Perlis · 13 October 2022

14th Assembly, 5th session, 3rd meeting · 63 turns · 8,880 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.

(Pembukaan)

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.

Doa

Penolong Setiausaha Dewan

Doa.

(Bacaan doa oleh Penolong Setiausaha Dewan)

Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis

Setiausaha Dewan

Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.

Speaker

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli Yang Berhormat sekalian, untuk makluman Dewan yang mulia ini, pihak Dewan telah menerima dua permohonan ketidakhadiran ke Persidangan DUN pada hari ini iaitu permohonan daripada Yang Berhormat Tuan Teh Chai Aan, ADUN Kawasan Titi Tinggi bertarikh 7 Oktober 2022, yang menyatakan beliau tidak dapat menghadiri persidangan ini pada kali ini kerana beliau bercuti pada 12 Oktober sehingga 18 Oktober dan berada di luar negeri. Dan satu lagi permohonan daripada Yang Berhormat Tuan Mohd Shukri bin Ramli, ADUN Kawasan Sanglang, tarikh 12 Oktober 2022, menyatakan beliau tidak dapat menghadiri persidangan pada hari ini kerana beliau berada di luar kawasan dan tidak sempat balik untuk menghadiri persidangan. Saya telah membenarkan kedua-dua permohonan tersebut. Di kesempatan ini, saya juga ingin menerangkan kepada Ahli Yang Berhormat sekalian tentang aturan perjalanan Mesyuarat Dewan kita pada hari ini. Sebagai makluman Yang Berhormat sekalian tentang aturan perjalanan Mesyuarat Dewan kita pada hari ini… sebagai makluman Yang Berhormat, Mesyuarat Dewan kita pada kali ini khususnya untuk membincangkan Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2020, yang akan dibentangkan oleh YAB Menteri Besar dan seterusnya dibuka untuk perbahasan secara dasar. Saya akan memperuntukkan tempoh masa tidak lebih 15 minit setiap seorang kepada semua Ahli Yang Berhormat untuk membahas hanya rang undang-undang ini sahaja. Setelah itu, Dewan akan ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. Terima kasih.

Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022Bill

Setiausaha Dewan

Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan Rang

Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 dibaca bagi kali pertama.

Puan Asmaiza binti AhmadUMNO · BNChuping

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

Setiausaha Dewan

Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022. Bacaan kali pertama.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Yang Berhormat Dato’ Speaker, menurut proviso kepada peruntukan Peraturan 56 Dewan, saya mohon kebenaran untuk membaca Rang Undang-Undang ini bagi kali kedua pada hari ini juga.

Speaker

Yang Amat Berhormat dibenarkan.

Setiausaha Dewan

Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022. Bacaan kali kedua.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang yang bernama “Suatu Enakmen untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis”. Adapun tujuan Rang Undang-Undang ini adalah untuk membuat pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis:

Fasal satu mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan tentang permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan.

Fasal kedua, bertujuan memasukkan Perkara baharu 50A ke dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Dewan Negeri hendaklah terhenti menjadi Ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker di bawah Fasal (3) Perkara baharu 50A. Kekosongan luar jangka berlaku jika Ahli Dewan setelah dipilih ke Dewan Negeri sebagai anggota suatu parti politik, dia kemudiannya melepaskan keanggotaan atau terhenti menjadi anggota parti politik itu. Perkara yang sama juga terpakai bagi calon bebas yang setelah dipilih ke Dewan Negeri tetapi kemudiannya menyertai suatu parti politik. Perkataan “anggota suatu parti politik” yang disebut dalam seksyen baharu 50A hendaklah termasuk Ahli Dewan Negeri yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota gabungan itu. Perkara baharu 50A juga memperuntukkan keadaan apabila seseorang Ahli Dewan Negeri tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Negeri. Kekosongan luar jangka di Dewan Negeri hendaklah dipastikan oleh Speaker apabila menerima notis bertulis daripada mana-mana Ahli Dewan Negeri itu mengenai berlakunya kekosongan itu dan dia hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya tentang kekosongan itu dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu. Bagi maksud Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah menjalankan suatu pilihan raya dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pemberitahuan itu daripada Speaker. Yang Berhormat Dato’ Speaker, izinkan saya memberi sedikit penjelasan kepada Dewan yang mulia ini mengenai latar belakang cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh di hadapan kita pada hari ini. Pada 28 hari bulan Julai yang lalu, suatu akta bernama Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang mempunyai peruntukan bagi melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan di Dewan Rakyat dan juga disokong oleh majoriti 52 orang Senator di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022. Akta ini telah mendapat Perkenan Diraja oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 2022. Ia kemudiannya dijadikan Akta Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 (“Akta A1663”) dan telah disiarkan di dalam Warta pada 6 September 2022. Seterusnya Akta ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 2022. Ia kemudiannya dijadikan Akta Perlembagaan (Pindaan)(No. 3) 2022 (“Akta A1663”) dan telah disiarkan di dalam Warta pada 6 September 2022.

Seterusnya Akta ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi tarikh kuat kuasa pada 5 Oktober 2022. Dengan berkuat kuasanya Akta A1663 bermula pada 5 Oktober 2022, pindaan Seksyen 7A Jadual Ke-8 mengenai larangan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertukar Parti perlu diikuti dengan pindaan yang sewajarnya kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing terlebih dahulu sebelum peruntukan tersebut boleh mula berkuatkuasa. Justeru, Perkara baharu 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis dicadangkan pada hari ini, iaitu bagi menyelaraskan dan menggunapakai pindaan yang sudah digubal di bawah Jadual Ke-8 Perlembagaan Persekutuan. Dengan penjelasan itu Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan.

Puan Asmaiza binti AhmadUMNO · BNChuping

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 dibuka untuk perbahasan secara dasar. Saya mempersilakan Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menggunakan masa tidak lebih lima belas minit yang telah diperuntukkan bagi membahaskan pindaan undang-undang ini. Saya akan mempersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Saya tak nak bercakap panjang Dato’ Speaker sebab benda ni dah termaktub dan dipersetujui di peringkat pusat, cuma kita nak selaraskan di peringkat negeri. Itu dalam usaha mengekalkan kestabilan politik di peringkat negeri dan juga keseragaman dalam sistem yang kita dah ni di peringkat persekutuan. Jadi saya rasa Tambun Tulang tidak bermasalah untuk kita meluluskan Enakmen Rang Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis (Pindaan) 2022, terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang. Saya mempersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.

Tuan Mohd Ridzuan bin HashimPAS · PNGuar Sanji

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillah, wassalatu wassalamu a’la rasulillah, waa’la alihi wasahbihi waman wala. Firman Allah SWT, (Yang Berhormat Guar Sanji membacakan Surah An-Nisa’, ayat 55)

Yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu untuk menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum diantara manusia, kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.”

