Perlis · 21 May 2020
14th Assembly, 3rd session, 1st meeting · 55 turns · 12,842 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.
(Pembukaan)
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.
Doa
Doa.
(Bacaan doa oleh Setiausaha Dewan)
Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis
Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Saya rasa sound system hari ini… sila perbetul sikit… Ahli Yang Berhormat sekalian, saya ingin menjelaskan tentang aturan Mesyuarat kita pada hari ini. Urusan Mesyuarat Dewan akan diteruskan selepas ini dengan sesi soal jawab lisan berdasarkan turutan soalan seperti yang terkandung di dalam Kertas Perintah Mesyuarat Dewan. Sama seperti kelmarin, saya akan memperuntukkan tempoh masa kira-kira 30 minit untuk sesi soal jawab lisan tersebut. Untuk itu, saya akan membenarkan satu sahaja soalan tambahan bagi setiap soalan asal yang telah dikemukakan dan keutamaan akan diberikan kepada Ahli yang mengemukakan soalan asal berkenaan. Mana-mana soalan yang tidak sempat dijawab secara lisan, jawapannya akan dikemukakan kemudian secara bertulis oleh pihak Kerajaan. Selepas itu, Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020 akan dibuka semula untuk maklum balas dan penggulungan oleh pihak Kerajaan, dan seterusnya untuk diluluskan. Sama juga seperti kelmarin, saya harap kita dapat selesaikan persidangan hari ini dalam tempoh dua jam sahaja. Setelah semua urusan meyuarat pada hari ini diselesaikan, Dewan akan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Selamat bersidang. Sekian, terima kasih.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Soalan-soalan lisan.
Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya nombor 2.
(Soalan 2 : Apakah tindakan dan persiapan kerajaan berhubung tempat-tempat rekreasi bagi menyambut pelancong luar ke Negeri Perlis?)
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Sanglang. Untuk makluman Dewan yang mulia, sebenarnya Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai inisiatif dalam konteks menggalakkan aktiviti pelancongan di negeri Perlis termasuklah persiapan-persiapan bagi menyambut kehadiran pelancong luar untuk datang ke Perlis. Bagi menjayakan usaha ini, peruntukan untuk penyelenggaraan tahunan juga telah disediakan untuk menambah baik tempat pelancongan yang agak uzur dan ianya disalurkan melalui jabatan penyelia seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Majlis Perbandaran dan juga Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis. Peruntukan bagi tahun 2020 telah disediakan untuk antara lokasi… tempat rekreasi yang telah diberikan adalah seperti berikut. Ladang Tanaman Eksotik, Pusat Agro Lancong Batu 20, Denai Larian Pengkalan Asam, Taman Sakura, Taman Negeri, Gua Kelam 1 & 2, Medan Selera Kangar, Pasar Padang Besar dan Dataran Ikan Bakar Kuala Perlis. Keseluruhan peruntukan ini adalah sebanyak RM5,750,000.00 daripada Kerajaan negeri Perlis dan sebanyak RM500,000.00 adalah daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Di samping menyelenggara produk-produk pelancongan berkenaan, Kerajaan Negeri turut giat mempromosikan sektor pelancongan negeri Perlis melalui penyertaan dalam MATTA Fair, dalam Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT), penerbitan artikel dalam majalah Gaya Travel, serta membawa masuk penggiat industri pelancongan luar melalui lawatan penggiat industri pelancongan sepertimana pada Pesta Angin Timur 2020 baru-baru ini. Dan Kerajaan Negeri akan merangka semula pelan promosi sektor pelancongan selepas tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB ini. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Dato’ Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat Chuping di atas penjelasan yang diberikan. Sebanyak RM5.0 juta lebih yang telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk menyelenggara dan juga pembangunan di beberapa tempat pelancongan yang disebut sebentar tadi. Namun yang saya lihat sebagai contoh di Gua Kelam pada hujung tahun lepas, saya pun juga hadir ke Gua Kelam untuk melihat suasana sambutan... apabila di-viral oleh orang-orang ramai memang mendapat sambutan tempat-tempat perkelahan di dalam Perlis ini, rami sungguh orang. Cuma apa yang kita lihat di sana dari segi sampah tu terlalu banyak. Bukan waktu petang, masih pukul 9… 10, tidak ada lagi orang yang menyelenggara kebersihan, sampah banyak, tiap-tiap hari macam tu… kita pun ada jugaklah aduan-aduan yang bagitau sedemikian. Terima kasih.
Terima kasih YB Guar Sanji, insya-Allah perkara ini akan kita ambil maklum tentang sampah-sampah yang banyak di situ, terima kasih.
Terima kasih. Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya nombor 3.
(Soalan 3 : Sehingga Jun 2019 di bawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Ke-11, Negeri Perlis diperuntukkan sebanyak RM340.2 juta bagi melaksanakan 86 projek pembangunan. Sejauh manakah kemajuan pelaksanaan projek-projek tersebut setakat ini?)
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat pagi, Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Guar Sanji. Untuk makluman Dewan ini, kalau kita merujuk kepada Sistem Pemantauan Projek… Sistem Pemantauan Projek II ataupun yang dipanggil SPP II pada Jun 2019, Negeri Perlis telah diperuntukkan RM340.2 juta untuk melaksanakan 86 projek pembangunan di bawah Rolling Plan yang Ke-4 untuk tahun 2019. Walau bagaimanapun, ada dilakukan perubahan ataupun adjustment melalui Notis Perubahan ataupun Notice Of Change dalam tempoh Rolling Plan Ke-4 tersebut dan ini menyebabkan berlaku perubahan kepada bilangan projek dan juga siling peruntukan yang telah diluluskan sebelumnya. Jadi pada 16 Disember 2019, jumlah projek di bawah RP4 tahun 2019 di Perlis, akibat daripada notis perubahan ini, telah menjadi 90 projek sebenarnya dan siling peruntukan pula telah menurun kepada RM309.02 juta. Secara keseluruhannya dari segi kemajuan pelaksanaan projek-projek tersebut boleh diukur melalui prestasi kewangan dan prestasi kewangan ini biasanya dia merupakan refleksi kepada prestasi fizikal di tapak. Jadi pada tahun 2019, jumlah perbelanjaan sebanyak RM197.27 juta ataupun bersamaan dengan 64% daripada peruntukan siling keseluruhannya yang telah pun dibelanjakan. Jadi saya juga ingin menyentuh mengenai pelaksanaannya di bawah RP4 bagi tahun 2020 pula. Kalau rekod yang ada sehingga pada 4 Mei tahun 2020, Perlis telah diperuntukkan sebanyak RM259.8 juta dan jumlah projek yang terlibat adalah 112 dan jumlah projek pembangunan ini bertambah sebanyak 14 iaitu di bawah Pakej Ransangan Ekonomi yang dilaksanakan di bawah kementerian yang terlibat. Perbelanjaan negeri Perlis pada tarikh yang sama adalah sebanyak RM21.30 juta ataupun bersamaan dengan 8.2%. Jadi itu adalah prestasi perlaksanaan projek-projek sepertimana yang telah ditanya oleh daripada Yang Berhormat Guar Sanjii, terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, bukan soalan tambahan. Saya... sound system ni saya tak berapa jelas. Saya tak tau la, kot telinga saya tak betui... tapi saya dok tengok YB Simpang Empat pun dok ni jugak... (sambil ketawa).
Pihak technician… dia echo sangat… boleh kita teruskan? Sambil dia orang nak perbetulkan… ada soalan tambahan ka? Tak ada. Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi, Yang Berhormat Speaker soalan saya soalan nombor 4.
(Soalan 4 : Adakah Kerajaan Negeri bersedia untuk membangunkan tapak bagi sukan ekstrem seperti skateboard dan BMX di negeri ini, serta apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi membangunkan sukan permotoran di negeri ini sebagai suatu alternatif kepada anak muda tempatan yang meminati sukan ini demi mengelakkan mereka dari terus merempit di jalan raya?)
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon izin untuk menjawab soalan nombor 4 ini bersekali dengan soalan nombor 6 daripada Yang Berhormat Kuala Perlis.
(Soalan 6 : Apakah perancangan kerajaan untuk membaik pulih atau menambah infrastruktur fasiliti sukan awam bagi menggalakkan anak muda cenderung melakukan aktiviti sihat, terutama sekali di kawasan Kuala Perlis?)
Untuk soalan nombor 4 ini, jawapannya ‘ya’, memang kerajaan bersedia untuk mengadakan prasarana untuk aktiviti sukan ekstrem seperti skateboarding, roller blade dan juga wall climbing di negeri ini dan Kerajaan Negeri melalui MPK sedang melihat beberapa tapak yang sesuai untuk dipertimbangkan perlaksanaannya bagi memenuhi keperluan dan minat anak-anak muda beriadah dengan sukan ekstrem ini. Manakala bagi sukan BMX pula, kita memang mempunyai tapak sedia ada di Sungai Batu Pahat. Untuk makluman Yang Berhormat, BMX ini merupakan satu kategori yang ada di bawah Persatuan Basikal Negeri Perlis tetapi pada masa ini, kita cuma ada tiga orang sahaja atlet yang yang di bawah pembangunan MSN dan mereka ini berlatih di tapak tersebut dan kita juga akan menghantar satu pasukan berbasikal BMX ini untuk menyertai SUKMA ke-20 di Johor nanti. Bagi sukan permotoran pula, dari segi pembangunan memang kita tidak lakukan memandangkan sukan ini bukan dikelaskan di bawah pembangunan sukan berprestasi tinggi, tetapi walau bagaimanapun sukan ini tetap diberi ruang untuk dianjurkan dengan kerjasama penganjur-penganjur berkaitan dan juga Kementerian Belia dan Sukan. Kita membuka ruang dan peluang kepada penganjur-penganjur berkaitan untuk menganjurkan aktiviti di sukan permotoran ini yang boleh dilakukan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra. Banyak program permotoran telah dianjurkan sebelum ini, antaranya Perlis Motorday yang dianjurkan pada tahun 2018 dan 2019 yang lalu yang mana antara pengisian di dalam program tersebut adalah berkaitan permotoran seperti Autoshow, Pertandingan Motor Perlahan, Perlumbaan Drag Motosikal, Klinik Penjagaan Motosikal, Stunt Show dan sebagainya. Selain itu, kita kerajaan negeri turut menyokong Petronas Malaysian Cub Prix Championship diadakan di Perlis dengan venue di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra sebagai venue perlumbaan pusingan kejuaraan tersebut sejak tahun-tahun yang sebelum ini termasuklah pada tahun 2018 dan tahun 2019 yang lalu dan insya-Allah kejohanan ini akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang. Selain daripada itu, Program Pocket Bike dan Kursus Marshall Bermotor turut dirancang untuk diadakan bagi memupuk dan menerapkan sukan bermotor secara selamat dan berhemah bagi mengelakkan anak-anak muda kita ini dari melakukan aktiviti tidak sihat seperti merempit dan sebagainya.
