Perlis · 15 March 2023
15th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 148 turns · 23,328 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerlis publishes one PDF per sitting day, but nothing after 9 Aug 2023 although the assembly has kept sitting. Written answers are not published.
(Pembukaan)
Ahli-Ahli Yang Berhormat. Sila duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan mula bersidang.
Doa
Doa.
(Bacaan doa oleh Penolong Setiausaha Dewan)
Pemasyhuran daripada Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis
Pemasyhuran oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri.
Bismillahirahmanirahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Menteri Besar Perlis, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri… alhamdulillah… Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri. Yang dihormati Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan dan para pemerhati sekalian. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, Istiadat Perasmian Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Ke-15 telahpun selesai disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis kelmarin. Dewan merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Perlis di atas kesudian duli-duli Tuanku berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan istiadat tersebut. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dan kepada semua jabatan dan agensi yang telah memberikan bantuan dan kerjasama yang baik kepada Dewan bagi menjayakan Istiadat Perasmian kelmarin, terutamanya Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja, Pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kerja Raya, Majlis Perbandaran Kangar, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Kesihatan, Hospital Tuanku Fauziah, RELA dan lain-lain yang tidak dapat saya nyatakan ke semuanya di sini. Saya juga ingin mengucapkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin yang telah membantu dalam membuat siaran langsung Majlis Perasmian Persidangan DUN bermula dari dataran hingga ke dalam Dewan. Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih kepada rakan-rakan media yang turut hadir bagi membuat liputan.
Untuk makluman Dewan juga, pihak Dewan telah menerima permohonan daripada Yang Berhormat Puan Wan Badariah binti Wan Saad, ADUN Mata Ayer untuk tidak hadir persidangan kali ini kerana beliau tidak sihat. Saya telah membenarkan permohonan tersebut. Sehubungan dengan itu, sebarang soalan yang berkaitan dengan portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Pelancongan dan Kebajikan & Bantuan Bencana, dan Kebudayaan, Kesenian & Warisan di sepanjang persidangan pada hari ini akan dijawab secara bertulis.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, di kesempatan ini saya ingin menerangkan kepada ahli-ahli Yang Berhormat sekalian tentang atur perjalanan Mesyuarat Dewan kita untuk hari ini. Sejurus selepas ini, terdapat satu Kertas Dewan yang telah disenaraikan dalam Buku Perintah Mesyuarat Dewan akan dibentangkan di atas meja mesyuarat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar tanpa dibahaskan, selaras dengan Perkara 2.0, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan. Sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat ingin menyentuh sebarang perkara berhubung kertas berkenaan, ia bolehlah dibangkitkan semasa perbahasan kelak. Setelah Kertas Dewan dibentangkan, soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian akan dijawab oleh pihak Kerajaan mengikut turutan seperti di dalam Buku Perintah Mesyuarat Dewan. Dewan kemudiannya akan berehat sebentar dan apabila disambung semula, Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja akan dicadangkan dan dibuka untuk perbahasan. Saya akan memberi ruang yang sewajarnya pada hari ini kepada kelapan-lapan Ahli Yang Berhormat di sebelah kiri saya untuk membahaskan usul berkenaan. Setelah itu, Dewan akan ditempohkan dan akan disambung semula pada pagi esok untuk membalas, untuk maklumbalas serta penggulungan oleh pihak Kerajaan. Sekian, terima kasih.
Kertas Dewan
Kertas Dewan yang dibentangkan.
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Yang Berhormat Speaker, sukacita saya membentangkan di atas meja mesyuarat Kertas Dewan Bilangan 1 Tahun 2023. Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis bagi tahun berakhir 31 Disember tahun 2021. Terima kasih.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Soalan-soalan lisan.
Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, selamat pagi semua. soalan saya soalan no 1.
(Soalan 1 : Apakah perkembangan projek pembinaan Perlis City Center?(Kangar City Centre, KCC))
Yang Berhormat Speaker, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis telah menamatkan Perjanjian Usahasama di antara perbadanan dan
Syarikat Safuan Group Berhad. Terkini, Perbadanan Kemajuan sedang meneliti semula dan giat mencari pelabur baharu untuk meneruskan pembangunan di tapak lokasi ini. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh Yang Berhormat Speaker, soalan saya soalan nombor 2.
(Soalan 2 : Apakah langkah Kerajaan untuk mempermudahkan permohonan lesen sampan? Bagi nelayan yang tiada lesen sememangnya tidak akan mendapat sebarang manfaat atau insentif yang diberikan oleh Kerajaan. Adakah Kerajaan membuat pemutihan terhadap pemegang lesen sampan? Adakah pemilik lesen yang diluluskan adalah nelayan yang layak untuk menerima lesen tersebut?)
Yang Amat Berhormat Speaker, terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis yang telah bertanya tentang soalan nombor 2. Permohonan lesen sampan merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sepertimana termaktub di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Bagi maksud ini, hanya di dalam bidang kuasa Jabatan Perikanan Malaysia. Bagi permohonan lesen sampan, Jabatan Perikanan Malaysia telah membekukan pengeluaran lesen laut pantai Zon A, B dan C sejak tahun 1985. Hal ini adalah bertujuan untuk memastikan supaya pengurusan sumber perikanan tidak dieksploitasi secara berlebihan supaya bekalan protin negara terjamin pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, pertimbangan terhadap permohonan Lesen Sampan Khas turut diberi perhatian bagi nelayan tulen yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di laut. Merujuk kepada data Jabatan Perikanan Negeri Perlis, sebanyak 28 Lesen Sampan Khas telah diluluskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dari tahun 2020 hingga sekarang. Selepas siasatan dijalankan, jabatan hanya mengeluarkan sebanyak 18 Lesen Sampan Khas kepada pemohonan lesen yang mematuhi syarat dan prosedur pelesenan manakala 10 pemohon lesen sampan gagal melepasi syarat semasa tapisan dijalankan oleh jabatan. Jabatan Perikanan Negeri Perlis menjalankan aktiviti pemutihan terhadap pemegang lesen sampan setiap tahun menerusi pemeriksaan fizikal sampan bagi tujuan pembaharuan lesen. Kaedah pemutihan ini dilaksanakan setiap tahun adalah untuk mengenalpasti bilangan lesen sampan yang aktif dan mengetahui jumlah nelayan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di laut. Di samping itu, kaedah pemutihan turut dijalankan melalui semakan di dalam Sistem e-Lesen Jabatan Perikanan Malaysia dengan mengenal pasti lesen sampan yang telah tamat tempoh melebihi 3 tahun. Bagi lesen yang tamat tempoh melebihi 3 tahun, jabatan berhak membuat pembatalan lesen tersebut. Terima kasih.
Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Simpang Empat di atas penjelasan yang telah diberikan. Cuma, soalan saya apakah langkah Kerajaan untuk mengatasi masalah pemilik-pemilik sampan yang masih belum ada lesen lagi? Kalau kita tengok khususnya di Kuala Perlis, di Sungai Baru, banyak pemilik-pemilik sampan yang masih belum mempunyai lesen. Maknanya bila tidak ada lesen depa tidak akan dapat segala kemudahan dan juga bantuan daripada Kerajaan. Jadi perkara ini kita kena lihat sebab kita minta pihak-pihak yang tertentu mempermudahkan ataupun kita bagi menyenangkan untuk pemilik-pemilik sampan meminta atau memohon permohonan lesen. Jadi langkah Kerajaan harus diambil dalam menangani masalah rakyat yang telah tengah keadaannya susah. Tanpa lesen kita tidak boleh bergerak. Apakah tindakan Kerajaan? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis tentang soalan tambahan berhubung dengan lesen sampan yang masih banyak lagi permohonan daripada pihak nelayan. Jadi ini merupakan satu dasar yang telah dikenal pastikan oleh Kerajaan di bawah Jabatan Perikanan Malaysia bahawa setiap permohonan mestilah melalui Jabatan Perikanan. Jadi setakat sekarang ini, masih lagi banyak yang lesen oleh kerana kawasan diambil kira atas faktor kawasan laut. Di Negeri Perlis ini daripada Kuala Sanglang sampai ke sempadan Thailand hanya 18 km jarak panjang dan juga 18 batu nautika. Jadi apabila masih dikira atas perkara-perkara tersebut, supaya tidak adanya lambakan lesen dan sebagainya. Namun begitu, pihak perikanan sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan daripada pemohon-pemohon yang ada di peringkat… di bawah Jabatan untuk dikenalpasti lagi. Sekian, terima kasih.
YB Speaker, soalan tambahan. Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum. YB Simpang Empat terima kasih atas jawapan tersebut, cuma saya ingin buat satu soalan tambahan. Saya inginkan satu jumlah yang jelas. Apakah Kerajaan Negeri mempunyai data yang lengkap maksudnya untuk nelayan yang ada lesen tu berapa, yang tidak ada lesen tu berapa… sebab apa… senang untuk mungkin kalau kata contoh yang mana mungkin dinafikan lesen-lesen ataupun yang tidak dapat lesen-lesen ini mungkin kita boleh bantu dengan lebih secara berkesan sekiranya kita ada data-data tersebut. Terima kasih.
Terima kasih YB Tambun Tulang, yang masih mempertikaikan… masih memperkatakan tentang kedudukan nelayan, tentang permohonan nelayan dan sebagainya. Untuk mendapatkan angka yang tepat, saya akan jawab secara bertulis.
Dipersilakan Yang Berhormat Chuping.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh, salam sejahtera, dan selamat pagi semua. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 3.
(Soalan 3 : Berapa orangkah anak-anak jati Perlis yang dilatih oleh syarikat-syarikat yang melabur di Chuping Valley?)
Yang Berhormat Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Chuping. Syarikat-syarikat yang telah memberi komitmen untuk melabur di Chuping Valley Industrial Area (CVIA) ketika ini masih di peringkat pra-pembangunan projek pelaburan. Pengambilan para pekerja untuk dilatih dijangka bermula setelah pembangunan fizikal projek disempurnakan. Namun begitu, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan mengadakan temuduga terbuka dengan kerjasama sebuah syarikat swasta multinasional yang akan beroperasi di CVIA. Sesi ini mendapat sambutan di mana seramai 475 orang telah menghadirkan diri. Daripada jumlah ini, 354 orang telah ditawarkan pekerjaan dengan bekerja di Pulau Pinang dahulu sebelum dipindahkan ke kilang- kilang di CVIA apabila ianya mula beroperasi kelak. Seterusnya, seramai 223 orang daripada 354 orang telah bersetuju dan mula bekerja di kilang tersebut yang terletak di Kawasan Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang. Terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Tuan Speaker. Bagi kawasan Chuping Valley ni, kita tengok prasarana tempat yang telah disediakan dengan dianggap sempurnalah. Bilakah anggaran pelabur-pelabur ini akan mula beroperasi di situ? Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Speaker, Yang Berhormat Chuping. Sebahagian daripada pelabur ini dah mula beroperasi, dan yang kita macam… PIP apa semua dah mula beroperasi. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya no 4.
(Soalan 4 : Adakah Kerajaan mempunyai cadangan untuk membantu menggerakkan Persatuan Sukan Negeri selain Persatuan Bola Sepak bagi memastikan persatuan sukan memainkan peranan mereka dalam kemajuan sukan di negeri Perlis selaras dengan usaha pembudayaan sukan melalui slogan Perlis Bersukan?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Sena. Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Perlis (MSN) telah merangka satu Pelan Pembangunan Sukan Negeri 2022 – 2026. Antara inisiatif terpenting yang digarap di dalam pelan ini adalah Memperkasa Persatuan di bawah teras Manfaat Bersama. Antara pelaksanaan bagi tujuan pengembangan persatuan sukan negeri adalah seperti berikut, yang pertama melalui Majlis Sukan Negeri iaitu mengadakan program strategik bersama persatuan sukan. Kedua memperkukuhkan peranan persatuan melalui pelaksanaan mesyuarat dan kursus secara berkala, penganjuran kejohanan, pelaksanaan program akar umbi. Ketiganya merangka satu program penarafan bagi badan-badan bukan… bagi badan-badan sukan peringkat negeri. Penarafan ini akan memberi pengiktirafan kepada persatuan sukan yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan juga kriteria tambahan lain oleh MSN dan yang keempat, pemberian bantuan geran pentadbiran tahunan berdasarkan kepada penafaran badan sukan. Yang kedua, melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri melaksanakan perkara-perkara berikut, pertama, melaksanakan program-program berunsur kecergasan dan rekreasi. Yang kedua, pemberian bantuan menjalankan program dan aktiviti bagi persatuan, kelab sukan dan rekreasi yang berdaftar di bawah PJS. Pada masa kini, terdapat dua persatuan sukan negeri yang mempunyai struktur organisasi yang kukuh untuk menjalankan aktiviti sukan di semua peringkat pembangunan iaitu Persatuan Badminton Perlis (PBPs) dan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA). Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Beseri.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. YB Speaker dan yang hadir pada hari ini. Pagi-pagi mesyuarat bersama, soalan saya nombor 5.
(Soalan 5 : Apakah perkembangan pembinaan lot rumah kedai berhadapan Taman Haz Melati, Beseri dan bersebelahan Stesen Minyak Caltex?)
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Speaker, projek ini dilaksanakan oleh Syarikat KSKPs Holdings Sdn. Bhd. melibatkan pembinaan 21 unit kedai pejabat. Pembangunan ini telah mendapat kelulusan Pelan Kebenaran Merancang pada 30 April 2013, kelulusan Pelan Kerja Tanah pada 31 Mei 2013 dan kelulusan Pelan Bangunan pada 1 Julai 2013. Walau bagaimanapun, Pelan Jalan dan Parit bagi cadangan projek ini masih belum mendapat kelulusan memandangkan pelan tersebut tidak selaras dengan Pelan Kebenaran Merancang yang telah diluluskan di mana penyediaan jalan utama yang telah diluluskan dalam Pelan Kebenaran Merancang adalah selebar 50 kaki tetapi susun atur jalan utama yang ditunjukkan dalam Pelan Jalan dan Parit adalah selebar 28 kaki sahaja. Maka dengan… sehubungan dengan itu, pihak pemaju perlu membuat pindaan kepada Pelan Jalan dan Parit supaya selaras dengan Pelan Kebenaran Merancang dan seterusnya mengemukakan Pelan Jalan dan Parit yang baharu kepada pihak MPK untuk pertimbangan kelulusan. Berdasarkan semakan di tapak, kerja-kerja fizikal bagi projek ini telah mencapai hampir 90% dan pihak syarikat adalah bertanggungjawab untuk memastikan projek tersebut disiapkan dengan mematuhi kelulusan-kelulusan yang telah diberikan. Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) akan diperakukan oleh MPK setelah pihak syarikat mematuhi sepenuhnya keperluan-keperluan teknikal yang telah ditetapkan di dalam pelan-pelan pembangunan yang telah diluluskan. Sekian, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.
Assalamualaikum warahmatullah YB Tuan Speaker. Soalan nombor 6.
(Soalan 6 : Untuk pembinaan seluruh projek di Chuping Valley, apakah ada kuota bagi kontraktor-kontraktor berdaftar di Perlis? Apakah ada proses pembelian bahan-bahan binaan yang dibeli daripada syarikat hak milik Kerajaan Negeri?)
Yang Berhormat Speaker, Yang Berhormat Tambun Tulang, terima kasih. Untuk soalan nombor 6 ini Yang Berhormat Speaker, bagi pembinaan projek di Chuping Valley Industrial Area (CVIA), tiada kuota bagi kontraktor-kontraktor berdaftar di Perlis yang ditetapkan. Sehingga kini, kontraktor atau pembekal Negeri Perlis telah berjaya meraih sekurang–kurangnya 20% daripada nilai kontrak-kontrak yang telah dianugerahkan. Selain itu, Pens Industries Sdn. Bhd. anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis sentiasa memberi keutamaan dan menyokong pembekalan bagi projek-projek di negeri Perlis. Berikut merupakan prosedur bagi proses pembelian produk kuari iaitu Aggregate & Premix daripada Pens Industries Sdn. Bhd. Yang Pertama, mengemukakan dokumen-dokumen perniagaan seperti Sijil Pendaftaran SSM, Surat Tawaran Projek dan lain-lain. Yang kedua, rundingan terma pembayaran dengan pihak kontraktor. Yang ketiga, lengkapkan Borang Pesanan Belian dan yang keempat, pengambilan produk oleh kontraktor. Pihak syarikat juga sedia bekerjasama dan komited dalam memudahkan urusan pembekalan produk kepada pelanggan. Terima kasih. Nak tambah? Silakan. Saya ambil Speaker.
Terima kasih YB Sanglang. YAB… cuma… saya faham berkenaan dengan itu, terima kasih… cumanya saya nak tanya kepada YAB ataupun YB Sanglang, untuk pembinaan keseluruhan ataupun pembinaan rancangan pembinaan di… di Chuping Valley ini, apa… berapa percent-kah jumlah pembelian yang mana ataupun supply yang telah dikeluarkan… yang telah di-supply… barang yang telah di-supply daripada Pens Industries itu? Maksudnya sepanjang pembinaan ini, apakah ada kontrak, contoh dengan Kerajaan Negeri… okay, con... untuk pelabur melabur di sini dan sebagai contoh kita wa… mewajibkan ataupun kita mensyaratkan agar ada barang yang diambil daripada syarikat-syarikat di bawah Kerajaan Negeri. Apakah ada sistem yang sebegitu ataupun sebaliknya.
Yang Berhormat Speaker, Yang Berhormat Tambun Tulang, saya tak dapat nak bagi angka yang tepat jadi saya akan bagi jawapan secara bertulis kepada Yang Berhormat Tambun Tulang. Dan saya jemput Yang Berhormat Tambun Tulang apabila kita turun melawat di tapak Chuping Valley tu, turun sekali. Dan turun sekali dia memang tak faham macam YB Chuping juga lah, dia turun bersama dengan saya melawat tempat tu, tapi dia tanya saya balik. Jadi saya harap lepas ni YB Tambun Tulang boleh bersama dengan kami. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Kayang.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Pagi-pagi minum belimbing buluh, soalan saya nombor 7.
(Soalan 7 : Apakah dasar dan polisi Kerajaan dalam membantu meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri serta bertindak sebagai pemudahcara bagi mentranformasi aktiviti ekonomi di dalam negeri?)
Yang Berhormat Speaker, Ahli-Ahli Yang Berhormat, khususnya Yang Berhormat Kayang, semua soalan tuju dekat YAB saja, kesian dekat YAB lain… YB-YB lain. Untuk soalan nombor 7, program pembangunan ekonomi rakyat sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan Negeri. Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah amaun di bawah peruntukan pembangunan menerusi Bajet Negeri Perlis. Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM112.95 juta kepada semua jabatan / agensi negeri bagi melaksanakan pembangunan projek ataupun program yang mampu memberikan impak peningkatan ekonomi rakyat Perlis merangkumi pertanian, penternakan, keusahawanan, pelancongan dan lain-lain. Dalam usaha membantu usahawan dan mendokong Dasar Perlis Bebas Niaga, Kerajaan Negeri akan menjalankan kerjasama dengan bank-bank yang berminat untuk menguruskan dana perniagaan dari Kerajaan Negeri kepada peniaga kecil yang memerlukan pembiayaan antaranya Bank Muamalat. Selain itu, agensi-agensi yang terlibat juga sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan yang sesuai bagi membolehkan pelaksanaan perkara ini dapat memberikan manfaat yang maksimum kepada peniaga kecil. Selain Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Kangar dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis turut memainkan peranan dalam mentransformasikan aktiviti ekonomi negeri. Melalui MPK, pelbagai usaha telah dilaksanakan iaitu satu menyediakan ruang perniagaan mampu sewa kepada rakyat, yang kedua, melaksanakan projek-projek naik taraf dan bina baru kawasan perniagaan, yang ketiga, pelaksanaan Pusat Setempat (OSC) telah ditambahbaik dengan mengguna pakai Sistem OSC 3.0 Plus secara atas talian sepenuhnya, yang keempat, mempermudahkan atau memendekkan tempoh masa pemprosesan permohonan lesen tidak berisiko yang diluluskan serta-merta tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan, yang kelima, melaksanakan Dasar Perlis Bebas Niaga di mana kelulusan lesen atau permit diberikan kepada penjaja yang menjalankan perniagaan di tepi jalan atau di atas rizab jalan JKR dan yang keenam, melaksanakan inisiatif pengurangan kadar bayaran lesen kategori penjaja sebanyak 20%. Manakala Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis pula telah melaksanakan usaha-usaha seperti, satu, menyediakan premis-premis perniagaan untuk dijual, disewa kepada rakyat, yang kedua membina dan menjual hartanah-hartanah perindustrian bagi tarikan pelabur atau kilang bagi pelaburan dan pembangunan ekonomi negeri Perlis, yang ketiga, menyediakan kawasan penempatan atau kediaman yang baru dan mampu milik kepada rakyat dan yang keempat, melaksanakan program dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pertanian, pelancongan dan memberikan latihan asas kepada usahawan muda menerusi Program ProTUNE. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 8.
(Soalan 8 : Apakah usaha Kerajaan Negeri Perlis dalam melaksanakan kempen kebersihan yang efektif mengikut kesesuaian lapisan masyarakat dan peringkat umur yang berbeza?)
