Pahang · 18 April 2025
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · 14 turns · 4,638 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Berhormat Speaker Dewan Negeri Pahang.
Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari : Jumaat, 18 April 2025
bersamaan 27 Syawal 1446 Hijrah
DOA
Perkara Pertama: Doa.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT. Marilah kita sama-sama membaca ummul kitab bagi memulakan mesyuarat Dewan kita, Al-Fatihah.
Bismillahirrahmanirrahim [bacaan dalam Bahasa Arab] Segala puji bagi Allah. Dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Mengasihi, kepada-Nya terpulang segala puji-pujian, Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa aman damai, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hamba-Mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan yang terutama bagi negeri ini serta rakyat sekalian.
Ya Allah, berkat-Mu ke atas kami berhimpun, dipohon anugerahkan taufik-Mu, dipohonkan menyuluh, memandukan ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah. Dipohon doa kami diperkenan, Amin Ya Rabbal A’lamin.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 29 November, 02, 03, 04, 05 dan 06 Disember 2024 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Yang Berhormat Speaker, Saya mohon izin membawa cadangan bahawa Peringatan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 29 November, 02, 03, 04, 05 dan 06 Disember 2024 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.
Assalamualaikum WBT. Yang Hormat Dato' Sri Speaker,
Saya mohon izin untuk menyokong cadangan yang dibawa oleh Yang Berhormat Dato' Sri Diraja Menteri Besar, terima kasih.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Soalannya ialah, “Satu cadangan bagi mengesahkan Peringatan Mesyuarat kali Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 pada 29 November, 02, 03, 04, 05 dan 06 Disember 2024 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan”, telah pun mendapat sokongan. Sekiranya tiada apa-apa pindaan, Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju sila nyatakan “ya”.
Ya.
Yang tidak bersetuju sila nyatakan “tidak”. Peringatan mesyuarat tersebut disahkan dengan tiada pindaan.
Peringatan mesyuarat disahkan dengan tiada pindaan dan dibawa untuk pengesahan Yang Berhormat Speaker.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Baiklah, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian menurut Perkara 29 Bab IV… Bab 10 bahagian... Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Negeri Pahang di bawah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Titah Diraja. Oleh yang demikian, saya mohon izin untuk mengadap merafak sembah mempersilakan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bagi berangkat masuk bersemayam di Dewan ini. Dengan ini, saya menangguhkan Dewan ini sebentar.
Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan PahangAddress / budget
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik mohon ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat.
Perkara ketiga: Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
TITAH DIRAJA KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG
Bismillahirrahmannirahim. Alhamdulillah [Bacaan ayat dalam Bahasa Arab]
KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG
[Ayat Al-Quran] Assalamualaikum WBT. Yang Amat Berhormat Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Haji Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, Yang Amat Mulia Kerabat-kerabat Bergelar, Yang Berhormat Dato' Sri Haji Mohd Sharkar bin Haji Shamsudin, Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Yang Hormat Dato' Sri-Dato' Sri, Dato'-Dato', tuan-tuan, puan-puan yang Beta hormati sekalian.
Segala pujian ke hadrat Allah SWT yang memelihara dan mentadbir semesta alam. Beta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia, rahmat dan inayahnya dapat Beta berkesempatan melafazkan titah diraja bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang kali ke-15 pada pagi yang penuh keberkatan ini. Dikesempatan ini Beta menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada orang tua Beta Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta seluruh jentera kerajaan yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi sehingga berjaya membawa negeri Beta ke tahap yang cemerlang dan berdaya saing.
Di sini Beta ingin juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Dato' Indera Nazri bin Abu Bakar yang telah dilantik sebagai Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Pahang. Juga tahniah diucapkan kepada Tuan Mohd Saifuddin bin Hashim Musaimi dan Dato' Haji Fadzilla bin Haji Salleh yang telah dilantik selaku Yang Berhormat Penasihat Undang-undang Negeri Pahang dan Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri Pahang yang baru. Beta berharap kesemuanya dapat melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan negeri Beta ini dapat diurus dengan sebaiknya.
Beta juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dato' Sri Haji Zulkifli bin Haji Yaacob, mantan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Pahang dan Dato' Sri Saiful Edris bin Zainuddin, mantan Yang Berhormat Penasihat Undang-undang Pahang yang telah banyak menyumbangkan jasa dan bakti untuk pembangunan negeri Beta.
