Pahang · 5 September 2024
15th Assembly, 3rd session, 2nd meeting · 179 turns · 15,012 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari : Khamis 5 September 2024 bersamaan 1 Rabiul Awal 1446 Hijrah. Masa : 9.30 pagi
DOA Perkara Pertama: Doa.
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum WBT Marilah kita sama-sama memulakan mesyuarat kita dengan membaca ummul kitab al-Fatihah [bacaan ayat al-Quran]. Segala puji bagi Allah, dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan. Mudah mudahan sentosa aman makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekian Hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan. Yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian. Ya Allah berkat-Mu ke atas kami berhimpun. Dipohon anugerahkan taufik-Mu, dipohon memandukan kami ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah dipohon doa kami diperkenankan. Amin Ya Rabbal Alamin.
Bismillahirrahmanirrahim. Yang Amat Berhormat Dato' Sri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan syukur kehadrat Allah s.w.t dengan izin-Nya, kita semua dapat menghadiri Mesyuarat…Penggal Ke-2…Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang yang ke-15 pada pagi yang berbahagia ini.
Saya lihat semua kita hari ini telah bersedia untuk mesyuarat kita kali ketiga. Pertamanya, marilah kita bersama merafakkan syukur pada Allah s.w.t atas keizinan dan kehendak-Nya jua kita dapat berkumpul sekali lagi di Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri yang ke-15 pada hari ini. Umum mengetahui bahawa Dewan Negeri Pahang bersidang sebanyak 3 kali setahun. Jadi persidangan ini perlu diadakan seperti biasa mengambil kira ketetapan yang telah ditetapkan dan tentunya akan ada perkara-perkara penting dibawa pada persidangan ini.
Saya merakamkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato' Sri Menteri Besar kerana telah dianugerahkan darjah kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang, Yang Amat Dimulia Peringkat Utama Sri Diraja Sultan Haji Ahmad Shah (SDSA) yang membawa gelaran Dato’ Sri Diraja pada tanggal 30 Julai 2024 sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. Begitu juga kepada Yang Berhormat Dato' Ir. Razali Kassim, EXCO Kerajaan Negeri dikurniakan darjah kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' dan tidak lupa juga kepada Dato' Sri Penasihat Undang-undang kita Negeri Pahang yang
dikurniakan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato' Sri.
Saya dan juga Dewan yang mulia ini ingin mengucapkan selamat bertugas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar Pahang setelah selesai menjalani prosedur di Institut Jantung Negara pada bulan Jun yang lalu. Sesungguhnya apa yang dihadapi oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Diraja Menteri Besar adalah ujian dan dugaan daripada Allah SWT.
Syukur kepada Allah s.w.t apabila Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Menteri Besar sudah sihat dan dapat kembali bertugas seperti biasa. Sesungguhnya penyakit adalah bukti menunjukkan bahawa manusia ini adalah makhluk yang lemah. Ia datang daripada Allah s.w.t. Apabila ditentukan Allah s.w.t akan berlaku ia pasti berlaku kepada semua sama ada yang baik ataupun yang jahat. Ia juga boleh berlaku kepada orang yang taat kepada Allah s.w.t dan kepada mereka yang fasiq, yang ingkar dengan perintah Allah. Cuma ia berbeza di antara individu tersebut. Firman Allah SWT dalam Surah Al- Anbiya ayat ke 15 [bacaan ayat al-Quran]. Minta maaf ya semula [bacaan ayat al-Quran]. Haa... dia mula-mula tu dia slow sikit. “Setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.”
Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional atas kemenangan merampas kerusi Dewan Negeri Undangan Negeri Nenggiri pada PRK DUN Nenggiri di Gua Musang pada 17 Ogos 2024 yang lalu. [Ahli Dewan menepuk meja].
Saya melihat ini kemenangan yang cukup bermakna buat UMNO kerana parti ini bertanding di Nenggiri sebagai underdog memperolehi kelebihan undi dan berjaya menawan DUN Nenggiri. Jika melihat kepada siri PRK terdahulu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 seperti di Kemaman, Pelangai, Kuala Kubu Bharu dan Sungai Bakap menyaksikan kerusi-kerusi terbabit dimenangi dan dikekalkan kemenangan oleh parti penyandangnya. Namun, berbeza di Nenggiri apabila Barisan Nasional berjaya merampas kerusi itu daripada PAS.
Ini adat pertandingan… pertandingan. Ada yang menang, ada yang kalah. Kita ucapkan tahniah kepada Barisan Nasional. Saya dan Dewan yang mulia ini ingin menyatakan rasa kesal dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional yang didakwa mempertikaikan kewibawaan dan peranan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang melantik Perdana Menteri ke-10 ketika baginda menjadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-16. Kita hanya menyatakan rasa kesal dan enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut telahpun dibawa ke mahkamah dan sudahpun didakwa di atas Akta Hasutan di bawah Akta Hasutan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Pada mesyuarat kali ini, kita akan menyaksikan lima ADUN lantikan yang sudah dipilih di Dewan ini sebelum ini akan mengangkat sumpah.
Yang pertama, Yang Hormat Dato' Irshadi bin Abdullah Al-Qari, Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Pekan. Ijazah Sarjana Sejarah dan Tamadun Islam Universiti Malaya.
Yang Hormat Dato' Wong Tat Chee. Mendapat pendidikan di University of Illinois Monroe, USA dan kini berkecimpung di dalam bidang hartanah.
Yang Berusaha Tuan Haris Salleh bin Hamzah. Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Universiti Islam Malaysia dan kini sebagai peguam bela dan peguam cara.
Yang Berusaha Tuan Mohd Fadzli bin Ramly. Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa yang juga sebagai peguam bela dan peguam cara.
Dan yang terakhir, Yang Berusaha Tuan Rizal bin Jamin. Berpendidikan Sarjana Muda Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Berpengalaman luas dalam bidang teknologi maklumat di firma tempatan dan antarabangsa.
Pemilihan ini dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan, antaranya meluaskan lagi perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat terutama dalam situasi politik dan sosial ekonomi yang mencabar. Baiklah, sebelum kita meneruskan dengan atur cara urusan seterusnya, saya ingin memaklumkan bahawa persidangan kita pada kali ini akan berterusan hingga selesai. Maksudnya kita tak ada waktu rehat. Kita terus sahaja.
Walau bagaimanapun, pihak Dewan Negeri ada menyediakan jamuan pagi di Bilik Rehat ADUN bagi Ahli-ahli Dewan Negeri dan kanopi disediakan untuk Ketua-ketua Jabatan. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dijemput menikmati jamuan secara bergilir-gilir semasa persidangan berlangsung.
Makluman berikutnya, bermula pada persidangan ini, mesyuarat kita akan diadakan secara langsung dan disiarkan melalui media sosial FB Dewan Negeri Pahang. Jadi, kita jangan ponteng-pontenglah. Keluar-keluar tu kena duduk. Kena pastikan sebab. kita ini akan disaksikan oleh semua... oleh siapa-siapa yang mengikuti di dalam FB dan kita akan er... mereka akan dapat memerhatikan persidangan kita. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya mohon supaya kita semua dapat berbahas dengan lebih teratur dan beradab serta tertib memandangkan kita menjadi perhatian rakyat di luar sana.
Seterusnya, saya akan er... kita ingin mengadakan sesi foto berkumpulan di Dataran Dewan Negeri sejurus penangguhan mesyuarat ini. Kita ada 5 orang Ahli Dewan Negeri yang baru dan akhirnya pihak Dewan Negeri telah mengedarkan gambar semasa Istiadat Pembukaan dan Majlis Santapan Jamuan Makan Malam Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 yang diletakkan di atas meja Ahli-ahli Yang Berhormat.
Baiklah, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang kita teruskan dengan aturan selanjutnya.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 6, 8, 9, 10 dan 13 Mei 2024 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh. Selamat Pagi. Salam Sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, saya mohon izin membawa cadangan bahawa
Peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 6, 8, 9, 10 dan 13 Mei 2024 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Saya mohon izin untuk menyokong cadangan yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Diraja Menteri Besar Pahang.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Soalannya ialah satu cadangan bagi mengesahkan Peringatan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 6, 8, 9, 10 dan 13 Mei 2024 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan telah pun mendapat sokongan.
Sekiranya tiada apa-apa pindaan, Ahli-ahli yang bersetuju, sila nyatakan “setuju”. Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju, sila nyatakan “tidak”. Tiada. Peringatan Mesyuarat tersebut disahkan dengan tiada pindaan.
Peringatan mesyuarat disahkan dengan tiada pindaan dan dibawa untuk pengesahan Yang Berhormat Speaker Dewan Negeri.
Ahli-ahli Dewan Negeri (Ahli yang dilantik) mengangkat sumpah
Perkara Ketiga: Ahli-ahli Dewan Negeri (Ahli yang dilantik) mengangkat sumpah.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan Negeri Pahang telah meluluskan usul pelantikan Ahli yang dilantik mengikut kehendak Fasal (1) Perkara 18A Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Negeri Pahang pada 13 Mei 2024 sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-15.
Hari ini, seperti yang saya nyatakan di awal tadi, Dewan Negeri mencatatkan sejarah kerana Ahli-ahli yang dilantik akan melaksanakan acara angkat sumpah pelantikan dan akan bersama-sama kita semua di dalam Dewan yang mulia ini sepanjang tempoh penggal ke-15 ini. Seperti sedia maklum, tujuan pelantikan ini adalah untuk membantu dan mencapai visi dan misi Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada rakyat di negeri Pahang.
Baiklah, sekarang saya akan teruskan dengan acara angkat sumpah pelantikan.
Ahli yang dilantik masuk ke Dewan.
Yang Hormat Dato' Ahmad Irsyadi bin Abdullah Al-Qari.
YH DATO' AHMAD IRSYADI BIN ABDULAH AL-QARI
Bismillahirrahmanirrahim. Bahawa saya, Dato’ Ahmad Irsyadi bin Abdullah Al-Qari yang telah dipilih menjadi seorang Ahli Dewan Negeri dengan sesungguhnya mengangkat sumpah atau berikrar bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai Ahli Dewan Negeri dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan benar-benar taat dan setia kepada negeri Pahang dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Ya Allah, tolongi akan daku bagi yang demikian.
Yang Hormat Dato' Wong Tat Chee.
YH DATO' WONG TAT CHEE
Bahawa saya, Dato' Wong Tat Chee yang telah dipilih menjadi seorang Ahli Dewan Negeri dengan sesungguhnya mengangkat sumpah atau berikrar bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai Ahli Dewan Negeri dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan benar-benar taat dan setia kepada negeri Pahang dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang.
Yang Berusaha Tuan Haris Salleh bin Hamzah.
Bismillahirrahmanirrahim. Bahawa saya Haris Salleh bin Hamzah yang telah dipilih menjadi seorang Ahli Dewan Negeri dengan sesungguhnya mengangkat sumpah bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai Ahli Dewan Negeri dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan benar-benar taat dan setia kepada negeri Pahang dan akan memelihara, memperlindungi dan mempertahankan Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Ya Allah, tolongi akan daku bagi yang demikian.
Yang Berusaha Tuan Mohd Fadzli bin Mohd Ramly.
Bismillahirrahmanirrahim. Bahawa saya Mohd Fadzli bin Mohd Ramly yang telah dipilih menjadi seorang Ahli Dewan Negeri dengan sesungguhnya mengangkat sumpah atau berikrar bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai Ahli Dewan Negeri dengan seberapa daya upaya dan saya akan benar-benar taat dan setia kepada negeri Pahang dan akan memelihara, memperlindungi dan mempertahankan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Ya Allah, tolongi akan daku bagi yang demikian.
Yang Berusaha Tuan Rizal bin Jamin.
Bismillahirrahmanirrahim. Bahawa saya Rizal bin Jamin yang telah dipilih menjadi seorang Ahli Dewan Negeri dengan sesungguhnya mengangkat sumpah atau berikrar bahawa saya dengan setianya akan menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai Ahli Dewan Negeri dengan seberapa daya upaya saya dan saya akan benar-benar taat dan setia kepada negeri Pahang dan akan memelihara, memperlindungi dan mempertahankan Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Ya Allah, tolongi akan daku bagi yang demikian.
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya selaku Speaker Dewan Negeri merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan tersebut dan diharapkan dengan pelantikan ini akan membantu Kerajaan Negeri dalam usaha memajukan tadbir urus negeri Pahang.
Pertanyaan-pertanyaan kepada Menteri BesarQuestions
Perkara keempat. Pertanyaan-pertanyaan kepada Menteri Besar.
Yang Berhormat Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pada hari ini, sebanyak 10 pertanyaan akan dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri kepada EXCO… kepada Kerajaan Negeri pada hari inI 10 soalan sahaja ya. Maksud saya 10 soalan selalunya kita 11. Ini kerana EXCO Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang tidak dapat bersama kita kerana mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar bagi program rasmi Kerajaan Negeri di Fraser’s Hill, Raub.
Baiklah, sebelum saya meneruskan, saya juga ingin memaklumkan bahawa bersama-sama kita pada hari ini menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Ahli Dewan Negeri yang dilantik ialah Yang Berhormat Senator Tuan Mohd Hasbi bin Muda, Ahli Dewan Negara dari Parti Amanah Negara. Selamat Datang kita ucapkan. [Ahli Dewan menepuk meja].
Saya menjemput ahli… Ahli Yang Berhormat daripada kawasan Chini untuk mengemukakan soalan pertama.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT, salam sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Saya kemukakan pertanyaan yang pertama.
[Apakah strategi Kerajaan Negeri dalam meningkatkan hasil serta mengurangkan ketirisan hasil melalui pemerkasaan pendigitalan dan teknologi maklumat?]
Assalamualaikum WBT. Selamat pagi, salam sejahtera.
Yang Berhormat Speaker, saya ucapkan terima kasih kepada ADUN Chini yang bertanyakan soalan, apakah strategi Kerajaan Negeri dalam meningkatkan hasil serta mengurangkan ketirisan hasil melalui pemerkasaan pendigitalan dan teknologi maklumat?
