Perlis · 7 December 2021
14th Assembly, 4th session, 2nd meeting · 81 turns · 21,010 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.
(Pembukaan)
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.
Doa
Doa.
(Bacaan doa oleh Penolong Setiausaha Dewan)
Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis
Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.
Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Buat kali kedua pada tahun ini, kita bersidang dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara. Justeru, saya ingin mengingatkan agar kita semua dapat mematuhi SOP yang berkuatkuasa bagi memastikan persidangan sepanjang 3 hari ini berjalan dengan lancar. Saya juga ingin memaklumkan bahawa buat julung kalinya, persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis pada kali ini disiarkan secara langsung melalui platform Facebook Pejabat SUK Perlis. Pelaksanaan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan transformasi digital. Dengan tersiarnya persidangan Dewan pada kali ini secara maya, saya berharap seluruh rakyat terutamanya rakyat Negeri Perlis mendapat maklumat secara terus mengenai pembangunan Negeri Perlis. Untuk makluman Dewan, pihak Pentadbiran telah menerima permohonan daripada Yang Berhormat Dato’ Ismail bin Kasim, ADUN Tambun Tulang dan Yang Berhormat Tuan Nor Azam bin Karap, ADUN Kuala Perlis untuk tidak hadir persidangan kali ini kerana mereka berdua merupakan kontek rapat kepada pesakit COVID-19. Saya telah membenarkan kedua-dua permohonan tersebut. Di kesempatan ini, saya ingin menerangkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian tentang aturan perjalanan Mesyuarat Dewan kita untuk hari ini. Sejurus selepas ini, Kertas-kertas Dewan yang telah disenaraikan dalam Buku Perintah Mesyuarat Dewan akan dibentangkan di atas meja mesyuarat tanpa dibahaskan, selaras dengan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan. Sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat ingin menyentuh sebarang perkara berhubung mana-mana Kertas berkenaan, ia bolehlah dibangkitkan semasa perbahasan kelak. Setelah Kertas-kertas Dewan dibentangkan, soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian akan dijawab oleh pihak Kerajaan mengikut turutan seperti di dalam Kertas Perintah Mesyuarat Dewan. Soalan-soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato’ Ismail bin Kasim dan Yang Berhormat Tuan Nor Azam bin Karap akan dijawab secara bertulis. Dewan kemudiannya akan berhenti rehat sebentar dan apabila disambung semula, Usul Anggaran Pembangunan Negeri Perlis Tahun 2022 dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2022 yang kedua-duanya membentuk Anggaran Bajet Negeri Perlis Bagi Tahun 2022 akan dibentangkan secara serentak oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Setelah Yang Amat Berhormat Menteri Besar selesai membentangkan Anggaran Bajet Negeri Perlis Bagi Tahun 2022, persidangan pada hari ini akan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk meneliti anggaran bajet tersebut dan membuat persediaan untuk perbahasan pada esok hari. Saya akan memperuntukkan tempoh masa kira-kira 25 minit setiap seorang untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas pada hari esok. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, minuman pagi dan makan tengahari akan dihidangkan di atas meja yang telah disediakan. Bagi meminimumkan bilangan orang semasa minum pagi dan makan tengahari, telah ditetapkan supaya semua Ahli Yang Berhormat berada di ruangan yang telah disediakan di ruang legar Bilik Gerakan 1 manakala hadirin yang lain akan makan dan minum aras 3 dan 4. Sekian.
Kertas-Kertas Dewan;
Kertas-Kertas Dewan yang dibentangkan.
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar.
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh… Alhamdulillah wabihi nastain. Yang Berhormat Dato’ Speaker, sukacita saya membentangkan di atas meja mesyuarat, Kertas-Kertas Dewan Bilangan 2 Tahun 2021 hingga Bilangan 13 Tahun 2021.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Soalan-soalan lisan.
Soalan-soalan lisan. Dipersilakan Yang Berhormat.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Yang Berhormat Dato’ Speaker yang berbaju hijau, soalan saya, soalan nombor 2.
(Soalan 2 : Berapa ramai pesakit biasa yang ditahan di wad hospital telah dijangkiti COVID-19 dan meninggal dunia?)
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, salam sejahtera dan selamat pagi. Yang Berhormat Dato’ Speaker sehingga 6 Disember 2021, seramai 44 orang pesakit mendapat jangkitan COVID-19 semasa berada di wad dan 21 orang daripada mereka telah meninggal dunia. Punca jangkitan yang dikenalpasti adalah berpunca dari peneman, kontak rapat pesakit dan dari pesakit lain yang dijangkit. Tiada kes dikenalpasti berpunca dari petugas kesihatan. Hasil siasatan mendapati sebab utama penularan jangkitan disebabkan oleh ketidakpatuhan kepada SOP sama ada semasa berada di hospital atau di luar kawasan hospital, serta kesesakan hospital yang teruk semasa kemuncak wabak.
Soalan tambahan Yang Berhormat Dato’ Speaker. Rungutan daripada pesakit apabila dibawa masuk ke unit kecemasan, dibuat swab test… selepas swab test sebelum mendapat keputusan tu kesemua pesakit tu dikumpul sekali, yang menyebabkan pesakit yang tidak positif COVID pon dia jadi positif, menyebabkan ramai pesakit yang takut nak ke hospital. Mintak pandangan Yang Berhormat.
Yang Berhormat… Sanglang memang… semakan yang orang-orang yang menerima swab test tu dia pergi ke hospital kebanyakan dia tak ikut SOP-SOP yang ditetapkan oleh hospital. Jadi… yang akan menjadikan COVID-19 tu merebak ke orang lain yang semasa menunggu di situ sebab dia orang ni rapat nak cepat sangat. COVID test ni beratur dengan jarak yang 1 meter untuk nak ikut SOP.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan tambahan. Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Titi Tinggi, kalau kita tengok maklumat dari Yang Berhormat, 44 pesakit yang mengalami sakit yang lain tapi berada di wad akhirnya dijangkiti dengan COVID, adakah ada perancangan di pihak Yang Berhormat untuk supaya… apa nama ni… apa orang kata, hospital COVID diadakan ataupun… di yang kita ada tempat-tempat pusat kuarantin dimana pesakit COVID diasing, kalau boleh paling minima untuk ditempatkan di HTF supaya mengelakkan perkara begini diulangi lagi sebab saya dengar rungutan memang banyak… banyak rungutan YB Speaker, sampai ada satu macam Yang Berhormat Sanglang bagitau tadi dia jadi orang takut nak pi hospital. Kalau boleh nak elakkan sama sekali kerana bimbang dijangkiti COVID.
Soalan tambahan Yang Berhormat Dato’ Speaker. Ok… berapakah jumlah mereka yang meninggal dunia ni adalah merupakan… mereka yang menjana sumber pendapatan untuk menyokong keluarga dan apakah tindakan kerajaan negeri dalam membantu mereka yang membantu menyokong keluarga mereka? Terima kasih.
Ok... untuk YB-YB terutama YB Sena. Mendirikan hospital COVID-19, saya rasa di Perlis kita di Hospital Tuanku Fauziah kita dapat cover juga pesakit-pesakit jangkiti COVID-19 buat masa ini. Pastu, kerana kita hantar… yang jangkitan COVID yang bukan serius mungkin kita akan hantar ke PKRC yang kita sediakan, yang kalau menghidapi sakit COVID-19 yang serius kita akan bagi hantar dia ke hospital untuk kita bagi pihak petugas kesihatan untuk mudah untuk memberi rawatan kepada dia orang. Jadi itu… jadi ada orang dia tak mau ke hospital sebab dia takut ke hospital, dia nak pi ke PKRC. Tapi kita ada dua-dua… ada tugas kita nak jaga kesihatan dia orang jadi kita hantar ke hospital untuk kemudahan petugas-petugas untuk mengubatikan dia seharian. Untuk yang YB Indera Kayangan, figure-figure yang YB Indera Kayangan… kita akan nanti menjawab melalui lisan.
Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya nombor 3.
(Soalan 3 : Sehingga tahun 2000-2020, berapakah jumlah kes dan nilaian keseluruhan pembahagian harta pusaka yang belum diselesaikan oleh pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan Amanah Raya dan bagaimanakah kaedah penyelesaian kepada perkara ini?)
Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Speaker, melalui data yang diterima daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), jumlah kes yang belum selesai bagi tahun 2000-2020 adalah 336 permohonan dengan nilaian berjumlah RM 26,224,694.72 setakat 31 Oktober 2021. Kes-kes yang belum diselesaikan ini adalah disebabkan oleh perkara-perkara yang berikut, yang pertama permohonan tidak lengkap, contoh seperti tiada salinan geran, Kad Pengenalan waris atau akuan Amanah Raya Berhad (ARB). Yang kedua, waris-waris bertelingkah atau tiada cara pembahagian atau persetujuan antara waris. Yang ketiga, senarai waris tidak lengkap. Yang keempat, waris-waris tidak hadir pada hari perbicaraan dan yang kelima, PKP ataupun kuarantin. Oleh itu pihak JKPTG telah melaksanakan beberapa langkah penyelesaian. Antaranya ialah yang pertama, menangguhkan perbicaraan bagi memberi peluang untuk waris berbincang dan mencapai persetujuan. Kedua, bagi penyelesaian sementara, membuat lantikan pentadbiran bagi harta pusaka simati supaya terdapat pihak yang diberikan autoriti perundangan bagi menguruskan harta simati sementara mendapat penyelesaian untuk isu berbangkit mengikut kes. Ketiga, pihak Jabatan juga sentiasa komited dalam memberikan khidmat nasihat dan pandangan kepada waris-waris dalam mencari penyelesaian terbaik bagi pengurusan kes pusaka yang dapat memberi manfaat kepada pihak-pihak yang terlibat.
Perkara yang kedua adalah berhubung daripada Amanah Raya Berhad Cawangan Kangar pula, jumlah fail yang aktif sehingga Disember 2020 adalah berjumlah 326 fail dengan jumlah RM 9,132,094.00. Beberapa kaedah dan penyelesaian yang diambil oleh Amanah Raya Berhad untuk menyelesaikan isu ini antaranya adalah seperti berikut. Yang pertama, Kawalan Pemantauan Dalaman Pentadbiran dilakukan secara bulanan. Data-data fail aktif dan matang sentiasa dikemaskini dan dipantau oleh Amanah Raya Berhad. Yang kedua, usahasama dengan pihak ketiga atau agensi terutamanya bagi mendapatkan maklumat aset simati sekaligus mempercepatkan proses pentadbiran di Amanah Raya Berhad. Antara agensi terlibat adalah ASNB, bank komersial, Bursa Saham, KWSP dan Tabung Haji dan yang ketiga, tanggungjawab sosial melalui hebahan dan perkongsian maklumat bersama masyarakat awam terhadap kesedaran pengurusan harta pusaka diberikan secara percuma sama ada melalui media sosial, ceramah, melalui kaunter perkhidmatan pejabat dan lain-lain.
Terima kasih, baik Yang Berhormat Beseri di atas penjelasan berkaitan dengan kes-kes tuntutan kepada harta pusaka. Jadi kalau kita lihat apa yang diberitahu oleh Yang Berhormat Beseri bahawa 336 permohonan yang senang dituntut dan belum diselesaikan lagi, ha… itu yang kita tau, dan banyak lagi permohonan-permohonan yang belum dibuat kepada saya lah, kan? Kalau kes di Amanah Raya 36 kes yang melibatkan jutaan ringgit, apakah Yang Berhormat rasa dan bersetuju dengan saya bahawa ramai lagi penduduk-penduduk belum mengetahui ke mana harus mereka pergi untuk memula langkah yang pertama menyelesaikan masalah tuntutan harta pusaka ini? Yang kedua, sama ada di sana berlaku birokrasi ataupun kelambatan proses yang menyebabkan penduduk ni… permohonan dibuat ni berasa cemuih ataupun mereka tak berulang lagi. Jadi, kita mohon juga supaya Kerajaan dengan agensi berkaitan, Jabatan Tanah, ASB ni, Amanah Raya ni, supaya mempermudahkan borang-borang, mempermudahkan permohonan mereka ini. Mohon komen.
Terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji. Memang saya bersetuju lah dengan pandangan daripada Guar Sanji iaitu masih ramai orang yang tidak memahami proses harta pusaka yang saya rasa kebanyakannya masih tidak mengetahui dan tidak mahu mengetahui dan apabila berlaku kematian, baru waris-waris akan mengambil beberapa langkah untuk mendapat hak harta pusaka. Jadi, seperti mana yang saya telah maklumkan tadi, berbagai langkah telah dibuat dan untuk makluman Yang Berhormat Guar Sanji dan semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, ada online contohnya daripada JKSNPs, JKPTG dan Amanah Raya Berhad, ada melalui online untuk kita kata memudahkan proses berkenaan. Dengan birokrasi saya rasa kalau ada pon mungkin tak banyak kan sebab apa… proses ni memang dia rumit, dia melibatkan… tadi melibatkan waris bertelingkah di antara waris, senarai waris tidak lengkap, waris-waris tidak hadir perbicaraan… jadi benda-benda ni lah yang kadang-kadang menyebabkan kelambatan proses di Amanah Raya Berhad dan di JKPTG. Dan sebagai makluman, di Mahkamah Syariah, cuma dia boleh mengesahkan waris saja dan akan dibawa kepada pihak… yang pertama untuk menguruskan harta pusaka ini adalah, yang pertama, Mahkamah Tinggi, yang kedua JKPTG dan yang ketiga Amanah Raya Berhad. Sekian.
Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya soalan no 4.
(Soalan 4 : Nyatakan dengan terperinci dari segi jumlah bangunan sekolah dan lain-lain bangunan Kerajaan di negeri ini yang masih belum mendapat Certificate of Fitness (CF) dan Certificate of Completion and Compliance (CCC) dan apakah usaha yang dijalankan bagi mengatasi permasalah ini?)
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Sena, YB Dato’ Speaker, untuk makluman, pihak MPK tidak mempunyai data bilangan sekolah dan lain-lain bangunan kerajaan di negeri Perlis yang masih belum mendapat CFO ataupun CCC. Ini adalah… ini kerana kelulusan pelan dan pembinaan bangunan-bangunan sekolah dan bangunan kerajaan lazimnya tidak melalui proses kelulusan Kebenaran Merancang oleh pihak MPK. Pembinaan sekolah dan lain-lain bangunan kerajaan di negeri Perlis lazimnya diselia secara langsung oleh pihak Jabatan Kerja Raya dan pensijilan bangunan setelah siap juga diberikan oleh pihak JKR. Prosedur dan proses kelulusan pelan bagi projek pembinaan bangunan-bangunan kerajaan di bawah seliaan JKR adalah menggunapakai peruntukan Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa. Antara usaha yang dijalankan bagi mengatasi permasalahan ini, Pegawai Penguasa ataupun SO projek seperti JKR dan lain-lain agensi teknikal yang berkaitan dengan projek berkenaan boleh mengeluarkan Sijil Perakuan Siap Kerja ataupun CPC terhadap pembinaan bangunan sekolah dan lain-lain bangunan Kerajaan yang dikawal selia oleh jabatan ataupun agensi masing-masing berdasarkan pertimbangan jabatan ataupun agensi terlibat. CPC ini berfungsi bagi menggantikan CF ataupun CFO atau CCC yang dikeluarkan bagi cadangan pemajuan yang melalui proses Kebenaran Merancang di peringkat PBT. Sekian, harap maklum.
Yang Berhormat Dato’ Speake,r soalan tambahan. Yang Berhormat tidak menjawab soalan saya, saya nak tau, berapa lagi bangunan yang belum dapat CCC atau CS ni? Kalau kata portfolio yang lain tu sama-sama collective responsibility kan Yang Berhormat, boleh tanya kepada JKR dan sebagainya, EXCO di sebelah.
Ya, baik terima kasih Yang Berhormat Sena. Insya-Allah, saya akan bagi figure tu secara detail la… secara bertulis. InsyaAllah.
Terima kasih. Yang Berhormat Indera Kayangan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Soalan saya soalan no 5. Terima kasih.
(Soalan 5 : Berapakah pendapatan per kapita penduduk Perlis? Apakah langkah langkah Kerajaan Negeri untuk tingkatkan pendapatan per kapita dan apakah rancangan jangka masa terdekat serta target jangka masa panjang?)
Terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan. Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perkapita Negeri Perlis adalah RM23,598.00 pada tahun 2020 iaitu terdapat pengurangan sebanyak RM1,923.00 berbanding tahun sebelumnya. Antara langkah yang telah pun diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan menggalakkan kemasukan pelaburan swasta dan menangani isu kos sara hidup melalui program-program pembangunan modal insan untuk meningkatkan pendapatan rakyat di negeri Perlis ini. Kerajaan Negeri sangat komited dalam menyediakan infrastruktur yang terbaik untuk menyokong Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) seperti Perlis Inland Port (PIP) yang merangkumi komponen Bonded Road, Railway Spurline dan Flyover, bekalan gas, serta bekalan elektrik bervoltan tinggi untuk menggalakkan pelabur memilih CVIA sebagai tempat yang sesuai dan tepat untuk melabur. Pembangunan Sanglang Integrated Jetty juga dijangka akan dapat menambah satu lagi keunikan CVIA sebagai salah satu kawasan perindustrian di negeri Perlis.
Sehingga tahun 2021 pada bulan November, terdapat 5 pelabur yang komited di CVIA iaitu Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi pembangunan kilang Jabil Circuit, Biotech Birdnest Processing Sdn. Bhd., Next Gen Oil Sdn. Bhd., Universiti Kuala Lumpur-Asia Sustainable Transportation Institute dan Mutiara Perlis Sdn. Bhd. sebagai operator kepada PIP dengan 2,075 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Perlis. Di samping itu, Kerajaan Negeri Perlis telah memperkenalkan Pakej Insentif Rangsangan Pelaburan Pasca COVID-19 yang berkuatkuasa mulai 1 Februari 2021 sehingga 30 Disember 2022 bagi meningkatkan kemasukan pelabur ke negeri Perlis. Kemasukan pelabur-pelabur swasta ke negeri Perlis secara tidak langsung akan dapat menyediakan peluang dan ruang pekerjaan kepada rakyat.
Dan seterusnya bagi meningkatkan kos sara hidup rakyat di negeri Perlis, Kerajaan Negeri tidak lupa untuk memberi sokongan berbentuk inisiatif kewangan, kit kelengkapan dan bekalan benih kepada para peniaga kecil, usahawan serta usahawan tani. Selain itu, Kerajaan juga aktif bekerjasama dengan pihak ketiga seperti Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) khususnya dalam program peningkatan modal insan melalui program serta dana latihan keusahawanan, bantuan kewangan kepada kaum ibu golongan B40 termasuklah insentif kepada syarikat yang mewujudkan perniagaan. Bagi memastikan perancangan pembangunan ekonomi negeri dapat dilaksanakan dengan teratur, Kerajaan Negeri telah dan sedang dalam tindakan untuk merangka satu inisiatif kebangkitan yang akan menterjemahkan strategi dan langkah mengorak ke arah kestabilan ekonomi pasca COVID-19 sebagai salah satu perancangan jangka masa… dalam jangka masa selama 4 tahun bermula pada tahun ini hingga ke tahun 2021-2025. Melalui Rangka Pembangunan Struktur Negeri (RSN 2030), Kerajaan Negeri telah menggariskan strategi dan projek flagship bagi mencapai sasaran kadar purata pertumbuhan KDNK negeri sebanyak 5% bagi mencapai KDNK sebanyak RM7.8 bilion ringgit pada tahun 2030 dimana pemantauan pelaksanaan rangka ini diadakan sebanyak 2 kali setahun bagi memastikan perancangan pertumbuhan berada di landasan yang tepat.
Dipersilakan Yang Berhormat.
Soalan tambahan Yang Berhormat, ok… saya ingin tahu setakat ini berapakah pencapaian dengan semua inisiatif dan juga usaha yang telah dijalankan? Terima kasih.
Bagi menjawab soalan tersebut, ukuran yang tepat kita lihat kepada kejayaan lah ya. Kita melihat kepada kalau sektor perkhidmatan, kita terdapat pada implikasi kewangan yang mana melibatkan majikan. Tetapi tegas saya katakan bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin dan saya pinjam maklumat yang berkaitan sektor yang paling popular lah yang dapat membantu dari segi peningkatan KDNK, perkapita dan juga kos sara hidup rakyat iaitu sektor pertanian dan juga perikanan juga keusahawanan. Kerana dalam sektor ini kita boleh mengajak ataupun mendidik rakyat dengan lebih berdikari dengan menggunakan apa yang mereka ada, contohnya mereka aktif dalam apa… aktiviti pertanian, mereka aktif untuk wujud sebagai usahawan secara online dan sebagainya. Dan ini secara tidak langsung meningkatkan pembangunan modal insan untuk meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini. Dan untuk percentage yang lebih tepat saya akan beri jawapan lebih detail selepas ini. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Sanglang.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Soalan saya no 8.