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mengambil kesempatan dalam sidang pada pagi ini ingin menyatakan bersamaan dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Man di atas pembentangan… cadangan… Akta ataupun Enakmen Anti Lompat Parti bagi negeri Perlis. Melihat kepada situasi semasa apabila… berlakunya lompat-melompat antara parti, apabila berlakunya pilihan raya, ianya mengundang pelbagai masalah dan kesan yang negatif kepada sesebuah kerajaan yang telah dipilih oleh kerajaan secara sah. Kalau kita lihat di kebanyakkan negara lebih kurang 41 negara daripada 193 buah negara di dalam dunia ini telah pun laksanakan akta ini. Dan perkara ini sebagaimana telah diputuskan oleh Dewan Rakyat, maka saya juga menyokong sepenuhnya agar perkara ini dilaksanakan di negeri Perlis agar perkara-perkara yang tidak di angini… diingini berlaku, demi untuk melangsungkan pentadbiran yang baik dalam… pilihan raya yang ke-15 nanti, insya-Allah. Jadi saya mohon menyokong enakmen ini. Sekian.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji, dipersilakan Yang Berhormat Sena.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillahirobbil ‘alamin, wabihi nasta’in, waa’la nauzubilla illa a’lazolimin. Ashaduallahilahu wahdahulasyarikalah, wa ashhadu anna muhammadan ‘abduhu wa rasuluh. Robbisrohli sodri, wayassirli amri, wahlul uqdatan millisani, yafqohu qauli. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker kerana memberikan Sena ruang untuk turut berbahas bagi tujuan untuk… meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis untuk memasukkan perkara baharu 50A sebagaimana yang rakan… sahabat-sahabat Yang Berhormat tadi, saya juga ingin merakamkan di Dewan Yang Mulia ini bahawa saya, dengan sepenuh apa ni… menyokong sepenuhnya untuk mewujudkan… ke arah mewujudkan satu enakmen bagi mengawal ADUN Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis daripada melompat ke sana ke sini… kerana… itu satu tindakan yang tidak… yang… apa ni, yang… me… mengkhianati mandat rakyat yang telah memilih mana-mana ADUN atas platform parti politik yang beliau sertai ataupun sebagai calon bebas. Di kesempatan ini juga saya merakamkan ucapan tahniah, sebab saya tidak ada masalah perbezaan kita dalam parti politik tetapi kita ada maruah, kita kekal walaupun contohnya macam sahabat-sahabat saya Yang Berhormat di hadapan, terus kekal dalam walaupun 60 tahun… setelah 60 tahun berkuasa dalam PRU yang lepas, kalah tetapi bertahan kerana… bagi saya tu macam ada kami juga, walaupun kami juga hilang sebagainya, kami kekal… walaupun saya nak rakamkan di Dewan Yang Mulia ini, saya pun turut… memang ada di saat Sheraton tu ada… apa nama… kawan-kawan yang ni kan… tapi… kita tidak mahu kerana bagi saya, maruah dan prinsip kita… apa nama ni… maruah tu adalah satu benda yang penting dan tidak boleh… tidak ada nilai dan tidak boleh dijual beli walaupun jutaan ringgit sekalipun. Dan saya… saya rasa Yang Berhormat Speaker kita adalah Dewan Undangan Negeri Perlis adalah… betulkan kalau saya silap, adalah Dewan Undangan Negeri yang pertama bersidang untuk tujuan berbahas tentang enakmen ini. Betul ya Yang Berhormat Speaker? Jadi saya rakamkan tahniah kepada pihak… khususnya kepada Yang Berhormat Bintong sebagai ketua majlis kerana telah mengetengahkan untuk kewujudan enakmen ini sebelum berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri Perlis. Itu antara lainnya yang saya saya nak sampaikan Yang Berhormat Speaker, sebab kita tengok dah perbahasan yang panjang, yang mana rata-ratanya sampai sokongan pun sepenuh… apa… sokongan sebulat suara di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Saya tidak mahu memanjangkan kalam, saya rasa itu dah dah cukup dah memadai apa yang telah diperbahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Terima kasih, sssalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Sena, dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.

Puan Gan Ay LingPKR · PHIndera Kayangan

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker dan saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Speaker kerana memberikan ruang kepada saya untuk memberikan bahas berkenaan dengan enakmen… yang pindaan enakmen baru ini dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Saya rasa sekian lama undang-undang dan enakmen yang diperbincangkan dalam Dewan Negeri dan juga negara dan akhirnya telah membawa satu persetujuan di mana enakmen ini dan perlembagaan ini telah dipinda di peringkat ke persekutuan dan kini dibawa ke Dewan Undangan Negeri ke Perlis.

Saya rasa ini adalah satu perubahan dan satu langkah yang bagus dalam bidang politik khususnya untuk negeri Perlis apabila kita mengadakan sidang khas ini dalam membincangkan perkara ini. Dan saya rasa adalah adil jika seorang wakil rakyat yang akan tukar parti dari anggota partinya menyerah balik segala hak-hak rakyat untuk menentukan wakil rakyat mereka dengan pindaan enakmen ini. Ini adalah kerana satu perubahan yang baik dan maju untuk demokrasi negara ini harus kita kekalkan dan juga mesti melangkah ke hadapan. Maka saya menyokong sepenuhnya enakmen ini dalam membawa negeri Perlis ke arah satu perlaksanaan dan pindaan undang-undang… Undang-Undang Tubuh Negeri yang baik dalam pentadbiran negeri Perlis. Dengan ini saya menyokong sepenuhnya enakmen ini.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan, dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.

Tuan Nor Azam bin KarapPKR · PHKuala Perlis

Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker kerana juga memberi ruang kepada Kuala Perlis untuk membincangkan pindaan undang-undang… berkenaan akta lompat parti ni. Saya tak berniat nak bercakap panjang memandangkan apa nama ni… perkara ini sudah diluluskan di peringkat tertinggi lah, di peringkat par… Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Disini saya cuma nak… nak merakamkan jutaan terima kasihlah kepada pihak Yang Berhormat Dato’ Speaker, pihak kerajaan, pihak Dewan lah sebab seingat saya, sehabis sidang kita pada bulan Ogos yang lepas dah… kita dah bincang dah berkenaan untuk kita set… orang kata mesyuarat untuk kita bincangkan perkara ini.

Alhamdulillah, hari ini termakbul walaupun orang kata notis untuk panggilan mesyuarat ni tak sampai 14 hari, tapi kita tidak masalah untuk menyokong untuk mesyuarat hari ini dan seterusnya menyokong enakmen ini. Untuk maklumat Dewan Yang Mulia ini, kami ni orang politik, Ahli-Ahli Dewan ni, business core kami yang paling utama adalah mendapatkan undi daripada rakyat. Ni kita dah tau yang 10 hari bulan baru ni, dah dibubarkan di peringkat Parlimen dan insha-Allah, Dewan Undangan Negeri juga akan dibubarkan dan insha-Allah kalau ditakdirkan, Ahli-Ahli Dewan ini dicalonkan lagi, jadi core business kami nak mendapatkan undi rakyat.

Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, setiap undi daripada rakyat itu sangat berharga. Dan rakyat sangat marah bila ada perkara-perkara yang dibuat oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang suka menukar parti sesuka hati ni. Jadi, alhamdulillah kita sebagai Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh kata ni dok ada 4, 5 yang dah… yang menyokong, dan kita berharap kita dengarlah suara rakyat tu. Janganlah kita cuba lagi untuk meremehkan suara depa dengan undian yang depa bagi tu dekat kita tu, kita nak meremehkan pendapat mereka sebab mereka pilih kita tu atas suatu parti, atas… atas… orang cakap keinginan depa untuk memilih kita tu. Jadi saya berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat lepas ni tidak akan… cubalah untuk melompat parti ini. Dan kalau rasa untuk melompat juga, kita insya-Allah satgi lulus sebulat suara, kita bagi chance masa tu lah, sat ja lah insha-Allah.

Di kesempatan ini juga Dato’ Speaker, saya nak merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang akan saya sebutkan nanti, sebab mungkin kita rasa ini yang terakhir untuk saya berdiri di sini pada penggal ini. Kita tak tau lagi penggal depan macam mana, tengoklah kalau rakyat renew, kita terima, kalau rakyat tak renew, tak boleh nak buat apa lah. Jadi saya nak ucapkan, jutaan terima kasih lah kepada pihak Yang Berhormat Dato’ Speaker, pihak Dewan, Ahli-Ahli Yang Berhormat, kawan-kawan di sebelah sana, harini cantik berbaju biru hari ini. Alright, kemudian kepada semua ketua-ketua jabatan dan agensi, semua ahli… semua hadirin yang hadir dalam Dewan ini, semua penjawat-penjawat awam dan yang paling utama lah saya nak buat ucapan terima kasih ni pada pengundi-pengundi dan juga penduduk Kuala Perlis. Insya-Allah kalau diberikan lagi peluang, kita berjumpa lagi kita nanti. Dengan itu, saya dengan ini menyokong penuh apa nama ni… pindaan enakmen Undang-Undang untuk perbahasan harini. Insya-Allah, sekian, assalamualaikum warrohmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya nak tangguhkan untuk kita minum dan sarapan. Mungkin yang belum ada sarapan dan kita akan sambung semula yang akan saya beri peluang pada pihak kerajaan dan seterusnya untuk bacaan dan meluluskan Undang-Undang Enakmen ini. Jadi saya tangguhkan dan kita masuk semula 10.45 pagi ni, terima kasih.

