Perlis · 11 August 2020

14th Assembly, 3rd session, 2nd meeting · 13 turns · 3,766 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.

(Pembukaan)

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dewan mula bersidang.

Doa

Setiausaha Dewan

Doa.

(Bacaan doa oleh Setiausaha Dewan)

Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis

Setiausaha Dewan

Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.

Speaker

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebentar lagi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan berangkat masuk bagi merasmikan Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas. Saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian dapat memberikan sepenuh tumpuan dan mendengar dengan teliti bagi memahami setiap butiran titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Setelah Duli Yang Maha Mulia Tuanku selesai bertitah, persidangan kita pada hari ini akan ditangguhkan. Ahli-Ahli Yang Berhormat dipersilakan ke Aras 1 untuk bergambar dan seterusnya untuk Majlis Santapan Tengah Hari. Hadirin yang lain juga dipersilakan ke Aras 1 untuk Majlis Santapan Tengah Hari. Sidang Dewan akan disambung semula pada hari esok dan lusa untuk perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja. Sekian.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan bertitah. Dewan ditempohkan.

(Bentara menanggung Cokmar dan diikuti oleh Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker berarak keluar dari Dewan ke Bilik Istirahat DiRaja bagi menjemput Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda untuk mencemar Duli berangkat masuk ke dalam Dewan).

(Bentara mengumumkan keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda).

Bentara

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan berserta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda.

(Dif-dif jemputan berdiri dan memberi tunduk hormat).

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda serta Juruiring-juruiring, Bentara Dewan, Setiausaha Dewan Undangan Negeri dan Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri mengambil tempat masing-masing sambil berdiri).

(Lagu Negeri Perlis dimainkan oleh pancaragam).

DYMM Tuanku Raja

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk.

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja PerlisAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mempersembahkan Warkah Titah Ucapan DiRaja kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja.

(Setiausaha Sulit Kanan Kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengiringi Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke Peterana DiRaja sambil membawa dulang berisi Warkah Titah Ucapan DiRaja. Setelah sampai ke Peterana Diraja, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengangkat sembah dan mengambil dulang berisi Warkah Titah Ucapan DiRaja dan seterusnya mempersembahkan Warkah Titah Ucapan DiRaja kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja. Yang Amat Berhormat Menteri Besar diiringi oleh Setiausaha Sulit Kanan Kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kembali semula ke tempat masing-masing).

Setiausaha Dewan

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan bertitah.

DYMM Tuanku Raja

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum warahmatullaahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas pada pagi ini. Beta amat bersyukur dianugerahkan Allah kesihatan yang membolehkan Beta untuk terus memikul amanah menaungi Negeri Perlis tercinta ini.

Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri, Yang Amat Berhormat Memanda Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian.

