Perlis · 24 July 2018

14th Assembly, 1st session, 1st meeting · 110 turns · 19,388 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.

(Pembukaan)

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.

Doa

Setiausaha Dewan

Doa.

(Bacaan doa oleh Setiausaha Dewan)

Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis

Setiausaha Dewan

Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Dato’ Speaker Dewan Undangan Negeri.

Speaker

Bismillahhirahmannirrahim. Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan izinNya juga Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas telah pun selesai disempurnakan oleh Yang Maha Mulia Tuanku Raja. Bagi pihak Dewan, saya merakamkan ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda di atas kesudian Duli-Duli Tuanku berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan istiadat tersebut. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dan kepada semua jabatan dan agensi yang telah memberikan bantuan dan kerjasama yang baik kepada pihak Dewan bagi menjayakan Istiadat Perasmian kelmarin terutamanya Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja, Pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Kangar, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Hospital Tuanku Fauziah dan lain-lain yang tidak dapat saya nyatakan kesemuanya. Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih kepada rakan-rakan media yang turut hadir bagi membuat liputan. Dikesempatan ini, saya ingin menerangkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian tentang aturan perjalanan mesyuarat Dewan kita untuk hari ini dan esok. Sejurus selepas ini, Kertas-Kertas Dewan akan dibentangkan di atas meja mesyuarat tanpa dibahaskan selaras dengan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan. Sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat ingin menyentuh sebarang perkara berhubung mana-mana kertas berkenaan, ia bolehlah dibangkitkan semasa Yang Berhormat berbahas kelak. Setelah itu soalan-soalan lisan yang telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat akan dijawab oleh pihak Kerajaan mengikut turutan seperti di dalam Kertas Perintah mesyuarat Dewan. Dewan kemudiannya akan ditangguhkan sebentar dan apabila disambung semula, usul menjunjung kasih ke atas

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan dibuka. Saya suka memohon kerjasama Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian supaya persidangan hari ini kita dapat tangguhkan selewat-lewatnya pada jam 1.00 tengahari. Persidangan pada esok hari akan bermula jam 9.00 pagi. Selepas sesi soalan lisan, usul menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan dibuka semula untuk membolehkan pihak Kerajaan memberi maklum balas dan seterusnya menggulung perbahasan. Setelah itu, persidangan Dewan pada kali ini akan ditangguhkan. Sekian.

Kertas-Kertas Dewan Yang Dibentangkan

Setiausaha Dewan

Kertas-kertas Dewan yang dibentangkan.

Speaker

Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Bismillahirrahmanirrahim. Assalammu`alaikum waramatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Speaker, sukacita saya membentangkan di atas meja mesyuarat, Kertas Dewan Bilangan 1 hingga Bilangan 4 Tahun 2018.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Setiausaha Dewan

Soalan-soalan lisan.

Speaker

Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat Sena.

Assalammu`alaikum, salam sejahtera. Soalan saya soalan nombor 1.

(Soalan 1 : Kawasan-kawasan manakah yang dikenalpasti paling kritikal menghadapi masalah banjir di DUN Sena akibat masalah perparitan atau saliran sejak tahun 2014 dan apakah usaha jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah seterusnya menaiktaraf perparitan atau saliran ini?)

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Salam sejahtera, selamat pagi. Yang Berhormat Dato’ Speaker, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS telah mengenalpastikan 2 buah kawasan di DUN Sena iaitu di Kampung Bakau dan Kampung Repoh yang sering menghadapi masalah banjir. Banjir di kawasan Kampung Bakau sering berlaku apabila hujan lebat berterusan di kawasan tersebut dan masalah sistem saliran sedia ada tidak dapat mengalirkan air ke dalam sungai Kampung Bakau. Langkah jangka pendek yang diambil oleh pihak JPS ialah membersih dan menyelenggara sistem saliran di kawasan Kampung Bakau manakala bagi langkah jangka panjang pula, pihak JPS telah membina rumah pam di Kampung Bakau yang telah pun siap dan beroperasi sepenuhnya bagi mengalirkan air dari Kampung Bakau terus ke dalam sungai Kampung Bakau walaupun semasa air pasang. Punca banjir di Kampung Repoh yang dikenalpasti ialah hujan lebat dan limpahan air di Sungai Repoh. Yang kedua, air larian permukaan tidak dapat dialirkan dengan sempurna kerana air pasang mempengaruhi aliran. Sistem perparitan jalan sedia ada tersekat oleh sampah sarap dan mengganggu aliran air. Langkah jangka pendek yang diambil oleh pihak JPS ialah melaksanakan pembersihan secara berkala di parit jalan sedia ada dan membaiki flap gate di Sungai Repoh. Bagi langkah jangka panjang pula, pihak JPS mengenalpasti perlunya sistem tebatan banjir di kawasan Sungai Repoh bagi menampung aliran yang lebih apabila mengalami keadaan hujan lebat yang berterusan. Namun demikian, apabila Projek Lencongan Banjir Barat dapat beroperasi sepenuhnya kelak, air dari Empangan Timah Tasoh akan dapat dialirkan melalui lencongan tersebut dan seterusnya limpahan air daripada empangan tidak akan masuk ke Sungai Repoh. Di pihak Jabatan Kerja Raya, JKR pula, kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti yang berada di bawah bidang tugas JKR ialah di sepanjang jalan daripada persimpangan lampu isyarat Jalan Santan ke Repoh hingga persimpangan Jalan Santan ke Jalan Kampung Salang dan di sepanjang jalan daripada persimpangan Jejawi Dalam ke Persimpangan Jejawi Hutan Buluh. Berdasarkan pengalaman pihak JKR, parit tepi jalan bukanlah masalah atau penyumbang utama kepada banjir yang sering berlaku di kawasan tersebut memandangkan profail muka bumi asal di kawasan tersebut sememangnya agak lebih rendah daripada kawasan-kawasan lain yang berdekatan. Keadaan ini menyebabkan laluan air banjir akan bertumpu di kawasan tersebut. Mengikut rekod, kawasan-kawasan inilah akan menjadi kawasan mula berlaku banjir dan kawasan terakhir banjir surut. JKR Perlis sentiasa mengambil langkah-langkah bersesuaian bagi membantu mengurangkan masalah banjir di situ. Di antara usaha jangka pendek, JKR telah menetapkan korekan semula dan pembersihan parit konkrit di sepanjang jalan-jalan tersebut dan seluruh jalan-jalan di bawah kelolaan JKR dibuat secara berjadual iaitu 3 kali setahun melalui perolehan secara sebut harga. Sebagai usaha jangka panjang pula, JKR telah pun menukar sebahagian daripada pembetung-pembetung jalan masuk ke rumah-rumah persendirian kepada ukuran dan aras yang sepatutnya di Jalan Santan dan Jalan Jejawi Dalam supaya aliran air tidak tersekat dan akan meneruskan pemasangan pembetungan baru secara berperingkat mengikut peruntukan yang ada. Bagi menyempurnakan kerja pemasangan pembetungan di keseluruhan sepanjang Jalan Santan dan Jejawi, peruntukan tambahan diperlukan. JKR telah menetapkan paras minima yang tertentu bagi kerja-kerja tambakan kawasan paras banjir melalui ulasan-ulasan pembangunan tepi jalan JKR dan memastikan parit-parit di tepi jalan yang akan dibina melepaskan kehendak Manual Saliran Mesra Alam. JKR juga bercadang untuk menaikkan paras jalan di sepanjang jalan-jalan yang berkaitan supaya masalah banjir yang berlaku dapat diatasi. Sementara itu, berdasarkan rekod dan pemantauan Majlis Perbandaran Kangar, MPK, kawasan dalam DUN Sena yang seringkali berlaku banjir adalah Kampung Bakau, Kampung Sungai Bakong, Kampung Tok Kandang dan Taman Perumahan Lama seperti Taman Kampong Guru. Bagi langkah pencegahan banjir di kawasan seliaan MPK iaitu Taman Kampong Guru, beberapa kerja naiktaraf telah dilaksanakan secara berperingkat dan memperbesarkan saiz longkang utama dalam taman berkenaan. Aliran air dari taman ini hanya melalui laluan masuk utama sahaja ke parit tepi jalan. Di antara projek naiktaraf yang telah dilaksanakan adalah menaiktaraf longkang jalan masuk Taman Kampung Guru dan menaiktaraf pembetungan lintasan di Taman Kampung Guru. Di samping itu juga, MPK turut bekerjasama dengan SWCorp dalam kempen dan usaha memberikan pendidikan kepada orang ramai agar tidak membuang sampah ke dalam longkang bagi mengelakkan kejadian longkang tersumbat yang menjadi punca kepada kejadian banjir kilat. Sekian, terima kasih.

Merujuk kepada jawapan Yang Berhormat tadi, Yang Berhormat ada memaklumkan langkah jangka panjang tentang Projek Tebatan Banjir di lencongan banjir di Kampung Tebing Tinggi. Saya nak tau sejauh mana perkembangan projek ini, apa status dia?

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Soalan Yang Berhormat akan dijawab secara bertulis.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat. Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.

Puan Gan Ay LingPKR · PHIndera Kayangan

Selamat pagi dan salam sejahtera, soalan saya nombor 2.

(Soalan 2 : Apakah status terkini pelaksanaan Projek Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh yang sepatutnya telah pun siap pada pertengahan tahun 2017, dan siapakah kontraktor utama dan sub-kontraktor utama bagi Pakej 3A (RM85 juta-dari Tebing Tinggi ke Bukit Wai) dan Pakej 3 (RM40.6 juta-dari Bukit Wai ke Laut Selat Melaka?)

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Yang Berhormat Dato’ Speaker, Projek Lencongan Banjir Barat masih dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2018. Bagi pembinaan Pakej 3A oleh kontraktor AMI Construction Sdn. Bhd., lanjutan masa telah diberikan sehingga 30 November 2018. Di antara masalah utama pembinaan di tapak adalah akibat terusan dipenuhi air dan terowong terpaksa digunakan bagi mengalirkan air terus ke laut untuk mengelakkan banjir di Tebing Tinggi. Di samping itu, terdapat juga pengambilan tanah tambahan yang perlu dilaksanakan akibat kedudukan rumah penduduk yang terlalu hampir dengan kawasan pembinaan bagi menjaga keselamatan harta dari nyawa penduduk yang terlibat. Bagi Pakej 3 pula yang pembinaannya dijalankan oleh kontraktor Pens Holding, lanjutan masa telah diberikan sehingga 6 Disember 2018. Di antara masalah utama di tapak adalah akibat mendapan di struktur Substation TNB dan air masih memenuhi terusan akibat aliran air dari terowong. Sekian, terima kasih.

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Dato’ Speaker, soalan tambahan. Saya ingin tanya Yang Berhormat nak jawab bertulis tak bertulis pun tak pa lah. Itu terserah pada Yang Berhormat. Cuma mintak nak dimasukkan dalam hansard. Kenapa berlaku tiap-tiap kali kita membuat satu projek. Macamana projek kita teruskan sedangkan pengambilan tanah belum dimuktamad atau belum habis? Ini bukan saja berlaku di Tebing Tinggi malah berlaku di Tambun Tulang dalam Projek Muda 2 yang dijadikan projek itu projek sakit sampai sekarang ini. Jadi kita tidak mahu benda ini menjadi satu amalan dan kenapa kita teruskan projek sedangkan benda yang paling penting yang perlu diselesaikan diperingkat awal adalah pengambilan tanah. Itu yang paling penting. Barulah kita boleh launch projek. Terima kasih Dato’ Speaker.

Puan Gan Ay LingPKR · PHIndera Kayangan

Soalan tambahan.

Speaker

Dipersilakan.

Puan Gan Ay LingPKR · PHIndera Kayangan

Okay saya nak tau jugak mengapa, adakah penangguhan kepada projek ini telah melibatkan tambahan perbelanjaan dan jika ya berapakah jumlah dia?

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Terima kasih YB-YB. Soalan YB akan dikaji mengikut keperluan semasa dan akan dijawab secara bertulis. Terima kasih.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.

Tuan Nor Azam bin KarapPKR · PHKuala Perlis

Assalammu`alaikum dan selamat pagi Dato’ Speaker, soalan saya soalan nombor 3.

(Soalan 3 : Apakah langkah-langkah pencegahan daripada Kerajaan Negeri bagi menangani masalah pembuangan sampah ke dalam sungai di Kuala Perlis?)

(Soalan 4 : Masalah pembuangan sampah di tepi sungai oleh penduduk perlu diambil langkah pencegahan yang berkesan. Bilakah operasi pembersihan dan penguatkuasaan hendak dilaksanakan?)

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon izin untuk menjawab soalan ini sekali dengan soalan yang nombor 4 daripada YB Sanglang. Untuk makluman, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS Negeri Perlis telah melaksanakan beberapa langkah yang perlu bagi menangani masalah pembuangan sampah ke dalam sungai dan memastikan sungai serta tebing sungai tidak dicemari oleh sampah sarap. Langkah-langkah ini boleh dibahagikan kepada dua kaedah iaitu kaedah struktur dan kaedah tidak struktur. Bagi kaedah struktur, pihak JPS telah membina dan memasang perangkap-perangkap sampah atau gross pollutant trap di beberapa longkang utama. Fungsi perangkap sampah ini adalah untuk menghalang sampah dari terus memasuki sungai. Selain itu, perangkap sampah jenis log boom juga telah dipasang di dalam sungai untuk menahan sampah atau sisa pepejal di satu titik di sebatang sungai supaya dapat dikumpul dan mudah untuk tujuan penyelenggaraan. Selain itu, pihak JPS juga melaksanakan penyelenggaraan secara berkala di beberapa batang sungai utama mengikut peruntukan yang telah diluluskan. Untuk makluman, pada tahun 2018, sejumlah RM1.4 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan berkala. Penyelenggaraan ini termasuklah kerja-kerja pembersihan di 72 buah lintasan atau jambatan yang melibatkan 100 meter panjang sungai termasuk di Kuala Perlis serta di beberapa kawasan rekreasi seperti Tasik Melati, Sungai Jernih, Denai Larian Pengkalan Asam, Dataran Keris, Dataran Kechor, Taman Rekreasi Sungai Arau dan Lencongan Utara. Selain penyelenggaraan berkala, pihak JPS turut menjalankan kerja-kerja pembersihan secara one off berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam. Kerja-kerja ini melibatkan pembersihan sampah di koridor sungai, membuang pokok-pokok yang bertumbang dan kerja-kerja mengorek dan membuang halangan atau sampah di dalam sungai. Selain itu, bagi mencegah pembuangan sampah secara haram di dalam koridor sungai, pihak JPS turut memagar dan membina kawasan riadah atau rekreasi di sepanjang koridor sungai berdasarkan peruntukan pembangunan yang diluluskan. Bagi kaedah tidak struktur, pihak JPS telah menjalankan beberapa program gotong royong dengan pelajar-pelajar sekolah, IPT dan penduduk-penduduk kampung yang terlibat. Program ini turut melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain seperti Jabatan Alam Sekitar dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Pada biasanya, program gotong royong ini diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.

Selain itu, pihak JPS turut bercadang untuk menghidupkan semula program River Ranger di peringkat sekolah. Program ini bertujuan untuk melatih pelajar-pelajar untuk menghargai kebersihan sungai dan berusaha untuk melindungi dari tercemar. Program kesedaran ini melibatkan modul teori berkenaan jenis-jenis hidupan di dalam sungai dan sifat-sifat air sungai yang baik yang dibandingkan dengan sungai yang tercemar serta kepentingannya sebagai sumber alam yang harus dipelihara. Selain itu, pelajar akan turut didedahkan dengan aktiviti praktikal seperti mengambil sampel air sungai untuk diuji tahap kualiti dan membuat laporan di dalam laman blog milik sekolah. Aktiviti ini akan meningkatkan kesedaran dan dorongan kepada generasi muda untuk lebih proaktif dalam pemeliharaan kebersihan negara. Selain langkah-langkah yang diambil oleh JPS, pihak SWCorp yang juga ada menyediakan tong sampah berpusat di jalan Kampung Wai menghala ke Pulau Ketam bagi mengatasi masalah pembuangan sampah ke dalam sungai di Kuala Perlis. SWCorp juga turut membuat kutipan atas dasar tanggungjawab sosial korporat di persisir pantai Sungai Baru ke Kuala Perlis. Di samping itu, pihak Kerajaan juga telah mendirikan papan-papan tanda larangan membuang sampah di beberapa lokasi sebagai peringatan kepada orang awam supaya tidak membuang sampah ke persekitaran dengan sewenang-wenangnya. Bagi memantau masalah pembuangan sampah ini dengan lebih rapi dan menyeluruh, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Program 1Perlis Bersih yang dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri yang bertujuan untuk menyelaras semula kawasan penyelenggaraan jalan, parit dan longkang serta pembersihan awam Negeri Perlis tertakluk sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada agensi-agensi pelaksanaan yang berkaitan seperti JKR, JPS, MPK, SWCorp. Segala aduan dan perkara berbangkit berkenaan isu kebersihan akan dibincangkan dalam jawatankuasa tersebut dan tindakan susulan akan diambil. Selain daripada itu, medium lain seperti pewujudan kumpulan media sosial telah diwujudkan untuk memudahkan orang ramai menyalurkan aduan yang diterima kepada jabatan yang berkenaan. Sekian, terima kasih.

Tuan Nor Azam bin KarapPKR · PHKuala Perlis

Soalan tambahan kepada Yang Berhormat Titi Tinggi. Apakah kekerapan penyelenggaraan perangkap sampah ini dan adakah YB, Yang Berhormat Titi Tinggi turun sendiri ke site sebab saya mendapat aduan daripada rakyat dan saya sendiri turun ke kawasan perangkap-perangkap sampah ada beberapa dengan izin, effect lah dan menyebabkan sampah tersumbat. Terima kasih.

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Terima kasih kepada YB Kuala Perlis. Memang sampah itu menjadi satu masalah yang besar kepada Kerajaan tapi kalau untuk menjalankan, kita nak bersihkan tempat itu, pelajaran untuk kita kena ubah tetap minda atau mindset rakyat dengan izin dan dia akan menjadikan hasrat Kerajaan untuk memulihara kebersihan dan keindahan sungai dalam negeri yang tercapai bukan seseorang yang dapat diatasi. Jadi saya mintak YB-YB di dewan ni dapat kerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk bagi pendidikan ideologi kepada penduduk-penduduk setempat. Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih dan tahniah kepada YB Titi Tinggi latih tubi yang baik untuk dia menjawab soalan. Saya ingat dulu Yang Berhormat Simpang Empat yang akan dok tempat tu, boleh jawab setakat ni. Soalan dah bersekali dengan soalan nombor 4 tu, dulu pun saya pernah bangkit dah tentang sampah di tepi sungai dan juga pantai. Sampai hari ni dia tak dak apa-apa tindakan YB. Jadi saya harap YB pegang EXCO ni dapat melakukan sesuatu untuk membersihkan sungai dan juga persisiran pantai. Saya sendiri pun tak faham sapa sebenaqnya yang bertanggungjawab berkenaan dengan sampah ditepi sungai ni bila dalam sungai JPS bila di tepi jalan tu saya tengok yang dok mesin rumput tu JKR, jadi yang pungut sampah ni Majlis Bandaran, SWCorp tu di bawah Bandaran. Jadi sapa sebenaqnya yang bertanggunjawab nak menguatkuasakan peraturan ataupun undang-undang itu nak mencegah rakyat ni daripada mencemar persisiran pantai dan jugak ataupun sungai. Terima kasih.

