Pahang · 8 May 2026
15th Assembly, 5th session, 1st meeting · 14 turns · 3,113 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPahang publishes one PDF per meeting on the state portal. Written answers are not published. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Kelima Belas di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hari Pertama (Jumaat) : 08 Mei 2026 (Jumaat)
Bersamaan
: 20 Zulkaedah 1447 Hijrah
Masa
: 10.00 pagi
DOA
Perkara Pertama: Doa.
Assalammualaikum WBT, Salam Sejahtera, Salam Pahang 1st. Untuk kita memulakan mesyuarat kita pagi ini marilah kita sama-sama membaca Ummul Kitab Al-Fatihah [bacaan dalam bahasa Arab]. Segala puji bagi Allah dibuka Mesyuarat Dewan Negeri dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mengasihani, kepadaNya terpulang segala puji-pujian. Ya Allah yang bersifat Maha Hikmah limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli-ahli Dewan Negeri bagi mentadbir maslahah masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa, aman, makmur, limpah kebahagiaan meliputi penduduk negeri Pahang ini. Ya Allah, kami sekalian hambaMu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi negeri ini serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkatMu ke atas kami berhimpun. Dipohon anugerahkan taufik-Mu, dipohonkan menyuluh memandu ketika kami berunding, menimbang, bertukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi negeri ini serta penduduk-penduduknya sekalian. Ya Allah, dipohon doa kami diperkenan. Amin, Ya Rabbal A’lamin.
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Perkara Kedua: Mengesahkan Peringatan Mesyuarat
Mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Kelima Belas pada 5, 8, 9, 10, 11 dan 12 Disember 2025 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Assalammualaikum WBT, Selamat Pagi, Salam Sejahtera.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker,
Saya mohon izin membawa cadangan bahawa Peringatan Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Kelima Belas pada 5, 8, 9, 10, 11 dan 12 Disember 2025 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan disahkan.
Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera.
Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker,
Saya mohon izin menyokong cadangan yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Menteri Besar. Terima kasih.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Soalannya ialah,
“Suatu cadangan bagi mengesahkan Peringatan Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Kelima Belas pada 5, 8, 9, 10, 11 dan 12 Disember 2025 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, Kuantan”,
telah pun mendapat sokongan. Sekiranya tiada apa apa pindaan, Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju sila nyatakan ya.
Ya.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila nyatakan tidak. Tiada. Peringatan mesyuarat tersebut disahkan dengan tiada pindaan.
Peringatan mesyuarat disahkan dengan tiada pindaan dan dibawa untuk pengesahan Yang Berhormat Speaker.
Baiklah Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, menurut Perkara 29, Bab 4, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Titah Diraja. Oleh yang demikian, saya mohon izin untuk mengadap merafak sembah mempersilakan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang berangkat masuk bersemayam di Dewan ini. Dengan ini, saya menempohkan Dewan ini sebentar.
Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan PahangAddress / budget
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik mohon ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku untuk meneruskan aturan urusan mesyuarat.
Perkara Ketiga: Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. TITAH DIRAJA KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG
KEBAWAH DULI PADUKA MULIA TENGKU MAHKOTA PAHANG
Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum WBT. Alhamdulillah [bacaan dalam bahasa Arab]
Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana berkat limpah kurniaNya, maka saya berkesempatan melafazkan Titah bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Kelima Belas pada hari Jumaat yang mulia ini. Pertama sekali, saya ingin menyampaikan salam daripada Seri Paduka Ayahanda dan Bonda saya kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada orang tua saya Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta seluruh jentera pentadbiran kerajaan saya yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi sehingga berjaya membawa negeri saya ke tahap yang cemerlang dan berdaya saing.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Syukur Alhamdulillah pencapaian kutipan hasil negeri bagi tahun 2025, terus mencatatkan jumlah kutipan melebihi RM1 bilion, sekali gus mengekalkan… mengekalkan kejayaan yang cemerlang buat tahun keempat berturut-turut sejak tahun 2022. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar sebanyak 5.7% dengan nilai ekonomi mencecah RM68 bilion, sekali gus meletakkan Pahang dalam kalangan 4 negeri terbaik pada tahun 2024. [Ahli Dewan menepuk meja] Lebih membanggakan dalam tempoh 2019 hingga 2024, ekonomi negeri telah meningkat sebanyak 23% yang mencerminkan keupayaan negeri ini untuk bangkit dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.