(Persidangan ditempohkan sementara pada jam 10.08 pagi)

(Persidangan disambung semula pada pukul 10.45 pagi)

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan disambung semula. Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 dibuka untuk perbahasan secara dasar dan saya mempersilakan pihak kerajaan untuk memberi maklum balas dan seterusnya menggulung perbahasan. Dipersilakan Yang Berhormat Mata Ayer.

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Keluarga Malaysia, salam kasih sayang, salam I love you. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Amat Berhormat Bintong, rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat PKN, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang, Yang Berhormat Datuk Seri SS, seterusnya ketua-ketua jabatan, wakil-wakil jabatan, rakan-rakan media, dan sidang hadirin yang… sidang Dewan yang dimuliakan. Alhamdulillah, terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker kerana memberi ruang dan peluang untuk saya bersama-sama bagi menyokong Rang Undang-Undang yang dibentangkan pada hari ini. Pertamanya saya mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker kerana sepanjang mengendalikan Dewan dalam penggal ini, telah pun dapat melaksanakan tanggungjawab dan tugasan yang begitu baik serta dengan penuh tertib sekali. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Berbahagia Puan Setiausaha Dewan bersama dengan kakitangan Dewan, para bentara-bentara Dewan, terima kasih banyak-banyak. Harini ucapan saya banyak perkataan ‘terima kasih’, sebab dengan suci hatinya ingin menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada semua-semua yang ada di negeri Perlis ini, dan Yang Berhormat Dato’ Speaker, Mata Ayer merasakan harini adalah… sidang khas ini adalah sidang Dewan kita yang terakhir bagi penggal ini. Jadi di kesempatan yang ada pada harini, Mata Ayer ingin mengambil peluang untuk mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan bersama dengan staf, jabatan-jabatan berkenaan yang telah begitu baik, hubungan erat dan juga memberi kerjasama yang begitu baik dengan DUN Mata Ayer sehingga banyak agenda yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan telah dapat disempurnakan dengan sepenuhnya. Tanpa sokongan dan juga hubungan erat ini, tidak mustahil lah DUN Mata Ayer akan dapat jalan yang merelit merelap, pembangunan yang begitu baik dan juga kemudahan infra lain yang sangat-sangat terbaik di Mata Ayer. Dan sesungguhnya, hubungan baik ini… kerjasama ketua-ketua jabatan ini, tetap akan menjadi kenangan dan akan tersemat di hati sanubari saya sebagai ADUN Mata Ayer dan insya-Allah sekiranya rezeki masih berada di tangan Siti Berenee, kerjasama ini akan kita teruskan pada penggal akan datang, insya-Allah. Kepada Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri, Yang Berhormat Datuk Seri SS dan juga Yang Berhormat Penasihat Undang-undang yang sentiasa berada bersama-sama dengan kami, dan juga saya dalam memberi khidmat nasihat yang sangat-sangat berguna untuk digunapakai sepanjang perkhidmatan sama ada di kawasan ataupun sebagai EXCO Kerajaan Negeri, terima kasih dan tetap sayang di hati, i love you. Penghargaan dan terima kasih kepada 3 agensi yang berada di bawah portfolio saya sepanjang penggalnya ini iaitu JPNIN, LPPKN dan juga Pejabat Pembangunan Wanita, terima kasih kepada pengarah-pengarah tiga orang yang begitu baik hati, begitu mulia dan sentiasa memberi kerjasama, sentiasa tidak pernah melupakan EXCO nya. Terima kasih puan pengarah, terima kasih tuan pengarah dan terima kasih puan pengarah. Kirim salam pada semua staff dan ucapkan terima kasih juga, dan insya-Allah sekiranya ada peluang kita akan bersama-sama lagi pada penggal akan datang, insya-Allah. Dan segala hubungan baik, hubungan erat inilah yang telah membawa kepada urus tadbir portfolio saya berjalan dengan selancar-lancarnya, dan silaturrahim ini akan diteruskan sehinggalah ke sekian waktunya. Dan Yang Berhormat Dato’ Speaker, adalah sangat-sangat tidak adil saya kira di sini, tidak saya sebutkan kepada pengerusi-pengerusi JPKK dan ketua-ketua cawangan DUN Mata Ayer yang sentiasa menjaga keakraban, menjaga kesepaduan dan sentiasa bekerjasama dengan ADUN Mata Ayer sepanjang penggal ini dan merekalah sebenarnya jantung hati saya, jantung hati cinta hati saya dan juga nyawa saya. Tanpa fungsi-fungsi JPKK bersama kepemimpinan mereka dan juga warga Mata Ayer ni, siapalah Yang Berhormat Siti Berenee pada hari ini. Dan insya-Allah PRU 15 nanti, wahai pengerusi-pengerusi JPKK, Ketua-ketua Cawangan dan warga Mata Ayer, kita akan rempuh dan tempuh bersama-sama sebab Mata Ayer adalah hak kita dan kita…

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Dato’ Speaker, dia... dia tak berkaitan dengan enakmen ni. Macam nak bermadah ja…

Speaker

Yang Berhormat Tambun Tulang. Saya nak…

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

I love you too lah. Pengerusi…

Speaker

Saya nak... saya nak bagi dia habis sampai bila, kemudian saya nak ulas.

Yang Berhormat Tambun Tulang, tak pa Yang Berhormat Tambun Tulang. Minta tolong tag sikit… tanda sikit berapa kali terima kasih hari ni. sebab banyak lagi ni, ada dalam 18 muka surat lagi. Tak banyak dah, sebenarnya satu minit saja lagi. Yang Berhormat Dato’ Speaker dan sidang Dewan semua, mewakili warga Mata Ayer special ataupun istimewanya ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Bintong kerana Yang Amat Berhormat Bintong tidak pernah memandang sebelah mata apa jua permintaan daripada DUN Mata Ayer. Semuanya diambil perhatian dan banyak yang telah pun diluluskan untuk dilaksanakan. Sekali lagi terima kasih Yang Amat Berhormat Bintong dan teruslah… kami warga Mata Ayer mendoakan supaya Yang Amat Berhormat Bintong terus menerajui negeri Perlis ini sebab banyak manfaat yang Mata Ayer dapat, terima kasih. Tak boleh kata I love you, sebab ada 3 lagi kuota. Yang Amat... Yang Berhormat Dato’ Speaker… perancangan untuk… saya khususkan untuk Mata Ayer la…

Speaker

Yang Berhormat, saya ingat boleh berhenti di sini sebab saya ada sebut tadi kita dah bagi peluang kepada back benchers untuk bercakap khusus kepada enakmen undang-undang.

Ok, baik Yang Berhormat Dato’ Speaker, nak ucap terima kasih saja Yang Berhormat Dato’ Speaker. Satu minit saja lagi… satu minit ja. Perancangan di DUN Mata Ayer, kalau boleh untuk selepas ni kita akan sifarkan mana-mana miskin tegar yang tercatat di DUN Mata Ayer. Itu hasrat tak besar, tapi sangat-sangat bermakna dan Mata Ayer dengan sepenuhnya menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis Pindaan 2022 diterima sepenuhnya. Kalau pun tak diterima, tak larat buat pillihan raya, tak larat mengundi lah kita. Jadi, Mata Ayer sepenuhnya menerima dan menyokong Rang Undang-Undang ini. Terima kasih, sekian wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Mata Ayer. Saya mula nak… nak… nak stop awal tadi, tapi dia yang awal. Kalimah dia kasih sayang I love you apa semua kan… jadi kita nak dengar lah, tapi rupanya dia ada panjang sikit dan saya tak mau dia macam lebih daripada back bencher. Back benchers dia cakap tadi 15 minit, ada setengah… tak sampai 1 minit. Jadi saya ulang sekali lagi bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat silalah menggunakan ruang ini untuk kita membincangkan undang-undang Rang Undang-Undang Enakmen yang telah dibaca kali pertama dan kali kedua oleh yang Amat Berhormat Menteri Besar. Silakan Yang Berhormat Pauh.

