Perlis · 11 December 2018
14th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 111 turns · 22,618 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.
(Pembukaan)
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.
Doa
Doa.
(Bacaan doa oleh Setiausaha Dewan)
Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis
Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.
Bismillahhirahmannirrahim. Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh selamat pagi dan salam sejahtera. Dikesempatan ini saya ingin menerangkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian tentang aturan perjalanan mesyuarat dewan pada hari ini. Sejurus selepas ini, Kertas-kertas Dewan yang telah disenaraikan akan dibentangkan di atas meja mesyuarat tanpa dibahaskan, selaras dengan Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan. Sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat ingin menyentuh sebarang perkara berhubung mana-mana Kertas berkenaan, ia bolehlah dibangkitkan semasa perbahasan kelak. Setelah itu, soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian akan dijawab oleh pihak Kerajaan mengikut turutan seperti di dalam Kertas Perintah Mesyuarat Dewan. Dewan akan berehat sebentar selepas itu dan apabila disambung semula, Usul Menolak Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan dibentangkan oleh pihak Kerajaan. Usul itu kemudiannya akan dibuka untuk perbahasan. Seperti yang telah dimaklumkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya akan memberikan peluang kepada 4 orang Ahli sahaja untuk membahaskan usul ini iaitu seorang mewakili PKR, seorang mewakili PAS, seorang Ahli bebas dan seorang wakil dari pihak Kerajaan. Tempoh masa yang diperuntukkan kepada setiap seorang Ahli untuk membahas usul ini ialah 5 minit. Saya ingin menerangkan bahawa Dewan kita telahpun dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan audio dan visual dan kita ada timer mulai persidangan hari ini sepertimana Parlimen Malaysia jadi mintak Yang Berhormat rujuk kepada timer yang akan ditunjukkan di skrin monitor. Setelah usul menolak ICERD diselesaikan, Usul Anggaran Pembangunan Negeri Perlis Tahun 2019 dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2019 yang kedua-duanya membentuk Anggaran Bajet Negeri Perlisbagi tahun 2019 akan dibentangkan secara serentak oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Setelah Yang Amat Berhormat Menteri Besar selesai membentangkan Bajet, persidangan pada hari ini akan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk meneliti anggaran bajet tersebut dan membuat persediaan untuk perbahasan pada esok hari. Saya akan memperuntukkan tempoh masa kira-kira 20 minit seorang untuk Ahli-ahli Yang Berhormat membahaskan usul-usul ini. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dan semoga perbincangan dan perbahasan kita pada hari ini akan membuahkan hasil yang baik untuk negeri yang kita cintai. Sekian, terima kasih.
Kertas-Kertas Dewan Yang Dibentangkan
Kertas-kertas Dewan yang dibentangkan.
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalammu`alaikum waramatullahi taala wabarakatuh Yang Berhormat Dato’ Speaker, sukacita saya membentangkan di atas meja mesyuarat, Kertas-Kertas Dewan Bilangan 5 Tahun 2018 hingga Bilangan 6 Tahun 2018.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Soalan-soalan lisan.
Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Assalammu`alaikum, selamat pagi. Soalan saya soalan nombor 1.
(Soalan 1 : Apakah perkembangan perancangan Kerajaan Negeri untuk membina
Sekolah Agama Perempuan di bawah Yayasan Islam Perlis di Jalan Mata
Ayer? Bilakah ianya dijangka akan mula beroperasi dan berapakah kos pembinaannya?)
Bismillahhirahmannirrahim. Assalammu`alaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Speaker, menjawab soalan daripada Yang Berhormat Sena Apakah perkembangan perancangan Kerajaan Negeri untuk membina Sekolah Agama Perempuan di bawah Yayasan Islam Perlis di Jalan Mata Ayer? Bilakah ianya dijangka akan mula beroperasi dan berapakah kos pembinaannya? Jawapannya tapak untuk tujuan pembinaan sekolah tersebut adalah merupakan kawasan pertanian yang telah diwakafkan untuk tujuan pembinaan institusi pendidikan. Pihak pengurusan Yayasan Islam telah berusaha untuk mencari dana bagi menyiapkan bangunan sekolah tersebut dan telah mendapat kutipan sebanyak RM2,344,351.39. Berdasarkan kedudukan dana yang terkumpul untuk tujuan pembiayaan sekolah tersebut tidak mencukupi maka satu keputusan telah diambil oleh Lembaga Pengarah Yayasan Islam Perlis yang bermesyuarat pada 9.11.2017 untuk membatalkan perancangan asal pembinaan sekolah itu atas sebab kos mencecah RM40 juta yang tidak mampu ditampung dengan sumber dana yang terkumpul. Kos tersebut belum diambilkira kos-kos operasi yang merangkumi emolumen, utiliti, penyelenggaraan dan seumpamanya. Lanjutan daripada pembatalan ini Lembaga Pengarah Yayasan Islam telah membuat 2 keputusan iaitu yang pertama menyerahkan tapak tanah tersebut kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIPs) atas faktor bahawa tanah ini adalah tanah wakaf dan keperluan untuk pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) adalah sejajar dengan hasrat pewakaf agar tanah ini dibangunkan untuk insititusi pendidikan. Yang kedua, jumlah dana yang terkumpul sebanyak RM2, 344,351.39 akan dimanfaatkan untuk membina sebuah bangunan akademik tambahan 4 tingkat dengan kapasiti bilik-bilik pengajaran, 3 makmal sains tulen, 2 bilik air, sebuah stor serta sebuah dewan terbuka di atas tanah sedia ada dalam kawasan Sekolah Menengah Agama Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah (Al-Maad) Arau, Perlis. Pembinaan ini akan bermula apabila selesai proses pemilikan tanah yang sedang diuruskan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perlis. Sekian.
Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.
Terima kasih Dato’ Speaker. Soalan saya soalan nombor 2. Terima kasih.
(Soalan 2 : Bagaimana dan melalui bidang apakah Kerajaan Negeri Perlis memperolehi dan menjana pendapatan serta berapakah perbelanjaan
Kerajaan Negeri dalam menjalankan urus tadbir serta pembangunan
Negeri Perlis?)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih juga Yang Berhormat Indera Kayangan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Hasil Kerajaan Negeri terbahagi kepada 3 punca utama iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Bagi Hasil Cukai Langsung terdiri daripada cukai tanah, cukai tali air dan juga cukai keluaran hutan. Hasil Bukan Cukai diperolehi daripada bayaran premium tukar syarat tanah, premium perhutanan, permit tanah dan galian, kutipan sewaan bangunan-bangunan kerajaan termasuk Projek Perumahan Rakyat atau PPR, jualan harumanis dan juga bayaran-bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan oleh Jabatan-Jabatan Negeri. Bagi Terimaan Bukan Hasil pula, Kerajaan Negeri menerima pemberian dari Kerajaan Persekutuan seperti Pemberian Kekurangan
Akaun Mengurus, Pemberian 50% Kos Pengurusan Jabatan Negeri, Pemberian Mengikut Ramai Penduduk dan Pemberian Kos Perkhidmatan Di Atas Perlaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan dan untuk makluman Dewan yang mulia ini, ini adalah merupakan suatu tanggungjawab yang obligatory, dengan izin berdasarkan kepada perlembagaan oleh Kerajaan Persekutuan ke atas Kerajaan-kerajaan Negeri. Jumlah Pendapatan Negeri sehingga November, saya tak pasti soalan Yang Berhormat ini umum menanyakan mengenai berapakah perbelanjaan negeri dan dalam menjalankan urus niaga serta pembangunan negeri Perlis tidak dirujuk kepada tahun-tahun yang tertentu tepi saya ingin menerangkan ataupun menjelaskan beberapa tahun yang iaitu terutama sekali tahun 2018 dan 2017. Jumlah pendapatan negeri sehingga November 2018 adalah RM125.09 juta, berbanding RM108.66 juta bagi tahun 2017 dan RM109.93 juta pada tahun 2016. Jadi kalau kita lihat di sini ada menunjukkan peningkatan pendapatan negeri sejak 2016 sehinggalah ke tahun 2018 manakala perbelanjaan sehingga November 2018 adalah sebanyak RM150.94 juta ringgit berbanding RM175.63 juta pada tahun 2017 dan RM169.96 juta bagi tahun 2016. Sila ambil perhatian bahawa bahawa angka-angka pendapatan dan perbelanjaan bagi tahun 2018 adalah sehingga November sahaja. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.
Terima kasih Dato’ Speaker. Soalan saya soalan nombor 3.
(Soalan 3 : Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk berbelanja dengan lebih berhemat dalam perbelanjaan urus tadbir Negeri supaya perbelanjaan urus tadbir
Negeri selari dengan pendapatan Negeri dan tidak terus bergantung dengan peruntukan daripada Kerajaan Pusat serta apakah langkah
Kerajaan Negeri dalam menambah hasil pendapatan Negeri?)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis. Untuk makluman Dewan yang mulia Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan dasar penjimatan dan perbelanjaan secara berhemah. Di antara langkah yang telah diambil di dalam mengawal perbelanjaan tadbir urus negeri adalah seperti berikut, pertamanya adalah mengurangkan pengambilan para pegawai kontrak terutamanya yang di ambil di bawah kategori Contract For Services ataupun Contract For Service. Bagi tahun 2018, seramai 70 pegawai telah ditamatkan kontrak dan tenaga kerja sedia ada dioptimumkan bagi menjalankan tugas. Ini saya merujuk kepada Contract For Service. Kedua, tidak membuat pengisian jawatan kosong yang tidak kritikal dan untuk makluman, pada masa kini terdapat 333 jawatan yang kosong ataupun 24.4% di pelbagai peringkat jawatan dan pengisian hanya akan dibuat mengikut keutamaan. Langkah ketiga tidak melantik pengurus event ataupun Event Manager bagi program yang boleh dilaksanakan secara in-house ataupun boleh dilakukan oleh jabatan-jabatan sendiri. Sebagai contoh, Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Perlis dilaksanakan sepenuhnya oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama dari jabatan atau agensi yang terlibat. Kos yang dibelanjakan pada tahun 2018 contohnya adalah lebih rendah 30% berbanding dari tahun 2017.
Langkah keempat, melaksanakan semakan semula perbelanjaan separuh tahun atau mid year review 2018 melalui Pejabat Perbendaharaan Negeri. Semua agensi dan jabatan yang menerima peruntukan negeri telah diminta untuk menyusun semula keutamaan dengan secara penjimatan sebanyak 15%. Langkah kelima ialah mengurangkan Elaun ataupun langkah operasi terutama sekali elaun Pengerusi JKKK yang dahulunya daripada RM900 sebulan kepada RM150 sebulan dan juga mengurangkan Elaun Setiausaha JKKK daripada RM300 kepada RM100 sebulan. Di samping itu, elaun kehadiran mesyuarat juga dikurangkan daripada RM50 kepada RM20 dan langkah yang keenam adalah mengurangkan perbelanjaan penyelenggaraan jalan, Kerajaan Negeri telah meminta supaya JKR Negeri Perlis menggunakan batu kapur ataupun lime stone yang lebih murah yang dikeluarkan di negeri Perlis sendiri berbanding dengan penggunaan granite bagi penurapan jalan-jalan negeri yang berkategori sekunder. Itu adalah sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil di dalam penjimatan dan berhubung dengan langkah-langkah negeri dalam menambah hasil pendapatan pula sukacita saya membahagikan usaha ini kepada kepada dua iaitu usaha jangka pendek dan usaha jangka panjang. Bagi jangka pendek tindakan-tindakan yang telah diambil adalah seperti berikut pertamanya program pemutihan bagi pelanggaran syarat tanah. Jika pada masa dahulu bangunan kedai yang dibina di atas tanah pertanian semata-mata tetapi setelah program pemutihan dijalankan Kerajaan Negeri dapat mengutip cukai di atas kategori perniagaan. Kedua, memberi diskaun sebanyak 80% ke atas denda tunggakan tanah dan ini juga adalah kaitan langkah-langkah pemutihan. Usaha ini adalah untuk menggalakkan orang ramai membayar tunggakan bagi cukai-cukai tanah mereka. Yang memang tinggi dari segi tunggakannya. Ketiga menyusun semula tunggakan sewa penghuni Perumahan Awam Kos Rendah atau PAKR. Bagi membantu penghuni-penghuni PAKR yang mempunyai tunggakan sewa, Kerajaan Negeri telah bersetuju tunggakan ini boleh dibayar secara ansuran dan ditambah dengan sewaan semasa. Bayaran berjadual ini dapat membantu meringankan beban penyewa dan Kerajaan Negeri juga mendapat faedahnya. Langkah berikutnya ialah mengeluarkan tender bagi pokok-pokok jati di tepi jalan yang telahpun matang dan boleh dikutip hasilnya. Bagi tahun 2018, Jabatan Perhutanan Perlis telah mengeluarkan tender terbuka untuk 3 kawasan jalan iaitu Jalan Kok Klang, Jalan Padang Melangit dan Jalan Simpang Empat. Ini adalah merupakan tambahan ya selain daripada tender-tender yang telahpun dikeluarkan lebih awal. Langkah berikut ialah mengemaskini kutipan hasil dari aktiviti kuari contohnya di Pejabat Tanah dan Galian Perlis, aktiviti kuari telah dikemaskini dengan kaedah cadangan pemotongan ataupun potongan tanah dikemuka oleh pengusaha selepas diukur oleh juru ukur bertauliah. Kemudian kuantiti dan kawasan yang telah ditanda akan disemak oleh Pegawai Penempatan (SO) sebelum pengeluaran tanah dibuat. Melalui sistem ini pemantauan tidak perlu dilakukan secara harian tetapi dibuat secara berkala.Dalam usaha jangka panjang, Kerajaan Negeri akan terus berusaha menarik masuk pelabur untuk memulakan pelaburan yang besar di negeri Perlis yang boleh mengubah landskap ekonomi Negeri Perlis. Projek-projek seperti Pembangunan Lembah Chuping ataupun Chuping Valley Industrial Area ringkasnya CVIA, Prjek Pelaburan Darat Perlis, Projek jeti bersepadu Sanglang dan pembangunan bercampur di Kuala Perlis dijangka akan dapat menjana pendapatan yang lebih besar kepada Negeri Perlis dan mampu mencapai mungkin dalam beberapa tahun lagi perbelanjaan surplus ataupun perbelanjaan berlebihan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan. Namun perubahan-perubahan ini tidak dapat direalisasikan dalam jangka masa pendek tapi Insya Allah dalam jangka masa panjang kita akan dapat melihatnya nanti mungkin generasi muda dalam tempoh 10-15 tahun akan datang akan melihat perubahan ini. Insya Allah. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Ada soalan tambahan. Kepada Yang amat Berhormat Bintong. Saya ada tengok satu kenyataan Yang Amat Berhormat Bintong, kenyataan medialah kepada media Bernama bertarikh 3 November 2018 berkenaan CVIA, adakah projek CVIA akan diteruskan oleh Kerajaan Pusat? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis. Soalan tambahan yang merujuk kepada kenyataan media saya pada 3hb November 2018. Sepertimana Yang Berhormat sendiri sedia maklum bahawa setelah berlaku perubahan landskap di Malaysia selepas PRU yang keempat belas, projek CVIA ini sepatutnya telah dilaksanakan mengikut perancangan awal yang telah disediakan berdasarkan kepada Pelan Induk yang disediakan bersama di antara Kerajaan Negeri dengan pihak Northern Corridor Implementation Authority dengan izin, (NCIA). Walau bagaimanapun, pihak Kerajaan Persekutuan yang baru di bawah Pakatan Harapan telah menyemak semula projek ini dan kerana itu berlaku sedikit kelewatan tapi alhamdulillah berkat daripada usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak yang lain mungkin Yang Berhormat sendiri pun turut membantu. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan semula peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan sebelum ini di bawah Kerajaan Persekutuan, Barisan Nasional untuk membolehkan kita melaksanakan projek-projek bukan sahaja CVIA malah projek-projek pelaburan awam lain yang telahpun diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Yang Ke-11. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Soalan tambahan Dato’ Speaker. Apakah ada perancangan Yang Amat Berhormat Bintong perancangan untuk dari segi menambahkan pendapatan negeri tentang Harumanis tadi ni saya tinggal dah ni sebab saya ada pergi melawat di ladang Jabatan Pertanian di Batu Pahat ada banyak pokok yang dah mati saya nampak macam tak cukup tenaga daripada staff-staff Jabatan Pertanian mungkin adakah perancangan daripada Kerajaan Negeri untuk menswastakan sebahagian daripada ladang-ladang ni supaya bila swasta dia lebih efisien dan boleh jana pendapatan tambahan pada Kerajaan Negeri. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sena. Berhubung dengan industri Harumanis. Untuk makluman Dewan yang mulia ini dan pernah juga dilaporkan di dalam Dewan ini di penggal yang lepas oleh mantan EXCO Pertanian yang ketika itu tanaman Harumanis ini telah bertambah sebenarnya dari segi keluasannya, saya masih ingat pada tahun 2013 dilaporkan keluasan ladang Harumanis ataupun kawasan tanaman Harumanis di seluruh negeri Perlis berada di bawah 800 hektar tetapi sehingga akhir tahun 2017 ataupun di awal 2018 kawasan tanaman Harumanis ini telah meningkat melebihi 1000 hektar kalau tak silap saya angkanya yang telah dimaklumkan adalah 1047 hektar tu kalau tak silap saya tapi boleh diperbetulkan nanti Yang Berhormat EXCO Pertanian boleh semak dan betulkan kalau sekiranya angka yang saya berikan tidak betul dan sebenarnya pendapatan yang diperolehi oleh pengusaha- pengusaha Harumanis ini meningkat daripada masa ke semasa bukan saja akibat daripada peningkatan kawasan pengeluaran tetapi juga dari segi peningkatan hasil dan harga jualan itu sendiri. Walau bagaimanapun pengusaha-pengusaha ini mengalami masalah dari segi pemasaran kerana jaringan pemasaran tidak begitu mantap dan merujuk kepada ladang-ladang yang dimiliki oleh kerajaan di bawah Jabatan Pertanian sebenarnya saya sendiri telahpun mengambil inisiatif, saya pun telah melihat bahawa pengurusan ladang Harumanis ini adalah lebih baik dan lebih cekap, lebih efisien dan lebih berkesan jika sekiranya oleh pihak swasta dan saya telah mengambil inisiatif bertemu dengan mereka yang berminat tetapi sehingga hari ini tidak ada satu cadangan yang konkrit yang diterima, insyAllah kalau sekiranya ada lagi mereka yang berminat untuk menguruskan ladang Harumanis yang dimiliki oleh Kerajaan di bawah Jabatan Pertanian ini insyallah kita boleh pertimbangkan. Yang Berhormat Sena sendiri boleh mengajak rakan-rakan yang berkeupayaan untuk melihat kemungkinan-kemungkinan ini. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.
Yang Berhormat Dato’ Speaker. Soalan saya nombor 4.
(Soalan 4 : JKKK akan digantikan dengan MPKK. Apakah pelantikan MPKK dilakukan secara bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat?)
Bismillah.. terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Sanglang. Merujuk kepada soalan Yang Berhormat Sanglang JKKK akan digantikan dengan MPKK. Apakah pelantikan MPKK dilakukan secara bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat? Jawapannya ya YB, penubuhan MPKK dibuat secara bersama di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Pelantikan melibatkan seorang Pengerusi, seorang Setiausaha dan sebelas orang ahli jawatankuasa yang dilantik oleh Kerajaan Negeri dan lima lagi orang ahli jawatankuasa yang dilantik oleh Kerajaan Pusat. Penubuhan MPKK di negeri Perlis akan dilaksanakan pada Januari 2019 pada tahun depan insyallah. Terima kasih.
Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Terima kasih Dato’ Speaker. Soalan saya nombor 5.
(Soalan 5 : Semenjak diperkenalkan perumahan rakyat dan projek perumahan rakyat termiskin serta perumahan-perumahan lain sehingga tahun 2018, berapakah jumlah pembinaan rumah-rumah tersebut yang dikendalikan oleh SPNB di DUN Guar Sanji dan DUN-DUN lain?)
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, ahli Yang Berhormat sekalian. Soalan berbunyi semenjak diperkenalkan perumahan rakyat dan projek perumahan rakyat termiskin serta perumahan-perumahan lain sehingga tahun 2018, berapakah jumlah pembinaan rumah-rumah tersebut yang dikendalikan oleh SPNB di DUN Guar Sanji dan DUN-DUN lain? Yang Berhormat Dato’ Speaker menjawab soalan daripada Yang Berhormat Guar Sanji sejak tahun 2014, Julai hingga 25 November 2018, jumlah pembinaan Rumah-rumah Mesra Rakyat yang dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad ataupun SPNB di negeri Perlis ialah seperti berikut bagi DUN kawasan di parlimen Padang Besar, untuk kawasan DUN Titi Tinggi jumlah kelulusan ada sebanyak 118 buah dan dalam pembinaan sebanyak 14 dan telah siap ataupun menerima kunci sebanyak 104 buah. Bagi DUN Beseri bagi jumlah kelulusan 148 dalam pembinaan 13 dan yang telah siap 135. Bagi DUN Chuping jumlah kelulusan ialah 151 dalam pembinaan 17 dan yang telah siap dibina 134. Bagi DUN Mata Ayer jumlah kelulusan 94 dalam pembinaan ada 4 dan ‘elahpun siap dibina 90. Bagi DUN Santan jumlah kelulusan 136 dalam pembinaan ada 4 buah dan telah siap 132. Bagi parlimen Kangar untuk DUN Bintong jumlah kelulusan 179 dalam pembinaan 30 dan yang telah siap dibina sebanyak 149. Bagi DUN Sena jumlah kelulusan 42 dalam pembinaan ada 4 dan telah siap 38. Bagi DUN Indera Kayangan jumlah kelulusan ada 4 dan siap 4. Bagi DUN Kuala Perlis jumlah kelulusan 14 dalam pembinaan 2 yang telah siap 12. Bagi DUN Kayang jumlah kelulusan 67 dalam pembinaan 11 dan yang telah siap 56. Bagi parlimen Arau untuk DUN Pauh jumlah kelulusan 71 dalam pembinaan 20 dan yang telah siap 51. Bagi DUN Tambun Tulang jumlah kelulusan 147 dalam pembinaan 11 dan yang telah siap 136. Bagi DUN Guar Sanji jumlah kelulusan 93 dalam pembinaan 11 dan yang telah siap 82. Bagi DUN Simpang Empat jumlah kelulusan 30 dalam pembinaan 7 dan yang telah siap 23 dan seterusnya DUN Sanglang jumlah kelulusan 19 siap 19. Sekian harap maklum, terima kasih.