Seterusnya bagi menjawab soalan daripada Yang Berhormat Kuala Perlis, soalan Yang Berhormat berkaitan tentang baik pulih atau menambah infrastruktur sukan awam. Bagi kerja-kerja baik pulih, Kerajaan Negeri Perlis telah membelanjakan sebanyak RM1.9 juta untuk pembaikan gelanggang petanque dan gelanggang badminton, manakala RM2.3 juta pula untuk naik taraf kolam renang dan semuanya venue ini berada dalam Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra. Manakala sebanyak RM489,000.00 lagi adalah untuk naik taraf laman woodball di Kampus UniMAP. Selain itu terdapat sebanyak 46 buah gelanggang futsal di seluruh negeri Perlis yang di bawah Kementerian Belia dan Sukan dan semua gelanggang ini telah berstatus lupus dengan serahan, maksudnya pihak Jabatan Belia dan Sukan telah membuat penyerahan kepada pemilik tanah tersebut. Dan di Kuala Perlis terdapat dua buah gelanggang futsal iaitu di Kampung Wai dan di Kampung Pulau Ketam dan gelanggang ini pun telah dilupuskan dengan serahan kepada pemilik tanah masing-masing. Selain daripada itu, terdapat kekangan terhadap hasrat untuk menambah infrastruktur sukan awam di kawasan-kawasan tertentu seperti di Kuala Perlis terutamanya daripada segi tapak untuk membinanya. Ianya berkisar tentang status tanah, syarat penggunaan tanah tersebut jika terdapat tanah lapang, pemilikan hak milik tanah serta lokasi tapak yang tidak sesuai untuk dibangunkan infrastruktur sukan awam. Selain daripada itu juga mungkin akan melibatkan proses pengambilan balik tanah dan ini memerlukan peruntukan yang agak tinggi. Selain daripada itu juga, isu lain yang selalu berbangkit adalah dari segi pertembungan bidang kuasa penyenggaraan infrastruktur tersebut jika tanah adalah hak milik pihak lain manakala peruntukan membina pula dari pihak lain dan itu adalah antara kekangan-kekangan yang kita hadapilah untuk membangunkan atau menambah infrastruktur sukan awam di kawasan-kawasan tertentu. Walau bagaimanapun, kerajaan negeri bersedia untuk menimbang pembinaan struktur sukan awam jika Yang Berhormat mempunyai cadangan tapak yang sesuai untuk dibangunkan. Sekian.
Tak ada soalan tambahan ka… YB Kuala Perlis? Sena… Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, selamat pagi dan salam sejahtera. Soalan saya soalan nombor 5, terima kasih.
(Soalan 5 : Apakah perancangan terperinci bagi pembangunan tapak Pasar Lama Kangar yang sudah sekian lama terbiar selepas proses pemindahan peniaga di premis berkenaan?)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih YB Indera Kayangan. Yang Berhormat Dato’ Speaker, untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, di bawah Rancangan Struktur Negeri 2030 dan Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kangar 2035 (Penggantian), tapak Pasar Lama Kangar telah dicadangkan sebagai tapak untuk pembangunan Bazaria Kangar. Bagi mencapai maksud tersebut, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada Kerajaan negeri Perlis bagi pelaksanaan projek tersebut. Namun selepas PRU-14, Kerajaan Pusat telah membatalkan kelulusan peruntukan tersebut. Kerajaan Negeri kemudiannya telah membuat pelawaan cadangan pembangunan secara Request for Proposal (RFP) untuk tapak tersebut tetapi tidak mendapat sebarang sambutan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengemukakan semula permohonan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis telah mengambil inisiatif untuk menganalisa kegagalan Request For Proposal, dengan izin, tersebut dan antara sebab yang dikenal pasti adalah situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan. Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan sekali lagi kaedah RFP ini. Pelawaan dokumen cadangan RFP telah dibuka mulai 8 November 2019 sehingga 5 Disember 2019. Terdapat tiga (3) pihak yang menyertai lawatan tapak pada 14 November 2019. Namun, tiada sebarang dokumen cadangan yang diterima. Permohonan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi projek Bazaria Kangar di bawah RMK-12 telah dikemukakan semula oleh Kerajaan Negeri kepada Unit Perancang Ekonomi, EPU, Jabatan Perdana Menteri. Sehingga kini hanya satu penyewaan sahaja dibuat di tapak Lama Kangar iaitu kepada Encik Yeop Musa Bin Talib kerana penyewaan ini telah lama beroperasi. Walau bagaimanapun, MPK tidak lagi menambah penyewaan baharu ke atas tanah tersebut kerana terdapat cadangan projek yang akan dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri. Pihak MPK membenarkan penyewaan bersyarat iaitu pihak Majlis tidak bertanggungjawab untuk mencari gerai ganti yang lain sekiranya gerai yang ditawarkan kepada penyewa ini perlu diroboh atau dikosongkan dengan kadar segera. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada soalan-soalan yang telah selesai tadi. Ahli Yang Berhormat, soalan-soalan lisan ditangguhkan setakat ini. Bagi soalan-soalan yang belum sempat dijawab, pihak Kerajaan akan mengemukakan jawapan secara bertulis kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, terima kasih.
Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020Bill
Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020 dibuka semula untuk perbahasan secara dasar. Dipersilakan pihak kerajaan untuk memberikan maklum balas dan seterusnya menggulung perbahasan. Dipersilakan Yang Berhormat Titi Tinggi.
Salam sejahtera dan selamat pagi. Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Yang Berhormat sekalian, Perlis negeri kedua selepas Sabah yang menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun, selepas Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini meluluskan Rang Undang-Undang berkenaan setelah mendapat sokongan undi daripada Ahli-Ahli Dewan. Dengan sokongan pindaan ini, saya selaku barisan Kerajaan Negeri berfikir bahawa sokongan ini turut memperlihatkan Kerajaan Perlis prihatin terhadap kepentingan penyertaan generasi muda dalam membuat dasar negeri. Ini juga seiring Akta Umur Dewasa tahun 1971 dan takrifan commission Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Justeru, dengan kelulusan Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini bermakna pada pilihan raya yang akan datang, anak-anak muda berusia 18 tahun sudah mempunyai hak untuk menjadi pengundi dan juga calon Wakil Rakyat. Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan setinggi–tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani COVID… wabak COVID-19 ini… Selepas lebih dua bulan negara menjalani kehidupan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, yang telah membantu mengekalkan penularan COVID-19 di negara ini. Saya menyeru orang ramai diingatkan untuk bersedia menyesuaikan diri dengan norma baharu apabila perintah itu ditarik balik. Malah selepas PKPB, setiap orang perlu ingat bahawa virus itu belum lenyap sepenuhnya dan perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Semua orang juga perlu diingatkan bahawa kehidupan tidak akan kembali kepada keadaan biasa. COVID-19 adalah virus yang amat mudah dijangkiti, maka jika kita kembali mengadakan perhimpunan membabitkan ramai orang, sebelum adanya vaksin untuk mengubati penyakit COVID-19, saya yakin kita akan kembali kepada keadaan sebelumnya dengan tidak mengamalkan kebersihan diri dan jarak sosial. Diharapkan dengan PKP dan PKPB kita akan menamatkan ancaman COVID-19 ini. Saya juga menasihatkan agar rakyat terus menjaga kesihatan diri, keluarga dan persekitaran selain menghindari daripada berhimpun secara ramai dan mengamalkan penjarakkan sosial. Mudah-mudahan Malaysia akan berjaya menangani pandemik COVID-19 ini dengan jayanya. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan ketua-ketua jabatan sekalian, dikesempatan ini saya ingin menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Sekian dan terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, dipersilakan Yang Berhormat Mata Ayer.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya selaku barisan Kerajaan Negeri dengan ini, dengan sesungguhnya dan sepenuhnya menyokong Usul Rang Undang-Undang… Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis Pindaan 2020 yang telah dibentangkan pada kelmarin, dan insya-Allah akan diluluskan pada hari ini di mana kita akan dapat melihat pada PRU15 nanti kita akan ada perubahan berkenaan dengan calon-calon Ahli Dewan Undangan Negeri dan juga Ahli Dewan Negara… Ahli Dewan Rakyat. Oleh yang demikian, sedikit sahaja saya rasa saya perlu sebut di sini bahawa apabila benda ini diluluskan… Rang Undang-Undang ini diluluskan, adalah kita perlu kepada sedikit pemantauan kepada calon-calon kerana pada usia 18 tahun adalah remaja, remaja yang belum mempunyai pengalaman hidup yang begitu besar dan mungkin dari segi persekolahan yang perlu diteruskan. Tetapi apa sekalipun saya tetap menyokong usul ini untuk diluluskan pada hari ini. Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya bagi pihak kawasan Mata Ayer sesungguhnya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas sumbangan peruntukan sepanjang COVID-19, sepanjang PKP dan juga PKPB di mana sejumlah peruntukan telah disalurkan kepada Pusat Khidmat untuk diagihkan kepada golongan-golongan yang terputus bekalan ataupun terputus perbelanjaan sepanjang tidak dapat keluar untuk bekerja dan juga hampir keseluruhan warga Mata Ayer dan juga saya rasa seluruh warga Perlis mendapat manfaat daripada sumbangan-sumbangan oleh Kerajaan Negeri tersebut. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Pegawai Kewangan dan juga keseluruhan penjawat awam yang berada di negeri Perlis yang begitu perihatin di atas masalah yang kita sama-sama tanggung ini. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Pengerusi-Pengerusi JKKK di dalam kawasan Mata Ayer yang juga saya anggap sebagai frontliner saya di Mata Ayer yang sama-sama mengagihkan sumbangan-sumbangan itu dan tanpa Pengerusi-Pengerusi JKKK saya, mungkin saya tidak dapat untuk meneruskan sumbangan tersebut kerana mereka begitu bersungguh-sungguh untuk membantu terutamanya di kawasan Mata Ayer untuk memastikan semua golongan yang memerlukan mendapat imbuhan, dapat manfaat yang telah kita salurkan. Jadi sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua Pengerusi-Pengerusi JKKK yang di bawah kasih sayang Mata Ayer. Dan saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada frontliner yang lain yang juga begitu bersungguh-sungguh mengawal kami seluruh warga Perlis, seluruh warga Malaysia yang sehingga kita dapat menangani PKP, sehingga kita dapat menangani COVID-19 ini sehinggalah negeri Perlis… saya rasa negeri terawal yang diisytihar sebagai zon hijau pada masa lebih kurang dalam tempoh sebulan yang lalu dan sehingga kini kita masih bertahan. Jadi terima kasih kepada semua frontliner, jasa baik tuan-tuan dan puan-puan tidak dapat kami balas dengan wang ringgit, hanya Allah yang dapat memberinya pahala untuk tuan-tuan dan puan-puan dan juga semoga kita semua yang ada di Dewan ini dan juga di luar sana kita dapat teruslah mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid 19 ini daripada terus hadir ke Perlis. Kita nak Perlis bebas walaupun dalam suasana kita akan berhari raya tetapi kita masih dalam keadaan terkawal, itu harapan daripada saya dan saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan yang ada dan saya tak akan sebut satu-satu, kepada semua ketua-ketua jabatan, yang hadir, yang ada hari ini atau pun yang tidak dapat hadir, yang juga turut membantu di kawasan Mata Ayer sepanjang COVID-19 dan juga sebelum COVID-19 dan insya-Allah kita akan terus bekerjasama pada masa-masa akan datang sehingga akhir tahun ini dan seterusnya. Jasa tuan-tuan dan puan-puan juga sangat-sangat saya hargai dan insya-Allah kita akan sama-sama berjumpa selepas tamatnya PKPB ini. Saya rasa itulah sahaja Yang Berhormat Dato’ Speaker dan di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua sidang Dewan yang mulia ini dan kita sama-samalah mematuhi PKPB ini. Sekian, terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat, dipersilakan Yang Berhormat Pauh.