Untuk makluman Yang Berhormat daripada Chini dan Ahli-ahli Dewan.
Kerajaan negeri daripada semasa ke semasa sentiasa berusaha untuk meningkatkan hasil Kerajaan Negeri terutama bagi tujuan mengelakkan ketirisan dan ini telah dapat dibuktikan kerana angka tidak pernah berbohong Yang Berhormat Speaker. Daripada tahun ke tahun berlaku peningkatan hasil. Salah satunya ialah keupayaan kita untuk menguruskan ketirisan hasil Kerajaan Negeri. Melalui sistem pendigitalan ini, ianya merupakan salah satu daripada strategi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil dan ianya juga adalah usaha untuk merakyatkan perkhidmatan awam, dalam masa yang sama untuk tingkatkan hasil. Jadi, untuk tujuan ini, Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, pada 1 Januari 2024 Kerajaan Negeri melalui sistem pendigitalan telah berjaya melaksanakan kutipan cukai petak bagi hak milik strata di negeri Pahang melalui sistem e-strata Pahang dan ianya telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri dengan kos RM1.795 juta.
Untuk makluman Ahli Dewan, sehingga 3 haribulan 9 tahun ini kita telah berjaya mendapatkan hasil daripada cukai petak ini sebanyak RM833,272.00 dan pendaftaran hak milik strata sebanyak RM1.648 juta, menjadikan jumlah semua sekali yang telah kita berjaya dapatkan ialah RM2.482 juta. Kita cuma melabur RM1.795 juta Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Tapi saya ya… ya… kita sendiri yang buat dan maknanya kita telah melebihi daripada break even, Yang Berhormat Dato' Sri Speaker.
Yang keduanya, menambah baik dan menaik sistem pentadbiran tanah negeri Pahang yang sedia ada kepada sistem pentadbiran tanah berasaskan web negeri Pahang yang meliputi sistem hasil tanah Secure Land Management System dengan izin, atau Selamat Sistem Permohonan Kebenaran Pindah Milik Gadaian dan Pajakan Tanah dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM4.95 juta. Kita juga melaksanakan sistem e-doket bagi menggantikan doket bercetak dalam kerja-kerja mengambil, mengalih dan mengangkut bahan- bahan batuan bagi lesen pendudukan sementara bercantum permit di bawah Seksyen 69 dan Seksyen 71 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Kita juga menggunakan sistem imej satelit ataupun remote sensing dan dalam bahasa Melayunya, penderiaan jauh juga dilaksanakan melalui sistem e-Unifi. Kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia bermula daripada 2019. Sejak penubuhan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, secara keseluruhannya, transformasi pendigitalan dan teknologi maklumat pentadbiran tanah adalah amat penting untuk memastikan pengurusan dan pentadbiran tanah yang lebih cekap, telus dan responsif terhadap keperluan pengguna di era digital ini sekaligus dapat mencapai sasaran kutipan hasil di mana yang kerajaan negeri telah tetapkan. Ianya secara tidak langsung juga dapat menyokong matlamat negara ke arah pembangunan yang lebih mampan dan inklusif. Terima kasih Yang Berhormat Dato' Sri Speaker.
Soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Adakah dengan pemerkasaan pendigitalan melalui sistem e-Unifi tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan lebih berkesan dan bagaimanakah ia berfungsi dalam membantu tindakan penguatkuasaan. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Seperti mana yang saya telah nyatakan tadi, ianya telah terbukti melalui sistem e-Unifi ini kita telah dapat meningkatkan hasil walaupun kita melabur RM1.4 atau RM1.5 juta.
Sehingga sekarang kita dah dapat RM2.4 juta dan untuk makluman Yang Berhormat Speaker dan rakan-rakan ahli Dewan, sistem ini diguna pakai di pelbagai peringkat.
Sebagai contohnya, untuk kita melihat di kawasan pedalaman yang aksesnya agak tidak sampai, kita boleh gunakan remote control ataupun yang saya katakan tadi penderiaan jarak daripada jauh remote sensing. Dan ianya sangat berkesan kerana sehingga sekarang ni kita telah selepas kita menggunakan sistem ni lebih kurang 100 lebih kes yang yang dikesan oleh pihak Unit Penguatkuasa dan telah pun ditangkap dan dibawa ke mahkamah dan sepertimana yang Ahli-Ahli Dewan sedia maklum, bahawa kerajaan negeri Pahang selepas kita mendapati bahawa sistem kompaun itu kurang berkesan. Kerajaan Negeri telah pun membuat keputusan apa jua kalua sekiranya berlaku tangkapan, kita tidak akan kompaun. Kita akan terus hadap ke mahkamah. Dan ini juga memberi kesan kepada kekurangan yang berlaku pencerobohan tanah haram di negeri Pahang. Jadi dengan kata lain, sistem ini berkesan, bagus. Walau bagaimanapun, kita akan cuba tambah baik lagi supaya kita mendapat real time. Sekarang ni kita nampak adalah lari sikitlah. Kita akan tambah baik lagi, Insya-Allah Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Terima kasih.
Sila wakil daripada Beserah.
Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh. Salam Sejahtera. Terima Kasih. Dato' Sri Speaker. Saya ucap tahniahlah kepada kerajaan negeri di atas anjakan yang dibuat dalam sistem pendigitalan yang banyak memberikan kesan langsung kepada hasil dan juga mengurangkan ketirisan. Pelaburan RM1.7 juta dapat memberikan pulangan yang baik. Cuma ini adalah sebahagian daripada Pelan Digital Pahang yang dilancarkan pada tahun 2021 dan pelan Digital Pahang itu 2021 hingga 2025. Sekarang ini dah September 2024 maknanya ada lebih kurang satu tahun sahaja lagi. Pelan Digital Pahang dan antara manifestasi dalam Pelan Digital Pahang itu adalah untuk mengintegrasikan sektor ekonomi melalui digital. Setakat mana pencapaian itu hari ini berlaku dan adakah kerajaan bercadang untuk nak mengeluarkan laporan pencapaian Pelan Digital Pahang pada tahun 2025. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato Sri Speaker. Terima kasih kepada soalan ADUN daripada Beserah. Bagi kita di Kerajaan Negeri Pahang ni, Yang Berhormat Dato Sri Speaker, apa benda pun kita buat dia tidak dapat selesaikan sekaligus macam Rancangan Malaysia juga. Rancangan Malaysia Kelima, Rancangan Malaysia Keenam. Begitu juga dengan pelan pendigitalan ni. Jadi, ianya akan dilaksanakan walaupun sekarang ni belum complete sepenuhnya dan kita akan dilaksanakan untuk masa masa yang akan datang. Sebab ini satu satu usaha yg sangat baik. Dan Yang Berhormat Beserah pun telah iktirafkan. Satu usaha yang sangat baik. Dia tidak akan terhenti di situ sahaja. Asalkan ianya mendatangkan kebaikan kepada kerajaan negeri memberi faedah kepada rakyat. Insya-Allah kerajaan yang ada pada hari ini akan sentiasa mempertingkatkan usaha dari semasa ke semasa untuk membantu rakyat di negeri
Pahang. InsyaAllah. Bagi yang kedua, adakah menyediakan laporan, kerajaan negeri Pahang telus? Yang Berhormat Speaker, Insya-Allah kita akan keluarkan laporan. Terima kasih.
Saya cuma nak berkongsi ya semasa jadi EXCO ICT dulu kita salah satu sistem kita iaitu sistem Pendaftaran perumahan kita diambil oleh kerajaan Perak. Maknanya kita bagi freelah kat dia. Dia hanya bayar kita RM50 ribu je. Ini antara kerajaan negeri, kerajaan negeri lagi. Tapi kalau kita bangunkan sistem tersebut, saya ingat dia akan berpuluh puluh berpuluh puluh juta harga dia. Kita ada pakar kita komputer kita. ADUN baru kita tu dia tahu. Sistem ni sangat mahal sebenarnya.
Tapi kerana kita ada in-house iaitu Bahagian Teknologi Maklumat. Inilah antara hasil hasil yang dapat kita perolehi daripada usaha mereka. Terima kasih. Soalan seterusnya sila wakil daripada Batu Talam.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Soalan saya nombor dua.
[a. Nyatakan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) bagi Negeri Pahang untuk tahun 2021 hingga 2023 dan prestasi keputusan SPM Negeri Pahang bagi tahun 2023 dibandingkan dengan tahun 2021 dan 2022?]
[b. Nyatakan pencapaian keputusan SPM 2023 berbanding tahun 2021 dan 2022 khususnya bagi pelajar Orang Asli?]
[c. Apakah langkah yang diambil akibat isu keciciran dikalangan pelajar termasuklah fenomena 'lost generation' yang berpunca daripada pandemik Covid-19 yang telah melanda negara pada tahun 2020?]
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Terima kasih kepada rakan saya Yang Berhormat ADUN Batu Talam yang membangkitkan soalan berkaitan dengan pendidikan khususnya prestasi keputusan SPM Negeri Pahang dalam tahun 2023 berbanding tahun 2022 dan 2021. Dan juga bertanyakan tentang prestasi keputusan SPM 2023 bagi pelajar Orang Asli. Juga bertanyakan mengatasi apakah langkah-langkah strategik kerajaan untuk mengatasi fenomena lost generation akibat pandemik COVID-19 di kalangan pelajar.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker.
Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sentiasa komited dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif sebagai usaha bagi memperbaiki kualiti, pencapaian dan kemenjadian murid-murid di Pahang… negeri Pahang. Secara asasnya, dua indikator yang sentiasa digunakan bagi mengukur tahap pencapaian keputusan bagi peperiksaan ialah Gred Purata Negeri atau GPN dan layak mendapat Sijil LMS. Bagi Gred Purata Negeri yang lebih rendah. Ia akan menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik manakala Layak mendapat sijil diukur melalui peratusan kelulusan bagi dua mata pelajaran teras yang wajib iaitu Sejarah dan Bahasa Melayu dan syarat wajib ini wajib lulus LMS untuk dua
dua mata pelajaran ini dia tidak mengira aliran sama ada sains mahupun sastera dan sebagainya. Pada tahun 2023 Gred Purata Negeri Pahang mencatatkan peningkatan dengan nilai 4.36 dan ia merupakan peningkatan yang lebih ketara berbanding tahun 2022 iaitu 4.57 dan dalam tahun 20… ataupun 2021, 4.74. Jadi peningkatan daripada Gred Purata Negeri di tahun-tahun yang disebutkan tadi, peratus Layak Mendapat Sijil (LMS) bagi tahun 2023 pula adalah sebanyak 94.85%, meningkat daripada 93.11% dalam tahun 2022 dan berbanding tahun 2021 iaitu 88.42%, dan ini menggambarkan peningkatan peratusan murid yang memenuhi syarat untuk mendapatkan sijil bagi Peperiksaan SPM.
Secara keseluruhannya SPM 2023 telah menjadi tahun yang sangat berjaya bagi pendidikan Pahang berbanding dengan tahun 2022 dan 2021. Dengan peningkatan dalam kedua-dua indikator iaitu Gred Purata Negeri (GPN) dan peratusan murid yang layak mendapat sijil (LMS). Trend ini mencerminkan keberkesanan dasar-dasar pendidikan, metodologi pengajaran yang lebih baik atau perubahan positif dalam
persekitaran pendidikan di Negeri Pahang yang yang ditunjangi oleh Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Menteri Besar. Ini termasuklah sokongan er… Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar… Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Menteri Besar melalui program-program peningkatan akademik serta suntikan dana pendidikan untuk pelaksanaan program tersebut.
Antara program-program peningkatan akademik yang dilaksanakan secara kolaborasi antara Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri ialah melalui Yayasan Pahang ialah antaranya ialah Jawab Untuk Jaya, Projek intervensi Semua Subjek (PiSSA), Program Anak Yatim Permata Hati (PERHATI), Program Perancangan Harus Lulus (PERHALUS), Program Pendidikan Murid Orang Asli (PEDULI).
Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Pahang sentiasa memberi fokus dan keutamaan kepada pendidikan dan pencapaian prestasi pendidikan di kalangan murid-murid Orang Asli. Pelbagai inisiatif dan program yang telah dilaksanakan bersama dengan badan-badan Kerajaan dan bukan Kerajaan bertujuan meningkatkan lagi kualiti pembelajaran murid-murid Orang Asli.
Malahan, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja sendiri memberikan perhatian yang lebih yang begitu khusus kepada er… pendidikan masyarakat orang-orang asli ini dan telah mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan sekolah orang asli di Pos Betau yang dahulunya dipanggil K9 iaitu sampai Tingkatan 3, tetapi sekarang ini telahpun diperluaskan kepada K11 sehingga Tingkatan 5 dan Yang Berhormat Dato’ Sri sendiri pun telah mencadangkan supaya Kementerian mewujudkan asrama di sekolah di Pos Betau ini, insya-Allah.
Jadi err… seramai 610 orang murid dari kalangan orang asli di Negeri Pahang yang telah menduduki peperiksaan SPM bagi tahun 2023. Murid yang memperolehi 6A hingga 9A pada tahun 2023 adalah seramai 25 orang berbanding tahun 2022 seramai 18 orang dan tahun 2021 seramai 12 orang. Ini menunjukkan peningkatan bilangan yang mendapat 6A ke atas pada setiap tahun bagi aspek nilai Gred Purata Individu (GPI) pula, seramai 17 orang murid orang asli mendapat nilai (GPI) antara 0 hingga 2 berbanding tahun 2022 seramai 10 orang dan tahun 2021 seramai 7 orang.
