Pulau Pinang · 17 November 2023

15th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 10 turns · 3,401 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPenang publishes one PDF per sitting day with an attendance list, so each sitting shows who was absent. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri. Ahli-Ahli Yang Berhormat, bacaan doa.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan

“Bacaan Doa”.

Setiausaha Dewan

Pengumuman oleh Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri.

Yang di-Pertua (Speaker)

Selamat pagi Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah pun menetapkan hari ini 17 November 2023 sebagai hari permulaan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kelima Belas melalui pengisytiharan bertarikh 4 Oktober 2023 yang telah diwartakan pada 5 Oktober 2023. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan Yang Terutama Tun akan tiba di Dewan ini sebentar lagi untuk menyampaikan ucapan kepada Dewan. [YB. Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Dewan ke Bilik VIVP untuk menjemput T.Y.T. Tun dan YABhg. Toh Puan]

Setiausaha Dewan

Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketibaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

Yang di-Pertua (Speaker)

Sila.

Setiausaha Dewan

Ucapan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

Yang di-Pertua Negeri (Governor)

Bismillahirahmanirrahim. YB. Dato’ Law Choo Kiang, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, YAB. Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, YB. Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, YB. Tuan Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, YB. Dato' Haji Rosli bin Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Azrul Mahathir bin Aziz, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, YB. Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya dapat kita bersama-sama pada pagi yang mulia ini dalam Mesyuarat Kedua Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas. Saya juga bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan kehendak dan izin-Nya jua, saya dan Toh Puan dianugerahkan kesihatan yang baik untuk terus memayungi negeri yang tercinta ini. Kita sama-sama berbangga dan bersyukur Negeri Pulau Pinang terus mengekalkan nikmat keamanan, kestabilan politik dan ekonomi serta kemakmuran. Sesungguhnya, nikmat yang kita capai pada hari ini tidak wajar dipandang mudah dan perlu dijaga sebaiknya. Tidak semua rakyat di seluruh dunia dapat menikmati suasana hidup seperti di negara kita. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”. Surah Ibrahim, Ayat 7. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Kedua Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas menyaksikan perubahan susunan tempat duduk sebahagian besar Ahli-ahli Dewan dengan wajah dan iltizam baharu. Landskap perubahan ini adalah ekoran daripada keputusan Pilihan Raya Umum bagi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke-15, di mana Ahli-ahli Dewan yang mewakili Parti Tindakan Demokratik, Parti Keadilan Rakyat, Barisan Nasional dan Parti Amanah Negara buat pertama kalinya telah bergabung di bawah payung Kerajaan Perpaduan, bagi membentuk Kerajaan Negeri dengan kemenangan majoriti dua pertiga di dalam Pilihan Raya Umum DUN yang ke-15 lalu. Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perkara 7(2)(a), Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, Ahli Dewan Negeri Padang Kota yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang, telah saya perkenan untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada tanggal 13 Ogos 2023. Saya merakamkan sekalung tahniah kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan barisan kepimpinan yang lain atas kemenangan ini dan sebagaimana pesan dan nasihat saya sebelum ini, amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini seharusnya digalas dengan penuh integriti dan dedikasi dalam menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri ini. Saya turut berharap agar kesinambungan pentadbiran ini tidak digugat malah diberikan sokongan tulen dan kukuh bagi merealisasikan aspirasi dan matlamat Visi Penang2030 sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, mutakhir ini, dunia dikejutkan dengan berita dan perkembangan tragik di Semenanjung Gaza. Konflik dan peperangan yang masih berterusan telah mengakibatkan penderitaan yang besar terutamanya

