Pahang · 6 May 2024
15th Assembly, 3rd session, 1st meeting · 14 turns · 3,138 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari Pertama
: Isnin, 06 Mei 2024
bersamaan 27 Syawal 1445 Hijrah
DOA
Perkara Pertama: Doa.
Bismillahirrahmanirrahim [bacaan dalam Bahasa Arab]. Assalamualaikum WBT. Marilah kita mulakan majlis kita ini dengan ummul kitab Al-Fatihah [bacaan ayat Al-Quran]. Bismillahirrahmanirrahim [bacaan dalam Bahasa Arab]. Segala puji bagi Allah dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa, aman, makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon anugerahkan Taufik-Mu, dipohonkan menyuluh memandukan pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah, dipohon doa kami diperkenan. Amin, Amin Ya Rabbal A’lamin.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 4, 5, 6 dan 8 Disember 2023 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Assalamualaikum WBT, selamat pagi.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker,
Saya mohon izin membawa cadangan bahawa Peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 4, 5, 6 dan 8 Disember 2023 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan, disahkan.
Yang Berhormat Dato‘ Sri Speaker,
Saya mohon menyokong cadangan tersebut.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Soalannya ialah,
“Satu cadangan bagi mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 4, 5, 6 dan 8 Disember 2023 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan”,
telah pun mendapat sokongan. Sekiranya tiada apa-apa pindaan, Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju sila nyatakan “ya”.
Ya.
Yang tidak bersetuju sila nyatakan “tidak”. Peringatan mesyuarat tersebut disahkan dengan tiada pindaan.
Peringatan Mesyuarat disahkan dengan tiada pindaan dan dibawa untuk pengesahan Yang Berhormat Speaker.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Sebelum saya meneruskan atur cara urusan mesyuarat, saya ingin memaklumkan pada hari esok, Selasa, 7 Mei 2024, persidangan kita akan ditempohkan. Ini kerana Majlis Perasmian Penutup International Conference On Contemporary Education In The Islamic World (ICCEIW) disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertempat di Grand Darul Makmur Hotel. Oleh itu, semua Ahli-ahli Yang Berhormat adalah dijemput menghadiri majlis tersebut pada jam 10.30 pagi dan berpakaian lounge suit bersongkok.
Seterusnya dimaklumkan, pada hari yang sama, acara Sukan Mesra ADUN iaitu sukan boling akan diadakan bertempat di PlayGround 6, Semambu pada jam 3.00 petang. Semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan isteri yang menyertai sukan tersebut dijemput hadir.
Baiklah Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Menurut Perkara 29 Bab IV Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Titah Diraja.
Oleh yang demikian, saya mohon izin untuk mengadap merafak sembah mempersilakan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berangkat untuk bersemayam di Dewan ini. Dengan ini saya menempohkan Dewan ini sebentar.
Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan PahangAddress / budget
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik mohon ampuni limpah perkenan kepada Paduka Tuanku untuk meneruskan aturan mesyuarat.
Perkara ketiga: Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
TITAH DIRAJA KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG
Bismillahirrahmannirahim. Alhamdulillah [Bacaan ayat dalam Bahasa Arab] Assalamualaikum WBT, salam sejahtera. Paduka anakanda Tengku Mahkota Pahang, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Yang Amat Mulia Kerabat-kerabat Bergelar, Yang di-Pertua Dewan Negeri dan semua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang Beta hormati sekalian.
Segala pujian ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir semesta alam. Beta merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, rahmat dan inayah-Nya dapat Beta berkesempatan melafazkan Titah Diraja bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Kali Ke-15 pada pagi yang penuh bermakna ini.
Tahun 2024 merupakan tahun yang penuh bermakna dengan keberangkatan balik Beta ke negeri Pahang Darul Makmur yang Beta amat cintai dan kasihi. Oleh itu, Beta berharap Ahli-ahli Dewan dapat menjalankan tanggungjawab dan memberikan komitmen serta mengambil bahagian dalam perbahasan dengan memberikan pandangan yang boleh meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan negeri Beta.
Beta juga menyeru agar Ahli-ahli Dewan berbahaslah secara rasional dan berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan.
Beta juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Negeri atas kecekapan dalam persediaan pengendalian Persidangan Dewan Negeri Pahang pada kali ini.
Yang di-Pertua Dewan Negeri dan semua Ahli-ahli Dewan Negeri,
Prestasi hasil negeri. Pertamanya, Beta mengucapkan tahniah kepada pentadbiran kerajaan Beta serta orang tua Beta, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail atas kejayaan meningkatkan prestasi kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk dua tahun berturut-turut.
