Perlis · 20 December 2022
15th Assembly, 1st session, 1st meeting · 95 turns · 14,335 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.
(Pembukaan)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.
Doa
Doa.
(Bacaan doa oleh Penolong Setiausaha Dewan)
Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis
Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Sesungguhnya Allah S.W.T memelihara kita dan merahmati kita semua pada pagi yang penuh dengan keberkatan ini. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, di kesempatan ini, saya ingin menerangkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian tentang aturan perjalanan Mesyuarat Dewan kita untuk hari ini. Sejurus selepas ini, Kertas-kertas Dewan yang telah disenaraikan dalam Buku Perintah Mesyuarat Dewan akan dibentangkan di atas meja mesyuarat tanpa dibahaskan selaras dengan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan. Sekiranya Ahli-Ahli Yang Berhormat ingin menyentuh sebarang perkara berhubung mana-mana Kertas berkenaan, ia bolehlah dibangkitkan semasa perbahasan kelak. Setelah Kertas-kertas Dewan dibentangkan, soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian akan dijawab oleh pihak Kerajaan mengikut turutan seperti di dalam Buku Perintah Mesyuarat Dewan. Kemudian, Mesyuarat akan diteruskan dengan pembentangan dua (2) usul yang telah disenarai dalam Buku Perintah Mesyuarat Dewan iaitu Usul Perlantikan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri dan Usul Pelantikan Ahli-Ahli Jawatankuasa Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Dewan.
Dewan kemudiannya akan berhenti rehat sebentar dan apabila disambung semula, Usul Anggaran Pembangunan Negeri Perlis Tahun 2023 dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahunan 2023 yang kedua-duanya membentuk Anggaran Bajet Negeri Perlis Bagi Tahun 2023 akan dibentangkan secara serentak oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Setelah Yang Amat Berhormat Menteri Besar selesai membentangkan Anggaran Bajet Negeri Perlis Bagi Tahun 2023, persidangan pada hari ini akan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk meneliti anggaran bajet tersebut dan membuat persediaan untuk perbahasan pada hari esok. Saya akan memperuntukkan tempoh masa kira-kira 25 minit setiap seorang untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas pada hari esok. Sekian, terima kasih.
Kertas-Kertas Dewan
Kertas-Kertas Dewan yang dibentangkan.
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sukacita saya membentangkan di atas meja mesyuarat, Kertas-Kertas Dewan Bilangan 3 Tahun 2022 hingga Bilangan 15 Tahun 2022. Terima kasih.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Soalan-soalan lisan.
Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera, terima kasih Yang Berhormat Speaker. Soalan saya, soalan nombor 1.
(Soalan 1 : Perlis baharu: Apakah perancangan pembangunan infra dan pembangunan sumber manusia serta visi dan misi sebuah kerajaan baharu?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, Kerajaan Negeri Perlis telah menetapkan visi “Perlis Sebagai Negeri Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030” manakala misi kerajaan adalah “Memacu Pentadbiran Sebagai Kerajaan Yang Prihatin Terhadap Rakyat Melalui Perkhidmatan Yang Bersih dan Bebas Salah Laku Bagi Menjamin Kestabilan”. Bagi merealisasikan kedua-dua visi dan misi ini, pihak Kerajaan akan melihat dengan lebih terperinci berkaitan usaha-usaha pembangunan infra dan sumber manusia dari semasa ke semasa. Untuk makluman, visi dan misi ini tercatat di dalam Pelan Strategik Pembangunan Perlis 2012-2030. Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa aspek pembangunan yang boleh dibangunkan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi. Salah satunya adalah menjadikan Negeri Perlis sebagai hub logistik berdasarkan kedudukan strategik negeri ini yang bersempadan dengan Thailand dan kemudian kemudahan landasan keretapi sedia ada. Menerusi kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), projek strategik berimpak tinggi iaitu Perlis Inland Port (PIP) akan terus dibangunkan bagi memastikan matlamat menjadikan Perlis sebagai hub logistik tercapai. Pembangunan PIP dilihat mampu untuk mempertingkatkan ekosistem pelaburan dengan didukung oleh projek mega lain seperti Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI) dan Lebuhraya Koridor Utara (Northern Corridor Highway – NCH). Bagi menyokong usaha pembangunan ini, Kerajaan Negeri juga akan memfokuskan kepada pembangunan sumber manusia khusus bagi melengkapkan rakyat tempatan dengan kemahiran-kemahiran tertentu khususnya golongan belia. Langkah ini amat penting bagi memastikan rakyat negeri ini dilengkapi dengan ilmu pengetahuan bagi memudahkan mereka mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian. Bagi menyokong hasrat Kerajaan Negeri ini, program pembangunan modal insan telah dirangka dengan kerjasama NCIA seperti satu Program NCER Talent Enhancement Programme (NTEP), Program empowerNCER – Latihan Kemahiran dan Keusahawanan, dan yang ketiga entrepreneur NCER; dan yang keempat Program Pembangunan Usahawan melalui Pelabur / Syarikat Induk (latihan dan usahawan kontrak). Bagi memantapkan sektor perkhidmatan awam di negeri ini pula, beberapa program dan projek peningkatan modal insan telah dirangka dan dilaksanakan seperti: (1), Program Pementoran; dua, Pendekatan Psikologi; yang ketiga Workplace Attachment Programme; yang keempat, Ketersediaan Penjawat Awam Dalam Era Digitalisasi; dan yang kelima, Pemerkasaan Budaya Inovasi. Selain itu, Kerajaan Negeri juga dalam usaha menggalakkan rakyat Perlis untuk berniaga bagi mempertingkatkan pembangunan usahawan seiring dengan prinsip “Perlis Bebas Niaga”. Langkah dan usaha ini amat perlu bagi melengkapkan peniaga-peniaga dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi dalam bidang perniagaan. Terima kasih.
Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Sanglang, di atas penjelasan yang panjang lebar berkaitan dengan visi dan misi Kerajaan baru ini. Cuma saya nak tanya soalan tambahan berkaitan dengan perancangan pembangunan infra kalau kita lihat di kampung-kampunglah, kita masih lagi tidak kecukupan infra, sebagai contoh tempat himpunan awam masyarakat awam untuk berhimpun, sebagai contoh Dewan Orang Ramai. Saya pernah utarakan perkara ini di dalam sidang DUN yang lalu. Apakah perancangan dan juga bantuan Kerajaan untuk membantu atau memberi kemudahan-kemudahan asas kepada para penduduk di setiap DUN? Adanya dewan, adanya tempat-tempat permainan, pusat rekreasi dan sebagainya. Terima kasih.
Insya-Allah kita akan tengok balik. Ini sebab kita pun baru lagi dan kita akan pastikan apa yang dihasratkan oleh YB Guar Sanji akan diberi perhatian. Insya-Allah.
Terima kasih YAB, soalan Kuala Perlis.
Yang Berhormat Speaker, soalan nombor 2.
(Soalan 2 : Apakah langkah kerajaan khususnya Syarikat Air Perlis (SAP) untuk atasi masalah tekanan air paip yang terlalu rendah dalam kawasan Kuala Perlis dan kawasan sekitarnya?)
Assalamualaikum. Yang Amat Berhormat Speaker, sebelum saya teruskan saya minta maaf kekurangan kesihatan suara saya. Untuk soalan no 4 Kuala Perlis berkenaan dengan… untuk makluman Kuala Perlis, Syarikat Air Perlis (SAP) berkeupayaan membekal air ke seluruh kawasan Kuala Perlis melalui bekalan air dari Loji Teknologi Tenaga Perlis Consortium Berhad (TTPC) dan juga Loji Rawatan Air (LRA) Timah Tasoh. Dalam menangani permasalah tekanan air di Kuala Perlis, beberapa inisiatif penambahbaikan sedang dan telah dilaksanakan melalui program / projek seperti: (1) Program Non Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1 iaitu pembinaan Tangki Air di Kuala Perlis; (2) penambahbaikan kepada reka bentuk kapasiti LRA Timah Tasoh daripada 36 MLD, maksudnya millimeter per day, kepada 76 MLD… peningkatan sebanyak 40 MLD… melalui Program Mitigasi Jangka Pendek Bagi Sistem Bekalan Air Negeri Perlis; (3) Program Mitigasi Jangka Sederhana Sistem Bekalan Air Negeri Perlis yang mana akan meningkatkan reka bentuk kapasiti LRA Timah Tasoh daripada 76 MLD kepada 100 MLD, iaitu peningkatan sebanyak 26 MLD. Melalui program / projek yang telah dinyatakan, isu tekanan air tersebut dijangka telah dapat diatasi dan sekiranya masih berlaku di premis persendirian ianya mungkin disebabkan oleh masalah perpaipan atau tangki dalam premis tersebut sendiri. Pihak yang terjejas boleh menghubungi SAP untuk siasatan lanjut. Terima kasih.
Soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Titi Tinggi di atas penjelasan berkaitan dengan masalah air yang rendah di kawasan khususnya Kuala Perlis dan kawasan-kawasan persekitaran. Kalau kita tengok masalah air bukan isu baru… isu yang lama yang hangat diperkatakan apabila rakyat sudah complaint berkaitan dengan tekanan air rendah yang amat-amat sangat berlaku hampir setiap hari. Perkara ini bukan berlaku di kawasan ataupun rumah persendirian, dia berlaku juga di masjid, di kawasan-kawasan yang… agensi kerajaan. Kerana kalau kita tengok projek dekat dengan Padang Besar Selatan… apa nama ni… simpang dekat traffic light tu, satu loji air yang telah siap. Tetapi yang menjadi tanda tanya kita apabila loji air yang cantik, yang tersergam indah… siap, tetapi tekanan air masih lagi berlaku. Kalau kita tengok hampir setiap hari tekanan air tu berlaku. Jadi apakah langkah-langkah Kerajaan untuk atasi sama ada untuk kita buang tangki yang lama diganti kepada yang baru dan sepanjang pengetahuan saya, loji… apa nama… paip, main pipe tu hampir 3… 40 tahun yang berlalu. Jadi langkah Kerajaan seharusnya mencari satu alternatif baru untuk menukar paip-paip kalau bukan setakat di Kuala Perlis, malah di seluruh negeri Perlis. Jadi perkara ini perlu kita bagi penekanan kerana masalah air terlalu amat-amat… rakyat amat perlu berkaitan dengan tekanan air rendah. Jadi, sekian, terima kasih.
Tuan Speaker, terima kasih Kuala Perlis. Berkenaan air di Perlis ni, daripada… kita daripada mula selepas daripada PRU, saya dah cuba berjumpa dengan SAP dan bahagian pengurusan. Dia… rangka dia memang ada jangka dan cara untuk kita selesai, tapi keadaan kita ni… macam YAB pun kata, kita pun sendiri baru tapi CEO akan dilantik pada awal bulan 1. Tapi rangka dan… untuk selesai tu, insya-Allah dalam jangkaan. Tapi kita mungkin tak mampu satu Perlis, kita tumpukan yang bermasalah seperti di Kuala Perlis, di Padang Besar pun bermasalah, tempat-tempat seperti di KTM, kawasan KTM… kawasan bilik-bilik air yang tak ada bekalan air. Boleh selesai, tapi kita mungkin… kita cuba kurangkan, reduce… mungkin kita tak dapat 100 peratus, mungkin dalam 30 peratus, insya-Allah, kita doa-doakan yang baiklah. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Chuping.
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 3.
(Soalan 3 : Bagaimanakah prestasi kutipan zakat MAIPs terkini berbanding tahun 2021?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagai sebuah agensi tunggal pengurusan zakat di negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang sentiasa menjunjung tinggi prinsip amanah dan juga integriti. Buktinya MAIPs dizahirkan dengan pengiktirafan selama 11 tahun berturut-turut Anugerah Sijil Bersih bagi Penyata Kewangan oleh Jabatan Audit Negara. Selain itu, pemantauan oleh Persidangan Majlis yang dipengerusikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis sering dilaksana bagi memastikan matlamat zakat direalisasi. Alhamdulillah, secara umumnya, kutipan zakat di negeri Perlis berada dalam keadaan baik dan terus berkembang positif. Untuk makluman, prestasi kutipan telah meningkat sebanyak 14.9% berbanding tahun 2021. Usaha-usaha ke arah melestarikan kutipan, sentiasa diberikan perhatian yang sebaiknya oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis demi kemajuan ummah. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan saya. Bagaimanakah pengagihan zakat yang diperolehi di negeri Perlis ini kepada asnaf-asnaf yang telah ditentukan? Berapakah peratus-peratus pembahagian yang ditetapkan? Sekian.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya akan jawab secara bertulis Yang Berhormat Chuping ya, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Beseri.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 2… soalan saya nombor 4, maaf.