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Robbishrohli sodri, wayassirli amri, wahlul uqdatamilisaani, yafqahu qauli. salam Perlis salam sejahtera, Raja Berdaulat Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera Perlis Maju. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, wakil-wakil, pengamal media seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, semoga Allah merahmati kita semua. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT dengan izinNya jua kita dapat berhimpun lagi pada hari yang terakhir, hari yang kedua Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas tahun ini. Walaupun dalam suasana sangat-sangat berwaspada, kita masih lagi berkesempatan untuk hadir dan diucapkan tahniah kepada pihak SUK yang telah pun mengadakan saringan kesihatan dan langkah-langkah kawalan untuk mencegah dan mengelak penularan penyakit yang membawa maut ini demi menjayakan persidangan pada kali ini, Alhamdulillah. Usaha yang dilakukan oleh Kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 telah menampakkan hasil yang positif dan tahniah diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang menerajui kepimpinan kita. Perlis muncul sebagai negeri yang pertama zon hijau, rakyat bersedia untuk terima norma baharu dan membudayakan SOP menyokong usaha Kerajaan untuk melaksanakan PKP sehinggalah ke PKPB. Terima kasih BPD yang membantu mengurus dana dan pelbagai pihak yang memberi kerjasama, Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen, Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan khususnya kepada jentera frontliner saya, Pengerusi JKKKPs yang mengurus bantuan tidak kira hari, tidak kira masa, mereka sentiasa berada bersama untuk menjayakan agar bantuan-bantuan sampai ke pihak yang menjadi sasaran. Kecekalan para petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus bekerja turut menjayakan, menyekat penularan wabak COVID-19 dan ini tidak kita nafikan, mereka telah menyelamatkan nyawa kita. Tahniah dan terima kasih semua pihak, jasamu dikenang dalam catatan sejarah, semoga Perlis terus selamat daripada COVID-19, semoga Allah angkat doa kita untuk diterima. Landskap politik negara yang berubah-ubah memperlihatkan kuasa rakyat itu sendiri yang memberi isyarat kepada pemimpin-pemimpin untuk sentiasa membangunkan negeri dan rakyat. Pengurusan dan pentadbiran negara dan negeri hari ini yang bertambah baik menepati tema pembangunan dijana dan diperkasa, kebajikan rakyat dibela walaupun bukan seratus peratus, banyak telah menunjukkan perubahan. Memperkukuhkan mana yang lemah, membetulkan mana yang salah dan mencemerlangkan mana yang baik, tahniah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat SUK, Yang Berhormat PKN, Yang Berhormat PUU, ketua-ketua jabatan dan agensi serta semua pegawai-pegawai yang telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan tugas dan amanah yang telah pun diberikan kepada kita. Mewakili kepimpinan DUN Pauh, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ketua-ketua jabatan seperti JKR, JPS, JKM, MAIPs, BPD, SAP, APM, RELA, BOMBA, JPN, PERKESO dan semua yang mungkin tak dapat saya sebutkan di sini kerana ramai yang sangat-sangat memberi kerjasama semasa dan juga sebelum ini dan juga yang mana akan datang saya yakin mereka sentiasa bersama-sama dengan semua DUN untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab. Kita bangga apabila ketua-ketua jabatan dan para pegawai yang sentiasa sedia turun padang, membuat tinjauan atas aduan dan permintaan serta keputusan untuk tindakan. Pelbagai perkara untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan kampung amatlah dialu-alukan terutama pembaikan rumah, lampu-lampu jalan, penyelenggaraan, keceriaan, naik taraf longkang dan sebagainya.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, kini bercakap mengenai Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis Pindaan 2020, mengenai umur pemilih atau pengundi dan umur calon Wakil Rakyat, siapalah saya untuk tidak menyokong setelah mendapat sokongan majoriti lebih dua per tiga dari pihak Kerajaan dan Pembangkang di Parlimen pada ketika itu dan kelmarin turut dibahas bersama-sama oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat lain. Yang baik telah pun banyak disebut, mungkin sudah tiba masa dan ketikanya Malaysia nampak akan keupayaan generasi muda di samping bersetuju bahawa politik di Malaysia perlu berkembang dan kita tidak boleh menentang trend dunia di mana banyak negara menurunkan had usia kepada 18 tahun. Secara keseluruhannya majoriti negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi membenarkan rakyat mereka seawal usia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi penentu dasar dan hala tuju negara dan mencapai apa yang dikatakan sebagai International Best Practice, dengan izin. Namun pada pandangan saya, perlaksanaannya nanti perlulah dengan persediaan mantap di mana haruslah juga bersikap adil dengan persekitaran pendidikan di institusi khasnya sekolah, pelajar berumur 18 tahun di tingkatan enam, kebarangkalian boleh mengubah landskap sekolah sebagai sebuah tempat belajar menjadi salah satu medan pertarungan bagi parti politik. Keadaan tidak sihat dan pelajar hilang fokus, hadir ke sekolah atau universiti untuk belajar. Apatah lagi jika menjadi calon dan pelajar adalah wakil rakyat. Mereka akan mengorbankan masa yang sepatutnya, mereka lanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kita akan kehilangan permata yang boleh digilap kecermerlangan akademiknya. Yang Berhormat Dato’ Speaker, kebesaran pada implimentasinya adalah dari sudut pandangan ringkas saya yang mungkin telah dikaji dengan lebih teliti. Justeru kita mengharapkan Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi memperkasakan peraturan dan undang-undang sedia ada tentang mekanisme yang sebagaimana sepatutnya institusi dan sekolah membenarkan pelajarnya aktif dalam politik. Kementerian Komunikasi dan Multimedia khususnya Jabatan Penerangan dan RTM perlu mengadakan kempen celik politik secara sistematik supaya tahap kesedaran remaja kita perlu dipertingkatkan. Mereka juga perlu dididik agar menjadi natizen yang celik media, mampu membezakan maklumat yang tulen dan mana yang palsu. Pendek kata Kerajaan juga perlu meningkatkan usaha untuk memberi kesedaran kepada warganegara yang layak untuk mengundi kerana hak dan keistimewaan rakyat yang boleh mengundi adalah peluang dan ruang untuk menentukan hala tuju dan pemerintahan di Negara ini. Justeru dengan maklum balas tadi, secara jelas dengan ini saya menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020. Yang Berhormat Dato’ Speaker, sebagai mengakhiri ucapan saya yakin dengan kewibawaan Kerajaan hari ini, terus pandang ke hadapan dalam usaha-usaha memacu kemajuan walaupun berdepan cabaran akibat wabak di negara dan di seluruh dunia. Bak kata orang yang bijaksana, dalam musibah pasti ada peluang. Ini yang perlu dilihat dalam krisis yang kita alami sekarang, pasti ada peluang baru yang tersembunyi, insya-Allah. Saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa di Ramadan yang terakhir ini dan salam menyambut… dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat, dipersilakan Yang Berhormat Beseri.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Raja Berdaulat Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Yang Berhormat Dato’ Speaker dan seluruh warga Dewan yang mulia ini, saya menyokong Rang Undang-Undang Pindaan kepada Perkara 48, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi menyelaras kelayakan umur bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Perlis supaya selari dengan kelayakan umur bertanding bagi kerusi Parlimen atau Dewan Rakyat dan juga selari dengan kelayakan umur pemilih atau pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Ini bagi memastikan amalan demokrasi mencapai apa yang dikatakan sebagai International Best Practice, dengan izin, maka adalah wajar cadangan menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun ini diberi sokongan sepenuhnya. Mengikut garis panduan United Nations Commission of Rights of Child, dengan izin, umur 18 tahun ini diiktiraf sebagai cukup dewasa dan boleh membuat keputusan. Penglibatan lebih ramai orang muda dalam politik akan melahirkan sudut padangan yang lebih segar mengenai senario politik negara akan menjadikan golongan ini lebih matang. Sidang Dewan yang dihormati sekalian, dikesempatan ini marilah sama-sama kita menginsafkan diri dengan banyak berdoa dengan penuh kesungguhan agar segala ibadat yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini diterima oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya syarat penerimaan sesuatu ibadah itu adalah apabila kita melakukannya dengan penuh keikhlasan dan menepati sunnah baginda Rasulullah S.A.W. Saya juga menyeru agar kita semua sama-samalah berdoa semoga ujian wabak COVID-19 yang kita hadapi ini segera hilang dan kembali pulih seperti sedia kala. Saya juga untuk memperingati kepada semua warga-warga Dewan yang mulia ini agar kita menunaikan fitrah melalui Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis, semoga sambutan Aidilfitri ini mengembalikan kita sebagai fitrah sebenar serta meningkatkan nilai ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. Marilah kita sama-sama menjunjung titah perintah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis berkaitan ketetapan solat sunat Aidilfitri yang akan dilaksanakan di rumah. Akhir kata saya ucapkan ribuan terima kasih kepada petugas-petugas barisan hadapan iaitu kakitangan hospital dan kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, pelbagai agensi dan sukarelawan. Mereka sanggup mengambil risiko berdepan sesuatu yang cukup asing yang tidak pernah mereka tangani sebelum ini. Pengorbanan mereka cukuplah besar dan tidak ternilai harganya. Terima kasih juga kepada ketua-ketua jabatan, wakil-wakil jabatan, yang telah memberi kerjasama secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan sidang DUN pada kali ini.
Sekian, wabillahitawfeek walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam Aidilfitri.