kepada rakyat Palestin, dengan orang awam khususnya golongan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terbunuh serta ramai yang kehilangan nyawa dan rumah kediaman mereka. Titisan air mata, gelodak rasa kesedihan di jiwa, tidak dapat dibendung, melihat kesakitan dan kehilangan nyawa yang dialami oleh sebahagian besar penduduk Palestin. Sebagai ahli komuniti global yang bertanggungjawab dan prihatin, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk meningkatkan kesedaran tentang apa yang sedang berlaku dan berusaha ke arah membantu keperitan dan malapetaka yang sedang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Saya mengecam sekeras-kerasnya dan menggesa agar semua tindakan keganasan, pembunuhan dan kezaliman rejim Israel yang berlaku ke atas penduduk Palestin ditamatkan dengan segera. Adalah penting keselamatan dan kesejahteraan orang awam diutamakan. Saya turut menggesa, atas prinsip perikemanusia, agar masyarakat antarabangsa bersama-sama menyokong segala usaha diplomatik untuk mencapai penyelesaian yang komprehensif dan tuntas dengan segera, adil dan saksama demi kebaikan manusia sejagat. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri atas rekod pencapaian negeri yang cemerlang sepanjang tahun lalu. Kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri bersama seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri telah menghasilkan kemajuan ekonomi yang ketara bagi Negeri Pulau Pinang. Pada tahun 2022, ekonomi Pulau Pinang berkembang sebanyak 13.1 peratus. Ini adalah satu peningkatan yang ketara daripada kadar pertumbuhan tahun sebelumnya sebanyak 6.9 peratus dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang direkodkan sebanyak Ringgit Malaysia Satu Ratus Dua Belas perpuluhan Satu bilion (RM112.1 bilion). Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan sektor pembuatan terus menjadi penggerak pertumbuhan ekonomi negeri, dengan peningkatan ketara daripada 12.4 peratus pada tahun 2021 ke 15.9 peratus pada tahun 2022. Negeri Pulau Pinang turut mencatatkan sebanyak Ringgit Malaysia Tiga Belas perpuluhan Tujuh billion (RM13.7 bilion) dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan pada tahun 2022, melibatkan aliran masuk sebanyak 135 projek dengan penjanaan sebanyak 15,752 peluang pekerjaan yang baharu. Ini menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai antara penyumbang tertinggi, iaitu dengan sumbangan 16 peratus dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan dalam negara pada tahun 2022. Pelaburan langsung asing (FDI) pula, mencatatkan sebanyak Ringgit Malaysia Sembilan perpuluhan Tujuh billion (RM9.7 bilion) atau 71 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan bagi tahun 2022 manakala baki, berjumlah Ringgit Malayisa Empat bilion (RM4 bilion), atau 29 peratus merupakan pelaburan langsung domestik (DDI). Pencapaian ekonomi yang mengagumkan ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang berada pada trajektori ekonomi yang memberangsangkan dan berpotensi muncul sebagai kuasa ekonomi yang penting di ASEAN. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, mengekalkan integriti kewangan adalah satu elemen kritikal dalam urusan berkaitan pentadbiran dan pengurusan kewangan dalam hal ehwal Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas atas kecemerlangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang terus berjaya mengekalkan pengurusan kewangan yang berintegriti apabila menerima Sijil Bersih iaitu Sijil Pendapat Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan Tahun 2022. Saya dimaklumkan, prestasi kewangan Kerajaan Negeri kekal teguh, dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun semasa berjumlah Ringgit Malaysia Satu perpuluhan Lapan Lima Sembilan bilion (RM1.859 bilion). Hutang awam Kerajaan Negeri yang terdiri daripada hutang