Dato’ Speaker soalan tambahan. Berkaitan dengan perumahan mesra rakyat yang telah dibina oleh kerajaan sejak 2014 hingga 2018 cuma kalau kita lihat baru-baru ni apa nama setelah berlaku peralihan kuasa daripada kerajaan BN kepada PH ada laporan daripada berita ada mengatakan bahawa perumahan-perumahan ini sebahagiannya telah dihentikan. Bagaimana status permohonan yang lalu? Pemohon-pemohon yang lalu yang memohon apakah status mereka dan apakah dibuka semula permohonan perumahan mesra rakyat ni. Sekian.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Guar Sanji. Apabila suatu pertukaran kerajaan berlaku memang kebanyakannya ada yang telahpun dihentikan ataupun ditangguh jadi pihak kerajaan telah berusaha untuk memohon semula dan ada setengah-setengahnya dalam peringkat perbincangan dan jugak dalam proses untuk kelulusan, kita berharap supaya masa ini diluluskan, Insya Allah.
Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.
Terima kasih Dato’ Speaker. Soalan saya nombor 6.
(Soalan 6 : Sejauh manakah perkembangan KDNK Negeri Perlis mampu untuk selari melonjak bersama kemajuan negeri-negeri lain?)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang secara umumnya perkembangan KDNK di Negeri Perlis walaupun agak perlahan berbanding dengan di peringkat nasional, dia masih mampu untuk membawa negeri ini ke hadapan, ini ditambah lagi dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri yang telah pun dirancang sebegitu rupa untuk dilaksanakan dan Insya Allah jika sekiranya projek-projek pembangunan yang dirancang ini yang mempunyai sifat impak ekonomi yang lebih tinggi dan juga bersifat mampan, dia mampu untuk melonjak ekonomi Negeri Perlis kalau tidak pun seiring dengan negeri-negeri yang lain di Malaysia tetapi sekurang-kurangnya tidak jauh ketinggalan di belakang. Yang Berhormat Dato’ Speaker, 3 sektor utama yang menggerakkan pembangunan ekonomi negeri Perlis pertamanya adalah sektor swasta, sektor perkhidmatan kerajaan dan juga sektor pertanian. Pada tahun 2017, ketiga-tiga sektor ini telah menyumbang sebanyak 87.2 peratus dan bagi sektor swasta sahaja 41.6% , perkhidmatan kerajaan 23.8% dan pertanian 21.8%. Sektor pertanian ini menunjukkan penguncupan sebenarnya dan ini adalah merupakan suatu proses yang dengan izin, natural kerana penekanan yang diberikan ialah kepada sektor-sektor yang lebih mempunyai daya maju seperti sektor industri dan pembuatan. Berhubung dengan perkembangan KDNK ianya didapati adalah contohnya KDNK Negeri bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM5.2 bilion ini berbanding dengan RM4.1 bilion pada tahun 2010 begitu juga dengan Perkapita pendapatan negeri yang juga menunjukkan peningkatan yang agak ketara daripada RM17,410 pada tahun 2010 kepada RM23,372 untuk tahun 2017. Yang Berhormat Dato’ Speaker, sepertimana yang saya sebutkan di awal tadi kita boleh untuk seiring kalau tidak pun tidak tertinggal jauh ke belakang berbanding dengan negeri-negeri lain dari segi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dengan syarat semua projek-projek yang telah pun dirancangkan oleh Kerajaan Negeri, sama ada ianya merupakan Government Initiated Projects dengan izin, ataupun Private Sector Initiated Projects dapat dilaksanakan dan Insya Allah projek-projek yang agak berskala besar seperti di Padang Besar, CVIA dan PIP, di Sanglang dan Sungai Baru iaitu jeti bersepadu, di Kuala Perlis suatu projek bercampur yang berteraskan kepada pelancongan dan satu lagi projek yang juga telah, sedang dan dilindungi iaitu di Sungai Batu Pahat dan Bukit Ayer, ini mampu, selain daripada projek-projek lain yang bersaiz kecil sedikit sudah tentu ia mampu untuk melonjakkan ekonomi negeri Perlis ke suatu tahap yang lebih baik. Insya Allah, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Soalan tambahan Dato’ Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Bintong. Mengenai projek di Kuala Perlis Yang Berhormat yang melibatkan lembaga urusan Tabung Haji saya difahamkan hari ini satu kertas putih yang akan dibentangkan di parlimen iaitu berhubung dengan salah laku yang berlaku daripada pelaburan-pelaburan dalam keputusan-keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah yang lepas saya ingin bertanya adakah projek di Kuala Perlis yang melibatkan Tabung Haji ni kita turut terlibat dengan keputusan berkenaan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang. Jawapannya dia tidak terlibat kerana projek kerjasama ataupun usahasama diantara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis dengan Tabung Haji ini memang melibatkan Tabung Haji Property dan kita dapati bahawa Tabung Haji Property ini telah diuruskan dengan begitu baik dan untuk makluman Yang Berhormat sendiri mungkin Yang Berhormat pernah ke Kuala Perlis dalam masa terdekat dan ini boleh disahkan oleh Yang Berhormat Kuala Perlis sendiri tapak pembuangan itu telahpun bermula kerja-kerja tanah sedang dijalankan dan Insya Allah sekiranya tidak ada apa-apa aral melintang mungkin dalam bulan April tahun 2019 dan kerja-kerja substructurenya bagi sebahagian daripada komponen projek ini akan bermula, Insya Allah.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelum saya teruskan soalan lisan ingin saya memesan kepada pihak kerajaan supaya tidak membaca semula soalan daripada pihak wakil rakyat ini adalah kerana kita telah paparkan semua soalan yang telah ditanya dan akan dijawab oleh Yang Berhormat supaya ini akan dapat menjimatkan masa dan saya berharap kita berikan tumpuan kepada masa sebabkan kita akan membahaskan peruntukan bajet pada tahun ini akan dibuat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, terima kasih. Dijemput Yang Berhormat Sena.
Tuan Speaker. Soalan saya soalan nombor 7.
(Soalan 7 : Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah lampu jalan tidak dipasang, keadaan jalan yang sangat teruk, beralun dan terdapat kesan berbonggol serta tidak sekata di kawasan yang telah dibaiki di lebuhraya Changlun-Kuala Perlis?)
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Pertamanya saya ingin betulkan dari segi sebutannya bahawa jalan Kuala Perlis - Changlun ni bukan sebuah lebuhraya dia tak dak pun ciri-ciri sebuah lebuhraya yang mana kalau lebuhraya ni dia mempunyai kawalan keluar masuk ke jalan utama dan jugak speed limit dia 110 kilometer sejam dan kebiasaannya bertol tapi jalan ni tidak ada tol dan ini adalah sebenarnya jalan utama persekutuan yang mana had laju kebangsaannya adalah 90 kilometer sahaja jadi apabila kita orang ramai selalu menggunakan perkataan lebuh raya ataupun highway jadi biasanya pengguna ni dia lupa dia speed dia sampai 110 kilometer sejam dan sebab tu lah selalu disaman. Sebenaqnya dia 90 kilometer sejam jadi Yang Berhormat Dato’ Speaker untuk makluman Dewan juga sebagaimana yang saya maklumkan tadi jalan ini adalah merupakan jalan persekutuan Federal Trunk FT 194 dan ianya di bawah seliaan penyelengaraan termasuk pembiayaan penyelenggaraan sekali di bawah Kementerian Kerja Raya yang mana pelaksanaannya melalui syarikat pemegang konsensi yang dilantik Kerajaan Persekutuan iaitu Syarikat THB Maintenance Sdn Bhd bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan rutin. Untuk makluman Yang Berhormat sebenaqnya jalan Kuala Perlis-Changlun ini memang dilengkapi dengan lampu-lampu jalan dan jugak lampu isyarat walau bagaimanapun lampu-lampu ini telah tidak berfungsi kerana telah berlaku kecurian kabel pada tiang-tiang lampu dan juga pada kotak-kotak feeder pillar yang mana kotak-kotak feeder pillar ni turut dirosakkan. Ini berlaku di sepanjang jalan daripada Kuala Perlis ke Arau dan kejadian ini disedari oleh pihak JKR, berlaku pada 25 Jun 2018 yang lalu dan pihak JKR telahpun membuat laporan polis hari selepasnya. JKR juga telah membuat permohonan peruntukan memandangkan jalan ini di bawah jalan persekutuan jadi JKR telah membuat permohonan peruntukan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia untuk pembaikan dan pemasangan semula kabel-kabel ini yang kos yang terlibat adalah sebanyak sekitar RM300,000.00 yang melibatkan 7 buah kotak feeder pillar dan melibatkan 900 tiang lampu. Kerosakan feeder pillar ini, lampu jalan serta keadaan permukaan jalan yang beralun ini berada di luar skop penyelenggaraan rutin syarikat konsesi ni dan walau bagaimanapun pihak JKR Perlis telahpun senarai permohonan pembaikan pavement dan jugak unpavement di semua jalan persekutuan negeri Perlis termasuklah jalan Kuala Perlis-Changlun ini. Untuk makluman jugak peruntukan yang telah diterima untuk turapan jalan di Kuala Perlis-Changlun ini di Seksyen 3 pada tahun 2018 hanyalah RM100,000.00 sahaja dan sebagai tindakan susulannya pihak JKR telah membuat permohonan semula untuk permohonan baru tahun 2019. Sekian.
Soalan tambahan Dato’ Speaker.
Silakan.
Terima kasih Dato’ Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Kayang di atas penerangan berkenaan jalan lebuhraya antara Changlun dan Kuala Perlis saya bersetujulah dengan penerangan yang diberikan oleh Yang Berhormat Kayang. Okay, semua maklum yang jalan Kuala Perlis-Changlun itu adalah jalan utama bagi penduduk-penduduk Kuala Perlis dan Kayang untuk ke kawasan Kangar dan kawasan-kawasan Arau. Saya mendapat aduan daripada ramai penduduk dan jugak pengguna media sosial lah, boleh tak kalau orang cakap kita nak baiki lampu jalan tu memakan kos macam seperti Yang Berhormat sebut RM300,000.00 saya terima cadangan daripada pengguna-pengguna jalan tu bila hujan saja dia akan jadi malap dia punya line putih tu boleh tak kita segerakan baiki orang cakap line-line putih tu kita cat kembali. Saya mohon itu dibuat sementara ni sementera kita nak tunggu peruntukan untuk baiki lampu-lampu tu sekurang-kurangnya bila kita boleh mengecat tu Insya Allah bila time hujan lampu kenderaan boleh menyuluh kawasan tersebut sebab terlalu gelap, okay terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis, saya bersetuju dengan Yang Berhormat Kuala Perlis, memang berlaku keadaan yang agak tidak selesa apabila terutamanya pada waktu malam dan jugak apabila waktu hujan terutamanya di kawasan-kawasan yang gelaplah terutamanya jalan antara Kuala
Perlis ke Kayang. Saya juga telah meminta pihak JKR sebenarnya road line apa semua tu dia jugak di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan dan saya juga telah meminta pihak JKR untuk membuat secara jabatan terlebih dahulu secara untuk mengecat road line jalan terutamanya di kawasan-kawasan yang mungkin akan berlaku konflik untuk berlakunya kemalangan terutamanya di kawasan-kawasan yang melibatkan kawasan u-turn, Insya Allah saya akan memastikan pihak JKR dapat menjalankan apa ni kerja-kerja sementara ini terlebih dahulu Insya Allah.
Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan...
Soalan tambahan. Okay saya ingin tujukan soalan ni setelah kita tahu ada kes-kes kecurian ke atas kabel-kabel tu apakah langkah kerajaan yang diambil untuk menangani kes-kes kecurian ni dan juga langkah mencegah kecurian ni lah kes-kes macamni. Terima kasih.
Terima kasih YB Indera Kayangan, yang pertamanya ya lah sebab jalan ni ia tidaklah mempunyai pagar macamana di lebuh raya jadi agak sukar untuk kita membuat kawalan ataupun memeriksa setiap hari setiap masa 24 jam untuk mengelakkan berlakunya kecurian tetapi pihak JKR telahpun membuat di Kuala Perlis dan kita mengharapkan bantuan daripada pihak PDRM afgar dapat melakukan rondaan di sekitar jalan tu lah sebenaqnya, jalan kita ni panjang lebih kurang dalam kalau tak silap saya dalam 800KM lebih jadi agak sukar untuk kita memastikan apa ni perabot-perabot jalan ataupun tiang-tiang lampu ataupun kecurian kabel ni tidak berlaku di masa hadapan tetapi walau bagaimanapun pihak kerajaan dan jugak pihak JKR Perlis akan cuba sedaya upaya untuk melakukan apa ni rondaan pada waktu-waktu tertentu bagi memastikan kejadian ini tidak berulang.
Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan. Soalan.
Terima kasih Dato’ Speaker. Soalan saya nombor 8. Terima kasih.
(Soalan 8 : Apakah strategi, insentif dan program-program yang diambil oleh Kerajaan Negeri Perlis untuk menarik pelaburan luar ke Negeri Perlis bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan menjana pembangunan ekonomi untuk warga Negeri Perlis?)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, berhubung dengan strategi dan insentif program-program ni untuk menarik pelabur ini, suka saya maklumkan pada Dewan yang mulia ini di pihak Kerajaan Negeri keutamaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri sebagai suatu strategi utama di dalam usaha menarik pelabur-pelabur ke Negeri Perlis ialah dengan menjadikan Perlis ini berada di dalam radar para pelabur itu sendiri. Jadi bagaimanakah caranya kita nak meletakkan Perlis ini supaya berada di dalam radar pelabur-pelabur itu? Caranya ialah dengan menjadikan Perlis ini lebih menarik kepada pelabur dan bagaimana ini boleh dilakukan? Ia boleh dilakukan dengan menyediakan prasarana-prasarana asas yang diperlukan oleh pelabur-pelabur. Ini sebenarnya yang pada pengamatan saya yang agak terkebelakang di Negeri Perlis dan menjadikan Perlis ini berada jauh ataupun di luar radar pelabur-pelabur ini dan langkah-langkah yang telahpun kita ambil daripada perancangan-perancangan yang kita lakukan seperti saya sebutkan awal tadi seperti penyediaan prasarana asas seperti yang kita sedang dan akan lakukan di CVIA, projek PIP itu sendiri, projek Integrated Jetty dengan izin di Sanglang, Kuala Sungai Baru, maaf itu adalah di antara langkah-langkah untuk kita menyediakan prasarana asas di Negeri Perlis agar ianya menjadi menarik kepada pelabur-pelabur. Dari segi insentif dan selain daripada itu, kita juga masih lagi berusaha untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan terutama sekali proses-proses permohonan kepada permohonan-permohonan untuk pembangunan ataupun pemajuan di Negeri Perlis ini dalam pelbagai sektor terutama sekali OSC ataupun One Stop Centre yang diurus setiakan di Majlis Perbandaran Kangar itu sendiri. Usaha ini dilakukan secara berterusan, malah saya sendiri telah mengambil inisiatif memberikan teguran-teguran yang dilihat boleh membantu di dalam mempercepatkan lagi proses kelulusan, pertimbangan dan kelulusan permohonan-permohonan yang dilakukan oleh pihak-pihak pelabur yang berminat ini. Dan ini termasuklah memperbaiki proses kerja malah mengubah peraturan-peraturan yang sedia ada yang tidak lagi dilihat berpihak atau pun friendly dengan izin, kepada pelabur-pelabur yang boleh bersifat inhiditive, ini dilakukan secara berterusan malah pihak pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri pun di bawah pimpinan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri melihat perkara ini dengan serius Insya Allah dan ini juga di antara langkah yang telah dan sedang kita lakukan dalam usaha untuk menjadikan penyampaian perkhidmatan kita ini lebih baik dan lebih cekap. Insentif secara khususnya memang Negeri Perlis tidak ada mempunyai satu pakej insentif yang boleh ditawarkan kepada pihak pelabur yang boleh menjadi tarikan kepada pelabur kecuali suatu perkara utama ialah menimbangkan suatu kadar premium tanah yang munasabah kepada pihak pelabur, walau bagaimanapun ada pakej-pakej insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan yang mana mengambil kira kedudukan dan lokasi Negeri Perlis dan insentif-insentif khas ini sebenarnya telah pun dipersetujui dan pihak NCIA sendiri membantu kita, Kerajaan Negeri dalam hal ini dalam usaha untuk menjadikan negeri Perlis ini lebih menarik kepada pelabur-pelabur, Insya Allah usaha ini akan berterusan dan kita mengharapkan supaya akhirnya nanti Perlis ini berada di dalam radar pelabur-pelabur. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.
Terima kasih Dato’ Speaker. Soalan saya soalan nombor 9. Terima kasih.
(Soalan 9 : Apakah tindakan tegas daripada pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kawasan pinggir pantai yang berhampiran dengan pencawang elektrik tidak lagi menjadi tempat berniaga? Berapakah nilai kutipan hasil pelesenan gerai-gerai tersebut bagi tahun 2015 hingga 2017?)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, bagi menjawab soalan nombor 9 ini yang berkaitan isu peniaga-peniaga lokchin Yang Berhormat. Pihak MPK telah menetapkan tarikh penamatan operasi sebenarnya perniagaan di kawasan Rentis Talian Grid Nasional Tenaga Nasional Berhad dan kawasan bahu jalan di Jalan Persisiran Pantai Kuala Perlis berkuatkuasa sebenarnya telahpun melepasi tarikh iaitu pada pertengahan November tahun ini dan notis telahpun disampaikan kepada peniaga itu pada 1 November tahun 2018. Walau bagaimanapun, pihak peniaga tu pada 2 November 2018, pihak MPK telah menerima surat-surat rayuan penangguhan pemberhentian operasi perniagaan lokchin daripada peniaga-peniaga tersebut di mana kesukaran mendapatkan tapak niaga ganti dalam kadar segera menjadi salah satu alasan untuk mereka. Walau macamanapun MPK telah memberi tempoh bertenang bagi perkara ini sehingga tarikh yang terdekat sahaja sama ada dalam bulan 12 akan dikosongkan Insya Allah. Pihak MPK telah bersiap sedia dari segi anggota dan jentera yang diperlukan bagi kerja-kerja penguatkuasaan yang akan dilaksanakan sekiranya peniaga-peniaga enggan mengosongkan tempat tersebut setelah tempoh bertenang tersebut tamat. Selain itu, MPK juga sedang merangka cadangan penyusunan semula penempatan peniaga-peniaga makanan lokchin ini dengan harapan mendapat kerjasama daripada jabatan-jabatan berkaitan. Antaranya, Pejabat MPK Cawangan Kuala Perlis telah mencadangkan lokasi pemindahan di Jalan Kuala Perlis-Changlun berhampiran Kawasan Industri Kuala Perlis yang boleh dijadikan sebagai kawasan niaga setempat khas ataupun sementara. Kawasan ini berada di bawah seliaan PKENPs dan pihak MPK masih menanti maklumbalas daripada pihak Perbadanan berhubung cadangan tersebut. Berhubung soalan tentang nilai kutipan hasil pelesenan gerai-gerai tersebut bagi tahun 2015 hingga 2017, MPK telah mengenakan bayaran lesen premis kepada peniaga-peniaga yang aktif pada masa itu dengan kadar bayaran antara RM40.00 hingga RM100.00 setahun bergantung pada saiz tempat tersebut. Sepanjang tempoh ini, terdapat seramai 13 orang yang peniaga yang silih berganti di mana ada di antara mereka yang tidak membayar caj lesen kerana sebab-sebab tertentu, termasuklah berhenti berniaga. Jumlah pendapatan terkumpul daripada caj lesen yang dikenakan bagi ketiga-tiga tahun adalah sebanyak RM2,640.00. Sebagai maklumat tambahan jumlah bayaran lesen premis 2015-2017 pada tahun 2015 kita kutip RM960.00, tahun 2016 RM990.00 dan jugak tahun 2017 RM690.00 berjumlah RM2,640.00 jumlah pada tahun tersebut, sekian terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang...
Soalan tambahan.
Ada soalan tambahan.
