Perlis · 20 May 2020

14th Assembly, 3rd session, 1st meeting · 56 turns · 12,703 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.

(Pembukaan)

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.

Doa

Setiausaha Dewan

Doa.

(Bacaan doa oleh Setiausaha Dewan)

Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis

Penolong Setiausaha Dewan

Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.

Speaker

Bismillahhirahmannirrahim. Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, seperti yang semua sedia maklum, kita masih lagi berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Walau bagaimanapun, disebabkan keperluan dari segi undang-undang, untuk diadakan sidang Dewan tidak lewat daripada 6 bulan, maka persidangan pada hari ini kita adakan juga tetapi dengan mengambil beberapa langkah kawalan yang telah kita bincangkan lebih awal dengan MKN, Majlis Keselamatan Negeri, dan Jabatan Kesihatan Negeri. Bagi pihak Dewan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih terutama kepada Jabatan Kesihatan Negeri di atas bantuan yang telah diberikan dalam menjalankan saringan pada awal pagi ini dan juga untuk esok pagi. Saya juga ingin memohon maaf kepada sebilangan besar jabatan dan kebanyakan rakan-rakan media yang tidak dapat kita jemput hadir pada kali ini. Ini disebabkan keperluan untuk meminimakan jumlah kehadiran di Dewan... di dalam Dewan bagi mengurangkan risiko kesihatan. Sebagai langkah tambahan juga, tempoh masa persidangan pada kali ini akan diadakan selama tidak lebih 2 jam, juga tujuan untuk mengurangkan risiko kesihatan. Seperti Yang Berhormat sekalian dapat lihat, terdapat perubahan pada tempat duduk masing-masing berbanding kelaziman. Perubahan ini disebabkan beberapa factor iaitu keperluan penjarakan sosial, social distancing, dan juga mengambil kira perkembangan semasa politik dan kerajaan pada hari ini. Untuk itu, saya ingin memaklumkan di sini bahawa pihak Dewan telah menerima surat daripada parti UMNO yang memaklumkan mengenai penyertaan dan penerimaan semula Yang Berhormat Tambung Tulang ke dalam parti berkenaan. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Tambun Tulang tidak dapat hadir pada siding kali ini kerana masih lagi terkandas di Kalimantan, Indonesia disebabkan lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan Indonesia dan jika Yang Berhormat Tambun Tulang balik pun dia nak kena kuarantin, jadi tak dapat juga masuk ke dalam Dewan kita pada kali ini. Beliau telah memaklumkan kepada saya secara rasmi dan saya telah pun memberikan kebenaran kepada beliau untuk tidak hadir pada kali ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, di kesempatan ini juga saya ingin menerangkan tentang aturan perjalanan mesyuarat Dewan kita pada hari ini. Sejurus selepas ini, kertas-kertas Dewan yang telah disenaraikan akan dibentangkan di atas meja mesyuarat tanpa dibahaskan selaras dengan peraturan-peraturan dan perintah-perintah tetap Dewan. Sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat ingin menyentuh sebarang perkara berhubung mana-mana kertas berkenaan, ia bolehlah dibangkitkan semasa perbahasan kelak. Setelah itu, soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian akan dijawab oleh pihak kerajaan mengikut turutan seperti di dalam Kertas Perintah Mesyuarat Dewan. Saya akan memperuntukkan tempoh masa kira-kira 30 minit untuk sesi soalan dan jawapan lisan tersebut. Untuk itu, saya akan membenarkan satu sahaja soalan tambahan bagi setiap soalan asal yang telah dikemukakan. Keutamaan akan diberikan kepada Ahli yang mengemukakan soalan asal. Mana-mana soalan yang tidak sempat dijawab secara lisan, jawapannya akan dikemukakan kemudian secara bertulis oleh pihak Kerajaan. Selepas itu, Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020 akan dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seterusnya dibuka untuk perbahasan secara dasar. Saya akan memberikan tempoh masa kira-kira 15 minit setiap seorang Ahli-Ahli Yang Berhormat di sebelah kiri saya untuk berbahas. Sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian dapat mematuhi masa yang ditetapkan, maka dapatlah kita sudahkan persidangan pada hari ini dalam tempoh 2 jam. Setelah itu akan ditangguhkan dan akan disambung semula pada pagi esok untuk maklum balas dan penggulungan oleh pihak Kerajaan. Saya juga mengambil kesempatan pada hari ini bahawa kita bersidang pada kali ini dalam bulan puasa dan saya rasa semua akan sabar dan bertenaga untuk bersama-sama berada dalam sidang kali ini. Sekian, terima kasih.

Kertas-Kertas Dewan

Setiausaha Dewan

Kertas-Kertas Dewan yang dibentangkan.

Speaker

Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu. Salam sejahtera dan selamat pagi Yang Berhormat Dato’ Speaker, sukacita saya membentangkan di atas meja mesyuarat, Kertas-Kertas Dewan Bilangan 1 Tahun 2020 hingga Bilangan 2 Tahun 2020. Terima kasih.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Setiausaha Dewan

Soalan-soalan lisan.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya nombor 2.

(Soalan 2 : Apakah rancangan kerajaan untuk memanfaatkan bangunan Maahad Tahfiz yang telah ditutup di Bukit Kedak?)

Tuan Ruzaini bin RaisUMNO · BNBeseri

Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Sanglang. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Maahad Tahfiz di Guar Jentik pernah dimiliki oleh Yayasan Islam Perlis. Kini tapak tersebut telah dibeli oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis ataupun MAIPs dan telah diserahkan pengurusannya kepada Kolej Universiti Islam Perlis ataupun KUIPs. Pihak KUIPs mempunyai perancangan untuk menjadikan bangunan tersebut sebagai salah satu hab pengajian dan pusat kecemerlangan dan sedang meneliti beberapa pilihan sebelum memuktamadkan perancangannya. Sekian.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.

Tuan Mohd Ridzuan bin HashimPAS · PNGuar Sanji

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker dan salam 27 Ramadhan. Soalan saya, nombor 3.

(Soalan 3 : Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan seramai 18.8 juta orang warganegara yang layak mendaftar sebagai pemilih menjelang Pilihanraya Umum Ke-15, namun seramai 4 juta warganegara yang berumur 21 tahun dan ke atas (sehingga 31 Mac 2019) yang layak tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi. Di Negeri Perlis sahaja sehingga kini terdaapt 39 ribu orang yang belum mendaftar. Apakah perancangan dan usaha kerajaan dalam mengatasi masalah ini?)

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji. Kedudukan sehingga 31 Disember 2019, jumlah keseluruhan warganegara Malaysia yang layak mengundi yang berumur 21 tahun ke atas tetapi belum mendaftar sebagai pemilih ialah 4,104,567 orang. Dan daripada jumlah itu, angka mereka yang berumur 21 tahun ke atas, rakyat negeri Perlis, adalah seramai 26,679 yang mempunyai alamat di negeri Perlis yang belum lagi mendaftar sebagai pengundi. Sebenarnya perlaksanaan untuk mendaftarkan mereka ini adalah berdasarkan kepada peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan itu Perkara 113, dan di dalam hal ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyediakan kemudahan atau saluran untuk membolehkan pemilih-pemilih berdaftar dan di antara kemudahan saluran-saluran yang disediakan sehingga kini oleh pihak SPR seperti pertamanya kaunter statik di Ibu Pejabat SPR sendiri, kaunter statik di semua Pejabat Pilihan Raya Negeri termasuk di Pejabat Pilihan Raya Negeri Perlis, semua pejabat pos di seluruh negara, Program Outreach dan Outreach Karavan SPR di tempat-tempat tumpuan orang ramai. Di samping itu, SPR juga telah melantik Penolong Pendaftar Pemilih ataupun PPP untuk membantu SPR dalam urusan pemilih… pendaftaran pemilih, yang mana sekarang ini terdapat 6 kategori PPP iaitu PPP Wakil Jabatan Kerajaan, PPP Wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan, PPP Wakil Parti Politik, PPP Wakil Universiti, Kolej Universiti atau Kolej, PPP Wakil Pelajar dan PPP Wakil Swasta. Dan di samping itu… Kerajaan… SPR dalam hal ini telah memperkenalkan satu lagi bentuk pendaftaran yang mudah iaitu pendaftaran secara online ataupun pendaftaran atas talian, dan ini menggunakan apa yang disebutkan sebagai MySPR Daftar. Jadi ini adalah satu lagi kaedah ataupun saluran untuk membolehkan pengundi-pengundi yang belum mendaftar sebelum ini untuk mengundi dan saya mengambil peluang ini juga untuk menambah sedikit maklumat lagi berkaitan dengan perkembangan yang selepas itu setelah Dewan Negara dan Dewan Rakyat meluluskan peningkatan ataupun penurunan umur layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun. Dan sebenarnya persiapan sedang dibuat oleh pihak SPR yang meliputi penyediaan pindaan kepada peraturan-peraturan pilihan raya iaitu Pendaftaran Pemilih 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan serta penyediaan SOP, Standard of Operating Procedures, dan penyediaan sistem insfrastruktur untuk melaksanakan pendaftaran umur 18 tahun ke atas ini. Dan pihak SPR… maklumat yang disampaikan kepada saya, pihak SPR mungkin akan dapat menyiapkan semua ini dalam tempoh 24 bulan atau kurang dan mungkin tarikh perlaksanaannya dapat dilakukan selewat-lewatnya pada 2021. Jadi itu Yang Berhormat Dato’ Speaker, jawapan saya dan sedikit maklumat tambahan yang berkaitan dengan soalan tersebut. Terima kasih.

Tuan Mohd Ridzuan bin HashimPAS · PNGuar Sanji

Soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Menteri Besar Bintong… sound ni dia pelan sikit. Ok bukan soalan tambahan la, cuma cadangan la. Terima kasih atas penjelasan yang diberikan oleh Yang Berhormat Bintong berkaitan dengan kaedah-kaedah dan juga inisiatif yang telah diambil oleh SPR untuk mendaftarkan pengundi. Baru ni, di Perlis saja 26K ataupun 26,000 lagi yang belum mendaftar dan apakah kita mampu untuk mengurangkan jumlah ini sebelum PRU yang ke-15. Yang kedua, cadangan sayalah kepada Kerajaan Negeri dan SPR supaya mendekati golongan pendaftar yang baru ini di masjid-masjid, buka kaunter. Kalau kita lihat, kalau kita bekerjasama di masjid pada hari Jumaat dengan pengumuman-pengumuman yang dibuat ulang kali oleh tok imam buka kaunter di masjid, insya-Allah saya rasa, ini juga boleh menambah atau mengurangkan jumlah pengundi yang belum mendaftar lagi ini. Terima kasih.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Yang Berhormat Dato’ Speaker, perlu saya jawab? Perlu saya respons? Ok, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Guar Sanji di atas cadangan yang telah dikemukakan tadi. Salah satu untuk menjadikan masjid sebagai tempat untuk mendaftarkan pemilih-pemilih dan ini sebenarnya dah pun ada tergolong dalam satu kategori PPP yang saya sebutkan tadi iaitu PPP wakil pertubuhan bukan kerajaan. Jadi masjid, kalau ada orang yang sukarela yang telah dilantik oleh SPR jadi itulah yang dilakukan sebenarnya. So, kategori 6 PPP itu telah pun agak menyeluruh cuma sekarang ni perlu berlaku ialah ada inisiatif yang dilakukan di peringkat bawah. Terima kasih Dato’ Speaker.

Speaker

Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat Sena.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi. Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya, soalan nombor 4. Terima kasih.

(Soalan 4 : Dalam menangani perubahan iklim dunia masa kini, apakah usaha dan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memperkasa sektor tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) ini?)