Hadirin sekalian dengan penuh rasa hiba dan dukacita beta menzahirkan ucapan takziah atas pemergian seorang negarawan ulung dan juga bapa pembangunan modal insan iaitu, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri. Seorang tokoh yang dikenang bukan hanya kerana jasanya kepada negara tetapi juga kerana kelembutan budi dan ketinggian pekertinya. Di bawah kepimpinan beliau juga lahirlah gagasan besar yang mencerminkan roh Islam dan nilai sejati iaitu Islam Hadhari.
Allahyarham juga dikenang atas jasa memacu pembangunan wilayah menerusi pelancaran Koridor Ekonomi Wilayah seperti ECER, NCER, SCORE dan Iskandar Malaysia yang membuka lembaran baru dalam pemerkasaan ekonomi luar bandar dan merapatkan jurang pembangunan antara negeri-negeri. Sesungguhnya pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat negara. Namun, legasi beliau tetap hidup terpahat dalam sejarah, tersemat dalam sanubari rakyat dan terus menjadi obor kepada perjuangan membina Malaysia yang lebih inklusif, progresif dan
berteraskan nilai. Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi ditempatkan dalam kalangan para solihin dan dirahmati Allah SWT, Al-Fatihah.
Beta akan mula ucapan Beta dengan beberapa tajuk sepanjang ucapan ini. Pertama ialah berkaitan dengan prestasi ekonomi negeri. Ahli dewan yang bersidang, Alhamdulillah Negeri Pahang Darul Makmur terus melangkah gagah di pentas pembangunan, memperlihatkan prestasi ekonomi yang stabil dan meyakinkan. Beta bersyukur kerana bumi bertuah ini kekal berada di landasan yang kukuh menuju kemakmuran dan kesejahteraan rakyatnya. Dalam menunaikan amanah pemerintahan, beta amat berbesar hati memaklumkan bahawa hasil kutipan negeri bagi tahun yang lalu telah mencatatkan jumlah RM1.22 billion.
Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kepada kegigihan, integriti dan keberkesanan tadbir urus kerajaan beta dalam mengurus khazanah negeri. Lebih membanggakan ini merupakan tahun ketiga berturut-turut sejak lagi tahun 2022 negeri Pahang mencatat kutipan melebihi RM1 bilion. Suatu satu pencapaian hatrik yang jarang-jarang berlaku dalam sejarah pentadbiran kewangan negeri. Ini adalah usaha… hasil usaha gigih seluruh jentera kerajaan yang sentiasa menjunjung amanah dengan penuh bertanggungjawab.
Beta percaya peningkatan hasil negeri ini tidak datang dengan mudah. Ia menuntut pengorbanan perancangan rapi serta kerjasama padu daripada semua pihak. Dan beta menyeru agar kejayaan ini menjadi pendorong untuk menggandakan lagi usaha bagi tahun 2025. Produktiviti mesti diperkasa. Daya saing perlu dipertingkat dan budaya kerja cemerlang hendaklah sentiasa menjadi amalan kita.
Di samping itu, beta ingin menzahirkan rasa sukacita terhadap pencapaian yang memberangsangkan dalam melaksanakan projek pembangunan Rolling… Rolling Plan Kelima di bawah RMK… RMK ke-12. Sebanyak 9… sebanyak 591 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan pembangunan mencecah RM381 juta iaitu 11.19% ataupun peratus daripada peruntukan tahun semasa mengatasi purata nasional sebanyak 9.47%. Prestasi ini mencerminkan kecekapan perancangan dan komitmen semua jabatan serta agensi pelaksana dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
Beta menzahirkan penghargaan atas kesungguhan mereka yang bekerja siang dan malam demi memastikan kemakmuran negeri tercinta ini. Tambahan pula, setakat 5 Mac 2025, kerajaan beta telah menerima sejumlah RM31.65 juta melalui pelbagai saluran peruntukan persekutuan bagi menyokong pembangunan infrastruktur serta penyelenggaraan kemudahan awam. Dana ini amat penting untuk memastikan pembangunan negeri terus lestari dan manfaat dirasai seluruh lapisan masyarakat. Beta turut melihat bahawa daya tarikan pelaburan negeri semakin meningkat hasil daripada pendekatan yang mesra pelabur dan berpandangan jauh dan sepanjang tahun lalu negeri ini berjaya memuktamadkan pelaburan komited sebanyak RM7.54 bilion melalui perjanjian-perjanjian strategik yang telah dimeterai.