Data ini juga menunjukkan peningkatan dari segi (GPI) di kalangan murid-murid orang asli. Merujuk kepada ketidakhadiran bagi semua mata pelajaran juga menunjukkan perkembangan positif setiap tahun. Bagi tahun 2023, hanya seramai 40 orang murid-
murid orang asli yang tidak hadir bagi semua mata pelajaran berbanding 57 orang murid pada tahun 2022 dan 64 orang pada tahun 2021. Melalui data yang dikumpulkan menunjukkan prestasi SPM murid-murid masyarakat orang asli pada tahun 2021, 2022 dan 2023 semakin baik dan meningkat seterusnya dan menyumbang kepada peningkatan prestasi SPM bagi Negeri Pahang secara keseluruhannya
Yang Berhormat err… Dato’ Sri Speaker, ADUN Batu Talam membangkitkan er… berkenaan fenomena lost generation berpunca daripada pandemik COVID-19 ini. Saya mungkin selepas ini akan berbincang dengan ADUN Batu Talam ini. Sebenarnya er… apa yang sebenarnya yang di… di maksudkan oleh Yang Berhormat ADUN Batu Talam ini. Dia sebab bukanlah di segi lost generation. Saya rasa, lazimnya lost generation ni dia merujuk kepada generasi yang lahir tahun 1883 hingga 1900 lah dan ianya merupakan satu istilah yang diperkenalkan oleh Gertrude Stein yang mengaitkan ini kepada generasi penulis yang er… keluar daripada kematangan semasa Perang Dunia Pertama dan er… dan individu yang terakhir daripada lost generation ini bernama Nabi Tajima yang meninggal dunia tahun 2018 iaitu pada 21 April 2018 pada umur 117 tahun.
Tetapi saya rasa maksud er… Yang Berhormat er… ADUN Batu Talam tadi ialah fenomena yang berlaku di mana pelajar dia semasa COVID-19 tadi ramai yang tidak
ke sekolah dan ada gangguan dari segi pembelajaran dan ekoran daripada pemulihan tu dia masih lagi ada yang tidak begitu bersedia untuk meneruskan pengajian dan yang ini yang saya kira dibangkitkan oleh ADUN Batu Talam tadi saya ingat. Mungkin boleh…
Boleh saya mencelah sedikit. Bagi Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Fahaman saya sama dengan kerajaan. Pertama tadi adalah kesan daripada Perang Dunia yang kedua adalah kesan COVID tadi. Jadi ini kumpulan yang mungkin tercicir dan kita bimbang tercicir dalam sistem pendidikan.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker. Sebenarnya … terima kasih kepada rakan saya daripada ADUN Batu Talam yang membangkitkan tentang fenomena yang berlaku selepas COVID-19. Memang betul ada kesan psychologically, maknanya mereka dah pada ketika itu kita tidak mengadakan atau belajar secara fizikal hadir ke sekolah tapi secara interactive menggunakan komputer dan juga social media. Jadi dalam konteks seumpama ini, er… sebenarnya pihak Kementerian sedia maklum iaitu ada kecenderungan di kalangan pelajar yang tidak hadir ke sekolah, malahan bukan sahaja di peringkat er… sekolah rendah atau sekolah menengah tetapi juga selepas sekolah menengah.
Sebenarnya ianya berlaku kerana keadaan persekitaran. Iaitu bila wujudnya satu fenomena di mana pada usia yang muda, pelajar-pelajar ini boleh mendapat ruang dan juga peluang untuk mencari rezeki melalui pelbagai… ini… apa nama caralah… sama ada dia jadi influencer… sama ada… dengan izin pempengaruh sama ada dia membuatkan content kepada dia ni apa nama apps…
GIG Economy.
GIG Economy, ya Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker menjadi Pengerusi Suruhanjaya GIG Economy. Tahniah YB Dato’ Sri Speaker. Dan juga ada yang melaksanakan kerja-kerja sebagai e-hailing dengan izin membawa grab dan sebagainya. Ini yang sebenarnya kecenderungan. Apabila mereka merasai hasil kerja mereka ini dengan
pendapatan yang dikira cukup lumayan. Maka mereka tidak begitu teruja untuk pergi meneruskan pengajian dan juga tidak meneruskan kehadiran di sekolah mahupun di… ataupun meneruskan pengajian selepas tamat persekolahan di peringkat menengah. Sekolah menengah. Sebab tu, insya-Allah pihak kementerian mengambil langkah-langkah untuk menangani fenomena ini dan insya-Allah kalau sekiranya perkara ni sebenarnya kita memantau di negeri Pahang sendiri, kita memantau supaya langkah-langkah yang proaktif dapat diambil bagi mempastikan supaya anak-anak pelajar setidak-tidaknya dapat mengikuti pengajian hingga tamat tingkatan 5 dan memperolehi insya-Allah. Setidak- tidaknya sijil SPM itu sendiri. terima kasih.
Yang Berhormat,
Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Yang dihormati barisan EXCO, cuma saya ada satu soalan tentang lost generation dengan izin. Pada tahun 2013, kerajaan ketika itu memperkenalkan satu plan iaitu dipanggil Linus iaitu Program Saringan Literasi Numerasi bagi menangani isu 3M. Kemudian dihentikan pada tahun 2019 digantikan dengan plan iaitu Program Literasi Numerasi Sekolah Rendah. Jadi soalan saya, adakah kerajaan berminat untuk mengembalikan balik Linus ini? Dan jika dikembalikan, adakah ia diaktifkan dengan lebih baik berbanding sebelum pada ini khusus untuk memberi tambah baik kepada kemahiran 3M. Pelajar yang kita sebut lost generation tadi akibat COVID. Sekian.
Yang Hormat Dato’ Sri Speaker, sebenarnya dasar pendidikan kita ni selalu progresif, kita perkenalkan antara lainnya ialah untuk memperlengkapkan generasi pewaris ini dengan ilmu dan juga kemahiran kemenjadian bermakna istilah yang digunakan ialah kemenjadian murid bukan sahaja mampu untuk menguasai 3M tadi tetapi juga mampu untuk..
Kemenjadian tak apa jangan jadian cukuplah. [ketawa]. Ini kerana kalau kejadian ini bahaya Yang Berhormat.
Terima kasih Adun Benta. Wakil kerajaan. Saya nak tahu sikit apa beza dia jadian dengan kemenjadian tu.
Yang Berhormat, Yang Berhormat Dato’ Sri saya jadian. Saya tahu lah. Tapi kemenjadian tu kena tanya Exco Pendidikan.
Saya teringat masa kecil dia ada filem P.Ramlee lah Harimau Jadian. Dia dia Si Tora. Kalau fikir mungkin ada yang Si Tora dia macam vampirelah. Dia sebenarnya Yang Hormat Dato’ Sri Speaker, Yang Hormat Dato’ Sri Diraja Menteri Besar, dia kita punya pemikiran. Generasi kita sebenarnya termasuk rakyat Malaysia. Dia memang ke depan, advance. Sebab tu bila Allahyarham Tan Sri P.Ramlee membuat filem Si Tora Harimau Jadian. Tengok Hollywood dia buat vampire ada dia ikut kita.
Dulu saya ingat Dato’ Sri, di kampung-kampung kita ada prebet sapu, orang guna kereta sendiri untuk angkut orang. Sekarang ada orang panggil Grab.Prebet sapu lah tu.
Dia tu e-hailing...e-hailing la tu. [Ahli Dewan ketawa]
Jadi makna pemikiran kita ni sentiasa ke depan. Maknanya orang lain negara Barat ni apa meniru kita. Kita memang dah kampung memang dah ada dah prebet sapu ni ok pergi. Di barat tidak ada. Tapi bila idea ini dipanggil Grab, e-hailing yang ini orang semua mengkagumi pada hanya kita pemikiran kita mendepani masyarakat yang lebih bertamadun konon-kononnya daripada kita. Jadi sebenarnya Dato’ Sri bertanya penjadian dari mana kira macam Dato’ Sri Speaker dulu kira di kampunglah mencari apa tepus, mencari apa nama lembe, main bedil, menyelam, sembunyi batu.
Sekarang ni pistol betul.
Sekarang ni kita ada kemenjadian.. [Ahli Dewan ketawa] Tapi kalau boyan tu jadian. [Ahli Dewan ketawa] Saya ingat gitu. Tapi Speaker duduk tu maknanya daripada anak kampung daripada berkeluarga arwah ayahanda. Sebagai bekas tentera.
Pilot-pilot tapi pilot darat lah bukan pilot betul.
Anggota tentera pada hari ini anaknda kepada arwah ayahda Haji Shamsuddin menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri iaitu kemenjadian. [Ahli Dewan tepuk meja] Dan ramai di kalangan kita ni Yang Hormat Dato’ Sri yang terdiri daripada kalangan orang kampung. Semua sekali yang berjaya. Ada yang jadi professional, jurutera, arkitek, lawyer.
Latar belakang dia daripada keluarga yang sederhana sekolah dari sekolah kebangsaan tetapi menjadi professional dan ini hasil daripada dasar pendidikan yang cukup kental dan ianya telah diasaskan oleh pemimpin kita. Misal contohnya bila kita merdeka, dasar yang pertama yang diperkenalkan ia dasar pendidikan. Jadi berbalik
kepada soalan tambahan daripada saudara saya daripada Pulau Tawar menanyakan tentang pendekatan kementerian. Sebenarnya kita ni ada sebuah kerajaan yang prihatin.
Dan dinamik.
Dan kita percaya kalau kita nak berjaya di dunia ilmu nak berjaya di akhirat, ilmu. Nak berjaya dunia dan akhirat, ilmu dan itu pendidikan. Dan ayat pertama pun ialah bacalah, ilmu. Jadi, yakinlah insya-Allah kerajaan yang ada pada hari ini termasuk kerajaan negeri yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja akan terus memberikan penekanan dari segi aspek sektor pendidikan untuk menjadikan untuk membolehkan anak- anak kita beroleh kemenjadian yang tuntas. insya-Allah, terima kasih.
Terima kasih.. Soalan seterusnya kita pergi ke soalan ketiga. ADUN daripada Tras.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh salam sejahtera. Soalan saya soalan Nombor 3.
[Adakah Kerajaan Negeri akan menaikkan elaun kepada Imam, Bilal dan siak dari RM200.00 ke RM500.00?]
Terima kasih. Dato’ Sri Yang di-Pertua, Persoalan yang dikemukakan oleh rakan saya daripada Tras adalah berkaitan dengan pegawai-pegawai di Masjid. Bila kita sebut pegawai-pegawai di Masjid ini, ia termasuklah imam, bilal dan siak. Persoalannya, tidakkah kerajaan negeri memikirkan bagaimana untuk menaikkan elaun daripada RM200.00 kepada RM500.00?
Yang Berhormat Dato’ Sri Yang Di Pertua, saya mengucapkan terima kasih pada Tras yang mengambil berat dan mencari tahu tentang pengurusan masjid, pegawai-pegawai di negeri Pahang. Sesungguhnya kerajaan negeri Pahang sentiasa memandang serius dan mengambil berat tentang soal pengimarahan masjid di negeri Pahang. Lima tahun yang lalu, kita mempunyai hanya 630 buah masjid. Tetapi terkini untuk makluman Dewan, kita mempunyai sebanyak 693 buah masjid dan kita mempunyai seramai 1380 orang Tok Imam. Juga kita mempunyai 1800 orang bilal dan siak di negeri Pahang di masjid-masjid kariah.
Sebenarnya imam ini err... kita bagi dia elaun bukan RM200.00. Untuk makluman sahabat saya daripada Tras, Kerajaan Persekutuan berkombinasi dengan kerajaan
negeri telah memberikan elaun kepada imam ini sebanyak RM800.00 pada setiap Tok Imam seramai 1380 orang. [Ahli Dewan tepuk meja].
Setiap bulan.
Setiap bulan. Manakala bilal dan siak, mereka memperolehi sebanyak RM550.00 pada setiap seorang. RM550.00 pada setiap seorang bilal. RM500.00 ringgit pada setiap seorang bilal. Ini pula adalah kombinasi di antara Kerajaan Negeri bersama Majlis Agama Islam Pahang. Kerajaan Negeri memberikan setiap bulan sebanyak RM200.00 manakala RM250.00. Manakala Majlis Agama Islam memberi kepada bilal sebanyak RM300.00 dan juga kepada siak diberikan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM200.00 dan juga kepada Majlis Agama Islam berikan kepada siak sebanyak RM300.00. Itu tidak cerita lagi imbuhan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Imam.
Pada tahun ini sahaja, Kerajaan Persekutuan telah berikan kepada imam, imbuhan sebanyak RM750.00 setiap seorang dan Kerajaan Negeri menambah sebanyak RM300.00 kepada setiap orang bilal. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang sendiri telah mengumumkan di dalam bajet yang lalu dan benda itu dah diagihkan pada tahun lepas. Insya-Allah tahun ini kita akan agih lagi. Setiap masjid kita ada 693 buah masjid tadi. Setiap masjid mendapat RM10 ribu untuk menggalakkan mereka mengimarahkan. Pegawai-pegawai masjid ni dengan Pengerusi masjid ni mengimarahkan masjid mereka dengan program-program keagamaan supaya ahli kariah sentiasa apa... apa namanya dididik dan mendampingi masjid.
Terima kasih Dato' Sri Yang di-Pertua.
Soalan seterusnya soalan no. 4.
Terima kasih Dato' Sri Speaker. Soalan saya soalan 4.
[Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk membina parkir bertingkat di Cameron Highlands bagi menambah jumlah tempat letak kereta dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutamanya di Kea Farm iaitu kawasan hotspot kesesakan?]
Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Terima kasih pada rakan saya daripada Tanah Rata kerana telah mengemukakan soalan yang amat baik sekali.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, sebelum saya menjawab soalan daripada Tanah Rata, izinkan sayalah untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang.
Yang pertamanya kerana Cameron Highlands ini telah dinobatkan sebagai bandar paling bahagia dalam Malaysia ini daripada 149 bandar. Tempat yang pertama.
Tempat yang pertama bandar bukan senang nak dapat. Jadi tempat pertama bandar paling bahagia dalam Malaysia.
Yang keduanya, Cameron Highlands juga telah dinobatkan antara tempat salah satu tempat pemandangan yang paling indah daripada 52 tempat pemandangan paling indah dalam dunia.
Yang ketiganya, negeri Pahang telah dinobatkan sebagai negeri yang kedua paling bahagia dalam Malaysia. Negeri Pahang.