Kepimpinan Kerajaan Negeri

Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana telah berusaha menunjukkan kepimpinan dan memberikan khidmat yang terbaik dalam memajukan Negeri Perlis ini. Teruskan dan lipatgandakan usaha untuk meningkatkan lagi khidmat murni ini demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Perlis. Adalah menjadi harapan Beta agar Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat memanfaatkan Dewan yang mulia ini sepenuhnya sebagai medium dan medan terbaik untuk mengutarakan pandangan bernas dan membahaskan dengan penuh berhemah isu-isu berkaitan pembangunan demi kepentingan rakyat negeri ini. Sematkan niat baik, tekad, jujur, ikhlas, amanah dan sabar untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik berdasarkan mandat yang telah diberikan rakyat. Jangan sekali-kali dikhianati amanah rakyat ini hanya kerana kelangsungan kepentingan peribadi dan keluarga. Memetik Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfaal Ayat 27 untuk sama-sama kita mengambil pengajaran sebagai panduan dan amalan hidup yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah SWT dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan keatas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” Oleh itu, adalah menjadi kewajiban kita semua dan setiap Ahli Yang Berhormat untuk melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan penuh tanggungjawab. Ingatlah, kita bukan hanya dinilai di dunia yang sementara ini, tetapi yang lebih penting lagi di akhirat yang kekal. Di masa yang sama, tunjukkan contoh teladan dan peribadi terbaik di segi pertuturan dan tingkah laku agar menjadi ikutan dan panduan rakyat jelata. Pemimpin sentiasa menjadi fokus dan perhatian setiap golongan masyarakat dan lapisan rakyat. Ingatlah, rakyat sudah semakin berpengetahuan, semakin pintar dan semakin bijak menilai. Mereka juga sentiasa berharapan tinggi agar pemimpin dapat memberikan perkhidmatan terbaik dalam membangunkan ekonomi negeri dengan berwawasan. Malah di dalam penyelesaian kepada isu-isu harian dan jangka panjang yang mereka hadapi dengan cepat, cekap dan berkesan. Pemimpin harus berfikiran terbuka, praktikal, kreatif, bernas, ke hadapan, holistik, bijaksana dan berintegriti. Keperluan berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi sangat penting untuk menguruskan isu-isu rakyat, terutama berkaitan pembangunan dengan berkesan. Oleh itu, adalah penting untuk pemimpin berfikiran lebih jauh ke hadapan berbanding dengan mereka yang dipimpin. Kehadiran wabak COVID-19 menjadikan situasi kehidupan rakyat lebih sukar dan bercelaru. Justeru, ia menuntut kualiti kepimpinan yang luar biasa. Malah kaedah dan jalan penyelesaian yang komprehensif juga perlu luar biasa. Inilah cabaran besar yang perlu pemimpin hadapi dan tangani dengan bijak.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Penularan Pandemik COVID-19

Penularan wabak COVID-19 telah mula dikesan menjangkiti rakyat Malaysia pada bulan Februari 2020 yang lalu melalui pelancong dari negara China. Semua golongan rakyat terkesan akibat wabak ini. Alhamdulillah, situasi wabak ini di Perlis telah berjaya ditangani dengan amat baik. Perlis telah diisytiharkan sebagai Zon Hijau pertama di Malaysia. Malangnya rekod ini tidak dapat kekal kerana beberapa individu di Sanglang telah didapati positif baru-baru ini yang berpunca dari kluster Sivagangga. Walau apa pun, Beta ingin menzahirkan ucapan tahniah, penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha menangani wabak ini terutamanya barisan hadapan. Begitu juga dengan mereka di barisan belakang. Beta juga amat berbangga dengan usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan impak negatif ke atas kehidupan rakyat akibat wabak ini. Inisiatif-inisiatif bijak yang bebas dari perbezaan ideologi politik yang dilaksanakan Kerajaan Negeri terbukti telah berjaya mengurangkan impak negatif ini ke atas rakyat. Kini kita berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Setiap rakyat wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan. Sebarang kelonggaran mematuhi SOP ini akan mengakibatkan peningkatan semula kes-kes positif COVID-19. Akibat kegagalan sebahagian dari kita mematuhi SOP dalam fasa PKPP ini telah menyebabkan kes-kes positif meningkat semula. Beta ingin menyeru semua rakyat untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan Kerajaan. Janganlah alpa kerana risiko jangkitan virus ini tetap ada. Jadikan norma baharu sebagai amalan kebiasaan dalam hidup kita. Semoga semua rakyat Perlis sentiasa dilindungi Allah dan dipermudahkan dalam menjalani kehidupan harian.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Pasca COVID-19 : Pemulihan dan Pemantapan Semula Ekonomi Negeri Perlis

