Perlis · 14 March 2023

15th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 13 turns · 3,949 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.

(Pembukaan)

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Dewan mula bersidang.

Doa

Penolong Setiausaha Dewan

Doa.

(Bacaan doa oleh Penolong Setiausaha Dewan).

Pemasyhuran daripada YB Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis

Setiausaha Dewan

Pemasyhuran daripada Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.

Speaker

Bismillahirahmanirahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, sebentar lagi Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis akan berangkat masuk bagi merasmikan Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas. Saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dapat memberikan sepenuh tumpuan dan mendengar dengan teliti bagi memahami setiap butiran titah ucapan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku. Setelah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku selesai bertitah, persidangan kita pada hari ini akan ditangguhkan. Ahli-ahli Yang Berhormat dipersilakan ke Aras 1 untuk Majlis Bergambar dan seterusnya Majlis Santapan Tengah Hari. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, di atas meja disediakan layout Majlis Bergambar antara Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama-sama dengan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat beserta pasangan bersama-sama dengan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis.

Seterusnya, sidang Dewan akan disambung semula pada hari esok dan lusa untuk perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja. Insya-Allah.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis mewakili Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis akan menyempurnakan Titah Ucapan DiRaja.

(Bentara menanggung Cokmar dan diikuti oleh Penolong Setiausaha Dewan, Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker berarak keluar dari Dewan ke Bilik Istirahat DiRaja bagi menjemput Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang

Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis untuk mencemar Duli berangkat masuk ke dalam Dewan).

(Bentara mengumumkan keberangkatan masuk Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis).

Bentara

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis.

(Dif-dif jemputan berdiri, mengangkat sembah dan memberi tunduk hormat).

(Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis serta Juruiring-juruiring, Bentara Dewan, Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Penolong Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri mengambil tempat masing-masing sambil berdiri).

(Lagu negeri Perlis dimainkan).

(Duli-Duli Tuanku bersemayam).

DYTM Tuanku Raja Muda

Yang Berhormat Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk.

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja PerlisAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mempersembahkan Warkah Titah Ucapan DiRaja kepada Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis.

(Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar mengiringi Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke Paterana DiRaja, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengangkat sembah, Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengambil dulang berisi Warkah Titah Ucapan DiRaja dan seterusnya mempersembahkan Warkah Titah Ucapan DiRaja kepada DYTM Tuanku Raja Muda Perlis. Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengangkat sembah kemudian kembali ke tempat masing-masing).

Setiausaha Dewan

Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis mewakili Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis akan menyempurnakan Titah Ucapan DiRaja.

DYTM Tuanku Raja Muda

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Alhamdulillah Saya bersyukur ke hadrat Allah Azza Wajalla kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, maka dapatlah kita bersama-sama berada di dalam Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis serta Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian. Pada hari bersejarah ini, Saya berangkat hadir mewakili Seri Paduka Ayahanda Saya Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis untuk menzahirkan titah ucapan Baginda sempena Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas.

Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak dapat berangkat kali ini memandangkan Baginda berada dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan. Berikut adalah titah Baginda yang diamanahkan kepada Saya untuk dibacakan:-Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis serta Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian. Pertamanya, Beta ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Mamanda Menteri Besar, YAB Tuan Mohd Shukri bin Ramli kerana dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu. Ucapan Beta ini turut dipanjangkan kepada barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri baharu yang dilantik Kerajaan Negeri setelah berjaya mendapat kepercayaan rakyat, semasa pilihanraya pada 19 November 2022 yang lalu. Beta berharap berharap semua Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa berganding bahu bersama mamanda Menteri Besar untuk membangunkan negeri dan meneruskan kelangsungan pembangunan yang telah dirancang supaya mencapai wawasan Perlis Negeri Bandaraya menjelang 2030. Di kesempatan ini juga, Beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan mamanda Menteri Besar iaitu Dato’ Seri Azlan bin Man serta pucuk pimpinan di bawah Pentadbiran beliau sepanjang tempoh perkhidmatan dan sentiasa menjunjung amanah Beta dalam membangunkan negeri ini. Seperti semua maklum, pilihanraya yang lalu telah memberi kejutan kepada negara. Kerajaan Negeri buat pertama kalinya telah berubah tampuk kepimpinan kepada Perikatan Nasional yang memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ini secara tidak langsung menunjukkan kuasa rakyat dalam memilih kepimpinan yang dipercayai mereka. Justeru itu, Beta berharap agar mandat yang diberikan oleh rakyat ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Jadilah pemimpin yang sentiasa mendengar keluh kesah rakyat. Bantulah mereka bagi meringankan beban yang ditanggung kerana itulah tanggungjawab seorang pemimpin. Elakkan perbuatan yang kononnya menampakkan kecaknaan sedangkan kedengaran suara rakyat masih memerlukan bantuan dan sokongan. Sentiasa sematkan di dalam diri untuk menjadi pemimpin yang beretika, berintegriti, berani serta berwawasan dalam menggerakkan perubahan pembangunan negeri. Beta yakin, pucuk pimpinan baharu ini mampu menggalas amanah selaras dengan aspirasi ’Perlis Baharu’ yang mampu memberi perubahan positif kepada negeri dan memperkasakan kehidupan rakyat. InsyaAllah. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Setelah dilanda ujian pandemik COVID-19, dunia kini bangkit untuk pulih. Di sini, Beta kagum dengan usaha yang ditunjukkan oleh Kerajaan tidak kira di peringkat Persekutuan mahupun negeri untuk melonjakkan semula ekonomi negeri dan rakyat. Alhamdulillah, prestasi ekonomi negeri Perlis telah menunjukkan pertumbuhan yang positif dengan kadar pertumbuhan 1.5% dicatatkan pada tahun 2021 berbanding penyusutan 6.0% pada tahun 2020. Berdasarkan statistik, beberapa sektor menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri iaitu sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 2.3%, sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.4% dan sektor pembinaan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2%. Melalui pencapaian ini, Beta yakin Negeri Perlis akan dapat menyumbang kepada KDNK negara melalui peningkatan di sektor-sektor ekonomi utama seperti perkhidmatan dan lojistik, perlombongan dan pengkuarian, pelancongan, pertanian, keusahawanan dan penjanaan ekonomi berasaskan digital serta industri pembuatan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Bajet Pembangunan Negeri pada tahun 2023 dengan tema “merangka perubahan, menjana kestabilan, mendepani cabaran” memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM293.36 juta di mana sebanyak RM180.41 juta telah diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM112.95 juta lagi untuk perbelanjaan pembangunan. Tidak dapat dinafikan cabaran untuk membangunkan negeri ini agak mencabar dan sukar. Beta faham akan keterbatasan kewangan yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri dan kebergantungan dari segi peruntukan perbelanjaan operasi dan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, Kerajaan Negeri dan setiap wakil rakyat harus berusaha keras mewujudkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat supaya segala urusan berkaitan dengan pembangunan negeri berjalan lancar. Kepentingan rakyat wajib didahulukan dan diutamakan dengan mengetepikan fahaman politik. Beta yakin, Kerajaan Perpaduan di bawah naungan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim dapat memberi kerjasama yang baik dan tidak akan meminggirkan negeri ini daripada arus perancangan pembangunan negara. Melihat kepada keadaan semasa kewangan negeri, Beta menyarankan supaya perancangan perbelanjaan dibuat dengan teliti dan berhemah. Beta menyeru supaya Kerajaan Negeri berbelanja mengikut keutamaan dan memberi fokus kepada perkara- perkara yang dapat memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat negeri ini. Perbelanjaan yang tidak berpaksikan rakyat dan pembaziran harus dielakkan sama sekali. Kerajaan Negeri juga perlu bijak meneroka sumber- sumber baharu yang boleh mendatangkan hasil kepada negeri. Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Negeri berfikir secara kritis dan serius untuk mempelbagai hasil negeri ini dan tidak bergantung kepada kutipan hasil cukai tanah dan premium semata-mata. Jabatan serta Agensi negeri boleh memfokuskan kepada pengeluaran produk hiliran, penelitian semula caj-caj kemasukan tempat pelancongan, menyewakan lot-lot atau tapak-tapak tanah kerajaan bagi tujuan aktiviti perniagaan, dan lain-lain yang difikirkan wajar. Elemen penguatkuasaan juga perlu dipergiatkan supaya hasil negeri dapat ditingkatkan di samping memudahkan proses penyewaan tapak-tapak perniagaan ini. Di kesempatan ini, Beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memperuntukkan RM10 juta kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek inisiatif pelancongan, jaminan bekalan makanan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang bersifat quick win. Projek-projek ini sedikit sebanyak menyumbang kepada perancangan pembangunan negeri serta memberi manfaat kepada rakyat. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Di bawah permohonan Rancangan Malaysia, Beta bersyukur kerana Kerajaan Persekutuan telah memberi kerjasama melulus dan menjayakan beberapa projek berimpak tinggi di Perlis. Melalui perancangan pucuk pimpinan Kerajaan terdahulu, hasrat Kerajaan Negeri untuk melihat Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, Kangar Sentral, UniKL ASTI, Perlis Inland Port telah mula menampakkan hasil. Terkini, Negeri Perlis telah mula menempa nama dan tempat di mata pelabur tidak kira dari dalam dan luar negara. Sungguhpun begitu, kita tidak harus berasa selesa. Usaha demi usaha mesti dilaksanakan bagi membolehkan negeri Perlis berada setanding negeri maju yang lain. Beta mahukan Kerajaan Negeri meneruskan kesinambungan projek yang dirancang dibawah pimpinan Kerajaan terdahulu serta merancang pembangunan-pembangunan baharu yang berpotensi untuk diketengahkan. Beta percaya Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) untuk menarik minat pelabur ke negeri ini. Dalam hal ini, suka Beta ingatkan supaya perhatian kepada proses dan peraturan perlu ditambah baik dalam membawa masuk lebih banyak pelaburan ke negeri ini. Tunjukkan sifat mesra pelabur dengan memberi fasilitasi dan memudahcara urusan mereka. Beta yakin melalui penambahbaikan dan pendekatan ini, akan meletakkan Perlis sebagai salah satu destinasi baharu pelaburan negara. Beta juga mengharapkan Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan projek-projek keutamaan yang dipohon dibawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Kedua Belas seperti ICQS Wang Kelian, Pembinaan Kompleks Ambulatory Care Centre, Pembangunan Infrastruktur Nakawan Border Industrial Park, Perlis Geopark, Kompleks Rakan Muda dan Hub Perikanan Hub Perikanan. Kesemua projek yang dipohon ini adalah selari dengan dasar-dasar sedia ada negeri yang akan menyokong kepada nod pembangunan serta merealisasikan hasrat Perlis menjadi negeri bandaraya menjelang 2030. Suka Beta tegaskan kepada jabatan serta agensi yang terlibat dalam pelaksanaan projek untuk memainkan peranan dalam memastikan kesemua projek yang telah diluluskan berjalan lancar dan disiapkan mengikut perancangan. Semua kontrak perlu ditadbir dengan cekap, dipantau dan dilaporkan secara berkala bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani segera tanpa menunggu di saat-saat akhir. Manakala bagi projek yang telah siap, Jabatan serta agensi perlu membuat penilaian ’outcome’ supaya kejayaan dan kelemahan projek tersebut dapat diukur. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Landskap Perlis adalah satu anugerah yang tidak terhingga dikurniakan Allah S.W.T kepada kita. Dengan kelebihan ini menjadikan Perlis satu negeri yang mempunyai tarikan semulajadi tersendiri. Kelebihan ini memberi peluang kepada negeri memperkasakan sektor pelancongan. Pada hemat Beta, sektor ini berfungsi sebagai ejen perubahan terhadap ekonomi, alam sekitar dan sosial negeri ini. Ia berupaya mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baru, menjana peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat. Pada tahun 2022 seramai 2.7 juta pelancong telah direkodkan datang ke negeri Perlis. Alhamdulillah. Tahniah dizahirkan kepada Kerajaan Negeri serta social media influencers yang terlibat kerana telah bertungkus lumus mempromosikan pelancongan negeri ini. Beta juga difahamkan bahawa Kerajaan Negeri kini sedang dalam proses menyediakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Wang Kelian. RKK ini akan bertindak sebagai asas pembangunan kepada kawasan Wang Kelian. Dalam hal ini, Beta yakin pembangunan yang akan dibuat kelak akan merancakkan semula ekonomi sempadan kawasan tersebut. Selain itu, pusat pelancongan baharu yang dibangunkan oleh swasta juga dilihat mula menunjukkan kemajuan dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat. Pavillion Padang Besar, Pembangunan Motel, Pusat Makanan Laut dan Rekreasi di Pesisir Pantai Bukit Batu Putih, Kompleks Kemudahan Pelancongan Kuala Perlis, Projek Perlis Base Camp Gua Kelam dan Projek Nuansa Lentera Glamping and Retreat dijangka akan mampu menarik pelancong kelak. Berdasarkan perkembangan sektor ini, Beta menyambut baik dan amat mengalu-alukan penglibatan sektor swasta untuk membangunkan hotel-hotel baharu di Perlis memandangkan hotel atau ’homestay’ sedia ada tidak mencukupi terutamanya pada cuti umum. Seharusnya, pemain industri pelancongan mengambil peluang ini dan bersama-sama Kerajaan Negeri untuk memperkasakan sektor ini. Jika dibandingkan dengan negeri lain, negeri Perlis tidak mempunyai badan khas yang menguruskan hal ehwal pelancongan negeri. Semua inisiatif dan penggerak sektor ini dibuat secara kolaboratif di antara jabatan serta agensi bersama orang awam. Justeru, Beta berkenan agar Kerajaan Negeri dapat menubuhkan satu unit khas pelancongan atau Perlis Tourism Board yang mampu menggerakkan pembangunan sektor ini ke tahap yang lebih baik. Tahun 2023 merupakan tahun akhir persediaan Kerajaan Negeri untuk menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024. Bagi menyambut pengunjung pada tahun tersebut, Kerajaan Negeri perlu membuat persiapan rapi dari semua aspek seperti memastikan kemudahan infrastruktur yang baik, kebersihan terjaga dan pemain industri pelancongan membuat penambahbaikan kemudahan serta produk masing-masing. Kegagalan Kerajaan Negeri dalam perkara ini dikhuatiri akan menjejaskan imej negeri serta memberi perspektif yang kurang baik di kalangan pengunjung. Hadith Riwayat Tirmizi, yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqas dari bapanya, Rasulullah S.A.W bersabda “Sesungguhnya Allah SWT itu suci yang menyukai hal-hal yang suci, Dia Maha Bersih yang menyukai kebersihan, Dia Maha Mulia yang menyukai kemuliaan, Dia Maha Indah yang menyukai keindahan, karena itu bersihkanlah tempat- tempatmu." Isu kebersihan bukanlah sesuatu yang baharu yang Beta bangkitkan kepada Kerajaan Negeri dan rakyat. Ingin Beta tegaskan supaya semua pihak berganding bahu dan tidak meletakkan tanggungjawab ini kepada Kerajaan semata- mata. Tidak ada jentera atau pentadbiran yang boleh membersihkan keadaan sekeliling setiap masa. Beta mahukan usaha ini diberi perhatian hingga ke peringkat akar umbi. Justeru itu, Beta berkenan supaya tindakan penguatkuasaan secara tetap dilaksanakan supaya semua pihak terus cakna untuk memastikan keadaan persekitaran negeri sentiasa bersih dan terjaga. Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat- Yang Berhormat kawasan yang telah menjalankan aktiviti gotong royong di kawasan masing-masing. Ia satu usaha yang murni supaya rakyat setempat menghargai dan menyayangi kawasan masing-masing. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Pemerintah dan rakyat diibaratkan seperti pohon dan akar yang mana sifatnya tidak boleh dipisahkan. Pemimpin akan memayungi rakyat dengan cara melindungi dan menjaga kebajikan rakyatnya dalam apa jua keadaan. Kebajikan rakyat negeri ini adalah satu keutamaan buat Beta. Dalam memastikan keselesaan dan kebajikan rakyat negeri sentiasa berada pada tahap terbaik, Beta mengharapkan supaya setiap perancangan program dan projek pembangunan mengambilkira manfaat yang akan diterima rakyat. Sebagai contoh, fasilitasi awam, kawasan rekreasi dan riadah harus diperbanyakkan. Manakala dari aspek penyediaan infrastruktur, Jabatan serta Agensi yang berkenaan perlu memastikan penyediaan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, elektrik, jaringan komunikasi sentiasa berada pada tahap yang memuaskan. Justeru, Beta menyarankan supaya satu mekanisme penambahbaikan dibuat bagi membolehkan rakyat menyalurkan aduan dengan mudah. Jabatan serta Agensi yang berkenaan harus mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan aduan tersebut segera. Aduan ini mesti dipantau dan diambil tindakan tanpa memilih kasih. Selari dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah perkhidmatan digital, Beta menghargai kerjasama yang diberikan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia dan Digital Nasional Berhad dalam menyediakan liputan jalur lebar melalui program JENDELA dan rangkaian perkhidmatan 5G di Perlis. Melalui projek-projek ini, Beta percaya ianya akan membawa perubahan kepada ekonomi dan gaya hidup rakyat negeri Perlis. Namun begitu, Beta memohon agar perhatian turut diberikan untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong dan kawasan peniaga. Sejajar dengan era digitalisasi ini juga, Beta berharap agar Jabatan serta Agensi Kerajaan mentransformasikan perkhidmatan ke arah digital. Perubahan harus dibuat selari dengan peredaran semasa. Perkhidmatan tanpa tunai di Jabatan serta Agensi Kerajaan harus diperluaskan supaya dapat meningkatkan mutu perkhidmatan, memudahkan urusan pelanggan serta mengurangkan ketirisan. Dalam hal ini, Beta menyambut baik hasrat Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk mewujudkan sistem Smart Parking di Perlis. Pelaksanaan ini akan menjurus kepada satu revolusi besar sistem parkir di negeri ini. Beta yakin, Jabatan serta Agensi negeri yang lain turut mempunyai perancangan untuk meningkatkan perkhidmatan ke arah digital. Justeru itu, setiap perancangan dan pembangunan digital yang dibuat oleh Jabatan serta Agensi hendaklah dilaporkan ke perhatian Majlis Digital Negeri Perlis. Melalui pelaporan, Majlis Digital ini akan dapat memantau dan melihat kemajuan pelaksanaan projek dan program tersebut. Semoga semua usaha ini mampu merealisasikan perancangan yang terkandung dalam Pelan Digital Perlis 2021-2025. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Kekurangan bekalan makanan serta kenaikan harga makanan telah menjadi bualan dan rungutan rakyat. Merujuk Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2022, Malaysia berada di tangga ke-41 di mana terdapat penurunan tujuh anak tangga. Ini menunjukkan bahawa sektor ini masih perlu diberi perhatian agar jaminan bekalan makanan negara terus terjamin dan tidak bergantung kepada import. Beta menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri dan pelabur- pelabur bersaiz sederhana serta individu-individu tempatan yang telah membangunkan projek-projek pertanian komersial di negeri Perlis. Ini dapat dilihat dengan adanya ladang harumanis, superfruits, nanas, jagung bijian, pusat- pusat ternakan lembu, kambing, ayam kampong, itik dan burung puyuh. Keadaan tanah subur di Perlis juga telah membolehkan tanaman jagung bijian berkualiti tinggi dan rumput napier dapat dihasilkan secara besar-besaran di negeri ini. Terkini, Perlis merupakan salah satu negeri yang telah membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan ternakan dari negara luar. Beta berharap usaha untuk memperkasakan sektor pertanian negeri ini juga akan terus diperluaskan dengan mempelopori kaedah pertanian moden serta pemasaran produk secara digital yang dapat menguntungkan petani dan penternak negeri ini. Mereka perlu diberikan pendedahan dan bimbingan untuk meningkatkan hasil pendapatan walaupun melibatkan keluasan kawasan pertanian yang kecil. Selain itu, harapan Beta adalah supaya sektor agromakanan di Perlis turut diceburi oleh anak muda atau golongan belia. Dalam hal ini, Beta menyambut baik pelaksanaan Projek Usahawan Tani Perlis Superfruits Valley yang cuba melahirkan lebih ramai usahawan tani berjaya dari golongan graduan belia. Sehingga kini seramai lapan (8) orang graduan belia telah berjaya dilatih dan Beta berharap semoga semua usaha ini akan dapat membantu memacu kelestarian sekuriti makanan negara. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Berdasarkan rekod, seramai 11,032 Ketua Isi Rumah (KIR) telah berdaftar dalam sistem eKasih di bawah kategori miskin dan miskin tegar. Dalam membasmi kemiskinan ini, tindakan bersepadu perlu diberi tumpuan dan dilaksanakan secara kolaborasi. Semua pihak perlu menggembeleng tenaga dan memberi komitmen yang tinggi agar taraf hidup golongan ini dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan. Beta juga berharap agar rakyat Beta memanfaatkan apa yang diterima dan sentiasa mempunyai semangat untuk memajukan diri ke tahap yang lebih baik tanpa terus berharap kepada bantuan kewangan dan ihsan daripada Kerajaan sahaja. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Aspek pendidikan dan latihan merupakan asas kejayaan dalam usaha untuk memperkasakan modal insan serta merupakan faktor kritikal bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri. Dalam hal yang berkaitan, ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi adalah penting untuk menyokong sektor ekonomi ke arah digitalisasi, teknologi dan inovasi. Beta menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh pendidikan dan memperkasa modal insan dengan memperluas akses dan peluang pendidikan, meningkatkan kualiti program latihan kemahiran, dan meningkatkan jaringan kerjasama dengan industri. Melalui pendedahan kepada graduan di peringkat institut pengajian tinggi, akademi dan institusi TVET di negeri ini, Beta amat berharap intipati strategi ini dapat diterapkan oleh semua pemegang taruh yang berkaitan bagi membolehkan pelajar menerima manfaat. Pembelajaran sepanjang hayat atau lifelong learning dengan aspirasi mendorong pembangunan pengetahuan dan kecekapan rakyat melalui tiga pembelajaran secara formal, bukan formal dan tidak formal juga perlu diperkukuhkan bagi membangunkan rakyat yang mampu mengenalpasti kelemahan diri dan berupaya mengubah serta memperbaiki nasib diri. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Seperti umum maklum, kedudukan geografi negeri yang terletak bersempadan negara jiran adalah merupakan satu kelebihan buat kita. Dilihat daripada sudut positif kedudukan negeri sebagai pintu negara akan memberi ruang dan peluang kepada negeri untuk meningkatkan kedudukan ekonomi negeri. Namun begitu, perkara berhubung keselamatan dan kawalan sempadan harus diberi perhatian memandangkan terdapat isu penyeludupan dan insiden yang tidak diingini pernah berlaku. Beta berharap agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permohonan-permohonan Jabatan serta Agensi berhubung prasarana dan operasi keselamatan di kawasan sempadan. Semoga dengan pertimbangan yang akan diberikan kelak membantu mengurangkan risiko keselamatan dan aktiviti jenayah di kawasan sempadan iaitu di Kuala Perlis, Padang Besar dan Wang Kelian. Di kesempatan ini, Beta berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kerana menjayakan projek rintis larangan jualan minyak RON95 bersubsidi serta diesel ke atas kenderaan asing di pasaran negara di Perlis bermula pada Februari sehingga Mei. Pendekatan ini dilihat akan mengurangkan aktiviti penyeludupan bahan bakar tersebut ke negara jiran. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Perpaduan yang utuh merupakan kekuatan dan asbab kecemerlangan sesebuah tamadun. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud: - “Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” Beta ingin menzahirkan kesyukuran atas keharmonian dan perpaduan yang kukuh di negeri ini. Namun begitu, janganlah kita alpa dan leka untuk mendidik golongan muda agar terus berada di landasan yang betul dalam memelihara kesepakatan dan kesefahaman bangsa Malaysia. Semoga perpaduan yang ada di Negeri Beta ini kekal jitu dan harmoni. Ahli-Ahli Yang Berhormat dan hadirin sekalian, Malaysia MADANI yang diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia adalah satu usaha yang baik dalam memantapkan strategi pentadbiran negara. Ianya amat penting untuk difahami oleh semua peringkat penjawat awam. Dalam usaha ini, penjawat awam perlu mengorak langkah supaya dapat memacu kecemerlangan organisasi masing-masing dengan menampilkan the G.R.E.A.T CIVIL SERVICE dalam perkhidmatan. Akronim G.R.E.A.T iaitu 'good governance' (tadbir urus terbaik), 'responsible' (bertanggungjawab), 'empathy' (ihsan), 'accountable' (kebertanggungjawaban) dan 'tenacity of purpose' (fokus pada matlamat) telah menyatakan dengan jelas akan maksud positif yang membawa perubahan pada sesebuah organisasi sekiranya diamalkan. Oleh itu, semua Ketua Jabatan serta Agensi serta penjawat awam di negeri ini perlu memastikan perkhidmatan yang diberikan mengambilkira nilai-nilai yang telah dinyatakan. Beta mahukan pegawai terbaik sahaja berada dalam perkhidmatan awam negeri ini. Elemen-elemen penambahbaikan harus diterapkan dari semasa ke semasa agar semua pegawai dan kakitangan mempunyai kompetensi dan kredibiliti dalam membantu organisasi mencapai visi dan misi ditetapkan. Suka juga Beta sarankan agar setiap pertukaran pegawai di peringkat negeri ini perlu berasaskan justifikasi yang kukuh dan tidak dibuat sewenang-wenangnya. Ini bagi memastikan perubahan atau pertukaran pegawai ini tidak mengganggu dan menjejaskan perancangan atau matlamat yang ingin dicapai terutamanya di saat-saat kritikal. Selain itu, bagi memastikan imej dan kredibiliti penjawat awam negeri ini sentiasa berada ditahap yang memuaskan dan dipandang tinggi, adalah diingatkan supaya Ketua Jabatan memainkan peranan dan menjalankan kawalan serta pengawasan tatatertib ke atas pegawai dan kakitangan masing-masing. Sebarang pelanggaran peraturan atau tatakelakuan harus diambil tindakan segera selaras dengan Peraturan-Perataturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Negeri Perlis 1993. InsyaAllah, Beta percaya penjawat awam negeri ini akan sentiasa disegani dan diteladani kerana perkhidmatan dan nilai-nilai murni yang ditunjukkan. Ahli-Ahli yang Berhormat dan hadirin sekalian, Adalah menjadi tanggungjawab Ahli Yang Berhormat untuk mencorakkan negeri ini ke arah pembangunan yang lebih baik. Oleh itu, suka Beta ingatkan agar Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk berbahas dan berhujah secara rasional atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan ini merasmikan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas pada hari ini. Demikianlah titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja yang telah saya bacakan. Wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih. (Yang Amat Berhormat Menteri Besar diiringi Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar ke Peterana DiRaja bagi menyambut kembali Warkah Titah Ucapan DiRaja daripada Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda. Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyerahkan Warkah DiRaja kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, mengangkat sembah dan kemudian kembali ke tempat masing-masing).

PENANGGUHAN DEWAN (Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri bangun mengadap untuk memohon limpah perkenan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda bagi menangguhkan Persidangan Dewan Undangan Negeri).Adjournment

Speaker

Ampun Tuanku, patik pohon ampuni limpah perkenan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku untuk patik menangguhkan Persidangan Dewan.

(Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda mengangguk memberi perkenan).

(Yang Berhormat Speaker kembali ke meja Speaker Dewan).

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari Rabu, 15 Mac 2023, jam 9.00 pagi.

Setiausaha Dewan

Bacaan doa oleh Sahibus Sahamah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

(Bacaan doa oleh Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Perlis).

Setiausaha Dewan

Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis berangkat meninggalkan Dewan.

(Semua di dalam Dewan berdiri).

(Lagu negeri Perlis dimainkan).

(Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis berangkat meninggalkan Dewan didahului oleh Bentara yang menjunjung Cokmar, Penolong Setiausaha Dewan, Setiausaha Dewan dan Yang Berhormat Speaker).

(Majlis tamat pada jam 10.49 pagi).