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Terima kasih pada YB Sanglang. Memang kita kesemua orang bertanggungjawab untuk kebersihan negeri di Perlis. Jadi sesiapa pun bertanggungjawab setakat bukan hanya jabatan-jabatan, dengan kita YB-YB pun kita bila kena balik ke kawasan bagitaulah kepada orang-orang kampung atas penggunaan minda itu kena diteruskan. Okay terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, rasa tak jawab soalan saya tu.

Speaker

Yang Berhormat Sanglang nak suruh jawab juga ka? Kesian na tak rehat lagi.

Soalan tambahan...

Nak tau sapa ja yang bertanggungjawab. Nak keluaqkan surat atau pun peraturan tu JKR ka JPS ka Bandaran ka. Bagi salah satu senang kami nak pi rujuk dekat sapa.

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Okay, terima kasih YB Sanglang. Kerajaan Negeri akan mengambil maklum untuk bagitau secara bertulis kepada YB Sanglang. Terima kasih.

Soalan tambahan satu lagi YB. Berkenaan dengan salah satu aduan yang diterima tu alasan sungai kotoq, sampah semua tu, sebab tidak disediakan tong sampah. Adakah pihak Kerajaan bersedia untuk menyediakan tong sampah di sepanjang tebing sungai. Terima kasih.

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Saya rasa YB Sena tadi tak dengaqkan jawapan saya sebab dalam tu memang ada jawapan. Sila rujukkan jawapan tu dulu.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Titi Tinggi. Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.

Tuan Mohd Ridzuan bin HashimPAS · PNGuar Sanji

Bismillahirrahmanirrahim, assalammu`alaikum. Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan 5.

(Soalan 5 : Apakah status projek Sekolah Sukan di Bukit Chabang dan adakah ada perubahan syarikat pembinaan setelah diketahui terbengkalai sekian lama?)

Bismillahirrahmanirrahim, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Guar Sanji juga yang bertanya soalan nombor 5. Pihak Sekolah Sukan di Bukit Chabang adalah satu projek di bawah Kementerian Pendidikan yang ketika ini dalam peringkat pelaksanaan. Kementerian Kewangan telah meluluskan pelantikan semula syarikat Pantas Technologies Sdn. Bhd. sebagai kontraktor bagi menyiapkan projek ini dengan kos projek sebanyak RM32 juta dan pembinaan Sekolah Sukan ini telah dimulakan pada 2 Februari 2018 yang lalu dan dijangka siap pada 2 Februari 2020. Kemajuan pembinaan di tapak adalah sebanyak 4% dan perbelanjaan setakat ini adalah sebanyak RM378 ribu iaitu di dalam fasa kerja-kerja awalan bagi membersihkan tapak dan bangunan sebelum kerja-kerja fizikal dijalankan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek ini telah ditangguhkan berdasarkan surat edaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan bertarikh 28 Jun 2018 yang lalu yang telah menggariskan beberapa syarat baru bagi projek-projek Kerajaan yang sedang dilaksanakan. Projek ini perlu melalui proses penilaian semula di peringkat, dengan izin, Contract Coordination Panel Kementerian Pendidikan. Dalam hubungan ini, CCP akan mengkaji semula projek ini bagi memutuskan kesesuaian pelaksanaan penamatan kontrak yang mengambil kira jumlah pampasan yang perlu ditanggung oleh pihak Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri sentiasa menyokong pelaksanaan projek Sekolah Sukan di Bukit Chabang kerana Kerajaan Negeri yakin dan percaya bahawa dengan adanya sekolah sukan ini, negeri Perlis mampu melahirkan atlet-atlet sukan bertaraf kebangsaan yang seterusnya dapat mewakili negara di dalam kejohanan-kejohanan sukan di peringkat dunia. Sekian, terima kasih.

Tuan Mohd Ridzuan bin HashimPAS · PNGuar Sanji

Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan tambahan. Kalau kita lihat daripada penerangan yang dibuat oleh Yang Berhormat berkaitan dengan peruntukan tambahan 32 juta, jadi maknanya daripada keseluruhan peruntukan yang diberikan untuk pembinaan sekolah tu, berapa juta dan kenapakah kita tidak dahulukan apa nama… proses kajian terhadap tanah tersebut sehingga terbengkalai sehingga hari ini. Terima kasih.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Yang Berhormat Dato’ Speaker, izinkan saya untuk memberikan sedikit maklumat sebab penggal yang lepas saya adalah merupakan Exco Pendidikan dan saya terlibat juga dalam memantau progress projek ini. Pertamanya saya ingin menjelaskan bahawa orojek Sekolah Sukan ini bukan merupakan projek Kerajaan Negeri. Ia adalah merupakan sebuah projek Kerajaan Persekutuan. Tetapi Kerajaan Negeri membantu dari segi pemantauan untuk membolehkan supaya projek ini berjalan dengan lancar. Malangnya pada satu ketika projek ini terpaksa ditangguhkan disebabkan pihak kontraktor untuk menyiapkannya dalam tempoh yang telah ditetapkan di dalam fasa pertama dan sekarang ini dia masih lagi dalam fasa pertama setelah kajian semula dilakukan dan Kementerian Pendidikan telah melantik kontraktor untuk meneruskan projek ini sebagai kontraktor penyelamat. Jadi soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Guar Sanji tadi berhubung dengan kenapa kajian tidak dilakukan dan sebagainya sebenarnya itu dilakukan oleh pihak Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri hanyalah bertanggungjawab untuk dengan izin, facilitate ya? Dari segi pengambilan tanah sahaja. Walau bagaimanapun kita sentiasa berikan maklumat, maklum balas kepada Kerajaan Persekutuan berhubung dengan complaints dengan izin, yang dilakukan oleh penduduk tempatan akibat daripada kelewatan menyiapkan projek ini. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.

Tuan Nor Azam bin KarapPKR · PHKuala Perlis

Soalan tambahan. Saya nak bertanya kepada Yang Berhormat Bintong. Apakah tindakan pihak berkenaan terhadap kontraktor awal yang gagal meneruskan projek Sekolah Sukan ini? Terima kasih.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis. Sepertimana yang saya sebutkan tadi, projek ini adalah projek Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak ada sebenarnya penglibatan dari segi untuk mengawasi pelaksanaannya begitu juga dengan tindakan sama ada untuk menamatkan atau meneruskan kontraktor yang telah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan. Apa-apa tindakan yang dilakukan sama ada menamat atau meneruskan kontrak tersebut adalah merupakan keputusan muktamad oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Pendidikan. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Terima kasih Dato’ Speaker, soalan nombor 6.

(Soalan 6 : Apakah perkembangan terkini projek-projek pertanian padi dalam usaha mempertingkatkan hasil sama ada di kawasan MADA atau luar MADA?)

Tuan Nurulhisham bin YaakobUMNO · BNSimpang Empat

Assalammu`alaikum dan selamat pagi. Yang Berhormat Dato’ Speaker, menjawab soalan yang keenam untuk mempertingkatkan hasil sama ada di kawasan MADA atau luar MADA. Pihak Kerajaan telah mewujudkan Projek Bidang Keberhasilan Utama dan juga Projek Permulaan iaitu EPP 10, tujuannya ialah untuk pembangunan insfrastruktur di bawah projek tersebut meliputi Sistem Pengairan Tersier serta kemudahan infrastruktur seperti tali air dan juga jalan ladang sehingga tempoh persiapannya tahun 2020. Di kawasan luar MADA, kita wujudkan sawah gemilang sejak tahun 2015 lagi. Antara projek yang dilaksanakan ialah sawah gemilang Teluk Jambu daripada hasil yang awal 4.3 tan sehektar telah mencapai kepada 6 tan per hektar. Sekian, terima kasih.

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Terima kasih Yang Berhormat Simpang Empat. Soalan tambahan Dato’ Speaker. Soal infrastruktur adalah soal yang bersamping untuk kita melihat yield dihasilkan tinggi bagi setiap musim. Apakah tindakan yang dibuat oleh pihak Jabatan terutamanya dalam mendidik petani-petani supaya mematuhi jadual yang telah ditetapkan oleh pihak MADA ataupun pihak LPP setiap kali kita nak menanam padi. Yang kedua, kita nak pastikan satu penguatkuasaan undang-undang dibuat bagi mereka yang melanggar peraturan musim. Saya ingat kita bagi varieti ataupun benih ni selama tiga musim. Kalau dia bawak 4 musim benda itu akan hilang imunity ataupun kekebalan dengan izin Dato’ Speaker. Jadi adakah berada di dalam radar Yang Berhormat untuk kita memantau supaya salah satu faktor penting dalam meningkatkan hasil pertanian di negeri Perlis.

Tuan Nurulhisham bin YaakobUMNO · BNSimpang Empat

Untuk membantu petani-petani menambahkan hasil, pihak MADA dan juga luar MADA telah mewujudkan beberapa program. Di antaranya ialah mengadakan kursus-kursus, perjumpaan-perjumpaan, memberi taklimat cara-cara untuk tidak melibatkan tanaman padi tu rosak terutamanya kerja-kerja pemotongan dan pembakaran tunggul jerami dan juga kerja ini mampu menghapuskan bakteria di kawasan-kawasan tersebut. Masalah kita sekarang terutamanya pihak MADA dan luar MADA terdapat pengusaha tanaman padi ni iaitu orang lama, iaitu umoq 60 tahun ke atas kebanyakannya dan kawasan-kawasan yang diusahakannya adalah bawah daripada 2 hektar, sikit ja. Jadi cara kita nak mewujudkan ladang untuk mereka tu cukup sukar dan kita akan ambil perhatian untuk mereka dari masa ke masa bagi mewujudkan penghasilan padi, target kita 8 tan ke atas. Sekian, terima kasih.

Tuan Mohd Ridzuan bin HashimPAS · PNGuar Sanji

Soalan tambahan Dato’ Speaker. Berkaitan dengan MADA ni saya nak tanya Yang Berhormat Simpang Empat. Kalau kita lihat hari ni banyak projek yang dikelolai oleh MADA sangat tidak memuaskan hati. Sebab yang dilihat projek-projek yang dibuat oleh MADA antaranya tanam padi menggunakan mesin dan jugak projek-projek yang lain semua terbengkalai dan faedah dia tak banyak pun balik kepada rakyat. Mungkin Yang Berhormat boleh bagi respon sikit.

Tuan Nurulhisham bin YaakobUMNO · BNSimpang Empat

Untuk Yang Berhormat daripada Guar Sanji. Kita memang mengalukan cadangan-cadangan daripada Yang Berhormat. Yang menjadi masalah kepada kita ni, saya dah bagitau tadi umoq pengusaha-pengusaha padi tu dah 60 tahun ke atas tu kan? Dia tak mau bagi kepada anak-anak dia. Sebab tu yang jadi masalah kita walaupun kita dah wujudkan unit dan juga kita lantik lembaga pengarah untuk bersama-sama kan? Dan cadangan daripada tu kita mintaklah pada semua yang ada ni, bantulah kepada terutamanya orang-orang bendang ni kan? Yang umoq dah tua. Jadi dia bukan nak mau dengaq cakap kita kan? Seperti yang dikatakan oleh Tambun Tulang tadi tu kan? Dah kita kata benih jangan pakai dah benih tu, 3 musim dah. Dia nak pakai jugak. Kita kata... jangan apa... contohnya kan? Kita kena buat baja bubuh baja urea dulu kan, dia bubuh baja campuran, ya dak? Apa dia makan pagi minum tengahari, hat tu dia kalih tu. Sekian, terima kasih.

Speaker

Tambun Tulang dipersilakan.

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Terima kasih. Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Simpang Empat. Tapi saya nak tanya kita dalam nak meningkatkan hasil petani ni, kita tak boleh kira hak yang hasil tang tu saja. Yang tu mentaliti lama cara lama Yang Berhormat. Kita tengok dalam kerajaan Pakatan Harapan ni, Kerajaan baru ni, Malaysia baru, banyak benda-benda yang dah nak expired dan benda-benda ini boleh dikaitkan untuk meningkatkan pendapatan petani. Contohnya emping beras. Kemudian yang kedua benih padi sah. Tak silap saya pada bulan Disember 2018. Kenapa tidak ada dalam cadangan Yang Berhormat untuk koperasi, untuk LPP untuk PPK masuk dulu cadangan. Yang Amat Berhormat Tun dah buka dah buka dah untuk cadangan sekarang. Bagi di Perlis ni apa tindakan kita? Adakah kita dah mengejar, dah buat kertas cadangan dah hantaq, kepada panel council negara ataupun masih dok relaks lagi dok pandang kiri kanan. Hang tengok aku, aku tengok hang. Sebab kita tak boleh tengok dari sudut penghasilan pada semasa dah. Kalau serelung dia ada 3 relung. Kita nak bagi lebih daripada tu. Tapi inisiatif ni mesti datang dari pimpinan, inisiatif ini juga mesti datang daripada pimpinan-pimpinan PPK, LPP yang saya katakan tadi. Baru pendapatan petani... dia related cases daripada aktiviti huluan sampai aktiviti hiliran. Terima kasih Dato’ Speaker.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Sena.

Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 7.

(Soalan 7 : Apakah langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap masalah kesesakan yang sangat serius di Jalan Kangar-Alor Setar terutama pada waktu puncak dan musim perayaan, dan adakah Kerajaan Negeri Perlis mempunyai perancangan untuk memulakan dahulu fasa pembesaran jalan hingga ke sempadan negeri di Sanglang?)

Tuan Hamizan bin HassanUMNO · BNKayang

Bismillahirrahmanirrahim, Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Berhormat Dato’ Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat. Untuk makluman Jalan Kangar-Alor Setar ataupun FT07, Federal Trunk 07 merupakan jalan persekutuan sepanjang 46.8 kilometer bermula dari sempadan negeri Kedah di Sanglang ke Padang Besar di Perlis. Pihak JKR Perlis melalui Kementerian Kerja Raya menjalankan kerja-kerja bancian trafik di semua jalan-jalan persekutuan dan hasil daripada bancian yang diperolehi akan menjadi rujukan pihak JKR Perlis dan Kementerian Kerja Raya Malaysia untuk menentukan keperluan semasa di jalan tersebut. Berdasarkan Laporan Bancian pada tahun 2017 yang telah dijalankan di laluan ini iaitu laluan Kangar-Alor Setar, keputusan yang dianalisa diterbitkan dalam bentuk tahap perkhidmatan ataupun dengan izin, Level Of Service atau singkatannya LOS iaitu langkah-langkah kualitatif yang menggambarkan keadaan lalu lintas dari segi kelajuan, waktu perjalanan, kebebasan untuk bergerak, keselesaan dan kemudahan di jalan tersebut. Tahap Perkhidmatan LOS yang saya sebutkan tadi mewakili 6 peringkat iaitu tahap perkhidmatan A adalah mewakili keadaan yang terbaik dan manakala tahap perkhidmatan F mewakili aliran yang sangat padat ataupun extreme congestion, dengan izin dan berlaku stop and go traffic. Yang Berhormat Dato’ Speaker, pada masa puncak ataupun pada masa musim perayaan memang terdapat sikit kesesakan di Jalan Kangar-Alor Setar ini terutamanya kawasan-kawasan yang terlibat dengan, kawasan-kawasan tertentu yang terlibat seperti di Kerpan contohnya, ada market di kawasan tersebut dan ini menyebabkan perlambatan ataupun kelambatan dalam proses menyuraikan trafik di jalan tersebut. Jadi apabila hari perayaan so traffic volume ataupun volume traffic ataupun bilangan kenderaan yang bertambah di jalan tersebut telah menyebabkan kesesakan di hampir sepanjanglah tetapi kesesakan yang berlaku itu tidak mengambil masa yang lama untuk disuraikan keadaan trafiknya. Namun Yang Berhormat, kita masih lagi terdapat laluan alternatif yang boleh kita digunakan kepada pengguna jalan raya yang mahu ke Selatan ataupun ke Alor Setar, selain dari menggunakan jalan Kangar-Alor Setar itu. Antara jalan alternatif yang adalah jalan Kuala Perlis-Changlun ke Alor Setar, juga laluan itu adalah juga laluan persekutuan ataupun pengguna boleh juga menggunakan jalan Arau-Kodiang, Jitra dan juga Alor Setar dan ada juga jalan-jalan sekunder yang kita panggil iaitu seperti jalan-jalan negeri ke Pida dan juga terus ke Alor Setar ataupun jalan-jalan dari Kangar ke Simpang Kemboja dan juga ke pantai Johor dan terus boleh ke Alor Setar. Selain daripada itu, pengguna juga boleh menggunakan aplikasi moden untuk menjejaki laluan alternatif ini seperti aplikasi Maze ataupun digital Route Maps GPS yang terdapat dan boleh dimuatkan ke dalam handphone. Yang Berhormat, pihak JKR Perlis melalui Kementerian Kerja Raya juga telah memohon peruntukan daripada melalui Kementerian Kerja Raya melalui permohonan projek ataupun Program Baru Rolling dalam Rolling Plan Ke-4, RP4 Rancangan Malaysia Kesebelas untuk cadangan menaiktaraf jalan tersebut kepada 4 lorong 2 hala bermula dari Sanglang hingga ke Simpang Empat di Sekolah Menengah Syed Alwi. Namun permohonan tersebut masih belum mendapat kelulusan di peringkat Kementerian Kerja Raya. Sekian.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.

Puan Gan Ay LingPKR · PHIndera Kayangan

Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya nombor 8.

(Soalan 8 : Apakah status terkini pelaksanaan pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (Chuping Valley Industrial Area) dan apakah rasionalnya Integrated Business Center (IBC) dibina terlebih dahulu dengan kos RM37 juta sedangkan kemudahan infrastruktur asas dan utiliti seperti pencawang TNB, tangki air dan talian jalur lebar internet (broadband) yang akan menjadi daya tarikan utama pelabur-pelabur belum lagi dibina?)