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Selamat pagi dan salam sejahtera. Terima kasih YB Sena. Yang Berhormat Dato’ Speaker, negeri Perlis merupakan negeri yang menerima tenaga cahaya matahari yang tinggi sepanjang tahun. Kelebihan iklim panas dan bacaan radiasi solar yang tinggi ini menjadikan Perlis berpotensi besar dalam penjanaan tenaga elektrik solar. Salah satu inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ialah memperuntukkan tanah seluas 330 ekar di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping sebagai kluster tenaga boleh diperbaharui untuk pembangunan projek solar. Dalam usaha membangunkan kawasan ini, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong syarikat-syarikat yang berminat dan membida projek janakuasa solar photovoltaic berskala besar (LSS) yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tenaga. Walau bagaimanapun, sehingga kini masih tiada pembida yang berjaya. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan khas kepada pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya 1 tender khas LSS diadakan khusus di Perlis dengan mengambilkira tanah di CVIA yang telah diperuntukkan untuk tenaga boleh diperbaharui. Kerajaan Negeri juga sedang dalam usaha mencari jalan penyelesaian atau inisiatif terbaik untuk melaksanakan projek solar terapung di Empangan Timah Tasoh bersama-sama Kementerian yang terlibat. Untuk makluman, terdapat banyak permintaan daripada syarikat untuk pemasangan solar terapung di Empangan Timah Tasoh tetapi ianya tidak dapat dilaksanakan memandangkan proses pengambilan tanah masih belum selesai dan urusan sewaan atau pajakan hanya dapat dipertimbangkan sebaik sahaja urusan perizaban kawasan tersebut diselesaikan. Selain itu, Empangan Timah Tasoh kini juga terikat dengan fungsi-fungsi berikut. Empangan tersebut digunakan untuk bekalan air domestik, juga merupakan kawasan tebatan banjir dan empangan tersebut digunakan bagi pengairan pertanian. Selain dari LSS,

Kerajaan Negeri juga sentiasa menjadikan pemudah cara kepada syarikat-syarikat yang berminat membangunkan projek solar di negeri Perlis. Sehingga kini, terdapat beberapa projek solar yang telah dibangunkan di negeri Perlis, antaranya (a) Taman Solar Cypark Kampung Wai, Kuala Perlis 6 megawatt (MW) oleh Cypark Resources Berhad, (b) Projek Tenaga Boleh Diperbaharui 5MW, Padang Besar oleh IRM Solar, (c) Projek Tenaga Boleh Diperbaharui 1.5MW, Padang Siding oleh HBH Global Energy Sdn.Bhd., (d) Program Suriaku 2015, projek perintis bumbung solar di 20 rumah golongan B40 oleh Gading Kencana Sdn. Bhd., dan (e) Projek Pembangunan Loji Janakuasa Solar PV Berskala Besar 30MW di Bukit Perawah oleh Konsortium Beseri Jaya dan Hanhwa Energy Corporation Singapore Ltd.

Kerajaan Negeri juga menyahut baik hasrat Kerajaan Persekutuan dalam Bajet 2020 untuk mencapai sasaran negara bagi menjana 20 peratus penggunaan tenaga daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2025 dan amat mengalu-alukan cadangan pembangunan solar daripada pelabur yang berminat. Sehingga kini, 8 buah syarikat telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri dan kesemua cadangan tersebut sedang dalam peringkat semakan dan penelitian. Antara cadangan pembangunan solar yang diterima ialah pemasangan panel solar di bumbung-bumbung bangunan, projek solar terapung dan pembangunan kawasan ladang solar. Selain itu, Kerajaan Negeri dengan usahasama Kerajaan Persekutuan juga turut menyediakan peruntukan sebanyak RM202,400 kepada 10 orang pelatih di kalangan B40 negeri Perlis untuk menjalankan latihan program penyelenggaraan solar panel di bawah pusat latihan yang telah dikenalpasti dan diperakukan oleh Unit Perancangan Ekonomi bagi tahun 2019 dan 2020. Program ini adalah sebagai salah satu inisiatif dalam memberikan pendedahan kemahiran berhubung tenaga boleh diperbaharui. Terima kasih.

Tambahan Yang Berhormat Dato’ Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Titi Tinggi. Saya dengar tadi ni banyak syarikat-syarikat yang berminat untuk melaksanakan solar ni. Saya tengok dekat FB Yang Berhormat Bintong pun ada syarikat yang datang, saya tengok... cuma saya nak penjelasan apakah halangan-halangan yang menyebabkan lambatnya urusan untuk kita nak dapatkan pelaburan solar tersebut. Terima kasih.

Tuan Teh Chai AanMCA · BNTiti Tinggi

Terima kasih YB Sena. Memang di dalam halangan di dalam negeri, kita kesuntukan. Kita tak dapat pelabur-pelabur yang mega, hanya terdapat pelabur-pelabur yang kecil-kecil sahaja. Jadi sekarang ni, hari ni, kita nak mengalu-alukan kalau boleh Kerajaan Pusat Persekutuan kalau boleh dapatkan sama kita bekerjasama dengan negeri dan dapatkan pelabur besar yang dapat melabur di negeri Perlis. Sekian.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat...

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Yang Berhormat Dato’ Speaker, boleh saya tambah sikit sebab Yang Berhormat Sena tadi juga ada menyentuh mengenai inisiatif yang juga saya ambil berkaitan dengan solar ini dan berkaitan dengan soalan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Sena juga saya ingin menambah bahawa Kerajaan Negeri sebenarnya tidak ada kuasa di dalam meluluskan konsesi-konsesi untuk ladang solar ini. Apa yang Kerajaan Negeri boleh beri jaminan adalah tapak, tanah-tanah yang diperlukan untuk dijadikan ladang solar itu tapi kelulusan sebenar untuk memilih mana-mana syarikat termasuklah lapan syarikat yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat Titi Tinggi tadi adalah tertakluk kepada pihak berkuasa di peringkat persekutuan yang mana dianya berdasarkan tender terbuka yang telah dibuat di peringkat persekutuan. Jadi kejayaan syarikat-syarikat ini untuk mendapatkan konsesi itu bergantung kepada sejauh mana kompetetifnya cadangan-cadangan kontrak yang dikemukakan itu... konsesi kontrak yang dikemukakan tersebut, dan cuma halangan di Perlis ini adalah kita tidak ada masalah dari segi cahaya matahari. Memang pun kita mengetahui di negeri Perlis ini dari segi radiance-nya itu memang yang terbaik di Malaysia. Walau bagaimanapun kita mempunyai suatu kelemahan iaitu ladang solar kita ini berada jauh sedikit dengan dia punya high tension cable itu ataupun dia punya PPNU ataupun PPU dan ini menyebabkan pihak syarikat yang mencadangkan atau yang masuk kontrak itu terpaksa meningkatkan kos untuk membina high tension cable untuk dibawa ke national grid, dengan izin Yang Berhormat Dato’ Speaker. Jadi itu, adalah salah satu daripada faktor kenapa berdasarkan daripada pengalaman-pengalaman dua tahun yang lepas, banyak syarikat-syarikat yang telah menawarkan diri untuk masuk tender ini tidak berjaya. Itu salah satu sebabnya yang saya ingin tambah untuk makluman Yang Berhormat daripada Sena dan Dewan yang mulia. Terima kasih Dato’ Speaker.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.

Puan Gan Ay LingPKR · PHIndera Kayangan

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, selamat pagi dan salam sejahtera. Soalan saya, soalan nombor 6… nombor 5, sorry. Terima kasih.

(Soalan 5 : Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kesedaran penjaja dan peniaga dalam memastikan kebersihan tempat perniagaan dan penyediaan makanan yang lebih terjamin?)

Tuan Azizan bin SulaimanUMNO · BNSantan

Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu. Terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan. Yang Berhormat Dato’ Speaker, kepentingan menjaga kebersihan dalam kalangan rakyat di negeri Perlis termasuklah penjaja dan juga peniaga bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama selain daripada penguatkuasaaan dasar, undang-undang, peraturan dan garis panduan yang diwujudkan oleh Kerajaan. Kerajaan Negeri melalui MPK sentiasa mengambil perhatian yang serius dan berusaha dalam memastikan kebersihan dan kesihatan persekitaran tempat perniagaan dan penyediaan makanan adalah terjamin. Selain itu, jabatan ataupun agensi Kerajaan yang lain seperti Jabatan Kesihatan Negeri dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut sama memainkan peranan masing-masing mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan dalam mengawal dan memantau aspek kebersihan tempat perniagaan dan tempat penyediaan makanan di dalam negeri ini. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menerima pakai Garis Panduan Pasar Malam atau Pasar Harian dan juga Pasar Tani di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dijadikan panduan dan syarat-syarat perlesenan dan MPK sebagai salah satu usaha untuk memastikan kebersihan tempat perniagaan dan penyediaan makanan dalam kalangan penjaja dan peniaga terjamin. Melalui garis panduan ini, MPK akan dapat melaksanakan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang efektif dan berterusan bagi menangani isu-isu kebersihan di tempat perniagaan. Terdapat 9 komponen penting dalam garis panduan itu dan salah satu daripada komponen tersebut adalah Kebersihan dan Kesihatan yang mengambil kira aspek kebersihan diri penjual, kebersihan makanan, peralatan dan persekitaran dan juga pembuangan sisa pepejal serta sisa makanan yang teratur. Garis Panduan ini juga lengkap menyatakan dengan jelas tanggungjawab semua pihak yang berkepentingan dalam soal pengurusan pasar malam, pasar minggu, pasar sehari ataupun nat dan sebagainya yang turut mencakupi aspek kebersihan, kekemasan, dan juga keselamatan. Di samping itu, antara usaha-usaha lain MPK dalam meningkatkan kesedaran penjaja dan peniaga untuk memastikan kebersihan tempat perniagaan terjamin adalah melalui pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan terhadap pematuhan penjaja dan peniaga kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh MPK. Peraturan-peraturan ini akan dipantau secara berkala oleh penguatkuasa MPK melalui satu bentuk pelaporan kepada Bahagian Perunding Kesihatan Persekitaran, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Pemantauan dan pelaporan yang dilakukan oleh MPK adalah seperti berikut. Yang pertama, pemantauan aktiviti kawalan nyamuk, pelaporan setiap bulan. Yang kedua, pemantauan aktiviti kawalan tikus, pelaporan setiap bulan. Yang ketiga, pemantauan aktiviti kawalan dan keselamatan makanan, pelaporan setiap tiga 3 bulan. Yang keempat, pemantauan pusat penyembelihan ayam, itik dan lain-lain unggas, sekali setahun. Dan yang kelima, pemantauan aktiviti sanitari pasar awam, setiap tahun. Selain itu, pihak MPK juga mewajibkan pengendali makanan untuk mempunyai sijil kursus pengendali makanan dan mendapatkan suntikan Ty2 terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan lesen kepada Majlis. Kursus pengendali makanan dikendalikan oleh Sekolah Latihan Pengendali Makanan ataupun SPLM yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di mana pengendali makanan dilatih tentang cara mengendalikan makanan secara bersih dan selamat. Premis yang tidak mempunyai lesen serta tidak mematuhi syarat pelesenan akan dikenakan tindakan kompaun. Statistik penguatkuasaan MPK terhadap premis dan penjaja makanan bagi tahun 2019 dan tahun 2020, sehingga Mac, adalah seperti berikut. Yang pertama, Ty2 sebanyak 131 kompaun telah diberikan. Yang kedua, pemakaian apron, 13 notis dan juga perangkap minyak, 129 notis. Kerajaan Negeri juga komited menjayakan Kempen Perlis Indah bagi memastikan kebersihan negeri Perlis adalah terjamin. Melalui kempen ini, komponen kempen kesedaran Nat Tanpa Sampah akan dijalankan pada tahun 2020. 5 buah Nat iaitu Nat Arau, Nat Behor Lateh, Nat Batu 2, Nat Taman Sena, dan Nat Bintong akan dikenali sebagai Nat Tanpa Sampah. Ini merupakan projek rintis bagi MPK di mana kerja-kerja pembersihan tidak perlu dilakukan selepas waktu operasi Nat berkenaan tamat. MPK akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasa secara berkala dan sistematik, bagi memastikan matlamat program ini tercapai dan seterusnya dapat diperluaskan ke nat-nat yang lain. Dato’ Speaker, dalam usaha memastikan kebersihan tempat perniagaan dan penyediaan makanan, Garis Panduan Pemasangan Perangkap Minyak Di Premis Makanan Di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah diterimapakai oleh Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan di MPK. Mulai Oktober 2019, pihak MPK telah mula melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi mewajibkan pemilik premis makanan memasang perangkap minyak di premis. Terdapat sebanyak 129 premis telah diperiksa dan diberi notis untuk memasang perangkap minyak di premis. Garis panduan perangkap minyak ini menggariskan perkara-perkara asas berhubung syarat-syarat pemasangan, rekabentuk, kaedah pemasangan, kerja-kerja operasi, dan senggaraan perangkap minyak bagi premis makanan di bawah PBT. Pemasangan sistem perangkap minyak di premis-premis makanan merupakan kaedah yang paling praktikal dalam menangani masalah pencemaran fat oil and grease (FOG) ke sistem pembentung atau tangki septik dan juga ke sistem saliran sama ada parit ataupun sungai. Pengurangan kadar FOG dalam air limbah dapat mengelakkan saluran paip pembentung daripada tersumbat serta memastikan tiada gangguan operasi di loji rawatan pembentung. Di samping itu, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis juga sentiasa berusaha untuk meningkat kesedaran terhadap penjaja dan penyedia makanan dalam memastikan keselamatan makanan di negeri ini. Jabatan Kesihatan sentiasa menggalakkan penjaja dan peniaga untuk mendapatkan pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) di premis masing-masing bagi memberi keyakinan dan imej yang positif kepada pengguna terhadap kebersihan makanan. BeSS adalah pengiktirafan yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan kepada premis makanan yakni kedai makan, restoran, hotel, cafeteria, kantin, medan selera, food truck, kiosk, kedai roti dan kek bagi menggalakkan pengusaha premis makanan untuk mengekalkan premis yang bersih, menyediakan makanan yang selamat dan pilihan makanan yang sihat kepada pelanggan. Selain itu, Jabatan Kesihatan juga menjalankan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Notis (kompaun) akan dikeluarkan sekiranya peniaga atau penjaja melakukan kesalahan seperti dalam Jadual Keempat Peraturan-Peraturan ini. Sekian, terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan tambahan. Terima kasih Yang berhormat Santan. Saya tengok dari segi kebersihan kalau di nat-nat ataupun pasar tani tu lebih baik berbanding dengan pasar malam sebab saya ada terima banyak aduan terutamanya di Pasar Malam Jejawi di bahagian macam… bahagian basah lah. Contohnya ikan, yang dekat premis-premis perniagaan tetap selalu complaine bau keesokannya hari tu ada… jadi, sejauh mana pemantauan yang telah dijalankan oleh agensi yang terlibat untuk pastikan kebersihan terjamin di kawasan-kawasan tersebut. Terima kasih.