Terima kasih Yang Berhormat, dipersilakan Yang Berhormat Kayang.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, salam Perlis, Raja Berdaulat Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera Perlis Maju. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya ingin mengambil kesempatan ini pada mesyuarat kali ini untuk turut sama-sama menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis (Pindaan) 2020 tentang penurunan had umur mengundi dan juga calon pada PRU-PRU yang akan datang dan pembentangan Rang Undang-Undang ini adalah menunjukkan adalah bahawasanya Kerajaan Negeri adalah perihatin dan juga sentiasa menyokong sesuatu yang baik dan ini menunjukkan bahawa kita Kerajaan negeri Perlis mengamalkan politik matang dan juga politik sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi sedikit maklum balas tentang sesi perbahasan yang telah diadakan pada kelmarin yang mana kebanyakkan dalam perbahasan oleh rakan-rakan di sebelah sana kelmarin ni, kebanyakkannya adalah berkaitan dengan aduan. Kita perlu tahu sesuatu tentang aduan, kebanyakan aduan yang diterima kebanyakannya telah diambil tindakan, dan agak tidak adil kalau ada satu dua tindakan masih dalam proses dan tindakan belum siap lagi perlaksanaannya, kita labelkan dia sebagai sambil lewa ataupun tidak bersungguh-sungguh di pihak agensi atau pun di pihak Kerajaan Negeri dan sebenarnya setiap aduan ini dia mempunyai karakter-karakter dia yang tersendiri dan cara perlaksanaan dan juga untuk mengambil tindakan juga tidak sama antara setiap aduan. Dan kita juga perlu tahu, saya ingin berkongsi dengan Dewan ini, setiap aduan itu dia mempunyai nature of work dia tersendiri, dengan izin Yang Berhormat Dato’ Speaker. Antaranya bila kita mendapat sesuatu aduan itu, antara yang kita pertimbangkan adalah daripada segi priority memandangkan hari ini hampir setiap hari aduan awam kita terima daripada pelbagai agensi jadi apabila kita menerima setiap aduan itu, priority perlu dibuat yang mana yang perlu dibuat ataupun dikategorikan sebagai kecemasan perlu diambil tindakan segera dan sebaliknya. Dan setiap aduan ini dinilai sama ada perlaksanaannya boleh dilakukan secara terus melalui peringkat Jabatan, ataupun mungkin perlu dibuat sebutharga dan apabila untuk melibatkan sebutharga ini dia melibatkan peruntukan dan setiap sebutharga ini perlu diluluskan peruntukan terlebih dahulu sebelum ianya dapat dilaksanakan. Selain daripada itu juga, setiap aduan ini kadang-kadang dia melibatkan banyak agensi dan apabila melibatkan banyak agensi ni, agensi-agensi yang terdapat ini mempunyai bidang kuasa mereka yang tertentu dan juga mungkin melibatkan permohonan peruntukan daripada agensi-agensi tersebut dan proses-proses ini sebenarnya akan mengambil sedikit masa untuk kita selesaikan setiap aduan itu.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya juga ingin memberi maklumbalas tentang aduan-aduan yang telah dibangkitkan oleh rakan-rakan saya, Ahli-Ahli Yang Berhormat di sebelah sana, iaitunya tentang isu kebocoran air, kualiti air teruk, yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sanglang dan juga Yang Berhormat ADUN Indera Kayangan dan untuk makluman, isu kebocoran air ini, pihak Syarikat Air Perlis akan menjalankan kerja-kerja pembaikan paip air dengan segera, sebagaimana yang saya maklum tadilah, mengikut keutamaan manakala bagi isu kualiti air, pihak SAP akan mengambil langkah-langkah seperti berikut bagi memastikan kualiti pembekalan air bersih secara konsisten kepada penduduk negeri. Yang pertamanya iaitu kita laksanakan kerja-kerja flushing ataupun scouring, dengan izin, di sistem perpaipan dalam kawasan agihan bekalan air bagi mengatasi masalah kekeruhan yang berpunca daripada sedimentasi dalam paip agihan tersebut, ianya berdasarkan daripada aduan-aduan semasa yang diterima daripada pengguna. Selanjutnya kita akan melaksanakan kerja-kerja cucian tangki dan kolam takungan air secara berperingkat untuk membersih dan membuang sedimentasi yang terdapat di dalam tangki ataupun kolam berkenaan. Walau bagaimanapun ianya akan melibatkan gangguan bekalan air. Untuk makluman, bila kita nak cuci tangki ini, kita kena buang takungan air itu dan ini akan melibatkan agihan air akan tersekat ataupun akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna mengikut kawasan agihan semasa kerja-kerja cucian ini dijalankan. Dan seterusnya kita akan menaik taraf kapasiti reka bentuk dan pengeluaran loji rawatan air di Timah Tasoh yang mana sekarang… yang mana dalam keadaan sekarang ini pengeluaran hariannya telah pun melebihi reka bentuk asal kapasiti loji air berkenaan. Peningkatan kapasiti ini secara langsung… secara tidak langsung dapat menjamin kualiti air yang dibekalkan supaya sentiasa mematuhi piawaian mutu air minum yang ditetapkan. Berkaitan dengan aduan daripada Yang Berhormat Sanglang, untuk makluman Dewan yang mulia ini, terdapat dua projek yang telah diluluskan pada tahun ini iaitu cadangan langkah metigasi jangka pendek bagi sistem bekalan air perlis dengan peruntukan berjumlah RM40.7 juta. Yang ni telah pun bermula pada 02 Januari yang lalu, dan dijangka siap pada 01 Julai 2021 dan projek yang kedua adalah program NRW Nasional dengan peruntukan berjumlah RM39.7 juta. Yang ini projek telah pun bermula pada 20 Februari yang lalu dan dijangka siap pada 16 Februari 2022. So dalam tempoh perlaksanaan projek ini, pasti akan ada gangguan-gangguan bekalan air dan saya yakin dan pihak SAP akan bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan untuk pelan-pelan kecemasan untuk menyediakan bantuan air kepada penduduk-penduduk yang terjejas ekoran daripada perlaksanaan projek-projek ini. Selain daripada itu juga, Yang Berhormat ADUN Indera Kayangan ada membangkitkan tentang masalah aras paip kumbahan yang tidak selari antara rumah dan juga loji di Taman Hijrah, Kangar. Berdasarkan aduan yang diterima daripada penduduk Taman Hijrah ini, pihak IWK telah mengambil tindakan bersama-sama dengan pihak pemaju dengan membekalkan dua set paip secara berasingan daripada stesen pam kumbahan untuk mengatasi masalah tersebut dan telah pun disiapkan pada September 2019 yang lalu. Bagi aduan yang baharu diterima pada Mac 2020 baru-baru ini, masalah ini adalah berpunca daripada kerosakan paip di bawah longkang yang dibina oleh pemaju yang terdahulu. Pihak IWK sedang dalam proses menyegerakan kerja-kerja pembaikan tersebut dengan pihak pemaju. So yang ni pun dalam proses dan belum siap lagi lah.
Kemudian, daripada ADUN Guar Sanji yang membangkitkan ataupun cadangan pembinaan road bumper di kawasan Sekolah Kebangsaan Serdang. Untuk makluman Yang Berhormat, pembinaan bonggol ataupun road hump adalah tidak disyorkan terutamanya di jalan negeri ataupun di jalan utama ataupun jalan persekutuan dan ini boleh menjadi satu penyebab kepada kemalangan juga bagi kenderaan-kenderaan ataupun pengguna di jalan yang menggunakan jalan tersebut. Namun demikian, pihak JKR akan membuat siasatan di tapak dan akan cuba mencari kaedah yang lain yang lebih sesuai berpandukan kepada arahan dan juga garis panduan teknikal JKR nanti. Seterusnya YB ADUN Guar Sanji juga turut membangkitkan tentang senggaraan kiri kanan jambatan khususnya dalam kawasan DUN Guar Sanji. Yang ini pihak JKR juga akan membuat semakan di tapak, dan akan melaksanakan kerja pembersihan dengan menggunakan secara jabatan. Berhubung dengan isu penyelenggaraan di kiri dan kanan jambatan dan pembersihan di rezab jalan khususnya di DUN Yang Berhormat, pihak JKR juga akan membuat semakan segera di tapak dan akan melaksanakan pembersihan dengan segera melalui jabatan juga. Seterusnya masih lagi ADUN Guar Sanji yang membangkitkan tentang semak samun… Guar Sanji ni dia semak samun banyak sungguh no… yang ni di kawasan rail kereta api yang boleh membahayakan keselamatan penduduk berhampiran. Yang ini untuk makluman Yang Berhormat, penyelenggaraan di sekitar rail kereta api adalah di bawah bidang kuasa RAC ataupun Perbadanan Aset Keretapi dan pihak RAC telah mengambil maklum kawasan di sepanjang jajaran kereta api yang berada dalam keadaan yang kurang memuaskan dan dipenuhi dengan semak samun berdasarkan kepada aduan yang diterima dan juga pihak berkuasa tempatan pun juga telah membuat pemakluman kepada pihak RAC. Oleh yang demikian, tindakan pro-aktif telah diambil oleh RAC dengan melantik kontraktor pembersihan mengikut zon di seluruh Malaysia sejak 2019 yang lalu. Perlantikan kontraktor ini dibuat bagi memastikan kerja-kerja pembersihan terutama di kawasan tumpuan orang ramai dan kawasan bersebelahan dengan perumahan awam dapat dibuat terlebih dahulu dan juga secara bersekala. Selain itu melalui perlantikan kontraktor ini kerja-kerja pembersihan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan efisyen. Oleh yang demikian, RAC juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada pihak Ahli Yang Berhormat dan juga penduduk setempat untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kerja-kerja pembersihan yang perlu dilakukan dalam kawasan tanah kereta api. Maklumat tersebut boleh disalurkan kepada RAC melalui emel [email protected] atau aplikasi WhatsApp di talian 019-2008533.
Seterusnya ada satu aduan tentang… daripada Yang Berhormat Sanglang berkenaan dengan saranan pembinaan titi jambatan perlu mendapatkan kebenaran daripada JPS atau jabatan berkaitan bagi mengelakkan isu pengumpulan sampah di dalam sungai ataupun saliran. Yang ini untuk makluman Yang Berhormat, isu lintasan bermasalah dalam saluran air MADA lazimnya, dibina oleh persendirian tanpa kebenaran dan kelulusan pihak MADA. Lintasan bermasalah ini sememangnya mengganggu kelancaran pengairan dan saliran kawasan sawah serta boleh mengakibatkan saluran air tersumbat dengan sampah dan juga sisa buangan. Dengan bidang kuasa yang terhad, tindakan penguatkuasaan agak sukar dilaksanakan oleh pihak MADA. Bagi menangani isu ini, pihak MADA telah mengambil tindakan untuk mengubah dan membina semula lintasan persendirian yang bermasalah ini dari semasa ke semasa namun disebabkan peruntukan kewangan yang agak terhad, ianya boleh dilaksanakan untuk sebilangan kecil sahaja pada setiap tahun berdasarkan keutamaan. Bertepatan dengan saranan Yang Berhormat, pihak MADA akan memastikan sebarang pembinaan lintasan baharu oleh mana-mana individu ataupun orang awam perlu mendapat kelulusan ataupun melalui permohonan rasmi dengan mengikut syarat dan spesifikasi yang ditetapkan agar ianya tidak menimbulkan kesulitan kelak. Yang Berhormat Dato’ Speaker, dikesempatan ini juga saya ingin merakamkan ribuan penghargaan kepada semua petugas frontliner kita daripada pelbagai agensi yang telah pun bertugas sepanjang PKP dan juga PKPB baru-baru ini dan terutamanya dari pihak MKN, JKM, PDRM, APM, RELA, MPK dan lain-lain dan juga saya ingin mengambil kesempatan ini juga ingin merakamkan penghargaan juga kepada rakan-rakan JKKK terutamanya di kawasan Kayang yang merupakan penggerak utama dalam penyaluran bantuan agihan PAMA ataupun Program Agihan Makanan Asas ini. Dan saya juga ingin merakamkan ribuan penghargaan juga kepada Kerajaan negeri Perlis yang telah memperuntukkan sejumlah peruntukan yang besar untuk program PAMA ini dan ianya dapat membantu segenap lapisan golongan dalam kawasan kita di negeri Perlis tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik. Ini menunjukkan bahawa kita dapat bersatu dan bekerjasama, berganding bahu dalam memerangi serangan wabak ini dan kita mengharapkan agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang dan kita juga mengharapkan agar pihak… agar rakyat negeri Perlis terus disiplin dan mematuhi SOP PKPB agar kita terus berjaya mengekang penularan wabak ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, stay at home, raya PKP, Kayang dihatiku. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, dipersilakan Yang Berhormat Santan.