Bank Negara Malaysia menjangkakan ekonomi global akan mencatatkan pertumbuhan negatif pada tahun 2020 akibat wabak COVID-19. Ia menjadi cabaran kepada setiap negara di dunia ini bagaimana dan sejauh mana mereka berjaya membendung wabak dan kesan ekonomi masing-masing sepanjang tahun 2020 dan tahun-tahun berikutnya. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan kemelesetan ekonomi tahun 2020 akan menyamai keadaan buruk ketika krisis kewangan global tahun 2009, dan meramalkan pemulihan pada tahun 2021. Laporan Bank Negara menunjukkan ekonomi Malaysia meningkat pada kadar lebih sederhana, iaitu 0.7% pada suku pertama 2020 berbanding suku keempat tahun 2019 pada kadar 3.6%. Ini adalah kesan langsung dari tindakan membendung penularan wabak COVID-19 di peringkat global dan di Malaysia sendiri. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pertumbuhan ekonomi Perlis menunjukkan peningkatan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 2.2% pada tahun 2017 kepada 3.3% pada tahun 2018. Bagaimanapun, situasi di peringkat global dan nasional dijangka akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi Perlis secara langsung dalam jangka pendek dan sederhana. Kesan negatif langsung ke atas Kerajaan Negeri akibat daripada wabak ini ialah pengurangan kutipan hasil. Kerajaan Negeri perlu berhadapan dengan realiti ini. Kerajaan Negeri mestilah bijak mengatur perancangan bagi memulihkan semula ekonomi dan meningkatkan semula pendapatan rakyat yang terkesan dan hasil negeri. Beta ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Mamanda Menteri Besar dan Kerajaan Negeri yang amat prihatin berusaha membantu rakyat serta mengukuhkan semula ekonomi negeri. Sejumlah 23 inisiatif utama yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri telah mula menunjukkan tanda-tanda positif dalam mengurangkan kesan wabak dan penguatkuasaan PKP. Beta yakin kesusahan yang dihadapi oleh rakyat telah dan akan terus diringankan melalui usaha-usaha yang telah dilaksanakan tersebut. Beta gembira dengan pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri dalam memberikan bantuan kepada rakyat dengan melibatkan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat tanpa mengira perbezaan ideologi politik. Beta berharap pendekatan begini akan diteruskan dalam menyelesaikan isu-isu rakyat negeri ini. Dalam usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri dan memanfaatkan rakyat, Beta berharap lebih dari 700 projek-projek kecil yang telah diluluskan Kerajaan Negeri dengan peruntukan melebihi RM18 juta dapat dilaksana dan disiapkan segera oleh Jabatan-Jabatan dan Agensi-Agensi Negeri yang terlibat. Lebih cepat wang mengalir ke tangan rakyat, maka lebih cepat proses pemulihan ekonomi berlaku. Kerana itu, lebih cepat pula kesengsaraan hidup rakyat dapat diringankan dan diatasi. Ekoran wabak dan penguatkuasaan PKP, sebilangan program dan projek yang telah diluluskan di dalam Bajet Negeri Tahun 2020 terpaksa ditangguh atau dibatalkan. Dalam menyusun atur semula perbelanjaan Negeri, Beta menyarankan supaya ianya dibuat dengan teliti dan berhemah demi mengurangkan kesan negatif kepada ekonomi dan pembangunan negeri. Beta ingin menyeru agar Kerajaan Negeri berbelanja mengikut keutamaan dengan memberi fokus kepada program dan projek yang berimpak besar dan langsung kepada rakyat serta menepati kumpulan sasaran. Beta yakin rakyat mengharapkan tindakan dan langkah proaktif daripada Kerajaan Negeri untuk terus menggerakkan semula ekonomi yang turut memberi manfaat langsung dan tidak langsung kepada mereka.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian.

Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12)