Beta telah dimaklumkan pada tahun 2023, kerajaan Beta telah berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM1.306 bilion melalui pelbagai sumber hasil negeri dengan sumbangan terbesar adalah kutipan hasil tanah yang keseluruhannya berjumlah RM740.35 juta.
Malah, kutipan hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 1.42% lebih tinggi berbanding dengan prestasi jumlah kutipan hasil pada tahun 2022 iaitu RM1.28 bilion.
Bagi tahun 2024, Kerajaan Beta telah menetapkan sasaran kutipan hasil secara keseluruhan sebanyak RM1.137 bilion. Sehingga 30 April 2024, kerajaan Beta telah berjaya mengutip hasil secara keseluruhan sebanyak RM298.108 juta iaitu 26.2% daripada sasaran yang ditetapkan dan Beta percaya jumlah ini akan bertambah dari masa ke semasa.
Dalam pada itu, pencapaian pentadbiran kerajaan Beta turut diperkukuh apabila sebanyak 70% hutang kerajaan Beta iaitu daripada RM3.31 bilion kepada RM993.62 juta telah berjaya dikurangkan dalam tempoh lima tahun. Maka dalam hal ini, Beta mahu kerajaan Beta terus komited dalam meningkatkan usaha untuk mengurangkan lagi jumlah hutang tersebut. Tahniah dan syabas Beta ucapkan.
Beta berharap kerajaan Beta memperkukuhkan lagi iltizam untuk melipat ganda produktiviti dan daya saing bagi memastikan prestasi kutipan... hasil tahun 2024 bukan sahaja dapat dikekalkan malah dipertingkatkan lagi sebagaimana yang telah disasarkan.
Dalam hal ini, Beta percaya pentadbiran kerajaan Beta amat menitikberatkan perihal tadbir urus yang baik, akauntabiliti dan integriti setiap anggota pentadbiran kerajaan Beta untuk merealisasikan harapan negeri Beta sebagai sebuah negeri beretika dan berintegriti tinggi.
Yang di-Pertua Dewan Negeri dan semua Ahli-ahli Dewan Negeri,
Ketirisan hasil negeri. Beta berbangga dengan usaha kerajaan Beta yang memandang serius dalam mengatasi ketirisan hasil negeri yang berpunca daripada kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan.
Beta dimaklumkan pada tahun 2023 sebanyak RM2.7 juta kompaun dan denda berjaya dikutip berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1.5 juta. Malah, masih terdapat 15 kes telah dibawa ke... ke muka pengadilan.
Malah Beta dimaklumkan pentadbiran kerajaan Beta pada hari ini tidak lagi mengenakan kompaun terhadap aktiviti pencerobohan tanah kerajaan, sebaliknya mengheret mereka yang didapati melakukan aktiviti tersebut terus ke mahkamah. Syabas dan tahniah di atas tindakan yang tegas ini.
Beta mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian Musang King di Raub pada 24 April 2024 yang lalu dan Beta berharap agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah tersebut.
Beta berharap Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang tidak gusar dan takut, dan akan terus proaktif memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang seperti
aktiviti rondaan, pencegahan, siasatan dan pengumpulan-pengumpulan maklumat berkenaan pencerobohan tanah kerajaan.
Prestasi ekonomi dan pembangunan negeri. Suka Beta nyatakan di sini berhubung prestasi pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu sejumlah RM2.61 bilion telah dibelanjakan bagi melaksanakan 548 projek di negeri Pahang Darul Makmur iaitu 99.11% daripada peruntukan tahun 2023 yang telah diperuntukkan.
Prestasi ini Beta lihat memberangsangkan berbanding prestasi nasional tahun 2023 iaitu sebanyak 98.80%. Di samping itu, kerajaan Beta turut memperuntukkan sejumlah RM303.272 juta bagi melaksanakan 211 projek pembangunan negeri dan pembekalan air pada tahun 2023.
Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2024 yang bertemakan 'Pahang Prihatin, Rakyat Makmur' telah memperuntukkan sejumlah RM1.125 bilion bagi tujuan peruntukan perbelanjaan mengurus iaitu peningkatan RM54 juta atau 5.5% berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM1.071 bilion.
Manakala, bagi peruntukan perbelanjaan pembangunan dan bekalan air pula, sejumlah RM301.29 juta telah diperuntukkan untuk tahun 2024 bagi melaksanakan 249 projek-projek infrastruktur serta projek-projek bekalan air di seluruh negeri Pahang, dengan objektif meningkatkan lagi kemudahan asas, keselesaan dan taraf hidup rakyat.