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirobbil alamin, washolatu wassalamu ala asrofil ambiyai walmursalin, waala alihi wasohbihi ajmain. Rabbishrahli sadri, wayassirli amri, wahlul uqdatan millisaani, yaf kahu kauli. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Perlis, Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, yang sangat saya hormati, Yang Amat Berhormat Bintong, barisan Ahli-Ahli Yang Berhormat-Yang Berhormat semua, sidang Dewan yang saya kasihi sekalian. Saya berdiri di sini ingin menyatakan sekali lagi setinggi-tinggi rasa kesyukuran dengan adanya pindaan kepada Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis 2022 seperti yang dibahaskan pada hari ini, justeru membawa erti saya amat-amat menyokong kepada pindaan ini. Terima kasih sahabat-sahabat, Yang Amat Berhormat yang telah pun menyatakan sokongan yang tidak berbelah bagi. Melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti adalah wajar, relevan dan sangat tepat kerana kita telah melalui banyak situasi yang boleh memecah-belahkan rakyat dan khianat mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kita. Kita semua perlu sedar, bahawa kerajaan ini perlu satu kerajaan yang stabil, kerajaan yang berprinsip, kerajaan yang bertanggungjawab dan ini membawa bukti bahawa mandat-mandat yang telah diberikan kepada kita harus kita laksanakan dengan baik. Kita perlu kuat dan bijak pada tempatnya. Inilah masanya kita berkhidmat, inilah masanya kita rasa selesa dengan rakyat, inilah masanya kita peduli dengan keperluan mereka, inilah masanya kita sama-sama membangunkan negeri Perlis yang sangat kita cintai. Tamatkanlah ketidakstabilan politik negara, politik negeri kita, semoga kita semua menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Saya mengambil kesempatan di sini juga untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan kepada saya di N11 Pauh dan sebagai pengerusi 4 portfolio iaitu Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi & Inovasi dan Komunikasi dan semoga dengan kerja kuat yang telah dilaksanakan selama ini dapat beri manfaat kepada rakyat negeri Perlis. Sekian, saya mohon menyokong. Sekian, wabillahi taufik walhidayah. wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Pauh. Silakan Yang Berhormat Beseri.

Tuan Ruzaini bin RaisUMNO · BNBeseri

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirobbil alamin, washolatu wassalamu ala asrofil ambiyai walmursalin nabiyina muhammad waala alihi wasohbihi ajmain. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Amat Berhormat Bintong, Yang Berhormat-Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, urus setia Dewan dan tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati oleh Allah sekalian. Bersyukur kita kepada Allah pada pagi ini, kita dapat mengadakan satu sidang, sidang untuk Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 iaitu memasukkan perkara baru 50A ke dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis. Jadi kalau kita lihat sebelum pada PRU yang ke-14, kalau kita lihat ahli-ahli politik melompat parti oleh kerana tidak ada sebarang kemasukan undang-undang iaitu melompat parti. Kita boleh lihat ketika itu keadaan negara menjadi satu fenomena yang baru, ahli-ahli politik melompat parti bila berlaku penubuhan kerajaan Barisan Nasional ketika itu, keadaan PH memerintah ketika itu, berlaku fenomena lompatan parti ini. Jadi pada ketika itu, berbagai-bagai perkara yang kita lihat bermain dalam fikiran rakyat. Bagaimana ahli-ahli politik ini melompat parti yang telah… yang telah mengkhianati amanah rakyat. Jadi inilah salah satu peluang yang terbaik yang saya rasa… sebab apa di Dewan Rakyat, akta lompat parti ini telah diwartakan iaitu pada 6 September 2022 dan akta ini telah mendapat perkenan yang daripada Agong iaitu tarikh kuatkuasa pada 5 haribulan 10, 2022. Jadi oleh kerana itu, kita lihat berbagai-bagai parti politik yang mana untuk mengekang ahli-ahli politik melompat, berbagai cara telah dibuat… agreement lah, dan berbagai-bagai kaedah untuk dibuat. Jadi saya rasa kaedah itu tidak sesuai dan dalam keadaan inilah iaitu kita putus dalam sidang Dewan Undangan Negeri bahawa dan untuk anti lompat parti ini, saya dengan ini menyokong Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis iaitu Pindaan 2022 memasukkan perkara baru 50A ke dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis iaitu Undang-Undang Anti Lompat Parti. Jadi sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Beseri. Silakan Yang Berhormat Kayang.

Tuan Hamizan bin HassanUMNO · BNKayang

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah… alhamdulillahirobbil alamin, wabihi nastain. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya…terima kasih kerana memberi kesempatan kepada saya untuk turut sama dalam membahas di dalam pembentangan usul pada kali ini. Dan Yang Berhormat Dato’ Speaker, apa yang saya simpulkan bahawa adalah kata kunci tentang apa yang kita bincangkan pada hari ini ataupun yang kita sedang usulkan pada hari ini adalah berkaitan dengan kestabilan. Kestabilan dan kemakmuran, sama ada dari segi politik dan juga kestabilan di dalam pentadbiran Kerajaan. Yang Berhormat Dato’ Speaker, bertepatan dengan pembentangan usul RUU ini adalah juga sebagai satu panduan ataupun peringatan kepada kita semua agar moral ataupun amanah yang dipikul, yang telah diamanahkan oleh rakyat kepada kita ini dapat kita selarikan dengan tuntutan agama kita, yang mana amanah yang telah diberi mandat kepada kita ini sepatutnya kita gunakan untuk kemakmuran rakyat di kawasan kita. Dan kita yang telah dilantik sebagai pemimpin ini juga sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan yang sepatutnya kepada rakyat di luar sana. Yang Berhormat Dato’ Speaker, di kesempatan ini juga saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker dan juga semua pegawai-pegawai Dewan yang telah bertungkus-lumus yang telah menjayakan setiap sesi persidangan kita bermula daripada awal penggal 2018 yang lalu sehinggalah ke hari ini. Dan di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada barisan ex-Officio, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat PUU dan juga Yang Berhormat PKN, seterusnya ketua-ketua jabatan, penjawat-penjawat awam yang telah selama ini mendokong dan melaksanakan agenda Kerajaan Negeri dalam apa ni… melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri di negeri ini. Dan saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Bintong di atas pengalaman dan juga tunjuk ajar yang telah diberikan dalam menjayakan perjalanan Kerajaan Negeri terutamanya di dalam portfolio saya. Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya dengan ini menyokong sepenuhnya usul Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022. Terima kasih.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Kayang. Dipersilakan Yang Berhormat Santan.

Tuan Azizan bin SulaimanUMNO · BNSantan

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirobbil alamin, washolatu wassalamu ala asrofil anbiya wal mursalin, sayyidina Muhammadin wa ala alihi wa sohbihi ajma'in. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Amat Berhormat Bintong, Ahli-ahli Yang Berhormat, seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, kita bersyukur pada hari ini kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berada dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-14. Yang Berhormat Dato’ Speaker, tajuk utama persidangan kali ini adalah tumpuan kepada isu lompat parti atau pindah parti oleh wakil-wakil rakyat tertentu, yang mana beliau telah menang dalam PRU dan juga mewakili parti-parti tertentu. Saya tidak akan mengulas panjang, jadi saya mewakili N5 Santan, dengan ini saya menyokong Rang Undang-Undang yang bernama suatu enakmen untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri seperti yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Menteri Besar pada pagi ini. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Santan. Dipersilakan Yang Berhormat Simpang Empat.