Yang Berhormat Dato' Sri Yang di-Pertua, merujuk kepada soalan Tanah Rata. Kerajaan melalui Majlis Daerah Cameron Highlands telah bersetuju dengan cadangan untuk membangunkan tempat letak kereta di tanah milik Majlis Daerah Cameron Highlands dan pembangunan tempat letak kereta ini melibatkan dua fasa.
Pertamanya, Fasa 1 melibatkan 516 buah petak parkir yang dijangka siap pada tahun pada Februari 2025.
Yang keduanya dalam Fasa 2, 543 buah petak ini tertakluk kepada keperluan dan permintaan Dato' Sri.
Sila Wakil daripada Tanah Rata. Soalan tambahan.
Terima kasih Dato' Sri Speaker. Terima kasih kepada EXCO atas jawapan yang diberi. Soalan tambahan saya er...selain daripada pembinaan parkir bertingkat, saya mohon
pencerahan daripada kerajaan mengenai projek pembinaan jalan pintasan atau jalan alternatif di Cameron Highlands untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas terutamanya Fasa 1 pembinaan jalan pintasan di Kea Farm dan juga fasa-fasa lain yang telah dirancang. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato' Sri Yang di-Pertua,
Kerajaan sebelum ini telah mengambil-kira tentang keperluan untuk membina selain daripada membina tempat parkir dan juga untuk membina jalan-jalan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Yang pertamanya sebelum ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM122 juta untuk menaik taraf jalan daripada bulatan McDonald ke Persimpangan Brinchang yang itu kita namakan Time Tunnel dan membina one way looks di Kea Farm. Dan untuk masa kini saya dimaklumkan bahawa er... 9 peratus daripada progress tersebut telah dilaksanakan yang dilaksanakan oleh pihak-pihak terbabit. Yang keduanya dalam Fasa 2B dalam keadaan dalam rancangan... dalam masih dalam peringkat reka bentuk, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak
RM480 juta untuk menaik taraf jalan persekutuan. Dan ini adalah masih lagi dalam peringkat reka bentuk.
Soalan seterusnya kita pergi ke soalan nombor 5, Sila Wakil daripada Cheka.
Bismilahhirahmanirahim. Terima kasih Dato' Sri Speaker. Saya kemukakan soalan nombor 5.
[Jalan Jerantut - Benta sering mengalami kerosakan akibat kenderaan berat yang keluar masuk dan mempunyai impak kepada penduduk Cheka khasnya penduduk Kerambit. Apakah status projek naik taraf jalan Jerantut-Benta tersebut dan bilakah ia akan dijangka selesai?]
Terima kasih Dato' Sri Speaker, terima kasih juga kepada sahabat er... daripada Cheka.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker err... Cheka juga telah bertanya tentang status projek menaik taraf jalan kepada Jerantut - Benta err.. dan bilakah jangka akan selesai.
Jadi Dato' Sri Speaker, Kerajaan Negeri sentiasa menyedari tentang keperluan menaik taraf laluan FT64 ini memandangkan laluan ini merupakan laluan utama yang menghubungkan daerah Lipis, daerah Jerantut dan juga daerah Maran. Jadi isu utama keperluan jalan ni dinaiktaraf adalah disebabkan faktor-faktor keselamatanlah terutamanya jalan dia yang berliku-liku dan juga laluan ni sebagai laluan alternatif pengguna apabila musim banjir. Dan pihak Kerajaan er... pihak JKR, Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang telah mengangkat permohonan bagi kerja-kerja menaiktaraf keseluruhan laluan FT64 ni bermula daripada Pekan Benta, Lipis er... bagi fasa 1 segmen 7A hingga 10 sepanjang 50.3km dan fasa 3 segmen 1 hingga 5 iaitu dari Simpang Jengka 8 ke sempadan daerah Maran, Pahang sepanjang 44km kepada
Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi untuk kelulusan dalam rancangan Malaysia Ke 5 er... sorry dalam Rolling Plan ke 5 Rancangan Malaysia Ke-12.
Jadi disebabkan oleh kos menaiktaraf ni secara keseluruhannya menelan belanja yang besar, maka kelulusan diterima sebelum ni adalah secara berfasa iaitu untuk Fasa 1 Segmen 7 kerja-kerja telah siap dilaksanakan pada 25 Mei 2023, manakala pada Fasa 3 Segmen 1 kerja-kerja ni sedang err... kerja-kerja pembinaan sedang berjalan dan dijangka siap pada 24 Mac 2025.
Yang Berhormat Yang di-Pertua,
Untuk makluman, Kementerian Ekonomi juga telah meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan kerja-kerja awalan bagi Fasa 1 Segmen 9 bermula daripada Pekan Benta hingga ke Kampung Jeransang dalam Rolling Plan yang keempat Rancangan Malaysia Ke-12. Kerja-kerja awalan ini akan dilaksanakan oleh perunding berdasarkan beberapa skop kerja termasuklah kerja ukur tanah, penyesuaian tapak ataupun soil implication kajian traffic dan juga kajian guna tanah. Dan tempoh kajian ni selama 24 bulan dan permohonan bagi projek fizikalnya akan diangkat apabila kajian ini selesai.
Sekian terima kasih.
Soalan tambahan sedikit. Terima kasih kepada pihak Kerajaan kerana memberi jawapan tentang jalan ini. Saya tengok jalan ni jadi jalan keutamaanlah jalan utama Persekutuan daripada daripada ke Kuala Lumpur suatu masa dahulu. Isu ada dua perkara yang saya ingin bangkitkan.
Yang pertama tentang tempoh yang dimaklumkan tadi masih sebahagian masa Fasa 1 Segmen 9 masih dalam peringkat kajian selama 2 tahun 4 bulan. Bermakna kita jangka jalan ni menjelang tahun 2030 baru jangka siap. Berdasarkan maklum balas tadi, saya fikir ini satu kelewatan yang terlalu lama. Saya mohon pertimbangan supaya perkara ini jadi priority di peringkat Kerajaan Negeri kepada Persekutuan.
Soalan kedua ialah tentang Fasa 3 Segmen 1 yang melibatkan penebangan kos mungkin. Kalau salah sila betulkan. Penebangan kawasan Hutan Simpan Som yang sedang berlaku sekarang ni. Projek ini ialah projek Kerajaan Persekutuan. Kita Kerajaan Negeri terpaksa korbankan Hutan Simpan Som untuk beri laluan pelebaran jalan. Dan saya akur baru ini ada keperluan.
Soalan saya ialah apakah mekanisma yang dibuat dengan penebangan sistem barter ataupun kaedah mana penebangan hutan, hasil negeri atau Kerajaan membiayai sebahagian daripada pembangunan jalan pada Fasa 3 - Segmen 1? Terima kasih.
Err… terima kasih kepada Cheka. Berkenaan dengan tempoh kajian ni, 24 bulan ini memang proses yang biasa dilakukan. Walau bagaimanapun, kita pihak Kerajaan Negeri sentiasa mengangkat permohonan-permohonan mengikut keutamaan, keperluan dan sebagai contohnya untuk Rancangan Malaysia Ke-5 ni, kita ada 10 senarai projek-projek yang kita rasa jadi keutamaan yang kita angkat.
Walau bagaimanapun, kelulusan sebenarnya boleh kita tahu bila selepas selesai belanjawan pada hujung tahun ini dan untuk err…
Yang Berhormat Dato’ Speaker, mohon izin untuk mencelah berhubung dengan soalan ke-2 daripada ADUN Cheka; Hutan Simpan. Suka saya maklumkan di sini bahawa Hutan Simpan di negeri Pahang ni kalau sekiranya diusik, ditebang atau digunakan, ianya mesti diganti dan semenjak 5 tahun kebelakangan ini, ianya bukan diganti atas kertas. Maksud saya, dah jumpa kawasan hutan simpan yang diganti, dah kita wartakan baru boleh diusik.
Maknanya berbalik kepada soalan daripada Cheka tadi, maknanya kawasan yang kita tebang tu bagi tujuan buat jalan tersebut kita dah kenalpasti untuk penggantian. Kalau tidak ada penggantian, kita tidak akan benarkan dan hasil daripada penebangan balak tersebut masuk kepada Kerajaan Negeri. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Soalan seterusnya, soalan no. 6, Wakil daripada Lanchang.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Err… Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, soalan saya no. 6.
[Terdapat satu kawasan industri Kampung Sempadan, Lanchang yang dikhususkan untuk industri perabot. Didapati sudah tidak beroperasi sekian lama.
Apakah masalah yang dihadapi menyebabkan ia tidak dapat dimajukan?
Apakah langkah-langkah kerajaan untuk memulihkan semula kawasan tersebut?]
Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum WBT.
Terima kasih Dato’ Sri Speaker dan terima kasih kepada sahabat saya, ADUN kawasan Lanchang yang bertanyakan soalan seperti berikut:
Terdapat satu kawasan industri Kampung Sempadan, Lanchang yang dikhususkan untuk industri perabot. Didapati sudah tidak beroperasi sekian lama.
Pertamanya: apakah masalah yang dihadapi menyebabkan ia tidak dapat dimajukan?
Kedua: apakah langkah-langkah kerajaan untuk memulihkan semula kawasan tersebut?
Menurut Lembaga Perkayuan Malaysia mereka memaklumkan antara punca industri perkayuan semakian berkurangan di negeri Pahang ialah:
Permintaan dan pasaran yang semakin kurang;
Kos perbelanjaan yang tinggi dari segi barang keperluan pembuatan perabot;
Harga barang mentah iaitu kayu balak dengan harga bagi semiproduk adalah sama;
Tiada kawalan harga bahan mentah (kayu balak); dan
Industri perabot kini banyak menggunakan kayu getah atas faktor harga yang rendah.
Ini menyebabkan kebanyakan pengusaha Bumiputera industri perabot sukar untuk mendapatkan bekalan bahan mentah (kayu balak) dengan harga yang berpatutan kerana semakin mahal dan tidak terkawal.
Antara langkah-langkah untuk memulihkan ialah baru-baru ini iaitu tahun lepas, Mesyuarat Focus Group Pembangunan Pahang Barat pada 17 Julai 2023 telah mencadangkan penubuhan Pusat R&D Perkayuan di Taman Industri Perabot, Kampung Sempadan, Lanchang, Temerloh.
Penubuhan Pusat R&D Perkayuan boleh dijadikan sebagai Pusat Latihan Industri Perkayuan dan pusat latihan ini boleh memberi latihan pengkhususan kepada
golongan belia dan pengusaha industri perkayuan untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti.
Selain itu, mungkin kita boleh mencari pelabur-pelabur antarabangsa yang mungkin berminat untuk mengusahakan perabot hijau di mana perabot-perabot ini dibuat dengan sumber-sumber yang boleh dikitar semula ataupun dengan izin sumber-sumber yang berasaskan secular economy; ekonomi berkitaran. InsyaAllah. Terima kasih.
Terima kasih kepada err… pihak EXCO yang telahpun menjawab. Err… sehubungan dengan kawasan itu jugak Dato’ Sri Speaker, err… terdapat aduan daripada penduduk sekitar. Oleh kerana kawasan itu sudah lama tidak di… apa… dimajukan ia telahpun semak dan terdapat aktiviti-aktiviti yang tidak sihat terutamanya di waktu malam.
Jadi kita mohon bahawa pihak Kerajaan memberi tumpuan keselamatanlah jugak untuk memulihkan kembali tempat tersebut oleh kerana ia terdapat infrastruktur yang… yang baik di situ, jalan masuk dan sebagainya. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada sahabat saya, ADUN kawasan Lanchang. Saya akan ambil maklum di atas aduan tersebut dan akan semak dengan Pihak Berkuasa Tempatan, sejauh mana ia menjadi satu gangguan ataupun ancaman kepada taman industri tersebut. Terima kasih.
Soalan seterusnya, kita silakan Wakil daripada Kemayan. Soalan ke-7.
Assalamualaikum WBT., Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, soalan saya, soalan no. 7.
[Anggun suri merupakan salah satu program yang telah dibentangkan dalam belanjawan yang lalu.
Bila dan dimanakah program ini akan dilaksanakan?
Bagaimana kaedah pelaksanaanya?]
Assalamualaikum WBT Dato’ Sri Speaker dan juga terima kasih kepada sahabat yang bertanyakan soalannya.
Soalannya adalah mengenai program Anggun Suri.
Pertamanya, saya ingin menerangkan bahawa terlebih dahulu mengenai Program Anggun Suri ini di mana program perkahwinan beramai-ramai atau Anggun Suri adalah satu program perkahwinan beramai-ramai di dalam satu majlis yang sama.
Program ini diuruskan oleh Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ya. Pasangannya adalah terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan dan sudah semestinya salah seorang daripada pasangan adalah rakyat negeri Pahang.
Ianya akan bermula pada bulan Oktober 2024 sehingga Disember 2024 yang akan melibatkan empat buah Parlimen iaitu Parlimen Cameron Highlands, Parlimen Kuantan, Parlimen Bera dan juga Parlimen Kuala Krau dengan beberapa teknik dan cadangan yang dipersetujui oleh pemimpin masyarakat setempat.
Berikut adalah kaedah umum acara perkahwinan beramai-ramai ini yang mana salah satu daripadanya adalah perancangan awal di mana pendaftaran… penganjur membuka pendaftaran awal bagi pasangan yang ingin menyertai. Pasangan diwajibkan mengisi borang penyertaan, maklumat peribadi dan dokumen-dokumen yang telah disahkan. Untuk makluman semua borang-borang tersebut boleh didapati di Unit Wanita Dan Juga Sosial Negeri Pahang.
Pemilihan tarikh dan tempat yang sesuai kebiasaannya pada hari yang istimewa atau cuti umum. Tempat juga perlu dipilih dengan kapasiti yang mencukupi bagi menampung jumlah tetamu yang hadir dan juga persiapan logistik di mana dekorasi ditentukan, tema majlis dan hias tempat mengikut tema tersebut. Biasanya satu pentas utama disediakan untuk semua pasangan.