Yang Berhormat Speaker, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jabatan ataupun agensi, komuniti korporat dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) terus komited melaksanakan kempen kebersihan yang efektif dengan kerjasama pihak Kerajaan Persekutuan selaras dengan Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, melalui rangka tindakan Pelan Strategik Agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025 yang telah bermula sejak tahun 2021 lagi, perancangan yang dibuat adalah mengambil kira aspek keterlibatan setiap lapisan masyarakat bermula dari peringkat sekolah sehinggalah kepada masyarakat warga emas melalui program dan aktiviti yang diadakan oleh pelbagai Jabatan ataupun Agensi. Kempen-kempen kesedaran terhadap kebersihan telah dirangka melalui pelaksanaan di bawah teras di bawah dua teras dalam Pelan Strategik Agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025 seperti yang berikut. Teras Pertama, memantapkan Promosi Amalan Cara Hidup Sihat Dan Bersih. Program Kempen Jangan Guna Plastik Sekali Guna di sekolah-sekolah yang turut dihadiri pelajar sekolah dan ibu-bapa. Yang kedua, Program Penanaman Pokok Bakau dan Pembersihan Pantai Sempena Program Penghijauan Malaysia dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Trash Hero, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Negeri Perlis. Yang ketiga, Kempen Pembudayaan Kebersihan dan Peningkatan Standard Kualiti Perkhidmatan Perniagaan Makanan Negeri Perlis. Yang keempat, Kempen Pembitaraan Amalan Kebersihan dan 3R di Pejabat-Pejabat Kerajaan dan yang kelima, Kempen Anti-Litter Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2023. Teras yang kedua memantap Kebersihan Persekitaran, yang pertama, Program Komuniti Bersih dan Ceria Majlis Perbandaran Kangar bersama penduduk di PPR Sena. Yang kedua, Program Kitar Semula “Trash To Cash” Bersama Komuniti anjuran MPK bersama SWCorp Negeri Perlis. Yang ketiga, Program Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah, yang keempat, Program amal jariah melalui jualan barangan kitar semula di masjid. Dalam perkara berkaitan, Kerajaan Negeri turut dalam merangka Pembangunan program SEHAP Perlis (State Environmental Health Action Plan Perlis) yang merupakan sinergi antara Jabatan dan Agensi berkaitan untuk merangka satu pelan komprehensif kawalan kesihatan persekitaran. Jawatankuasa ini dipengerusikan sendiri oleh YB AMMK Kesihatan. Penubuhan SEHAP di Negeri Perlis adalah perlu untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan, alam sekitar dan kebersihan masyarakat setempat melalui cadangan pelaksanaan Kumpulan Kerja Tematik Sisa Pepejal dan Sanitasi serta Bekalan Air. Bagi menangani mereka yang ingkar terhadap manifestasi Kerajaan Negeri ini, maka tindakan penguatkuasaan akan dikenakan dan terus dipergiatkan bagi memastikan budaya kebersihan menjadi jiwa dan rohani rakyat Negeri Perlis. Sekian terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.
Soalan tambahan Tuan Speaker. Boleh saya tahu berapakah… ada tak ada pasukan yang memantau ke atas program-program yang telah dijalankan? Dan kedua adalah, apakah prestasi yang telah dicapai sejak pelaksanaan semua program ni sejak 2021 dan apakah indeks pencapaian kesedaran yang telah dicapai setelah sekian… sebanyak… setelah program-program yang dilaksanakan? Terima kasih.
YB tanya tiga serentak jenuh saya nak ingat. Yang pertama berkaitan dengan pemantauan. Yang Berhormat Speaker, program… apa-apa program pun yang dirancang oleh pihak agensi ataupun jabatan yang berkaitan di mana-mana juga jabatan ataupun agensi biasanya begitulah dia punya cara pengurusannya. Apabila kita merancang maka sudah tentu sebagai satu badan yang profesional dia akan memantau sedaya upaya yang boleh supaya apa yang dirancangkan itu bertepatan dengan kehendak atau pun objektif program. Saya kira… telah berlaku pemantauan terhadap program tersebut dan insya-Allah akan dipertingkatkan lagilah kualiti dan juga mutu program supaya kalau sekiranya berlaku pelaksanaan program di masa-masa akan datang akan berlaku dari segi kesan yang lebih baik kepada masyarakat insya-Allah. Yang lain-lain tu kita akan jawab secara lisan, yang kedua tu tak perasan.
Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, soalan nombor 10.
(Soalan 10 : Apakah langkah Kerajaan untuk mengatasi aktiviti nelayan yang menjalankan kerja penangkapan menggunakan barangan yang salah, contohnya rawa sarung, bubu naga dan lain-lain? Siput retak seribu adalah siput yang tiada permit atau kebenaran yang dikeluarkan oleh Kerajaan. Apakah kajian yang dibuat oleh Kerajaan berkaitan halangan kepada nelayan untuk menangkap siput retak seribu?)
Yang Berhormat Speaker, terima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Perlis tentang soalan nombor 10. Berhubung dengan perkara tersebut, bagi isu penggunaan peralatan yang dilarang seperti rawa surung dan bubu naga, Jabatan Perikanan Negeri Perlis bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di laut berpandukan kepada Akta Perikanan 1985. Kerjasama antara Jabatan Perikanan dan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memastikan isu menggunakan peralatan yang dilarang seperti rawa surung dan bubu naga dibanteras. Usaha dan tindakan yang dibuat oleh Jabatan Perikanan Negeri Perlis jelas membuktikan bahawa jabatan tidak memandang ringan terhadap cubaan pelanggaran aktiviti perikanan yang tidak bertanggungjawab. Usaha ini juga bagi memastikan keselamatan dan keamanan… perairan perairan negara adalah terjamin bagi nelayan…bagi nelayan menjalankan aktiviti perikanan dengan selamat. Berhubung isu siput yang tiada permit dan kebenaran serta kajian yang dibuat oleh Kerajaan berkaitan halangan kepada nelayan untuk menangkap siput retak seribu. Jabatan Perikanan Malaysia menerusi Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh (FRIKA) telah menjalankan kajian di sepanjang perairan negeri Perlis. Laporan kajian mendapati taburan popularasi siput retak seribu berada di 19 lokasi perairan negeri Perlis dengan anggaran berat 493 tan metrik dan nilai anggaran berjumlah RM1.9 juta anggaran pantai… harga… harga anggaran iaitu RM4.00 per kilo. Berdasarkan laporan kajian, jabatan bersetuju untuk mengeluarkan lesen permit letup seput… permit siput retak seribu (SRS) secara terkawal agar sumber ini dapat dimanafaatkan dan dinikmati oleh nelayan setempat negeri Perlis. Sesi libat urus di antara jabatan dan komuniti nelayan turut dijalankan, namun masih terdapat bantahan daripada majoriti nelayan yang menyebabkan usaha ke arah pengeluaran lesen, permit siput retak seribu tidak dapat dilaksanakan. Ini berikutan terdapat kebimbangan oleh komuniti nelayan sekiranya lesen atau permit retak siput retak seribu diberi akan menyebabkan hasil tangkapan ikan terjejas dan mengganggu ekosistem. Sekian terima kasih.
Soalan Yang Berhormat Speaker… soalan tambahan. Bila sebut berkaitan dengan siput retak seribu, ia menjadi isu yang cukup hangat terutama sekali di kawasan Kuala Perlis. Baru-baru ni kita telah berjumpa dengan beberapa pengusaha siput retak seribu ataupun nelayan retak seribu, dalam perkara tersebut kita pun telah memaklumkan bahawa sekiranya benda-benda yang tak dapat diberikan ataupun permit tidak dapat dikeluarkan di Perlis tetapi alangkah ruginya kita sebab kalau orang Perlis sendiri tak boleh melaksanakan… apa nama… usaha nak ambilkan siput tu, nelayan-nelayan luar terutama sekali di Kedah. Jadi kita sekat untuk orang Perlis tetapi orang luar daripada Perlis… cuba dan selalunya setiap hari depa dapat duk tangkap duk… duk… duk apa… duk cari siput tu. Jadi hasil yang cukup banyak dan juga lumayan. Jadi kita kena cari jalan, kita setuju seandainya cara… apa nama… kajian yang dibuat berkaitan dengan kerosakan ekosistem dan sebagainya, itu jelas. Tetapi apakah langkah Kerajaan dalam menangani isu cara haram, depa turun laut siang malam cari secara haram? Jadi adakah tindakan Kerajaan ataupun langkah-langkah yang Kerajaan perlu buat… meletakkan zon ataupun kawasan ataupun masa-masa yang tertentu sebab benda ni mendatangkan pulangan yang banyak kepada Kerajaan. Kalau kita tengok hampir 200 orang pengusaha ataupun nelayan-nelayan duk cari retak seribu setiap hari, jadi… apa nama… bila benda ni berlaku, hasil pendapatannya kalau seorang 500 satu bot ataupun satu sampan kali dengan sehari dia dapat 50 ribu, tu seratus kalau sebulan 1.5 juta, setahun 18 juta. Apakah ini Kerajaan tak dapat hasil? Saya punya pandangan agar Kerajaan mengkaji balik, meletakkan zon bagi masa-masa yang tertentu untuk siput retak seribu diusaha. Kalau kita halang di Perlis, nelayan di luar, di… terutama sekali nelayan luar juga mai cari siput di kawasan tu… nelayan asing. Jadi berlaku banyak perpindahan di situ. Jadi ruginya Kerajaan Negeri kalau kita tidak dapat cas benda-benda untuk cari siput ataupun permit. Jadi saya minta Kerajaan Negeri mengkaji balik supaya pengeluaran permit itu dapat diberikan kepada orang-orang yang sesuai dan diletakkan zon dan juga masa untuk penangkapan siput tu. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada YB Kuala yang telah membangkitkan perkara siput retak seribu ini. Jadi ke arah sekarang ni, Kerajaan… penguatkuasaan dijalankan oleh pihak Jabatan Perikanan dan juga Maritim serta Jabatan Laut yang diberi tugas untuk membasmi tentang pencerobohan. Memang diakui pencerobohan ni kerana mereka datang ke kawasan kita ni, kawasan perairan Perlis yang dianggap sebagai perairan kawasan emas ini dengan keluasan sepertimana yang saya maklumkan tadi, sepanjang dari Sempadan Thailand ke Kuala Sanglang 18 km dan jarak daripada 8 kilo… 8 batu nautika iaitu lebih kurang 12 kilo, jadi 18 kali 12 itulah kawasan perairan di dalam negeri Perlis. Jadi oleh kerana itu, pihak Kerajaan oleh kerana di atas… kuasa yang ada dengan dasar-dasar yang telah di… yang telah ditentukan oleh pertubuhan dari... iaitu... maksud saya di bawah persatuan-persatuan nelayan yang ada di bawah negeri Perlis ini, Persatuan Nelayan Kuala Perlis, Persatuan Nelayan Sungai Baru dan juga Persatuan Nelayan Negeri iaitu PELARIS telah mengenalpasti beberapa perkara ni perlu diperketatkan di atas perkara yang telah berlaku pada tahun 1986 yang mana apabila dibukanya projek… dibukanya peluasan perkara-perkara ini, maka ekosistem sehingga kini dia terjejas. Oleh sebab itu, pihak persatuan masih lagi mengekang perkara ini untuk dikekalkan. Namun begitu, pihak FRIKA ataupun sepertimana yang dikatakan tadi berhubung dengan telah juga membentangkan beberapa perkara supaya kita insya-Allah… kita ambil perikatan… peningkat… apa… perkara yang terbaik iaitu satu pengeluaran lesen atau permit siput retak seribu terhad kepada nelayan berlesen sahaja na. Sebanyak 20 kuota bagi pengeluaran lesen permit siput retak seribu di pangkalan sedia ada. Yang ketiga, kawasan beroperasi dalam Zon A, 1 hingga 5 batu nautika. Yang keempat, muatan sampan dan kapasiti enjin ditentukan oleh pihak jabatan. Yang kelima, menggunakan tangguk bergalah dengan panjang dengan dihadkan 5 meter untuk mengambil siput. Kalau menggunakan tangguk insya-Allah pihak Kerajaan memang mengalu-alukan tapi sekarang kena kuasa kapasiti enjin yang… yang tinggi dan menyebabkan lautan itu terjejas. Dan yang keenamnya, had pengambilan hanya pada pukul 6:00 pagi hingga 6:00 petang dan tempoh dua (2) bulan. Ini perkara-perkara yang telah diketengahkan yang akan insya-Allah diambilkira di masa akan datang. Sekian, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Chuping.
Assalamualaikum dan selamat pagi. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan nombor 11.
(Soalan 11 : Berapakah jumlah terkini cukai yang diperolehi Kerajaan Negeri daripada pelabur atau syarikat dan berapakah jumlah pelabur yang sudah ada sehingga terkini?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Chuping. Untuk soalan nombor 11 ni saya berdasarkan maklumat daripada Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perlis (PTG), jumlah keseluruhan yang dikutip pada tahun 2022 adalah sebanyak RM25,591,828.14 yang merangkumi cukai royalti RM3,070,692.44 dan cukai tanah RM22,521,135.70. Menurut pihak Majlis Perbandaran Kangar, kutipan cukai taksiran untuk pembangunan baharu bagi tempoh Januari hingga Disember 2022 melibatkan 776 premis yang dicukaikan adalah berjumlah RM306,925.14. Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara juga telah berjaya menarik kemasukan pelaburan domestik dan antarabangsa. Sehingga kini terdapat lima pelabur yang komited untuk melabur di Chuping Valley Industrial Area. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 12.
(Soalan 12 : Adakah Kerajaan bercadang untuk menjadikan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra sebagai platform untuk menjana ekonomi rakyat negeri Perlis dengan membuka peluang kepada peniaga-peniaga makanan, pengurusan acara dan sebagainya dengan mengambil pendekatan pengurusan risiko yang terancang?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Sena. Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra adalah kawasan yang telah dirizabkan sebagai zon rekreasi dan sukan. Sehubungan itu, segala aktiviti yang dirancang di kawasan ini adalah berdasarkan kepada tujuan utama berkenaan. Antara fokus pada masa kini adalah untuk memberi ruang latihan dan… yang kondusif kepada atlet seperti latihan berbasikal menggunakan jalan sekeliling stadium bagi acara trek dan kriterium. Di samping itu juga kawasan persekitaran Kompleks Tuanku Syed Putra digunakan oleh orang awam untuk beriadah, berjoging dan bersantai bersama keluarga. Buat masa ini, Majlis Sukan Negeri tidak merancang untuk menjadikan kompleks sukan sebagai platform ekonomi kepada peniaga-peniaga makanan secara tetap. Namun begitu, MSN… MSN juga membantu peningkatan ekonomi peniaga dengan penganjuran sukan yang bertempat di kompleks. Mengikut rekod, sebanyak 10 kejohanan sukan telah dianjurkan di kompleks sukan tersebut dan pelaksanaan ini secara tidak langsung akan memberi pendapatan kepada pengusaha penginapan, perniagaan makanan, pakaian, cenderahati dan lain-lain. MSN berharap Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra akan kekal inklusif kepada rakyat setempat untuk menjalankan aktiviti riadah awam dan latihan sukan berprestasi tinggi. Terima kasih.
Soalan Tambahan. Yang Berhormat Tuan Speaker, berkaitan penggunaan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra sebagai platform menjana ekonomi rakyat, saya melihat dahulunya kita pernah terkenal dengan pasar malam pada hari rabu di Kompleks Tuanku Syed Putra, satu ketika dulu la waktu saya kecil lagi. La pun… la kecil la… tak berapa besar sangat kan. Cuma adakah kita boleh mengambil sedikit ruang, sedikit masa untuk kita buka kepada para-para peniaga supaya kita dapat mengembalikan kegemilangan pasar malam pada hari rabu tu yang menjadi tumpuan seluruh rakyat negeri Perlis pergi ke Kompleks Tuanku Syed Putra untuk membeli makanan, pakaian dan sebagainya dan menjadi satu produk pelancongan untuk negeri Perlis. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih pada Yang Berhormat Beseri. Buat masa ini MSN ataupun Kerajaan Negeri masih lagi menetapkan bahawa ruang di MSN itu untuk kegiatan aktiviti riadah awam dan juga sukan lah. Yang kedua ada pun cadangan daripada Yang Berhormat Beseri itu kita akan ambil perhatian dan kita akan bincanglah dengan pihak yang berkenaan untuk kita buat yang terbaik lah. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Beseri.
Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya no 13.
(Soalan 13 : Adakah terdapat kaedah baharu yang akan diambil untuk mengatasi masalah hidupan liar seperti kera dan khinzir yang semakin berleluasa di seluruh Perlis terutamanya di DUN Beseri?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat kawasan Beseri yang bertanyakan soalan nombor 13. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri Perlis (PERHILITAN) telah melaksanakan beberapa kaedah… mitigasi bagi mengatasi masalah gangguan kera dan babi hutan iaitu dengan pemasangan perangkap, menjalankan operasi bersepadu, yakni tembak mati dengan menggunakan anjing dan operasi rondaan malam tembak mati. Kaedah yang digunakan perangkap dalam keadaan saiz kotak 8’x8’x9’ dan Perangkap Corong. Pada tahun 21… 2021, sebanyak 2,193 ekor kera telah dapat dimusnahkan dan juga pada tahun 2022 sebanyak 2,200 ekor kera dapat dilupuskan. Untuk mengatasi masalah babi, gangguan babi hutan, terdapat satu kaedah baru yang dikenal pasti sebagai Pig Brig. Kaedah ini diperkenalkan oleh Pegawai Penyelidik Bahagian Konservasi Ex-Situ, Ibu Pejabat Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur. Program ini sedang dilaksanakan di negeri lain dan masih dalam pilot project, namun sehingga kini perangkap ini sangat berkesan dan berhasil menangkap babi hutan dengan kuantiti yang banyak. Perangkap ini menggunakan kaedah pemasangan jaring yang dipasang secara bentuk bulatan dengan sokongan tiang besi, manakala garam diletakkan sebagai umpan bagi menarik perhatian babi hutan untuk masuk ke dalam perangkap. Pihak PERHILITAN Negeri Perlis juga berhasrat menggunakan perangkap ini dalam tempoh terdekat bagi meningkatkan jumlah tangkapan babi hutan. Jadi sebegitulah Yang Berhormat, terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih atas jawapan yang diberikan. Berkaitan isu ini, pada sidang yang lepas saya telah bawa. Tapi aduan yang saya dapat dalam masa lebih kurang tiga bulan ni sangat tinggilah. Jadi saya bawa kembali isu ini kerana dia seolah-olah tidak terkawal lah kepada pandangan masyarakat. Cumanya saya nak tanya, adakah usaha untuk kita mengawal populasi ini secara lestari? Kita pun tak boleh nak salah depa sebab kadang-kadang rumah depa pun kena kacau juga kan. Dia antara dua hala lah kan. Cuma adakah…
Depa tu siapa Yang Berhormat?
Yang Berhormat… depa siapa dia?
Babi ka orang?
Ha… orang, orang. Adakah ada usaha untuk kita mengawal secara lestari populasi kera dan juga babi hutan ini supaya dia tidak mengganggu masyarakat sekeliling supaya depa pun boleh hidup dengan aman dan damai. Kemudian yang keduanya, adakah usaha yang melibatkan komuniti kampung, untuk membasmi… untuk mengekang keadaan supaya perkara ini berada dalam keadaan terkawal, sebab ada pertanyaanlah, adakah ada penglibatan daripada komuniti kampung… komuniti awam. Sekian, terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker. Berhubung dengan persoalan yang dibangkitkan oleh YB Beseri. Dalam tinjauan saya bersama dengan agensi-agensi berkaitan selepas mendapat aduan berlakunya serangan babi di Kampung Nesam, Batu Pahat dan juga di Kampung Beseri di Beseri Hujung Bukit… jadi pihak kami telah hadir untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi dan pihak PERHILITAN telah memasang perangkap di situ untuk mengatasi. Manakala bagi masalah kera di kawasan Batu Pahat, dimaklumkan di kawasan Batu Pahat baru-baru ini, pihak jabatan telah mengambil inisiatif mengadakan kawalan… kawalan dengan kerjasama daripada RELA. Jadi, sekian jawapan dari saya, terima kasih
Soalan tambahan Yang Berhormat Speaker, sikit ja. Saya bukan apa, saya bagi cadangan ja lah. Terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker, Yang Berhormat Beseri, Yang Berhormat Simpang Empat di atas ulasan berkaitan dengan konflik kera dan manusia, yang dibangkit semula berkaitan dengan gangguan yang tidak… ataupun yang tidak dapat kita tanggani. Jadi saya cadangkanlah kepada Yang Berhormat Beseri juga boleh ambilkan lesen senapang untuk bersama-sama dengan PERHILITAN untuk tembak sekali, insya-Allah dan perkara ini sebenarnya sememangnya PERHILITAN perlu melihat bahawa kadang-kadang dia boleh mengancam keselamatan, babi hutan. Apatah lagi la ni musim kemarau, babi-babi pun pakat keluaq habih, mai ke daratan ke rumah orang, jadi boleh mengancam keselamatan terutama kanak-kanak. Jadi langkah yang progresif perlu ditangani untuk kita menjaga keselamatan penduduk yang terlibat. Terima kasih.
Ok, korek parit lah mudah sikit, babi dia kaki pendek, dia bukan boleh lompat.
Yang Berhormat Speaker, soalan tambahan. Apa yang telah dijelaskan oleh YB Simpang Empat tadi mengenai kera ni ditangkap… dibuat perangkap. Soalan saya adakah PERHILITAN yang menangkap kera-kera ni dia pi lepas tempat lain? Ada sekarang ni, di kawasan Chuping pun banyak juga yang mengganggu pokok-pokok harumanis dan sebagainya. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada YB Guar Sanji dan juga YB Chuping. Tentang YB Guar Sanji mungkin cadangan saya diadakan… dibagikan balik permit senapang manakala YB Chuping membangkitkan tentang serangan-serangan kera di projek-projek tanaman harumanis. Jadi mengikut perangkaan yang telah diberikan oleh Jabatan PERHILITAN, makna kata dalam tahun 21 dan 22 tu, dilupuskan makna kata bila tangkap, dimusnahkanlah… dimatikan ya. Sekian, terima kasih.
YB EXCO beli kacang banyak pi tabuq belah tu. Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 14.