Terima kasih Dato’ Speaker. Soalan tambahan saya kepada Yang Berhormat Santan. Okay jika sekiranya kita berjaya memindahkan peniaga-peniaga lokchin di kawasan persisir pantai ini, apakah langkah-langkah kerajaan seterusnya ataupun Majlis Perbandaran untuk tidak memastikan golongan baru peniaga yang akan datang berniaga ke kawasan tersebut. Untuk maklumat, ini cakap-cakap yang saya dengar di kawasan Kuala Perlis lah peniaga-peniaga ni depa ada kekebalan politik, haa itulah masalah dia yang menyebabkan kesukaran daripada pihak Majlis Perbandaran Kangar untuk mengambil tindakan terhadap mereka. Saya sendiri pun ada terima notis yang peniaga-peniaga ni dapat saya terima melalui salah seorang peniaga di kawasan lokchin tersebut saya sendiri berborak dengan peniaga tersebut dan dia sendiri telah ambil inisiatif untuk berpindah sebelum tarikh ni, kenapa orang cakap peniaga ini boleh ambik tindakan berpindah dan kenapa yang sebahagian ni masih degil untuk berpindah kalau nak diikutkan daripada awal lagi tanah tersebut bukanlah tapak yang sesuai untuk berniaga so kenapa kita tidak boleh lebih tegas ambik tindakan terhadap mereka sebab saya dapat rungutan sangat banyak berkenaan dengan tapak-tapak berniaga ni dan saya sendiri minggu lepas alhamdulillah tidak apa yang terjadi pada saya, saya lalu time maghrib kawasan tersebut ada 1 van yang apa orang cakap peniaga punya dia dah block kenderaan lain yang parking menyerong dan hampir apa orang cakap memakan jalan lebih kurang daripada bahu jalan dan setengah lagi jalan yang lane tepi dan ketika saya lalu tu ada kenderaan pengunjung tu dia nak hundoq saya hampir melanggar dan saya sempat mengelak sebab ada 1 lane ja so benda ni sangat merbahayakan so saya harap ada tindakan tegas daripada pihak MPK dan memastikan orang cakap langkah untuk tidak membenarkan lagi peniaga-peniaga ni berniaga di kawasan tersebut sebab dikhabarkan mereka ni ada kekebalan politik. Terima kasih.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Kuala Perlis. Inilah yang kami harap-harapkan daripada Yang Berhormat dimana sebut soal kekebalan politik inilah masalahnya sekarang jadi bila Yang Berhormat sendiri menyebut perkara itu dan pihak YB Kuala Perlis sendiri yang membantu untuk mempastikan tempat itu kosong maka pihak kerajaan Insya Allah dalam masa 2 minggu ini sebelum Januari Insya Allah semua akan selesai, Insya Allah, terima kasih Yang Berhormat.
Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya soalan nombor 10.
(Soalan 10 : Adakah Kerajaan Pusat hari ini menyalurkan bantuan perkapita seperti yang ditetapkan dan berapakah jumlah bantuan yang disalurkan selepas PRU 14 yang lalu?)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sanglang. Jawapannya selepas PRU 14 memang Kerajaan Pusat ada menyalurkan bantuan perkapita seperti yang telah ditanyakan dan untuk makluman Yang Berhormat juga dan Dewan yang mulia ini, Kerajaan Pusat sebenarnya dengan izin, oblige untuk menyalurkan bantuan perkapita seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang saya maklumkan lebih awal iaitu berdasarkan kepada Fasal 109, Perkara (1) (a) iaitu “(1) Persekutuan hendaklah membuat kepada setiap Negeri berkenaan dengan setiap tahun kewangan, pemberian, yang dikenali sebagai pemberian ikut kepala, yang hendaklah dihitung mengikut peruntukan Bahagian I Jadual Kesepuluh”. Jadi bagi tahun 2018 ini, Kerajaan Negeri Perlis telah menerima sejumlah RM8,772,840.00 yang disalurkan sebanyak 2 kali iaitu pertamanya pada 23 Januari 2018 ini sebelum pilihan raya sebanyak RM4.386 juta dan selepas PRU 14 iaitu pada 17 Ogos 2018 kita telah menerima terimaan yang kedua juga jumlah yang sama iaitu RM4.386 juta. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Terima kasih Dato’ Speaker, soalan saya nombor 11.
(Soalan 11 : Apakah SOP kawalan terhadap peniaga-peniaga kecil di kaki lima jalan serta usaha kerajaan untuk membantu mereka dalam meningkatkan pendapatan?)
Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Guar Sanji. Permohonan menjalankan perniagaan di atas rizab jalan dan tepi bahu jalan raya dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kesihatan dan Pelesenan MPK. Antara ahli tetap adalah JKR Perlis yang bertanggungjawab mengawal dan menyelia kawasan rizab jalan dan bahu jalan. Walau bagaimanapun, pada masa sekarang, pihak MPK tidak lagi meluluskan permohonan lesen bagi aktiviti perniagaan di atas rizab jalan raya dan di tepi bahu jalan atas sebab-sebab tidak mendapat sokongan daripada pihak JKR kerana ia terdedah kepada risiko berlakunya kemalangan serta melanggar seksyen 84 Akta Pengangkutan Jalan dan seksyen 425 Kanun Tanah Negara. Pihak MPK melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu bersama pihak JKR Perlis. Bagi membantu golongan penjaja, pihak MPK telah memberi insentif dalam bentuk pengurangan kadar lesen perniagaan penjaja sebanyak 20%. Insentif ini melibatkan sebanyak 20 jenis lesen penjaja. Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan bagi penyediaan gerai-gerai baru dan penyelenggaran serta naik taraf gerai-gerai sedia ada di bawah seliaan MPK melalui peruntukan Bajet Pembangunan Negeri yang disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Pada tahun 2017, sebanyak RM500,000.00 peruntukan yang disalurkan dan pada tahun 2018, sebanyak RM500,000.00 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri. Selain daripada peruntukan tersebut, pihak Kerajaan Negeri juga turut mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membantu usahawan dan peniaga kecil memajukan perniagaan masing-masing. Peruntukan yang telah diterima daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2018 ialah sebanyak RM140,000.00 bagi 7 Ketua Isi Rumah yang telah dikenalpasti menerusi Program Kiosk Penjaja Bandar (Berkuasa Solar) Fasa 1 Tahun 2018 di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar. Semua usahawan serta peniaga kecil termasuk peniaga di kaki lima jalan adalah layak memohon bantuan- bantuan yang ada bagi meningkatkan perniagaan masing-masing. Kerajaan juga membuka peluang-peluang perniagaan melalui penganjuran program, majlis, karnival dan festival yang diadakan sepanjang tahun dalam negeri seperti Pesta Angin Timur, Perlis Marathon, Festival Perlis, Karnival MPK Bersama Rakyat dan juga program-program lain. Untuk makluman Dewan yang mulia ini juga, salah satu fokus Belanjawan Perlis bagi tahun 2019 adalah Penjanaan Ekonomi Negeri Melalui Keusahawanan. Untuk itu, sebanyak RM 8 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan projek dan program bagi menyokong bidang keusahawanan secara holistik. Semua usahawan dijemput menyertai program-program yang dianjurkan tanpa mengira di mana sahaja mereka berniaga. Bagi menggalakkan daya keusahawanan dalam kalangan rakyat, pelbagai seminar, bengkel dan kursus keusahawanan akan diadakan sepanjang tahun dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan seperti MARA, Jabatan Pertanian, SME Corp, MARDI, LKIM, FAMA dan jugak BPEN, Tekun dan lain-lain. Selain itu, geran latihan kemahiran juga akan diberikan di pusat-pusat latihan terpilih bagi menarik minat masyarakat menceburi bidang keusahawanan. Maklumat-maklumat program ini sentiasa dikemaskini di laman web atau portal jabatan, agensi, media sosial dan lain-lain. Kerajaan Negeri juga akan menyediakan ruang niaga melalui penyediaan outlet baru perniagaan. Antara projek yang tersenarai bagi tahun 2019 adalah Projek Menaiktaraf Pasar Lama Padang Besar dengan 141 unit gerai dan kiosk, Projek Menaiktaraf Gerai di Padang Besar dengan 14 unit gerai, Projek Pembangunan Dataran Usahawan di Kurung Tengar, Projek Menaiktaraf Medan Selera Arau dan Projek Menaiktaraf Infrastruktur Kawasan Pasar Terapung (Floating Market). Bantuan modal perniagaan juga akan diberikan seperti bantuan modal perniagaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan modal perniagaan kepada OKU. Bantuan modal juga ada diberikan di bawah JAIPs dan MAIPs melalui program keusahawanan kariah masjid yang akan melibatkan 7 buah masjid. Selain itu, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Perlis juga membantu melalui inisiatif-inisiatif di bawah kementerian seperti yang pertama Projek Transformasi Penjaja dan Peniaga Kecil (PPK) yang mempunyai program iaitu Program Transformasi Minda yang menyediakan latihan secara hands on, soft skills dan bimbingan secara coaching dalam bidang transformasi perniagaan. Yang kedua, Program Transformasi Penjaja Bergerak iaitu bantuan pinjaman perniagaan bagi tujuan pembelian aset tetap, pengubahsuaian fizikal kenderaan dan modal pusingan bagi perniagaan bergerak. Had amaun pinjaman ialah sehingga RM100,000.00. Dan seterusnya Program Food Truck Malaysia yang bertujuan untuk melahirkan usahawan food truck melalui penyediaan pinjaman kepada usahawan yang berminat mengusahakan perniagaan food truck atau mobile food kiosk. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan Dato’ Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat Santan di atas penjelasan yang diberikan sebentar tadi. Soalan ini diajukan sebenaqnya berpunca kepada apa yang kita lihat baru-baru ni lah isu MPK merobohkan kedai Pak Din di Kampung Sena tu. Jadi saya melihat bahawa benda ini diambil tindakan kepada sebahagian penjaja-penjaja kecil di jalanan ni, kan? Kita ambil tindakan kepada sebahagian sahaja sebahagian lain yang ada belum diambil tindakan jadi kenapa kita tidak mengelak benda ni berlaku lebih teruk maksudnya punca kepada segala benda ni kita lihat ialah SOP ada tapi tindakan tu tak berjalan menyebabkan orang semakin hari semakin ramai menjaja ikut dan di tepi-tepi jalan akhirnya menyusahkan pihak penguasa. Wallahual’am lah, kan. Jadi, bagaimana kita nak menangani masalah penjaja-penjaja yang ramai di jalanan ini, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji. Berhubung dengan tindakan-tindakan ataupun kita mengambil tindakan tegas kepada peniaga-peniaga yang enggan untuk menurut perintah ataupun menurut undang-undang seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat Guar Sanji berhubung dengan kes popular Pak Din kita di Taman Sena ya, memang kita tak menafikan pihak MPK, pihak penguatkuasa menerima, yang pertama sekali menerima surat daripada tuan rumah ataupun premis tempat Pak Din berniaga di mana kalau ikut undang-undang memang tak dibenarkanlah berniaga di situ sebab mengganggu jalan dan juga tempat tu sebuk sebab kawasan perumahan. Sebenarnya jiran ataupun JKKK situ memang ada merungut ada membuat apa orang kata membuat aduan kepada pihak penguatkuasa tapi aduan tu dibuat lama dah semenjak tahun 2015 lagi kalau tak silap saya bukan baru ni lama dah tapi atas dasar 2 perkara yang satu kesian yang keduanya kesalahan undang-undang jadi kita terpaksa memikirkan 2 perkara satu kesian satu undang-undang nak halau kesian nak ambil undang-undang dapat tohmahan jadi perkara tersebut telahpun diarahkan kepada peniaga tersebut untuk kita bagi tempat yang lain untuk berniaga tapi berdasarkan market tang tu agak hebat maka Pak Din pun tak mau berpindah sebenarnya pihak MPK penguatkuasa bagi offer bagi tawaran kepada peniaga tersebut untuk berpindah jadi lama kelamaan tuan rumah premis hantar surat kacau ganggu rumah dia memang tak dapat dinafikanlah kalau rumah kita sendiri pun kalau di depan rumah kita tak selesa untuk keluaq dan sebagainya maka surat aduan ditunjukkan beberapa kali dan pihak MPK pun menghantar notis jadi kita terpaksalah ambil tindakan sebenaq kacau ganggu, tempat-tempat lain tak ada lagi lah surat-surat tersebut yang kacau ganggu cuma kita melihat dari segi kesesakan jalan raya ataupun kesalahan lalu lintas jadi dia tidak ada masalah-masalah timbul ataupun rungutan daripada orang ramai maka pihak penguatkuasa membiarkan ataupun apa orang kata tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnyalah tapi walau macamanapun mereka pun faham sebenaqnya peniaga ni faham tempat tersebut tak dapat berniaga tapi nak berniaga jugak tak bagi kata kita tak bagi bila kita bagi dah melanggar akta-akta penguatkuasaan dan sebagainya jadi inilah perkara-perkara yang kita fikirkan sekarang macamana kita untuk kita mengambil tindakan tegas kepada pengusaha-pengusaha yang mana lesen-lesen pun kita tengok dulu kita nak bagi lesen pun kita tengok dulu macamana tempat tang mana nak berniaga sebab tu di lesen ada dicatit tempat perniagaan jadi kalau sekiranya berlaku aduan yang banyak kali aduan maka pihak MPK atau penguatkuasa terpaksa mengambil tindakan jadi diharap supaya penjelasan-penjelasan, kami pun akan buat penjelasan-penjelasan kepada peniaga-peniaga supaya mempastikan tidak ada berlaku tidak ada aduan-aduan, ada aduan mesti pihak berkuasa mesti mengambil tindakan mengikut SOP, mengikut undang-undang, Insya Allah.
Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.
Soalan tambahan sekali lagi Dato’ Speaker, minta maaf. Kalau ingat penjelasan yang dibagi oleh YB Santan mengambil tindakan setelah ada aduan, baik jadi kalau tak da aduan...
Yang Berhormat boleh Yang Berhormat masuk dalam perbahasan nanti.
Okay baik, Insya Allah.
Masuk sebab nampaknya panjang tu. Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.
Terima kasih Dato’ Speaker, soalan nombor 12.
(Soalan 12 : Apakah perancangan yang telah dan sedang diambil bagi mengatasi masalah kekurangan air terutama ketika menghadapi kepesatan pembangunan negeri?)
(Soalan 13 : Apakah tindakan yang akan dan sedang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah tekanan air di Kampung Sempering dan kawasan-kawasan lain yang sangat perlahan, masalah kualiti air yang teruk dan masalah paip bocor di seluruh negeri Perlis?)
(Soalan 15 : Apakah skop tugas kerja tender untuk membaik pulih sistem bekalan air dan juga kawasan manakah yang akan diutamakan di negeri Perlis? Berapakah jumlah yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk tujuan-tujuan ini untuk tahun 2019?)
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon izin untuk menjawab soalan ini bersekali dengan soalan nombor 13 dan nombor 15 daripada Yang Berhormat ADUN Sena dan Yang Berhormat ADUN Kuala Perlis. Keutamaan Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan bahawa rakyat di negeri ini berpeluang untuk menikmati air bersih dan berkualiti. Menikmati kualiti bekalan air yang baik serta kelangsungan perkhidmaran yang berterusan bagi memastikan rakyat menikmati perkara-perkara ini komponen-komponen utama di dalam perkhidmatan bekalan air sentiasa diberikan keutamaan oleh Kerajaan Negeri. Komponen-komponen tersebut adalah diantaranya kawasan tadahan ataupun empangan kawasan ini ataupun perlu dinaiktaraf sebaiknya agar ianya dapat membekalkan air yang secukupnya bagi keperluan rakyat untuk jangka masa yang panjang. Kemudian komponen yang lain adalah loji rawatan air. Loji rawatan air juga perlu dinaiktaraf atau dipertingkatkan keupayaan kapasitinya untuk memproses dan merawat air seiring dengan kepesatan pembangunan dan perkembangan jumlah penduduk Perlis. Kemudian sistem agihan, air bersih yang terawat ini perlu dihantar dan diagihkan kepada pengguna dengan berkesan dan cekap, sistem agihan ini juga perlu dibanci, perlu dinaiktaraf dan diperbaharui, sistem mekanikal and elektrikal (M&E) juga perlu dipertingkatkan kemampuannya supaya air dapat disampaikan kepada pengguna dengan tekanan yang sesuai. Tangki-tangki air, paip-paip air, meter dan sebagainya turut terlibat dalam proses agihan ini dan sebarang kebocoran boleh mengurangkan tekanan air berlakunya kekurangan air serta kerugian terhadap operasi. Seterusnya, komponen yang selanjutnya adalah operasi serta pentadbiran dan khidmat pelanggan, selain daripada itu juga Syarikat Air Perlis perlu memastikan agar syarikat ini mampu untuk terus beroperasi dan memberikan perkhidmatan terbaik sambil memastikan kemampanan kewangan syarikat agar lebih berdaya saing. Yang Berhormat Dato’ Speaker, maka di atas konsep dan dasar tersebut Kerajaan Negeri telah berusaha untuk mendapatkan peruntukan yang besar melalui pelbagai siri rundingan, dialog, perjumpaan dan perbincangan serta pelbagai mesyuarat, bengkel dan juga lawatan tapak dengan pihak berkepentingan antaranya dengan 2 Kementerian seperti Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan jugk lain-lain agensi berkaitan untuk memastikan pelan yang dirancang serta peruntukan dipohon dapat diluluskan. Secara keseluruhannya peruntukan sebanyak RM500 juta diperlukan yang merangkumi projek mitigasi jangka pendek, jangka sederhana dan juga jangka panjang dan pihak Kerajaan Negeri yakin sekiranya usaha ini berhasil dan Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan-peruntukan yang dipohon, Insya Allah isu kekurangan bekalan air bagi menghadapi kepesatan pembangunan negeri dapat dikurangkan dan seterusnya kualiti air terawat dapat dijamin baik sehingga tahun 2050 nanti. Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat pada tahun ini tahun 2018 hasil daripada usaha Kerajaan Negeri dan jugak yang dibantu oleh rakan-rakan daripada Yang Berhormat di sana, maka Kerajaan Persekutuan telah menimbangkan kelulusan satu projek menaik taraf Empangan Timah Tasoh fasa tiga dengan syiling peruntukan pada tahun 2019 sebanyak RM20.3 juta, Insya Allah dengan kelulusan projek ini kapasiti tadahan air akan meningkat daripada 33.3 juta Million Cubic Meter kepada 70 juta Million Cubic Meter dan dapat memastikan kelestarian sumber air di negeri Perlis untuk jangka panjang. Selain daripada itu juga Kerajaan Persekutuan telah meluluskan dua projek bekalan air negeri Perlis iaitu yang pertama Projek Mitigasi Bekalan Air Jangka Pendek berjumlah RM41 juta yang kedua Program Pengurangan Air Tidak Terhasil Nasional (NRW) berjumlah RM50.5 juta. Bagi Projek Mitigasi Bekalan Air Jangka Pendek berjumlah RM41 juta ini, dokumentasi, dokumen untuk perolehan tender sedang dilaksanakan, sedang disediakan dan dijangka akan ditender pada Januari 2019 nanti. Antara skop yang terlibat dalam Projek Mitigasi Bekalan Air Jangka Pendek ini adalah pertamanya pembinaan logi kompak berkapasiti 40 Juta Liter Sehari di loji rawatan air Timah Tasoh. Yang kedua naik taraf sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di semua loji rawatan air. Yang ketiga membaik pulih dan naik taraf sistem pemprosesan air di loji rawatan air Arau fasa 1, fasa 2 dan fasa 3. Semua skop kerja ini akan membolehkan kapasiti Loji Rawatan Air ditingkatkan dan seterusnya meningkatkan isipadu pembekalan air ke kawasan-kawasan yang bertekanan rendah seperti di kawasan Kampung Sempering dalam kawasan YB Sena serta kawasan-kawasan lain di Perlis dan kawasan-kawasan yang berpermintaan tinggi kawasan pembangunan baru. Selain daripada itu juga kualiti air akan dapat dipertingkatkan dan dapat mencapai Quality Assurance Programme (QAP) 5 parameter kualiti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Yang Berhormat Dato’ Speaker, untuk program pengurangan air tidak berhasil, NRW pula yang berjumlah RM50.5 juta, perolehan secara tender telah dilaksanakan di peringkat Kementerian pada 1 November 2018 yang lalu dan tarikh tutup tender adalah pada 3 Disember 2018 yang lalu. Dah, dah tutup tenderlah so, terdapat empat skop utama yang terlibat dalam program ini yang pertamanya penggantian paip-paip air yang dikenalpasti seringkali pecah, yang kedua penggantian meter pengguna yang rosak dan yang melebihi 7 tahun di seluruh Perlis termasuk penggantian meter System Input
Volume (SIV), yang ketiga baik pulih tangki air rosak dan bocor di Simpang Empat, Arau dan di Kuala Perlis dan keempat pembangunan sistem GIS (Geographical Information System) untuk paip air di seluruh negeri Perlis. Selain daripada itu juga Kerajaan Negeri telah mendapat kelulusan dari pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk kerja-kerja pemasangan paip air dan pembinaan tangki menara konkrit berjumlah RM13.0 juta yang mana tender projek ini telahpun ditutup pada 10 Disember 2018 kelmarin, Insya Allah ini akan menyelesaikan masalah bekalan air di Timur Perlis terutamanya di kawasan Chuping dan sekitarnya. Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, semua projek ini dijangka akan dilaksanakan pada awal 2019 yang mana projek-projek ini secara keseluruhannya melibatkan pembaikan paip-paip air, tangki air, naik taraf kesemua loji rawatan air di negeri Perlis dan Insya Allah ini akan memberikan impak positif kepada perkhidmatan bekalan air dan rakyat Perlis akan menikmati bekalan air yang lebih selesa pada 2020 nanti Insya Allah.
Soalan tambahan. Terima kasih Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kayang atas jawapan yang panjang lebar, soalan saya very short and precise, pendek ja. Soalan pertama kedudukan reserve margin kita negatif atau positif? Tu yang pertama, pada tahun 2017, dan negatif atau positif. Yang kedua tentang meter air. Meter air ni melibatkan pengguna ataupun account holder saya difahamkan meter ini diambik daripada satu pembekal saja dan adakah dibuat ujian ataupun piawaian yang mendapati kehendak SPAN ke atas agen yang membekalkan meter berkenaan kerana kita bagi orang kampung pakai meter ni kalau diputar cepat dah dia kita dah tak adil kepada pengguna dari segi tu saya nak mintak penjelasan yang dibuat oleh pihak Syarikat Air Perlis.
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang. Untuk reserve sebenarnya kita reserve kita adalah on par dan apabila berlakunya kebocoran maka itulah yang berlakunya isu kekurangan air...