kepada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembangunan menunjukkan baki berjumlah Ringgit Malaysia Empat Puluh Satu perpuluhan Satu Satu juta (RM41.11 juta) pada akhir tahun 2022 berbanding Ringgit Malaysia Empat Puluh Lima perpuluhan Empat Satu juta (RM45.41 juta) pada tahun 2021 iaitu menurun sebanyak Ringgit Malaysia Empat perpuluhan Tiga kosong juta (RM4.30 juta) atau 9.5 peratus. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya mengurangkan hutangnya dengan mengelakkan pinjaman baharu daripada Kerajaan Persekutuan dan dengan membayar balik pinjaman sedia ada tepat pada masanya. Kecemerlangan ini terus diukir dengan tiada rekod pinjaman baharu oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Kerajaan Persekutuan yang dibuat sejak tahun 2016. Saya menggesa agar potret kecemerlangan ini terus dikekalkan bagi meningkatkan keyakinan dan kepercayaan komuniti serta menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini. Dalam hal ini, saya ingin menggesa agar idea-idea baharu dapat dipertimbangkan bagi meningkatkan dan mempelbagaikan jumlah dan unsur pendapatan tahunan yang diterima oleh Kerajaan Negeri yang boleh digunakan untuk kepentingan rakyat. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah penting untuk memastikan projek pembangunan dan infrastruktur yang dirancang dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya. Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 13 Oktober 2023 yang lalu, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia Sepuluh bilion (RM10 bilion) bagi pelaksanaan Projek Light Rail Transit (LRT) Pulau Pinang ke Seberang Perai dengan kaedah kerjasama awam-swasta. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih atas komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek jajaran LRT yang telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Pulau Pinang. Kendatipun begitu, saya memohon supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk Negeri Pulau Pinang. Antaranya, bagi membiayai projek-projek menangani isu kesesakan trafik ke Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan dan kawasan sekitar di Seberang Perai, Pulau Pinang. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ratus Sembilan Puluh Lima bilion (RM295 bilion) eksport Malaysia adalah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan sebanyak Ringgit Malaysia Lima Puluh Enam bilion (RM56 bilion) eksport adalah melalui Pelabuhan Pulau Pinang. Sekiranya aliran trafik di Seberang Perai ini tidak diatasi dengan segera, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pembangunan sosioekonomi di negeri ini. Di samping itu, saya turut berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat memberi keutamaan kepada Negeri Pulau Pinang mengenai pembangunan infrastruktur atau dana peruntukan tambahan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan warga emas di negeri ini. Ini adalah sejajar dengan laporan daripada Projek Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang meramalkan bahawa menjelang 2040, Negeri Pulau Pinang akan mempunyai populasi penuaan tertinggi di Malaysia. Inisiatif-inisiatif seperti saringan kesihatan warga emas, klinik warga emas dan sebagainya boleh diperkasa demi memfokuskan kepada kehidupan dan kesihatan yang berkualiti serta berupaya mempromosi penuaan sihat dalam kalangan warga emas di negeri ini. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, baru-baru ini, saya telah diberi kesempatan untuk memberikan ucaptama sempena 2023 Global Chinese Economic & Techology Summit di Shenzen, China. Seminar yang bertemakan “Memperkasakan Pertumbuhan, Teknologi dan Kemakmuran Serantau” atau “Powering Growth, Technology & Regional Prosperity”, memberi penekanan kepada berbagai-bagai isu geostrategik dan geoekonomi, pertumbuhan hijau dan ekonomi hijau, transformasi digital serta ekonomi