(Soalan 4 : Apakah perancangan permbangunan Kerajaan Negeri untuk menghidupkan semula arked pekan sehari Wang Kelian dan deretan gerai di sekeliling arked niaga?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih. Yang Berhormat Beseri… saya dok tengok tadi soalan nombor 2, ingat tak payah jawab dah lah. Tadi pun terima kasih dekat Guar Sanji, terlupa… nak ucap terima kasih atas soalan. Kerajaan Negeri Perlis sentiasa prihatin dalam aspek pembangunan negeri termasuk pembangunan semula Wang Kelian. Bagi tujuan pembangunan yang menyeluruh, Kerajaan Negeri meluluskan cadangan penyediaan kajian Rancangan Kawasan Khas Pembangunan Wang Kelian (RKK Wang Kelian) yang telah bermula sejak September 2022. Selain itu, Cadangan Pengaktifan Semula Pusat Perniagaan Sempadan Wang Kelian – Wang Pranchan telah diambil kira dalam dokumen Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kangar, Perlis 2035 yang diwartakan pada 31 Mac 2022. Cadangan ini bertujuan untuk menghidupkan kembali kerancakan ekonomi setempat dengan memberi tumpuan kepada penjualan hasil kraftangan tempatan, cenderahati, makanan tempatan dan lain-lain produk tempatan. Perniagaan di kawasan sempadan diklasifikasikan sebagai Special Economic Zone (SEZ) yang bertujuan meningkatkan aktiviti perdagangan, pelaburan dan penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Usaha untuk memberi nafas baru kepada Arked Niaga Wang Kelian telah dilakukan melalui pendekatan konsep “Pelancongan” dengan menerapkan unsur-unsur unik seperti mengecat bangunan arked dengan tema-tema… tema warna-warni dan pembinaan kincir angin yang menjadi ikonik di kawasan ini… di kawasan ini. Selain itu, naik taraf bangunan juga telah dilakukan dengan menambahkan saiz ruang niaga kedai sedia ada daripada 13.5 meter persegi kepada saiz ruang niaga 27 meter persegi dan beberapa lagi penambahbaikan bagi menarik kehadiran pengunjung yang ramai serta memberikan keselesaan kepada mereka. Untuk memulihkan dan menceriakan persekitaran Arked Niaga Wang Kelian, deretan gerai-gerai tambahan terbiar dan usang tersebut telah dirobohkan bagi dijadikan kawasan parkir dan dataran bagi kegunaan pengunjung selain pelbagai sokongan pelancongan yang dirancang pada masa hadapan. Usaha pembangunan ini dilakukan secara berfasa bermula pada tahun 2020 lagi. Proses penambahbaikkan sentiasa dilaksanakan secara berterusan dan bergantung kepada peruntukan semasa Kerajaan Negeri yang disalur… yang disalurkan kepada agensi yang berkaitan. Terkini, urusan pemilihan peniaga telah selesai melalui proses temuduga dan akan dibuat penyerahan kepada peniaga yang berjaya setelah proses cabutan undi selesai. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan. Sepertimana yang kita tahu, Wang Kelian ini adalah satu lokasi pelancongan yang amat menarik satu ketika dahulu dan saya… saya yakin kita semua berharap agar Wang Kelian kembali bersinar seperti mana dahulu. Dan kita lihat… berkaitan soal arked… pekan sehari Wang Kelian ni… ianya adalah satu… tempat untuk warga tempatan menambah pendapatan yang ada di Wang Kelian tu. Saya bawa suara daripada penduduk tempatan Wang Kelian, bagaimana mereka menyebut tentang soal kos… soal kos untuk warga tempatan… dapat ber… ber… ber… berniaga menambah pendapatan di arked pekan sehari itu. Jadi, soalan saya… soalan tambahan. Apakah kaedah Kerajaan Negeri untuk memastikan Arked Pekan Sehari ini menjadi tempat untuk warga tempatan Wang Kelian mencari hasil pendapatan dan dapat menjana hasil pendapatan secara ni lah… se… se… secara yang mampu milik. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk makluman Yang Berhormat Beseri, saya dah cakap dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri masa saya dipanggil berjumpa dengan dia… seminggu lepas kot. Yang depa kata saya muka tak malu tu. Untuk buka balik Wang Kelian… dan insya-Allah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dah bagi jaminan untuk buka balik. Kemudiannya untuk menjaminkan peniaga tempatan ni, Yang Berhormat Beseri kena tolonglah. Cari orang Beseri tu untuk berniaga di situ, insya-Allah.
Terima kasih YAB. Soalan nombor 5 dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.
Bismillahirrahmanirrahim, Tuan Speaker, soalan no 5.
(Soalan 5 : Apakah pelan jangka masa pendek dan panjang kepada lambakan bangunan kedai “gajah putih” di beberapa kawasan antaranya yang ada di Simpang Empat? Kebanyakan daripadanya juga merupakan bangunan milik Majlis Perbandaran Kangar (MPK). Apakah solusi yang akan diambil?)
Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Tuan Speaker. Jumlah keseluruhan lot ataupun unit premis dan gerai di kawasan Simpang Empat yang dimiliki oleh pihak MPK, Majlis Perbandaran Kangar, Bahagian Pentadbiran Daerah dan MARA ialah berjumlah sebanyak 138 unit. Dan kalau kita… membuat pecahan adalah sebagaimana berikut iaitu 87 unit dimiliki oleh MPK, 25 oleh Bahagian Pentadbiran Daerah dan 26 oleh pihak MARA. Terdapat 3 kawasan perniagaan yang dimiliki oleh MPK di Simpang Empat dengan jumlah keseluruhan kedai ataupun gerai sebanyak 87 unit di mana 75 unit mempunyai penyewa manakala hanya 12 unit sahaja yang tidak mempunyai penyewa iaitu di Kompleks Bazar Simpang Empat. Bagi memastikan premis-premis kosong tersebut dapat dibuat pengisian ataupun penyewaan sepenuhnya, pihak MPK mengambil beberapa langkah sebagaimana berikut. Yang pertama membuat hebahan dan pengiklanan daripada semasa ke semasa, termasuk laman web MPK dan juga melalui medsos seperti Facebook, Instagram dan sebagainya. Yang kedua, menjalankan atau menggalakkan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian diadakan di sekitar kawasan tersebut bagi menarik kehadiran pengunjung. Maknanya apabila pengunjung tu ramai yang hadir ataupun mengunjungi kawasan tersebut, maka premis yang dibuka untuk perniagaan itu akan mendapat sambutan dan insya-Allah tidak akan berlaku kekosongan ataupun yang diistilahkan oleh Yang Berhormat Tambun Tulang sebagai kedai gajah putih. Kemudian yang ketiga, mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti MARA bagi menawarkan premis-premis MPK untuk disewa oleh usahawan. Yang keempat, menjalankan pembaikan terhadap kerosakan yang dialami bagi membolehkan premis-premis tersebut sesuai untuk disewa dan seterusnya yang kelima, meneliti bentuk dan jenis perniagaan yang akan dijalankan di premis-premis MPK adalah bersesuaian dengan reka bentuk premis serta kedudukannya. Sebab kalau ada permohonan untuk sewaan tetapi kita mempunyai bentuk premis yang tidak sesuai dengan bentuk perniagaan yang ingin dibuka oleh peniaga, maknanya kedai tersebut mungkin tidak bersesuaian dengan keperluan ataupun kehendak perniaga yang berkenaan. Bagi Bahagian Pentadbiran Daerah pula yang menyelia 25 unit gerai di DUN Simpang Empat, adalah seperti yang berikut. Yang pertama, semua gerai tersebut sedang disewakan. Dan yang kedua, sekiranya terdapat kekosongan, maka Bahagian Pentadbiran Daerah akan mengeluarkan notis sewaan dengan kadar segera supaya kemudahan premis perniagaan tidak dibiarkan kosong selain dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah. Manakala, MARA turut mempunyai 23 projek premis gerai dengan kapasiti sebanyak 370 lot di seluruh negeri Perlis. Berdasarkan data terkini, sebanyak 360 lot telah diisi dengan peratus pengisian sebanyak 97%. Premis perniagaan dipecahkan pula kepada empat (4) kategori utama iaitu Arked, Bazar, lot komersial dan Halal-Park. Bagi kawasan Simpang Empat… bagi kawasan Simpang Empat, MARA mempunyai 26 lot premis dan semuanya telah diisi oleh penyewa. Terima kasih Tuan Speaker.
Tuan Speaker soalan tambahan. Saya ada satu kegusaran dan juga persoalan berkenaan dengan gerai-gerai ini yang mana saya difahamkan peniaga-peniaga di Perlis yang mana menyewa di gerai-gerai terutamanya di MPK dan sebagainya… melalui MPK dan sebagainya. Mereka ni ada masalah dalam bab hebahan yang mana kita lihat keadaan kedai-kedai yang disewa terutama sekali yang di Simpang Empat sebagai contoh, keadaan position kedai itu ataupun posisi kedai tersebut agak ke belakang dan dia tidak menghadap jalan, sebagai contoh. Jadi apakah kaedah yang mungkin boleh diambil oleh pihak MPK dalam membantu peniaga-peniaga ini? Sebagai contoh mungkin ada cara hebahan ataupun cara mungkin kita boleh pasang billboard ka ataupun apa-apa saja kaedah untuk membantu peniaga-peniaga ini dalam membuat hebahan berkenaan perniagaan mereka. Sebab apa, jika kedai itu murah, namun tiada… tiada sales ataupun tiada jualan yang dapat dilakukan, maka perniagaan itu boleh dikira sebagai satu perniagaan yang rugi. Jadi mungkin boleh saya dapatkan pencerahan, terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, tadi dibangkitkan tentang masalah berkaitan dengan… gerai yang tidak memenuhi kehendak peniaga. Yang pertama ingin dijelaskan kepada Yang Berhormat Tambun Tulang bahawa gerai yang ada itu, itulah gerai yang wujud di Simpang Empat dan para peniaga… dia terbuka untuk menilai sama ada gerai tersebut sesuai ataupun tidak. Kalau didapati gerai berkenaan tidak sesuai, maka sepatutnya lah penyewa dia akan mencari lokasi yang lain sesuai dengan bentuk perniagaan. Kalau kita nak mencadangkan kepada pihak MPK sama ada nak merobohkan ataupun sebagainya untuk membina bangunan yang lebih memenuhi kehendak beberapa penyewa itu mungkin satu cadangan yang… memakan kos lah. Boleh bina semula tapi memakan kos. Oleh kerana itulah untuk… mengambil manfaat daripada pandangan Yang Berhormat, insya-Allah bagi pembangunan gerai di masa-masa yang akan datang, kita akan lebih teliti untuk membina bangunan gerai yang lebih sesuai dan memenuhi kehendak majoriti para peniaga, insya-Allah. Jadi pandangan Yang Berhormat saya kira satu pandangan yang baik untuk perkembangan dan juga keputusan yang akan dibuat oleh pihak pembangunan khususnya bagi MPK, Bahagian Pentadbiran Daerah dan juga MARA untuk meneliti dengan lebih cermat isu kesesuaian bentuk pembangunan gerai di masa-masa akan datang. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat…
Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan satu lagi. Satu sikit saja.
Kayang?
Guar Sanji.
Ya, ya.
Okay baik. Terima kasih Yang Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat Simpang… Simpang Empat dan juga Bintong… Tambun Tulang, Bintong. Terima kasih di atas penjelasan yang diberikan berkaitan unit kedai yang disediakan oleh Majlis Bandaran, Bahagian Pentadbiran Daerah dan juga MARA. Kita sudah pasti setiap kali pembinaan dan juga penyewaan yang diberikan kepada peniaga, dia ada syarat-syarat sewaan tersebut. Jadi bagaimanakah tindakan Kerajaan memantau sejauh mana betul mereka duduk di situ sewa untuk berniaga? Sebab saya dapati, ada pekedai-pekedai ni bukan pekedai… dia bukan berniaga tapi dia duduk sewa di situ buat kerja lain, jadikan pejabat dan sebagainya. Apakah tindakan Kerajaan pada akan datang untuk betul-betul… betul-betul memastikan dia tu berniaga, bukan duduk buat pejabat dan sebagainya. Ini maknanya dia telah melanggari peraturan-peraturan ataupun syarat sewa. Mohon penjelasan, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Guar Sanji tentang makluman berkaitan dengan sebahagian daripada penyewa yang menggunakan premis tersebut selain daripada aktiviti perniagaan. Jadi, pandangan ataupun makluman daripada Yang Berhormat akan diambil perhatian oleh pihak saya lah dan juga pihak-pihak yang berkaitan dan insya-Allah kita akan melakukan pantauan yang lebih kerap dan lebih berkesan insya-Allah bagi memastikan perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Guar Sanji itu tidak akan berulang di masa-masa yang akan datang, sekian.
Yang Berhormat Speaker… Yang Berhormat.
Ada lagi?
Ada soalan tambahan lagi. Okay terima kasih Yang Berhormat. Okay, berkaitan dengan MPK lah khususnya di Simpang Empat dan kawasan-kawasan dalam negeri Perlis, kalau kita tengok dari segi kesesuaian peniaga atau orang-orang yang nak berniaga itu diberi pilihan sama ada sesuai ataupun tidak berkaitan gerai yang dibina. Tapi apa yang menjadi permasalahan hari ini apabila pihak MPK lah membina gerai-gerai yang tidak cukup saiz khususnya tu gerai terlalu kecik. Apabila gerai terlalu kecil, apabila penyewa masuk, dia akan membuat penambahan sudut-sudut yang tertentu. Jadi apabila berlakunya penambahan sudut-sudut itu, maka susun-susun atur yang telah dirancang oleh pihak Majlis Perbandaran berlari. Apabila benda tu tak… tak sama, maka kecacatan dari segi mata yang kita tengok berlakulah… apa nama… dia letak khemah tepi dan sebagainya. Benda-benda macam ni Kerajaan atau khususnya Majlis Perbandaran kena cari jalan merancang sesuatu benda yang sesuai dengan keadaan peniaga yang akan di… peniaga yang memohon untuk berniaga. Jadi benda-benda macam tu perlu diambil perhatian pada masa-masa yang akan datang, terima kasih.
Sapa nak jawab?
Yang Berhormat Tuan Speaker, pandangan daripada Yang Berhormat Kuala Perlis tu kita akan ambil perhatian insya-Allah, dan saya ucapkan terima kasih kepada apa yang telah disebutkan. Sekian.
Dipersilakan Yang Berhormat Kayang.
Bismillah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 6.
(Soalan 6 : Apakah perancangan dalam menjadikan Perlis sebagai negeri yang menjadikan pelancongan agro sebagai salah satu sumber ekonomi kepada kerajaan dan rakyat?)
Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Yang Berhormat Kayang. Yang Berhormat Tuan Speaker, jejak pelancongan agro merupakan salah satu kategori pelancongan yang difokuskan berpandukan kepada Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Negeri Perlis. Pelan ini merupakan kerangka polisi Kerajaan Negeri dalam memacu sektor pelancongan dalam menjadikan negeri Perlis sebagai salah satu negeri pelancongan utama pada tahun 2030. Antara produk yang telah dikenalpasti dan disenaraikan dalam kategori ini adalah pertama Ladang Nipah Kipli, kedua Belacan Madu Sungai Berembang, seterusnya Sawah Padi MADA, Pusat Kecemerlangan Mempelam Harum Manis di bawah Jabatan Pertanian, Taman Buah-Buahan Eksotik Negeri, FF Harmoni BEE Farm, Rimba Herba Perlis, Dusun Nakawan, Stesen Penyelidikan FRIM, Taman Agrovet, Santuari Ikan Air Tawar, Pusat Pelancongan Agro Bukit Temiang, Superfruits Valley dan juga Ladang Tanaman Nanas MD-2 Wang Kelian. Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi penyelia pusat pelancongan sentiasa berusaha untuk menambah baik produk pelancongan agro bagi memastikan kelestarian sektor ini yang memberi banyak limpahan ekonomi kepada pemain industri pelancongan.
Antara langkah yang dalam tindakan adalah seperti yang berikut. Pertama, Jabatan Pertanian Negeri dalam tindakan membangunkan Pusat Repositori Durian dan Ternakan Lebah Kelulut yang mempunyai potensi sebagai produk Agro Pelancongan di negeri Perlis. Yang kedua, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan prasarana di semua destinasi pelancongan bagi memastikan tempat-tempat ini sedia untuk dilawati oleh para pengunjung dari dalam mahupun luar negeri, antaranya ialah menaik taraf tandas-tandas awam, surau dan juga tempat letak kereta serta laman di kawasan-kawasan yang terbabit. Seterusnya, mempelbagaikan jenis tanaman di Taman Buah-buahan Eksotik merangkumi pokok Gac, Zaitun, Tin, Delima, Markisa serta tanaman pokok nadir seperti pokok Mentega atau bahasa kampungnya pokok Seralat, Keriang Dot… ya Keriang Dot… dalam bahasa kampung pun Keriang Dot, susah nak jumpa dah la ni, pokok Kandis dan juga pokok Nam-Nam serta lain-lain pokok. Koleksi pokok-pokok yang dibangunkan juga adalah untuk tujuan pembelajaran memandangkan sebahagian daripada varieti pokok-pokok ini yang ditanam dah semakin pupus dan sukar ditemui, dan saya difahamkan Jabatan Pertanian sedang mencari lah… apa… varieti-varieti pokok ini yang mana yang tuan-tuan ada boleh diberi kepada pihak Jabatan Pertanian. Seterusnya menyediakan kiosk jualan usahawan berserta kemudahan sewaan tapak perniagaan bagi jualan secara food truck mahupun khemah jualan. Seterusnya menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan bagi mengusahakan aktiviti riadah seperti kayak, berbasikal, permainan kanak-kanak, kereta api dan lain-lain aktiviti yang bersesuaian untuk dijalankan di Taman Buah-buahan Eksotik dengan kadar caj yang dikenakan secara berpatutan. Seterusnya membangunkan Aplikasi Virtual Reality Harumanis di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis bertujuan untuk memberikan pengalaman kepada pengunjung untuk merasai suasana sebenar berada di Ladang Harumanis. Ini adalah satu inisiatif bagi mendukung Pelan Digital Perlis 2021-2025 di mana setiap pengunjung yang hadir di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis akan berpeluang merasai pengalaman secara virtual daripada proses penanaman hinggalah proses menuai hasil, walaupun ketika itu bukanlah has… waktu untuk kita menuai hasil. Seterusnya mewujudkan Program Pembangunan Agrotourism Negeri Perlis yang melibatkan pengusaha pertanian bimbingan Jabatan Pertanian. Program ini menyediakan insentif kepada usahawan pertanian yang telah memulakan langkah menjadikan lokasi projek sebagai tumpuan pelancong dan bertujuan untuk menyokong pengusaha dengan menaik taraf kemudahan dalam menarik kehadiran pelancong. Pengusaha Produk Agropelancongan ini menerima insentif meliputi keperluan menaik taraf kemudahan asas, infrastruktur ladang dan pemerkasaan teknologi dan bekalan peralatan. Antara produk Agropelancongan yang terlibat ialah Kelompok Mangga Harumanis Bukit Chabang, Projek Serai Bukit Chabang, Projek Serai Wangi Felda Chuping, Projek Kelompok Dusun Buah-Buahan Genting Nakawan, Perlis Special Teens Centre ataupun (PESTEC), Teluk Syed Grape Park, Sungai Batu Pahat, Kebun Hidroponik Abi Agro dan Superfruits Valley Lembah Chuping. Usaha kerajaan Negeri menggalakkan industri Agropelancongan atau memberi impak besar dalam meningkatkan taraf hidup, ekonomi dan peluang pekerjaan bagi rakyat Negeri Perlis. Memandangkan sektor pelancongan mempunyai rangkaian dan rantaian ekonomi yang besar dan luas, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyertaan rakyat negeri Perlis dalam membangunkan dan mempelbagaikan Community Based Tourism yang mana memberi hasil terus secara langsung kepada pengusaha tersebut. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, berdasarkan apa yang telah diterangkan oleh pihak Yang Berhormat pihak Kerajaan, kita melihat banyak inisiatif telah diambil untuk memastikan agro dari sudut agro pelancongan ini dapat memberikan impak yang terbaik buat Kerajaan dan juga buat rakyat, dan soalan tambahan ini saya ingin menyatakan bagaimana kita melihat perkara-perkara yang telah kita berikan… dedahkan kepada rakyat ini mampu untuk kita memberikan proses bimbingan secara langsung… secara berterusan buat mereka bagi memastikan mereka ini terus menjalankan aktiviti ataupun rutin yang telah mereka dapat daripada Kerajaan tersebut untuk mereka perluaskan sebagai sumber khusus bagi rakyat itu sendiri, insYa-Allah, sekian.
Terima kasih Yang Berhormat Kayang. Untuk pengetahuan semua, setiap apa pengusaha ataupun peserta yang menganggotai program tersebut akan diberi insentif dan juga diberi bimbingan serta dikawalselia oleh pihak bertanggungjawab ataupun agensi-agensi yang terlibat dan untuk maklumat lanjut, sekiranya diperlukan saya akan jawab secara bertulis, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Mata Ayer di atas penjelasan berkaitan akan meningkatkan lagi mutu pelancongan khususnya dalam negeri Perlis. Apa yang kita dengar tadi, penjelasan yang dibuat oleh… apa nama… Yang Berhormat Mata Ayer berkaitan dengan akan mewujudkan lagi kawasan-kawasan pelancongan dalam negeri Perlis, yang cuma saya lihat di persekitaran kawasan… apa nama… darat ni. Jadi yang penting sekali ni pelancongan di Perlis ni kita ada laut yang hanya di Kuala Perlis, Sungai Baru dan sampai Kuala Sanglang. Sepatutnya Kerajaan Negeri merancang untuk mencadangkan kawasan-kawasan tepi pantai yang boleh dijadikan juga sebagai tempat-tempat pelancongan, khususnya kawasan Kuala Perlis la. Di tepi pantai kalau kita tengok hari ni peniaga-peniaga berniaga di sebelah tepi jalan, parking di situ, meniaga di situ, dan keadaan itu berlaku apabila… paling tenat sekali apabila waktu kita nak balik waktu maghrib dan sebagainya, menjadi sesak kerana perancangan yang dibuat untuk gerai itu tak berapa menepati pada keadaanya. Tapi yang pentingnya hari ni Kerajaan kena cari jalan macam mana kita nak majukan industri pelancongan di pesisir pantai. Kalau kita lihat apabila kita turun daripada Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis di simpang tu, kalau dulu kita tengok ada seagate, ada tempat-tempat orang boleh berehat sebelah petang untuk melihat keadaan apa nama… laut yang cantik lah. Tetapi hari ni ke mana hilangnya… kemana hilangnya pemandangan itu? Kalau Perlis ni salah satu tarikan pelancongan adalah pemandangan, view tu kita nak kena tengok ialah apabila yang kita tengok hari ini hanyalah hutan-hutan belantara, hutan-hutan yang ditumbuhi pokok-pokok yang saya rasa mungkin pokok itu tak berapa nak sesuai disitu. Contohnya kalau Kerajaan… Jabatan Hutan khususnya tanam pokok bakau, okay bagus, tetapi hari ini yang tumbuh adalah pokok api-api. Pokok api-api pun kalau yang tak berapa sesuai di situ saya nak minta supaya Bahagian Pelancongan cari jalan untuk melihat di kawasan tu boleh dijadikan kawasan pelancongan. Yang pokok-pokok yang tak sesuai dibuang walaupun apabila Jabatan Hutan… bila…
YB Kuala Perlis, terus soalan YB.
Ya. Soalan saya apakah perancangan Kerajaan untuk melihat pantai Perlis menjadi sebagai satu tempat pelancongan yang baik? Terima kasih.
YB Tuan Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Perlis. Untuk pengetahuan, untuk pelancongan di pesisir pantai bersempena selepas ini akan diwujudkan Perlis Inland Port, itu juga akan memacukan satu agropelancongan di negeri Perlis. Seterusnya insya-Allah sekarang ni dalam proses untuk kita mewujudkan persiaran Kuala Perlis. Di Kuala Perlis tu nanti kita akan wujudkan satu kawasan riadah dan juga kawasan pelancongan dalam perancangan sepertimana di Pulau Pinang seperti di Gurney Plaza, Gurney Drive. Kemudian juga di dataran di Koma Laut ada pihak yang telah… telah datang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perlis untuk menaik taraf agropelancongan di situ juga di mana kita akan memberi peluang kepada pelancongan tempatan dan luar negara untuk menikmati satu pemandangan kawasan paya bakau di negeri Perlis. Seterusnya kita telah mewujudkan satu tempat lagi pelancongan iaitu di Pulau Batu Layang, cumanya tempat tu tidak terlalu luas jadi tak boleh nak pi beramai-ramai di situ… dia ada apa kita kata dia boleh pi, cuma dalam keadaan orang tak ramai lah… dan insya-Allah… dan terima kasih juga di atas cadangan daripada pihak YB Kuala Perlis untuk kita menambah baik kedudukan gerai-gerai di situ juga bagi mengurangkan masalah kesesakan. Itu juga dalam perancangan di mana kita akan memindahkan peniaga-peniaga di hadapan Putra Brasmana ke satu tempat yang lebih teratur dan insya-Allah lebih bersih dan infrastruktur dan prasarana lengkap. Terima kasih.
Tak pa YB, tahun depan kita makan keriang dot madu tiga rasa.
Yang Berhormat Tuan Speaker soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker dan terima kasih kepada Yang Berhormat Mata Ayer yang menjelaskan banyak dan panjang lebar mengenai agropelancongan ini. Cuma satu soalan nak tanya, adakah dibuat kajian dari segi penanaman keriang dot yang dikata… disebut tadi? Adakah menguntungkan? Kita tak mau apa yang berlaku… contoh saya biasa juga terlibat juga suatu masa dengan penanaman serai tu cuma pihak yang membekalkan benih saja yang mendapat untung apabila tanam, nak jual balik pun tak boleh, rugi macam tu saja. Minta pihak yang berkenaan tu, sebarang yang nak buat tu, tolong kaji sebelum menjalankan projek-projek yang dicadangkan. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Chuping. Soalan ni saya akan menjawab secara bertulis. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan tambahan. Pendek saja.
Minat juga dengan keriang dot juga ka?
Dia sebab… hak tu nilai kita (ketawa). Baik, saya tak tanya berkaitan keriang dot tu, sebut sebutan dia keriang dot, cuma apa yang saya nak bawa di sini kita ada banyak produk-produk pelancongan kita yang saya yakin kita dapat memberi impak pada hasil pendapatan dan juga hasil ekonomi negeri, cuma apa yang saya tengok apabila berdasarkan pengamatan saya dari sudut branding kita… dari sudut kita punya promotion kita, promosi kita… jadi apakah kaedah Kerajaan Negeri supaya kita dapat meningkatkan promosi kita dari sudut… apa… kita punya hasil pelancongan kita… produk pelancongan kita? Sebab hari ni di zaman media baharu… media baru ni, apa yang penting adalah viral. Jadi apabila kita nak meningkatkan produk pelancongan kita sudah pasti kita kena viral-kan benda tu. Jadi kaedah-kaedah tu perlu kita teliti lah. Apakah kaedah dari pihak kerajaan? Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Beseri. Untuk tujuan promosi, pihak MOTAC dengan kerjasama dengan Tourism Malaysia memang menjalankan promosi secara berkala untuk mempromosikan produk-produk di negeri Perlis dan juga produk-produk ini dipromosikan di program-program di luar negara. Dan untuk maklumat lanjut sekiranya diperlukan, saya akan berikan secara bertulis juga.
Terima kasih. Soalan yang ketujuh dipersilakan YB Kayang…. Indera Kayangan, minta maaf.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 7.