Puan Asmaiza binti AhmadUMNO · BNChuping

Bismillahirrahmanirrahim, assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih pada YB Indera Kayangan atas soalan yang diajukan. Yang Berhormat Dato’ Speaker, status pelaksanaan pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping atau dikenali CVIA kini berada pada Fasa 1 iaitu fasa dari tahun 2016 hingga 2021. Pelaksanaan pembinaan keseluruhan Fasa 1 yang menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan ini meliputi 10 pakej yang terkandung dalam Fasa 1 serta sepenuhnya dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara iaitu NCIA dengan kos keseluruhannya sebanyak RM723 juta. Setakat ini, 1 pakej sedang dalam pembinaan iaitu Pusat Perniagaan Bersepadu atau dengan izin, Integrated Business Centre, IBC yang dijangka siap hujung tahun ini, ataupun... manakala 9 lagi pakej yang meliputi pembinaan infrastruktur dalaman CVIA dijangka dilaksanakan proses perolehan pada suku ketiga dan suku keempat 2018. Namun begitu, proses perolehan sembilan 9 pakej tadi adalah tertakluk kepada keputusan lanjut Kementerian Kewangan ekoran surat Kementerian bertarikh 29 Jun 2018 mengenai arahan penambahbaikan tadbir urus dan pelaksanaan perolehan Kerajaan. Berdasarkan kepada surat tersebut, CVIA merupakan salah satu daripada projek Kerajaan Persekutuan di Perlis yang perlu melalui proses penilaian semula di peringkat CCP iaitu dengan izin, Contract Coordination Panel oleh Kementerian yang berkenaan. Sebagai makluman Ahli-ahli yang Berhormat, IBC dibuat berdasarkan model pengurusan di Kulim Hi-Tech Park, Kedah. Antara rasionalnya adalah sebagai bertindak sebagai pusat pentadbiran setempat, pusat operasi dan pemasaran kepada para pelabur untuk berurusan di CVIA dan yang kedua, berfungsi sebagai pusat transit, pejabat sementara kepada pelabur yang berminat untuk melabur di CVIA. Dan yang ketiga, IBC juga berfungsi sebagai pemangkin utama untuk menarik minat pelabur untuk melawat kawasan CVIA serta menawarkan keselesaan kepada pengunjung yang datang ke tapak dan untuk mengetahui lebih lanjut tentang CVIA. Dan bagi melancarkan pengoperasian urus tadbirnya terdapat 2 komponen utama dalam pembinaan IBC itu iaitu yang pertama Pejabat Operasi dan Pemasaran. Bangunan ini akan dilengkapkan dengan ruang galeri pameran, bilik mesyuarat, pantri, surau dan juga ruang pejabat. Pejabat ini juga dicadang diduduki oleh pejabat agensi Kerajaan seperti NCIA, MBI, MIDA dan lain-lain lagi. Dan juga yang kedua merupakan pejabat transit serta kediaman jangka pendek dan kerana bangunan ini akan dilengkapi dengan 28 unit kediaman jangka pendek dan juga pejabat transit. Justeru itu, Kerajaan Negeri amat mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Kerajaan Pakatan Harapan hari ini agar dapat mengkaji dan menilai semula untuk meneruskan 9 pakej yang terkandung dalam Fasa 1 tadi bagi membangunkan kawasan perindustrian Lembah Chuping dengan memperlengkapkan infrastruktur bagi kemudahan pelabur dan yang paling penting adalah kepentingan rakyat untuk masa hadapan dalam mengubah sosioekonomi mereka. Terima kasih.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.

Tuan Nor Azam bin KarapPKR · PHKuala Perlis

Terima kasih Dato’ Speaker, soalan saya yang bernombor 9. Terima kasih.

(Soalan 9 : Berapakah peruntukan tahunan daripada Kerajaan Negeri untuk setiap ADUN?)

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis. Soalan nombor 9 berkaitan dengan peruntukan tahunan Kerajaan Negeri untuk setiap ADUN. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya menganggapkan ataupun mengandaikan soalan ini merujuk kepada tahun 2018, peruntukan 2018. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, bagi tahun 2018, jumlah keseluruhan peruntukan mengurus kawasan DUN yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri ini yang bersidang pada bulan 12 tahun 2017 adalah berjumlah RM1,060,000, yang ini adalah untuk peruntukan mengurus di kawasan DUN manakala sejumlah RM5,700,000 adalah diperuntukan untuk keseluruhan pembangunan bagi kawasan DUN bagi tahun 2018. Jadi itu adalah merupakan peruntukan-peruntukan yang telah pun diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui Dewan Undangan Negeri ini untuk tahun 2018. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya nombor 10.

(Soalan 10 : Jalan raya di kebanyakan tempat di Parlimen Arau perlu dinaik taraf atau diturap semula. Bilakah kerja-kerja ini hendak dilaksanakan sepenuhnya?)

Tuan Hamizan bin HassanUMNO · BNKayang

Yang Berhormat Dato’ Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat, jalan-jalan berturap di kawasan Parlimen Arau adalah sepanjang 176.75 kilometer merangkumi Jalan Persekutuan dan juga Jalan Negeri di bawah kelolaan JKR Perlis. Pada setiap tahun, JKR akan mengenalpasti jalan-jalan yang sudah mencapai tempoh 5 tahun turapan semula dan juga jalan-jalan yang permukaannya telah rosak sebelum tempoh tersebut bagi tujuan memohon peruntukan daripada pihak Kerajaan. Kerja penurapan semula jalan akan dilaksanakan sebaik sahaja peruntukan diterima dan akan berterusan sehingga akhir tahun bergantung kepada kecukupan peruntukan. Lazimnya, sekiranya peruntukan tidak mencukupi, JKR akan memberi keutamaan kepada jalan-jalan yang permukaan jalannya rosak teruk dan yang paling lama tidak diturap semula. Selebihnya akan dibuat pada tahun berikutnya menggunakan peruntukan yang baru. Untuk makluman Yang Berhormat, penurapan jalan ini bersifat kerja-kerja yang sentiasa berterusan kerana ianya sentiasa dilaksanakan dari masa ke semasa dan ianya tidak mempunyai had tempoh masa tertentu dalam penyiapan. Sekian.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.

Tuan Mohd Ridzuan bin HashimPAS · PNGuar Sanji

Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya yang ke-11.

(Soalan 11 : Apakah status Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dari sudut pengurusan terutama berkaitan tunggakan gaji staf dan pemain, dan apakah perancangan kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan skuad Singa Utara?)

Tuan Hamizan bin HassanUMNO · BNKayang

Yang Berhormat Dato’ Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat, Persatuan Bola Sepak Perlis, PFA, sepertimana persatuan-persatuan sukan lain yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Negara adalah tertakluk kepada perlembagaan persatuan masing-masing. Sebagai sebuah organisasi sukan, PFA juga tertakluk kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 di mana badan sukan tersebut ditadbir dan diuruskan oleh pemegang-pemegang jawatan iaitu anggota-anggota jawatankuasa yang dilantik oleh PFA. Memandangkan PFA juga merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia, FAM, PFA juga tertakluk kepada peraturan, perlembagaan dan perancangan yang telah ditetapkan oleh FAM. Sebagai sebuah badan sukan, sumber kewangan dan pengurusan PFA adalah dikelolakan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang dilantik melalui pemilihan atau mesyuarat agung yang diadakan oleh persatuan tersebut. Justeru, isu tunggakan gaji para pemain dan staf PFA sepatutnya ditangani oleh PFA melalui perancangan yang lebih sistematik dan pengurusan kewangan yang lebih kos efektif. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa memberi bantuan kepada persatuan sukan yang aktif dalam membantu pembangunan dan pengurusan, termasuk juga kepada PFA, tertakluk kepada kemampuan Kerajaan Negeri. Dari segi bantuan kemudahan terutamanya kemudahan infrastruktur, ketiga-tiga pasukan utama yang bernaung di bawah PFA telah diberi kemudahan bagi menggunakan infrastruktur sukan secara percuma berbanding persatuan bola sepak negeri lain yang terpaksa membuat sewaan kemudahan sama ada kepada perbadanan stadium negeri atau pihak swasta. Selain itu, antara kemudahan yang turut diberikan oleh Kerajaan Negeri ialah padang bola sepak bagi tujuan latihan pasukan. Pasukan Liga FAM, Piala Presiden dan Piala Belia telah diberikan bantuan untuk menggunakan kemudahan padang bola sepak A dan B secara percuma pada masa-masa tertentu seperti yang dipohon oleh pihak pengurusan PFA. Kerajaan Negeri juga memberi bantuan dari aspek venue pertandingan, di mana venue pertandingan semua pasukan di bawah kelolaan PFA iaitu Stadium Tuanku Syed Putra diberikan secara percuma dengan hasil kutipan tiket turut menjadi hak PFA sepenuhnya. Selain itu, sebahagian kos utiliti seperti caj penggunaan elektrik dan air turut dibantu oleh Kerajaan Negeri yang dianggarkan tidak kurang RM50,000 untuk ketiga-tiga pasukan di bawah naungan PFA. Kerajaan juga komited dalam membantu melancarkan pengurusan PFA dengan memberikan kemudahan bagi pihak pengurusan PFA melaksanakan mesyuarat-mesyuarat utama dan juga mesyuarat koordinasi pertandingan yang juga diberikan secara percuma. Kerajaan Negeri turut membantu PFA dalam melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan sukan melalui Liga Bola Sepak Perlis yang telah dilaksanakan sebelum ini. Penggunaan venue bagi pertandingan tersebut juga diberikan secara percuma. Sesuai dengan matlamat dan juga keupayaan Kerajaan Negeri. Sekian.

Yang Berhormat.

Speaker

Yang Berhormat peminat bola.

Boleh na? Terima kasih Yang Berhormat Kayang. Berkenaan dengan tunggakan gaji staf dan pemain ni yang melibatkan saya dapat maklumat sampai 4 bulan dah. Memang banyak bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk kemudahan-kemudahan untuk pemain ini tapi pasukan bola sepak kita ni salah satu imej negeri kita ni lah. Saya dapat juga maklumat yang ada pemain tak turun berlatih dah nak lawan pun tak cukup pemain dah yang menyebabkan mungkin Persatuan Bola Sepak Negeri Perlis ni digantung oleh FAM ni dan menjejaskan imej negeri kita itu sendiri. Tindakan daripada Kerajaan. Terima kasih.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Terima kasih Dato’ Speaker, soalan saya soalan yang ke-12.

(Soalan 12 : Apakah langkah-langkah jitu Kerajaan bagi meningkatkan kualiti keputusan SPM di Perlis?)

Bismillahirrahmanirrahim, assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, bagi menjawab soalan Yang Berhormat Dato’ Tambun Tulang. Antara perkara paling penting perlu wujud bagi mana-mana sistem pendidikan kebangsaan adalah Dasar Pendidikan itu sendiri. Dan ia bukan sahaja menjadi asas pembentukan sistem pendidikan bakal menjadi panduan yang amat penting dalam melaksanakan sistem tersebut. Tanpa dasar yang jelas sudah tentu sistem dan pelaksanaannya tidak akan tersusun rapi, terumbang ambing dan tidak tentu arah pada suatu ketika dan kemudiannya mungkin juga bertukar haluan kepada lain masa. Kadangkala perubahan haluan atau arah ini boleh berlaku kerana faktor kepimpinan, kewangan, pengaruh politik dan lain-lain. Bagi menjawab soalan Yang Berhormat Tambun Tulang, langkah-langkah Kerajaan adalah berdasarkan kepada dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh Kementerian masing-masing dan dalam konteks perkara ini yang melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia. Dan di negeri Perlis dasar-dasar Kementerian Pendidikan Malaysia dijalankan oleh Jabatan Pendidikan dan tidak ketinggalan oleh ibu bapa, agensi-agensi dan NGO, komuniti dan individu yang amanah. Bagi Jabatan Pendidikan Perlis, jabatan ini telah mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan pencapaian SPM di negeri Perlis terus meningkat saban tahun dan di antara program yang telah dan sedang dilaksanakan adalah seperti berikut. Di peringkat

Jabatan Pendidikan itu sendiri iaitu Program Peningkatan Keupayaan Guru bagi meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pedagogi guru di sekolah-sekolah dan dijalankan melalui Panitia Negeri bagi setiap mata pelajaran yang merangkumi yang pertama Bengkel Pembelajaran Abad Ke-21, Bengkel Teknik Pemeriksaan dan Pemarkahan dan Dialog Prestasi Panitia Mata Pelajaran. Seterusnya Program berfokus bagi meningkatkan prestasi kecemerlangan murid, intervensi dirancang dengan mengambil kira keperluan dan kumpulan sasaran murid dan program ini meliputi yang pertama pihak Jabatan Pendidikan melaksanakan Kem Pecutan iaitu untuk murid near miss dengan izin, iaitu lulus bagi meningkatkan peratus layak sijil bagi mata Pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dan Program Gempur SPM iaitu untuk pelajar mengikut kumpulan murid cemerlang, sederhana dan lemah mengikut mata pelajaran dan ini berlaku di sekolah mengikut panitia masing-masing. Yang ketiga, program kerjasama pintar dengan agensi-agensi luar seperti CIMA, Jemaah Dato’-Dato’ Perlis dan YaPEIM. Yang pertama pihak CIMA mengadakan Program Be My Mentor dengan izin, melibatkan murid-murid SMK Beseri, SMK Sanglang dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah bagi mata Pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Kedua, bagi Jemaah Dato’-Dato’ Perlis melibatkan murid-murid harapan lulus 5 sekolah bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah dan bagi pihak YaPEIM melaksanakan program Bengkel Peningkatan Profesionalisme Guru bagi mata Pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris dan turut dilaksanakan Dialog Prestasi diperingkat Jabatan Pendidikan iaitu pemantauan dan bimbingan berkala melalui Dialog Prestasi 4 kali setahun bagi memastikan perancangan kecemerlangan prestasi murid di sekolah mencapai sasaran yang dikehendaki dan di peringkat Sekolah iaitu sekolah-sekolah menengah di seluruh negeri Perlis menjalankan program kecemerlangan pelajar di peringkat sekolah dengan menekankan tentang intervensi-intervensi yang bersesuaian mengikut keupayaan pelajar dan kumpulan sasaran ini dan ianya dirancang dan dilaksanakan di sekolah menggunakan dana sekolah masing-masing dan terutamaya ia mendapat sokongan sepenuhnya dari PIBG dan komuniti. Dan yang kedua, pihak sekolah melaksanakan dialog prestasi di peringkat sekolah dan ianya dilaksanakan antara guru-guru dengan pentadbir. Sekian, terima kasih.

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Terima kasih Dato’ Speaker, soalan tambahan. Negeri kita kecil ja, kecil bukan besaq. Logistic tak begitu jauh dan sebagainya. Dan kita pernah menjadi negeri cemerlang dulu-dulu. Macam kita pernah jadi juara bola sepak 3 kali Piala Malaysia, dulu-dulu ya, tapi kita sekarang zaman tu dah menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah. Dalam kita nak nurturing the young talented, dengan izin Dato’ Speaker nurturing the young talented ini, kita nak memulakan daripada mana? Tentu di sekolah. Sudah tentu program yang dibuat di peringkat sekolah ini, saya bercakap sebagai salah seorang bapa, di sini. Apabila sistem sekarang sistem yang berorientasikan peperiksaan membebankan ibu bapa, membebankan keluarga dan menjadikan ibu bapa jugak dalam keadaan yang tension. Sistem yang tidak diwujudkan dengan adanya nilai-nilai kasih sayang, sistem yang tidak diwujudkan dengan nilai-nilai yang pelbagailah, ini sebab saya tak tau ini pemerintah terdahulu bila tukar menteri dia tukar dasar dia nak wujudkan benchmark tiap-tiap kementerian tapi apa yang berlaku yang menjadi kesan mangsanya adalah murid. Ibu bapak dok tension setengahnya bergaduh suami isteri kerana nak pi hantar ni, ada masalah, macam-macamlah berlaku. Jadi kita mintak maksud saya jitu di sini tepat, padat, precise. Kita dah capai. Adakah, kenapa… dan kebetulan sekarang ni sokongan Yang Berhormat bagitau dalam jawapan tadi daripada sektor swasta yang turut membantu untuk kita. Kenapa kita tak boleh lagi capai, apakah kekangan-kekangan yang menyebabkan kita tidak boleh mencapai menjadi negeri yang terbaik seperti dahulu. Terima kasih.

Yang Berhormat Tambun Tulang, secara pengalamanlah saya di Jabatan Pendidikan, kita melihat kepada kepentingan yang sentiasa perlu kita capai dalam negeri yang kecil dalam konteks Perlis yang pelajar-pelajarnya akan merupakan margin yang besar sekiranya pencentage untuk pencapaian bagi setiap keputusan. Kalau kita capai kelulusan ramai maknanya pencentage tinggi untuk kita capai keputusan yang tinggi itu cemerlang. Kalau sedikit margin kita mencapai percentage kita mungkin... kita masih contohnya macam kita nak hambat tiang gol. Kita macam juga negeri-negeri lain yang cemerlang nak hambat tiang gol tu. Negeri lain juga nak hambat tiang gol untuk masukkan gol. Jadi kita macamtu juga. Kita sentiasa berusaha dan tidak pernah ketinggalan dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, negeri yang kecil ini tetap akan terus berjuang dan untuk mecapai keputusan dan kalau kita tengok dari pencapaian keputusan SPM bagi tahun 2017 kita meningkat dan kita akan cuba sasarkan pada tahun 2018 untuk mencapai 5.04 GPN, Gred Purata Negeri dan peratus layak sijil iaitu 87.71 di mana kita lihat pencapaian ini adalah kesungguhan daripada Jabatan Pendidikan dan juga sekolah-sekolah dan saya yakin sekolah-sekolah akan terus untuk SPM yang akan datang ini, tidak ketinggalan untuk melaksanakan semua yang mereka mampu untuk capai keputusan yang lebih cemerlang dan ini adalah langkah-langkah jitu yang saya rasa pihak sekolah dan juga JPN sentiasa ambil peduli dan ini juga akan perlu sokongan daripada pihak Kerajaan Persekutuan untuk melihat kepada infrastruktur-infrastruktur yang boleh membantu dan menyokong lagi untuk kita capai pendidikan Abad 21. Sekian, terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya tak faham tadi hambat tiang gol. (Dewan ketawa)

Baik, itu bahasa kampung Yang Berhormat. Contohnya kita negeri kecil, ni dalam permainan bola lah. Macam kita nak hambat tiang gol tu ni masing-masing nak berusaha untuk nak masukkan gol. Jadi bila masing-masing negeri berusaha dan kita juga berusaha na, kita negeri kecil ni sentiasa berusaha dan kita tengok kepada pencapaian kita, anak-anak murid kita, para pelajar kita pun tidak kurang ada merupakan pelajar-pelajar cemerlang. Jadi negeri yang kecil ni kita nak compare dengan negeri yang besar ni kalau kita tengok dari segi capaian, mungkin margin tu kita lihat pada margin lah, peratus pencapaian. Kalau negeri yang kecil pelajarnya yang sedikit ni mungkin peratus kita pelajar yang cemerlang tu kalau kita dapat, kita akan dapat pencentage yang banyaklah yang boleh membantu untuk meletakkan kedudukan negeri kita dalam kedudukan yang terbaik di peringkat kebangsaan.