(Soalan 14 : Selain sukan teras, apakah rancangan pembangunan sukan-sukan lain yang selain sukan teras seperti kayak? Bagaimanakah cara dan langkah yang diambil dalam memastikan kebajikan atlet sukan ini terjaga?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang. Program Sukan Teras telah dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara Malaysia bermula tahun 2005 sebagai dasar pembangunan sukan di negara. Terdapat 19 jenis sukan teras kebangsaan yang diberi fokus antaranya olahraga, badminton, bola sepak, hoki, skuasy, berbasikal, taekwondo. Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri telah membangunkan 23 jenis sukan secara konsisten sama ada sukan teras atau tidak merangkumi olahraga, tenpin boling, badminton, hoki, skuasy, berbasikal, taekwondo, sepak takraw dan juga silat, pelayaran, menembak dan lain-lain lagi. Sehinggalah program peringkat tertinggi bagi penyertaan atlet ke Temasya Sukan Malaysia ataupun SUKMA. Program sukan kayak atau kanu telah bermula sejak 2019. Sukan kanu telah diserap masuk ke program Majlis Sukan Negeri di bawah program Elit SUKMA sebagai persediaan ke Temasya SUKMA Ke-20. Atlet-atlet berkelayakan di bawah program ini telah menerima elaun latihan berjumlah RM200.00. Program ini dijalankan melalui pemantauan jurulatih sepenuh masa dan juga jurulatih separuh masa yang juga diberi bayaran elaun oleh MSN. Atlet juga dibekalkan dengan peralatan daripada MSN. Pada tahun 2022, program persediaan SUKMA, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM87,800.00 bagi sukan kanu. Untuk makluman, Pasukan Kanu Negeri Perlis telah menerima insentif kemenangan Temasya SUKMA 20 berjumlah RM10,500.00 dan juga insentif segera berjumlah RM1,400.00 di atas kejayaan Muhammad Mirza Hazari bin Mat Asri (Emas – acara K1 Slalom Flat Water Men) dan Nurul Najwaa binti Jamari (Gangsa – acara yang sama). Dalam konteks kebajikan atlet, MSN sentiasa bekerjasama rapat dengan persatuan-persatuan sukan bagi memastikan diurus dengan baik. Antara tindakan dilaksanakan, pertama, pemberian elaun latihan dan insentif kemenangan, penyediaan jurulatih yang berpengalaman sama ada sepenuh masa atau separuh masa, penyediaan peruntukan bagi tujuan persiapan menghadapi kejohanan dan pertandingan, melaksanakan program-program peningkatan dan pembinaan atlet seperti latihan pusat dan kejohanan dalaman. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Speaker. Saya nak satu soalan pada YB EXCO. Saya faham berkenaan dengan elaun insentif dan sebagainya, cumanya saya ingin tahu apakah rancangan pembangunan bagi atlet-atlet yang bukan sukan teras ini. Bukan hanya sukan kayak malahan sukan-sukan bukan teras yang lain. Maksud rancangan pembangunan ini sebab apa kita tengok banyak sukan-sukan yang bukan teras ini, atlet-atlet kita banyak menyumbang terutama dari segi pingat, maksudnya kita ada potensi… kita ada potensi pada sukan-sukan yang bukan teras ini. Jadi saya nak tau apakah rancangan-rancangan pembangunan kepada keseluruhan sukan yang bukan teras ini? Dan saya faham… dan kalau boleh kita nak senaraikan sekali apadia sukan teras dan apa bukan sukan bukan teras sebab apa saya takut kalau kata kita tak… apa orang kata apa… kurang… kurang maksudnya tak dak masa depan. Sukan bukan teras ini saya rasa baik tak payah… baik tak payah ada sukan bukan teras ini sebab tak dak penekanan daripada… daripada Majlis Sukan Negeri dan sebagainya. Terima kasih.
Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Tambun Tulang. Yang pertamanya senarai. Saya akan menjawab secara bertulis. Yang keduanya… pada minggu lepas saya terlupa tarikh… majlis sukan negeri telah pun mengadakan satu program yang namanya dialog awam… yang dihadiri oleh semua lah player ataupun pemain-pemain sukan ini ataupun persatuan-persatuan sukan dan juga ada agensi-agensi yang terlibatlah dalam dialog tersebut… fokus kepada bagaimana kita nak memastikan plan pembangunan sukan 2022 - 2026 itu dapat direalisasikan dengan baik dan… maknanya atlet-atlet yang ada kemahiran, kemampuan… kita akan ketengahkan dan yang ketiganya, Insya-Allah saya akan berbincang dengan pihak MSN untuk menyelaras dan juga merangkalah apa yang disebut oleh Yang Berhormat Tambun Tulang. Terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Kayang.
Bismillah. Yang Berhormat Tuan Speaker. Ada ubi ada batas, soalan saya no 15.
(Soalan 15 : Sejauh manakah pelaksanaan dan penguatkuasaan Kerajaan dalam memastikan setiap agensi Kerajaan mahupun swasta memberikan ruang sebaiknya terhadap pekerja khususnya dalam aspek ibadah demi meningkatkan kualiti taqwa setiap individu muslim?)
Bangkit pula nak bercakap na… Yang Berhormat Tuan Speaker. Terima kasih kepada Yang Berhormat Kayang. Beberapa inisiatif bagi mempertingkatkan kualiti taqwa individu muslim dalam aspek ibadah khususnya yang berkaitan dengan pekerjaan dan industri telah dilaksanakan jabatan dan agensi yang beriku. Yang pertama, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengambil inisiatif mewujudkan Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja sebagai panduan kepada para majikan dalam memudahkan pelaksanaan obligasi kepada seseorang pekerja muslim dan pekerja menunaikan solat dalam waktu kerja memandangkan Akta Kerja 1955 tidak menetapkan sebarang peruntukan khusus mewajibkan majikan menyediakan ruang dan masa untuk beribadah. Garis Panduan ini selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan… aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Bagi melaksanakan langkah-langkah di bawah Garis Panduan ini, pihak majikan hendaklah memberi pelepasan kepada pekerja yang beragama Islam untuk menunaikan solat dalam waktu kerja dan boleh diselaraskan oleh majikan mengikut kesesuaian waktu rehat seseorang pekerja. Yang pertama sekurang-kurangnya selama 20 minit bagi setiap waktu solat, dan yang kedua sekurang-kurangnya 1 jam 30 minit bagi solat Jumaat. Selain daripada pelepasan waktu untuk menunaikan solat, majikan juga perlu menyediakan kemudahan tempat. Antaranya yang pertama ruang khas tertutup dengan saiz yang bersesuaian. Kedua ruang untuk menunaikan solat yang berasingan bagi lelaki dan juga perempuan. Peralatan asas untuk menunaikan solat seperti sejadah, tikar, tempat mengambil wudhuk yang berhampiran dengan ruang solat dan juga petunjuk arah kiblat yang disahkan oleh jabatan… Jabatan Mufti. Sekian, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Guar Sanji. Dijawab bersama sekali dengan soalan 18 daripada Yang Berhormat Chuping dan soalan 20 daripada Yang Berhormat Beseri.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 17.
(Soalan 17 : Berapakah jumlah permohonan tanah TOL dari tahun 2008 sehingga tahun 2021 dan berapakah jumlah permohonan yang telah diberi hak milik geran?)
(Soalan 18 : Berapa lamakah proses untuk mendapat hak milik tanah apabila sesuatu permohonan dibuat? Berapa banyakkah permohonan untuk mendapat hak milik belum diselesaikan dan apakah halangan yang menyebabkan permohonan itu terlewat?)
(Soalan 20 : Apakah status tanah yang diberi Lesen Pendudukan Sementara (LPS) selama ini untuk dipermudahkan untuk permohonan geran?)
Yang Berhormat Speaker. Berdasarkan rekod permohonan tanah TOL dari tahun 2008 hingga tahun 2021, sebanyak 10,660 permohonan baharu telah diterima oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perlis. Daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 3,633 permohonan telah didaftarkan hak milik. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri melalui kertas MMK Bil. 266/2014, telah memutuskan bahawa pemegang lesen Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang menggunakan tanah tersebut melebihi sepuluh (10) tahun layak untuk dipertimbangkan bagi memiliki Tanah Kerajaan mengikut jumlah keluasan seperti berikut. Pertama, pertanian tidak melebihi 2.0 hektar dan yang kedua, bangunan tidak melebihi 500 meter persegi. Permohonan yang lengkap dan mematuhi semua syarat yang ditetapkan layak diproses untuk pemberimilikan. Berdasarkan Piagam Pelanggan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perlis telah menetapkan tempoh bagi pemprosesan hak milik adalah empat bulan dari tarikh permohonan. Tempoh ini tertakluk kepada dokumentasi yang lengkap, kesediaan pemegang lesen untuk hadir semasa proses ukur tanah dan kesediaan kewangan pemegang lesen untuk membayar premium tanah berdasarkan nilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta. Mengikut rekod terkini Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perlis, masih terdapat 7,027 permohonan yang masih belum selesai. Antara punca kelewatan adalah seperti berikut. Yang pertama, kekangan bilangan anggota bertugas serta kekangan fasiliti seperti kemudahan alat ukur GPS dan ICT (drone) yang mana fasiliti canggih ini telah diguna pakai bukan sahaja di PTG negeri, malahan di PDT negeri yang lain. Yang kedua, terdapat permohonan yang tidak mematuhi syarat kelayakan, pertindihan permohonan serta permohonan yang tidak mendapat persetujuan waris yang menyebabkan permohonan tidak dapat diproses. Dan yang ketiga, kelewatan pendaftaran hak milik berikutan terdapat pemegang lesen yang tidak dapat menjelaskan berayam… bayaran premium selepas Notis 5A dikeluarkan. Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perlis telah menyediakan dan membekalkan Senarai Semak Dokumen yang perlu dikemukakan semasa permohonan untuk rujukan pemegang lesen bagi memudahkan proses permohonan hak milik… jabatan juga turut menyediakan jadual temujanji yang fleksibel bagi memudahkan dan melicinkan proses permohonan geran. Sebagai langkah proaktif bagi memastikan kesediaan pemegang lesen untuk membuat bayaran premium, kadar premium akan dimaklumkan lebih awal kepada pemegang lesen semasa pengisian borang pemilihan tahun bagi pajakan mukim… sama ada 30 tahun, 60 tahun atau 99 tahun. Terima kasih.
Soalan tambahan Yang Berhormat Speaker. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Sanglang di atas penjelasan berkaitan dengan pemilikan tanah ataupun geran TOL. Permohonan tanah TOL dari tahun 2008 sehingga 2021. Kita sedia maklum bahawa permohonan tanah-tanah ini begitu banyak dan kadang-kadang tanah yang dimohon ini… dia layak lebih daripada 13 tahun atau pun 10 tahun dia mengusahakan. Namun selepas tarikh tersebut, tahun tersebut sampai ke 20 tahun, dia masih lagi… permohonan itu dia tangguh. Bukan sahaja sorang, banyak permohonan-permohonan berlaku begini… kelewatan pengurusan untuk meluluskan TOL ini, pada saya lah, perlu kita tanggani dengan segera kerana di sana kita melihat bila TOL ini kita bagi, tanah dan geran ni kita bagi kepada pemohon, sudah pasti kita akan mendapat cukai, bayaran cukai tanah kepada Kerajaan Negeri. Kemudian kalau dengar tadi Yang Amat Berhormat sebut berkaitan dengan kekurangan fasiliti, kekurangan staf untuk buat kajian apa sukat sebagainya ini… dia saya cadangkan supaya ambil sedikit duit tahunan ataupun hasil kutipan cukai beri kepada jabatan PTG untuk tambah baik… apa nama fasiliti depa ni… 1% ka 2% ka untuk depa tambah baik kerja depa di jabatan… na… untuk kita capai… matlamat untuk kita beri geran-geran ini kepada orang ramai yang mohon. Kadang-kadang mohon sampai dua generasi tiga generasi… mati abih dah, tak boleh lagi kita nak dapat geran untuk bina rumah secara… secara yakin… tak was-was lagi. Kemudian yang ketiga, saya dimaklumkan sekarang ini, tanah TOL ini kita tutup… ditutup buat sementara. Jadi saya cadangkan supaya Kerajaan Negeri membuka semulalah untuk permohonan ini dipohon oleh orang-orang yang telah lama duduk atas tanah-tanah tersebut… kita… kerana kita kesian… na… kepada rakyat-rakyat negeri Perlis yang masih lagi… merasa tak berkeyakinan ataupun tak dijaga kebajikan mereka dengan tuntutan-tuntutan mereka yang berpuluh tahun dok atas tanah TOL ini. Jadi kita nak bagi orang yakin, selesa, tak dak sapa nak ganggu selepas nanti. Terima kasih.
Yang Berhormat Speaker. Yang Berhormat Guar Sanji, terima kasih. Kami akan mengambil perhatian… sebab tak ada soalan kan, saranan saja.
Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Yang Berhormat Speaker, soalan saya nombor 19.
(Soalan 19 : Bagaimanakah pelaksanaan program Perlis Go Clean? Adakah Kerajaan mempunyai dasar yang jelas dalam kerja-kerja pengumpulan dan pembersihan sampah secara terancang di samping penggunaan tong-tong sampah di tempat pengumpulan sampah mengikut kapasiti penduduk?).
Yang Berhormat Speaker, Agenda Perlis Bersih Sihat 2021 hingga 2025 merupakan polisi utama Kerajaan Negeri bagi memastikan negeri ini bersih dan rakyat sihat. ‘Perlis Go Clean’ adalah ‘tagline’ kepada jenama Agenda Perlis Bersih Sihat ini. Ianya dilaksanakan melalui berbagai pendekatan ke arah peningkatan kesedaran masyarakat di negeri Perlis yang lebih bersih dan sihat pada era pasca pandemik Covid-19. Untuk ini, terdapat satu lagi ‘tagline’ yang dipromosikan oleh pihak Kerajaan Negeri iaitu ‘Healthy Perlis’. Perlis terikat dengan penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), di mana kuasa eksekutif mengenai pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam telah diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan. Proses penyerahan kawasan untuk diberikan perkhidmatan pembersihan kawasan adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta 672 tersebut serta perlu melalui beberapa peringkat proses pertimbangan dan proses oleh pihak Persekutuan seperti Jawatankuasa Pelaksanaan Kawasan (Regional Implementation Committee – RIC) oleh SWCorp dan Jawatankuasa Tahap Perkhidmatan (Service Level Committee - SLC) oleh Jabatan
Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN). Walaupun Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah memberikan kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan bagi perkara-perkara yang berhubungan dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, Kerajaan Negeri sentiasa memantau rapi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini berdasarkan kepada obligasi yang dinyatakan dalam Perjanjian Tiga Pihak. Penyediaan pusat-pusat tong sampah di seluruh negeri ini termasuklah pusat tong sampah ‘Perlis Go Clean’ adalah sebagai inisiatif tambahan dan dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat (corporate sosial responsibility) selain daripada perkhidmatan kutipan sampah premis-premis dan kawasan-kawasan perumahan oleh SWCorp. Sampah-sampah yang dikumpulkan di pusat-pusat tong sampah berpusat ini akan dikutip mengikut frekuensi atau kekerapan seperti mana yang ditetapkan. Kawasan tong sampah berpusat ini diadakan sebagai kemudahan tempat pembuangan sampah oleh penduduk kampung yang tidak dikenakan cukai perkhidmatan. Bagi memberikan imej dan gambaran yang lebih baik terhadap tapak-tapak pembuangan sampah, ianya dibina dengan ciri-ciri yang lebih menarik dan ceria dengan penggunaan bahan binaan yang lebih berwarna-warni dan murah. Kajian mendapati bahawa kapasiti dan jumlah bilangan tong sampah yang ditempatkan di tapak-tapak tong sampah berpusat ini adalah mencukupi dan boleh menampung janaan sampah daripada penduduk kampung yang terlibat. Namun begitu, terdapat juga pembuangan sampah daripada premis perniagaan, gerai penjaja dan penduduk daripada kawasan lain yang menyebabkan limpahan sampah berlaku. Selain itu, sikap penyelongkar sampah serta bahan buangan yang tidak sepatutnya diletakkan di pusat tong sampah juga telah menyebabkan terdapat keadaan sampah di luar tong sampah. Bagi mengatasi masalah-masalah ini, pemantauan dan kaedah kutipan telah diperbaiki dengan meningkatkan frekuensi kutipan serta penggunaan jentera yang bersesuaian bagi mengaut sampah yang berlebihan di tempat-tempat tong sampah berpusat. Selain itu, penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam sedang dilaksanakan secara berperingkat di negeri ini bagi mengurangkan janaan sampah daripada skim terlibat. Sekian, terima kasih .
Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.
YB Speaker, soalan nombor 21.
(Soalan 21 : Bagaimanakah langkah Kerajaan Negeri bagi menangani masalah kebanjiran masyarakat Rohingya yang semakin hari semakin ramai dan sedang menguasai sektor-sektor pembinaan di negeri Perlis?)
Yang Berhormat Speaker, Yang Berhormat Tambun Tulang, Masyarakat Rohingya yang masuk ke Malaysia kebanyakannya masuk secara tidak sah bagi mendapatkan Kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan oleh Pejabat UNHCR Malaysia. Proses penghantaran pulang ke negara asal atau penempatan ke negara ketiga yang dikendalikan oleh UNHCR adalah amat rendah dan perlahan. Tempoh yang lama untuk menunggu kad UNHCR ini menyebabkan masyarakat Rohingya bekerja secara haram untuk mencari pendapatan. Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis sentiasa mengadakan dan mempertingkatkan jumlah operasi penguatkuasaan bagi mengekang kebanjiran PATI termasuk masyarakat Rohingya di Perlis. Operasi yang dijalankan oleh pihak Imigresen juga tidak tertakluk kepada rondaan dan pengawasan di pintu-pintu sempadan sahaja. Operasi yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia turut merangkumi pemeriksaan di kawasan-kawasan perkilangan, kawasan pembinaan, kawasan perumahan, kawasan tumpuan orang ramai dan lain-lain. Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis juga menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dalam menangani masalah Pendatang Tanpa Izin . Jabatan Imigresen juga menjalankan pelbagai jenis operasi dalam usaha membanteras pendatang asing tanpa izin. Antaranya OPS Sayang, OPS Sapu, OPS Mahir dan lain-lain. Selain itu, OPS Bersepadu iaitu operasi yang dijalankan bersama-sama agensi lain contohnya Angkatan Tentera, PDRM, Kastam dan lain-lain turut dijalankan. Sekian, terima kasih.
Soalan Tambahan. Terima Kasih YB Speaker, okay…terima Kasih atas jawapan daripada YB Santan. Cuma saya nak… nak… nak tanya adakah kita ada… maksudnya Kerajaan Negeri tu Pihak Imigresen ada jumlah kemasukan… ataupun mungkin ada sebarang bentuk maklumat berkenaan dengan kemasukan mereka ini. Sebab apa saya kata macam ni… sebab saya tengok sekarang bukan saja di Tambun Tulang malah banyak tempat kita tengok banyak perusahaan, ataupun industri-industri yang diorang dah masuk, dah beli kereta, dah ada yang dah… dah ada yang menikah dengan orang kita lah. Yang tu takpala cumanya saya nak kata benda ini bermasalah… sebab apa… diorang ni punya modus operandi ialah kalau diorang berniaga diorang akan buang harga barang sampai peniaga-peniaga kita sendiri tak mampu nak lawan harga barang dia. Jadi ini jika berkekalan benda ini akan jadi macam mana berlaku di Pasar Borong Selayang. Sebagai contoh, mereka mula dengan hanya lima enam orang, kemudian sekarang jika kita masuk di Pasar Borong Selayang sebagai contoh 1 pasar borong dah jadi tempat diaorang. Jadi saya nak tanya apakah kita ada data tersebut dan apakah cara yang lebih stategik untuk kita tangani masalah ini, terima kasih.
Terima Kasih Yang Berhormat Speaker, Terima Kasih Yang Berhormat Tambun Tulang… kaitan angka ni saya agak… saya jawab secara bertulis na… boleh na. Terima Kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat…
Soalan Tambahan Tuan Speaker, boleh saya tau tak untuk mereka yang masuk menggunakan pass UNHCR dan sebagainya ataupun mereka bekerja sebagai buruh di kawasan tapak pembinaan… bagaimanakah pihak Kerajaan Negeri memantau tempat mereka tinggal, aktiviti-aktiviti harian mereka… dan kami berharap dia aktiviti-aktiviti mereka tidak mempengaruhi kehidupan rakyat di negeri ini, khususnya dari segi keselamatan dan sebagainya. Dan apakah pantauan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri tentang kesemua aktiviti harian mereka? Terima kasih.
Terima Kasih Yang Berhormat Speaker, Terima Kasih Yang Berhormat DUN Kayangan. Penguatkuasaan Akta CIDB Malaysia… CIDB akan mengambil tindakan undang-undang terhadap orang ataupun syarikat yang menggajikan pekerja Rohingya UNHCR dalam sektor pembinaan merujuk kepada Akta 520 CIDB Malaysia (Pindaan 2011), terima kasih.
UNHCR dia boleh duk saja, kerja tak boleh, nak makan apa pulak. Dipersilakan Yang Berhormat Kayang.
Bismillah. Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 22.
(Soalan 22 : Mohon nyatakan penjenamaan baharu dalam memastikan pelbagai pelan, agenda dan aktiviti semasa Kerajaan terpampang di segenap media perdana dan digital di peringkat tempatan , nasional mahupun internasional?)
