Perlis · 8 December 2020
14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 111 turns · 23,998 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.
(Pembukaan)
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.
Doa
Doa.
(Bacaan doa oleh Setiausaha Dewan)
Pemasyhuran daripada Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri
Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.
Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, buat kali ketiga pada tahun ini kita bersidang dalam tempoh Kawalan Pergerakan masih berkuatkuasa. Justeru itu, bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan, pihak Dewan telah mengambil beberapa langkah kawalan yang telah kita bincangkan lebih awal dengan MKN dan Jabatan Kesihatan Negeri. Bagi pihak Dewan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih, terutamanya kepada MKN dan Jabatan Kesihatan Negeri, dalam membantu menjayakan persidangan ini sepanjang 3 hari ini. Saya juga ingin memohon maaf kepada sebilangan jabatan dan rakan-rakan media yang tidak dapat kita jemput hadir pada kali ini. Ini disebabkan keperluan untuk meminimumkan jumlah kehadiran di dalam Dewan sepertimana perbincangan kita dengan pihak MKN dan Jabatan Kesihatan Negeri bagi mengurangkan risiko kesihatan. Di kesempatan ini, saya ingin menerangkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian tentang aturan perjalanan Mesyuarat Dewan kita pada hari ini. Sejurus selepas ini, Kertas-kertas Dewan yang telah disenaraikan dalam Buku Perintah Mesyuarat Dewan akan dibentangkan di atas meja mesyuarat tanpa dibahaskan, selaras dengan Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan. Sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat ingin menyentuh sebarang perkara berhubung mana-mana Kertas-Kertas berkenaan, ia bolehlah dibangkitkan semasa perbahasan kelak. Saya ingin menarik perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian mengenai Kertas Dewan Bilangan 3 Tahun 2020 iaitu Penyata Kewangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Tahun 2019 di mana terdapat beberapa muka surat yang tidak lengkap di dalam penyata kewangan yang telah dibekalkan oleh pihak Majlis Agama Islam Perlis kepada pihak Dewan. Pihak Dewan telah berhubung dengan pihak Majlis Agama Islam Perlis untuk mendapatkan muka surat tersebut dan ia akan diedarkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian semasa rehat nanti. Setelah Kertas-Kertas Dewan dibentangkan, soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian akan dijawab oleh pihak Kerajaan mengikut turutan seperti di dalam Kertas Perintah Mesyuarat Dewan. Dewan kemudiannya akan berhenti rehat sebentar dan apabila disambung semula, Usul Anggaran Pembangunan Negeri Perlis Tahun 2021 dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2021 yang kedua-duanya membentuk Anggaran Bajet Negeri Perlis Bagi Tahun 2021 akan dibentangkan secara serentak oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Setelah Yang Amat Berhormat Menteri Besar selesai membentangkan Bajet, persidangan pada hari ini akan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk meneliti anggaran bajet tersebut dan membuat persediaan untuk perbahasan pada esok hari. Saya akan memperuntukkan tempoh masa kira-kira 25 minit setiap seorang Ahli-ahli Yang Berhormat dalam perbahasan pada hari esok. Selamat bersidang, sekian terima kasih.
Kertas-Kertas Dewan
Kertas-Kertas Dewan yang dibentangkan.
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar.
Terima kasih Yang Behormat Dato’ Speaker. Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Perlis, selamat pagi dan salam sejahtera. Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Yang Berhormat Dato’ Speaker, sukacita saya membentangkan di atas meja mesyuarat, Kertas-Kertas Dewan Bilangan 03 Tahun 2020 hingga Bilangan 14 Tahun 2020.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Soalan-soalan lisan.
Soalan-soalan lisan, dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Dato’ Speaker… makan capati, sambil makan menggunakan sudu; apa tujuan kita di sini, hanya untuk bertanya soalan nombor 1.
(Soalan 1 : Apakah pelan tindakan pembangunan ekonomi negeri Perlis perlu distrukturkan semula dari segi perancangan, pengawalan serta pelaksanaan akibat terdapatnya perubahan yang cukup besar terdampak apabila wabak COVID-19 melanda seluruh dunia?)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang, terima kasih berpantun. Jawapan saya bukan dalam bentuk pantun. Berikutan daripada wabak COVID-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia dan negeri Perlis, memang mempunyai kesan ataupun impak yang agak besar kepada ekonomi negeri dan juga ekonomi Malaysia keseluruhannya. Walau bagaimanapun, kita tidak perlu melakukan pengstrukturan semula pelan tindakan pembangunan ekonomi negeri Perlis begitu juga dengan dasar-dasar yang berkaitan dengannya. Walau bagaimanapun, pelan pengstrukturan ini perlu dibuat adaptasi bersesuaian dengan keadaan dan tuntutan semasa. Sepertimana yang kita sedia maklum bahawa… Kerajaan Negeri telah memulakan gerakan awal ataupun tindakan awal melalui penelitian semula permohonan perancangan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Dan kalau kita melihat kepada sektor-sektor ekonomi di dalam struktur ekonomi negeri, sektor pelancongan adalah merupakan sektor yang paling teruk terjejas ataupun terkesan akibat daripada COVID-19 itu. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri dalam hal ini telah mengambil inisiatif untuk merangka suatu Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Negeri dalam usaha untuk kita menyuntik kekuatan baharu untuk menjadikan industri pelancongan di negeri Perlis ini lebih berdaya maju dan akhirnya akan menjadi komponen penting di dalam pembangunan dan menjana pendapatan untuk Kerajaan Negeri. Selain daripada itu, ada kebaikannya juga kehadiran pendemik COVID-19 ini kerana sebelum ini teknologi digital ataupun aplikasi digital itu tidak begitu digunakan dengan meluas. Walau bagaimanapun, disebabkan ada limitasi tertentu dari segi pergerakan manusia khususnya di dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti harian mereka dan terutama sekali yang berkaitan dengan usaha mencari pendapatan untuk hidup, aplikasi digital ini telah digiatkan dan di pihak Kerajaan Negeri sendiri, kita telah melancarkan Pelan Digital Perlis 2021 – 2025 yang mana ia akan memberi penekanan kepada 7 kluster penting iaitu perkhidmatan kerajaan, keselamatan, infrastruktur, masyarakat, ekonomi, pelancongan dan pertanian. Dan Pelan ini kita selaraskan dengan Pelan Jalinan Digital Negara ataupun JENDELA yang telah pun dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan. Dan Kerajaan Negeri juga akan mengkaji semula Rancangan Struktur Negeri 2030 dengan menetapkan sasaran berdasarkan pendekatan baharu berserta sedikit perubahan agar ianya lebih realistik dengan senario semasa. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Speaker, soalan saya soalan nombor 2.
(Soalan 2 : Apakah usaha kerajaan sehingga kini untuk memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas akibat COVID-19?)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sanglang, saya mohon untuk menjawab soalan ini bersekali dengan soalan nombor 6 daripada Yang Berhormat Kuala Perlis dan soalan nombor 7 daripada Yang Berhormat Tambun Tulang.
(Soalan 6 : Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu meningkatkan pendapatan penjaja-penjaja kecil yang merosot akibat pendemik COVID-19?)
(Soalan 7 : Apakah langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh pihak kerajaan dalam membantu usahawan kecil dan sederhana yang terkesan akibat COVID-19?)
Yang kedua-duanya lebih menekankan tentang golongan penjaja dan usahawan kecil dan sederhana. Ini kerana usaha-usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam menangani kesan pandemik ini adalah menyeluruh meliputi pelbagai golongan rakyat, termasuklah penjaja dan usahawan itu sendiri. Sekiranya ada persoalan tambahan selepas ini yang menjurus kepada golongan penjaja dan usahawan, saya percaya Yang Berhormat Santan akan memberikan response ataupun maklum balas lanjut berhubung dengan itu. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Kerajaan Negeri memang prihatin mengenai masalah yang dihadapi oleh setiap golongan rakyat termasuk penjaja dan usahawan yang telah terkesan akibat daripada kehadiran pendemik COVID-19 dan penguatkuasaan PKP. Dan kerana itulah Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan segera memperkenal dan melaksanakan beberapa inisiatif bantuan bagi menangani kesan yang timbul akibat daripada pelaksanaan PKP dan pendemik itu sendiri. Dan mulai bulan Mac 2020, sebanyak 23 inisiatif bantuan telah diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri iaitu Program Agihan Makanan Asas atau ringkasnya PAMA; Peruntukan pembelian susu dan lampin pakai buang; Pengecualian sewaan gerai premis Kerajaan Negeri; Pengecualian sewaan gerai premis MAIPs; Pengecualian sewaan gerai premis MPK dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis; Pengecualian sewaan rumah Program Perumahan Rakyat; Moratorium Bayaran Sewa Beli Rancangan Perumahan Awam; Skim Galakan Bayaran Cukai Tanah; Pengecualian sewa tapak pasar malam dan pasar sehari; Bantuan pemasaran produk pertanian; Bantuan khas kecemasan asnaf oleh MAIPs; Penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran; Mempercepatkan bayaran bantuan kebajikan bulanan oleh JKM; Bantuan one-off kepada pesakit COVID-19; Sumbangan one-off kepada keluarga mangsa COVID-19 yang meninggal; Penyediaan makanan kepada petugas; Insentif kepada frontliners atau barisan hadapan; Bantuan Tambahan kepada pelajar yang tinggal di asrama pusat pengajian; Bantuan kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan termiskin; Pengecualian bayaran bil air bagi 20 meter padu pertama; Bayaran elaun petugas tambahan; dan Program tuisyen secara online untuk pelajar-pelajar. Seterusnya pada bulan April 2020, Kerajaan Negeri telah melancarkan Tabung Bencana Negeri Perlis bagi membantu rakyat Perlis yang terkesan khususnya akibat daripada pendamik itu sendiri, jadi itulah Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pelaksanaan Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Perlis Tahun 2020 yang bermatlamatkan untuk memulihkan rantaian ekonomi secara menyeluruh di Negeri Perlis; meningkatkan kecekapan produktiviti, pendapatan dan penyampaian perkhidmatan; dan memastikan kemakmuran dan kesejahteraan sosio-ekonomi Negeri Perlis. Dan di bawah pelan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3.24 juta bagi melaksanakan 18 program dan daripada jumlah tersebut, RM2.32 juta adalah bagi membiayai program dan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Perlis termasuk golongan penjaja dan usahawan kecil dan sederhana, manakala RM0.92 juta pula adalah diperuntukkan bagi membiayai program dan projek berkaitan perkhidmatan awam dalam usaha meningkatkan lagi kecekapan dan kemantapan serta keberkesanan perkhidmatan kepada rakyat. Dan selain daripada itu, pihak Northern Corridor Implementation Authority ataupun NCIA juga telah melaksanakan beberapa program untuk membantu menangani dan mengurangkan kesan COVID-19 ini melalui 7 program, pertama Empower NCER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan; Empower NCER Akademik; Entrepreneur NCER; NCER Talent Enhancement Program (NTEP); Jom Kerja@NCER; Jom Niaga@NCER; dan Dana Usahawan Bumiputera atau pun DUB@NCER.
Jadi itulah sebenarnya inisiatif-inisiatif dan bentuk-bentuk bantuan yang telah diberikan kepada rakyat dalam usaha kita untuk menangani dan mengurangkan kesan akibat daripada pendemik COVID-19 yang menyeluruh kepada semua rakyat termasuk juga kepada penjaja dan usahawan kecil dan sederhana. Terima kasih Dato’ Speaker.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan tambahan.
Ya…
Terima kasih Yang Berhormat. Tentang… Yang Amat Berhormat Bintong… RM2.0 juta yang dimaklumkan untuk projek pelan terus kepada rakyat tu, selain daripada pertanian, bolehkah Yang Amat Berhormat perincikan adakah apa-apa program yang lain selain daripada program pertanian yang baru ni yang dilancarkan, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sena. Ya, memang banyak yang kita telah berikan di dalam rangsangan RM2.32 juta ini, salah satunya yang saya sebutkan awal tadi iaitu program-program untuk membantu usahawan kita dalam bentuk pengecualian ataupun sewaan tadi… 6 bulan moratorium. Itu adalah sebahagian yang telah diberikan dan pengecualian yang telah diberikan oleh pihak MPK misalnya untuk berniaga… mengeluarkan lesen sementara atau permit sementara kepada mereka. Ini adalah antara inisiatif kecil yang diambil oleh pihak kerajaan untuk membantu penjaja dan usahawan kecil selain daripada pertanian yang baru-baru ini yang telah pun dilancarkan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, itu adalah sebahagian lagi sebenarnya. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya nombor 3.
(Soalan 3 : Sehingga tahun 2019, berapakah jumlah keluasan tanah waqaf pertanian dan dari keluasan itu, berapakah dapatan kutipan hasilnya setiap tahun?)
Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji di atas soalan. Setakat ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, MAIPs telah mewartakan sejumlah 188 lot tanah wakaf melalui Nota Penjelasan Harta Wakaf MAIPs Berakhir pada 31 Disember 2019. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 33 lot tanah wakaf adalah berstatus wakaf am yang terdiri daripada 30 lot yang telah dijadikan kawasan penempatan ataupun kampung dan 3 lot tanah wakaf am berstatus pertanian ataupun bendang yang diusahakan oleh 3 orang orang penyewa. Hasil sewa setahun melalui 3 lot tanah wakaf pertanian bendang ini adalah seperti berikut. Yang pertama, Lot 2831 GM608 Semut Gatal Mukim Kurong Anai, 3 relong; kadar sewa setahun RM3,000. Yang kedua, Lot 498 GM740 Changkat Lada Mukim Jejawi, 1.5 relong; kadar sewa setahun RM1,200 dan yang ketiga, Lot 3743 GM1632 Jelempok Mukim Kurong Anai, 3.8 relong; kadar sewa setahun RM1,900. Oleh yang demikian, jumlah keseluruhan sebanyak RM6,100 setahun, sekian.
Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Assalamualaikum warahmatullah. Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya soalan nombor 4.
(Soalan 4 : Konsep bandar selamat menjadi semakin penting apabila UN-Habitat Nations (UN-Habitat) menekankan kepentingannya pada tahun 1996 berikutan peningkatan kadar kes jenayah di bandar-bandar seluruh dunia. Selain itu, KPKT juga telah menggariskan empat matlamat utama yang perlu dipenuhi oleh setiap PBT di peringkat perbandaran dan bandaraya bagi mewujudkan sebuah bandar yang selamat. Apakah tahap pencapaian terkini secara terperinci tentang pelaksanaan Program bandar Selamat oleh PBT di negeri Perlis dalam memenuhi empat matlamat utama KPKT tersebut ke arah mewujudkan suasana bandar mapan yang berdaya huni?)
Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Sena, Yang Berhormat Dato’ Speaker, Pelaksanaan Program Bandar Selamat telah diperkenalkan pada tahun 2004 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau KPKT susulan jumlah kes bilangan jenayah yang semakin meningkat di negara ini. Pelaksanaan program ini menggariskan 23 langkah pencegahan jenayah yang melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa ataupun JPBD, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan lain-lain agensi yang perlu memainkan peranan ke arah pembangunan bandar yang selamat. KPKT juga telah menggariskan 4 matlamat utama dalam mewujudkan bandar yang selamat seperti berikut. Yang pertama, bandar yang bebas daripada keganasan, merosakkan harta benda dan nyawa seperti gejala ragut, pecah rumah, kecurian dan sebagainya. Bagi negeri Perlis, kadar jenayah di negeri ini sehingga tahun 2019 masih berada dalam keadaan terkawal dengan mencatatkan jumlah kes 527 lebih rendah daripada jumlah yang dijangkakan iaitu sebanyak 570 kes. Keberkesanan penguatkuasaan undang-undang juga diperkasa dengan program Volunteer Smartphone Patrol, dengan izin, yang telah menarik seramai 1,300 ahli bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia Negeri Perlis dalam usaha membanteras jenayah di negeri ini. Seiring matlamat ini, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah melaksanakan beberapa projek fizikal di bawah Program Bandar Selamat yang diurus setiakan oleh PLANMalaysia menggunakan peruntukan pembangunan daripada Kementerian Dalam Negeri. Projek-projek fizikal ini dilaksanakan di kawasan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan blackspot yakni kawasan yang menimbulkan perasaan takut menjadi mangsa jenayah atau fear of crime, dengan izin. Pemilihan lokasi kawasan blackspot ini mengambil kira beberapa faktor seperti mempunyai indeks persepsi fear of crime, dengan izin, yang tinggi, kes jenayah yang tinggi serta… dan lokasi strategik yang kerap menjadi tumpuan penduduk tempatan serta pelancong. Kawasan blackspot ini telah melalui proses pemilihan oleh Jawatankuasa Program Bandar Selamat yang terdiri daripada MPK selaku Pengerusi dan dianggotai oleh jabatan dan agensi kerajaan di negeri Perlis yang berkaitan serta perlu mendapat kelulusan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri. Lokasi yang telah dilaksanakan adalah seperti di sekitar kawasan perniagaan Gapura Square Padang Besar, Terminal Feri dan Pekan Kuala Perlis, Jalan Stesen Keretapi Diraja Arau dan Jalan UTC – Pasar Besar Sena. Komponen projek fizikal ini terdiri daripada langkah-langkah bandar selamat yang merangkumi laluan pejalan kaki berserta rel penghadang laluan bermotor, pemasangan lampu jalan dan papan tanda pencegahan jenayah. Yang kedua, bandar yang bebas dari kemusnahan dan malapetaka ekoran bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Seiring dengan matlamat ini, MPK bersama-sama jabatan, agensi dan pihak swasta telah merangka beberapa cadangan yang berteraskan kemampanan alam sekitar dan persekitaran bandar berkualiti di bawah Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kangar Perlis 2035 yakni Penggantian. Antara cadangan yang telah dikenalpasti adalah cadangan Pengekalan Kawasan Sensitif Alam Sekitar, cadangan Pengawalan Hakisan dan Mendapan Persisiran Pantai, cadangan Projek Tebatan Banjir dan Pengawalan Risiko Banjir Kilat serta cadangan penerapan elemen bandar selamat di bandar-bandar utama seperti Kangar, Arau, Kuala Perlis dan Padang Besar. Matlamat ketiga, bandar yang bebas dari kemerosotan sosial dan moral seperti penagihan dadah, kecurian, jenayah kolar putih, rasuah, salah guna kuasa, hilang integriti dan sebagainya. Dalam menggerakkan usaha ke arah mencapai matlamat ini, MPK acapkali berganding bahu bersama-sama dengan jabatan kerajaan, agensi, pihak swasta, pertubuhan dan komuniti tempatan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan berkenaan isu-isu keselamatan dan sosial serta membina pemikiran yang positif dan sahsiah yang murni dalam komuniti dan kumpulan bersasar dengan hasrat bagi memastikan setiap pihak memainkan peranan dalam mengekang diri daripada terjerumus ke dalam kancah rasuah, integriti dan salah guna kuasa. Kempen, taklimat, sesi townhall serta dialog antara komuniti dan pihak berkepentingan sering dijalankan oleh pihak MPK, malah MPK telah mengorak langkah dengan menjadi PBT perintis kepada program pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah. Yang keempat, bandar yang bebas daripada kemalangan dalam dan luar bangunan seperti kemalangan jalan raya, jatuh dari bangunan, kebakaran dan sebagainya. Secara umumnya, usaha-usaha yang telah dilaksanakan seperti penyediaan boolard, kawalan tanaman landskap di laluan pejalan kaki, pemasangan lampu jalan, laluan pejalan kaki berserta rel penghadang laluan bermotor, cermin keselamatan dan lintasan pejalan kaki merupakan antara inisiatif bagi mencapai matlamat bandar yang bebas daripada kemalangan dalam dan luar bangunan. Walau bagaimanapun, pihak MPK masih belum melaksanakan kajian secara khusus terhadap matlamat yang keempat ini. Namun, pihak MPK telah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan ataupun JKKP di peringkat MPK secara dalaman bagi memantau kemalangan-kemalangan seperti kebakaran, jatuh dari bangunan, kemalangan jalan raya dan sebagainya. Objektif dan matlamat jawatankuasa ini boleh diperluaskan di peringkat agensi luaran dan digiatkan secara bersepadu bersama agensi-agensi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembangunan Malaysia ataupun CIDB, JKR, Bomba dan PDRM. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat, soalan tambahan… dari segi Yang Berhormat Santan bagitau tadi, oleh kerana laluan pejalan kaki, rel penghadang jalan motor dan lampu jalan untuk pencerahan ya… adakah Yang Berhormat ada cadangan dari segi untuk satu aspek elemen untuk keselamatan ni dari segi CCTV? Adakah terdapat perancangan untuk yang empat kawasan yang disebut tadi? terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Sena, ya memang perancangan tu memang ada dan memang terbaik lah jika dipasang CCTV di tempat tersebut jadi kita akan melihat kepada bajet dan peruntukan-peruntukan daripada pihak tertentu, sekian.
Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.
Terima kasih Dato’ Speaker, selamat pagi semua. Soalan saya soalan nombor 5, terima kasih.
(Soalan 5 : Kerajaan sering menguar-uarkan amalan “No Wrong Door Policy” tetapi apabila orang awam atau pusat khidmat wakil rakyat menyampaikan aduan kepada jabatan/agensi yang tidak tepat, aduan tersebut sering diabaikan atau mengambil masa yang terlalu panjang untuk diselesaikan. Mereka juga keliru dengan peranan dan fungsi unit aduan jabatan/agensi di negeri Perlis. Bagaimanakah penyelarasan semua aduan awam di negeri Perlis dibuat dan siapakah yang bertanggungjawab menyelaras aduan-aduan awam di negeri Perlis?)
Assalamualaikum dan selamat pagi… terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan. Aduan-aduan yang berkaitan dengan jabatan dan agensi negeri diselaras dan dipantau oleh Bahagian Pengurusan Korporat dan Integriti di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, manakala aduan-aduan awam yang berkaitan dengan jabatan dan agensi Persekutuan di negeri Perlis pula diselaras dan dipantau oleh Biro Pengaduan Awam di bawah Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Biro Pengaduan Awam Pulau Pinang / Kedah / Perlis. Sebarang aduan yang diterima oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis atau Biro Pengaduan Awam akan disiasat atau disalurkan kepada jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan di negeri Perlis. Sekiranya setelah melakukan siasatan, sesebuah jabatan atau agensi mendapati aduan tersebut bukan berada di bawah bidang kuasanya, maka jabatan dan agensi berkenaan bertanggungjawab untuk menyalurkan aduan kepada agensi yang betul, selaras dengan pendekatan no wrong door policy yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri. Bagi aduan-aduan yang diselaraskan oleh Bahagian Pengurusan Korporat dan Integriti SUK, pemantauan status tindakan turut dilaksanakan melalui Mesyuarat Pengurusan Aduan Awam yang diadakan 3 kali setahun. Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Komunikasi Korporat & Aduan Awam yang juga diadakan sebanyak 3 kali setahun. Laporan tindakan ke atas aduan-aduan tersebut turut disalurkan kepada Biro Pengaduan Awam di peringkat Persekutuan. Untuk memperkemaskan lagi pengurusan aduan-aduan di negeri Perlis, Bahagian Pengurusan Korporat dan Integriti SUK akan memperkukuhkan penggunaan Sistem Pengurusan Aduan Awam, SisPAA dalam memantau kemajuan tindakan yang diambil ke atas aduan-aduan yang diterima, sekian.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, sedikit saranan lah… terima kasih Dato’ Speaker. minggu lepas saya ada buat perjumpaan di lawatan tapak lah… bersama dengan agensi-agensi berkenaan berkaitan dengan perparitan dan saliran dan agensi berkenaanlah, kemudian mereka mohon lah kalau boleh diuruskan satu mesyuarat berkenaan perparitan dan saliran terutamanya di kawasan Kuala Perlis, sebab masa kami buat lawatan tapak tu, ada si jabatan ni, tolak ke jabatan ni… kemudian last-last parit dan saliran tu tak tau sapa punya. So saya berharap pihak Kerajaan Negeri boleh menyusun satu mesyuarat untuk menyelaraskan kawasan parit dan saliran yang berkenaan milik siapa supaya senang untuk bagi saya sendiri dan semua pihak Jabatan dan agensi untuk monitor keadaan saliran dan parit tu. Saya mohon saranan. Terima kasih.
