Perlis · 9 August 2022

14th Assembly, 5th session, 2nd meeting · 13 turns · 3,021 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.

(Pembukaan)

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dewan mula bersidang.

Doa

Penolong Setiausaha Dewan

Doa.

(Bacaan doa oleh Penolong Setiausaha Dewan)

Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis

Setiausaha Dewan

Pemasyhuran daripada Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.

Speaker

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, sebentar lagi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan berangkat masuk bagi merasmikan Penggal Persidangan Kelima, Dewan Undangan Negeri Perlis yang Keempat Belas. Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dapat memberikan sepenuh tumpuan dan mendengar dengan teliti bagi memahami setiap butiran titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Setelah Duli Yang Maha Mulia Tuanku selesai bertitah, persidangan kita pada hari ini akan ditangguhkan. Ahli-ahli Yang Berhormat dipersilakan ke Aras 1 untuk Majlis Bergambar dan seterusnya Majlis Santapan Tengahari. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, di atas meja disediakan layout Majlis Bergambar antara Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama-sama dengan DYMM Tuanku Raja serta Duli-Duli Tuanku dan juga Ahli-Ahli Yang Berhormat berserta pasangan bersama-sama dengan DYMM Tuanku Raja dan Duli-Duli Tuanku.

Seterusnya, sidang Dewan akan disambung semula pada hari esok dan lusa untuk perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja. Insya-Allah.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan bertitah. Dewan ditempohkan.

(Bentara menanggung Cokmar dan diikuti oleh Penolong Setiausaha Dewan, Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker berarak keluar dari Dewan ke Bilik

Istirahat DiRaja bagi menjemput Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda untuk mencemar Duli berangkat masuk ke dalam Dewan).

(Bentara mengumumkan keberangkatan masuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda).

Bentara

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda.

(Dif-dif jemputan berdiri, mengangkat sembah dan memberi tunduk hormat).

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda serta Juruiring-juruiring, Bentara Dewan, Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Penolong Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri mengambil tempat masing-masing sambil berdiri).

(Lagu negeri Perlis dimainkan).

DYMM Tuanku Raja

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk.

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja PerlisAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mempersembahkan Warkah Titah Ucapan DiRaja kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja.

(Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar mengiringi Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke Paterana DiRaja, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengangkat sembah, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengambil dulang berisi Warkah Titah Ucapan DiRaja dan seterusnya mempersembahkan Warkah Titah Ucapan DiRaja kepada DYMM Tuanku Raja. Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengangkat sembah kemudian kembali ke tempat masing-masing).

Setiausaha Dewan

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan bertitah.

DYMM Tuanku Raja

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. Segala puji-pujian ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa, yang telah menciptakan alam semesta ini dan setiap kejadian di dalamnya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Kelima, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas hari ini. Beta amat bersyukur di atas anugerah kesihatan yang membolehkan Beta menggalas amanah menaungi negeri ini. Beta berharap dan mendoakan agar Persidangan kali ini berjalan dengan tertib, teratur dan lancar. Beta ingin menzahirkan penghargaan terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Mamanda Menteri Besar yang telah berusaha bersungguh- sungguh untuk memberikan khidmat terbaik dalam mentadbir dan membangunkan Negeri Perlis. Pelbagai inisiatif dan insentif telah dilaksanakan dalam membantu membangunkan semula ekonomi negeri dan mengurangkan beban rakyat, terutama dalam tempoh pandemik COVID-19. Beta berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat terus memainkan peranan yang diberikan dengan amanah, jujur, dedikasi dan bertanggungjawab. Letakkan kepentingan rakyat di hadapan mengatasi kepentingan politik peribadi. Beta percaya Ahli-Ahli Yang Berhormat mampu menjadi ejen pembangunan dan berupaya menangani isu-isu rakyat dengan berkesan. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepimpinannya”.

Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Hadirin Sekalian,

Alhamdulilah, Beta bersyukur Malaysia kini telah memasuki ke fasa peralihan endemik mulai 1 April 2022. Secara beransur-ansur rakyat sudah boleh kembali kepada kehidupan yang normal. Rakyat kini dapat kembali bekerja untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik. Beta berharap Kerajaan Negeri terus giat menyusun semula strategi dan pelan untuk membangunkan ekonomi negeri. Di masa yang sama perhatian serius diberikan untuk membantu rakyat yang terkesan. Beta sedar akan himpitan beban perbelanjaan yang terpaksa ditanggung Kerajaan Negeri. Kerana itu Kerajaan Negeri harus bijak dalam menyusun keutamaan dan pengagihan sumber yang terhad. Keutamaan harus diberikan kepada program dan projek pembangunan yang bersifat rakyat-centric, produktif serta memberikan manfaat terus untuk rakyat. Pembaziran wajib dielakkan dan ketirisan dibendung. Beta menyeru supaya kerjasama dengan Kerajaan Pusat terus diperkukuhkan, dan berterima kasih di atas komitmen Kerajaan Pusat dalam menjayakan agenda pembangunan negeri. Di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Kedua Belas, 138 projek dengan peruntukan sebanyak RM412.7 juta telah diluluskan kepada Negeri Perlis. Manakala peruntukan khas Kementerian Kewangan sebanyak RM20 juta telah diberikan untuk melaksanakan inisiatif pelancongan, jaminan bekalan makanan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Dalam melaksanakan projek di bawah peruntukan khas tersebut, Kerajaan Negeri memfokus kepada projek-projek quick win yang tidak memerlukan kos yang terlalu tinggi, dapat dilaksanakan dan disiapkan segera, dan memberi faedah serta impak langsung kepada rakyat. Beta ingin tegaskan agar semua jabatan dan agensi Negeri yang terlibat memastikan pelaksanaan projek-projek tersebut berjalan lancar dan siap dalam tempoh yang ditetapkan. Pelaksanaan semua projek perlu ditadbir dengan cekap, dipantau dan dilaporkan secara berkala bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani tanpa berlengah.

Hadirin Sekalian,

Peranan sektor swasta dalam pembangunan negeri amat penting. Beta gembira dengan dasar dan pendekatan mesra pelabur Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak lagi pelaburan ke Perlis. Hasilnya sudah pun mula kelihatan. Beta harap kerjasama erat Kerajaan Negeri dengan sektor swasta dapat diteruskan dan ditingkatkan lagi. Bidang-bidang kerjasama baru yang berimpak tinggi juga perlu dikenalpasti dan diterokai untuk dilaksanakan. Beta gembira dengan perkembangan pelaksanaan projek- projek berimpak tinggi seperti CVIA, PIP, Kangar Jaya, Kangar Sentral, Plazaria dan Pavillion Padang Besar dan lain- lain lagi. Beta sedia maklum beberapa pelabur besar telah bersetuju melabur di Perlis. Ada diantaranya akan memulakan operasi seawal tahun 2023 di CVIA dengan nilai pelaburan komited sehingga Mei 2022 sebanyak RM3.71 billion. Kira-kira 5,700 peluang pekerjaan baharu juga bakal diwujudkan. Di sebalik kegembiraan ini, Beta juga ingin melahirkan kebimbangan dan rasa dukacita kerana telah wujud persaingan tidak sihat dalam usaha membangunkan wilayah dan kawasan berjiran. Seharusnya pembangunan di kalangan wilayah dan kawasan berjiran ini saling melengkapi satu sama lain. Bukannya bersaing antara satu sama lain. Situasi beggar-thy-neighbour ini merugikan, dan patut dielakkan. Sepatutnya kita galakkan situasi prosper-thy- neighbour yang saling menguntungkan. Usaha berterusan harus digembeling agar kerjasama Kerajaan Negeri dengan NCIA, MIDA, TERAJU dan lain-lain agensi pusat dapat dipereratkan lagi dalam usaha menarik minat para pelabur ke Perlis. Segala usaha ini akan mempercepatkan lagi pencapaian visi Perlis Negeri Bandaraya 2030. Kerajaan Negeri tidak boleh berpuas hati dan selesa dengan pencapaian sedia ada. Usaha berterusan perlu dilakukan untuk mewujudkan dan menambahbaik lagi prasarana awam agar Perlis lebih menarik kepada pelabur. Malah peraturan, proses, sistem, prosedur dan panduan kerja yang usang, terlalu birokratik dan menyulitkan perlu ditambahbaik secara berterusan atau diganti jika sudah tidak relevan. Kerajaan Negeri harus membuat analisa kritikal dan keputusan berani dalam membuat dasar-dasar baru yang baik, penyediaan dan pengagihan perbelanjaan. Dasar, program dan projek yang sudah tidak relevan dengan dinamik semasa perlu diubahsuai atau diganti segera agar memberi faedah maksima kepada rakyat. Beta juga ingin menyarankan agar Kerajaan Negeri turut meningkatkan kerjasama dengan NGO dan para sukarelawan untuk membangunkan negeri ini. Kerajaan Negeri harus meraih faedah dari peningkatan peranan aktif NGO dan sukarelawan ini demi faedah rakyat.