Bismillahirahmanirrahim, assalamualaikum, terima kasih YB Kayang. Yang Berhormat Tuan Speaker, pukul 10:30 baru boleh bangun. Untuk makluman, Kerajaan Negeri akan membentuk satu jawatankuasa yang akan diberi nama Urusetia Penerangan Negeri Perlis (UPNPs). Ianya adalah sebuah organisasi yang lebih komprehensif dan holistik dalam penyampaiannya. Ia akan dibentuk dengan gabungan dua kompenan pentadbiran utama iaitu eksekutif dan bukan eksekutif. Pasukan eksekutif akan mengurus dan mentadbir organisasi dalam melakukan rumusan serta pelaksanaan aktiviti. Manakala, pasukan bukan eksekutif pula akan bertindak sebagai think tank, dengan Izin, dalam menyusun strategi melibatkan pertimbangan, kritikan serta ulasan berkaitan sesuatu isu atau dasar. Bagi peringkat awal, UPNPs akan dibentuk melalui tiga (3) teras utama melalui pelan strategiknya iaitu pertama Penubuhan organisasi dan pemerkasaan perkhidmatan penerangan secara atas talian atau bersemuka. Yang keduanya, Pengukuhan organisasi dan pentadbiran dalam memastikan dasar, inisiatif serta program Kerajaan Negeri sampai kepada sasaran. Seterusnya yang ketiga Tadbir urus yang dinamik dan mapan dalam memastikan ianya sentiasa mempunyai daya tersendiri dan stabil dalam pelaksanaannya. Fungsi UPNPs secara umumnya adalah seperti yang berikut. Satu Menyalur maklumat dasar-dasar Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kefahaman dan sokongan rakyat. Keduanya memperluas jaringan hubungan komunikasi menerusi pelbagai program komunikas. Yang ketiganya membangun kandungan digital yang kreatif dan inovatif mengenai dasar-dasar Kerajaan Negeri melalui platform media sosial seperti Facebook, Tik Tok, Instagram dan juga Twitter. Yang keempatnya menghasilkan dan menerbitkan bahan penerbitan dan bahan komunikasi visual mengenai dasar-dasar Kerajaan Negeri. Yang kelimanya, memantau dan mengurus isu-isu semasa untuk meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat dan akhirnya menyediakan khidmat kepakaran penulisan strategik untuk kempen dan inisiatif Kerajaan Negeri. UPNPs akan berkolaborasi dan mengadakan sinergi dengan jabatan atau agensi sedia ada bagi memastikan promosi dan hebahan mengenai Kerajaan Negeri dapat diselaraskan dengan baik dan memberi impak yang positif. Dalam perkara yang sama, Kerajaan Negeri akan terus mengekalkan hubungan baik yang telah terjalin dengan pengamal media sama ada arus perdana atau media sosial bagi memastikan berita mengenai Perlis menjadi hebahan umum. Sebagai contoh, berita mengenai harga makanan semurah RM2.00 telah disiarkan di dalam Buletin TV3 jam 8:00 malam pada 3 Februari 2023. Ini membuktikan bahawa Perlis mempunyai satu… sesuatu info yang penting untuk tatapan masyarakat umum. Sekian, terima kasih.
Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan. Dijawab bersekali dengan soalan 24 bagi sidang Dewan 16 Mac 2023.
Terima Kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya soalan no 23.
(Soalan 23 : Apakah peranan dan rancangan Kerajaan Negeri Perlis untuk menyokong dan membekalkan keperluan tenaga buruh mahir, separuh mahir berteknikal dalam masa mendokong keperluan pasaran dan pelaburan ke projek ekonomi CVIA, khususnya dalam bidang Green Technology?)
(Soalan 24 (16 Mac 2023) : Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam menggalakkan warga Perlis untuk memenuhi dan menerima peluang pekerjaan yang ditawarkan tidak kira di dalam atau di luar Perlis khususnya melalui program My Future Jobs Perkeso?)
Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Indera Kayangan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah melaksanakan program-program Pembangunan Modal Insan Bersepadu seperti Talent Enhancement Programme (NTEP), empowerNCER, Kemahiran dan Keusahawanan yang berteraskan rakyat untuk menyokong usaha serta membangunkan sumber manusia dan mengurangkan pengangguran di Perlis. Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan keperluan dalam menyokong tenaga buruh mahir, separuh mahir berteknikal bagi memastikan keperluan tenaga buruh di CVIA dapat dipenuhi khususnya dalam bidang Green Technology dengan menggalakkan penganjuran program dan simposium berkaitan inovasi penyelidikan dan pembangunan khususnya di peringkat institut pengajian tinggi bagi memperkasakan sektor ini. Pada tahun 2022, sebanyak 12 program inovasi dan persidangan berkenaan Green Technology telah dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi Mara dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Kerajaan Negeri juga melihat sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai salah satu medium terbaik dalam melahirkan graduan berkemahiran teknikal sebagai salah satu persediaan dalam melengkapkan keperluan tenaga buruh dalam kalangan anak Perlis di CVIA. Institusi TVET di negeri Perlis seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia Negara dan Kolej Vokasional telah menyediakan pelbagai jenis sijil kemahiran dan latihan. Dalam perkara yang berkaitan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PERKESO melaksanakan usaha-usaha bagi memenuhi keperluan pekerjaan merangkumi antaranya, yang pertama meluaskan penggunaan Portal Pekerjaan Negara iaitu Portal MYFutureJobs di kalangan pencari kerja dan majikan yang berperanan sebagai satu platform pemudah cara kepada majikan untuk mengiklankan jawatan kosong dan membantu majikan mendapat pekerja, yang keduanya menyediakan program-program bagi peningkatan modal insan dan kebolehpasaran pekerja seperti khidmat kaunseling kerjaya, skills profiling, penulisan resume, latihan kemahiran bahasa dan teknik penyampaian serta seminar pekerjaan, yang ketiga menubuhkan Pusat Satelit MYFutureJobs dengan kerjasama strategik dengan beberapa agensi dan kementerian yang bertujuan untuk membantu golongan pencari kerja di kawasan pendalaman untuk mendapatkan perkhidmatan penempatan pekerjaan, yang keempat mempergiatkan Karnival Kerjaya sebagai galakan kepada pencari kerja yang… dan secara tidak langsung turut membantu merangsang pasaran buruh negara. PERKESO Negeri Perlis telah melaksanakan sebanyak dua kali sesi Karnival Kerjaya yang melibatkan seramai 1,016 orang pencari kerja sehingga Februari 2023. Sebanyak 38 kali sesi temuduga secara terbuka dan atas talian telah diadakan dalam tempoh yang sama. Sekian terima kasih.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan sebentar dan akan disambung semula pada jam 11.10 pagi.
(Persidangan ditempohkan sementara pada jam 10.38 pagi).
(Persidangan disambung semula pada jam 11.16 pagi).
Ahli-ahli Yang Berhormat, sila duduk. Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula.
Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja PerlisMotion
Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja. Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan mengemukakan cadangan.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berhormat Speaker, saya mohon mencadangkan satu usul yang berbunyi “Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang berbunyi: Ampun Tuanku, Patik, Speaker dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dalam persidangan Dewan, merafak sembah memohon ampun dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas Titah Ucapan Yang Maha Mulia Tuanku semasa merasmikan Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas pada 14 haribulan Mac 2023.”
Yang Berhormat Speaker, saya dengan rendah diri menyokong Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja yang telah dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebentar tadi.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dibuka untuk perbahasan. Yang Berhormat akan diberi masa lebih kurang liima belas minit untuk berbahas. Saya persilakan Yang Berhormat Guar Sanji.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahi rabbil alamin, washolatu wassalamu ala asrofil ambiya iwal mursalin, wa'ala alihi wasahbihi ajma'in. Robbisrohli sodri, wayassirli amri, wahlul uqdatan millisani, yafqohu Qauli. Amma ba’du. Terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Perlis, seluruh barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua agensi, pegawai pentadbiran, juga para tetamu dan pelawat yang hadir yang kita raikan yang dimaklumkan pelawat daripada Dewan Muslimat Seberang Takir yang turut hadir bersama-sama dengan kita untuk menyaksikan Sidang Dewan Undangan Perlis pada kali ini. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dapat mengikuti Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis yang berlangsung selama tiga hari bermula kemarin, hari ini dan juga esok, 14 hingga 16 Mac insya-Allah. Jadi kita berdoa kepada Allah S.W.T. agar perjalanan mesyuarat kita pada kali ini berjalan dengan baik dan lancar, insya-Allah. Jadi Yang Berhormat Tuan Speaker, saya bangun pada pagi ini untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam ucapan Usul Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Syed Faizuddin kelmarin sempena pembukaan Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas. Sebanyak tiga puluh lapan muka surat yang mengandungi tiga puluh lapan point ataupun nota yang telah dizahirkan oleh
Tuanku merangkumi pelbagai sektor terutama berkaitan dengan pertumbuhan-pertumbuhan ekonomi negeri Perlis pada kali ini. Harapan kita bersama agar pertumbuhan ekonomi negeri Perlis pada tahun 2022… 2023 lebih tinggi berbanding 1.5 percent ataupun peratus pada tahun 2021 dan seterusnya akan meningkat pada masa akan datang, insya-Allah. Firman Allah S.W.T., (Yang Berhormat Guar Sanji membacakan ayat Al-Quran, Surah al-A’raf, 7:96)
Surah Al-A'raf Ayat 96 yang bermaksud, “Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa serta bertakwa kepada Allah S.W.T. tentulah Kami akan membukakan kepada mereka pintu pengurniaan yang limpah ruah berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan yakni Rasul kami, lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”
Apa yang dimaksudkan dengan keberkatan? Keberkatan ini ialah annumu. Dalam Bahasa Arab dia sebut annumu waziadah iaitu sesuatu yang berkembang… sesuatu yang bertambah. Apa yang berkembang? Apa yang bertambah? Yang berkembang, yang bertambah ini ialah kebaikan. Tuan-tuan sidang Dewan yang mulia, apa keberkatan… apa gunanya hidup kita, umur yang panjang sekiranya tidak ada berkat? Apa guna masa yang banyak yang ada tetapi tidak ada keberkatan, kesihatan yang elok, kesihatan yang baik tetapi tidak ada berkat, harta yang banyak melimpah ruah senang tapi tidak ada keberkatan. Begitu juga dengan hal ehwal pentadbiran dan kekuasaan yang dimiliki. Apa gunanya sekiranya pentadbiran dan juga kekuasaan yang kita miliki itu tidak ada keberkatan dan rahmat serta redha daripada Allah S.W.T. Kalau lihat apa yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia kelmarin, yang saya katakan tadi berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, jadi marilah kita mulakan pertumbuhan ekonomi negeri Perlis dengan kita meletakkan dasar yang baik bermula dari pihak kerajaan itu sendiri. Jadi, sukacita saya nak mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya memindahkan simpanan Kerajaan Negeri dan juga seluruh agensi Kerajaan Negeri daripada perbankan konvensional kepada perbankan Islam kerana hari ini kalau kita lihat isu perbankan konvensional, isu perbankan Islam dia terlibat dengan sistem riba dan sebagainya. Sebab kita melihat hari ini ramai di kalangan penduduk masyarakat memandang enteng soal riba, soal… apa nama… bunga ini dan kalau lah kita boleh laksanakan di peringkat negeri sudah pasti dia akan mendidik rakyat dalam perkara ini secara tidak langsung. Dia akan memberi pengajaran kepada rakyat tidak secara tidak langsung. Kemudian begitu juga dalam hal-hal lain yang melibatkan kepentingan orang-orang Islam, untuk kita mendidik orang Islam apabila kita laksanakan sesuatu polisi ataupun dasar yang lain, sebagai contoh negeri Perlis kan isu perjudian… saya yakin dan percaya isu judi ni kalau kita lihat, semua kepercayaan, semua agama melihat bahawa judi dan juga perjudian ini sesuatu yang boleh merosakkan individu seseorang dan juga hubungan kekeluargaan. Sebab itu dulu saya dengaq masa awal pentadbiran kerajaan kita, alhamdulillah bila ditanya tentang apa usaha yang nak dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam bab isu kita biaq kerajaan… kerajaan kata kita akan lakukan kajian. Jadi sampai ke hari ni kajian tu saya tak tahulah apa hasil dapatannya. Saya harap lah kepada kerajaan supaya lakukan sesuatu untuk kita mendidik rakyat kita bahawa benda-benda yang boleh menjerumuskan… apa nama… rakyat kepada kerosakan akhlak, melanggar nilai agama perlu kita lakukan dan ingatlah firman Allah S.W.T., surah an-Nisa’, “Maka demi Tuhanmu, wahai Muhammad mereka tidak akan beriman, tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau sebagai panduan, sebagai petunjuk dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka.”
Yang Berhormat Tuan Speaker, berhubung perkara untuk kita merancakkan pembangunan ekonomi di negeri… negeri Perlis, sudah tentu kita perlukan satu jumlah duit yang banyak ataupun peruntukan. Dalam perkara ini, kita melihat kerjasama antara pusat dan juga negeri perlu dimainkan seiring bersama dalam membangunkan ekonomi negeri Perlis. Kerajaan pusat tidak boleh meminggirkan Kerajaan Negeri Perlis. Konsep federalism mestilah difahami dan dihormati oleh kerajaan pusat. Jangan sesekali menodai atau mencabuli konsep yang telah pun diamalkan sejak dahulu lagi supaya keseimbangan pertumbuhan ekonomi dan juga pembangunan di seluruh negara ini dia akan berkembang dan manfaat hasil ekonomi itu akan kembali kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga rakyat negeri… negeri Perlis ini. Yang Berhormat Speaker, kita menanti-nantikan seorang pemimpin yang disebut 25 tahun dia mengharap untuk menjadi Menteri… Perdana Menteri, tetapi bila dia naik macam-macam kita dengaq. Dia seolah mengurangkan… menarik balik bantuan-bantuan kepada rakyat. Contoh para peladang… dulu para peladang, petani ada dapat satu hektar, seratus ringgit bantuan subsidi racun, hari ini dia tarik dah. Tak dak dah bantuan sehektar tu untuk subsidi racun kan. Maknanya, peruntukan ADUN-ADUN kawasan dulu ada ratus ribu, tapi hari ini tidak diberikan kepada ADUN-ADUN kawasan dan juga Parlimen. Kita nak tegaskan sekali lagi di sini bahawa ADUN-ADUN juga perlukan peruntukan sedemikian untuk kita mengurus kebajikan dan juga rakyat di DUN-DUN kami. Kalau lah betul ada peruntukan yang diturun melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan ka ke negeri ini melalui orang lain maka kami yang menerima aduan, yang menerima permasalahan rakyat ini dia tidak akan diatasi dengan baik. Orang lain dapat duit, orang lain yang dapat masalah. Jadi bagaimana kita nak urus masalah supaya duit yang turun itu diguna dengan baik? Kalau lah tidak melalui YB yang ada… masalah yang pun… yang mengetahui masalah rakyat, bagaimana kami nak urus? Dan kebimbangan saya adalah apabila duit tu dapat kepada orang yang tidak sepatutnya maka mesti akan berlaku projek ataupun perkara yang dibuat itu tidak mencapai matlamat dan tidak akan menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan para penduduk.
Yang Berhormat Speaker, masa… apa nama.. kerajaan Perikatan Nasional memerintah dulu, kita bagi kepada semua Ahli Parlimen dan semua ADUN, dan hari ni kita memerintah Perlis pun kita bagi sama rata walaupun Yang Berhormat Indera Kayangan duduk PH tapi kita bagi juga peruntukan. Hal ini yang perlu pusat contohi dan saya harap Yang Berhormat Indera Kayangan memainkan peranan supaya minta Perdana Menteri contohi Perlis dalam memberi peruntukan kepada ADUN-ADUN dan saya harap Yang Berhormat Indera Kayangan bincang, ketengahkan perkara ini kepada kawan-kawan yang berada di pusat supaya untuk melihat negeri Perlis ini secara saksama dengan negeri-negeri yang lain.
Yang Berhormat Tuan Speaker, di dalam Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia kelmarin, apa nama… Duli Yang Maha Mulia ada menyebut na tentang etika seorang penjawat awam. Jadi saya juga menyambut baik saranan Duli Yang Maha Mulia di mana penjawat awam perlu menjaga etika seorang pekerja dan perlu sama-sama membangunkan agenda yang telah ditetapkan oleh kerajaan yang memerintah hari ini. Jangan ada penjawat awam yang melakukan ketempangan ataupun yang melakukan melawan arus agenda yang nak dibangunkan oleh Kerajaan Negeri, sebagai contoh dalam beberapa isu yang lalu kita tengok sebagai contoh isu merobohkan gerai-gerai yang dibina oleh para peniaga kan. Bila peniaga bangunkan gerai kemudian dia roboh, bila kita siasat benda ni diviral. Bila kita siasat adalah katanya daripada pejabat YB… YAB suruh roboh, padahal tidak berlaku. Jadi pegawai terbabit yang buat kenyataan katanya daripada pejabat MB, padahal tidak ada. Jadi tuan-tuan kita berbalik pada pangkal dia, tengok dasar dia, jangan pakai main click nama. Sebab tu saya kata kan kepada penjawat awam mestilah bersama-sama dengan agenda pembangunan Kerajaan Negeri mengikut wing undang-undang yang kita telah tetapkan. Sebagai contoh lagi berlaku dalam… apa nama… isu konsert hari karnival yang dibuat di Dataran Dato Sheikh kan, sedangkan peraturan tidak membenarkan nyanyian ataupun tarian yang terbuka ataupun yang boleh memandang tidak elok kepada kelakuan tersebut, ada di situ dia buat tarian gelek dan sebagainya sedangkan di situ karnival yang melibatkan semua lapisan masyarakat. Jadi saya tak nampak lah. Saya nampak macam seolah ada sesuatu yang tidak kena. Adakah nak mensabotaj kerajaan Perikatan Nasional ataupun tidak? Jadi saya harap kepada penjawat awam sebagaimana yang disebut oleh Duli Yang Maha Tuanku, marilah sama-sama kita ikhlaskan diri kita, bersama-sama menyokong agenda dan juga perubahan yang hendak dilakukan oleh kerajaan pada hari ini.
Kemudian berkaitan dengan isu pendigitalan di negeri Perlis. Perlis telah meletakkan sasaran Perlis Go Digital pada 2025. Jadi saya nak seru kepada semua… seluruh agensi Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat supaya mendigitalkan semua operasi yang ada sebab hari ni orang tua-tua ataupun warga emas pun dah berbelanja secara cashless, maknanya tanpa wang tunai, dia pakai kad debit. Jadi saya harap kepada agensi persekutuan yang saya tak perlu sebut nama lah kan boleh bertindak secara agresif dan proaktif untuk kita menjayakan agenda Perlis Go Digital kan untuk kita memudahkan segala pengurusan wang ringgit secara alam maya ini. Jadi kita harap akan dapat dilaksanakanlah untuk memudahkan kerajaan dan memudahkan orang ramai. Jangan kita malu dengan pasaraya-pasaraya yang kecil pun boleh buat dan guna kad bank, tapi kita kerajaan yang penuh dengan sistem tak boleh tak boleh nak buat kenapa tidak.
Yb Guar Sanji masa tak…
Baik, terima kasih Yang Berhormat Speaker. Kemudian di akhir ucapan ini saya nak bangkitkan berkaitan dengan isu rakyat yang melibatkan kawasan sekitar DUN saya. Terutama sekali saya nak bangkitkan untuk kali kedua isu berkaitan dengan isu tangki air di Taman Cempaka Putih. Pada dua sidang ataupun tiga sidang yang lepas saya telah pernah bangunkan isu berkaitan dengan satu tangki air yang besar yang ada di Taman Cempaka Putih tak beroperasi dengan baik ataupun dengan istilah lain rosak langsung tak dibaik pulih oleh pihak sama ada SAP ataupun bahagian Setiausaha Kerajaan. Dulu katanya bangunan taman itu taman kolej komuniti dibina… dibuat oleh Setiausaha Kerajaan ataupun bahagian kerajaan tapi tak diserah kepada SAP. Saya tak tau masalah tapi puncanya sekarang ni ialah… masalah situ ialah tangki yang tidak beroperasi. Jadi maknanya kalau ada gangguan ayaq sepatutnya tangki itu boleh menampung mengalirkan ayaq. Tetapi kalau tak dak ayaq, maka tangki itu tidak berfungsi menyebabkan masalah gangguan air dan juga terganggu habis operasi masyarakat penduduk taman-taman tersebut. Kemudian yang kedua berkaitan dengan status kilang lama di Pekan Arau. Kalau tuan-tuan masuk belakang Masjid Negeri Perlis tu di Arau, tu dia panggil satu tapak warisan, yang kita dok pi bergambaq, di sebuah rumah tu belakang tu ada kilang lama. Kilang lama tu dia terbelah dua, kilang padi kot tak salah saya belah dua. Tengah-tengah tu ada laluan kereta api, sebelah sana pun ada sebelah sini pun ada. Jadi saya nak tanya kepunyaan siapakah dan apakah yang perlu kita buat untuk mengindahkan kawasan tersebut pada masa akan datang? Sebab pada hari ni kalau kilang tu ada dia telah mengganggu keselamatan penduduk di situ. Ada benda-benda yang tidak elok berlaku, masalah sosial berlaku, kemudian ada orang kata ada penempatan anjing dok berkeliaran di situ, malah boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk-penduduk yang terlibat di kawasan tu. Pastu saya nak cadangkan kepada kerajaan mengambil tindakan supaya menghidupkan kawasan itu dengan tempat-tempat perniagaan, apatah lagi kita duduk dengan laluan kereta api. Jadi orang yang boleh… orang yang nak balik ke Kuala Lumpur dia boleh beli produk-produk Perlis bawa balik terus ke Kuala Lumpur yang tak ada Harumanis. Nak beli harumanis tang tu ada harumanis, yang nak beli ikan kering tak dak ikan kering tang tu dia boleh beli ikan kering, bawak balik naik terus kereta api pi Kuala Lumpur. Jadi ia hidupkan suasana perniagaan di tapak tu.