Dia ada audit yang dibuat oleh SPAN, dia ada exactly dia berapa jumlah dia? Negatif 3 ka positif 6 ka? Begitu maksud saya.
Yang Berhormat Tambun Tulang saya tak dapat figure tu. Insya Allah nanti saya akan maklumkan semula nanti...
Boleh bagi jawapan bertulis?
Okay Yang Berhormat.
Saya tak mintak dengan segera.
Okay, terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang. Okay berkenaan dengan meter memang pihak syarikat kita buat tender secara terbuka jadi itulah yang kita dapat adalah tawaran yang terbaiklah daripada syarikat yang telah untuk membekalkan meter-meter tersebut.
Maksud saya adakah meter tu telah diuji tak kiralah tender terbuka tertutup ka tender apa ka kita tak kira. Meter tu diuji saya nak bagi pengguna-pengguna ni betul-betul mereka menerima hak mereka jika mereka membayar lebih ataupun mereka terpaksa membayar kurang yang merugikan syarikat, nak tanya yang tu ja.
Meter memang diuji dan disahkan oleh pihak SPAN.
Ahli-ahli Yang Berhormat, soalan-soalan lisan ditangguhkan setakat ini. Bagi soalan-soalan yang belum sempat dijawab pihak kerajaan akan mengemukakan jawapan secara bertulis kepada ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Dewan ditempohkan sehingga jam 11.30 pagi. Terima kasih.
(Persidangan ditangguhkan pada jam 10.58 pagi)
(Persidangan disambung semula pada pukul 11.15 pagi)
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula.
Usul Menolak Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd)Motion
Usul Menolak Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Bismillahirahmanirrahim… Yang Berhormat Dato’ Speaker, terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker kerana membenarkan saya untuk membawa usul berkaitan dengan suatu isu yang telah menjadi polimik dan hangat diperdebatkan, baik di kalangan pemimpin mahu pun rakyat. Isu yang dimaksudkan ialah ura-ura supaya Kerajaan Malaysia meratifikasi konvensyen antarabangsa mengenai pembasmian segala bentuk diskriminasi kaum atau the international convention on the elemanation of all forms of ratial discrimination atau ringkasnya ICERD. Yang Berhormat Dato’ Speaker, seperti yang kita semua sedia maklum, isu ICERD ini telah dibincang dan diperdebatkan dengan meluas oleh kedua-dua pihak yang menyokong dan yang membantah. Justeru itu, saya tidak berhasrat untuk berhujah dengan panjang lebar mengenai isu ini, cuma sebagai pihak yang membawa usul untuk menolak ratifikasi ICERD, perlu saya jelaskan di sini bahawa bagi pihak yang tidak menyokong ratifikasi ICERD bukanlah bermakna bahawa mereka menyokong diskriminasi kaum tetapi ianya dibuat berasaskan kebimbangan bahawa langkah untuk meratifikasi ICERD boleh membawa kepada penghapusan keistimewaan-keistimewaan tertentu kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak sebagai penduduk peribumi. Keistimewaan-keistimewaan ini telah dipersetujui bersama oleh semua kaum pada masa kita mencapai kemerdekaan sebagai timbal balas kepada pengorbanan orang Melayu mempersetujui pemberian kerakyatan kepada penduduk bukan peribumi iaitu apa yang sering dirujuk sebagai kontrak sosial. Sesungguhnya pemberian taraf kerakyatan adalah suatu pengorbanan yang amat-amat besar dan tinggi nilainya. Tanpa kerakyatan seseorang itu tidak mempunyai tempat yang kekal yang boleh dituju untuk bermastautin, tanpa kerakyatan, seseorang itu tidak mempunyai sebarang hak ke atas tanah atau apa-apa bahagian di dalam negara. Tanpa kerakyatan tidak mungkin seseorang itu dapat mengecap sepenuhnya nikmat kebebasan dan kemerdekaan. Beberapa keistimewaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan yang berkaitan dengan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak sebagai penduduk peribumi, kedudukan agama Islam dan sebagainya hanyalah timbal balas yang kecil jika dibandingkan dengan nilai taraf kerakyatan itu. Pemberian keistimewaan-keistimewaan itu pun hanyalah bertujuan untuk membantu penduduk peribumi yang merupakan golongan majoriti dan memperbetulkan agihan dalam negara akibat dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh British selama menjajah Tanah Melayu yang tidak memihak kepada penduduk peribumi.
Yang Berhromat Dato’ Speaker, bagi pihak yang menyokong usaha ratifikasi, antara hujah yang sering dikemukakan ialah ICERD mempunyai peruntukan yang membenarkan langkah-langkah khas atau special measures diambil bagi membantu kaum yang ketinggalan dan memerlukan perlindungan. Namun perlu diingat bahawa Artikal 1 ICERD juga menyebut bahawa langkah-langkah khas tersebut hendaklah dihentikan apabila objektif-objektif yang disasarkan telah tercapai yakni ianya mempunyai had masa. Artikal 2 ICERD pula menyebut bahawa setiap pihak yang meratifikasi ICERD hendaklah mengambil tindakan-tindakan yang efektif untuk mengkaji semula dasar-dasar dan memansuhkan atau meminda sebarang undang-undang dan peraturan yang membawa kepada perbezaan di antara kaum. Justeru, sekiranya kita meratifikasi ICERD maka sudah tentu kita perlu mengambil langkah-langkah ke arah untuk meminda perlembagaan kita, dalam soal-soal yang mana masyarakat antarabangsa mungkin menganggapnya sebagai diskriminasi tetapi bagi kita ia merupakan tindakan affirmative ataupun affirmative actions dan dalam konteks yang lebih signifikan suatu konteks sosial yang telah dipersetujui oleh semua pihak sebagai tolak ansur dalam proses mencapai kemerdekaan. Sebagaimana kerakyatan atau kewarganegaraan itu apabila diberikan tidak mempunyai sebarang had tempoh, begitu juga keistimewaan-keistimewaan tertentu yang dijamin oleh perlembagaan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak sebagai penduduk peribumi, itu juga tidak mempunyai sebarang had masa. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengutarakan beberapa contoh di dalam Perlembagaan Persekutuan yang dalam masa memberikan keistimewaan tertentu kepada penduduk peribumi pada masa yang sama tetap memberikan pengiktirafan dan jaminan perlindungan ke atas hak kaum-kaum lain yang bukan peribumi. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesama rataan dan tidak membenarkan diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, teras, keturunan, tempat lahir atau jantina kecuali berkaitan dengan beberapa perkara tertentu yang telah dibenarkan oleh perlembagaan yang secara secara prinsipnya bertujuan untuk melindungi kepentingan peribumi Malaysia. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mempertuntukan Islam sebagai agam bagi persekutuan, tetapi pada masa yang sama juga membenarkan agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana sahaja di Malaysia. Begitu juga Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan untuk semua orang menganuti dan mengamalkan agama masing-masing. Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan pula menjamin hak untuk semua warganegara mendapat akses kepada pendidikan tanpa sebarang diskriminasi dari segi agama, teras, keturunan atau tempat lahir. Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan mengadakan peruntukan mengenai tanah simpanan Melayu, namun pada masa yang sama juga menjamin tanah untuk pemberian hak milik umum di mana pada setiap masa tidak boleh jumlah keluasan tanah simpanan Melayu itu melebihi jumlah keluasan tanah bagi pemberian hak milik umum. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan namun pada masa yang sama juga menjamin kebebasan semua kaum untuk belajar, mengajar dan menggunakan bahasa-bahasa lain termasuk bahasa ibunda masing-masing untuk tujuan-tujuan tidak rasmi. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memberikan beberapa keistimewaan bagi orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak yang merupakan penduduk peribumi Malaysia tetapi pada masa yang sama untuk menjamin kepentingan sah kaum-kaum lain.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, perkara-perkara yang saya sebutkan tadi merupakan contoh-contoh peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan keistimewaan tertentu sebagai langkah atau tindakan affirmative kepada penduduk peribumi tanpa menidakkan hak penduduk bukan peribumi sebagai warganegara. Justeru ingin saya tegaskan di sini bahawa tidak ada keperluan untuk kita meratifikasi ICERD kerana tanpa ICERD sekalipun tidak wujud sebarang penindasan kaum di Malaysia kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin hak semua kaum, tanpa ICERD sekalipun orang bukan Melayu diberikan hak dan kebebasan untuk membina kekayaan dan mengumpul harta. Tanpa ICERD sekalipun orang bukan Islam bebas menganut dan mengamalkan agama masing-masing dan tanpa ICERD sekalipun orang Melayu berkongsi kuasa dengan orang bukan Melayu di dalam mentadbir negara sejak merdeka lagi. Saya juga ingin menegaskan bahawa kita menolak ICERD bukan kerana kita ingin mendiskriminasi mana-mana kaum, sebaliknya kita menolak ICERD kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin keistimewaan-keistimewaan tertentu bagi penduduk peribumi yang telah dipersetujui oleh semua pihak pada masa kita mencapai kemerdekaan sebagai balasan kepada tolak ansur dan pengorbanan besar orang Melayu dalam soal pemberian status kerakyatan atau kewarganegaraan kepada penduduk bukan peribumi ketika itu. Begitu juga kita menolak ICERD kerana ia secara tidak langsung boleh membuka ruang kepada pertikaian Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaaan Persekutuan yang membabitkan kedudukan dan keistimewaan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta memperuntukkan sekatan ke atas penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang Islam.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, sesungguhnya Kerajaan Negeri Perlis menyambut baik kenyataan media Pejabat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 23 November 2018 yang menzahirkan pendirian Kerajaan Malaysia untuk tidak meratifikasi ICERD, namun di sebalik itu masih terdapat sebilangan pihak termasuk di kalangan Menteri Kabinet, yang memberikan kenyataan yang seolah-olah menggambarkan sokongan terhadap usaha-usaha bagi meratifikasi ICERD. Oleh itu Kerajaan Negeri merasakan adalah wajar usul ini dibawa ke dalam Dewan yang mulia ini untuk membolehkan kita sama-sama menyatakan pendirian kita dan mengambil ketetapan bersama di dalam soal ini.
Justeru itu di dalam Dewan yang mulia ini, saya mohon mencadangkan usul yang berbunyi, “Bahawa Dewan yang mulia ini mendokong sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan Malaysia termasuk peruntukan-peruntukan yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tanah simpanan Melayu, keistimewaan-keistimewaan untuk orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, sebagai penduduk peribumi Malaysia dan lain-lain lagi. Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan untuk menolak sebarang cubaan dan usaha oleh mana-mana pihak untuk meratifikasi konvensyen antarabangsa mengenai pembasmian segala bentuk diskriminasi kaum atau ICERD. Bahawa Dewan yang mulia ini menyokong penuh keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak meratifikasi ICERD sepertimana kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 23 November 2018”.
Akhir sekali saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua pihak, hormatilah Perlembagaan Persekutuan, hargailah keamanan dan perpaduan kaum yang kita nikmati sekarang dan marilah sama-sama kita pastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, tenteram dan makmur seperti yang kita telah lakukan sejak merdeka. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, usul ini dibuka untuk perbahasan. Saya menjemput wakil daripada PKR. 5 minit Yang Berhormat.
Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Saya Yang Berhormat Tuan Speaker saya berucap sebagai mewakili Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada Keadilan dan juga Pakatan Harapan. Pandangan kami sebagaimana yang telah diwar-warkan oleh Presiden Keadilan, Yang Berhormat Ahli Parlimen Port Dickson bahawa adalah secara prinsipnya Keadilan telah menolak sebarang bentuk diskriminasi kaum namun adalah dikhuatiri bahawa meratifikasikan ICERD mungkin akan menimbulkan pentaksiran yang akan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Bintong sebentar tadi. Kami juga turut menyokong keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa mengenai pembasmian diskriminasi kaum ICERD. Saya ingin menyorot kembali Dewan yang mulia ini dengan deklarasi Permatang Pauh tahun 1998 yang mana merupakan antara prinsip yang diperjuangkan oleh keadilan di mana gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram dibelengu dan disekat tanpa proses dan undang-undang yang adil. Gerakan reformasi juga ingin menegakkan keadilan untuk semua yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin, membersihkan institusi dan proses Undang-undang dari dicemari oleh penyalah gunaan kuasa dan rasuah, gerakan reformasi juga ingin mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu adalah suatu kemestian kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi adalah suatu kewajipan.
Gerakan reformasi juga memperjuangkan keadilan ekonomi, menjana pertumbuhan… pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kendana, dunia ini mencukupi untuk keperluan semua tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu.
Justeru muafakat Pakatan Harapan adalah akan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu. Kita juga sebagai negara dan negeri yang menjadikan keadilan sebagai tunggak menolak segala bentuk diskriminasi dalam negara kita selaras dengan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan perkara-perkara yang telah disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Bintong tadi. Saya dengan ini sebagai wakil kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat Keadilan dan Pakatan Harapan menyokong usul menolak ICERD sejajar dengan ketetapan Jemaah Menteri Persekutuan yang menolak ratifikasi ICERD yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 23 November yang lalu. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Sena. Dipersilakan Yang Berhormat wakil dari PAS.
Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh, alhamdulillah… Yang Berhormat Dato’ Speaker dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat serta hadirin di dalam Dewan yang mulia ini, Alhamdulillah… Pada pagi ini kita dapat mengadakan satu usul menolak ratifikasi konvensyen antarabangsa ICERD ini dan saya rasa adalah sesuatu yang bertepatan dan sesuai pada masa yang ada pada hari ini usul ini dibawa oleh pihak Kerajaan dan kami daripada PAS amat menyokong penolakan ini, mudah-mudahan ianya tidak diratifikasikan oleh pihak Kerajaan. Walaupun macam-macam isu yang bangkit daripada ICERD ini, hingga terpaksa mengadakan himpunan besar-besaran sebagai amaran kepada Kerajaan bahawa mengiktiraf ICERD ini di peringkat negara kita ini akan boleh menyebabkan suatu suasana yang tidak aman, mungkin berlaku dalam negara kita. Apa pun kebimbangan, bagi pihak kami ini tentang kenyataan akhbar pada 23 November yang lalu daripada Jabatan Perdana Menteri dan timbul lagi suara-suara sumbang sepertimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Bintong, kebanyakan daripada kepimpinan Pakatan Harapan menyatakan bahawa ratifikasi perhimpunan antarabangsa ICERD ini ditangguhkan dan tidak ada satu lagi ketetapan yang dibuat oleh pihak Parlimen bahawa penolakan secara mutlak dilakukan. Apa pun bagi kami daripada parti Islam SeMalaysia (PAS) ICERD adalah satu anugerah daripada Allah S.W.T. untuk menyatukan umat Islam apabila Menteri Perpaduan menyatakan bahawa ICERD ini akan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Itu yang pertama, yang kedua masih lagi berlaku kebimbingan apabila Pengerusi SUHAKAM menyatakan bahawa SUHAKAM masih lagi akan menasihati Kerajaan supaya ICERD ini diratifikasikan oleh pihak Kerajaan, menerima kesemua keenam-enam elemen yang konvensyen antarabangsa ini diterima oleh Kerajaan Malaysia, ini yang sebenarnya dia meresahkan kami daripada PAS dan rakyat Malaysia khususnya umat Islam dalam negara ini. Kita tidak memerlukan ICERD yang menyama ratakan dan tidak ada diskriminasi di kalangan semua rakyat, semua kaum, yang ini kita rasa Islam yang menjadi agama persekutuan adalah jauh lebih baik daripada konvensyen ICERD ini sendiri sebab dalam Islam ni dia ada dosa dan pahala. Jika sekiranya kita umat Islam ini tidak berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia ni, kita berdosa dan dosa ini dia akan ada balasannya di akhirat. Ini jauh lebih baik daripada ICERD yang kita nak tandatangan ini, insya Allah. Dan kita juga berharap semua pihak boleh menerima hakikat bahawa kontrak sosial sepertimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat tadi telah berlaku dan tidak ada diskriminasi yang kita lakukan terhadap rakyat Malaysia ini selama ini, selepas kita merdeka berpuluh-puluh tahun dan kita harap semua pihak dapat memahami keadaan ini, selain daripada itu kita juga amat kecewa dengan SUHAKAM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia ini yang masih lagi membangkitkan supaya Kerajaan ini dapat meratifikasikan ICERD ini pada suatu hari nanti. Ini yang menyebabkan kita masih lagi tidak begitu yakin dengan apa yang dijanjikan oleh pihak Kerajaan sebab ianya tidak termaktub dalam satu janji yang mutlak yang dilakukan di Parlimen. Sampai Sidang hari ini dan mungkin berakhir atau pun ada dengar kata nak sambung lagi, kita harap Parlimen akan membuat satu keputusan menolak secara mutlak untuk nak ratifikasikan ICERD ini, dan kita juga berharap Kerajaan Malaysia yang ada hari ini dapat melihat balik Pengerusi SUHAKAM yang kita lantik ni, kita rasa lebih baik kalau sekiranya keadaan ini masih lagi berlaku dan saya tengok dalam peristiwa sebatan syarie yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, SUHAKAM mengkritik sebatan tersebut seolah-olah menghina Mahkamah Syariah negeri Terengganu. Dua peristiwa yang berlaku ini menyebabkan keyakinan kami terhadap SUHAKAM ni amat tercabarlah dan kita harap selepas daripada ini Perdana Menteri dan Kerajaan ni boleh lantik seorang agamawan, ulama sebagai Pengerusi SUHAKAM, mungkin suatu hari nanti Shaibus Samahah Dato’ Dr. Mohd Asri Zainal Abidin…
Yang Berhormat, masa dah terlebih… sila segerakan buat keputusan...
…boleh dilantik menjadi Pengerusi SUHAKAM… yang mana ia akan menjadi seorang Pengerusi SUHAKAM yang berpandukan kepada Al-Quran itu sendiri dan saya dengan ini menyokong dengan sepenuh-penuhnya bahawa Dewan Undangan Negeri Perlis ini adalah Dewan yang terbaik disebab saya mendapat maklumat Dewan Undangan Negeri Pahang, pihak Pakatan Harapan tidak menyokong usul penolakan isu ICERD dan ini saya nak ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat daripada PKR yang turut menyokong usul yang kita usulkan pada hari ini. Wallahu’alam, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat, dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang selaku Ahli Bebas.
Bismillahhirahmannirrahim, assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Dato’ Speaker. Sebagai anggota bebas, saya bersama-sama dengan rakan-rakan dari Pakatan Harapan dan juga PAS menyokong penuh usul yang telah dibawa oleh Yang Amat Berhormat Bintong berhubung dengan suatu usul yang sangat penting sebenarnya yang cuba dikorek balik setelah kita benar, kes ini sebenarnya dianggap sebagai isolated cases dah pun berlalu, bukan sekarang ICERD ni, bukan konvensyen baharu, konvensyen lama kerana apabila kawan kita dia jadi menteri dia cuba ungkit balik perkara ini kerana Yang Berhormat Dato’ Speaker, penentang ratifikasi ni dia ada kaitan pada tahun 1961 kerana PBB ni dia tak boleh kacau kedaulatan sesebuah negara negara ni bila negara dia wujud satu negara, negara kecil atau negara besar, dia ada kedaulatan dia, PBB tak boleh kacau apa yang berlaku dalam tu, dan benda ni berlaku tahun 1960an… 61… benda ni dibuat apabila dilihat gerakan-gerakan yang menentang Semitisme atau gerakan anti Yahudi ni mereka bergerak begitu bebas jadi ICERD ni ditubuh sebenarnya ada kepentingan tersendiri dan benda ni pun kita tidak pernah rectify pun selama ini, walaupun Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini tidak pernah rectify dan tidak ada masalah berlaku di antara kaum di antara kita kecuali 13 Mei, sekali tu.. lepas tu kita berlangsung dengan aman dan damai kerana kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama ini diguna pakai dan wujud pemahaman, understanding each other antara kita dengan semua kaum yang ada, soal agama dah ditetapkan termaktub, soal raja-raja Melayu, Bahasa Melayu, bangsa Melayu, pendidikan dan sebagainya dalam Perkara 153, semuanya telah dinyatakan dengan jelas, kenapa hari ini? Kita menyokong Kerajaan Malaysia dan apabila Port Dickson, Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar cuba membawa usul 18 (1) di Parlimen baru-baru ini, that usul telah ditolak oleh Yang DiPertua Dewan Rakyat atas alasan perkara ini tidak perlu disegerakan sedangkan esok selepas usul ini dibawa oleh Port Dickson akan berlaku satu perhimpunan, ramai yang melibatkan ratusan ribu umat Islam dan ada yang bukan Islam pun duduk di situ secara aman membuktikan sampah pun dikutip, kita nak tunjuk kepada negara, kita buat perhimpunan tapi dengan penuh disiplin walaupun sebelumnya diramalkan akan berlaku sesuatu yang tidak dapat dikawal dan sebagainya. Ini menunjukkan kita menyokong Malaysia baharu, tetapi Malaysia baharu yang tidak mempertikai faundasi-faundasi atau foundation-foundation yang telah ada dan tetap. Ini adalah pillar kita… tiang kita… tiang yang telah ditegakkan, jadi tak boleh diganggu gugat… nak buat benda baharu kita buat reformasi benda baharu kita sokong… tapi dalam perkara-perkara yang melibatkan soal kedudukan dalam bangsa, kita berlainan, walaupun dua negara Islam yang belum mengiktiraf iaitu kita dan Brunei, dalam Asia Tenggara kita ada tiga, Myanmar kalau nak kira negara-negara lain tak boleh sama, mereka dalam negara mereka, mereka ada perkara-perkara yang perlu diselesaikan, sebab itulah Dato’ Speaker ratifikasi ini wajar untuk Parlimen, saya setuju dengan sahabat saya daripada Sanglang untuk terus menolak perkara ini, kita nak elakkan bahawa kadang-kadang orang yang membawa perkara ini adalah orang yang cuba membawa kepada 30 Ogos 2007, untuk meminta sebuah mahkamah di London mengatakan atau mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah. Orang ini… orang yang… yang menimbulkan perkara ini kerana perkara ini kalau Tun bercakap di Bangsa-Bangsa Bersatu, dan pada 28 September dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Rembau barulah berlaku susulan demonstrasi pertumbuhan dan juga suara-suara daripada rakyat menyatakan rasa tidak puas hati di atas perkara ini. Terima kasih Dato’ Speaker, saya mohon menyokong usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Bintong itu.