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Yang Berhormat, kalau sering berlaku kekerapan penukaran posisi tiang gol, macamana kita nak capai?

Ni cerita main bola la pulak. (YB ketawa) Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Berhormat Tambun Tulang kita tengok rasional Yang Berhormat Tambun Tulang. Kalau apa saja posisi yang diletakkan kita akan bersedia, kita bersedia apa saja, dengan sumber manusia yang kita ada, dengan guru-guru yang kita ada dan Insya Allah kita akan pastikan pelajar-pelajar kita asalkan ianya mendapat sokongan daripada semua pihak Jabatan Pendidikan dan juga Kementerian telah pun menekankan dalam NKRA baru-baru ini tentang Sarana Ibu Bapa. Jadi di sini juga menekankan bahawa kalau ibu bapa sendiri tidak ambil peduli tentang kemajuan anak-anak di rumah, saya rasa apa saja langkah yang paling jitu yang dilaksanakan di semua peringkat takkan capai kalau ibu bapa itu sendiri tidak ada sedar untuk memastikan anak-anak mereka juga mencapai pencapaian yang cemerlang dan menyokong apa saja dasar-dasar yang dibekalkan di peringkat sekolah dan juga di Jabatan Pendidikan Negeri.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, soalan-soalan lisan ditangguhkan setakat ini. Bagi soalan-soalan yang belum sempat dijawab, pihak Kerajaan akan mengemukakan jawapan secara bertulis. Dewan ditempohkan sementara sehingga jam 11.15 pagi. Terima kasih.

(Persidangan ditangguhkan sementara pada jam 10.37 pagi)

(Persidangan disambung semula pada pukul 11.15 pagi)

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula.

Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja PerlisMotion

Setiausaha Dewan

Usul menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mengemukakan cadangan.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Saya mohon mencadangkan satu usul yang berbunyi, bahawa satu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Duli Yang maha Mulia Tuanku Raja yang berbunyi, “Ampun Tuanku, patik Speaker dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri di dalam persidangan Dewan merapat sembah memohon dan menjunjung setinggi-tinggi kasih ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku semasa membuka penggal persidangan pertama Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas pada 23 Julai 2018.

Puan Asmaiza binti AhmadUMNO · BNChuping

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya dengan rendah diri menyokong Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Mulia Tuanku Raja yang telah dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebentar tadi.

Speaker

Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Mulia Tuanku Raja dibuka untuk perbahasan dan saya memperuntukan 20 minit. Jika ada keperluan, saya akan menambahkannya. Dipersilakan Yang Berhormat ADUN Sena.

Bismillahhirahmannirrahim. Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Alhamdulillahirabbilalamin wassala tiwassalam murala asrafil iwalmursalim wa`ala alihi wasahbihi ajmain. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker kerana memberi ruang kepada Sena untuk sama-sama berbahas menjunjung Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis. Saya memulakan ucapan sulung dalam Dewan yang mulia ini dengan mengucapkan tahniah kepada seluruh Ahli Dewan yang telah dipilih oleh kawasan masing-masing, salam perkenalan. Ucapan saya akan tertumpu kepada 3 perkara utama iaitu tadbir urus dan tata kelola yang baik hasrat Sena dan pemerkasaan sektor perlancongan jana hasil baru untuk negeri. Bahagian pertama saya, saya ingin sentuh soal tadbir urus dan tata kelola yang lebih baik. Alhamdulillah kerajaan persekutuan dibawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah membuat ketetapan bahawa semua anggota jemaah Menteri dan semua Ahli Parlimen serta ADUN Pakatan Harapan perlu mengisytiharkan harta kepada umum melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM dalam tempoh 3 bulan dari tarikh angkat sumpah. Malah sebilangan calon-calon pakatan Harapan sebelum ini telah pun secara sukarela mengisytiharkan harta melalui Invoke Malaysia. Sena juga telah mengisytiharkannya. Jesteru, saya sarankan agar usaha ini akan disambut oleh Yang Amat Berhormat Bintong dan seluruh barisan Exco serta ADUN-ADUN. Selain daripada itu, lantikan Politik dan kakitangan Kerajaan yang duduk di dalam Lembaga Pengarah dalam mana-mana syarikat berkaitan Kerajaan perlu juga mengisytiharkan kepentingan mereka supaya hujah pendirian dan keputusan mereka ini boleh dilihat sebagai bebas, telus, adil dan bebas dari sebarang pengaruh dan kepentingan. Seterusnya entity Kerajaan sendiri perlu telus dan terbuka. Sudah sampai masanya Kerajaan memperkenalkan enakmen kebebasan maklumat atau lebih dikenali sebagai freedom of information act dengan izin. Ini adalah penting dalam proses demokrasi kerana maklumat yang dipegang oleh Kerajaan itu bukan maklumat mereka tetapi untuk kepentingan bagi pihak rakyat. Tanpa hak untuk mengetahui seseorang itu mungkin tidak mampu untuk membuat keputusan dengan izin informed decision, Pakatan Harapan pun ataupun sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat telah pun berjaya menggubal enakmen kebebasan maklumat di Pulau Pinang dan Selangor. Yang Berhormat Speaker, bahagian kedua saya adalah berkaitan dengan aduan di kawasan Sena, laluan masuk di Kampung Guru berhadapan dengan Taman Mewah berlopak dan tidak rata ianya membahayakan kenderaan-kenderaan kecil seperti motosikal dan basikal. Selain itu kereta juga tidak terkecuali apabila ada yang cuba mengelak lopak dan masuk ke lorong yang bertentangan. Jalan tidak rata dan berlopak ini akibat daripada kerja-kerja mengorek jalan yang dijalankan beberapa lama dahulu dan hasil tampalan semula oleh pihak kontraktor yang tidak memuaskan. Begitu juga terdapat aduan penduduk di Taman Sri Pulai dan Taman Firdaus banyak jalan rosak akibat kerja-kerja penyelenggaraan TNB, IWK dan MPK. Begitu juga sekarang ini dalam selepas pilihanraya ini, ada beberapa jalan yang dinaik taraf. Jalan itu dibuat lebih tinggi. Jadi tebing dia agak tinggi, bermasalah untuk bahu tu kan, bila tinggi kan? Begitu juga dengan sistem perparitan di Kawasan Kampung Jejawi Dalam, diharap dapat dinaik taraf kerana menurut pengadu, setiap kali hujan lebat akan berlaku banjir kilat. Saya juga menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan di setiap pusat basuh kereta khususnya yang automatik tu, yang berhampiran dengan sungai kerana bagi mengelakkan isu pihak pusat membasuh kereta membasuh kereta menggunakan air sungai. Dan saya ada menerima aduan bahawa pusat basuh kereta membuang air kotoran dan sampah ke sungai. Aduan yang saya terima tu fokus di Sungai Repoh, sebagaimana yang dibangkitkan dalam soalan tadi. Dan isu pembuangan sampah saya gesa pihak Kerajaan juga mencari mekanisme untuk menyediakan tong sampah berdekatan perumahan, yang berhampiran dengan sungai bagi mengelakkan sisa buangan dibuang ke sungai. Seterusnya tindakan MPK menyita atau menutup kawasan untuk peniaga semasa bulan Ramadhan yang lepas, alasan yang telah diberikan kerana meniaga di reserve jalan. Contohnya terdapat tindakan yang diambil di jalan Padang Behor, saya lihat ada double standard dengan izin disitu kerana masih ada dua gerai iaitu gerai buah dan gerai ikan dijalan yang sama dibenarkan berniaga. Jadi jika polisi dibuat untuk jalan, reserve jalan tu, kena adil kepada semua tempatlah. Bagi saya asalkan tidak menganggu lalulintas dan kebersihan dijaga berilah penjaja kecil kita peluang untuk berniaga dan MPK boleh dapat hasil daripada menglesenkan mereka. Berkaitan dengan peniaga pasar malam di sebelah UTC Kangar, depa ni asalnya daripada meniaga di stadium. Lepas tu dipindahkan ke sebelah Kompleks DUN dan akhirnya sekarang ni di UTC, mereka merungut kawasan ni memang tidak strategik dan hasil jualan agak rendah. Mereka merayu kepada Kerajaan untuk mempertimbangkan untuk tapak pasar malam baru sebagai ganti di Jalan Stadium Tuanku Syed Sirajuddin yang luas dan tidak menganggu jalan raya. Bukan depa tak minta di dalam stadium macam dulu, tapi di jalan jalan tu. Saya mohon pertimbangan Yang Amat Berhormat Bintong untuk nilah, mempertimbangkannya sebab surat rayuan telah dihantar oleh wakil penjaja kepada MPK tapi wakil mereka maklumkan sehingga kini, MPK masih berdiam diri tanpa memberi apa-apa respon. Saya juga menerima aduan bahawa pihak MPK tidak menyelenggara fasiliti seperti taman permainan yang rosak, jalan yang berlopak, tanda nama jalan yang hilang ataupun patah malah iklan-iklan haram seperti pinjaman along dengan mudah digantung di kawasan perumahan. Jesteru saya gesa agar MPK ambil tindakan susulan yang sewajarnya. Yang Berhormat Speaker, bahagian ketiga saya adalah berkaitan dengan pemerkasaan sektor perlancongan bagi menjana hasil baru untuk negeri Perlis. Sebagaimana yang dititah oleh DYMM Tuanku Raja Perlis kelmarin, untuk Kerajaan Negeri mempertingkatkan sumber pendapatan negeri. Saya amat setuju bahawa Perlis punya potensi yang besar untuk maju melalui sektor perlancongan ini. Kita sudah ada pelancong sedia ada yang puratanya sekitar 3 juta setahun sekarang namun malangnya hanya sekadar transit untuk ke Langkawi. Wujudkan satu agensi Kerajaan Negeri contohnya dengan penstrukturan semula sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan tempat-tempat perlancongan di negeri ini dan syarikat ini akan dengan tidak langsung memberi pulangan hasil kepada Kerajaan Negeri. Banyak tempat perlancongan yang sedia di Perlis sudah pudar. Saya mohon agar diperbaiki yang mana ada. Hidupkan kembali contohnya Taman Tasik Melati bagi lebih cantik, pasang lampu agar malam tidak gelap gelita seperti sekarang dan pemasangan lampu ini juga dapat mencegah aktiviti-aktiviti kurang sihat di kawasan sekitar. Juga ada cadangan untuk supaya kita Bukit Air diperhebatkan semula dengan contohnya buat Lost World of Bukit Air Perlis dengan izin, boleh kita boleh tarik pelancong tempatan dan luar negeri untuk beriadah dan sekarang ini pun aktiviti keluarga bila ada satu taman tema sekurang-kurangnya ada satu aktiviti keluarga untuk domestik punya tourist dengan izin. Saya yakin dalam keadaan macam Lost World Of Bukit Air dapat menarik pelabur untuk melabur dalam sektor yang berkaitan. Dan seterusnya bukit-bukau sebagaimana yang dititahkan oleh DYMM Tuanku semalam baik untuk rekreasi dan aktiviti climbing atau hiking dengan izin. Saya difahamkan banjaran Nakawan Bukit Keteri dan Bukit Chabang walaupun tidaklah setinggi bukit lain di dunia, tetapi mampu menarik minat pelancong terutama daripada Eropah disebabkan tahap kesukarannya. Dalam keadaan tidak ada lagi penglibatan serius Kerajaan dalam penyediaan prasarana, saya dimaklumkan oleh pihak Tourism Malaysia bahawa 20 peratus daripada jumlah pelancong ke Perlis sekarang ni berminat dengan aktiviti-aktiviti pendakian di bukit-bukit ini. Jadi sekiranya ada campur tangan Kerajaan tentunya aktiviti ini mampu menjadi antara produk pelancongan utama di negeri Perlis. Kelmarin saya bersama dengan Encik Shahrul daripada Tourism Malaysia Negeri Perlis dan kawan-kawan yang terlibat dengan sukan payung terjun telah meninjau view point dengan izin banjaran Nakawan dan mereka dapati kawasan tersebut sangat berpotensi untuk dibangunkan dengan aktiviti sukan tersebut. Saya bersedia berkerjasama dengan, untuk menemukan mereka dengan Kerajaan Negeri bagi menjayakan aktiviti paragliding dengan izin yang mampu menarik kedatangan pelancong sedia ada dari Thailand contohnya. Saya punya keyakinan jika diwujudkan aktiviti sukan payung terjun di kawasan tersebut dan selepas ini baru kita usahakan pembukaan semula kawasan sempadan Wang Kelian, barulah kita punya peluang untuk menarik aliran wang masuk dari luar negara dan masyarakat sekitar boleh mendapat limpahan peluang ekonomi dengan kewujudan perniagaan makanan dan kraftangan tempatan contohnya. Akhir kata walaupun pihak pembangkang atau Kerajaan punya perbezaan dari segi fahaman politik namun kita masih boleh berkerjasama demi kemajuan dan kemakmuran negeri Perlis sebagaimana yang dititahkan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis. Saya dengan ini menyokong penuh Titah Ucapan DYMM Tuanku Raja Perlis, terima kasih.

Speaker

Terima kasih YB Sena. Dipersilakan YB Indera Kayangan.

Puan Gan Ay LingPKR · PHIndera Kayangan

Terima kasih Dato’ Speaker. Yang Berhormat Dato’ Speaker Dewan Undangan Negeri, menjunjung kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis. Selamat pagi dan selamat sejahtera. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong dan warga Indera Kayangan yang sudi memberikan saya ruang dan peluang untuk berada di Dewan yang mulia ini dan seterusnya menjalankan tanggungjawab dan kerja yang diamanahkan. Saya berharap agar kerjasama antara semua pihak dikalangan Kerajaan Negeri Perlis ini adalah pada tahap yang mantap dan cukup matang dalam proses melaksanakan dan juga mentadbir negeri Perlis. Memandangkan negeri Perlis yang kini menjadi negeri pembangkang dan sumber, dengan sumber kewangan dan pendapatan negeri Perlis yang amat terhad, secara keseluruhannya saya ingin tahu apakah langkah kerajaan baru terbentuk ini akan lakukan dalam proses usaha dan perancangannya untuk mencapai wawasan Perlis Bandaraya 2030. Sebagai seorang wakil rakyat yang berada sebarisan dengan Ahli-ahli Yang Berhormat dalam konteks memajukan negeri Perlis yang bersehaluan sepertimana yang dititah oleh Tuanku semalam, saya secara peribadinya merasakan adalah penting corak polisi yang hendak dilakarkan itu, sebolehnya lebih menyeluruh dan lebih perihatin serta berdasarkan pembangunan yang berunsurkan pemeliharaan dan pemulihan dari segi sosial dan ekonomi untuk semua lapisan masyarakat dan juga penduduk di negeri Perlis. Maka dengan itu, kawalan emosi semasa menjalankan tugas, displin diri dan nilai murni harus diamalkan. Segala kepincangan ideologi politik kepentingan diri sendiri harus dikikis sama sekali agar keadilan dan kebajikan rakyat adalah sentiasa menjadi sasaran utama dalam segala keputusan yang bakal dibuat pada masa akan datang. Saya berharap persidangan ini adalah satu titik permulaan yang baik dalam sejarah negeri Perlis dalam membawa negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi dan maju dalam suasana kerjasama yang mesra di antara semua Ahli-ahli Yang Berhormat sejajar dengan perubahan landskap politik negara, saya ingin menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat agar sama-samalah kita menerokai idea baru, mencari peluang yang ada, menambahbaikan urus tadbir dan cerdik mempergunakan segala sumber yang ada di sekeliling kita dan negeri ini. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Hanya dengan kemahuan dan keinginan kita itulah yang akan mendorong kita untuk berjalan lebih jauh. Maka dengan itu Ahli-ahli Yang Berhormat, agensi-agensi Kerajaan tidak kira sama ada secara langsung atau tidak harus bertekad dan berusaha dalam bersama-sama mengharungi segala rintangan dan cabaran yang mungkin dihadapi dan pastinya segala hasil usaha itu akan melibatkan pengorbanan tidak kira dari segi masa, tenaga ataupun kewangan seperti pepatah dengan izin, Rome was not built in a day. Namun itulah yang bakal menjadikan kejayaan itu sesuatu yang bernilai dan dihargai. Sememangnya pembangunan sesuatu tempat tidaklah sesenang yang dijangka apatah lagi sebuah negeri. Namun pelbagai inisiatif dan teknik serta rujukan boleh diambil dan boleh digunakan sebagai pemangkin sesuatu proses dalam pembangunan. Contohnya GRPB dengan izin General Responsive and Participatory Budgeting ia adalah satu pendekatan dan kaedah yang berteraskan rakyat dengan izin, People Oriented Model bertemakan kelompok berlainan keperluan berbeza dengan izin, different people different need yang berobjektif untuk menjadikan polisi dan bajet bersifat lebih inklusif bagi semua kumpulan masyarakat termasuk wanita dan lelaki dari pelbagai latar belakang yang berbeza. GRPB menggalakkan penyertaan rakyat dengan menjadikan setiap individu sebagai ejen aktif dalam sesuatu projek ataupun program pembangunan Kerajaan. Cara ini bertujuan untuk memastikan agar perbelanjaan Kerajaan dapat dioptimumkan dan menepati sasaran serta dapat ditumpukan kepada perkara- perkara yang lebih bermakna dan penting mengikut keperluan dan kehendak rakyat serta menawarkan perkhidmatan pembangunan rakyat yang lebih lestari. Ini secara langsung mewujudkan satu tadbir urus kewangan yang lebih cekap dan menepati sasaran. Dato’ Speaker, walaupun Ahli-ahli Yang Berhormat lebih cenderung kepada mengubal polisi Kerajaan Negeri, namun peranan wakil rakyat yang harus mengambil tahu segala perkara yang berlaku di kawasan jagaan masing-masing pasti tidak harus diabaikan. Maka dengan itu sokongan Ahli-ahli Yang Berhormat dalam membimbing dan berkerjasama dengan penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti juga harus diberikan perhatian sepenuhnya. Seseorang wakil rakyat juga hendaklah berminda positif, kreatif, inovatif dan dengan izin, think out of the box dengan pemikiran yang bernas dan berdaya saing, sesuatu aktiviti sosial yang boleh menjana sumber ekonomi itu mungkin bakal wujud di sesuatu kawasan Ahli-ahli yang berhormat. Cuba renung dan fikir-fikirkanlah. Selain itu, interaksi dan ikatan silatulrahim yang erat bersama rakyat dan jalinan sosial yang lebih luas juga adalah penting kerana wakil rakyat juga harus ada daya saling menghubungkan segala peluang dan rangkaian yang ada tidak kira sama ada dari segi perniagaan, komuniti setempat, kebajikan rakyat, perkhidmatan, pembangunan, pertanian, perikanan ataupun perlancongan. Kita harus berani mencuba sesuatu yang baru sekiranya ia tidak memudaratkan atau memberi kesan yang terlalu negative. Jauh perjalanan luas permandangan. Biar segala pengalaman yang kita ada kita gunakan sebaiknya di samping mendengar cadangan dan pendapat rakyat kita agar segala yang kita rancang dan laksana itu menepati sasaran. Dato’ Speaker, sekiranya kita bersasaran mencapai wawasan Negeri Perlis Bandaraya 2030, kita seharusnya berpandangan lebih jauh dan merancang modul bandaraya kita berasaskan kehendak kita pada tahun 2030 memandangkan wawasan Negeri Perlis Bandaraya 2030 kebetulan mempunyai tahun sasaran yang sama dengan izin, The 2030 Agenda For Sustainable Development Goals. Adakah 17 sasaran SDG juga akan diterapkan dalam masa sepanjang perancangan pembangunan negeri Perlis? Apakah infranstruktur yang kita mahu pada tahun 2030? Apakah sistem pengangkutan yang kita mahu itu… maaf, bagaimanakah pilihan sistem pengangkutan teras kita itu akan memenuhi keadaan ataupun kesibukan lalulintas pada tahun 2030? Bagaimana perancangan bandar ini lebih mesra rakyat dan alam pada tahun 2030? Bagaimana pula kita harus menangani isu alam sekitar hari ini dalam menghadapi cabaran isu alam sekitar dan pemulihan serta pemeliharaannya menjangkau tahun 2030? Apakah nilai-nilai murni, kebudayaan dan kesenian serta cara pemulihan dan pemeliharaannya agar negeri Perlis kekal sebagai sebuah negeri yang bangga dengan keharmonian semua lapisan masyarakatnya. Tidak lupa juga sasaran Kerajaan dalam membasmi kadar kemiskinan Negeri Perlis tahun 2030. Dato’ Speaker, tepuk tangan sebelah tak berbunyi. Tidak kira apa yang bakal kita laksanakan kelak. Kerjasama yang kukuh dan padu bagai aur dengan tebing antara semua pihak yang terlibat mestilah diamalkan agar tugasan kita laksanakan itu lebih baik, mantap dan terjamin. Saya bersyukur diberi peluang berkhidmat di negeri yang sungguh indah ini dan saya doakan segala yang terbaik untuk negeri Perlis. Akhir kata saya mewakili seluruh rakyat Indera Kayangan mendukung sepenuhnya Titah Ucapan DYMM Tuanku Raja Perlis sempena Majlis Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang ke14. Menjunjung kasih. Semoga DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis dilanjutkan usia, diberikan kesihatan sempurna dan dijauhi keuzuran agar pemerintahan Tuanku Raja Perlis menjadikan negeri Perlis lebih maju, makmur dan harmoni. Sekian terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan, dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.