Kemudian yang berikutnya Yang Berhormat Speaker, saya nak ambil kesempatan nak ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri. Mengikut laporan yang sampai kepada kita bahawa Kerajaan Negeri telah menerima kemasukan sejumlah wang RM318 juta ke negeri sejak mengambil alih kerajaan baharu pada bulan ini. Jadi kita mengharapkan supaya jumlah kemasukan pelaburan ini akan bertambah untuk suku tahun yang pertama, suku tahun yang kedua dan suku tahun yang yang ketiga dengan konsep yang telah dikemukakan… ditawarkan oleh Kerajaan Negeri dengan mesra rakyatnya yang mesra pelabur kita harap dan peningkatan pelaburan ke negeri Perlis akan akan bertambah dari masa ke semasa. Dan saya juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh mangsa banjir di beberapa buah negeri di pantai barat di Pahang, Johor, Melaka dan masih ada sehingga ke hari ini keluarga-keluarga yang berada di pusat pemindahan. Kita di Perlis cuaca panas tak sangga kan sampai suhu 38 darjah celcius, di sana banjir ditenggelami air dan sebagainya. Jadi semoga Allah S.W.T. berikan ganjaran yang lebih baik kepada tuan-tuan, diberi kesabaran untuk menghadapi segala cubaan dan ujian daripada Allah S.W.T. Kemudian mengambil kesempatan yang terakhir, saya nak… ingin mengingatkan kepada kita semua insya-Allah lebih kurang lagi seminggu kita akan sama-sama menyambut kedatangan satu bulan yang penuh dengan keberkatan, diturunkan padanya Al-Quran dan dihadiahkan pula dengan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu bulan Ramadhan. Jadi marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah S.W.T. supaya panjangkan umur sampai ke dalam bulan Ramadhan, dibuka pada kita hidayah dan taufik untuk kita melipatkan kali gandakan ibadat kita, berbentuk sumbangan kepada mereka yang memerlukan, insya-Allah. Jadi tuan-tuan yang dirahmati Allah S.W.T., Yang Berhormat Tuan Speaker, sekali lagi saya ingin menyatakan sokongan dan juga menjunjung kasih kepada ia kepada Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia kelmarin di dalam Dewan yang mulia. Jadi, wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dipersilakan Yang Berhormat Kuala Perlis. Sila patuhi masa yang diberi.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ADUN-ADUN, pada kesempatan ini, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataa`la kerana diberi kesempatan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali ini. Sebagai mewakili Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Perlis, saya menjunjung kasih dan menyokong penuh di atas Titah Ucapan Kebawah Duli Tuanku Raja Muda Perlis yang diwakili Raja Perlis… yang diwakili oleh Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis. Sesungguhnya ungkapan “Perlis Baharu” yang dititahkan oleh Kebawah Duli Tuanku Raja ada… merupakan amanah yang harus dipikul oleh semua pihak. Saya amat mengharapkan agar Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional dapat memikul tanggungjawab untuk membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat. Sebagai menyahut titah Kebawah Duli Tuanku Raja Perlis yang kita amat sayangi, pihak pimpinan Kerajaan Negeri seharusnya mengambil inisiatif dalam melaksanakan program yang boleh membudayakan masyarakat tentang pentadbiran “Perlis Baharu”. Kepimpinan Kerajaan Negeri haruslah mencari suatu solusi terkini bagaimana untuk menawan hati rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perikatan Nasional pada PRU 15 yang lalu.
Kita perlu mewujudkan jurang perbezaan positif yang lebih besar antara kepimpinan kerajaan terdahulu dengan kepimpinan yang kita terajui sekarang. Jangan biarkan rakyat membuat perbandingan yang negatif yang boleh menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Perikatan Nasional yang kita terajui. Jangan biarkan kerajaan yang kita teraju ini menjadi kerajaan hanya satu musim.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada sebutan “Perlis Baharu”, Perlis Bersih juga hendaklah menjadi inspirasi kepada Kerajaan Negeri dan juga kera… khususnya Kerajaan Perikatan Nasional. Program gotong-royong membersihkan semak-samun dan kawasan hutan terbiar seharusnya diberi keutamaan. Penjagaan saliran pengairan haruslah diberi penekanan agar tiada sampah sarap yang menghalang aliran. Kesedaran tentang pentingnya amalan kebersihan hendaklah menjadi pegangan kepada semua masyarakat nege… dalam negeri Perlis. Ahli-Ahli Yang Berhormat termasuk diri saya hendaklah memastikan dan memainkan peranan dan perbanyakkan penganjuran program yang boleh menjurus ke arah kebersihan yang bersesuaian dengan Titah Kebawah Duli Tuanku Raja Perlis.
Yang Berhormat Speaker, saya ingin menyentuh berkaitan projek rintis pengurusan sampah luar bandar yang telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri pada baru ini. Saya nak ucap tahniah kepada Yang Berhormat Indera Kayangan kerana mendahului program ini, tetapi apakah kalau cantiknya, semoleknya program yang seumpama ini dimulai oleh Yang Amat Berhormat. Kita bagi masa kepada Yang Amat Berhormat, bagi peluang kepada Yang Amat Berhormat untuk melancarkan program ini. Kita mulakan di Sanglang diikuti oleh DUN-DUN yang lain supaya program ini dia nampak mempunyai impak yang besar. Masyarakat melihat apakah ini program Kerajaan Negeri ataupun projek program yang melibatkan satu-satu DUN yang… yang… yang semua orang tahu bahawa DUN tersebut adalah bukan merupakan daripada Kerajaan Perikatan Nasional. Saya minta pihak-pihak tertentu mempastikan… tolong pastikan kena jalankan program-program yang melibatkan Kerajaan Negeri bersesuaian dengan keadaan dan diberi peluang kepada Yang Amat Berhormat untuk melancarkan program tersebut, dan saya minta pihak tertentu tolong pastikan supaya perkara-perkara yang seumpama ini tidak berlaku pada masa-masa yang akan datang. Walau macam mana pun tahniah kepada Yang Berhormat Indera Kayangan kerana mendahului program ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, politik menguasai kerajaan ini singkat kata yang telah dimainkan ataupun satu perkataan yang sering disebut oleh orang-orang politik terutamanya Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang bercakap tentang politik, politik menguasai kerajaan. Di kesempatan ini saya ingin mencadangkan agar pelantikan JPKK ataupun MPKK ataupun JKKK haruslah dipercepatkan. Kerajaan Negeri seharusnya menyegerakan pelantikan tersebut. Sebagai kerajaan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional, seharusnya kita bertindak awal dalam membuat pelantikan tersebut. Kerajaan Negeri tidak boleh membiarkan perlantikan JKKP ataupun MPKKP ataupun sebaliknya di bawah pentadbiran Kerajaan Pusat mendahului pelantikan tersebut. Ini kerajaan kita, kerajaan di bawah pentadbiran kita, pastikan pelantikan itu dibuat terlebih awal, jangan membelakangkan daripada… apa nama… pelantikan tersebut. Maknanya kita kena lantik dahulu daripada Kerajaan Pusat. Elaun bulanan yang tinggi bukan perkara utama, tetapi di dalam mentadbir di setiap pelosok dalam negeri Perlis akan memberi impak kepada Perikatan Nasional yang mempunyai kekuatan dalam negeri Perlis ini. Saya mohon Kerajaan Negeri supaya pertimbangkan segera agar pelantikan kampung-kampung yang melibatkan 378 kampung yang ada dalam Perlis dikekalkan pelantikan JPKK ka, MPKK ka, ataupun nak kekalkan JKKK. Yang Berhormat Speaker…
Ni Yang Berhormat, mencelah sikit boleh?
Ya…
Boleh?
Boleh.
Sikit noh. Baik terima kasih Yang Berhormat Kuala Perlis. Saya nak tanyalah pandangan Yang Berhormat kalau kita lihat hari ini na, di kebanyakan jawatan lantikan, sama ada oleh kerajaan ataupun bukan kerajaan ini, jawatan mereka ni bertindih sama ada di peringkat jawatankuasa Imam masjid dan jawatankuasa kampung dan lepas tu Amil. Dialah pengerusi JKK, dialah Amil, dialah Nazir, dialah sebagainya. Jadi bersetujukah perkara ini sebenarnya tidak berlaku, dia mesti pilih satu untuk satu jawatan agar perkara ini… agar perkara ini… agar pengurusan di setiap kampung itu dan jawatan diberi berjalan dengan baik dan matlamat tercapai.
Terima kasih Yang Berhormat ADUN Guar Sanji. Saya amat bersetuju dengan pandangan ni supaya tidak berlaku pertindihan jawatan. Maka lantikan-lantikan tersebut perlu diberi agihan yang sesuai kepada pe… apa nama… penem… orang-orang yang sesuai untuk diberi lantikan. Jadi saya juga mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengambil… apa nama… perhatian serius tentang pelantikan ini. Biarlah pelantikan jawatankuasa masjid ka, JPKK… apa juga yang kita nak lantik bersesuaian dan agihan tu sama rata kepada orang-orang terutama sekali orang yang memberi khidmat kepada masyarakat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, di kesempatan ini juga saya ingin mencadangkan agar perumahan rancangan pusat ber… tempat-tempat perumahan terutama sekali di kawasan Kuala Perlis iaitu Perumahan Rakyat Kuala Perlis iaitu di Flat Kuala Perlis itu seharusnya Kerajaan kena tengok. Bukan setakat itu saja, banyak tempat-tempat perumahan yang rumah-rumahnya dah teruk… dah rosak teruk. Jadi rakyat hari ini… pemilik hari ini terpaksa mengadu sana-sini kerana rumah mereka rosak, tak dapat… tidak ada sumber pendapatan yang tetap untuk membaik pulih rumah tersebut. Tetapi sekiranya pemilik tersebut ada upaya, ada sumber kewangan untuk membaik pulih sendiri rumah tersebut, kita bagi peluang kepada depa supaya memotong belanja yang dikeluarkan untuk membaik pulih rumah tersebut dikurangkan ataupun dia bagi tempoh potong balik sewaan bulanan… apa nama… kepada pihak-pihak yang tertentu. Ni kita kena tengok, harini rakyat susah, rumah dia macam di Flat Kuala Perlis makan anai-anai, yang siling ghob… ghebah…ghoboh, ayaq di atas yang orang di bawah dah turun. Terlalu teruk dari… kita faham dalam keadaan hari ini Kerajaan tidak ada duit, tak banyak, tetapi kita panggil pemilik-pemilik rumah ataupun penyewa-penyewa rumah tersebut kita bincang. Kalau si polan ini ada duit, ada bajet dia nak repair rumah dia sendiri, kita bagi dan kita potong balik hutang tertunggal bulanan yang dia terpaksa bayar kepada kerajaan. Jadi saya minta pihak-pihak tertentu memainkan peranan untuk membela rakyat dalam keadaan kesempitan yang teramat pada ketika ini.
Yang Berhormat Speaker, satu lagi saya nak sentuh berkaitan dengan pemasangan lampu hiasan di Persiaran Makanan Bintong, satu projek yang telah dibina oleh kerajaan terdahulu yang saya rasa pada pandangan saya amat merugikan. Dengan kos elektrik yang terlalu tinggi, pembinaan yang tidak menepati pada sasaran, tiada pemantauan oleh pihak tertentu. Kalau kita lalu hari ni, wayar dah putus habis banyak. Jadi saya takut dalam keadaan ini mengundang bahaya kepada masyarakat dan orang ramai yang lalu di situ. Sebaiknya… sebolehnya kita kaji balik, kita pikiaq tempat yang sesuai di mana kita nak letakkan lampu-lampu yang bersesuaian yang boleh dikunjungi oleh pelancong-pelancong luar untuk menikmati pemandangan yang amat menarik. Jadi saya minta pihak-pihak tertentu ambil balik, kaji balik per… kesesuaian perkara-perkara yang saya sebutkan ini. Satu lagi saya nak sebut berkaitan dengan kedai Borong Din. Tuan-tuan kena tengok hampir rata pekan dalam negeri Perlis semua dikuasai. Pekan-pekan kecil ka, pekan besar ka, banyak kedai Borong Din. Saya minta terutama sekali Majlis Perbandaran kena kaji pengeluaran lesen. Kalau benda ini berlarutan, saya yakin dan percaya peniaga-peniaga ataupun… apa nama… kedai-kedai runcit akan gulung tikar. Depa mempunyai kekuatan modal yang besar, rakyat di kampung ni susah, nak jual berapa ringgit saja, tetapi hari ini masyarakat tak akan berpindah kepada kedai runcit dan akan terus beri kepada kedai borong… kedai Borong Din yang saya maksudkan. Jadi perlesenan Majlis Perbandaran kena bagi la zon, kena bagi kawasan. Jangan asyik saya tengok lulus semua. Jadi kedai yang besar mengakibatkan peruncit-peruncit, kedai-kedai dalam kampung kita gulung tikar, sebab kedai orang tak masuk, barang dah la dia modal kecil, dia terpaksa juai dalam nilai yang agak besar kerana untuk dapat keuntungan. Berbanding dengan kedai Borong Din yang modalnya besar, dia jual murah, tapi untungnya lumayan kerana apa nama… ma… tempat yang terlebih banyak.
Yang Berhormat Speaker, saya ingin… di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada pengurusan Dewan Undangan Negeri yang telah menyediakan buku laporan yang cantik dan gambar-gambar yang menarik untuk kita tatapi. Jadi kesempatan ini juga saya nak mengucap tahniah dan sebolehnya ketua dia ataupun Setiausaha Dewan tu sendiri yang kebetulannya nama pun macam bunga, jadi buku-buku dia bunga yang cukup cantik dan menarik. Saya ucap tahniah kepada pengurusan. Dalam kesempatan ini juga saya sekali lagi ingin menjemput Yang Berhormat Speaker, Yang Amat Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ketua-ketua jabatan dalam ini untuk hadir ke satu… saya buat kenduri, Kenduri Rakyat dan juga sempena sambutan bulan Ramadhan yang akan tiba pada 18 haribulan, insya-Allah. Unit Protokol akan mengedarkan edaran. Saya takut kot terlambat jadi saya jemput semua tuan-tuan yang ada dalam Dewan ini untuk menikmati jamuan kenduri pada 18 haribulan di Kuala Perlis, di Tapak Parkir Pasar Malam Kuala Perlis, jam…12 tengahari lah jam makan. Yang Berhormat…
Hari ni live satu dunia nih…
Yang Berhormat Tuan Speaker, sekali lagi saya mohon maaf seandainya ucapan saya kadang-kadang mengganggu tetapi saya terpaksa luahkan apa yang terbuku di hati saya untuk memastikan Kerajaan Negeri Perlis khususnya Perikatan Nasional mengambil berat tentang peranan dan juga tanggungjawab untuk membela rakyat. Sebelum saya akhiri perbahasan ini, ingin saya memberi nasihat kepada diri saya sendiri dan semua kepimpinan yang berada dalam Dewan yang mulia ini dan saya tinggalkan dua rangkap pantun,
Berdayung murid ke Kuala Sepat, kolek bocor dikayuhi juga; Kalau menimbang sesamalah berat, kalau mengukur samalah tepat.
Makan sirih berulas pinang, pinang berasal dari Jerteh; Meskipun hanya sehalus benar, tetap dijelas ke mana dialih.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Harap kumbang tak mati lah kena bunga Mawar na…
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah rabbil alamin, washolatu wassalamu ala asrofil ambiya iwal mursalin, wa'ala alihi wasahbihi ajma'in. Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, seluruh ahli-ahli YB yang ada pada hari ini dan hadirin yang dirahmati Allah sekalian. Menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis pada hari semalam. Saya bagi mewakili DUN Chuping sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada YB Speaker memberi peluang untuk kami berucap pada hari ini. Cuma ada berapa perkara yang nak di saya… saya sarankan di dalam Dewan pada hari ini mengenai apa yang di berlaku di… ka… di kawasan Chuping itu sendiri. Yang pertamanya dari segi penggunaan air di kawasan Kampung Baru yang mana satu tangki air yang baru di… dibuat di Kampung Batu Bertangkup yang masih lagi belum buat operasi. Dan saya menyarankan agar ianya segera dimajukan, kerana pada masa sekarang ni dalam musim kering ni, musim timur ni, ada penduduk kampung yang melaporkan mereka tidak mempunyai air dan sekiranya kalau boleh, kita akan buat bancian untuk pihak JKR menghantar sekadar air untuk sebagai minumanlah… sebagai untuk keperluan harian, itu yang pertama. Yang keduanya mengenai pokok-pokok yang ditanam beberapa tahun yang lepas… yang lalu di sekitar jalan-jalan raya, terutamanya di DUN Chuping. DUN lain pun mungkin ada jugak dan pokok-pokok itu sudah melebihi daripada kategori kayu balak besar dan ada diantaranya pokok tu dah mati dan ianya mengganggu jalan dan terutamanya dari segi keselamatan. Dan bagi di kawasan DUN Chuping itu kita ada satu kilang simen yang mana lori yang muat simen itu, yang… yang panjang, yang besar, yang muatan yang berat tu kadang-kadang tersangkut di cabang-cabang pokok itu, jatuh di tepi… tepi-tepi jalan. Kita mohonlah kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya pokok-pokok ini dapat dibersihkan lah, dibuang lah, dicuci. Dan sekiranya telah dibuang, jangan ditinggalkan tunggul-tunggul itu. Kadang-kadang… contoh, tempat yang sudah dibuang di Jalan Padang Siding, ada pula penduduk yang melaporkan tunggul pokok yang dipotong itu dibiarkan begitu sahaja. Kemudian apabila ada lori atau kereta yang masuk ke tepi jalan tu sangkut pula supaya ianya dapat bersihlah di… sekeliling… apa tu… di tepi-tepi jalan yang ada tu. Kita mohon kepada pihak yang berkenaan supaya segeralah diambil tindakan itu kerana ianya satu jam mengganggu jalan raya dan dari segi keselamatannya. Yang yang ketiganya, dari segi rancangan perumahan awam, dan saya mendapat aduan daripada Taman Angsana di Bukit Keteri di mana rumah itu dah beberapa tahun dibina dan masih ada lagi rumah yang kosong, yang sekarang pintu pun dah takdak, tingkap pun dah takdak. Apabila dia berjumpa dengan pihak yang berkenaan, dimaklumkan ada tuan orang punya yang telah memohon rumah tersebut tetapi dah beberapa tahun tak diduga, diduduki dan saya mencadangkan agar pihak yang berkenaan tu, apabila diluluskan untuk diduduki sesebuah rumah itu bagi tempoh contoh selama selama 1 tahun, kalau dia tak duduk dalam masa 1 tahun tu kita boleh bagi kepada orang lain. Ini dah berapa… beberapa tahun dah, 10 ataupun lebih setahun yang rumah itu terbengkalai begitu sahaja. Makanya masih ada lagi di antara penduduk yang memerlukan rumah terutamanya rumah perumahan awam yang disediakanlah. Mungkin ada juga di DUN-DUN yang lain yang telah ditempatkan rumah-rumah seperti tersebut. Kemudiannya dari segi jabatan perparitan dan saliran lah ada di antara… kalau dulunya di sungai-sungai, di tandop-tandop atau dia orang kampung panggil belat ni disediakan rumah untuk pegawai-pegawai yang mencuci kawasan tersebut. Tapi buat masa sekarang dah tak ada dah nampak. Ianya agak… dan mengucapkan ribuan terima kasih dan sempena persidangan kali ini menyokong penuhlah atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Raja… Duli Yang Teramat Mulia. Akhir kalam, bersempena Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas pada tahun ini, sekian Yang Berhormat Speaker.
Chuping dah dapat pasangan dah ka? Dipersilakan Yang Berhormat Sena.
Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Perlis, Rakyat Berdaulat, Rakyat Berilmu, Negeri Sejahtera, Perlis Maju. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian. Segala puji bagi Allah tuhan pemilik alam, Dialah yang Maha Kaya, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Penyedia segala sumber ke atas negeri Perlis tercinta ini dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang diutuskan untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya kita berhimpun dalam Dewan yang mulia ini bagi melaksanakan tugas untuk Mesyuarat Kedua, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis yang Kelima Belas pada pagi ini. Terlebih dahulu saya merakamkan rasa syukur dan terima kasih kepada Allah S.W.T kerana menganugerahkan pengundi Sena yang sentiasa bersama-sama saya dalam apa saja keperluan mereka di bawah tadbir urus DUN Sena. Insya-Allah kepercayaan adalah satu amanah yang akan kita sempurnakan bersama mengikut letak duduk kita selaku rakyat di dalam DUN Sena. Tahniah juga diucapkan kepada semua barisan EXCO dan sahabat-sahabat Ahli Dewan Undangan Negeri yang lain yang sentiasa aktif di kawasan masing-masing bagi menyelesaikan segala permasalahan rakyat supaya negeri Perlis ini maju dengan acuan kita sendiri.
