Perlis · 24 August 2021

14th Assembly, 4th session, 1st meeting · 13 turns · 3,587 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.

(Pembukaan)

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dewan mula bersidang.

Doa

Penolong Setiausaha Dewan

Doa.

(Bacaan doa oleh Penolong Setiausaha Dewan)

Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis

Setiausaha Dewan

Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.

Speaker

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, sebentar lagi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan berangkat masuk bagi merasmikan Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri Perlis yang Keempat Belas. Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dapat memberikan sepenuh tumpuan dan mendengar dengan teliti bagi memahami setiap butiran titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Setelah Duli Yang Maha Mulia Tuanku selesai bertitah, persidangan kita pada hari ini akan ditangguhkan pada hari esok. Ahli-ahli Yang Berhormat dipersilakan untuk mengambil tempat masing-masing di luar Dewan ini untuk majlis bergambar. Saya percaya, urus setia telah memaklumkan kedudukan Ahli-ahli Yang Berhormat semasa sesi bergambar nanti. Memandangkan Majlis Bergambar ini akan diadakan di luar Dewan ini, maka saya memohon kerjasama jemputan-jemputan yang lain untuk kekal berada di dalam Dewan sehingga selesai majlis bergambar tersebut. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat juga, pada kali ini tiada Majlis Santapan Diraja. Makanan tengah hari akan disediakan secara ‘pack’ dan akan diedarkan oleh pihak urus setia.

Sidang Dewan akan disambung semula pada hari esok dan lusa untuk perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja. Sekian.

Dewan ditempohkan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan bertitah.

(Bentara menanggung Cokmar dan diikuti oleh Setiausaha Dewan, Penolong Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker berarak keluar dari Dewan ke Bilik Istirahat DiRaja bagi menjemput Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda untuk mencemar Duli berangkat masuk ke dalam Dewan).

(Bentara mengumumkan keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis).

Bentara

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda.

(Dif-dif jemputan berdiri dan memberi tunduk hormat).

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda serta Juruiring-juruiring, Bentara Dewan, Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Penolong Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri mengambil tempat masing-masing sambil berdiri).

(Rakaman lagu negeri Perlis dimainkan).

DYMM Tuanku Raja

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk.

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja PerlisAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Amat Berhormat Menteri Besar dipohon mengadap memohon ampuni limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja untuk bertitah.

(YAB Menteri Besar berdiri mengadap ke Paterana DiRaja sambil mengangkat sembah. Sebaik sahaja Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja berkenan untuk bertitah, YAB Menteri Besar akan mengangkat sembah dan duduk semula).

Setiausaha Dewan

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan bertitah.

DYMM Tuanku Raja

Bismillahirrahmanirrahim. Assalammu’alaikum warahmatullaahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan izin-Nya Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas pada hari ini. Beta juga bersyukur di atas anugerah kesihatan untuk membolehkan Beta menggalas amanah menaungi negeri ini. Beta berharap dan mendoakan agar Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis kali ini dapat berjalan dengan tertib, teratur dan lancar. Jadikanlah Dewan yang mulia ini sebagai medan terbaik untuk Ahli-ahli Yang Berhormat berbahas dan melontarkan pandangan bernas dalam menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan negeri dan kepentingan rakyat. Sematkan niat, tekad dan komitmen untuk sentiasa memberikan khidmat yang terbaik dengan jujur dan ikhlas demi kepentingan negeri dan rakyat semata-mata. Beta juga berharap agar Ahli-ahli Yang Berhormat dapat bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjamin dan memastikan wujudnya suasana politik yang tenang dan stabil di Perlis. Kestabilan politik dan perpaduan di kalangan rakyat amat penting. Ia adalah pra-syarat utama untuk membolehkan Kerajaan Negeri merancang, melaksana dan meneruskan agenda-agenda pembangunan dan kelicinan urusan pentadbiran negeri ini.

Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri, Yang Amat Berhormat Mamanda Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, di kesempatan ini, Beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Mamanda Menteri Besar yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan khidmat terbaik dalam mentadbir dan membangunkan Negeri Perlis.

Beta juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di atas perlantikannya sebagai Perdana Menteri Yang Kesembilan. Beta berharap dengan perlantikan Dato’ Sri sebagai Perdana Menteri Kesembilan akan membawa kestabilan dan keharmonian negara. Beta juga berharap agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan bagi meningkatkan taraf sosial ekonomi rakyat yang terjejas teruk akibat wabak pendemik COVID-19 yang melanda melalui proses pembangunan ekonomi dan pemulihan ekonomi. Seterusnya Beta berharap dengan perlantikan beliau, beliau mampu mengurus dan menangani pendemik yang memberi kesan dalam kehidupan rakyat.

Firman Allah SWT dalam Surah An Nissa’ Ayat 58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baik kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar dan Maha Melihat”

Justeru, Beta berharap Ahli-ahli Yang Berhormat dapat memainkan peranan masing-masing dengan bertanggungjawab dan amanah. Tunjukkan contoh teladan terbaik dari segi sikap, tingkah laku, percakapan dan perbuatan agar menjadi ikutan kepada rakyat. Mainkan peranan sebagai mata dan telinga rakyat supaya setiap isu yang didepani rakyat diberikan penyelesaian terbaik selain dari menjadi ejen pembangunan yang berkesan.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, walaupun wabak COVID-19 telah melebihi setahun, ia masih belum menunjukkan tanda-tanda ke arah pemulihan sepenuhnya. Ini disulami pula dengan iklim politik negara yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini. Kombinasi kedua-dua situasi ini memberi kesan negatif langsung kepada agenda pembangunan negara. Kerana itu, prestasi pembangunan negara secara amnya terjejas dengan serius. Kekeliruan dan ketidaktentuan politik ini juga tidak sihat kepada iklim pelaburan negara. Pelabur-pelabur menjadi tidak akan tertarik untuk melabur dalam situasi begini. Malah pelabur sedia ada mungkin akan menarik pelaburan mereka dan berhijrah ke negara lain yang dilihat lebih menarik. Jika situasi begini berterusan, ia bakal merencatkan agenda pembangunan negara. Malah tidak mustahil, ia boleh menarik pembangunan negara berundur ke belakang. Bagaimana pun Beta merasa agak lega kerana iklim politik di Perlis adalah tenang dan stabil. Beta ingin menyeru supaya Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa berfikiran rasional dan saling bekerjasama dalam mengekalkan kestabilan ini. Letakkan kepentingan rakyat di hadapan mengatasi kepentingan politik peribadi. Beta yakin dengan perancangan teliti Kerajaan Negeri, didorong pula oleh suasana politik yang stabil, Perlis akan menjadi destinasi menarik kepada pelabur-pelabur dan akan terus bergerak maju. Beta mendoakan agar situasi wabak COVID-19 di Malaysia akan bertambah baik. Rakyat pula dapat kembali menjalani kehidupan harian yang normal. Beta berharap segala perancangan dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Pusat dalam mendepani dan menangani wabak COVID-19 ini akan membuahkan hasil, In-syaa-Allah. Di masa yang sama Beta bersyukur kerana Perlis telah pun memasuki Fasa 3 di dalam Program Pemulihan Nasional (PPN). Ini bermakna rakyat sudah dapat bergerak dengan lebih bebas. Rakyat boleh menjalankan lebih banyak lagi aktiviti ekonomi harian dan berpeluang mencari punca pendapatan untuk mengurangkan bebanan kos hidup keluarga. Ini semua akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi dengan lebih cepat.