Beta berharap pelaksanaan projek- projek yang telah diluluskan di negeri Beta akan berjalan dengan lancar dan apabila siap kelak ia akan memberi manfaat kepada rakyat Beta jua.
Berkaitan alam sekitar, di kesempatan ini Beta mengucapkan tahniah kepada kerajaan Beta kerana berjaya mengangkat daerah Lipis sebagai Geopark Kebangsaan yang berkuatkuasa pada 9 November 2023 dan dimasyhurkan sebagai Lipis Geopark pada 18 Januari 2024 yang lalu.
Beta berharap menerusi pengiktirafan Lipis Geopark ini, kerajaan Beta dapat merancang untuk membentuk strategi baharu pelancongan negeri dan membina persepsi awam mengenai keunikan dan keprihatinan untuk menjaga warisan berharga yang ada di negeri ini.
Pertanian dan keterjaminan makanan. Sejajar dengan Revolusi Pertanian 4.0, sektor pertanian di negeri ini perlu diperhebatkan lagi pada tahun 2024 dengan memfokuskan kepada pembangunan pertanian berteknologi tinggi bagi pengeluaran bahan makanan yang berkualiti, mencukupi dan selamat dimakan.
Bagi menjayakan hasrat murni ini, Beta amat menggalakkan lebih ramai golongan muda ataupun agropreneur muda untuk melibatkan diri dan menceburi bidang pertanian. Sehubungan dengan itu, dalam semua perancangan dan pelaksanaan program pertanian, golongan muda sudah pastinya akan dilibatkan dengan lebih aktif bagi mencapai Revolusi Pertanian 4.0.
Pendidikan dan pembangunan modal insan. Bagi sektor pendidikan, kerajaan Beta menerusi Yayasan Pahang komited dalam membantu anak-anak Pahang dengan pemberian biasiswa sekolah untuk pelajar sekolah rendah dan menengah sejak 1983 sehingga 2023 melibatkan peruntukan sejumlah RM488 juta yang telah dimanfaatkan
oleh 385,000 penerima. Pada tahun 2023 sahaja, Yayasan Pahang telah memberi biasiswa kepada 51,000 penerima dengan kos berjumlah RM31.6 juta.
Selain itu, Beta turut berbangga dengan usaha mewujudkan program-program tahfiz di negeri ini bagi melahirkan modal insan cemerlang, baik dari aspek akademik dan juga kerohanian menerusi pendidikan agama bermula dari awal persekolahan sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi.
Beta dimaklumkan antara program tahfiz yang ada di negeri Beta ialah Tadika Tahfiz Negeri Pahang, Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang, Maahad Tahfiz… Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang serta Program Tahfiz Mahir.
Dalam pada itu, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) pula akan terus mempergiatkan usaha dalam memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan. Malah, UniPSAS telah dianugerahkan sebagai universiti berdaya saing dalam penarafan setara 2022 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Ini membuktikan kerajaan Beta telah berjaya meletakkan UniPSAS setaraf dengan universiti awam yang lain serta tersenarai dalam 90 universiti terbaik di Malaysia, alhamdulillah.
Dakwah islamiah. Beta berharap, kerajaan Beta sentiasa menerapkan konsep menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang merupakan asas kepada ajaran Islam untuk menjadikan negeri Pahang terus makmur dan sejahtera. Oleh itu, Beta menyeru agar lebih banyak program-program kesedaran dan aktiviti dakwah diadakan.
Selari dengan perkembangan teknologi masa kini, kaedah penyebaran dakwah juga haruslah berubah seiring dengan perkembangan teknologi dengan melaksanakan pelbagai inovasi dan perubahan, mencari kaedah-kaedah baru tanpa meninggalkan asas-asas yang telah diajarkan oleh agama Islam itu sendiri.
Selain itu, Beta berharap Jabatan Agama Islam Pahang mengambil inisiatif dengan memperluaskan metodologi dakwah bil hal melalui pelaksanaan program-program di semua peringkat sama ada di kawasan bandar, kawasan pedalaman mahupun di kawasan penempatan kampung Orang Asli.
Dalam pada itu, Beta juga turut berbangga dengan usaha kerajaan Beta menyalurkan sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM750.00 serta Pek Makanan Juadah Makmur ready to eat kepada setiap jemaah haji negeri ini yang akan menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini menerusi Program Barakah Haji Pahang [Ahli Dewan menepuk meja]. Beta berharap usaha murni ini er… seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun seterusnya bagi meraikan, memuliakan jemaah haji negeri ini yang akan berangkat ke Tanah Suci.