Yang Berhormat Speaker, kawasan DUN Sena merupakan satu DUN yang sedang dalam proses urbanisasi, iaitu satu proses perubahan sesuatu kawasan daripada kawasan luar bandar ke kawasan bandar. Maka saya berharap Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan dan layanan kepada DUN Sena sama seperti kemudahan perbandaran yang dirancang di DUN-DUN lain. Perhatian yang lebih amat perlu selaras dengan proses urbanisasi yang sedang dirasai oleh masyarakat DUN Sena. Oleh itu, satu usaha mewarnai kawasan ini amat perlu bagi mengisi Wawasan Negeri Bandaraya 2030. Di dalam Dewan yang mulia ini, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang tidak jemu-jemu memberi perhatian kepada tadbir urus arus pembangunan yang sedang melanda di dalam DUN Sena.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kita sudah menghidu haruman Tahunan Melawat Perlis 2024. Titah ucapan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah meminta kita agar melihat isu-isu keindahan dan keceriaan di kawasan tumpuan terutama Kangar sebagai ibu negeri Perlis dan sebahagian dari pekan Kangar ini berada di dalam DUN Sena. Maka saya ingin menyuara beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak yang berkaitan. Di dalam kawasan DUN Sena ini terdapat satu bulatan jalan ataupun roundabout yang tertua di dalam negeri kita ini. Di atas bulatan tersebut terdapat satu replika tengkolok yang sudah pun menjadi mercu tanda di negeri Perlis. Oleh kerana ia berada di dalam DUN Sena, saya ingin mencadangkan supaya diberi perhatian kepada lanskapnya agar nampak lebih moden dan ceria, sesuai dengan letak duduknya di tengah-tengah bandar Kangar. Berdekatan dengan bulatan jalan itu terdapat sebuah kawasan tapak perniagaan yang dijadikan pasar tani pada hujung minggu serta tapak perniagaan makanan pada sebelah petang setiap hari. Sambutan orang awam ke tapak tersebut amatlah membanggakan. Namun, kerisauan yang menghiris perasaan saya apabila kerja buat pihak yang diberi mandat untuk menguruskan tempat tersebut kurang menjiwai rintihan peniaga dan pengguna. Peniaga menyewa tapak tetapi kemudahan asas kurang menyebabkan peniaga merantau mendapatkan kemudahan asas. Nasib baik ada tandas awam yang boleh membekalkan air dan keperluan lain. Selayaknya untuk sebuah tapak perniagaan yang diberi sewa kepada peniaga, keperluan asas perlu difikirkan supaya peniaga lebih selesa untuk berniaga. Sesetengah peniaga menyusun barang-barang asas perniagaan seperti khemah, peralatan perniagaan dan sebagainya selepas berniaga tanpa satu kawalan. Contohnya, mereka menyusun alatan perniagaan di belakang billboard yang berhampiran. Ini agak mencacatkan pemandangan apabila kedai tidak beroperasi. Dari aspek kebersihan pula, anjing-anjing liar kerap kali dilihat berkeliaran di sekitar kawasan tersebut pada waktu malam. Oleh itu, saya memohon pihak terbabit dapat memikirkan apa jua kaedah bagi menyelesaikan masalah ini tanpa menutup periuk nasi peniaga. Carilah solusi menang-menang antara peniaga dan pihak berwajib. Saya juga berharap agensi yang bertanggungjawab di kawasan tersebut dapat memberi perhatian yang lebih terhadap premix yang sudah lama, susun atur gerai-gerai makanan yang tidak terurus, longkang yang sudah runtuh dan sistem parking yang tidak selaras.
Yang Berhormat Tuan Speaker, sistem peparitan dan longkang yang terdapat di dalam DUN Sena amatlah baik. Usaha-usaha membendung banjir serta aliran melalui perparitan memberi kesan baik kepada penduduk Sena. Penyelenggaraan yang kurang diberi perhatian menyebabkan pokok-pokok liar tumbuh di dinding-dinding longkang di sekitar jalan tersebut. Saya ingin merakam ucapan terima kasih kepada agensi-agensi yang telah mengambil tindakan terhadap aduan berkaitan hal ini tempoh hari. Namun masih lagi terdapat isu-isu berkaitan di hadapan Pasaraya Sakan berhampiran Pasar Borong. Saya harap pemantauan yang berterusan akan dibuat supaya isu ini tidak berlarutan. Langkah untuk membendung masalah ini agar… perlulah diambil sebelum kerosakan menjadi lebih besar dan kos penyelenggaraan akan turut membesar.
Pembinaan curve jalan di sepanjang jalan-jalan utama di dalam DUN Sena perlu diwarnakan semula, jalur rentas kuning di hadapan sekolah-sekolah di dalam kawasan Sena malah di kawasan lain juga di dalam Perlis ini seperti di hadapan hospital, warnanya juga semakin pudar. Begitu juga papan-papan tanda di dalam kawasan Sena yang semakin pudar malah ada yang hilang warna tulisan menyebabkan pengguna tersalah jalan, terutamanya papan tanda No Entry pada jalan masuk utama dalam kawasan Taman Sena Indah. Mohon jasa baik dari pihak bertanggungjawab berkaitan isu ini.
Yang Berhormat Tuan Speaker, taman perumahan di dalam DUN Sena sudah wujud lama. Sekarang taman-taman baru juga semakin banyak. Ini mempercepatkan proses perbandaran kawasan DUN Sena ini. Namun, saya mohon pihak yang bertanggungjawab supaya peka dengan lorong-lorong belakang perumahan kerana lorong belakang akan digunakan ketika kecemasan dan sebagainya. Namun lorong tersebut telah disusun pasu-pasu bunga, malah ada yang jadikan tapak tanaman sayuran serta diletakkan benda yang tidak sepatutnya. Bagi taman perumahan lama pula, sudah ada yang menerima perubahan reka bentuk. Pemerhatian longkang perlu dibuat supaya dalam keadaan baik bagi mengelakkan perkara yang tidak dijangka seperti wabak denggi dan sebagainya. Oleh itu, saya ingin mengesyorkan agar agensi yang berkaitan perlu mengatur program kesedaran kepada penghuni di dalam kawasan taman supaya penduduk sentiasa ada kesedaran tentang perkara-perkara asas bagi sebuah taman perumahan dalam usaha mencapai Wawasan Negeri Bandaraya 2030. Usaha-usaha peningkatan ke arah sebuah bandaraya perlu digiatkan. Apa yang merisaukan saya, kita berjaya mencapai sebuah bandaraya tetapi pemikiran rakyat masih tidak menepati kehendak-kehendak sebuah bandaraya. Saya juga ingin menyentuh sikit tentang persiaran makanan di kawasan Bintong, keindahan lampu pada waktu malam begitu ceria dan menimbulkan semangat untuk singgah menjamu selera serta menikmati pencahayaan tersebut. Namun, tidak banyak kedai yang beroperasi pada waktu malam. Di samping itu juga, letak susun elemen kebersihan juga tidak mencapai tahap yang diharapkan. Oleh itu, satu pendekatan perlu diambil supaya sesuai dengan kempen persiaran makanan yang diuar-uarkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, merujuk kepada Titah Ucapan Perasmian Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai Wawasan Negeri Bandaraya 2030, saya juga ingin mencadangkan supaya kompleks baharu ataupun bangunan baharu Majlis Perbandaran Kangar perlulah difikirkan semula. Kita menyedari peranan MPK sebagai sebuah kerajaan tempatan akan menjadi semakin besar memandangkan pejabat yang sedia ada sudah lagi tidak sesuai dengan aspirasi Perlis Negeri Bandaraya 2030. Sebelum saya menutup ucapan saya hari ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana sepanjang kita mengambil ahli secara sah ini, banyak perubahan telah dilaksanakan dan sedang diusahakan. Semoga dengan kegigihan Yang Amat Berhormat akan diberkati Allah S.W.T, insya-Allah. Akhir kalam, saya menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang diwakili oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis.
Padi sawah dan padi huma, diikat patri di dalam tangki; Membina ukhwah perlu bersama, berkat dicari sepakat dimiliki.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wasalamualaikum warah matullahi wabarakatuh.
Dipersilakan Yang Berhormat Beseri.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillahirabbil alamin, wasatilwasalammuala rasulillah, waala alihi, wasahbihi ajmain. Yang Berhormat Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, ketua-ketua jabatan serta seluruh hadirin hadirat yang hadir pada hari ini dan mendengar secara atas talian. Alhamdulilah syukur kepada Allah S.W.T di atas kesempatan yang ada pada hari ini kita dapat bersama seiring selangkah bagi kita menjunjung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang telah disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis. Terima kasih kepada YB Speaker di atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk mengambil tempat untuk berbahas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis. Sebelum saya memulakan perbahasan saya, izinkan saya menyampaikan sebuah pantun… pantun sikit na.
Indahnya pemandangan sungai Siran, duduk berkelah bersama keluarga; Titah Tuanku dijadikan sandaran, Negeri Maju Rakyat Sejahtera.
Pertamanya di dalam titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis ada menyebut berkaitan gelombang senario politik yang telah melanda negara pada harini. Ini adalah signal bahawa rakyat mahukan satu pembaharuan dan kita kena ambil secara positif dan menghormati keputusan yang dilakukan oleh rakyat, sama ada yang berada di dalam Dewan ataupun yang berada di luar Dewan. Maka kita perlu bersama-sama untuk memenuhi aspirasi rakyat untuk memenuhi kehendak rakyat. Tidak kiralah warna apa sekalipun baju yang kita pakai, tidak kira warna yang pegangi parti politik apa yang kita ikuti. Maka ini adalah masa untuk kita berbakti kepada rakyat, bersama-sama atas konsep profesionalisme. Izinkan saya meneruskan perbahasan saya untuk saya… menyentuh berkaitan peruntukan dan pemerkasaan modal insan. Modal insan adalah satu perkara yang penting untuk kita ambil cakna, ambil tahu. Kerana di samping kita menuju ke arah Negeri Bandaraya menjelang 2030, di manakah mentaliti dan juga minda rakyat negeri Perlis? Maka pembangunan modal insan ini merupakan satu perkara yang penting supaya kita dapat membentuk minda masyarakat kita seiring dengan kemajuan negeri kita. Strategi pembangunan berasaskan prinsip kepimpinan berteraskan Islam berupaya membantu modal insan untuk mengangkat martabat masyarakat, menguatkan nilai peribadi, mengukuhkan keseimbangan fizikal, mental dan spiritual serta melahirkan generasi minda kelas pertama. Suka untuk saya ingatkan bahawa agenda yang pernah dibentang oleh Perdana Menteri yang kelima dahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkaitan bagaimana gagasan untuk membina generasi minda kelas pertama. Ini adalah satu perkara yang sangat hebat, satu perkara yang perlu kita lihat bersama untuk kita membina generasi kita terkehadapan dengan minda yang berkelas pertama. Melalui prinsip modal insan, masyarakat dapat mengamalkan budaya integriti, menolak amalan rasuah, memenuhi kehendak dan aspirasi Kerajaan Negeri, menjana pendapatan serta mengamalkan ketelusan dalam pekerjaan. Saya… saya yakin Kerajaan Negeri Perlis yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sangat mementingkan soal pembangunan insan kerana beliau juga dulu… dahulunya seorang guru yang mendidik anak-anak bangsa. Apa yang dapat disimpulkan… seorang pemimpin khasnya dan masyarakat amnya mestilah kita membina minda masyarakat supaya masyarakat kita ini mindanya kelas pertama, bukan berada di kelas yang ketiga. Apa pun kita perlu melihat bahawa pegangan agama yang kuat akan dapat membentuk keperibadian lebih berakhlak mulia dan berintegriti dalam setiap manusia. Pembangunan modal insan adalah berteraskan nilai agama yang sangat penting untuk diberi perhatian oleh kepimpinan tertinggi negeri. Dengan ini, saya mencadangkan supaya ditubuhkan satu unit pembangunan modal insan yang memberi fokus secara holistik memantau pembangunan modal insan daripada kepimpinan Kerajaan Negeri hingga ke masyarakat di kampung-kampung yang sedang memerhati kita secara atas talian pada hari ini.
Jadi, yang keduanya saya akan menyentuh berkaitan Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku tentang isu sekuriti makanan yang menjadi bualan rakyat pada hari ini. Sebenarnya Perlis mempunyai ramai penternak-penternak yang berjaya dan ramai juga penternak yang baru memulakan langkah dalam bidang penternakan. Di Beseri sahaja begitu ramai anak muda yang menceburi bidang penternakan. Ini adalah satu perkembangan yang baik di mana anak-anak muda mempunyai inisiatif mencari sumber pendapatan sendiri, bukan hanya bergantung kepada kerajaan sahaja. Saya mencadangkan supaya dirancakkan sektor penternakan yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan terutamanya kepada anak-anak muda seperti penternakan lembu, kambing, ayam kampung, itik dan burung puyuh kerana ini akan menyebabkan anak-anak muda ini terbimbing dan mereka ada sumber pendapatan sendiri. Jadi bagaimanakah cara untuk kita memberi galakan kepada penternak-penternak muda ini? Saya cadangkan supaya diperbanyakkan program-program yang melibatkan penternak-penternak terutamanya penternak muda. Contohnya kalau… jika dilihat di Kelantan selalu berlaku pesta lembu sado… pesta lembu sado. Mungkin kita boleh dila… bawa inisiatif ini untuk datang ke negeri Perlis, memberi galakan kepada penternak-penternak ini. Tapi bukan lembu saja, mungkin kambing sado ke… ayam sado… tak tau lah kan. Apa pun mungkin kita boleh bawa inisiatif ini untuk memberi galakan kepada anak-anak muda. Itu berkaitan sekuriti makanan.
Kemudiannya saya ingin menyentuh berkaitan dengan keselesaan dan kebajikan rakyat. Saya mencadangkan supaya setiap kampung mempunyai fasiliti seperti Dewan Orang Ramai yang boleh digunakan untuk mesyuarat. Jika sudah ada, perlu diselenggara supaya dapat digunakan oleh masyarakat setempat. Selain itu, fasiliti sukan rakyat juga harapnya dapat dinaik taraf. Contohnya di DUN Beseri, terdapat padang bola yang sangat luas terutama di Wang Kelian dan juga Semadong. Cuma padang ini seakan hidup mati… hidup segan, mati tak mau. Dan perlu dijadikan… perlu penyele… penyelenggaraan dan penambahbaikan. Dan kita lihat di dalam bajet yang dibentang baru ini juga terdapat… disebut tentang pembangunan sukan iaitu projek naik taraf dan bina baharu juga akan dilaksanakan bagi memberi peluang kepada atlet dan pengguna awam menggunakan fasiliti sukan dengan lebih kondusif dan selamat. Seronok saya apabila saya pi ke Khuan Don, sebelah sana… kan. Pi main bola dengan geng-geng Imi… Imigresen, kita dapat lihat di tengah ladang getah, di tengah bukit bukau terdapat satu kompleks sukan yang sangat cantik, lebih cantik daripada kompleks sukan Simpang Empat. Itu adalah inisiatif bagaimana kerajaan di Thailand memberi peluang kepada rakyat-rakyat tempatan, orang-orang kampung ni boleh bersukan… digunakan secara terbuka oleh orang-orang kampung. Jadi, kita boleh ambil inisiatif ini… inisiatif yang baik ini untuk kita memberi peluang untuk penambahbaikan kepada prasarana sukan kita untuk kita beri peluang kepada masyarakat di kampung-kampung. Fasiliti pusat pelancongan juga sangat penting untuk memastikan kawasan pelancongan selesa untuk para pelancong. Contohnya di Dataran Empangan Timah Tasoh, saya harap pembinaan surau, jeti dan bangunan pentadbiran untuk… bagi yang menguruskan Dataran Empangan Timah Tasoh dapat dipercepatkan kerana kawasan pelancongan yang didatangi ramai pelancong itu dapat ditambahbaik perkhidmatannya. Kemudian, berkaitan kebersihan. Berkaitan kebersihan, semua pihak perlu berganding bahu bagi menjayakan agenda Perlis yang bersih. Saya mencadangkan supaya setiap jabatan yang hadir hari ini, mengambil langkah menggalas tanggungjawab menyedarkan masyarakat dan bertindak sebaik mungkin bagi memastikan Perlis sentiasa bersih. Marilah sama-sama kita mengamalkan konsep esprit de corps yang menjalankan… yang memberitahu tentang kebersamaan dalam menjayakan agenda ini. Antara KPI yang boleh kita letak kejayaannya, apa… adalah apabila kita lihat tapak pasar tani dan pasar malam bersih selepas perniagaan.
Seterusnya, dikesempatan ini saya juga ingin menyampaikan beberapa isu di DUN Beseri. Pertamanya adalah berkaitan dengan kawasan sawah di Guar Jentik. Ini sangat mendu… mendukacitakan untuk saya bentang maklumat-maklumatnya. Masalah pengairan bendang tepi bukit Kampung Guar Jentik. Masalah tersebut berlaku setelah berlakunya terusan banjir lencongan barat di… dibina. Sebelum ini tiada berlaku masalah sumber air bagi kawasan tersebut. Perlu ada tindakan daripada JPS untuk memastikan kawasan perairan ini… ini diselenggara dan juga ditambahbaik. Tanaman padi kawasan tersebut dapat diusahakan sekiranya hujan turun dengan banyak iaitu ia bergantung dengan keadaan cuaca. Tapi… dia tidak dapat dilaksanakan kerana masalah perairan iaitu terusan banjir lencongan barat dibina. Jumlah pesawah yang terkesan adalah 35 orang pesawah dan keluasan sawah yang terkesan adalah 150 relung. Jadi, mohon perhatian daripada pihak jabatan yang terlibat untuk mengambil tindakan supaya dapat membantu 35 orang pesawah yang terjejas ini. Jadi, di atas kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan terutamanya Yang Amat Berhormat dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah memimpin dengan sebaik boleh sehingga dapat mencapai pencapaian 100 hari kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini. Dan kita lihat bagaimana pelaburan yang telah dibawa hanya dalam 3 bulan, 318 juta pelaburan dapat dibawa. Dan kita juga tidak mengamalkan konsep scrape off iaitu projek-projek yang mana dijalankan oleh kerajaan terdahulu kita teruskan untuk memastikan keuntungan itu datang, dapat kepada rakyat. Jadi, di akhirnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan kerajaan yang banyak membantu menyelesaikan masalah rakyat di DUN Beseri. Dan terutamanya isu air, isu pokok dan sebagainya yang tak dapat saya sebut satu persatu, saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada semua jabatan yang bertindak secara efisyen. Dan ini adalah hasil apabila kita bekerja dengan efisyen, rakyat yang menerima manfaat, bukan kita yang berada di dalam Dewan ini. Apa yang kita dapat hanyalah pahala daripada Allah S.W.T. Apa yang penting adalah kita dapat menyelesaikan masalah rakyat dengan sebaik mungkin. Terima kasih YB Speaker di atas kesempatan yang telah diberikan kepada saya untuk berbahas pada hari ini. Dengan ini saya menjunjung kasih menyokong titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis sempena perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Yang Kelima Belas. Dengan ini, sekian terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dipersilakan Yang Berhormat Tambun Tulang.
Bismillahirrahmanirrahim. Walhamdulilla hirabbilalamin, wassola tuwassala mualarasulillah, waala alihi wasohbihi ajmain. Rabbish rahli sadri, wayassirli amri, wahlul uqdatam millisani, yafqahu qauli. Amin. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Speaker, yang saya hormati dan saya sayangi, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perlis, barisan EXCO dan juga seluruh… semua Ahli Dewan Undangan Negeri Yang Berhormat dan juga semua ketua-ketua jabatan yang mana hadir pada hari ini. Saya nak ucapkan ribuan… ribuan… jutaan dan kalau boleh ratusan jutaan tahniah kepada kerajaan yang mana ada pada hari ini kerana apa… kerana tanpa sedar kita sudah pun menempuh lebih daripada 100 hari pentadbiran… mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis. Sudah menjadi lumrah apabila kita mentadbir pastinya akan ada mehnah… akan ada rungutan… akan ada pujian dan sebagainya. Namun, itulah asam garam yang mana harus kita lalui sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang baharu. Namun saya memohon… saya memohon pada pihak kerajaan… pada pihak Yang Amat Berhormat Menteri Besar agar mungkin selepas ini… selepas 100 hari ini kita mungkin boleh untuk menerangkan… menerangkan dengan lebih jelas… menerangkan dengan lebih tuntas tentang halatuju… halatuju yang mana didatangkan kemudiannya dengan sebuah pelan… pelan yang jelas dalam usaha kita membawa negeri Perlis ke arah sebuah negeri yang mana makmur dan juga sepertimana yang kita janjikan di dalam manifesto yang lama… yang baru-baru ini tidak lama sangatlah… baru-baru ini… untuk menjadikan negeri Perlis sebagai sebuah negeri yang berpendapatan tinggi. Dalam titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis sempena Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis semalam, saya tertarik dengan beberapa perkara yang mana dinyatakan oleh baginda Tuanku, yang me… mengenai tentang sebuah perkara iaitu Perlis Menuju Ke Arah Era Digital. Suka untuk saya sentuh… ini merupakan satu anjakan yang mana mampu untuk memberikan 1001 kebaikan kepada rakyat negeri Perlis, kerana apa… kerana umum tahu… umum tahu di negeri yang indah ini, antara perkara rungutan yang mana dibawakan oleh rakyat terutamanya di Tambun Tulang adalah masalah aduan tidak sampai ataupun aduan tidak diterima oleh agensi-agensi yang berkaitan. Jadi saya menyokong penuh tentang adanya dan diwujudkan portal-portal aduan, namun portal-portal aduan ini saya mohon agar kita kaji agar kita tengok dengan lebih mendalam kerana apa… kita tidak mahu menjadikan portal-portal ini hanya syok sendiri. Sebab apa, bila kita syok sendiri, kita ada portal dan sebagainya, namun aduan tak sampai juga kerana apa… kerana susah nak digunakan oleh warga emas sebagai contoh. Ada mereka yang mungkin faham, tahu tentang bagaimana untuk membuat aduan secara online, namun kita juga harus tahu, ada… masih ada lagi di luar sana yang tak mampu… yang tak faham ataupun tidak tahu macam mana untuk membuat aduan secara online ini. Portal-portal aduan ini juga saya mohon hendaklah user friendly, dengan izin. User friendliness ini sangat penting, kerana apa… kerana seperti yang saya sebut tadi, bukan semua orang tahu bagaimana untuk surf di internet, dengan izin. Hendaklah user friendly pada pengguna dan juga kepada back end ataupun orang-orang yang mana akan menguruskan aduan di jabatan tersebut. Ini sangat-sangat penting, sebab apa… kita sedang menuju di satu zaman yang mana hampir… saya rasa di seluruh negara telah pun memulakan… menuju ke arah era digitalisasi ini. Kemudian, bila kita sudah ada sebuah portal aduan yang canggih, yang indah, yang hebat, amatlah berterima kasih sekiranya aduan-aduan ini semua diambil berat dan kita perlukan kepada immediate response, dengan izin. Tindakan pantas. Jangan hanya gah dengan sebuah portal yang hebat, yang cantik, yang canggih, namun aduan yang dibuat hari ini mungkin 2 tahun lagi baru nak kita layan. Ini sangat penting. Aduan-aduan ini bermaksud mereka sudah tidak tahan. Rakyat sudah tidak tahan. Dan kerana itulah mereka membuat aduan. Jadi, saya mohon agensi-agensi, jabatan-jabatan yang mana ingin menghala ke arah ini agar mengambil berat tentang perkara ini. Selain daripada itu, saya memohon jika boleh diadakan usahasama diantara pusat khidmat wakil rakyat dan juga portal-portal aduan tersebut, kerana apa… sebagai contoh, bila satu rakyat… satu orang datang buat aduan, mengadu di pusat khidmat wakil rakyat, jadi ada lebih… adalah lebih mudah sekiranya antara sistem ataupun sistem yang ada di pusat khidmat itu boleh diintegrasi ataupun integrated, dengan izin, dengan portal-portal aduan yang ada pada jabatan dan agensi. Ini untuk apa… untuk synchronisation, dengan izin sekali lagi. Saya… saya berharap sangat perkara ini kerana apa… sebab kita sedang melihat kepada satu masalah yang mana aduan ataupun suara rakyat itu tidak sampai kepada tempat yang sepatutnya. Ada aduan… saya tak nafikan ada agensi-agensi dan jabatan yang sangat efisyen, yang sangat pantas masa response-nya. Mungkin Kerajaan Negeri boleh untuk mewajibkan setiap pusat khidmat untuk mengadakan portal-portal aduan ataupun sistem-sistem aduan dan kemudian dibenarkan untuk integrasi bersama dengan jabatan-jabatan dan juga agensi. Ini lebih mempercepatkan… ini yang dapat kita tengok sebagai contoh ada masa dan ketika bila kerap berlakunya… bila adanya sistem-sistem seperti ini, maka warga emas yang mungkin tidak mampu untuk ke jabatan-jabatan berkenaan mereka sudah boleh buat hanya melalui telefon, ataupun orang kurang upaya juga yang mana mungkin berkerusi roda tidak perlu lagi untuk penat-penat, susah-susah nak ke jabatan-jabatan, bangunan-bangunan tinggi dan sebagainya. Maka dengan ini saya mohon mungkin boleh dipertimbangkan perkara ini.