Tuan Nurulhisham bin YaakobUMNO · BNSimpang Empat

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Keluarga Malaysia. Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Berhormat Setiausaha… silap… dia dok duduk tempat MB… tu yang saya dok tengok… eh… tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Terlebih dahulu saya ucap terima kasih lah kerana bagi peluang kepada saya untuk bercakap pada pagi ini. Tujuannya ialah untuk rang undang-undang enakmen meminda Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri perkara baru 50A tahun 2022. Tujuannya adalah untuk memberitahu kepada semua ahli-ahli politik, tak kira apa parti bahawa hendaklah setia pada parti yang asal, tidak perlu berubah-ubah. Kalau berubah habis hilang semua, kosong tak dak apa. Tujuan dia… dan apa yang kita paham pada hari ini, inilah yang menjadi kehendak rakyat sepertimana yang sebelum kita menjadi ADUN, kita berkempen berbagai-bagai macam, mengatakan parti kita ni bagus, lagu nu, lagu ni. Tiba-tiba bila kita menang kita lompat pi parti lain, nak pi balik parti lama. Yang tu yang kita taknak. Dengan itu, saya sebelum menyokong ni, saya mengucapkan banyak-banyak terima kasih pada Dato’ Speaker, Setiausaha Dewan, YB SS, YB PKN, YB LA, yang terutama sekali kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis yang telah memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat, dah masuk dua penggal. Kalau ikut Dato’ Seri Md. Isa dia kata, kena-kena gaya masuk darjah tiga lah dia kata, kalau kena gaya. Dan kepada ketua-ketua jabatan, semua ni… para pemberita, tuan-tuan dan puan-puan yang telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada saya sepanjang bertugas ni terutamanya jabatan-jabatan yang di bawah saya. Dengan itu, saya pohon menyokong.

Speaker

Terima Kasih Yang Berhormat Simpang Empat, silakan Yang Berhormat Beseri… silakan Yang Berhormat Chuping.

Puan Asmaiza binti AhmadUMNO · BNChuping

Bismillahirahmanirahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Perlis, Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker. Terima kasih kerana memberi sedikit peluang kepada saya berbahas. Tak banyak pun, cuma… kesempatan ini saya juga ingin menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita dapat mengadakan sidang khas pada hari ini, terutama sekali untuk kita meluluskan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 berkaitan dengan Rang Undang-Undang Lompat Parti dan sebagainya ini. Dan sebagaimana kita sedia maklum, kita pun dah sangat-sangat memaklumi bahawasanya perubahan iklim politik negara kita selepas PRU-14 ini menunjukkan pelbagai… orang kata apa… lakonan-lakonan dan pelbagai persepsi dan yang membuatkan rakyat di luar sana merasakan ianya tidak adil sekiranya satu garis panduan kita laksanakan. Itu sebab terbentuknya Rang Undang-Undang ini diperjelaskan di peringkat persekutuan dan juga hari ni di peringkat Kerajaan Negeri Perlis. Jadi harapan saya semoga kita semua yang ada di sini ataupun yang bakal-bakal menjadi calon pada PRU-15 nanti dapatlah memahami bahawasanya kita dah wujud satu Rang Undang-Undang sebagai garis panduan kita. Maka ianya tidak mungkin akan berlaku lagi pada PRU yang akan. Pada PRU inilah yang bakal kita tempuhi dan saya juga ingin mengambil kesempatan ingin mengucapkan jutaan terima kasih, terutama sekali kepada Yang Berhormat Dato’ Speaker dan semua lah barisan Dewan yang telah memimpin kita selama penggal… daripada awal penggal sampailah ke hujung ini dan terima kasih juga kepada Ex-Officio, YB SS, YB PKN, YB LA yang telah banyak mentadbir urus Kerajaan Negeri pada sehinggalah ke… depa ni jawatan depa sampai bila-bila, kiranya tak ditukar ke negeri-negeri lain, dan juga terima kasih kepada ketua-ketua jabatan dan tak lupa juga terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Bintong atas kepercayaan yang diberikan kepada saya yang dilantik sebagai EXCO Kerajaan Negeri Perlis selama dua penggal ini. Jadi terima kasih kepada semua pemerhati. Insya-Allah kalau ada izin dan peluang kita jumpa lagi. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum. Saya menyokong Yang Berhormat Dato’ Speaker.

Speaker

Terima Kasih Yang Berhormat Chuping. Yang Amat Berhormat Bintong silakan.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker, terima kasih terutamanya saya ingin ucapkan kepada kesemua Ahli-ahli Yang Berhormat sama ada yang berada di pihak back benchers mahupun front benchers yang telah sebelum ini di dalam perbahasan menyatakan sokongan yang kuat ke atas pindaan kepada Undang-Undang Tubuh… Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis ini iaitu yang berkaitan dengan isu melompat parti dan kita melakukan pindaan ini untuk membolehkan pindaan yang lebih awal yang telah dilakukan di peringkat pusat terutama sekali kepada Perlembagaan Negara itu sendiri dan pertamanya kita nak memastikan supaya pindaan di dalam Perlembagaan itu adalah diselaraskan juga dengan Undang-Undang Tubuh Negeri yang merupakan juga Perlembagaan Negeri. Alhamdulillah, pada hari ini semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian di dalam perbahasan berhubung dengan cadangan pindaan ini telah menyatakan sokongan sepenuhnya. Tadi saya melihat kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian tetapi tumpuan saya tertumpu kepada Yang Berhormat daripada Simpang Empat, di dalam ucapan dia tadi dia bercakap dengan Yang Berhormat Speaker tapi matanya tertumpu pada Setiausaha Dewan.

Speaker

Betul Yang Berhormat, saya duk agak dah tadi. Tapi nak buat macam mana faktor umur boleh jadi…

Tuan Nor Azam bin KarapPKR · PHKuala Perlis

Dak tu Yang Berhormat Bintong, tu yang dia mintak naik darjah tiga tu.