(Soalan 7 : Apakah blueprint pihak Kerajaan Negeri dan tindakan yang akan dilakukan untuk menarik pelancong ke tempat-tempat bersejarah sebagai suatu destinasi pelancongan di negeri Perlis dan ke tempat-tempat yang sebelum ini dikatakan sudah mati serta tidak diselenggarakan mengikut perkembangan trend semasa, khususnya di Dataran Keris, Wang Kelian dan Taman Ular dengan cara yang lebih mantap dan cemerlang agar dapat membantu menjana income dan juga pendapatan masyarakat setempat apabila ramai yang masuk ke negeri Perlis?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kayang. Kuala Perlis dan Padang Besar merupakan salah satu nod pembangunan utama di negeri Perlis khususnya dalam sektor ekonomi pelancongan. Selaras dengan objektif Rancangan Struktur Negeri bagi mencapai Perlis Negeri Bandaraya, terdapat pelbagai projek dengan tujuan meningkat pendapatan negeri serta spillover kepada penduduk tempatan. Di antara tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan adalah seperti berikut. Pertama, penyediaan ruang niaga bagi menggalakkan industri berasaskan makanan. Di antara projek yang dalam proses pelaksanaan oleh pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) adalah menaik taraf medan selera dan kemudahan berkaitan bersebelahan Plaza Kuala Perlis yang mengandungi 13 unit gerai makan. Kedua, kempen pembudayaan kebersihan dan peningkatan standard perkhidmatan perniagaan makanan di kalangan peniaga, peniaga kedai makan bagi meningkatkan imej perniagaan makanan di kalangan masyarakat setempat dan juga pelancong. Ketiga, cadangan menaik menambah baik sistem tempat letak kereta yang akan menerapkan penggunaan teknologi pintar dan kaedah bayaran tanpa tunai (cashless) bagi memudahkan masyarakat negeri Perlis amnya dan pelancong khususnya. Fasa pertama pelaksanaan akan dimulakan dengan sistem tempat letak kereta berpalang di kawasan Arked Niaga Padang Besar yang dijangka pada bulan Januari 2023 dan fasa seterusnya akan diperluaskan ke kawasan parkir terbuka di seluruh Negeri Perlis. Keempat, menggalakkan penyertaan pihak swasta di dalam penganjuran karnival dan ekspo bagi menarik kunjungan orang ramai ke Kuala Perlis dan Padang Besar. Kelima, menaik taraf / menyediakan infrastruktur lampu hiasan bagi menceriakan kawasan tumpuan utama, termasuk di Kuala Perlis dan juga Padang Besar dan seterusnya keenam penyediaan digital billboard di kawasan Jeti Penumpang Kuala Perlis bagi memberikan informasi kepada para pelancongan mengenai tempat-tempat menarik di Perlis. Dalam hal berkaitan, pembangunan projek di kawasan Padang Besar dan Kuala Perlis turut diberi perhatian. Terdapat dua projek sedang dilaksanakan di Padang Besar iaitu pembangunan Kompleks Plazaria Padang Besar yang boleh memuatkan 188 unit gerai yang lebih selesa kepada pengunjung juga sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan. Di samping itu, Kompleks Pavilion Padang Besar yang berkeluasan seluas 9.86 ekar, mempunyai 11 blok gerai satu tingkat dan 110 unit kedai dengan nilai pelaburan sebanyak RM30.3 juta juga bakal dibuka kepada pengunjung pada suku kedua tahun 2023. Manakala di kawasan Pantai Bukit Putih, Kuala Perlis, terdapat satu pelaburan swasta yang akan membangunkan motel, pusat makanan laut dan rekreasi. Pembangunan ini kita jangkalah akan melonjakkan lagi ekonomi kawasan Kuala Perlis. Selain itu, Kerajaan Negeri juga dalam tindakan untuk mewujudkan Perlis Authentic Center iaitu satu One Stop Centre, pusat pengumpulan barang-barang usahawan tempatan yang berindentitikan produk Perlis seperti Kebaya Perlis, gendang hadrah, capal kulit, batik, ikan pekasam, belacan, kordial Harumanis… ha, yang ni ikon Perlis… dan sebagainya di bawah satu bumbung dan akan beroperasi di Bangunan Konkos, Kuala Perlis. Projek-projek ini dilihat akan dapat membantu meningkatkan prasarana awam serta menarik lebih ramai pengunjung untuk membeli-belah di negeri Perlis khususnya di Kuala Perlis dan juga di Padang Besar. Terima kasih.
Soalan tambahan. Tuan Speaker, soalan tambahan saya, apakah sebab… tadi saya ada dengaq YB ada sebut berkenaan dengan pembinaan gerai-gerai untuk di tempat-tempat pelancongan tersebut… cuma yang mendapat perhatian saya apakah pembinaan gerai-gerai ini ataupun gerai-gerai yang bakal dibina ini dibina berdasarkan data jumlah peniaga yang ada ada di Perlis? Sebab apa yang ini penting, sebab tadi berbalik pada soalan tadi lah, kita tak mau berlakunya ada bangunan-bangunan gajah putih yang mana peniaganya kurang tapi kita buat bangunan melebihi kapasiti peniaga yang sepatutnya. Jadi itu antara concern daripada saya lah dan juga lagi satu kita boleh buat sebagai contoh saya suka dengan idea-idea sebagai contoh pembinaan bangunan baru, lampu-lampu hiasan dan sebagainya, namun apakah tindakan yang bakal diambil untuk kita sustain ataupun… maaf… untuk kita maintain benda-benda tersebut, sebab banyak sebelum ni program-program ataupun projek-projek sebelum ni dibuat, namun selepas itu… selepas tiga empat bulan, tiada… tak ada sapa maintain… last sekali tak membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat terutamanya. Terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat Mata Ayer untuk memberi jawapan kepada saya. Saya ingin bertanyakan, setelah banyak usaha yang telah dijalankan… yang pernah dijalankan oleh Kerajaan yang dahulu dan memandangkan Kerajaan Negeri yang baru, boleh tak saya tahu apakah inisiatif… bukan sekadar dalaman di mana usaha dalam perkembangan memperbaiki infrastruktur dan sebagainya dan gerai-gerai dan tempat pelancongan di negeri Perlis… saya nak tahu apakah usaha Kerajaan Negeri untuk lebih proaktif membawa pelancong dari luar? Kita tak tunggu… kita tak buat kerja saja di dalam negeri tetapi kita keluar daripada negeri Perlis untuk membawa mereka. Apakah promosi dan usaha yang akan Kerajaan Negeri usahakan? Yang kedua, setelah kita bincangkan tentang bee farm, superfruits dan sebagainya, apakah satu pusat maklumat yang boleh ditawarkan kepada pelancong ataupun orang luar yang ingin datang melawat ke negeri Perlis? Setakat ini, kita dalam Dewan ini kita bincang, kita tau negeri Perlis… orang Perlis tau, tapi masalahnya bagaimana orang luar boleh mencapai maklumat untuk datang ke negeri Perlis? Mungkin indeks pelancongan harus dipertingkatkan serta jadi satu sumber maklumat yang penting untuk orang yang berminat datang ke negeri Perlis. Yang ketiga adalah jangka masa sasaran, berapa dalam jangka masa sasaran yang disasarkan Kerajaan Negeri untuk membangunkan industri pelancongan negeri Perlis? Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Tambun Tulang, gerai-gerai ini dibina adalah untuk mengelakkan lambakan-lambakan yang boleh kita katakan gerai-gerai haram yang didirikan di… kita kata di tepi jalan ataupun di kawasan-kawasan tidak strategik. Jadi, langkah kita membina gerai-gerai ini adalah untuk memindahkan dan kita meminta peniaga-peniaga yang kita kata berniaga secara gerai-gerai haram ni lah untuk ditempatkan di satu kawasan yang lebih tersusun dan kita untuk satu… sebagaimana tadi YB Kuala Perlis katakan tadi, mengelakkan kesesakan jalan raya tu. Kalau kita tengok tu, sebagai contoh di Kuala Perlis tu, gerai-gerai yang jual di tepi jalan adalah salah satu penyumbang kepada kesesakan trafik di situ.
Yang kedua, soalan daripada Yang Berhormat Indera Kayangan, sebagaimana yang saya sebut tadi adalah usaha Kerajaan melalui MOTAC dan juga Tourism kita membawa produk-produk pelancongan daripada Perlis ini bukan sekadar di Perlis, tetapi juga di luar Perlis… juga di luar negara dan pihak MOTAC dan juga Tourism Malaysia sepanjang masa secara berkala melakukan proses promosi ini untuk pelancongan di negeri Perlis. Seterusnya, mengenai satu pusat maklumat bersesuaian dengan Perlis Go Digital di mana semua maklumat-maklumat yang berkaitan dengan pelancongan di negeri Perlis boleh diakses melalui laman web yang telah disediakan oleh pihak MOTAC sendiri dan juga pihak Tourism Malaysia. Selain daripada itu, kita juga menyalurkan maklumat melalui pamphlet-pamphlet yang disediakan dan diletakkan di tempat-tempat strategik. Dan untuk tempoh jangka masa ini, sepertimana yang saya sebutkan tadi, kita meletakkan sasaran untuk produk ini dan kita letakkan negeri Perlis ini sasaran utama sebagai negeri pelancongan pada tahun 2030, insya-Allah. Terima kasih.
Soalan tambahan satu lagi ya… dua lagi. Pernah tak negeri… Kerajaan Negeri Perlis fikirkan adakan hubungan sister city mungkin dengan bandar-bandar seperti Dubai dan sebagainya untuk menarik pelancongan daripada negara mereka ataupun negara-negara lain ataupun mungkin dari Argentina ka, yang baru menang piala dunia ni. So, satu lagi adalah kekurangan signboard tempat pelancongan di negeri Perlis untuk mereka yang melalui di negeri Perlis khususnya yang pergi ke Hatyai ataupun yang nak melalui Kuala Perlis untuk ke Langkawi, ada tak signboard-signboard yang kita rasa kita perlu tambah sebab mereka kalau lalu, mereka ohh… tiba-tiba tengok ada signboard tempat yang menarik, mereka boleh singgah. So, mungkin itu satu cara untuk menarik pelancong untuk singgah dan bermalam di negeri Perlis untuk memperbanyakkan perbelanjaan mereka dan secara tidak langsung membantu rakyat negeri Perlis. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Indera Kayangan. Okay berkenaan dengan yang pertama, saya jawab berkenaan dengan kekurangan signboard negeri Perlis ni. Terima kasih di atas cadangan daripada Yang Berhormat Indera Kayangan, kita akan cuba mengatasi masalah ini dan kita memperbaiki dan juga insya-Allah menambahkan signboard-signboard terutama sekali di sempadan-sempadan negeri di mana bila orang masuk sempadan tu dah nampak dah apa-apa produk di negeri Perlis dan hubungan dengan negara luar Malaysia terutamanya membawa produk-produk dari negeri-negeri di dalam Malaysia ini ke negara luar dan sebagai contoh di negeri Perlis ni, kita selalu membawa rakan strategik kita… pelancongan sebelah… di negara sebelah, negara jiran iaitu Thailand, Singapura dan Brunei, termasuk Indonesia di ASEAN untuk kita mempromosikan produk pelancongan kita… dan untuk bagi negara-negara yang lain saya perlu merujuk dan saya akan menjawab secara bertulis sekiranya untuk negara-negara lain lah. Terima kasih.
Terima kasih atas jawapan-jawapan yang telah diberikan oleh YB EXCO-EXCO.
Usul Pelantikan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang NegeriMotion
Usul untuk melantik Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mengemukakan cadangan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan satu usul yang berbunyi “Bahawa Dewan ini menurut kuasa-kuasa yang diberikan di bawah Perkara 99 dan 101A Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Dewan, mengambil ketetapan bersetuju untuk melantik sebuah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri bagi Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas” yang mengandungi Ahli-Ahli Yang Berhormat seperti berikut: yang pertama Yang Berhormat Puan Gan Ay Ling sebagai Pengerusi; yang kedua Yang Berhormat Tuan Mohd Ridzuan bin Hashim; yang ketiga Yang Berhormat Tuan Abdu Bakar bin Hamzah; yang keempat Yang Berhormat Haji Saad bin Seman; dan Yang Berhormat Tuan Haziq Asyraf bin Dun.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon menyokong.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, di hadapan kita terdapat satu usul yang berbunyi “Bahawa Dewan ini , menurut kuasa-kuasa yang diberikan di bawah Perkara 99 dan 101A Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Dewan, mengambil ketetapan bersetuju untuk melantik sebuah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri bagi Dewan
Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas” yang mengandungi Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah dinamakan tadi.
Ahli-Ahli yang bersetuju, sila angkat tangan. Ahli-Ahli yang tidak bersetuju, sila angkat tangan.
(Semua Ahli angkat tangan bersetuju kecuali Yang Berhormat Chuping. Tiada Ahli angkat tangan tidak bersetuju.)
Usul ini diluluskan. Terima kasih.
Usul Perlantikan Ahli-Ahli Jawatankuasa Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah DewanMotion
Usul untuk melantik Ahli-Ahli Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Dewan. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mengemukakan cadangan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan satu usul yang berbunyi “Bahawa Dewan ini menurut kuasa-kuasa yang diberikan di bawah Perkara 99 dan 101A Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Dewan, mengambil ketetapan bersetuju untuk melantik sebuah Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Dewan bagi Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas” yang mengandungi Ahli-Ahli Yang Berhormat seperti berikut: yang pertama Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri sebagai Pengerusi; yang kedua Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri; yang ketiga Yang Berhormat Datin Marzita binti Mansor; yang keempat Yang Berhormat Tuan Wan Zikri Aftar bin Ishak; dan yang kelima Yang Berhormat Tuan Asrul Aimran bin Abd Jalil. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon…
Ahli-Ahli Yang Berhormat, di hadapan kita terdapat satu usul…
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon menyokong.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, di hadapan kita terdapat satu usul yang berbunyi “Bahawa Dewan ini , menurut kuasa-kuasa yang diberikan di bawah Perkara 99 dan 101A Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Dewan, mengambil ketetapan bersetuju untuk melantik sebuah Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Dewan bagi Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas” yang mengandungi Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah dinamakan tadi.