Kemudian, saya ingin menyentuh juga sedikit tentang beberapa permasalah yang mana ada di Tambun Tulang terutamanya. YB Speaker, saya ingin memohon untuk mengadu sedikit masalah yang mana masalah yang saya tengok di Tambun Tulang terutamanya saya lihat setelah pemerhatian lebih daripada 100 hari ini, jika kita masuk ke cerok-cerok lorong di Tambung Tulang terutamanya, kita dapat lihat bagaimana jalan-jalan raya, jalan kecil, jalan besar yang mana sudah lama tidak diturap. Malah, ada juga jalan-jalan yang dah diturap berkali-kali namun cara turapan tersebut membawa masalah pulak kepada orang di kampung. Sebagai contoh, di Kubang Gajah, di Alor Ara dan sebagainya, ada jalan yang tidak boleh lagi. Dah ditambah tar diatasnya. Patut kita kena potong tar dulu, dia tak potong. Apa dia buat dia tambah-tambah tinggi last sekali dia jadi orang panggil apa… runcing, orang panggil jalan tu makin tinggi dan ada kereta yang telah terbalik, lori dah terbalik dah. Kesian orang-orang kampung di dalam sana yang mana langsung access nak ke rumah dia pun susah, kalau ada kenduri kendara dan sebagainya dan ziarah kematian pun susah. Memang benda ni dah berlaku. Sebab tu saya pohon kita sama-sama tengok, kita sama-sama kaji balik tentang perkara ini sebab ada aduan-aduan yang saya dapat ini memang kebanyakannya masalah jalan kita tengok di jalan Tambun Tulang, kalau siapa yang tahu di depan Kolej Komuniti, jalan tu memang dah la tepi sungai… tepi sungai sungai besar. Andai kata langgar lubang, jatuh dalam sungai tu, apa jadi? That’s why saya kata tak kan kita nak jadi orang yang mana jadi apa-apa sebab benda ni… sebab selalu orang sebut. Depa ni selagi mana tak jadi kematian, selagi tu tak ambil tindakah dan saya mohon apabila ada aduan-aduan, terutama aduan tu ada sampai kepada saya bila saya suarakan, saya mohon kerjasama daripada jabatan dan agensi, saya mohon sangat-sangat… sebab apa… saya tak nafikan memang ada agensi-agensi yang mana berikan 100 percent of commitment, dengan izin, kepada saya namun, ada juga yang mengambil sambil lewa… buat sambil lewa. Bila kita report, ada ketua-ketua jabatan, ada agensi-agensi yang seolah-oleh tak nampak ataupun tak dengar apa yang saya suarakan… tu yang kedua.
Kemudian sebelum ini saya pernah bawa kan masalah pertindihan… pertindihan kuasa di antara jabatan dan agensi ini juga harus ditangani dengan segera dan juga dengan cepat, kerana apa… sebab ini sudah lama berlaku. Bila kita tanya dekat agensi A dia kata ini bukan saya punya, ini agensi B punya. Bila saya pi dekat agensi B, ini C yang punya. Last sekali saya pun sama. Jadi berarak A ke B, B ke C, C ke A sampai sekarang dan kerana ini juga ada jalan-jalan yang masih lagi bermasalah ataupun apa-apa isu yang bermasalah tidak dapat diselesaikan… puluhan tahun… banyak tahun dah tak ada bila ditanya sampai rakyat dah malas… dah rasa malas, dah rasa tak seronok dah. Kita jangan sampai orang samakan kita… saya mohon Kerajaan Negeri pada hari ini untuk mengambil berat tentang perkara ini sebab apa… ini adalah masalah rakyat.
Kemudian yang ini saya terpaksa juga cakap sebab apa saya tahu mungkin ramai yang mungkin tak suka mengenai apa yang saya akan katakan pada hari ini, berkaitan… berkenaan dengan penggunaan daun ketum, penjualan daun ketum dan sebagainya. Saya tahu dan saya faham mungkin ada ahli-ahli politik yang sedang memperjuangkan tentang penggunaan daun ketum ini. Namun saya… umur saya 36 tahun, saya lahir pada tahun 1987, saya anak jati Simpang Empat perlis. Berapa ramai kawan-kawan, sahabat-sahabat saya di kampung yang sudah bercerai berai hanya kerana daun ketum. Sudah berapa ramai sahabat-sahabat saya yang tidurnya di longkang kerana apa… mabuk… mabuk, mabuk apa… daun ketum. Sudah sudahlah... sudah sudahlah para-para politisian… orang indonesia kata politisian… ahli politik bermain dengan isu ini. Kita perlukan kepada penyelesaian yang lebih tuntas, kerana apa… kita cuba bandingkan antara keburukan dan juga kebaikan yang mana yang lebih banyak. Saya faham mungkin akan ada… mungkin ada orang yang tidak akan mengundi saya lepas ni tapi ini bukan isu utama. Isunya adalah berapa ramai anak-anak yang tidak terbela kerana apa… kerana ayahnya pengguna tegar daun ketum, atas alasan ubat… atas alasan ubat dan saya pohon agar kita tengok benda ni bersama sebab sampai satu tahap bila kita orang Perlis kita ke negeri luar, sebagai contoh, depa boleh tanya pula pada kita daun ketum ada? Apakah kita mahu dikenali sebagai sebuah negeri yang hebat daun ketumnya? Kita ada perkampungan sunnah, kita ada pelancongan yang cantik, kita ada… last sekali orang ingat daun ketum. Ini perlu ditangani dengan segera, saya mohon sangat-sangat…
Kat mana daun ketum? Minta maaf mencelah. Dekat mana daun ketum? Tambung Tulang banyak…
Banyak tempat. Saya tak mahu nak sebut, semua tempat ada. Jadi saya pohon kita tengok satu persatu dan kita cubalah buat sesuatu untuk kita bantu sebenarnya anak-anak ini… anak-anak muda ni banyak yang rosak, tak boleh bekerja tak minum ketum, tak boleh kerja… last sekali tak ada duit. Bila tak ada duit, apa jadi pi ke MAIPs. Itu lah saya kata, kita kalau kita nak kita boleh berbincang beratus hari berkenaan kebersihan berkenaan modal insan, tapi andai kata ada satu punca yang nyata dan jelas di depan semua pihak tapi kita tak mampu untuk mengubah perkara ini maka, percayalah apa sahaja benda yang kita buat akan jadi sia-sia, Saya mohon… kemudian, selain daripada masalah ketum, tadi saya tertarik dengan YB Guar Sanji bila dia sebut tentang judi ataupun perjudian, namun yang dia sebut adalah perjudian yang halal. Dia ada dua jenis judi yang halal dan haram. Maksudnya bukan dari sudut agama, dari sudut kita lah. Jadi saya bagitau dia ada juga judi yang haram sekarang ini. Ada masalah perjudian tuan-tuan di mana di kampung… di dalam kampung-kampung sekarang dah ada tempat jualan judi-judi online. Yang menyedihkan saya… yang menyedihkan saya ialah bila kita tanya pada orang yang main judi-judi ini diorang ingat itu hanya game, diorang ingat itu hanya permainan video di dalam telefon. Ada jugak makcik-makcik yang tudung kecil yang apa orang panggil… keluar daripada tempat tu. Saya nak bagitahu satu perkara, andai kata perkara ini berleluasa, saya takut bila diorang tak tahu benda tu haram, bila diorang tak tahu benda tu merupakan benda yang salah diorang dah jadi normal benda ni, takut benda ni jadi salah satu proses normalisasi. Esok bila kita nak lawan, bila kita nak tentang perkara ini, kita akan hadapi satu perkara yang lebih susah, bukan senang. Jadi saya mohon…
YB Tambung Tulang, anda telah melepasi masa yang telah diberikan.
Okay sikit lagi na. Jadi saya mohon kita kena tengok balik perkara ni dan saya mohon pihak berwajib tengok dan bantu sebab kita sedang berhadapan dengan masalah sosial yang sangat-sangat kronik. Kita tak sama macam Kuala Lumpur, kita tak sama macam pekan-pekan besar, bandar-bandar besar, namun perkara ini lah… dengan cara macam ini lah saya kata sebuah-sebuah tempat mampu musnah dek kerana masalah-masalah sosial seperti ini dan seterusnya saya ingin juga menyentuh seperti mana yang disentuh sebentar tadi oleh YB Guar Sanji tentang masalah bebas berniaga. Dalam manifesto kita juga ada perkataan bebas berniaga orang-orang di luar sana, penduduk-penduduk, rakyat-rakyat di negeri Perlis pastinya mereka berfahaman apabila kita sebut bebas berniaga makanya bebaslah, boleh berniaga di mana saja boleh berniaga. Namun baru-baru ini kita dikejutkan dengan perkara yang viral. Ada berlaku penutupan kedai di tepi jalan dan sebagainya. Saya mohon diperincikan dan juga diperluaskan hebahkan kepada rakyat di luar sana yang ingin berniaga tentang apa yang boleh… apa yang tak boleh jangan hanya menunggu rakyat masuk dalam website kita dan baca all the detailings, dengan izin. Kita perlu tengok satu per satu, kita perlu huraikan satu per satu agar mereka ini faham tentang apa yang kita bawa, apa syarat-syarat untuk berniaga di dalam negeri Perlis ini. Ini perlu dipericikan dan perlu dihebahkan sebab apa sebab kita tak mahu bila orang dah nak berniaga dia perlu keluarkan modal. Bila dia keluarkan modal itu maksudnya dia telah keluarkan duit dia. Tiba-tiba dia baru buka dua tiga hari kita pi tutup. Saya tak mau sentuh bab dia kata bab Pejabat MB la. Saya tak mau sentuh bab tu. Tapi perkara ini perlu ditengok, dipandang dengan lebih serius. Kesian orang berniaga, sebab apa… saya bagitau ramai yang lupa. ramai daripada kita yang lupa bahawa kita baru saja melepasi satu ketika yang mana kita baru lepas. Kita ni pasca endemik, masih ada yang memerlukan… yang sangat-sangat susah di luar sana yang perlu cari… yang dah dibuang kerja, yang perlu untuk dapatkan duit lebih. Jadi kita kena bantu mudahkan mereka. Sda perkara-perkara yang mugkin kita boleh consider, dengan izin, kita consider lah. Buat apa kita nak jenis susah beratkan lagi. Ada benda yang mungkin tak boleh bagitahu… tak boleh, tapi bila pergi kat sini, dia kata boleh pergi, kat B dia kata tak boleh. Last sekali yang pening peniaga last sekali diorang buka, dan saya nak mohon kita perlu ingat sekarang sudah sampai satu saat di mana bila orang dah nak berniaga, telah sampai satu kod daripada peniaga-peniaga ni. Hang kalau nak berniaga, hang bukak dulu, jangan ambil lesen. Ini bahaya… dah buka baru minta lesen. Jadi kita permudahkan urusan perlesenan, kita permudahkan. Saya mohon ditengok dan dinilai, dikaji balik perkara-perkara ini agar peniaga-perniaga yang mana ada di negeri Perlis ini terbela nasib mereka. Jadi sebelum saya mengakhiri dan semua orang bagi pantun, saya pun ada satu rangkap pantun.
Dari Tambun Tulang ke Kuala Sanglang, singgah sebentar di Sungai Belati; Suara yang deras bukanlah garang, Garang disuara sayang dihati.
Akhir kata daripada saya, saya dengan ini menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis dan sekian, wabillahi taufik wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Dipersilakan Yang Berhormat Kayang.
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Tuan Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan dan agensi wakil-wakil jabatan, rakan-rakan media dan tidak ketinggalan kepada semua tetamu turut hadir dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini. Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, sekali lagi kita dapat bersama-sama dapat dalam Persidangan ini demi memberikan fokus kepentingan rakyat Negeri Perlis. Saya merakamkan ucapan penghargaan dan menjunjung kasih kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja yang telah bertitah dasar-dasar Kerajaan Negeri sempena Istiadat Perasmian Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Kali Ke-15. Terima kasih atas peluang yang diberikan untuk membahaskan titah ucapan yang telah disampaikan pada pagi kemarin dengan melakarkan beberapa amanah dan pesanan penting untuk diberikan perhatian kepada pihak Kerajaan dan Ahli Yang Berhormat bagi kepentingan rakyat khususnya dalam mendepani cabaran-cabaran semasa.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Allah S.W.T. berfirman, (Yang Berhormat Kayang membacakan ayat Al-Quran, Surah al-Baqarah, 2:183)
yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan kepada kamu berpuasa sebagaimana difardhukan kepada umat yang terdahulu, mudah-mudahan kamu peroleh ketakwaan.”
Saya mengambil kesempatan pada hari ini, dalam tempoh berbaki 7 hari lagi dalam bulan Sya'ban, sebelum daripada kita menyambut ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak, untuk saya mengucapkan selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua yang berada di Dewan ini dan juga yang berada di luar sana. Kefardhuan ibadah puasa yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. untuk menganugerahkan takwa kepada mereka yang melaksanakannya dengan baik. Teringat apabila berbicara tentang takwa, ungkapan yang telah dibawa oleh Saidina Ali Karamullahu Wajhah di dalam menghurai dan memperincikan tentang takwa kata beliau, “Takwa itu ialah merasa takut dan gerun kepada Allah S.W.T. yang Maha Agung, beramal dengan apa terkandung di dalam al-Quran, bersikap qanaah dengan yang sedikit dan persediaan menuju hari akhirat.” Sebenarnya, itu lah objektif kita dalam melaksanakan ibadah puasa, mendidik dan membimbing diri agar dapat dilahirkan sebagai insan bertaqwa dari madrasah Ramadhan. Mereka yang berjaya dalam madrasah Ramadhan ini juga amat didambakan dalam mewarnai gerak kerja politik di atas muka bumi ini agar setiap langkah yang diambil meletakkan asas dan neraca yang dikupas oleh Saidina Ali Karamallahu Wajhah. Setiap langkah yang diambil oleh Kerajaan mestilah berpaksikan al-Khaufu Minal Jalil, dengan maksud takutkan kepada Maha Yang Maha Berkuasa. Semua usaha pentadbiran yang diusahakan melandasi al-’Amalu bit Tanzil, beramal dengan al-Quran al-Karim, begitu juga menghidupkan sikap di semua peringkat sama ada pihak Kerajaan, Ahli Yang Berhormat, termasuklah juga kepada semua pegawai dan rakyat al-Qana’atu bil Qalil, dengan maksud bersikap qanaah dengan sedikit dan seterusnya membuat persediaan dengan membawa bekalan untuk menghadap Allah S.W.T. pada hari akhirat kelak. Itulah yang kita harapkan daripada setiap tindak-tanduk Kerajaan dalam membimbing rakyat negeri Perlis ini.
Yang Berhomat Tuan Speaker, dalam ruang ini saya fokus satu perkara yang dinyatakan oleh Tuanku dalam titahnya iaitu dengan saranan agar perancangan perbelanjaan dibuat dengan teliti dan berhemah. Apa disarankan oleh Tuanku di dalam titahnya itu adalah selari dengan apa yang digariskan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran Nur Karim yang menceritakan cerita Nabi Yusof a.s. ketika mendepani cabaran kemarau yang melanda negara Mesir ketika itu. Firman Allah S.W.T., (Yang Berhormat Kayang membacakan ayat Al-Quran, Surah Yusuf, 12:47-49)
maksudnya, “Yusof menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersunguh-sungguh 7 tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu 7 tahun kemarau yang besar yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan untuk dijadikan benih. Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan dan padanya mereka dapat memerah hasil anggur zaitun dan sebagainya.” Surah Yusuf ayat 47 hingga 49.
Dalam ayat saya bacakan tadi, beberapa pengajaran perlu kita ambil sebagai pedoman untuk mengurus dan membangunkan ekonomi negeri kita. Antaranya ialah mengutamakan kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi; menganalisis peluang dan ancaman secara jangka masa panjang serta menilai risiko secara menyeluruh; memastikan penglibatan semua pihak dalam menyediakan keperluan bersama; mengoptimumkan hasil pertanian; membangunkan kaedah dan teknologi penyimpanan makanan; mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengimbangi antara keperluan semasa dan kepentingan masa hadapan. Meyakini bahawa pada setiap musibah ada kesudahan yang lebih baik. Inilah dia panduan al-Quran Karim dari sudut politik pemerintahan khususnya dalam mengurus ekonomi apabila negara berada dalam keadaan bahaya dan terancam, yang menjadi panduan kepada seluruh umat manusia kepada kita umat Islam secara khususnya. Menyokong penuh titah tersangat wajar disegerakan penerokaan sumber-sumber baharu yang mendatangkan hasil kepada negeri. Menzahirkan keprihatinan tinggi Tuanku terhadap kesejahteraan hidup rakyat jelata dan keupayaan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, dalam aspek pelaburan, Kerajaan Negeri diharap dapat menggerakkan strategi yang lebih agresif secara berterusan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada pelabur asing, dan tempatan. Peningkatan pelaburan ini sangat penting sebagai pemangkin pemulihan untuk ekonomi. Justeru Kerajaan Negeri perlu mengenal pasti peluang dalam bidang pertumbuhan baharu seperti teknologi maklumat dan teknologi digital. Menjalin kerjasama lebih erat dengan industri terutamanya dalam merancakkan industri agro makanan. Melonggarkan sekatan dan mengemaskini dasar berkaitan untuk memanfaatkan pembangunan perdagangan. Menggiatkan promosi dan publisiti prospek pelaburan strategik di negeri ini. Saya rakamkan ucapan tahniah buat Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah memberikan komitmen membuka pintu dan mempercepatkan proses buat para pelabur. Semua pihak yang terlibat hendaklah memainkan peranan dalam menjayakan hasrat ini sama ada di peringkat Pejabat Tanah dan Galian, Pihak Berkuasa Tempatan dan semua pihak yang terlibat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya tertarik dengan pelbagai saranan yang telah dikemukakan di dalam titah ucapan kelmarin. Antaranya, ialah berkait dengan anak muda dan belia dari sudut pemerkasaan sektor pertanian agar dapat diperluaskan dengan kaedah pertanian moden serta pemasaran produk dengan kaedah digital. Begitu juga meningkatkan program pembangunan usahawan, industri kecil dan sederhana supaya ia diperkasakan lagi pada masa-masa yang akan datang seiring dengan teknologi masa kini. Penerapan nilai-nilai murni buat anak-anak di awal usia persekolahan perlulah dititikberatkan agar dapat melahirkan modal insan terbaik buat generasi masa hadapan. Maka, sewajarnya pihak kerajaan mengambil inisiatif menjadikan institusi-institusi pendidikan sebagai kilang pencetak yang unggul ke arah generasi yang berkualiti dari segenap aspek kehidupan manusiawi. Termasuk institusi pendidikan dijadikan sebagai pusat sehenti rakyat bagi mendekatkan masyarakat dengan kelompok berpengetahuan. Bagaimanakah elemen pendidikan ini dapat berperanan semaksima mungkin dalam menjayakan perkara ini? Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha ke arah perkara tersebut dan juga menyokong sasaran yang dibuat oleh Yang Berhormat Beseri bahawa kita dapat mewujudkan urusetia pembangunan modal insan agar kita dapat menitikberatkan berkaitan soal ini. Belia-belia dan tokoh anak Perlis, mestilah diberi peluang dan ruang yang luas dalam memberikan sumbangan untuk memajukan negeri sejajar dengan hasrat membolehkan Perlis berada setanding negeri maju yang lain. Organisasi-organisasi yang melibatkan para belia hendaklah menjadi perantara terbaik dengan pihak kerajaan. Memohon untuk pihak kerajaan untuk nyatakan komitmen, apakah ruang yang telah disediakan bagi anak rantau Perlis, khususnya anak muda dalam mereka sama-sama menyumbang manfaat buat negeri tumpah darah mereka yang tercinta ini. Dalam menyemarakkan gaya hidup sihat, aktiviti kecergasan disamping kesedaran pemakanan sihat haruslah dipergiatkan disamping usaha kerajaan bagi menyediakan ruang secukupnya untuk beriadah seumpama, mewujudkan padang bola sintetik di setiap Parlimen yang membolehkan rakyat keseluruhannya mendapatkan manfaat bagi acara setempat. Dalam hal ini, apakah usaha dan peranan yang telah dimainkan oleh pihak kerajaan bagi memastikan rakyat bersungguh-sungguh mencapai kehidupan kekal sihat lagi cergas serta persekitaran yang bersih lagi indah.