Tuan Nor Azam bin KarapPKR · PHKuala Perlis

Bismillahhirahmannirrahim, assalammu`alaikum dan selamat sejahtera kepada semua hadirin dan Dato’ Speaker. Pertamanya saya ingin merakamkan penghargaan setulus budi kerana diberi peluang untuk membahaskan titah menjunjung kasih DYMM Tuanku Raja Perlis pada hari ini. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dato’ Speaker Dewan kerana telah diangkat sekali lagi sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis untuk penggal ke-14. Kepada Yang Amat Berhormat Bintong juga, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kerana dilantik sekali sebagai Menteri Besar Perlis. Tidak lupa juga kepada Ahli-ahli dewan yang lain yang dipilih pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu. Sekali lagi diucapkan tahniah kepada semua. Dato’ Speaker, saya menjunjung kasih atas Titah DYMM Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalulail semasa istiadat pembukaan persidangan penggal pertama Dewan Undangan Negeri kali ke-14. Hari ini saya tampil untuk mengambil bahagian dalam perbahasan ini demi mengangkat suara rakyat dalam Dewan yang mulia ini. Saya menyahut dengan penuh taat setia akan saranan Titah DYMM Tuanku Raja Perlis agar wakil-wakil rakyat di negeri ini berganding bahu bersama-sama Kerajaan Negeri bagi mewujudkan suasana politik yang tenteram dan stabil. Masa untuk bersilat politik, tikam menikam sesama sendiri sudah berlalu. Hanya Kerajaan Negeri yang stabil sahaja boleh menjamin kelancangan program-program pembangunan demi kesejahteraan rakyat. Sekarang ini adalah masa untuk kita tumpukan kepada agenda pembangunan rakyat dan meletakkan kepentingan negeri sebagai yang paling utama. Kami wakil-wakil rakyat daripada Pakatan Harapan akan sedaya upaya menjadi pembangkang yang konstruktif dan baik. Dato’ Speaker, kita semua sedia maklum akan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat dari segi peruntukan perbelanjaan operasi dan pembangunan. Memandangkan telah berlakunya perubahan landskap politik di negara ini, kami di pihak Pakatan Harapan bersedia menjadi jambatan pemudah cara antara Kerajaan Negeri dan juga kerajaan pusat, yang ditadbir oleh Pakatan Harapan terutamanya dalam menangani cabaran-cabaran mendatang demi kesejahteraan rakyat dan negeri. Kami sedia untuk berkerjasama agar segala agenda Kerajaan Negeri untuk mencapai hasrat Perlis Negeri Bandaraya 2030 sentiasa berada pada landasannya. Kesediaan dan komitmen untuk berkerjasama ini juga harus datang daripada pihak Kerajaan Negeri terutamanya daripada Yang Amat Berhormat Bintong sendiri. Bagi memastikan kerjasama ini dapat berjalan lancer, komitmen daripada semua pihak amat dituntut terutamanya di kalangan penjawat awam. Saya maklum bahawa sebahagian penjawat awam terutamanya di agensi Kerajaan Pusat masih belum boleh menerima hakikat bahawa Kerajaan Barisan Nasional telah tumbang dan negara ini telah ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Hal ini membuatkan komitmen mereka terhadap Kerajaan yang memerintah adalah diragui. Saya menuntut agar penjawat awam dapat berkerjasama dan memberikan komitmen untuk melaksanakan dasar-dasar Kerajaan baru. Keperihatinan Tuanku terhadap rakyat agar wujudnya persekitaran yang kondusif supaya dapat mencari rezeki serta meningkatkan taraf ekonomi mereka dan bukan mengharap bantuan semata-mata. Senada dengan Titah Tuanku, rakyat hendaklah diasuh supaya berdikari, rajin berusaha dan kuat bekerja. Bantuan yang bersifat sokongan politik hanya kepada kelompok tertentu haruslah dihapuskan kerana bantuan sebeginilah yang menyebabkan masyarakat menjadi malas bekerja. Bukan sedikit bantuan yang diberikan selama ini. Sebagai contoh pelbagai bantuan telah diberikan kepada nelayan namaun sebahagiannya disalahgunakan oleh mereka. Itu belum lagi diambil kira bantuan sara hidup bulanan. Seharusnya bantuan tidak terhad yang berbentuk material sahaja. Inisiatif khusus terhadap pembagunan jati diri dan juga sikap-sikap positif harus ditekankan melalui penglibatan pelbagai agensi-agensi Kerajaan melalui program-program yang diatur. Yang berhormat Dato’ Speaker, saya berharap agar industri hiliran yang diberi penekanan khusus mengikut data awal dipihak kami, terdapat hampir 200 usahawan IKS terlibat dalam pembuatan industri hiliran terutamanya makanan di sekitar Kuala Perlis. Sebahagian besar mereka hanya beroperasi di rumah dan dengan fasiliti yang terhad, adalah sukar untuk mereka berkembang. Adalah sewajarnya tumpuan khusus diberikan kepada produk hiliran ini agar dapat ditambah baik dari segi penghasilan dan juga pembangunan produk serta pengembangan pasaran secara digital. Sewajarnya Kerajaan Negeri mengambil inisiatif khusus untuk melahirkan seramai mungkin golongan muda untuk terlibat aktif dalam pemasaran secara digital. Latihan khusus wajar diberikan agar tumpuan dapat diberikan untuk memasarkan produk-produk IKS yang sedia ada di kampung-kampung. Mereka tidak perlu terlibat dalam penghasilan dan pembangunan produk tetapi hanya fokus terhadap aktiviti pengembangan pasaran terutamanya secara digital. Pastinya lebih banyak pihak yang akan mendapat manfaat. Jika betul caranya, saya tidak terkejut jika suatu hari nanti belacan madu Kuala Perlis dapat dikembangkan pasarannya tidak hanya secara konvesional malah berjaya dipasar secara digital dan meluas. Inisiatif secara drastik perlu untuk memastikan negeri Perlis tidak ketinggalan dalam pembangunan usahawan secara digital. Sewajarnya Kerajaan Negeri mengambil contoh inisiatif yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang telah menubuhkan dengan izin Selangor Information Technology And E-Commerce Council, SITEC sebagai hub untuk melatih dan membangunkan usahawan dengan izin starup secara digital, sebuah hub dan ekosistem sebegini amatlah perlu supaya pembangunan usahawan dapat dijalankan dengan cara berterusan memandangkan industri digital ini sangat cepat berkembang. Yang Berhormat Dato’ Speaker, DYMM Tuanku Raja Perlis telah menegaskan beberapa aspek pembangunan terutamanya dari segi perlancongan. Hakikatnya Perlis sudah mempunyai beberapa daya tarikan yang tidak perlu saya senaraikan di sini. Sewajarnya promosi perlancongan di Perlis tidak hanya dilakukan secara bermusim. Suka di sini untuk saya cadangkan agar inisiatif diambil oleh Kerajaan Negeri mempromosikan dan menjenamakan negeri Perlis sebagai destinasi percutian hujung minggu atau dalam erti kata lain sebagai destinasi dengan izin short escape bagi warga kota untuk berehat dan berjalan-jalan. Pastinya jumlah kemasukan pelancong akan berterusan sepanjang tahun dan tidak hanya pada musim-musim tertentu. Ditambah pula dengan tersedianya kemudahan pengangkutan keretapi berkelajuan tinggi ETS, pasti dapat memangkin lagi aktiviti pelancongan di negeri Perlis. Langkah seperti membuka kembali zon aliran bebas dengan izin free flow, Wang Kelian pasti akan mampu menjadikan negeri Perlis sebagai destinasi unik untuk dilawati. Saya amat yakin besar manfaatnya dari segi ekonomi untuk penduduk setempat secara khusus dan rakyat Perlis secara amnya. Dato’ Speaker, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah Yang Amat Berhormat Bintong kerana projek pembangunan komersial bercampur antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis dan Tabung Haji Properties Perlis Sdn. Bhd. bernilai RM311 juta telah memulakan kerja-kerja awal. Pastinya projek pembangunan tersebut bakal mengubah landskap Kuala Perlis sebagai bandar maritim dan pelancongan. Diharapkan agar projek tersebut terus berjalan lancar walaupun telah berlaku perubahan landskap politik di negara kita. Untuk makluman Dewan, lebih daripada 1 juta orang pelancong menggunakan Kuala Perlis sebagai pintu masuk utama ke Langkawi pada tahun 2017. Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil peluang ini untuk menjadikan Kuala Perlis sebagai bandar pelancongan. Walau bagaimanapun, amatlah mendukacitakan kerana sebuah bangunan konkos di bawah projek peningkatan kemudahan dan pelancongan di jeti Kuala Perlis sehingga ke hari ini masih belum dapat beroperasi seperti yang telah dirancang. Projek ini telah diletakkan di bawah seliaan JKR Perlis yang telah menelan belanja sebanyak RM5 juta pada awalnya dan tambahan sebanyak RM1 juta lagi apabila diserahkan kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan untuk projek adalah sebanyak RM6 juta ringgit. Berdasarkan rekod Kementerian, projek bermula pada Disember 2011 dan sepatutnya disiapkan pada Disember 2012. Walau bagaimanapun, projek ini mempunyai dengan izin Dato’ Speaker, seven extension of time dan two liquidated and ascertained damages atas kegagalan peroperasian projek ini telah ditegur dan diletakkan dalam kategori manfaat tertangguh. Amatlah tidak wajar sekali kemudahan sebegini di pintu masuk utama ke Langkawi berkeadaan sedemikian rupa. Dengan ini, saya menyarankan agar sewajarnya tindakan audit perlu dilakukan terhadap projek sakit ini untuk mengenal pasti punca kegagalan yang amat mendukacitakan ini. Dato’ Speaker, adalah mustahil negeri Perlis menarik pelaburan besar yang berimpak tinggi dan mampan sekiranya struktur penting seperti bekalan air masih seperti sekarang. Adakalanya air bewarna seperti kuah laksa. Kerajaan terdahulu telah mengumumkan pembinaan loji rawatan air di Tasoh yang berharga RM41.14 juta ringgit dan projek menangani non-revenue water dengan izin bernilai RM50.5 juta ringgit. Inisiatif Kerajaan Negeri perlu untuk memastikan projek-projek ini masih dapat terus dijalankan walaupun landskap politik negara telah berubah. Walau bagaimanapun, masalah bekalan air ini juga tidak akan dapat diselesaikan sekiranya sistem perpaipan lama tidak diganti supaya bekalan air bersih yang mencukupi dapat disalurkan kepada pengguna di seluruh negeri ini. Sistem perpaipan tersebut telah digunakan hampir 50 tahun selepas dipasang sekitar tahun 1960-an. Yang Berhormat Dato’ Speaker, setelah Syarikat Air Perlis dikorperatkan, pekerja kontrak Syarikat Air Perlis yang sebelum ini mendapat pakej pencen dengan izin sebagai pekerja JKR Air kemudian apabila dipindahkan kepada Syarikat Air Perlis mereka tidak tahu akan status mereka kerana pihak pengurusan Syarikat Air Perlis seakan tidak ambil peduli kepada hak mereka sedangkan mereka ini berkhidmat untuk satu tempoh yang lama semasa bersama JKR Air. Pihak Syarikat Air Perlis perlu memandang serius akan permasalahan ini kerana menurut pekerja-pekerja ini, ada sahaja tawaran kerja baru diberikan kepada kakitangan baru dengan pakej yang lebih baik untuk mereka nikmati. Saya memohon sekali lagi untuk pihak Syarikat Air Perlis menyelesaikan permasalahan pekerja-pekerja ini. Akhir kata saya mewakili rakyat Kuala Perlis menyokong penuh Titah Ucapan DYMM Tuanku Raja Perlis sempena Majlis Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis yang ke-14, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis. Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.

Assalammu`alaikum warahmatullahiwabarakatuh, Yang Berhormat Dato’ Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua hadirin yang ada dalam Dewan ini. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana kita diizinkan untuk bersama dalam penggal yang baru ini, Insya Allah. Pertamanya saya juga nak mengambil kesempatan yang ada ini untuk nak mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat termasuk Yang Berhormat Dato’ Speaker kerana dipilih sekali lagi untuk berada di dalam Dewan yang mulia ini. Apa pun pilihanraya kali ke-14 ini adalah satu pilihanraya yang cukup unik. Pernah saya berbincang dengan seorang sahabat dia kata keputusan pilihanraya kali yang ke-14 ini boleh tesis untuk dapatkan Phd. Perlis dengan Perlis dia, Kedah dengan Kedah dia dan Perak dengan Perak dan negeri-negeri yang lain. Kita di Perlis ni yang pertamanya saya nak sebut tentang Majlis Perbandaran. Majlis Perbandaran ni apabila kita letakkan deposit pilihanraya kita kepada SPR, dia juga turut mengenakan deposit pilihanraya. Satu daerah mengundi RM50. Jadi saya di Sanglang tu kena RM350. Ahli Parlimen lebih lagilah, RM1,500. Dia letak perkataan di situ deposit. Kemudian selepas pilihanraya, kita hadir untuk tuntut. Dia minta kita buat surat. Kemudian dia minta kita fotostat buku bank kononnya kita dengan harapan yang cukup tinggi nak dapat baliklah deposit. Tiba-tiba dimaklumkan apa ni… deposit untuk poster apa semua tu tidak dikembalikan. Jadi saya ingat untuk pilihanraya yang akan dating ni Bandaran kena tukar nama. Jangan letak deposit, deposit ni dia kena bagi balik tapi dia letakkan apa orang nak sebut… cagaran ka apa ka macamana bagi perkataan yang benda tu tak boleh dituntut. Tapi untuk kali ni saya minta Bandaran bagi balik sebab perkataan deposit tu dah jadi satu benda yang kena bagi balik, macam SPR bagi balik. Ha tu pasai pilihanraya lah. Dan kita Perlis ni juga dalam Dewan yang mulia ni dia cukup unik. Di pihak Kerajaan dia menjadi Kerajaan, dia juga jadi pembangkang di peringkat pusat. Di… tiga orang sahabat di sebelah Yang Berhormat di sebelah kiri, mereka pembangkang dalam DUN tetapi mereka adalah penyokong kepada Kerajaan Pusat. Kami dua, dua-dua bangkang. Yang Berhormat Tambun Tulang tiga-tiga dia bangkang. Jadi tu yang saya kata unik Dewan Undangan Negeri Perlis ni. Apa pun terima saranan daripada sahabat-sahabat Yang Berhormat daripada PKR bahawa kita kena jalinkan hubungan di antara pembangkang dan juga Kerajaan Negeri untuk kita bangunkan negeri Perlis ni supaya kita dapat menjaga kebajikan rakyat sepenuhnya. Dan ambil sempena ini juga, saya rasa ketiga-tiga wakil PKR ni sebut tentang pembangunan, pembangunan negeri. Pembangunan ka apa ka dia kena duit.