(Soalan 8 : Apakah perkembangan pemindahan Sekolah Kebangsaan Chuping serta penduduk Kampung Bawah Bukit?)
(Soalan 11 : Apakah perancangan keseluruhan berkenaan dengan lokasi lama sekolah setelah pemindahan Sekolah Kebangsaan Chuping? Selain itu, apa perkembangan berkenaan lokasi baru dan perancangan serta jumlah kos untuk sekolah gantian termasuk pampasan kepada mana-mana pihak yang terlibat?)
Maafkan saya... terima kasih Yang Berhormat Sanglang. Saya jawab sekali lah dengan soalan nombor 11. Yang Berhormat Dato’ Speaker, lokasi lama Sekolah Kebangsaan Chuping telah pun disahkan sebagai kawasan yang tidak selamat untuk diduduki berikutan kepada keadaan struktur bangunan yang tidak selamat disebabkan ancaman tanah runtuh bukit oleh Jabatan Mineral dan Geosains. Pada masa ini tiada perancangan khusus untuk memindahkan penduduk Kampung Bawah Bukit dilakukan selain daripada pemindahan Sekolah Kebangsaan Chuping ke sekolah Menengah Kebangsaan Mata Ayer yang telah dilaksanakan pada September 2021 dengan pemindahan semua prasarana yang diperlukan. Proses pemindahan berjalan lancar atas kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis serta kedua-dua buah sekolah yang terlibat. Proses pemindahan telah selesai dan murid di kedua-dua sekolah berkenaan telah memulakan sesi persekolahan mereka di lokasi baru yang lebih kondusif dan selamat. Selain itu, bagi mengelakkan lokasi berkenaan disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bangunan berkenaan telah dipersetujui untuk dirobohkan dan cadangan untuk dirobohkan telah dipanjangkan kepada Bahagian Pengurusan Aset, Kementerian Pendidikan Malaysia. Memandangkan tanah lokasi berkenaan adalah hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), maka urusan kegunaan tanah berkenaan selepas ini akan ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan. Jadi, suka dimaklumkan juga bahawa permohonan peruntukan untuk perolehan tapak gantian telah pun diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi dalam RMKe-12 Rolling Plan 2. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan tambahan. Kalau yang sebagaimana soalan saya tengok Yang Berhormat Sanglang tadi dari segi penduduk di kampung tu, kalau dikatakan bahawa kawasan tu tak selamat, adakah hanya kita tengok sekolah saja? Bagaimana dengan penduduk kampung tu dan ada rumah dekat tu dan ada masjid? Jadi kita bimbang jugak dari segi keselamatan penduduk setempat. Bagaimana dengan tindakan Kerajaan untuk menjaga keselamatan penduduk yang terbabit? Terima kasih.
Seperti yang telah saya katakan tadi Yang Berhormat Sena, kita sekarang masih lagi belum ada perancangan khusus untuk pemindahan. Namun sekiranya ada laporan ataupun aduan bagi isu-isu sama ada dari segi keselamatan, kita lihat pada mungkin ada pergerakan tanah dan sebagainya dan melibatkan pada keselamatan penduduk dan saya yakin dan percaya Kerajaan Negeri tidak akan berdiam diri dan Insya-Allah akan ada tindakan-tindakan segera bagi membantu penduduk… dan kita akan berbincang mengenai perkara ini dengan lebih lanjut kerana bukan… ini bukan perkara yang kecil melibatkan pendudukan ya, dan pemindahan dan sebagainya dan saya yakin dan percaya jika isu ini timbul menyebabkan keselamatan penduduk, because safety is priority kepada Kerajaan Negeri dan satu tindakan drastik ataupun yang lebih efektif yang akan dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat Dato’ Speaker… okay memandangkan perkara ini bukan… pemindahan sekolah ini bukan satu perkara yang kecil, boleh tak kami dapatkan laporan lengkap ketidakselamatan sekolah lama di Chuping ni? Selain daripada itu, Yang Berhormat tidak menjawab soalan saya, di mana perkembangan berkenaan dengan lokasi baru? Kami tau… kami nak tau di manakah lokasi baru yang telah dikenalpasti dan juga jumlah kos untuk sekolah gantian termasuk pampasan kepada mana-mana pihak yang terlibat... masih... itu soalan saya nombor 11 sepatutnya dijawab bersama. Terima kasih.
Yang Berhormat Sena... Yang Berhormat Indera Kayangan, saya rasa kawasan… beberapa perjumpaan mesyuarat telah pun melibatkan penduduk dan juga YB kawasan sendiri hadir, dan saya juga turut hadir bersama YB Siti Berenee EXCO Perpaduan, dan kami duduk bersama dengan penduduk, dan juga ada jabatan-jabatan terlibat seperti JKR, Geosains dan sebagainya untuk melihat keadaan sekitar yang kita pada rasa saya memang tidak selamat, kerana di sekolah tersebut, kita juga ada asrama. Asrama yang berdekatan dengan lokasi yang merupakan redspot yang telah pun dipagari, tetapi berkemungkinan kita tak tahu, malang tak berbau, kita tak tau bila… bila saya letak priority tu pada keselamatan, maknanya… apa... jika ianya mungkin terjadi sepertimana berlaku di Kem Oran, di Perlis kita tak mau ianya berlaku di SK Chuping. Jadi kita ambil inisiatif segera untuk menyuraikan pelajar-pelajar dan sehinggalah bangunan baru disediakan, dan bagi sekolah, kos sekolah gantian dimana yang diminta oleh YB, peruntukan bagi perolehan tanah pun telah pun diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi, RMKe-12, iaitu kos bangunan sekolah akan diangkat ke RP3. Merujuk kepada Pekeliling Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Bilangan 1 2003, “Keputusan rundingan ini hendaklah diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat iaitu sulit, sehinggalah pengambilan tanah berkenaan diwartakan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8,
Pengambilan tanah 1960.” Sehubungan itu, jumlah kos bagi rancangan sekolah gantian adalah sulit sehingga urusan pewartaan tanah selesai. Dan berdasarkan kepada libat urus JMG pada Mei 2021 yang lalu, JMG memaklumkan bahawa pihaknya akan melaksanakan kajian sepertimana yang diputuskan dalam MJM. Proses kajian ini akan mengambil masa 6 bulan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM2.5 juta, yang mana akan dipohon melalui Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, berdasarkan semakan bersama JMGKPPP pada 23 November 2021, permohonan bagi pelaksanaan kajian tersebut tidak diluluskan. Namun status ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses pewartaan memandangkan Kerajaan Negeri akan menggunakan laporan kajian tersebut sebagai rujukan dalam mewartakan kos yang tersebut sebagai kos tidak selamat serta membuat rancangan masa hadapan bagi kawasan dan penduduk yang terlibat.
Yang Berhormat, saya ingat kita nak mempercepatkan, saya jemput Yang Berhormat Sanglang mengemukakan soalan… maaf, Yang Berhormat Guar Sanji… Guar Sanji.
Terima kasih Dato’ Speaker, soalan saya nombor 9.
(Soalan 9 : Nyatakan nilai pembangunan dan kemajuan infrastruktur tempatan, kemudahan dan bantuan rakyat DUN Guar Sanji sebagaimana yang diperuntukan dalam Belanjawan 2021?)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih yang Berhormat Guar Sanji, secara keseluruhannya, nilai pembangunan dan kemajuan infrastruktur tempatan, kemudahan dan bantuan rakyat untuk DUN Guar Sanji, berjumlah 1.413 juta ringgit dari segi nilai dan dari segi pecahannya pula, di dalam belanjawan 2021 yang lalu, kita telah memperuntukkan RM220,000.00 bagi pembangunan infrastruktur awam desa, dan RM143,500.00 untuk program PAMA ataupun program agihan makanan asas bagi penduduk di Guar Sanji yang terkesan akibat daripada pandemik COVID-19. Dan sebanyak RM31,000.00 telah diperuntukkan untuk membina rumah baru bagi rakyat yang berada di dalam kategori B40. Dan selain daripada itu, sebanyak 50,000 lagi diperuntukkan bagi menaik taraf sistem tebatan banjir di Kampung Behor Kurong Ayam dan penyelenggara sistem tebatan banjir di Zon A dan Zon B ya… Parlimen Arau secara berkala meliputi saliran di tepi Sekolah Kebangsaan Budriah, Dewan Sivik Arau, Sekolah Menengah Agama… ini dia bersambung ya, dia bersambung dengan apa nama ni… dengan Guar Sanji ni. Dan pihak JKR juga telah memperuntukkan sebanyak RM829,985.37 bagi beberapa projek penyelenggaraan jalan, lampu hiasan dan landskap, membaik pulih bumbung masjid, dan juga penyelenggaraan lampu isyarat. Manakala, Majlis Perbandaran Kangar telah pun memperuntukkan sebanyak RM138,912.00 bagi kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara landskap di kawasan DUN Guar Sanji. Terima kasih Dato’ Speaker.
Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, soalan saya soalan nombor 10.
(Soalan 10 : Apakah perancangan terkini Kerajaan Negeri dalam pembangunan di kawasan DUN Sena? Senaraikan perancangan-perancangan yang berkaitan secara terperinci.)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sena, soalannya pun mirip seperti soalan YB Guar Sanji… tetapi lebih menekankan kepada perancangan Kerajaan Negeri untuk pembangunan DUN kawasan Sena. Saya ingin memaklumkan bahawa memang kita ada perancangan, malah di dalam Bajet 2022 ini juga ada perancangan-perancangan kita untuk pembangunan di dalam kawasan DUN Sena. Ada beberapa projek melalui Jabatan Pengairan dan Saliran yang diantaranya akan dilaksanakan ialah yang melibatkan Sungai Repoh, ini seperti menaik taraf kemudahan dan utiliti di kawasan Taman Tok Paduka, menaik taraf jalan ban litar Sena kepada litar berbasikal dan kawasan rekreasi, menggantikan perangkap sampah sedia ada dan membina tempat pengumpulan sisa pepejal. Selain daripada itu, terdapat juga satu lagi kerja untuk menaiktaraf longkang jenis V kepada U sepanjang 400 meter yang akan dilaksanakan di Skim Pengairan Santan Selatan. Manakala kerja menaik taraf pintu kawalan banjir dan meninggikan ban sungai yang akan dilakukan di Kampung Sena bagi mengatasi masalah banjir. Pihak JKR… ini juga peruntukan Kerajaan Negeri dalam memperuntukkan sebanyak RM2,082,600.00 bagi beberapa projek yang meliputi pembaikan struktur bangunan serta bumbung pejabat kerajaan yang berada di dalam kawasan Sena dan masjid dan saya sendiri telah meminta supaya masjid di Sungai Adam itu di… ditambah, dia baiki dan ditambah baik dan Insya-Allah dalam bajet ini pun sebenarnya kita telah memperuntukkan sebanyak RM2,000,000.00 untuk memperbaiki dan menaik taraf masjid di Sungai Adam dan Insya-Allah akan dapat dilaksanakan pada tahun 2022.
Selain daripada itu juga, peruntukan yang kita berikan dari segi perancangannya di bawah JKR untuk penyelenggara sistem salirannya, jalan, jalan-jalan yang di bawah pengawasan pihak JKR, penyelenggaraan atau penyenggaraan sistem pencahayaan dan serta lampu jalan dan juga lampu isyarat. Malah di bawah MPK juga ada perancangannya ya, kita telah pun… pihak MPK telah pun mempunyai pelan kebenaran merancang bagi cadangan-cadangan pembangunan yang telah diterima bagi kawasan DUN Sena sebab DUN Sena ini adalah merupakan satu DUN yang berada di dalam kawasan pekan ya. Beberapa buah kawasan perumahan swasta yang terdiri daripada rumah teres berkembar dan… dan sesebuah ini telah diluluskan kebenaran merancangnya di bawah MPK. Juga kita telah merancang pusat perniagaan medan makan yang berkonsepkan kontena, ini di tapak Pasar Sena yang lama tu, dan juga cadangan beberapa deretan kedai pejabat, kedai dan pejabat yang dibangunkan bersama dengan kawasan perumahan, juga dalam kawasan Sena, dan sebuah kompleks Jabatan Pendidikan Negeri yang juga dirancang di Sena dan saya juga boleh menambah bahawa kemungkinan besar… kemungkinan besar sebuah sekolah menengah juga mungkin dibina di kawasan Sena. Tetapi ini tertakluk kepada perbincangan yang lebih lanjut yang lebih spesifik dengan pihak kerajaan persekutuan khususnya dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, dan selain daripada itu juga pembangunan yang kita lakukan yang bersifat ad-hoc, iaitu yang berdasarkan kepada aduan-aduan yang diterima daripada penduduk tempatan, dan juga aduan yang diterima daripada jentera kerajaan di peringkat akar umbi seperti JPKK, dan ini dari semasa ke semasa memang Kerajaan tidak pernah gagal untuk meluluskannya, termasuk juga permohonan daripada Yang Berhormat sendiri. Tapi ini bergantung kepada keberadaan kewangan Kerajaan Negeri dan biasanya… dan mengikut pengalaman yang saya lalui, tak pernah ada satu lagi pun permohonan yang diterima secara ad-hoc daripada DUN Sena oleh… sama ada oleh rakyat ka ataupun oleh pihak JPKK dan lain-lain yang tidak diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Yang Berhormat saya ada soalan tambahan. Terima kasih kepada Yang Berhormat Bintong di atas keprihatinan terhadap DUN Sena. Saya menyambut baik apa yang berhormat… yang amat berhormat maklumkan tadi, tentang… akan pembinaan sebuah sekolah menengah. Cuma penduduk Sena ni kebanyakannya mengadu kepada saya, di Sena tidak ada satu sekolah menengah yang berstatus harian. Kalau boleh tu sekolah menengah berstatus hariah lah. Sebab kebanyakan daripada Sena ni dia terpaksa pi ke Sekolah Menengah Abi yang agak berjauhan daripada ini… yang ada… yang ada sekarang ini sekolah menengah yang asrama penuh ataupun sekolah sukan dan sebagainya, bukan status sekolah menengah harian. Yang kedua, terima kasih tadi Yang Berhormat panjang lebar, tentang… berapa yang… pembangunan yang telah dilakukan. Cumanya saya nak menyebut tentang di Jalan Jejawi Permatang, depan JPJ tu. Situ memang dah berlarutan dah… masalah berlarutan, masalah banjir kilat. Saya dok menunggu Yang Amat Berhormat Bintong kot-kot ada masuk sekali tentang naik taraf longkang di situ tu supaya kita sekaligus kita dapat mengatasi masalah yang sekian lama telah dialami penduduk sekitar tu. Dia kita tengok tu pun, tepi tu taman perumahan betui-betui tepi ni, memang sekali dengan taman perumahan pun agak terjejas. Jadi kita kesian dah berlarutan agak lama. Jadi saya harap supaya pihak kerajaan negeri dapat mempertimbangkan supaya kita dapat menaiktaraf longkang sedia ada di jalan Jawi Sematang untuk mengatasi masalah banjir kilat. Terima kasih Yang Berhormat Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Sena, suka saya nak menambah satu lagi… dan ini juga termasuk ada disebutkan di dalam bajet yang akan saya bentangkan nanti, satu jalan baru juga akan dibina… jalan yang berstatus jalan negeri akan dibina juga di dalam DUN Sena yang akan menghubungkan DUN Sena dengan DUN Tambun Tulang, insya-Allah. Berkenaan dengan sekolah menengah harian, kita memang dah ada pun seperti Sekolah Menengah Lailatul Shahreen Akashah tu, satu… tapi sekolah itu dalam kelasnya yang tersendiri lah. Dan sekolah yang kita nak bina ini juga saya akui ini bukannya sekolah yang berstatus sekolah menengah harian biasa, tapi kita ada sekolah harian biasa seperti Sekolah Menengah Syed Sirajuddin di Jejawi tu. Itu merupakan sekolah menengah harian biasa. Kita akan tengok faktanya nanti apakah dan keperluan di sana, sebab kalau sekali pun ada pelajar-pelajar daripada Sena yang terpaksa belajar atau dihantar di sekolah harian di luar Sena, tapi itu mungkin tidak menimbulkan kesulitan yang besar sebab jaraknya tidak terlalu jauh. Kalau di Kangar, kalau katakan di Indera Kayangan sekali pun, atau terpaksa pergi ke Arau misalnya seperti Sekolah Dato’ Sheikh Ahmad misalnya tidak begitu jauh. Takpa kita mengambil perhatian atas perkara tersebut… dan berkenaan dengan masalah banjir ataupun lain-lain yang berkaitan di kawasan yang berhampiran dengan JPJ tu, memang itu berada dalam pemantauan, malah kita menerima… seringkali menerima aduan daripada individu-individu tertentu yang memaklumkan mengenai masalah banjir yang berlaku setiap kali hujan lebat. Sebenarnya kita cuba menyelesaikan secara khususnya masalah yang Yang Berhormat sebutkan itu beberapa kali. Saya telah meminta pihak JKR pun untuk pergi, turun ke lapangan untuk melihat masalah itu. Tetapi masalah ini sebenarnya Yang Berhormat, dia… saya boleh gunakan istilah dia quite systemic, dia berangkai-rangkai, dia tidak boleh hanya dengan menyelesaikan… mengorek parit di situ sahaja, maka dia akan menyelesaikan keseluruhan masalah yang ada di sana. Walau bagaimanapun, saya akan meminta sekali lagi pihak… pihak-pihak yang berkenaan seperti JKR misalnya, dan lain-lain agensi yang berkaitan untuk melihat apakah bentuk solusi yang terbaik yang berdasarkan kepada keadaan semasa sebab kita tidak boleh lagi mengubah rumah-rumah yang telah dibina, dan kita tidak boleh lagi mengubah struktur-struktur bangunan seperti JPJ dan kedai-kedai yang dibina di sana. Jadi mungkin ada satu solusi yang kreatif yang kita boleh lakukan bagi mengatasi masalah ini. Kalau tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya meminimakan masalah yang dihadapi oleh penduduk di sekitar kawasan tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Dipersilakan YB Sanglang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, selamat pagi. Yang Berhormat Speaker soalan saya soalan nombor 14.
(Soalan 14 : Bilakah saliran air ke kawasan bendang khususnya di kawasan MADA hendak dibaik pulih?)
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum. Terima Kasih YB Speaker dan terima kasih kepada YB Sanglang. Padi merupakan sejenis tanaman yang sangat sinonim dengan keperluan air sepanjang tempoh tanaman hingga mencapai tempoh pemasangan. Pengurusan air yang cekap dan sistematik menjadi antara faktor pembelian yang optimal selain daripada faktor-faktor lain seperti padi benih, pengurusan agronomi tahap kesuburan tanah dan sebagainya. Di kawasan Muda di Negeri Perlis terdapat 23 blok secara keseluruhannya dan 7 blok pengairan telah lengkap dengan sistem pengairan tersier yang dibangunkan di bawah Projek Muda 2, tahun 1979-1987. Langkah berikut dilaksanakan oleh pihak Mada memastikan kecekapan pengurusan air untuk melancarkan aktiviti penanaman padi ialah melengkapkan baki 16 blok di kawasan Muda dengan sistem pengairan tersier bagi projek pemaju pertanian. Pembangunan sistem tersier akan dapat meningkatkan infrastruktur dari 18 meter kepada 30 meter sehektar. Sehingga kini, dua blok kini telah siap dibangunkan, dua blok sedang dalam pembinaan, dua blok dalam peringkat perolehan iaitu penilaiaan tender. Sebanyak 6 blok dijangka dibangunkan dalam tempoh Rancangan RMKe-12 iaitu 2021- 2025 dan 4 blok akan dibangunkan dalam tempoh RMKe-13 iaitu 2026-2030.
Sementara menunggu… apa… program program berjalan lancar, pihak MADA melaksanakan penyelenggaran ke atas infrastruktur pengairan di kawasan MADA melibatkan kerja-kerja pembersihan air, pemulihan, pengubahsuaian struktur, penyelenggaraan jalan ladang dan sebagainya. Pelaksanaan ini menggunakan peruntukkan mengurus tahunan yang agensi sedia ada. Terima Kasih.