Tuan Azizan bin SulaimanUMNO · BNSantan

Terima kasih Yang Berhormat Sena. Jadi setelah apa yang dicakapkan tadi iaitu penguatkuasaan daripada pihak MPK jadi kita berharap supaya pengendali ataupun pengusaha-pengusaha tempat nat tu bersedia untuk menerima dan menggunapakai pemeriksaan dan pihak MPK tidak untuk tidak kalau untuk memastikan benda itu berjalan dan kompaun akan dikenakan lah.

Speaker

Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.

Tuan Nor Azam bin KarapPKR · PHKuala Perlis

Assalamu`alaikum warahmatullahi dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Soalan saya, soalan nombor 6.

(Soalan 6 : Kes jenayah pedofilia di Negeri Perlis meningkat 38% pada tahun 2019 berbanding tahun 2018. Apakah langkah kerajaan bagi menangani isu ini?)

Bismillahhirahmannirrahim. Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis. Yang Berhormat Dato’ Speaker, untuk makluman Dewan yang mulia ini, statistik kes pedofilia di negeri Perlis ialah 13 kes pada tahun 2018 dan meningkat kepada 21 kes pada 2019. Antara punca-punca peningkatan kes-kes pedofilia adalah daripada penggunaan media sosial yang begitu bercambah dari masa ke semasa. Bagi membendung kejadian ini daripada terus meningkat dan berleluasa, pihak kerajaan melalui PDRM atau Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Siber ataupun Internet Terhadap Kanak-kanak Malaysia (MICAC) untuk menjalankan siasatan terhadap maklumat yang diterima dan juga bertujuan untuk membendung penyebaran gambar-gambar video ataupun audio yang melibatkan kanak-kanak melalui Internet. Yang Berhormat Dato’ Speaker, pihak PDRM juga turut mengadakan ceramah-ceramah kesedaran kepada para pelajar menengah dan juga rendah di seluruh negeri Perlis bagi menyedarkan mereka tentang keselamatan diri daripada menjadi mangsa kepada penjenayah pedofilia ini. Para pelajar diberikan pendedahan tentang tindakan-tindakan yang sewajarnya diambil apabila berlakunya jenayah-jenayah berkenaan. Selain itu juga, Pegawai Perhubungan Sekolah ataupun PPS dilantik dalam kalangan pegawai-pegawai polis ataupun pihak polis sendiri dan ianya berperanan sebagai penghubung di antara pihak PDRM dan juga pihak sekolah bagi mengatur dan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di kalangan para pelajar. Selain itu, ibu bapa juga berperanan yang sangat tinggi untuk menjelaskan kepada anak-anak ataupun kanak-kanak di bawah tanggungan masing-masing tentang anggota badan mereka yang ekslusif yang perlu dijaga dari masa ke semasa untuk tidak membawa kepada kes-kes pedofilia kepada kanak-kanak. Mereka juga disarankan untuk memantau aktiviti yang dijalankan oleh anak masing-masing dan juga kanak-kanak sekitar agar kes-kes pedofilia ini tidak berterusan dan tidak meningkat dari masa ke semasa. Yang Berhormat Dato’ Speaker, selain itu, ceramah-ceramah kesedaran juga dijalankan di dalam media-media maya, media-mesia sosial di bawah laman web PDRM. Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan juga Kanak-Kanak yang mempunyai seorang Penolong Kaunselor yang berperanan untuk mengadakan sesi kaunseling kepada setiap mangsa kes-kes seksual ini juga bagi membantu mangsa menangani trauma yang dialami oleh mereka. Yang Berhormat Dato’ Speaker, penjenayah pedofilia ini dianggap sebagai satu kategori penjenayah yang amat serius di mana kerajaan telah membangunkan satu sistem bagi menyimpan rekod pesalah-pesalah pedofilia yang telah disimpan oleh pihak PDRM. Ianya bertujuan bagi mengelakkan pesalah-pesalah ini bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan kanak-kanak. Di antaranya usaha-usaha pencegahan yang kerajaan jalankan bagi mengelakkan kejadian ini berulang pada masa-masa hadapan. Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis ataupun Malaysia pula tidak mengendalikan sebarang kes berkaitan jenayah pedofilia. Walau bagaimanapun, JKM ada mengendalikan kes-kes penderaan seksual kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun yang menjadi mangsa ataupun diberikan perlindungan dan juga pelaku jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan) 2016. Oleh yang demikian, bagi menangani isu-isu tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menjalankan beberapa aktiviti pencegahan di dalam kalangan kanak-kanak termasuklah sebanyak 6 program dalam tahun 2018 dan 11 program bagi tahun 2019. Selain program-program yang telah dianjurkan, terdapat juga beberapa pasukan dan perkhidmatan yang ditubuhkan bagi menjamin keselamatan kanak-kanak daripada kes-kes seperti penderaan, pengabaian kanak-kanak dan juga jenayah pedofilia. Antara program yang dilaksanakan adalah Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK), Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK), penubuhan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), Saluran Aduan Talian Kasih dan Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak dalam Daftar Kanak-Kanak. Manakala, pihak LPPKN ataupun Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di dalam komuniti khususnya yang melibatkan fungsi keluarga dalam memberi pendidikan kepada anak-anak meliputi aspek pendidikan kekeluargaan, pendidikan seksualiti serta kaunseling dan juga terapi keluarga. Terdapat beberapa program yang dilaksanakan oleh pihak LPPKN iaitu Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA) dan juga Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) serta kaunseling dan juga terapi keluarga. Sekian, terima kasih.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sesi soalan lisan dan jawapan daripada pihak kerajaan saya tangguhkan dan soalan-soalan yang tak dapat dijawab oleh pihak kerajaan akan dikemukakan jawapannya secara bertulis kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian.

Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020Bill

Setiausaha Dewan

Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020 dibaca bagi kali pertama.

Puan Asmaiza binti AhmadUMNO · BNChuping

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

Setiausaha Dewan

Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020. Bacaan Kali Pertama.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Yang Berhormat Dato’ Speaker, menurut proviso kepada peruntukan Peraturan 56 Dewan, saya mohon kebenaran untuk membaca Rang Undang-Undang ini bagi kali kedua pada hari ini juga.

Speaker

Yang Amat Berhormat dibenarkan.

Setiausaha Dewan

Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020. Bacaan Kali Kedua.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang yang bernama “Suatu Enakmen untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis”. Adapun tujuan Rang Undang-Undang ini ialah untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis. Pertama, Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan. Kedua, Fasal 2 bertujuan untuk meminda Perkara 48 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis untuk menurunkan umur kelayakan bagi tiap-tiap rakyat yang tinggal di dalam negeri Perlis untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri daripada 21 kepada 18 tahun. Pindaan ini adalah selaras dengan pindaan Perkara 47(b) dan seksyen 5 dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Yang Berhormat Dato’ Speaker, izinkan saya memberi sedikit penjelasan kepada Dewan yang mulia ini mengenai latar belakang cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh di hadapan kita pada hari ini. Pada bulan Julai tahun lalu, Parlimen Malaysia, dengan sokongan majoriti melebihi 2 per 3 oleh kedua-dua belah pihak iaitu blok kerajaan dan blok pembangkang pada ketika itu, di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, telah meluluskan beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan seperti berikut. Pertama, pindaan Perkara 47 bagi menurunkan kelayakan umur ahli Dewan Rakyat daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Kedua, pindaan Perkara 119 bagi menurunkan kelayakan umur pemilih atau pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan ketiga, pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan bagi menurunkan kelayakan umur ahli Dewan Undangan Negeri daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Pindaan ini telah diperkenankan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan telah diwartakan pada 10 September 2019. Dalam soal pindaan Perkara 47 dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan mengenai umur pemilih atau pengundi dan umur calon Ahli Dewan Rakyat, ia terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan sepenuhnya. Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan pula merupakan peruntukan-peruntukan yang perlu dimasukkan ke dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing untuk tujuan keselarasan. Justeru itu, pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan mengenai umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri perlu diikuti dengan pindaan yang sewajarnya kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing terlebih dahulu sebelum had umur baharu tersebut boleh mula berkuatkuasa. Justeru itu, dalam konteks inilah pindaan kepada Perkara 48 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis dicadangkan pada hari ini, iaitu bagi menyelaraskan kelayakan umur bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perlis supaya selari dengan kelayakan umur bertanding bagi kerusi Parlimen atau Dewan Rakyat, dan juga selari dengan kelayakan umur pemilih atau pengundi. Dengan penjelasan itu Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan.