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang, dipersilakan wakil daripada pihak Kerajaan… lima minit…
Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, Yang Berhormat Dato’ Speaker, sidang Dewan sekalian, sebagai konteks sebagai warga yang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 153 iaitu kedudukan bahasa Melayu atau Islam sebagai agama Persekutuan atau hak keistimewaan Melayu dan kedaulatan raja-raja Melayu, maka saya pada hari ini mewakili pihak Kerajaan Negeri Perlis menyokong usaha menolak Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan segala bentuk diskriminasi kaum ini atau dikenali sebagai ICERD. Isu ICERD menjadi hangat kebelakangan ini berikutan wujudnya gerakan yang dilihat bersungguh-sungguh meratifikasikannya agar dapat dilaksanakan dalam negara kita dan mengapa nak diganggu Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 153 yang selama ini bersikap toleransi terhadap warganegara yang berbilang etnik, agama, budaya dan bahasa yang juga memperuntukkan ruang dan masa bagi semua untuk membuat keputusan secara bebas yang berasaskan kepada demokrasi. Sepatutnya sejak berakhirnya pilihanraya yang keempat belas lalu, sudah hampir tujuh bulan yang berlalu, kelangsungan agenda pembangunan Malaysia mesti diteruskan sekalipun berlaku perubahan pentadbiran Kerajaan di samping kita saling perlu berusaha melengkapkan janji-janji manifesto Kerajaan Pakatan Harapan yang telah berjaya mencairkan hati semua penggundi. Manifesto yang sebelum ini menjadi madu paling manis hingga mampu menembusi lubuk hati majoriti rakyat memilih Kerajaan sedia ada, janganlah nanti diumpamakan sebagai hampedu yang amat pahit berikutan dengan ICERD ini. Kita harus menerima kenyataan bahawa selepas 60 tahun mencapai kemerdekaan kesinambungan agenda pembangunan perlu dikekalkan sebagai keutamaan nombor satu demi memastikan Malaysia muncul sebagai negara maju dalam tempoh terdekat dan kita bertanggungjawab untuk maju ke hadapan yang menuntut setiap kita untuk bekerja dengan lebih kuat sebagai satu pasukan demi rakyat dan negara. Kesianlah rakyat marhain yang amat bergantung kepada Kerajaan untuk kehidupan yang lebih baik, majoritinya tidak tahu politik, apa yang mereka tahu bila ada ada kelompok atau parti politik yang berjanji mensejahterakan hidup, itulah yang mereka pilih. ICERD yang diluluskan oleh PBB pada 1961 untuk mematahkan gerakan anti Yahudi sebenarnya telah berkuatkuasa pada 04 Januari 1969 dan ini menunjukkan ICERD telah berkuatkuasa sejak 49 tahun dan pendirian Malaysia tidak meratifikasikannya selama ini dan tidak pernah pun menimbulkan riaksi yang negatif. Walaupun ada usaha-usaha pihak-pihak yang tertentu untuk melobi ICERD hingga ke tahun ini sebelum Kerajaan kita bertukar, namun ICERD masih tidak diratifikasikan oleh Kerajaan Malaysia ketika itu kecuali konvensyen-konvensyen hak orang dalam ketidak upayaan, hak kanak-kanak dan penghapusan semua bentuk diskriminasi terhadap wanita. Dan sehingga akhirnya perkara-perkara ICERD ini yang turut terdapat dalam Perkara 26 Manifesto Pakatan Harapan yang takdirnya Pakatan Harapan menang maka bermulalah usaha-usaha pihak yang tertentu ini untuk menggesa Kerajaan memenuhi janji ke 26 manifesto tersebut yang kita lihat sangat meruncing dan sangat kita tidak suka pada hari ini. Yang Berhormat Dato’ Speaker, dalam usaha mahu meratifikasikan ICERD ini, wajarlah janganlah sampai kita memburukkan Kerajaan kita sendiri ataupun negara kita Malaysia dalam menghadapi pencabulan hak asasi yang sangat kronik yang mana ianya melibatkan bangsa Melayu dan agama Islam. Hatta agama dan bangsa lain pun tidak mahu mereka difitnah sedemikian rupa dan pandangan peribadi saya sebagai warganegara Malaysia yang berdaulat, walau siapapun jua apatah lagi jika seorang pemimpin negara adalah tidak wajar memfitnah dan mengaibkan negara sendiri apatah lagi di luar negara yang perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya. Perkara ini sangat jelas mengganggu emosi dan perasaan bangsa Melayu dan Islam di negara ini. Adalah satu perkara yang mengejutkan apabila terdapat segelintir pemimpin Melayu sendiri yang beragama Islam yang tidak merasa apa-apa malah menyokong berkehendakkan supaya ICERD ini diratifikasikan. Suka saya bertanya, tidakkah kita terasa tercabar apabila kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan ini diperlekehkan. Tidakkah kita terasa tercabar apabila kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan ini dipandang rendah… tidakkah kita terasa tergugat kedudukan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 hendak dirombak? Dan tidak kah kita berasa terkilan kedudukan dan peranan penting institusi raja-raja Melayu dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 ini hendak dipertikaikan.
ICERD hanya menjamin kesama rataan dan tidak menjamin keadilan, kesama rataan tidak sama dengan keadilan, malah kesama rataan boleh membawa kepada ketidak adilan. Dengan kesama rataan, keistimewaan orang Melayu akan hilang, kedudukan Islam yang luhur dalam Perlembagaan akan dihapus atau hanya tinggal nama. Semua agama akan sama rata, semua kaum akan dilihat sama rata, yang sudah tentu akan merugikan orang-orang Melayu, kuasa serta kedaulatan raja-raja Melayu akan terhakis. Orang Melayu tidak sama dengan orang Cina dan orang India, dari segi pemilikan terhadap tanah air, Islam juga tidak sama dengan agama lain kerana Islam telah menjadi agama negara, Kerajaan Melayu sejak 1000 tahun yang lalu di Kepulauan Melayu ini, raja-raja Melayu dan Undang-Undang Islam…
Yang Berhormat... sila ringkaskan... masa dah melebihi...
Baik Yang Berhormat Dato’ Speaker… raja-raja Melayu dan Undang-Undang Islam yang telah berdaulat dari 1000 tahun yang lalu sehingga ke hari ini yang perlu kita lihat bahawa ICERD ini tidak perlu diratifikasikan. Jadi berdasarkan kepada fakta-fakta ini adalah amat wajar bahawasanya kita membuat tuntutan untuk merangkumi amalan-amalan orientasi perkara-perkara yang merangkumi dalam ICERD ini kita tentang habis-habisan dan saya ingin mencadangkan bahawasanya walaupun kabinet menurut artikel Metro yang disiarkan pada Jumaat lalu, 23 November 2018 sebulat suara menangguhkan ratifikasi ICERD demi kepentingan rakyat dan keselamatan negara selagi Perdana Menteri tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pendirian Kerajaan itu, penangguhan itu belum tentu akan menamatkan terus perdebatan berkaitan ICERD serta ketegangan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Penegasan Perdana Menteri bahawa adalah mustahil untuk melaksanakan ICERD amat disanjung tinggi dan perlu juga kita melihat pengesahan yang secara rasmi membantahi ICERD secara rasmi di Parlimen. Jadi Yang Berhormat Dato’ Speaker, justeru mewakili Kerajaan Negeri saya menyokong usul menolak Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan segala bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ini, sekian wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat Pauh, Ahli-Ahli Yang Berhormat Usul ini dikemukakan untuk persetujuan. Ahli-Ahli yang bersetuju, sila angkat tangan. (14 orang Ahli Yang Berhormat daripada 15 orang Ahli Yang Berhormat mengangkat tangan, dengan seorang tidak mengundi iaitu Yang Berhormat Tuan Teh Chai Aan yang tidak berada di dalam Dewan). Terima kasih... dan tidak ada Ahli yang tidak bersetuju.
Usul ini diluluskan, terima kasih.
Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2019 dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2019Bill
Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2019 dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2019. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan satu usul yang berbunyi “Bahawa Dewan ini mengikut Seksyen 43(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, mengambil ketetapan bersetuju meluluskan perbelanjaan sebanyak RM95,850,320.00 (Sembilan Puluh Lima Juta, Lapan Ratus Lima Puluh Ribu, Tiga Ratus Dua Puluh Ringgit) seperti yang tersebut di dalam Anggaran Pembangunan Negeri Perlis Tahun 2019 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 16 Tahun 2018”.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2019Bill
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2019. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2019 dibaca bagi kali pertama.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.
Bacaan Kali Pertama
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2019, bacaan kali pertama.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, menurut proviso kepada peruntukan Peraturan 56 Dewan, saya mohon kebenaran untuk membaca Rang Undang-Undang ini bagi kali kedua pada hari ini juga.
Yang Amat Berhormat dibenarkan.
Bacaan Kali Kedua
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2019, bacaan kali kedua.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang yang bernama “Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2019 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.
Adapun tujuan Rang Undang-Undang ini ialah untuk mengadakan peruntukan bagi mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri sebanyak RM148,431,400.00 (Satu Ratus Empat Puluh Lapan Juta, Empat Ratus Tiga Puluh Satu Ribu, Empat Ratus Ringgit) untuk perkhidmatan bagi tahun 2019 bagi maksud-maksud yang dinyatakan di dalam Jadual. Maksud-maksud yang dinyatakan di dalam Jadual diberi bilangan yang sama dengan tujuan-tujun di dalam draf Anggaran Perbelanjaan Negeri bagi tahun 2019 yang dibentangkan di dalam Dewan Undangan Negeri sebelum dikemukakan Rang Undang-Undang ini.
Bismillahirrahmanirrahim, Salam Perlis dan Salam Sejahtera, “Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju”. Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga dan para sahabat Baginda.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, marilah kita bersama-sama melafazkan kesyukuran di atas limpah rezeki, keamanan dan keselamatan yang dikurniakan Allah SWT ke atas bumi Malaysia. Dengan izin Nya jua dapat kita berhimpun di dalam Dewan yang mulia pada pagi ini untuk membolehkan saya, mewakili Kerajaan Negeri, membentangkan Bajet 2019 bagi Negeri Perlis.
Saya juga ingin merakamkan junjungan setinggi-tinggi kasih kebawah DYMM Raja PerlisTuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra dan seluruh rakyat Negeri Perlis yang telah memberi kepercayaan dan keyakinan kepada Barisan Nasional untuk membentuk Kerajaan Negeri dan untuk saya menerajui pentadbiran Negeri Perlis selepas pilihanraya umum ke-14 lalu. Kita mendoakan agar DYMM Tuanku Raja dikurniakan Allah kesihatan dan kekuatan yang berpanjangan untuk terus kekal memayungi negeri yang berdaulat ini.
Amanah yang diberi akan dilaksanakan dengan ikhlas, penuh tanggungjawab dan bersungguh-sungguh demi merealisasikan matlamat pembangunan dan kesejahteraan Negeri Perlis dan rakyatnya. Amanah berat ini akan digalas bersama oleh rakan-rakan barisan anggota pentadbiran dan jemaah perkhidmatan awam negeri ini, agar hasilnya dapat dirasai dan dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Negeri Perlis.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Pilihanraya umum ke-14 yang lalu telah menyaksikan perubahan kepada lanskap politik negara dan pembentukan sebuah Kerajaan Baharu di bawah Pakatan Harapan. Tahniah kita ucapkan. Arus perubahan ini juga telah menjadikan Negeri Perlis sebagai negeri pembangkang buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, walaupun masih kekal di bawah Barisan Nasional. Ini adalah pilihan dan keputusan majoriti rakyat. Kita semua menghormati keputusan ini berdasarkan kepada prinsip demokrasi yang terpakai dengan berlapang dada.
Dalam suasana lanskap politik baru baharu ini, semua anggota pentadbiran, penjawat awam, pemimpin-pemimpin politik dan seluruh rakyat di Perlis perlu berganding bahu, bekerja keras untuk memastikan agar hanya pembangunan dan kesejahteraan rakyat menjadi agenda utama kita semua.
Tidak ada mana-mana pihak atau sesiapa pun yang harus mendabik dada menyatakan mereka atau dialah yang terbaik dan terpandai sebagai juara rakyat. Apatah lagi jika ada di antara mana-mana pihak atau sesiapa sahaja yang hanya tahu menuding jari untuk mencari kesalahan semata-mata. Malah lebih serius lagi sekiranya ada kecenderungan membuat andaian dan tuduhan liar berbaur fitnah dan hasad dengki terhadap sesuatu pihak tanpa tanggungjawab pembuktian, hanya kerana kepentingan politik semata-mata.
Jika ini yang menjadi keutamaan kita, agenda membawa pembangunan demi kemakmuran dan kemaslahatan rakyat tentu akan tersisih dan terkesamping. Akhirnya rakyat juga yang akan menerima padahnya.
Oleh itu marilah kita semua gembeling fikiran, masa dan tenaga bukannya dengan mendabik dada, menuding jari mencari kelemahan dan kesalahan, membuat spekulasi dan tuduhan liar terhadap kawan atau lawan. Tumpuan kita adalah untuk membangun dan memakmurkan Perlis demi faedah semua.
Setiap parti politik bertanding di dalam setiap pilihanraya untuk mendapatkan mandat dari rakyat untuk memimpin, mentadbir dan mengurus negara atau negeri. Apabila telah mendapat kuasa, bermakna parti yang diberikan mandat itu wajib mengambil tanggungjawab di dalam semua urusan pentadbiran dan pengurusan negara atau negeri yang diwarisinya. Ini bermakna, bukan sahaja ia bertanggungjawab membawa perubahan dan inisiatif-inisiatif baru, tetapi juga bertanggungjawab sepenuhnya mengukuhkan mana yang lemah dan membetulkan mana yang salah. Inilah juga sikap, semangat dan prinsip yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri pada hari ini.
Kerajaan Negeri Perlis sentiasa berusaha memastikan perjalanan dan rentak pembangunan tidak terganggu, dan tiada rakyat yang tercicir dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan negeri. In-sya-Allah kita akan menikmati hasil usaha ini bersama-sama. Saya ingin memetik ayat ke-15 di dalam Surah Al-Mulk :
Ertinya: Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepadaNya-lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.
Mengambil iktibar dari ayat ini, rezeki itu ada di mana-mana. Yang penting, kita hendaklah sentiasa rajin berusaha dan kuat bekerja di atas usaha kita itu. In-sya-Allah, tiada sesiapa pun yang akan gagal memperoleh rezeki masing-masing kalau kita rajin berusaha. Setelah berusaha, kepada Allah kita berserah mengikut ketentuan Qada dan QadarNya. Oleh itu, janganlah kita berpeluk tubuh, bermalas dan menyerahkan diri hanya kepada untung nasib semata-mata. Marilah kita semua rakyat Perlis berusaha dengan lebih gigih untuk menjadikan ekonomi negeri ini lebih berdaya saing dan kemakmurannya dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat - Bumiputera atau bukan-Bumiputera, Islam atau bukan-Islam, muda mahupun tua.
Negeri Perlis sudahpun mempunyai halatuju dan wawasannya, iaitu untuk menjadikan Perlis sebagai Negeri Bandaraya menjelang 2030. Itulah Wawasan yang ingin kita capai. Apakah dengan tahap pembangunan dan ekonomi sekarang kita mampu mencapainya? Inilah cabaran yang wajib kita hadapi, rungkai dan tanganinya.
Yakinlah, tiada suatu yang mustahil untuk dicapai. Yakinlah, wawasan ini boleh kita genggami. Kita perlu mengambil langkah dan lonjakan besar. Kita tidak boleh lagi bekerja dalam keadaan biasa. Setiap langkah dan usaha kita wajib dibuat secara luar biasa, dan setiap masa. Kita tidak boleh berjalan sahaja, tetapi mesti berlari pantas.
Walaupun Perlis kecil dan penduduknya hanya sekitar 250 ribu sahaja, banyak negara dan negeri yang seangkatan dengannya atau lebih kecil, mampu mencapai kemajuan dan pembangunan membanggakan. Perlis mempunyai kelebihan geo-politiknya yang tersendiri. Kelebihan lokasinya belum lagi dieksploitasi sepenuhnya. Oleh itu, tidak mustahil Perlis boleh maju dan melangkah ke hadapan untuk seiring dengan negeri-negeri lain yang lebih maju.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Izinkan saya memetik maksud ayat 37-38 dari Surah An-Nur,
Ertinya: Ibadat itu dikerjakan oleh orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; mereka takutkan hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (37:24)
Mereka mengerjakan semua itu supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.(38:24)
Jelas bahawa sesungguhnya rezeki Allah tidak terhitung, tetapi pastinya setimpal dengan kerja dan usaha seseorang. Kerana itu, tiada erti susah kalau tidak berusaha dan tiada erti gagal jika tidak mencuba.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Perangkaan utama tenaga buruh menunjukkan Malaysia telah mencapai guna tenaga penuh sejak tahun 1992. Guna tenaga penuh di sini membawa maksud setiap rakyat yang mahu dan mampu bekerja, Insya Allah, akan dapat mencari pekerjaan. Cuma isunya adalah sama ada dia hendak atau tidak bekerja. Semuanya terletak atas diri sendiri sama ada mahu duduk saja atau mencari peluang untuk menjana pendapatan bagi kelangsungan hidup diri dan keluarga.
Suka saya menegaskan di sini, Kerajaan adalah bertanggungjawab untuk menyediakan prasarana asas yang diperlukan supaya satu persekitaran yang kondusif di Negeri Perlis ini dapat diwujudkan. Di dalam persekitaran inilah peluang-peluang dapat dicari dan direbut oleh setiap rakyat dalam bentuk usaha yang kreatif untuk memperbaiki atau meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonomi masing-masing. Dengan penyediaan prasarana asas ini juga diharapkan ia akan menjadi umpan dan tarikan kepada pelaburan-pelaburan besar yang berimpak tinggi dan mampan ke negeri ini. Menyediakan prasarana asas ini bukan sesuatu yang mudah. Ia tidak boleh diwujudkan dalam sekelip mata.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
PRESTASI EKONOMI
Asas ekonomi Negara masih kukuh di peringkat makro. Pertumbuhan ekonomi sejak 1971 hingga 2017 adalah yang tertinggi di dunia. Walaupun terdapat 3 kemelesetan (tahun 1985, 1998 dan 2009) dan 2 kali kelembapan ekonomi (tahun 1975 dan 2001). Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih mampu tumbuh pada kadar melebihi 6%. Jika dilihat kepada corak atau pattern pertumbuhan ekonomi Negara, setiap krisis ekonomi yang dihadapi, hampir serta merta dapat dipulihkan dalam tempoh setahun. Ini menunjukkan ekonomi negara mempunyai daya tahan yang tinggi.
Kemiskinan mutlak hampir dibasmi pada kadar 0.4% daripada isi rumah di bawah paras kemiskinan, iaitu tidak lebih 120 ribu orang berbanding 29.1 juta warganegara Malaysia. Manakala, di persada antarabangsa, Malaysia masih merupakan destinasi utama pelaburan asing. Ekonomi Malaysia sangat kompetitif dan mengikut rekod Laporan Daya Saing Global (GCR) 2018 dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan 25 dalam kalangan 140 negara iaitu persentil 17% ke atas. Jadi ia menunjukkan keadaan ekonomi Malaysia sangat bagus di peringkat makro.
Dalam tempoh dua tahun pertama Rancangan 2016-2017, KDNK negara berkembang 5.1 peratus setahun dengan kadar purata inflasi sekitar 2.9 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan agregat swasta yang kukuh, dengan pelaburan dan penggunaan swasta sebagai pemacu.
Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita pada harga semasa pula meningkat pada kadar purata 6.7 peratus, daripada 36,119 ringgit pada tahun 2015 kepada 41,093 ringgit pada tahun 2017. Dari segi pariti kuasa beli (atau PPP), PNK per kapita Malaysia telah mencecah 28,650 dolar Amerika, seperti dianggarkan oleh Bank Dunia.
Pencapaian ini menempatkan Malaysia dalam kumpulan 25 persentil teratas daripada 217 negara.
Pertumbuhan ini secara umumnya adalah di antara yang terbaik di rantau ini. Namun, sejak satu dekad yang lepas, dua per tiga dari manfaat pertumbuhan ini telah dinikmati oleh pemilik modal. Hanya sekitar satu per tiga daripada KDNK sahaja yang dinikmati oleh golongan pekerja. Terdapat juga jurang pendapatan yang ketara antara pekerja berkemahiran tinggi yang mendapat upah yang lumayan berbanding dengan mereka yang kurang berkemahiran dan mendapat upah yang rendah. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi ini kurang dirasai oleh kebanyakan rakyat. Oleh yang demikian, langkah-langkah intervensi bersifat makro dan mikro oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri diperlukan dalam usaha untuk mengurangkan jurang perbezaan pendapatan di antara golongan berada dan tidak berada ini. Langkah-langkah ini diharap akan dapat menurunkan Gini coefficient yang dilihat semakin meningkat.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
PRESTASI EKONOMI NEGERI PERLIS
Senario ekonomi di negeri Perlis menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2017 telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus bersamaan dengan 5.2 billion ringgit. Walaupun ekonomi nasional berkembang tetapi pertumbuhan ini tidak memberi impak yang besar dan setimpal untuk negeri Perlis. Sebagai contoh KDNK per kapita Perlis sebanyak 23.4 ribu ringgit adalah 45% lebih rendah dari purata nasional iaitu 41.12 ribu ringgit pada tahun 2017. Ini adalah berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri Perlis yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pelbagai faktor menyumbang kepada fenomina ekonomi yang wujud ini. Melalui pencapaian Wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030, kita berharap ketidakseimbangan faedah pertumbuhan ekonomi berdasarkan wilayah atau negeri ini dapat diatasi atau dirapatkan.