Seterusnya, bahagian katering pula, disediakan makanan untuk semua tetamu. Pilihan buffet biasanya lebih sesuai untuk majlis besar seperti ini. Susunan acara di mana yang pertamanya sesi akad nikah biasanya diadakan secara serentak dengan penglibatan beberapa imam atau jurunikah untuk memudahkan proses.
Bagi jamuan pula, jamuan untuk program akad nikah selepas upacara akad nikah. Jamuan diadakan untuk pasangan pengantin, ahli keluarga dan tetamu jemputan di mana kami juga menyediakan jurugambar profesional untuk merakam detik-detik istimewa setiap pasangan pengantin.
Di dalam pengurusan tetamu di mana kad jemputan disediakan oleh penganjur dan diedarkan oleh penganjur dan juga pasangan pengantin.
Susun atur tempat duduk akan disediakan di ruangan khas bagi ahli keluarga setiap pasangan serta tetamu jemputan. Err… dari segi sumbangan hadiah, penganjur akan menyediakan cenderahati untuk pasangan pengantin serta tetamu yang hadir.
Dari segi komunikasi dan promosi pula, pengumuman program Anggun Suri melalui media massa atau media sosial untuk menarik minat penyertaan bakal pengantin dan juga memastikan komunikasi yang baik dengan semua pasangan yang terlibat agar mereka faham tentang jadual dan aturcara program.
Disamping itu, err... dari segi sumbangan hadiah err... penganjur akan menyediakan cenderahati untuk pasangan pengantin serta tetamu yang hadir.
Err... dari segi komunikasi dan promosi pula pengumuman program Anggun Suri melalui media massa atau media sosial untuk menarik minat penyertaan bakal pengantin dan juga memastikan komunikasi yang baik dengan semua pasangan yang terlibat agar mereka faham tentang jadual dan aturcara program.
Di samping itu juga, pemantauan dan penilaian tentulah dibuat di mana er... semak segala persiapan beberapa hari sebelum program bagi memastikan semua berjalan dengan lancar dan sesi penilaian untuk mengenal pasti apa yang boleh diperbaiki untuk program yang akan datang dan program perkahwinan beramai-ramai memerlukan koordinasi yang teliti dan persediaan yang rapi bagi memastikan ianya berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat kerajaan negeri bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk membina keluarga.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Sri Speaker.
Terima kasih. Yang ini untuk perkahwinan pertamalah kan?
Betul Dato' Sri Speaker.
Nak tanya je. Soalan seterusnya kita pergi pada er... soalan No. 8. Wakil daripada Tioman.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker mohon mengajukan soalan No. 8. Terima kasih.
[Apakah pembaharuan dan penambahbaikan yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Pahang untuk kemajuan Stadium Darul Makmur?]
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Terima kasih juga Yang Berhormat Tioman atas soalan berkenaan dengan usaha serta inisiatif bagi menambah baik err... Stadium Darul Makmur.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker,
Perbadanan Stadium Darul Makmur telah merangka pelbagai inisiatif, pendekatan serta penambahbaikan dan strategi bagi pemodenan kemudahan serta infrastruktur di Stadium Darul Makmur bagi memastikan stadium ini terus relevan dan berinovasi selepas lebih lima (5) dekad penubuhannya atau lebih 50 tahun yang lalu. Dan tahun lalu, Stadium Darul Makmur telah menjalankan kerja-kerja menaiktaraf kesemua tandas dan suraunya.
Selain itu, kerja-kerja mengecat baharu bangunan luar stadium turut dilaksanakan. Kos menaiktaraf tandas dan surau serta mengecat baru bangunan Stadium Darul Makmur ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pahang dengan peruntukan berjumlah RM1.3 juta.
Manakala pada tahun ini pula, Perbadanan Stadium Darul Makmur sedang giat menjalankan kerja-kerja menaiktaraf padang. Usaha menaiktaraf padang ini melibatkan kerja-kerja penukaran rumput dari cow grass kepada rumput Bermuda serta penambahbaikan sistem pengairan padang dan sistem siraman atau sprinkler
dengan izin. Kos menaiktaraf padang di Stadium Darul Makmur ini menelan belanja sebanyak RM1.6 juta yang melibatkan peruntukan RM1.1 juta daripada Kerajaan Negeri Pahang manakala RM500,000.00 daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang atas keprihatinan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kemajuan Stadium Darul Makmur [Ahli Dewan mengetuk meja].
Selain itu, Stadium Darul Makmur juga telah melakukan inovasi dengan memanfaatkan sepenuhnya kapasiti yang ada di stadium tersebut dengan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Sukan Tempur untuk atlet seni mempertahankan diri di negeri Pahang. Melalui inisiatif ini, Perbadanan Stadium Darul Makmur telah mengadakan kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Pahang untuk menaiktaraf empat dewan di stadium tersebut bagi dijadikan pusat latihan untuk sukan karate, taekwando, silat dan juga judo. Pihak Perbadanan Stadium Darul Makmur juga telah mengenal pasti satu ruang khas untuk diubah suai menjadi bilik eksklusif atau corporate box dengan izin bagi memberi perkhidmatan terbaik dan keselesaan optimum kepada mereka yang bercita rasa tinggi untuk menonton sesuatu perlawanan bola sepak ataupun kejohanan olahraga. Bilik eksklusif ini akan dilengkapi dengan penghawa dingin, tempat duduk yang selesa, ruang makan, smart tv serta ruang mesyuarat kecil. Penyediaan bilik eksklusif ini akan menjadi salah satu punca pendapatan baru kepada Perbadanan Stadium Darul Makmur.
Malah Perbadanan Stadium Darul Makmur juga telah menaiktaraf kafe di stadium tersebut bagi memberi keselesaan kepada para pengunjung. Bagi perancangan masa depan, Perbadanan Stadium Darul Makmur bercadang mewujudkan sebuah pusat perniagaan berbumbung bagi perusahaan kecil dan sederhana. Pusat perniagaan ini dijangka akan menjadi tarikan terbaharu di bandar Kuantan dengan menawarkan pelbagai jenis jualan kepada pengunjung.
Dato' Sri Speaker,
Saya menyedari bahawa usaha pemodenan Stadium Darul Makmur ini bukanlah sesuatu yang mudah sebaliknya memerlukan peruntukan yang besar serta sokongan daripada pelbagai pihak. Atas kesedaran ini, saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang dan Perbadanan Stadium Darul Makmur telah berkunjung ke Putrajaya pada 26 Ogos yang lalu untuk bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Malaysia YB Hannah Yeoh bagi menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri Pahang untuk menambah baik kemudahan dan prasarana di Stadium Darul Makmur yang melibatkan kerja-kerja menaiktaraf lampu limpah HIGH-MAST kepada LED, menaiktaraf tempat duduk penonton dan menaiktaraf saluran gutter & expansion joint dengan izin dan kos yang dipohon kepada Kementerian Belia dan Sukan ini melebihi RM7 juta.
Dato' Sri Speaker,
Sesungguhnya kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak amatlah diperlukan bagi memastikan perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan jayanya. Insya-Allah, selepas ini kita akan memastikan salah satu mercu utama negeri Pahang iaitu Stadium Darul Makmur akan terus terpelihara, kelihatan cantik, fully utilize dengan izin dan mengikut arus pemodenan terkini. Terima kasih.
Soalan... soalan tambahan? Sila.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, soalan tambahan satu je. Terima kasih kepada Wakil Kerajaan yang telah er... menjawab pertanyaan tadi dan saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato' Sri Diraja yang mana telah er... membincangkan hal yang berkaitan dengan stadium dan alhamdulillah di akhir perbincangan tersebut, satu stadium mini telah dipohon di Daerah Rompin. Jadi soalan saya kepada Wakil Kerajaan er... adakah mini stadium yang dimaksudkan tadi di daerah Rompin telah diluluskan dan bilakah er... dia ataupun stadium mini ini akan mula dibina? Terima kasih Dato' Sri Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Tioman. Terima kasih juga Yang Berhormat Tioman kerana sering memberi tunjuk ajar nasihat kepada saya khusus berkait dengan bidang sukan ini. Dato' Sri Speaker, Stadium er... Mini Rompin ini telah diluluskan pelaksanaannya. Dan untuk makluman Yang Berhormat, beberapa siri perbincangan dan juga lawatan kerja telah dianjurkan oleh pelbagai pihak. Dan terbaru pada 12 Jun lalu, pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Daerah Rompin, Jabatan Kerja Raya dan juga Pejabat Tanah Rompin telah mengadakan perbincangan dan bersetuju dengan cadangan tapak mini stadium ini. Walau bagaimanapun cadangan tersebut memerlukan perizaban kepada Majlis Daerah Rompin terlebih dahulu. Dan saya difahamkan bahawa ketika ini dalam penilaian dan proses tersebut dalam tindakan daripada pihak Tanah dan Galian, PTG.
Terima kasih Dato' Sri Speaker, terima kasih Yang Berhormat.
Soalan seterusnya kita silakan wakil daripada Inderapura.
Terima kasih Datuk Sri Speaker, saya mohon mengemukakan soalan nombor 9.
[Laporan kes penipuan dalam talian dan nilai kerugian yang dicatatkan amat tinggi di Negeri Pahang?
Berapakah jumlah yang direkodkan bagi tahun 2021-2024 mengikut daerah di Negeri Pahang?
Bagaimanakah cara pihak Kerajaan Negeri mengatasi isu-isu yang melibatkan kepentingan awam khususnya di Negeri Pahang?
Terima kasih kepada kawan saya dari Inderapura. Salam Sejahtera.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Menjawab soalan dari Inderapura. Pada tahun 2021 hingga 2024 Januari hingga ke Mei dalam 3 tahun setengah ini, sebanyak 5,941 kes telah direkodkan di Pahang. Untuk daerah-daerah yang paling banyak adalah... di Kuantan adalah 2,470 kes berjumlah RM51.8 juta, dan daerah nombor dua di Temerloh adalah 907 Kes telah melibatkan RM12.84 juta dan tempat ketiga di Bentong
melibatkan 706 kes telah melibatkan wang RM17.84 juta. Jumlah keseluruhan dalam 5,941 kes.
Jumlah sekali adalah RM114.627 juta telah dialami oleh mangsa penipuan. Untuk menjawab soalan nombor 2. Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang telah mengadakan pameran pencegahan kepada semua agensi mahupun kerajaan atau swasta. Pihak Kerajaan juga sentiasa berkerjasama dengan agensi luar untuk memberikan ceramah berkaitan penipuan jenayah siber. Dalam tempoh Januari hingga Mei 2024 sebanyak 12 pameran dan 86 ceramah pencegahan telah diadakan di seluruh Pahang, sekian terima kasih.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, mohon sikit soalan tambahan. Jadi kalau kita tengok kes ni terlalu besarlah, tinggi sangat terutama sekali di Pahanglah. Jadi, kalau kita tengok cara penipuan... operasi penipuan tu, dia ada nombor akaun dan sebagainya. Jadi bererti pada kita mudah sangat. Kalau nak tangkap yang buat itukan, ada nombor akaun, nombor telefon dan sebagainya. Jadi pertama nak tanya berapa jumlah tangkapan yang telah dibuat dan kalau susah sangat nak tangkap tu nak tanya jugak mengapa kan? Sebab mengapa susah sangat sebab nombor akaun ada maka boleh terus kepada tuan dia tu kalau untuk tangkap sebab kita tengok kes ni berlarutan sehingga ke hari ni. Boleh kata hari-harilah kan?
Terima kasih pertanyaan dari kawan saya dari Tanjung Lumpur. Biasanya polis akan selepas terima laporan dan akan buat siasatan. Biasanya kalau yang akaun yang digunakan biasa telah disalah gunakan oleh pihak yang tertentu. Maknanya mungkin si jahat ini dia guna nama orang yang OKU, Kurang Berupaya. Dan bila kita siasat... susah. Memang susah kita nak tangkap dan nanti kita akan mintak polis bagi jawapan yang penuh. Nanti kita bagi jawapan bertulis. Ok. Terima kasih.
Soalan tambahan. Terima kasih Dato' Sri Speaker. Memang apa yang dikatakan oleh wakil kerajaan betul. Ia melibatkan akaun yang kita panggil akaun keldai. Tapi apakah tindakan Kerajaan Negeri memastikan bank-bank ini menutup akaun keldai ataupun lebih waspada terhadap pembukaan akaun akaun keldai ni? Sebab kita tahu siapa dia. Tapi bila polis tangkap dia cuma seorang biasa langsung tak dapat ambil tindakan sebab wang dah dikeluarkan oleh si jahat. Jadi apakah tindakan untuk mengatasi masalah ini? Kita semua tahu ini umum... masalah umum. Tapi apa tindakan dia?
Nampak gayanya soalan ini hebat juga ya. Sebenarnya kalau rakyat tak tamak, takkan kena tipu. Itu nasihat dari saya. Kalau dia sengaja nak kena tipu apa yang saya boleh buat. Kita tak boleh buat apa-apa pun, tapi tindakan dari pihak polis mesti dijalankan. Terima kasih.
Soalan tambahan sikit. Sila, sila. Ini menarik ni. Sebab si jahat ni kita. [ketawa] Dato' speaker, kita dapati kes penipuan dalam talian ini bukan merupakan satu perkara yang orang kata mudah untuk diselesaikan, betul. Tapi bagaimanakah kerajaan... pihak
yang berwajib ini melindungi data peribadi itu sehingga boleh mendapat data peribadi setiap orang yang untuk... Si jahat nilah bagi untuk dapat maklumat tu. Bagaimana kita memberi keyakinan kepada rakyat supaya data kita ini tidak di... mudah diakses atau mudah didapati oleh mereka...si jahat ataupun si baik. Tak kisahlah. Bagaimana mereka boleh dapat bagaimana kita nak beri keyakinan data-data yang kita beri ni dengan pelbagai sistem ini dilindungi sebaiknya. Terima kasih.