Impak dari pelaburan ini amat besar bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi juga membuka peluang pekerjaan, memperkasa produktiviti dan merangsang mobiliti sosial rakyat negeri ini. Malah beta percaya dengan kedudukan geografi negeri yang strategik dilengkapi pula dengan kemudahan Pelabuhan Kuantan dan jaringan laluan Rel Pantai Timur ataupun ECRL yang bakal beroperasi pada awal tahun 2027, negeri Pahang akan terus muncul sebagai antara destinasi pelaburan paling dinamik di rantau ini insya-Allah. [Ahli Dewan menepuk meja]
Maka Beta menyeru agar segala Dasar Pembangunan Negeri terus digerakkan dengan iltizam dan keikhlasan. Jangan sekali-kali leka dalam kejayaan kerana cabaran masa depan menuntut kita semua bersedia lebih awal dan bergerak lebih pantas.
Perkara kedua Menoktahkan Kemiskinan Tegar.
Ahli-ahli Dewan yang dikasihi sekalian, Dalam masa yang sama, Beta menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa sukacita apabila kerajaan Beta berjaya melakar detik bersejarah dengan menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini pada 29 Mei 2024 [Ahli Dewan menepuk meja] yang telah membawa sinar baharu kepada 1,946 Ketua Isi Rumah (KIR) yang sebelum ini bergelut dalam kehidupan serba kekurangan. Usaha ini bukan sekadar menghulur bantuan sementara yang bersifat mengubati simptom tetapi merupakan ikhtiar menyeluruh untuk membangunkan potensi diri rakyat. Menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik dan merintis jalan menuju taraf hidup yang lebih berjaya. Sesungguhnya menoktahkan kemiskinan tegar bukanlah penghujung, tetapi permulaan kepada satu era baru yang mengangkat keadilan sosial dan kemakmuran bersama.
Justeru itu, Beta berharap agar usaha kerajaan tidak terhenti di sini teruskanlah langkah-langkah proaktif merintis inisiatif yang inovatif dan memastikan tiada seorang pun rakyat negeri Pahang yang tertinggal daripada arus pembangunan dan kesejahteraan. Negeri yang makmur, rakyat yang sejahtera. Itulah iltizam Beta dan itulah janji yang wajib kita semua tunaikan.
Speaker Dewan Negeri dan semua Ahli Dewan yang mulia.
Perkara ketiga iaitu Tanah Rizab Melayu.
Beta juga melahirkan rasa bangga dan syukur yang tidak terhingga apabila Tanah Rizab Melayu di negeri Beta telah menunjuk peningkatan yang membanggakan. [Ahli Dewan menepuk meja]
Daripada 2018, 326 hektar pada tahun 1955, err... ulang daripada tahun 1955 hanya ada 218,326 hektar sekarang mempunyai 444 dan 74 hektar pada masa kini [Ahli Dewan menepuk meja]. Jumlah ini merangkumi 12.34% daripada keseluruhan keluasan negeri Beta yang berukuran 5… berukuran 3.597 juta hektar. Berharap kita tambahkan lagi masa-masa akan datang [Ahli Dewan menepuk meja]. Pencapaian ini merupakan bukti nyata komitmen dan iltizam kerajaan Beta dalam memelihara warisan milik bangsa, satu pegangan yang bukan sahaja bernilai ekonomi tetapi juga mempunyai erti yang mendalam dari sudut jati diri dan maruah orang Melayu.
Sehubungan dengan itu, Beta tegas mengingatkan janganlah ada mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan suasana atau menyemai fitnah dengan melontarkan dakwaan kononnya Tanah Rizab Melayu di negeri Beta semakin terhakis, semakin tergadai dan atau terlepas kepada tangan orang luar. Fakta dan data telah jelas menafikan tohmahan sedemikian. (Ahli Dewan menepuk meja). Malah, Beta berharap agar kerajaan Beta terus memperkukuhkan lagi kedudukan tanah, kedudukan tanah Rizab Melayu melalui penguatkuasaan undang-undang yang tegas, berprinsip dan berani dalam membenteras pencerobohan baik diatas tanah rizab mahupun tanah milik kerajaan Beta. [Ahli Dewan menepuk meja]. Ini adalah tanggungjawab yang tidak boleh dikompromikan.
Perkara keempat. Infrastruktur Jalan Raya.