Sehubungan itu, Beta ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani wabak ini. Peranan mereka di barisan hadapan terutamanya wajar diberi pujian. Begitu juga semua yang memainkan peranan penting di barisan belakang. Syabas kepada seluruh rakyat yang telah memberikan kerjasama rapat dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan. Beta amat gembira dan berbangga dengan tahap kesedaran tinggi rakyat Perlis mengenai bahaya COVID-19 ini. Ia jelas terlihat apabila mereka meluahkan kebimbangan dan keprihatinan mengenai isu-isu yang berkaitan COVID-19 melalui ruang-ruang media sosial. Beta juga amat gembira kerana Kerajaan Negeri dengan pantas menyantuni dan bertindak ke atas isu-isu besar yang dibangkitkan. Malah isu-isu ini telah dibawa untuk pertimbangan dan keputusan Kerajaan Pusat. Beta berharap hubungan dan kerjasama erat antara Kerajaan dan rakyat ini dapat diteruskan demi faedah bersama. Kejayaan Perlis menuju ke Fasa 3 PPN berkait rapat dengan pencapaian program vaksinasi. Perlis telah pun mencapai nilai ambang melebihi 59.3% kadar vaksinasi dua dos di kalangan penduduk berumur 18 tahun ke atas. Kita semakin menghampiri ambang 80% kadar vaksinasi dua dos untuk mencapai herd immunity. Negara-negara yang telah mencapai herd immunity seperti Singapura, New Zealand, China dan beberapa negara Barat sudah boleh melangkah ke hadapan di segi pembangunan ekonomi.Pengalaman dan kejayaan mereka boleh dijadikan contoh untuk kita ikuti. Oleh itu, Beta menyeru agar rakyat Perlis yang belum lagi menerima vaksinasi supaya melakukannya segera melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Walaupun sudah menerima vaksinasi, Beta berharap agar setiap rakyatsentiasa mematuhi SOP kerana risiko jangkitan masih ada, terutamanya varian COVID-19 yang lebih merbahaya seperti varian Delta dan Lambda. Tidak dapat dinafikan wabak ini secara umumnya telah memberi kesan besar kepada ekonomi, kesihatan, mental dan kebajikan rakyat. Beta menyeru agar Kerajaan Negeri terus prihatin dan memberi perhatian serius membantu rakyat yang terkesan. Beta gembira dengan pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan kesulitan hidup rakyat. Ini termasuklah edaran bantuan makanan dan keperluan asas kepada rakyat yang terjejas. Beta sedar akan himpitan beban perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri dalam situasi kini. Dasar mesra rakyat yang membenarkan rakyat berniaga melalui Perlis Bebas Niaga dan pelaksanaan dasar-dasar lain yang melegakan kehidupan rakyat juga amat membantu dalam mengurangkan beban kewangan rakyat. Beta menghargai pelaksanaan dasar-dasar mesra rakyat Kerajaan Negeri ini. Beta sedar wabak COVID-19 ini menjejaskan banyak kemajuan agenda pembangunan ekonomi negeri. Jentera pelaksanaan pembangunan Kerajaan juga turut terkesan kerana tidak dapat bergerak dan beroperasi sepenuhnya. Bagaimanapun situasi ini tidak boleh dibenarkan berterusan. Adaptasi kepada pendekatan, mekasima pelaksanaan, proses kerja dan lain-lain idea yang kreatif dan inovatif perlu dibuat bagi memantapkan semula ekonomi. Jentera kerajaan perlu diperkukuhkan melalui program pembangunan modal insan yang bersesuaian.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, pertumbuhan ekonomi Negeri Perlis telah menunjukkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 3.3 peratus pada tahun 2018 kepada 4.6 peratus pada tahun 2019. Ini menunjukkan suatu peningkatan yang baik. Dalam berhadapan dengan cabaran dan kesan COVID-19, Kerajaan Negeri harus bijak merangka dan merancang agenda-agenda pemulihan semula ekonomi negeri dan kebajikan rakyat negeri ini. Beta ingin menyarankan agar penyesuaian sewajarnya di buat ke atas Bajet Negeri Tahun 2022, mengambilkira cabaran dan kesan wabak COVID-19. Tumpuan