Kalau si jahat ni dia pandai buat kerja, buat kerja macam mana saya pun tak tau. Kalau saya pandai saya pun jadi si jahat pulak dah. [ketawa]. Macam mana pun, bagaimana pun, ok pihak tertentu akan siasat. Sebab kita akan ambil tindakan terhadap kes kes seperti ni. Dari segi pihak polis kita pun buat sedaya upaya sebab kalau tengok data tu ... 2,000 lebih kes bukan senang nak siasat satu-satu. So saya mintalah kita bagi polis masa sikit. Dan saya harap juga yang.. orang yang bagi data kepada si jahat ini dan kalau kita dapat siasat, kita akan masuk dia dalam penjara. Terima kasih. Sekian.
Terima kasih. Seterusnya soalan terakhir pada hari ini untuk sesi soalan soal jawab kita jemput ADUN daripada Jenderak. Okey Jenderak.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, soalan saya yang terakhir nombor 10.
[Apakah status pelaksanaan Skim Tanah Rakyat Felda Pahang (STRFP) bagi kawasan FELDA Jenderak Utara dan FELDA Jenderak Selatan?]
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Terima kasih kepada sahabat saya pada kepada ADUN Jenderak di atas persoalan apakah status pelaksanaan Skim Tanah Rakyat Felda Pahang bagi kawasan Felda Jenderak Utara dan juga Felda Jenderak Selatan.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat kerana bertanyakan dan juga penglibatan Yang Berhormat terhadap terutama sekali iaitu untuk anak-anak Felda iaitu di Jenderak Utara dan juga untuk di Felda Jenderak Selatan. Sebagaimana yang maklumat Yang Berhormat iaitu Pelaksanaan Projek Perumahan Generasi Baru Felda PGBF dan juga Skim Tanah Rakyat Felda Pahang adalah antara perancangan projek perumahan bagi memastikan dan juga membantu golongan generasi baharu Felda untuk memiliki Rumah Mampu Milik yang selesa.
PGBF dibangunkan secara berfasa di mana 3,340 unit rumah PGBF dibina atas 29 tapak yang melibatkan 1,154 unit yang telah siap sepenuhnya. Manakala bagi 346 unit diuruskan oleh Felda dan 1,850 unit diuruskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang yang masih dalam pembinaan di atas 10 projek yang telah ditetapkan. Dalam masa yang sama, saya pun ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato' Sri Raja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang iaitu memimpin Kerajaan Negeri iaitu telah pun bekerjasama dengan FELDA untuk mengambil inisiatif tambahan iaitu untuk melaksanakan Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang iaitu di antara 18 rancangan FELDA terpilih untuk fasa awal ini yang melibatkan sebanyak 2,110 unit.
Untuk maklumat Yang Berhormat Jenderak dan juga Ahli Dewan sekalian bahawasanya status semasa STRF bagi kawasan FELDA Jenderak Selatan, di mana tapak seluas hampir 18 ekar telah dikenalpasti dan sedang dalam peringkat permohonan serta kelulusan jabatan pengurusan aset iaitu dan juga bersama Ibu Pejabat FELDA, manakala bagi kawasan FELDA Jenderak Utara, masih tiada kawasan tapak yang sesuai. Walau bagaimanapun pihak Rancangan di FELDA Rancangan bersama jawatankuasanya sedang membantu dan juga untuk mengenalpasti tapak yang sesuai untuk dijadikan tapak STRF. Kerajaan Negeri Pahang dan juga FELDA akan meneruskan usaha-usaha STRF ini untuk fasa seterusnya ke rancangan-rancangan FELDA yang lain.
Dan untuk sedikit makluman tambahan kepada sidang Dewan pada hari ini, saya faham saya juga selaku anak peneroka di pihak sini ataupun di pihak sana dan di luar sana banyak menyatakan dan pelbagai er… perkara-perkara mengenai isu-isu perumahan generasi baru FELDA ini dan atas kebersamaan bersama pihak PTG Pahang, Pejabat Daerah dan juga Tanah, Lembaga Perumahan Hartanah Pahang (LPHP), FELDA, PMC Projek (FIC), TNB, PAIP, SPAN, Indah Water dan juga lain-lain agensi telah pun kita panggil pada 6 Ogos yang lalu untuk kita menyelaraskan semula dan juga mengambil tindakan untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul mengenai isu-isu mengenai perumahan-perumahan anak generasi FELDA ini. Saya mohon sidang Dewan untuk memberikan kerjasama untuk kita meneruskan agenda penting untuk anak-anak peneroka pada masa akan datang. Sekian, Yang Berhormat err… Dato’ Sri Speaker.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker er…
Sila, soalan tambahan.
Soalan saya kepada EXCO er… apakah kerajaan sebenarnya mempunyai SOP ataupun guideline, dengan izin dalam pelaksanaan Skim Tanah Tanah Rakyat Felda Pahang ini kerana saya lihat ada berlaku percanggahanlah di… khususnya di FELDA Rancangan saya apabila saya melihat hasil daripada maklumat daripada Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan Negeri Pahang er… STRF yang telah er… ada 18 kawasan yang telah menjadi perintislah… perintis dan ada 16 kawasan cadangan baharu tetapi dalam cadangan baharu tersebut dan juga perintis tersebut tidak ada kawasan FELDA saya yang terlibat tetapi di kawasan rancangan saya telah ada kutipan untuk melaksanakan projek tersebut sehingga ada telah… kutipan yang telah diambil oleh daripada peserta untuk perlaksanaan tersebut. Jadi, saya lihat seolah-olah tidak ada satu mekanisma ataupun SOP untuk pelaksanaan tersebut. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada sahabat saya ADUN Sungai Lembing di atas persoalan tersebut. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, bahawasanya SOP telah pun… kita telah pun uruskan dan juga libat urus er… sesi libat urus kepada seluruh Pengurus Rancangan masing-masing. Setiap rancangan di FELDA masing-masing,
Pengerusi Jawatankuasa adalah pengurus rancangan masing-masing dan untuk makluman sidang Dewan bahawasanya tiada pengambilan wang tunai untuk sesi STRF ini.
Ini adalah pun, telah pun diberikan SOP dan diberi taklimat kepada seluruh Pengurus-Pengurus Rancangan dalam suasana itu juga ada jawatankuasanya. Jawatankuasa-jawatankuasa yang bertugas adalah wakil daripada peneroka, penerokawati, er… daripada KAF dan juga MBFM dan ini… dan juga Kerajaan Negeri dan ini telah pun dilibat urus bersama dengan Pengurus-Pengurus Rancangan dan seluruh jawatankuasanya. Insya-Allah, kalau Yang Berhormat mempunyai masalah di kawasan masing-masing boleh bertemu dengan kami untuk kita membantu menyelesaikan masalah tersebut. Terima kasih banyak Dato’ Sri.
Dato’ Sri, soalan tambahan.
Sila, tiga orang sekali nak bangun. Sila, sila…
Dato’ Sri Speaker, saya…
Saya bagi dua lagi.
Saya nak tambah sedikit, ia berkenaan dengan pelaksanaan Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang ni er… sebab banyak soalan-soalan yang ditanya. Kawasan saya sendiri pun ada 6 kawasan FELDA dan ada yang beranggapan projek ini, pelaksanaan ini sebagai gula-gula untuk pilihan raya yang akan datang. Jadi er… saya nak cadangkanlah ya, kalau boleh sahabat saya Pelangai, EXCO FELDA ini bagi taklimat kepada kita mengenai Projek STRF Pahang ini sebab Projek Generasi Kedua Rumah Pahang pun masih… masih bermasalah sehingga hari ini. Sekian, terima kasih.
Terima kasih banyak Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, terima kasih banyak sahabat saya daripada Kuala Sentul. Insya-Allah, saya akan ambil maklum dan juga kita akan bagi taklimat khusus kepada sidang Dewan dan juga Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk kita membentangkan pelaksanaan dari segi STRF ini iaitu berbeza di antara PGBF dan STRF. STRF ini adalah projek ataupun pembangunan yang telah diuruskan oleh Kerajaan Negeri. Nanti satu taklimat yang khusus kita bagikan supaya pemahaman bagaimana untuk kita laksanakan dan seperti yang saya nyatakan bahawanya setiap rancangan itu pengurus dia sebagai jawatankuasa yang perlu bertindak untuk menguruskan projek ini. Terima kasih banyak Yang Berhormat Dato’ Sri.
Dato’ Sri Speaker,
Soalan tambahan er… terima kasih kepada Dato’ Sri Speaker er… saya ingin bertanya berkenaan dengan selain daripada Skim Tanah Rakyat yang disebut oleh kerajaan, adakah pihak kerajaan berhasrat untuk membenarkan semula pembinaan er… rumah, di belakang rumah asal peneroka kerana saya difahamkan sebelum daripada ini dibenarkan dan mutakhir ini pengurusan FELDA tidak lagi memberi keizinan. Terima kasih.
Terima kasih banyak Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker ialah mengenai FELDA ini, maklumlah FELDA ini adalah er… di Pahang ini adalah FELDA yang paling banyak dalam negara, 115 Rancangan FELDA dan saya yakin percaya sahabat saya pun ramai di sini adalah anak FELDA. Terima kasih banyak kerana memberikan pelbagai perkara-perkara yang mengenai itu untuk generasi FELDA ini, insya-Allah dan er… untuk pengetahuan Sidang Dewan, bahawasanya apa yang kita laksanakan pada hari ini ialah susun aturnya sama seperti kita bentangkan tadi bahawasanya apa benda yang dibuat ini hasilnya ialah untuk keberhasilan dia adalah untuk memastikan perumahan dan itu ada beberapa perkara di antara FELDA dan juga Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri kita bersama dengan LPHP dengan izin, bahawasanya susun urus tadbir ini diuruskan oleh Kerajaan Negeri sendiri. Sebab itu untuk beberapa pembangunan-pembangunan ini adalah perlu diselaraskan oleh Kerajaan Negeri dengan FELDA secara holistic, secara keseluruhan dan juga secara bersama. Itu antara-antara perkara-perkara yang lebih baik yang kita akan bangunkan mengikut dasar-dasar yang telah ditetapkan, insya-Allah Yang Berhormat Dato’ Sri. Terima kasih banyak.
Soalan akhir.
Selalunya tiga, kita bagi chance la, empat kali ini.
Terima kasih banyak Dato’ Sri Speaker, saya belanja teh nanti.
Jangan tak belanja. [ketawa]
Terima kasih kepada jawapan. Saya mengalu-alukan suatu penjelasan untuk beri taklimat kepada semua pihak, Insya-Allah ada dua perkara. Yang pertama sekali, saya minta segera supaya kenyataan tadi sangat penting tentang pembayaran sebab proses di bawah ini sedang berjalan ada yang mohon bayaran kononnya bayaran proses, bayaran permohonan, macam-macam yang berbunyi di bawah. Jadi, saya fikir saya mengalu-alukan kenyataan tidak ada sebarang bayaran dibuat kepada projek STRF ini. Saya mengalu-alukan kenyataan tadi supaya perkara ini dapat clear di peringkat bawah.
Yang keduanya ialah tentang isu tanah Felda ini dia terikat dengan GSA dan kita tahu lot-lot kosong FELDA ini telah pun dicagar kepada FGV er… jadi tanah lot kosong itu juga terikat, dah diserah oleh Kerajaan Negeri kepada FELDA, Kerajaan Persekutuan, tiba-tiba kita nak ambil balik, nak bagi lot kosong kepada generasi kedua, ketiga. Saya fikir dia ada redundant, ada bertindan, satu terikat dengan GSA, yang kedua dah dicagar kepada FGV dan yang ketiga tanah negeri FELDA ini kita dah serah pada FELDA Kerajaan Persekutuan. Macam mana mekanisma untuk kita atasi supaya macam mana mekanisma untuk kita atasi supaya kita clear tentang ini. Saya mengalu-alukan usaha ini yang sangat baik supaya rakyat kita dapat tapak perumahan dan sebagainya. Terima kasih.
Terima kasih banyak Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker dan juga terima kasih banyak kepada rakan saya Yang Berhormat Dato’ Sri Cheka.
Bahawasanya kita dalam erti kata yang telah kita berikan sebelum ini iaitu bahawasanya pengambilan tanah ini adalah mengikut Akta GSA yang akan diluluskan pada insya-Allah dia akan dibentangkan di sidang Parlimen. Itu kita serahkan pada Ahli-ahli Parlimen yang akan bentangkan pada Akta GSA. Namun, di bawah Kerajaan Negeri kita ada buat penglibatan secara er… Akta GSA ini tidak melalui FGV punya tanah dahulu.
Di pengurus masing-masing, kita melihat kaedah dipanggil pocket land. Ada yang tanah- tanah di bawah Kerajaan Negeri yang tidak didaftarkan oleh FELDA lagi, di bawah Kerajaan Negeri ada dan juga ada lagi tanah-tanah FELDA dalam FELDA yang tidak terlibat FGV sebab kalau melibatkan FGV, Yang Berhormat Dato’ Sri lagi panjanglah kita nak cerita pasal generasi anak peneroka kita ini. So, memandangkan pada hari ini sebab itu ada tadi Jenderak, ada kawasan yang boleh dibuat. Ada juga kawasan yang tidak ada boleh buat. Sebab itu mengikut rezeki Allah lah, di FELDA masing- masing. Jika adalah tanah-tanah yang bersesuaian yang tanah tidak melibatkan Akta GSA yang lebih panjang ataupun tidak melibatkan tanah FGV yang telah dicagarkan oleh FELDA itu adalah memudahkan Rancangan FELDA masing-masing, insya-Allah. Terima kasih banyak Dato’ Sri Speaker.
Terima kasih. Baiklah, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kita selesai membincangkan 10 pertanyaan dan jawapan. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian. Sekarang kita beralih ke aturan selanjutnya.
Perkara kelima Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2/2024) 2024 DN21/2024. Yang Amat... Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya mohon mengemukakan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2/2024) 2024.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya menyokong usul itu.
Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud tertentu bagi tahun itu.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya mohon rang undang-undang tersebut dibaca bagi kali yang kedua pada hari ini juga.
Yang Berhormat Speaker, saya mohon izin menyokong usul itu.