Untuk makluman Yang Berhormat, penyatuan ataupun sekali tugas tu telah ditubuhkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis dan mesyuarat telah diadakan pada 30 hari bulan yang baru-baru ini selaras untuk nak adakan penguatkuasa kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat, soalan tambahan. Saya tak ingat sidang yang bila tetapi sidang-sidang yang lepas saya pernah bertanya tentang adakah terdapat perancangan untuk mengadakan satu online system untuk e-aduan untuk selaraskan antara agensi semua dan rakyat pun senang untuk buat aduan. Pihak Yang Berhormat jawab dulu ni dalam perancangan, jadi saya nak tau setakat mana la ni kedudukan dia… selaras dengan kita pun kata ada Pelan Digital Perlis 2021 sampai 2025 Perlis Go Digital, saya harap ada dalam pelan tu lah… terima kasih.
Ini dah kita buat dari masa ke semasa sistem ni kan dan sebab itu kita ada wujud Biro Pengaduan Awam di peringkat negeri, SUK yang diselaraskan oleh SisPAA ini, terima kasih.
Saya nak tanya Yang Berhormat, itu dari segi online system, PPA tu dah lama dah…
Apa yang berlaku kelemahan saya bagi pihak ni memohon maaf dan kita akan buat kebaikan dari masa ke semasa.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, boleh saya beri sedikit maklumat tambahan ekoran daripada soalan tambahan daripada YB Sena. Sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Sena itu sama ada ianya online… ya… sistem ataupun SisPAA ini memang online dan dia telah pun dilaksanakan sebenarnya beberapa tahun yang dahulu semasa saya masih lagi berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri dan kebetulan saya terlibat dalam sistem itu, dalam pembinaan sistem itu dan dia masih diguna pakai sehingga hari ni. Cuma yang menjadi masalahnya ialah mungkin orang awam tidak sedar bahawa wujudnya sistem yang sebegini yang comprehensive, yang bukan sahaja hanya melibatkan satu atau dua agensi tetapi keseluruhan agensi-agensi Kerajaan di Malaysia dan bukan sahaja di Perlis tetapi seluruh Malaysia dan untuk PBT mereka mempunyai sistem mereka sendiri tetapi boleh sebenarnya di interface kan dengan SisPAA itu. Jadi sistem aduan yang ada ini memang berbentuk online dan amat canggih dan hanya memerlukan rakyat menggunakannya dengan sepenuhnya. Terima kasih Dato’ Speaker.
Saya harap susulan daripada YB Bintong bagitau tu saya harap supaya diuar-uarkan dalam website Kerajaan Negeri dan sebagainya, so kita boleh tolong uar-uarkan ke bawah, terima kasih.
Soalan tambahan, ini berkenaan dengan satu aduan di Taman Putra Utama di Kangar. Saya telah adakan lawatan tapak setahun yang lepas bersama dengan agensi yang berkaitan dan juga penduduk dan selepas satu tahun saya buat lagi satu kali lawatan tapak sebab saya tak dapat apa-apa makluman dan perkembangan daripada lawatan tapak yang tahun lepas. Dan pada lawatan tapak yang terakhir, pihak agensi yang berkaitan meminta saya menjadi penyelaras… ketua penyelaras untuk buat kerja-kerja aduan tu. Saya mohon agensi yang berkaitan berkenaan laporan taman permainan Taman Putra Utama untuk menyelaraskan aduan rakyat ni.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Indera Kayangan, saya ambil maklum dan kita akan bagi secara bersurat lah…
Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya nombor 8.
(Soalan 8 : Apakah perkembangan terkini projek pelabuhan darat yang dirancang di Padang Besar?)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sanglang. Berhubung dengan perkembangan terkini projek pelabuhan darat ataupun Perlis Inland Port (PIP), projek ini adalah merupakan inisiatif swasta pertamanya dan projek ini memerlukan juga sokongan daripada projek-projek infra yang diinisiatif oleh Kerajaan. Dan untuk makluman projek ini akan menelan belanja RM1.8 bilion dan sehingga kini kebenaran merancang telah pun diluluskan oleh pihak OSC ataupun Jawatankuasa Pusat Setempat MPK pada 13 Mac 2020 secara bersyarat dan memerlukan pindaan dilakukan kepada pelan tersebut. Dan sebagai yang saya sebutkan tadi bahawa projek ini memerlukan infrastruktur sokongan daripada pihak Kerajaan dan dalam konteks ini Kerajaan Persekutuan sebenarnya telah pun meluluskan siling peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 sebanyak RM150.85 juta untuk kita melaksanakan projek-projek prasarana sokongan iaitu bonded road, dengan izin, fly over dan juga spur line. Dan pada masa ini, agensi yang terlibat untuk melaksanakannya ialah… maksudnya prasarana Kerajaan tadi adalah NCIA ataupun Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) dan pada masa ini untuk ketiga-tiga projek prasarana ini ianya dalam proses reka bentuk skematik dan juga sedang diperhalusi oleh pihak EPU ataupun Jabatan Perdana Menteri melalui Makmal Pengurusan Nilai ataupun yang disebut sebagai Value Management Lab dan ini sedang bermula sekarang ini, sedang berlaku sekarang ini pada Disember 2020 ini dan ini dilakukan untuk memastikan supaya segala perincian yang diperlukan berkaitan dengan perlaksanaan ketiga-tiga projek ini yang kaitannya dengan PIP itu dapat dilihat dengan sesempurna mungkin. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Soalan tambahan… terima kasih kepada Dato’ Speaker terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Bintong. Dalam keadaan kedudukan ekonomi kita yang masih tidak menentu Yang Berhormat, hasil daripada juga impak yang berlaku melibatkan ekonomi dunia yang masih kita lagi dalam keadaan mungkin negatif kalau dikira sampai akhir tahun, dapatkah tidak pihak Kerajaan mempertimbangkan untuk memperkecilkan komponen dalam PIP sebab perbelanjaan saya tengok ni terlalu besar kalau dalam konteks… memanglah yang melibatkan insfrastruktur yang pelbagai termasuk railway saya difahamkan, jadi kalau kita kecilkan komponen makna kata kos dapat dikurangkan atau melibatkan projek awam, swasta yang saya ingat itu lebih relevan dalam masa kini. Apa pandangan Yang Berhormat berhubung perkara ini?
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang, saya tak pasti adakah maksud Yang Berhormat mengurangkan skop dan perbelanjaan bagi PIP itu sendiri ataupun komponen yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan?
Bermakna komponen itu maksud saya diperkecilkan saiznya… saiz. Kalau tidak keadaan sekarang ini terlalu besar RM1.8 billion saya ingat.
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang, sebenarnya… sebelum itu saya nak buat pembetulan sedikit, mungkin saya tersalah sebut tadi projek ini bernilai RM1.8 billion… mungkin saya ter… slip of tongue bukan RM1.8 juta, sebenarnya projek ini telah pun diluluskan, dan pihak swasta juga telah melalui proses-proses due diligence nya sendiri dan mereka memang berkemampuan dan RM1.8 billion ini adalah merupakan fasa yang awal, sebenarnya projek ini lebih besar daripada itu lagi, sebab selepas itu ada pembangunan bagi tanah yang selebihnya daripada sejumlah 500 ekar itu. Memang pihak swasta ini berkemampuan untuk melaksanakannya dan jumlah itu ditentukan supaya projek ini feasible dengan kemudahan-kemudahan yang nak disediakan dan komponen kerajaan itu pula sudah pun komited bermakna Kerajaan telah pun mempunyai peruntukan untuk melaksanakan projek ini iaitu komponen prasarana sokongan berjumlah RM150.85 juta. Jadi sebenarnya kalau kita mengurangkan skop dan saiz projek ini yang bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan ataupun komitmen daripada kedua-dua pihak Kerajaan dan swasta maka projek ini mungkin tidak akan feasible sebab potensi yang ada untuk perdagangan sempadan ini sangat besar dan apa yang dilakukan ini sebenarnya membolehkan kita untuk mengendalikan TEU yang jauh lebih besar berbanding sekarang ini iaitu sebanyak 130,000 TEU dan perancangan yang dilakukan ini adalah untuk kita mengendalikan sekurang-kurangnya 500,000 TEU setahun, dan bermakna kita dapat, dengan izin, cater untuk melebihi daripada 400 ataupun 300,000 TEU lagi dengan apa yang dirancang ini. Jadi saya berfikir bahawa sebenarnya tidak ada kebimbangan dengan berhubung dengan kemampuan pihak swasta ini dan juga Kerajaan untuk melaksanakan projek ini. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Sedikit penjelasan Yang Amat Berhormat, adakah syarikat yang ditawarkan untuk melaksanakan PIP ini adalah syarikat persendirian atau dilaksanakan secara konsortium kerana saya bimbang dalam keadaan sekarang kita lihat hanya beberapa syarikat yang terlibat dalam talian dan juga syarikat-syarikat yang lebih direct kepada consumer yang boleh mencatatkan keuntungan tetapi kalau kita lihat forwarding ataupun air freight, jalan darat dan sebagainya… saya faham kebanyakannya memang amat besar, kita menjadi port kepada Pulau Pinang, Port Klang dan sebagainya. Apabila access ini dibuat di PIP kita kemudian kita terus naik loading dan uploading untuk kapal terus belayar ke luar Negara. Tetapi Yang Berhormat, kemampuan ini kalau dilaksanakan secara konsortium iaitu syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dalam forwarding freight ini, ini akan lebih meyakinkan kita kalau… cuma saya lihat dari segi kemampuan kewangan, sama ada benar-benar ianya akan terjadi ataupun tidak.
Terima kasih sebenarnya… terima kasih di atas kebimbangan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Tambun Tulang. Sebenarnya memang perkara ini telah pun dilihat dan diambil kira di dalam perancangan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama dengan syarikat yang terlibat ini. Sebenarnya syarikat ini tidak berseorangan, mereka juga telah mengambil kira akan komponen-komponen forwarding dan freight yang disebutkan oleh Yang Berhormat Tambun Tulang tadi malah bukan sahaja mereka mempunyai rakan-rakan tempatan tetapi juga rakan-rakan dari luar negara. Jadi kerana itu sebenarnya dari segi skop tugasan itu dia tidak hanya melihat kepada kemampuan yang ada kepada syarikat itu semata- mata tetapi juga rakan-rakan komponen yang lain daripada dalam dan luar negara. Walau bagaimanapun, saya tidak dapat memberikan perincian mengenai perkara ini pada masa ini, tetapi saya dapat menyatakan bahawa memang ada rakan-rakan komponen yang lain yang terlibat dalam bidang yang sama yang akan terlibat bersama-sama dengan syarikat swasta ini, begitu juga daripada luar negara, insya-Allah. Terima kasih Yang Berhormat….
Ya… sedikit sahaja… Yang Amat Berhormat. Saya bukan apa Yang Amat Berhormat, saya cuma bimbang apa yang berlaku di Parlimen semalam apabila berlaku kerosakan untuk kabel-kabel international bawah tanah, kita memberi kepada syarikat luar. Mula-mula kita beri kepada syarikat tempatan, tetapi di outsource kepada syarikat luar yang bermakna national interest dikesampingkan dan menjadi perdebatan hebat di kalangan ahli politik Dewan Parlimen semalam. Jadi kita tidak mahu apabila syarikat tempatan ditawarkan kemudian dia telah memberi sepenuhnya hak pengendalian kepada syarikat luar dan akhirnya syarikat luar tidak menggunakan pekerja tempatan dan hasilnya kita tidak dapat apa-apa, mungkin dikecualikan cukai yang kita dapat sedikit kepada Kerajaan Negeri. Itu sahaja Yang Berhormat yang menjadi kebimbangan saya.
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang, sebenarnya kebimbangan itu juga telah diambil kira. Bukan sahaja syarikat-syarikat swasta lain yang menjadi komponen… syarikat-syarikat swasta tempatan lain yang menjadi komponen dalam syarikat peneraju ini, tetapi Kerajaan Negeri juga turut terlibat melalui, dengan izin, investment amnya iaitu MBI. Jadi insya-Allah kepentingan negeri Perlis juga telah diambil kira dalam hal ini dan berdasarkan kepada keadaan pada masa ini saya boleh memberi jaminan bahawa apa yang berlaku sepertimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Tambun Tulang itu insya-Allah tidak akan berlaku dalam konteks PIP di negeri Perlis ini. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Sedikit soalan tambahan… saya pun nak melahirkan kebimbangan sepertimana Yang Berhormat Tambun Tulang di mana saya harapkan operator yang terlibat tu memang operator syarikat logistik yang kukuh lah sebab kita tak mau bagi jadi berulang situasi seperti SIP, Segamat Inland Port yang sekarang ini menjadi projek gajah putih, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sena di atas concern mengenai perkara ini. Insya-Allah, syarikat yang telah pun dipilih ini telah pun dilakukan due diligence dilakukan penilaian bukan sahaja oleh Kerajaan Negeri tetapi juga oleh Kerajaan Persekutuan iaitu pihak EPU, Kementerian Kewangan dan juga pihak NCIA sendiri dan hasil daripada proses due diligence ini maka syarikat ini diyakini mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk melaksanakannya. Dan suka saya menegaskan di sini bahawa di dalam komponen ini tidak ada politik langsung. Semuanya pure professional dan dia adalah merupakan projek yang telah dinilai oleh suatu kumpulan ataupun oleh Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan di peringkat Kerajaan Negeri yang kesemuanya terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang yang berkenaan yang mewakili jabatan-jabatan yang relevan dan tiada campur tangan politik sekali pun, semuanya dilakukan dengan cara yang begitu professional, insya-Allah. Saya beri jaminan kepada Yang Berhormat Sena. Terima kasih banyak Dato’ Speaker.
Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya nombor 9.
(Soalan 9 : Selain hasil cukai dan bukan cukai menjadi sumber perolehan pendapatan Kerajaan Negeri, apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti sumber-sumber hasil baharu?)
Terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji. Berkaitan sumber-sumber hasil baharu, memang ini pun sudah di dalam perancangan dan bukan sahaja perancangan tetapi juga perlaksanaan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha untuk kita menambah lagi hasil daripada Kerajaan Negeri dan secara khususnya salah satunya ialah kita melihat kepada industri sumber galian dolomite di negeri Perlis ini yang kita ketahui memang kita kaya dengan sumber dolomite ini. Memang telah pun ada syarikat-syarikat kuari telah pun beroperasi di Perlis, menggali galian ini tetapi apa yang berlaku sekarang ini hanyalah sekadar menjual dolomite mentah keluar daripada negeri Perlis dan Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu dasar yang baharu dan dasar ini pula sebenarnya kemudiannya juga telah dibuat di peringkat Persekutuan, di peringkat pusat iaitu untuk mewajibkan supaya syarikat-syarikat yang terlibat di dalam perlombongan ini untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti hiliran dan aktiviti-aktiviti hiliran ini akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan bagi Kerajaan Negeri. Ini telah pun ada dari segi dasarnya dan kita telah pun melaksanakannya dan semua syarikat-syarikat kuari... dolomite ini telah pun diberikan maklumat ini dan mereka telah pun diminta untuk mengemukakan plan of action, dengan izin, mereka sendiri untuk bukan sahaja menggali galian ini secara mentah dan menjualnya secara mentah, tetapi diproses melalui the downstream activities, dengan izin Yang Berhormat Dato’ Speaker. Dan selain daripada itu kita juga sepertimana Yang Berhormat sendiri sedia maklum, kita telah melaksanakan ataupun merancang dan melaksanakan sebahagiannya projek-projek berimpak tinggi dan projek-projek ini sebenarnya menghasilkan pendapatan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk premium dan kemudiannya nanti cukai-cukai yang dikenakan ke atas tanah tersebut. Kita tahu projek di CVIA misalnya, Chuping Valley Industrial Area, kita telah pun mula ada pelabur dan mereka pun telah sebenarnya mula membeli lot-lot yang disediakan dan ini merupakan hasil baharu bagi Kerajaan Negeri dan pelaburan yang masuk juga... juga akan memberikan hasil kepada Kerajaan Negeri melalui premium-premium dibayar oleh syarikat ini untuk memiliki tanah-tanah untuk mereka melakukan pelaburan. Dan satu sektor lagi yang kita lihat sebagai sumber baharu... bukan... tidak terlalu baharu, telah pun ada tetapi sektor ini tidak begitu menyumbang di masa-sama yang lepas, dan sektor ini juga terjejas dengan teruk semasa COVID ini ataupun tempoh PKP ini iaitu sektor pelancongan. Kita akan memberikan nafas yang baharu kepada sektor ini, kita akan eksploit sepenuhnya sumber-sumber ataupun produk-produk yang berdasarkan kepada nature di negeri Perlis dan kita pun telah mempunyai pelan tindakan ke arah itu sebenarnya di peringkat negeri untuk tahun 2021-2025 dan insya-Allah ini juga akan memberikan sumber pendapatan baharu kepada Kerajaan Negeri... kita nak jual kita punya produk-produk ini seperti di Bukit Ayer, Bukit Jernih, Newpoint Wang Kelian, Bukit Chabang, Gua Kelam, Taman Ular dan lain-lain lagi... macam-macam lagi lah. Dan bukan itu sahaja, kita ada pulau... pulau itu pun kita nak jual sebagai satu produk pelancongan, insya-Allah akan dibangunkan. Dan selain daripada itu kita mempunyai satu perancangan yang teliti untuk membangunkan usahawan-usahawan tempatan dan pembangunan usahawan-usahawan ini juga akan sebenarnya merintis... bukan rintihan ya... akan merintis sebenarnya kepada penghasilan sumber-sumber hasil yang baharu kepada Kerajaan Negeri terutama sekali kepada pihak MPK dan sebagainya. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Soalan tambahan... (serentak)
Yang Berhormat Guar Sanji dahulu.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat Bintong atas penjelasan berkaitan dengan pendapatan... sumber perolehan pendapatan Kerajaan Negeri Perlis. Sepertimana yang disebut oleh Yang Berhormat Bintong berkaitan dengan pelancongan, jadi kita boleh lihat, walaupun suasana COVID-19 melanda negara dan juga Perlis, dari segi pelancongan ni memang akhir-akhir ini mendapat sambutan di kalangan rakyat tempatan negeri Perlis dan juga rakyat-rakyat di negeri sempadan. Cuma saya nak tanya lah, sebab dah Yang Berhormat sebut tentang pelancongan ni, kadang-kadang kita tertanya juga, uar-uar tentang pelancongan ni di mana? Adakah dia website sendiri? Sebab yang rata-rata ni dia berkongsi daripada facebook peribadi, web peribadi dan sebagainya, satu... yang kedua dalam kita merancakkan pelancongan ni, kita juga perlu mengambil... menitik beratkan tentang... kita kata adab dan juga etika yang digariskan oleh agama lah. Kadang-kadang tempat pelancongan kita ni sebahagiannya kalau kita melancong terdapat gangguan, bising yang terlalu kuat. Tuan-tuan boleh tengok lah di mana, saya tak sebutlah... antaranya di sebelah Santan. Tetapi yang kedua, bila tempat pelancongan ni, saya nak tanya lah macam tempat Timah Tasoh Lake Resort, jadi alhamdulillah memang pengunjung ramai... tahniah lah kepada Kerajaan Negeri, kepada Yang Berhormat SUK, Azman Yusof dan semua kepada pegawai yang bertugas, cuma nak tanya, di sana ada replika-replika yang besar. Ada bentuk-bentuk dinosaur, bentuk apa nama... orang yang besar tu... apakah dibenarkan di dalam Islam? Hat tu saja tanya... adakah dibenarkan di dalam Islam. Mungkin Mufti boleh jawab, Exco Agama pun ada. Dipersilakan.
Terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji. Mengenai replika-replika ini, yang tu insya-Allah saya akan minta YB Pelancongan kita, YB Chuping juga dengan kerjasama YB Santan yang menjaga Kerajaan Tempatan untuk melihat perkara itu dan kita akan mungkin akan dapatkan nasihat daripada Pejabat Mufti dan sebagainya untuk melihat dari segi sama ada dia bercanggah dengan akidah dan juga ajaran agama Islam. Yang Berhormat lupa ni, sebenarnya bukan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri sahaja yang mempromosi Timah Tasoh ni, kesemua Yang Berhormat-Yang Berhormat ni… dan saya sendiri juga telah melawat dan mengambil video dan perkara ini telah mendapat respons yang sangat baik sebenarnya. Jadi sebenarnya kita combine kan, dengan izin ya, usaha-usaha yang dilakukan oleh individu dan juga usaha-usaha yang dilakukan oleh Kerajaan. Kita memang galakkan perkara ini sebab yang pentingnya sekali sektor pelancongan ini yang menjadi terajunya bukan Kerajaan, terajunya mestilah sektor swasta. Kalau kerana Kerajaan yang melakukan, Kerajaan mempunyai limitasinya sendiri. Sebab itu dan hasilnya akan dipulangkan kepada Kerajaan dan rakyat mungkin tidak begitu mendapat manfaat yang besar, kerana itulah kita nak menggalakkan dan mendorong supaya pihak swasta, individu-individu swasta, ataupun entiti-entiti swasta untuk terlibat secara langsung di dalam memajukan kita punya sektor pelancongan ini terutama sekali yang berkaitan dengan alam semulajadi. Jadi Yang Berhormat menyentuh mengenai promosi, sebenarnya Kerajaan Negeri mempunyai pelan induk dan kita telah pun… saya sendiri telah memberikan arahan secara khusus kepada pentadbiran Kerajaan Negeri… pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri supaya kita mempunyai kaedah promosi yang terbaik dan kerana itulah Yang Berhormat, mungkin telah pun terlihat satu video yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri sebenarnya untuk mempromosi secara umum akan keindahan yang ada di Perlis yang boleh menjadi produk pelancongan dan daya tarikan pelancongan itu. Walau bagaimanapun, nanti kita akan mengeluarkan video yang secara spesifik yang akan menunjukkan produk-produk ini secara spesifik. Contohnya Gua Kelam, mungkin satu video khusus akan dikeluarkan untuk menunjukkan Gua Kelam itu, apa keanehan dan apa keajaiban dan kelebihan yang ada di sana. Mungkin satu lagi video dikeluarkan untuk menunjukkan pusat-pusat makanan yang ada di Perlis seperti Api-Api, Mat Rock Der dan di Kuala Perlis dan di tempat-tempat lain... dan jangan lupa Bintong telah pun mula menunjukkan kekuatannya sebagai pusat makanan. Kalau Yang Berhormat pergi ke Bintong pada sebelah malam, dapat dilihat di sana bagaimana meriahnya pengunjung-pengunjung yang menjamu selera di gerai-gerai di Bintong. Itu juga merupakan satu tarikan dan satu produk lagi… ini saya sebutkan satu per satu ini hanyalah sebagai contoh, pulau… satu-satunya pulau kita ada di Perlis, Yang Berhormat Dato’ Speaker, juga kita akan keluarkan satu video khusus untuk kita promosikan pulau itu sebagai satu lagi tarikan dan produk pelancongan. Jadi ini merupakan langkah-langkah dan tindakan-tindakan yang diambil untuk memastikan kita punya sektor ataupun industri pelancongan ini tak terencat akibat daripada penguatkuasaan PKP dan kehadiran pandemik COVID-19 ini untuk menjadi lebih bernafas dan lebih bermaya dan akhirnya akan menyumbang kepada sektor pembangunan negeri dan seterusnya menjana hasil kepada negeri ini. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Soalan tambahan… terima kasih Dato’ Speaker. Saya nak tanya Yang Berhormat… saya setuju sangat. Seperti Yang Berhormat kata di Bintong tu saya dah lalu malam-malam dan sangat menarik… meriah sekali, cuma lihat di Perlis ni, bila datang ke Perlis… kita lihat… kita macam mengunjungi semua negeri-negeri di Malaysia. Seolah-olah masakan-masakan negeri-negeri lain ini sudah mula bertapak di Perlis. Jadi saya ingat Yang Berhormat, apa salahnya untuk kita… cadangan saya ni mungkin bukan baharu, menjadikan negeri ini sebagai negeri kulinari, culinary state yang saya rasa kita boleh menangani negeri-negeri lain dalam usaha menjadikan menarik pelancong datang ke negeri. Orang nampak Perlis ni kalau nak makan apa pun orang boleh datang ke sini dan makanan dia sangat sedap dan boleh dikatakan sambutan terhadap kedai-kedai makan hampir setiap malam boleh dikatakan sangat memuaskan dan kebanyakan kita Alhamdulillah, walaupun di dalam keadaan COVID ni boleh dikatakan mereka mengecap pendapatan yang agak lumayan. Satu lagi Yang Berhormat, cadangan ini agak pelik… tak peliklah, kita ada anak-anak Perlis seperti Khai Bahar dan sebagainya, kenapa kita tidak komposkan satu lagu Inggeris yang ditengah-tengahnya diselitkan lagu hadrah yang sepertimana dibuat beberapa negara-negara untuk tujuan bila orang dengar di tengah-tengah lagu Inggeris tu, orang tahu hadrah dimainkan, bila hadrah dimainkan, di manakah muzik ini? Ini untuk kita lihat di peringkat… tujuan untuk promosi di peringkat internasional. Kenapa anak-anak negeri kita yang… Dato’ Mokhzani dan komposer-komposer muzik tak cuba buat benda ini dan menginternasionalkan hadrah ini diselitkan bagi orang tahu bahawa kewujudan negeri kecil ini sebenarnya mempunyai sesuatu yang amat besar ertinya yang boleh kita promosikan yang boleh kita jadikan negeri ini sebagai negeri yang hebat. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang. Insya-Allah kita akan melihat perkara itu dan bagaimana kita boleh menjadikannya sebagai satu lagi proses atau pun satu lagi tarikan untuk membolehkan dia menjadikan Perlis itu lebih menarik lagi kita punya culinary ataupun kulinar yang disebutkan oleh Yang Berhomat Tambun Tulang tadi yang mungkin kita boleh lihat perkara ini… tetapi saya nak sebut di sini bahawa kita akan jenamakan Bintong ini sebagai satu pusat makanan supaya ianya terkenal, tetapi bukanlah itu akan mencuri pula tarikan yang ada di Kuala Perlis ataupun di tempat-tempat yang lain tetapi sebagai salah satu lagi alternatif kepada pelancong sama ada tempatan mahupun pelancong daripada luar daripada Perlis ini. Dan lagu insya-Allah kita akan lihat dari segi kesesuaiannya dan saya yakin Yang Berhormat Chuping telah mendengar saranan itu dengan begitu attentive dan kita akan tengok sama ada benda itu sesuatu yang boleh kita lakukan dan akhirnya akan menjadi satu lagi bahan promosi sektor pelancongan negeri Perlis. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan tambahan. Tentang untuk menjadikan Perlis sebagai syurga makanan, alhamdulillah nak tanya lah Bintong, kalau kita tambah lagi kan kawasan syurga makanan di Perlis, cuma saya nak ketengahkan di Dewan yang mulia ini, dia ada satu saya tengok permasalahan COVID-19 tetapi suatu peluang bagi kita apabila sedikit sebanyak sempadan ditutup jadi tomyam-tomyam… owner-owner tomyam tu terpaksa balik dan tak boleh balik mai sini jadi kita… ini adalah peluang untuk usahawan tempatan kitalah, pengusaha restoran tempatan dan mungkin cadangan saya kalau Kerajaan Negeri mungkin boleh buat dari segi ada kursus kemahiran ka, kira bila dah habis COVID nanti ni memang depa tak dak peluang lah, kita bagi semua usahawan tempatan kita yang ada peluang lebih di Perlis dan juga di suatu sudut lagi, saya menyambut baik Yang Amat Berhormat Bintong bagitau tadi dari sudut yang dolomite tadi tentang dasar di bawah Kerajaan Negeri untuk industri hiliran, untuk melahirkan end product, dengan izin. Jadi saya harap dasar ini turut dimajukan di sektor yang lain… di produk yang lain seperti Harumanis, Harumanis… saya masih menunggu produk hiliran. Saya difahamkan Jabatan Pertanian dah keluarkan aiskrim Harumanis, jadi mungkin saya cadangkan supaya kita pasarkan di beberapa outlet di seluruh negeri Perlis. Sekurang-kurangnya ini dia akan jadi walaupun bukan musim Harumanis orang akan rasa juga keenakan Harumanis tu. Yang kedua, dari segi… satu lagi dari segi industri pokok jati… pokok jati supaya turut diadakan industri hiliran. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Terima kasih di atas cadangan, sebenarnya untuk Harumanis sudah pun ada hilirannya. Walau bagaimanapun, ianya perlu dipergiatkan lagi ataupun ditambah baik lagi dan ditambah lagi mungkin melalui proses R&D yang ada untuk melihat apa lagi produk-produk yang boleh dihasilkan secara hiliran Harumanis ini. Mengenai pokok jati, memang pun telah dibuat sebenarnya Yang Berhormat, melalui kerjasama sebuah syarikat dengan Perbandanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis. Kita akan lakukan aktiviti hiliran ini untuk kayu-kayu yang berasaskan jati itu di negeri Perlis ini. Cuma sekarang ini benda ini masih lagi dalam proses ke arah itu. Insya-Allah syarikat ini saya dapati telah pun mula untuk membina infrastrukturnya iaitu kilangnya. Kebetulan di kawasan Batu Pahat merupakan tapak yang lama yang sudah ada struktur yang lama dan akan ditambah baik untuk dijadikan kilang untuk memproses kayu-kayu jati ini dalam bentuk aktiviti hiliran itu. Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Dato’ Speaker.
Yang Amat Berhormat Menteri Besar, ada tak mineral RRE macam negeri jiran kita di Perlis? Kot-kot kita boleh tumpang kaya. (sambil ketawa)
Dato’ Speaker pun nampaknya… (sambil ketawa)
Tunggu mineral baharu di negeri Perlis…
Berminat juga ya Dato’ Speaker. Memang ada sebenarnya… kita pun ada rare earth ni di Perlis ni iaitu di kawasan Chuping tetapi pada masa ini kita tidak… kehadiran rare earth ini bersama-sama dengan dolomite tetapi kita tidak mahu mengeksploitasikan kekayaan semulajadi ini pada masa kini kerana kita mempunyai alternatif yang lain. Selain daripada rare earth, yang ada itu, kita juga sebenarnya… tetapi ini kajian perlu dilakukan dengan lebih lanjut, pihak Jabatan Mineral dan Geosains ini harus melihat dengan lebih teliti lagi perkara ini. Selain daripada itu, Yang Berhormat Dato’ Speaker, bukan sahaja kita ada dolomite, rare earth, lime stone, kita juga ada kemungkinan sumber mineral silika yang juga begitu mahal dan ini mungkin boleh dibangunkan tetapi kita harus lihat dengan lebih teliti… dengan lebih lanjut. Mungkin pihak Jabatan Mineral dan Geosains boleh membantu kita untuk melihat perkara ini sebab kita dah ada pun tin ataupun bijih timah dahulunya dan biasanya tin ini atau bijih timah ini dia hadir dengan silika. Jadi kita akan tengok dulu apakah ini kemungkinan-kemungkinan Yang Berhormat Dato’ Speaker dan boleh kita majukan di masa-masa yang akan datang. Mungkin pada masa ini belum lagi, tetapi mungkin generasi yang akan datang akan melihat perkara ini sebagai satu sumber utama yang akan mendatangkan hasil kepada Kerajaan Negeri. Terima kasih Dato’ Speaker.
Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya nombor 10, terima kasih.
(Soalan 10 : Adakah pendapatan Kerajaan Negeri, contohnya kutipan cukai di Pejabat Tanah, terkesan akibat pandemik COVID-19 dan perlaksanaan PKP? Berbanding dengan prestasi tahun lepas, berapa bezanya hasil/pendapatan Kerajaan Negeri?)
Terima kasih Dato’ Speaker, kering kerongkong… 7 soalan. Pendapatan Kerajaan Negeri adakah dia... terima kasih kepada Yang Berhormat Sena... adakah terjejas akibat daripada COVID-19. Jawapannya ya, memang terjejas. Kita tahu bahawa kita ada 3 sumber hasil utama iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Untuk Hasil Cukai, tahun 1999…. sorry… tahun 2019, jumlah hasil kita ialah sebanyak RM20.77 juta tetapi sehingga November tahun ini, kita hanya dapat mengumpulkan RM19.60 juta. Ini bermakna ada kurangan sebanyak RM1.17 juta ataupun merosot 5.63%. Dan bagi Bukan Hasil Cukai, sehingga November 2020, kita hanya mampu mengutip RM17.89 juta, dan bagi tahun 2019 dalam tempoh yang sama, kita telah mengutip RM23.65 juta. Ini menunjukkan kemerosotan ataupun pengurangan sebanyak RM5.76 juta atau pengurangan sebanyak 24.36% dan bagi Terimaan Bukan Hasil pula, bagi tahun… sehingga November 2020, kita telah menerima sebanyak RM64.29 juta berbanding dengan tahun sebelumnya dalam tempoh yang sama 2019, kita menerima RM106.87 juta. Ini bermakna ada penurunan sebanyak RM42.58 juta dan dari segi peratusannya yang menunjukkan pengurangan sebanyak 39.84 juta ringgit. Jadi itulah, memang pendemik ini dan juga penguatkuasaan PKP yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan itu secara menyeluruh di Malaysia telah memberi kesan yang begitu besar kepada pengutipan hasil Kerajaan Negeri Perlis, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya soalan nombor 11, terima kasih.
(Soalan 11 : Apakah peratusan Ibu Tunggal di negeri Perlis mengikut statistik untuk jangka masa 5 tahun terkini, serta perancangan dan program bersasar Kerajaan Negeri untuk jangka masa 5 tahun yang akan datang dalam membantu golongan ini mempertingkatkan kualiti dan mutu hidup mereka?)
Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat pagi. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan. Yang Berhormat Dato’ Speaker dan sidang Dewan yang dimuliakan sekalian, jumlah ibu tunggal negeri Perlis sehingga 31 Oktober 2020 adalah seramai 4,350 orang iaitu 1.77 percent. Daripada jumlah tersebut, hanya 2,935 orang iaitu 1.19 peratus adalah ibu tunggal yang dikategorikan mengikut kriteria-kriteria dan juga definisi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kerajaan Negeri dengan usahasama Jabatan Pembangunan Wanita dan juga Badan Bukan Kerajaan ataupun NGO telah juga memastikan golongan ibu tunggal ini terutama sekali di negeri Perlis diberi perhatian sewajarnya. Antara bantuan yang telah dan sedang diberikan kepada golongan ibu tunggal melalui jabatan dan juga agensi Kerajaan adalah seperti Bantuan Khas Ibu Tunggal yang diberi secara one off sejumlah… sebanyak RM300, juga bantuan kanak-kanak yang melibatkan bantuan kepada anak-anak yang dijaga oleh ibu tunggal serta juga bantuan zakat kepada ibu-ibu tunggal. Yang Berhormat Dato’ Speaker, ibu tunggal yang memenuhi kriteria yang ditetapkan juga disenaraikan dalam sistem eKasih yang membolehkan bantuan bersasar dapat diberikan mengikut keadaan dan juga status ibu tunggal tersebut. Pendirian dan juga tindakan Kerajaan Negeri juga selari dengan Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam memperkasakan golongan ibu tunggal yang merangkumi tiga strategi utama iaitu memperkasa ekonomi ibu tunggal, meningkatkan kesejahteraan sosial ibu tunggal, dan juga penyelidikan dan penyelarasan dalam pembangunan ibu tunggal. Dalam perkara yang berkaitan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama NCIA turut melaksanakan program peningkatan modal insan dan juga membantu meningkatkan ekonomi ibu tunggal melalui program empowerNCER iaitu latihan kemahiran dan juga keusahawanan. Melalui program ini, peserta akan didedahkan dengan ilmu dan juga kemahiran berkaitan keusahawanan yang dapat dipraktikkan bagi menjana pendapatan diri ibu tunggal berkenaan. Secara tidak langsung, ianya akan dapat meningkatkan ekonomi dan juga taraf hidup peserta yang terlibat dalam program berkenaan.
Yang Berhormat Dato’ Spaeker, perancangan dan program bersasar di peringkat negeri untuk jangka masa 5 tahun akan datang adalah seperti berikut. Pertama, Program Pusat Cakna Bangun Ekonomi iaitu PACBE yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Wanita, Projek Amazing Race iaitu menambahkan bilangan ibu tunggal dalam usahawan digital. Pelbagai latihan berkaitan dengan program digital juga diberi kepada ibu-ibu tunggal yang berminat dan mempunyai daya usaha ke arah kelangsungan hidup. Perancangan tahun pertama dalam Amazing Race ini iaitu modul digital marketing, kelas fotografi dan juga videografi yang akan kita salurkan dan kita berikan kepada ibu-ibu tunggal berkenaan. Bagi tahun kedua pula, lanjutan kemahiran tambahan iaitu modul digital marketing juga akan diberi kepada ibu-ibu tunggal yang sama ataupun yang baharu yang berminat ke arah berkenaan. Bagi tahun ketiga hingga tahun kelima, progress peningkatan ekonomi serta rangsangan tambahan. Itu sahaja, sekian, terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Dato’ Speaker. Sehingga terkini, berapakah jumlah ibu tunggal yang telah… yang masih terlibat dalam semua program yang disebutkan tadi? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan. Pada keseluruhan data memang kita tak kumpul sebab setiap kali program yang kita… ada peserta-peserta yang baharu, tetapi kesemua program-program kita memang kita libatkan ibu tunggal yang juga wanita-wanita yang berminat ke arah usahawan. Data sepenuhnya secara detail saya akan maklumkan kepada Yang Berhormat Indera Kayangan selepas ini, terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Dato’ Speaker. Itu Yang Berhormat Mata Ayer kata tadi yang rasmi… dalam DUN sebelah Simpang Empat lah, dia banyak ibu tunggal yang dia kahwin dengan warga asing, kahwin tak daftar, ada anak dia tak dak IC, tak dak surat beranak. Lepas tu dia bercerai pun tak daftar sebab dia kahwin tu tak daftar. Jadi macam mana kedudukan ibu-ibu tunggal yang seumpama ini? Apa tindakan yang boleh kita buat?
Terima kasih Yang Berhormat Sanglang, data rasmi tadi yang saya bagitau 4,350 tu adalah secara rasmi dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita dan juga kita punya Jabatan Pembangunan Wanita Perlis. Berkenaan dengan yang berkahwin yang tak declare tu, mungkin dia jadi suami dua kot… tapi tak pa, sebenarnya data ni… kita pada mesyuarat bersama Yang Berhormat Menteri pada 8 September 2020, saya telah bangkitkan benda ni di dalam mesyuarat berkenaan dan pihak Kementerian akan memperhalusi dan juga melihat secara detail apa yang perlu dibuat kepada mereka-mereka yang sepertimana Yang Berhormat Sanglang kata tadi dan kita mengharap dasar yang telah dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan akan dipanjangkan dan akan dibawa ke Jabatan Pembangunan Wanita Negeri-Negeri dan insya-Allah apabila dasar itu telah pun digazetkan ataupun dilaksanakan, saya akan maklumkan insya-Allah dalam sidang Dewan yang akan datang. Doakan supaya benda ni akan dapat dilaksanakan sebab kalau boleh… saya pun ibu tunggal… kalau boleh kita tak mau berlaku benda yang tidak berdaftar ini. Semuanya akan menjadi satu bebanan kepada wanita kalau benda tu tak didaftarkan dan kita harap warga-warga suami yang berkahwin seperti itu pun mestilah membawa isterinya untuk didaftarkan supaya mendapat perlindungan dan juga apa yang terbaik untuk isteri mereka, terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Dato’ Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Mata Ayer. Jumlah ibu tunggal di Perlis 4,530 ini banyak la kan… sebagaimana dalam empat ribu ini, saya yakin depa ada yang tercicir daripada peluang-peluang, kursus-kursus pasai ada sahaja program yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan, kan… jadi bagaimana kita nak pastikan mereka ini tidak tercicir? Kadang-kadang mereka tidak ada maklumat berkaitan dengan program oleh Kerajaan sedangkan mereka ada kemahiran, mereka layak untuk dibantu, untuk membina kehidupan baharu mereka itu. Mohon pandangan.
Terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji, ya… terima kasih atas cadangan dan juga perhatian. Memang daripada 4,350 tu kita ada yang tak dapat maklumat berkenaan tetapi walau bagaimanapun di dalam 4,350 itu, kita mempunyai ibu tunggal yang usianya menghampiri warga emas yang mungkin pada suatu masa, mungkin tidak ada jemputan internet ataupun mungkin dia dah sangat-sangat pandai dah dalam bidang-bidang yang kita tawarkan. Walau bagaimanapun, insya-Allah kita akan cuba sedaya yang mungkin untuk dari masa ke semasa untuk memaklumkan kepada semua ibu tunggal berkenaan dan sebenarnya bukan sahaja 4,350 ibu tunggal kita, tetapi ada lagi yang melebihi kalau mungkin kita tengok dalam data 2017 daripada BPD kita mempunyai melebihi lapan ribu ibu tunggal dalam Perlis, tetapi yang tu yang termasuk juga yang melebihi umur 60 tahun yang mungkin kita kategorikan sebagai warga emas tetapi tetap ibu tunggal. Jadi kalau 8,000 tu dengan peruntukan Kerajaan Negeri yang kita perlu salurkan kepada benda-benda lain, pembangunan-pembangunan yang lain, jadi ibu-ibu tunggal ni sesetengahnya adalah pencen dan kita harap yang dah berpencen itu dapat bersabarlah untuk tindakan-tindakan selanjutnya dan saya juga insya-Allah di Jabatan Pembangunan Wanita, kita akan cuba sebaik-baiknya bagi memperkasakan ibu tunggal di negeri Perlis, terima kasih.
Saya juga nak kemukakan sedikit soalan tambahan, bolehkah Yang Berhormat perincikan statistik tiga ribu… 4,350 tu mengikut DUN, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sena, ya… insya-Allah memang Jabatan Pembangunan Wanita sedang dalam proses untuk memperinci dan juga kita akan insya-Allah kalau ada… kalau sempat tahun ini kita akan cuba sebab bantuan khas ibu tunggal yang kita dapat data 4,350 tu. Tarikh tutupnya pada 30 Oktober jadi dalam bulan November dan Disember ni, pihak Jabatan Pembangunan Wanita dalam proses untuk kita bahagi-bahagikan mengikut DUN dan kita akan maklum balik kepada wakil-wakil rakyat kawasan, kepada ADUN kawasan, terima kasih.
Soalan tambahan…
Puan Indera Kayangan, saya nak bagi peluang semua enam orang ni bertanya pasai ibu tunggal.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, semua pembela ibu tunggal…
Saya ingin ketahui berapakah jumlah kanak-kanak ataupun anak yang tinggal dengan ibu tunggal? Nombor yang terkini sebab kita tahu… dan juga apakah tindakan Kementerian dalam membantu kanak-kanak ini selain daripada bantuan RM100 daripada JKM untuk setiap kanak-kanak kerana kita tengok banyak jikalau kekurangan sumber pendapatan ataupun desakan hidup ibu tunggal, ia akan menyebabkan tercicirnya pelajar ke sekolah, dan juga anak-anak ataupun kanak-kanak banyak terlibat dalam aktiviti dadah dan sebagainya.
Terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan, untuk jumlah kanak-kanak itu, saya secara detail-nya hari ni saya memang tak ada tetapi insya-Allah saya akan dapatkan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan saya akan maklum balik kepada Yang Berhormat Indera Kayangan dan juga data sepenuhnya kita ada di JKM dan juga JPW, insya-Allah.