Yang di-Pertua Dewan Negeri dan semua Ahli-ahli Dewan Negeri.
Peningkatan pelaburan asing pemangkin ekonomi negeri. Peranan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (DDI) adalah antara pemangkin utama ekonomi negeri Pahang. Beta amat berbangga dengan pencapaian kerajaan Beta sepanjang 2023 di mana negeri ini menerima banyak cadangan pelaburan dari dan er… dari dalam dan luar negara meliputi negara China, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, New Zealand dan lain-lain lagi.
Sehingga Disember 2023, kerajaan Beta telah berjaya memuktamadkan beberapa pelaburan komited dengan nilai pelaburan sebanyak RM11.66 bilion yang merupakan 70.9% daripada nilai keseluruhan pelaburan komited iaitu sebanyak RM16.44 bilion yang telah berjaya dibawa masuk oleh kerajaan Beta. Sehubungan dengan itu, Beta berharap agar cadangan-cadangan ini dapat dipertimbangkan dan dimuktamadkan sebaiknya bagi menggalakkan perkembangan ekonomi dan sosial negeri Pahang.
Bagi meningkatkan usaha membawa pelaburan masuk ke Pahang, Beta menitahkan supaya segala karenah birokrasi yang menyebabkan kelewatan di dalam proses permohonan sama ada di peringkat Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan tidak akan berlaku, tidak harus berlaku.
Dengan cara ini ianya bukan sahaja menjadikan negeri Beta sebagai negeri mesra pelabur ease of doing businesss, malah mampu mempertingkatkan tahap kompetensi dan kecekapan semua jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat.
Bantuan Kerajaan Negeri. Beta cukup berbangga dengan usaha kerajaan Beta dalam memastikan kebajikan rakyat Beta tidak pernah dilupakan. Seperti mana tahun sebelumnya, Bantuan Prihatin Pahang (BPP) diteruskan dengan 20 jenis bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM38.08 juta.
Beta percaya berdasarkan prestasi cemerlang yang dicapai, kerajaan Beta berupaya untuk meneruskan lagi program-program bantuan seperti ini bagi memastikan lebih ramai lagi rakyat Beta yang dihimpit kemiskinan terus mendapat perhatian yang sewajarnya.
Selain itu, Beta amat gembira dengan pelaksanaan Program Rumah Rakyat Pahang (RRP) sejak tahun 2020 sehingga ke hari ini yang diberikan secara percuma kepada rakyat Beta yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin tegar yang tidak memiliki rumah atau rumah yang didiami terlalu uzur untuk dibaiki. Rumah tersebut dibina dengan kos RM75,000.00 seunit dan ditanggung sepenuhnya… sepenuhnya oleh kerajaan Beta.
Saya ingat Parlimen sahaja panjang, Negeri pun panjang juga ucapan. Beta turut dimaklumkan kerajaan Beta turut menyediakan 120 unit Rumah Rakyat Pahang secara percuma kepada penduduk Orang Asli yang menelan belanja sebanyak RM9 juta.
Bukan itu sahaja, kerajaan Beta juga turut menyalurkan RM2,000.00 kepada setiap penerima Rumah Rakyat Pahang untuk pembelian peralatan isi rumah yang asas dengan jumlah peruntukan keseluruhan berjumlah RM940,000.00.
Selain itu, sebagai keprihatinan terhadap rakyat Beta yang dikasihi, sebanyak 274 Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) akan diteruskan pada tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM25.03 juta. [Ahli Dewan menepuk meja] Projek Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) turut memberi fokus kepada pemilikan rumah untuk golongan B40 di negeri Pahang.
Pengurangan kemiskinan tegar. Di kesempatan ini Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Beta kerana telah berjaya mengurangkan jumlah kemiskinan tegar pada tahun 2023. Itu daripada 4,968 orang pada bulan Januari kepada 1,946 orang pada bulan Disember, dengan pengurangan sebanyak 60.08 %.
Kejayaan pengurangan ini adalah hasil daripada usaha kerajaan Beta dalam memberi pelbagai bentuk bantuan sumbangan dan inisiatif secara berterusan serta projek-projek pembangunan yang secara langsung membuka peluang pekerjaan dan peningkatan ekonomi rakyat Beta.