Rang undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (2/2024) 2024 dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya mohon mencadangkan suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud tertentu bagi tahun itu.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, Perkara 44 Bahagian II Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang menyatakan bahawa jika wang diperuntukkan oleh undang-undang perbekalan tidak mencukupi atau terdapat lebih perbelanjaan bagi apa-apa maksud di mana-mana tahun kewangan, ianya hendaklah dibentangkan di dalam Dewan Negeri dan kepala-kepala perbelanjaan tersebut hendaklah dimasukkan dalam rang undang-undang perbekalan. Di samping itu, Seksyen 11 (3) Akta Prosedur Kewangan membolehkan Menteri Besar membuat pendahuluan dari Kumpulan Wang Disatukan untuk menampung keperluan tersebut.
Jumlah wang yang dipohon untuk perbelanjaan tambahan bagi tahun kewangan 2024 ialah sebanyak RM28,563,299. Tambahan ini adalah untuk maksud-maksud perbelanjaan seperti berikut.
Pertama, Perkhidmatan & Bekalan RM17,155,809.00, aset RM367,490.00 dan yang terakhir, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM11,040,000.00.
Yang Berhormat Speaker, maklumat penuh bagi tujuan tambahan ini ada adalah dinyatakan di dalam memorandum Perbendaharaan yang dibentangkan di dalam persidangan Dewan ini sebagai kertas DN 22/2024.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, sekian sahaja penerangan ringkas saya berhubung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2/2024) 2024 ini dan berharap rang undang-undang yang saya bentangkan ini mendapat sokongan ahli-ahli
Yang Berhormat sekalian dan seterusnya diluluskan. Saya mohon mencadang. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya mohon izin menyokong usul itu.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, masalah di hadapan Majlis ialah satu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2024 dan bagi peruntukan jumlah wang itu untuk maksud tertentu bagi tahun itu dibaca kali yang kedua sekarang dan dibuka untuk dibahaskan. Tiada perbahasan. Er... Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian saya sekarang mengemukakan masalah kepada majlis yang diputus bagi diputuskan. Masalahnya ialah bahawa rang undang-undang ini dibaca untuk kali kedua sekarang. Ahli-ahli yang bersetuju, sila nyatakan “setuju”. Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan “tidak”. Tiada. Rang undang-undang tersebut dibaca bagi kali yang kedua sekarang.
Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud tertentu bagi tahun itu.
Dewan Negeri bermesyuarat dalam jawatankuasa.
Jadual B01 Pejabat Ke Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kepala Tanggungan B01, Pejabat Ke Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dibaca untuk dibahaskan. Tiada perbahasan. Masalahnya bahawa wang sejumlah RM729,189.00 sahaja. Untuk kepala B01 pejabat ke bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menjadi sebahagian daripada jadual hendaklah dipersetujukan. Ahli-ahli yang bersetuju, sila nyatakan “setuju”. Kepala B01 Pejabat Ke Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang jadi sebahagian daripada jadual.
Jadual B02 Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Kepala Tanggungan B02 Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri dibuka untuk dibahaskan.
Yang Berhormat Pengerusi, saya cuma ingin sedikit penjelasan berkaitan dengan perkara kepala B02 ini. Dinyatakan disini bahawa objek am kepala 2000 ini sebanyak RM17 juta tambahan diperlukan menampung perbelanjaan bagi tujuan Perkhidmatan dan Bekalan pelaksanaan program dan perolehan yang tiada dalam peruntukan tahun
2024. Kalau boleh minta penjelasan sedikit apakah perkara baru yang dimaksudkan dalam... dalam perkara ini. Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, terima kasih kepada ADN Beserah. Sebanyak 22 perkara baru yang di luar jangka. Dan perkara ini adalah amalan biasa yang kita tidak dapat elakkan daripada setahun ke setahun. Ada benda yang kita tak jangka, tiba-tiba berlaku pada tahun berkenaan. Antaranya, antaranyalah, kalau Speaker izin saya baca semua mungkin sampai pukul 4 kita ni.
Antara pun dah ok dah.
Antara pun ok Yang Berhormat. Lepas tu kalau yang Yang Berhormat nak tahu sampai 22 item tu, kita mengopilah. ADUN Kuala Sentul senyum dia tanya pasal rumah. Dia tak tahu kita sampai buat rumah rakyat Pahang percuma kita bagi setiap tahun. Setiap kawasan ada 8. Yang FELDA tu saya ingat usah bimbanglah sekarang ni.. Sila, sila.
Tahniahlah yang rumah lain ni. Tapi yg concern yang masalah sekarang yang berlarutan rumah generasi ke-2 FELDA 10 projek tu yang yang banyak masalah yang timbul.
Betul Yang Berhomat Dato' Sri Speaker, dalam dunia ni, mana tak ada masalah kan? Kalau tak ada masalah, tak ada lah Dewan ni.
Kita pun tak payah bersidang lah. Kalau tak ada masalah.
Tak yah sidang lah. Tetapi setiap masalah, ini komitmen Kerajaan Negeri. Kita cuba atasinya satu demi satu. Insya-Allah.
Jadi berbalik pada kepada soalan daripada sahabat saya ADUN Beserah tadi. Antaranya ialah bayaran pesara gantian cuti rehat. Yang ini saja pun RM700,000.00. Kemudian, bayaran gaji pegawai dan kakitangan lantikan kontrak. Yang ini pun RM1.4 juta. Kemudian bayaran penyelenggaraan bangunan dan penyelenggaran kenderaan. Yang ini pun. Yang ini pun RM1.130 juta.
Seterusnya, bayaran program Jelajah Tuanku. RM1.5 juta. Program mudik ke Hulu. Yang itu pun RM1 juta. Dan semua sekali ialah sebanyak RM14.7 juta. Seterusnya, banyaklah 22. Tapi antaranya itulah yang Berhormat ADUN daripada Beserah, Yang Berhormat Speaker. Saya tidak bercadang untuk baca satu demi satu lah. Tetapi pokoknya apa yang dibelanjakan ni kita tak dapat elak. Kena belanjakan tapi kita ada duit ya. Kita tak berhutang. Nak belanja RM14 juta ni kena berhutang dengan kerajaan Persekutuan? Tidak. Kita gunakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan. Tu yang kita bawa ke Dewan pada hari ni. Terima kasih Yang Berhormat Dato' Sri Speaker.
Itu gunanya Yang Amat Berhormat kita dapat kutipan yang banyak.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker saya menyokong er... jawapan yang dibangkitkan oleh atau diberikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Diraja. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa bekerja tak tunggu kerja datang. Cari kerja dari semasa ke semasa dengan perbelanjaan yang disebutkan tadi. Terima kasih Dato' Speaker.
Err... Saya ingin dapat sedikit. Saya mengalu-alukan jawapan. Cuma saya tak pasti di segi prosedur kewangan er... sebab bila kita, kita sebut di sini ini ialah peruntukan tambahan. Peruntukan tambahan tiba-tiba kita belanja pada yang tiada tiada dalam peruntukan tahun 2024. Jadi, bila tiada dalam peruntukan 2024. Macam mana kita nak mohon peruntukan tambahan yang dalam peruntukan asal tu tak ada pun. Saya, saya mengalu-alukan jawapan Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebab sebahagian item tadi dah ada peruntukan asal. Tapi ni yang tak ada dalam-dalam bajet 2024. Tapi kita mohon peruntukan tambahan kepada benda yg tak ada dalam bajet. Kepalanya kepala permohonan. Jadi mungkin ini saya ingin saya bukan bidang saya ni sehingga dapat penjelasan. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Saya ingat er... saya tak perlu ulas lanjut lah. Yang pentingnya Kementerian Kewangan ke Jabatan Audit. Er... Yang pentingnya saya nak bagitau di dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri Pahang telah mendapat pengiktirafan daripada Ketua Pengarah… Ketua Audit Negara bahawa Negeri Pahang telah mendapat Sijil Bersih yang terbaik di antara negeri-negeri di seluruh negara. Jadi kalau itu dah di iktiraf, maknanya prosedur semua telah di ikuti dengan baiklah. Kalau tidak diikuti dengan baik, confirm takkan dapat, malahan kita kena menjawab pulak. Jadi saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Terima Kasih. Masalahnya bahawa wang sejumlah RM14,779,110.00. [Ringgit Malaysai: Empat Belas Juta Tujuh Ratus Tujuh Puluh Sembilan Ribu Satu Ratus Sepuluh sahaja].
Bagi kepala B.02 - Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri jadi sebahagian daripada jadual hendaklah dipersetujukan.
Ahli-ahli yang bersetuju sila nyatakan “setuju.”
Setuju.
Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan “tidak.”
Tiada.
Kepala B.02 - Pejabat Menteri Besar dan Kerajaan Setiausaha Kerajaan Negeri jadi sebahagian daripada jadual.
Jadual B.03 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Kepala Tanggungan B.03 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri dibuka untuk dibahaskan.
Tiada perbahasan.
Masalahnya bahawa wang sejumlah RM9,240,000.00 sahaja. [Ringgit Malaysia: Sembilan Juta Dua Ratus Empat Puluh Ribu sahaja].
Untuk kepala B.03 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri jadi sebahagian daripada jadual hendaklah dipersetujukan.
Ahli-ahli yang bersetuju sila nyatakan “setuju.”
Setuju.
Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan "tidak."
Tiada.
Kepala B.03 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri menjadi sebahagian daripada Jadual.
Jadual B.22.
Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Kepala Tanggungan B.22 - Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri dibuka untuk dibahaskan.
Tiada perbahasan.
Masalahnya bahawa wang sejumlah RM815,000 sahaja.
Untuk kepala B.22- Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri jadi sebahagian daripada jadual hendaklah dipersetujukan.
Ahli-ahli yang bersetuju sila nyatakan "setuju."
Setuju.
Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan "tidak."
Tiada.
Kepala B.22 - Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri menjadi sebahagian daripada Jadual.
Jadual B.24 - Jabatan Agama Islam Negeri.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Kepala Tanggungan B.24 - Jabatan Agama Islam Negeri dibuka untuk dibahaskan.
Tiada perbahasan.
Masalahnya bahawa wang sejumlah RM3,00,000.00 [Ringgit Malaysia: Tiga Juta sahaja]
Untuk kepala B.24 - Jabatan Agama Islam Negeri jadi sebahagian daripada jadual hendaklah dipersetujukan.
Ahli-ahli yang bersetuju sila nyatakan "setuju."
Setuju.
Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan "tidak."
Tiada.
Kepala B.24 - Jabatan Agama Islam Negeri menjadi sebahagian daripada Jadual.
Fasal 1, Fasal 2.
Fasal 1 dan Fasal 2 menjadi sebahagian daripada undang-undang.
Dengan ini saya mohon Ahli Yang Berhormat membuat cadangan.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-undang ini dimaklumkan kepada majlis sekarang.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker,
Saya mohon menyokong usul itu.
Ahli-ahli Yang Berhotmat sekalian,
Masalahnya ialah bahawa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2/2024) 2023. dimaklumkan kepada majlis sekarang.
Ahli-ahli yang bersetuju sila nyatakan "setuju."
Setuju.
Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan "tidak."
Tiada.
Majlis bersidang semula dalam Majlis Mesyuarat.
Rang Undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (2/2024) 2024, dibaca bagi kali yang ketiga.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker,
Saya mohon memaklumkan bahawa "Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk maksud tertentu bagi tahun itu" telah ditimbangkan dalam jawatankuasa dan dipersetujukan dengan tanpa pindaan.
Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-undang ini dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan sekarang.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker,
Saya mohon menyokong usul yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Raja tersebut. Terima Kasih.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Masalahnya ialah bahawa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2/2024) 2024 dibaca kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.
Ahli-ahli yang bersetuju sila nyatakan "setuju."
Setuju.
Ahli-ahli yang tidak bersetuju sila nyatakan "tidak."
Tiada.
Rang Undang-undang ini dibaca untuk kali yang ketiga dan diluluskan sekarang.
UsulMotion
Rang Undang-undang ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbekalan Tambahan (2/2024)2024, bahawa dengan ini disahkan menjadi enakmen oleh Badan Perundangan Negeri Pahang.
Perkara Ke-6. Usul.
Usul Tambahan Perbelanjaan Pembangunan dan Perbekalan Air Tahun 2024. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker,
Saya mohon izin untuk membawa satu usul di Dewan yang mulia ini yang berbunyi bahawa Dewan ini mengikut syarat-syarat ketetapan yang menubuhkan Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Perbekalan Air dengan ini, bersetuju meluluskan perbelanjaan tambahan 2024 bagi projek baikpulih dan ubah suai istana-istana daripada Kumpulan Wang tersebut itu sebagaimana ditetapkan di dalam Memorandum Perbelanjaan tahun 2024 yang dibentangkan di dalam persidangan ini Kertas Mesyuarat DN 23/2024.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker,
Peruntukan Tambahan Perbelanjaan Pembangunan bagi Kod Projek (P.06/02702) Baik Pulih dan Ubahsuai Istana-istana yang berjumlah sebanyak RM10,000,000 [Ringgit Malaysia: Sepuluh Juta sahaja] akan ditampung daripada sekatan kepada perbelanjaan melibatkan peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi butiran kod projek (P.02/01504) ataupun (EFT) Ecological Fiscal Transfer.
Yang Berhormat Speaker, sekian sahaja penerangan ringkas saya bawa usul tambahan Perbelanjaan Pembangunan dan Perbekalan Air Tahun 2024. Saya berharap usul ini akan mendapat sokongan dan kelulusan Dewan yang mulia ini. Saya mohon mencadang.
Ada ahli yang menyokong.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya mohon menyokong usul itu.
Usul dibuka untuk perbahasan.
Tiada perbahasan.
Masalahnya ialah usul ini telah dicadangkan dan disokong. Soalannya sekarang ialah. Usul ini hendaklah dikemukakan untuk mendapat kelulusan.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan usul ini. Sila nyatakan "setuju."
Setuju.
Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila nyatakan "tidak."
Tiada.
Usul tersebut diluluskan.