Kerajaan Negeri menyambut baik pembentangan laporan Kajian Separuh Penggal RMK 11 pada 18 Oktober 2018 yang lalu dan menyokong sepenuhnya iltizam Kerajaan Persekutuan untuk tidak membiarkan mana-mana negeri di Malaysia tertinggal di belakang. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan untuk memajukan kesemua negeri di Malaysia melalui agenda pembangunan wilayah yang seimbang. Selaras dengan ini, Kerajaan Negeri mengharapkan peruntukan pembangunan yang lebih saksama dan adil kepada Perlis supaya mencapai pembangunan yang lebih setara. Melalui pengumuman ini, diharapkan segala perancangan dan pelaksanaan pembangunan di Negeri Perlis akan berterusan dengan lancar dan mencapai matlamatnya.
Sektor utama yang menyumbang kepada KDNK Negeri Perlis adalah sektor perkhidmatan yang merekodkan nilai ditambah berjumlah 3.42 bilion ringgit dan mencatat pertumbuhan sebanyak 4% pada tahun 2017. Sumbangan sektor perkhidmatan kepada keseluruhan KDNK Perlis adalah sebanyak 65.3%. Pertumbuhan ini disokong oleh sub-sektor perdagangan borong dan runcit serta komunikasi.
PERUNTUKAN BAJET 2019
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Di dalam mendepani cabaran ekonomi domestik dan serantau, Kerajaan Negeri Perlis telah merangka Bajet 2019 yang lebih bersinergi dengan memberi penekanan kepada peranan sektor swasta. Sektor swasta akan berperanan sebagai “engine of growth” tanpa mengenepikan keprihatinan dan kebajikan rakyat yang memerlukan. Di masa yang sama sektor awam akan terus berperanan sebagai pemudahcara dengan lebih cekap dan berkesan. Pelaburan awam juga diteruskan dalam mempastikan prasarana-prasarana asas yang diperlukan sektor swasta dan rakyat disediakan.
Sesuai dengan strategi dan pendekatan ini, tema yang dipilih untuk Bajet 2019 adalah “Pembangunan Dijana dan Diperkasa, Kebajikan Rakyat Dibela”. Bajet 2019 dirangka dengan berfokuskan kepada sektor swasta dalam memacu ekonomi untuk menjadikan Perlis sebagai destinasi pelaburan yang menarik.
Cabaran kini ialah untuk meletakkan Perlis di dalam radar pelabur-pelabur. Kerana itu Perlis perlu mempunyai prasarana asas yang mencukupi untuk menarik para pelabur. Strategi dan pendekatan baru yang dirangka kini adalah penyediaan dan pelaksanaan projek-projek prasarana asas melalui pembiayaan awam dan juga pembiayaan swasta. Oleh itu, Negeri Perlis mengalu-alukan penyertaan swasta dalam pelaburan dan penyediaan prasarana asas ini.
Pelaburan dalam penyediaan prasarana asas logistik seperti di Sanglang dan Chuping, serta kemasukan pelabur di CVIA merupakan projek-projek prasarana utama dan ikon pembangunan di Perlis. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan memberi perhatian kepada perkhidmatan-perkhidmatan sokongan yang diperlukan melalui kerjasama yang rapat di antara Kerajaan, pelabur dan pihak-pihak lain.
Peranan sektor awam sebagai pemudahcara dalam menyediakan perkhidmatan sokongan kepada pelabur-pelabur dan mereka yang berkepentingan tidak akan tercapai sekiranya sikap dan cara bekerja di dalam perkhidmatan awam tidak berubah. Kerajaan Negeri ingin menggesa agar penjawat-penjawat awam dapat bekerjasama memainkan peranan mereka dengan cekap, cepat, jujur dan berkesan di dalam melaksanakan tugasan masing-masing.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Bajet 2019 kali ini memberi tumpuan kepada tiga fokus utama, iaitu fokus pertama-pembangunan ekonomi melalui penyertaan swasta, fokus kedua-penjanaan ekonomi negeri melalui keusahawanan dan fokus ketiga-kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah 268.73 juta ringgit untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Daripada jumlah ini sebanyak 172.88 juta ringgit atau 64.3% disediakan di bawah peruntukan mengurus dan 95.85 juta ringgit atau 35.7% di bawah pembangunan.
PERBELANJAAN MENGURUS
Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri menyediakan 53.99 juta ringgit untuk bayaran emolumen kepada kakitangan awam iaitu bersamaan 31.23% daripada keseluruhan bajet mengurus negeri. Bagi menampung perbelanjaan utiliti, sewaan, bekalan dan peralatan pejabat, penyelenggaraan bangunan serta perkhidmatan kebersihan dan keselamatan, sebanyak 71.15 juta ringgit atau 41.15% disediakan dibawah Perkhidmatan dan Bekalan.
Sebanyak 43.65 juta ringgit disediakan di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap termasuk 4.82 juta ringgit adalah caruman Kerajaan Negeri kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Manakala sebanyak 4.09 juta ringgit disediakan untuk Aset serta Lain-lain Perbelanjaan. Secara keseluruhannya, Bajet Mengurus pada tahun 2019 menguncup 1.23% berbanding tahun 2018.
PERBELANJAAN PEMBANGUNAN
Bagi peruntukan pembangunan, sejumlah 95.85 juta ringgit disediakan dari keseluruhan peruntukan Bajet 2019. Sebanyak 66.00 juta ringgit ini disediakan untuk fasa seterusnya pembinaan Kompleks Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pembinaan Istana Raja Muda Perlis. Pembiayaan kedua-dua projek pembangunan ini adalah melalui pinjaman Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan.
Di samping itu, sebanyak 23.31juta ringgit disediakan di bawahPemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) bagi tahun 2019.
Pengagihan peruntukan pembangunan bagi tahun 2019 diberikan kepada enam (6) Agensi Pelaksana utama bagi tujuan memenuhi keperluan pembangunan semua sektor. Pengagihan peruntukan kepada enam agensi pelaksana utama berkenaan adalah seperti berikut, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri-12.86 juta ringgit, Jabatan Kerja Raya-72.15 juta ringgit, Jabatan Pertanian-3.18 juta ringgit, Jabatan Perkhidmatan Veterinar-0.51 juta ringgit, Jabatan Pengairan dan Saliran-6.30 juta ringgit dan Jabatan Perhutanan-0.83 juta ringgit.
HASIL
Bagi tahun 2019 Kerajaan Negeri Perlis menganggarkan kutipan hasil berjumlah 103.08 juta ringgit. Komponen anggaran hasil adalah seperti berikut, Hasil Cukai-RM18.9 juta ringgit, Hasil Bukan Cukai-22.72 juta ringgit dan Terimaan Bukan Hasil 61.46 juta ringgit.
Dengan anggaran ini Kerajaan Negeri dijangka akan dapat mengurangkan lagi secara beransur-ansur bajet defisit kepada 69.8 juta ringgit pada tahun 2019 berbanding 71.99 juta ringgit pada tahun 2018, iaitu pengurangan sebanyak 3.04%.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menambah hasil pendapatan negeri. Langkah-langkah segera yang telah diambil dan dilaksanakan untuk meningkatkan hasil negeri adalah seperti berikut, pertama mengemaskini kutipan cukai tanah melalui program pemutihan bagi pelanggaran syarat tanah dengan diskaun sebanyak 65%. Bagi tahun 2018 sebanyak 77 permohonan menukar syarat tanah telah diterima, program galakan bayaran tunggakan melalui pemberian diskaun sebanyak 80% ke atas denda tunggakan cukai tanah, program galakan bayaran awal cukai tanah. Bagi tahun 2019, pemberian rebat cukai adalah sebanyak 8% ke atas tanah kategori pertanian dan 5% bagi tanah kategori kediaman dan industri. Tempoh rebat ini diberi mulai Januari sehingga Mac 2019.
Kedua, program penjadualan semula bayaran sewa RPA. Bagi membantu penghuni-penghuni RPA yang mempunyai bayaran tunggakan sewaan, Kerajaan Negeri telah bersetuju agar tunggakan ini dibayar secara ansuran dan ditambah dengan sewaan semasa bagi meringankan beban penyewa;
Ketiga, kepelbagaian hasil daripada pokok jati. Pada tahun 2018, Jabatan Perhutanan Perlis telah mengeluarkan tender untuk tiga (3) jalan lagi iaitu Jalan Kok Klang, Jalan Padang Melangit dan Jalan Simpang Empat. Manakala bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri dijangka mendapat hasil dari 30 ekar ladang jati yang telah pun mencapai usia matang. d
Dan keempat mengemaskini kutipan hasil kuari. Pejabat Tanah dan Galian Perlis telah mengemaskini kaedah kutipan hasil kuari melalui perakuan secara suka rela daripada pengusaha kuari.
Manakala bagi usaha jangka panjang pula, Kerajaan Negeri akan terus berusaha menarik kemasukan pelabur untuk memulakan pelaburan berskala besar di Negeri Perlis. Perlu juga diambil perhatian bahawa perubahan-perubahan ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Negeri Perlis juga bakal mendapat manfaat daripada projek pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP) yang dijangka memulakan kerja prasarana asasnya pada tahun 2019. Melalui inisiatif ini Padang Besar bakal menjadi sebuah hab logistik terbesar di Perlis dengan kawasan perindustrian yang tertumpu kepada tiga cluster, iaitu penjanaan tenaga boleh diperbaharui, industri hijau dan industri halal. Pembaharuan ini dijangka dapat memberi impak yang besar dan mengubah landskap ekonomi negeri sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri untuk beralih daripada sektor ekonomi tradisi berasaskan pertanian kepada sektor ekonomi moden.
Dalam memastikan Fokus Bajet 2019 dapat dilaksanakan dengan teratur, Kerajaan Negeri telah menggariskan beberapa strategi dan pelan tindakan bagi setiap fokus tersebut.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
FOKUS PERTAMA : PEMBANGUNAN EKONOMI MELALUI PENYERTAAN SWASTA
Bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi, penyertaan dan peranan pihak swasta amat kritikal supaya lonjakan besar atau leap frogging dapat dicapai. Di bawah fokus ini Kerajaan Negeri telah menggariskan tiga strategi utama.
STRATEGI 1: ANJAKAN EKONOMI MELALUI PROJEK BERIMPAK TINGGI
Pada masa ini, Kerajaan Negeri mempunyai 6 projek berimpak tinggi bagi pembangunan ekonomi Negeri Perlis iaitu, Projek Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Projek Perlis Inland Port (PIP), Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu (Kangar Sentral), Jeti Bersepadu Sanglang, Pembangunan Bercampur Kuala Perlis yang berasaskan kepada pelancongan dan Pemulihan dan Pembangunan Semula Sungai Batu Pahat dan Bukit Ayer.
Nukleus bagi Pembangunan CVIA, iaitu sebuah Pusat Perniagaan Bersepadu atau Integrated Business Centre (IBC) dijangka akan siap pada April 2019. Apabila siap kelak bangunan ini akan menjadi pemangkin bagi pembangunan di CVIA seterusnya. Beberapa jabatan/agensi telah dikenalpasti untuk beroperasi di IBC. Ini termasuklah Menteri Besar Incoporation (MBI), Northern Corridor Implementaion Authority (NCIA), TESSOLVE Corporation dan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL). Antara kilang terawal yang akan beroperasi di CVIA adalah sebuah syarikat multinasional yang berasal dari Amerika Syarikat yang akan mengeluarkan semiconductor.
Kerja-kerja infrastruktur asas bagi CVIA juga akan dimulakan pada tahun 2019 dengan peruntukan semula sebanyak 50.50 juta ringgit yang diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Bagi PIP, Kerajaan Negeri telah pun melantik sebuah syarikat baru yang lebih berwibawa dan mempunyai keupayaan pembiayaan dalaman sebagai pemaju dan operator PIP. Dengan pelantikan ini adalah diharapkan pelaksanaan projek PIP dapat dilaksanakan secara “Fast Track”.
Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang menyedari kepentingan projek ini dengan meluluskan semula peruntukan untuk tahun 2019 bagi kemudahan infrastruktur PIP sebanyak 3 juta ringgit.
Bagi Projek Kangar Sentral, sebanyak 5 juta ringgit diperuntukkan semula bagi tahun 2019 dari keseluruhan kos sebanyak 30 juta ringgit. Sebelum ini, peruntukan sebanyak 2 juta ringgit telah diterima bagi kerja-kerja tanah yang pada hari ini telah pun siap sehingga 96%. Projek ini bakal memberi keselesaan kepada rakyat khususnya pengguna apabila semua kemudahan pengangkutan awam beroperasi secara berpusat dan dilengkapi dengan fasiliti seperti kompleks perniagaan.
Pembangunan Jeti Bersepadu Sanglang yang akan menelan belanja awal 500 juta ringgit adalah usahasama antara Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan sebuah syarikat swasta yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Jumlah pelaburan ini hanyalah merupakan fasa pertama daripada tiga fasa yang dirancang meliputi pembangunan pelancongan dan komersil, terminal kargo serta kompleks perikanan. Proses kelulusan penuh kebenaran merancang dijangka selesai pada Disember ini dan pembinaan fasa 1 akan bermula seawal bulan Januari 2019 sekiranya semua laporan EIA, SIA, TIA dan Hidrolik selesai dan diluluskan oleh agensi-agensi berkenaan.
Bagi Projek Pembangunan Bercampur Kuala Perlis, sehingga kini kerja tanah sedang dilaksanakan. Kerja-kerja pembinaan melibatkan komponen pembangunan seperti pusat perniagaan, hotel dan service apartment dijangka akan bermula pada April 2019 dan dijangka siap pada tahun 2021 dengan Nilai Pembangunan Kasar atau Gross Development Value sebanyak 363 juta ringgit.
Projek Pemulihan dan Pembangunan Semula Sungai Batu Pahat bakal menjadikan Sungai Batu Pahat dan Bukit Air sebagai salah satu taman rekreasi yang terbaik di dalam peta pelancongan Negeri Perlis. Bagi fasa 1, sebuah taman tema akan dibina di kawasan rekreasi Bukit Ayer dan kemudahan penginapan akan dinaiktaraf. Sehingga kini rundingan dengan sebuah syarikat pelabur yang berminat sedang berjalan untuk dimuktamadkan. Projek ini bakal menyaksikan Nilai Pembangunan Kasar sekitar 692.9 juta ringgit.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
STRATEGI 2: MEWUJUDKAN PELUANG PEKERJAAN DAN MENEROKA POTENSI BARU PENJANAAN EKONOMI
Kerajaan Negeri percaya peluang pekerjaan perlu sentiasa diwujudkan bagi anak-anak Perlis terutama yang telah tamat belajar di pelbagai peringkat pengajian. Dua projek pelaburan di kawasan perindustrian Pauh Putra oleh syarikat Green World Genetics Sdn. Bhd. (GWG) dan Intec QRC dijangka dapat menyediakan sebanyak 450 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.
GWG merupakan satu-satunya syarikat Malaysia yang menghasilkan biji benih hibrid jenis tropika. Syarikat ini telah membina kilang memproses jagung bijian dengan pelaburan hampir 30 juta ringgit. Ia bakal menyediakan peluang kepada anak-anak tempatan untuk mengusahakan ladang kontrak bagi menghasilkan jagung bijian keluaran GWG dengan menawarkan buy back guarantee. GWG akan memberi bimbingan teknikal kepada mereka yang berminat.
GWG juga membuka peluang latihan kepada pelajar UNIMAP bagi meningkatkan kompetensi dalam penghasilan biji benih hibrid. Sehingga kini, lebih daripada 10 orang graduan UNIMAP telah diserap untuk kerja dgn GWG. Pada tahun 2019, seramai 9 orang lagi pelajar UNIMAP akan menjalani latihan industri di bawah bimbingan GWG. Di samping itu, GWG dengan kerjasama NCIA akan mewujudkan hybrid seed development center dengan menyewa tanah seluas 50 hektar di Lembah Chuping.
Projek Intec QRC di Pauh Putra merupakan projek Pelaburan Langsung Asing (FDI) berjumlah 900 juta ringgit. Ini merupakan satu pelaburan swasta terbesar dalam sejarah negeri Perlis. Syarikat ini akan memproses tayar-tayar terpakai untuk dijadikan serbuk getah bagi menghasilkan rubber flooring, tayar mati dan paip. Proses ini menggunakan teknologi cryogenic yang diiktiraf sebagai teknologi hijau. Kerja-kerja tanah akan bermula pada Februari 2019 di atas tapak berkeluasan 22 ekar.
Yang Berhormat Dato’Speaker,
Kerajaan Negeri juga sedang dalam peringkat rundingan dengan beberapa syarikat korporat untuk bekerjasama meneroka peluang dan potensi baru di Perlis. Antara potensi bidang yang dikenalpasti adalah projek penternakan lembu daging dan tenusu serta projek agro tani tanaman eksotik.
Kerajaan Negeri secara aktif sedang berbincang dengan pelabur-pelabur yang berminat untuk melaksanakan projek berskala besar penternakan lembu daging dan tenusu di Perlis.
Kejayaan ladang superfruits berkeluasan 20 hektar di Lembah Chuping menjadi pemangkin untuk kita mempelbagaikan industri tanaman buah-buahan bernilai tinggi di negeri Perlis. Antara tanaman buah-buahan bernilai tinggi yang telah pun bermula di Lembah Chuping ialah tanaman buah tin, limau kuning (lemon) dan gac.
Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri telah dan akan terus bekerjasama dengan pelabur swasta yang terlibat, NCIA, MARDI, FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang untuk membangunkan sebuah ladang contoh bagi tanaman buah tin dan menyediakan khidmat pemindahan teknologi kepada peserta program yang terdiri daripada individu atau ahli koperasi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). Usaha ini diharapkan dapat menarik minat belia menceburi bidang tanaman buah-buahan yang mempunyai nilai pasaran tinggi.
Request For Proposal (RFP) dikenalpasti sebagai satu lagi pendekatan Kerajaan Negeri bagi membuka peluang kepada pelabur-pelabur untuk bersama-sama membangunkan negeri Perlis dalam pelbagai bidang, terutamanya di bidang pembangunan hartanah. Bagi pelaburan yang memerlukan keluasan tanah tertentu, Kerajaan Negeri menyenaraikan 22 lot tanah yang telah dikenalpasti untuk dimajukan. Syarikat yang berminat boleh mengemukakan cadangan konsep masing-masing ke Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) untuk penilaian dan pertimbangan kesesuaiannya.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan penyertaan swasta untuk mengambil inisiatif mewujudkan produk-produk pelancongan di negeri Perlis. Ini termasuklah membangunkan semula kawasan pelancongan seperti Tasik Melati, Taman Sakura, Taman Negeri dan Gua Cenderawasih, membangun dan menguruskan aktiviti menjelajah dan memanjat bukit sebagai produk pelancongan sukan yang semakin diminati.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Kaedah RFP tidak hanya terhad kepada projek pembangunan hartanah sahaja. Tetapi juga boleh diperluaskan kepada projek pemasaran harumanis untuk pasaran di dalam dan luar negara. Kerajaan Negeri percaya bahawa syarikat swasta atau entiti swasta dengan rangkaian pemasaran sedia ada boleh meningkatkan lagi industri harumanis Perlis.
Satu perbincangan telah diadakan bersama sebuah koperasi tempatan untuk membantu memasarkan harumanis para petani. Koperasi ini dijangka dapat meningkatkan pemasaran harumanis daripada 58 tan pada tahun 2018 kepada 300 tan pada tahun 2019. Kerajaan Negeri juga berharap lebih ramai pihak tampil untuk merebut peluang dalam memasarkan harumanis ke seluruh negara, termasuk luar negara. Rangkaian dan saluran pemasaran yang cekap dan cepat dapat mengatasi masalah lambakan harumanis dan mengekalkan harga yang tinggi dan pendapatan yang munasabah kepada pengusaha harumanis.
Sebagai sokongan, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.42 juta ringgit untuk industri harumanis termasuk cold room untuk menyimpan harumanis dalam jangka masa lebih panjang terutama pada bulan Ramadhan. Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan Taman Warisan Pertanian Putrajaya sebagai salah satu saluran pemasaran harumanis.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
STRATEGI KETIGA: MEMPERKEMASKAN PERANAN KERAJAAN NEGERI UNTUK PERSEKITARAN PELABURAN YANG KONDUSIF
Kerjasama yang erat dan kukuh di antara pihak kerajaan dan pelabur adalah diperlukan bagi melancarkan transformasi ekonomi yang ingin dilaksanakan. Usaha untuk menjadikan pentadbiran yang lebih mesra pelabur akan diambil melalui pendekatan berikut:
Mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Khas bagi mempertimbangkan sebarang cadangan untuk mempercepatkan kelulusan dasar sesuatu cadangan pelaburan;
Insentif green lane di Pusat Hentian Setempat (OSC) disediakan bagi projek-projek terpilih yang telah mendapat kelulusan dasar daripada Kerajaan Negeri dan memerlukan kelulusan segera;
Mengkaji semula time-line kelulusan di setiap peringkat jabatan – Kerajaan Negeri percaya tempoh yang diambil oleh setiap jabatan bagi memproses setiap permohonan boleh disingkatkan dengan mengkaji semula dan memperbaiki proses kerja yang dijalankan; dan
Peningkatan kompetensi penjawat awam melalui pendedahan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), pemikiran aras tinggi (HOTS), future thinking dan scenario planning.