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, Ahli Yang Berhormat, pengarah-pengarah jabatan, wakil-wakil seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah atas perkenannya kita mengadakan sidang Dewan pada kali ini dalam keadaan yang amat baik tanpa sebarang masalah. Walaupun dalam suasana yang boleh dikatakan sebagai separuh darurat dalam menghadapi virus COVID-19 yang melanda negara. Alhamdulillah dan kita terus berdoa agar rakyat Perlis terus berdisiplin dan terus peka dengan arahan-arahan dari pihak berwajib. Terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya petugas-petugas barisan hadapan. Pertamanya saya ingin menyentuh tentang cadangan dalam persidangan kali ini untuk meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dipinda dalam Perkara 48 dengan menggantikan perkataan 21 tahun dengan perkataan 18 tahun sekaligus akan diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan yang telah disahkan di peringkat Parlimen. Pokok utama dalam perubahan ini akan melihat kepada kematangan generasi muda menggunakan akal fikiran untuk memilih Kerajaan apabila adanya pilihan raya umum ataupun pilihanraya kecil. Perkara ini akan menjadi tanggungjawab besar penjaga di rumah termasuklah guru-guru sekolah untuk membantu bagi mematangkan fikiran belia dan beliawanis yang bakal menjadi pemilih. Saya mencadangkan kepada pihak Kementerian Pendidikan supaya mencari kaedah bagaimana untuk menyelaras subjek yang sedia ada dan yang sesuai untuk diberi pencerahan khusus kepada pengetahuan am mengenai politik Negara. Jika adapun elok ditambah baikkan. Selain daripada itu ada kewajaran juga sekiranya sistem daftar pemilih secara automatik ataupun pendaftaran online diteruskan dan dikemaskinikan dari masa ke semasa. Tak dapat dinafikan betapa segan dan malasnya sebahagian daripada golongan masyarakat kita apabila disuruh mendaftar sebagai pemilih, sikap tidak peduli masih lagi menebal. Saya menyokong Rang Undang-Undang ini untuk diluluskan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, perkara kedua yang ingin saya sentuh dalam penggulungan ini adalah mengenai kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh agensi-agensi Kerajaan dalam bidang keusahawanan termasuk pembiayaan dan kursus-kursus asas dalam perniagaan. Didapati teramat kurang mendapat sambutan dari para lepasan sekolah yang kurang berjaya dalam pencapaian akademik. Ini terbukti apabila kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan… contoh di kolej-kolej komuniti yang ada di sekitar negeri Perlis amat kurang penyertaannya. Padahal ramai lepasan sekolah tidak melibatkan diri melainkan membuang masa dengan aktiviti yang kurang sihat. Sebab-sebab perkara ini berlaku adalah mungkin kepincangan keluarga yang kurang berpengetahuan tentang masa depan dan apa yang ada disekeliling tidak pernah mengambil tahu. Justeru itu saya mencadangkan agar program yang sedang dilakukan oleh agensi-agensi Kerajaan berkaitan diteruskan lagi dengan menggunakan khidmat NGO atau pertubuhan-pertubuhan siasah termasuk Persatuan Penduduk dan juga KRT yang ada untuk melebarkan jaringan pengetahuan kepada anak-anak lepasan sekolah di samping melalui persatuan-persatuan Dewan Perniagaan yang ada di negeri ini. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak-pihak agensi Kerajaan di Perlis ini yang telah memainkan peranan dengan cukup baik dalam memberi pengetahuan dalam bidang keusahawanan yang diterajui oleh BPEN ataupun Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis. Perkara ketiga yang tidak kurang pentingnya adalah mengenai hak pengguna dalam urusan urusniaga keperluan asas dan juga keperluan lain dalam menjalani kehidupan seharian. Kita semua ada hak untuk mendapat kepastian sama ada kita tertipu ataupun memang sah harga barangan yang kita beli itu menepati harga kawalan dan sebagainya. Dengan adanya KPDNHEP atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, rakyat ada hak untuk mendapat keadilan sekiranya terasa ditipu dengan urus niaga. Pengguna boleh membuat laporan ke tribunal pengguna di KPDNHEP, insya-Allah masalah akan dapat diatasi. Ini termasuk juga perniagaan secara atas online. Jangan pula COD atau cash on delivery pulak tak lapor sebab COD memanglah kita bayar kos penghantaran. Ianya sebagai upah dihantar barang kepada kita atas tujuan kita sendiri. Yang Berhormat Dato’ Speaker, perkara keempat yang ingin saya sentuh di dalam Dewan yang mulia ini adalah mengenai penempatan dan juga permohonan untuk menduduki rumah PAKR atau juga… dan juga PPR di seluruh negeri Perlis. Boleh dikatakan hampir keseluruhan telah dipenuhi. Walau bagaimanapun, pihak pejabat Perumahan menerima pendaftaran untuk tujuan rekod bagi memastikan kehendak ataupun demand, dengan izin, rakyat yang memerlukan rumah. Apa yang menjadi masalah berhubung perkara ini adalah tunggakan yang begitu banyak disebabkan keengganan membayar sewa atau melanggar perjanjian sewa beli. Perkara ini sedang giat dilaksanakan pengstrukturan semula badan tersebut. Ini juga didapati tuan rumah asal menyewa kepada orang lain dengan kadar berganda dari bayarannya kepada akaun bayaran perumahan. Jadi besar kemungkinan akan berlaku tuntutan serta tindakan mahkamah yang terpaksa dilakukan kepada pemilik rumah tersebut. Berhubung dengan masalah perumahan juga, pihak Kerajaan telah membuka peluang kepada pemaju-pemaju perumahan untuk dibuat RFP ataupun Request For Proposal, dengan izin, untuk membina rumah mampu milik disebabkan… sebagai contohnya rumah prima yang diluluskan sebelum PRU 14 di Kuala Perlis telah ditarik balik selepas PRU 14. Justeru, Kerajaan negeri telah memohon semula rumah mampu milik dengan kos yang sesuai dan sudah semestinya Kerajaan Persekutuan prihatin yang baru ini akan lebih peka akan kemahuan rakyat negeri Perlis yang memerlukan rumah di samping pemaju-pemaju perumahan yang sedia untuk membantu Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, izinkan saya untuk menjawab soalan lisan yang telah dikemukakan kelmarin. Soalan pertama yang datangnya daripada Yang Berhormat Indera Kayangan iaitu Kerajaan diminta meningkatkan daya saing perniagaan dalam talian. Kerajaan negeri Perlis menyambut baik saranan peningkatan daya saing perniagaan oleh peniaga ataupun usahawan Perlis berikutan komunikasi yang baik di seluruh negeri Perlis iaitu 99.2 percent untuk liputan 3G dan 85.4 percent untuk liputan 4G. Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membolehkan penglibatan perniagaan dalam talian ini disambut baik jika peniaga usahawan komited dengan penglibatan perniagaan dalam talian. Seiring dengan hasrat membantu menjayakan penglibatan usahawan dalam platform perniagaan digital, kerajaan Perlis bersama AMDEX telah mengadakan perbincangan untuk menubuhkan pusat peningkatan latihan digital ataupun DEC di Perlis. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memangkin ekonomi digital, memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana serta meningkat kemahiran usahawan PKS tempatan. DEC ini akan berperanan untuk memberikan digital dalam perniagaan bermula daripada awal perniagaan, antaranya memberikan khidmat nasihat, latihan dan aplikasi serta pembiayaan melalui geran dan pinjaman. Pusat ini akan ditubuhkan secara usahasama di antara AMDEX, Kerajaan Negeri dan juga beberapa rakan kongsi yang akan dikenalpasti. Langkah ini adalah seiring dengan perlaksanaan Digital Perlis yang telah dimulakan pada awal tahun 2020 oleh Kerajaan negeri Perlis yang memfokuskan kepada perkembangan digital diperingkat Kerajaan, swasta dan awam. Perkembangan perniagaan digital ini turut meliputi bantuan promosi oleh jualan produk pertanian seperti Harumanis, melalui Agrobazar online oleh FAMA. Bagi menjawab soalan YB Indera Kayangan juga, yakni memohon penjelasan Kerajaan mengenai status baik pulih lorong belakang Public Bank, sidang DUN lepas dimaklumkan dalam proses sebut harga tetapi tiada sebarang kerja fizikal berlaku on the ground. Untuk makluman Yang Berhormat Dato’ Speaker, spesifikasi kerja pembaikan lorong belakang Public Bank telah disediakan dalam tahun 2019 yang lalu, walau bagaimanapun terdapat kekangan peruntukan yang menjejaskan usaha perlaksanaan di tapak. Walaupun begitu dalam projek pembangunan kerajaan negeri tahun 2020, telah meluluskan peruntukan bagi perlaksanaan kerja pembaikan di tapak. Bagi cadangan projek baik pulih ini, proses perolehan telah dimulakan dengan proses pengiklanan tawaran yang dikeluarkan pada 12 Mei 2020. Projek dijangka dapat dilaksanakan pada Jun 2020 dan dijangka siap pada pertengahan Julai 2020. Lagi soalan daripada Yang Berhormat Indera Kayangan, yakni mohon penjelasan mengenai status baik pulih lorong belakang Petron Taman Kemajuan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Majlis pernah beberapa kali melaksanakan kerja pembaikan dengan menampal lubang dan mendapan jalan di laluan belakang stesen minyak Petron Taman Kemajuan ini, dan kali terakhir pada Januari 2019. Walau bagaimanapun, pemendapan masih berlaku secara berterusan. Berdasarkan pemerhatian dan semakan, kawasan kerosakan adalah merupakan tapak korekan pembentungan bagi sistem pembentungan berpusat Kangar yang dilaksanakan pada tahun 2008 yang lalu dan berkemungkinan mendapan ini berpunca dari hakisan pada dinding pembentung yang dibina terdahulu. Justeru itu, Majlis telah memanjangkan perkara ini untuk semakan dan tindakan semula pihak Jabatan Perkhidmatan Perbentungan atau JPP Zon Utara bertarikh 23 Disember tahun 2019 bagi melakukan kerja pemeriksaan dan kerja pembaikan. Perkara ini masih dalam perhatian Jabatan Perkhidmatan Pembentungan ataupun JPP dan akan diselesaikan dalam masa terdekat. Juga soalan daripada Yang Berhormat Indera Kayangan berhubung dengan penambahbaikan undang-undang kecil tempatan mengambil kira aspek positif daripada pandemik COVID-19, contohnya amalan kebersihan. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia ini, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ataupun PKP dan sehinggalah kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB, Kerajaan Negeri bersama-sama Majlis Perbandaran Kangar telah menyemak presedur-prosedur operasi standard ataupun SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan untuk disesuaikan di peringkat negeri terutamanya dari aspek pengoperasian premis-premis perniagaan di bawah kawalan MPK. Sehubungan itu, pelbagai inisiatif akan dikaji mengikut kesesuaiannya pada masa hadapan, seiring dengan norma baharu yang akan dihadapi oleh rakyat termasuklah undang-undang kecil tempatan. Di antara cadangan kemudahan yang telah diberikan perhatian berikut pandemik COVID-19 ini adalah cadangan pemberian permit perniagaan khas kepada penjaja sebagai salah satu dorongan pemulihan ekonomi kepada pendapatan isi rumah. Kemudahan pendaftaran untuk menghantar makanan persendirian dan kawalan kebersihan penjaja dan premis makanan yang dapat dipertingkatkan selaras dengan SOP yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagi menjawab soalan daripada Yang Berhormat Sanglang, apakah perancangan untuk menambah bilangan tong sampah dan luaskan kutipan sampah di kawasan Sanglang. Untuk makluman Yang Berhormat Dato’ Speaker, sebanyak empat tong sampah berpusat telah diletakkan di DUN Sanglang di lokasi-lokasi berikut, yang pertama berhampiran simpang tiga jalan Persisiran Pantai Sungai Baru-Kuala Sanglang, yang kedua, hadapan tanah perkuburan Cina berhampiran Sekolah Menengah Sanglang, yang ketiga, tepi jalan raya berhampiran Lorong Mat Saad Dali, Kampung Simpang Sanglang dan yang keempat, berhadapan rumah ibadat tokong Cina di Sepakat Sanglang. Bagi isu beberapa sampah di lokasi-lokasi yang tidak dibenarkan, pihak Majlis akan menyelaras isu ini dengan SWCorp Perlis untuk tindakan penguatkuasaan. Bagi penambahan kawasan perkhidmatan kutipan dan penambahan tong sampah yang melibatkan kawasan baru, pihak SWCorp perlu menerima serahan kawasan baru dari pihak PBT. Apabila serahan telah dibuat oleh PBT maka SWCorp akan menyediakan tong sampah dan melaksanakan perkhidmatan kutipan sisa pepejal mengikut frekuensi yang telah ditetapkan. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, dipersilakan Yang Berhormat Simpang Empat.
Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker, Raja Berdaulat Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera Perlis Maju. Terlebih dahulu saya ucap terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Mesyuarat pada hari ini, ketua-ketua jabatan, pemberita dan petugas Dewan. Untuk menjimatkan masa saya akan memberi respon kepada soalan tambahan daripada Sanglang. Untuk makluman, pada masa ini kita tidak berlaku masalah kekurangan padi benih di Perlis, malahan berlaku pengeluaran benih yang melebihi keperluan. Walau bagaimanapun, terdapat isu kelambatan bekalan benih dari varieti yang tertentu yang menyebabkan kelewatan penerimaan benih kepada pesawah. Kerajaan akan mengambil pendekatan realistik dalam memastikan semua ekosistem di perbaiki dalam masa… dalam usaha menamatkan isu benih ini. Ini termasuk mengkaji semula sistem pembekalan terbaharu yang lebih baik termasuk secara terbuka, pemantauan berterusan melalui mekanisme Mesyuarat Jawatankuasa Padi peringkat negeri dan syarikat yang diberikan konsesi. Selain daripada itu, bagi meningkatkan lagi kecekapan pengeluaran dan agihan benih padi, langkah-langkah seperti berikut diambil. Yang pertama, Pertubuhan Peladang dengan kerjasama MADA Corp dalam usaha untuk mewujudkan ladang benih di negeri Perlis. Di antaranya kawasan yang dikenalpasti ialah Pertubuhan Peladang Kawasan Bintong dan Pertubuhan Peladang Paya. Koordinasi di antara agensi dan pengeluar-pengeluar benih turut melaksanakan secara berterusan. Maklumat dan status semasa berkaitan stok padi benih yang sedia dijual akan sentiasa dikemaskini melalui pelbagai medium perhubungan seperti telefon serta Whatsapp bagi untuk heboh kepada PPK serta peladan. Di peringkat lapangan pula, kempen-kempen perkembangan berterusan kepada peladang disediakan agar tidak cenderung menggunakan satu jenis varieti sahaja, sebaliknya boleh menggunakan varieti jenis padi sah yang lain bagi mengelakkan ketidak cukupan padi benih. Lembaga Pertubuhan Peladang dengan kerjasama MADA Corp dalam usaha untuk mewujudkan ladang benih di negeri Perlis, di antaranya seperti yang saya sebutkan tadi. Di samping itu juga, dalam keadaan sekarang, kesedaran daripada petani-petani juga berlaku… mereka banyak dah menyimpan padi benih untuk kegunaan sendiri. Yang kedua, cadangan racun dilaksanakan selepas penyakit dikenalpasti. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Pertanian melaksanakan pengedaran racun kepada pesawah mengikut keperluan sebenar, masa dan jenis racun. Pembekalan racun ini adalah tertakluk kepada tender berpusat MOA dengan… dan edaran kepada pesawah dibuat secara consignment di mana syarikat pembekalan akan menempatkan stok racun di PPK sebelum atau sepanjang musim penanaman untuk memastikan ketersediaan racun yang diperlukan oleh pesawah. Selain daripada itu, aktiviti pengawasan dan ramalan perosak dan penyakit bagi tanaman padi yang dijalankan mengikut jadual tanaman akan dipertingkatkan lagi sebagai langkah pengesanan awal bagi penanaman padi. Pemantauan ini membolehkan persediaan dilaksanakan awal, bekalan racun yang bersesuaian mengikut serangan. Untuk makluman, ini juga boleh digunakan sebagai panduan bagi sesuatu kawasan atau kawasan yang berhampiran untuk membuat persediaan racun yang bersesuaian. Untuk Guar Sanji berkenaan dengan bekalan beras, di Perlis kita berbaki lebih kurang 40 ribu matrik tan. Kegunaan kita setiap seorang 96 kilo setahun, rakyat negeri Perlis 250 ribu, jumlahnya daripada bulan… selama tujuh bulan ini lebih kurang 14 ribu matrik tan, jadi ada berbaki selain daripada beras import… itu sekian… dan untuk seterusnya, saya bagi pihak diri saya menyokong dalam pemindaan Perkara 48 Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Perlis untuk menurunkan had umur kelayakan bagi rakyat yang tinggal dalam negeri Perlis untuk menjadi pengundi dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri daripada umur 21 kepada umur 18. Pindaan ini adalah selaras dengan pindaan Perkara 47(B) dengan Seksyen 5 dalam Jadual ke-8 Perlembagaan Persekutuan dan untuk tidak ni… saya ucap terima kasih terutamanya kepada barisan hadapan yang bertugas menangani COVID-19 Perlis dengan cepatnya ke Zon Hijau. Saya bagi pihak rakyat kawasan Simpang Empat mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih terutamanya kepada Kerajaan Negeri yang di bawah pimpinan YAB dan juga pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua jabatan yang telah bantu rakyat untuk menangani masalah COVID dengan jayanya dan selamat dan akhir kata saya ucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir batin, stay at home.
Terima kasih Yang Berhormat, dipersilakan Yang Berhormat Chuping.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Perlis, Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu Negeri Sejahtera Perlis Maju. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker kerana memberi laluan kepada saya, Yang Amat Berhormat Bintong, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, pengamal media, tuan-tuan, hadirin hadirat yang dihormati sekalian. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT dengan izin-Nya jua kita dapat menyelesaikan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas pada dua hari ini… pada hari ini. Dan kesempatan itu, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker, Setiausaha Dewan dan kakitangan petugas-petugas dewan yang betul-betul ingin memastikan persidangan dewan dapat diadakan dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan walaupun dalam keadaan norma baru PKPB ini. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya dengan rasa rendah diri ingin menyatakan sokongan kepada Rang Undang-Undang yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kelmarin, bersetuju menyokong sepenuhnya untuk meminda Perkara 48 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis bagi menurunkan umur kelayakan tiap-tiap rakyat yang tinggal dalam Negeri Perlis untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri daripada umur 21 kepada 18 tahun dan pindaan ini adalah selaras dengan Pindaan Perkara 47(B) dan Seksyen 5 (Kelapan) Lembaga Persekutuan. Cuma ada sedikit pandangan saya sekiranya kita… kalau untuk menjadi pemilih tak salah umur 18, tapi kalau untuk nak jadi… apa nama… calon sebagai calon pilihan raya ini, kita… saya rasa ianya mampu dilihat dari sudut pelaksanaannya nanti ke depan kerana kita tengok dari segi masa… perubahan masa itu PRU 15 dan PRU yang akan datang nanti akan melibatkan zaman yang semakin berubah, zaman yang makin mencabar. Dan kalau kita lihat, level of education, minta maaf mohon izin Yang Berhormat Dato’ Speaker, pada ketika itu, remaja kita umur 17 baru habis SPM dan 18 dah dicalonkan sebagai calon pilihan raya dan ini akan menampakkan satu kekurangan dari sudut ilmu yang mana pada tempoh itu mungkin dia sedang menunggu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan ini patut kita lihat mungkin perubahan untuk sudut pengajian di peringkat sekolah menengah dapat ditambahbaik oleh kementerian dan sebagainya dan memang tak salah sekiranya kita meletakkan calon umur 18 tahun ini dan itu cuma pandangan daripada saya apabila kita melihat cabaran yang masa akan datang ini akan… orang kata apa... melihat satu kepimpinan yang cukup di sudut ilmu pengetahuan dia. Namun yang demikian, saya dengan seluruh warga Chuping ingin menyokonglah Rang Undang-Undang ini dan Yang berhormat Dato’ Speaker, kesempatan ini saya ingin menyentuh tentang pandemik COVID-19 ini yang mana ianya memberi kesan secara langsung kepada sudut sektor pelancongan yang mana pelancongan ini melibatkan pergerakan manusia. Pergerakan manusia ke tempat-tempat contohnya apabila PKP dilaksanakan, pengunjung yang datang ke Perlis tak boleh dah. Jadi itulah yang menyebabkan sektor pelancongan apabila tempoh PKP dan PKPB ini, ianya membataskan pergerakan manusia. Itulah yang amat terkesan pada sektor pelancongan dan terutama sekali kepada pemain-pemain industri pelancongan terutama pengusaha hotel, homestay dan sebagainya. Namun yang demikian, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga pandemik COVID ini dapat dihentikan dengan sepenuhnya dan kita mintalah kepada Allah SWT supaya kita dapat menjalankan kehidupan seperti biasa semula dan kita dapat meningkatkan ekonomi kita kembali seperti sediakala. Dan kesempatan ini juga saya ingin merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana memberi kepercayaan kepada setiap ADUN dalam melaksanakan program agihan makanan asas yang telah dilaksanakan semasa PKP tempoh hari dan banyak jumlah yang telah diperuntukkan kepada setiap ADUN dan kita telah melaksanakan dengan baik dan pada masa yang sama saya ingin merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada petugas-petugas terutama sekali pengerusi-pengerusi JKKK di dalam kawasan saya yang telah memberi komitmen yang padu bagi menjayakan pelaksanaan pengagihan makanan itu dengan baik dan lancar kepada golongan-golongan yang terkesan semasa COVID dan pada masa yang sama saya ingin merakamkan setinggi penghargaan terima kasih kepada petugas-petugas barisan hadapan yang telah betul-betul memberi komitmen yang padu bagi sama-sama kita menghentikan penularan COVID-19 ini di negeri Perlis dan menjayakan negeri Perlis bebas daripada COVID dan Zon Hijau, dan ini menunjukkan komitmen yang padu kepada petugas-petugas barisan hadapan daripada setiap agensi yang terlibat. Terima kasih yang tak terhingga diucapkan dan pada masa yang sama saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua yang ada dalam sidang Dewan ini dan kita mendoakan semoga setiap semua yang ada di sini dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan kita mendoakan semoga kita semua dijauhkan daripada penyakit yang bahaya ini. Jadi itu saja Yang Berhormat Dato’ Speaker. Sekian, wabillahitawfeek walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Yang Berhormat, dipersilakan Yang Amat Berhormat.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menngucapkan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat termasuk rakan-rakan daripada pentadbiran yang telah mengambil bahagian di dalam… berbahas dan berbincang mengenai pertamanya dalam agenda kita iaitu pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis iaitu untuk menyelaraskannya dengan pindaan yang berlaku di peringkat persekutuan dalam konteks untuk meningkatkan umur kelayakan… mengurangkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan juga untuk membolehkan seseorang itu menjadi calon dari segi kelayakan umurnya juga dikurangkan daripada 21 kepada 18 tahun dan juga saya ingin mengucapkan terima kasih di atas saranan-saranan yang telah ditimbulkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang mana saya akan memberikan respons satu persatu ke atas isu-isu dibangkitkan. Berkaitan dengan pindaan Rang Undang-Undang mengenai kelayakan mengundi dan menjadi calon ini, saya juga berkongsi pandangan daripada rakan-rakan pihak kerajaan yang telah menyebut mengenai pertamanya sokongan, kita tetap menyokong akan pindaan ini tetapi ada kegusaran terutama sekali yang berkaitan dengan kelayakan menjadi calon. Kita percaya umur 18 tahun memang layak untuk menjadi seorang calon. Tetapi kalau saya dengar daripada rakan-rakan tadi, ada yang mengatakan sedikit kebimbangan dari segi kematangan calon itu kalau sekiranya mereka berumur 18 tahun, mereka masih lagi dalam proses pembelajaran misalnya. Walau bagaimanapun, saya merasakan bahawa daya pertimbangan kepada calon itu harus ditingkatkan supaya mereka menjadi lebih matang dan ini saya rasa menjadi satu tanggungjawab kepada kita semua terutama sekali pihak kerajaan. Dia mesti ada mekanisme yang membolehkan mereka diberi peluang untuk matang dengan lebih cepat. Kerana itu apabila mereka dipilih untuk menjadi calon, mereka merupakan calon-calon yang dapat memberikan sumbangan, contributions, ideas dan sebagainya kepada masyarakat dan rakyat di seluruh negara.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya ingin menyentuh beberapa perkara yang telah ditimbulkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat. Pertama sekali adalah Yang Berhormat Indera Kayangan yang telah menyentuh mengenai keperluan untuk mewujudkan peluang-peluang di dalam negeri kita Perlis ini khususnya dari segi peluang-peluang ekonomi dan juga peluang-peluang pekerjaan. Apatah lagi setelah kita dilanda oleh pandemik COVID-19 ini, kita lihat ramai yang terkesan akibat daripada penguatkuasaan PKP dan sekarang ini PKPB. Walaupun ramai yang terkesan dalam konteks negeri Perlis ini, kita telah berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kesan-kesan negatif ke atas kehidupan seharian mereka semua melalui program-program yang telah kita laksanakan. Dalam konteks ini, program FAMA, Program Agihan Makanan Asas yang mana Ahli-ahli Yang Berhormat turut terlibat secara aktif termasuk juga kumpulan-kumpulan petugas sukarelawan dan jentera-jentera di peringkat akar umbi yang terlibat. Tak tersebut juga, yang penghargaan yang kita berikan kepada semua agensi-agensi jabatan kerajaan yang terlibat sama ada mereka yang berada di barisan hadapan mahupun barisan tengah atau barisan belakang yang terlibat secara langsung mahupun tak langsung dalm usaha untuk menangani COVID ini. Jadi Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya amat bersetuju dengan apa yang telah disarankan oleh Yang Berhormat Indera Kayangan mengenai pengwujudan lebih lagi peluang-peluang ekonomi dan juga peluang-peluang pekerjaan dan itulah yang sebenarnya dilakukan oleh kerajaan tetapi dalam konteks ini kita ada beberapa strategi jangka pendek dan juga jangka panjang. Jangka pendek itulah yang kita lakukan dengan mengeluarkan program-program ataupun projek-projek yang bersifat jangka pendek, projek-projek kecik yang boleh dilakukan dengan cepat. Tetapi projek-projek sebegini impaknya kepada ekonomi tidak begitu besar dan juga bersifat sementara ataupun bersifat jangka pendek tetapi lebih penting lagi ialah keupayaan kita untuk melaksanakan projek-projek yang lebih besar dari segi saiz dan skalanya. Ini yang akan memberikan impak yang lebih besar kepada ekonomi dan ini sebenarnya akan mewujudkan lebih banyak lagi kesan-kesan sampingan ekonomi yang bersifat peluang-peluang yang lebih besar kepada rakyat di negeri Perlis di samping pada masa yang sama dia akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang bersifat mampan dan itulah yang kita lakukan. Dan kita merasa sedih juga sebab dalam fasa pelaksanaan projek-projek yang besar ini, kita telah sedikit terjejas akibat daripada pandemik 19 ini… COVID-19 ini dan juga penguatkuasaan PKP dan PKPB yang mana kita tidak dapat elakkan untuk mematuhinya dan suka saya menyebutkannya di sini bahawa, insya-Allah, projek… salah satu projek besar yang telah kita rancang sejak tahun 2014 iatu CVIA, Chuping
Valley Industrial Area yang telah pun kita laksanakan dengan pembinaan IVC misalnya, yang telah pun 99% siap. Cuma ada sedikit gangguan, ada sedikit kelewatan berhubung dengan perkhidmatan air disebabkan tempoh PKP, kerja-kerja tidak dapat dilaksanakan tetapi Insya-Allah saya rasa… sebab kebenaran telah diberikan, kita boleh menyiapkan projek ini sepenuhnya dan 100% siap. Dan keduanya ialah proses untuk menyediakan infrastruktur atau prasarana di kawasan ini, insya-Allah akan bermula dan kita telah mendapat berita gembira daripada pihak NCIA, pihak kementerian kewangan dimana kelulusan telah diberikan untuk melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja besar ini dan surat kelulusan atau surat tawaran telah pun dikeluarkan dan dengan kontrak yang bernilai RM185 juta… hampir RM185 juta yang akan bermula pada bulan Jun yang akan dating, insya-Allah. Saya harapkan dengan pelaksanaan ini dia akan memberikan satu permulaan yang baik kepada kita untuk terus membangunkan negeri ini dan akhirnya menyediakan peluang-peluang yang lebih banyak dan lebih besar ini kepada rakyat di negeri Perlis, begitu juga dengan peluang-peluang pekerjaan.