Dalam pada itu, saya juga berasa bangga apabila kerajaan saya telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM18.04 bilion tahun lalu. Begitu juga dengan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang turut menyumbang sebanyak RM3.16 bilion kepada ekonomi negeri. Saya mahu state GLC ini terus diperkasakan agar menjadi pemacu utama ekonomi negeri. Usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya golongan muda. Langkah ini penting bagi memastikan anak muda memilih untuk membina kerjaya di negeri sendiri sekali gus membantu mengimbangi struktur demografi negeri.
Dalam hal ini, proses pelaburan perlu dipermudah dengan mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepat kelulusan serta memastikan ketersediaan tanah dan infrastruktur yang mencukupi. Kita tak boleh mengikut saluran biasa. Syarikat yang berdaya saing, tulen dan betul-betul nak melabur, kita mudahkan bagi mereka fast lane dan fast track. Kalau boleh proses biasa kelulusan tanah mungkin 18 ke 24 bulan, tapi untuk mereka cuba selesaikan dalam tempoh 3 hingga 6 bulan. Masa sangat kritikal bagi pelabur. Kita tidak mahu pelabur yang berkualiti ini lari ke negeri lain. Saya faham proses tanah ini ada prosedur tapi Pahang ini negeri berdaulat. Kita buat cara kita. Janganlah tunggu 3, 4 bulan baru nak buat mesyuarat nak luluskan tanah tersebut. Nak siapkan ulasan teknikal juga pun sudah berbulan-bulan. Justeru, saya mahu kerajaan saya ubahkan cara lama ini. Kalau kita nak jadi Pahang 1st dalam soal menarik pelaburan, maka kaedah kita juga kena diubah. Saya titah agar kerajaan saya khususnya Yang Berhormat Exco Pelaburan tengok perkara ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Susulan konflik geopolitik yang berterusan di rantau Asia Barat telah memberikan kesan kepada ekonomi global. Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias yang memberikan tekanan kepada kos sara hidup meningkat, peningkatan perbelanjaan subsidi kerajaan serta cabaran kepada kestabilan ekonomi negara. Untuk menghadapi cabaran ini, saya mahu negeri saya tidak sekadar menjadi pemerhati tetapi bertindak sebagai negeri yang bersedia dan berdaya tahan. Tekanan inflasi yang dirasai oleh rakyat di negeri Pahang menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh, berkesan dan responsif. Saya menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan saya kerana telah mengambil langkah proaktif meringankan beban rakyat. Penyediaan peruntukan bakul makanan sebanyak RM15,000 seminggu untuk semua 42 Dewan Negeri, pelaksanaan bekerja dari rumah untuk kakitangan pentadbiran kerajaan serta pemberian pelbagai inisiatif berbentuk baucar sedikit sebanyak pasti dapat membantu. Saya mahu kerajaan saya menggandakan lagi usaha ini. Ingat kesejahteraan rakyat harus terus terpelihara, barulah kemakmuran negeri dapat dikekalkan.
Sehubungan itu, saya menyeru agar kerajaan saya menumpukan perkara berikut: Pertama, memperkukuh daya tahan ekonomi negeri melalui pelbagai sektor agar tidak bergantung pada satu sumber dominan semata-mata. Kedua, memperhebat usaha menarik pelaburan berpotensi tinggi khususnya dalam sektor teknologi dan tenaga baharu. Ketiga, memperkukuh rantaian bekalan dan ekosistem industri tempatan bagi mengurangkan kebergantungan pada faktor luar yang tidak menentu. Keempat, laksanakan dasar-dasar yang responsif terhadap kenaikan kos sara hidup dan kelima manfaatkan peluang daripada perubahan global termasuk peningkatan permintaan terhadap sumber tenaga dan komoditi dengan pengurusan yang lestari dan berintegriti.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Di bawah Rolling Plan Pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-13, negeri saya telah menerima kelulusan 133 projek baharu dan 434 projek sambungan dengan nilai peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.386 bilion. Saya mahu setiap projek yang diluluskan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab berteras kecekapan, ketelusan serta pemantauan yang rapi. Saya tidak mahu melihat berlakunya ketirisan, kelewatan mahupun pembaziran. Setiap sen peruntukan mesti dimanfaatkan sepenuhnya dengan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri yang berterusan. Kepada Yang Berhormat Exco, Pengarah SDO, Pengarah Jabatan Teknikal seperti JKR, JPS, PBT dan semua DO-DO, jangan tunggu dan lihat. Jika prestasi kontraktor sudah masuk yellow zone, bertindak awal. Jangan dah jadi projek yang sakit baru huru-hara nak selamatkan. Jika perlu tamat, maka tamatkan dari awal. Jangan nak bagi muka lagi mana-mana kontraktor yang buat onar ini senarai hitamkan.