Hadirin Sekalian,

Beta berharap Kerajaan Negeri terus berkreatif dalam mempelbagaikan sumber pendapatan negeri. Salah satu sumber hasil yang berpotensi besar ialah perlombongan dan pengkuarian. Mineral dolomite di Perlis amat berkualiti dan menjadi tarikan pelabur. Sektor ini perlukan transformasi. Beta bersetuju dengan dasar Kerajaan Negeri yang mensyaratkan agar syarikat perlombongan meneroka dan melabur dalam industri hiliran untuk menambah nilai dolomite yang dilombong.

Hadirin Sekalian,

Bank Negara Malaysia menjangkakan KDNK Malaysia terus berkembang antara 5.3 dan 6.3 peratus pada tahun 2022. Peningkatan permintaan luar, penarikan balik sepenuhnya langkah-langkah pembendungan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan keadaan pasaran baru dan tenaga kerja yang semakin baik adalah faktor penyumbang ke arah peningkatan ini. Beta yakin Perlis akan turut menyumbang kepada KDNK negara melalui peningkatan di sektor-sektor ekonomi utama seperti perkhidmatan dan lojistik, perlombongan dan pengkuarian, pelancongan, pertanian, keusahawanan dan penjanaan ekonomi berasaskan digital serta industri pembuatan. Beta yakin sektor pelancongan yang berasaskan keindahan semula jadi akan terus menawarkan potensi besar untuk berkembang. Kerajaan Negeri wajar meneruskan usaha menambah baik prasarana sokongan dan program promosi pelancongan yang kreatif dan menarik. Ini termasuklah menggunakan portal, laman web serta media sosial, jalinan hubungan kerjasama dengan Key Opinion Leader (KOL) dan social media influencer untuk menarik minat pelancong ke Perlis. Kerjasama rentas sempadan negeri dan negara juga penting di kalangan syarikat dan individu swasta untuk menganjurkan pakej-pakej pelancongan yang menarik. Beta menyokong inisiatif Kerajaan Negeri bersama NCIA untuk menjalankan feasibility study bagi pembangunan semula terminal feri penumpang di Kuala Perlis. Terminal feri penumpang baru yang bersepadu, moden, kalis mendapan dan cost effective akan memenuhi permintaan tinggi pelancong-pelancong. Begitu juga usaha membangunkan Geopark Perlis dengan bantuan Kerajaan Pusat. Untuk memastikan Perlis terus mendapat tempat dihati pelancong, aspek kebersihan harus diberi penekanan dan keutamaan. Walaupun Kerajaan Negeri telah mempunyai Agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025, kerjasama erat dari setiap rakyat amat diperlukan. Beta menyeru setiap rakyat agar mengubah sikap dan meningkatkan amalan kebersihan dalam kehidupan terutama penjagaan alam sekitar dan premis makanan. Kualiti kebersihan premis dan perkhidmatan jualan makanan perlu ditingkatkan sejajar dengan dinamik semasa dan harapan pelanggan. Selain dari kempen kesedaran, pihak-pihak berkuasa mestilah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang tidak bertanggung jawab mencemarkan alam sekitar. Amalan baik kebersihan seperti di negara jiran terdekat – Thailand, Singapura dan Brunei – perlu dicontohi. Prasarana yang berkualiti adalah penting untuk mewujudkan ekosistem pelaburan dan logistik yang baik di Perlis. Salah satunya ialah perkhidmatan bekalan air. Beta sedar isu-isu yang dihadapi oleh SAP amat sukar dengan bebanan kewangan yang besar dan sentiasa meningkat. Beta berterima kasih kerana banyak usaha dan inisiatif telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menangani isu-isu bekalan air ini. Diharapkan agar usaha-usaha ini digiatkan lagi dengan kerjasama erat dari Kerajaan Pusat. Di masa yang sama pengguna bekalan air di Perlis juga mestilah amanah dengan membayar tunggakan bil air yang kini mencecah RM35.28 juta, dan tidak pula mencuri bekalan air. Telekomunikasi digital kini adalah satu keperluan asas hidup. Kerana itu prasarana digital yang cekap dan berkesan menjadi faktor penting untuk perkembangan ekonomi negeri dan kehidupan rakyat. Beta bersyukur dengan inisiatif JENDELA, roll out 5G dan projek Point of Presence (PoP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat di Perlis. Sistem telekomunikasi yang berkualiti juga adalah komponen penting dalam mewujudkan ekosistem pelaburan dan pelancongan yang menarik untuk Perlis.