Yang Berhormat Sena telah merujuk kepada Laporan Audit, ini berkaitan dengan rancangan strategik 2013-2017, di mana sebanyak empat projek yang… ataupun yang mewakili 28.6% daripada sejumlah 14 projek yang dirancang yang telah berjaya dilaksanakan dan untuk makluman Dewan yang mulia ini, susulan daripada isu Laporan Ketua Audit Negara berkenaan… berkaitan dengan pelaksanaan 4 projek itu, terdapat 4 projek… projek ini telah berjaya dilaksanakan, 4 projek itu berjaya dilaksanakan dan dua daripada projek itu merupakan projek dilaksanakan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan. Iaitu projek Pembangunan Pekan Melayu ataupun projek UTC ya, Pusat Transformasi Bandar UTC dan Kawasan Industri Pekan Padang Besar. Manakala dua lagi projek ialah projek Pembinaan 16 Unit Kedai Pejabat Tiga Tingkat di Kuala Perlis dan projek Menara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis iaitu K-Parc yang telah dibuat usahasama di antara Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dengan UDA Holdings Berhad. Dan baki 10 projek daripada 14 itu tidak dapat dilaksanakan atau lewat dilaksanakan kerana permohonan untuk mendapatkan peruntukan tidak diluluskan dan antara faktor yang lain kesukaran untuk mencapai persetujuan di antara pihak-pihak yang terlibat untuk melaksanakan projek tersebut dan inilah di antara beberapa sebab mengapa projek itu tidak dapat dilaksanakan. Begitu juga bagi Pelan Strategik 2018-2022, sebanyak 10 projek telah dirancang. Walau bagaimanapun, hanya empat dapat dilaksanakan manakala enam lagi akan dilaksanakan kemudian ya, jadi 4, untuk Yang Berhormat… untuk makluman Yang Berhormat Dato’ Speaker, baki cadangan projek-projek tersebut akan dilaksanakan berdasarkan perancangan tahun berikutnya iaitu tahun 2020 sehingga tahun 2022. Walau bagaimanapun, ini bergantung kepada sama ada permohonan untuk mendapatkan permohonan itu diluluskan ataupun tidak sebab kita bergantung kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan projek-projek ini dan kita tahu bahawa peruntukan ini bukan hanya diperlukan oleh kerajaan negeri Perlis, tetapi kita terpaksa bersaing dengan negeri-negeri yang lain juga. Tetapi kita mengharapkan supaya Kerajaan Persekutuan memberikan timbangan yang lebih istimewa terhadap kerajaan negeri Perlis untuk membolehkan projek-projek ini dilaksanakan kerana kedudukan kita yang… kalau berbanding dengan negeri-negeri yang lain, jauh kehadapan, masih lagi dalam proses untuk menuju ke tahap yang lebih tinggi, insya-Allah. Selain daripada itu, Yang Berhormat Sena juga menimbulkan mengenai pencapaian fizikal bagi empat projek yang dilaksanakan di bawah Rancangan Strategik 2013-2017 yang dianggap kurang cekap. Dua projek itu yang… maksud itu mengalami kelewatan penyiapan ialah projek Membina dan Menyiapkan 16 Unit Kedai Pejabat di Kuala Perlis ya. Projek 16 unit kedai pejabat 3 tingkat di Kuala Perlis telah diberikan kelulusan extension of time sebenarnya. Dan kalau berdasarkan kepada extension of time ini, mereka masih lagi dianggap berada di dalam tempoh yang dibenarkan untuk menyiapkan projek tersebut. Manakala projek Kawasan Perindustrian Padang Besar juga telah diberikan extension of time ataupun EOT dan projek itu telah disiapkan… juga dianggap disiapkan dalam tempoh yang dibenarkan dengan extension of time tersebut. Jadi, extension of time ini, Yang Berhormat Dato’ Speaker, adalah merupakan satu yang normal di dalam pelaksanaan projek- projek pembangunan ini disebabkan kadang-kadang di dalam rancangan awal itu ada mungkin perkara-perkara tidak dapat dijangka dan ditentukan lebih awal. Tetapi, as you go along, dengan izin, kita bertemu dengan masalah-masalah tertentu sama ada dari segi teknikal, dari segi tapak dan sebagainya dan sebab itu dia akan menjejaskan jadual asal pelaksanaan dan penyiapan projek tersebut dan itulah sebabnya, ada justifikasi kenapa EOT itu perlu diberikan kepada kontraktor-kontraktor yang berkenaan. Jadi itu adalah penjelasan kepada beberapa isu yang telah disebutkan oleh Yang Berhormat, yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Sena dan saya harapkan penjelasan itu dapat memuaskan hati Yang Berhomat.
Satu lagi adalah, juga yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Sena iaitu jualan lot tanah industri yang tidak mengikut kadar yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah. Sebenarnya di sini mungkin ada kekeliruan sedikit. Kalau kita lihat kepada contoh yang diambil di sini ialah Pauh Putra, Kawasan Industri Pauh Putra itu. Kalau mengikut rekod sebenarnya kawasan perindustrian Pauh Putra ini kos pembangunannya itu hampir RM8.00 sekaki persegi, dan mana ini telah disiapkan pada tahun 2013. Walau bagaimanapun, itu tidak dapat menarik pelabur untuk datang melabur di kawasan ini. Jadi kerana itu, kita terpaksa menjadikan dia lebih menarik apabila ada sahaja peluang untuk menerima pelabur-pelabur untuk masuk ke sana, biasanya rundingan dibuat dan di sinilah pihak pelabur akan memohon atau meminta supaya harga ataupun kadar kaki persegi yang ditawarkan itu dikurangkan. Dan biasanya kerajaan ataupun dalam kes ini perbadanan akan melihat dari segi faedah yang bakal diperolehi dari segi jangka panjang ke atas permohonan pelaburan tersebut dan pengurangan kadar jualan tanah kaki persegi dan kerana itulah dalam konteks ini harga asal yang ditawarkan RM7.00 tetapi telah dikurangkan kepada RM3.70 kerana kita nak menjadikan dia sebagai satu attraction, dengan izin, kepada pihak pelabur berkenaan. Dan sebenarnya berkali-kali tu permohonan itu dilakukan. Saya sendiri ada pengalaman dalam hal ini juga untuk tapak yang sama, saya masih ingat sebuah syarikat yang nak membina kilang untuk membina motorsikal untuk buat assemble motorsikal. Daripada harga asal yang diminta, akhirnya dia minta harga RM1.80 satu kaki persegi. Ini berkali-kali diluluskan sebenarnya dan akhirnya kita tak bersetuju lah sebab harga yang diminta terlalu rendah. Jadi dalam proses itulah pertimbangan yang diberikan adalah untuk melihat apakah faedah jangka panjang yang bakal diperolehi walaupun kita terpaksa mengurangkan kadar harga daripada yang asal. Jadi, kerana itulah kita dapati bahawa kadar harga yang telah disebutkan dalam Laporan Audit itu adalah sebanyak RM3.70, jadi seolah-olah kita kerugian. Ada perbezaan dalam harga asal dengan harga yang telah ditawarkan. Tetapi pihak perbadanan terpaksa mengambil kira akan attractiveness kadar itu dan juga kebolehupayaan kita untuk nak secure, dengan izin, pelabur tersebut. Jangka panjangnya, kita boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih besar, lebih banyak kepada rakyat.