Soalan tambahan, Yang Berhormat katakan tadi ok… yang di penghujung usia tu… mungkin ada pendekatan lain yang boleh dibuat oleh pihak Kerajaan tetapi yang saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat, yang muda-muda, maksudnya di bawah 30 ataupun di bawah 40… ada atau tidak usaha-usaha dibuat tentang rescaling ataupun latihan-latihan membina kemahiran dalam usaha mempersiapkan mereka untuk mendapat pekerjaan semula ataupun latihan-latihan yang memberi mereka pengetahuan tentang bidang-bidang perniagaan atau pun bidang-bidang lain macam sekarang ini Jabatan Pembangunan Wanita saya difahamkan ada kursus buat coklat, buat itu ini dan sebagainya, tetapi adakah benda-benda ni diberikan ada penerusan ataupun kesinambungan kepada mereka kerana ini amat penting kerana kita tidak mahu adhoc… Kerajaan buat adhoc ni, yang berlaku sekarang ini kita kena tegur, mereka diajar, dibantu, kemudian jabatan pun buat mungkin kerana bajet… sekadar melepaskan batuk di tangga kemudian tidak ada continuous, pemerhatian ataupun observasi ataupun observation kepada mereka. Jadi apa tindakan yang dibuat dalam setakat ini, bagi melahirkan mereka, membina kemahiran, pengetahuan dan sebagainya supaya ibu tunggal muda ini yang mereka bukan mempunyai anak, lagi masalah kepada mereka. Apatah lagi mereka yang terlibat dalam sexual harassment, abusement dan sebagainya. Jadi apa yang dibuat oleh Kerajaan dalam hal ini dan saya yakin dan penuh percaya Kerajaan Perikatan Nasional mungkin akan melihat ini dibantu sehingga mereka berjaya, itu yang kita mahukan. Terima kasih Dato’ Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang, rindu dekat Chu ni sebenarnya. Untuk ibu-ibu tunggal yang sepertimana Yang Berhormat sebutkan tadi, kita ada NCER… tadi saya ada sebut NCER ada latihan-latihan kemahiran yang kita boleh bagi kepada ibu-ibu tunggal ini dengan syarat ibu-ibu tunggal ini hendaklah tampil ke hadapan untuk bagitau mereka perlukan latihan-latihan berkenaan, dan untuk makluman Yang Berhormat Tambun Tulang dan juga Yang Berhormat Dato’ Speaker, dan Ahli Dewan sekalian, sejak awal 2019 sehingga sekarang Kerajaan Negeri memang menyalurkan peruntukan-peruntukan untuk kita bagi latihan kemahiran terutama dari segi latihan kemahiran memasak, dan juga menjahit kepada ibu-ibu tunggal dan peserta-peserta di mana setiap kali saya hadir di program-program berkenaan memang kebanyakannya ataupun 70 hingga 80 peratus adalah ibu tunggal yang muda yang berminat atau mempunyai sedikit asas berkenaan dengan kemahiran memasak dan juga menjahit ini. Dan untuk makluman Yang Berhormat Tambun Tulang juga, daripada setiap kelas kemahiran yang kita anjurkan tidak lebih lima atau enam orang meneruskan bidang yang kita kelaskan atau kita anjurkan berkenaan seperti kelas masakan kuih tradisional dan mereka ini memang selepas habis kelas satu sesi atau sesi kedua, mereka ibu-ibu tunggal ni selalunya akan menyediakan untuk dijual atau menerima tempahan-tempahan daripada kawan-kawan ataupun kedai-kedai, gerai-gerai yang menjual sarapan pagi dan juga petang. Jadi saya rasa walaupun tidak semua yang hadir seramai 20 ataupun 25 orang mendapat manfaat ataupun mempergunakan manfaat kelas itu untuk mencari pendapatan tetapi kalau sekadar 5 ataupun 6 orang yang mengambil manfaat itu saya rasa itu sangat baik dan kemungkinan untuk ke depan dan untuk makluman untuk tahun-tahun hadapan pun benda yang sama akan kita teruskan sehinggalah ibu-ibu tunggal yang muda ini yang perlu untuk menyara keluarga ataupun menjadi ketua keluarga ini akan dapat menjadi seorang usahawan walaupun kecil tetapi mempunyai pendapatan yang baik untuk keluarga mereka, terima kasih banyak-banyak.
Yang Berhormat, soalan tambahan Dato’ Speaker, sebab saya tak masuk dua kali jadi saya nak tanya banyak sikit lah. Saya sebenarnya Yang Berhormat, macam pembentangan bajet hampir setiap tahun untuk menyelesaikan semua perkara, saya ingin bertanya di pihak jabatan, ada tak data-data terperinci… jumlah misalnya mereka yang terlibat, jumlah mereka yang terlibat dalam perniagaan, jumlah mereka yang terlibat dalam membuat produk-produk, ini semua… ramai yang membuat produk di Perlis, produk sabun dan sebagainya. Adakah semua ini di dalam pemantauan pihak jabatan? Makna kata kita tahu di Santan ada dua orang, di Kuala Perlis ada 5, di Sanglang ada 10, di Guar Sanji kawasan Dewan ada 15 orang… ni kita tahu. Jadi bila diminta oleh pihak kementerian kepada jabatan, kita boleh bagi dah angkat-angka berkenaan. Mungkin dia bertambah hari demi hari, itu tidak mengapa, sekurang-kurangnya kita telah memberikan satu data dan perangkaan yang sebenarnya, barulah kementerian dapat membuat perancangan yang betul. Macam penyakit padi, dok pakai telefon… pakai random… laporan ke kementerian… kementerian juga buat keputusan yang salah dan membazirkan wang rakyat yang begitu banyak. Jadi saya mintak yang ni… Yang Berhormat betul-betul, Exco baharu, enjin baharu… jadi kuat sikit untuk pastikan benda ni tercapai. Kita buat ni untuk kebaikan, kebaikan di dunia dan di akhirat, dua-dua dapat Yang Berhormat. Terima kasih.
Satu lagi soalan… ok, saya nak tanya sejauh manakah peranan jabatan dalam memberikan perkhidmatan bimbingan dan juga kaunseling kepada ibu tunggal kerana kita pandangkan mereka memang menghadapi banyak masalah untuk mendapatkan nasihat dan juga maklumat yang boleh membantu mereka sebab rata-rata kita lebih pentingkan dari segi menjaga pendapatan untuk mereka tetapi dari segi kaunseling, saya rasa itu sangat penting juga kerana mereka perlukan bimbingan ataupun arah jalan daripada pihak-pihak seperti kementerian dan juga mereka yang pakar dan dapat memberikan tunjuk ajar kepada mereka, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang, ya insya-Allah kita akan sediakan data…
Indera Kayangan…
Tadi Tambun Tulang… tolong jawab. Terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan juga, untuk sesi kaunseling, memang kita amat alu-alukan. Sebenarnya kita tak boleh nak turun sebab kita tak tau masalah yang dialami oleh ibu-ibu tunggal ini berbeza, jadi kita syorkan, kita uar-uarkan, kita cadangkan supaya mana-mana ibu tunggal yang mempunyai masalah, yang mempunyai rasa tidak selesa, silalah ke pejabat Jabatan Pembangunan Wanita di UTC insya-Allah. Kita boleh membantu untuk membina semangat dan juga menambah pengetahuan mereka tentang apa yang diperlukan oleh ibu tunggal berkenaan.
Soalan daripada Yang Berhormat Kuala Perlis saya rasa cukuplah… bukan soalan tambahan tapi soalan Yang Berhormat.
Ooo.. soalan saya yang terakhir ya. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, tak benarkan saya nak bertanyakan soalan tambahan kepada orang yang arif bab ibu tunggal ni… tak apa lah, saya teruskan dengan soalan saya. Soalan saya soalan nombor 12 Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih.
(Soalan 12 : Bilakah rumah pangsa yang telah siap bersebelahan Taman Wai Permai akan mula diduduki dan bagaimanakah keanggotaan panel pemilihan serta mekanisme untuk meluluskan permohonan?)
Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Pangsapuri Wai Damai atau dikenali juga sebagai Projek Penempatan Semula Nelayan ataupun PSN telah siap sepenuhnya pada Julai 2019 dengan kos bernilai RM10.4 juta hasil usahasama Kerajaan Negeri bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Untuk makluman Dewan yang mulia ini, pangsapuri tersebut dijangka akan mula diduduki pada suku tahun kedua tahun hadapan dengan kaedah secara jual-beli memandangkan terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu disempurnakan terlebih dahulu. Ini termasuklah proses pemberimilikan tanah dan pendaftaran hak milik strata serta proses pemilihan golongan nelayan yang layak. Penularan pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan ataupun PKP sedikit sebanyak melewatkan proses pengisian ini. Jawatankuasa Pemilihan terdiri daripada Yang Berhormat Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai pengerusi dan ahli-ahli terdiri daripada wakil Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Bahagian Pentadbiran Daerah, Bahagian Perumahan, Pejabat Pembangunan Persekutuan, Jabatan Perikanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Persatuan Nelayan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Mekanisme pemilihan peserta adalah mengikut garis panduan seperti berikut. Yang pertama, permohonan diterima melalui LKIM dan disaring awal. Yang kedua, Jawatankuasa Teknikal akan membuat semakan, siasatan dan saringan. Yang ketiga, proses temuduga dilaksanakan oleh panel penemuduga yang telah dilantik, dan yang keempat Jawatankuasa Pemilihan Peserta akan memuktamadkan senarai peserta yang layak. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, status proses pemilihan kini adalah di peringkat temuduga pemohon. Sekian Yang Berhormat.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, soalan-soalan lisan ditangguhkan setakat ini. Bagi soalan-soalan yang belum sempat dijawab, pihak Kerajaan akan mengemukakan jawapan secara bertulis.
Dewan ditempohkan sebentar dan akan disambung semula pada jam 12 tengah hari, terima kasih.
(Persidangan ditempohkan sementara pada jam 11.15 pagi)
(Persidangan disambung semula pada jam 12.05 tengah hari)
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sila duduk. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula.
Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2021 dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2021Bill
Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2021 dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2021. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan satu usul berbunyi “Bahawa Dewan ini mengikut Seksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, mengambil ketetapan bersetuju meluluskan perbelanjaan sebanyak RM133,824,250.00 seperti yang tersebut di dalam Anggaran Pembangunan Negeri Perlis Tahun 2021 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 14 Tahun 2020”.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.
Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2021. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2021 dibaca bagi kali pertama.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.
Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2021. Bacaan kali pertama.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, menurut proviso kepada peruntukan Peraturan 56 Dewan, saya mohon kebenaran untuk membaca Rang Undang-Undang ini bagi kali kedua pada hari ini juga.
Yang Amat Berhormat dibenarkan.
Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2021. Bacaan kali kedua.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang yang bernama “Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2021 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.
Adapun tujuan Rang Undang-Undang ini ialah untuk mengadakan peruntukan bagi mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri sebanyak RM152,090,900.00 untuk perkhidmatan bagi tahun 2021 bagi maksud-maksud yang dinyatakan di dalam Jadual. Maksud-maksud yang dinayatakan di dalam jadual diberi bilangan yang sama dengan tujuan-tujuan di dalam draf Anggaran Perbelanjaan Negeri bagi tahun 2021 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 13 Tahun 2020 sebelum dikemukakan Rang Undang-Undang ini.
Bismillahirrahmanirrahim, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani Selawat dan salam ke atas Rasul Junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Alhamdulillahi robbil ‘aalamin, wabihi nasta’in, salam Perlis dan salam sejahtera. Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Yang Berhormat Dato’ Speaker, dengan kalimah Alhamdulillah, saya memanjat setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rezeki dan peluang yang dikurniakan serta dengan izinNya dapat kita berhimpun sekali lagi di Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas pada pagi ini, bagi menyempurnakan pembentangan Bajet 2021 serta meneruskan agenda pembangunan negeri. Dengan izin Allah jua, saya, mewakili Kerajaan Negeri, akan membentangkan Bajet 2021 Negeri Perlis. Mandat dan amanah ini haruslah difahami, dihayati serta dipikul bersama agar agenda pembangunan negeri Perlis yang kita cintai ini dapat direalisasikan dan hasilnya dapat dimanfaatkan oleh segenap rakyat di negeri ini. Marilah kita semua berdoa dengan tulus ikhlas, semoga Allah SWT meluaskan kerahmatan, keberkatan dan kemudahan kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail untuk terus menaungi Negeri Perlis yang dikasihi ini. Dewan yang mulia ini merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis atas kepercayaan baginda kepada barisan kepimpinan negeri untuk meneruskan agenda pembangunan dalam memajukan rakyat dan Negeri Perlis. Dengan izin Allah, Pentadbiran ini akan terus memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan ini sebaik-baiknya, insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
2020 adalah tahun yang penuh cabaran kepada seluruh dunia, tanpa pengecualian. Semua negara di dunia diuji dan terkesan dengan pandemik coronavirus disease 2019 (COVID-19). Sehingga 7 Disember 2020, pandemik ini telah menjangkiti 67,392,289 manusia dan menyebabkan 1,541,745 kematian di seluruh dunia. Di Malaysia sahaja, setakat 7 Disember 2020 sejumlah 74,294 telah dijangkiti yang mengakibatkan 384 kematian. Sehingga vaksin yang berkesan ditemui, tiada tanda-tanda bahawa pandemik ini akan berakhir dengan mudah. Malah ada pendapat yang mengatakan bahawa ia akan terus kekal bersama kita sampai bila-bila. Sama seperti wabak penyakit lain yang telah melanda dunia seperti HIV, denggi dan lain-lain. Pandemik ini meninggalkan kesan yang amat besar kepada masyarakat dunia, sama ada secara langsung atau tidak. Malah ia terbukti memberi impak besar kepada aspek kesihatan, ekonomi, sosial dan budaya manusia di seluruh dunia. Amalan yang dahulunya ganjil kini menjadi norma dan budaya baru seharian. Malah ia juga telah memberi kesan ke atas lanskap politik negara-negara di dunia. Ada negara di mana kerajaan yang memerintah semakin kukuh, mantap dan diberikan mandat semula oleh rakyat di dalam pilihanraya seperti Singapura dan New Zealand. Kedua-dua negara ini didapati telah berjaya menangani pandemik ini dengan baik dan berkesan. Tapi ada juga negara di mana rakyat mengubah kerajaan yang memerintah kerana gagal menangani pandemik ini seperti Amerika Syarikat. Di Malaysia, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan bulan Mac 2020 lalu, umumnya rakyat telah mula mengamalkan norma baharu di dalam kehidupan seharian. Ini termasuklah mementingkan isu kebersihan diri dan persekitaran sebagai rutin utama kehidupan. Dewan yang mulia ini ingin merakamkan ucapan tahniah, setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua frontliners, backliners dan rakyat yang sentiasa berganding bahu memerangi penularan wabak ini. Kerajaan Negeri amat menghargai sikap positif rakyat dengan tahap kesabaran yang tinggi dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) norma baharu yang dikuatkuasakan. Kerana itulah di Perlis COVID-19 ini masih terkawal dan bilangan kes adalah rendah. Diharapkan keadaan ini berterusan kerana peningkatan kes akan menyebabkan kesan yang lebih buruk kepada ekonomi negeri khususnya dan negara amnya. Sebagaimana firman Allah di dalam Ayat 155-156, Surah Al-Baqarah, (Yang Amat Berhormat Menteri Besar membacakan Surah Al-Baqarah, ayat 155-156)
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan merasai kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Mengambil iktibar dari ayat ini, kita hendaklah meyakini bahawa setiap kejadian bencana merupakan ujian dan peringatan yang berlaku atas kekuasaan takdir Allah serta menyedari hikmah di sebalik bencana yang menimpa yang perlu diinsafi dan diambil iktibar.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Prestasi Ekonomi Dunia dan Negara
Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF mengunjurkan ekonomi global mencatat pertumbuhan negatif di bawah paras 4.4 peratus pada tahun ini. Perdagangan dunia juga dijangka merosot pada kadar 10.4 peratus. Prestasi ekonomi dunia menunjukkan pertumbuhan yang perlahan iaitu 2.9 peratus pada tahun 2019 berbanding 3.6 peratus pada tahun 2018. Ini disebabkan ekonomi global berada di dalam situasi tidak menentu akibat perang dagangan yang berterusan dan situasi geopolitik yang tidak stabil. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kehadiran pandemik COVID-19. Keadaan kesihatan dan ekonomi dunia menjadi semakin suram dan hampir lumpuh apabila pandemik COVID-19 mula tersebar secara global. Prestasi ekonomi negara pula berkembang pada kadar 4.3 peratus pada tahun 2019 berbanding 4.8 peratus pada tahun 2018. Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada harga semasa berjumlah 1.51 trillion ringgit. Akibat dari kesuraman ekonomi dunia dan ketidakstabilan persekitaran, ia turut memberi kesan ke atas iklim pelaburan bagi perbelanjaan modal di Malaysia. Namun begitu kadar inflasi tahun 2019 direkodkan lebih rendah, iaitu kadar purata 0.7% berbanding 1.0% pada tahun 2018. Manakala Pendapatan Negara Kasar per kapita pula meningkat kepada 45,131 ringgit berbanding 43,307 ringgit pada tahun 2018. Alhamdulillah, kita dapat melihat pertumbuhan KDNK negara telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada negatif 28.6 peratus pada April 2020 kepada negatif 3.2 peratus pada Jun. Anggaran awal KDNK bagi bulan Julai hingga September turut menunjukkan trend pemulihan yang memberangsangkan. Pada tahun 2021, ekonomi negara dijangka kembali pulih dan berkembang pada kadar antara 6.5 hingga 7.5 peratus. Ini sejajar dengan langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Pusat melalui pakej rangsangan ekonomi, inisiatif Belanjawan 2021 selain disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang diunjur lebih baik iaitu sebanyak 5.2 peratus.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Prestasi Ekonomi Negeri Perlis
Kita amat bersyukur kerana prestasi KDNK Perlis menunjukkan peningkatan pada tahun 2019 berbanding tahun 2018. KDNK 2019 mencatatkan nilai 6.2 billion ringgit berbanding 5.9 billion ringgit pada tahun 2018. Pertumbuhan KDNK Perlis pada tahun 2019 juga meningkat. Malah peningkatan kali ini amat memberangsangkan kerana kali pertama dalam sejarah ekonomi negeri Perlis telah mencatatkan pertumbuhan pada kadar 4.6%. Kadar ini melepasi paras nasional iaitu 4.3%. Di antara komponen utama dalam struktur aktiviti ekonomi Perlis yang menyumbang kepada peningkatan KDNK tahun 2019 adalah sektor perkhidmatan. Sektor perkhidmatan telah menyumbang sebanyak 66.2%. Sektor pertanian pula menyumbang 21.7%. Antara aktiviti di bawah sektor perkhidmatan ini termasuklah perkhidmatan kerajaan, perdagangan borong barang dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, makanan dan minuman, penginapan, kesenian, maklumat dan komunikasi, hiburan serta rekreasi. Namun begitu, pandemik COVID-19 yang menular dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada tahun ini dilihat akan merencatkan pertumbuhan KDNK bagi tahun 2020. Rentetan daripada pandemik COVID-19 ini, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif kepada semua pihak yang terkesan. Ianya bermula dengan 22 inisiatif dalam menangani kesan penularan COVID-19 dan PKP yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah 10 juta ringgit. Antara inisiatif tersebut adalah Program Agihan Makanan Asas (PAMA) kepada rakyat yang terjejas melibatkan kos 3.50 juta ringgit serta pengecualian sewaan gerai dan premis usahawan yang berjumlah 1.27 juta ringgit. Bukan sahaja Kerajaan yang bersifat prihatin ke atas mereka yang terkesan akibat COVID 19 ini, malah rakyat juga amat prihatin. Kerajaan Negeri amat menghargai keprihatinan dan kemurahan hati pelbagai agensi, Badan-Badan Bukan Kerajaan dan individu-individu tertentu yang memberikan sumbangan kewangan dan barangan kepada Tabung Bencana Negeri
Perlis (COVID-19). Sejumlah 116 ribu ringgit telah diterima. Kesemua sumbangan ini telah digunakan sepenuhnya bagi pembelian makanan asas dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Kerajaan Negeri melalui peruntukan Kerajaan Pusat juga telah menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) berjumlah 10 juta ringgit bagi memacu ekonomi negeri. Hasilnya, sejumlah 323 projek telah dilaksanakan di seluruh negeri Perlis. Bukan itu sahaja, malah pada tahun ini Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai Jabatan dan Agensi Negeri telah melaksanakan perolehan secara undi bagi kerja-kerja di bawah 50 ribu ringgit. Sebanyak 660 kontraktor kategori G1 telah mendapat manfaat dari inisiatif ini. Ia turut memberi kesan positif langsung kepada rakyat dan ekonomi negeri. Yang Berhormat Dato’ Speaker, di samping itu, melalui penjimatan program dari Pelan Pemulihan Ekonomi, Kerajaan Negeri telah menyusun pelbagai program rangsangan ekonomi dengan peruntukan berjumlah 3 juta ringgit. Sejumlah 465 ribu ringgit digunakan bagi memulihkan ekonomi rakyat setempat dengan projek-projek seperti berikut, Projek Ternakan Ayam Kampung yang melibatkan 450 orang peserta; Program Tanaman Harum Manis Di Rumah melibatkan 1,500 orang peserta; Program Tanaman Sayuran Berkelompok melibatkan 45 kelompok dengan jumlah peserta 225 orang; Program Tanaman Sendiri Sayuran Di Rumah melibatkan 5,000 orang peserta. Program berbentuk bantuan input pertanian dan ternakan ini diberikan kepada mereka yang layak bagi menjana pendapatan isi rumah masing-masing secara sekali gus. Di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi juga, sebanyak 625 ribu ringgit disediakan untuk program sokongan persediaan Perlis Go Digital. Program ini amat penting untuk memastikan sistem, perkakasan dan perisian di pelbagai peringkat jabatan negeri tersedia dan berfungsi dengan baik dalam merealisasikan program di bawah Perlis Go Digital. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak 580 ribu ringgit untuk menyenggara kemudahan pelancongan, bangunan kerajaan termasuk penyenggaraan kecil masjid. Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar program-program Pelan Pemulihan Ekonomi yang telah dilaksanakan ini dapat memanfaatkan mereka yang terlibat dan memberi kesan pengganda ekonomi ketika banyak sektor ekonomi terjejas akibat pelaksanaan PKP. Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan sudah tentu dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat. Terima kasih kepada Kerajaan Pusat atas pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan yang terkini, Kita Prihatin, yang diumumkan pada 23 September yang lalu.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Bajet 2021
Kerajaan Negeri memahami akan kesukaran rakyat dalam mendepani situasi semasa dan beriltizam untuk membantu meringankan beban yang ditanggung. Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri juga perlu memastikan kelestarian ekonomi Negeri Perlis agar ianya terus berkembang dan dapat memberi impak besar kepada rakyat. Justeru, Bajet 2021 telah dirangka secara komprehensif bagi memastikan kedua-dua misi ini dapat dicapai bersama dan semua pihak mendapat manfaat daripada bajet yang disediakan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan inklusif dengan mengadakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan. Semua kumpulan madani atau civil society seperti pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan, akademia dan lain-lain pihak berkepentingan telah terlibat menerusi sesi libat urus. Malah sesi libat urus ini turut diadakan dengan Kementerian, Jabatan dan Agensi-Agensi Persekutuan. Input-input berfaedah yang dikongsi semasa sesi libat urus ini turut diambilkira dalam merangka Bajet 2021. Oleh kerana kita masih berada dalam tempoh PKP dan terkesan dengan penguatkuasaannya, maka Bajet 2021 yang dirangka dan dicadangkan kali ini turut mengambil kira strategi untuk merangsang demi memulihkan semula perkembangan ekonomi negeri. Kerajaan Negeri juga akan terus berkreatif dan berinovatif dalam merancang dan melaksanakan inisiatif-inisiatif baru dalam membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat. Mengambil kira kepentingan meneruskan pelan jangka panjang pembangunan dan merangsang semula sektor-sektor ekonomi yang terjejas akibat penguatkuasaan PKP, maka tema yang dipilih bagi Bajet 2021 ialah “Meningkatkan Keberkesanan, Merangsang Pembangunan, Membela Kebajikan Demi Keharmonian”. Bajet 2021 ini akan memberi penekanan kepada tiga (3) fokus utama dengan beberapa strategi di dalam melaksanakannya, iaitu: Fokus Pertama: Pemulihan Ekonomi Dan Kualiti Hidup Rakyat; Fokus Kedua: Pemantapan Penyampaian Perkhidmatan; dan Fokus Ketiga: Pembangunan Ekonomi Mampan. Bagi memastikan ketiga-tiga fokus di dalam bajet ini menepati objektif utama pembangunan, iaitu untuk mencapai Wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030, pelaksanaannya akan berpaksikan kepada empat (4) teras penting yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri, iaitu: Teras Pertama: Pelaksanaan pembangunan; Teras Kedua: Kebajikan Masyarakat; Teras Ketiga: Masyarakat harmoni; dan Teras Keempat: Keberkesanan pentadbiran. Teras pertama akan memastikan semua program dan projek pembangunan yang telah dirancang dilaksanakan dengan pantas dan lancar. Teras kedua akan memastikan supaya setiap aspek kebajikan rakyat terjaga. Teras ketiga akan menumpukan kepada usaha melahirkan masyarakat yang memahami, menghormati dan mematuhi segala bentuk peraturan sedia ada demi melahirkan masyarakat yang harmoni. Ketiga-tiga teras ini tidak akan lengkap jika mekanisma-mekanisma kerajaan yang sedia ada tidak cekap di dalam melaksanakan tugas dan fungsi masing-masing. Kerana itulah teras keempat, iaitu pentadbiran yang berkesan amat penting. Kelemahan-kelemahan yang wujud di dalam teras keempat hanya akan menggagalkan inisiatif-inisiatif di dalam teras pertama, kedua dan ketiga. Akhirnya ia akan menyimpang daripada ketiga-tiga fokus utama yang telah ditetapkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Fokus Pertama : Pemulihan Ekonomi Dan Kualiti Hidup Rakyat
Sebagai negeri yang prihatin terhadap keadaan hidup rakyat dalam mengharungi era pasca COVID 19, Kerajaan Negeri telah menyusun beberapa strategi holistik dan praktikal bagi melonjak semula taraf sosioekonomi rakyat. Strategi ini adalah garapan dapatan daripada pemerhatian dan dialog serta libat urus yang diadakan bersama kluster yang terkesan akibat pandemik tersebut.