Puan Asmaiza binti AhmadUMNO · BNChuping

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020 dibuka untuk perbahasan secara dasar. Saya mempersilakan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk mengambil masa 15 minit bagi membahas usul pindaan undang-undang ini. Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.

Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat, tuan-tuan, puan-puan dan muslimin muslimat yang di dalam Dewan ini dan juga selamat pagi. Alhamdulillah pada pagi ini kita dapat bersama dalam sidang Dewan dalam keadaan PKPB ini. Sebelum daripada itu saya nak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas bantuan yang telah diberikan kepada seluruh rakyat di negeri Perlis. Tahniah diucapkan dan sepertimana yang dimaklumkan... dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Bintong, kelulusan Rang Undang-Undang yang dibentangkan tadi adalah sesuatu yang selari dengan yang di berlaku di peringkat pusat... peringkat kebangsaan dan kita mengambil kira bahawa had umur daripada 21 kepada 18 adalah sesuatu yang wajar memandangkan kematangan anak-anak pada masa ini dan satu lagi yang kita rasa bangga dengan apa yang berlaku adalah pendaftaran secara automatic, pemilih-pemilih pada masa ini akan dapat menyelesaikan masalah pengundi-pengundi yang tidak berdaftar semasa pilihan raya yang mana mereka tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih kerajaan sedangkan dalam media-media sosial riuh rendah dengan komen-komen dan juga kririkan-kritikan terhadap kerajaan oleh mereka yang saya rasa ramai yang tidak mendaftar, tidak mempunyai kesedaran politik. Itu yang pertama. Saya rasa perkembangan yang berlaku dalam negara pada hari ini adalah sesuatu yang cukup amat menarik kepada kita dalam negara ini dan sesuatu yang baharu yang banyak kita belajar daripada perkembangan yang berlaku ini dan bagi kita di negeri Perlis ini juga, saya nak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan hadapan yang bekerja keras untuk menghadapi wabak yang berlaku dalam negeri kita ini dari kejayaan kita mengekal dan menjadi satu negeri yang hijau di peringkat awal lagi adalah sesuatu yang amat membanggakan terhadap pentadbiran negeri ini. Selain daripada itu Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya ingin menyentuh perkara-perkara yang menjadi keluhan atau keluh kesah di kalangan rakyat di dalam negeri Perlis ini lah. Yang pertamanya tentang tekanan air untuk seluruh negeri Perlis ini, saya rasa peruntukan yang bossku dah umukan sebelum kejatuhan kerajaan Barisan Nasional dulu dapat kita wujudkan pada kali ini supaya kita dapat mengganti paip-paip air yang ada di seluruh negeri Perlis yang mana masalah ini amat ketara dalam DUN yang saya wakili dan juga dalam DUN-DUN lain saya rasa sama keadaan yang berlaku. Tu yang pertama, yang keduanya tentang padi benih yang disebut oleh banyak petani bahawa tidak ada kualiti. Padi benih dan syarikat-syarikat yang membekalkan padi benih ini terdapat kekurangan yang amat ketara pada kali ini dan kita harap dengan adanya... dengan wujudnya kerajaan Perikatan Nasional ini, kita akan dapat mengubah keadaan ini supaya ianya tidak berlaku sepertimana dahulu. Yang keduanya tentang pembekalan racun kepada petani. Diharapkan dia dapat diubah daripada memberi bekalan racun ini di peringkat awal kepada satu peringkat di mana selepas petani menanam padi baru diberi racun. Jangan bagi ubat dulu sebelum tahu penyakit. Yang ni saya ingat EXCO Pertanian boleh panjangkan hal ini insya-Allah. Kemudiannya tentang kebersihan, saya nak sebut tu di sebelah saya tu kebersihan pantai lah. Saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak yang berkuasa MPK meletakkan notis tidak boleh membuang sampah, tapi orang ramai ni apabila tempat itu diletakkan notis dengan amaran semua sekali, dia berubah pi tempat lain. Jadi tempat lunggukan sampah ini dia berubah tempat pada setiap masa dan saya harap selepas daripada ini MPK melalui SWCorp dapat melebarkan lagi kawasan pemungutan sampah ini di seluruh Sanglang walaupun kemungkinan ianya akan berlaku pengutipan cukai pintu, saya rasa kalau dengan harga yang berpatutan, wajar diadakan supaya penyediaan tong sampah ini dapat diluaskan di kawasan Sanglang. Maksudnya di kawasan-kawasan pantai supaya ianya menjadi satu kawasan yang bersih. Begitu juga dengan kebersihan sungai yang mana dijadikan tempat pembuangan sampah yang begitu ketara sekali. Kita lihat pengaliran air tersekat dan pembinaan titi ataupun jambatan yang menyebabkan saliran air ini perlu dirancang dengan lebih baik dan perlukan permohonan dan kawalan daripada pihak yang berwajib seperti JPS, Jabatan Pengairan dan Saliran supaya ianya tidak berlaku banyak pengumpulan sampah di dalam sungai yang menyebabkan pencemaran yang melihatkan keadaaan Perlis ni yang cukup tidak bersih kalau kita lalu di tepi-tepi sungai dan juga di pesisiran pantai. Itu saja yang saya nak sebutkan dalam ucapan saya ini Yang Berhormat Dato’ Speaker dan sekali lagi saya nak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas inisiatif yang diambil untuk kita menghadapi COVID-19 pada masa ini dan saya juga berharap COVID-19 ini, memohon doa kepada Allah SWT agar dapat mengangkat penyakit ini naik daripada bumi ini untuk kita rakyat ataupun umat Islam ini dan seluruh rakyat dalam negara kita ini bebas daripada penyakit ini dan mohon agar Allah SWT menahan segala apa jua penyakit yang baru yang akan turun kerana kita terlalu lemah untuk menghadapi keadaan ini. Mudah-mudahan kita akan sejahtera sepertimana dahulu, insya-Allah, malahan lebih lagi selepas mendapat ujian daripada Allah SWT. Sekian, assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Sanglang, dipersilakan Yang Berhormat Guar sanji.

Tuan Mohd Ridzuan bin HashimPAS · PNGuar Sanji

Bismillahirahmanirrahim Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulilahhirabila’lamin wabihinastarim wasalatiwasala muralarasulilamin waralaalihi wasahbihi ajmarin. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Berhormat Bintong, Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, tuan-tuan, pegawai-pegawai yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah terutama sekali kita bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana pada pagi ini diberi peluang untuk sama-sama berada dalam sidang mesyuarat dan Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Perlis... pada hari ini. Walaupun dalam suasana kita berpuasa dan juga suasana... berada dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat ini, alhamdulillah dapat bersama-sama juga kita berhimpun untuk menunaikan kewajipan kita sebagai seorang pemimpin pada ketika ini. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT, di atas semua anugerahnya kepada kita di sepanjang masa. Di bulan Ramadhan Al Karim ini umat islam khususnya menjalani ibadah puasa di siang hari dan mendirikan ibadah Qiam pada malamnya dengan penuh keinsafan meskipun perintah kawalan pergerakan PKPB masih lagi berjalan. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, Au’zubillah minashaitan nirajeem,

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Ayat 26 surah Ali Imran di atas menerangkan bahawa kekuasaan dan pemerintahan adalah milik mutlak Allah STW. Dia memberi dan menarik kekuasaan apabila Dia kehendaki, Dia memulia dan merendah-rendahkan siapa yang Dia kehendaki. Kekuasaan dan pemerintahan itu adalah pinjaman yang diberikan oleh Allah SWT kepada makhluk untuk menjaga dan mengawal putaran alam dan kehidupan manusia di dunia ini. Pinjaman yang diberikan itu... ini bersifat sementara dan ditarik sekiranya amanah... kekuasaan dan ianya dikhianati sebagaimana yang telah dihuraikan oleh ilmuan Islam. Dalam sejarah banyak sebenarnya empayar kerajaan dan pemerintahan yang muncul akhirnya jatuh dan ingatlah setiap yang naik pasti akan tiba waktu kejatuhannya. Antaranya dinasti Ching, ataupun Chin yang diasaskan pada tahun 1636, empayar Sepanyol, empayar Rusia, 1613 empayar Monggul, empayar British, semua empayar kerajaan ini akhirnya jatuh termasuk kerajaan Islam Bani Abasiah, kerajaan Islam Sepanyol, kerajaan Islam Usmaniah dan kerajaan Malaysia satu ketika yang pernah dipimpin oleh Barisan Nasional pada PRU Ke-14 yang lalu turut jatuh setelah 61 tahun memerintah. Namun ada lagi kerajaan yang jatuh setelah 22 bulan memerintah tanpa pilihan raya. Itu semua dalam catatan dan ketentuan qada’ qadar Allah SWT kerana kealpaan dan keseronokan dengan kuasa yang dimiliki menyebabkan pemegang tampuk kuasa terlupa akan amanah dan kuasa kepada Allah SWT kepada rakyat perlu dilaksanakan sebagaimana yang dijanjikan. Selaku hamba dan khalifah atas muka bumi ini, setiap perkara yang diceritakan difirmankan oleh Allah SWT hendaklah diambil pengajaran agar tidak lagi mengulangi kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh umat terdahulu khususnya dalam perkara yang melibatkan kuasa dan pemerintahan. Lihatlah bagaimana Allah SWT menghukum para penguasa dan kaum-kaum terdahulu di atas kelaziman yang dilakukan di kalangan mereka dan kezaliman yang paling besar adalah membiarkan rakyat berada dalam kesesatan kufur tanpa bimbingan agama menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat.

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan pandemik Covid-19 yang berterusan secara global yang berpunca daripada Coronavirus syndrome penafasan akutruk, wabak ini mula dikesan pada pertengahan Disember 2019 di bandar raya Wuhan, China. Sehingga 18 April 2020, lebih daripada 2.3 juta kes Covid yang melibatkan 180 buah Negara... dan Malaysia juga antara negara yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini. Sehingga 18 Mei 2020, seramai 6,941 orang yang telah direkodkan sebagai positif Covid. Ekoran daripada penularan Covid-19 dalam negara begitu cepat, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 17 Mac 2020 sehingga ke tarikh hari ini bermula dengan fasa pertama hingga fasa yang kelima. Perlaksanaan PKP ini sangat baik dalam usaha memutus rantaian Covid daripada terus menjangkiti pesakit baru. Sehubungan dengan itu, kita dapati bahawa banyak pihak memainkan peranan memerangi wabak Covid-19 ini, daripada pihak atasan sehingga bawahan, dari kanak-kanak hingga orang dewasa yang menyumbang idea kreatif inovatif memudahkan urusan sesama rakyat. Selain daripada agensi kerajaan negeri, sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Sanglang, Kerajaan Negeri Perlis juga telah menawarkan... telah memberi satu peruntukan yang besar kepada ADUN-ADUN untuk menguruskan program PAMA, Program Agihan Makanan Asas rakyat Negeri Perlis sepanjang PKP yang lalu dan juga Kerajaan Persekutuan yang banyak... dan juga banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan NGO, persatuan orang-orang perseorangan tampil berganding bahu menghulurkan sumbangan sama ada berbentuk wang atau makanan kepada mereka yang memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini walaupun ada juga timbul kontroversi sesetengah pihak memberikan sumbangan dan menyebabkan berlaku fitnah kepada sesetengah pihak yang lain. Semoga segala sumbangan dan usaha yang telah diberikan akan memperolehi ganjaran yang baik dalam kehidupan semua. Yang Berhormat Dato’ Speaker, kita sedari perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini secara menyeluruh terhadap semua sektor dalam negara sebagaimana negara-negara luar yang terlibat dengan pandemik ini. Perintah Kawalan Pergerakan mendatangkan kesan langsung kepada Negara, kepada ekosistem perniagaan domestik seperti industri makanan dan minuman, industri pembinaan, pembuatan, industri pelancongan serta industri pertanian dan perkhidmatan. Sudah tentu keadaan ini secara tidak langsung mengundang ketidak tentuan dan kestabilan ekonomi serantau khususnya Negara Malaysia dan amnya Negeri Perlis. Walaupun di luar sana ramai pakar ekonomi memuji langkah yang dibuat oleh kerajaan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk menentang jangkitan baru Covid-19 dan menyediakan suntikan dana sebanyak 250 bilion dalam program ransangan ekonomi Negara, tetapi itulah hakikat yang perlu negara hadapi impak daripada Covid-19 dan PKP... ada syarikat dan perusahaan kecil-kecilan memberhentikan perkhidmatan seperti industri perhotelan yang menutup buat sementara dan ada yang menutup terus.