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Dan kebetulan pula saya pun perhati pula yang Setiausaha Dewan… Setiausaha Dewan pun nampak terpegun ucapan daripada Simpang Empat, tapi saya tidak ada spekulasi yang tak baik. Yang Berhormat Speaker, berbalik kepada isu kekangan ini, saya sendiri merasakan bahawa pindaan ini adalah sangatlah wajar. Pertamanya kerana apabila dipilih sebagai wakil rakyat perkataan itupun dipilih dan siapa yang memilihnya yang memilihnya adalah rakyat maka kerana itu sangatlah tidak wajar dan tidak adil kepada rakyat apabila amanah atapun mandat yang diberikan oleh rakyat itu dikhianati kerana rakyat telah membuat keputusan itu berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan tertentu. Dan saya yakin bahawa selain daripada keyakinan kepada parti itu yang diwakili oleh wakil rakyat tersebut, tetapi juga keyakinan kepada wakil rakyat itu sendiri untuk menjalankan amanah yang diberikan itu dan malangnya sekali apabila wujud situasi di mana disebabkan soal-soal yang tertentu dan telah mengubah fikiran wakil-wakil rakyat ini untuk berpindah rumah… menukar rumah dalam konteks ini untuk menukar parti kerana ada kepentingan-kepentingan tertentu yang kita pun tak berapa faham apa di sebaliknya, dan ini akan memberikan sesuatu imej yang tidak sihat, yang tidak baik kerana wakil-wakil rakyat ini dipanggil Yang Berhormat dan bertugas pula di dalam Dewan yang dimuliakan. Jadi tidak wajarlah sekiranya berlaku sesuatu perkara yang dilihat sebagai tidak berhormat dan keduanya, tindakan-tindakan yang sebegini seolah-olah tidaklah memuliakan tempat Ahli-Ahli Yang Berhormat berkenaan bertugas. Jadi saya rasa pindaan ini amat bertepatan, dan yang keduanya kita harus melihat kepada kesan ataupun akibat daripada tindakan yang dilakukan itu. Dia yang pertamanya dia menimbulkan keadaan ketidakstabilan di dalam parti-parti yang diwakili itu sendiri. Dia boleh menggoncang, dia boleh melemahkan parti-parti itu sendiri secara dalaman, sebab mana-mana parti politik pun kekuatannya, kemampanannya adalah bergantung kepada kesetiaan ahli-ahli di dalam parti yang berkenaan. Sekiranya tindakan melompat ini dibenarkan, dia akan menjejaskan parti itu sendiri. Dia tidak akan menstabilkan parti itu sendiri, malah tidak mustahil dia boleh menghancurkan parti itu. Walaupun parti itu mempunyai ideologi, objektif yang noble, dengan izin Yang Berhormat Dato` Speaker, yang baik yang tujuannya untuk berkhidmat kepada rakyat, untuk negara dan sebagainya. Dan ketidakstabilan ini bukan hanya sekadar kepada kestabilan di dalam parti, malah dia boleh membawa implikasi kepada ketidakstabilan kerajaan yang dibentuk oleh parti-parti itu. Ini jelas, kita melihat sejak daripada tahun 2018 selepas saja pilihan raya umum yang keempat belas, suasana tidak stabil ini telah mula berlaku, dan kerana itulah jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan itu. Dan rentetan daripadanya, jatuh pula sebuah kerajaan lagi yang sempat berkuasa selama 17 bulan, dan digantikan pula dengan sebuah kerajaan yang lain dalam satu tempoh yang sangat pendek dan 4 tahun saja kita telah melihat 3 buah kerajaan. To me, dengan izin, this is record… a record breaking. Mungkin world record orang kata, tak tahulah saya tak pasti itu sama ada kita telah memecahkan rekod dunia kerana di dalam 4 tahun, hanya dengan sekali pilihan raya sahaja kita telah mencatatkan rekod 3 buah kerajaan. Dan apa implikasinya? Kita melihat keadaan negara yang tidak stabil. Apabila ada kerajaan yang tidak stabil, yang itu memberi kesan kepada keputusan-keputusan yang akan dibuatnya, keputusan-keputusan dasar terutama sekali dan kita dapat melihat keputusan-keputusan dasar yang pokok yang dilakukan oleh kerajaan sebelum PH 2022, 22 bulan itu berbeza dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan selama 22 bulan. Dan kerajaan 22 bulan dari segi dasarnya juga dilihat berbeza dengan kerajaan yang selama 17 bulan. Dan dasar-dasar kerajaan selama 17 bulan dan 22 bulan itu dilihat juga ada sedikit perbezaan dia dengan kerajaan yang ada sekarang. Apakah implikasinya? Implikasinya amat besar. Dunia melihat kita apatah lagi Malaysia ini merupakan sebuah negara yang terbuka ekonominya, sebarang bentuk perubahan yang berlaku di dunia dan di dalam negara sendiri akan memberikan kesan yang sangat-sangat negatif terutama sekali dari segi pembangunan… pengurusan pembangunan itu sendiri. Kita lihat perancangan pembangunan yang dilakukan di zaman sebelum 2018 terencat dengan pertukaran kerajaan dan apa yang dirancangkan oleh kerajaannya selama 22 bulan itu juga terencat setelah tamatnya atau runtuhnya kerajaan itu dan begitu juga dengan kerajaan yang selama 17 bulan itu, tidak sempat merancang untuk membawa sesuatu yang positif kepada negara kecuali melakukan sesuatu untuk menangani COVID-19 dan itu pun tumbang dan sekarang bila kerajaan yang baru dan kita tahu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebaik-baik yang mungkin telah berusaha untuk membawa agenda pembangunan negara ini melalui konsep yang dikatakan sebagai Keluarga Malaysia itu. Tetapi saya yakin bahawa, kerajaan yang dibentuk oleh Yang Amat Berhormat itu juga tidak begitu stabil kerana pertamanya ideologinya berbeza… ideologi parti-parti politik yang membentuk kerajaan itu adalah berbeza, dan kita dengar ugutan-ugutan sama ada betul atau tidak atau merupakan gosip semata-mata. Tetapi yang jelasnya dia tidak memberikan gambaran yang baik mengenai imej kerajaan itu kepada dunia luar dan terutama sekali kepada pelabur-pelabur yang mana negara ini tidak mungkin dapat dibangunkan, tidak mungkin melakukan progression dari segi development itu tanpa kerjasama rapat daripada pihak swasta, kerana kita selalu mengatakan bahawa malah di dalam Dewan ini, saya menekankan bahawa private sector is the engine of growth, dengan izin Yang Berhormat Dato` Speaker. Dan sejak wujudnya keadaan ketidakstabil ini, kita melihat pelabur-pelabur luar bukan sahaja sekarang ini berdiri atas pagar melihat sahaja, malah mereka mengeluarkan pelaburan mereka terutama sekali pelaburan-pelaburan yang bersifat pendek… jangka pendek, dan kerana itulah kita melihat nilai di bursa saham kita makin meningkat dan boleh dikatakan saban minggu ada sahaja charter flights ataupun dikeluarkan wang dari negara kita, ia menyumbang kepada penurunan nilai ringgit. Walaupun nilai ringgit itu didapati ada baiknya jatuh nilainya tetapi di masa yang sama dia tidak memberikan gambaran yang baik juga untuk negara keseluruhannya. Inilah kesan-kesan yang dapat kita lihat kalau sekiranya wujud suasana yang tidak stabil dari segi politik itu. Kesannya terus kepada ekonominya dan siapa yang akan merana? Siapa yang akan mendapat kesan buruk ini? Kesan buruk ini adalah kepada rakyat itu sendiri. Sebab rakyat mengharapkan pembangunan ini berterusan supaya mereka dapat mengambil bahagian di dalam program-program dan aktiviti-aktiviti negara ini berdasarkan kepada dasar-dasar yang telah dilakukan oleh kerajaan itu. Jadi itulah kesannya kalau sekiranya tidak dapat mewujudkan kestabilan di dalam kerajaan… di dalam politik itu sendiri, dan saya rasakan bahawa pindaan yang dilakukan di peringkat persekutuan itu amat-amat wajar dan merupakan suatu tindakan yang betul dan bersesuaian dengan dinamik semasa itu, dan kerana itulah di pihak kerajaan negeri kita merasakan bahawa pindaan yang sebegini juga harus dilakukan untuk mempastikan wujudnya kestabilan politik yang akhirnya yang membawa natijah yang baik dari segi kestabilan kerajaan dan pembangunan yang berterusan yang boleh dilakukan untuk rakyat-rakyat itu sendiri.

Yang Berhormat Dato` Speaker, kita tidak mahu menjadikan ahli-ahli politik ini sebagai komoditi seperti barang jualan yang boleh ditawarkan harganya ini seperti option, siapa yang menawarkan harga yang tinggi maka dialah yang dapat membeli barang yang di-option ataupun yang dilelong tersebut. Kita tidak mampu dan kita tidak boleh menjadikan wakil-wakil rakyat ini seperti barangan, seperti komoditi, apatah lagi seperti barang lelongan kerana kesannya sangat besar. Wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat ini adalah merupakan legislators, pembuat undang-undang dan undang-undang ini menentukan hala tuju bagi sesebuah negara khususnya dalam aspek pembangunan. Kita membahaskan dan kita meluluskan rang undang-undang bekalan, besar tu maknanya. Tetapi rang undang-undang itu boleh dijadikan mangsa hanya kerana ada agenda-agenda politik yang tersembunyi dan akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat dan di dalam konteks untuk menjaga kepentingan rakyat untuk menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat, amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat, maka pindaan ini perlu dilakukan supaya seboleh-bolehnya yang kita inginkan wujud kestabilan. Kestabilan bukan sahaja di dalam parti tetapi kestabilan juga di dalam kerajaan yang dibentuk oleh parti-parti itu. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang mempunyai persefahaman dalam hal ini. Kita semua bersetuju berdasarkan kepada ucapan-ucapan yang dilakukan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat tadi bahawa kita perlukan kestabilan dan kerana itu, pindaan ini adalah sangat bertepatan. Saya ucapkan terima kasih kepada sokongan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dan saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker yang telah menjalankan amanah ini dengan begitu baik sekali. Alhamdulillah perjalanan mesyuarat kita tidak ada yang baling kerusi, kita pun tak nampak ada kertas yang berterbangan. Jadi alhamdulillah, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker kerana telah menjalankan tugas dengan baik dan dihormati oleh Ahli-ahli Dewan. Dan juga saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada tentera kanan kerajaan, terutama sekali Ex-Officio, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Pegawai Undang-Undang, Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri dan semua ketua-ketua jabatan yang telah memberikan kerjasama yang begitu erat dan kita faham akan hambatan-hambatan dan masalah-masalah yang dihadapi oleh ketua-ketua jabatan dan jabatan-jabatan kerajaan ini. Kita faham peraturan-peraturan yang ada yang perlu kita patuhi dan sebagainya. Tetapi alhamdulillah, di dalam perbezaan-perbezaan yang ada itu kita masih lagi mampu untuk mencapai satu kebersamaan ataupun communality di dalam kita menjalankan tugas masing-masing. Dan saya rasa gembira kerana hari ini kita menerima ramai sekali orang-orang luar dari Perlis. Kalau hujung minggu ataupun cuti panjang… cuti hujung minggu yang panjang, Perlis telah menjadi destinasi pelancongan nombor satu di Malaysia. Alhamdulillah, ini kerjasama daripada semua pihak, bukannya ini seorang sahaja, we work as a team, we come up with ideas, dengan izin, and we play and we execute the plans. Alhamdulillah ini yang kita dapat lakukan dan juga komen-komen yang dibuat oleh orang-orang daripada luar dia datang ke Perlis kata, “wah, sekarang ni saya nampak di Perlis banyak perubahan berbanding dengan sebelum-sebelumnya.” Saya untuk… tidak bermaksud untuk menidakkan sumbangan-sumbangan yang telah dilakukan oleh yang terdahulu tetapi mereka juga telah meletakkan asas yang kukuh yang membolehkan kerajaan di bawah kepimpinan saya ini meneruskan membina asas-asas tersebut dan menambah baiknya dan alhamdulillah kita telah mendapat confidence, keyakinan daripada pelabur-pelabur untuk datang melabur di negeri Perlis ini, alhamdulillah. Tetapi benda ini we have to do it… orang kata apa… kita kena lakukan dengan cara yang penuh berhemah dan untuk memastikan kepentingan rakyat negeri Perlis itu terjaga.