Di sini saya mahu Kerajaan Persekutuan cakna akan titah saya. Saya ingin menzahirkan prihatin saya tentang keadilan undang-undang persekutuan yang tidak berpihak pada hak-hak negeri saya. Pahang merupakan antara 4 negeri yang terawal membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Hasil Negeri-Negeri Bersekutu ketika itu disatukan dan disalurkan kembali mengikut kesesuaian keempat-empat buah negeri dan Negeri-Negeri Bersekutu inilah juga yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia. Saya berharap Kerajaan Pusat turut memberikan keutamaan kepada negeri Pahang kerana pengorbanan besar negeri Pahang untuk mengekalkan keluasan hutan yang luas, alam flora, alam flora dan fauna serta gunung-ganang yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem, kawasan tadahan hujan dan biodiversitI, biodiversiti di Semenanjung Malaysia. Pengorbanan negeri Pahang ini tidak boleh sama sekali diukur dengan nilai sumbangan cukai kepada Persekutuan tetapi cukup signifikan dari segi keseimbangan alam sekitar khususnya di Semenanjung Malaysia. Kerajaan Pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan negeri Pahang ini dan lebih mengutamakan negeri Pahang yang merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia.
Saya begitu kecewa apabila Kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha negeri Pahang untuk menambahkan hasil negeri seperti eksport pasir sungai memandangkan negeri Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia yang sudah tentu banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku seterusnya mengelakkan banjir. Sebelum ini kita mendapat menambahkan hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya Kerajaan Pusat tidak lagi membenarkannya sekarang ini. Sedangkan hasil tanah dan pasir ini merupakan hak negeri. Dalam pada itu, saya juga mahu Kerajaan Pusat memberikan kuasa dan ruang yang lebih kepada Kerajaan Negeri apabila melaksanakan satu-satu projek. Utamakan syarikat-syarikat atau kontraktor yang berasal dari negeri Pahang. Saya mahu peluang seperti ini diberikan kepada anak-anak negeri Pahang untuk melaksanakan projek-projek. Memang benar pelantikan kontraktor G7 boleh dibuat ke mana-mana dari seluruh Malaysia, tetapi saya mahu keutamaan itu diberikan kepada syarikat dari negeri Pahang yang sememangnya… yang sememangnya diakui bekalannya dan kompeten.
Sekali lagi, saya tegaskan bahawa Kerajaan Pusat semestinya teliti semula perkara ini, hak negeri Pahang sepatutnya dikembalikan semula kepada negeri Pahang. Janganlah satu hari nanti negeri Pahang mengambil tindakan terhadap Kerajaan Persekutuan. Saya mahu Yang Berhormat Penasihat Undang-undang Negeri untuk kaji dan dengan teliti apa tindakan yang boleh kita ambil ke atas Kerajaan Persekutuan untuk perkara ini. Saya juga ingin tekankan bahawa negeri Pahang merupakan negeri yang berdaulat yang tidak perlu campur tangan daripada negeri lain atau pihak individu lain dalam apa jua urusan perundangan. Sebarang salah laku yang berlaku di negeri Pahang perlu diadili di mahkamah secara adil dan saksama. Tidak perlu campur tangan daripada mana-mana pihak untuk menegakkan perkara yang tidak betul. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Negeri Pahang sekali lagi membuktikan kekuatan sebagai antara destinasi pelancongan utama negara dengan merekodkan kadar purata tempoh penginapan tertinggi di Malaysia tiga tahun berturut- turut. Dengan khazanah yang kaya dan alam semula jadi. Indah permai yang ada, saya mahu Pahang meneruskan rekod kehadiran pelancong yang cemerlang. Usaha merancakkan sektor pelancongan. Sempena Visit Malaysia Year 2026 memerlukan perancangan strategik yang lebih teliti dan berpandangan jauh. Sasaran pelancong dari luar negara serta hasil negeri perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor luaran yang boleh memberikan kesan kepada industri pelancongan. Prasarana dan kemudahan destinasi pelancongan juga perlu ditambah baik. Bagi menarik pelancongan antarabangsa. Jangan sekadar bergantung harap kepada Genting Highlands dan Cameron Highlands sahaja. Kita ada pelbagai destinasi menarik.