Duit ni macam almarhum Tok Guru Nik Aziz kata duit bukan segala-galanya tapi segala-galanya perlukan duit. Jadi saya harap, mengambil kesempatan ini, ketiga-tiga Yang Berhormat ni dia selain depa dok main peranan dalam negeri dia kena rajin pi pusat minta duit bawa balik. Saya rasa Yang Amat Berhormat Bintong setuju dengan saya. Kalau tak dak duit letih tapi inilah dugaan dan cubaan untuk Kerajaan Negeri pada kali yang ke-14 ini, Insya Allah. Kemudiannya saya nak sebut sedikit tentang permasalahan yang berlaku dalam DUN saya ni. Yang pertama sekali, sepertimana Yang Berhormat Kayang sebut tadi jalan-jalan kampung ni jalan ban, jalan bandaran, jalan apa ni… kadang-kadang terlalu lama tidak diturap semula, tidak dinaikkan taraf yang menyebabkan kesusahan kepada rakyat. Kalau dulunya dapat dinaiktaraf pun kalau tidak di tar semula naik taraf saja sudah mencukupi untuk memudahkan rakyat tu menggunakan jalan tersebut. Jalan di kampung ni dia ada banyak kategori dia. Ada yang bandaran buat, ada yang MADA buat, ada yang jabatan-jabatan lain yang bina dalam tu selain daripada JKR itu sendirilah. Jadi saya harap yang ni pihak Kerajaan kena tengok balik keperluan kepada membaiki jalan-jalan ni supaya dia lebih sempurna untuk digunakan oleh rakyat. Kemudiannya simpang empat yang ada dua di Sanglang tu lagi yang belum diadakan bulatan ataupun roundabout ni di Simpang Permatang Bongor dengan Simpang Sungai Padang la kampung saya tu. Kalau boleh pihak Kerajaan dapat adakan bulatan macam mana di Simpang Empat Sungai Berembang dan juga di Simpang Empat Bongor Kudong, yang saya rasa dia menyelesaikan cukup banyak masalah kemalangan yang berlaku walaupun dulunya disebut dijawab oleh pihak Kerajaan bahawa bulatan di Simpang Empat Sungai Padang tu sukar dibina sebab sungai. Saya kata tak jadi masalah kot jika sekiranya dilebarkan sedikit jalan tu, diletakkan prasarana lain supaya dia dapat menyelesaikan masalah kemalangan di situ. Kemudiannya saya nak sebut juga tentang Syarikat Air Perlis ni. Saya tak boleh bahasa baku ni, ayaq ja. Air, air tak jadi, eja air. Dok batang, ayer. Saya sebut senang terus lah Yang Berhormat Dato’ Speaker ayaq. Syarikat Air Perlis yang pertama dia, saya nak ucapkan terima kasih sebab jemput kami daripada sebelah pembangkang ni untuk bagi taklimat. Satu cara kaedah yang cukup baik daripada nak tanya banyak soalan, nak hentam banyak perkara yang tak diselesaikan oleh Syarikat Air Perlis ni dia sampai ke peringkat simpati. Jadi selamatlah pengarah dia. Banyak sangat paip-paip yang bocor kita report lambat dia ambil tindakan. Ada sampai dua tahun. Rakyat bagi tahu saya pi ambil gambar WhatsApp masuk apa semua tidak dibaiki. Apabila kita Tanya, dia kata kita tengok yang mana teruk dulu sebab peruntukan dia terlalu kecil. Keperluan…

Tuan Nurulhisham bin YaakobUMNO · BNSimpang Empat

YB nak tanya. Saya takut tak bayaq kot depa tak pi perbaik.

Yang Berhormat Simpang Empat, terima kasih. Dia bayaq selepas meter. Hat ni sebelum meter, boleh no? Terima kasih. Paip-paip jajaran paip-paip ayaq di Perlis ni perlu ditukar baru yang pertama. Yang kedua meter pun banyak yang nak kena tukar baru. Rumah pam di Sena, di Arau, di Tasoh kebanyakan dah terlalu uzur. Kalau tukar pam baru, pam kuat paip pecah. Jadi ni masalah yang ditanggung oleh Syarikat Air saya sebut sebab kami ditaklimatkan sebegitu. Jadi saya rasa Kerajaan Negeri kena buat sesuatu dengan bantuan daripada tiga orang Yang Berhormat PKR ni, masalah ayaq ni tidak boleh dipolitikkan sebab jika dia berlaku sesuatu, kesemua terlibat dalam bekalan ayaq ke rumah-rumah dan juga kesemua tempat. Sebab tu dalam salah satu soalan lisan saya, saya nak minta senarai jabatan Kerajaan ataupun badan-badan yang terlibat dengan Kerajaan yang hutang dengan Syarikat Air ni, RM39 juta, pengguna berhutang dengan Syarikat Air. RM9 juta tak boleh kesan dah. Bagi kita orang Islam, bila berhutang mati roh dia tidak dibawa naik ke langit. Kacau la bila roh tak naik ke langit tak diterima sebab hutang. Mati syahid pun tak boleh masuk syurga apa nak jadi? Naik langit tak boleh, turun ke bumi tak sampai, duduk atas pokok jadi hantu raya. YB Simpang Empat lalu mengusik. (Dewan ketawa) Minta maaf YB Simpang Empat. Jadi saya rasa yang ni perlukan kerjasama daripada semua pihak sepenuhnya khususnya daripada Jabatan Mufti. Jabatan Mufti ni sepatutnya bila rakyat ni terlampau banyak sangat hutang tak mau bayaq, nak mandi pun ayaq berhutang, nak mandi wajib pun berhutang, nak mandi jenazah pun berhutang, semua hutang yang mati dalam keadaan berhutang, apakah Jabatan Mufti ni tak boleh tengok benda ni dan jadikan dia teks khutbah sebulan, empat kali. Empat kali khutbah tu cerita bab hutang. Kalau mati tak boleh masuk syurga. Roh kita tergantung…

Tuan Nurulhisham bin YaakobUMNO · BNSimpang Empat

YB nak tanya. Pasai YB dapat free kot ayaq ni pasai tengok lobi baik.

Free apa saya dulu dok kempen orang jangan bayar, saya pun berhutang. Tapi dah lepas dengar taklimat, saya pi bayar (YB ketawa) Saya tak tau la kot Yang Berhormat Simpang Empat dapat free nak bagi kat saya sama. Jadi saya ingat yang ni keperluan ni kena. Kalau sekiranya rakyat ni dan juga jabatan-jabatan Kerajaan yang berhutang sampai RM39 juta ni dapat selesai, saya rasa sekurang-kurangnya boleh diperelokkan sikit prasarana untuk Syarikat Air ni nak buat kerja. Sampai dimaklumkan kepada kami tidak ada kenderaan untuk penguatkuasa ni nak pi potong ayaq di rumah. Pakai naik motor. Penguatkuasa naik motor nak pi potong meter ayaq. Saya rasa kalau orang kampung angkat cangkul tak dan start motor. Tak dan start motor nak lari. Jadi masalah. Jadi saya ingat yang ni saya perihatin sungguhlah sebab Syarikat Air ni, bekalan ayaq ni dia melibatkan kesemua kita tak kira siapa saja. Tu berkenaan dengan ayaq lah. Kemudian saya pun tak tau sama ada JKKK di kampung ni ada lagi ataupun tak dak. Kalau negeri-negeri lain yang diperintah oleh Pakatan Harapan, JKKK ni dia mansuh dah. Kita di Perlis ni kalau dari segi kemampuan nak bayar gaji, saya lebih baik kita pun turut mansuh dan kita perkasakan imam-imam ni. Nak cop surat ka, nak buat pengesahan bantuan baitulmal ka, kita pakai imam kita tak payah pakai JKKK. Kalau tak pakai imam, JKKK pun tak dak, teruk juga wakil rakyat. Dia beratur siang malam, dia nak suruh wakil rakyat sign. Jadi kita harap untuk nak jimatkan duit ni, boleh gunakan untuk yang lain ataupun JKKK ni dia berkhidmat apabila ada kerja, baru ada elaun. Dia buat macam tu. Kena ada juga JKKK ni pun. Kalau tak dak, teruk juga saya. Tak dak siapa nak berkelahi, Yang Berhormat Simpang Empat no? Seronok. Kemudian yang satu lagi sistem perparitan. Yang ni saya nak sebut di Tanah Timbul, Kuala Sanglang. Orang kampung dia tu semua mai jumpa dengan saya, saya kata dulu Kerajaan dah buat. Tapi ada orang Kampung Tanah Timbul dia tak mau bagi tanah dia, jadi dia sekerat. Walaupun sekerat orang Kampung Tanah Timbul kata, dia membantu sebenarnya pengaliran ayaq di kampung tu apabila hujan lebat. Apabila ayaq laut pasang. La ni parit tu dah terkambus dah. Bila terkambus dia selalu berlaku takungan ayaq yang menyebabkan masalah banyaklah sampah dan sebagainya yang berlaku di situ. Jadi saya ingat yang ni Kerajaan kena ambil tindakan supaya kesempurnaan penduduk Tanah Timbul tu dari segi pembiakan penyakit, nyamuk dan sebagainya dapat diselesaikan sedikit sebanyak. Kemudiannya Yang Berhormat Dato’ Speaker saya nak sentuh juga tentang IPG Perlis ni, Institut Perguruan Perlis. Kita dulu dalam kerajaan pusat tu Barisan Nasional kita dimaklumkan bahawa kita nak tukar dah IPG ni jadi kolej ataupun Politeknik ataupun Kolej Vokasional kita tak pasti. Tetapi maklumat yang terkini saya dapat, siapa pun tak mau IPG Perlis ni, siapa pun tak mau. Politeknik pun tak mau, Kolej Vokasional pun tak mau, itu maklumat yang saya dapat. Apa ni… kalau boleh kita Kerajaan Negeri ni dah sampai peringkat macam ni, diserah balik kepada Institut Perguruan Guru, kita pertahankan yang ni supaya satu Institusi Pengajian Tinggi yang ada di Perlis ni tidak dimansuhkan oleh Kerajaan Pusat, kerajaan baru ni. Yang ni harapan cukup tinggi. Saya bukan ada apa-apa kepentingan. Cuma kita harap negeri Perlis ni dulu kita isytihar sebagai negeri ilmu, ada pusat pengajian tinggi yang pelbagai seni yang boleh membantu meningkatkan ekonomi rakyat dengan perniagaan dan macam-macam dan tiba-tiba kita nak tutup. Kita ada satu saja kalau MPSAH tu di Sultan Abdul Halim di Sungai Petani d tutup, dia ada satu lagi di Jitra. Tapi kita ada satu saja di Perlis. Jadi saya minta sungguhlah bahawa Kerajaan Negeri mainkan peranan yang sungguh-sungguh supaya IPG ini dipertahankan. Itu maklumat yang saya dapat tu saya rasa sahih dah tu. Mana-mana institut lain semua tak mau ambil IPG Perlis supaya dia hantar balik pelajar dan diteruskan IPG ni di negeri Perlis. Kemudian sukan bolasepak ni lah. Memanglah kita di Perlis ni sepertimana Yang Berhormat Kayang sebut tadi. Kita bantu bagi percuma sana sini. Saya rasa tidak mencukupi sebab persatuan di negeri Perlis ni siapa lah sangat yang nak jadi penaja kepada pasukan bola sepak kita. Dia lebih banyak bergantung harapan kepada Kerajaan Negeri lah. Kalau kita sampai peringkat nak bantu sukan utama negeri kita ni Perlis, sukan utama negara kita Malaysia sukan bola sepak ni pun tak boleh, saya rasa kita cadangkan supaya Persatuan Bola Sepak Perlis ni bubarlah ataupun keluar daripada Persatuan Bolasepak Malaysia. Kita tak payah ada langsung team. Daripada ada tak sempurna. Saya ingat la ni turun pi liga apa liga bawah sekali liga apa, Perdana? FAM. Liga FAM ni daripada johan Piala Malaysia, dulu johan apa semua tiba-tiba pi duduk dalam liga FAM, turun liga premier, liga Perdana dan liga FAM. Kita pun bukan apa persatuan nak bayar dengan duit tiket. Saya ingat penonton ada 15 orang kot. Tu pun orang jaga pintu suruh masuk gitu. Tak ambil duit tak padan, nak cetak tiket. Jadi kita harap Kerajaan Negeri dapat buat sesuatu ataupun nasihat persatuan ni supaya rombak perlembagaan tu supaya automatik presiden dia Menteri Besar, AJK dia Exco, senang. Exco semua jadi Jawatankuasa Persatuan Bolasepak Negeri. Presiden dia MB. Ha senanglah semua buat mesyuarat Exco hari Rabu, lulus saja peruntukan. Kalau nak ambil orang lain pun payah juga tak dak duit, ha jadi senang. Saya ingat Yang Berhormat Tambun Tulang setuju sebab dia dulu pernah pegang persatuan bola sepak ni lama. Tu tentang bola sepak dan sukan-sukan lain pun serupa juga. Kita cari sukan yang tak banyak belanja. Kalau sekiranya kita tak dak kemampuan juga dari segi kewangan, kita tarik diri daripada SUKMA. SUKMA pun tak payah hantaq. Pemain-pemain kita, atlet-atlet kita ni kita hantar pi negeri lain. Yang mana dok kayuh basikal tu dapat johan apa semua tu, kita hantar pi negeri lain. Orang lain mau. Kita lepas buang. Jadi kita tak payah belanja daripada buat kerja ala kadar, lebih baik kita tarik diri. Yang akhir sekali saya nak sebut tentang Jabatan Agama Islam Perlis ini lah. Sekarang ni dia dalam proses mesyuarat agong masjid-masjid. Masjid-masjid ni diarahkan supaya lantik jawatankuasa dalam mesyuarat agong tu 4 orang ka? Hat yang selebihnya tu serah dekat Jabatan Agama. Saya rasa satu benda yang tak berapa munasabah la sekiranya jawatan-jawatan yang utama dalam masjid tu dilantik oleh Jabatan Agama sedangkan orang yang dilantik itu adakah disukai oleh anak Jemaah ataupun tidak. Ataupun orang lain terus yang jadi pengerusi, yang jadi bendahari, setiausaha masjid ni sedangkan AJK yang 4 orang ni memang selayaknya dia jadi pengerusi dan setiausaha bendahari tapi tidak diberi peluang untuk mereka ni nak mentadbir urus masjid mereka sendiri. Jadi saya ingat yang ni Jabatan Agama Islam dia kena tengok balik lah. Sampai di sebelah saya tu depa kata tak payah dok hadir lah mesyuarat agong ha dia jadi gitu sebab semua jawatan-jawatan penting tu akan diatur oleh Jabatan Agama. Kita ni dilantik yang bawah-bawah ni saja. Jadi kita sendiri tak boleh nak tadbir urus masjid ni. Kalau Jabatan Agama tu lantik daripada orang tempatan pun kadang-kadang dia tak kena orang masjid. Dia kena orang yang jarang pi masjid. Lepas tu dia pi dok audit duit masjid pulak. Dia jadi benda ni dia jadi tidak harmoninya penduduk dalam kampung tu sendiri lah. Jadi saya harap sangat perkara-perkara yang saya sebut ni dapat diambil tindakan oleh pihak Kerajaan dan saya amat setuju dengan ucapan daripada tiga orang sahabat kita ni, saya rasa hebat lah. Dia ada teks ucapan dia, orang baru. Sampai saya dok tunggu tengok nak celah tak boleh nak celah. Makna kata satu ucapan yang cukup baik lah. Cumanya semua dok sebut tentang pembangunan, pelancongan, yang memerlukan dana yang banyak seperti saya sebut tadi, mereka kena bantulah supaya kita di negeri Perlis ni dapat membangun seiring dengan negeri-negeri yang lain dan kita jangan lupa juga bahawa kita kena terapkan tatasusila yang elok di kalangan rakyat. Jangan kita kira dok nak membangun sahaja sampai kita punya rakyat tidak ada tatasusila yang elok. Nak terima pelancong daripada luar kalau kita nak jadikan Perlis ni negeri pelancongan, ha tidak begitu sempurna sambutan kita terhadap pelancong yang mai. Begitu juga dengan sikap orang-orang kampung kita ni yang buang sampah merata-rata tidak menentu yang menyebabkan Perlis ni menjadi negeri yang tidak bersih sepertimana yang saya sebut dalam sungai, persisiran pantai. Kalau kita lalu berlonggok-longgok sampah. Kalau macam Yang Berhormat Titi Tinggi sebut nak gotong-royong nak bawa budak sekolah pi kutip, kalau sampah yang biasa-biasa, botol bekas minuman tu boleh lah. Ni dengan pampers apa semua sekali. Budak-budak nak pegang pun tak gamak. Kalau pampers budak-budak boleh tahan lagi. Pampers orang tua-tua pun ada, yang uzur-uzur tu. Kita tak boleh nak ajak budak-budak sekolah ni buat gotong-royong sampai ke tempat yang peringkat macam tu. Kita boleh buat gotong-royong ajak anak-anak sekolah ni sekadar kita buat gotong-royong nak mendidik untuk depa jaga kebersihan kutip sikit-sikit, bersih kawasan permainan sikit-sikit, tu boleh lah. Tapi kalau nak pi persisiran pantai, tebing-tebing sungai nak buang sampah macam tu saya rasa kita tak boleh buat sampai macam tu lah dekat anak-anak kita di sekolah. Semata-mata kita nak bagi Perlis kita ni bersih. Kita buat gotong-royong yang mudah-mudah untuk mendidik mereka cara buang sampah tapi jangan sampai tempat-tempat yang terlampau teruk ni. Yang ni saya rasa perlulah dan saya setuju juga dengan saranan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, kita tak boleh nak bagi bantuan kepada rakyat Perlis ni sampai ke peringkat mereka tak boleh nak berdikari. Semata-mata nak harap bantuan daripada macam-macam institusi. Baitulmal lah, tiga bulan sekali mesti isi borang kuning. Nak ambil duit yang disumbangkan oleh Baitulmal. Memanglah itu hak tapi kalau sampai peringkat tak mau buat kerja, dok tunggu nak isi borang saja, rumah roboh kena ribut empat keping atap pun nak tunggu Baitulmal, nak tunggu Jabatan Kebajikan Masyaraka. Ada duit pun tak mau tukaq. Nak buat benda lain. Ini adalah suatu benda yang saya rasa pihak Kerajaan kena didik batul-betul…

Tuan Nurulhisham bin YaakobUMNO · BNSimpang Empat

YB, nak tanya. Kawasan mana yang teruk sangat tu?

Simpang Empat. (Dewan ketawa) Sebab ribut tu dia mai Simpang Empat dulu baru jumpa dengan Sanglang.

Tuan Nurulhisham bin YaakobUMNO · BNSimpang Empat

Dia pasal dia kira ni kot... ketua PAS. (Dewan ketawa)

Dia tak pernah sebut ketua PAS. Dia tau kata PAS ni bukan Kerajaan, tak dak duit. Dia dok sebut YB Sham Simpang Empat. Tak pernah mai tengok dia kata pertanian. Kami kawasan MADA ni, ayaq tak dak…

Speaker

Yang Berhormat, Yang Berhormat dah terlanjur waktu dah, hebat Yang Berhormat sekarang.

Saya ambil yang sahabat saya tadi kurang banyak Yang Berhormat Dato’ Speaker.

Speaker

Ada pakatan kot. Boleh ambil masa lebih sikit.

Boleh, boleh berpakat. Insya Allah.

Speaker

Saya bagi tiga minit lagi Yang Berhormat.

Boleh, tak sampai dah. Seminit lagi. Jadi saya nak minta maaf dan saya nak ucap tahniah sekali lagi. Saya Yang Berhormat Sanglang menjunjung kasih dan menyokong penuh ucapan yang disampaikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan segala saranan yang disampaikan oleh Tuanku tu adalah cukup amat baik untuk kita laksanakan dalam negeri kita ni. Wallahhu`alam, assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Sanglang, dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.

