Perlis · 20 August 2019

14th Assembly, 2nd session, 2nd meeting · 14 turns · 3,325 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.

(Pembukaan)

Bentara

Yang Berhormat Dato’ Speaker.

(Bentara menanggung Cokmar, Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker berjalan masuk ke dalam Dewan)

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.

Doa

Setiausaha Dewan

Doa.

(Bacaan doa oleh Setiausaha Dewan.)

Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis

Setiausaha Dewan

Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.

Speaker

السالم عل يكم ورحمه هللا و ب ركاته dan salam sejahtera. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebentar lagi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan berangkat masuk bagi merasmikan Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri Perlis yang Keempat Belas. Saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian dapat memberikan sepenuh tumpuan dan mendengar dengan teliti bagi memahami setiap butiran titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Setelah Duli Yang Maha Mulia Tuanku selesai bertitah, persidangan kita pada hari ini akan ditangguhkan. Ahli-ahli Yang Berhormat dipersilakan ke aras 1 untuk majlis bergambar dan seterusnya majlis santapan tengahari.

Sidang Dewan akan disambung semula pada esok dan lusa untuk perbahasan usul. Menjunjung kasih atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja insya-Allah.

Ahli-ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan bertitah dan Dewan ditempohkan.

(Bentara menanggung Cokmar dan diikuti oleh Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker berarak keluar dari Dewan ke Bilik Istirehat DiRaja bagi menjemput Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan untuk mencemar Duli berangkat masuk ke dalam Dewan.)

(Bentara mengumumkan keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan Perlis serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis.)

Bentara

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan beserta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda.

(Dif-dif jemputan berdiri dan memberi tunduk hormat.)

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda serta Juruiring-juruiring, Bentara Dewan, Setiausaha Dewan Undangan Negeri dan YB Speaker Dewan Undangan Negeri mengambil tempat masing-masing sambil berdiri.)

(Lagu negeri Perlis dimainkan oleh pancaragam.)

DYMM Tuanku Raja

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, sila duduk.

Titah Ucapan DYMM Tuanku Raja PerlisAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mempersembahkan Warkah Titah Ucapan DiRaja kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja.

Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Menteri Besar mengiringi YAB Menteri Besar ke Peterana DiRaja sambil membawa dulang berisi Warkah Titah Ucapan DiRaja. Setelah sampai ke Peterana DiRaja, YAB Dato’ Seri Menteri Besar mengangkat sembah dan mengambil dulang berisi Warkah Titah Ucapan DiRaja dan seterusnya mempersembahkan Warkah Titah Ucapan DiRaja kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja. YAB Menteri Besar diiringi oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Menteri Besar kembali semula ke tempat masing-masing.

Setiausaha Dewan

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan bertitah.

