dan segala pujian kepunyaannya. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Sesungguhnya kami memohon limpahan keberkatan dan rahmat mu di Istiadat Pembukaan Penggal kedua Dewan Negeri Pahang yang Ke-15 pada pagi yang penuh keberkatan ini.
Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami di Dewan Yang Mulia ini usaha yang diterima, amal soleh yang dimakbulkan, perancangan yang tidak merugikan dan dosa yang diampuni dan janganlah engkau Ya Allah, biarkan perpecahan dan perselisihan di antara kami melainkan kau perkukuhkannya. Dan janganlah engkau biarkan segala hajat dan keperluan rakyat negeri ini melainkan engkau perkenankan serta permudahkan segala urusannya.
Kami bermohon kepadamu Ya Allah, Ya Dzal Fadhli Wal Ihsan dengan mengurniakan negeri Pahang kemajuan, kejayaan dan keamanan agar kami dapat hidup dengan dalam aman, sentosa dan selamat di bawah pemerintahan sultan kami Sultan Pahang selaku ketua agama dan raja pemerintah serta menjadikan rakyat sejak serta menjadikan kami rakyat yang taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda Tuanku Sultan Kami. Ya Allah lindungilah negeri Pahang Darul Makmur daripada kemunduran, kejahilan, kemiskinan serta selamatkan daripada segala ancaman bala, wabak penyakit dan selamat daripada kekacauan dan huru hara. Kami juga bermohon barang dipelihara dan diredhai olehmu. Maka perkenankanlah doa kami.
Semoga engkau memberkati hari-hari pemerintahan sultan yang kami kasihi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah selaku Sultan dan Raja pemerintah bagi negeri Pahang Darul Makmur serta segala jajahan takluknya dengan dikurniakan kepada baginda, taufik, hidayah, riayah dan inayah, selamat sejahtera, sihat walafiat, lanjutkan usia dan sentiasa dalam rahmat pemeliharaanMu. Kekal memerintah bersemayam di atas singgahsana tahta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, Tengku Ampuan Pahang. Begitu juga kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Yang Amat Mulia Paduka-Paduka Anakanda Putera Puteri, cucunda dan kerabat, para pemimpin, alim ulama muslimin muslimat, serta rakyat jelata sentiasa berada dalam keselamatan dan kesejahteraan serta mendapat keredaan dan keampunan dari Mu Ya Allah. [Sambungan Bacaan Doa dalam Bahasa Arab]
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekian, dengan sempurnanya Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang sebentar tadi, maka sukacita saya menempohkan Mesyuarat Dewan ini pada hari Selasa, 9 Mei 2023, bersamaan 18 Syawal 1444 Hijrah mulai jam 9.30 pagi. Terima kasih.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang berangkat meninggalkan Majlis.
[Persidangan ditempohkan pada jam 10.25 pagi]