Oleh itu, Beta mahu program dan inisiatif harus diteruskan serta dirancang dengan sebaik-baiknya bagi meningkatkan kualiti hidup golongan yang memerlukan dan tiada kelompok masyarakat yang terpinggir dari arus pemodenan dan pembangunan di negeri Beta.
Pada pagi yang berbahagia ini, Beta terlebih dulu ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada paduka anakanda saya. Yang Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang yang mana telah memegang tanggungjawab dan tugas, sebagai Pemangku Raja selama lima tahun sewaktu saya menjadi Yang Dipertuan Agong dan saya baru nak suruh minta bagi tepukan sikit kepada anak muda ini. Dan ucapan terima kasih juga kepada semua khususnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Semua setiausaha kerajaan, Ahli-ahli Mesyuarat dan Ahli-ahli Dewan Undangan yang mana telah memberi segala dorongan sokongan tunjuk ajar dalam sepanjang tugasan Yang Teramat Mulia sebagai Pemangku Raja Pahang. Mudah-mudahan anakanda saya akan dapat mempelajari selok-belok tentang urusan tadbir urus sebuah negeri seperti negeri Pahang. Dan mudah mudahan juga kita berdoa supaya dia cepat kahwin. Amin Amin
Pada pagi yang bahagia ini, Beta mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli-Ahli Berhormat atas usaha berterusan dalam memakmurkan negeri Beta.
Beta menyeru menasihat semua Ahli Dewan agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, insya-Allah.
Beta juga melafazkan ucapan terima kasih kepada orang tua Beta. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail. Ahli ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ahli ahli Dewan Negeri, ketua-ketua jabatan dan semua kakitangan awam yang terlibat dalam urusan mentadbir kerajaan Beta untuk faedah rakyat Beta keseluruhan. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala jua akan membalas jasa dan budi yang ditaburkan dengan ganjaran pahala dan kebaikan, insya-Allah.
Akhir titah, Beta sentiasa berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa memberi petunjuk taufik dan hidayah dalam apa jua yang kita lakukan untuk negeri Pahang Darul Makmur yang tercinta.
Dengan lafaz suci Bismillahirrahmanirrahim, Beta merasmikan pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-15. Wabillahi Taufik wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang mohon membaca doa.
MUFTI NEGERI PAHANG
(Bacaan dalam Bahasa Arab). Maha Suci Allah Yang Maha Esa yang tiada sekutu bagi-Nya dan segala pujian adalah kepujiannya. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Sesungguhnya kami memohon limpah rahmat-Mu dengan mengurniakan keberkatan ke atas Istiadat Pembukaan Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 disempurnakan pada hari yang penuh kemuliaan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Allahumma Ya Allah Ya Allah, kurniakanlah perbincangan Ahli Dewan yang mulia ini. Perbincangan yang bernas dan tuntas dan berjaya memberi manfaat kepada negeri Pahang Darul Makmur yang kita sayangi. Semoga segala usaha kita semua memartabat syiar agamamu dan memacu kesejahteraan negeri Pahang Darul Makmur dapat dipermudahkan serta mendapat taufik keredhaan-Mu
Ya Allah Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Kami bermohon barang dipelihara dan diredhai olehmu berkatilah hari-hari pemerintahan sultan yang kami kasihi. Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah. Selaku Sultan dan Raja Pemerintah bagi negeri Pahang Darul Makmur serta segala jajahan takluknya. Kurniakanlah kepada baginda, taufik hidayah, riayah dan inayah sentiasa dalam rahmat, perlindungan dan pemeliharaanMu. Selamat sejahtera sihat walafiat yang baik yang berpanjangan. Di lanjutkan usia sentiasa dilindungi Yang Maha Esa. Berkat doa sekalian makhluk di bumi serta kekal karar memerintah dan bersemayam di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.
Demikian juga kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah. Yang Amat Mulia Paduka Paduka Anakanda Putera puteri cucunda dan kerabat, para pemimpin alim ulamak, muslimin, muslimat serta rakyat jelata. Sentiasa berada dalam keselamatan dan kesejahteraan serta mendapat keredaan dan keampunan dariMu Ya Allah. (Bacaan dalam Bahasa Arab)
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik mohon diampun. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dengan sempurnanya Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sebentar tadi, maka sukacita saya menempoh Mesyuarat Dewan ini pada hari Rabu, 8 Mei 2024 bersamaan 29 Syawal 1445 Hijrah mulai jam 9.30 pagi, terima kasih.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang berangkat meninggalkan majlis.
(Persidangan ditempohkan pada jam 10.35 pagi)