Tahun 2020 adalah tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11). Beta gembira di atas kejayaan pelaksanaan sejumlah 456 projek sepanjang lima tahun yang akan berakhir di hujung tahun 2020 ini. Beta berharap Kerajaan Negeri telah membuat perancangan rapi untuk menentu dan menyusun projek-projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di dalam tempoh lima tahun akan datang bermula dari tahun 2021 di bawah RMKe-12. Penentuan keutamaan dan pelaksanaan projek-projek di bawah RMKe-12 amat kritikal untuk kita menuju dan mencapai Wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030. Projek-projek pembangunan ini akan menyokong kejayaan inisiatif-inisiatif utama berimpak tinggi Kerajaan Negeri seperti Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Perlis Inland Port (PIP), Sanglang Integrated Jetty (SIJ), Kangar Sentral, Super Fruit Valley dan kampus Universiti Kuala Lumpur - Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI). Ia juga akan turut menyokong kejayaan inisiatif-inisiatif baru yang bakal dilaksanakan di Perlis seperti Chuping Agro-Valley (CAV), Perlis Power Hub dan Perlis Maritime Corridor yang mengandungi Food Hub, Mineral Hub dan Energy Hub. Beta dimaklumkan bahawa pembentangan berhubung hala tuju pembangunan negeri di bawah RMKe-12 telah pun dibuat kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini. Beta menyambut baik sesi engagement yang telah diadakan dengan pelbagai Kementerian dan Agensi Persekutuan yang diinisiatif dan diketuai oleh Yang Amat Berhormat Memanda Menteri Besar. Sesi engagement ini akan memperjelas dan meningkatkan pemahaman Kerajaan Persekutuan mengenai hala tuju pembangunan negeri dan kepentingan keutamaan projek-projek yang dipohon untuk dilaksanakan di bawah RMKe-12 di Negeri Perlis. Sehubungan itu, Beta juga yakin dan menyokong aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 oleh Kerajaan Persekutuan yang memberikan penekanan keseimbangan pembangunan ekonomi wilayah dan kepada negeri-negeri tertentu seperti Perlis. Setelah sekian lama dirancang, iaitu sejak tahun 2014, kerja-kerja infrastruktur fasa pertama di CVIA telah mula dilaksanakan pada bulan Jun 2020 lalu. Beta amat gembira dengan perkembangan positif ini. Beta turut berharap inisiatif-inisiatif berimpak tinggi yang lain akan turut dilaksanakan segera demi faedah rakyat dan negeri. Bagaimana pun, Beta faham bahawa masih ada beberapa keperluan teknikal jabatan dan agensi yang perlu dipatuhi dan dipenuhi sebelum projek-projek ini dapat bermula. Beta ingin menyeru agar semua pihak dapat memberikan kerjasama rapat, samada jabatan atau agensi Persekutuan mahupun Negeri, untuk menyelesaikan isu-isu teknikal yang masih belum selesai. Semua pihak harus terus berusaha untuk tidak menyukarkan keadaan. Sebaliknya harus komited dalam memudahcara dalam erti kata sebenar dan memberikan penyelesaian terbaik secara kreatif berdasarkan realiti, situasi dan kekangan setempat.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Usaha untuk menarik pelaburan besar ke Perlis tidak akan berjaya jika prasarana asas seperti perkhidmatan bekalan air terawat dan lain-lain perkhidmatan tidak cekap dan bermasalah. Negeri Perlis mencatatkan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water - NRW) yang tertinggi di Malaysia, iaitu 63% berbanding purata nasional 35%. Beta menaruh keyakinan atas usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan air terawat di negeri Perlis akan membuahkan hasil tidak lama lagi. Seterusnya akan dapat mengatasi sebahagian besar masalah bekalan air terawat yang dihadapi kini. Beta gembira kerana sejumlah RM205 juta telah diperolehi dari Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek-projek membaikpulih, menaiktaraf dan meningkatkan kualiti perkhidmatan air terawat negeri Perlis. Ini termasuklah projek membaikpulih loji-loji air sedia ada, membina loji baru di Timah Tasoh, pembaikan tangki-tangki yang rosak, penggantian meter dan penggantian paip lama yang seringkali bocor. Insya-Allah, Beta doakan agar usaha berterusan ini akan membuahkan hasil yang baik.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian

Memperkukuhkan Semula Sektor Pelancongan Negeri Perlis

Sektor pelancongan di seluruh dunia terjejas dengan serius akibat wabak COVID-19. Malaysia juga tidak terkecuali. Perlis yang sudah mula mengorak langkah untuk meningkatkan sektor pelancongan bermula tahun 2020 ini turut terkesan. Akibatnya, Tahun Melawat Perlis 2021 terpaksa ditangguhkan. Program-program yang telah dirancang terpaksa dibatal atau ditangguhkan. Beta yakin bahawa potensi sektor pelancongan di Perlis masih mempunyai masa depan yang cerah. Banyak produk-produk pelancongan yang berasaskan alam semula jadi boleh dibangunkan sebagai tarikan. Beta amat tertarik dengan usaha Kerajaan Negeri menyediakan pelan jangka panjang pelancongan negeri Perlis, iaitu Pelan Pembangunan Pelancongan Negeri Perlis (2021-2023). Beta menyeru supaya pihak swasta memainkan peranan aktif dan berada di hadapan untuk memasarkan pelancongan di Perlis. Terdapat banyak inisiatif pakej pelancongan yang boleh dilaksanakan oleh pihak swasta bersesuaian dengan norma baharu dalam memperkasakan semula industri pelancongan negeri Perlis. Sementara itu, pihak Kerajaan pula boleh memberi fokus kepada usaha penyenggaraan dan kerja-kerja naik taraf fasiliti pelancongan sedia ada atau membangunkan fasiliti baru. Begitu juga usaha promosi perlu digiatkan. Kerjasama erat di antara pihak Kerajaan dan pemain industri adalah penting dalam memberikan nafas segar untuk meningkatkan semula sektor pelancongan negeri.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Jaminan Sekuriti Makanan

Indeks Keselamatan Makanan (GFSI) 2019 menunjukkan kedudukan Malaysia telah meningkat ke tangga 28 dari tangga ke 48 pada tahun 2017. Bagaimanapun, Laporan Buletin Suku Tahun Ketiga 2019 Bank Negara Malaysia menunjukkan Malaysia kekal sebagai pengimport makanan. Ia masih belum mencapai tahap self-sufficiency dalam bekalan makanan negara. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri perlu memberi perhatian utama dan membantu negara untuk memastikan tahap bekalan makanan terus terjamin. Perancangan teliti untuk memperkasakan program pengeluaran makanan negara wajar diberikan fokus dan perhatian serius, khasnya projek pertanian yang tinggi produktivitinya serta bernilai tinggi. Oleh kerana itu, Beta berpandangan inisiatif baru Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Chuping Agro-Valley (CAV) amat bertepatan dengan dasar sekuriti makanan. Sekali lagi sektor swasta boleh memainkan peranan utama melalui pelaburan mereka dengan menggunakan teknologi pertanian terkini dan kaedah pertanian moden.

Mewujudkan Negeri Perlis Digital

Kepentingan teknologi digital dalam kehidupan seharian tidak lagi boleh dinafikan. Lebih-lebih lagi dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Semasa krisis wabak COVID-19, kepentingan penggunaan teknologi digital dalam urusan seharian sebagai norma baharu kehidupan meningkat secara mendadak. Berdasarkan perkembangan di peringkat global dan nasional, teknologi digital dan penggunaannya akan menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan sumber pendapatan rakyat. Beta sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri sedang giat melaksanakan agenda digital Negeri Perlis dengan tagline “Perlis-Go-Digital”. Beta gembira dengan usaha Kerajaan Negeri mewujudkan Pelan Digital Perlis 2021-2025 yang mengambilkira pandangan Agensi Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi, komuniti dan pihak swasta. Beta mengalu-alukan langkah-langkah yang diambil untuk mewujudkan Kerajaan Digital melalui transformasi pentadbiran negeri secara berperingkat melalui proses restart, revitalise dan reform. Semua pihak mesti bersedia menerima perubahan yang akan dibawa oleh Kerajaan Negeri. Semua pihak wajib memberi sokongan penuh kepada usaha ini untuk berjaya. Sebagai permulaan, Beta ingin menyarankan supaya Jabatan dan Agensi Negeri menjadi peneraju dalam memperkenal dan membudayakan platform digital. Contohnya, sistem perlu diperkemas di bawah satu platform yang menawarkan pelbagai perkhidmatan digital. Kaedah ini akan memendekkan tempoh masa berurusan. Manakala produktiviti pula akan meningkat. Usaha membudayakan penggunaan teknologi digital di kalangan rakyat tidak akan berjaya sepenuhnya jika prasarana digital itu tidak dinaiktarafkan. Kerana itu, Beta ingin menggesa supaya prasarana dan connectivity dalam sistem komunikasi perlu ditingkatkan. Dalam hal ini, amat wajar sekiranya projek menaiktaraf sistem komunikasi High Speed Broadband yang telah mula dilaksanakan oleh Telekom Malaysia bermula di tahun 2015 dahulu, tetapi telah terhenti sejak tahun 2017 disambung semula. Peruntukan sebanyak RM43 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk negeri dan rakyat seluruh Perlis. Beta berharap perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak yang terlibat.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Meningkatkan Kualiti Hidup Rakyat Rakyat Melalui Program Keusahawanan dan Modal Insan