DYMM Tuanku Raja Perlis

. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Segala puji-pujian ke hadrat Allah S.W.T, Tuhan Maha Esa dan lagi Maha Berkuasa yang telah menciptakan alam semesta ini dan setiap kejadian di dalamnya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan para sahabat Baginda. 1. Alhamdulillah, dengan izin Allah, Beta dapat berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Persidangan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas pada hari ini. 2. Beta amat bersyukur kerana dianugerahkan kesihatan yang baik dan dapat melaksanakan amanah penggal negeri ini. Sama-samalah kita mendoakan agar negeri Perlis dikurniakan Allah kestabilan, keamanan, perpaduan dan keharmonian rakyat, kesejahteraan dan kemakmuran berterusan. Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri, Yang Amat Berhormat memanda Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, dikesempatan ini Beta ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada memanda Menteri Besar dan seluruh anggota pentadbiran kerajaan negeri Perlis sekalian diatas kesetiaan kepada Beta. Begitu juga dengan komitmen yang tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan membangunkan negeri ini demi mencapainya, mencapai wawasan Negeri Perlis Bandaraya 2030 mengikut bidang kuasa tanggungjawab dan amanah yang diberikan rakyat. 3. Semoga setiap anggota pentadbiran dapat terus berkhidmat dengan cemerlang. Nasihat Beta jadilah pemimpin yang mudah didekati, sentiasa mendengar dan prihatin dengan keluhan rakyat, sedia membantu menyelesaikan masalah dan memudahkan urusan rakyat. Di masa yang sama sentiasa tunjukkanlah teladan dan peribadi yang baik agar menjadi contoh ikutan dan panduan oleh rakyat jelata. Elakkan diri dari terlibat dan terjerumus dalam kancah kegiatan yang tidak sihat dan tidak bermoral. Ingatlah bahawa sebagai pemimpin kehidupannya umpama tinggal di dalam sebuah ruma kaca. Setiap gerak geri kita sentiasa saja diperhatikan rakyat. Bukan sahaja diperhatikan, malah turut dijadikan bahan percakapan harian samada baik ataupun buruk. Berwaspada dalam tindakan dan berhemah dalam tutur kata kita setiap masa. 4. Dalam usaha membangunkan negeri ini pula, Beta berharap setiap wakil rakyat akan terus bekerja keras serta mewujudkan hubungan baik dan seluas-luasnya dengan semua pihak berkepentingan di peringkat kerajaan pusat, badan-badan bukan kerajaan, sektor swasta dan lain-lain bagi memudahkan segala urusan berkaitan pentadbiran dan pembangunan negeri. Beta gembira kerana kepimpinan negeri dapat menjalinkan hubungan yang mesra dan baik dengan pelbagai kepimpinan tertinggi di peringkat pusat. Hubungan ini perlu dikekalkan malah dipereratkan lagi. 5. Beta ingin menekankan bahawa peranan sektor swasta sebagai rakan pelengkap dan enjin pembangunan amat penting. Peranan sektor awam juga sama pentingnya sebagai pengulas cara dan penyedia prasarana asas dan diperlukan oleh seluruh rakyat. Bagaimanapun peranan sektor awam ada hadnya. Ia tidak mampu melakukan segala-galanya. Di sini lah peranan sektor swasta amat penting sebagai penghubung jurang peranan yang wujud. Amanah dan peranan masing-masing hendak dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab supaya pentadbiran dan pembangunan negeri ini berjalan lancar, cekap dan berkesan serta menepati matlamatnya. Beta juga ingin menyarankan agar setiap Ahli-ahli Yang Berhormat dapat mengambil inisiatif secara berterusan untuk membawa projek-projek pembangunan kecil dan besar yang dapat memberikan faedah kepada negeri dan rakyat Perlis. Bagaimanapun inisiatif-inisiatif ini haruslah selaras dan sesuai dengan kerangka pelan induk serta wawasan pembangunan negeri Perlis keseluruhannya. Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

PERPADUAN

6. Beta ingin menekankan betapa pentingnya perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat. Pengurusan hasil dan perbelanjaan negeri, pembangunan modal insan, pembangunan fizikal ekonomi serta tadbir urus dan pembangunan dan kemakmuran negeri. Masyarakat hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran yang amat kompleks. Situasi ini menjadikan pengurusan negara atau negeri amat mencabar terutama dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat yang pelbagai seperti di Malaysia. Realitinya maklumat sama ada baik atau buruk tersebar pantas dengan kecanggihan alat komunikasi terkini. Ia bukan sahaja merentasi negeri, negara malah dunia sekali pun. Ia berlaku kepantasannya tidak pernah kita bayangkan. Oleh itu, pengurusan maklumat menjadi salah satu cabaran terbesar masa kini. Isu-isu agama dan kaum mudah dieksploitasikan untuk mencetus konflik dan pertelingkahan oleh pihak yang berkepentingan. Oleh itu Beta ingin mengingatkan semua supaya sentiasa mengamalkan kesederhanaan dan menghormati perbezaan yang ada. Janganlah mudah bertindak keatas sesuatu berita atau maklumat yang diterima tanpa terlebih dahulu memeriksa dan memastikan kesahihannya. Janganlah terlalu taksub pada sesuatu pendapat hingga sanggup melalukan perbuatan yang boleh menggugat perpaduan, keharmonian, kerohanian dan kesejahteraan rakyat.

POLITIK

7. Beta juga memandang serius gejala fitnah yang berleluasa dikalangan masyarakat sejak kebelakangan ini. Cubaan segelintir pihak yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kandungan berbaur hasutan, fitnah dan fahaman ekstrimis harus ditangani dengan berkesan. Beta menyarankan supaya diambil langkah positif proaktif segera dalam menangani hasutan dan fitnah di media sosial. Kelewatan bertindak dikhuatiri boleh menjerumuskan negara dan negeri dalam kancah polemik dan konflik yang merugikan semua pihak. Beta juga menyarankan agar semua pihak berkepentingan mengamalkan politik matang. Politik tidak boleh dijadikan amalan dan makanan harian hingga membelakangkan tanggungjawab, amanah dan peranan kita membangunkan negara dan negeri. Malah politik tidak boleh dijadikan alat dan jalan mudah untuk kepentingan peribadi dan mengaut kekayaan sendiri. Sepatutnya politik dijadikan wadah dan kaedah terbaik dalam memakmurkan negara dan negeri. Manakala seluruh rakyat mendapat ruang berkongsi kemakmuran itu dengan adil dan saksama.