Ahli-Ahli yang bersetuju, sila angkat tangan. Ahli-Ahli yang tidak bersetuju, sila angkat tangan.
(Semua Ahli angkat tangan bersetuju sebulat suara)
Usul ini diluluskan.
Dewan ditempohkan sebentar dan akan disambung semula pada jam 10.45 pagi.
(Persidangan ditempohkan sementara pada jam 10.15 pagi)
(Persidangan disambung semula pada pukul 10.45 pagi)
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula.
Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2023 dan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2023Bill
Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2023. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan satu usul yang berbunyi “Bahawa Dewan ini mengikut Seksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, mengambil ketetapan bersetuju meluluskan perbelanjaan sebanyak RM112,947,010.00 (Seratus Dua Belas Juta, Sembilan Ratus Empat Puluh Tujuh Ribu Sepuluh Ringgit Sahaja) seperti yang tersebut di dalam Anggaran Pembangunan Negeri Perlis Tahun 2023 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 15 Tahun 2022”.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon menyokong.
Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2023. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mencadangkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2023 dibaca bagi kali pertama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon menyokong.
Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2023. Bacaan kali pertama.
Yang Berhormat Tuan Speaker, menurut proviso kepada peruntukan Peraturan 56 Dewan, saya mohon kebenaran untuk membaca Rang Undang-Undang ini bagi kali kedua pada hari ini juga.
Yang Amat Berhormat dibenarkan.
Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2023. Bacaan kali kedua.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang yang bernama “Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2023 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.
Adapun tujuan Rang Undang-Undang ini ialah untuk mengadakan peruntukan bagi mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri sebanyak RM157,527,100.00 untuk perkhidmatan bagi tahun 2023 bagi maksud-maksud yang dinyatakan di dalam jadual. Maksud-maksud yang dinyatakan di dalam jadual diberi bilangan yang sama dengan tujuan-tujuan di dalam draf Anggaran Perbelanjaan Negeri bagi tahun 2023 yang telah dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 14 Tahun 2022 sebelum dikemukakan Rang Undang-Undang ini. Yang Berhormat Tuan Speaker, Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan segala puji dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, di atas limpah dan rahmat-Nya, yang telah mengizinkan saya, buat kali pertamanya membentangkan Bajet Tahun 2023 Negeri Perlis. Telah genap sebulan pentadbiran Perikatan Nasional menggalas amanah sebagai Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya bersejarah 19 November 2022. Di Dewan yang mulia ini, saya mengambil kesempatan untuk merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, atas kepercayaan Baginda kepada barisan baharu kepimpinan negeri untuk melaksanakan amanah dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam meneraju, mengurus, mentadbir dan melaksanakan agenda kesejahteraan untuk memaju dan membangun negeri Perlis ke tahap yang lebih tinggi. Saya juga Yang Berhormat Tuan Speaker ingin mengambil kesempatan yang ada untuk merakamkan takziah… ucapan takziah yang setingginya kepada mangsa-mangsa banjir yang telah berlaku di negeri pantai timur begitu juga kepada mangsa yang telah terlibat dengan runtuhan tanah di Batang Kali. Di samping itu juga, saya ingin menjawab apa yang telah disebutkan di dalam Parlimen petang kelmarin yang saya dengaq sendiri daripada rakaman media sosial bahawanya kehadiran saya sebagai Menteri Besar Perlis seolah-olah hadir untuk meminta sedekah. Ini adalah satu tohmahan yang saya rasa cukup… saya tidak berpuas hati. Yang sebenarnya disebabkan kehadiran saya adalah atas jemputan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat kerana di atas jemputan kepada saya sebagai… yang saya anggap sebagai satu penghargaan yang cukup tinggi kepada negeri Perlis. Walau bagaimanapun, apa yang telah disebut oleh Yang Berhormat Rafizi di dalam Parlimen adalah satu kekesalan yang amat sangat di pihak saya dan saya mengenali dan tuan-tuan dalam Dewan yang mulia ini pun mengenali siapa Rafizi sebenarnya dan saya tidak perlu mengulas panjang tentang hal ini. Insya-Allah, kepercayaan yang diberi akan dilaksanakan dengan ikhlas, penuh tanggungjawab dan bersungguh-sungguh dengan kerjasama erat dari jentera perkhidmatan awam negeri ini, akan agar hasilnya dapat dirasai dan dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Negeri Perlis. Pada hari ini, di Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas, telah menyaksikan di mana perubahan Kerajaan Negeri Perlis telah berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah negeri ini. Sejarah juga tercipta di mana tiada wakil dari Kerajaan Negeri terdahulu yang dipilih rakyat untuk terus berada di Dewan yang mulia ini. Justeru, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dari Perikatan Nasional akan turut memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil, BEST.
Yang Berhormat Tuan Speaker, pilihanraya umum ke-15 yang lalu turut menyaksikan perubahan kepada lanskap politik negara dan pembentukan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan. Berikutan itu, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Yang Berhormat Tuan Speaker, tahun 2023 diramalkan sebagai tempoh yang sukar dan mencabar yang bakal diharungi oleh penduduk dunia akibat krisis ekonomi, makanan tenaga yang dijangka berlaku berikutan pergolakan dalam geopolitik dunia, khususnya konflik peperangan berpanjangan di Eropah Timur, penurunan pertumbuhan ekonomi dunia akibat pandemik COVID-19, tekanan inflasi global dan pertumbuhan ekonomi yang lemah. Dunia turut dijangka akan bakal berdepan dengan risiko kemelesatan ekonomi. Ekonomi Malaysia bagi tahun 2022 menyaksikan pertumbuhan berterusan, di mana Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun ketiga… pada suku tahun ketiga mengukuh kepada 14.2 peratus berbanding 8.9 peratus dan 5 peratus masing-masing pada suku tahun kedua dan pertama tahun ini. KDNK tahun ini diunjurkan berkembang di antara 6.5 hingga 7 peratus. Sungguhpun begitu, senario ekonomi dunia akan turut memberi kesan kepada negara kita di mana KDNK pada tahun 2023 diunjurkan pada kadar sederhana, iaitu sekitar 4 hingga 5 peratus. Yang Berhormat Tuan Speaker, prestasi ekonomi Negeri Perlis mencatatkan pertumbuhan yang semakin positif. KDNK Perlis bagi tahun 2021 mencatatkan pertumbuhan pada kadar 1.5 peratus berbanding penyusutan sebanyak 6.0 peratus pada tahun 2020. Beberapa sektor yang menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri adalah sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 2.3 peratus, sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.4 peratus dan sektor pembinaan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus. Pertumbuhan sektor perkhidmatan adalah disokong oleh sub-sektor perkhidmatan kerajaan, pengangkutan dan penyimpanan yang menunjukkan peningkatan positif. Sektor utama yang menyumbang kepada KDNK Negeri Perlis adalah sektor perkhidmatan yang merekodkan nilai berjumlah 4.1 bilion ringgit yang mewakili 70.2 peratus daripada keseluruhan KDNK, diikuti sektor pertanian sebanyak 17.4 peratus, sektor pembuatan sebanyak 8 peratus, sektor pembinaan sebanyak 2.6 peratus dan yang terakhir sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak 0.5 peratus. Dalam masa yang sama sektor pertanian yang merupakan sektor kedua yang terbesar menunjukkan penyusutan sebanyak 6 peratus pada tahun 2021. Sungguhpun begitu, ianya dilihat lebih baik jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya yang menyusut pada kadar 18.5 peratus. Pada tahun 2021, sektor pertanian di Perlis mencatatkan nilai ditambah berjumlah 1 bilion ringgit berbanding 1.1 bilion ringgit pada tahun sebelumnya. Sektor ini adalah pembekal utama makanan dan juga bahan mentah untuk industri berasaskan sumber. Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagai sebuah Kerajaan yang baharu ditubuhkan, tidak sampai sebulan pun usia pentadbiran ini, saya mengharapkan agar diberi ruang dan peluang untuk semua Anggota Pentadbiran yang dilantik ini memberikan perkhidmatan kepada rakyat di negeri Perlis yang bertuah ini. Perjalanan ini masih panjang, namun begitu perjalanan jauh beribu batu bermula dengan langkah yang pertama. Kerajaan Negeri berterima kasih kepada pentadbiran terdahulu yang telah memulakan beberapa program pembangunan dan sudah pasti sejumlah wang telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri bersedia untuk meneliti dan akan terus komited untuk meneruskan pelaksanaan program-program tersebut seandainya ianya memberikan manfaat kepada rakyat dan supaya tidak berlaku pembaziran kepada wang yang telah dibelanjakan. Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri akan terus merangka dan melaksanakan agenda perubahan yang dinamik seiring dengan pembangunan negeri. Kestabilan politik yang dibawa oleh Perikatan Nasional akan turut diterjemahkan melalui kestabilan ekonomi negeri Perlis di mana aspek peningkatan hasil akan turut diberikan tumpuan di samping mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah tanpa mengenepikan aspek pembangunan negeri dan masyarakat. Sungguhpun begitu, persekitaran ekonomi yang ganas dijangka akan terus membadai ekonomi di seluruh dunia, di mana sebagai negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia akan turut menerima kesan langsung dari situasi ini. Negeri Perlis sebagai sebuah negeri yang sedang membangun dan memerlukan tumpuan dari pelbagai pihak, perlu bersedia dalam mengharungi rintangan ini bagi memastikan ekonomi negeri ini akan mampu untuk bersaing dengan kompetitif dan berdaya maju seiring dengan pembangunan negara. Kerajaan Negeri Perlis akan sentiasa meningkatkan usaha dan tidak pernah berputus asa untuk memastikan perjalanan pembangunan negeri ini tidak terganggu, dan tiada rakyat tercicir dalam perancangan dan pelaksanaannya. Kita yakin bahawa setiap usaha yang suci dan ikhlas ini akan mendapat rahmat dan keberkatan Allah S.W.T seperti yang dijanjikan dalam Surah At-Thalaq ayat ke 2 hingga 3: Ertinya: “Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)-nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
Berdasarkan keazaman dan keyakinan ini, Kerajaan Negeri telah merangka Bajet Tahun 2023 dengan tema “Merangka Perubahan, Menjana Kestabilan, Mendepani Cabaran”. Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi merealisasikan pelaksanaan Bajet Tahun 2023 ini, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan kepada tiga (3) teras berikut, Teras yang pertama, Peningkatan Ekonomi Melalui Pelaburan. Teras yang kedua, Peningkatan Kualiti Hidup Rakyat dan Teras yang ketiga pembangunan Negeri Yang Mapan. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM293.36 juta bagi tujuan Bajet Tahun 2023 ini. Daripada jumlah ini, sebanyak RM180.41 juta atau 61.50 peratus disediakan di bawah perbelanjaan mengurus dan RM112.95 juta atau 38.50 peratus pula di bawah perbelanjaan pembangunan. Bagi tahun 2023, secara keseluruhannya, Perbelanjaan Mengurus meningkat 2.17 peratus berbanding tahun 2022. Di mana sebanyak RM61.05 juta disediakan untuk bayaran Emolumen kepada kakitangan awam, RM74.00 juta disediakan bagi menampung perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan, RM38.39 juta disediakan di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan sebanyakRM6.97 juta pula disediakan untuk tujuan Aset serta Lain-lain Perbelanjaan. Bagi peruntukan pembangunan, sejumlah RM112.95 juta disediakan bagi tahun 2023. Dari jumlah tersebut, sebanyak RM73.89 juta disediakan untuk Projek Mitigasi Jangka Sederhana Sistem Bekalan Air Negeri Perlis dan pembinaan Istana Raja Muda Perlis. Pembiayaan kedua-dua projek pembangunan ini adalah melalui pinjaman Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan. Di samping itu, sebanyak RM34.71 juta pula disediakan di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) serta Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity (EFT). Peruntukan pembangunan bagi tahun 2023 ini akan diagihkan kepada enam (6) Agensi Pelaksana utama bagi tujuan memenuhi keperluan pembangunan semua sektor, iaitu: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebanyak RM86.37 juta, Jabatan Kerja Raya sebanyak RM14.70 juta, Jabatan Pertanian sebanyak RM3.09 juta, Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebanyak RM0.88 juta, yang kelima Jabatan Pengairan dan Saliran sebanyak RM5.63 juta dan yang keenam Jabatan Perhutanan sebanyak