Sebagai tarikan tambahan kepada pelabur, Kerajaan Negeri juga menyediakan pakej insentif tambahan seperti diskaun kadar premium tanah yang munasabah mengikut saiz dan pulangan pelaburan yang ditawarkan. Manakala, bagi pelaburan yang melibatkan usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), PKENPs bersedia menawarkan pengecualian sewa bangunan untuk 3 bulan pertama.
Peruntukan yang terhad menyebabkan saiz-saiz projek yang dijalankan adalah kecil dan kurang memberi impak positif yang diharapkan. Pendekatan pembangunan berfokus dan bersepadu membolehkan pelbagai agensi menyumbangkan kepakaran dan berkongsi sumber untuk pembangunan yang lebih menyeluruh. Projek perintis menggunakan pendekatan ini akan dilaksanakan dalam pembangunan Dataran Usahawan Kurung Tengar yang melibatkan jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD), JPS dan MPK.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
FOKUS KEDUA: PENJANAAN EKONOMI NEGERI MELALUI KEUSAHAWANAN
Bajet 2019 akan memberi fokus kepada peningkatan taraf hidup melalui penjanaan pendapatan daripada aktiviti keusahawanan. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan Persekutuan untuk memperkasakan aktiviti keusahawanan.
STRATEGI PERTAMA: MENGGALAKKAN DAYA KEUSAHAWANAN DI KALANGAN RAKYAT
Seminar, Bengkel & Kursus Keusahawanan
Pada tahun 2018, dengan kerjasama dari pelbagai peringkat jabatan, sebanyak 2.8 juta ringgit telah dibelanjakan untuk kursus, bengkel dan seminar berkaitan dengan pembangunan keusahawanan. Usaha ini akan dipergiatkan lagi di tahun 2019. Terdapat lebih 150 kursus, bengkel dan latihan keusahawanan dari pelbagai agensi sedang diatur dan bakal ditawarkan kepada semua lapisan masyarakat di Negeri Perlis pada tahun hadapan. Bagi memudahkan akses berkenaan kursus-kursus keusahawanan tersebut, semua program yang terlibat akan diwar-warkan melalui laman sesawang portal usahawan Perlis, yang dibangunkan oleh BPEN dan disokong juga dengan sebaran melalui media sosial.
Kerajaan Negeri akan meneruskan usahasama dengan jabatan seperti MARA serta agensinya iaitu GiatMARA dan Institut Kemahiran MARA, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negeri (IKBN), Institut Latihan Perindustrian, PERDASAMA, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, SME Corp, Suruhanjaya Koperasi, MAIPs, UiTM, UNIMAP, Politeknik, dan juga pelbagai agensi yang menawarkan pembiayaan seperti TEKUN, Permodalan Usahawan Nasional untuk melahirkan lebih ramai usahawan kecil dan sederhana yang berjaya.
Di samping peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri juga menyediakan sebanyak 800 ribu ringgit pada tahun 2019 untuk aktiviti promosi bagi meningkatkan daya keusahawanan di kalangan rakyat Perlis termasuk para belia, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Program Penggalakkan Keusahawanan
Untuk menggalakkan aktiviti keusahawanan, Pelancaran Tahun Keusahawanan Negeri Perlis akan diadakan pada awal tahun 2019. Program ini bakal menghimpunkan semua usahawan di Negeri Perlis dan membuka peluang kepada usahawan tersebut memperkenalkan produk mereka di samping mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi-agensi yang berkaitan.
Bagi meningkatkan peluang-peluang latihan dalam bidang kemahiran, Negeri Perlis juga menerima geran latihan kemahiran berjumlah 2 juta ringgit dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi membiayai 135 orang pelajar yang berminat dengan kursus-kursus kemahiran di 6 (enam) pusat latihan terpilih di Wilayah Utara. Antara kursus yang ditawarkan kepada mereka yang berminat termasuklah bidang automotif, kulinari dan jahitan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Tidak dinafikan penglibatan kaum wanita dalam bidang perniagaan pada hari ini sudah semakin meluas malah kini banyak perniagaan dikuasai oleh wanita. Menyedari bahawa pentingnya wanita dilengkapi ilmu keusahawanan sebelum menceburkan diri di dalam bidang tersebut dan sebagai galakkan awal, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan khas sebanyak 90 ribu ringgit bagi melaksanakan Pembangunan Keusahawanan Wanita. Program ini melibatkan 4 komponen utama, iaitu Kursus Usahawan Wanita, Karnival Usahawan Wanita, Program Mengaktifkan Wanita Perlis dan Program Mama Care.
Bagi meringankan kos yang ditanggung oleh usahawan dan menggalakkan lebih ramai rakyat menceburkan diri dalam bidang perniagaan, diskaun sebanyak 20% akan diteruskan oleh MPK bagi permohonan lesen perniagaan penjaja.
Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan 100 ribu ringgit bagi membangunkan Kangar Street Art di lorong belakang bangunan CIMB Kangar. Melalui pembangunan ini ianya diharapkan akan dapat memberi ruang kepada semua pengkarya seni untuk mempamer dan mengusahakan bakat seni mereka di lokasi yang telah disediakan. Pengkarya seni ini dapat berkarya di samping menjana pendapatan melalui hasil seni mereka seperti lukisan, kraftangan, ukiran mahupun melalui makanan. Di samping memberi manfaat kepada pengkarya seni, pembangunan Kangar Street Art dilihat dapat dijadikan produk pelancongan baru di Perlis.
Berhubung dengan bidang keusahawanan ini, saya ingin menegaskan supaya setiap usahawan baru memulakan perniagaan mereka pada skala kecil dahulu. Perniagaan ini boleh dibesarkan secara beransur-ansur setelah mereka mula menempah kejayaan. Perniagaan yang bermula kecil dapat mengurangkan risiko gagal dengan kerugian besar, dan untuk membina semula perniagaan dengan mudah dan cepat. Ia juga memberi peluang kepada usahawan untuk belajar setiap selok-belok perniagaan yang diceburinya dan mengumpul pengalaman berguna sedikit demi sedikit.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
STRATEGI KEDUA: PENYEDIAAN RUANG NIAGA DAN BANTUAN
Penyediaan Outlet Baru Perniagaan
Di dalam usaha untuk menyediakan keperluan infrastruktur keusahawanan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah 3.70 juta ringgit bagi menaik taraf gerai dan membina gerai baharu di sekitar Perlis. Antara kerja-kerja yang akan dijalankan termasuklah meruntuh dan membina 14 buah gerai di kawasan Medan Selera Padang Besar (U) Perlis, menaik taraf Medan Selera Arau dan pembangunan semula Pasar Padang Besar yang akan menempatkan 141 buah gerai dan kiosk.
Penyediaan gerai-gerai dengan reka bentuk menarik, sistematik, bersih dan disenggara dengan baik di lokasi-likasi berpusat yang sesuai bertujuan untuk memberi peluang kepada peniaga-peniaga untuk menambah pendapatan mereka. Selain dapat menyediakan dan menjual barangan, makanan atau perkhidmatan berkualiti tinggi, Kerajaan Negeri ingin melihat peniaga meninggalkan tabiat buruk berniaga di lokasi-lokasi yang tidak dibenarkan, kotor dengan reka bentuk gerai yang menyakitkan mata. Perubahan harus berlaku dalam konteks perniagaan gerai ini sesuai dengan perjalanan kita menuju Wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030.
Bagi mempelbagaikan lagi pembinaan medan selera di negeri Perlis, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak 600 ribu ringgit bagi penyediaan gerai berkonsep moden di Dataran Kurung Tengar, Kuala Perlis.
Kerajaan Negeri menghargai usaha dan mengucapkan tahniah kepada Kelab Memancing dan Rekreasi Perlis yang telah mengambil inisiatif mengatur dan mewujudkan Pasar Terapung atau Floating Market di Pengkalan Tok Kuning Sungai Perlis. Usaha ini harus diterus, dibangun dan dikembangkan lagi oleh penganjur berkenaan untuk menarik lebih ramai peniaga dan pengunjung. Kerajaan Negeri akan terus menyokong, memantau dan bekerjasama dengan menyediakan kemudahan asas seperti surau atau tandas untuk keselesaan pengunjung.
Kerajaan Negeri mendapati masih terdapat kawasan yang berpotensi seperti di tapak pasar lama Kangar yang boleh dibangunkan sebagai lot-lot komersil kos rendah bagi membuka peluang perniagaan kepada penduduk tempatan. Pihak swasta yang berminat boleh mengemukakan cadangan konsep pembangunan kawasan ini untuk pertimbangan Kerajaan Negeri.
Kebajikan Produktif Melalui Bantuan Modal
Dalam usaha untuk memastikan bantuan kebajikan yang disediakan akan digunakan secara produktif, skim bantuan modal perniagaan sebanyak 2,700 ringgit kepada 50 orang peserta akan disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu golongan yang menerima bantuan kebajikan untuk memulakan perniagaan.
Tidak ketinggalan juga geran bagi Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGPOKU) yang bernilai maksimum 100 ribu ringgit bagi setiap pemohon diperuntukkan kepada usahawan OKU melalui Jabatan Tenaga Kerja bertujuan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
FOKUS KETIGA: KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT
STRATEGI 1: INFRASTRUKTUR UNTUK KESELESAAN
Infrastruktur Jalan
Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 4.4 juta ringgit untuk pelbagai projek infrastruktur jalan. Daripada jumlah tersebut sebanyak 3 juta ringgit adalah untuk naiktaraf jalan dan persimpangan jalan.
Projek-projek menaiktaraf jalan negeri melibatkan Jalan Jejawi - Tambun Tulang dan Jalan Belakang Pasar Sena. Manakala projek menaiktaraf persimpangan jalan negeri adalah di Persimpangan Jalan Sg Batu Pahat (R117) - Jalan Abi Batas Paip (R119), Persimpangan Jalan Kampung Surau - Tambun Tulang (R159)/Jalan Binjal - Ujong Batu (R161), Persimpangan Jalan Jejawi Permatang/Jalan Jejawi Tambun Tulang (R175), Persimpangan Jalan Kg Serdang (R157)/Jalan Kg Serdang- Changkat Jawi (R149).
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Terdapat dua (2) batang jalan yang telah dikenalpasti untuk tujuan pemasangan lampu jalan iaitu Jalan Kg Darat - Padang Melangit dan Jalan Pesisir Kuala Perlis/Sg Bharu - Sg Berembang yang melibatkan kos sebanyak 550 ribu ringgit.
Walaupun bandar Kangar tidaklah mengalami kesesakkan jalan raya seperti bandar-bandar lain tetapi kelancaran perjalanan masih boleh dipertingkatkan. Sistem green wave akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak 300 ribu ringgit bagi melancarkan pergerakan kenderaan secara terus, menjimatkan masa perjalanan dan mengurangkan kesesakan pada waktu puncak. Enam persimpangan yang terlibat ialah persimpangan Jalan Padang Nyu, Rani Estate, Jalan Kampung Kebun, Jalan Stesen, Jalan Kompleks Tok Arau, Jalan Tambun Tulang sehingga ke persimpangan Simpang Pauh.
Kemudahan untuk pejalan kaki terutamanya yang melibatkan kawasan pelancongan juga akan diberi tumpuan. Bagi tujuan tersebut Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak 550 ribu ringgit untuk membina laluan pejalan kaki di Jalan Bukit Lagi dan satu laluan berbumbung di Jeti Kuala Perlis. Di samping itu, bagi kemudahan pengguna perkhidmatan MyBus, satu lagi hab bas akan dibina di Padang Besar dengan peruntukan sebanyak 450 ribu ringgit.
Infrastruktur Luar Bandar
Sebanyak 6.23 juta ringgit disediakan untuk projek-projek yang bersifat people centric di luar bandar. Dari jumlah tersebut, 4.96 juta ringgit adalah bagi melaksanakan projek seperti membina baru dan menaiktaraf sistem parit dan saliran, titi konkrit, lintasan tali air, surau serta dewan orang ramai.
Bagi pelebaran jalan kampung, 900 ribu ringgit diperuntukan untuk melebarkan jalan kampung dari selorong kepada dua lorong. Antara jalan-jalan yang terlibat adalah jalan utama di Kampung Guar Tinggi, Bohor Inai, Kampung Alur Ara Timur, Kampung Semadong ke Bukit Manik, Kampung Hutan Lembah ke Kampung Belukar dan
Kampung Chemumar. Selain itu, 370 ribu ringgit lagi disediakan bagi menaiktaraf jalan di Kampung Lubuk Macang dan Kampung Bunga Emas.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Projek Tebatan Banjir dan Sistem Pengairan Pertanian
Masalah banjir terutamanya banjir kilat atau flash flood berlaku akibat perancangan pembangunan dan perancangan sistem peparitan yang tidak bersepadu (well-integrated). Oleh itu, kita perlu menekankan kepentingan sistem peparitan supaya pembangunan tidak menyumbang kepada masalah banjir kilat.
Di samping itu, suka saya memaklumkan bahawa JPS Negeri Perlis telah pun membangunkan Pelan Induk Sistem Pengairan Negeri Perlis. Di antara komponen Pelan Induk ini termasuklah program pembangunan dan pengindahan lembangan sungai Perlis dari Bandar Kangar sehingga ke Kuala Perlis. Program pembangunan dan pengindahan Sungai Perlis sepanjang 11 kilometer hingga ke Kuala Perlis ini akan dilakukan dalam fasa-fasa kecil secara beransur-ansur mengikut kemampuan kewangan Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah 4 juta ringgit untuk pelbagai projek tebatan banjir. Antara projek yang terlibat adalah seperti berikut, membina struktur kawalan banjir di ketiga-tiga kawasan Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau dengan peruntukan sebanyak 2.2 juta ringgit. Bagi Parlimen Kangar, antara projek yang terlibat adalah di Kampung Asam Bungkas, Kampung Syed Omar, Wang Ulu dan Kampung Pengkalan Asam. Bagi Parlimen Arau antara kerja yang akan dilaksanakan adalah membina struktur kawalan aliran tebatan banjir di Sungai Arau. Manakala bagi Parlimen Padang Besar, projek yang akan dilaksanakan adalah menaiktaraf sistem saliran tebatan banjir di Chuping, Beseri, Kubang Tiga dan Mata Ayer. Kedua, projek pemuliharaan sungai bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan tebing sungai yang rendah dengan peruntukan sebanyak 400 ribu ringgit di Sungai Korok, Sungai Abi, Sungai Tok Kuning dan Sungai Siran. Ketiga, projek mendalam sungai bagi mengurangkan risiko banjir serta rawatan kualiti air akan dilaksanakan di Sungai Perlis, Sungai Abi, Sungai Panggas, Sungai pKechor dan Sungai Repoh melibatkan peruntukan sebanyak 500 ribu ringgit dan Projek pembinaan struktur kawalan hakisan pantai di Sungai Padang, Sanglang sebanyak 300 ribu ringgit dan kelima, membina struktur penstabilan tebing bagi mengurangan hakisan dan runtuhan serta meningkatkan keselamatan Empangan Timah Tasoh diperuntukan sebanyak 600 ribu ringgit;
Bagi meningkatkan pengeluaran tanaman padi di luar kawasan MADA serta lain-lain tanaman, sebanyak 2.80 juta ringgit disediakan untuk pembinaan dan menaiktaraf sistem pengairan pertanian. Sistem pengairan ini termasuklah pembangunan kolam takungan dan tube well.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Penyelenggaraan Dan Pembaikan Rumah
Bagi pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR), sebanyak 11.8 juta ringgit diperuntukkan semula oleh Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pembinaan rumah di kawasan Padang Besar dan Kangar. Di samping itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula menyediakan peruntukan sebanyak 2.90 juta ringgit untuk program baik pulih dan membina rumah baru.
Di bawah Kerajaan Negeri, sebanyak 3.15 juta ringgit disediakan bagi program perumahan seperti berikut, 2.20 juta ringgit bagi penyelenggaraan empat Projek Perumahan Rakyat sedia ada termasuk pembaikan bumbung dan penyelenggaraan lif, 300 ribu ringgit bagi skim pembaikan rumah daif, 300 ribu ringgit untuk menaiktaraf longkang di Taman Beseri Jaya dan Taman Seberang Jaya, Kuala Perlis dan 350 ribu ringgit disediakan untuk projek naiktaraf jalan di Taman Santan Indah, Taman Desa Kayang dan Taman Seri Pulai.
Syarikat Air Perlis (SAP)
Bagi meningkatkan mutu bekalan air di Negeri Perlis, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah memperuntukan semula sebanyak 50.5 juta ringgit di bawah program NRW Nasional kepada SAP. Antara projek-projek yang akan terlibat termasuklah pemasangan meter SIV baharu, penggantian meter pengguna yang rosak, pembaikan tangki-tangki air yang bocor atau melimpah dan penyediaan Geographical Information System (GIS). Projek-projek ini yang telahpun dirancang sejak awal 2016 sepatutnya telahpun dilaksanakan pada awal pertengahan tahun 2018. Tetapi telah dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui arahan Menteri Kewangan yang baru. Terima kasih kerana Kerajaan Persekutuan telah meluluskannya semula untuk dilaksanakan.
Untuk makluman Dewan, tarif air Negeri Perlis telah digunapakai sejak tahun 1996 dan tidak pernah dibuat semakan sejak 22 tahun. Sehubungan itu, semakan semula untuk menyeragamkan tarif air sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Satu kadar baru akan diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi seluruh negara dan ia dijangka mula dilaksanakan pada April 2019. Kerajaan Negeri telah dan akan memberikan input dan maklumat yang relevan kepada Kerajaan Persekutuan agar kenaikan tariff air ini tidak membebankan rakyat Negeri Perlis.
Yang Berhormat Dato’Speaker,
STRATEGI 2: MENINGKATKAN KEBERSIHAN DAN KECERIAAN
Memelihara Kebersihan Sungai
Bagi memelihara kebersihan dan keindahan sungai, Kerajaan Negeri memperuntukkan 7 juta ringgit bagi kerja-kerja penyelenggaraan sungai, pemasangan perangkap sampah, membaiki runtuhan tebing, membaiki pintu air, penyelenggaraan Lencongan Banjir Barat dan Empangan Timah Tasoh.
Antara langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri adalah mendidik rakyat Negeri Perlis untuk menyayangi alam sekitar termasuklah sungai melalui Kempen Kebersihan
Sungai yang akan dipergiatkan di seluruh Negeri Perlis. Melalui kempen ini informasi tentang kepentingan sungai kepada kehidupan sejagat, cara pemeliharaan sungai serta kesan pencemaran sungai kepada alam sekitar akan diwar-warkan melalui semua medium penyampaian seperti media sosial, radio, papan tanda dan pengedaran risalah.
Kempen Kebersihan “Perlis Bersih dan Indah”
Bumi ini diwarisi dari nenek moyang kita, dan akan dipinjamkan pula kepada cucu cicit kita nanti. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri komited di dalam memelihara alam sekitar dan menjadikan Negeri Perlis sebagai salah sebuah negeri terbersih di Malaysia. Tanggungjawab ini akan digalas bersama dengan agensi yang berkaitan melalui beberapa program kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar bagi tahun 2019.
Baru-baru ini dalam rangka lawatan tugas rasmi, saya berkesempatan menyaksikan sebuah bandar di negara jiran di Utara. Saya amat kagum dengan kebersihannya dan tidak mustahil untuk Perlis menjadi negeri yang bersih seperti bandar ini.
Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada SWCorp Perlis yang telah memperkenalkan aktiviti “plogging race” di negeri ini dan aktiviti sebegini akan diteruskan pada tahun 2019. Melalui aktiviti mengutip sampah sambil berjogging ini, kepekaan untuk menjaga kebersihan di samping menjaga kesihatan dapat diterapkan kepada semua peserta dan rakyat Perlis. Aktiviti ini elok diadakan sepanjang tahun di sepanjang denai larian dan beberapa lokasi tumpuan pelancong di Negeri Perlis untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan semua rakyat tentang kebersihan alam sekitar.
Bagi memastikan Negeri Perlis memiliki komuniti taman perumahan yang peka dan cakna kepada kebersihan, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan mengadakan program kepekaan kebersihan melalui aktiviti gotong royong di taman-taman perumahan. Aktiviti ini juga diharap dapat mengeratkan hubungan serta meningkatkan kerjasama penduduk setempat. Peruntukan bagi program gotong royong ini ditingkatkan dari 200 ringgit kepada 450 ringgit untuk satu taman yang menganjurkan program ini. Wang ini bolehlah digunakan untuk membeli plastik sampah, serba-sedikit peralatan, minuman dan makanan. Kerajaan Negeri mensasarkan 45 program ini untuk dilaksanakan pada tahun 2019.
Bagi memastikan rakyat Perlis peka dan mematuhi undang-undang berkenaan kebersihan dan pembuangan sampah, satu program “rondaan bersepadu” yang melibatkan MPK, SW Corp, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain akan diperkenalkan pada tahun 2019. Program yang bersifat punitif ini akan mula diperkenalkan bagi memberi pendidikan kepada masyarakat bahawa tindakan membuang sampah merata-rata boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang yang sedia ada. Di samping itu juga dengan keterlibatan semua agensi tersebut, boleh membantu Kerajaan Negeri dalam pemantauan berhubung pencerobohan tanah rizab, pelanggaran syarat tanah dan kejadian jenayah.
Kebersihan di nat juga perlu diberi perhatian. Kerajaan Negeri amat berharap peniaga serta pengunjung dapat bekerjasama bagi memastikan nat sentiasa bersih dan bebas dari sampah sarap. Bagi menambah keselesaan kepada peniaga dan juga pengunjung Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak 50 ribu ringgit untuk menaiktaraf beberapa nat yang terpilih dan menyediakan kemudahan infrastruktur yang sewajarnya seperti kemudahan perparitan dan kawasan tapak diratakan semula untuk mengelak berlaku takungan air.