Selain daripada itu, sektor pembekalan makanan juga terkesan semasa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dimana banyak faktor kenapa pembekalan makanan tidak mencukupi dan tidak sampai pada masanya antaranya pembelian panik yang dibuat oleh rakyat. Cabaran dan kemampuan keterjaminan makanan, kesihatan, tenaga dan ekonomi adalah empat faktor atau empat sektor utama yang perlu kekal dilindungi... dilindungi ketika menghadapi mana-mana krisis. Keterjaminan penghasilan makanan baik akses mahupun kegunaan sepanjang krisis perlu dijaga. Semasa krisis beras di Malaysia pada tahun 1974 dan 2008, bekalan beras Malaysia bergantung kepada import sebanyak 30% dan BERNAS sebagai pemegang lesen swasta. Dalam kenyataan rasmi Kesatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia pada 30 Mac yang lalu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa pegawai Kementerian tidak pasti lokasi stok simpanan beras untuk diberikan kepada pengilang-pengilang bagi proses pembungkusan dan penghantaran kepada seluruh negeri dalam Malaysia. Begitu juga daging, sayur-sayuran dan buah-buahan turut juga diimport, ianya menyukarkan usaha kita untuk menjadikan sebuah negara mandiri berdikari. Oleh kerana itu, untuk membantu Malaysia... Negeri Perlis khususnya perlu menyediakan kemudahan dan prasarana yang baik ke arah menjadikan negeri pengeluar makanan mentah... ataupun bahan mentah. Kita sedari bahawa ekonomi negeri didominasi oleh pertanian terutama beras, gula suatu ketika dahulu, buah-buahan seperti Harumanis serta perhutanan dan perikanan. Kita perlu galakkan... beri galakan berterusan perlu dipupuk terutama dalam industri pertanian seperti buah-buahan dan industri penternakan seperti ternakan lembu, kambing, ikan dan sebagainya kepada rakyat negeri kita ini. Yang Berhormat Dato’ Speaker, dalam kesempatan ini saya juga ingin menasihatkan kita semua dan juga kepada rakyat diluar hendaklah sedar dan mengubah gaya hidup baharu sebagaimana yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia ketika ini dalam mendepani situasi penularan virus Covid-19 bagi memutuskan rantaian. Antaranya amalan berjimat cermat, berhemah ketika berbelanja dan mengurus simpanan semasa. Selain itu, kebersihan tangan dan diri juga perlu diambil berat dari masa ke semasa.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, seterusnya saya ingin membawakan permasalahan yang ada dalam Negeri Perlis dan juga dalam kawasan saya. Yang pertama, berkaitan dengan pendatang asing dan juga perniagaan di Arked Padang Besar. Kalau kita lihat, kebanyakan peniaga-peniaga di situ ada juga orang warga asing yang perlu kita semak kembali status mereka, dan juga perlu kita beri keutamaan kepada peniaga melayu lah untuk kita memberi peluang kepada rakyat kita khususnya orang melayu dan juga bangsa lain berniaga di situ... memberi peluang pekerjaan dan pendapatan keluarga mereka. Jadi kita boleh check sejauh mana kewajaran untuk kita utamakan mereka ini. Kemudian yang kedua, saya ingin memohonkan satu pembinaan bonggol di hadapan Sekolah Kebangsaan Serdang, Guar Sanji dimana saya menerima maklum dan aduan daripada guru sekolah dan juga orang ramai penduduk di situ kerap berlakunya kemalangan di hadapan sekolah, apatah lagi kawasan sekolah terutama waktu-waktu kemuncak, waktu pagi dan juga petang ini laluan sibuk dan ada kenderaan lalu lintas yang laju dan untuk mengelakkan itu, saya rasa mungkin kita boleh bina bonggol untuk kita mengelak kejadian ini berulang lagi Insya-Allah. Kemudian yang ketiga mohon juga kepada pihak yang terlibat, Jabatan yang berkaitan untuk menyelenggara kiri kanan jambatan dalam negeri kita ini khususnya yang saya sebut sini ialah dalam kawasan DUN Guar Sanji lah... dia berdepan dengan Pejabat Wakil Rakyat tuan-tuan. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, ada jambatan kiri kanan tu dia tak di selenggara dan ada di jambatan tu pokok yang tumbuh... pokok tu pokok jawi katanya lah. Saya tengok pokok jawi besar, dia suatu ketika boleh mendatangkan kerosakan kepada pembinaan jambatan kita. Jadi mohonlah kepada pihak berkaitan ambil tindakan dan memantau kebersihan kiri kanan setiap jambatan di jalanraya di dalam negeri ini dan juga... mohon juga pihak berkaitan supaya khususnya JKR membersih tanah-tanah rizab JKR ini khususnya yang berhampiran dengan kampung-kampung sebab kadang-kadang tanah-tanah rezab yang berkembar dengan jalanraya ini mengganggu laluan... pandangan laluan untuk keluar dan masuk ke kampung ini seperti di kampung Belat Batu lah, kalau kita turun dari jambatan Guar Sanji itu, ada satu simpang masuk ke kiri untuk ke kampung Belat Batu dan di situ ada tanah rezab yang terbiar penuh dengan semak samun dan boleh menghalang pandangan penduduk yang nak keluar ke tempat lain. Kemudian yang berikutnya, apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan atas permasalahan semak samun yang ada di sepanjang rail keretapi, landasan keretapi KTMB yang pernah saya timbulkan dulu dalam sidang DUN yang lalu berkaitan dengan pokok-pokok yang besar tumbuh di sekitar kiri kanan bahu landasan keretapi yang boleh mendatangkan bahaya dan keburukan kepada penghuni ataupun penduduk kampung yang berhampiran. Antaranya masalah binatang buas lah terutama ular, ular tedung selar pun ada cuma tak keluar harimau lagi lah. Kemudian…

Speaker

Yang Berhormat sila ringkaskan.

Tuan Mohd Ridzuan bin HashimPAS · PNGuar Sanji

OK baik… akhir sekali penghargaan saya nak ucapkan... mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat, MAIPs dalam memberikan bantuan baik pulih rumah dalam bencana ribut yang melanda Parlimen Arau pada 27 April 2020 yang lalu khususnya di Kampung Mua dan Kampung Tebuk Guar Sanji dan juga saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ketua Jabatan Pengairan dan Saliran yang awal tahun dulu turut bersama saya memantau kawasan banjir di Titi Besi dan dia pun melihat suasana dan keadaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengatasi banjir kilat di Kampung Titi Besi dan baru-baru ini pun berlaku lagi dan dia pun turun juga, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau dan juga kepada Pengurus MADA Wilayah 1 yang turun bersama dengan saya pada awal tahun lalu untuk membina tandop di tempat-tempat yang saya cadangkan dan juga kepada seluruh pegawai-pegawai yang telah sudi memberi kerjasama kepada kami wakil rakyat di dalam Negeri Perlis. Akhir kata saya mengambil kesempatan sekali lagi untuk mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut hari raya aidilfitri tahun 2020. Sekian sahaja, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, wabilahitaufik walhidayah, wassalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji, dipersilakan Yang Berhormat Sena.

Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi Yang Berhormat Dato’ Speaker. Alhamdulilahi rabbil alamin, wabihi nasta’in, walahudwan a’laminazolimin, ashadualla ilahaillallah wahdahu lasyarikallah, waashadu annamuhammadan warasulluh, rabbish rahli sadri wa yassirli amri wah lul uqdatan min lisaani yaf kahu kauli. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker kerana turut memberi peluang kepada saya untuk berbahas mengenai satu Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis pindaan 2020 yang mana ini saya menyambut baiklah apa nama... pindaan Enakmen... enakmen pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis ini yang mana ianya selaras sebagaimana Yang Amat Berhormat Bintong bentangkan tadi... ianya selaras dengan penurunan had umur layak untuk menjadi anggota Dewan Rakyat dan juga had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan juga pendaftaran automatik yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 16 Julai tahun lepas dan seterusnya di Dewan Negara pada 25 Julai 2019 dan telah diwartakan pada September 2019. Jadi Alhamdulillah apa nama... yang ni kita sambut baik dan ia adalah merupakan satu titik bersejarah bagi kita apabila... ini adalah satu reformasi kita sejajar dengan negara-negara demokrasi yang moden di dunia. Jadi sebagaimana yang telah dimaklumkan, pihak Dewan Undangan Negeri juga perlu meminda peruntukan berkaitan dengan had umur calon pilihanraya bagi menyesuaikan dengan had umur yang telah dipinda di peringkat persekutuan dan saya difahamkan Perlis, melalui pembacaan yang saya buat sehari dua ini, Perlis adalah negeri kedua, Alhamdulillah tahniah kepada negeri Perlis, negeri kedua selepas DUN Sabah yang saya difahamkan November lepas telah meluluskan pindaan ini untuk calon DUN di Sabah pada umur 18 dan kita menjadi negeri kedua. Jadi Alhamdulillah, saya ucapkan tahniah kepada pihak kerajaan kerana telah membentangkan pindaan Rang Undang-Undang ini. Jadi bagi saya ini adalah satu cara terbaik untuk kita memupuk kemahiran pemikiran kritikal dan kewarganegaraan yang bertanggungjawab di kalangan anak-anak muda sebagai satu penggalakkan... usaha untuk menggalakkan anak-anak muda kita untuk membuat keputusan seawal mungkin. Usia 18 tahun adalah umur terbaik untuk mereka mula membuat suatu keputusan dalam proses demokrasi dan juga terlibat sama dalam untuk menjadi sebahagian daripada penggubal undang-undang dan juga pembuat dasar. Orang muda juga sebagaimana yang kita tahu sekarang ini zaman IT dan sebagainya, industri 4.0 dah la ni, orang muda sekarang ini mempunyai banyak akses dan kemahiran dalam teknologi maklumat yang tinggi kerana mereka telah lahir dan membesar dalam zaman yang penuh dengan teknologi ini. Jadi oleh itu, mereka amat cakna untuk mencari fakta berkaitan politik dan juga isu semasa lalu mampu untuk menjadi golongan pengundi yang amat celik pengetahuan.