RM2.28 juta. Bagi anggaran hasil pula, Kerajaan Negeri menganggarkan kutipan hasil bagi tahun 2023 berjumlah RM112.23 juta yang terdiri daripada komponen berikut, yang pertama, hasil cukai sebanyak RM21.87 juta, yang kedua, hasil bukan cukai sebanyak RM23.46 juta dan yang ketiga terimaan bukan hasil sebanyak RM66.90 juta. Berdasarkan anggaran di atas, kutipan hasil negeri dijangka meningkat sebanyak RM2.99 juta atau 2.74 peratus berbanding tahun 2022. Dengan anggaran hasil ini, Kerajaan Negeri diunjurkan mengalami defisit sebanyak RM68.18 juta pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyakRM 0.84 juta atau 1.25 peratus berbanding RM67.34 juta pada tahun 2022. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menambah hasil pendapatan negeri khususnya berkaitan Hasil Cukai yang merupakan hasil utama kepada Kerajaan Negeri. Menyedari akan keterbatasan tanah di negeri ini, langkah Kerajaan adalah untuk memaksimumkan kutipan daripada pembayar-pembayar cukai yang sedia ada serta mengurangkan tunggakan cukai. Untuk itu, Kerajaan akan meneruskan usaha peningkatan hasil cukai dengan pelbagai program antaranya, satu program menggalakkan bayaran awal cukai tanah melalui pemberian rebat cukai sebanyak 8 peratus bagi tanah kategori pertanian, 5 peratus bagi tanah kategori kediaman/ bangunan dan 3 peratus bagi kategori industri sehingga 31 Mac 2023. Yang kedua, program peka cukai tanah bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan kewajipan membayar cukai tanah melalui aktiviti program turun padang dan yang ketiga pembayaran cukai tanah / sewaan secara atas talian dengan menggalakkan orang ramai untuk menjelaskan cukai tanah dan bayaran sewaan secara cashless (kredit atau debit kad) dan secara atas talian sejajar dengan misi Perlis Go Digital. Kerajaan juga turut berusaha meningkatkan hasil negeri melalui sumber-sumber baharu. Antaranya termasuklah penguatkuasaan Enakmen Fi Taman Awam Negeri yang telah diluluskan di dalam Sidang DUN yang lepas. Melalui penguatkuasaan ini, Kerajaan Negeri akan mendapat peningkatan hasil melalui kutipan fi dan bayaran bagi produk- produk yang disediakan oleh beberapa agensi kerajaan, seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian dan juga Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Yang Berhormat Tuan Speaker, menjunjung tinggi Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan pelaksanaan Projek Berimpak Tinggi yang akan mengubah landskap ekonomi dan menjadi pemangkin dan pengubah permainan, game changer dengan izin, daripada…kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri Perlis. Usaha untuk meningkatkan pelaburan melibatkan Projek Berimpak Tinggi ini akan terus dipergiatkan bagi memastikan negeri Perlis mampu berdaya tahan dalam ketidaktentuan ekonomi dan menjadi lebih kompetitif bagi menarik masuk pelaburan yang berpotensi serta mampu menjana ekonomi negeri dan rakyat. Projek-projek yang akan terus diperkukuhkan pelaksanaannya adalah melibatkan projek mega iaitu Pelabuhan Darat Perlis (Perlis Inland Port), Jeti Bersepadu Sanglang (Sanglang Integrated Jetty) dan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Negeri Perlis (Kangar Sentral). Alhamdulillah, pelaksanaan pembinaan projek-projek sokongan asas kepada projek PIP berjalan lancar. Pembinaan projek bonded road kini sedang berjalan. Sementara itu, kontrak bagi projek spurred line dan fly-over telah dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya. Insya-Allah pelaksanaan pembinaan projek PIP itu sendiri akan bermula pada tahun 2023 nanti. Sementara itu, projek Kangar Sentral pula dijangka siap pada tahun 2023. Alhamdulillah, pembangunan prasarana bagi Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) Fasa 1 yang melibatkan pembangunan tanah seluas 440 ekar dengan kos pembangunan sebanyak 200.9 juta ringgit telah hampir siap sepenuhnya dan bersedia untuk menerima pelabur. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah menerima pelaburan awal daripada Syarikat MRCB di mana perjanjian pembangunan kilang pengeluaran telah pun ditandatangani dan proses pembinaan kilang dijangka akan bermula pada tahun 2023. Seterusnya, Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan pelaksanaan pembangunan infrastruktur Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) Fasa 2 yang melibatkan pembangunan tanah seluas 2,042 ekar. Sejumlah RM76.4 juta telah dimohon di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP3, RMKe-12) untuk tujuan pembangunan infrastruktur tersebut berkenaan daripada Kerajaan Persekutuan dan majlis masih menunggu kelulusan. Kerajaan Negeri juga akan terus menjalin kerjasama erat bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memastikan perancangan dan pembangunan CVIA ini terus berjalan lancar dan mencapai matlamat penubuhannya. Justeru, sebagai penggerak awal kawasan tersebut, penubuhan dan pengoperasian Delivery Management Office (DMO) telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan pengurusan dan pelaburan di Kawasan CVIA tersebut berjalan lancar. Sebuah projek pembangunan universiti berkeluasan 60 ekar di CVIA dengan peruntukan sebanyak RM184.3 juta akan turut dilaksanakan dan dijangka dapat memberi manfaat limpahan ekonomi tertier kepada penduduk sekitar. Penubuhan UniKL-ASTI sebagai hab logistik bagi memajukan industri pengangkutan berasaskan teknologi dan inovasi berteraskan ekonomi digital dan Revolusi Industri 4 (IR4) dijangka bakal membantu dalam membangunkan bakat graduan melalui transformasi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan Pemangkin Dasar 1. Pemacu Perubahan iaitu Menambah Baik Ekosistem TVET Bagi Membangunkan Bakat Tersedia Masa Hadapan. Alhamdulillah, baru-baru ini Kerajaan Negeri telah menerima sejumlah RM12.56 juta dari pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai bayaran perolehan tanah untuk tujuan tersebut. Insya Allah, pelaksanaan projek ini akan bermula sebaik sahaja proses pemindahan tanah kepada Pesuruhanjaya Tanah Persekutuan selesai dalam masa terdekat. Menyedari akan kepentingan untuk memastikan sekuriti makanan di masa hadapan, Kerajaan Negeri telah pun memulakan strategi dan pelaksanaan bagi menggerakkan pengeluaran makanan secara komersial. Usaha Kerajaan Negeri ini sejajar dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025 dan Polisi Pertanian Komersial oleh Kerajaan Negeri sendiri yang menggalakkan sektor swasta membangunkan kawasan pertanian secara komersial berskala sederhana dan besar. Bagi tujuan ini, antara projek berskala besar yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk Projek Superfruits Valley seluas 50 hektar di Hutan Simpan Rimba Mas-Mas oleh Fig Direct Sdn Bhd dengan tanaman lemon, buah tin, gac, markisa dan mulberi. Yang kedua, Projek Biji Benih seluas 50 hektar di Hutan Simpan Rimba Mas-Mas oleh Green World Genetics Sdn. Bhd. dengan tanaman jagung bijian, yang ketiga Projek Tanaman Nanas MD2 seluas 87 hektar di Wang Kelian oleh GG Eco Farm Sdn Bhd, yang keempat Projek Tanaman Pisang Cavendish seluas 160 hektar di Hutan Simpan Kekal Lubuk Sireh oleh PCE Retails Sdn. Bhd., yang kelima Projek Penanaman Ubi Kayu (Cassava) seluas 160 hektar di Hutan Simpan Kekal Lubuk Sireh oleh Biorainforest Sdn Bhd, yang keenam Projek Ternakan Lembu Fidlot seluas 27.97 hektar di Hutan Simpan Rimba Mas-Mas oleh Koperasi Ukhwah, yang ketujuh Projek Industri Makanan Ternakan seluas 7 hektar di Bilal Udoh oleh Syarikat Eastern Agro & Farming Sdn Bhd, yang kelapan Projek Ternakan Lembu Daging, Bebiri dan Ayam Kampung seluas 4.05 hektar di Bukit Temiang oleh Saudagar Bijak Ternak Sdn. Bhd, yang kesembilan Projek Ternakan Lembu Daging seluas 3.15 hektar oleh Koperasi Penternak Negeri Perlis dan yang kesepuluh Projek Jagung Bijian seluas 81 hektar di Chuping oleh Syarikat Mutiara Perlis Sdn Bhd. Sebagai makluman Dewan yang mulia ini, sehingga tahun 2022 jumlah keluasan tanaman jagung bijian adalah 239.5 hektar dan kita menyasarkan untuk mencapai keluasan 500 hektar menjelang tahun 2025 bagi tanaman ini di seluruh negeri Perlis. Bagi memperkukuhkan lagi rantaian pengeluaran makanan di negeri ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak NCIA, juga sedang membangunkan Zon Ekonomi Pertanian Bio Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NAEZ) yang diterajui oleh pihak swasta. NAEZ secara keseluruhannya akan menyasarkan pelaburan lebih daripada RM4.5 bilion dan lebih 2,000 peluang pekerjaan serta mampu untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing rantaian nilai industri pertanian melibatkan sektor hiliran dan huluan pertanian, penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C), modal insan dan aspek pembiayaan projek. Bagi tujuan tersebut, kawasan Chuping negeri Perlis dikenalpasti sebagai kawasan utama yang dizonkan bagi pembangunan NAEZ Negeri Perlis yang juga merupakan sebahagian jaringan pertanian utama NAEZ Chuping – Bukit Kayu Hitam. Felda Global Ventures (FGV) merupakan salah satu rakan strategik utama berskala besar di dalam membangunkan NAEZ Chuping melalui Chuping Agro Valley (CAV) seluas 4,498.99 hektar merangkumi dua (2) projek utama, iaitu satu Ladang Tenusu Bersepadu bagi ternakan lembu tenusu seluas 3,258.92 hektar yang merupakan projek usahasama di antara FGV, Baladna dan Touch Group Holding Sdn Bhd dan yang kedua Ladang Tanaman Bernilai Tinggi Bersepadu bagi tanaman nanas MD2, pisang cavendish, jerusalem artichoke, vanilla dan mangga harumanis seluas 1,240.07 hektar. Kerajaan Negeri akur akan peranan sektor swasta sebagai peneraju dan pemangkin kepada pembangunan. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa menggalakkan dan berusaha untuk terus menarik pelabur swasta untuk terlibat di dalam pembangunan di negeri ini. Alhamdulillah, setakat ini sudah terdapat beberapa projek hasil inisiatif swasta yang sedang dalam pembinaan. Di antaranya termasuklah Pavillion Padang Besar, Pembangunan Motel, Pusat Makanan Laut & Rekreasi Pantai Bukit Putih, Projek Perlis Base Camp@ Gua Kelam dan Projek Nuansa Lentera Glamping and Retreat. Kerajaan Negeri menjemput dan mengalu-alukan pihak swasta yang tulen dan berminat untuk meneroka peluang-peluang pelaburan di negeri Perlis. Yang Berhormat Tuan Speaker, Program Kebajikan Masyarakat, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 dalam memacu perubahan bagi menangani kemiskinan dan membangunkan masyarakat secara insklusif, Kerajaan Negeri amat prihatin dan memberi perhatian serius dalam menangani isu miskin dan miskin tegar di peringkat negeri. Sehingga bulan Oktober 2022, negeri Perlis mencatatkan sejumlah 7,714 Ketua Isi Rumah yang berstatus miskin dan 3,920 Ketua Isi Rumah yang berstatus miskin tegar. Bagi memastikan program intervensi pembasmian kemiskinan diselaraskan secara menyeluruh dan inklusif, satu Unit Pembasmian Kemiskinan telah diwujudkan di Bahagian Perancang Ekonomi Perlis, yang akan menyelaras, memudahcara, melaksana dan memantau pelaksanaan semua program pembasmian kemiskinan negeri. Kerajaan Negeri juga akan menyediakan peruntukan berjumlah RM6.60 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meneruskan pelaksanaan pelbagai program kebajikan dalam tahun 2023, termasuklah program Bantuan Am yang merangkumi bantuan kewangan kepada keluarga / individu tidak berkemampuan, ibu tunggal dan mereka yang menepati syarat kelayakan. Bantuan ini telah mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sejak tahun 2018 dengan tambahan bantuan berjumlah RM200 bagi setiap penerima. Pada tahun 2023, kadar ini dinaikkan lagi sebanyak RM200 menjadikan jumlah bantuan tambahan daripada MAIPs sebanyak RM400 bagi setiap penerima yang akan diagihkan kepada lebih 8,000 orang penerima Bantuan Am setiap tahun. Selain itu, sebanyak RM1.06 juta diperuntukkan untuk pelbagai bantuan seperti bantuan bencana, basikal, tambang perjalanan dan cermin mata. Jumlah berkenaan juga adalah termasuk peruntukan sebanyak RM270 ribu untuk Pertubuhan Bukan Kerajaan berkaitan kebajikan. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga turut meneruskan pemberian Geran Pelancaran 2-Years Exit Policy yang memberi fokus kepada usaha pendayaupayaan penerima bantuan melalui pelaksanaan productive welfare untuk hidup berdikari. Untuk itu, sebanyak RM60 ribu disediakan bagi program berkenaan. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan peka terhadap pembangunan usahawan, industri kecil dan sederhana di Negeri Perlis. Pelbagai usaha dalam membantu para usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana dari pelbagai aspek demi memastikan pembangunan usahawan seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini. Kerajaan Negeri mendapati program-program sedia ada amat membantu dalam pembangunan para usahawan dan ianya wajar diteruskan dalam tahun 2023. Sejumlah RM720 ribu disediakan dalam Bajet 2023 bagi tujuan pembangunan usahawan, merangkumi program keusahawanan seperti Program Tahun Keusahawanan/ Himpunan Usahawan Perlis, Hari Peladang Penternak dan Nelayan, Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan pelaksanaan kursus serta bengkel pembangunan usahawan. 