berasaskan pengetahuan. Saya percaya dan yakin, meskipun terdapat krisis dan cabaran geostrategik dan geoekonomi yang dihadapi pada masa kini, Negeri Pulau Pinang telah mengalami pertumbuhan dan pembangunan yang ketara, dengan menumpukan kepada kemajuan yang mampan dan inklusif, merangkumi pembangunan infrastruktur, penambahbaikan kemudahan awam dan sistem pengangkutan. Di samping itu, pelbagai usaha juga telah dan sedang digembleng oleh pihak-pihak berkepentingan ke arah pencapaian kepelbagaian ekonomi dengan penekanan khusus ditumpukan kapada kemajuan teknologi dan inovasi. Buktinya, menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Negeri Pulau Pinang telah merekodkan pelaburan yang diluluskan berjumlah Ringgit Malaysia Empat perpuluhan Dua Lima Lapan bilion (RM4.258 bilion), merangkumi 67 buah projek dengan unjuran sebanyak 4,738 peluang pekerjaan baharu pada awal tahun ini hingga Jun 2023. Pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah pelaburan yang diluluskan di Negeri Pulau Pinang iaitu sebanyak Ringgit Malaysia Dua perpuluhan Lapan Dua Empat bilion (RM2.824 bilion) manakala pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak Ringgit Malaysia Satu perpuluhan Empat Tiga Empat bilion (RM1.434 bilion) bagi tempoh Januari hingga Jun 2023. Walau bagaimanapun, masih banyak tugas yang perlu dilakukan untuk memastikan Pulau Pinang terus berkembang maju pada tahun-tahun akan datang. Sebagai pemimpin, adalah menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk bekerjasama dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh negeri kita, bagi membina masa depan yang lebih cerah untuk seluruh rakyat Pulau Pinang. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, pencapaian cemerlang negeri pada hari ini, tidak akan terhasil tanpa adanya dasar, arah tuju dan program yang jelas dan kukuh. Kesemua ini perlu dilaksanakan dengan strategi yang sebaik-baiknya, tanpa sebarang sifat prejudis atau salah sangka. Sekiranya terdapat isu yang dirasakan perlu ditambah baik, perkara ini perlu diutarakan secara berhemah dan membina di dalam platform yang bersesuaian secara bertanggungjawab. Saya memohon agar isu-isu yang dibangkitkan tidak diperkotak-katikkan atau dibawa ke platform yang tidak bersesuaian sehingga menggadaikan kestabilan dan keharmonian negeri ini. Saya juga ingin mengingatkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab agar tidak menyebarkan maklumat atau melemparkan tuduhan-tuduhan dan kritikan tidak berasas terhadap Kerajaan Negeri, khususnya tanpa sebarang usul periksa yang kukuh dan jelas. Golongan-golongan ini lebih cenderung mempercayai berita palsu dan tidak tepat serta berlumba-lumba untuk menjadi johan bagi menularkan berita-berita sedemikian. Gelombang berita palsu ini bukan sahaja mampu mengganggu-gugat kestabilan ekonomi negeri ini, malah turut menghakis keamanan dan keharmonian rakyat. Oleh itu, saya menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk terus membantu Kerajaan Negeri dalam menguar-uarkan berita yang tepat dan sahih agar perkara ini dapat dirai dengan sebaiknya demi kelangsungan keamanan dan kesejahteraan di negeri ini. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat. Kita semua sedia maklum, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri telah melahirkan gagasan Visi Penang2030 bagi mencorakkan perjalanan negeri ini dengan mengambil kira harapan, pandangan dan idea seluruh segmen asyarakat, terutamanya generasi muda. Inisiatif ini akan dipacu dengan matlamat dan sasaran yang jelas, iaitu ke arah merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Sesungguhnya, Visi Penang2030 perlu digarap melalui usaha bersepadu dan kolaboratif antara semua pihak dalam mewujudkan keseimbangan dan kestabilan ekonomi dan sosial, di samping memartabatkan nilai dan akhlak moral yang tinggi dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Oleh itu, saya menyeru semua Ahli-ahli Yang Berhormat agar terus menjadikan Visi Penang2030 sebagai petunjuk utama dalam setiap dasar, program dan strategi penyampaian perkhidmatan yang ingin dilaksanakan kelak.Ini adalah penting agar setiap hala tuju yang ingin dilaksanakan tidak tersasar daripada maksud atau visi yang telah digariskan. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Selain daripada taat setia kepada Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat juga perlu melaksanakan perkhidmatan teras atau “core business” yakni amanah yang diberikan dengan menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri ini. Ini adalah sejajar dengan konsep Malaysia MADANI yang telah digagaskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, iaitu bagi mengangkat martabat insan berpaksikan keyakinan, nilai, akhlak serta tata kelola yang adil dan berkesan. Saya yakin, Malaysia MADANI yang telah diperkenalkan ini, merupakan satu pendekatan yang tepat, mengambil kira, tahap kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur oleh petunjuk ekonomi dan kemampuan berdaya saing semata mata, tetapi turut dinilai dari aspek integriti dan moral yang dimiliki oleh organisasi dan masyarakatnya. Oleh yang demikian, saya menyeru agar fokus penyampaian perkhidmatan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dapat dilasanakan berasaskan nilai dan elemen-elemen MADANI yang telah digarapkan. Selain itu, saya juga ingin menyeru agar Ahli-ahli yang Berhormat sekalian, dapat kerap turun padang untuk memperkenalkan dan menjelaskan dasar-dasar Kerajaan, bagi membolehkan perkhidmatan secara lebih adil dan saksama disampaikan kapada rakyat di Negeri ini. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas di atas langkah Kerajaan Negeri yang terus berusaha dalam memperkenalkan inisiatif pembayaran tanpa tunai sebagai kaedah pembayaran alternatif dalam kalangan rakyat negeri ini. Apa yang membanggakan lagi, sehingga kini, kadar penembusan pembayaran digital sektor awam di Pulau Pinang telah mencapai kemajuan yang cemerlang dan memberangsangkan, dengan pencapaian 90 peratus yang melakukan transaksi pembayaran tanpa tunai. Sementelahan itu, Ketua Setiausaha Negara juga telah mengadakan satu sesi tinjauan khas bagi tiga projek di bawah kategori Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam 2023. Ini termasuk projek yang telah dibangunkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu projek Penang Smart Parking (PSP) pada 28 Oktober 2023 yang lalu. Aplikasi PSP telah digunakan secara meluas oleh warga Pulau Pinang dan sehingga 22 Oktober 2023, aplikasi ini telah dimuat turun sebanyak 1,245,594 kali dan digunakan secara aktif oleh seramai 262,728 pengguna. Melalui aplikasi sebegini, saya difahamkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai telah berjaya menjimatkan sebanyak Ringgit Malaysia satu perpuluhan dua juta (RM1.2 juta) setahun melalui penjimatan cetakan kupon parkir dan penyelenggaraan Tempat Letak Kereta. Saya juga difahamkan, projek PSP telah terpilih sebagai finalis dan menjadi Johan Anugerah Inovasi Sektor Awam bagi kategori Trek Infrastruktur dengan membawa pulang wang tunai sebanyak Ringgit Malaysia dua ratus ribu (RM200,000.00) yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia di Majlis AlnSA Tahun 2023 pada 7 November 2023 di PICC Putrajaya. Sekalung tahniah dan syabas saya ucapkan.