BAJET DAN PERBELANJAAN NEGERI

8. Bajet Negeri tahun 2019 yang bertemakan pembangunan dijana dan diperkasa, kebajikan rakyat dibela telah dibentangkan dan diluluskan Dewan Undangan negeri ini dalam bulan Disember 2018. Beta percaya banyak program dan projek yang telah dilaksanakan untuk mencapai matlamat- matlamat yang ditetapkan. Manakala sebahagian lainnya masih dalam proses pelaksanaan sebelum tahun 2019 berakhir. Dalam menyusun atur perbelanjaan negeri Beta menyarankan supaya ianya dibuat dengan teliti, berdisiplin dan berhemah. Ini boleh mengelakkan pembaziran dan ketirisan sebaliknya ia boleh meningkatkan kecekapan dan kekesanan pengurusan perbelanjaan itu. Beta juga menyeru supaya kerajaan negeri berbelanja mengikut keutamaan dan memberi focus pada program-program dan projek-projek yang memberi impak besar dan langsung kepada rakyat dan menepati kumpulan sasarannya. Penjimatan hendaklah dilakukan apabila terdapat peluang-peluang untuk berbuat sedemikian. Beta ambil maklum akan usaha berterusan kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil, usaha mencari sumber-sumber hasil baru perlu diteruskan melalui inisiatif-inisiatif yang kreatif. Di masa yang sama, tumpuan khusus untuk menguruskan tunggakkan hasil negeri dengan lebih berkesan hendaklah dilakukan. Beta mengambil maklum mengenai pelaksanaan program gerakkan bayaran tunggakan cukai tanah, program penjualan semula bayaran sewa RPA dan program pemutihan bagi pelanggaran syarat tanah. Beta juga menyarankan agar jabatan-jabatan berkaitan menekankan aspek penguatkuasaan secara cekap, berkesan dan berterusan dalam pengurusan tunggakan hasil negeri. Diharapkan tidak ada sesiapa pun berkompromi samada dikalangan pemimpin, orang awam mahupun penjawat awam hingga boleh menjejaskan kecekapan dan kekesanan dalam pengurusan hasil negeri. Tindakan undang-undang juga perlu wajib diambil ke atas pihak yang melanggar dan yang menyalahgunakan peraturan dan undang-undang sedia ada. Jabatan-jabatan pemungut hasil harus menetapkan Key Performance Indicator atau KPI dan sasaran kutipan hasil masing-masing setiap tahun. Pengurusan kewangan juga haruslah dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan berintregriti. Pencapaian membanggakan jabatan dan agensi negeri dalam menguruskan kewangan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Agama Melayu Perlis boleh dijadikan contoh dan inspirasi oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi lain. Kedua-dua jabatan ini telah dapat pengiktirafan lima bintang dalam Indeks Accountability pengurusan kewangan tahun 2018.