Strategi 1 : Pemulihan Ekonomi Usahawan dan Peniaga Kecil
Ekonomi Negeri Perlis akan terus dipacu oleh sektor perkhidmatan dan sektor pertanian yang mana kedua-dua sektor ini menyumbang 87.9 peratus kepada keseluruhan KDNK Perlis bagi tahun 2019. Selain itu, sektor perkhidmatan juga merekodkan peningkatan dalam nilai ditambah 4.1 bilion ringgit dalam tahun 2019. Antara yang mendorong pertambahan ini adalah subsektor utiliti dan perdagangan borong dan runcit. Kerajaan Negeri akan terus berusaha meningkatkan penglibatan pihak swasta bagi mengecilkan peratusan sumbangan dan kebergantungan melampau kepada perkhidmatan berasaskan Kerajaan di dalam sektor perkhidmatan ini. Bagi merangsang kelangsungan sektor ini, sebanyak 3.12 juta ringgit diperuntukkan bagi menaiktaraf dan membina ruang niaga mampu milik kepada usahawan. Kerajaan Negeri akan menawarkan sokongan dalam bentuk premis-premis perniagaan kepada golongan usahawan atau yang ingin menceburi bidang ini termasuklah usahawan kecil dan sederhana seperti berikut: Dataran Laman Ikan Bakar di Kompleks KOMALAUT: Projek ini akan menyediakan ruang niaga yang lebih selesa, tersusun dan mesra pelanggan bagi menempatkan semula semua peniaga-peniaga di Laman Brasmana. Sejumlah 1.20 juta ringgit diperuntukkan untuk merealisasikan projek ini; Brasmana Foodtruck & Flea Market (BFF): Projek ini menyediakan ruang niaga yang lebih kemas kepada usahawan IKS terutamanya food truck dengan peruntukan sebanyak 480 ribu ringgit; Mobile Food Kiosk di Pusat Tranformasi Bandar (UTC): Sebanyak 20 unit mobile food kiosk disediakan dan terbuka kepada rakyat tempatan untuk menyewa dan berniaga. Sejumlah 600 ribu ringgit disediakan untuk melaksanakan projek ini; Kedai Perniagaan RPA Beseri Paya II, merupakan projek naiktaraf gerai sedia ada dengan peruntukan sebanyak 200 ribu ringgit. Dengan adanya gerai ini ia terbuka untuk disewa kepada mereka yang berminat; Pasar dan Medan Selera Padang Besar, sebanyak 250 ribu ringgit disediakan untuk naik taraf bumbung di kawasan ini supaya memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung; Gerai Usahawan Desa bagi Pasaran Produk Tempatan di Kuala Perlis, Gerai yang dibina dengan kos sebanyak 140 ribu ringgit ini akan dijadikan tempat jualan produk tempatan seperti belacan, ikan kering, pekasam dan lain-lain yang bersesuaian; Medan Selera Simpang Empat, sebanyak 1 juta ringgit disediakan untuk menaiktaraf medan selera di Simpang Empat dalam dua fasa. Sebanyak 500 ribu ringgit akan dilaksanakan tahun ini dalam Fasa I. Berhubung dengan inisiatif untuk usahawan kecil dan sederhana ini, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan langkah-langkah baharu untuk meningkatkan kualiti sektor perkhidmatan ini. Contohnya perniagaan kedai atau gerai makanan atau barangan. Pengendali kedai atau gerai akan dikehendaki dan diwajibkan mematuhi peraturan-peraturan standard yang berkaitan dengan kebersihan diri, pakaian dan premis perniagaan, serta barangan jualan seperti makanan terutamanya. Satu garis panduan yang standard dan mudah dilaksanakan akan dirangka dan dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Kerajaan Negeri sedar dan amat prihatin terhadap kesusahan rakyat yang terkesan akibat kehilangan punca pendapatan berikutan pandemik COVID-19. Oleh itu, selaras dengan Seksyen 8, Undang-Undang Kecil Penjaja MPK 1992, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan konsep Perlis Bebas Niaga yang akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2021. Berteraskan kepada tiga syarat utama, iaitu kebersihan, keselamatan dan kacau ganggu, setiap penjaja dibenarkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi-lokasi yang selamat, tidak mendatangkan bahaya dan kacau ganggu kepada masyarakat dengan menitik beratkan aspek kebersihan. Pemberian lesen sementara selama enam (6) bulan dengan syarat-syarat khas akan diberikan kepada penjaja di Negeri Perlis. Kerajaan Negeri juga prihatin terhadap peniaga-peniaga pasar tani, pasar malam dan penjaja yang terjejas teruk akibat penutupan tapak perniagaan tersebut sepanjang tempoh kawalan pergerakan. Bagi merancakkan kembali sektor ini, Kerajaan Negeri bersama-sama beberapa agensi seperti FAMA, MPK dan MADA telah mengenal pasti beberapa lokasi sedia ada dan baharu untuk dibuka dengan SOP terkawal. Antara tapak yang dikenalpasti adalah: Pasar Tani Terkawal di Tapak Pasar FAMA Simpang Empat; Pembukaan semula Pasar Pagi di Kawasan Pejabat FAMA pada setiap hari Khamis; dan Tambahan pembukaan Nat dan Pasar Sehari di lokasi terpilih seperti di Kem Oran oleh FAMA. Dalam keadaan sekarang di mana rakyat kehilangan pekerjaan, ekonomi yang lembap, Kerajaan Negeri mendapati kemahiran (skill) merupakan satu keperluan untuk digilap di kalangan rakyat sebagai salah satu cabang untuk menjana pendapatan. Penekanan kepada upskill dan reskill adalah sangat penting. Upskill adalah latihan/kursus yang berfokus diberikan kepada mereka yang tiada kemahiran yang mana peserta akan mempelajari sesuatu yang baru dan kemudiannya dapat mengaplikasikan kemahiran tersebut. Manakala reskill merupakan kursus/latihan untuk mereka menambahbaik pengetahuan di dalam bidang sedia ada. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 250 ribu ringgit bagi peningkatan kemahiran kepada para usahawan Negeri Perlis. Bantuan yang disediakan kepada para usahawan berbentuk kursus dan program kemahiran sebagai nilai tambah bagi meningkatkan pendapatan mereka. Antara kursus dan program kemahiran yang akan dianjurkan pada tahun 2021 ialah seperti berikut: Kursus Familiarization Digital untuk Usahawan yang meliputi kursus adaptasi teknologi dalam pemasaran digital kepada usahawan wanita dan usahawan tani; Program Women Empowerment, Terdiri daripada beberapa segmen khusus untuk wanita seperti kursus masakan nasi arab, roti, biskut raya dan masakan tradisional, Seminar Keibubapaan serta Program Mamogram Wanita Perlis kepada 150 wanita di Perlis. Kursus Jahitan Kebaya Perlis, Kursus Jahitan Kebaya Perlis ini telah mula diadakan pada tahun 2020 dan akan diteruskan pada tahun hadapan. Buat permulaan, seramai 15 orang peserta terlibat dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat Perlis (KEMAS). Ianya bagi mengetengahkan pemakaian kebaya Perlis dengan ciri asli dan tersendiri serta dikomersialkan sebagai salah satu ikon Negeri Perlis; dan Fasilitasi untuk Sijil Halal, bagi meningkatkan kebolehpasaran produk negeri Perlis, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan agensi-agensi yang terlibat akan bekerjasama memberi fasilitasi dari segi bengkel dan lain-lain program untuk membantu usahawan mendapat sijil halal. Di samping kursus dan latihan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, program empowerNCER@Perlis menawarkan program pembangunan latihan kemahiran dan keusahawanan yang melibatkan belia, wanita, ibu tunggal dan graduan menganggur khususnya kumpulan B40. Antara program yang ditawarkan adalah empowerNCER Kemahiran & Keusahawan, merupakan program yang dirangka bagi menangani keperluan sosio-ekonomi berdasarkan keperluan industri sedia ada dengan meningkatkan kemahiran rakyat setempat agar mampu berdaya saing dan merebut peluang ekonomi. Disasarkan seramai 200 orang akan mengikuti program ini pada tahun 2021. Program JomNiaga@NCER, Program modal insan inklusif yang dapat meningkatkan taraf hidup golongan B40 melalui latihan dalam bidang kemahiran, asas keusahawanan, dan e-dagang. Program ini dapat membantu untuk menjana pendapatan menerusi penempatan pekerjaan (train & place atau place & train) atau menjadi usahawan dengan mendapat kit permulaan perniagaan. Program ini menyasarkan seramai 230 orang pada tahun 2020-2021. Rakyat hendaklah merebut peluang dari kursus dan latihan yang disediakan untuk menambah kemahiran dan membantu diri untuk meningkatkan kualiti hidup. Sebagai contoh, seorang suri rumah boleh melayari facebook Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan memohon untuk mengikuti sesuatu kursus yang diiklankan. Dengan kemahiran baru selepas mengikuti kursus, seperti menjahit baju kebaya Perlis misalnya, beliau boleh menjana pendapatan hasil dari upah menjahit tersebut. Manakala pengusaha tanaman harumanis yang mengikuti kursus pemasaran secara online yang ditawarkan oleh FAMA misalnya, boleh menggunakan pengetahuan kaedah jualan harumanis secara online. Dengan kaedah pemasaran baru ini, mungkin pasaran harumanisnya dapat diluaskan dan menjana pendapatan yang lebih besar lagi. Banyak lagi program, kursus, latihan, bengkel yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama jabatan seperti KEMAS, FAMA, Kolej Komuniti, MARA dan beberapa lagi agensi yang amat bermanfaat. Yang penting, harus ada usaha serius dari mereka yang berkenaan untuk mengubah dan memperbaiki hidup masing-masing. Maksud Surah Ar-Ra’d ayat 11 amat jelas,
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka.”
Kerajaan Negeri ingin menyeru rakyat Perlis untuk merebut segala peluang yang ada. Bak kata pepatah bulat tidak datang bergolek, pipih tidak datang melayang. Kejayaan hanya datang dengan rajin berusaha dan kuat bekerja. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperkasakan kemahiran usahawan bimbingan mereka dengan memperbanyakkan program dan kursus berbentuk digital. Pada masa sekarang MARA telah mempunyai dua (2) hub digital iaitu di Kangar dan di Arau. MARA juga berkolaborasi dengan MAIPs bagi melahirkan 18 orang usahawan asnaf dengan memberi latihan selama enam (6) bulan dengan harapan mereka dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari untuk kehidupan yang lebih baik. Bagi membantu mengurangkan kos penyewaan ruang pejabat serta menyediakan infra digital yang inklusif kepada usahawan, Kerajaan Negeri dengan usahasama MARA Negeri Perlis telah merancang untuk mewujudkan Perlis Digital CoWorking Space di Kayangan Square. Pewujudan Perlis Digital CoWorking Space ini merupakan satu inisiatif baharu untuk pembudayaan digital di kalangan usahawan. Perlis Digital CoWorking Space merupakan konsep perniagaan baharu yang mana peniaga/usahawan boleh menyewa ruang kerja secara bulanan/tahunan dengan lebih selesa untuk mempromosi produk mereka secara atas talian. Yang Berhormat Dato’ Speaker, sebagai usaha memantapkan sektor keusahawanan Negeri Perlis, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 1.19 juta ringgit pada tahun 2021 bagi tujuan pelaksanaan program dan promosi produk usahawan. Pelbagai bantuan telah disediakan oleh jabatan dan agensi kerajaan untuk membantu bakal usahawan dan usahawan sedia ada seperti bantuan promosi peralatan, modal, kursus dan bimbingan serta khidmat nasihat. Kerajaan Negeri sentiasa komited membantu mempromosikan produk usahawan melalui penganjuran dan penyertaan ekspo dan carnival. Contohnya seperti ekspo perniagaan Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Perlis (HPPN) dan Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism (MAHA). Penglibatan para usahawan di dalam program begini membantu dan memberi peluang kepada mereka meningkatkan pendapatan di samping meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Sebanyak 930 ribu ringgit telah disediakan untuk tujuan ini. Selain itu, pemberian geran Good Manufacturing Practice (GMP) kepada dua orang usahawan yang berkelayakan dengan jumlah peruntukan sebanyak 100 ribu ringgit juga merupakan satu dorongan kepada mereka untuk berusaha mendapatkan pensijilan GMP. Program berbentuk himpunan usahawan, Ekspo IAT dan iGEM turut dianjurkan sebagai salah satu kaedah untuk mempromosikan produk usahawan Negeri Perlis. Program seperti ini dapat membantu memperkenalkan produk-produk usahawan sedia ada serta memantapkan lagi jaringan di kalangan mereka. Sebagai sokongan kepada produk yang dihasilkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah MADA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menggunakan salah satu kawasan di bawah PPK Kayang sebagai pusat pengumpulan produk-produk PPK seperti popia mini, roti arab, dadih, Arabic koko, minuman susu berperisa dan banyak lagi.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Strategi 2 : Industri Asas Tani
Pemasaran Harumanis / Produk Pertanian
Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan kepada usaha pemasaran Harumanis dan produk pertanian Negeri Perlis. Dua pendekatan utama telah dikenalpasti untuk dilaksanakan, iaitu: Menyediakan platform pemasaran maya - Agro Bazar Online dan Shoppe; Meningkatkan kecekapan perkhidmatan penghantaran dan kualiti pembungkusan Harumanis; Teknologi online marketing dalam memasarkan produk berasaskan industri makanan menjadi trending pada masa ini. Malah boleh dikatakan ia menjadi saluran wajib bagi pemasaran. Banyak usahawan di Negeri Perlis tidak melepaskan peluang dan telah mula melaksanakan jualan produk menggunakan saluran online ini. Kerajaan Negeri dengan kerjasama FAMA akan melaksanakan platform jualan maya melalui SHOPPE. Melalui platform ini dijangka lebih banyak produk usahawan Perlis dapat dipasarkan secara online. Di samping itu, pihak FAMA juga sedang menyediakan platform Agro Perlis, iaitu satu laman web jualan dan tempahan secara online bagi produk usahawan tempatan termasuk buah Harumanis. Platform Khas iaitu Bazar Harumanis Perlis juga diwujudkan di bawah Agro Perlis sebagai satu saluran utama kepada petani dan usahawan memasarkan produk mereka. Kerajaan Negeri dengan kerjasama FAMA akan menyediakan kursus khas kepada mereka yang layak bagi memberi pendedahan mengenai pemasaran, tempahan dan jualan menggunakan platform digital. Pada tahun ini, melalui Agro Bazaar Perlis sebanyak 17 produk usahawan Perlis berjaya dijual dengan jumlah kutipan hampir 710 ribu ringgit. (berdasarkan data dari FAMA sehingga 23 November 2020). Jabatan Pertanian dan FAMA Negeri juga akan bekerjasama untuk mengadakan usahasama dengan syarikat penghantaran seperti Pos Laju dan City Link yang memberi jaminan tempoh penghantaran. Semua pengusaha harumanis digalakkan untuk membuka akaun di syarikat seperti ini yang mempunyai jaminan insurans. Sekiranya Harumanis yang dihantar melepasi tempoh penghantaran, wang akan dipulangkan semula kepada penjual. Di samping itu Jabatan Pertanian dan FAMA sedang mengenalpasti kotak untuk harumanis yang lebih berkualiti tinggi, kalis air dan mempunyai harga yang berpatutan bagi menjamin kualiti buah yang dihantar dan meningkatkan imej Harumanis Perlis.
Sokongan untuk pertanian
Program peningkatan hasil pertanian yang telah dilaksanakan pada tahun 2020 akan diteruskan dan ditingkatkan momentumnya pada tahun 2021. Sebanyak 3.09 juta ringgit disediakan bagi program berikut: Penubuhan Briged Belia Tani; Sokongan kepada industri padi (padi pintar, padi organik dan padi kelompok); Sokongan kepada perladangan Harumanis; Sokongan industri sayuran dan herba; dan Sokongan teknologi pemprosesan dan latihan. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri menyediakan 100 ribu ringgit untuk membangunkan program baharu, iaitu menubuhkan Briged Belia Tani untuk golongan belia menceburi bidang pertanian. Pada tahun 2021, Jabatan Pertanian Negeri Perlis menyasarkan untuk mewujudkan 6 kumpulan Briged Belia Tani di mana minimum 4 orang peserta bagi satu pasukan briged bagi tahun pertama dengan penyertaan seramai 24 orang. Kumpulan briged ini akan dilatih melalui kursus secara intensif dan hands on Amalan Pertanian Baik (APB) dalam pengurusan tanaman. Selain itu, insentif untuk pembangunan inovasi pertanian juga akan disediakan. Penggunaan teknologi digital dalam bidang pertanian akan diberikan seperti penggunaan sensor, internet serta ‘drone’. Sebagai kesinambungan sokongan industri padi bagi tahun 2021, peruntukan sebanyak 1 juta ringgit disediakan untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi khususnya di kawasan luar MADA dengan sasaran peningkatan hasil sebanyak 7 metrik tan per hektar. Di bawah program ini, Jabatan telah menyasarkan seramai 5,000 orang petani dengan keluasan 3,000 hektar. Terdapat 3 projek utama di bawah program ini iaitu: Projek Padi Pintar (Penjenamaan semula Projek Sawah Gemilang), Projek Padi Organik, Projek Padi Secara Berkelompok, bagi merancakkan pembangunan industri Harumanis pelbagai projek telah dikenalpasti untuk dilaksanakan pada tahun hadapan. Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan projek perintis pajakan pengurusan Harumanis di sebahagian ladang di bawah Jabatan Pertanian Negeri Perlis kepada pengusaha tempatan yang berpotensi. Bagi peringkat permulaan, Jabatan Pertanian akan mengenalpasti dua (2) atau tiga (3) pengusaha untuk ditawarkan pajakan ladang tidak melebihi 5 ekar setiap pengusaha. Sekiranya projek perintis ini berjaya, pelaksanaannya akan diperluaskan lagi. Malah Kerajaan Negeri bercadang untuk memajak kesemua ladang miliknya di masa hadapan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengusaha tempatan untuk terlibat dengan program ini. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan 1.34 juta ringgit bagi penyediaan infrastruktur asas dan peralatan bagi industri Harumanis termasuklah projek buah-buahan MyGAP, pembangunan prasarana di Pusat Kecemerlangan Bukit Bintang dan Kompleks Pertanian di Bukit Temiang. Kerajaan Negeri juga menggalakkan para petani untuk meningkatkan produktiviti pelbagai tanaman seperti sayuran, tanaman ladang (seperti jagung manis, keledek, ubi kayu), tanaman industri (seperti cendawan tiram kelabu, volvarella, jagung bijian) dan herba (seperti serai, serai wangi, kunyit hitam, pegaga, halia dan lain-lain tanaman). Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 210 ribu ringgit untuk penyediaan peralatan seperti kelengkapan sistem pengairan tanaman, bekalan sistem sayuran moden menggunakan sistem veggie factory serta bekalan input dan benih kepada pengusaha tanaman. Pembangunan pengeluaran pertanian akan ditambah nilai melalui pembangunan teknologi pemprosesan, pembungkusan, teknologi digitalisasi, inovasi produk dan promosi dengan jumlah peruntukan sebanyak 250 ribu ringgit. Sebanyak 190 ribu ringgit lagi disediakan untuk pembangunan industri kelapa mataq, program pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan dan bekalan peralatan/kelengkapan pertanian teknologi pertanian 4.0, perolehan aplikasi QR Code, perkakasan elektronik berkaitan Internet of Things (IOT) dan automasi pertanian. Sebagai inisiatif baru, Kerajaan Negeri akan terus memberi galakan kepada syarikat swasta untuk terlibat di dalam industry pengeluaran pertanian berskala besar. Kerana itu, Kerajaan Negeri menyambut baik dan menyokong sepenuhnya cadangan pihak FGV untuk mewujudkan ladang dan kilang memproses cassava, ladang nenas MD-2 dan harumanis, ladang dan kilang tenusu di atas tanah milik MSM yang luasnya melebihi 11,800 ekar. Kerajaan Negeri telah menjenamakan kawasan ini sebagai Lembah Pertanian Chuping atau Chuping Agro Valley (CAV). Ini adalah inisiatif tambahan kepada Superfruits Valley yang telahpun sedia wujud dan beroperasi. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan satu lagi inisiatif swasta untuk menanam dan mengeluarkan nenas MD-2 secara perladangan di atas tanah seluas 200 ekar di Wang Kelian. Fasa pertama projek ini telahpun bermula. Memandangkan sektor pertanian di Perlis mempunyai potensi besar dan boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk mewujudkan ladang kopi berskala besar. Buat permulaan, Kerajaan Negeri akan menyediakan di antara 200 ke 300 ekar tanah untuk tujuan ini. Pihak swasta dijemput untuk merebut peluang ini untuk menjadikan Perlis sebagai pengeluar kopi premium untuk pasaran tempatan maupun luar negara. Begitu juga peluang dibuka kepada syarikat swasta untuk mewujudkan ladang tanaman koko secara komersial.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Program Pengairan dan Saliran Pertanian
Bagi meningkatkan produktiviti tanaman padi di luar jelapang dan mewujudkan pengurusan sumber air yang mampan, sebanyak 2.50 juta ringgit telah diperuntukkan bagi penyediaan kemudahan infrastruktur pengairan dan saliran pertanian mengikut pecahan seperti berikut: 1 juta ringgit diperuntukkan untuk kerja-kerja menaiktaraf jajaran tali air konkrit sedia ada (kepingan slab) kepada precast u-drain di Skim Pengairan Bendang Chuping, Skim Pengairan Alor Baroh, Skim Pengairan Santan Tengah, Skim Pengairan Semadong Beseri dan kawasan Kubang Tiga; dan 1 juta ringgit diperuntukkan untuk kerja-kerja menaiktaraf ibu bekalan sedia ada melibatkan Ibu Bekalan Sungai Buloh di Batu Bertangkup dan Ibu Bekalan Tok Chiang di Kampung Abi, Padang Machang. Sebanyak 500 ribu ringgit pula diperuntukkan bagi menaiktaraf pembinaan struktur jambatan atau lintasan ladang sedia ada di kawasan luar jelapang. Fokus utama adalah menaiktaraf jambatan-jambatan yang telah uzur dan rosak bagi memastikan integriti struktur jambatan sedia ada adalah kukuh dan stabil selain menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna. Peruntukan ini melibatkan kerja-kerja membina dan menaik taraf Lintasan Ladang ‘Medium Traffic Bridge’ (MTB) di Kampung Kok Klang, Kampung Santan, Kampung Sena Rendang dan Kampung Semadong.