Kerajaan amat komited dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat ke arah kehidupan yang lebih baik terutamanya pada kumpulan isi rumah yang berpendapatan rendah. Pelbagai inisiatif dan usaha telah dilaksanakan bagi membolehkan kumpulan sasar ini keluar dari kepompong kemiskinan seperti program kemahiran, keusahawanan dan pembangunan modal insan. Beta menyambut baik kerjasama Kerajaan Negeri dengan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) melaksanakan Program Empowerment NCER di Perlis bagi membantu golongan B40. Golongan ini akan diberikan latihan kemahiran dan keusahawanan. Mereka akan diberikan peluang untuk mengasah kemahiran dalam bidang teknikal serta membantu usahawan yang terlibat mengembangkan perniagaan mereka. Besarlah harapan Beta agar usaha dan inisiatif berterusan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat menyalurkan bantuan kewangan dan latihan ini dapat menjadi pemangkin untuk mereka berusaha memperbaiki taraf hidup, keluar dari belenggu kemiskinan dan bebas dari bantuan kewangan daripada Kerajaan.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Mengutamakan Perpaduan Dalam Memakmurkan Negeri

Perpaduan dan keharmonian hidup di kalangan rakyat harus menjadi keutamaan negeri. Dalam usaha memajukan negeri, kita akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ancaman dari segenap sudut, baik di sudut ekonomi, politik dan sosial. Sekiranya tidak ditangani dengan baik dan berhemah, ia boleh bertukar menjadi halangan kepada proses pembinaan keharmonian dan perpaduan rakyat, konflik dan sengketa terbuka yang merugikan semua. Beta ingin melihat rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya ini hidup bertunjangkan persefahaman, menghayati sifat bertolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain. Kecanggihan teknologi pada hari ini telah mempercepatkan proses penyampaian maklumat. Bagaimanapun, sekiranya teknologi ini disalahgunakan, ia boleh menggugat perpaduan negara. Oleh itu, suka Beta ingin menasihatkan agar rakyat sentiasa menggunakan kelebihan teknologi dengan cara yang betul. Maklumat yang diterima harus diperiksa dan dipastikan kesahihannya sebelum bertindak. Jangan terlalu taksub pada sesuatu pendapat hingga sanggup melakukan perbuatan yang boleh menggugat perpaduan dan kesejahteraan rakyat. Adalah menjadi harapan Beta agar Ahli-Ahli Yang Berhormat sebagai pemimpin dapat memainkan peranan proaktif sebagai penyatu. Bukannya sebagai pemecah dan mengambil kesempatan meraih dividen politik dengan memburukkan lagi keadaan. Beta ingin melihat negeri ini terus berkembang maju, kesejahteraan rakyat terpelihara dan Kerajaan Negeri terus berfungsi dengan berkesan dan amanah. Perbezaan politik wajar disantuni. Malah ia boleh menjadi kaedah check and balance kepada sesuatu Kerajaan demi kepentingan semua rakyat. Oleh itu, wajarlah dipamerkan kematangan dalam berpolitik, keluh kesah rakyat perlu dijiwai, prinsip keadilan dipegang kuat, sensitiviti agama dan bangsa dielak bersama. Semoga keamanan yang kita nikmati selama ini terus kekal terpelihara dan kemaslahatan rakyat dipersadakan.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian,