KEUSAHAWANAN

9. Dalam menangani eramasi globalisasi yang semakin mencabar, pembangunan modal insan sewajarnya diberi penekanan dan keutamaan. Beta menyambut baik pelbagai program telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pusat dalam memastikan rakyat bersedia menempuh masa depan, tingkatkan jati diri dan membantu golongan berpendapatan rendah keluar daripada status B40. Sehubungan itu, program peningkatan kapasiti dan kapabiliti kumpulan khusus telah dilaksanakan untuk belia Negeri Perlis. Program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan peruntukan kerajaan pusat ini telah menyediakan peluang pembelajaran teknikal kepada golongan belia bagi memenuhi keperluan semasa industri. Selain aspek pelaksanaan keberkesanan program harus dipantau supaya objektif yang ditetapkan tercapai dan memberi manfaat kepada kumpulan sasar. Beta yakin program seperti ini dapat mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan di masa akan datang. Beta gembira dengan inisiatif kerajaan negeri untuk membangunkan usahawan dalam pelbagai industri dan saiz perniagaan. Pelancaran Tahun Keusahawanan telah berjaya melahirkan kerjasama yang baik dikalangan pelbagai agensi awam dan swasta. Beta ingin menyarankan agar program-program perluaskan pasaran, menggalakkan budaya keusahawanan, pemasaran digital dan lain-lain lagi dilaksanakan dengan lebih giat. Bengkel atau kursus keusahawanan begini bukan sahaja meningkatkan ilmu usahawan malah melebarkan networking yang merupakan syarat penting untuk usahawan berjaya. Usahawan juga harus berusaha menambah nilai kepada hasil pertanian mereka dan menghasil produk-produk hiliran untuk pasaran dalam dan luar negeri. Ini membolehkan usahawan dan petani menikmati pendapatan yang lebih tinggi. Melalui inovasi dan saluran pemasaran yang betul, produk-produk hiliran ini diharap dapat menembusi pasaran-pasaran baru. Beta menghargai segala usaha-usaha kerajaan dalam membantu meningkatkan pendapatan rakyat. Walaubagaimanapun, Beta amat mengharap agar rakyat mempunyai minda yang betul, semangat dan daya juang yang tinggi untuk memajukan diri sendiri tanpa terlalu mengharapkan bantuan berterusan darpada kerajaan seperti kata pepatah melayu yang bulat tidak datang bergolek, yang pipis tidak datang melayang. Hanya mereka yang rajin berusaha dan kuat kerja, atas usaha itu akan berjaya.

Ahli-ahli Yang Berhormat,

PELABURAN

10. Tidak dapat dinafikan sumber negeri terhad dan tidak mampu menampung perbelanjaan untuk melonjakkan Negeri Perlis maju ke hadapan. Bagaimanapun Beta bersyukur dengan wawasan kerajaan negeri melihat ke hadapan secara kreatif dan berdiri sama rapat pula dengan kerajaan persekutuan dalam mewujud dan membangunkan projek-projek berimpak tinggi. Antara- antaranya Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Perlis Inland Port (PIT), pembangunan bercampur, Kuala Perlis dan jeti bersepadu Sanglang. Alhamdulillah satu lagi projek besar iaitu Asean Sustainable Transport Institute (ASTI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan peruntukkan sebanyak RM 159.9 juta akan dibina di Padang Besar. Beta yakin dengan tertubuhnya cawangan universiti ini kelak ia akan menyumbang ke arah melonjakkan kedudukan Perlis sebagai Pusat Ilmu selain menjadi pelengkap kepada komponen logistik di PIT dan industri di CVIA, ASTI Perlis bakal menyumbang kepada pembangunan modal insan berkepakaran tinggi dalam bidang logistik. Prasarana asas seperti bekalan dan perkhidmatan air terawat juga harus diberi perhatian. Air adalah keperluan asas kehidupan dan amat penting kepada rakyat dan sector perniagaan. Beta berharap berusaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri untuk meningktkan kualiti air terawat di negeri Perlis akan dapat mengatasi sebahagian besar masalah air sekarang ini. Beta yakin projek-projek pembinaan loji baru di Timah Tasoh, pemasangan paip baru, pembaikan loji-loji yang sedia ada, pembaikan tangki-tangki yang rosak, penggantian meter dan penggantian paip meter secara bersemasa mampu meningkatkan kualiti industri dan perkhidmatan air terawat ini di Perlis. Beta mengambil maklum sehingga Jun 2019 di bawah rolling plan ke-empat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe11) negeri Perlis diperuntukkan sebanyak RM340.2 juta bagi melaksanakan 86 projek pembangunan. Beta berharap projek-projek pembangunan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya. Semua projek perlu dipantau secara berkala dan kontrak ditadbir dengan cekap bagi memastikan projek dapat disiapkan seperti mana yang dirancangkan. Ketua-ketua jabatan perlu bertanggungjawab ke atas pelaksanaan projek dan aktif memantau projek-projek di bawah jabatan masing-masing melalui kaedah turun padang serta menubuhkan blind squad untuk memantau projek-projek pembangunan yang dirancang mampu melonjakkan Perlis seiring dengan pembangunan di negeri-negeri lain sekaligus meningkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat. Beta berharap seluruh kepimpinan kerajaan negeri terus menggemblengkan tenaga dan memikirkan inisiatif-inisiatif baru dalam merancakkan lagi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri Perlis.