Sokongan Kepada Aktiviti Penternakan
Bagi menggalakkan usahawan ternakan, bantuan dan sokongan akan diberikan kepada penternak melalui pembangunan usahawan berjumlah 200 ribu ringgit meliputi penambahbaikan premis, reka bentuk pembungkusan, pelabelan, kajian nutrisi dan jangka hayat produk, peralatan, latihan, kursus dan bengkel serta koordinasi ke arah persijilan MeSTI dan HALAL melibatkan 245 usahawan. Di samping itu, sebanyak 195 ribu ringgit juga disediakan untuk program sokongan ternakan seperti pembangunan teknologi pemakanan ternakan, pengukuhan genetik ruminan dan pensijilan MyGAP dalam industri ladang ruminan. Pensijilan MyGAP dapat mengangkat industri ternakan sebagai pemain penting dalam peningkatan ekonomi dan keselamatan makanan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Sokongan Kepada Aktiviti Perhutanan
Pengurusan Hutan Simpan Kekal (HSK) secara berkekalan adalah penting bagi memelihara, melindungi alam sekitar dan kepelbagaian sumber hutan. Untuk makluman, Negeri Perlis mempunyai HSK dengan keluasan 10,619 hektar. Bagi memastikan pemuliharan dan pengurusan HSK secara menyeluruh Kerajaan Negari telah menyediakan peruntukan berjumlah 715 ribu ringgit yang merangkumi: Pelaksanaan pengukuran dan penandaan sempadan HSK secara berfasa bagi mengelakkan pencerobohan kawasan pinggir HSK yang pada amnya bersempadan dengan geran-geran tanah milik. Ianya termasuklah pengukuran dan penandaan sempadan petak-petak kajian hutan, menaiktaraf kemudahan eko pelancongan di kawasan Arked Niaga Wang Kelian serta pembangunan digital entertainment di Gua Kelam, dan penambahan penanaman tanaman mengaya serta peningkatan tapak semaian hutan dan tumbuhan herba bagi menambah kemampanan kawasan hutan Negeri Perlis. Selain itu pada tahun 2021, Jabatan Perhutanan akan melaksanakan dan meneruskan program pemeliharaan hutan melalui penanaman hutan paya bakau dan spesies pesisir pantai bagi mengurangkan hakisan ombak dan pengekalan spesies-spesies hutan paya bakau.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Strategi Ketiga : Kebajikan Golongan Rentan
Demi meringankan keperluan golongan miskin, pada tahun 2021, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 8.21 juta ringgit untuk bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sebanyak 7.09 juta ringgit daripadanya disediakan untuk bantuan am bulanan kepada hampir 3,500 penerima di Perlis. Selain itu, 1.12 juta ringgit disediakan bagi bantuan bencana seperti banjir, kebakaran, baiki rumah akibat ribut dan bantuan lain seperti bantuan kerusi roda, cermin mata dan sebagainya. Bagi membantu isi rumah yang dalam kesusahan dan terputus bekalan makanan, Kerajaan Negeri bersetuju menaikkan peruntukan bagi Program Agihan Makanan Asas (PAMA) daripada 500 ringgit kepada 1500 ringgit bagi setiap DUN dengan implikasi berjumlah 258 ribu ringgit. Peruntukan ini juga akan dipanjangkan kepada kumpulan sukarelawan di bawah JKM iaitu Perlis Volunteer Action Community (PVAC). Fungsi PVAC juga telah diperkasakan. Di samping mengagih bantuan makanan asas, PVAC juga telah menubuhkan sebuah butik untuk asnaf. Orang ramai turut digalakkan untuk menyumbang pakaian terpakai yang masih elok ke butik ini untuk diberikan kepada orang miskin yang memerlukan. Bagi membantu untuk mengurangkan beban perbelanjaan keluarga pesakit kronik miskin yang perlu mendapat rawatan segera di luar negeri Perlis, contohnya seperti ke Institut Jantung Negara, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak 300 ribu ringgit untuk bantuan tambang ke tempat rawatan, tempat tinggal dan yang berkaitan dengannya secara sekali gus. Bantuan ini dijangka dapat memberi faedah kepada hampir 1,000 keluarga yang berkelayakan. Pada masa ini terdapat kira-kira 8,715 penerima bantuan JKM di Negeri Perlis. Dari jumlah tersebut 3,500 adalah penerima bantuan am melalui peruntukan Kerajaan Negeri manakala 5,215 adalah penerima bantuan kebajikan Persekutuan. Dalam pengumuman Bajet
2021 peringkat nasional, Kerajaan Persekutuan telah menaikkan kadar bantuan kepada golongan berikut: Kadar Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dinaikkan daripada 250 kepada 300 ringgit; Kadar Bantuan Warga Emas dan Bantuan Penjagaan OKU dan Pesakit Kronik Terlantar dinaikkan daripada 350 kepada 500 ringgit; Kadar Elaun Pekerja OKU dinaikkan daripada 400 kepada 450 ringgit; Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada 100 ringgit seorang anak dengan maksimum 450 ringgit sekeluarga, kepada 150 ringgit seorang anak berumur tujuh tahun hingga 18 tahun atau 200 ringgit seorang anak berumur enam tahun dan ke bawah dengan maksimum 1,000 ringgit sekeluarga. Sekiranya peruntukan yang disediakan dalam Bajet 2021 ini tidak mencukupi, Kerajaan Negeri bersedia menimbang tambahan peruntukan berdasarkan kepada penjimatan yang yang dapat dilakukan demi memastikan semua yang layak dapat dimasukkan dalam jaringan bantuan kebajikan, dan tiada yang tercicir. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Kerajaan Negeri melihat bahawa kesan daripada kelembapan ekonomi, masyarakat kini telah mula beralih kepada pelbagai bidang untuk mencari atau menambah pendapatan keluarga. Ini termasuklah menceburi perniagaan secara kecil-kecilan. Justeru, pada tahun 2021, Kerajaan Negeri akan menyediakan bantuan sehingga 3 ribu ringgit seorang berbanding 2,700 ringgit sebelum ini untuk berniaga. Melalui bantuan ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melaksanakan 3 sesi latihan kepada klien 2 years exit policy (2YEP) bagi membangunkan kemajuan mereka dalam bidang perniagaan dan memberi suntikan modal untuk berniaga sama ada digunakan untuk membeli peralatan atau pun bahan mentah. Dalam hal ini, peranan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang melibatkan masyarakat setempat dalam membentuk, membangun dan memberi latihan kepada golongan OKU bagi menjana pendapatan amat penting, dan perlu digiatkan lagi. Produk PDK seperti pekasam daging, kuih siput, pizza, cornflake, salted egg, chocolate rice serta kordial roselle berpotensi untuk dipasarkan dan menjana pendapatan yang lebih baik. Sehubungan itu, JKM akan mewujudkan sebuah PDK Mall sebagai pusat pemasaran dan pengumpulan produk-produk PDK. Projek ini dijangka dapat membantu OKU dalam pengeluaran produk bagi menjana pendapatan mereka tanpa bergantung sepenuhnya dengan bantuan kerajaan semata-mata. Dengan adanya pusat pengumpulan produk ini, ia akan memudahkan proses jualan dan pendapatan PDK dapat ditingkatkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Kerajaan Negeri amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang terus menambah baik bantuan tunai secara lebih bersasar melalui program yang kini dinamakan sebagai Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR. Keputusan Kerajaan menaikkan kadar bantuan BPR kepada pelbagai kategori penerima tepat pada masanya. Lebih-lebih lagi dalam suasana kesulitan akibat dari kesan COVID-19 dan penguatkuasaan PKP. Bagi memastikan segala bantuan yang disediakan Kerajaan dapat dinikmati oleh mereka yang berkelayakan, Kerajaan Negeri melalui jentera di peringkat kawasan iaitu JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) akan memastikan tiada seorang pun rakyat yang terputus bekalan makanan dan terpinggir. Saya telah mengadakan pertemuan dengan semua ahli JPKK dan menyampaikan amanat supaya mereka lebih proaktif dalam menjaga hal ehwal penduduk di kawasan masing-masing. Kecekapan pengurusan di peringkat JPKK amat penting kerana sebagai jentera pentadbiran di peringkat akar umbi, ia akan menentukan kejayaan atau kegagalan pelaksanaan program-program pembangunan dan kebajikan rakyat di dalam kawasan pentadbiran kecil masing-masing.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Strategi Keempat : Infrastruktur
Projek Tebatan Banjir
Kerajaan Negeri amat memahami dan prihatin terhadap masalah banjir kilat yang sering dihadapi oleh rakyat. Masalah banjir kilat ini seringkali berpunca daripada sistem perparitan yang tersumbat akibat tindakan tidak bertanggungjawab sebahagian ahli masyarakat, aktiviti penambakan tanah-tanah persendirian yang menutup laluan air semula jadi dan keadaan topografi sebahagian kawasan yang berada di bawah paras laut. Perubahan iklim yang sedang berlaku di dunia sekarang juga sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada taburan hujan yang tinggi dan luar biasa di negeri Perlis. Justeru bagi memastikan kejadian banjir kilat ini dapat dikurangkan, pada tahun 2021 Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 1.85 juta ringgit untuk melaksanakan projek-projek mitigasi di kawasan-kawasan berisiko banjir seperti berikut: Parlimen Padang Besar – sebanyak 400 ribu ringgit disediakan untuk kerja-kerja menaik taraf sistem saliran tebatan banjir di kawasan Chuping seperti di Kampung Kubang Tiga, Kg. Paya Burma, Kg. Guar Panji dan Kolam Sg. Buloh; Parlimen Kangar – sebanyak 300 ribu ringgit diperuntukkan bagi kerja-kerja kerja-kerja menaik taraf sistem saliran tebatan banjir di kawasan Kg. Tok Kuning (Kayang) dan Kg. Bahagia (Kuala Perlis); dan Parlimen Arau – sebanyak 300 ribu ringgit turut disediakan bagi kerja-kerja kerja-kerja menaik taraf sistem saliran tebatan banjir di Kg. kebun dan Bandar Diraja Arau serta Kg. Alor Setar. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pembangunan infrastruktur kawalan banjir setempat dengan peruntukan berjumlah 850 ribu ringgit yang melibatkan kawasan seperti berikut: Menaik taraf parit dan longkang dalam Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) berjumlah 550 ribu ringgit iaitu di RPA Beseri Paya II, Padang Besar, RPA Kuala Perlis II, RPA Repoh II, Kangar, RPA Mata Ayer II, Padang Besar; membina dan membaik pulih parit dan longkang di Taman Semarak, Kuala Perlis berjumlah 200 ribu ringgit iaitu; dan menaiktaraf infrastruktur kawalan banjir setempat berjumlah 100 ribu ringgit bagi menangani kawasan-kawasan hotspot banjir. Bagi memastikan sistem tebatan banjir sedia ada berfungsi dengan lancar dan secara optimum, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah 2.57 juta ringgit bagi kerja-kerja penyelenggaraan saliran dan sungai demi memastikan ianya berfungsi pada kapasiti sepenuhnya terutama ketika menerima kadar taburan hujan yang tinggi.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Penyenggaraan dan Pemuliharaan Sungai
Sungai memainkan peranan penting bagi sesuatu kawasan tadahan malah menjadi nadi kehidupan kerana air adalah sumber asas utama dalam kehidupan. Sungai juga berpotensi sebagai kawasan rekreasi dan pelancongan. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah 4.13 juta ringgit bagi tujuan penyenggaraan, pemuliharaan dan pengurusan sungai secara komprehensif. Daripada jumlah tersebut, 3.27 juta ringgit adalah merangkumi peruntukan untuk penyenggaraan sungai dan saliran termasuklah penyenggaraan di Timah Tasoh dan Lencongan Banjir Barat (LBB). Tebing sungai yang rendah terdedah kepada ancaman hakisan dan meningkatkan risiko banjir. Bagi tujuan tersebut, sebanyak 860 ribu ringgit disediakan untuk pemuliharaan sungai-sungai di seluruh Negeri Perlis. Projek ini melibatkan komponen berikut: 360 ribu ringgit diperuntukkan bagi pembinaan struktur kawalan hakisan dan tembok penstabilan di tebing sungai, merangkumi Sungai Korok, Sungai Santan dan Sungai Abi; 400 ribu ringgit bagi kerja-kerja meningkatkan kapasiti saliran Sungai Korok, Sungai Abi, Sungai Arau dan Sungai Jarum yang melibatkan kerja pengorekan enapan dan kelodak, membersihkan saluran sungai dari tumbuh-tumbuhan dan sisa pepejal serta pemotongan cerun selain menyeragamkan saluran sungai; dan 100 ribu ringgit juga diperuntukkan bagi kerja peningkatan kualiti air di Lembangan Sungai Perlis dan Sungai Arau dengan skop projek pemasangan perangkap sampah dan sistem rawatan air.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Pembinaan Struktur Kawalan dan Sistem Kawalan Pengairan
Empangan Timah Tasoh berkapasiti menampung 40 juta meter padu air. Ia berfungsi sebagai salah satu mekanisma kawalan banjir terbesar selain merupakan sumber air minuman dan pertanian utama di Negeri Perlis. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 400 ribu ringgit bagi pembinaan pagar keselamatan di Kawasan Benteng Perlindungan Empangan Timah Tasoh dan kerja-kerja menaiktaraf cerun bagi menjamin integriti keselamatan empangan. Kerajaan negeri juga menyediakan 300 ribu ringgit bagi projek pembinaan struktur kawalan hakisan pantai yang melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Ban Pantai Kampung Padang
Cina Kuala Perlis serta 200 ribu ringgit bagi membina Stesen Curahan Hujan dan Aras Air yang baru di Lencongan Banjir Barat. Pada tahun ini Kerajaan Negeri telah mula melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf Empangan Timah Tasoh Fasa 3 melibatkan kos sebanyak 300 juta ringgit yang telah diluluskan melalui peruntukan Kementerian Air dan Sumber Asli (KASA). Projek ini telah mula dilaksanakan secara berpakej dari tahun 2020 sehingga tahun 2025. Ia merangkumi kerja-kerja menaik taraf pintu air timur (eastern spillway) dan pembinaan ban perlindungan. Di samping kerja-kerja naik taraf dan penyenggaraan, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada program pengindahan koridor sungai. Untuk tujuan tersebut sebanyak 410 ribu ringgit disediakan untuk kerja-kerja pengindahan tasik dan kolam takungan seperti berikut: 210 ribu ringgit diperuntukkan bagi kerja pengindahan koridor Sungai Perlis, Sungai Jernih serta kajian landskap di Sungai Jernih / Bukit Ayer; dan 200 ribu ringgit diperuntukkan bagi kerja pengindahan Tasik Melati dan kolam takungan Sungai Jernih.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Bekalan Air
Bagi memastikan kualiti bekalan air di Negeri Perlis terus dipertingkatkan, peruntukan sebanyak 125.77 juta ringgit telah disediakan bagi pelaksanaan projek-projek bekalan air di bawah Syarikat Air Perlis (SAP). Sebanyak 61.61 juta ringgit diperuntukkan bagi Program Mitigasi Jangka Sederhana. Tiga (3) komponen utama program ini adalah: Program Peningkatan Bekalan Air Terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Timah Tasoh Negeri Perlis berjumlah 28.90 juta ringgit; Menaiktaraf Loji Rawatan Air Arau Fasa IV, berjumlah 16.31 juta ringgit dan Menaiktaraf Pam Air Mentah dan Pam Air Bersih Bertekanan Tinggi di Loji Air Arau Fasa I, II dan III serta Intake Guar Sanji berjumlah 16.40 juta ringgit. Kementerian Air dan Sumber Asli (KASA) juga menyediakan peruntukan berjumlah 27.77 juta ringgit untuk Program NRW Nasional. Projek ini meliputi kerja-kerja penggantian meter pengguna yang rosak yang mana akan memberi manfaat kepada 32,000 akaun pengguna. Selain itu, peruntukan ini juga digunakan bagi kerja-kerja lain seperti berikut: Pemasangan 14 set meter SIV di Loji Rawatan Air (LRA) Arau Fasa I, II, III dan IV serta LRA Timah Tasoh; Pembinaan baru tangki air yang rosak iaitu Tangki Air di Kuala Perlis, Tangki Air Simpang Empat dan Tangki Air Arau; dan Membangunkan GIS dan Unit NRW bagi tujuan mengawal dan memantau NRW. Di masa yang sama, Kerajaan Negeri, melalui pinjaman dari Kerajaan Pusat, telah memperuntukkan sejumlah 34.20 juta ringgit bagi melaksanakan Program Mitigasi Jangka Pendek Sistem Bekalan Air Negeri Perlis. Antara skop kerja yang terlibat adalah: Penambahbaikan fasiliti loji dan sistem pam di Tangki Titi Tinggi; Penambahan package plant berkapasiti 40MLD dan penambahbaikan fasiliti loji dan sistem pam di LRA Timah Tasoh; Penambahbaikan fasiliti loji di LRA Arau Fasa I, II, dan III; Penambahbaikan fasiliti loji dan sistem pam di LRA Arau Fasa IV; dan Penambahbaikan fasiliti loji dan sistem pam di Tangki Abi dan Utan Aji. Melalui peruntukan ini, kecekapan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan dan bekalan air terawat dapat ditingkatkan. Malah rakyat akan menikmati perkhidmatan air terawat yang lebih baik. Kerajaan Negeri mengambil peduli aduan rakyat berkenaan masalah bekalan air yang selalu terputus di beberapa kawasan akibat sistem perpaipan yang usang dan perlu diganti. Untuk itu Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah 2.20 juta ringgit bagi program retikulasi bekalan air Perlis. Ini adalah satu inisiatif dan program baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan perkhidmatan air terawat di Perlis. Untuk memantapkan perkhidmatan SAP, satu talian hotline diwujudkan bagi menangani aduan bekalan air. Tindakan segera akan diambil melalui penubuhan Skuad Pantas SAP yang akan beroperasi mengikut zon aduan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Keselamatan Jalan Raya
Bagi memastikan jaringan jalan raya yang lebih baik, berkualiti dan selamat digunakan, sejumlah 30 juta ringgit disediakan untuk kerja-kerja penyenggaraan jalan-jalan di seluruh negeri Perlis yang berdaftar di bawah MARRIS. Kerajaan Persekutuan juga telah memperluaskan penggunaan peruntukan ini kepada jalan-jalan Persekutuan atas kes yang mendesak. Kerajaan
Negeri juga memperuntukkan 2.50 juta ringgit bagi projek menaik taraf jalan dan persimpangan jalan negeri. Projek yang akan dilaksanakan pada tahun 2021 melibatkan Jalan Abi Tok Hashim (R5), Jalan Persisiran Pantai Kuala Perlis-Kuala Sanglang (R152) dan Jalan Kampung Serdang (R157). Manakala bagi projek menaik taraf persimpangan jalan pula melibatkan persimpangan Jalan Kuala Perlis (FT81) / Jalan Kampung Baru Kuala Perlis (R103) serta persimpangan Sungai Padang (R136) / Jalan Sungai Bahru Kg. Rama (R177). Di samping itu, sejumlah 2.45 juta ringgit diperuntukkan bagi melebar dan menaik taraf jalan kampung termasuklah jalan dari Wang Gunung ke Teluk Lalang di Kampung Hutan Ketiau dan jalan perhubungan kampong. iaitu jalan lintasan Kampung Sena-Kampung Paloh-Kampung Guar Sanji.
Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah 1.55 juta ringgit bagi tujuan pemasangan lampu jalan baharu dan lampu jalan pintar. Pemasangan lampu jalan baharu melibatkan Jalan Semadong dan Jalan Sungai Temenggong. Pemasangan lampu jalan pintar pula melibatkan sepanjang Jalan Raja Syed Alwi (R1) dengan peruntukan sebanyak 690 ribu ringgit. Bagi memastikan semua lampu jalan diselenggara dengan baik, sebanyak 860 ribu ringgit diperuntukkan bagi maksud tersebut. Kerajaan Negeri juga telah menyenggara jalan di Wang Kelian melalui peruntukan PRE pada tahun ini. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Sistem Lampu Jalan Pintar yang akan mula diperkenalkan adalah sistem pemantauan dan kawalan lampu jalan secara atas talian. Melalui sistem ini, setiap unit lampu dapat dipantau dan dikawal secara individu. Ini termasuklah mengesan kerosakan lampu, kadar kecerahan, masa operasi dan lain-lain untuk menambahkan kecekapan pihak yang bertanggungjawab menyenggara dan mengoperasi keseluruhan lampu jalan tersebut. Pelaksanaan sistem ini diharap dapat meningkatkan tahap keselamatan kepada pengguna jalan raya, melancarkan perjalanan pengguna jalan raya serta meningkatkan kecekapan dan senggaraan operasi lampu jalan. Bajet 2021 juga memperuntukkan sejumlah 525 ribu ringgit bagi menaiktaraf sistem lampu isyarat segerak dan sistem pemantauan lampu isyarat negeri secara online. Bagi projek pemasangan lampu isyarat baharu, ia melibatkan persimpangan Jalan Raja Muda (R104) - Jalan Padang Katong (R113). Sebanyak lima (5) persimpangan jalan yang akan dilaksanakan sistem lampu isyarat segerak (greenwave) iaitu: Persimpangan Seriab Interchange, Persimpangan Jalan Persiaran Wawasan, Persimpangan Jalan Dato Ali (R100), Persimpangan Jalan Dato Wan Ahmad (R10) dan Persimpangan Jalan Jubli Perak / Toyota (R14). Selain itu semua persimpangan lampu isyarat utama di dalam bandar akan dipantau secara online melalui penggunaan IOT dan juga pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di persimpangan dalam bandar dan persimpangan yang kerap berlaku kemalangan. Ia berfungsi bagi memantau segala permasalahan serta mengelakkan kemalangan atau kesesakan di lampu isyarat. Tiga (3) persimpangan yang akan mula menggunakan IOT adalah Simpang Lampu Isyarat di Jalan Hospital (R5) dan dua (2) Simpang Lampu Isyarat di Jalan Tun Razak (R102). Manakala persimpangan lampu isyarat yang dicadangkan pemasangan CCTV adalah seperti berikut: Simpang Pekan Pauh (R6), Simpang Balai Polis Trafik Kangar (R1); Simpang Batu 2 Jalan Abi Batas Paip (R11) – Jalan Santan (R162); Simpang Marhom Kayang (R101); dan Simpang Jalan Padang Nyu (R137).