Tuan Mohd Ridzuan bin HashimPAS · PNGuar Sanji

Bismillahirrahmannirrahim, assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahirabbil alamin, wassala tiwassalam mu ala rasulil amin wa ala alihi waashabihi ajma`in. Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan, Ahli-ahli Yang Berhormat, salam Perlis, salam Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Alhamdulillah syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala kerana memberi kesempatan kepada kita untuk berada dalam Dewan yang mulia ini bagi melunaskan tanggungjawab membawa suara dan hasrat rakyat yang telah memilih kita dalam PRU yang ke-14. Izinkan saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua ahli Yang Berhormat di atas perbahasan yang dikira cukup matang dan sejahtera dan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat DUN Guar Sanji yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa suara-suara Islam dan juga suara rakyat sekalian. Menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan Institusi Raja. Pada pagi ini, saya ucapan perbahasan saya akan menyentuh tiga perkara. Pertama, budaya politik matang dan sejahtera, BPMS. Kedua, pendidikan dan tarbiyah kepada rakyat dan yang ketiga dakwah secara menyeluruh kepada anak muda. Tuan Yang Dipertua, pertamanya saya ingin menyatakan… maaf Tuan Dato’ Speaker, Yang Berhormat Dato’ Speaker maaf. Pertamanya saya ingin menyatakan ucapan tahniah kepada Duli Yang Maha Tuanku Raja Perlis kerana berjaya merungkaikan kekusutan politik yang berlaku selepas Pilihanraya Umum yang ke-14 dengan begitu baik dan bijaksana. Dikala kekuasaan politik bermaharaja lela di sana terdapat Institusi DiRaja yang memikirkan kesejahteraan rakyat yang lebih daripada kuasa politik. Saya mengambil, mengingatkan kepada seluruh rakyat Perlis untuk sama-sama kita menghormati Institusi DiRaja berdasarkan konsep Raja berpelembagaan. Ini menunjukkan kekuatan selaku rakyat Malaysia apabila rakyat dan Raja berpisah tiada. Berdasarkan ayat suratun Nisa’ 59, waatiallah waatiurasul waulilamriminkum waulilamriminkum faintanaza’tum fisain fardhuiilallah hiwasarul yang bermaksud taatilah Allah, taatilah Rasulnya dan ulil amri di antara kamu. Allah mengingatkan kita supaya mentaati Allah dan Rasul dengan mengikut segala perintahNya daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah mentadbir sebuah Negara. Kemudian Allah juga mengingatkan kita supaya mentaati pemimpin selagi mana tidak melanggar syariat yang ditetapkan. Saya rasa terkilan dengan sikap mantan Menteri Besar Perlis yang cuba mencabar Institusi DiRaja demi kepentingan politik. Sepatutnya hal ini tidak berlaku dan saya harap tiada Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersikap sedemikian pada masa akan datang. Kita diperhatikan dan dinilai oleh rakyat yang memilih kita. Budaya politik matang sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Speaker, suka untuk saya kongsikan di dalam Dewan yang mulia ini satu gagasan yang dibawa oleh PAS yang saya kira kita amalkan bersama iaitu budaya politik matang dan sejahtera, BPMS. BPMS adalah sebuah budaya politik yang mengutamakan kematangan semua pihak dalam membuat keputusan dan tindakan yang seterusnya membawa kepada kesejahteraan kehidupan seluruh masyarakat di negara ini. BPMS juga mempunyai dua bahagian utama iaitu matang dan sejahtera yang mengandungi 7 ciri kesemuanya. Pertama, politik bertunjangkan kepada prinsip yang berteraskan kepada Al-Quran dan juga Sunnah dan keputusannya selari dengan syarak bukan politik yang menghalalkan cara untuk kepentingan parti dan juga individu. Kedua, politik dakwah dan al-amru bial-makruf wa an-nahyi 'an al-munkar, politik yang menyuruh kepada kebaikan dalam masa yang sama mencegah kepada kemungkaran. Ketiga, politik penyelesaian berteraskan kepada Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wataala yang merangkumi segala kehidupan kita yang perlu kita ambil selaku orang Islam. Keempat, politik utamakan rakyat yang utamakan rakyat. Kelima, politik damai dan diplomasi. Keenam, politik kebenaran bukan persepsi dan yang ketujuh, politik rasional dan profesional. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Kerajaan Negeri Perlis perlu mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dikala Kerajaan Negeri hari ini dipimpin oleh Barisan Nasional dan Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh Pakatan Harapan demi kepentingan rakyat Perlis, saya menyeru supaya Kerajaan Negeri mengambil sikap damai diplomasi terhadap Kerajaan Persekutuan. Ketepikan fahaman politik yang melampau dan terlalu taksub kepada politik sehingga merugikan rakyat. Jangan malu-malu dan jangan segan-segan untuk menjalinkan hubungan antara negeri dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Perlis perlu menjadi model pentadbiran yang lebih matang dan sejahtera. Kita lihat contoh Kerajaan Negeri Terengganu, telah menjalinkan hubungan dua hala dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menuntut royalti minyak dan Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu dapat berbincang bersama-sama Kerajaan Persekutuan dalam isu yang sama. Hal ini menunjukkan kematangan politik dalam pentadbiran. Kedua, pendidikan dan tarbiyah kepada rakyat. Yang berhormat Dato’ Speaker, dakwah sentiasa menjadi eleman yang penting kepada pembinaan generasi. Kita mahukan supaya generasi pemuda Perlis sentiasa berpegang kepada acuan Islam berpegang kepada Islam sebagai ad-din bukannya sebagai religion yang ditafsirkan oleh sebahagian pihak. Ulang, berpegang kepada Islam sebagai ad-din bukannya sebagai religion yang ditafsirkan oleh sebahagian pihak. Gejala sosial… maaf pendidikan merupakan elemen yang penting dalam membina sesebuah negeri mahupun negara. Pendidikan adalah teras pembinaan generasi masa hadapan. Saidina Ali pernah menyebut syubbanul yaum rijalul ghod iaitu nak lihat kepada pemimpin masa hadapan, lihatlah kepada pemuda hari ini. Jadi kepentingan bidang pendidikan kepada rakyat adalah dapat melahirkan rakyat berilmu. Maka kehidupan rakyat akan menjadi lebih baik. Maka Kerajaan Negeri Perlis perlu meletakkan pendidikan sebagai keutamaan dalam dasar Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri Perlis juga perlu memartabatkan Pendidikan Islam di kalangan masyarakat supaya rakyat negeri Perlis sekurang-kurangnya mempunyai asas Pendidikan Islam. Saya memuji penganjuran perkampungn Sunnah. Usaha murni yang dilakukan oleh Jabatan Mufti dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis, MAIPs dan Jabatan Agama Islam Negeri Perlis, JAIPs dan saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memperbanyakkan penerangan asas Islam kepada golongan pemuda supaya anak muda tidak hanyut dalam kehidupan mereka terutama anak muda yang berada di pendalaman kampung. ang ketiga dakwah secara menyeluruh kepada anak muda. Yang Berhormat Dato’ Speaker, dakwah sentiasa menjadi elemen penting kepada pembinaan generasi. Kita mahukan supaya generasi pemuda Perlis sentiasa berpegang kepada acuan Islam, berpegang kepada Islam sebagai ad-din bukan hanya Islam sebagai religion yang ditafsirkan oleh sebahagian pihak. Gejala sosial semakin hari semakin menekan generasi muda. Masalah anak muda yang terlibat dengan ketum dan ice menjadi kebimbangan kita bersama. Perkara ini perlu diutamakan.

Seandainya tidak dibendung awal maka ianya akan menjadi barah dalam masyarakat kita dan kita mendapati gejala ini semakin berleluasa dan parah. Pemantauan Kerajaan secara berkesan amat diharapkan. Kita juga sering dengar akibat daripada bahana dadah dan ketum ini menyebabkan keselamatan institusi masyarakat dan kekeluargaan tergugat. Selain itu, pergaulan bebas di kalangan anak muda perlu dititik beratkan. Jika dilihat pada malam hari di Kuala Perlis anak-anak muda berpeleseran lelaki dan perempuan tanpa rasa segan dan silu. Kerajaan Negeri Kelantan, kita melihat Kerajaan Negeri Kelantan akan menguatkuasakan penduduk beragama Islam membonceng motosikal dengan bukan mahram serta berkeliaran pada waktu Maghrib di bawah undang-undang kecil taman Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam. Undang-undang ini bukanlah sebenarnya bertujuan menghalang anak muda tetapi sebagai langkah berjaga-jaga had pergaulan bebas di kalangan anak muda Perlis. Dato’ Yang Berhormat Speaker, seterusnya berkaitan dengan isu di tempat saya, Guar Sanji. Ada beberapa perkara yang saya nak sebut di dalam Dewan yang mulia ini. Pertama sekali berkaitan dengan tekanan air yang terlalu perlahan di Kampung Paloh, na? Diceritakan kepada saya baru-baru ini sampai berlaku kesulitan dalam menguruskan jenazah orang di sana. Jadi benda ni lama dan kita sedia maklum di Dewan yang mulia ini dah mempunyai maklumat berkaitan tekanan air yang sederhana dan slow di sana, kita mohon kepada pihak yang berkaitan untuk mengambil tindakan. Kedua, berkaitan dengan banjir disebabkan sebak air di Sungai Jelempok dan perkara ini saya difahamkan telah diambil tindakan namun terhenti terbengkalai, di tengah-tengah jalan. Ada projek tapi projek tu terhenti entah bila pula nak disambung. Jadi saya harapkan projek ini diteruskan untuk mendalam dan meluaskan Sungai Jelempok yang alir air daripada Jelempok terus ke apa nama… Kodiang. Jadi harap kepada pihak yang terbabit mengambil tindakan agar meneruskan projek yang telah pun kita tetapkan dalam Dewan yang mulia ini. Akhir sekali saya menyokong penuh titah DYMM Tuanku dalam ucapan perasmian kelmarin sekian terima kasih, assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji, dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Bismillahirahmanirrahim, assalamm`ualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Alhamdulillah, Alhamdulillahirabbil alamin wassala tiwassala murala asrafil iwalmursalim warala alihi wasahbihi ajmarin walhamdulillah hirabilalamin. Yang saya kasihi Yang Berhormat Dato’ Speaker, rakan-rakan Yang Berhormat, Pengarah-pengarah, wakil-wakil Jabatan, wartawan, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang hadir sebagai pemerhati yang saya hormati dan kasihi sekalian. Terlebih dahulu Dato’ Speaker tahniah kerana telah dilantik bagi kali kedua untuk menganggotai mengetuai sidang DUN selama lagi lima tahun di Dewan yang mulia ini. Di sini… sebelum tu saya bagi pihak pengundi-pengundi Tambun Tulang, menzahirkan ucapan terima kasih di atas kehadiran DUli Yang Maha Mulia Tuanku dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Raja Puan Muda ke Dewan yang berbahagia ini untuk merasmikan persidangan Dewan bagi kali ke-14 yang dilaksanakan kelmarin dan Tuanku juga telah sudi menyampaikan Titah Ucapan yang mengandungi semua perkara berhubung dengan kedudukan negeri Perlis yang kita cintai ini. Cuma di sini Dato’ Speaker ada satu perkara yang kita nak kongsi kepada adik-adik dan rakan-rakan baru yang masuk ke Dewan. Takpa lah kita bermula dengan membaca teks. Itu normal, perkara biasa tapi Dato’ Speaker juga sudah melalui sesi perubahan selama 5 tahun pengalaman yang saya ingat cukup besar. Cuma cuba kita bawa kerana kita lihat dari segi DUN kita ni, kalau nak kita bandingkan dengan Parlimen, negara-negara kecil, kita rasa kita DUN ni antara yang terhebat dari segi fasilitas, dari segi kedudukan infra yang disediakan. Kalau kita ambil contoh Parlimen yang lebih besar sebuah negara seperti United Kingdom,

Westminster dia tak ada tempat duduk. Siapa mai awal, beratur duduk, dia ada tempat bercakap rostrum hanya satu dan dari situ mereka memutuskan dasar dan negara mereka bersidang sepanjang tahun. Kita dapat fasiliti yang macam ni semua orang boleh duduk dan ada nama tak boleh tukar tempat. Itu di antara kita yang hebat. Cuma saya minta Dato’ Speaker wujudkan satu doktrin DUN yang orang kata lively, hidup dengan izin. Saya daripada dulu saya menjadi Ahli Parlimen saya sering mengatakan perkara ini kepada Tuan Yang Dipertua Dewan. Perbahasan di Dewan sepatutnya tidak boleh… dia ada dalam Peraturan Dewan pun tidak boleh baca teks. Ini adik-adik Yang Berhormat ni kena balik mengaji sikit lah buat right homework. Baca teks ini as a reference only, hanya sebagai rujukan. Baru dinamakan sidang. Sidang ini bermakna perdebatan. Macam di sini, pembangkang bertanya, Kerajaan jawab. Makna kena menguasai semua knowledge ilmu dan subject matter tambah Yang Amat Berhormat Bintong, dia kena menguasai semualah, setiap inci di bumi Perlis ini, dia kena tahu semua. Kalau dia nak refer kepada angka, dia kena refer kepada angka. Doktrin ini kita tidak wujud di Parlimen pun banyak yang baca teks terutamanya orang yang kurang fasih dalam Bahasa Melayu, YB Titi Tinggi. Kita nak minta doktrin ini kita tukar, kalau prosedur ini kita tak buat, bila kita nak mula Dato’ Speaker? Bila kita nak mulakan perkara ini? Bukan tak boleh… Ustaz Ridzuan tak apalah kita bagi dia orang baru jadi… tapi lama kelamaan mereka belajar melalui proses-proses ini. Jadikan sidang Dewan begitu hebat. Baru seronok. Ini kita daripada tadi urutan sequence yang berlaku deretan mendatar sahaja. Tak dak high pitch, tak dak low pitch. Begitu ja mendatar. Akhirnya tak seronok, boring ja. Tambah orang macam saya duduk di tiga Dewan. Pernah di Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Negeri. Begitulah pengalaman-pengalaman itu menjadikan kita dalam sesuatu yang boleh kita kongsi bersama. Jadi, itu sekadar perkongsian. Kalau Dato’ Speaker rasa bersesuaian untuk kita bawa dalam konteks perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri pada hari ini, itu merupakan yang terbaik. Tapi kalau rasa kita nak menggunakan, meneruskan kaedah lama juga, kita tidak ada masalah apa-apa. Pertama sekali saya Dato’ Speaker, mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia tuan-tuan Pengarah Jabatan kerana dalam sesi lepas, dalam Pilihanraya Umum ke-13, banyak perkara yang kita bangkitkan di Dewan terutamanya di kawasan saya di DUN Tambun Tulang telah pun dilaksanakan dengan jayanya, beberapa jalan yang merbahaya, lampu-lampu jalan di Jalan Mata Ayer dan sebagainya malah di Jalan Mata Ayer dah jadi macam lebuhraya. Start daripada simpang sampai ke stesen keretapi sana dah diterangi dengan lampu. Makna kata anak-anak sekolah, keselamatan sebagaimana saya bangkitkan dulu ini tidak akan berlaku lagi. Begitu juga di Jalan Alor Redis iaitu kawasan yang dekat dengan persimpangan Kampung Siam telah pun dibesarkan, telah dibuat pengambilan tanah dan Alhamdulillah dalam sekarang construction in progress dengan izin, semuanya berjalan dengan lancar. Makna kata pengarah-pengarah Jabatan telah mengambil maklum semua perkara yang dibangkitkan dan telah dilaksanakan mengikut keperluan dan ketentuan dengan constraint budget dan sebagainya. Yang Berhormat Dato’ Speaker, pertama sekali saya nak bangkitkan tentang anak-anak Syarikat yang bernaung di bawah Yayasan di bawah Kerajaan Negeri Perlis termasuklah Perbadanan, Yayasan Islam dan mana-mana sekali pun lah. Saya nak tanya tentang projek-projek yang telah diusahakan, yang dibuat, yang kita initiate pembangunan, apa-apa saja bekalan dan lain-lain lah. Saya tengok banyak benda yang kita laksanakan dibawah kedua-dua agensi yang saya sebutkan tadi kebanyakan kita outsource kepada pihak luar kerana sepatutnya macam Yayasan dan Perbadanan ni merupakan agensi yang dah tahan lasak dan lama dan mempunyai pengalaman yang cukup luas. Sepatutnya benda-benda macam pelaksanaan projek harumanis semua ni tak perlu kita outsource lah. Kalau kita tak outsource, keuntungan yang pertama dia kalau kita… dia akan berbalik kepada kita semua, tak payah share dengan pihak lain. Yang kedua kita membanyakkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Perlis dan Perlis ni memang kita sedia maklum negeri kita dah kurang… Jadi di sinilah ada peluang untuk anak-anak kita tumpang cari makan dalam mempertingkatkan sosio ekonomi mereka. Begitu juga saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan berhubung dengan kuari tanah dan batu yang diusahakan oleh Yayasan Islam Perlis. Adakah dia juga dilaksanakan dengan secara outsource dengan meminimakan keuntungan yang diperolehi atau pun dibuat sendiri oleh pihak Yayasan dan juga tanah-tanah Yayasan yang sedia ada dari segi status terkini, bagaimana kedudukannya? Bagaimana ianya dibiarkan dibangun, disewa ataupun masih menjadi punca pendapatan utama kepada Yayasan Islam Negeri Perlis. Seterusnya Dato’ Speaker, tentang projek-projek yang dilaksanakan di peringkat negeri. Ini tak termasuk sekolah sukan yang sepatutnya menjadi ikon sukan kita dalam 10 tahun yang lalu tetapi sekarang masih diklasifikasikan sebagai projek sakit dan kebetulan Yang Amat Berhormat Bintong pun bangkitkan itu tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Negeri. Kita hanya membuat pengambilan tanah, itu adalah berkaitan dengan Kerajaan Pusat. Tapi yang menyedihkan Dato’ Speaker, 2 projek negeri Perlis ni mengalami perkara yang sama. Satu dalam kawasan Pauh iaitu MRSM. Saya ingat melalui siri-siri tender semula sampai tiga empat kali dan Alhamdulillah sekarang baru disiapkan dan Sekolah Sukan juga mengalami perkara yang sama. Jadi dalam hal ini saya ingat Yang Amat Berhormat Bintong boleh memohon kepada Kerajaan Pusat untuk melihat kerana kita lebih dekat dengan projek berkenaan dan sudah ada pun satu contoh terdahulu iaitu yang berlaku pada MRSM Pauh, pertukaran kontraktor yang tidak berhenti, yang boleh menyebabkan kenaikan dalam kos pembinaan. Yang benda ni kita tak galakkan malahan Kerajaan baru Pakatan Harapan pun sebaik sahaja mereka berjaya menubuhkan Kerajaan, mereka telah membuat dasar tender terbuka dan sebagainya. Jadi kita boleh sebagai agensi pelaksana JKR Perlis, saya fikir JKR Perlis tidak terlalu sibuk untuk nak apa… mengawal selia satu projek sekolah sukan yang localized, terletak di situ, bukan scattered mana-mana untuk memantau progress hari demi hari. Jadi tak mungkin ada penyelewangan disebalik tu mungkin kita boleh minta Suruhanjaya Anti Rasuah supaya menyiasat kenapa terlalu lama projek sekolah sukan itu terbiar dan berlaku apa… satu keadaan yang tidak diingini dan yang mencemarkan imej kita, Kerajaan Negeri Perlis kerana kadang-kadang satu projek tu kita kena selesaikan pengambilan tanah dahulu Dato’ Speaker. Kalau kita tidak selesai pengambilan tanah kita terus buat projek LA dikeluarkan dan kontraktor masuk site kerana nanti dihujung ni, Insya Allah kita beranggapan akan selesai. Dia berlaku pada projek MUDA 2 di Tambun Tulang sama ja. Sampai-sampai diakhirnya kita tidak dapat kontraktor dah tamat tempoh, projek tidak disiapkan, kita tak dapat terminate syarikat berkenaan kerana alasannya dia bagi Kerajaan Negeri yang salah kerana pengambilan tidak diselesaikan sampai sekarang. Jadi benda macam tu berterusan sebab di masa akan datang saya minta Kerajaan Negeri selesaikan secara total pengambilan tanah dan diakhirnya bila kontrak kita dah, kalau berlaku projek sakit, mereka tidak ikut progress seperti yang dipersetujui bersama maka kita boleh kenakan tindakan undang-undang kepada mereka. Yang Berhormat Dato’ Speaker, tentang saya sekali lagi nak bangkitkan berapa kali tentang kedudukan Padang Besar. Saya ingin bertanya Yang Amat Berhormat Bintong, dalam perancangan kita, adakah menjadi keperluan kerana Padang Besar ni kita dah ada segala-galanya. Cuma menanti masa untuk diadunkan menjadi satu hub perdagangan yang terbesar dan terbaik di kawasan utara. Saya ingin bertanya Yang Amat Berhormat, adakah dalam keadaan hari ini kita telah pun membuat permohonan untuk menjadi zon perdagangan bebas bagi kawasan-kawasan tertentu di zon Padang Besar dan apakah kedudukan ICD ataupun Inland Clearance Depot terkini. Adakah masih ingin dilaksanakan ataupun projek tidak akan dilaksanakan ataupun mengalami perkara-perkara tertentu termasuk juga satu projek lagi yang pernah dilancarkan oleh Presiden Parti Bersatu ketika berada dalam Barisan Nasional iaitu hari-hari pertama Yang Amat Berhormat menerajui kepimpinan negeri iaitu projek Halalan Toyyiban ayam di Padang Besar. Saya ingin bertanya Yang Amat Berhormat, apakah status masih lagi syarikat berkenaan memasang impian untuk terus menjalankan projek berkenaan yang saya rasa sangat baik untuk Kerajaan Negeri dan ataupun projek itu tidak akan dilaksanakan dan apakah tindakan yang boleh dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri terutamanya Yang Amat Berhormat sendiri untuk melihat status pemilikan tanah yang diberikan apa pemilikan sementara kepada syarikat berkenaan. Seterusnya Yang Berhormat Dato’ Speaker, tentang Wang Kelian. Saya setuju supaya laluan ni dibuka balik untuk kita nak pastikan kegiatan sosio-ekonomi dan Wang Kelian masih lagi berada dalam keadaan yang menjadi lawatan pembeli-pembeli samada di dalam dan di luar negeri. Dalam meningkatkan program hasil petani Dato’ Speaker, saya tadi ada berbincang dengan Tuan Pengarah Pertanian Negeri, Tuan Pengarah Pertanian Negeri yang juga mendapat pujian Duli Yang Maha