Alhamdulillah, kita telah mula melihat keceriaan dari segi pembangunan ekonomi di negeri Perlis. Sudah ada tanda-tanda ke arah itu dan sebahagian yang dirancangkan itu telah menampakkan hasilnya sedikit demi sedikit. Tidak ada sesuatu pun yang dapat dilakukan dengan serta merta apatah lagi perancangan untuk membawa pembangunan kepada sesebuah negeri dan kita boleh lakukan itu kerana apa? Kerana Kerajaan Negeri Perlis adalah Kerajaan Negeri yang stabil… yang paling stabil kalau saya boleh katakan selepas pilihan raya yang ke-18 hari itu. Terima kasih saya ucapkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dan terutama sekali kepada rakan-rakan saya yang menjadi Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah memberikan sokongan, dokongan yang kuat untuk membolehkan kerajaan ini berada dalam keadaan yang sangat stabil dan membolehkan kita merancang dan melaksanakan perancangan-perancangan dengan cara yang terbaik dan itulah harganya kepada satu kestabilan kerajaan dan kerana itulah juga kita nak meneruskan lagi… meneruskan lagi kestabilan ini dengan memperkenalkan pindaan kepada undang-undang ini.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Dewan dan kepada semua team nya. Dia masih lagi tengok YB Simpang Empat lagi, YB Simpang Empat pun dok gelak besar. Saya pun dah tu tak faham lagi… ya, kuota saya pun meningkat kembali. Dan saya ucapkan… seriously saya ucapkan terima kasih kepada Setiausaha Dewan yang menjalankan tugas dengan begitu cekap dan dengan begitu efektif dan walaupun dengan notis yang singkat, kita masih lagi dapat mengadakan sidang Dewan khas pada hari ini. Terima kasih banyak Setiausaha Dewan dan seluruh staf dan kakitangan team di dalam pejabat Setiausaha Dewan. Dan Yang Berhormat tadi ada menyebut… ada Ahli Yang Berhormat menyebut bahawa kita ni melakukan apa… memanggil sidang Dewan ini tak sampai pun empat belas hari seperti mana yang ditetapkan. Sebenarnya ada provision yang membolehkan kita memanggil sidang Dewan kurang daripada empat belas hari dan saya yakin Yang Berhormat Speaker mungkin ada jawapan kepada isu tersebut. Dan saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua ketua-ketua jabatan yang telah memberikan kerjasama yang begitu erat kepada kerajaan negeri sepanjang kita bertugas dalam tempoh penggal yang sebelum ini yang telah pun sebelum dibubarkan Dewan ini dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua kepada petugas-petugas yang lain, pegawai-pegawai keselamatan misalnya PDRM, daripada pihak tentera yang semuanya bekerja dengan begitu serius untuk memastikan wujudnya kestabilan dan keselamatan di dalam negara kita dan akhir sekali saya mengharapkan agar undang-undang… pindaan undang-undang yang kita bawa ini akan memberikan kestabilan kepada negeri dan negara kita dan untuk membolehkan kita meneruskan agenda-agenda pembangunan yang akan memberikan faedah kepada rakyat. Sekian wabilahitaufiq walhidayah, wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Speaker.

Speaker

Yang Amat Berhormat Bintong, saya nak memperjelaskan sikit lagi bahawa persidangan kita ini ialah Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Kelima, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Keempat Belas. Maksudnya tahun ini, ini kali yang ketiga dan kebiasaannya kita ada satu lagi yang ketiga ialah mesyuarat pada bulan Disember untuk bajet. Tetapi kita terpaksa melepaskan urusan mengenai bajet ini untuk kerajaan yang akan datang sama ada dibuat pada bulan Disember atau dibuat pada bulan-bulan lain.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 ini dicadang untuk dibaca bagi kali yang kedua. Ahli yang setuju, sila angkat tangan, terima kasih. Ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan.

(Semua Ahli bersetuju sebulat suara)

Rang Undang-Undang ini dibaca bagi kali kedua sekarang.

Setiausaha Dewan

Rang Undang-Undang bernama “Suatu Enakmen bagi meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis”.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya minta persetujuan supaya Rang Undang-Undang ini dibawa ke dalam Jawatankuasa. Ahli yang setuju, sila angkat tangan. Ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan.

(Semua Ahli bersetuju sebulat suara)

Dewan bersidang secara Jawatankuasa.

(Bentara menurunkan cokmar daripada kedudukan asalnya)

Setiausaha Dewan

Fasal 1 hingga Fasal 2 dan tajuknya.

Speaker

Fasal 1 hingga Fasal 2 dan tajuknya dibuka untuk perbahasan.

(Tiada perbahasan daripada Ahli-ahli)

Fasal 1 hingga Fasal 2 dan tajuknya menjadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang hendaklah disetujukan. Ahli-ahli yang setuju, sila angkat tangan, terima kasih. Ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan.

(Semua Ahli bersetuju sebulat suara)

Fasal 1 hingga Fasal 2 dan tajuknya menjadi sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 dimaklumkan kepada Dewan sekarang. Ahli yang setuju, sila angkat tangan. Terima kasih. Ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan.

(Semua Ahli bersetuju sebulat suara)

Dewan bersidang semula.

(Bentara meletakkan kembali cokmar ke tempat asalnya)

Dato’ Seri Azlan bin ManUMNO · BNMenteri Besar · Bintong

Yang Berhormat Dato’ Speaker, sukacita saya memaklumkan bahawa Rang Undang-undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 telah pun ditimbang di dalam Jawatankuasa dan dipersetujui. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan.

Puan Asmaiza binti AhmadUMNO · BNChuping

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 dicadangkan untuk dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan. Ahli yang setuju, sila angkat tangan. Terima kasih. Ahli yang tidak setuju, sila angkat tangan.

(Semua Ahli bersetuju sebulat suara)

Rang Undang-Undang ini dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan.

Setiausaha Dewan

Rang Undang-Undang Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022. Maka diperbuat Undang-Undang ini oleh Dewan Undangan Negeri Perlis seperti berikut:- Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.

Penangguhan DewanAdjournment

Setiausaha Dewan

Penangguhan Dewan.

Speaker

Saya ingin mempersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang, ada ucapan… ucapan apa-apa.