Saya berharap usaha sebegini dapat diteruskan, yang bukan sahaja seiring dengan peredaran zaman dunia digital yang semakin dinamik, namun berjaya memacu penggunaan perkhidmatan kewangan digital dan menggalakkan pembudayaan inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Menelusuri perkembangan dan kepentingan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) dalam memacu kemajuan digital, saya percaya pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Digital Penang dengan mengadakan penganjuran bengkel dan program-program yang berterusan. Usaha-usaha yang dijalankan ini adalah bagi mempromosikan penggunaan AI merentasi pelbagai industri dalam menjadikan negeri ini sebagai sebuah hab inovasi dan teknologi digital serta pembangunan bandar pintar. Apa yang pasti, pelaburan negeri dalam infrastruktur dan ekosistem digital, ditambah dengan pelbagai inisiatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital, telah melahirkan sebuah persekitaran dan ekosistem yang kondusif dan maju. Tumpuan Kerajaan Negeri terhadap AI dan teknologi digital telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial di negeri ini, dan pada masa ini, Negeri Pulau Pinang berada pada kedudukan yang cemerlang untuk terus memacu kemajuan digital di rantau ini. Namun begitu, kita juga harus sedar bahawa penekanan terhadap kepentingan AI ini adalah perlu sejajar dengan kepentingan Analisis Data Raya atau Big Data Analytics. Kepentingan Analisis Data Raya ini adalah wajar diperhalusi dan dibangunkan secara sebaiknya bagi memastikan segala keputusan berdasarkan data dapat dihasilkan dengan lebih berkesan dan cekap. Ini bukan sahaja bagi membawa kepada peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam, malah dapat meningkatkan tadbir urus yang lebih baik secara keseluruhan. Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Selaku Kerajaan yang bertanggungjawab, perhatian serius dan ingatan patut di beri kepada semua agensi dan jabatan untuk terus bersiap siaga bagi menghadapi fasa Monsun Timur Laut yang sedang berlaku, iaitu dari awal bulan ini dan dijangka akan berakhir pada bulan Mac 2024. Jabatan Meteorologi Malaysia telah meramalkan semasa Monsun Timur Laut ini, Negeri Pulau Pinang dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada julat purata di antara 190 milimeter hingga 290 milimeter pada bulan November dan di antara 90 milimeter hingga 130 milimeter pada Disember 2023. Pepatah Melayu ada menyebut “sediakan payung sebelum hujan” dan nasihat saya kepada rakyat Pulau Pinang adalah untuk terus peka dengan perubahan dan amaran cuaca terkini serta bekerjasama dalam mematuhi arahan dan prosedur yang ditetapkan dari masa ke semasa. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perak atas kesudian menerima kunjungan hormat daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengadakan perbincangan bersama mengenai hala tuju pelaksanaan projek Sungai Perak pada 9 November 2023 yang lalu.