hendaklah diberikan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi yang boleh melonjakkan lagi tahap pembangunan negeri. Program kebajikan rakyat juga perlu diberikan perhatian serius. Dalam hubungan ini, fokus dan keutamaan perlu diberikan kepada program dan projek yang berimpak tinggi dengan kesan limpahan ekonomi yang tinggi. Sejak Malaysia dilanda wabak COVID-19 ini, Kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk menanganinya. Banyak sektor terjejas dan terpaksa ditutup dalam tempoh yang panjang. Rakyat pula hilang kerja dan pendapatan. Beta sedar Kerajaan turut kehilangan sebahagian dari hasil kerana pengecualian cukai dan caj perkhidmatan kepada rakyat. Ini menyebabkan kekangan serius ke atas keupayaan Kerajaan untuk berbelanja. Oleh itu Kerajaan Negeri hendaklah lebih cermat, berhati-hati dan berhemah dalam berbelanja. Dalam situasi yang sukar ini, Beta ingin menyarankan agar penekanan diberikan kepada kecekapan dan kekesanan pengurusan kewangan negeri. Keutamaan perbelanjaan Kerajaan Negeri wajar berfokus kepada inisiatif-inisiatif pembangunan yang berorientasikan rakyat dan boleh memberikan manfaat terus kepada rakyat. Perbelanjaan yang tidak berpaksikan rakyat dan pembaziran harus dielakkan sama sekali.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Beta mengambil maklum akan agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan dan dirancang di negeri ini. Beta dimaklumkan sebanyak 133 projek dengan peruntukan sejumlah RM365 juta telah dan sedang dilaksanakan di Perlis di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas. Syukur kerana Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan kerjasama dan menyokong agenda-agenda pembangunan Kerajaan Negeri. Beta berharap kerjasama ini akan terus diperkukuhkan selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama. Selain pelaburan oleh Kerajaan untuk melaksanakan projek-projek prasarana awam, peranan swasta dalam melonjak dan mempercepatkan lagi pembangunan negeri amat kritikal. Oleh itu, pelaburan swasta dalam pelbagai sektor ekonomi negeri perlu diteruskan dan digalakkan lagi. Beta gembira dengan keputusan Kerajaan Negeri untuk memberikan beberapa insentif khas, selain dari insentif yang telah ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan, kepada pelabur bagi menarik minat mereka melabur di Perlis. Beta yakin inisiatif ini akan membuahkan hasil positif dalam menarik lebih banyak lagi pelaburan dalam projek-projek berimpak tinggi ke Perlis. Beta mengharapkan agar perancangan dan pelaksanan projek-projek berimpak tinggi seperti Perlis Inland Port, Chuping Valley Industrial Area, Chuping Agro-Valley, Sanglang Integrated Jetty, Perlis Power Hub, Kampus Cawangan Universiti Kuala Lumpur (ASTI-UniKL) dan lain-lain lagi akan terus menunjukkan kemajuan. Justeru, kerjasama setiap pihak dalam memudahcara dan melancarkan perancangan dan pelaksanaan fizikal projek-projek ini amat penting.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Beta juga berharap projek-projek pembangunan di kawasan sempadan di Padang Besar dan Wang Kelian dapat dilaksanakan segera. Ia bukan sahaja dapat mengubah lanskap ekonomi negeri, malah dapat mengurangkan risiko keselamatan dan aktiviti jenayah di kawasan sempadan. Beta amat dukacita dengan insiden tahun lalu yang telah mengorbankan anggota Pasukan Gerakan Am di Padang Besar. Oleh itu, adalah wajar kawalan sempadan negara dapat dimantapkan lagi dengan menaik taraf prasarana sedia ada dan operasi keselamatan. Tidak dapat dinafikan keselamatan dan keamanan adalah komponen penting dalam pembangunan negara.