Saya mahu Yang Berhormat Exco Pelancongan, Tourism Pahang dan semua yang berkaitan mesti proaktif. Tengok Cherating tengok Pulau Tioman, apa perlu dibuat. Kalau dulu Cherating antara tempat tumpuan dunia. Kenapa sekarang macam dilupakan? Justeru, buat kerja lipat gandakan usaha. Usaha sekarang ada tapi masih belum mencukupi.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Dalam arus perubahan dunia yang semakin pesat, khususnya dalam era digital ini. Saya sendiri sering turun ke lapangan meninjau operasi di jabatan-jabatan kerajaan bagi melihat sendiri tahap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Saya mendapati bahawa usaha pemodenan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi perlu dihebatkan dan diberi keutamaan. Pembangunan aplikasi digital yang inovatif termasuk penggunaan teknologi terkini seperti AI perlu diperluas dan dipergiatkan. Kita tak boleh ketinggalan. Selari dengan slogan Pahang 1st kita mesti menjadi leader dan atau ketua dalam bidang AI ini. Giatkan lagi usaha untuk modenkan sistem pentadbiran kerajaan. Kalau dahulu nak beli carian rasmi tanah kena pergi ke pejabat tanah.
Namun, sekarang dah boleh beli melalui aplikasi Pahang Go sahaja. Tapi jangan terhenti setakat itu. Paling mudah nak semak permohonan tanah pun tak perlulah rakyat nak ulang alik sentiasa ke pejabat tanah. Digitalkan proses-proses ini. Cukup dengan tekan satu butang, kita dah tahu dekat mana permohonan kita sekarang. Cuba lihat apa yang boleh ditambah baik. Kurangkan penggunaan kertas, minit mesyuarat dan ulasan-ulasan teknikal ini. Semua dah boleh buat melalui sistem sahaja.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya zahirkan kepada kerajaan saya di bawah pimpinan orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang, Yayasan Pahang serta semua pihak yang terus berusaha memperkasakan sektor pendidikan termasuk melalui pelbagai inisiatif yang memberikan sokongan menyeluruh kepada anak-anak Pahang. Alhamdulillah. Saya begitu bangga apabila negeri saya berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2025 baru-baru ini. Pahang muncul sebagai negeri kedua terbaik di peringkat nasional dengan gred purata negeri 4.08. Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang menduduki tempat pertama peringkat nasional. Manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang terus kekal cemerlang pada kedudukan keempat terbaik negara. Tahniah, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kekalkan momentum ini.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Saya juga amat berbangga apabila Pahang telah mengungguli tempat pertama dalam Indeks Perpaduan Nasional tahun 2025. Hal ini bermakna perpaduan rakyat saya berada pada kedudukan yang sangat kukuh. Hubungan rentas kaum yang harmoni dan keyakinan yang tinggi terhadap institusi kerajaan. Negeri Pahang harus terus menjadi contoh sebagai negeri yang bertoleransi dan harmoni antara kaum. Sudah tiba masa semua lapisan pimpinan dan rakyat Pahang bersatu padu di bawah naungan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang tanpa mengira warna kulit dan fahaman politik agar memperkukuh negeri Pahang sebagai sebuah negeri berdaulat yang maju.
Hadirin dan hadirat sekalian, Saya memandang serius insiden memijak kitab suci Al-Quran di UMPSA. Saya tegaskan bahawa tiada kompromi dalam sebarang cubaan untuk mengganggu gugat keharmonian di negeri saya khususnya melalui permainan isu-isu 3R. Begitu juga menjelang pilihan raya akan datang semua pihak disarankan agar tidak memainkan isu-isu yang boleh menggugat perpaduan sebaliknya mengamalkan kematangan dalam berpolitik. Pihak Pembangkang perlu berperanan sebagai semak dan imbang secara konstruktif manakala pihak kerajaan pula hendaklah memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa ada yang tercicir. Sebarang tindakan yang sengaja menimbulkan kebencian antara kaum-kaum dan agama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan. Semua pihak tanpa mengira latar belakang hendaklah bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta menjunjung tinggi nilai hormat, toleransi dan undang-undang.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Di samping itu, saya mahu menasihatkan agar sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat sama ada di atas tanah kerajaan mahupun tanah persendirian hendaklah mematuhi sepenuhnya lunas undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan. Keharmonian rakyat harus terpelihara dan tidak menjadi punca kepada sebarang persengketaan antara kaum dan agama. Janganlah bertindak ikut emosi dan tidak ada sesiapa yang boleh mendahului undang-undang dalam menangani perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negeri dan negara kita.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Saya mahu setiap wakil rakyat yang diberi mandat melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi dan berintegriti. Bukannya tunjuk muka menjelang pilihan raya sahaja. Rajinkan diri turun naik ke jabatan kerajaan ambil tahu dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan segala masalah rakyat dan diselesaikan dengan cepat, cekap dan berkesan. Jangan sehingga masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah, tebang pokok juga sampai kepada saya. Selesaikan dengan segera. Kalau perlu turun naik jabatan dan agensi buatlah kerana Yang Berhormat semua adalah wakil yang dipilih oleh rakyat. Bekerja bersungguh-sungguh. Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka, baru nak buat itu dan ini.