Tambahan YB Speaker. Terima kasih Yang Berhormat. Isu yang sama sering berlaku kepada para petani dan juga pesawah. Kita mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan dengan perancangan dan juga tindakan yang telah diambil dengan memperbanyakkan saliran blok-blok untuk pengairan air kepada para pesawah dan juga petani. Namun apa yang kita lihat, kalau kita tambah sahaja banyak, tiada ada penyelenggaran dia, dia akan mendatangkan masalah yang sama. Kalau kita tengok, parit banyak sungai yang dia buat JPS banyak, sungai JPS, parit MADA banyak. Tapi masalah penyelenggaran tidak berlaku, akhirnya menyebabkan bila air limpahan banyak, hujan banyak, limpahan air masuk banyak, menyebabkan pengairan tidak begitu lancar. Menyebabkan padi-padi tanaman orang yang dah masak rebah, air tidak boleh nak keluar, terendam empat, lima hari maka busuk, rosak, ini yang berlaku setiap tahun. Sebab itulah penekanan kepada penyelenggaraan adalah lebih baik daripada kita tambah saluran yang banyak menyebabkan masalah yang sama berulang. Mohon Yang Berhormat.
Sebagai tambahan daripada Yang Berhormat, terima kasih, tahun 2021 tahun dikira kurang baik untuk kawasan MADA kerana peruntukan dikurangkan oleh kerajaan pusat dan saya pun tau YB Sanglang dan YB Guar Sanji ada mohon peruntukkan untuk maintenance, tapi malangnya pada tahun ini peruntukan yang kita pohon 20 juta, diluluskan hanya 5 juta. Jadi saya harap tahun-tahun akan datang mungkin untuk penyelenggaraan ini kita akan dapat buat dari semasa ke semasa dan saya bersama dengan YAB dah dikunjungi oleh pengerusi dan kami pun maklum kepada mereka masalah mereka terutamanya petani-petani dan pihak pengerusi bersama dengan pengurus besar MADA dan juga timbalannya pun ada bersama dan juga mesyuarat EXCO pun saya dah mohon… EXCO-EXCO saya dah pun mohon peruntukan begitu. Begitu juga YAB baru ini dalam mesyuarat dengan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar pun jugak mohon. Tujuan dia, kita untuk penyelenggaraan, bukan ada apa, untuk nak bagi lancar, di samping program-program yang saya maklumkan tadi. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon untuk menambahkan sikit maklumat berdasarkan kepada soalan yang dikemukakan Yang Berhormat Guar Sanji. Secara spesifiknya bagi mengatasi sebab kenapa banjir ini berlaku apabila hujan lebat di kawasan Guar Sanji terutamanya yang melimpahi masuk ke kampung dan kawasan bendang. Ini adalah disebabkan berlaku pertembungan air di antara Sungai Perlis yang menuju ke selatan dan akhirnya bertembung di sungai daripada Negeri Kedah dan masuk ke dalam satu sungai besar yang sama. Malangnya, sungai daripada Negeri Kedah ini lebih besar dan volume-nya… airnya juga lebih besar dan lebih laju dan kerana itu apabila pertembungan berlaku di antara sungai Negeri Kedah dan sungai Negeri Perlis menyebabkan air yang mengalir daripada Sungai Perlis ketika hujan lebat tersebut menjadi terencat ataupun menjadi lebih lambat dan kerana itu menyebabkan air sebah dan memenuhi bendang-bendang dan kampung-kampung dan saya turun sendiri ke empangan untuk melihat masalah ini dan saya telah diiringi oleh pegawai-pegawai daripada MADA dan Yang Berhormat sendiri juga ada ketika tu dan datang juga, dan mereka telah memberi jaminan telah ada satu perancanganan iaitu untuk mewujudkan satu by-pass di dalam Negeri Perlis ini supaya air Sungai Perlis terutamanya Sungai Jerupung itu tidak akan bertembung dengan sungai daripada Kedah itu dan terus menuju terus ke laut, insya-Allah. Saya difahamkan peruntukan sebanyak 1.4 juta telah dirancang untuk membolehkan by-pass ini dibina kalau boleh dalam tahun 2022 ini. Terima Kasih Yang Berhormat Dato Speaker.
Terima Kasih. Yang Berhormat Guar Sanji… soalan? Tadi soalan tambahan kan? 15…
Soalan ini telah dijawab sekali dalam soalan 14… 14.
Oh, tidak perlulah. Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Yang Berhormat Dato Speaker, soalan saya nombor 16.
(Soalan 16 : Senaraikan jumlah pemaju yang terdapat dan beroperasi di Negeri ini dan juga perincian rumah kos rendah dan kos sederhana yang dibina oleh pemaju-pemaju bagi tempoh 2018, 2019, 2020 dan 2021)
Terima Kasih Yang Berhormat Sena dan Dato’ Speaker. Kerajaan komited bagi memastikan projek-projek perumahan dilaksanakan demi bagi membolehkan rakyat menjamin dan memiliki rumah. Dalam hal ini, pihak swasta juga memainkan peranan dalam melaksanakan hasrat Kerajaan Negeri ini. Antara pemaju yang beroperasi dalam Negeri Perlis ada lapan developer yang aktif di Negeri Perlis ini. Yang pertama, Encomas Sdn. Bhd., yang kedua PSZ Development Sdn. Bhd., yang ketiga Amzed Development Sdn. Bhd., yang keempat Aima Development Sdn. Bhd., yang kelima HDI Prima Development, yang keenam Vista Mulia Development Sdn. Bhd., yang ketujuh Nepta Development Sdn. Bhd., seterusnya Bumita Properties Sdn. Bhd. dan juga OIB Properties (K) Sdn. Bhd. Untuk soalan perincian rumah kos rendah dan rumah kos sederhana yang dibina mengikut tahun seperti berikut. Untuk makluman, rumah kos rendah bernilai kurang daripada 80,000 ribu dan kos rumah sederhana bernilai 80,000 ke 150,000 iaitu dasar hartanah negeri Perlis. Untuk tahun 2018, rumah kos sederhana berjumlah 15,400 unit, untuk rumah kos rendah berjumlah 10,476 unit… berjumlah 25,876 untuk tahun 2018. Bagi tahun 2019, rumah kos sederhana berjumlah 15,602 dan rumah kos rendah berjumlah 10,495 dan berjumlah semua 26,097 unit. Bagi tahun 2020, rumah kos sederhana berjumlah 15,795 dan rumah kos rendah 10,555, jumlah semua 26,350. Bagi tahun ini, tahun 2021 sehingga September, rumah kos sederhana berjumlah 15,928 dan rumah kos rendah berjumlah 10,578, jumlah keseluruhan ialah 26,506. Pada tahun 2021, sehingga suku tahun ketiga (September 2021), sebanyak 104 unit rumah, 83 unit rumah kos sederhana dan 21 unit rumah kos rendah telah memulakan pembinaan di Negeri Perlis. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Speaker, ada tambahan. Data Yang Berhormat bagitau awal tadi ni jumlah rumah, dari segi pembinaan 83 unit? Soalan saya dari segi pembinaan rumah kan? Pembinaan rumah kos sederhana 83 unit, dan rumah kos rendah berapa pembinaan? Saya tengok agak, ialah pemaju-pemaju terutama swasta kalau boleh kita kena ada dasar jangan tinggal rumah kos rendah, saya tengok banyak yang duk buat yang semi-D kebanyakan di Perlis. Terima Kasih Yang Berhormat Speaker.
Untuk pengetahuan semua, pada tahun ini telah membuat request for proposal actually untuk perumahan kos rendah dan juga kos sederhana. Sekarang ini kita panggil kategori mampu milik, bukan lagi kos rendah dan kos sederhana… nilainya sama. Jadi untuk itu… pada bulan 5 itu, kita telah pun memanggil ada 14 developer yang di bawah proposal untuk bina rumah mampu milik di Perlis. Insya-Allah, dalam masa terdekat kita akan award pada developer yang telah bagi proposal. Untuk itu ada 6 tempat yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri untuk itu. Terima Kasih.
Soalan terakhir Yang Berhormat Indera Kayangan.
Terima Kasih Dato’ Speaker, soalan saya nombor 17.
(Soalan 17: Apakah perancangan dan tindakan kerjasama di peringkat Kerajaan Negeri Perlis dengan ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) setelah termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH?
Terima Kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan. Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH, Yang Berhormat Dato’ Speaker, MoU ini terpakai di kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan tidak terpakai di peringkat Negeri sebenarnya. Walau bagaimanapun, saya ingin memaklumkan bahawa sebelum persefahaman ini ditandatangani oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan juga pihak pembangkang khususnya PH, Kerajaan Negeri telah pun sebenarnya memulakan kerjasama dengan pihak parti-parti pembangkang yang ada di Perlis ini, khususnya dengan Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini. Contoh, apabila kita berhadapan dengan pandemik di peringkat awal lagi, saya telah membuat satu keputusan, kita tidak akan membezakan atau menganaktirikan dari segi kita menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat yang terkesan akibat daripada pandemik di peringkat awal tersebut dan kerana itulah jumlah peruntukkan yang sama rata yang telah diberikan kepada ADUN-ADUN Kerajaan dan ADUN-ADUN Pembangkang. Pelaksanaannya itu, memanglah kita menghadapi isu-isu tertentu yang kita terpaksa membuat penyesuaian untuk memastikan supaya faedah itu diperolehi oleh rakyat di dalam… yang tinggal di dalam DUN-DUN yang berkenaan dan sepertimana saranan yang dilakukan oleh Yang Berhormat iaitu untuk Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tahunan kepada Wakil-Wakil Rakyat pembangkang, dan itu Kerajaan Negeri telah pertimbangkan dan meluluskannya juga. Malah pada tahun ini pun, pada tahun 2021, pada masa kita meluluskan bajet pada bulan 12 tahun 2020 dahulu, juga telah memberikan peruntukan kepada ADUN-ADUN pembangkang dan saya beri jaminan pada tahun… untuk bajet tahun 2022 yang saya akan bentangkan hari ini juga akan beri peruntukan kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat daripada pembangkang, insya-Allah. Jadi, bagi saya, walaupun kita tidak menandatangani apa-apa perjanjian di kalangan kita sebagai ADUN Kerajaan atau bukan ADUN Kerajaan, tetapi yang penting di sini kita kerjasama antara satu sama lain, kerana kita tiada ada niat selain daripada memberikan kebaikan yang sebaiknya… sebanyak-banyaknya kepada rakyat, itu niat kita. Insya-Allah ini kita lakukan, dan kita harapkan Ahli Yang Berhormat daripada pembangkang juga memberikan kerjasama, insya-Allah. Dan tidak sengaja dengan apa yang telah kita masukkan dalam bajet itu, yang tidak berbajet pun, kita boleh tolong sepertimana yang saya sebutkan tadi Yang Berhormat daripada Sena, permohonan daripada beliau sendiri pun saya luluskan untuk dilakukan atau dilaksanakan di kawasan atau di DUN Sena. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.
Soalan tambahan, saya nak tau sajalah, kalau peruntukan diberikan untuk tahun hadapan, adakah ia akan sama dengan ADUN Kerajaan untuk ADUN pembangkang… adakah sama dengan ADUN kerajaan? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, tentulah berbeza sebab ADUN Kerajaan, semua memegang jawatan dan semua EXCO. Jadi sebagai EXCO tentulah peruntukan dia lebih berbanding dengan ADUN biasa. Jadi tidak mungkin saya boleh mempertimbangkan peruntukan yang sama sepertimana yang diperolehi oleh ADUN Kerajaan yang semuanya berstatus EXCO dengan Yang Berhormat yang tidak berstatus EXCO. Kalau Yang Berhormat inginkan peruntukan yang sama, baiklah... semua sama, kita duduk di sebelah sini semua dan kita boleh tambah lagi EXCO dan Yang Berhormat akan mendapatkan peruntukan tambahan sepertimana yang diperolehi anggota-anggota EXCO di pihak Kerajaan ini, insya-Allah. Terima kasih Dato’ Speaker.
Terima kasih di atas tawaran.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, semua soalan yang Berhormat telah dijawab dengan baik sekali dan saya mendapati pihak Kerajaan dapat memberi jawapan yang sangat baik berbanding sebelum ini dan sangat-sangat menepati soalan. Tahniah diucapkan. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan sebentar dan akan sambung semula pada 11.15 pagi.
Dewan ditangguhkan sehingga jam 11.15 pagi. Terima kasih.
(Persidangan ditempohkan sementara pada jam 10.32 pagi)
(Persidangan disambung semula pada pukul 11.23 pagi)
Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2022 dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2022Bill
Sila duduk. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula.
Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2022Motion
Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2022. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan satu usul yang berbunyi “Bahawa Dewan ini mengikut Seksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, mengambil ketetapan bersetuju meluluskan perbelanjaan sebanyak RM130,245,010.00 (Seratus Tiga Puluh Juta Dua Ratus Empat Puluh Lima Ribu Sepuluh Ringgit) seperti yang tersebut di dalam Anggaran Pembangunan Negeri Perlis Tahun 2022 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 13 Tahun 2021”.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.
Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2022Bill
Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2022. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2022 dibaca bagi kali pertama.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.
Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2022. Bacaan kali pertama.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, menurut proviso kepada peruntukan Peraturan 56 Dewan, saya mohon kebenaran untuk membaca Rang Undang-Undang ini bagi kali kedua pada hari ini juga.
Yang Amat Berhormat dibenarkan.
Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2022. Bacaan kali kedua.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang yang bernama “Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2022 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.
Adapun tujuan Rang Undang-Undang ini ialah untuk mengadakan peruntukan bagi mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri sebanyak RM154,037,800.00 untuk perkhidmatan bagi tahun 2022 bagi maksud-maksud yang dinyatakan di dalam Jadual. Maksud-maksud yang dinyatakan di dalam jadual diberi bilangan yang sama dengan tujuan-tujuan di dalam draf Anggaran Perbelanjaan Negeri bagi tahun 2022 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 12 Tahun 2021 sebelum dikemukakan Rang Undang-Undang ini.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin Wassalatu Wassalamu ‘Ala-Asyarafil Anbiya’e Wal Mursalin Saidina Muhammadin Wa’ala Alihi Wasahbihi Ajma’in. Salam Perlis dan salam sejahtera. Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang bertajuk “Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2022 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya memohon kesabaran, cadangan bajet ini mempunyai seratus tiga muka surat dan seratus lapan puluh lapan paragraph. Segala puji bagi Allah, Tuhan empunya seluruh alam. Dialah yang Maha Kaya, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Pemilik ke atas Negeri ini dan Penyedia segala sumber. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya kita berhimpun sekali lagi di Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas pada pagi ini, bagi menyempurnakan pembentangan Bajet 2022 serta meneruskan agenda pembangunan yang akan membawa Perlis setapak lagi menuju ke arah Wawasan Negeri Bandaraya menjelang 2030. Kehadrat Allah SWT jugalah kita bermohon keluasan rahmat, keberkatan dan petunjukNya ke atas Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail untuk terus menaungi Negeri Perlis yang tercinta ini. Saya juga mengambil kesempatan di sini merakamkan junjungan setinggi-tinggi kasih di atas kepercayaan dan amanah baginda kepada barisan kepimpinan Negeri dalam meneraju, mengurus dan mentadbir Negeri. Kepercayaan dan amanah ini akan digalas dengan penuh bertanggungjawab. Seluruh anggota pentadbiran dan jentera Pentadbiran Awam Negeri akan terus beristiqamah dan bekerja kuat membangunkan Perlis demi faedah seluruh rakyatnya.
Firman Allah dalam surah Al Hijr Ayat 55-56;
“(Mereka) menjawab: Kami menyampaikan khabar gembira kepada mu dengan benar, maka janganlah engkau termasuk orang yang berputus asa. Dia (Ibrahim) berkata: Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.”
Penularan pandemik COVID-19 sejak Mac 2020 bukan hanya memberi impak kepada tahap kesihatan global, malah seluruh aspek kehidupan dan tamadun di dunia ini. Kesan COVID-19 tidak terhad kepada risiko kesihatan yang boleh mengundang kehilangan upaya dan nyawa, tetapi turut menyumbang secara langsung terhadap kerencatan aktiviti ekonomi. Malah ia juga turut mengubah senario sosial, politik, keselamatan dan pendidikan dunia diantaranya. Kesan terhadap rantaian ekonomi dapat dilihat jelas di sektor pelancongan, pembuatan, pembinaan dan pengeluaran komoditi. Pengeluaran terencat, permintaan pula jatuh. Pekerja dan pengguna pula berdepan dengan sekatan pergerakan. Ia terus menyumbang kepada kelemahan permintaan kepada kelemahan permintaan dan perbelanjaan dalam pasaran. Namun begitu terdapat juga sektor ekonomi tertentu yang mendapat tempias ‘positif’ di sebalik penularan pandemik COVID-19 dan kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan. Antaranya platform jual beli secara online, seperti pembelian melalui Lazada, Shopee dan perkhidmatan penghantaran makanan seperti Foodpanda, Tapaufood atau Grabfood. Sektor ini menunjukkan potensi besar dan mempunyai masa hadapan yang cerah di dalam ekonomi digital di negara kita. Bagi mengekang penularan wabak dan memastikan jangkitan ke paras terendah, penduduk Perlis di semua peringkat perlu patuh kepada langkah-langkah pencegahan agar misi utama ini dapat mengurangkan impak negatif COVID-19 ke atas ekonomi Perlis khususnya dan negara amnya. Kini tiada lagi sekatan dan kekangan pergerakan. Aktiviti di sektor-sektor ekonomi yang terjejas dan terencat sebelum ini kini mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Bagaimana pun sektor-sektor tertentu seperti pembuatan dan pengeluaran pertanian tidak boleh kembali ke paras pre-Pandemik dengan serta merta. Permintaan ke atas pengeluaran sektor-sektor ini telah kembali meningkat. Justeru, wujud satu jurang yang luas di antara pengeluaran yang bergerak perlahan berbanding permintaan yang meningkat pantas. Penawaran dan permintaan yang tidak seimbang ini memberi tekanan kepada harga dan kenaikan inflasi. Inilah situasi yang dihadapi oleh Negara kita sekarang ini. Harga barangan keperluan telah melambung tinggi. Tidak mustahil wujud tangan-tangan yang tidak nampak atau invisible hands yang mengambil kesempatan memanipulasi keadaan dengan menaikkan harga. Tidak mustahil tekanan inflasi ini akan menyebabkan lebih ramai lagi rakyat yang akan jatuh di bawah paras kemiskinan akibat kuasa beli yang terhakis. Jika tiada langkah segera diambil untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli mereka, ia akan membawa implikasi yang lebih besar kepada Negara.