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, perkhidmatan bekalan air terawat di Perlis masih belum mencapai tahap optimum dan kualiti yang memuaskan. Isu Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water - NRW) masih tinggi, iaitu 63.2 peratus. Beta sedar Kerajaan Negeri telah berusaha sejak tahun 2014 untuk menyelesaikan beberapa isu besar seperti melengkapkan dokumen-dokumen berkaitan perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di antara Syarikat Air Perlis (SAP) dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air. Beta gembira kerana Perjanjian ini telah pun ditandatangani pada Mac 2021. Beta mengambil maklum bahawa SAP sedang dan akan melaksanakan lima projek untuk membaiki, menaiktaraf dan meningkatkan perkhidmatan bekalan air di Perlis bernilai RM205 juta yang diperolehi dari Kerajaan Persekutuan. Projek-projek ini dijangka dapat menyelesaikan sebahagian dari isu NRW dan kualiti perkhidmatan air terawat di Perlis. Adalah menjadi harapan Beta agar Kerajaan Negeri dan SAP akan terus berusaha menyelesaikan isu-isu NRW supaya kadar NRW dapat dikurang kepada 30 peratus. Rakyat memerlukan bekalan air bersih dan amat penting sebagai tarikan pelabur ke Perlis. Sektor pelancongan paling terkesan sejak penularan Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun kedatangan pelancong domestik di penghujung 2020 di Perlis amat memberangsangkan hasil dari promosi yang dilaksanakan, tetapi ia telah terhenti sepenuhnya apabila kes jangkitan COVID-19 telah meningkat di awal tahun 2021 yang membawa kepada penguatkuasaan Ordinan Darurat mulai 11 Januari 2021. Walaupun sektor pelancongan belum boleh beroperasi lagi, Beta yakin ia mempunyai potensi besar untuk terus dimajukan. Tarikan-tarikan semula jadi yang telah dipromosikan sebelum ini oleh Kerajaan Negeri perlu diteruskan. Beta menyambut baik usaha untuk membangunkan semula tempat-tempat menarik di Kuala Perlis, Padang Besar dan Wang Kelian. Inisiatif untuk mendapatkan penarafan Geopark Perlis bagi tahun 2022 jugaadalah penting. Manakala pemain-pemain industri pelancongan hendaklah turut memainkan peranan yang lebih aktif merebut peluang dalam memperkasakan semula industri pelancongan di Perlis. Beta juga inginkan tahap kebersihan di Perlis dapat ditingkatkan lagi. Walaupun sudah ada perubahan yang positif, tetapi masih banyak lagi ruang untuk meningkatkan lagi tahap kebersihan ini. Beta yakin kebersihan boleh menjadi satu tarikan dalam sektor pelancongan. Kerana itu satu pelan perlu dirangka yang menekankan aspek pembudayaan, pelaksanaan, penguatkuasaan serta perkhidmatan dalam menerapkan amalan bersih di negeri ini. Sektor pertanian terutamanya yang melibatkan tanaman komersial perlu ditingkatkan lagi untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Perlis. Beta menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan Chuping Agro-Valley (CAV) dengan keluasan melebihi 11,000 ekar yang bakal menempatkan ladang nenas MD2, ladang cassava dan pusat tenusu. Beta juga tertarik dengan usaha mewujudkan pusat-pusat ternakan lembu, kambing, ayam kampung dan itik melibatkan pelabur-pelabur bersaiz sederhana dan individu-individu tempatan. Selain itu, Beta berharap Kerajaan Negeri dapat membangunkan petani-petani tempatan untuk mengusahakan tanaman komersial secara kecil-kecilan sebagai punca pendapatan utama. Mereka perlu diberikan pendedahan mengenai kaedah dan teknik bertani secara moden untuk menjamin hasil dan pendapatan yang munasabah dan mampan walau pun keluasan kawasan adalah kecil. Beta berpuas hati dengan peningkatan keluasan tanaman harumanis di seluruh Perlis, iaitu melebihi 1,575 hektar atau 3,937 ekar, melibatkan 2,416 pengusaha. Bagaimanapun aspek pemasaran harumanis di luar Perlis masih mempunyai kelemahan. Beta ingin sarankan supaya kaedah pemasaran dapat diperkemas dan ditambahbaik lagi. Begitu juga usaha untuk meluaskan lagi pasaran harumanis di seluruh Malaysia.

Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, pada tahun 2013, Beta telah menitahkan Memanda Menteri Besar untuk memastikan Perlis dilengkapi dengan kemudahan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (High Speed Broadband – HSBB) untuk meningkatkan perkhidmatan Internet di seluruh Perlis. Alhamdulillah, usaha ini telah dilaksanakan mulai 2014 lagi. Beberapa kawasan tertentu di Perlis telah mula menikmati perkhidmatan seperti Unifi seawal 2015. Fenomena COVID-19 yang melanda negara telah melonjakkan permintaan ke atas perkhidmatan digital di kalangan rakyat.Beta gembira kini sistem komunikasi digital semakin meluas digunakan oleh rakyat Perlis. Pelan Digital Perlis yang telah dilancarkan tahun laludiharap dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan kekesanan perkhidmatan digital di kalangan rakyat. Manakala Majlis Digital Negeri yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri diharap akan menjadi platform utama dalam merancakkan lagi pelaksanaan perancangan yang terkandung dalam Pelan Digital Perlis, di samping memantau kemajuan yang dicapai.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, berdasarkan senarai e-Kasih yang dikemaskini oleh Pejabat Kemajuan Negeri Perlis, didapati jumlah keluarga dalam kategori miskin telah meningkat melebihi 8,000 akibat dari wabak COVID-19. Bagaimanapun Beta merasa lega kerana kebajikan golongan ini diberi perhatian dan keutamaan oleh Kerajaan Negeri melalui Program Agihan Makanan Asas (PAMA), Bantuan i-Suri dan Bantuan Pembelian Petrol di bawah Program Perlis Pahadoi (PPP). Selain itu, Program Kasih Ibu Perlis (KIP) juga telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara di mana bantuan sebanyak RM250 sebulan disalurkan kepada 3,600 wanita ketua keluarga untuk meringankan kesempitan hidup. Satu lagi sektor yang perlukan perhatian Kerajaan Negeri ialah sektor perumahan, terutamanya perumahan mampu milik untuk golongan penduduk yang berpendapatan sederhana. Beta sedia maklum akan dasar baru Kerajaan Negeri menggalakkan pemaju-pemaju untuk membina rumah-rumahdan kedai-kedaimampu milik. Beta menyambut baik penjenamaan semula Bahagian Perumahan, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Hartanah (BPPH). Beta juga mengalu-alukan keputusan Kerajaan Negeri untuk menerima cadangan-cadangan pemajuan hartanah mampu milik ini melalui Request For Proposal (RFP). Diharapkan BPPH akan dapat memantau pelaksanaan halatuju baru Kerajaan Negeri dalam sektor hartanah ini agar menepati objektifnya. Di masa yang sama keperluan perumahan bagi golongan miskin dan tidak berkemampuan tidak harus diabaikan. Beta menyambut baik dan menyokong inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan satu program khas tahunan untuk membina dan membaiki rumah bagi golongan fakir miskin dengan peruntukan tetap sebanyak RM2 juta setiap tahun mulai 2021. Beta sedia maklum bahawa inisiatif ini telah pun berjalan sejak 2014, tetapi secara tidak terancang dan tanpa peruntukan khusus.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Beta ingin menegaskan bahawa harus ada keseimbangan di antara kejayaan pembangunan fizikal duniawi dan pencapaian bersifat ukhrawi. Pembangunan kedua-duanya mestilah seiring dan seimbang. Beta merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yang DiPertua MAIPs di atas peranan aktif membangunkan jiwa umat Islam dan mengembangkan syiar Islam. Begitu juga dengan peranan MAIPs memajukan ekonomi dan sosial umat Islam di negeri Perlis. Beta menyambut baik Pelan Strategik MAIPs 2021-2025 yang berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah. MAIPs juga akan terus mendaulatkan Agama Islam Ahli Sunnah Wal-Jamaah sepertimana yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, perkhidmatan