PERTANIAN DAN PENTERNAKAN

11. Walaupun sektor pertanian tradisi semakin kurang significant kepada ekonomi negeri, fokus harus diberikan kepada kaedah pertanian moden yang menggunakan teknologi moden begitu juga dengan penanaman tanaman kontang atau cash crops yang menjanjikan pulangan hasil dan pendapatan yang tinggi. Tanaman seperti buah tin, jenis-jenis lemon yang berbeza dan lain-lain tanaman kontang yang sesuai perlu digalakkan lagi. Beta yakin penglibatan petani-petani tempatan di dalam projek tanaman kontang bernilai tinggi secara komersial mampu menyumbang kepada peningkatan hasil dan pendapatan dari sektor pertanian. Beta juga gembira kerana industri tanaman harumanis Perlis telah berjaya dikomersialkan dan keluasan kawasan tanaman juga telah bertambah. Usaha membangunkan produk harumanis juga amat menggalakkan. Bagaimanapun Beta percaya pendapatan penanam Harumanis akan lebih terjamin dan meningkat dengan mewujudkan jaring pasaran yang cekap. Ini boleh dilakukan dengan mewujudkan jaring pemborong-pemborong yang akan membeli buah harumanis secara borong dan peladang-peladang dari peladang-peladang untuk diedar dan di pasarkan di dalam dan luar negara. Satu lagi bidang pertanian moden yang harus digalakkan ialah industri penternakan moden. Industri ternakan lembu dan daging dan susu dilihat mempunyai proses potensi yang besar untuk dimajukan di Perlis. Beta ingin menyarankan agar kerajaan negeri dapat mengambil inisiatif untuk memajukan industri ini dengan menarik pelabur-pelabur yang berminat ke Perlis. Industri penternakan lembu menggunakan kaedah moden mampu untuk menyumbangkan kepada pembangunan dan menjanakan pertumbuhan ekonomi negeri Perlis.

PELANCONGAN

12. Sektor pelancongan mempunyai potensi besar untuk mengeksploitasikan sepenuhnya secara kreatif. Acara-acara utama yang dianjurkan kerajaan negeri setiap tahun seperti Pesta Angin Timur, Perlis Marathon dan Pesta Air Kuala Perlis harus ditambahbaik dari semasa ke semasa untuk meraih banyak lagi peserta dan pengunjung dari dalam dan luar Negara. Negeri Perlis mempunyai produk pelancongan semula jadi yang boleh dipromosikan dan dikomersialkan secara meluas. Kawasan bendang, bukit bukau, hutan semula jadi,tanaman herba, dusun buah-buahan, ladang dan kebun harumanis,sungai dan saliran, makanan laut di Kuala Perlis, pusat membeli belah barangan murah di Padang Besar adalah produk-produk pelancongan yang menarik. Beta menyarankan agar produk-produk ini dipakejkan dan dipromosikan secara meluas dan kreatif dengan menggunakan ruang dan laman web serta media social. Kerajaan negeri pula harus memainkan peranan sebagai pemudah cara dan menggalakkan syarikat-syarikat atau individu swasta untuk menganjurkan pakej-pakej pelancongan yang bersesuaian dan tawaran harga yang menarik. Beta sedia maklum akan usaha-usaha kerajaan negeri untuk menarik pelancong ke negeri ini dan hasrat untuk melaksanakan Tahun Melawat Perlis 2021. Dalam hal ini suka Beta mencadangkan supaya semua pihak yang terlibat perlu bekerja keras dan berterusan bermula sekarang hingga kemuncak 2021. Antara yang perlu diberi perhatian ialah penyelenggaraan, kebersihan, keselamatan dan hospitaliti yang mesra pelancong. Sebagai usaha menyokong pelancongan negeri Perlis sebanyak RM3.3 juta telah diperuntukkan dalam bajet 2019 bagi kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur pelancongan di Gua Kelam, Taman Negeri Bukit Ayer, Taman Pertanian dan Taman Agrolancong. Belanjalah peruntukkan tersebut sebaik mungkin bagi memastikan kawasan-kawasan tersebut terus dijaga, dipelihara dan dipromosikan secara berterusan. Aspek kebersihan amat penting dalam memanjukan sektor pelancongan. Kebersihan negeri perlu dititikberatkan secara berterusan kerana kebersihan adalah cerminan kepada keperibadian seseorang atau sebuah masyarakat. Kerajaan negeri boleh menjadikan Negara Jepun sebagai contoh dalam membudayakan kebersihan di negeri ini.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