Dalam masa yang sama, Beta juga ingin menyentuh perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu infrastruktur jalan raya yang menjadi tunjang perhubungan dan urat nadi pertumbuhan ekonomi negeri. Beta mengharapkan agar kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kerja Raya dapat memberi pertimbangan serius untuk menyiapkan segera Projek Naik Taraf Laluan FT012 Jalan Kuantan ke Segamat. Jalan ini bukan sekadar saluran perhubungan tetapi satu laluan nyawa yang digunakan oleh rakyat seharian. Penambahbaikan ini bukan hanya meningkatkan keselesaan malah meminimumkan risiko kemalangan yang meragut nyawa. Selain itu, Beta melahirkan kebimbangan apabila tiada kemudahan rehat dan rawat (RNR) yang mencukupi di laluan utama negeri Beta. Situasi ini telah mengundang keadaan yang tidak menyenangkan lebih-lebih lagi ketika musim perayaan di mana ada segelintir pengguna yang tanpa rasa tanggungjawab membuang sampah merata-rata lalu menggelapkan wajah negeri kita yang indah ini. Justeru, Beta menyeru agar kerajaan Persekutuan dapat menyediakan peruntukan yang sewajarnya untuk membina RNR di laluan-laluan strategik negeri Beta. (Ahli Dewan menepuk meja). Ini adalah untuk keselesaan pengguna dan imej negeri yang perlu kita pertahankan. Negeri yang maju memerlukan jalan yang terbina kukuh, sistem yang teratur dan fasiliti yang berpihak kepada rakyat dan itulah aspirasi Beta untuk negeri Pahang.
Hadirin yang dirahmati Allah sekalian. Perkara Kelima ialah Alam Sekitar.
Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas keprihatinan dan penyaluran peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation iaitu EFT kepada negeri Beta melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Ini merupakan langkah bijaksana dalam menghargai nilai alam yang tidak ternilai. Satu anugerah Ilahi yang menjadi sumber kehidupan dan kesejahteraan generasi masa kini dan masa akan datang. Beta berharap agak... agar setiap sen peruntukkan ini dapat diagihkan secara cekap dan telus kepada jabatan dan agensi berkaitan bagi melaksanakan program pengurusan ekologi yang menyeluruh, melindungi, memulihara dan mewartakan kawasan-kawasan strategik yang menyumbang kepada perkhidmatan ekosistem termasuklah kawasan daratan, air tawar, pesisir pantai dan perairan marin.
Demi menjaga keselamatan rakyat Beta terutamanya di musim tengkujuh, Beta memohon agar Orang Tua Beta Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dapat memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek-projek tebatan banjir yang telah diluluskan. Terdapat 15 projek berimpak tinggi dalam Rangka Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negeri Beta. Antaranya di Sungai Kenau, Pekan… Pekan Sungai Lembing, Sungai Dong Raub dan Sungai Jelai Fasa 1 di daerah Lipis.
Beta menaruh harapan yang tinggi agar semua projek ini dilaksanakan dengan segera, berkualiti dan mengikut jadual yang ditetapkan. Janganlah kita terlambat bertindak hanya setelah musibah menimpa. Cegah sebelum parah. Itulah tanda kerajaan yang bijak dan berjiwa rakyat.
Ahli Yang Berhormat Sekalian, perkara 6 ialah Dakwah Islamiah.
Dalam era kemodenan yang pantas ini, Beta turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan fahaman sesat, ajaran menyimpangi dan tafsiran agama yang keliru yang menular tanpa sempadan khususnya di media digital.
Sehubungan itu, Beta harap agar pihak pentadbiran kerajaan Beta mengambil langkah proaktif yang… mengambil langkah yang lebih proaktif dan berani dalam memberikan pendedahan dan kefahaman yang tepat kepada masyarakat tentang ancaman ini. Jangan sampai akidah ummah dipermainkan dan kesucian Islam dinodai oleh tangan yang tidak bertanggungjawab. Beta mengingatkan dalam menuntut ilmu agama, semak dan tapislah sumbernya.
Usah dibiarkan laman sosial menjadi medan tauliah sedangkan yang berkata-kata belum tentu seorang ahli ilmu dan Beta berharap pihak bertanggungjawab merangka program dakwah yang komprehensif dan inklusif melibatkan semua lapisan masyarakat daripada bandar ke pedalaman termasuk komuniti Orang Asli.
Dakwah yang berkesan adalah dakwah yang hidup, yang menyentuh hati dan yang relevan dengan keperluan semasa. Islam itu rahmat bagi sekalian alam. Maka janganlah rahmat itu ditutupi oleh kabus, penyelewengan dan fitnah.