awam adalah teras dalam sistem pentadbiran negara dan negeri. Sekiranya jentera perkhidmatan awam tidak cekap, maka lemahlah sesuatu pentadbiran itu. Justeru, jentera perkhidmatan awam harus cekap. Salah satu aspek penting yang memerlukan pengukuhan di dalam sistem perkhidmatan awam ialah penyelarasan di kalangan pelbagai jabatan dan agensi. Penyelarasan adalah kritikal di setiap peringkat perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian sesuatu inisiatif besar yang dilakukan oleh Kerajaan. Sekiranya penyelarasan lemah, ia akan menyumbang kepada kelewatan atau kegagalan pelaksanaan inisiatif tersebut. Perkhidmatan awam mestilah sentiasa peka dengan dinamik semasa. Ia menuntut perkhidmatan awam berupaya melakukan adaptasi cepat dan susulan yang kreatif dan inovatif sesuai dengan harapan rakyat. Perkhidmatan awam yang tidak sensitif dengan dinamik dan tuntutan semasa akan menyumbang kepada kegagalan sesebuah pentadbiran. Selain itu Beta ingin menyarankan supaya setiap penjawat awam harus mempunyai nilai kesegeraan, berperanan dalam memudahcara, menjadi penyelesai masalah dan professional dalam memberikan pandangan dan nasihat tanpa mengenepikan nilai integriti. Kerana itu, Beta menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Pelan Anti Rasuah Kerajaan Negeri bagi tempoh lima tahun, 2021-2025. Semoga pelan ini menjadi panduan kepada semua penjawat awam negeri untuk menjalankan tugas dengan dengan bertanggungjawab, dedikasi dan amanah. Beta juga ingin sarankan supaya program-program integriti dan rasuah dibuat secara berterusan kepada pegawai dan kakitangan negeri untuk membudayakan amalan integriti dalam perkhidmatan awam.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, kita tidak tahu bilakah wabak COVID-19 ini akan berakhir sepenuhnya. Ada yang berpendapat bahawa ia akan terus kekal dalam kehidupan kita. Sifat virus ini sentiasa bermutasi. Adalah tidak mustahil akan wujud varian-varian yang lebih merbahaya selain dari Delta dan Lambda. Marilah kita sama-sama mendoakan agar Allah melindungi rakyat Perlis dari terus dijangkiti COVID-19, dipermudahkan segala urusan harian dan dimurahkan rezeki. Semoga Negeri Perlis akan terus berkembang maju, makmur, aman dan harmoni.

Akhir titah, dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, Beta dengan ini merasmikan Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas pada hari ini. Sekian, wabilahitaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(YAB Menteri Besar berdiri mengadap ke Peterana DiRaja sambil mengangkat sembah dan duduk).

PENANGGUHAN DEWAN (Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri bangun mengadap untuk memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja bagi menangguhkan Persidangan Dewan Undangan Negeri).Adjournment

Speaker

Ampun Tuanku, patik pohon ampuni limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menangguhkan Persidangan Dewan.

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja mengangguk memberi perkenan).

(Yang Berhormat Dato’ Speaker kembali ke meja Speaker Dewan).

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari Rabu, 25 Ogos 2021, jam 9.00 pagi.

Setiausaha Dewan

Bacaan doa oleh Sahibus Sahamah Mufti Kerajaan Negeri.

(Bacaan doa oleh Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Perlis).

Setiausaha Dewan

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda berangkat meninggalkan Dewan.

(Semua di dalam Dewan berdiri).

(Rakaman lagu negeri Perlis dimainkan).

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda berangkat meninggalkan Dewan didahului oleh Bentara yang menjunjung Cokmar, Setiausaha Dewan, Penolong Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker).

(Majlis tamat pada jam 10.57 pagi).