TADBIR URUS KERAJAAN

13. Dalam menterjemah program dan projek yang telah dirangka, Beta ingin mengingatkan pentingnya mengamalkan tadbir urus yang baik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Rakyat menuntut pentadbiran yang cekap, professional, mengikut Rule of Law dan berintergriti. Oleh itu, berkelakuan baik dan elakkan perbuatan yang boleh menimbulkan persepsi negative awam pada perkhidmatan kerajaan. Beta percaya bahawa majoriti anggota perkhidmatan awam sentiasa komited dan memberikan perkhidmatan yang terbaik. Juga Beta merujuk kepada laporan Transparency International berhubung indeks rasuah pada tahun 2018 yang mana Malaysia berada di kedudukan ke 61 daripada 180 negara. Perkara ini wajar dipandang serius oleh semua. Bagi menjaga imej dan daya saing Malaysia di persada dunia. Beta berharap amalan integriti dan akauntabiliti yang sedia wujud dalam kepimpinan negeri Perlis ini terus dikukuhkan. Kerajaan negeri juga harus komited dengan pelaksanaan plan anti rasuah national (NACP) yang menggariskan tindakan yg menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah serta menambahbaik tadbir urus dan intergriti. Penjawat awam harus melaksanakan tugas secara profesional dan berdasarkan undng-undang serta peraturan yang ada. Adalah tidak wajar jika ada pihak-pihak tertentu yang campur tangan dan mengganggu pelaksanaan tugas penjawat awam dan penguatkuasaan undang-undang tersebut.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

14. Beta mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua penjawat awam, anggota-anggota pasukan bersenjata di atas perkhidmatan dan sumbangan bakti yang telah dicurahkan untuk negara dan negeri. Semoga segala yang disumbangkan dengan ikhlas oleh semua akan mendapat keredhaan dan balasan yang setimpal dari Allah s.w.t. adalah menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat untuk memimpin dan membimbing rakyat agar sama-sama bergerak seiring membina sebuah negeri yang teguh bersatu sejahtera dan maju. Oleh yang demikian, sepanjang sidng ini berlangsung Beta ingin mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat agar mematuhi peraturan-peraturan Dewan

Undangan Negeri. Selain itu, berbahas dan berhujahlah secara rasional, intelektual, profesional dan berhemah atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama. Beta memohon supaya Ahli-ahli Yang Berhormat berpegang kepada prinsip mendahulukan kpentingan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan. Jadikanlah Dewan ini sebagai medium untuk mengeratkan perpaduan rakyat dan memajukan negeri agar rakyat terus sejahtera. Akhir titah dengan lafaz Beta dengan ini merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Perlis yang keempat belas pada hari ini. Sekian. Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Menteri Besar mengiringi YAB Dato’ Seri Menteri Besar ke Peterana DiRaja bagi menyambut kembali Warkah Titah Ucapan DiRaja. YAB Dato’ Seri Menteri Besar mengangkat sembah dan menyambut kembali Warkah Titah Ucapan DiRaja daripada DYMM Tuanku Raja lalu menyerahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Menteri Besar seterusnya kembali ke tempat masing-masing.)

PENANGGUHAN DEWAN (Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri bangun menghadap untuk memohon limpah perkenan DYMM Tuanku Raja bagi menangguhkan Persidangan Dewan Undangan Negeri.)Adjournment

Speaker

Ampun Tuanku, patik pohon ampuni limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menangguhkan Persidangan Dewan.

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja mengangguk memberi perkenan.)

(Yang Berhormat Dato’ Speaker kembali ke meja Speaker Dewan.)

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari Rabu, 21 Ogos 2019 jam 9.00 pagi.

Setiausaha Dewan

Bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri.

(Bacaan doa oleh Y.Bhg Sahibus Samahah Dato’ Mufti Kerajaan Negeri.)

Setiausaha Dewan

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda berangkat meninggalkan Dewan.

(Semua di dalam Dewan berdiri.)

(Lagu negeri Perlis dimainkan oleh pancaragam.)

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda berangkat meninggalkan Dewan didahului oleh Bentara yang menjunjung Cokmar, Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker.)

(Majlis tamat pada jam 11.20 pagi)