Yang Berhormat Tuan Speaker, untuk akhirnya suka saya menarik sidang Dewan agar Dewan dapat memastikan agar semua kita dapat memastikan segala visi, misi dan perancangan kerajaan dirasai oleh segenap rakyat dengan kita memasarkan gerak kerja di lapangan untuk pengetahuan semua. Memanfaatkan media sosial sebagai medium rasmi untuk pengetahuan masyarakat termasuk menerbitkan buletin bercetak untuk disampaikan kepada segenap pelosok kampung bagi warga masyarakat menyedari hasil kesungguhan Kerajaan mengurus tadbir negeri dengan cemerlang. Dan saya juga mencadangkan agar kita mewujudkan sesi libat urus bersama dengan masyarakat di peringkat bawahan secara berkala, kerana ini suatu perkara yang boleh kita mendapat secara langsung khidmat, nasihat, panduan daripada rakyat di bawah sana yang sudah pastinya banyak idea saranan yang mereka sarankan kepada pihak Kerajaan. Dalam merealisasikan hasrat Perlis menjadi Negeri Bandaraya menjelang 2030, perancangan dan hala tuju perlulah dirangka sebaiknya dengan memastikan urus tadbir yang cekap dan pemantauan yang berkesan sebagai langkah awal menuju ke arah tersebut. Justeru itu, pihak Kerajaan perlulah meningkatkan daya usaha yang optimum dan mohon respons bagaimanakah… sejauh manakah kita telah mempersiapkan hasrat ini agar dapat direalisasikan menjelang tahun 2030.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya juga ingin mengambil kesempatan ruang yang berbaki ini untuk menyatakan suara dari kawasan Kayang dengan menyatakan beberapa perkara. Satu, kebocoran paip air yang melibatkan banyak lokasi dan juga proses pembaikan yang memakan masa terlampau lama menyebabkan kesusahan kepada rakyat di bawah sana. Semoga sistem yang terbaik dapat kita sediakan dalam untuk kita memudahkan urusan rakyat ini, lebih-lebih lagi dengan kita melakukan tindakan yang pantas dan juga maklum balas yang cepat. Kedua, pembangunan susulan bandar baharu atau Kangar Jaya, bagi tujuan merancakkan bandar baharu ini, pihak kerajaan disaran agar menyegerakan pembinaan kemudahan asas di lokasi berkenaan dan menjadikan ruang dataran sebagai mesra pengunjung, terutamanya keluarga, dengan mewujudkan seumpama uptown, laman permainan kanak-kanak dan lain-lain sebagaimana suasana persekitaran yang berada di sekitar Stadium Darul Aman, Alor Setar sana. Ketiga, pemantauan tahap kebersihan dan keceriaan perlulah diberikan perhatian serius terutamanya sepanjang jalan-jalan utama agar menjadi daya tarikan buat pelancong dan sudah tiba masanya penguatkuasaan terhadap para pesalah dilaksanakan dengan tuntas agar kesedaran dapat dipupuk dengan sebaiknya. Menilai beberapa kawasan yang perlu diletakkan berkaitan dengan tong-tong sampah… kena tengok, kena kaji, kawasan-kawasan yang menjadi sampah berkeliaran banyak sangat. Maka kita wujudkan tong-tong yang berkaitan untuk memberikan… apa… penyelesaian kepada mereka. Keempat, saranan yang dianjurkan oleh Ahli Yang Berhormat… mana tah tadi… yang menyebut berkaitan dengan mewujudkan dewan orang ramai. Jadi ia satu usaha yang perlu kita fikirkan. Sekurang-kurangnya setiap kawasan kita mempunyai dewan orang ramai bagi memudahkan rakyat mendapat peluang untuk mereka memanfaatkan dewan tersebut. Situasi yang berlaku hari ini kita… berlaku di Masjid Kota Kayang, berlaku penutupan masjid kerana proses pembaikan. Jadi tidak ada tempat yang… sebagai gantian untuk mengerjakan solat bagi masyarakat sekitar sana kerana tidak ada dewan. Ini satu perkara yang perlu kita titikberatkan dalam untuk kita menilai, mewujudkan dewan orang ramai sebagai tempat rakyat untuk berpusat dan juga memanfaatkan kerja seharian mereka. Yang kelima, kita baru sahaja selesai satu program yang terbesar yang dianjurkan iaitu Pesta Angin Timur. Satu kejayaan yang kita rakamkan kepada pihak kerajaan dan juga agensi yang terlibat. Bagaimana satu suasana yang telah kita bentuk menarik begitu ramai pengunjung yang hadir ke kawasan tersebut sempena Pesta Angin Te… Timur tersebut. Di sini saya sarankan bahawa kita wujudkan satu lokasi yang tetap untuk Pesta Angin Timur ini kerana di sana, apabila ada operas… kawasan satu lokasi yang tetap, maka akan menyebabkan kita boleh tambah daripada masa ke semasa… iaitu kita tambah pembangunan fizikal, infrastruktur dengan baik bagi kita meningkatkan lagi menjelang sambutan ataupun perayaan Pesta Angin Timur yang kali yang ke berikutnya pada tahun hadapan. Di sini Kayang juga ingin mencadangkan, kota di kawasan… Tok Kuning, Kota Kayang sebagai proses untuk menjadikan tempat medan lapangan untuk Pesta Angin Timur yang kita buat secara tahunan ini, insya-Allah, kerana dia lebih dekat dengan negeri… dengan pusat bandar, dengan tempat makanan dan seumpama dengannya…
Yang Berhormat boleh tambah sikit? Sikit saja.
Ya, silakan Yang Berhormat.
Sebelum Yang Berhormat dengan pelaksanaan cadangan Yang Berhormat tu dilaksanakan, sesuailah elok kalau dan pi ke Guar Sanji dulu Pesta Angin tu. Terima kasih.
Kayang, anta telah melewati banyak masa ni.
Astagfirullah…
Silakan.
Terima Kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Guar Sanji, di… baru ni di belah Arau, kalau kita pi belah Kangar pula insya-Allah. Okay, saya berharap Perlis baharu dapat membentuk masyarakat yang berbudi pekerti tinggi serta berilmu pengetahuan dengan mengsifarkan sikap pilih kasih, adu domba, busuk hati dan seumpama dengannya. Kita tinggalkan politik musim pilihan raya, yang hari ini semua perlu bergerak ke hadapan bagi memajukan negeri dan mencerdikkan rakyat.
Bunga mawar di atas para, anak dara lepak di tangga; Andai tersilap tutur bicara, jari disusun maaf dipinta.
Yang Yang Amat Berhormat Sanglang orangnya tenang, Titi Tinggi pula orangnya tampan; Berakhir sudah ucapan Kayang, moga dalam hati tiada yang tersimpan.
Akhirnya saya menjunjung kasih kepada ucapan Tuanku dan mohon menyokong. Terima kasih Yang Berhormat Speaker dan seluruh Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Tak apa sat lagi Speaker pantun pula lagi. Dipersilakan Yang Berhormat Indera Kayangan.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli Mesyuarat, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, pengarah-pengarah Jabatan, rakan-rakan media dan hadirin hadirat yang… yang dikasihi sekalian. Salam perpaduan dan salam Malaysia Madani kepada semua. Terima kasih saya ingin ucapkan kepada Dewan yang memberikan peluang kepada saya untuk membahas titah ucapan Duli Yang Amat… Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis… semalam. Yang Berhormat Dato’ Speaker… Yang Berhormat Tuan Speaker, mula-mula saya ingin ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat dan juga tahniah kepada Yang Amat Berhormat di bawah pentadbiran beliau, pencapaian negeri Perlis telah berkembang dan… kita telah melihat satu pelaburan yang amat besar telah masuk ke negeri Perlis dan saya berharap Kerajaan seumpami… seumpama ini akan terus dan terus maju untuk negeri Perlis. Saya amat terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang memberi layanan yang adil kepada saya, bagaikan… saya bukan bagaikan burung yang kepatahan sayap. Dan saya berharap negeri Perlis juga berada di situasi yang sama di mana anda… kita semua bukan burung kepatahan sayap, dan kami menaruh harapan ke arah satu negeri Perlis yang maju pada dua ribu… tiga… tiga puluh, meningkatkan prestasi ekonomi yang terus berkembang. Saya berharap ia akan terus dan terus berkembang pada hari-hari dan tahun yang akan datang di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Saya bukan acuan utama dalam Kerajaan Negeri… Negeri Perlis, tapi saya acuan sampingan yang saya berharap anda juga akan melayani saya dengan adil dan menjaga saya…
YB…
Beberapa perkara yang… Ya…
Walaupun acuan dia tak sama, saya harap kuih yang keluar tu dia sama.
Terima kasih sebab kami semua daripada ingredient yang sama. Okay terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Beberapa isu yang telah… yang ingin saya kemukakan pada hari ini, yang… di mana yang akan memangkinkan sektor ekonomi dan pembangunan negeri Perlis di mana saya ingin… satu isu iaitu kuota hak milik perumahan non-bumi dan bumi, dengan izin. Saya merasakan pada asasnya adalah satu perkara yang perlu kita perhatikan. Mungkin di kawasan-kawasan yang demografinya lebih kepada kaum bumi… hak-hak non-bumi tidak perlu diberikan. Walau bagaimanapun, kalau di kawasan pekan, di Kangar dan sebagaimananya, mungkin hak milik kuota perumahan harus diberikan mengikut demografi. Saya difahamkan dulu apa yang di… maklumkan kepada kerajaan yang dulu, pelaksanaan sistem perumahan kuota 30:70 adalah kerana populasi di negeri Perlis yang lebih pada di bumiputera. Namun saya rasa ada… tibalah masanya untuk Kerajaan Negeri baru untuk menghalusi lagi detail… maklumat-maklumat dan detail-detail untuk menangani perkara ini dan menda… melakarkan lagi satu dasar yang membantu pembangunan negeri Perlis. Malahan negeri Perlis juga boleh menawarkan program “Malaysia My Second Home Project” (MM2H), dengan izin. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kemasukan rak… penduduk yang ramai ke sesuatu negeri, dia memang memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negeri, di mana pembelian perumahan, pembelian… dan juga penggunaan perbelanjaan seseorang penduduk itu dapat membantu memangkinkan pembangunan ekonomi sesebuah negeri. Saya pasti jika kita ada pelaksanaan dengan pemikiran yang terbuka dan lebih memahami kehendak dan keperluan rakyat ia akan pasti mendapat sambutan yang baik daripada rakyat keseluruhannya, tidak kira sama ada pada kaum bumiputera ataupun bumiputera. Saya pasti pelaksanaan dasar kerajaan yang baik pasti akan disokong oleh pengundi pada suatu hari nanti.
Memandangkan sumber kewangan yang agak terhad di negeri Perlis, saya berpendapat pembangunan yang berdasarkan kepada modal insan pendidikan ke arah persediaan generasi muda yang dilengkapi dengan pelbagai ilmu dan kemahiran dalam pembangunan negeri adalah sangat penting. Sebagai contohnya apa yang telah dikemukakan oleh Tambun Tulang, bagaimana seseorang itu dapat mengimbangi daripada segi kebaikan dan keburukan, itulah adalah asas yang mereka perlu bawa apabila menghadapi kehidupan harian mereka. Selain daripada itu, kita juga harus mengamalkan perbelanjaan yang lebih bersasar apabila menggunakan kewangan dan membelanjakan kewangan negeri. Kita harus fokus kepada keperluan dan juga bertujuan menyelesaikan masalah rakyat. Yang paling penting juga pembelanjaan yang digunakan itu mestilah, dengan izin, cost effective.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya mempunyai suatu persoalan di mana ia adalah berkenaan dengan gerai makanan di Persiaran Jubli Perak yang telah dibiarkan sekian lama, setelah separuh siap dibina tetapi masih tidak beroperasi lagi. Saya tidak tahu apakah masalah yang telah berlaku dan saya mohon projek naik taraf ini dapat diselesaikan dengan cara yang berkesan dan baik kerana ramai peniaga di gerai-gerai berkenaan tidak dapat berniaga dan ini secara langsung adalah satu kerugian kepada semua pihak tidak kira daripada segi… daripada kerajaan dalam segi kewangan ataupun masa. Perlis negeri di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis adalah satu negeri yang mempunyai Raja yang berjiwa rakyat dan rakyat bertuah di bawah lindungan Tuanku yang sentiasa menyayangi rakyat di negeri Perlis. Saya ingin memohon… saya ingin mengetahui perkembangan berkenaan dan cadangan untuk membina Hospital Padang Besar yang pernah diungkitkan. Saya merasakan ini adalah satu keperluan yang perlu kita tangani kerana negeri kita telah mencapai negeri menua pada 2008 lagi. Memandangkan keperluan rakyat dari segi kesihatan amat dalam keadaan kritikal dan Hospital Tuanku Fauzih… Fauziah juga dalam keadaan yang menampung pesakit yang ramai. Saya berharap pihak Kerajaan dapat menyusulkan dan juga mendesak supaya projek Hospital Besar… Hospital Besar Padang Besar ini dapat dipercepatkan atas keperluan rakyat. Di samping itu, jika kita ada Hospital Besar Padang Besar, ia juga dapat menambahkan lagi khidmat pakar dan juga kakitangan kesihatan untuk rakyat negeri Perlis.
Yang Berhormat Tuan Speaker, kita harus akur dan terima realiti akan kehendak pelbagai rakam… ragam dan keperluan rakyat malahan keperluan pelancong yang berkunjung ke negeri Perlis. Maka dengan itu, saya cadangkan bahawa Kerajaan Negeri boleh ada… harus mengamalkan sikap yang lebih terbik… terbuka untuk memberikan kebenaran berniaga dalam bidang hiburan dan tempat beriadah yang bersesuaian mengikut cara hidup rakyat Perlis dan kehendak pelancong asing. Pada pandangan saya, kesemua wakil rakyat di dalam Dewan ini mempunyai hubungan yang baik dan kami semua mempunyai niat dan matlamat untuk membangunkan negeri Perlis, menjaga kesejahteraan rakyat dan kami mahu membantu rakyat bebas daripada belenggu dan hidup yang susah. Biar susah mana sekalipun ataupun kita mungkin berisiko menerima kritikan-kritikan dengan bahas yang telah kami sampaikan, saya pasti keinginan dan keikhlasan hati kami untuk membantu rakyat dan pasti akan difahami oleh rakyat yang kita sayangi pada suatu hari nanti. Yang pasti, dasar yang baik dan menjaga rakyat serta usaha yang dan komitmen kita kepada rakyat pasti membuahkan hasil jika kita menjalankan segala urusan dengan baik dan teliti.
Yang hormat… Yang Berhormat Tuan Speaker, memandangkan negeri Perlis catatkan… negeri menua pada tahun 2008, saya rasa adanya perlu kita menggerakkan dan melibatkan lebih ramai orang muda dalam pembangunan negeri Perlis. Maka dengan itu, saya sarankan orang muda hendaklah lebih bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan bergaul dalam komuniti, contohnya menyertai NGO dan sebagainya untuk membangunkan… sama-sama membangunkan peranan mereka membangunkan ekonomi negeri Perlis, sama ada sebagai sukarelawan dan sebagai… atau sebagainya. Saya juga berharap lebih ramai warga Perlis yang muda dari luar akan kembali dan pulih dan sama-sama kita usahakan untuk pulihkan ekonomi di da… di… di negeri Perlis. Maka dengan itu juga, saya cadangkan tanah-tanah kosong atau terbiar yang dijadi… boleh dijadikan sasaran untuk kerajaan membantu sesiapa yang ingin menerokai tanah terbiar dengan menawarkan program penanaman sejajar dengan keperluan keselamatan makanan atau sebagai tempat perniagaan di tapak atau tanah yang terbiar berkenaan, dengan tertakluk kepada syarat-syarat tanah-tanah berkenaan. Ataupun tanah berkenaan boleh diubah syarat sebagai kawasan tempat pelancongan, tempat penginapan kepada pelancong dan sebagainya. Saya rasa ini bukan masa untuk kita memberikan seribu alasan tetapi masa untuk kita bergerak dan saya anggap ini adalah satu keemasan untuk mereka dan anak-anak muda yang ingin kembali ke negeri Perlis.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain daripada itu mungkin kita perlu juga mengkaji semula tatacara dalam pengurusan kita. Contohnya, apabila sesuatu kerja proses permohonan dan sebagainya melibatkan terlalu banyak birokrasi dan permohonan yang dimohon oleh para pemohon… tidak mesra… tidak dapat dilakukan dan diluluskan dengan cepat, maka saya ingin menyarankan kepada semua pihak yang terlibat supaya untuk memproses dan meluluskan sesuatu permohonan yang dapat diluluskan itu… saya mohon untuk dilakukan dengan lebih cepat… dengan tanpa… dengan mengambil kira juga syarat-syarat yang diberikan atas mana-mana permohonan.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin memohon pihak… perhatian pihak kerajaan negeri untuk beberapa perkara berikut. Saya rasa tibalah masanya untuk SAP dibawah pimpinan yang baru untuk melakukan sesuatu dalam membaiki mutu air, tekanan air dan juga keseluruhan infrastruktur bekalan air di negeri Perlis disamping untuk mengurangkan NRW, dengan izin, di negeri Perlis. Selain Daripada itu, saya sarankan juga supaya pihak Kerajaan Negeri pandang juga dengan permasalahan parkir di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar. Selain daripada itu, negeri… negeri… Pihak Kerajaan Negeri juga saya sarankan juga untuk memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam menyediakan rumah kos rendah ataupun rumah mampu milik kepada mereka. Saya berharap dengan usaha ini Kerajaan Negeri Perlis dapat membantu mengurangkan kadar mereka yang tidak berumah. Selain daripada itu, saya juga ingin ungkitkan dan juga tahu apakah usaha kerajaan dalam menguruskan berkenaan dengan permintaan nelayan di negeri Pulau Pinang yang berminat untuk membeli benih kerang daripada negeri Perlis dan saya difahamkan tiada apa-apa lesen telah diberikan untuk perkara ini. Saya mohon diberi penjelasan dan juga pencerahan. Selain daripada itu saya harap Kerajaan Negeri boleh memberi insentif kepada mereka yang ingin balik dan membangunkan negeri Perlis khususnya anak jati negeri Perlis. Kita juga harus menjalankan projek pendidikan awam berterusan untuk warga negeri Perlis supaya kerja dan pelaksanaan program-program di negeri Perlis sentiasa di landasan yang baik. Selain daripada itu, saya juga ingin mengungkitkan tentang proses kutipan sampah yang tidak terancang untuk para peniaga dalam masa beberapa bulan kebelakang ini di mana ia telah menjadi isu di beberapa kawasan perniagaan di Bintong, Indera Kayangan dan juga Kayang. Saya mohon supaya pihak kerajaan tempatan mengambil serius berkenaan masalah yang dihadapi oleh para perniagaan… para peniaga berkenaan dengan kutipan sampah. Selain daripada itu… program pendigitalisasi, saya berharap negeri Perlis boleh menjadi satu hub perniagaan untuk mereka yang aktif dalam menjalankan perniagaan digital. Kita mempunyai banyak peluang untuk menerokai dalam bidang ini memandangkan banyak perniagaan, dengan izin, online boleh dijalankan secara… dalam alam maya. Selain pada itu, kami juga mendapati… saya juga dapati banyak bangunan terbiar agensi kerajaan khususnya yang tidak digunakan dengan sebaiknya. Saya mohon agar agensi-agensi yang berkaitan tengok semula apakah yang mereka boleh lakukan atas bangunan ataupun… premis yang terbiar… mungkin mereka boleh menjadikan tempat berkenaan sebagai pusat pengumpulan kitar semula, pusat komuniti, mungkin boleh membiarkan kawasan berkenaan dijadikan dewan orang ramai sementara untuk kegunaan-kegunaan YB… YB kawasan dan sebagainya. Dan yang paling penting dan akhir sekali adalah penting untuk kita memantau dan membuat semakan setiap kali menjalankan kerja supaya apa yang kita sasarkan itu menepati hala tuju kita. Seperkara lagi yang saya ingin bangkitkan adalah berkenaan dengan pelajar tercicir. Beberapa hari yang lepas saya telah bertemu dengan enam belas anak murid yang…
Sila ringkaskan, masa dah lebih banyak…
…anak murid yang kurang tidak pergi ke sekolah. Banyak masalah yang timbul atas kerana… banyak sebab yang diungkitkan adalah kerana masalah keluarga. Saya mohon jika ada yang mengetahui perkara ini boleh tujukan mereka kepada pihak berkaitan, mungkin pihak… pihak Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan dan mungkin di institusi-institusi agama dan sebagainya dalam memberikan mereka kaunseling. Dan dengan ini saya menjunjung kasih dan menyokong sepenuhnya Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis. Sekian, terima kasih.
Terima kasih, pantun la sikit na.
Banyak bunga di dalam Dewan, bunga mawar ada setangkai; Kita tangguh sidang Dewan, esok pakat mai awai-awai.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan ditangguhkan dan akan disambung semula pada hari Khamis, 16 haribulan Mac 2023, jam 9.00 pagi. Sekian, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
(Persidangan ditangguhkan pada jam 1:28 petang).