Pemerhatian corak pengundian di arena antarabangsa juga telah buktikan bahawa umur bukan penanda aras yang tepat untuk mereka menentukan kefahaman dan juga pengetahuan politik. Elemen ini juga selaras, saya dapati selaras dengan Akta Umur Dewasa tahun 1971 dan ini juga adalah selaras dengan takrifan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga kebanyakan sebagaimana yang kita telah ketahui kebanyakan negara di seluruh Dunia telah menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Jadi menurut Akta Umur Dewasa 1971 iaitu Akta 21, rakyat Malaysia telah dianggap sebagai dewasa pada usia 18 tahun disisi undang-undang kita. Jadi walaupun kita tengok pada tahun 1971 saya pun tak lahir lagi... dah berapa tahun yang ni... jadi sepatutnya pada pandangan saya tahun 1971 lagi atau tahun 1970-an tu kita dah mula menggerakkan ni sebab kita dah iktiraf umur 18 tahun dah jadi dewasa yang mana orang dewasa ni telah boleh menggunakan hak mereka untuk membuat pinjaman kewangan, mengambil lesen memandu, lesen perniagaan, menandatangani apa-apa kontrak dan juga dihakimi sebagai orang dewasa di mahkamah selain daripada boleh berkahwin menurut Enakmen Keluarga Islam dan juga Akta 165 dan juga memandu kenderaan serta menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia dan juga Polis Diraja Malaysia serta boleh bekerja sepenuh masa dan juga membayar cukai serta bertanggungjawab di atas segala jenayah yang dilakukan oleh umur 18 tahun ini. Jadi pada tanggapan saya sepatutnya benda ini dah lama kita buat tetapi Alhamdulillah orang kata perumpamaan better late than never apa nama ni... dengan izin Yang Berhormat Speaker. Bagi memastikan amalan demokrasi kita mencapai apa yang dikatakan sebagai International Best Practic, dengan izin, maka adalah amat wajar bagi kita untuk menurunkan hak layak mengundi kepada 18 tahun dan juga hak untuk menjadi sebagai calon dalam pilihan raya terutamanya di negeri kita malah mengikut garis panduan yang dinyatakan oleh United Nation Convention of Rights of Child, umur 18 tahun ini juga sebagaimana yang saya maklumkan tadi telah dianggap dewasa dan juga boleh membuat keputusan yang bukan sahaja dengan diberi hak untuk mengundi bahkan turut berpeluang untuk bersuara di dewan yang mulia ini. Jika kita ingin mengambil contoh negara luar sebagai rujukan asas, Australia sebagai salah sebuah negara yang boleh dijadikan rujukan dalam isu pendidikan sivik dan pengundi dimana Australia National Electoral Education Center sebagai contoh merupakan pusat pendidikan pengundi bagi negara Australia yang bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan pengundi kepada segenap lapisan masyarakat bagi mempelajari apa itu demokrasi dan juga pilihanraya. Lebih menarik apa yang ada, yang paling ramai membuat lawatan ke tempat, tersebut saya difahamkan adalah pelajar usia umur lingkungan 7-10 tahun dan juga ramai yang terdiri daripada kanak-kanak orang asli Australia. Jadi sebagaimana yang saya maklumkan tadi, umur 18 tahun ini telah mampu untuk membuatkan satu keputusan ekonomi, keluarga dan juga sebagai sebahagian tenaga buruh dan sumber manusia Negara, mereka juga pada saya memang saya amat menyokong supaya mereka turut diberikan hak untuk mengundi dan juga dicalonkan sebagai calon dalam sesuatu pilihanraya selaras dengan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka seawal usia tersebut. Dalam perkembangan ini juga, anak muda di Malaysia akan terdorong untuk turut diberi hak sebagai calon pilihan raya dan mengundi seawal usia 18 tahun ini sebagai satu usaha kita untuk mengangkat suara anak muda bagi bersama-sama berganding bahu untuk mencorak demokrasi yang lebih cantik di masa hadapan melalui pilihan raya. Jadi berdasarkan kalau kita tengok perlaksanaan undi 18 tahun ni... kalau kita boleh ni... banyak negara-negara terutamanya negara-negara yang kategori negara maju seperti United Kingdom, Jerman, Perancis, Belgium, Crotia, Austria, Finland dan Russia yang telah melaksanakan ni sejak tahun 1960 lagi dan juga diikuti dengan India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada era 1980-an dan yang terakhir mengikuti jejak untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ini adalah negara Jepun pada tahun 2016 yang lalu. Pada ketika ini, kita dapati hanya Singapura di Asean ini, di kalangan negara Asean, dan beberapa negara lain seperti Kuwait, Oman, Cameroon, Lubnan, Samoa dan Tonga yang masih mengekalkan had umur mengundi kepada 21 tahun. Ini bermakna kesemua negara Komanwel yang lain yang mengamalkan demokrasi adalah West Minister termasuklah India yang merupakan negara demokrasi yang terbesar di Dunia dengan jumlah pengundi seramai 900 juta orang telah menetapkan umur 18 tahun sebagai umur kelayakan mengundi dan juga untuk pengetahuan Dewan yang mulia ini, hampir semua negara di Asia juga telah melaksanakan kelayakan had umur mengundi 18 tahun dan yang terkini beberapa negara di Eropah juga telah menurunkan had umur mengundi yang lebih rendah daripada 18 tahun kepada 16 tahun seperti di Austria dan Scotland. Walaupun had umur kelayakan calon di kebanyakan negara Asia dan Asean masih kekal pada umur 21 tahun dan ke atas, tetapi juga kita lihat pada negara-negara di Eropah, Australia dan juga New Zealand dimana umur kelayakan calon telah diseragamkan kepada umur 18 tahun sebagaimana yang kita cadang... kemukakan cadangan pada hari ini. Alhamdulillah selaras dengan amalan demokrasi dunia, negara kita juga telah melakukan juga perubahan ini dengan menurukan had umur mengundi dan juga had umur calon seawal 18 tahun sebagaimana yang saya katakan tadi pada tahun lepas dan yang telah diwartakan pada September tahun lepas dan sebagaimana negeri Sabah yang telah menjadi negeri pertama yang telah meluluskan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri ini untuk selaraskan dengan persekutuan ini dan kita akan jadi negeri kedua, negeri Sabah saya difahamkan diluluskan dengan sokongan 2/3 majoriti undi. Jadi saya harap, insya-Allah kita dalam bentuk orang kata benda yang baik ini, insya-Allah di pihak kita pun tidak ada masalah untuk turut sama bagi merealisasikan Perlis sebagai negeri yang akan menyusul negeri kedua yang akan meminda perkara yang sama.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya telah merujuk satu statistik jumlah penduduk pada tahun 2018 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Statistik, yang menarik data ini... mengikut komposisi umur penduduk di suatu negeri, di mana dari segi peratusannya mengikut jumlah... bagi negeri Perlis, penduduk yang berumur sekitar 18 hingga 30 tahun iaitu membentuk sebanyak 34.43% daripada jumlah keseluruhan penduduk di negeri ini dan ini merupakan... kalau dari segi peratusan ini yang keempat terbesar di Malaysia di mana Sabah adalah negeri yang paling terbesar iaitu pada kedudukan 42.17% golongan usia 18 hingga 30 tahun ini dan Kelantan ditempat kedua 38.28%, seterusnya Terengganu 37.56% dan kita berada di tempat keempat. Jadi saya fikir amat wajar justificant untuk kita turut bersetuju untuk melaksanakan calon diturunkan kepada had umur mengundi 18 tahun. Jadi dalam konteks negeri kita terutamanya, ini juga sebagai satu, orang kata untuk kita beri peluang yang lebih banyak dari segi engagement dan juga empowerment dengan izin kepada golongan muda ini untuk turut terlibat bersama dalam proses bagi membentuk polisi dan dasar yang lebih baik pada negeri kita. Dan Yang Berhormat Dato’ Speaker, dari segi parti kami sendiri pun, Parti Keadilan Rakyat, selama ini pun kita tidak mempunyai sebarang masalah dalam memberi ruang kepada calon-calon muda pada pilihanraya sebagaimana... kalau di negeri Perlis sendiri pun rata-rata calon sekitar berumur 30 tahun sehingga 40 tahun, jadi yang mana kita boleh tengok dalam Dewan yang mulia ini lah dan juga dari segi sebagai rekodnya, untuk saya rekodkan di Dewan yang mulia ini dalam PRU ke-14 yang lepas, Keadilan telah mempertaruhkan seramai 23 orang calon daripada anak muda bertanding di kerusi Parlimen dan juga 81 orang bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri di seluruh negara dan hasilnya 13 calon daripada Angkatan Muda Keadilan ini telah berjaya menjadi ahli Parlimen dan 45 orang telah berjaya untuk menjadi ADUN di seluruh negara dan untuk rekod juga sekarang ni kalau ahli Parlimen paling muda di negara kita ini adalah di kalangan Keadilan juga iaitu YB P.Prabakaran yang bertanding di kerusi Parlimen Batu dan menang dengan majoriti sebanyak 24,438 undi. Jadi pada saya, saya ingat rakan-rakan saya daripada Pakatan Harapan pun tidak ada masalah untuk kita turut sama menyokong Rang Undang-Undang Enakmen ini sebagai... walaupun kita berbeza dari segi fahaman politik namun setuju untuk kebaikan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Perlis khususnya. Dan itu dalam bab Undang-Undang Tubuh Enakmen yang kita bincangkan ini dan saya nak sentuh sedikit dari segi laporan Audit Negara kertas Dewan bilangan 2 tahun 2020 sebagai selaku salah seorang Ahli PAC Negeri Perlis. Jadi apabila saya tengok terutamanya nak minta penjelasan lah daripada kerajaan kalau kita tengok rancangan strategik 2013-2018 telah dimaklumkan dalam laporan ini sebanyak hanya 4 projek yang telah berjaya dilaksanakan daripada 14 projek, bagi saya itu satu... dari segi peratusan dia hanya 26.6%. Jadi saya amat dukacitalah sebab terlampau rendah dan saya memohon penjelasan daripada kerajaan kenapa perkara ini terjadi dan juga telah dilakukan juga dalam pelan strategik 2018-2022, daripada 10 projek yang telah dirancang, hanya 4 projek yang telah berjaya dilaksanakan manakala 6 projek lagi dikatakan akan dilaksanakan berdasarkan perancangan pada tahun 2019-2022. Ini pun saya mohon penjelasan dan satu lagi saya nak tanya dari segi implikasi sebab ada difahamkan dalam laporan ini pencapaian fizikal bagi 4 projek yang telah dilaksanakan di bawah perancangan strategic...

Speaker

Yang Berhormat sila ringkaskan, masa telah melebihi.

Sikit lagi ya Yang Berhormat Speaker... yang mana 4 projek yang telah dilaksanakan di bawah perancangan strategik 2013 sehingga 2017 yang 2 projek daripadanya telah mengalami kelewatan penyiapan masing-masing sebanyak lebih daripada setahun iaitu 498 hari dan juga 328 hari berbanding dengan tarikh siap mengikut asal dalam kontrak dan juga satu lagi Yang Berhormat Speaker saya nak mohon penjelasan tentang saya tengok ada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis sebagai salah satu tonggak utama agensi yang untuk mencana pembangunan di negeri ini. Kalau mengikut laporan ini saya mohon penjelasan ada... dia telah apa ni... dari segi jualan tanah lot industri yang mana tidak mengikut kadar yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah dan perkara ini telah menyebabkan kerugian sebanyak RM3.4 juta ringgit iaitu 33,454 ringgit sehingga 1.22 juta iaitu ataupun 7.5% sehingga 37.5%, itu antara lain dan beberapa perkara lagi yang saya mohon penjelasan daripada pihak kerajaan. Jadi terima kasih sekali lagi kepada Yang Berhormat Speaker kerana telah memberi ruang kepada saya dan Alhamdulillah saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan barisan hadapan di negeri Perlis dan juga negara yang telah berjaya terutama di negeri Perlis ni tengok berjaya mengekang wabak Covid-19 yang mana kita hanya maintain di kedudukan 18 positif dan sekarang ni kosong, apa ni... kita menjadi salah satu negeri zon hijau sejak daripada awal lagi. Alhamdulillah tahniah saya ucapkan kepada semua agensi-agensi kakitangan kerajaan, swasta, semua pihak yang telah terlibat dan juga terima kasih kepada pihak kerajaan kerana telah memberi bantuan PAMA untuk membantu golongan-golongan yang terjejas pendapatannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang ni... untuk kita nak membanteras, mengawal penularan wabak Covid-19 yang lepas walaupun kami, saya dan Kuala Perlis hanya sempat saya ingat dalam sebulan kot lepas tu apabila pihak YB Bintong nak serah kepada setengah kepada JKKK jadi kami berpandangan supaya untuk jadi lagi cantik tu, 100% lah yang dilaksanakan supaya tidak berlaku pertindihan dan sebagainya. Walau bagaimanapun saya mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan dan jadi terima kasih banyak Yang Berhormat Speaker, Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih YB kerana banyak juga penerangan yang diberikan tadi. Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.