Yang Berhormat Dato Speaker, di dalam ucapan Bajet Kerajaan Negeri Perlis Tahun 2021, saya telah membuat pemerhatian bahawa pandemik COVID-19 telah menimbulkan suasana ketidaktentuan politik di banyak negara di dunia. Kecelaruan tersebut telah menyebabkan kerajaan pemerintah tumbang. Tetapi tidak kurang juga di mana kerajaan pemerintah dikekalkan. Malaysia juga tidak terlepas dari kecelaruan ini. Ia ditambah lagi dengan pembuatan dasar dan keputusan yang bukannya mengurang, malah meningkatkan lagi kes-kes jangkitan COVID-19 serta implikasi negatif ke atas rakyat. Kehidupan rakyat semakin sukar dan terhimpit akibat hilang punca pendapatan. Kadar pengangguran semakin meningkat. Ini dituruti pula dengan peningkatan kadar kemiskinan yang ketara. Pelbagai program bantuan Kerajaan didapati tidak memberikan kesan positif untuk mententeramkan kegelisahan dan kemarahan rakyat. Segala kecelaruan ini telah berjangkit dan diterjemahkan dalam bentuk ketidakstabilan politik negara. Akhirnya kerajaan PN yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin telah tumbang. Walau pun tiada pilihanraya diadakan, Kerajaan PN telah digantikan pula dengan Kerajaan Keluarga Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru, iaitu Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Walau pun di peringkat Nasional dilihat suhu politik menurun dan ketidakstabilan digantikan dengan ketenangan, tetapi masih wujud suhu politik panas di peringkat negeri. Tetiba sahaja kita dikejutkan dengan kecelaruan politik di Melaka. Tetapi situasi di Melaka boleh dikatakan tidak berkait langsung dengan kesan COVID-19. Ia berakhir dengan Pilihanraya Negeri Melaka pada 20 November 2021 yang lalu. Keputusannya telah kita semua tahu, iaitu Barisan Nasional telah memenanginya dengan majoriti tiga per empat dari 28 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. Alhamdulillah suasana politik di Perlis agak berbeza. Ia lebih tenang dan stabil. Terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang memahami akan pentingnya kestabilan politik dalam meneruskan agenda pembangunan untuk faedah rakyat. Kestabilan yang wujud telah membuka peluang kepada Perlis, dengan izin Allah jua, untuk melangkah ke hadapan dari segi pembangunan. Sebahagian dari projek-projek pembangunan besar telah mula dilaksanakan. Sebahagian lagi hanya menunggu saat pelaksanaannya. Banyak pula projek-projek pembangunan bersaiz sederhana yang telah berjalan terutama yang berkaitan dengan pertanian komersial. Manakala projek-projek kecil pula boleh dikatakan semuanya telah berjalan dan disiapkan. Peluang kepada rakyat untuk mencari rezeki terbuka luas. Dasar Perlis Bebas Niaga misalnya dilihat memberi faedah besar kepada rakyat untuk berniaga secara kecil-kecilan dan menambah pendapatan. Alhamdulillah, tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa, rata-rata di Perlis sekarang ini rakyat sudah mampu menghela nafas lega. Mereka juga sudah mula melihat bibit-bibit perubahan dalam pembangunan negeri. Moga-moga cahaya yang bersinar ini akan terus terang benderang sehingga Wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030 tercapai, In-syaa-Allah. Oleh itu, sekali lagi saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Allah Azzawajjal, dan berterima kasih pada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang sangat prihatin dengan memberikan kerjasama penuh dan terima kasih pada rakyat Perlis yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negeri yang tercinta ini.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, pandemik COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada landskap ekonomi dunia termasuk Malaysia. Mekanisme penawaran dan pasaran serta perkhidmatan terkesan teruk dan membawa kepada kemerosotan ekonomi global dan negara. Menurut Laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) didalam World Economic Outlook Julai
2021, ekonomi dunia menguncup 3.2% pada tahun 2020 berbanding pertumbuhan positif 2.8% pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan ekonomi global diunjur kembali berkembang 5.9 peratus pada 2021 berikutan langkah pemberian vaksin yang meluas dan sokongan dasar yang serasi atau accommodative dan kenaikan harga komoditi. Namun begitu ramalan ekonomi dunia tumbuh sederhana pada kadar… pada kadar 4.9 peratus pada tahun 2022. Ini adalah berdasarkan jangkaan pemulihan serba peringkat di ekonomi maju ataupun negara-negara maju dan berikutan proses normalisasi aktiviti ekonomi. Ekonomi Malaysia turut menerima tempias kemelesetan ekonomi global yang melanda berikutan penularan pandemik COVID-19 yang telah merekodkan kemerosotan pada kadar 5.6 peratus. Ini adalah kadar kedua terendah dalam sejarah Malaysia selepas tahun 1998. Namun begitu, tanda-tanda pemulihan ekonomi mulai dirasai diakhir tahun 2020. Yang mula menunjukkan peningkatan ketara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua tahun 2021. Ekonomi dijangka berkembang diantara 3 hingga 4 peratus pada 2021 dengan prospek pertumbuhan yang lebih baik di suku keempat. Yang Berhormat Dato’ Speaker, ekonomi Perlis pula pada tahun 2020, merekodkan nilai ditambah berjumlah 5.8 bilion ringgit, ia menyusut pada kadar 6.1 peratus ini berbeza dengan tahun 2019 yang mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 4.5 peratus dengan nilai ditambah 6.2 bilion ringgit berbanding 5.8 bilion ringgit pada tahun 2018. Komponen utama sektor, struktur ekonomi negeri masih didominasi oleh sektor perkhidmatan, yang menyumbang sebanyak 69.7 peratus. Ia dipengaruhi sebahagian besarnya oleh sub-sektor utiliti dan perdagangan borong dan runcit, penginapan, makanan dan minuman. Kedua-dua sub-sektor ini juga telah mencatatkan penyusutan masing-masing pada kadar 7.3 peratus dan 8.2 peratus. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak tahun 2020 adalah penyumbang utama kepada penyusutan ini. Sektor pertanian yang merupakan sektor kedua terbesar dengan sumbangan sebanyak 18.8 peratus kepada KDNK negeri pada tahun 2020. Ia turut mencatatkan penurunan dua digit iaitu 18.5 peratus dengan nilai ditambah berjumlah 1.1 bilion ringgit berikutan penyusutan pertumbuhan sub-sektor perikanan laut. Yang Berhormat Dato’ Speaker, penularan pandemik COVID-19 sejak tahun 2020 telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat, khususnya aspek kesihatan mahupun kehidupan harian. Sehingga kini, penularan wabak ini telah meragut 127 nyawa di Perlis. Kerajaan Negeri amat sedih, bersimpati dan mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga. Semoga diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sudah 19 bulan kita mengharungi dan mengadaptasi normalisasi kehidupan bersama wabak COVID-19. Bermula dengan pemakaian pelitup muka dan hand sanitizer sehinggalah pemberian vaksin kepada rakyat, Kerajaan Negeri terus berusaha mencari jalan untuk membantu dan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan pandemik ini. Kerajaan akan terus memastikan bahawa kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi agenda utama dalam apa-apa tindakan Kerajaan. Kerana itulah Program Perlis Pahadoi telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri. Selain dari pematuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) sedia ada, strategi penting bagi menyekat penularan pandemik COVID-19 adalah dengan pemberian vaksin kepada rakyat. Kerana itulah Kerajaan Negeri menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah dilaksanakan di negeri Perlis. Sehingga kini kadar vaksinasi di Perlis telah mencapai 79.7 peratus. Bagi memastikan vaksinasi yang lebih meluas, Program Mobilisasi Vaksin Komuniti atau MOVAK juga telah dilancarkan di Negeri Perlis. Alhamdulillah, Perlis kini telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuatkuasa mulai 8 November 2021 yang lalu. Dengan peralihan ini, ia membuka ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk bekerja menambah pendapatan dan meningkatkan taraf hidup. Program Perlis Bebas Niaga yang telah dilaksanakan mulai Januari 2021 didapati amat berjaya. Rakyat telah merebut peluang yang terbuka ekoran dari pelaksanaan dasar ini dengan mewujudkan gerai-gerai jualan secara kecil-kecilan di seluruh negeri Perlis. Kerana itulah kita lihat banyak sekali gerai-gerai jualan yang muncul di lokasi-lokasi tertentu di jalan-jalan Negeri dan Persekutuan. Kerajaan Negeri akan terus menggalakkan rakyat berniaga selagi ia tidak melanggar syarat-syarat 3K, iaitu keselamatan, kebersihan dan kacau ganggu yang telah ditetapkan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat semasa pandemik yang mana antaranya adalah Program Perlis
Pahadoi. Ini adalah salah satu program dalam kerangka besar pembangunan negeri Perlis melalui program… Melalui program ini, sebanyak 3.44 juta ringgit telah dibelanjakan meliputi bantuan makanan asas (PAMA) kepada mereka yang berkelayakan, bantuan peralatan dan premis perniagaan, i-SURI, bantuan belian petrol bagi motorsikal termasuklah bantuan kepada pesakit kronik dan juga program bina dan baiki rumah yang uzur. Kerajaan Negeri juga merakamkan penghargaan dan terima kasih terhadap inisiatif Kerajaan Persekutuan menyalurkan pakej-pakej peruntukan melalui program PRIHATIN, PRIHATIN SMEs, PENJANA, KITA PRIHATIN, PERMAI, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), PEMERKASA PLUS dan PEMULIH bagi membantu ekonomi negeri terus bergerak semasa pandemik. Peruntukan PEMERKASA umpamanya telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi pembangunan projek-projek berskala kecil seperti pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak seperti pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan termasuk penggantian lif di perumahan awam dan pembinaan gerai kepada seluruh rakyat negeri Perlis. Secara tidak langsung ia meningkatkan ekonomi usahawan, khususnya kontraktor-kontraktor, pembekal dan pekerja yang terlibat di dalam melaksanakan kerja-kerja tersebut. Pengagihan projek-projek di bawah peruntukan PEMERKASA telah dilaksanakan secara undian terbuka. Tahun 2021 Kerajaan Negeri telah melaksanakan sejumlah 692 kerja dengan bernilai 30.09 juta ringgit di bawah program PEMERKASA.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, walaupun kita telah memasuki Fasa 4 PPN dan ramai yang telahpun berjaya meneruskan kehidupan tanpa bantuan, namun masih ramai lagi rakyat yang terkesan ekonomi mereka dan masih menghadapi kesulitan hidup seharian. Masih ada yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan. Kerajaan akan terus berusaha membantu golongan ini melalui program-program bantuan tertentu sehingga mereka berjaya berdiri di atas kaki sendiri semula. Di dalam Bajet 2021, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan beberapa inisiatif baru dalam usaha menangani isu-isu yang sering didepani rakyat. Antara inisiatif baru yang diperkenalkan termasuklah peruntukan 2 juta ringgit untuk SAP menangani masalah paip bocor, peruntukan 300 ribu ringgit untuk membiayai kos perjalanan, makan dan tempat tinggal bagi keluarga miskin yang terpaksa melakukan rawatan kesihatan di pusat-pusat rawatan yang jauh di luar Perlis, dan peruntukan untuk membina dan membaiki rumah rakyat miskin. Satu projek pembangunan kecil juga telah diperkenalkan, iaitu projek pembangunan semula jeti ikan di Tok Kuning, Kayang. Projek ini belum siap sepenuhnya. Fasa pelaksanaan seterusnya akan dilaksanakan dalam tahun 2022. Program-program ini didapati amat menepati kehendak dan keperluan rakyat. Ianya amat berkesan, walaupun ia tidak boleh menyelesaikan isu-isu berkaitan sepenuhnya. Tetapi ia banyak menyelesaikan isu-isu tersebut. In-syaa-Allah, program-program yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat ini akan diteruskan. Malah Kerajaan Negeri akan memperkenalkan program-program dan projek-projek baru yang bermanfaat kepada rakyat untuk dilaksanakan dalam tahun 2022.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, bagi memastikan segala perancangan dapat disempurnakan dan mencapai matlamatnya, Bajet 2022 telah menetapkan tiga fokus utama iaitu: Pemulihan ekonomi rakyat, Peningkatan kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyat dan Pengukuhan ekonomi negeri yang mampan. Banyak yang perlu dilakukan lagi bagi membantu rakyat untuk kembali kepada kehidupan seperti sebelum pandemik melanda. Namun begitu dalam merancang program yang bersesuaian, kita perlu berpijak di bumi nyata. Kita hanya boleh melakukan sesuatu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada. Kita harus akur akan keterbatasan sumber, terutamanya kewangan dan tanah yang tersedia untuk pembangunan. Bagaimana pun, keterbatasan-keterbatasan ini tidak boleh dijadikan alasan dan penghalang kepada usaha membantu rakyat di saat getir. Keterbatasan inilah yang memaksa kita untuk lebih kreatif dan inovatif dalam mencari jalan penyelesaian. Setiap sen yang dibelanjakan dan setiap setiap inci tanah yang tersedia wajib dimanfaatkan secara optima. Setiap program yang dirancang harus mampu memberikan pulangan yang cepat dengan impak yang tinggi kepada ekonomi negeri. Kerana itu, Kerajaan Negeri akan memberi fokus dalam tahun 2022 untuk melaksanakan projek-projek yang tidak menelan belanja besar, mudah dan cepat dilaksanakan, tetapi rakyat pula segera mendapat faedahnya. Manakala impak projek-projek ini kepada ekonomi adalah besar. Bagaimana pun, ia tidak bermakna inisiatif projek-projek besar dan sederhana akan dihentikan.
Kerajaan Negeri akan terus berusaha menarik pelabur-pelabur untuk melabur di Perlis, terutama ke Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) Fasa 1 yang kini sedang giat untuk disiapkan prasarananya. Yang Berhormat Dato’ Speaker, fokus pertama, Pemulihan Ekonomi Rakyat. Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang besar di dalam kehidupan sosial dan ekonomi rakyat. Data e-Kasih dikeluarkan oleh Unit Penyelarasan dan Pembangunan Persekutuan (ICU) menunjukkan sehingga 29 November 2021, data kemiskinan yang didaftarkan adalah berjumlah 18,140 Ketua Isi Rumah. Daripada jumlah ini sebanyak 7,661 KIR ataupun Ketua Isi Rumah dikategorikan di bawah Miskin Tegar dan 5,843 KIR sebagai kategori miskin. Punca utama kepada peningkatan besar dan mendadak ini ialah Pandemik Covid-19 dan PKP serta kesannya. Bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan telah merancang dan memperkenalkan beberapa program yang bersifat low hanging fruit dengan izin. Harapannya agar program-program ini dapat memberi hasil dan membantu ekonomi rakyat dalam masa yang singkat. Strategi Pertama, Pemulihan Ekonomi Melalui Sektor Pertanian dan Penternakan. Seperti mana yang kita maklum sektor pertanian adalah penyumbang kedua tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar negeri Perlis, iaitu 1.1 billion ringgit ataupun 18.8 % dari keseluruhan KDNK. Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Perlis akan memperkenalkan Program Peningkatan Ekonomi dalam sektor pertanian bagi menggalakkan penduduk setempat menanam dan mengeluarkan sendiri keperluan bahan makanan seharian. Program ini dijangka akan dapat mengurangkan bebanan kos sara hidup. Malah ia boleh menjana ekonomi rakyat. Dua program tersebut adalah pertama, Pertanian Untuk Kehidupan atau ringkasnya (KEBUNA) yang terdiri daripada dua komponen utama, iaitu pertama, Pertanian Bandar-Jimat Belanja Dapur. Program ini akan memberi faedah kepada 1,500 peserta dari golongan B40. Bantuan yang diberi merupakan pakej input dan peralatan pertanian dengan peruntukan sebanyak 817 ribu ringgit. Projek ini merupakan kesinambungan projek sedia ada yang melibatkan 26 projek terdiri dari pelbagai kategori iaitu individu, komuniti, sekolah dan institusi dengan penglibatan seramai 654 peserta pada tahun ini. Projek ini akan diteruskan akan terus diberikan tumpuan untuk membantu golongan sasaran mengurangkan perbelanjaan harian berikutan peningkatan kos sara hidup pada masa ini. Kedua, Pertanian Hidroponik. Program ini berfokus kepada tanaman sayuran secara hidroponik yang melibatkan golongan berpendapatan rendah B40, golongan belia yang berumur 18 hingga 25 tahun dan golongan asnaf. Seramai 210 orang peserta akan mendapat faedah dari program ini dengan jumlah peruntukan sebanyak 658 ribu ringgit. Penggunaan teknologi ini boleh meningkatkan produktiviti tanaman sayuran dari segi kualiti dan kuantiti. Teknik pertanian moden tanpa bergantung kepada penggunaan tanah menjadi yang terluas-luas… menjadi pencetus kepada pelaksanaan projek tanaman sayuran secara hidroponik dengan penyertaan lebih ramai belia yang celik teknologi dan berpotensi untuk menginovasi dan memodenkan industri ini. Projek Alternatif Gantian Tanaman Padi Luar Musim Kepada Tanaman Ubi Keledek. Projek ini adalah alternatif tanaman gantian tanaman padi ketika luar musim pengairan, iaitu tanaman ubi keledek. Ini adalah merupakan projek perintis atau permulaan bagi tanaman padi yang mempunyai masalah untuk diusahakan dua kali setahun disebabkan tiada sumber air atau tiada skim pengairan yang disediakan. Ia bergantung sepenuhnya kepada air hujan. Program ini melibatkan kawasan padi, kawasan sawah padi luar MADA seluas 10 hektar iaitu di Projek Kelompok Padi Kg Padang Gelam, Beseri, Perlis. Seramai 24 orang petani akan terlibat dengan jumlah peruntukan sebanyak 200 ribu ringgit. Tanaman ubi keledek diketengahkan kerana mempunyai potensi pasaran yang baik sekaligus dapat meningkatkan ekonomi petani.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, bagi tahun 2022, antara fokus utama pembangunan industri pertanian adalah untuk meningkatkan amalan pertanian dan sistem makanan yang mampan. Dengan mencapai matlamat sekuriti makanan, atau keselamatan makanan, petani perlu menerapkan amalan pengurusan tanaman berpandukan Amalan Pertanian Baik yang menjurus ke arah persijilan persijilan MyGAP. Tujuannya agar wujud keseimbangan alam sekitar dan ekosistem terpelihara dan tidak mengakibatkan pencemaran dan kerosakan. Sehingga kini 143 ladang telah dipersijilkan dengan keluasan 163.49 hektar. Skim ini akan terus disasarkan dan sokongan petani amatlah diperlukan dalam merealisasikan pensijilan MyGAP ini. Di samping itu, penggunaan teknologi dan automasi dalam sektor agromakanan juga diketengahkan, bagi meningkatkan produktiviti tanaman. Ianya seiring dengan aspirasi Negara melalui Rancangan
Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam memacu industri pengeluaran ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Pada masa ini, penggunaan teknologi drone telah diaplikasikan untuk semburan racun bagi kawalan, bagi kawalan perosak dan penyakit melibatkan 25 projek kelompok padi Luar MADA dengan keluasan sawah seluas 1,337 hektar. Amalan teknologi ini akan terus diperkasakan secara berperingkat di keseluruhan kawasan sawah padi Luar MADA. Kerajaan Negeri juga akan menyediakan sejumlah 2.70 juta ringgit bagi program pembangunan industri pertanian sedia ada. Ia akan ditambah baik seiring dengan kehendak semasa yang meliputi pertama, pembangunan industri padi. Kedua, pembangunan industri buah-buahan. Ketiga, pembangunan industri sayuran dan tanaman ladang dan keempat, pembangunan industri kelapa, komoditi berpotensi dan tanaman herba. Pembangunan industri padi mengikut pakej Ricecheck akan melibatkan 19 projek kelompok padi dengan penglibatan seramai 3,728 orang petani dengan keluasan 3,918.56 hektar…(batuk) Sebanyak 1.0 juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan ini. Di antara projek yang akan dilaksanakan adalah, Projek Padi Pintar untuk mewujudkan tiga projek padi pintar dengan penerapan teknologi IR 4.0 bertujuan mentransformasikan kecekapan pengurusan ke arah meningkatkan potensi hasil padi 8 tan sehektar. Dua projek padi pintar telah dilaksanakan tahun ini di kawasan Panggas Besar seluas 164 hektar. Seramai 157 orang pesawah terlibat. Satu lagi di Titi Tinggi Hilir dengan keluasan 106.62 hektar melibatkan 78 orang pesawah. Hasil telah meningkat dari 3.8 metrik tan sehektar kepada 4.8 metrik tan sehektar. Pengamalan teknologi IR 4.0 telah dipraktikkan melalui penggunaan drone untuk kawalan perosak dan penyakit padi yang cekap dan tepat, penggunaan laser autoleveller atau perataan tanah dan jentera mencedung untuk penanaman padi. Projek ini akan diperluaskan lagi melibatkan kawasan Panggas Besar, Kg. Belukar Beseri dan Padang Siding. Projek Padi Organik di Kg. Wang Kelian yang mampu mengeluarkan beras organik secara komersial. Di masa yang sama ia juga menjadi lokasi agropelancongan. Projek ini telah rmula pada tahun ini dan dijangka akan mendapat persijilan myOrganic pada tahun 2023. Pada tahun ini juga telah diwujudkan pusat pemprosesan baja dan racun organik untuk kegunaan projek selain untuk dipasarkan. Projek ini melibatkan 4 orang pesawah dengan keluasan 34.19 hektar dengan sasaran pengeluaran beras organik sebanyak 205 metrik tan. Ladang Benih Padi yang telah dikenalpasti melibatkan 3 kawasan iaitu Bintong seluas 50 hektar, Padang Siding 180 hektar dan Beseri 90 hektar, dengan keluasan keseluruhan sebanyak 330 hektar. Peserta projek dengan bimbingan Jabatan Pertanian dan insentif amalan teknologi secara Ricecheck dijangka akan menghasilkan 1,485 metrik tan benih padi yang akan menyumbang sebanyak 36.6% dari 4,058.95 metrik tan keperluan benih padi bagi semusim di Negeri Perlis. Ladang benih padi ini akan diperluaskan sehingga 1000 hektar bagi menghasilkan kira-kira 5,000 tan metrik benih setiap tahun... setiap musim untuk menampung keperluan benih padi bagi pesawah di negeri Perlis. Sejumlah 1.33 juta ringgit pula disediakan bagi pembangunan industri buah-buahan. Kerajaan Negeri menyasarkan untuk memperluaskan kawasan tanaman mangga Harumanis Perlis kepada 2,000 hektar menjelang tahun 2025 bagi memastikan tanah terbiar dapat dibangunkan dan diusahakan dengan tanaman mangga Harumanis yang mampu memberi pulangan pendapatan kepada rakyat di Negeri Perlis. Keluasan bertanam Harumanis sehingga kini adalah 1687.30 hektar. Pembangunan Industri Sayuran dan Tanaman Ladang pula akan melibatkan lapan projek kelompok sayuran dengan keluasan 59.11 hektar yang akan memanfaatkan 84 orang petani. Antara fokus bagi industri sayuran dan tanaman ladang ini adalah membangunkan infrastruktur ladang yang lebih teratur dan sistematik termasuklah teknologi Veggie Factory yang telah mula diperkenalkan tahun ini. Untuk tujuan ini infrastruktur telahpun siap dibina dan kini dalam proses pemilihan usahawan bagi menguruskan projek tersebut yang dijangkakan bermula Januari 2022. Peruntukan yang disediakan bagi industri ini adalah sebanyak 165 ribu ringgit. Kerajaan Negeri juga menyediakan 210 ribu ringgit untuk pembangunan Industri Kelapa, Komodot… Komoditi Berpotensi dan Tanaman Herba. Ia bertujuan memberi galakan yang berterusan untuk menampung permintaan pasaran bagi kelapa, rumput napier, jagung bijian, herba, superfruits dan cendawan. Pelbagai inisiatif penanaman kelapa secara integrasi bersama tanaman buah-buahan singkat masa seperti pisang atau nanas juga akan diusahakan kerana terdapat permintaan terhadap buah-buahan ini. Sebagai satu inisiatif baru, Kerajaan Negeri juga akan memulakan satu projek rintis untuk menanam pokok avocado di Perlis. Buah avocado ini mempunyai khasiat yang tinggi dan tinggi harganya di pasaran. Tanaman ini didapati amat sesuai ditanam di kawasan iklim tropika seperti di Perlis. Ia akan dibuat secara percubaan dahulu dengan memilih spesies yang sesuai dengan tanah dan cuaca di Perlis. Jika didapati berjaya, maka satu program penanaman avocado secara meluas akan dimulakan melibatkan kumpulan petani kecil-kecilan di Perlis. Sejumlah peruntukan akan disediakan untuk memulakan inisiatif ini. Kerajaan Negeri juga turut memberi bimbingan dan industri dalam industri ternakan lebah kelulut di mana pada tahun 2022, Jabatan Pertanian akan melaksanakan program integrasi ternakan lebah kelulut di dalam ladang kelapa sekaligus membolehkan pengusaha tanaman kelapa meningkatkan pendapatan mereka dalam masa yang singkat melalui hasil madu lebah kelulut yang juga merupakan superfood. Ternakan lebah kelulut ini sesuai diintegrasikan dengan tanaman kelapa dengan meletakkan log-log kelulut di antara tanaman memandangkan tanaman kelapa kurang penggunaan racun yang boleh mengancam lebah kelulut. Selain itu, lebah kelulut juga merupakan agen pendebungaan yang baik dan membantu meningkatkan hasil tanaman. Sebagai tambahan program baharu, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan teknologi pertanian moden bagi perusahaan tanaman cendawan tiram. Kontena terpakai dilengkapi sistem control environment akan digunakan sebagai rumah cendawan yang boleh menjimatkan ruang penggunaan tanah. Sejumlah 540 ribu ringgit akan disediakan sebagai sokongan kepada industri pertanian lain termasuklah pembangunan Industri Asas Tani (IAT). Ia melibatkan bantuan dalam bentuk alatan, kaedah pemprosesan dan pemasaran petani serta latihan kepada petani. Peruntukan ini juga merangkumi peluasan program Pembangunan Belia Tani. Program ini telah mula diperkenalkan pada tahun 2021. Ia telah memberi manafaat kepada 56 orang belia tani dari 14 kumpulan briged tani bagi menjalankan pengurusan dan penyenggaraan tanaman padi dan mangga serta tanaman lain. Peluasan program menyasarkan 15 kumpulan briged tani dengan penglibatan 60 orang peserta. Dengan pendedahan dan latihan yang diberikan, setiap peserta briged tani diharapkan dapat berdikari dan menjana pendapatan sebanyak 1,500 ringgit sebulan. Program ini boleh meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi bagi golongan belia di luar bandar.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah 695 ribu ringgit di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi pembangunan industri penternakan, produk berasaskan ternakan serta agro-pelancongan ternakan. Antara program yang akan dilaksanakan pada tahun 2022 adalah Program Pembangunan Modal Insan yang akan menyediakan peluang kursus dan latihan. Seramai 160 Agropreneur Muda akan diberi bimbingan mengenai ilmu penternakan, teknologi terkini, rangkaian maklumat dan jaringan pemasaran. Manakala empat agropreneur muda berpotensi pula akan dipilih untuk meningkatkan kapasiti kandang, menambah input ternakan, menaik taraf bio-sekuriti ladang ke arah persijilan kualiti MyGAP. Keberhasilan program ini akan meningkatkan pengeluaran daging ternakan, pendapatan tahunan peserta serta daya saing perusahaan mereka. Program Pengukuhan Sumber Genetik merupakan kesinambungan program teknologi permanian berhadas lembu yang telah berjalan aktif. Perolehan sebanyak 1,000 straw semen baka Charolais, Limousine, Belgian Blue dan Simmental untuk tujuan pembuntingan dijangka dapat menghasilkan 300 hingga 400 ekor lembu hibrid bernilai tinggi. Program ini bakal memberi pulangan kepada penternak untuk menjana hasil dengan harga jualan sehingga 10 ribu ringgit seekor dalam tempoh 6 bulan sahaja berbanding baka tempatan yang memberi pulangan 5 ribu ringgit seekor dalam tempoh dua tahun. Faedah ini dijangka berterusan setiap tahun jika induk betina hasil kacukan disimpan sebagai induk baka. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perlis juga akan melaksanakan Program Pembangunan Teknologi Pemakanan Ternakan Ruminan melibatkan 18 peserta seluruh Perlis yang dijangka dapat meningkatkan kecukupan makanan ternakan melalui pengeluaran rumput sebanyak 240 metrik tan sepusingan pengeluaran untuk kegunaan sendiri atau dijual untuk kegunaan semua populasi 10,000 ruminan besar dan kecil di Perlis pada satu-satu masa. Program Usahawan Rusa Pawah pula merupakan satu lagi program baharu yang melibatkan 5 induk betina dan 1 induk jantan kepada 4 peserta yang memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Selain daripada induk rusa, peserta juga akan dibekalkan makanan bagi rusa tersebut di samping khidmat nasihat yang berterusan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Agihan induk dan bekalan ini dijangka dimulakan pada awal tahun 2022. Adalah diharapkan penternakan rusa menjadi sumber hasil baharu kepada pemain industri penternakan Perlis. Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga akan menyelaras Program Usahawan Ayam Kacuk yang merupakan satu lagi inisiatif ekonomi isi rumah. Anak ayam kampung kacukan akan diagihkan kepada 50 orang peserta yang terpilih. Selain daripada anak ayam, peserta juga akan dibekalkan makanan ayam dan khidmat nasihat oleh pegawai JPV. Inisiatif ini dapat mempelbagaikan dan meningkatkan sumber protein makanan tempatan serta melatih penternak kecil ayam kampung untuk menjadi contoh penggerak ekonomi skala mikro berasaskan ternakan. Adalah diharapkan dengan rangka program tahun 2022 oleh JPV, golongan B40 terutamanya dapat menerima manafaat dan berusaha untuk menceburi bidang ternakan dengan insentif bantuan input ternakan, fasiliti ternakan dan makanan ternakan yang disediakan. Dengan itu, golongan ini dapat menyusur arus sosioekonomi terutamanya dalam era pasca COVID-19. Mereka yang terlibat dijangka memperolehi peningkatan pendapatan sebanyak 3,600 ringgit sepusingan atau anggaran empat pusingan setahun menjadikan jumlah pendapatan 14,400 ringgit setahun. Selain daripada itu, JPV dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memperuntukkan sejumlah 100 ribu ringgit untuk menggunakan kolam takungan sedia ada sebagai kolam ternakan ikan dalam sangkar. Sebagai permulaan, program ini akan melibatkan enam (6) orang pengusaha bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, strategi kedua Pemulihan Ekonomi Melalui Aktiviti Keusahawanan. Kerajaan Negeri sedar para peniaga khususnya golongan usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah antara golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Mereka amat mengharapkan sokongan dan bantuan kerajaan untuk bangkit semula bagi memulihkan kembali sumber pendapatan mereka yang terjejas. Justeru pelbagai inisiatif dan bantuan telah mula diperkenalkan oleh kerajaan sejak menularnya wabak ini di tahun 2020 dan 2021. Antara program dan sokongan yang telah diberikan termasuklah penyediaan ruang niaga yang lebih kondusif kepada peniaga dan pelanggan di samping pengurangan dan penangguhan bayaran sewa bagi premis-premis milik kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengadakan pelbagai kursus dan bengkel familiarisasi digital kepada usahawan Harumanis dan produk Industri Asas Tani (IAT). Bengkel ini dilihat sebagai suatu platform terbaik apabila aktiviti pemasaran dan perniagaan secara konvensional tidak dapat dilaksanakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Penyampaian ilmu pemasaran secara online ini telah dapat memberi manafaat kepada 320 peniaga produk IAT dan Harumanis. Di samping itu kerjasama yang dibuat bersama Pos Malaysia serta syarikat penghantaran swasta yang lain telah membantu meningkatkan kecekapan penghantaran dan kualiti Harumanis yang telah memberi manfaat kepada 133 usahawan dan 1,450 orang petani. Kerajaan Negeri mendapati program-program sedia ada amat membantu dalam pembangunan para usahawan dan ianya wajar diteruskan dalam tahun 2022 dan sejumlah 1.34 juta ringgit disediakan dalam Bajet 2022 merangkumi program-program berikut. Tahun Himpunan Usahawan seperti Hari Peladang Penternak dan Nelayan serta Program MAHA merupakan satu platform yang baik untuk membantu para usahawan meningkatkan jualan produk perniagaan mereka di samping menjadi medium bagi memperkenalkan produk-produk yang dikeluarkan kepada orang ramai. Bagi tujuan ini sebanyak 830 ribu ringgit disediakan untuk tahun 2022. Satu Daerah Satu Industri (SDSI) merupakan program sedia ada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi membantu menaikkan ekonomi para usahawan dan pembangunan kapasiti produk mereka. Sejumlah 200 ribu ringgit diperuntukkan bagi program ini bagi tahun 2022. Sebanyak 100 ribu ringgit pula diperuntukkan bagi program pemberian geran GMP yang merupakan satu inisiatif sedia ada Kerajaan Negeri Perlis dalam membantu usahawan untuk meningkatkan kualiti dan memperluaskan rangkaian produk. Program ini juga berupaya untuk mendorong usahawan baharu meningkatkan kualiti dan standard produk berasaskan kepada GMP. Kursus dan Bengkel Pembangunan Usahawan adalah penting dan masih relevan dalam usaha pembangunan usahawan. Untuk itu sebanyak 100 ribu ringgit diperuntukkan bagi penerusan program ini dalam tahun 2022. Antara kursus dan bengkel yang akan diberi keutamaan adalah melibatkan usaha-usaha membantu usahawan ke arah pendigitalan ekonomi selaras dengan Pelan Perlis Go Digital yang telah dilancarkan sebelum ini. Ini adalah sebagai persediaan kepada usahawan untuk beralih kepada normal baharu di dalam perniagaan. Penglibatan wanita dalam sektor perniagaan dilihat semakin bertambah dari masa ke semasa. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada usahawan wanita dan memperuntukkan sejumlah 105 ribu ringgit bagi memperbanyakkan lagi program sedia ada termasuklah Bengkel Kebaya Perlis
Fasa 2 dan Fasa 3 serta Program Pengupayaan Wanita (women empowerment). Bengkel Kebaya Perlis yang dilaksana pada tahun ini dapat melahirkan seramai 15 orang tukang jahit Kebaya Perlis dan Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 30 orang lagi tukang jahit akan dapat dilahirkan dari kalangan penduduk pada tahun 2022. Kerajaan Negeri juga menyokong penuh usaha-usaha Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat melalui program-program pemerkasaan modal insan dan komuniti yang menjurus kepada peningkatan kemahiran, peningkatan pendapatan rakyat dan penggalakan aktiviti keusahawanan. Antara program-program yang telah dilaksanakan adalah program Kasih Ibu Perlis (KIP), empowerment empowerNCER–Akademik, empowerNCER–Latihan Kemahiran dan Keusahawanan, entrepreneur NCER, NCER Talent Enhancement Programme, Dana Usahawan NCER, JomNiaga NCER dan JomKerja NCER. Program-program ini telah memberi manfaat kepada 7,711 peserta yang terdiri daripada usahawan, pelajar, syarikat bumiputera dan ketua isi rumah dan akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2022. Di samping itu, pelbagai jabatan dan agensi seperti MARA, SME CORP, RISDA dan sebagainya turut menawarkan pelbagai geran dan kursus kepada usahawan bagi membantu para usahawan meningkatkan pemasaran dan kapasiti produk mereka.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Strategi Ketiga, Pemulihan Ekonomi Melalui Pemerkasaan Sektor Pelancongan. Sektor pelancongan adalah antara sektor terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP bagi membendung dan menangani pandemik COVID-19. Pergerakan orang ramai yang terbatas menyebabkan pemain dan penggerak industri pelancongan, seperti pengusaha penginapan dan pengangkutan, agensi pelancongan dan lain-lain terpaksa mengecilkan saiz operasi masing-masing malah ada yang terpaksa menutup terus perniagaan masing-masing kerana tidak dapat menanggung kerugian. The United Nations World Tourism Organisation menjangkakan pemulihan sektor pelancongan akan mengambil masa selama dua hingga empat tahun. Sebahagian besarnya dipacu oleh aktiviti pelancongan domestik. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sektor pelancongan Malaysia pada tahun 2020 bernilai 52.4 billion ringgit, iaitu penurunan sebanyak 71.2% berbanding tahun 2019 yang bernilai 182.1 billion ringgit bagi tahun sebelumnya. Manakala, pelancongan domestik juga dilihat turut mencatatkan penyusutan sebanyak 58.3 peratus dengan 38.6 billion ringgit nilai pelancongan pada tahun 2020 berbanding 103.2 billion ringgit bagi tahun 2019. Berdasarkan Laporan Sosio-Ekonomi Negeri Perlis 2019, Perlis menerima dua ribu sembilan dua perpuluhan sembilan 2.09 juta pelawat domestik pada tahun 2019, penurunan sebanyak 3.1 peratus berbanding tahun 2018. Berdasarkan Survei Pelancongan Domestik tahun 2020 yang dijalankan oleh Jabatan Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan pelawat domestik ke Negeri Perlis telah menurun kepada 1.13 juta berbanding tahun 2019. Penurunan penurunan bilangan pelawat domestik ini bukan sahaja berlaku di Perlis, tetapi juga di negeri-negeri lain dan salah satu punca utamanya adalah disebabkan pelaksanaan PKP dan larangan rentas negeri. Kerajaan Negeri komited terhadap pembangunan pelancongan yang mampan. Sektor ini mampu menjana pendapatan kepada Kerajaan Negeri. Ia juga boleh memberi limpahan kepada masyarakat setempat melalui pengenalan kepada produk pelancongan baharu serta memberi kesan domino kepada industri lain seperti penginapan, pengangkutan, penjualan makanan dan produk hiliran yang lain. Potensi industri pelancongan dalam menjana pendapatan kepada negeri dan rakyat Perlis amat besar. Kerana itu Kerajaan Negeri telah merencana pembangunan pelancongan Perlis yang telah diterjemah secara terperinci dan holistik di dalam Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Negeri Perlis 2021-2030. Pelan yang menggariskan tujuh strategi ini telah mula dilancarkan sendiri telah dilancarkan sendiri oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis. Malah Kerajaan Negeri juga telah merancang untuk melancarkan Tahun Melawat Perlis 2021 bagi merancakkan lagi industri pelancongan Perlis, tetapi terpaksa dibatalkan kerana wabak COVID-19 yang menular. Melalui Pelan Induk tersebut, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti lima kluster pelancongan sebagai fokus kepada pembangunan pelancongan di negeri Perlis, iaitu Pelancongan Eko yang akan memanfaatkan sepenuhnya sumber alam semulajadi yang dimiliki Perlis sebagai produk dan aktiviti pelancongan yang berasaskan kepada keindahan semula jadi dan pemeliharaan alam sekitar. Contohnya Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Gua Kelam dan Wang Kelian. Pelancongan Agro yang melibatkan produk atau aktiviti pelancongan yang berasaskan kepada kegiatan pertanian, perikanan dan penternakan seperti Taman Eksotik di Sungai Batu