Ketujuh Pengukuhan Sistem Syariah Islam. Beta beriltizam untuk melihat sistem perundangan syariah di negeri Beta terus diperkasa dengan melangkah seiring arus kemajuan teknologi. Maka Beta beranggapan sudah tiba masanya Mahkamah Syariah Pahang diperlengkapkan dengan kecanggihan sistem Artificial Intelligence (AI) seperti Court Recording Transcription (CRT) sepertimana yang telah dilaksanakan di mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah di wilayah Sarawak.
Sistem ini membolehkan setiap ucapan dan visual didalam prosiding direkod dan ditranskrip secara elektronik sekaligus memberi lebih ruang kepada para hakim untuk menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap isi kandungan perbicaraan tanpa perlu terikat dengan catatan manual yang membebankan. Beta menyeru agar kerajaan beta menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi merealisasikan penggunaan sistem ini di negeri Beta agar Mahkamah Syariah. Kita bukan sahaja cekap dan berkualiti tetapi juga menggambarkan Islam sebagai agama yang progresif dan berdaya saing dalam usaha memperkasa prasarana Mahkamah Syariah, kerajaan Beta telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta dalam rangka Rancangan Malaysia Ke 12 bagi pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah di Temerloh yang meliputi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Syariah. Pembinaannya dijangka dimulakan pada Mei 2025 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Manakala bagi Mahkamah Syariah Bentong, Beta menaruh harapan agar pembinaannya dapat dimasukkan dalam peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 dan disegerakan pelaksanaannya. Mahkamah yang berwibawa dan berprasarana moden adalah lambang keadilan yang teguh dan Islam yang gemilang.
Yang Dipertua Speaker Dewan Negeri dan ahli Ahli Yang Berhormat Sekalian.
Perkara kelapan ialah Inisiatif Rakyat dan Negeri Yang Prihatin Berkenaan Kebajikan Rakyat Jelata.
Beta ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Beta yang terus menjunjung aspirasi untuk menjaga kebajikan rakyat dengan menampilkan pendekatan yang berimpak tinggi dan holistik.
Seperti mana tahun tahun sebelum ini, Program Bantuan Prihatin Pahang telah dijenamakan semula sebagai Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang). Suatu payung kebersamaan yang memayungi segala lapisan masyarakat daripada bayi yang baru melihat dunia hinggalah warga emas yang meniti usia senja. Sejumlah RM50.54 juta telah diperuntukkan pada tahun ini untuk menggerakkan agenda inisiatif ini. Inilah
watak kerajaan yang mendengar degup nafas rakyatnya dan bertindak dengan kasih sayang dan tanggungjawab.
Dalam hal perumahan, Beta berbangga dengan komitmen kerajaan Beta untuk terus menyediakan rumah mampu milik melalui pelbagai program seperti Rumah Rakyat Pahang, PR1MA Pahang, Rumah Makmur, Rumah Mesra Pahang (RMP), Pangsapuri Pahangku dan Projek Ru’Rasa. Program usaha sama. Satu program usaha sama dengan Raja UAE. Sama ada diberikan secara percuma atau dijual dengan harga yang sangat berpatutan. Ianya menunjukkan bahawa rakyat Beta tidak diabaikan dalam soal keselesaan dan keselamatan tempat tinggal.
Perkara kesembilan Keselamatan Negeri… Keselamatan Negeri Tanggungjawab Bersama.
Beta turut memandang serius akan tanggungjawab untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman negeri. Inilah tunjang kepada kesejahteraan rakyat dan teras kepada kemakmuran yang kita dukung. Maka seiring dengan iltizam Beta dan kerajaan untuk memperkasakan strategi membanteras jenayah. Beta menyeru agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang terus merangka langkah yang strategik dan berkesan bagi menangani gejala yang kian meruncing. Beta dimaklumkan kes jenayah indeks di negeri Beta telah meningkat sebanyak 149 kes iaitu daripada 1,876 kes pada tahun 2023 kepada 2,025 kes pada tahun 2024. Ini adalah sesuatu yang membimbangkan dan perlu ditangani dengan segera. Namun harus diingat, memelihara keselamatan bukanlah tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata. Ia adalah amanah bersama.