100 ribu ringgit juga turut diperuntukkan untuk pemberian Geran Good Manufacturing Practice (GMP) sebagai satu galakan kepada usahawan untuk mencapai piawaian pengeluaran produk yang lebih tinggi dan bermutu. Yang Berhormat Tuan Speaker, dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada potensi krisis makanan sekiranya ia tidak ditangani dengan baik. Pengurangan bekalan makanan, khususnya di Malaysia berpunca daripada beberapa sebab, antaranya peningkatan kos input pertanian yang terlalu tinggi, perubahan cuaca dan juga kekurangan tenaga kerja di dalam sektor pertanian. Di samping itu, kajian mendapati lebih 30 peratus daripada pendapatan dibelanjakan untuk makanan di Malaysia. Jadi, pemerkasaan sektor pertanian bukan sahaja dapat menjamin keselamatan makanan masa hadapan, tetapi ianya juga dilihat mampu mengurang bebanan kos sara hidup rakyat yang kian meningkat kebelakangan ini. Untuk itu, kemampanan sektor pertanian perlu diberikan perhatian yang serius. Bagi negeri Perlis, Kerajaan Negeri turut memberikan perhatian yang serius terhadap pembangunan sektor pertanian kerana 59.68% daripada keluasan negeri Perlis, atau 48,893 hektar tanah di Perlis adalah kawasan pertanian. Dari jumlah tersebut, seluas 28,052 hektar atau lebih kurang 57% adalah kawasan tanaman padi di mana seluas 17,886 hektar berada di dalam skim jelapang padi MADA dan 10,166 hektar lagi terletak di ladang luar kawasan MADA. Untuk itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian juga akan menyediakan sejumlah RM2.97 juta bagi meneruskan dan menambahbaik program pembangunan industri pertanian sedia ada meliputi pembangunan industri padi, industri sayuran dan tanaman ladang, industri buah-buahan, industri kelapa secara mapan serta tanaman industri dan herba. Termasuk di dalam peruntukan ini adalah penerusan program pembangunan Briged Belia Tani yang akan melatih para belia melalui kursus secara intensif dan hands on Amalan Pertanian Baik dalam pengurusan tanaman. Perusahaan ini diharapkan dapat menyuburkan minat dan memberikan ilmu dan kemahiran kepada para belia untuk menceburi bidang pertanian, sama ada sebagai usahawan tani mahupun tenaga kerja dalam sektor pertanian yang dilihat menghadapi masalah kekurangan pekerja pada masa ini. Selain itu Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga akan menyediakan sejumlah RM708 ribu bagi program pembangunan industri penternakan yang merangkumi industri ruminan, bukan ruminan dan aneka haiwan. Antara program-program yang akan dilaksanakan termasuk program pawah rusa, program Agropreneur Muda ruminan dan unggas, sumber genetik dan teknologi makanan ruminan dan juga bantuan Industri Asas Tani (IAT) dalam bentuk penyediaan kursus produk, naik taraf fasiliti dan juga promosi produk. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk melonjakkan kembali industri pelancongan di Negeri Perlis terutamanya yang berasaskan tarikan dan keindahan semula jadi. Pertumbuhan industri pelancongan menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui rantaian rapat dengan beberapa industri lain seperti pengangkutan, penginapan, makanan dan minuman, hiburan serta membeli belah. Sehingga bulan Ogos 2022, jumlah pelancong ke negeri Perlis telah meningkat dengan ketara kepada 1,324,990 orang berbanding 407,000 pada tahun sebelumnya. Untuk itu, bagi memperkasakan lagi sektor pelancongan negeri Perlis, sebanyak RM3.05 juta disediakan untuk pelbagai program dan aktiviti berkaitan pelancongan seperti Pesta Angin Timur dan Pesta Air Kuala Perlis. Peruntukan ini juga turut merangkumi program promosi pelancongan serta kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan produk pelancongan sebagai persediaan awal Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan program Tahun Melawat Perlis 2024. Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap keperluan untuk menyediakan kediaman yang mencukupi dan mampu milik kepada rakyat. Justeru di bawah Dasar Perancangan Utama Kelima (DPU 5) iaitu Pembangunan Perumahan Berkualiti, Mencukupi dan Mampu Milik, Rancangan Struktur Negeri Perlis (RSN) 2030, Negeri Perlis perlu mempunyai bilangan rumah terancang sebanyak 53,063 unit rumah pada tahun 2030. Berdasarkan kepada Jadual Stok Harta Kediaman, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) sehingga suku tahun ketiga 2022, sebanyak 27,088 unit rumah telah siap dibina di negeri Perlis dan 1,654 unit masih di dalam pembinaan. Mengambil kira perkembangan terkini ini, pencapaian RSN 2030 sektor perumahan dilihat telah mencapai 54.17% daripada sasaran dan berada di landasannya. Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan sokongan Kerajaan Persekutuan bagi projek-projek perumahan seperti projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), PRIMA, Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) dan lain-lain lagi. Dalam perkara ini, Pelaksanaan Projek Program Rumah Malaysia yang merupakan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat akan diteruskan lagi di Negeri Perlis dengan Pelaksanaan Projek Program Rumah Malaysia Padang Besar, melibatkan 75 unit berkeluasan 900 kaki persegi dengan peruntukan berjumlah RM23.4 juta… Adalah menjadi keutamaan bagi Kerajaan Negeri untuk sentiasa memberi tumpuan terhadap kemudahan serta kesejahteraan kepada rakyat. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah bajet bagi menaik taraf projek- projek perumahan rakyat di negeri Perlis. Bagi memberikan keselesaan kepada penduduk setempat, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM250 ribu bagi menaik taraf tangki air utama di PPR Bintong untuk mengatasi masalah tekanan air yang sering berlaku di kawasan terbabit. Selain itu, PPR Bintong juga akan turut berwajah baharu, di mana sebanyak RM500 ribu akan diperuntukkan bagi kerja-kerja mengecat Blok 14,15,16 dan 17 di PPR Bintong. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga tidak melupakan kepada kawasan perumahan sedia ada khususnya perumahan awam yang terdiri daripada 3,326 unit rumah Rancangan Perumahan Awam (RPA), 1,356 unit rumah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan 1,428 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR). Bagi memastikan kelestarian dan daya huni kawasan perumahan awam tersebut, beberapa projek menaik taraf dan menyelenggara telah dikenalpasti untuk dilaksanakan pada tahun 2023 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.36 juta. Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi pembaikan rumah dan pembinaan rumah baharu yang dijangka memberi manfaat kepada 22 rumah rakyat Perlis. Mengambil kira situasi banjir kilat yang sering berlaku di beberapa kawasan perumahan, projek menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur parit dan longkang di kawasan- kawasan perumahan juga akan dilaksanakan pada tahun 2023 dengan peruntukan sebanyak RM1.15 juta. Kawasan-kawasan perumahan yang bakal menerima manfaat itu adalah satu RPA Kaki Bukit (Taman Bunga Inai, Taman Bunga Cengkeh dan Taman Bunga Dedap) dan yang kedua RPA Mata Ayer I (Taman Bunga Mawar), yang ketiga RPA Padang Besar (U) (Taman Bunga China dan Taman Bunga Chempaka), yang keempat RPA Tambun Tulang (Taman Bunga Cempaka Putih), yang kelima RPA Arau (Taman Bunga Kekwa & Taman Bunga Semarak) dan yang keenam RPA Kangar I (Taman Bunga Padi). Alhamdulillah, Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memberi peruntukan bagi Kerja-Kerja Penggantian Enam (6) Unit Lif di PPR Sena. Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM3.87 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan Tahun 2023 bagi tujuan menyelenggara serta baik pulih kerosakan bangunan di dua (2) buah PPR dan Rumah Pangsa Kuala Perlis yang bakal memberi manfaat kepada 1,158 Ketua Isi Rumah yang menyewa di PPR dan juga kepada 140 Ketua Isi Rumah yang menyewa di Rumah Pangsa Kuala Perlis.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Menyedari kepentingan aktiviti sukan kepada masyarakat, Program Sukan bagi tahun 2023 akan memberi tumpuan untuk membudayakan sukan di Negeri Perlis serta memantapkan program pembangunan sukan secara berfokus, melalui program-program pencarian bakat baharu dalam kalangan anak muda negeri serta penganjuran acara sukan yang berimpak tinggi. Untuk tujuan itu, sebanyak RM4.05 juta diperuntukkan untuk tujuan pelbagai program pembangunan sukan. Jumlah berkenaan turut melibatkan program pengukuhan pembangunan sukan melalui penstrukturan Program YoungLions daripada program pembangunan jangka panjang atlet terpilih untuk lapan jenis sukan kepada pembentukan Atlet Elit Prospek Pingat akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM545 ribu. Atlet yang terpilih akan ditempatkan di asrama untuk menjalani latihan intensif dan diberikan bantuan yang lebih menyeluruh. Selain itu, pelbagai program pembudayaan sukan akan dilaksanakan seperti Program Sukan Jelajah Komuniti untuk memperkenalkan sukan-sukan yang kurang popular dalam kalangan rakyat Perlis dan kempen Perlis Bersukan. Pembudayaan sukan turut akan melibatkan pembahagian penggunaan fasiliti antara program atlet berprestasi tinggi dan pengguna awam. Beberapa laluan sekitar Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra (KSTSP) akan ditutup untuk kenderaan bagi memberikan laluan kepada orang awam beriadah iaitu aktiviti berjoging dan berbasikal di sekitar kawasan stadium. KSTSP juga akan dibuka kepada orang awam untuk beriadah pada sebelah malam. Projek naik taraf dan bina baharu juga akan dilaksanakan bagi memberi peluang kepada atlet dan pengguna awam menggunakan fasiliti sukan dengan lebih kondusif dan selamat. Sejumlah RM656 ribu diperuntukkan pada tahun 2023 bagi menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur sukan dan kemudahan sukan di seluruh negeri Perlis. Antara kerja-kerja yang akan dilaksanakan termasuklah menaik taraf bilik rehabilitasi fisioterapi, pagar keselamatan di kawasan memanah, membina palang penghalang di laluan masuk kriterium, menaik taraf gelanggang skuasy, menaik taraf sistem pencahayaan di trek olahraga dan gelanggang boling padang. Liga sukan untuk rakyat akan diteruskan pada tahun 2023 sepertimana yang telah dijayakan pada tahun ini melalui Liga Bola Sepak Perlis 2022 dan Pesta e-Sukan Perlis 2022. Antara sukan lain yang akan dianjurkan Liga Sukan Rakyat adalah sukan sepak takraw. Kerajaan Negeri juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kontinjen Negeri Perlis yang telah membawa pulang pingat pada Kejohanan Sukan Malaysia Ke-20 dan Kejohanan Para Sukan Malaysia Ke-20 tahun 2022. Sebanyak enam emas, tujuh perak dan sepuluh gangsa telah dibawa pulang di Kejohanan SUKMA Ke-20 manakala lapan emas, lima perak dan dua gangsa telah dibawa pulang oleh kontinjen Para SUKMA Ke-20. Di atas kejayaan berkenaan, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan pemberian insentif… kemenangan kepada semua atlet yang berkenaan dengan insentif keseluruhan yang berjumlah melebihi RM150 ribu. Semoga pemberian insentif ini akan menjadi perangsang kepada semua atlet untuk menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan. Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi meneruskan Agenda Perlis Bersih Sihat, Kerajaan Negeri akan meneruskan fasa pemantapan kesedaran dan penguatkuasaan sehingga tahun 2025. Ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan tindakan menyeluruh daripada segenap lapisan masyarakat dan semua pihak yang terlibat ke arah peningkatan kesedaran terhadap kebersihan dan kesihatan negeri Perlis. Memandangkan urusan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan pembersihan Awam 2007 [Akta 672], Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Perbandaran Kangar (MPK) seperti mana obligasi yang telah dimeterai bersama melalui Perjanjian Tiga Pihak untuk menyerahkan kawasan yang diberikan perkhidmatan pembersihan termasuk di kampung-kampung yang juga merupakan kawasan pentadbiran MPK, tertakluk kepada kedudukan kewangan di peringkat MPK dan Kerajaan Negeri. Sebagai permulaan, bermula tahun 2023, sejumlah 1,933 buah rumah melibatkan 15 buah kampung akan diserahkan bagi tujuan penyediaan perkhidmatan kutipan sampah secara pintu ke pintu yang melibatkan implikasi kewangan Kerajaan Negeri berjumlah RM65 ribu setahun. Melalui pemerhatian Kerajaan Negeri, usaha pembersihan kawasan tertentu melalui kaedah gotong-royong masih relevan dan sesuai untuk dilaksanakan sebagai langkah untuk menerap kesedaran akan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan oleh setiap individu di semua peringkat masyarakat. Misalnya, program peningkatan aspek kebersihan di Kg. Seberang Ramai, Kuala Perlis dan beberapa kawasan hotspots tertentu di sekitar Pekan Kuala Perlis melalui Operasi Bersepadu Pembersihan Kuala Perlis, Gotong-Royong Mega 2.0 Basmi Aedes dan aktiviti gotong-royong yang berterusan dengan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti di pesisir pantai Kuala Perlis. Program ini sedikit sebanyak telah memberikan kesedaran kepada penduduk setempat betapa pentingnya aspek kebersihan sehingga mampu mengangkat kawasan tersebut menjadi suatu produk tarikan pelancong. Untuk itu program-program sebegini harus diteruskan dan dikembangkan ke tempat-tempat lain di seluruh negeri Perlis, khususnya di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan program-program seperti World Clean-up Day (WCD), aktiviti ’plogging’, kutip sampah sambil beriadah (KUDAH) dan program-program seumpamanya ke arah menjayakan Agenda Perlis Bersih Sihat. Ke arah menjayakan ekonomi kitaran dalam aspek kitar semula pula, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memulakan Projek Rintis Penentuan Kadar Kitar Semula Peringkat Negeri di mana Negeri Perlis akan dijadikan sebagai projek rintis bagi menentukan kadar kitar semula yang akan diseragamkan di seluruh negeri dan pihak berkuasa tempatan. Untuk itu, satu lagi Pusat Serahan Barangan Kitar Semula (Drive Thru Recycle Center - DTRC) akan dibuka di kawasan Padang Besar sebagai pelengkap yang sedia ada di Pasar Sena, Kangar dan Pasar Arau, Arau. Program-program ini secara langsung menyokong pembentukan Majlis Kitaran Ekonomi Negara di peringkat Kerajaan Persekutuan. Yang Berhormat Tuan Speaker, infrastruktur telekomunikasi yang cekap merupakan salah satu komponen penting sebagai pemangkin kepada pembangunan negeri. Ianya bukan sahaja memudahkan aspek perniagaan, pendidikan, perkhidmatan kerajaan, komuniti dan masyarakat, malah menjadi salah satu faktor penarikkan penting pelabur untuk datang melabur di negeri ini. Menyedari akan kepentingan perkara ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui program JENDELA akan menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negeri untuk peralihan kepada teknologi 5G bersama Digital Nasional Berhad (DNB). Proses pelaksanaan Fasa 2, penyediaan perkhidmatan 5G di Perlis yang melibatkan 59 lokasi dijangka akan bermula pada tahun 2023 dengan menyasarkan 85% kawasan di negeri Perlis diliputi dengan rangkaian 5G pada penghujung tahun 2023. Pelaksanaan perkhidmatan rangkaian 5G ini diharapkan akan dapat membawa perubahan dan peningkatan kepada sosioekonomi dan gaya hidup masyarakat di negeri Perlis kelak. Dalam usaha untuk meningkatkan lagi kecekapan dalam pengagihan bantuan kepada rakyat pula, Kerajaan Negeri telah membangunkan satu sistem pangkalan data rakyat yang dijenamakan sebagai eRakyat@Perlis. Pembangunan sistem ini, Insya-Allah akan dapat mengurangkan risiko pertindihan bantuan dalam kalangan penerima bantuan sedia ada. Dengan ini, bantuan daripada kerajaan dapat disalurkan kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan. Bagi memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan dalam memudahkan rakyat berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan perkhidmatan portal eBayar sebagai kemudahan untuk membuat pembayaran terhadap pelbagai perkhidmatan di jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Perlis melalui perbankan atas talian (fpx) dan penggunaan kad kredit atau kad debit. Pada masa ini, sebanyak 15 jabatan / agensi Kerajaan yang menggunakan kemudahan yang melibatkan 47 jenis pembayaran. Rakyat tidak lagi perlu ke jabatan / agensi ini atau membawa tunai bagi membuat pembayaran kepada agensi-agensi kerajaan berkenaan. Di mana-mana sahaja kita lihat manusia tidak dapat berpisah dengan telefon masing-masing. Hatta ke atas katil pun telefon masih di sisi. Untuk itu, bagi mempertingkatkan lagi kemudahan urusan pembayaran, Kerajaan Negeri akan membangunkan aplikasi eBayar secara mobile. Ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam mempelbagaikan serta memastikan pembayaran bagi semua perkhidmatan kerajaan dapat dilakukan secara tanpa tunai dan memacu ke arah Perlis Go Digital dan Perlis Cashless Society. Dengan adanya aplikasi ini kelak, tiada lagi batasan masa dan tempat untuk urusan pembayaran dengan Kerajaan. Urusan boleh dibuat di mana sahaja tanpa mengira masa. Hanya di hujung jari. Sebagai usaha melancarkan proses transformasi digital dalam perkhidmatan kerajaan melalui Pelan Digital Perlis, Kerajaan Negeri akan memberi fokus untuk menaik taraf peralatan dan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri. Untuk itu, sebanyak RM796 ribu diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan peralatan ICT terkini agar selari dengan hasrat kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan kerajaan ke arah pendigitalan. Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam usaha meningkatkan syiar Islam dan mengimarahkan masjid, sebanyak RM3.28 juta telah diperuntukkan menaik taraf dan menyelenggara prasarana dan infrastruktur masjid. Peruntukan berkenaan juga termasuklah memastikan dua buah masjid yang dinaik taraf dapat disiapkan sepenuhnya pada tahun hadapan iaitu Masjid Al-Rahman, Simpang Sanglang dan Masjid Darul Ulum, Wang Ulu. Kerajaan Negeri juga bersetuju memperuntukkan sebanyak RM661 ribu bagi kerja-kerja penambahbaikan Masjid Nurul Said, Santan dan Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang, Kangar. Selain itu sejumlah RM600 ribu diperuntukkan bagi menaik taraf sistem pendawaian elektrik di beberapa masjid sekitar negeri Perlis iaitu yang pertama Masjid Jabal Ala, Kg. Melayu, Titi Tinggi, Padang Besar; yang kedua, Masjid Al-Ittifaqiah, Mengkuang Layar, Utan Aji, yang ketiga Masjid Darul Ibadah, Padang Behor, Kangar; dan yang keempat Masjid Al Munawarrah, Mata Ayer. Bagi menyokong aktiviti-aktiviti sosial dalam kalangan penduduk setempat, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM430 ribu bagi pembinaan dua (2) buah Dewan Orang Ramai di Kg. Kubang Arang, Bintong dan Kg. Cawangan Utara, Titi Tinggi bagi memudahkan dan memberikan keselesaan kepada penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Jumlah ini termasuklah kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih sistem hawa dingin di Dewan MPK, Arau, Perlis. Kepelbagaian penduduk yang berbilang budaya dan agama menjadikan rakyat Perlis lebih harmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain. Menyedari hakikat ini dan di atas sifat bertanggungjawab, Kerajaan Negeri akan menyediakan satu kemudahan pembakaran mayat atau krematorium dengan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk penganut Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain. Kerajaan Negeri juga amat menyokong sebarang aktiviti yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat. Justeru itu, melalui Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Negeri telah merancang untuk membantu peniaga-peniaga kecil dengan menaik taraf gerai-gerai perniagaan dan pasar borong sedia ada bagi memberikan keselesaan baik kepada peniaga mahupun pengunjung. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM1.95 juta bagi meroboh, menaik taraf serta menambah membaik pulih gerai sedia ada di sekitar negeri Perlis. Yang Berhormat Tuan Speaker, pencahayaan merupakan komponen penting dalam meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan pengguna jalan raya. Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak RM1.89 juta untuk tujuan menaik taraf, menyelenggara dan memasang lampu di jalan-jalan utama negeri Perlis. Beberapa kawasan telah dikenalpasti bagi tujuan pemasangan lampu iaitu satu, Jalan Tambun Tulang - Tok Pulau (R174) Dari Selekoh Berbahaya Hingga Persimpangan Kampung Padang Petani, Sanglang, Perlis. Yang kedua, persimpangan laluan masuk ke SK Bintong, Jalan Raja Syed Saffi (R102) ke persimpangan Jalan Wang Ulu - Panggau (R109) Tebing Tinggi, Perlis; dan tiga, persimpangan Jalan Tambun Tulang (R4) dengan Jalan Fida Dua (Changkat Jawi) (R151) hingga persimpangan Kampung Telaga Haji Latiff, Kampung Behor Mempelam, Arau, Perlis. Kerajaan Negeri juga turut menyediakan sebanyak RM95 ribu bagi menaik taraf sistem lampu isyarat segerak dan sistem pemantauan lampu isyarat negeri secara online.
Yang Berhormat Tuan Speaker, jaringan jalan raya adalah kemudahan awam terpenting yang menjadi penghubung utama kepada rakyat. Dengan meningkatnya bilangan kenderaan, keselamatan dan keselesaan rakyat di atas jalan perlu diberi perhatian sewajarnya. Justeru itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri dengan menyediakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur jalan untuk keselesaan dan kemudahan rakyat. Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1.89 juta untuk projek menaik taraf jalan dan persimpangan seperti berikut. Cadangan…yang pertama cadangan menaik taraf jalan persisiran pantai Kuala Perlis-Kuala Sanglang (R152) - Fasa 5. Yang kedua, cadangan jalan cadangan menaik taraf Jalan Kampung Serdang (R157) - Fasa 3. Yang ketiga, cadangan menaik taraf Jalan Kok Mak (R125), dan yang keempat cadangan menaik taraf persimpangan jalan masuk ke Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Kerajaan Negeri juga akan memastikan jalan-jalan negeri berada dalam keadaan yang selamat dan selesa melalui peruntukan di bawah MARRIS dengan peruntukan sebanyak RM34 juta bagi penyelenggaraan jalan bagi semua kategori yang merangkumi jalan negeri, jalan pertanian, jalan kampung dan jalan-jalan perumahan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi memastikan bekalan air bersih sentiasa mencukupi kepada semua rakyat negeri Perlis, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM68.24 juta pada tahun 2023. Daripada jumlah berkenaan sebanyak RM66.89 juta adalah pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf tiga loji rawatan air iaitu Loji Rawatan Air Timah Tasoh, Loji Rawatan Air Arau Fasa I, II dan III, serta Lori Rawatan Air Arau Fasa IV. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan sebanyak RM1.35 juta bagi meneruskan program pergantian paip-paip lama yang telah usang bagi menambah baik sistem retikulasi dan bekalan air di seluruh negeri Perlis.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kepesatan pembangunan boleh menyumbang kepada pengurangan kawasan takungan dan kawasan resapan secara semulajadi yang berpotensi menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan. Justeru, sebagai langkah menangani kejadian banjir kilat, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.40 juta merangkumi kajian dan projek pembangunan untuk kawasan-kawasan berisiko banjir di seluruh negeri. Kerajaan Negeri juga bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan bagi peruntukan sebanyak RM60 juta melalui Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Perlis yang dijangka bermula pada tahun 2023 dan mengambil masa selama 5 tahun untuk disiapkan. Pelaksanaan projek tersebut dijangka akan melengkapkan perancangan tebatan banjir di Perlis sekaligus mengatasi 60% masalah banjir di Perlis. Dalam usaha untuk memastikan Empangan Timah Tasoh yang merupakan kawasan sasaran penting tahap satu diberikan kawalan sewajarnya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM200 ribu bagi kerja membina dan menaik taraf sistem integriti keselamatan empangan. Selain itu, bagi melengkapkan fungsi empangan dan pengurusan banjir, projek pembinaan stesen hidrologi berskala besar sedang giat dilaksanakan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan di bawah projek Ramalan Amaran dan Banjir Negara Fasa 2 dengan kos RM4.20 juta.
Yang Berhormat Tuan Speaker, bagi menangani ancaman hakisan dan runtuhan tebing sungai yang meningkatkan risiko banjir, sejumlah RM610 ribu diperuntukkan bagi pemuliharaan sungai-sungai. Selain itu juga, bagi meningkatkan keindahan dan kelestarian koridor sungai serta tasik, sebanyak RM315 ribu telah diluluskan. Bagi menangani perubahan fizikal dan perubahan pada fenomena air pasang surut, tindakan diperlukan untuk menaik taraf struktur bagi mengekalkan keutuhan pantai sedia ada serta mengelakkan kesan air pasang dan ombak yang menghempas pantai. Sehubungan dengan itu, pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM300 ribu bagi kerja menaik taraf ban pantai di Kuala Perlis. Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM5.64 juta untuk penyelenggaraan sungai dan saliran termasuklah penyelenggaraan di Timah Tasoh dan Lencongan Banjir Barat (LBB). Daripada keseluruhan 28.05 ribu hektar kawasan tanaman padi di negeri Perlis, sebanyak 10.2 ribu hektar adalah di luar kawasan MADA dan dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (Perlis Utara). Di kawasan Perlis Utara sebanyak 4.7 ribu hektar yang masih belum dimajukan dengan kemudahan infrastruktur pengairan dan saliran. Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja kecil infrastruktur pengairan dan saliran pertanian di Kawasan Perlis Utara (Luar Jelapang MADA) iaitu melibatkan kerja-kerja menaik taraf jajaran tali air konkrit di kawasan Titi Tinggi, Chuping, Santan, Mata Ayer dan Batu Pahat. Seterusnya, sejumlah RM1.2 juta lagi diperuntukkan bagi pembangunan sumber air untuk skim pengairan padi dan pelbagai tanaman iaitu dengan menaik taraf dua ibu bekalan iaitu ibu bekalan Sg Buloh dan Abi Kubang Badak yang bertujuan menyediakan satu sistem infrastruktur pertanian dan dapat yang dapat beroperasi dengan cekap dan efisien di lapangan. Keadaan ini sekaligus akan membantu menjana pengeluaran hasil pertanian khususnya tanaman padi dan secara tidak langsung ianya dapat meningkatkan pendapatan warga tani negeri Perlis. Sejumlah RM600 ribu juga telah diperuntukkan bagi pembinaan struktur jambatan melintasi sungai-sungai di kawasan luar jelapang MADA yang mana kebanyakan jambatan ini telah berusia melebihi 20 tahun dan telah mengalami kerosakan dan uzur serta tidak kestabilan struktur berikutan beban yang dikenakan ke atas jambatan atau lintasan adalah melebihi had yang ditetapkan susulan kekerapan penggunaan jentera berat selain faktor alam semulajadi seperti banjir, hakisan tanah dan lain-lain.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam negeri Perlis yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan lancar, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 kepada penjawat awam dari gred 54 dan ke bawah. Bayaran ini akan diberikan pada bulan Januari 2025… eh silap… 2023. Semoga bantuan khas kewangan ini mampu memberikan suntikan semangat untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi di masa hadapan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam senario ketidaktentuan ekonomi dan pelbagai rintangan yang bakal dihadapi, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk memastikan inisiatif yang diumumkan melalui Bajet 2023 ini dapat direalisasikan. Sokongan dan kerjasama daripada semua pihak amatlah diharapkan. Kepadamu Ya Allah kami berserah, semoga diberikan kekuatan dan mudah-mudahan segala usaha ini beroleh keberkatan. Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon mencadang. Sekian, Terima Kasih. Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mohon menyokong.
Penangguhan DewanAdjournment
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan untuk hari ini dan akan disambung semula pada hari esok, Rabu, 21 Disember 2022, jam 9.00 pagi. Saya juga ingin menasihatkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk bersedia dengan perbahasan usul anggaran pembangunan negeri Perlis pada hari esok. Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
(Persidangan ditangguhkan pada jam 12.07 tengah hari)