Urusan-urusan am
Perkara ketujuh. Urusan-urusan am. Kertas-kertas Mesyuarat Memorandum Perbendaharaan Tambahan Perbelanjaan Mengurus Tahun 2024, DN 22/2024. Memorandum Perbendaharaan Tambahan, Perbelanjaan Pembangunan dan Perbekalan Air Tahun 2024, DN 23/2024. Penyata Kewangan Lembaga Pembangunan Tioman berakhir 31 Disember 2022, DN 24/2024.
Perkara kelapan, penangguhan. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang akan membawa cadangan.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Saya mohon membawa cadangan bahawa Dewan ini ditangguhkan.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, persidangan Dewan kita pada kali ini telah sampai kepada penghujungnya dan Alhamdulillah syukur ianya telah berjalan dengan lancar dan teratur dan saya seharusnya memberi pujian kepada Yang Berhormat Dato' Sri Speaker kerana dapat mentadbir dan menguruskan persidangan dewan kita pada kali ini dengan begitu baik. [Ahli Dewan menepuk meja].
Kepada rakan-rakan Ahli Yang Berhormat sekalian, saya ucapkan syabas, tahniah dan terima kasih di atas penglibatan untuk hadir ke persidangan Dewan pada kali ini. Walaupun persidangan Dewan kita cuma berlangsung setengah hari sahaja, tetapi kita telah berjaya menyelesaikan beberapa perkara penting yang menyentuh isu negeri dan rakyat menerusi sesi pertanyaan dan jawapan serta membentangkan bajet tambahan untuk kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, persidangan pada kali ini juga disiarkan secara langsung serta dapat diikuti oleh seluruh rakyat secara maya dan ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pahang amat terbuka untuk berkongsi maklumat dan informasi perjalanan persidangan Dewan ini tanpa ada sebarang desakan atau paksaan oleh mana-mana pihak. [Ahli Dewan menepuk meja].
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua rakan-rakan ADUN-ADUN Lantikan yang telahpun mengangkat sumpah jawatan pada hari ini.
Yang pertamanya ialah Yang Berhormat Dato’ Ahmad Irshadi bin Abdullah Al-Qari. [Ahli Dewan menepuk meja].
Yang Berhormat Dato’ Wong Tat Chee [Ahli Dewan menepuk meja].
Yang Berhormat Tuan Haris Salleh bin Hamzah [Ahli Dewan menepuk meja].
Yang Berhormat Tuan Mohd Fadzli bin Mohd Ramly [Ahli Dewan menepuk meja].
Yang Berhormat Tuan Rizal bin Jamin [Ahli Dewan menepuk meja].
Terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat atas persetujuan dan sokongan terhadap pelantikan ADUN-ADUN lantikan ini. Saya juga berharap agar kelima-lima mereka ini yang telah dilantik dapat melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh
tanggungjawab terutamanya dalam memastikan kebajikan rakyat di negeri Pahang diberi keutamaan.
Dalam pada itu, kelima-lima ADUN Lantikan ini akan melapor terus kepada saya berhubung dengan gerak kerja dan khidmat bakti mereka kepada rakyat agar ianya dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker. Kita masih lagi berada di dalam bulan Kebangsaan di mana kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan ke 67 pada 31 Ogos yang lalu bertemakan “Malaysia Madani Jiwa Merdeka.” Dalam menghayati sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk terus menumpahkan rasa kasih dan sayang kepada negara dengan menyemai nilai-nilai luhur yang membentuk identiti kita. Untuk itu, saya menyeru agar kita terus menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara yang menjadi teras utama pembentukan Malaysia yang kukuh dan stabil.
Saya juga ingin menyeru kepada semua rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh rakyat negeri ini untuk terus menumpahkan taat setia ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang serta Institusi Diraja Pahang. Kita harus akui bahawa Institusi Diraja merupakan payung atau pelindung untuk rakyat berperanan sebagai simbol perpaduan dan penyatuan kita semua.
Untuk itu, kita sebagai rakyat Pahang adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan kedaulatan Institusi Diraja daripada dipermainkan atau diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan sentimen atau persepsi negatif terhadap Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku seperti mana yang berlaku di Nenggiri… di DUN Nenggiri baru-baru ini sehingga menimbulkan kemarahan rakyat negeri ini. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu ini kerana kes tersebut telah pun dibawa ke mahkamah. Cuma saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mempertahankan Institusi Diraja dengan membuat laporan polis. Terima kasih juga kepada rakan-rakan daripada Perikatan Nasional yang telah menzahirkan taat setia ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta meletakkan keyakinan kepada pihak polis untuk menyiasat kes tersebut. Kita bagi satu tepukan kepada mereka. [Ahli Dewan menepuk meja]. Semoga isu yang berlaku baru-baru ini menjadi iktibar dan ingatan kepada kita semua untuk bijak dalam berkata-kata.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya merasa terpanggil untuk mengulas mengenai satu laporan berita yang disiarkan oleh Harakah Daily bertarikh 1 September 2024. Yang Berhormat Speaker ada baca tak? Untuk makluman je lah ya. Kalau nak baca boleh ambik dengan saya. Yang bertajuk Agenda Islam di Pahang hanya PAS boleh diharap. Yang memetik ucapan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Yang Berhormat Tanjung Lumpur dalam satu program di Chegar Medang, Bentong pada 31 Ogos 2024 yang lalu. Saya kurang pasti sama ada kenyataan itu benar benar keluar dari mulut ADUN Tanjung Lumpur sendiri atau ianya hanya disensasikan oleh Harakah Daily. Tetapi bagi saya dan bagi rakan-rakan saya yang berada bersama-sama dengan saya. Laporan berita tersebut merupakan satu kenyataan yang riak dan sombong serta cuba membangkitkan sentimen dan persepsi negatif seolah-olah kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa pembangunan langsung untuk mengukuhkan syiar Islam di Pahang.
Laporan berita itu bukan sahaja mempertikaikan usaha-usaha yang telah kerajaan negeri laksanakan selama ini tetapi juga dilihat turut mempertikaikan kewibawaan
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang selaku Ketua Agama Islam di negeri ini di mana telah banyak usaha, cadangan, nasihat dan juga saranan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dalam menyuburkan syiar Islam di negeri Pahang.
Malah pada persidangan yang lalu, saya telah jelaskan dengan panjang lebar mengenai usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan saya rasa saya perlu nyatakan sekali lagi pada persidangan kali ini. Apa yang telah kerajaan negeri lakukan Yang Berhormat Dato' Sri Yang di-Pertua. Yang pertama kita telah menubuhkan Maahad Tahfiz Negeri Pahang sehingga Maahad Tahfiz ini menjadi institusi pendidikan terbaik di negara ini dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu. [Ahli Dewan menepuk meja].
Kita telah menubuhkan Tadika Tahfiz Negeri Pahang. Bermula dengan 1 cawangan pada tahun 2018. Sehingga ia berkembang kepada 25 cawangan pada hari ini. Malah, Modul Pendidikan Tadika Tahfiz ini telah diguna pakai oleh 4 ribu Tadika Kemas di seluruh negara. [Ahli Dewan menepuk meja].
Kita juga telah mewujudkan Program Tahfiz Mahir bagi melatih pelajar-pelajar tahfiz dengan ilmu kemahiran dengan jaminan kerjaya apabila tamat latihan nanti. Kita juga telah menubuhkan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang dan Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri telah dan sedang membina 37 buah masjid baru sejak 5 tahun lalu [Ahli Dewan menepuk meja] di mana 18 buah telah siap dibina 15 lagi dalam pembinaan dan 4 lagi dalam proses ukur tanah dan reka bentuk.
Kerajaan negeri juga telah membentangkan 14 Rang Undang-undang atau enakmen berkaitan agama Islam serta diluluskan di Dewan yang mulia ini. Antaranya Rang Undang-undang bagi menghalang umat Islam keluar dari agama Islam atau murtad, Rang Undang-undang berkaitan Wakaf, Rang Undang-undang berkaitan Wasiat dan Rang Undang-undang berkaitan Tarekat bagi menghalang penyebaran ajaran sesat.
Selain itu, kita juga terbuka untuk menganjurkan majlis ilmu, forum atau persidangan berkaitan agama Islam di negeri ini di mana kita telah menjadi tuan rumah International Conference on Contemporary Education in Islamic World [Ahli Dewan menepuk meja] yang telah menghimpunkan ahli-ahli akademik Islam daripada 28 buah negara pada bulan Mei yang lalu.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker.
Kerajaan negeri juga turut menyalurkan bantuan dan sumbangan menerusi Bantuan Prihatin Pahang antaranya sumbangan RM750.00 kepada setiap jemaah haji yang menunaikan fardhu haji tanpa mengira latar belakang yang dikenali Barakah Haji Pahang. Sehinggakan wakil rakyat Pembangkang yang mengerjakan haji pun kita bagi [Ahli Dewan menepuk meja].
Sumbangan RM10,000.00 pada setiap masjid dan surau kebenaran Jumaat untuk melaksanakan aktiviti keagamaan. Sumbangan RM2000.00 kepada setiap maahad tahfiz. Sumbangan RM200.00 kepada setiap mualaf dan banyak lagi. Jadi agenda Islam di Pahang hanya PAS boleh diharap.
Saya ingat kepada kita semua, kita boleh lihat apa yang telah Kerajaan Negeri laksanakan. Bermakna Kerajaan Negeri dah buat banyak dah berkenaan dengan ini dan insya-Allah kita akan laksanakan lagi untuk tahun-tahun yang akan mendatang.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, kita boleh berbeza pandangan dalam politik tetapi dalam soal agama, berpada-padalah bila mengatur bicara.
Berjalan selangkah, mengadap surut, Berkata sepatah, hendaklah difikirkan.
Wadah perjuangan kita mungkin berbeza, ijtihad memenangkan agenda Islam kita mungkin berbeza tetapi matlamat kita tetap sama. Kita menyembah Tuhan yang sama, sembahyang mengadap kiblat yang sama dan melafaz syahadah yang sama. Namun, jangan hanya kerana mahu err... namun, jangan hanya kerana mahu membaja benih kebencian di kalangan rakyat dan mencari laba politik, ada yang menjadi buta rasa dan tuli deria. Ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa. Ikutkan mata buta. Jangan sesekali tergolong dalam orang yang binasa kerana menjadi hamba kepada kerakusan nafsu untuk berkuasa.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker,
Saya rasa setakat ini saja ucapan penangguhan saya pada kali ini. Saya lagi sekali mengucapkan terima kasih atas keterlibatan Ahli-ahli Yang Berhormat dalam persidangan kita pada kali ini.
Begitu juga terima kasih kepada Setiausaha Dewan serta kakitangan di bawahnya serta kakitangan pejabat SUK Kerajaan Pahang atas komitmen dan usaha gigih bagi memastikan kelancaran persidangan kali ini.
Ucapan terima kasih juga kepada Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta agensi-agensi kerajaan yang telah menyediakan butiran yang diperlukan kepada pihak Kerajaan Negeri untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dibangkitkan.
Saya juga ucapkan terima kasih kepada anggota Polis Diraja Malaysia, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia, RELA, petugas Jabatan Kesihatan dan petugas Jabatan Kerja Raya serta semua pihak yang telah membantu melancarkan persidangan kita pada kali ini.
Tidak lupa... tidak juga dilupakan dan terima kasih kepada petugas-petugas media yang memberikan liputan persidangan kita ini. Insya-Allah, kita akan bertemu lagi pada persidangan yang akan datang di mana Belanjawan Negeri Pahang tahun 2025 akan saya bentangkan di hadapan err... di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Saya berdoa semoga rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, selamat pulang ke kawasan masing-masing dan laksanakanlah tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita dengan sebaik-baiknya.
Semoga Allah SWT menikmati... memberkati usaha kita dalam memberi khidmat bakti kepada rakyat serta melindungi negeri ini daripada sebarang musibah dan mala petaka.
Oh, Yang Berhormat Dato Speaker, sebelum terlupa, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan. Begitu juga daripada rakan-rakan daripada Perikatan Nasional yang telah sudi datang ke rumah saya menziarahi saya semasa saya dalam cutian selepas menjalani pembedahan jantung di IJN. Saya juga ucapkan terima kasih di atas doa semua kawan-kawan terhadap saya dan hari ini, insya-Allah kesihatan saya walaupun belum 100% tapi telah melebihi 90% dan ekoran daripada
itu saya telah bincang dengan Bendahari UMNO. Saya akan buka cawangan selepas ini, cawangan UMNO. Dan ini membolehkan saya untuk bergerak lebih laju lagi. Terima kasih atas doa semualah.
Jadi Yang Berhormat Dato' Sri Yang di-Pertua, saya ingat itu sajalah yang dapat saya sampaikan dalam ucapan penangguhan ini. Saya mohon bawa cadangan bahawa Dewan ini ditangguhkan sekarang. Terima kasih Yang Berhormat Dato' Sri Speaker.
Yang Berhormat Dato' Sri Speaker, saya mohon menyokong usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Dato' Sri Diraja Menteri Besar Pahang sebentar tadi. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Alhamdulillah, kita telah pun selesai ke penghujung Persidangan Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Yang Ke-15. Saya merakamkan ucapan setinggi tinggi terima kasih kepada semua Ahli-ahli Dewan yang telah memberikan kerjasama yang amat baik dalam tempoh persidangan berlangsung. Saya juga berharap Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian akan dapat kembali ke kawasan masing-masing dengan selamat dan dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sepenuh hati.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan dan pihak-pihak yang terlibat yang memberikan kerjasama yang tinggi dalam menjayakan persidangan pada kali ini. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, bagi tujuan penambahbaikan Dewan Negeri, Borang Kajian Kepuasan Pelanggan juga diedarkan di atas meja Ahli-ahli Yang Berhormat. Saya mohon kerjasama Ahli-ahli Yang Berhormat untuk melengkapkan borang kajian tersebut.
Baiklah, sebelum saya menangguhkan mesyuarat, sekali lagi saya ingin memaklumkan bahawa kita akan mengadakan sesi foto berkumpulan di Dataran Dewan Negeri sejurus penangguhan mesyuarat.
Sekian, persidangan Dewan Negeri ditangguhkan.
Wabillahi Taufiq Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.