Rakyat beta perlu menjadi barisan pertama dalam membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat, memupuk kesedaran dan membina komuniti yang tidak tolerant kepada terhadap jenayah. Dalam hal ini, Beta turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan penagihan dan pengedaran dadah yang masih berakar kuat di negeri ini, pada tahun 2024 lebih 13,800 tangkapan berkaitan dadah telah direkodkan meningkat lebih 8% berbanding tahun sebelumnya. Nilai rampasan dadah pula melonjak lima kali ganda melebihi RM12 juta.
Suatu petanda bahawa ancaman ini semakin canggih dan terancang, namun penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Beta menegaskan bahawa pembanterasan… pembanterasan dadah harus dilakukan melalui pendekatan yang holistik. Mencegah, merawat dan menyedarkan. Setiap institusi, sekolah, masjid, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan keluarga harus bangkit menggalas peranan.
Kita mesti berdiri bersama sebagai benteng terakhir menentang gejala-gejala yang mengancam maruah dan masa hadapan anak negeri kita. Beta tidak mahu negeri ini terus dibelenggu bayang-bayang kegelapan. Tahun 2025 harus menjadi detik kebangkitan gerakan menyeluruh yang bukan sahaja membanteras tetapi mendidik dan memulih. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Ada dua lagi tajuk yang beta akan baca yang cukup dekat di hati dan agak merunsingkan jika semua ini tidak diambil berat oleh pihak Kerajaan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Sila dengar baik-baik. Perkara ini ialah berkaitan dengan pencerobohan tanah haram. Musuh kita bukan sekadar dadah dan penjenayah, tetapi apa yang lebih tragis dan menyakitkan sebanyak 14,494 dan 908 hektar tanah kerajaan telah dicerobohi dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil
bumi. Lebih malang lagi lebih kurang 6000 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) juga telah diceroboh kononnya atas nama pertanian. Tetapi hakikatnya ia adalah satu perompakan terbuka terhadap harta negeri, khazanah negeri. Masalah…masalah ini bukan baru bermula semalam. Ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lalu. Ianya berlaku tanpa pengetahuan… pengetahuan Beta. Ketika itu saya masih lagi, Tengku Mahkota Pahang yang tidak mempunyai kuasa dan peranan. Tetapi sekarang saya sudah pun menjadi Sultan. [Ahli Dewan menepuk meja]
Dah sampai masanya… sudah sampai masanya kita semua celik mata. Sedarlah, perkara ini adalah satu perkara yang cukup merunsingkan dan merugikan kerajaan dan rakyat yang saya sama-sama sayangi. Bukan niat Beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan. Beta tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam, sebaliknya Beta berhasrat untuk menoktahkan kemelut pencerobohan tanah secara haram ini. [Ahli Dewan menepuk meja]
Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran. Jika betul, jika benar adanya unsur rasuah, salahguna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah. Biarlah Allah SWT Yang Maha Adil menentukan dan menjatuhkan hukumannya. Walau bagaimanapun, adalah menjadi hasrat dan pendirian Beta bersama kerajaan Beta untuk membuka lembaran baru dengan pendekatan yang lebih mampan, lebih adil dan menyeluruh. Pendekatan yang tidak sekadar menghukum tetapi juga membina yang tidak hanya menamatkan pencerobohan tetapi memulihkan semula maruah undang-undang serta menjana hasil kepada tanah negeri kita.
Beta amat berbangga dan menzahirkan penghargaan atas usaha Kerajaan Negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang telah mula mengambil tindakan tegas di lapangan termasuk membuat tangkapan. Memotong pokok-pokok yang ditanam secara haram dan juga menutup lombong-lombong yang dibuka tanpa rasa malu dan takut. Seiring dengan keputusan Kerajaan Negeri juga, Beta ingin menegaskan bahawa tidak akan ada sebarang kelulusan baru oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.
Ini adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah pada negeri dan rakyat. [Ahli Dewan menepuk meja] Tambahan pula, keadaan hari ini sangat membimbangkan apabila ada mereka yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati seolah-olah pencerobohan ini satu bentuk perjuangan. Beta ingin mengingatkan, perjuangan yang… perjuangan yang bersandarkan kezaliman terhadap tanah hak milik negeri tidak akan pernah sesekali mendapat restu Beta, [Ahli Dewan menepuk meja] dan apa yang lebih mendukacitakan, terdapat segelintir pihak termasuk individu-individu yang seharusnya menjadi contoh dan pembela kepada undang undang. Sebaliknya pula memilih untuk menyokong perbuatan yang bertamadun ini. Cukup memalukan.
Tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi bahkan boleh menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri. Janganlah kerana kepentingan politik sempit, hukum diketepikan dan perbuatan yang salah dimuliakan. [Ahli Dewan menepuk meja]
Di sini ada pentadbir-pentadbirkan? Sila bangun sikit nak tengok kat mana duduknya.
Pentadbir daerah, sebab ucapan saya ni nak tuju khas kepada pentadbir-pentadbir. Dengan baik-baik. Beta ingin menegaskan pentadbir tanah di semua peringkat wajib menjadi benteng hadapan, bukan boneka yang diperalatkan. Jangan sekali-kali
berkompromi dalam dalam hal yang melibatkan kedaulatan undang-undang negeri. Jangan terpedaya dengan naratif kononnya pencerobohan itu atas nama kebajikan atau perjuangan rakyat. Undang-undang tidak boleh dipilih-pilih untuk dikecualikan mengikut siapa yang bercakap paling lantang atau siapa yang berani menekan atau yang paling banyak menghulur. Pentadbir Tanah sepatutnya sepatutnya menjadi perisai negeri daripada sebarang pencerobohan dan salah laku. Bukan menjadi pelindung kepada perbuatan terlarang yang dihalalkan dengan alasan retorik. Beta tidak akan sesekali berkompromi jika ada yang mengkhianati amanah dengan menjadi agen pencerobohan yang terang-terangan mencabar keluhuran undang-undang negeri ini. Amanah diberi dan jangan sekali kali dicemari dengan pengkhianatan… pengkhianatan… pengkhianatan... pengkhianatan.
Mulai saat ini negeri ini, bawah naungan saya… Beta sebagai Raja akan sentiasa terbuka dan memberi laluan sepenuhnya kepada badan penguatkuasaan seperti SPRM, PDRM, UPNP untuk bertindak tegas tanpa pilih kasih. Tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang di negeri Pahang. Sesiapa sahaja yang didapati menyalahgunakan kuasa, bersekongkol dalam urusan yang menyalahi undang-undang khususnya melibat pencerobohan tanah wajib dibawa ke muka pengadilan. Malah, beta tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu, menghalang atau mencabar kuasa penguatkuasaan dan penjawat awam ketika menjalankan tugas. Undang undang tidak boleh dipijak sesuka hati dan kedaulatan negeri ini tidak boleh dipersendakan.
Beta sentiasa bersama kalian yang berjuang. Berjuang mempertahankan tanah air ini daripada dijajah, diperkosa dan dinodai tanpa rasa berdosa. Janganlah pentadbiran kerajaan Beta bersikap lesu dan longlai. Jadilah mata dan telinga Beta bukan mulut yang hanya tahu menyedapkan telinga Beta.
Jadikan episod hitam ini sebagai satu pengajaran dan ingatan untuk semua yang berkuasa [Ahli Dewan menepuk].
Yang seterusnya ialah perkara berkaitan Ketirisan Hasil Negeri.
Negeri ini bukan sahaja berdepan dengan kerakusan terhadap bumi hijau, malah turut bergelut dengan ketirisan hasil yang berlaku dalam pelbagai bentuk lain. Dari air yang mengalir tanpa hasil, hingga ke perut bumi yang dikeruk secara haram tanpa silu. Malah, perkara Non Revenue Water (NRW) ataupun kehilangan air tidak berhasil di Pahang telah mencapai kadar yang amat membimbangkan. Ketika air disimpan di empangan, sebahagiannya tidak pernah sampai ke rumah rakyat.
Negeri ini juga terus kehilangan jutaan ringgit apabila hasil batuan, pasir, bijih, emas, bauksit dan nadir bumi ataupun REE dikeluarkan secara tidak sah. Ada yang dilakukan secara terang-terangan dan ada yang bersembunyi di sebalik lesen yang disalahgunakan. [Ahli Dewan menepuk meja]
Ke mana perginya hasil negeri jka tidak kerana kebocoran demi kebocoran ini bukannya sedikit tetapi saban tahun yang sepatutnya masuk ke Tabung Pembangunan Rakyat hanya tumpah begitu sahaja ke tangan yang tidak diamanah. Justeru, Beta mahu pentadbiran negeri hari ini terus berusaha membasmi segala ketirisan hasil bumi. Harta negeri ini adalah amanah dan sesiapa yang mengkhianatinya akan menerima balasannya. Jikapun tidak di mahkamah, maka di hadapan Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Di sini, Beta ingin mengungkap titah nasihat almarhumah bonda Beta kepada Beta sebelum nafas terakhir iaitu tiga perkara. Iaitu jagalah ayahanda, jagalah negeri Pahang dan jagalah rakyat Pahang. [Ahli Dewan menepuk meja].