Puan Gan Ay LingPKR · PHIndera Kayangan

Terima kasih Dato’ Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pengarah-Pengarah Jabatan, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta hadirin yang dimuliakan. Burung berkicauan riang gembira, sempat bersahur bersama Che Mat, selamat pagi dan salam sejahtera, selamat bersidang kalian semua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Speaker kerana memberikan peluang kepada saya untuk berbahas tetang pindaan perkara 48, Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Pada pendapat saya, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang dipindakan dalam perkara 48 iaitu untuk menurunkan had umur calon daripada 21 tahun kepada 18 tahun itu adalah sesuatu yang wajar dan ia selaras dengan perkara yang telah dibawa dalam peringkat persekutuan iaitu menurunkan umur pengundi dan juga calon Ahli Dewan Rakyat. Sesungguhnya pindaan ini satu langkah yang baik namun ia adalah berbeza dimana umur untuk membenarkan seseorang itu untuk mengundi dan juga berbanding dengan syarat kebenaran seseorang itu menjadi calon ADUN pada umur 18. Pada asasnya berberapa perkara yang perlu dihalusi dari segi pendedahan seseorang yang bakal menjadi calon ADUN itu adalah penting kerana beliau ataupun sekiranya calon itu menang merjadi ADUN, dia harus dapat melontarkan pendapat dan menyelesaikan masalah rakyat dan juga menggubal dasar dan juga pandangan yang matang dalam menyelesaikan masalah rakyat dan paling penting adalah untuk membawa perubahan yang lebih baik khususnya kalau berlaku di negeri Perlis. Dan pada masa yang sama, kita pun bertanyakan adakah sistem pendidikan negara kita memberikan banyak pendedahan dari segi politik, pendidikan politik pada usia yang muda kepada bakal-bakal calon ini dalam menangani dan berhadapan dengan situasi ini. Sememangnya beberapa negara seperti German, Australia, Belgium dan Netherland sudah mempraktikkan perkara ini iaitu memberi peluang kepada calon-calon berumur 18 tahun dimasukkan sebagai calon dan secara peribadinya saya berpendapat dan saya tiada bantahan dalam perkara ini. Namun beberapa perkara yang perlu dihalusi oleh parti politik khususnya. Dalam perkara ini, saya berharap parti-parti politik akan memberikan dan mencalonkan mereka yang berkelayakan dalam pelbagai segi demi memberikan perkhidmatan yang baik dan bermutu kepada rakyat negeri dan negara ini. Dan beberapa peranan yang harus dijalankan... dalam semasa menjalankan kerja-kerja ini adalah peranan individu dalam menjalankan tugas mereka sekiranya mereka dicalonkan sebagai ADUN dan sekiranya jika mereka menang dan menjadi wakil rakyat kawasan tertentu. Mereka harus bertanggungjawab dan berinisiatif dalam melakukan kerja-kerja mereka dan sememangnya peranan kerajaan negeri adalah untuk memberi ruang yang lebih baik kepada calon-calon ini ataupun bakal-bakal calon, mereka mempunyai satu platform agar mereka boleh perform, dengan izin, tugas-tugas mereka. Dalam pada masa itu adalah peranan parti politik. Parti politik harus memberikan mereka satu konsep dan juga nilai perjuangan dalam parti politik mereka, contohnya untuk membenteras segala gejala rasuah dan menjaga kepentingan rakyat. Itu adalah perkara yang paling penting dan seterusnya adalah untuk menggubal dasar-dasar yang memang boleh memberikan pendapatan dan menjana ekonomi kepada rakyat dan seterusnya memajukan negeri. Kalau kita sebut disini adalah untuk negeri Perlis. Sebenarnya... sememangnya penurunan umur 21 tahun ke 18 tahun ini adalah penting dan baik kerana dia boleh menggalakkan lebih ramai remaja lebih inclusive, dengan izin, perkara-perkara yang berkaitan dengan parti politik dan juga apakah peranan mereka dalam membangunkan sosial ekonomi dan juga komuniti negeri ini. Dalam pada masa itu, pengurangan pada usia ini ia akan menggalakkan lebih ramai remaja melibatkan diri dalam kerja-kerja sosial dan khususnya kerja-kerja bersama NGO dan sebagainya untuk membantu rakyat dan menggerakkan komuniti setempat. Maka dengan itu, saya menyokong juga sepertimana yang telah dibangkitkan oleh ADUN Sena. Kami sehaluan, kami memang berpendapat ini adalah satu cadangan yang baik dan wajar untuk menurunkan umur daripada 21 tahun ke 18 tahun. Pada masa yang sama saya ingin membawa beberapa perkara dan untuk menarik perhatian Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Dato’ Speaker, izinkan saya juga untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri Perlis dan juga semua barisan hadapan yang telah bertungkus lumus semasa menjalankan tugas pada masa PKP... fasa-fasa awal PKP khususnya kerajaan negeri dalam memberikan bantuan Program Agihan Makanan Asas kepada seluruh rakyat Negeri Perlis dalam masa rakyat menghadapi keadaan hidup yang agak mencabar pada peringkat awal PKP. Pada masa yang sama kita menjalankan program awal PKP saya dapat maklumat juga bahawa ramai juga rakyat-rakyat di negeri Perlis sememangnya dalam keadaan yang susah walaupun bukan pada masa PKP. Saya berpendapat kita harus bergiat lagi untuk membantu rakyat kita dalam menangani situasi kegawatan ekonomi ini dan saya ucapkan syabas kepada kerajaan negeri sekali lagi.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya berpendapat kita tidak harus berhenti setakat mana yang telah kita buat semasa PKP yang lepas tetapi harus mengambil langkah yang lebih agresif untuk mewujudkan lebih banyak program yang lebih baik agar dapat memberikan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang wujud pada norma baru selepas PKP ini. Malahan kita juga harus mengambil kesempatan yang wujud dalam mewujudkan gaya hidup yang lebih berdisplin, lebih bersih dan sihat. Cuba kita tanya kepada diri kita, adakah kita akan terus norma baru ini demi mewujudkan satu masyarakat negeri Perlis yang lebih progresif dan sihat selepas ini. Kita amalkan cara hidup yang lebih sihat bersama keluarga, baharui cara penjaja berniaga di pasar malam, pasar tani, nat dan dalam keadaan yang lebih sihat, bersih sepertimana yang telah YB Exco sebutkan tadi. Kita berharap perkara ini dapat dipraktikkan dan pada masa yang sama kita ambil tindakan yang lebih tegas agar matlamat kita dapat mencapai untuk menjadikan sebuah negeri yang lebih sihat dan bersih dan bergerak maju. Kita juga cuba kurangkan penggunaan bahan plastik sekaligus dan sebagainya. Saya percaya kita mampu melakukan dengan terbuktinya pematuhan PKP di negeri Perlis sebagai antara sebuah negeri yang terbaik pretasinya sehingga kita cepat mencapai negeri hijau dalam menangani Covid-19 ini. Yang Berhormat Dato’ Speaker, jika kita sudah lakukannya mengapa kita tidak teruskan amalan yang baik ini dengan tambah baik lagi undang-undang kecil ataupun dasar kerajaan negeri... dasar-dasar kerajaan tempatan dan negeri. Jika ini bukan masanya, bilakah lagi kita mahu melakukannya. Selain daripada itu, Perlis masih tidak lari daripada keadaan hidup rakyatnya yang masih pada tahap miskin untuk kebanyakan isi keluarga. Ini jelas dilihat apa yang berlaku sepanjang PKP ini. Tanggungjawab yang dipikul kita harus mengutamakan perkara berkenaan dan menjana pendapatan rakyat dan memajukan negeri ini. Kesempatan ini harus kita ambil untuk mendidik rakyat negeri ini dan sentiasa bersama kita menuju ke arah yang lebih baik maju bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi bersama seluruh rakyat dan kerajaan negeri Perlis sebolehnya. Yang Berhormat Dato’ Speaker, kita boleh terus galakkan perniagaan atas talian yang tidak menghadkan di mana kita berada. Kita jelas dapat tahu apabila kita mendapat sambutan order, dengan izin, harumanis yang begitu memberansangkan dan memuaskan. Ini bermakna walaupun kita berada jauh sebagai sebuah negeri yang paling kecil dan paling utara di Malaysia dan jauh daripada pusat bandar metropolitan, dengan adanya perniagaan atas talian kita masih berdaya saing dan kita boleh berjaya. Kita jelas mengetahui dan memahami bahawa kita masih dalam situasi melawan pandemik Covid-19 yang mana setiap rakyat jangan lupa atas tanggungjawab masing-masing dalam menangani jangkitan virus ini. Saya berharap setiap antara kita lebih berwaspada dan mematuhi segala syarat-syarat dalam peraturan sepanjang musim perayaan aidilfitri yang akan datang. Saya ingin mengambil perhatian Yang Berhormat Dato’ Speaker beberapa isu tentang infrastruktur. Pada masa yang sama, saya ingin menyeru agar masa kita menangani Covid-19 ini, kerajaan dan pihak kerajaan tempatan jangan abaikan perkara-perkara dan perkhidmatan yang harus diberi perhatian tentang pelbagai infrastruktur di negeri Perlis contohnya kebocoran air, kualiti air di Negeri Perlis dan keadaan jalan-jalan di taman-taman atau mana-mana khususnya selepas pembaikan pembocoran air, saluran talian ataupun kerja bawah tanah.

Satu lagi isu yang tidak harus diabaikan ialah saluran kumbahan IWK. Ini adalah antara aduan yang sudah lama saya ungkitkan iaitu paras paip overflow loji lebih tinggi daripada paras saluran tandas di beberapa rumah di lorong 6 Taman Hijrah, yang masih tidak dilihat ada sebarang tindakan walaupun sudah banyak kali diungkitkan aduan kepada pihak IWK. Saya ingin meminta pihak yang bertanggungjawab untuk membuat sesuatu ya. Seperkara lagi ialah lorong sebelah proton yang termendap, keadaan jalan itu memang diketahui bahaya dan telah dilukis pun petak kuning sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya tetapi masih tiada tindakan yang diambil. Kalau tak silap keadaan ini telah mula wujud sejak beberapa tahun dan saya ingin minta perhatian dan jasa baik pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan agar keselamatan pengguna jalan raya itu terjamin. Sehubungan itu, saya ingin tahu perkembangan baik pulih lorong belakang di Bangunan Publik Bank juga yang masih belum nampak ada sebarang perkembangan sekian lama walaupun dimaklumkan dalam proses sebut harga sejak sidang DUN yang lepas pun. So saya minta pihak yang bertanggungjawab untuk memberi sedikit maklum balas tentang perkara ini. Saya ingin memaklumkan bahawa bagaimana kalau negeri Perlis boleh menjadi maju kalau perkara remeh seperti aduan asas ini tidak diambil dengan serius dan mengambil masa yang lama diselesaikan. Apakah masalah dengan aduan ini dan ini masalah dengan siapa ataupun jabatan mana. Di mana berlakunya masalah menyebabkan kerja ini tidak dapat dilaksanakan. Saya ingin meminta pihak yang berkenaan untuk mengemukakan semua kekangan yang ada dan yang berlaku. Saya rasa kita ada ruang banyak untuk perbaiki mutu kerja dan perkhidmatan kita kepada rakyat dan masyarakat negeri ini. Kalau kita yang diamanahkan dengan jawatan dan tugas yang diberikan, itulah kerja yang harus kita selesaikan tidak kira di mana ataupun bila. Saya berharap kita tidak ambil kesempatan bahawa di negeri ini kita boleh hidup dan buat kerja, dengan izin, relax sahaja. Sebagai peringatan kepada diri saya dan juga rakan-rakan sekalian, saya mohon jasa baik agar kita sama-sama mengambil tanggungjawab kita ini dengan serius dan penuh dedikasi demi mewujudkan negeri Perlis yang lebih maju dan permai. Sebelum saya berundur, saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan hadapan dalam menangani isu Covid-19 ini dan saya sekali lagi ucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri Perlis dalam melaksanakan program PAMA dan akhir sekali saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakan-rakan yang meraikan hari raya nanti. Maaf zahir dan batin, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan, dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.