Pahat, Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh dan Taman Agrovet, Batu 20. Pelancongan Budaya, Sejarah, Seni dan Warisan. Seperti Muzium Kota Kayang, Masjid Alwi Kangar, Kangar Street Art dan Awang Batil. Pelancongan membeli-melah dan Makanan dengan berfokuskan kepada tarikan Negeri Perlis dengan kepelbagaian jualan produk kampung dan produk hiliran serta kepelbagaian makanan, khususnya makanan laut. Contohnya KOMALAUT, Arked Niaga Padang Besar dan Brasmana Food dan Flea Market. Dan jejak pelancongan sukan dan rekreasi iaitu satu fokus baharu Kerajaan Negeri untuk mempelbagai aktiviti dan fasiliti sukan, termasuklah sukan lasak yang berkonsepkan pelancongan. Misalnya program Pesta Air, Pesta Angin Timur dan Perlis Explorace. Manusia hanya boleh merancang, tetapi Allah yang menentukan segalanya. Pandemik COVID-19 melanda dan segala perancangan telah tertangguh. Bagaimanapun, pelan yang tertangguh mula menampakkan sinar apabila gelembung pelancongan ataupun travel bubble dilaksanakan di Pulau Langkawi dan kebenaran rentas negeri dibenarkan bermula pada 1 Oktober 2021. Industri pelancongan kembali rancak. Justeru, Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Negeri Perlis mula membuahkan hasil. Kerajaan Negeri juga sedar pentingnya teknologi dalam pelancongan. Kerana itulah Strategi Pelancongan Pintar atau smart tourism dalam Pelan Induk diberikan perhatian penting. Pendigitalan dalam pelancongan telah diterapkan sejajar dengan Pelan Perlis Go Digital untuk melonjakkan industri pelancongan ke satu tahap yang lebih tinggi. Sebagai permulaan, Jabatan Perhutanan Negeri dengan kerjasama Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin telah menghasilkan produk penerokaan Gua Kelam II secara realiti maya. Pengunjung boleh menikmati pengalaman menerokai Gua Kelam II tanpa perlu memasuki Gua Kelam tersebut secara fizikal. Selain itu, pengukuhan seperti Rancangan Kawasan Khas Wang Kelian akan mewujudkan... akan diwujudkan bagi membangunkan semula kawasan Wang Kelian sebagai destinasi pelancongan baharu... yang berdasarkan kepada 7 nod pembangunan yang telah dikenalpasti. Ini termasuklah Wang Kelian View Point, Beruk Kentoi, Nanas MD2, Laman Pinggiran Nakawan yang dahulunya dikenali sebagai PAKR Wang Kelian dan Kampung Wang Kelian, ICQS, Taman Negeri Wang Kelian dan Arked Niaga Wang Kelian. Kerajaan Negeri juga sedar potensi pekan Padang Besar sebagai destinasi pelancong tempatan untuk membeli-belah. Kerana itu usaha sedang dilakukan untuk menyediakan lebih banyak ruang niaga yang lebih berkualiti dan selesa untuk pengunjung. Kompleks Pasar Padang Besar kini sedang dibina semula dengan kos hampir 6 juta ringgit yang akan menyediakan ruang niaga yang lebih banyak dan lebih teratur. Satu kompleks perniagaan baru yang lebih moden berkonsepkan factory outlet dengan kemudahan hotel dikenali sebagai Pavillion Padang Besar di atas tanah seluas 10 ekar dengan nilai pelaburan 30 juta ringgit juga sedang dalam pembinaan. Projek yang dimajukan oleh pelabur swasta ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2022. Demi menambahbaik lagi keistimewaan atau keunikan Perlis, Kerajaan Negeri telah mencadangkan supaya setiap kawasan Dewan Undangan Negeri mengetengahkan tarikan istimewa masing-masing untuk menarik pelancong ke Perlis. Untuk DUN Bintong contohnya, sebab saya ADUN Bintong. Satu tarikan yang akan dijenamakan sebagai Persiaran Makanan Bintong atau Bintong Foods Avenue akan diwujudkan di sepanjang Jalan Syed Saffi. Jalan ini akan diserikan dengan lampu yang menarik dan premis-premis perniagaan pula akan dicat semula. Bagi meningkatkan lagi kualiti perniagaan makanan, semua pengendali makanan di premis-premis makanan di seluruh Perlis, restoran, kedai makan, gerai atau warung akan diwajibkan memenuhi lima atau empat peraturan iaitu memakai tutup kepala, memakai sarung tangan, memakai apron, memakai kasut bertutup dan berpakaian bersih. Premis makanan juga mestilah dijaga kebersihannya setiap masa. Kerajaan Negeri akan melancarkan secara rasmi apa yang dikenali sebagai ‘Kempen Pembudayaan Kebersihan dan Peningkatan Standard Bagi Perkhidmatan Perniagaan Negeri Perlis… Perniagaan Makanan Negeri Perlis’. Alhamdulillah, pelancaran rasmi kempen ini dan perasmian Persiaran Makanan Bintong secara serentak akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis pada malam 1 Januari 2022. Dalam tempoh enam bulan pertama mulai 1 Januari 2022, pemilik dan pekerja di premis-premis makanan akan digalakkan untuk mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan. Selepas enam bulan, tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas mereka yang melanggar peraturan ini. Insya-Allah, program penjenamaan Persiaran Makanan Bintong dan Kempen Pembudayaan Kebersihan dan Peningkatan Standard Bagi Perkhidmatan Perniagaan Makanan Negeri Perlis mampu melonjakkan industri pelancongan gastronomi di Perlis. Kerajaan Negeri amat menghargai dan berterima kasih kepada Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Perlis (MAIPs) dengan kerjasama pelbagai jabatan Negeri dan Persekutuan atas inisiatif projek kampung pelangi di Kampung Seberang Ramai. Inisiatif ini telah mengubah wajah kampung ini dan menjadi satu tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke Perlis. Inisiatif ini diharap dapat menerapkan nilai cintakan keindahan, kebersihan dan mengambil peduli tentang persekitaran di kalangan penduduk setempat. Kerajaan Negeri akan menyediakan perangkap sampah untuk mengurangkan sampah terapung yang memasuki kawasan ini ketika air laut pasang.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, menyedari potensi besar kepada ekonomi Perlis, khususnya kepada rakyat Perlis yang berkecimpung di dalam industri ini, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak 7.16 juta ringgit bagi melaksanakan projek dan program pelancongan berikut. 5.9 juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan fizikal melibatkan pembinaan dan penambahbaikan fasiliti di kawasan pelancongan termasuk di Kompleks Eko Pelancongan Gua Kelam, Taman Eko Bukit Rimba… Rimba Bukit Ayer, Taman Rekreasi Bukit Jernih dan Arked Niaga Padang Besar. 540 ribu ringgit disediakan bagi mewujudkan destinasi dan produk baharu agro-pelancongan seperti projek cendawan di Padang Siding dan Projek Padi Organik di Wang Kelian serta memperkasakan produk pelancongan sedia ada. 440 ribu ringgit diperuntukkan bagi penyediaan bahan promosi pelancongan secara digital dan fizikal, penyediaan video di media sosial, kempen pelancongan serta kursus bagi peningkatan kemahiran pemain industri dan 280 ribu ringgit diperuntukkan bagi pendigitalan pelancongan yang merangkumi pembangunan produk digital pelancongan di kawasan tumpuan pelancong yang terpilih, pelaksanaan program secara atas talian atau maya, memantapkan laman rasmi dan media sosial pelancongan negeri. Kerajaan Negeri mengalu-alukan pihak swasta sama ada individu mahupun syarikat untuk turut serta dan merebut peluang perniagaan dalam menyemarakkan lagi industri pelancongan Perlis termasuk mempelbagaikan produk dan aktiviti pelancongan negeri.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Fokus Kedua. Peningkatan Kemakmuran dan Kesejahteraan Hidup Rakyat. Untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, samada melalui kesinambungan projek dan program sedia ada serta program-program baharu dalam tahun 2022. Strategi Pertama, Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Program Perumahan Rakyat. Kediaman adalah satu keperluan asas yang penting dalam mengukur tahap kesejahteraan sesebuah negara… negeri atau negara. Kerajaan Negeri sedar bahawa pengukuhan sektor perumahan dapat memberi impak atau kesan secara langsung kepada kesejahteraan institusi kekeluargaan. Ia juga adalah pemangkin kepada pembangunan negeri. Kerajaan Negeri amat prihatin dan sentiasa berusaha menyediakan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan selesa untuk dihuni rakyat. Kerajaan Negeri mahukan rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40, untuk memiliki rumah sendiri. Kerajaan Negeri sedar masih ramai yang menghuni rumah-rumah yang dhaif dan uzur yang memerlukan pembaikan segera. Ramai juga yang masih belum berumah. Dengan keterbatasan sumber, mustahil bagi Kerajaan Negeri membina rumah-rumah baru dan pembaikan semua rumah yang uzur. Kerana itu pembaikan dan pembinaan rumah baru perlu dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut keutamaan dan keupayaan kewangan Kerajaan. Tahun 2021, 176 buah rumah telah dibina atau dibiaki… atau dibaiki yang melibatkan peruntukan sebanyak 2.24 juta ringgit. Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan 2 juta ringgit lagi bagi program bina dan baik pulih rumah ini. Untuk tahun 2022 juga, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan satu lagi inisiatif di bawah Program Perlis Pahadoi bagi golongan B40, iaitu penambahbaikan dan pendawaian elektrik yang uzur. Sejumlah peruntukan akan disediakan untuk melaksanakan inisiatif ini. Kerajaan Negeri tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membangunkan projek perumahan yang berskala besar. Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek-projek perumahan seperti Program Perumahan Rakyat, PRIMA, Projek Penempatan Semula Nelayan dan sebagainya. Rumah-rumah yang sudah siap dibina dan diduduki akan terus disenggara oleh Kerajaan Negeri mengikut kemampuan kewangan yang ada. Demi keselesaan dan kesejahteraan penghuni perumahan awam, Kerajaan Negeri menyediakan 5.66 juta ringgit dalam Bajet 2022 bagi menaik taraf dan menyelenggara kawasan perumahan, iaitu RPA Padang Besar (U) II (Taman Bunga
Cempaka), RPA Simpang Empat Lama (Taman Bunga Terompet), PAKR Wang Kelian atau sekarang dikenali sebagai Laman Pinggiran Nakawan, Projek Rimbunan Kaseh, Chuping, PPR Sena, Kangar, PPR Wang... Kampung Wai, PPR Wang Ulu, Bintong dan Penempatan Semula Nelayan Kuala Perlis. Kerajaan Negeri juga telah berusaha mendapatkan peruntukan sebanyak 3.88 juta ringgit daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Program Penyenggaraan Perumahan Tahun 2022 bagi tujuan menyelenggara dan menaik taraf bangunan di dua buah PPR dan Rumah Pangsa Kuala Perlis. Jika diluluskan, ia akan memberi manfaat kepada 1,228 Ketua Isi Rumah yang menyewa di PPR dan juga kepada 142 Ketua Isi Rumah yang menyewa di Rumah Pangsa Kuala Perlis. Kerajaan Negeri juga menggalakkan dan mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan dan penyediaan rumah awam… perumahan awam mampu milik melalui kaedah Request For Proposal ataupun RFP. Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti enam lokasi iaitu di Tok Kuning, Titi Tinggi, Kuala Perlis, Padang Nyu, Simpang Empat dan Sungai Baru untuk tujuan ini. Sehingga Oktober 2021, 12 syarikat swasta telah menunjukkan minat dan mengemukakan dokumen tawaran bagi tujuan penilaian lanjut. Kerajaan Negeri juga telah memuktamadkan Dasar Pembangunan Hartanah Negeri Perlis ataupun DPHPs. Dasar ini memberikan keutamaan kepada program pembangunan rumah dan kedai mampu milik. Apabila polisi ini dilaksanakan, ataupun dasar ini dilaksanakan, ia akan menjadi pemangkin kepada pembukaan kawasan perumahan dan komersial baharu yang menawarkan lebih banyak rumah dan kedai mampu milik kepada rakyat Perlis, terutamanya golongan B40 dan M… terutamanya golongan M40. Bagi menjayakan DPHPs ini, Kerajaan telah bersetuju Bahagian Perumahan sebagai peneraju inisiatif ini dijenamakan semula sebagai Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Hartanah. Program-program sosial dan peningkatan keupayaan komuniti di PPR berpandukan Dasar Komuniti Negara (DKN) diteruskan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti. Melalui platform ini, aspirasi DKN akan diterjemahkan melalui program kesedaran, advokasi dan peningkatan tanggungjawab penduduk-penduduk di PPR Sena, Kangar. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Infrastruktur Bekalan Air. Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian dan berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan bekalan air terawat. Dengan peruntukan se… berjumlah 74.81 juta ringgit, Kerajaan Negeri melalui Syarikat Air Perlis akan melaksanakan projek-projek berkaitan bekalan air yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat seperti berikut. Pertama, Projek Mitigasi Jangka Pendek dengan peruntukan sebanyak 7.7 juta ringgit merangkumi kerja menambah baik fasiliti Loji Rawatan Air atau LRA Arau Fasa I, II dan III, membaik pulih fasiliti loji dan sistem pengepaman LRA Arau Fasa IV, pembinaan loji pakej 40MLD di LR… di LRA Timah Tasoh, penambahbaikan fasiliti loji dan sistem pengepaman ke Kolam Takungan Air Titi Tinggi (KTA), Kolam Takungan Air… KTA Abi dan KTA Utan Aji. Projek-projek ini dijangka siap pada Mac 2022.
Projek Mitigasi Jangka Sederhana yang merangkumi tiga komponen iaitu menaik taraf pam air mentah dan pam air bersih di Loji Arau Fasa I, II & III serta intake Guar Sanji, menaik taraf Loji Air Arau Fasa IV dan Naiktaraf Loji Timah Tasoh melibatkan peruntukan sebanyak 51.71 juta ringgit. Pelaksanaan fizikal projek ini dijangka bermula seawal tahun 2022. Bagi menangani isu non-revenue water (NRW), peruntukan sejumlah 13.8 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan projek pemasangan meter SIV baharu… iaitu untuk menggantikan meter pengguna yang rosak, pembaikan tangki-tangki air yang bocor atau melimpah, penyediaan GIS dan pembangunan District Metering Zone. Pelaksanaan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2022. Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 1.6 juta ringgit bagi meneruskan program penggantian paip air yang usang supaya sistem retikulasi air negeri adalah lebih baik. Antara kerja-kerja yang terlibat adalah pemasangan paip air di Kampung Hutan Arau, sepanjang 400 meter, projek penyelenggaraan paip air di Kampung Guar Halban, Jalan Mata Ayer, projek pemasangan paip air di Jalan Batu 2-Santan sepanjang 1000 meter, kerja-kerja membaiki kebocoran paip air di pelbagai di Kawasan Timur 1 Perlis dan kawasan sekitarnya, projek penyelenggaraan paip air di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, dan Projek pemasangan paip air di Kampong Asam Bungkas, Bintong. Bagi menangani isu aduan pengguna, Skuad Pantas SAP telah ditubuhkan. Dalam memastikan fungsi skuad ini diperkemaskan lagi, Kerajaan Negeri telah menyediakan sebuah kenderaan bagi menangani masalah pengguna secara optimum. Dengan kemudahan ini, SAP diharap akan dapat menambahbaik perkhidmatannya kepada rakyat. Kerajaan Negeri sedar telah wujud beberapa kelompok-kelompok baharu perumahan kampung yang belum lagi mendapat bekalan air terawat. Untuk itu, Kerajaan akan memasang saluran paip baru supaya rumah-rumah ini menerima bekalan air terawat. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Infrastruktur Tebatan Banjir, Pengairan dan Saliran. Pembangunan yang telah dirancang dan dilaksanakan secara berterusan telah menyebabkan pengurangan kawasan takungan dan resapan semulajadi. Ini menyumbang kepada kejadian banjir kilat apabila hujan lebat. Masalah banjir kilat di kawasan hilir diburukkan lagi dengan pembangunan di kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran sehingga ke titik curahan terakhir. Terdapat juga jajaran atau sistem saliran sedia ada yang tidak tidak mampu menampung jumlah air yang mengalir di dalamnya. Bagi mengatasi masalah banjir kilat, 2.56 juta ringgit disediakan bagi menangani fenomena ini yang merangkumi kajian dan projek pembangunan untuk kawasan-kawasan berisiko banjir. Sejumlah 450 ribu ringgit disediakan bagi projek menaik taraf dan menyenggara infrastruktur parit dan longkang di RPA Padang Besar (Utara) II (Taman Bunga Cempaka), RPA Padang Besar (Utara) Lama (Taman Bunga Bongor), di Taman Beseri Jaya dan Bandar Arau untuk menangani masalah banjir kilat setempat. Bagi projek-projek tebatan banjir di bawah RMK-12, Kerajaan Negeri akan melaksanakannya berdasarkan kepada sub-tadahan kawasan yang telah ditandakan dalam Pelan Induk Saliran dan Pengairan (PISPAN) yang sedang dibangunkan oleh JPS Perlis. Kawasan yang menjadi fokus utama adalah di Kangar dan Arau. Sebanyak 1.51 juta ringgit disediakan untuk projek penyenggaraan sistem tebatan banjir. Ini termasuklah penyenggaraan Lencongan Banjir Barat. Bagi Parlimen Kangar, sejumlah 600 ribu ringgit diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf sistem kawalan banjir dan sistem saliran tebatan banjir di Kampung Tok Kuning, Kampung Sena Hujung dan Kampung Sungai Bakong. Manakala 250 ribu ringgit lagi disediakan di Parlimen Arau untuk kerja-kerja menaik taraf sistem saliran tebatan banjir di Kampung Alor Redis dan kawasan sekitar Arau. Parlimen Padang Besar pula sebanyak 200 ribu ringgit disediakan untuk kajian reka bentuk terperinci Projek Sistem Saliran Guar Nangka. Yang Berhormat Dato’ Speaker, berdasarkan perangkaan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis, sehingga tahun 2020 kawasan pertanian di Negeri Perlis adalah seluas 48,893 hektar, iaitu 59.68% daripada keluasan Negeri Perlis. Dari jumlah tersebut, seluas 27,693 hektar adalah kawasan tanaman padi di mana seluas 17,527 hektar berada di dalam skim jelapang padi MADA. Sementara 10,166 hektar lagi terletak di luar kawasan MADA di Perlis Utara dan di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran. Bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan saliran pertanian yang lebih baik di kawasan luar MADA, sejumlah 3.12 juta ringgit akan disediakan di mana sebanyak 1.72 juta ringgit daripadanya adalah untuk pembangunan sumber air bagi skim pengairan padi dan pelbagai tanaman. Ia melibatkan kerja menaik taraf dua (2) ibu bekalan, masing-masing di Mata Ayer dan Santan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi sistem infrastruktur pertanian di lapangan. Ini sekaligus dapat membantu menggandakan lagi pengeluaran hasil pertanian, khususnya tanaman padi dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani. Manakala 1 juta ringgit lagi disediakan untuk kerja-kerja menaik taraf tali air konkrit di kawasan Chuping, Santan dan Titi Tinggi serta pembinaan dua pejabat pengoperasian banjir di Beseri dan Santan. Kerajaan Negeri mendapati kebanyakan jambatan yang merentasi sungai dan kawasan luar jelapang MADA telah dibina lebih 20 tahun lalu. Sebahagian besarnya mengalami kerosakan. Ini mengundang ketidakstabilan struktur berikutan penggunaan yang melebihi had muatan dan juga kekerapan penggunaan yang tinggi, khususnya oleh jentera pertanian berat. Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah 400 ribu ringgit bagi pembinaan semula struktur jambatan-jambatan tersebut. Sungai dan Pantai. Sungai merupakan nadi kepada kehidupan manusia dengan pelbagai fungsi. Selain daripada menjadi sumber utama air, sungai juga menjadi sumber makanan dan medium pengangkutan utama suatu masa dahulu. Di Perlis, kegunaan utama sungai adalah sebagai sistem pengairan untuk pertanian dan sistem kawalan banjir. Kegagalan mengurus sungai dengan baik mengundang kegagalan dalam kedua-dua fungsi sungai ini. Kejadian banjir kebelakangan ini antara lain berpunca dari mendapan hakisan dan sebagainya yang menjejaskan kelancaran air sungai. Kegagalan fungsi sungai ini akan mengakibatkan kesulitan kepada rakyat termasuk menjejaskan hasil pertanian. Bagi mengatasi isu-isu pengurusan sungai ini, 2.95 juta ringgit disediakan untuk memulihara dan menyenggara sungai. Dari jumlah tersebut, sebanyak 1.25 juta ringgit adalah untuk kerja-kerja penyenggaraan berkala sungai-sungai di Perlis. Proses ini penting bagi memastikan aliran sungai adalah lancar, dan mengelakkan berlakunya banjir kilat. Sebanyak 390 ribu ringgit diperuntukkan bagi kerja-kerja mendalam aluran sungai di Sungai Jernih, Sungai Santan, Sungai Korok, Sungai Gial, Sungai Chempa, Sungai Panggas dan Sungai Temenggung. Manakala 340 ribu ringgit lagi diperuntukkan untuk kerja-kerja pembinaan struktur kawalan hakisan dan tembok penstabilan tebing sungai di Sungai Panggas, Sungai Ngulang dan Sungai Santan. Di samping dua fungsi utama di atas, sungai boleh menjadi tarikan dan menjana pendapatan. Bagi meningkatkan keindahan dan kelestarian koridor sungai, sebanyak 665 ribu ringgit disediakan untuk pengindahan dan penambahbaikan Jeti Tok Kuning di koridor muara Sungai Kayang, Sungai Perlis, Sungai Jernih dan Tasik Melati. Kawasan-kawasan yang akan dinaiktaraf ini adalah kawasan baharu dan sedia ada yang mampu menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan dari luar Perlis. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak 300 ribu ringgit bagi menaik taraf ban Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis sebagai lokasi transit pelancong ke Pulau Langkawi. Ianya akan memberi keselesaan dan pemandangan yang menarik kepada pelancong yang mengunjungi kawasan tersebut… yang secara tidak langsung mampu menjana pendapatan kepada peniaga-peniaga kecil di sana. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Infrastruktur Jalan dan Pencahayaan Jalan. Jalan adalah kemudahan awam terpenting yang menjadi penghubung utama kepada rakyat. Dengan meningkatnya bilangan kenderaan, keselamatan dan keselesaan rakyat di atas jalan perlu diberi perhatian sewajarnya. Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 4.62 juta ringgit untuk pelbagai projek pembangunan infrastruktur jalan. Daripada jumlah tersebut sebanyak 2.5 juta ringgit disediakan bagi menaik taraf jalan dan persimpangan jalan berikut, Jalan Persisiran Pantai Kuala Perlis-Kuala Sanglang (R152, Fasa 4), Jalan Kampung Serdang (R157, Fasa 2), Jalan Abi Batas Paip (R11) di laluan masuk Sekolah Kebangsaan Abi, Kangar, Persimpangan Jalan Guar Jentik (R118), Jalan Padang Melangit (R121) dan Persimpangan Jalan Padang Melangit (R121), Jalan Alor Sena – Padang Melangit (R158). Kerajaan Negeri amat menghargai dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan peruntukan sebanyak 52 juta ringgit untuk tujuan penyenggaraan jalan-jalan negeri yang meliputi jalan kampung, jalan bandaran, jalan pertanian serta pembinaan jalan luar bandar. Kerajaan Negeri akan menggunakan peruntukan tersebut sebaik mungkin untuk manafaat rakyat. Di antara projek yang akan dilaksanakan dalam tahun 2022 termasuklah, pertama, 7 juta ringgit bagi membina Jalan Dari Sungai Adam ke Kampung Banat, 7 juta ringgit pula bagi membina Jalan dari Kampung Chuping Bawah Bukit ke Kampung Guar Musang dan Panggas Besar, 5 juta ringgit lagi membina Jalan Padang Nyu Rani Estate ke Jalan Padang Siding dan 3 juta ringgit bagi membina jalan dari Semadong ke Bukit Chabang, Beseri. Yang Berhormat Dato’ Speaker, pencahayaan juga adalah salah satu komponen penting dalam meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. Kerajaan Negeri menyediakan 2.95 juta ringgit untuk tujuan menaik taraf, menyenggara dan memasang lampu baharu di jalan-jalan utama negeri Perlis. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2.22 juta ringgit diperuntukkan untuk penyenggaraan lampu-lampu jalan yang rosak termasuk menarik menaik taraf sistem lampu isyarat bergerak segerak. Sejumlah 735 ribu ringgit lagi disediakan untuk pemasangan lampu baharu di Jalan Raja Syed Alwi (R1) dari Persimpangan Jalan Binjal (R161) ke Klinik Desa Bahor Lateh serta Jalan Persisiran Pantai - Kuala Perlis - Kuala Sanglang dan Kurung Tengar sehingga ke Persimpangan Lebuhraya Kuala Perlis Changlun. Pembangunan Masjid. Masjid adalah institusi penting masyarakat Islam dan memainkan peranan penting sebagai penggerak modal insan dan pembentukan komuniti masyarakat Islam yang inklusif, prihatin serta berkeperibadian mulia. Pada tahun 2021 sejumlah 1.55 juta ringgit telah diagihkan melalui peruntukan PEMERKASA untuk menyenggara kecil masjid, termasuk tanah perkuburan. Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak 4.65 juta ringgit bagi beberapa projek naik taraf dan penyenggaraan masjid di Perlis. Antaranya adalah masjid sambungan Masjid Ar Rahman, Masjid Darul Ulum dan Masjid Nurul Hikmah yang dengan peruntukan sebanyak 3.1 juta ringgit. Baru-baru ini dua buah masjid, iaitu Masjid At Taqwa, Alor Redis dan