Bonda saya tak sebut jaga wakil rakyat, hanya rakyat saja. Tapi saya akan jaga juga wakil rakyat. [Ahli Dewan menepuk meja]
Itu satu ungkapan yang sentiasa berada di dalam sanubari saya sehinggalah akhir hayat saya. Sekarang hanya dua perkara iaitu negeri Pahang dan rakyat negeri Pahang. Ayahanda saya pun sudah selamat dimakam… makamkan.
Kesempatan di sini, Beta ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan di atas sikap keterbukaan dan memahami segala atas segala titah teguran beta tentang perkara-perkara yang agak sensitif telah pun diterima dengan baiknya. [Ahli Dewan menepuk meja]
Anggaplah teguran Beta ini adalah satu teguran ikhlas dan membina. Di atas keprihatinan Beta selaku raja pemerintah di bumi Pahang ini. Jiwa dan raga Beta adalah semata-mata untuk rakyat beta. [Ahli Dewan menepuk meja]
Segala teguran Beta adalah untuk kepentingan rakyat Beta. Buat akhir kata bagi penutup pada pagi yang penuh barakah ini, Beta menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Dewan Yang Berhormat atas komitmen dan dedikasi yang tidak pernah surut dalam usaha memakmurkan negeri Pahang Darul Makmur.
Beta menyeru agar setiap Ahli Dewan terus menjunjung titah, menjunjung tinggi semangat Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang. Menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan demi kedaulatan… kedaulatan undang-undang dan keutuhan tatakelola pemerintahan.
Akhir kalam, Beta dan Tengku Ampuan sentiasa mendoakan agar Allah SWT terus mencurahkan petunjuk Taufik dan hidayah-Nya ke atas segala langkah dan keputusan yang kita ambil dalam memimpin dan membangunkan negeri yang Beta kasihi ini.
Diharapkan juga ini adalah, saya difahamkan ini mungkin akan menjadi sidang terakhir di dalam Dewan ini. Sudah tentu bagi saya yang telah memegang jawatan selaku Tengku Mahkota dari awal tahun 70an telah pun berada dalam Dewan ini semenjak lagi tahun 76 lebih 50… 60 tahun agaknya. Sudah tentu akan berasa sedih kerana kita akan berpindah kepada satu lagi Dewan yang lebih besar dan lebih cantik. Mudah-mudahan itu akan menjadi satu lambang transformasi kepada negeri Pahang ini dan menjadi satu negeri yang boleh kita sama-sama berbangga dari segi kemajuan. InsyaAllah. [Ahli Dewan menepuk meja]
Mengambil berkat bulan Syawal yang mulia, Beta ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat Beta yang dicintai. Semoga dengan semangat Aidilfitri, kita terus memupuk suasana yang harmoni, menyemai semangat persaudaraan, mengekalkan perpaduan dan memperkukuhkan semangat kebersamaan yang telah kita bina sejak sekian lama.
Saya akan mengakhiri dengan tiga rangkap pantun buat pedoman.
Durian bukan sebarang durian, Raja buah digemari ramai, Jangan hanya kerana kalian, Raja disinggah negeri tergadai. [Ahli Dewan menepuk meja]
Dari Raub ke Bandar DiRaja, Mengusung kati membawa suasa, Kalau bukan kerana Raja, Tergadai sudah warisan bangsa. [Ahli Dewan menepuk meja]
Jadi pemimpin bersamalah hati, Turun kepadang menjiwai diri, Harapan rakyat jangan dikhianati, Merana rakyat merangkaklah mencari. [Ahli Dewan menepuk meja]
Sekian. Wabillahi taufiq Walhidayah. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. [Ahli Dewan menepuk]
Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.
KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG
Terima kasih. Amin, aamiin, aamin.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Dengan sempurnanya Titah DiRaja Ke Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sebentar tadi, maka sukacita saya menempohkan mesyuarat Dewan ini pada hari Isnin, 21 April 2025 bersamaan 22 Syawal 1446 Hijrah mulai jam 9.30 pagi. Terima kasih.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berangkat meninggalkan Majlis.