Yang keduanya, sepertimana Yang Berhormat Indera Kayangan sebut, kesan sampingan ekonomi itu. Impaknya kepada ekonomi itu juga akan lebih besar. Jadi, kita mengambil kira faedah jangka panjang berbanding dengan faedah jangka pendek dalam bentuk keuntungan segera. Inilah pertimbangan yang diberikan tetapi malangnya, pertimbangan itu tidak… ataupun dengan izin, was not captured by the auditors report. Jadi ini, telah kita jelaskan kepada pihak mereka bahawa tindakan dan keputusan dibuat sedemikian kerana kedudukan dan keadaan sedemikian dan itu merupakan penjelasan yang telah diberikan. Jadi saya harapkan penjelasan ini dapat memberikan… apa nya… situasi yang sebenar berlaku semasa rundingan berkaitan dengan kadar harga itu dan saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasihlah sekali lagi kepada pihak… semua pihak terlibat dalam usaha kita menangani COVID-19 dalam usaha kita nak memutuskan rantaian COVID-19 ini dan akhirnya untuk membebaskan kita sepenuhnya daripada pandemik yang melanda kita pada masa kini. Dan saya ingin menyebut secara khusus terutama sekali penghargaan kita rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan yang terdiri daripada pihak kesihatan, pihak polis, pihak ATM, pihak APM dan lain-lain lagi yang berada di barisan hadapan. Terima kasih yang tidak terhingga sebenarnya kerana mereka telah menyabung nyawa untuk kita untuk memastikan kita selamat dan tidak terjabak atau tidak berjangkit dengan COVID-19 yang begitu berbahaya ini. Juga terima kasih kita ucapkan kepada semua jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang tidak berada di barisan hadapan, mungkin di barisan pertengahan ataupun di barisan belakang, sama ada mereka terlibat secara langsung ataupun tidak langsung kita ucapkan terima kasih juga kepada mereka semua dan kita mengucapkan terima kasih juga kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah terlibat secara langsung dalam proses untuk mengurangkan kesan COVID-19 ini kepada rakyat terutama sekali dalam urusan pengagihan makanan asas yang mana dalam tempoh sebulan lebih kita telah duduk bersama-sama, kita meletakkan perbezaan politik ke tepi dan kita bekerja sebagai satu pasukan dan secara keseluruhannya pada pandangan saya, pada penilaian saya, kita dapati amat kurang sekali criticism yang kita terima di peringkat bawah. Itu menunjukkan bahawa kita telah menjalankan atau melaksanakan tugas ini dengan begitu baik sekali. Tahniah saya ucapkan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah memberikan kerjasama yang begitu rapat dalam melaksanakan program semasa COVID-19 itu dan program itu telah kita teruskan lagi tetapi dalam skala yang lebih kecil kerana kita beranggapan bahawa sekarang ini kelonggaran telah pun diberikan, rakyat telah pun boleh mula melakukan semula kerja-kerja biasa yang mereka lakukan boleh menjana pendapatan dan mengurangkan kebergantungan mereka kepada bantuan kerajaan. Dan saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada jentera-jentera di peringkat… di peringkat bawah, terutama sekali JKKK yang mana rakan-rakan saya telah menyebut kerjasama yang mereka berikan itu amat berharga sekali dalam mempastikan supaya semua pengagihan barang-barang keperluan asas ini dapat dilakukan dengan begitu cepat dan berkesan dan tidak lupa juga kepada petugas-petugas di pusat-pusat khidmat, kita melahirkan rasa kesyukuran dan penghargaan kepada mereka di atas tugas-tugas dan tanggungjawab yang telah mereka laksanakan dengan begitu baik sekali dan kita juga mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan, kumpulan-kumpulan NGO, yang telah turut serta bersama untuk membantu mereka yang terkesan ini. Terima kasih juga kita hulurkan kepada mereka di atas segala sumbang bakti yang dilakukan secara ikhlas itu. Dan tidak lupa kepada pihak-pihak media yang telah juga memainkan peranan yang begitu baik dan berkesan dalam menyalurkan maklumat-maklumat yang betul dan tepat berkaitan dengan keadaan sebenar mengenai COVID-19 ini dan berita-berita mengenai mereka yang telah didapati positif, negatif, yang terpaksa dimasukkan ke hospital, yang terpaksa dikuarantinkan dan lain-lain lagi. Terima kasih kepada semua pihak media yang memberikan kerjasama. Sesungguhnya sumbangan dalam penyebaran maklumat tepat ini adalah sangat penting dan ia membantu dalam usaha kita untuk menangani COVID-19 ini dengan lebih baik lagi. Dan yang lebih penting lagi kita ingin merekodkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat negeri Perlis yang telah bekerjasama mematuhi peraturan-peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam SOP semasa tempoh PKP itu. Tanpa keterlibatan daripada semua pihak, tidak mungkin tugas yang besar ini atau dengan izin, it’s an enormous task, dapat dilaksanakan dengan baik. Kerana itu rakyat berhak untuk diberikan penghargaan dalam hal ini. Terima kasih semua kepada rakyat negeri Perlis yang telah memberikan kerjasama. Dan, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker, yang telah mengendalikan mesyuarat kita selama dua hari ini dengan begitu baik sekali. Terima kasih kepada setiausaha yang telah menyediakan semua keperluan-keperluan dokumen dan sebagainya sebagainya untuk membolehkan mesyuarat kita berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada petugas-petugas di pihak urusetia yang telah melakukan tanggungjawab mereka dengan begitu baik sekali dan sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya mengucapkan selamat terus berpuasa dan juga di kesempatan ini, mungkin tidak terlalu awal, saya ucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua, maaf zahir dan batin. Sekian wabillahitawfeek walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Terima kasih Yang Amat Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Tubuh Kerajaan Negeri Perlis (Pindaan) 2020 ini dicadang untuk dibaca bagi kali yang kedua. Ahli yang setuju, sila angkat tangan. Terima kasih. Ahli-ahli yang tidak bersetuju, sila angkat tangan.
(Semua Ahli bersetuju sebulat suara).
Rang Undang-Undang ini dibaca bagi kali kedua sekarang.
Rang Undang-Undang bernama “Suatu Enakmen untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis”.
Ahli-ahli Yang Berhormat, saya minta persetujuan supaya Rang Undang-Undang ini dibawa ke dalam Jawatankuasa. Ahli yang setuju, sila angkat tangan. Terima kasih. Ahli yang tidak setuju sila angkat tangan.
(Semua Ahli bersetuju sebulat suara).
Dewan bersidang secara Jawatankuasa.
(Bentara menurunkan cokmar daripada kedudukan asalnya)
Fasal 1 hingga Fasal 2 dan tajuknya.
Fasal 1 hingga Fasal 2 dan tajuknya dibuka untuk perbahasan. Fasal 1 hingga Fasal 2 dan tajuknya menjadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang hendaklah disetujukan. Ahli yang setuju, sila angkat tangan. Terima kasih. Ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan.
(Semua Ahli bersetuju sebulat suara).
Fasal 1 hingga Fasal 2 dan tajuknya menjadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini. Ahli-ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020 dimaklumkan kepada Dewan sekarang. Ahli yang setuju, sila angkat tangan. Ahli yang tidak bersetuju, sila angkat tangan.
(Semua Ahli bersetuju sebulat suara).
Dewan bersidang semula.
(Bentara meletakkan kembali cokmar ke kedudukan asalnya)
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020 telah pun ditimbang di dalam Jawatankuasa dan dipersetujui. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan.
Yang Berhormat Dato Speaker, saya mohon menyokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020 dicadangkan untuk dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan. Ahli yang setuju, sila angkat tangan. Terima kasih. Ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan.
(Semua Ahli bersetuju sebulat suara).
Rang Undang-Undang ini dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan.
Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020. Maka diperbuat Undang-Undang ini oleh Dewan Undangan Negeri Perlis seperti berikut. Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020.
Penangguhan DewanAdjournment
Penangguhan Dewan.
Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker dan seluruh Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin yang ada dalam dewan ni. Alhamdulillah. Pertamanya bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana sidang kita pada dua hari ini telah berjalan dengan lancar dan mudah-mudahan dianugerahkan keberkatan oleh Allah S.W.T. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa dua hari lagi baki dan insya-Allah disambung dengan enam hari puasa sunat. Saya juga nak merakamkan selamat Hari Raya maaf zahir dan batin kepada semua yang ada dalam Dewan ini. Mudah-mudahan kita dapat memanfaatkan raya ini untuk kita saling bermaaf-maafan dan kita berbahagia bertemu dengan Allah S.W.T. jika sekiranya kita dijemput oleh Dia, oleh Allah S.W.T. Mudah-mudahan juga Allah panjangkan umur kita untuk kita berjumpa dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Dato’ Speaker dan… Yang Berhormat Dato’ Speaker dan semua yang hadir di Dalam dewan ni, rasanya tidak terlambat lagi untuk saya nak mengucapkan selamat Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail Yang Ke-77. Mudah-mudahan Tuanku dianugerahkan kesihatan, kerahmatan, keberkatan, keampunan dan terus membimbing kami rakyat jelata dalam negeri Perlis ini yang bernaung di bawah Tuanku. Dan saya juga nak merakamkan berbanyak-banyak terima kasih kepada ketua-ketua jabatan, Yang Amat Berhormat. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan yang banyak membimbing dan bersama dalam kita menghadapi COVID-19 ini. Saya juga nak mengambil kesempatan ini nak merakamkan terima kasih dan tahnian kepada JKKKPs di Sanglang bersama-sama dengan Ketua Cawangan PAS yang sama-sama mengagihkan bantuan kepada rakyat. Walaupun ada sedikit masalah lagi pertembungan di antara JKKK dengan Ketua Cawangan ini, dan kita harap selepas daripada ini kita dapat mantapkan muafakat nasional ini di samping kita memperkasakan lagi Perikatan Nasional untuk kita pastikan Perlis ini terus cemerlang. Kita tau banyak kekangan yang berlaku di peringkat bawah, tidak sepertimana kita di peringkat kepimpinan yang di atas ini insya-Allah. Dan saya juga nak merakamkan khusus terima kasih Dewan kepada Jabatan Kesihatan yang dua hari membuat saringan sebelum kita memasuki dewan ini dan kerja mereka dalam keadaan… dengan baju plastik apa semua panas, kita memahami dan kita ucapkan terima kasih banyak. Mudah-mudahan kerja kuat yang dilaksanakan oleh tuan-tuan dan puan-puan akan dianugerahkan ganjaran oleh Allah S.W.T. Begitu juga kepada frontliners yang lain, polis, tentera, jabatan, perkhidmatan awam… kepada semualah yang terlibat. Mudah-mudahan kita dapat menghindari… menghilangkan COVID-19 ini di negeri kita ini dan terus hijau di seluruh negeri dan kita berasa aman sejahtera dan akhirnya saya sebagai ucapan terakhir ini, saya nak mengucapkan kepada muslimin yang ada dalam Dewan ni selamat menjadi imam dan khatib pada hari raya. Kalau boleh, rakamlah, masuklah dalam Facebook, masuk dalam group-group WhatsApp supaya kita dapat tengok sama-sama. Insya-Allah dan saja juga mengambil kesempatan ini Dato’ Speaker, nak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada tuan-tuan yang mendoakan saya semasa tak sihat dulu, yang menziarahi saya dan saya walaupun dinasihatkan oleh doktor supaya puasa selang-selang sebab nak jaga kesihatan tapi alhamudlillah saya dapat puasa habis la…
Hari ni puasa dak?
Hari ni puasa dan insya-Allah dua hari lagi disambung dengan puasa enam. Yang ni saya nak ucapkan terima kasih kepada semua lah. Mudah-mudahan saya diberikan kesihatan dan semua diberi kesihatan. Terutama sekali YB Simpang Empat… dia selalu bergaduh dengan saya. Jadi saya ingat itu saja lah yang saya nak ucapkan, terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Amat Berhormat Bintong kerana begitu prihatin dengan apa yang berlaku dan dapat kita kerjasama demi rakyat negeri Perlis, demi negeri kita sayangi ini. Wallahualam, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Sanglang. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, semua Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua dan wakil jabatan serta agensi yang hadir, rakan-rakan media, para pegawai dan kakitangan serta petugas Dewan. Saya juga ingin rakam ucapan terima kasih kepada jabatan-jabatan yang banyak membantu melancarkan persidangan Dewan pada kali ini, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat YAB Menteri Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan lain-lain. Saya juga ingin memohon maaf bagi pihak Dewan kerana tidak dapat menjemput sebahagian besar daripada ketua-ketua jabatan pada kali ini. Ada media… pihak media yang tertentu, yang menghubungi saya untuk hadir, tidak dapat kita layan dan juga pemerhati. Jadi insya-Allah selesai saja COVID-19 ini, insya-Allah kita akan menjemput semula sepertimana biasa. Dan akhir sekali saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak dan dalam catitan waktu yang kita selesaikan pada kali ini ialah lebih kurang dua jam lapan minit… dua jam lapan minit hari ni. Sekian, wabillahi taufik walhidayah. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.
(Persidangan ditangguhkan pada jam 12.19 tengah hari)