Alhamdulillah, secara prinsipnya, Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju untuk menjual air terawat kepada Negeri Pulau Pinang dan keputusan ini telah memberi impak yang positif di dalam penyelesaian jangka masa panjang untuk memenuhi permintaan air sehingga tahun 2050 kepada rakyat Negeri Pulau Pinang dan Utara Perak. Persetujuan secara prinsip yang dicapai antara Negeri Pulau Pinang dan Perak ini melambangkan hubungan baik antara dua negeri jiran yang berdaulat yang patut menjadi contoh terbaik bagi Pulau Pinang dan negeri jiran lain yang berkenaan, demi kepentingan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian rakyat keseluruhannya. Bak kata pepatah “serumpun bak serai, sesusun bak sirih”. Akhir kalam, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan khidmat bakti seluruh anggota Perkhidmatan Awam dalam menjamin kedaulatan, keselamatan dan keamanan negeri ini. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat di bawah Persekutuan Malaysia yang telah sekian lama termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, di mana keabsahannya tidak boleh dipertikaikan. Saya yakin dan percaya Kerajaan Negeri dan seluruh jentera Perkhidmatan Awam akan terus menjadi tunjang dan nadi penggerak dalam membangunkan Negeri Pulau Pinang ke arah masa hadapan yang lebih cerah dan cemerlang. Saya berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga negeri kita yang tercinta ini akan terus maju dan makmur, serta sentiasa terlindung daripada segala bencana dan malapetaka, dengan rakyatnya mendapat taufik dan hidayah, bersatu padu dan sejahtera serta sentiasa hidup dalam aman sentosa di bawah lindungan-Nya. Dengan itu, dan dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas. Selamat bersidang di Dewan Yang Mulia ini. Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih Tun. Ahli-ahli Yang Berhormat dan para hadirin sekalian, Tuan Yang Terutama Tun akan meninggalkan Dewan ini sebentar lagi dan Ahli-ahli Yang Berhormat dijemput untuk bergambar bersama- sama dengan Tuan Yang Terutama Tun dan akhirnya Ahli-ahli yang Berhormat mesyuarat ditangguhkan dan Dewan akan bersidang semula pada hari isnin 20 November 2023 jam 9.30 pagi.

Setiausaha Dewan

Tuan Yang Terutama yang di-Pertua Negeri meninggalkan Dewan persidangan.

Dewan ditangguhkan pada jam 10.35 pagi,