Masjid Al Makmur, Bongor Kudong telah terlibat dengan bencana kebakaran. Kerajaan akan menyediakan sejumlah 900 ribu ringgit bagi kerja-kerja pembaikan dua buah masjid tersebut. Punca utama yang dikenalpasti bagi kedua-dua kejadian ini adalah litar pintas. Sebagai langkah pencegahan agar insiden yang sama tidak berulang di masjid-masjid tersebut di masjid-masjid di Perlis, JKR telah diarahkan membuat penilaian dan pemeriksaan pendawaian elektrik dan kemudahan lain yang kritikal masjid-masjid di Perlis, terutama masjid yang telah melebihi 15 tahun umurnya. Sebagai permulaan, sebanyak 300 ribu ringgit disediakan untuk kerja pendawaian elektrik bagi masjid-masjid yang dikenalpasti. Sejumlah 350 ribu ringgit disediakan untuk menaiktaraf dataran parking Masjid Al Munir, Batu 5 setelah siap dibina dan telahpun mula digunakan. Selain menyedia menyediakan satu kemudahan yang selesa dengan kepada jemaah tempatan, masjid yang berada di laluan utama ke jeti Kuala Perlis ini juga akan menjadi tempat singgahan para pelancong. Strategi kedua, Kebajikan dan Sosial Rakyat. Kerajaan Negeri konsisten dalam menjaga kebajikan rakyat. Segala program dan peruntukan yang disediakan memastikan kebajikan rakyat terus dibela. Walaupun Kerajaan Negeri ingin melihat kebajikan semua rakyat terjaga tanpa siapa pun yang tercicir. Tetapi tidak dapat dinafikan pasti ada yang tercicir kerana kelemahan jentera Kerajaan, dan keterbatasan sumber. Kerajaan akan berusaha memperbaiki mekanisme yang ada. Alternatif perlu dicari untuk membantu rakyat yang masih memerlukan intervensi Kerajaan, selain meneruskan program sedia ada. Bagi tahun 2022, sejumlah 8.61 juta ringgit diperuntukkan untuk program-program kebajikan secara langsung kepada mereka yang memerlukan. Dari jumlah tersebut, sebanyak 7.09 juta ringgit adalah bantuan am bulanan, 560 ribu ringgit bantuan bencana dan 860 ribu ringgit untuk lain-lain bantuan termasuk bantuan kepada NGO. Satu inisiatif baru akan diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri, iaitu program bantuan khas kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Sejumlah 100 ribu ringgit disediakan untuk memberi bantuan peralatan dan penjagaan OKU. Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Pada tahun 2021, sejumlah 31.16 juta ringgit meliputi bantuan orang tua sebanyak 8.0 juta ringgit, bantuan kanak-kanak 3.90 juta ringgit, bantuan pesakit kronik terlantar 3.89 juta ringgit, bantuan OKU tidak berupaya bekerja 3.87 juta ringgit, elaun pekerja cacat 11.38 juta ringgit dan 119 ribu ringgit bagi bantuan lain seperti bantuan alat tiruan, tabung bantuan segera dan bantuan pelihara. Mengambil kira perubahan Pendapatan Garis Panduan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), anggaran keseluruhan peruntukan bantuan bagi tahun 2022 dijangka meningkat kepada 35 juta ringgit. Seiring dengan perkembangan digital, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis (JKM) telah mula mengguna pakai beberapa sistem yang dibangunkan oleh Ibu Pejabat JKM. Ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada rakyat, dan meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian jabatan. Antara sistem yang telah digunapakai yang telah digunakan oleh JKM adalah MySACC, MySPOP, Program My Community Care Enforcement (MyCCE), Sistem e-DKK, Sistem eJKM, Sistem EZi2Care dan Sistem National Child Data Centre (NCDC). JKM me… JKM melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan juga telah memulakan Projek Rintis Bayaran Bantuan Tanpa Tunai (Cashless) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad kepada semua penerima baharu bantuan Persekutuan yang akan dibayar secara 50 peratus tunai dan 50 peratus dalam bentuk barang makanan/keperluan dari kedai yang terpilih. Golongan asnaf tidak terkecuali dari tempias COVID-19. Malah mereka adalah antara kumpulan yang paling terkesan. Ada di antara isi rumah tidak termasuk di dalam golongan B40 ataupun golongan asnaf sebelum ini. Mereka telah jatuh ke dalam kategori ini, apabila kehilangan punca pendapatan kerana tidak dapat berniaga ataupun diberhentikan kerja. Di samping sumbangan berbentuk makanan asas melalui Program Agihan Makanan Asas (PAMA) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui Pusat Khidmat Kawasan serta Jawatankuasa PKK, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs) selaku agensi yang bertanggungjawab secara langsung ke atas golongan ini, juga melaksanakan tanggungjawab menyantuni golongan asnaf semasa pandemik melanda. MAIPs telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan beberapa inisiatif seperti pembukaan Kaunter Agihan Terhad di Masjid Alwi, Agihan Bekalan Makanan Ziarah Dakwah Bil Hal, Agihan Bantuan, Agihan Bekalan Makanan Ziarah Dakwah Bil Hal, Agihan Bantuan Khas Rangsangan Asnaf untuk 14,679 penerima bagi tahun 2020 dan 18,179 bagi tahun 2021 tanpa perlu memohon dan dikreditkan ke dalam akaun, pengecualian dan pengurangan sewaan hartanah MAIPs, Agihan Makanan melalui kerjasama NGO dan frontliners serta Bantuan
Kecemasan MAIPs melalui masjid sepanjang masa. Sejak wabak COVID-19 membelenggu rakyat Perlis, MAIPs melalui amil dan jawatankuasa masjid telah menyalurkan sejumlah 12.88 juta ringgit kepada asnaf bagi keseluruhan Program Inisiatif MAIPs menangani COVID-19, masing-masing sebanyak 4.69 juta ringgit bagi tahun 2020 dan 8.19 juta ringgit untuk tahun 2021. Dalam penghayatan Islam sebagai agama rahmatul ‘alamin, yang memberi rahmat kepada sekalian alam, MAIPs turut menyantuni golongan bukan Islam yang terkesan dengan pandemik ini.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Strategi Ketiga : Pendidikan, setelah hampir dua tahun dalam fasa pandemik, sistem pendidikan turut berubah mengikut keperluan dan kesesuaian situasi semasa. Institusi pendidikan telah dibuka semula pada 22 November yang lalu dengan pelaksanaan sesi pembelajaran secara hibrid, iaitu gabungan pendekatan secara bersemuka dan dalam talian. Menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih anjal ini, guru lebih fleksibel dalam mod pengajaran dan begitu juga murid dalam mencapai bahan pembelajaran mereka. Kerajaan Negeri sangat mengambil berat mengenai kemenjadian pelajar di Perlis. Kerana itu tiada pelajar yang harus tercicir disebabkan PKP yang berpanjangan. Untuk itu, lebih 500 ribu ringgit disediakan untuk pelbagai program pendidikan tahun 2022. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan penanda aras terhadap pencapaian akademik murid setelah lima tahun mengharungi sesi pembelajaran di sekolah menengah, sebelum melangkah ke alam pengajian tinggi ataupun ke alam pekerjaan. Kesulitan dan kekangan sepanjang tempoh Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) memerlukan satu langkah drastik bagi memastikan sistem sokongan secara intensif serta berimpak tinggi dapat dilaksanakan. Justeru, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri telah menganjurkan kem bersepadu mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu secara dalam talian melalui program ‘Wake Cup’ SPM 2020. Program intervensi ini menyasarkan pelajar GALUS. Ini adalah pelajar-pelajar yang hanya mendapat markah ‘hampir lulus’ dalam subjek wajib lulus SPM, iaitu subjek Sejarah dan Bahasa Melayu. Mereka akan digilap bagi membolehkan sekurang mereka sekurang-kurangnya mencapai markah lulus untuk melayakkan mereka mendapat sijil SPM. Program ini telah berjaya meningkatkan keputusan SPM 2020 dengan pencapaian sebanyak 88.4 peratus yang layak mendapat sijil SPM berbanding 83.4 peratus pada tahun 2019. Pencapaian ini turut melonjakkan kedudukan negeri Perlis di Peringkat Kebangsaan bagi layak SPM dari kedudukan ke-16 pada 2019 ke kedudukan ke-8 pada tahun 2020. Melihat impak positif dari program ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan program Wake Cup SPM pada tahun 2022 dengan pertambahan tiga penambahan tiga mata pelajaran, iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Dalam usaha memperkasakan pencapaian dalam mata pelajaran STEAM - Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik - Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan Persatuan Pelukis Negeri Perlis telah menganjurkan program Perlis STEAM Expo 2021 dengan memperkenalkan bidang baharu, iaitu seni. Penganjuran program ini dilihat dapat memberi manfaat kepada semua sekolah di Perlis dalam merealisasikan elemen keberhasilan murid dan mereka cipta dalam mereka cipta, berfikiran logik, menggunakan teknologi, menyelesaikan masalah dan mencipta idea baharu. Melihat kepada penyertaan yang memberangsangkan, Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini dengan lebih meluas agar lebih ramai pakar dalam bidang ini dapat dilahirkan. Negeri Perlis kerap kali menduduki singgahsana teratas dalam keputusan SPM suatu masa dulu. Dalam usaha mengembalikan kecemerlangan Perlis dalam pencapaian SPM kebangsaan, Jabatan Pendidikan Perlis dengan kerjasama pelbagai pihak akan mengadakan program “09 Excellence” yang akan menyasarkan 100 orang pelajar terbaik dengan potensi mencapai pangkat A bagi keseluruhan mata pelajaran. Program ini juga akan menyediakan tenaga pakar tempatan bagi memenuhi keperluan industri yang mula berkembang, khususnya apabila siapnya CVIA. Program dengan anggaran kos hampir 1 juta ringgit ini akan dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat atau CSR. Kerajaan Negeri senantiasa menyokong program-program sebegini, sedia bekerjasama dan memberi bantuan yang sewajarnya. Kerajaan Negeri turut meneruskan Program Inovasi Institusi Pendidikan Peringkat Negeri Perlis (PRINTIS) yang mula diperkenalkan pada tahun 2020 sehingga berjaya membawa penyertaan ke peringkat kebangsaan pada tahun 2021. Program ini membuka peluang kepada bukan sahaja kalangan pelajar, tetapi juga pensyarah agar sentiasa berusaha mencungkil idea inovasi baharu seiring dengan peredaran masa dan merealisasikan
Pelan Tindakan Perlis Digital 2021-2025. Sebagai contoh, beberapa pelajar dan guru dari Sekolah Kebangsaan Sena telah memenangi pelbagai anugerah dalam Virtual Innovation Competition 2021 Peringkat Kebangsaan. Begitu juga dengan projek inovasi perangkap minyak mudah, perangkap minyak mudah oleh Kolej Komuniti Arau yang telah dinobatkan sebagai projek terbaik program e-Festival Agromakanan dan Bioteknologi 2021 peringkat kebangsaan. Tahniah Kolej Komuniti Arau! Kerajaan Negeri berbangga dengan pembinaan Pusat Repositori Perpustakaan Negara Malaysia Perlis di Kuala Perlis dengan kos 3 juta ringgit. Ia dijangka siap menjelang tahun 2023. Pusat Repositori ini akan menjadikan Perlis sebagai pusat rujukan dan penyelidikan wilayah utara dalam memelihara khazanah intelek negara untuk rujukan generasi masa kini dan akan datang.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Kerajaan Negeri sentiasa berkolaborasi dengan agensi-agensi sosial di seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis, Agensi Anti Dadah Perlis (AADK) dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri dalam usaha menjaga kebajikan dan perpaduan masyarakat melalui program sosial dan kemasyarakatan. Untuk itu, sebanyak 153 ribu ringgit disediakan untuk membentuk budaya sihat dari peringkat akar umbi. Program ini boleh mencegah berlakunya aktiviti tidak bermoral di kalangan masyarakat. Pada tahun 2021, program kemahiran keibubapaan secara atas talian telah diadakan dengan penyertaan 542 orang peserta. Di samping itu, program bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang dikelola oleh JPNIN turut dilaksana melibatkan penyaluran bantuan peralatan kepada Skim Rondaan Sukarela yang mengawal selia kawasan KRT. Manakala AADK pula akan menganjurkan program penghijauan kawasan berisiko tinggi bagi penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial dalam usaha membendung anasir tersebut. Strategi Keempat, Perlis Go Digital. Penularan wabak COVID-19 telah mempercepatkan kita ke era digital. Penggunaan teknologi digital telah meningkat dalam interaksi harian terutama di dalam dunia perniagaan. Bagi mempercepatkan lagi penyediaan prasarana dan aplikasi teknologi digital di Perlis, Pelan Digital Perlis 2021-2025 telah dilancarkan. Ia akan menggabungkan… menghubungkan kerajaan, rakyat dan swasta menerusi platform digital. Sejumlah 36 inisiatif telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2021. Pada 15 November 2021, Kerajaan Negeri mengadakan Konvensyen Digital Negeri Perlis 2021 dengan tema “Merakyatkan Teknologi Digital dalam Kehidupan: Perlis Go Digital, Perlis Produktif”. Tujuannya untuk menyemarakkan lagi pembudayaan dan penggunaan teknologi digital di kalangan warga Perlis. Sehingga kini pencapaian liputan jalur lebar di Perlis berada di tahap 93% dengan kadar penembusan jalur lebar mudah alih yang mencapai 113.1%. Walau bagaimanapun, capaian bagi talian tetap per 100 orang penduduk masih rendah, iaitu pada kadar 25%. Untuk tahun 2022, Kerajaan Negeri akan berusaha mempertingkatkan lagi kadar penembusan jalur lebar talian tetap ini kerana ianya diihat lebih stabil dan reliable. Portal eBayar juga telah diperkenalkan bagi memberi kemudahan kepada pengguna membuat bayaran perkhidmatan di bawah jabatan-jabatan negeri secara dalam talian. Perkhidmatan ini akan ditambah baik dengan perkhidmatan fintech/pembayaran melalui medium FPX (online banking) dan juga aplikasi mobile menjelang tahun 2022. Bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan penyampaian maklumat kepada rakyat, termasuk urusan perniagaan dan pelancongan, TV Perlis telah dilancarkan. Pelan Digital Perlis juga memberi fokus kepada kerja-kerja menaiktaraf Pusat Data dan Pusat Pemulihan Bencana Kerajaan Negeri Perlis. Agenda pendigitalan akan dilaksanakan secara meluas dalam perkhidmatan awam di negeri Perlis. Antara langkah yang diambil untuk pengukuhan pindi… pendigitalan kerajaan adalah dengan menubuhkan Majlis Digital Negeri Perlis dan dua jawatankuasa yang akan menyokong majlis ini, iaitu Jawatankuasa Kerajaan Digital (JKD) dan Jawatankuasa Infrastruktur Telekomunikasi Negeri (JITN). JKD berperanan dalam menentukan arah tuju, penggubalan dasar dan strategi serta penyelarasan dan pemantauan semua program digital di peringkat negeri. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (PSUKPs) juga telah membangunkan Pelan Strategik Pendigitalan PSUKPs bagi tempoh 2021 hingga 2025. Pelan ini menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan melalui lima teras strategik dan 53 program yang dirancang sejajar dengan pelaksanaan Pelan Digital Perlis. Bagi memastikan intipati dan inisiatif yang dirangka dalam Pelan Digital Perlis 2021-2025 terus terlaksana, usaha promosi dan hebahan akan terus dipergiatkan dengan kerjasama jabatan dan agensi Kerajaan, swasta dan masyarakat. Antara program yang akan dilaksanakan termasuklah
Program Kesedaran Digital, Pembudayaan Masyarakat Tanpa Tunai, Penganugerahan Digital kepada stakeholder, Jelajah Digital dan Digital Kiosk. Fokus di tahun 2022 adalah untuk meneruskan usaha menaik taraf infrastruktur dan perkakasan teknologi maklumat di negeri Perlis. Ini bertepatan dengan Pelan Digital Perlis yang akan turut melibatkan penyertaan agensi swasta melalui Pembangunan Rangkaian 5G di lokasi-lokasi utama Negeri melalui kerjasama anak syarikat Kerajaan Negeri, Perlis Comm dan Digital Nasional Berhad (DNB) yang menyasarkan penyiapan 59 tapak pada 2026. Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak 1.11 juta ringgit untuk menaik taraf perkakasan, perisian serta rangkaian teknologi sistem maklumat (ICT) negeri. Antaranya termasuklah pembelian aset baharu yang lebih sesuai berdasarkan peredaran masa, penggunaan perisian terkini untuk pembangunan pelbagai sistem dan juga pertambahan tiga orang kakitangan contract for service di Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat dalam memastikan agenda Perlis Go Digital dapat dicapai seperti dirancang.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, strategi Kelima, Pelan Perlis Bersih Sihat, dalam usaha mencapai Wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030, satu aspek yang perlu diberi keutamaan adalah kebersihan dan kesihatan. Bagi memastikan aspek kebersihan dan kesihatan ini menjadi budaya, Kerajaan Negeri telah merangka Pelan Perlis Bersih Sihat 2021-2025: Perlis Go Clean. Healthy Perlis. Pelan ini mempromosi gaya hidup sihat, kesihatan rakyat, kawalan kesihatan kendiri, kebersihan persekitaran dan peranan serta penguatkuasaan agensi secara bersepadu. Kerajaan Negeri memperuntukkan 333 ribu ringgit untuk melaksanakan Pelan Perlis Bersih Sihat 2021-2025. Selain itu, kebersihan di dalam sektor perniagaan makanan juga akan diberi penekanan khusus di tahun 2022. Justeru Kerajaan Negeri Perlis akan melaksanakan Kempen Pembudayaan Kebersihan dan Peningkatan Standard Bagi Perkhidmatan Perniagaan Makanan pada 1 Januari 2022 dengan memberikan penekanan kepada aspek-aspek merangkumi kebersihan premis, proses penyediaan makanan dan juga penampilan pekerja. Bagi mewujudkan kesedaran dan penglibatan aktif peniaga terhadap kempen ini, beberapa siri turun padang/walkabout telah diadakan pada tahun 2021 di beberapa buah premis perniagaan makanan di sekitar Perlis.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, isu longgokan sampah yang tidak terkawal merupakan cabaran terbesar bagi memastikan pengurusan kutipan sampah dapat dilaksanakan dengan baik, terutamanya di luar kawasan pentadbiran perbandaran. Purata kutipan sampah setiap hari ialah kira-kira 150 tan. Pada tahun 2022 Kerajaan Negeri akan menambah 36 tong sampah berpusat di kawasan kritikal, iaitu tambahan 18 tong sampah dari jumlah sedia ada pada tahun 2021. Bagi menambah baik kualiti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, kawasan tapak tong sampah di sekitar negeri Perlis akan dinaik taraf. Pada tahun ini Kerajaan Negeri telah menambah baik beberapa kawasan tapak tong sampah seperti di Jalan Raja Syed Alwi (berhadapan Jabatan Kesihatan), Jalan Kangar-Alor Setar (sebelah Petronas Behor Temak), Jalan Mata Ayer-Beseri (hadapan bangunan AADK) dan Jalan RPA, Santan (hadapan RPA Santan). Kempen-kempen kesedaran seperti ‘World Cleanup Day 2022’, Kempen Hari Alam Sekitar, ‘Recycle For Life’ dan ‘Trash for Cash’ akan terus dipergiatkan bersama-sama dengan jabatan dan agensi terlibat. Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan Program Pantai Angkat di sepanjang kawasan pantai dari Kurong Tengar ke Sungai Baru yang akan melibatkan agensi kerajaan bagi memupuk semangat kecintaan pantai dan sama-sama menjaga kebersihan dan kelestariannya. Bagi memastikan kebersihan diamalkan dan menjadi budaya di segenap lapisan masyarakat, kempen kesedaran dan penguatkuasaan yang berterusan daripada Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan agensi-agensi berkaitan perlu dilaksanakan. Pihak MPK telah melaksanakan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan premis makanan yang melibatkan aktiviti pengredan premis makanan dan pemantauan pemasangan perangkap minyak. Kempen kesedaran di premis MPK seperti Kempen Medan Selera Bersih dan Kempen Kebersihan Pasar telah diadakan pada tahun 2021.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Strategi Keenam, Pembangunan Sukan, Aktiviti sukan merupakan satu wadah yang dapat membentuk sebuah masyarakat yang cergas, sihat dan dapat menyatupadukan semua lapisan masyarakat. Sukan juga menyumbang kepada sektor pelancongan negeri Perlis. Kerajaan Negeri memperuntukkan 4.73 juta ringgit bagi pembangunan sukan di negeri Perlis. Selain daripada program sedia ada, beberapa program baharu akan diperkenalkan pada tahun 2022, antaranya, Liga Bola Sepak Perlis, Sebagai sukan yang digemari oleh sebahagian penduduk negeri ini, sukan ini mampu memupuk perpaduan serta menyemai semangat berpasukan dalam kalangan komuniti sukan negeri dan akan diberi nafas baharu dengan penganjuran secara liga. Liga ini juga akan menjadi platform pencarian bakat di kalangan anak muda/belia untuk mengembangkan bakat mereka di dalam arena bola sepak, Perlis Duathlon Perlis Duathlon adalah program pelancongan sukan yang akan memberi tumpuan kepada tempat-tempat tarikan pelancongan yang meliputi keseluruhan negeri Perlis. Ia melibatkan acara larian jarak dan berbasikal jarak jauh. Sebagai acara sukan yang masih baharu di Malaysia, Perlis mampu menjadi penanda aras sukan ini dengan keunikannya yang tersendiri. Perlis Explorace, Perlis Explorace adalah aktiviti berteraskan kecergasan dan pelancongan sukan. Program ini akan menjadi salah satu promosi pelancongan sekaligus bagi membantu mempromosikan aktiviti dan tempat pelancongan. Program pembangunan sukan negeri juga akan memberi penekanan kepada penstrukturan program. Ia meliputi pewujudan sukan teras Perlis dengan pemilihan sukan-sukan utama yang akan dimulakan melalui Program Khas Young Lions dengan keutamaan kepada atlet berprospek pingat. Program SUKMA 2024 juga akan diteruskan untuk merealisasikan sasaran 8 pingat emas. Selain itu pemerkasaan program sains sukan melalui penggunaan peralatan sains sukan terkini akan diterapkan serta perkongsian pengetahuan sukan dengan pakar sains sukan dan pakar perubatan sukan. Sejumlah 5.39 juta ringgit diperuntukkan pada tahun 2022 bagi menaik taraf infrastruktur sukan di seluruh negeri Perlis. Antara kerja-kerja yang akan dilaksanakan termasuklah pembinaan sebuah outdoor gym, menaik taraf pagar Gelanggang Petanque serta membaiki kebocoran bumbung Lapang Sasar Menembak Sungai Batu Pahat. Sebahagian daripada jumlah peruntukan ini juga termasuk peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi kerja menaik taraf Kompleks Kolam Renang Perlis, menaik taraf Trek Balapan dan Astaka di Stadium Tuanku Syed Putra dan pembinaan pusat latihan daerah bagi sukan angkat berat. Pencapaian program sukan tahun 2021 diserikan dengan kejayaan atlet negeri, Abdul Latif bin Romly yang berjaya memperolehi pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Tahniah juga diucapkan kepada atlet yang berjaya melayakkan diri ke platform latihan kebangsaan. Semoga semua berjaya dengan cemerlang demi mengharumkan nama Malaysia dan Perlis. Dalam hal ini, pelaksanaan kerja menaik taraf dan menyenggara infrastruktur sukan juga telah dilaksanakan pada tahun 2021 dengan menggunakan peruntukan PEMERKASA berjumlah 2.3 juta ringgit.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, fokus ketiga, Pengukuhan Ekonomi Negeri Yang Mampan, Di dalam usaha meningkatkan pembangunan ekonomi negeri Perlis, pengukuhan dan lonjakan berganda atau leap frogging di dalam projek-projek yang berimpak tinggi perlu diberikan perhatian yang sewajarnya. Strategi Pertama, Projek Berimpak Tinggi, Sehingga kini, sebanyak 37 projek sedang dalam pemantauan saya sendiri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi dan Pemantauan Projek Negeri Perlis. Sebahagian projek pelaburan merupakan kesinambungan dari tahun 2021 ke tahun 2022 dan beberapa projek baharu merangkumi, pertama Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA)Pembangunan keseluruhan CVIA dibiayai oleh Kerajaan Pusat dengan peruntukan sebanyak 724 juta ringgit. Ia meliputi fasa 1 dan 2. Fasa 1 seluas 440 ekar sedang dilaksanakan dan dijangka siap tahun 2023. Fasa 2 seluas 2,042 ekar dijangka dapat dilaksanakan melalui Rolling Plan Kedua, RMK-12. Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC) yang berperanan sebagai pusat operasi kepada CVIA telah siap sepenuhnya. Sehingga kini sebanyak 66 peratus telah disewa termasuk agensi kerajaan dan pihak swasta. Pelabuhan Darat Perlis (Perlis Inland Port - PIP) Pembangunan yang melibatkan pelaburan yang bernilai 1.8 billion ringgit ini akan dilaksanakan oleh Mutiara Perlis Sdn Bhd di atas tanah seluas 500 ekar di Padang Besar. Pelaksanaan prasarana sokongan iaitu bonded road, spurline dan flyover bernilai 318 juta ringgit dijangka bermula dalam suku pertama 2022. Jeti Bersepadu Sanglang (Sanglang Integrated Jetty-SIJ), projek bernilai 1.8 billion ringgit ini akan dilaksanakan oleh Mutiara Perlis Sdn Bhd di atas tanah seluas 203 ekar di kawasan Sanglang. Projek ini dalam proses mendapat kelulusan Pelan Kebenaran Merancang. UniKL-ASTI (Asia Sustainable Transportation Institute), peruntukan sebanyak 197 juta ringgit telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan UniKL-ASTI di Chuping di atas tanah seluas 60 ekar. Kerja pengukuran bagi urusan perolehan tanah sedang dilaksanakan. Kangar Sentral, Projek yang bernilai 30 juta ringgit di atas tanah seluas 16 ekar di Behor Lateh dijangka selesai pada tahun 2023. Kerja pembinaan akan bermula dalam sedikit masa lagi. Kilang Pembuatan Komponen Peluru, projek usahasama syarikat tempatan dan syarikat swasta asing dengan pelaburan berjumlah 112 juta ringgit ini dilaksanakan di tanah seluas 9.67 ekar di Taman Teknologi Pauh Putra. Kerja-kerja fizikal sedang dijalankan di tapak dan dalam masa yang sama proses pemberimilikan tanah sedang dilaksanakan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Strategi Kedua: Pembangunan Projek Komersial, Kerajaan Negeri telah meluluskan secara dasar beberapa pelaburan swasta dari syarikat tempatan dan asing dalam pelbagai sektor bagi pengukuhan ekonomi negeri seperti berikut, Perlis Power Hub Pelaburan swasta dengan anggaran kos pembangunan bernilai 16.8 bilion ringgit ini untuk menghasilkan 5,000 MW tenaga letrik akan dilaksanakan oleh Konsortium Mutiara Perlis Sdn. Bhd-TNB Power Generation Sdn. Bhd-PETRONAS Gas Berhad di Mukim Chuping di atas tanah seluas 222 ekar. Pavilion Padang Besar Projek bernilai 30.30 juta ringgit ini sedang giat dilaksanakan dan dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Jun 2022. Projek ini akan mengubah landskap perniagaan di Padang Besar dengan menawarkan pengalaman membeli belah lebih menarik. Pembangunan Komersial dan Pusat Makanan, Pantai Bukit Putih, projek pelaburan swasta dengan anggaran kos 24.50 juta ringgit ini telah pun selesai proses pemberimilikan tanah dan memperolehi kelulusan Kebenaran Merancang. Pembangunan fizikal projek ini dijangka akan dimulakan pada tahun 2022. Projek Algae-Modular Automated Plantation (A-MAP) & Crude Algae Oil Projek pelaburan swasta dengan anggaran nilai pembangunan kasar 2.4 billion ringgit ini juga akan bertapak di CVIA melibatkan keluasan tanah 500 ekar. Kerja-kerja fizikal akan bermula pada suku kedua tahun 2022. Perlis Base Camp @ Gua Kelam, pelaburan swasta yang berkonsepkan pelancongan dengan anggaran nilai 15.45 juta ringgit telah diluluskan secara dasar di kawasan tapak letak kereta Gua Kelam. Pembangunan projek ini merangkumi pembinaan adventure centre, tapak perkhemahan dan glamping, boutique hotel dan kafe.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Strategi Ketiga: Agro Business, Kerajaan Negeri turut memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sektor agro-business bagi mendukung aspirasi dan halatuju sektor makanan Negara untuk lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi menerusi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030). Antara projek yang sedang dan akan dijalankan adalah seperti berikut, Chuping Agro Valley (CAV), projek yang melibatkan dua sektor utama, iaitu Ladang Tenusu Bersepadu dan Ladang Tanaman Bernilai Tinggi Bersepadu, akan dilaksanakan secara kerjasama di antara Felda Global Ventures (FGV), Felcra Berhad dan Baladna Food Industries di atas tanah milik FGV Berhad melebihi 11,000 ekar. Bagi pelaksanaan projek Ladang Tenusu Bersepadu, memorandum kerjasama antara pihak berkepentingan telah ditandatangani di Doha pada Ogos 2021. Manakala bagi Ladang Tanaman Bernilai Tinggi Bersepadu pula telah bermula dengan penanaman nanas varieti MD-2 dan akan disusuli dengan tanaman lain seperti cassava, mangga harumanis, jerusalem artichoke dan vanilla. Tanaman Lemon Myrtle, projek ini dijangka akan melibatkan pelaburan oleh pihak swasta bernilai 33.0 juta ringgit dan telah diluluskan secara dasar di atas tapak seluas 250 ekar di Chuping. Projek ini dalam rangka untuk dimuktamadkan perkara teknikal sebelum dapat dimulakan pembangunan fizikal yang dijangkakan pada tahun 2022. Projek ini dilihat berpotensi untuk meningkatkan pendapatan penduduk setempat melalui penglibatan di dalam kaedah contract farming yang dicadang syarikat. Industri Makanan Ternakan (IMT)Projek yang akan dilaksanakan di atas 7.734 ekar tanah di Kawasan Bilal Uduh Nilai ini akan melibatkan pelaburan sebanyak 20 juta ringgit. Projek ini telah diluluskan secara dasarnya dan kini di dalam peringkat memuktamadkan keperluan teknikal. Kerajaan Negeri akan terus memberi komitmen dan menyokong pelaburan swasta yang bersesuaian bagi memastikan kelestarian pembangunan yang dapat memberikan lonjakan berganda (leap frogging) di Perlis. Insentif pelaburan pasca COVID-19 akan diteruskan sehingga 31 Disember 2022. Dengan sinergi syarikat swasta yang bertindak sebagai engine of growth, Kerajaan Negeri yakin pembangunan ekonomi negeri dapat diteruskan.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, untuk makluman Dewan yang mulia ini, terdapat 131 projek di bawah RP2, RMK-12 yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di Perlis dalam tahun 2022 yang meliputi 105 projek sambungan dan 26 projek baharu. Antara projek pembangunan tersebut adalah pertama kemudahan Infrastruktur Di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping, 50 juta ringgit, Pembangunan Kolej Kediaman untuk 4,000 Pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) 28.13 juta ringgit, Menaiktaraf Empangan Timah Tasoh Fasa 3, 25 juta ringgit, Kemudahan Infrastruktur Perlis Inland Port (PIP) di Kawasan Pembangunan Lembah Chuping, 20 juta ringgit, Pembinaan Sekolah Baharu Mengikut Piawai Sekolah Berasrama Penuh Di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kangar, Perlis, 18 juta ringgit, Pembinaan Bangunan Tambahan Asrama Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) di SMK Agama Arau, Perlis, 11 juta ringgit, Projek Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Negeri Perlis (Kangar Sentral), 10 juta ringgit, Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters (2F Dan 2G) Padang Besar, 10 juta ringgit; dan Pembinaan Bangunan Gantian Penuh Serta Lain-Lain Kemudahan Di SK Padang Besar ( U ), Perlis, 10 juta ringgit.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Peruntukkan Bajet 2022.Pada tahun 2020 dan 2021 adalah tahun-tahun yang sangat mencabar. Namun begitu, prestasi kutipan hasil negeri dapat dilihat memberangsangkan walaupun dalam keterbatasan aktiviti ekonomi disebabkan kekangan PKP dan larangan rentas negeri. Bajet 2022 menganggarkan hasil sebanyak 109.24 juta ringgit yang terdiri daripada, Hasil Cukai sebanyak 21.40 juta ringgit, Hasil Bukan Cukai sebanyak 21.45 juta ringgit,dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak 66.39 juta ringgit. Dalam keterbatasan keupayaan kewangan, Bajet 2022 akan lebih memberi fokus kepada usaha-usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negeri di samping penumpuan kepada program-program yang menjurus kepada peningkatan kesejahteraan rakyat. Pelbagai program serta projek yang saya bentangkan tadi semestinya dirancang dengan mengambil kira keperluan rakyat. Seiring dengan tema bajet Kesalingan Pimpinan - Rakyat, Pemangkin Kelangsungan Kemakmuran Dan Kesejahteraan, Bajet 2022 secara keseluruhannya memperuntukkan sejumlah 306.83 juta ringgit bagi tujuan perbelanjaan pada tahun 2022, iaitu penyusutan sebanyak 2.68% berbanding peruntukan tahun 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 176.58 juta ringgit diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala 130.25 juta ringgit lagi untuk Perbelanjaan Pembangunan. Perbelanjaan Mengurus. Anggaran peruntukan Emolumen adalah berjumlah 57.30 juta ringgit mewakili 32.45% daripada jumlah keseluruhan peruntukan belanja mengurus, merupakan komponen terdua tertinggi selepas peruntukan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Anggaran peruntukan Emolumen ini mencatatkan kenaikan sebanyak 2.38% berbanding 55.97 juta ringgit peruntukan pada tahun 2021. Manakala 72.42 juta ringgit diperuntukkan untuk Perkhidmatan dan Bekalan adalah komponen tertinggi perbelanjaan mengurus tahun 2022, iaitu 41.15% daripada jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan. Pertambahan sebanyak 2.54 juta ringgit bagi peruntukan ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga bekalan dan perkhidmatan serta harga kontrak Kerajaan seperti kawalan keselamatan dan kebersihan bangunan Kerajaan. Peruntukan bagi Objek Am yang lain masing-masing sebanyak 4.17 juta ringgit untuk Aset, 41.11 juta ringgit bagi Pemberian dan Kenaan Tetap dan 1.58 juta ringgit bagi Lain-lain Perbelanjaan.
Perbelanjaan Pembangunan. Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 130.25 juta ringgit disediakan yang mewakili 42.45% dari keseluruhan peruntukan. Sejumlah 90.41 juta ringgit daripada peruntukan ini adalah dalam bentuk pinjaman dari Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan Kompleks Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pembinaan Istana Raja Muda dan Program Mitigasi Jangka Sederhana Program Bekalan Air. Sebanyak 39.84 juta ringgit atau 30.59% daripada perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan adalah bagi projek-projek yang bersifat people centric, seperti menaiktaraf infrastruktur jalan, sungai, menyenggara infrastruktur awam asas seperti jambatan, titi-titi luar bandar, pembinaan gerai, surau, dewan, masjid dan juga pemuliharaan hutan simpan. Kebanyakan perbelanjaan ini menggunakan peruntukan wang yang diterima Kerajaan Negeri dari Kerajaan Persekutuan di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP). Bagi tujuan memenuhi keperluan dan memastikan pembangunan yang menyeluruh bagi semua sektor, pengagihan peruntukan pembangunan bagi tahun 2022 disalurkan kepada enam (6) Agensi Pelaksana yang utama seperti berikut: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri – 70.52 juta ringgit, Jabatan Kerja Raya – 47.57 juta ringgit, Jabatan Pengairan dan Saliran – 5.65 juta ringgit, Jabatan Pertanian – 3.91 juta ringgit, Jabatan Perhutanan – 1.83 juta ringgit, dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar – 775 ribu ringgit. Secara keseluruhannya, Bajet 2022 kali ini adalah Bajet defisit dengan jumlah defisit sebanyak 67.34 juta ringgit ataupun penurunan sebanyak 0.25% berbanding tahun 2021. Yang Berhormat Dato’ Speaker, perancangan untuk tahun 2022 telah saya bentangkan. Langkah selanjutnya ialah melaksanakannya dengan cadangan peruntukan yang telah saya kabarkan. Adalah mustahil pelaksanaan akan lancar tanpa hambatan. Di sinilah pentingnya peranan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan berkesan. Untuk cekap dan berkesan memerlukan pemimpin dan penjawat awam yang kompeten, resourceful, kreatif dan komited. Untuk cekap dan berkesan, pemimpin dan penjawat awam perlu berperanan to facilitate not to frustrate or complicate. Kerana itu pemimpin dan penjawat awam perlu jujur dan amanah. Firman Allah dalam Surah Al-Qasas, Ayat 26 yang bermaksud,
“…Sesungguhnya orang yang paling baik engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi amanah.”
Ringkasnya, untuk bergerak maju ke hadapan dengan pantas, negeri ini memerlukan pemain-pemain samada pemimpin, penjawat awam, pihak swasta dan rakyat yang bersifat fatonah, yang amanah, yang siddiq dan yang tabligh. Inilah kualiti yang diperlukan untuk membolehkan kita bergerak ke hadapan dengan pantas. Apa yang saya sebutkan tadi adalah sebagai ingatan dan panduan sahaja. Saya yakin setiap dari kita sudah pernah mendengarnya dan telah pun mengamalkannya. Ikhlasnya, Perlis amat beruntung kerna perkhidmatan awam dan penjawat awamnya mempunyai kualiti F A S T. Bagaimana pun, we cannot rest on past laurels kerana situasi adalah dinamik, dan tentunya cabaran juga bersifat dinamik. Perkhidmatan awam dan penjawat awam adalah tulang belakang Kerajaan Negeri. Gagal atau cemerlang sesuatu Kerajaan bergantung sebahagian besarnya kepada peranan penjawat awam di pelbagai peringkat. Kita bersyukur kerana penjawat awam telah banyak berkorban dan telah melakukan yang terbaik. Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam, sukacita saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak 900 ringgit kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta 550 ringgit bagi pesara Kerajaan yang berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri. Walaupun jumlahnya tidak seberapa, diharapkan ini akan memberikan dorongan dan mencetus semangat semua penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh komitmen dan dedikasi. Dan untuk makluman, jumlah ini adalah lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan. Kita sudah menghampiri penghujungnya. Ingatlah, selagi kita dikenali sebagai manusia, kita tidak sempurna. Kita punya banyak kelemahan. Kita hanya mampu merancang yang terbaik berdasarkan ilmu yang terhad, tetapi Allah Perancang Yang Terbaik seperti firmanNya di dalam Surah Al-Imran, ayat 54 yang bermaksud; “Dan mereka merancang, dan Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang” Yang Berhormat Dato’ Speaker, bajet ini bukannya bajet yang berasaskan kepada kepartian dan ideologi politik. Bajet ini bukan bajet yang hanya untuk memenuhi kepentingan individu atau untuk kumpulan tertentu. Ia juga bukan bajet pilihanraya, sebaliknya ia adalah bajet yang beragenda rakyat sesuai dengan pendekatan Kerajaan Negeri yang berpaksikan pembangunan dan berpaksikan rakyat untuk kepentingan rakyat. Development Centric and rakyat centric. Demikianlah pembentangan Bajet Kerajaan Negeri Perlis 2022, saya mohon mencadangkan. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.
Penangguhan DewanAdjournment
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan untuk hari ini dan akan disambungkan esok, Rabu, 8 haribulan Disember 2021, jam 9.00 pagi. Sekian, terima kasih.
(Persidangan ditangguhkan pada jam 1.50 petang)