Hadirin Sekalian,

Kini isu keselamatan makanan mendapat perhatian utama akibat dari beberapa perkembangan ekonomi dan politik dunia. Kekurangan bekalan makanan yang diburukkan lagi dengan lonjakan harga barang keperluan menyedarkan kita tentang kepentingan jaminan keselamatan makanan negara. Negara kita masih tidak mencapai Self Sufficient Level (SSL) dalam bekalan makanan. Tahun 2021 Malaysia telah import sebanyak RM55 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion.

Beta sedar Kerajaan Negeri telahpun mengambil inisiatif untuk meningkatkan bekalan makanan secara agresif sejak tahun 2018 lagi. Antaranya mengekalkan zon jelapang padi dan meningkatkan pengeluaran padi, pewujudan ladang- ladang tanaman komersial di Chuping dan Lubuk Sireh, pewujudan ladang-ladang ternakan haiwan untuk daging dan susu. Inisiatif berfokus boleh dibuat untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan tani kecil dan sederhana yang menggunakan teknologi moden. Beta yakin dengan kaedah pertanian moden seperti di Chuping Agro Valley (CAV), produktiviti pertanian dapat ditingkatkan. Tidak mustahil untuk Perlis muncul sebagai salah satu hub pengeluaran makanan utama di Malaysia di masa akan datang.

Hadirin Sekalian,

Dunia kini turut berhadapan dengan kesan perubahan iklim akibat dari bencana alam seperti banjir dan cuaca panas melampau. Begitu juga pencemaran alam sekitar akibat dari pelepasan karbon dan hutan yang semakin berkurang. Beta menyokong hasrat Kerajaan mengurangkan pelepasan karbon negara dan mencapai pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar mulai 2050. Jika tiada tindakan drastik bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan bencana alam yang dahsyat. Ini akan memberi kesan ke atas keselamatan, kesihatan dan gangguan terhadap ekosistem yang akan mengancam jaminan sumber air dan makanan. Beta menyarankan agar diwujudkan satu dasar atau pelan tindakan di peringkat negeri sebagai tanda komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani isu perubahan iklim. Dasar ini juga berpotensi untuk menarik pelaburan asing terutamanya pelaburan rendah karbon dan teknologi hijau.

Hadirin Sekalian,

Beta bimbang dengan peningkatan kadar kemiskinan di kalangan Ketua Isi Rumah (KIR) di Perlis akibat dari pandemik Covid-19 dan penyelarasan paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang baharu. Sistem data e-Kasih menunjukkan sehingga Julai 2022, bilangan KIR Miskin Tegar Negeri Perlis adalah sebanyak 3,992 orang dan KIR Miskin sebanyak 8,117 orang. Beta menyambut baik pelbagai program oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk mengeluarkan rakyat daripada garis kemiskinan ini. Antaranya Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia, Program Kasih Ibu Perlis, JomKerja@NCER, Program Peningkatan Ekonomi ASNAF MAIPs, Dasar Bebas Niaga Perlis, program keusahawanan, pertanian, penternakan, latihan industri, pendidikan dan perumahan untuk golongan B40. Beta menyeru semua pihak terus berganding bahu agar taraf hidup rakyat dipertingkatkan. Setiap rakyat hendaklah memanfaatkan segala bantuan yang diterima dan berusaha memajukan taraf hidup dan pendapatan keluarga. Jadikanlah platform yang disediakan sebagai batu loncatan untuk memajukan diri. Janganlah berpeluk tubuh dan mengharapkan bantuan Kerajaan semata-mata. Rumah adalah keperluan asas penting untuk menjamin kesejahteraan dan keselesaan hidup. Rakyat yang tidak mampu perlu dibantu untuk memiliki rumah sendiri yang selesa mengikut kemampuan Kerajaan. Beta yakin dengan halatuju Kerajaan Negeri dalam sektor perumahan seperti yang terkandung dalam Dasar Perumahan Hartanah Negeri Perlis (DPHPs) yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2022. Matlamat dan objektif DPHPs jelas, iaitu menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu milik. Program Perumahan Rakyat (PPR) juga akan diteruskan bagi golongan B40. Agenda memperkasakan syiar Islam di negeri Perlis akan diteruskan. Oleh itu, peranan