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Strategi Kelima : Perumahan Dan Premis Perniagaan
Kerajaan Negeri amat menitikberatkan keperluan perumahan yang kondusif, berdaya huni dan lestari. Ia sebagai satu necessity. Ia bertujuan untuk memastikan kualiti hidup rakyat berada dalam landasan pembangunan sosio-ekonomi Negeri Perlis. Bagi maksud ini, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah bersetuju memperuntukkan 23.40 juta ringgit bagi membina 120 unit rumah perumahan awam di Padang Besar. Satu lagi inisiatif baru yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ialah penggubalan satu dasar untuk membina dan menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat yang memerlukan. Kerajaan Negeri bersedia untuk menawarkan tanah-tanah Kerajaan Negeri yang bersesuaian kepada syarikat swasta yang berminat untuk menawarkan rumah mampu milik kepada rakyat melalui Request for Proposal (RFP). Antara lokasi yang dikenalpasti adalah di Tok Kuning, Titi Tinggi dan Kuala Perlis. Berdasarkan kepada Rancangan Struktur Negeri (RSN) 2030 di bawah Dasar Strategik Pelaksanaan, Kerajaan Negeri Perlis telah mensasarkan sebanyak 53,061 unit stok kediaman rumah terancang. Menurut Laporan Stok Harta Tanah Separuh Tahun Pertama 2020, Negeri Perlis telah mencapai kadar 59.32% dengan stok rumah sedia ada sebanyak 26,153 unit 1,422 unit dalam penyediaan dan 3,902 dalam perancangan. Secara tidak langsung, ini menunjukkan Kerajaan Negeri berada di landasan yang tepat dan mampu mencapai matlamat RSN pada 2030 ini. Selain dasar membina rumah mampu milik, Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan dasar membina dan menyediakan kedai mampu milik. Ini juga adalah satu lagi inisiatif baru bagi menangani isu premis perniagaan yang terlalu mahal. Kerajaan Negeri sedar ramai golongan peniaga yang tidak mampu membeli atau menyewa premis-premis perniagaan sedia ada atau yang baru kerana di luar kemampuan mereka. Kerana itulah, dasar membina kedai mampu milik ini diperkenalkan. Melalui dasar ini, diharapkan peniaga-peniaga kecil dan sederhana mampu memiliki atau menyewa pada harga dan kadar sewa yang lebih munasabah. Dasar baru ini sedang diperhalusi dan dimurnikan ketika ini. Kerajaan Negeri sedar dan prihatin bahawa ada segolongan rakyat yang tidak mampu untuk memiliki rumah atau membaiki rumah mereka yang sudah terlalu uzur. Bagi memenuhi keperluan ini, dan dalam konteks menjaga kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri akan meneruskan program Rancangan Khas Pembaikan dan Pembinaan Rumah untuk rakyat dengan satu peruntukan yang lebih besar. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, peruntukan ini akan dinaikkan kepada 2 juta ringgit bagi tahun 2021. Peruntukan ini dijangka dapat memberi faedah langsung kepada 150 keluarga yang memerlukan. Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri amat menyambut baik usaha berterusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs) membantu golongan asnaf membaiki rumah mereka yang daif dan memiliki rumah baharu. Bagi maksud ini MAIPs telah menyediakan peruntukan berjumlah 14.10 juta ringgit. Ia dijangka dapat memberi manfaat rumah baharu kepada 304 keluarga. Manakala 806 keluarga lagi akan memperoleh faedah pembaikan rumah mereka yang uzur. Kerajaan Negeri juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Pusat di atas peruntukan sebanyak 3 juta ringgit bagi projek penggantian lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Sena. Di sini, Kerajaan Negeri ingin menyeru agar penduduk PPR Sri Sena dapat menghargai pemberian ini. Kemudahan lif yang disediakan adalah untuk kemudahan semua penghuni PPR Sena. Kerana itu setiap penghuni, muda atau dewasa, perlu turut menjaga kemudahan yang disediakan sebaik-baiknya. Hentikan sikap tidak bertanggungjawab dan tindakan vandalisme yang hanya merugikan semua penghuni. Selain itu, bagi kawasan perumahan awam sedia ada, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah 2.64 juta ringgit bagi penyenggaraan perumahan serta menaiktaraf kemudahan infrastruktur awam seperti berikut: 2.09 juta ringgit bagi menyenggara empat (4) PPR dan PAKR sedia ada; 350 ribu ringgit bagi menaiktaraf sistem paip di PPR Wang Ulu; 100 ribu ringgit bagi menaiktaraf surau di PAKR; dan 100 ribu ringgit untuk membaikpulih jalan-jalan perumahan kawasan Majlis Perbandaran Kangar.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Strategi Keenam : Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah
Pendidikan
Sektor pendidikan turut terkesan akibat dari pandemik COVID-19. Sistem pembelajaran dan kaedah pembelajaran di institusi pendidikan seperti universiti dan sekolah berhadapan dengan satu fenomena dan dimensi baharu. Dengan arahan penutupan universiti dan sekolah, kaedah dan proses pembelajaran baharu diperkenalkan, iaitu sistem pembelajaran online. Hakikatnya sistem dan kaedah pembelajaran online ini mempunyai kelemahannya sendiri. Satu isu besar di Perlis ialah tahap capaian akses pembelajaran secara online yang tidak menyeluruh. Isu lain termasuklah kemampuan keluarga pelajar memiliki peralatan untuk mendapat akses dan belajar secara online. Begitu juga isu pengawasan ke atas pelajar untuk melaksanakan tugasan yang diberi secara online. Apa yang membimbangkan ialah isu-isu ini akan menyumbang kepada satu fenomena keciciran baru di kalangan pelajar di dalam proses pembelajaran tanpa bimbingan atau pengawasan terus ini. Kesannya mungkin lebih besar di masa depan. Menyedari kelemahan dalam telecommunication network dan connectivity, Kerajaan Negeri akan terus berusaha meningkatkan kelajuan dan akses kepada internet di Perlis dengan kerjasama syarikat telekomunikasi yang berminat. Kerajaan Negeri bercadang menggunakan teknologi jalur lebar baharu "Point to Multi Point" tanpa wayar dan mempunyai jangkauan capaian sehingga 40 kilometer di Perlis. Teknologi ini akan membolehkan penyediaan perkhidmatan Smart WiFi dan internet luar bandar dan pinggir bandar. Antara kaedah segera yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap capaian pelajar kepada internet adalah melalui: Penggunaan prasarana di 13 Pusat Internet Desa yang sedia ada secara optimum; Program Community Base Learning (CBL) di 15 buah masjid yang terpilih; dan Program Tutorial@Masjid dengan kaedah yang ditambah baik dan diperkemas pada tahun hadapan. Yang Berhormat Dato’ Speaker, negeri Perlis akan menjadi hub pengumpulan buku yang terbesar di wilayah utara dengan terbinanya Pusat Repositori Perpustakaan Negara Malaysia Perlis di Kuala Perlis. Perpustakaan Negara Malaysia menyediakan peruntukan berjumlah 3 juta ringgit dan projek yang akan dilaksana oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis ini akan dibina pada tahun 2021. Ia bakal menjadikan Perlis sebagai pusat rujukan dan penyelidikan wilayah utara dalam memelihara khazanah intelek negara untuk rujukan generasi masa kini dan akan datang. Ia juga bakal menjadi salah satu tarikan pelancongan ilmu ke Perlis. Sebagai langkah sokongan untuk melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang teknikal tertentu berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf, Kerajaan Negeri akan terus memberi galakan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan menyediakan peruntukan berjumlah 100 ribu ringgit bagi membiayai yuran kemasukan ke pusat pengajian TVET, khususnya ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Perlis. Pendidikan berbentuk latihan teknikal ini juga ditawarkan oleh MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) yang mana MAIPs menghantar pelajar dari golongan asnaf ke 23 buah pusat latihan termasuklah Akademi Binaan Malaysia bagi memastikan pelajar mempunyai tahap keboleh pasaran yang tinggi. Kerajaan Negeri akan terus menyokong program pendidikan yang bersifat kemahiran, inovasi dan kreatif. Untuk itu Program Inovasi Institusi Pendidikan Peringkat Negeri Perlis (PRINTIS) yang mula diperkenalkan pada tahun 2020 akan diteruskan pada tahun 2021. Program anjuran Kolej Komuniti Arau dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini menyediakan platfom kepada tenaga pengajar dan pelajar untuk mengenengahkan idea kreatif dan inovatif dalam menghasilkan ciptaan yang bermutu tinggi dan bernilai komersial. Pada tahun 2020, program ini telah merekodkan 110 penyertaan dari tenaga pengajar institusi pengajian dan pelajar di seluruh Perlis. Selain program PRINTIS, Program Summer Camp dengan kerjasama UNIMAP yang mula diperkenalkan tahun 2019 juga akan diteruskan pada tahun 2021. Yang Berhormat Dato’ Speaker, sebagai salah satu inisiatif bagi membanteras masalah ponteng dan penyalahgunaan dadah di kalangan murid sekolah, Program Cognitive Behavioral Therapy (CBT) telah diperkenalkan hasil usahasama Kerajaan Negeri bersama Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis. Modul ini dapat membentuk sahsiah dan mengawal minda pelajar dari terpengaruh dengan gejala sosial. Modul Program CBT ini telah mula dilaksanakan sebagai projek rintis kepada 9 buah sekolah pada tahun 2020. Pada tahun 2021 program ini akan dilaksanakan di 104 buah sekolah di seluruh negeri Perlis. Selain itu Kerajaan Negeri juga akan meneruskan kerjasama dengan AADK Negeri Perlis dan beberapa agensi lain dalam melaksanakan Program Kampungku Permai Lagi Mempersona (KPLM) di Kuala Perlis sebagai usaha membendung penyalahgunaan dadah secara bersepadu dan membuka minda masyarakat untuk bersama-sama memerangi gejala ini. Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Perlis untuk meningkat dan memperkasakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) sebagai sebuah pertubuhan sukarela yang membantu dalam menjaga keselamatan dan meningkatkan semangat kejiranan. Pada masa ini jumlah KRT di Perlis adalah 135 buah dan pada tahun 2021, 100 buah KRT lagi akan ditambah bagi menjaga keselamatan, kebersihan dan meneruskan kelestarian komuniti. Kerajaan Negeri juga akan menyediakan peruntukan one-off 500 ringgit kepada 70 SRS yang aktif sebagai galakan aktiviti kesukarelawan dalam menjaga keselamatan komuniti.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Keagamaan
Sejumlah 15.10 juta ringgit disediakan untuk pelbagai program pemerkasaan syiar Islam pada tahun 2021. Daripada jumlah tersebut, 13 juta ringgit adalah bagi pembinaan masjid baru di
Chuping, Paya dan Beseri di bawah Kerajaan Persekutuan manakala 2.10 juta ringgit adalah untuk menaik taraf Masjid Nurul Hikmah Wang Besar, Masjid Darul Ulum Wang Ulu dan Masjid Al-Rahman, Sanglang. Di samping itu, Kerajaan Negeri dan Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) juga telah menyenggara 22 buah masjid pada tahun ini yang menelan belanja sebanyak 306 ribu ringgit. Bagi memastikan pengurusan kewangan masjid dijalankan mengikut tatacara yang betul dan cekap, satu Garis Panduan Modul Pengurusan Kewangan Masjid akan disediakan oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) untuk diguna pakai oleh masjid di seluruh negeri Perlis. Kerajaan Negeri menghormati kemajmukan penduduk yang berbilang budaya dan agama menjadikan kita lebih harmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain. Menyedari hakikat ini dan di atas sifat bertanggungjawab, Kerajaan Negeri buat julung-julung kalinya akan menyediakan satu kemudahan pembakaran mayat bagi penganut Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain agama. Satu krematorium akan dibina dengan peruntukan 1 juta ringgit.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Strategi Ketujuh : Perlis Bersih Indah
Cabaran besar dalam kehidupan masyarakat ialah menguruskan persekitaran terutamanya pengurusan sampah dan sisa pepejal dengan cekap dan berkesan. Statistik janaan sisa plastik yang dikitar semula yang direkodkan di Tapak Pelupusan Sanitari Rimba Mas, Chuping menunjukkan peningkatan kepada 288.83 tan pada tahun 2019 berbanding hanya 233.61 tan pada tahun 2018. Bagi memastikan Negeri Perlis terus kekal hijau dan bersih, Kerajaan Negeri terus komited dalam meneruskan Program Perlis Bersih Indah. Justeru itu, bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memperkasa Program Hari Tanpa Beg Plastik iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Caj pencemaran iaitu kutipan sebanyak 20 sen bagi setiap beg plastik yang dibekalkan kepada pengguna di kaunter bayaran bagi lapan (8) kategori premis perniagaan yang ditetapkan akan dikekalkan serta ditambah kutipan caj kepada hari Ahad. Kerajaan Negeri juga akan ke fasa seterusnya dalam kempen tanpa plastik iaitu larangan penggunaan bekas polisterin dan pemberian penyedut minuman plastik / straw. Fasa permulaan melibatkan kempen kesedaran awam dan seterusnya melibatkan larangan penggunaan penyedut minuman / straw dan polisterin di premis-premis makanan yang berlesen dengan Majlis Perbandaran Kangar (MPK). Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kerana menyokong usaha ini dengan satu langkah ke hadapan, dengan melaksanakan program tanpa beg plastik di farmasi HTF. Jabatan Kesihatan Negeri Perlis akan memperluaskan program ini ke semua fasiliti pusat kesihatan di Perlis. Inisiatif HTF dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis ini diharap akan menjadi pemangkin dan dorongan kepada entiti-entiti Kerajaan atau swasta yang lain, maupun individu. Kerajaan Negeri juga akan menambah tong sampah berpusat yang akan diletakkan di beberapa lokasi strategik. Sebanyak 15 tong sampah lagi akan ditambah di tahun hadapan. Kita juga akan menaiktaraf dan menyenggara kawasan tong sampah sedia ada supaya keadaannya lebih teratur, terjaga dan sentiasa bersih. Pertambahan tong sampah berpusat ini diharap mampu untuk membendung dan mengatasi masalah longgokan sampah di tepi-tepi jalan. Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 600 ribu ringgit bagi perkhidmatan pembersihan jalan di Negeri Perlis. Peruntukan ini diharap akan berkurang dari tahun ke tahun dengan peningkatan kesedaran rakyat terhadap pentingnya kebersihan. Program berbentuk kempen kebersihan seperti Recycle for Life, Trash for Cash, World Clean Up Day, Plogging Race di kawasan pantai, Hari Alam Sekitar dan Program Cintai Sungai Perlis akan terus diperkasakan pada tahun 2021. Kerajaan Negeri juga akan melancarkan Kempen Vandalisme Sifar sebagai salah satu inisiatif di dalam menjayakan Perlis Bersih Indah. Melalui kempen ini, Kerajaan Negeri akan memerangi gejala vandalisme yang sering berlaku di Program Perumahan Rakyat (PPR), papan-papan tanda, lot-lot kedai dan harta benda awam yang lain. Penguatkuasaan dan pemantauan kempen ini akan melibatkan kerjasama dan integrasi antara jabatan dan agensi kerajaan yang dilaksanakan melalui Flying Squad peringkat Negeri Perlis.