Tuan Nor Azam bin KarapPKR · PHKuala Perlis

Bismillahirahmanirrahim, Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Amat Berhormat Bintong, Ahli-Ahli Yang Berhormat, wakil-wakil jabatan dan agensi negeri dan persekutuan serta semua hadirin di dalam Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya insya-Allah... saya akan menggunakan masa yang disediakan ini secepat dan sepantas yang boleh sebab seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Dato’ Speaker hanya 15 minit diberikan dan insya-Allah saya akan fokus hanya kepada berkenaan dengan pindaan perkara 48 ini sahaja. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Sebagai mukadimah berkenaan pindaan had umur ini, saya akan menceritakan sedikit sejarah dan juga perkara yang berkenaan dengan pindaan had umur bagi negara-negara lain juga kawasan-kawasan lain. Sebelum tahun 70-an, had layak mengundi menjadi calon di sebuah negara demokrasi ialah 21 tahun ke atas. Langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun bermula selepas tahun 70-an. Pada tahun 1973, Dewan Perwakilan Australia telah meminda Rang Undang-Undang, dengan izin, Electoral Act 1980 untuk menurunkan had umur menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun. Calon Liberal National Party of Queensland pada ketika itu, Rick Roy, yang berumur 20 tahun pada tahun 2010 telah mencatat sejarah apabila beliau memenangi kerusi kawasan Longman dalam pilihan raya tahun itu dan beliau adalah wakil rakyat yang termuda dalam sejarah Australia. Kebanyakan negara demokrasi yang maju seperti Perancis, Sweeden, Canada, German dan Switzerland telah pun mengusahakan penurunan had umur menjadi calon kepada 18 tahun selepas menjejaki langkah negara Australia. Seperti yang kita semua sedia maklum, negara kita juga mengguna pakai sistem westminster dari United Kingdom sepertimana Australia. Australia telah pun meminda Rang Undang-Undang Electoral Act 2006, dengan izin Yang Berhormat Dato’ Speaker, pada 11 Julai 2006 untuk menurunkan had umur menjadi calon kepada 18 tahun. Bagi kawasan Asia pula, negara Turki menurunkan had umur menjadi calon dari usia 30 tahun ke 25 tahun pada tahun 2007, juga turut menurunkan had umur ke usia 18 tahun pada tahun 2017 dan menjadi negara Asia pertama membenarkan pengundi berumur 18 tahun menjadi calon pilihan raya. Pilihan raya Turki pada tahun seterusnya menyaksikan seorang pelajar perempuan yang berusia 18 tahun bertanding sebagai calon wakil rakyat. Yang Berhormat Dato’ Speaker, walaupun negara di Asia masih belum nampak ke arah perubahan had umur menjadi calon kepada 18 tahun, negara kita telah mencipta sejarah apabila mantan Menteri Belia dan Sukan dengan kerjasama badan bukan kerajaan seperti Undi 18 telah mengusahakan kempen Undi 18 untuk menurunkan had umur kelayakan mengundi dan menjadi calon di Malaysia kepada 18 tahun. Pindaan Perlembagaan Persekutuan telah dilakukan di Parlimen dan Rang Undang-Undang (Pindaan) 2019 telah diluluskan dengan memperolehi sokongan lebih daripada 2/3 sokongan daripada wakil rakyat di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 16 dan 25 Julai 2019.

Saya mengambil peluang ini untuk berbahas dan menyokong usul ini kerana banyak faktor kenapa kita memerlukan anak muda yang berumur 18 tahun ini untuk menjadi calon pada pilihan raya yang akan dating, insya-Allah. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pada tahun lepas seramai 3,220 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia tingkatan lima di negeri Perlis telah menduduki peperiksaan SPM 2019. Ini bermakna kebanyakan di kalangan mereka iaitu kira-kira 3,000 remaja akan mencapai had umur 18 tahun pada tahun ini dan layak mengundi dan menjadi calon pada pilihan raya umum yang akan datang sekiranya pindaan ini diluluskan. Selain itu, mereka yang berusia 17 tahun yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini akan layak mengundi dan menjadi calon pada pilihan raya yang akan datang. Begitu juga sebahagian daripada mereka yang kini berusia 15 dan 16 tahun juga layak mengundi dan menjadi calon pada pilihan raya yang akan datang. Jika berdasarkan kira-kira 3,000 calon yang menduduki peperiksaan SPM di negeri ini setiap tahun, kita akan menyaksikan lebih 12,000 pengundi baru yang berusia bawah 21 tahun layak mengundi dan menjadi calon sekiranya PRU ke-15 diadakan pada tahun 2023. Untuk makluman Yang Berhormat Dato’ Speaker, jumlah pengundi di negeri Perlis yang layak memilih dan menjadi calon pada PRU ke-14 adalah sebanyak 150,221 orang. Ini bermakna menjelang PRU ke-15, sekiranya diadakan pada tahun 2023, purata pengundi baru yang berusia 21 tahun dan ke bawah ini akan mencecah 8 sehingga 10% penambahan. Saya berpandangan ada baiknya untuk meminda perkara 48 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis yang memaktubkan bahawa had umur layak menjadi calon adalah 21 tahun ke atas kepada 18 tahun ke atas. Usaha ini membolehkan anak muda kita mengambil bahagian dalam proses demokrasi khususnya memilih kerajaan dan wakil rakyat yang bertanding dalam pilihan raya. Selain itu, anak muda perlu diberi peluang memupuk kematangan politik lebih awal dan tidak perlu menunggu sehingga mencecah umur 21 tahun untuk terbabit dalam sistem demokrasi berpewakilan, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Boleh dikatakan minat dan pengetahuan politik anak muda di negara kita masih sangat rendah berbanding dengan negara-negara demokrasi lain yang lebih maju. Bakal ini tidak terlalu lewat diambil untuk mendedahkan anak muda kita di dunia politik kerana kebanyakan mereka agak perlahan mencapai tahap kematangan politik. Di samping itu, pemasaran di negara kita bukan hanya ketidakmatangan politik anak muda itu sendiri namun juga ketidakmatangan orang dewasa yang berpolitik yang mengakibatkan kecelaruan politik di dalam negara kita kini. Jika kita sendiri tidak bersikap matang, bagaimanakah mungkin anak-anak muda kita boleh mencapai tahap kematangan yang kita semua harapkan. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saluran terbaik untuk memperbetulkan adalah melalui pendidikan sivik dan politik dalam sistem pembelajaran kita sejak muda lagi. Ini tidak dapat dielakkan sekiranya had umur layak mengundi dan menjadi calon diturunkan kepada 18 tahun. Sekiranya anak muda berusia 18 tahun ini boleh menjadi calon kelak, anak muda berkenaan akan menjadi aset kepada parti politik masing-masing untuk mendapat undi dan sokongan. Pastinya mereka akan menjadi sasaran parti politik apabila wujudnya bakat-bakat muda dari pelbagai bidang, tidak kira aktivis universiti ataupun green worrior yang berjuang untuk kelestarian alam sekitar. Kita mampu mencungkil lebih ramai lagi bakat muda dan macam Greta Thunberg dan Shamma Al Mazrui sebagai contoh yang mampu membawa perubahan kepada tanah air walaupun mereka masih muda. Greta Thunberg adalah seorang aktivis alam sekitar Sweden yang berumur 17 tahun yang mana yang fokus kepada perubahan iklim manakala Shamma Al Mazrui pula ialah seorang aktivis belia yang merupakan menteri paling muda di Dunia bagi negara UAE iaitu pada usia 22 tahun. Tidak mustahil suatu hari nanti kita sendiri boleh melihat dalam Dewan Undangan Negeri kita sendiri mungkin kita boleh dapat Menteri Besar yang berumur bawah 40 tahun jika kita menyokong usaha anak muda ini untuk menjadi calon 18 tahun. Dengan keterampilan wajah-wajah muda ini yang berbakat, mereka tetap akan membawa perubahan yang drastik kepada ekosistem politik dan perubahan ini akan turut menyumbang kepada kemajuan negeri mahupun negara kita kelak.

Seperti yang kita semua sedia maklum banyak sektor yang memerlukan perubahan dan tenaga anak muda di dalam negeri Perlis. Namun kebanyakan anak muda negeri kita telah berhijrah ke negeri lain seperti Pulau Pinang dan Kedah untuk mencari peluang kerja yang baru. Dengan penampilan lebih ramai wakil rakyat muda pada masa hadapan, insya-Allah kita dapat mengumpul idea dan wawasan segar daripada kalangan mereka yang mungkin berbeza dengan kita tetapi mampu dikupas sebagai polisi yang baik untuk memacu ekonomi negeri. Oleh yang demikian, saya menyokong penuh kerajaan negeri untuk meminda perkara 48 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis yang berniat menurunkan had umur menjadi calon kepada 18 tahun ke atas demi Perlis yang lebih maju dan lestari pada masa akan datang. Di kesempatan ini, Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya juga ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada barisan front liner kerana semenjak PKP yang pertama dimulakan sehingga hari ini kita hanya berjaya mencatatkan 18 kes positif sahaja dan lebih daripada sebulan kita tidak mempunyai sebarang kes. Tahniah saya ucapkan pada barisan-barisan front liner yang bertungkus lumus memastikan Perlis menjadi kawasan hijau. Dan yang keduanya saya nak mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada kerajaan negeri yang membantu kami bagi pihak sini ketika awal PKP dilaksanakan dengan memberikan separuh peruntukan untuk Program Agihan Makanan Asas kepada penduduk terutama di kawasan DUN masing-masing lah. Kami menghargai bantuan yang dihulurkan oleh terutamanya Yang Amat Berhormat Bintong dan juga kerajaan Negeri Perlis. Insya-Allah kita akan bekerjasama lagi di masa-masa akan datang. Di kesempatan ini juga sekali lagi saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Speaker dan juga semua hadirin di dalam Dewan yang mulia ini. Insya-Allah pada 1 Syawal nanti kita akan menyambut raya, kita sama-samalah stay at home, kurang-kurangkan lah beraya tu kalau boleh, kekal lah di rumah masing-masing untuk masing-masing, kita jaga kita lah. Insya-Allah akan membantu dapat mengekalkan Perlis ni terus menjadi hijau insya-Allah walaupun selepas Syawal nanti. Saya rasa itu sahaja daripada saya, sekian terima kasih, Assalammu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Penangguhan DewanAdjournment

Speaker

Terima kasih Ahli-Ahli Yang Berhormat. Para hadirin sekalian, sidang kita hari ini mengambil masa, yang saya dapat catit last 1 jam 57 minit. Terima kasih kepada semua. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan untuk hari ini dan akan disambung semula pada hari esok, Khamis 21 haribulan Mei 2020 jam 10.00. Sekian terima kasih.

(Persidangan ditangguhkan pada jam 12.09 tengah hari)