Memperkukuh Amalan Tadbir Urus Dalam Perkhidmatan

Penjawat-penjawat awam harus sedar bahawa perkhidmatan awam sentiasa berdepan dengan realiti semasa yang dinamik. Objektif perkhidmatan awam ialah untuk menyampaikan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah kepada rakyat. Sistem tadbir urus sektor awam yang baik dan budaya kerja berkualiti merupakan landasan utama dalam meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Kerajaan dalam melaksanakan dasar yang diputuskan. Beta berharap semua penjawat awam dapat melaksanakan tugas secara profesional berteraskan undang-undang serta peraturan yang ada. Sebagai tulang belakang pentadbiran negeri dan negara, kecekapan, akauntabiliti dan integriti dalam pelaksanaan tugas harus sentiasa ditingkatkan. Jadilah pemudahcara kepada rakyat dan pelabur serta kurangkan birokrasi yang merugikan. Beta percaya bahawa majoriti anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat di Perlis sentiasa komited dan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik. Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua penjawat awam atas perkhidmatan dan sumbangan bakti yang telah dicurahkan. Begitu juga mereka yang telah berkhidmat cemerlang dalam menjamin kestabilan dan keselamatan negeri dan negara. Tahniah juga untuk mereka. Semoga segala sumbangan yang telah diberikan mendapat keredhaan dan balasan yang setimpal dari Allah Subhanahu Wata’ala.

Penutup

Beta berharap Persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini akan berjalan dengan baik dan lancar. Ahli-Ahli Yang Berhormat perlulah mematuhi peraturan, beretika dan berhemah sebagai Wakil Rakyat di dalam memberikan pandangan dan berhujah sepanjang tempoh persidangan ini. Beta ingin kongsikan satu falsafah dalam berhujah. Jika kita mahu hujah kita diterima, don’t raise our voice but strengthen our argument. Janganlah bercanggah dan berbalah mengenai perkara kecil dan yang tidak berfaedah. Sebaliknya berilah tumpuan kepada isu-isu pembangunan, kesejahteraan rakyat dan cabaran-cabaran masa kini dan hadapan dalam merealisasikan aspirasi dan amanah rakyat. Laksanakan tugas dan peranan dengan penuh bertanggungjawab dan sebaik mungkin. Akhir titah, Beta mengucapkan selamat bersidang. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, Beta dengan ini merasmikan Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas pada hari ini.

Sekian, wabillahitaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(Setiausaha Sulit Kanan Kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengiringi Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke Peterana DiRaja bagi menyambut kembali Warkah Titah Ucapan DiRaja. Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengangkat sembah dan menyambut kembali Warkah Titah Ucapan DiRaja daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja lalu menyerahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, dan seterusnya kembali ke tempat masing-masing).

PENANGGUHAN DEWAN (Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri bangun menghadap untuk memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja bagi menangguhkan Persidangan Dewan Undangan Negeri).Adjournment

Speaker

Ampun Tuanku, patik pohon ampuni limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menangguhkan Persidangan Dewan.

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja mengangguk memberi perkenan).

(Yang Berhormat Speaker kembali ke meja Speaker Dewan).

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari Rabu, 12 Ogos 2020, jam 9.30 pagi.

Setiausaha Dewan

Bacaan doa oleh Sahibus Sahamah Mufti Kerajaan Negeri.

(Bacaan doa oleh Yang Berbahagia Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis).

Setiausaha Dewan

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda berangkat meninggalkan Dewan.

(Semua di dalam Dewan berdiri).

(Lagu Negeri Perlis dimainkan oleh pancaragam).

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda berangkat meninggalkan Dewan didahului oleh Bentara yang menjunjung Cokmar, Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker).

(Majlis tamat pada jam 12.14 tengah hari).