Mulia Tuanku, tahniah diucapkan kepada Encik Zul kerana Tuanku pun puji dia dalam Dewan yang mulia ini, inovasi keterampilan yang cuba dibuat demi kebaikan state. Kita lihat… saya tanya dia tentang kedudukan tanah di Perlis ni. Sebab dalam meningkatkan program hasil petani, kita tengok ada dua tanaman yang agak super yang Tuanku bangkitkan berkali-kali dalam teks ucapan Tuanku iaitu tanaman musang king dan juga durian duri hitam kerana Encik Zul saya fahamkan oleh Encik Zul pokok yang sedia ada tu boleh kita convert kepada tanaman tersebut dan menghasilkan satu hasil yang agak tinggi dan sesuai untuk kita meningkatkan taraf sosio-ekonomi. Cuma kedudukan dia Yang Berhormat, tanah-tanah yang dimiliki oleh pemilik-pemilik dusun yang ada di negeri Perlis ini kita tak bagi geran. Jadi kalau Jabatan Pertanian nak menjalankan bantuan kepada pemilik-pemilik dusun ni dalam usaha meninggikan taraf sosio-ekonomi mereka dia tak boleh dibuat kerana dikira haram kerana kalau audit check kenapa kita bagi pada orang-orang yang tidak mendapat hak. Jadi saya tahu constraint Yang Amat Berhormat dalam hal ini dalam kawasan simpanan hutan dan kita tidak boleh sewenang-wenangnya bagi hak. Tapi tidak adakah cara lain untuk kita legalised kan pemilik-pemilik dusun ni dengan cara apa pun yang bukan dalam bantuan pemilik geran tapi dalam keadaan yang lebih rasmi dalam kita membuat satu zoning yang diiktiraf sebagai zon yang dibenarkan aktiviti-aktiviti berkenaan dijalankan kerana saya difahamkan dalam syarat-syarat tanah-tanah Jabatan Hutan ni ada dibenarkan penanaman tanaman kontan yang boleh kita buat di kawasan tersebut. Saya tak tahu lah sama ada perkara ini benar. Tapi saya minta Yang Amat Bintong memperjelaskan benda ini sekiranya perkara ini tidak jadi masalah dan masih berada di dalam radar perbincangan Kerajaan Negeri, perancangan Kerajaan Negeri, maka kita boleh laksanakan. Insya Allah kalau benda ini berlaku kita boleh convert pokok-pokok durian sedia ada untuk mengeluarkan musang king dan juga duri hitam yang merupakan durian yang mahal, yang mendapat hasil yang agak lumayan sama ada di dalam dan luar Negara. Dan benda ini terkait juga dengan keadaan apa penanaman harumanis, ikon kebanggaan negeri yang kita sayangi. Saya nak tanya Tuan Pengarah Pertanian, kenapa kita melihat dalam baru-baru ini, tiap-tiap kali pengeluaran harumanis kita berhadapan dengan bulan puasa? Bila berhadapan dengan bulan puasa harga dia turun sikit kerana bulan puasa ni kita orang tak banyak makan. Jadi dia turun sikit. Bila turun sikit tidak kah dia ada dalam pemikiran Tuan Pengarah Pertanian untuk kita menjalankan usahasama dengan untuk kita mengeksport buah harumanis ni ke Jepun. Kalau saya dah tanya konsul pertanian di Tokyo, dia amat-amat setuju dan orang Jepun dan tanya banyak kali dah tentang harumanis Perlis. Kita pernah buat dalam tahun 2014 tak silap saya. Tapi tindakan itu tidak berterusan sampai sekarang, dia terhenti seketika pada masa itu dan kita boleh teruskan balik. Jadi saya tahu Encik Zul sebagai Pengarah kita tahu spek Jepun terlalu tinggi, dia mesti kandungan racun, kandungan baja, dia akan tentukan dan malah tak dot pun dia kita boleh buat dan ini boleh disesuaikan sama ada bersama dengan GLC ataupun… Jadi perhubungan-perhubungan seperti ini, macam Yang Berhormat Indera Kayangan bangkitkan tadi kita fikir di luar kotak. Bukan untuk apa, untuk rakyat, tiada masalah. Ini di luar kotak. Ni bukan luar kotak, benda sedia ada tapi kita cuba nak pergi jauh menerokai dan mendapatkan peluang itu dan peluang itu kita dapat baik bukan untuk siapa tapi untuk rakyat meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka, itu yang kita mahukan. Kemudian tentang Syarikat Air Perlis. Saya macam YB Sanglang sebab saya Syarikat Air Perlis ni kita kesian, kita dah lama migrasi ke pusat dalam regime dan menyertai Akta Water Services Industries sampai sekarang kita tak jadi macam syarikat air yang lain macam Syarikat Air Melaka, jangan sebut hat macam paip Pahang tak payah rugi. Kita sebut yang berjaya seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, of course lah di Selangor SYABAS, PUAS, SPLASH dan sebagainya yang Berjaya. Walaupun mereka penggunaan mereka lebih besar akaun holder mereka lebih besar ni Syarikat Perlis yang kecil ni kita nak tengok bagaimana ianya dapat naik. Macam tadi YB Sanglang bangkitkan kereta nak pi buat operasi pemotongan air pun tak dak duit nak beli. Jadi benda-benda macam tu YAB Bintong kena tengok baliklah supaya kita… saya tahu terlalu banyak permasalahan dan begitu juga dengan supply macam mana ni adinda saya Guar Sanji bangkitkan tentang di kawasan Paloh, bukan kata Paloh, Simpang Empat, Sanglang banyak lagi tekanan-tekanan rendah yang berlaku disebabkan kalau kita buat audit dia tidak ada lebihan sedangkan nak buat pembersihan loji rawatan air ni pun kita nak kena tambah loji rawatan kerana intake yang ada sekarang kita tidak mampu dan kadang-kadang saya dah kata dah beberapa kali kalau di masa musim macam ni, musim hujan tak pa, air Timah Tasoh dia masih tinggi tapi kalau turun beberapa meter dia menyebabkan berlaku kita membuat intake air ini untuk dibersihkan dan mengandungi logam berat ataupun heavy metal. Logam berat ni bahaya. Kalau ada plumbum masuk dalam perut dia dok dalam perut tu sampai 70 tahun baru dia nak reput. Kalau benda-benda lain bakteria seperti E.coli dan sebagainya dia akan menyebabkan anak-anak kita, kita sakit perut dan terpaksa macam-macam akan terjadi. Dan kita faham constraint yang berlaku kepada Syarikat Air Perlis tapi kita minta dalam masa terdekat memikirkan sama-sama, Yang Berhormat semua, yang baru-baru ni, adik-adik yang daripada Pakatan Harapan, tolong pi jumpa YB Xavier Menteri Air sekarang ni, air dah tukar dah tak dok bersekali dengan tenaga. Dia dok air, air saja. Xavier yang jaga daripada parti… kebetulan daripada parti PKR, YB Xavier jaga, minta Xavier tengok, jangan dia dok tengok hat Selangor saja. Ni mai tengok hat Perlis sama. Tolong bantu balik bahawa kenapa kita tak boleh… kita tau constraint dia modal, CAPEX kita tak cukup. Yang tu ja. Kalau ni Kerajaan Pakatan Harapan tolong bantu tambah sikit CAPEX saya ingat Insya Allah dia akan melonjak balik dan bila dia dah berada operasi dalam keadaan untung, dia boleh lah nak beli kereta, nak beli pick up untuk operasi nak mengurangkan NRW dan sebagainya. Itu adalah perkara-perkara yang akan berlaku selepas itu. Jadi tolong ni, pakat tengok na, YB Sena tolong pakat pi minta dekat YB Xavier. Tolong balik Syarikat Air Perlis, bawa CEO dan kalau boleh bawa YAB sekali dengan barisan Exco semua ni, buat mengadakan kunjungan hormat dan sekaligus minta tolong dia, selesai balik apa yang berlaku di Perlis. Kerana saya tahu Yang Amat Berhormat Tun dia nak tengok air ini sebagai salah satu industri strategik negara macam tenaga. Tenaga ni di punya turnover besar. Ratus-ratus billion, ribu-ribu billion. Air macam tu juga, dia sedikit tapi tak nampak sebab macam yang ada pemikiran-pemikiran agak konservetif, dia fikir air ini adalah gratis, percuma. Di mana-mana, all over the world orang fikir air ni percuma tapi sebenarnya air ni dia tak boleh jadi bersih macam tu kalau tahap five star lima bintang yang kita boleh minum di kepala paip tu, air Perlis kita tak mau cakap pasal kualiti, tak mau cakap pasal NRW. Nak cakap permasalahan yang wujud yang sama-sama nak kena tolong. Macam taklimat yang diberikan oleh Encik Hamid kepada rakan-rakan Yang Berhormat barisan pembangkang. Tengoklah, bukan senang. Migrasi dah lama. Negeri kecil. Sebenarnya kalau tengok dari segi mata kasar tak ada berlaku mismanage apa-apa pun. Cuma ada sikit…....(sebutan kurang jelas)……, pemeteran dan juga paip yang berlaku curi air mungkin ada, banyak juga kes curi air ni. Kadang-kadang ada premis macam YB Sanglang kata tadi bukan setakat khutbah Jumaat, kena ada ceramah perdana YB Mat satu yang berkaitan dengan air di Perlis ni, bukan hukum tak bayar hutang saja. Dia ceramah perdana satu kepentingan dan keperluan air di negeri Perlis. Suruh Dato’ Mufti bagi ceramah terang bagi rakyat Perlis faham kenapa tarif tak dinaikkan sampai masa… negeri yang tak naik tarif puluhan tahun dah. Kalau dia naik tarif dia boleh untung sikit. Kurang-kurang boleh break even, tarif pun tak naik. Makna Kerajaan Barisan Nasional ni walaupun saya tak dak belah sana tapi hat yang betul kena cakap betul lah. Tak naik tarif kerana nak jaga, nak bagi bahawa rakyat tak menanggung kesusahan. Begitu dia buat begitu lama sedangkan di Pulau Pinang berapa kali dah naik tarif, di Selangor berapa kali naik tarif, di Melaka… saya cakap betul sebab saya Pengerusi Suruhanjaya Air kerana tiap-tiap kali nak naik tariff, permohonan naik tarif mesti sampai kat saya termasuk daripada tu YAB Lim Guang Eng semua ni, dia hantar dulu surat saya bagi kelulusan baru saya boleh, saya tahu. Ini bukan soal assumption betul, hakikat, kenyataan, fakta. Dalam hal ini kita sama-sama pakat tolong memperbetulkan keadaan ini. Insya Allah Syarikat Air Perlis bila dia untung dia beli bagi aset. Ada aset tu dia bolehlah… makna bulan-bulan tu dia dah ada harta dia. Kita tolong sampai tahap macam tu untuk negeri yang kita cintai ini sebagai menyahut Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Yang terakhir dan begitu juga saya nak tanya sikit ni, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri saya nak bangkitkan tentang soal projek pembentungan di Bintong, di Bintong. Saya tahu content kandungan yang ada di Bintong tu loji pembersihan kumbahan tu dia ada 100 ribu P.E. 100 ribu P.E ni adalah mencukupi untuk nak buat, nak treated, nak bersihkan segala najis dan air kumbahan ni untuk satu Kangar, daengan Perlis lah sebenarnya. Dah terlalu besar bagi kita. Tapi saya nak tanya adakah projek ini masih menjadi gajah putih maksudnya yang connect yang hubungkan ke manhole, ke paip utama itu di kawasan Taman Kemajuan, Taman Hijrah, Taman Jali beberapa banyak taman lagi yang tu, kita tak masuk dalam piping utama tu. Tak ingat saya dulu, ada dekat 78 rumah. Tapi la tak tahu berapa jumlah sedangkan sekarang ni patut hal ini tidak berlaku lagi, sistem apa… sistem pembentungan kita berada dalam keadaan yang baik. Projek itu projek besar tapi tak dilaksanakan sepenuhnya. Saya minta Yang Amat Berhormat bagi arah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri pergi berjumpa saya tahu air dengan pembentungan mesti dibaca bersama-sama kerana mereka termaktub dalam satu undang-undang. Jadi dia sekarang ni dia di bawah YB Xavier, Menteri Air dan Alam Sekitar. Minta dana yang dikutip untuk tabung untuk bagi projek-projek semua projek di negara sebanyak 1 percent. Kita guna dana tu saya ingat kos untuk kita nak sambung balik jangan kita bebankan kepada rakyat. Kita bagi, kita minta tabung tu tabung tu duit banyak ada berbilion-bilion ringgit masa saya tinggal dulu. Gunakan minta balik duit tu, kita gunakan untuk sambung daripada rumah ke paip utama yang ada di taman-taman yang berada di sekitar bandar Kangar ini. Jadi jangan bagi rakyat terbeban minta duit tu, pi minta kat… dia masih sekarang ni tengah dok ni eloklah masa depa kelam kabut senang dapat. Masa depa dah settle dah payah sikit. Macam kita main bola lima minit pertama kita kena ambil kesempatan untuk menjaringkan gol. Bila lima minit terakhir, orang dah letih dan hilang focus. Di situlah dua tempat yang menentukan kemenangan dalam bola sepak dalm world cup baru-baru ini dan sebagainya. Jadi terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap sebagai apa… wakil rakyat bebas dan saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas Titah yang begitu baik, menegur dengan ikhlas dan mempastikan bahawa tadi yang Guar Sanji bangkitkan tadi tu dia orang dah selesai lama dah. Bukan kita selesai tak elok, elok-elok pun. Ni semua yang jadi Exco ni adalah dulu-dulu yang terlibat dalam sikit percaturan sebab ini adalah masalah dalaman BN. Mungkin adinda tak berapa tahu, saya nak jelaskan balik kepada adinda, ini adalah masalah dalaman Barisan Nasional. Tidak ada masalah yang berkaitan untuk berlaku penderhakaan kepada Tuanku tapi kami berbesar hati, berlapang dada mengikut mana yang mesyuarah itu adalah terbaik dan kami balik mengadap Tuanku dan menyelesaikan dengan berhemah sepertimana kita bangkitkan tadi. Jadi tidak timbul kalau tadi yang adinda bangkitkan tadi tu banyak adalah percakapan di kalangan masyarakat yang tidak tahu the truth apa sebenarnya yang berlaku. Jadi saya dah cakap tu tadi tak mau… kalau saya bangkit nak tanya dia jadi, dia jadi perdebatan tapi adik baru kan? Kalau saya bangkit tanya nanti dia slope sat gi. Saya tak mahu benda tu berlaku sebab saya mahu adik-adik saya ni mereka menjadi Wakil Rakyat yang baik, Wakil Rakyat yang berkarisma, Wakil Rakyat yang menegur dengan ikhlas bukan menegur kerana ada kepentingan-kepentingan lain dalam diri mereka, terima kasih. Saya menyokong Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Wassalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang, dan saya mengucapkan terima kasih kepada 6 orang Wakil Rakyat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Ucapan Tuanku Raja dan untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dijemput untuk sesi bergambar di bilik holding room Speaker sebelah kanan saya untuk tujuan-tujuan urus setia, terima kasih, sekarang selepas sesi ini siap. Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari esok, Rabu 25 haribulan Julai 2018 jam 9.00 pagi, terima kasih.

(Persidangan ditangguhkan pada jam 1.09 petang)