MAIPs berkaitan hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu demi ketinggian syiar Islam terpelihara di negeri ini sentiasa Beta berikan perhatian dan pertimbangan sewajarnya. Beta berharap Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0 dengan 23 inisiatif dapat dilaksanakan dengan sempurna dan menjadi kenyataan. Beta ingin mengingatkan rakyat agar sentiasa memelihara perpaduan dan kerukunan hidup bermasyarakat. Sentimen perkauman serta salahguna media sosial untuk menyebarkan hasutan, fitnah dan fahaman ekstremis perlu dikekang dan ditangani dengan segera demi mengelakkan perpecahan dan konflik dalam masyarakat pelbagai kaum. Semoga perpaduan dan kestabilan di negeri ini terus kekal, dan rakyat dapat hidup dengan aman dan harmoni. Penularan wabak COVID-19 telah mengubah landskap pelaksanaan tugas penjawat awam di semua jabatan dan agensi. Melalui Arahan Penugasan Semula Secara Sementara dalam tempoh Proklamasi Darurat 2021, penjawat awam digembleng untuk memerangi Covid-19 secara matrix dan integrated team work yang meningkatkan kecekapan perkhidmatan. Ini adalah sesuatu yang positif dan Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan dan penjawat awam kerana berjaya melaksanakan amanah dalam situasi yang sukar ini. Beta juga mengucapkan syabas kepada Kerajaan Negeri yang telah berjaya mendapat Sijil Bersih Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan Negeri berakhir 31 Disember 2021. Semoga pencapaian ini berterusan dan dapat dijadikan teladan dalam meningkatkan kecemerlangan organisasi. Jabatan Perangkaaan Malaysia melaporkan pertumbuhan ekonomi negeri Perlis dipacu oleh sektor perkhidmatan Kerajaan. Perkhidmatan Kerajaan Perlis telah meningkat lebih tinggi iaitu 4.8 peratus pada 2021 berbanding 4.2 peratus pada 2020. Sebagai tulang belakang dalam sistem pentadbiran Kerajaan, perkhidmatan awam dan penjawat awam perlu berperanan secara amanah untuk memacu kecemerlangan Kerajaan Negeri. Beta juga ingin menarik perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat dan seluruh penjawat awam berhubung kedudukan indeks rasuah Malaysia di dalam laporan Transparency International pada tahun 2021. Malaysia telah jatuh ke tangga 62 berbanding tangga 57 pada 2020 dari 180 buah negara. Pada hemat Beta, perkara ini wajar dipandang serius bagi menjaga imej Malaysia terutamanya sebagai Negara Islam di persada dunia. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memainkan peranan masing-masing dengan amanah demi membendung dan menghapuskan terus amalan rasuah ini dari bumi Malaysia. Beta juga ingin menyeru penjawat awam untuk memainkan peranan sebagai mata dan telinga Kerajaan. Aktif dalam memberi saranan dan pandangan yang baik dan praktikal kepada Kerajaan. InsyaAllah, dengan pendekatan ini perkhidmatan Kerajaan akan meningkat ke tahap yang lebih baik dan dapat memenuhi harapan rakyat.

Suka juga Beta mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan Dewan Undangan Negeri supaya perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri ini teratur dan sempurna. Berbahas dan berhujahlah dengan rasional dan jujur demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri. Bukannya berbahas untuk menonjolkan diri demi kepentingan peribadi. Marilah kita sama-sama mendoakan agar Allah melindungi rakyat Perlis daripada penyakit mahupun bencana yang tidak diingini, dipermudahkan segala urusan harian dan dimurahkan rezeki. Semoga Negeri Perlis akan terus berkembang maju, makmur, aman dan harmoni.

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, Beta dengan ini merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas pada hari ini.

Sekian, wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(Yang Amat Berhormat Menteri Besar diiringi Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar ke Peterana DiRaja bagi menyambut kembali Warkah Titah Ucapan DiRaja daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja. Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyerahkan Warkah DiRaja kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, mengangkat sembah dan kemudian kembali ke tempat masing-masing).

PENANGGUHAN DEWAN (Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri bangun mengadap untuk memohon limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja bagi menangguhkan Persidangan Dewan Undangan Negeri).Adjournment

Speaker

Ampun Tuanku, patik pohon ampuni limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menangguhkan Persidangan Dewan.

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja mengangguk memberi perkenan).

(Yang Berhormat Dato’ Speaker kembali ke meja Speaker Dewan).

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari Rabu, 10 Ogos 2022, jam 9.00 pagi.

Setiausaha Dewan

Bacaan doa oleh Sahibus Sahamah Mufti Kerajaan Negeri.

(Bacaan doa oleh Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Perlis).

Setiausaha Dewan

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja, Duli Yagn Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda berangkat meninggalkan Dewan.

(Semua di dalam Dewan berdiri).

(Lagu negeri Perlis dimainkan).

(Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan serta Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda berangkat meninggalkan Dewan didahului oleh Bentara yang menjunjung Cokmar, Penolong Setiausaha Dewan, Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker).

(Majlis tamat pada jam 11.25 pagi).