Fokus 2 : Pemantapan Penyampaian Perkhidmatan
Strategi Pertama : Perlis Go Digital
Penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi digital dimanfaatkan sepenuhnya dengan potensi teknologi 4IR di Negara ini. Ianya merupakan fokus utama agensi-agensi Kerajaan dalam menyediakan satu sistem penyampaian perkhidmatan atas talian secara end-to-end (E2E). Perkhidmatan ini akan ditawarkan kepada komuniti bisnes dan rakyat. Sepanjang tempoh PKP ini, ia akan dilaksanakan secara atas talian. Inisiatif ini dapat mempercepatkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat dan mengurangkan keperluan rakyat untuk berkunjung ke kaunter dalam usaha membendung wabak COVID-19. Selaras dengan aspirasi ini, Kerajaan Negeri telah melancarkan Perlis Go Digital pada 10 November yang lalu. Tujuh (7) kluster utama telah pun dikenalpasti, iaitu perkhidmatan kerajaan digital, ekonomi digital, masyarakat digital, pelancongan digital, pertanian digital, infrastruktur digital dan keselamatan digital. Pelaksanaan ke arah digital ini akan dibuat secara berperingkat, iaitu restart/initialization (jangka pendek), revitalise (jangka sederhana) dan reform (jangka panjang). Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada projek-projek bersifat quick win. Sebagai kick start, Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada pembudayaan masyarakat melalui pembayaran sesuatu transaksi tanpa tunai atau cashless transaction. Dengan usahasama syarikat swasta, projek ini dijangka akan memberi peluang kepada 100 orang usahawan untuk mendaftar dan menggunapakai Aplikasi Perniagaan Mesinkira secara percuma. Aplikasi ini akan memudahkan peniaga dan pembeli di mana setiap transaksi pembelian akan dibuat secara cashless, stok barangan dan perakaunan direkodkan secara digital serta memudahkan penyimpanan data pelanggan secara atas talian. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan membudayakan pembayaran tanpa tunai di kaunter-kaunter jabatan kerajaan seperti di Pejabat Tanah dan Galian Perlis, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Usaha untuk menyediakan kemudahan bayaran di atas talian melalui laman sesawang Perbendaharaan Negeri Perlis juga sedang giat dilaksanakan untuk semua jenis bayaran yang melibatkan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri. Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama institusi perbankan di Perlis. Keseluruhan peruntukan yang disediakan bagi projek Perlis Go Digital ini adalah 505 ribu ringgit. Usaha bagi meningkatkan infrastruktur digital akan dipergiatkan dengan menyediakan jalur lebar talian tetap dan mudah alih melalui projek JENDELA dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Melalui JENDELA, Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan lima (5) menara telekomunikasi baharu. 160 alat pemancar sedia ada dinaiktaraf. Capaian gentian optik dapat diterima oleh 13,352 premis dengan kerjasama one stop agency negeri, iaitu Perlis.Com. Dalam membudayakan masyarakat negeri Perlis ke arah digital, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) sedang merangka kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menubuhkan pusat digital komersial berkonsepkan kontena. Pusat digital ini akan dijenamakan sebagai Arena Digital Perlis yang berperanan membantu masyarakat terutamanya usahawan dalam mendapatkan khidmat nasihat mengenai penggunaan digital, pembiayaan, dan pembangunan kapasiti perniagaan. Pembinaan digital ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 100 orang usahawan Perlis dan mempercepatkan usaha pembudayaan digital kepada lebih 102 ribu rakyat Perlis khususnya di Kangar. Kerajaan Negeri juga akan terus melaksanakan engagement bersama Bank Negara, MDEC, KPDNHEP, KKMM dan MPC bagi memberi pendedahan dan pembudayaan digital kepada masyarakat. Bagi merealisasikan inisiatif digital ini, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Majlis Digital Negeri yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar dalam menasihati Jawatankuasa Kerajaan Digital melaksanakan Pelan Digital Perlis secara lebih berkesan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Strategi Kedua : Peningkatan Kecekapan
Peranan perkhidmatan awam kini semakin mencabar dan kompleks. Ketika dunia dilanda pandemik COVID-19 di mana Malaysia juga tidak terkecuali, kanvas penyampaian perkhidmatan awam terus berubah corak di mana harapan dan tuntutan pelbagai pihak ke atas prestasi perkhidmatan awam semakin tinggi. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis sentiasa proaktif merancang program untuk peningkatan kecekapan penjawat awam. Antara program yang telah dilaksanakan dan dirancang adalah: Penempatan Khas Jangka Pendek Ke Negeri Lain, program penempatan sementara atau Staff Attachment Programme adalah merupakan salah satu inisiatif baharu yang telah dilaksanakan melalui kajian penanda aras selama tiga (3) hingga (5) hari di mana-mana agensi Kerajaan, GLC atau swasta yang cemerlang dalam projek, proses kerja dan polisi yang dikategorikan sebagai best practices untuk diaplikasikan di Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Majlis Perbandaran Kangar (MPK) adalah agensi rintis bagi program ini yang mana telah dijalankan dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Seramai 13 orang kakitangan MPK telah ditempatkan di Majlis Bandaraya Seberang Perai selama 3 hari mulai 4 hingga 6 November 2020. Tiga (3) modul yang difokuskan iaitu Modul Pengurusan Pelan Pembangunan OSC, Modul Penguatkuasaan dan Alam Sekitar, dan Modul Smart City. Kesinambungan program ini akan dibuat dengan kolaborasi PBT yang telah menerima anugerah bagi sistem penarafan bintang PBT Malaysia. Agensi-agensi lain seperti Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perlis akan diteruskan secara berfasa bagi memperkasakan kecekapan penjawat awam khususnya dalam sektor pembangunan. Kursus dan Latihan Berbentuk Functional, Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada penganjuran kursus berbentuk functional serta hands on agar dapat memberi impak positif yang menghasilkan outcomes memberangsangkan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat Negeri Perlis. Dalam konteks pembangunan negeri Perlis, latihan mengenai pemantauan pelaksanaan projek pembangunan akan ditingkatkan. Selain itu, inovasi untuk menyepadukan informasi antara agensi pelaksana projek perlu diwujudkan bagi memastikan check and balance, kecekapan dan pematuhan integriti. Kursus gabungan generic dan functional seperti technical writing, pemantapan penguatkuasaan, scenario planning, business process reengineering and strategic thinking serta capacity building bakal menjadi pemangkin dalam memperkasakan penjawat awam. Semua bentuk latihan secara berterusan dan holistik ini adalah bagi menyuntik semangat, kreativiti, insaniah dan inovasi dalam meningkatkan kecekapan penyampaian dan membangunkan minda penjawat awam kelas pertama. Pentadbiran secara matrix dan integrated team Work akan diaplikasikan dalam fasa pelaksanaan Pelan Digital Perlis 2021 – 2025. Melalui kaedah pengurusan strategik ini, 7 Kluster Digital yang dikenalpasti iaitu Perkhidmatan Kerajaan, Keselamatan, Infrastruktur, Masyarakat, Ekonomi, Pelancongan dan Pertanian Digital dengan 49 projek-projek flagship akan dilaksanakan dengan melibatkan sektor pengurusan, pembangunan, jabatan negeri dan pihak swasta. Pembangunan Kapasiti yang melibatkan penganjuran bengkel dan benchmarking study akan dibuat bagi melihat keberkesanan mengadaptasi pentadbiran secara matrix dan integrated team work. Penguatkuasaan Bersepadu, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk memperkasakan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu bagi tahun 2021 sebagai kesinambungan dari tahun 2020. Pemantauan penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan melalui medium-medium mesyuarat yang telah disediakan. Sebagai contoh, bagi mengekang aktiviti pembuangan sampah haram daripada terus berleluasa di Negeri Perlis, sebanyak 288 Operasi Sampah Haram telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2020 di beberapa lokasi hotspot pembuangan sampah haram. Selain itu, sebanyak 8,301 premis telah melalui pemeriksaan terperinci dalam Operasi Penguatkuasaan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS) sebagai langkah pencegahan. Kerajaan Negeri juga komited melaksanakan penguatkuasaan terhadap banner, sepanduk dan kain rentang yang diletakkan secara haram di tiang-tiang lampu, dinding-dinding pagar dan juga di pokok-pokok. Penggantungan ini mencacatkan pemandangan, keindahan dan kemudahan awam di sekitar negeri ini. Pengurusan Kelulusan Oleh OSC, bagi memperkemas dan mempercepatkan proses kerja, konsep Business Prosess Reengineering akan diaplikasikan dalam pengurusan kelulusan pembangunan melalui One Stop Centre (OSC) khususnya di MPK. Selain itu, konsep ini juga akan diadaptasi di agensi kerajaan negeri yang sedang membuat kajian serta semakan semula dasar, peraturan, prosedur, proses kerja dan undang-undang yang didapati tidak lagi relevan dengan situasi semasa. Peranan penjawat awam sebagai penggerak perubahan semakin mencabar, rencam dan dinamik dengan wujudnya situasi pendemik. Pada era pandemik COVID-19, 'Menguasai Perkembangan Teknologi' bukan lagi satu pilihan, malah kemestian. Dalam mendepani perubahan dan norma serba baharu ini, penjawat awam harus kekal setia dan taat melaksanakan tugasan diberikan. Hanya dengan kesetiaan dan ketaatan maka nilai lain yang membawa pencapaian tadbir urus yang baik, dapat dilaksanakan. Kita dapat lihat semasa PKP pada Mac yang lalu penjawat awam tanpa mengenal penat lelah, mereka telah berkhidmat melangkaui ekspektasi, untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi. Rakyat telah menerima segala bantuan yang diperlukan dengan cepat semasa tempoh PKP tersebut. Pengorbanan mereka dalam melaksanakan tugas wajar dihargai. Justeru, Kerajaan Negeri telah memutuskan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak 800 ringgit kepada semua penjawat awam Kerajaan Negeri. Manakala, golongan pesara Kerajaan Negeri pula akan menerima bayaran sebanyak 400 ringgit bagi mengenang jasa-jasa yang disumbangkan mereka. Selain itu, golongan pesara yang dilantik semula oleh Kerajaan Negeri secara Contract for Service (CFS) akan menerima 500 ringgit sebagai tambahan ke atas 300 ringgit yang dibayar oleh Kerajaan Pusat.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Fokus Ketiga : Pembangunan Ekonomi Mampan
Strategi Pertama : Kesinambungan Projek Mega
Pertumbuhan ekonomi Perlis meningkat bagi tahun 2019 pada kadar 4.6 peratus berbanding 3.3 peratus pada tahun 2018. Sektor perkhidmatan dan pembuatan telah menyumbang sebanyak 4.54 billion ringgit daripada keseluruhan KDNK iaitu 6.151 billion ringgit. Kerajaan Negeri komited untuk memastikan pelaksanaan projek-projek dan rancangan pelaburan di negeri Perlis berjalan dengan lancar. Pemantauan secara berkala oleh Kerajaan Negeri melalui mekanisme Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelarasan Pelaburan Negeri Perlis yang dipengerusikan oleh Menteri Besar diteruskan setiap dua (2) minggu sekali. Pemantauan ini akan diteruskan pada tahun 2021 bagi memastikan projek-projek mega negeri Perlis dilaksanakan dengan efisyen, efektif dan cepat. Sehingga kini, sebanyak 23 projek sedang dipantau secara rapi. Tahun 2021 merupakan tahun pelaksanaan dan kesinambungan bagi projek-projek mega di Perlis iaitu: Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA). Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) telah menempatkan beberapa penghuni seperti Tessolve, PG Medic, MTD Construction Sdn. Bhd., Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat NCIA Perlis. Kerajaan Negeri yakin IBC dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem perindustrian di CVIA itu sendiri. Pembangunan keseluruhan CVIA yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat menelan belanja sebanyak 724 juta ringgit. Bagi Fasa 1, seluas 440 ekar melibatkan kerja infra dalaman, pembinaan kemudahan fasiliti bekalan air, plot komersial, kilang berkembar dan plot pembuatan hijau, loji rawatan kumbahan, bekalan gas, bekalan elektrik, dan bekalan telekomunikasi sedang dilaksanakan. Kemudahan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2023; dan Pelaksanaan fasa 2 ke atas tanah berbaki seluas 2,042 ekar dijangka dapat dimulakan pada Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP2, RMKe-12); Perlis Inland Port (PIP). Pelaburan yang bernilai 1.8 bilion ringgit yang dilaksanakan oleh Mutiara Infra Sdn Bhd di atas tanah seluas 500 ekar di Padang Besar telah mendapat kelulusan bersyarat Kebenaran Merancang. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak 300 juta ringgit bagi tujuan pelaksanaan tiga infrastruktur luaran utama iaitu bonded road, spurline dan flyover untuk menyokong operasi PIP. Pelaksanaan projek infrastruktur luaran ini dijangka dapat dimulakan pada awal tahun 2021. Kini projek-projek berada di tahap reka bentuk oleh juruperunding dan Value Management Lab (VML) oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk melihat dan menilai aspek-aspek pembangunan ini secara terperinci; Jeti Bersepadu Sanglang. Pelaburan bernilai 1.8 billion ringgit telah mendapat kelulusan kebenaran merancang. Projek ini akan dilaksanakan oleh Syarikat Mutiara Perlis Sdn. Bhd. di atas tanah berkeluasan 31.53 ekar. Kementerian Pengangkutan telah secara rasmi menyatakan sokongan ke atas pembangunan projek ini melalui surat bertarikh 16 Oktober 2020. Kini hanya menunggu kelulusan rasmi dari Jabatan Alam Sekitar ke atas laporan Impak Alam Sekitar; UniKL-ASTI (Asia Sustainable Transportation Institute). Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah 197 juta ringgit bagi pembinaan UniKL-ASTI di Chuping. Perolehan tanah bagi projek ini dijangka selesai pada tahun hadapan; Kangar Sentral. Projek ini bernilai 30 juta ringgit dan urusan kerja tanah telah pun diselesaikan. Kerja-kerja tapak telah dimulakan mulai 6 Oktober 2020 dan pelaksanaan kerja fizikal dijangka selesai pada tahun 2023. Apabila siap kelak, projek ini akan memberi keselesaan kepada pengguna pengangkutan awam terutamanya bas ekspres bagi perjalanan jauh. Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyertaan swasta dalam pembangunan kawasan sekitar Kangar Sentral secara komersial; Kilang Komponen Peluru. Nilai pelaburan bagi projek usahasama syarikat tempatan dan syarikat swasta asing ini adalah berjumlah 112 juta ringgit. Kerja-kerja fizikal sedang berlangsung di tapak dan dijangka selesai dan beroperasi pada tahun 2021.
Strategi Kedua : Pembangunan Projek Komersial
Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan penyertaan syarikat swasta melalui pelaburan di dalam pelbagai sektor ekonomi. Antara projek-projek pelaburan komersial baru yang akan membantu mengubah lanskap ekonomi dan pembangunan negeri Perlis pada tahun mendatang adalah seperti berikut: Projek Pembinaan Magnesium Smelting Plant dan Kuari Dolomite. Kerajaan Negeri telah memberikan pertimbangan kelulusan dasar kepada projek pembinaan magnesium smelting plant serta pengoperasian kuari dolomite di Chuping, Perlis dengan nilai pelaburan 550 juta ringgit; Pembangunan Loji Janakuasa Solar PV Berskala Besar (LSS). Kerja-kerja fizikal bagi pelaburan swasta bernilai 190 juta ringgit ini sedang dilaksanakan di Kg. Bukit Perawah, Beseri. Kerja-kerja fizikal dijangka siap pada tahun 2021. Pembangunan Pusat Komersial Padang Besar, Pelaburan swasta yang bernilai 30.30 juta ringgit ini telah mendapat kelulusan bersyarat Kebenaran Merancang. Kerja-kerja fizikal dijangka bermula pada tahun 2021; Pembangunan Resort dan Pusat Makanan, Pantai Bukit Putih. Projek Pantai Bukit Putih bernilai 24.50 juta ringgit ini merupakan projek pelaburan swasta yang sedang dalam proses mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang; Pembangunan Semula Pasar Padang Besar. Sebuah kompleks perniagaan dua tingkat dengan 188 unit ruang perniagaan sedang didirikan dengan kos pembangunan berjumlah 5.83 juta ringgit. Projek ini dijangka siap pada tahun 2021; Baik Pulih Konkos Jeti Kuala Perlis. Projek dibiayai oleh Kerajaan Pusat dengan kos pembangunan berjumlah 2.90 juta ringgit ini melibatkan kerja naik taraf dan binaan tambahan di kompleks sedia ada. Kerja-kerja fizikal dijangka siap pada tahun 2021. Projek ini akan meningkatkan keselesaan kepada pengguna dan menyediakan ruang niaga tambahan kepada usahawan tempatan; Naik Taraf Infrastruktur Taman Teknologi Pauh Putra. Projek dibiayai oleh Kerajaan Pusat dengan kos berjumlah 2.86 juta ringgit ini merangkumi kerja naiktaraf infra asas seperti utiliti sistem bekalan air dan elektrik. Ia dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun. Pelaksanaan kerja naik taraf ini membolehkan industri sekitar berkembang dan memberi manfaat serta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Strategi Ketiga : Agro Business
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menggalakkan pelaburan swasta di dalam sektor agro-business berskala besar. Ini termasuklah pewujudan ladang tanaman kontan, ternakan lembu daging dan tenusu. Alhamdulillah, usaha ini telah menampakkan hasil apabila beberapa pelabur swasta telah membuat pelaburan di dalam industri ini. Pelaksanaan projek-projek ini kelak akan menjadikan Perlis sebagai pengeluar agro-makanan premier negara, seiring dengan dasar keselamatan makanan negara. Antara projek yang sedang dan akan dijalankan adalah seperti berikut: Chuping Agro Valley (CAV). Projek ini akan dilaksanakan oleh Felda Global Ventures (FGV) di atas tanah milik syarikat MSM yang berkeluasan 11,344.45 ekar. Projek ini akan memfokuskan kepada tanaman ubi kayu cassava, nanas varieti MD-2, Harumanis, penyelidikan kilang kelapa sawit, pembangunan kilang kanji ubi kayu, dan ternakan lembu tenusu melibatkan nilai pelaburan keseluruhan melebihi 100 juta ringgit. Projek ini adalah tambahan kepada projek Super Fruits Valley (SFV) yang telah pun beroperasi di Chuping; Projek Tanaman Nanas MD-2. Projek pelaburan swasta ini bernilai 2.70 juta ringgit diusahakan di atas tanah berkeluasan 250 ekar. Kerja-kerja penanaman sedang berlangsung di tapak di Wang Kelian. Pelaksanaan projek ini memberi peluang pekerjaan secara langsung kepada 50 orang rakyat tempatan; Projek Ruminan Besar. Kerajaan Negeri akan terus menggalak dan memberi sokongan kepada pengusaha-pengusaha swasta untuk menternak lembu, kambing, ayam, itik atau lain-lain haiwan secara komersial dan berskala besar. Sehingga kini dua pengusaha lembu daging berskala sederhana telahpun mula beroperasi di Perlis. Manakala satu lagi pengusaha yang telah diluluskan permohonannya akan mula beroperasi sedikit masa lagi. Projek swasta ini diusahakan dengan nilai pelaburan 3.40 juta ringgit di atas tapak seluas 69.12 ekar di Chuping dan telah mula beroperasi dengan bilangan lembu sebanyak 200 ekor. Syarikat akan membuat penambahan bilangan lembu secara beransur-ansur. Satu lagi syarikat juga telah mula beroperasi di kawasan berhampiran Bukit Keteri. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk satu lagi syarikat memulakan operasi pembelaan lembu di atas tanah milik Kerajaan Negeri di Bukit Temiang.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Strategi Keempat : Pelancongan
Sektor pelancongan adalah sektor yang paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19. Walaupun Kerajaan Negeri telah mula mengambil inisiatif baru untuk melonjakkan industri pelancongan Perlis, terutama yang berasaskan tarikan dan keindahan semula jadi, di awal tahun 2019, namun semua usaha ini terencat kerana negara kita telah dilanda pandemik COVID-19. Inisiatif yang telah dimulakan di tahun 2019 ini akan diberikan nafas semula dan teruskan di tahun 2021. Dalam usaha memulihkan sektor ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 3.10 juta ringgit pada tahun 2021. Peruntukan ini akan digunakan bagi tujuan berikut: 1.22 juta ringgit bagi melaksanakan event dan sport tourism seperti Perlis Marathon, Pesta Air Perlis, Pesta Angin Timur, World Cup Woodball Championship 2021, Pesta Wau dan Royal Perlis Endurance; 540 ribu ringgit disediakan bagi tujuan promosi sektor pelancongan yang melibatkan penyediaan papan tanda pelancongan, Program Komuniti Geopark Negeri Perlis, penyediaan video dan promosi di media sosial dan penyertaan pameran seperti MATTA Fair. Selain itu, promosi ini akan turut melibatkan penambahbaikan kemahiran hospitaliti di peringkat pemain industri pelancongan di Negeri Perlis seperti pelaksanaan Kursus Duta Pelancongan dan Kursus Bahasa; 1.34 juta ringgit diperuntukkan untuk penambahbaikan produk-produk pelancongan negeri di lokasi-lokasi tumpuan pelancong, terutamanya prasarana sokongan. Kerajaan Negeri menggalakkan dan menyambut baik inisiatif pihak swasta bagi memajukan lagi industri pelancongan di Perlis. Didapati sektor pelancongan di Perlis menarik perhatian pelancong tempatan dengan kemunculan ikon pelancongan baharu seperti di Tasoh Lake Resort, Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh, Viewpoint Wang Kelian, Laman Bukit Chabang, Tapak Perkhemahan Nakawan Base Camp, Perkhemahan Hujan-Hujan di Gua Kelam, aktiviti berkayak di Sungai Bukit Jernih dan floating market di Pengkalan Asam. Industri ini juga akan ditambah nilai selaras dengan ‘Perlis Go Digital’ melalui inisiatif Digital Tourism dan Digital Entertainment bagi melahirkan konsep baharu dalam aktiviti pelancongan. Sektor swasta dipohon untuk merebut peluang ini dan menyediakan business model yang menguntungkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Peruntukan Bajet 2021
Hasil
Tahun 2021 adalah tahun yang mencabar, terutamanya dalam usaha negara membendung penularan wabak COVID-19 dan di masa yang sama memulihkan semula pembangunan ekonomi yang terjejas. Kita bersyukur, walaupun penularan wabak ini, prestasi kutipan hasil Kerajaan Negeri masih lagi pada tahap memberangsangkan dan Kerajaan Negeri mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah tanpa menjejaskan keperluan rakyat. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah mengatur semula strategi dan langkah pembangunan sosioekonomi bersesuaian dengan situasi semasa. Antara langkah-langkah yang diambil Kerajaan Negeri untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19 adalah: pemberian diskaun atas sewaan gerai PKENPs dan MPK; penangguhan pembayaran (moratorium) sewa-beli rumah RPA (Rancangan Perumahan Awam) melibatkan 305 keluarga selama 6 bulan; pengecualian sewaan gerai Bahagian Perumahan (BP) dan Bahagian Pentadbiran Daerah (BPD) selama enam (6) bulan; pengecualian sewaan kepada 778 penyewa rumah PPR dan 142 penyewa di Rancangan Perumahan Kuala Perlis selama enam (6) bulan; dan pemberian diskaun atas sewaan gerai di bawah MAIPs selama tiga (3) bulan. Kerajaan Negeri akan meneruskan program peningkatan hasil cukai, dengan mengambilkira situasi semasa iaitu: Meneruskan program menggalakkan bayaran awal cukai tanah - pemberian rebat cukai sebanyak 8 peratus bagi tanah kategori pertanian; 5 peratus bagi tanah kategori kediaman/bangunan dan 3 peratus bagi kategori industri sehingga Mei 2021; Program peka cukai tanah – meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan kewajipan membayar Cukai Tanah melalui aktiviti program turun padang; Pembayaran cukai tanah/sewaan secara atas talian – menggalakkan orang ramai untuk menjelaskan cukai tanah dan bayaran sewaan secara atas talian. Ini juga selaras dengan misi Perlis Go Digital; Pengusahasilan pokok jati yang dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis melibatkan dua (2) kategori kawasan iaitu pokok jati di jalan dan ladang jati dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK); Pengenalan produk dan inisiatif pelancongan baharu serta penjenamaan semula produk pelancongan– Antaranya adalah eksplorasi tapak baru iaitu Gua Kelam 3, Galeri 3D dan aktiviti sukan lasak (seperti flying fox, rock climbing) di Gua Kelam, Ladang Agrovet Batu 20 dan pelbagai lagi. Justeru, bagi tahun 2021 Kerajaan Negeri menganggarkan kutipan hasil berjumlah 108.17 juta ringgit. Komponen anggaran hasil utama adalah seperti berikut: Hasil Cukai – 21.28 juta ringgit; Hasil Bukan Cukai – 21.09 juta ringgit; dan Terimaan Bukan Hasil – 65.80 juta ringgit. Anggaran hasil ini berdasarkan keupayaan Kerajaan Negeri mengutip hasil pada tahun 2020 di mana beberapa aktiviti seperti turun padang dan pelbagai kempen terpaksa ditangguhkan akibat situasi semasa COVID-19. Pada tahun 2021, yang merupakan fasa pasca COVID-19, Kerajaan Negeri menjangkakan tiada peningkatan drastik dalam kutipan hasil negeri.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Perbelanjaan Mengurus
Belanjawan 2021 merupakan belanjawan mengembang (expansionary) di mana jumlah perbelanjaan mengurus bagi tahun 2021 dianggarkan sebanyak 175.69 juta ringgit, iaitu peningkatan sebanyak 3.07 peratus berbanding tahun 2020. Daripada jumlah keseluruhan peruntukan mengurus yang disediakan, 55.97 juta ringgit diperuntukkan untuk bayaran Emolumen kepada kakitangan awam, 69.88 juta ringgit disediakan bagi menampung perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan, 40.23 juta ringgit pula disediakan di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, 7.33 juta ringgit disediakan untuk Aset serta 2.28 juta ringgit untuk Lain-lain Perbelanjaan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Peruntukan Pembangunan
Bagi peruntukan pembangunan, sejumlah 133.82 juta ringgit disediakan dari keseluruhan peruntukan Bajet 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 101.61 juta ringgit adalah pembiayaan dari pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi pembiayaan Projek Mitigasi Jangka Sederhana Bekalan Air Negeri Perlis, pembinaan Kompleks Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Istana Raja Muda Perlis. Sebanyak 28.23 juta ringgit disediakan di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) bagi tahun 2021. Pengagihan peruntukan pembangunan bagi tahun 2021 akan disalurkan melalui 6 Agensi Pelaksana utama bagi tujuan memenuhi keperluan pembangunan semua sektor. Pengagihan peruntukan kepada 6 agensi berkenaan adalah seperti berikut: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri – 77.64 juta ringgit; Jabatan Kerja Raya – 45.86 juta ringgit; Jabatan Pertanian – 3.23 juta ringgit; Jabatan Perkhidmatan Veterinar – 0.71 juta ringgit; Jabatan Pengairan dan Saliran – 5.67 juta ringgit; dan Jabatan Perhutanan – 0.71 juta ringgit. Yang Berhormat Dato’ Speaker, penyediaan Bajet 2021 ini amat mencabar. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan kesinambungan pemulihan ekonomi negeri dan keperluan mencapai Wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030. Di masa yang sama, Kerajaan Negeri tidak boleh mengabaikan keperluan kebajikan dan kemaslahatan rakyat. Tuntutan kepada pembangunan yang bersifat jangka panjang harus diseimbangkan dengan keperluan menjaga kebajikan semasa rakyat. Rakyat tidak boleh dibiarkan untuk berada di dalam situasi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Keseimbangan dalam memenuhi kedua-dua tuntutan inilah yang menjadikan penyediaan Bajet 2021 bagitu mencabar. Kita belum tahu lagi, apakah pula bentuk cabaran mendatang yang akan kita hadapi menjelangnya 2021? Dan apakah pula impak dan keperluan perbelanjaannya? Apapun situasinya, Bajet 2021 ini telah disediakan dengan penuh berhemah atau prudence. Saya menyeru dan menjemput Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menyantuni dengan pandangan dan buah fikiran bernas yang tak terfikir dek Kerajaan Negeri agar Bajet 2021 ini berkurang kepincangan dan kelemahannya. Mana yang kurang perlu ditambah, dan mana yang berlebih perlu berkurang. Marilah kita semua sama-sama mendoakan agar niat baik dan ikhlas dalam penyediaan Bajet 2021 ini akan mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala jua, dan seluruh rakyat Perlis mendapat manfaatnya. Bajet ini adalah untuk rakyat. Kita hadir di sini sebagai wakil kepada rakyat untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat. Dengan semangat itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan agenda untuk rakyat yang terkandung di dalam Bajet Kerajaan Negeri 2021, yang tersimpul kemas di dalam temanya, “Meningkatkan Keberkesanan, Merangsang Pembangunan, Membela Kebajikan Demi Keharmonian”. Demikianlah pembentangan Bajet 2021, saya mohon mencadangkan. Sekian, wabillahitaufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih banyak Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.
Penangguhan DewanAdjournment
Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas pembentangan tadi dan juga Yang Berhormat Chuping atas sokongan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan untuk hari ini dan akan disambung semula pada hari esok Rabu, 9 haribulan Disember 2020 jam 9.30 pagi. Sekian, terima kasih.
(Persidangan ditangguhkan pada jam 2.18 petang)