Meningkatkan Program Kitar Semula
Bagi menggalakkan budaya kitar semula atau Recycle di kalangan masyarakat, agensi SW Corp dan E-Idaman telah memperkenalkan aktiviti “Recycle For Life” di mana melalui program ini individu yang menjual bahan kitar semula di pusat pengumpulannya, akan mendapat kad “Recycle For Life”. Kad ini boleh ditebus guna di gedung membeli belah seperti di Giant Hypermarket dan Pasaraya Seri Utama. Di samping individu, semua jabatan dan agensi di negeri Perlis adalah digalakkan bagi menyertai program ini. Satu pusat pengumpulan kitar semula mobil akan beroperasi pada setiap hari Ahad di Pengkalan Asam, Kangar bagi memberi kemudahan kepada orang awam untuk menghantar barang recycle yang telah dikumpul.
Dalam usaha untuk menjadikan Negeri Perlis sebagai Negeri Akrab Alam Sekitar, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Kangar akan melancarkan Kempen Bebas Plastik yang akan dikuatkuasakan pada tahun 2019. Hari Bebas Plastik akan diadakan pada setiap Sabtu. Pelanggan yang memerlukan plastik akan dikenakan caj sebanyak 20 sen. Objektif kempen ini adalah untuk meningkatkan kepekaan rakyat Perlis mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta mengurangkan ‘kadar kitar semula plastik’.‘Kadar kitar semula plastik’ bermaksud untuk setiap 5 minit sehelai beg plastik yang dipakai tetapi mengambil masa 500 tahun untuk mereput. Di samping plastik, penggunaan styrofoam dalam program rasmi Kerajaan Negeri juga tidak lagi dibenarkan bagi mengelakkan pencemaran.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
STRATEGI 3: GAYA HIDUP SIHAT DAN CERGAS
Dana Bantuan NGO Belia
Bagi menggalakkan persatuan-persatuan belia bergerak aktif, Kerajaan Negeri menyediakan dana berjumlah 50 ribu ringgit bagi menyokong program-program belia. Persatuan-persatuan belia yang mempunyai kertas kerja cadangan program berkaitan Gaya Hidup Sihat akan disediakan peruntukan tidak lebih daripada 3 ribu ringgit untuk setiap program.
Meneruskan Program Sukan Pelancongan
Perlis Marathon kini telah menjadi ikon bagi Negeri Perlis dalam penganjuran acara larian. Setelah berjaya menganjurkan Perlis Marathon 2018, dengan penyertaan hampir 15,000 peserta, acara ini akan diteruskan lagi untuk kali ke-5 pada 27 April 2019. Penganjuran Perlis Marathon pada kali ini pastinya lebih meriah kerana ia bertepatan dengan musim harumanis dan peserta yang datang dari seluruh negara berpeluang membeli harumanis untuk dijadikan buah tangan. Tetapi jumlah penyertaan kali ini akan dikurangkan kepada 13,000 penyertaan sahaja untuk menjimatkan kos penganjuran.
Selain Perlis Marathon, dua lagi acara tahunan yang tidak kurang meriahnya adalah Pesta Angin Timur dan Pesta Air Kuala Perlis. Kerajaan Negeri berharap agar kedua-dua acara ini akan dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Malaysia dan terus disokong oleh MOTAC atau Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan. Suka saya maklumkan bagi ketiga-tiga acara ini, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak 1.15 juta ringgit.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Perlis Destinasi Pelancongan Sukan
Pada tahun 2018, terdapat lebih daripada enam penganjuran sukan peringkat kebangsaan yang berjaya diadakan di Negeri Perlis. Ini membuktikan Perlis adalah salah sebuah destinasi pelancongan sukan pilihan penganjur dan mempunyai kemudahan sukan yang sesuai dan berkualiti. Antara penganjuran sukan yang telah diadakan adalah 8th Sailing KFC Perlis Open Regatta, kedua-Junior Cycling Malaysia 2018, ketiga-Kejohanan Lawn Bowl FOURS Kebangsaan 2018, Tennis National Junior 2018, Kejohanan Permainan Tradisional MAKSAK 2018 dan Kejohanan Sukan MAKSWIP 2018.
Selain itu, beberapa penganjuran sukan peringkat antarabangsa juga telah diadakan dengan kerjasama beberapa agensi daripada jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, persatuan sukan dan syarikat-syarikat penaja. Antara penganjuran sukan peringkat antarabangsa yang telah berjaya diadakan pada tahun 2018 di Perlis ialah Celcom Axiata Malaysia International Junior Open 2018, Kejohanan Tenis Remaja ITF 2018, Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Tuanku Syed Putra 2018 dan Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Jemputan Antarabangsa 2018.
Bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang cadangan penganjuran sukan oleh mana-mana pihak dan akan terus memberikan kerjasama terbaik kepada pihak penganjur. Disamping acara-acara anjuran pihak luar, pada tahun 2019, Majlis Sukan Negeri Perlis (MSN) juga akan merancakkan lagi penganjuran sukan di pelbagai peringkat melalui persatuan sukan di Negeri Perlis.
Program pembangunan sukan di Negeri Perlis memberi peluang kepada rakyat Negeri Perlis membudayakan sukan dalam kehidupan seharian dan menjadikan sukan sebagai salah satu wadah untuk perpaduan rakyat.
Pembangunan sukan di Negeri Perlis ternyata telah berjaya apabila beberapa atlet kelahiran Negeri Perlis berjaya mengharumkan nama negeri di peringkat antarabangsa terutama semasa Kejohanan Sukan Asia dan Para Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia.
Tiga orang anak jati Perlis telah berjaya di sukan tersebut iaitu Abdul Latif Romly yang berjaya memecahkan rekod dunia paralimpik dalam acara lompat jauh lelaki T20 dengan catatan 7.64 meter dan Mohamad Ridzuan Puzi berjaya memecahkan satu rekod dunia paralimpik dalam acara 100 Meter T36 dan memenangi dua lagi pingat emas dalam acara 400 Meter T36 serta lompat jauh T36. Tidak kurang hebatnya Tengku Ahmad Tajuddin bagi sukan hoki berpasukan lelaki dengan memperolehi pingat perak.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Kejayaan Negeri Perlis diteruskan dengan pencapaian terbaik Kejohanan SUKMA luar Negeri Perlis sepanjang tempoh penganjuran Kejohanan SUKMA apabila Negeri Perlis berjaya mencatatkan kutipan keseluruhan 12 pingat emas, 7 pingat perak dan 13 pingat gangsa di SUKMA Perak 2018. Kejayaan ini menjadikan Negeri Perlis berjaya memperbaiki kedudukan keseluruhan pungutan pingat buat julung kalinya dalam carta kedudukan di kejohanan tersebut.
Saya pernah mencadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menjadikan negeri Perlis dan sekolah sukan yang bakal disiapkan sebagai pusat kecemerlangan Sukan Para. Dalam Sukan Para SUKMA yang diadakan di Perak baru-baru ini negeri Perlis berjaya membawa pulang 13 pingat emas, 16 pingat perak dan 5 pingat gangsa. Ini menunjukkan bahawa terdapat kesinambungan dalam melahirkan jaguh Sukan Para.
Kejayaan sukan Negeri Perlis dalam penganjuran atau pencapaian di kejohanan sukan adalah hasil daripada sokongan penuh semua pihak. Bagi tahun 2019, sebanyak 3.61 juta ringgit diperuntukan untuk pembangunan sukan termasuklah menaiktaraf kemudahan sukan berpotensi di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra.
Di samping itu, sebanyak 2.8 juta ringgit disediakan untuk menaiktaraf lampu limpah di Stadium Tuanku Syed Putra. Setelah siap kelak, pencahayaan sedia ada dapat ditambah baik bagi membolehkan perlawanan liga bola sepak dapat dijalankan pada waktu malam.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Industri Pelancongan
Selain pelancongan sukan, industri pelancongan akan terus diperkemaskan dengan menaiktaraf produk-produk pelancongan sedia ada di samping mewujudkan produk pelancongan baru untuk para pelawat. Bagi menaiktaraf infrastruktur pelancongan sedia ada sebanyak 3.3 juta ringgit disediakan untuk produk pelancongan di Gua Kelam, Taman Negeri, Bukit Air, Taman Pertanian dan Taman Agro Lancong.
Dianggarkan seramai 4.5 juta pelancong menaiki feri dari dan ke Langkawi melalui Kuala Perlis. Pembangunan Bercampur di Kuala Perlis akan membolehkan pelancong ke Langkawi menghabiskan lebih banyak masa dan berbelanja di Kuala Perlis. Sementara di Padang Besar pula, sebuah kompleks baru dengan kemudahan hotel dan pusat membeli belah bagi barangan premium sedang dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan. Di samping itu, tapak perniagaan di pasar lama Padang Besar juga akan dinaiktaraf kepada kompleks ala Pekan Rabu dengan kos sebanyak 5 juta ringgit.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
STRATEGI 4: PEMBANGUNAN ROHANI DAN PEMANTAPAN INTELEKTUAL
Memantapkan Institusi Masjid
Peranan institusi masjid bukan sahaja sebagai tempat untuk ibadah khusus tetapi perlu diperluaskan peranannya sebagai pusat aktiviti serta pusat penyatuan ummah. Oleh yang demikian peranan jawatankuasa masjid adalah sangat penting bagi merancang dan memastikan institusi masjid dapat dimantapkan lagi dan ditingkatkan tahap pengimarahannya. Oleh itu ahli-ahli jawatankuasa masjid akan diberi pendedahan dalam aspek kepimpinan, pengurusan dan pengendalian akaun kewangan secara betul melalui beberapa siri kursus dan bengkel yang akan diadakan.
Bagi meningkatkan jumlah pelajar yang lancar membaca sekurang-kurangnya Juzuk ke-30 Al-Quran, Program Rawdatul Huffaz yang asalnya hanya dibuat 1 siri pada tahun 2016 telah ditambah kepada 3 siri pada tahun 2017. Apabila program ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memanjangkan program ini ke setiap DUN melibatkan 15 siri pada tahun 2018. Dengan jumlah peserta 100 orang setiap masjid atau 1,500 orang pelajar berumur 9 hingga 17 tahun, program yang diadakan pada musim cuti sekolah ini didapati sangat baik dan dapat memberi bimbingan bacaan Al-Quran yang betul di samping membolehkan pelajar membaca surah dengan lancar ketika solat. Atas permintaan yang begitu menggalakkan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Perlis akan terus mengadakan program Rawdatul Huffaz di semua 15 DUN di Negeri Perlis dengan peruntukan sebanyak 90 ribu ringgit.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Kelas Tambahan Percuma di masjid terpilih yang akan dikendalikan oleh tenaga pengajar sukarela dan NGO yang berkemahiran. Kelas ini akan diadakan di antara waktu solat Zohor ke Asar dan dijangka dapat memberi manfaat kepada 30 orang murid bagi setiap sesi serta akan diadakan 4 kali sebulan di 10 buah masjid terpilih. Sebagai permulaan, tumpuan diberikan kepada 3 subjek iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa melayu dan Matematik dengan peruntukan sebanyak 108 ribu ringgit.
Masjid juga boleh berperanan sebagai pusat pembangunan ekonomi. Masjid Tuanku Syed Putra menjadi pusat warga OKU untuk bersama-sama mempelajari kraftangan anyaman untuk dibuat pelbagai produk. Begitu juga dengan Masjid Kampung Sena yang mengusaha projek dodol untuk dijual. Usaha begini amatlah baik dan wajar dicontohi oleh masjid-masjid yang lain. Bagi menggalakkan usaha sebegini, pihak MAIPs sedia mempertimbangkan bantuan modal untuk projek-projek ekonomi yang berdaya maju.
Kerajaan Negeri ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas inisiatif Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) menyantuni golongan asnaf dan berpendapatan rendah di Negeri Perlis dengan memperkenalkan program “feed up” di semua masjid di Negeri Perlis. Melalui program ini bantuan bahan-bahan makanan mentah akan disalurkan kepada golongan sasaran melalui masjid-masjid di Perlis dengan peruntukan berjumlah
630 ribu ringgit. Hasil daripada program ini diharapkan dapat membantu golongan asnaf meningkatkan kualiti hidup mereka.
Bagi menghargai Bilal,Siak dan Penjaga Masjid, Kerajaan Negeri bersama MAIPs bersetuju untuk menaikkan elaun Bilal, Siak dan Penjaga Masjid mulai tahun 2019. Kenaikan elaun ini adalah di antara 28 ke 33 peratus daripada kadar sedia ada menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak 2.44 juta ringgit. Kenaikan elaun ini akan dinikmati oleh 194 orang Bilal dan Siak serta 97 orang Penjaga Kawasan Masjid.
Bagi peruntukan pembangunan sebanyak 1.35 juta ringgit disediakan untuk projek sambungan di Masjid Istiqamah Bintong dan Masjid Alwi. Daripada peruntukan ini, sebanyak 500 ribu ringgit juga disediakan untuk menaiktaraf Masjid Nurul Hikmah Wang Besar, Bintong.
Bagi memastikan aktiviti di masjid berjalan lancar, dana berjumlah 525 ribu ringgit disediakan oleh MAIPs untuk perbelanjaan ulititi seperti air dan elektrik.
Di Dewan yang mulia ini, saya sekali lagi ingin menyarankan agar satu program tertentu diadakan untuk menarik lebih ramai lagi umat Islam untuk menunaikan solat fardhu lima waktu sehari di masjid-masjid. Saya perhatikan, usaha ini perlu digiatkan terutamanya bagi masjid-masjid di kawasan luar bandar. Program ini mungkin boleh diseiringkan dengan program pertandingan masjid cantik dan sebagainya. Adalah amat malang sekiranya masjidnya cantik dan besar, tetapi jemaahnya amat kecil yang bersolat di masjid tersebut.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Program Kebajikan Rakyat
Kebajikan Rakyat sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan Negeri. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan 8.06 juta ringgit dengan jumlah 7 juta ringgit untuk bantuan am, 650 ribu ringgit bantuan bencana dan 410 ribu ringgit untuk lain-lain bantuan. Di samping itu juga, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak 19.34 juta ringgit yang meliputi 4.78 juta ringgit bantuan orang tua (BOT), 2.56 juta ringgit bantuan kanak-kanak, 3.15 juta ringgit pesakit kronik terlantar, 2.58 juta ringgit bagi bantuan OKU tidak berupaya bekerja, 6.23 juta ringgit elaun pekerja cacat dan 36 ribu ringgit bantuan alat tiruan.
Pendidikan
Bagi anak-anak Perlis yang melanjutkan pengajian sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta (IPTA/IPTS), Kerajaan Negeri menyediakan sumbangan dana pelajaran berbentuk one-off seperti berikut, Ijazah Pertama Luar Negara – 2,000 ringgit, kedua-Ijazah Pertama Dalam Negara – 1,200 ringgit, ketiga-Diploma – 1,000 ringgit dan Matrikulasi/asasi/pra diploma dan lain-lain yang setaraf – 700 ringgit
Bantuan dana ini membolehkan pelajar membuat persediaan awal sebelum ke IPTA/IPTS. Dana ini terbuka kepada pelajar Islam dan Bukan Islam. Permohonan dana ini boleh dikemukakan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang mana pembayaran bagi pelajar Islam akan diselaras oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIPS).
Sebagai alternatif kepada pinjaman PTPTN, Kerajaan Negeri mempunyai Lembaga Pemegang Amanah Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Perlis dan Kumpulan Wang Hadiah Pelajaran Rakyat (Bukan Melayu) Negeri Perlis. Kedua-dua Lembaga ini menyediakan kemudahan pinjaman sehingga 7 ribu ringgit setahun untuk tempoh pengajian maksimum 4 tahun kepada pelajar yang menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Pertama dalam negara.
Menyedari bahawa kos memulakan pengajian adalah tinggi, Kerajaan Negeri turut mengembangkan fungsi Lembaga Biasiswa berkenaan dengan menyediakan pembiayaan dalam bentuk pinjaman sebanyak 200 ribu ringgit iaitu 2 ribu ringgit kepada setiap pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Pertama Dalam Negara. Pinjaman ini bagi tujuan bantuan permulaan kepada pelajar untuk membuat persediaan dari segi bayaran yuran permulaan, peralatan belajar termasuk kos logistik untuk ke tempat pengajian yang jauh dari Negeri Perlis.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Kegemilangan sebuah negara datangnya dari kecemerlangan pendidikan yang perlu digilap dari akar umbi. Justeru itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri akan melaksanakan Program Pecutan Peperiksaan bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama seperti peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Matlamat utama program ini adalah bagi membantu persiapan pelajar dari segi emosi, kerohanian, teknik belajar serta persiapan fizikal dan mental. Ia dijangka dapat membantu seramai 1,200 orang pelajar sebagai persiapan akhir menduduki peperiksaan serta meningkatkan pencapaian mereka sehingga ke saat akhir sesi pembelajaran.
Bagi membina sahsiah pelajar ke arah menjadi pelajar yang lebih cemerlang, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Future Leaders Summer Camp. Program ini akan melibatkan pelajar Tahun 4, 5 dan 6 serta pelajar Tingkatan 3 yang mempunyai potensi untuk lebih cemerlang di dalam akademik. Dengan anggaran penyertaan seramai 320 orang dan diadakan 2 sesi setahun, program ini diharapkan dapat mendidik pelajar secara holistik melalui mekanisma pembelajaran yang menyeronokkan dan lebih efektif seterusnya meningkatkan kecemerlangan pelajar tersebut.
Ke arah melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing melalui pemikiran kreatif dan inovatif, saya amat berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar di Negeri Perlis yang berjaya memenangi anugerah dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Justeru saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pelajar kita dari beberapa buah sekolah yang berjaya mendapat Pingat Emas dalam 5th International Young Inventors Award 2018 di Bali Indonesia pada 18-22 September 2018 dan EUREKA Innovation Exhibition 2018 pada 29-31 Oktober 2018 di UNIKL KULIM. Sekolah yang terlibat adalah SMK Dato’ Sheikh Ahmad, SK Sena dan SK Kayang (GOLD Award EUREKA Innovation Exhibition 2018 sahaja). SMK Tengku Budriah telah memenangi pingat emas dalam National Innovation Competition 2018 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin pada 16-18 Oktober 2018 dan Selangor Innovation and Creativity Exposition 2018 di UNISEL Shah Alam pada 14-16 November 2018. SMK Syed Saffi dan SK Changkat Jawi masing-masing telah memenangi pingat gangsa dalam International Invention dan Innovative Competition di Langkawi pada 20 Oktober dan Karnival Sains dan Teknologi Kejuruteraan Peringkat Kebangsaan di Pusat Sains Terengganu pada 11-14 November. Syabas dan tahniah kepada guru dan pelajar yang terlibat.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Menstruktur Semula Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK)
Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), JKKK akan distruktur dan dijenamakan semula sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan peruntukan kewangan sejumlah 5.8 juta ringgit. Di samping itu, setiap MPKK juga disediakan geran pembangunan sebanyak 10 ribu ringgit setiap cawangan dengan jumlah peruntukan 3.80 juta ringgit untuk Negeri Perlis.
Projek Kerajaan Persekutuan
Saya juga ingin mengumumkan beberapa projek yang telah disenarai oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk Negeri Perlis pada tahun 2019. Antaranya adalah, pertama-pembinaan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Makmal UNIMAP 24.0 juta ringgit, pembinaan Dewan Besar UNIMAP 9.69 juta ringgit, Bangunan Canselori UNIMAP 12.95 juta ringgit, pembinaan UNIKL ASTI 3.0 juta ringgit, pembinaan Klinik Kesihatan (jenis 3) pauh 6.0 juta ringgit, Projek Menaiktaraf Sistem Bkalan Air FELDA Negeri 5.0 juta ringgit, Projek Bekalan Air Luar Bandar 2.0 juta, menaiktaraf Empangan Timah Tasoh Fasa III 20.0 juta ringgit dan Projek Tapak Kekal Giat MARA Padang Besar 3.0 juta ringgit.
Yang Berhormat Dato’Speaker,
Kerajaan Negeri amat prihatin atas sumbangan yang telah diberikan oleh penjawat awam di Perlis. Maka, bagi menghargai segala usaha mereka, penjawat awam dari Gred 1 hingga 54 akan menerima bayaran bantuan khas sebanyak 500 ringgit. Manakala pesara yang menerima pencen akan menerima bayaran ini sebanyak 250 ringgit. Bantuan ini juga turut dipanjangkan kepada kakitangan Contract For Service negeri. Anggaran implikasi kewangan bagi pembayaran ini adalah hampir 600 ribu ringgit. Pembayaran akan dibuat pada 24 Disember ini.
Diharapkan dengan pemberian ini, perkhidmatan awam dapat diperkukuh dengan nilai integriti serta berakauntabiliti terutama dalam menguruskan kewangan awam dengan cara yang berhemah dan memberi perkhidmatan yang cepat dan tepat.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Sebelum mengakhiri ucapan Pembentangan Bajet 2019 hari ini, saya ingin menyeru kepada semua barisan pemimpin tidak kira latar belakang politiknya, sama ada daripada PAS, Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga dan mempastikan agar suasana politik negeri kita stabil dan kondusif untuk memakmurkan Negeri Perlis, dan pembangunan yang dirancang dapat dilaksana dengan jayanya demi faedah dan manfaat rakyat keseluruhannya. Elakkanlah dari menimbulkan isu-isu yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat, ketidakstabilan politik yang akhirnya akan membantutkan dan mengisihkan agenda yang lebih utama dan terpenting iaitu untuk membawa pembangunan demi kemakmuran negeri dan rakyat.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Demikianlah pembentangan Bajet 2019, saya mohon mencadangkan. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan untuk hari ini dan akan disambung semula pada hari esok, Rabu, 12 haribulan Disember 2018, jam 9.00 pagi. Sekian, terima kasih.
(Persidangan ditangguhkan pada jam 1.46 petang)