Dato’ Ismail bin KasimUMNO · BNTambun Tulang

Terima kasih Dato’ Speaker kerana bagi peluang kepada kami di sebelah sini untuk menyampaikan ucapan. Terima kasih kepada Dato’ Speaker sendiri yang pada saya the best lah. Dato’ Speaker yang memahami dan saya juga secara peribadi ada banyak masalah dulu, Dato’ Speaker dengan bijaksana telah menyelesaikan masalah saya dan saya ucapkan banyak terima kasih dan juga atas pembaharuan-pembaharuan yang telah dibuat Dato’ Speaker pada Dewan ini… dari segi bajet dan sebagainya. Teguran-teguran itu telah memberikan sedikit pembaharuan yang saya rasa kita telah menambah baik seperti contoh Yang Amat Berhormat Bintong katakan tadi, hasil daripada kerjasama dan hubungan erat kita, Dato’ Speaker telah menzahirkan satu hubungan silaturrahim yang menyatukan kita tanpa mengira… iaitu cross the partition… bahkan tak kira parti. Dan hari ini telah membuktikan rakan-rakan saya juga di sebelah sini, bukan saja kita menyokong bajet negeri pada tahun yang lalu, tahun ini kita juga menyokong Rang Undang-Undang Enakmen ini seratus peratus yang menggambarkan bahawa solidariti kita kepada YAB dan juga Kerajaan Negeri Perlis dan begitu juga YAB yang telah memahami juga kami di sebelah sini, membantu kami juga dan mendengar segala masalah kami. Kepada Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan, walaupun baru datang dan telah menunjukkan komitmen yang begitu baik untuk masa depan negeri Perlis, Yang Berhormat Pegawai Kewangan, Penasihat Undang-Undang, Pengarah-Pengarah Jabatan dan wakil-wakil, golongan media, pemerhati yang setap… tetap setia apalagi sidang kita ini dah mula ada secara langsung, live yang boleh ditonton di seluruh dunia. Jadi, itu juga yang telah… pembaharuan terkini yang telah dibuat oleh Dato’ Speaker dan saya berharap Dato’ Speaker ni… kalau ada insya-Allah kot, boleh sambung lagi lah. Di… kalau ada kerajaan yang ditubuhkan nanti, insya-Allah, saya mendoakanlah bagi pihak Dato’ Speaker dan rakan-rakan. Dan… kami mohon maaf di atas khilaf, apa-apa salah silap kami pada rakan… kadang-kadang kita bergurau, bercanda… macam tadi YAB bercanda dengan Setiausaha Dewan, tu kira okay lah tu. So, yang menimbulkan mood yang baik, dan alhamdulillah, persefahaman ini kita macam main bola. Kita… bila team baik, kita mesti score banyak. Dan tidak ketinggalan terakhir pada Setiausaha Dewan dan rakan… dan… pegawai-pegawai dan juga pembantu-pembantu yang sabar dengan kami ketika sidang Dewan, di luar sidang Dewan. Jadi, semua ini adalah hasil perhubungan dan komunikasi yang baik ini, menjadikan kita satu team yang… yang berkesan dan YAB telah memaklumkan tadi, negeri kita juga telah melonjak selepas kita berada di era endemik ini. Jadi terima kasih, kami mohon ampun dan maaf, maaf zahir batin kepada semua, kepada YB dan pada Dato’ Speaker sendiri yang hari ini kita merupakan hari terakhir kita bagi penggal ini. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya juga ingin mengambil kesempatan bahawa sepanjang saya menjadi Speaker dan mempengerusikan Dewan yang mulia ini, saya merasakan bahawa… saya rasa bertuah dan terasa macam Speaker DUN yang paling tenang yang mungkin tak gelabah dan yang penting bila datang pagi semasa sidang Dewan, saya tak rasa darah saya naik, saya tak rasa macam saya mungkin dicabar dan juga segala-galanya. Dan, saya akui bahawa Dewan Undangan Negeri Perlis ni adalah yang paling terbaik, tetapi tidak diheboh di dalam akhbar disebabkan kita terlalu baik. Maka saya juga ingin memesan bahawa kita teruskan amalan ini dan bumi yang kita jagai ini, iaitu bumi negeri Perlis, kita jaga dengan terbaik. Sikit makluman bahawa setelah enakmen ini berkuatkuasa kelak, dan apabila Speaker menerima notis bertulis daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri waktu itu mengenai berlakunya kegusaran luar jangka dalam kalangan Ahli Dewan, maksudnya… tugas Speaker amat berat apabila berlaku andaian kata… mungkin ada lompat, dia tak boleh dengar daripada surat khabar, dia tak boleh hearsay, dia tak boleh dengar cakap-cakap di luar. Dia pastikan bahawa betul-betul kalau ada lompat parti. Dan yang boleh untuk me… men… men nak apa... memberikan notis ialah Ahli Dewan waktu itu. Jadi kita tak yah bimbang bahawa jika berlakunya unsur-unsur nak lompat parti ni, kita ada satu peraturan yang cukup ketat. Kita takmau bahawa Speaker buat kerja lompat parti terus menghubungi Suruhanjaya Pilihan Raya, walhal Ahli Yang Berhormat itu tak… tak lompat pun.

Jadi perkara-perkara ini telah pun kita ketatkan kawalan supaya apabila berlaku ura-ura lompat parti, biarlah Speaker membuat keputusan, bukan orang luar yang buat keputusan. Dan apabila Speaker dah pasti bahawa memang berlaku kekosongan itu, yang dikatakan kekosongan luar… luar jangka, maka dia hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya sewajarnya untuk diadakan Pilihan Raya dalam tempoh tempoh dua puluh satu hari dari tarikh dia menerima notis daripada Yang Berhormat dalam Dewan Undangan Negeri ataupun daripada di luar Dewan Undangan Negeri. Dan, bagi maksud mengadakan pilihanraya di bawah Fasal (5) Perkara 55, kekosongan luar jangka itu akan diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pembar… pemberitahuan itu daripada Speaker.

Ahli-Ahli Yang… Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, dan untuk makluman dia tak pernah kacau saya bagaimana saya nak uruskan Dewan, saya pun tak pernah kacau dia macam mana dia nak uruskan pejabat Menteri Besar. Jadi kita ada hormati-menghormati satu sama lain. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang menjadi sahabat saya dan kita akan terus bersahabat selepas ini nanti, insya-Allah. Kepada ketua-ketua jabatan yang telah pun bertukar dan yang baru masuk menggantikan, uruslah negeri Perlis ini dengan baik, dan anggaplah kalau tuan-tuan dari luar sebagai negeri tuan yang tuan-tuan dan puan-puan sepertimana sayangnya tuan-tuan pada negeri asal tuan dan puan-puan. Saya juga mengucap… mengucapkan terima kasih pada rakan-rakan media. Cuma pesan satu ja diakhir ni, supaya banyakkanlah berita-berita yang baik daripada negeri Perlis. Biasanya berita yang tak baik dari negeri lain yang masuk surat khabar, yang baik tak masuk, jadi saya sarankan.

Para pegawai terutamanya Setiausaha Dewan, Penolong Setiausaha Dewan… takdak sapa pun yang puji Penolong Setiausaha Dewan. Jadi saya ambil kesempatan, mereka adalah satu team, team saya… team kami cuma harini mereka ajak saya pakai baju hijau tu, hijau tahi itik orang panggil. Tapi ada kawan-kawan parti saya minta pakai baju biru, jadi saya serba salah jadi saya pakailah biru kan. Dan mereka ini bekerja dalam masa yang cukup baik dan saya percaya bahawa mereka boleh diteruskan menjalankan kerja-kerja ini dan banyak perubahan insya-Allah akan diadakan masa… masa akan datang.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, sampai ketikanya, sampai detik yang terakhir kita sepanjang… sidang… apa orang kata… Penggal Keempat Belas, kita daripada 2018 sehingga 2022 dan dengan itu saya menangguhkan sidang Dewan kita pada hari ini dan akan diberitahu kelak, insya-Allah. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih dan selamat tinggal.

(Persidangan ditangguhkan pada jam 12.00 tengah hari).