Yang Berhormat Speaker Dewan Negeri serta Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Mengakhiri titah saya mahu kita semua terus memperkukuh perpaduan berkhidmat dengan penuh ikhlas demi memakmurkan negeri, menjamin kesejahteraan rakyat serta membina masa depan yang lebih cemerlang. Sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga kita semua terus diberikan petunjuk, kekuatan serta keberkatan dalam memikul amanah demi negeri Pahang Darul Makmur yang kita cintai. Semoga Pahang Darul Makmur akan terus maju dan rakyatnya sentiasa makmur. Insya-Allah. Dengan lafaz suci bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Kelima Belas pada pagi ini. Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ampun tuanku beribu-ribu ampun sembah patik mohon diampun. Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang mohon membaca doa.
SAHIBUS SAMAHAH MUFTI NEGERI PAHANG
[Bacaan ayat Al-Quran]. Bismillahirrahmanirrahim, [Bacaan Ayat Al-Quran]. Sesungguhnya kami memohon limpah rahmat-Mu Ya Allah, semoga diberkati dan dirahmati istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Kelima Belas dan disempurnakan pada hari penuh yang penuh kemuliaan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Ya Allah Ya Tuhan Kami kurniakanlah perbincangan di Dewan Yang Mulia ini petunjuk hidayah-Mu. Semoga segala usaha kami martabatkan syiar agama-Mu memajukan negeri Pahang yang kami sayangi dipermudahkan serta mendapat taufik keredhaan-Mu. Ya Allah, sempurnakan hajat kami dengan Rahmat inayah-Mu. Perkuatkanlah keimanan kami, satukan hati-hati kami. Terimalah amalan kami dan ampunkanlah dosa-dosa kami.
[Bacaan ayat Al-Quran]. Ya Allah, berilah kepada kami rahmat dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami ini. [Bacaan ayat Al-Quran]. Ya Allah, jadikanlah baik akhir kesudahan kami dalam semua urusan dan selamatkanlah kami dari kehinaan dunia dan azab akhirat. Ya Allah Ya Tuhan kami, kami bermohon barang dipelihara dan diredhai oleh-Mu berkatilah hari-hari pemerintahan sultan yang kami kasihi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah selaku sultan dan raja pemerintah serta pelindung agama Islam bagi negeri Pahang Darul Makmur serta segala jajahan takluknya. Kurniakanlah kepada baginda, taufik, hidayah, riayah dan inayah sentiasa di dalam rahmat perlindungan dan pemeliharaan-Mu. Selamat sejahtera, sihat walafiat yang berpanjangan, dilanjutkan usia, sentiasa dilindungi Yang Maha Esa berkat doa sekalian makhluk di bumi serta kekal karar memerintah dan bersemayam di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.
Demikian jua kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Amat Mulia Paduka-Paduka Anakanda, Putera-puteri, cucunda dan kerabat, para pemimpin, alim ulama, muslimin-muslimat serta rakyat jelata sentiasa berada dalam keselamatan dan kesejahteraan serta mendapat keredhaan dan keampunan dari-Mu Ya Allah. [Bacaan ayat Al-Quran].
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik mohon diampun. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dengan sempurnanya Titah Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sebentar tadi, maka sukacita saya menempoh Mesyuarat Dewan Negeri pada hari Selasa, 12 Mei 2026 bersamaan 24 Zulkaedah 1447 Hijrah, mulai jam 9.30 pagi. Terima kasih.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang berangkat meninggalkan Majlis.
[Persidangan ditempohkan jam 10.50 pagi]